KOLEKSI CERPEN
Ungu itu bukan Jingga
Cinta itu bukan Dusta...
HAK CIPTA TERPELIHARA
E-Book ini berserta mana-mana bahagian isi kandungannya
merupakan hak milik mutlak Penulis. Tiada bahagian boleh
dicetak, disalin (termasuk untuk tujuan jualan atau sewaan
kepada awam), ditiru, dicipta semula, ditulis semula, die-mel
kepada orang lain, digabungkan dengan mana-mana karya
atau tulisan, diedar, dijual, disewa, dikeluarkan semula
dan/atau ditukar kepada apa-apa bentuk bahan atau
dengan apa jua alat, atau diterjemah untuk apa-apa tujuan
sekalipun, tanpa kebenaran bertulis daripada Penulis.
Penulis mempunyai hak eksklusif untuk mengawal di bawah
Akta Hak Cipta 1987. Hak perundangan yang diberikan
kepada Penulis termasuk hak untuk menguatkuasakan
karya Penulis dalam kes-kes pelanggaran sama ada melalui
tindakan sivil atau jenayah.
PENULIS
LYNN SAFIYA
RAKAN KOLABORASI
LOVE NOVEL PUBLISHING SDN. BHD.
COVER & LAYOUT
NOR LYNN
Dedikasi
Terima kasih ya Allah atas peluang dan
kesempatan ini....
Sekalung kasih kepada kawan-kawan dalam
Grup Rahsia Ungu ~ Lynn Safiya yang tak
putus-putus meminta agar Lynn menerbitkan
cerpen-cerpen yang pernah Lynn coretkan
di Grup. Buat masa ini dan atas sebab-sebab
tertentu, Lynn kumpulkan semuanya dalam
bentuk E-book dahulu. Terima kasih atas
sokongan semua.
Lynn doakan agar semua pembaca sentiasa
berada dalam kesihatan yang baik. Semoga Allah
lindungi kita semua...
Many thanks to all my loves... ♥♥♥
♥ Air Mata Seorang Lelaki
♥ My Mr. Stalker
♥ Hana & Zaim
♥ Bukan Sekadar Ilusi
♥ A Different Ending
~ Dream Without Fear, Love Without
Limits... Dilip Bathija ~
Air Mata
Seorang Lelaki
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
Bab 1
DATUK Arifin merenung tajam
ke wajah anaknya. Tidak tertelan
rasanya mendengar kata-kata yang meluncur laju
dari bibir anaknya tadi. Isterinya di sebelah sudah
tersandar kaku. Air mata yang mengalir keluar
dari mata isterinya membuatnya bertambah
marah dengan anak kandung sendiri. Mata
mengerling pula ke arah menantu yang masih
menunduk sedari tadi. Wajahnya keruh, namun
pipinya kering tanda dia tidak menangis.
“Apa yang abang cakap ni?” soal Datuk
Arifin. “Papa tak faham...”
“Abang cakap, abang nak bercerai! Abang
dah tak boleh hidup macam ni lagi. Abang tak
boleh terima pompuan yang papa pilih untuk
abang ni, abang tak boleh! Abang cintakan orang
6
Lynn Safiya
lain!” Keras suara yang dilantunkan Amzar.
AmzarmengerlingkearahIzarayangduduk
di sofa tunggal di ruang tamu kondominiumnya.
Benci dia akan perempuan yang menyandang
gelaran isterinya itu. Benci akan ketenangan yang
sentiasa dipamerkan oleh gadis itu walau apa pun
yang dilontarkan ke arahnya.
“Abang... papa tak faham. Abang baru 3
bulan kahwin dengan Zara. Apa yang tak kena?”
soal Datuk Arifin. Isteri di sebelah masih tidak
bersuara.
“Semua tak kena, pa. Abang nak tengok
muka dia ni pun abang tak selera. Abang dari
mula tak nak kahwin dengan dia ni, tapi mama
dan papa yang paksa!” Amzar menuding jari ke
arah orang tuanya.
“Zara...” seru Datuk Arifin lembut.
Izara menongkat wajah. “Ya, pa?” balasnya
perlahan.
Datuk Arifin kelu seketika tidak tahu
bagaimana mahu bertanya. “Zara macam mana?”
“Talak terletak kat tangan suami, pa. Zara
serahkan semuanya pada Abang Am, kalau itu
yang dia mahukan...” Tenang suara yang lahir
dari bibir Izara. Namun hatinya yang hancur
tiada siapa yang tahu.
“Abang, papa merayu! Fikir masak-masak
7
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
keputusan abang ni. Apa kurangnya Zara?
Zara cukup sempurna untuk abang...” Datuk
Arifin cuba mengubah keputusan anaknya yang
dirasakan langsung tidak wajar. “Abang baru
sangat kahwin. Abang pernah tak cuba nak terima
Zara?”
“Abang dah fikir masak-masak dah,
pa. Keputusan abang muktamad. Abang akan
ceraikan dia!”
Tangisan Datin Khadijah kini sudah tidak
dapat dikawal lagi. Terenjut-enjut bahunya.
Izara bangun dari duduknya dan
menghampiri ibu mentuanya. Dia duduk
bersimpuh di sebelah kaki Datin Khadijah lalu
melabuhkan tangan di atas lutut wanita itu. Luluh
hatinya melihat si ibu mengalirkan air mata.
“Mama... jangan nangis, ma...” pujuk
Izara. “Semuanya akan baik-baik saja...”
Datin Khadijah mengusap kepala menantu
kesayangannya yang masih bertudung. Rasa
bersalah mencengkam dada. Rasa yang dia yakin
tidak akan pudar selagi nyawanya dikandung
badan. Sebaris ayat pun tidak mampu diucapkan.
Pendedahan yang dilakukan anak sulungnya ini
tidak dapat diterima akal mahupun jiwanya.
Meluat Amzar melihat isterinya cuba
menenteramkan mamanya. Entah apa yang
8
Lynn Safiya
dipandang kedua orang tuanya pada isterinya
pun dia sendiri tak tahu. Huh!
“Zara... Zara nak pergi mana lepas ni?
Duduk dengan papa, ya?” pelawa Datuk Arifin
dengan nada yang tewas. Pelawaan yang semakin
membakar hati Amzar. Siapa anak, siapa menantu
ni?
“Takpe, pa. Biar Zara balik ke kampung je,”
tolak Izara lembut. Dia tidak mahu menyusahkan
sesiapa. Biarlah dia kembali ke tempat asalnya.
Orang dah tak mahu. Takkan nak dipaksa.
Amzar mencemik. Bagus! Lagi jauh dia
berhambus daripada diri serta keluarganya lagi
puas hatinya.
“Mama...” esak Datin Khadijah. “Mama
tak nak kehilangan Zara...”
Izara sedaya upaya menahan tangis yang
kian menerpa. Sedar betapa dia disayangi oleh
keluarga mentuanya, walaupun suami sendiri
begitu membenci.
“Mama... pertalian kita takkan putus, ma,
sampai bila-bila. Walaupun Zara bukan isteri
Abang Am lagi, mama tetap ibu Zara sampai
bila-bila...”
Datuk Arifin tunduk. Kesal di hati, datang
bertimpa-timpa. Segala-gala yang berlaku pada
Izara kini tidak lain melainkan kesalahannya
9
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
juga. Ingin sangat bermenantukan Izara. Namun,
yang paling utama, dia seorang yang amat
berpegang pada janji. Janji kepada ayah serta ibu
Izara untuk menjadikan Izara menantunya tidak
pernah dilupakan.
Namun kini... semuanya musnah...
Disebabkan dirinya, Izara bakal
diceraikan! Ya Allah! Betapa hebat dugaan-Mu
ke atas menantuku ini... Sesungguhnya dia tak
bersalah... Sekelumit pun tidak. Yang bersalah
hanyalah dirinya... dan Amzar...
10
Lynn Safiya
Bab 2
SUDAH 10 minit Izara menunggu.
Kelihatan peguam yang dilantik oleh
Amzar turut gelisah dan asyik mengilas pandang
ke arah jam di tangan. Hakim pun sudah bertanya.
Mahu diteruskan atau ditangguhkan sahaja?
Izara mengeluh. Dia mengambil cuti hari
ini semata-mata ingin menyaksikan sendiri lafaz
cerai yang akan dilakukan oleh Amzar ke atas
dirinya. Kalau kes ditangguhkan, alamat dia
perlu mengambil cuti lagi. Sudahlah dia baru saja
mendapat pekerjaan. Takkan nak minta cuti lagi?
‘Hesy! Dah tahu pagi ni ada kes, bertolaklah
awal dari KL tu!’ rungut Izara di dalam hati.
Sedetik kemudian, telefon peguam syarie
yang mewakili Amzar bergetar di atas meja.
11
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
Berkelip-kelip lampu di skrin. Dia meminta izin
daripada Hakim untuk menjawab sebentar.
Mata Izara tidak lari daripada wajah
peguam itu. Perubahan riak di wajah si peguam
meyakinkannya bahawa dia baru menerima
berita yang kurang baik.
Sebaik telefon dimatikan, peguam itu
meminta agar kes ditangguhkan pada suatu
tarikh yang tidak pasti. Izara terkedu.
“Yang Arif, anak guam saya ditimpa
kemalangan awal pagi tadi di lebuh raya Karak.
Keadaannya kritikal. Dia tak dapat hadir ke
mahkamah hari ni...”
Astaghfirullah.... Berdetup jantung Izara
mendengar penjelasan daripada peguam Amzar.
Amzar kemalangan? Dia memejamkan mata
sebentar...
KAKI MELANGKAH lemah masuk ke
bahagian Kecemasan di Hospital Kuala Lumpur
ini setelah 7 jam perjalanan menaiki bas ekspres
dari kampung. Izara mendapat berita Amzar telah
dipindahkan dari Hospital Bentong ke Kuala
Lumpur. Ibu serta ayahnya sudah mendahuluinya
jauh di hadapan. Dia tidak mahu berada di sini,
12
Lynn Safiya
namun mengenangkan diri masih memegang
status isteri kepada Amzar, digagahkan jua dia ke
mari.
Menonong Izara berjalan. Tanpa sedar,
dirinya sudah dipeluk kuat oleh Datin Khadijah.
“Zara, menantu mama... Zara datang?”
Izara membalas pelukan ibu mentuanya.
“Ya, ma. Zara ada kat sini...” Dari ekor mata, Izara
melihat bapanya sudah pun memeluk Datuk
Arifin untuk menghulurkan simpati.
Lama mereka berpelukan. Melepaskan
rindu setelah 3 bulan tidak ketemu, sedangkan
sebelum ini, hampir setiap minggu dia menziarahi
mentuanya itu.
“Zara... Am... Am...” tersekat-sekat suara
Datin Khadijah.
“Kenapa, ma? Kenapa dengan Abang
Am?”
“Am lumpuh...”
“Ya Allah...”
“Ada masalah dengan tulang belakang
Am... Doktor kata dia tak pasti sama ada keadaan
Am ni sementara atau akan kekal sampai
bila-bila...” tangis Datin Khadijah sedih.
“Sabar, ma...” Izara cuba memujuk sambil
menepuk bahu ibu mentuanya.
13
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
“Kak Jijah...” ibu Izara pula mencuba.
Bahu besannya itu disentuh lembut. “Sabar ya. Ni
semua dugaan Allah untuk keluarga akak...”
Datin Khadijah merungkaikan pelukan
menantunya. Tangan Puan Aishah digenggam
erat. Terharu dengan kehadiran keluarga besannya
yang datang dari jauh untuk menghulurkan
sokongan dan juga semangat. Kalau dia berada
di tempat Puan Aishah, belum tentu dia akan
bersimpati akan nasib yang menimpa si menantu
yang telah menghamparkan seribu duka pada
kehidupan anak sendiri.
“Abang Am dah sedar ke, ma?”
Teragak-agak Izara bertanya.
“Tadi dah sedar... tapi sekarang dia dah
tidur semula. Am... Am macam tak boleh terima
keadaan dia. Dia mengamuk lepas doktor bagi
tahu keadaan dia tadi... Mama risau, Zara...”
Izara terdiam. Gambaran Amzar
mengamuk bukanlah sesuatu yang sukar untuk
dibayangkan. Bukan tak biasa Amzar memarahi
atau menengkingnya. 3 bulan menjadi isteri
lelaki itu, telinga Izara sentiasa disajikan
dengan kata-kata kesat lagi pedas. Tidak pernah
sekali pun Amzar bercakap lembut dengannya
melainkan mereka berada di rumah Datuk Arifin.
Puan Aishah cuba menenangkan
besannya. Dia menarik Datin Khadijah untuk
14
Lynn Safiya
duduk di sebelahnya di ruangan menunggu itu.
Izara masih kekal di situ.
“Zara?”
Izara berpaling. Dia tersenyum kecil.
“Zaim... apa khabar?”
Zaim tidak membalas. Wajah Izara yang
lembut ditatap lama.
“Apa Zara buat kat sini?”
“Abang Am kan kemalangan... Mestilah
Kak Zara datang...”
Zaim tersenyum sinis. Dari mula dulu
Izara membahasakan dirinya kakak dan Zaim
berdegil tidak mahu menurut. Kakak ipar tak
kakak ipar. Izara muda 3 tahun daripadanya kut!
“Walaupun orang tu dah buang Zara?”
Izara mengeluh. Dia tidak membalas.
Tidak larat mahu bertekak dengan adik iparnya
ini. Sedar yang Zaim takkan berpuas hati dengan
apa pun balasannya. Wajah Izara tetap begitu.
Tenang.
“Zara...”
“Biarlah Zaim,” cantas Izara laju. “Kak
Zara tahu kat mana letak duduk akak ni di sisi
Abang Am. Tapi selagi Abang Am tak jatuhkan
talak, akak masih isteri Abang Am...”
“Huh!” dengus Zaim. “Zaim tak faham
15
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
macam mama Zara boleh hadap lagi muka abang
tu. Dah macam-macam abang buat kat Zara.
Takkan Zara tak serik-serik lagi?”
Izara mengukirkan senyuman hambar.
Serik? Kalau diikutkan hati, mestilah serik.
Kulitnya pun tak setebal mana. Orang dah
terang-terang tak inginkan dirinya, takkan
masih nak menayang muka? Tapi, suaminya
kemalangan. Agak keterlaluan sekiranya dia tidak
datang menziarahi suaminya sendiri. Jadi, biarlah
orang nak kata apa... Dia sedar tanggungjawab
yang masih dipegang... Selagi belum dileraikan
oleh orang yang berhak...
16
Lynn Safiya
Bab 3
LAMA Izara termenung. Permintaan
bapa mentuanya begitu payah untuk
dihadam. Bibir laju saja mahu berkata ‘tidak
mahu’. Dia sudah ada kehidupannya sendiri.
Kehidupan yang dibina sejak berpisah tanpa rela
dengan suami sendiri. Kehidupan yang diwarnai
dengan kata cerca oleh orang kampung setelah
kepulangan dirinya ke pangkuan keluarga,
sedangkan gelaran pengantin baru, baru sekejap
disandangnya.
“Tolong, Zara. Papa merayu...”
Izara menongkat mata. Datuk Arifin
merayu? Siapalah dirinya untuk membiarkan
bapa mentuanya merayunya begitu? Izara
berpaling ke arah ibu serta bapanya. Soalan tanpa
suara diisyaratkan.
17
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
“Semuanya terpulang pada kak long...
Abah dan mak serahkan semuanya pada kak long
untuk buat keputusan...” Encik Mustafa bersuara.
“Baiklah, pa... Zara setuju...” Izara
menyimpan rasa serba salah di hati.
“Terima kasih, Zara. Terima kasih
sangat...” ucap Datuk Arifin bersungguh-sungguh.
Lega di hatinya bukan kepalang.
Zaim memalingkan wajah. Tidak selesa
dengan keputusan yang telah dicapai kini.
Dia bingkas bangun lalu meninggalkan bilik
rundingan.
SUARA AMZAR yang kuat membantah dapat
ditangkap dengan mudah oleh Izara dari luar
bilik. Dia melepaskan keluhan berat. Sudah dapat
mengagak reaksi Amzar sebegini. Masakan lelaki
itu akan bersetuju dengan kehendak Datuk Arifin
yang mahukan dirinya menjaga Amzar sepanjang
suaminya itu melalui proses pemulihan? Dia
merupakan orang terakhir yang mahu dipandang
oleh Amzar. Sepanjang berada di hospital pun
Amzar tidak sudi memandangnya apatah lagi
bercakap dengannya. Sudahnya dia pulang dulu
ke kampung atas desakan kerja. Namun kini?
18
Lynn Safiya
Izara mengeluh lagi. Kini dia kembali
ke Kuala Lumpur setelah dipanggil oleh Datuk
Arifin. Untuk apa? Untuk ini... Permintaan yang
membuat dirinya tersepit. Untuk menidakkan,
dia masih isteri Amzar. Untuk menerima, telinga
serta hatinya tidak kuat untuk menghadap
kebencian Amzar untuk suatu jangka masa yang
tak tentu. Kuatkah hatinya? Mampukah dia
memekakkan telinga dan menebalkan kulitnya?
Cekalkah dia?
Tak pasal-pasal dia terpaksa meletakkan
jawatan sebagai pembantu akauntan di syarikat
kecil di Kuala Terengganu. Syukurnya bosnya
amat memahami. Sanggup memberikan jaminan
kepada Izara bahawa bila-bila saja dia boleh
kembali ke syarikat jika dia masih mahu bekerja
di situ pada masa hadapan.
“Abang tak nak dia jaga abang! Abang tak
nak!” jerit Amzar dari dalam bilik.
“Abang... abang cuba rasional sikit. Abang
perlukan pertolongan...” suara Datuk Arifin
kedengaran pula. “Papa dengan mama tak boleh
nak jaga abang sepanjang hari. Zaim kerja. Abang
takde pilihan lain. Syukur Zara sudi nak tolong
kita...”
“Abang tak kira. Macamlah papa tak boleh
nak ambik jururawat peribadi untuk abang?”
ungkit Amzar lagi. “Kalau papa tak nak ambikkan,
19
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
abang sendiri mampu nak gajikan jururawat
abang sendiri!”
“Keputusan papa muktamad. Zara dah pun
sampai. Papa akan panggil dia masuk sekarang!”
Izara di luar, menelan liur. Masanya telah
tiba. Menunggu Datuk Arifin memanggilnya
masuk.
Pintu bilik tetamu yang didiami Amzar
di tingkat bawah rumah mentuanya ini ditarik
dari dalam. Amzar tidak dibenarkan pulang ke
kondominiumnya sendiri kerana keadaannya
begitu. Maka mereka akan tinggal bersama di
rumah ini sehingga keadaan mengizinkan Amzar
untuk pulang ke rumahnya sendiri.
“Zara, meh masuk...”
Takut-takut Izara berjalan melalui
jenang pintu. Datuk Arifin memimpin tangan
menantunya masuk ke dalam. Datin Khadijah
tidak kelihatan pula. Entah ke mana ibu
mentuanya itu.
Tajam sepasang mata yang memandangnya
dari arah katil. Tajam lagi menakutkan. Dan
Izara kembali mengenakan topeng yang sentiasa
menghiasi wajah sejak menjadi isteri kepada
lelaki di hadapannya ini. Tenang dan bersahaja.
“Eh, kau dengar sini, ya!” bentak Amzar
yang sedang bersandar di kepala katil. “Kalau
20
Lynn Safiya
bukan kehendak papa, tak ingin aku nak kau jaga
aku, kau faham tak? Aku tak ingin!”
“Abang!” tegur Datuk Arifin dengan nada
suara yang kuat. Tidak suka dengan bahasa yang
digunakan Amzar. Di hadapan mereka dulu,
Amzar tidak pernah sekasar ini dengan Izara.
Namun, dia sedar bahawa selama ini, Amzar
hanya berpura-pura di hadapan mereka. Mungkin
di belakang mereka, beginilah cara Amzar
melayan Izara. Sedih hatinya mengenangkan
betapa sukarnya kehidupan Izara bersama Amzar
selama ini.
“Nak tak nak, kita masih akan bercerai! Kes
hari tu aku tak tarik balik, cuma ditangguhkan.
Kau tunggu je! Aku dapat berjalan je nanti, kita
jumpa balik kat mahkamah!”
“Astaghfirullah, abang! Mengucap abang!
Papa tak pernah ajar abang biadab macam
ni!” Datuk Arifin melabuhkan mata ke wajah
menantunya. “Zara, Zara masuk dan berehat dulu,
ya? Zara ingatkan apa yang doktor nasihatkan
hari tu?”
Izara mengangguk. “Ya, pa...”
Datuk Arifin menghampiri menantunya.
“Zara, sabar ya? Papa berterima kasih sangat
Zara sudi jaga Am. Pertolongan Zara takkan papa
lupakan sampai bila-bila...”
21
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
Datuk Arifin meninggalkan Izara
berduaan bersama Amzar. Dalam hati dia berdoa
agar Izara dikurniakan kesabaran yang tinggi
menangani kerenah anak sulungnya. Dia turut
berdoa agar Amzar akan menyedari betapa besar
kesalahannya menolak kehadiran Izara selama
ini dan mengagungkan cintanya bersama wanita
yang langsung tidak layak menerima hatinya.
Pintu dikatup perlahan. Datuk Arifin
tersandar di dada pintu. Ampunkan aku ya Allah
kerana terpaksa menyeksa hati Izara sekali lagi.
Tapi biarlah ini percubaan dan ikhtiarnya yang
terakhir. Dia yang menjanjikan Izara untuk
Amzar setelah bapa Izara menyelamatkan
nyawanya daripada cubaan rompak dan culik
beberapa tahun yang lalu. Melihat betapa
sukarnya kehidupan Encik Mustafa sekeluarga,
laju saja mulut mengukirkan janji agar kehidupan
keluarga besannya dapat dibantu.
Izara yang ketika itu baru tamat sekolah
menengah, dihantar melanjutkan pelajaran ke
kolej di Kuala Terengganu terlebih dahulu. Setelah
segulung diploma berjaya diraih, terus saja Datuk
Arifin masuk meminang Izara walaupun tanpa
persetujuan Amzar. Hati tidak mampu menerima
buah hati Amzar, Tina sebagai menantu, justeru
Izara menjadi pilihan yang pertama. Izara yang
mentah... Izara yang polos... Izara yang sentiasa
tenang... Tidak sukar untuk dirinya dan isteri
22
Lynn Safiya
jatuh sayang pada Izara. Dan di hati penuh
yakin yang Amzar tidak akan mengambil masa
yang lama untuk menerima Izara. Namun, jauh
tersasar jangkaannya. Amzar tekad membuang
Izara hanya selepas 3 bulan akad dilafazkan.
Amzar kini keseorangan. Kekasih hati
yang disanjung menggunung telah meminta
ruang untuk berfikir setelah menyedari Amzar
mungkin akan lumpuh seumur hidupnya.
Maka ini merupakan peluang keemasan untuk
mencampakkan Amzar ke dalam jagaan Izara.
Semoga ikatan perkahwinan anaknya ini dapat
diselamatkan. Semoga Allah memberkati
usahanya.... Itu saja yang diharapkannya... Itu
sahaja...
23
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
Bab 4
“AKU nak ke bilik air sekarang,”
arah Amzar kasar.
Izara yang baru saja melabuhkan duduk
di sofa kembali bangun. Dia menolak kerusi roda
hampir ke birai katil. Tanpa sepatah kata, Izara
melingkarkan tangan ke bahagian dada suaminya
untuk membantu Amzar naik ke kerusi roda.
Beban yang ditanggung tentulah bukan sedikit.
Saiz badan Amzar ni bukanlah kecil. Orangnya
tinggi dan badannya dijaga rapi dengan senaman
di gimnasium saban minggu. Manakala Izara
kecil saja orangnya.
Bibir diketap kuat setiap kali Amzar
berpaut di bahunya. Lenguh di setiap anggota
tubuhnya dirawat sendiri tanpa keluh-kesah.
Sakit di dada menerima kritikan demi kritikan si
24
Lynn Safiya
suami dipendam ke dalam ruang hati yang paling
dalam.
Di dalam bilik air, sekali lagi Amzar berpaut
di bahu Izara. Amzar diletakkan berhati-hati ke
atas mangkuk tandas. “Saya tunggu kat luar, ya?”
Izara bersuara. Kerusi roda ditinggalkan di dalam
bilik air. Seperti biasa, Amzar tidak membalas.
Setelah Amzar kembali dilabuhkan ke atas
katil, Izara meregangkan badan. “Abang Am nak
makan sekarang?”
“Kau tak payah tanya. Kalau aku nak
makan, aku sendiri yang akan cakap, faham?”
jerkah Amzar.
Izara mengangguk. Dia mengukirkan
senyuman. “Saya ke dapur kejap.”
“Aku nak kau cukur jambang aku. Aku
rimas!” arah Amzar sekali lagi. Tangan naik
mengusap ke rahangnya sendiri. Sudah lama
benar dia tidak bercukur.
“Tapi... saya tak pandai...” Tergagap-gagap
Izara menolak.
“Jangan banyak cakap! Kau pergi ambik
pencukur dengan foam aku sekarang!”
Izara terpaksa menurut, kalau tidak mahu
telinganya luruh untuk kali ke berapa hari ini. Dia
mengikut saja arahan yang diberikan oleh Amzar.
Akhirnya, dia duduk menghadap Amzar dengan
25
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
punggung dilabuhkan di sebelah paha suaminya.
Buih sabun pencukur dilumurkan ke seluruh
wajah Amzar. Lembut sentuhannya. Lembut,
namun kekok... kekok kerana kedudukannya
yang begitu rapat dengan lelaki itu.
Tajam mata yang menikam ke wajah Izara.
Wajah yang amat dibencinya itu.
“Aku benci kau,” luah Amzar penuh
dendam.
Terhenti seketika tangan Izara di wajah
Amzar. Sedaya upaya dia memaksa matanya
untuk tidak melawan pandang dengan mata
suaminya. Tidak sanggup melihat sorotan
kebencian daripada mata itu.
“Saya tahu...” balas Izara perlahan. Tangan
kembali mengelus lembut di wajah Amzar.
“Kau punca aku tak boleh kahwin dengan
Tina!” tuduh Amzar dengan suara yang keras.
Izara mengelap tangannya ke tuala kecil
sebelum mencapai pisau pencukur. “Saya tahu
dan saya kesal sangat,” ujar Izara sedih. “Tak
pernah sehari pun berlalu yang saya tak rasa
menyesal menjadi punca Abang Am tak dapat
kahwin dengan kekasih Abang Am tu... Maafkan
saya...”
Tangan yang baru diangkat untuk
melakukan kerja-kerja mencukur dicengkam
26
Lynn Safiya
kuat. Spontan mata Izara bertembung pandang
dengan mata Amzar.
“Kenapa kau tak tolak pinangan daripada
pihak papa?” Amzar mengulang soalan yang
sama mungkin untuk kali ketiga sejak berkahwin
dengan Izara.
“Sebab saya tak berdaya... Yang masuk
meminang bukan saya, dan yang berjanji
bukan saya juga. Saya tak dapat menolak,” jelas
Izara untuk sekian kalinya. Setiap kali Amzar
mengutarakan isu yang sama, alasannya tidak
pernah berubah. Izara cuba menarik tangannya
daripada cengkaman Amzar. Sakit.
“Kau tipu! Kau kemaruk nak berlakikan
aku, kan? Papa sponsor kau belajar kat kolej.
Papa bagi duit belanja kat kau, belikan kau
macam-macam. Kau dah dibutakan dengan
kekayaan keluarga aku, kan?” Kejam Amzar
menuduh sebelum melemparkan lengan Izara
yang dicengkam tadi.
“Kalau Abang Am rasa selesa berfikiran
macam tu pasal saya, saya terima,” pasrah Izara
melantunkan kata. Dia sedar, penafian hanya
akan membuat Amzar semakin membencinya
kerana lelaki itu sentiasa yakin yang dirinya tidak
berkata yang benar.
“Huh! Kau tak payah berlakon baik depan
aku! Depan mama dan papa, kau boleh menipu,
27
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
tapi dengan aku, jangan harap aku akan percaya!
Dasar pompuan kampung!”
Izara menelan luka di hati. “Boleh saya
cukur sekarang?”
“Kau keluar dari bilik aku ni, aku tak nak
tengok muka kau! Keluar!” jerit Amzar.
Laju Izara bangun. Dia tidak perlu
diarah untuk kali yang kedua. Kaki dengan rela
meninggalkan bilik Amzar.
“ZARA...”
Sepantas kilat Izara mengesat air matanya.
Dia mendongak ke atas. Konon-konon untuk
melihat bintang-bintang yang bertaburan di dada
langit.
“Dah nak dekat sebulan kau tahan dengan
kerenah abang. Kau bukan malaikat, Zara,” ujar
Zaim. Simpati dia akan nasib Izara, namun dia
tidak tahu cara untuk menghulurkan bantuan.
“Akak tahu...”
“Stop calling yourself, ‘kakak’ dammit! It
won’t work!”
“Kak Zara tak faham...”
28
Lynn Safiya
Kuat dengusan Zaim. Benci dengan Izara
yang pura-pura tidak tahu.
“Zara...”
“Zaim, please! Jangan cakap apa-apa
lagi. Tolong hormatkan status akak sebagai
isteri Abang Am,” pinta Izara. Tahu apa yang
dimaksudkan Zaim, namun telinganya tidak
sanggup mendengar luahan hati Zaim.
“Kak Zara masuk dulu. Takut Abang Am
nak apa-apa sebelum tidur nanti.” Lekas-lekas
Izara meninggalkan laman. Tidak selesa
berdua-duaan dengan Zaim begini. Tidak manis
dipandang orang.
Jelingan yang menyambut kehadirannya
ke dalam bilik ditolak ke tepi. Dia masuk ke dalam
bilik air dan membersihkan diri. Wuduk diambil
dengan penuh teliti.
Tak lepas mata Amzar yang mengekor
setiap inci pergerakan Izara. Izara melabuhkan
duduk di sofa dan menepuk bantal sebelum
diletakkan di lengan sofa. Bersedia untuk tidur.
“Nak saya tutup lampu?” soal Izara sopan.
Amzar tidak menjawab. Sukar untuk
meneka kemahuan Amzar. Kadang-kadang
dia mahu tidur dengan lampu terpasang.
Kadang-kadang tidak.
Izara baring lalu menarik selimut. Mata
29
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
dipejamkan dan doa dibaca. Semoga esok akan
lebih baik daripada hari ini...
Dada Izara berombak tenang menandakan
isterinya itu telah dijemput lena. Sudah sebulan
Izara menjaganya. Dan sudah sebulan juga dia
menyeksa isterinya itu. Sepatah kata pun Izara
tidak pernah merungut. Ketika dihamun dan
dijerkah, Izara masih mampu tersenyum. Ketika
dituduh dan difitnah, balasan Izara tidak pernah
berubah. Mengia pun tidak, menidakkan pun
tidak. Sukar betul untuk Amzar mematahkan
semangat gadis itu.
Gadis? Ya gadis... Gadis kampung yang
entah berumur 21 atau 22 tahun. Dia pun tak
pernah endah. Sedangkan dia kurang setahun
mahu mencecah ke umur 30 tahun. Padanan
yang tidak pernah cocok, tidak pernah sesuai,
tidak pernah direlakan...
Disebabkan Izara, janji untuk sehidup
semati dengan Tina tidak kesampaian. Dan Tina
tidak mahu hidup bermadu. Untuk menceraikan
Izara dan memalitkan luka di hati mama serta
papanya bukanlah suatu keputusan yang mudah
untuk dilakukan. Namun dia tak sanggup
kehilangan Tina. Dan demi Tina... dia sanggup
membuang Izara dan mengecewakan hati dua
buah keluarga.
Hatinya sakit dipaksa berkahwin dengan
30
Lynn Safiya
Izara. Jiwanya memberontak. Namun kesakitan
yang dirasakannya itu tidak setanding dengan
kesakitan ditinggalkan Tina saat dia benar-benar
memerlukan kekasihnya itu. Tina hanya datang
menziarahinya di hospital sebanyak dua kali dan
kemudian terus meminta ruang untuk berfikir.
Tina langsung tidak memikirkan pengorbanannya
melukakan hati papa serta mama ketika bertekad
mahu menceraikan Izara. Hingga kini, mamanya
seakan menjauhkan diri daripada dirinya.
Layanan mamanya sejak dia membuang Izara
sangat dingin dan tidak semesra dulu.
Namun hakikat yang tidak dapat dinafikan,
dia rindukan Tina! Sangat-sangat rindu akan
tawa manja gadis itu. Tina...
Amzar kembali melabuhkan mata ke tubuh
isterinya yang tenang dijemput lena. Setiap saat
Izara akan mengenakan tudung di hadapannya.
Tidak pernah sekali pun Izara mempamerkan
auratnya. Dia amat patuh akan semua arahan
Amzar yang tidak pernah mengiktirafnya sebagai
seorang isteri. Rasa berat yang menekan ke dada
dicampak jauh ke tepi...
31
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
Bab 5
IZARA mencelikkan mata.
Terkebil-kebil dia seketika melawan
cahaya lampu yang tidak dipadam semalaman.
Suara garau yang meracau-racau bukanlah
sesuatu yang janggal di telinga. Tidur Amzar
sering terganggu sejak kemalangan 3 bulan yang
lalu. Dia bangun lalu menghampiri katil Amzar.
Teragak-agak tangan menyentuh lengan si suami.
“Abang Am... Abang Am bangun...”
Amzar masih meracau. Tangan meliar
menepis ke kiri dan kanan. “Tina... jangan
tinggalkan Am... Am sayangkan Tina...”
Izara menelan pahit. Sekali lagi tangan
mengusap perlahan lengan suaminya. “Abang
Am... bangun...”
32
Lynn Safiya
Mata Amzar celik sebelum pergelangan
tangan Izara dicengkam kuat. Tangan yang sama
menerima habuan cengkaman Amzar semalam.
Izara merintih kesakitan dalam hati.
“Abang Am mengigau... saya cuba nak
kejutkan...” Izara mempertahankan tindakannya.
“Aku nak Tina... Aku bencikan kau!”
hamun Amzar dengan mata yang tajam.
“Saya tahu...”
“Sebab kau, aku kehilangan Tina!
Sebabkan kau, dua hati terpaksa menanggung
seksa! Aku bencikan kau!” ulang Amzar keras
tanpa jemu.
“Saya tahu...” Izara menahan perih di
pergelangan tangannya. “Tapi pernah tak Abang
Am terfikir yang bila papa masuk meminang saya
untuk Abang Am, bukan dua hati yang terluka
tapi empat? Pernah tak Abang Am terfikir yang
peminangan daripada pihak Abang Am memaksa
saya untuk menghancurkan hati seseorang yang
sangat saya sayang?” Mendatar saja suara Izara.
Mendatar namun tenang. Renungan Amzar
dibalas berani. “Bukan hati Abang Am seorang
saja yang terluka. Percayalah...”
Tergamam Amzar mendengar kata-kata
Izara. Kelu lidahnya tidak dapat membalas.
Sesungguhnya, dia tidak pernah terfikir langsung
33
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
tentang perkara yang dibangkitkan isterinya
itu. Dia tidak pernah menyangka yang Izara
mempunyai kekasih hati kerana tidak pernah
terfikir untuk bertanya. Fikirnya, Izara memang
kemaruk mahu berkahwin dengannya.
Perlahan-lahan tangan Izara dilepaskan.
“Saya solat dulu. Lepas ni saya mandikan
Abang Am. Pagi ni Abang Am ada fisio. Abang Am
mesti rajin pergi fisio. Sebab bila Abang Am dah
dapat berjalan semula, Abang Am boleh lepaskan
saya dan tak perlu lagi Abang Am tengok muka
saya ni...”
Sekali lagi Amzar kehilangan bicara. Tiada
sinis dalam tutur kata Izara. Isterinya itu tidak
pernah bercakap dalam nada sindiran. Dia hanya
membentangkan fakta yang benar. Fakta yang
berpunca daripada mulutnya sendiri. Amzar
menelan liur. Kali ini terasa terlalu pahit.
Usai solat subuh, Izara bersiap-sedia untuk
memandikan Amzar. Rutin yang dilakukan setiap
pagi. Izara menyingsing lengan baju. Tompokan
hijau pekat di pergelangan tangan Izara yang
berkulit cerah mudah saja ditangkap oleh Amzar.
Kesan lebam dek kezalimannya sendiri. Ya Allah...
Tiba-tiba saja hati berbisik nama Sang Pencipta...
Mengapa? Mengapa tiba-tiba dia menyebut nama
itu sedangkan sudah lama dia tidak memikirkan
tentang-Nya?
34
Lynn Safiya
Izara menyedari perubahan di wajah
suaminya, namun lidah sudah biasa untuk tidak
bertanya apa-apa. Air pancuran yang sederhana
hangatnya dihalakan ke kepala Amzar. Lafaz
Bismillah terpacul dari bibir tanpa sedar.
Perlahan-lahan dan penuh kelembutan dia
mengusap kepala dan tubuh suaminya. Sesuatu
yang begitu janggal dilakukan mula-mula dulu.
Bukan mudah untuk meratakan telapak tangan
ke seluruh tubuh lelaki yang tidak pernah mahu
mengaku suaminya itu. Namun kini dia sudah
biasa. Pipi yang dulu sentiasa pijar sudah boleh
dikawal dengan baik.
Lembutnya tangan yang memandikan
Amzar, begitu juga tangan yang mengelap kering
setiap inci tubuh suaminya. Di birai katil, Izara
menyarungkan seluar sukan dari tapak kaki
selepas membantu Amzar mengenakan seluar
boxernya. Amzar memakai sendiri baju-T ke
badan.
Hairan juga Izara tidak mendengar
kritikan daripada Amzar pagi ini. Kalau tidak,
ada saja yang tak kena. Air pancuran tak cukup
panaslah, atau terlampau sejuklah, baju yang
dipilih tak sesuailah, apalah...
Selepas sarapan, Izara membawa Amzar
ke hospital. Setia dia menunggu suaminya
menjalani sesi fisioterapi.
35
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
AMZAR MENGAMATI tubuh Izara yang
bertelekung di atas sejadah. Lama betul isterinya
bersujud. Saban dinihari sepanjang 6 bulan
Izara menjaganya, beginilah rutin isterinya.
Meminta entah doa apa daripada Yang Maha Esa.
Sedangkan dia? Sudah berapa lama dahinya tidak
mencecah ke bumi. Begitu sombong dia hidup di
muka bumi ini. Begitu angkuh!
Mata dipejamkan seketika. Tidak suka
dengan perasaan yang datang bertimpa-timpa.
Perasaan yang jika dilayan, akan menghadirkan
seribu macam penyesalan. Dan dia belum
bersedia untuk berhadapan dengan kenyataan.
Kenyataan yang bukan sekadar menuding
satu jari tepat ke wajah, tapi sepuluh jari pun
tidak mencukupi untuk meletakkan segunung
kesalahan di pundaknya.
Dan mata yang terpejam terus hanyut
hingga ke pagi.
Celik saja mata, pandangan mata terus
bertumpu ke arah sofa. Di situlah Izara setia
menunggunya. Menanti arahan yang sudah
hilang taringnya. Sesungguhnya dia sudah penat.
Penat melayan rasa benci, dendam dan amarah.
36
Lynn Safiya
Penat menjerkah dan menengking seseorang
yang telah terlalu banyak menabur jasa. Namun
kelibat yang dicari tiada...
“Zara! Zara!” jeritnya. Pintu bilik air sedia
terbuka. Maknanya Izara tiada di situ.
Pintu ditolak dari luar. “Ya Tuan? Tuan
panggil?”
“Bik, Zara mana?” soal Amzar kepada
pembantu rumah mamanya.
“Saya tak tahu, Tuan. Saya bangun pagi
tadi, saya lihat Puan, Datuk dan Datin sudah
tiada di rumah... Nanti saya panggilkan Tuan
Zaim sebentar ya?” Pintu dikatup perlahan.
‘Tak ada kat rumah? Pergi mana pagi-pagi
buta ni?’ dengus Amzar.
“Kau nak apa? Nak mandi ke?” Zaim
masuk ke dalam bilik. Kerusi roda di tepi sofa
ditolak merapati abangnya.
“Zara mana?” soal Amzar tidak
menghiraukan pertanyaan adiknya.
“Aku mandikan kau dulu. Nanti aku
beritahu...” dalih Zaim. Tidak seperti Izara,
senang saja Zaim membawa abangnya ke bilik air.
Kudratnya berganda-ganda lebih kuat daripada
Izara. Abangnya dimandikan sambil lewa.
“Kau ni boleh tak jangan kasar-kasar
sangat?” gerutu Amzar. “Buat pelan-pelan sikit
37
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
tak boleh ke?”
“Kau jangan banyak songeh! Aku bukan
Zara nak berlembut-lembut dengan kau atau nak
terima je kritikan kau tu!”
“Kak Zara, Zaim! Kak Zara!” tegur Amzar.
“Kau peduli apa aku nak panggil dia apa
pun? Dia bukan isteri kau pun, kan?” cabar Zaim.
Amzar mengetap bibir. Baju-T disarung
kasar ke badan.
“Kau jangan ingat aku tak tahu kau ada
simpan perasaan pada dia, Zaim! Aku bukan
buta!” tuduh Amzar.
“Baguslah kalau kau tahu...” balas Zaim
bersahaja. Tidak terkesan langsung dengan
tuduhan abangnya.
“Kau tak takut dosa ke hah? Simpan
perasaan pada isteri orang?” soal Amzar keras.
“Dosa? Isteri” sinis Zaim bertanya.
Dia tergelak mengejek. Mencerlung matanya
memanah ke wajah abangnya. “Kau jangan nak
ceramah kat aku pasal dosa! Dan sejak bila kau
anggap dia isteri kau, hah? Selama kau jadi
suami Zara, ada kau jalankan tanggungjawab kau
sebagai suami? Ada? Ada kau pernah tanya dia
dah makan ke belum atau dia ada duit belanja
ke? Ada pernah kau bawak dia ke klinik bila dia
demam? Ada pernah kau rawat sakit pinggang
38
Lynn Safiya
dia sebab dah tak tertahan menanggung beban
memikul berat kau setiap hari? Ada?”
Amzar terdiam. Terpukul dia dengan
setiap pertanyaan daripada Zaim.
“Aku tak payah nak tanya tentang nafkah
batin, sedangkan nafkah zahir dia pun kau tak
pernah nak ambik tahu! Tu bukan namanya
dosa ke? Sepanjang dia jadi isteri kau, yang kau
mengusung Tina ke hulu ke hilir tu tak berdosa
ke? Yang kau maki dia, marah dia, sakitkan hati
dia tu, tak berdosa ke?”
“Zaim... aku... aku...” Tergagap-gagap
Amzar jadinya.
“Sampai bila kau nak butakan mata kau,
bang?” Nada suara Zaim sudah mengendur.
“Sampai bila kau nak seksa dia? She is barely
22 years old! Kau rasa kau kena paksa kahwin
dengan dia, tapi kau pernah terfikir tak dia pun
kena paksa jugak? Pernah tak kau fikirkan hati
dan perasaan dia, bang? Masa kau sakit lumpuh
macam ni, siapa yang jaga kau? Orang yang
paling kau benci dalam dunia ni, kan? Mana cinta
hati kau? Mana Tina? Well, here she is!” Zaim
mengeluarkan i-Phone dari kocek seluar jeannya.
Jari menekan di skrin.
Satu per satu gambar Tina dipertontonkan
kepada abangnya. Gambar Tina dengan lelaki
yang berbeza. Kebenaran yang sudah lama
39
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
dipegang namun demi si abang, dia tak sanggup
melihat kekecewaan Amzar kerana dia tahu
betapa abangnya mencintai Tina.
“Ni bukan gambar baru, tapi gambar
lama. Masa dia masih lagi kekasih kau! Kau
bukan hanya buta, bang, tapi bodoh! Aku malu
ada abang seperti kau! Dan mama... Kau tak
pernah tanya kenapa mama tak pernah jenguk
kau kat sini walaupun kau duduk kat bawah
bumbung mama? Kau tak pernah tanya, kan?”
Zaim merampas kembali telefon bimbitnya. Riak
tidak percaya yang memenuhi wajah Amzar tidak
diendahkan.
“Kau tanya aku tadi Zara ke mana, kan?
Zara balik kampung awal subuh tadi dengan
mama dan papa. Dia tak sampai hati nak kejutkan
kau sebab kau tengah tidur. Mak dia meninggal
pukul 4 pagi tadi... Mati mengejut. Sementara
Zara takde ni, aku yang akan jaga kau.”
Amzar mengangkat mata yang kini
berkaca. “Zaim...” bisik Amzar terkejut.
“Aku keluar dulu. Aku tak pergi ofis hari ni.
Kalau kau nak apa-apa, kau call aku.” Pantas Zaim
meninggalkan abangnya yang kini tanpa segan
silu mengalirkan air mata. Air mata penyesalan...
Penyesalan yang sudah lama terpupuk, namun
masih bisa ditenggelami dengan rasa egonya.
Penyesalan yang tiada tandingnya... Penyesalan
yang maha hebat...
40
Lynn Safiya
Bab 6
SUDAH seminggu Izara hilang
daripada pandangan mata. Kehilangan
yang terasa sehingga ke lubuk hati yang paling
dalam. Dengan bantuan Zaim, Amzar telah
menukar set sofa di dalam biliknya itu. Sofa yang
bersaiz lebih lebar dan berkusyen lebih empuk
daripada yang sebelum ini. Kelembutan yang
tentunya akan lebih menyokong lenguh-lenguh
di pinggang isterinya nanti. Lama terasa matanya
tidak menangkap tubuh kecil isterinya yang
sentiasa ada di ruangan bilik ini. Amat lama... Ada
rindu yang bertapa di relung hati... Rindu akan
ketenangan isterinya, akan kesabarannya dan
rindu akan senyuman yang sentiasa tertampal di
tepi bibir. Suatu ketika dulu, semuanya tentang
Izara menjadi penyebab rasa bencinya. Tetapi
41
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
kini...
“Pa... kenapa Zara tak balik lagi ni? Dah
seminggu lebih, pa...” adu Amzar kepada papanya.
Datuk Arifin menoleh. Melihat wajah
keruh anak sulungnya yang kini sentiasa bersih
dan terjaga rapi. “Biarlah dia kat kampung
tu dulu. Banyak urusan yang perlu Zara
uruskan. Keperluan adik-adik, banyak yang nak
ditengok-tengokkan memandangkan arwah
dah takde. Zara kan anak sulung? Banyak
tanggungjawab dia, abang...”
Amzar mengeluh kesal. Seingatnya, Zara
punya empat orang adik dan semuanya masih
bersekolah. Adik yang paling bongsu pun baru
berusia 8 tahun. Sekelumit pun dia tidak pernah
menghiraukan kewujudan adik-adik iparnya.
Kejamnya dia!
“Pa... abang dah banyak buat dosa pada
dia... Tak tertanggung rasanya, pa...”
Datuk Arifin menepuk bahu Amzar
yang duduk di sebelahnya di birai katil. “Salah
papa sebab paksa abang kahwin dengan Zara
sedangkan papa tahu abang tak nak. Niat papa
tak lain nak abang bahagia. Nak abang dapat
isteri yang baik... Maafkan, papa. Papa janji papa
takkan ganggu kehidupan abang lagi lepas ni...”
luah Datuk Arifin dengan mata yang berkaca.
“Abang buatlah apa yang abang rasakan terbaik
42
Lynn Safiya
untuk abang...”
Bergetar bahu Amzar menahan sebak
mendengar ucap maaf daripada papanya. Dia
tewas akhirnya. Dahi dilabuhkan di bahu papanya
lalu air mata yang semakin mudah mengalir
akhir-akhir ini terhambur dari tubir mata.
“No, pa! Jangan cakap macam tu... Papa
ada hak dalam kehidupan abang. Abang yang
tak tahu nak bersyukur... Tak tahu nak menilai...
Abang menyesal, pa. What can I do to right all
the wrongs that I have done?”
“Terpulang pada abang... Abang dah besar.
Papa dah tak nak paksa abang buat apa-apa lagi.
Cukuplah abang menderita disebabkan papa
yang terlalu nakkan Zara jadi menantu papa.”
Setiap kata yang lahir dari bibir Datuk
Arifin bak belati yang menikam dan membelah
dada. Sakitnya lebih mencengkam daripada setiap
kecederaan yang dirasakan ketika kemalangan
yang menimpanya berbulan-bulan lalu. Kecewa
yang jelas lahir daripada nada suara papanya
membuktikan betapa dia telah gagal sebagai
seorang anak. Dan gagal sebagai seorang suami
dan pemimpin rumah tangga.
“Papa tengok abang menangis hari ni...
tapi walaupun papa tak pernah tengok Zara
menangis, papa yakin dia menangis dalam hati
setiap hari. Ada satu perkara yang abang tak
43
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
pernah fikir bila mengetepikan hak Zara sebagai
isteri. Jodoh dan takdir Allah! Bercintalah abang
dengan Tina bertahun-tahun pun, tapi kalau Tina
bukan jodoh abang, dia takkan jadi isteri abang
sampai bila-bila...” nasihat Datuk Arifin. “Papa
keluar dulu... Kalau abang nak apa-apa, panggil
papa atau Zaim ya?”
Amzar tidak membalas. Air mata dikesat
kasar. Tidak guna dia menangis begini. Menangis
hanya menampakkan kelemahan diri. Dan
dia perlu bangkit! Bangkit untuk memberikan
hak yang telah lama ditidakkan kepada yang
layak menerimanya. Bangkit untuk menebus
segala kesalahan, kealpaan dan kesakitan yang
pernah dipalitkan ke hati isteri sendiri. Ya
Allah, kejamnya dia selama ini. Mampukah Zara
memaafkannya dan memberikan peluang untuk
dia memperbaik diri? Memberi peluang untuk
dia menjadi seorang suami?
PERLAHAN-LAHAN IZARA membuka pintu
bilik suaminya. Tidak mahu mengganggu Amzar
kerana tahu yang pada waktu begini, Amzar
sedang berehat atau tidur. Namun ketika daun
pintu terbuka luas, mata Izara membulat dan
mulutnya terbuka tidak percaya. Terlepas beg
44
Lynn Safiya
pakaian dari tangan. Jatuh bedebuk ke atas lantai.
“Zara!” Terkedu Amzar melihat Izara
di hadapan mata. Aduh... rahsianya sudah
terbongkar dan dia tidak mempunyai ruang
untuk menutupi pembohongan sendiri.
“Abang Am... Abang Am dah boleh
berjalan?” Pecah suara Izara.
Lambat-lambat Amzar mengangguk.
Tiada guna menidakkan kenyataan yang sudah
terpampang di hadapan mata.
“Sejak bila?”
“Seminggu sebelum Zara balik kampung
hari tu...” keluh Amzar.
Izara memejamkan mata seketika.
Seminggu sebelum dia pulang ke kampung,
Amzar masih memerlukan kerusi roda. Masih
memerlukan pertolongannya untuk bergerak ke
mana-mana. Maknanya... Amzar menipu? Tapi
kenapa?
Nafas dilepaskan perlahan-lahan. Mata
dicelikkan bersama sekuntum senyuman. Riak
tenang kembali menghias wajah. “Alhamdulillah
Abang Am dan boleh berjalan. Allah dah
makbulkan doa saya...”
Sebak! Entah mengapa kata-kata Izara
mengundang rasa sebak yang amat sangat. Izara
mendoakannya? Ya Allah! Terasa diri begitu
45
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
hina...
Sorotan sayu singgah di wajah Izara.
“Lega sangat saya rasa. Sekarang, saya
dah boleh balik ke kampung semula. Abang Am
dah tak perlukan saya lagi...”
Tak perlukan Zara? Like hell!
“Zara, abang perlukan Zara... sentiasa
perlukan Zara... Tolong maafkan abang atas
segala dosa abang pada Zara selama ni...”
Kaku Izara tidak mampu bergerak. Abang?
Bukan ‘aku’ seperti lazimnya? Izara menelan rasa
hairan. Amzar cakap apa tadi?
“Zara... abang merayu pada Zara... tolong
berikan abang satu peluang untuk tebus semua
kesalahan abang...” lirih suara Amzar. Sarat
dengan kekesalan yang tak tertanggung.
“Apa Abang Am cakap ni? Saya tak
faham...”
Lambat Amzar menyeret kaki mendekati
isterinya. Langkahnya masih pincang. Izara
terpaksa melangut untuk memandang ke wajah
Amzar. Tersekat nafasnya menerima panahan
mata lelaki itu. Panahan yang penuh dengan
kelembutan dan rayuan. Pandangan yang tidak
pernah diterimanya selama ini, walaupun sesaat.
“Zara... abang minta maaf. Abang dah
sedar semua kesilapan abang. Abang berdosa
46
Lynn Safiya
dengan Zara selama ni. Abang mohon satu
peluang daripada Zara. Peluang untuk jadi suami
Zara dan abang nak pulangkan hak Zara sebagai
isteri abang...”
“Kak Tina macam mana?” Lurus Izara
bertanya.
Amzar menelan liur. “Dia bukan isteri
abang. Tapi Zara isteri abang...”
Izara tunduk. Hatinya berbelah bahagi
namun niat yang satu yang disimpan selama ini
tidak pernah berubah. “Saya tak pernah salahkan
Abang Am sebab bencikan saya. Benci Abang Am
bersebab. Saya menjadi punca Abang Am terseksa
sebab tak dapat bersatu dengan Kak Tina...” Izara
kembali melangut. “Saya juga faham kenapa
Abang Am nak ceraikan saya sebelum ni, sebab
saya tahu, perasaan ni tak boleh dipaksa-paksa...”
Izara mengambil nafas.
“Abang Am tak perlu rasa bersalah. Saya
reda dengan semuanya. Tapi satu je saya minta
daripada Abang Am... Tolong berpegang pada
janji untuk sambung balik kes mahkamah yang
tertunda dulu sebaik Abang Am boleh berjalan
semula. Tu je yang saya mahukan daripada Abang
Am...” Perlahan suara Izara. Perlahan lagi tenang.
Dada Amzar terasa sempit. Jantungnya
seakan mahu pecah mendengar permintaan
Izara. “Benci sangat ke Zara pada abang? Abang
47
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
mohon pada Zara... tolong maafkan abang...”
“Saya tak pernah bencikan Abang Am.
Siapalah saya nak benci pada suami saya sendiri?
Saya bukan pendendam orangnya. Lagipun saya
dah maafkan Abang Am dan saya harap Abang
Am dapat maafkan saya sebab menjadi orang
ketiga dalam hubungan Abang Am dengan Kak
Tina... Halalkan makan minum saya selama
menjadi isteri Abang Am...”
Izara berlalu. Dia berjalan menuju ke
sofa. Tergamam juga dia melihat sofa baharu
yang menghiasi ruang bilik ini. Bagasi yang
sememangnya terletak di atas lantai dibuka. Dia
berlutut di atas permaidani.
“Zara tetap nak tinggalkan abang?”
Izara menoleh seketika. “Abang Am,
Abang Am patut rasa gembira sekarang ni sebab
peluang Abang Am untuk bersama dengan Kak
Tina dah terbuka. Itu yang Abang Am nak selama
ni, kan?” Izara tersenyum. “Lagipun, adik-adik
saya perlukan saya. Kami dah takde mak...” Pecah
suara Izara menahan sebak.
“Zara... abang minta maaf. Abang nak
sangat balik kampung temankan Zara, tapi...
tapi abang belum bersedia... Takziah Zara, atas
kehilangan mak...”
Air mata bergenang di kolam mata.
48
Lynn Safiya
Terkesan dia dengan ucap maaf Amzar yang entah
kali ke berapa. Sebelum ini, sekali pun Izara tidak
pernah mendengar Amzar mengucap kata maaf.
Tidak pernah!
“Tapi Zara, abang dah sedar sekarang.
Tina dah jadi sejarah. Dia dah tak wujud dalam
hati abang. Abang hanya nakkan Zara...” Tak
henti Amzar merayu.
Izara menggelengkan kepala. Baju-bajunya
yang terlipat di atas permaidani dikutip lalu
disusun di dalam bagasi. Bagasi dikatup dan
dikunci. Izara bangun.
“Zara dah balik?”
Spontan kepala Izara dan Amzar berpaling.
Melihat Datuk Arifin serta Zaim di muka pintu
yang kini tercengang melihat Amzar yang berdiri
tanpa pertolongan sesiapa.
“Abang?”
Amzar mengangguk. “Ya, pa. Abang dah
boleh berjalan...”
Meluru Datuk Arifin memeluk anaknya.
Lafaz syukur bertalu-talu meluncur dari celah
bibir. Ya Allah... anaknya sudah bisa berjalan.
Lumpuhnya hanya sementara. Syukur, ya Allah...
Datuk Arifin merungkaikan pelukan.
Kini dia baru perasan yang Izara sedang berdiri
dengan bagasi besar di tangan. “Zara?”
49
Koleksi Cerpen Rahsia Ungu
Izara tersenyum. Senyuman yang tidak
sampai ke mata. “Dah tiba masa Zara tinggalkan
rumah papa ni. Abang Am pun dah boleh berjalan
semula. Zara dah tunaikan janji Zara pada papa.
Dan sekarang ni, Zara harap papa akan tunaikan
janji papa pada Zara...”
Datuk Arifin menelan liur. Wajahnya
keruh. Zaim terkedu.
“Zara, papa...”
“Terima kasih, papa sebab sudi terima
Zara sebagai menantu papa...” celah Izara laju.
Sedaya upaya berpaut pada sisa-sisa kekuatan
yang masih ada. Dia perlu cekal... dia perlu
kuat... Kehidupan dan kebahagiaan Amzar
yang dirampas dulu perlu dipulangkan semula.
“Terima kasih tanggung pengajian Zara kat
kolej selama ni dan semua pertolongan papa
pada adik-adik Zara. Hanya Allah yang dapat
membalas budi papa...”
“Pa... don’t let her leave me, please...” rayu
Amzar kepada Datuk Arifin. Terdesak nada suara
Amzar. “I need her...”
Datuk Arifin memandang ke wajah Amzar
sebelum menghalakan mata ke wajah lembut
menantunya. Dia sedar dia tiada pilihan lain. Dia
sudah berjanji dan tak bisa lagi menahan Zara
kali ini. “Zara... Zara dah fikir masak-masak?”
50