1
PADAH
“Syarikat Encik Shauki dalam bahaya. Pihak bank akan
mengambil tindakan mahkamah sekiranya Encik Shauki gagal
menyelesaikan segala hutang,” kata Encik Ali iaitu Pegawai Bank
Bungaraya.
“Saya faham, Encik Ali. Tapi, berilah saya tempoh dalam sedikit
masa lagi,” rayunya.
“Saya minta maaf, Encik Shauki. Saya tak boleh berbuat apa-apa.
Ini adalah arahan pengurus saya. Saya harap Encik Shauki faham,”
balas Encik Ali pula.
Dia sebaliknya hanya mampu terkedu apabila mendengar kata-
kata Encik Ali itu. Dia sayangkan Syarikat Perkasa Construction Sdn.
Bhd. Dia tak sanggup melihat syarikat ini hanyut. Dia menubuhkan
syarikat ini dengan modal puluhan ribu.
“Baiklah, Encik Shauki. Saya minta diri dulu,” ucap Encik Ali
sambil bingkas bangun.
1
“Baiklah …!” dia mengangguk lemah sambil berjabat salam
dengan Encik Ali.
Encik Ali kemudiannya lalu mengatur langkah ke arah pintu.
Daun pintu pantas ditariknya dan terus berlalu pergi dari situ.
Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang bilik.
Tak lama kemudian kedengaran bunyi pintu diketuk orang.
“Masuk!”
Pintu segera terbuka. Sarina iaitu Setiausaha Syarikat Perkasa
Construction Sdn. Bhd. muncul dan terus berdiri memandang tepat
wajahnya.
“Ada apa, Sarina?”
“Saya apa perkara mustahak nak beritahu Encik Shauki.”
“Mustahak? Apa dia?”
“Dah cukup bulan ni. Semua kakitangan merungut. Sebab Encik
Shauki masih lagi tak keluarkan gaji.”
2
Dia merasa lemah seluruh badan apabila mendengar kata-kata
Sarina itu. Benar. Mereka memang berhak bersuara. Dah cukup bulan.
Gaji mereka mesti dibayar.
“Minta mereka semua supaya bersabar. Saya akan selesaikan
perkara ini dengan secepat mungkin.”
“Baiklah, Encik Shauki!” Sarina menjawab sambil mengangguk-
anggukkan kepala.
“Ada apalagi?” dia menyoal Sarina sambil meninggikan kepala
sedikit.
“Tak ada apa-apa, Encik Shauki. Saya pergi dulu.”
Dia sebaliknya hanya mengangguk diam dan memerhatikan
sahaja bayangan Sarina hilang dari pandangan mata. Dia kemudiannya
lalu melepaskan keluhan yang panjang sambil menyandarkan badannya
di atas kerusi pusing yang berwarna merah hati. Shauki merasa tidak
senang duduk. Resah-gelisah. Kepanasan. Walaupun berada dalam bilik
yang berhawa dingin. Dia kemudiannya bingkas bangun dan perlahan-
lahan menuju ke arah jendela kaca. Dia lalu melontarkan pandangan ke
3
arah bangunan-bangunan yang menjulang tinggi hingga mencakar
langit.
“Awak dah fikir masak-masak?” tanya Encik Redzuan iaitu
Pengurus Besar Syarikat Inderapura Holdings Sdn. Bhd. sebaik-baik
sahaja selesai membaca surat perletakan jawatan Shauki.
“Sudah, Encik Redzuan. Saya harap Encik Redzuan akan
meluluskan permohonan saya ini.”
“Awak nak buka syarikat sendiri?”
“Ya, Encik Redzuan. Saya nak ikut jejak langkah Encik Redzuan.
Berjaya menjadikan syarikat ini hingga bertaraf korporat.”
“Saya bangga dengan semangat awak. Tapi, saya tetap bimbang.
Dunia perniagaan ni banyak cabarannya. Kalau awak tak pandai
menanganinya, awak akan gagal.”
“Encik Redzuan jangan bimbang. Saya yakin. Pengalaman saya
sewaktu bekerja dengan syarikat ini akan membantu saya untuk maju
dalam bidang perniagaan.”
4
“Baiklah. Kalau begitu keputusan awak, saya tak boleh berbuat
apa-apa. Saya luluskan permohonan awak ni. Saya berdoa semoga cita-
cita awak akan tercapai.”
“Terima kasih, Encik Redzuan.”
Tindakannya meninggalkan Syarikat Inderapura Holdings Sdn.
Bhd. mendapat tentangan keras daripada isterinya iaitu Rahimah.
“Apa? Abang dah berhenti kerja?” ujarnya dengan penuh rasa
terkejut.
“Ya, Mah. Abang nak buka syarikat sendiri,” dia menjawab sambil
menghirup air teh yang masih panas itu. Kemudian perlahan-lahan
diletakkannya semula cawan itu ke bawah. Asap nipis yang keluar
daripada air teh itu kelihatan teroleng-oleng naik ke atas.
“Nak buka syarikat perlukan duit yang banyak, bang. Mana abang
nak cari?”
“Abang akan buat pinjaman bank.”
“Betul. Tapi, mampu ke abang bayar balik?”
5
“Abang mampu, Mah. Kalau orang lain boleh bayar balik kenapa
abang tak boleh. Kalau orang lain boleh berjaya dalam perniagaan
kenapa abang tak boleh.”
“Mah takut, bang.”
“Takut apa?”
“Abang baru kerja 5 tahun. Dah nak buka syarikat sendiri.”
Dia hanya mendiamkan diri sahaja apabila mendengar kata-kata
isterinya itu. Ketiga-tiga orang anaknya iaitu Shahril, Suzana dan
Syazwan kelihatan sedang asyik menonton rancangan kartun yang
disiarkan di televisyen. Sekali-sekala kedengan hilai tawa mereka yang
hampir memecahkan ruang tamu rumah teres berkembar dua tingkat
itu. Dia kemudiannya mengukir senyuman kecil sambil memandang
tepat wajah isterinya. Gelagatnya itu nyata sekali tidak menyenangkan
isterinya.
“Sebagai isteri Mah sepatutnya beri semangat pada abang.
Bukannya matikan semangat, abang.”
“Itu Mah tahu, bang.”
6
“Dah tu?”
“Mah takut syarikat abang tak akan bertahan lama.”
“Kenapa Mah cakap macam tu?”
“Berniaga ni bukannya senang, bang.”
“Mah jangan bimbang. Yang nak berniaga, abang. Bukannya,
Mah. Keuntungan yang dapat bukan milik abang seorang. Mah dan
anak-anak akan dapat jugak nanti.”
“Entahlah, bang. Susah Mah nak cakap dengan abang ni. Mah
cuma ingatkan abang aje. Mah tak mahu abang menyesal di kemudian
hari.”
“Abang tak akan menyesal, Mah. Abang yakin. Syarikat abang
akan maju.”
Keesokan harinya dia keluar makan tengah hari bersama dengan
sahabat karibnya iaitu Afian.
7
“Apa? Kau nak buka syarikat? Kau jangan nak olok-olok dengan
aku, Ki?” soal Afian sambil membetulkan duduk.
“Betul, Pian. Aku tak olok-olok,” dia menjawab.
Afian sebaliknya ketawa kecil apabila mendengar kata-katanya itu.
Gelagat yang ditunjukkan oleh sahabat karibnya itu benar-benar
menghairankannya.
“Kenapa kau ketawa? Apa? Kau tak yakin yang aku boleh berjaya
dalam bidang perniagaan?”
“Aku tak bermaksud begitu.”
“Habis?”
Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti. Pelayan lalu
menghampiri mereka berdua sambil membawa makanan dan minuman
yang dipesan iaitu 2 pinggan nasi beriani dan 2 gelas air sirap limau.
“Terima kasih,” ucap Shauki.
8
“Sama-sama!” dia membalas sambil menganggukkan kepala dan
pantas berlalu pergi dari situ.
Tanpa membuang masa lagi, mereka lalu menikmati makanan dan
minuman yang dipesan. Selepas selesai menikmati makanan dan
minuman, mereka berdua menyambung semula perbualan.
“Aku bukannya apa, Ki. Sebagai seorang kawan, aku tak mahu
kau menyesal di kemudian hari. Berniaga ni bukan senang, Ki. Ibarat
kapal di tengah lautan. Kalau kau tak pandai menghadapi gelombang,
kau akan tenggelam,” nasihat Afian dengan panjang lebar.
“Kau sama dengan isteri aku. Bukan nak bagi semangat. Nak
patahkan semangat.” Dia langsung tidak menghiraukan nasihat sahabat
karibnya itu.
“Ini bukan soal beri semangat atau patahkan semangat, Ki. Aku
bercakap ni adalah berdasarkan kenyataan.”
“Kenyataan apa?”
“Kau jangan ikut rentak orang, Ki. Bila kau tengok orang lain
buka syarikat, kau pun nak buka syarikat. Dia orang tu mungkin dah
9
berpuluh-puluh tahun menceburi bidang perniagaan. Sedangkan kau
baru 5 tahun bekerja dengan Syarikat Inderapura Holdings Sdn. Bhd.”
“Terima kasih, Pian. Kerana menasihatkan aku. Tapi, kau tak
akan dapat mengubah keputusan aku. Kita dah lama berkawan. Kau
tentu arif dengan prinsip hidup aku, bukan? Apa yang aku kata mesti
aku kota,” Shauki membalas dengan panjang lebar.
Selang beberapa bulan kemudian dia pun menubuhkan Syarikat
Perkasa Construction Sdn. Bhd. Ternyata syarikatnya berjaya
memperolehi keuntungan yang banyak. Syarikatnya banyak mendapat
projek mewah. Duit keuntungan syarikat lebih banyak dilaburkannya
dengan melancong ke luar negara bersama keluarga serta membeli
beberapa buah banglo dan kereta mewah. Tindakannya berbelanja boros
ini telah ditegur oleh Zamri iaitu Pegawai Akaun di syarikatnya. Namun
begitu tidak diendahkannya.
“Jangan berbelanja boros, Encik Shauki. Syarikat kita akan
menerima padah nanti.”
“Itu hak saya, Zamri. Saya pengurus besar di syarikat ni.
Bukannya awak. Saya boleh buat apa aja yang saya suka. Awak tu
makan gaji dengan saya. Faham!”
10
“Saya faham, Encik Shauki …,” dia tidak sempat untuk
menghabiskan kata-kata.
“Dah tu? Awak jangan nak pandai-pandai nasihatkan saya. Awak
pergi buat kerja awak.” Shauki sebaliknya pantas memotong dengan
penuh rasa bongkak dan sombong.
Dia juga telah menjalankan perniagaan dengan cara yang salah.
Dia sanggup memberi rasuah kepada pihak yang bertanggungjawab
untuk mendapatkan projek mewah. Ini tidak disenangi oleh Musa iaitu
Pegawai Pemasaran di syarikatnya.
“Encik Shauki menjalankan perniagaan dengan cara yang salah.”
“Salah kata awak?”
“Ya. Rasuah salah di sisi agama dan undang-undang.”
“Awak sebagai pekerja ikut arahan saya. Awak jangan cuba nak
nasihatkan saya. Dengar sini baik-baik. Tender tu lumayan. Kalau kita
tak umpan mereka, kita akan terlepas. Faham!”
“Tapi, Encik Shauki ….”
11
“Sudah! Ikut apa yang saya arahkan. Kalau awak tak mahu buat,
berhenti kerja. Saya boleh cari orang lain.”
“Encik Shauki jangan cuba cabar saya.”
“Saya bukan cabar awak, Musa. Ini adalah kenyataan. Kalau awak
dah bosan bekerja dengan syarikat ni, silakan keluar. Awak carilah kerja
lain.
“Baiklah, Encik Shauki. Saya akan tinggalkan syarikat ini. Saya
tak mahu bersubahat melakukan perkara yang terkutuk.”
“Sudah! Ikut apa yang saya arahkan. Kalau awak tak mahu buat,
berhenti kerja. Saya boleh cari orang lain.”
Musa pun mengambil keputusan nekad meninggalkan Syarikat
Perkasa Construction Sdn. Bhd. Dia lebih senang melihat Musa berhenti
kerja. Sebagai “boss” dia adalah raja. Segala perintahnya mesti diturut.
Tanpa mengira sama ada ia baik ataupun buruk. Dia lupa pada ajaran
agama Islam. Dalam perniagaan ada batasnya. Halal dan haram. Namun
begitu itu semua diketepikannya. Baginya untuk maju dalam bidang
perniagaan soal halal dan haram tidak perlu wujud. Yang penting ialah
memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda.
12
Shauki juga bersifat zalim terhadap pekerja. Dia membuang
pekerja dengan sewenang-wenangnya.
“Apa salah saya, Encik Shauki?” soal Mansur yang bertugas
sebagai budak pejabat sebaik-baik sahaja menerima surat notis berhenti
kerja daripada Shauki.
“Saya tak perlu jawab soalan awak. Awak sepatutnya tanya diri
awak sendiri.”
“Awak memang jenis bengap. Semua kerja yang diberikan awak
tak boleh buat. Dahlah tu awak selalu saja ambil cuti sakit. Saya mahu
orang yang berguna dalam syarikat ni. Bukannya orang yang tak
berguna macam awak. Faham!!!” herdik Shauki.
“Saya bukannya suka-suka ambil cuti sakit. Kan saya dah
beritahu Encik Shauki. Saya memang ada masalah kesihatan.” Mansur
sebaliknya cuba membela diri.
Namun begitu tidak diendahkan sama sekali oleh Shauki. Dia
tetap dengan egonya yang tinggi melangit.
13
“Ah! Itu semua alasan awak. Dah saya katakana tadi. Orang
macam awak memang tak layak bekerja dengan syarikat ni. Ramai lagi
orang yang saya boleh ambil!”
“Encik Shauki tak kasihan ke dengan saya. Saya ada isteri dan
anak-anak. Macam mana saya nak sara hidup mereka.” Mansur terus
merayu.
“Kasihan! Itu bukan urusan saya. Awak carilah kerja lain!”
Mansur diam. Dia sedar siapa dirinya. Encik Shauki selaku
Pengarah Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. yang kini berada
jelas di depan matanya adalah ibarat durian. Manakala dia pula adalah
ibarat mentimun.
Isterinya dan Afian telah beberapa kali menasihatkannya agar
membuang sikapnya yang buruk itu. Namun begitu tidak
diendahkannya langsung. Tetapi dia lupa. Dia hidup di atas dunia ini
hanya sebagai manusia biasa. Walaupun hakikatnya dia dikenali
sebagai Pengarah Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. Hanya Allah
SWT sahaja yang berkuasa.
14
Shauki menarik nafas yang panjang. Baru dia sedar kini. Inilah
padahnya bila terlalu menurutkan kata hati, bongkak, menzalimi orang
dan melakukan kemungkaran.
Sepanjang hari dia asyik termenung memikirkan untung nasibnya
bersama Syarikat Perkasa Construction Sdn. Bhd. yang semakin malap.
15
2
SEORANG TUA
Dia melemparkan pandangan yang tajam ke arah desiran ombak
yang tak putus-putus menghempas pantai. Buih-buih memutih
berapungan. Membasuh pasir dan batu-batu kecil di gigian. Pagi masih
muda lagi. Bola matahari bersinar indah terang-benderang. Bayu laut
bertiup lembut. Sungguh segar sekali. Pohon-pohon cemara yang
tumbuh di sekitar pantai meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Daun-daun
hijau mengeluarkan irama yang sungguh merdu apabila bergeseran di
antara satu sama lain.
Pantai Sinar Murni. Sudah seminggu dia berada di sini. Sebuah
kawasan peranginan yang terkenal. Dia sebenarnya mencari
ketenangan. Jawapan. Setiap masalah perlukan penyelesaian.
Laut yang membiru. Hidup manusia di atas muka bumi ciptaan
Allah SWT ini juga umpama laut. Pasang surut silih berganti. Penuh
suka dan duka. Dia akur dengan kenyataan itu. Memang sudah
ditentukan sejak dari azali lagi. Dia menarik nafas yang panjang sambil
membetulkan duduk di atas kerusi yang diperbuat daripada kayu.
16
“Assalamualaikum.” Kedengaran suara memberi salam.
Lamunannya yang jauh melayang itu lantas terhenti.
“Waalaikumsalam,” dia menjawab sambil memandang muka orang
tua itu.
“Maafkan, pak cik. Kerana mengganggu ketenangan anak.” Nada
suara orang tua itu tenggelam bersama deruan suara ombak.
“Oh, tidak mengapa. Pak cik. Silalah duduk,” dia membalas
senang sambil memandang tepat wajah orang tua itu dan mengukir
senyuman kecil.
“Terima kasih …,” ucap orang tua itu lembut.
“Anak seorang aje ke?” soal orang tua itu lagi.
“Ya, pak cik!” dia mengangguk-anggukkan kepala.
“Maafkan, pak cik. Anak nampaknya sedang memikirkan sesuatu
yang amat berat.”
17
Dia berasa amat terkejut apabila mendengar kata-kata yang
keluar daripada mulut orang tua itu. Macam mana dia tahu semua ini?
Siapakah dia ini yang sebenarnya? Persoalan yang tak henti-henti
menendang benaknya.
“Benar, pak cik. Apa yang bersarang di kepala saya ini adalah
ibarat seketul batu besar,” jelasnya pula.
“Sudah menjadi lumrah hidup manusia. Masalah. Tidak mengenal
tua atau muda.”
“Bolehkah pak cik membantu saya?”
“Kalau anak tak keberatan. Ceritakanlah. Pak cik sedia
mendengarnya.”
“Saya sebenarnya sedang memikirkan Persatuan Ikhlas. Banyak
membantu masyarakat yang tidak berada. Pernah memenangi Anugerah
Cemerlang Persatuan. Tapi kini semuanya dah tak bererti lagi bagi saya
…,” terangnya dalam nada suara yang lemah.
“Apa puncanya?” tanya orang tua itu dengan penuh minat.
18
“Kuasa,” ucapnya pendek.
“Maksud, anak?”
“Saya adalah Pengerusi Persatuan. Ada yang nak menjatuhkan
saya dalam pemilihan jawatan Pengerusi yang akan diadakan pada
bulan depan.”
“Oh, begitu!” orang tua itu sebaliknya mengangguk-anggukkan
kepala apabila mendengar penjelasan yang diberikannya. Angin tiba-tiba
bertiup lemah. Pohon-pohon dan dedaunan cemara mengikut rentak
tiupan angin. Daun-daun kering berguguran menimpa butiran pasir
yang putih dan halus. Seolah-olah bersimpati dengan nasib yang
menimpa dirinya.
“Saya akur, pak cik. Sekiranya ahli-ahli persatuan mahukan
perubahan saya sedia berundur. Itu adalah hak mereka. Saya tak boleh
memaksa mereka agar terus menyokong saya. Tapi malangnya pencabar
saya menggunakan cara yang tak sepatutnya untuk memenangi jawatan
itu,” katanya lagi.
“Cara yang bagaimana anak maksudkan itu?”
19
“Memfitnah dan menuduh saya yang bukan-bukan. Menaburkan
wang kepada ahli-ahli persatuan agar mengangkat dirinya sebagai
Pengerusi.”
“Sungguh dahsyat. Boleh pak cik tahu siapa pencabar anak itu?”
soal orang tua itu.
“Timbalan Pengerusi. Saya kecewa, pak cik. Saya dan dia sama-
sama mengasas dan berjuang membangunkan persatuan. Dia pernah
berjanji. Tidak akan mencabar saya demi perpaduan parti. Saya
menaruh penuh kepercayaan padanya …,” dia bersuara lemah. Suara
angin tidak kedengaran seperti hilang ditelan alam. Hampa. Itulah yang
membalut wajahnya.
“Anak tahu kenapa dia boleh berubah?”
“Entahlah, pak cik. Saya sendiri pun tak tahu. Saya sebenarnya
sayangkan persatuan. Kalau saya gagal mempertahankan jawatan
Pengerusi saya akan tetap setia dengan persatuan. Demi membela nasib
masyarakat yang kurang berada agar dapat menikmati taraf hidup yang
sempurna. Itulah matlamat sebenar saya dan dia menubuhkan
persatuan.”
20
“Mungkin dia mengejar nama selain daripada kuasa. Apabila
persatuan berjaya nama anak sebagai Pengerusi yang menjadi sebutan.
Itu firasat pak cik saja,” tambah orang tua itu.
“Bagi saya kejayaan yang dikecapi bukan milik saya seorang.
Tetapi adalah milik semua ahli persatuan. Tak tahulah saya kalau dia
beranggapan begitu.”
“Anak ikhlas dan jujur dalam perjuangan persatuan,” ujar orang
tua itu.
“Saya sebenarnya takut pada pujian, pak cik. Walaupun
persatuan di bawah pimpinan saya telah mencipta kejayaan. Kerana
bagi saya pujian itu silap-silap boleh memakan diri sendiri dan
menganggap kita lebih bagus daripada orang lain,” jawabnya.
“Ini adalah kenyataan yang lahir daripada pengamatan pak cik
terhadap anak dan bukannya paksaan. Anak bukannya berjuang untuk
kepentingan diri sendiri. Tetapi semata-mata untuk persatuan. Bagi pak
cik itu adalah sifat pemimpin yang sejati. Pak cik tahu. Anak dah
banyak berkorban masa dan tenaga demi persatuan.”
21
Sekali lagi dia berasa terkejut. Orang tua ini tahu segala-galanya.
Memang benar. Persatuan sudah menjadi darah dagingnya.
Perjuangannya membela nasib masyarakat yang kurang berada memang
ada kaitan dengan latar belakang keluarganya yang lebih banyak
mengenal erti kesusahan daripada kemewahan. Semuanya ini yang
menyebabkan dia bersungguh-sungguh memastikan persatuan
mencapai matlamat penubuhannya.
“Mungkin sudah nasib saya, pak cik. Tak semestinya kebaikan
yang dicurahkan akan dibalas orang dengan kebaikan. Adaketikanya
saya berfikir lebih baik mengalah. Tapi saya sedar. Itu bukanlah jalan
yang terbaik buat seorang pemimpin.”
“Pak cik menyokong keputusan yang anak ambil itu. Dalam hidup
ini biar kita mengalah asalkan jangan kalah.”
“Menarik sekali kata-kata pak cik itu.”
“Tuhan sedang menguji anak sebagai seorang pemimpin. Anak
berada di pihak yang benar. Berdoalah sentiasa agar diberikan kekuatan
dan semangat untuk terus berjuang demi persatuan. Insya-Allah. Tuhan
akan memberi anak kemenangan,” nasihat orang tua itu sambil
memegang bahunya. Dia sebaliknya diam sambil memandang wajah
22
orang tua itu. Angin yang bertiup dari arah laut tiba-tiba bertukar
menjadi kencang. Seperti memberi keazaman kepadanya agar terus
hidup dan mati bersama persatuan. Dia akan tetap bertanding dengan
cara yang bersih untuk mempertahankan jawatannya. Menang atau
kalah biarlah di tangan ahli persatuan.
“Baiklah, nak. Pak cik nak pergi.” Orang tua itu kemudiannya
bingkas bangun sambil menghulurkan tangan dan bersalaman
dengannya.
“Pak cik ni siapa sebenarnya?” dia menyoal.
“Macam anak jugak. Hamba Allah yang hidup di muka bumi ini,”
balas orang tua itu. Sekali lagi dia diam. Wajah orang tua itu
direnungnya dalam-dalam.
“Izinkan pak cik pergi. Semoga kita akan berjumpa lagi.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam, pak cik.”
23
Orang tua itu lalu meninggalkannya dan lama-kelamaan hilang
daripada pandangan matanya. Siapakah sebenarnya orang tua ini?
Persoalan yang tak henti-henti menendang benaknya.
24
3
PAK LONG
Kota Warisan. Keputusan telah dibuat. Akan dirobohkan demi
pembangunan. Maka hilanglah khazanah bersejarah yang tinggi
nilainya. Tak mungkin dapat dicari ganti peninggalan yang berusia
ratusan tahun ini.
Pak Long sayang akan Kota Warisan. Lebih daripada segala-
galanya. Hiba dan sedih hati Pak Long. Bila mendengar Kota Warisan
akan dirobohkan. Kota Warisan yang terletak berhampiran dengan
pangkalan akan digantikan dengan resort yang mampu menarik
pelancong.
Berbanding dengan Kota Warisan. Hanya tinggal tembok dengan
susunan batu yang separuh daripadanya telah runtuh akibat hakisan
dan peredaran zaman. Pak Long masih ingat lagi cerita arwah datuknya.
Kota Warisan adalah lambang pemerintahan beraja. Dilengkapi dengan
istana, kolah, perigi dan parit yang digali sedalam 2 kaki untuk
menghindari serangan musuh.
25
Di bahagian hadapan terdapat pintu gerbang. Dikawal oleh
hulubalang sepanjang masa. Manakala di bahagian belakang pula
adalah jalan menuju ke laut. Raja yang bersemayam di Kota Warisan
gemar berlayar.
Kota Warisan runtuh akibat perang saudara. Puncanya ialah
irihati dan tamakkan kuasa. Ada pembesar yang telah belot. Diumpan
oleh musuh dengan wang emas. Rahsia kekuatan Kota Warisan lalu
dibuka. Raja dan pengikut-pengikutnya yang setia lalu melarikan diri.
Tempatnya tidak diketahui. Raja dikatakan menyamar diri sebagai
rakyat biasa kerana takut diburu.
Kota Warisan bukan sahaja peninggalan bersejarah. Lambang
keunikan senibina dan tamadun bangsa Melayu. Pak Long gemar
bercerita tentang Kota Warisan kepada anak dan cucunya. Tetapi
mereka seperti tidak berminat untuk mendengarnya. Pak Long kecewa.
Jawapan mereka itu adalah cerita lama. Sekarang adalah dunia moden.
Pak Long tak putus asa. Diceritakannya moyang mereka adalah
hulubalang Kota Warisan. Gagah perkasa. Sangat setia kepada raja.
Rela berkorban apa saja. Menurut cerita yang didengar oleh Pak Long
dari datuknya.
26
Harapan Pak Long cuma satu. Bukan untuk berasa megah atau
berbangga. Pak Long mahu mereka mencontohi moyang. Bukan setakat
demi raja sahaja. Agama, bangsa dan negara. Dunia hari ini banyak
cabaran. Silap-silap akan dijajah semula. Pak Long pernah merasainya.
Azab dan sengsara. Zaman British dan Jepun. Pak Long masih lagi
terbayang-bayang di ingatan. Walaupun usianya hampir meniti separuh
abad.
Generasi merdeka hari ini harus mengambil iktibar. Sejarah
adalah teladan. Pak Long tekan sedalam-dalamnya kepada anak dan
cucu. Namun begitu jawapannya tetap sama. Zaman Pak Long sudah
berlalu. Ini zaman mereka.
Pak Long tetap nekad. Walaupun keseorangan tetap akan
memastikan Kota Warisan mendapat pembelaan. Pak Long merenung
laut membiru dalam-dalam. Tenang. Sayup-sayup kedengaran suara
ombak memecah pantai. Buih-buih memutih berapungan di gigian.
Bayu laut bertiup segar. Dingin terasa menyapu kulit Pak Long yang
telah tua itu. Pepohonan rendang yang terdapat di sekitar pangkalan
meliuk-liuk ke kiri dan kanan. Mengikut rentak tiupan lembut bayu
laut.
27
Pak Long dapat membayangkan keadaan zaman dahulu sewaktu
kegemilangan pemerintahan raja Kota Warisan. Sibuk dengan pedagang-
pedagang luar. Cukai di pangkalan dikutip oleh pembesar yang telah
diperintahkan. Kota Warisan terkenal dengan kekayaan. Masyhur
namanya di serata negeri.
Datuk Pak Long juga bercerita akan kehebatan Panglima Muda.
Dilantik oleh raja sebagai panglima kanan istana. Mengikut raja ke
mana sahaja pergi. Kehebatannya terkenal dengan menghapuskan
lanun. Panglima Muda memiliki ilmu persilatan yang tinggi dan handal
bermain senjata. Sukar ditandingi musuh. Mudah membaca helah dan
tipu daya. Bukan calang-calang orangnya.
Panglima Muda dikatakan berguru di Tanah Seberang. Guru yang
mengajarnya juga hebat orangnya. Menghabiskan seluruh hidupnya
dengan beramal ibadat kepada Tuhan. Panglima Muda telah
dihadiahkan oleh gurunya sebilah keris. Selagi dia memakai keris itu
Kota Warisan dilindungi daripada ancaman musuh.
Dengan renungan tajam bersama makna yang penuh tersirat Pak
Long kemudiannya melemparkan pandangan ke arah Kota Warisan yang
nampak tersergam indah di atas puncak bukit. Biarpun usianya telah
melewati ratusan tahun. Ditariknya nafas panjang. Kota Warisan adalah
28
sebahagian daripada hidupnya. Pak Long seolah-olah tidak boleh hidup
tanpa Kota Warisan. Walaupun sehari cuma.
Di kaki langit bola matahari kian meninggi. Cahayanya menyinari
seluruh alam semesta. Sepertimana harapan Pak Long. Agar Kota
Warisan terus hidup subur buat selama-lamanya.
Pemaju tidak mempunyai rasa cinta terhadap warisan sejarah.
Demi keuntungan semata-mata sanggup membunuh Kota Warisan.
Apakah Kota Warisan akan menerima nasib yang sama seperti Kota
Melaka yang dibina oleh Portugis sewaktu menakluk pada tahun 1511?
Persoalan yang mengetuk fikiran Pak Long. Hari ini sebahagian sahaja
Kota Melaka yang tinggal akibat diletupkan oleh Inggeris. Generasi hari
ini tidak dapat menatap peninggalan bersejarah yang lebih berharga
daripada emas dan permata. Pak Long tidak mahu ibarat kematian
tanpa nisan terjadi pada Kota Warisan.
Musnah …! Itulah yang mampu digambarkan oleh Pak Long.
Generasi akan datang tidak akan dapat melihat Kota Warisan. Pak Long
pernah meminta agar penduduk kampung bersatu mempertahankan
Kota Warisan. Sepertimana yang dilakukan oleh Panglima Muda dan
moyangnya. Malangnya dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.
29
Amat memedihkan jawapan yang diterima. Seperti ditikam
sembilu rasanya. Hampir menitis air mata orang tua itu. Sedih. Kata
mereka Kota Warisan tidak berguna lagi. Lebih baik dirobohkan. Bina
resort mewah untungnya besar pada kampung ini.
Serta-merta langit yang cerah bertukar menjadi mendung. Hujan
pun turun membasahi Kota Warisan. Seolah-olah bersimpati dengan
Pak Long. Akur dan bersabar. Sudah menjadi lumrah hidup manusia.
Yang baik susah diterima. Yang buruk senang diterima.
Tak ubah seperti seorang pejuang. Berkorban demi agama, bangsa
dan tanah air tercinta. Begitu jugalah halnya dengan Pak Long. Berjuang
bermati-matian. Sehingga ke titisan darah yang penghabisan. Demi
untuk Kota Warisan.
Jauh panggang dari api. Pak Long tidak mengejar nama. Apatah
lagi minta jasa dikenang. Cukuplah dengan sekadar apabila dia
menutup mata nanti buat selama-lamanya Kota Warisan ditatapi oleh
cucu cicitnya. Sayang Pak Long pada Kota Warisan tak ubah seperti
menatang minyak yang penuh. Pak Long sanggup berpanas dan
berhujan menebas semak samun yang terdapat di kawasan persekitaran
Kota Warisan.
30
Entah dari mana datangnya semangat. Entah dari mana
datangnya kekuatan. Sukar untuk mempercayai kudrat Pak Long yang
tak sepadan dengan usianya mampu menjadikan kawasan persekitaran
Kota Warisan terang dan bersih. Seperti baru dibuka. Niat suci Pak Long
ini malangnya disalahertikan oleh penduduk kampung.
Mereka menganggap Pak Long sudah hilang akal dan membuat
kerja sia-sia. Begitu juga dengan isteri dan anak-anak. Marah dengan
tindakan Pak Long itu. Malu! Heboh satu kampung. Tapi Pak Long tak
peduli itu semua. Tidak mahu mencari musuh dengan membalas
tohmahan yang dilemparkan. Berpegang teguh pada hidup dalam
kampung adalah mengutamakan silaturrahim dan bermuafakat.
Lagipun Islam melarang umatnya bersengketa sesama sendiri.
Semangatnya tidak luntur. Sama seperti yang dimiliki oleh moyangnya
sewaktu menjadi hulubalang Kota Warisan dulu.
Kota Warisan tak pernah sunyi dengan pelawat, penyelidik dan
pelajar tanpa mengira peringkat menengah atau universiti yang terlibat
dengan bidang sejarah. Adakalanya Pak Long menjadi pemandu
pelancong memberikan penerangan. Ada ketikanya Pak Long menjadi
pemberi maklumat membantu kajian. Pak Long merasa sungguh
seronok. Soal bayaran Pak Long tak kisah langsung. Asalkan mereka
mendengar cerita Kota Warisan.
31
Pak Long bukannya tak suka pembangunan. Sesuatu yang baik
tak seharusnya ditolak. Untuk dinikmati bersama dengan penduduk
kampung. Pak Long sedar. Zaman dahulu dengan zaman sekarang jauh
berbeza. Zaman mudanya dengan zaman tua yang dilaluinya hari ini
umpama langit dan bumi. Dituntut agar berfikiran terbuka.
Cuma Pak Long tak mahu Kota Warisan menjadi mangsa keadaan
itu. Kalau boleh biarlah pemaju membuat resot mewah berjauhan dari
Kota Warisan. Rayu Pak Long pada pemaju dari kota besar itu. Namun
ditolak mentah-mentah. Alasan pemaju Kota Warisan adalah tempat
yang strategik untuk didirikan resot mewah. Kedudukannya mengadap
ke arah laut. Tempat yang strategik akan menjadi tumpuan pelancong.
Mereka telah membuat kajian.
Pemaju mengingatkan Pak Long. Kota Warisan bukan miliknya.
Jangan ganggu perancangan yang telah mereka atur. Darah hulubalang
yang diwarisi dari moyangnya lantas mengalir apabila mendengar kata-
kata yang dilontarkan oleh pemaju yang tidak menghargai akan
kepentingan nilai sejarah sebagai harta pusaka bagi generasi yang akan
datang. Demi Kota Warisan. Pak Long menentang habis-habisan.
Pak Long turut diberi amaran oleh pemaju. Akan melaporkan
kepada pihak berkuasa kerana mengganggu projek mereka. Namun
32
begitu rasa gentar tidak ada dalam dirinya. Kebenaran. Itulah yang ingin
ditegaknya. Bukan sahaja tidak mahu kampung ini kehilangan warisan
bersejarah tetapi juga pada negara.
Hari-hari silih berganti. Pak Long tetap setia dengan Kota Warisan.
Selagi dia masih bernafas di atas muka bumi ini selagi itulah dia akan
berjuang. Memastikan Kota Warisan tidak tumbang menyembah bumi.
Kekal buat selama-lamanya!
33
4
HULUBALANG JIWA
Kisah Hulubalang Jiwa. Gagah perkasa orangnya. Sangat setia
kepada raja. Suatu hari mendapat perintah. Meminang Puteri Bunga.
Kecantikannya tidak terperi. Serata negeri tiada tandingan.
“Segeralah berangkat, anakanda. Jalankanlah titah raja. Berapa
ramai pengiring yang anakanda perlukan?” kata Datuk Paduka
Bendahara.
“Tak usahlah dikirim ramai utusan, ayahanda. Biarlah anakanda
seorang sahaja melaksanakan titah raja ini,” katanya.
“Anakanda. Untuk sampai ke Negeri Taman Seri bukannya
mudah. Banyak halangan dan rintangan yang terpaksa ditempuhi.
Ayahanda khuatir. Hajat raja tak sampai,” nasihat Datuk Paduka
Bendahara. Dia sudah menganggap Hulubalang Jiwa seperti anak
sendiri.
34
“Usahlah ayahanda bimbang. Ayahanda doakanlah anakanda
dapat membawa pulang Puteri Bunga. Untuk dipersembahkan kepada
raja,” dia sebaliknya membalas.
Setelah semuanya siap maka Hulubalang Jiwa pun berangkatlah
ke Negeri Taman Seri. Seperti yang diduga. Hulubalang Jiwa menempuhi
pelbagai halangan dan rintangan. Ancaman perompak.
Hulubalang Jiwa bukan calang-calang orangnya. Memiliki ilmu
persilatan tinggi. Handal bermain senjata. Kesemua perompak dapat
ditewaskannya.
Rupanya semua ini telah diatur oleh Datuk Gagak. Cemburu dan
irihati dengan Hulubalang Jiwa. Dipilih oleh raja untuk meminang
Puteri Bunga yang cantik rupawan.
“Cis! Dia seorang pun tak boleh dikalahkan!” bentaknya dalam
suara yang lantang dan berwajah bengis.
“Dia memang hebat ….”
“Ah! Tambah lagi orang-orang kita. Hulubalang Jiwa mesti
dihapuskan!”
35
“Baik, Datuk!”
Demikianlah jahatnya Datuk Gagak. Apabila Hulubalang Jiwa
mati nanti sudah tentu raja akan memerintahkan dia untuk pergi
meminang Puteri Bunga. Sudah tentu dia akan mendapat kurnia
apabila raja berjaya memperisterikan Puteri Bunga.
Hulubalang Jiwa selamat tiba di Negeri Taman Seri. Peminangan
raja telah diterima. Raja Negeri Taman Seri pun mengadakan majlis
keramaian untuk meraikan Hulubalang Jiwa.
“Siapa nama hulubalang dari Negeri Kembang Hayat tu, mak
inang?” tanya Puteri Bunga.
“Jiwa, tuan puteri,” dia menjawab.
“Jiwa! Sedap namanya. Kena dengan orangnya. Tampan dan
gagah,” Puteri Bunga sebaliknya membalas.
Mak Inang tertawa kecil apabila mendengar kata-kata Puteri
Bunga itu. Keasyikan. Melanda jiwa Puteri Bunga. Apabila terpandang
paras wajah Hulubalang Jiwa. Dalam majlis keramaian yang turut
dihadiri oleh pembesar dan rakyat jelata.
36
Raja turut mempelawa Hulubalang Jiwa tinggal beberapa hari di
Negeri Taman Seri sebagai tetamu. Hulubalang Jiwa menerima pelawaan
raja itu dengan senang hati. Namun begitu kehadirannya sebagai tetamu
raja itu tidak disenangi oleh Datuk Lang Hitam. Salah seorang pembesar
istana.
Datuk Lang Hitam lalu mempengaruhi raja. Dengan mengatakan
kedatangan Hulubalang Jiwa bukan semata-mata untuk meminang
Puteri Bunga. Tetapi sebenarnya adalah berniat jahat. Raja tidak
termakan dengan fitnah Datuk Lang Hitam itu. Raja sebaliknya
menasihatkan Datuk Lang Hitam agar tidak membuat tuduhan melulu.
Buruk padahnya nanti. Datuk Lang Hitam benar-benar merasa kecewa
dan marah. Rancangannya tidak menjadi.
“Aku betul-betul benci dengan hulubalang dari Negeri Kembang
Hayat tu!” luah Datuk Lang Hitam. Dengan rasa penuh geram.
“Hamba pun begitu, datuk. Baru sekali datang kemari. Senang-
senang sahaja dia diterima sebagai tetamu negeri. Kita mesti cari jalan.
Kita mesti usir dia!” sokong Bara. Orang kanan Datuk Lang Hitam.
“Tak semudah itu, Bara. Dia telah menjadi orang kesayangan raja.
Padahal dia orang luar. Aku dah atur rancangan!” katanya.
37
“Rancangan apa, Datuk?” soal Bara pula dengan penuh minat.
“Begini. Kita mesti hapuskan hulubalang tu dalam perjalanan
pulang membawa Puteri Bunga ke Negeri Kembang Hayat. Kita mesti
culik Puteri Bunga dan jadikan tebusan. Kita paksa raja serahkan
takhta. Kalau tidak kita akan bunuh Puteri Bunga. Aku yakin. Raja
akan tunduk pada kemahuan kita. Kerana sayang akan puteri
tunggalnya itu.” Dia menerangkan panjang lebar akan rancangan
jahatnya itu.
“Datuk akan jadi Raja Negeri Taman Seri,” Bara menambah.
“Ya!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala. Dia
kemudiannya lalu ketawa terbahak-bahak. Penuh yakin. Rancangan
jahat yang diaturnya itu akan berjaya.
Hulubalang Jiwa dapat merasakan cabaran dan rintangan yang
terpaksa dihadapinya nanti apabila membawa pulang Puteri Bunga ke
Negeri Kembang Hayat. Setelah beberapa hari tinggal di Negeri Taman
Seri maka tibalah masanya Hulubalang Jiwa berangkat balik. Bersama
dengan Puteri Bunga. Raja telah memerintahkan beberapa orang
pahlawan untuk mengiringi Puteri Bunga dan Hulubalang Jiwa. Namun
begitu Hulubalang Jiwa mengatakan tidak perlu pahlawan pengiring.
38
Dia memberi jaminan kepada raja akan melindungi Puteri Bunga dan
selamat sampai ke Negeri Kembang Hayat.
Dalam perjalanan seperti yang diduga. Hulubalang Jiwa dan
Puteri Bunga telah menerima ancaman daripada Datuk Lang Hitam dan
orang-orangnya.
“Datuk Lang Hitam?” Puteri Bunga merasa sungguh terkejut.
“Ya! Apa khabar, tuan puteri? Dan kau hulubalang dari Negeri
Kembang Hayat. Serahkan Puteri Bunga. Jangan mengundang maut!”
Datuk Lang Hitam mengugut sambil meninggikan suara.
“Ah! Tidak, datuk. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke
pangkal lengan!” dia sebaliknya membalas dengan berani. Kedua-dua
biji matanya tajam memandang Datuk Lang Hitam yang bermisai lentik
dan berwajah garang itu.
“Sungguh tak disangka. Tergamak datuk buat begini. Apa salah
hamba?” kata Puteri Bunga pula dalam nada suara yang cemas. Dia
benar-benar ketakutan sambil memegang erat tangan Hulubalang Jiwa.
39
“Ah! Tamatkan riwayat hulubalang ini!” arah Datuk Lang Hitam
pada orang-orangnya.
“Tenang, tuan puteri. Kalau orang dah menjual. Hamba sedia
membeli,” ucap Hulubalang Jiwa sambil menghunus senjata. Dengan
pantas Puteri Bunga melepaskan pegangan tangan dan berundur ke
belakang. Pertarungan antara Hulubalang Jiwa dengan orang-orang
Datuk Lang Hitam pun berlaku. Kesemua mereka tewas dengan mudah
di tangan Hulubalang Jiwa. Termasuk Bara. Kemarahan Datuk Lang
Hitam kian memuncak.
“Cis! Kau akan bertemu buku dengan ruas. Ini Datuk Lang Hitam.
Bersedialah. Ajal kau dah tiba!” katanya dengan rasa penuh bongkak.
Ternyata Datuk Lang Hitam memiliki ilmu kependekaran yang
tinggi. Namun begitu Hulubalang Jiwa dapat membaca gerak-gerinya.
Pertarungan antara Hulubalang Jiwa dengan Datuk Lang Hitam berlaku
dengan amat sengit. Akhirnya Datuk Lang Hitam menemui ajal juga di
tangan Hulubalang Jiwa. Demikianlah balasannya buat si penderhaka.
“Syukurlah, tuan puteri. Musuh-musuh ini dapat ditewaskan. Ada
lagi cubaan yang perlu kita tempuhi. Berdoalah. Semoga kita selamat
sampai ke Negeri Kembang Hayat,” ucapnya.
40
Puteri Bunga hanya mengangguk-angguk diam apabila mendengar
kata-kata Hulubalang Jiwa itu. Mereka pun meneruskan semula
perjalanan. Tekaan Hulubalang Jiwa memang tepat sekali. Kali ini
rintangan datang daripada orang-orang Datuk Gagak pula. Mereka
menerima nasib yang sama seperti Datuk Lang Hitam dan orang-
orangnya.
“Sungguh hebat, tuan hamba. Seumur hidup hamba. Tak pernah
hamba temui. Orang segagah tuan hamba,” puji Puteri Bunga.
“Hamba tak minta pujian. Sudah menjadi kewajipan hamba.
Untuk memastikan tuan puteri selamat. Dan seterusnya
dipersembahkan kepada raja,” dia menjawab.
Setelah penat berjalan Hulubalang Jiwa dan Puteri Bunga pun
berhenti rehat. Cuaca kelihatan cerah. Di kaki langit bola matahari kian
meninggi. Jalur-jalur cahayanya kelihatan lurus menyinari seluruh alam
semesta. Angin bertiup lembut. Dedaun hijau dan pohon-pohon bagai
menari-nari. Mengikut rentak alunan angin.
Sayup-sayup kedengaran bunyi air sungai mengalir. Iramanya
sungguh mengasyikkan jiwa pabila didengar. Kicauan burung dan
41
unggas jelas kedengaran. Menjadi nyanyian alam semesta. Dari jauh
kelihatan banjaran gunung berdiri megah.
Puteri Bunga memandang wajah Hulubalang Jiwa. Pandangannya
itu sudah cukup menggambarkan anak raja Negeri Taman Seri itu ada
maksud tersirat yang hendak disampaikan. Ayu wajahnya. Laksana
rembulan yang menyinari di malam hari. Kulit putih berseri. Ditambah
kejelitaan dengan rambut yang bersanggul bersama kain selendang yang
menutupi kepala. Hati mana yang tak tertawan. Apakah ini dugaan?
Bisik hati kecil hulubalang Negeri Kembang Hayat itu.
“Tuan hamba. Maafkan hamba sekiranya bertanya. Itu pun kalau
tidak keberatan tuan hamba menjawabnya.” Dia memulakan bicara.
Lembut suaranya ditelan alunan desiran angin yang bertiup lemah
gemalai.
Hulubalang Jiwa sebaliknya tidak pantas menjawab pertanyaan
yang dilontarkan oleh Puteri Bunga itu. Ditariknya nafas dalam-dalam.
“Silakan, tuan puteri. Walau seberat batu pun. Hamba tidak akan
hampakan,” dia bersuara tenang.
“Tuan hamba sudah punya kekasih hati?” soal Puteri Bunga.
42
Hamba tak punya kekasih hati,” dia menjawab.
“Berkata benarlah wahai tuan hamba. Orang yang tampan dan
gagah seperti tuan hamba ini. Sentiasa mendapat tempat di hati setiap
dara seperti hamba,” dia mendesak.
“Namanya untuk berdusta. Tidak sekali-kali. Ada dalam diri
hamba, tuan puteri!” dia membalas sambil menggeleng-gelengkan
kepala.
“Hamba tak percaya. Sebagai seorang teruna. Takkan tuan hamba
tak punya perasaan. Jatuh hati pada seorang dara.” Ternyata dia masih
lagi belum berpuashati. Dengan jawapan yang diberikan oleh
Hulubalang Jiwa itu.
Angin yang tadinya bertiup lembut tiba-tiba bertukar rentak.
Menjadi kencang dari arah pergunungan. Kelihatan cantik mengusapi
wajah Puteri Bunga.
“Cinta hamba hanya pada raja, agama, bangsa dan negeri saja,”
ujar Hulubalang Jiwa pula.
43
“Sebenarnya hamba ingin berterus terang pada tuan hamba,” kata
Puteri Bunga.
“Berterus terang? Apa maksud, tuan puteri? Tak sabar rasa
hamba untuk mendengarnya,” dia sebaliknya membalas.
“Sebenarnya …. Hamba ….” Nada suara Puteri Bunga terputus-
putus sambil tertunduk malu.
“Katakanlah wahai tuan puteri. Akan hajat hati yang hendak
disampaikan,” ulangnya lagi.
Perlahan-lahan Puteri Bunga mengangkat muka. Hulubalang Jiwa
nampak tenang menanti apa yang bakal diluahkan oleh anak Raja
Negeri Taman Seri itu. Mereka pun bertentang mata. Sebagai teruna dan
dara masing-masing dapat merasakan getaran yang hebat menggoncang
perasaan.
“Hamba jatuh hati pada tuan hamba …,” lafaz Puteri Bunga
bersama lembut tiupan angin dan bunyi air sungai mengalir.
Kata-kata yang diucapkan oleh Puteri Bunga itu benar-benar
memeranjatkan Hulubalang Jiwa.
44
Memang benar sangkaannya. Perkara ini akan berlaku. Oh,
Tuhan! Apakah ini dugaan yang harus aku lalui? Puteri Bunga bukan
milikku. Dia adalah milik raja. Aku tak tergamak untuk mengkhianati
raja. Seluruh kesetiaanku hanyalah untuk dia sahaja. Kalau raja
berkehendakkan aku hidup. Maka hiduplah aku. Sebaliknya kalau raja
berkehendakkan aku mati. Maka matilah aku. Getus hati kecil
Hulubalang Jiwa.
“Maafkan hamba. Hamba tak boleh menerima cinta tuan puteri,”
dia menjawab.
“Hamba sungguh cintakan tuan hamba. Bawalah hamba pergi ke
mana sahaja. Hamba rela,” Puteri Bunga merayu.
“Tak boleh, tuan puteri!” dia membantah sekeras-kerasnya sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
“Tuan hamba …!” Puteri Bunga pantas mencelah. Kekecewaan.
Jelas terpancar di wajahnya yang ayu itu. Serentak dengan itu juga bola
matanya digenangi titis-titis air jernih. Umpama hujan yang turun dari
langit. Membasahi bumi.
45
Alam tiba-tiba bertukar menjadi sepi. Seolah-olah meratapi
sebuah kematian. Suara angin dan desiran air sungai mengalir berbunyi
lemah. Tak bermaya untuk meneruskan hidup. Dedaunan hijau
berguguran di atas tanah. Pepohonan meliuk-liuk ke kiri dan kanan
dalam rentak lemah-gemalai. Kicauan burung dan unggas tidak
kedengaran.
Cuaca yang tadinya cerah lalu bertukar menjadi redup. Mendung
hitam perlahan-lahan berarak di kaki langit. Menutupi bola matahari.
Seperti turut bersimpati dengan Puteri Bunga. Rupanya dia hanya
bertepuk sebelah tangan sahaja.
“Tergamak, tuan hamba …. Melukakan hati hamba ….” Puteri
Bunga menangis teresak-esak.
“Sekali lagi hamba minta maaf, tuan puteri. Tugas hamba ialah
untuk mempersembahkan tuan puteri kepada raja. Bukannya berkasih
dengan tuan puteri. Berkasih dengan tuan puteri. Bererti hamba telah
menderhaka,” jelas Hulubalang Jiwa pula.
Puteri Bunga lalu tertunduk diam. Titis-titis air matanya umpama
kilauan mutiara di dasar lautan. Semakin banyak berguguran
46
membasahi pipinya yang lembut itu. Kemudian perlahan-lahan jatuh
membasahi tanah. Kesedihan. Benar-benar membalut jiwanya.
Setelah beberapa hari dalam perjalanan maka Hulubalang Jiwa
dan Puteri Bunga pun selamat tiba di Negeri Kembang Hayat. Raja
berasa amat gembira kerana peminangannya telah diterima. Niat jahat
Datuk Gagak telah diketahui oleh raja. Dia telah diperintahkan
ditangkap dan dipenjara seumur hidup. Pembesar dan rakyat jelata
sekalian lalu membuat persiapan melangsungkan perkahwinan raja
dengan Puteri Bunga. Di atas jasa Hulubalang Jiwa itu raja telah
berkenan mengurniakannya gelaran Datuk.
47
5
HIDAYAT
Dari jendela kaca yang berpeluh akibat kesejukan alat penghawa
dingin dia melontarkan pandangan jauh ke arah bangunan-bangunan
yang tinggi mencakar langit. Bola mentari kian meninggi. Jalur-jalur
cahaya yang lurus jelas kelihatan menyinari seluruh bandaraya.
Lamunannya yang jauh melayang itu terhenti seketika apabila
kedengaran daun pintu ditarik. Dia pantas menoleh ke belakang. Zamri.
Rakan kongsinya dalam Syarikat Mawar Holdings Sdn. Bhd. Dia
mengukir senyuman lebar dan pantas melabuhkan punggung di atas
kerusi.
Salim sebaliknya menarik nafas panjang dan memalingkan muka
kembali ke arah jendela kaca.
“Apa yang kau fikirkan tu, Lim? Projek ni untungnya besar. Ingat.
Bukan mudah kita nak dapat?” kata Zamri.
Dia diam. Kedua-dua biji matanya seakan-akan lekat memandang
bangunan-bangunan tinggi yang memenuhi seluruh ruang kota.
48
Semenjak mimpi bertemu dengan lelaki tua yang berjanggut,
berserban dan berjubah putih malam tadi dia benar-benar jadi tidak
menentu dan takut.
“Ingat, nak. Tuhan menyeru umatnya agar mencari rezeki dengan
cara yang halal dan bukannya dengan cara yang haram.” Kata-kata itu
terngiang-ngiang segar di telinganya. Masih jelas di ingatannya akan
wajah lelaki tua itu yang bersih dan bersinar-sinar seperti cahaya yang
menerangi seluruh alam. Siapakah lelaki ini? Mengapa dia datang
berjumpa dengan aku? Persoalan yang tak henti-henti menendang
benaknya sejak dia keluar dari rumah pagi tadi. Kedengaran bunyi pintu
diketuk. Salim memalingkan muka ke arah pintu yang dicat dengan
warna biru air laut itu.
“Masuk …!” ucapnya dalam nada suara yang lembut. Wati muncul
sambil membawa fail yang berwarna hitam.
“Encik Zamri …,” tegurnya lembut sambil mengukir senyuman
kecil dan menundukkan kepala. Zamri sebaliknya membalas dengan
mengangguk diam. Salim lalu beralih berdiri di sisi meja.
“Ini dia fail yang Encik Salim minta,” katanya sambil perlahan-
lahan meletakkan di atas meja.
49
“Baiklah. Terima kasih,” dia menjawab sambil mengangguk-
anggukkan kepala.
“Ada apalagi, Encik Salim?” tanya Wati yang sudah tiga tahun
menjadi Setiausaha Syarikat Mawar Holdings Sdn. Bhd.
“Itu sahaja,” ujarnya pendek.
“Encik Zamri?” soal Wati pula sambil mengalihkan pandangan
pula ke arah Zamri yang duduk tegak di atas kerusi.
“Kalau ada apa-apa nanti saya panggil.”
“Baiklah, Encik Salim, Encik Zamri. Saya pergi dulu.”
“OK!” Salim mengangguk-anggukkan kepala.
Salim pantas duduk di atas kerusi dan memandang tepat wajah
rakan kongsinya itu.
“Macam mana?” Zamri mengangkat kepala.
“Entahlah, Ri …. Aku takut …,” rengusnya.
50