The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-68290885, 2022-07-18 00:55:09

Jalan Pulang

Cerpen

“Dah berhenti merokok?”

“Ya,” jawab Azmi ringkas. Karim menjepit rokok di bibir dan
menyucuhkan api. Dia menyedut dan menghembuskan keluar asap
perlahan-lahan. Putih berkepul-kepul. Menari-nari. Itulah yang
diperhatikan oleh Azmi.

Karim mengangkat kepala tinggi sedikit memandang Azmi. Dan
berkata:

“Agama dan undang-undang lain. Kau masih belum faham lagi
tentang konsep bisnes.” Dia membuang habuk rokok ke dalam bekas
kaca yang berbentuk bulat macam bola.

“Aku faham!” Azmi menganggukkan kepala.

“Bisnes untuk mendapatkan untung,” sambungnya lagi.

“Dah tu. Apa kaitannya agama dan undang-undang dengan
bisnes?” sanggah Karim.

“Rasuah adalah perbuatan kotor.” Azmi mengingatkan rakan
kongsinya itu.

501

“Azmi, Azmi!” Karim menggeleng-gelengkan kepala. Dia
kemudiannya menyucuhkan puntung rokok ke dalam bekas yang bulat
itu.

“Kau hairan?” Dia dapat membaca reaksi Karim.

Kedua-dua biji mata Karim tepat memandang wajah Azmi. Yang
berkulit cerah. Berambut lurus serta bermisai tebal. Badannya agak
kurus sedikit.

“Kau masih mentah lagi,” ucap Karim.

“Mentah?”

Karim mengangguk sambil membetulkan duduknya.

“Ya! Macam budak hingusan.”

Sekali lagi darah Azmi menyirap. Namun begitu dia tetap
bersabar. Walaupun hati kecilnya merasa sakit apabila Karim
mengecapnya sebagai budak hingusan.

Tok! Tok! Tok!

502

Perbualan mereka terhenti seketika. Apabila kedengaran bunyi
pintu diketuk orang.

“Masuk!” kata Karim sambil meninggikan kepala. Sarina,
setiausaha syarikat muncul bersama fail.

“Ini dia fail-fail yang Encik Karim minta.” Dia menyerahkannya
kepada Karim.

Karim lalu mengambil pen dan menandatangani kesemua fail
tersebut. Kemudian dia menyerahkannya semula kepada Sarina.

“Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu, Encik Karim?” tanya
Sarina lagi. Orangnya manis dan cantik. Usianya awal 20-an.

“Tak ada!” dia menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Encik Azmi?” Dia kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah
Azmi.

“Baiklah. Saya pergi dulu,” ujarnya sambil mengukir senyuman
manis. Karim mengangguk. Dia menguak daun pintu dan menutupnya
kembali perlahan-lahan.

503

“Maafkan aku, Azmi. Aku harap kau tak kecil hati. Aku lakukan
semua ini untuk kesenangan kita bersama jugak,” Karim bersuara
setelah bayangan Sarina hilang daripada pandangan mata.

“Itu aku tidak tahu, Karim. Tapi ....” Dia tidak sempat untuk
menghabiskan kata-kata. Karim lebih pantas memotong.

“Projek tu bernilai RM 1.8 juta. Kalau terlepas rugi besar kita.”

Demikianlah sikap Karim. Tegas orangnya. Setiap keputusan yang
diambilnya tidak boleh diubah. Kalau hitam katanya maka hitamlah.
Kalau putih katanya maka putihlah. Tetapi ketegasannya tidak
bertempat. Azmi diam. Dia serba salah. Keuntungan yang bakal
diperolehi oleh Syarikat Setia Corporation Sdn Bhd akan menambahkan
lagi rezeki kepada keluarganya. Tetapi dengan cara memberi rasuah
semata-mata untuk mendapatkan projek itu adalah tidak berkat. Dia
mahu mencari rezeki dengan cara yang halal. Cara yang diredai oleh
Allah SWT. Agar selamat isteri dan anak-anaknya.

Azmi kembali menyorot muka Karim. Dia memakai baju berlengan
panjang yang berwarna daun hijau muda.

504

“Tak adakah cara lain untuk kita mendapatkan projek tu?” Azmi
bersuara lembut. Dia cuba menggunakan psikologi untuk memujuk
rakan kongsinya itu. Karim sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala.
Pendiriannya tetap. Tidak boleh diubah lagi. Dia tidak menghiraukan
nasihat Azmi.

“Tak ada, Azmi. Itu saja jalan yang terbaik buat kita,” ujar Karim
pula.

Dia mengeluh dengan tindakan Karim itu.

“Aku tetap tak setuju, Karim!”

“Come on man. Dunia kita bisnes. Kita perlukan duit. Mereka
sanggup tolong kita. Asalkan kita memberikan mereka habuan yang
lumayan,” terang Karim dengan penuh panjang lebar.

Sekali lagi Azmi diam. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat. Tidak
dapat berkata-kata. Dia memerhatikan wajah Karim dalam-dalam. Dia
berdoa dalam hati kecilnya. Semoga dia dilindungi oleh Allah SWT
daripada melakukan kerja yang terkutuk ini.

Karim memancung lamunannya.

505

“Minggu depan kita perlu sediakan wang berjumlah RM 800,000,”
katanya sambil membetulkan duduk.

“RM 800,000?” Azmi terkejut mendengarnya.

“Ya. Banyak itu yang mereka minta.”

“Kerja gila.”

“Kerja gila? Kenapa kau kata begitu?” soal Karim sambil
mendongakkan kepala.

“Karim, aku takut nanti yang dikendong tak dapat yang dikejar
berciciran. Silap-silap kita tak boleh bayar gaji pekerja.” Dia tidak jemu-
jemu menasihatkan Karim.

Karim ketawa apabila mendengar kata-kata Azmi itu. Azmi
berwajah serius. Hatinya geram. Terbakar. Panas. Seperti api yang
disimbahkan minyak. Dia kecewa dengan sikap Karim. Yang langsung
tidak ambil peduli nasihatnya.

“Aku pelik betul dengan kau ni. Bergurau tak kena tempat,” balas
Karim pula.

506

Hati Azmi bertambah sakit. Kemarahannya semakin meluap-luap.
Dia tetap bersabar. Sabar itu separuh daripada iman.

“Aku tak suka bergurau, Karim.” Nada suara Azmi serius.
“Okey, aku minta maaf. Aku tahu. Kau tak suka bergurau. Setiap
kerja yang dilakukan perlu bersungguh-sungguh. Itu prinsip hidup
kau.”
“Dah tu.” Wajah Azmi semakin serius.
“Itu perkara kecil. Mudah. Mereka perlu berkorban.”
“Berkorban?”
“Ya. Kita tahan gaji mereka,” kata Karim.
“Melampau. Kita tidak boleh menzalimi mereka. Berdosa.” Azmi
bertambah geram. Tindakan rakan kongsinya itu tidak
berperikemanusiaan.

507

“Itu aku tahu,” balas Karim sambil menjepit rokok di bibirnya. Dia
mengambil pemetik api dan menyucuhkannya pada rokok. Dia
menghembuskan asap keluar perlahan-lahan.

“Kita bayar gaji mereka lewat,” ujarnya lagi.

“Mereka semua kan ada keluarga. Kita sebagai majikan patut
bertimbang rasa,” kata Azmi lagi.

“Maksud kau, kita mesti tunduk pada mereka?”

“Mereka juga mempunyai hak sebagai pekerja. Kalau mogok siapa
yang akan rugi? Kita juga.” Dia membidas sekeras-kerasnya tindakan
yang diambil oleh Karim.

Karim endah tak endah sahaja dengan kata-kata rakan kongsinya
itu. Dia menyedut rokok dan menghembuskan asap keluar.

“Sebagai majikan kita mempunyai kuasa untuk bertindak. Kita
singkirkan saja mereka.” Karim mengambil jalan mudah.

“Kau ingat senang?”

508

“Apa pulak susah? Ramai lagi yang mahu bekerja dengan kita.
Syarikat kita maju dan berkembang.”

“Entahlah ....” Azmi merengus. Karim menyucuhkan api rokok
pada bekas kaca itu.

“Kau tentu sudah masak dengan prinsip hidup aku. Berpendirian
tetap. Bukan seperti lalang yang ditiup angin. Sekejap ke kiri, sekejap ke
kanan. Apa yang aku kata mesti dikota. Jadi, tak usahlah kau cuba nak
ubah prinsip hidup aku.”

Azmi mengangguk-anggukkan kepala.

“Aku faham! Aku bangga mempunyai seorang kawan seperti kau.
Berpendirian tegas. Tapi apa yang aku cakapkan ni demi untuk masa
depan syarikat kita juga.”

Karim diam. Nasihat Azmi baginya umpama masuk telinga kanan
keluar telinga kiri.

Dia malas lagi hendak bertekak dengan Karim. Dia pura-pura
melihat jam di tangan. Kemudian dia bingkas bangun.

509

“Kau nak ke mana?” tanya Karim sambil kedua-dua biji matanya
tepat memandang wajah Azmi.

“Aku ada urusan. Aku harap kau fikirlah masak-masak nasihat
aku tadi,” ulangnya lagi.

“Azmi, dalam dunia bisnes kita tidak boleh mudah mengalah. Kita
punya banyak persaingan. Kita mesti berani membuat keputusan. Kalau
tidak kita akan ketinggalan.”

“Tapi keberanian kau tak bertempat.” Dia terus menyanggah kata-
kata Karim.

Lamunan Azmi yang jauh melayang itu terhenti. Kedua-dua biji
matanya tidak berkelip-kelip melihat laut yang membiru. Melihat ombak
terus memukul pantai. Melihat buih-buih memutih. Bayu laut menyapu
seluruh badannya. Dia berteduh di bawah pohon cemara yang rendang.
Dingin rasanya. Jalur-jalur cahaya matahari terpantul di atas
permukaan daun-daun hijau. Bayu laut yang bertiup kencang
menerbangkan daun-daun hijau dan kering yang gugur. Berterbangan
entah ke mana. Mengikut tari bayu laut.

510

Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd. bukannya sebuah syarikat
yang kecil. Mereka juga mempunyai sebuah kilang kelapa sawit di
Kampung Serting Hilir.

Pada satu pagi dia datang menemui Karim sambil membawa
sebuah akhbar harian berbahasa Melayu.

“Lebih baik kita hentikan saja operasi kilang kelapa sawit di
Kampung Serting Hilir tu.”

“Hentikan? Kenapa?” Karim menyoal dengan penuh hairan.

“Kau tak baca surat khabar ke?”

“Kenapa pulak?” soal Karim lagi umpama muntahan peluru
daripada muncung senapang.

“Kau tengok ni,” kata Azmi sambil menghulurkan akhbar
berkenaan kepada Karim.

Dia pantas menyambutnya. Muka depan akhbar itu memaparkan
tentang berita pencemaran air sungai di Kampung Serting Hilir. Akibat
pembuangan sisa-sisa bahan kilang kelapa sawit mereka. Berita itu

511

sedikit pun tidak menarik perhatian Karim. Dia menyerahkan semula
akhbar itu kepada Azmi.

“Kilang kelapa sawit ni dah banyak memberi keuntungan kepada
kita. Senang-senang kau suruh tutup.”

“Sisa-sisa bahan buangannya mencemarkan alam sekitar. Orang-
orang di Kampung Serting Hilir tidak dapat menggunakan air sungai
untuk minum, memasak dan mencuci,” jelas Azmi pula.

“Itu bukan masalah kita,” jawab Karim senang.

Dia cukup berang apabila mendengar kata-kata Karim itu.

“Bukan masalah kita kau kata? Silap-silap kita boleh dikenakan
tindakan undang-undang.”

“Kita kan banyak wang. Masalah itu boleh diatasi,” Karim
membalas sambil memandang Azmi yang berdiri tegak.

“Ya, itu aku tahu. Dengan wang kita boleh membeli segala-
galanya. Tapi kita tidak boleh menodai pemberian Tuhan di atas muka
bumi ini.”

512

“Aku mahu syarikat ini maju ke depan. Bukannya ke belakang.
Walau apa pun yang terjadi kilang itu tidak akan ditutup,” bentes Karim
lagi.

Azmi berwajah hampa. Seperti bala tentera yang tewas di medan
perang. Karim memang degil orangnya. Jenis tak makan pujuk. Jenis
tak makan nasihat.

Kalau diturutkan hati mahu sahaja dia berhenti dari Syarikat
Setia Construction Sdn. Bhd. Tetapi dia tidak mahu mengambil
keputusan terburu-buru. Dia sudah beristeri dan mempunyai tiga orang
anak. Dahulu isterinya bekerja. Tetapi sekarang sudah berhenti. Dia
mahu isterinya menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumah
tangga. Mengasuh anak-anaknya menjadi manusia yang berguna pada
agama, bangsa dan negara. Dia juga tidak terlepas daripada
tanggungjawab itu. Walaupun sibuk dengan urusan perniagaan dia
tetap meluangkan masa memberikan belaian kasih sayang kepada isteri
dan nak-anaknya. Pada hari minggu dia akan membawa keluarganya
bersiar-siar. Dia mahukan keluarganya bahagia harmoni. Baginya itulah
harta yang paling bernilai.

Dia melihat jam di tangan.

513

Tepat menunjukkan pukul 10:00 pagi. Bola matahari semakin
meninggi di kaki langit. Laut biru tenang. Ombak masih lagi terus
memukul pantai. Mengapung buih-buih memutih. Cantik. Membasuh
pasir dan batu-batu kecil. Bayu laut bertiup segar. Enak. Pohon-pohon
cemara mengalunkan irama gemersik. Apabila daun-daunnya
bergeseran antara satu sama lain.

Riuh-rendah kedengaran suara orang mandi di pantai. Hari Ahad.
Hari untuk berhibur bersama keluarga. Setelah seminggu suntuk penat
bekerja.

Azmi juga merupakan pemegang saham yang kedua terbesar
dalam Syarikat Setia Construction Sdn. Bhd. Pemegang saham yang
terbesar ialah Karim. Yang merupakan pengasas Syarikat Setia
Construction Sdn. Bhd. Dia adalah raja. Segala keputusan yang
dibuatnya tidak boleh dibantah. Semua tindakannya betul biarpun
salah di mata pekerja-pekerja yang lain. Azmi dan pekerja-pekerja yang
lain tidak mempunyai hak untuk bersuara. Dia mengamalkan konsep
mentimun dengan durian.

Seperkara lagi Karim suka mencari kelemahan orang lain.

514

“Kenapa kau tak naikkan gaji, Nasir? Kan dia sudah hampir tujuh
tahun bekerja dengan syarikat ni,” kata Azmi pada Karim pada suatu
petang.

“Dia tak pandai kerja. Lembap.”

“Tapi aku tengok dia rajin orangnya.” Dia membela Nasir.

“Orang yang pandai bekerja saja akan dinaikkan gaji. Itu prinsip
aku.”

“Kau tak kasihan kepada dia?” tanya Azmi lagi.

“Nak kasihan apa?” dia sebaliknya menyoal kembali Azmi.

“Keluarga dia besar. Isteri tak bekerja. Anak pulak lima orang.”
Cara Azmi bercakap tak ubah macam seorang peguambela di
mahkamah. Yang berusaha untuk melepaskan yang tertuduh daripada
sebarang hukuman.

“Kalau aku fikirkan itu semua syarikat ini akan rugi.” Karim
mematahkan hujah-hujah Azmi.

515

Azmi melemparkan pandangan yang tajam pada wajah rakan
kongsinya itu. Dan bersuara:

“Jadi, kau tak luluskan surat sokongan aku untuk menaikkan gaji
Nasir.”

“Tidak!” jawab Karim sambil menggeleng. Kau zalim, Karim! Tak
berhati perut. Tak berperikemanusiaan. Kau perah tenaga orang lain
sehingga kering semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Manusia
jenis apa kau ni, hah? Protes Azmi dalam hati kecilnya.

Selang beberapa bulan Nasir pun berhenti kerja.

“Saya terpaksa tinggalkan syarikat ini, Encik Azmi. Gaji yang
ditawarkan oleh Syarikat Mutiara Construction Sdn. Bhd. lebih lumayan
daripada syarikat ini,” jelasnya pada hari terakhir dia bekerja di Syarikat
Setia Construction Sdn. Bhd.

Azmi menarik nafas panjang. Dan mengangguk.

“Saya faham, Nasir! Tapi kehilangan awak merupakan satu
kehilangan yang besar kepada syarikat ini. Saya tahu. Awak kecewa
kerana surat sokongan saya untuk menaikkan gaji awak tidak

516

diluluskan oleh Encik Karim. Bukan?” Kedua-dua biji mata Azmi tunak
memandang Nasir yang berambut kerinting serta berkulit hitam manis.

“Saya tak kisa itu semua. Islam menyeru umatnya supaya
menganggap setiap kerja yang dilakkan di atas muka bumi ini sebagai
satu ibadah. Saya sayangkan syarikat ini. Saya seronok bekerja di sini.
Tapi saya perlu juga fikirkan masa depan keluarga saya, Encik Azmi,”
ujarnya dengan penuh panjang lebar.

517

34

TEGUH

Sayup-sayup kedengaran bunyi burung punai. Pak Hamid terhenti
seketika. Dia mendongakkan kepala ke atas memandang bola matahari
yang kian meninggi di kaki langit. Bahangnya terasa pedih bila
menggigit permukaan kulitnya yang hitam manis itu. Kemudian dia
toleh ke kanan dan kiri sambil menarik nafas panjang.

Cuma tinggal satu relung lagi yang perlu ditajak. Dia mengatur
langkah lima tapak ke arah taliair untuk membasuh lumpur yang
melekat di kakinya. Kemudian perlahan-lahan dia menuju ke arah
pondok usang yang terletak tidak jauh dari situ. Tajak pantas
disandarkannya pada tiang pondok itu. Pak Hamid lalu melabuhkan
punggung di atas pangkin kayu sambil mengesat peluh yang mengalir
dengan kain putih yang melilit kepalanya.

Angin bertiup perlahan terasa segar menyapu tubuhnya apabila
dia membuka baju. Mengibas-ngibas ke kanan dan kiri untuk
mendapatkan hawa dingin.

518

Kopi yang telah sejuk itu lantas diteguknya untuk menghilangkan
dahaga. Ubi rebus yang sejuk juga melepasi kerongkongnya. Bekalan
daripada isterinya yang setia iaitu Mak Limah sebagai buat perut.

Kemudian dia menyucuhkan api pada rokok daun.

Dihembusnya asap yang memutih berkepul-kepul memenuhi
ruang udara.

Kedua-dua biji matanya yang tua itu sayu memandang sawah padi
yang terbentang luas. Dia teringat semula. Buah padi yang menguning
melambai-lambai bila ditiup angin. Alangkah damainya.

Jiwanya dibalut pilu. Bila wajah Seman terdampar di ruang
matanya. Lintah darat yang menghisap darah orang-orang Kampung
Batu Lebar.

“Pak Hamid dah tua.”
“Jadi?”
“Jualkan saja tanah tu!” desaknya.

“Jual?” Pak Hamid terperanjat.

519

“Ya!” angguk Seman.
Mata Pak Hamid tunak memandang Seman. Manusia yang tidak
berhati perut.
Seman mengangkat muka.
“Pak Hamid cakap berapa harganya? Kami boleh bayar!” ujarnya
dengan penuh angkuh.
Pohon-pohon nyiur mengeluarkan bunyi yang gemersik bila ditiup
angin. Tanah merah berlumpur akibat hujan lebat malam tadi.
Pak Hamid menghela nafas panjang.
Kesayuan terpancar jelas di wajah tuanya itu.
“Mengapa pula?” Dia meminta penjelasan daripada Seman.
“Demi untuk pembangunan.”
Pak Hamid lantas berasa hairan. Dia benar-benar tidak mengerti.

520

“Pembangunan apa?” soalnya bertubi-tubi kali. Seperti muntahan
peluru daripada muncung mesin-gun.

“Sebuah kilang simen akan dibina di sana,” Seman pantas
menjawab sambil menudingkan jari telunjuknya tepat ke arah
hamparan sawah padi yang menghijau bak permaidani yang terbentang
luas.

Sebaliknya Pak Hamid tidak berpuashati dengan kenyataan itu.

“Kenapa pula kampung ini dijadikan sasaran dan bukannya di
bandar?” Lagak Pak Hamid tak ubah seperti seorang senator yang
membentangkan usul perbahasan di Dewan Negara.

“Sebab kampung ini mempunyai potensi besar untuk maju.
Tambahan pula ia dapat membekalkan tenaga buruh yang ramai
terutama sekali daripada anak-anak muda,” jelas Seman lagi.

Diam.

Dia memandang tajam tubuh Seman yang gempal itu. Kedua-dua
biji matanya tidak berkelip-kelip walau sedikit pun. Sementara itu

521

Seman berasa bosan melihat gelagat yang ditunjukkan oleh Pak Hamid
itu sambil berkata:

“Sudahlah! Jangan dikir-fikirkan lagi. Orang-orang kampung yang
lain sudah pun setuju menjual tanah sawah mereka. Cuma Pak Hamid
seorang aje yang belum memberi kata putus!” Seman ternyata belum
berputus asa terus mempengaruhi Pak Hamid agar mengubah
pendiriannya.

Perlahan-lahan dia mengangkat muka. Kemudian bersuara:
“Aku tak setuju, Seman!” dia bersuara sambil menggeleng-
gelengkan kepala.

Serta-merta sahaja wajah Seman diselaputi rasa hampa bila
mendengar jawapan itu.

Umpama bala tentera yang kecundang di medan perang.

“Apalagi yang Pak Hamid mahu?” Seman mengeluh.

“Ini tanah pusaka aku,” jawab Pak Hamid mempertahankan
haknya. Perdebatan antara mereka berdua makin hebat.

“Jadi, Pak Hamid tak suka pembangunan?”

522

Geleng.
“Bukan aku tak suka.”
“Habis?” Seman bagaikan tak sabar-sabar lagi pantas memotong.
“Setiap manusia yang hidup di bumi Allah ini memang berhak
menikmati kemajuan ….” Dia tak sempat untuk menghabiskan kata-
kata.
“Hah, faham pun!” balas Seman megah.
Pak Hamid enggan mengalah.
“Tapi ….”
“Tapi apa?” Seman meninggikan suara. Pak Hamid merenung
wajahnya dengan penuh dalam seperti lautan biru nan luas.
“Tempatnya tak sesuai.” Pak Hamid memberi penerangan.

523

Reaksi Seman pula umpama orang yang tak berdaya lagi untuk
meneruskan hidup bila mendengar kata-kata yang terkeluar daripada
mulut Pak Hamid.

“Tak sesuai macam mana lagi, Pak Hamid?”

“Seman, kau tahu bukan bahawa sisa-sisa bahan buangan kilang
itu akan mencemarkan seluruh kampung ini termasuk sekali air sungai.
Asapnya pula mendatangkan penyakit kepada orang kampung,” ujar Pak
Hamid pantas membantah projek tersebut.

“Pak Hamid jangan menolak tuah!” Seman mengutarakan alasan
yang kukuh. Agar dapat melembutkan hati Pak Hamid yang keras
seperti seketul batu pejal.

“Tidak, Seman!” Pak Hamid menggelengkan kepala.

Dia tetap berdegil. Walau apa pun yang bakal terjadi dia tetap
tidak akan menjualkan tanah sawahnya yang luas cuma sekangkang
kera itu.

524

“Seman, sampai mati pun aku tak akan jual,” ikrarnya lagi dengan
berkobar-kobar. Seman memandang tepat wajah orang tua yang
bersemangat besi waja itu.

“Baiklah!” Seman bersuara sambil mengangguk.

“Tapi saya yakin suatu hari nanti saya akan dapat jugak membeli
tanah itu.”

Pak Hamid hanya diam. Membisu seribu bahasa. Tanpa berkata
walau sepatah pun.

Seman bergegas pergi dari halaman rumah Pak Hamid menuju ke
arah kereta Mercedes Benz yang berwarna hitam pekat. Tangannya
begitu pantas membuka pintu. Dan menghempaskannya semula dengan
kuat. Seolah-olah melepaskan kemarahan yang memuncak kepada Pak
Hamid.

Secepat kilat dia menghidupkan enjin mengaum bunyinya seperti
seekor harimau yang lapar mahu menerkam mangsanya. Pak Hamid
memandang sahaja gelagat yang sengaja dipamerkan oleh Seman itu.

525

Kereta mewah itu bergerak perlahan-lahan kerana lumpur
meliputi tayar. Perjalanannya juga tersekat-sekat akibat lubang yang
terdapat di permukaan jalan tanah merah. Lama-kelamaan bayangan
kereta Seman beransur-ansur hilang daripada pandangan Pak Hamid.

Tanpa membuang masa lagi, dia mengatur langkah ke arah anak
tangga. Sambil menanggalkan sepatu yang sudah nampak benar usang
dan meletakkannya di tepi anak tangga. Kemudian dia membuka
tudung tempayan dan menceduk air dengan tempurung lalu membasuh
kedua-dua belah kaki. Selesai sahaja membasuh kedua-dua belah kaki,
dia lalu menapak mata tangga secara perlahan-lahan satu persatu.

“Apahalnya Si Seman itu datang kemari?” sergah Mak Limah yang
muncul tiba-tiba dari dapur. Sebaik-baik sahaja Pak Hamid
mencecahkan kaki di anjung rumah.

Dia tidak menjawab pertanyaan itu.

Pak Hamid memilih untuk berdiam diri. Sambil merenung tajam
wajah isterinya yang juga jelas dimamah usia. Kemudian Pak Hamid
melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang yang telah lapuk.

526

Tubuhnya yang kurus itu disandarkannya pada tiang seri. Mak
Limah hanya memandang sahaja kelakuan suaminya.

Bola matahari kian meninggi. Panasnya hingga boleh mencairkan
otak.

Ruang anjung rumah ditutupi dengan setengah dinding papan. Ini
menjadikan angin mudah menerpa masuk. Terasa segar bila menyapu
permukaan kulit Pak Hamid dan Mak Limah yang dimakan kedut.

“Entahlah,” Pak Hamid mengeluh.

“Kenapa pulak, bang?”

Mak Limah semakin berminat untuk mengetahui dengan lebih
lanjut lagi dan perlahan-lahan menghampiri suaminya.

“Tak lama lagi projek kilang simen akan bermula di kampung
kita.”

“Jadi?” tanya Mak Limah tak putus-putus.

527

Pak Hamid mencuri pandang ke luar melalui jendela kayu yang
terbuka luas. Banjaran gunung yang memanjang tambah subur
menghijau. Pokok rambutan, langsat, sukun, cempedak dan lain-lain
lagi meliuk-liuk ke kanan dan kiri bila ditiup angin. Ini semua adalah
anugerah Tuhan. Dia memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak
terhingga di hati kecilnya.

Dia hampir terlupa menyoroti semula persoalan yang terhenti buat
seketika.

Pak Hamid bersuara serentak mengangkat muka:
“Tanah sawah kita juga terlibat sama.”

“Jadi?” Mak Limah mengulangi soalan yang sama.

“Dia mendesak abang agar menjualkannya.”

“Jadi abang setuju?” Mak Limah meninggikan kepala sedikit.

Geleng.

“Tidak sama sekali!” Dia berwajah tegas.

528

Dia tetap mempertahankan haknya yang sejati hingga ke titisan
darah yang penghabisan.

“Saya bimbang, bang!” Mak Limah bersuara cemas. Seperti
dibayangi rasa ketakutan. Namun Pak Hamid tidak menampakkan
perasaan yang resah gelisah sebaliknya bersikap tenang.

529


Click to View FlipBook Version