The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-68290885, 2022-07-18 00:55:09

Jalan Pulang

Cerpen

“Hei, kenapa dengan kau ni, hah? Dulu kau tak macam ni. Kau
jugak yang cakap. Dalam business apa pun sanggup. Asalkan untung
berlipat ganda. Come man. What’s wrong with you?” Zamri pantas
memotong sambil tertawa kecil.

“Malam tadi aku bermimpi dengan seorang lelaki tua. Dia kata
selama ini kita menjalankan pekerjaan dengan cara yang salah,” jelas
Salim.

Zamri sebaliknya ketawa terbahak-bahak apabila mendengar
kata-kata yang keluar daripada mulut rakan kongsinya itu.

“Ri, aku serius. Bukan main-main. Apa yang dia cakap tu betul.”
Nada suara Salim tenggelam bersama deruan alat penghawa dingin yang
mengepung seluruh ruang bilik yang dicat dengan warna merah jambu
itu.

“OK! OK!” Zamri menjawab sebaik-baik sahaja ketawanya reda.

“Kau percaya pada mimpi?” katanya lagi sambil melemparkan
pandangan yang dalam ke arah Salim.

“Entahlah. Kau pulak macam mana?”

51

“Kalau aku senang aje, Lim. Mimpi adalah mainan tidur. Tulah
kau. Suka sangat fikir yang bukan-bukan. Hah, tengok. Apa dah jadi?
Sudah lupakan perkara tu. Projek tu lebih penting daripada orang tua
tu,” ujar Zamri pula dengan panjang lebar.

Salim sebaliknya memilih untuk berdiam diri. Dia membetulkan
duduk dan menengadah ke siling. Wajah orang tua itu masih lagi jelas
bermain di ruang matanya walaupun bertemu di alam mimpi. Zamri
tidak berkelip-kelip memandang gelagat rakan kongsinya yang tiba-tiba
berubah itu.

“Lim. Aku rasa fikiran kau terganggu kerana memikirkan
persaingan untuk mendapatkan projek tu. Tapi aku yakin. Syarikat kita
pasti berjaya. Pegawai yang meluluskan projek tu dah berjanji akan beri
kita dengan syarat wang sogokan yang lumayan,” yakin Zamri.

“Itu cara yang salah, Ri. Rasuah adalah perbuatan yang keji dan
salah di sisi undang-undang!” Salim membantah sekeras-kerasnya.

“Sejak bila pulak kau benci rasuah ni. Selama ni kau jugak yang
memberi wang sogokan mendapat tender. Aku pelik betul dengan kau
ni. Macam ni ajelah, Lim. Aku tak nak bertekak dengan kau. Silap-silap
aku boleh putus rakan kongsi. Aku harap kau jangan ubah pendirian.

52

Walau apa cara sekalipun projek tu mesti berada dalam genggaman kita.
OK!” Zamri sebaliknya membalas dan bingkas bangun. Dia terus
melayan fikirannya. Malam itu dia bermimpi bertemu lagi dengan lelaki
tua itu.

“Hidup anak dipenuhi dengan kemewahan. Tapi sayang. Segala
kemewahan yang anak kecapi ini adalah hasil yang kotor dan
menjijikkan.”

“Siapakah, Tuan …. Yang sebenar ni …? Di manakah saya
sekarang …. Kenapa tempat ni gelap …? Macam dalam gua …,” katanya
dengan penuh gementar bersama dengan nafas yang tercungap-cungap
dan badan berpeluh-peluh.

“Anak dah jauh terpesong. Anak mesti diselamatkan sebelum
terlambat,” jawab orang itu dengan wajah yang bersinar-sinar seperti
cahaya.

“Apa maksud Tuan, ni? Saya benar-benar tak faham …!” Salim
sebaliknya menggeleng-gelengkan kepala.

“Semua orang kenal anak. Seorang ahli perniagaan yang berjaya.
Malangnya menzalimi diri sendiri,” tegas orang tua itu pula.

53

“Apa? Saya zalim pada diri sendiri. Tolonglah, tuan. Janganlah
kusutkan fikiran saya ni. Masuk ni dah dua kali saya bertemu dengan
tuan. Siapa sebenarnya tuan ni?” Dia memohon penjelasan daripada
orang tua itu.

“Itu tak perlu, nak. Syukurlah. Anak berada di dalam gua ini
kerana diberi hidayat,” orang tua itu membalas sambil memegang bahu
Salim.

“Hidayat ….?” Salim berasa amat pelik apabila mendengar
perkataan itu.

“Anak tahu apa maknanya hidayat?” tanya orang tua itu lagi. Dia
sebaliknya diam. Mulutnya seolah-olah terkunci rapat. Seperti ada
kuasa yang menghalangnya daripada bercakap.

“Tak apalah, nak. Saya faham. Perkataan hidayat tak pernah anak
dengar. Anak sebenarnya telah mendapat petunjuk daripada Tuhan,”
jelas orang tua itu. Salim lalu menunduk kepala. Tuhan. Baru dia sedar
kini akan kesilapannya. Dia kemudiannya perlahan-lahan mengangkat
kepala kembali dan memandang muka orang tua itu.

54

“Sudahlah, nak. Tinggalkanlah segala kemungkaran dan ikutlah
jalan kebaikan seperti yang telah diperintahkan oleh Tuhan. Ingat, nak.
Pintu taubat masih lagi terbuka dan masih lagi belum terlambat. Mari,
nak. Saya hantarkan balik.” Salim lantas tersedar daripada mimpi.

Pagi itu diceritakannya pada Zamri tentang mimpi yang
dialaminya malam tadi. Zamri sebaliknya lantas ketawa terbahak-bahak.

“Ini adalah kenyataan, Ri. Apa orang tua tu cakap memang betul.
Kita selama ni memang jauh terpesong,” kata Salim.

“Lim …! Lim …!” Zamri menjawab sambil tertawa kecil dan
menggeleng-gelengkan kepala.

“Aku dah ambil keputusan muktamad, Ri. Kita mesti bersaing
dengan cara yang sihat untuk mendapatkan projek tu. Dan bukannya
dengan cara yang salah. Aku tak akan memberi wang suapan pada
pegawai yang menjaga projek tu!” tegas Salim pada rakan kongsinya.

“Hebat betul pengaruh orang tua tu. Padahal kau bermimpi aje.”
Wajah Zamri pantas berubah apabila mendengar kata-kata yang keluar
daripada mulut Salim itu.

55

“Rasuah adalah perbuatan yang tidak bermoral. Boleh
merosakkan imej dan nama baik negara. Kita mesti tentang habis-
habisan. Sebelum menjadi parah!” Dia terus mempertahankan
pendiriannya.

“Sejak bila pulak kau pandai bercakap tentang moral ni, hah?
Ingat, Lim. Perniagaan kita ni maju pun bukanlah dengan moral yang
baik. Kau jugak yang cakap tanpa wang suapan projek tak akan dapat.
Apa kau dah lupa?” Zamri mengingatkan dia semula.

“Itu dulu, Ri. Tapi mulai hari ini aku berjanji. Mencari keuntungan
perniagaan dengan cara yang halal,” dia membalas sambil memandang
tepat wajah Zamri.

“Hah! Sudah! Sekarang baru kau nak bercakap tentang halal.
Selama ni hasil kemewahan yang kau beri pada anak dan isteri kau. Beli
kereta mewah dan rumah banglo yang eksklusif dengan cara apa?”
Zamri terus mencabar rakan kongsinya itu. Menyirap darah Salim
apabila mendengarnya. Namun dia tetap bersabar. Zamri melihat jam di
tangannya dan bingkas bangun.

“Sudahlah, Lim. Aku tak ada masa nak melayan perkara yang
mengarut ni. Aku ada temu janji dengan pelanggan. Besok pastikan duit

56

tu dah siap. Aku dah call pegawai yang jaga projek tu. Kita akan
berjumpa di tempat yang rahsia,” katanya. Salim sebaliknya tidak
menjawab. Dia memerhatikan sahaja Zamri mengatur langkah ke arah
pintu.

Petang itu dia pulang awal ke rumah. Sejak dari pagi tadi jiwanya
benar-benar tidak berasa tenteram apabila berada di pejabat. Gelisah.
Wajah orang tua yang datang dalam mimpinya terbayang-bayang segar
di ruang mata.

“Awal abang balik hari ni?” tegur isterinya pula. Tak lama
kemudian pembantu rumahnya muncul sambil membawa dulang yang
berisi minuman. Dia kemudiannya perlahan-lahan meletakkannya di
atas meja dan pantas berlalu pergi dari situ.

“Macam mana dengan projek tu, bang?” soal isterinya lagi. Dia
diam. Air teh yang masih lagi panas itu lalu dihirupnya perlahan-lahan.

“Kalau ada rezeki dapatlah ….” Dia mengeluarkan nada suara
yang perlahan sambil meletakkan semula cawan ke bawah.

“Saya yakin. Abang mesti dapat. Bertambah senanglah hidup kita
ya, bang!” sokong isterinya pula.

57

“Sudah! Tak usah difikirkan sangat projek tu. Anak-anak kita
mana?”

“Semua ada di rumah, bang. Kenapa?”

“Eloklah tu. Suruh dia orang siap. Hah, termasuk awak jugak!”

“Abang ada tempah special dinner ke malam ni?” ucap isterinya
sambil mengukir wajah gembira.

“Tak ada special dinner. Kita pergi ke masjid malam ni. Dah lama
tak sembahyang jemaah. Tunggu apalagi. Cepat beritahu anak-anak
kita. Tepat pukul 7.00 malam kita pergi.” Dia memberikan arahan pada
isterinya.

Malam itu dia mengalami mimpi yang sungguh dahsyat. Dia telah
ditangkap oleh pihak berkuasa atas dakwaan memberi rasuah. Tapi
orang tua itu telah membebaskannya dengan ikat jamin.

“Terima kasih, tuan. Kerana membebaskan saya,” ujarnya.

“Anak tak perlu berterima kasih pada saya. Bersyukurlah pada
Tuhan. Telah membukakan pintu hidayat pada anak,” kata orang tua itu

58

dan terus menghilang. Dia lalu tersedar daripada mimpi dan
beristighfar. Dia kemudiannya lalu membulatkan tekad untuk
melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kegiatan rasuah yang
berlaku di antara rakan kongsinya dengan pegawai projek itu.

59

6

PEJUANG

Perjuangan. Apakah memaksa seseorang itu melupakan
tanggungjawab kepada keluarga, isteri dan anak-anak? Perjuangan
diwarnai dengan deraian air mata hinggalah ke titisan darah yang
penghabisan mengusir penjajah daripada bumi yang bertuah bagi
mencapai sebuah impian. Kemerdekaan! Untuk anak cucu cicit hidup
bebas daripada belenggu penjajah yang sudah lama bertapak daripada
zaman Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Perasaan ini sukar
dibendung dalam dirinya umpama gelora di lautan.

Pagi. Bola matahari semakin meninggi di ufuk langit dengan jalur-
jalur cahaya kelihatan begitu lurus dengan diiringi kicauan burung-
burung memecahkan alam semesta. Angin dari arah pergunungan
bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon-pohon seperti menari-nari mengikut
rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran umpama
mengeluarkan irama yang sungguh merdu mengusik jiwa.

Demikianlah Indahnya ciptaan Tuhan untuk makhluknya yang
menjadi khalifah di atas bumi ini.

60

Keheningan pagi tambah diserikan lagi dengan udara yang begitu
nyaman berhembus. Kabus memutih yang memayungi permukaan
banjaran gunung setiap kali pagi menjelma sudah lama menghilang
daripada pandangan mata. Langit tetap membiru dengan gumpalan
tebal awan memutih.

Dia melahirkan penuh rasa kesyukuran dengan saujana mata
memandang tanah kelahirannya.

Inilah anugerah Tuhan untuk anak bangsa yang bernaung di
bawahnya. Tetapi mengapa anak bangsa tidak dapat menikmati
kebebasan di tanah tumpah darah sendiri? Persoalan yang hangat
menendang-nendang di benaknya.

British. Dia tidak boleh mendengar nama itu. Semangatnya
berkobar-kobar seperti api yang panas membakar.

Ini pusaka warisan bangsa datuk nenek moyang kita yang telah
diperturunkan sejak dari zaman berzaman lagi. Untuk siapa? Untuk
siapa lagi kalau bukan kita. Bukannya untuk British orang asing yang
datang menjajah kita di tanah air sendiri. Di sini kita hidup di sini juga
kita berani mati! Suara itu bergema dengan sekuat-kuatnya dalam
hatinya.

61

Melalui jendela yang terbuka luas Hussin melontarkan pandangan
ke arah banjaran gunung yang di bawahnya terbentang hamparan
sawah padi yang menghijau bersama dengan pohon-pohon kelapa. Dia
terus melayan fikirannya sambil menarik nafas yang panjang.

Kita tak boleh berdiam diri. Takkan selama-lamanya kita harus
begini? Tanah Melayu adalah milik bangsa yang bernama Melayu. Tak
seharusnya kita duduk di bawah telunjuk British sehingga nafas yang
terakhir. Seberkas pertanyaan yang terus menendang-nendang
benaknya tanpa henti.

Angin dari arah pergunungan menembus masuk melalui jendela
yang terbuka luas. Segar. Jelas terasa menyapu permukaan kulitnya.

Perjuangan Hussin menentang British sudah lama tersemai sejak
dari menjalani latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris
(MPSI) Tanjung Malim Perak lagi. Dia rela meninggalkan Maktab
Perguruan Sultan Idris (MPSI) demi tidak mahu melihat nasib bangsa
Melayu terus-menerus dalam kemunduran dan ditindas oleh British.

Penjajah British penuh dengan tipu helah. Anak-anak Melayu dari
golongan bawahan tidak mendapat pendidikan sepenuhnya. British
sebaliknya lebih mengutamakan anak-anak Melayu golongan

62

bangsawan. Mereka diberi peluang melanjutkan pelajaran hingga ke luar
negeri. Harapan British apabila mereka balik nanti akan menjadi konsul
iaitu pegawai dalam tanah jajahan Kerajaan British di Tanah Melayu.

Golongan miskin dibiarkan terus menderita tanpa mendapat
pembelaan. Memang ternyata British mempunyai cita-cita untuk terus
menjajah orang-orang Melayu. British sengaja membiarkan kadar buta
huruf di kalangan anak-anak Melayu meningkat demi memastikan
matlamat untuk terus menguasai Tanah Melayu tercapai sepenuhnya
tanpa halangan.

Siapa yang menjadi tentera dan polis? Anak-anak Melayu dipaksa
menjaga ladang-ladang dan kediaman mereka agar dapat hidup aman
dan malam tidur nyenyak. Tak cukup dengan itu anak-anak Melayu
dikerah ke hutan untuk menggadai nyawa menentang komunis dan
akibatnya ramai yang terkorban. Menjaga keamanan Tanah Melayu.
Itulah yang ditanamkan oleh British ke dalam jiwa anak-anak Melayu.
Tetapi malangnya gaji yang diterima oleh anak-anak Melayu yang
menyertai tentera dan polis adalah amat rendah. Tidak setimpal
langsung dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan.

Anak-anak Melayu tidak diberi peluang untuk menerima
pendidikan tinggi. British bimbang apabila mereka cerdik nanti akan

63

bangkit memberontak menuntut kemerdekaan. Sungguh licin
fikirannya! Getus Hussin dalam diam.

Keadilan? Di mana letaknya? Jiwa Hussin menjerit-jerit
melepaskan marah dan geram. Perjuangan perlu diteruskan sehingga
bangsa yang bernama British mengangkat kaki keluar daripada Tanah
Melayu bumi yang bertuah ini.

Ranjau yang dihadapinya sewaktu berjuang menentang penjajah
British dikutipnya semula. Tak semua rakan-rakannya di Maktab
Perguruan Sultan Idris (MPSI) menyokong perjuangannya untuk
membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah British.

“Apa yang kau cakap ni, Hussin? Apa kau dah gila ke?” Musa
bersuara. Dia sebaliknya menggelengkan kepala tanda membantah kata-
kata yang keluar daripada mulut Musa itu.

“Aku belum lagi gila, Musa. Aku masih lagi waras,” jawab Hussin
pula.

Di kalangan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)
Musa terkenal sebagai seorang bangsawan yang menyokong kuat
British. Tambahan pula ayahnya memegang jawatan konsul Melayu

64

yang mengamalkan gaya hidup barat hingga melupakan adat resam
Melayu dan jarang bercakap dalam bahasa Melayu. Terlalu mengagung-
agungkan British dan sering menyalahkan bangsa sendiri sudah
tertanam erat dalam dirinya sejak dari kecil lagi.

“Ini soal bangsa Melayu, Musa,” dia bersuara tenang dengan
diiringi semangat yang berkobar-kobar.

Musa pantas mengerutkan mukanya apabila Hussin
membangkitkan persoalan itu.

“Kau bercakap tentang bangsa Melayu?” tanya Musa sambil
memandang tepat wajahnya.

“Ya! Bangsa kau jugak!” Hussin membalas sambil mengangguk-
anggukkan kepala.

“Apa kaitannya dengan aku, Hussin?”

“Dah tiba masanya kita memperjuangkan nasib orang-orang
Melayu.”

65

“Apa kau kata, Hussin? Memperjuangkan nasib orang-orang
Melayu.” Berdekah-dekah ketawa Musa apabila mendengar penjelasan
yang diberikan oleh Hussin. Dia jelas menghina aku. Sabar! Luah hati
kecilnya menahan kemarahan sambil matanya tajam memperhatikan
gelagat Musa itu.

Dalam perjuangan memang banyak onak dan duri yang perlu
ditempuhi.

“Aku nak nasihatkan kau, Hussin,” kata Musa setelah ketawanya
reda.

“Aku rasa apa yang aku buat ni tak salah. Bukan untuk aku
seorang. Tapi untuk bangsa Melayu termasuk kau.” Dia
mempertahankan pendirian dan tak mahu mengalah.

“Hussin …. Hussin …. Kau jangan jadi macam Mat Jenin.
Akhirnya mati terjatuh daripada pokok kelapa akibat banyak berangan!”
sindir Musa sambil ketawa berdekah-dekah. Dia berasa amat lucu
dengan apa yang diperkatakan oleh Hussin itu.

66

Musa, orang seperti kau tak seharusnya hidup di Tanah Melayu.
Aku benar-benar kesal melihat masih ada bangsa sendiri seperti kau
yang tidak cintakan tanah air sendiri! Bentaknya dalam diam.

“Aku yakin. British akan terus berkuasa dan tidak akan tunduk
pada orang Melayu. Mereka bijak dan banyak membawa perubahan
semenjak menguasai Tanah Melayu. Tak usah mimpilah, Hussin. Apa
yang kau buat ni sia-sia aje.” Musa memberikan sokongan yang tidak
berbelah bagi. Dia benar-benar merasa dicabar oleh Musa. Namun
begitu Hussin bukanlah seorang yang cepat mengaku kalah.

“Kau silap, Musa. Aku tidak berangan atau bermimpi. Tapi adalah
kenyataan. Bangsa kita merempat di negara sendiri!”

“Aku pelik betullah dengan kau ni. Beritahu aku. Bagaimana
caranya orang Melayu boleh menundukkan British?” Dia inginkan
penjelasan daripada Hussin.

“British boleh tunduk melalui kesedaran yang tinggi di kalangan
orang-orang Melayu.”

“Apa maksud kau? Aku benar-benar tak faham,” ucap Musa pula
sambil tertawa kecil.

67

Kedua-dua bola mata Hussin tidak berkelip-kelip memandang
bentuk badan Musa yang kurus melidi, rambutnya keriting serta
dipenuhi dengan minyak, bermisai nipis serta berkulit cerah itu.

“Cuba kau lihat betul-betul. Pemikiran bangsa Melayu masih di
takuk lama. British hanya tahu menjajah saja,” Hussin bersuara dengan
penuh berani pada orang yang pro-British.

Dia kemudiannya tenang menunggu tindakbalas yang akan
dilemparkan oleh Musa.

“Kau mesti ingat. Pembaruan tidak akan wujud dalam bangsa
Melayu tanpa kehadiran British.” Keangkuhan Musa terserlah seolah-
olah dia bukan dilahirkan di Tanah Melayu. Pepatah Melayu yang
menyebut di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung sudah
dilupakannya terus. Ternyata lekat bertapak di jiwanya pengaruh British
malahan sudah sebati menjadi darah daging.

Cara percakapan yang dilemparkan oleh Musa itu tidak putus-
putus mengingatkan Hussin akan kehebatan bangsa yang bernama
British.

68

Dengan pantas darah Hussin menyirap. Dia benar-benar terasa
tercabar dengan kenyataan yang telah dilemparkan oleh Musa itu yang
tak ubah seperti cuba memperbodoh-bodohkannya. Musa menganggap
perjuangan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman
British adalah sia-sia saja. Hussin tidak patah semangat. Dia
menanamkan tekad untuk mencari kebenaran dan tiada siapa yang
dapat menghalang. Dia berkeyakinan tinggi yang impian itu akan
tercapai suatu hari nanti. Pasti! Bisik hatinya.

“Aku ada permintaan. Itu pun kalau kau tak keberatan untuk
menunaikannya sebagai kawan yang sama-sama menuntut di maktab
ini,” pinta Hussin pula.

“Hah, apa dia?” Musa sebaliknya menyoal sambil mendongakkan
kepala memandang wajah Hussin.

“Aku mahu diberikan peluang,” dia menjawab.

“Kau nak peluang? Peluang apa?” tanya Musa sambil
mengerutkan muka sebagai tanda berasa amat pelik dengan apa yang
diperkatakan oleh Hussin itu.

69

“Aku nak buktikan bahawa segala kata-kata kau itu adalah salah.
Orang Melayu akan mencapai kemerdekaan dan boleh mentadbir
kerajaan sendiri,” jelas Hussin lagi.

“Oh, begitu!” Musa membalas sambil mengangguk-anggukkan
kepala. Dia kemudiannya lantas ketawa berdekah-dekah hinggakan
matanya tertutup rapat. Bahunya juga terangkat. Gelagatnya itu
membuatkan Hussin berasa amat berang. Namun begitu dia tetap
bersabar.

“Musa, kenapa kau ketawa?”

“Aku geli hati.” Tanpa berlengah lagi Musa bersuara. Gaya
percakapannya itu tak henti-henti mempersendakan Hussin.

Hussin mendongakkan muka tinggi sedikit memandang wajah
Musa.

“Kenapa?” Panas seperti dibakar api rasanya! Menyinga di telinga
apabila mendengarnya. Hakikatnya ini bukan satu gurauan. Tapi adalah
kenyataan! Tidak boleh dipandang remeh-temeh dalam konsep
perjuangan yang sebenarnya. Apakah akar umbinya? Hanya dengan

70

berjuang habis-habisan atau dalam erti kata lain bermati-matian. Ya!
Ucap hatinya dengan penuh lantang.

Musa kembali semula menyimpulkan persoalan itu setelah
ketawanya reda.

“Kau buat macam mana pun orang Melayu tidak akan dapat
mengecapi kemajuan walau sedikit pun.” Pedas sungguh kata-kata
Musa itu.

“Maksud kau negeri ini akan selama-lamanya dijajah oleh
British?” Dia bagaikan tidak sabar-sabar lagi pantas mencelah.

“Ya!” Musa mengangguk-anggukkan kepala dengan sikap
sombongnya terserlah.

Aku benar-benar kesal dengan kau, Musa. Mengapa kau sanggup
menjual maruah agama, bangsa dan negara, hah? Sampai sanggup
bertuankan orang putih? Ungkapan yang terbuku dalam jiwanya.

Kau mesti ingat, Musa. Ini negeri kita! Satu-satunya. Tanah
Melayu tidak ada dua. Kalau hilang sukar dicari ganti.

71

Walau apa pun yang terjadi hidup mati kita tetap di sini. Kita
harus sama-sama mempertahankan daripada sebarang pencerobohan
dan penjajahan. Biarpun nyawa menjadi pertaruhan sekalipun. Tanpa
meminta jasa untuk dikenang atau lebih daripada itu mengharapkan
sebutir pingat tersemat di dada.

Dia sebaliknya memilih untuk berdiam diri buat seketika. Wajah
Musa ditenungnya dengan penuh perasaan marah bercampur geram
dengan darah panasnya yang kian mendidih. Sekali lagi dia menahan
bersabar. Ini semua adalah dugaan yang perlu dihadapi. Dalam
perjuangan memang penuh dengan pelbagai onak dan duri yang
menyakitkan.

Musa lalu mengadu kepada Tuan Gordon iaitu pengetua maktab
perihal Hussin mengajak pelatih-pelatih menentang British.

“Betul apa yang awak cakap ni, Musa? Perkara ini tak boleh
dibiarkan!” katanya dalam nada suara yang tegas.

“Betul, tuan. Ini bukan main-main. Memang merbahaya kalau dia
dibiarkan berada di maktab ini. Silap-silap semua pelatih akan
terpengaruh dengan dia. Tuan mesti cepat bertindak. Kalau tidak susah
nanti.” Dia mengapi-apikan Tuan Gordon.

72

“Cakap awak memang betul, Musa,” sokong Tuan Gordon pula.

“Lebih baik tuan panggil dia!” dia mencelah pantas.

“Ya! Saya akan panggil dia dan beri kata dua pada dia. Kalau dia
berdegil jugak saya tidak akan teragak-agak untuk memecat dia dari
maktab ini!” ucap Tuan Gordon dengan mengeluarkan nada suara yang
keras sedikit.

“Saya setuju sekali dengan tindakan tuan itu. Sebenarnya saya
ada hajat besar yang nak disampaikan pada tuan. Saya harap tuan
tidak menghampakan,” Musa membalas.

“Apa dia? Katakanlah. Saya sedia mendengarnya,” ujar Tuan
Gordon.

“Saya dah tolong tuan dengan memberitahu rancangan Hussin
menghasut pelatih-pelatih di maktab ni untuk melawan British. Jadi,
tuan sokonglah saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri.
Apabila balik nanti dapatlah saya menjadi konsul macam ayah saya.”
Musa rupanya ada udang di sebalik batu.

73

“Oh, begitu. Awak jangan bimbang. Saya tidak akan lupa jasa
awak. Saya akan sokong awak belajar ke luar negeri,” janji Tuan Gordon
pada Musa.

“Terima kasih, tuan. Saya jugak berjanji. Tidak akan menjadi
seperti Hussin. Saya akan sokong British,” ikrar Musa pula dengan
penuh gembira apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada
mulut pengetuanya itu.

“Bagus!” angguk Tuan Gordon.

Keesokan harinya Hussin pun dipanggil oleh Tuan Gordon. Dia
tahu mengapa disuruh berjumpa dengan pengetua Mat Salih itu. Dia
sedikit pun tidak gentar.

“Hussin! Awak tahu tak apa akibatnya kalau menentang British?”
soal Tuan Gordon sambil meninggikan suara.

“Saya tahu, tuan!” dia pantas menjawab.

“Dah tu?” tanya Tuan Gordon lagi.

74

“Saya berjuang untuk membela bangsa saya. Salah ke?” Hussin
membalas dengan berani.

“Memang salah. Saya dapat aduan yang awak mengapi-apikan
semua pelatih di maktab ini agar bencikan British. Saya beri awak
amaran terakhir. Kalau awak teruskan juga saya akan buang awak dari
maktab ini. Faham!” jerkah Tuan Gordon.

“Silakan, tuan. Saya dah fikir masak-masak. Saya tak menyesal
keluar dari maktab ini,” kata Hussin.

“Awak jangan cabar saya, Hussin!” Kemarahan Tuan Gordon kian
memuncak.

“Memang saya cabar, tuan. Kalau tuan berani lakukanlah
sekarang!” Hussin menjawab.

“Baiklah! Saya akan keluarkan surat sekarang jugak. Mulai dari
hari ini awak bukan lagi pelatih di maktab ini!” tegas Tuan Gordon.

Selepas dipecat dari Maktab Perguruan Sultan Idris dia lebih
banyak menghabiskan masa dengan menulis puisi dan cerpen yang
bertemakan perjuangan dan meniupkan semangat untuk menuntut

75

kemerdekaan dalam akhbar Melayu. Tulisannya telah diharamkan dan
dia juga pernah ditahan atas dakwaan menghasut pembaca supaya
bangkit menentang British. Namun begitu dia telah dibebaskan.
Semangat perjuangannya tak pernah padam malah menjadi azimat
untuk menyemarakkan lagi cita-cita untuk melihat Tanah Melayu
merdeka.

Dia juga pernah dipengaruhi agar menyokong perjuangan
komunis menentang British.

“Macam mana, Hussin? Kau setuju tak?” soal Leman.

“Aku tak setuju!” Dia sebaliknya membantah dengan sekeras-
kerasnya.

“Komunis ada senjata. Setakat semangat aje mana cukup, Hussin.
Dah tiba masanya kita menggunakan kekerasan menghapuskan orang
putih,” tambah Leman lagi.

“Aku tak boleh terima perjuangan itu. Bukan setakat orang putih
tapi orang Melayu yang tidak berdosa juga menjadi mangsa. Sebagai
kawan aku nasihatkan kau marilah kita sama-sama berjuang dengan

76

mengikut jalan yang diredhai Allah. Insya-Allah. Kita akan beroleh
kejayaan,” dia membalas.

“Kau menggunakan kelembutan dalam perjuangan. Aku percaya
kau tak akan dapat mengalahkan orang putih. Sudahlah, Hussin. Aku
tetap memilih komunis dan sama-samalah kita tengok nanti siapa yang
akan berjaya.” Leman melemparkan cabaran pada Hussin.

Jauh benar Hussin mengelamun.

Sehingga sampai ke awangan rasanya. Angin dari arah
pergunungan bertukar rentak menjadi lembut. Pohon-pohon nyiur
kelihatan lemah apabila ditiup angin. Melambai-lambai seperti turut
meniup semangat ke dalam dirinya agar terus berjuang menuntut
kemerdekaan.

Merdeka!

Hari merdeka. Sudah terlalu lama dia bersabar untuk menanti
detik-detik yang bersejarah itu. Dia dan seluruh rakyat Tanah Melayu
akan menyaksikan British pulang meninggalkan tanah air yang tercinta
ini.

77

Serentak dengan itu juga bahasa Melayu akan diiktiraf sebagai
bahasa kebangsaan dan bukan bahasa Inggeris yang dibawa oleh
British. Rakyat Tanah Melayu tidak akan melihat Bendera Union Jack
berkibaran. Nyanyian lagu God Save The Queen juga hilang. Kenyataan!
Bukan lagi mimpi. Hussin memandang ke arah Ali dan Sidik yang
menjadi rakan seperjuangannya. Mereka mempunyai impian dan cita-
cita yang sama. Tak lain tak bukan iaitu kemerdekaan. Bergema dan
berkumandang di mana-mana sahaja dan ternyata perjuangan selama
ini telah mencapai puncak kejayaan.

Tiba-tiba dia teringatkan Musa dan Leman pada hari yang
bersejarah ini. Musa telah menjadi gila kerana tidak dapat melanjutkan
pelajaran ke luar negeri akibat ditipu oleh Tuan Gordon manakala
Leman pula menyerah diri kepada pihak berkuasa apabila menyedari
perjuangannya bersama komunis adalah sia-sia sahaja.

Sayang sekali. Sepatutnya kau berdua bersama-sama dengan aku
dan seluruh rakyat Tanah Melayu meraikan hari yang keramat ini
walaupun kita tak sehaluan! Cetus hati Hussin.

Dia kemudiannya merenung pula wajah Ali dan Sidik yang
kelihatan terpancar ketulusan dan keikhlasan bersama sinar

78

pengharapan. Kawan yang jujur diperlukan dalam perjuangan dan
bukannya musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.

Ciri-ciri itu ada pada Ali dan Sidik. Moyang Ali pernah berjuang
bersama dengan Dato’ Dol Said menentang British di Naning. Manakala
datuk Sidik pula pernah berjuang bersama dengan Dato’ Maharajalela
menentang British di Perak. Begitu juga dengan Hussin. Ayahnya
pernah berjuang bersama dengan Datuk Onn dan orang-orang Melayu
menentang penubuhan Malayan Union yang diperkenalkan oleh British
selepas Jepun menyerah kalah.

Darah pahlawan mengalir segar ke dalam tubuh Hussin, Ali dan
Sidik.

Hussin mengutip semula kisah perjuangan pahlawan Melayu
seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Leftenan Adnan dan lain-lain lagi.
Mereka telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi
menghalau penjajah dan musuh yang cuba menodai tanah air yang
bertuah ini. Kini mereka semua telah tiada. Jasa dan pengorbanan
mereka sewajarnyalah dikenang bersama semangat yang ditinggalkan
harus hidup subur dalam jiwa generasi hari ini untuk meneruskan
perjuangan yang tidak akan ada penghujungnya.

79

Dia lalu mengatur langkah lima tapak ke arah Ali dan Sidik
kemudian dengan perlahan-lahan melabuhkan punggung di atas tikar
mengkuang yang kelihatan agak usang itu.

Hussin pantas menghela nafas panjang sambil memandang wajah
kedua-dua rakan seperjuangannya dengan penuh rasa gembira di atas
kemenangan yang telah dicapai. Di luar desiran angin mengalunkan
irama gemersik sekali.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” pekik Hussin, Ali dan Sidik.

80

7

TABAH SEORANG ISTERI

Pagi. Cuaca kelihatan cerah. Di kaki langit bola matahari kian
meninggi memancarkan cahayanya ke seluruh alam. Laut tenang
membiru. Desiran suara ombak jelas kedengaran menghempas pantai.
Berbuih-buih memutih berapungan membasuh butiran pasir dan batu-
batu halus di gigian.

Bayu dari arah laut bertiup perlahan. Terasa nyaman dan dingin
membelah suasana. Pohon-pohon yang tumbuh di tepi pantai bagai
menari-nari mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun yang bergeseran
mengeluarkan irama nan merdu menusuk jiwa.

Kicauan sang camar putih yang bebas berterbangan berpasangan
ke sana sini mencari sarang untuk berteduh menyerikan lagi kesegaran
suasana alam sekitar.

Sinar cahaya matahari membangkitkan kilauan pasir putih
berseri. Laksana mutiara di dasar lautan. Dengan renungan yang tajam
Samad melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah laut yang

81

membiru. Kehidupan juga seperti laut. Pasang surut silih berganti.
Penuh dengan warna-warna suka dan duka.

Dia pernah mendengar ungkapan apa yang dilalui pada hari ini
dan esok tanpa mengira menggembirakan atau tidak adalah pengalaman
yang paling berguna dalam hidup ini. Pengalaman adalah guru segala-
galanya yang mengajar erti kehidupan sebenar. Dari mana datangnya
ungkapan macam intan berlian ini? Terlalu mahal harganya untuk
dibeli. Jawapannya dia tidak tahu.

“Aku pelik betul dengan kau ni, Samad,” kata Osman.

“Pelik apa pulak, Man?” dia sebaliknya menjawab.

“Yalah. Kerja dah berpuluh tahun. Pangkat tak naik-naik jugak,”
ucap Osman pula.

“Apa nak buat, Man. Rezeki aku belum sampai lagi,” Samad
membalas dalam nada suara yang lembut dan tenang.

“Betul. Tapi sampai bila kau nak bersabar. Cuba kau tengok
Khalid. Dia kemudian masuk kerja daripada kau. Dah naik pangkat.
Encik Johan ni tak layak jadi ketua,” tambah Osman.

82

“Kenapa pulak Encik Johan dikaitkan dalam hal ini?” soalnya
dalam wajah berpura-pura tetapi cukup mengerti dengan maksud
Osman rakan sekerjanya itu.

“Apa tidaknya. Mana adil macam ni. Orang yang dah lama kerja
dia tak nak naikkan. Tapi orang yang baru kerja pulak yang dia pilih.
Kau tak sakit hati ke?” Dia mengapi-apikan Samad.

“Biarlah, Man. Sebagai ketua dia lebih arif dalam hal ini. Mungkin
ada sebab aku tak dinaikkan pangkat,” ujarnya sambil tersenyum kecil.

“Salah jawapan kau tu, Samad. Aku tak boleh terima,” Osman
membantah.

“Sebabnya?” tanya Samad sambil meninggikan kepala sedikit
memandang Osman yang bermuka bulat bujur sirih dan berkulit cerah.

“Kau kerja bagus. Memang layak dinaikkan pangkat. Berbanding
dengan Khalid budak mentah. Dia pun belajar daripada kau. Entahlah.
Aku sendiri pun tak fahamlah dengan Encik Johan ni …!” keluh Osman
pula.

83

“Tak apalah, Man. Sekurang-kurangnya aku tumpang merasa
bangga,” dia menjawab. Osman sebaliknya berasa sungguh terkejut
apabila mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh Samad itu.

“Bangga kata kau. Susah payah kau mendidik dia dalam kerja
sekarang dia senang-senang pulak mengarah kau. Itu kau boleh terima
ke? Kau dengan Encik Johan sama ajelah. Tak faham aku?” Dia
menggeleng-gelengkan kepala.

Samad memandang desiran ombak yang setia menghempas pantai
sambil memeluk tubuh. Jauh benar fikirannya melayang. Bayu laut
yang tadinya bertiup perlahan tiba-tiba bertukar menjadi kencang.

Dia berpegang kepada prinsip sekali dia jatuh cinta selama-
lamanya dia akan jatuh cinta. Sebagai khalifah yang hidup di dunia ini
dia telah diamanahkan oleh Allah SWT dengan menganggap kerja itu
adalah satu ibadah dan perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh
selagi masih bernafas dengan ditemani mentari di siang hari dan
rembulan di malam hari.

Pada satu pagi setibanya di pejabat dia telah dipanggil oleh Encik
Johan. Tentu ada perkara mustahak yang hendak dibincangkan
berkenaan dengan hal syarikat. Bisik hati kecilnya.

84

“Saya benar-benar perlukan pertolongan awak, Samad,” kata
Encik Johan.

“Apa dia, Encik Johan?” dia menyoal ketuanya.

“Projek perumahan Taman Mewah saya akan serahkan kepada
awak untuk uruskannya.”

“Setahu saya projek perumahan tu Encik Johan dah serahkan
pada Encik Khalid untuk uruskan. Nanti apa pulak kata dia?”

“Betul. Tapi pengalaman awak diperlukan. Dia belum mencapai
apa yang saya mahukan dalam dunia perniagaan. Selalu mengambil
tindakan lambat. Projek ni dah terbengkalai hampir dua minggu. Kita
juga yang rugi nanti. Awaklah yang saya harapkan untuk menyelesaikan
masalah ini.”

“Baiklah, Encik Johan. Saya akan pastikan projek ini berjalan
semula dan syarikat tidak mengalami kerugian.”

Ternyata harapan yang disandarkan oleh Encik Johan padanya
tidak sia-sia. Projek perumahan Taman Mewah yang terbengkalai
berjalan semula dan siap sepenuhnya. Orang yang paling gembira tak

85

lain tak bukan Encik Johan selaku Pengurus Syarikat Gemilang Sdn.
Bhd. Bagi dia Samad adalah penyelamat syarikat dan berjanji akan
memberikan kenaikan pangkat. Sebaliknya bagi dia bukan itu yang
diharapkan tapi yang penting ialah kepuasan apabila kerja yang
diberikan berjaya dilaksanakan.

Namun begitu ada juga yang tidak bersetuju dengan apa yang
telah dilakukannya itu. Mungkin sudah menjadi lumrah hidup manusia.
Ada ketikanya sesuatu kebaikan yang dilakukan itu tidak akan diterima
berbanding dengan keburukan yang amat mudah diterima.

“Masa senang dia lupakan kau. Masa susah baru dia cari kau.
Apa gunanya dia naikkan pangkat Khalid. Masalah macam tu pun dia
suruh kau selesaikan. Dah terang-terang. Kau masih jugak nak tolong
Encik Johan yang tidak mengenang budi tu!” tingkah Osman dengan
panjang lebar dan sekeras-kerasnya.

“Tak baik kau cakap macam tu, Man. Encik Johan tu kan ke
ketua kita. Apa yang dia suruh kita kenalah buat,” dia menjawab
lembut.

“Itulah kau terlalu lurus dan lembut sangat. Dia silap orang.
Kalau aku mati hidup balik aku tak akan tolong dia.”

86

“Aku tak bersetuju dengan cara kau tu. Bangun jatuh syarikat
adalah di tangan kita sebagai pekerja. Takkan kita nak biarkan syarikat
gulung tikar,” nasihat Samad.

“Apalah singkat sangat pemikiran kau ni, Samad. Banyak lagi
syarikat yang kita boleh kerja!” kata Osman dengan penuh bongkak
sambil mengangkat kepala tinggi.

“Jangan cakap besar, Man. Dalam keadaan ekonomi sekarang ada
ke syarikat yang nak terima kita bekerja. Kita seharusnya bersyukur
bekerja dengan syarikat yang stabil seperti Gemilang.”

“Kau memang macam tu. Tak ada yang salahnya dengan syarikat.
Oh ya! Baru aku teringat. Aku dengar Encik Johan nak naikkan pangkat
kau. Maklumlah kau dah berjasa besar dengan syarikat. Betul ke?” ujar
Osman sambil mengukir senyuman kecil tapi penuh dengan makna
memandang wajah Samad.

“Insya-Allah, Man. Kalau ada rezeki. Mana kau tahu semua ini?”

“Kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang. Tapi sebagai
seorang kawan aku nasihatkan kau lebih baik lupakan sahaja perkara

87

tu. Encik Johan tu hanya pandai berjanji sahaja. Tapi habuk pun tak
ada.”

Perbualan mereka yang rancak tiba-tiba terhenti buat seketika.
Pelayan muncul sambil membawa makanan dan minuman yang
dipesan. Perlahan-lahan dia meletakkannya di atas meja. Samad
memesan nasi goreng kampung dan teh ‘o’ ais limau manakala Osman
pula memesan mi goreng dan Nescafe ais.

“Terima kasih!” Samad bersuara sambil melihat wajah pelayan
yang berusia dalam lingkungan awal 20-an itu.

“Sama-sama!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan
kepala dan kemudiannya pantas berlalu pergi dari situ.

“Dahlah, Man. Mari kita makan. Hari ni aku belanja kau,” ajak
Samad.

Dia menarik nafas panjang sambil terus merenung laut membiru
ciptaan Tuhan Yang Esa untuk makhluknya yang hidup di atas muka
bumi ini. Cuaca masih lagi cerah dengan gumpalan awan tebal memutih
dan langit membiru. Tiada sedikit pun tanda-tanda hujan akan turun.
Bahang matahari kian terasa panas memijar apabila menyapu

88

permukaan kulit. Sekali-sekala terasa kesegaran diusap bayu laut yang
bertiup kencang.

Samad memang seorang yang penyabar dan tekun dalam
menjalankan tugas. Dia tidak pernah merungut dengan kerja yang
diberikan. Sentiasa datang cepat dan pulang lewat. Adakalanya hari cuti
pun dia bekerja. Dia akan berasa gelisah yang amat sangat dan tidak
tenteram apabila kerja tidak selesai.

Kerja yang tertangguh tidak ada dalam kamus dirinya sebagai
insan yang mencari rezeki di Syarikat Gemilang. Baginya kerja hari ini
tanpa mengira mudah atau susah perlu diselesaikan hari ini jugak.
Takut esok datang kerja lain yang memerlukan tindakan segera. Dalam
soal kerja Samad akur bahawa sentiasa bertambah pada setiap hari dan
tiada kesudahannya sehingga meninggalkan syarikat yang sudah
hampir 15 tahun menjadi darah dagingnya.

Dalam soal tuntutan perjalanan dan kerja lebih masa yang
diberikan oleh syarikat dia bersikap jujur. Pantang bagi dia membuat
tuntutan palsu semata-mata untuk mendapat kemewahan dalam hidup
biarpun adaketikanya sama seperti orang lain yang kesempitan wang
dalam hidup hari ini. Memang benar sebagai pekerja Samad memang
mempunyai hak untuk membuat tuntutan lebih masa setelah

89

berhempas pulas bekerja dari pagi sehingga ke larut malam. Tapi dia
tetap akur bahawa pekerja lain di Syarikat Gemilang juga mempunyai
hak seperti dia dan membazirkan wang syarikat dengan jalan yang tidak
betul adalah sesuatu yang harus dijauhi.

Rezeki yang halal dituntut oleh Allah SWT untuk keberkatan
hidup sekeluarga dan rezeki yang haram adalah kemungkaran yang
harus ditegah.

“Buat apalah abang susah-susahkan diri bekerja sampai malam.
Pangkat tak jugak naik,” tegur isterinya.

“Sabarlah, Mah. Allah SWT tu maha kaya dan maha adil. Kalau
tak ada rezeki abang pun mungkin ada rezeki anak-anak kita,”
jawabnya.

“Abang ni lain takde. Pikir kerja-kerja. Abang mesti ingat. Abang
tu ketua keluarga. Kenalah luangkan masa dengan saya dan anak-anak.
Dah lama abang tak bawa saya dan anak-anak berkelah di hujung
minggu. Dulu selalu jugak. Sekarang dah tak ada masa pulak. Asyik di
pejabat saja. Entah-entah abang ada perempuan lain tak,” rungut
isterinya.

90

“Mah …. Jangan buat andaian begitu. Tak baik. Hanya Mahlah
satu-satunya isteri abang sehingga ke akhir hayat. Baiklah. Abang minta
maaf. Abang akui telah mengabaikan Mah dan anak-anak kerana gila
kerja. Abang berjanji. Hari minggu ni abang akan bawa Mah dan anak-
anak berkelah …,” dia memujuk lembut isterinya.

“Mah minta maaf, bang. Sebagai seorang isteri Mah tak
seharusnya bersangka begitu terhadap abang. Mah percaya. Abang
seorang suami yang baik dan jujur.”

“Abang faham perasaan Mah sebagai seorang isteri. Perlukan
belaian kasih sayang bersama dengan anak-anak. Percayalah, Mah.
Abang akan berikan tumpuan dengan seadil-adilnya di antara keluarga
dan kerja.”

“Oh ya! Asyik bercakap ni terlupa pulak. Abang dah makan ke
belum?” soal isterinya.

“Belum. Mah masak apa malam ini?” tanya Samad pula.

“Gulai ikan bawal masak lemak cili api kesukaan abang,” isterinya
menjawab.

91

“Sedap tu. Abang mandi dulu dan solat. Tak sabar rasanya nak
rasa masakan Mah,” kata Samad sambil mengukir senyuman kecil dan
merenung tepat wajah isterinya.

“Baiklah, bang. Saya siapkan makanan!” ucap isterinya pula
sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Samad terus melemparkan pandangan yang penuh dengan
pengharapan ke arah laut membiru dan desiran ombak. Angin yang
datang dari arah laut mengalunkan irama merdu membelai suasana
dengan diiringi gemersik pohon-pohon dan dedaunan hijau. Sinar
cahaya matahari di kaki langit yang menyinari alam turut merestukan
dunia pengembaraannya sebagai seorang pekerja yang taat dan patuh
yang melaksanakan tugas yang diberikannya.

Jauh sekali di sudut hati Samad untuk mengubah dunianya
sebagai pekerja walaupun adakalanya diwarnai dengan tekanan
dianggap sebagai hamba syarikat kepunyaan Encik Johan dan tidak
mendapat ganjaran yang setimpal. Buat baik pun orang mengata apatah
lagi buat tak baik. Itu sudah menjadi lumrah dalam hidup manusia dan
dia nekad untuk membuangnya jauh-jauh.

92

Dia menanamkan semangat dan ketabahan diri bahawa bekerja
kuat bukan sahaja untuk kesenangan keluarga malahan juga bagi
pembangunan negara dalam mengharungi dunia yang mencabar pada
hari ini. Setelah menemui jawapan yang pasti itu Samad pun berlalu
pergi meninggalkan pantai bersama dengan desiran ombak yang setia.

93

8

MENARA GADING

Pagi disinari dengan sang suria yang kelihatan memancar terang.
Di kaki langit yang membiru bola matahari sudah lama meninggi.
Seluruh alam semesta diwarnai jalur-jalur cahaya yang kelihatan lurus.
Bersama iringan gumpalan awan tebal yang memutih. Langit jelas
nampak terang dan bersih. Dengan langkah perlahan-lahan Maizan lalu
menghampiri jendela dan mengalihkan pandangan ke arah luar. Dia
menoleh sekejap ke kanan dan kiri. Di pandangan matanya jelas
kelihatan tersergam bangunan-bangunan yang menempatkan bilik-bilik
kuliah dan asrama pelajar.

Melalui jendela kaca yang terbuka luas angin menyusup masuk.
Segar dan dingin mengusapi permukaan kulit. Umpama air terjun di
pinggir kali. Mencairkan sedikit kehangatan bahang matahari yang
terasa. Sudah lama hujan tidak turun. Maizan kemudiannya lalu
mengalihkan pandangan ke bawah pula. Pohon-pohon yang menghijau
bergoyangan seperti menari-nari inang. Sekejap ke kanan dan sekejap
ke kiri mengikut rentak tiupan angin. Daun-daun hijau yang bergeseran
di antara satu sama lain mengeluarkan irama yang sungguh merdu.

94

Manakala daun-daun kering yang berwarna perang sehelai-sehelai
berguguran di atas tanah.

“Apa awak kata? Maizan nak ambil periksa lagi?” kata ayahnya
dengan penuh rasa terperanjat sambil mengangkat muka tinggi
memandang ibunya.

“Ya, bang. Eloklah tu. Dia tetap nak teruskan cita-cita masuk ke
universiti. Walaupun dah tiga kali gagal dalam peperiksaan,” tambah
ibunya pula.

“Tak usah mimpilah masuk ke universiti. Tiga kali ambil
peperiksaan tak lulus-lulus juga. Buang masa aje. Suruh dia cari kerja
lagi baik,” ayahnya membalas.

“Abang. Sepatutnya abang sebagai seorang ayah harus merasa
bangga. Mempunyai seorang anak macam Maizan. Bersemangat tinggi
untuk belajar lagi.” Ibunya memberikan sokongan.

“Apa awak kata? Bangga? Maizan tu memang bengap dalam
pelajaran. Awak tengok Minhat abang dia. Sekali aje ambil periksa.
Terus lulus dan masuk universiti. Sekarang dah tahun akhir. Tak lama
lagi jadi pegawai tinggilah dia. Itulah anak saya. Tapi kalau asyik bayar

95

yuran peperiksaan dan hantar ke kelas tambahan tapi masih gagal
jugak buat apa. Bukan ke membazir namanya!” Ayahnya melontarkan
kata-kata yang pedih.

“Tak baik abang cakap macam tu. Mentang-mentanglah Minhat tu
pandai abang sayang pada dia. Walau macam mana buruk pun Maizan
tu tetap anak kita, bang,” ucap ibunya pula. Perbualan mereka yang
rancak tiba-tiba terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit ayahnya.

“Siapa pulak ni? Minhat rupanya.” Ibu jari tangan kanan ayahnya
pantas memicit telefon bimbit untuk menjawab panggilan dan
melekapkan di telinga.

“Assalamualaikum ayah,” Minhat memberi salam.

“Waalaikumsalam,” ayahnya menjawab sambil tersenyum apabila
mendengar suara anak kesayangannya itu.

“Ayah apa khabar?” soalnya.

“Alhamdulillah. Minhat dah lama tak balik. Kenapa?” balas
ayahnya pula.

96

“Minhat bukannya tak nak balik, ayah. Tapi Minhat sibuk
sekarang ni. Tak lama lagi peperiksaan akhir. Kenalah belajar. Kalau tak
macam mana nak dapat keputusan cemerlang seperti yang ayah nak,”
katanya.

“Ya ke. Baguslah macam tu. Anak ayah la katakan.” Ayahnya
menjeling megah ke arah ibunya yang hanya berdiam diri sahaja.

“Ayah. Minhat telefon ni ada hal penting,” ujarnya.

“Apahalnya, Minhat? Cakaplah?” ayahnya pantas mencelah.

“Minhat nak duit belanjalah, ayah.”

“Berapa?”

“RM 500.00. Boleh tak ayah masukkan duit tu hari ni jugak.
Minhat betul-betul dah tak ada duit belanja ni.”

“Boleh. Sekarang jugak ayah pergi masukkan.”

“Terima kasih, ayah. Baiklah. Nanti Minhat telefon balik. Kirim
salam kat mak, ya.”

97

“Yalah.” Ayahnya kemudian lalu melepaskan telefon bimbit dari
telinga dan menutup butang panggilan yang diterima. Dia kemudiannya
bingkas bangun.

“Minhat kirim salam,” ayahnya bersuara sambil memandang tepat
wajah ibunya.

“Waalaikumsalam. Dia minta duit lagi ke?” Ibunya sebaliknya
menyoal sambil menganggukkan kepala.

“Yalah!” balas ayahnya pendek.

“Kan baru aje abang bagi duit. Tak cukup lagi ke?”

“Duit dia dah habis. Kenalah bagi. Sudahlah. Awak jangan banyak
tanya. Saya pergi dulu.”

Ibunya memerhatikan sahaja ayahnya berlalu pergi dari ruang
tamu dan menuju ke bilik untuk menyalin pakaian. Sementara itu
keriangan jelas terpancar di wajah Minhat setelah menelefon ayahnya.

“Macam mana, Minhat? Tentu dapatkan. Senyum aje aku tengok
kau,” kata Ghani.

98

“Mesti dapat punya. Ayah aku tu kalau ayat baik mesti dia kasi
punya,” Minhat menambah.

“Enjoylah kita nampaknya!” sahut Ghani pula.

“Duit banyak. Apalagi. Buat apa kita nak fikir tentang peperiksaan
tu. Hidup ni mesti gembira. Betul tak?” Minhat memeluk erat bahu
Ghani.

“Betul. Tapi malam ni jangan lupa. Kita rempit. Kalau menang
kayalah kita,” ingat Ghani pada rakannya itu.

“Kau jangan bimbang, Ghani. Malam ni kita akan menang lagi.
Aku belanja kau dan kawan-kawan,” janjinya.

“Siapa tak kenal Minhat. Jaguh rempit. Tak siapa yang boleh
kalahkan,” ampu Ghani pula. Mereka lantas ketawa terbahak-bahak.
Maizan sedar siapa dirinya yang sebenar. Namun begitu dia tetap nekad
untuk mengambil peperiksaan lagi. Kalau abangnya dan orang lain
boleh masuk universiti kenapa dia tidak boleh.

“Kau nak duit bayar yuran peperiksaan?” Ayahnya mengeluarkan
nada suara yang tinggi.

99

“Ya, ayah ….!” Maizan menjawab sambil mengangguk perlahan.

“Jangan nak berangan la, Maizan. Kau memang tak boleh masuk
universiti. Lembap. Sejak dari sekolah rendah lagi. Buat malu aku aje
ada anak macam kau ni,” rungut ayahnya sambil memandang penuh
benci.

“Sudahlah tu, bang. Bagi ajelah dia duit untuk bayar yuran
peperiksaan. Mudah-mudahan kali ni dia lulus,” pujuk ibunya.

“Awak selalu sebelahkan dia. Masuk ni dah empat kali ambil
peperiksaan. Takkan lulus. Percayalah cakap saya. Lebih baik lupakan
sahaja hasrat untuk masuk universiti. Dia ni layak jadi kakitangan
bawahan aje dan bukannya pegawai tinggi. Faham tak?” Ayahnya tak
henti-henti merendahkan dirinya. Maizan sebaliknya hanya tunduk
diam apabila mendengar kata-kata pedih yang dilemparkan oleh
ayahnya itu. Seperti ditikam sembilu rasanya.

“Kalau ayah tak nak bagi duit …. Tak apalah …. Biar saya cari
sendiri untuk bayar yuran peperiksaan ….” Dia mengalah dengan
mengeluarkan nada suara yang lemah dan kemudian bingkas bangun
berlalu pergi dari situ.

100


Click to View FlipBook Version