“Orang yang gila kuasa sanggup melakukan apa sahaja untuk
mencapai cita-cita. Kata pegawai agama tadi tuan guru sudah lama
dikehendaki oleh pihak berkuasa di Tanah Seberang. Dia menggunakan
jihad sebagai topeng untuk menubuhkan kerajaan sendiri,” Lebai Dollah
mencelah.
“Yang saya pelik tu lebai ada pulak pengikutnya. Sedangkan dah
terang dan nyata. Dia tu seorang penjenayah kejam,” Osman berkata.
“Itulah akibatnya kalau kita mudah terpengaruh dan kurang ilmu
agama. Tambah pulak dia menyamar sebagai guru agama. Kita
tengoklah nanti, Man. Pejabat agama dah pun menyerahkan perkara ni
pada pihak berkuasa. Sudahlah. Mari kita balik,” ajak Lebai Dollah pula.
“Yalah, lebai!” angguk Osman pula. Sebagai tanda setuju dengan
ajakan Lebai Dollah itu.
Keesokan paginya Haji Deris dikejutkan dengan suara Karim
dengan memanggil namanya.
“Ada apa ni, Karim? Pagi-pagi lagi nampak cemas. Macam sesuatu
yang buruk aje berlaku,” kata Haji Deris yang berdiri tercegat di muka
pintu.
201
“Memang ada berita buruk ni, Pak Haji …,” Karim sebaliknya
membalas dalam nada suara yang tercungap-cungap.
“Berita apa, Karim?” ulang Haji Deris pula sambil mengangkat
kepala tinggi memandang wajahnya.
“Tuan …. Tuan …. Guru ….” Suara Karim terputus-putus dan
terhenti.
“Yalah, tuan guru. Kenapa dengan dia? Kau cakap ajelah,” desak
Haji Deris.
“Dia kena tangkap. Rupanya kita kena tipu selama ni. Dia
sebenarnya bukan guru agama. Tapi pengganas yang paling
dikehendaki. Dia datang ke kampung ni kerana melarikan diri. Setelah
melakukan serangan bom di salah sebuah tempat di Tanah Seberang.
Orang Islam di sana juga terkorban,” terang Karim pada Haji Deris.
“Apa?” Dia berasa sungguh terkejut dan beristighfar panjang.
202
15
TERJEBAK
Angin dari arah bukit bertiup sepoi-sepoi bahasa. Di kaki langit
bola matahari belum kelihatan lagi. Pagi masih muda lagi. Kesejukan
terasa membungkus seluruh suasana. Kesan dari hujan lebat yang
turun malam tadi. Sampai subuh baru berhenti. Dedaunan hijau dan
rumput kelihatan basah.
Selepas bersarapan pagi Rosdin menghidupkan enjin motosikal
menuju ke kebun pisang. Setibanya di kebun pisang dia memulakan
kerja-kerja seperti biasa. Sedang dia asyik bekerja dengan tiba-tiba dia
dikejutkan dengan bunyi orang memberi salam. Dia lantas berhenti dan
menoleh ke arah suara itu. Pak Majid rupanya dan dia lalu menjawab
salam sambil berjabat tangan.
“Macam mana dengan hasil tanaman pisang kau, Rosdin?” soal
Pak Majid yang bersongkok berbaju kemeja lengan pendek berwarna
biru tua dan berseluar hitam.
“Alhamdulillah, Pak Majid. Berbuah lebat nampaknya,” Rosdin
menjawab sambil mengesat peluh di dahi. Bola matahari perlahan-lahan
203
menampakkan sinarnya. Pokok-pokok pisang seperti terbuai-buai
bersama pelepah ditiup angin yang berentak perlahan.
“Baguslah, Rosdin. Kalau berbudi pada tanah inilah habuan yang
dapat. Aku datang ni pun pasal nak beli buah pisang kau tu. Kau pun
tahu bukan. Aku ni pengusaha kerepek,” dia menyatakan hajatnya pada
Rosdin.
“Saya tak ada masalah untuk membekalkan bekalan pisang pada
Pak Majid. Cakap aje berapa tandan nak. Tapi minggu depan barulah
pisang tu masak,” jelas Rosdin pula.
“Tak apalah macam tu. Aku bukannya nak sekarang. Tentang
harga macam mana pulak?” tanya Pak Majid lagi.
“Pasal harga saya tak dapat nak putuskan sekarang. Macam ni
ajelah, Pak Majid. Apa kata kalau kita ikut harga timbang. Macam yang
kita selalu beli di kedai tu,” cadang Rosdin sebaliknya.
“Eloklah tu, Rosdin. Aku setuju sangat. Kalau macam tu aku
minta diri dulu. Aku sebenarnya nak ke pekan. Kebetulan lalu depan
kebun pisang kau ni. Aku pun singgahlah. Aku pergi dulu ya.
Assalamualaikum,” mohon Pak Majid sambil berjabat tangan.
204
“Waalaikumsalam,” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan
kepala.
Rosdin meneruskan semula kerja-kerja yang terhenti buat
seketika. Menyangkul pangkal pokok pisang dan membubuh baja.
Memangkas pelepah pisang yang kering dan melonggokkannya
setempat. Bola matahari terasa tegak di atas kepala. Sedar-sedar sudah
tengah hari. Dia berhenti seketika dan menarik nafas panjang sambil
memandang sekeliling kebun pisang. Tekaknya terasa haus dan kering.
Maklumlah banyak peluh yang keluar. Bekerja di tengah panas.
Dia lalu menuju ke pondok kecil yang terdapat di kebun pisang.
Bertiangkan dan berlantaikan papan. Beratapkan zink yang telah
berkarat. Tetapi masih kukuh dan kuat lagi. Diteguknya perlahan-lahan
air suam yang dibawanya dari rumah. Terasa nyaman dan dingin.
Seperti air terjun di pinggir kali. Bila membasahi tekak yang basah. Dia
lalu duduk untuk melepaskan penat. Dengan renungan yang tajam dan
penuh bermakna dia melemparkan pandangan ke arah pokok-pokok
pisang.
“Apa abang nak tinggalkan kampung ni?” kata Salmah.
205
“Ya, Salmah. Abang sedar siapa diri ni. Sebab itulah ayah Salmah
menolak pinangan abang,” Rosdin membalas.
“Bang. Bawalah Salmah bersama. Salmah rela mengikut abang
walau ke mana sahaja …,” rayu Salmah pula.
“Tak boleh, Salmah!” bantah Rosdin sebaliknya.
“Kenapa, bang? Salmah benar-benar cintakan abang. Lelaki yang
pertama dan terakhir dalam hidup Salmah hanya abang seorang
sahaja,” ucap Salmah lagi.
“Abang juga begitu, Salmah. Terimalah ketentuan dari Tuhan.
Jodoh Salmah bukan dengan abang. Jodoh Salmah dengan Hashim,”
Rosdin menambah.
“Salmah tak cintakan Hashim. Salmah cintakan abang,” ujar
Salmah.
“Maafkan abang, Salmah. Abang doakan semoga Salmah hidup
bahagia dengan Hashim. Selamat tinggal,” Rosdin bersuara.
“Abang …!” Salmah lalu menangis teresak-esak.
206
Setibanya di rumah Rosdin lalu mengemaskan pakaian. Dia sudah
nekad. Membawa hatinya yang luka ke Kuala Lumpur.
“Kau berkemas pakaian ni nak ke mana, Rosdin?” tegur Mak
Limah.
“Ke Kuala Lumpur, mak,” dia menjawab sambil melipat kain dan
baju ke dalam beg.
“Ke Kuala Lumpur? Kau nak buat apa kat sana, Rosdin? Kuala
Lumpur tu besar. Kita bukannya ada saudara mara kat sana. Kalau kau
susah nanti siapa nak tolong kau.” Mak Limah cuba menahan anaknya.
“Rosdin nak berjaya dalam hidup, mak. Kat Kuala Lumpur banyak
kerja boleh buat. Duit pun senang dapat. Lainlah kerja kebun kat
kampung. Siapa nak buat menantu,” terang Rosdin pula.
“Sabarlah, Rosdin. Ramai lagi gadis di kampung ni yang boleh kau
jadikan isteri. Bukan Salmah seorang saja,” Mak Limah memujuk
Rosdin agar tidak meninggalkan kampung.
207
“Rosdin dah buat keputusan, mak. Walaupun tak ada kelulusan
tinggi Rosdin tetap akan ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Rosdin
pergi dulu, mak,” dia memohon izin sambil mencium tangan ibunya.
“Rosdin …. Rosdin …. Nanti dulu …,” Mak Limah cuba menahan
anaknya. Ternyata dia amat berat untuk melepaskan Rosdin pergi ke
Kuala Lumpur.
Setibanya di Kuala Lumpur sewaktu di perhentian bas dia
berjumpa dengan Ludin.
“Awak nak ke mana? Nampak macam baru sampai di Kuala
Lumpur,” tegur Ludin dengan penuh ramah.
“Ya. Saya Rosdin. Dari kampung hajat datang ke Kuala Lumpur ni
nak cari kerja,” akuinya.
“Oh begitu. Saya Ludin!” dia memperkenalkan diri sambil
menganggukkan kepala dan berjabat salam dengan Ludin.
“Saya tak tahu ke mana nak pergi. Saya tak ada kawan dan
saudara-mara di Kuala Lumpur ini.” Rosdin sebaliknya berterus terang
pada Ludin yang baru dikenalinya.
208
“Tinggal saja di rumah aku,” ajak Ludin dengan bersungguh-
sungguh.
“Betul ke ni? Tak menyusahkan kau ke?” soal Rosdin pula yang
berasa amat terkejut dengan pelawaan Ludin itu.
“Sungguh. Kau tak percaya dengan aku. Sudahlah. Mari ikut aku
ke rumah,” ucap Ludin lagi. Rosdin hanya mendiamkan diri dan
menurut saja ajakan Ludin itu.
“Kau kerja apa Ludin. Tinggal dalam rumah besar macam ni.
Pakai kereta besar,” Rosdin bersuara sebaik-baik sahaja duduk di atas
kerusi sofa yang berwarna hitam.
“Aku kerja sendiri,” Ludin membalas.
“Kerja sendiri?” ujar Rosdin dengan cepat.
“Ya! Apa sebenarnya tujuan kau datang ke Kuala Lumpur ni selain
daripada mencari kerja. Boleh aku tahu?” tambah Ludin sambil
mengangkat kepala tinggi sedikit memandang tepat wajah Rosdin.
209
“Aku sebenarnya nak menghilangkan rasa luka di hati,” terang
Rosdin.
“Tentang kerja tu kau jangan risau. Kebetulan boss aku tengah
cari pekerja baru. Besok aku bawa kau jumpa dia. Aku yakin. Dia mesti
terima kau,” ujar Ludin.
“Ya ke ni, Ludin? Aku baru aje sampai di Kuala Lumpur ni.
Takkan terus dapat kerja?” Dia seakan-akan tidak percaya dengan kata-
kata yang keluar daripada mulut Ludin itu.
“Kau ni. Masih tak percaya dengan aku. Pandailah aku ayat boss
aku tu nanti,” yakin Ludin lagi. Perbualan mereka yang rancak lantas
terhenti. Kedengaran bunyi telefon bimbit Ludin.
“Sekejap ya. Hello. Ya, Rony. Ada stok tu ada kau jangan bimbang.
Takkan aku nak tipu pulak. Besok aku beri. Kau percayalah. Tempat
macam biasa. OK!” Ludin menjawab panggilan itu.
“Baru aku tahu. Kau berniaga rupanya,” Rosdin berkata.
“Pelanggan aku yang telefon. Biasalah banyak kerenah. Kenalah
bersabar. Janji duit masuk,” tambah Ludin pula.
210
“Barang apa yang kau meniaga, Ludin?” soal Rosdin sebaliknya
dengan penuh minat.
“Nanti kau tahulah bila dah kerja nanti. Buat masa ni kau tak
perlu tahu. Oh ya! Terlupa pulak aku. Tadi kau kata datang ke Kuala
Lumpur ni selain daripada mencari kerja ialah untuk mengubat hati
yang luka. Kenapa? Kau putus cinta ke dengan gadis sekampung kau.
Aku minta maaflah kerana bertanyakan hal ni. Maklumlah hal peribadi
yang sepatutnya aku tak perlu tahu,” teka Ludin.
“Tak mengapa, Ludin. Memang benar. Ayahnya terlalu
memandang pada harta kekayaan. Pinangan aku ditolaknya mentah-
mentah. Minggu depan dia akan berkahwin dengan lelaki pilihan
ayahnya. Aku tak sanggup melihat hari persandingan mereka …,”
Rosdin cepat membalas dengan panjang lebar dalam nada suara yang
lemah dan tidak bermaya.
Rasa pedih seperti ditikam sembilu yang tajam menyiat-nyiat di
hatinya. Dia menundukkan kepala apabila mengenangkan kisah
cintanya dengan Salmah yang telah musnah berderai umpama kaca
yang terhempas ke batu.
211
“Sudahlah tu, Rosdin. Kau lupakanlah semua tu. Kau bina hidup
baru di Kuala Lumpur ni. Bukan dia seorang saja gadis dalam dunia ni.
Ramai lagi. Lebih cantik daripada dia pun ramai di Kuala Lumpur. Kau
pilih aje mana yang kau hendak. Janji ada duit,” tambah Ludin lagi.
Rosdin yang tadinya tunduk lalu perlahan-lahan mendongakkan muka
memandang wajah Ludin yang duduk berhadapan dengannya.
“Tapi, Ludin …,” dia tidak sempat untuk menghabiskan kata-kata.
“Dahlah tu. Kau pun penat kan. Hah, mari aku tunjukkan bilik.
Kau mandi dan berehatlah dulu. Malam nanti kita keluar makan. Aku
belanja. Lepas makan aku bawa kau meronda seluruh bandar Kuala
Lumpur yang besar ni,” Ludin cepat memotong.
“Yalah!” angguk Rosdin.
“Macam tulah. Mari aku tunjukkan bilik kau.” Ludin mengajak
kawan yang baru dikenalinya itu.
Keesokan paginya seperti yang dijanjikan Ludin membawa Rosdin
berjumpa dengan bossnya yang bernama Sani.
212
“Siapa yang kau bawa ni, Ludin?” tanya Sani dalam nada suara
yang garau dan keras. Wajahnya bengis dan bermisai tebal. Berkepala
botak dan berbadan gempal. Perasaan kecut dan takut menyelubungi
Rosdin apabila bertemu dengan Sani.
“Dia ni Rosdin, boss. Kawan sekampung saya. Dia datang ke sini
untuk cari kerja boss ….” Percakapan Ludin yang tersusun memujuk
Sani serta-merta terputus.
“Kau nak suruh aku ambil dia kerja?” Sani pantas menyampuk.
“Ya, boss!” Ludin mengangguk-anggukkan kepala. Rosdin hanya
mendiamkan diri.
“Boleh percaya ke dengan dia ni?” dia tak henti-henti menyoal
Ludin sambil memandang Rosdin dari atas ke bawah dengan rasa penuh
curiga.
“Saya gerenti, boss. Saya dah lama kenal dengan dia ni. Kat
kampung dia memang rajin bekerja. Cakap apa saja. Semua dia boleh
buat. Rugi kalau boss tak ambil dia kerja,” yakin Ludin lagi.
213
“Baiklah. Tapi ingat, Ludin. Kalau dia buat hal nahas akibatnya.
Kau pun sama. Faham!” Sani memberi amaran keras.
“Saya faham, boss!” Ludin sebaliknya hanya mengangguk-
anggukkan kepala apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada
mulut Sani itu.
“Sudah. Pergi bawa dia buat kerja!” arah Sani pada Ludin. Tanpa
membuang masa lagi Ludin dan Rosdin pantas meninggalkan bilik Sani
untuk membuat apa yang telah diarahkan oleh Sani.
“Terima kasih, Ludin. Kerana kau aku dapat kerja. Tapi aku pelik
tengok boss kita tu. Keras dan kasar aje aku tengok,” kata Rosdin.
“Kau jangan takutlah. Boss memang macam tu. Hal kerja dia
memang tegas. Tapi hati dia baik. Sudahlah. Hari ni kau dah mula
kerja. Mari ikut aku,” Ludin menambah.
Dengan menaiki kereta Ludin dan Rosdin menuju ke belakang
bangunan.
“Apa kita nak buat kat sini, Ludin?” Rosdin bertanya sambil
memandang ke kiri dan kanan.
214
“Buat apalagi kerjalah.” Nada suara Ludin seperti berbunyi bosan
dengan pertanyaan Rosdin itu. Tak lama kemudian muncul seorang
lelaki dari lorong bangunan sambil matanya memandang sekeliling.
“Kerja apa kita nak buat di lorong ni?” kata Rosdin lagi.
“Kau ni banyak tanyalah. Sudah. Kau nampak tak lelaki tu.
Sekarang kau ambil bungkusan ni dan beri pada dia. Pergi!” suruh
Ludin.
“Bungkusan apa ni?” ujar Rosdin pula sambil memandang muka
Ludin.
“Janganlah banyak tanya. Pergilah cepat!” ulang Ludin lagi.
“Yalah!” Rosdin tidak membantah dan turun dari kereta sambil
membawa bungkusan yang tidak diketahui isinya itu menuju ke arah
lelaki yang sedang tercegat berdiri seperti menanti seseorang.
“Jangan bergerak. Polis!” Tiba-tiba kedengaran suara dari arah
belakang bangunan. Rosdin dan lelaki itu telah dapat ditangkap oleh
tiga orang polis yang berpakaian biasa. Ludin pantas menghidupkan
enjin kereta dan memecut dengan laju.
215
“Ludin! Ludin! Tunggu aku. Tunggu aku. Apa ni, encik? Apa salah
saya?” Rosdin terpinga-pinga dengan apa yang telah terjadi. Tangannya
telah digari dan bungkusan yang dipegangnya telah dirampas oleh polis.
“Awak ditahan kerana terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.
Sudah. Bawa mereka berdua ke balai!” arah anggota polis yang
berpangkat inspektor itu.
“Baik, tuan!” jawab salah seorang daripada anggotanya.
“Tapi, encik. Saya tak tahu apa-apa. Percayalah. Saya telah
diperalatkan …!” rayu Rosdin untuk mempertahankan dirinya.
“Sudah! Awak ikut saya ke balai!” tegas inspektor polis itu lagi.
Rosdin telah dijatuhkan hukuman penjara di atas kesalahan itu.
Mujurlah tidak sampai ke tali gantung. Selepas keluar daripada penjara
dia terus pulang ke kampung. Timbul rasa penyesalan di hatinya kerana
telah memalukan nama baik keluarga. Barulah dia mengerti kini akibat
terlalu mengejar kesenangan hidup di bandar besar dia terjerat dalam
kancah hitam sebagai mangsa Sani dan Ludin untuk mengedarkan
dadah yang menjadi musuh utama negara.
216
Dia berasa serik dan takut untuk mencari kerja di bandar akibat
daripada peristiwa hitam yang melanda dirinya itu. Rosdin
membulatkan tekad dalam dirinya. Biarlah dia mengerjakan kebun
pisang di kampung tempat dia dilahirkan dan dibesarkan sehingga ke
nafas yang terakhir.
Rosdin menarik nafas yang panjang. Penat telah pun hilang.
Umpama air sungai yang mengalir kisah silam yang penuh dengan
warna-warna hitam biarkanlah berlalu. Tak guna dikenangkan apa yang
telah terjadi dan jadikanlah ia sebagai pengalaman yang paling berharga
dalam hidup ini. Dia lalu bingkas bangun untuk menyambung semula
kerja-kerja yang dilakukannya setiap hari di kebun pisang.
217
16
GELORA
Dia cuba mencari kekuatan. Setelah menempuhi kegagalan dalam
hidup. Sebagai manusia dia redha. Dengan takdir yang telah ditentukan
ke atas dirinya. Semuanya adalah kehendak Tuhan. Bukan kehendak
dirinya.
“Kau tengok laut tu. Ombak tak putus-putus menghempas pantai.
Tanpa rasa jemu dan bosan,” kata Juana.
“Laut lain, Juana. Kita manusia lain. Mana nak sama,” Marlisa
membalas.
“Itulah silapnya kau,” bantah Juana sebaliknya.
“Silap? Kenapa pulak kau kata begitu?” tanya Marlisa dengan rasa
hairan.
“Hidup manusia di dunia ni sama macam laut. Pasang surut silih
berganti. Ada ketika kita merasa suka. Ada ketika kita merasa duka,”
Juana bersuara.
218
Marlisa melepaskan pandangan sejauh-jauhnya ke arah laut biru.
Dia mengutip semula kisah silam yang pernah dialaminya.
“Tahun ni penting bagi kau, Marlisa. Kau akan menduduki
peperiksaan SPM. Penentu masa depan kau,” ingat ayahnya.
“Betul kata ayah kau tu, Marlisa. Kerja sekarang tak macam dulu.
Semua nak kelulusan tinggi,” sokong ibunya pula.
“Ayah! Mak! Marlisa tahulah semua tu. Janganlah cakap selalu.
Bosanlah!” keluh Marlisa.
Bayu yang datang dari arah laut terasa segar dan dingin menyapu
seluruh tubuhnya. Pandangannya masih lagi melekat pada laut biru
yang nampak tenang.
“Kenapa dengan kau ni, Marlisa? Nampak muram aje aku tengok,”
ucap Eddy.
“Tak ada apa-apalah,” dia berdalih.
219
“Hei, janganlah macam tu. Aku ni kan ke kawan kau. Beritahulah
aku. Apa masalah kau. Mana tahu kalau aku boleh tolong,” desaknya
lagi.
“Aku benganglah!” dia meluahkan apa yang terbuku di
perasaannya pada Eddy.
“Bengang? Pasal apa pulak?” soal Eddy lagi dengan penuh minat
sambil memandang wajah Marlisa.
“Ayah dan ibu aku asyik berleter. Pasal periksa SPM tahun ni,”
jelasnya.
“Oh, begitu! Itu perkara biasalah, Marlisa,” Eddy menambah.
“Perkara biasa kata kau. Masalahnya hari-hari aku kena leter.
Perkara yang sama. Kalau kena kat kau tentu kau pun rasa bosan,” ujar
Marlisa.
“Sudahlah tu. Kau releks saja. Tak usah pening-pening kepala.
Fikirkan semua tu,” Eddy bersuara.
220
“Releks kata kau? Hei, tak kena pada kau bolehlah kau cakap.
Cuba kalau kena pada kau. Tahulah …!” rengus Marlisa.
“Yalah! Releks! SPM lambat lagi. Dah. Malam ni kau ikut aku.
Sekurang-kurangnya hilang masalah kau,” pujuk Eddy pula.
“Ke mana?” Marlisa menyoal.
“Kau ikut ajelah nanti. Tak usah banyak tanya!” Eddy mencelah.
Sesungguhnya Tuhan menciptakan hidup ini untuk manusia
adalah satu perjalanan yang jauh. Hakikatnya bermula dari kelahiran
dan berakhir dengan kematian. Penuh dengan pelbagai ujian dan
dugaan yang perlu ditempuhi. Sambil memeluk tubuh erat Marlisa
menarik nafas yang panjang dan melemparkan pandangan sedalam-
dalamnya ke arah laut biru.
“Tempat apa ni, Eddy? Ramainya orang. Motosikal pun banyak,”
Marlisa berkata.
“Inilah tempat untuk kita enjoy,” Eddy menambah.
221
“Tempat macam ni?” Marlisa berasa sungguh terperanjat apabila
mendengar kata-kata Eddy itu.
“Yalah!” dia membalas sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Habis tu? Kau ingat tempat macam mana?” sambung Eddy lagi.
“Aku ingatkan tempat disko,” tambah Marlisa.
“Bukan apa enjoy di tempat disko. Tempat macam nilah bagus,”
jelas Eddy.
Marlisa diam. Dia memandang ke kanan dan kiri. Penuh dengan
remaja lelaki dan perempuan. Seusia dengannya tanpa segan dan silu
berkelakuan tidak sopan. Dengan bebas berpeluk-pelukan melanggar
agama dan adat.
“Kau tunggu sini sekejap. Aku nak jumpa kawan. Kau tunggu sini,
ya!” ucap Eddy.
“Jangan pergi lama tau. Aku takutlah, Eddy. Tempat macam ni
tempat rempit aje aku tengok. Silap-silap kena tangkap polis ….” Dia
mengeluarkan nada suara yang berbunyi takut dan gelisah.
222
“Hah, lecehlah kau ni. Kau jangan takut. Tempat ni memang
untuk merempit. Tempat ni selamat. Polis tak tahu. Kalau menang
lumayan kau dapat tahu,” Eddy sebaliknya memujuk Marlisa.
“Lumayan?” soalnya dengan penuh rasa hairan.
“Dahlah! Kau tahulah nanti. Jangan banyak soal. Kau nampak tak
mamat yang pakai jaket kulit hitam tu. Dia tu kawan aku. Hei, Kau
tunggu kejap. Aku nak jumpa dia sekejap,” celah Eddy.
Dia lalu pergi menemui kawannya itu. Mereka berbual-bual sambil
Eddy mengangkat mukanya menunjukkan ke arah Marlisa. Kawannya
itu memandang Marlisa dengan tersenyum dan mengangguk-anggukkan
kepala. Dia kemudiannya menepuk-nepuk bahu Eddy dan
menunjukkan isyarat bagus.
Marlisa nampak terpinga-pinga. Tidak tahu butir perbualan Eddy
dan kawannya itu.
Lamunannya yang jauh melayang sehingga ke awangan itu
dengan tiba-tiba sahaja lantas terhenti. Sayup-sayup kedengaran suara
ombak menghempas pantai. Buih-buih memutih berapungan di gigian
membasuh butiran pasir halus dan batu-batu kecil.
223
Marlisa menghela nafas yang panjang. Tudung berwarna merah
yang melitupi kepalanya mengerbang sedikit apabila ditiup bayu yang
datang dari arah laut. Seingat dia malam itulah bermula detik
kehancuran dalam hidup remajanya.
“Kau dari mana ni, Marlisa? Dah jauh malam baru balik. Apa nak
jadi dengan kau ni, hah?” tengking ayahnya. Dengan rasa marah jelas
terpancar di wajahnya.
“Dari rumah kawanlah. Belajar,” dia menjawab.
“Kau jangan nak bohong, Marlisa. Tadi ayah dapat panggilan
telefon dari cikgu kau. Dah seminggu kau tak datang ke sekolah. Kau
pergi mana, hah?” herdik ayahnya lagi dengan rasa penuh geram.
“Ya, Marlisa!” ibunya mengangguk-anggukkan kepala.
“Kau pergi mana sebenarnya? Setiap hari kau pergi sekolah. Tapi
kau tak pergi sekolah,” desak ibunya pula.
“Ah! Bosanlah! Ayah dengan mak ni!” Dia tergamak melepaskan
kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan pada ayah dan ibunya.
224
“Kurang ajar!” ayahnya menjawab dengan pantas sambil
menampar pipi Marlisa.
“Abang! Sudahlah tu!” tahan ibunya pula.
“Ayah pukul saya, ya …! Dulu ayah tak pernah pukul saya …. Tapi
sekarang ayah pukul saya …. Takpe …!” Marlisa sebaliknya pantas
menjawab sambil berlalu pergi menuju ke bilik.
“Marlisa …! Marlisa …! Tunggu dulu …!” ibunya cuba menahan.
“Sudah! Biarkan dia. Degil!” halang ayahnya pula dengan sekeras-
kerasnya.
Akibat terlalu menurut kata hati dia lalu mengambil keputusan
nekad. Melarikan diri dari rumah dan pergi ke rumah Eddy.
“Apahal dengan kau ni, Marlisa? Aku tengok macam lari dari
rumah aje. Siap bawa beg pakaian sekali,” Eddy berkata.
“Memang aku lari dari rumah,” akuinya.
225
“Kenapa?” soal Eddy sambil mengangkat kepala memandang
wajah Marlisa.
“Aku dah tak tahan lagi dengan ayah dan mak aku. Kau tahu.
Sejak dari kecil lagi aku tak pernah kena pukul. Tapi semalam ayah aku
pukul aku,” dia menjelaskan pada Eddy.
“Ayah kau pukul kau?” Eddy berasa sungguh terperanjat apabila
mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Marlisa itu.
“Ya! Kau tahu apa sebabnya?” ulang Marlisa lagi.
“Pasal apa?” ujar Eddy dengan rasa penuh minat untuk
mengetahui dengan lebih lanjut lagi.
“Sebab balik lewat semalam. Eddy aku nak tumpang rumah
kaulah. Aku tak nak balik rumah. Eddy kau kawan aku. Bolehlah ya?”
mohon Marlisa.
“Kau nak tumpang rumah aku?” tanya Eddy.
“Ya, Eddy!” dia cepat menjawab sambil mengangguk-anggukkan
kepala.
226
“Tolonglah! Aku tak nak balik rumah. Aku rasa lebih tenang di
rumah kau,” Marlisa merayu pada Eddy.
“Yalah! Yalah! Memandangkan kau kawan aku kau boleh tinggal
di rumah ni. Kau pakailah bilik aku tu. Tapi berselerak. Kau maklumlah
orang bujang. Kau kemaskanlah apa yang patut,” jawab Eddy.
“Terima kasih, Eddy. Kaulah satu-satunya kawan aku. Habis? Kau
nak tidur mana?” Marlisa membalas.
“Itu kau tak usah risaulah. Dahlah. Kau masuklah ke bilik. Aku
nak keluar sekejap,” ucap Eddy pula.
Cuaca kelihatan cerah menyinari seluruh alam semesta. Suara
ombak menghempas pantai tak putus-putus kedengaran membelah
suasana. Marlisa masih lagi menghempaskan segala kisah silam yang
pernah dialaminya pada laut biru.
“Macam mana ni, bang? Dah seminggu Marlisa tak balik ke
rumah. Saya risaulah, bang,” kata ibunya sambil menangis teresak-
esak.
227
“Nak buat macam mana, Mah. Kita pun dah laporkan pada polis.
Kita tunggu ajelah. Dah puas kita cari kat rumah kawan-kawan dia.
Tapi tak ada. Entah ke mana hilangnya,” ayahnya sebaliknya bersuara.
“Bang! Marlisa tulah satu-satunya anak kita bang!” ingat ibunya
pada ayahnya sambil tak henti-henti menangis.
“Ya! Itu abang tahu!” angguk ayahnya pula.
“Tapi dia sendiri yang pilih nak keluar dari rumah ni. Mentang-
mentang dah besar tak boleh ditegur,” ayahnya mencelah.
Perbualan ayah dan ibunya lantas terhenti. Kedengaran bunyi
telefon bimbit ayahnya.
“Hello! Waalaikumsalam. Ya, cikgu. Setakat ni belum dapat apa
berita, cikgu. Apa? Saya faham, cikgu. Tindakan itu memang terpaksa
diambil. Yalah, cikgu. Waalaikumsalam!” ayahnya menjawab panggilan
itu.
“Kenapa, bang?” ibunya pantas menyoal.
228
Ayahnya tidak menjawab pertanyaan ibunya itu. Dia sebaliknya
hanya menggeleng-gelengkan kepala.
“Cikgu Marlisa telefon. Dia kena buang sekolah. Sebab dah lama
tak datang,” jelas ayahnya pula.
Kisah silam yang pernah melanda dirinya sukar untuk dilupakan.
Semakin jelas dan kuat menyelubungi ingatannya. Walaupun telah lama
berlalu pergi. Entah mengapa! Dengan tiba-tiba sahaja segala noda dan
dosa yang pernah terpalit di dirinya selama ini seolah-olah tercermin di
atas permukaan laut biru.
“Malam ni ada pertaruhan besar,” kata Eddy.
“Pertaruhan besar?” ucap Marlisa pula.
“Ya! Malam ni kau ikut balik mamat yang menang. Besok pagi aku
ambil kau balik. Faham?” Eddy bersuara sambil mendongakkan kepala
memandang wajah Marlisa.
“Eddy …. Aku …,” dia terhenti.
229
“Kenapa dengan kau ni, hah? Kan aku dah kata. Buat apa yang
aku suruh!” arah Eddy dengan mengeluarkan suara yang berbunyi
keras.
“Tapi, Eddy kau buat aku macam perempuan murahan. Tiap-tiap
malam lepas perlumbaan kau serahkan aku pada mamat yang menang.
Kadang-kadang kau bawa balik kawan-kawan. Berseronok dengan aku.
Duit kau dapat. Kau ingat aku ni apa, hah?” jawab Marlisa.
“Hei, perempuan! Kau dengar sini baik-baik. Ini Eddy tau. Apa
yang aku suruh kau mesti buat. Jangan banyak cakap!” ingat Eddy.
Tiba-tiba telefon bimbit Eddy kedengaran berbunyi.
“Hello! Ya, bos. Gua tahu. Tapi gua belum dapat bayar pasal tak
ada wang. Macam ni ajelah, bos. Gua ada barang baik mau kasi sama
lu. Percayalah gerenti baik punya. OK. Kasi langsai semua hutang. Nanti
gua bawa itu barang. Nanti lu tunggulah.” Demikianlah butir perbualan
Eddy dengan pemanggil.
“Sudah! Mari ikut aku cepat!” ujar Eddy pada Marlisa.
“Nak ke mana ni?” soalnya pula.
230
“Jangan banyak cakap. Aku kata ikut kau ikut ajelah!” paksa
Eddy sambil meninggikan suara.
Ternyata dia salah memilih kawan. Eddy telah menghumbannya
ke lembah kehinaan. Dia dijadikan sebagai umpan untuk Eddy
menyelesaikan segala hutang dan memperolehi kemewahan.
“Aku tak sangka, Eddy …. Sanggup kau buat aku macam ni ….”
Marlisa mengeluarkan nada suara tersekat-sekat sambil menangis
teresak-esak.
Dia sebaliknya ketawa terbahak-bahak apabila mendengar luahan
Marlisa itu.
“Hei, Marlisa! Tak sangka aku. Perempuan cantik macam kau ni
setahu aku bijak. Memperdayakan semua lelaki. Wang pun senang
dapat. Tapi lain pulak dengan kau ni. Bodoh!” Eddy melemparkan kata-
kata pedas dan menyakitkan hati Marlisa.
“Sudah …! Kau memang lelaki tak guna …! Setan …! Kau
jahanamkan hidup aku …!” pekiknya sambil menangis. Namun begitu
Eddy langsung tidak mengendahkannya dan terus ketawa terbahak-
bahak.
231
“Sekarang baru kau tahu aku ni setan. Habis selama ni siapa
yang kutip kau macam sampah dan bawa tinggal di sini. Aku! Hidup
bersama macam suami isteri. Lepas tu aku beri kau peluang merasai
keseronokan hidup dengan bermacam lelaki. Tak sangka aku. Kau ni
tak ubah seperti melepaskan anjing yang tersepit,” dia bersuara pada
Marlisa setelah ketawanya reda.
“Kau tu yang binatang! Aku nak balik!” pekik Marlisa lagi dengan
tak henti-henti menangis.
“Apa? Kau nak balik?” Eddy berkata dengan mengangkat kepala
melihat mukanya.
“Ya! Aku nak balik!” Marlisa pantas mengangguk-anggukkan
kepala.
“Kau memang lelaki yang tak guna. Aku benci kau!” sambungnya
lagi sambil menjerit dengan sekuat-kuat hati.
“Hei! Kau dengar sini baik-baik, ya. Keluarga kau tak akan terima
kau balik. Tak ada siapa yang nak terima kau. Sedarlah diri tu. Kau tu
perempuan kotor. Reti?” jerkah Eddy dengan cepat menolak Marlisa
sehingga jatuh ke lantai.
232
“Kau dengar sini lagi. Aku akan pastikan yang kau tak akan
keluar dari rumah ni. Aku akan jadikan kau pembawa keuntungan
kepada aku. Kalau kau cuba lari nahas kau!” ugut Eddy pula.
Marlisa hanya terdaya menangis teresak-esak. Mengenangkan
nasib malang yang menimpa dirinya. Di ketika ini barulah terbayang
wajah ayah dan ibunya di ruang mata. Rasa penyesalan timbul di
hatinya. Inilah akibat apabila terlalu menurut kata hati. Tanpa berfikir
panjang.
Barulah dia mengerti kini. Segala yang dibuat oleh ayah dan
ibunya selama ini adalah demi kebaikan kerana rasa kasih sayang pada
seorang anak.
Nasib gadis remaja Marlisa bertambah parah. Lelaki yang bernama
Eddy telah mengambil kesempatan di atas kelemahan dirinya. Dia telah
dijual di hotel murahan. Tetapi dalam satu serbuan membanteras
maksiat oleh pihak berkuasa dia telah ditahan.
Memandangkan dia masih gadis remaja lagi dia telah dihantar ke
sekolah pemulihan akhlak.
233
“Walau seburuk mana pun kau Marlisa kau tetap anak mak dan
ayah …,” kata ibunya sambil menangis ketika melawatnya.
“Ya, Marlisa! Ayah harap kau akan belajar menjadi gadis yang baik
budi pekerti selama di sini,” sahut ayahnya pula.
“Ayah …! Mak …! Maafkanlah, Marlisa. Marlisa benar-benar
menyesal. Kalau Marlisa dengar cakap ayah dan mak tentu Marlisa tak
akan jadi macam ini …,” balasnya dalam nada suara yang perlahan
sambil menangis.
“Syukurlah, nak kerana Tuhan masih sayangkan kau lagi.
Membukakan pintu taubat untuk kau kembali semula ke pangkal jalan,”
tambah ibunya.
Kini dia telah keluar dari sekolah pemulihan akhlak. Dengan tiba-
tiba air matanya mengalir membasahi pipi. Mengenangkan gelora
kehidupan yang pernah dialaminya. Sama seperti yang adakalanya
melanda laut biru yang direnungnya.
234
17
ANAK NELAYAN DAN ANAK KORPORAT
Di kaki langit biru matahari kian meninggi. Bersama gumpalan
awan tebal memutih. Jalur-jalur cahayanya kelihatan lurus menyinari
seluruh alam semesta. Bayu laut bertiup lembut. Dingin dan nyaman
membungkus suasana. Pohon-pohon yang tumbuh di tepi-tepi pantai
bagai menari-nari. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Mengikut
rentak tiupan angin.
Daun-daun hijau kedengaran mengeluarkan irama yang sungguh
merdu. Apabila bergeseran di antara satu sama lain. Jiwa yang dibaluti
dengan kesepian dan kekosongan akan menjadi terhibur apabila
mendengarnya. Desiran ombak tidak putus-putus menghempas gigian
pantai. Buih-buih memutih berapungan membasuh butiran pasir halus
dan batu-batu kecil.
Wahid menarik nafas panjang. Dia melemparkan pandangan
sejauh-jauhnya ke arah laut yang membiru melalui pondok kecil yang
bertiangkan dan berlantaikan kayu. Deretan rumah-rumah peranginan
jelas kelihatan. Fikiran Wahid menerawang jauh bersama gulungan
ombak yang setia menghempas pantai. Wahid sebenarnya sedang
235
mencari ilham untuk melukis. Setiap yang tergambar dalam
perasaannya dan dilaluinya dalam kehidupan ini dicurahkannya dalam
lukisan.
Bagi Wahid lukisan adalah segala-galanya dalam mewarnai
perjalanan hidupnya. Tanpa lukisan dia merasakan seolah-olah tidak
bermaya dan gelap dalam hidup ini. Kanvas dan berus adalah teman
sejatinya. Minat Wahid melukis sejak dari kecil lagi. Bermula dengan
menconteng di atas butiran pasir dengan menggunakan ranting kayu
atau lidi penyapu. Kemudian apabila bersekolah rendah dia menconteng
di atas kertas.
Dia masih ingat lagi. Sewaktu di sekolah rendah dia sering
dimarahi oleh guru. Asyik melukis sahaja. Tidak pandai dalam mata
pelajaran lain. Apabila di sekolah menengah dia sering mendapat
kepujian dalam mata pelajaran lukisan. Lamunannya yang jauh benar
melayang sehingga ke awangan itu lantas terhenti. Kedengaran suara
wanita memberi salam. Dia lantas menoleh ke arah suara yang lembut
itu dan menjawab salam.
“Jauh mengelamun nampak. Maafkan saya. Mengganggu awak
ke?” tanya Rosnani dengan lembut dan penuh sopan.
236
“Oh tidak. Jemputlah duduk. Saja-saja aje tenangkan fikiran pagi
ni. Awak pulak dari mana. Dah sarapan ke belum?” Wahid sebaliknya
menjawab sambil memandang wajah Rosnani yang sungguh ayu dan
jelita apabila disapu oleh angin yang bertiup dari arah laut. Seperti
rembulan yang jatuh ke riba diibaratkan. Dia kemudiannya lalu duduk
bersebelahan dengan Wahid.
“Macam awak jugak. Saja-saja aje mengambil angin laut. Saya dah
sarapan. Sedap betul nasi lemak di warung Mak Limah. Yang awak tu
dah sarapan ke belum?” balas Rosnani.
“Sudah!” Wahid mengangguk pantas. Rosnani kemudiannya
memandang kawasan sekeliling. Wahid hanya memerhatikan sahaja
gelagat Rosnani itu. Dia kemudiannya memandang semula Wahid.
“Saya suka tempat ni. Tenang dan damai. Tak silap saya memilih
tempat bercuti,” Rosnani menambah.
“Macam mana dengan rumah peranginan yang awak duduk tu?
Bagus ke?” soal Wahid pula sambil mengangkat kepala tinggi sedikit.
Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa teroleng-oleng hinggap di atas
pondok yang beratapkan nipah.
237
“Memang bagus sekali. Dah banyak tempat peranginan saya pergi.
Termasuk luar negara. Inilah kali pertama saya berjumpa dengan
tempat yang paling bagus sekali.” Rosnani menghamburkan kata-kata
pujian. Wahid sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata
gadis manis dari kota besar itu.
“Kenapa awak ketawa? Ada yang tak kena ke dengan apa yang
saya cakapkan tadi?” Dia lalu berasa hairan apabila melihat senyuman
terukir jelas di wajah Wahid.
“Tak ada apa-apa?” dia menggeleng-gelengkan kepala apabila
menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Rosnani itu.
“Habis tu? Tentu ada sesuatu yang lucu awak rasakan. Masa kan
tidak dengan tiba-tiba saja awak tertawa kecil,” Rosnani pantas
memotong.
“Kan saya dah kata tadi. Tak ada apa-apa yang melucukan. Cuma
timbul di hati saya sama ada awak ikhlas memuji tempat ini atau
terpaksa. Kerana awak berhadapan dengan saya. Itu saja. Saya minta
maaf kalau penjelasan saya ini benar-benar keterlaluan bagi awak,”
pinta Wahid dalam nada suara sayup-sayup tenggelam bersama desiran
ombak yang gagah perkasa menghempas pantai.
238
“Tak perlu awak minta maaf pada saya. Lagipun awak tak ada
buat salah apa-apa. Memang betul kata awak tu. Saya memang ikhlas.
Saya jatuh cinta pada tempat ni. Tak macam di bandar. Jalan raya
penuh sesak dengan kenderaan. Dari pagi sampai malam. Orang yang
hidup di bandar besar berlumba-lumba termasuk saya. Sibuk dengan
macam-macam urusan dalam kehidupan,” terang Rosnani pula dengan
panjang lebar.
“Jadi awak suka dengan perkampungan nelayan seperti ni?”
Wahid menambah. Dia terperanjat apabila mendengar kata-kata yang
keluar daripada mulut Wahid itu.
“Perkampungan nelayan?” Rosnani mengangkat muka tinggi
sedikit. Seolah-olah tidak faham akan maksud Wahid itu. Dia dapat
membaca apa yang tergambar di fikiran Rosnani.
“Mungkin awak tak faham. Tak mengapalah. Awak tengok
kawasan sekeliling ini tidak ada rumah-rumah nelayan. Tapi suatu
masa dahulu ada. Sekarang digantikan dengan rumah-rumah
peranginan,” jelas Wahid pada Rosnani.
“Baru saya mengerti sekarang!” angguk Rosnani dengan cepat.
239
“Saya dapat bayangkan pada waktu itu. Kawasan pantai ini penuh
dengan pokok-pokok kelapa dan perahu-perahu nelayan,” ucap Wahid
lagi sambil mendongakkan kepala ke arah laut yang tenang membiru.
Dengan serta-merta ingatan masa lalu yang penuh kenangan indah
segar menjelma di ingatannya.
“Memang dapat saya bayangkan apa yang awak cakapkan tu. Tapi
sayangnya saya tak mengalaminya. Dari kecil hingga sekarang saya
hidup di bandar,” akui Rosnani.
“Saya suka pada laut. Tenang walaupun berombak dengan airnya
yang masin. Laut menjadi punca rezeki nelayan. Saya dibesarkan
dengan laut. Sebahagian daripada hidup saya adalah laut,” kata Wahid.
“Menarik sekali kata-kata awak itu. Awak anak nelayan rupanya.
Patutlah awak rapat dengan laut. Karya lukisan awak lebih kepada laut.
Baru saya mengerti sekarang. Kenapa awak selalu berada di tepi
pantai,” Rosnani mencelah. Wahid lantas terkejut. Rosnani tahu segala-
galanya mengenai dirinya.
“Macam mana awak tahu ni?” dia pura-pura bertanya sambil
memandang dalam-dalam wajah gadis dari kota itu yang datang bercuti
ke kawasan peranginan yang dahulunya perkampungan nelayan.
240
“Saya dengar cerita orang di sini,” Rosnani bersuara. Angin laut
seakan-akan menyanyi-nyanyi riang menghiburkan suasana. Bersama
rentak tari irama pepohonan dan dedaunan. Bisikan desiran ombak
tenang membelai mengiringi cuaca yang cerah. Damai jiwa terasa
bersama alunan dingin biarpun terik matahari memayungi seluruh alam
yang terang-benderang. Berkilauan putih berseri butiran pasir halus di
sepanjang pantai.
Sedar-sedar senja telah melabuhkan tirainya menyambut malam.
Matahari yang tadinya cerah bertukar warna seperti buah pinang
masak. Langit bertukar menjadi kelabu. Burung-burung telah pulang ke
sarang semula. Dia teringatkan kata-kata pujangga. Segala suka duka
yang dialami hari ini dihimpunkan menjadi pengalaman untuk
mendewasakan kita. Pengalaman adalah ibarat guru dalam hidup ini.
Kita belajar daripadanya. Wahid tidak pasti dari mana datangnya kata-
kata hikmah itu.
Dia cuma mendengar sahaja dan melekat kuat di ingatannya.
Malam itu selepas pulang dari surau dengan tiba-tiba sahaja dia
mendapat ilham untuk melukis. Selalunya dia akan menjadikan anjung
rumah sebagai tempat untuk menghasilkan lukisan. Menghadap ke arah
laut bersama sayup-sayup bunyi desiran ombak membelai pantai dalam
kepekatan malam. Dibelai hembusan dingin angin bersama lagu merdu
241
dendangan pohon-pohon dan daun-daun. Sinar rembulan dan kerlipan
bintang di kaki langit hitam amat indah dan benar-benar
membangkitkan ilham kepada Wahid untuk menghasilkan karya seni.
“Kau dah balik, Wahid?” tegur ibunya yang tiba-tiba muncul dari
bilik.
“Dah, mak!” Wahid membalas sambil berhenti dari melukis dan
memandang ke arah wajah ibunya yang telah tua itu.
“Mak dengar kau rapat dengan seorang budak perempuan dari
bandar yang datang bercuti ke kampung ni. Betul ke?” ibunya bersuara.
Angin malam yang lembut menerobos masuk melalui anjung. Segar
menyapu permukaan kulit ibunya yang telah tua dan kulit Wahid yang
masih muda itu. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan memecah
kesunyian malam.
“Wahid dengan dia cuma kawan aje. Rosnani namanya,” dia
menjawab pertanyaan yang diajukan oleh ibunya itu.
“Mak bukannya apa. Mak bimbang dia tu perempuan. Jangan
sampai perkara yang tak elok berlaku. Malu kita, Wahid,” pesan ibunya
dalam nada suara yang risau.
242
“Jangan bimbang, Mak. Wahid tahu batas agama dan adat dalam
berkawan. Mak percayalah.” Dia meyakinkan ibunya yang duduk di atas
tikar mengkuang. Tak lama kemudian adiknya Azri muncul. Dia
berkelulusan universiti. Tapi sampai sekarang masih tidak dapat
pekerjaan.
“Mak besok saya akan ke bandar. Ada temu duga kerja,” katanya
yang bersongkok memakai baju Melayu berwarna perang dan berkain
pelekat. Sama macam abangnya dari surau.
“Pergilah, Azri. Mak doakan mudah-mudahan kau dapat kerja,”
ujar ibunya pula. Wahid yang sedang asyik melukis lalu terhenti dan
memandang tepat ke arah adiknya yang masih tercegat berdiri di sisi
ibunya.
“Betul kata mak tu. Kau ada kelulusan. Carilah pekerjaan yang
sesuai dengan kelulusan kau tu,” celah Wahid.
“Terima kasih mak, abang. Insya-Allah dengan berkat doa dan
dorongan mak dan abang moga-moga dapatlah saya kerja. Dapat
jugaklah saya bantu keluarga kita,” Azri berjanji. Dia kemudiannya
memohon diri untuk masuk ke dalam bilik. Wahid dan ibunya yang
243
masih lagi di anjung rumah rancak berbual-bual. Sudah menjadi
kebiasaan. Ketika Wahid melukis dia akan ditemani oleh ibunya.
“Mak …. Penatlah, Wahid …. Mak masuk tidur dulu …,” ibunya
bersuara perlahan.
“Yalah, mak. Pergilah mak berehat. Saya nak siapkan lukisan ni
dulu,” Wahid menjawab. Ibunya lalu bangun dan mengatur langkah
menuju ke bilik.
Tinggallah Wahid seorang diri di anjung rumah. Dia amat tekun
dalam menyiapkan lukisan. Selagi tidak siap dia tidak akan berhenti.
Kadangkala sampai pagi dia baru masuk tidur. Wahid berasa penat. Dia
lalu berhenti seketika. Dengan renungan yang kudus dan penuh
bermakna dia melontarkan pandangan ke luar rumah. Dia masih ingat
lagi. Ketika zaman kanak-kanak dahulu pada waktu malam begini dia
dan Azri akan menyiapkan kerja sekolah sambil ditemani dengan api
pelita.
Sementara arwah ayahnya pula akan menjahit jala sambil
menghisap rokok daun. Ibunya pula akan menyediakan kopi ‘o’ pekat
minuman kegemaran ayahnya. Keesokan paginya selepas solat Subuh
arwah ayahnya akan turun ke laut mencari rezeki. Dia dan Azri berjalan
244
kaki ke sekolah. Pada waktu petang Wahid dan kawan-kawan akan
bermain di tepi pantai. Bila musim angin kuat layang-layang adalah
permainan utama dia dan kawan-kawan.
Alangkah indahnya masa itu ketika diingatkan. Namun begitu dia
tetap akur. Semuanya kini tinggal menjadi kenangan indah sahaja.
Tambahan pula ayahnya telah tiada. Sudah menjadi lumrah dalam
kehidupan. Apa yang dilalui masa lalu tak akan kembali lagi. Sama
seperti kata-kata sekali ombak melanda pantai berubah segala-galanya.
Perubahan tetap akan berlaku juga dalam mengharungi arus
kehidupan.
Melalui kaca jendela rumah peranginan Rosnani memeluk tubuh
sambil memandang laut yang diselubungi kegelapan dan hanya
kedengaran sayup-ayup desiran ombak membelai pantai. Kemudian dia
menoleh pula ke arah rumah-rumah kampung yang terdapat di kawasan
persekitaran pantai. Ada yang masih lagi terang-benderang dan ada
yang telah gelap.
Mungkin ada yang masih belum tidur lagi dan ada yang telah
tidur. Tiba-tiba telefon bimbit yang diletakkannya di atas meja berbunyi.
Lamunannya yang asyik memerhatikan laut dan rumah-rumah
kampung itu pantas terhenti. Siapa pulak telefon malam-malam ni?
245
Getus hati kecilnya. Tanpa berlengah lagi dia lalu mengangkat telefon.
Tertera nombor telefon orang yang telah menyakiti hatinya.
Dia malas untuk menjawab panggilan ini. Dipaksanya juga dirinya
untuk menjawab panggilan orang yang disayanginya tetapi telah
melukakan hatinya. Pedih seperti ditikam sembilu rasanya. Dia lalu
menekan butang panggilan. Kebosanan jelas terpancar di wajahnya yang
jelita.
“Hello, Rosnani. Maafkan saya. Awak dah tidur ke?” Zaki
bersuara.
“Belum. Ada apa awak telefon saya malam-malam ni?” Bunyi nada
suara Rosnani macam nak tak nak sahaja bercakap dengan lelaki
bernama Zaki itu.
“Kenapa dengan awak ni? Seperti tak suka aje bercakap dengan
saya. Kan saya dah kata. Saya cuma sayang awak seorang saja. Saya
dengan Azurah yang awak jumpa tempoh hari tak ada apa-apa. Dia tu
tergila-gilakan saya. Mentang-mentanglah saya ni berada ….” Dia tidak
sempat untuk menghabiskan kata-kata.
246
“Sudahlah, Zaki. Walau apa pun alasan yang awak berikan saya
tetap tak nak dengar. Tak usahlah awak nak berbohong dengan saya.
Terang-terang depan mata saya awak berpegang tangan dan begitu
mesra dengan dia. Awak memang dasar lelaki yang tak boleh
dipercayai!” bantah Rosnani dengan cepat sambil menggertap giginya
yang putih berseri. Menahan marah dan geram yang teramat sangat.
“Rosnani. Tunggu dulu. Dengar saya cakap ….” Suara Zaki
terputus lagi.
“Dahlah, Zaki. Cukuplah tu. Kita dah tak ada apa-apa hubungan
lagi. Kalau dia tu dah pilihan awak saya doakan semoga awak dan dia
bahagia. Selamat tinggal, Zaki …,” Rosnani berkata lemah dan terus
menutup telefon bimbitnya. Dia enggan bercakap lagi dengan lelaki itu.
Serta-merta rasa kesedihan menyelubungi wajahnya yang ayu dan
jelita itu. Dengan tiba-tiba juga air matanya mengalir membasahi
pipinya yang gebu dan halus itu bersama kepekatan malam. Umpama
titisan hujan yang turun membasahi bumi. Rasa pilu terasa menyiat-
nyiat di jiwanya. Hakikatnya Zaki adalah lelaki pertama dan terakhir
yang dicintainya dalam dunia ini. Rosnani amat menyayangi lelaki itu.
Dia tidak boleh melupakan lelaki itu walaupun cuma seketika.
247
Hidupnya terasa lemah dan tidak bermaya. Kalau sehari tidak
bertemu dan menatap wajah lelaki itu. Dia ingin sehidup semati dengan
Zaki dengan membina mahligai kehidupan bersama. Musnah berkecai
impian yang disemai. Bagai kaca yang terhempas ke batu dan tak
mungkin akan dapat bercantum kembali. Bahtera yang diidamkannya
dilayarkan bersama dengan Zaki ke pulau impian tidak kesampaian.
Tenggelam di lautan dihempas gelora dan gelombang ganas.
Disangkanya panas hingga ke petang tapi rupanya hujan di
tengah hari. Musnah berderai impian yang disemainya selama ini. Bagai
kaca yang terhempas ke batu. Tak mungkin akan dapat bercantum
kembali. Dia amat setia dalam percintaan tapi malangnya Zaki berpura
cuma. Kesepian dan kekosongan kini menyelubungi warna-warna
hidupnya. Dalam dunia percintaan Rosnani berpegang teguh pada kata-
kata kalau dia dah sayang seseorang itu dia akan sayang selama-
lamanya.
Kenangan indah sewaktu memadu cinta dan kasih sayang
sewaktu bersama dengan Zaki dahulu sukar untuk dilupakannya. Lelaki
yang dikenalinya sewaktu berada di luar negara dahulu sama-sama
menuntut dalam bidang perniagaan. Rasa sebak terus menusuk jiwa
Rosnani yang dilanda pasrah. Apabila mengenangkan semua itu semula.
Benar kata orang. Cinta itu memang indah. Dunia dipenuhi dengan
248
bunga-bunga berseri siang dan malam. Tapi bila terluka pedihnya terasa
seluruh hayat.
Mungkin bagi orang yang gagal dalam percintaan pengalaman
yang dilalui sungguh pahit. Seperti hempedu rasanya dan mengambil
keputusan nekad tidak mahu bercinta lagi. Bagi lelaki rela membujang
manakala bagi perempuan pula rela menjadi dara sehingga ke akhir
hayat. Bagi Rosnani kehadiran lelaki yang bernama Zaki cuma seketika
sahaja. Kemudian berlalu pergi meninggalkan dirinya dalam sendiri
dibayangi derita.
Dalam erti kata lain Zaki adalah ibarat setitis embun pagi yang
membasahi dedaunan dan rumput. Hilang dan kering apabila terbit
matahari. Namun begitu Rosnani tetap redha. Dia adalah insan yang
lemah di dunia. Semua ini adalah suratan takdir dari Tuhan Yang Esa
untuk menguji hidupnya. Sebagai manusia apa yang telah
ditentukannya dia tidak mampu menolaknya. Harus diterima dengan
sabar dan tabah. Selagi masih melihat matahari di siang hari dan
rembulan di malam hari. Sesungguhnya hidup ini penuh dengan
pelbagai ujian dan cabaran. Perlu dihadapi dengan kekuatan dan
ketenangan.
249
Lantaran itu dia lalu mengambil keputusan. Mengubati
kekecewaan di hati dengan bercuti di kawasan peranginan yang
dahulunya adalah merupakan sebuah perkampungan nelayan. Dia
memunajatkan doa ke hadrat Allah SWT. Semoga diberikan kekuatan
untuk meneruskan hidup dan tetap menaruh harapan agar ditemukan
dengan lelaki yang lebih baik daripada Zaki. Dia akur bahawa setiap
yang dikurniakan oleh Pencipta itu sama baik atau buruk tersembunyi
hikmah di sebaliknya. Di sebalik kesedihan yang melanda dirinya
sepanjang malam dengan tiba-tiba sahaja dia teringat ungkap yang
berbunyi kalau kita tidak merasa bahagia pada hari ini usah kecewa
mungkin esok Tuhan sudah sediakan hari bahagia untuk kita. Rosnani
lalu mengesat dengan tangan titis-titis air mata yang membasahi pipinya
apabila teringat kata-kata yang penuh bermakna dan semangat itu.
Kesejukan alat penghawa dingin jelas terasa mengepung seluruh
ruang bilik itu. Hawanya termampan pada dinding batu pejal yang dicat
dengan warna biru tua. Manakala permaidaninya berwarna merah hati.
Zaki lalu berjumpa dengan Datuk Baharuddin ayah Rosnani. Dia duduk
tersandar di atas kerusi pusing berwarna hitam sambil memakai kot dan
bertali leher.
250