“Macam mana ni, Datuk? Rosnani ni betul-betul keras hatilah.
Dah berkali-kali saya telefon sejak semalam. Ditutupnya,” luah Zaki
dalam nada suara hampa.
“Kenapa Zaki beria-ia sangat nak hubungi dia? Kan dia tengah
bercuti. Biarkanlah. Tak usah diganggu,” tambah Datuk Baharuddin
pula. Dia sudah tahu perkara yang sebenarnya berlaku. Tapi dia buat
pura-pura tidak tahu. Zaki berasa amat tidak senang sekali apabila
mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Datuk Baharuddin
itu.
“Saya nak tahu dia bercuti di mana. Saya nak jumpa dia.
Bincangkan pertunangan yang akan berlangsung tidak lama lagi,” jelas
Zaki pula.
“Bincangkan pasal pertunangan?” Sekali lagi Datuk Baharuddin
buat pura-pura tidak mengerti akan kata-kata Zaki itu sambil menarik
badan ke depan dan mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang
Zaki yang memakai kot dan bertali leher.
“Ya!” dia sebaliknya membalas dengan mengangguk-anggukkan
kepala.
251
“Takkan Datuk tak tahu lagi. Kan ayah dah bincang perkara ini
dengan Datuk. Pujuklah dia Datuk. Sebagai anak dia pasti akan
mendengar cakap Datuk sebagai ayah,” Zaki menambah lagi dengan
lembut. Dia berharap dengan menggunakan Datuk Baharuddin
hubungannya dengan Rosnani akan kembali bertaut.
“Zaki …! Zaki …!” Datuk Baharuddin hanya menggeleng-gelengkan
kepala dan mengukir senyuman kecil apabila mendengar penjelasan
yang tidak benar sama sekali daripada anak Datuk Abdullah itu. Dia
tidak mudah lembut dan terpedaya dengan cakap Zaki itu. Setahu dia
tak pernah pun dibincangkan perkara ini dengan rakan
seperniagaannya. Cuma yang dia dan Datuk Abdullah tahu Rosnani dan
Zaki hanya berkawan sahaja. Belum lagi sampai ke tahap untuk
disatukan dahulu dengan pertunangan dan kemudiannya dengan
perkahwinan.
“Kenapa ni, Datuk? Tak betul ke apa yang saya cakapkan ini?”
tanya Zaki.
“Saya nak nasihatkan Zaki. Jangan beritahu saya keputusan yang
telah dibuat tanpa perundingan dengan ayah Zaki terlebih dahulu.
Begini ajelah, Zaki. Saya nasihatkan Zaki akan belajar menghormati
perasaan wanita yang mengasihi kita sebagai lelaki dan bukannya
252
mempermainkan perasaannya,” terang Datuk Baharuddin dalam nada
suara yang tegas tapi lembut.
“Apa ni, Datuk? Saya betul-betul tak faham dengan maksud
Datuk ni. Tolonglah, Datuk. Janganlah kusutkan lagi fikiran saya ni,”
pinta Zaki sebaliknya sambil kerut jelas terpancar pada wajahnya.
“Jangan buat tak faham, Zaki. Saya tahu kenapa Rosnani
bertindak menjauhkan diri daripada Zaki. Bukan saja Rosnani nampak
Zaki keluar dengan perempuan lain tetapi saya juga nampak semalam.
Sudahlah, Zaki. Saya ada mesyuarat. Sampaikan salam saya pada ayah
Zaki,” ucap Datuk Baharuddin. Zaki lantas menjadi terkedu. Memang
benar dan tidak dapat dinafikan lagi. Semalam dia keluar dengan
perempuan lain. Tapi bukan dengan Azurah. Kali ini dengan Rohayati
pula. Dia kemudiannya lalu meninggalkan bilik Datuk Baharuddin
dengan penuh perasaan hampa dan kecewa.
Hari-hari yang berlalu terasa dengan begitu pantas sekali. Sudah
seminggu Rosnani berada di sini. Petang itu cuaca kelihatan redup
sahaja. Matahari tidak kelihatan langsung di kaki langit. Namun begitu
tiada tanda-tanda hujan akan turun membasahi kawasan peranginan
dan kampung yang berhampiran dengannya. Angin dari arah laut
bertiup sepoi-sepoi bahasa. Membelai seluruh alam semesta.
253
Sang camar putih bebas berterbangan berpasangan ke sana sini.
Membelah angkasa yang luas sambil bernyanyi-nyanyi riang. Sesekali
hinggap di dahan membuat sarang dan kemudian terbang semula.
Desiran ombak tetap tenang menghempas pantai. Buih-buih memutih
bermain dengan penuh keriangan di gigian. Sekejap timbul dan sekejap
hilang. Seperti biasa butiran pasir halus dan batu-batu kecil akan basah
dengan kejadian ciptaan Tuhan itu. Pepohonan dan dedaunan hijau
bagai menari-nari. Mengikut tarian angin yang berhembus dingin dan
nyaman. Rasa segar dan nikmat yang tak terhingga jelas terasa apabila
menyapu permukaan kulit.
“Cantik lukisan awak,” kata Rosnani sambil membelek satu
persatu lukisan yang dibawa oleh Wahid. Rambutnya yang panjang
hitam ikal mayang sehingga mencecah paras bahu itu mengerbang
apabila ditiup angin laut.
“Yang ini saya hadiahkan istimewa untuk awak. Semalaman saya
tak tidur untuk menyiapkannya,” Wahid bersuara sambil menghulurkan
lukisan yang menggambarkan sebuah perkampungan nelayan.
“Ya ke. Cantik sungguh lukisan awak. Terima kasih. Memang
awak berbakat. Kalau awak jual dengan harga yang mahal pun saya
254
sanggup beli lukisan ini,” jawab Rosnani sambil melihat dalam-dalam
lukisan itu.
“Saya tak fikirkan soal bayaran. Yang penting kepuasan dalam
berkarya. Agar insan seperti awak faham apa yang tergambar dalam
perasaan saya. Mensyukuri kehidupan yang dianugerahkan oleh Tuhan.
Bermula dari kita dilahirkan sehinggalah kematian menjemput kita
nanti,” dia menambah sebaliknya sambil membetulkan duduk di lantai
pondok.
“Dalam sekali kata-kata awak tu. Apa yang saya lihat awak ni
selain daripada seorang pelukis juga seorang penyair rupanya,” ujar
Rosnani pula.
“Melukis sudah menjadi darah daging dalam hidup saya. Dunia
penyair tidak pernah saya ceburi. Cuma membaca buku-buku penyair
terkenal bertemakan ketuhanan, kemanusiaan dan alam semula jadi.
Saya tak boleh ketepikan karya puisi kerana ia berkait rapat dengan
lukisan yang saya hasilkan. Walaupun bertemakan kehidupan laut,”
terang Wahid.
“Apa yang awak cakapkan itu memang saya akui kebenarannya.
Ada yang bernasib baik dan ada yang tak bernasib baik. Ada yang
255
bahagia dan ada yang tak bahagia. Ada yang berjaya dalam hidup dan
ada yang tak berjaya dalam hidup. Tapi bagi saya kita harus bersyukur
dengan apa yang telah dikurniakan oleh Tuhan,” Rosnani menambah.
“Maafkan saya kalau bertanya. Itu pun kalau awak tak keberatan
dan menyentuh perasaan awak untuk menjawabnya.” Dia memandang
tepat wajah Rosnani yang duduk bersebelahan dengannya.
“Apa dia?” soal Rosnani berkulit putih dan halus sambil
mengangkat kepala tinggi sedikit.
“Apa sebenarnya pekerjaan awak dan kenapa awak datang bercuti
ke sini?” Pertanyaan yang diajukan oleh Wahid.
“Saya bekerja dengan ayah saya seorang ahli perniagaan. Saya
datang bercuti ke sini saja untuk merehatkan fikiran setelah penat
bekerja,” dia cepat menjawab soalan Wahid itu.
“Awak sungguh bertuah memiliki keluarga yang mewah dan
berada. Berbanding dengan saya. Kehidupan keluarga saya lebih
mengenal erti kesusahan daripada kesenangan. Kais pagi makan pagi
kais petang makan petang,” jelas Wahid.
256
“Tentu awak selalu mengikut ayah awak turun ke laut.” Rosnani
semakin berminat untuk mengetahui liku-liku kehidupan yang dilalui
oleh Wahid sebagai anak nelayan. Dia sebaliknya tidak pantas
menjawab pertanyaan Rosnani itu. Ditariknya nafas dalam-dalam.
Bersama alunan ombak yang tak henti-henti membelai pantai maka
terbayanglah kejadian di laut yang dilalui olehnya bersama dengan
arwah ayahnya. Wahid kemudiannya mengalihkan pandangan yang
melekat di laut yang tenang membiru dan memandang wajah Rosnani.
“Saya dan arwah ayah saya pernah dipukul gelombang ganas di
lautan. Syukur alhamdulillah. Umur saya dan arwah ayah saya masih
lagi dipanjangkan oleh Tuhan. Kami dapat menyelamatkan diri …,” dia
bersuara perlahan. Rosnani hanya berdiam diri apabila mendengar
cerita Wahid itu. Rasa keinsafan benar-benar terbit di hatinya.
Kehidupan yang dilaluinya jauh berbeza dengan kehidupan yang dilalui
oleh Wahid. Umpama langit dan bumi. Mungkin sudah ketentuan
Tuhan. Dia ditemukan dengan orang seni macam Wahid sewaktu
bercuti.
“Wahid …. Awak anak nelayan …. Saya anak korporat …. Di sini
kita bertemu ….” Nada suara Rosnani berbunyi perlahan dan tenggelam
bersama gulungan ombak yang terus menghempas pantai.
257
18
RINDU AYAH RINDU ANAK
Hujan turun lebat malam tadi. Pohon-pohon dan daun-daun
kelihatan basah. Begitu juga dengan rumput-rumput menghijau. Langit
nampak kelabu. Matahari tidak kelihatan. Mungkin kesan daripada
hujan lebat yang bermula daripada tengah malam tadi sehinggalah ke
subuh.
Kedinginan. Jelas terasa menyelubungi suasana desa. Yang penuh
dengan ketenangan dan kedamaian. Dingin yang diarasai ketika ini juga
kesan daripada hujan yang turun mencurah-curah lebat malam tadi.
Begitu juga dengan kabus putih. Nampak melitupi puncak bukit-
bukau yang subur menghijau. Melalui jendela yang terbuka luas
kelihatan tegap berdiri seorang lelaki tua. Haji Dollah namanya.
Ketayap putih, baju Melayu dan kain pelikat yang dipakainya
sewaktu meunaikan solat Subuh tadi masih lagi belum disalinnya.
Seperti biasa dia menunaikan solat Subuh di surau. Tidak jauh dari
rumahnya. Tapi hari ini kerana hujan lebat yang turun sejak malam tadi
258
dia tidak dapat pergi ke surau untuk menunaikan solat Subuh secara
berjemaah. Sebaliknya dia menunaikan solat Subuh di rumah saja.
Selepas menunaikan solat Subuh baru hujan berhenti. Hujan
sentiasa turun sejak akhir-akhir ini. Tak menentu. Adaketikanya pagi.
Adakalanya tengah hari. Begitu juga petang dan malam.
Haji Dollah melemparkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah
bukit-bukau yang masih lagi ditutupi kabus. Berhadapan dengan
rumahnya. Entah mengapa! Dengan tiba-tiba saja hati tuanya berasa
rindu pada Azam. Satu-satu anak lelakinya dengan arwah isterinya
dulu.
“Ayah memang dah tak sayang lagi dengan arwah mak!” bantah
Azam dengan sekeras-kerasnya.
“Zam …. Nanti dulu ….” Dia memujuk lembut anaknya.
“Sudah, ayah! Sudah! Kalau ayah dah benar-benar nak berkahwin
dengan Mak Cik Siah, teruskanlah. Tapi saya dah buat keputusan!”
tegas Azam pula sebaliknya.
259
“Keputusan?” Haji Dollah berasa amat terkejut. Apabila
mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut anaknya itu.
“Ya, ayah!” angguk anaknya.
“Zam …. Dengar dulu apa yang ayah nak cakapkan ni. Tak elok
bertindak terburu-buru. Mari kita sama-sama selesaikan masalah ni,”
tahannya.
“Tak perlu, ayah!” Azam tetap berkeras sambil menggeleng-
gelengkan kepala.
“Saya akan keluar dari rumah ni! Selamat tinggal, ayah!”
Demikianlah keputusan yang diambil oleh Azam. Bila ayahnya mahu
berkahwin lagi. Dengan Mak Cik Siah juga seorang janda beranak lima.
“Tunggu dulu, Zam! Jangan pergi. Zam! Zam!” kata Haji Dollah.
Namun tetap tidak diendahkan oleh anak lelaki tunggalnya itu.
Azam nekad meninggalkan rumah. Dia benar-benar berasa kecil
hati dengan ayahnya. Dia tak boleh menerima Mak Cik Siah sebagai ibu
tiri. Untuk menggantikan ibunya yang telah pergi buat selama-lamanya.
260
Bagi Azam ibunya yang kini sedang bersemadi di alam baqa adalah satu-
satunya ibu yang telah melahirkannya ke dunia ini.
Sampai ke akhirat pun itulah ibu yang dia ada. Tak mungkin ada
dua atau ramai ibunya.
Dia sangat sayangkan ibunya yang kini sudah tiada lagi. Tapi
ayahnya tidak. Ibu pasti akan menangis dalam kubur. Apabila tahu
ayah buat begini. Demikianlah bisik hati kecil Azam.
Nafas yang panjang ditarik sedalam-dalamnya oleh Haji Dollah.
Peristiwa itu tetap melekat segar di ingatannya. Walaupun telah lama
berlalu pergi dalam hidupnya.
Tapi bagi dia ia seolah-olah baru saja berlaku semalam. Kerana
memilih untuk berkahwin lagi dia putus kasih sayang dengan anaknya.
Dalam cuaca pagi yang dibungkus dengan kedinginan hati Haji Dollah
benar-benar tersentuh. Tatkala teringatkan peristiwa itu.
"Jauh benar nampaknya mengelamun. Apa yang abang fikirkan
tu?" tegur isterinya.
261
Serta-merta lamunan Haji Dollah yang jauh melayang hingga
entah ke mana itu pantas terhenti. Diam. Itu saja yang dipilihnya.
Sambil terus memandang ke luar. Masih tegak berdiri di tepi jendela.
Sejak dari tadi. Tidak menoleh ke belakang. Memandang isterinya yang
duduk di kerusi.
Perlahan-lahan Haji Dollah mengangkat kepala. Merenung jauh
langit yang masih lagi kelabu. Bersama lembut tiupan angin. Membelai
pohon-pohon dan daun-daun hijau. Mengangguk-angguk. Meliuk-liuk.
Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Lemah-gemalai. Mengikut rentak
tiupan angin.
Bunyi desiran angin sungguh menyentuh jiwa pabila didengar.
Seolah-olah turut menghulurkan simpati. Dengan apa yang dirasai oleh
Haji Dollah ketika ini. Rindu. Teramat sangat. Pada anaknya yang
bernama Azam. Hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya yang
dulu.
Sayu dan pilu jelas kelihatan di wajahnya yang kian dimamah
usia itu. Cuma air mata saja yang masih belum mengalir. Masih mampu
ditahannya. Walaupun kesedihan berkocak di jiwanya.
262
Isterinya dapat membaca dari raut wajahnya yang muram itu.
Seperti cuaca pagi ini yang tanpa sinaran matahari. Tak seperti biasa.
Terang-benderang. Menerangi seluruh alam semesta.
"Abang teringatkan Azam …." Haji Dollah akhirnya bersuara.
Lemah bunyinya. Mengiringi suasana suram yang memayungi seluruh
kampung.
"Dah lama abang tak jumpa dia," tambahnya lagi. Semakin
perlahan suaranya. Namun jelas dapat didengar oleh isterinya.
Memahami dengan apa yang sedang menyelubungi benak suaminya di
waktu ini.
"Sudahlah, bang. Siah faham dengan perasaan abang. Azam tulah
satu-satunya anak abang dengan arwah Kak Rahimah dulu. Sabar
ajelah. Jawapan yang diberikan oleh isterinya. Untuk memadamkan
rasa sayu di jiwanya.
"Kenapalah dia marah sangat? Sampai tak boleh terima Siah,"
luah Haji Dollah pula. Langit suram terus direnungnya.
"Biarkanlah, bang. Sama-samalah kita berdoa. Moga satu hari
nanti dia akan balik bertemu dengan abang semula," ujar isterinya.
263
Mendengarkan saja kata-kata isterinya itu membuatkan Haji
Dollah diam. Semua ini adalah dugaan Tuhan. Harus diterima dengan
rasa penuh sabar dan redha. Untuk menguji sejauhmana keimanan
hamba-Nya.
Setiapkali selepas sembahyang dia tidak lupa memunajatkan doa.
Moga anak yang dirinduinya itu kembali semula kepadanya.
"Kenapa ni, Zam? Dua tiga hari ni aku nampak kau termenung
aje. Kau ada masalah ke?" soal Shukri. Rakan serumahnya.
Azam sebaliknya diam. Tidak menjawab pertanyaan Shukri itu. Di
luar cuaca nampak cerah. Sejak dari pagi tadi sehinggalah ke petang ini.
Tanda-tanda hujan akan turun tidak kelihatan langsung.
"Cakaplah, Zam? Kenapa kau jadi begini? Tak macam selalu. Atau
kau tak sihat agaknya," desak Shukri pula.
"Tak ada apa-apalah …!" Azam menggeleng-gelengkan kepala dan
berkata perlahan.
"Kau tak usahlah, risau. Aku sihat," sambungnya lagi sambil
memandang wajah rakan serumahnya itu.
264
"Dah tu? Aku tengok kau sejak akhir-akhir ni muram. Macam
memikirkan sesuatu. Kalau kau ada masalah kau beritahulah aku.
Manalah tahu sebagai seorang kawan boleh tolong," ucap Shukri. Yang
duduk berhadapan dengannya.
"Pasal ayah aku." Azam akhirnya mengalah. Dengan memberitahu
perkara yang sebenar pada Shukri. Apa yang mengusik ingatannya.
Sehingga dia jadi tidak menentu.
"Tiba-tiba saja aku teringatkan dia," jelasnya.
Kesedihan dengan serta-merta jelas kelihatan di wajah Azam.
Matanya digenangi dengan air. Apabila terkenangkan ayahnya.
Rasa penyesalan yang teramat sangat juga mewarnai hatinya.
Dengan apa yang telah dilakukannya terhadap lelaki tua itu. Yang telah
membesarkannya bersama arwah ibunya di dunia ini.
Seingatnya dia mendapat belaian penuh kasih sayang daripada
ayahnya. Maklumlah anak tunggal kepada ayah dan arwah ibunya. Apa
saja yang diminta pasti akan ditunaikan oleh ayahnya. Tapi inikah
balasan yang diberikan kepada ayahnya. Dia lalu memejamkan mata.
265
Bila teringatkan semua itu. Deraian air mata mengalir laju. Umpama
hujan turun yang mencurah-curah. Membasahi pipinya.
Rasa simpati lalu lahir di hati Shukri. Apabila melihat wajah
rakan serumahnya itu dibalut dengan kepiluan. Sebaik-baik sahaja
memberitahu mengenai ayahnya.
"Aku berdosa pada dia," terang Azam. Bersama rasa sebak yang
semakin kuat menikam-nikam perasaannya.
"Apa yang telah kau buat?" ulang Shukri lagi. Sambil mengangkat
muka tinggi sedikit memandang muka Azam.
"Aku membenci dia …." Dia mengeluarkan bunyi nada suara yang
lemah dan tak bermaya. Perlahan-lahan tunduk. Semakin banyak air
matanya yang tumpah. Sukar untuk dibendung lagi. Tanda penyesalan.
Yang hanya mampu digambarkannya. Kerana membuatkan ayahnya
derita di atas perbuatannya selama ini.
"Kenapa jadi sampai begitu, Zam?" tanya Shukri tak henti-henti
pada Azam yang nampak tunduk sugul. Rasa sedih dan pilu semakin
kuat menapak di jiwanya yang masih muda itu.
266
Dengan tiba-tiba saja cuaca yang di luar tadi cerah bertukar
menjadi redup. Panas terik matahari yang tadinya menyinari seluruh
alam tidak lagi kelihatan. Langit sebaliknya bertukar menjadi mendung.
Angin bertiup lemah. Seolah-olah turut menghulurkan simpati. Pada
perasaan yang dirasai oleh Azam ketika ini.
"Sebab dia berkahwin lagi. Selepas emak aku meninggal dunia.
Kerana terlalu marahkan dia aku mengambil keputusan keluar daripada
rumah," terangnya.
Baru Shukri mengerti. Apabila mendengar penjelasan kawan
serumahnya itu. Yang tadinya merunduk layu. Kini bertentang muka
dengannya.
"Oh, begitu kisahnya!" Shukri membalas dengan anggukan.
"Tak seharusnya kau bersikap begitu, Zam. Walau apa pun dia
tetap ayah kau. Sudahlah tu, Zam. Buang yang keruh ambillah yang
jernih. Pulanglah temui ayah kau. Selagi kesempatan yang masih ada
ini," nasihat Shukri.
Azam lantas terdiam apabila mendengar kata-kata yang keluar
daripada mulut kawan serumahnya itu. Benar. Apa yang dicakapkan
267
oleh Shukri itu. Dia harus pulang menemui ayahnya. Mala mini jugak.
Sebelum terlambat untuk memohon ampun dan maaf. Di atas kesalahan
yang telah dilakukannya. Terhadap ayahnya selama ini.
"Aku nak bersiap sekarang!" Azam bingkas bangun sambil
mengesat air mata.
"Hah, eloklah tu!" Dengan cepat Shukri mencelah dan
mengangguk-anggukkan kepala.
"Moga kau selamat sampai ke kampung dan dapat berjumpa
dengan ayah kau," tambah Shukri lagi.
"Terima kasih, Shukri!" angguk Azam pula sebaliknya.
Sepanjang perjalanan ke kampung rasa rindu terhadap ayahnya
semakin bertiup kencang bagai angin. Tak sabar-sabar rasanya dia
hendak memeluk ayahnya yang sudah lama tidak ditemuinya.
Serentak dengan itu juga dia teringatkan arwah Pak Harun. Orang
tua yang dihantarnya ke hospital. Akibat ditimpa kemalangan.
268
"Terima kasihlah kerana anak bawa Pak Harun ke hospital. Kalau
tak, tak tahulah apa yang akan terjadi pada Pak Harun. Siapa nama
anak ni …?" dia bertanya dalam bunyi nada suara yang lemah.
Disebabkan kesakitan yang dialaminya. Ditambah pula dia banyak
kehilangan darah.
"Nama saya Azam. Pak Harun. Maafkan saya kalau bertanya. Dah
tiga hari Pak Harun berada di sini. Tapi isteri dan anak-anak Pak Harun
tak datang tengok," Azam bersuara.
Wajah tua Pak Harun pantas berubah menjadi sedih. Dia
menangis. Azam dapat membaca dari raut wajah Pak Harun itu. Macam
ada sesuatu yang mengusik perasaannya. Bila ditanya isteri dan anak-
anaknya.
"Kenapa Pak Harun berasa sedih sangat? Apa dah jadi dengan
isteri dan anak-anak Pak Harun?" Rasa ingin tahu semakin kuat
menendang-nendang benaknya.
"Isteri Pak Harun sekarang ada di kampung. Pak Harun datang ke
Kuala Lumpur ni sebab nak cari anak perempuan Pak Harun," jelas Pak
Harun padanya sambil menangis teresak-esak. Jelas tergambar rasa
sedih yang teramat sangat. Menyelubungi hati tuanya itu.
269
Kepiluan …. Lantas menyirami hati Azam. Bersama rasa sebak
dan hiba. Mendengar cerita Pak Harun. Yang mungkin sebaya dengan
usia ayahnya. Setelah sekian lama disisihkan daripada hidupnya. Hanya
disebabkan rasa marah ayahnya memilih Mak Cik Siah sebagai
pasangan hidup. Bagi menggantikan arwah ibunya.
"Di mana anak Pak Harun sekarang?" dia menyoal. Muka orang
tua yang nampak pucat dan lesu itu dipandangnya dalam-dalam.
Kasihan dia. Terlantar seorang diri. Tanpa ditemani oleh isteri dan anak-
anak. Untuk diberikan semangat. Menghadapi kesakitan yang
ditanggung akibat dilanggar lari.
Dia ditemui oleh Azam dalam keadaan pengsan di tepi jalan. Lalu
Azam membawanya ke hospital.
Lama juga dia tidak sedarkan diri. Akibat daripada cedera parah
yang dialaminya. Mungkin kerana dirinya yang sudah terlalu tua dan
uzur. Menyebabkan dia jadi begitu.
"Entahlah …. Pak Harun tak tahu di mana dia berada sekarang ….
Dia lari dari rumah …." Suaranya lemah dan terputus-putus. Bersama
nafas yang tercungap-cungap.
270
"Kenapa?" Dia berasa sungguh terperanjat. Mendengar penjelasan
daripada orang tua itu.
"Kerana mengikut teman lelakinya. Ibunya jatuh sakit kerana
rindukan dia. Ayah dan ibu mana yang tak sayangkan anak …," luahnya
perlahan pada Azam.
Demikianlah kata-kata terakhir yang didengarinya daripada arwah
Pak Harun. Sebelum dia menutup mata. Pergi buat selama-lamanya
meninggalkan dunia yang fana ini.
Kisah arwah Pak Harun benar-benar menerbitkan rasa keinsafan
di hatinya. Dia tidak mahu nasib malang yang menimpa arwah Pak
Harun terjadi pada ayahnya.
Haji Dollah dan isterinya rancak berbual-bual di ruang tamu
rumah. Kedengaran suara orang memberi salam. Perbualan mereka lalu
terhenti.
Salam yang dihulurkan itu lalu dijawab oleh Haji Dollah sambil
bingkas bangun dari kerusi dan perlahan-lahan mengatur langkah ke
pintu. Untuk melihat siapa yang datang.
271
"Ayah!"
"Azam!"
Mereka pantas berpelukan.
272
19
SEPI SEBUAH RUMAH PUSAKA
Sepi …. Sebuah rumah pusaka. Bagai diusik kematian. Tanpa
nisan. Mendung menyelubungi suasana. Tiada lagi kedengaran. Suara
tawa riang penghuninya.
Penuh rasa pilu di hatinya. Tak siapa yang tahu. Bersama deraian
air mata. Yang membasahi pipi. Umpama titisan hujan. Apabila melihat
rumah pusaka yang ditinggal sunyi.
Entah mengapa …! Hatinya benar-benar tersentuh.
Mengenangkan rumah pusaka. Pada suatu ketika dahulu pernah
menyemai benih-benih kebahagiaan keluarga. Masih segar bersemadi di
ingatannya.
Dia menarik nafas panjang. Sambil memeluk tubuh dia melihat
dalam-dalam rumah pusaka. Di sinilah dia dilahirkan. Di sinilah dia
dibesarkan. Mana mungkin. Dapat dia melupakan kenangan indah itu.
Yang pernah mewarnai hidup yang dilaluinya.
273
Masih lagi dia terbayang-bayang. Betapa gembiranya dia bersama
dengan isteri dan anak-anak begitu juga dengan adik-beradik lain
berkumpul di rumah ini setiap kali tiba hari raya. Tergambar rasa riang.
Yang amat sangat di wajah ayah dan ibunya. Melihat anak-anaknya
pulang untuk merayakan hari mulia.
Bukan selalu suasana sebegini dirasai. Hanya setahun sekali. Tapi
kini semuanya tinggal menjadi kenangan. Bila ayah dan ibunya sudah
tiada lagi. Jiwa rumah pusaka ini menjadi sunyi.
"Ayah ada satu permintaan. Boleh tak kau tunaikan?" pinta
ayahnya.
"Apa dia, ayah?" dia membalas. Wajah tua ayahnya itu
dipandangnya dalam-dalam. Tak mahu dilepaskannya.
"Sebagai anak yang sulung ayah berharap kau jagalah rumah ni
baik-baik. Apabila ayah dan mak dah tak ada nanti," sambungnya lagi.
"Insya-Allah, ayah!" dia mengangguk-angguk dengan pantas.
Sebaik-baik sahaja mendengar amanah yang disampaikan oleh ayahnya
itu.
274
"Saya tidak akan hampakan harapan ayah dan mak," janjinya.
"Alhamdulillah, Nasir!" sahut ayahnya pula. Dengan rasa penuh
gembira di hati. Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh
anaknya itu.
"Inilah satu-satunya harta yang kita ada," tambah ayahnya.
Kata-kata ayahnya itu masih lagi terpahat kukuh di ingatannya.
Walaupun ayahnya telah lama pergi dan tak akan kembali lagi. Masih
lagi segar kata-kata ayahnya itu. Seolah-olah baru saja didengarnya
sebentar tadi.
Bila diberi amanah perlu ditunaikan. Sememangnya dituntut
dalam agama. Tambah pulak amanah yang diberikan kepadanya datang
daripada ayahnya sendiri.
Rumah pusaka yang dibungkus dengan rasa penuh kesepian itu
dipandangnya dengan rasa penuh syahdu di hati. Angin bertiup lemah.
Daun-daun kering berguguran dan bertaburan memenuhi tanah.
Macam turut menghulurkan simpati.
"Mak …," dia bersuara lembut.
275
"Ayah dah tak ada. Marilah tinggal dengan saya," ajaknya.
"Tak apalah, Nasir …!" tolak emaknya pula sebaliknya. Sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
"Terima kasihlah atas pelawaan kau tu," ujarnya lagi.
"Mak …," celahnya dan lantas terhenti. Tidak dapat meneruskan
kata-kata.
"Walaupun ayah kau dah tak ada lagi mak tak akan tinggalkan
rumah ni. Itu janji emak pada ayah kau," emaknya pantas memotong.
"Kalau emak sakit nanti macam mana. Saya tak sanggup tengok
mak tinggal sorang-sorang di rumah ni. Nanti apa pulak kata orang. Ada
anak. Tapi hidup terbiar," jelasnya.
Desiran angin petang jelas kedengaran. Sepoi-sepoi bahasa.
Membelah seluruh kampung yang diwarnai dengan penuh keindahan
dan kedamaian. Hembusan angin membangkitkan rasa segar dan
dingin. Jelas terasa menyapu seluruh rumah pusaka yang beratapkan
zink. Berdinding dan berlantaikan papan.
276
"Soal mak tak usahlah kau bimbang, Nasir. Tahulah mak menjaga
diri nanti," emaknya berkata.
Puas berkali-kali dia memujuk emaknya. Agar tinggal bersama
dengannya. Namun emaknya tetap dengan keputusan yang telah
dibuatnya itu.
Ternyata kasih emaknya pada rumah pusaka ini amat tebal sekali.
Seperti juga ayahnya. Di rumah inilah emaknya menghembuskan nafas
yang terakhir. Maka sepilah rumah pusaka ini. Bila ayah dan ibunya
dipanggil mengadap Tuhan. Pergi buat selama-lamanya. Meninggalkan
dunia yang fana ini.
"Ada perkara apa yang abang nak bincang dengan saya ni?"
Norman adiknya menyoal.
"Pasal rumah di kampung tu …!" dia bersuara perlahan dan
menarik nafas yang panjang.
"Kenapa pulak?" tanya Norman pula sebaliknya. Sambil
mengangkat kepala memandang wajah abangnya. Yang duduk
berhadapan dengannya.
277
Perbualan mereka lantas terhenti. Pelayan muncul. Dengan
membawa dulang yang berisi minuman. Nasir memesan teh tarik.
Manakala Norman memesan kopi.
Perlahan-lahan pelayan yang masih muda berusia dalam
lingkungan awal 20-an meletakkan minuman yang dipesan oleh kedua-
dua beradik itu di atas meja yang berbentuk empat segi. Asap nipis yang
keluar daripada air teh tarik dan kopi yang dipesan oleh Nasir dan
Norman jelas kelihatan teroleng-oleng naik ke atas. Kemudian terus
menghilang.
"Terima kasih!" ujar. Nasir sambil mengangguk-anggukkan kepala
dan melihat muka pelayan itu.
"Sama-sama!" jawab pelayan dengan mengangguk-anggukkan
kepala dan kemudiannya pantas berlalu pergi dari situ. Sambil
membawa dulang yang kosong.
Air teh tarik dan kopi yang masih lagi panas itu lalu dihirup
perlahan-lahan oleh Nasir dan Norman. Nasir kemudiannya
menyambung semula perbualan yang terhenti buat seketika.
278
"Rumah tu dah teruk sangat. Yalah! Sejak ayah dan emak
meninggal rumah tu terbiar macam tu aje. Kata orang macam dah tak
ada seri lagi. Jadi, abang nak ajak Norman, Nazri, Norkiah dan Nazariah
kita baiki semula rumah tu. Kembalikan semula semangatnya. Lagipun
arwah ayah sebelum dia meninggal dulu dah pesan pada abang. Supaya
jaga rumah tu baik-baik," jelasnya pada Norman dengan panjang lebar.
"Nak buat macam mana, bang. Dah macam tu keadaan rumah tu.
Lagipun kalau kita baiki siapa yang nak duduk kat rumah tu. Kita kan
ada rumah sendiri. Tak ke buat penat dan sia-sia aje namanya."
Jawapan yang diberikan oleh Norman. Jelas sekali tidak bersetuju
dengan cadangan abangnya itu.
"Abang faham semua tu, Norman. Tapi bila kita dah baiki rumah
tu dapatlah kita adik-beradik berkumpul bila hari raya nanti. Sekurang-
kurangnya taklah terus sunyi rumah tu." Ternyata dia tidak berputus
asa. Untuk memujuk adiknya supaya mengembalikan semula seri
rumah pusaka yang telah hilang itu.
"Dah! Dah!" angguk Norman. Sambil memandang tepat muka
abangnya.
279
"Saya tak ada masa nak fikirkan rumah buruk tu. Banyak lagi
kerja yang saya kena buat. Abang tanyalah pulak pada Nazri, Norkiah
dan Nazariah. Manalah tahu kalau dia orang bersetuju dengan
cadangan abang tu," dia menambah lagi.
Memang dia benar-benar rasa kecewa dengan sikap yang
ditunjukkan oleh Norman adiknya yang kedua itu. Kekecewaannya terus
berlarutan apabila adik-beradiknya yang lain Nazri, Norkiah dan
Nazariah macam juga Norman. Tidak mahu menerima cadangannya.
Demi memastikan rumah pusaka peninggalan arwah ayahnya terus
hidup.
Dia lalu menanamkan tekad sedalam-dalamnya di hati. Biarlah
tidak mendapat bantuan daripada adik-beradik. Namun demi memegang
amanah yang ditinggalkan oleh arwah ayah dan tidak sanggup untuk
melihat rumah pusaka ini dilanda sepi maka dia akan mengembalikan
semula sinarnya. Walaupun terpaksa dilakukan dengan sendirian.
280
20
TANAH KEBUN
Cuaca kelihatan cerah menyinari seluruh kampung bersama
dengan ketenangan dan kedamaian.
"Tijah! Oh, Tijah!" Kedengaran suara orang memanggil namanya
dari bawah rumah.
"Ya! Ya! Saya datang ni. Siapa tu?" sahut Tijah yang berada di
dapur.
"Abang Deraman rupanya. Hah, jemputlah naik," pelawa Tijah
pula.
"Datang seorang aje ke. Kak Mariam mana?" tanya Tijah lagi.
"Ada kat rumah. Aku datang ni pasal tanah kebun tu," kata
Deraman.
"Saya faham, Abang Deraman. Ada duit nanti saya bayarlah
semua hutang Abang Long tu," jelas Tijah sebaliknya.
281
"Bila kau nak bayar, Tijah. Aku ni mengenangkan Adam tu anak
arwah adik aku. Sebab nak masuk universiti. Aku beri pinjam duit.
Kalau orang lain jangan haraplah aku nak beri," Deraman menambah.
"Saya hargai jasa baik dan pertolongan Abang Deraman tu. Tapi
tanah kebun tu satu-satunya harta pusaka peninggalan arwah Abang
Majid …," rayu Tijah dalam nada suara lembut. Memohon simpati
daripada Deraman.
"Yalah! Itu aku tahu. Tapi soalnya sekarang dah lama sangat aku
beri kau tempoh. Kau fahamkan adat orang berhutang kenalah bayar.
Sekarang kau terang-terang tak boleh nak bayar. Jadi lebih baik kau
serahkan saja geran tanah kebun tu pada aku. Hah, selesai masalah,"
ingat Deraman.
"Abang Deraman …. Sekali lagi saya minta tolong. Berilah tempoh.
Saya janji. Akan selesaikan semua hutang Abang Deraman tu.
Percayalah …!" Tijah mengeluarkan nada suara lembut. Bersama wajah
penuh pengharapan. Supaya Deraman menerima permintaannya itu.
"Hei, lagi-lagi janji. Sampai bila aku nak menunggu kau tunaikan
janji kau tu, Tijah. Letih aku macam ni!" rengus Deraman dalam nada
suara yang keras.
282
Dia kemudiannya lalu meninggalkan rumah Tijah dengan rasa
penuh kecewa dan terus pulang ke rumah.
"Macam mana, bang? Dapat ke geran tanah tu?" tanya Mariam
isterinya.
"Mana dapat. Tijah tu betul-betul degillah. Dah berkali-kali abang
suruh dia serahkan geran tu. Tak mahu jugak diberinya. Naik buntu
kepala abang. Tak tahulah apa cara lagi nak gunakan. Untuk lembutkan
hatinya tu," Deraman bersuara.
"Abang pujuklah dia baik-baik. Nanti dia serahkanlah geran tu.
Kan kita dah janji nak jual tanah kebun tu pada Orang Kaya Bakar,"
ujar isterinya.
"Awak cakap senanglah. Kan saya dah kata tadi. Hah, dah berkali-
kali saya pujuk dia supaya serahkan geran tu. Hutang dia dengan abang
pun selesai. Tapi keputusan dia tetap jugak nak jelaskan bila dah ada
duit nanti," jelas Deraman pula.
"Habis, macam mana pulak dengan Orang Kaya Bakar? Duit
cengkeram dia dah beri," ucap isterinya.
283
Perbualan Deraman dengan isterinya pantas terhenti apabila
kedengaran bunyi telefon bimbit.
"Hello! Ya! Ya, Encik Bakar. Saya faham, Encik Bakar. Tapi berilah
saya sedikit masa. Saya janji, Encik Bakar. Geran tanah tu saya akan
dapatkan segera. Encik Bakar percayalah. Ya! Ya! Baik, Encik Bakar!"
Demikian perbualan antara Deraman dengan Orang Kaya Bakar.
"Apa kata Orang Kaya Bakar, bang?" isterinya pantas menyoal.
"Dia beri tempoh sampai minggu depan. Kalau tak dapat jugak
geran tu dia suruh pulangkan balik duit tu. Tapi macam mana abang
nak beri. Duit tu dah habis beli barang kemas dan perabot mewah
rumah ni. Sebab ikut kehendak awak. Hah, sekarang tengok apa dah
jadi!" Deraman melepaskan nada suara marah pada isterinya.
"Duit tu takkan kita nak simpan dalam almari cik abang oi.
Mestilah kita gunakan untuk saya nampak bergaya dengan emas dan
keperluan rumah ni jugak," isterinya menjawab.
"Hei, bertambah kusutlah kepala aku ni. Dengan keras kepala
Tijah, duit Encik Bakar hah dengan lagak awak lagi macam orang kaya.
284
Sudahlah! Aku nak keluar. Duduk dalam rumah ni buat semak fikiran
aku aje!" rungut Deraman pada isterinya.
Angin yang datang dari arah bukit berhadapan dengan rumah
Tijah bertiup sepoi-sepoi bahasa membelah suasana tengah hari yang
masih lagi diwarnai dengan cuaca cerah sejak dari pagi tadi.
"Assalamualaikum, mak!" Adam memberi salam.
"Waalaikumsalam! Adam!" Tijah menjawab salam itu dengan rasa
penuh gembira apabila melihat anaknya balik.
"Apa khabar, mak?" tanya Adam lagi sambil mencium tangan
ibunya.
"Alhamdulillah, baik. Lama ke kau cuti, Adam?" Tijah sebaliknya
bersuara apabila melihat anaknya membawa beg besar.
"Ya, mak!" angguk Adam sambil memandang wajah ibunya.
"Sebulan. Baru lepas periksa. Jadi, Adam baliklah. Kawan-kawan
ajak kerja masa cuti ni. Adam malaslah, mak. Sementara cuti ni Adam
rasa lebih elok tolong mak di kebun arwah ayah tu," sambungnya lagi.
285
"Hah, eloklah macam tu, Adam. Sekurang-kurangnya ringan sikit
kerja mak. Walaupun masa kau cuti ni aje," Tijah menambah.
"Adik-adik belum balik sekolah lagi ke, mak?" Adam menyoal
ibunya.
"Kejap lagi dia orang baliklah. Kau pergilah masuk ke dalam.
Mandi dan solat Zuhur. Nanti boleh kita makan sama-sama," ibunya
berkata.
"Baiklah, mak!" balas Adam pula.
Rasa bengis dan kecewa jelas kelihatan di muka Deraman
setibanya di rumah malam itu.
"Tak boleh jadi macam ni!" bentaknya melepaskan kemarahan
yang sedang bersarang di jiwanya.
"Kenapa ni, bang? Ribut tak ada. Angin tak ada. Balik naik angin
je," tegur Mariam.
"Mahu tidaknya. Memang saya tengah marah ni. Awak jangan nak
naikkan darah saya lagi!" Deraman meninggikan suara seolah-olah
286
melepaskan kemarahannya yang panas membara seperti api membakar
pada isterinya.
"Yalah! Abang ceritalah. Apa sebenarnya abang tak tentu pasal
naik angin ni," kata isterinya lagi.
"Saya kalah teruk judi tadi!" jelas Deraman pada isterinya sambil
mengeluarkan bunyi nada suara yang masih lagi keras kerana berasa
tidak puashati dan marah.
"Oh, kalah judi rupanya," isterinya menjawab.
"Awak jangan nak perli saya. Sakit betul hati saya dengan Tijah.
Ini semua dia punya pasal. Dah berkali-kali saya suruh dia serahkan
geran tanah tu. Taklah sampai saya berjudi nak bayar balik duit
cengkeram Orang Kaya Bakar tu!" Deraman bersuara lantang sehingga
hampir menggegarkan seluruh rumah.
Dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat Asar di
surau Adam bertemu dengan pakciknya.
"Pakcik, apa khabar?" dia menyapa dengan hormat.
287
"Hah, eloklah pun dah jumpa kau kat sini!" tegas Deraman
sebaliknya pada Adam.
"Kenapa, pakcik? Macam ada hal mustahak aje nak beritahu."
Adam macam dapat membaca apa yang hendak dicakapkan oleh
pakciknya itu.
"Pasal mak kaulah!" ujar Deraman lagi.
"Mak? Kenapa dengan mak, pakcik?" Dengan serta-merta dia
berasa hairan apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut
pakciknya itu.
"Dengar sini baik-baik, ya. Mak kau berhutang dengan aku sebab
nak belanjakan kau masuk universiti..
"Berhutang sebab nak tampung belanja saya masuk universiti?"
soal Adam pula sambil memandang wajah pakciknya itu.
"Ya!" Deraman pantas membalas dengan mengangguk-anggukkan
kepala.
"Berapa hutang mak, pakcik?" tanya Adam lagi.
288
"Itu kau tak perlu tahu. Jawapannya ada pada mak kau. Begini
ajelah, Adam. Biarlah aku berterus terang. Aku benar-benar dah bosan
dengan mak kau tahu tak. Kau pujuklah mak kau serahkan geran tanah
kebun arwah ayah kau tu. Untuk tebus semua hutang. Kau tu pun
berpelajaran tinggi. Faham ajelah cakap aku ni, ya!" Deraman bersuara
lantang dengan panjang lebar sebagai ingatan keras kepada ibunya.
Deraman kemudiannya pantas menghidupkan enjin motosikal dan
berlalu pergi dari situ.
Adam termenung jauh memikirkan sesuatu sejak berjumpa
dengan pakciknya siang tadi sambil melemparkan pandangan ke arah
luar yang diselubungi kepekatan malam.
Rembulan yang bersinar indah bersama kerlipan cahaya bintang
jelas kelihatan di dada langit hitam.
Bunyi cengkerik jelas kedengaran bersahut-sahutan membelah
suasana malam bersama hembusan dingin angin malam.
"Kenapa ni, Adam? Menung aje. Ada yang tak kena ke?" ibunya
bersuara.
289
Adam sebaliknya hanya mendiamkan diri dan menarik nafas
panjang dengan gelagatnya itu diperhatikan dalam-dalam oleh ibunya.
"Cakaplah, Adam. Kenapa? Selalunya balik tak macam ni." Tijah
terus mendesak anaknya. Dia dapat merasakan ada masalah yang
sedang difikirkan oleh Adam.
Di luar bunyi pohon-pohon dan daun-daun diusik angin malam
jelas kedengaran mengeluarkan irama yang sungguh merdu membelai
jiwa.
"Petang tadi waktu balik dari surau Adam jumpa dengan Pakcik
Deraman …," dia terhenti.
"Pasal hutang, kan?" Tijah cepat memotong.
"Adam jadi beban mak sebab berhutang dengan Pakcik Deraman,"
Adam berkata.
"Adam …!" Tijah mengeluarkan nada suara lembut.
"Mak …!" Adam sebaliknya membalas.
290
Tijah memegang lembut bahu anak sulungnya itu dan
memandang wajahnya dengan rasa penuh kasih dan sayang.
"Mak lakukan semua ni demi masa depan Adam dan keluarga kita
jugak. Bila Adam dah berjaya lulus dari universiti dan bekerja nanti mak
harap Adam dapat membela nasib keluarga kita …," Tijah memujuk
anaknya.
"Insya-Allah, mak!" janji Adam pada ibunya sambil mengangguk-
anggukkan kepala.
Sementara itu Deraman pergi ke bandar untuk bertemu dengan
Orang Kaya Bakar.
"Macam mana ni, Deraman? Duit cengkeram aku dah beri. Tapi
tanah kebun yang kau janjikan tu masih tak dapat jugak!" rungutnya
keras pada Deraman.
"Itu saya tahu, Encik Bakar. Tapi berilah saya tempoh …." Suara
Deraman terputus-putus apabila melihat wajah Orang Kaya Bakar yang
berasa bosan apabila mendengar jawapan yang diberikannya itu.
291
"Tempoh apalagi hah, Deraman! Jangan-jangan kau nak tipu aku
tak. Nahas kau nanti!" bentak Orang Kaya Bakar sambil melepaskan
tumbukan di atas meja melepaskan rasa geram dan marah sehingga
terasa seperti bergegar seluruh ruang bilik.
"Sabar …. Sabar dulu, Encik Bakar …." Dia sebaliknya berasa
terketar-ketar apabila mendengar apa yang diperkatakan oleh Orang
Kaya Bakar itu.
"Nak sabar apalagi, Deraman! Duit aku kau dah sapu. Sekarang
kau terimalah akibatnya. Jo! Budin! Ajar dia cukup-cukup. Baru dia
tahu siapa aku. Orang Kaya Bakar!" arahnya pada dua orang
suruhannya itu.
"Baik, bos!" jawab Jo dengan pantas.
"Nanti dulu …. Nanti dulu, Encik Bakar …," tahan Deraman pula
sebaliknya.
Deraman lalu dipukul tanpa rasa belas kasihan oleh dua orang
suruhan Orang Kaya Bakar dan apa yang mampu dilakukannya
hanyalah mengerang kesakitan.
292
"Rasakan! Baru padan muka kau. Inilah akibatnya kalau
mempermainkan aku!" Orang Kaya Bakar ketawa terbahak-bahak dan
berasa puas apabila menengok di depan mata Deraman dibelasah
sepuas-puasnya oleh dua orang suruhannya itu.
Mariam berasa gelisah dan tidak senang duduk apabila suaminya
tidak pulang ke rumah sejak dari semalam.
"Ke mana dia pergi agaknya? Selalunya dia tak macam ni. Pulang
ke rumah walaupun dah jauh malam. Jangan …. Jangan …. Hish ….
Makin risau aku dibuatnya," kata Mariam sambil wajah cemas nampak
di wajahnya.
"Baik aku tanya kawan-kawan dia. Mungkin dia orang tahu. Ke
mana Abang Deraman pergi," putus Mariam.
Puas dia bertanya pada kawan-kawan Deraman namun mereka
tidak tahu ke mana perginya Deraman.
"Hei, di mana lagi aku nak cari dia ni. Seorang pun tak tahu. Dia
pergi …," dia terhenti apabila terfikir sesuatu.
"Boleh jadi dia ada pergi ke rumah Tijah," sambungnya lagi.
293
Sekali lagi harapannya hampa setibanya di rumah Tijah apabila
diberitahu suaminya tidak datang ke rumahnya.
Mariam lantas menangis teresak-esak dan mula terbayang akan
nasib buruk yang menimpa diri suaminya.
"Sudahlah, kak. Bawa bersabar. Nanti kita cari dia. Banyakkan
berdoa moga dia selamat." Tijah sebaliknya menenangkan Mariam
sambil memegang lembut bahunya.
"Tak tahulah apa yang terjadi pada Abang Deraman," Mariam
bersuara dengan menangis teresak-esak.
Adam menarik nafas panjang dan memandang wajah makciknya
itu yang sedang dibalut rasa kesedihan kerana suaminya tidak pulang
ke rumah sejak dari semalam.
"Dia pergi mana, makcik?" Adam menyoal.
"Katanya pergi ke bandar," ujar Mariam yang tak henti-henti
menangis.
"Pergi ke bandar?" tanya Adam lagi.
294
"Ya, Adam …!" kata Mariam pula dengan tangisannya masih
belum reda.
"Pakcik buat apa pergi ke bandar, makcik?" soal Adam tak putus-
putus dengan rasa penuh minat.
"Entahlah, Adam," Mariam membalas.
"Makcik sendiri pun tak tahu …," sambungnya dalam nada suara
yang perlahan dan terus menangis.
Tijah sebaliknya hanya mendiamkan diri dan menggosok-gosok
lembut bahu Mariam untuk menenangkan dirinya yang tidak sudah-
sudah menangis sejak dari tadi.
"Makcik dah buat laporan polis?" Adam berkata.
"Belum lagi, Adam …!" geleng Mariam lemah dan tak bermaya.
"Makcik benar-benar buntu. Puas makcik cari dia. Tapi tak ada
…," ulangnya.
295
"Dah tanya kawan-kawan dia?" Adam mengangkat kepala
memandang muka makciknya.
"Sudah, Adam!" Mariam menjawab dengan cepat.
Adam sebaliknya hanya mendiamkan diri apabila mendengar
jawapan yang diberikan oleh makciknya itu dan memikirkan apakah
sebenarnya yang terjadi pada pakciknya.
"Dahlah, kak. Berhentilah menangis. Sama-samalah kita berdoa
pada Tuhan semoga Abang Deraman dilindungi dan selamat," pujuk
Tijah pula.
Mariam tidak mampu untuk berkata-kata lagi dan hanya
menangis sahaja yang mampu dilakukannya mengenangkan nasib
buruk yang dialami oleh Abang Deraman suaminya apabila tidak pulang
ke rumah sejak dari pagi semalam.
Tijah yang memahami akan perasaan Mariam yang digambarkan
melalui tangisan itu tak henti-henti menggosok-gosok lembut bahunya
untuk menyabarkan dan menenangkan dirinya yang sedang dilanda
kesedihan teramat sangat.
296
"Hairan. Ke mana dia pergi. Tak apalah, makcik. Bawa banyak
bersabar. Adam pergi cari dia sekarang," kata Adam.
Sampai sahaja di bandar Adam lalu membuat laporan polis
mengenai kehilangan pakciknya.
Sementara itu kedua-dua belah tangan Deraman diikat dengan
kesan lebam di mukanya akibat diseksa dan dipukul teruk oleh Jo dan
Budin.
Seluruh badannya terasa lemah dan sakit-sakit akibat didera oleh
Orang Kaya Bakar yang marah kerana menipunya tidak menjualkan
tanah kebun milik arwah adiknya seperti yang telah dijanjikan
sedangkan wang cengkeram telah diterima oleh Deraman.
"Macam mana ni, bos? Apa yang kita nak buat dengan dia ni?" Jo
bersuara.
"Betul kata Jo tu, bos!" Budin sebaliknya menyokong sambil
mengangguk-anggukkan kepala.
297
"Sampai bila kita nak tahan dia. Lagipun dah tentu polis cari kita.
Nahas, bos. Tambah pulak mereka dah tahu kegiatan kita!" ingat Budin
pula pada Orang Kaya Bakar.
"Ya! Ya! Itu aku tahu. Apa? Kau orang ingat aku tak fikirkan
semua tu, ke?" Orang Kaya Bakar mencelah sambil berjalan mundar-
mandir memikirkan sesuatu.
Deraman tidak mampu untuk bercakap dan hanya mampu
melihat dan mendengar apa yang mereka bertiga bincangkan.
"Hah!" kata Orang Kaya Bakar dengan tiba-tiba sahaja.
"Aku dah dapat. Apa yang patut kita buat dengan orang macam
dia ni," sambung Orang Kaya Bakar lagi.
"Apa dia, bos?" Jo yang bagaikan tidak sabar-sabar lagi untuk
mengetahui apa yang perlu dilakukan pada Deraman.
"Mudah saja, Jo! Orang macam ni kita hapuskan saja. Lepas tu
kita lari ke sempadan Siam!" putus Orang Kaya Bakar.
298
"Bagus sekali keputusan bos tu. Itulah yang sebaik-baiknya kita
lakukan. Orang macam dia ni buat apa kita simpan. Menyusahkan aje.
Lebih baik dia mampus!" Budin menambah.
"Tolong …. Tolong, Encik Bakar …. Jangan …. Jangan bunuh saya
…. Tolong …," rayu Deraman pula sebaliknya dalam nada suara yang
terketar-ketar kerana ketakutan.
Mendengar sahaja kata-kata yang keluar daripada mulut Deraman
itu Orang Kaya Bakar lalu memandang wajahnya dengan rasa penuh
bengis dan geram.
"Sudah terlambat, Deraman!" Orang Kaya Bakar menggeleng-
gelengkan kepala sambil memandang muka Deraman seperti mahu
menelannya hidup-hidup.
"Kau mesti mati jugak di tangan aku. Bersedialah untuk
mengucapkan selamat tinggal!" Orang Kaya Bakar berkata sambil
mengacukan pistol ke arah Deraman yang nampak menggigil ketakutan.
"Polis! Letakkan senjata. Lebih baik awak semua menyerah diri!"
Kedengaran suara dan dengan pantas Orang Kaya Bakar dan orang-
orangnya dapat diberkas oleh polis.
299
"Pakcik!" Adam bersuara dan lalu menuju ke arah Deraman dan
membuka ikatan tali di tangannya.
"Adam …!" Deraman hanya mampu mengeluarkan nada suara
yang lemah dan tak bermaya.
"Syukur alhamdulillah. Pakcik dah selamat. Mari kita balik!" ajak
Adam sambil memapah pakciknya.
Sampai sahaja di rumah ibunya Deraman dan Adam disambut
dengan rasa penuh gembira oleh Mariam.
"Macam mana Adam tahu yang pakcik disembunyikan oleh Orang
Kaya Bakar?" tanya Deraman.
"Hasil daripada maklumat orang ramai, pakcik. Pihak polis
memang dah lama menghendaki Orang Kaya Bakar dan orang-orangnya.
Mereka bukan sahaja menjadi peminjam wang secara haram malahan
juga terlibat dengan kegiatan jenayah seperti rompakan dan peras ugut.
Menurut pihak polis lagi mereka juga terlibat dengan kes pembunuhan
yang melibatkan peminjam yang gagal menjelaskan hutang," jelas Adam
pula dengan panjang lebar.
300