“Sabarlah. Kita akan kahwin jugak nanti. Percayalah!” yakin
Sherin dalam nada suara yang manja sambil memegang tangan Azam
yang duduk berhadapan dengannya.
“Kau pandai berjanji. Tapi tak pernah tertunai. Bosan aku tahu
tak,” Azam mengeluh.
“Janganlah macam tu, Azam. Aku percaya. Kita tetap akan
kahwin. Ayah kau tetap akan pilih aku sebagai menantu. Kau pujuklah
ayah kau tu baik-baik. Dia pasti akan menerima keputusan kau.” Dia
tak putus-putus meyakinkan Azam.
“Yalah …!” Azam akhirnya mengalah dengan pujukan kekasihnya
itu.
“Macam tulah. Apa kata lepas ni kita pergi shopping,” cadang
Sherin sambil mengukir senyuman apabila melihat wajah Azam kembali
ceria.
“Aku ikut aje!” ucap Azam sambil pantas mengangguk-anggukkan
kepala tanda bersetuju dengan cadangan Sherin itu.
“Jom kita pergi sekarang,” Sherin berkata.
151
Azam kemudiannya lalu memanggil pelayan untuk mendapatkan
bil bayaran makanan dan minuman yang dipesan.
Pagi itu setibanya di pejabat Zarina setiausaha syarikat
memberitahu Azam ayahnya hendak berjumpa. Tanpa berlengah lagi
Azam menuju ke bilik ayahnya.
“Ada apa, ayah?” tanya Azam sebaik-baik sahaja duduk di atas
kerusi.
“Kau baca ni,” arah Johan sambil menghulurkan suratkhabar
kepada Azam.
“Apa? Anak seorang usahawan terkenal bergelar Datuk ditangkap
khalwat. Sherin!” Azam berasa sungguh terperanjat apabila membaca
berita panas yang tersiar dalam suratkhabar hari ini.
Dia terus diam membisu. Baru dia mengerti kini. Cintanya
terhadap Sherin ibarat mencurah air di daun keladi sahaja. Selama ini
dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja. Sherin hanya berpura-pura
menyintai dirinya. Rasa kecewa dan luka yang pedih seperti ditikam
sembilu tajam pantas menyelubungi perasaan. Namun begitu dia tetap
bersyukur kerana tidak menjadikan Sherin sebagai isteri.
152
Johan mengerti akan apa yang sedang bersarang di jiwa anaknya
setelah membaca berita yang sungguh menggemparkan itu.
“Azam …. Setiap yang Tuhan aturkan itu ada hikmahnya. Sama
seperti perkahwinan yang ayah aturkan ini. Ayah pernah melihat Sherin
keluar dengan ramai lelaki. Demi tidak mahu melihat kau menderita
sekiranya berkahwin dengan dia maka ayah memilih Maimunah gadis
kampung sebagai isteri kau. Azam. Jangan terlalu memandang pada
kecantikan tetapi yang penting kesetiaan dan kejujuran di hati dalam
membina kebahagiaan hidup bersama sebagai suami isteri,” nasihat
Johan pada anaknya dalam nada suara lembut dan panjang lebar.
Azam sebaliknya lalu menarik nafas yang panjang dan
memandang wajah ayahnya.
“Saya minta maaf, ayah. Barulah saya sedar kini mengapa ayah
memilih Maimunah sebagai isteri saya. Terima kasih, ayah. Saya akan
menerima Maimunah sebagai isteri dengan rasa penuh cinta dan
ikhlas,” kata Azam.
“Alhamdulillah,” Johan melafazkan rasa penuh kesyukuran.
153
12
JALAN PULANG
Selepas mandi Amri turun bersarapan. Selesai bersarapan dia
terus ke kolej dengan menaiki motosikal.
“Macam mana dengan malam ni? Jadi ke?” kata Rashid pada Amri
sebaik-baik sahaja tiba di kolej.
“Jadi!” Amri menjawab dengan cepat.
“Aku yakin. Kita pasti menang malam ni,” sokong Rashid pula.
Tiba-tiba lalu seorang pelajar perempuan ayu bertudung. Jalan
tunduk dan penuh sopan.
“Siapa tu? Boleh tahan. Cantik,” ucap Amri tidak berkelip-kelip
memandang pelajar perempuan itu.
“Pelajar baru agaknya. Kenapa? Kau dah jatuh hati ke?” Rashid
sebaliknya bersuara.
154
“Taklah sampai ke situ. Tapi …. Lawa,” ulang Amri lagi.
“Hah. Kan aku dah kata. Itu tandanya kau dah terpikat dengan
dia, kan,” Rashid menambah.
“Dahlah. Gadis pakai tudung mana boleh jadi awek aku,” dalih
Amri pula.
“Habis tu. Kau asyik kata cantiklah lawalah. Bukan dah jatuh hati
namanya, Amri. Terus terang ajelah,” desak Rashid.
“Sudahlah. Kau jangan nak merepek. Kelas pun dah nak mula.
Mari kita pergi. Nanti membebel lagi Encik Zulkarnain. Lambat masuk
kelas,” ajak Amri.
Selepas tamat kelas Amri dan Rashid tidak terus pulang ke
rumah. Kedua sahabat baik itu sebaliknya rancak berbual-bual di
tempat letak motosikal. Tajuk perbualan Amri dan Rashid lebih kepada
perlumbaan malam ini.
“Malam ni pukul berapa, Amri?” soal Rashid.
155
“Macam biasalah. Kau ni buat-buat lupa pulak. Macamlah
pertama kali join race,” Amri menjawab dalam nada suara yang tidak
senang dengan pertanyaan Rashid itu.
“Tempat pun macam biasa jugaklah,” celah Rashid pula.
“Yalah!” Amri mengangguk-anggukkan kepala.
“Siapa taja?” tanya Rashid lagi sambil mengangkat kepala tinggi
sedikit memandang muka Amri.
“Siapa lagi kalau bukan Abang Bidin kita,” balas Amri.
Perbualan mereka yang rancak lantas terhenti seketika.
Kedengaran bunyi telefon bimbit Amri.
“Hah. Panjang pun umur. Abang Bidin,” kata Amri apabila melihat
nombor orang yang menaja perlumbaan tertera di telefon bimbitnya.
Dia pantas menjawab panggilan itu.
“Hello, bang. Ya. Malam ni jadi. Apa? Lumayan. OK. Kita jumpa di
sana nanti,” ujar Amri.
156
“Apa kata Abang Bidin?” Rashid bagaikan tidak sabar-sabar lagi
ingin mengetahui apa yang dibualkan Amri dengan orang yang menaja
perlumbaan malam ini.
“Dia dah aturkan semua untuk race malam ni. Termasuk jalan
untuk kita melarikan diri sekiranya dikejar polis nanti. Hadiahnya
sungguh lumayan,” terang Amri.
“Lumayan? Berapa?” Rashid sebaliknya bertanya apabila tertarik
mendengar kata-kata Amri itu.
“Ah. Dah menang nanti kau tahulah. Kau ni banyak soal pulak.
Oh ya! Baru aku teringat. Nora nama budak baru tu. Dengan tiba-tiba
sahaja Amri mengalih tajuk perbualan.
“Amri …! Amri …!” Rashid menggeleng-gelengkan kepala sambil
ketawa kecil.
“Eh, apa yang kau ketawa ni. Lucu sangat ke bila aku sebut nama
dia.” Amri berasa sangat hairan apabila melihat gelagat yang
ditunjukkan oleh Rashid itu apabila menyebut nama Nora.
157
“Begini ajelah kawan. Aku tak nak cakap banyak. Lebih baik kau
berterus terang pada dia. Yang kau sukakan dia. Habis cerita,” cadang
Rashid.
“Apalah kau ni, Rashid? Tak habis-habis merepek. Jangan-jangan
kau yang suka kat dia tak?” Amri membantah.
“Dah aku suka kat dia pulak. Habis tu yang kau asyik sebut nama
dia apahal. Kan aku dah cakap. Itu tandanya yang kau suka kat dia,”
ingat Rashid.
“Habis? Sebut aje nama aku syok kat dia. Hei. Kan aku dah
cakap. Dia tu pakai tudung. Mana aku minat. Citarasa aku pada gadis
yang tak pakai tudung. Senang bawa ke sana kemari. Kau sendiri pun
selalu tengokkan gadis yang aku jadikan pasangan. Macam Nora tu.
Tengok pun aku dah tahu. Agama kuat susah nak ajak keluar,” jelas
Amri dengan panjang lebar.
“Selalunya kata orang apa yang kita tak suka itulah akhirnya yang
kita dapat. Aku rasa macam ini ajelah. Aku cabar kau pikat dia. Kalau
berjaya aku berjanji aku belanja kau makan. Kalau kau betul-betul anak
jantan kau terimalah cabaran aku ni. Apa macam, boleh?” Rashid
bersuara.
158
“Baik! Aku terima cabaran kau sahabat yang bernama Rashid.
Tapi aku tak akan jadikan dia sebagai teman istimewa. Tapi semata-
mata tak nak malu sebagai anak jantan dan nak merasa kau belanja
makan. Setuju?” Amri menyatakan persetujuan untuk menyahut
cabaran yang dilontarkan oleh Rashid itu.
“Setuju. Aku memang setuju sangat. Tapi kau jangan lupa. Itu
kalau aku kalah dalam pertaruhan. Macam mana pulak kalau aku
menang dalam pertaruhan. Baru nampak adil, kan,” ujar Rashid.
“Oh, ya! Betul jugak cakap kau. Hah. Tak usah cerita banyak. Aku
pun macam kau jugaklah. Belanja makan sudahlah. OK?” Amri pantas
menambah.
“Cantik! Aku ikut aje. Tak ada bantahan!” Rashid menjawab
sambil mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan
Amri itu.
Malam itu seperti yang dijanjikan Amri, Rashid dan kawan-
kawannya pun berlumba motosikal secara haram yang ditaja oleh Bidin.
Ternyata malam itu adalah milik Amri. Dia menang dalam perlumbaan
itu.
159
Keesokan harinya Amri dan Rashid datang lewat ke kolej. Encik
Zulkarnain telah memberitahu perkara ini pada ayahnya.
“Awak tahu. Tadi Encik Zulkarnain pensyarah Amri tempat kolej
dia belajar telefon. Dia kata Amri selalu datang lambat ke kolej. Kadang-
kadang tak datang langsung. Pelajaran tak usah cakaplah. Teruk. Silap-
silap dia boleh kena buang kalau tak berubah,” kata ayahnya pada
ibunya.
“Awak nasihatkanlah dia. Awak kan ayah dia. Takkanlah nak
biarkan,” ibunya membalas.
“Amboi. Sedapnya awak bercakap. Yang awak tu selalu tak duduk
di rumah siang malam sibuk dengan butik dan persatuan. Sebab itulah
dia jadi macam tu. Tahu tak!” bentak ayahnya.
“Jadi, abang nak salahkan sayalah, ya? Yang abang tu siang
malam sibuk dengan perniagaan tak nampak!” tingkah ibunya.
“Saya sibuk siang malam untuk kesenangan keluarga kita jugak.
Awak tu sebagai ibu sepatutnya lebih banyak masa di rumah. Beri
sepenuh perhatian pada Amri!” ayahnya membantah sekeras-kerasnya
kata-kata yang keluar daripada mulut ibunya.
160
Kedengaran bunyi enjin motosikal. Ayah dan ibunya berhenti
seketika daripada bertengkar.
“Hah, itu pun dia dah balik,” ujar ayahnya.
Amri melangkah masuk ke dalam rumah.
“Kau dari mana ni, Amri?” ayahnya menyoal.
“Dari mana lagi dari kolejlah,” dia menjawab dengan cepat
pertanyaan ayahnya itu.
“Oh, dari kolej. Kau jangan nak cakap bohong. Tadi Encik
Zulkarnain pensyarah kolej kau telefon. Ayah dah tahu. Apa nak jadi
dengan kau ni hah, Amri!” ayahnya melepaskan kemarahan dengan
meninggikan suara.
“Sudahlah. Saya bosan duduk dalam rumah ni. Keluar lagi
baiklah,” Amri membalas sambil meninggalkan ruang tamu rumah
tanpa memandang wajah ayah dan ibunya.
“Amri! Amri! Nanti dulu. Ayah tak habis cakap lagi ni. Hah. Degil.
Macam awak jugak!” rungut ayahnya pada ibunya.
161
Restoran yang tidak jauh dari kolej menjadi pilihan Amri dan Nora
untuk berjumpa. Mereka memilih makanan yang sama iaitu mi goreng
manakala minuman Amri memilih limau ais manakala Nora pula
memilih teh ‘o’ ais limau.
“Kenapa awak beria-ia sangat nak jumpa saya?” tanya Nora yang
memakai tudung berwarna biji kundang dan berbaju kurung berwarna
merah jambu.
“Saja. Nak berkenalan dengan awak lebih dekat lagi,” jelas Amri
sambil menyedut air limau ais.
“Betul ke awak dan Rashid mat rempit? Saya harap awak tak
marah dengan soalan saya ni,” Nora bersuara.
“Pasal Encik Zulkarnain tegur saya dengan Rashid datang lambat
tempoh hari,” Amri sebaliknya pantas memotong.
“Kenapa awak dengan Rashid terlibat dengan kegiatan yang tidak
bermoral ni?” soal Nora sambil memandang tepat wajah Amri.
“Jadi, awak percayalah yang saya dengan Rashid selalu datang
lewat sebab malam-malam asyik merempit,” dia cuba berdalih.
162
“Kalau Encik Zulkarnain seorang sahaja yang bercakap susah
nak saya percaya. Lagipun tak nampak depan mata saya. Tapi semua
pelajar di kolej tu kata awak dan Rashid terlibat dengan lumba haram,”
tekan Nora lagi.
“Sudahlah. Awak jangan percaya semua tu. Kita cerita lainlah,”
Amri mengelak.
“Awak ada masalah ke? Dari raut muka awak tu saya dapat baca.
Awak cuba menyembunyikan sesuatu daripada saya, bukan?” ucap Nora
pula.
Dia benar-benar terpukau dengan kata-kata yang keluar daripada
mulut Nora itu. Nora tahu yang dia berbohong dengan mengatakan tidak
terlibat dengan lumba haram. Gejala tidak sihat yang sering melanda di
kalangan remaja pada hari ini.
“Berterus teranglah. Apa sebenarnya masalah awak ni. Saya ni
kan kawan awak. Manalah tahu kalau boleh saya tolong ….” Nora
mengeluarkan nada suara yang lembut.
Amri terus mendiamkan diri. Entah mengapa. Gadis yang kini
berada di depannya lain daripada gadis-gadis yang pernah dikenalinya
163
sebelum ini. Nora memerhatikan sahaja gelagat Amri itu yang sedang
seperti memikirkan sesuatu. Dia kemudiannya lalu menarik nafas yang
panjang.
“Kalau awak tak nak cakap tak apalah. Setakat ni ajelah kita
berkawan …,” gertak Nora pula.
“Nanti dulu …. Nanti dulu, Nora …. Baiklah. Saya akan beritahu
awak. Apa sebenarnya masalah saya ….” Dia akhirnya mengalah dengan
desakan Nora itu sambil mengeluarkan suara yang tersekat-sekat.
“Hah, macam tulah. Ceritakanlah. Saya nak dengar,” Nora berkata
dengan senang dan mengukir senyuman manis.
“Sejak dari kecil saya tak pernah merasa kasih sayang dari ayah
dan ibu. Mereka sibuk dengan urusan masing-masing. Saya tak
dipedulikan. Saya bosan. Untuk menghilangkan rasa bosan saya terlibat
dengan lumba haram. Bila menang hati saya benar-benar gembira,”
terang Amri pada Nora.
“Saya simpati dengan awak, Amri. Tapi jalan yang awak pilih tu
bukanlah jawapan penyelesaian pada masalah yang awak hadapi. Tiada
faedahnya melibatkan diri dengan lumba haram malah membahayakan
164
nyawa. Amri. Saya merayu pada awak. Mulai hari ni tinggalkanlah
lumba haram sebelum terlambat,” nasihat Nora.
“Itu saya tahu, Nora. Tapi …,” dia tidak sempat untuk
menghabiskan kata-kata.
“Tapi apa? Saya tahu. Sukar bagi awak untuk meninggalkan
tabiat buruk itu, kan? Menang bukan sahaja gembira. Hilang rasa
bosan, dapat duit dan pasangan. Hari ini awak menang dalam
perlumbaan. Tapi esok lusa belum tahu lagi. Mungkin awak akan
ditangkap atau ditimpa kecelakaan. Siapa tahu. Maafkan saya Amri
kerana tak sepatutnya saya cakap begitu pada awak. Tapi saya sebagai
kawan awak saya berhak untuk cakap begitu. Kalau awak nak marah
terpulanglah. Tapi fikirkanlah demi kebaikan awak,” Nora menambah
dengan panjang lebar.
Amri lantas tunduk dan mendiamkan diri. Barulah dia tahu kini.
Selama ini dia banyak menghabiskan usia muda dengan perkara yang
sia-sia.
“Banyak cara yang awak boleh lakukan untuk menghilangkan
rasa bosan. Dekatkanlah diri dengan Tuhan. Setiap kali lepas solat
mohonlah doa. Moga awak diberi petunjuk dan kekuatan untuk keluar
165
dari masalah yang membelenggu awak selama ini. Insya-Allah. Tuhan
tidak akan mensia-siakan permintaan hambanya yang mahu berubah
macam awak,” kata Nora lagi.
Tanpa disedari titis-titis air mata mengalir membasahi pipi Amri.
Rasa penyesalan benar-benar terbit di hatinya. Gadis bernama
Nora yang cuba dipikatnya umpama cahaya yang menerangi hidupnya
yang selama ini diselubungi dengan kegelapan.
Dengan perlahan-lahan Amri mengangkat muka bersama air mata
yang mengalir memandang wajah Nora.
“Terima kasih, Nora …. Kerana telah menyedarkan saya …,” ucap
Amri dalam nada suara yang terputus-putus kerana sebak menahan
tangisan.
“Syukur alhamdulillah …,” Nora sebaliknya membalas lembut.
Sekembalinya ke rumah petang itu Amri lalu duduk di atas kerusi
sofa berhadapan dengan ayah dan ibunya.
166
“Mak …. Ayah …. Amri minta maaf sekiranya apa yang Amri
cakapkan ini mengguris hati ayah dan mak,” dia bersuara.
Rasa terkejut jelas terpancar di wajah ayah dan ibunya sambil
saling berpandangan.
“Apa dia, Amri? Cakaplah. Ayah dan mak sedia mendengarnya,”
ayahnya bersuara. Memberi peluang kepada Amri untuk meluahkan apa
yang terbuka di hatinya.
Bukan setakat terperanjat sahaja rasa hairan turun dirasakan
oleh ibunya. Tak pernah Amri bercakap lembut begini. Setahunya Amri
seorang anak yang degil dan memberontak sejak dari kecil lagi apabila
ditegur melakukan kesalahan.
“Ya, Amri! Apa yang kau nak beritahu mak dan ayah,” ibunya
menambah pula.
“Amri selama ni sesat. Amri banyak membuang masa dengan
kawan-kawan menyertai lumba haram. Semuanya ini kerana Amri rasa
bosan dan dahaga kasih sayang ayah dan mak. Amri tahu. Ayah dan
mak selalu sibuk dengan perniagaan. Sehingga tak ada masa dengan
167
Amri. Tak macam orang lain. Anak dapat bersama dengan ayah dan ibu
walaupun sibuk,” luah Amri pada ayah dan ibunya.
Kata-kata Amri itu membuatkan ayah dan ibunya terdiam. Benar
apa yang diperkatakan oleh Amri itu. Kesibukan mereka menjadikan
Amri dahagakan kasih sayang daripada seorang ayah dan ibu. Namun
begitu mereka tetap bersyukur diberikan hidayat oleh Tuhan dengan
Amri menyedarkan mereka akan kesilapan yang telah dilakukan.
“Mulai dari sekarang Amri berjanji tidak akan terlibat lagi dengan
lumba haram. Amri akan tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran.
Amri sedar. Usia masih muda lagi dan diperlukan oleh negara untuk
menyumbang bakti,” janji Amri.
Ayahnya lalu menarik nafas yang panjang.
“Kau tak bersalah, Amri. Apa yang kau cakapkan tu memang
benar. Selama ini ayah dan mak tak pedulikan kau akibat sibuk dengan
mengejar kemewahan dunia. Sedangkan kaulah satu-satunya harta
yang paling berharga kurniaan Tuhan untuk ayah dan mak …,” ayahnya
bersuara perlahan.
168
“Syukurlah Amri kerana kau dah sedar akan kesilapan yang telah
kau lakukan. Mulai hari ini mak dan ayah akan beri sepenuh perhatian
pada kau,” ibunya berkata.
“Ayah! Mak!” Amri lantas bangun dari kerusi sofa dan memeluk
ayah dan ibunya dengan penuh rasa kasih dan sayang.
169
13
WASIAT AYAH
Sayup-sayup kedengaran suara angin petang. Membelah seluruh
kampung yang indah dan permai.
“Abang mesti tolong saya,” kata Borhan.
“Kau nak buat apa dengan geran tanah tu, Borhan?” soal
Baharuddin.
“Saya nak cagarkan pada bank,” Borhan sebaliknya membalas.
“Cagarkan pada bank?” Serta-merta Baharuddin berasa terkejut.
Apabila mendengar penjelasan yang diberikan oleh adiknya itu.
“Ya, bang!” Borhan mengangguk-anggukkan kepala dengan
pantas.
“Saya nak buka perniagaan sendiri,” sambungnya lagi.
170
Baharuddin yang duduk di atas kerusi kemudiannya lalu menarik
nafas yang panjang.
“Niat kau tu memang baik. Tapi sebelum ayah meninggal dunia
dia berpesan supaya tanah itu diusahakan dan jangan dijual,” ingat
Baharuddin.
“Itu saya tahu, bang. Tapi abang sendiri pun tahu kan. Tanah tu
dah tak ada hasil. Buat apa disimpan,” jawab Borhan.
“Ya betul, Borhan! Baru-baru ni abang tanam pisang. Tapi tak
menjadi,” akui Baharuddin.
“Dah tu. Apalagi yang nak diharapkan pada tanah tu, bang.
Buang masa dan tenaga abang aje. Kan lebih baik dijadikan cagaran
pada pinjaman saya,” ulang Borhan lagi.
“Borhan …! Borhan …!” Baharuddin bersuara lembut sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
“Kau jangan lupa, Borhan. Arwah ayah dah berwasiat. Tanah tu
tak boleh dijual. Abang kena ikut,” tambahnya.
171
“Susahlah macam ni. Kalau abang tak nak tolong saya tak apelah.
Mulai hari ini kita putus adik-beradik. Tapi saya akan buktikan. Yang
saya akan berjaya membuka perniagaan sendiri. Saya pergi dulu.
Selamat tinggal, bang!” Borhan berkata dan pantas berlalu pergi
meninggalkan rumah abangnya.
“Borhan! Nanti dulu, Borhan. Dengar cakap abang ….” Dia cuba
menahan adiknya.
Tak lama kemudian Salmah isterinya muncul sambil membawa
dulang berisi minuman.
“Kenapa dengan Borhan tu, bang? Macam ada yang tak kena aje.
Minum pun tak sempat,” ucapnya.
“Entahlah, Mah …,” keluh Baharuddin dengan lembut.
Kesejukan alat penghawa dingin terasa mengepung seluruh ruang
bilik mewah itu. Datuk Borhan yang memakai kot, bertali leher dan
berkaca mata meneliti kertas kerja yang dibuat oleh Sabri.
“Bagus proposal yang awak buat ni. Lengkap dan padat. Saya
yakin. Kita akan dapat projek tu,” ujarnya pada Sabri.
172
“Insya-Allah, Datuk. Sama-samalah kita berdoa,” Sabri menjawab.
“Saya kagum dengan awak, Sabri. Seorang pekerja yang komited
dan jujur. Saya sungguh bertuah. Memiliki pekerja macam awak.” Datuk
Borhan menghamburkan kata-kata pujian pada Sabri.
“Pujian itu terlalu tinggi buat saya, Datuk. Bukan itu yang saya
harapkan. Sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pekerja di
syarikat ni. Melaksanakan apa yang Datuk arahkan. Apa yang saya
lakukan adalah untuk kebaikan bersama syarikat. Bukannya untuk
saya seorang.” Sabri tidak mudah leka dengan pujian itu. Sebaliknya
merendah diri.
Datuk Borhan lalu mengukir senyuman kecil. Apabila mendengar
kata-kata yang keluar daripada mulut Sabri itu.
“Saya berkata dengan ikhlas, Sabri. Lagipun perkara yang baik.
Memang patut dipuji,” Datuk Borhan bersuara.
Perbualan mereka yang rancak pantas terhenti. Kedengaran bunyi
telefon bimbit Datuk Borhan.
173
“Hello! Waalaikumsalam. Ya, Encik Tahir. Tender perumahan
Taman Bukit Melati Fasa 2. Ya. Syarikat saya ada masuk.
Alhamdulillah. Baik, Encik Tahir. Terima kasih. Waalaikumsalam,” dia
membalas.
“Saya ada berita baik, Sabri,” ucap Datuk Borhan dengan pantas.
Sebaik-baik sahaja selesai menjawab panggilan telefon itu.
“Kita dapat tender perumahan Taman Bukit Melati Fasa 2,” Sabri
mencelah.
“Benar, Sabri!” angguk Datuk Borhan.
“Syukur alhamdulillah. Rezeki syarikat kita, Datuk,” tambahnya
lagi.
“Berkat kerja keras awak jugak, Sabri,” Datuk Borhan
mendongakkan kepala tinggi sedikit memandang wajah Sabri.
Tengah hari. Baharuddin duduk di atas pangkin sambil
melepaskan pendangan ke arah bukit-bukau yang subur menghijau.
Berhadapan dengan rumahnya yang jelas kelihatan.
174
Angin bertiup lembut. Terasa nyaman dan segar. Menyapu
permukaan kulit. Pepohonan dan dedaunan bagai menari-nari. Sekejap
ke kanan dan sekejap ke kiri. Mengikut rentak tiupan angin. Yang
datang dari arah bukit.
Bunyi suara ayam memagut jagung di atas tanah juga jelas
kedengaran. Memecahkan suasana bersama cuaca panas terik.
Matahari yang meninggi di kaki langit biru dan gumpalan awan
tebal memutih nampak terang-benderang cahayanya. Menyimbah ke
seluruh kampung.
“Baru balik, bang?” tegur isterinya.
“Ya, Mah!” Baharuddin dengan cepat menjawab.
“Macam mana dengan pisang yang abang tanam tu? Dah berbuah
ke?” isterinya tak henti-henti menyoal.
“Alhamdulillah, Mah. Ada setandan abang bawa balik. Abang letak
di dapur,” balasnya.
“Bang! Tadi Sabri telefon,” jelas isterinya pula.
175
“Apa dia nak?” tanya Baharuddin pada isterinya.
“Dia kirim salam kat abang,” jelas isterinya.
“Waalaikumsalam!” dia menjawab sambil mengangguk-anggukkan
kepala.
“Dia nak balik hujung minggu ni,” terang isterinya lagi.
“Baguslah macam tu. Sekurang-kurangnya dia dapat menjenguk
kita walaupun sibuk dengan kerja,” Baharuddin berkata.
Hari semakin menghampiri senja. Sabri masih lagi belum pulang.
“Awak masih belum balik lagi, Sabri?” Datuk Borhan menyoal.
“Belum, Datuk. Saya nak siapkan kerja yang Datuk beri tadi,” dia
menerangkan pada Datuk Borhan.
“Oh, begitu!” dia sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala.
Apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Sabri itu.
176
“Banyak lagi ke?” Datuk Borhan memandang Sabri sambil
mengangkat kepala.
“Sikit aje lagi, Datuk,” jelasnya.
Datuk Borhan kemudiannya lalu melihat jam di tangan.
“Waktu maghrib pun dah nak masuk ni. Kita pergi berjemaah di
masjid. Lepas tu kita pergi makan,” ajak Datuk Borhan.
“Baik, Datuk!” Dia menurut sahaja akan ajakan Datuk Borhan itu.
Selepas menunaikan solat Maghrib di masjid Datuk Borhan dan
Sabri menjamu selera di Restoran Orang Kampung.
“Saya macam awak jugak, Sabri. Berasal dari kampung. Mulanya
saya bekerja sebagai pembantu pengurus projek. Lama-kelamaan saya
membuka syarikat sendiri.” Dia membuka kisah silam yang dilaluinya
pada Sabri.
“Saya benar-benar kagum dengan Datuk. Yalah. Bermula dari
bawah. Kemudian berjaya membuka syarikat besar seperti sekarang,”
balas Sabri sebaliknya.
177
“Tapi kejayaan yang saya nikmati hari ni tak semudah datang
bergolek,” Datuk Borhan bersuara tenang.
“Banyak halangan dan rintangan yang terpaksa Datuk hadapi?”
sampuknya pula dengan pantas.
“Benar, Sabri!” Datuk Borhan mengangguk-anggukkan kepala dan
menarik nafas yang panjang.
“Saya berpatah arang berkerat rotan dengan abang kandung saya
sendiri …,” dia menyambung dengan mengeluarkan nada suara yang
lemah.
Sabri sebaliknya hanya mendiamkan diri. Dia memandang dalam-
dalam wajah Datuk Borhan. Mendengar dengan penuh minat kisah
silam pengurus syarikat tempat dia bekerja.
“Puncanya saya minta geran tanah pusaka milik arwah ayah saya.
Untuk dijadikan cagaran pinjaman bank untuk membuka syarikat. Tapi
dia enggan menyerahkannya kepada saya. Katanya dia memegang
wasiat arwah ayah saya. Tanah itu mesti diusahakan dan jangan dijual,”
ucap Datuk Borhan lagi.
178
“Jadi Datuk merajuk dan kecil hati dengan abang Datuk?” soalnya
pula.
“Sehingga sekarang saya tidak mendengar khabar berita darinya.
Saya langsung tak balik ke kampung. Sedangkan dialah satu-satunya
abang kandung saya,” Datuk Borhan membalas.
Seperti yang dijanjikan Sabri pulang ke kampung pada hujung
minggu.
“Macam mana dengan pekerjaan kau, Sabri?” ayahnya bertanya.
“Alhamdulillah, ayah. Semuanya berjalan dengan baik dan
lancar,” dia sebaliknya menjawab.
“Hah, baguslah macam tu. Ingat pesan ayah selalu. Bekerjalah
dengan rajin dan jujur. Tanamkan dalam hati. Bekerja bukan untuk
mengejar pangkat dan kemewahan semata-mata. Tapi adalah ibadah
selagi masih bernafas di dunia ni,” Baharuddin memberikan nasihat
pada anaknya. Dengan penuh panjang lebar.
“Insya-Allah, ayah! Saya akan sentiasa ingat segala pesan ayah.
Untuk pengetahuan mak dan ayah lagi bulan depan saya akan
179
dinaikkan pangkat.” Dia menyampaikan berita gembira kepada ayah dan
ibunya.
“Ya? Syukur alhamdulillah. Rezeki namanya tu,” sahut ayahnya
pula.
“Datuk tempat syarikat saya bekerja tu percaya betul dengan
saya. Sebab itulah saya dinaikkan pangkat,” terang Sabri.
“Ayah harap kau balaslah kepercayaan yang diberikan oleh Datuk
itu dengan baik.” Dia sebaliknya mengingatkan anaknya.
“Insya-Allah, ayah!” angguk Sabri dengan pantas.
“Saya berjanji. Tidak akan mensia-siakan harapan Datuk tu pada
saya,” ikrarnya lagi.
“Hah, kerja dah bagus pangkat dah naik tapi satu lagi yang
kurang dengan kau.” Ibunya yang selama ini berdiam diri tiba-tiba
menyampuk. Ayahnya lalu memalingkan muka ke arah ibunya. Yang
duduk di sebelahnya.
“Apa dia, mak?” Sabri menyoal ibunya.
180
“Kahwin? Hah, bila lagi?” tanya ibunya sambil mengangkat kepala
dan memandang tepat wajah Sabri. Yang duduk berhadapanan
dengannya.
“Oh, kahwin. Sabarlah, mak. Biarlah saya tumpukan perhatian
dulu terhadap pekerjaan. Kata orang kalau dah jodoh tak ke mana. Dah
tiba masanya nanti kahwinlah saya. Mak tak usahlah risau. Saya ni kan
lelaki. Bukannya perempuan.” Dia memberikan jawapan pada soalan
yang dikemukakan oleh ibunya itu.
“Ke situ pulak perginya …,” rengus ibunya pula.
Baharuddin dan anaknya lantas ketawa.
Dari jauh kelihatan rumah banglo mewah. Tersergam indah di
atas puncak Bukit Antarabangsa. Borhan duduk termenung di ruang
tamu rumah. Dari riak mukanya jelas menggambarkan dia sedang
memikirkan sesuatu.
“Jauh mengelamun nampak? Apa yang abang fikirkan tu?”
Latipah isterinya menegur. Dia kemudiannya lalu duduk berhadapan
dengan Borhan.
181
Lamunannya yang jauh melayang hingga terasa sampai ke
awangan itu lantas terhenti. Borhan menarik nafas yang panjang. Dia
memandang wajah isterinya dalam-dalam sambil mengukir senyuman
kecil. Latipah memerhatikan sahaja gelagat suaminya itu.
“Tak ada apa-apa, Tipah! Cuma abang terkenangkan Sabri,”
Borhan berkata.
“Sabri?” tanya isterinya pula.
“Ya!” dia mengangguk-anggukkan kepala.
“Pekerja di syarikat kita. Budaknya baik. Rajin bekerja dan jujur.
Berkenan abang nak jodohkan dia dengan Miza anak kita tu. Sekurang-
kurangnya dia dengan Miza dapat menjaga syarikat kita tu.” Dia
menyatakan hasrat murninya pada isterinya.
“Tipah tak kisah, bang. Apa yang abang fikirkan baik Tipah pun
begitu jugak. Tapi apa pun biarlah Miza tu habiskan pelajarannya dulu
di luar negeri,” ucap isterinya pula.
“Yalah, Tipah. Itu cuma cadangan abang saja. Kita sebagai
manusia hanya mampu merancang. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan.
182
Bercakap pasal Sabri ni abang teringat pada Abang Baharuddin.
Wajahnya saling tak tumpah macam dia,” Borhan bersuara.
“Dah lama abang putus hubungan adik-beradik dengan dia.
Khabar berita pun tak dengar. Macam manalah agaknya keadaan dia
sekarang ya, bang …?” isterinya menambah dalam nada suara yang
lembut.
Borhan sebaliknya diam. Kata-kata isterinya itu semakin
menguatkan ingatannya terhadap abangnya Baharuddin. Serta-merta
juga dia teringatkan pesan arwah ayahnya. Agar jangan putus
hubungan adik-beradik. Hanya Baharuddin sajalah satu-satunya abang
kandungnya yang ada di dunia ini.
Latipah dapat membaca apa yang sedang menyelubungi perasaan
suaminya.
“Abang ….” Dia terus mengeluarkan nada suara yang halus.
Borhan memandang tepat wajah isterinya.
“Yang sudah tu sudahlah. Buang yang keruh ambillah yang jernih.
Tiada gunanya abang menyimpan perasaan dendam terhadap Abang
Baharuddin. Dia bukannya orang lain. Abang kandung abang jugak.
183
Maafkan Tipah, bang. Tak sepatutnya Tipah cakap macam ni pada
abang. Tapi demi kebaikan bersama Tipah beranikan juga,” luah Latipah
dengan penuh panjang lebar pada suaminya.
“Tipah tak bersalah dalam hal ini. Apa yang Tipah cakap memang
benar. Sejak kebelakangan ini abang asyik teringatkan dia. Sampai
terbawa-bawa dalam mimpi …,” kata Borhan pula dalam nada suara
yang perlahan.
“Sudahlah, bang. Apa kata esok kita pergi jumpa dia. Tautkan
kembali hubungan abang dengan dia. Yang telah sekian lama terputus,”
ajak isterinya pula.
“Yalah, Tipah!” dia sebaliknya mengangguk-anggukkan kepala
sebagai tanda menurut sahaja ajakan isterinya tu.
Sebuah kereta mewah kelihatan memasuki halaman rumah
Baharuddin.
“Bang! Ada orang datang,” ujar Salmah.
“Yalah! Siapa ni?” dia membalas.
184
Baharuddin berasa sungguh terkejut. Dia seakan-akan tidak
percaya. Yang turun dari kereta mewah itu Borhan dan isterinya.
“Assalamualaikum, bang,” dia memberi salam.
“Waalaikumsalam,” Baharuddin menjawab. Kedua-dua beradik itu
lantas berpelukan erat.
“Bang …. Maafkan saya …,” dia bersuara sambil menitiskan air
mata.
“Sudahlah, Borhan. Syukur alhamdulillah. Kita dapat bertemu
semula. Marilah kita naik ke rumah!” Dia mengeluarkan nada suara
yang penuh dengan rasa gembira tak terhingga.
Cuaca yang kelihatan cerah sejak dari pagi tadi bersama tiupan
angin yang datang dari arah bukit turut berkongsi rasa kegembiraan.
Apabila kedua adik-beradik yang telah terputus hubungan sejak sekian
lama kembali bercantum semula.
“Mari, Tipah. Boleh kita berbual panjang. Lama kita tak jumpa,”
isterinya pula mencelah.
185
“Yalah, kak!” angguknya.
Sabri muncul di muka pintu ketika Baharuddin, Borhan, Salmah
dan Latipah melangkah naik ke rumah.
“Datuk?” Dia merasa sungguh terperanjat apabila melihat Datuk
Borhan bersama dengan isterinya.
“Sabri? Apa awak buat kat sini?” soal Borhan yang turut berasa
terkejut.
“Kau kenal dengan dia ni, Sabri?” tanya Baharuddin dengan rasa
penuh hairan sambil memandang wajah anaknya.
“Datuk Borhan ni tuan punya syarikat tempat saya bekerja, ayah,”
jelasnya pula.
Salmah dan Latipah sebaliknya hanya mendiamkan diri sambil
saling berpandangan melihat pertemuan bersejarah keluarga ini.
“Jadi, Sabri ni anak buah saya?” ucap Borhan.
“Ya, Borhan! Air dicincang takkan putus!” abangnya menambah.
186
14
JIHAD
Angin petang bertiup lemah-gemalai. Membelah seluruh kampung.
Waktu asar belum lagi masuk. Lebai Dollah awal-awal lagi sudah tiba di
masjid. Sebaik-baik sahaja Lebai Dollah mematikan enjin motosikal
Osman muncul.
“Assalamualaikum, lebai,” Osman lalu memberi salam.
“Waalaikumsalam,” jawab Lebai Dollah sebaliknya sambil
bersalaman dengan Osman.
“Panas betul sekarang ya, lebai. Musim kemarau agaknya,”
tambah Osman pula.
“Yalah! Dah tiga bulan hujan tak turun. Macam mana pun kita
kena bersyukur. Panas ke hujan ke sudah ditentukan Tuhan asalkan
tak ditimpa bencana. Macam negara lain. Yang kita tengok di tv dan
suratkhabar tu,” Lebai Dollah berkata.
187
“Memang betul kata lebai tu. Semuanya kehendak Tuhan. Bukan
kehendak kita sebagai manusia. Tapi kalau direnung-renung balik
bencana yang berlaku adalah balasan Tuhan kepada manusia yang
melakukan dosa di atas muka bumi ini,” Osman mencelah.
“Benar, Man. Kita sebagai hamba hendaklah sentiasa taat dan
patuh pada segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Agar mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” ucap Lebai
Dollah.
“Oh, ya! Lebai perasan tak. Dah lama Haji Deris tak datang ke
masjid ni. Kalau tak silap saya dah hampir sebulan. Sembahyang
Jumaat pun dia pergi ke masjid Kampung Bidara,” kata Osman.
“Entahlah, Man. Aku sendiri pun tak faham. Kenapa tiba-tiba dia
tak mahu jejakkan kaki di masjid ni …,” keluh Lebai Dollah sebaliknya
dalam nada suara lemah.
“Apa yang saya dengar sekarang dia rapat dengan guru agama
dari Tanah Seberang,” jelas Osman pada Lebai Dollah.
“Guru agama dari Tanah Seberang?” soal Lebai Dollah sambil
mengangkat kepala tinggi sedikit memandang wajah Osman.
188
“Ya, lebai! Mak Som yang beritahu!” Osman menambah sambil
mengangguk-anggukkan kepala.
Lebai Dollah sebaliknya diam apabila mendengar kata-kata yang
keluar daripada mulut Osman itu. Dia kemudiannya melihat jam di
tangan.
“Hah, waktu pun dah masuk. Pak Imam pun dah sampai. Kau
laungkanlah azan, Man,” arah Lebai Dollah.
“Yalah, lebai!” Osman pantas menjawab.
Haji Deris duduk berehat di ruang tamu rumah. Tak lama
kemudian Mak Som muncul sambil membawa dulang berisi minuman.
“Minum, bang,” pelawa Mak Som.
Dia lalu menghirup perlahan-lahan air kopi yang masih panas itu.
Asap nipis yang keluar daripada air kopi kelihatan teroleng-oleng naik
ke atas.
“Saya tengok abang dah lama tak pergi ke masjid,” Mak Som
menegur suaminya.
189
“Awak kan tahu. Saya sekarang tengah berjihad dengan tuan
guru dari Tanah Seberang tu. Menentang musuh-musuh Islam,” balas
Haji Deris.
“Tapi takkanlah asyik dengan berjihad sehingga tak ada masa
untuk pergi berjemaah di masjid,” tingkah Mak Som pula.
“Itulah awak orang perempuan. Apa tahu. Sudah. Malas saya nak
layan awak. Saya nak pergi berjumpa dengan tuan guru.” Haji Deris lalu
bingkas bangun.
Di kaki langit matahari kian meninggi. Tanda sudah tengah hari.
Cahayanya menyimbah ke seluruh kampung. Panas memijar terasa
menggigit-gigit permukaan kulit.
Pepohonan dan dedaunan hijau meliuk-liuk ke kiri kanan. Lemah-
gemalai mengikut rentak tiupan angin yang datang dari arah bukit-
bukau menghijau.
Dari jauh kelihatan Lebai Dollah dan isterinya sedang bekerja di
kebun bersebelahan dengan rumahnya. Lebai Dollah berhenti seketika.
Sambil mengesat peluh yang mengalir di dahi dia memandang ke langit
190
biru bersama dengan gumpalan awan tebal memutih. Jelas kelihatan
terang-benderang.
“Bang! Saya balik dululah, ya. Dah tengah hari ni!” pinta isterinya.
“Yalah!” angguk Lebai Dollah pula.
“Oh, ya. Sebelum saya terlupa. Nanti abang petik pucuk ubi, ya.
Tengah hari ni saya buat sambal belacan,” isterinya bersuara lagi.
“Yalah! Nanti abang petik,” ulang Lebai Dollah. Isterinya pantas
berlalu pergi dari situ.
Tak lama kemudian kedengaran bunyi enjin motosikal. Lebai
Dollah lalu menjengahkan kepala. Untuk melihat siapa yang datang.
Osman rupanya.
“Assalamualaikum, lebai,” Osman memberi salam. Enjin motosikal
lantas dimatikannya.
“Waalaikumsalam. Kau dari mana ni, Man?” Lebai Dollah
menjawab.
191
“Dari kedai. Lebai ada dengar tak cerita Haji Deris dan beberapa
orang kampung terpengaruh dengan tuan guru dari Tanah Seberang tu
untuk berjuang menentang musuh-musuh Islam,” ucap Osman.
Dengan serta-merta rasa kehairanan jelas terpancar di wajah
Lebai Dollah. Apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut
Osman itu.
“Betul ke ni, Man? Mana kau dapat cerita ni?” tanya Lebai Dollah.
“Dari Karim. Dia kata tuan guru tu hebat orangnya. Selain
daripada memiliki agama yang tinggi dia juga telah berjaya membunuh
ramai musuh Islam. Terutamanya yang datang ke Tanah Seberang.” Dia
menerangkan pada Lebai Dollah.
“Aku rasa ada sesuatu yang tak kena dengan perjuangan yang
dibawa oleh tuan guru tu. Jihad memang dituntut dalam Islam. Tapi
kita tak boleh membunuh mereka bukan Islam dengan sesuka hati,”
kata Lebai Dollah pula.
“Habis, apa kita nak buat ni, lebai? Perkara ini tak boleh kita
biarkan berlaku. Akibat terpengaruh dengan perjuangan songsang ni
ada penduduk kampung kita menjadi pengganas. Membunuh orang-
192
orang bukan Islam dengan sesuka hati. Seperti yang kita lihat di tv dan
akhbar. Sedangkan Islam melarang semua tu,” Osman sebaliknya
menambah dengan panjang lebar.
Lebai Dollah diam. Dari raut wajahnya jelas dapat dibaca. Dia
sedang memikirkan sesuatu. Mata Osman tidak berkelip-kelip.
Memandang gelagat yang ditunjukkan oleh Lebai Dollah itu. Kemudian
Lebai Dollah lalu menarik nafas yang panjang. Setelah menemui
jawapan pada persoalan yang dilontarkan oleh Osman itu.
“Perkara ni tak boleh dibiarkan. Kita mesti jumpa Haji Deris. Kita
nasihatkan dia supaya berhenti daripada melakukan kerja yang sia-sia
ni. Aku yakin. Haji Deris telah diperalatkan oleh tuan guru tu supaya
mempengaruhi orang-orang kampung,” ujar Lebai Dollah.
“Itulah yang sebaik-baiknya, lebai. Kalau macam tu saya minta
diri dulu. Dah tengah hari ni. Nak ambil anak balik dari sekolah.
Assalamualaikum,” mohon Osman.
“Waalaikumsalam!” Lebai Dollah membalas sambil mengangguk-
anggukkan kepala.
193
Osman lalu menghidupkan enjin motosikal. Lebai Dollah
memerhatikan sahaja Osman berlalu pergi sehingga hilang di
pandangan mata. Dia kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Memikirkan Haji Deris dan beberapa penduduk kampung yang
terpengaruh dengan perjuangan salah yang dibawa oleh tuan guru dari
Tanah Seberang.
Dalam hati kecilnya dia memunajatkan doa. Agar Tuhan
memberikan taufik dan hidayat kepada mereka. Meninggalkan
perjuangan yang salah itu. Kembali semula ke pangkal jalan. Menurut
jihad yang sebenar dituntut oleh agama Islam.
Haji Deris terus pulang ke rumah selepas berjumpa dengan tuan
guru. Setibanya di rumah dia lalu duduk di atas kerusi kusyen
berwarna biru air laut.
Di luar cuaca kelihatan redup. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Membelah suasana kampung yang indah dan permai. Pohon kelapa
yang tumbuh di halaman rumah Haji Deris melambai-lambai disapu
angin. Seolah-olah mengajak perantau di kota pulang ke tempat
kelahiran mereka.
194
Dedaunan kelapa yang bergeseran mengeluarkan irama yang
sungguh merdu. Menusuk hingga ke jiwa. Kesepian yang melanda rasa
terhibur apabila mendengar nyanyiannya.
Dia lalu memanggil isterinya. Mak Som yang berada di dapur lalu
menuju ke ruang tamu rumah.
“Ada apa, bang?” tanya Mak Som.
“Mulai hari ni saya tak mahu barang-barang buatan orang bukan
Islam dalam rumah ni. Saya nak awak buang semua. Pakai barang
buatan orang Islam. Awak faham!” ingat Haji Deris.
“Kenapa pulak, bang? Tiba-tiba aje abang suruh buang. Nada
suara Mak Som berbunyi hairan dan terkejut. Apabila mendengar kata-
kata yang keluar daripada mulut suaminya itu.
“Awak jangan banyak soal. Saya kata buang. Buang ajelah!” Haji
Deris menjawab.
“Yalah! Saya nak tahu jugak. Apa sebabnya?” tambah isterinya
pula.
195
“Orang bukan Islam tu musuh kita. Kata tuan guru kalau kita
menggunakan barang buatan mereka bererti kita menyokong mereka.
Kita mesti hapuskan mereka. Jangan biarkan mereka hidup!” ulang Haji
Deris pada isterinya dengan penuh semangat.
“Bang …. Mereka tu manusia macam kita jugak. Nak hidup di atas
dunia ni. Walaupun berlainan agama. Islam tak mengajar kita agar
melakukan kezaliman sesama manusia …,” Mak Som sebaliknya cuba
menasihatkan suaminya. Dengan mengeluarkan suara yang lembut.
“Susahlah awak ni, Som. Saya berjuang di jalan yang benar.
Sepatutnya awak merasa bangga dan menyokong perjuangan suci saya
ni. Ini tidak. Awak bangkang pulak!” bantah Haji Deris.
“Semua orang kampung cakap perjuangan yang dibawa oleh tuan
guru tu salah. Sudahlah, bang. Saya minta abang janganlah percaya
sangat dengan ajaran tuan guru tu,” rayu Mak Som pada suaminya yang
terpengaruh dengan perjuangan sesat yang dibawa oleh tuan guru dari
Tanah Seberang itu.
“Dahlah, Som! Awak dengan orang kampung sama saja. Tak
faham tentang jihad. Kalau awak tak nak berdiri teguh di belakang saya
tak ape. Tapi saya tetap akan berjuang bersama dengan tuan guru
196
menghapuskan orang bukan Islam!” dia membangkang dengan sekeras-
kerasnya.
Mak Som hanya mampu mendiamkan diri sambil memerhatikan
suaminya bingkas bangun dan menuju ke dalam bilik. Dia kemudiannya
lalu mengambil keputusan berjumpa dengan Lebai Dollah.
“Dia dan tok guru tu berjihad nak menghapuskan semua orang
bukan Islam?” Lebai Dollah berasa sungguh terperanjat apabila
mendengar penjelasan yang diberikan oleh Mak Som itu.
“Tolonglah, lebai. Saya tak tahu nak buat macam mana lagi. Dah
puas saya nasihatkan dia. Tapi dia tetap berdegil. Nak berjuang dengan
tuan guru yang berfahaman salah tu,” Mak Som merayu pada Lebai
Dollah.
Apabila mendengarkan kata-kata Mak Som itu Lebai Dollah lalu
beristighfar dan menggeleng-gelengkan kepala. Isterinya yang duduk di
sebelahnya turut berasa terkejut.
“Bersabarlah, Som. Aku dan Osman dah bincangkan perkara ni.
Kita mesti selamatkan dia dan beberapa penduduk kampung. Sama-
samalah kita berdoa pada Tuhan. Insya-Allah. Dia dan mereka yang
197
selama ini jauh tersesat akan pengertian jihad sebenar sedar dan
kembali semula ke jalan yang diredhai,” Lebai Dollah berkata dalam
nada suara yang tenang dan memberi semangat pada Mak Som.
“Betul tu, Som. Banyakkanlah berdoa. Mungkin ini ujian dari
Tuhan. Harus ditempuhi dengan tabah dan sabar,” isteri Lebai Dollah
menyampuk.
“Nanti aku dan Osman akan nasihatkan dia. Kau janganlah
bimbang, Som,” ucap Lebai Dollah pula.
“Terima kasih, lebai!” Mak Som membalas.
“Sama-sama, Som!” Lebai Dollah mengangguk-anggukkan kepala.
“Jemput minum, Som,” pelawa isteri Lebai Dollah.
Seperti yang dijanjikan Lebai Dollah dan Osman pun pergi
berjumpa dengan Haji Deris.
“Jihad kan dituntut dalam agama. Kita mesti tunaikan. Baru
Islam kuat,” tahan Haji Deris.
198
“Memang betul. Tapi kenalah dengan cara yang betul. Bukannya
dengan keganasan,” tingkah Lebai Dollah.
“Pak Haji menggunakan kekerasan dengan menjadikan orang yang
tidak berdosa sebagai mangsa tidak dituntut dalam agama. Banyak lagi
cara jihad yang boleh kita buat untuk menegakkan Islam. Tapi
bukannya dengan membunuh seperti yang diajar oleh tuan guru tu,”
Osman mencelah.
“Kau mana tahu tentang jihad, Man. Tak usahlah kau nak
mengajar aku. Dah terang-terang mereka tu musuh kita. Buat apa
dibiarkan hidup,” Haji Deris menjawab.
“Deris …. Kita sebagai orang Islam diajar supaya berbuat baik di
antara satu sama lain. Tanpa mengira bangsa dan agama. Kita mestilah
menunjukkan contoh teladan yang baik. Bukannya bertindak dengan
liar dan tidak berperikemanusiaan …,” Lebai Dollah memujuk Haji Deris
dalam nada suara yang halus.
“Sudah! Sudah! Aku tak mahu dengar apa yang kau orang nak
kata. Walau apa pun yang terjadi aku dan tuan guru akan tetap berjihad
menghapuskan orang bukan Islam di muka bumi ini!” Dia memberikan
kata putus.
199
Lebai Dollah dan Osman saling berpandangan. Mereka
kemudiannya beredar meninggalkan rumah Haji Deris.
“Susah macam ni, lebai. Kita nak selamatkan dia tapi dia tetap
menyokong perjuangan tuan guru yang sesat tu,” Osman mengeluh
hampa. Usahanya bersama Lebai Dollah untuk memujuk Haji Deris
meninggalkan jihad dengan menggunakan keganasan menemui jalan
kegagalan. Lebai Dollah lalu menarik nafas yang panjang.
“Kita tak boleh berputus asa. Haji Deris dan beberapa orang
kampung yang terpengaruh dengan perjuangan yang salah tu kita mesti
selamatkan. Kita berdoalah pada Tuhan. Agar mereka diberi petunjuk
dan sedar akan kesilapan yang mereka lalukan selama ini,” Lebai Dollah
bersuara sambil memegang lembut bahu Osman.
Pada keesokan harinya selepas menunaikan solat Subuh dan
bersarapan Lebai Dollah dan Osman pergi ke pejabat agama.
“Tak sangka. Ada orang yang sanggup memperalatkan agama
untuk kepentingan diri sendiri,” rengus Osman. Sebaik-baik sahaja
keluar daripada pejabat agama dan sambil berjalan bersama-sama
dengan Lebai Osman menuju ke tempat letak motosikal.
200