“Saya memperolehinya daripada Kurator Unit Ethnologi di Jabatan
Muzium dan Antikuiti.” Aku tidak teragak-agak untuk membuat
pengakuan.
“Nampaknya awak lebih bijak daripada saya!” Dia sebaliknya
menghamburkan kata-kata pujian kepadaku sambil mengukir
senyuman yang lebar. Tetapi aku tidak mudah kembang dengan pujian
yang telah diberikannya itu. Aku terus menumpukan perhatian untuk
mendengar kata-kata yang akan keluar daripada bibir mulutnya.
“Memang tidak dapat dinafikan lagi semuanya ini telah
memberikan ilham kepada bahan yang sama di mana terdapat hiasan-
hiasan pada keris itu baik pada hulu, rangka mahupun pada bilah serta
sarungnya adalah merupakan hasil seni tersebut. Semuanya ini
dihasilkan menerusi karya seni yang tinggi mutunya dan keahlian yang
sempurna,” ucap Encik Talib pula.
Apa yang telah diperkatakan oleh Encik Talib tadi mengingatkan
aku pada bahagian-bahagian sebilah keris Melayu yang terdiri daripada
hulu, mata dan sarung. Bagiku ketiga-tiga bahagian ini begitu unik
sekali dari segi pembuatannya. Hulu diperbuat daripada kayu, tulang,
gading dan juga daripada perak atau emas. Mata diperbuat daripada
besi waja. Sarung keris pula diperbuat daripada kayu dan adakalanya
451
dihias dengan perak atau emas. Ganja yang merupakan sekeping besi
waja akan menjadikan mata keris bertambah lebar dari bawah ke atas
apabila dipasang di kepala mata. Ia bertujuan untuk menyelamatkan
buku lali tangan daripada mata keris musuh daripada bertikam. Keris
juga mempunyai Pendongkok iaitu benda perhiasan yang biasanya
dipasang di bawah hulu keris. Bentuknya seperti cawan kecil yang rapat
dengan hujung hulu. Ia dipasang di antara hulu keris dengan mata yang
biasanya dibuat daripada tembaga atau emas celup.
Seperkara lagi yang menarik tentang Pendongkok keris ialah ia
direka bentuk menyerupai sebentuk cincin yang dipasang di bahagian
pangkal hulu keris sebagai perhiasan dan juga pembahagi di antara
hulu serta mata keris. Biasanya Pendongkok diperbuat daripada perak
atau tembaga dan dihiasi dengan motif-motif bunga dan juga tumbuh-
tumbuhan. Ia biasanya dihasilkan melalui teknik-teknik filigree, repouse
dan juga tebuk iaitu mengikut kebiasaan pertukangan emas, perak dan
tembaga. Sungguhpun jelas kelihatan Pendongkok mempunyai bentuk
yang stereotaip namun ia dapat dibezakan melalui reka corak serta
teknik-teknik ia dihasilkan dalam membentuk hiasan tersebut.
Namun begitu ada juga Pendongkok yang dilengkapkan dengan
hiasan tatahan batu permata yang dicengkam kukuh oleh gandar-
452
gandar. Secara amnya Pendongkok bolehlah ditafsirkan sebagai satu
hiasan seni yang menarik yang terdapat pada keris.
“Mata keris mempunyai dua jenis. Satu yang lurus atau juga
dikenali sebagai Keris Sapukal dan satu lagi Keris Sempana di mana
matanya berlok. Kedua-dua jenis mata ini digunakan untuk bertikam,”
kata Encik Talib.
“Seperkara lagi yang menarik tentang mata Keris Sapukal yang
panjang ialah lazimnya digunakan untuk menjalankan hukuman
bunuh,” aku menambah.
“Kedua-dua belah tepi mata keris adalah sama tajam.”
“Encik Talib ingat tak berapa ukurannya?” aku tiba-tiba pantas
memotong.
“Ukuran sebilah mata keris biasanya kira-kira 15 inci atau 38 cm
panjang,” balasnya.
“Bagaimana pula dengan mata keris berlok?” aku menyoalnya lagi
dengan penuh minat.
453
“Bagi mata keris berlok pula, ukurannya kadang-kadang sehingga
20 inci atau 50 cm panjang. Bilangan lok pada mata keris mesti ganjil.”
“Ganjil macam mana, Encik Talib?” tanyaku dengan penuh minat.
“Lazimnya mata keris yang berlok ada tujuh. Akan tetapi ada juga
yang sebanyak 15 lok. Mata keris dibuat dari beberapa lapisan besi
waja. Sepertimana yang telah kita ketahui, pada zaman dahulu seorang
tukang keris yang mahir dan dihormati iaitu Empu atau Pandai Besi
bekerja di Istana Raja,” terang Encik Talib dengan panjang lebar.
Sebelum kedatangan agama Islam ke Semenanjung Tanah Melayu,
kebanyakan hulu keris mempunyai bentuk seperti kepala Dewa-dewa
Hindu. Bentuk yang biasa merupakan kepala burung Garuda yang
dikatkan kenderaan Dewa Vishnu. Di kawasan-kawasan pengaruh
agama Hindu seperti di Indonesia terutama di Pulau Bali, bentuk hulu
keris seperti kepala Dewa Hindu sehingga sekarang ini.
“Apabila agama Islam tersebar di Tanah Melayu, bentuk hulu yang
asal sudah diubah dan diberi nama Jawa Demam yang merujuk kepada
cerita Hang Tuah di Melaka atau Ayam Patah Tekak,” ujarku.
454
“Tetapi walaupun demikian hulu keris Tajon atau kadang-kadang
yang dinamakan sebagai Keris Hulu Pekakak di mana ia dibuat di Negeri
Patani yang mempunyai bentuk seperti kepala Garuda dengan mata dan
paruh yang tajam,” balas Encik Talib pula.
“Bagaimana pula dengan pamor?”
“Pamor ialah corak atau tanda yang terdapat pada bilah keris. Apa
yang menarik tentang pamor pada bilah keris ialah ada yang timbul
kerana disengajakan dan ada pula yang timbul secara kebetulan.”
“Sungguh menarik sekali!” aku pantas mencelah dengan tiba-tiba
kerana tertarik dengan apa yang telah diperkatakan oleh Encik Talib itu.
“Tentu awak nak tahu sebabnya, bukan?” katanya sambil
mendongakkan kepala tinggi sedikit dan tepat memandang wajahku.
“Itu sudah semestinya, Encik Talib. Bagi saya, dalam soal
menambah ilmu pengetahuan, kita seharusnya tidak segan silu untuk
bertanya apabila mempelajari sesuatu yang baru dalam hidup ini.” Dia
sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata yang keluar
daripada mulutku itu.
455
“Pamor yang timbul secara kebetulan disebabkan oleh proses
percampuran besi setelah dibentuk menjadi bilah. Manakala pamor yang
timbul secara kebetulan pula berlaku melalui dua cara. Cara pertama
ialah dengan mencampurkan logam bilah dengan bahan pamor agar
dalam membentuk bilah sekali gus akan timbul pamor yang diinginkan
sementara cara kedua ialah dengan membentuk bilah keris tanpa
campuran besi yang lain. Kemudian barulah dititik logam sesuai dengan
pamor yang dikehendaki,” terang Encik Talib dengan panjang lebar.
“Nampaknya pamor juga merupakan bahagian keris yang
terpenting.”
“Bukan setakat itu saja, Amir. Menurut kepercayaan masyarakat
Melayu lagi, pamor mempunyai kuasa luar biasa yang sangat besar serta
dapat mempengaruhi kehidupan si pemiliknya. Pengaruh tersebut tidak
sama di antara satu dengan yang lain. Terdapat beratus-ratus nama
pamor yang mempunyai magis atau daya keramat yang serba berlainan,”
tambahnya lagi.
Sesungguhnya keris mempunyai pengaruh yang luar biasa dalam
kehidupan masyarakat Melayu. Hakikat ini jelas terserlah kerana ramai
lagi yang mempercayai bahawa keris mempunyai kuasa luar biasa
sehingga dapat mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat Melayu
456
di mana kuasa luar biasa itu berbeda-beda pada setiap keris. Ini jelas
membuktikan kepada kita bahawa ada keris yang memiliki daya magis
kerana jenisnya dan ada pula keris yang mempunyai daya magis kerana
pamornya. Secara keseluruhannya setiap pamor mempunyai daya magis
yang tersendiri.
Manakala keris yang melambangkan sebagai senjata untuk
membunuh musuh dalam sesuatu pertunjukan banyak digunakan
dalam adegan yang menonjolkan fungsi keris kerana seni bermain keris
dalam sesuatu adegan merupakan sesuatu yang dipentingkan.
Itulah resolusi yang kami buat berkenaan keris sebelum bersurai.
457
30
BARAT DAN BUDAYA MELAYU
“Saya benar-benar tertarik dengan negara Malaysia. Ia mempunyai
sejarah dan kebudayaan yang luas dengan berbagai unsur luar seperti
Islam, Paganisme, India, Cina dan juga Eropah di mana tiap-tiap
satunya telah meninggalkan beberapa kesan yang boleh dikenali sebagai
warisan oleh semua masyarakat di negara ini,” kata Frank yang berasal
dari Australia sebaik-baik sahaja selesai melawat Balai Kebudayaan
yang terdapat di Muzium Negara. Dia baru sahaja sampai ke Kuala
Lumpur semalam atas undanganku.
Dia amat fasih sekali berbahasa Melayu. Aku mula mengenalinya
semasa sama-sama menuntut di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.
Seperkara lagi yang menarik tentang Frank ialah beliau amat berminat
sekali mengkaji warisan sejarah dan kebudayaan yang terdapat di
negara ini.
“Walaupun agama Islam diiktiraf sebagai agama rasmi Malaysia,
agama lain boleh dianuti dengan bebasnya oleh masyarakat seperti
Cina, India dan lain-lain lagi,” balasku pula.
458
“Perpaduan yang unggul di antara pengaruh sejarah dan budaya
bercampur dengan berbagai tradisi Melayu telah melahirkan corak
kebudayaan yang unik,” ucap Frank.
“Apa pandangan awak tentang artifak-artifak kebudayaan yang
dipamerkan di balai tadi?” tanyaku.
“Menarik!” dia sebaliknya menjawab pendek sambil membetulkan
duduk.
“Menarik dari segi apa?”
“Sesungguhnya artifak-artifak yang dipamerkan di balai tadi
menjadi saksi utama terhadap hubungan kebudayaan serta
persejarahan di antara orang-orang Melayu dan dunia luar melalui satu
perjalanan sejarah yang dialami oleh negara ini sejak dahulu lagi.”
Hebat! Aku benar-benar mengagumi Frank. Dia telah berjaya
meletakkan fakta yang berkaitan dengan warisan sejarah dan
kebudayaan yang terdapat di negara ini pada landasan yang tepat. Kata-
kata yang diucapkannya itu ada terkandung dalam buku yang bertajuk
“Sejarah dan Budaya Melayu.” Aku pernah membaca buku itu.
459
“Sekarang awak buat kajian tentang apa?” aku menyoalnya lagi
dengan penuh minat sambil menyedut sedikit air Milo Ais. Frank pula
memilih minuman kegemarannya iaitu Fresh Orange.
“Budaya hidup orang Melayu,” jawab Frank yang turut menyedut
sisa-sisa air Fresh Orange yang masih tinggal sedikit sahaja lagi.
“Apa yang awak kaji?”
“Istiadat perkahwinan orang Melayu,” balas Frank yang berambut
perang dan berkulit putih itu.
“Kenapa awak begitu berminat sekali untuk mengkajinya?” aku
tak putus-putus menyoal Frank.
Di luar cuaca memang panas sekali sejak akhir-akhir ini. Hujan
pun sudah lama tidak turun. Daun-daun serta rumput yang berwarna
hijau telah bertukar menjadi perang akibat cuaca yang panas terik.
“Bagi saya istiadat perkahwinan orang Melayu sungguh unik
sekali kerana ia berdasarkan kepada prinsip-prinsip agama Islam yang
diadun dan dipersuaikan dengan kebudayaan tradisional Melayu.”
460
“Sungguhpun pada prinsipnya istiadat perkahwinan ini adalah
sama tetapi terdapat sedikit perbezaan dari segi adat yang kebiasaannya
dipengaruhi oleh pemahaman dan amalan budaya suku ethnik Melayu
di sesebuah negeri atau daerah seperti Minangkabau, Jawa, Bugis,
Rawa, Mendailing, Banjar, Aceh, Melayu dan lain-lain lagi,” tambahku
pula.
“Bagi kebanyakan masyarakat Melayu, majlis perkahwinan
merupakan satu majlis yang istimewa dan diadakan dengan meriah dan
dipenuhi dengan upacara adat istiadat Melayu yang gilang-gemilang.
Kemeriahan sesuatu majlis perkahwinan itu bergantung kepada
kedudukan kedua-dua belah keluarga pengantin dari segi kewangan
serta martabat. Persiapan majlis perkahwinan ini lazimnya memakan
masa lebih lama lagi dan melibatkan berbagai istiadat yang diadakan
dengan penuh meriah.”
Sekali lagi aku terpampan dengan kata-kata Frank yang bermata
biru itu. Dari mana dia tahu semua ini? Mungkin dia banyak membuat
kajian dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan budaya hidup
orang Melayu, desis hati kecilku.
“Mengikut adat resam masyarakat Melayu, sesuatu majlis
perkahwinan itu terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu istiadat
461
meminang, istiadat pertunangan, menghantar belanja dan akad nikah,
mengasah gigi, berinai iaitu berinai curi dan berinai besar, bersanding,
mandi limau serta akhir sekali bertandang,” tambahnya lagi.
“Dari segi agama pula, upacara perkahwinan yang sebenar
bermula dengan upacara akad nikah yang lazimnya diadakan di rumah
pengantin perempuan. Akad nikah ini diadakan berlandaskan kepada
hukum syarak dan setelah upacara ini sempurna maka baharulah
kedua-dua pengantin itu sah dari segi hukum syarak sebagai suami dan
isteri.”
“Saya pernah mendengar perkataan itu. Tapi, saya kurang jelas
apa maksudnya hukum syarak dalam upacara perkahwinan orang
Melayu,” akui Frank meminta penjelasan daripadaku.
“Mengikut hukum syarak, terdapat 5 rukun nikah yang mesti
dipatuhi. Pertama, pengantin lelaki, kedua, pengantin perempuan,
ketiga, seorang wali bagi pihak pengantin perempuan, keempat, dua
orang saksi dan yang kelima ijab dan qabul.”
“Oh, begitu!” dia mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda
faham dengan penjelasan yang telah kuberikan.
462
“Bagaimana pula dengan majlis bersanding?” sambungnya lagi
dengan penuh minat sambil kedua-dua belah matanya yang berwarna
biru itu tepat memandang wajahku.
“Majlis bersanding merupakan acara kemuncak dalam istiadat
perkahwinan orang Melayu. Dalam majlis ini, pengantin lelaki dan
perempuan sebagai Raja Sehari akan duduk di atas pelamin atau
peterana yang dihias indah. Majlis ini biasanya dilakukan setelah
pengantin lelaki siap dengan pakaian khas dan sirih latlat atau sirih
genggam diterima dari pihak pengantin perempuan. Kemudian
baharulah pengantin lelaki dengan diiringi oleh pengapit dan
rombongannya diarak dengan bunga manggar serta kumpulan
kompang, rebana atau hadrah berjalan perlahan-lahan menuju ke
rumah pengantin perempuan,” terangku pula dengan panjang lebar.
“Kalau tak silap saya dalam buku yang bertajuk “Perkahwinan
Orang Melayu” ada menyebutkan bahawanya setibanya di perkarangan
rumah pengantin perempuan, rombongan pengantin lelaki tadi akan
disambut dengan taburan beras kunyit serta renjisan air mawar dan
persembahan pencak silat. Sebelum dipersilakan masuk ke dalam
rumah, adakalanya dikenakan beberapa syarat lain seperti tebus pintu
dan tebus pelamin. Bukan begitu?” Frank menyoalku sambil
mengangkat muka tinggi sedikit.
463
“Benar.”
“Apa tujuannya?” dia pantas mencelah.
“Tujuannya ialah untuk mengusik-usik rombongan pengantin
lelaki supaya menjadi lebih meriah dan mesra.”
“Jadi, setelah syarat-syarat atau halangan-halangan ini dilalui,
maka baharulah pengantin lelaki didudukkan bersanding di sisi kanan
pengantin perempuan sebagai Raja Sehari.”
“Tepat sekali. Semasa majlis bersanding inilah saudara-mara dan
sahabat handai akan tampil seorang demi seorang ke kaki pelamin
untuk merenjiskan air mawar serta menabur beras kunyit kepada
kedua-dua mempelai. Kemudiannya mereka akan diberi sebiji atau
setangkai bunga telur,” ujarku lagi.
“Barulah saya faham dengan tablo yang dipamerkan di Balai
Kebudayaan tadi,” kata Frank sambil tersenyum puas.
“Kenapa awak tak tanya saya?”
464
“Saya sebenarnya asyik memerhatikan pakaian yang dipakai oleh
pengantin lelaki dan pengantin perempuan.”
“Pengantin lelaki memakai Tengkolok Sering yang berasal dari
Patani. Baju, seluar dan kain sampinnya ditenun di Negeri Kelantan.
Manakala corak sanggul emas, kilat dahi emas, dokoh dan pakaian
pengantin perempuan pula mengikut gaya pakaian istana Perak dalam
tahun 1880-an,” terangku pada Frank.
“Bilangan mata tangga atau tingkat pelamin yang disusun dengan
angka ganjil juga merupakan salah satu daripada cirri yang menarik
dalam istiadat perkahwinan Melayu.”
“Kenapa awak kata begitu?” Giliranku pula menyoal Frank.
“Ia tertakluk kepada kedudukan pengantin berkenaan, tiga tingkat
untuk orang kebanyakan, lima tingkat untuk orang-orang bangsawan
dan tujuh tingkat untuk keluarga Diraja,” jawabnya dengan suara yang
lancar tanpa tersekat-sekat.
“Saya benar-benar kagum dengan awak, Frank.” Aku
menghamburkan kata-kata pujian kepada Frank.
465
“Kagum?” Dia seolah-olah terperanjat apabila mendengar kata-
kata pujian yang keluar daripada mulutku itu. Namun begitu senyuman
kecil tetap terukir di wajahnya.
“Ya. Awak bukan saja fasih berbahasa Melayu malahan juga dapat
meletakkan fakta yang berkaitan dengan budaya Melayu pada landasan
yang tepat.”
“Awak jangan terlalu memuji saya, Azman.” Dia sebaliknya tidak
mudah kembang apabila mendengar kata-kataku itu.
“Saya berkata dengan ikhlas.”
“Sudahlah tu. Kita lupakan saja perkara itu. Lebih baik kita
teruskan perbincangan tentang istiadat perkahwinan orang Melayu.”
Frank mengalih tajuk perbualan.
Dalam istiadat perkahwinan orang Melayu yang diwarisi sejak
zaman-berzaman biasanya dimulakan dengan merisik, meminang,
menghantar belanja serta akad nikah. Setelah persetujuan dan
penetapan hari untuk melangsungkan majlis perkahwinan di antara
kedua-dua belah pihak diperolehi, maka baharulah istiadat
perkahwinan yang sebenar diadakan.” Aku menyambung semula
466
perbincangan mengenai istiadat perkahwinan orang Melayu yang
tergantung buat seketika.
“Seperkara lagi yang menarik ialah dalam buku yang bertajuk
“Perkahwinan Orang Melayu” ada menyebutkan bahawa ketibaan
rombongan pengantin lelaki lazimnya didahului dengan menghulurkan
tepak sirih atau sirih junjung dan diiringi pula dengan bingkisan-
bingkisan hantaran yang setiap satunya digubah dengan seindah-
indahnya serta disusun berbaris sambil disaksikan oleh ahli-ahli waris
dari kedua-dua belah pihak. Setelah barang-barang ini diteliti dan
disahkan oleh pegawai adat dan ahli-ahli waris perempuan berdasarkan
kepada janji yang telah diikat, maka baharulah upacara akad nikah
dilakukan,” celah Frank pula.
“Tentu awak mempunyai pandangan yang menarik tentang
peranan hantaran dalam istiadat perkahwinan orang Melayu.”
“Tradisi hantaran ini lebih merupakan pemberian atau tanda cinta
kasih dari pengantin lelaki kepada pengantin perempuan yang biasanya
terdiri dari berbagai barang. Di antara barang-barang yang dipentingkan
ialah duit hantaran atau wang belanja, persalinan yang lengkap, sejadah
dan telekung, tuala mandi, alat solek, sebentuk cincin permata serta
diiringi dengan kuih-muih, buah-buahan, bunga rampai dan
467
sebagainya. Jumlah bingkisan hantaran biasanya ganjil seperti 7, 9, 11
atau 13 di mana tertakluk kepada kemampuan dan keinginan pihak
lelaki. Ini jelas melambangkan bahawa peranan hantaran dalam istiadat
perkahwinan orang Melayu melambangkan ciri-ciri yang universal,”
jawabnya lagi dengan panjang lebar.
“Kesemua barang-barang hantaran ini digubah dengan cukup
cermat dan indah. Kemudian ia diletakkan di atas pahar atau bekas-
bekas yang beralaskan baldu bertekat dan adakalanya dibalut pula
dengan kertas kilat berwarna sehingga dapat memperlihatkan satu
persembahan yang paling istimewa kepada seorang raja. Hantaran balas
dari pihak pengantin perempuan juga tidak banyak perbezaannya tetapi
lebih kepada kuih-muih yang melambangkan kemahiran dan sifat-sifat
wanita yang lemah-lembut,” aku menambah.
“Saya sebenarnya sekarang sedang menyusun sebuah buku yang
berkenaan dengan istiadat perkahwinan orang Melayu,” akui Frank lagi.
“Awak tulis dalam versi apa?”
“Inggeris.”
“Dah berapa bab awak tulis?” soalku pula bertubi-tubi kali.
468
“Baru 4 bab.”
“Apa yang awak sentuh?”
“Tentang upacara perkahwinan orang Melayu yang dilakukan
secara besar-besaran di rumah pengantin perempuan di mana upacara
akad nikah dan bersanding diadakan. Beberapa hari sebelum upacara
itu dilakukan, bahagian luar dan dalam rumah tersebut dihias indah.
Tanpa mengira keadaan kewangan bapa pengantin perempuan, sudah
menjadi kelaziman di rumahnya dibuat sebuah pelamin dan sebuah
bilik pengantin,” jawab Frank dengan panjang lebar.
“Tumpuan di dalam bilik pengantin itu ialah katilnya. Biasanya ia
dihias indah dengan cadar dan sarung bantal yang dibuat khas dari
baldu yang bertekat benang emas yang sesuai untuk sepasang Raja
Sehari. Keindahan hiasan bilik pengantin itu sebenarnya menjadi suatu
kebangaan kepada keluarga pengantin perempuan,” tambahku.
“Katil di dalam kamar pengantin itu biasanya digunakan oleh
kedua-dua pengantin baru itu pada malam pertama dan ketiga. Pada
malam kedua biasanya mereka tidur di rumah pengantin lelaki. Itu saja
yang saya tahu.”
469
“Di Perak, biasanya pada malam ketiga sehelai kain putih akan
diletakkan di atas cadar katil itu oleh keluarga pengantin perempuan
sebelum kedua-dua pengantin baru masuk tidur.”
“Menarik!” kata Frank sambil mengangguk-anggukkan kepala.
“Kenapa kain putih itu diletakkan di atas cadar katil?”
sambungnya lagi.
“Pada keesokan harinya, kain itu akan diperiksa sama ada
mengandungi tompok-tompok darah atau tidak?”
“Darah?” Dia berasa hairan apabila mendengar kata-kata yang
keluar daripada mulutku itu.
“Ya. Di sini darah melambangkan yang pengantin perempuan itu
masih lagi dara sebelum berkahwin. Walaubagaimanapun upacara
perkahwinan orang Melayu sebenarnya berbeza dari satu negeri ke satu
negeri yang lain,” terangku.
“Saya amat tertarik sekali dengan katil pengantin yang telah
dipamerkan di Balai Kebudayaan tadi,” ujarnya.
470
“Katil pengantin yang kita lihat tadi berasal dari Terengganu dan
berusia kira-kira seratus tahun. Ia diperbuat daripada kayu cengal serta
penuh berukir dengan motif bunga-bungaan Melayu. Kepala katil pula
diukir sepenuhnya dengan motif awan larat dan berbentuk seperti
ambang pintu. Kelambunya pula bersulam dengan benang emas dan
digantungkan pada bingkainya.”
Dia sebaliknya diam sambil mengangguk-anggukkan kepala
apabila mendengar kata-kataku itu. Aku tak pasti sama ada dia berpuas
hati atau tidak dengan penjelasan yang telah kuberikan itu. Dari raut
wajahnya yang berbentuk bulat itu telah pun dapat kubaca bahawa dia
sedang berfikir sesuatu. Agak lama kemudian baharulah dia bersuara:
“Selain daripada itu, saya juga tertarik dengan persembahan
Wayang Kulit.”
“Wayang Kulit telah termasyhur sejak lebih dari seribu tahun
dahulu di negeri-negeri sebelah Timur Tengah dan Tenggara Asia,” aku
menjawab.
“Kalau tak silap saya dalam buku yang bertajuk “Wayang Kulit
dan Asal Usulnya” ada menyebutkan bahawa contoh Wayang Kulit yang
tertua sekali ialah Wayang Kulit India, Indonesia dan China,” jawabnya
pula.
471
“Benar kata awak tu, Frank. Tetapi rupa patung serta cerita-cerita
yang dimainkan amat berlainan sekali.”
Itu saja yang aku ingat tentang persembahan Wayang Kulit. Di
kesemua negara yang telah disebutkan tadi, patung Wayang Kulit
diperbuat daripada kulit yang dipotong secara boneka dan biasanya
sebelah sahaja tangannya yang boleh digerak-gerakkan. Persembahan
Wayang Kulit dilakukan di sebalik tabir kain putih dan patung-patung
kulit itu ditayangkan serta digerak-gerakkan di antara tabir dan pelita
yang tergantung. Kemudian bayang-bayang patung itu akan kelihatan di
atas tabir itu. Orang yang melakonkan patung-patung kulit itu dipanggil
Tuk Dalang. Para penonton akan duduk atau berdiri di hadapan tabir
dan mendengar cerita yang disampaikan oleh Tuk Dalang. Dia juga akan
mengubah-ubahkan suaranya mengikut watak patung-patung yang
dimainkannya.
“Di negara ini, persembahan Wayang Kulit masih kerap diadakan
di Negeri Kelantan berbanding dengan negeri-negeri yang lain,”
tambahku lagi.
“Wayang Kulit Jawa mempunyai lebih daripada 100 watak,” celah
Frank pula.
472
“Cerita-cerita Panji merupakan cerita yang paling digemari dalam
persembahan Wayang Kulit Jawa.”
“Bagaimana pula dengan cerita-cerita Ramayana yang dipetik
daripada Hikayat Seri Rama?” dia sebaliknya pantas memotong.
“Ia jarang dipersembahkan dalam Wayang Kulit Jawa. Patung-
patung Wayang Kulit Jawa kebanyakannya lebih besar daripada patung
Wayang Kulit yang digambarkan di negara ini atau Thailand.”
“Memang benar kata awak tu, Azman. Dalam buku yang bertajuk
“Wayang Kulit dan Asal Usulnya” ada menyebutkan bahawa tulang
patung Wayang Kulit serta pemegangnya lazimnya diperbuat daripada
tanduk yang dilentur dan bukannya daripada kayu seperti yang terdapat
di negara ini. Bentuk lembaga patung Wayang Kulit Jawa juga jauh
berbeza daripada yang terdapat pada Wayang Kulit Jawa di Negeri
Kelantan. Ini dapat disaksikan dengan membandingkan watak Semar
dan watak Pak Dogol.”
“Dari segi bentuk panggung pula, ia dibuat mengikut bentuk
panggung yang digunakan di Negeri Kelantan di mana ia telah mula
digunakan sejak lebih dua ratus tahun dahulu,” balasku pula.
473
“Seperkara lagi yang menarik ialah Tuk Dalang boleh
menggerakkan patung-patung belulang serta menyuarakan kata bual
tanpa dibantu oleh sesiapa pun di sepanjang persembahan Wayang
Kulit.”
“Tuk Dalang lazimnya akan dibantu oleh Tukang Unjuk yang
duduk di sebelah kiri dan kanannya.”
“Apa pula peranan Tukang Unjuk ni?” dia menyoalku dengan
penuh minat.
“Sebenarnya tugas Tukang Unjuk hanya menyediakan patung-
patung belulang mengikut ceritanya untuk memudahkan Tuk Dalang
mengambilnya apabila dikehendaki,” terangku.
“Batang pisang juga turut digunakan untuk menegangkan kain
tabir atau kleh serta untuk mencucuk patung-patung belulang yang
sudah ditayangkan,” ujarnya pula.
“Sebuah pelita akan digantung untuk memancarkan bayang-
bayang patung belulang di atas kain kleh itu. Pada masa dahulu mereka
menggunakan pelita minyak kelapa yang bersumbukan benang kapas,”
aku menambah lagi.
474
“Hebat sungguh budaya orang Melayu!” puji Frank.
475
31
WAYANG MAT SALIH
“Oh God! Wak Longgg …. Please don’t do it to me!”
“Tolong, tolong Zek!” jerit William.
Kemudian diikuti dengan bunyi ketukan bertalu-talu di pintu.
“William! William! Kenapa kau!”
“Yes, ya, ya, Zek,” kata William separuh ketakutan.
Pintu pun terbuka. William mengesat-ngesat mata.
“Aku bermimpi, Zek. Wak Long nak cekik aku ….”
“Hah kau, William, mimpi berlawan dengan Wak Long lagi.
Semalam pun berlawan dengan Wak Long. Dulu, dulu bertumbuk
dengan Hanuman. Tak habislah kau bermimpi. Dah tu nyusahkan orang
pulak,” tukas Zek.
476
“I am sorry,” jawab pemuda Inggeris bernama William yang baru
tiga bulan berada di Malaysia itu. Dia datang ke negara ini semata-mata
kerana cintakan wayang kulit.
“Entah apa nilai wayang kulit pada William. Sedangkan orang
Melayu telah lama tidak tengok wayang kulit,” bisik Zek.
Pada suatu petang selepas peristiwa mimpi itu, Zek dan William
berbual-bual di Taman Bunga berhampiran Muzium Negara.
“Mengapa awak begitu berminat sekali untuk membuat
penyelidikan tentang wayang kulit, William?” soal Zek dengan penuh
minat.
“Menarik,” William sebaliknya menjawab pendek sambil
membetulkan duduk.
“Menarik dari segi apa?” Zek menyoalnya kembali sambil
memandang tepat pada wajahnya.
“Wayang kulit adalah satu teater tradisional yang menggunakan
prinsip cahaya serta bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung
477
kulit terdiri daripada pelbagai watak methologi khayalan yang
dimainkan oleh Tuk Dalang,” William menjawab panjang lebar.
“Tepat sekali, di samping itu ia diiringi oleh kumpulan muzik
paluan gamelan, rebab dan gong,” tambah Zek pula.
“Assalammualaikum,” sapa satu suara.
William dan Zek menoleh ke arah suara.
“Waalaikummussalam. Oh, Pak Ya.”
“William, ini Pak Ya, Pak Dalang dari Kelantan. Kadang-kadang
dia pun mengajar di Akademi Seni Melayu tempat kau belajar tu.”
Pak Ya menghulur tangan pada William.
“Apa khabar, saudara William,” sapa Pak Ya penuh sopan. Mereka
saling berkenalan dan bertukar-tukar fikiran.
Pada William pertemuannya dengan Pak Ya penuh bermakna dan
sungguh-sungguh menguntungkan. Pertemuan yang tidak dirancang itu
478
memberi khabar gembira pada William. Pak Ya sendiri akan bermain
wayang pada minggu hadapan sempena hari jadi sultan.
William telah dijanjikan oleh Pak Ya untuk dibawa ke Kota Bharu
untuk melihat sendiri persembahan itu.
Setelah Pak Ya beredar, Zek pun cepat-cepat mengusik William.
“Eloklah kau pergi ke sana. Di sana bolehlah jumpa Wak Long
yang kau minati dan Pak Dogol sekali.”
“Siapa pula Pak Dogol tu?” tanya William kehairanan.
“Itulah, pelajaran kau tentang wayang kulit belum seberapa.
Eloklah ke sana berjumpa Mahasiko, Said, Samad, Wak Yah dan Eden
sekali.”
“Eden, siapa Eden tu, Zek. Orang Melayu ke orang Iraq?” tanya
William kehairanan.
“Bila kau ke Kelantan nanti kau tanyalah pada Pak Ya!”
479
“Kau ni suka sangat berahsia. Aku kan student, banyak benda
yang harus kuambil tahu. Nanti bila pulang ke England aku kena tulis
buku. Bapa aku nak terbitkan cerita wayang kulit ini,” kata William
separuh merayu.
“Oh jadi kau datang ke Malaysia ni semata-mata mahu buat cerita
tentang wayang kulitlah!”
William mengangguk-angguk hatinya berbunga penuh harapan.
Kini telah tiba hari yang ditunggu-tunggu William. Bersama
dengan Zek mereka sudah berada di sebuah bangsal wayang kulit yang
bakal didalangkan oleh Pak Ya di bandar Kota Bharu.
Orang ramai sedang berkerumun di suatu sudut di Padang
Paduka. Pak Ya sedang memainkan cerita percintaan Seri Rama dengan
Sita Dewi. Cerita pun bermula. Orang ramai semakin khusyuk. Begitu
juga William dan Zek. Pada William inilah peluang seumur hidupnya
yang tidak mungkin dilupai.
Semakin lama cerita semakin rancak. Wak Long, Pak dogol dan
kawan-kawan sudah muncul beberapa kali. Bunyi gendang dan serunai
480
silih berganti. William asyik memerhatikan Pak Ya memainkan patung-
patung.
Seri Rama dan Sita Dewi yang terpisah sedang dalam kesedihan.
Hanuman dan hamba sahaya sedang mengembara mencari Sita Dewi.
Hamba sahaya terdiri daripada Pak Dogol, Wak Long, Samad, Said
Wak Yah dan Eden juga turut mengembara mencari Sita Dewi. Bunyi
paluan gendang dan gong menyemarakkan perasaan. William kian
seronok melihat watak-watak Wak Long dan kawan-kawan dengan lebih
dekat.
Tiba-tiba Pat! Pat! Pat! bunyi papan yang dihentak kuat. Itu
adalah tanda mula perlawanan antara Hanuman dengan Jit Afrit.
Paluan gong semakin rancak. Genderang perang sedang berbunyi.
Degupan jantung penonton semakin kuat. Perlawanan hebat akan
terjadi sebentar lagi. William ikut terangsang. Tiba-tiba dia terbangun.
Entah kuasa apa membuat William bersilat. Yah! Yah! William bersuara.
Matanya pula merawang ke udara.
Zek termangu.
481
“Apa dah jadi pada kawan aku ni!” kata Zek separuh berbisik
bimbang.
Belum sempat Zek berbuat apa-apa William merapati kelir
wayang.
Patung Hanuman dan Jit Afrit yang sedang berjuang hebat
dirampas daripada Pak Ya. Tiba-tiba William pula yang mengambil
peranan sebagai Tok Dalang. Suasana di bangsal wayang jadi kelam-
kabut. Semua bunyi-bunyian terhenti.
Tiba-tiba semua lampu dan pelita padam. Orang yang menonton
bersorak bagai jong karam. Anak-anak kecil menangis kerana
kegelapan. Sepantas kilat William diberkas oleh juak-juak wayang. Pak
menggeleng-gelengkan kepala. Zek juga termangu-mangu.
“Inilah kalau dah syok sangat!” kata Zek dalam hati.
“Orang putih naik syeikh weh!” kata suara ramai bersorak.
482
32
NEKAD
Dia sudah nekad. Tidak akan merompak lagi. Tidak akan
membunuh orang lagi. Tangannya penuh dengan kekotoran. Neraka
jahanam ini mesti ditinggalkan sebelum terlambat. Dia harus
memulakan penghidupan yang baru. Penuh aman dan tenteram.
Menjadi manusia yang berguna pada masyarakat. Bukannya penjenayah
yang ditakuti. Dia membulatkan tekad seperti bola.
Bosan!
Ya, benar. Dia ingin bertaubat. Kembali semula ke pangkal jalan.
Selama ini dia asyik melakukan kerja yang sia-sia. Nama sahaja
manusia tapi berhati binatang.
Hari ini dia mungkin lepas. Tapi esok atau lusa belum pasti lagi.
Dia mesti berhenti!
Siapa Tahir?
483
Seorang penjenayah yang kejam. Namanya sentiasa terkandung
dalam fail polis. Gambarnya sering terpampang di dada akhbar. Polis
menawarkan hadih yang lumayan kepada sesiapa yang dapat memberi
maklumat hingga tertangkapnya Tahir.
Dia lalu tersandar di atas kerusi yang agak usang itu.
Sambil tangannya membelek-belek pistol revolver .32. Yang telah
meragut ramai nyawa. Kemudian dia mengeluarkan pula peluru
kelongsong. Dan melemparkannya pantas ke atas simen. Hingga
bertaburan merata-rata.
Dia mendengus.
Serta menengadah ke atas siling yang telah dimakan anai-anai.
Kesan-kesan retak juga kelihatan di dinding. Warna cat sudah lapuk.
Bersama habuk-habuk halus.
Kemudian dia lantas memejamkan kedua-dua belah matanya. Oh,
Tuhan mengapa aku sanggup menzalimi diri sendiri! Dia meluahkan
rasa penyesalan.
484
Orang yang bergelumang dengan dosa tidak akan mendapat
tempat di syurga yang penuh dengan kenikmatan. Sebaliknya akan
dicampakkan ke dalam neraka jahanam yang penuh dengan azab seksa
yang pedih.
Namun dia tetap yakin, msih belum terlambat lagi. Tiada jalan
lain lagi selain daripada meminta keampunan daripada Allah SWT.
Kerana Allah Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Lamunannya
terhenti seketika. Apabila Din Jambang muncul dengan tiba-tiba. Ketua
kumpulan Helang Hitam. Penjenayah nombor satu negara.
Rupanya garang.
Tidak pernah tersenyum. Orangnya berbadan tegap. Seorang
penjenayah yang kejam. Dahsyat seperti binatang. Tidak mempunyai
langsung sifat berperikemanusiaan. Dia akan membunuh orang yang
cuba menghalang cita-citanya.
Tahir mengangkat muka.
Din Jambang berdiri tegak. Lantas menepuk bahu Tahir.
485
“Bagaimana?” Bunyi suaranya garau. Mengaum bak singa lapar
yang mahu menerkam mangsanya. Amat sesuai sekali dengan sifatnya.
Hampir memecahkan ruang tamu rumah yang usang itu. Yang menjadi
markas kumpulan Helang Hitam sejak berkurun-kurun lamanya.
Tahir tersentak dengan persoalan itu.
Namun dia tidak gentar sedikitpun, memberanikan diri. Dia telah
lama bersiap sedia untuk menghadapinya. Dia tahu. Membantah kata-
kata Din Jambang bererti menempah maut.
Dia menggelengkan kepala sebagai tanda membantah.
“Tidak!”
“Mengapa?” soal Din Jambang dengan penuh angkuh.
Sambil mengatur langkah lima tapak. Kemudian perlahan-lahan
melabuhkan punggung di atas kerusi yang bertentangan dengan Tahir.
Kedua-dua belah kakinya lalu disilangkan di atas meja yang berbentuk
empat segi itu.
486
Din Jambang mengeluarkan sekotak rokok besar daripada poket
baju jaket kulit yang berwarna hitam pekat. Tanpa berlengah lagi dia
lantas menghulurkannya pada Tahir.
“Tidak!” dia menolak.
Sebaliknya Din Jambang lalu menjepit rokok di bibir. Api segera
dicucuhkan. Kemudian dia menyimpan semula kotak rokok ke dalam
poket. Sambil menghembus asap yang memutih. Berkepul-kepul
memenuhi ruang.
Tahir kembali semula memecahkan persoalan yang terhenti buat
seketika.
“Aku minta kau kecualikan aku daripada misi ini.” Dia
mengeluarkan nada suara yang tenang.
Dengan secepat kilat Din Jambang menarik muka tanpa berkata
walau sepatah pun. Kerana terkejut.
“Kecualikan?”
“Ya!” ujar Tahir serius.
487
“Kau dah silap agaknya!” Muka Din Jambang turut berubah. Dia
berasa pelik. Dengan tiba-tiba sahaja Tahir berani membantah.
Selalunya sebagai orang kanan dia patuh pada segala arahan. Tanpa
banyak soal dan karenah. Namun Tahir tetap mempertahankan
hujahnya.
“Memang selama ini aku silap, Din. Dan kini sudah tiba masanya
untuk aku membetulkannya. Din Jambang memadamkan api rokok di
atas simen. Kemudian memijakkannya hingga lenyek.
Dia lantas ketawa terbahak-bahak. Hingga tertutup kedua-dua
belah matanya. Begitu juga dengan bahunya turut terangkat. Gemanya
menyusup melalui celah-celah dinding yang retak. Kerana terlalu
gelihati. Tetapi bagi Tahir ia adalah suatu penghinaan. Dia merenung
lama wajah Din Jambang dengan penuh tegas.
“Kau tak ingat ke? Hendak menempah maut!” Din Jambang
memberi amaran sambil menudingkan jari kanannya ke arah Tahir. Dia
cuba mengugut. Agar Tahir menarik balik keputusannya. Tetapi Tahir
tetap bertekad, dia tidak akan tunduk dengan ugutan itu.
“Apa nak buat kalau sudah ditakdirkan aku akan maut di hujung
senjata kau.”
488
Din Jambang lantas naik berang bila mendengar kata-kata itu.
Api kemarahannya kian memuncak. Bagai disimbah minyak.
Panas! Marak menyala.
“Lagi, lagi takdir!” Din Jambang bersuara lantang. Sambil
melepaskan tumbukan yang kuat di atas meja. Kedua-dua belah
kakinya pantas ditarik semula turun ke bawah.
“Ini semua adalah ketentuan Tuhan, Din,” sokong Tahir lagi.
“Ya! Sekarang baru kau mengenal Tuhan. Tapi sebelum ni?” soal
Din Jambang bertubi-tubi kali. Umpama muntahan peluru daripada
muncung mesin-gun.
“Kita sebagai manusia amat kerdil di sisi-Nya.”
“Maksud kau kita jadi begini kerana takdir?” Din Jambang terus
menagih kepastian.
“Din, kita dah jauh tersesat. Dan kita harus kembali semula ke
pangkal jalan.” Tahir cuba memujuk.
489
Nyata Din Jambang seorang manusia yang tidak makan nasihat.
“Ah! sudah! Kau jangan nak bersyarah pulak!” Sekali lagi dia
melepaskan tumbukan yang kuat di atas meja. Kemudian dia lalu
menegakkan kepala.
“Bukankah ini semua adalah untuk kesenangan hidup kita!” Dia
mengutip semula kata-kata itu. Mengingatkan Tahir. Matlamat utama
kumpulan Helang Hitam.
Sementara itu, protes Tahir semakin menjadi-jadi.
“Tapi cara kita salah. Dengan menganiaya orang yang tidak
berdosa, membunuh dan merompak!” balasnya sambil meninggikan
suara sedikit.
Jelas sekali dia kian bersemangat. Tidak gentar lagi dengan Din
Jambang. Walaupun dia bergelar penjenayah nombor satu negara. Dia
hanya takut pada Tuhan. Yang amat berkuasa menjadikan alam
semesta ini. Bukannya pada Din Jambang.
“Itu saja jalan mudah untuk mencapai kekayaan!”
490
Din Jambang sungguh tegas dalam mempertahankan haknya.
Kumis lebat memenuhi dagunya. Perdebatan makin genting. Nampaknya
tidak ada jalan penyudah yang akan ditemui. Din Jambang tetap tidak
mahu mengaku kalah. Perbuatan jenayah seolah-olah sudah sebati
dengan darah dagingnya.
Mata Tahir tajam memandang Din Jambang.
Dia tidak berputus asa. Semangatnya kental seperti besi waja.
“Kita mesti membina kekayaan dengan cara yang halal. Aku akan
ikut.”
Din Jambang mengerutkan mukanya. Serta menggelengkan
kepala. Dia benar-benar tidak mengerti. Apakah benda yang telah
merasuk fikiran Tahir? Din Jambang lalu mengangkat muka tinggi.
“Kau bodoh, Tahir!”
Tahir sebaliknya berpura-pura tidak faham dengan maksud Din
Jambang itu.
“Maksud kau?”
491
“Kalau kita ada duit banyak dan kaya raya semua orang akan
mendampingi kita termasuk saudara mara. Tapi kalau kita miskin
mereka pandang tak ubah macam sampah!” Dia melepaskan perasaan
geram bercampur marah.
“Dengan merompak dan membunuh kita akan dipandang lebih
hina lagi, Din.”
Din Jambang lantas menepuk dahi. Terus mengangkat kepala.
Fikirannya kian kusut. Dia hairan. Tahir begitu cepat sekali berubah.
Macam orang yang kena pukau. Dahulu tangannya amat ringan untuk
merompak dan membunuh.
“Tahir, Tahir kau memang tak sedar. Agaknya dah kena sampuk!”
katanya sambil ketawa berdekah-dekah. Bunyinya seperti motosikal
yang tersumbat. Sekali lagi kedua-dua belah matanya tertutup rapat.
Manakala kedua-dua belah bahunya turut terangkat.
Tahir naik bengang melihat gelagatnya itu. Dengan wajahnya yang
penuh seius dia pantas bersuara:
“Din, ini bukan lawak jenaka!”
492
“Lawak jenaka?” Ketawa Din Jambang semakin menjadi-jadi.
Ternyata dia gagal mengawal hilai tawa. Tahir menahan perasaan geram.
Sambil menggenggam erat penumbuk. Rasanya ingin sahaja
dilepaskannya padu ke muka Din Jambang. Hingga jatuh tersungkur.
Agar dia tahu sama ada langit itu tinggi atau rendah. Namun dia tetap
bersabar. Kerana dia mempunyai prinsip yang tersendiri. Bertindak
bukan mengikut perasaan. Tetapi adalah pemikiran.
Ketawa Din Jambang perlahan-lahan reda.
Dia kembali semula menyimpulkan persoalan itu.
“Kita mana ada kelulusan?”
“Benar!” Tahir menganggukkan kepala.
“Tapi kita masih boleh menyumbangkan sesuatu yang berguna
pada agama, bangsa dan negara.” Dia menyuarakan pendapat.
“Melalui cara apa?” Din Jambang mendabik dada. Sombong dan
bongkak.
“Membanteras jenayah.”
493
Suhu darah Din Jambang kian mendidih.
“Sudah! Kau jangan nak berangan-angan menjadi manusia yang
baik!” Dia tetap membantah. Berdegil dan keras kepala.
“Kenapa kau kata begitu?” Tahir gagal mengawal perasaan marah.
“Kerana kau seorang penjenayah!” celah Din Jambang yang jelas
enggan melepaskan Tahir keluar daripada tempat itu. Dia khuatir
rahsianya akan bocor pada pihak polis. Namun Tahir tetap bertekad di
dalam hati. Akan menghapuskan kegiatan kumpulan Helang Hitam.
“Aku sudah bosan menjadi buruan polis!”
Tahir melepaskan rasa geramnya. Dengan melepaskan satu
hentakan yang kuat ke atas meja. Din Jambang lalu bersuara bila
melihat kelakuannya itu:
“Jadi?”
“Tuhan boleh mengubah seseorang manusia itu daripada jahat
menjadi baik. Dengan syarat manusia itu sendiri yang mengubahnya!”
Din Jambang sebaliknya menentang habis-habisan. Seperti bala tentera
494
yang sedang berjuang di medan peperangan hingga ke titisan darah
yang penghabisan.
“Tahir, lebih baik kau lupakan saja niat kau tu. Mari kita
tumpukan pada misi Kedai Emas di Jalan Tunggal malam ini!”
“Aku tak mahu!”
“Kau betul-betul nekad hendak meninggalkan kumpulan ini.” Din
Jambang terus menagih kepastian.
“Aku bukan bergurau, Din.”
Mata Din Jambang tunak. Tapi penuh dengan muslihat. Dia
lantas menyeluk tangan ke dalam poket bajunya. Dengan serta-merta
mengeluarkan pistol revolver .32. Tahir sudah masak dengan taktik itu.
Dia tidak alpa.
“Sebelum terlambat kau harus dihapuskan!”
Dengan secepat kilat Tahir menendang meja di hadapannya. Din
Jambang jatuh terpelanting hingga ke belakang. Seperti nangka busuk
495
bunyinya. Sedas tembakan kedengaran memecahkan ruang tamu
rumah usang itu.
Tahir bingkas bangun.
Dia bersedia menerima tindakan yang selanjutnya. Din Jambang
memandang Tahir dengan penuh rasa geram. Seperti seekor harimau
lapar yang mahu menerkam mangsanya.
Kedua-dua biji matanya terjojol keluar. Sambil mengertap rapat
giginya.
“Bangsat!” dia bertempik sekuat hati. Api kemarahannya kian
meluap-luap. Dia pantas bangun untuk memberikan cabaran.
Anggota-anggota lain muncul. Apabila mendengar bunyi tembakan
itu. Mereka tercegat berdiri. Menyaksikan pertarungan antara dua jaguh
untuk menentukan sama ada hidup ataupun mati.
Din Jambang lalu memalingkan muka ke arah mereka.
“Pergi!” tengkingnya lagi sambil mengangkat tangan tinggi
menghalau mereka semua supaya pergi dari situ.
496
“Biar aku sahaja yang menamatkan riwayat si bangsat ni!”
ucapnya sambil menudingkan jari tepat ke arah Tahir. Mereka semua
akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh Din Jambang. Dengan
pantas beredar jauh dari situ.
Belumpun sempat mereka berdua beradu kekuatan, kedengaran
bunyi siren polis. Din Jambang menjadi kaget. Dia merasa hairan
bagaimana pihak polis boleh menghidu persembunyian kumpulan
Helang Hitam. Sedangkan ia adalah sebuah kawasan yang jauh terpencil
daripada kawasan bandar. Amat sulit daripada pengetahuan mereka.
Anggota-anggota kumpulan Helang Hitam bertempiaran lari
seperti dilanggar garuda. Untuk menyelamatkan diri.
Din Jambang memandang sahaja gelagat mereka. Sementara itu
hati kecil Tahir merasa lega sekali. Rancangannya telah pun berjaya. Din
Jambang memandang tepat wajahnya. Tahir tak putus-putus memujuk.
“Din, marilah kita menyerah diri.” Dia mengeluarkan nada suara
yang lembut.
497
Tetapi sebaliknya Din Jambang membuntangkan kedua-dua biji
matanya sebagai tanda geram. Kemarahannya sudah tidak dapat
dikawal lagi.
“Pembelot!” dia bersuara lantang. Serentak dengan itu melepaskan
sedas tembakan ke arah Tahir. Sebaliknya mengenai dinding.
498
33
DIA RELA MENGUNDURKAN DIRI
Pagi masih muda lagi. Bola matahari bersinar indah terang-
benderang. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Sang camar putih
berkicau riang. Bebas berterbangan ke sana sini. Bayu laut bertiup
lembut. Sungguh segar sekali. Pohon-pohon cemara meliuk-liuk ke kiri
dan kanan. Daun-daun hijau dan kering berguguran.
Ombak tak putus-putus memukul pantai. Buih-buih memutih.
Membasuh pasir dan batu-batu kecil.
Sudah seminggu Azmi berada di sini. Port Dickson. Sebuah
kawasan peranginan yang terkenal di Malaysia. Dia sebenarnya mencari
ketenangan. Jawapan. Setiap masalah perlukan penyelesaian.
Azmi memandang laut yang membiru. Hidup manusia di atas
muka bumi ciptaan Allah SWT ini juga umpama laut. Pasang surut silih
berganti. Penuh suka dan duka.
499
“Aku terang-terang tidak setuju dengan cara kau tu,” kata Azmi
kepada Karim, rakan kongsinya dalam Syarikat Setia Construction Sdn.
Bhd.
“Kenapa?” soal Karim yang berwajah bulat macam bujur sirih.
“Kau menggunakan cara yang salah.”
“Maksud kau?” Dia pura-pura tidak mengerti sambil membetulkan
tali lehernya yang berwarna hitam. Dia kelihatan enak bersandar di atas
kerusi pusing. Kesejukan alat penghawa dingin mengepung seluruh
ruang bilik besar dan berbentuk empat segi itu.
“Rasuah salah di sisi agama dan undang-undang!” tentang Azmi
habis-habisan. Dia memandang serius wajah Karim. Yang dua tahun
lebih muda darinya. Karim sebaliknya tertawa. Menyirap darah Azmi.
Apabila melihat gelagat Karim itu. Yang mempersendakan nasihatnya.
Karim membuka kotak rokok dan menghulurkannya kepada Azmi.
“Terima kasih!” dia menolak.
Karim terkejut.
500