The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-68290885, 2022-07-18 00:55:09

Jalan Pulang

Cerpen

“Baik!” Dia segera meninggalkan kubunya.

“Awak bertahan di sini. Saya nak ke kubu sebelah sana.” Rahim
mengangguk diam. Tanpa membuang masa lagi Leftenan Rosli pantas
meninggalkan tempat itu. Hujan peluru terus bermaharajalela. Leftenan
Rosli terpaksa mengguling-gulingkan badannya untuk menepis.

Tiba-tiba sedas tembakan tepat mengenai kepala Rahim.

“Ya, Allah!” Dia menahan kesakitan. Leftenan Rosli berpaling ke
belakang bila mendengar suara itu.

“Rahim!” Dia berteriak. Perlahan-lahan dia rebah ke dalam kubu
dan gugur.

Dan Leftenan Rosli hanya sekadar terdaya menggelengkan kepala
sahaja bila melihat peristiwa itu.

“Koperal Ahmad lekas ambil tempat Rahim!”

“Baik, tuan!” Dia pantas meninggalkan kubu di sebelah kanan
bukit. Malangnya dia tidak sempat sampai ke kubu bahagian bawah.
Kerana sedas tembakan hinggap di atas dadanya.

401

“Ya, Allah!” dia bersuara sambil tangan kanannya menahan darah
merah yang membuak-buak keluar.

Kedua-dua biji mata Leftenan Rosli terjojol keluar.

“Koperal Ahmad!” Dia tidak dapat menjawab sebaliknya lalu
rebah.

Sekali lagi Leftenan Rosli terpaksa menggelengkan kepala
menahan hampa. Kini kubu tersebut kosong. Osman sudah tidak
bermaya lagi.

“Yusuf!”

“Saya, tuan!”

“Ambil tempat Osman lekas! Saya cover!”

Dia pantas menerima arahan itu.

Yusuf selamat sampai ke dalam kubu. Sementara itu, Leftenan
Rosli menuruni bukit dengan penuh berhati-hati. Sekumpulan tentera
Jepun melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya. Bagaikan helang

402

menyambar mangsanya dia melompat pantas masuk ke dalam kubu
yang terletak di sebelah kanan bukit. Ali dan Bakar sedang bertahan di
situ.

“Tuan, kami kehabisan peluru,” ujar Bakar sambil mengesat peluh
yang mengalir di dahinya. Manakala Ali pula memasukkan peluru yang
masih tinggal sedikit lagi ke dalam senapang. Leftenan Rosli lalu
menoleh ke arah kubu Sarjan Talib di bahagian tepi bukit.

“Sarjan! Campakkan satu beg peluru kepada saya.”

“Baik, tuan!” Dia mengikat rapi beg yang berisi peluru dan tanpa
membuang masa lagi dia melambungkannya tinggi ke arah Leftenan
Rosli. Dan ini telah dapat dikesan oleh pihak musuh. Salah seorang
daripadanya telah melepaskan tembakan ke arah beg itu. Tapi tidak
mengenai sasaran. Leftenan Rosli lebih cepat menyambutnya.

“Ali, jimatkan peluru sikit,” pesan Leftenan Rosli sambil tangannya
menghulurkan beg yang berisi peluru itu kepada Ali.

“Baik, tuan!”

403

Tentera Jepun itu merasa geram kerana gagal melaksanakan
misinya. Ini menaikkan lagi api kemarahan ketua seksyen yang
berpangkat Sarjan. Dia berteriak dalam bahasa Jepun. Agar terus
melakukan serangan ke atas kubu pasukan Askar Melayu.

Tangan Sarjan Talib terus berputar ligat memetik picu mesin-gun
dengan penuh bersemangat.

Ini mengakibatkan ramai tentera Jepun yang terkorban. Namun
ketua seksyen tidak berputus asa. tentera Jepun. Dia mengarahkan lagi
sekumpulan tentera Jepun supaya mara ke depan mengepung bahagian
bawah bukit dari arah utara dan selatan. Seperti kilat datang
menyambar sebutir peluru telah mengenai rusuk kanan Sarjan Talib.
Dengan serta merta mesin-gun terlepas daripada tangannya. Sambil
memejamkan kedua-dua belah matanya menahan kesakitan.

“Sarjan Talib! Bakar tolong cover saya!”

Dia tidak membantah. Perlahan-lahan Leftenan Rosli menghampiri
Sarjan Talib.

“Nampaknya Sarjan luka parah.” Matanya tajam mengamati kulit
Sarjan Talib yang terkopak akibat bedilan peluru. Sudah pasti rasa

404

sakitnya meresapi ke seluruh anggota badannya. Darah merah tak
henti-henti mengalir.

“Tak mengapa. Sarjan, awak berehatlah. Jangan banyak bergerak.
Awak masih lemah lagi.”

“Tuan, mari kita teruskan …. Saya masih boleh lagi ….” Dia
terhenti. Pedih. Dia kemudian lalu membalut lukanya agar dapat
meredakan kesakitan sedikit.

“Sarjan, biar saya Bantu,” sampuk Karim tiba-tiba. Darah merah
semakin banyak mengalir. Hinggakan kain pembalut yang berwarna
putih sudah bertukar warna menjadi merah.

“Berehatlah.” Mata Leftenan Rosli tunak sambil memegang lembut
bahu Sarjan Talib.

Sebaliknya Sarjan Talib lalu memejamkan mata kerana menahan
rasa sakit yang tak terhingga. Sudah pasti bias peluru telah menjalar ke
seluruh tubuh.

405

Karim yang berada di sebelahnya lalu menemui ajal bila sebutir
peluru melekat di dadanya. Dia tidak dapat berkata walau sepatah pun.
Lantas rebah di atas timbunan guni yang berisi pasir.

“Karim!”

Sarjan Talib mengangkat kepala dengan lemah. Dan tertunduk
hampa sambil memejamkan matanya. Jahanam! Bisik hati kecilnya. Dia
bingkas bangun dan mengangkat senjata.

“Jangan, Sarjan! Bukankah awak masih lemah lagi?” larang
Leftenan Rosli pula.

Dia memandang tepat wajah Leftenan Rosli.

“Tidak!” ucapnya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Tuan, walau apa pun yang akan terjadi saya akan tetap berjuang
habis-habisan untuk mempertahankan Tanah Melayu daripada jatuh ke
tangan Jepun. Sama ada hidup atau mati,” ulangnya lagi.

406

Leftenan Rosli hanya mendiamkan diri bila mendengar kata-kata
itu. Agak lama kemudian barulah dia memberi arahan kepada Bakar
yang berada di kubu sebelah.

“Bakar lekas bantu Sarjan!”
“Baik!” balasnya sambil menganggukkan kepala.
“Sarjan, saya naik dulu. Tolong cover saya,” katanya serentak
memegang lembut bahu Sarjan Talib. Dia lalu mengangguk.
“Baiklah, tuan! Hati-hati,” pesannya lagi.
Leftenan Rosli pantas beredar daripada kubu itu.
“Tuan! Jaga-jaga. Musuh datang daripada arah depan,” laung
Sarjan Talib.
Ternyata Osman masih bersemangat lagi untuk mengangkat
senjata.

407

Walaupun luka yang dialaminya amat parah sekali. Namun dia
tidak menghiraukan langsung. Leftenan Rosli rasa terharu dengan
semangat perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Osman.

“Tuan ….” Nada suaranya lemah.

“Saya akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir …,”
ikrarnya sambil memejamkan mata menahan kesakitan.

Semangat keperwiraan Leftenan Rosli kian berkobar-kobar.
Seperti api yang sedang panas menyala dan sukar dipadamkan.

Leftenan Rosli lalu menoleh ke kiri dan kanan.

Gerombolan tentera Jepun yang besar sedang mara mendaki
bukit. Namun dia tetap bernekad. Akan menentangnya habis-habisan.

Seinci pun bumi yang tercinta ini tidak akan diserahkannya.

Leftenan Rosli merenung tepat wajah Osman. Kemudian dia
bersuara:

“Cover saya!” Osman mengangguk diam. Sambil terus
menghalakan senapang ke arah musuh. Tembakan yang bertubi-tubi

408

kali jelas kedengaran. Begitu juga dengan hujan peluru dan ledakan
bom seakan-akan meruntuhkan bumi.

Dia pantas mendaki bukit. Peluru musuh terus mengekori
jejaknya.

Tanpa berlengah lagi dia melayangkan badan ke dalam kubu.
Sebaik-baik sahaja dia masuk, Nasir didapati sedang cedera parah. Dia
tak putus-putus melepaskan tembakan. Akhirnya Nasir rebah di atas
pangkuannya.

“Nasir!” dia bersuara sambil menggoyangkan badannya. Dengan
lemah dia membuka kedua-dua kelopak matanya.

“Tuan ….” Dan kembali semula menutup mata buat selama-
lamanya. Dia gugur jua.

Leftenan Rosli menggeleng cuma.

Dia lantas memejamkan mata. Sudah ramai anak-anak buahnya
yang terkorban.

Peluru mesin-gun bertalu-talu diarahkan.

409

Sebutir bom tangan dilemparkan ke arah Sarjan Talib.

Bunyinya sungguh kuat sekali.

“Sarjan!” Leftenan Rosli menjerit.

Dan pantas menekupkan muka. Perlahan-lahan dia
mendongakkan muka tinggi.

“Koperal Bidin!”

“Saya, tuan!” ucapnya.

“Cepat! Pergi ambil tempat Sarjan Talib!”

Tanpa berlengah lagi dia keluar daripada kubu. Tapi malangnya
sebutir peluru telah hinggap di atas pahanya lalu terjatuh. Nasibnya
bertambah buruk lagi apabila ditikam hingga mati dengan banet oleh
musuh.

“Oh …. ” Dia hanya mampu bersuara perlahan.

410

“Tuan!” Kedengaran suatu suara memanggil namanya. Tanpa
tertunggu-tunggu lagi dia cuba mencari arah dari mana datangnya
suara itu. Rupa-rupanya Yusuf. Leftenan Rosli mengangkat kepala
sedikit.

“Kenapa, Suf?”

“Harapan kita semakin tipis.”

“Mengapa pula?” Nada suaranya nyata sekali belum mahu
mengaku kalah.

“Kita kehabisan peluru!” Dia menggelengkan kepala. Seolah-olah
tidak percaya dengan kata-kata Yusuf.

“Tidak! Kita tidak akan berundur. Akan terus berjuang hingga ke
titisan darah yang penghabisan!” ikrar Leftenan Rosli pada Yusuf.

“Perlukah kita minta bantuan daripada Kapten Richard?”

“Tak perlu!” Semangat juangnya memang dalam seperti lautan
biru nan luas.

411

“Kita masih terdaya lagi!”
“Tapi ramai anggota-anggota kita yang cedera dan terkorban,”
jawab Yusuf.
Leftenan Rosli enggan mengalah. Pendiriannya tetap tegas.
“Kita masih lagi bernyawa bukan?” Sambil tangan kanannya
menggoyang kuat bahu Yusuf. Sebagai perangsang untuk terus
berjuang.
Yusuf mengangguk diam sahaja.
Secepat kilat lantas mengangkat senjata.
“Teruskan!” Leftenan Rosli bertindak sebagai pembakar semangat.
Dia lalu mengangkat tangan tinggi. Dan berteriak sekuat-kuat
hatinya.
“Tembak!” Pertempuran semakin sengit.

412

Tentera-tentera Jepun telah dapat memusnahkan kubu di
bahagian bawah bukit.

Ali dan Bakar turut terkorban. Tinggal Sarjan Talib seorang diri.
Lukanya makin parah. Pandangan matanya berpinar-pinar. Dia cuba
merangkak keluar perlahan-lahan daripada kubu. Namun tidak berjaya.
Jatuh. Kerana dia sudah tidak bertenaga lagi.

Dia tidak berputus asa. Mencuba sekali lagi. Akhirnya dia berjaya
juga. Tetapi terpaksa merangkak di celah-celah mayat tentera Jepun
yang bergelimpangan.

Bola matahari kian meninggi.

Jalur-jalur cahaya yang lurus menyinari alam semesta.
Bahangnya terasa pedih bila menggigit permukaan kulit. Sarjan Talib
terbatuk-batuk kerana kelemasan oleh asap hitam. Tiba-tiba
sekumpulan tentera Jepun bersiap sedia untuk melepaskan tembakan
ke arahnya. Namun begitu dia sempat juga melontarkan sebutir mortar.
Letupan bergema. Kesemua tentera Jepun itu terbunuh.

Dia kian bersemangat tinggi tanpa menghiraukan sedikit pun luka
parah yang sedang dialaminya.

413

Dengan gerak badan yang lemah Sarjan Talib cuba bangun.

Takdir telah menentukan sebutir peluru sesat telah menghinggapi
belakang badannya.

“Ah!” Dia rebah semula menyembah bumi. Oleh kerana
keadaannya semakin tenat maka dia terus gugur sebagai bunga bangsa
yang harum.

“Sarjan!”

Leftenan Rosli menundukkan kepala sambil memejamkan kedua-
dua biji matanya. Orang kanannya kini sudah tiada lagi. Kematiannya
harus dituntut bela. Keazamannya semakin menggunung tinggi.

“Tembak!”

Kedua-dua belah pihak saling berbalas tembakan. Tiba-tiba
sebutir peluru musuh telah menembusi bahu kanannya.

“Ya, Allah!” Sebutir peluru lagi hinggap di dadanya. Leftenan Rosli
memejamkan kedua-dua belah matanya kerana menahan kesakitan.

414

“Tuan!” teriak Yusuf pula.
“Sudah! Jangan pedulikan saya. Teruskan!” Dia melarang Yusuf
daripada menghampiri dirinya. Darah merah membasahi timbunan guni
yang berisi pasir. Pandangan matanya pula berpinar-pinar.
Keazamannya semakin menggunung tinggi.
Namun dia tetap bertekad untuk terus berjuang!

415

28

OPERASI BUKIT MERAH

Bukit Merah memang menggerunkan. Markas gerila komunis yang
terbesar sekali di sempadan Malaysia-Thai. Kekuatannya dianggarkan
dua kali ganda kira-kira 100 hingga 280 orang anggota termasuk lelaki
dan perempuan. Ia diketuai oleh Tuen Yuen. Dipercayai berketurunan
Cina-Siam. Berasal dari selatan Haadyai. Bukit Merah telah banyak
mengorbankan nyawa dan mencederakan anggota pasukan
keselamatan.

Dari sumber yang aku perolehi pasukan keselamatan telah
memenangi dua pertempuran. Selebihnya dimenangi oleh pasukan Tuen
Yuen atau dikenali juga sebagai Harimau Bukit Merah.

Seperkara yang perlu diingat. Tuen Yuen dikatakan amat licin
macam belut. Pasukan risik percaya Tuen Yuen mempunyai banyak
tempat persembunyian dan tak syak lagi dia dibantu oleh penduduk
yang tinggal di pinggir kampung yang bekerja sebagai penoreh getah.

Aku percaya serang hendap melalui bom tangan mengorbankan
Leftenan Omar dan anak-anak buahnya pada pagi 18 Mei 1985 adalah

416

angkara Tuen Yuen. Cuma Prebet Abu Bakar sahaja yang terselamat.
Dia cedera parah. Menurutnya sewaktu trak yang mereka naiki
melintasi kawasan ladang getah itu, mereka ternampak seorang lelaki
yang berbadan gempal sedang terbongkok-bongkok menyembah pokok
getah.

Pada mulanya mereka tidak mengesyaki apa-apa kerana dia cuma
seorang penoreh getah. Malangnya jangkaan mereka silap. Sebutir bom
tangan terus dilemparkan ke arah trak mereka. Prebet Abu Bakar
sempat menyelamatkan diri dengan melompat keluar sebelum trak itu
terbalik. Leftenan Omar dan anak-anak buahnya menemui ajal dalam
keadaan yang mengerikan di situ juga mereka semua gugur sebagai
bunga bangsa. Sementara itu, Prebet Abu Bakar diselamatkan oleh
penduduk kampung yang berhampiran.

Itulah tragedi yang menyayat hati yang telah menimpa pasukan
Batalion ke-10 Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Port Dickson.
Tetap segar bersemadi dalam ingatan kami sehingga ke hari ini.
Walaupun telah lama berlalu iaitu kira-kira sembilan tahun namun
seolah-olah ia baru sahaja berlaku semalam. Setiap kali selepas
sembahyang aku tidak lupa menyedekahkan pahala Al-Fatihah semoga
roh mereka yang telah terkorban kerana mempertahankan tanah air

417

yang tercinta dicucuri rahmat serta dimasukkan ke dalam golongan
orang-orang yang beriman.

Pagi itu, aku telah dipanggil oleh Pegawai Pemerintah iaitu Kolonel
Abdullah. Aku sudah menduga. Operasi Bukit Merah akan dipikul oleh
pasukanku yang berjumlah 30 orang anggota. Dari taklimat yang aku
terima kawasan Bukit Merah rata-rata dipenuhi oleh ranjau dan
jerangkap samar. Itulah senjata utama Tuen Yuen dan orang-orangnya.

Aku turut difahamkan akan dibantu oleh pasukan Leftenan Saiful
dari arah selatan. Selama lima tahun menceburkan diri dalam bidang
ketenteraan sudah berpuluh-puluh operasi aku lalui termasuk di Sabah
dan Sarawak. Syukur alhamdulillah semuanya mencapai kejayaan yang
cemerlang. Namun aku tidak pernah riak dan takbur. Aku harus
berhati-hati sewaktu menjalankan tugas. Bahaya sentiasa mengintai
sekiranya aku tidak berwaspada.

Operasi Bukit Merah benar-benar mencabar. Inilah kali pertama
aku akan bertempur di sempadan. Entahkan menang, entahkan gugur.
Aku sendiri tak pasti. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Andainya
ditakdirkan aku gugur di medan perjuangan aku tetap merasa bangga
kerana mempertahankan bumi yang tercinta daripada jatuh ke tangan
musuh.

418

Tidak kupinta sama sekali pingat keberanian disematkan ke dada
ini kerana mengenangkan segala jasa dan pengorbananku. Cukuplah
sekadar menjadi inspirasi dan teladan buat generasi yang akan datang
supaya rela berkorban mempertahankan negara yang tercinta.

“Semoga awak berdua akan berjaya dalam misi ini.” Kolonel
Abdullah mengakhiri taklimat.

Setelah memberi tabik hormat aku pantas beredar keluar daripada
pejabatnya dan mendapatkan Sarjan Karim supaya mengumpulkan
kesemua anggota-anggota platun.

Dalam perjuangan aku langsung tidak mengenal erti putus asa.

Maruah agama, bangsa dan negara perlu dijaga. Sebagai ketua
aku menjadi contoh untuk menyemarakkan lagi semangat anak-anak
buahku.

“Berjuanglah hingga ke titisan yang penghabisan. Menyerah
jangan sekali!” Kata-kata yang sering kusematkan ke dalam diri mereka.
Sebagai azimat dalam pertempuran nanti. Wajah setiap anggota platun
kupandang silih berganti. Akhir sekali kualihkan pandangan pula ke

419

arah Sarjan Karim. Masuk ni, sudah lima kali dia bertindak sebagai
pembantuku. Seorang yang berdedikasi dan berdisiplin tinggi.

“Kematian rakan-rakan kita mesti dibela!” Aku menggenggam erat
tangan kanan. Dendamku terhadap Tuen Yuen semakin membara.
Sukar untuk dibendung lagi seperti api yang dicurahkan dengan minyak
tanah. Panas! Marak membakar.

Tambah mengapi-apikan lagi semangat anak-anak buahku.

“Seinci pun jangan kita serahkan bumi yang bertuah ini kepada
mereka!”

Aku melihat jam di tangan.

“Sarjan!”

“Tuan!” dia membalas pantas macam peluru.

“Kita bergerak sekarang.” Aku mengeluarkan arahan.

“Skot bersiap semua!” Kedengaran suara Sarjan Karim dengan
penuh lantang.

420

Kami dibawa menaiki helikopter. Perjalanan memakan masa
hampir kira-kira dua jam. Kuperhatikan setiap wajah anggota platun
tetap tenang seperti biasa. Sebagai anggota tentera kita mesti berani,
cekal dan tabah dalam mengharungi perjuangan. Soal mati tidak pernah
timbul. Kalau sudah ajal di tangan musuh harus diterima. Setelah
sekian lama teroleng-oleng di udara akhirnya kami sampai ke destinasi
yang dituju.

Dari atas kelihatan kawasan bukit-bukau yang tebal. Sesuai
dengan namanya Bukit Merah menyaksikan tumpahan darah perwira-
perwira yang gugur kerana mempertahankan tanah air yang tercinta.
Sebaik-baik sahaja turun daripada helikopter aku mengarahkan semua
anggota platun di satu tempat.

Aku membuka lipatan peta dan meneliti dengan kompas. Aku
memandang tepat muka Sarjan Karim dan Koperal Rahman.

“Bila kita akan bergerak, tuan?” soal Sarjan Karim.

“Besok sebaik sahaja terbit matahari.” Aku menarik nafas yang
panjang.

421

“Leftenan Saiful akan membantu kita dari arah selatan,”
sambungku lagi.

“Kita akan bergerak dalam berapa kumpulan, tuan?” soal Koperal
Rahman pula yang selama ini berdiam diri serentak membetulkan
topinya.

“Dua.” Aku mengisyaratkan dengan tangan.

“Koperal dan saya dalam satu kumpulan. Manakala kumpulan
yang satu lagi akan dipimpin oleh Sarjan.”

“Baik, tuan!” Dia mengangguk tanpa banyak membantah.
Anggota-anggota platun yang lain mendengar peneranganku dengan
penuh teliti.

Aku memandang wajah Sarjan Karim sehinggalah anggota platun
yang lain silih berganti. Kemudian aku lalu berkata:

“Menurut maklumat yang diterima daripada pasukan risik jejak-
jejak Tuen Yuen dan orang-orangnya amat sukar untuk dikesan. Tapi
saya yakin sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke
tanah juga.” Aku menanamkan keyakinan ke dalam diri setiap anggota
platun.

422

“Sarjan.”

“Tuan.”

“Kita bermalam di sini.” Aku melipat semula peta dan
memasukkannya ke dalam beg galas.

“Baik, tuan!” angguknya.

“Dirikan khemah segera.” Sarjan Karim mengeluarkan arahan.
Anggota-anggota platun bersurai untuk menjalankan tugas masing-
masing. Ada yang mencari kayu untuk dijadikan tiang khemah, ada
yang mencari air di sungai untuk memasak dan ada yang
menghidupkan api.

Setelah siap mendirikan khemah aku pun menikmati hidangan
tengah hari bersama-sama dengan anggota-anggota platun yang lain.

Kemudian aku ke sungai yang berhampiran untuk mengambil
wuduk. Dalam sembahyang aku tak henti-henti berdoa semoga Tuhan
mengurniakan kemenangan yang gemilang ke atas platunku. Selepas
selesai menunaikan solat Zuhur aku berehat di bawah pokok ketapang
yang rendang. Cuaca kelihatan baik. Matahari memancar dengan terik

423

sekali. Kicauan burung-burung sungguh merdu memecah kesunyian
hutan belantara yang menghijau. Aku menyandarkan senjata M16 pada
pangkal pokok. Sarjan Karim dan Koperal Razak sedang rancak berbual.

Hashim yang menjaga bahagian wireless sedang cuba untuk
mendapatkan maklumat daripada Leftenan Saiful dari arah selatan.

Sementara itu, Prebet Mokhtar dan Prebet Ismail sedang berkawal.
Kedua-dua biji mata mereka ligat memerhatikan kawasan sekeliling.
Sambil senjata siap sedia di tangan. Selalunya kawalan dilakukan
bergilir-gilir sampailah ke waktu malam. Manalah tahu kalau pihak
musuh yang lebih awal menghidu pergerakan kami untuk membuat
serang hendap.

Aku terus melayani fikiran. Tumpuanku semakin tajam terhadap
Operasi Bukit Merah.

Dalam benakku tertanya-tanya bagaimana rupa Tuen Yuen
agaknya. Pengkhianat negara itu daripada sumber maklumat yang aku
terima melalui pasukan risik sungguh zalim dan tidak
berperikemanusiaan. Bak kata orang nama sahaja muka manusia tapi
berhati binatang.

424

Dia tidak teragak-agak membunuh anggotanya yang cuba belot
atau berpaling tadah.

Dia juga telah membunuh penduduk yang tinggal di pinggir
kampung sekiranya enggan memberikan kerjasama kepada pasukannya.
Ini mengakibatkan mereka semua tinggal dalam ketakutan.

Kali ini kau akan bertemu buku dengan ruas Tuen Yuen! Aku
akan tentang kau habis-habisan sehingga ke titisan darah yang terakhir!
Negara tidak akan aman dan damai selagi orang-orang seperti kau
masih hidup! Aku melepaskan perasaan geram dalam hati kecil. Aku
berpaling ke arah senjata M16.

Aku memandang ke atas. Langit membiru seperti air laut.
Gumpalan awan putih begitu tebal sekali. Bersih dan terang-benderang.

Daun-daun hijau berguguran. Pohon-pohon bergoyangan
mengeluarkan nada bunyi yang sungguh gemersik. Angin dari arah
pergunungan bertiup lembut. Sungguh segar bila menyapu permukaan
kulit. Ditambah pula dengan keindahan hutan belantara yang
menghijau.

425

Aku mengutip semula salahsilah keturunanku. Sememangnya aku
berdarah pendekar. Menurut cerita arwah datuk moyangku dulu pernah
berjuang bersama-sama dengan Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok
Gajah menentang British di Pahang. Ayahku juga seorang anggota
tentera. Tapi kini dia telah pun bersara. Dia menamatkan perkhidmatan
dengan pangkat Pegawai Waran 1. Terkenal dengan sifat-sifat berani dan
tegas sewaktu zaman darurat. Jadi ke mana tumpahnya kuah kalau
tidak ke nasi.

“Darus dah besar nanti nak jadi apa?” tanya ayah sambil
memegang lembut bahu kananku. Dia merenung dalam-dalam wajahku.
Aku dapat membaca maksudnya itu. Penuh dengan makna dan
harapan.

“Nak jadi askar macam ayah!” aku lantas menjawab dengan penuh
semangat.

“Kenapa?” Ayah mengangkat kepala tinggi sedikit.

“Dapat berbakti pada negara.” Semangatku semakin meluap-luap.
Seolah-olah dibakar menerusi peperangan dalam siri Combat yang
ditayangkan di kaca televisyen ketika itu.

426

“Bagus anak ayah kerana mempunyai semangat yang waja.” Dia
mengusap-usap lembut rambutku sambil tersenyum kecil.

Aku pun tumpang gembira kerana ayah merestui cita-citaku.

“Tapi …!” Ayah mengangkat jari telunjuk tangan kanannya.

“Darus mesti berjanji dengan ayah supaya belajar rajin-rajin.” Dia
memberi ingatan.

“Baiklah, ayah!” aku cuma mengangguk-anggukkan kepala.

Ibu adalah orang yang paling kecewa sekali apabila aku menolak
tawaran mengikuti latihan perguruan di Tanjung Malim.

“Tiada hinanya menjadi seorang guru, Darus …,” ibu bersuara
lemah melambangkan kekecewaan.

“Apa boleh buat, mak.” Aku lantas memujuk kekecewaan yang
membalut hatinya.

“Saya lebih terpanggil untuk menceburi bidang ketenteraan,”
sambungku lagi.

427

Ayah berdiri teguh di belakangku.

“Kalau itulah keputusannya apa kita boleh buat, Mah ….” Ayah
terhenti seketika untuk membetulkan duduknya di atas kerusi kusyen
yang berwarna daun hijau muda.

“Biarkanlah.” Dia memberi sokongan yang padu.

Ibu tetap juga membantah.

“Tapi ….” Dia pantas berpaling ke arah ayah.

“Dialah satu-satunya anak lelaki kita.” Ternyata ibu amat berat
untuk menerima keputusanku.

“Kita harus berbangga, Mah.” Ayah cuba memujuk ibu.

“Kerana punya anak yang bersemangat waja. Rela berkorban demi
nusa dan bangsa.” Lagak ayah seperti seorang peguambela terus
menguatkan hujah-hujahnya. Ibu diam. Dia benar-benar termampan
dengan kata-kata ayah itu. Perlahan-lahan dia merenungku dan
berkata:

428

“Kalau begitu keputusan kau, pergilah. Mak izinkan. Mak doakan
semoga kau berjaya menjadi seorang pegawai tentera yang berhemah
tinggi seperti ayah kau.” Akhirnya dia mengalah jua.

“Terima kasih, mak,” ujarku penuh gembira bercampur lega. Aku
kemudian mengalihkan pandangan ke arah ayah pula orang yang
banyak memberi dorongan dan rangsangan supaya aku menceburi
bidang ketenteraan. Dia kelihatan tumpang gembira. Senyumannya
semakin melebar. Dalam pada itu ayah tetap menammpakkan sifat-sifat
ketegasannya dalam menangani tanggungjawab sebagai ketua keluarga
biarpun telah lama bersara meninggalkan bidang ketenteraan yang
diceburinya hampir 40 tahun.

Kak Long tidak melarangku menceburi bidang ketenteraan seperti
ayah juga dia terus memberi galakan dan semangat kepadaku.
Tambahan pula suaminya seorang anggota Pasukan Polis Hutan
berpangkat Sarjan di Ulu Kinta. Dia telah dikurniakan tiga orang anak,
dua lelaki dan seorang perempuan.

Kak Ngah pula mula-mula seperti ibu melarang keras
keputusanku. Dia mendesak aku supaya menerima tawaran latihan
perguruan. Tapi lama-kelamaan dia mengalah juga. Apabila melihat
ayah dan ibu menghulurkan sokongan yang kuat kepadaku. Dia mahu

429

aku buktikan bahawa aku boleh mengikut jejak ayah menjadi seorang
pegawai tentera yang berjaya dan disegani ramai.

Dia bertugas sebagai seorang guru sekolah rendah di Kota Bharu,
Kelantan. Manakala suaminya pula baru sahaja menamatkan pengajian
di Universiti Malaya. Dia kini sedang mengajar di salah sebuah sekolah
menengah di Pangkalan Cepa.

Mereka berkenalan sewaktu sama-sama mengikuti latihan
perguruan di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Hasil
perkahwinannya telah dikurniakan dua orang anak, seorang lelaki dan
seorang perempuan.

Sebelum menjadi Pegawai Waran 1 ayah berpangkat Sarjan. Sebut
sahaja Sarjan Yahaya semua pengganas akan kecut perut. Ayah sangat
terkenal dengan ketangkasan dan keberaniannya merempuh kubu
musuh tanpa mengira keselamatan diri. Menjadi sumber inspirasi dan
pembakar semangat kepada pasukan Batalion ke-10 Askar Melayu
Diraja.

Dia berpegang teguh pada prinsip gugur kerana mempertahankan
bumi yang tercinta daripada mengikut telunjuk musuh.

430

Ayah juga pernah cedera parah sewaktu bertempur dengan pihak
musuh di Grik, Perak kerana menyelamatkan nyawa tuannya. Sebulan
lamanya ayah berada di wad kecemasan. Di atas keberaniannya itulah
maka ayah telah dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) sbelum dia
bersara iaitu pada tahun 1980.

Kini ayah mampu mengulum sejuta senyuman. Bangganya hati
ayah tidak terkira. Perjuangannya dalam mempertahankan tanah air
daripada jatuh ke tangan musuh tidak berkubur sebaik-baik sahaja dia
bersara. Aku terus mewarnai perjuangannya. Kalau boleh biarlah
sehingga anak cucu-cicit kami. Walaupun ayah telah lama bersara
daripada bidang ketenteraan namun semangatnya masih lagi terus
menyala macam api yang membakar. Dia sentiasa memberi aku
dorongan dan galakan.

Katanya disiplin serta keazaman yang tinggi adalah kunci utama
untuk mencapai kejayaan.

Kata-kata ayah menjadi azimat yang paling berguna buat diriku.

Hasilnya aku telah menjadi pegawai yang berdisiplin dan
berhemah tinggi. Aku sering kali mendapat pujian daripada pegawai-
pegawai atasan kerana mempunyai rekod yang cemerlang dalam operasi.

431

Kejayaanku yang paling cemerlang ialah menumpaskan
gerombolan komunis ketiga terbesar di Ulu Kinta, Perak yang
mempunyai kekuatan anggota kira-kira 90 orang. Termasuk lelaki dan
perempuan. Aku juga telah berjaya membunuh ketuanya yang dikenali
sebagai Ah Chee. Platunku telah berjaya membunuh 80 pengganas
komunis dan menawan 10 orang termasuk lelaki dan perempuan. Aku
juga merasa bersyukur kerana tiada kehilangan nyawa di pihakku.
Cuma dua orang sahaja platunku yang cedera ringan.

Senjata seperti senapang, pistol, pisau dan bom buatan sendiri
turut dirampas.

Berita kejayaan platunku telah mendapat liputan meluas dalam
akhbar tempatan. Orang yang paling bangga di atas kejayaanku tak lain
tak bukan ialah ayah.

“Ayah harap platun kau akan berjaya lagi dalam operasi-operasi
yang seterusnya.” Ayah tak henti-henti memberi galakan.

“Insya-Allah, ayah,” janjiku lagi.

432

“Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada ayah
kerana dengan doa dan dorongan ayah selama inilah maka saya telah
berjaya mengecapi kejayaan yang gemilang.”

“Berhati-hatilah Darus semasa menjalankan tugas. Ingatlah
kepada Tuhan selalu. Sembahyang apabila tiba waktunya.”

“Syabas, Darus! Awak memang hebat. Saya harap awak
meneruskan lagi kecemerlangan ini di masa-masa akan datang,” puji
Kolonel Abdullah sambil menjabat erat tanganku. Tapi aku tidak mudah
kembang dengan pujian itu.

“Terima kasih, tuan. Kejayaan ini adalah kejayaan kita bersama
juga. Saya juga sentiasa berdoa agar Batalion ke-10 akan mendapat
kejayaan yang lebih cemerlang lagi di masa akan datang,” balasku pula.

Begitu cepat waktu berlalu. Tanpa disedari senja perlahan-lahan
merangkak tiba melabuhkan tirainya menyambut malam. Bola matahari
yang berwarna seperti buah pinang masak sudah tidak kelihatan lagi.

Malam begitu pekat sekali. Awal-awal lagi aku sudah masuk ke
dalam khemah. Senjata M16 sentiasa sahaja setia berada di sisi. Bulan
dan bintang tetap indah bersinar. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan.

433

Bayu malam terasa dingin merembes seluruh tubuh. Hutan belantara
sudah menjadi rumah kedua buatku. Sepanjang menceburkan diri
dalam bidang ketenteraan sudah tiga kali aku tidak dapat menyambut
Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan keluarga yang tersayang
kerana terpaksa bertugas di perbatasan. Dua kali aku terpaksa beraya
di hutan dan sekali di kem.

Hati mana yang tak sedih kerana terpaksa berjauhan dengan
keluarga di hari yang mulia.

Tambahan memilukan lagi apabila terkenangkan takbir yang
bergema di pagi raya serta menikmati juadah ketupat, lemang dan
rending bersama-sama dengan keluarga tersayang. Tetapi demi
mempertahankan negara yang tercinta kesyahduan dan kepiluan
terpaksa diketepikan.

Sebenarnya aku baru sahaja mendirikan rumah tangga kira-kira
tiga bulan yang lalu dengan gadis pilihanku sendiri. Aida namanya.
Kami berkenalan sewaktu sama-sama menuntut di Sekolah Menengah
Seri Ampangan, Seremban. Waktu itu aku menuntut dalam tingkatan
lima manakala Aida pula menuntut dalam tingkatan tiga.

434

“Aida tidak rasa menyesal memilih abang?” soalku sambil
merenung wajahnya yang jelita itu dalam-dalam.

“Menyesal?” Dia memandangku tepat.
“Apa maksud, abang?” Dia menagih kepastian.
“Memilih seorang tentera sebagai suami,” jawabku.
“Jadi?”
“Aida akan selalu ditinggalkan,” jelasku lagi.
“Aida lebih bangga bersuamikan seorang satria negara.” Kata-kata
yang keluar daripada mulutnya.
“Betul?” Aku cuba menduga.
“Apa abang masih lagi meragui kejujuran dan kesetiaan hati Aida
terhadap abang?” dia membalas.
“Tidak sama sekali, Aida!” aku menggeleng-gelengkan kepala.

435

“Habis?” dia pantas memotong bagaikan peluru.

“Cuma mahukan kepastian.” Aku mengukir senyuman lebar.
Begitu juga dengan Aida. Wajahnya tambah bening dan manis.
Rambutnya yang panjang hitam ikal mayang sehingga mencecah paras
bahu itu kuurut perlahan-lahan seperti bayi kecil yang minta dimanja.

Itulah saat-saat indah malam perkahwinan yang dilalui oleh aku
dan Aida.

Badanku mula terasa letih. Mataku pula lantas diserang ngantuk.
Mungkin kerana perjalanan jauh yang kulalui bersama-sama dengan
anggota platun yang lain. Aku terus terlena dibuai oleh mimpi-mimpi
yang indah.

Keheningan pagi diserikan lagi dengan kicauan unggas. Bola
matahari semakin meninggi dengan jalur-jalur cahayanya mencecah
ubun-ubun pergunungan. Selepas sarapan pagi, aku telah menerima
arahan daripada pihak markas supaya bergerak ke arah selatan
menjejak kesan-kesan Tuen Yuen dan orang-orangnya. Pihak perisik
mendapati mereka telah berada di kawasan selatan Bukit Merah sudah
hampir sebulan.

436

Aku pun pantas mendapatkan Sarjan Karim supaya mengarahkan
anggota platun bersiap sedia bergerak ke arah selatan. Segala kayu-
kayu khemah hendaklah dibuang jauh-jauh dan asap dikambus agar
tidak dapat dikesan oleh pihak musuh.

Setelah segalanya berjalan lancar kami pun bergerak mengikut
seperti yang dirancangkan.

Aku mengetuai kumpulan satu berada di sepan. Kumpulan dua
berada di belakang di bawah pimpinan Sarjan Karim. Hampir tiga jam
perjalanan kami ke arah selatan. Mengharungi hutan rimba yang tebal,
sungai dan lurah. Naik bukit turun bukit. Akhirnya aku memutuskan
supaya berehat di sebuah kawasan yang lapang.

Bola matahari makin tegak di atas kepala. Bahangnya terasa
pedih menggigit-gigit permukaan kulit. Aku mengesat peluh yang
membintik di atas permukaan dahi dengan tangan kanan. Kemudian
aku mengarahkan semua anggota platun agar membuat satu bulatan.
Aku membuka lipatan peta dan meneliti dengan kompas.

“Kita sudah semakin hampir dengan markas musuh.” Aku
memberi penerangan.

437

“Berapa jaraknya, tuan?” soal Sarjan Karim. Aku meneliti semula
peta dan memandang wajah Sarjan Karim.

“Tak sampai satu batu.” Aku memandang wajah anggota-anggota
platun silih berganti dan bersuara:

“Berehatlah. Selepas makan nanti kita bergerak semula.” Lipatan
peta kumasukkan semula ke dalam beg galas.

Sebaik-baik sahaja selesai makan tengah hari, kami meneruskan
semula gerakan setelah menerima isyarat daripada Leftenan Saiful yang
mengatakan bahawa kedudukan kami tepat dengan markas musuh.

Aku sudah tak sabar-sabar lagi untuk berhadapan dengan Tuen
Yuen dan orang-orangnya. Aku akan pastikan dia rebah menyembah
bumi atau ditangkap hidup-hidup untuk dibawa ke muka pengadilan.
Tak semua manusia yang hidup. Ada juga kelemahannya. Hanya Allah
SWT sahaja yang berkuasa di dunia dan akhirat.

Aku menggenggam erat senjata M16.

438

29

RESOLUSI KERIS

“Apa pandangan awak tentang kertas kerja yang telah
dibentangkan tadi?” tanya Encik Talib yang berumur dalam lingkungan
lewat 40-an sambil membetulkan cermin matanya yang berbentuk
empat segi itu. Beliau merupakan salah seorang daripada peserta yang
turut bersama-samaku menyertai seminar yang bertajuk “Senjata-
senjata Melayu Tradisional” anjuran Jabatan Muzium dan Antikuiti
Malaysia.

“Menarik!” aku menjawab pendek.

“Menarik dari segi apa?” soalnya lagi.

“Kertas kerja yang telah dibentangkan oleh Profesor Rahim dari
Unit Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia tadi telah memberikan
kesempatan kepada saya untuk mengenali dengan secara lebih dekat
lagi tentang senjata-senjata warisan bangsa Melayu yang unggul,” aku
membalas dengan panjang lebar.

“Itu saja!” katanya sambil tersenyum sinis.

439

“Bagi saya itu adalah rumusan yang dapat saya berikan hasil
daripada seminar tadi. Saya rasa Encik Talib tentu mempunyai
pandangan yang bernas. Sebagai orang muda, saya ingin mencapai
resolusi dengan orang yang lebih berpengalaman dalam bidang
Kebudayaan.” Aku berterus terang. Dia lalu membetulkan duduknya
dan berkata:

“Saya bersetuju sekali dengan kata-kata awak tu, Amir. Generasi
muda seperti awak perlu diberikan kesedaran serta kefahaman tentang
kekayaan dan keunikan ciptaan seni bangsa Melayu yang dijelmakan
selama ini dan kekal menjadi identiti budaya yang dibanggakan.”

“Menarik sekali pandangan Encik Talib tu. Lagi?”

“Ia juga memberi ilham serta menimbulkan minat para karyawan
menghasilkan ciptaan seni yang baru dan lebih bermutu berasaskan
kepada unsur-unsur tradisi yang sudah diterima umum.” Aku benar-
benar tertarik dengan kata-kata Encik Talib itu. Ini jelas membuktikan
bahawa bangsa Melayu mempunyai identiti tersendiri serta sifat-sifat
keperwiraan yang perlu dibanggakan oleh generasi kini dan yang akan
datang.

“Teori ini memang tidak dapat dinafikan lagi, Encik Talib. Tapi,
secara praktikalnya masyarakat Melayu lebih mengenali keris sebagai

440

kumpulan senjata tikam yang utama berbanding dengan senjata-senjata
yang lain.” Aku merancakkan lagi perbualan.

“Saya ada membuat kajian tentang keris.”

“Apa yang Encik Talib dapat?” aku menyoalnya dengan penuh
minat sambil membetulkan duduk.

“Banyak. Keris memainkan peranan yang khusus dan penting
dalam masyarakat Melayu. Ia bukan sahaja digunakan sebagai senjata
semata-mata. Hakikat ini jelas dapat dibuktikan kerana terdapat banyak
senjata yang dianggap mempunyai kuasa magik dan keramat yang
harusnya dihormati di kawasan Nusantara terutamanya di Indonesia.
Misalnya Rencong di Aceh, Mandau di Kalimantan dan Badik di
Sulawesi Selatan. Fenomena ini akan menjadikan seseorang akan
berasa selamat apabila membawa senjata seumpama ini dalam hidup
atau perjalanannya.” Dia memberikan penerangan dengan panjang
lebar.

Hebat! Senjata-senjata ini pada asalnya merupakan sesuatu yang
disebut sebagai senjata menikam. Tetapi lama-kelamaan dalam
perkembangan mutakhir akibat daripada berbagai-bagai faktor seperti
keadaan geografi serta pengaruh lingkungan, maka timbullah perbezaan

441

bentuk dan fungsinya seperti sekarang ini serta seirama dengan
perkembangan kebudayaan secara keseluruhan.

“Saya ada membaca buku yang bertajuk Keris dan Asal-usulnya.
Dalam buku itu ada menyentuh bahawa keris dalam penggunaannya
merangkumi aspek kehidupan yang amat luas. Ia sudah dianggap
sebagai gejala umum sejagat di mana sesuatu yang dianggap penting
selalunya berhubungan rapat dengan tatacara kehidupan, khususnya
kehidupan spiritual seperti dapat menjaga keselamatan dan
kebahagiaan hidup.”

Dia kelihatan mengukir senyuman kecil apabila mendengar kata-
kataku itu.

“Itulah kelebihannya kalau kita banyak membaca. Awak
meletakkan fakta pada landasan yang tepat. Seperkara lagi yang penting
apabila kita membicarakan tentang keris ialah ia juga merupakan hasil
karya cipta seni masyarakat Melayu dari segi rupa, bentuk serta
mempunyai kelengkapan-kelengkapan yang sangat tinggi. Ini
menjadikan keris terdiri daripada berbagai jenis dan sesuai dengan
perkembangan seni serantau.”

442

“Apakah yang telah mendorong Encik Talib sehingga begitu
berminat sekali untuk membuat kajian tentang keris?” Aku mengalih
tajuk perbualan.

Dia sebaliknya tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata yang
keluar daripada mulutku itu. Dengan wajah yang tenang dia lalu
menjawab:

“Menurut penelitian para penyelidik yang bijaksana, keris hanya
terdapat di Asia Tenggara khususnya di Kepulauan Nusantara. Ia
mengalami perkembangan yang berbeza-beza dari segi bentuk, nama
dan fungsinya dalam kehidupan masyarakat Melayu kerana keadaan
geografis Kepulauan Nusantara yang terpisah di antara satu sama lain.
Seperti yang telah saya katakana tadi di Aceh dikenali dengan nama
Rencong, di Sulawesi Selatan Badik, di Jawa Barat Kujang, di Jawa
Tengah dan Jawa Timur Keris. Namun begitu keris sendiri akhirnya
tersebar ke berbagai daerah di Tanah Melayu serta Indonesia. Misalnya
di Jawa Barat, Madura, Bali, Sumatera, Sulawesi dan Kalimantan.”

“Jadi, selaras dengan perkembangan kebudayaan dan sistem
sosial, maka fungsi keris mengalami perkembangan dan perubahan.”

“Benar kata awak tu, Amir!” dia menjawab sambil menganggukkan
kepala.

443

“Perubahan ini dapat diperhatikan misalnya pada keris yang pada
mulanya merupakan senjata telah bertukar menjadi barang keramat
yang dihormati, dipuja, lambing ikatan keluarga, tanda jasa, tanda
pangkat atau kuasa, barang mewah serta lama-kelamaan dianggap
sebagai karya seni,” sambungnya lagi penuh perasaan.

“Bagaimana pula dengan peranan seorang Pandai Besi atau Empu
yang ditugaskan membuat keris?” soalku lagi.

“Biasanya seorang Empu terdiri daripada keluarga diraja atau
Penggawa dalam lingkungan istana. Oleh yang demikian pada zaman
dahulu pusat-pusat pembuatan keris berpindah-pindah mengikut jatuh
bangunnya sesuatu kerajaan. Keris biasanya dibuat atas titah Raja.
Hasil daripada fenomena inilah yang telah menggolongkan keris sebagai
kebudayaan istana. Namun begitu ada juga keris dibuat di luar istana
tetapi ia masih lagi dalam pengawasan istana,” ujarnya pula.

Baharu aku tahu kini. Keris yang merupakan sejenis senjata
pendek kebangsaan Melayu turun-temurun yang digunakan sejak lebih
daripada 600 tahun yang lalu bukan sahaja digunakan sebagai senjata
untuk mempertahankan serangan musuh tetapi juga dijadikan sebagai
alat kebesaran Diraja serta disanjung tinggi dan sering dikaitkan dengan
kesaktian dan keistimewaan yang luar biasa. Buktinya keris boleh

444

terbang sendiri mencari musuh atau boleh membunuhnya dengan
menikam bekas tapak kaki orang berkenaan.

“Saya sebenarnya sekarang sedang membuat kajian tentang
keris.” Aku akhirnya berterus-terang pada Encik Talib.

“Patutlah awak beria-ia benar berbincang mengenai keris dengan
saya. Apa yang awak kaji?” tanya Encik Talib yang berkulit cerah serta
tidak pernah lekang dengan senyuman itu.

“Saya membuat kajian pada bahagian keris iaitu mata, hulu dan
sarung,” aku menjawab pantas.

“Apa yang awak faham tentang ketiga-tiganya?” Dia cuba
mendugaku.

“Mata keris diperbuat daripada beberapa lapisan besi yang
berlainan jenis dan mempunyai bilangan luk yang tertentu atau lurus
sahaja. Ciri-ciri inilah yang membezakan di antara keris-keris tersebut
serta mempunyai nama-namanya tertentu seperti Keris Majapahit,
Pekaka, Bugis, Jawa, Madura dan lain-lain lagi.”

445

“Hulu dan sarungnya?” dia pantas mencelah dengan tiba-tiba
sambil kedua-dua biji matanya tepat memandang wajahku.

“Hulu keris lazimnya mempunyai ukiran yang berbagai rupa
menggunakan logam yang sama ada daripada kayu atau gading dan
adakalanya menggunakan logam yang sama dengan yang digunakan
pada mata keris. Manakala sarung keris pula mempunyai bahagian
tertentu iaitu sampir, batang serta punggung yang diperbuat daripada
kayu atau gading dan ada di antaranya bersalut perak atau emas,
berukir indah tertakluk kepada darjat dan kemampuan pemakainya,”
aku menjawab soalannya dengan panjang lebar.

“Awak tidak mengkaji asal usulnya?” dia sebaliknya tidak henti-
henti menyoalku.

“Para penyelidik berpendapat mungkin ia berasal dari Jawa. Akan
tetapi rupa dan perhiasan keris Melayu adalah berlainan daripada keris
yang diperbuat di Indonesia. Keris biasanya digunakan untuk menikam
musuh di hadapan dengan tikaman secara mendatar serta hulunya
terletak di tapak tangan dengan digenggam oleh empat batang jari dari
bawah. Ibu jari diletakkan di atas hulu dan menghala ke hadapan.”

446

Aku tidak pasti sama ada dia bersetuju atau tidak dengan
jawapan yang telah aku berikan. Tetapi dari raut wajahnya yang tenang
itu telah pun dapat kubaca. Dia ingin menambah lagi fakta daripada
huraian yang telah kuberikan tadi. Dan jangkaanku memang tepat
sekali. Tanpa membuang masa dia lalu bersuara:

“Masyarakat Melayu menggunakan keris hampir dalam seluruh
kegiatan. Umpamanya pada upacara-upacara rasmi seperti
perkahwinan, kelahiran dan berkhatan. Di samping itu juga, masih ada
lagi upacara lain yang menggunakan keris misalnya kenduri doa selamat
sebelum turun ke laut menangkap ikan, berlayar dan bercucuk tanam.
Dalam upacara-upacara kumpulan pertama, keris berfungsi sebagai
penolak bala. Sementara dalam upacara-upacara kumpulan kedua,
keris benar-benar berfungsi sebagai alat menolak bala agar semua
usaha berjaya tanpa sebarang gangguan. Dalam upacara perkahwinan
pula, keris yang dipakai oleh pengantin dihias dengan bunga untuk
membedakan di antara pengantin dengan pengapitnya. Masyarakat
Melayu yang tinggal di kampung juga turut membuat keris tiruan yang
dibuat daripada bambu dan diletakkan di atas pintu sebagai alat
penolak bala.”

Sungguh hebat Encik Talib ni! desis hati kecilku. Dia benar-benar
seorang ahli penyelidik yang pakar dalam bidang senjata Melayu
tradisional terutamanya keris. Sesungguhnya keris mempunyai

447

pengaruh psikologis yang sangat kuat dalam kehidupan masyarakat
Melayu walaupun diketahui umum bahawa pada mulanya ia dijadikan
sebagai senjata. Kemudian ia bertukar menjadi barang keramat yang
dihormati. Kepercayaan demikian masih meresap sampai sekarang.

“Saya masih kabur dengan fakta yang terdapat di dalam buku
“Keris dan Asal Usulnya” di mana ia mengatakan bahawa pada zaman
kerajaan Islam khususnya di Tanah Melayu dan masyarakat Melayu
amnya,” ujarku pula dengan panjang lebar untuk meminta penjelasan
daripada Encik Talib.

Dia nampaknya tidak keberatan untuk menjawab soalanku itu.

“Dalam lingkungan istana, keris merupakan tanda kebesaran atau
darjat serta tanda pangkat dan kelengkapan pakaian untuk upacara-
upacara rasmi. Dalam kehidupan masyarakat Melayu pula, ia
merupakan kelengkapan pakaian rasmi dan barang pusaka yang amat
dihargai serta dimuliakan. Tetapi lama-kelamaan keris tidak lagi
dianggap sebagai kelengkapan pakaian, bahkan ia menjadi ukuran harta
seseorang yakni apabila sarung keris diperbuat daripada logam yang
mahal. Keris turut berfungsi sebagai kelengkapan pakaian, dipakai
dalam upacara rasmi di istana, upacara-upacara beradat dan juga
dalam pertunjukan yang bersifat kesenian. Tidak hairanlah mengapa

448

dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu, seseorang peria itu
dapat dikatakan berpakaian lengkap apabila sudah berpakaian adat
dengan memakai keris di pinggang.”

Satu lagi pengetahuan baru mengenai keris yang telah berjaya aku
perolehi daripada Encik Talib! Aku membuat kesimpulan dalam diam.

“Dalam pertunjukan kebudayaan Melayu, keris juga turut
memainkan peranan yang penting. Buktinya ada persembahan yang
menggunakan keris hanya sebagai pelengkap pakaian dan ada juga yang
menggunakan nama keris dalam persembahan taridera seperti Tari
Keris,” tambahku lagi.

“Sesuai dengan fungsi sebagai senjata, maka tidak hairanlah
mengapa ia sering digunakan dalam persembahan teater untuk
membunuh musuh apabila musuh berkenaan tidak dapat ditewaskan
tanpa menggunakan senjata. Adegan-adegan seumpama ini banyak kita
dapati dalam pertunjukan bangsawan, wayang kulit, wayang golek dan
sebagainya,” balasnya pula.

“Saya rasa kita juga harus mengupas keris dari sudut seni.” Aku
memberikan cadangan untuk merancakkan lagi perbualan.

449

“Apa yang awak dapat apabila memerhatikan mata keris sama ada
keris berluk ataupun keris lurus?” dia sebaliknya menyoalku sambil
mengangkat kepala tinggi sedikit.

“Terdapat bentuk seperti nyalaan api atau lidah api,” aku
menjawab lancar tanpa nada suara yang tersekat-sekat.

“Dari segi manifestasinya?”

“Ia merupakan suatu karya imaginatif yang sangat tinggi nilai
seninya. Sekiranya keris itu dilihat pula secara keseluruhan dengan
sampirnya, maka tampaklah satu jalinan yang harmonis. Selain
daripada itu, dengan adanya berbagai-bagai bentuk tarian yang ada
kaitannya dengan keris bermakna seni itu sudah lahir berilhamkan
keris. Demikian juga terhadap aspek-aspek seni yang lain yang sangat
penting seperti seni ukir serta seni patung.”

“Dari mana awak dapat semua fakta-fakta ini?” dia menyoalku
dengan penuh minat sambil kedua-dua biji matanya tidak berkelip
memandang wajahku.

450


Click to View FlipBook Version