“Maizan …! Maizan …! Nanti dulu …!” tahan ibunya. Dia berhenti
seketika apabila mendengar suara ibunya itu.
“Tak mengapa, mak. Maizan akan cari kerja untuk dapatkan duit
bayar yuran peperiksaan. Cuma satu sahaja Maizan minta pada ayah
dan mak. Doakanlah agar Maizan berjaya mencapai keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan itu nanti,” katanya dan meneruskan
langkah menuju ke luar rumah membawa perasaan yang hampa.
Namun begitu dia tetap bersabar. Dia menganggap semuanya sebagai
cabaran dan menguatkan semangat untuk mencapai kejayaan.
“Abang tengoklah tu. Kecil hati dia. Abang ni memang tidak adil.
Kalau Minhat minta semua dapat. Tapi kalau Maizan minta jauh
panggang dari api abang nak beri,” tingkah ibunya sebaik-baik sahaja
kelibat Maizan hilang daripada pandangan mata.
“Sudah. Awak jangan nak mengajar saya. Sebagai seorang ayah
saya tahu apa yang nak buat pada anak-anak saya. Dah berapa kali
saya cakap. Tapi awak ni masih tak faham-faham jugak. Minhat tu anak
harapan saya. Maizan? Huh ….!” rengus ayahnya dengan panjang lebar
dan bingkas bangun dari kerusi sofa yang berwarna biru air laut itu.
Ibunya hanya diam dan memerhatikan sahaja ayahnya beredar dari situ
menuju ke bilik.
101
Jauh benar dia mengelamun. Hari ini tidak ada kuliah. Arshad
rakan sebiliknya awal-awal lagi sudah keluar. Katanya ke rumah kakak
di Taman Keramat. Dia terus melemparkan pandangan jauh ke arah
bangunan-bangunan batu sambil menarik nafas yang panjang. Entah
mengapa. Dengan tiba-tiba sahaja segala susah payah dan jerih-perih
yang dilaluinya sebelum mencapai puncak menara gading segar bermain
di ingatannya.
Dia terpaksa bekerja sebagai pelayan restoran milik Pak Hassan
untuk mendapatkan duit bagi membayar yuran peperiksaan dan kelas
tambahan. Bekerja dari pagi hingga ke petang. Malam pula dia
menghadiri kelas malam. Kalau tidak bekerja dia akan menghabiskan
masa dengan membaca buku atau belajar secara kumpulan. Sewaktu di
kelas tambahan dia dan rakan-rakan dibimbing oleh Cikgu Firdaus.
“Bagus, Maizan. Saya dapati semua latihan yang diberi awak
dapat jawab dengan baik. Bahkan awak seorang saja yang mendapat
markah yang tinggi. Saya harap awak kekalkan prestasi ini. Saya yakin
awak pasti akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan nanti.” Cikgu Firdaus menghamburkan kata-kata pujian
kepada Maizan.
102
“Insya-Allah, cikgu. Semuanya ini pun adalah hasil daripada
bimbingan dan tunjuk ajar daripada cikgu jugak. Saya berjanji akan
belajar bersungguh-sungguh dan memastikan cita-cita saya untuk
masuk universiti bukan sekadar mimpi semata-mata,” ikrar Maizan
pula. Sementara itu Minhat telah dipanggil oleh pensyarah.
“Awak tahu kenapa saya nak jumpa awak?” soal Encik Aziz. Nada
suaranya tenggelam bersama deruan alat penghawa dingin yang
mengepung seluruh bilik. Kesejukan jelas terasa menyapu permukaan
kulit.
“Ada apa, Encik Aziz?” Minhat membalas sambil kedua-dua biji
matanya tidak berkelip-kelip sedikit pun memandang Encik Aziz yang
segak memakai tali leher berwarna hijau muda dan berkemeja lengan
panjang berwarna merah hati.
“Apa nak jadi dengan awak ni? Sekarang dah tahun akhir.
Pelajaran awak merosot teruk. Macam mana nak dapat ijazah macam
ni?” jelas Encik Aziz pula.
“Saya tahu, Encik Aziz …. Saya bukannya tak belajar …. Tapi …,”
dia sebaliknya menjawab dengan teragak-agak.
103
“Tapi apa? Kalau awak belajar tentu dapat keputusan yang
cemerlang dalam setiap semester. Ini tidak. Saya dapat berita yang awak
terlibat dengan gejala rempit. Awak mesti ingat, Minhat. Awak tu
seorang mahasiswa. Sepatutnya menumpukan sepenuh masa pada
pelajaran dan bukannya terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Saya
harap mulai dari hari ini awak berubah,” nasihat Encik Aziz dengan
panjang lebar. Minhat sebaliknya hanya mampu tunduk diam tanpa
bersuara.
Hari peperiksaan pun tiba. Dengan langkah yang tenang dan
semangat yang berkobar-kobar seperti api membakar Maizan
menduduki peperiksaan. Lain pula halnya dengan Minhat. Dia tetap
tidak berubah. Nasihat yang diberikan oleh Encik Aziz kepadanya ibarat
kata pepatah mencurah air di daun keladi sahaja. Dia asyik berfoya-foya
dan merempit. Dalam erti kata lain leka dengan keseronokan dunia
dalam usia yang masih muda.
Beberapa kemudian peperiksaan pun diumumkan. Ternyata
segala pengorbanan dan kegigihan Maizan selama ini tidak sia-sia. Dia
berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang. Doa kesyukuran dan
linangan air mata gembira mengiringi kejayaannya.
104
“Tahniah, Maizan. Berkat kesabaran dan ketekunan awak
akhirnya awak berjaya juga. Saya bangga. Punya pelajar macam awak.
Tak pernah putus asa dalam memburu cita-cita masuk ke universiti,”
ujar Cikgu Firdaus sambil bersalaman erat dengan Maizan.
“Alhamdulillah, cikgu. Saya terhutang budi dengan cikgu. Terima
kasih. Di atas segala dorongan dan tunjuk ajar selama ini sehingga
membawa kejayaan kepada saya,” Maizan berkata.
“Saya tidak mengharapkan sebarang pujian mahupun ganjaran.
Cukuplah dengan berkongsi rasa gembira melihat awak lulus dengan
cemerlang dalam peperiksaan. Tugas saya sebagai seorang pendidik
ialah memastikan insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara,”
tambah Cikgu Firdaus pula yang berusia dalam lingkungan lewat 30-an.
Minhat pula gagal mendapatkan segulung ijazah. Dia juga ditangkap
sebaik-baik sahaja selesai menduduki peperiksaan universiti dalam
operasi mencegah lumba haram.
“Maafkan ayah, Maizan …. Selama ini ayah memandang rendah
pada kau …. Minhat yang ayah harapkan …. Rupa-rupanya ….” Suara
ayahnya terputus-putus dan terhenti.
105
“Sudahlah tu, ayah. Yang lepas tu lepaslah. Ayah dan mak
seharusnya berbangga. Maizan lulus dengan cemerlang dan masuk
universiti. Ayah percayalah. Apa yang ayah buat selama ini Maizan tak
pernah ambil hati. Malahan Maizan jadikannya sebagai cabaran untuk
berjaya. Terima kasih ayah, mak.” Dia mencium tangan ayah dan
ibunya.
“Betul kata Maizan tu, bang. Dahlah. Macam mana baik dan
buruknya Minhat dan Maizan mereka tetap anak kita,” ibunya
mencelah. Ayahnya memandang wajah Maizan dengan rasa penuh kasih
sayang.
“Maizan …!” Ayahnya terus memeluk erat Maizan sambil
menangis.
“Ayah …!” Maizan turut memeluk ayahnya kuat. Tanpa disedari
titis-titis air mata menitis membasahi pipinya sambil disaksikan oleh
ibunya yang kelihatan menangis sama.
Dengan renungan yang tajam sambil memeluk erat tubuh dia
melontarkan pandangan sejauh-jauhnya ke arah bangunan-bangunan
batu yang jelas di pandangan mata. Kemudian perlahan-lahan dia
menarik nafas panjang dan mengatur langkah berlalu pergi dari jendela
106
kaca yang mengingatkan pada kisah silam yang dilaluinya. Esok adalah
hari yang paling bersejarah dalam hidup Maizan. Dia akan naik ke
pentas untuk menerima ijazah dan hadiah sebagai pelajar cemerlang.
107
9
PERMATA
Keheningan pagi diwarnai dengan cuaca cerah. Bola matahari
kelihatan kian meninggi di kaki langit. Sinarnya memancar terang-
benderang ke seluruh alam. Bersama tompok awan putih dan biru.
Kicauan unggas riang bernyanyi-nyanyi dengan penuh keriangan jelas
kedengaran memecah kesenyapan.
Angin dari arah bukit bertiup perlahan. Pokok nangka, jambu,
manggis, kelapa dan lain-lain lagi di luar halaman rumah meliuk-liuk ke
kanan dan kiri. Mengikut rentak tiupan angin. Sekali-sekala angin yang
berhembus terbabas lalu menyapu permukaan kulit Adnan yang lembut.
Kegelisahan. Benar-benar terasa membelit dirinya di kala ini.
Kemanusiaan, kedamaian, ketenangan dan keamanan yang
selama ini dimiliki telah hilang. Hati kecil Adnan berbisik.
Dengan langkah perlahan-lahan Adnan menuju ke jendela yang
terbuka luas. Dia melontarkan pandangan jauh di balik bukit-bukau
subur yang menghijau.
108
“Orang kaya dari bandar tu nak buat pembangunan di kampung
ni. Minggu lepas dia ada buat perjumpaan dengan orang-orang
kampung. Katanya orang-orang kampung akan dipindahkan ke tempat
yang baru …,” Pak Sudin bersuara lemah dan tak bermaya. Nada suara
yang dikeluarkannya itu jelas menagih simpati daripada anaknya yang
masih lagi belajar di universiti dalam tahun akhir.
Adnan pantas mengalihkan pandangannya ke arah ayahnya yang
telah tua itu. Rambut dipenuhi uban dan kedut jelas kelihatan pada
kulitnya. Pak Sudin terbatuk-batuk kecil sambil menghisap rokok daun.
Adnan kemudiannya perlahan-lahan beredar dari jendela dan
melabuhkan punggungnya di atas tikar mengkuang duduk berhadapan
dengan ayah dan ibunya.
“Bila dia suruh kita pindah, bang?” sampuk Mak Bedah tiba-tiba
sambil memandang tepat wajah suaminya. Pak Sudin sebaliknya hanya
tunduk menggeleng-gelengkan kepala dan menyedut rokok daun. Asap
memutih kelihatan berkepul-kepul naik ke atas.
“Tak tahulah. Tapi dia kata siap aje rumah di tempat baru tu
nanti barulah orang-orang kampung pindah,” Pak Sudin menjawab.
“Tempat baru tu kat mana, ayah?” soal Adnan pula.
109
“Katanya dekat dengan kawasan bandar,” balas Pak Sudin.
“Dia nak bangunkan apa di kampung ni, ayah?” tanya Adnan lagi
dengan penuh minat sambil mengangkat kepala tinggi sedikit melihat
wajah ayahnya.
“Nak buat kawasan pelancongan,” ucap Pak Sudin yang duduk
bersela. Dia kemudiannya lalu menyucuhkan puntung rokok daun ke
dalam bekas yang dibuat daripada tempurung kelapa. Air kopi ‘o’ yang
suam itu pantas diteguknya habis.
“Orang kampung semua dah setuju ke pindah, bang?” Mak Bedah
yang duduk di sebelah Pak Sudin lalu mencelah.
“Ini yang timbul masalah sekarang ni. Orang kampung dah pecah
dua. Ada yang setuju pindah dan ada yang berkeras tidak mahu
pindah,” jelas Pak Sudin.
“Sampai begitu sekali, ayah!” Adnan berasa sungguh terperanjat
apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut ayahnya itu.
“Kampung ni dah tak macam dulu lagi, Adnan. Sejak orang kaya
dari bandar tu datang nak buat pembangunan di kampung ni …,” Pak
110
Sudin menunjukkan rasa kecewa dan hampa dengan mengeluarkan
nada suara yang lemah.
“Kita tak boleh berdiam diri, ayah. Kita mesti bersatu semula.
Walau apa pun yang terjadi kita tak akan pindah. Kita akan tinggal di
kampung ini sehingga ke akhir hayat!” ujar Adnan dengan penuh
semangat.
“Kau nak buat apa, Adnan?” Mak Bedah menambah pula.
“Saya nak kumpulkan semua orang kampung. Kita mesti tentang
habis-habisan orang kaya dari bandar tu daripada mengambil milik yang
telah kita pusakai dari datuk nenek moyang kita dulu yang telah
bersusah payah meneroka kampung ni. Kita sebagai anak cucu dan cicit
mesti mempertahankannya menyerahkan kepada orang kaya dari
bandar tu namanya tidak sekali-kali!” Semangat Adnan semakin
berkobar-kobar seperti seorang pejuang tanah air menentang penjajah.
Perbualan rancak Pak Sudin, Mak Bedah dan Adnan lantas
terhenti. Kedengaran suara Bilal Usop melaungkan azan Asar dari surau
yang tidak jauh dari rumah mereka.
111
“Waktu asar pun dah masuk. Adnan marilah kita ke surau,” ajak
Pak Sudin sambil bingkas bangun.
“Yalah, ayah!” angguk Adnan pula.
Selepas menunaikan solat Asar Pak Sudin, Tok Ketua, Tok Imam
dan Adnan tidak pulang ke rumah. Mereka duduk di surau sambil
berbual-bual.
“Berapa lama kau cuti, Adnan?” soal Tok Ketua yang berketayap
putih, berbaju Melayu biru air laut dan berkain pelekat.
Di luar angin bertiup lemah-gemalai. Pohon-pohon hijau bagai
menari-nari mengikut rentak tiupan angin. Sekejap meliuk ke kiri dan
sekejap meliuk ke kanan. Dedaunan yang bergeseran mengeluarkan
irama yang sungguh merdu mengusik jiwa bersama ketenangan dan
kedamaian desa permai. Cuaca yang dari awal pagi kelihatan cerah telah
bertukar menjadi redup.
“Tiga bulan, tok,” dia sebaliknya menjawab pendek pertanyaan
yang diajukan oleh Tok Ketua itu.
“Apa kau buat masa cuti ni?” Tok Imam mencelah.
112
“Membantu ayah mengerjakan kebun. Tok Imam saya minta maaf
kalau bertanya. Kenapa orang kampung tak ramai sembahyang jemaah
di surau? Selalunya saya tengok penuh surau ni,” kata Adnan.
“Inilah yang menjadi masalah kampung ni sekarang. Berpecah
belah. Tak lagi hidup bersatu padu sepertimana yang dituntut dalam
agama,” jelas Pak Imam pula.
“Semuanya ini berpunca daripada orang kaya dari bandar tu,
kan? Demi kekayaan dan kepentingan diri sendiri kita berpecah belah
dan diusir,” Adnan cepat menambah.
“Memang betul kata kau, Adnan. Tok sebagai ketua merasa sangat
sedih apabila melihat perkara ini berlaku. Kampung ni dah tak macam
dulu lagi …,” sokong Tok Ketua dalam nada suara yang berbunyi
mengeluh.
“Kita mesti buat sesuatu untuk menjernihkan semula suasana
keruh yang telah berlaku sekarang ni. Demi kebaikan kita bersama
sebagai penduduk kampung.” Pak Sudin yang selama ini berdiam diri
tiba-tiba bersuara memberi cadangan.
113
“Memang betul kata ayah tu. Untuk perpaduan kita semua saya
cadangkan kita adakan pertemuan di balai raya. Macam mana, tok?”
kata Adnan sambil memandang tepat wajah Tok Ketua.
“Bagus tu, Adnan. Tok memang setuju sekali dengan cadangan
kau tu,” jawab Tok Ketua.
“Bila kita nak adakan pertemuan tu?” Tok Imam mencelah.
“Perkara yang baik tak elok kita lengahkan. Takut nanti datang
pulak perkara buruk. Kita mesti adakan pertemuan esok,” ujar Adnan
lagi.
“Apa kata kalau kita adakan pertemuan tu selepas waktu Zuhur,
tok?” tambah Pak Sudin pula.
“Saya setuju!” Tok Ketua mengangguk-anggukkan kepala.
Keesokan paginya Adnan ke warung Pak Salleh untuk membeli
sarapan.
“Abang Adnan. Bila balik?” tanya Suraya anak Pak Salleh.
114
“Dah seminggu. Pak Salleh mana?” soal Adnan pula.
“Ayah ke bandar. Dengar petang ni ada pertemuan penduduk
kampung di balai raya. Betul ke, bang?” ujar Suraya.
“Betul, Suraya. Nak membincangkan masalah yang melanda
penduduk kampung sekarang ni. Pak Salleh dah tahu ke hal ni?” Adnan
berkata.
“Dah. Tok Ketua yang beritahu dia sewaktu sarapan di warung ni
pagi tadi,” Suraya sebaliknya membalas.
“Kalau Suraya nak dengar luahan penduduk kampung tentang
pembangunan yang hendak dibuat oleh orang kaya dari bandar tu
sehingga membawa kepada perpecahan datanglah ke balai raya petang
ni,” pelawa Adnan.
“Insya-Allah, bang. Kalau tak ada apa-apa nanti Suraya datang.
Oh ya. Asyik bercerita terlupa pulak. Abang nak apa?” dia bersuara.
“Beri abang nasi lemak tiga, kuih kaswi tiga dan kuih karipap
tiga,” pinta Adnan.
115
“Yalah, bang,” Suraya menjawab.
Seperti yang dirancang oleh Tok Ketua, Tok Imam, Pak Sudin dan
Adnan pertemuan diadakan di balai raya. Namun begitu tidak semua
penduduk kampung yang hadir. Hasrat untuk menyatukan semula
penduduk kampung yang berpecah belah dan mendapatkan keputusan
agar tidak berpindah tidak tercapai.
“Nampaknya apa yang kita harapkan gagal. Tapi kita tak boleh
berputus asa. Kita mesti aturkan lagi pertemuan. Kalau tidak masalah
ini tak akan selesai,” ucap Adnan pula sebaik-baik sahaja pertemuan
pada petang itu selesai.
“Kita kena bersabar, Adnan. Banyakkanlah berdoa. Insya-Allah.
Hajat kita yang baik ini akan dimakbulkan,” Tok Ketua menyokong
sepenuhnya kata-kata Adnan itu.
Adnan menggandakan usaha mengumpulkan penduduk kampung
untuk mengatasi kemelut yang melanda. Ada yang bersetuju untuk
bertemu dan ada yang tidak mahu bertemu. Namun begitu dia tidak
berputus asa. Siang dan malam dia bekerja keras untuk memujuk
penduduk kampung agar bersatu semula dan tidak berpindah ke tempat
yang baru.
116
“Esok kita mesti adakan pertemuan, tok. Kita mesti berusaha
jugak untuk mengatasi masalah yang melanda penduduk kampung ni,”
Adnan berkata.
“Tapi tak ramai penduduk kampung yang setuju datang. Macam
mana kita nak selesaikan masalah ni …,” rengus Tok Ketua sebaliknya.
“Tak mengapa, tok. Yang penting saya nak tekankan kepada
penduduk kampung yang hadir betapa perlunya kita bersatu dan
mempertahankan kampung ni. Tok jangan risau. Serahkan saja pada
saya,” balas Adnan.
Pada keesokan harinya pertemuan kedua diadakan di balai raya
kampung. Amat menyedihkan sekali sama seperti pertemuan pertama
dulu tidak ramai penduduk kampung yang hadir. Sedangkan usaha
yang dilakukan oleh Adnan adalah untuk kebaikan bersama penduduk
kampung.
Dengan tiba-tiba Adnan teringat akan ungkapan dalam hidup ini
biar kita kalah asalkan jangan mengalah. Dia sendiri tidak pasti dari
buku mana dia membaca ungkapan itu dan yang pasti ia ditulis oleh
seorang ahli falsafah yang terkenal. Adnan lupa nama ahli falsafah itu.
Dia menjadikan kata-kata itu sebagai pedoman dalam perjuangannya
117
menyatukan semula penduduk kampung dan kekal di tempat yang
bertuah dan permai anugerah Tuhan Yang Esa.
Selang beberapa hari pertemuan ketiga diadakan di tempat yang
sama. Kali ini sambutannya adalah di luar jangkaan. Tidak seperti
pertemuan pertama dan kedua lalu. Seluruh balai raya dipenuhi dengan
penduduk kampung. Kalau pertemuan pertama dan kedua dahulu
banyak kerusi yang kosong tapi hari ini tak cukup kerusi sehinggakan
ada penduduk kampung yang terpaksa berdiri dan ada yang terpaksa
mendengar dari celah tingkap balairaya.
Tiada apa yang mampu diluahkan oleh Adnan selain daripada
rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana impiannya telah
dimakbulkan. Tidak sia-sia kerja keras siang dan malam yang
dilakukannya selama ini demi kebaikan bersama penduduk kampung
dan bukannya untuk kepentingan dirinya sendiri. Inilah namanya
berkat sentiasa berdoa dan bersabar untuk mencapai kejayaan.
“Tiada gunanya kita bersengketa sesama sendiri. Kita jugak akan
merasa rugi. Bukankah Islam melarang perbuatan buruk itu. Marilah
kita bersatu semula demi kesejahteraan kita bersama sebagai penduduk
kampung ini. Mulai dari hari ini marilah kita buang yang keruh dan
ambillah yang jernih. Hidup mati kita biarlah di sini. Pertahankanlah
118
kampung ini ibarat permata yang tinggi nilainya. Sukar dicari ganti.
Saya merayu pada semua penduduk kampung.” Kata-kata yang
diluahkan oleh Adnan itu benar-benar memukau penduduk kampung.
Sehinggakan ada yang menitiskan air mata kerana timbul penyesalan
bersengketa semata-mata terpedaya dengan tempat baru yang dijanjikan
oleh orang kaya dari bandar itu.
Semua penduduk kampung lalu bermaaf-maafan dan berpeluk-
pelukan di antara satu sama lain. Suasana di balai raya pada petang ini
bercampur gembira dan terharu.
“Terima kasih, Adnan. Kau telah berjaya menyatukan semula
penduduk kampung,” Tok Ketua bersuara sambil bersalaman dengan
Adnan.
“Sama-sama, tok. Cuma satu lagi yang perlu kita selesaikan,”
Adnan menjawab.
“Apa dia?” Tok Ketua cepat memotong sambil mengangkat kepala
tinggi sedikit memandang wajah Adnan.
119
“Besok kita beramai-ramai ke pejabat orang kaya tu untuk
menyatakan bantahan tidak mahu berpindah dari kampung ni,” ucap
Adnan pula.
120
10
CABARAN
Pagi. Bola matahari kian meninggi di kaki langit biru bersama
gumpalan awan putih. Sinarnya jelas kelihatan menyinari seluruh
Kampung Sena. Kicauan burung-burung jelas kedengaran memecah
alam nan menghijau.
Di halaman rumah pokok cempedak, manggis, kelapa, rambutan
dan lain-lain lagi mengangguk-angguk perlahan ditiup angin dari arah
pergunungan. Melalui jendela yang terbuka luas angin berhembus
nyaman menyapu permukaan kulit Munir yang lembut itu. Seorang
graduan universiti. Sehingga kini masih lagi tidak mempunyai
pekerjaan.
“Belajar tinggi-tinggi takkan kerja kampung, Munir,” kata Adnan.
“Apa nak buat, Nan? Dah puas aku cari kerja. Tapi tak dapat,” dia
sebaliknya menjawab.
121
“Kalau nak banding dengan aku ni kelulusan bukannya tinggi.
Dapat kerja mewah di Kuala Lumpur,” Adnan membalas dengan penuh
angkuh.
“Dah rezeki kau,” ujar Munir dalam nada suara yang tenang.
Tercabar juga dia dengan kata-kata rakan sekampung dan
sekolahnya itu. Namun begitu dia tetap bersabar. Dugaan Tuhan. Ada
hikmahnya dan dia berkeyakinan tinggi. Siswazah menganggur seperti
dia boleh menabur bakti kepada masyarakat.
Dengan langkah yang perlahan-lahan Munir menuju ke jendela
yang terbuka luas. Fikirannya dilontarkan ke arah banjaran gunung
yang subur menghijau.
Banyak tanah terbiar di kampung ini. Lebih baik diusahakan.
Berjaya atau tidak itu bukan soalnya. Tiba-tiba dia teringat akan kata-
kata pensyarahnya sewaktu di universiti dahulu. Sesuatu yang
dilakukan dalam hidup ini adalah percubaan. Dia yakin dengan
ungkapan itu.
Keesokan harinya dia pun ke rumah Tok Ketua. Menyatakan
hasrat murninya itu.
122
“Aku tak ada halangan, Munir. Memang baik cadangan kau itu.
Tapi siapa yang nak usahakannya? Orang-orang kampung ni ramai yang
dah tua. Takkan larat nak buat kerja-kerja tu semua,” ucap Tok Ketua
sebaliknya.
“Kan kita ramai anak-anak muda yang tak bekerja seperti saya di
kampung ni. Kita gunakan tenaga mereka,” balas Munir.
“Betul. Soalnya mahu ke mereka mengusahakan tanah terbiar tu.
Setahu aku. Usia muda macam mereka tu mana sanggup menebas dan
mencangkul tengah panas,” ujar Tok Ketua lagi.
“Itulah silapnya orang kita ni, tok. Macam mana nak maju. Belum
apa-apa lagi dah menyerah. Itu tak jangan bimbang. Serahkan pada
saya. Tahulah saya nanti macam mana nak tarik mereka.” Munir
memberi jaminan pada Tok Ketua.
“Baiklah, Munir. Aku mengikut saja apa yang kau fikirkan baik
untuk kampung ni. Aku doakan semoga rancangan kau ni berjaya,” Tok
Ketua menambah.
“Insya-Allah, tok. Berkat doa dan sokongan tok saya yakin tanah
yang terbiar itu akan membawa hasil,” jawab Munir.
123
“Hah, jemputlah minum, Munir. Nanti sejuk pulak air ni,” pelawa
Tok Ketua.
“Terima kasih, tok!” Munir membalas sambil mengangguk-
anggukkan kepala.
Berikutnya Munir berjumpa dengan Sidik Pengerusi Persatuan
Belia Kampung Sena.
“Bagus sekali cadangan kau tu, Munir. Sekurang-kurangnya
anak-anak muda di kampung ini tidaklah mmebuang masa dengan
melakukan perkara yang tidak berfaedah. Seperti terlibat dengan
dadah.”
“Kalau kita yang tidak mulakan siapa lagi, Sidik.”
“Memang betul kata kau tu, Munir. Aku sokong. Orang terpelajar
macam kau ni memang diperlukan buah fikirannya untuk memajukan
kampung ni.”
“Sudahlah tu, Sidik. Jangan nak memuji-muji aku. Tak ada
bezanya terpelajar atau tidak. Kita manusia kan semuanya sama di sisi
124
Tuhan. Oh, ya! Sebelum aku terlupa. Kau ada kawan tak di Jabatan
Pertanian. Kita perlu dapatkan bantuan dan khidmat nasihat dulu.”
“Itu kau jangan bimbang. Aku memang ada kawan di Jabatan
Pertanian. Besok kita ke sana. Jumpa dia.”
Ternyata Jabatan Pertanian menyokong penuh usaha murni
Munir itu. Namun begitu sudah menjadi lumrah manusia. Sesuatu yang
baik itu adaketikanya sukar diterima.
“Apa? Munir mengusahakan tanaman buah-buahan dan sayur-
sayuran di tanah terbiar tu?” kata Adnan dengan penuh rasa
terperanjat.
“Ya! Tengah rancak berjalan sekarang ni. Aku betul-betul kagum
dengan dia. Lulusan universiti yang tak memilih kerja. Sekurang-
kurangnya tanah tu ada jugak hasilnya. Daripada terbiar begitu saja,”
Tok Ketua sebaliknya menjawab.
“Itu kerja sia-sia namanya, tok. Langsung tak ada faedah. Tanah
yang terbiar tu boleh mendatangkan hasil yang lumayan kepada
kampung ni. Kalau kena dengan caranya.” Dia terang-terang menentang
projek yang diusahakan oleh Munir itu.
125
“Sia-sia apa pulak ni, Nan. Aku tak nampak usaha Munir tu akan
gagal. Lagipun anak-anak muda melalui Persatuan Belia kampung ni
turut sama mengusahakannya.” Tok Ketua menyatakan sokongan yang
tidak berbelah bagi.
“Itulah, tok. Mudah percaya sangat dengan kata-kata Munir. Saya
dah lama kenal dengan dia tu. Cakap saja lebih. Kata orang tak ubah
macam tong kosong. Bunyi aje lebih. Tapi hasil tak ada!” Adnan
membalas.
“Apa pasal kau marah sangat dengan Munir ni? Salah ke apa yang
dia buat tu. Sepatutnya kau turut sama memberikan sokongan dan
bukannya merosakkan rancangan dia,” ujar Tok Ketua pula.
Kebosanan. Jelas terpancar di riak wajah Adnan. Jarumnya untuk
mempengaruhi Tok Ketua agar tidak menyokong projek Munir itu
nampaknya tidak berjaya. Sebenarnya ada udang di sebalik batu.
“Begini ajelah, tok. Biar saya berterus terang ajelah. Saya berjanji.
Nak jualkan tanah tu pada tuan syarikat saya bekerja. Berapa saja
harganya dia sanggup beli,” jelas Adnan dalam nada suara yang lembut
memujuk Tok Ketua.
126
“Nan …. Nan …!” Tok Ketua sebaliknya menggeleng-gelengkan
kepala dan sedikit mengukir senyuman kecil apabila mendengar kata-
kata Adnan itu.
“Untungnya sangat lumayan, tok. Kita pun dapat bahagian,”
tambah Adnan lagi.
Di luar cuaca begitu panas sekali. Sudah hampir sebulan hujan
tidak turun. Angin dari arah pergunungan bertiup perlahan. Pohon
kelapa yang tumbuh di halaman rumah Tok Ketua meliuk-liuk ke kanan
dan kiri. Dedaunan hijau yang bergeseran mengeluarkan irama yang
sungguh merdu. Mengikut rentak tiupan angin. Sebagai seorang
pemimpin yang masak dengan asam garam kehidupan dia cukup faham
dengan maksud Adnan itu.
“Dia nak buat apa dengan tanah tu?” dia menyoal sambil
memandang tepat wajah Adnan.
“Kalau tok nak tahu dia nak buat rumah peranginan
berkonsepkan kampung. Macam mana? Tok setuju tak?” dia cepat
menjawab serentak membalas pandangan Tok Ketua.
127
Diam. Tok Ketua sebaliknya menyucuhkan api paip yang melekat
di bibirnya. Adnan memerhatikan sahaja gelagatnya itu.
Angin dari arah pergunungan tiba-tiba bertiup kencang dan
menerobos masuk ke dalam rumah papan itu. Bunyi ayam, itik dan
kambing peliharaan Tok Ketua jelas kedengaran memecah suasana. Tok
Ketua kemudiannya lalu menghembus keluar asap paip. Nampak
berkepul-kepul memutih memenuhi ruang tamu rumah itu.
“Nan, aku berpegang pada pepatah kerbau berpegang pada tali
manusia berpegang pada janji. Aku dah beri sepenuh kepercayaan pada
Munir untuk mengusahakan tanah tu. Dia baru mula. Takkan aku nak
suruh dia berhenti.”
“Jangan tolak tuah, tok. Ini untuk kesenangan tok dan penduduk
kampung ni jugak.”
“Dalam dunia ni tak ada manusia yang hendak hidup susah.
Semua nak hidup senang. Kau silap, Nan. Aku bukan jenis pemimpin
yang mementingkan kemewahan dan diri sendiri. Biar susah senang
bersama dengan anak-anak buah.”
128
Tersentak Adnan apabila mendengar kata-kata yang keluar
daripada mulut Tok Ketua itu. Pedas dan tajam bunyinya. Namun begitu
dia tetap tidak berputus asa. Memujuk Tok Ketua supaya memenuhi
impiannya memperolehi habuan lumayan hasil daripada jualan tanah
itu.
“Tok, projek rumah peranginan yang dicadangkan oleh tuan
syarikat saya tu bukan kecil. Belanjanya besar. Dengan bermacam-
macam kemudahan yang disediakan tentu akan menarik pelancong
dating ke kampung ni dan bertambah maju. Setanding dengan
kampung-kampung lain. Hah, tok jugak nanti dapat nama,” ucap
Adnan.
“Sekali lagi kau silap, Nan. Orang tua yang sekarang berada di
depan kau ni tidak mengejar nama walaupun berkuasa. Begini ajelah.
Bidang pertanian juga boleh menyumbang kemajuan pada kampung
tanah kelahiran kau ni. Projek rumah peranginan tuan syarikat kau
bekerja tu belum tentu dapat mendatangkan hasil untuk dinikmati oleh
penduduk kampung ni. Takut nanti lebih banyak pembaziran aje,” Tok
Ketua sebaliknya menjawab dengan panjang lebar.
“Dahlah, tok. Saya buat benda yang baik untuk kampung ni tok
tak setuju. Benda yang tak berfaedah langsung dibuat oleh Munir tu tok
129
sokong pulak. Saya balik dululah!” Dia pantas beredar dari rumah Tok
Ketua dengan penuh rasa hampa.
“Eh, kalau ya pun tunggulah minum dulu. Nan …! Nan …!” tahan
Tok Ketua pula.
“Kenapa dengan Nan tu, bang? Lain macam aje saya tengok,” ujar
Mak Timah yang muncul dari dapur sambil membawa dulang yang
berisi minuman.
“Entahlah, Mah …!” keluh Tok Ketua sambil menyucuhkan
semula api paip yang telah padam.
Projek tanaman semula yang diilhamkan oleh Munir nyata
membuahkan hasil.
“Aku betul-betul kagum dengan kau ni, Munir,” kata Sidik.
“Kagum apa?” tanya Munir sambil mengesat peluh di dahi.
“Tak ramai orang terpelajar macam kau ni nak menceburi bidang
pertanian. Yalah tempat kau sepatutnya di bilik yang besar dan berhawa
dingin. Dan bukannya berpanas terik macam ni,” Sidik membalas.
130
“Ijazah tidak boleh dijadikan ukuran untuk berjaya dalam hidup.
Bagi aku bidang pertanian juga merupakan satu kerjaya. Jauh di sudut
hati aku menyesal memilih bidang ini walaupun tidak setimpal dengan
kelulusan yang aku miliki,” jelas Munir.
Bola matahari jelas kelihatan menegak di kaki langit. Cahaya yang
dipancarkannya menyimbah ke seluruh alam. Bahangnya pula terasa
pedih menggigit permukaan kulit.
Sementara itu angin dari arah pergunungan bertiup lemah-
gemalai. Pohon-pohon yang menghijau mengangguk-angguk. Seolah-
olah menyokong dengan kata-kata yang dilafazkan oleh Munir itu. Bunyi
daun-daun bergeseran ibarat irama lagu yang sungguh menghiburkan
jiwa apabila didengar. Begitu juga dengan bunyi daun-daun kering dan
ranting patah jatuh berguguran di atas tanah juga jelas kedengaran
memecah suasana yang dibalut dengan ketenangan.
Munir dan Sidik sama-sama meneguk minuman. Dingin. Umpama
air terjun di pinggir kali. Jelas terasa apabila air membasahi tekak yang
kering.
“Kau lihat tu, Munir. Anak-anak muda begitu bersemangat sekali.
Mengerjakan tanah yang dulunya terbiar. Kini dipenuhi dengan sayur-
131
sayuran dan pokok buah-buahan,” ucap Sidik sebaik-baik sahaja selesai
meneguk minuman.
Munir lalu menarik nafas panjang.
“Itulah yang kita mahu. Anak-anak muda di kampung ni dapat
menyumbang sesuatu yang berguna dalam usia ibarat sehelai daun
hijau,” balas Munir.
“Aku setuju sekali dengan kata-kata kau tu. Sejak projek tanaman
semula ni bermula aku sebagai Pengerusi Persatuan Belia kampung ni
tengok mereka jauh dah berubah. Tak macam dulu. Lebih banyak
melakukan perkara yang tak berfaedah,” Sidik menambah.
“Mereka memang mudah terpengaruh dengan perkara begitu.
Siapa lagi yang nak mengubahnya. Kalau bukan kita. Oh, ya! Sebelum
aku terlupa. Sayur-sayuran kita tu dah ada pemborong. Harga yang
ditawarkan pun berpatutan,” ucap Munir pula.
“Ya ke? Baguslah macam tu!” Sidik sebaliknya membalas sambil
mengangguk-anggukkan kepala.
132
“Kita dah lama berehat ni. Mari kita sambung kerja balik,” ajak
Munir.
“Yalah!” kata Sidik.
Mereka berdua bingkas bangun sambil membawa cangkul menuju
ke tapak projek tanaman semula.
Keesokan paginya Adnan bertemu dengan Tuan Sharif.
“Susah, tuan …!” keluh Adnan pendek.
“Apa yang susah ni, Nan?” soal Tuan Sharif.
“Tanah tu dah dijadikan projek tanaman semula.” Adnan memberi
penjelasan.
“Projek tanaman semula?” Tuan Sharif merasa sungguh
terperanjat apabila mendengar kata-kata itu.
“Ya, tuan!” angguk Adnan dengan pantas.
133
“Siapa yang usahakan?” Tuan Sharif bagaikan tidak sabar-sabar
lagi pantas mencelah.
“Munir. Seorang lulusan universiti. Bersama dengan anak-anak
muda kampung melalui Persatuan Belia,” Adnan menjawab.
“Awak mesti ingat. Dah ada pelabur luar yang bersetuju
usahasama dengan kita melaksanakan projek tu. Kita tak boleh
lepaskan peluang ini begitu sahaja. Walau apa cara sekalipun awak
mesti dapatkan tanah tu. Ingat, Nan. Saya beri awak amaran. Kalau
awak gagal. Awak akan dipecat. Faham!” Dia mengeluarkan nada suara
yang tinggi.
Adnan kemudiannya pantas berlalu pergi dari bilik Tuan Sharif.
Tak dapat cara halus cara kasar aku gunakan. Janji tanah tu dapat.
Habuan pun dapat dan aku tidak dibuang kerja. Getus hati kecilnya.
Tanpa berlengah lagi dia lalu memicit nombor telefon bimbitnya
dan menghubungi Murad.
“Hello, Murad. Aku nak jumpa kau. Sekarang. Tempat biasa. OK!”
Seperti yang dijanjikan Adnan dan Murad lalu berjumpa.
134
“Aku ada kerja untuk kau.”
“Kerja apa, Nan?”
“Ini RM 500.00. Aku nak kau bawa kawan-kawan kau rosakkan
satu projek tanaman semula.”
“Di mana?”
“Kampung aku. Malam ni tepat pukul 8.00 kau tunggu di sini.
Aku bawa kau ke sana.”
“Baiklah!”
Munir, Sidik dan Tok Ketua memandang sayu tanaman sayur-
sayuran dan buah-buahan yang telah dirosakkan. Cuaca pada hari ini
nampak suram. Angin dari arah pergunungan bertiup lemah. Seolah-
olah bersimpati dengan nasib yang menimpa Munir, Sidik dan anak-
anak muda kampung yang mengusahakan projek tanaman semula.
“Sabar, Munir. Ini semua ujian Allah. Mungkin ada rahmat di
sebaliknya.” Tok Ketua menenangkan Munir sambil menepuk-nepuk
bahunya.
135
Munir sebaliknya hanya berdiam diri sambil tunduk memegang
daun-daun sayur yang telah hancur.
“Kita tak boleh berdiam diri, tok. Kita mesti cari sampai dapat
mereka yang melakukan angkara ini. Kalau saya dapat nanti tahulah
saya mengajarnya cukup-cukup!” kata Sidik dengan perasaan yang
penuh geram.
“Jangan bertindak terburu-buru, Sidik. Kita kan ada undang-
undang. Lebih baik kita laporkan saja perkara ini pada pihak berkuasa,”
ujar Tok Ketua pula.
Munir lalu bangun dan mendongakkan kepala tinggi sedikit.
“Kita mesti bangkit semula. Sekali kita ke depan. Tidak sesekali
kita akan ke belakang bila gagal. Kita mesti bina semula projek tanaman
semula yang telah musnah ini. Insya-Allah. Kita di pihak yang benar.
Kejayaan akan bersama kita.” Munir membakar kata-kata semangat.
Ternyata rancangan jahat Adnan tidak melemahkan semangat
Munir, Sidik dan anak-anak muda kampung. Malahan hasil tanaman
mereka amat menggalakkan berbanding dengan yang terdahulu.
Jabatan Pertanian telah menganugerahkan Pertanian Cemerlang. Bagi
136
Munir selaku Ketua Projek kejayaan ini bukan miliknya seorang.
Malahan semua yang telah berusaha keras dan bertungkus-lumus
memerah keringat di bumi bertuah menjayakannya.
Benar kata pepatah. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya
jatuh ke tanah juga. Adnan dan rakan-rakannya telah ditahan oleh
polis.
Di kaki langit fajar kian menyingsing melabuhkan tirainya
menyambut malam. Esok hari baru akan bermula. Segala suka dan
duka yang dilayari hari ini dihimpunkan menjadi kekuatan pengalaman
selagi masih bernafas di atas muka bumi ini. Sesungguhnya hidup ini
penuh dengan pelbagai cabaran. Perlu ditempuhi dengan kuat dan
tabah. Demikianlah yang bersarang dalam jiwa seorang siswazah yang
bernama Munir.
137
11
SURATAN JODOH
Selepas menunaikan solat Asar di surau Pak Latip terus pulang ke
rumah. Setibanya di rumah Pak Latip yang berketayap putih, berbaju
Melayu berwarna biru muda dan berkain pelikat duduk di atas kerusi
kusyen. Angin dari arah bukit bertiup lembut membelah seluruh
kampung. Cuaca kelihatan cerah.
“Minum, bang,” pelawa Mak Kiah sambil meletakkan secawan air
kopi dan sepinggan lepat pisang di atas meja.
Pak Latip kemudiannya lalu meneguk air kopi perlahan-lahan.
“Sedap lepat pisang ni,” kata Pak Latip.
“Pisang yang abang bawa balik dari kebun semalam. Bang. Tadi
Johan datang,” Mak Kiah sebaliknya bersuara.
“Ada apahal dia kemari?” soal Pak Latip pula.
138
“Tentang rancangan dia nak jodohkan anaknya Azam dengan anak
kita Maimunah,” jelas Mak Kiah.
“Saya tiada halangan. Yalah. Bukannya kerana Johan tu orang
berada. Saya menerima hasratnya itu. Tapi atas niat baik dan kalau
sudah ditentukan oleh Tuhan jodoh Maimunah dengan anaknya. Awak
pulak macam mana?” Pak Latip menambah.
“Apa yang abang fikirkan baik saya jugak begitu, bang,” sokong
Mak Kiah.
“Tapi saya cuma bimbang. Zaman sekarang ni bukan macam
zaman kita dulu. Jodoh diaturkan oleh orang tua. Awak dah tanya ke
dengan tuan punya badan sendiri,” ucap Pak Latip.
“Dah, bang. Kata Maimunah ajal dan maut di tangan Tuhan.
Kalau sudah ditakdirkan jodohnya dengan Azam dia ikhlas
menerimanya dengan hati yang terbuka. Lagipun kalau baik bagi kita
sebagai ayah dan ibunya maka baik juga bagi dirinya,” Mak Kiah
membalas.
139
“Syukur alhamdulillah. Marilah kita sama-sama berdoa semoga
apa yang kita rancangkan ini akan direstui oleh Allah SWT,” tambah Pak
Latip.
Sementara itu di rumah Johan.
“Azam. Ada perkara yang ayah nak cakap,” Johan bersuara.
“Perkara apa, ayah? Kalau pasal bisnes kita bincang aje di pejabat.
Bukannya di rumah,” celah Azam.
“Ini bukan soal bisnes. Ayah dah buat keputusan nak jodohkan
kau dengan Maimunah pekerja syarikat kita tu,” terang Johan yang
duduk di atas kerusi antik mewah.
“Apa? Abang nak jodohkan Azam dengan Maimunah. Abang tak
malu ke. Pekerja syarikat dijadikan menantu,” Faridah menyampuk
dengan rasa terkejut apabila mendengar kata-kata yang keluar daripada
mulut suaminya itu.
“Betul kata mak tu. Ayah kan tahu yang saya berkawan dengan
Sherin. Dah suka sama suka. Kenapa pulak saya harus berkahwin
dengan Maimunah pilihan ayah,” ucap Azam pula.
140
“Lagipun kita kan dah setuju dengan Datuk Mohd Nor dan Datin
Ani nak satukan Azam dengan Sherin. Takkan abang dah lupa,” ingat
Faridah pada Johan.
“Itu dulu. Tapi sekarang abang dah buat keputusan. Abang Latip
dan Kak Kiah akan menjadi bisan kita. Bukannya Datuk Mohd Nor dan
Datin Ani,” putus Johan sebaliknya.
“Abang. Apa pulak kata mereka nanti. Bukankah abang dengan
Datuk Mohd Nor tu dah lama berkawan baik dalam dunia perniagaan.
Dituduhnya kita mungkir janji pulak,” ujar Faridah lagi.
“Bagi saya Maimunah sesuai sebagai pasangan hidup Azam. Baik
tingkah laku dan beragama. Susah nak dapat gadis macam dia zaman
sekarang,” Johan bersuara.
“Saya minta maaf, ayah. Terus terang saya katakan. Saya tetap
akan berkahwin dengan Sherin dan bukannya Maimunah!” Azam
membantah sekeras-kerasnya kemahuan ayahnya.
“Keputusan ayah muktamad. Maimunah tetap akan menjadi isteri
kau. Minggu depan ayah akan hantar wakil untuk meminang.” Johan
memberikan kata putus.
141
“Ayah. Berilah saya peluang untuk ….” Azam tidak dapat
meneruskan percakapan untuk memberikan penjelasan selanjutnya.
“Cukup tu, Azam! Apa yang ayah dah putuskan kau tetap kena
ikut. Ini bukan paksaan. Demi untuk kebaikan hidup kau. Ayah pilih
Maimunah sebagai isteri kau. Faham!” Johan cepat memotong dalam
nada suara yang tegas dan kemudiannya bingkas bangun menuju ke
bilik atas.
Azam dan ibunya hanya berdiam diri apabila mendengar kata-kata
yang diluahkan oleh ayahnya itu. Dia kemudiannya memandang wajah
ibunya yang duduk berhadapan dengannya.
“Apa dah jadi ni, mak? Tiba-tiba aje ayah suruh kahwin dengan
Maimunah. Tak fahamlah saya. Kenapa ayah buat macam ni.” Azam
sebaliknya meluahkan rasa bingung yang melanda dirinya akibat
daripada keputusan ayahnya itu kepada ibunya.
“Entahlah, Azam. Mak pun pening kepala dibuatnya,” Faridah
menjawab.
“Bosanlah macam ni …,” keluh Azam sambil pantas bangun dan
menuju ke pintu masuk rumah.
142
“Nak ke mana tu, Azam?” tanya Faridah pula sambil
mendongakkan kepala tinggi sedikit.
“Lebih baik keluar. Cari ketenangan. Kat rumah ni berserabut aje
kepala,” Azam menjelaskan pada ibunya.
“Kalau ya pun tunggulah dulu, Azam. Azam …! Azam …!” Faridah
cuba menahan anaknya.
Keesokan harinya Azam berjumpa dengan Maimunah.
“Awak tahu kenapa saya nak jumpa awak?” Azam berkata.
“Tak? Kenapa, Encik Azam? Ada yang tak kena ke dengan kerja
yang saya buat?” balas Maimunah yang kelihatan ayu bertudung warna
merah dan berbaju kurung berwarna biji kundang.
“Bukan pasal kerja. Tapi pasal kita berdua,” Azam bersuara dalam
nada yang tidak menyenangkan.
“Saya tahu. Sebab Tuan Johan nak jodohkan kita berdua, kan?”
Maimunah sebaliknya menjawab.
143
“Awak dengar sini ya. Kita tak akan kahwin. Biar saya berterus
terang dengan awak. Bakal isteri saya bernama Sherin. Anak Datuk
Mohd Nor. Saya dan dia dah lama berkenalan sewaktu sama-sama
menuntut di luar negeri dulu. Saya dan Sherin dah kenal hati budi
masing-masing. Sedangkan awak baru saya kenal bekerja dengan
syarikat ayah saya. Dah terus nak kahwin. Jawapannya minta maaf dari
saya!” ujar Azam pula dengan panjang lebar berserta rasa bongkak.
“Encik Azam. Ini adalah kehendak Tuan Johan sendiri. Bukan
kehendak saya,” tambah Maimunah dengan tenang.
“Sudah. Saya tak mahu dengar itu semua. Ayah saya paksa
macam mana sekalipun saya tetap tidak akan kahwin dengan awak.
Faham!” Azam memberikan kata putus. Maimunah sebaliknya
mendiamkan diri.
Pak Latip dan Mak Kiah rancak berbual-bual. Tiba-tiba
kedengaran suara orang memberi salam dari bawah rumah. Pak Latip
dan Mak Kiah lalu menjawab salam.
“Ada orang datang. Cuba awak tengok siapa tu,” arah Pak Latip
pada isterinya. Mak Kiah bingkas bangun menuju ke pintu.
144
“Kau rupanya, Johan. Jemputlah naik,” pelawa Mak Kiah.
“Apa khabar, kak?” tegur Johan.
“Baik. Kau seorang aje ke? Faridah tak ikut sekali?” soal Mak
Kiah.
“Tak, kak!” Johan sebaliknya menjawab ringkas.
“Johan. Jemputlah duduk,” kata Pak Latip pula.
“Apa khabar, bang?” ucap Johan sambil bersalaman dengan Pak
Latip.
“Alhamdulillah baik. Kenapa tak telefon dulu nak datang,” Pak
Latip bersuara.
“Saya sebenarnya dari rumah Tok Ketua. Bincang nak cat semula
surau kampung kita tu. Saya nak beri sumbangan ikhlas,” tambah
Johan.
“Syukur alhamdulillah. Moga Allah memberi ganjaran pada
kebaikan yang kau lakukan,” ujar Pak Latip lagi.
145
“Saya tak harapkan semua tu, bang. Yang penting amal jariah
sepertimana yang dituntut oleh Allah SWT kepada saya sebagai hamba
di atas dunia yang sementara ini. Terlanjur saya ke rumah Tok Ketua
saya singgah ke rumah abang. Nak bincangkan hal anak-anak kita tu,”
Johan menerangkan pada Pak Latip.
“Kak Kiah ada cerita pada abang. Tentang niat kau nak jodohkan
Azam dengan Maimunah. Alhamdulillah. Abang dan kakak tiada
halangan termasuk tuan punya badan sendiri Maimunah. Tapi macam
mana pulak dengan Azam. Dia setuju ke?” Pak Latip mendongakkan
kepala tinggi sedikit memandang muka Johan.
“Betul tu, Johan. Yalah. Macam Azam tu. Faham-fahamlah aje.
Berkedudukan macam kau. Takut dia tak boleh menerima Maimunah.
Tak bahagia hidup bersama. Kita pulak yang disalahkannya,” sampuk
Mak Kiah dengan tiba-tiba.
“Tentang tu tak usahlah abang dan kakak risaukan. Apa yang
saya lakukan ini demi kebahagiaan hidup anak saya dan anak abang
dan kakak. Insya-Allah. Mereka akan hidup bahagia dan mengenal cinta
melalui perkahwinan yang kita aturkan ini,” yakin Johan pula.
146
Azam dan ibunya kelihatan sedang rancak berbincang mengenai
perkahwinan dengan Maimunah ketika Johan memasuki ruang tamu
rumah mewah itu.
“Awal abang balik hari ni. Tak macam biasa. Abang tak ke pejabat
ke hari ni.” Faridah mengalih tajuk perbualan.
“Tak. Saya ke rumah Abang Latip dan Kak Kiah. Bincangkan hal
perkahwinan Azam dengan Maimunah,” Johan menambah setelah
duduk di atas kerusi sofa antik.
“Ayah …!” Azam tidak sempat untuk bercakap.
“Sudah, Azam! Apalagi yang kau nak. Segala kemewahan hidup
ayah dah beri. Takkan permintaan ayah yang baik ini tak boleh kau
tunaikan!” Johan pantas memotong dalam nada suara yang tegas.
“Dah dia tak nak Maimunah sebagai isteri nak buat macam mana.
Mana boleh paksa-paksa dalam soal kahwin ni,” celah Faridah pula.
“Awak jangan bercakap sedap mulut aje. Soal paksa tidak timbul
dalam perkahwinan yang saya aturkan ini. Tapi yang penting bahagia.
Ingat, Azam. Kaulah satu-satunya pewaris syarikat ayah. Maimunah
147
adalah pilihan tepat untuk bersama dengan kau untuk menjaga syarikat
demi anak cucu ayah pada masa yang akan datang,” Johan
mengingatkan anaknya.
“Tapi, ayah. Kan saya dah cakap. Saya tak cintakan …,” Azam
terhenti.
“Cukup, Azam! Kan ayah dah cakap. Ayah tak akan berpatah
balik. Kau tetap akan berkahwin dengan Maimunah. Kau jangan nak
beri ayah malu. Sudah. Waktu asar dah pun masuk. Siap cepat. Kita
pergi berjemaah di masjid. Awak Faridah ikut sekali,” potong Johan
dengan pantas dan panjang lebar sambil bingkas bangun.
“Yalah, bang. Azam pergi cepat siap. Tak lama lagi kau akan
bergelar suami. Sebagai ketua keluarga kau kenalah menunjukkan
teladan yang baik sebagaimana yang dituntut oleh agama dalam
membina sebuah keluarga yang bahagia,” Faridah sebaliknya bersuara
sambil memandang wajah Azam.
“Baiklah, mak!” Azam membalas sambil mengangguk-anggukkan
kepala tanda menurut sahaja apa yang diarahkan oleh ayah dan ibunya
itu.
148
“Hah, macam tulah. Sembahyang jemaah ni banyak pahalanya
daripada sembahyang sendirian. Rugi kalau kita tidak lakukan seperti
yang dituntut oleh agama,” ingat Johan lagi.
Setelah siap semuanya Johan, Faridah dan Azam pun pergi ke
masjid untuk menunaikan solat Asar dengan menaiki kereta mewah
yang dipandu oleh Azam.
Restoran Nelayan yang menyediakan masakan kampung menjadi
pilihan makan tengah hari Azam dan Sherin. Selepas menikmati
hidangan yang penuh menyelerakan mereka rancak berbual-bual.
“Apa? Ayah kau suruh kahwin dengan pekerja syarikat. Azam.
Kau jangan nak bergurau!” Sherin berasa sungguh terkejut apabila
mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Azam itu.
“Sungguh, Sherin! Aku tak bergurau. Tak tentu arah aku
dibuatnya. Dia paksa aku kahwin jugak. Apa yang diputuskannya tak
boleh dibantah langsung. Kalau hitam hitamlah kalau putih putihlah.”
Azam melepaskan sepenuh masalah yang dihadapinya pada Sherin.
149
“Jadi kau setujulah nak kahwin dengan gadis pilihan ayah kau
tu?” Sherin menyoal sambil melemparkan pandangan yang penuh manja
pada Azam.
“Mana boleh, Sherin. Takkanlah aku nak kahwin dengan
perempuan yang aku tak cintai. Lainlah kau. Wanita yang aku cintai
setulus hati. Tulah kau. Aku ajak kahwin ada aje alasan. Tak
bersedialah. Nanti dululah. Masa panjang lagilah. Macam-macam. Kalau
kita kahwin tak timbul masalah ni,” rungut Azam pula.
“Apa yang kau merepek ni, Azam?” jawab Sherin.
“Merepek apa pulak. Kenyataan. Masalah ni semua berpunca
kerana kita tak berkahwin. Sedangkan kedua-dua orang tua kita dah
tahu kita ni dah suka sama suka sejak menuntut di luar negeri lagi.”
Azam nyata tidak senang dengan jawapan yang diberikan oleh Sherin
itu.
“Buat apa pening kepala kau fikirkan semua ni, Azam. Sampai
masa nanti kita kahwinlah.” Sherin cuba memujuk Azam.
“Tapi soalnya bila?” tambah Azam lagi.
150