407
kajian yang dilakukan Aida Rahayu (2010) yang menyatakan bahawa teknousahawan
yang berdaya tahan dapat meneruskan perniagaan mereka walaupun berhadapan
dengan pelbagai masalah.
5.1.8.2 Sokongan Luaran dan Dalaman
Sokongan merupakan faktor penting untuk meningkatkan kejayaan teknousahawan
dalam menceburi bidang teknokeusahawanan (Mohd Nor Hidayad, 2011; Siti Nor
Wardatulaina, 2011; Sarifah Rohaya, 2013). Dalam kajian ini, sokongan luaran dan
dalaman yang dimaksudkan adalah menjurus kepada bantuan atau dokongan sesuatu
sumber sama ada luaran atau pun dalaman (spirituality) yang membantu
teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran untuk memajukan
perniagaan sama ada sebagai sumber motivasi, menjana idea, sebagai pengetahuan
sedia dan mahu pun sebagai sumber kekuatan dalaman untuk mengatasi sesuatu
halangan dan masalah dalam perniagaan. Hasil dapatan kajian melalui instrumen profil
teknousahawan, temu bual, dan soalan terbuka telah mengenalpasti sokongan yang
membantu teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran iaitu: (i)
pengetahuan, (ii) kemahiran vokasional, (iii) sprirituality dan (iv) keluarga. Elemen-
elemen ini penting kepada bakal teknousahawan sebagai kekuatan dalam diri untuk
menghadapi dunia baharu sebagai teknousahawan yang serba mencabar.
408
(i) Pengetahuan Teknikal
Pengetahuan teknikal adalah pengetahuan teknousahawan berkaitan bidang vokasional
atau kejuruteraaan yang berkaitan dengan perniagaan yang diceburi. Pengetahuan
teknikal dalam bidang yang ingin diceburi sebagai sokongan kepada bakal
teknousahawan. Berdasarkan kepada profil teknousahawan, temu bual, dan soalan
terbuka mendapati pengetahuan teknikal adalah kritikal kepada kejayaan
teknousahawan IKS Bumiputera. Untuk berdaya saing dan berjaya dalam bidang
perniagaan yang diceburi pengetahuan teknikal adalah penting. Pengetahuan teknikal
ini adalah merupakan hasil pembelajaran formal melalui latihan yang dijalani mahu pun
melalui pembelajaran tidak formal seperti pengalaman, seminar dan juga melalui
pementoran. Dapatan ini menyokong hasil kajian yang didapati oleh Nor Aishah (2013)
bahawa memiliki pengetahuan dalam bidang tertentu menjadi faktor penting semasa
proses menentukan bidang yang akan diceburi. Di samping itu juga, pengetahuan
teknikal merupakan kekuatan kepada teknousahawan untuk menceburi bidang
keusahawanan yang berasaskan teknologi (Edward, 1991; Prodan, 2007 & Willie et al.
2011).
(ii) Kemahiran Vokasional
Beberapa kajian mendapati bahawa kemahiran vokasional adalah penting dan perlu
dimiliki oleh seseorang bakal teknousahawan (Nor Aishah, 2013, Izquierdo &
Deschoolmeester, 2010). Kemahiran vokasional yang dimiliki memberi kelebihan
kepada seseorang bakal teknousahawan. Daripada dapatan (profil teknousahawan, temu
409
bual, dan soalan terbuka) empirikal kajian ini, teknousahawan IKS Bumiputera lepasan
pusat latihan kemahiran menyatakan selain daripada memiliki pengetahuan dalam
bidang perniagaan yang mereka ceburi, kemahiran vokasional juga antara penyumbang
kepada kejayaan mereka dalam bidang perniagaan yang mereka ceburi. Hasil dapatan
kajian ini menyokong pendapat penyelidik yang terdahulu seperti Nor Aishah (2013)
bahawa memiliki kemahiran dalam bidang tertentu adalah sesuatu kelebihan yang boleh
dimanfaatkan seseorang usahawan. Dalam konteks teknokeusahawanan, kemahiran
kejuruteraan atau kemahiran vokasional yang berkaitan dengan perniagaan yang
dijalankan adalah sangat penting kerana ianya memberikan kelebihan kepada
teknousahawan untuk bersaing dengan usahawan yang lain (Izquierdo &
Deschoolmeester, 2010).
(iii) Spirituality
Spirituality yang merangkumi bukan sahaja emosi tetapi amalan, tindakan, masyarakat
dan disiplin (Fuller 2001). Sprirituality adalah aspek kerohanian untuk mengetahui
tentang aspek ketuhanan berasaskan tradisi agama, institusi dan organisasi (Albanese
2001). Spirituality adalah dimensi kerohanian yang menghubungkan antara individu
teknousahawan (manusia) dengan Penciptanya. Menurut Rosenstein (2014), Drucker
menekankan individu usahawan itu perlu kembali kepada nilai-nilai spirituality, kerana
manusia bukan hanya makhluk biologi dan fisiologi tetapi juga makhluk rohani, iaitu
perhubungan manusia dan Pencipta. Dapatan kajian (temu bual) menunjukkan
teknousahawan menggunakan pendekatan seperti melakukan solat sunat, berdoa dan
mengaji Al-Quran apabila menghadapi kebuntuan idea, mencari jalan menyelesai
410
masalah atau sebagai pencetus untuk berfikir. Berdasarkan kepada dapatan kajian
menunjukkan teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran
menggunakan pendekatan spirituality sebagai satu kaedah untuk menyelesai masalah,
mencari idea dan sebagai kekuatan dalaman apabila menghadapi masalah atau halangan
dalam perniagaan. Ia menepati pandangan Dodd dan Seaman (1998) yang menyatakan
bahawa spirituality atau kepercayaan agama usahawan mempunyai kesan positif ke atas
aktiviti keusahawanan dalam tiga aspek iaitu mempengaruhi keputusan untuk menjadi
seorang usahawan, aktiviti menguruskan perniagaan, dan sebagai sokongan dalaman.
(iv) Keluarga
Keluarga merupakan sokongan yang paling hampir dengan teknousahawan (Mohd.
Asri, 2015). Melalui sokongan keluarga teknousahawan mendapat kekuatan dari sudut
motivasi, sokongan dari sudut kewangan dan lain-lain. Dapatan kajian (temu bual dan
soalan terbuka) ini mendapati teknousahawan IKS Bumiputera memerlukan sokongan
keluarga sebagai motivasi, pencetus idea dan sebagai penyokong ketika mereka
menghadapi saat-saat getir dalam perniagaan di samping membentuk sifat-sifat
keusahawanan. Pendapat ini disokong oleh Rosman dan Mohd. Rosli (2011) yang
menyatakan bahawa sokongan keluarga lebih kepada bantuan tenaga dan moral
(dorongan). Hasil dapatan kajian ini seiring dengan dapatan kajian yang dilakukan oleh
Edward (1991) dan Bygrave dan Zacharakis (2004) yang menyatakan bahawa antara
faktor yang membentuk sifat-sifat teknokeusahawanan yang berjaya adalah faktor
keluarga di samping faktor-faktor lain. Raijman (2001) pula menyatakan keluarga
sebagai rangkaian sokongan untuk usahawan kerana keluarga boleh membentuk satu
411
pasukan kerja tidak dibayar yang akan mengurangkan kos awal perniagaan dan
usahawan boleh berkongsi sumber modal dalam kalangan ahli keluarga bagi
memudahkan kelangsungan perniagaan di peringkat awal.
5.1.8.3 Jaringan
Data kuantitatif dan kualitatif (soal selidik, profil teknousahawan, temu bual, dan soalan
terbuka) dalam kajian ini mendapati elemen jaringan teknousahawan dengan agensi
kerajaan, mentor, bank atau agensi pinjaman, persatuan dan rakan-rakan
teknousahawan adalah penting untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan.
Jaringan ini penting kepada bakal teknousahawan sebagai punca untuk mendapatkan
modal kewangan, khidmat nasihat, untuk mengenal peluang-peluang perniagaan dan
juga sebagai pencetus untuk idea-idea baharu kepada teknousahawan. Menurut Rosli et
al. (2010), jaringan bagi seorang individu usahawan adalah hubungan yang dibentuk
atau wujud dan dikekalkan dengan individu lain di sekelilingnya untuk faedah bersama.
Norita et al. (2010) menyatakan jaringan boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu
jaringan peribadi, jaringan awam dan jaringan perniagaan. Dalam bidang
keusahawanan, jaringan adalah proses aktif untuk membina dan mengurus hubungan
yang produktif serta asas kepada perkembangan perniagaan (Norita et al., 2010).
Bygrave dan Zacharakis (2004) pula menyatakan jaringan merupakan antara faktor
yang akan membentuk sifat-sifat teknousahawan yang berjaya. Teknousahawan belajar
daripada pengalaman kerja, interaksi dengan keluarga atau melalui hubungan dengan
lingkungan jaringan sosial memberi kesan yang besar kepada pembentukan dan
pembangunan perniagaan (Liang & Dunn, 2012; Nurdin et.al., 2014).
412
(i) Agensi Kerajaan
Literatur menunjukkan agensi kerajaan memainkan peranan yang penting di Malaysia,
pihak kerajaan mempengaruhi aktiviti keusahawanan secara langsung melalui
pengubalan pelbagai dasar untuk tujuan pembangunan negara (Che Mohd Zulkifli &
Nurdiana, 2015). Hasil kajian ini menunjukkan teknousahawan mempunyai jaringan
dengan agensi-agensi kerajaan seperti MARA, MITI, SME Bank dan lain-lain agensi
lagi. Melalui jaringan dengan agensi kerajaan ini mereka memperolehi maklumat
berkaitan teknokeusahawanan, bantuan pinjaman modal dan bantuan dari sudut latihan
keusahawanan. Jaringan dengan agensi kerajaan merupakan jaringan awam di mana
usahawan dapat menggunakan sumber ini bagi meningkatkan pengetahuan,
mendapatkan maklumat serta sebagai perantaraan dengan pihak-pihak tertentu (Rosli
et al. , 2010). Di samping itu, kerajaan melalui agensi seperti MARA, dan MITI juga
terus berusaha untuk membantu usahawan tempatan bagi mengembangkan perniagaan
mereka (Norita et al., 2010). Jaringan yang terjalin dengan agensi kerajaan akan
memudahkan bantuan atau sokongan disalurkan kepada teknousahawan.
Menurut Mohd Nor Hidayad (2011), kesemua faktor bantuan kerajaan seperti
kredit kewangan, latihan pembangunan, perkhidmatan nasihat serta perundingan,
pemasaran, peluang perniagaan, dan sokongan infrastruktur yang disediakan oleh
kerajaan dapat membantu meningkatkan kejayaan usahawan IKS bumiputera dalam
menceburi bidang keusahawanan. Menurut Muhamad Asri dan Zaimah (2012),
jaringan dan sokongan institusi kerajaan merupakan antara faktor penting yang
mempengaruhi prestasi perniagaan. Di samping itu agensi kerajaan juga merupakan
elemen penting dalam keusahawanan teknologi kerana berperanan untuk (i) membantu
413
mempercepat pembentukan firma, (ii) merangsang pertumbuhan firma IKS, dan (iii)
mampu menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif (Prodan, 2007).
(ii) Mentor
Mentor adalah seorang individu yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang
yang boleh membantu membangunkan kerjaya mentee (Etienne & Josée, 2012). Mentor
mempunyai dua fungsi utama untuk mentee iaitu sebagai jurulatih yang memberikan
nasihat untuk meningkatkan prestasi dan pembangunan profesional mentee, di samping
berperanan sebagai model dan sistem sokongan bagi mentee (American Psychological
Association, 2006). Mentor dalam kajian ini adalah individu yang telah berjaya dalam
perniagaan dan menjadi pembimbing serta role model kepada teknousahawan. Hasil
dapatan dari temu bual dan soalan terbuka mendapati lebih daripada separuh
teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran mendapat tunjuk ajar
dan pementoran sama ada dari keluarga, sahabat baik mahu pun rakan perniagaan yang
lain.
Melalui pementoran ini, teknousahawan IKS tersebut mendapat tunjuk ajar
tentang pengurusan perniagaan, penginovasian dan perkongsian peluang perniagaan
serta maklumat tentang teknologi yang terbaharu. Menurut Zaidatol (2007),
pementoran bermakna usahawan mewujudkan hubungan dengan usahawan senior yang
melibatkan proses penasihatan, role model, berkongsi rakan seperniagaan serta
memberi sokongan umum dan pementoran juga merupakan satu proses pembelajaran
keusahawanan. Mentor penting kerana perniagaan sendiri melibatkan unsur mentoring
414
dan mempunyai kesan yang mendalam kepada pembangunan peribadi usahawan sama
ada sebagai individu mahu pun usahawan (Evelyn, 2010). Di samping itu juga,
pembelajaran yang berlaku secara tidak langsung melalui ‘pementoran’ dapat
membantu membetulkan beberapa masalah dan kesukaran yang dialami oleh usahawan
baharu serta membentuk sokongan yang boleh memberikan manfaat yang besar
(Etienne & Josée, 2012).
(iii) Jaringan Bank atau Agensi Pinjaman
Institusi pinjaman seperti bank perdagangan, syarikat kewangan dan syarikat insuran
merupakan komponen yang penting dalam mempengaruhi aktiviti keusahawanan dari
sudut pemodalan (Nor Aishah, 2013). Hasil temu bual mendapati peserta kajian
bersetuju bahawa jaringan bank atau agensi pinjaman penting kepada teknousahawn
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran untuk membuat pinjaman kewangan
bagi memulakan dan mengembangkan perniagaan. Norita et al. (2010) menyatakan
hubungan baik dengan pihak institusi kewangan adalah penting kepada teknousahawan
bagi tujuan mendapatkan modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Menurut Muhammad Rafiq et al. (2016), jaringan bank atau agensi pinjaman penting
kepada teknousahawan IKS Bumiputera untuk mengatasi masalah kesukaran
menyediakan modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
415
(iv) Persatuan Teknousahawan
Menurut Jacobs (1996), teknousahawan adalah orang yang mempunyai pandangan jauh
akan mengambil peluang untuk menganggotai mana-mana persatuan usahawan yang
mereka rasakan perlu dan boleh membantu ahli dari sudut peluang perniagaan, bertukar
pandangan mahu pun bantuan dari sudut latihan. Jacobs (1996) juga menyatakan
majoriti masyarakat mengakui banyak matlamat boleh dicapai dengan lebih cepat dan
mudah melalui tindakan bersama dalam persatuan berbanding secara individu. Dapatan
kajian (profil teknousahawan) ini mendapati teknousahawan IKS Bumiputera lepasan
pusat latihan kemahiran menyertai persatuan usahawan sebagai medan untuk mereka
bertukar-tukar pndangan, idea dan juga peluang perniagaan. Menurut Rosli et al.
(2010), jaringan dengan persatuan usahawan adalah merupakan hubungan formal
berasaskan aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan dan ia merupakan proses yang
saling bergantung serta interaksi berterusan berlaku antara dua pihak atau lebih. Bagi
Mohd. Asri (2015) pula, penglibatan usahawan dalam sesebuah persatuan perniagaan
memberi manafaat melalui perkongsian maklumat, pengetahuan, pengalaman,
penyelesaian masalah dan seterusnya mengembangkan jaringan perniagaan.
(v) Rakan-rakan Teknousahawan
Rakan-rakan dalam jaringan sosial merupakan individu, kumpulan, atau organisasi
(Širec & Bradac, 2009). Dalam kajian ini, rakan-rakan adalah individu yang terlibat
dengan bidang teknokeusahawanan dan mempunyai hubungan baik dengan
teknousahawan. Dapatan empirikal kajian (temu bual, dan soalan terbuka) ini
416
mendapati peranan yang dimainkan oleh rakan-rakan ini tidak kurang pentingnya
kepada teknousahawan untuk memperolehi kejayaan. Rakan-rakan teknousahawan ini
memainkan peranan sebagai pencetus idea, rakan bertukar-tukar idea atau pendapat
berkenaan dengan perniagaan di samping sebagai pencetus motivasi kepada mereka.
Dapatan kajian ini juga mendapati teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat
latihan kemahiran bergaul dengan rakan teknousahawan melalui persatuan atau pun
melalui hubungan personal. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan teknousahawan,
mereka bertukar-tukar pandangan, idea perniagaan mahu pun sebagai mentor.
Pergaulan sesama rakan-rakan usahawan akan mempengaruhi teknousahawan. Jaringan
peribadi usahawan adalah jaringan tidak formal yang melibatkan hubungan secara
langsung dan bersekemuka antara usahawan dengan pihak tertentu seperti rakan-rakan
usahawan (Rosli et.al, 2010). Zhang (2010) pula berpendapat jaringan sosial dengan
rakan-rakan teknousahawan memainkan peranan yang penting di peringkat awal
aktiviti keusahawanan.
5.1.8.4 Inkubator
Menurut Lesáková (2012), inkubator perniagaan bermula pada tahun 1960-an dan mula
popular pada akhir 1990-an sebagai sokongan untuk syarikat baharu yang memerlukan
nasihat dan modal teroka untuk mendapatkan idea-idea baharu untuk perniagaan.
Inkubator perniagaan adalah program yang direka untuk mempercepatkan kejayaan
pembangunan syarikat-syarikat keusahawanan melalui pelbagai sumber sokongan
perniagaan dan perkhidmatan (Lesáková, 2012). Berdasarkan dapatan soalan terbuka,
peserta kajian menyarankan agar konsep inkubator dimasukan dalam kerangka
417
pembangunan teknousahawan yang baharu ini dan berperanan sebagai one stop center
bagi bakal atau teknousahawan sudah menjalankan perniagaan untuk memperolehi
maklumat, mendapat latihan atau memperolehi kemahiran-kemahiran yang dirasakan
perlu untuk memajukan perniagaan mereka berdasarkan dapatan soalan terbuka. Secara
umumnya inkubator boleh dilihat sebagai persekitaran sokongan untuk permulaan dan
syarikat-syarikat yang baharu ditubuhkan (Peters et al. 2004). Menurut Prodan (2007),
inkubator ditakrifkan sebagai proses sokongan perniagaan yang akan mempercepatkan
kejayaan pembangunan syarikat baharu dengan menyediakan pelbagai sumber dan
perkhidmatan sokongan. Albert dan Gaynor (2003) pula menyatakan inkubator akan
menjadi sekolah keusahawanan di masa akan datang. Inkubator juga telah mengambil
peranan penting dalam mewujudkan, memudahkan dan menggalakkan keusahawanan
serta memindahkan pengetahuan dan teknologi kerana inkubator adalah tempat di
mana perniagaan kecil dilahirkan, membesar dan berkembang (Caetano 2012;
Etzkowitz 2003 & Marques 2005). Beberapa elemen dikenalpasti sebagai pengisian di
inkubator seperti: (i) perancangan perniagaan, (ii) modal perniagaan, (iii) latihan
keusahawanan, (iv) kemahiran pemasaran, (v) perakaunan, (vi) kemahiran ICT, (vii)
pengurusan organisasi, dan (viii) asas perniagaan.
(i) Perancangan perniagaan
Perancangan perniagaan adalah meliputi persediaan awal peserta kajian untuk
menjalankan perniagaan seperti kertas kerja perniagaan yang hendak dijalankan,
pemilihan lokasi perniagaan dan tapak perniagaan atau pemilihan bangunan
perniagaan berdasarkan pendapat teknousahawan. Perkara-perkara tersebut penting
418
sebelum teknousahawan memulakan perniagaan awal. Berdasarkan respons peserta
kajian, elemen-elemen ini merupakan komitmen awal bakal teknousahawan sebelum
memulakan perniagaan dan elemen-elemen tersebut menunjukkan sikap kesungguhan
mereka untuk menjalankan perniagaan. Hasil kajian (temu bual) ini disokong oleh
pendapat Aida Rahayu (2010) dan Nor Aishah (2013) yang menyatakan bahawa
teknousahawan yang mempunyai perancangan perniagaan menunjukkan mereka telah
bersedia untuk menceburi bidang teknokeusahawanan.
(ii) Modal Perniagaan
Dalam dunia perniagaan terdapat empat jenis modal seperti modal kewangan, modal
insan, modal sosial dan modal fizikal. Lazimnya modal insan, modal kewangan dan
modal fizikal sahaja menjadi elemen penting dalam perniagaan (Noordeyana et al.,
2016). Tetapi elemen modal sosial berperanan sebagai penyatu kepada kesemua modal
tersebut dalam mencapai kelestarian sesebuah perniagaan (Westlund & Gawell, 2012).
Untuk kelangsungan suatu perniagaan (Noordeyana et al., 2016), seseorang usahawan
seharusnya memahami kepentingan empat jenis modal ini. Dalam kajian ini, modal
yang di maksudkan adalah modal perniagaan. Ini kerana modal perniagaan adalah
elemen utama yang dikaitkan dengan kejayaan sesebuah aktiviti perniagaan dan
merupakan persediaan awal kewangan teknousahawan sebelum memulakan perniagaan
(Noordeyana et al., 2016). Dapatan kajian (temu bual) ini mendapati modal merupakan
antara masalah yang terpaksa ditempuh oleh teknousahawan IKS Bumiputera lepasan
pusat latihan kemahiran dalam kajian ini sama ada untuk memulakan atau pun
mengembangkan perniagaan. Untuk mengatasinya teknousahawan IKS Bumiputera
419
lepasan pusat latihan kemahiran terpaksa membuat pinjaman daripada saudara mara,
agensi pinjaman berlesen dan pihak bank. Ada juga di antara teknousahawan IKS
Bumiputera yang terpaksa mencagarkan aset seperti hartanah kepada bank, agensi
pinjaman berlesen mahu pun individu perseorangan. Seorang bakal teknousahawan
haruslah mempunyai perancangan yang teliti apabila mempunyai keinginan menjadi
teknousahawan termasuklah mempunyai ‘tabungan’ sebagai modal awal untuk
mendaftarkan lesen perniagaan, membuka akaun bank atau untuk membayar sewa
permis. Bank-bank atau agensi-agensi pinjaman perniagaan meletakkan syarat utama
kepada peminjam perniagaaan haruslah memiliki lesen perniagaan yang sah, akaun
bank dan permis untuk perniagaan.
Syed Zamberi (2009), menyatakan sumber-sumber modal usahawan adalah
sumber modal dari peruntukan agensi kerajaan, pemodal usaha niaga, sumber modal
pinjaman dari institusi kewangan, pemodal persendirian bermuafakat dan modal dari
keluarga serta rakan-rakan. Ini menunjukkan bahawa modal awal sebelum menceburi
bidang perniagaan adalah penting dan dapatan ini seiring dengan Nor Aishah, (2013)
yang menyatakan modal menjadi aspek penting sebelum memulakan perniagaan.
Menurut Muda et al. (2003), apabila seseorang itu telah bersedia untuk menjadi seorang
usahawan, salah satu langkah yang perlu diambil ialah menyiapkan perniagaannya
dengan modal. Zhang et al. (2011) menyatakan bahawa modal merupakan antara
beberapa sumber kritikal untuk survival syarikat baharu. Prodan (2007) menerusi
model keusahawanan teknologi juga menyatakan modal adalah elemen penting dalam
keusahawanan teknologi.
420
(iii) Latihan Teknokeusahawanan
Dalam konteks keusahawanan, seseorang teknousahawan haruslah menguasai
kemahiran keusahawanan sebelum menceburi bidang ini sebagai persediaan untuk
menghadapi jatuh bangun di samping mengurangkan risiko dalam perniagaan yang
diceburi. Data empirikal dalam kajian ini mendapati latihan teknokeusahawanan
penting kepada bakal mahu pun teknousahawan sebagai kekuatan untuk mengharungi
dunia teknokeusahawanan yang sebenar. Menurut Arto dan Jukka (2009), keperluan
latihan keusahawanan adalah berkaitan dengan pemasaran, isu-isu kewangan, cukai
kaunseling, penyelesaian masalah, dan lain-lain, kerana ianya menganggap ini sebagai
pemacu utama dalam sesuatu perniagaan.
Hasil kajian teknousahawan IKS Bumiputera menyokong pendapat Robert
(1985) yang menyatakan latihan merupakan salah satu daripada reka bentuk
pembelajaran yang bertujuan untuk meningkatkan pencapaian seseorang apabila
melakukan sesuatu pekerjaan. Ivancevich (2001) pula menyatakan latihan adalah satu
bentuk pembelajaran dan merupakan satu proses sistematik untuk mengubah tingkah
laku individu dalam usaha mencapai matlamat syarikat. Aida Rahayu (2010) juga
menyatakan bahawa latihan teknokeusahawanan antara faktor yang mempengaruhi
pembangunan teknousahawan di Malaysia. Menurut Azmi et al. (2012) khidmat nasihat
dan latihan yang betul berupaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran usahawan
sekaligus menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang
mencabar.
421
(iv) Kemahiran Pemasaran
Pemasaran ialah satu proses penciptaan nilai dan menjalin hubungan baik dengan
pelanggan bagi tujuan mendapatkan pulangan daripada pelanggan (Kotler &
Armstrong, 2008; Kotler & Keller, 2012). Menurut Kotler dan Keller (2012), terdapat
sepuluh jenis entiti utama yang terlibat dengan aktiviti pemasaran iaitu; barangan,
perkhidmatan, acara, pengalaman, orang, tempat, sifat, organisasi, maklumat, dan idea.
Dapatan kajian (temu bual) ini mendapati terdapat beberapa orang teknousahawan IKS
Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran yang menghadapi masalah untuk mencari,
mendekati dan menjual produk kepada pelanggan, ini menunjukkan seseorang
teknousahawan perlu untuk menguasai kemahiran pemasaran.
Usahawan perlu memiliki kemahiran pemasaran untuk mempengaruhi
pelanggan membeli produk atau perkhidmatan yang disediakannya, mereka perlu
terlibat dalam mereka bentuk produk, mempromosi dan mengedar (Zaidatol, 2007).
Terdapat beberapa kajian yang terdahulu merumuskan bahawa terdapat hubungan yang
positif antara aktiviti pemasaran dengan kejayaan sesebuah perniagaan (Robinson,
1986; Webster, 1986; Ab. Aziz, 2009). Menurut Suhaila Nadzri et al. (2014),
penambahan ilmu berkaitan pemasaran dengan menghadiri seminar dan program-
program yang berkaitan melalui agensi-agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan
perlu dijalankan. Kotler dan Armstrong (2010) pula menyatakan adalah satu kelebihan
kepada mana-mana syarikat yang mempunyai strategi pemasaran yang baik untuk
memenangi persaingan dalam perniagaan. Davis et al., (2001), Easingwood dan
Koustelos (2000), Traynor dan Traynor (1994) serta Traynor dan Traynor (1997)
menyatakan syarikat berteknologi tinggi semakin sukar untuk mengekalkan daya saing
422
melalui kelebihan teknologi sahaja tetapi memerlukan pelbagai kaedah pemasaran yang
terkini (Davis et al., 2001; Easingwood dan Koustelos, 2000; Traynor dan Traynor,
1994; Traynor dan Traynor, 1997).
(v) Perakaunan
Pengurusan kewangan dalam sesuatu perniagaan seperti pengurusan tunai, pelaburan,
belanjawan dan perakaunan adalah kritikal dan perlu dikuasai oleh teknousahawan
(Nekka & Fayolle, 2010). Aktiviti-aktiviti tersebut memerlukan teknousahawan
memiliki kemahiran dan pengetahuan tentang perakaunan. Data kajian (temu bual) ini
mendapati bahawa kemahiran yang berkaitan dengan perakaunan perlu dikuasai oleh
teknousahawan kerana perakaunan merupakan antara perkara yang penting dalam
sesuatu perniagaan. Di samping itu, pengetahuan dan kemahiran dalam perakaunan
membantu teknousahawan daripada ditipu dan mengenalpasti penyelewangan yang
berlaku dalam perniagaan mereka. Menurut Rosman dan Mohd. Rosli (2011),
kelemahan yang ketara dalam pengurusan perniagaan usahawan tekno Bumiputera
adalah aspek pengurusan kewangan di mana mereka tidak mempunyai rekod
perbelanjaan (akaun) yang sistematik. Oleh itu, adalah menjadi keperluan untuk
teknousahawan menguasai kemahiran dalam bidang ini yang memerlukan kesungguhan
dan ketabahan untuk mempelajarinya (Zaidatol, 2007). Kemahiran membuat bajet
kewangan (perakaunan) merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh usahawan
(Nekka & Fayolle, 2010). Menurut Norsela dan Nurul Ilyana (2016), pula menyatakan
pengurusan kewangan yang lemah adalah kekekangan dan kelemahan yang dihadapi
oleh kebanyakan usahawan IKS.
423
(vi) Kemahiran ICT
Kemahiran ICT adalah kebolehan mengumpul, memproses, mengguna dan menghantar
maklumat secara elektronik melalui gajet, media jaringan sosial atau penggunaan apa-
apa teknologi yang membenarkan komunikasi (Apulu et a., 2011, Mohd Hasril, 2009).
Dapatan kajian menunjukkan teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan
menggunakan ICT sebagai antara medium untuk pemasaran, mencari idea untuk
inovasi, mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah serta sebagai alat komunikasi
antara mereka dan pelanggan untuk mengambil pesanan daripada pelanggan,
mendapatkan maklumbalas, dan lain-lain.
Dapatan ini menyokong pendapat Ab. Aziz (2009) yang menyatakan ICT
memainkan peranan yang penting dalam menjalankan perniagaan pada abad ini. Di
sektor perniagaan swasta dan kerajaan, banyak menggunakan teknologi maklumat
sebagai penjana kemajuan seperti yang dinyatakan oleh Kriz dan Qureshi (2009),
Kotteman dan Buyer Wright (2009) yang menyatakan ICT merupakan alat yang boleh
menyumbang kepada penjanaan pertumbuhan dan transformasi ekonomi sesebuah
negara.
Kini kekayaan dan kemakmuran sesebuah syarikat bukan bergantung pada
sumber manusia dan modal tetapi lebih mementingkan penggunaan dan pengaplikasian
pelbagai teknologi untuk memproses dan menterjemahkan maklumat ke dalam bentuk
yang lebih berguna untuk kebaikan syarikat. Menurut Mpofu & Watkins-Mathays
(2011), ICT mampu menggerak dan mewujudkan satu teknologi yang berpotensi tinggi
untuk digunakan dalam proses ekonomi, sosial, politik dan teknologi sesebuah negara.
424
Norlaila dan Noorasiah (2000) juga menyatakan bahawa cabaran usahawan zaman
globalisasi menuntut kepada penguasaan teknologi maklumat. Penguasaan ICT
memberi kelebihan daya saing kepada teknousahawan (Hynes et al., 2009).
(vii) Pengurusan Organisasi
Kejayaan sesebuah organisasi sering kali dikaitkan dengan pemimpin kerana pemimpin
adalah seorang yang mengurus dan menentukan matlamat sesuatu organisasi (Baharom
et al., 2008). Peranan mengurus organisasi memerlukan seorang teknousahawan
mempunyai kemahiran dan pengetahuan pengurusan organisasi. Dalam kajian
berdasarkan dapatan soal selidik dan temu bual, teknousahawan IKS Bumiputera
lepasan latihan kemahiran mengesyorkan kursus atau latihan berkaitan dengan
pengurusan organisasi perlu kepada bakal atau teknousahawan yang telah menceburi
bidang ini. Teknousahawan perlu memberi perhatian kepada proses pengurusan dalam
aspek pengeluaran produk dan perkhidmatan, tanggungjawabnya melibatkan kawalan
pengeluaran, inventori serta kualiti, susun atur bangunan, pemilihan mesin, mengenal
pasti elemen-elemen keselamatan serta pengurusan sumber manusia (Zaidatol, 2007).
Shuhairimi dan Ku Halim (2010) berpandangan bahawa usahawan yang berjaya
perlu dilengkapi dengan nilai-nilai sebagai pengurus dan memiliki karisma sebagai
pemimpin yang baik. Kemahiran mengurus sesuatu organisasi perniagaan perlu kepada
teknousahawan kerana faktor yang menyumbang kepada kegagalan dalam sesuatu
perniagaan adalah pengurusan yang kurang cekap dan tidak ada pengalaman mentadbir
(Syed Zamberi, 2009). Manakala Azmi et al. (2012) pula menyatakan terdapat empat
425
faktor yang dianggap kritikal kepada kejayaan teknousahawan iaitu kemahiran
merancang, keadaan ekonomi, pengalaman industri dan pengalaman pengurusan.
(viii) Asas Perniagaan
Asas perniagaan adalah pengetahuan asas perniagaan seperti pendaftaran syarikat,
urusan tender, perundangan, percukaian, rancangan perniagaan dan lain-lain yang
penting kepada teknousahawan dalam mengendali dan mengurus perniagaan.
Berdasarkan dapatan temu bual, teknousahawan menyatakan pengetahuan tentang asas
perniagaan penting contohnya seperti pengurusan kewangan dan pemasaran
terutamanya kepada mereka yang baharu memulakan perniagaan. Dalam sesebuah
syarikat, asas perniagaan berkait rapat dengan pemasaran, kewangan, sumber manusia
dan pengeluaran atau perkhidmatan yang peranannya saling berkait antara satu sama
lain bagi melancarkan perjalanannya (Ping, 2008). Fungsi tersebut memerlukan
usahawan tekno mempunyai pengetahuan bagi mengendalikan sesuatu perniagaan yang
dijalankan. Menurut Nor Ismadee (2010), kelemahan yang ketara dalam kalangan
usahawan Bumiputera adalah tiada asas perniagaan, tiada budaya perniagaan, terlalu
bergantung kepada kerajaan dan tidak mampu bersaing. Dapatan kajian ini menyokong
pendapat Norasmah et al. (2009) menyatakan, dalam menjalankan sesebuah
perniagaan, usahawan perlu mempunyai ‘asas perniagaan’ bagi memastikan syarikat
yang dikendalikan dapat dikawal dengan baik tanpa menjejaskan perniagaan tersebut.
426
5.2 Kesimpulan Kajian
Tujuan kajian ini adalah mengenalpasti pemikiran inovatif, ciri-ciri dan kompetensi
keusahawanan dalam kalangan teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan
kemahiran seterusnya mencadangkan kerangka pembangunan teknousahawan yang
baharu. Berdasarkan dapatan empirikal kajian ini, beberapa persoalan dapat dirumus.
Pada persoalan kajian yang pertama, penyelidik memfokuskan kepada
pemikiran inovatif teknousahawan IKS lepasan pusat latihan kemahiran. Dapatan
empirikal kajian pada persoalan kajian pertama adalah elemen-elemen yang
membentuk pemikiran inovatif dalam diri teknousahawan seperti kemahiran
menyelesai masalah, kemahiran berfikir kritis, pemikiran strategik dan inovasi.
Berdasarkan dapatan empirikal kajian, kesemua elemen-elemen ini membentuk
pemikiran inovatif teknousahawan untuk menjadikan perniagaan mereka berdaya saing
dan berjaya.
Persoalan kajian kedua pula, penyelidik memfokuskan kepada ciri-ciri
keusahawanan yang terdapat dalam diri teknousahawan. Dari kajian literatur, enam ciri-
ciri keusahawanan yang dikenalpasti sebagai ciri-ciri keusahawanan utama iaitu
mengambil risiko yang munasabah, motivasi, mempunyai matlamat, kecekalan,
komitmen kerja dan suka kepada pembaharuan. Di samping itu, terdapat juga beberapa
ciri-ciri keusahawanan yang mempunyai kesan terhadap kejayaan teknousahawan
seperti jujur dan berintergiriti, kecekapan mengurus masa dan bertindakbalas kepada
cadangan. Berdasarkan kepada dapatan kajian, ciri-ciri keusahawanan ini membentuk
sahsiah dan jati diri teknousahawan untuk bersaing dan bertahan dalam bidang
427
perniagaan masing-masing. Selain daripada ciri-ciri keusahawanan, kebanyakan
penyelidik terdahulu sering membicarakan kompetensi keusahawanan sebagai
pemangkin yang tidak kurang pentingnya dalam membentuk sahsiah dan jati diri
teknousahawan. Oleh itu, fokus penyelidik seterusnya iaitu persoalan kajian ketiga
adalah kompetensi keusahawanan yang terdapat dalam diri teknousahawan. Penyelidik
telah mengenalpasti enam kompetensi keusahawanan berdasarkan literatur kajian iaitu
kompetensi mencari peluang, kompetensi membina jaringan, kompetensi kepimpinan,
kompetensi strategik, kompetensi komitmen dan kompetensi mencari idea baharu.
Hasil dapatan kajian menunjukkan kompetensi keusahawanan ini juga memain
peranan sebagai kekuatan kepada teknousahawan untuk bersaing, mengembangkan dan
bertahan dalam perniagaan terutamanya dalam situasi yang sukar. Dari literatur kajian
juga menyatakan bahawa ciri-ciri dan kompetensi keusahawanan mempunyai pengaruh
terhadap daya saing perniagaan. Di samping elemen pemikiran, ciri-ciri dan kompetensi
keusahawanan elemen-elemen lain juga tidak kurang pentingnya dalam kejayaan
perniagaan teknousahawan.
Pada persoalan kajian keempat, penyelidik memfokuskan kepada elemen-
elemen yang mempengaruhi pemikiran inovatif teknousahawan seperti elemen-elemen
tersebut seperti latar belakang keluarga, pendidikan, pengetahuan teknikal dan
sokongan. Berdasarkan kepada dapatan kajian, majoriti teknousahawan mempunyai
latar belakang keluarga seperti ayah, ibu atau adik beradik yang terlibat dengan
perniagaan dan keluarga juga menjadi pendorong kuat untuk berjaya dalam perniagaan
serta membentuk pemikiran inovatif dalam diri mereka. Manakala ada segelintir
teknousahawan yang mewarisi dan meneruskan legasi perniagaan keluarga. Dari sudut
428
pendidikan pula, majoriti teknousahawan mempunyai latar belakang pendidikan formal
seperti ijazah, diploma atau di peringkat sijil. Oleh kerana kajian ini adalah menjurus
kepada teknousahawan yang mempunyai latar belakang pendidikan teknikal maka
pengetahuan teknikal yang dimiliki memberi kelebihan daya saing kepada
teknousahawan dalam menceburi bidang teknokeusahawanan di samping
meningkatkan tahap pemikiran inovatif mereka. Dari aspek sokongan pula dimensi-
dimensi yang dikenalpasti iaitu spirituality sebagai sokongan dalaman dan dimensi
kemahiran vokasional, pengetahuan teknikal serta keluarga sebagai sokongan luaran.
Dimensi-dimensi yang terdapat dalam aspek sokongan ini penting untuk
mempertingkatkan dan merangsang pemikiran inovatif teknousahawan.
Persoalan kajian kelima memfokuskan kepada mengenalpasti elemen-elemen
yang menyokong pemikiran inovatif teknousahawan berdasarkan analisis pemerhatian.
Berdasarkan dapatan empirikal kajian, elemen-elemen yang dikenalpasti menyokong
pemikiran inovatif teknousahawan adalah inovasi sistem, pembudayaan inovasi,
pemikiran kritis, dan inovasi. Hasil dapatan pemerhatian ini juga telah mengenalpasti
beberapa elemen ciri-ciri dan kompetensi teknokeusahawanan. Elemen-elemen ciri-ciri
teknokeusahawanan dalam pemerhatian ini adalah mengambil risiko munasabah,
disiplin, komitmen, kualiti kerja, produktiviti, motivasi, serta up to dated. Manakala
elemen-elemen kompetensi teknokeusahawanan pula terdiri daripada matlamat
syarikat, pengurusan permis, pengurusan akaun, pengurusan sumber manusia,
komunikasi, pengurusan organisasi, promosi, dan jaringan. Menerusi hasil pemerhatian
ini menunjukkan bahawa ciri-ciri dan kompetensi teknokeusahawanan berperanan
mempengaruhi pemikiran inovatif usahawan. Dalam kajian ini juga penyelidik menguji
429
pengaruh ciri-ciri dan kompetensi keusahawanan terhadap pemikiran inovatif
teknousahawan iaitu pada persoalan keenam dan ketujuh.
Pada persoalan kajian keenam, fokus penyelidik menguji pengaruh ciri-ciri
keusahawanan terhadap pemikiran inovatif teknousahawan manakala persoalan ketujuh
penyelidik menguji pengaruh kompetensi keusahawanan terhadap pemikiran inovatif
teknousahawan. Dari dapatan kajian ini, ciri-ciri keusahawanan mempunyai pengaruh
yang lemah terhadap pemikiran inovatif jika dibandingkan dengan kompetensi
keusahawanan yang mempunyai pengaruh yang sederhana terhadap pemikiran inovatif.
Persoalan kajian yang kelapan dan merupakan perosalan kajian yang terakhir
pula penyelidik mengupas elemen-elemen baharu berdasarkan dapatan empirikal kajian
untuk dicadangkan dalam kerangka baharu pembangunan pemikiran inovatif
teknousahawan di Malaysia. Elemen-elemen yang telah dikenalpasti adalah personaliti
dan kompetensi teknousahawan, sokongan luaran dan dalaman, jaringan serta
inkubator. Dimensi-dimensi yang terdapat dalam elemen personaliti dan kompetensi
teknousahawan adalah seperti: keinginan menjadi teknousahawan, ciri-ciri
teknokeusahawanan, kompetensi teknokeusahawanan, mempunyai pemikiran inovatif
dan mempunyai daya tahan. Bagi elemen sokongan luaran dan dalaman pula, dimensi-
dimensi yang dikenalpasti adalah pengetahuan teknikal, kemahiran vokasional,
spirituality dan keluarga. Elemen jaringan pula, dimensi-dimensi yang diperolehi
berdasarkan dapatan kajian ialah; agensi kerajaan, mentor, jaringan bank dan agensi
pinjaman, persatuan teknousahawan dan rakan-rakan teknousahawan. Manakala
dimensi-dimensi untuk elemen inkubator adalah seperti; perancangan perniagaan,
modal perniagaan, latihan teknokeusahawanan, kemahiran pemasaran, perakaunan,
430
kemahiran ICT, pengurusan organisasi dan asas perniagaan. Elemen-elemen cadangan
kerangka baharu pembangunan teknousahawan ini penting untuk diterapkan dalam
latihan pembangunan teknousahawan kerana ianya berdasarkan pengalaman
teknousahawan sendiri.
Seterusnya cadangan kerangka pembangunan pemikiran inovatif
teknousahawan baharu boleh diguna pakai sebagai panduan kepada pihak
berkepentingan untuk membangun dan meningkatkan teknokeusahawanan di Malaysia.
Justeru itu, diharapkan cadangan kerangka pembangunan pemikiran inovatif
teknousahawan baharu ini dapat memberi impak yang positif kepada pihak yang
berkepentingan khususnya pihak yang terlibat dengan pembangunan teknousahawan.
Di samping itu, beberapa cadangan yang dikemukakan sebagai implikasi dan
kesinambungan kepada kajian ini agar kajian mengenai pemikiran, ciri-ciri dan
kompetensi teknousahawan Bumiputera ini terus diteroka, ditambah baik dan
dimantapkan lagi di masa hadapan.
5.3 Implikasi Kajian
Elemen-elemen yang dicadangkan untuk kerangka pembangunan pemikiran inovatif
teknousahawan IKS Bumiputera adalah merupakan dapatan kajian ini. Elemen-elemen
ini penting untuk membangunkan pemikiran inovatif teknousahawan, sokongan dan
nilai tambah yang diharapkan akan menjadikan bakal dan teknousahawan yang sedia
ada lebih berkeyakinan untuk bersaing dalam dunia perniagaan. Justeru, dapatan kajian
ini diharapkan memberi implikasi kepada pembangunan teknousahawan khususnya
431
agensi-agensi seperti MARA, MITI sebagai pelaksana dan pembangun kepada program
keusahawanan. Berdasarkan kepada dapatan kajian ini, beberapa implikasi kajian telah
dikenalpasti iaitu: (i) implikasi teoritikal, (ii) implikasi praktikal dan (iii) implikasi
kepada kurikulum latihan kemahiran.
5.3.1 Implikasi Teoritikal
Dalam menjelaskan sumbangan teoritikal kajian, implikasi teoritikal adalah menjurus
kepada perbincangan mengenai penambahbaikkan teori serta model yang digunakan
dalam kajian ini. Dalam kerangka konseptual kajian beberapa teori dan model yang
releven dengan kajian ini telah dipilih sebagai asas untuk menerangkan fenomena
kajian. Secara umumnya, data empirikal yang diperolehi dalam kajian ini menyokong
teori serta model yang digunakan untuk mengenalpasti pemikiran inovatif, ciri-ciri serta
kompetensi teknousahawan IKS Bumiputera.
Teori proses keusahawanan oleh Moore (1986) memfokuskan kepada fasa
dalam proses yang dilalui oleh seorang usahawan sebelum berjaya. Teori ini
menyatakan bahawa terdapat beberapa fasa dalam proses keusahawanan yang
mempengaruhi tingkahlaku usahawan. Fasa-fasa tersebut terdiri daripada fasa inovasi,
perlaksanaan, dan pembesaran. Fasa inovasi berlaku apabila seseorang usahawan
menjana idea baharu untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan. Perealisasian idea
baharu kepada kegiatan perniagaan adalah fasa pelaksanaan dan fasa terakhir adalah
pembesaran atau mengembangan perniagaan. Dapatan kajian ini berbeza daripada teori
yang dinyatakan oleh Moore (1986) dari segi fasa permulaan dalam proses
432
keusahawanan yang mempengaruhi tingkahlaku usahawan. Berdasarkan dapatan kajian
ini, proses keusahawanan bermula dengan fasa perlaksanaan dikuti oleh inovasi dan
seterusnya fasa pembesaran atau pengembangan. Proses ini berlaku kerana
teknousahawan memulakan perniagaan pada fasa perlaksanaan. Oleh kerana wujud
masalah seperti mesin atau peralatan yang tidak sesuai dengan kerja yang dilakukan,
memerlukan teknousahawan melakukan inovasi. Selain itu, teknousahawan juga
melakukan inovasi kerana terdapat permintaan pelanggan yang memerlukan mereka
melakukan pengubahsuaian pembaharuan atau pengubahsuaian terhadap produk atau
perkhidmatan yang ditawarkan. Setelah itu, mereka membesarkan atau
mengembangkan perniagaan untuk meningkatkan daya saing perniagaan. Ini
menunjukkan bahawa dalam proses teknokeusahawanan fasa pertama dan kedua boleh
saling berubah bergantung kepada kehendak pelanggan, situasi semasa dan pasaran.
Dari konteks inovasi, dapatan kajian ini menyokong teori yang dipelopori oleh
Kuratko et al. (2012) iaitu inovasi adalah gabungan kreativiti dengan ekploitasi dan
sesuatu inovasi adalah berkait rapat dengan rekabentuk serta keusahawanan. Dapatan
empirikal kajian ini mendapati teknousahawan melakukan perubahan, penambahbaikan
atau pengubahsuaian untuk menjimatkan kos, menyelesaikan masalah mesin atau
peralatan yang tidak sesuai dengan kerja yang dilakukan dan untuk memenuhi
kehendak pelanggan. Kemampuan teknousahawan dalam kajian ini melakukan inovasi
didorong oleh kreativiti, pembacaan dan melayari internet sebagai sumber untuk
mencari idea baharu. Hasil penyelidikan ini juga mendapati teknousahawan suka
melakukan pembaharuan berdasarkan inovasi yang mereka lakukan dalam perniagaan.
Teori yang dipelopori oleh Mankani (2003) menyatakan ciri unik teknousahawan
adalah suka kepada pembaharuan. Dapatan kualitatif kajian ini menyokong teori oleh
433
Mankani (2003) dari aspek teknousahawan suka kepada pembaharuan. Tetapi peserta
kajian melakukan pembaharuan kerana didorong oleh sifat kreativiti,
mempertingkatkan kualiti produk atau perkhidmatan untuk memenangi persaingan dan
mengikut trend semasa.
Teori Ab. Aziz (2010) dan Chiew et al. (2011) pula menumpukan kepada ciri-
ciri unik seperti sabar, menepati masa, mempunyai daya inisiatif yang tinggi, berupaya
untuk mencari dan merebut peluang-peluang perniagaan, bersikap cekal dalam
menghadapi kesukaran, mampu mencari maklumat dan bertindak serta mempelajari
daripada maklum balas pasaran, komitmen terhadap perjanjian kerja, adalah penentu
kejayaan seorang usahawan, menjadikan mereka bersemangat kental serta bersedia
untuk berhadapan dengan cabaran serta kegagalan. Selain itu, ciri-ciri tersebut juga
membezakan usahawan dengan orang lain dan menjadi kekuatan kepada mereka untuk
melaksanakan tugas-tugas keusahawanan dengan berkesan.
Dapatan empirikal kajian ini dari sudut ciri-ciri unik seperti seperti sabar,
menepati masa, mempunyai daya inisiatif yang tinggi, berupaya untuk mencari dan
merebut peluang-peluang perniagaan, bersikap cekal dalam menghadapi kesukaran,
mampu mencari maklumat dan bertindak serta mempelajari daripada maklum balas
pasaran, komitmen terhadap perjanjian kerja adalah menyokong teori Ab. Aziz (2010)
dan Chiew et al. (2011). Namun, dalam kajian ini ciri-ciri unik adalah seperti
mengambil risiko munasabah, bermotivasi, mempunyai matlamat, kecekalan,
komitmen mutu kerja yang tinggi, suka kepada pembaharuan, jujur dan intergriti,
kecekapan mengurus masa serta bertindakbalas kepada cadangan menjadikan
teknousahawan berdaya tahan, berdisiplin dan menghargai setiap peluang yang
434
diperolehi. Menurut Wattanasupachoke (2012), pemikiran inovatif penting untuk
merangsang minda usahawan ‘berfikir di luar kotak’ seterusnya menyumbang kepada
inovasi dalam organisasi dan perlu digabungkan dengan kompetensi keusahawanan
yang lain untuk menyediakan rangka kerja, mewujudkan visi serta idea baharu. Dapatan
temubual dan soalan terbuka kajian ini menyokong pendapat Wattanasupachoke (2012)
dari sudut pemikiran inovatif merangsang minda usahawan. Namun, dalam kajian ini,
teknousahawan yang dikaji menggunakan pemikiran inovatif untuk merangka langkah-
langkah proaktif untuk berdepan dengan saingan yang mereka hadapi seperti
menjalinkan hubungan baik dengan peniaga bukan Bumiputera, memperbanyakkan
pembekal bahan mentah, meluaskan serta mempelbagaikan perkhidmatan.
Selain teori-teori keusahawanan, terdapat beberapa model juga digunakan
dalam kajian ini. Implikasi teoritikal terhadap model McClelland dan McBer (1985),
Edward (1991), Man (2002), Byrave (2004), Wheeler (2006), Prodan (2007), Willie et
al. (2011), Weiss dan Legrand (2011), dan Kuratko et al. (2012) turut dibincangkan.
Model oleh McClelland dan McBer (1985) menyatakan kejayaan seseorang usahawan
bergantung kepada ciri-ciri peribadi dan faktor motivasi yang membawa kepada
prestasi membanggakan. McClelland dan McBer (1985) telah menyenaraikan 13
elemen yang penting kepada usahawan iaitu; inisiatif, merebut peluang, kegigihan,
mencari maklumat, komitmen terhadap kualiti kerja dan kontrak, orientasi kecekalan,
perancangan sistematik, menyelesai masalah, keyakinan diri, ketegasan, keupayaan
mempengaruhi serta pengunaan strategi pengaruh. Berdasarkan dapatan kajian hasil
temubual, pemerhatian dan soalan terbuka menyokong serta menambahbaik model
McClelland dan McBer (1985) dari aspek ciri-ciri peribadi dan faktor motivasi yang
membawa kepada prestasi membanggakan. Tetapi berbeza dalam kajian ini kerana
435
selain ciri-ciri peribadi dan motivasi yang dinyatakan dalam model McClelland dan
McBer (1985) terdapat juga beberapa ciri lain berdasarkan tema-tema yang muncul
daripada data temubual, pemerhatian dan soalan terbuka. Di antara ciri-ciri tersebut
adalah seperti: bersemangat, mengutamakan pelanggan, rajin, sabar, dan jujur. Ciri-ciri
ini merupakan kekuatan dalaman teknousahawan yang menyebabkan mereka berdaya
tahan untuk meneruskan perniagaan walaupun menghadapi situasi sukar.
Dapatan kajian ini menunjukkan kemahiran teknikal dan vokasional penting
kepada teknousahawan untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan teknologi.
Model pembangunan usahawan teknikal oleh Edward (1991) memberi tumpuan faktor-
faktor yang mempengaruhi pembangunan teknousahawan iaitu; latar belakang
keluarga, perkembangan akademik, umur, matlamat, motivasi, personaliti dan
pengalaman kerja. Model ini memfokus kepada golongan bakal teknousahawan yang
mempunyai pengalaman bekerja sahaja. Dapatan empirikal kajian ini menyokong
model Edward (1991) dari sudut faktor yang mempengaruhi pembangunan
teknousahawan tetapi berbeza dari aspek fokus kepada golongan individu yang
mempunyai pengalaman kerja. Dalam kajian ini menunjukkan terdapat teknousahawan
yang dikaji tidak mempunyai pengalaman kerja tetapi mereka memiliki pengetahuan
dan kemahiran teknikal serta vokasional yang diperolehi semasa menjadi pelajar
menyebabkan mereka berkeyakinan memilih perniagaan yang berasaskan teknologi.
Selain itu, mereka juga mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan
dengan bidang yang diceburi melalui latihan jangka pendek, menghadiri seminar atau
pembacaan. Selain kemahiran, personaliti juga penting berdasarkan dapatan empirikal
kajian. Model keusahawanan teknologi (Prodan, 2007) mengenalpasti tujuh elemen
utama teknokeusahawanan iaitu: teknousahawan, universiti, syarikat, modal, pasaran
436
dan pelanggan, kerajaan serta konsultan. Model ini lebih menekankan kepada
pembangunan teknousahawan secara umum dan menumpukan kepada pendidikan dan
jaringan. Data kajian ini menyokong model keusahawanan teknologi Prodan (2007)
dari segi elemen utama teknokeusahawanan tetapi berbeza dalam kajian ini di mana
elemen penting untuk pembangunan usahawan teknologi adalah seperti aspek
personaliti teknousahawan, sokongan luaran dan dalaman, jaringan serta inkubator.
Di samping itu, kejayaan usahawan yang dikaji adalah bergantung kepada
kekuatan dalaman teknousahawan itu sendiri seperti berdaya tahan, berpengetahuan,
berkemahiran, berdisiplin, memiliki ciri-ciri dan kompetensi teknokusahawanan. Man
et al. (2002) mengutarakan model daya saing IKS yang menjelaskan peranan penting
kekuatan dalaman keusahawanan untuk mewujudkan daya saing syarikat dan telah
memperincikan komponen kompetensi usahawan berjaya iaitu: kompetensi mencari
peluang, membina jaringan, kepimpinan, strategik, komitmen dan mencari idea baharu.
Berdasarkan dapatan kuantitatif dan kualitatif kajian ini dari aspek kepentingan
kompetensi keusahawanan kepada daya saing teknousahawan menyokong model Man
et al. (2002). Namun demikian, dalam kajian ini selain mempraktikkan kompetensi-
kompetensi tersebut teknousahawan yang dikaji juga memiliki keperibadian yang
disenangi oleh masyarakat sekeliling seperti menaruh kepercayaan dan menjaga
kebajikan pekerja, menghargai pelanggan, semangat kerja berpasukan, serta
menghargai pendapat orang lain sebagai kekuatan untuk mereka meningkatkan daya
saing syarikat. Model proses keusahawanan Byrave (2004) menyatakan bahawa faktor
yang membentuk sifat-sifat teknousahawan yang berjaya adalah pendidikan,
persekitaran dan faktor-faktor sosiologi lain seperti keluarga, keinginan bekerja sendiri,
jaringan dan faktor kematangan usia. Menurut Byrave (2004), faktor-faktor pendidikan,
437
persekitaran, dan sosiologi berperanan membangunkan dan meningkatkan pemikiran
inovatif usahawan. Dapatan empirikal kajian ini seiring dengan model Byrave (2004)
dari aspek faktor yang membentuk sifat-sifat teknousahawan yang berjaya dan
pemikiran inovatif. Tetapi berbeza dalam kajian ini kerana faktor yang membantu
mereka menjadi teknousahawan berjaya dalam perniagaan adalah seperti ciri-ciri dan
kompetensi teknokeusahawanan, pemikiran inovatif, kemahiran ICT, modal kewangan,
dan mentor.
Selain faktor persekitaran, pemikiran strategik (pemikiran inovatif) juga penting
kepada teknousahawan untuk bersaing dengan usahawan lain. Wheeler (2006)
mengutarakan model pemikiran rethinking yang menyepadukan beberapa elemen
pemikiran seperti pemikiran strategik, pemikiran analitikal, kuasa pemikiran dan
pemikiran kreatif. Namun dalam kajian ini, teknousahawan mempraktikan pemikiran
inovatif yang terdiri daripada beberapa elemen seperti kemahiran berfikir, menyelesai
masalah, pemikiran strategik dan inovasi sebagai kekuatan teknousahawan untuk
meningkatkan daya saing syarikat. Dalam kerangka konseptual asal, model
pembangunan teknousahawan yang dipelopori oleh Willie et al. (2011) menyatakan
bahawa proses pembangunan teknousahawan bergantung kepada aspek-aspek seperti
institusi sokongan, polisi atau dasar kerajaan, pendidikan dan sumber kewangan yang
berfungsi sebagai persekitaran yang membolehkan perindustrian dan teknologi
berkembang (inovasi). Dapatan temubual kajian ini dari sudut aspek-aspek yang
mempengaruhi proses pembangunan teknousahawan menyokong model oleh Willie et
al. (2011). Tetapi berbeza dalam kajian ini kerana berdasarkan pendapat dan respons
teknousahawan yang dikaji, pembangunan teknousahawan dipengaruhi oleh aspek-
aspek berikut iaitu; keinginan menjadi teknousahawan, ciri-ciri dan kompetensi
438
teknokeusahawanan, daya tahan, modal kewangan, perancangan perniagaan,
pengetahuan, pendidikan, pengalaman, latihan teknokeusahawanan, kemahiran
vokasional, kemahiran ICT, membina jaringan, asas perniagaan, penglibatan agensi
kerajaan, keluarga dan juga aspek kerohanian.
Akhir sekali model pemikiran inovatif oleh Weiss dan Legrand (2011)
menyatakan pemikiran inovatif adalah proses menyelesaikan masalah dengan
menemui, menggabungkan, mengatur pandangan, idea-idea dan kaedah dengan cara
yang baharu. Berdasarkan dapatan empirikal kajian dari sudut pemikiran inovatif
adalah proses menyelesaikan masalah menyokong pendapat Weiss dan Legrand (2011).
Tetapi berbeza dalam kajian ini kerana pemikiran inovatif adalah gabungan beberapa
aspek pemikiran seperti kemahiran berfikir, kemahiran menyelesai masalah, pemikiran
strategik dan inovasi sebagai rangsangan minda teknousahawan untuk berfikir mencari
idea baharu, melakukan inovasi, mendepani halangan dalam perniagaan dan
meningkatkan daya saing syarikat. Secara ringkasnya, implikasi teoritikal kajian
menunjukkan terdapat beberapa elemen baharu ditemui dalam kajian ini yang dapat
menambahbaik beberapa teori serta model asal yang digunakan dalam kerangka
konseptual kajian. Seterusnya perbincangan tertumpu kepada implikasi praktikal.
5.3.2 Implikasi Praktikal
Perbincangan tentang implikasi praktikal menerangkan tentang dapatan kajian dan
implikasinya terhadap pembentukan teknousahawan di Malaysia. Berdasarkan kepada
kerangka konseptual yang asal, elemen seperti personaliti, sokongan dalaman dan
439
luaran serta jaringan penting kepada pembangunan teknousahawan. Aspek utama yang
penting dalam pembangunan pemikiran inovatif teknousahawan adalah keinginan
menjadi teknousahawan berdasarkan dapatan profil teknousahawan dan temubual
kajian ini. Menurut Krueger dan Brazeal (1994) dengan adanya keinginan menjadi
teknousahawan, individu lebih bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi
rintangan dan halangan dalam perniagaan. Secara praktikalnya, pihak berwajib yang
terlibat dengan pembangunan teknousahawan haruslah menitikberatkan elemen
keinginan menjadi teknousahawan sebelum memilih individu yang akan menyertai
program pembangunan teknousahawan.
Dapatan kualitatif kajian ini menunjukkan bahawa selain aspek keinginan
menjadi teknousahawan, elemen ciri-ciri dan kompetensi teknokeusahawanan juga
penting kepada individu yang ingin menceburi bidang perniagaan berasaskan teknologi.
Menurut Sorensen dan Chang (2006), ciri-ciri teknokeusahawanan menentukan
kejayaan seorang usahawan yang berasaskan teknologi. Sabri (2002) pula menyatakan
bahawa individu yang berhasrat menjadi usahawan berjaya haruslah mempunyai ciri-
ciri usahawan yang berjaya. Menurut Mohd Salleh et al. (2002), setiap individu
berpeluang menjadi usahawan jika memiliki ciri-ciri keusahawanan dan ia boleh
dibentuk serta dibangunkan dalam diri seseorang individu. Oleh itu, pihak yang terlibat
dengan pembangunan teknousahawan haruslah membangunkan modul dan
mengadakan kursus yang berkaitan dengan ciri-ciri teknokeusahawanan untuk
memberi pendedahan kepada usahawan ingin menceburi bidang perniagaan berasaskan
teknologi. Dari dapatan empirikal kajian ini menunjukkan bahawa aspek kompetensi
teknokeusahawanan adalah penting kepada usahawan. Allen dan Velden (2011)
menyatakan individu yang ingin menceburi bidang teknokeusahawanan haruslah
440
memiliki kompetensi yang terdiri daripada pengetahuan, kemahiran dan sikap
keusahawanan. Menurut Mitchelmore dan Rowley (2010), kompetensi
teknokeusahawanan amat penting kepada usahawan tekno kerana ia berkait rapat
dengan prestasi dan daya saing serta mempengaruhi kejayaan sesuatu perniagaan.
Ahmad et al. (2010) pula berpendapat bahawa kompetensi keusahawanan penting
kerana ia merupakan peramal kejayaan kepada perniagaan IKS di Malaysia.
Praktikalnya, dalam konteks pembangunan teknousahawan di Malaysia harus memiliki
elemen tersebut. Secara praktikalnya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan
pembangunan teknousahawan mewujudkan modul yang diterapkan dalam kursus
jangka pendek untuk bakal teknousahawan.
Aspek daya tahan merupakan antara elemen penting yang dicadangkan dalam
kerangka konseptual pembangunan teknousahawan yang baharu berdasarkan kepada
dapatan empirikal kajian ini. Aspek daya tahan ini adalah meliputi kekuatan emosi,
kesihatan mental, kesihatan fizikal, kekuatan kerohanian dan pegangan moral (Maddi,
2005). Menurut Nor Azman (2013), individu yang berdaya tahan mampu memuaskan
pelanggan secara segera, bertindak cepat menghadapi krisis dan tidak melepaskan
peluang. Manakala Aida Rahayu (2010) pula menyatakan bahawa teknousahawan yang
memiliki daya tahan mampu meneruskan perniagaan walaupun berhadapan dengan
pelbagai masalah. Secara praktikalnya, individu yang ingin menceburi bidang
teknokeusahawanan haruslah memiliki daya tahan dalam diri agar mempunyai
kekuatan untuk berdepan dengan halangan, masalah dan persaingan sengit dalam
perniagaan. Untuk membina daya tahan, agensi-agensi yang terlibat pembangunan
teknousahawan hendaklah mengadakan program latihan berbentuk fizikal seperti
membina semangat ala ketenteraan kepada usahawan yang ingin menceburi bidang
441
perniagaan. Selain memiliki daya tahan, individu yang ingin menceburi bidang
teknokeusahawanan juga haruslah memiliki pemikiran inovatif agar mampu berdaya
saing dalam perniagaan. Dapatan empirikal kajian ini dan pendapat penyelidik
terdahulu mendapati aspek pemikiran inovatif adalah penting kepada teknousahawan
dalam proses mencari peluang perniagaan baharu dan meningkatkan kemahiran serta
membantu usahawan untuk mencari idea-idea yang sesuai (Milan, 2015). Selain itu,
pemikiran inovatif juga penting kepada teknousahawan untuk mencari penyelesaian
masalah, idea-idea dan kaedah dengan cara yang baharu (Weiss & Legrand, 2011).
Selain itu, pihak yang terlibat dengan pembangunan teknousahawan juga boleh
menyediakan skim pinjaman untuk memulakan perniagaan dan program latihan yang
memfokuskan kepada penyediaan perancangan perniagaan. Untuk memastikan
kelangsungan pembangunan dan perkembangan perniagaan, teknousahawan
memerlukan sokongan dalaman dan luaran berdasarkan kepada data kajian ini. Dalam
cadangan kerangka konseptual pembangunan teknousahawan baharu dalam kajian ini,
aspek-aspek penting dalam elemen sokongan dalaman dan luaran adalah seperti
pengetahuan teknikal, kemahiran vokasional, spirituality dan keluarga. Menurut Mohd
Nor Hidayat, (2011) dan Siti Nor Wardatulaina (2011) faktor sokongan penting untuk
meningkatkan kejayaan teknousahawan dalam bidang perniagaan.
Dapatan empirikal kajian ini mendapati aspek utama sebagai sokongan dalaman
dan luaran kepada teknousahawan untuk berjaya dalam perniagaan adalah pengetahuan
teknikal dan kemahiran vokasional yang dimiliki. Menurut Nor Aishah (2013),
memiliki pengetahuan dalam bidang yang tertentu menjadi faktor penting semasa
proses menentukan bidang yang ingin diceburi. Manakala Edward (1991), Prodan
442
(2007) dan Willie et al. (2011) sepakat menyatakan bahawa pengetahuan teknikal
merupakan kekuatan kepada teknousahawan untuk menceburi keusahawanan yang
berasaskan teknologi. Secara praktikalnya, pihak-pihak yang terlibat dengan
pembangunan pemikiran inovatif teknousahawan mewujudkan inkubator yang
berperanan sebagai one stop centre untuk usahawan meningkatkan pengetahuan
teknikal mereka agar seiring dengan teknologi semasa. Dari aspek kemahiran
vokasional, dapatan kajian ini mendapati kemahiran tersebut adalah penting untuk
mereka berjaya dalam perniagaan yang berasaskan teknologi.
Menurut Nor Aishah (2013) serta Izquierdo dan Deschoolmeester (2010),
kemahiran vokasional adalah penting serta perlu dimiliki oleh teknousahawan untuk
berjaya dalam perniagaan teknokeusahawanan. Izquierdo dan Deschoolmeester (2010)
pula menyatakan bahawa kemahiran vokasional yang berkaitan dengan perniagaan
dijalankan sangat penting kerana ia memberikan kelebihan kepada teknousahawan
untuk bersaing dengan usahawan lain. Berdasarkan dapatan kajian ini dan pendapat
penyelidik-penyelidik seperti Edaward, Prodan, Willie, Nor Aishah, Izquierdo dan
Deschoolmeester adalah praktikal bagi pihak yang terlibat dengan pembangunan
teknousahawan berkerjasama dengan pusat-pusat latihan kemahiran untuk mengadakan
program latihan jangka pendek kepada teknousahawan untuk meningkatkan atau
memperolehi kemahiran vokasional.
Di samping kepentingan pengetahuan teknikal dan kemahiran vokasional,
dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa kejayaan teknousahawan yang dikaji
mempraktikan amalan spirituality sebagai sokongan dalaman dan luaran. Rosenstein
(2014) menyatakan Drucker sebagai seorang ilmuan keusahawanan menekankan
443
individu usahawan itu perlu kembali kepada nilai-nilai spirituality, kerana manusia
bukan hanya makhluk biologi dan fisiologi tetapi juga makhluk rohani, iaitu
perhubungan manusia dan Pencipta. Dodd dan Seaman (1998) pula menyatakan
bahawa spirituality atau kepercayaan agama usahawan mempunyai kesan positif ke atas
aktiviti keusahawanan dari sudut mempengaruhi keputusan untuk menjadi seorang
usahawan, aktiviti menguruskan perniagaan, dan sebagai sokongan dalaman. Secara
praktikalnya, individu yang ingin dan telah menceburi bidang teknokeusahawanan
mesti mempraktikan amalan spirituality sebagai sokongan dalaman serta luaran mereka
dan pihak yang terlibat dengan pembangunan kurikulum keusahawanan mewujudkan
modul keusahawanan yang menerapkan elemen-elemen spirituality.
Selain amalan spirituality, keluarga juga penting sebagai sokongan dalaman dan
luaran teknousahawan. Dapatan temubual dan soalan terbuka kajian ini menunjukkan
bahawa keluarga adalah penting sebagai sokongan dalaman dan luaran teknousahawan
untuk memotivasikan mereka, pencetus idea baharu dan penyokong ketika menghadapi
saat-saat getir dalam perniagaan. Menurut Mohd. Asri (2015), sokongan yang paling
hampir dengan teknousahawan adalah keluarga. Rosman dan Mohd. Rosli (2011)
menyatakan sokongan keluarga lebih kepada bantuan tenaga dan moral. Raijman
(2001) pula menyatakan keluarga sokongan untuk usahawan kerana keluarga boleh
membentuk satu pasukan kerja tidak dibayar yang akan mengurangkan kos awal
perniagaan dan usahawan boleh berkongsi sumber modal dalam kalangan ahli
keluarga bagi memudahkan kelangsungan perniagaan di peringkat awal. Oleh itu,
adalah praktikal seorang individu yang ingin menceburi bidang teknokeusahawanan
mendapat dokongan dari keluarga terutamanya ayah, ibu atau isteri. Menerusi dapatan
kuntitatif dan kualitatif dalam kajian ini mendapati elemen jaringan teknousahawan
444
dengan agensi kerajaan, mentor, bank atau agensi pinjaman, persatuan dan rakan-rakan
teknousahawan adalah penting untuk kelangsungan perniagaan mereka. Literatur kajian
menunjukkan agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi
aktiviti keusahawanan (Che Mohd Zulkifli & Nurdiana, 2015). Agensi kerajaan seperti
MARA dan MITI terus berusaha untuk membantu usahawan bagi mengembangkan
perniagaan mereka (Norita et al. (2010). Menurut Muhamad Asri dan Zaimah (2012),
jaringan dan sokongan agensi kerajaan antara faktor penting yang mempengaruhi
prestasi perniagaan. Praktikalnya, pihak kerajaan mewujudkan one stop centre yang
menempatkan kesemua agensi-agensi seperti MARA, MITI, dan SME Corp di setiap
negeri. Ini akan memudahkan teknousahawan membina jaringan dengan agensi-agensi
kerajaan.
Untuk mengukuhkan jaringan perniagaan, pementoran juga penting. Hasil
kajian ini mendapati bahawa teknousahawan perlu mempunyai mentor yang boleh
membimbing serta tunjuk ajar kepada mereka selok belok perniagaan. Mentor adalah
seorang individu yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang yang boleh
membantu membangunkan kerjaya usahawan (Etienne & Josée, 2012). Menurut
Zaidatol (2007), pementoran bermakna usahawan mewujudkan hubungan dengan
usahawan senior yang melibatkan proses penasihatan, role model, berkongsi rakan
seperniagaan serta memberi sokongan umum dan pementoran juga merupakan satu
proses pembelajaran keusahawanan. Mentor penting kerana perniagaan sendiri
melibatkan unsur mentoring dan mempunyai kesan yang mendalam kepada
pembangunan peribadi usahawan sama ada sebagai individu mahu pun usahawan
(Evelyn, 2010). Di samping itu juga, pembelajaran yang berlaku secara tidak langsung
melalui ‘pementoran’ dapat membantu membetulkan beberapa masalah dan kesukaran
445
yang dialami oleh usahawan baharu serta membentuk sokongan yang boleh
memberikan manfaat yang besar (Etienne & Josée, 2012). Secara praktikal, pihak yang
terlibat dengan pembangunan teknousahawan mestilah menyediakan mentor dalam
kalangan usahawan yang berjaya untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar. Agensi-
agensi yang terlibat dengan pembangunan teknousahawan seharusnya hanya bertindak
sebagai fasilitator kerana mereka tidak mengetahui selok belok perniagaan secara
praktikalnya berbanding dengan usahawan yang telah berjaya.
Untuk mengembangkan perniagaan pula, teknousahawan memerlukan mereka
mempunyai jaringan dengan pihak bank atau agensi pinjaman berdasarkan dapatan
empirikal kajian ini. Menurut Nor Aishah (2013), institusi pinjaman seperti bank
perdagangan, syarikat kewangan dan syarikat insuran adalah komponen penting dalam
mempengaruhi aktiviti keusahawanan dari segi modal kewangan. Jaringan bank atau
agensi pinjaman penting kepada teknousahawan IKS Bumiputera untuk mengatasi
masalah kesukaran menyediakan modal untuk memulakan atau mengembangkan
perniagaan (Norita et al., 2010 & Muhammad Rafiq et al. (2016). Oleh itu adalah
praktikal teknousahawan membina jaringan yang baik sama ada dengan pihak bank
atau agensi pinjaman. Peranan yang boleh dimainkan oleh pihak yang terlibat dengan
pembangunan teknousahawan adalah menyediakan akses kepada sumber kewangan
seperti bank perdagangan atau syarikat kewangan.
Selain bank dan agensi pinjaman, dapatan empirikal kajian juga menunjukkan
jaringan peserta kajian ini dengan persatuan teknousahawan adalah penting. Menurut
Jacobs (1996), teknousahawan adalah individu yang berpandangan jauh akan
mengambil peluang untuk menganggotai mana-mana persatuan usahawan yang mereka
446
rasakan perlu dan boleh membantu ahli dari sudut peluang perniagaan, bertukar
pandangan mahu pun bantuan dari sudut latihan. Majoriti masyarakat mengakui
banyak matlamat boleh dicapai dengan lebih cepat dan mudah melalui tindakan
bersama dalam persatuan berbanding secara individu (Jacobs, 1996). Bagi Mohd. Asri
(2015) pula, penglibatan usahawan dalam sesebuah persatuan perniagaan memberi
manafaat melalui perkongsian maklumat, pengetahuan, pengalaman, penyelesaian
masalah dan seterusnya mengembangkan jaringan perniagaan. Adalah praktikal bagi
pihak yang membangunkan teknousahawan, menubuhkan lebih banyak dewan-dewan
perniagaan, mewujudkan persatuan alumni program usahawan.
Dapatan kajian ini menunjukkan melalui jaringan dengan persatuan,
teknousahawan membina rangkaian sosial dengan rakan-rakan dalam bidang
perniagaan yang sama dengan mereka. Rakan-rakan dalam jaringan sosial merupakan
individu, kumpulan, atau organisasi (Širec & Bradac, 2009). Dapatan kajian ini juga
mendapati teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran bergaul
dengan rakan teknousahawan melalui persatuan atau pun melalui hubungan personal.
Melalui pergaulan dengan rakan-rakan teknousahawan, mereka bertukar-tukar
pandangan, idea perniagaan mahu pun sebagai mentor. Zhang (2010) berpandangan
bahawa jaringan sosial dengan rakan-rakan teknousahawan memainkan peranan yang
penting di peringkat awal aktiviti keusahawanan. Praktikalnya pihak-pihak berwajib
seperti MARA, MITI dan SME Corp menggunakan media sosial seperti Facebook,
Whatapps dan media sosial yang lain untuk membina jaringan dengan teknousahawan
dan dikembangkan diperingkat usahawan sendiri.
447
Berdasarkan pandangan teknousahawan dalam kajian ini, mereka menyarankan agar
diwujudkan inkubator khas sebagai tempat untuk mereka memperolehi pengetahuan
baharu yang berkaitan dengan teknikal, kemahiran vokasional, serta teknologi yang
terkini. Menurut Prodan (2007), inkubator adalah proses sokongan perniagaan yang
akan mempercepatkan kejayaan pembangunan syarikat baharu dengan menyediakan
pelbagai sumber dan perkhidmatan sokongan. Albert dan Gaynor (2003) inkubator
memudahkan dan menggalakkan keusahawanan serta memindahkan pengetahuan serta
teknologi kerana inkubator adalah tempat di mana perniagaan kecil dilahirkan,
membesar dan berkembang (Caetano 2012; Etzkowitz 2003 & Marques 2005).
Menurut peserta kajian, secara praktikalnya mesti diwujudkan inkubator khas
dan taman teknologi di setiap negeri atau kawasan perindustrian untuk bakal dan
teknousahawan yang sedang menjalankan perniagaan memperolehi maklumat,
mendapat latihan atau memperolehi kemahiran-kemahiran yang diarasakan perlu untuk
memajukan perniagaan mereka. Berdasarkan dapatan soalan terbuka kajian ini,
teknousahawan mencadangkan elemen-elemen seperti modal perniagaan, perancangan
perniagaan, latihan teknokusahawanan, kemahiran pemasaran, kemahiran perakaunan,
kemahiran ICT, pengurusan organisasi dan asas perniagaan sebagai pengisian program
di inkubator. Untuk memulakan suatu perniagaan, seorang individu haruslah
mempunyai persediaan awal dari segi modal kewangan dan perancangan perniagaan
berdasarkan dapatan temubual dan soalan terbuka kajian ini. Prodan (2007) menyatakan
modal adalah elemen penting dalam teknokeusahawanan. Zhang et al. (2011) juga
menyatakan bahawa modal kewangan merupakan antara sumber kritikal untuk
kelangsungan syarikat baharu. Menurut Noordeyana et al. (2016), modal kewangan
adalah elemen utama yang dikaitkan dengan kejayaan sesebuah aktiviti perniagaan dan
448
merupakan persediaan awal kewangan teknousahawan sebelum memulakan
perniagaan. Nor Aishah (2013) menyatakan modal kewangan adalah aspek penting
sebelum memulakan perniagaan. Selain memiliki modal kewangan sebagai persediaan
awal sebelum menceburi bidang perniagaan yang berasaskan teknologi, bakal
teknousahawan juga harus bersedia dengan perancangan perniagaan yang ingin
diceburi. Menurut Aida Rahayu dan Nor Aishah (2013), perancangan perniagaan
menunjukkan usahawan telah bersedia untuk menceburi bidang teknokeusahawanan.
Praktikalnya, bakal usahawan telah mempunyai 'tabungan' kewangan sebagai modal
awal dan mempunyai perancangan perniagaan sebagai panduan serta idea awal. Pihak
yang terlibat dengan pembangunan usahawan memastikan individu yang dipilih
menyertai program pembangunan telah bersedia dari aspek modal kewangan awal dan
perancangan perniagaan.
Dapatan kajian menunjukkan latihan teknokeusahawanan adalah penting
kepada bakal dan usahawan baharu kerana menurut Robert (1985), latihan merupakan
salah satu daripada reka bentuk pembelajaran yang bertujuan untuk meningkatkan
pencapaian seseorang apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Latihan juga adalah satu
bentuk pembelajaran dan merupakan satu proses sistematik untuk mengubah tingkah
laku individu dalam usaha mencapai matlamat syarikat (Ivancevich, 2001). Aida
Rahayu (2010) menyatakan bahawa latihan teknokeusahawanan antara faktor yang
mempengaruhi pembangunan teknousahawan di Malaysia. Latihan yang sistematik
berupaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran usahawan sekaligus menjadikan
mereka lebih berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar (Azmi et al.,
2012).
449
Oleh itu, adalah praktikal pihak yang terlibat dengan pembangunan teknousahawan
mengadakan kursus yang memfokuskan aspek pemikiran inovatif dan latihan
teknokeusahawanan kepada bakal dan teknousahawan yang ingin menambah serta
mempertingkatkan pengetahuan mereka.
Hasil temubual dengan usahawan mendapati, antara masalah utama yang
mereka hadapi dalam mengurus perniagaan adalah kelemahan pemasaran dan
perakaunan. Terdapat beberapa kajian yang terdahulu merumuskan bahawa terdapat
hubungan yang positif antara aktiviti pemasaran dengan kejayaan sesebuah perniagaan
(Robinson, 1986; Webster, 1986; Ab. Aziz, 2009). Menurut Davis et al., (2001),
Easingwood dan Koustelos (2000), Traynor dan Traynor (1994) serta Traynor dan
Traynor (1997), syarikat berteknologi tinggi semakin sukar untuk mengekalkan daya
saing melalui kelebihan teknologi sahaja tetapi memerlukan pelbagai kaedah
pemasaran yang terkini. Kemahiran mengurus akaun merupakan perlu dikuasai oleh
usahawan (Nekka & Fayolle, 2010) kerana menurut Norsela dan Nurul Ilyana (2016),
pengurusan kewangan yang lemah adalah kekekangan dan kelemahan yang dihadapi
oleh kebanyakan usahawan IKS. Oleh itu adalah praktikal agensi seperti MARA, MITI,
SME Corp mengadakan kursus jangka pendek kepada teknousahawan untuk
meningkatkan kemahiran pemasaran dan perakaunan.
Selain kelemahan kemahiran pemasaran dan perakaunan, teknousahawan yang
dikaji juga lemah dalam menguasai kemahiran ICT berdasarkan dapatan empirikal
kajian ini. Di era Revolusi Industri 4.0 ini, kemahiran digital harus dikuasai oleh
teknousahawan. Menurut Apulu et a. (2011) dan Mohd Hasril (2009), kemahiran
digital adalah kebolehan mengumpul, memproses, mengguna dan menghantar
450
maklumat secara elektronik melalui gajet, media jaringan sosial atau penggunaan apa-
apa teknologi yang membenarkan komunikasi. Hynes et al. (2009) menyatakan
penguasaan kemahiran memberi kelebihan daya saing kepada teknousahawan. Dapatan
kajian dan pernyataan penyelidik terdahulu menunjukkan bahawa teknologi digital
penting kepada teknousawan dan secara praktikalnya diadakan program seperti digital
enterpreneurship oleh pihak kerajaan untuk membantu teknousahawan menguasai
kemahiran ICT.
Dapatan soalan terbuka kajian ini menunjukkan teknousahawan lemah dalam
aspek pengurusan organisasi. Menurut Shuhairimi dan Ku Halim (2010), usahawan
yang berjaya perlu dilengkapi dengan nilai-nilai sebagai pengurus dan memiliki
karisma sebagai pemimpin yang baik. Kemahiran mengurus sesuatu organisasi
perniagaan penting kepada teknousahawan kerana faktor yang menyumbang kepada
kegagalan dalam sesuatu perniagaan adalah pengurusan yang kurang cekap dan tidak
ada pengalaman mentadbir (Syed Zamberi, 2009). Oleh itu, adalah praktikal aspek
pengurusan organisasi sebagai sebahagian pengisian dalam inkubator.
Akhir sekali, aspek asas perniagaan. Kelemahan yang dikenalpasti berdasarkan
dapatan kajian ini adalah teknousahawan tidak mempunyai asas perniagaan yang
kukuh. Kelemahan yang ketara dalam kalangan usahawan Bumiputera adalah tiada asas
perniagaan yang menyebabkan mereka kurang daya saing Nor Ismadee (2010).
Praktikalnya, pihak-pihak yang menganjurkan kursus keusahawanan menawarkan
pengurusan kewangan agar bakal dan teknousahawan lebih bersedia untuk
mengendalikan dan meningkatkan daya saing. Secara ringkasnya, perbincangan
implikasi praktikal kajian menunjukkan terdapat beberapa elemen baharu ditemui
451
dalam kajian ini yang memberi impak kepada pembangunan teknousahawan.
Perbincangan seterusnya tertumpu kepada implikasi kurikulum keusahawanan.
5.3.3 Implikasi Kepada Kurikulum Keusahawanan
Dapatan empirikal kajian ini menunjukkan terdapat beberapa kelemahan yang
dikenalpasti dalam kalangan teknousahawan yang dikaji seperti menganalisa data atau
maklumat, tidak berdaya tahan, perancangan strategik, pemikiran strategik, pengurusan
kualiti, pengurusan organisasi, inovasi, perakaunan, kemahiran berkomunikasi,
kemahiran mencari idea baharu, kemahiran pemasaran dan asas perniagaan. Dapatan
kajian membawa kepada implikasi yang memerlukan kepada penambahbaikan dan
pemurnian kurikulum keusahawanan yang baharu. Ini bermaksud kurikulum
keusahawanan memerlukan perhatian pihak yang bertanggungjawab dengan
pembangunan keusahawanan khususnya teknokeusahawanan serta pihak-pihak lain
agar segera bertindak dalam aspek atau elemen yang masih perlu diberikan
penambahbaikan.
Oleh yang demikian, satu bentuk penambahbaikan yang melibatkan pengubalan
kurikulum baharu yang dapat mengatasi kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti.
Menurut Siti Syuhada et al. (2015), seseorang akan lebih berjaya di dalam bidang
keusahawanan dan mempunyai tahap kompetensi yang tinggi jika didedahkan serta
diberi pemahaman dengan bidang keusahawanan di universiti. Ini menunjukkan
kurikulum yang tersusun mempunyai peranan penting dalam pembangunan usahawan.
Reynaldo et al. (2007) mencadangkan supaya universiti perlu menilai, mempelbagaikan
452
dan menambahbaik semula bentuk kurikulum yang sedia ada. Sebagai contohnya, di
universiti mendedahkan pelajar mengenai pelaburan, pengendalian risiko, serta cara
untuk menguruskan kewangan persendirian. Penambahbaikan dan pemurnian yang
perlu dilakukan dalam kurikulum keusahawanan haruslah menyepadukan elemen-
elemen seperti pemikiran inovatif, pengurusan organisasi, pengurusan kewangan, ciri-
ciri dan kompetensi keusahawanan, kemahiran pemasaran dan asas perniagaan.
Dicadangkan agar diwujudkan ko-kurikulum seperti kem untuk usahawan muda dan
karnival keusahawanan siswa untuk menggalakan golongan muda khasnya para pelajar
menceburi bidang perniagaan.
Dalam proses mencari peluang baharu, pemikiran inovatif penting kepada
teknousahawan. Data soal selidik mendapati kelemahan teknousahawan dari aspek
pemikiran inovatif adalah tidak suka membuat pembaharuan yang melibatkan teknologi
baharu, kelemahan dalam membuat perancangan, tidak mengambil tindakan strategik
berdasarkan faedah, pulangan dan kos, lemah dalam menganalisa kekuatan serta
kelemahan organisasi. Menurut Kuratko et al. (2012), pemikiran inovatif penting
kepada teknousahawan untuk mereka menghadapi masalah, halangan mahu pun
meningkatkan daya saing. Milan (2015) menyatakan pemikiran inovatif membantu
usahawan untuk mencari idea-idea yang sesuai. Pemikiran inovatif merupakan proses
penyelesaian masalah, menjana idea-idea dan kaedah dengan cara yang baharu.
Penambahbaikan yang dapat dijalankan berdasarkan hasil kajian ini adalah dengan
memasukan elemen pemikiran inovatif dalam kurikulum baharu keusahawanan. Ini
akan dapat memberi pendedahan awal kepada teknousahawan dari aspek kemahiran
berfikir, kemahiran menyelesai masalah, pemikiran strategik dan inovasi. Di cadangkan
supaya diadakan program keusahawanan yang memfokuskan kepada pemikiran
453
inovatif. Dapatan empirikal kajian ini juga mendapati usahawan yang dikaji kurang
mahir dalam aspek pengurusan organisasi. Dari aspek pengurusan organisasi ini
didapati teknousahawan yang dikaji tidak mahir mengurus sumber manusia. Menurut
Baharom et al. (2008), kejayaan sesebuah organisasi sering kali dikaitkan dengan
kemahiran mengurus dan menentukan matlamat pemimpin dalam organisasi tersebut.
Usahawan yang berjaya perlu dilengkapi dengan nilai-nilai sebagai pengurus dan
memiliki karisma sebagai seorang pemimpin yang baik (Shuhairimi & Ku Halim,
2010). Oleh itu, adalah relevan elemen pengurusan organisasi dilaksanakan dalam
kurikulum keusahawanan yang baharu sebagai pendedahan awal sebelum bakal
teknousahawan menceburi bidang keusahawanan. Di samping itu, disarankan agar
diadakan kursus jengka pendek berkaitan pengurusan organisasi untuk individu yang
telah menjadi teknousahawan.
Dalam sebuah organisasi yang melibatkan aktiviti keusahawanan berasaskan
teknologi, pengurusan kewangan merupakan aspek kritikal bagi seorang
teknousahawan. Dapatan temubual kajian ini menunjukkan bahawa peserta kajian
lemah dalam pengurusan kewangan menyebabkan mereka menyerahkan tugas tersebut
kepada pekerja bawahan. Kelemahan yang ketara dalam pengurusan perniagaan
usahawan tekno Bumiputera adalah aspek pengurusan kewangan di mana mereka tidak
mempunyai rekod perbelanjaan (akaun) yang sistematik (Rosman & Mohd. Rosli,
2011). Menurut Zaidatol (2007), teknousahawan perlu menguasai kemahiran
pengurusan kewangan untuk mengawal aliran kewangan syarikat. Nekka dan Fayolle
(2010) menyatakan kemahiran mengurus kewangan merupakan kemahiran yang perlu
dikuasai oleh usahawan. Pengurusan kewangan yang lemah adalah kekekangan dan
kelemahan yang dihadapi oleh kebanyakan usahawan IKS (Norsela & Nurul Ilyana,
454
2016). Justeru kursus Pengurusan kewangan dicadangkan dimasukan ke dalam
kurikulum baharu keusahawanan untuk memberikan bakal teknousahawan
pengetahuan dan kemahiran mengurus.
Seterusnya kelemahan teknousahawan yang dikenal pasti dalam kajian ini dari
aspek ciri-ciri keusahawanan iaitu tidak mementingkan kualiti kerja dan tidak mampu
memenuhi kehendak pelanggan. Menurut Sorensen dan Chang (2006), ciri-ciri
teknokeusahawanan menentukan kejayaan seseorang teknousahawan. Sabri (2002)
menyatakan individu yang berhasrat menjadi usahawan yang berjaya haruslah memiliki
ciri-ciri mereka yang telah berjaya. Manakala Mohd Salleh et al. (2002) pula
menyatakan bahawa ciri-ciri keusahawanan boleh dibentuk dan dibangunkan dalam diri
seseorang individu. Oleh itu, untuk membangunkan teknousahawan yang memiliki ciri-
ciri usahawan berjaya harus diadakan program latihan yang memfokuskan kepada
pembentukan aspek ciri-ciri teknokeusahawanan.
Selain kelemahan dari sudut ciri-ciri keusahawanan, teknousahawan juga lemah
dari aspek kompetensi komunikasi dan menganalisa maklumat. Menurut Allen dan
Velden (2011); Mitchelmore dan Rowley (2010), individu yang ingin menceburi
bidang perniagaan yang berasaskan teknologi haruslah memiliki kompetensi
keusahawanan yang meliputi aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap keusahawanan.
Man et al. (2002) menyatakan kompetensi keusahawanan penting kepada usahawan
tekno kerana ianya berkait rapat dengan prestasi dan daya saing serta mempengaruhi
kejayaan sesuatu perniagaan. Kompetensi keusahawanan perlu dijadikan sebahagian
daripada kurikulum baharu keusahawanan dan diwujudkan program latihan yang
berteraskan kompetensi keusahawanan.
455
Pemasaran adalah antara aspek penting dalam bidang keusahawanan. Berdasarkan
dapatan temubual, teknousahawan mengakui bahawa mereka lemah dari aspek elemen
pemasaran. Menurut Zaidatol (2007), usahawan perlu memiliki kemahiran pemasaran
untuk mempengaruhi pelanggan membeli produk atau perkhidmatan yang
disediakannya. Mereka perlu terlibat dalam mereka bentuk produk, mempromosi dan
mengedar produk baharu. Robinson (1986); Webster (1986) dan Ab. Aziz (2009)
menyatakan kejayaan sesebuah perniagaan berkait rapat dengan aktiviti pemasaran.
Kotler dan Armstrong (2010) pula menyatakan adalah satu kelebihan kepada mana-
mana syarikat yang mempunyai strategi pemasaran yang baik untuk memenangi
persaingan dalam perniagaan. Penambahbaikan yang dilakukan terhadap kurikulum
baharu keusahawanan dengan memasukan elemen kemahiran pemasaran dan
menyediakan modul khas yang memfokuskan kepada kemahiran pemasaran untuk
dilaksanakan dalam kursus keusahawanan. Selain itu dicadangkan agar kursus baharu
yang khas untuk melatih teknousahawan dalam kemahiran pemasaran diadakan di
Technology Park atau inkubator.
Di samping kemahiran pengurusan dan pemasaran, pengetahuan asas
perniagaan juga penting kepada teknousahawan. Berdasarkan dapatan empirikal kajian
mendapati usahawan yang dikaji lemah dalam asas perniagaan. Menurut Nor Ismadee
(2010), kelemahan yang ketara dalam kalangan usahawan Bumiputera adalah tiada asas
perniagaan, tiada budaya perniagaan, terlalu bergantung kepada kerajaan dan tidak
mampu bersaing. Dapatan kajian ini menyokong pendapat Norasmah et al. (2009) yang
menyatakan bahawa dalam menjalankan sesebuah perniagaan, usahawan perlu
mempunyai ‘asas perniagaan’ bagi memastikan syarikat yang dikendalikan dapat
dikawal dengan baik tanpa menjejaskan perniagaan tersebut. Asas perniagaan
456
membantu teknousahawan untuk memahami selok belok perniagaan. Oleh itu adalah
kritikal asas perniagaan dijadikan sebahagian daripada kurikulum baharu
keusahawanan.
5.4 Sumbangan Kajian
Sumbangan utama kajian ini adalah satu kerangka baharu pembangunan pemikiran
inovatif teknousahawan Bumiputera di Malaysia. Berdasarkan data kajian kuantitatif
dan kualitatif menunjukkan terdapat beberapa elemen baharu yang didapati seperti
keinginan menjadi teknousahawan, daya tahan, modal perniagaan, perancangan
perniagaan, latihan teknokeusahawanan, kemahiran vokasional, kemahiran ICT,
membina jaringan, asas perniagaan, penglibatan agensi kerajaan, dan juga aspek
kerohanian yang penting sebagai sokongan dalaman serta luaran kepada
teknousahawan.
Elemen-elemen yang dicadangkan dalam kerangka baharu pembangunan
pemikiran inovatif teknousahawan ini merupakan dapatan yang diperolehi daripada
data empirikal hasil temu bual, pemerhatian, verifikasi dokumen dan soalan terbuka
yang di lakukan terhadap teknousahawan IKS Bumiputera yang menjadi peserta kajian
ini. Berdasarkan dapatan empirikal kajian, cadangan kerangka baharu pembangunan
pemikiran inovatif teknousahawan secara umumnya menumpukan kepada empat aspek
utama iaitu personaliti teknousahawan, sokongan dalaman dan luaran, jaringan serta
inkubator. Secara khususnya, elemen-elemen seperti personaliti teknousahawan,
sokongan dalaman dan luaran, jaringan serta inkubator meliputi aspek seperti