The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by janainbburut, 2021-09-11 20:30:14

Pemikiran Inovatif, Ciri-ciri dan Kompetensi Teknokeusahawanan IKS Bumiputera Lepasan Pusat Latihan Kemahiran

Tesis Penyelidikan PhD UPSI Tahun 2018

168

2.4 Kajian-kajian Lepas

Bahagian ini membincangan kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan masalah dan
cabaran IKS di luar negara dan dalam negara.

2.4.1 Kajian-kajian Lepas di Luar Negara

Kajian yang dilakukan oleh Naoyuki dan Farhad (2016) telah mengenalpasti cabaran
utama usahawan IKS di Asia iaitu: (i) kekurangan sumber (kewangan, teknologi, buruh
mahir, akses pasaran, dan maklumat pasaran), (ii) kekurangan skala dan skop ekonomi,
(iii) kos urus niaga yang lebih tinggi berbanding perusahaan besar, (iv) kekurangan
rangkaian yang boleh menyumbang kepada kekurangan maklumat, pengetahuan, dan
pengalaman pasaran domestik dan antarabangsa, (v) meningkatkan persaingan dan
kepekatan pasaran dari perusahaan multinasional besar yang disebabkan oleh
globalisasi dan integrasi ekonomi, (vi) ketidak upayaan untuk bersaing dengan firma
yang lebih besar dari segi perbelanjaan untuk melakukan penyelidikan dan inovasi
(produk, proses, dan organisasi), (vii) tertakluk kepada kepura-puraan dan
ketidakstabilan, dan (viii) kekurangan semangat keusahawanan, keupayaan, dan
pengetahuan.

Berdasarkan kajian Preston (2001), faktor-faktor kejayaan IKS yang berasaskan
teknologi baharu di Amerika Syarikat adalah didorong oleh beberapa faktor seperti: (i)
sikap, (ii) bakat pengurusan, (iii) paten, (iv) tingkah laku yang bersemangat, (v) pelabur
yang berkualiti, (vi) produk berkualiti tinggi ke pasaran dengan cepat, (vii) fleksibiliti,

169

(viii) kelompok kecemerlangan. Selain faktor-faktor yang dinyatakan oleh Preston
(2001), kemahiran mengurus sesuatu firma juga memainkan peranan yang penting
dalam kejayaan IKS. Kajian Bakås et al. (2011) di Norway, faktor-faktor kejayaan IKS
adalah kerana pengurusan yang baik dan kejayaan pengurusan tersebut didorong oleh
beberapa faktor iaitu: (i) penglibatan kepimpinan dan pengurusan yang kuat, (i)
penglibatan dan penyertaan pekerja yang menyeluruh, (iii) memperuntukan masa yang
mencukupi untuk mengurus organisasi, (iv) pemberian inisiatif untuk meningkatkan
motivasi pekerja, (v) meningkatkan kecekapan dalam mengurus organisasi, dan (vi)
menubuhkan sistem penilaian prestasi yang telus.

Di negara-negara Eropah, inovasi bukan sahaja wujud dalam firma-firma yang
besar tetapi juga melibatkan IKS yang berasaskan teknologi. Namun demikian terdapat
beberapa halangan yang menyebabkan usahawan IKS kurang berminat untuk menyertai
program R & D untuk inovasi. Menurut kajian Audrey et al. (2013), halangan IKS di
Eropah untuk menyertai program R & D kerana beberapa faktor iaitu: (i) halangan
dalaman - pentadbiran serta komitmen kewangan, dan (ii) halangan luaran - pemasaran
dan maklumat tentang program terhad, dan pegawai bantuan bimbingan terhad.
Menurut Audrey et al. (2013), usahawan IKS yang menyertai program R & D terlibat
bekerja dengan organisasi yang lebih besar dan menyebabkan mereka merasa sangat
terpinggirkan ketika bekerja dalam kumpulan projek besar dan ini juga merupakan
halangan untuk mereka berkolabrasi dengan firma yang besar. Kajian Endi et al. (2013)
pula berkisar tentang peranan ciri-ciri serta kompetensi keusahawanan sebagai penentu
prestasi perniagaan usahawan IKS di Indonesia. Dapatan kajian mereka menunjukkan
bahawa kompetensi keusahawanan seperti kepimpinan, mencari peluang, membina
jaringan dan mencari idea baru serta ciri-ciri keusahawanan seperti motivasi,

170

mempunyai matlamat, cekal, dan mengambil risiko munsabah penting untuk
meningkatkan prestasi dan daya saing perniagaan usahawan. Dari sudut pembangunan
teknousahawan pula, kajian yang dilakukan oleh Segun dan Josephine (2014) telah
mengenal pasti halangan-halangan dalam pembangunan teknousahawan iaitu: (i)
ketergantungan kepada teknologi yang diimport, (ii) pengurusan pusat latihan yang
lemah, (iii) kurikulum kurang dinamik, (iv) sikap negatif, (v) kekurangan kakitangan
berkelayakan dalam bidang teknologi, dan (vi) pembiayaan yang tidak mencukupi
kepada pusat latihan. Menurut Segun dan Josephine (2014), halangan-halangan tersebut
akan mengakibatkan teknousahawan akan ketinggalan dari segi pengunaan teknologi
yang terkini dan ini akan menyebabkan mereka sukar untuk bersaing dalam pasaran
yang terbuka.

Dari aspek ciri-ciri peribadi teknousahawan, kajian Yazdanseta et al. (2013)
mendapati terdapat perbezaan di antara usahawan berjaya dan tidak tidak berjaya di
Iran dari segi ciri-ciri keusahawanan. Menurut Yazdanseta et al. (2013), ciri-ciri seperti
kecekalan, motivasi dan menganggung risiko yang munasabah merupakan faktor
kritikal yang membentuk peribadi seseorang teknousahawan. Manakala kajian Verni.
(2013) mendapati usahawan di Indonesia yang mempunyai matlamat untuk memajukan
diri, bermotivasi dan cekal mempunyai kesungguhan untuk menjalankan operasi
perniagaan mereka dalam apa jua keadaan, Menurut Verni (2013), selain ciri-ciri
tersebut, komponen kompetensi keusahawanan seperti kepimpinan dan kemahiran
mencari peluang juga penting untuk usahawan berjaya. Kajian Oukil (2011) di Timur
Tengah dan Afrika Utara mendapati keupayaan teknousahawan untuk melakukan
pembaharuan dan mengeksploitasi peluang baharu dapat mencipta peluang pekerjaan
dan kekayaan untuk komuniti setempat. Kajian Rezaei Zadeh et al. (2016) di Iran dan

171

Ireland mendapati usahawan-usahawan yang berjaya memiliki kompetensi kepimpinan
dan mencari peluang, kemahiran komunikasi, berinovatif, cekal, bersedia mengambil
risiko dan bersikap positif. Elemen-elemen tersebut adalah penting untuk berjaya
sebagai teknousahawan yang berdaya saing (Rezaei Zadeh et al., 2016).

2.4.2 Kajian-kajian Lepas di Dalam Negara

Berdasarkan kajian literatur, beberapa penyelidik telah mengenal pasti faktor-faktor
faktor-faktor mempengaruhi kejayaan teknousahawan IKS, cabaran teknousahawan
IKS, halangan teknousahawan IKS untuk mengorak langkah ke pasaran golbal,
program sokongan kerajaan terhadap pembangunan teknousahawan, faktor-faktor yang
mempengaruhi kejayaan teknousahawan IKS di Malaysia, dan kelemahan program
inkubator di Malaysia. Kajian yang dilakukan oleh Che Mohd Zulkifli dan Nurdiana
(2015) telah mengenalpasti halangan-halangan yang mempengaruhi kejayaan
usahawan IKS Bumiputera dalam perniagaan iaitu: (i) kelemahan dalam pengurusan,
(ii) gagal dalam pemasaran, (iii) masalah kewangan, (iv) kesukaran dalam bantuan
kewangan, (iv) kurangnya pekerja mahir, (v) masalah memasarkan produk, dan (vi)
kekurangan bahan mentah.

Menurut Che Mohd Zulkifli dan Nurdiana (2015), untuk mengatasi masalah
tersebut disarankan usahawan IKS Bumiputera meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran dalam perniagaan serta di pihak kerajaan pula meningkatkan usaha
membantu usahawan terutaman dari aspek kewangan serta latihan. Di samping faktor-
faktor yang mempengaruhi kejayaan usahawan IKS, terdapat dua cabaran utama

172

usahawan IKS di Malaysia berdasarkan kajian Nurulhasanah et al. (2016) iaitu modal
dan isu pengurusan. Kajian yang dilakukan oleh Suhaila et al. (2014) juga menjelaskan
tentang faktor-faktor penyumbang kepada kejayaan dan kegagalan IKS bumiputera di
Malaysia. Beliau mendapati terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi kejayaan
dan kegagalan IKS Bumiputera di Malaysia iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.
Faktor dalaman yang dikenal pasti adalah motivasi, komitmen, cekal, mempunyai
matlamat, mencari idea baharu, kepimpinan, mencari peluang dan membina jaringan.
Manakala faktor-faktor luaran pula adalah kemahiran pengurusan, pengalaman
pengurusan dan industri, perancangan dan keadaan ekonomi, komunikasi, jaringan dan
pemasaran serta bantuan dan sokongan kerajaan. Menurut Suhaila et al. (2014), faktor-
faktor tersebut perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh usahawan IKS
Bumiputera di Malaysia sekiranya mereka ingin lebih berjaya dalam sektor ini.

Kajian yang dijalankan oleh Saleh et al. (2008) terhadap 138 ahli perniagaan di
Malaysia telah mendapati beberapa cabaran perniagaan yang dihadapi IKS Malaysia
iaitu: (i) akses terhad kepada pembiayaan, (ii) kekurangan modal insan mahir, (iii)
persaingan perniagaan yang sengit, (iv) kekurangan aksesibiliti teknologi dan inovasi
infrastruktur, dan (v) dasar kerajaan tidak kondusif, (vi) modal kewangan terhad, (vii)
modal sosial, (viii) teknologi ketinggalan, dan (ix) kelemahan operasi. Untuk
mengembangkan dan meluaskan perniagaan, usahawan IKS perlu mengorak langkah
ke arah pasaran global namun demikian terdapat beberapa kekangan yang
membantutkan usaha tersebut. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Mohd. Zulkifli
et al. (2010) terdapat beberapa kekekangan yang menghalang usahawan IKS untuk
mengorak langkah ke pasaran global seperti (i) aset syarikat kecil, (ii) modal permulaan
kecil, (iii) kekurangan tenaga kerja mahir dan (iv) sumber kewangan terbatas. Dari segi

173

pentadbiran IKS pula, kajian Aamir et al. (2015) mendapati kelemahan usahawan IKS
di Malaysia adalah kebanyakan syarikat IKS merupakan pemilikan keluarga yang agak
terbatas dari aspek modal, infrasturuktur, dan tenaga kerja mahir. Oleh itu, keluarga
mempunyai kuasa membuat keputusan, dan juga saudara-mara serta kawan-kawan
usahawan IKS diupah sebagai lembaga pengarah. Begitu juga, jawatan pengurusan
tertinggi dimonopoli oleh ahli keluarga dan syarikat IKS tidak mempunyai amalan
tadbir urus korporat yang baik kerana pemilik perniagaan kurang cekap dan mahir
dalam pengurusan perniagaan menyebabkan kegagalan kebanyakan IKS. Kegagalan
tadbir urus korporat dalam IKS ini adalah satu ancaman besar kepada ekonomi
Malaysia.

Dari segi sokongan pihak kerajaan terhadap teknousahawan pula, kajian yang
dilakukan oleh Mohd. Abdullah dan Hazlanti (2006) mendapati kerajaan telah memberi
peluang dari aspek bantuan kewangan, latihan dan khidmat nasihat kepada
teknousahawan untuk memajukan perniagaan dengan wujudnya pelbagai program
pembangunan usahawan seperti teknologi inkubator, perantis usahawan tani, dan
siswazah perantis. Namun demikian masih terdapat kekurangan maklumat dan
pengetahuan yang tidak mencukupi tentang peluang, isu serta cabaran yang mendasari
inisiatif baharu ini kerana maklumat tersebut disimpan secara rahsia, terhad serta sulit
menyebabkan halangan dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam proses
membangunkan teknousahawan tidak dapat dikenal pasti serta diatasi (Mohd. Abdullah
& Hazlanti, 2006). Tetapi terdapat juga program di bawah kerajaan yang telah
membuahkan hasil seperti penubuhan Inkubator MARA, Program Teknikal MARA,
dan Program Teknousahawan (PUTEK). Kajian yang dilakukan oleh Salpiah et al.
(2017) menjelaskan tentang pembangunan teknousahawan yang dijalankan oleh

174

MARA menerusi strategi pembangunan teknousahawan telah berjaya dilaksanakan
melalui pengukuhan pendidikan formal, penyelidikan dan inovasi. Selain itu, MARA
juga mewujudkan kerjasama dengan pihak luar, graduan TVET dan alumni MARA.
Program Inkubator dan Program Teknousahawan adalah strategi pembangunan
usahawan teknikal melalui pendidikan formal, sementara program pembangunan
usahawan teknikal (PUTEK) dilaksanakan di kalangan graduan TVET di Malaysia
melalui pendidikan, pendekatan pembelajaran sepanjang hayat, pemikiran kreatif dan
budaya inovatif. Menurut kajian Sahadah et al. (2008), kejayaan pembangunan
teknousahawan di Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti (i) inisiatif dan
usaha gigih, (ii) idea baharu dan inovatif, (iii) program spin offs universiti, (iv)
pemindahan teknologi, (v) persekitaran institusi dan latihan, (vi) sokongan luaran
seperti jaringan industri-universiti, sokongan kerajaan, sokongan keluarga. Faktor-
faktor lain yang mempengaruhi kejayaan teknousahawan termasuk dasar dan amalan,
iklim organisasi yang kondusif, sokongan sumber kewangan, komitmen dan kemahiran
kepimpinan.

Di samping itu, kejayaan seseorang teknousahawan juga bergantung kepada
usaha mereka sendiri untuk memperkasakan perniagaan seperti kajian Hanis dan
Sulaiman (2013) yang mendapati faktor kejayaan teknousahawan adalah dipengaruhi
oleh beberapa-berapa aspek seperti: (i) kualiti produk, (ii) pegangan hak cipta (paten),
dan (iii) promosi serta pemasaran. Untuk program inkubator teknokeusahawanan pula,
kajian Fararishah et al. (2014) mendapati inkubator di Malaysia tertinggal di belakang
jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea dan China kerana beberapa
kelemahan seperti tidak kriteria formal yang digunakan sebagai panduan memilih
peserta, pemilihan peserta hanya berdasarkan pelan perniagaan sahaja dan tidak

175

mengambil kira pengalaman pengurusan, kekuatan kewangan, faktor pasaran serta
peribadi, pasaran dan inovasi baharu serta iklim politik. Selain itu terdapat juga
kelemahan lain dari sudut inkubator sendiri iaitu tiada perkhidmatan pengurusan
profesional seperti akses kepada pasaran, akses kepada pembiayaan, pemasaran,
perakaunan, dan perkhidmatan undang-undang. Ainul Mohsein et al. (2017) melakukan
kajian terhadap IKS Bumiputera di Malaysia dalam sektor pembuatan dan
perkhidmatan. Beliau mendapati elemen-elemen kepimpinan, kemahiran mencari
peluang, berinovatif, komitmen kerja, berkepimpinan serta jaringan penting untuk
usahawan tersebut bertahan dan bersaing dalam perniagaan yang diceburi.

Kajian Lee (2016) pula meneroka faktor-faktor kejayaan dan kegagalan IKS di
Malaysia. Hasil kajian mendapati didapati faktor kritikal kejayaan usahawan IKS
adalah: (i) faktor dalaman - cekal, komitmen, jujur, (ii) faktor kepimpinan - membina
jaringan, mencari peluang, (iii) faktor ekonomi, (iv) faktor teknologi, (v) faktor sosio
budaya, (vi) faktor persaingan. Manakala faktor kegagalan yang kritikal adalah: (i)
masalah kewangan, (ii) kelemahan perancangan dan pengurusan, (iii) pengalaman dan
kepakaran yang tidak mencukupi (iv) pasaran Sasaran tidak sesuai dan keadaan pasaran
yang kurang memberangsangkan.

2.5 Rumusan

Tujuan kajian ini adalah mengenal pasti pemikiran inovatif, ciri-ciri dan kompetensi
dalam kalangan teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran.
Dalam kajian ini kerangka konseptual yang digunakan adalah berdasarkan model

176

Schumpeter (1934), McClelland dan McBer (1985), Edward (1991), Man et al. (2002),
Bygrave dan Zacharakis (2003), Wheeler (2006), Prodan (2007), Willie et al. (2011),
Weiss dan Legrand (2011), serta Kuratko et al. (2012). Justifikasi pemilihan model ini
adalah kerana kesesuaian dengan kajian ini. Kebanyakan kajian yang berkaitan adalah
lebih khusus kepada usahawan secara umum tetapi kajian ini memberi fokus kepada
teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran. Berdasarkan kepada
kajian literatur, penyelidik-penyelidik di luar negara lebih memfokuskan kepada kajian
cabaran utama usahawan IKS di Asia, faktor-faktor kejayaan teknousahawan IKS,
faktor-faktor kejayaan IKS, inovasi IKS, pembangunan teknousahawan, ciri-ciri
peribadi dan kompetensi teknousahawan.

Kajian penyelidik dalam negara pula memfokuskan kepada halangan-halangan
yang mempengaruhi kejayaan usahawan IKS di Malaysia, faktor-faktor penyumbang
kepada kejayaan dan kegagalan IKS Bumiputera di Malaysia, cabaran perniagaan IKS
Malaysia, kekangan yang menghalang usahawan IKS Malaysia untuk ke peringkat
global, sokongan pihak kerajaan, kejayaan program keusahawanan di Malaysia, faktor
kejayaan teknousahawan, kelemahan program inkubator di Malaysia, elemen-elemen
keusahawanan dan faktor-faktor kejayaan serta kegagalan IKS di Malaysia. Antara
punca yang telah dikenal pasti menjadi kelemahan Bumiputera adalah kekuatan
dalaman mereka yang terlibat dengan sektor ini. Di antara kekuatan dalaman seseorang
usahawan yang berjaya adalah ciri-ciri personaliti dan pemikiran mereka. Dalam era
globalisasi yang melanda dunia ketika ini, usahawan Bumiputera kurang mengikuti
perkembangan teknologi dan ditunjangi dengan ciri-ciri personaliti yang baik serta
sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif sama ada untuk memperbaharui perkhidmatan,
produk mahu pun mengimbangi persaingan perniagaan. Kajian-kajian lepas mendapati

177

pemikiran inovatif, ciri-ciri seorang usahawan berjaya seperti komitmen, motivasi,
menganggung risiko, kecekalan, dan suka kepada pembaharuan adalah penting unutk
seseorang teknousahawan. Ciri-ciri seorang usahawan berjaya bukannya suatu yang
semula jadi tetapi memerlukan latihan dan asuhan di samping kematangan serta
pengalaman sepanjang menceburi sektor keusahawanan.

BAB 3

METODOLOGI

3.0 Pengenalan
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji tentang pemikiran inovatif, ciri-ciri dan
kompetensi teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran.
Sehubungan itu, bab ini membincangkan secara terperinci tentang metodologi utama
perlaksanaan kajian ini. Ia merangkumi reka bentuk kajian, peserta kajian, pembinaan
instrumen kajian, kesahan instrumen kajian, prosedur kajian, tatacara penganalisisan,
paparan data kajian, dan rumusan.

179

3.1 Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk kajian merupakan satu rancangan terperinci mengenai tata cara
pengumpulan dan penganalisaan data yang mencakupi aktiviti membuat keputusan
(Sekaran & Bougie, 2010; Zikmund et al., 2010). Menurut Zuraidah (2009), untuk
memastikan sesuatu kajian dilaksanakan dengan perancangan dan kaedah yang
berkualiti, seseorang penyelidik harus merancang penyelidikannya dengan
menggunakan reka bentuk yang sesuai dengan tujuan kajian. Secara umumnya, kajian
ini menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Secara khususnya kajian ini
menggunakan reka bentuk kajian kes. Menurut Mohd. Majid (1998), kajian kes
merupakan penyelidikan yang dilakukan secara intensif oleh penyelidik ke atas satu
unit sosial seperti individu, satu keluarga, satu sekolah atau satu komuniti masyarakat.
Kajian kes adalah satu inkuiri empirikal bagi menyiasat sesuatu fenomena dalam
konteks sebenar dengan menggunakan pelbagai cara untuk memperoleh data (Yin,
2014). Terdapat beberapa rekabentuk kajian kes yang digunakan untuk mengumpul
maklumat seperti single case-single site, single case-multiple sites, multiple cases-
single site dan multiple cases-multiple sites (Yin, 2014) dan dalam kajian ini
penyelidik menggunakan pendekatan kajian kes multiple cases-multiple sites.

Menurut Creswell (2012), kajian kes adalah penerokaan mendalam ke atas
sesuatu fenomena berdasarkan pengumpulan maklumat daripada pelbagai sumber.
Kajian kes juga adalah versatile dan fleksibel kerana ia boleh disesuaikan dengan
pelbagai kaedah penyelidikan kualitatif, situasi serta tujuan kajian menggunakan
pelbagai teknik pengumpulan data (Othman, 2014). Kajian kes penyelidikan ini
menggunakan pendekatan multiple cases-multiple sites yang menggunakan beberapa

180

instrumen termasuk soal selidik, protokol temu bual, borang semak pemerhatian dan
verifikasi dokumen bagi memperihalkan sesuatu fenomena. Dalam kajian ini
pendekatan kajian kuantitatif dan kualitatif dipilih kerana menurut Yin (2014),
penggunaan teknik atau pendekatan yang pelbagai dapat menghasilkan dapatan kajian
yang lebih meyakinkan dan tepat. Menurut Siti Uzairiah (2017), terdapat empat
instrumen utama yang selalu digunakan untuk mengumpul data kajian kes iaitu soal
selidik, protokol temu bual, borang semak pemerhatian dan verifikasi dokumen.

Tujuan kajian ini adalah bagi mengenal pasti pemikiran inovatif, ciri-ciri dan
kompetensi keusahawanan dalam kalangan teknousahawan IKS Bumiputera lepasan
pusat latihan kemahiran. Dalam mendapatkan maklumat data kualitatif responden,
protokol temu bual digunakan kerana ia mempunyai kelebihan iaitu: (i) jika temu bual
dijalankan, masalah ketiadaan tindak balas daripada responden dapat dielakkan, (ii)
dapat menyediakan peluang perbincangan yang lebih mendalam serta penghuraian
dalam aspek yang dikaji, dan (iii) dapat penjelasan yang lebih mendalam melalui temu
bual dengan individu (Wiersma, 2000).

3.2 Peserta Kajian

Berdasarkan maklumat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), anggaran
teknousahawan Bumiputera di Malaysia adalah 198 (ahli DPMM) di mana 39 orang
teknousahawan bidang pembuatan manakala 159 orang pula terlibat dalam bidang
perkhidmatan. Program Teknousahawan MARA pula dari tahun 2013 sehingga ogos
2017 telah melatih serta membiayai seramai 6978 teknousahawan Bumiputera dan

181

dianggarkan 80 peratus (5582 orang) daripadanya berjaya dalam bidang
teknokeusahawanan (Bahagian Pembangunan Usahawan, MARA, 2017). Pemilihan
peserta kajian ini adalah dalam kalangan teknousahawan Bumiputera yang berjaya di
Semenanjung Malaysia. Teknik yang digunakan oleh penyelidik untuk memilih
peserta kajian adalah persampelan nonprobabiliti iaitu teknik bola salji dan
persampelan bertujuan. Teknik persampelan bola salji adalah prosedur persampelan di
mana peserta kajian atau pihak lain diminta untuk mencadangkan subjek kajian yang
mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki oleh penyelidik (Chua, 2006 & Creswell,
2012). Teknik persampelan bertujuan pula adalah merujuk kepada prosedur
persampelan di mana sekumpulan subjek yang mempunyai ciri-ciri tertentu dipilih
sebagai peserta kajian (Chua, 2006 & Creswell, 2012).

Menurut Merriam (1998) dan Lim (2007), teknik persampelan bertujuan ini
popular dalam penyelidikan kualitatif. Wiersma (2000) berpendapat persampelan
bertujuan membolehkan penyelidik mencari kumpulan, persekitaran dan individu di
mana fenomena sebenar berlaku. Kedua-dua teknik ini digunakan untuk memudahkan
pengesanan teknousahawan Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran yang
berjaya. Di samping itu, teknik tersebut juga memberi kelebihan kepada penyelidik
untuk memilih peserta kajian yang mempunyai ciri-ciri tertentu seperti bekas pelajar
pusat latihan kemahiran, telah berkecimpung dalam perniagaan dalam tempoh antara
lima hingga sepuluh tahun dan memiliki premis perniagaan sendiri. Selain itu,
pemilihan teknik ini juga adalah disebabkan oleh beberapa kekangan yang dialami
oleh penyelidik seperti kesukaran memilih teknousahawan Bumiputera yang berjaya
kerana pada ketika ini 80 peratus daripada teknousahawan Bumiputera hanya berada
pada peringkat awal pembangunan, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak mampu

182

mengembangkan perniagaan kerana kekurangan dana (Edwin, 2008). Penyelidik juga
menghadapi cabaran untuk memilih peserta kajian dalam kalangan teknousahawan
Bumiputera berjaya yang memiliki latar belakang teknikal atau vokasional serta
lepasan pusat latihan kemahiran. Menurut Okorie et al. (2014), kebanyakan
teknousahawan tidak memiliki latar belakang teknikal atau vokasional. Oleh kerana
penyelidikan ini merupakan kajian kes ke atas sekumpulan individu teknousahawan
IKS Bumiputera dan bukan sampel kajian yang dipilih secara rawak daripada suatu
populasi maka pemilihan teknik persampelan nonprobabiliti iaitu teknik bola salji dan
persampelan bertujuan sesuai untuk kajian ini (Chua, 2006). Melalui teknik bola salji,
pemilihan peserta kajian ini adalah melalui saranan teknousahawan (teknousahawan
yang telah dipilih menjadi peserta kajian) yang mencadangkan nama usahawan
berjaya yang lain. Dalam kajian ini, teknik persampelan bertujuan digunakan untuk
memilih peserta kajian yang menghadiri seminar keusahawanan. Penyelidik
menetapkan kategori dan kriteria pemilihan peserta kajian berdasarkan ciri-ciri yang
dimiliki oleh teknousahawan seperti mempunyai latar belakang bidang vokasional
(lepasan pusat latihan), telah menjalankan perniagaan antara lima hingga sepuluh
tahun, menceburi bidang perniagaan berasaskan teknologi dan memiliki premis
sendiri.

Peserta kajian ialah teknousahawan Bumiputera lepasan pusat latihan
kemahiran yang berjaya di Semenanjung Malaysia. Faradillah et al. (2015)
menyatakan bahawa usahawan yang berjaya adalah mereka yang mempunyai
pemikiran inovatif yang tinggi, dapat menghasilkan idea serta produk baharu untuk
meningkatkan daya saing perniagaan. Manakala McDougall dan Oviatt (2000) pula
berpendapat usahawan yang berjaya seharusnya mempunyai gabungan ciri-ciri

183

inovatif, proaktif dan berupaya menghadapi risiko. Teknousahawan adalah individu
yang menggabungkan kehebatan teknologi dan bakat keusahawanan serta kemahiran
untuk menjana keuntungan (Azahari et al., 2013). Dalam kajian ini, bilangan
teknousahawan yang dipilih menjadi peserta kajian ini adalah seramai 32 orang.
Menurut Roscoe (1975), saiz peserta kajian haruslah tidak kurang daripada 30 orang
kerana data yang diperolehi daripada bilangan sampel yang kurang daripada jumlah
tersebut akan mengakibatkan kesan anggaran yang tidak begitu tepat dan bermakna.
Patton (2015) pula menegaskan bilangan peserta kajian yang kecil membolehkan
penyelidik memberi tumpuan yang mendalam dan teliti tentang data. Noor Aini dan
Zamri (2015) menyatakan pemilihan saiz sampel bergantung kepada tujuan, masa dan
perkara yang dikaji. Kesemua teknousahawan tersebut telah terlibat dalam bidang
teknokeusahawanan antara lima hingga 10 tahun. Di samping itu, penyertaan adalah
berdasarkan kerelaan dan kesanggupan kesemua teknousahawan untuk melibatkan diri
dalam kajian ini. Untuk memastikan peserta kajian ini menepati ciri-ciri
teknousahawan yang sesuai untuk kajian ini, penyelidik membina dan mengumpul
profil peserta menggunakan borang profil teknousahawan sebagai pengesahan.

3.2.1 Kriteria Pemilihan Peserta Kajian

Menurut Nichlos dan Amstrong (2003), teknousahawan ialah individu yang
menganjur, mengurus dan menanggung risiko sesuatu teknologi syarikat perniagaan
kejuruteraan. Azahari et al. (2013) pula menyatakan bahawa teknousahawan adalah
individu yang menggunakan teknologi untuk mengubah sumber kepada barangan dan
perkhidmatan, mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan industri.

184

Dalam kajian ini, teknousahawan ialah usahawan yang menggunakan teknologi untuk
tujuan perniagaan dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan yang menggunakan
teknologi terkini sama ada dalam urusan penghasilan, pemasaran atau pun
pengurusan. Kriteria pemilihan peserta kajian dalam kalangan teknousahawan IKS
Bumiputera adalah berdasarkan beberapa ciri seperti berikut: (i) bekas pelajar pusat
latihan kemahiran awam, (ii) tempoh menceburi bidang teknokeusahawanan, (iii) jenis
perniagaan yang dijalankan dan (iv) memiliki premis perniagaan sendiri.

(i) Bekas Pelajar Pusat Latihan Kemahiran Awam

Oleh kerana kajian ini adalah memfokuskan kepada teknousahawan lepasan pusat
latihan kemahiran, penyelidik memilih peserta kajian dalam kalangan teknousahawan
berjaya yang mempunyai latar belakang teknikal atau vokasional daripada pusat
latihan kemahiran awam seperti lepasan sekolah menengah teknik atau vokasional,
GIATMARA, Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP),
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti, Akademik Binaan
Malaysia (ABM), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan lain-lain pusat
latihan kemahiran awam.

(ii) Tempoh Menceburi Bidang Teknokeusahawanan

Untuk tempoh menceburi bidang teknokeusahawanan, penyelidik memilih
teknousahawan yang terlibat dalam perniagaan antara lima hingga sepuluh tahun.

185

Jangka masa tersebut merupakan tempoh yang diambil oleh seseorang usahawan
untuk menstabilkan perniagaan mereka. Menurut Wiklund dan Shepherd (2005),
tempoh seorang usahawan untuk menstabilkan perniagaan adalah antara lima hingga
sepuluh tahun dan ia adalah antara faktor yang menyumbang kepada prestasi
usahawan IKS. Kuratko dan Hodgetts (2004) pula menyatakan pengalaman lebih lima
tahun terlibat dengan perniagaan menjadikan mereka dianggap sebagai pakar dan
dijangka dapat memberikan pengetahuan serta mampu memberikan maklumat yang
diperlukan.

(iii) Jenis Perniagaan yang Dijalankan

Kebanyakan bidang perniagaan teknokeusahawanan ini menjurus kepada sektor
perkhidmatan dan pembuatan maka penyelidik memilih peserta kajian dalam kalangan
teknousahawan yang menjurus kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan sahaja.
Menurut Mohd Abdullah dan Hazianti (2006) menyatakan bahawa teknousahawan
Bumiputera kebanyakannya terlibat dalam perniagaan yang berasaskan penghasilan
produk dan perkhidmatan dengan menggunakan teknologi terkini.

Syed Zamberi (2009) pula menyatakan majoriti teknousahawan di Malaysia
adalah usahawan IKS yang terlibat dengan industri pembuatan. Sektor perkhidmatan
yang dipilih adalah perniagaan yang menyajikan perkhidmatan customize yang
menggunakan teknologi terkini. Perkhidmatan customize adalah inovasi yang
dilakukan teknousahawan berdasarkan permintaan pelanggan seperti pemasangan
sistem audio dan baik pulih kapal dagang. Sektor pembuatan pula adalah penghasilan

186

produk yang menggunakan teknologi tinggi dan telah dilakukan inovasi iaitu produk
makanan, mesin atau tekstil.

(iv) Memiliki Premis Perniagaan

Kriteria pemilihan peserta kajian yang terakhir adalah teknousahawan haruslah
memiliki premis perniagaan sendiri seperti pejabat atau kilang sama ada milikan
sendiri atau disewa. Pemilikan premis ini penting untuk melihat kelangsungan
perniagaan yang dijalankan oleh teknousahawan.

3.3 Instrumen Kajian

Instrumen yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada instrumen kajian
kuantitatif yang menggunakan dua instrumen iaitu (i) instrumen profil teknousahawan
dan (ii) instrumen soal selidik. Manakala instrumen untuk memungut data kualitatif
pula adalah terdiri daripada; (i) protokol temu bual, (ii) borang semak pemerhatian,
(iii) verifikasi dokumen dan (iv) soalan terbuka. Instrumen-instrumen seperti profil
teknousahawan, soal selidik, protokol temu bual, borang semak pemerhatian dan
soalan terbuka digunakan dalam kajian ini adalah untuk mengenal pasti pemikiran
inovatif, ciri-ciri dan kompetensi keusahawanan dalam kalangan teknousahawan IKS
Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran.

187

Instrumen verifikasi dokumen pula digunakan untuk mendapatkan pengesahan
berkenaan dengan kursus yang dihadiri teknousahawan, dokumen perniagaan seperti
lesen dan juga sijil-sijil penghargaan berkaitan dengan perniagaan yang diterima oleh
teknousahawan. Verifikasi dokumen juga dilakukan sebagai triangulasi kajian
terhadap dapatan soal selidik dan protokol temu bual. Menurut Marohaini (2013),
triangulasi adalah penting kerana ia dapat memperkukuhkan kesahan dalam
rekabentuk kajian yang dijalankan. Setiap kajian perlu ada triangulasi iaitu
pengumpulan data menggunakan pelbagai instrumen supaya memberikan hasil yang
lebih tepat dan meyakinkan (Yin, 2014).

Oleh kerana saiz sampel yang kecil, hasil dapatan tidak dapat
digeneralisasikan ke atas populasi. Namun begitu dapatan kajian yang menggunakan
rekabentuk pendekatan kuantitatif dan kualitatif dapat memberikan gambaran,
maklumat, interpretasi dan pemahaman yang mendalam bagi menjawab persoalan-
persoalan kajian yang telah dibentuk untuk kajian ini. Untuk memastikan kesahan dan
kebolehpercayaan dapatan, instrumen yang digunakan untuk penyelidikan ini telah
dirujuk kepada empat orang pakar bidang keusahawanan serta seorang teknousahawan
untuk memastikan item-item soalselidik, protokol temu bual, protokol pemerhatian
dan verifikasi dokumen sesuai digunakan untuk penyelidikan ini.

3.3.1 Instrumen Kuantitatif

Instrumen untuk memungut data kuantitatif terdiri daripada (i) profil teknousahawan
dan (ii) soal selidik. Instrumen profil teknousahawan mengandungi item-item yang

188

digunakan untuk mengumpul maklumat berkaitan dengan latar belakang peribadi,
latar belakang keluarga, latar belakang pendidikan, latihan keusahawanan,
pengalaman kerja, latar belakang perniagaan, pengetahuan dan sokongan. Selain
daripada mengumpul maklumat yang berkaitan dengan elemen-elemen tersebut,
instrumen profil teknousahawan juga berperanan sebagai pengesahan bahawa peserta
kajian memenuhi kriteria seperti yang telah ditetapkan.

Instrumen soal selidik pula dibangunkan untuk mengukur konstruk-konstruk
kajian. Ia terdiri daripada item-item untuk mengumpul maklumat pemikiran inovatif,
ciri-ciri keusahawanan, kompetensi keusahawanan dan soalan terbuka. Untuk
mencapai objektif kajian ini serta memudahkan penganalisisan data yang diperolehi,
maka instrumen soal selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu: Bahagian A
(pemikiran inovatif), Bahagian B (ciri-ciri keusahawanan), Bahagian C (kompetensi
keusahawanan) dan Bahagian D (soalan terbuka). Susunan item dalam setiap bahagian
dimulakan dengan soalan yang mudah dan seterusnya kepada soalan yang lebih sukar.
Soal selidik digunakan kerana ia membabitkan kos yang rendah dan datanya senang
dianalisis (Cohen et al., 2011). Di samping itu juga, soal selidik dapat mengumpul
data maklumat yang lebih tepat (Anderson, 2002; Norasmah, 2002; Mohd Majid,
2005; Wiersma, 2000; Wiersma & Jurs, 2005). Soal selidik juga lebih sesuai
digunakan untuk menjamin kerahsiaan peserta kajian (Miller, 1974). Zainudin (2012)
pula menegaskan bahawa kebaikan utama soal selidik ialah jika disediakan dengan
baik, boleh menghasilkan dapatan yang boleh dipercayai. Peserta juga bebas
memberikan respon tanpa dipengaruhi oleh penyelidik.

189

Jadual 3.1 menunjukkan bilangan item untuk profil teknousahawan yang terdiri
daripada lapan elemen iaitu latar belakang peribadi, latar belakang keluarga, latar
belakang pendidikan, latihan keusahawanan, pengalaman bekerja, latar belakang
perniagaan, dan pengetahuan serta sokongan.

Jadual 3.1 Bilangan Item

Bilangan Item Profil Teknousahawan 2
1
Bahagian 2
Latar belakang peribadi 2
Latar belakang keluarga 3
Latar belakang pendidikan 13
Latihan keusahawanan 5
Pengalaman bekerja
Latar belakang perniagaan 28
Pengetahuan dan sokongan

Jumlah Item

Dalam Jadual 3.2 menunjukkan bilangan item untuk soal selidik yang terdiri
daripada 120 item yang merangkumi aspek-aspek pemikiran inovatif, ciri-ciri serta
kompetensi keusahawanan dan dilampirkan bersama lapan soalan terbuka.

Jadual 3.2

Bilangan Item Soal Selidik

Bahagian Bahagian Bahagian Bahagian Bahagian Jumlah
Konstruk A B C D Item
Bilangan Item
Pemikiran Ciri-ciri Kompetensi Soalan 120
Inovatif Keusahawanan Keusahawanan Terbuka

32 36 44 8

190

Jadual 3.3 menunjukkan konstruk dan dimensi yang terdapat dalam instrumen soal
selidik.

Jadual 3.3
Konstruk Setiap Bahagian untuk Soal Selidik

Bahagian Konstruk Dimensi

A Pemikiran Inovatif i. Kemahiran menyelesai masalah
ii. Kemahiran berfikir kritis
iii. Pemikiran strategik
iv. Inovasi

B Ciri-ciri keusahawanan i. Mengambil risiko yang munsabah
ii. Motivasi
iii. Mempunyai matlamat
iv. Inisiatif dan kecekalan
v. Komitmen kerja
vi. Suka kepada pembaharuan

C Kompetensi i. Kompetensi strategik
Keusahawanan ii. Kompetensi komitmen
iii. Kompetensi mencari idea baharu
iv. Kompetensi mencari peluang
v. Kompetensi kepimpinan
vi. Kompetensi membina hubungan

D Soalan terbuka Enam soalan

Item-item soal selidik yang digunakan telah diadaptasi daripada Carol (2000),
Zaidatol Akmaliah (1999), Nurul Huda (2006), Man (2001) dan juga dibangunkan
sendiri oleh penyelidik berdasarkan tinjauan literatur. Skala Likert lima
pemeringkatan digunakan untuk item-item pada Bahagian A (pemikiran inovatif),

191

Bahagian B (ciri-ciri teknokeusahawanan) dan Bahagian C (kompetensi
teknokeusahawanan). Skala Likert digunakan kerana ia merupakan skala yang popular
digunakan untuk mengumpul maklumat dalam tempoh yang singkat dan mudah untuk
dianalisis dengan berkesan (Mohd. Najib, 2003; Wiersma & Jurs 2005; Chua, 2006).
Chua (2006) pula mengakui data-data yang diperolehi melalui skala Likert
mempunyai kebolehpercayaan yang lebih tinggi berbanding dengan skala-skala lain.
Anderson (2002) turut mengakui penggunaan skala Likert memudahkan proses
pengutipan data bagi membantu penyediaan maklumat deskriptif atau boleh
dimanipulasikan dalam cara yang lebih kompleks. Respon kajian terhadap item soal
selidik yang dikemukakan adalah merujuk kepada nilai skala Likert lima poin iaitu:
Sangat Tidak Setuju (1), Tidak Setuju (2), Tidak Pasti (3), Setuju (4) dan Sangat
Setuju (5).

Responden diminta menjawab soal selidik yang terkandung di dalam borang
soal selidik dengan menyatakan persetujuan mereka terhadap pernyataan dengan
menggunakan skala Likert satu hingga lima. Maksudnya skala terendah adalah satu
menunjukkan tahap persetujuan yang sangat rendah dan skala tertinggi lima
menunjukkan tahap persetujuan yang sangat tinggi. Skala Likert lima pemeringkatan
yang digunakan untuk Bahagian A, B dan C dalam kajian ini disusun secara pilihan
mengikut kesesuaian. Bagi Bahagian D pula merupakan soalan terbuka dibangunkan
untuk memperolehi pendapat atau respons peserta kajian terhadap soalan-soalan yang
dikemukakan. Data kuantitatif yang diperolehi daripada soal selidik dan data kajian
kualitatif yang diperolehi melalui soalan terbuka, temu bual, pemerhatian dan
verifikasi dokumen digunakan untuk tujuan triangulasi data.

192

Untuk tujuan tersebut, data kuantitatif dibandingkan dengan data kualitatif merentas
konstruk yang dikaji. Data empirikal yang diperolehi melalui soal selidik dianalisis
secara deskriptif.

3.3.2 Temu bual

Protokol temu bual dibangunkan untuk mengumpul data kualitatif berkaitan dengan
faktor-faktor kejayaan, halangan dan rintangan sebelum mereka berjaya serta untuk
mengenal pasti apakah kekuatan yang terdapat dalam diri teknousahawan sehingga
berjaya dalam perniagaan. Temu bual sesuai dilaksanakan dalam kajian kes ini kerana
data yang diperolehi hasil daripada temu bual ke atas peserta kajian dalam suasana
semula jadi memberikan data kualitatif yang agak mendalam (Miles & Huberman,
1984). Tambahan pula, data temu bual diperlukan dalam pembuktian kajian kes (Yin,
2003; Remenyi et al., 2003). Di samping itu, temu bual merupakan salah satu cara
yang sering digunakan untuk mengumpulkan data kualitatif (Chua, 2006). Othman
(2006) menyatakan bahawa penyelidikan kualitatif banyak bergantung kepada temu
bual dalam mengumpul maklumat.

Mengikut Chua (2006), teknik temu bual dilakukan secara lisan dan jawapan
direkod oleh penyelidik secara bertulis, melalui rakaman, kaset, video atau media
elektronik yang lain. Temu bual merupakan interaksi bersemuka yang melibatkan
perbualan dua hala di antara penemu bual dan peserta dengan tujuan untuk
mengumpul data kajian (Chua, 2006). Penyelidik memilih untuk melaksanakan
teknik temu bual dalam proses pengumpulan data kajian dengan tujuan untuk

193

mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam konstruk-konstruk yang dikaji. Mohd
Nor Azhari dan Ramlee (2014) menyatakan temu bual merupakan cara bagi
mengumpul data kualitatif yang lebih spesifik dan mendalam. Creswell (2005) dan
Gall et al. (2003) juga mengakui protokol temu bual berguna bagi mendapatkan
maklumat yang lebih mendalam mengenai sesuatu isu yang dikaji berbanding
instrumen yang lain seperti soal selidik. Nixon (1990) pula berpendapat bahawa temu
bual merupakan salah satu cara yang boleh memberi maklumat tambahan yang
penting dengan lebih mendalam dan terperinci mengenai sesuatu perkara dari
beberapa sudut yang mungkin tidak terdapat dalam soal selidik atau instrumen lain.
Menurut Miles dan Huberman (1984), temu bual juga membolehkan penyelidik
mendapatkan akses kepada data yang lebih komprehensif berdasarkan pengalaman-
pengalaman yang merupakan sesuatu yang penting dalam kajian saintifik. Bilangan
responden yang ditemu bual untuk kajian ini adalah seramai sembilan orang yang
dipilih dalam kalangan peserta yang terlibat dengan kajian ini. Walaupun bilangannya
kecil namun ia mencukupi kerana jumlah yang diambil untuk temu bual ini bertepatan
dengan syarat-syarat Gredler (1996), iaitu antara tujuh hingga dua belas orang.

Dalam kajian ini, proses temu bual bersama peserta kajian mengambil masa di
antara 45 minit hingga sejam. Menurut Merriam (1998), terdapat tiga jenis temu bual
yang sering digunakan iaitu temu bual berstruktur, temu bual separa berstruktur dan
temu bual tidak berstruktur. Temu bual yang dilakukan dalam kajian ini adalah temu
bual berstruktur. Soalan-soalan yang digubal adalah berkisar kepada faktor-faktor
yang membantu untuk menjadi teknousahawan yang berjaya, halangan-halangan yang
ditempuhi dan cara mengatasi halangan tersebut, penginovasian yang dilakukan
terhadap perniagaan mereka dan pandangan teknousahawan terhadap peranan agensi-

194

agensi kerajaan terhadap pembangunan teknousahawan di Malaysia. Temu bual
berstruktur melibatkan penemubual menggunakan soalan-soalan yang telah ditentukan
untuk semua peserta kajian (Othman, 2014). Menurut Lim (2007), temu bual
berstruktur dapat meminimumkan bias penemubual dan mencapai keseragaman yang
tinggi.

3.3.3 Pemerhatian

Menurut Denzin dan Lincoln (2000), pemerhatian adalah perlakuan merekod
fenomena menggunakan instrumen untuk tujuan saintifik. Creswell (2012) pula
menyatakan bahawa pemerhatian adalah proses mengumpul maklumat secara terbuka
dan secara langsung tentang perlakuan manusia serta tempat yang dikaji. Pemerhatian
terdiri daripada beberapa kategori seperti: pemerhatian berstruktur, pemerhatian
separa berstruktur, dan pemerhatian tidak berstuktur (Noraini, 2010). Pemerhatian
yang dijalankan dalam kajian ini adalah pemerhatian berstruktur. Dalam pemerhatian
berstruktur, aspek yang hendak diperhatikan dikenalpasti terlebih dahulu dan
diletakkan dalam satu borang senarai semak (Noraini, 2010). Aspek yang diperhatikan
adalah untuk memperoleh maklumat yang lebih tepat tentang bagaimana
teknousahawan melakukan penginovasian sama ada produk pengeluaran, teknologi
mahu pun pengurusan organisasi serta cara mereka mengendalikan perniagaan.
Pemerhatian ini juga adalah merupakan triangulasi terhadap data-data kuantitatif dan
kualitatif yang diperolehi melalui profil teknousahawan, soal selidik, temu bual dan
verifikasi dokumen.

195

Delmont (1992), Hammerseley dan Atkinson (1995) serta Malakolunthu (2001) pula
menyatakan triangulasi data yang dikumpulkan melalui pelbagai alat kajian termasuk
pemerhatian adalah penting. Menurut Othman (2006), pemerhatian perlu dijalankan
bersama dengan temu bual serta verifikasi dokuman kerana maklumat tersebut boleh
ditriangulasi atau digabungkan untuk menjelaskan dapatan yang diperolehi dengan
lebih mendalam. Dalam kajian ini, penyelidik menyenaraikan 40 item pemerhatian
terhadap peserta kajian yang merangkumi aspek-aspek berkaitan pengendalian permis,
pengurusan akaun, pengurusan pekerja, jaringan, inovasi yang dilakukan, anugerah
keusahawanan dan komunikasi dalam syarikat.

3.3.4 Verifikasi Dokumen

Verifikasi dokumen adalah proses penyemakan dokumen yang dimiliki oleh
responden kajian untuk tujuan memperolehi maklumat tambahan sebagai kesahan
kepada data yang diperolehi menerusi instrumen lain (Remenyi et al., 2003). Dalam
kajian ini, verifikasi dokumen yang dilakukan melibatkan dokumen-dokumen milik
peserta kajian seperti; lesen perniagaan, sijil akademik, sijil kemahiran, sijil kehadiran
kursus, sijil anugerah keusahawanan, dokumen pemilikan premis serta dokumen-
dokumen lain yang difikirkan perlu oleh penyelidik.

Menurut Remenyi et al. (2003), verifikasi dokumen selalunya digunakan untuk
menyokong dan menambahkan pembuktian dari sumber lain. Siti Uzairiah (2017) pula
menyatakan pengumpulan data melalui instrumen ini sangat bermanfaat kerana ia
secara relatif adalah kos efektif dan sesuai apabila penyelidik ingin membuat kajian

196

tanpa menganggu persekitaran tabii. Dalam kajian ini, verifikasi dokumen dilakukan
sebagai triangulasi kajian dan pengesahan. Verifikasi dokumen ditriangulasikan
dengan data profil teknousahawan, soal selidik, protokol temu bual, dan pemerhatian.

3.4 Kesahan Kajian

Kesahan didefinisikan sebagai ketepatan (appropriateness), kebenaran (truthfulness),
bermakna (meaningfulness) dan kebolehgunaan (usefulness) instrumen yang
membolehkan data-data diinferenkan (Fraenkel & Wallen, 1996). Kesahan juga
bermaksud kebolehan sesuatu ujian mengukur apa yang hendak diukur (Nuzul
Nazirah & Khairul Anuar, 2014). Dalam erti kata lain, instrumen penyelidikan
haruslah mampu mengukur dengan tepat apa yang ingin diukur (Noraini, 2010).

Menurut Burton dan Mazerolle, (2011) serta Bolliger dan Inam (2012),
kesahan merujuk kepada tahap instrumen sesuatu kajian yang sebenarnya mengukur
apa yang sepatutnya diukur. Ciri utama bagi menentukan kesesuaian dan
kebolehgunaan sesuatu instrumen ialah kesahan dan kebolehpercayaan. Kesahan
digunakan untuk mengukur ketepatan sesuatu ukuran yang digunakan dalam kajian
(Kamarul, 2012). Kesahan bertujuan bagi memastikan sama ada ukuran atau indikator
yang digunakan itu mengandungi semua ciri atau gagasan yang baru adalah dalam
konsep yang diukur itu. Kesahan dalam kajian ini melibatkan kesahan instrumen
kajian, kajian rintis dan triangulasi kajian.

197

3.4.1 Kesahan Instrumen Kajian

Jenis-jenis kesahan instrumen terdiri daripada kesahan luaran, kesahan dalaman,
kesahan kandungan, kesahan hubungan kriteria, kesahan konstruk, dan kesahan muka
bagi instrumen kajian kuantitatif (Creswell, 2012; Noraini, 2010 & Lim, 2007). Bagi
kesahan instrumen kajian kualitatif pula terdiri daripada kesahan dalaman dan kesahan
luaran (Merriam, 2001 & Othman, 2012). Dalam kajian ini kesahan instrumen
kuantitatif menggunakan kesahan konstruk. Kesahan konstruk merujuk kemampuan
setiap item yang dikemukakan mengukur konstruk yang dikaji (Lim, 2007). Instrumen
kualitatif pula menggunakan kesahan dalaman. Menurut Othman (2011), kesahan
dalaman merupakan darjah di mana kesimpulan penyelidik adalah sah berasaskan
bukti yang kukuh. Kesahan instrumen kajian dilakukan untuk memastikan instrumen
yang akan digunakan dalam kajian ini sesuai dan boleh mengukur persoalan kajian
yang akan dilakukan. Kebolehpercayaan bertujuan untuk mengetahui sama ada ukuran
itu memberikan jawapan yang sama apabila ia digunakan untuk mengukur konsep
yang sama kepada populasi, sampel atau responden yang sama (Sabitha, 2005).

Creswell dan Miller (2000) pula mendefinisikan kesahan instrumen kajian
sebagai ketepatan pernyataan atau penjelasan dalam mewakili situasi sebenar peserta
kajian dalam fenomena sosial. Zikmund et al. (2010) pula menyatakan kesahan
instrumen kajian adalah ketepatan ukuran atau sejauh mana skor yang benar
mengukur konsep yang diukur. Miles dan Huberman (1984) berpendapat tidak ada
peraturan tertentu dalam pembinaan kesahan dan kebolehpercayaan dalam kajian
kualitatif. Untuk kesahan instrumen dalam kajian ini, penyelidik menghantar kesemua
instrumen kajian iaitu: (i) profil teknousahawan, (ii) soal selidik, (iii) protokol temu

198

bual, (iv) borang semak pemerhatian dan (v) borang verifikasi dokumen kepada enam
orang penilai iaitu, lima orang pakar bidang keusahawanan dan seorang
teknousahawan. Kesemua instrumen yang telah diteliti dan dinilai oleh pakar
seterusnya diperbaiki semula dari segi bahasa, kesesuaian serta strukturnya agar ia
sesuai dengan objektif serta persoalan kajian.

3.4.2 Kajian Rintis

Instrumen kajian yang telah diteliti dan dinilai oleh pakar bidang akan melalui kajian
rintis terlebih dahulu sebelum digunakan kepada peserta kajian sebenar. Kajian rintis
dilakukan bertujuan untuk mengesan kelemahan instrumen dari segi soalan yang
lemah, pengolahan bahasa, arahan yang tidak lengkap dan item yang mengelirukan
responden. Dengan cara itu ketepatan instrumen dari aspek kefahaman tatabahasa,
kejelasan dan isi kandungan dapat difahami oleh peserta kajian serta sesuai dengan
kajian ini. Cooper dan Schindler (2008) menyatakan kajian rintis membolehkan
pengesanan kelemahan ke atas instrumen yang digunakan yang digunakan dalam
sesuatu kajian.

Kajian rintis yang dijalankan juga boleh memberi ruang kepada responden
untuk mengemukakan komen dan pandangan untuk memperbaiki instrumen yang
dibina (Lilia et al., 2003). Menurut Mohd Majid (2000), melalui kajian rintis,
kesesuaian, ketepatan soalan serta format yang digunakan dapat dikenal pasti dan
kelemahan-kelemahan kecil boleh diperbaiki untuk memastikan penghasilan
instrumen yang bermutu. Bagi instrumen soal selidik, Alias (1999) berpendapat

199

bahawa kajian rintis dijalankan bagi menguji kefahaman responden terhadap item-
item dalam soal selidik serta menguji kebolehpercayaan alat kajian tersebut. Melalui
kajian rintis juga penyelidik dapat menyemak arahan, menguji item dalam soal selidik
dan menganggarkan tempoh masa menjawab (Lim, 2007). Bilangan peserta kajian
rintis untuk penyelidikan ini adalah seramai 10 orang teknousahawan yang
mempunyai kriteria hampir sama dengan peserta kajian sebenar. Jumlah ini adalah
berdasarkan kepada pernyataan beberapa penyelidik terdahulu seperti Bernard (2000)
mencadangkan enam sehingga 10 individu. Hill (1998) pula menyatakan bilangan
responden seramai 10 hingga 30 orang adalah memadai bagi kajian rintis. Setelah
data kuantitatif kajian rintis diperolehi, ia dianalisis dengan menggunakan perisian
komputer Statistical Package for Science Social (SPSS 20.0 for Mac). Indeks
kebolehpercayaan Alfa Cronbach (a) digunakan untuk menguji kebolehpercayaan
data yang dikumpulkan melalui soal selidik.

Nilai Alfa Cronbach (a) adalah kebolehpercayaan atau koefisien realiabiliti
yang menggambarkan bagaimana satu set item mempunyai hubungan positif antara
satu sama lain. Semakin tinggi nilai Alfa Cronbach (a) mendekati 1, semakin tinggi
kebolehpercayaan. Nilai Alfa Cronbach (a) yang kurang daripada 0.6 menunjukkan
kebolehpercayaan yang rendah manakala nilai yang melebihi 0.7 merupakan
kebolehpercayaan yang baik (Alias, 1999). Keputusan daripada kajian rintis ke atas
10 orang peserta kajian ini digunakan untuk memperbaiki soal selidik sebelum kajian
sebenar dilakukan. Indeks kebolehpercayaan Alfa Cronbach (a) untuk keseluruhan
instrumen soal selidik kajian ini adalah 0.838. Indeks kebolehpercayaan Alfa
Cronbach (a) untuk setiap konstruk yang dikaji ialah seperti berikut iaitu: konstruk

200

ciri-ciri keusahawanan a = 0.837, kompetensi keusahawanan a = 0.838 dan pemikiran
inovatif a = 0.839. Berdasarkan kepada pernyataan Alias (1999), nilai Alfa Cronbach
(a) intrumen ini menunjukkan ianya mempunyai kebolehpercayaan yang baik. Dalam
kajian rintis ini, terdapat beberapa item yang dibuang kerana mempunyai nilai Alfa
Cronbach (α) kurang daripada 0.7. Item-item yang dibuang kerana mempunyai nilai
Alfa Cronbach (α) kurang daripada 0.7 adalah dua item daripada konstruk pemikiran
inovatif, dua item daripada konstruk ciri-ciri teknokeusahawanan dan satu daripada
item konstruk kompetensi teknokeusahawanan. Terdapat juga beberapa item yang
dibuang kerana pernyataan yang mengelirukan berdasarkan komen yang diberi peserta
kajian rintis. Item-item tersebut adalah satu daripada item konstruk pemikiran
inovatif, dua item daripada konstruk ciri-ciri teknokeusahawanan dan tiga item
konstruk kompetensi teknokeusahawanan. Untuk pengesahan instrumen kajian
kualitatif (temu bual, pemerhatian dan verifikasi dokumen) penyelidik telah
mengemukakan protokol temu bual, borang semak pemerhatian dan borang verifikasi
dokumen kepada lima orang pakar.

Menurut Bogdan dan Biklen (2003), pengesahan daripada pakar diperlukan
untuk meningkatkan kebolehpercayaan data dalam kajian kualitatif. Cresswell dan
Miller (2000) pula menyatakan kesahan instrumen dalam kajian kualitatif sebagai
ketepatan pernyataan yang disahkan oleh beberapa orang pakar. Setelah instrumen
disahkan oleh pakar, kajian rintis dijalankan untuk menguji ketepatan pernyataan
soalan yang dikemukakan kepada peserta kajian dari segi pengolahan bahasa dan
struktur tatabahasanya. Jadual 3.4 menunjukkan nilai Alfa Cronbach kajian rintis bagi
setiap konstruk untuk soal selidik.

201

Jadual 3.4

Nilai Alpha Kajian Rintis bagi Setiap Konstruk untuk Soal Selidik

Konstruk No. Item Nilai Alpha

Pemikiran Inovatif 01, 02,03, 04, 05, 06, 07, 08, 09, 10, 0.839
Ciri-ciri keusahawanan 11, 12, 13, 14, 15, 16, 17, 18, 19, 0.837
Kompetensi keusahawanan 20, 21, 22, 23, 24, 25, 26, 27, 28, 0.838
29, 30, 31, 32

33, 34, 35, 36, 37, 38, 39, 40, 41,
42, 43, 44, 45, 46, 47, 48, 49, 50,
51, 52, 53, 54, 55, 56, 57, 58, 59,
60, 61, 62, 63, 64, 65, 66, 67, 68

69, 70, 71, 72, 73, 74, 75, 76, 77,
78, 79, 80, 81, 82, 83, 84, 85, 86,
87, 88, 89, 90, 91, 92, 93, 94, 95,
96, 97, 98, 99, 100, 101, 102, 103,
104, 105, 106, 107, 108, 109, 110,
111, 112

3.4.3 Triangulasi Kajian

Kebolehpercayaan dalam sesuatu kajian adalah merupakan satu aspek yang penting.
Kebolehpercayaan sesuatu kajian itu boleh diketahui atau ditingkatkan dengan
menguji sama ada suatu ukuran atau nilai itu memberikan jawapan yang sama apabila
ia digunakan untuk mengukur konsep yang sama kepada populasi, sempel atau
responden yang sama (Sabitha, 2005). Triangulasi merupakan satu cara yang
digunakan untuk mengetahui, meningkatkan dan mengesahkan kebolehpercayaan data
dalam sesuatu kajian. Menurut Creswell (2012), triangulasi adalah proses
mengesahkan bukti daripada individu yang berbeza, daripada pelbagai sumber data,
pelbagai dokumen dan pelbagai tema dalam penyelidikan kualitatif. Triangulasi juga

202

merupakan kesahan data dalaman dan kesahan kriteria dengan membuat triangulasi
data antara data kualitatif dari temu bual, pemerhatian dan verifikasi dokumen dengan
data kuantitatif melalui soal selidik (Merton & Kandall, 1946). Merriem (1998) pula
menyatakan triangulasi merupakan salah satu kaedah yang boleh meningkatkan
kebolehpercayaan penyelidikan kualitatif. Norwaliza (2014) juga menyatakan bahawa
kajian yang menggunakan pendekatan kajian kes menggunakan instrumen temu bual,
pemerhatian dan verifikasi dokumen, penggunaan penggunaan teknik triangulasi itu
sendiri dapat memperkukuhkan kesahan kajian. Terdapat beberapa jenis triangulasi
yang biasa digunakan antaranya ialah triangulasi data, triangulasi penyelidik,
triangulasi teori, triangulasi metod dan triangulasi persekitaran (Othman, 2006).
Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan teknik triangulasi pengesahan data
kuantitatif dan kualitatif yang dikumpul melalui pelbagai instrumen seperti soal
selidik, temu bual, pemerhatian dan verifikasi dokumen. Dengan triangulasi data maka
kesahan dapat diwujudkan (Othman, 2006).

Patton (2002) menyatakan teknik triangulasi data digunakan dengan cara
mengumpul pelbagai data dengan menggunakan instrumen yang berbeza. Penggunaan
teknik triangulasi menggunakan pungutan data yang diperoleh melalui sumber
dokumen lain seperti verifikasi dokumen bukan sahaja boleh menyokong serta
menambahkan bukti daripada pelbagai sumber lain, tetapi juga membantu
mengesahkan maklumat yang didapati daripada temu bual dan pemerhatian
(Malakolunthu, 2001). Dalam kajian ini, data-data yang diperolehi dari setiap peserta
kajian melalui instrumen kuantitatif seperti soalselidik dan profil teknousahawan
ditriangulasikan dengan data-data yang diperolehi melalui instrumen kualitatif seperti
temu bual, pemerhatian serta verifikasi dokumen. Ini penting untuk meningkatkan

203

keboleh percayaan data kajian. Triangulasi yang dilakukan dalam kajian ini adalah
seperti dalam Rajah 3.1.

Profil Teknousahawan
& Soal Selidik
(Data kuantitatif)

Konstruk yang dikaji Pemerhatian &
Verifikasi Dokumen
(Pemikiran Inovatif, Ciri-ciri &
Kompetensi keusahawanan (Data kualitatif)

Temu bual
(Data kualitatif)

Rajah 3.1. Triangulasi Data Kuantitatif Dengan Kualitatif

Triangulasi data kualitatif dan kuantitatif penting agar maklumat yang
diperolehi dari setiap peserta kajian mempunyai kesahan yang tinggi dan berguna
kepada kajian ini (Merton & Kandall, 1946). Ia dilakukan dengan membandingkan
dapatan kuantitatif menerusi profil teknousahawan dan soal selidik dengan dapatan
kualitatif yang diperolehi melalui temu bual, pemerhatian serta verifikasi dokumen.
Data-data yang ditriangulasikan adalah melibatkan maklumat yang diperolehi
daripada peserta kajian yang terlibat dengan kajian kualitatif seramai sembilan orang
sahaja. Pengaplikasian teknik-teknik penyemakan data dalam keadaan sebenar,
penyelidik mendapati triangulasi bukan hanya meningkatkan kebolehpercayaan
sesuatu penyelidikan kualitatif malah triangulasi turut mengukuhkan kesahan data
kuantitatif dalam penyelidikan yang menggunakan pendekatan kuantitatif dan

204

kualitatif. Berdasarkan triangulasi yang dilakukan, penyelidik mendapati maklumat
atau data yang diperolehi mempunyai perkaitan atau kesamaan antara satu sama lain
dalam eleman-eleman pemikiran inovatif, ciri-ciri dan kompetensi keusahawanan.
Penyelidik menggunakan borang matriks seperti Jadual 3.5 untuk membandingkan
sumber data yang dikumpul untuk meningkatkan kredibiliti data yang diperolehi.
melakukan Triangulasi data yang dilakukan oleh penyelidik berdasarkan konstruk dan
persoalan kajian. Bagi konstruk pertama iaitu pemikiran inovatif (persoalan kajian
petama), data yang ditriangulasikan adalah dapatan profil teknousahawan, soal selidik,
temu bual, pemerhatian, verifikasi dokumen dan soalan terbuka. Konstruk kedua iaitu
ciri-ciri teknokeusahawanan dan persoalan kajian yang berkaitan adalah persoalan
kajian yang kedua. Menerusi konstruk ini, data yang ditriangulasikan adalah profil
teknousahawan, soal selidik, temu bual, pemerhatian, dan soalan terbuka. Penyelidik
hanya melakukan triangulasi ke atas dapatan daripada empat instrumen ini sahaja
kerana data yang diperolehi daripada verifikasi dokumen tidak berkaitan dengan
konstruk ciri-ciri teknokeusahawanan.

Bagi konstruk kompetensi teknokeusahawanan (persoalan kajian ketiga),
penyelidik melakukan triangulasi ke atas dapatan yang diperolehi menerusi profil
teknousahawan, soal selidik, temu bual, pemerhatian dan soalan terbuka. Ini kerana
dapatan verifikasi dokumen juga tidak berkaitan dengan konstruk kompetensi
teknokeusahawanan. Triangulasi yang seterusnya adalah melibatkan persoalan kajian
keempat. Data yang ditriangulasikan adalah dapatan yang diperolehi daripada profil
teknousahawan, soal soal selidik, temu bual, pemerhatian, verifikasi dokumen, soalan
terbuka. Triangulasi bagi persoalan kajian keempat ini adalah untuk mengenalpasti
pengaruh latar belakang keluarga, pendidikan, pengetahuan, dan sokongan terhadap

205

kejayaan teknousahawan. Bagi persoalan kajian kelima dan keenam iaitu melihat
hubungan yang wujud antara ciri-ciri dan komeptensi teknokeusahawanan dengan
pemikiran inovatif, penyelidik hanya melakukan triangulasi ke atas data yang
diperolehi menerusi profil teknousahawan, soal selidik, temu bual, pemerhatian,
verifikasi dokumen, dan soalan terbuka. Triangulasi yang terakhir adalah ke atas data
yang berkaitan dengan persoalan kajian yang ke tujuh. Persoalan kajian yang ketujuh
ini adalah untuk mengenalpasti elemen-elemen yang sesuai untuk dicadangkan dalam
kerangka baharu pembangunan teknousahawan di Malaysia. Data-data yang terlibat
dengan triangulasi ini adalah profil teknousahawan, soal selidik, temu bual,
pemerhatian, verifikasi dokumen dan soalan terbuka. Triangulasi ke atas data tersebut
adalah bertujuan untuk memastikan bahawa elemen-elemen yang dicadangkan dalam
kerangka baharu pembangunan teknousahawan di Malaysia adalah sesuai dan penting.

Jadual 3.5
Triangulasi Matriks

Bil Persoalan Kajian Tek

1 Apakah pemikiran inovatif dalam kalangan teknousahawan IKS
Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran?

2 Apakah ciri-ciri keusahawanan dalam kalangan teknousahawan
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran?

3 Apakah kompetensi keusahawanan dalam kalangan teknousahawan
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran?

4 Adakah latar belakang keluarga, pendidikan, pengetahuan dan
sokongan mempengaruhi kejayaan teknousahawan IKS Bumiputera
lepasan pusat latihan kemahiran?

5 Adakah terdapat hubungan yang signifikan di antara ciri-ciri
keusahawanan dan pemikiran inovatif dalam kalangan teknousahawan
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran?

6 Adakah terdapat hubungan yang signifikan di antara kompetensi
keusahawanan dan pemikiran inovatif dalam kalangan teknousahawan
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran?

7 Apakah elemen-elemen yang sesuai untuk dicadangkan dalam
kerangka baharu pembangunan teknousahawan di Malaysia?

Sumber: Chin (2015)

206

Profil Soal Temu Pemerhatian Verifikasi Soalan
bual Dokumen Terbuka
knousahawan Selidik
✔ ✔ ✔✔
✔✔

✔ ✔✔ ✔ — ✔

✔ ✔✔ ✔ — ✔

✔ ✔✔ ✔ ✔✔

✔ ✔✔ ✔ ✔✔

✔ ✔✔ ✔ ✔✔
✔ ✔✔ ✔ ✔✔

206

207

3.5 Prosedur Kajian

Prosedur kajian adalah langkah-langkah yang diambil penyelidik sebelum ke lapangan
untuk melakukan proses untuk mengumpul data kajian. Prosedur kajian melibatkan
beberapa langkah awal iaitu: (i) tinjauan awal, (ii) prosedur menjalankan kajian, (iii)
perancangan kajian, dan (iv) tatacara memperolehi data.

3.5.1 Tinjauan Awal

Tinjauan awal dilakukan bagi mendapatkan persetujuan secara lisan daripada
teknousahawan yang telah dikenalpasti. Mereka dihubungi bagi mendapatkan
mendapat gambaran kasar tentang latar belakang perniagaan, pendidikan serta
persetujuan untuk menjadi peserta kajian ini. Pada umumnya peserta-peserta kajian
mempunyai latar belakang yang sesuai dengan kajian yang akan dijalankan.

3.5.2 Prosedur Menjalankan Kajian

Apabila lokasi dan peserta kajian dikenal pasti, penyelidik memohon kebenaran dari
pihak yang terlibat (teknousahawan) dengan menghantar surat permohonan rasmi
melalui Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan
Idris, Tanjung Malim, Perak. Setelah ke semua 32 orang teknousahawan bersetuju
untuk menjadi peserta kajian dengan mengembalikan surat jawapan yang disertakan
bersama-sama permohonan rasmi barulah kajian dimulakan berdasarkan jadual yang

208

telah dirancang. Sebelum memulakan penyelidikan, peserta kajian diminta untuk
mengisi borang persetujuan sebagai mematuhi etika penyelidikan. Para peserta kajian
diberikan penerangan berkenaan dengan tujuan kajian dijalankan dan memohon
kebenaran untuk berjumpa di premis mereka.

3.5.3 Perancangan Kajian

Bahagian ini menjelaskan kaedah pengumpulan data untuk kajian ini. Instrumen
kajian yang digunakan untuk mengumpul data adalah satu set profil teknousahawan
dan satu set soal selidik, protokol temu bual, protokol pemerhatian, dan verifikasi
dokumen. Proses mengutip data kajian ini mengambil masa selama lapan minggu.
Peringkat awal kajian, para peserta diberikan instrumen profil teknousahawan untuk
mengumpul maklumat tentang latar belakang keluarga, pendidikan akademik, latihan
vokasional, perniagaan dan pengetahuan keusahawanan. Instrumen ini juga digunakan
untuk mengesahkan bahawa peserta kajian menepati kriteria teknousahawan yang
telah ditetapkan.

Peringkat seterusnya, soal selidik (pemikiran inovatif, ciri-ciri serta
kompetensi keusahawanan) diberikan kepada peserta kajian semasa perjumpaan
dengan mereka. Setelah soal selidik dikutip kembali maka penyelidik menjalankan
sesi temu bual bertujuan mengumpul data kualitatif berkaitan dengan pemikiran
inovatif, ciri-ciri keusahawanan dan faktor-faktor kejayaan yang ada pada setiap
peserta. Seterusnya setelah sesi temu bual berakhir, penyelidik melakukan
pemerhatian terhadap perkara-perkara yang dilakukan oleh teknousahawan untuk

209

membawa perniagaan mereka ke arah kejayaan seperti pengendalian permis,
pengurusan akaun, pengurusan pekerja, jaringan, inovasi yang dilakukan, anugerah
keusahawanan dan komunikasi dalam syarikat. Hasil dapatan pemerhatian yang
catatan dalam borang protokol pemerhatian akan disemak semula oleh peserta kajian
untuk memastikan bahawa maklumat yang dikumpul adalah tepat. Perkara terakhir
yang dilakukan oleh penyelidik dalam proses mengumpul data kajian adalah sesi
verifikasi dokumen. Menerusi verifikasi tersebut, penyelidik meminta peserta kajian
menunjukkan dokumen-dokumen seperti sijil akademik, sijil kemahiran, sijil
menghadiri kursus, lesen-lesen perniagaan, sijil pemilikan atau perjanjian sewa
permis. Dokumen yang dimilki oleh peserta kajian akan dicatat dalam borang senarai
verifikasi.

3.5.4 Tatacara Pemerolehan Data

Memandangkan kajian ini dilakukan di kawasan premis perniagaan teknousahawan,
penyelidik perlu mematuhi prosedur-prosedur yang ditetapkan sebelum menjalankan
kajian. Prosedur-prosedur ini bertujuan untuk membuat penelitian dan mendapatkan
kebenaran menjalankan kajian di lapangan. Prosedur-prosedur tersebut adalah: (i)
penyediaan kertas cadangan, (ii) perbincangan bersama penyelia, (iii) pengesahan dan
kebenaran membuat penyelidikan dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
UPSI, (iv) permohonan kebenaran menjalankan kajian ke atas pihak peserta
(teknousahawan) dan (v) mengadakan temu janji dengan peserta kajian untuk sesi
temu bual, pemerhatian dan verifikasi dokumen. Untuk memperolehi data kajian,
penyelidik menggunakan instrumen kuantitatif dan kualitatif.

210

(i) Data Kuantitatif

Dalam proses mengutip data kuantitatif, penyelidik menggunakan satu set instrumen
profil teknousahawan dan satu set instrumen soal selidik. Instrumen profil
teknousahawan digunakan untuk mengumpul maklumat demografi teknousahawan
dan sebagai instrumen pengesahan bagi memastikan peserta kajian yang dipilih
menepati kriteria yang telah ditetapkan. Manakala instrumen soal selidik pula
bertujuan untuk mengumpul data berkaitan konstruk-konstruk pemikiran inovatif, ciri-
ciri dan kompetensi keusahawanan peserta kajian. Setelah peserta kajian disahkan
menepati ciri-ciri yang dikehendaki berdasarkan profil teknousahawan, instrumen soal
selidik diedarkan untuk dijawab oleh teknousahawan. Proses untuk mendapatkan data
kuantitatif dilakukan terlebih dahulu sebelum proses pemerolehan data kualitatif
dibuat.

(ii) Data Kualitatif

Bagi kajian kualitatif pula, pemerolehan data adalah menggunakan instrumen seperti
protokol temu bual, protokol pemerhatian dan verifikasi dokumen. Untuk memperoleh
data melalui instrumen temu bual, penyelidik terlebih dahulu membuat temujanji
untuk memastikan peserta kajian dalam keadaan bersedia dan selesa. Temu bual
dilakukan di premis peserta kajian untuk mengelakkan gangguan dan atas permintaan
peserta kajian. Sesi temu bual tersebut dicatat dan dirakam. Soalan-soalan temu bual
yang dikemukakan adalah berkaitan dengan aspek faktor-faktor yang membantu untuk
menjadi teknousahawan yang berjaya, halangan-halangan yang ditempuhi dan cara

211

mengatasi halangan tersebut, penginovasian yang dilakukan terhadap perniagaan
mereka dan pandangan teknousahawan terhadap peranan agensi-agensi kerajaan
terhadap pembangunan teknousahawan di Malaysia. Setelah temu bual dilakukan,
penyelidik memohon kebenaran peserta kajian untuk melakukan pemerhatian aspek-
aspek yang telah dikenalpasti seperti penginovasian yang dilakukan oleh
teknousahawan sama ada produk pengeluaran, teknologi mahu pun pengurusan
organisasi serta cara mereka mengendalikan perniagaan.

Aspek-aspek yang diperhatikan dicatatkan dalam borang yang disediakan. Sesi
yang terakhir dalam proses mendapatkan data kualitatif ini adalah verifikasi dokumen.
Sesi ini melibatkan verifikasi dokumen-dokumen seperti: lesen perniagaan, sijil-sijil
akademik, sijil-sijil kehadiran kursus, sijil-sijil anugerah keusahawanan, dokumen
pemilikan premis serta dokumen-dokumen lain yang difikirkan perlu oleh penyelidik.
Verifikasi dokumen dilakukan sebagai triangulasi kajian dan pengesahan data lain
seperti temu bual serta pemerhatian.

3.6 Tatacara Penganalisisan Data

Dalam kajian ini terdapat dua teknik untuk menganalisis data iaitu: (i) penganalisisan
data kuantitatif dan (ii) penganalisisan data kualitatif. Penganalisisan data kuantitatif
melibatkan statistik deskriptif iaitu: min, sisihan piawai dan peratusan. Manakala
penganalisisan kualitatif pula melibatkan data temu bual, pemerhatian, verifikasi
dokumen dan soalan terbuka.

212

3.6.1 Penganalisisan Data Kuantitatif

Tatacara penganalisisan data-data kuantitatif ini menggunakan penganalisisan
statistik deskriptif iaitu kekerapan min, peratusan dan sisihan piawai.

3.6.1.1 Statistik Deskriptif

Analisis statistik deskriptif yang digunakan oleh penyelidik merangkumi kekerapan,
peratusan, min dan sisihan piawai. Data yang dikumpul oleh penyelidik dianalisis
dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS 20.0 for
Mac). Penganalisisan data dibuat berdasarkan persoalan kajian pertama, kedua dan
ketiga. Hasil penganalisisan dipersembahkan dalam bentuk jadual. Pernyataan yang
mempunyai skor min yang tertinggi merupakan pernyataan yang dianggap paling
signifikan. Untuk memastikan data yang diproses tidak berlaku kesilapan,
penyemakan data dibuat sebanyak dua kali. Penyemakan data adalah penting untuk
memastikan tidak berlaku kesilapan dan dapat menjamin kebolehpercayaan hasil
kajian (Mohd. Salleh, 1992).

Analisis statistik deskriptif digunakan bagi menghurai dapatan instrumen
profil teknousahawan dan soal selidik. Statistik deskriptif yang digunakan ialah
kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai. Mohd. Najib (2003) menyatakan
penyelidik kadang kala boleh menggunakan pelbagai teori dan formula sendiri bagi
menghasilkan satu indeks tersendiri berdasarkan keperluan kajian. Untuk kajian ini,
penyelidik menggunakan interpretasi untuk mengklasifikasikan nilai min berdasarkan

213

darjah persetujuan peserta kajian iaitu: sangat setuju, setuju, kurang setuju, tidak
setuju dan sangat tidak setuju seperti dalam Jadual 3.6 yang diadaptasi daripada
Ramlee dan Norani (2007).

Jadual 3.6

Interpretasi Skor Min bagi Pemikiran Inovasi, Ciri-ciri dan Kompetensi
Teknokeusahawanan

Indeks Min Interpretasi
1.00 – 1.80 Sangat Tidak Setuju
1.81 – 2.60 Tidak Setuju
2.61 – 3.40 Kurang Setuju
3.41 – 4.20 Setuju
4.21 – 5.00 Sangat Setuju

Sumber : Ramlee dan Norani (2007)

Skor min ini digunakan untuk menerangkan darjah persetujuan peserta-peserta
kajian yang terdiri daripada teknousahawan Bumiputera yang berjaya terhadap
pernyataan-pernyataan pemikiran inovasi, ciri-ciri dan kompetensi keusahawanan
mereka. Menurut Sulaiman (1995) dan Jamil (2002), skor yang lebih tinggi pada
sesuatu item menunjukkan tahap persetujuan adalah tinggi. Oleh itu, seorang
teknousahawan yang memiliki skor min yang tinggi bermaksud teknousahawan
mempunyai darjah persetujuan yang tinggi terhadap pernyataan pemikiran inovatif,
ciri-ciri dan kompetensi keusahawanan seperti setuju dan sangat setuju. Persoalan
kajian kelima dan keenam pula bertujuan melihat hubungan atau perkaitan yang
signifikan di antara pembolehubah tidak bersandar iaitu ciri-ciri dan kompetensi

214

keusahawanan dengan pembolehubah bersandar iaitu pemikiran inovatif. Menurut
Noraini (2010), dalam penyelidikan yang menggunakan korelasi, peristiwa, angka atau
manusia yang menjadi tumpuan penyelidik dalam sesuatu kajian, saiz sampel haruslah
tidak kurang daripada 30 orang kerana data yang diperoleh daripada sampel yang
kurang daripada itu akan mengakibatkan ralat yang tinggi. Jadual 3.7, menunjukkan
nilai pekali korelasi dan kekuatan hubungan.

Jadual 3.7
Nilai Pekali Korelasi dan Kekuatan Hubungan

Nilai Pekali Korelasi (r) Kekuatan Hubungan
± 0.70 – 1.00 Kuat

± 0.30 – 0.69 Sederhana

± 0.00 – 0.29 Tiada (r = 0.00) atau lemah (r > 0.00)

Sumber: Jackson (2006)

3.6.2 Penganalisisan Data Kualitatif

Analisis data kualitatif merupakan satu proses yang sistematik bagi mencari dan
menyusun data sesi temu bual, pemerhatian, dan verifikasi dokumen dalam usaha
meningkatkan kefahaman terhadap maklumat tersebut. Ia bermula sebaik sahaja kerja
lapangan bermula dan dibuat sepanjang kajian dijalankan. Othman (2014) menyatakan
analisis data kualitatif adalah proses mengatur, menstruktur dan menginterpretasi data
yang telah dikumpul. Proses tersebut adalah berterusan dan non-linear yang

215

melibatkan prosedur analitik pemeriksaan makna ke atas kata-kata dan tindakan
manusia (Othman, 2014). Dalam memberi makna kepada data melibatkan cantuman
pelbagai data, pengkelasan data mengikut kategori atau tema yang sesuai serta tepat,
interpretasi tentang apa manusia kata, apa yang penyelidik lihat dan baca (Othman,
2014). Dalam sesuatu kajian penyelidik boleh mengumpulkan data temu bual,
pemerhatian, verifikasi dokumen, dan soalan terbuka merujuk kepada corak, isu-isu
yang berulang dan tema yang wujud dengan ketara, berubah dan terbentuk semula
sepanjang proses penganalisisan. Proses penganalisisan data kualitatif adalah sebagai
‘klasifikasi dan tafsiran’ bahan linguistik atau visual untuk membuat kenyataan
mengenai dimensi tersirat dan tersurat serta struktur bermakna dalam mewakili apa
yang dikaji didalamnya (Flick, 2014). Menurut Merriam dan Tisdell (2016),
keseluruhan proses analisis data kualitatif bermula dengan mengenal pasti segmen
dalam set data yang responsif kepada persoalan kajian yang mana matlamat analisis
tersebut adalah untuk mencari jawapan kepada persoalan kajian dan jawapan tersebut
dipanggil kategori, tema atau penemuan.

Dalam menganalisis data kualitatif, penyelidik menggunakan pendekatan yang
dipelopori oleh Miles dan Huberman (1994) serta Maxwell (2013). Miles dan
Huberman (1994) menyatakan bahawa kajian kualitatif ini terbentuk dengan proses
penyaringan data, pemaparan data, membuat kesimpulan serta verifikasi data.
Maxwell (2013) pula menyatakan proses menganalisis data kualitatif melibatkan
beberapa perkara seperti membaca serta memahami transkrip temu bual, nota
pemerhatian, menulis memo, membangunkan kategori pengekodan data, menganalisis
struktur naratif dan hubungan kontekstual, mewujudkan matriks serta paparan data.
Oleh kerana penganalisisan kualitatif tidak mempunyai ujian statistik untuk membantu

216

mengesahkan sesuatu perkara atau maklumat penting, maka ianya bergantung kepada
penyelidik sendiri untuk membuat pertimbangan dan pemahaman yang sewajarnya
(Patton, 2015). Dalam kajian ini, data kualitatif yang diperolehi melalui temu bual,
pemerhatian, verifikasi dokumen dan soalan terbuka akan melalui proses transkripsi,
reduksi, koding dan paparan data (Othman, 2014). Penganalisisan data kualitatif
dilakukan terhadap data temu bual, pemerhatian, verifikasi dokumen, dan soalan
terbuka. Data yang telah melalui proses tersebut akan dipaparkan dalam bentuk tema-
tema.

3.6.2.1 Analisis Dapatan Temu bual

Penganalisisan data kualitatif yang diperolehi melalui temu bual melibatkan tugas
membersihkan data, memahami data, menghasilkan kategori atau tema serta konsep
yang analitikal berdasarkan tema-tema yang muncul berkaitan dengan konstruk
kajian. Catatan dibuat berdasarkan aspek yang membawa kepada faktor-faktor yang
membantu untuk menjadi teknousahawan yang berjaya, halangan-halangan yang
ditempuhi untuk menjadi teknousahawan yang berjaya, strategi mengatasi halangan-
halangan tersebut, penginovasian yang dilakukan untuk memajukan perniagaan dan
pandangan teknousahawan terhadap peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi
kerajaan untuk membangunkan teknousahawan. Transkrip temu bual yang telah siap
dicatat dipulangkan semula kepada peserta kajian untuk tujuan penyemakan semula
dan memastikan maklumat yang diberikan mencukupi. Sebarang kesilapan dan
keraguan diperbetulkan. Penyemakan semula perlu dilakukan supaya penganalisisan
data adalah konsisten dan tidak bertentangan dengan pandangan yang diberikan oleh


Click to View FlipBook Version