357
melibatkan kemahiran kognitif selain kemahiran afektif dan kemahiran tingkah laku
berdasarkan sesuatu keperluan.
5.1.1.3 Pemikiran Strategik
Menurut Weiss dan Legrand (2011), pemikiran strategik merupakan sebahagian
daripada pemikiran inovatif. Dapatan dari data kuantitatif (soal selidik) mendapati
responden bersetuju bahawa mereka memiliki pemikiran strategik. Contohnya,
teknousahawan dalam kajian ini menyatakan bahawa mereka merancang perniagaan
mereka untuk tempoh lima tahun akan datang, mengkaji kelemahan organisasi atau
syarikat dengan melakukan analisis SWOT untuk mengetahui kekuatan serta
kelemahan organisasi dalam merangka strategi syarikat. Responden juga mengenalpasti
pekerja yang mempunyai pemikiran strategik dan menggalakkan mereka
mengemukakan cadangan sebagai penambahbaikan strategik syarikat. Usahawan tekno
juga melakukan perbincangan dan sesi brainstorming dalam organisasi untuk merangka
strategi baharu.
Respon usahawan tekno terhadap pernyataan soal selidik ini menunjukkan
mereka bukan sahaja menerapkan pemikiran strategik untuk diri mereka sendiri malah
telah membudayakannya dalam syarikat dengan melibatkan pekerja bawahan.
Membudaya dan menerapkan pemikiran strategik dalam organisasi perlu dilakukan
oleh usahawan tekno kerana menurut Heracleous (1998) pekerja yang berfikiran
strategik diperlukan dalam syarikat kerana mereka bukan sahaja berupaya
membangunkan idea-idea kreatif tetapi juga berpotensi membantu pihak pengurusan
358
memantapkan daya saing serta dapat bersama-sama merealisasikan perancangan masa
depan sesebuah organisasi. Selain dapatan soal selidik yang memperkatakan tentang
pemikiran strategik, hasil temu bual juga turut memperjelaskan tentang perkara
tersebut. Menerusi dapatan temu bual mendapati peserta kajian menggunakan
pemikiran strategik untuk merangka langkah-langkah proaktif untuk berdepan dengan
saingan yang mereka hadapi. Antara langkah-langkah proaktif tersebut adalah seperti
mempelajari teknik pemasaran, membina jaringan yang berkesan, berfikiran positif,
mengagihkan tugasan kepada semua pekerja, menjalinkan hubungan yang baik dengan
peniaga bukan Bumiputera, membuat pinjaman daripada agensi kerajaan, mencari idea
yang baharu, memperbanyakkan pembekal bahan mentah, meluaskan serta
mempelbagaikan perkhidmatan. Langkah-langkah yang diambil oleh usahawan tekno
yang dikaji menunjukkan bahawa mereka merupakan seorang yang berfikiran strategik
seperti yang dinyatakan oleh Haziah et al. (2013).
Hasil dapatan kajian ini juga menyokong pendapat penyelidik terdahulu seperti
Mintzberg (1994), Kaufman et al. (2003) dan Haycock et al. (2012) yang menyatakan
bahawa pemikiran strategik menghasilkan perancangan jangka panjang yang berkesan
serta memberi kelebihan daya saing kepada syarikat. Ia juga merupakan satu cara yang
membolehkan individu-individu dalam sesebuah organisasi bersama-sama memikirkan
matlamat, misi dan mencipta masa depan untuk mereka sendiri serta individu di
sekeliling seperti melibatkan semua pekerja sebagai satu pasukan dalam memikirkan
yang terbaik untuk syarikat. Dapatan kajian juga seiring dengan pendapat Pisapia et al.
(2006), Zsiga (2008), dan Nicholas et al. (2012) bahawa pemikiran strategik
mempunyai perkaitan dengan keberkesanan kepimpinan (kompetensi kepimpinan)
359
dalam sesebuah syarikat berdasarkan peranan yang dimainkan oleh teknousahawan
yang dikaji dalam menentukan hala tuju organisasi mereka.
5.1.1.4 Inovasi
Berdasarkan kerangka konseptual kajian, elemen inovasi merupakan aspek terpenting
dalam pemikiran inovatif. Data empirikal kajian menunjukkan teknousahawan IKS
Bumiputera mengakui bahawa mereka melakukan inovasi untuk bersaing. Inovasi
dilakukan berdasarkan maklum balas pelanggan seperti pengubahsuaian yang
dilakukan terhadap sistem audio visual dan kaedah pembungkusan produk. Namun
inovasi dijalankan secara berperingkat-peringkat. Inovasi yang dilakukan oleh
usahawan tekno dalam kajian ini adalah untuk meningkatkan daya saing agar produk
atau perkhidmatan mereka mendapat tempat dihati pelanggan.
Selain melakukan inovasi terhadap produk atau perkhidmatan, terdapat juga
usahawan tekno yang melakukan inovasi terhadap sistem pengurusan syarikat untuk
meningkatkan daya saing di samping mengenalpasti peluang-peluang perniagaan yang
baharu. Idea-idea inovasi yang diperolehi oleh usahawan tekno dalam kajian ini adalah
melalui pembacaan, maklumbalas pelanggan dan melalui post mortem yang dilakukan
terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan yang dikenalpasti kelemahannya.
Penginovasian tersebut menepati pendapat penyelidik yang terdahulu seperti Kinicki
dan Williams (2003), Kuratko dan Hodgetts (2008), Kuhlmann et al. (2010) yang
menyatakan bahawa inovasi adalah langkah bagi mencari jalan untuk menghasilkan
penciptaan baharu sama ada produk mahu pun perkhidmatan yang lebih baik menerusi
360
peristiwa yang tidak dijangka dan berkaitan dengan pembangunan serta penggunaan
teknologi baharu yang lebih baik. Temu bual juga dijalankan untuk mengetahui dengan
lebih mendalam tentang kenapa dan bagaimana usahawan tekno melakukan inovasi
dalam perniagaan mereka. Melalui dapatan temu bual, usahawan menjelaskan inovasi
yang dilakukan kerana wujudnya permasalahan dalam perniagaan yang memerlukan
penyelesaian seperti mengurangkan kos pembelian mesin baharu, menyesuaikan
peralatan lama dengan teknologi baharu, mentransfomasikan promosi lama kepada
kaedah yang baharu dan melakukan pengubahsuaian terhadap produk atau
perkhidmatan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Inovasi-inovasi tersebut
bertujuan untuk meningkatkan daya saing syarikat. Menurut responden, mereka mula
melakukan inovasi sejak di peringkat awal perniagaan lagi seperti inovasi sistem audio
visual, remote monitoring system, mesin-mesin, teknologi, dan peralatan yang
digunakan.
Hasilan temu bual ini menunjukkan bahawa ilham atau idea untuk melakukan
inovasi-inovasi tersebut adalah kerana wujudnya keperluan kepada perubahan untuk
memastikan perniagaan sentiasa berdaya saing dan stabil seperti yang dinyatakan oleh
Talke et al. (2011), Bruton dan Chen (2016), Hisrich et al. (2016) bahawa inovasi
adalah faktor utama yang mempengaruhi keberkesanan perusahaan dan ia sangat
penting untuk kelangsungan serta pertumbuhan sesuatu perniagaan. Dapatan kajian ini
menyokong pendapat Ainon dan Abdullah (1995) yang menyatakan bahawa dalam
dunia keusahawanan sesuatu inovasi dilakukan kerana beberapa objektif seperti
mengurangkan kos, meningkatkan kualiti, meningkatkan lagi prestasi sedia ada,
memberikan ciri-ciri prestasi tambahan, memberikan prestasi baru, memaksimumkan
361
kepuasan pelanggan, memperbaiki prestasi kerja dan membina produk serta konsep
perkhidmatan baharu.
5.1.1.5 Tema-Tema yang Muncul Berdasarkan Dapatan Kajian Mengenai
Pemikiran Inovatif
Dari aspek kemahiran berfikir kritis berdasarkan dapatan empirikal melalui temu bual,
beberapa tema yang kritikal telah muncul seperti menenangkan fikiran, menjana idea
(brainstorming) melalui perbincangan, menggunakan pengalaman yang lepas,
mengaplikasikan amalan spirituality, membaca buku, dan melayari internet. Tema-
tema ini adalah merupakan rangsangan kepada minda teknousahawan untuk berfikir
kritis bagaimana melakukan sesuatu pekerjaan dan tindakan menyelesai masalah atau
halangan yang dihadapi dalam perniagaan. Di saat teknousahawan berusaha menjana
idea baharu untuk mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah dalam perniagaan
dan di samping memikirkan idea-idea inovasi baharu, mereka akan menenangkan
fikiran dan ia merupakan antara teknik yang digunakan oleh segelintir usahawan yang
dikaji ketika mengalami kebuntuan fikiran.
Selain menenangkan fikiran, responden juga berusaha untuk menjana idea
(brainstorming) melalui perbincangan bersama-sama rakan-rakan perniagaan, ahli
keluarga mahu pun bersama-sama pekerja mereka. Terdapat dalam kalangan peserta
kajian yang menggunakan pengalaman yang lepas sebagai pemacu minda untuk berfikir
kritis. Oleh kerana kesemua usahawan yang dikaji adalah Bumiputera Muslim,
mengaplikasikan amalan spirituality seperti solat, berzikir dan berdoa juga merupakan
sebahagian daripada kaedah yang digunakan teknousahawan untuk merangsang minda
362
berfikir kritis apabila kebuntuan idea menyelesaikan sesuatu halangan atau masalah.
Bagi seorang teknousahawan muslim, pendekatan spirituality (kerohanian) dengan
mendekatkan diri kepada Allah S.W.T melalui ibadah seperti bersolat sunat, berzikir,
berdoa, dan membaca Al-Quran adalah dituntut agar dilorongkan dan dipermudahkan
setiap kesulitan seperti firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud: “Barangsiapa
bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan
memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang
bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan dalam
urusannya.” (Surah At-Talaq: ayat 65). Maksud ayat tersebut memberi gambaran
bahawa setiap orang islam yang bertaqwa dijanjikan Allah S.W.T jalan penyelesaian
untuk setiap masalah yang dihadapi serta dipermudahkan segala urusan di samping
rezeki yang tidak disangka-sangka. Menurut Angela dan Lakami (2014), usahawan
yang mempunyai daya tahan dengan bantuan spirituality atau keagamaan lebih bersedia
untuk menangani pergolakan emosi dan tekanan semasa menguruskan perniagaan
mereka.
Manakala bagi sesetengah usahawan tekno yang dikaji mereka lebih gemar
membaca buku dan melayari internet untuk tujuan mencari maklumat yang berkaitan
dengan permasalahan yang dihadapi, idea-idea serta teknologi baharu. Kedua-dua tema
ini merupakan proses ekploitasi seperti yang diperkatakan oleh Kuratko et al. (2012),
bahawa eksploitasi adalah penting kepada peserta kajian untuk memikirkan idea
baharu, serta inovasi yang digabungkan dengan kreativiti. Dapatan ini disokong oleh
Rosnanaini et al. (2011) yang menyatakan proses berfikir kritis berlaku kerana
kewujudan rangsangan, khasnya semasa berlaku keraguan dan masalah. Manakala
respons usahawan terhadap item-item domain menyelesai masalah pula, muncul tema-
363
tema seperti khidmat nasihat, pementoran dan berfikiran positif. Tema-tema tersebut
merupakan pelbagai kaedah yang digunakan untuk menyelesai masalah. Sebagai
seorang teknousahawan, kemahiran menyelesaikan masalah yang menggunakan
pelbagai kaedah adalah satu keperluan yang penting untuk dimiliki (Kassim & Fatimah
2010). Di samping itu, tema-tema yang muncul ini juga merupakan rangsangan kepada
minda teknousahawan untuk memikirkan suatu penyelesaian terhadap sebarang
halangan yang dihadapi (Rosnanaini et al., 2011). William (1994) juga menyatakan
bahawa kemahiran berfikir kritis dan menyelesai masalah adalah proses dalaman yang
pantas, sama ada secara sedar atau tidak sedar minda bertindakbalas terhadap
rangsangan luar yang diterima melalui deria.
Respons peserta kajian terhadap item yang berkaitan dengan pemikiran
strategik pula, muncul tema-tema seperti kemahiran pemasaran, membina jaringan,
kepimpinan, dan jaringan bank serta agensi pinjaman kewangan, mencari idea baharu,
memenuhi kehendak pelanggan, dan protection. Tema-tema tersebut merupakan
elemen-elemen penting pemikiran strategik peserta yang dikaji dalam usaha mereka
untuk mengatasi halangan dan rintangan dalam perniagaan. Menurut Haziah et al.
(2013), seseorang yang memiliki pemikiran strategik mempunyai berkeupayaan
merancang, mengenalpasti, membentuk dan mencapai sesuatu keputusan atau kejayaan
yang diinginkan. Pemikiran strategik usahawan juga penting kerana ia berkaitan dengan
dengan keberkesanan kepimpinan dalam sesebuah organisasi (Pisapia et al., 2006;
Zsiga, 2008; Nicholas et al., 2012). Manakala respons peserta kajian terhadap item yang
berkaitan inovasi pula, muncul tema-tema inovasi pengubahsuaian, inovasi penciptaan,
dan inovasi penambahbaikan. Tema-tema ini adalah merupakan kategori inovasi yang
telah dilakukan oleh teknousahawan dalam mempertingkat dan mengembangkan
364
perniagaan mereka. Selain itu, terdapat juga dapatan yang diperolehi menerusi soalan
terbuka tentang keperluan pengaplikasian pemikiran inovatif dalam pengurusan
perniagaan. Respons teknousahawan terhadap item tersebut, muncul tema-tema seperti
pemberian insentif, pendedahan melalui kursus, dan bekerja dalam satu pasukan.
Tema-tema tersebut merupakan antara strategi yang digunakan peserta kajian untuk
mengaplikasi dan mengalakan budaya inovasi dalam organisasi mereka. Tema-tema
yang muncul melalui soalan terbuka ini seiring dengan pendapat Sivapalan (2013)
menyatakan bahawa pembudayaan inovasi memerlukan satu pendekatan sistematik dan
ekploitasi idea untuk penambahan nilai yang membawa kepada pulangan pelaburan.
5.1.2 Ciri-ciri Teknokeusahawanan IKS Bumiputera
Persoalan Kajian Kedua:
Apakah ciri-ciri keusahawanan dalam kalangan teknousahawan IKS Bumiputera
lepasan pusat latihan kemahiran?
Bagi tujuan menjawab persoalan kajian yang kedua ini, pendekatan kuantitatif dan
kualitatif digunakan untuk mengenalpasti ciri-ciri keusahawanan dalam kalangan
teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran. Untuk kajian yang
menggunakan pendekatan kuantitatif, instrumen soal selidik digunakan untuk
mengumpul data yang berkaitan dengan ciri-ciri keusahawanan. Manakala kajian yang
menggunakan pendekatan kualitatif pula, instrumen seperti protokol temu bual,
pemerhatian, verifikasi dokumen dan soalan terbuka digunakan untuk meneroka ciri-
ciri keusahawanan dalam kalangan teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat
365
latihan kemahiran. Data kuantitatif yang diperolehi adalah berdasarkan domain-
domain ciri-ciri keusahawanan yang terdapat dalam kerangka kajian ini iaitu (i)
mengambil risiko yang munasabah, (ii) motivasi, (iii) mempunyai matlamat, (iv)
kecekalan, (v) komitmen kerja dan (vi) suka kepada pembaharuan. Berdasarkan
dapatan data soal seldik, menunjukkan teknousahawan berkeyakinan bahawa mereka
memiliki ciri-ciri keusahawanan di mana ciri mengambil risiko yang munasabah adalah
paling domainan tetapi lemah dari aspek ciri komitmen kerja.
Hasil dapatan kuantitatif ini menunjukkan bahawa kumpulan usahawan yang
dikaji bersetuju bahawa ciri-ciri keusahawanan adalah penting kepada mereka dalam
menjana kejayaan dalam perniagaan. Manakala melalui dapatan temu bual, dan soalan
terbuka pula, muncul beberapa tema-tema utama hasil penerokaan terhadap domain-
domain ciri-ciri keusahawanan yang dibincangkan dalam bahagian 5.1.2.7 (tema-tema
yang muncul berdasarkan dapatan kajian mengenai ciri-ciri teknousahawanan).
5.1.2.1 Mengambil Risiko yang Munasabah
Usahawan yang berjaya akan cuba menguruskan risiko dengan baik agar ia dapat
memberikan pulangan kepada usahawan itu sendiri. Daripada dapatan soal selidik
menunjukkan bahawa teknousahawan IKS Bumiputera memiliki ciri keusahawanan
mengambil risiko yang munasabah sebagai kekuatan mereka untuk berjaya dalam
bidang perniagaan. Dengan ciri tersebut, usahawan berani melabur di dalam sesuatu
bidang perniagaan baharu diceburi yang telah dikenal pasti untung dan ruginya dengan
tidak mengharapkan pulangan yang cepat. Di samping itu, usahawan tekno juga akan
366
mencari punca kenapa perniagaan tidak menunjukkan keuntungan dan tidak mudah
merasa kecewa jika perniagaan gagal. Dengan erti kata lain dapatan ini menunjukkan
bahawa usahawan tekno yang berjaya adalah mereka yang berani, suka mencuba
sesuatu yang baharu dan gemarkan cabaran. Dapatan kajian adalah seiring dengan
dapatan kajian-kajian yang lepas seperti Gorman at el. (1997), dan Syed Zamberi
(2009) yang mendapati bahawa usahawan yang berjaya mempunyai ciri kesanggupan
mengambil risiko dalam perniagaan, gemarkan cabaran, serta kejayaan mengatasinya
akan menimbulkan kepuasan pada diri mereka.
Dapatan temu bual pula mendapati ciri-ciri kesanggupan mengambil risiko
dalam perniagaan, gemarkan cabaran, serta kejayaan merupakan antara ciri positif yang
menyumbang kepada kejayaan teknousahawan IKS Bumiputera dalam perniagaan di
samping ciri-ciri keusahawanan yang lain seperti sentiasa bersemangat, mengambil
peluang yang ada dan menyelesaikan masalah dengan bijak. Ciri-ciri tersebut
merupakan kekuatan kepada teknousahawan untuk berani mengambil risiko yang
munasabah dalam perniagaan seperti yang dinyatakan oleh Sadeghi dan Esteki (2010)
bahawa dengan memiliki ciri-ciri positif yang lain, usahawan tekno mempunyai
kekuatan untuk menangani sesuatu cabaran serta berani untuk mengambil risiko yang
mendatang semasa menjalankan perniagaan. Berdasarkan dapatan empirikal kajian,
ciri mengambil risiko yang munasabah seperti yang dimiliki oleh usahawan yang dikaji
penting untuk mereka menceburi sesuatu bidang perniagaan yang baharu seperti
pendapat Zeromillion (2007), Boyett dan Boyett (2001), Thompson (1999), Nichlos
dan Amstrong (2003) yang menyatakan bahawa teknousahawan merupakan individu
yang menganjur, mengurus dan menanggung risiko sesuatu syarikat perniagaan. Hasil
kajian juga selari dengan pendapat Barjoyai (2000), dan McQuaid (2002) bahawa
367
usahawan yang berjaya adalah individu yang bersedia menghadapi risiko sebagai
keperluan perniagaan di samping berinovatif dan proaktif dengan set minda tertentu
serta mempunyai visi dalam usaha menghasilkan keuntungan kepada syarikat.
5.1.2.2 Motivasi
Dalam konteks motivasi, hasil kajian menunjukkan ia merupakan keinginan atau
kecenderungan seseorang untuk melakukan sesuatu dengan cepat dan berkualiti,
meliputi keinginan untuk mencapai sesuatu yang sukar serta bebas. Ciri ini ditakrifkan
oleh Murray (2011) serta Zaidatol dan Habibah (1997) sebagai keinginan atau
kecenderungan seseorang untuk melakukan sesuatu dengan cepat dan seberapa baik
yang boleh serta bebas. Dapatan utama soal selidik mendapati teknousahawan memiliki
ciri keusahawanan motivasi yang mana mereka terlibat dalam perniagaan kerana impian
untuk menjadi teknousahawan yang berjaya serta bekerja keras demi kebahagian
keluarga, melaksanakan tugasan bersungguh-sungguh walaupun ianya sukar, suka
melakukan kerja yang sekarang kerana mereka sukakan cabaran dalam perniagaan.
Dapatan kuantitatif ini menjelaskan bahawa teknousahawan yang berjaya
mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam usaha niaga yang
diceburi. Ianya sependapat dengan penyelidik terdahulu seperti Mc Clelland (1961)
yang menyatakan bahawa usahawan adalah individu yang mempunyai motivasi
pencapaian yang tinggi. Dapatan daripada hasil temu bual pula mendapati usahawan
tekno mendapat dorongan yang memotivasikan mereka seperti semangat yang kuat
untuk berjaya, sokongan keluarga dan jaringan rakan-rakan teknousahawan. Dapatan
368
kajian selari dengan pandangan Mankani (2003), Shuhairimi dan Ku Halim (2010),
Izquierdo dan Deschoolmeester (2010) serta Zaidatol dan Bagheri, (2011), usahawan
berjaya adalah individu yang mempunyai motivasi yang tinggi hasil dorongan komuniti
di sekelilingnya untuk melakukan tugasan yang memenuhi kehendak pelanggan sebaik
mungkin. Oakey (2003) menyatakan bahawa seorang teknousahawan mempunyai
pengetahuan teknikal yang mencukupi tetapi kurang mahir dalam perniagaan dapat
diimbangi dengan motivasi yang tinggi untuk berjaya dalam perniagaan.
5.1.2.3 Mempunyai Matlamat
Kejayaan teknousahawan IKS Bumiputera bukan diraih dalam jangka waktu yang
singkat tetapi adalah hasil matlamat yang dirancang untuk jangka waktu yang panjang.
Hasil dapatan kajian kuantitatif mendapati usahawan tekno memiliki ciri keusahawan
mempunyai matlamat jangka panjang yang menyebabkan mereka berusaha gigih untuk
membawa syarikat menuju kejayaan dan kecemerlangan. Peserta kajian menetapkan
tempoh tertentu untuk mencapai kejayaan dan memastikan setiap perancangan seiring
dengan matlamat mereka.
Berdasarkan kepada dapatan soal selidik kajian ini, ciri mempunyai matlamat
adalah penting kepada usahawan teknologi sebagai pemandu arah yang hendak dituju
dalam jangka waktu yang ditetapkan. Dapatan tersebut menyokong pendapat
Shuhairimi dan Ku Halim (2010) yang menyatakan bahawa usahawan yang berjaya
ialah individu yang memiliki wawasan serta berpandangan jauh, berfikiran positif dan
berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan. Menerusi dapatan temu bual pula
369
menjelaskan bahawa mempunyai matlamat adalah ciri positif yang wujud dalam diri
usahawan yang menyumbang kepada kejayaan dalam perniagaan di samping ciri yang
lain seperti tidak mudah putus asa cekal berusaha. Dapatan ini seiring dengan
pandangan Mankani (2003), Hoe et al. (2005), Sadeghi dan Esteki (2010) yang
menyatakan bahawa ciri mempunyai matlamat adalah pendorong untuk usahawan
teknologi bertindak serta memfokuskan segala usaha dan tenaga dalam memilih
peluang-peluang yang bersesuaian dengan matlamat mereka.
5.1.2.4 Kecekalan
Teknousahawan merupakan individu yang gigih dan sentiasa bekerja keras mencapai
matlamat mereka. Hasil dapatan kajian (kuantitatif) ini menunjukkan teknousahawan
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran memiliki ciri keusahawanan
kecekalan. Ciri kecekalan yang dimiliki membuatkan usahawan tekno sabar dan berani
mencuba pelbagai cara untuk mengatasi sesuatu masalah, tabah menempuh rintangan
serta tidak mengambil masa yang lama untuk mengatasinya. Di samping itu, responden
juga cekal melaksanakan apa yang ingin dilakukan walau pun ada rintangan. Dapatan
ini disokong dengan pendapat Schmitt dan Rodermund (2004) bahawa usahawan yang
berjaya sentiasa cekal berusaha mencari peluang dan menerokai bidang-bidang yang
belum diterokai oleh orang lain. Dari konteks dapatan kualitatif pula mendapati ciri
kecekalan ini merupakan faktor dalaman yang menjadi kekuatan kepada
teknousahawan IKS Bumiputera dalam membuat sesuatu pekerjaan dan mampu
berharungi kesulitan dengan sabar. Dapatan kajian ini menyokong pendapat Ab.Aziz
(2004), dan Syed Zamberi (2009) bahawa ciri asas teknousahawan yang dikenal pasti
370
adalah kecekalan dalam menghadapi kesukaran, ia penting bagi membolehkan
usahawan melihat, menganalisis sesuatu keadaan, merancang tindakan yang perlu serta
berusaha secara berterusan tanpa rasa putus asa dan ciri tersebut adalah kekuatan daya
tahan dalam diri usahawan.
5.1.2.5 Komitmen Kerja
Dapatan kajian kuantitatif (soal selidik) mendapati teknousahawan IKS Bumiputera
memiliki ciri keusahawanan komitmen kerja di mana mereka melakukan apa sahaja
yang termampu untuk menyiapkan dan menumpukan sepenuh perhatian ke atas kerja
tersebut. Usahawan tekno bekerja lebih masa untuk menyiapkan kerja mengikut
tempoh serta tidak menggunakan masa yang panjang untuk memperbaiki kerja yang
dilakukan. Di samping itu, peserta kajian juga merasa gelisah bila suatu tidak berjalan
dengan baik serta mementingkan kualiti kerja yang bermutu tinggi.
Hasil dapatan kajian ini selari dengan pendapat Norita et.al (2010), Izquierdo
dan Deschoolmeester (2010) bahawa ciri komitmen kerja membantu teknousahawan
mengatasi perasaan takut apabila berlaku kesilapan serta bersedia untuk menghadapi
halangan-halangan yang bakal berlaku dan ia menyebabkan mereka sentiasa peka
kepada kehendak pelanggan. Dari sudut dapatan kajian kualitatif (temu bual) pula,
responden berusaha melakukan kerja sebaik mungkin seperti; mewujudkan susana
kerja yang sihat, cekap serta produktif, melakukan inovasi berdasarkan maklumbalas
pelanggan, memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan sentiasa memperbaiki
kelemahan yang wujud dalam perkhidmatan yang ditawarkan. Ia merupakan komitmen
371
yang dilakukan oleh peserta kajian untuk meningkatkan kualiti produk dan
perkhidmatan. Dapatan kajian menepati pendapat penyelidik terdahulu seperti
Khaairuddin Khalil (1996) dan Rosli et al. (2010) menyatakan bahawa teknousahawan
yang berjaya mempunyai komitmen kerja kerana penghasilan produk yang mempunyai
standard serta mutu kerja yang tinggi nilainya akan mendapat kelebihan persaingan
berbanding pesaing sedia ada dan usahawan akan memastikan komitmen penuh harus
diberikan terhadap setiap tugasan yang diamanahkan dapat diselesaikan dalam tempoh
yang telah ditetapkan dan berkualiti.
5.1.2.6 Suka Kepada Pembaharuan
Dalam perniagaan yang berasaskan teknologi, pembaharuan adalah penting dan perlu
dilakukan oleh teknousahawan kerana teknologi sentiasa berubah-ubah dan
pembaharuan yang dilakukan merupakan inovasi. Dapatan soal selidik menunjukkan
usahawan yang dikaji memiliki ciri keusahawanan suka kepada pembaharuan di mana
mereka dimotivasikan oleh visi yang kuat untuk membuat pembaharuan serta suka
melakukan pengubahsuaian (upgrading) dalam perniagaan untuk kekal bersaing dalam
pasaran. Teknousahawan suka menghadiri seminar atau pelancaran produk yang
berasaskan teknologi terkini untuk menambah pengetahuan dan memperbaharui
Standard Prosedur Operasi syarikat untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan.
Di samping itu juga, responden mengawal serta melihat perkembangan pembaharuan
yang dilakukan dalam syarikat termasuklah memperkenalkan teknologi baharu.
Dapatan ini menunjukkan bahawa pembaharuan penting kepada teknousahawan untuk
tujuan menjadikan perniagaan berdaya saing dan mampu meningkatkan kualiti produk
372
atau perkhidmatan yang ditawarkan dan perubahan tidak hanya terhad kepada
perubahan fizikal malah ianya juga melibatkan sistem pengurusan dalam syarikat.
Dapatan kajian disokong oleh pendapat Izquierdo dan Deschoolmeester (2010) bahawa
pembaharuan bukan sahaja dari sudut fizikal atau pun pengurusan organisasi tetapi ia
juga melibatkan elemen lain bertujuan meningkatkan daya saing perniagaan.
Dapatan temu bual pula menunjukkan usahawan suka melakukan pembaharuan
berdasarkan kreativiti dan berbeza daripada orang lain bertujuan meningkatkan daya
saing syarikat. Pembaharuan yang peserta kajian lakukan merupakan inovasi. Dapatan
ini selari dengan pendapat Mankani (2003) yang menyatakan bahawa ciri yang nyata
dalam diri teknousahawan adalah gemar kepada pembaharuan, dan berupaya memacu
pembaharuan. Hasil kajian ini juga menyokong pandangan Kinicki dan Williams
(2003) yang menyatakan bahawa invosi adalah kritikal untuk menambahbaik suatu
produk atau perkhidmatan.
5.1.2.7 Tema-Tema yang Muncul Berdasarkan Dapatan Kajian Mengenai
Ciri-Ciri Teknokeusahawanan
Analisis empirikal yang dilakukan terhadap dapatan kualitatif ciri-ciri teknousahawan
melalui temu bual, dan soalan terbuka telah menemukan beberapa tema penting seperti
mencari peluang, menyelesai masalah, bersemangat, sokongan keluarga, jaringan
rakan-rakan teknousahawan, daya tahan, keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,
mengutamakan pelanggan, daya saing, dan inovasi, rajin, berilmu, tabah, sabar, dan
jujur. Tema-tema ini berkaitan dengan domain-domain yang terdapat dalam elemen
ciri-ciri teknokeusahawanan. Dapatan temu bual dari aspek domain ciri mengambil
373
risiko yang munasabah, telah muncul tema-tema seperti mencari peluang, dan
menyelesai masalah. Tema-tema tersebut menjelaskan bahawa teknousahawan berani
mengambil risiko yang munasabah kerana mereka berkemampuan untuk mencari
peluang dan menyelesaikan masalah yang terpaksa diharungi untuk berjaya dalam
perniagan seperti yang pernah dinyatakan oleh seorang usahawan yang berjaya bahawa
suatu masalah adalah peluang (Irfan, 2012). Manakala Sadeghi dan Esteki (2010),
menyatakan bahawa ciri mengambil risiko yang munasabah memberi kekuatan kepada
usahawan untuk menangani sesuatu cabaran yang mendatang semasa menjalankan
perniagaan dan kekuatan tersebut adalah kerana teknousahawan memiliki kemahiran
mencari peluang dan kemahiran menyelesai masalah.
Elemen kedua yang terdapat dalam konstruk ciri-ciri keusahawanan adalah ciri
keusahawanan motivasi. Hasil dapatan temu bual berkaitan dengan elemen ciri
keusahawanan motivasi ini muncul tema-tema seperti bersemangat, sokongan keluarga,
dan jaringan rakan-rakan teknousahawan. Tema-tema tersebut adalah merupakan faktor
yang mewujudkan ciri motivasi dalam diri usahawan tekno. Menurut Izquierdo dan
Deschoolmeester (2010) seorang teknousahawan yang berjaya sentiasa bermotivasi
kerana wujudnya suatu pendorong yang berada dalam persekitaran mereka. Manakala
Zaidatol dan Bagheri (2011) pula menyatakan bahawa motivasi merupakan satu ciri
teknousahawan yang penting dalam mendorong usahawan untuk berjaya. Dapatan temu
bual dari aspek ciri mempunyai matlamat muncul tema daya tahan. Elemen daya tahan
ini merupakan kekuatan dalaman yang dimiliki oleh teknousahawan menyebabkan
mereka mampu untuk menetapkan suatu matlamat yang ingin dicapai dan berusaha
mencapai matlamat tersebut tanpa mengenal erti putus asa. Menurut Sadeghi dan Esteki
(2010), bahawa usahawan yang berjaya adalah mereka yang mempunyai kekuatan
374
dalaman dan memiliki matlamat yang jelas. Daripada temu bual bersama peserta kajian
berkaitan ciri keusahawanan komitmen pula, muncul tema-tema seperti keselamatan
dan kesihatan di tempat kerja, mengutamakan pelanggan, dan daya saing. Tema-tema
tersebut merupakan komitmen terhadap kerja yang dilakukan oleh teknousahawan
untuk mempertingkatkan lagi perniagaan. Norita et al. (2010) menyatakan bahawa ciri
komitmen kerja membantu teknousahawan mengatasi perasaan takut apabila berlaku
kesilapan dan bersedia untuk menghadapi halangan-halangan yang bakal berlaku.
Tema-tema seperti keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan daya saing
ini seiring dengan pernyataan Rosli et al. (2010) bahawa teknousahawan yang berjaya
mempunyai komitmen kerja kerana produk yang mempunyai standard dan mutu kerja
yang tinggi nilainya akan mendapat kelebihan persaingan berbanding pesaing sedia
ada. Ini kerana komitmen teknousahawan untuk mewujudkan keselamatan dan
kesihatan di tempat kerja bertujuan meningkatkan kualiti dan standard produk atau
perkhidmatan yang ditawarkan seterusnya dapat meningkatkan daya saing syarikat.
Teknousahawan akan memastikan komitmen penuh harus diberikan terhadap setiap
tugasan yang diamanahkan kepada usahawan tersebut dan juga memastikan setiap
tugasan dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan berkualiti
(Khaairuddin Khalil, 1996). Manakala tema mengutamakan pelanggan adalah seiring
dengan pernyataan Izquierdo dan Deschoolmeester (2010) bahawa antara komitmen
kerja teknousahawan adalah sentiasa peka kepada kehendak pelanggan. Manakala
dalam temu bual bersama peserta kajian berkenaan dengan elemen ciri keusahawanan
suka kepada pembaharuan pula, tema yang muncul adalah inovasi dan daya saing. Ciri
suka kepada pembaharuan adalah berkait rapat dengan inovasi kerana setiap
pembaharuan yang dilakukan dalam perniagaan teknousahawan adalah inovasi yang
375
bertujuan untuk meningkatkan daya saing seperti pandangan Mankani (2003), suka
kepada pembaharuan merupakan ciri yang nyata dalam diri teknousahawan. Manakala
bagi Kinicki dan Williams (2003) pula, invosi merupakan suatu kaedah untuk
melakukan pembaharuan kepada sesuatu penciptaan. Di samping itu, terdapat juga
dapatan daripada soalan terbuka yang mana muncul tema-tema seperti rajin,
bersemangat, berilmu, tabah, sabar serta jujur dan berintergiriti. Tema-tema tersebut
adalah respons peserta kajian terhadap soalan terbuka ciri-ciri terpenting seorang
teknousahawan.
Teknousahawan rajin kerana dimotivasikan oleh matlamat, impian dan harapan
yang realistik (Aida Rahayu, 2010). Ciri bersemangat pula menjadikan teknousahawan
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran berdaya tahan terhadap apa jua
halangan dan rintangan dalam perniagaan (Nor Azman, 2013). Manakala ciri berilmu
adalah merupakan aspek pengetahuan seperti yang dinyatakan oleh Edward (1991),
Willie et al., (2011) dan Nor Aishah (2013), bahawa aspek ilmu merupakan elemen
penting untuk pembangunan dan perkembangan teknousahawan terutamanya yang
berkaitan dengan bidang yang diceburi. Ishak Yusof et al. (2011) pula menyatakan
prestasi kejayaan seseorang usahawan IKS disebabkan faktor dalaman usahawan itu
sendiri iaitu jujur, tabah, yakin dan gigih berusaha. Teknousahawan sebagai individu
yang berdaya tahan kerana tabah menghadapi cabaran perniagaan dan lain-lain tanpa
menyerah kalah (Aida Rahayu, 2010). Manakala ciri sabar yang wujud dalam diri
teknousahawan akan menyebabkan mereka bertahan dalam apa jua situasi yang
dihadapi ketika menjalankan perniagaan dan ini merupakan sebahagian dari daya tahan
yang perlu dalam diri teknousahawan (Noor Azman (2013). Jujur dan intergriti adalah
ciri-ciri keusahawanan yang berkait rapat dengan sifat peribadi seseorang
376
teknousahawan dan merupakan kunci kepada kejayaan jangka panjang seseorang
usahawan (Hornaday, 1990; Nader & Mohammad Reza, 2012; Izquierdo &
Deschoolmeester, 2010).
5.1.3 Kompetensi Teknokeusahawanan IKS Bumiputera
Persoalan Kajian Ketiga:
Apakah Kompetensi keusahawanan dalam kalangan teknousahawan IKS Bumiputera
lepasan pusat latihan kemahiran?
Dalam persoalan kajian ketiga ini, dua pendekatan kajian iaitu: pendekatan kuantitatif
dan kualitatif telah digunakan untuk memperolehi maklumat bagi menjawab persoalan
kajian. Untuk pendekatan kuantitatif, instrumen soal selidik digunakan dan pendekatan
kualitatif pula menggunakan instrumen temu bual, dan soalan terbuka digunakan untuk
mengumpul data yang berkaitan dengan kompetensi keusahawanan teknousahawan
IKS Bumiputera.
Dapatan kajian yang diperolehi adalah berkisar kepada domain-domain
konstruk kompetensi keusahawanan yang terdapat dalam kerangka yang dibentuk
untuk kajian ini seperti (i) Kompetensi mencari peluang, (ii) Kompetensi membina
jaringan, (iii) Kompetensi kepimpinan, (iv) Kompetensi strategik, (v) Kompetensi
komitmen dan (vi) Kompetensi mencari idea baharu. Dapatan empirikal kajian
menunjukkan bahawa teknousahawan percaya mereka mengamalkan kompetensi
keusahawanan di mana kompetensi komitmen paling domainan tetapi lemah dari aspek
377
kompetensi kepimpinan. Tema-tema ini akan dibincangkan dalam bahagian 5.1.3.7
(Tema-tema yang muncul berdasarkan dapatan kajian mengenai kompetensi
teknokeusahawanan).
5.1.3.1 Kompetensi Mencari Peluang
Dalam kajian ini kompetensi mencari peluang adalah bagaimana teknousahawan IKS
Bumiputera mengenalpasti barangan atau perkhidmatan yang diperlukan pelanggan
dengan melakukan penyelidikan untuk mengenalpasti peluang, merebut peluang
perniagaan yang berkualiti serta menilai kelebihan dan kekurangan peluang-peluang
perniagaan yang berpotensi di samping melihat kehendak pengguna yang masih belum
dipenuhi sebagai peluang. Dapatan kajian soal selidik (kuantitatif) mendapati usahawan
yang dikaji memiliki kompetensi mencari peluang yang mana teknousahawan
mengenal pasti barangan atau perkhidmatan yang diperlukan oleh pengguna.
Untuk mengenalpasti peluang di samping menilai kelebihan serta kekurangan
peluang-peluang perniagaan yang berpotensi responden membuat kajian atau
penyelidikan terlebih dahulu untuk merebut peluang perniagaan tersebut. Usahawan
tekno juga melihat kehendak pengguna yang masih belum dipenuhi untuk memperolehi
peluang perniagaan. Dapatan kajian ini menepati pendapat Man et.al (2002), Baumol
(2002), dan Ahmad (2007) bahawa kompetensi mencari peluang adalah keupayaan
teknousahawan mengenalpasti pelbagai peluang pasaran, barangan atau perkhidmatan
yang memberi manafaat kepada pelanggan serta merebut peluang-peluang berkualiti
378
tinggi dengan keberanian di samping sentiasa mencari peluang untuk mengkomersilkan
produk-produk baharu, teknologi, proses atau pengubahsuaian.
Dapatan kualitatif pula menunjukkan responden berjaya kerana peluang-
peluang yang mereka perolehi. Peluang-peluang tersebut diperolehi kerana mendapat
kepercayaan keluarga dan hubungan baik dengan pelanggan-pelanggan. Ini seiring
dengan pendapat Daniela et al. (2007), Di Zhang dan Bruning (2011) yang menyatakan
teknousahawan adalah individu usahawan yang mempunyai imaginasi, dapat melihat
peluang yang tidak disedari oleh orang lain dan mengambil kesempatan terhadap
peluang. Dalam konteks kajian ini, kompetensi mencari peluang adalah penting kepada
peserta kajian kerana proses mengenalpasti, meneliti, menemui dan merebut peluang-
peluang berpotensi adalah langkah paling asas sebelum usaha teroka boleh
dibangunkan (Shane & Venkataraman, 2000; Hansen et al., 2010; Hansen & Shrader,
2011).
5.1.3.2 Kompetensi Membina Jaringan
Hasil dapatan soal selidik mendapati teknousahawan IKS Bumiputera yakin mereka
berjaya membina hubungan jangka panjang dari aspek perniagaan dan berjaya
berinteraksi dengan pihak-pihak lain untuk meluaskan jaringan perniagaan. Di samping
itu, responden juga membina jaringan peribadi sebagai satu strategi meningkatkan
perniagaan. Untuk membina jaringan, teknousahawan mampu memahami kehendak
pelanggan dan membina hubungan yang baik dengan kakitangan dalam organisasi
untuk mengelak konflik dalaman. Dapatan kajian ini menyokong pendapat Bartram
379
(2000) dan Man et al. (2002) yang menyatakan bahawa kompetensi membina jaringan
adalah kemampuan untuk berinteraksi serta mengemukakan idea-idea perniagaan
kepada orang lain dan ia juga melibatkan kemahiran membina hubungan komunikasi
dengan personal ke personal atau interaksi antara individu ke kumpulan yang lain.
Manakala dapatan kualitatif (temu bual) pula menunjukkan bahawa
kompetensi membina jaringan usahawan yang dikaji adalah menjurus kepada hubungan
komunikasi antara rakan perniagaan, pekerja dan pelanggan. Hubungan tersebut perlu
bagi teknousahawan kerana banyak manafaat yang diperolehi menerusinya seperti
lontaran idea baharu dan maklumbalas tentang produk atau perkhidmatan. Ia
menyokong pendapat Naudé dan Rossouw (2010) bahawa kompetensi membina
jaringan penting kerana ia adalah penentu kepada prestasi sesuatu perniagaan dan
menerusi kompetensi ini juga peserta kajian mampu memahami kehendak pelanggan
serta membina hubungan dengan kakitangan bawahan untuk mengelak konflik,
membina hubungan jangka panjang serta berinteraksi dengan pihak-pihak lain untuk
meluaskan jaringan di samping mengekalkan jaringan peribadi sebagai strategi
meningkatkan perniagaan.
5.1.3.3 Kompetensi Kepimpinan
Kompetensi kepimpinan adalah berkaitan dengan kompetensi pengurusan organisasi
manusia dalaman dan luaran yang berbeza, sumber fizikal, kewangan, teknologi,
membina pasukan dan bertanggungjawab terhadap tugas-tugas seperti mengambil
tindakan dan memberi arahan (Bartram, 2000 & Man et al., 2002). Dapatan dari data
380
soal selidik mendapati kompetensi utama usahawan tekno dalam kajian ini adalah
mereka sentiasa memastikan operasi syarikat berjalan dengan lancar, bertindak balas
terhadap kritikan yang membina dan membimbing orang bawahan untuk menggunakan
teknologi terkini serta menyelia orang bawahan secara berkesan. Di samping itu,
teknousahawan tersebut juga berjaya mengelakkan pertindahan tugas kakitangan
dengan menyusun tenaga manusia secara efektif dalam syarikat.
Walaupun usahawan yang dikaji adalah pemimpin dalam syarikat tetapi mereka
mengakui serta bertindak di atas kekurangan diri sendiri. Responden memantau sendiri
aliran tunai (cash flow) kewangan syarikat di samping mengenalpasti bakat kepimpinan
dalam kalangan kakitangan organisasi sebagai pelapis kepimpinan. Peserta kajian juga
mahir mengurus aset dan sumber manusia dalam syarikat. Dalam konteks ini,
teknousahawan IKS Bumiputera bertindak sebagai role model dalam ertikata lain
kepimpinan melalui teladan dan bertanggungjawab ke atas segala urusan dalam syarikat
seperti yang diperkatakan oleh Landstrom (2005), Burn (2005), dan Boyett (1997)
bahawa usahawan adalah pemimpin dengan kebolehan memimpin yang besar dengan
pelbagai tanggungjawab serta peranan.
Dapatan temu bual pula mendapati ini usahawan yang dikaji mengaplikasikan
kompetensi kepimpinan untuk membudayakan, memberi galakan dan bersama-sama
dengan pekerja syarikat untuk melakukan inovasi. Apa yang dilakukan oleh usahawan
tekno menepati pandangan Michaelis et al., (2010) yang menyatakan bahawa terdapat
perkaitan antara kompetensi kepimpinan dan pelaksanaan amalan inovatif dalam
sesuatu organisasi. Manakala dapatan menerusi soalan terbuka pula, usahawan yang
dikaji bertindak sebagai individu yang mengurus kewangan, mengurus sumber
381
manusia, berusaha untuk memenuhi kehendak pelanggan, mengurus masa dan berusaha
menjaga kebajikan pekerja tetapi mereka kurang memberi penekanan dalam aspek
mengurus organisasi. Menurut Rosman dan Mohd. Rosli (2011), kelemahan yang
ketara dalam kalangan usahawan Bumiputera adalah amalan pengurusan dalam aktiviti
perniagaan. Selain peranan tersebut, responden juga berusaha meningkatkan
produktiviti syarikat menggunakan kaedah memberi insentif, mempercayai pekerja
bawahan, up to date, mengadakan sesi brainstorming dan mengikuti latihan
teknokeusahawanan.
Untuk memastikan kesinambungan perniagaan yang dijalankan, usahawan
mengambil beberapa langkah untuk melahirkan pelapis seperti mendedahkan pekerja
kepada teknokeusahawanan, dan menghantar pekerja-pekerja yang berpotensi
mengikuti latihan perniagaan. Hasil kajian menunjukkan usahawan tekno sebagai
pemimpin kepada syarikat mempunyai pelbagai peranan untuk memastikan kejayaan
organisasi ini menepati pandangan Dorf dan Byers (2005), teknousahawan sebagai
gaya kepimpinan perniagaan berdasarkan proses mengenal pasti potensi tinggi, peluang
perniagaan teknologi intensif, pengumpulan sumber-sumber seperti bakat dan
kewangan, menguruskan pertumbuhan pesat menggunakan prinsip dan kemahiran
membuat keputusan yang tepat.
5.1.3.4 Kompetensi Strategik
Kompetensi strategik adalah keupayaan untuk menyelesaikan masalah yang tidak
dijangka yang melibatkan fenomena tertentu dalam menghadapi setiap halangan (Lilla,
382
2005). Hasil dapatan kuantitatif mendapati teknousahawan IKS Bumiputera memiliki
kompetensi strategik di mana mereka mengkaji isu-isu yang berkaitan dalam
membentuk strategi syarikat dan mengikuti halatuju industri yang memberi impak
kepada syarikat. Responden juga menyelaraskan tindakan-tindakan semasa dengan
matlamat syarikat serta sentiasa memantau kemajuan syarikat agar mencapai matlamat.
Selain itu, usahawan tekno juga menilai semula setiap operasi yang berlawanan dengan
matlamat strategik syarikat dan mengambil tindakan strategik berdasarkan faedah,
pulangan dan kos.
Dapatan soal selidik ini menunjukkan bahawa peserta kajian menggunakan
kompetensi strategik untuk mengatur dan merancang pengurusan syarikat agar sentiasa
berdaya saing seperti yang dinyatakan oleh Thompson (1999) bahawa kompetensi
strategi adalah salah satu kompetensi penting dalam menghadapi persekitaran
perniagaan yang mencabar dan tidak dapat diramalkan. Dapatan yang diperolehi
daripada temu bual pula menjelaskan bahawa teknousahawan IKS Bumiputera lepasan
pusat latihan kemahiran melakukan pelbagai kaedah untuk merangka strategi syarikat.
Antara kaedah yang digunakan adalah seperti melibatkan semua pekerja dalam
merangka strategi syarikat, bersikap terbuka dengan pekerja serta pelanggan agar
mereka dapat memberi maklumbalas terhadap perkhidmatan atau produk. Berdasarkan
kepada maklumbalas yang diperolehi daripada pekerja dan pelanggan, teknousahawan
IKS Bumiputera melakukan inovasi terhadap produk, perkhidmatan atau promosi.
Hasil Kajian ini menyokong Man et al. (2002) yang menyatakan bahawa kompetensi
strategik adalah berkaitan dengan penetapan, penilaian dan pelaksanakan strategik
syarikat.
383
5.1.3.5 Kompetensi Komitmen
Kompetensi komitmen adalah mencerminkan sikap teknousahawan terhadap kejayaan
dan pencapaian. Menurut Man et al. (2002), kompetensi komitmen seseorang
teknousahawan akan meningkatkan prestasi syarikat dalam jangka masa panjang.
Dapatan kajian kuantitatif (temu bual) mendapati usahawan yang dikaji memiliki
kompetensi komitmen yang membuatkan mereka begitu komited untuk memastikan
projek perniagaan berjalan lancar dan sentiasa berusaha memastikan perniagaan tidak
akan gagal.
Di samping itu, peserta kajian juga komited terhadap perniagaan jangka panjang
dengan melakukan pengorbanan peribadi yang besar untuk memastikan perniagaan
berjaya dan mampu bekerja dalam persekitaran yang penuh tekanan. Menerusi dapatan
soal selidik ini, menunjukkan usahawan tekno mempunyai komitmen yang tinggi untuk
memastikan perniagaan yang dijalankan berjaya seperti yang dinyatakan oleh Ahmad
(2006) bahawa kompetensi komitmen memberi penekanan kepada keupayaan
usahawan untuk memproses tingkah laku yang yang khusus untuk membuat kerja-kerja
usaha niaga. Dapatan kualitatif (temu bual) menunjukkan bahawa komitmen
teknousahawan IKS Bumiputera diawal pembabitan dalam perniagaan adalah tinggi
seperti menyediakan kewangan awal, perancangan perniagaan, menyediakan tapak
perniagaan, semangat yang tinggi dan pengetahuan dalam bidang yang ingin diceburi.
Hasil dapatan temu bual ini menjelaskan bahawa dalam sesuatu perniagaan, komitmen
adalah penting untuk memastikan kelangsungan usaha yang dijalankan seperti yang
dinyatakan oleh Khaairuddin Khalil (1996) bahawa setiap usahawan akan memastikan
komitmen penuh harus diberikan terhadap setiap tugasan yang diamanahkan dan
384
memastikan setiap tugasan tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah
ditetapkan serta berkualiti.
5.1.3.6 Kompetensi Mencari Idea Baharu
Untuk menjadi teknousahawan berjaya, kemahiran mencari idea baharu adalah penting
untuk membawa pembaharuan dan meningkatkan daya saing syarikat. Menurut
Mitchelmore dan Rowley (2010) kompetensi mencari idea baharu merupakan
keperluan teknousahawan untuk melakukan inovasi. Hasil kajian kuantitatif (soal
selidik) mendapati teknousahawan IKS Bumiputera memiliki kompetensi mencari idea
baharu. Teknousahawan menangani masalah yang berlarutan dengan pendekatan
baharu dan melakukan pembacaan atau bertanya dengan pakar-pakar dalam bidang
teknologi yang berkaitan untuk mendapatkan idea baharu.
Usahawan tekno melihat sesuatu masalah sebagai suatu peluang yang baharu
yang memerlukan mereka mencari idea dari pelbagai sumber serta kaedah alternatif
untuk menyelesaikan masalah dan mengaplikasikan kemahiran serta pengetahuan
baharu tersebut. Dapatan kajian ini menyokong pendapat Bartram (2000) dan Azahari
et al. (2013) yang menyatakan bahawa kompetensi mencari idea baharu mencerminkan
keupayaan usahawan untuk berfikir inovatif dan kreatif, membantu usahawan dalam
menangani keadaan yang memerlukan sikap terbuka kepada idea-idea serta
pengalaman baharu, yang digunakan kepada usaha baharu dan ia juga adalah perbezaan
proses antara keusahawanan dengan teknokeusahawanan. Dapatan temu bual pula
mendapati responden mengaplikasikan kompetensi mencari idea baharu ini untuk
385
melakukan inovasi yang membawa perubahan kepada syarikat, memenuhi keperluan
pasaran, menyelesaikan masalah untuk memastikan perniagaan sentiasa stabil. Dapatan
yang diperolehi seiring dengan pandangan Mohani et al. (2008) bahawa kompetensi
mencari idea baharu berkaitan dengan kemampuan mengkoordinasi dan
mengintegrasikan segala aktiviti perniagaan ke arah pencapaian matlamat, melibatkan
keupayaan menjangka, mengenalpasti masalah, memulih keadaan, membuat keputusan
dan memantau usaha untuk memajukan perniagaan.
5.1.3.7 Tema-Tema yang Muncul Berdasarkan Dapatan Kajian Mengenai
Kompetensi Teknokeusahawanan
Berdasarkan kepada dapatan empirikal dari aspek kompetensi teknokeusahawanan,
muncul beberapa tema yang kritikal. Tema-tema seperti komunikasi, menaruh
kepercayaan kepada pekerja, pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia,
menghargai pelanggan, pengurusan masa, dan kebajikan pekerja, mempercayai pekerja
bawahan, sentiasa up to date, pendedahan kepada teknokeusahawanan, dan latihan
teknousahawan, semangat kerja berpasukan, menghargai pendapat orang lain muncul
daripada hasil dapatan temu bual dan soalan terbuka. Daripada respons peserta kajian
terhadap item temu bual berkaitan elemen kompetensi kepimpinan, muncul tema-tema
komunikasi dan menaruh kepercayaan kepada pekerja. Tema-tema tersebut penting
kepada seorang responden sebagai pemimpin kepada syarikat perniagaan. Menerusi
tema komunikasi, seorang usahawan akan membina jaringan dengan pekerja bawahan,
rakan-rakan teknousahawan, dan juga dengan pelanggan. Manakala tema menaruh
kepercayaan kepada pekerja pula, pekerja bawahan akan merasa selesa dan dihargai
kerana kepercayaan yang diberikan oleh majikan. Ini akan memudahkan
386
teknousahawan untuk mengawal selia organisasi perniagaan mereka di samping
mendapat manafaat kerana pekerja akan menjadi pencetus idea untuk inovasi dan
penambahbaikan yang mampu melonjakkan daya saing syarikat. Manakala daripada
respons peserta kajian terhadap soalan terbuka yang berkaitan dengan kompetensi
kepimpinan iaitu keutamaan peserta kajian sepanjang mengurus dan mengendalikan
syarikat muncul tema-tema pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia,
menghargai pelanggan, pengurusan masa, dan kebajikan pekerja. Tema-tema tersebut
adalah merupakan peranan dan tugas teknousahawan untuk mengurus tadbir sesebuah
syarikat.
Selain melakukan tugas mentadbir syarikat, teknousahawan juga berperanan
untuk meningkatkan produktiviti syarikat. Ini berdasarkan respons mereka terhadap
soalan terbuka usaha yang dilakukan untuk meningkatkan produktiviti syarikat dan
tema-tema yang muncul adalah seperti mempercayai pekerja bawahan, dan sentiasa up
to date. Tema-tema tersebut merupakan elemen-elemen yang dilakukan oleh
teknousahawan untuk mempertingkatkan produktiviti syarikat. Dengan mempercayai
pekerja bawahan menjadikan para pekerja merasa dihargai dan sterusnya menyebabkan
mereka selesa untuk melakukan setiap tugasan yang diamanahkan. Selain itu,
teknousahawan juga harus sentiasa up to date dari segi pengetahuan dan trend
perniagaan terkini agar mereka mampu mengesan kekurangan yang membantutkan
produktiviti syarikat dan berusaha untuk memperbaikinya. Di samping itu, peserta
kajian juga mempunyai peranan untuk melahirkan pelapis teknousahawan seperti yang
dinyatakan dalam soalan terbuka usaha yang dilakukan untuk melahirkan pelapis
teknousahawan. Respon mereka terhadap soalan tersebut, muncul tema-tema
pendedahan kepada teknokeusahawanan dan latihan teknousahawan. Pendedahan dan
387
latihan yang berkaitan teknokeusahawanan adalah perlu kepada bakal teknousahawan.
Menurut Dorf dan Byers (2005), teknousahawan sebagai gaya kepimpinan perniagaan
berdasarkan proses mengenal pasti potensi tinggi, peluang perniagaan teknologi
intensif, pengumpulan sumber-sumber seperti bakat dan kewangan, menguruskan
pertumbuhan pesat menggunakan prinsip dan kemahiran perlu membuat keputusan
yang tepat. Usahawan sering dipanggil pemimpin dengan kebolehan kepimpinan yang
besar (Landstrom, 2005; Burn, 2005; Boyett, 1997).
Daripada hasil temu bual yang dilakukan dengan peserta kajian berkaitan
dengan item elemen kompetensi strategik pula, tema-tema utama yang muncul adalah
seperti semangat kerja berpasukan, dan menghargai pendapat orang lain. Tema-tema
tersebut merupakan kekuatan kepada kompetensi strategik dari sudut mengambil
langkah yang strategik untuk meningkatkan daya saing, melonjakan produktiviti mahu
pun mengatasi halangan yang dihadapi dalam perniagaan seperti kelemahan pemasaran,
kekurangan bahan mentah serta sumber manusia (pekerja mahir), dan modal kewangan.
Dapatan kajian ini seiring dengan pendapat Thompson (1999) yang menyatakan
bahawa kompetensi strategi adalah salah satu kompetensi penting kepada
teknousahawan untuk menghadapi cabaran dalam perniagaan. Bagi Man et al. (2002)
pula kompetensi strategik adalah berkaitan dengan penetapan, menilai dan
melaksanakan strategik firma. Manakala aspek seperti modal, perancangan perniagaan,
motivasi, dan kecekalan merupakan tema-tema yang muncul daripada dapatan temu
bual bersama-sama teknousahawan yang mefokuskan elemen kompetensi komitmen.
Tema-tema tersebut merupakan komitmen awal teknousahawan IKS Bumiputera
semasa memulakan perniagaan dan ianya merupakan persediaan awal yang perlu
kepada teknousahawan sebelum menceburi bidang perniagaan. Dapatan kajian ini
388
menyokong pendapat Khaairuddin Khalil (1996) dan Ahmad (2006) yang menyatakan
kompetensi komitmen adalah keupayaan usahawan untuk memproses tingkah laku
yang yang khusus dalam perniagaan dan mereka berusaha memastikan setiap tugasan
yang diamanahkan dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan
berkualiti.
5.1.4 Pengaruh Latar Belakang Keluarga, Pendidikan, Pengetahuan Teknikal
dan Sokongan Terhadap Pemikiran Inovatif Teknousahawan IKS
Bumiputera
Persoalan Kajian Keempat:
Adakah latar belakang keluarga, pendidikan, pengetahuan dan sokongan
mempengaruhi pemikiran inovatif teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat
latihan kemahiran?
Untuk menjawab persoalan kajian yang keempat ini, metodologi yang menggunakan
pendekatan kuantitatif dan kualitatif digunakan. Kedua-dua pendekatan ini
menggunakan instrumen soal selidik dari konteks faktor-faktor demografi dan temu
bual digunakan untuk mengumpul maklumat berkaitan dengan latar belakang keluarga,
latar belakang pendidikan, pengetahuan dan sokongan teknousahawan IKS Bumiputera
lepasan pusat latihan kemahiran yang mempengaruhi pemikiran inovatif mereka.
Dalam kerangka kajian, domain-domain ini merupakan pemboleh ubah moderator yang
telah dikenalpasti menerusi tinjauan literatur (Bygrave & Zacharakis, 2004; Edward,
1991; Willie et al., 2011) dan perbincangan untuk menjawab persoalan kajian keempat
ini terbahagi kepada: (i) Latar belakang keluarga sebagai moderator, (ii) Latar belakang
389
pendidikan sebagai moderator, (iii) Pengetahuan sebagai moderator dan (iv) Sokongan
sebagai moderator. Melalui dapatan kualitatif yang menggunakan instrumen temu bual,
pemerhatian, verifikasi dokumen dan soalan terbuka pula telah muncul tema-tema
utama yang lain seperti keinginan menjadi teknousahawan, pengetahuan teknikal,
kemahiran vokasional, sokongan luaran, program pementoran, latihan
teknokeusahawanan, modal dan inkubator. Tema-tema tersebut akan dibincangkan
dalam bahagian 5.1.4.4 (tema-tema yang muncul berdasarkan dapatan kajian mengenai
latar belakang keluarga, pendidikan, pengetahuan teknikal dan sokongan
teknousahawan IKS bumiputera).
5.1.4.1 Latar Belakang Keluarga Sebagai Moderator
Latar belakang keluarga dalam kajian ini adalah merujuk kepada latar belakang dari
sudut penglibatan keluarga dalam perniagaan seperti datuk, ayah, ibu atau adik beradik.
Dari aspek demografi (profil teknousahawan) kajian ini mendapati majoriti
teknousahawan IKS Bumiputera mempunyai latar belakang keluarga yang terlibat
dengan keusahawanan seperti datuk, ayah, ibu, abang dan adik beradik. Di samping itu,
majoriti peserta kajian menyatakan keluarga merupakan faktor pendorong untuk
berjaya dalam perniagaan. Dapatan menerusi profil teknousahawan ini mendapati latar
belakang keluarga mempunyai peranan penting sebagai pendedahan awal dalam
perniagaan yang mempengaruhi pemikiran inovatif teknousahawan IKS Bumiputera.
Hasil dapatan ini menyokong pendapat Buerah dan Hussin (2011), Mohd. Asri (2015),
Suhaila et al. (2015) yang menyatakan bahawa latar belakang pekerjaan keluarga akan
memberi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman awal (pendedahan) yang
390
membentuk nilai, minat serta sikap terhadap keusahawanan dan institusi keluarga
memainkan peranan dalam mempengaruhi pemikiran inovatif teknousahawan.
Manakala dapatan temu bual pula menjelaskan bahawa antara faktor yang membantu
teknousahawan berjaya dalam perniagaan adalah minat yang mendalam dalam bidang
yang diceburi, memiliki pemikiran inovatif dan menyambung tradisi keluarga
(mewarisi perniagaan) hasil daripada pengaruh latar belakang keluarga yang berniaga.
Dengan kata lain, latar belakang keluarga memberi kesan kepada pemikiran inovatif
teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran dalam menceburi
perniagaan. Dapatan kajian yang diperolehi seiring dengan pandangan Maimunah
(1998), Mohd. Salleh (2002), Umar Haiyat et al. (2010), Muhamad Asri dan Zaimah
(2012) bahawa faktor-faktor yang mempengaruhi kelestarian pemikiran inovatif
teknousahawan Bumiputera di Malaysia adalah latar belakang keluarga, pengalaman,
pengetahuan, motivasi, dan agama.
5.1.4.2 Latar Belakang Pendidikan Sebagai Moderator
Dari perspektif sosiologi, pendidikan merupakan merupakan proses untuk
meningkatkan, memperbaiki, mengubah pengetahuan, ketrampilan dan sikap serta
tingkahlaku seseorang atau komuniti masyarakat melalui kegiatan bimbingan,
pengajaran dan latihan (M. Zainuddin, 2008). Dalam kajian ini, latar belakang
pendidikan adalah merujuk kepada pendidikan yang diperolehi oleh teknousahawan
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran sama ada pendidikan akademik mahu
pun pendidikan vokasional. Dapatan kajian yang diperolehi melalui temu bual
mendapati teknousahawan IKS Bumiputera memilih bidang teknokeusahawanan
391
adalah kerana minat dan latar belakang pendidikan seperti; bidang teknikal, kemahiran
bertukang, bidang grafik, kemahiran vokasional dan bidang berniaga. Kemahiran dalam
bidang-bidang tersebut diperolehi sama ada melalui pendidikan formal dan ada juga
melalui pengalaman yang ditimba semasa bekerja. Kesan daripada latar belakang
pendidikan tersebut teknousahawan mampu berfikir secara inovatif dan menctuskan
idea-idea baharu. Verifikasi dokumen pula mendapati majoriti teknousahawan IKS
Bumiputera memiliki sijil SPM, sijil kemahiran vokasional, sijil keusahawanan. Ada di
antara teknousahawan IKS Bumiputera juga memiliki diploma dan ijazah sarjana muda.
Di samping itu, terdapat teknousahawan IKS Bumiputera dalam kajian ini yang
mengambil insiatif sendiri untuk mengikuti kursus-kursus pendek yang berkaitan
dengan kemahiran anjuran agensi-agensi kerajaan seperti: CIDB, NIOSH dan JPK.
Menurut Bygrave (2004), faktor pendidikan mampu meningkatkan pemikiran kritis
seseorang usahawan untuk lebih berdaya saing dalam perniagaan.
Dapatan verifikasi dokumen yang melibatkan sijil-sijil akademik, kemahiran
vokasional serta keusahawanan menunjukkan bahawa usahawan yang dikaji
mempunyai latar belakang pendidikan sama ada pendidikan akademik mahupun
vokasional dan mereka menyedari bahawa pendidikan penting dalam meningkatkan
pemikiran kritis dalam usaha memacu syarikat ke arah kejayaan. Dengan kata lain, latar
belakang pendidikan memberi kesan terhadap pemikiran kritis seterusnya lebih berjaya
dalam perniagaan. Penemuan dalam kajian ini disokong oleh pendapat Shane et al.
(2003), Bygrave (2004), Zhu et al. (2013) menyatakan bahawa faktor yang membentuk
pemikiran kritis adalah pendidikan, persekitaran dan faktor-faktor sosiologi lain seperti
keluarga, keinginan bekerja sendiri, jaringan dan faktor kematangan usia dan ia juga
seiring dengan pandangan Soreensen dan Chang (2006), Buerah dan Zoolhilmi (2015)
392
berpendapat tahap pendidikan serta pengalaman usahawan mempunyai pengaruh
terhadap pemikiran kritis dari aspek menganalisis peluang-peluang baharu dalam
perniagaan.
5.1.4.3 Pengetahuan Teknikal Sebagai Moderator
Pengetahuan teknikal teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran
sama ada diperolehi melalui pendidikan formal mahu pun tidak formal memberikan
kelebihan kepada mereka dari sudut berfikir secaara kritis untuk melihat sesuatu situasi
yang sukar kepada peluang, mengenalpasti serta mengatasi masalah dan yang paling
kritikal adalah bagaimana menjadikan perniagaan mereka lebih berdaya saing melalui
inovasi yang dilakukan. Berdasarkan kepada dapatan temu bual, didapati kepakaran dan
kemahiran dalam bidang yang diceburi adalah antara faktor yang membantu
teknousahawan IKS Bumiputera berfikir secara kritis.
Dapatan soalan terbuka pula menunjukkan teknousahawan IKS Bumiputera
memilih perniagaan sekarang kerana menerima latihan atau kursus dalam bidang
tersebut. Di samping itu juga majoriti teknousahawan IKS Bumiputera dalam kajian ini
pernah bekerja dalam bidang yang sama sebelum memulakan perniagaan. Hasil dapatan
kajian ini mendapati elemen pengetahuan teknikal mempunyai peranannya yang
tersendiri dalam mencorakkan pemikiran kritis, tindakan mahu pun daya tahan dalam
menempuhi kesulitan dalam perniagaan seperti yang dinyatakan Edward (1991),
Mitchell et al. (2007) dan Willie et al., (2011) bahawa aspek pengetahuan teknikal di
samping perkembangan akademik dan pengalaman-pengalaman yang diperolehi
393
semasa bekerja sebagai antara elemen penting membentuk pemikiran kritis
teknousahawan.
5.1.4.4 Sokongan Dalaman dan Luaran Sebagai Moderator
Sokongan dalaman dan luaran adalah merupakan elemen yang mendokong setiap usaha
yang dilakukan oleh teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran
untuk memajukan perniagaan mereka. Hasil dapatan temu bual mendapati elemen
sokongan dalaman dan luaran seperti keluarga, pengetahuan, minat dan kemahiran
vokasional membantu teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran
sebagai pemangkin kepada pemikiran kritis mereka dalam perniagaan. Elemen keluarga
memainkan peranan sebagai pendorong (motivasi) kepada teknousahawan IKS
Bumiputera. Manakala elemen pengetahuan pula memberikan keyakinan seterusnya
menerbitkan daya tahan dalam diri teknousahawan. Aspek motivasi dan daya tahan ini
penting untuk menyokong teknousahawan berfikir lebih kritis. Keinginan menjadi
teknousahawan adalah kerana faktor minat yang didorong oleh pemikiran kritis
teknousahawan. Oleh kerana teknokeusahawanan ini bidang yang berkait rapat dengan
teknologi maka kemahiran vokasional, maka pemikiran kritis merupakan nilai tambah
dalam diri teknousahawan IKS Bumiputera. Dengan kata lain, aspek sokongan juga
mempunyai peranan yang penting terhadap pemikiran kritis teknousahawan seperti
yang dinyatakan oleh Willie et al., (2011), aspek pengetahuan dan sokongan sebagai
antara elemen penting untuk membangunkan pemikiran kritis usahawan yang
berasaskan teknologi.
394
5.1.4.5 Tema-Tema yang Muncul Berdasarkan Dapatan Kajian Mengenai Latar
Belakang Keluarga, Pendidikan, Pengetahuan Teknikal dan Sokongan
Terhadap Pemikiran Inovatif Teknousahawan IKS Bumiputera
Perbincangan tema-tema yang muncul daripada dapatan kajian mengenai latar belakang
keluarga, pendidikan, pengetahuan teknikal dan sokongan terhadap pemikiran inovatif
teknousahawan IKS Bumiputera ini merupakan dapatan yang diperolehi daripada
instrumen profil teknousahawan dan juga soalan terbuka. Respons peserta kajian
terhadap item profil teknousahawan mengenai mengenai latar belakang keluarga,
pendidikan teknikal dan sokongan teknousahawan, muncul beberapa tema utama
seperti keinginan menjadi teknousahawan, pengetahuan teknikal, kemahiran
vokasional, dan sokongan luaran.
Keinginan menjadi teknousahawan ditakrifkan sebagai kesediaan individu
untuk melakukan tingkah laku dan melibatkan diri dalam tindakan teknokeusahawanan,
untuk dapat bekerja sendiri, atau untuk mewujudkan perniagaan baharu (Dhose &
Walter, 2010). Keinginan tersebut melibatkan keberanian dalaman, cita-cita dan
keinginan untuk berdikari (Zain et al., 2010). Seorang individu mungkin mempunyai
potensi untuk menjadi teknousahawan tetapi tidak membuat apa-apa peralihan bidang
keusahawanan kecuali mereka mempunyai keinginan tersebut (Mohammad et al.,
2009). Dalam memperkatakan tentang keinginan ini, peranan yang dimainkan oleh
keluarga tidak dinafikan kerana mereka memainkan peranan membentuk pemikiran
inovatif seterusnya terlibat dalam keusahawanan sebagai satu kerjaya (Suhaila et al.,
2015). Ini disebabkan oleh faktor latar belakang keluarga berperanan membentuk
tingkah laku keusahawanan termasuklah pemikiran inovatif (Maimunah, 1998 &
Mohd. Salleh, 2002). Beberapa faktor lain seperti inisiatif diri sendiri, dorongan
395
keluarga dan agama merupakan faktor utama yang mendorong mereka menceburi
bidang usahawan (Muhamad Asri & Zaimah, 2012). Umar Haiyat et al. (2010) pula
menyatakan faktor yang mempengaruhi kelestarian teknousahawan Bumiputera di
Malaysia termasuk kemahiran seorang usahawan, pengalaman, pengetahuan, motivasi,
dan latar belakang keluarga serta pemikiran inovatif. Dalam kajian ini keinginan
menjadi teknousahawan merupakan faktor utama yang menyebabkan peserta kajian
menceburi bidang teknokeusahawanan dan kekuatan pemikiran inovatif. Berdasarkan
kepada pernyataan usahawan yang dikaji, keinginan tersebut timbul semenjak di pusat
latihan kemahiran lagi kerana pendedahan melalui subjek keusahawanan dan
pembentukan pemikiran inovatif dalam diri mereka.
Di samping itu, terdapat juga teknousahawan yang berkeinginan menjadi
teknousahawan kerana minat yang terhasil daripada pendedahan awal dalam kalangan
keluarga yang berniaga yang sememangnya memiliki pemikiran inovatif. Tema
tersebut seiring dengan pendapat Buerah dan Hussin (2011), bahawa pengaruh latar
belakang keluarga berniaga juga membantu menimbulkan minat terhadap
keusahawanan serta meningkatkan pemikiran inovatif dan seterusnya mempengaruhi
pemilihan kerjaya sebagai usahawan. Manakala pengetahuan teknikal pula diperolehi
oleh responden semasa menjalani latihan di pusat latihan kemahiran dan juga melalui
pengalaman bekerja yang berperanan membentuk pemikiran inovatif. Tema
pengetahuan teknikal yang merujuk kepada pengetahuan yang berkaitan teknologi dan
kejuruteraan menjadikan peserta kajian berkeyakinan untuk menceburi bidang
teknokeusahawanan di samping pengalaman-pengalaman (pemikiran inovatif) yang
diperolehi semasa bekerja (Edward, 1991 & Willie et al., 2011). Tema seterusnya yang
muncul daripada dapatan latar belakang keluarga, pendidikan teknikal dan sokongan
396
teknousahawan IKS Bumiputera ini adalah kemahiran vokasional. Kemahiran ini juga
diperolehi semasa latihan di pusat latihan kemahiran dan melalui pengalaman bekerja.
Kemahiran vokasional juga penting kepada teknousahawan, kerana kemahiran tersebut
akan memudahkan peserta kajian memikirkan bentuk perniagaan (pemikiran inovatif)
yang akan dijalankan dan menjadi asas untuk mereka melakukan inovasi (Nor Aishah,
2013). Menurut Soreensen dan Chang (2006), pendidikan serta pengalaman yang
dimiliki mempengaruhi kejayaan usahawan. Zhu et al. (2013) menyatakan bahawa
faktor umur, pendidikan, pengalaman dan latar belakang keluarga serta pemikiran
inovatif mempengaruhi kejayaan usahawan. Bagi Shane et al. (2003) pula, kewujudan
watak usahawan (ciri-ciri keusahawanan) dipengaruhi oleh beberapa faktor dalaman
dan luaran, iaitu alam sekitar, pendidikan, nilai-nilai peribadi dan pengalaman kerja
serta memiliki pemikiran inovatif.
Tema terakhir yang muncul berdasarkan dapatan kajian mengenai latar
belakang keluarga, pendidikan teknikal dan sokongan teknousahawan IKS Bumiutera
ini adalah tema sokongan luaran. Sokongan luaran adalah merujuk kepada bantuan
yang diperolehi, penguasaan bahasa komunikasi, kebolehan membuat pembentangan
dan persatuan perniagaan serta persatuan profesional yang dianggotai oleh
teknousahawan. Sokongan luaran ini juga tidak kurang pentingnya dalam menyokong
mereka untuk membangun dan mengembangkan perniagaan yang diceburi seperti
pendapat Willie et al. (2011) bahawa aspek sokongan mempunyai peranan yang penting
terhadap kejayaan teknousahawan sebagai antara elemen kritikal untuk pembangunan
keusahawanan yang berasaskan teknologi. Bygrave (2004) menyatakan faktor yang
membentuk sifat-sifat teknokeusahawanan yang berjaya adalah pendidikan,
persekitaran dan faktor-faktor sosiologi lain seperti keluarga, keinginan bekerja sendiri,
397
jaringan di samping faktor kematangan usia. Selain instrumen profil teknousahawan
(kuantitatif), terdapat juga dapatan lain yang diperolehi melalui soalan terbuka. Dapatan
tersebut adalah respons teknousahawan terhadap soalan terbuka berkenaan tindakan
pihak berwajib harus lakukan untuk melahirkan atau membentuk teknousahawan yang
berjaya. Berdasarkan respons peserta kajian terhadap soalan tersebut, muncul tema-
tema yang menjurus kepada latar belakang keluarga, pendidikan teknikal dan sokongan
teknousahawan seperti program pementoran, latihan teknokeusahawanan, modal dan
inkubator. Tema-tema ini adalah elemen yang kritikal untuk teknousahawan
memulakan dan mengembangkan perniagaan (Etienne & Josée, 2012, Azmi et al.,
2012, Zhang et al.,2011, Albert & Gaynor, 2003).
5.1.5 Elemen-elemen yang Menyokong Pemikiran Inovatif Teknousahawan
Persoalan Kajian Kelima:
Apakah elemen-elemen yang menyokong pemikiran inovatif teknousahawan dari
analisis pemerhatian?
Persoalan kajian kelima ini adalah untuk mengenalpasti elemen-elemen yang
menyokong pemikiran inovatif teknousahawan. Untuk menjawab persoalan kajian
yang kelima ini, analisis terhadap dapatan pemerhatian telah dilakukan. Hasil
pemerhatian yang dilakukan terhadap teknousahawan, beberapa elemen telah
dikenalpasti menyokong pemikiran inovatif teknousahawan seperti inovasi sistem,
pembudayaan inovasi, pemikiran kritis dan inovasi. Selain daripada elemen-elemen
tersebut, terdapat juga beberapa elemen yang berkaitan dengan konstruk ciri-ciri serta
398
kompetensi teknokeusahawanan. Elemen-elemen yang telah dikenalpasti sebagai
konstruk ciri-ciri teknokeusahawanan dalam pemerhatian ini adalah mengambil risiko
munasabah, disiplin, komitmen, kualiti kerja, produktiviti, motivasi, dan up to dated.
Manakala elemen-elemen yang berkaitan dengan kompetensi teknokeusahawanan pula
adalah seperti matlamat syarikat, pengurusan permis, pengurusan akaun, pengurusan
sumber manusia, komunikasi, pengurusan organisasi, promosi, dan jaringan. Dapatan
pemerhatian ini seiring dengan pendapat Katarzyna (2014) yang menyatakan bahawa
ciri-ciri dan kompetensi teknokeusahawanan mempengaruhi pemikiran inovatif untuk
meningkatkan daya saing syarikat dan mencari peluang-peluang perniagaan yang
baharu.
5.1.6 Hubungan di antara Ciri-Ciri Teknokeusahawanan dan Pemikiran
Inovatif
Persoalan Kajian Keenam:
Adakah terdapat hubungan yang signifikan di antara ciri-ciri keusahawanan dan
pemikiran inovatif dalam kalangan teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat
latihan kemahiran?
Persoalan kajian keenam ini adalah untuk menguji hubungan antara ciri-ciri
keusahawanan dan pemikiran inovatif. Untuk menjawab persoalan kajian yang kelima
ini, analisis korelasi telah dilakukan. Dapatan empirikal soal selidik mendapati tidak
terdapat hubungan yang signifikan di antara ciri-ciri keusahawanan dan pemikiran
inovatif. Dapatan ini tidak selari dengan teori Katarzyna (2014), iaitu ciri-ciri
keusahawanan mempengaruhi pemikiran inovatif usahawan untuk meningkatkan daya
399
saing syarikat dan mencari peluang-peluang perniagaan yang baharu. Namun demikian,
dapatan empirikal kajian ini menyokong teori oleh Haitham (2014) yang menyatakan
bahawa ciri-ciri keusahawanan tidak mempengaruhi pemikiran inovatif teknousahawan
dalam meningkatkan daya saing syarikat dan mencari peluang-peluang perniagaan
yang baharu. Wattanasupachoke (2012) pula menyatakan ciri-ciri keusahawanan boleh
merangsang minda usahawan untuk berfikir di luar kotak apabila digabungkan dengan
pemikiran inovatif.
5.1.7 Hubungan di antara Kompetensi Teknokeusahawanan dan Pemikiran
Inovatif
Persoalan Kajian Ketujuh:
Adakah terdapat hubungan yang signifikan di antara kompetensi keusahawanan dan
pemikiran inovatif dalam kalangan teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat
latihan kemahiran?
Berdasarkan kepada kajian literatur, kompetensi keusahawanan dan pemikiran inovatif
penting untuk meningkatkan daya saing teknousahawan dalam perniagaan. Oleh itu,
persoalan kajian ketujuh adalah untuk menguji hubungan antara kompetensi
keusahawanan dan pemkiran inovatif. Untuk merungkai persoalan kajian yang
keenam, analisis korelasi telah dilakukan. Hasil keputusan daripada analisis tersebut
menunjukkan bahawa kompetensi keusahawanan dengan pemikiran inovatif
mempunyai hubungan langsung yang positif tetapi sederhana sahaja. Dapatan ini
menunjukkan bahawa pemikiran inovatif teknousahawan dipengaruhi oleh kompetensi
keusahawanan untuk mewujudkan daya saing syarikat dan mencari peluang-peluang
400
baharu. Hasil dapatan kajian ini seiring dengan Katarzyna (2014) yang menyatakan
bahawa kompetensi keusahawanan mempengaruhi pemikiran inovatif usahawan untuk
meningkatkan daya saing syarikat dan mencari peluang-peluang perniagaan yang
baharu. Menurut Reza et al. (2016), terdapat hubungan yang positif dan signifikan
antara kompetensi keusahawanan dan pemikiran inovatif untuk memberi kelebihan
daya saing kepada firma. Wattanasupachoke (2012) pula menyatakan kompetensi
keusahawanan perlu digabungkan dengan pemikiran inovatif untuk merangsang minda
usahawan berfikir di luar kotak seterusnya menyumbang kepada inovasi dalam
menyediakan rangka kerja, mewujudkan visi serta idea baharu. Implikasi daripada
dapatan ini, pemikiran teknousahawan perlu ‘digilap’ untuk meningkatkan daya saing
dan idea-idea baharu kepada syarikat.
5.1.8 Elemen-Elemen Baharu Berdasarkan Data Empirikal Kajian untuk
Kerangka Pembangunan Pemikiran Inovatif Teknousahawan di Malaysia
Persoalan Kajian Kelapan:
Apakah elemen-elemen baharu berdasarkan dapatan empirikal kajian untuk kerangka
baharu pembangunan pemikiran inovatif teknousahawan di Malaysia?
Dalam perbincangan yang terdahulu, beberapa kepincangan serta kelemahan
teknokeusahawanan di Malaysia telah dikupas dan perlu diberi nafas baharu dengan
suntikan elemen-elemen yang mampu meningkatkan daya saing dan daya tahan
teknousahawan. Persoalan ketujuh ini bertujuan mengenalpasti dan mengupas elemen-
elemen yang sesuai untuk diterapkan dalam kerangka baharu pembangunan
teknousahawan di Malaysia. Untuk menjawab persoalan kajian yang ketujuh, hasil
401
kajian melalui instrumen soal selidik, profil teknousahawan, temu bual, dan
pemerhatian mendapati bahawa teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan
kemahiran mengusulkan beberapa aspek yang kritikal untuk menjadi teknousahawan
berjaya antaranya adalah personaliti teknousahawan, sokongan dalaman serta luaran,
jaringan dan inkubator. Aspek-aspek tersebut penting untuk membentuk
teknousahawan yang berjaya ini selari dengan pandangan Rosli et al. (2010) bahawa
usahawan dapat dibentuk melalui proses pembelajaran dan latihan berdasarkan modul
yang teratur. Kajian Hsiao et al. (2012) pula mendapati sebelas perkara teras yang perlu
kepada seseorang usahawan iaitu: kesedaran proses keusahawanan, ciri-ciri usahawan,
kemahiran asas perniagaan, kemahiran komunikasi, kemahiran digital, kemahiran
inovasi, kemahiran pengurusan kewangan, kemahiran pengurusan sumber manusia,
kemahiran pengurusan pemasaran, kemahiran operasi, dan kemahiran pengurusan
risiko.
5.1.8.1 Personaliti dan Kompetensi Teknousahawan
Teknousahawan merupakan individu yang menceburi bidang perniagaan yang
berasaskan teknikal dan teknologi baharu. Menurut Prodan (2007), pemikiran inovatif
merupakan antara elemen penting dalam keusahawanan teknologi. Untuk menceburi
bidang perniagaan berasaskan teknikal, aspek pertama yang dicadangkan oleh peserta
kajian dalam kerangka baharu pembangunan pemikiran inovatif teknousahawan di
Malaysia adalah melibatkan kekuatan dalaman diri bakal teknousahawan itu sendiri.
Berdasarkan kepada dapatan kajian (temu bual) ini, aspek personaliti teknousahawan
dan kompetensi teknousahawan yang dikenalpasti terdiri daripada beberapa elemen-
402
elemen iaitu (i) keinginan menjadi teknokeusahawanan, (ii) ciri-ciri
teknokeusahawanan, (iii) kompetensi teknokeusahawanan, (iv) mempunyai pemikiran
inovatif (kemahiran berfikir kritis, kemahiran menyelesai masalah, pemikiran strategik
& inovasi), dan (v) mempunyai daya tahan. Sejak dua dekad yang lalu, fenomena
teknokeusahawanan telah menarik minat penyelidik terdahulu dan pembuat dasar
kerana impak yang signifikan kepada kemajuan ekonomi. Teknokeusahawanan bukan
sahaja memberi impak kepada bidang keusahawanan tetapi juga memberi impak
kepada inovasi teknologi (Simon et al., 2016).
(i) Keinginan Menjadi Teknousahawan
Keinginan menjadi teknousahawan adalah niat atau keinginan seseorang individu
untuk menceburi bidang teknokeusahawanan (Lee et al., 2011). Keinginan ini didorong
oleh beberapa faktor seperti latar belakang keluarga, persekitaran, dan tekanan hidup
(Eric & Ibrahim, 2015). Dapatan kajian (profil teknokeusahawanan, temu bual, dan
soalan terbuka) mendapati majoriti teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat
latihan kemahiran mempunyai keinginan menjadi teknokeusahawan ketika mereka di
pusat latihan kemahiran lagi atau ketika bekerja dengan majikan dan ia muncul kerana
beberapa faktor seperti faktor seperti minat, latar belakang teknikal, latar belakang
vokasional dan kemahiran berniaga (pendedahan keluarga berniaga). Keinginan
menjadi teknokeusahawan ini telah mendorong mereka untuk menceburi bidang
perniagaan. Keinginan menjadi teknokeusahawan ini juga mendorong seseorang bakal
teknousahawan untuk lebih memahami hasrat kenapa mereka perlu memilih bidang
teknokeusahawanan ini. Seseorang yang mempunyai keinginan menjadi
403
teknousahawan lebih bersedia dari segi mental dan fizikalnya bagi menghadapi
rintangan dan halangan untuk berjaya dalam bidang teknokeusahawanan (Krueger dan
Brazeal, 1994). Dapatan kajian ini seiring dengan dapatan penyelidik terdahulu di mana
keinginan menjadi teknousahawan adalah petunjuk untuk seseorang individu menjadi
usahawan teknologi (Fishbein & Ajzen, 1975). Lee et al. (2011), mendapati bahawa
keinginan menjadi teknousahawan dipengaruhi oleh tarikan peribadi individu kepada
teknokeusahawanan, norma sosial dalam kalangan mikro dan persekitaran makro yang
membentuk kepercayaan serta sikap terhadap keusahawanan dan dilihat efikasi kendiri
individu sebagai usahawan masa depan. Keinginan tersebut juga boleh ditakrifkan
sebagai persepsi kebaikan dan kemungkinan yang cenderung untuk bertindak ke atas
peluang baharu (Peterman & Kennedy, 2003). Menurut Krueger dan Brazeal (1994),
keinginan ini penting kepada teknousahawan untuk memahami proses keusahawanan
kerana ia adalah asas serta langkah pertama untuk memahami usaha niaga. Berikutan
definisi ini, keinginan menjadi teknousahawan adalah kesanggupan, keinginan dan
keupayaan seseorang individu untuk melibatkan diri dalam keusahawanan atau
mewujudkan perniagaan yang relevan kepada orang lain dan masyarakat (Eric &
Ibrahim, 2015).
(ii) Ciri-ciri Teknokeusahawanan
Kepentingan ciri-ciri teknokeusahawanan dalam diri seseorang teknousahawan untuk
berjaya dan berdaya saing tidak dapat disangkal lagi ini berdasarkan dapatan kajian
(soal selidik, temu bual, dan soalan terbuka) jelas menunjukkan bahawa teknousahawan
IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran memiliki ciri-ciri teknokeusahawanan
404
seperti mengambil risiko yang munasabah, bermotivasi, mempunyai matlamat,
kecekalan, komitmen mutu kerja yang tinggi, suka kepada pembaharuan, jujur dan
berintegriti, kecekapan mengurus masa dan bertindakbalas kepada cadangan.
Seseorang individu yang memiliki ciri-ciri teknokeusahawanan lebih bersedia untuk
melaksanakan tugasan sebagai seorang teknousahawan berbanding individu yang tidak
memiliki ciri-ciri tersebut. Dapatan kajian seiring dangan pendapat Sorensen dan
Chang (2006) yang menyatakan ciri-ciri teknokeusahawanan menentukan kejayaan
seseorang teknousahawan. Ciri-ciri usahawan adalah unik dan hampir sama antara satu
sama lain, oleh itu seseorang individu yang berhasrat menjadi usahawan yang berjaya
haruslah mengubah sikapnya supaya menghampiri ciri-ciri mereka yang telah berjaya
(Sabri, 2002). Setiap individu berpeluang menjadi usahawan jika memiliki ciri-ciri
keusahawanan dan ia boleh dibentuk serta dibangunkan dalam diri seseorang individu
(Mohd Salleh et al., 2002).
(iii) Kompetensi Teknokeusahawanan
Hasil kajian (soal selidik, temu bual, dan soalan terbuka) ini jelas menunjukkan
kesemua teknousahawan IKS Bumiputera lepasan pusat latihan kemahiran memiliki
kompetensi teknokeusahawanan seperti mencari peluang, membina jaringan,
kepimpinan, strategik, komitmen dan mencari idea baharu. Seseorang individu yang
ingin menceburi bidang perniagaan yang berasaskan teknologi haruslah memiliki
kompetensi tersebut kerana ia terdiri daripada pengetahuan, kemahiran dan sikap
keusahawanan yang penting kepada teknousahawan (Allen & Velden, 2011;
Mitchelmore & Rowley, 2010). Kompetensi tersebut amat penting kepada usahawan
405
tekno kerana ianya berkait rapat dengan prestasi dan daya saing serta mempengaruhi
kejayaan sesuatu perniagaan (Man et al., 2002). Bagi Endi et al. (2013), kompetensi ini
berkait rapat dengan ciri-ciri teknokeusahawanan dalam menentukan prestasi
perniagaan IKS. Ahmad et al. (2010), pula berpendapat bahawa kompetensi
keusahawanan sebagai peramal kejayaan perniagaan IKS di Malaysia, walaupun
pengaruhnya lebih kuat untuk keadaan persekitaran yang stabil dan dinamik.
(iv) Mempunyai Pemikiran Inovatif
Pemikiran inovatif adalah suatu aktiviti yang menghasilkan cara-cara atau idea-idea
yang muncul daripada pengalaman yang telah kita lalui berkaitan dengan maklumat-
maklumat yang bersumber dari lingkungan sekitarnya (Muhammad ‘Abdul Jawwad,
2004). Dalam kajian ini mendapati teknousahawan IKS Bumiputera mengabungkan
domain kemahiran berfikir kritis, kemahiran menyelesai masalah, pemikiran strategik
dan inovasi sebagai elemen pemikiran inovatif untuk melakukan tindakan mengatasi
masalah, halangan dan juga cabaran dalam perniagaan. Dapatan kajian ini seiring
dengan pandangan Kuratko et al. (2012) yang menyatakan bahawa pemikiran inovatif
adalah merupakan kesepaduan set minda yang meresapi individu dan organisasi dengan
cara yang berkesan untuk meningkatkan prestasi dengan melakukan perkara-perkara
baharu, penciptaan teknik dan kaedah, keupayaan untuk berfikir diluar daripada
kebiasaan (di luar kotak) dan kesediaan untuk mencuba pelbagai penyelesaian yang
berbeza. Dalam proses mencari peluang perniagaan baharu dan menukarkan visi
menjadi kenyataan, pemikiran inovatif mampu meningkatkan kemahiran dan
membantu usahawan untuk mencari idea-idea yang sesuai (Milan, 2015). Menurut
406
Weiss dan Legrand (2011) pula, pemikiran inovatif merupakan proses penyelesaian
masalah dengan menemui, penggabungan, mengatur pandangan, idea-idea dan kaedah
dengan cara yang baharu.
(v) Mempunyai Daya Tahan
Daya tahan ialah keupayaan seseorang usahawan untuk menghadapi kesukaran dalam
perniagaan (Buerah & Hussin, 2014). Ia juga merujuk kepada ketabahan seperti
kekuatan emosi, kesihatan mental, kesihatan fizikal, kekuatan kerohanian
(spirituality) dan pegangan moral (Maddi, 2005). Melalui dapatan temu bual,
teknousahawan IKS Bumiputera menjelaskan mereka dapat mengatasi halangan-
halangan dengan kekal dalam perniagaan yang sama di samping menjalinkan hubungan
yang baik dengan peniaga bukan Bumiputera.
Hasil kajian (temu bual, dan soalan terbuka) ini mendapati daya tahan penting
kepada responden kerana ia merupakan merupakan kekuatan dalaman yang membantu
mereka untuk bertahan seterusnya mengatasi halangan-halangan yang dihadapi dalam
perniagaan di samping strategi-strategi yang lain. syarikat kini memerlukan individu
sebegini untuk kelangsungan perniagaan. Teknousahawan yang memiliki ketahanan
tersebut cepat menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan, dapat mengubah
haluan untuk bangkit kembali daripada kejatuhan atau kegagalan. Menurut Noor
Azman (2013) pula menyatakan bahawa individu yang berdaya tahan ialah individu
yang dapat memuaskan kehendak pelanggan secara segera, bertindak cepat
menghadapi krisis dan tidak melepaskan sebarang peluang. Dapatan ini seiring dengan