PENDEKATAN KAJIAN PENGAJARAN DALAM PEMBELAJARAN DAN
PEMUDAHCARAAN MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU
NUR AIN ELZIRA BINTI ABDULLAH
TESIS YANG DIKEMUKAKAN UNTUK MEMPEROLEH
IJAZAH DOKTOR FALSAFAH
FAKULTI PENDIDIKAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA
BANGI
2018
ii
PENGAKUAN
Saya akui karya ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang
tiap-tiap satunya telah saya jelaskan sumbernya.
01 Mac 2018 NUR AIN ELZIRA BINTI ABDULLAH
P66592
iii
PENGHARGAAN
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Syukur Alhamdulillah dan segala pujian kepada Allah S.W.T dengan limpah
kurnia-Nya memberi saya kesihatan dan kekuatan untuk menyempurnakan kajian ini.
Sesungguhnya, Engkaulah yang telah memberikan ilham dan mengizinkan perjalanan
ilmu ini, serta memberi peluang untuk mengenal hakikat diri sebagai hamba. Semoga
amal dan usaha yang sedikit ini Engkau terima, juga dikira sebagai hasil pencarian
yang layak untukku memperoleh syafaat-Mu nanti.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan
kepada penyelia, Prof. Dr. Hj. Zamri Mahamod yang telah banyak mencurahkan masa
dan tenaga dalam menyumbang idea, memberi bimbingan, motivasi, dan sokongan
secara ilmiah dan profesional. Segala ilmu, panduan, nasihat dan bimbingan
berterusan daripada beliau memberi input yang tidak ternilai dalam menjayakan kajian
ini. Semoga Allah S.W.T membalas jasa beliau dengan sebaik-baik ganjaran dunia
dan akhirat. Ribuan terima kasih juga kepada semua pensyarah dan staf di Fakulti
Pendidikan, UKM yang banyak berkongsi ilmu pengetahuan, serta sedia membantu
dalam apa-apa jua keadaan yang diminta sehingga kajian ini dilaksanakan dengan
jayanya. Semoga kalian dikurniakan kesihatan yang terbaik dan dimurahkan rezeki.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada semua
panel penilai yang terlibat dalam kajian ini. Begitu juga kepada Bahagian Tajaan
KPM yang menawarkan biasiswa sebagai hadiah latihan insentif sepanjang tempoh
pengajian ini. Tidak lupa juga kepada pihak BPPDP KPM, dan JPN Negeri Sarawak
yang sudi memberi kebenaran untuk menjalankan penyelidikan ini. Seterusnya, terima
kasih yang tidak terhingga kepada semua peserta kajian atas kerelaan menyalur
maklumat untuk menjayakan kajian ini.
Sekalung kasih penuh mesra dititipkan buat semua rakan seperjuangan,
teristimewa kepada Rahayu Johari, Abang Adam, Nor Jannah, Noraini, Faridah, Wan
Huzaini, Jaffry, Celinea, Layang Ugek, Zuelelawati, Zoohilmi, Mohd. Iskandar, serta
semua yang saya tidak mampu senaraikan di sini. Segala jasa baik kalian tidak
mungkin dilupakan atas kesudian berkongsi ilmu dan pandangan serta pembakar
semangat sepanjang perjalanan mengejar ilmu ini. Semoga persahabatan kita
berkekalan hingga ke jannah.
Akhir sekali, lafaz kasih penuh cinta diabadikan khas buat suami yang telah
berkorban segala-galanya. Juga, junjungan kasih tidak terhingga buat indaiku sayang
dan adinda Nur Aishah yang tidak pernah berhenti mendoakan kesejahteraanku.
Terima kasih yang tiada noktahnya kepada sumber inspirasiku, Michael Thomas,
Pauline Thomas, Mohd. Ridzuan, Robin Thomas, Abdullah Johari, Mohammad
Fakhri Hidayatullah, Mohammad Ar-Rafi Hidayatullah, Ainul Albaniah, Ainul
Amirah Afiqah, Ainul Amalina, Mohd. Alwie, Nor Azlia, Noni, dan semua sanak
saudara, serta seluruh warga PPD Kapit. Kejayaan ini adalah milik bersama.
Semoga kalian semua sentiasa berada dalam lindungan, rahmat dan kasih
sayang Allah S.W.T. Amin Ya Rabbal A’lamin.
iv
ABSTRAK
Kajian ini meneroka kefahaman dan persepsi guru tentang Kajian Pengajaran sebagai
Pembangunan Profesionalisme Berterusan. Selain itu, kajian turut meneroka kaedah
guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian melalui pendekatan kajian
pengajaran untuk penambahbaikan amalan pembelajaran dan pemudahcaraan mata
pelajaran Bahasa Melayu. Kajian ini menggabungkan konsep dan prinsip dalam Teori
Konstruktivisme, Kajian Pengajaran, Model Slavin, Model Glaser, serta Model
Standard Guru Malaysia. Kajian ini merupakan kajian kes kualitatif yang melibatkan
dua belas guru Bahasa Melayu daripada enam buah sekolah menengah di Sarawak.
Peserta kajian dipilih secara pensampelan bertujuan. Data diperoleh melalui temu
bual, pemerhatian dan analisis dokumen. Instrumen kajian terdiri daripada protokol
temu bual, senarai semak pemerhatian, dan senarai semak analisis dokumen. Secara
keseluruhan, kajian ini telah menjalankan pemerhatian terhadap pelaksanaan kitaran
KP sebanyak 120 kali. Proses pengumpulan data mengambil masa lebih kurang
sembilan bulan. Kesahan dan kebolehpercayaan data kajian dinilai melalui proses
kajian rintis, triangulasi data, pengesahan peserta kajian, penilaian rakan, jejak audit,
catatan nota lapangan serta berasaskan nilai indeks persetujuan Cohen Kappa oleh tiga
panel pakar, iaitu 0.89. Data kajian dianalisis menggunakan perisian Atlas.ti versi
7.5.16 secara koding terbuka dan dipersembahkan dalam bentuk naratif. Hasil analisis
mendapati kajian pengajaran memberi penambahbaikan dalam aspek menulis dan
mengaplikasikan RPH, strategi pelaksanaan aktiviti, serta strategi pentaksiran dan
penilaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Seterusnya, pendekatan kajian
pengajaran turut memantapkan pengetahuan pedagogi dan kandungan, peningkatan
kualiti perkongsian ilmu, pembudayaan amalan kolaboratif, serta peningkatan
profesionalisme guru. Dapatan kajian didapati memberi implikasi terhadap
perkembangan ilmu dan teori, serta institusi bahasa. Sumbangan kajian juga memberi
nilai tambah kepada penggubal dasar, sorotan literatur serta amalan dalam PdPc mata
pelajaran Bahasa Melayu. Akhir sekali, dapatan kajian mencadangkan dua model
pengajaran, iaitu Model Kajian Pembelajaran dan Pemudahcaraan, serta Model
Pembelajaran dan Pemudahcaraan Mata Pelajaran Bahasa Melayu. Model tersebut
dicadangkan sebagai panduan untuk penambahbaikan amalan pengajaran guru dan
hasil pembelajaran murid.
v
TEACHING AND FACILITATING OF MALAY LANGUAGE SUBJECT
THROUGH LESSON STUDY APPROACH
ABSTRACT
This study explores the knowledge and perceptions of teachers on Lesson Study as a
Continuous Professional Development. In addition, the study also explored the
teacher's methods of planning, implementing and evaluating through the Lesson Study
approach for the enhancement of learning and facilitating practices of Malay language
subject. This study incorporates concepts and principles in Constructivism Theory,
Lesson Study, Model of Slavin, Model of Glaser, and Model of Malaysian Teacher
Standard. This study is a qualitative case study involving twelve Malay language
teachers from six secondary schools in Sarawak. The participants were selected by
purposive sampling. The research instrument consists of teacher interview protocols,
observation checklist, and document analysis checklist. Overall, this study has
conducted 120 observations and analyse 24 of participants’ daily lesson plan. The data
collection process takes about nine months. The validity and reliability of the research
data were evaluated through a pilot study, data triangulation, verification of study
participants, peer review, audit trail, field note and based on the Cohen Kappa consent
index by three expert panels, i.e. 0.89. The data were analysed using the version
7.5.16 Atlas.ti software in open coding and presented in narrative form. The result of
the analysis shows that the lesson study gives an improvement in writing and
application of daily lesson plan, activity implementation strategy, and the assessment
and evaluation strategy of the Malay language subjects. Furthermore, the lesson study
approach also strengthens pedagogy and content knowledge, enhances the quality of
knowledge sharing, collaborative practice culture, and enhances teachers'
professionalism. The findings have implications for the development of knowledge
and theories, as well as the language institutions. The contribution of the study was
found to provide added value to policy makers, literature review and practices in
learning and facilitating of Malay language subject. Finally, the findings suggested
two teaching models, namely the Study of Teaching and Facilitating Model, and as
well as the Malay Language Subject of Learning and Facilitating Model. The models
are intended as a guide for improving teachers’ teaching practices and students’
learning outcomes.
vi
KANDUNGAN Halaman
ii
PENGAKUAN iii
PENGHARGAAN iv
ABSTRAK v
ABSTRACT vi
KANDUNGAN xi
SENARAI JADUAL xii
SENARAI ILUSTRASI
SENARAI SINGKATAN xiii
BAB I PENDAHULUAN
1.1
1.2 Pengenalan 1
2
1.3 Latar Belakang Kajian
1.4 3
1.2.1 Pembanguna kualiti PdPc mata pelajaran Bahasa 4
1.5 Melayu 5
1.6 1.2.2 Setiap murid profisien dalam Bahasa Melayu
1.7 1.2.3 Akses pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa 6
1.8 1.2.4 Kajian pengajaran sebagai Program Pembangunan 8
1.9 Profesionalisme Berterusan 10
1.10 1.2.5 Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 18
1.11 18
Pernyataan Masalah 19
20
Kerangka Teoritikal Kajian 22
23
1.4.1 Teori Konstruktivisme 24
1.4.2 Model Pengajaran Slavin 27
1.4.3 Model Pengajaran Glaser 27
1.4.4 Model Standard Guru Malaysia 28
1.4.5 Model Kajian Pengajaran 28
30
Kerangka Konseptual Kajian 31
Tujuan Kajian
Objektif Kajian
Persoalan Kajian
Kepentingan Kajian
Batasan Kajian
Definisi Operasional
vii
1.11.1 Kajian pengajaran 32
1.11.2 Pembelajaran dan pemudahcaraan 32
1.11.3 Kefahaman guru 33
1.11.4 Persepsi guru 33
1.11.5 Rancangan pengajaran harian 34
1.11.6 Strategi pelaksanaan aktiviti 34
1.11.7 Pentaksiran dan penilaian 35
1.12 Kesimpulan 36
BAB II KAJIAN LITERATUR
2.1
2.2 Pengenalan 37
2.3 Kefahaman Guru tentang Pendekatan Kajian Pengajaran 38
2.4
2.2.1 Latar belakang kajian pengajaran 38
2.5 2.2.2 Permulaan dan perkembangan kajian pengajaran
di Malaysia 38
2.6 2.2.3 Ciri-ciri kajian pengajaran 39
2.2.4 Kitaran kajian pengajaran 40
2.2.5 Peranan pakar rujuk atau knowledgeable Others 43
Hubung Kait Kajian Pengajaran dengan Pembelajaran Kolaboratif 44
Hubung Kait Teori dan Model Pengajaran dengan Pendekatan 48
Kajian Pengajaran dalam PdPc Mata Pelajaran Bahasa Melayu
49
2.4.1 Teori Konstruktivisme 51
2.4.2 Model Pengajaran Slavin 55
2.4.3 Model Pengajaran Glaser 57
2.4.4 Model Standard Guru Malaysia
59
Kajian Lepas Berkaitan Pendekatan Kajian Pengajaran
60
2.5.1 Kefahaman guru tentang kajian pengajaran 61
2.5.2 Persepsi guru tentang pelaksanaan kajian pengajaran 66
2.5.3 Kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH 71
2.5.4 Strategi pelaksanaan aktiviti kajian pengajaran 76
2.5.5 Strategi pentaksiran dan penilaian kajian pengajaran
79
Kesimpulan
BAB III METODOLOGI
3.1
3.2 Pengenalan 80
3.3 Reka Bentuk Kajian 80
3.2.1 Justifikasi pemilihan reka bentuk kajian kualitatif 81
3.2.2 Justifikasi pemilihan kaedah kajian kes 82
Kaedah Kajian 83
3.3.1 Kaedah temu bual 83
3.3.2 Kaedah pemerhatian 85
3.3.3 Kaedah analisis dokumen 88
3.4 Lokasi Kajian viii
3.4.1 Justifikasi pemilihan lokasi kajian 89
90
3.5 Populasi dan Pensampelan 92
92
3.5.1 Justifikasi pemilihan teknik pensampelan bertujuan 94
3.5.2 Ciri-ciri peserta kajian 95
3.5.3 Syarat-syarat pemilihan peserta kajian 96
98
3.6 Tempoh Pelaksanaan Kajian 99
100
3.7 Tatacara Kajian 103
104
3.8 Kesahan dan Kebolehpercayaan Data 105
106
3.8.1 Indeks persetujuan koefisian Cohen Kappa 106
3.8.2 Kajian rintis 107
3.8.3 Triangulasi data 107
3.8.4 Penilaian rakan 108
3.8.5 Jejak audit 109
3.8.6 Catatan nota lapangan 110
3.8.7 Penerangan dapatan kajian secara terperinci 111
113
3.9 Instrumen Kajian 115
116
3.9.1 Protokol temu bual 118
3.9.2 Senarai semak pemerhatian 120
3.9.3 Senarai semak analisis dokumen 123
125
3.10 Proses Pengumpulan Data
126
3.10.1 Pelaksanaan kaedah temu bual 127
3.10.2 Pelaksanaan kaedah pemerhatian
3.10.3 Pelaksanaan kaedah analisis dokumen 128
129
3.11 Proses Penganalisisan Data 133
135
3.11.1 Analisis semasa proses pengumpulan data 138
3.11.2 Analisis selepas proses pengumpulan data 143
147
3.12 Kesimpulan
BAB IV DAPATAN KAJIAN
4.1
4.2 Pengenalan
4.3
Profil Peserta Kajian
Kefahaman Guru Tentang Kajian Pengajaran Sebagai
Program Pembangunan Profesionalisme Berterusan
4.3.1 Penambahbaikan rancangan pengajaran harian
4.3.2 Peningkatan kualiti perkongsian ilmu
4.3.3 Manfaat kehadiran pakar rujuk
4.3.4 Pembudayaan amalan kolaboratif
4.3.5 Peningkatan profesionalisme guru
4.3.6 Rumusan
ix
4.4 Persepsi Guru Tentang Pelaksanaan Kajian Pengajaran
dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan Bahasa Melayu 151
4.4.1 Amalan pengajaran guru 151
4.4.2 Amalan pembelajaran murid menurut persepsi guru 171
4.4.3 Rumusan 183
4.5 Kaedah Menulis dan Mengaplikasikan RPH Bahasa Melayu
Berasaskan Pendekatan Kajian Pengajaran 186
4.5.1 Objektif pembelajaran 187
4.5.2 Isi pelajaran 195
4.5.3 Bahan sumber pembelajaran 202
4.5.3 Kemahiran generik 213
4.5.4 Rumusan 226
4.6 Strategi Pelaksanaan Aktiviti Kajian Pengajaran dalam 229
Pembelajaran dan Pemudahcaraan Bahasa Melayu
4.6.1 Aspek perancangan aktiviti PdPc 230
4.6.2 Aspek pelaksanaan aktiviti PdPc 236
4.6.3 Rumusan 254
4.7 Strategi Pentaksiran dan Penilaian Pendekatan Kajian Pengajaran
dalam Pembelajaran dan Pemudahacaraan Bahasa Melayu 257
4.7.1 Aspek perancangan pentaksiran dan penilaian 257
4.7.2 Aspek pelaksanaan pentaksiran dan penilaian 266
4.7.3 Aspek intervensi 274
4.7.4 Rumusan 278
4.8 Kesimpulan 282
BAB V PERBINCANGAN, RUMUSAN DAN CADANGAN
5.1 Pengenalan 285
285
5.2 Ringkasan Kajian 288
5.3 Perbincangan Hasil Kajian 288
5.3.1 Kefahaman guru tentang kajian pengajaran sebagai 298
5.3.2 program Pembangunan Profesionalisme Berterusan
5.3.3 Persepsi guru tentang pelaksanaan kajian pengajaran 315
5.3.4 dalam PdPc Bahasa Melayu
5.3.5 Kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH Bahasa 327
Melayu berasaskan pendekatan kajian pengajaran
Strategi pelaksanaan aktiviti kajian pengajaran 344
dalam PdPc Bahasa Melayu 350
Strategi pentaksiran dan penilaian pendekatan kajian 350
pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu 357
358
5.4 Implikasi Kajian
5.4.1 Implikasi terhadap teori dan ilmu
5.4.2 Implikasi terhadap amalan pengajaran guru
5.4.3 Implikasi terhadap amalan pembelajaran murid
5.5 Sumbangan Kajian x
5.5.1 Sumbangan terhadap kefahaman dan persepsi guru 358
5.5.2 Sumbangan terhadap kaedah menulis dan 358
mengaplikasikan RPH Bahasa Melayu 360
5.5.3 Sumbangan terhadap strategi pelaksanaan aktiviti 361
5.5.4 Sumbangan terhadap strategi pentaksiran dan 361
penilaian 362
5.5.5 Sumbangan terhadap sorotan literatur 363
5.5.6 Penemuan baharu dapatan kajian 371
373
5.6 Cadangan Kajian Lanjutan
374
5.7 Kesimpulan
395
RUJUKAN 396
397
LAMPIRAN 398
Lampiran A Surat Kebenaran BPPDP, KPM 402
406
Lampiran B Surat Kebenaran JPN Sarawak
407
Lampiran C Contoh Surat Kebenaran Peserta Kajian
408
Lampiran D Contoh Inventori Protokol Temu Bual 409
410
Lampiran E Contoh Borang Senarai Semak Kajian Pengajaran 421
dalam Pembelajaran dan Pemudahcaraan Bahasa Melayu
425
Lampiran F Contoh Surat Pengesahan Pakar
426
Lampiran G Contoh Borang Penilaian Kesahan Kandungan
Protokol Temu bual
Lampiran H Contoh Surat Akuan Menyemak dan Membuat
Pengesahan Kandungan
Lampiran I Contoh Borang Pengesahan Temu Bual Peserta Kajian
Lampiran J Contoh Transkrip Temu Bual G1\SA\CHAN
Lampiran K Jadual Pelaksanaan Kaedah Pemerhatian Peserta Kajian
Lampiran L Contoh RPH Bahasa Melayu Sebelum Pelaksanaan
Pendekatan Kajian Pengajaran
Lampiran M Contoh RPH Bahasa Melayu Selepas Pelaksanaan
Pendekatan Kajian Pengajaran
xi
SENARAI JADUAL
No. Jadual Halaman
Jadual 2.1 Perkaitan pendekatan kajian pengajaran dengan elemen 46
pembelajaran kolaboratif
Jadual 3.1 Skala persetujuan Cohen Kappa 101
Jadual 3.2 Pengiraan nilai persetujuan Cohen Kappa antara pakar penilai 102
Jadual 3.3 Dapatan kajian rintis 104
Jadual 3.4 Jadual pelaksanaan kaedah temu bual peserta kajian 114
Jadual 3.5 Jadual pelaksanaan kaedah analisis dokumen peserta kajian 117
Jadual 4.1 Maklumat profil peserta kajian 127
Jadual 4.2 Senarai kategori, tema dan sub tema kefahaman guru tentang 129
pendekatan kajian pengajaran sebagai program PPB
Jadual 4.3 Taburan pola kategori kefahaman guru tentang pendekatan 148
kajian pengajaran sebagai program PPB
Jadual 4.4 Senarai kategori, tema, dan sub tema persepsi guru tentang 151
pelaksanaan kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu
Jadual 4.5 Taburan pola kategori persepsi guru tentang pelaksanaan 184
pendekatan kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu
Jadual 4.6 Senarai kategori, tema dan sub tema kaedah menulis dan 186
mengaplikasikan RPH berasaskan pendekatan
kajian pengajaran
Jadual 4.7 Taburan pola kategori kaedah menulis dan mengaplikasikan 227
RPH berasaskan pendekatan kajian pengajaran
Jadual 4.8 Senarai kategori, tema, dan sub tema strategi pelaksanaan 230
aktiviti kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu
Jadual 4.9 Taburan pola kategori strategi pelaksanaan aktiviti 255
pendekatan kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu
Jadual 4.10 Senarai kategori, tema, dan sub tema strategi pentaksiran 257
dan penilaian kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu
Jadual 4.11 Taburan pola kategori strategi pentaksiran dan penilaian 279
pendekatan kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu
Jadual 5.1 Komponen amalan PdPc Bahasa Melayu 368
xii
SENARAI ILUSTRASI
No. Rajah Halaman
Rajah 1.1 Kerangka konseptual kajian 26
Rajah 2.1 Kitaran kajian pengajaran 40
Rajah 3.1 Proses pensampelan kajian 93
Rajah 3.2 Proses pengumpulan data kajian 112
Rajah 3.3 Proses penganalisisan data kajian 119
Rajah 4.1 Kefahaman guru tentang kajian pengajaran sebagai program 150
Pembangunan Profesionalisme Berterusan
Rajah 4.2 Persepsi guru tentang pelaksanaan kajian pengajaran dalam 185
PdPc Bahasa Melayu
Rajah 4.3 Kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH Bahasa Melayu 229
berasaskan pendekatan kajian pengajaran
Rajah 4.4 Strategi pelaksanaan aktiviti kajian pengajaran dalam PdPc 256
Bahasa Melayu
Rajah 4.5 Strategi pentaksiran dan penilaian kajian pengajaran dalam 281
PdPc Bahasa Melayu
Rajah 4.6 Rumusan dan hubung kait elemen kajian pengajaran dalam
PdPc Bahasa Melayu berdasarkan analisis Atlas.ti
versi 7.5.16 284
Rajah 5.1 Model pembelajaran dan pemudahcaraan mata pelajaran 364
Bahasa Melayu
Rajah 5.2 Model kajian pembelajaran dan pemudahcaraan 370
xiii
SENARAI SINGKATAN
AKEPT Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi
APEC Asia Pacific Economic Cooperation
BKUN Bidang Keberhasilan Utama Negara
BLI Baik, Lemah, Istimewa
BPBP Bahagian Pembangunan Bahan Pengajaran
BPG Bahagian Pendidikan Guru
BPK Bahagian Pembangunan Kurikulum
BRM Buku Rekod Mengajar
BSP Bahan Sumber Pembelajaran
CoRT Cognitive Research Trust
DSK Dokumen Standard Kurikulum
FPK Falsafah Pendidikan Kebangsaan
HSP Huraian Sukatan Pelajaran
IAB Institut Aminudin Baki
IPGM Institut Pendidikan Guru Malaysia
JERI Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek
JNJK Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
JPNS Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak
JSU Jadual Spesifikasi Ujian
JU Jurulatih Utama
KAPG Konsepsi dan Amalan Pentaksiran Guru
KBAT Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
KBSR Kurikulum Baru Sekolah Rendah
KBSR Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
KO Knowledgeable Others
KP Kajian Pengajaran
KPP Komuniti Pembelajaran Profesional
KPdPc Kajian Pembelajaran dan pemudahcaraan
KPLI Kursus Perguruan Lepasan Ijazah
KPM Kementerian Pendidikan Malaysia
KSPK Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
KSSR Kurikulum Standard Sekolah Rendah
KSSM Kurikulum Standard Sekolah Menengah
xiv
KWL Know, What, Learn
LCD Liquid Crystal Display
LDP Latihan Dalam Perkhidmatan
MMI Menjaga Masa Instruksional
NACCCE National Advisory Committee on Creative and Cultural Education
NKRA National Key Results Areas
OECD Organization Economic Co-operation Development
PBD Penilaian Bilik Darjah
PBS Pentaksiran Berasaskan Sekolah
PdP Pengajaran dan Pembelajaran
PdPc Pembelajaran dan pemudahcaraan
PISA Programme for International Student Assessment
PKBS Penilaian Kemajuan Berasaskan Sekolah
PPB Pembangunan Profesionalisme Berterusan
PPD Pejabat Pendidikan Daerah
PPPM Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
PR Pakar Rujuk
PT3 Pentaksiran Tingkatan 3
RPH Rancangan Pengajaran Harian
RPT Rancangan Pelajaran Tahunan
SKPMg2 Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang Ke-2
SME Subject Matters Expert
SP Sukatan Pelajaran
SGM Standard Guru Malaysia
TIMSS Trends in International Mathematics and Science Study
TMK Teknologi Maklumat dan Komunikasi
UNESCO United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization
UPPP Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan
UPSR Ujian Penilaian Sekolah Rendah
3K Kebersihan, Keceriaan, Kecantikan
4Cs Creativity, Collaboration, Communication, Critical Thinking
Komunikasi, Kolaborasi, Kreativiti, Pemikiran Kritikal, Nilai dan
4K1N Etika
BAB I
PENDAHULUAN
1.1 PENGENALAN
Dalam usaha mempertingkatkan kemahiran berbahasa murid, guru mempunyai
peranan yang begitu besar. Menurut Roselan Baki (2003), kemahiran bahasa
merupakan kemahiran asas yang amat penting dan perlu ditekankan dalam proses
pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam bilik darjah. Sebagai agen
pelaksana kurikulum, guru perlu mengambil berat tentang objektif kurikulum yang
digubal bagi membolehkan hasrat kerajaan tercapai. Aspirasi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk memperkembangkan potensi individu murid
secara menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
Dalam hal ini, segala usaha dan langkah yang diambil dalam sistem pendidikan
mestilah mengambil kira potensi dan keperluan kemenjadian murid. Maka, pihak
sekolah perlu memberi perhatian terhadap murid yang sering mendapat keputusan
yang rendah dalam peperiksaan sekolah. Bimbingan terhadap golongan murid ini
memerlukan kemahiran PdPc Bahasa Melayu yang berkesan. Kemahiran PdPc Bahasa
Melayu yang berkesan pastinya sinonim dengan strategi, pendekatan, kaedah dan
teknik pengajaran guru. Zamri Mahamod (2013) menjelaskan situasi ini dalam
ucaptama beliau, iaitu “Merekayasakan Pendidikan Bahasa Melayu pada abad ke-21”.
Walau bagaimanapun, Zamri Mahamod (2013) menjelaskan,
2
“…bahawa guru-guru Bahasa Melayu sekarang ini begitu lemah dalam
ilmu pedagogi mereka, terutamanya apabila menggunakan kaedah,
pendekatan dan teknik terkini dalam PdPc di dalam bilik darjah”
[Zamri Mahamod 2013:4]
Berdasarkan penyataan Zamri Mahamod (2013) dalam ucaptama tersebut,
usaha untuk memperbaiki dan mempertingkat mutu PdPc Bahasa Melayu boleh
dicadangkan dengan meneroka dan meneliti secara mendalam amalan PdPc Bahasa
Melayu melalui pendekatan KP. Sementara itu, cadangan Model Kajian Pembelajaran
dan pemudahcaraan (KPdPc), serta Model PdPc Bahasa Melayu sebagai hasil kajian
ini diharapkan dapat membantu proses PdPc Bahasa Melayu berjalan dengan lancar.
Seterusnya, pengkaji memberi gambaran ringkas tentang latar belakang kajian ini
untuk menjelaskan permasalahan dalam kajian ini.
1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN
Kajian ini adalah berlandaskan arus perkembangan semasa yang berlaku dalam dunia
pendidikan negara khususnya yang berkaitan dengan bidang Bahasa Melayu. Hal ini
penting memandangkan bidang tersebut menuntut usaha pelbagai pihak demi
menjayakan sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat memenuhi keperluan
negara pada masa depan. Menyedari hakikat ini, kajian ini dijalankan berikutan
aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Selaras dengan Anjakan Ke-4 PPPM (2016-
2025), aspirasi KPM ialah meningkatkan kualiti PPB guru dengan lebih tumpuan
terhadap keperluan individu dan latihan berasaskan sekolah. Dengan itu, KPM
berhasrat memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas
pertama dengan bina upaya merupakan pendekatan utama ke arah mencapai status
negara maju pada tahun 2020.
Bagi mencapai hasrat tersebut, peranan yang digalas kepada guru begitu
mencabar kerana dikaitkan dengan kualiti pengajaran guru. Berdasarkan cabaran
tersebut, terdapat lima perkara penting yang perlu diberi perhatian bagi menjelaskan
latar belakang kajian ini, iaitu (a) pembangunan kualiti PdPc Bahasa Melayu, (b)
setiap murid profisien dalam Bahasa Melayu, (c) akses pendidikan berkualiti bertaraf
antarabangsa, (d) Kajian pengajaran sebagai Pembangunan Profesionalisme
3
Berterusan (PPB), dan (e) Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2
(SKPMg2). Berikut adalah huraian lanjut mengenai perkara tersebut.
1.2.1 Pembangunan Kualiti PdPc Mata Pelajaran Bahasa Melayu
Kualiti PdPc Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada prasyarat untuk memacu
pencapaian PPPM 2013-2025. Hal ini demikian kerana kualiti guru merupakan
penentu utama pencapaian murid di sekolah. Penyataan ini dibuktikan melalui hasil
kajian Tennessee di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1990-an (Welsh &
Elliott 2001). Kajian Tennessee dilakukan terhadap dua orang murid berumur lapan
tahun dengan prestasi sederhana diajar oleh guru yang berlainan, iaitu seorang guru
berprestasi tinggi, dan seorang lagi guru berprestasi rendah. Hasil kajian melaporkan
bahawa prestasi pencapaian akademik murid berbeza sebanyak lebih daripada 50%
dalam tempoh tiga tahun. Dapatan yang sama turut ditunjukkan dalam kajian yang
dijalankan di Dallas dan di Boston, Amerika Syarikat, serta di England (Pate-
Clevenger, Dusing, Houck & Zuber 2008).
Lantaran itu, guru mata pelajaran Bahasa Melayu perlu memahami,
menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan
daya usaha dan pendekatan baharu untuk meningkatkan kualiti pengajaran. Perkara
tersebut seperti yang terkandung dalam petikan yang dikeluarkan oleh pihak
Organization Economic Co-operation Development (OECD), iaitu:
"... as the most significant and costly resource in schools, teachers are
central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity
of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent
people want to work as teachers, that their teaching is of high quality, and
that all students have access to high quality teaching …"
[OECD, KPM 2007: hal. 106]
Sehubungan itu, KPM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan
guru yang berkualiti dan memastikan guru yang berkualiti kekal dalam sistem
pendidikan negara serta kekal berkualiti sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara
langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan,
menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi
latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru (BPG
4
2009). Langkah ini selaras dengan aspirasi pendidikan masa kini dan masa depan
sebagaimana yang dituntut dalam pendidikan abad ke-21. YAB Tan Sri Dato’ Hj.
Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri
Pelajaran Malaysia ketika itu menjelaskan bahawa:
“…kualiti pengajaran merupakan wahana paling berkesan untuk
mentransformasikan pendidikan rendah dan menengah, dan selanjutnya
meningkatkan keberhasilan murid. Kecemerlangan kepimpinan
profesional merupakan faktor kedua yang mampu meningkatkan
keberhasilan pembelajaran murid”
[KPM 2012].
Sejajar dengan usaha KPM untuk meningkatkan keberhasilan pembelajaran
murid, dokumen Kurikulum Standard Sekolah Rendah 2011 (KSSR) dan Kurikulum
Standard Sekolah Menengah 2017 (KSSM) yang dikaji semula menitikberatkan
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) untuk memastikan keseimbangan pengetahuan
yang penting dengan kemahiran berfikir serta nilai untuk memastikan kejayaan murid
pada masa akan datang. Usaha ini merupakan suatu langkah yang jelas ke arah
transformasi kurikulum negara (KPM 2013).
Berdasarkan kepercayaan bahawa modal insan adalah harta yang boleh
disuntik nilai tambahnya, dianjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal
budayanya, maka pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan
berkualiti. Dalam situasi ini, kualiti PdPc Bahawa Melayu wajar diberi perhatian bagi
memastikan aspirasi PPPM 2013-2025 mencapai transformasi sistem seperti yang
dihasratkan.
1.2.2 Setiap Murid Profisien dalam Bahasa Melayu
Di bawah Anjakan Ke-2 PPPM 2013-2025, aspirasi KPM dalam sistem pendidikan
memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Melayu. Hal ini bertujuan untuk
membentuk murid yang mempunyai kecekapan pelbagai bahasa dan sekurang-
kurangnya dapat bertutur dengan cekap dalam bahasa Melayu. Bagi memenuhi
aspirasi tersebut, KPM telah menetapkan sasaran 90% murid mencapai sekurang-
kurangnya gred kepujian dalam peperiksaan Bahasa Melayu pada peringkat SPM
menjelang tahun 2025 (KPM 2012).
5
Dalam hal ini, akses kepada kejayaan ini memastikan semua murid memenuhi
standard minimum yang diterima, iaitu lulus mata pelajaran teras Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, dan Pendidikan Islam atau Pendidikan
Moral pada akhir Tingkatan 5. Hal ini bertujuan meningkatkan peratusan murid untuk
menyertai pelbagai laluan pendidikan lepasan menengah seperti universiti, kolej,
politeknik, institusi vokasional atau program latihan kemahiran berstruktur (KPM
2013). Ini bermakna, penguasaan Bahasa Melayu merupakan satu medium untuk
murid menguasai pengetahuan dalam bidang lain seperti Matematik, Sains, Sejarah,
dan Geografi. Kegagalan murid untuk menguasai kemahiran dalam bidang Bahasa
Melayu turut menjejaskan pencapaian mereka dalam mata pelajaran teras lain.
Kesimpulannya, kualiti pengajaran guru dalam PdPc Bahasa Melayu
memerlukan iltizam dan komitmen yang tinggi bagi mencapai agenda utama KPM
untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia.
Oleh itu, pendekatan KP boleh dijadikan sebagai alternatif untuk memperkasa amalan
pengajaran guru dalam PdPc Bahasa Melayu.
1.2.3 Akses Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa
Keputusan peperiksaan awam menunjukkan peningkatan berterusan prestasi murid.
Namun, adalah penting Malaysia membandingkan sistem pendidikannya dengan tanda
aras antarabangsa bagi memastikannya bergerak seiring dengan pembangunan
pendidikan antarabangsa. Keputusan PISA pada tahun 2009 menunjukkan daripada 74
negara peserta, Malaysia berada dalam kelompok sepertiga terbawah, serta lebih
rendah daripada purata antarabangsa dan OECD (KPM 2015).
Menyedari kepentingan ini, maka kementerian bertekad meningkatkan kualiti
kemenjadian murid selaras dengan aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam sistem
pendidikan pada kelompok sepertiga teratas di dunia. Kementerian telah
membangunkan kurikulum bertulis menggunakan pelbagai penanda aras daripada
pelbagai sistem pendidikan berpencapaian tinggi supaya selaras dengan standard
antarabangsa, dengan penekanan pada aspek pengetahuan dan kemahiran yang
dihasratkan sesuai dengan peringkat umur murid.
6
Kini, KSSR dan KSSM menitikberatkan KBAT dan merupakan satu langkah
jelas ke arah transformasi kurikulum. Hal ini termasuklah penggunaan kemahiran
utama seperti penaakulan analitik, aplikasi, dan keupayaan bagi pembelajaran
berterusan. Sekiranya kurikulum baharu ini hendak dilaksanakan seperti yang
dihasratkan, guru Bahasa Melayu perlu menguasai kemahiran penyampaian
pembelajaran yang lebih kompleks, seperti merangka rancangan pengajaran dan bahan
untuk disesuaikan dengan keperluan murid pelbagai tahap dan prestasi, walaupun di
dalam satu kelas yang sama. Berdasarkan laporan United Nations Educational,
Scientific and Cultural Organization (UNESCO) dalam laporan awal PPPM 2013-
2016, kebanyakan guru masih belum dapat mengetahui dan memahami konsep asas
FPK dan objektif kurikulum pendidikan. Selain itu, guru juga dikatakan masih belum
memahami implikasi FPK dan objektif kurikulum pendidikan kepada pelaksanaan
PdPc di dalam bilik darjah seperti pembelajaran bersepadu, pendidikan holistik,
kreatif, dan inovatif (KPM 2013).
Kesimpulannya, PdPc Bahasa Melayu perlu menitikberatkan pelbagai tanda
aras daripada pelbagai sistem pendidikan berpencapaian tinggi agar selaras dengan
standard antarabangsa. Ini boleh dilakukan dengan memberi penekanan pada aspek
pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dihasratkan serta disesuaikan dengan
peringkat umur murid. Penandaarasan antarabangsa ini selari dengan FPK bagi
menghasilkan kurikulum yang sesuai dengan konteks Malaysia.
1.2.4 Kajian Pengajaran sebagai Pembangunan Profesionalisme Berterusan
Sebagai inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah makmal Bidang
Keberhasilan Utama Negara (BKUN) atau National Key Results Area (NKRA), KP
telah dijadikan sebagai program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB)
guru (KPM 2013) untuk meningkatkan kualiti pengajaran guru dan prestasi murid.
Inisiatif tersebut selaras dengan Anjakan Ke-4 PPPM 2013-2025, iaitu KPM berhasrat
profesion keguruan menjadi profesion pilihan. Untuk mencapai hasrat tersebut, KPM
terus beriltizam mengekalkan dasar sedia ada, iaitu mengukuhkan profesion keguruan
di Malaysia bagi menjadikannya menarik, mendatangkan kepuasan dan berprestij.
Dalam hal ini, KPM memilih hanya guru yang terbaik untuk menyertai profesion ini.
Oleh itu, setiap guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan sokongan bagi
7
membolehkan diri memberikan perkhidmatan terbaik ke arah pencapaian murid yang
berkualiti di setiap sekolah.
Menyedari hakikat tersebut, KPM telah mengambil inisiatif untuk memberikan
latihan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) kepada guru dan pemimpin
sekolah oleh bahagian tertentu di KPM seperti Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan
Institut Aminudin Baki (IAB). Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh BPG untuk
memastikan kelestarian kualiti guru ialah kajian pengajaran (KP). Pemilihan KP
sebagai inisiatif utama PPB adalah untuk meningkatkan peratusan aktiviti
pembangunan profesionalisme berasaskan sekolah (16% pada masa ini) seperti
pemerhatian rakan sekerja dan perancangan pengajaran pada masa kini (KPM 2013).
Seterusnya, usaha KPM juga adalah berdasarkan dapatan kajian antarabangsa
yang menunjukkan bahawa latihan amali di tempat kerja adalah lebih berkesan
daripada program latihan yang dijalankan di luar sekolah. Kumpulan fokus guru
Malaysia juga melaporkan bahawa latihan di tempat kerja adalah lebih berguna kerana
keadaan ini membolehkan guru mendapat maklum balas langsung tentang cara-cara
menambah baik amalan di bilik darjah. Berdasarkan maklumat ini, maka pada tahun
2011, BPG telah melaksanakan KPP yang bermula dengan pendekatan KP kepada 289
panitia mata pelajaran di 289 buah sekolah berprestasi rendah. Pelaksanaan aktiviti
PdPc secara kolaboratif dalam kalangan komuniti guru di Malaysia telah
menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan
profesionalisme guru berasaskan sekolah (BPG 2013).
Selaras dengan hasrat KPM untuk meningkatkan kualiti pengajaran guru,
maka Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan serta KPM meneruskan usaha ini
pada tahun 2012 dengan menyebarluaskan pendekatan KP kepada 107 panitia mata
pelajaran di 107 buah sekolah di Malaysia (BPG 2013). Mulai saat itu, maka
pendekatan KP menjadi titik tolak kepada guru Bahasa Melayu untuk melakukan
perubahan bagi menjamin kualiti dan kesempurnaan dalam PdPc Bahasa Melayu.
Dalam hal ini, pelaksanaan PdPc Bahasa Melayu melalui kitaran KP wajar dilakukan
kerana menurut Hord (1997), guru yang berkesan merupakan guru yang memahami
dan membudayakan pendekatan KP dalam pengajaran (Yoshida 2002; Takahashi,
Itoh, Adachi, Noji, Yasuda, Yoshida & Kinosita 2004).
8
Secara tuntas, pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu menjadi syarat
utama yang perlu diterokai agar dapat memberi kefahaman yang lebih bermakna
tentang strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang dapat meningkatkan
hasil pembelajaran murid. Keperluan untuk meningkatkan kualiti pengajaran guru
selaras dengan matlamat sistem pendidikan Malaysia seperti yang disebut dalam Akta
Pendidikan 1996 yang berbunyi:
“… dan bahawasanya tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan
masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang
diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global,
kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat”
[Mukadimah Akta Pendidikan 1996].
Menyedari hakikat tersebut, pemerkasaan PdPc guru Bahasa Melayu melalui
pendekatan KP wajar diberi perhatian bagi memastikan penyampaian ilmu dan
kemahiran secara berkesan untuk pembangunan modal insan kelas pertama. Oleh itu,
pelaksanaan PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP di bawah Strategi
Perkongsian Amalan (De-Privatization of Practice) wajar dilakukan dalam kajian ini.
Hal ini bertujuan membolehkan pengkaji menyelidiki amalan PdPc KP yang mampu
berfungsi sebagai amalan profesional dalam PdPc Bahasa Melayu sebagaimana yang
dituntut dalam SGM (BPG 2009).
1.2.5 Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2
Secara ironi, peranan seorang guru sebagai pendidik saban hari berhadapan dengan
bidang tugas yang begitu rencam berikutan penggubalan semula Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia (SKPM) 2010. Melalui perubahan ini, sudah pasti menuntut
usaha yang berlipat ganda daripada semua guru. Sebagai guru yang mengajar mata
pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, maka guru bahasa Melayu adalah tidak
berkecuali dengan perubahan ini. Hal ini demikian kerana PdPc Bahasa Melayu perlu
diselaraskan dengan standard kualiti yang harus dicapai dalam Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2).
Pernyataan standard SKPMg2 adalah guru berperanan sebagai pemudah cara
dalam PdP yang berkesan untuk memperkembangkan potensi murid secara
menyeluruh dan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan. Terdapat 6
9
aspek PdPc yang diberi penekanan dalam SKPMg2, iaitu Guru Sebagai Perancang,
Guru Sebagai Pengawal, Guru Sebagai Pembimbing, Guru Sebagai Pendorong, Guru
Sebagai Penilai, manakala Murid Sebagai Pembelajar Aktif.
Dalam konteks kajian ini, kriteria kritikal bagi setiap aspek tersebut adalah
guru bertindak sebagai perancang untuk memastikan kesediaan dan persediaan yang
rapi dalam melaksanakan PdPc. Standard kualiti bagi aspek tersebut adalah guru
merancang pelaksanaan PdPc secara profesional dan sistematik. Bagi mencapai
standard ini, guru perlu menyediakan RPH, menentukan kaedah pentaksiran,
menyediakan sumber pendidikan, menetapkan ruang atau bilik darjah sebagai tempat
pembelajaran secara spesifik, mengikut keupayaan murid, peruntukan masa dan
arahan yang berkuat kuasa.
Selain itu, guru bertindak sebagai pengawal pelaksanaan PdPc memastikan
kelancaran proses pembelajaran mengikut perancangan. Standard kualiti bagi kriteria
ini ialah guru mengawal proses pembelajaran secara terancang. Bagi mencapai
standard ini, guru perlu mengelola isi pelajaran dan peruntukan masa serta memberi
peluang kepada penyertaan aktif murid dengan menepati objektif pembelajaran,
mengikut keupayaan murid dan secara berterusan. Seterusnya, guru juga mengawal
suasana pembelajaran secara profesional dan terancang. Bagi mencapai standard ini,
guru perlu mengawasi komunikasi dan perlakuan murid, menyusun atur kedudukan
murid dan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan secara
berhemah, mengikut kesesuaian dan keperluan, secara menyeluruh dan berterusan.
Selanjutnya, bagi aspek guru sebagai pembimbing pula, guru bertindak sebagai
pembimbing untuk membolehkan murid menguasai pengetahuan, kemahiran dan
mengamalkan nilai berdasarkan objektif pembelajaran. Standard kualiti bagi kriteria
ini ialah guru membimbing murid secara profesional dan terancang. Untuk mencapai
standard kualiti tersebut, guru perlu memberi tunjuk ajar dalam menguasai isi
pelajaran dan kemahiran, memandu murid membuat keputusan dan menyelesaikan
masalah serta menggunakan sumber pendidikan, dan menggabung isi pelajaran
dengan kemahiran/mata pelajaran lain mengikut keperluan dan keupayaan murid
dengan betul, tepat, secara berhemah dan bersungguh-sungguh.
10
Seterusnya, aspek guru sebagai pendorong ialah guru bertindak untuk
meningkatkan motivasi murid dalam pembelajaran. Standard kualiti bagi aspek ini
ialah guru mendorong minda murid melaksanakan aktiviti pembelajaran secara
terancang. Bagi mencapai standard ini, guru perlu merangsang murid berkomunikasi
dan kolaboratif, mengemukakan soalan yang menjurus ke arah pemikiran kritis dan
kreatif dan membuat keputusan atau menyelesaikan masalah, mewujudkan peluang
untuk murid memimpin dan mengemukakan soalan berkaitan isi pelajaran serta
memperoleh pengetahuan dan kemahiran secara kendiri berdasarkan objektif
pembelajaran, mengikut keupayaan murid dan secara berterusan. Selain itu, guru juga
mendorong emosi murid melaksanakan aktiviti pembelajaran secara terancang. Untuk
memastikan standard ini tercapai, guru perlu memberi pujian, galakan, penghargaan
dan keyakinan serta prihatin terhadap keperluan murid secara berhemah.
Selanjutnya, guru sebagai penilai berperanan untuk mengesan tahap
penguasaan murid. Standard ini tercapai apabila guru melaksanakan penilaian secara
sistematik dan terancang. Bagi mencapai standard ini, guru perlu menggunakan
pelbagai kaedah pentaksiran, menjalankan aktiviti pemulihan dan pengayaan,
membuat refleksi serta menyemak hasil kerja murid berdasarkan objektif
pembelajaran, mengikut ketetapan pelaksanaan pentaksiran yang berkuat kuasa,
secara menyeluruh dan berterusan.
Sementara itu, bagi aspek murid sebagai pembelajar aktif, murid bertindak
sebagai pembelajar aktif untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran serta
mengamalkan nilai positif. Standard ini tercapai apabila murid melibatkan diri dalam
proses pembelajaran secara berkesan. Untuk mencapai standard ini, murid dapat
memberi respons, berkomunikasi dan melaksanakan aktiviti secara kolaboratif,
berpemikiran kritis dan kreatif, mengemukakan soalan, menyelesaikan masalah dan
mengaitkan isi pelajaran dengan kehidupan berdasarkan objektif pembelajaran, secara
aktif, yakin dan berhemah.
1.3 PERNYATAAN MASALAH
Menurut Welsh dan Elliott (2001), kejayaan sesuatu sistem pendidikan dinilai melalui
tahap pembelajaran dan perkembangan murid semasa melalui sistem tersebut. Untuk
itu, KPM bertekad meningkatkan kualiti kemenjadian murid agar selaras dengan
11
aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam sistem pendidikan pada kelompok
sepertiga teratas di dunia. Walau bagaimanapun, keinginan untuk mencapai hasrat
murni tersebut tidak semudah yang dijangkakan. Hal ini demikian kerana menurut
Tennessee (Welsh & Elliott 2001), kualiti pengajaran guru merupakan penentu utama
pencapaian murid di sekolah. Oleh itu, pengkaji berpandangan bahawa kajian ini perlu
diusahakan berdasarkan beberapa isu yang dikaitkan dengan kefahaman guru tentang
KP sebagai PPB serta kualiti amalan pengajaran guru untuk penambahbaikan amalan
dalam PdPc mata pelajaran Bahasa Melayu.
Dalam kajian ini, terdapat beberapa isu yang dikaitkan dengan kefahaman guru
tentang KP sebagai program pembangunan profesional berterusan (PPB) dalam
meningkatkan hasil pembelajaran murid. Walau bagaimanapun, guru dikatakan
mempunyai kefahaman yang agak terhad tentang pendekatan KP (BPG 2013). Sejak
KP diperkenalkan pada tahun 2010, guru Bahasa Melayu masih kurang diberi
pendedahan tentang pendekatan tersebut secara meluas. Hal ini disebabkan KPM lebih
tertumpu pada mata pelajaran Sains dan Matematik menerusi Kajian Projek Asia
Pacific Economic Cooperation (APEC), iaitu Promote Mathematics Communication
through Lesson Study (Rohaida Mazlan & Zamri Mahamod 2016).
Sehubungan itu, guru dilaporkan kurang mendalami pendekatan KP akibat
berlakunya kecairan maklumat di peringkat latihan dalaman. Pada tahun 2011, KP
telah diketengahkan menerusi program KPP rentetan inisiatif pendidikan negara, iaitu
National Key Results Area (NKRA) atau Bidang Keberhasilan Utama Negara. Pada
tahun 2011, KP telah diketengahkan menerusi program KPP. Walau bagaimanapun,
hanya seorang atau dua orang guru yang berpeluang mewakili setiap sekolah untuk
menghadiri kursus KP menerusi program KPP. Walaupun latihan dalaman dijalankan
setelah kembali daripada menghadiri kursus tersebut, namun pencairan maklumat
tetap berlaku (KPM 2013). Situasi ini sedikit sebanyak telah menyebabkan
pendekatan KP kurang mendapat pendedahan dan perhatian yang meluas dalam
kalangan pendidik.
Merujuk kepada isu yang sama, hasil kajian Rohaida Mazlan (2016) mendapati
sebanyak 394 daripada 10,154 buah sekolah telah menyertai KP di Malaysia namun
tidak banyak sekolah yang benar-benar menjalankan KP atas sebab kurang kesedaran
12
akan kepentingan KP sebagai amalan pengajaran guru (Rohaida Mazlan 2016).
Kefahaman guru tentang KP bertambah terbatas apabila timbul pelbagai masalah yang
melibatkan sikap dan komitmen guru (Stigler & Hiebert 1999; Adi Sobandi 2014),
pelaksanaan KP kurang pemantauan (Chiew Chin Mon, Jeffri Mat Yasin & Sitti
Aishah Ashaari 2014), beban tugas guru bertambah (Adi Sobandi 2014; Norashid
Othman & Hamzah Md. Omar 2014), dan kekangan masa (Richard, Patrick & Willy
2001; Chiew Chin Mon & Lim Chap Sam 2010).
Berdasarkan beberapa isu yang mengatakan bahawa kefahaman guru tentang
pendekatan KP agak terhad, maka pengkaji berpandangan bahawa suatu kajian perlu
dijalankan untuk meneroka kefahaman guru tentang pendekatan KP dengan lebih
lanjut lagi. Kajian ini penting bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci
tentang amalan pendekatan KP bagi penambahbaikan PdPc Bahasa Melayu.
Kefahaman guru yang luas tentang KP menjadikan pelaksanaannya lebih mudah dan
teratur agar dapat memberi impak yang sewajarnya terhadap amalan pengajaran guru
dan hasil pembelajaran murid.
Seterusnya, sejajar dengan tujuan kajian untuk meneroka amalan PdPc Bahasa
Melayu melalui pendekatan KP, kajian berkaitan persepsi guru tentang pelaksanaan
pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu wajar diusahakan. Kajian ini penting
memandangkan terdapat pelbagai andaian dan pandangan yang berbeza telah
diperoleh berdasarkan beberapa dapatan kajian terdahulu berhubung pendekatan KP
sebagai program pembangunan profesional guru. Hal ini dijelaskan menerusi kajian
Video TIMSS (Third International Mathematics and Science Study) pada tahun 1995
yang melibatkan tiga buah negara, iaitu Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun. Hasil
analisis kajian video tersebut telah dihuraikan dalam buku "The Teaching Gap" oleh
Stigler dan Hiebert (1999). Dapatan kajian mendapati KP dikenal pasti sebagai faktor
penyumbang kepada prestasi tinggi pengajaran guru-guru Jepun dalam bilik darjah.
Berikutan perkembangan tersebut, pendekatan KP sering digunakan oleh pengkaji
terdahulu seperti kajian Lewis (2002, 2005), Stigler dan Hiebert (1999), Yoshida
(1999), Takahashi (2003), Yoshida (2004), serta ramai lagi.
Walau bagaimanapun, dapatan kajian tersebut berbeza dengan hasil kajian
kuantitatif oleh Muzirah Abdul Mokhti dan Nurhana Mohamad Rafiuddin (2013)
13
tentang persepsi guru Sains yang mengamalkan KP sebagai program PPB guru
terhadap keberkesanan PdPc. Kajian yang melihat hubungan antara amalan KP dan
keberkesanan pengajaran guru mendapati terdapat hubungan yang tidak signifikan antara
skor amalan KP dengan skor keberkesanan pengajaran guru dengan nilai (p= 0.196; p>
0.05). Oleh itu, pada pandangan pengkaji, kajian amalan PdPc Bahasa Melayu melalui
pendekatan KP wajar dilaksanakan bagi mengenal pasti kemahiran guru membuat
perancangan, pelaksanaan dan penilaian KP dalam PdPc Bahasa Melayu.
Seterusnya, terdapat beberapa isu yang mendorong pengkaji ingin meneroka
kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH KP dalam PdPc Bahasa Melayu. Antara
isu yang mendorong kepada keperluan meneroka kemahiran menulis dan
mengaplikasikan RPH KP adalah berikutan kurikulum dan pentaksiran masa kini
mesti selaras dengan penandaarasan antarabangsa. Dalam hal ini, RPH yang dirangka
perlu mengambil kira kurikulum yang diajar dan kurikulum untuk pentaksiran agar
selaras dengan kurikulum bertulis. Dalam erti kata lain, kurikulum yang diajar di
dalam bilik darjah dan diuji pada peringkat peperiksaan awam sepatutnya sejajar
dengan hasrat kurikulum bertulis oleh KPM.
Sejajar dengan FPK, pendekatan kementerian terhadap pendidikan bertumpu
kepada pembangunan murid secara holistik yang menekankan pembangunan fizikal,
emosi, rohani, dan intelek (FERI) yang seiring dengan pembinaan identiti nasional
yang kukuh. Ini bermakna, RPH yang dirangka perlu menyentuh dimensi FERI setiap
murid, serta menekankan aplikasi pengetahuan dan perkembangan pemikiran kritis,
kreatif, dan inovatif. Walau bagaimanapun, laporan awal PPPM 2013-2025:74
melaporkan bahawa kandungan dan kemahiran yang dianggap oleh guru tidak akan
diuji dalam peperiksaan awam, maka kerapkali tidak dimasukkan dalam RPH
berbanding kandungan kurikulum yang akan diuji dalam peperiksaan.
Sehubungan permasalahan kajian yang dinyatakan, laporan awal PPPM 2013-
2025:74 turut melaporkan potensi sebenar KBSR dan KBSM tidak dapat dilaksanakan
di dalam bilik darjah disebabkan guru kurang menerapkan KBAT dalam pengajaran
seperti yang dihasratkan dalam kurikulum. Kini, KSSR dan KSSM menitikberatkan
KBAT dan merupakan satu langkah jelas ke arah transformasi kurikulum. Bagi
memastikan kurikulum baharu ini dilaksanakan seperti yang dihasratkan, guru
14
memerlukan kemahiran penyampaian pembelajaran yang lebih kompleks seperti
merangka RPH dan bahan sumber pembelajaran untuk disesuaikan dengan keperluan
murid pelbagai tahap dan prestasi.
Seterusnya, keperluan pelaksanaan kajian terhadap kaedah menulis dan
mengaplikasikan RPH KP dalam PdPc Bahasa Melayu adalah berikutan laporan awal
PPPM 2013-2025:102 (KPM 2013). Laporan tersebut mendedahkan dapatan kajian
Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) bahawa guru lebih berhasrat untuk
memastikan murid memahami kandungan asas mata pelajaran untuk tujuan
pentaksiran sumatif daripada menerapkan KBAT. Menurut kajian AKEPT, murid
lebih berkemungkinan diuji keupayaan mengingati fakta sebanyak 70% daripada
semua pemerhatian pengajaran berbanding menganalisis dan menginterpretasikan data
sebanyak 18%, atau mensintesiskan maklumat sebanyak 15%. Jika demikianlah
jadinya, murid yang tidak berupaya menguasai teras kemahiran intelektual seperti
literasi dan numerasi, serta KBAT kurang berpeluang untuk berjaya dalam perubahan
ekonomi yang pantas dan masyarakat global hari ini (AKEPT KPM 2014).
Setelah meneliti beberapa isu yang menjadi permasalahan kepada kaedah
menulis dan mengaplikasikan RPH dalam PdPc Bahasa Melayu, maka pengkaji
berpendapat bahawa kajian terhadap kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH dalam
PdPc KP perlu dijalankan. Kajian ini penting memandangkan kajian bidang Bahasa
Melayu oleh pengkaji terdahulu seperti kajian Roselan Baki (2003), Mohd Khir
Kassim dan Marzukhi Nyak Abdullah (2009), Rozita Radhiah Said dan Abdul Rasid
Jamian (2012) adalah bukan berasaskan pendekatan KP. Sebaliknya, kajian yang
dilakukan adalah lebih berfokus kepada usaha untuk mengatasi masalah penulisan
karangan murid dan strategi belajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Selain itu, isu berkaitan strategi pelaksanaan aktiviti KP dalam PdPc Bahasa
Melayu turut menarik perhatian pengkaji untuk melaksanakan kajian ini. Kajian
tersebut perlu dilakukan setelah mengambil kira beberapa isu yang dikaitkan dengan
kualiti pengajaran guru di dalam bilik darjah. Berikutan laporan Jemaah Nazir dan
Jaminan Kualiti (2014), kualiti pengajaran guru Malaysia dilaporkan kurang
memberangsangkan. Pada tahun 2014, AKEPT telah menjalankan kajian kualitatif
tentang amalan pengajaran guru. Daripada pemerhatian terhadap 125 pengajaran di 41
15
buah sekolah di seluruh Malaysia, didapati hanya 12% daripada pengajaran
disampaikan pada standard yang tinggi, iaitu melaksanakan lebih banyak amalan
terbaik pedagogi, manakala 38% lagi berada pada standard yang memuaskan.
Sebaliknya, 50% daripada pemerhatian kajian menunjukkan pengajaran yang
disampaikan tidak memuaskan (AKEPT KPM 2014).
Sehubungan itu, laporan awal PPPM 2013-2025:102 melaporkan bahawa
terdapat juga isu dikaitkan dengan strategi pelaksanaan aktiviti PdPc guru, iaitu
persepsi tentang takrifan PdPc yang berkualiti antara pihak sekolah dengan Jemaah
Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) didapati berbeza. Sebagai contoh, 63% sekolah
menyatakan amalan PdPc di sekolah adalah Baik atau Cemerlang, berbanding
penaziran JNJK sejak tahun 2009-2011, menyatakan hanya 13% daripada sekolah
mencapai tahap tersebut. Gabungan kedua-dua data ini menunjukkan bahawa lebih
banyak usaha diperlukan bagi meningkatkan kemahiran pedagogi guru yang sedia ada
untuk memastikan proses penyampaian pengetahuan dan kemahiran baharu dapat
dilakukan seperti yang dihasratkan.
Selanjutnya, isu berkaitan dapatan kajian JNJK (2014) turut melaporkan
bahawa amalan pengajaran guru masih terikat dengan kaedah pengajaran tradisional,
iaitu berpusatkan guru. Hal ini telah menyebabkan pengajaran guru bercorak linear
dan satu hala. Dapatan yang sama turut dilaporkan dalam kajian Lilia Halim dan T.
Subahan Meerah (2002), Shamsun Nisa Mohd Yaacob (2005), Abdul Aziz Abdul
Kadir (2008), Zamri Mahamod dan Magdeline Nor (2012). Sementara itu, Lilia
Halim, Abdul Razak Habib, Abdul Rashid Johar dan T. Subahan Meerah (2001) turut
melaporkan bahawa guru yang mengajar menggunakan kaedah tradisional didapati
lemah dari segi pengetahuan pedagogi kandungan.
Di samping itu, terdapat beberapa kajian lepas melaporkan berlakunya
perbezaan yang ketara antara amalan pengajaran guru baharu dengan guru
berpengalaman di dalam bilik darjah. Kajian Zaidah Yazid (2005) mendapati guru
baharu mempunyai pengetahuan pedagogi kandungan yang kurang lengkap dan cetek,
serta guru dikatakan mengajar tanpa mengubah suai pengajarannya. Kajian Tengku
Zawawi Tengku Zainal (2005) terhadap amalan pengajaran guru mendapati amalan
pengajaran guru berpengalaman tidak sepadan dengan pengalaman mengajar yang
16
dilalui. Walaupun berpengalaman mengajar melebihi sepuluh tahun, tetapi dari segi
pengetahuan dan kefahaman konsep yang dimiliki, masih tidak menyeluruh dan lebih
cenderung kepada kefahaman instrumental.
Dalam pada itu, isu guru mengajar bukan berdasarkan opsyen telah mendorong
pengkaji untuk menjalankan kajian ini memandangkan isu tersebut pernah menjadi
kontroversi besar dalam dapatan kajian Shimon dan Brawdy (2001), Nurul Huda
Hassan, Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff dan Kamarulzaman Abdul Ghani (2014),
Zamri Mahamod dan Magdeline Nor (2012), serta Magdeline Nor (2014). Dapatan
kajian melaporkan bahawa guru bukan opsyen mempunyai banyak kelemahan
walaupun pihak IPG, BPG dan IPTA telah melaksanakan pelbagai latihan perguruan
untuk menjamin guru berkualiti tinggi dalam pengajaran.
Berdasarkan beberapa isu yang telah dibincangkan berkaitan strategi
pelaksanaan aktiviti PdPc guru di bilik darjah, maka pengkaji berpandangan bahawa
kajian terhadap strategi pelaksanaan aktiviti KP dalam PdPc Bahasa Melayu perlu
dijalankan. Kajian ini penting memandangkan kajian bidang Bahasa Melayu oleh
pengkaji terdahulu adalah bukan berdasarkan pendekatan KP (Yahya Othman 2003,
2005; Yahya Othman, Roselan Baki & Naffi Mat 2009; Yahya Othman & Azmey
Othman 2012; Zamri Mahamod 2004; Juriah Long 2010; Kamarul Shukri Mat Teh &
Mohamed Amin Embi 2012; Zamri Mahamod, Mohamed Amin Embi & Nik Mohd
Rahimi Nik Yusoff 2010; Shahlan Surat 2012; Alizah Lambri 2016). Sebaliknya,
kajian berkaitan bidang bahasa terdahulu lebih bertumpu terhadap teori dan aplikasi
mengajar bahasa selain strategi pembelajaran bahasa oleh murid. Oleh itu, usaha
memperkasakan kualiti pengajaran guru menjadi lebih mudah melalui perkongsian
idea dan amalan budaya kolaboratif dalam kalangan guru menerusi pendekatan KP
(Yoshida 2002; Lewis et al. 2006).
Selain itu, isu berkaitan strategi perancangan dan pelaksanaan pentaksiran dan
penilaian KP dalam PdPc Bahasa Melayu turut mendorong pengkaji untuk
menjalankan kajian ini. Hal ini demikian berikutan berlakunya perubahan format
pentaksiran dan penilaian dalam sistem pendidikan Malaysia di bawah PPPM 2013-
2025. Pada tahun 2014, PMR telah digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah
(PBS) dan pentaksiran pusat yang dikenali sebagai Penilaian Tingkatan 3 (PT3). Akan
17
tetapi, maklum balas awal mengenai pelaksanaan PBS menunjukkan bahawa guru
masih belum memahami dan menguasai sepenuhnya perubahan yang berlaku. Guru
juga dilaporkan menghadapi kesukaran membentuk instrumen pentaksiran bagi
komponen pentaksiran sekolah. Kini, kementerian berusaha mengukuhkan latihan
guru bagi memastikan guru dapat menyediakan soalan ujian yang dapat menilai
dengan tepat mengikut standard yang telah ditetapkan dalam kurikulum (KPM 2013).
Seterusnya, isu guru mengajar berorientasikan peperiksaan sering kali menjadi
perdebatan ramai pengkaji bahasa (Seman Salleh 2005; Zamri Mahamod &
Magdeline Nor 2014) sehingga timbul persoalan untuk memansuhkan peperiksaan
UPSR, PMR, dan SPM. Hal ini adalah berdasarkan fahaman bahawa peperiksaan
awam yang bercorak sumatif tidak sepatutnya berimpak negatif terhadap murid.
Namun, cabaran kini ialah peperiksaan awam yang dilaksanakan sekarang tidak
menguji kesemua kemahiran yang dihasratkan dalam sistem pendidikan negara.
Pentaksiran baharu Bahasa Melayu kini memerlukan murid dinilai berdasarkan
keberhasilan yang lebih luas dalam jangka masa yang lebih panjang.
Selain itu, KPM juga memastikan pentaksiran secara holistik dilaksanakan
melalui penambahan bilangan soalan yang menguji KBAT serta menggunakan
rujukan standard dalam peperiksaan awam dan PBS (KPM 2013). Soalan KBAT
adalah berasaskan Taksonomi Bloom yang menguji kemahiran seperti aplikasi,
analisis, penilaian dan penjanaan. Menjelang tahun 2016, soalan Bahasa Melayu yang
menguji kemahiran KBAT membentuk 80% daripada soalan PT3, dan 75% daripada
soalan SPM (KPM 2013). Oleh itu, PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP
membuka ruang kepada guru untuk mendalami ciri-ciri bahan pentaksiran dan
penilaian yang mempunyai unsur KBAT.
Selanjutnya, inisiatif KPM turut memberi penekanan pada pembentukan dan
aplikasi kurikulum serta pentaksiran abad ke-21. Dalam hal ini, pada Gelombang 2
dan Gelombang 3 (2016-2025), pelan tindakan PPPM berkisar pada pengenalan
kurikulum standard sekolah menengah yang baharu, iaitu KSSM yang dikaji semula,
pentaksiran berasaskan standard dan pembentukan model alternatif. Hal ini bertujuan
membolehkan murid belajar mengikut tahap kebolehan sendiri (PPPM 2013-2025:75).
Menerusi KP, guru berpeluang menumpukan perhatian terhadap teknik pentaksiran
18
dan penilaian seperti yang dihasratkan melalui kurikulum negara. Berdasarkan
beberapa permasalahan yang timbul, maka kajian ini perlu dilakukan untuk meneliti
kelompangan yang perlu diberi perhatian berkaitan teknik pentaksiran dan penilaian
dalam PdPc KP. Hal ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan penguasaan guru
sepenuhnya mengenai perubahan yang berlaku berkaitan format pentaksiran dan
penilaian sistem pendidikan Malaysia.
Sebagai kesimpulan, berdasarkan beberapa isu, kontradiksi dan kelompangan
yang muncul dalam dapatan kajian yang berkaitan, maka maklumat tersebut
bermanfaat untuk mendorong pengkaji melaksanakan kajian terhadap amalan
pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu. Hal ini bertujuan untuk mengetahui
pendekatan KP sebagai program PPB guru demi keberkesanan PdPc Bahasa Melayu.
Dapatan kajian ini penting untuk menjadikan KP kekal sebagai pendekatan untuk PPB
guru serta melonjakkan kualiti amalan pengajaran guru dan hasil pembelajaran murid.
1.4 KERANGKA TEORITIKAL KAJIAN
Kerangka teoretikal kajian ini adalah hasil gabungan antara konsep dan teori yang
terdapat dalam Teori Konstruktivisme (Barlett 1932), Model Pengajaran Slavin
(Slavin 1984), Model Pengajaran Glaser (Glaser 1968), Model Standard Guru
Malaysia (BPG 2009), dan (e) Model Kajian Pengajaran (Yoshida 1999). Berikut
adalah huraian dan justifikasi tentang fungsi bagi setiap teori dan model yang
digunakan dalam kajian ini.
1.4.1 Teori Konstruktivisme
Teori konstruktivisme yang digunakan dalam kajian ini merupakan hasil ilham
Bartlett pada tahun 1932. Menurut teori ini, murid boleh membina fakta sendiri
berdasarkan pengalaman. Pengetahuan yang diperoleh berpunca daripada pengalaman
lepas, struktur pemikiran murid yang sedia ada dan kepercayaan diri dipercayai
membantu murid untuk membina pengetahuan baharu. Walau bagaimanapun, perkara
yang diketahui oleh murid terhad kepada pengalaman fizikal dan sosial yang pernah
dialami. Hal ini bermaksud pembelajaran adalah satu proses membina pengetahuan
dan bukan setakat menerima pengetahuan sahaja. Dalam hal ini, pengajaran guru
merupakan suatu proses menyokong pembinaan pengetahuan murid.
19
Berdasarkan teori konstruktivisme ini, maka kajian ini merungkai kaedah guru
menulis dan mengaplikasikan RPH, selain mengenal pasti strategi dalam pelaksanaan
aktiviti PdPc melalui pendekatan KP. Dalam kajian ini, teori tersebut membantu
pengkaji meneroka keupayaan guru menulis dan mengaplikasikan RPH melalui
pengalaman lepas, pengetahuan sedia ada murid serta kepercayaan diri untuk
membina pengetahuan baharu. Seterusnya, konsep dan prinsip teori konstruktivisme
oleh Bartlett (1932) ini turut diperhatikan ketika meneroka strategi pelaksanaan
aktiviti dalam PdPc guru Bahasa Melayu. Berdasarkan teori tersebut, pengkaji
mengenal pasti kebolehan guru berperanan sebagai pemudahcara atau fasilitator yang
memberi bimbingan dan panduan kepada murid untuk membina pengetahuan baharu
berdasarkan pengetahuan sedia ada murid.
Berdasarkan teori tersebut, dalam konteks kajian ini, pengkaji mengenal pasti
kebolehan guru membina pengetahuan baharu murid melalui strategi pelaksanaan
aktiviti PdPc sepanjang kajian dijalankan. Dalam situasi yang demikian, guru
sepatutnya berperanan sebagai pemudah cara atau fasilitator semasa memberi
bimbingan dan panduan kepada murid untuk membina pengetahuan baharu.
Pengetahuan murid dibina berdasarkan struktur kognitif sedia ada murid dan proses
sosial yang melibatkan interaksi dan penglibatan murid. Ironinya, keperluan
menitikberatkan pengetahuan lepas, pengetahuan sedia ada murid, kepercayaan pada
diri sendiri serta perhubungan sosial ketika dalam PdPc Bahasa Melayu amat penting
sebagai proses menyokong pembinaan pengetahuan baharu murid.
1.4.2 Model Pengajaran Slavin
Model Pengajaran Slavin (1984) digunakan dalam kajian ini adalah untuk melihat
keberkesanan amalan PdPc guru melalui pendekatan KP. Model ini menitikberatkan
empat elemen tentang pengajaran guru yang berkesan iaitu kualiti pengajaran,
kesesuaian aras pengajaran, pemberian ganjaran, dan masa yang mencukupi. Menurut
Slavin (1984), kualiti pengajaran ialah keupayaan guru untuk menyampaikan isi
pelajaran atau kemahiran dengan mudah difahami, mudah diingati, dan dalam keadaan
yang menyeronokkan. Pengajaran yang berkualiti menyumbang hasil pembelajaran
yang maksimum serta menggalakkan penglibatan murid secara menyeluruh melalui
perancangan pengajaran yang teliti dan rapi.
20
Seterusnya, kesesuaian aras pengajaran pula bermaksud pengajaran guru
mestilah disesuaikan dengan kebolehan dan keupayaan murid. Sebagai galakan dan
motivasi untuk menarik minat belajar murid, guru perlu memberikan ganjaran kepada
murid. Akhirnya, masa pula dikaitkan dengan kecekapan guru menguruskan masa
PdPc untuk mencapai objektif pembelajaran.
Dalam konteks kajian ini, elemen pengajaran berkesan dalam Model
Pengajaran Slavin (1984, 1994) dianggap kriteria yang sangat penting untuk melihat
kaedah guru menulis dan mengaplikasikan RPH melalui pendekatan KP. Berdasarkan
pendekatan model tersebut, kemahiran guru menulis dan mengaplikasikan RPH
dikaitkan dengan keupayaan guru menyampaikan isi pengajaran secara tersusun dan
sistematik serta menggunakan bahasa yang mudah difahami. Selain itu, penerangan
guru yang jelas disertakan contoh yang berkaitan, memberi penekanan kepada isi-isi
penting serta dikaitkan dengan pengalaman.
Selanjutnya, Model Pengajaran Slavin (1984, 1994) memberi petunjuk kepada
pengkaji untuk mengenal pasti strategi pelaksanaan aktiviti dalam PdPc Bahasa
Melayu melalui KP. Dalam hal ini, amalan memberi galakan dan motivasi kepada
murid wajar diketahui bagi mengekalkan minat untuk terus mengikuti pengajaran
guru. Sehubungan itu, kriteria masa seperti yang disarankan dalam Model Slavin
(1984, 1994) bertujuan mengenal pasti kecekapan guru dalam pengurusan masa
sepanjang aktiviti berlangsung dalam PdPc KP.
Sebagai kesimpulan, kajian ini melihat pengajaran guru yang berfokus kepada
suasana sihat untuk belajar, sokongan, motivasi, hubungan dua hala dan sebagainya.
Bagi meneroka kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH, kajian turut memberi
tumpuan terhadap kepelbagaian kaedah mengajar yang digunakan bagi memudahkan
pemahaman serta merangsang minat murid untuk belajar. Dalam hal ini, guru perlu
mempunyai kemahiran menggunakan BSP, kemahiran menyoal, mentaksir dan
menilai agar menghasilkan pengajaran yang bermakna.
1.4.3 Model Pengajaran Glaser
Menurut Glaser (1968), sesuatu proses pengajaran melibatkan empat komponen asas
iaitu penentuan objektif pembelajaran, pengetahuan sedia ada, kaedah pengajaran dan
21
proses penilaian. Namun, guru perlu memberi maklum balas bagi setiap komponen
tersebut bagi membantu dan membimbing murid untuk mempelajari sesuatu konsep
dengan mudah. Berdasarkan model ini, proses pengajaran bermula dengan penentuan
objektif pembelajaran. Objektif pembelajaran merupakan perkara yang menjelaskan
tingkah laku yang ingin dicapai oleh murid untuk menunjukkan penguasaan terhadap
sesuatu yang telah dipelajari. Bagi mengenal pasti kaedah guru menulis dan
mengaplikasikan RPH, pengkaji menjadikan komponen penentuan objektif
pembelajaran sebagai suatu elemen yang sangat penting. Hal ini memandangkan
objektif pembelajaran adalah jangkaan hasil pembelajaran murid dan merujuk kepada
perubahan tingkah laku, penguasaan ilmu pengetahuan, nilai serta kemahiran yang
telah dikuasai pada akhir sesi PdPc.
Seterusnya, komponen pengajaran kedua memberi penekanan kepada
pengetahuan sedia ada. Menurut Glaser (1968), pengetahuan sedia ada merujuk
kepada kebolehan intelek, aras motivasi dan penentu sosial serta budaya belajar
murid. Ekoran fahaman tersebut, Glaser (1968) berpendapat bahawa pengetahuan
sedia ada adalah pintu bagi tingkah laku dalam proses pengajaran. Dalam kajian ini,
komponen pengetahuan sedia ada murid mendapat perhatian pengkaji bagi mengenal
pasti kemahiran guru menulis dan mengaplikasikan RPH serta strategi pelaksanaan
aktiviti dalam PdPc KP. Hal ini demikian memandangkan komponen pengetahuan
sedia ada merupakan elemen yang perlu diambil kira ketika menulis dan
mengaplikasikan RPH untuk mencapai hasil pembelajaran murid. Sewajarnya, guru
menggunakan pengetahuan sedia ada murid untuk merancang kandungan pelajaran
dan strategi dalam pelaksanaan aktiviti PdPc dilaksanakan dengan baik.
Selanjutnya, proses pengajaran yang turut diberi penekanan dalam model ini
adalah komponen kaedah pengajaran. Menurut Glaser (1968), komponen ini memberi
penekanan terhadap strategi tertentu dalam pelaksanaan sesuatu siri aktiviti PdPc
secara sistematik dan efektif berlandaskan teori dan prinsip PdPc untuk mencapai
objektif pembelajaran. Kaedah pengajaran guru perlu diuruskan secara terancang
seperti pemusatan guru, pemusatan murid dan bahan serta berlandaskan teori
pembelajaran. Oleh itu, Model Pengajaran Glaser (1968) dalam kajian ini bertujuan
mengenal pasti strategi pelaksanaan aktiviti PdPc melalui pendekatan KP.
22
Komponen pengajaran yang terakhir dalam Model Pengajaran Glaser (1968)
ialah penilaian. Menurut model ini, penilaian dijalankan untuk menentukan sama ada
murid mencapai objektif pelajaran yang telah ditentukan oleh guru. Penilaian
dilakukan melalui proses bersoal jawab, pemerhatian, ujian formal atau tidak formal
dan sebagainya. Hasil penilaian menyediakan maklumat penting untuk membolehkan
guru mengesan kelemahan dan kekuatan diri dalam proses pengajaran. Maklumat
yang diperoleh melalui penilaian membolehkan guru memperbaiki strategi pengajaran
yang lebih berkesan. Dalam kajian ini, komponen penilaian Model Pengajaran Glaser
(1968) bertujuan meneroka teknik pentaksiran dan penilaian KP dalam PdPc Bahasa
Melayu. Komponen penilaian dalam kajian ini merujuk kepada pentaksiran hasil
pencapaian murid terhadap segala proses pengajaran yang telah dilakukan.
Sebagai kesimpulan, Model Pengajaran Glaser (1968) dalam kajian ini
membolehkan pengkaji meneroka kaedah guru membuat perancangan, pelaksanaan
dan penilaian dalam PdPc Bahasa Melayu. Berdasarkan empat komponen asas dalam
Model Pengajaran Glaser (1968), iaitu penentuan objektif pembelajaran, pengetahuan
sedia ada, kaedah pengajaran dan proses penilaian, pengkaji berpandangan bahawa
komponen tersebut bermanfaat untuk penambahbaikan amalan PdPc Bahasa Melayu.
1.4.4 Model Standard Guru Malaysia
Model Standard Guru Malaysia (SGM) merupakan dokumen rujukan kepada guru,
pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan
dan melestarikan guru berkualiti (BPG 2009). Dalam kajian ini, model SGM dijadikan
sebagai rujukan kepada pengkaji untuk mengenal pasti amalan PdPc Bahasa Melayu
melalui pendekatan KP. Menerusi model ini, pengkaji memberi penekanan kepada
Standard 3, iaitu kemahiran PdPc. Standard 3 memperincikan kompetensi kemahiran
PdPc yang patut dikuasai oleh guru.
Berdasarkan standard tersebut, kemahiran PdPc yang patut ada pada semua
guru adalah seperti menyediakan perancangan PdPc berdasarkan SP dengan
mengambil kira perbezaan kebolehan, pengetahuan sedia ada serta jangkaan
pencapaian murid. Selain itu, standard tersebut menetapkan bahawa guru sepatutnya
memiliki kemahiran melaksanakan PdPc dengan menggunakan pelbagai pendekatan,
23
kaedah dan teknik. Seterusnya, guru berkeupayaan mengintegrasikan kemahiran
berfikir, kemahiran belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi,
kemahiran pemudah cara dan kemahiran mentaksir dan menilai dalam PdPc. Standard
tersebut juga menekankan kemahiran mentaksir dan menilai keberkesanan PdPc
bertujuan memperbaik pengajaran guru dan meningkatkan pencapaian murid.
Selaras dengan konsep Standard 3, model SGM yang digunakan dalam kajian
ini juga bertujuan untuk mengenal pasti kemahiran guru membuat perancangan,
pelaksanaan, pentaksiran dan penilaian dalam PdPc Bahasa Melayu melalui
pendekatan KP. Bagi aspek perancangan, pengkaji memberi fokus kepada kemahiran
guru menulis dan mengaplikasikan RPH yang melibatkan pemilihan, penyusunan, dan
pemanipulasian sumber untuk membantu meningkatkan keberkesanan PdPc.
Bagi aspek pelaksanaan pula, pengkaji mengenal pasti strategi dalam
pelaksanaan aktiviti yang dapat menjamin kemajuan murid secara optimum. Menurut
model ini, perancangan mestilah sesuai, spesifik, dan relevan dengan objektif
pembelajaran, persekitaran bilik darjah, masa yang diperuntukkan, dan profit murid.
Bagi aspek pentaksiran dan penilaian pula, pengkaji memberi penekanan kepada
kemahiran guru merancang dan melaksanakan aktiviti pentaksiran dan penilaian bagi
mengesan pencapaian murid.
Sebagai kesimpulan, model SGM yang memberi fokus kepada Standard 3,
membuka ruang kepada pengkaji untuk meneroka kemahiran guru menulis dan
mengaplikasikan RPH dengan lebih teliti. Melalui pendedahan kepelbagaian
pendekatan, kaedah dan teknik dalam model tersebut pengkaji mendapat kefahaman
dengan lebih jelas tentang strategi pelaksanaan aktiviti dalam PdPc Bahasa Melayu.
1.4.5 Model Kajian Pengajaran
Secara khusus, pendekatan model KP merupakan tunjang utama untuk meneroka
amalan PdPc Bahasa Melayu dalam kajian ini. Model KP menjadi pegangan utama
dalam kajian ini berdasarkan amalan kolaboratif guru menghasilkan RPH yang
berfokus kepada pembelajaran murid. Amalan kolaboratif KP yang melibatkan
penggemblengan idea, pengalaman dan kemahiran dipercayai meningkatkan
pengetahuan isi kandungan dan juga pengetahuan kandungan pedagogi guru. Dalam
24
kajian ini, proses dalam KP yang merangkumi perjumpaan dan perbincangan
sekumpulan guru mampu memupuk percambahan ilmu, perkembangan idea serta
kreativiti individu dalam proses pembinaan RPH secara bersama.
Menerusi buku “The Teaching Gap” (Stigler & Hiebert 1999), ciri-ciri KP
memberi fokus kepada pembelajaran murid, usaha yang kolaboratif dalam kalangan
guru, guru yang terlibat dalam KP melihat diri menyumbang kepada perkembangan
pengetahuan mengenai pengajaran dan juga perkembangan profesional diri sendiri.
Selain itu, KP berfokus secara langsung kepada peningkatan pengajaran berdasarkan
kesesuaian serta berasaskan peningkatan profesional guru berterusan secara jangka
panjang. Oleh itu, ciri-ciri KP yang dinyatakan adalah sejajar dan selari dengan tujuan
dan objektif kajian ini.
Dalam kajian ini, amalan PdPc Bahasa Melayu dikenal pasti melalui amalan
guru secara kolaboratif menerusi lima kitaran KP. Lima kitaran KP bermula dengan
menentukan objektif pembelajaran, merancang dan menyediakan RPH, pemerhatian
pengajaran guru, refleksi pengajaran, dan akhir sekali, mengubahsuai RPH untuk
penambahbaikan PdPc seterusnya. Sebagai triangulasi data temu bual dan analisis
dokumen, pengkaji melakukan pemerhatian terhadap lima kitaran KP sepanjang
tempoh kajian dijalankan untuk menjawab semua persoalan dalam kajian ini.
1.5 KERANGKA KONSEPTUAL KAJIAN
Kerangka konseptual kajian ini dibina bagi menerangkan beberapa elemen penting
yang menjadi asas kepada pencapaian tujuan dan objektif dalam kajian ini. Kerangka
konseptual dibina hasil gabungan Teori Konstruktivisme (Barlett 1932), Model
Pengajaran Slavin (1984), Model Pengajaran Glaser (1968), Model SGM (BPG 2009),
dan Model Kajian Pengajaran (Yoshida 1999). Gabungan teori dan model tersebut
bertujuan meneroka secara mendalam amalan PdPc Bahasa Melayu melalui
pendekatan KP bagi tujuan meneroka kemahiran guru membuat perancangan,
pelaksanaan dan penilaian dalam PdPc Bahasa Melayu.
Dalam kajian ini, perkongsian amalan KP dalam PdPc Bahasa Melayu
diperoleh melalui temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen berdasarkan lima
kitaran KP untuk menyelidiki maklumat berkaitan lima objektif kajian, iaitu
25
kefahaman guru tentang pendekatan KP, persepsi guru tentang pelaksanaan KP dalam
PdPc Bahasa Melayu, kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH, strategi
pelaksanaan aktiviti, serta pentaksiran dan penilaian KP dalam PdPc Bahasa Melayu.
Rajah 1.2 menunjukkan kerangka konseptual yang digunakan dalam kajian ini.
Berdasarkan rajah, proses pelaksanaan KP bermula dengan Kitaran 1, iaitu
menentukan matlamat pengajaran. Pada peringkat ini, guru mengkaji matlamat
kurikulum dan sukatan pelajaran Bahasa Melayu untuk menentukan objektif
pembelajaran. Kajian dan perbincangan memberi fokus terhadap masalah
pembelajaran murid dalam sesuatu topik atau unit pelajaran yang sukar dikuasai oleh
murid. Setelah itu, semua guru KP menentukan matlamat yang hendak dicapai dalam
sesi pelaksanaan KP yang telah dirancang.
Seterusnya, pelaksanaan KP diikuti Kitaran 2, iaitu membina RPH. Pada
peringkat ini, pengkaji melihat tindakan guru Bahasa Melayu menyediakan RPH
secara kolaboratif untuk memilih unit/tajuk yang hendak diajar dalam satu sesi
pengajaran. Sesi perbincangan masih berfokus masalah pembelajaran murid berkaitan
unit atau tajuk yang telah dipilih. Pada masa yang sama, guru KP membina RPH dan
BSP secara kolaboratif sambil memikirkan strategi pengajaran yang difikirkan sesuai,
serta jangkaan respons murid semasa proses PdPc.
Bagi Kitaran 3 pula, peringkat ini melibatkan sesi pengajaran yang
disampaikan oleh salah seorang guru daripada kumpulan KP yang bertindak sebagai
guru model. Guru model yang terpilih merupakan guru yang dipercayai berkebolehan
menyampaikan isi pelajaran yang dianggap sukar untuk dikuasai oleh murid.
Sementara itu, ahli kumpulan KP dan guru-guru lain hadir bersama sebagai pemerhati.
Fokus utama pemerhatian tertumpu kepada respons, tingkah laku dan hasil
pembelajaran murid termasuk interaksi antara guru dengan murid. Kehadiran PR
sebagai pemerhati, pemberi komen dan cadangan idea bagi langkah-langkah
penambahbaikan RPH.
Selanjutnya, pendekatan KP diteruskan dengan Kitaran 4, iaitu menilai atau
refleksi pengajaran. Pada peringkat ini, pengkaji memerhatikan sesi refleksi guru
model tentang kekuatan dan kelemahan RPH yang telah diusahakan secara
kolaboratif. Fokus perbincangan melihat semula matlamat KP. Pendekatan KP
26
berakhir dengan Kitaran 5, iaitu tindakan penambahbaikan RPH atau pengajaran
semula. Pada peringkat ini, satu sesi perbincangan diadakan untuk membuat
penambahbaikan RPH dan amalan pengajaran guru. Sekiranya pengajaran
dilaksanakan semula, maka proses dalam Kitaran 3 dan Kitaran 4 diulang semula.
Teori Konstruktivisme Barlett (1932)
Model Pengajaran Slavin (1984)
Model Pengajaran Glaser (1962)
Model Standard Guru Malaysia (BPG KPM 2009)
KITARAN KAJIAN PENGAJARAN
5 1 2
Ubah suai Matlamat Bina RPH
Pengajaran
RPH
4 3
Nilai PdPc dan Pengajaran dan
Pemerhatian PdPc
refleksi
Perkongsian amalan Kajian Pengajaran dalam PdPc BM
Kefahaman Persepsi guru Kaedah menulis Strategi Strategi
guru tentang tentang dan pelaksanaan pentaksiran
pendekatan aktiviti KP dan penilaian
KP sebagai pelaksanaan KP mengaplikasikan dalam PdPc KP dalam
program PPB dalam PdPc BM RPH KP dalam PdPc BM
BM
PdPc BM
Kajian Pembelajaran Amalan PdPc
dan Pemudahcaraan Bahasa Melayu
Sumber: Rajah 1.1 Kerangka konseptual kajian
Ubah suai daripada Teori Konstruktivisme (Barlett 1932), Model Kitaran KP
(Yoshida 1999), Model Slavin (1984), Model Glaser (1962) dan Model Standard
Guru Malaysia (BPG KPM 2009)
27
Kajian berkaitan kefahaman dan persepsi guru tentang pelaksanaan KP dalam
PdPc Bahasa Melayu dilakukan untuk mengetahui keberkesanan pendekatan KP
sebagai PPB. Dapatan kajian mencadangkan Model KPdPc untuk disesuaikan dengan
konteks PdPc Bahasa Melayu. Sementara itu, kajian berkaitan kemahiran menulis dan
mengaplikasikan RPH, strategi pelaksanaan aktiviti, serta pentaksiran dan penilaian
KP dalam PdPc Bahasa Melayu bertujuan untuk mencadangkan Model PdPc Bahasa
Melayu. Model KPdPc yang dicadangkan adalah sebagai menyokong amalan
pengajaran guru bagi penambahbaikan amalan PdPc Bahasa Melayu.
1.6 TUJUAN KAJIAN
Kajian ini meneroka kefahaman dan persepsi guru tentang pendekatan Kajian
Pengajaran sebagai Pembangunan Profesionalisme Berterusan, serta strategi guru
membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian Bahasa Melayu melalui pendekatan
KP untuk penambahbaikan amalan PdPc Bahasa Melayu.
1.7 OBJEKTIF KAJIAN
Secara khusus, kajian ini dijalankan untuk mencapai lima objektif kajian berikut:
1. Meneroka kefahaman guru tentang kajian pengajaran sebagai program
Pembangunan Profesionalisme Berterusan.
2. Meneroka persepsi guru tentang pelaksanaan pendekatan kajian pengajaran
dalam pembelajaran dan pemudahcaraan Bahasa Melayu.
3. Meneroka kaedah menulis dan mengaplikasikan Rancangan Pengajaran Harian
Bahasa Melayu berasaskan pendekatan kajian pengajaran.
4. Meneroka strategi pelaksanaan aktiviti kajian pengajaran dalam pembelajaran
dan pemudahcaraan Bahasa Melayu.
5. Meneroka strategi pentaksiran dan penilaian pendekatan kajian pengajaran
dalam pembelajaran dan pemudahcaraan Bahasa Melayu.
28
1.8 PERSOALAN KAJIAN
Berdasarkan tujuan dan objektif kajian, kajian ini dijalankan bagi mencapai lima
persoalan kajian ini.
1. Apakah kefahaman guru tentang kajian pengajaran sebagai program
Pembangunan Profesionalisme Berterusan?
2. Apakah persepsi guru tentang pelaksanaan pendekatan kajian pengajaran
dalam pembelajaran dan pemudahcaraan Bahasa Melayu?
3. Apakah kaedah menulis dan mengaplikasikan Rancangan Pengajaran Harian
Bahasa Melayu berasaskan pendekatan kajian pengajaran?
4. Apakah strategi pelaksanaan aktiviti kajian pengajaran dalam pembelajaran
dan pemudahcaraan Bahasa Melayu?
5. Apakah strategi pentaksiran dan penilaian pendekatan kajian pengajaran dalam
pembelajaran dan pemudahcaraan Bahasa Melayu?
1.9 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian tentang amalan PdPc Bahasa Melayu sekolah menengah melalui pendekatan
KP adalah berdasarkan gabungan Teori Konstruktivisme (Barlett 1932), Model
Pengajaran Slavin (1984), Model Pengajaran Glaser (1968), Model SGM (BPG 2009),
dan Model Kajian Pengajaran (Yoshida 1999). Justeru, dapatan kajian dipercayai
memberi sumbangan yang berguna kepada pelbagai pihak khususnya bidang
pengajaran Bahasa Melayu. Kajian tentang amalan PdPc Bahasa Melayu diharapkan
dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak seperti murid, guru, sekolah,
penyelidik, BPG, PKK dan Bahagian Pembangunan KPM.
Bagi pihak murid, melalui pendedahan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik
pengajaran guru yang berkesan dapat membantu pemahaman murid dalam menguasai
kemahiran bahasa dengan lebih baik. Menerusi penemuan baharu hasil perkongsian
ilmu dalam amalan PdPc KP, maklumat tersebut dipercayai dapat menyumbang
kepada kualiti pengetahuan yang sedia ada dalam usaha memupuk kemajuan dan
29
objektif pendidikan yang lebih dinamik (Shahlan Surat 2012). Saranan ini sangat tepat
kerana kejayaan kajian diharapkan berupaya mengimbangi pencapaian murid serta
menyediakan komposisi murid yang homogenus untuk membolehkan perkembangan
bahasa pada peringkat ini berlaku secara berkesan. Dengan demikian, masalah yang
dihadapi oleh murid dalam penguasaan bahasa dapat dikurangkan.
Bagi pihak guru pula, dapatan kajian ini dianggap sungguh bermakna kerana
model ini dapat memperkaya kaedah pengajaran guru memandangkan masih banyak
guru mengamalkan kaedah pengajaran konvensional. Corak pengajaran guru didapati
masih memberi tumpuan kepada pemusatan guru berbanding dengan strategi
pembelajaran yang berpusatkan murid. Fenomena ini terdapat dalam dapatan kajian
JNJK (2010, 2014), Lilia Halim et al. (2001), Abdul Aziz Abdul Kadir (2008), Zamri
Mahamod dan Madgeline Nor (2012), serta Magdeline Nor (2014). Oleh itu, dapatan
ini berupaya membantu guru untuk membuat keputusan sama ada memilih untuk
beralih daripada kaedah pengajaran konvensional kepada kaedah pengajaran yang
sedia ada melalui pendekatan KP. Dengan demikian, dapatan kajian ini perlu diberi
perhatian yang sewajarnya agar model yang dihasilkan dapat menyediakan proses
PdPc Bahasa Melayu yang lebih lancar.
Selanjutnya, kajian ini turut memberi manfaat kepada pihak sekolah. Hasil
perkongsian ilmu dalam PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP dapat memberi
kesedaran kepada pihak sekolah tentang kepentingan bekerja secara berpasukan,
justeru perlu mewujudkan budaya kolaborasi. Hal ini demikian kerana menurut JNJK
(2014), sesetengah sekolah kurang menggalakkan guru untuk mewujudkan budaya
kolaborasi sebelum ini. Misalnya, guru bekerja secara berasingan, pihak sekolah
menggalakkan guru melaksanakan amalan kolaboratif tetapi keupayaan guru untuk
melaksanakan adalah terhad. Ringkasnya, melalui kesedaran yang timbul, pihak
sekolah boleh menyebar luas kefahaman dan pendekatan ini dalam interaksi dan bual
bicara ilmu, misalnya dalam mesyuarat kurikulum, bengkel panitia, latihan dalaman
dan pembangunan staf akademik.
Seterusnya, kepentingan kajian ini tidak mengetepikan usaha gigih BPG yang
merupakan satu badan yang mengendalikan khidmat latihan secara profesional kepada
bakal guru di kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Hasil kajian juga
30
diharapkan dapat membantu Unit Kurikulum BPG yang berkecimpung melatih guru-
guru pra-perkhidmatan untuk bijak merancang, memilih dan mengaplikasikan strategi
pengajaran yang sesuai untuk diterapkan ke dalam kurikulum latihan perguruan.
Akhir sekali, kepentingan kajian ini turut memberi sumbangan kepada pihak
Bahagian Pembangunan Kurikulum kerana dapatan kajian ini bolehlah diserapkan
dalam syor cadangan strategi pengajaran guru dalam HSP. Bagi pihak Unit
Pembangunan Bahan Pengajaran dan Bahagian Teknologi Pendidikan pula, dapatan
kajian boleh dicadangkan sebagai sumber asas dalam pembinaan bahan PdPc untuk
membantu murid menguasai kemahiran berbahasa dengan berkesan. Pendek kata,
hasil kajian ini sebenarnya memberikan nilai tambah kepada seluruh warga pendidik
tanah air, khususnya dalam kalangan guru Bahasa Melayu demi memantapkan proses
PdPc Bahasa Melayu dengan lebih lancar.
1.10 BATASAN KAJIAN
Kajian ini meneroka amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP untuk
mengenal pasti kemahiran guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian
dalam PdPc Bahasa Melayu bagi meningkatkan amalan pengajaran guru dan hasil
pembelajaran murid. Untuk mencapai tujuan tersebut, kajian ini hanya melihat
pelaksanaan pendekatan KP dalam konteks PdPc Bahasa Melayu oleh 12 orang guru
yang mempunyai opsyen Bahasa Melayu sahaja. Kajian ini memberi fokus pada
pendekatan KP berkaitan aspek kemahiran menulis dan mengaplikasikan RPH,
strategi dalam pelaksanaan aktiviti serta kemahiran dalam pelaksanaan pentaksiran
dan penilaian KP. Dalam pada itu, kajian ini turut mengenal pasti persepsi guru
tentang pelaksanaan pendekatan KP terhadap amalan PdPc Bahasa Melayu.
Bagi aspek kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH KP, kajian terbatas
pada elemen penting RPH seperti menetapkan objektif pembelajaran, merancang isi
pelajaran, memilih aktiviti PdPc, menentukan BSP serta menyediakan bahan
pentaksiran dan penilaian. Seterusnya, bagi aspek aktiviti PdPc, kajian ini terbatas
pada strategi pelaksanaan aktiviti KP yang berpusatkan murid, kepelbagaian aktiviti
PdPc, interaksi pelbagai hala, aktiviti PdPc yang melibatkan KBAT, serta galakan
kreativiti dan motivasi guru kepada murid.
31
Selanjutnya, bagi aspek pentaksiran dan penilaian, kajian ini terbatas pada
strategi perancangan dan pelaksanaan aktiviti pentaksiran dan penilaian dalam PdPc
Bahasa Melayu. Sementara itu, kajian ini turut melihat aktiviti intervensi yang
dikendalikan dalam pengajaran peserta kajian. Intervensi melibatkan pelaksanaan
aktiviti pemulihan dan pengayaan. Bagi mendapatkan kefahaman guru tentang
pendekatan KP sebagai PPB, kajian ini terbatas pada kefahaman guru tentang
pelaksanaan pendekatan KP terhadap penambahbaikan kualiti amalan pengajaran guru
dan hasil pembelajaran murid.
Sehubungan itu, data kajian yang diperoleh adalah terbatas pada data kajian
hasil temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen terhadap tindakan PdPc Bahasa
Melayu yang berasaskan lima peringkat kitaran KP. Lima peringkat tersebut adalah
seperti menentukan matlamat, membina RPH, pelaksanaan pengajaran dan
pemerhatian, menilai atau refleksi serta penambahbaikan RPH dan pengajaran guru.
Dengan demikian, kekuatan data yang diperoleh adalah bergantung sepenuhnya
terhadap keupayaan guru dalam memberi maklumat yang tepat sepanjang proses temu
bual, pemerhatian, dan analisis dokumen yang dilaksanakan.
Berikutan terdapat beberapa batasan dalam kajian ini, maka dapatan kajian ini
kurang sesuai untuk dijadikan sebagai petunjuk keseluruhan pelaksanaan PdPc Bahasa
Melayu di seluruh Malaysia disebabkan kelainan kebolehan murid berdasarkan lokasi,
latar belakang keluarga, kemudahan yang disediakan dan persekitaran murid sendiri.
1.11 DEFINISI OPERASIONAL
Dalam kajian ini, pengkaji menggariskan beberapa istilah penting yang sinonim
dengan kajian ini. Istilah yang menjadi fokus dalam kajian ini adalah seperti, (a)
Kajian Pengajaran, (b) pembelajaran dan pemudahcaraan, (c) kefahaman guru, (d)
persepsi guru, (e) Rancangan Pengajaran Harian, (f) strategi pelaksanaan aktiviti, dan
(vii) pentaksiran dan penilaian. Makna bagi semua istilah tersebut dihuraikan
berdasarkan konteks objektif kajian ini, iaitu kefahaman guru tentang KP sebagai
program PPB, persepsi guru tentang pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu,
kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH KP dalam PdPc Bahasa Melayu, strategi
pelaksanaan aktiviti, serta pentaksiran dan penilaian KP dalam PdPc Bahasa Melayu.
Berikut adalah penjelasan makna bagi setiap istilah yang digunakan dalam kajian ini.
32
1.11.1 Kajian Pengajaran
Di Malaysia, istilah “Kajian Pengajaran” lebih dikenali sebagai Lesson Study.
Menurut Fernandez dan Yoshida (2004), kajian pengajaran dalam bahasa Jepun
dikenali sebagai Jugyoukenkyuu. Jugyou bermaksud pelajaran atau pengajaran,
manakala kenkyuu ialah kajian atau penyelidikan. Dalam erti kata lain, KP ialah
kajian, penyelidikan atau penelitian terhadap pengajaran guru dalam bilik darjah.
Dalam konteks kajian ini, kajian pengajaran merujuk kepada kajian terhadap tindakan
guru secara kolaboratif merancang dan menyediakan RPH, menjalankan pemerhatian
dan pelaksanaan pengajaran di dalam bilik darjah, melaksanakan penilaian dan
refleksi pengajaran guru serta penambahbaikan RPH berdasarkan lima kitaran dalam
kajian pengajaran. Istilah “Kajian Pengajaran” digunakan dalam kajian ini setelah
mengambil kira istilah tersebut telah mendapat penerimaan yang meluas dalam
kalangan pendidik Malaysia rentetan cetusan KPM sebagai inisiatif NKRA
pendidikan (BPG 2013).
1.11.2 Pembelajaran dan Pemudahcaraan
Berikutan penggubalan semula Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) 2010,
istilah pembelajaran dan pengajaran atau dengan singkatan ‘PdP’ telah diperluaskan
menjadi pembelajaran dan pemudahcaraan dengan singkatan ‘PdPc’. Dalam konteks
kajian ini, penggunaan istilah PdPc disejajarkan dengan SKPMg2 yang bermaksud
guru berperanan sebagai pemudah cara dalam PdPc yang berkesan untuk
memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan pencapaian murid pada
tahap optimum secara berterusan. Sebagai pemudah cara dalam PdPc, maka peranan
guru Bahasa Melayu dalam kajian ini merujuk kepada enam aspek PdPc yang diberi
penekanan dalam SKPMg2, iaitu Guru sebagai Perancang, Guru Sebagai Pengawal,
Guru Sebagai Pembimbing, Guru Sebagai Pendorong, dan Guru Sebagai Penilai,
manakala Murid Sebagai Pembelajar Aktif (JNJK 2017).
Dalam konteks kajian ini, Bahasa Melayu merujuk kepada mata pelajaran yang
diajar oleh guru opsyen Bahasa Melayu. PdPc Bahasa Melayu melibatkan
perancangan, pelaksanaan dan penilaian isi kandungan yang berkaitan sesuatu tajuk
berdasarkan Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
33
Sekolah Menengah. PdPc Bahasa Melayu disampaikan melalui pendekatan KP untuk
meneroka amalan pengajaran guru bagi mencadangkan Model Kajian PdPc dan Model
PdPc Bahasa Melayu. Kedua-dua model yang dicadangkan adalah sebagai panduan
untuk penambahbaikan amalan pengajaran guru dan hasil pembelajaran murid. Usaha
ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia yang telah memperuntukkan
bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan perlu digunakan dalam
semua urusan rasmi (Asmah Omar 1985).
1.11.3 Kefahaman Guru
Dalam konteks kajian ini, kefahaman guru merujuk kepada ingatan guru Bahasa
Melayu terhadap sesuatu yang telah dipelajari, dilihat, dan didengar sebelumnya
berkaitan pendekatan KP sebagai model peningkatan profesionalisme guru dalam
PdPc Bahasa Melayu di dalam bilik darjah. Definisi ini menepati penyataan Shulman
(1992), bahawa kefahaman guru adalah ingatan tentang sesuatu bahan yang telah
dipelajari dan mengingat kembali sekumpulan bahan yang luas dari hal-hal yang
diperincikan oleh teori, tetapi kefahaman yang diberikan menggunakan ingatan akan
memberi kesan berpanjangan atau berkekalan sekiranya dipraktikkan sebagai amalan.
Dalam kajian ini, kefahaman guru tentang pendekatan KP amat penting untuk
memperoleh maklumat yang tepat dan terperinci bagi menjawab lima persoalan kajian
dalam kajian ini.
1.11.4 Persepsi guru
Dalam konteks kajian ini, pengertian pandangan adalah proses guru Bahasa Melayu
menginteprestasi dan memberi makna terhadap pendekatan KP hasil daripada proses
belajar dan pengalaman yang diperoleh melalui perkongsian amalan dalam
pendekatan KP. Selain itu, persepsi guru dalam kajian ini merujuk kepada pandangan
atau pendapat guru bahasa Melayu tentang pelaksanaan pendekatan KP dalam PdPc
Bahasa Melayu terhadap amalan pengajaran guru dan amalan pembelajaran murid.
Dalam kajian ini, pengertian pandangan adalah selari dengan penyataan yang
dikemukakan oleh Robbins (2003) bahawa pandangan merupakan kesan yang
diperoleh oleh individu melalui panca indera kemudian dianalisis, diintepretasi dan
dievaluasi, sehingga individu tersebut memperoleh makna melalui pengalamannya.
34
1.11.5 Rancangan Pengajaran Harian
Dalam konteks kajian ini, RPH ialah rangka kerja aktiviti PdPc untuk dilaksanakan
oleh guru Bahasa Melayu di dalam bilik darjah yang telah ditetapkan dalam satu
jangka waktu tertentu. RPH disediakan sebelum proses PdPc dimulakan untuk
meningkatkan keyakinan guru mengajar bagi menjamin pencapaian objektif pelajaran.
Menurut Esah Sulaiman (2004), perancangan pengajaran merupakan keputusan yang
harus dibuat oleh guru mengenai perkara yang hendak diajar dan cara-cara
menyampaikan pengajaran untuk difahami oleh murid.
Dalam kajian ini, RPH KP dalam PdPc Bahasa Melayu dirancang dan
disediakan terlebih dahulu oleh seseorang guru sebelum melaksanakan PdPc di dalam
bilik darjah. Sebelum membincangkan RPH, guru mengkaji dan mentafsir sukatan
pelajaran secara mendalam, memilih kemahiran dan isi pelajaran yang sesuai,
menentukan strategi PdPc, menyediakan BSP serta bahan penilaian. Menurut
Cruickshank (1995), rancangan pengajaran melibatkan keputusan yang dibuat
mengenai cara-cara mengelola, melaksana dan menilai pengajaran sebelum proses
pengajaran bermula. Proses guru membuat keputusan tentang cara memilih dan
menyusun pengalaman pembelajaran dalam RPH dapat memaksimumkan pencapaian
serta kepuasan guru dan juga murid.
1.11.6 Strategi Pelaksanaan Aktiviti
Dalam kajian ini, strategi pelaksanaan aktiviti merupakan rangkaian tindakan guru
Bahasa Melayu merancang dan melaksanakan kegiatan pembelajaran KP untuk
mencapai objektif pelajaran secara efisien dan berkesan. Strategi pelaksanaan aktiviti
PdPc disusun mengikut langkah-langkah pembelajaran supaya sesuai dengan tujuan
pembelajaran yang ingin dicapai. Strategi pelaksanaan aktiviti dalam kajian ini
menepati gagasan yang dinyatakan Dick dan Carey (2009), iaitu strategi pelaksanaan
aktiviti merangkumi seluruh komponen isi pelajaran, prosedur dan kegiatan belajar
yang digunakan untuk mencapai tujuan dan objektif pembelajaran.
Penggunaan strategi dalam pelaksanaan aktiviti memudahkan proses
pembelajaran mencapai hasil yang optimum. Tanpa strategi yang jelas, proses PdPc
tidak akan mencapai objektif pelajaran yang telah ditetapkan. Kajian meneliti strategi
35
pelaksanaan aktiviti KP amat berguna kepada guru mahupun murid. Bagi guru,
strategi dijadikan sebagai acuan bertindak yang sistematik dalam pelaksanaan aktiviti
PdPc. Bagi murid pula, penggunaan strategi dalam pelaksanaan aktiviti KP
memudahkan proses belajar dan memahami isi pelajaran. Setiap strategi pelaksanaan
aktiviti KP dirancang untuk mempermudah proses belajar murid.
1.11.7 Pentaksiran dan Penilaian
Dalam kajian ini, pentaksiran merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran
tentang prestasi pembelajaran murid dalam sesuatu aktiviti PdPc yang dilaksanakan
melalui pendekatan KP. Dari perspektif kajian ini, pentaksiran bersifat formatif dan
dilaksanakan secara berterusan bagi memberi peluang kepada murid untuk
menunjukkan penguasaan diri dalam kemahiran yang dipelajari, iaitu sesuatu
kemahiran yang tidak dapat ditaksir melalui ujian bertulis. Pentaksiran dalam kajian
ini seperti yang dinyatakan oleh Zabani Darus (2012), iaitu pentaksiran merupakan
satu proses pengumpulan maklumat tentang hasil pembelajaran murid. Dalam hal ini,
pentaksiran yang dilaksanakan dalam kajian ini sesuai dengan penyataan KPM (2014),
iaitu pentaksiran merupakan proses untuk mengesan perkembangan, kebolehan,
kemajuan, dan pencapaian murid secara menyeluruh berasaskan matlamat kurikulum.
Seterusnya, dalam kajian ini, penilaian merupakan suatu proses atau tindakan
yang dilakukan oleh guru Bahasa Melayu untuk mengumpul dan menganalisis data
bagi mengukur kriteria kejayaan murid dan pencapaian objektif pembelajaran. Hasil
analisis data tentang kemajuan murid membolehkan guru membuat pertimbangan dan
keputusan berkaitan penambahbaikan hasil pembelajaran murid. Penilaian yang
dilaksanakan dalam kajian ini disesuaikan dengan penyataan Tenbrink (1974) yang
menyifatkan penilaian sebagai suatu proses mendapatkan maklumat tentang
pengajaran guru dan pembelajaran murid. Berdasarkan maklumat tersebut, guru
merancang alternatif untuk membuat pertimbangan dan seterusnya membuat
keputusan untuk penambahbaikan.
Justeru, dalam konteks kajian ini, pentaksiran dan penilaian tidak dapat
dipisahkan memandangkan kedua-dua elemen tersebut merupakan sebahagian
daripada proses PdPc secara berterusan. Pentaksiran dan penilaian merangkumi
36
aktiviti pemerhatian, mengumpul rekod, memberi skor, dan menginterpretasikan data
hasil pembelajaran murid. Tujuannya adalah untuk mendapatkan gambaran yang lebih
tepat tentang perkembangan murid secara berfokus dan individu dalam penguasaan
ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari. Pentaksiran dan penilaian yang
dilaksanakan dalam kajian ini sesuai dengan penyataan yang dikemukakan oleh
Zabani Darus (2012) yang menyifatkan pentaksiran dan penilaian sebagai satu proses
pengumpulan maklumat tentang murid dalam aspek pengetahuan, kemahiran, dan
nilai yang dipelajari.
1.12 KESIMPULAN
Bab ini telah membincangkan latar belakang, pernyataan masalah, kerangka teori dan
kerangka konseptual kajian, tujuan, objektif, persoalan, kepentingan, batasan dan
definisi operasional kajian. Perbincangan ini memberikan gambaran awal aspek
penting pra kajian ini selain memudahkan kefahaman terhadap penggunaan istilah
yang terdapat dalam kajian ini. Maklumat tentang kajian ini dibincangkan dengan
lebih lanjut dalam Bab II.