The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Tesis PHD Nur Ain Kualitiatif Kajian Kes

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nazrahjamaludin159, 2021-06-07 02:25:20

Tesis PHD Nur Ain Kualitiatif Kajian Kes

Tesis PHD Nur Ain Kualitiatif Kajian Kes

287

Seterusnya, dapatan persoalan kajian yang ke-4 pula menjelaskan strategi
pelaksanaan aktiviti KP dalam PdPc Bahasa Melayu dari aspek perancangan dan
pelaksanaan. Terdapat tiga elemen penting berkaitan aspek perancangan aktiviti PdPc,
iaitu aktiviti PdPc yang dirancang hendaklah menjurus pencapaian objektif
pembelajaran, sesuai dengan kemahiran yang diajar, sesuai dengan persekitaran
murid, dan sesuai dengan tempoh masa PdPc. Bagi aspek pelaksanaan pula, sekurang-
kurangnya lima elemen penting berkaitan strategi pelaksanaan aktiviti KP dalam PdPc
Bahasa Melayu, iaitu aktiviti PdPc berpusatkan murid, aktiviti PdPc yang pelbagai,
aktiviti mewujudkan interaksi pelbagai hala, aktiviti PdPc melibatkan KBAT, dan
aktiviti menggalakkan kreativiti dan memotivasikan murid.

Akhir sekali, dapatan bagi persoalan kajian ke-5 menjelaskan strategi
pentaksiran dan penilaian KP dalam PdPc Bahasa Melayu. Strategi pentaksiran dan
penilaian KP diperlihatkan daripada tiga aspek utama, iaitu aspek perancangan dan
pelaksanaan. Terdapat lima elemen penting berkaitan aspek perancangan aktiviti
pentaksiran dan penilaian dalam KP Bahasa Melayu, iaitu mengenal pasti kebolehan
murid, merujuk objektif pembelajaran, pentaksiran dan penilaian secara berfokus,
menentukan kuantiti dan kualiti soalan, dan sesuai dengan masa PdPc. Bagi aspek
pelaksanaan aktiviti pentaksiran dan penilaian pula, terdapat dua elemen penting yang
menjadi amalan peserta kajian, iaitu penilaian secara lisan dan secara bertulis.
Manakala, aktiviti intervensi dalam proses PdPc guru Bahasa Melayu melibatkan
aktiviti pemulihan dan aktiviti pengayaan.

Kesimpulannya, dapatan kajian telah menjawab lima persoalan kajian dalam
kajian ini. Hasil temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen, dapatan kajian telah
memperoleh maklumat berkaitan kefahaman guru Bahasa Melayu tentang pendekatan
KP, serta persepsi guru tentang pelaksanaan pendekatan KP dalam PdPc Bahasa
Melayu. Seterusnya, hasil kajian juga memperoleh maklumat berkaitan kaedah
menulis dan mengaplikasikan RPH KP dalam PdPc Bahasa Melayu, strategi
pelaksanaan aktiviti, serta strategi pentaksiran dan penilaian KP dalam PdPc Bahasa
Melayu. Akhirnya, dapatan kajian menghasilkan dua model pengajaran sebagai
panduan guru dalam PdPc Bahasa Melayu, iaitu Model Kajian Pembelajaran dan
pemudahcaraan (Model KPdPc), dan Model Pembelajaran dan Pemudahcaraan Mata
Pelajaran Bahasa Melayu (Model PdPc Mata Pelajaran Bahasa Melayu).

288

5.3 PERBINCANGAN HASIL KAJIAN

Perbincangan selanjutnya diteruskan untuk melihat hubung kait antara dapatan kajian
dengan teori PdPc, senario pendidikan Bahasa Melayu, serta dapatan kajian lepas
yang berkaitan dengan PdPc Bahasa Melayu. Perbincangan hasil kajian dilakukan
berdasarkan lima objektif kajian ini, iaitu (a) meneroka kefahaman guru tentang
pendekatan kajian pengajaran sebagai program PPB, (b) meneroka persepsi guru
tentang pelaksanaan pendekatan kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu, (c)
meneroka kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH Bahasa Melayu berasaskan
pendekatan kajian pengajaran, (d) meneroka strategi pelaksanaan aktiviti pendekatan
kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu, dan (e) meneroka strategi pentaksiran
dan penilaian pendekatan kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu.

5.3.1 Kefahaman Guru tentang Kajian Pengajaran sebagai Program Pembangunan
Profesionalisme Berterusan

Pelaksanaan pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu telah memberi pelbagai
kefahaman kepada peserta kajian. Dalam kajian ini, perbincangan adalah berdasarkan
lima tema yang muncul berkaitan kefahaman guru tentang pendekatan KP sebagai
program PPB. Tema yang dimaksudkan adalah (a) penambahbaikan RPH, (b)
meningkatkan kualiti perkongsian ilmu, (c) manfaat kehadiran Pakar Rujuk (PR), (d)
membina budaya kolaboratif, dan (e) meningkatkan profesionalisme guru.

a. Penambahbaikan rancangan pengajaran harian

Hasil perkongsian ilmu dan pengalaman melalui PdPc Bahasa Melayu dalam KP, kini
membuka ruang kepada guru untuk melakukan penambahbaikan dalam RPH. Hal ini
seperti dijelaskan oleh semua peserta kajian melalui temu bual, analisis dokumen dan
pemerhatian PdPc guru di lokasi kajian. Hasil temu bual, guru berkongsi idea untuk
menghasilkan RPH melalui sesi perbincangan KP. Dalam sesi perbincangan tersebut,
satu kumpulan guru yang dianggotai antara empat hingga enam guru Bahasa Melayu
merancang satu RPH untuk disampaikan dalam satu sesi PdPc. Fokus perbincangan
adalah topik pelajaran yang sukar diajar oleh guru atau kemahiran yang susah dikuasai
oleh murid. Perbincangan meliputi strategi, pendekatan, kaedah dan teknik PdPc
terbaik untuk mencapai hasil pembelajaran murid.

289

Hasil kolaborasi antara guru yang terlibat dalam perbincangan telah berjaya
menghasilkan satu RPH yang lengkap. Menurut peserta kajian, PdPc Bahasa Melayu
melalui KP membantu merancang aktiviti PdPc dengan lebih baik dan berkesan yang
memberi penekanan kepada pengajaran berasaskan aktiviti. Seterusnya, peserta kajian
berupaya membina RPH mengikut peringkat keupayaan murid, serta menyediakan
BSP yang sesuai, menarik dan pelbagai. Dapatan kajian ini selaras dengan KP yang
diusahakan oleh Fang Yan Ping dan Kristine Kim Eng Lee (2010) terhadap guru-guru
di Singapura selama dua tahun. Hasil kajian mendapati bahawa KP boleh
menghasilkan pengajaran yang lebih baik secara berterusan. Selain itu, KP dapat
membina hubungan yang baik dalam kalangan guru yang terlibat dalam kajian.

Secara keseluruhan, dapatan kajian menjelaskan bahawa PdPc Bahasa Melayu
melalui KP memberi pengetahuan kepada guru Bahasa Melayu untuk melakukan
penambahbaikan RPH hasil daripada percambahan fikiran daripada pelbagai pihak
dalam sesi perbincangan KP. Antara aspek penting yang menyumbang kepada
penambahbaikan RPH melalui perbincangan KP adalah seperti memberi fokus kepada
masalah pembelajaran murid, khususnya bagi topik yang sukar dikuasai,
membincangkan hasil pembelajaran murid, merancang aktiviti PdPc, memilih dan
menyediakan BSP yang sesuai, dan membina langkah-langkah RPH mengikut prinsip
asas pedagogi. Ringkasnya, pengetahuan yang diperoleh melalui PdPc KP boleh
diaplikasikan dalam perancangan RPH yang seterusnya.

b. Meningkatkan kualiti perkongsian ilmu

Sesi refleksi KP merupakan salah satu peringkat yang terdapat dalam kitaran KP. Pada
peringkat ini, sekumpulan guru yang terlibat dalam KP duduk bersemuka untuk
mendengar sesi refleksi pengajaran daripada salah seorang guru yang baharu sahaja
selesai menyampaikan sesi pengajaran KP. Dalam kajian ini, kefahaman guru tentang
KP melaporkan bahawa sesi refleksi dalam KP menyumbang kepada kualiti
perkongsian ilmu antara ahli dalam kumpulan KP. Hal ini berlaku kerana menurut
peserta kajian, guru berpeluang untuk membincangkan masalah dan hasil
pembelajaran murid ketika sesi refleksi pengajaran. Hasil kajian ini sejajar dan selari
dengan prinsip-prinsip perkembangan profesional guru yang berkesan (Darling-
Hammond, Andree, Richardson & Orphanos 2012; Guskey 1986; Hawley & Valli

290

1999). Melalui perbincangan sesi refleksi, guru bermuafakat mencari penyelesaian
kepada masalah pembelajaran murid. Dalam kajian ini, percambahan idea daripada
pelbagai pihak yang terlibat didapati menyumbang kualiti perkongsian ilmu untuk
mendapatkan alternatif terbaik bagi memperbaiki hasil pembelajaran murid.

Selain itu, maklum balas yang diterima turut mengesahkan bahawa
perkongsian amalan melalui sesi refleksi pengajaran KP membolehkan guru mengenal
pasti kekuatan dan kelemahan dalam sesi PdPc yang dikendalikan. Dalam kajian ini,
guru mengaku bahawa hasil perbincangan melalui sesi refleksi pengajaran memberi
peluang untuk memperoleh ilmu hasil daripada pendedahan segala kekuatan dan
kelemahan guru lain ketika sesi pemerhatian PdPc KP. Dalam hal ini, guru
berkesempatan berkongsi ilmu untuk membincangkan idea penambahbaikan PdPc
guru seterusnya. Dapatan kajian selaras dengan pernyataan Rohaida Mazlan (2017)
dan Carroll et al. (2003) bahawa kualiti perkongsian ilmu antara ahli meningkat
melalui menyebarluaskan pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan amalan pedagogi
sedia ada dalam sebuah organisasi. Hal ini bermakna, amalan perkongsian ilmu ini
membolehkan ahli belajar sesama sendiri bagi memahami dunia pengetahuan dan
persekitaran pembelajaran.

Dalam kajian ini, perkongsian amalan guru Bahasa Melayu merupakan satu
elemen penting dalam perkembangan profesionalisme seorang guru. Sesi perkongsian
amalan memberikan peluang kepada guru Bahasa Melayu menambah pelbagai
pengetahuan, kemahiran, strategi, kaedah, bahan, sumber, pengalaman dan sebagainya
dalam konteks profesionalisme keguruan. Proses ini perlu berlaku dalam kalangan
guru Bahasa Melayu mencungkil amalan terbaik dunia keguruan. Sebagai menyokong
pandangan idea Rohaida Mazlan (2017) dan Carroll et al. (2003), iaitu kualiti
perkongsian ilmu dapat dipertingkatkan sekiranya guru Bahasa Melayu dapat
menyebarluaskan pelbagai pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan amalan
pedagogi dalam kalangan ahli panitia bagi membantu pembangunan dan
profesionalisme keguruan guru Bahasa Melayu, amnya.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa dalam kajian ini sesi refleksi pengajaran
KP memberi kesempatan kepada guru Bahasa Melayu untuk berkongsi maklumat
yang kritikal tentang masalah dan hasil pembelajaran murid, dan mengenal pasti

291

kekuatan dan kelemahan terhadap PdPc guru. Seterusnya, sesi refleksi pengajaran KP
memberi pendedahan secara mendalam berkaitan idea-idea untuk meningkatkan hasil
pembelajaran murid dan cadangan idea penambahbaikan pengajaran guru. Tamsilnya,
cadangan idea melalui sesi refleksi pengajaran KP sesuai digunakan untuk
meningkatkan kualiti perkongsian ilmu dalam kalangan guru Bahasa Melayu bagi
penambahbaikan strategi pelaksanaan sesi PdPc seterusnya.

c. Manfaat kehadiran Pakar Rujuk

Kefahaman guru Bahasa Melayu tentang pendekatan KP sebagai PPB turut
menyentuh kehadiran Pakar Rujuk (PR) atau Knowledgeable Others (KO) dalam sesi
pelaksanaan pengajaran dan sesi refleksi. Dalam kajian ini, guru menyatakan bahawa
kehadiran PR atau KO dalam sesi pelaksanaan pengajaran yang bertindak sebagai
pemerhati mencetus idea untuk penambahbaikan hasil pembelajaran murid. Menurut
guru lagi, ketika sesi pelaksanaan PdPc berlaku, kehadiran pakar rujuk sebagai
pemerhati mengumpulkan segala data atau maklumat sepanjang sesi pengajaran untuk
sesi perbincangan atau refleksi. Jadi, fokus utama perbincangan adalah melihat kepada
respons, tingkah laku dan pembelajaran murid.

Dapatan kajian ini selaras dengan konteks pelaksanaan pendekatan KP, iaitu
PR atau KO berperanan sebagai pakar rujuk dalam PdPc. Peranan utama PR adalah
memberi pandangan dan idea terhadap pengajaran guru serta cadangan
penambahbaikan bagi meningkatkan hasil pembelajaran murid. Dalam konteks KP,
pakar rujuk biasanya terdiri daripada guru cemerlang mata pelajaran atau sesiapa
sahaja yang berkebolehan dan boleh dikategorikan sebagai SME (Darling-Hammond
2012; Guskey 1986; Hawley & Valli 1999). Dalam kajian ini, pakar rujuk adalah
terdiri daripada kalangan guru yang berpengalaman, iaitu yang telah berkhidmat
melebihi lapan tahun (Du’Four et al. 2006).

Seterusnya, kefahaman guru Bahasa Melayu tentang kehadiran pakar rujuk
dalam KP membantu penambahbaikan dalam RPH guru. Hal ini demikian kerana
perbincangan bersama pakar rujuk turut memberi penekanan terhadap kelemahan
dalam RPH. Perbincangan yang lanjut turut memikirkan cadangan idea untuk
penambahbaikan RPH. Dapatan kajian ini menepati peranan seorang pakar rujuk yang
dianggap sebagai moderator atau pemudah cara dan PR PdPc yang baik dan berkesan

292

dalam konteks KP (Fernandez & Yoshida 2004). Dapatan kajian ini menyokong
sepenuhnya dapatan KP yang dilakukan oleh Nuraishah Mahmood dan Helmeleya
Mohd Jamil (2013) bahawa KP meningkatkan prestasi pemikiran murid dan
merangsang pembangunan profesional guru. Hasil kajian melaporkan bahawa selepas
perbincangan kitaran pertama, PR atau KO memberi banyak pandangan dan idea
untuk memperbaiki pengajaran supaya RPH dapat diperbaiki pada kitaran KP kedua.
Selepas KP kedua dijalankan, dapatan kajian melaporkan hasilnya lebih positif
(Nuraishah Mahmood & Helmeleya Mohd Jamil 2013).

Selain itu, dapatan kajian juga memaklumkan bahawa kehadiran PR dalam
pemerhatian pengajaran dan sesi refleksi dikatakan dapat meningkatkan pengetahuan
pedagogi guru. Hal ini demikian kerana menurut maklum balas yang diterima,
kehadiran pakar rujuk turut memberi pendedahan strategi, pendekatan, kaedah dan
teknik pengajaran yang baik khususnya dalam aspek kaedah pengajaran, teknik
penyoalan, penyediaan BSP dan sebagainya. Sehubungan itu, PR juga memainkan
peranan untuk memastikan guru-guru aktif dalam sesi perbincangan dan berfikir
secara mendalam semasa sesi refleksi melalui teknik penyoalan tentang isu-isu PdPc
yang kritikal (Du’Four et al. 2006).

Dapatan kajian ini menepati pernyataan Foo Kum Fong dan Lee Hwa Phaik
(2008) bahawa KP menawarkan alat yang boleh digunakan oleh guru untuk mencari
punca sebagai penyebab kepada sesuatu masalah pembelajaran murid serta kekangan
pengajaran yang dihadapi oleh guru semasa memerhati dan mengesahkan kejayaan
dalam pengajaran. Berdasarkan manfaat dan faedah yang diperoleh dengan kehadiran
PR semasa melaksanakan KP, maka tidak hairanlah jika KP telah dilaksanakan oleh
ramai para pendidik kerana keberkesanannya dalam memperbaik PdPc.

Dapatan ini menepati prinsip-prinsip PdPc KP bahawa perkongsian amalan
dan kemahiran bersama guru yang lebih berpengalaman meningkatkan pengetahuan
kandungan subjek yang diajar (Du’Four et al. 2006). Dapatan ini juga menyokong
pernyataan Fernandez dan Yoshida (2004), dan Lewis et al. (2006) memandangkan
PR adalah terdiri daripada kategori guru yang dianggap sebagai SME dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, PR atau KO yang dijemput hadir dalam
PdPc KP Bahasa Melayu adalah terdiri daripada penolong kanan akademik, guru

293

cemerlang Bahasa Melayu, guru kanan bahasa, ketua panitia, dan pegawai SISC+
Bahasa Melayu. Peranan utama sebagai PR atau KO dalam KP Bahasa Melayu adalah
seperti memberi pandangan dan cadangan idea terhadap kekuatan dan kelemahan
pengajaran guru serta cadangan meningkatkan hasil pembelajaran murid dan PdPc
yang berkesan.

Kesimpulannya, kajian ini merumuskan bahawa kehadiran pakar rujuk dalam
KP sebagai moderator atau pemudah cara dalam sesi refleksi dan maklum balas KP
membantu meningkatkan kemahiran PdPc Bahasa Melayu. Kehadiran PR atau KO
yang dianggap sebagai SME merupakan pakar rujuk PdPc berkesan di samping
meningkatkan pengetahuan pedagogi dan pengetahuan kandungan guru dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu. Ringkasnya, kehadiran pakar rujuk memberi input yang
tidak ternilai untuk penambahbaikan RPH, cadangan idea terhadap penambahbaikan
pengajaran guru dan peningkatan hasil pembelajaran murid.

d. Membina budaya kolaboratif

Dapatan temu bual berkaitan kefahaman guru Bahasa Melayu tentang pendekatan KP
sebagai PPB, pengkaji dimaklumkan bahawa perkongsian amalan KP membina
budaya kolaboratif dalam kalangan guru. Hal ini demikian kerana pelaksanaan KP
melibatkan pelbagai pihak, misalnya terdiri daripada guru pakar, guru cemerlang, guru
berpengalaman, guru baharu, ketua panitia, dan lain-lain. Dalam hal ini, kejayaan dan
keberkesanan KP memerlukan sokongan dan kerjasama yang erat daripada semua
pihak yang terlibat. Dapatan kajian ini sejajar dengan ciri-ciri KP yang dikemukakan
oleh Stigler dan Hiebert (1999) dalam buku, iaitu The Teaching Gap. Menurut buku
The Teaching Gap (Stigler & Hiebert 1999), KP merupakan satu usaha kolaboratif
dalam kalangan guru. Oleh itu, melalui pendekatan kolaboratif, guru juga secara
kolaboratif menghasilkan RPH yang berfokus kepada pembelajaran murid.

Dalam hal ini, amalan kolaboratif memerlukan penggemblengan idea,
pengalaman dan kemahiran bagi meningkatkan pengetahuan isi kandungan dan juga
pengetahuan kandungan pedagogi guru Bahasa Melayu. Hal ini demikian
memandangkan proses dalam KP yang merangkumi perjumpaan dan perbincangan
sekumpulan guru seperti yang dilaporkan dalam kajian ini mampu memupuk
semangat kekitaan dan rasa kepunyaan (sense of belonging) antara guru-guru Bahasa

294

Melayu. Melalui pemerhatian pula, peserta kajian yang terlibat dalam KP didapati
saling bekerjasama untuk mencapai matlamat atau gol yang telah ditetapkan secara
bersama ketika merancang RPH, menentukan aktiviti PdPc, menyediakan BSP,
melaksanakan sesi pengajaran, sesi refleksi pengajaran guru, dan penambahbaikan
RPH. Dapatan kajian ini menepati pernyataan Briscoe dan Peters (1997) bahawa
pembudayaan amalan berkolaboratif dan perkongsian amalan terbaik mesti
diwujudkan untuk membantu ahli mengenal pasti, membiasakan diri serta
mempraktikkan amalan kolaboratif dan perkongsian amalan terbaik agar perkongsian
ilmu menjadi satu budaya di tempat kerja.

Seterusnya, kefahaman guru Bahasa Melayu tentang pendekatan KP
menyifatkan bahawa budaya kolaboratif sangat penting untuk meningkatkan kualiti
pengajaran guru Bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana budaya tersebut membuka
peluang kepada guru Bahasa Melayu untuk mengembangkan pengetahuan dan
kemahiran pengajaran berasaskan penyelesaian masalah secara berkolaborasi. Hasil
kajian menyokong ciri-ciri KP yang dikemukakan oleh Stigler dan Hiebert (1999)
apabila guru melakukan penyelesaian masalah secara kolaborasi. Dalam kajian ini,
guru yang terlibat dalam KP didapati saling bekerjasama untuk mencapai matlamat
atau gol yang telah ditetapkan secara bersama ketika merancang RPH, menentukan
aktiviti PdPc, menyediakan BSP, melaksanakan sesi pengajaran, menghayati refleksi
pengajaran guru, dan penambahbaikan RPH. Ternyata, pendekatan KP dalam PdPc
Bahasa Melayu berupaya mewujudkan budaya kolaboratif dalam kalangan guru serta
pelbagai pihak di sekolah. Oleh itu, kebaikan amalan tersebut sewajarnya dipupuk dan
dimantapkan secara berterusan agar menjadi budaya kerja oleh guru Bahasa Melayu
secara berterusan.

Dapatan kajian ini diperkukuhkan dengan dapatan KP oleh Nuraishah
Mahmood dan Helmeleya Mohd Jamil (2013), iaitu guru bersetuju bahawa KP ini
bermakna dan efektif. Kerja keras ini memberikan kepuasan kepada guru kerana
berpeluang untuk bekerjasama secara kumpulan untuk merancang pelajaran bersama-
sama. Tumpuan yang diberikan adalah kepada hasil pembelajaran murid. Menerusi
KP juga, guru menjadi lebih prihatin apabila membuat andaian tentang pelbagai aspek
PdPc. Semasa sesi pemerhatian PdPc rakan-rakan, guru menimba banyak
pengetahuan. Hasil daripada kajian yang dijalankan, guru mendapati bahawa adalah

295

penting untuk memberikan arahan yang berbeza, mengambil kira gaya pembelajaran
murid, melakukan perancangan kolektif dan menjalankan refleksi dalam pengajaran.
Melalui pengalaman tersebut, guru telah mendapat pengetahuan khusus mengenai
cara-cara murid belajar (Nuraishah Mahmood & Helmeleya Mohd Jamil 2013).

Berdasarkan dapatan tersebut, kajian ini merumuskan bahawa KP sesuai
dijadikan sebagai model kajian penyelidikan terhadap pengajaran guru Bahasa Melayu
kerana mampu memupuk amalan kolaboratif dalam meningkatkan dan melestarikan
kualiti pengajaran guru dan pembelajaran murid biarpun dalam jangka masa panjang.
Setiap guru mempunyai kemahiran dan kepakaran yang berbeza, maka kerjasama
yang erat antara guru pakar, guru cemerlang, guru berpengalaman, guru baharu, ketua
panitia, dan lain-lain pihak yang dianggap sebagai SME perlu dititikberatkan bagi
meningkatkan amalan PdPc yang bermakna. Pendek kata, budaya kolaboratif dalam
kalangan guru Bahasa Melayu adalah teras kejayaan dalam peningkatan kualiti
pengajaran Bahasa Melayu. Waima, keutuhan dan kekuatan amalan bekerja secara
berkolaboratif memerlukan sokongan semua pihak yang terlibat secara berterusan.

e. Meningkatkan profesionalisme guru

Dapatan kajian berkaitan kefahaman guru Bahasa Melayu tentang pendekatan KP
sebagai PPB turut melaporkan bahawa pendekatan tersebut menyediakan suatu
wacana untuk meningkatkan profesionalisme guru. Dapatan ini selaras dengan
prinsip-prinsip perkembangan profesional guru berkesan (Zamri Mahamod, Norasmah
Othman & Mohammed Sani Ibrahim 2008; Loucks-Horsley et al. 1998; Guskey 1986;
Hawley & Valli 1999) yang merangkumi perkara-perkara seperti berfokus kepada
hasil pembelajaran murid, memberi peluang kepada guru untuk mengembangkan
pengetahuan dan kemahiran pengajaran, berasaskan penyelesaian masalah
berkolaborasi, berasaskan sekolah serta memerlukan sokongan berterusan. Oleh hal
yang demikian, maka tidak hairanlah jika KP telah dijadikan sebagai satu model
perkembangan profesional guru yang diamalkan di Jepun lebih daripada seabad
lamanya (Isoda et al. 2007). Kini, model KP telah menjadi sebahagian daripada
budaya guru Jepun, khususnya golongan guru di sekolah rendah (Fernandez &
Yoshida 2004).

296

Seterusnya, dapatan kajian berkaitan kefahaman guru Bahasa Melayu tentang
pendekatan KP sebagai PPB melaporkan bahawa teguran dan kritikan yang membina
berupaya meningkatkan profesionalisme guru. Dapatan kajian ini sejajar dengan
fenomena yang berlaku dalam sesi refleksi pengajaran KP. Dalam konteks KP, sesi
perbincangan dan refleksi pengajaran yang terdiri daripada sekumpulan guru termasuk
PR atau KO sebagai pemerhati berkongsi maklum balas yang kritikal berdasarkan
pemerhatian guru dan eviden murid. Perbincangan dan komen guru memberi
penekanan tentang hasil pembelajaran murid, isi kandungan pelajaran, kelemahan
dalam RPH, kekuatan dan kelemahan PdPc guru serta cadangan idea penambahbaikan
RPH akan datang. Maka, dalam kajian ini sesi refleksi adalah bersifat profesional dan
sebarang kritikan atau teguran adalah bertujuan meningkatkan profesionalisme guru.

Selain itu, laporan kajian Rohaida Mazlan (2017) mengatakan bahawa
pendekatan KP meningkatkan profesionalisme guru melalui sifat terbuka dan fikiran
positif yang ditunjukkan dalam sesi perbincangan dan refleksi KP. Menerusi sesi
refleksi pengajaran KP, guru yang mengajar diberi peluang terlebih dahulu untuk
memberi komen, pandangan dan refleksi terhadap pengajaran yang telah dilaksanakan
serta RPH yang disediakan. Manakala, pengerusi, pakar rujuk dan guru lain memberi
komen melalui teknik penyoalan isu-isu yang kritikal berdasarkan eviden murid.
Dalam kajian ini, ketahanan dari aspek emosi dan mental guru untuk menjawab
pelbagai soalan dan kritikan membina kematangan idea. Justeru, sifat terbuka dan
fikiran positif guru dalam sesi tersebut mampu meningkatkan profesionalisme guru.

Dapatan kajian ini juga melaporkan bahawa ilmu pedagogi yang mantap
menerusi KP membentuk profesionalisme guru. Dalam kajian ini, guru menjelaskan
bahawa sesi perbincangan yang diadakan bertujuan membuat penambahbaikan RPH
berdasarkan hasil yang diperoleh daripada sesi refleksi. Dalam hal ini, guru
memikirkan secara mendalam tentang penambahbaikan untuk mengatasi kelemahan-
kelemahan yang telah dikenal pasti dalam sesi pengajaran yang lepas. Selain
membincangkan hasil pembelajaran murid, dapatan kajian juga melaporkan bahawa
perbincangan secara mendalam turut dilakukan terhadap kualiti pengajaran guru.
Berdasarkan kefahaman guru, aksi PdPc dikumpul sebagai bukti pemerhatian dalam
sesi pengajaran guru. Hasil pemerhatian, perbincangan bersama ahli kumpulan KP
adalah berdasarkan bahan evidens pemerhatian. Menerusi perbincangan tersebut, guru

297

dipercayai dapat belajar daripada amalan PdPc yang berkesan dalam kajian
pengajaran untuk dipraktikkan dalam suasana PdPc masing-masing.

Kefahaman guru yang seterusnya melaporkan bahawa KP sebagai PPB
meningkatkan profesionalisme guru melalui sifat keyakinan dan jati diri yang dibina
melalui PdPc KP Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, kefahaman guru tentang
pendekatan KP menjelaskan bahawa sesi refleksi dan maklum balas memberi peluang
kepada guru untuk menjelaskan perlakuan dan tindakan sebenar yang berlaku semasa
sesi pengajaran. Justeru, peluang tersebut mendorong guru untuk membuat semakan
faktor kelebihan dan kekurangan pengajaran sendiri. Dalam hal ini, sifat keyakinan
dan jati diri guru amat diperlukan untuk mewujudkan kemahiran penilaian kendiri
yang profesional. Hal ini demikian bagi memudahkan sesi perbincangan tentang
elemen-elemen yang boleh membantu perubahan pengajaran dan mewujudkan
persefahaman aspek yang perlu diperbaiki atau dikekalkan untuk sesi pengajaran
seterusnya. Oleh itu, dapatan kajian ini menyifatkan bahawa rasa yakin dan jati diri
guru Bahasa Melayu diperlukan untuk meningkatkan profesionalisme diri dalam
bidang pengajaran bahasa yang berkesan.

Dapatan kajian seterusnya mendapati PdPc KP meningkatkan profesionalisme
guru melalui nilai sepunya dan sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan dalam
kumpulan KP. Dapatan kajian menyokong idea KP Fernandez dan Yoshida (2004)
bahawa pengetahuan guru, nilai sepunya dan bertanggungjawab terbentuk melalui
persefahaman dan permuafakatan antara ahli kumpulan dalam menentukan matlamat
atau objektif pembelajaran KP. Hal ini demikian kerana RPH KP yang disediakan
merupakan milik bersama ahli kumpulan untuk disampaikan dalam satu sesi
pengajaran. Oleh itu, nilai sepunya dan perasaan bertanggungjawab dalam kalangan
semua ahli ketika menghasilkan RPH KP untuk PdPc Bahasa Melayu amat penting
demi kebaikan bersama. Dapatan kajian ini menepati prinsip-prinsip asas pelaksanaan
KP. Menurut Fernandez dan Yoshida (2004), dalam konteks KP, sekumpulan guru
membina satu RPH secara usaha sama, kemudian diikuti dengan pengajaran.
Seterusnya, disusuli pemerhatian pengajaran, lalu diikuti sesi refleksi pengajaran guru
model. Akhir sekali, sesi perbincangan guru dilakukan untuk membuat
penambahbaikan RPH atau pengajaran semula. Sebagai kesimpulan, berdasarkan
dapatan temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen, pengkaji menyimpulkan

298

bahawa pendekatan KP sesuai dijadikan sebagai program pembangunan
profesionalisme berterusan guru untuk meningkatkan kualiti prestasi murid dan kualiti
pengajaran guru.

5.3.2 Persepsi Guru tentang Pelaksanaan Kajian Pengajaran dalam Pembelajaran
dan Pemudahcaraan Bahasa Melayu

Pelaksanaan pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu telah menghimpunkan
pelbagai pengetahuan dan pengalaman kepada peserta kajian. Pengetahuan dan
pengalaman yang diperoleh melalui lima kitaran KP telah memberi pelbagai persepsi
terhadap amalan PdPc Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, perbincangan dapatan kajian
berkaitan persepsi guru tentang pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu adalah
berdasarkan dua tema utama, iaitu: (a) amalan pengajaran guru, dan (b) amalan
pembelajaran murid menurut persepsi guru.

a. Amalan pengajaran guru

Dapatan kajian berkaitan persepsi guru tentang pendekatan KP terhadap amalan
pengajaran guru dibincangkan berdasarkan lima elemen pengajaran berikut, iaitu (i)
meningkatkan pengetahuan kandungan, (ii) pemantapan pengetahuan pedagogi, (iii)
pengurusan bahan sumber pembelajaran, dan (iv) pelaksanaan penilaian formatif.

i. Meningkatkan pengetahuan kandungan

Tidak dinafikan bahawa amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pengalaman KP telah
meningkatkan pengetahuan kandungan guru dalam subjek Bahasa Melayu.
Pengalaman melalui KP membolehkan guru mendalami ilmu yang lebih baik
berkaitan kandungan pelajaran yang disampaikan. Dalam kajian ini, sekurang-
kurangnya enam elemen pengajaran guru dikaitkan dengan pengetahuan kandungan
guru tentang amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pengalaman KP. Elemen
pengajaran yang dimaksudkan seperti menguasai isi pelajaran, menepati topik
pelajaran, menepati objektif pembelajaran, berkemahiran memeringkatkan isi
pelajaran, memiliki PCK yang luas, serta menghubungkaitkan ilmu dan kemahiran
dengan realiti kehidupan.

299

Dalam kajian ini, guru dikatakan memiliki pengetahuan kandungan yang baik
jika menguasai isi pelajaran yang disampaikan. Dalam hal ini, penguasaan isi
kandungan yang mendalam membolehkan pelajaran disampaikan dengan yakin, jelas
dan tepat. Sehubungan itu, guru berupaya memberi input yang tidak ternilai kepada
murid kerana murid disajikan dengan kepelbagaian ilmu yang berkaitan isi pelajaran
tanpa batasan. Dapatan kajian ini menyokong pandangan Magdeline Nor dan Zamri
Mahamod (2015) serta Kauchak dan Eggen (2007) yang menyatakan bahawa
kefahaman guru tentang cara pelaksanaan PdPc berkesan adalah datang daripada
kefahaman guru yang baik dan mantap terhadap sesuatu konsep yang digunakan.
Menurut Misnan Jemali (2008) pula, kefahaman pengajar tentang sesuatu konsep
pengajaran perlu ditingkatkan supaya dapat memudahkan pengajar melaksanakan
tugas mengajar dengan lebih berkesan. Oleh itu, bagi memastikan penguasaan murid
terhadap pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dipelajari, guru sewajarnya
menguasai isi pelajaran dengan mendalam bagi menjamin kejelasan ilmu yang
disampaikan.

Seterusnya, amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pengalaman KP dikatakan
berupaya memantapkan pengetahuan kandungan guru dari aspek ketepatan topik dan
objektif pembelajaran. Kajian mendapati guru yang memiliki pengetahuan kandungan
yang baik dipercayai berkeupayaan menyampaikan ilmu pengetahuan, konsep dan
kemahiran yang menepati topik pelajaran dan menjurus kepada pencapaian objektif
pembelajaran. Dapatan kajian ini menepati penyataan Slavin (1984) dan Mok Soon
Sang (2008) bahawa suatu bentuk pembelajaran yang berkesan memerlukan guru
menguasai isi kandungan dan menghasilkan, mensintesiskan (penyatuan atau
penggabungan) dan menilai maklumat daripada pelbagai mata pelajaran dan sumber
yang luas dengan memahami dan menghormati budaya yang berbeza. Dalam hal ini,
proses penyampaian PdPc yang menepati topik dan objektif pembelajaran
memerlukan guru menguasai kandungan pelajaran yang mendalam bagi memastikan
hasil pembelajaran dicapai dengan berkesan.

Walau bagaimanapun, apa-apa sahaja yang diperkatakan mengenai
pengetahuan kandungan guru, perbincangan tentu sekali tidak lengkap jika tidak
menyentuh aspek pemeringkatan isi pelajaran. Dalam kajian ini, guru didapati mulai
akur tentang keperluan pemeringkatan isi pelajaran berdasarkan prinsip asas pedagogi.

300

Hasil kajian turut mendapati peserta kajian berkeupayaan memeringkatkan isi
pelajaran dengan mengambil kira kebolehan murid di dalam kelas yang diajar.
Penyampaian isi pelajaran diperingkatkan berdasarkan pendekatan induktif, iaitu isi
pelajaran disampaikan daripada senang kepada susah, daripada konkrit kepada
abstrak, daripada fakta kepada teori, dan daripada spesifik kepada umum.

Dalam pada itu, penguasaan isi kandungan sahaja sudah tentu tidak cukup jika
guru kurang dilengkapi pengetahuan pedagogi. Hal ini demikian memandangkan
kedua-dua ilmu tersebut perlu dikuasai secara serentak bagi memastikan proses
penyampaian ilmu kepada murid berjalan dengan lancar serta mudah difahami.
Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengetahuan pedagogi dan
pengetahuan kandungan merupakan dua elemen yang tidak boleh terpisah dan
seharusnya berjalan secara serentak dalam sesi PdPc guru. Menurut Grossman (1990),
gabungan antara domain pengetahuan isi kandungan dan domain pengetahuan
pedagogi yang dikenali pengetahuan pedagogikal kandungan menjadi sangat penting
bagi melengkapkan pengetahuan guru untuk PdPc yang berkesan.

Menurut Carter (1990) pula, pengetahuan guru dan amalan pengajarannya
mempunyai hubungan yang sangat rapat (Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff et al. 2012).
Dalam kajian ini, amalan PdPc Bahasa Melayu melalui KP didapati memberi
kefahaman yang lanjut bertapa pengetahuan pedagogi guru yang luas membolehkan
guru merancang serta memilih strategi, pendekatan, kaedah dan teknik PdPc yang
sesuai untuk menyampaikan kandungan isi pelajaran dengan tepat. Oleh itu, guru-guru
Bahasa Melayu perlu menguasai pengetahuan kandungan mata pelajaran Bahasa
Melayu bagi membolehkan diri dapat mengajar dengan baik dan berkesan.

Dapatan kajian seterusnya mendapati pengetahuan kandungan guru turut
dikaitkan dengan kebolehan mengaitkan ilmu dan kemahiran dengan realiti kehidupan
dalam pengajaran. Dalam hal ini, pengetahuan lebih mudah terbina apabila guru dapat
mengaitkan ilmu dan kemahiran dengan situasi semasa dan pengalaman murid.
Rasionalnya, pemahaman dan pengetahuan yang dikuasai oleh murid lebih kukuh jika
guru dapat mengemukakan contoh yang lebih dekat dengan murid berbanding dengan
perkara yang belum pernah dialami dalam kehidupan murid. Menurut Darling-
Hammond (1999) dan Shulman (1987), guru perlu tahu mengaitkan sesuatu idea

301

dengan mata pelajaran lain. Guru juga lebih selesa dan bersemangat mengajar kerana
dapat menyesuaikan pengetahuan pedagogi diri dengan pelbagai kebolehan murid.

Sementara itu, Zamri Mahamod (2014) menyifatkan bahawa minat murid
terhadap sesuatu pelajaran berkait rapat dengan kaedah pengajaran guru. Sesuatu mata
pelajaran yang tidak diminati kadang-kadang disebabkan metode pengajaran guru
kurang menarik dan tidak memberi makna (Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff et al. 2012).
Oleh itu, guru Bahasa Melayu perlu mengaitkan ilmu dan kemahiran dengan
kehidupan seharian murid agar memberikan hasil pembelajaran yang bernilai dan
bermakna. Elemen pembelajaran tersebut selaras dengan konsep pembelajaran abad
ke-21 yang memberi penekanan kepada konsep 4K1N, iaitu komunikasi, kolaborasi,
kreativiti, pemikiran kritikal, serta nilai dan etika (KPM 2017).

ii. Pemantapan pengetahuan pedagogi

Pengalaman PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP telah mendedahkan
pelbagai kemahiran pedagogi dalam merancang dan melaksanakan PdPc Bahasa
Melayu. Hasil temu bual, analisis dokumen dan catatan pemerhatian oleh pengkaji di
lokasi kajian, guru mengakui bahawa pengalaman PdPc Bahasa Melayu melalui KP
menyumbang pemantapan pengetahuan pedagogi guru Bahasa Melayu. Menurut
peserta kajian, melalui perbincangan KP, guru melahirkan pelbagai idea menarik
untuk memikirkan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik PdPc yang sesuai
digunakan dalam PdPc Bahasa Melayu.

Dalam kajian ini, guru didapati menggunakan pelbagai strategi PdPc yang
menarik khususnya corak pembelajaran abad ke-21 yang menekankan aspek
pembelajaran koperatif, penyelesaian masalah, kontekstual, dan konstruktivisme.
Dapatan kajian selaras dengan penyataan Zamri Mahamod (2011) bahawa guru perlu
melengkapkan diri dengan elemen pembelajaran abad ke-21 jika ingin menguasai PdP
di dalam bilik darjah. Dalam hal ini, guru dalam satu kumpulan KP dapat berbincang
untuk memikirkan langkah dan kaedah pengajaran terbaik bagi sesuatu topik pelajaran
yang dianggap sukar untuk diajar atau kemahiran yang sukar untuk dikuasai oleh
murid. Berdasarkan idea dan perkongsian ilmu bersama rakan KP telah memberi nilai
tambah kepada guru untuk memantapkan ilmu pedagogi masing-masing.

302

Dapatan kajian ini menyokong hasil kajian Fernandez dan Yoshida (2004)
serta Lewis et al. (2006) bahawa KP merupakan satu kaedah pengajaran yang dapat
meningkatkan mutu pengajaran guru dan pada masa yang sama meningkatkan
keupayaan murid dalam pembelajaran. Melalui pemerhatian sesi PdPc guru model
dalam Kitaran 3 KP, guru dapat menimba ilmu secara praktikal kerana berpeluang
menyaksikan sesi perjalanan PdPc rakan-rakan guru yang lain di hadapan mata. Selain
itu, guru dapat memerhatikan dan mempelajari perkembangan setiap langkah
penyampaian isi pelajaran secara langsung berdasarkan percambahan idea daripada
beberapa orang guru yang terlibat. Dalam situasi begini, guru dikatakan dapat
mempelajari pelbagai teknik pengajaran daripada rakan guru yang terlibat dengan
PdPc KP. Guru juga boleh berkongsi teknik mengajar dan apa-apa jua aktiviti yang
sesuai yang kadang kala tidak pernah terlintas dalam fikiran.

Secara keseluruhan, dapatan kajian ini merumuskan bahawa PdPc Bahasa
Melayu melalui KP memberi manfaat yang berguna untuk meningkatkan kemahiran
pedagogi guru Bahasa Melayu. Melalui perkongsian amalan terbaik tentang strategi,
pendekatan, kaedah dan teknik dalam PdPc KP, guru dapat merancang kaedah dan
teknik pengajaran yang lebik baik dan berkesan, iaitu dengan mengambil kira
keupayaan murid. Selain itu, pemilihan aktiviti PdPc turut disesuaikan dengan objektif
pembelajaran, manakala langkah-langkah pengajaran diperingkatkan mengikut prinsip
asas pedagogi, iaitu bermula dengan set induksi, kemudian dikembangkan ke
peringkat penerokaan, penerangan, aplikasi dan penelitian, dan akhir sekali,
penutupan atau pentaksiran.

Walau bagaimanapun, guru yang terlibat dalam kajian ini tidak menafikan
apabila terdapat beberapa orang guru mengaku tidak dapat mengelakkan diri daripada
beberapa gangguan seperti kawalan kelas, pengurusan masa, dan teknik penyoalan
yang berunsur KBAT. Namun, terdapat beberapa hal yang boleh dibanggakan dalam
sesi pengajaran guru, iaitu perbincangan yang melibatkan kemahiran memilih dan
menggunakan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai dan
menarik berupaya memantapkan usaha guru untuk meningkatkan kemahiran pedagogi
dalam PdPc Bahasa Melayu. Secara realitinya, perbincangan dalam KP membantu
meningkatkan kemahiran pedagogi guru apabila duduk dalam satu kumpulan untuk
membincangkan kaedah pengajaran terbaik bagi topik yang sukar dikuasai oleh murid.

303

iii. Pengurusan bahan sumber pembelajaran

Persepsi guru tentang pendekatan KP terhadap amalan pengajaran guru seterusnya
dibincangkan berdasarkan empat elemen penting berkaitan pengurusan BSP dalam
PdPc Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, persepsi guru berkaitan pengurusan BSP
adalah BSP digunakan secara berkesan, BSP mengambil kira kualiti dan kuantiti, BSP
mematuhi peraturan keselamatan, dan BSP menepati prosedur pemerolehan sumber.

Dalam kajian ini, amalan PdPc Bahasa Melayu melalui KP memperlihatkan
pengetahuan guru tentang penggunaan BSP dengan berkesan. Dalam konteks kajian
ini, BSP digunakan secara berkesan jika didapati membantu pemahaman dan
penguasaan murid terhadap isi pelajaran yang diajar. Keberkesanan penggunaan BSP
mempengaruhi pencapaian objektif pembelajaran. Berdasarkan pemerhatian, murid
didapati memberi respons dan jawapan yang tepat melalui sesi soal jawab atau
penyoalan guru. Pengurusan BSP juga didapati lebih berkesan apabila dilekatkan di
papan tulis dan dirujuki dari semasa ke semasa sepanjang proses PdPc berlangsung.
BSP yang diedarkan kepada murid seperti bahan bercetak, misalnya nota, lembaran
aktiviti, latihan bertulis, gambar-gambar dan sebagainya dapat digunakan secara tekal.

Dapatan kajian ini bersetuju dengan pendapat Mok Soon Sang (2008), iaitu
PdPc yang berkesan bergantung pada kebolehan dan kecekapan guru dalam pemilihan
BSP yang dapat memenuhi keperluan dua saluran deria utama manusia, iaitu
penglihatan (75%) dan pendengaran (25%) untuk memperoleh maklumat. Bagi Zamri
Mahamod (2012b), BSP dalam bentuk audio dan visual didapati berupaya menarik
perhatian kerana murid lebih tertarik dengan BSP yang mempunyai kelainan dan
pelbagai, misalnya penggunaan multimedia dalam PdPc. Zamri Mahamod (2012b)
menambah bahawa penggunaan BSP berdasarkan teknologi terkini sesuai untuk
memenuhi corak pembelajaran abad ke-21.

Namun, dapat kajian ini agak kontra dengan hasil kajian Abdul Rasid Jamian
(2016) bahawa dapatan kajian beliau mendapati guru masih kurang menggunakan
BSP yang konkrit dan menarik untuk mengekalkan minat murid di dalam bilik darjah
walaupun sudah sedia maklum bahawa BSP yang pelbagai dan menarik di dalam bilik
darjah mampu mengekalkan tumpuan murid terhadap pengajaran guru. Dalam situasi
yang berbeza, dapatan kajian Effandi Zakaria (2011) mendapati guru lebih gemar

304

menggunakan BSP seperti buku teks dan bahan-bahan fotostat. Nampaknya, BSP
yang lebih sesuai untuk menarik perhatian dan minat murid adalah lebih kepada bahan
audio dan visual seperti penggunaan LCD atau projektor. Dengan cara ini guru dapat
memperlihatkan aksi sebenar bahan pelajaran yang ingin disampaikan kepada murid.
Hal ini penting kerana penggunaan BSP yang berkesan memudahkan penyampaian
guru untuk menerangkan konsep dan fakta bagi sesuatu isi pelajaran.

Sehubungan itu, amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP turut
meningkatkan pengetahuan guru tentang pengurusan BSP dari aspek kualiti dan
kuantiti BSP yang digunakan dalam PdPc Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, guru
didapati mengambil berat terhadap kualiti dan kuantiti BSP yang digunakan dalam
pengajaran. BSP yang berkualiti berjaya menarik minat murid dan memberi impak
positif kepada hasil pembelajaran manakala guru dapat mencapai objektif
pembelajaran dengan lebih mudah. BSP yang berkualiti sepatutnya memberi kesan
yang positif terhadap hasil pembelajaran murid, misalnya bahan bergambar, kad
gambar, kad perkataan, kad trafik, papan putih mini, tayangan video dan rakaman
lagu, dan sebagainya. Dari segi kuantitinya, BSP yang disediakan mencukupi dan
memenuhi keperluan semua murid di dalam kelas yang diajar. Bahan-bahan edaran
seperti lembaran aktiviti, bahan penilaian bertulis, kertas edaran A4 yang kosong,
kertas sebak dan kad-kad manila didapati disediakan mengikut bilangan murid yang
hadir dan juga mencukupi kumpulan perbincangan.

Selain itu, penggunaan BSP seperti lembaran kerja untuk aktiviti penilaian
juga didapati melancarkan proses pengajaran guru. Melalui cara ini, guru dapat
melaksanakan aktiviti penilaian bertulis dengan lebih mudah kerana pengurusan masa
untuk semua aktiviti PdPc dioptimumkan sepenuhnya. Dapatan kajian selaras dengan
kajian Alizah Lambri (2016) bahawa pengurusan masa yang bijak membolehkan guru
mengendalikan aktiviti PdPc dan pelaksanaan aktiviti penilaian dengan lancar.
Dapatan kajian berkaitan perkara tersebut amat penting untuk dihayati dan
dipraktikkan oleh guru Bahasa Melayu bagi memberikan impak terhadap hasil
pembelajaran murid.

Dapatan kajian juga mendapati pengalaman PdPc Bahasa Melayu melalui KP
meningkatkan pengurusan BSP dari aspek pematuhan peraturan keselamatan. Dalam

305

konteks kajian ini, BSP yang digunakan dalam proses PdPc guru tidak membahayakan
dan mengancam keselamatan murid. Dalam kajian ini, dapatan kajian mendapati
semua guru mengambil berat terhadap keselamatan murid dalam kelas yang diajar.
Melalui pemerhatian, guru sering mengingatkan murid agar tidak menyalahgunakan
BSP yang telah diagihkan kepada murid. Guru juga sentiasa mengingatkan murid agar
menjaga keselamatan BSP yang digunakan. Sebenarnya, pematuhan peraturan
keselamatan BSP dalam proses PdPc merupakan suatu usaha yang perlu
dititikberatkan oleh semua guru Bahasa Melayu. Hal ini demikian bagi menjamin
keselamatan murid dan pada masa yang sama, jangka hayat BSP dapat dipelihara. Jika
demikian halnya, penggunaan BSP dapat dimanfaatkan untuk PdPc seterusnya dan
boleh juga digunakan untuk topik pelajaran lain jika difikirkan sesuai.

Pengetahuan guru tentang amalan PdPc Bahasa Melayu melalui KP juga
dikaitkan dengan pengurusan BSP menepati prosedur penggunaan sumber. Dapatan
kajian sealiran dengan ciri-ciri pengajaran yang dikemukakan dalam SGM (BPG
2009), iaitu guru perlu mematuhi prosedur penggunaan bahan bantu mengajar dalam
pengajaran. Dalam kajian ini, prosedur penggunaan sumber melibatkan tatacara
pemerolehan bahan-bahan sumber, sesuai, tepat dan sahih. Berdasarkan pemerhatian
dan temu bual, hasil kajian mendapati guru memastikan bahawa BSP yang disediakan
diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai, sahih dan telah diterima umum
sebagai bahan rujukan utama. Dalam kajian ini, sumber rujukan utama guru terdiri
daripada buku teks, Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan.

Selain itu, pengkaji juga difahamkan bahawa guru turut merujuk kepada guru
pakar dan ahli panitia jika terdapat kekeliruan bagi memastikan sumber yang
digunakan adalah tepat dan sahih. Tindakan ini merupakan suatu usaha yang boleh
dianggap sebagai betul dan tepat bagi mengelakkan data atau maklumat yang
diperoleh dapat mengelirukan kefahaman murid terhadap sesuatu ilmu atau kemahiran
yang disampaikan. Oleh itu, bagi menjamin ketepatan sumber BSP yang digunakan,
guru perlu memperoleh BSP berdasarkan prosedur pemerolehan sumber yang betul.
Selain itu, BSP yang digunakan haruslah disesuaikan dengan peringkat umur murid.
Hal ini penting bagi memastikan bahan sumber, misalnya rakaman video atau babak
filem yang dipertontonkan tidak menyalahi undang-undang atau Akta Filem Negara
Malaysia yang mengehadkan tontonan mengikut peringkat umur.

306

Kesimpulannya, dapatan kajian ini perlu direnung sewajarnya oleh guru
Bahasa Melayu agar tidak timbul sebarang aksi lasak, cemas, lucah, berbahaya dan
isu-isu sensitif dipertontonkan kepada murid. Walau bagaimanapun, BSP yang murah
dan mudah didapati tetapi memberi impak yang besar kepada hasil pembelajaran
murid sebenarnya adalah BSP yang berkualiti.

iv. Pelaksanaan penilaian formatif

Amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP dipercayai mengukuhkan
pengetahuan guru berkaitan strategi pelaksanaan penilaian formatif dalam PdPc
Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, hasil kajian mendapati penilaian formatif perlu
dilaksanakan dalam PdPc Bahasa Melayu bertujuan menguji kefahaman dan
penguasaan murid terhadap ilmu dan kemahiran yang telah diajar. Hasil kajian ini
mempunyai persamaan dengan dapatan kajian yang dikemukakan oleh Airasian
(2001), serta McMilan dan Schumacher (2006). Dapatan kajian melaporkan bahawa
tujuan utama pentaksiran dalam bilik darjah adalah untuk mendapat maklumat tentang
kemajuan dan pencapaian murid. Seterusnya dapatan kajian Nik Mohd Rahimi Nik
Yusoff (2012), serta Stiggins et al. (1986) pula menyatakan bahawa pentaksiran dan
penilaian bertujuan mengesan perkembangan pembelajaran pelajar.

Dapatan kajian seterusnya mendapati penilaian formatif perlu dilakukan dalam
setiap PdPc Bahasa Melayu untuk mengukur pencapaian objektif pembelajaran di
samping mengenal pasti masalah pembelajaran murid dalam topik yang dipelajari.
Bagi mencapai tujuan tersebut, guru mengenal pasti masalah pembelajaran murid
melalui sesi refleksi pembelajaran murid pada akhir sesi pengajaran guru. Refleksi
murid dilakukan dalam bentuk verbal atau bertulis. Dalam kajian ini juga, guru
meneliti dan menganalisis masalah pembelajaran murid berdasarkan refleksi tersebut.
Langkah seterusnya, guru melakukan tindakan susulan seperti melaksanakan aktiviti
pemulihan kepada murid yang telah dikenal pasti bermasalah pembelajaran.

Dalam kajian ini menyokong sepenuhnya pandangan yang dikemukakan oleh
Abdul Aziz Abdul Kadir (2008), iaitu beliau melihat penilaian dan pentaksiran untuk
setiap PdPc merupakan suatu unsur yang tidak boleh diabaikan. Hal ini demikian
kerana menurut beliau, tanpa pentaksiran dan penilaian dalam PdPc Bahasa Melayu,
proses PdPc yang berlangsung boleh dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia belaka.

307

Menurut beliau lagi, pelaksanaan penilaian pengajaran merupakan suatu sistem formal
yang membolehkan satu ulang kaji dan penilaian dibuat ke atas prestasi kerja
seseorang. Oleh itu, kajian ini menegaskan bahawa guru harus merancang, melaksana,
dan membuat penilaian formatif dalam sesi pengajaran bagi membolehkan guru
mengesan pencapaian murid terhadap kemahiran yang dipelajari. Melalui cara ini,
guru dapat melaksanakan penilaian formatif secara menyeluruh terhadap ilmu serta
kemahiran yang hendak diuji dalam PdPc yang telah dirancang.

Hasil kajian ini juga sealiran dengan pendapat Gronlund (2006) bahawa
maklumat penilaian formatif membantu guru untuk memperbaiki pembelajaran murid.
Hal yang sama juga dijelaskan dalam SGM (BPG 2009) bahawa penilaian formatif
dilaksanakan untuk penambahbaikan PdPc akan datang. Kesimpulannya, penilaian
formatif perlu dilakukan dalam setiap PdPc Bahasa Melayu untuk melakukan
penambahbaikan sesi PdPc guru yang seterusnya.

b. Amalan pembelajaran murid menurut persepsi guru

Berdasarkan maklumat temu bual dan pemerhatian pengkaji, pengetahuan dan
pengalaman yang diperoleh melalui lima kitaran KP telah menyumbang sekurang-
kurangnya tujuh aspek penting terhadap amalan pembelajaran murid dalam PdPc
Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, perbincangan dapatan kajian berkaitan persepsi
guru tentang pendekatan KP terhadap amalan pembelajaran murid dihuraikan
berdasarkan tujuh elemen pembelajaran berikut, iaitu (i) tumpuan dan perhatian
murid, (ii) penglibatan aktif murid, (iii) respons positif murid, (iv) murid berfikiran
kritis dan kreatif, (v) memupuk bakat kepimpinan murid, (vi) refleksi pembelajaran
murid, dan (vii) mendorong amalan berdikari.

i. Tumpuan dan perhatian murid

Hasil temu bual bersama peserta kajian mendapati pendekatan KP dalam PdPc Bahasa
Melayu berjaya menarik tumpuan dan perhatian murid terhadap pengajaran guru.
Dalam kajian ini, penggunaan kepelbagaian strategi, pendekatan, kaedah dan teknik
yang digunakan dalam sesi pengajaran KP, murid didapati memberi tumpuan dan
perhatian sepenuhnya terhadap pengajaran guru sepanjang waktu PdPc berlaku.
Dapatan kajian ini selaras dengan penyataan Lewis (2002, 2005) setelah beliau

308

merumuskan keberkesanan KP dalam PdPc guru-guru di Jepun. Menurut beliau, KP
sangat efektif untuk membantu pembelajaran murid kerana guru berkesempatan
mengkaji tentang strategi terbaik yang dapat digunakan dalam pembelajaran melalui
pemerhatian pengajaran guru model dan mendapatkan maklumat untuk kemajuan
pembelajaran murid.

Seterusnya, dapatan kajian mendapati aktiviti PdPc yang menarik, mencabar
dan pelbagai turut menarik tumpuan dan perhatian murid terhadap PdPc guru. Murid
berminat dengan aktiviti seperti Think Pair Share, Six Thinking Hats, Jelajah
Pembelajaran dan semua jenis aktiviti yang berbentuk pembelajaran koperatif. Selain
itu, pemilihan isi pelajaran yang sesuai dengan minat serta menepati tahap kebolehan
murid berjaya menarik tumpuan dan perhatian murid terhadap PdPc guru. Manakala,
penggunaan BSP yang menarik seperti bahan audio dan visual merupakan salah satu
faktor tarik kepada murid untuk memberi tumpuan dan perhatian terhadap PdPc guru.

Dapatan kajian ini menyokong penyataan Bill dan Bryan (2008) dalam artikel
Akhmad Sudrajat (2013), iaitu KP untuk meningkatkan proses dan hasil pembelajaran
murid. Menurut Bill dan Bryan (2008), KP memperoleh pemahaman yang lebih baik
tentang cara-cara murid belajar. Apabila guru mengambil kira semua aspek tersebut
dalam PdPc, murid berminat mengikuti PdPc guru dari awal sehingga ke akhir sesi
PdPc. Murid juga memberi tumpuan dan perhatian dengan sebaik mungkin apabila
guru menggunakan BSP yang sesuai dan menarik dalam pengajaran. Oleh itu, amalan
pendekatan KP boleh dijelmakan dalam PdPc Bahasa Melayu kerana menurut
Copriady (2013), guru dapat mengetengahkan idea dan mendokumentasikan prestasi
murid hasil akhir KP.

ii. Penglibatan aktif murid

Tidak dinafikan bahawa penglibatan aktif murid dalam PdPc KP membantu
meningkatkan hasil pembelajaran murid. Penglibatan aktif murid yang wujud dalam
PdPc KP sesuai dengan corak pembelajaran abad ke-21. Dalam kajian ini, murid
melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti PdPc KP. Dalam sesi PdPc KP, guru
didapati memberi penekanan terhadap pembelajaran koperatif dan aktiviti hands on.
Jadi, penglibatan aktif murid dalam semua aktiviti PdPc membantu penguasaan murid
dalam pelajaran dengan lebih mudah.

309

Dapatan kajian ini selari dengan hasil kajian Mimi Mohaffyza Mohamad, Md.
Nazaruddin Sarji dan Masitah Misman (2008) berkaitan strategi pembelajaran
koperatif dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup. Hasil kajian menunjukkan bahawa
murid menerima kaedah pembelajaran koperatif sebagai pendekatan pengajaran
berdasarkan minat yang tinggi ditunjukkan oleh murid. Oleh itu, pengkaji
merumuskan bahawa penglibatan aktif murid dalam PdPc Bahasa Melayu adalah
berdasarkan aktiviti pembelajaran koperatif yang dilaksanakan melalui pendekatan
KP. Aktiviti pembelajaran koperatif seperti aktiviti berpusatkan murid menggalakkan
penglibatan yang aktif dalam kalangan murid.

Dapatan kajian ini turut menyokong dapatan kajian Zalhisham Abdul Ghaizi
dan Norul Haida Reduzan (2013), iaitu guru gemar mengaplikasikan strategi
pengajaran berpusatkan murid dalam pengajaran. Strategi pengajaran berpusatkan
guru masih menjadi elemen yang penting dalam pengajaran guru. Dapatan kajian juga
selari dengan hasil kajian Zalhisham Abdul Ghaizi dan Norul Haida Reduzan (2013)
tentang PdPc guru berdasarkan strategi berpusatkan murid. Dapatan kajian
melaporkan bahawa strategi pengajaran berpusatkan murid memberi peluang kepada
murid untuk terlibat secara aktif dalam PdPc yang dijalankan. Walau bagaimanapun,
dapatan kajian ini begitu kontra dengan dapatan kajian Effandi Zakaria (2011). Hasil
kajian beliau melaporkan bahawa guru mempunyai kelemahan dalam pelaksanaan
pengajaran berpusatkan murid dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah
menengah kebangsaan. Oleh itu, dapatan kajian merumuskan bahawa pendekatan KP
memberi sumbangan yang baik terhadap hasil pembelajaran murid dalam PdPc
Bahasa Melayu.

iii. Respons positif murid

Persepsi guru yang seterusnya ialah pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu
menggalakkan respons positif murid terhadap pengajaran guru. Dalam kajian ini,
corak pembelajaran interaksi pelbagai hala yang diamalkan dalam pendekatan KP
mendapat respons positif murid dalam PdPc Bahasa Melayu. Hasil temu bual bersama
peserta kajian, pengkaji mendapati bahawa sesi pengajaran KP berupaya merangsang
minat murid untuk memberi respons terhadap persoalan guru, khususnya dalam sesi
soal jawab murid bersama guru. Respons positif murid terhadap PdPc guru amat

310

penting untuk memastikan kewujudan interaksi pelbagai hala berlaku dalam PdPc
guru. Respons positif murid menunjukkan murid sentiasa dalam keadaan bersedia
dengan setiap soalan yang dikemukakan oleh guru. Selain itu, sikap berani mencuba
dan suka rela menawarkan diri untuk menjawab persoalan guru merupakan elemen
yangh sihat dalam PdPc di dalam bilik darjah.

Sejajar dengan dapatan kajian Zanaton et al. (2014) tentang refleksi
pendekatan KP oleh guru Sains di beberapa sekolah terpilih, dapatan kajian ini
mendapati impak yang positif dalam mengaplikasikan pendekatan KP dalam PdPc
Bahasa Melayu. Pengkaji mengenal pasti beberapa cadangan penambahbaikan dalam
aspek penggunaan BSP, penggunaan contoh yang relevan, teknik penyoalan,
penglibatan murid dan pengukuhan kemahiran generik dalam PdPc di bilik darjah.
Dalam pada itu, dapatan kajian mengesan terdapat murid yang aktif mengemukakan
beberapa soalan kepada guru apabila masih belum faham atau ingin mengetahui
sesuatu dengan lebih lanjut berkaitan perkara yang dipelajari. Respons seperti yang
ditunjukkan oleh murid dalam dapatan kajian ini merupakan satu elemen PdPc yang
cukup baik.

Sehubungan itu, dapatan kajian ini menyokong dapatan kajian Dun dan Dun
(2004) yang mengkaji perhubungan antara gaya pembelajaran murid dan pencapaian
akademik murid dengan strategi pengajaran guru. Menurut Dun dan Dun (2004),
murid akan lebih cepat belajar dan pembelajaran lebih berkesan apabila guru
merupakan salah satu faktor semula jadi dalam mempengaruhi situasi PdPc. Oleh itu,
dapatan kajian merumuskan bahawa pendekatan KP memberi sumbangan yang
berguna terhadap hasil pembelajaran murid dalam PdPc Bahasa Melayu.

iv. Murid berfikiran kritis dan kreatif

Perbincangan dapatan kajian seterusnya berkaitan persepsi guru tentang pendekatan
KP terhadap hasil pembelajaran murid adalah murid berfikiran kritis dan kreatif.
Dapatan kajian yang diperoleh melalui hasil temu bual dan pemerhatian menunjukkan
bahawa pengajaran KP dalam PdPc Bahasa Melayu berupaya memupuk murid
berfikiran kritis dan kreatif. Dalam kajian ini, aktiviti PdPc yang melibatkan KBAT
dalam PdPc guru menggalakkan murid berfikiran kritis dan kreatif. Daya pemikiran
kritis dan kreatif murid terangsang melalui penggunaan alat berfikir seperti peta

311

minda, peta bulatan, peta buih, peta buih berganda, bahan grafik, dan sebagainya.
Penggunaan alat berfikir tersebut memudahkan murid untuk menyampaikan idea
perbincangan dengan lebih tepat dan jelas.

Dapat kajian ini selaras dengan kenyataan NACCCE (1999), iaitu pengajaran
kreatif mengutamakan perancangan strategi mengajar yang melibatkan murid boleh
berfikir secara aktif, kritis dan kreatif. Menurut NACCCE (1999), bagi menggalakkan
murid berfikiran kritis dan kreatif, strategi pengajaran guru perlu disesuaikan dengan
julat umur, konteks dan individu serta memberi fokus kepada kerelevanan perkara
yang dipelajari atau dialami oleh murid memandangkan pengalaman tersebut adalah
di bawah kawalan murid sendiri. Oleh itu, pemilihan aktiviti PdPc yang sesuai dan
menarik dalam perancangan RPH adalah penting bagi menggalakkan murid berfikiran
kritis dan kreatif.

Selain itu, unsur PdPc KP yang melibatkan aktiviti KBAT seperti aktiviti
penyelesaian masalah, kontekstual, konstruktivisme, sumbang saran, Six Thinking
Hats, Teknik Meja Bulat, Three Stray One Stay, dan sebagainya. Penggunaan alat
berfikir juga memudahkan aktiviti perbincangan murid dalam kumpulan. Aktiviti
perbincangan murid berjalan lancar menerusi penggunaan alat berfikir seperti
pengurusan bahan grafik, peta pemikiran, teknik penyoalan, dan sebagainya bagi
menjayakan aktiviti PdPc tersebut. Dapatan kajian ini selaras dengan kajian yang
dijalankan oleh Fitri Yuliastuti (2010) tentang pelaksanaan KP di SMP 1
Banguntapan, Indonesia. Menurut beliau, manfaat yang diperoleh melalui KP adalah
murid kelihatan lebih berfikiran kreatif dan kritis di dalam kelas.

v. Memupuk bakat kepimpinan murid

Pengajaran KP dalam PdPc Bahasa Melayu turut memupuk bakat kepimpinan murid.
Dalam kajian ini, aktiviti PdPc berpusatkan murid yang melibatkan perbincangan
murid dalam kumpulan melatih diri menjadi seorang murid yang bertanggungjawab.
Dalam aktiviti berkumpulan, semua ahli mempunyai tugas dan tanggungjawab seperti
berperanan sebagai ketua kumpulan, pencatat, pelapor atau pembentang, pembaca,
dan sebagainya. Dalam hal ini, setiap ahli perlu memainkan peranan masing-masing
untuk mencapai tujuan aktiviti perbincangan. Bagi menghasilkan aktiviti kumpulan
yang bermutu dan bermakna, semua ini memerlukan kebijaksanaan seorang ketua

312

kumpulan untuk mengurus dan memimpin ahli dalam kumpulan bagi mencapai tujuan
perbincangan. Oleh itu, aktiviti PdPc berpusatkan murid yang melibatkan
perbincangan dalam kumpulan berupaya memupuk bakat kepimpinan murid dalam
PdPc KP.

Dapatan kajian ini mempunyai sedikit perbezaan dengan hasil kajian
Zalhisham Abdul Ghaizi dan Norul Haida Reduzan (2013) yang menjalankan kajian
tentang strategi pengajaran berpusatkan murid dalam pengajaran guru Bagasa Melayu.
Walaupun guru didapati gemar mengaplikasikan strategi berpusatkan murid, namun
kajian turut mendapati strategi pengajaran berpusatkan guru masih menjadi elemen
yang penting dalam pengajaran guru. Dapatan kajian turut melaporkan strategi
pengajaran berpusatkan murid masih kurang berjaya memupuk bakat kepimpinan
murid untuk berperanan sepenuhnya dalam aktiviti perbincangan kumpulan kerana
guru didapati masih menerajui aktiviti PdPc. Hal yang sama turut terjadi dalam
dapatan kajian Roselan Baki (2003), iaitu guru masih lagi mengamalkan kaedah
pengajaran berpusatkan guru.

Dalam hal ini, perlu disedari bahawa tugas guru di dalam bilik darjah bukan
hanya berperanan sebagai penyampai ilmu, kemahiran dan pengetahuan kepada murid
malah guru harus menyedari bahawa aktiviti yang berlangsung dalam PdPc
sewajarnya dapat memberi nilai, kemahiran dan pengetahuan kepada kehidupan
seharian murid. Oleh itu, dapatan kajian merumuskan bahawa pendekatan KP dalam
PdPc Bahasa Melayu berupaya memupuk bakat kepimpinan murid untuk menjadi
insan terdidik yang bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara pada suatu
hari kelak. Dapatan kajian ini sesuai dengan pernyataan Lewis (2002, 2005) bahawa
KP sangat efektif untuk membantu pembelajaran murid kerana guru berkesempatan
merancang secara mendalam tujuan pembelajaran untuk kepentingan masa depan.

vi. Refleksi pembelajaran murid

Menurut persepsi guru, pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu telah mewujudkan
amalan refleksi pembelajaran murid. Dalam kajian ini, refleksi pembelajaran murid
merupakan impak yang dianggap penting sebagai sumbangan KP dalam PdPc Bahasa
Melayu. Hasil temu bual dan pemerhatian, amalan pengajaran guru dalam KP telah
melatih murid untuk membuat refleksi tentang hasil pembelajaran yang telah

313

dipelajari. Dalam kajian ini, sesi refleksi murid dilaksanakan pada akhir sesi PdPc,
iaitu ketika guru melakukan semakan pencapaian objektif pembelajaran. Pada ketika
ini, guru menyuruh beberapa orang murid membuat perkongsian tentang hasil
pembelajaran yang telah dicapai termasuk masalah yang dihadapi dalam pelajaran.
Sehubungan itu, murid juga diminta untuk berkongsi tentang perkara yang menarik
dalam sesi PdPc selain memberi cadangan untuk penambahbaikan sesi PdPc guru
akan datang.

Kebolehan murid membuat refleksi tentang hasil pembelajaran berkaitan isi
pelajaran yang telah dipelajari amat berguna kepada guru. Hal ini demikian kerana
amalan ini memberi peluang kepada guru untuk mengenal pasti penguasaan murid
dalam tajuk pelajaran yang telah diajar. Pada masa yang sama, guru dapat menyemak
pencapaian objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Amalan ini juga
membolehkan guru merancang PdPc dengan lebih baik berpandukan hasil refleksi
murid. Dapatan kajian ini menepati hasil kajian KP oleh Lewis (2005) terhadap
pengajaran beberapa orang guru di Jepun. Hasil kajian beliau merumuskan
bahawa KP sangat berkesan untuk membantu pembelajaran murid. Melalui refleksi
pembelajaran murid dalam PdPc KP, guru berkesempatan menentukan objektif
pembelajaran dan isi pelajaran yang ingin disampaikan kepada murid dengan lebih
teliti berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui refleksi murid.

Seterusnya, sesi refleksi pembelajaran murid dalam PdPc KP membolehkan
guru melakukan kajian terhadap pembelajaran murid secara terperinci. Menurut Lewis
(2002, 2005) lagi, fokus yang paling utama dalam pendekatan KP adalah pemantauan
perkembangan dan perihal pembelajaran murid (Nur Ain Elzira Abdullah & Zamri
Mahamod 2017). Pemerhatian dan pengamatan guru terhadap refleksi pembelajaran
murid secara langsung melalui sesi refleksi pembelajaran murid amat penting
memandangkan salah satu daripada matlamat asas KP ialah pemerhatian pembelajaran
murid merupakan jantung KP. Ini bermaksud penilaian guru terhadap perkembangan
pembelajaran murid tidak cukup jika dilakukan hanya dengan melihat objektif
pembelajaran dalam RPH guru semata-mata atau hanya melihat gerak geri penglibatan
aktif murid dalam aktiviti PdPc. Dalam hal ini, selain mengamati proses pembelajaran
murid secara langsung, guru harus mendengar luahan isi hati dan perasaan murid yang

314

sebenar melalui refleksi murid. Menerusi cara ini, guru berpeluang meneliti kekuatan
dan kelemahan hasil pembelajaran murid dengan lebih tepat dan terperinci.

Kesimpulannya, amalan refleksi pembelajaran perlu diterapkan dalam PdPc
Bahasa Melayu untuk memberi peluang kepada murid menyampaikan hasil
pembelajaran yang diperoleh pada akhir sesi pengajaran guru. Bagi mencapai tujuan
ini, guru boleh mengarahkan murid membuat refleksi di hadapan kelas secara verbal.
Selain itu, kajian mencadangkan agar guru juga turut memberi peluang kepada murid
membuat refleksi tentang hasil pembelajaran secara bertulis. Dengan cara ini, semua
murid berkesempatan mencatat tentang hasil pembelajaran yang telah dikuasai.
Refleksi murid boleh dilakukan dengan membuat catatan dalam sekeping kertas. Hasil
refleksi murid secara bertulis kemudian dibaca atau dikutip oleh guru. Ringkasnya,
hasil perkongsian melalui refleksi pembelajaran murid membantu guru merancang
alternatif terbaik untuk PdPc yang seterusnya.

vii. Mendorong amalan berdikari

Seperkara lagi tentang dapatan kajian ini yang dikaitkan dengan persepsi guru tentang
pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu ialah pendekatan tersebut berupaya
mendorong amalan berdikari dalam kalangan murid. Dalam kajian ini, semangat
berdikari murid wujud setelah melalui pelbagai pengalaman, khususnya ketika
menjalani aktiviti PdPc yang pelbagai serta aktiviti yang melibatkan perbincangan
berkumpulan. Selain itu, perkongsian pengalaman semasa sesi refleksi murid,
melakukan tugasan secara individu dan pengalaman murid ketika berperanan sebagai
ahli atau ketua dalam aktiviti berkumpulan turut mendorong amalan berdikari murid.
Berdasarkan pengalaman tersebut, murid didedahkan dengan pelbagai pengalaman
memimpin dan mengurus dengan lebih bermakna. Pengalaman seperti ini menjadikan
murid lebih dewasa dan berfikiran matang dalam membuat keputusan.

Dalam kajian ini, impak yang paling ketara menunjukkan murid berupaya
melakukan tugasan secara kendiri terutama dalam aktiviti berkumpulan dan penilaian
secara bertulis. Dalam menjalani aktiviti berkumpulan, murid berbincang dengan baik
bersama rakan-rakan dan bertanya kepada guru apabila terdapat perkara yang kurang
jelas. Corak PdPc tersebut membolehkan guru bertindak sebagai fasilitator dan
memantau perbincangan murid. Dalam aktiviti penilaian secara bertulis pula, murid

315

melakukan tugasan dengan baik kerana tugasan yang diberikan adalah berdasarkan
kecerdasan murid yang pelbagai. Amalan PdPc guru dalam pendekatan KP ini sesuai
dengan corak pembelajaran abad ke-21 yang memberi penekanan bahawa pengajaran
guru adalah berdasarkan kecerdasan murid.

Menurut Zamri Mahamod (2013, 2016a, 2016b), guru perlu menguasai
kemahiran pengajaran abad ke-21 untuk meningkatkan prestasi murid dengan lebih
meluas, mengembangkan keupayaan akademik murid, mengembangkan kemampuan
murid secara individu, memenuhi keperluan belajar murid, serta memotivasikan
semangat belajar murid. Dapatan kajian ini menyokong sepenuhnya tujuan jangka
panjang KP yang dikemukakan oleh Lewis (2002, 2005) hasil pemerhatian beliau
terhadap beberapa sekolah di Jepun. Menurut beliau, KP mengembangkan
kemampuan murid secara individu dan meningkatkan akademik murid melalui kaedah
pengajaran berdasarkan kecerdasan kognitif murid yang berbeza

5.3.3 Kaedah Menulis dan Mengaplikasikan RPH Bahasa Melayu Berasaskan
Pendekatan Kajian Pengajaran

Pada peringkat awal perancangan RPH, guru harus mengenal pasti perkara penting
yang perlu diberi keutamaan dalam merancang RPH Bahasa Melayu. Hal ini adalah
bertujuan memastikan hasil pembelajaran dapat dicapai secara optimum. Menurut
Mok Soon Sang (2008), perancangan yang berkesan menjamin PdPc yang
menyeronokkan. Oleh itu, kaedah merancang RPH yang betul dan sistematik perlu
dirancang dengan teliti. Bagi membincangkan kemahiran guru merancang RPH
Bahasa Melayu, perbincangan memperincikan tema-tema yang diperoleh, iaitu (a)
objektif pembelajaran, (b) isi pelajaran, (c) aktiviti PdPc, (d) bahan sumber
pembelajaran (BSP), dan (e) kemahiran generik.

a. Objektif pembelajaran

Objektif pembelajaran merupakan antara elemen pengajaran yang penting dalam RPH
Bahasa Melayu. Dapatan kajian menjelaskan bahawa semua peserta kajian
menetapkan objektif pembelajaran terlebih dahulu sebelum memulakan proses PdPc.
Terdapat beberapa perkara yang harus diambil kira dalam merancang objektif
pembelajaran untuk RPH Bahasa Melayu. Dapatan kajian menggariskan enam aspek

316

yang perlu diambil kira ketika merancang objektif pembelajaran, iaitu bentuk
perlakuan jelas dan eksplisit, mengukur kriteria kejayaan murid, mengambil kira
keupayaan murid, sesuai dengan kemahiran yang diajar, boleh dicapai dalam
lingkungan masa PdPc, dan berpandukan model S.M.A.R.T Goal.

Dapatan kajian ini hampir menyamai ciri-ciri gagasan objektif pembelajaran
seperti yang digariskan dalam SGM (BPG 2009). Menurut SGM, ciri-ciri gagasan
objektif pembelajaran adalah seperti boleh diukur, boleh dicapai, mengambil kira
tahap kebolehan dan keupayaan murid serta jelas dan eksplisit (BPG 2009). Dapatan
ini juga menyokong kenyataan Mok Soon Sang (2008), iaitu objektif pembelajaran
yang menghasilkan pengajaran yang efektif adalah objektif yang bersifat eksplisit,
yang ditentukan berdasarkan saranan sukatan pelajaran, pengetahuan sedia ada murid
serta mengambil kira tahap kebolehan belajar murid. Tambahan lagi, sebagai
menyokong pendapat Glaser (1968), guru Bahasa Melayu harus mengambil kira
pengetahuan sedia ada murid dalam menentukan objektif eksplisit kerana perkara
tersebut berkait rapat dengan kebolehan murid untuk memahami isi pelajaran, iaitu
sebagai tingkah laku kesediaan murid yang meliputi kebolehan intelek, aras motivasi,
penentu sosial dan budaya serta kebolehan pembelajaran dalam kelas.

Seterusnya, dapatan kajian ini juga sealiran dengan pandangan Omardin
Asahaari (1998) yang menyatakan bahawa keperluan penentuan objektif
eksplisit berdasarkan sukatan pelajaran amat penting kerana tindakan tersebut
menyatakan matlamat, unit pembelajaran dan kemahiran yang digubal dan disusun
mengikut sesuatu tahap yang dihuraikan dengan jelas dalam Buku Panduan Guru yang
telah disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) sebagai dasar perangkaan matlamat kecil pengajaran. Menurut
Omardin Asahaari (1998) lagi, objektif eksplisit membawa maksud jelas, terang dan
dapat digambarkan dengan nyata yang merujuk kepada perubahan tingkah laku yang
dapat dilihat dan dinilai oleh guru bagi menghasilkan pemahaman. Oleh itu, guru
bahasa Melayu perlu merancang objektif pembelajaran yang jelas dan eksplisit bagi
memastikan kesan PdPc tercapai mengikut perlakuan dan prestasi murid.

Walau bagaimanapun, terdapat penemuan menarik dalam kajian ini yang perlu
mendapat perhatian sewajarnya daripada guru Bahasa Melayu, iaitu keupayaan

317

beberapa peserta kajian yang merancang objektif pembelajaran berpandukan model
S.M.A.R.T Goal. Model S.M.A.R.T Goal bermaksud specific, measurable, attainable,
relevant dan time bound. Dengan berpandukan Model S.M.A.R.T Goal, guru-guru
didapati merancang objektif pembelajaran dengan lebih jelas, eksplisit dan tepat.
Dapatan ini menepati strategi perancangan yang telah diilhamkan oleh Doran (1981)
dalam kertas kerja beliau yang bertajuk, “There’s a S.M.A.R.T. way to write
management’s goal and objectives”. Menurut Doran (1981), S.M.A.R.T. adalah
singkatan bagi perkataan Specific, Measurable, Assignable, Realistic, dan Time-
related. Beliau menjelaskan bahawa setiap objektif di jabatan sebaik-baiknya
dirancang secara khusus, petunjuk kemajuan yang boleh diukur, individu sasaran,
realistik, dan tempoh masa yang ditetapkan.

Walau apa pun dapatan yang telah diperbincangkan, namun pencapaian
objektif pembelajaran tetap berkait rapat dengan kemahiran guru Bahasa Melayu
dalam memilih strategi, kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, sistematik dan
menarik untuk meningkatkan keberkesanan PdPc Bahasa Melayu. Tegasnya, guru
Bahasa Melayu perlu menyambut baik peluang keemasan melalui perbincangan KP
untuk sama-sama berkongsi kemahiran merancang PdPc Bahasa Melayu dengan lebih
terancang. Dengan adanya perkongsian amalan terbaik sebegini menjadikan suatu
input yang sangat berguna untuk meningkatkan kemahiran guru dalam merancang
objektif pembelajaran yang lebih tepat dan sistematik.

b. Isi pelajaran

Berdasarkan kajian, isi pelajaran merupakan salah satu elemen PdPc yang turut
disenaraikan sebagai komponen dalam RPH Bahasa Melayu. Dapatan kajian
mendapati semua peserta kajian merancang isi pelajaran untuk setiap RPH. Bagi
merancang komponen tersebut, dapatan kajian merumuskan terdapat empat aspek
penting harus menjadi keutamaan ketika merancang isi pelajaran, iaitu merujuk
refleksi PdPc lepas, fokus bidang kemahiran bahasa, pemeringkatan isi pelajaran, dan
pengetahuan sedia ada murid. Dapatan kajian ini menyamai ciri-ciri gagasan PdP yang
dikemukakan dalam SGM (BGP 2009). Bagi merancang isi pelajaran dengan
berkesan, guru perlu mematuhi elemen tersebut dalam RPH yang disediakan.

318

Dalam kajian ini, kekuatan yang dapat dilihat dalam proses penyediaan RPH
adalah guru merujuk refleksi PdPc lepas terlebih dahulu sebelum menentukan isi
pelajaran yang ingin diajar kepada murid. Dapatan mengenai perkara ini penting dan
perlu diberi perhatian oleh guru Bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana guru dapat
membuat perancangan untuk sesi PdPc akan datang dengan lebih teliti setelah
mengambil kira kekuatan dan kelemahan pembelajaran murid termasuk pengajaran
guru. Melalui cara ini, guru dapat berbincang dengan rakan lain untuk memikirkan
alternatif terbaik dalam merancang isi pelajaran yang lebih berkesan.

Seterusnya, pemilihan isi pelajaran untuk Bahasa Melayu sebaik-baiknya
dilakukan dengan memberi fokus terhadap bidang kemahiran bahasa yang hendak
diajar. Hal ini penting memandangkan bidang kemahiran bahasa Bahasa Melayu
sewajarnya memberi penekanan kepada empat bidang utama, iaitu lisan, membaca,
menulis dan menaakul. Dapatan kajian ini selaras dengan penyataan Abdullah Hassan
(2004) bahawa pengajaran Bahasa Melayu perlu menggabungkan bidang kemahiran
bahasa dalam setiap sesi pengajaran. Menurut beliau lagi, pengajaran bidang
kemahiran bahasa dalam PdPc Bahasa Melayu sepatutnya tidak terpisah.

Selanjutnya, dapatan kajian ini turut menunjukkan persamaan dengan
pandangan Mok Soon Sang (2008) berkaitan pemeringkatan isi pelajaran. Beliau
menyatakan bahawa pemilihan isi pelajaran melibatkan proses pemeringkatan isi
pelajaran berdasarkan prinsip asas pedagogi dalam menghasilkan PdPc efektif melalui
pendekatan induktif, iaitu penyusunan isi pelajaran dalam rancangan mengajar
daripada senang kepada susah, konkrit kepada abstrak, fakta kepada teori dan spesifik
kepada umum. Bagi pendekatan deduktif pula, guru perlu melakukan pemeringkatan
isi pelajaran daripada umum kepada spesifik, misalnya penggunaan rumus, prinsip,
hukum dan teori sebelum mengaplikasikannya ke atas contoh yang khusus.

Selain itu, objektif pembelajaran yang dirancang juga memenuhi gagasan isi
pelajaran yang digariskan dalam SGM. Dengan merujuk SGM, ciri-ciri perancangan
isi pelajaran yang digariskan adalah seperti menepati objektif PdPc, memeringkatkan
isi pelajaran mengikut prinsip pedagogi, penerapan nilai, penyerapan isi mata
pelajaran yang lain serta penggabungjalinan kemahiran (BPG 2009). Sehubungan itu,
dapatan kajian daripada beberapa pengkaji terdahulu seperti Abdullah Hassan (1987),

319

Mohamad Johdi Salleh (2009), Cruickshank dan Applegate (1981), serta Goodman
(2005) turut menegaskan bahawa PdPc yang efektif bergantung kepada penumpuan
perancangan guru dalam proses pemeringkatan isi pelajaran.

Seterusnya, dapatan kajian ini menyokong pandangan Glaser (1968) bahawa
RPH yang dirancang harus mengambil kira pengetahuan sedia ada murid, khususnya
apabila menentukan objektif eksplisit. Perkara ini penting kerana pengetahuan sedia
ada murid berkait rapat dengan kebolehan untuk memahami isi pelajaran.
Pengetahuan sedia ada dijadikan sebagai tingkah laku kesediaan murid yang meliputi
kebolehan intelek, aras motivasi, penentu sosial dan budaya serta kebolehan
pembelajaran dalam kelas. Dapatan kajian juga selaras dengan pandangan Beetlestone
(1998) bahawa perancangan RPH yang kreatif dapat meningkatkan kualiti pendidikan
dengan menghasilkan pembelajaran yang lebih bermakna dan membuka pintu kepada
pelbagai kaedah yang menarik dalam melaksanakan kurikulum di bilik darjah.
Berdasarkan dapatan kajian yang diperoleh, jelaslah bahawa kemahiran memilih isi
pelajaran dengan berdasarkan kriteria yang telah disebutkan membantu guru
merancang isi pelajaran dalam RPH Bahasa Melayu dengan lebih mudah.

c. Bahan sumber pembelajaran

Perancangan RPH Bahasa Melayu yang lengkap sebenarnya adalah tanpa
mengabaikan persediaan untuk BSP. Dalam kajian ini, semua peserta kajian didapati
merancang BSP terlebih dahulu untuk digunakan semasa proses PdPc berlangsung.
Dapatan kajian ini mempunyai persamaan dengan dapatan kajian daripada beberapa
pengkaji terdahulu seperti Shahril @ Charil Marzuki (2004), dan Hiebert et al. (1991).
Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru-guru di sekolah menengah merancang BSP
terlebih dahulu sebelum mengajar. Bagi merancang BSP untuk RPH, terdapat
beberapa panduan yang perlu dipatuhi. Hasil temu bual, analisis dokumen dan
pemerhatian telah menggariskan sekurang-kurangnya lima amalan yang boleh
dijadikan sebagai panduan apabila menyediakan BSP, iaitu BSP sesuai dan menarik
perhatian murid, BSP mencetuskan merangsang pemikiran murid, BSP pelbagai, BSP
berkonsepkan KBAT, dan BSP mudah diperoleh.

Dapatan kajian ini menepati prinsip dan kaedah pemilihan BSP yang
dikemukakan oleh Hubbard (2009). Menurut beliau, prinsip dan kaedah pemilihan

320

BSP mempunyai beberapa ciri, iaitu menimbulkan rangsangan dan keinginan murid
untuk menimba pengalaman pembelajaran, memenuhi aspirasi pembelajaran yang
cekap dalam persekitaran aktif dan dinamik, mempunyai unsur afektif, sikap, minat
dan tingkah laku, dan mempunyai sifat yang selari dengan aspirasi FPK. Sehubungan
itu, dapatan kajian mempunyai beberapa persamaan dengan ciri-ciri gagasan BSP
yang digariskan dalam SGM, iaitu BSP selamat dan mudah digunakan, menarik dan
merangsang minda, mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi, sesuai
dengan objektif PdPc, dan kepelbagaian BSP (BPG 2009). Namun, bagi Mok Soon
Sang 2008, PdPc yang berkesan bergantung kepada kebolehan dan kecekapan guru
dalam pemilihan BSP yang dapat memenuhi keperluan dua saluran deria utama
manusia, iaitu penglihatan (75%) dan pendengaran (25%) untuk memperoleh
maklumat.

Dalam hal ini, BSP yang sesuai dan menarik sudah pasti dikaitkan dengan
kemudahan teknologi maklumat yang membolehkan guru Bahasa Melayu
menyediakan BSP dalam bentuk audio dan visual. Dalam kajian ini, BSP dalam
bentuk audio dan visual didapati menarik perhatian murid kerana menurut peserta
kajian, murid lebih tertarik dengan BSP yang mempunyai kelainan dan pelbagai,
misalnya penggunaan multimedia dalam PdPc. Pernyataan ini memenuhi ciri-ciri guru
abad ke-21 yang diutarakan oleh Zamri Mahamod dan Nur Aisyah Mohamad Noor
(2011) bahawa bagi menjamin PdPc berkesan, guru perlu menggunakan teknologi
terkini tidak kira semasa sesi PdPc mahupun di luar sesi tersebut (BPG 2015).
Dapatan kajian juga selari dengan hasil kajian Azman Laut (2005), Mazhan Arshad
(2012), dan Norasiah Abdullah (2009), iaitu pengajaran guru menjadi lebih menarik
jika guru berkeupayaan menggunakan teknologi maklumat dalam pengajaran. Oleh
itu, guru perlu menitikberatkan elemen TMK dalam pengajaran untuk mengekalkan
tumpuan dan perhatian murid terhadap pelajaran.

Dapatan kajian juga menunjukkan guru menyediakan perancangan dan
persediaan BSP untuk RPH dengan teliti. Hal ini demikian kerana BSP yang
dirancang turut disesuaikan dengan topik dan kemahiran yang diajar di samping
mengambil kira tahap kebolehan murid yang pelbagai. Perkara ini turut dijelaskan
dalam Ee Ah Meng (2003) yang mengatakan bahawa menyedari akan kemampuan
murid untuk mengikuti sesuatu pelajaran adalah berbeza dari aspek fizikal, mental,

321

sosial dan emosi, maka sumber atau BSP perlu dipelbagaikan untuk disesuaikan
mengikut kemampuan murid. Dengan memberi keutamaan terhadap aspek-aspek
tersebut, BSP yang dihasilkan dapat membantu proses pengajaran guru dan
meningkatkan hasil pembelajaran murid secara optimum.

Dapatan ini jelas menyokong hasil kajian Ab. Halim Tamuri et al. (2006)
bahawa kefahaman dan pengetahuan murid tentang isi pelajaran meningkat apabila
guru menggunakan BSP yang sesuai. Menurut Ab. Halim Tamuri et al. (2006),
pemilihan BSP dalam PdPc guru dapat membantu untuk mempelbagaikan bentuk
pengajaran guru, meningkatkan minat murid, meningkatkan penggunaan pelbagai
deria, memudahkan murid memahami perkara yang abstrak, menyokong gaya
pembelajaran berbeza murid serta dapat menggambarkan sikap profesional guru. Oleh
itu, bagi mencapai aspek tersebut, guru perlu menyediakan BSP secara terancang.

Selaras dengan corak pembelajaran masa kini yang menekankan pembelajaran
abad ke-21, kepelbagaian BSP yang digunakan oleh guru dalam kajian ini turut
mempelbagaikan kaedah pengajaran guru. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Alizah
Lambri (2016) dalam kajian beliau, kepelbagaian BSP dalam PdPc membantu
mengurangkan rasa bosan dan mengantuk dalam kalangan murid semasa mengikuti
pelajaran khususnya pada waktu tengahari. Jadi, pemilihan dan penyediaan BSP yang
pelbagai dalam kajian ini merupakan suatu usaha yang tepat.

Dalam kajian ini, pemilihan dan penyediaan BSP seperti LCD untuk slaid
power point, tayangan video, gambar, poster serta rakaman lagu-lagu merupakan
pilihan utama peserta kajian dalam RPH yang dirancang. Dapatan ini sedikit sebanyak
mempunyai perkaitan dengan dapatan kajian Clark (2008) dan Mantei (2000) bahawa
penggunaan BSP seperti power point sangat berkesan dari aspek pedagogi. Menurut
Clark (2008) dan Mantei (2000), power point dapat memberi kepelbagaian dalam
persekitaran pembelajaran murid di samping merangsang minat untuk belajar. Namun,
dapatan ini menolak hasil kajian Abdul Rasid Jamian (2016) yang mendapati guru
masih kurang menggunakan BSP yang konkrit dan menarik untuk mengekalkan minat
murid di dalam bilik darjah walaupun sudah sedia maklum bahawa BSP yang pelbagai
dan menarik di dalam bilik darjah mampu mengekalkan tumpuan murid terhadap
pengajaran guru.

322

Bagi tayangan video pula, dapatan kajian mendapati medium tersebut sangat
digemari memandangkan murid lebih mudah tertarik dengan BSP dalam bentuk
animasi. Oleh itu, jika demikianlah halnya yang berlaku kepada guru Bahasa Melayu
yang lain, nescaya dapat menamatkan keluhan murid yang mengatakan murid kerap
berasa bosan sehingga sering mengantuk ketika mengikuti pengajaran guru (Zolkepeli
Haron et al. 2001). Menurut Ab. Halim Tamuri et al. (2006), serta Mohamad Khairul
dan Azman Ajuhary (2010), penggunaan video dapat melatih suatu kemahiran tanpa
pengalaman sebenar kerana murid berpeluang melihat peristiwa yang tidak dapat
dilihat dengan mata sendiri sebelum ini.

Sehubungan itu, dengan adanya muzik, drama dan dialog yang terdapat dalam
tayangan video dipercayai dapat meninggalkan kesan terhadap pembelajaran murid.
Dapatan ini juga selari dengan dapatan kajian Zamri Mahamod dan Nur Aisyah
Mohamad Noor (2011) yang menyatakan bahawa perisian multimedia membantu
memudahkan kaedah pengajaran pensyarah daripada strategi berpusatkan pensyarah
kepada strategi berpusatkan pelajar (Alizah Lambri (2016). Namun, dapatan kajian ini
ternyata berbeza sekali dengan hasil kajian Effandi Zakaria (2011) yang mendapati
guru lebih gemar menggunakan BSP seperti buku teks dan bahan fotostat.

Seterusnya, pemilihan alat pemikiran kreatif dan kritis sebagai BSP dalam
dapatan kajian ini juga sesuai dengan konsep KBAT yang diutarakan oleh De Bono
(1976). Menurut De Bono (1976), alat berfikir membantu murid menggunakan minda
dengan lebih bijak dan berkesan, pemikiran menjadi lebih tersusun, luas, jelas dan
murid tidak terburu-buru melakukan sesuatu. De Bono (1976) mengemukakan empat
jenis alat berfikir yang boleh digunakan untuk meningkatkan keterampilan berfikir,
iaitu soalan dan penyoalan, Peta pemikiran, peta minda, dan pengurusan grafik. Alat
berfikir menurut De Bono (1976) ialah instrumen yang boleh membantu guru dan
murid melakukan pengurusan lisan, mengurus pemikiran secara visual dan terkawal
(BPG 2015). Oleh itu, pemilihan alat berfikir seperti soalan dan penyoalan, peta
pemikiran, peta minda, dan pengurusan grafik dalam RPH Bahasa Melayu oleh semua
peserta kajian mampu merangsang pemikiran kreatif dan kritis murid.

Jelaslah bahawa perkongsian ilmu melalui perbincangan KP telah memberi
kesan yang mendalam terhadap keupayaan peserta kajian dalam merancang dan

323

menyediakan BSP untuk RPH Bahasa Melayu. Amalan kolaboratif dan perbincangan
KP membantu usaha guru Bahasa Melayu dalam merancang dan menyediakan BSP
dengan lebih mudah kerana melalui perkongsian amalan terbaik melalui KP berupaya
memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan guru untuk merancang dan
menyediakan BSP yang menarik, pelbagai serta melibatkan penggunaan teknologi
maklumat terkini. Berdasarkan dapatan yang telah dibincangkan tadi, jelaslah bahawa
tindakan merancang BSP dalam RPH Bahasa Melayu perlu berdasarkan panduan yang
jelas agar dapat menghasilkan RPH yang sistematik dan berkesan.

d. Kemahiran generik

Amalan PdPc Bahasa Melayu melalui KP telah meningkatkan pengetahuan guru
untuk mengintegrasikan kemahiran generik dalam PdPc Bahasa Melayu. Melalui KP,
guru berpeluang mempelajari pelbagai kemahiran generik yang boleh diintegrasikan
dalam PdPc Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, kemahiran generik yang diintegrasikan
dalam PdPc Bahasa Melayu terdiri daripada kemahiran komunikasi, kemahiran
belajar, kemahiran berfikir, kemahiran interpersonal, kemahiran fasilitator, kemahiran
menyelesaikan masalah serta TMK.

Dalam kajian ini, amalan PdPc Bahasa Melayu melalui KP dilihat dapat
mengukuhkan pengetahuan guru dalam mengintegrasikan kemahiran generik dalam
PdPc. Hasil kajian mendapati pengintegrasian kemahiran komunikasi dan
interpersonal dilihat sebagai elemen yang sangat penting dalam PdPc Bahasa Melayu.
Hal ini demikian kerana kedua-dua kemahiran tersebut mempunyai perkaitan yang
erat dengan salah satu daripada bidang kemahiran bahasa, iaitu kemahiran lisan.
Kecekapan guru mengintegrasikan kemahiran komunikasi dan interpersonal memberi
impak yang besar kepada murid kerana kemahiran tersebut mempunyai hubungan
yang signifikan dengan penguasaan bahasa murid.

Dapatan kajian ini menyokong hasil kajian Kamaruddin Husin (2003) dan
Alizah Lambri (2016). Menurut Kamaruddin Husin (2003), kemahiran komunikasi
dan interpersonal merupakan kemahiran yang mempunyai nilai tertinggi yang paling
dikehendaki dalam industri. Alizah Lambri (2016) pula menegaskan bahawa guru
perlu menggunakan teknik pedagogi yang relevan untuk membantu meningkatkan
pemikiran aras tinggi dan menyumbang kepada pembangunan kemahiran komunikasi

324

murid. Justeru, kajian ini menyarankan agar guru mengintegrasikan kemahiran
komunikasi dan interpersonal dalam PdPc Bahasa Melayu bagi memupuk bakat dan
keterampilan murid untuk mengusai kemahiran komunikasi dan interpersonal dalam
kehidupan.

Seterusnya, hasil pemerhatian juga mendapati guru menggunakan bahasa
dengan sebutan yang jelas, betul dan tepat, manakala nada suara juga diungkapkan
dalam pelbagai intonasi seperti cepat, lambat, tinggi dan rendah. Nada suara guru
yang pelbagai rentak dan intonasi dapat menghindari murid daripada berasa bosan dan
mengantuk. Sehubungan itu, guru juga didapati berkemahiran mendengar dan
memberi maklum balas yang relevan terhadap jawapan murid. Dengan demikian,
murid lebih terdorong untuk bertanya soalan apabila kurang memahami sesuatu
konsep yang disampaikan oleh guru. Namun, dalam kajian Mohd Izham Mohd
Hamzah et al. (2010), Syofia Ulfah, Zamri Mahamod dan Jamaludian (2015), murid
didapati sangat lemah dalam kemahiran komunikasi. Kelemahan murid dalam
kemahiran komunikasi yang paling ketara adalah ketika membuat pembentangan di
khalayak ramai.

Dalam hal ini, komunikasi memainkan peranan penting untuk memastikan
proses PdPc berjalan dengan lancar dan berkesan. Bagi mencapai peranan tersebut,
guru harus berupaya menggerakkan murid melalui penggunaan bahasa yang ekspresif
dan berkesan. Selain itu, kualiti suara dengan pelbagai nada dan intonasi, serta sebutan
yang jelas dan tepat turut memainkan peranan penting dalam penyampaian guru.
Justeru, pengintegrasian kemahiran komunikasi dalam PdPc Bahasa Melayu
merupakan suatu langkah yang tepat bagi menyokong kemahiran interpersonal dalam
kalangan murid. Dalam kajian ini, proses pengintegrasian kemahiran komunikasi dan
interpersonal kelihatan lebih jelas apabila guru mengendalikan aktiviti perbincangan
dalam kumpulan, misalnya menerusi aktiviti sumbang saran. Dalam hal ini, kemahiran
komunikasi dan interpersonal berlaku apabila guru menggalakkan murid sama-sama
mencetus idea.

Di samping itu, guru turut membuka peluang kepada murid untuk
membentangkan hasil perbincangan kumpulan di hadapan kelas. Dengan demikian,
tindakan tersebut dapat membentuk keyakinan dalam diri murid. Berdasarkan

325

pemerhatian, murid kelihatan begitu aktif dan yakin membentangkan hasil
perbincangan kumpulan, khususnya dalam aktiviti Three Stray One Stay. Dapatan
kajian berbeza dengan hasil kajian Mohd Izham et al. (2011). Menurut Mohd Izham et
al. (2011), kelemahan murid dalam kemahiran komunikasi yang paling ketara adalah
ketika membuat pembentangan di khalayak ramai. Dapatan kajian Sidhu Kulwindr
Kaur (2006) pula menemukan terdapat murid yang tidak yakin dan takut untuk
berucap di khalayak ramai. Oleh itu, kajian ini menyokong sepenuhnya penyataan
Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Naim Jafar (2006) dan Syofial Ulfah et al. (2015)
bahawa kepetahan bercakap adalah suatu bakat yang tersendiri, tetapi kemahiran
berkomunikasi perlu dipelajari.

Seterusnya, hasil kajian juga mendapati kemahiran komunikasi yang
diintegrasikan dalam PdPc guru mampu mewujudkan interaksi pelbagai hala dalam
PdPc guru. Interaksi pelbagai hala yang wujud memupuk kemahiran interpersonal
antara murid dengan murid dan antara murid dengan guru. Tindakan ini merupakan
suatu permulaan yang baik sebagai persiapan kepada guru untuk menyediakan murid
dengan alam pekerjaan yang sebenarnya. Oleh itu, guru perlu berkebolehan
mengintegrasikan kemahiran generik dalam pengajaran memandangkan kemahiran
komunikasi merupakan kemahiran paling utama dalam semua pekerjaan. Dapatan
kajian ini menyokong pandangan Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Naim Jaafar
(2006) yang mengatakan bahawa kepetahan bercakap adalah suatu bakat yang
tersendiri tetapi kemahiran berkomunikasi adalah sesuatu yang perlu dipelajari.

Walau bagaimanapun, dapatan kajian ini agak kontra dengan hasil kajian yang
dilakukan oleh Tengku Mahaleel Tengku Ariff (2002). Dapatan kajian beliau tentang
kemahiran komunikasi melaporkan bahawa antara penyebab graduan gagal dalam sesi
temu duga adalah kerana gagal meyakinkan majikan dengan kelebihan diri.
Seterusnya, graduan juga gagal untuk memberi pendapat yang bernas bagi sesuatu isu
walaupun mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang. Oleh itu, guru perlu
mengintegrasikan kemahiran komunikasi dan kemahiran interpersonal dalam PdPc
agar dapat memberi impak yang bermakna kepada komunikasi murid. Kemahiran
komunikasi dan kemahiran interpersonal perlu dikuasai dalam bidang pengajaran
bahasa bagi menyediakan murid untuk menghadapi situasi pembelajaran yang lebih
bermakna. Pendedahan dan penguasaan murid dalam kemahiran tersebut juga penting,

326

khususnya untuk menyiapkan diri murid dengan situasi atau alam pekerjaan pada
masa akan datang.

Selain kemahiran komunikasi dan interpersonal, hasil kajian juga mendapati
guru mengintegrasikan kemahiran belajar dalam PdPc. Dalam kajian ini, kemahiran
belajar diintegrasikan dalam pelbagai cara seperti menggalakkan murid mencatat nota
sendiri, mengakses maklumat melalui internet berdasarkan laman sesawang yang
disediakan oleh guru, merujuk Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan, membuat
rujukan di pusat sumber sekolah, serta membuat catatan penting tentang bahan yang
dibaca. Biasanya, guru menggalakkan murid berbuat demikian sebagai tugasan yang
boleh dilakukan di luar waktu PdPc. Bahan yang telah dikumpul dibawa ke dalam
kelas untuk kegunaan sesi PdPc seterusnya. Pengintegrasian kemahiran belajar dalam
PdPc Bahasa Melayu menyokong dapatan kajian Alizah Lambri (2016), iaitu
kemahiran belajar penting kerana langkah tersebut memberi pendedahan awal kepada
murid untuk berdikari. Melalui cara ini, murid mendapatkan ilmu bukan hanya
daripada guru semata-mata bahkan juga melalui penerokaan dan rujukan sendiri.

Seterusnya, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah merupakan
kemahiran generik yang tidak pernah dipinggirkan dalam PdPc Bahasa Melayu.
Dalam kajian ini, kedua-dua kemahiran tersebut merupakan kemahiran yang sentiasa
digunakan sepanjang masa khususnya dalam aktiviti perbincangan kumpulan,
sumbang saran dan aktiviti pengajaran berasaskan projek. Berdasarkan pemerhatian
dan temu bual, dapatan kajian mendapati aktiviti-aktiviti tersebut dapat merangsang
murid berfikir secara kreatif, kritis, inovatif dan analitik untuk menyelesaikan
masalah. Dalam aktiviti perbincangan kumpulan, kreativiti dan inovasi murid
dirangsang untuk menghasilkan idea yang tepat dan bernas. Dalam aktiviti
pembentangan kumpulan pula, bakat murid diasah untuk melakukan analisis dan
kritikan tetapi disusuli dengan idea-idea yang membina. Dapatan ini selaras dengan
pernyataan Yahya Othman (2003), Yahya Othman dan Azmey Othman (2012),
Saemah Rahman dan Zamri Mahamod (2016) yang menyatakan bahawa kemahiran
berfikir dan menyelesaikan masalah dapat meningkatkan pencapaian murid serta
meningkatkan kualiti pengajaran guru.

327

Selanjutnya, dapatan kajian ini turut mengesani kebolehan guru menggunakan
teknologi maklumat dalam PdPc Bahasa Melayu. Hasil temu bual, analisis dokumen
dan pemerhatian, pengkaji mendapati penggunaan peralatan seperti komputer riba dan
LCD menunjukkan guru mengintegrasikan kemahiran ICT dengan baik dalam PdPc.
Sepanjang pemerhatian berlangsung, guru gemar menggunakan alat tersebut untuk
mempamerkan tayangan video dan slaid power point bagi memudahkan proses PdPc.
Dapatan kajian ini menyokong pandangan Zamri Mahamod (2011) bahawa keupayaan
guru dalam TMK merupakan suatu kelebihan dan dianggap sebagai aksesori dalam
pengajaran. Penggunaan bahan audio dan visual menggalakkan kemahiran ICT dalam
kalangan murid. Dalam sesi pembentangan hasil kerja kumpulan, murid berpeluang
menyampaikan pembentangan menggunakan slaid.

Berdasarkan huraian dan perbincangan tadi, jelaslah bahawa mengintegrasikan
kemahiran generik dalam PdPc Bahasa Melayu bukan hanya membantu memudahkan
proses penyampaian PdPc guru, bahkan juga memberi kesan positif kepada
perkembangan kemahiran insaniah murid. Kemahiran insaniah merupakan elemen
penting yang perlu dikuasai oleh murid bagi membolehkan murid dapat bersaing
dalam dunia pekerjaan pada masa akan datang. Dapatan ini selaras dengan pandangan
Ledia Anak Angul (2004), iaitu murid seharusnya melengkapkan diri dengan
kemahiran yang telah diajar di peringkat sekolah agar sentiasa kompeten dan bersedia
untuk memasuki pengajian di peringkat tinggi. Oleh itu, guru bertanggungjawab untuk
mengintegrasikan kemahiran generik dalam pengajaran bagi melahirkan murid yang
seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).

5.3.4 Strategi Pelaksanaan Aktiviti Kajian Pengajaran dalam Pembelajaran dan
Pemudahcaraan Bahasa Melayu

Perbincangan seterusnya memperincikan dapatan kajian berkaitan strategi
pelaksanaan aktiviti KP dalam PdPc Bahasa Melayu. Strategi pelaksanaan aktiviti KP
yang dibincangkan melibatkan aspek perancangan dan pelaksanaan aktiviti PdPc.

a. Aspek perancangan aktiviti PdPc

Dapatan kajian seterusnya melaporkan aktiviti PdPc turut mendapat perhatian semua
peserta kajian semasa merancang RPH Bahasa Melayu. Dapatan kajian mendapati

328

terdapat 4 perkara perlu menjadi ketentuan ketika merancang aktiviti KP untuk RPH
Bahasa Melayu. Perkara yang dimaksudkan adalah seperti menjurus pencapaian
objektif pembelajaran, sesuai dengan kemahiran yang diajar, sesuai dengan
persekitaran murid, aktiviti PdPc sesuai dan menarik, serta sesuai dengan tempoh
masa PdPc. Tindakan merancang aktiviti PdPc seperti yang dilakukan oleh semua
peserta kajian sebelum sesi pembelajaran merupakan amalan yang baik bagi guru
Bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana menurut Zamri Hamaod (2014, 2015),
Saemah Rahman dan Zamri Mahamod (2017) serta Rogers (1969), tindakan yang
sedemikian memudahkan guru merancang aktiviti agar menjurus kepada pencapaian
objektif pembelajaran pada akhir sesi PdPc.

Seterusnya, dapatan kajian mendapati aktiviti PdPc yang dirancang oleh
peserta kajian turut disesuaikan dengan topik dan kemahiran yang hendak diajar. Bagi
memastikan aktiviti PdPc berjalan dengan lancar, guru-guru dalam kajian ini didapati
memiliki kreativiti dalam memilih topik pelajaran yang sesuai dengan persekitaran
murid. Tidak dinafikan bahawa tindakan merancang aktiviti PdPc dengan mengambil
kira tahap keupayaan murid amat sesuai dipraktikkan oleh semua guru Bahasa Melayu
bagi memastikan pembelajaran berlaku. Usaha tersebut menepati pandangan Slavin
(1984), Zamri Mahamod, Ruslin Amir dan Mohamed Amin (2015) bahawa untuk
memastikan murid dapat menguasai sesuatu konsep atau kemahiran, murid
dikumpulkan mengikut aras kebolehan yang pelbagai.

Selanjutnya, dapatan kajian turut mengenal pasti bahawa aktiviti PdPc yang
dirancang adalah sesuai dan menarik minat murid melalui aktiviti PdPc yang pelbagai.
Dapatan kajian ini penting kerana aktiviti yang dapat menarik minat murid berupaya
mewujudkan pengajaran yang kreatif bagi menggalakkan penglibatan murid secara
optimum. Dapatan kajian ini selaras dengan cadangan NACCCE (1999), iaitu
pengajaran kreatif yang mengutamakan strategi mengajar yang melibatkan murid
secara aktif, penyesuaian strategi digunakan dengan julat umur, konteks dan individu
serta memberi fokus kepada kerelevanan perkara yang dipelajari atau dialami oleh
murid malah pengalaman ini adalah di bawah kawalan murid sendiri. Walau
bagaimanapun, bagi mencapai pengajaran yang kreatif, guru perlu menggunakan
bahan multimedia agar mewujudkan pembelajaran yang lebih menyeronokkan

329

Dalam kajian ini, guru juga didapati berusaha merancang masa PdPc Bahasa
Melayu semaksimum yang mungkin agar masa yang diperuntukkan bagi setiap
aktiviti PdPc adalah sesuai dan seimbang dengan aktiviti PdPc yang dirancang.
Pengurusan masa yang cekap dan bijak dalam PdPc guru amat penting kerana
menurut Zamri (2014) dan Abdul Rasid Jamian (2016), guru patut menggunakan masa
PdPc dengan sepenuhnya seperti yang diperuntukkan untuk mengajar Bahasa Melayu.
Dalam hal ini, pematuhan masa PdPc dengan baik amat memberi makna kepada
pengajaran guru. Jika peruntukan masa PdPc dipatuhi, jelas menunjukkan bahawa
guru tidak mensia-siakan masa PdPc untuk melengkapkan murid berkaitan ilmu serta
bidang kemahiran Bahasa Melayu yang dipelajari.

Kesimpulannya, kejayaan sesuatu aktiviti PdPc mempunyai perkaitan yang
rapat dengan tempoh masa bagi sesuatu aktiviti yang dirancang. Kegagalan
merancang masa yang sesuai dan tepat untuk setiap aktiviti menjadikan PdPc guru
gagal mencapai hasil pembelajaran. Oleh itu, peruntukan masa bagi setiap aktiviti
PdPc memerlukan perancangan yang teliti daripada guru Bahasa Melayu. Hal ini
demikian bagi memastikan aktiviti PdPc berjalan dengan baik dan lancar. Tuntasnya,
perancangan masa untuk aktiviti PdPc yang tepat memberi peluang kepada guru
mengukur pencapaian objektif pembelajaran dan penguasaan murid dengan mudah.

b. Aspek pelaksanaan aktiviti PdPc

Dalam konteks kajian ini, strategi pelaksanaan aktiviti merupakan pendekatan, kaedah
dan teknik pelaksanaan aktiviti yang dikendalikan oleh guru dalam PdPc Bahasa
Melayu melalui pengalaman KP. Bagi membincangkan strategi pelaksanaan aktiviti
KP dalam PdPc Bahasa Melayu, perbincangan diperincikan berdasarkan elemen-
elemen seperti, (i) aktiviti berpusatkan murid, (ii) kepelbagaian aktiviti pembelajaran
dan pemudahcaraan, (iii) mewujudkan interaksi pelbagai hala, (iv) aktiviti melibatkan
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), dan (v) menggalakkan kreativiti dan
bermotivasi.

i. Aktiviti berpusatkan murid

Berdasarkan temu bual, analisis dokumen dan pemerhatian, terdapat pelbagai dapatan
dikaitkan oleh peserta kajian berkaitan pelaksanaan aktiviti berpusatkan murid dalam

330

kajian ini. Dalam kajian ini, aktiviti berpusatkan murid bermula daripada langkah-
langkah perkembangan, iaitu penerokaan, penerangan, dan aplikasi atau penelitian.
Aktiviti berpusatkan murid dilakukan secara individu, berpasangan dan berkumpulan.

Namun, dapatan kajian ini berbeza dengan hasil kajian Effandi Zakaria (2011)
yang mendapati guru menggunakan strategi pengajaran berpusatkan guru secara
ketara. Data temu bual dan pemerhatian beliau mendapati hampir semua sesi
pengajaran guru dilaksanakan secara sehala dan bersifat ‘suapan’. Menurut Effandi
Zakaria (2011), kaedah suapan atau spoon-feeding method yang diperkenalkan oleh
Chhem (2004) sering dijalankan dalam aktiviti pengajaran tatabahasa dan karangan.
Sebaik-baiknya, situasi pembelajaran pada peringkat perkembangan menurut
Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub dan Mohd Zohir Ahmad (2007) adalah
kaedah dan teknik yang dipilih itu lebih berpusatkan murid supaya lebih aktif. Dalam
hal ini, guru memainkan peranan penting dalam pemilihan kaedah dan teknik yang
terbaik untuk digunakan di dalam bilik darjah. Perkara yang sama turut ditegaskan
dalam penyataan Ab. Halim Tamuri et al. (2010) dan Zamri Mahamod (2012, 2014,
2016a, 2016b), iaitu guru perlu menggunakan teknik yang sesuai untuk
membangkitkan minat murid ketika proses PdPc.

Dalam kajian ini, aktiviti berpusatkan murid secara individu berlaku semasa
menjalani sesi soal jawab, penilaian lisan dan penilaian bertulis. Dapatan kajian
mendapati pelaksanaan aktiviti berpusatkan murid secara individu memberi peluang
kepada murid untuk melibatkan diri secara optimum dalam aktiviti PdPc. Sehubungan
itu, pelaksanaan aktiviti berpusatkan murid secara individu mendorong pembelajaran
kendiri dan menjana idea sendiri bagi menggalakkan perkembangan mental secara
lebih matang. Hal ini demikian kerana murid mempelajari dan memperoleh
pengetahuan, kemahiran serta nilai sesuatu ilmu dengan berdikari. Dapatan ini senada
dengan pendapat Yazici (2004) bahawa aktiviti berpusatkan murid secara individu
membolehkan murid berdikari dan memperoleh pemahaman yang lebih luas. Hasil
kajian yang sama turut terdapat dalam dapatan kajian Alizah Lambri (2016) dan
Zamri (2014) bahawa perbincangan secara berpasangan menggalakkan murid
memperoleh lebih banyak idea, berkongsi maklumat, bekerjasama serta mengeratkan
hubungan sesama rakan.

331

Seterusnya, bagi aktiviti berpusatkan murid secara berpasangan, hasil kajian
mendapati murid melakukan aktiviti seperti perbincangan, projek, simulasi,
melengkapkan ayat, membina ayat dan sebagainya. Dapatan kajian mendapati aktiviti
perbincangan secara berpasangan memberi peluang kepada murid untuk melakukan
penerokaan dan kajian dengan lebih mendalam tentang sesuatu isu atau kemahiran
yang diajar. Perbincangan secara berpasangan pula menggalakkan perkongsian ilmu
yang lebih mampan antara kedua-dua rakan. Hal ini demikian kerana hasil kolaborasi
antara kedua-dua pasangan memudahkan tindakan membuat keputusan.

Dapatan kajian ini sealiran dengan dapatan kajian Schunk (2004), serta Cottell
dan Millis (1993) bahawa teknik perbincangan secara berpasukan dapat membantu
murid dalam pembelajaran di samping meningkatkan motivasi murid. Dapatan kajian
ini juga menyokong dapatan kajian Singaran, Dolmans, Lachman dan Vander Vleuten
(2008) bahawa pembelajaran dalam kumpulan kecil dapat menyelesaikan masalah
halangan budaya dan memupuk perpaduan dalam kalangan etnik di samping
meningkatkan pembelajaran kolaboratif dalam kalangan murid pelbagai latar belakang
budaya. Pernyataan yang dikemukakan oleh Lachman dan Vander Vleuten (2008) ini
amat serasi dengan senario pendidikan negara pada masa kini.

Selanjutnya, bagi aktiviti berpusatkan murid secara berkumpulan, murid
melakukan tugasan seperti aktiviti penyelesaian masalah, sumbang saran, simulasi,
melengkapkan cerita, aktiviti berasaskan projek, dan sebagainya yang berkaitan
dengan aktiviti pembelajaran koperatif. Dalam kajian ini, pelaksanaan aktiviti
berpusatkan murid secara berkumpulan didapati menggalakkan murid belajar secara
koperatif dan kolaboratif. Dapatan kajian ini menyokong pandangan yang
dikemukakan oleh Kagan (1994), Slavin (1994), dan Alizah Lambri (2016), iaitu
pembelajaran kolaboratif merujuk kepada PdPc yang menggalakkan murid bekerja
secara berkumpulan untuk menyelesaikan atau meneroka persoalan yang diajukan.

Dalam kajian ini, pembelajaran koperatif berlaku apabila guru-guru didapati
memberikan tugasan menyelesaikan masalah untuk dibincangkan dalam kumpulan.
Sementara itu, guru-guru bertindak sebagai pemerhati, pemantau dan pembimbing.
Dapatan kajian ini sealiran dengan kenyataan Mok Soon Sang (2008) dan Slavin
(1984, 1994) bahawa strategi pemusatan murid adalah murid memainkan peranan

332

penting dalam proses pembelajaran dan guru haruslah bersikap sebagai seorang
pemimpin yang membimbing dalam menjalankan aktiviti pembelajaran secara
kumpulan atau individu dengan mengambil kira perbezaan pelajar dari segi umur, saiz
badan, kematangan, pengalaman, minat, pengetahuan sedia ada, dan tahap
persekolahan.

Dapatan kajian ini juga mendapati bahawa aktiviti berpusatkan murid secara
berkumpulan memberi kefahaman yang lebih mudah kerana melibatkan aktiviti
pembelajaran koperatif yang bercorak pembelajaran abad ke-21 seperti aktiviti hands
on. Dalam kajian ini, murid kelihatan memberi respons yang positif apabila
melakukan aktiviti perbincangan secara berkumpulan. Dapatan kajian ini memihak
kepada hasil kajian Mimi Mohaffyza, Md. Nazaruddin Sarji dan Masitah (2008) yang
memberi fokus kepada strategi PdPc koperatif. Menurut Mimi Mohaffyza et al.
(2008), murid menerima kaedah pengajaran koperatif sebagai pendekatan pengajaran
berdasarkan minat yang tinggi ditunjukkan dalam kumpulan.

Seterusnya, Hampton dan Grudnitski (1996) pula merumuskan bahawa
pembelajaran koperatif meningkatkan kemahiran murid menyelesaikan masalah,
memupuk kemahiran komunikasi dan mengoptimumkan pencapaian murid. Dapatan
kajian ini turut menyokong dapatan kajian Zamri Mahamod (2012, 2014), Maimun
Aqsha Lubis et.al. (2007) bahawa kaedah mengajar yang berpusatkan aktiviti murid
mampu meningkatkan pencapaian murid hasil daripada pengalaman terus yang secara
tidak langsung meningkatkan daya ingatan pelajar. Walau bagaimanapun, dapatan ini
bertentangan dengan dapatan kajian Lancaster dan Strand (2001), serta Kunkel dan
Shafer (1997). Dapatan kajian melaporkan bahawa tiada perbezaan yang ketara antara
pencapaian bagi persekitaran kerja berpasukan dengan yang tidak berpasukan.

Berdasarkan perbincangan tersebut, dapat dirumuskan bahawa amalan PdPc
Bahasa Melayu melalui KP memberi pengetahuan yang lebih kukuh berkaitan
pelaksanaan aktiviti berpusatkan murid. Aktiviti berpusatkan murid didapati sesuai
dipraktikkan dalam PdPc guru Bahasa Melayu memandangkan corak pembelajaran
abad ke-21 menekankan aktiviti berpusatkan murid dan pembelajaran koperatif.
Ternyata, aktiviti berpusatkan murid melalui pembelajaran koperatif sama ada secara
individu, berpasangan atau berkumpulan mampu mewujudkan kreativiti, motivasi, dan

333

kolaborasi dalam kalangan murid. Secara tidak langsung, kreativiti mereka meningkat
dan mendorong mereka untuk terus belajar bahasa (Saemah Rahman & Zamri
Mahamod 2016, 2017).

ii. Kepelbagaian aktiviti pembelajaran dan pemudahcaraan

Kepelbagaian aktiviti dalam PdPc Bahasa Melayu merupakan suatu unsur yang
penting kerana aktiviti PdPc yang pelbagai berupaya menjadi daya tarikan murid
terhadap pelajaran yang disampaikan. Dalam kajian ini, dapatan temu bual bersama
peserta kajian melaporkan bahawa aktiviti PdPc haruslah sesuai, menarik dan pelbagai
bagi mengelakkan murid mengalami situasi PdPc yang membosankan dan akhirnya
hilang fokus terhadap pelajaran. Kepelbagaian aktiviti PdPc dalam dapatan kajian ini
menyokong strategi pembelajaran abad ke-21.

Menurut Zamri Mahamod (2011, 2016b), strategi pembelajaran abad ke-21
sebagai suatu bentuk pembelajaran yang memerlukan guru menguasai isi kandungan
dan menghasilkan, mensintesiskan, iaitu penyatuan atau penggabungan, dan menilai
maklumat daripada pelbagai mata pelajaran dan sumber yang luas dengan memahami
dan menghormati budaya yang berbeza. Dalam kajian ini, strategi pembelajaran abad
ke-21 merujuk kepada beberapa kompetensi teras, iaitu koperatif dan kolaboratif,
celik digital, kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah, kontekstual, kajian masa
depan dan konstruktivisme.

Dalam kajian ini, penggunaan strategi pembelajaran koperatif dan kolaboratif
melibatkan aktiviti perbincangan dalam kumpulan. Pelaksanaan strategi tersebut
bertujuan menggalakkan kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah dalam
kalangan murid. Aktiviti perbincangan dilakukan secara kontekstual antara kumpulan
berpasangan atau berpasukan. Strategi pembelajaran secara berpasangan atau
berpasukan melibatkan kebolehan murid-murid untuk bekerjasama dengan rakan-
rakan dalam kumpulan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosiobudaya
untuk mencapai matlamat yang sama. Dapatan kajian menunjukkan murid
menunjukkan sikap positif terhadap aktiviti pembelajaran koperatif dan kolaboratif.

Dapatan kajian ini menyokong kajian Mohd Zulkiflie (2005) bahawa tahap
penguasaan kemahiran bekerja secara berpasukan dalam kalangan peserta kajian

334

dalam kajian beliau berada pada tahap yang tinggi. Seterusnya, dapatan kajian Alizah
Lambri (2016) melaporkan pembelajaran yang memerlukan para pelajar bekerja
secara berpasukan dilihat lebih baik, menyeronokkan, meningkatkan motivasi dan
menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah
dalam tugasan.

Berdasarkan pemerhatian, antara aktiviti yang dilaksanakan bagi mencapai
strategi tersebut adalah seperti Teknik Kumpulan Membantu Individu, Tiga Sesat Satu
Tinggal, Fikir-Berpasangan-Berkongsi, Gallery Walk, Ralley Robin, Pertandingan-
Permainan-Berpasukan, Teknik Pembelajaran Bersama, dan sebagainya. Aktiviti
tersebut menggalakkan murid belajar secara koperatif dan kolaboratif. Dapatan kajian
ini menyokong beberapa pendapat yang diutarakan oleh beberapa pengkaji terdahulu
seperti kajian Zalhisham Abdul Ghaizi dan Norul Haida Reduzan (2013), serta Zamri
Mahamod dan Magdeline Nor (2012). Dapatan kajian melaporkan pengajaran bahasa
menjadi lebih berkesan apabila guru mampu menggunakan pelbagai kaedah dan
teknik yang telah disarankan dalam bidang pengajaran bahasa. Dalam hal ini, guru
perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik PdPc yang melibatkan strategi pembelajaran
koperatif dan kolaboratif dalam PdPc Bahasa Melayu bagi menggalakkan hubungan
dan kerjasama yang erat dalam kalangan murid untuk mencapai kesepakatan ilmu.

Seterusnya, dapatan kajian mengenal pasti keupayaan guru Bahasa Melayu
mengendalikan PdPc Bahasa Melayu berasaskan teknologi maklumat dapat
meletakkan guru sebagai celik digital. Dalam kajian ini, penyampaian PdPc
berbantukan LCD dan komputer riba didapati menyokong pengajaran guru dalam
pembelajaran menulis karangan. Dengan bantuan alat-alat tersebut, guru
mempamerkan atau menayangkan pelbagai jenis bahan bergambar atau video sebagai
bahan rangsangan kepada murid. Bahan tersebut didapati merangsang pemikiran
murid untuk menjayakan aktiviti pembelajaran seperti jelajah pembelajaran, Three
Stray One Stay, Six Thinking Hat De Bono, dan Think Pair Share.

Kecekapan guru mengendalikan PdPc Bahasa Melayu berasaskan TMK dalam
kajian ini didapati menyokong rangka kerja yang dibina oleh Koehler dan Mishra
(2008) yang dikenali sebagai TPACK. Rangka kerja tersebut menghubungkaitkan tiga
jenis pengetahuan yang harus dikuasai oleh setiap guru, iaitu pengetahuan teknologi,

335

pengetahuan pedagogi dan pengetahuan kandungan. Dalam kajian ini, guru Bahasa
Melayu didapati mengintegrasikan pengetahuan teknologi ke dalam kurikulum secara
kreatif atau berstruktur berdasarkan tajuk yang hendak diajar dalam konteks sebuah
bilik darjah secara khusus.

Selain strategi pembelajaran koperatif, beberapa pendekatan konvensional
masih lagi dikesan dalam kajian ini. Berdasarkan pemerhatian, aktiviti tersebut
dilakukan hanya apabila guru menyampaikan pengajaran secara kelas. Pengajaran
secara kelas dikendalikan untuk memberi fokus kepada pengajaran lisan sahaja.
Pengajaran lisan berlaku dalam PdPc guru pada peringkat perkembangan, iaitu
penerangan dan penerokaan. Pada peringkat ini, aktiviti lisan menjurus kepada aktiviti
simulasi, demonstrasi atau tunjuk cara, penerangan konsep dan fakta serta aktiviti
penyoalan secara lisan. Melalui pemerhatian juga, pendekatan konvensional
dilaksanakan bertujuan menyampaikan maklumat dan arahan yang ringkas sahaja.

Dapatan kajian ini berbeza dengan dapatan kajian Abdul Rasid Jamian et al.
(2015), Rozita Radhiah Said dan Abdul Rasid Jamian (2012) serta Magdeline Nor
2014). Dalam kajian tersebut, guru didapati tidak berupaya mengelakkan diri daripada
menggunakan pendekatan konvensional akibat pengaruh daripada saiz kelas dan
persekitaran bilik darjah. Bilangan bilik darjah yang terhad gagal menampung
bilangan murid yang ramai. Keadaan tersebut menyukarkan pelaksanaan aktiviti PdPc
seperti mengehadkan pergerakan aktiviti dan susun atur bilik darjah, kebisingan dan
kekangan masa. Akhirnya, guru terpaksa kembali kepada kaedah pembelajaran
konvensional.

Seterusnya, dapatan kajian mendapati kepelbagaian aktiviti menggalakkan
kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid. Dalam kajian ini, guru didapati memberi
tumpuan dan perhatian terhadap keberhasilan kerja murid. Berdasarkan pemerhatian,
kepelbagaian aktiviti PdPc seperti Three Stray One Stay, Gallery Walk, dan Six
Thinking Hats De Bono telah memberi peluang kepada murid-murid untuk melakar
pemikiran kreatif dan kritis. Guru juga didapati memberi pengiktirafan dan
penghargaan terhadap hasil kerja murid yang mempunyai kreativiti dan menepati
arahan tugasan kumpulan. Pelaksanaan aktiviti tersebut mewujudkan persaingan yang
tinggi antara murid-murid dalam kumpulan. Menurut Noraini Idris (2010), dan

336

Saemah Rahman dan Zamri Mahamod (2016), bagi menggalakkan kreativiti dan
inovasi, murid lebih bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan
memandangkan murid mempunyai matlamat yang sama untuk dicapai pada akhir sesi
pembelajaran.

Selain itu, dalam usaha mempelbagaikan aktiviti PdPc, dapatan kajian turut
mengesan bahawa aktiviti pengajaran yang dipelbagaikan perlu mengambil kira tahap
kebolehan atau kecenderungan murid. Pemilihan aktiviti yang disesuaikan dengan
tahap keupayaan murid menggalakkan penglibatan murid secara menyeluruh dalam
PdPc Bahasa Melayu. Dalam kajian ini, guru didapati menggalakkan penyertaan
semua murid dengan melaksanakan aktiviti PdPc seperti Teknik Susun, Suai dan
Padan, Teknik Meja Bulat, Teknik Bermain serta Teknik Padankan Saya. Berdasarkan
pemerhatian, ternyata aktiviti tersebut sesuai untuk murid yang memiliki tahap
keupayaan yang sederhana dan lemah. Dalam hal ini, guru seharusnya berupaya
mewujudkan suasana pembelajaran yang bermakna, berkesan serta dapat
meningkatkan minat murid melalui keseronokan belajar dengan mengendalikan
kepelbagaian aktiviti PdPc seperti aktiviti yang melibatkan unsur-unsur permainan
(Zamri et al. 2015; BPG 2009c).

Secara keseluruhan, kepelbagaian aktiviti yang bercorak PdPc abad ke-21
dalam dapatan kajian ini merumuskan bahawa bentuk pembelajaran pada zaman ini
memerlukan keazaman dan iltizam yang tinggi setiap guru Bahasa Melayu untuk
mempelbagaikan aktiviti dalam PdPc. Kaedah PdPc yang menarik dan berkesan tidak
perlu dipelajari secara formal jika guru mempunyai kesungguhan dan minat yang
tinggi untuk mengubah kaedah pengajaran serta bersedia untuk menambah baik kualiti
pengajaran sedia ada. Menurut Syed Mohamad Syed Abdullah (2010), minat dan
motivasi berperanan menentukan hala tuju dan matlamat seseorang. Ringkasnya,
dapatan kajian menyimpulkan bahawa tiada halangan bagi seseorang guru Bahasa
Melayu untuk mewujudkan aktiviti PdPc yang pelbagai jika pengajaran yang
dilakukan adalah lahir daripada hati.

iii. Mewujud interaksi pelbagai hala

Salah satu daripada manfaat pelaksanaan pengajaran berasaskan aktiviti ialah
mewujudkan interaksi pelbagai hala dalam PdPc Bahasa Melayu. Dalam kajian ini,


Click to View FlipBook Version