87
tujuan kajian, dirancang dengan rapi, diperiksa dengan teliti, direkod secara sistematik
serta dikawal kesahan dan kebolehpercayaannya.
Menurut Othman Lebar (2006), pemerhatian dalam kajian kualitatif lazimnya
adalah berbentuk tidak campur tangan. Hal ini bermaksud pemerhati tidak
menggunakan atau tidak merangsang subjek, sebaliknya pemerhati hanya mengikut
urutan peristiwa yang diperhatikan. Bagi Mohd Majid Konting (2009) pula, kaedah
pemerhatian tidak turut serta bermaksud pengkaji berfungsi sebagai pemerhati tanpa
mencampuri tingkah laku subjek. Subjek atau peserta kajian bebas melakukan tingkah
lakunya tanpa gangguan secara langsung oleh pengkaji. Menurut Mohd Majid
Konting (2005), kaedah pemerhatian memerlukan penyelidik hanya memerhati,
mendengar dan mencatatkan segala maklumat yang diperoleh. Seterusnya, Alizah
Lambri (2016) pula mengatakan bahawa kaedah kajian mempunyai nilai yang lebih
tinggi sekiranya pemerhatian dilakukan secara objektif.
Menurut Loo Sai Huat dan Sulaiman Seth (2003), dalam kaedah pemerhatian
peranan penyelidik boleh dibahagi kepada tiga kategori, iaitu peserta penuh,
pemerhati penuh, dan pemerhati ikut serta (Ghaziah Mohd Ghazali & Nabilah
Abdullah 2010). Setelah mengambil kira pernyataan Othman Lebar (2006), Mohd
Majid Konting (2005), Alizah Lambri (2016), serta Loo Sai Huat dan Sulaiman Seth
(2003), maka dalam kajian ini pengkaji berperanan sebagai pemerhati penuh. Sebagai
pemerhati penuh, pengkaji tidak terlibat langsung dengan aktiviti PdPc yang
dijalankan oleh peserta kajian sepanjang lima kitaran KP berlangsung. Pengkaji
memerhatikan semua proses, tindakan dan amalan PdPc Bahasa Melayu yang berlaku
sepanjang lima kitaran KP tanpa sebarang gangguan daripada pengkaji. Pengkaji
memerhati dari belakang kelas sambil merekod semua aktiviti yang berlaku, manakala
semua laporan dibuat dari perspektif sebagai orang luar.
Dalam kajian ini, pengkaji telah mengambil tempoh yang agak lama untuk
menjalankan pemerhatian di lapangan. Tempoh pemerhatian yang dijalankan
mengambil masa lebih kurang enam bulan. Sepanjang tempoh pelaksanaan kajian ini,
pengkaji telah meluangkan masa untuk menjalankan pemerhatian sekurang-kurang 10
kali untuk setiap peserta kajian di lapangan. Hal ini bermakna pengkaji berjaya
menjalankan pemerhatian sebanyak 120 kali secara keseluruhannya. Jadi, berada di
88
lapangan dalam tempoh masa yang agak lama beserta dengan bilangan pemerhatian
yang kerap dapat meningkatkan kualiti data serta pengkaji berpeluang mengulangi
pemerhatian terhadap fenomena yang dikaji dengan lebih terperinci, meyakinkan dan
lebih mantap untuk membentuk kesahan dalam kajian.
Menurut Creswell (2008), berada di lapangan dalam tempoh yang lama dapat
meningkatkan kualiti data. Bagi Othman Lebar (2006) pula, berada di lapangan dalam
tempoh yang lama bermaksud pengkaji berhubung dengan peserta kajian dalam
tempoh yang lama. Oleh itu, keadaan tersebut memberi peluang kepada pengkaji
untuk mengadakan pemerhatian berulang kali, membina kepercayaan dan
mewujudkan rapport dengan peserta kajian supaya peserta kajian bersedia untuk
memberi maklumat dengan selesa.
3.3.3 Kaedah Analisis Dokumen
Analisis dokumen dalam kajian ini melibatkan bahan bercetak guru seperti Buku
Rekod Mengajar (BRM), Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT), Rancangan Pelajaran
Harian (RPH), Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) BM
Tingkatan 1 – Tingkatan 5, buku latihan murid, fail laporan refleksi KP, fail minit
mesyuarat panitia, perancangan strategik peningkatan akademik sekolah, takwim
sekolah dan takwim panitia. Dokumen tersebut dikaji, disemak, dan dianalisis
menggunakan borang senarai semak yang disediakan.
Seterusnya, maklumat yang diperoleh daripada analisis dokumen disesuaikan
dengan dapatan temu bual dan pemerhatian untuk mencari kesepadanan dan ketekalan
maklumat berhubung dengan isu atau fenomena kajian (Magdeline Nor 2014).
Maklumat analisis dokumen ini dilaporkan dalam bentuk laporan sebagai rujukan
kajian ini. Menurut Sabitha Marican (2005), pengumpulan maklumat analisis
dokumen membolehkan pengkaji menambah, membanding dan memperkukuhkan
data yang diperoleh melalui temu bual dan pemerhatian yang dijalankan (Kamarul
Azmi Jasmi 2010). Menurut Bryman dan Bell (2007), serta Bryman (2008), kelebihan
menggunakan kaedah analisis dokumen adalah kaedah tersebut membenarkan
pengkaji menganalisis nilai dan mengesan ‘apa’ yang dapat diperoleh daripada
sesuatu dokumen yang dianalisis.
89
Dalam kajian ini, analisis dokumen terhadap BRM, RPT, RPH, SP dan HSP
bertujuan untuk pengesahan maklumat dan data kajian yang diperoleh melalui sesi
temu bual dan pemerhatian. Hasil analisis dokumen meningkatkan kefahaman
pengkaji berkaitan fenomena yang dikaji dan seterusnya membolehkan pengkaji
membuat kesimpulan untuk menyediakan pandangan berkaitan dapatan kajian yang
baharu. Penggunaan pendekatan ini adalah bersandarkan penyataan Krippendorff
(2004), serta White dan Marsh (2006). Menurut Krippendorff (2004), serta White dan
Marsh (2006), kaedah analisis dokumen dianggap sebagai kaedah kajian yang berguna
bagi membuat kesimpulan yang boleh diulang dan sah daripada teks bagi konteks
yang digunakan. Analisis dokumen adalah alat saintifik yang melibatkan prosedur
khusus bertujuan menyedia pandangan baharu, meningkat kefahaman pengkaji
berkaitan fenomena tertentu atau menjelaskan tindakan yang praktikal.
Kesimpulannya, kaedah analisis dokumen adalah pilihan terbaik untuk
mengumpul dan menganalisis data bagi persekitaran yang sukar untuk dicapai
(sensitif) seperti yang dilakukan dalam kajian ini (Bryman & Bell 2007; Bryman
2008). Berdasarkan kelebihan pendekatan kaedah analisis dokumen, maka tidak
hairan jika kaedah tersebut kerap digunakan oleh pengkaji lain dalam bidang kajian
kualitatif. Antara pengkaji yang mengadaptasi teknik ini ialah Henrici (2004),
Koufogiannakis, Booth dan Brettle (2006), Maxwell (2004), Arnold dan Lawn (2007),
serta Lei Zhang (2007).
3.4 LOKASI KAJIAN
Lokasi kajian terpilih daripada enam buah sekolah menengah di Sarawak melalui
pensampelan bertujuan (Patton 2002). Sekolah yang menjadi pilihan melibatkan
pelbagai lokasi kerana latar belakang sekolah yang berbeza membolehkan pengkaji
melihat amalan pengajaran guru berasaskan pendekatan KP dalam situasi yang
berbeza juga (Ahmad Zabidi 2006). Pengkaji berhasrat untuk memilih lokasi kajian
ini memandangkan sekolah kajian merupakan antara sekolah yang menunjukkan
prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan awam PT3 dan SPM secara tekal dalam
tempoh dua tahun belakangan, iaitu tahun 2013-2014 (JPNS 2015). Berikut dijelaskan
rasional pemilihan lokasi kajian bagi menjalankan kajian amalan PdPc Bahasa Melayu
melalui pendekatan KP dalam kajian ini.
90
3.4.1 Justifikasi Pemilihan Lokasi Kajian
Faktor utama yang menyokong pengkaji memilih lokasi kajian ini adalah atas
pertimbangan diri pengkaji setelah mengambil kira beberapa kriteria, iaitu (a) prestasi
sekolah, (b) memenuhi kriteria tujuan kajian, (c) faktor geografi, dan (d) kerjasama
pihak sekolah. Berikut merupakan huraian lanjut tentang rasional pemilihan lokasi
kajian berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan dalam kajian ini.
a. Prestasi sekolah
Salah satu faktor yang mendorong sekolah terpilih sebagai lokasi kajian adalah
berdasarkan kedudukan sekolah yang berprestasi cemerlang dalam peperiksaan awam
PT3 dan SPM (JPNS 2015). Melalui proses penyenaraian dan pemberian tingkat
kedudukan sekolah oleh KPM, enam sekolah yang dikaji berada pada Band 1 dan
Band 2 sejak tahun 2014 (JPNS 2015). Ini bermakna, pencapaian murid di lokasi
kajian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan sesuatu yang boleh
dibanggakan apabila kedudukan band bagi sekolah yang dikaji adalah tekal pada
setiap tahun. Oleh itu, berdasarkan pencapaian yang diperoleh dalam peperiksaan
awam dalam tempoh tersebut, maka pengkaji berpandangan bahawa kajian yang
terperinci perlu dilakukan untuk mengetahui fenomena yang berlaku di lokasi kajian.
b. Memenuhi kriteria tujuan kajian
Di bawah inisiatif KPM untuk memastikan kelestarian kualiti guru, sekolah di lokasi
kajian didapati menyambut baik saranan tersebut dengan melaksanakan KP sebagai
program PPB sekolah, selain strategi KPP seperti Jejak Pembelajaran, Pembimbing
Rakan Sebaya, dan lain-lain. Sebagai usaha menjayakan pendekatan tersebut, sekolah
kajian didapati mempunyai jawatan kuasa tersendiri bagi memastikan program PPB
sekolah berdasarkan strategi KPP berjalan dengan lancar serta memberi impak yang
besar kepada sekolah. Pengkaji juga difahamkan bahawa sekolah di lokasi kajian
menyediakan jadual khas untuk dipatuhi oleh semua guru bagi memudahkan proses
pelaksanaan KP.
Melalui sokongan padu daripada pihak pentadbir, guru di sekolah kajian
bergiat secara aktif untuk menjayakan pelaksanaan KP di bawah panitia masing-
91
masing. Pemilihan sekolah di lokasi kajian memudahkan pengkaji meneroka
maklumat tentang amalan PdPc Bahasa Melayu melalui KP dengan lebih terperinci.
c. Faktor geografi
Faktor pemilihan lokasi kajian oleh pengkaji dalam kajian ini turut dilakukan setelah
mengambil kira faktor geografi. Pemilihan lokasi kajian yang berhampiran dengan
tempat tinggal dan tempat bertugas membolehkan pengkaji mengumpul maklumat
kajian dengan lebih mudah. Faktor ini selaras dengan idea beberapa pengkaji
terdahulu seperti Taylor dan Bogdan (1984), Zamri Mahamod (2004) dan Alizah
Lambri (2016). Berdasarkan idea, lokasi kajian yang berhampiran dengan tempat
tinggal dan tempat bertugas memudahkan pengkaji untuk berinteraksi, membina
rapport, mengumpul maklumat serta menyesuaikan diri dengan rutin penyelidikan
terutamanya semasa sesi temu bual dan pemerhatian. Selain itu, sejajar dengan kaedah
penyelidikan kualitatif pelbagai lokasi, situasi ini memerlukan pengkaji berulang alik
dan berada lama di lapangan dengan mudah dan selamat di samping menjimatkan kos.
d. Kerjasama pihak sekolah
Selain beberapa kriteria yang telah dibincangkan, pengkaji turut mengambil kira aspek
kerjasama pihak sekolah semasa menentukan pilihan untuk lokasi kajian. Aspek ini
penting kerana tanpa kerjasama pihak sekolah, kajian di lokasi kajian sukar
dijalankan. Hal ini mempunyai perkaitan dengan pendapat Marshall dan Rossman
(1995), iaitu terdapat unsur accessibility dan permissions. Menurut Marshall dan
Rossman (1995), kerjasama amat penting bagi memastikan pengkaji mudah mendapat
kebenaran, memperoleh sampel atau peserta kajian, sokongan dan pengurusan
kewangan. Oleh itu, dalam kajian ini pengkaji mengambil kira aspek kerjasama pihak
sekolah untuk melancarkan sesuatu proses penyelidikan di lokasi kajian.
Berdasarkan ulasan dan pendapat para pengkaji terdahulu, kriteria pemilihan
lokasi kajian membantu dan mengukuhkan keyakinan pengkaji untuk memilih lokasi
kajian. Oleh itu, enam buah sekolah di lokasi kajian yang terpilih adalah memenuhi
kriteria pemilihan lokasi kajian yang telah ditetapkan oleh pengkaji. Enam buah
sekolah kajian merupakan lokasi yang sesuai dan bertepatan dengan tujuan kajian
yang dijalankan, iaitu amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP.
92
3.5 POPULASI DAN PENSAMPELAN
Populasi kajian ini terdiri daripada semua guru Bahasa Melayu yang mengajar Bahasa
Melayu di seluruh sekolah menengah di Sarawak. Berdasarkan Unit Data di Jabatan
Pendidikan Negeri Sarawak, terdapat 190 buah sekolah menengah di Sarawak, iaitu
merangkumi SMK, SMK Agama, SM Teknik, SM Vokasional, SM Berasrama Penuh,
SM Agama (SABK) dan Sekolah Seni (JPNS 2014). Memandangkan kajian ini
bertujuan mengenal pasti amalan PdPc Bahasa Melayu oleh guru Bahasa Melayu
sekolah menengah melalui pendekatan KP, maka teknik pensampelan kajian ini
menggunakan teknik pensampelan Patton (2002), iaitu purposive sampling Technique
atau turut digelar sebagai judgment sampling oleh McMilan dan Schumacher (2006).
Bagi memastikan sekolah menengah yang dipilih memenuhi tujuan dan
objektif kajian, pengkaji terlebih dahulu mendapatkan senarai nama sekolah daripada
JPN Sarawak untuk memastikan sekolah kajian adalah sesuai dan menepati tujuan
kajian. Berpandukan senarai tersebut, pengkaji mengenal pasti prestasi akademik
sekolah berdasarkan pencapaian PT3 dan SPM termasuk band sekolah. Sekolah yang
terpilih adalah sekolah yang mempunyai prestasi akademik yang cemerlang dan
kedudukan sekolah adalah pada Band 1 dan Band 2 sahaja. Dalam kajian ini, enam
buah sekolah menengah yang dipilih adalah daripada sekolah menengah jenis SMK,
SMK Agama, dan SM Berasrama Penuh sahaja (JPNS 2015). Setiap sekolah diwakili
dua orang peserta kajian setelah melalui proses perakuan oleh pihak sekolah, serta
persetujuan daripada peserta kajian yang terlibat.
3.5.1 Justifikasi Pemilihan Teknik Pensampelan Bertujuan
Rasional pemilihan teknik pensampelan bertujuan adalah berdasarkan andaian Patton
(1990) bahawa purposive sampling technique melibatkan pertimbangan individu
untuk memilih sampel berdasarkan pengetahuan penyelidik dan tujuan khusus
penyelidikan yang ingin dijalankan. Pemilihan teknik ini amat menepati tujuan dan
objektif kajian, iaitu menyelidiki amalan pelaksanaan KP dalam PdPc Bahasa Melayu.
Tambahan pula, McMilan dan Schumacher (2001) menjelaskan bahawa pensampelan
bertujuan adalah direka untuk kumpulan yang mempunyai maklumat yang mendalam
mengenai topik yang ingin dikaji serta memenuhi ciri-ciri yang diperlukan termasuk
kesediaan peserta kajian untuk terlibat dalam kajian (Berg 1998).
93
Dalam kajian ini, seramai 12 orang peserta kajian dipilih berdasarkan teknik
pensampelan bertujuan (Patton 2002) bagi mengumpul data temu bual, pemerhatian
dan analisis dokumen tentang fenomena PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP.
Bilangan peserta kajian seramai 12 orang adalah memadai. Menurut Sabitha Marican
(2005), Kamarul Azmi Jasmi (2010), Alizah Lambri (2016) dan Noraini Idris (2010),
penekanan kajian kualitatif bukan kepada jumlah peserta kajian tetapi aplikasi
spesifikasi ciri amalan yang dilakukan oleh peserta kajian. Peserta kajian yang dipilih
juga sejajar dengan pendapat Marohaini Yusoff (2001), serta Jamila Mohamed Kutty,
Mohd Hanafi Mohd Yasin dan Rosadah Abdul Majid (2012).
Menurut pandangan Marohaini Yusoff (2001), bilangan peserta kajian yang
kecil adalah memadai untuk membolehkan penyelidik meneroka secara mendalam
fenomena yang ingin dikaji. Dalam kajian ini, pemilihan peserta kajian seramai 12
orang adalah memadai untuk menjalankan kajian kes kualitatif bagi meneroka secara
mendalam pelaksanaan pendekatan KP dalam PdPc mata pelajaran Bahasa Melayu.
Rajah 3.1 menunjukkan proses pemilihan teknik pensampelan dalam kajian ini.
Teknik Pensampelan Bertujuan (Patton 1990)
6 buah sekolah menengah di Sarawak)
2 Guru BM 2 Guru BM 2 Guru BM 2 Guru BM 2 Guru BM 2 Guru BM
SMK A SMK B SMK C SMK D SMK E SMK F
(baharu) (berpeng
alaman)
Data Sokongan
Data Utama
Temu bual Pemerhatian Dokumen
DAPATAN KAJIAN
Rajah 3.1 Proses pensampelan kajian
94
Berdasarkan Rajah 3.1, terdapat enam buah sekolah menengah telah dipilih
berdasarkan teknik pensampelan bertujuan Patton (2002). Setiap sekolah diwakili dua
peserta kajian yang memiliki opsyen Bahasa Melayu. Pengkaji dengan sengaja
memilih dua individu daripada setiap sekolah sebagai peserta kajian bagi
mendapatkan keseimbangan data dari segi pola data yang berulang untuk meneliti dan
memahami fenomena kajian yang sebenar. Menurut Yin (2003) dan Creswell (2007),
keseimbangan data penyelidikan kajian kes dalam konteks pelbagai lokasi boleh
menyumbang kebolehpercayaan dan kesahan reka bentuk sesuatu penyelidikan.
Dalam kajian ini, pemilihan dua peserta kajian daripada setiap sekolah kajian
pelbagai lokasi adalah berasaskan logik replikasi agar dapat menunjukkan pengkaji
tentang pola berulang yang boleh membawa kepada suatu kesimpulan yang mantap
tentang fenomena yang diselidiki (Noriah Mohd Ishak & Abu Yazid Abu Bakar
2010). Berdasarkan faedah dan kekuatan teknik pensampelan tersebut, maka tidak
hairan jika banyak pengkaji terdahulu seperti Tengku Zawawi (2005), Ahmad Yunus
dan Ab. Halim Tamuri (2010), Zamri Mahamod dan Magdeline Nor (2012), Dilek,
Ayse dan Behiye (2013), serta Noraini Idris (2010) menjalankan kajian kualitatif
kajian kes dengan memilih teknik pensampelan ini.
3.5.2 Ciri-ciri Peserta Kajian
Ciri-ciri peserta kajian yang dipilih untuk menjawab persoalan kajian adalah mengikut
kesesuaian tujuan kajian ini. Dalam kajian ini, semua peserta kajian yang dipilih
adalah berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang pernah dan sedang terlibat
dengan strategi KPP melalui KP di sekolah. Berdasarkan pengalaman dan
pengetahuan yang diperoleh, maka pengkaji menjangkakan peserta kajian dapat
memberi perkongsian amalan terbaik (best practices) tentang PdPc Bahasa Melayu
yang lebih berkesan.
Selain mempunyai opsyen Bahasa Melayu, ciri-ciri peserta kajian yang lain
dalam kajian ini adalah guru Bahasa Melayu yang mempunyai kepakaran, boleh
mewakili, sedia mengambil bahagian dan mudah dihubungi, boleh memberikan data
yang matang dan tepat, boleh memberikan maklumat yang paling banyak dan dapat
memberi gambaran yang paling tepat terhadap perkara yang ingin dikaji. Hal ini
95
selaras dengan saranan Creswell (2008) bagi memenuhi tujuan kajian dan menjawab
lima persoalan dalam kajian ini.
3.5.3 Syarat-syarat Pemilihan Peserta Kajian
Berdasarkan ciri-ciri peserta kajian yang telah ditetapkan, maka syarat pemilihan
peserta kajian dalam kajian ini perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga daripada
lima ciri-ciri yang berikut.
1. Guru Bahasa Melayu yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah
menengah kebangsaan yang mendapat prestasi tekal dalam peperiksaan awam
PMR/PT3 dan SPM sekurang-kurang tiga tahun belakangan.
2. Guru Bahasa Melayu yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah
menengah kebangsaan yang mengambil bahagian secara aktif dalam PdPc
Bahasa Melayu berasaskan pendekatan KP.
3. Guru Bahasa Melayu yang mempunyai kepakaran dalam KPP berasaskan
Strategi Perkongsian Amalan (De-Privatization of Practice) melalui kitaran
alat kolaboratif KP.
4. Guru Bahasa Melayu yang mempunyai pengalaman mengajar mata pelajaran
Bahasa Melayu sekurang-kurangnya lima tahun.
5. Guru Bahasa Melayu yang bersedia dari segi fizikal dan mental untuk
menyalur maklumat dalam kajian ini.
Berdasarkan profil peserta kajian, didapati sembilan daripada dua belas peserta
kajian yang telah dipilih dalam kajian ini memiliki semua ciri-ciri peserta kajian yang
telah ditetapkan. Seramai tiga lagi peserta kajian hanya memenuhi empat daripada
lima ciri-ciri peserta kajian. Hal ini demikian kerana ketiga-tiga peserta kajian
didapati mempunyai pengalaman mengajar yang kurang daripada lima tahun. Walau
bagaimanapun, semua peserta kajian telah memenuhi syarat pemilihan peserta kajian
yang telah ditetapkan dalam kajian ini. Ciri-ciri peserta kajian yang memenuhi syarat
pemilihan tersebut memudahkan pengkaji mengumpul maklumat dengan lebih tepat
dan terperinci tentang pelaksanaan pendekatan KP dalam PdPc mata pelajaran Bahasa
Melayu bagi memenuhi tujuan dan objektif kajian.
96
3.6 TEMPOH PELAKSANAAN KAJIAN
Dalam kajian kes kualitatif, masa untuk menamatkan kajian tidak dapat ditetapkan
secara spesifik. Sebaliknya tahap yang diambil kira ialah apabila pengkaji mencapai
data pada tahap tepu (point of saturation). Sementara itu, penglibatan pengkaji selaku
instrumen utama dalam kajian lapangan sebenar secara semula jadi, serta dalam
tempoh yang lama (prolong engagement) dapat membantu dalam memastikan kesahan
dan kebolehpercayaan data dan dapatan kajian. Menurut Merriam (2001), pemerhatian
jangka panjang di lapangan atau melakukan pemerhatian berulang-ulang terhadap
fenomena yang sama dapat meningkatkan kesahan dapatan kajian. Tempoh kajian
merujuk kepada batasan masa kajian sebenar dilaksanakan. Menurut Jefridin Pilus
(2011) pula, tempoh pelaksanaan kajian bermula pada hari pertama pengkaji
menjalankan kajian lapangan sehingga ke hari terakhir.
Bagi kajian ini, tempoh pelaksanaan kajian bermula pada hari pertama kajian
lapangan diadakan sehingga ke hari terakhir kajian dijalankan. Kajian dimulakan pada
awal bulan Januari sehingga lewat bulan September. Jadi secara keseluruhan, tempoh
pelaksanaan kajian ini mengambil masa selama lebih kurang sembilan bulan. Dalam
kajian ini, proses mengumpul data kajian bermula dengan sesi temu bual sebagai
sumber utama data kajian. Sesi temu bual bermula pada 19 Januari 2015 setelah
mendapat kepastian dan membina rapport bersama peserta kajian. Sesi temu bual
dilakukan berterusan sehingga 30 Januari 2015. Dalam kajian ini, sesi temu bual
dijalankan hanya sekali sahaja untuk setiap peserta kajian memandangkan bilangan
peserta kajian seramai 12 orang dalam kajian kualitatif ini telah dapat menyumbang
maklumat yang dikehendaki serta memenuhi keperluan kajian ini. Selain itu,
pemilihan teknik temu bual berstruktur dan tidak berstruktur membolehkan pengkaji
memperoleh data kajian secara mendalam dan teliti sehingga ke tahap tepu.
Seterusnya, setelah selesai menjalankan temu bual kepada semua peserta
kajian, proses kutipan data di lapangan diteruskan dengan sesi pemerhatian
berdasarkan lima proses kitaran dalam pendekatan KP. Sesi pemerhatian dilakukan
dengan memberi fokus kepada maklumat temu bual bersama peserta kajian. Sesi
pemerhatian bermula pada 16 Mac 2015 dan berterusan sehingga penggal ke-2 sesi
persekolahan. Sesi pemerhatian kitaran KP tamat pada 9 September 2015. Sepanjang
97
tempoh pelaksanaan pemerhatian dalam kajian ini, pengkaji telah meluangkan masa
untuk menjalankan pemerhatian sekurang-kurangnya 10 kali untuk setiap peserta
kajian bagi melengkapkan dua kitaran KP. Ini bermakna, sesi pemerhatian formal
telah dijalankan sebanyak 120 kali secara keseluruhannya. Berada di lapangan dalam
tempoh masa yang agak lama serta menjalankan sesi pemerhatian dengan sekerap
mungkin dapat meningkatkan kualiti data kerana pengkaji berpeluang mengulangi
pemerhatian terhadap fenomena yang dikaji dengan lebih terperinci, meyakinkan dan
lebih mantap untuk membentuk kesahan data kajian.
Pada peringkat seterusnya, pengkaji melengkapkan data dan kerja-kerja
susulan selain menjalankan analisis dokumen terhadap RPH peserta kajian. Dalam
tempoh berkenaan, proses menyemak, menganalisis, membanding dan menyaring data
turut dilakukan bagi memastikan data yang digunakan dalam kajian adalah lebih
terpilih serta bertujuan untuk memperkukuhkan bukti bagi tema-tema yang ditemui.
Tempoh pelaksanaan kajian juga turut mengambil kira proses semakan transkrip temu
bual peserta kajian. Transkrip temu bual peserta kajian diserah kepada peserta kajian
untuk tujuan semakan. Proses ini dilakukan bagi membolehkan peserta kajian
menyemak kembali kesahihan data yang telah ditranskripsikan oleh pengkaji, selain
menokok atau menggugurkan maklumat yang tidak dikehendaki oleh peserta kajian.
Tempoh berada di lapangan berakhir pada 30 Oktober 2015 setelah peserta kajian
menandatangani dan mengembalikan semula borang semakan transkrip temu bual
kepada pengkaji sepenuhnya.
Sebelum pengkaji menjalankan kajian lapangan secara rasmi pada bulan
Januari, pengkaji telah pun mula berkunjung ke lokasi kajian pada bulan-bulan
sebelumnya. Tujuan awal kunjungan ke lokasi sebelum pelaksanaan kajian lapangan
sebenar adalah untuk membuat tinjauan bagi tujuan mendapatkan data asas yang
diperlukan selain membina rapport bersama peserta kajian. Kajian dimulakan pada
bulan Januari setelah mendapat persetujuan secara rasmi daripada peserta kajian untuk
terlibat sebagai peserta kajian. Dalam tempoh tersebut, pengkaji sentiasa berada
bersama peserta kajian di lokasi kajian. Menurut Marohaini Yusoff (2001),
pengutipan data kualitatif banyak melibatkan interaksi secara bersemuka dengan
peserta kajian selain pemupukan jalinan hubungan dan pemahaman tentang selok-
belok budaya sesuatu tempat.
98
3.7 TATACARA KAJIAN
Secara umumnya, kajian ini melibatkan empat komponen utama dalam institusi
pendidikan negara iaitu, Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM, sekolah-sekolah
menengah kebangsaan dan guru Bahasa Melayu. Penggunaan kepelbagaian kaedah
pengumpulan data dalam kajian kualitatif ini menyumbang data yang lebih dipercayai,
mewujudkan kesahan dan memberi gambaran secara mendalam tentang pelaksanaan
amalan PdPc Bahasa Melayu menggunakan pendekatan KP.
Sebelum kajian dapat dijalankan, beberapa langkah perlu diambil kira bagi
memastikan kelancaran proses pelaksanaannya. Prosedur yang dijalankan dalam
kajian ini adalah seperti memohon kebenaran daripada Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP) KPM untuk menjalankan kajian di sekolah-
sekolah menengah yang berkaitan (Lampiran A). Setelah mendapatkan kelulusan
daripada BPPDP, permohonan kebenaran menjalankan kajian seterusnya dimajukan
kepada JPN Sarawak untuk menjalankan kajian di sekolah-sekolah di negeri Sarawak
dengan menyertakan surat kelulusan daripada BPPDP. Setelah mendapatkan
kebenaran daripada JPN Sarawak (Lampiran B), permohonan kebenaran seterusnya
dihantar kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Seterusnya, pengkaji memohon kebenaran dan kerjasama daripada pengetua
sekolah berkenaan untuk mencalonkan guru bagi memenuhi tujuan dan objektif
kajian. Setelah mendapat kelulusan secara rasmi daripada semua pihak yang
berkenaan, pengkaji memulakan penyelidikan dengan menghubungi peserta kajian
untuk memperkenalkan diri. Proses ini penting bagi mewujudkan rapport yang baik
dan menerangkan secara terperinci tujuan kajian ini. Dalam kajian kualitatif, membina
hubungan yang mesra penting supaya dapat menyediakan peserta kajian daripada
aspek fizikal dan mental untuk menyalurkan maklumat seperti yang dikehendaki
dalam persoalan kajian.
Selanjutnya, peserta kajian juga dimaklumkan bahawa kajian ini memerlukan
rakaman temu bual, rakaman terhadap lima kitaran KP serta analisis dokumen rasmi
yang digunakan. Pengkaji meyakinkan semua peserta kajian bahawa semua maklumat
yang diperoleh berkaitan kajian ini adalah dianggap sulit dan dirahsiakan. Oleh itu,
99
surat kebenaran dan pengakuan penerimaan sebagai peserta kajian perlu
ditandatangani secara sukarela oleh peserta kajian (Lampiran C).
Bagi tujuan pengumpulan data secara temu bual dan pemerhatian, pengkaji
menyediakan persiapan sebelum pergi ke lapangan. Semua kelengkapan seperti alat
rakaman audio video dan keperluan lain seperti handy cam, MP3, tripod, alat tulis,
nota lapangan serta buku log disediakan dengan lengkap untuk digunakan sepanjang
kajian di lapangan. Nota lapangan juga disediakan sebagai persediaan untuk
mengesahkan data temu bual dan pemerhatian. Bagi analisis dokumen pula, data
kajian yang diperoleh melalui analisis Buku Rekod Mengajar Guru terhadap RPH
guru membolehkan pengkaji menambah, membanding memperkukuh dan
melengkapkan data pemerhatian dan temu bual yang dijalankan (Yin 2003, 2009).
3.8 KESAHAN DAN KEBOLEHPERCAYAAN DATA
Kesahan dan kebolehpercayaan merupakan unsur yang sangat penting dalam
penyelidikan kualitatif untuk menentukan kesesuaian dan kebolehgunaan sesuatu
maklumat dalam penyelidikan (Kamarul Azmi Jasmi 2010). Menurut Maxwell (1996),
kesahan kajian kualitatif merujuk kepada sejauh mana dapatan kajian dapat
menggambarkan fenomena yang dikaji atau diterokai itu tepat dan tekal (Othman
Lebar 2006). Bagi kebolehpercayaan pula, Wiersma (2000) menjelaskan bahawa
kebolehpercayaan merujuk pada konsistensi data yang dikumpul melalui proses
pemungutan data yang berterusan dengan pelbagai cara. Oleh itu, dalam kajian
kualitatif, kesahan dan kebolehpercayaan merupakan dua perkara yang sangat penting
untuk memastikan kajian yang dijalankan adalah sah dan boleh dipercayai.
Setelah menilai dan mengamati beberapa pendapat tersebut, maka kesahan dan
kebolehpercayaan data dilakukan terhadap kajian kualitatif ini untuk mengukuhkan
dapatan kajian. Dalam kajian ini, proses kesahan dan kebolehpercayaan data kajian
diperoleh serta dinilai melalui beberapa kaedah, iaitu (a) proses pengesahan pakar, (b)
kajian rintis, (c) triangulasi data, (d) penilaian rakan (peer review), (e) jejak audit, (f)
catatan nota lapangan, dan (g) penerangan dapatan kajian secara terperinci. Berikut
adalah huraian lanjut bagi setiap kaedah tersebut.
100
3.8.1 Indeks Persetujuan Koefisian Cohen Kappa
Dalam kajian ini, analisis Cohen Kappa digunakan bagi menentukan sejauh mana
ketepatan unit-unit analisis dipilih dapat menggambarkan tema-tema yang timbul
daripada data temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen, serta menjurus kepada
persoalan yang hendak dikaji. Analisis indeks Cohen Kappa dalam kajian ini juga
adalah untuk mendapatkan darjah persetujuan daripada inter-rater terhadap unit
analisis tema yang dikaji. Menurut Cohen dan Manion (1989), persetujuan panel pakar
terhadap tema yang dibina penting kerana pakar merupakan interrater agreement
measurement, iaitu orang luar yang melakukan pengesahan tema yang dibina oleh
pengkaji (Kamarul Azmi Jasmi 2010). Maka, indeks persetujuan koefisien kajian ini
bertujuan untuk menentukan kebolehpercayaan data kualitatif dengan mencari darjah
persetujuan antara pakar penilai (Cohen 2002; Zamri Mahamod 2004).
Bagi mendapatkan pengesahan pakar penilai kajian ini, indeks persetujuan
Cohen Kappa dilaksanakan setelah selesai proses penganalisisan semua data temu
bual, data pemerhatian, dan data analisis temu bual. Proses ini berlaku dengan
memadankan unit daripada data temu bual dengan tema yang dominan. Dalam situasi
ini, pengkaji mendapatkan khidmat pakar analisis kualitatif untuk menentukan Indeks
Cohen Kappa dengan mengedar satu set borang persetujuan pakar terhadap tema-tema
yang dibina. Menurut Cohen dan Manion (1989), persetujuan panel pakar terhadap
tema yang dibina penting kerana pakar merupakan interrater agreement measurement,
iaitu orang luar yang melakukan pengesahan tema yang dibina oleh pengkaji
Seterusnya, bagi menentukan tahap indeks persetujuan koefisien Cohen Kappa
kajian ini, pengkaji menggunakan nilai yang disyorkan oleh Landis dan Kosh (1977).
Menurut Landis dan Koch (1977), suatu kajian kes harus mematuhi ujian kesahan dan
kebolehpercayaan reka bentuk agar menjadi suatu penyelidikan yang baik. Seyogia,
Landis dan Kosh (1977) mencadangkan cara pengiraan persetujuan menggunakan
skala Cohen Kappa. Zamri Mahamod (2004) turut menjelaskan bahawa telah wujud
kepekaan dalam kalangan pengkaji kualitatif tempatan untuk menilai
kebolehpercayaan data kualitatif berdasarkan indeks koefisien Cohen Kappa. Oleh itu,
penggunaan indeks persetujuan koefisien Cohen Kappa dalam kajian ini dipercayai
dapat mengukuhkan kesahan dan kebolehpercayaan data dalam kajian ini.
101
Menurut Landis dan Koch (1977), nilai koefisien Cohen Kappa yang melebihi
0.75 adalah persetujuan terbaik ke atas 50 peratus jangkaan persetujuan, manakala
nilai koefisien Cohen Kappa 0.40 hingga 0.75 menunjukkan nilai sederhana ke atas
peratus jangkaan persetujuan. Sementara itu, nilai koefisien Cohen Kappa 0.40 dan ke
bawah adalah lemah kerana berada di bawah 50 peratus jangkaan persetujuan (Noraini
Omar 2015). Jadual 3.1 menunjukkan skala interpretasi koefisien Cohen Kappa yang
digunakan dalam kajian ini.
Jadual 3.1 Skala persetujuan Cohen Kappa
Nilai Kappa Skala Persetujuan
Sangat lemah
Bawah 0.00 Lemah
0.00 – 0.20
0.21 – 0.40 Sederhana lemah
0.41 – 0.60 Sederhana
0.61 – 0.80 Baik
0.81 – 1.00 Sangat baik
Sumber: Landis dan Kosh (1977)
Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan nilai Cohen Kappa melebih 0.75
seperti yang dicadangkan oleh Landis dan Koch (1977). Nilai tersebut juga digunakan
oleh para pengkaji tempatan seperti Zamri Mahamod (2004), Kamarul Azmi Jasmi
(2010), Ahmad Yunus (2011), Nor Foniza Maidin (2012), serta Noraini Omar (2015)
dalam kajian kes kualitatif. Bagi mendapatkan nilai kebolehpercayaan Cohen Kappa
kajian ini, pengiraan nilai tersebut adalah berdasarkan rumus yang dicadangkan oleh
Cohen dan Manion (1989).
K = fa – fc
N – fc
Sumber: Cohen dan Manion (1989)
Di mana K – Nilai koefisien Cohen Kappa
fa – Frekuensi persetujuan
fc – Frekuensi bagi 50 peratus jangkaan persetujuan
N – Bilangan unit yang diuji nilai persetujuan
102
Dalam kajian ini, pengesahan tema data temu bual telah dilakukan oleh tiga
orang panel pakar. Dua daripada panel pakar merupakan doktor falsafah dalam
Pendidikan Bahasa Melayu, manakala seorang lagi panel pakar ialah doktor falsafah
yang berpengetahuan luas dalam pendekatan KP. Bagi mencapai tujuan tersebut,
pengkaji menyerahkan kategori konstruk berserta definisi operasional bagi setiap
kategori, tema utama dan sub tema yang telah dibina kepada tiga orang panel pakar
bagi mendapatkan kesahan dan kebolehpercayaan analisis indeks persetujuan
koefisien Cohen Kappa.
Setelah mendapatkan maklum balas daripada persetujuan pakar indeks,
seterusnya pengkaji menganalisis persetujuan pakar dan membuat pengiraan
berdasarkan rumus yang ditunjukkan pada Jadual 3.2. Pengkaji mencatat nilai
persetujuan pakar secara berasingan kemudian diagregatkan untuk mendapatkan satu
nilai persetujuan secara keseluruhan. Hasil penilaian oleh ketiga-tiga pakar
menunjukkan frekuensi persetujuan bagi unit yang diuji adalah tidak sama. Bagi Pakar 1,
frekuensi persetujuan adalah 65 daripada 67 bilangan unit yang diuji, manakala Pakar 2,
frekuensi persetujuan adalah 63 daripada 67 bilangan unit yang diuji, sementara itu, Pakar
3 mendapat frekuensi persetujuan sebanyak 61 daripada 67 bilangan unit yang diuji. Unit
yang tidak diterima adalah hampir sama bagi ketiga-tiga pakar.
Jadual 3.2 Pengiraan nilai persetujuan Cohen Kappa antara pakar penilai
Nilai persetujuan Nilai persetujuan Nilai persetujuan Purata keseluruhan
Kappa Koefisien Kappa Koefisien Kappa Koefisien nilai persetujuan
Kappa Koefisien
Pakar 1 Pakar 2 Pakar 3
K = fa – fc K = fa – fc K = fa – fc K = 0.94+0.89+0.84
N – fc N – fc N – fc 3
K = 65 – 32.5 K = 63 – 31.5 K = 61 – 30.5 K = 2.67
67 – 32.5 67 – 31.5 67 – 30.5 3
K = 0.94 K = 0.89 K = 0.84 K= 0.89
Berdasarkan Jadual 3.2, didapati kebolehpercayaan Cohen Kappa kajian ini
secara keseluruhannya adalah K = 0.89. Nilai persetujuan ini menunjukkan data kajian
ini mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi. Oleh itu, hasil analisis Cohen
Kappa dalam kajian ini dapat menggambarkan tema-tema yang timbul daripada data
temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen adalah mempunyai nilai
kebolehpercayaan yang tinggi, serta menyokong kepada persoalan kajian yang dikaji.
103
3.8.2 Kajian Rintis
Sebelum menjalankan kajian sebenar, pengkaji menjalankan kajian rintis terlebih
dahulu terhadap dua orang guru Bahasa Melayu yang mengajar di dua buah sekolah
menengah di Sarawak. Sekolah yang dipilih untuk menjalankan kajian rintis ini
terkecuali daripada sekolah untuk menjalankan kajian sebenar. Kajian rintis dilakukan
terhadap soalan protokol temu untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan
protokol temu bual dalam kajian ini. Menurut Sabitha Marican (2005), kajian rintis
merupakan kajian awal yang dilakukan ke atas bilangan sampel yang kecil sebelum
kajian sebenar dijalankan. Bagi Alias Baba (1992) dan Sekaran (2000) pula, kajian
rintis dijalankan untuk menguji kefahaman peserta kajian dari segi ketepatan dan
kesesuaian istilah, struktur ayat dan penggunaan bahasa, mengurangkan format dan
meringkaskan perkataan yang digunakan dalam instrumen kajian.
Dalam kajian ini, sebelum kajian rintis dilaksanakan, pengkaji bersiap sedia
dengan semua soalan protokol temu bual. Terdapat 30 soalan protokol temu bual
secara berstruktur telah diserahkan kepada penyelia. Hal ini bertujuan untuk melihat
keselarasan antara objektif kajian dengan tema dan soalan kajian. Pengesahan
daripada penyelia juga merupakan salah satu daripada kesahan dan kebolehpercayaan
data kualitatif kerana menurut Bogdan dan Biklen (2005), salah satu daripada bentuk
kesahan data kualitatif adalah melalui pengesahan penyelia dan rakan penyelidik
terhadap keteraturan kajian yang dilakukan. Hasil semakan penyelia, sebanyak 27
daripada 30 soalan protokol temu bual telah mendapat persetujuan daripada penyelia,
manakala tiga lagi daripadanya telah ditolak. Maka, jumlah keseluruhan soalan
protokol temu bual secara berstruktur yang digunakan dalam kajian ini adalah 27
soalan sahaja. Setelah melalui proses penyemakan dan pemurnian, pengkaji
menjalankan kajian rintis terhadap soalan protokol temu bual kepada dua orang guru
Bahasa Melayu yang telah ditentukan dalam kajian ini.
Dalam kajian ini, dapatan kajian rintis menemukan lima soalan protokol temu
bual yang mengelirukan peserta kajian, iaitu soalan nombor 3.5, 3.6, 3.7, 4.3 dan 2.11.
Kekeliruan yang berlaku melibatkan perkataan seperti ‘menggabungkan’,
‘mengimplementasikan’, ‘kemahiran insaniah’, dan ‘bahan bantu mengajar’. Setelah
mengambil kira ulasan dan pandangan peserta kajian rintis, serta mendapat
104
persetujuan penyelia, pengkaji menggantikan rangkai kata ‘kemahiran insaniah’
dengan ‘kemahiran generik’, manakala rangkai kata ‘bahan bantu mengajar’
digantikan dengan ‘bahan sumber pembelajaran’. Seterusnya, perkataan
‘menggabungkan’ digantikan dengan perkataan ‘mengintegrasikan’, manakala
perkataan ‘mengimplementasikan’ digantikan dengan ‘melaksanakan’. Jadual 3.3
menunjukkan pemurnian yang telah dilakukan terhadap perkataan dan rangkai kata
yang terlibat dalam soalan protokol temu bual hasil kajian rintis dalam kajian ini.
Jadual 3.3 Dapatan kajian rintis
No. Pembetulan Pemurnian Persetujuan
Soalan Penyelia
bahan bantu mengajar bahan sumber pembelajaran diterima
3.5 bahan bantu mengajar bahan sumber pembelajaran diterima
3.6 bahan bantu mengajar bahan sumber pembelajaran diterima
3.7 menggabungkan kemahiran mengintegrasikan kemahiran diterima
3.11 insaniah generik
mengimplementasikan melaksanakan diterima
4.3
Dalam kajian ini, kajian rintis dijalankan hanya sekali sahaja memandangkan
wujudnya keselarasan antara jawapan terhadap soalan yang dikaji dengan objektif
kajian. Dapatan rintis juga diperoleh daripada persetujuan penyelia terhadap nota
lapangan yang dilaporkan oleh pengkaji. Kajian sebenar dijalankan sejurus mendapat
persetujuan sepenuhnya daripada penyelia.
3.8.3 Triangulasi Data
Triangulasi merupakan suatu kaedah penyelidikan yang menggunakan pelbagai
sumber data untuk menyelidiki sesuatu fenomena daripada pelbagai perspektif bagi
mengesahkan data kajian yang muncul (Merriam 2001). Ini bermaksud data kajian
dibandingkan dengan data daripada pelbagai teknik pengumpulan data, misalnya data
temu bual dibandingkan dengan data pemerhatian serta dibuktikan dengan data
daripada analisis dokumen. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan tiga teknik
pengumpulan data bagi tujuan triangulasi data kajian, iaitu teknik temu bual, teknik
pemerhatian dan teknik analisis dokumen. Berdasarkan teknik pengumpulan data
tersebut, maka proses triangulasi dalam kajian ini dilakukan dengan membandingkan
data secara serentak antara data yang diperoleh melalui teknik temu bual, teknik
pemerhatian dan teknik analisis dokumen.
105
Kepelbagaian sumber data dan teknik pengumpulan data yang digunakan
dalam kajian ini dapat menghasilkan bukti yang kukuh, iaitu menepati tahap kesahan
dan kebolehpercayaan data (Merriam 2001). Menurut Yin (2003), tiga prinsip yang
penting dalam proses pengumpulan data untuk kajian kes secara kualitatif adalah
menggunakan pelbagai sumber bukti, menyediakan satu pangkalan data kajian kes dan
memastikan kesinambungan bukti yang dikutip. Oleh itu, hasil daripada gabungan
data daripada pelbagai kaedah pengumpulan data inilah yang membolehkan
triangulasi dibuat dalam kajian ini.
3.8.4 Penilaian Rakan
Penilaian rakan (peer review) merupakan salah satu daripada kaedah kesahan dan
kebolehpercayaan dalam kajian kualitatif (Lincoln & Guba 1985). Menurut Zanaton et
al. (2014), penilaian rakan dapat menyediakan sokongan, mencabar andaian pengkaji,
serta bertanya soalan-soalan yang mencabar tentang metod dan interpretasi. Prosedur
ini baik ketika proses kajian berlangsung bagi mendapatkan pandangan serta idea
terhadap penemuan kajian yang baharu. Dalam kajian kualitatif, rakan merupakan
orang yang mempunyai minat dan kecenderungan yang sama dalam bidang
penyelidikan, khususnya bidang pendidikan bahasa dan bidang kualitatif.
Dalam kajian ini, penilaian rakan melibatkan tiga orang rakan yang sanggup
membaca dan meneliti dapatan, serta berpengalaman tentang kaedah dan reka bentuk
penyelidikan kualitatif kajian kes, penganalisisan data dan tahap liputan tinjauan
literatur. Pengkaji melakukan pemilihan rakan dengan berhati-hati agar penilaian yang
dilakukan memberi impak yang tinggi terhadap hasil kajian. Dalam kajian ini, ketiga-
tiga rakan yang dipilih adalah daripada kalangan pensyarah universiti dan IPG. Rakan
yang pertama ialah seorang pensyarah yang berpengetahuan luas dalam pendekatan
kajian pengajaran. Rakan yang kedua ialah seorang pensyarah yang mempunyai
kepakaran dalam teknik penganalisisan data kualitatif, manakala rakan ketiga adalah
seorang pensyarah IPG yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan bahasa.
Melalui pengalaman dan bidang kepakaran yang berbeza antara rakan penilaian,
kesahan dan kebolehpercayaan data kajian ini dapat ditingkatkan.
106
Perbincangan bersama tiga rakan penilaian tersebut berfokus kepada huraian,
isu dan masalah yang ditemui, serta teknik pengutipan dan penganalisisan data.
Melalui penilaian rakan, pengkaji memperbaiki sebarang kekurangan atau kesilapan
yang timbul semasa proses kajian dijalankan. Penilaian rakan juga berlaku dengan
merujuk kepada rakan yang dapat memberi ulasan serta pandangan terhadap sebarang
penemuan baharu yang muncul. Dalam kajian ini, penilaian rakan berlaku secara
berterusan sepanjang proses pengumpulan dan penganalisisan data kajian dilakukan.
Dalam pada itu, perbincangan bersama penyelia tetap dilakukan dari semasa ke
semasa bagi memastikan setiap prosedur kajian sentiasa dipatuhi.
3.8.5 Jejak Audit
Jejak audit (audit trail) juga turut digunakan bagi mendapatkan kesahan dan
kebolehpercayaan data kajian. Dalam kajian ini, jejak audit dibina oleh pengkaji
dengan mendokumentasikan semua proses inkuiri dan aktiviti yang dijalankan
sepanjang tempoh kajian berlangsung. Seterusnya, pengkaji menyimpan log
penyelidikan untuk semua aktiviti yang telah diambil, membentuk kronologi
pengumpulan data dan merekod prosedur analisis dengan jelas. Semua log
penyelidikan disediakan mengikut bilangan peserta kajian sebagai persediaan untuk
penilaian oleh audit luaran. Dengan adanya pendokumentasian kajian serta penilaian
dokumen oleh audit luaran, menjadikan setiap spesifikasi laporan atau naratif dalam
kajian ini boleh dipercayai kesahihannya.
3.8.6 Catatan Nota Lapangan
Menurut Bogdan dan Biklen (2005), nilai kesahan dalaman yang tinggi bagi data
kualitatif juga melibatkan usaha pengumpulan data yang tersusun melalui bukti
pelaksanaan pengumpulan data seperti janji temu, temu bual rasmi dan tidak rasmi,
pemerhatian serta analisis dokumen. Setiap pelaksanaan kerja pengumpulan data di
lapangan dicatat dan dilaporkan sebagai nota lapangan (field note) bagi mengukuhkan
semua dapatan data kualitatif dalam kajian ini (Kamarul Azmi Jasmi 2010).
Berdasarkan pernyataan Bogdan dan Biklen (2005), pengkaji melakukan pemerhatian
dalam keadaan semula jadi (natural setting) bagi menentukan nilai kesahan dalaman
yang tinggi dalam kajian ini. Hal ini demikian supaya maklumat yang diperoleh
107
tentang amalan PdPc Bahasa Melayu menggunakan pendekatan KP dapat diperhatikan
dengan lebih teliti dan mendalam agar mampu mencerminkan realiti dan pengalaman
yang sebenar di bilik darjah.
3.8.7 Penerangan Dapatan Kajian Secara Terperinci
Kesahan dan kebolehpercayaan kajian ini juga diperoleh melalui penerangan dan
penjelasan semua dapatan kajian secara terperinci berdasarkan lima persoalan kajian.
Setiap dapatan kajian temu bual yang diperoleh telah dihuraikan dan dijelaskan secara
satu persatu-persatu berdasarkan tema yang diperoleh hasil temu bual bersama semua
peserta kajian. Penerangan terhadap tema yang diperoleh pula diperincikan secara
mendalam dengan mengemukakan semua konstruk, serta sub tema yang berkaitan
dengan objektif kajian.
Selain itu, penerangan secara terperinci tentang dapatan pemerhatian turut
dijelaskan dengan mengemukakan verbatim pemerhatian serta catatan nota lapangan
oleh pengkaji di semua lokasi kajian. Seterusnya, huraian yang jelas dan terperinci
juga dilakukan terhadap pelaporan data analisis dokumen bagi tujuan triangulasi data
dalam kajian kualitatif ini. Menurut Othman Lebar (2006), penerangan dapatan kajian
secara terperinci membolehkan pembaca menentukan sejauh manakah rapatnya situasi
diri dengan dapatan yang dilaporkan dalam kajian.
Sebagai rumusannya, sebarang penyelidikan yang berkualiti wajib mempunyai
kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Akan tetapi, untuk memastikan bahawa
penyelidikan mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang diingini adalah sesuatu
yang amat mencabar. Namun, pengkaji berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan
kesahan dan kebolehpercayaan kajian ini berdasarkan beberapa alternatif yang telah
diperoleh melalui teori dan rujukan literatur. Jika tidak, data yang bias berkesudahan
dengan pentafsiran yang bias (Kirk & Miller 1986).
3.9 INSTRUMEN KAJIAN
Bagi mencapai tujuan dan objektif kajian, instrumen yang digunakan untuk
pengumpulan data kajian ini dibahagikan kepada dua, iaitu data utama dan data
sokongan bagi menjawab lima persoalan kajian ini. Sumber data utama kajian ini
108
adalah data temu bual, manakala data pemerhatian dan data analisis dokumen adalah
sebagai data sokongan untuk tujuan triangulasi. Selaku instrumen utama dalam kajian
kes kualitatif, maka pengkaji memilih instrumen kajian yang terdiri daripada protokol
temu bual guru, senarai semak pemerhatian, catatan nota lapangan dan analisis
dokumen. Pemilihan instrumen tersebut sesuai dengan kaedah kajian ini untuk
mengumpul data kajian berdasarkan perlakuan sebenar peserta kajian di lapangan.
Dalam kajian ini, instrumen digunakan untuk membantu pengkaji
mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi menjawab persoalan kajian. Menurut
Creswell (2008), instrumen kajian boleh dibina sendiri, menggunakan yang sedia ada,
atau mengubah suai dan menggabungkan instrumen kajian yang sedia ada. Dalam
kajian ini, pengkaji membina sendiri instrumen kajian berdasarkan kajian literatur
yang sedia ada. Berikut dijelaskan instrumen kajian yang digunakan ketika
menjalankan proses pengumpulan data kajian ini.
3.9.1 Protokol Temu Bual
Protokol temu bual merupakan senarai soalan yang disediakan oleh pengkaji untuk
mencari jawapan kepada lima persoalan kajian yang dibina. Protokol temu bual
dijalankan oleh pengkaji sendiri kepada peserta kajian untuk mengumpul data kajian
kualitatif berkaitan amalan pelaksanaan KP dalam PdPc Bahasa Melayu oleh guru
Bahasa Melayu sekolah menengah. Proses pengumpulan data kajian dilakukan
melalui temu bual berstruktur dan tidak berstruktur terhadap peserta kajian. Dapatan
kaedah temu bual adalah sumber data utama dalam kajian kualitatif. Dalam konteks
kajian ini, pengkaji menyediakan satu set protokol temu bual berstruktur guru
berdasarkan keperluan dan objektif kajian. Protokol temu bual yang disediakan terdiri
daripada 27 soalan berstruktur secara keseluruhannya (Lampiran D).
Sebelum menjalankan temu bual sebenar, fokus soalan temu bual adalah
tentang perancangan dan pelaksanaan PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP.
Bagi mendapatkan data maklumat deskriptif tentang fenomena yang dikaji, pengkaji
mengemukakan soalan yang lebih neutral kepada peserta kajian. Bagi memastikan
protokol temu bual yang dibina mempunyai nilai kesahan dan kebolehpercayaan yang
tinggi, pengkaji terlebih dahulu mendapatkan pengesahan pakar setelah berbincang
109
bersama penyelia. Selain itu, pengkaji juga menjalankan kajian rintis terhadap dua
guru Bahasa Melayu untuk mengenal pasti kesesuaian soalan dan ketepatan istilah
atau rangkai kata yang terdapat dalam soalan protokol temu bual. Hal ini bertujuan
untuk proses pemurnian dan pemantapan soalan protokol temu bual.
Protokol temu bual yang dibina mengandungi tajuk kajian, objektif kajian,
masa, tarikh, dan lokasi temu bual dilaksanakan. Selain itu, protokol temu bual juga
mengandungi soalan kajian utama untuk ditanya kepada peserta kajian serta
disediakan ruangan khas untuk membuat catatan. Walaupun sebahagian besar soalan
sudah disediakan, namun pengkaji turut menggunakan teknik probing dengan
mengemukakan soalan yang boleh mencungkil lebih banyak maklumat tentang
amalan pelaksanaan KP dalam PdPc Bahasa Melayu. Menurut Patton (2002), teknik
probing bertujuan menambahkan data serta mendapatkan kejelasan atau kefahaman
yang lebih mendalam tentang fenomena yang dikaji.
3.9.2 Senarai Semak Pemerhatian
Ghaziah Mohd Ghazali dan Nabilah Abdullah (2010) menjelaskan bahawa pengkaji
memainkan peranan utama dan merupakan aspek terpenting dalam penyelidikan yang
menggunakan kaedah pemerhatian. Hal ini demikian kerana pengkaji sendiri
merupakan pengumpul utama maklumat dan penganalisis data. Oleh itu, pengkaji
perlu memainkan peranan yang sewajarnya di samping menilai serta memberi tafsiran
makna yang tepat kepada perbuatan, perkataan, dan pengalaman yang dilalui oleh
peserta kajian berdasarkan pemerhatian yang dijalankan (Noraini Idris 2010).
Memandangkan struktur pemerhatian yang dijalankan dalam kajian ini ialah
pemerhatian tidak berstruktur, maka pengkaji merupakan instrumen yang berperanan
sebagai pemerhati penuh (Loo Sai Huat & Sulaiman Seth 2003). Sebagai “pemerhati
penuh”, pengkaji memerhatikan semua aktiviti PdPc yang berlaku di dalam bilik
darjah melalui kitaran KP yang disampaikan oleh guru model untuk mengenal pasti
amalan PdPc Bahasa Melayu. Bagi memudahkan prosedur pengumpulan data
pemerhatian, pengkaji menyediakan senarai semak (Lampiran E) dan buku nota
lapangan untuk mencatat fenomena yang diperhatikan. Fenomena yang diperhatikan
adalah berdasarkan data yang diperoleh melalui temu bual bersama peserta kajian.
110
Seterusnya, senarai semak yang dibina mempunyai maklumat peserta kajian,
tarik, masa, lokasi dan bilangan pemerhatian. Selain itu, ruangan khas turut disediakan
untuk pengkaji membuat catatan (Lampiran E). Sehubungan itu, pengkaji turut
melakukan rakaman visual dan audio untuk tujuan pembuktian dan pengesahan kajian
setelah memperoleh kebenaran daripada peserta kajian. Kaedah ini memberi peluang
kepada pengkaji untuk memerhatikan semua fenomena yang berkaitan dengan objektif
kajian sehingga mencapai kefahaman yang sepenuhnya. Pengkaji membuat catatan
sebagai laporan nota lapangan untuk setiap fenomena yang berkaitan dengan objektif
kajian bagi tujuan pengayaan sumber data kajian.
3.9.3 Senarai Semak Analisis Dokumen
Instrumen kajian bagi kaedah analisis dokumen dalam kajian ini adalah berdasarkan
pandangan Merriam (1988), serta Taylor dan Bogdan (1984). Menurut Merriam
(1988), dan Taylor dan Bogdan (1984), instrumen bagi dokumen merupakan sumber
data yang ketiga penting dalam penyelidikan kualitatif. Dokumen merujuk kepada
apa-apa sahaja bahan bertulis yang mengandungi maklumat mengenai sesuatu
perkara, peristiwa, atau pun fenomena. Data dokumen boleh didapati daripada
pelbagai sumber termasuk surat, memorandum, kenyataan rasmi seperti agenda,
pengumuman, minit mesyuarat, laporan bertulis tentang sesuatu acara, dokumen
pentadbiran seperti cadangan, laporan kemajuan, dokumen dalaman dan juga bahan
yang tersiar dalam media massa.
Berdasarkan pandangan Merriam (1988), serta Taylor dan Bogdan (1984),
instrumen yang digunakan bagi data analisis dokumen dalam kajian ini melibatkan
bahan bercetak guru seperti BRM, RPT, RPH, SP dan HSP bagi Bahasa Melayu
Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5, dan Fail Komuniti Pembelajaran Profesional
(KPP) Panitia Bahasa Melayu, serta gambar-gambar yang berkaitan. Ringkasnya, data
analisis dokumen kajian ini merujuk semua jenis bahan bercetak atau bahan bertulis
yang boleh dijadikan sebagai rujukan untuk sesuatu maklumat yang disiasat.
Dokumen yang berbentuk gambar, teks atau bahan grafik amat berguna kerana
memberi peluang kepada pengkaji untuk menganalisis dan merujuk maklumat tersebut
berulang kali. Dokumen tersebut telah dikaji, disemak, dan dianalisis dengan
menggunakan borang senarai semak yang disediakan.
111
3.10 PROSES PENGUMPULAN DATA
Berdasarkan tujuan dan objektif kajian ini, kaedah pengumpulan data dalam kajian ini
dibahagikan kepada dua jenis, iaitu data utama dan data sokongan. Data utama
diperoleh melalui temu bual, manakala data sokongan diperoleh melalui pemerhatian
dan analisis dokumen (Sabitha Marican 2005). Penggunaan ketiga-tiga kaedah
pengumpulan data ini adalah sebagai triangulasi data kualitatif. Triangulasi adalah
kesahan-rentasan (cross-validation) bagi kajian kualitatif. Triangulasi dapat menaksir
kecukupan data berdasarkan penumpuan pelbagai sumber data atau pelbagai prosedur
pengumpulan data (Wiersma 2009; Kamarul Azmi Jasmi 2010).
Dalam konteks kajian ini, amalan PdPc Bahasa Melayu dikenal pasti melalui
temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen. Gabungan ketiga-tiga kaedah ini
merupakan proses triangulasi yang berlaku dalam kajian kes kualitatif kajian ini.
Menurut Yin (2009), proses pengumpulan data daripada pelbagai sumber
menghasilkan kajian yang lebih tepat dan boleh disemak untuk membuat pengesahan.
Memandangkan kajian kualitatif memperoleh data dalam bentuk perkataan, maka
pengkaji perlu menggunakan pelbagai kaedah pengumpulan data sehingga
pemahaman yang mendalam berjaya dicapai. Penggunaan kepelbagaian kaedah
pengumpulan data dalam kajian ini menepati pernyataan Van (1983), Borg dan Gall
(1989), Wolcott (1990), Marshall dan Rossman (1995), serta Wiersma (2000).
Seterusnya, penggunaan kepelbagaian teknik pengumpulan data membolehkan
pengkaji tidak hanya bergantung kepada satu teknik sahaja. Teknik ini dapat
memperkukuhkan kesahan reka bentuk kajian yang dijalankan. Setiap data yang
diperoleh diperkukuhkan melalui pemerolehan maklumat dan bukti daripada teknik
dan sumber lain (Marohaini Yusoff 2001; Zamri Mahamod 2004; Alizah Lambri
2016). Menurut Chua Yan Piaw (2006), menerusi teknik triangulasi dalam kajian
kualitatif, fenomena kajian dapat dilihat daripada pelbagai sudut dan perspektif yang
berbeza. Setiap perspektif dikesan dengan menggunakan kaedah yang berlainan.
Rajah 3.2 menerangkan proses pengumpulan data kualitatif kajian ini. Dalam kajian
ini, pengumpulan data dilaksanakan melalui tiga kaedah utama, iaitu (a) kaedah temu
bual, (b) kaedah pemerhatian, dan (c) kaedah analisis dokumen. Berikut adalah
huraian bagi tiga kaedah proses pengumpulan data kajian ini.
112
PROSES PENGUMPULAN DATA
Temu Bual
(Berstruktur dan Tidak Berstruktur)
-Protokol Temu Bual Guru Bahasa Melayu
- Umum
- Lanjutan
Transkripsi
Ringkasan Temu Bual
Kajian Lapangan
Data Pemerhatian (Tidak Turut Serta) Data Analisis Dokumen
- Senarai semak pemerhatian - Buku Rekod Mengajar
- Rakaman audio-video - Rancangan Mengajar
- Buku catatan lapangan - Sukatan Pelajaran BM
- Buku log - Huraian Sukatan Pelajaran BM
Catatan Lapangan Tingkatan 1 – Tingkatan 5
- Fail KPP Panitia BM
- Catatan Lanjutan
- Transkripsi - Ringkasan
Dokumen
- Ringkasan DATA
Pemerhatian KAJIAN KUALITATIF
Rajah 3.2 Proses pengumpulan data kajian
113
3.10.1 Pelaksanaan Kaedah Temu Bual
Sebelum temu bual dimulakan, terlebih dahulu pengkaji membuat janji temu bersama
semua peserta kajian untuk menentukan tarikh, masa, dan tempat temu bual
dilakukan. Pada masa yang sama, pengkaji menjelaskan tentang tujuan temu bual,
jangka masa dan mohon kebenaran untuk merakamkan temu bual bagi tujuan
pengulangan semakan teks perbualan. Temu bual dimulakan dengan perbualan biasa
yang bertujuan membina rapport bersama semua peserta kajian untuk mewujudkan
kemesraan (Bogdan & Biklen 2005).
Selain itu, pengkaji meyakinkan peserta kajian bahawa setiap perbualan dalam
sesi temu bual hanya untuk tujuan kajian, bersifat berkecuali dan sebarang hasil temu
bual adalah dirahsiakan. Bagi prosedur pengumpulan data kajian, Hitchock dan
Hudges (1995) telah menyarankan beberapa langkah untuk menjalankan temu bual
dengan berkesan, iaitu (a) penemubual haruslah menjadi pendengar yang baik dan
membenarkan peserta kajian menjawab soalan-soalan secara aktif serta menghargai
pendapat peserta kajian, (b) penemubual juga haruslah berkecuali, tidak menonjolkan
pandangan sendiri dan tidak menunjukkan reaksi tertentu terhadap pandangan peserta
kajian, dan (c) penemubual juga harus tenang, ceria dan sentiasa meyakinkan peserta
kajian bahawa jawapan atau maklumat yang diperoleh dirahsiakan. Langkah ini
bertujuan untuk membolehkan peserta kajian bebas memberi pandangan dan respons
(Ghaziah Mohd Ghazali & Nabilah Abdullah 2010).
Lantaran itu, dalam kajian ini pendekatan temu bual berstruktur dan temu bual
tidak berstruktur yang dijalankan pengkaji ialah interaksi bersemuka antara pengkaji
dengan peserta kajian secara langsung untuk mendapatkan maklumat dan pandangan
mengenai soalan yang disediakan. Menurut Creswell (2008), sesi temu bual
bersemuka memberi peluang kepada pengkaji untuk berinteraksi dengan peserta
kajian tentang sesuatu tajuk perbincangan secara mendalam serta mengawal sesi
berkenaan dalam masa yang ditentukan. Memandangkan sesi temu bual tersebut
hanya melibatkan pengkaji dan peserta kajian sahaja, maka perkongsian pengalaman
dan idea serta pandangan oleh peserta kajian dapat dilakukan secara bebas, terbuka
dan tanpa gangguan. Melalui kaedah ini, lebih banyak maklumat yang dikehendaki
114
dapat dikumpul berhubung dengan kefahaman dan pengalaman peserta kajian yang
terlibat (Ghaziah Mohd Ghazali & Nabilah Abdullah 2010).
Dalam kajian ini, soalan temu bual yang dikemukakan bersifat berstruktur dan
tidak berstruktur supaya peserta kajian dapat menentukan hala tuju serta
menggunakan perkataan yang sesuai untuk menggambarkan jawapan yang ingin
dikemukakan. Bagi memudahkan proses pengulangan, pengkaji membuat rakaman
bagi setiap sesi perbualan yang dengan menggunakan alat perakam iPhone 6Plus
untuk mengelakkan maklumat temu bual tertinggal apabila catatan temu bual tidak
sempat dilakukan oleh pengkaji. Hasil temu bual, pengkaji kemudiannya membuat
transkripsi data temu bual tersebut. Jadual 3.4 adalah ringkasan pelaksanaan kaedah
temu bual bersemuka bersama peserta kajian.
Jadual 3.4 Jadual pelaksanaan kaedah temu bual peserta kajian
Bil. Peserta Kajian Temu Bual (TB) Pengesahan Peserta Kajian
1 G1\SA\Chan Tarikh Masa Tarikh Masa
2 G2\SA\Aqmal
3 G3\SB\Mila 19/1/2015 14:00 ptg 5/3/2015 12:30 tgh
4 G4\SB\Norol
5 G5\SC\Saraj 19/1/2015 14:00 ptg 12/3/2015 10.32 pg
6 G6\SC\Hedzal
7 G7\SD\Balqis 21/12015 14:30 ptg 25/3/2015 09:30 pg
8 G8\SD\Dila
9 G9\SE\Hastika 21/1/2015 15:00 ptg 30/3/2015 12:41 tgh
10 G10\SE\Betha
11 G11\SF\Fazli 23/1/2015 08:00 pg 3/4/2015 4:27 ptg
12 G12\SF\Shamil
23/1/2015 15:00 ptg 8/4/2015 10:20 pg
26/1/2015 08:00 pg 13/4/2015 4:15 ptg
26/1/2015 14:30 ptg 17/4/2015 11:00 pg
28/1/2015 08:00 pg 22/4/2015 5:30 ptg
28/1/2015 15:00 ptg 27/4/2015 9:17 pg
30/1/2015 08:00 mlm 5/5/2015 3:15 ptg
30/1/2015 08:00 mlm 8/5/2015 3.12 ptg
Berdasarkan Jadual 3.4, pengkaji berpeluang menjalankan temu bual sebanyak
sekali sahaja untuk setiap peserta kajian. Temu bual dilakukan sekali sahaja
memandangkan pengkaji menggabungkan soalan temu bual yang bersifat berstruktur
dan tidak berstruktur. Soalan bersifat berstruktur dikemukakan secara berfokus
berdasarkan isu yang telah ditentukan dalam soalan protokol temu bual, manakala
soalan tidak berstruktur digunakan apabila jawapan yang diberikan kurang tepat. Bagi
mendapatkan data secara terperinci, pengkaji mengemukakan soalan susulan atau
melakukan teknik probing (Ghaziah Mohd Ghazali & Nabilah Abdullah 2004). Dalam
kajian ini, teknik probing yang dilakukan adalah seperti mengemukakan soalan yang
115
bersifat khusus, menyuruh peserta kajian menghuraikan sesuatu perkara dengan lebih
lanjut, dan meminta peserta kajian memberi kepastian dengan mengemukakan contoh
bagi setiap maklumat yang berkaitan (Taylor & Bogdan 1984). Situasi ini memberi
peluang kepada peserta kajian untuk menyampaikan apa-apa sahaja amalan
pengajaran yang diperoleh hasil perkongsian ilmu dalam sesi perbincangan KP.
3.10.2 Pelaksanaan Kaedah Pemerhatian
Sebelum pemerhatian dijalankan, pengkaji terlebih dahulu berbincang dengan peserta
kajian untuk mendapatkan persetujuan daripada semua peserta kajian tentang jadual,
bilangan dan tempoh pemerhatian dilakukan dan cara-cara pemerhatian dilakukan.
Pengkaji turut memaklumkan bahawa pengkaji perlu bergerak dengan bebas ketika
pemerhatian dijalankan bagi memudahkan pengkaji membuat pemerhatian dengan
lebih jelas terhadap fenomena yang ingin dikaji. Dalam hal ini, pengkaji memastikan
agar pergerakan yang bebas tidak mengganggu tumpuan murid yang sedang
mengikuti pengajaran guru ketika sesi pengajaran dan pemerhatian dilaksanakan. Oleh
itu, persetujuan daripada peserta kajian perlu diambil kira memandangkan
pemerhatian yang dilakukan adalah kerap dan secara intensif (Lampiran C).
Ketika proses pemerhatian berlangsung, pengkaji memerhatikan dari belakang
dan merekod segala tindakan pengajaran guru Bahasa Melayu yang dapat dikesan
melalui PdPc KP. Menurut Strauss dan Corbin (1990), data pemerhatian ini
merupakan pengesahan kepada data temu bual yang dijalankan oleh pengkaji
(Kamarul Azmi Jasmi 2010). Oleh hal yang demikian, kaedah pemerhatian ini
menjadi pengukuh, pelengkap dan bukti kebenaran data temu bual yang dijalankan
(Sabitha Marican 2005; Kamarul Azmi Jasmi 2010). Bagi mencapai maklumat yang
tepat, pengkaji perlu teliti dan peka terhadap fenomena yang diperhatikan bagi
memastikan tidak ada perkara yang berkaitan dengan dapatan temu bual yang ingin
diperhatikan boleh terlepas pandang.
Semasa proses pemerhatian berlangsung juga, rakaman video digunakan untuk
memerhatikan tingkah laku guru sepanjang mengendalikan lima kitaran KP. Kitaran
tersebut bermula daripada menentukan matlamat pengajaran, merancang RPH,
pengajaran dan pemerhatian pengajaran, menilai dan refleksi serta penambahbaikan
116
RPH. Menerusi rakaman, pengkaji dapat melihat kembali perkara yang terlepas
pandang semasa proses KP berlangsung. Data yang diperoleh melalui rakaman video
dapat dijelaskan dengan lebih terperinci serta boleh dirujuk pada bila-bila masa sahaja
apabila diperlukan. Sehubungan itu, rakaman video turut membantu meningkatkan
kesahan dan kebolehpercayaan hasil pemerhatian yang diperoleh.
Selain menggunakan rakaman video, pengkaji juga turut menggunakan senarai
semak bagi memastikan amalan dan tindakan guru ketika mengendalikan PdPc KP
dapat diperhatikan dengan lebih teliti dan terancang (Lampiran E). Setiap aktiviti,
kaedah atau teknik yang digunakan oleh peserta kajian ditandakan dalam senarai
semak tersebut. Senarai semak dibina sendiri oleh pengkaji berdasarkan dapatan temu
bual yang diperoleh bagi mendapatkan kepastian selanjutnya terhadap perkara yang
diperhatikan. Senarai semak yang dibina disahkan terlebih dahulu oleh pakar yang
berkaitan dengan bidang ini. Pelaksanaan kaedah pemerhatian KP dalam kajian ini
adalah seperti ditunjukkan dalam Lampiran L.
Dalam kajian ini, pengkaji berpeluang melaksanakan pemerhatian lima kitaran
KP sebanyak dua kali untuk setiap peserta kajian. Sesi pemerhatian dilakukan mulai
16 Mac 2015 dan berakhir pada 9 September 2015. Kaedah pemerhatian telah
dilakukan sebanyak dua kali berdasarkan lima kitaran KP, menjadikan 10 kali
pemerhatian untuk setiap peserta kajian. Ini bermakna, pengkaji telah menjalankan
sesi pemerhatian sebanyak 120 kali secara keseluruhannya. Pemerhatian berfokus
terhadap fenomena yang berlaku dalam lima kitaran KP. Lima kitaran tersebut adalah
seperti menentukan matlamat pengajaran, merancang RPH, pengajaran dan
pemerhatian, menilai dan refleksi, serta penambahbaikan RPH.
3.10.3 Pelaksanaan Kaedah Analisis Dokumen
Pengumpulan data kualitatif seterusnya dilakukan melalui analisis dokumen sebagai
bukti sekunder untuk mengukuh, melengkapi dan membuktikan kebenaran dapatan
data temu bual (Kamarul Azmi Jasmi 2010). Dalam kajian ini, analisis dokumen
dilaksanakan terhadap setiap manifestasi tindakan dan amalan yang dilakukan oleh
peserta kajian bagi menyokong data temu bual dan data pemerhatian. Menurut Sabitha
Marican (2005), serta Ghaziah Mohd Ghazali dan Nabilah Abdullah (2004), data ini
117
penting kerana pengkaji boleh membuat pilihan, membuktikan sesuatu penyataan,
serta melengkapkan data yang diperoleh daripada sumber yang lain.
Seterusnya, pengumpulan maklumat daripada analisis dokumen membolehkan
pengkaji menambah, membanding dan memperkukuhkan data yang diperoleh
daripada temu bual dan pemerhatian. Tambahan pula, dokumen tersebut merupakan
sumber yang paling asas dan dapat dijadikan sebagai eviden rujukan yang paling
kukuh dan bernilai kepada pengkaji. Penggunaan rangkaian bukti ini dapat
meningkatkan kesahan penyelidikan yang dijalankan. Pelibatan pelbagai kaedah
pengumpulan data dapat mengukuhkan kaedah triangulasi dalam kajian ini. Maklumat
yang diperoleh daripada analisis dokumen dilaporkan dalam bentuk laporan untuk
dijadikan sebagai rujukan kajian ini. Pelaksanaan kaedah analisis dokumen dalam
kajian ini seperti ditunjukkan dalam Jadual 3.5.
Jadual 3.5 Jadual pelaksanaan kaedah analisis dokumen peserta kajian
Bil. Peserta Kajian Rancangan Pengajaran Harian Tarikh
1 G1\SA\Chan 1 16/3/2015
2 G2\SA\Aqmal 2 22/6/2015
3 G3\SB\Mila 1 20/3/2015
4 G4\SB\Norol 2 29/6/2015
5 G5\SC\Saraj 1 25/3/2015
6 G6\SC\Hedzal 2 3/7/2015
7 G7\SD\Balqis 1 30/3/2015
8 G8\SD\Dila 2 8/7/2015
9 G9\SE\Hastika 1 3/4/2015
10 G10\SE\Betha 2 30/7/2015
11 G11\SF\Fazli 1 8/4/2015
12 G12\SF\Shamil 2 5/8/2015
1 13/4/2015
2 10/8/2015
1 17/4/2015
2 14/8/2015
1 22/4/2015
2 19/8/2015
1 27/4/2015
2 24/8/2015
1 5/5/2015
2 28/8/2015
1 8/5/2015
2 9/9/2015
118
Berdasarkan Jadual 3.5, pengkaji telah melaksanakan analisis dokumen
terhadap 24 RPH peserta kajian, iaitu dua RPH untuk setiap peserta kajian bagi dua
sesi pelaksanaan KP dalam PdPc Bahasa Melayu. Ini telah menjadikan tempoh
penganalisisan dokumen dijalankan selama tujuh bulan, iaitu bermula daripada 7 Mei
sehingga 9 September. Maklumat yang diperoleh daripada RPH disesuaikan dengan
dapatan temu bual dan pemerhatian untuk mencari kesepadanan dan ketekalan
maklumat berhubung dengan isu atau fenomena kajian (Magdeline 2014) berkaitan
amalan PdPc Bahasa Melayu berdasarkan pendekatan KP.
Akhirnya, maklumat dalam analisis dokumen ini juga dilaporkan oleh pengkaji
dalam bentuk laporan untuk dijadikan sebagai rujukan kajian ini. Menurut Sabitha
Marican (2005), pengumpulan maklumat daripada analisis dokumen membolehkan
pengkaji menambah, membanding dan memperkukuhkan data yang diperoleh
daripada temu bual dan pemerhatian yang dijalankan (Kamarul Azmi Jasmi 2010).
3.11 PROSES PENGANALISISAN DATA
Proses penganalisisan data kajian kes kualitatif ini adalah berdasarkan tiga kaedah
pengumpulan data, iaitu kaedah temu bual, kaedah pemerhatian dan analisis dokumen.
Proses menganalisis data kajian ini sebenarnya berjalan secara serentak, berkaitan dan
berterusan kerana menurut Marohaini Yusoff (2001) dan Shamsuri (2010), proses
pengutipan data dan penganalisisan data kajian kualitatif berjalan secara serentak dan
bukannya secara langkah demi langkah. Menurut Othman lebar (2012), tidak ada cara
yang paling baik atau paling betul dalam menganalisis data kajian kualitatif kerana
proses menganalisis data bergantung kepada tujuan kajian, objektif kajian dan juga
konteks kajian.
Dalam kajian ini, data yang diperoleh melalui temu bual, pemerhatian dan
analisis dokumen adalah terdiri daripada transkrip temu bual, rakaman audio dan
visual, serta catatan nota lapangan. Memandangkan proses pengumpulan data bagi
setiap objektif kajian dalam kajian ini dilakukan melalui kaedah pengumpulan data
yang sama, maka proses penganalisisan data bagi semua objektif kajian juga sama.
Bagi memperoleh data kajian yang lebih tepat, pengkaji menggunakan aplikasi
ATLAS. ti versi 7.5.16 sebagai teknik penganalisisan data. Proses analisis data kajian
119
ini dijalankan dengan memeriksa data secara terperinci untuk mencari konstruk, tema
dan pola yang boleh digunakan bagi menerangkan fenomena yang ingin dikaji (Gall,
Borg & Gall 2003), iaitu amalan pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu. Proses
penganalisisan data kajian ini adalah seperti digambarkan dalam Rajah 3.3.
PROSES PENGANALISISAN DATA
Kefahaman guru tentang kajian pengajaran sebagai program PPB
Persepsi guru tentang pelaksanaan kajian pengajaran dalam PdPc Bahasa Melayu
Kaedah menulis dan mengaplikasikan RPH kajian pengajaran
Strategi pelaksanaan aktiviti kajian pengajaran
Strategi pentaksiran dan penilaian kajian pengajaran
Data Mentah
Data Pemerhatian Data Temu Bual Analisis Dokumen
(Tidak Turut Serta) (Berstruktur dan Tidak - Ringkasan Dokumen
Analisis Semasa Proses Berstruktur) Analisis Selepas Proses
Pengumpulan Data Pengumpulan Data
- Transkrip Temu
Bual
- Rakaman Audio
- Rakaman Visual
- Catatan Lapangan
- Buku Log
Analisis Data
- Ringkasan DAPATAN KAJIAN - Penyaringan data
Pemerhatian KUALITATIF - Pengekodan data
- Pemaparan data
- Refleksi - Merumus data
- Catatan Memo
Rajah 3.3 Proses penganalisisan data kajian
120
Berdasarkan Rajah 3.3, proses penganalisisan data dalam kajian ini
dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu (a) Analisis semasa proses pengumpulan data,
dan (b) Analisis selepas proses pengumpulan data. Proses penganalisisan data
kualitatif ini adalah berdasarkan proses penganalisisan data oleh Strauss dan Corbin
(1990). Berikut adalah huraian secara terperinci tentang proses penganalisisan data
kajian ini.
3.11.1 Analisis Semasa Proses Pengumpulan Data
Pada peringkat ini, pengkaji menjalankan analisis data serentak dengan proses
pengutipan data. Proses analisis data pada ketika ini amat penting memandangkan
pengkaji perlu meneliti lima kitaran dalam pelaksanaan KP. Data kajian yang
diperoleh melalui temu bual dianalisis untuk membina senarai semak yang digunakan
dalam sesi pemerhatian selanjutnya. Setiap kali proses pemerhatian selesai, pengkaji
menonton dan mendengar semula rakaman video pemerhatian, mendengar rakaman
suara, dan membaca semula dokumen yang berkaitan. Hal ini bertujuan mencari
keserasian antara dapatan pemerhatian dengan dapatan temu bual, serta analisis
dokumen. Proses ini adalah berdasarkan Marohaini Yusoff (2001), iaitu fokus dan
arah sesebuah kajian kualitatif dibentuk secara beransur-ansur berdasarkan data yang
diperoleh.
Penganalisisan data temu bual pada peringkat ini dapat memberi idea tentang
fenomena yang perlu diperhatikan dan perkara yang perlu disoal kepada peserta kajian
selanjutnya. Secara tidak langsung, situasi ini membantu pengkaji membentuk,
memperkembang, menambah atau membuang perkara yang difikirkan perlu atau
sebaliknya untuk kajian ini. Sehubungan itu, ketika proses ini berlangsung, pengkaji
turut melibatkan peserta kajian yang ditemu bual. Hal ini bertujuan memberi peluang
kepada peserta kajian membuat analisis tentang perkara yang telah dinyatakan dalam
sesi temu bual yang lepas. Secara tidak langsung, langkah ini turut digunakan bagi
tujuan pengesahan data temu bual yang diperoleh.
Seterusnya, proses analisis data semasa pengumpulan data berlangsung juga
membantu pengkaji untuk menentukan dan mencorakkan langkah dan jenis data yang
bakal dikutip selanjutnya. Menurut Zanaton Iksan (2011), penganalisisan data secara
121
berterusan telah membantu melancarkan proses pengumpulan data dan seterusnya
memudahkan proses penganalisisan data. Dalam kajian ini, beberapa kaedah analisis
dan penyaringan data yang dicadangkan oleh Miles dan Huberman (1994) digunakan
semasa pengumpulan data. Antara kaedah analisis dan penyaringan data yang
digunakan dalam kajian ini adalah seperti, (a) membuat ringkasan, (b) membuat
refleksi, dan (c) membuat catatan memo.
a. Membuat ringkasan
Dalam kajian ini, pengkaji melihat semula rakaman video pemerhatian PdPc KP yang
telah dijalankan setiap kali pemerhatian selesai dilaksanakan. Langkah ini
membolehkan pengkaji membuat transkripsi terhadap data tersebut. Menurut Othman
Lebar (2012), hampir semua kajian kualitatif melibatkan kerja transkripsi sama ada
data pemerhatian menerusi rakaman video, temu bual atau nota lapangan. Proses
melakukan transkrip pemerhatian tidak memadai dengan menulis ringkasan daripada
rakaman temu bual atau pemerhatian yang diadakan sahaja. Hal ini demikian kerana
cara tersebut boleh menyebabkan pengkaji bias terhadap perkara yang dikira relevan
dan menarik sahaja. Sebaliknya, perkara yang berbentuk petunjuk bukan lisan,
misalnya ketawa, takut atau malu serta gerak badan juga sebenarnya boleh
memberikan makna yang lebih daripada perkara yang dituturkan. Semua elemen yang
diperhatikan dalam rakaman video dimasukkan dalam transkrip.
Dalam kajian ini, pengkaji membuat transkripsi terhadap data pemerhatian dan
data temu bual yang diperoleh dengan mengambil kira petunjuk-petunjuk bukan lisan.
Pada peringkat ini, proses menghasilkan transkrip data pemerhatian merupakan
tindakan yang sangat mencabar dalam kajian ini. Hal ini demikian memandangkan
pengkaji perlu membuat transkrip rakaman pemerhatian terhadap kelima-lima kitaran
KP. Walau bagaimanapun, transkrip yang dihasilkan hanya berfokus pada elemen-
elemen yang ingin dikenal pasti sahaja, iaitu berdasarkan dapatan temu bual. Untuk
menyiapkan transkripsi data terhadap sesuatu fenomena yang menjadi fokus
pemerhatian, kadang-kala pengkaji mengambil masa sekurang-kurangnya 3-jam.
Pengkaji perlu mendengar dan memerhati dengan teliti setiap aspek yang terdapat
dalam rakaman pemerhatian agar maklumat yang berkaitan dengan amalan
pelaksanaan PdPc menggunakan KP tidak terlepas pandang.
122
Sebaik sahaja usaha menyiapkan transkrip pemerhatian dan temu bual selesai,
langkah seterusnya diikuti membuat ringkasan. Bagi mendapat gambaran tentang
sesuatu peristiwa secara ringkas, pengkaji membaca verbatim pemerhatian dan temu
bual berulang kali. Dalam proses ini, pengkaji mensintesis data untuk memastikan
maklumat penting berkaitan objektif dan persoalan kajian yang masih gagal dikesan
perlu diberi perhatian semula untuk sesi pemerhatian dan temu bual seterusnya. Walau
bagaimanapun, sesi temu bual dilakukan sekali sahaja. Hal ini demikian
memandangkan pengkaji telah memperoleh maklumat temu bual yang agak padat.
Memandangkan proses menghasilkan ringkasan kajian ini memerlukan
pemahaman yang mendalam terhadap data kajian, maka pengkaji membaca transkrip
pemerhatian dan temu bual secara berulang kali. Untuk memudahkan pemahaman,
pengkaji meletakkan kod bagi setiap maklumat yang ditemui dan relevan dengan
soalan kajian. Menerusi ringkasan ini, pengkaji dapat membuat rumusan terhadap data
mentah yang diperoleh. Rumusan kajian kemudiannya dicetak dan difailkan oleh
pengkaji bagi tujuan rujukan pada bila-bila masa untuk peringkat analisis seterusnya.
b. Membuat refleksi
Menurut Marohaini Yusoff (2001), catatan refleksi merupakan sebuah renungan dari
segi perasaan, pemikiran dan pandangan tentang perkara yang dilihat semasa
pemerhatian dibuat. Dalam kajian ini, catatan refleksi dibuat untuk menggambarkan
apa-apa sahaja perkara yang terlintas dalam fikiran pengkaji ketika pemerhatian
berlangsung. Hasil refleksi dicatat dalam ruangan komen sebagai catatan lapangan.
c. Membuat catatan memo
Menurut Marohaini Yusoff (2001), catatan memo merupakan catatan ringkas, iaitu
terdiri daripada frasa dan ayat yang menggambarkan konsep dalam fikiran pengkaji
semasa menganalisis data. Catatan memo ditulis secara ringkas semasa pengkaji
membuat analisis data. Catatan tersebut menjadi panduan untuk menempatkan data-
data yang diperoleh ke dalam perspektif tertentu dan mengaitkan data dengan data lain
melalui konsep yang terbentuk. Catatan memo banyak membantu pengkaji
mengembangkan idea ketika proses huraian dan penjelasan tentang dapatan kajian.
Akhirnya, semua data kualitatif dikemaskan dalam teks dan laporan akhir kajian.
123
3.11.2 Analisis Selepas Proses Pengumpulan Data
Memandangkan sumber data kajian ini adalah hasil temu bual, maka proses
pengumpulan data dalam kajian ini dimulakan dengan data temu bual. Proses analisis
data kualitatif adalah berterusan dan tidak linear. Menurut Othman Lebar (2012),
pengumpulan dan penganalisisan data boleh dipanjangkan kepada suatu jangka masa
yang tiada noktahnya. Merriam (1998) pula menyifatkan bahawa penganalisisan data
menjadi rancak dan intensif setelah peringkat pengutipan data berakhir. Dalam kajian
ini, data temu bual yang telah diperoleh segera dianalisis sehinggalah memperoleh
hasilnya. Bagi tujuan penganalisisan data intensif, pengkaji menganalisis data
menggunakan teknik pengekodan terbuka.
Menurut Saldana (2009) dan Alizah Lambri (2015), pengekodan terbuka
merupakan langkah pertama pengkaji untuk menemukan kemungkinan-kemungkinan
data yang telah dikumpulkan. Pengekodan ini dilakukan untuk membentuk kategori-
kategori yang diperoleh daripada data temu bual, pemerhatian dan dokumen. Data
kemudiannya dikaitkan antara satu sama lain sehinggalah membentuk suatu gambaran
tentang fenomena yang dikaji. Dalam pengekodan awal, pengkaji memberikan kod
terhadap data mentah dengan meneliti setiap perkataan, baris atau setiap segmen data.
Seterusnya, pada peringkat pengekodan akhir, proses penganalisisan data
melibatkan teknik-teknik seperti, (a) teknik penyaringan data, (b) teknik pengekodan
data, (c) teknik pemaparan data, dan (d) teknik merumuskan data. Hal ini bertujuan
bagi mendapatkan gambaran tentang fenomena pelaksanaan PdPc Bahasa Melayu
melalui pendekatan KP. Berikut adalah penjelasan bagi setiap teknik yang digunakan
dalam proses penganalisisan data kajian ini.
a. Teknik penyaringan data
Dalam kajian kualitatif, penyaringan data perlu dilakukan bagi memudahkan tugas
penganalisisan data semasa dan selepas pengutipan data. Lazimnya, data yang
diperoleh dalam kajian kualitatif adalah banyak dan padat. Oleh itu, dengan adanya
penyaringan data, pengkaji dapat memberi fokus terhadap data yang berkaitan dengan
amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP. Pada peringkat kedua
penganalisisan data ini, pengkaji meneliti semula semua transkrip pemerhatian dan
124
transkrip temu bual yang telah dimurnikan. Setiap transkrip dilabelkan tarikh, lokasi
dan masa data tersebut diperoleh. Pengkaji membaca berulang kali dan membuat
pengasingan dengan mencari unit-unit makna dalam perkataan, frasa, ayat, cara
pemikiran peserta kajian. Selain itu, pengkaji turut melakukan imej tumpu (highlight)
terhadap apa-apa sahaja perkara yang dapat dikesan untuk dikaitkan dengan kehendak
objektif dan soalan kajian.
b. Teknik pengekodan data
Proses penganalisisan data yang seterusnya dilakukan dengan membentuk kategori-
kategori maklumat dan menentukan kod bagi setiap kategori. Kod merujuk kepada
satu unit perkataan atau istilah yang mempunyai makna tertentu bagi mewakili sesuatu
ayat atau perkataan yang berhubungan dengan kejadian yang dapat difahami. Kod-kod
yang dibentuk seterusnya dihimpunkan mengikut kategori yang bersesuaian. Menurut
Weirsma (2000), proses menghimpunkan kod mengikut kategori tertentu boleh
diumpamakan seperti membuat susunan ke atas himpunan barang yang bersepah atau
berselerak. Kategori yang telah dibentuk boleh digabung atau dilihat perhubungannya
sehingga menjadi satu kategori utama yang dikenali sebagai tema. Penganalisisan data
kajian ini dilakukan secara deskriptif.
Dalam kajian ini, pengkaji menentukan kod terhadap setiap elemen mengikut
kategori tertentu bagi membentuk tema-tema yang boleh dipadankan dengan
persoalan kajian. Tema yang dibentuk seterusnya dibandingkan antara dapatan
daripada semua peserta kajian untuk melihat hubungan yang timbul antara kategori,
tema atau kod-kod yang muncul.
c. Teknik pemaparan data
Pada peringkat ini, proses penganalisisan data diteruskan dengan teknik pemaparan
data. Pelaksanaan teknik tersebut bertujuan memudahkan pengkaji membuat
penganalisisan data. Selain itu, teknik ini membantu pengkaji membuat perbandingan,
kesimpulan dan tindakan selanjutnya. Dalam kajian ini, pengkaji memerihalkan
semula perkara yang dinyatakan oleh peserta kajian melalui pemaparan data dalam
bentuk deskriptif naratif. Pemaparan data juga disokong oleh petikan verbatim untuk
menyokong penjelasan dan huraian pengkaji. Dalam proses pemaparan data, pengkaji
125
menjelaskan aspek yang menjadi tumpuan dalam kajian ini, iaitu pelaksanaan PdPc
Bahasa Melayu menggunakan pendekatan KP. Dalam hal ini, aspek yang menjadi
fokus meliputi kefahaman guru tentang pendekatan KP sebagai PPB, kaedah menulis
dan mengaplikasikan RPH, strategi pelaksanaan aktiviti KP, teknik pentaksiran dan
penilaian pendekatan KP, serta persepsi guru tentang pelaksanaan pendekatan KP
dalam PdPc Bahasa Melayu.
d. Teknik merumuskan data
Dalam kajian ini, teknik merumuskan data melibatkan proses pengkaji menentukan
kriteria atau tema yang berkaitan pelaksanaan PdPc Bahasa Melayu melalui
pendekatan KP. Teknik ini memerlukan pengkaji membuat perhitungan kekerapan
kemunculan pola dan tema. Seterusnya, pengkaji membuat pengelompokan data. Pola
yang muncul berulang-kali dalam setiap tema dijadikan panduan untuk membuat
kesimpulan muktamad. Teknik ini selaras dengan cadangan Miles dan Huberman
(1994) yang mencadangkan teknik membuat hitungan, menentukan tema dan pola,
membuat pengelompokan tema dan mengumpul rangkaian bukti serta membuat
perkaitan antara konsep dan teori. Dalam kajian ini, pembentukan kategori dalam satu
unit data, pengkaji menghitung bilangan kemunculan sesuatu tema untuk menentukan
kekerapannya. Pola yang muncul berulang kali hasil daripada pengekodan dan
perhitungan dicatat untuk membentuk tema dan pola yang dapat digunakan untuk
membentuk kesimpulan. Seterusnya, kod dan sistem pengkategorian dipandu oleh
soalan kajian yang telah dibina pada peringkat awal kajian.
3.12 KESIMPULAN
Bahagian ini telah membincangkan metodologi yang digunakan dalam kajian
kualitatif pelbagai kes ini. Metodologi yang digunakan untuk menjayakan kajian
kualitatif ini adalah seperti reka bentuk kajian, kaedah kajian, lokasi kajian, populasi
dan pensampelan, serta tatacara pelaksanaan kajian. Bagi memastikan kajian
mempunyai nilai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi, pengkaji telah
membincangkan kaedah dan peringkat kesahan dan kebolehpercayaan yang digunakan
dalam kajian ini. Aspek lain yang turut dibincangkan dalam bahagian ini seperti
instrumen kajian, proses pengumpulan data serta proses penganalisisan data kajian.
Maklumat tentang dapat kajian ini dibincangkan secara terperinci dalam Bab IV.
BAB IV
DAPATAN KAJIAN
4.1 PENGENALAN
Bab ini melaporkan dapatan kajian bagi menjawab persoalan kajian yang
dikemukakan untuk memenuhi keperluan objektif kajian. Dapatan kajian diperoleh
berdasarkan data kualitatif sepenuhnya. Tumpuan utama huraian kajian ini menjurus
kepada analisis dapatan kajian yang mendasari lima persoalan kajian dalam kajian ini.
1. Apakah kefahaman guru tentang kajian pengajaran sebagai program
Pembangunan Profesionalisme Berterusan?
2. Apakah persepsi guru tentang pelaksanaan kajian pengajaran dalam
pembelajaran dan pemudahcaraan Bahasa Melayu?
3. Apakah kaedah menulis dan mengaplikasikan Rancangan Pengajaran Harian
Bahasa Melayu berasaskan pendekatan kajian pengajaran?
4. Apakah strategi pelaksanaan aktiviti kajian pengajaran dalam pembelajaran
dan pemudahcaraan Bahasa Melayu?
5. Apakah strategi pentaksiran dan penilaian kajian pengajaran dalam
pembelajaran dan pemudahcaraan Bahasa Melayu?
Bagi memudahkan proses penganalisisan data, dapatan kajian yang
dibincangkan adalah secara kronologi berdasarkan lima persoalan kajian tersebut.
Data dianalisis dalam bentuk deskriptif dan setiap penemuan dihuraikan dengan jelas
dan secara menyeluruh agar dapat menggambarkan segala peristiwa dan kejadian
127
yang sebenarnya. Bagi memudahkan pemahaman dengan lebih jelas tentang dapatan
kajian, bab ini turut mengupas profil secara ringkas tentang profil peserta kajian yang
terlibat dalam kajian ini.
4.2 PROFIL PESERTA KAJIAN
Kajian ini melibatkan seramai dua belas orang guru Bahasa Melayu yang terpilih
secara purposive sampling (Patton 2002) bagi mendapatkan maklumat tentang amalan
PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP. Semua peserta kajian adalah terdiri
daripada guru Bahasa Melayu yang mengajar di enam buah sekolah menengah yang
terpilih di Sarawak. Bagi memenuhi objektif dan persoalan kajian, maklumat tentang
amalan PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP diperoleh melalui temu bual,
pemerhatian dan analisis dokumen. Profil peserta kajian yang terlibat dalam kajian
kualitatif ini adalah seperti dijelaskan dalam Jadual 4.1.
Jadual 4.1 Maklumat profil peserta kajian
Guru Peserta Sekolah Opsyen Pengalaman
(G) Kajian (S) Mengajar
G1 Bahasa Melayu
G2 Chan SA Bahasa Melayu 11
G3 Aqmal SA Bahasa Melayu 7
G4 Mila SB Bahasa Melayu 2
G5 Norol SB Bahasa Melayu 10
G6 Saraj SC Bahasa Melayu 2
G7 Hedzal SC Bahasa Melayu 8
G8 Balqis SD Bahasa Melayu 9
G9 Dila SD Bahasa Melayu 3
G10 Hastika SE Bahasa Melayu 5
G11 Betha SE Bahasa Melayu 6
G12 Fazli SF Bahasa Melayu 15
Shamil SF 9
Berdasarkan Jadual 4.1, terdapat dua orang guru mewakili setiap sekolah
menjadikan keseluruhan peserta kajian terdiri daripada 12 orang. Semua peserta kajian
memiliki opsyen mata pelajaran Bahasa Melayu. Secara umum, guru yang
berpengalaman mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu sekurang-kurangnya lima
tahun adalah seramai empat orang, manakala guru yang berpengalaman mengajar
mata pelajaran Bahasa Melayu melebihi enam tahun ke atas juga seramai lapan orang.
128
Dalam kajian ini, semua peserta kajian adalah guru Bahasa Melayu yang
mengajar di sekolah menengah kebangsaan yang mendapat prestasi tekal dalam
peperiksaan awam PMR/PT3 dan SPM dalam tempoh tiga tahun secara berturut-turut,
iaitu pada tahun 2013 – 2015. Sehubungan itu, salah satu daripada sekolah yang dikaji
adalah sekolah yang telah dinobatkan sebagai International Baccalaureate (IB) World
School (Buletin Tapang 2015), manakala sebuah lagi sekolah adalah sekolah amanah
(JPNS 2015). Rasional pemilihan peserta kajian yang terdiri daripada pelbagai latar
sekolah, opsyen dan pengalaman adalah bertujuan mendapatkan maklumat yang lebih
tepat dan terperinci tentang amalan PdPc Bahasa Melayu menggunakan pendekatan
KP. Selain itu, peserta kajian yang terdiri daripada latar belakang yang pelbagai
membolehkan pengkaji mendapatkan data yang terbaik dan bermakna bagi memenuhi
objektif dan menjawab semua persoalan kajian.
Selain itu, semua peserta kajian juga merupakan guru Bahasa Melayu yang
mengambil bahagian secara aktif dalam PdPc Bahasa Melayu berasaskan pendekatan
KP. Malahan, kebanyakan peserta kajian adalah terdiri daripada penyelaras tingkatan,
ketua panitia, guru cemerlang dan guru penyelaras Komuniti Pembelajaran
Profesional (KPP) sekolah. Selebihnya adalah guru akademik biasa. Semua peserta
kajian juga didapati mempunyai pengetahuan dalam KPP berasaskan Strategi
Perkongsian Amalan (De-Privatization of Practice) melalui kitaran alat kolaboratif
KP (Yoshida 2002). Peserta kajian juga antara guru Bahasa Melayu yang mempunyai
pengalaman dalam pelaksanaan pendekatan KP dalam PdPc Bahasa Melayu, serta
bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menyalur maklumat dalam kajian ini.
4.3 KEFAHAMAN GURU TENTANG KAJIAN PENGAJARAN SEBAGAI
PROGRAM PEMBANGUNAN PROFESIONALISME BERTERUSAN
Bagi menjawab persoalan kajian yang pertama, iaitu Apakah kefahaman guru tentang
kajian pengajaran (KP) sebagai program Pembangunan Profesionalisme Berterusan
(PPB), pengkaji memperoleh data melalui hasil temu bual, pemerhatian dan analisis
dokumen. Melalui analisis data kajian tersebut, pengkaji telah memperoleh enam tema
yang muncul bagi menerangkan kefahaman guru Bahasa Melayu tentang pendekatan
KP sebagai program PPB. Tema-tema yang dimaksudkan adalah seperti, (a)
penambahbaikan RPH, (b) peningkatan kualiti perkongsian ilmu, (c) manfaat
kehadiran Pakar Rujuk (PR) atau Knowledgeable Others (KO), (d) pembudayaan
129
amalan kolaboratif, dan (e) peningkatan profesionalisme guru. Perincian bagi tema
tersebut ditunjukkan dalam Jadual 4.2.
Jadual 4.2 Senarai kategori, tema dan sub tema kefahaman guru tentang pendekatan kajian
pengajaran sebagai program PPB
Kategori Tema Sub Tema
a. penambahbaikan bincang masalah pembelajaran murid
Kefahaman guru PdPc berfokuskan hasil pembelajaran murid
tentang pendekatan RPH
kajian pengajaran kekuatan dan kelemahan RPH
sebagai PPB b. peningkatan kualiti kekuatan dan kelemahan PdPc guru
perkongsian ilmu PR sebagai pemudah cara
PR sebagai guru pakar mata pelajaran
c. manfaat kehadiran peranan guru pakar mata pelajaran
pakar rujuk (PR) peranan guru cemerlang
peranan panitia mata pelajaran
d. pembudayaan bersifat terbuka
amalan kolaboratif berfikiran positif
membina keyakinan diri
e. peningkatan milik nilai sepunya
profesionalisme guru
Berdasarkan Jadual 4.2, terdapat pelbagai pandangan telah dikemukakan oleh
peserta kajian berkaitan kefahaman guru Bahasa Melayu tentang pendekatan KP
sebagai PPB. Bagi mendapatkan gambaran dan pemahaman yang lebih jelas dan teliti
tentang tema yang diperoleh, pengkaji menghuraikan setiap tema tersebut secara
terperinci berdasarkan dapatan temu bual, catatan pemerhatian, verbatim pemerhatian,
dan analisis dokumen. Triangulasi data daripada kepelbagaian sumber pengumpulan
data bertujuan untuk meningkatkan kesahan data kajian berkaitan kefahaman guru
Bahasa Melayu tentang pendekatan KP sebagai PPB.
4.3.1 Penambahbaikan Rancangan Pengajaran Harian
Pembudayaan KPP dalam PdPc Bahasa Melayu melalui pendekatan KP telah
membuka ruang perkongsian ilmu dalam kalangan guru Bahasa Melayu untuk
melakukan penambahbaikan RPH. Dapatan temu bual bersama peserta kajian
melaporkan bahawa terdapat banyak manfaat yang diperoleh melalui perbincangan
KP. Antara manfaat yang diperoleh adalah seperti, (a) bincang masalah pembelajaran
murid, dan (b) PdPc berfokus hasil pembelajaran murid.
130
a. Bincang masalah pembelajaran murid
Salah satu daripada kefahaman guru tentang pendekatan KP ialah matlamat utama KP
adalah membincangkan masalah pembelajaran murid. Melalui KP, guru dapat
berkongsi idea untuk menghasilkan RPH yang lebih baik dengan membincangkan
topik pelajaran atau kemahiran yang sukar diajar atau kemahiran yang sukar untuk
dikuasai oleh murid. Dapatan mengenai perkara ini seperti dijelaskan dalam temu bual
bersama Cikgu Mila (G3\SB\Mila\TB:57-60), Cikgu Norol (G4\SB\Norol\TB:63-65)
dan Cikgu Betha (G10\SE\Betha\TB:55-56). Contoh mengenai dapatan kajian ini
dipetik daripada petikan temu bual bersama Cikgu Mila.
“…kami para guru dapat berkongsi idea atau pun dapat melihat cara
RPH itu disediakan dan dilaksanakan. Seperti yang saya sedia maklum
PLC ini kita tengok dan kita rancang PdPc bagi topik yang agak sukar
atau yang paling susah untuk kita ajar…”
[G3\SB\Mila\TB:57-60]
Dapatan kajian tersebut kelihatan lebih jelas melalui pemerhatian sendiri oleh
pengkaji di lokasi kajian. Melalui pemerhatian dan penelitian yang dibuat, sesi
perbincangan yang berlaku dalam kalangan guru Bahasa Melayu untuk menghasilkan
satu RPH dalam KP melibatkan aspek seperti masalah pembelajaran murid. Pada sesi
perbincangan, guru memilih unit atau tajuk yang hendak diajar. Fokus perbincangan
adalah berkaitan tajuk atau topik yang sukar dikuasai oleh murid. Contoh catatan
pemerhatian berikut menjelaskan dapatan kajian tersebut.
Catatan Pemerhatian: Cikgu Betha bersama lima orang guru Bahasa
Melayu yang lain membincangkan RPH Tingkatan 2. Mereka
membincangkan unit / tajuk yang sukar dalam satu sesi pengajaran.
Semua peserta sepakat memilih strategi PdPc yang berkaitan kemahiran
menulis karangan jenis peribahasa yang bertajuk, ‘Hendak Seribu Daya,
Tak Hendak Seribu Dalih’
[G10\SE\Betha\CP1\KPK1]
Triangulasi data melalui analisis dokumen terhadap BRM mendapati peserta
kajian telah menyediakan satu RPH yang lengkap tentang topik pelajaran yang sukar
dikuasai oleh murid, misalnya karangan jenis pendapat, iaitu Peranan Bahasa Melayu
Sebagai Wahana Penyatuan Bangsa Malaysia (G2\SB\Aqmal\AD\RPH2), surat rasmi
131
tentang aduan masalah pembuangan sampah di taman permainan
(G4\SB\Norol\AD\RPH1), karangan wawancara Tokoh Pelajar Cemerlang SPM 2014
(G3\SB\Mila\AD\RPH1), dan karangan jenis peribahasa, iaitu Hendak Seribu Daya,
Tak Hendak Seribu Dalih (G10\SE\Betha\AD\RPH1). Setelah melalui pelaksanaan
pendekatan KP, dapatan kajian telah mengenal pasti peserta kajian telah memperoleh
penambahbaikan dalam RPH. Lampiran L dan M menunjukkan RPH sebelum dan
selepas menyertai sesi KP dalam PdPc Bahasa Melayu.
b. PdPc berfokuskan hasil pembelajaran murid
Seterusnya, kefahaman guru tentang pendekatan KP berkaitan penambahbaikan RPH
ialah pembelajaran dan pemudahcaraan dalam pendekatan KP adalah berfokuskan
hasil pembelajaran murid. Hasil temu bual bersama Cikgu Norol mengatakan bahawa
menerusi KP, guru dipercayai dapat membincangkan hasil pembelajaran murid secara
berfokus tentang topik pelajaran yang hendak disampaikan dalam sesi PdPc KP.
Menurut Cikgu Norol, perbincangan guru dalam KP secara berfokus memberi
pendedahan kepada guru untuk merancang RPH dengan lebih baik kerana guru dapat
memberi tumpuan sepenuhnya terhadap hasil pembelajaran yang ingin dicapai dalam
objektif pembelajaran. Dapatan kajian mengenai perkara tersebut seperti diungkapkan
dalam contoh petikan temu bual bersama Cikgu Norol.
“…yang penting sekali kami dari segi merancang RPH dengan lebih
berkesan lah sebab semasa merancang RPH, perbincangan kami fokus
kepada hasil pembelajaran murid…”
[G4\SB\Norol\TB:63-65]
Seterusnya, menurut Cikgu Fazli pula, pendekatan KP amat berguna kerana
melalui pendekatan KP, guru dapat berkongsi amalan dalam merancang RPH
berkaitan strategi menyediakan aktiviti PdPc dengan lebih berkesan. Petikan temu
bual berikut menjelaskan dapatan kajian tersebut.
“…berguna dan sememangnya baik untuk meningkatkan kemahiran
terhadap perancangan aktiviti dalam rancangan pelajaran harian. Begitu
juga BSP yang kita gunakan …”
[G11\SF\Fazli\TB:57-59]
132
Melalui pemerhatian pengkaji di lokasi kajian, perbincangan guru mengenai
RPH memberi fokus terhadap hasil pembelajaran yang ingin dicapai pada akhir sesi
PdPc. Peserta kajian berbincang tentang strategi PdPc yang sesuai untuk mencapai
hasil pembelajaran dengan lebih baik. Keterangan mengenai dapatan tersebut
digambarkan dalam catatan pemerhatian Cikgu Shamil, Cikgu Norol, dan Cikgu Fazli.
Catatan Pemerhatian: Satu kumpulan KP yang diketuai Cikgu Shamil
membincangkan RPH untuk satu sesi pengajaran di Kelas 5SN1.
Perbincangan mengambil kira aspek tajuk pelajaran, hasil pembelajaran
murid, pemilihan strategi, dan bahan-bahan sumber PdPc. Tajuk
pelajaran: Karangan Jenis Rencana, ‘Hari Permuafakatan Ibu Bapa’.
[G12\SF\Shamil\CP1\KPK1]
Catatan Pemerhatian: Cikgu Norol bersama 6 orang guru Bahasa Melayu
yang lain membincangkan RPH Tingkatan 3. Fokus perbincangan
memberi penekanan terhadap tajuk pelajaran yang sukar disampaikan
dalam pengajaran guru. Semua ahli kumpulan KP bersetuju memilih topik
pelajaran berkaitan kemahiran menulis karangan jenis pendapat.
[G4\SB\Norol\CP1\KPK1]
Catatan Pemerhatian: Cikgu Fazli bersama lima orang guru Bahasa
Melayu yang lain membincangkan RPH Tingkatan 5SAS1. Perbincangan
merangkumi kaedah dan teknik pengajaran untuk menghasilkan penulisan
kreatif, iaitu sajak yang bertemakan ‘Pengorbanan’.
[G11\SF\Fazli\CP1\KPK1]
Triangulasi data melalui analisis dokumen terhadap BRM, semua peserta
kajian didapati telah menyediakan satu RPH yang lengkap tentang tajuk pelajaran
yang telah dibincangkan. Melalui analisis dokumen terhadap RPH peserta kajian yang
terlibat, RPH yang disediakan adalah berkaitan tajuk pelajaran yang telah dipersetujui
oleh semua ahli dalam perbincangan KP. Dapatan kajian menggambarkan fenomena
tersebut seperti tercatat dalam RPH peserta kajian (G11\SF\Fazli\AD\RPH1;
G12\SF\Shamil\AD\RPH1; G4\SB\Norol\AD\RPH1).
Kesimpulannya, berdasarkan dapatan temu bual, analisis dokumen, dan
pemerhatian kajian, jelaslah bahawa PdPc KP memberi pengalaman kepada guru
untuk melakukan penambahbaikan RPH hasil daripada percambahan fikiran oleh
pelbagai pihak. Antara usaha yang diperoleh dalam penambahbaikan RPH seperti
perbincangan masalah pembelajaran murid, khususnya bagi topik atau tajuk yang
133
sukar disampaikan dalam pengajaran guru atau topik pelajaran yang sukar dikuasai
oleh murid. Perbincangan juga berfokus pada hasil pembelajaran murid yang ingin
dicapai pada akhir sesi PdPc.
4.3.2 Peningkatan Kualiti Perkongsian Ilmu
Kefahaman guru Bahasa Melayu tentang pendekatan KP sebagai program PPB turut
melaporkan berlakunya perkongsian ilmu semasa sesi refleksi pengajaran guru.
Melalui data temu bual dan catatan pemerhatian yang diperoleh, terdapat dua perkara
penting berkaitan hasil perkongsian ilmu dalam PdPc KP, iaitu (a) kekuatan dan
kelemahan RPH, dan (b) kekuatan dan kelemahan PdPc guru.
a. Kekuatan dan kelemahan rancangan pengajaran harian
Dalam sesi temu bual, peserta kajian melaporkan bahawa semasa sesi refleksi KP,
fokus perbincangan guru adalah berkaitan kekuatan dan kelemahan RPH. Menurut
peserta kajian, guru boleh belajar daripada kekuatan dan kelemahan RPH melalui sesi
refleksi KP. Kemudian, melalui sesi perbincangan KP, guru berbincang untuk mencari
alternatif yang sesuai bagi melakukan penambahbaikan RPH akan datang. Berikut
adalah contoh petikan temu bual bagi menjelaskan dapatan kajian ini.
“…boleh belajar daripada kekuatan dan kelemahan RPH dan PdPc guru
kita. Maka idea untuk penambahbaikan RPH dan PdPc guru akan datang
tu penting …”
[G4\SB\Norol\TB: 54-56]
“…Kita memang akan bekerjasama, kita akan dapat menilai aaa atau pun
mereflek kekuatan dan kelemahan RPH untuk penambahbaikan …”
[G10\SE\Betha\TB:56-58]
Fenomena kajian yang berlaku turut dijelaskan melalui pemerhatian pengkaji
terhadap sesi refleksi pengajaran guru yang melibatkan peserta kajian. Melalui
pemerhatian dan penelitian, pengkaji mendapati peserta kajian terlibat secara aktif
dalam sesi maklum balas guru untuk membincangkan kekuatan dan kelemahan RPH.
Selain itu, PR turut memberi komen tentang kekuatan dan kekurangan RPH, serta
134
mengemukakan cadangan untuk penambahbaikan RPH yang seterusnya.
Perbincangan guru seperti digambarkan dalam catatan pemerhatian yang diberi.
Catatan Pemerhatian: Cikgu Norol terlibat dalam sesi perbincangan
refleksi KP bersama enam lagi guru lain yang merupakan ahli dalam
kumpulan KP. Mereka membincangkan aspek kekuatan dan kelemahan
RPH, masalah pembelajaran murid serta mencadangkan penambahbaikan
RPH untuk digunakan dalam sesi PdPc seterusnya.
[G4\SB\Norol\CP1\KPK4]
Catatan Pemerhatian: Cikgu Betha bersama lima lagi guru lain tengah
melakukan sesi refleksi pengajaran guru sebaik selesai sesi pemerhatian
PdPc KP. Setiap orang mengemukakan pendapat untuk melakukan
penambahbaikan RPH.
[G10\SE\Betha\CP1\KPK4]
Analisis dokumen terhadap Fail KPP Panitia Bahasa Melayu di sekolah kajian
mendapati semua hasil perbincangan dalam sesi refleksi KP dicatat sebagai Laporan
Refleksi KP (AD\FKPP\PBM\SB; AD\FKPP\PBM\SE). Melalui analisis, pengkaji
mendapati Laporan Refleksi KP yang dihasilkan mengandungi RPH KP setelah
melalui proses pemurnian untuk penambahbaikan.
b. Kekuatan dan kelemahan PdPc guru
Peningkatan kualiti perkongsian ilmu melalui pendekatan KP seterusnya memberi
peluang kepada guru untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan PdPc. Hasil temu
bual, dapatan kajian melaporkan pendekatan KP memberi peluang kepada guru untuk
mengenal pasti kekuatan dan kelemahan PdPc guru. Menurut peserta kajian, dalam
sesi pemerhatian pengajaran KP, guru berpeluang menyaksikan proses PdPc secara
praktikal yang dikendalikan oleh guru model. Lihat contoh petikan temu bual berikut;
“…Kemudian mengenal pasti apa masalah yang mungkin berlaku, jadi
boleh kita melakukan penambahbaikan …”
[G8\SD\Dila\TB:65-68]
“…banyak kebaikan dan kekuatannya kepada pengajaran guru. Sebab
banyak perkara atau ilmu yang boleh dikongsi melalui perbincangan KP
seperti ketika sesi maklum balas dan sesi refleksi guru …”
[G4\SB\Norol\TB:38-41]
135
Dapatan kajian mengenai perkara tersebut dapat disaksikan dengan jelas
melalui pemerhatian pengkaji di lokasi kajian. Melalui pemerhatian sesi pengajaran
guru model KP, guru dapat menimba ilmu secara praktikal kerana semuanya berlaku
di hadapan mata. Catatan pemerhatian berikut menjelaskan dapatan kajian tersebut.
Catatan Pemerhatian: Sesi refleksi memberi peluang kepada Cikgu Norol
terlebih dahulu untuk memberi maklum balas tentang kekuatan dan
kelemahan sesi PdPc yang baru sahaja selesai tadi. Guru-guru lain
mendengar dengar teliti. Seterusnya, perbincangan diteruskan untuk
mengenal pasti kekuatan dan kelemahan PdPc guru.
[G4\SB\Norol\CP1\KPK4]
Catatan Pemerhatian: Terdapat enam orang guru Bahasa Melayu
termasuk Cikgu Dila mengendalikan sesi refleksi KP. Perbincangan
dalam sesi refleksi merangkumi hasil pembelajaran murid, kekuatan dan
kelemahan pengajaran guru, pelaksanaan aktiviti pengajaran dan lain-
lain.
[G8\SD\Dila\CP1\KPK4]
Analisis dokumen terhadap Fail KPP Panitia Bahasa Melayu di sekolah kajian
mendapati hasil perbincangan sesi refleksi KP mencatatkan perkara berkaitan
cadangan penambahbaikan strategi PdPc Bahasa Melayu (AD\FKPP\PBM\SB;
AD\FKPP\PBM\SD). Cadangan penambahbaikan PdPc guru boleh dirujuk oleh guru
dalam Fail KPP Panitia Bahasa Melayu sekolah sebagai rujukan guru pada bila-bila
masa. Berdasarkan data temu bual, analisis dokumen, dan pemerhatian sesi refleksi
pengajaran peserta kajian, kajian mendapati sesi refleksi membuka peluang kepada
guru Bahasa Melayu untuk berkongsi maklumat yang kritikal tentang kekuatan dan
kelemahan RPH, serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan PdPc guru.
Kesimpulannya, cadangan idea melalui perkongsian ilmu dalam sesi refleksi KP
sesuai digunakan untuk penambahbaikan RPH dan strategi pelaksanaan sesi PdPc
yang seterusnya.
4.3.3 Manfaat Kehadiran Pakar Rujuk
Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran PR atau KO dalam sesi pelaksanaan PdPc
KP bertindak sebagai pemerhati, pemberi komen dan cadangan bagi langkah-langkah
penambahbaikan dalam RPH. Dalam kajian ini, kefahaman guru berkaitan kehadiran
PR dalam PdPc KP diperoleh melalui temu bual, analisis dokumen dan pemerhatian.
136
Berdasarkan temu bual, pengkaji dimaklumkan bahawa kehadiran PR dalam sesi
pemerhatian dan refleksi pengajaran KP memberi manfaat kepada guru. Antara
manfaat kehadiran PR dalam PdPc KP adalah, (a) PR sebagai pemudah cara, dan (b)
PR sebagai guru pakar mata pelajaran. Berikut merupakan huraian bagi menerangkan
dapatan kajian tersebut.
a. Pakar rujuk sebagai pemudah cara atau moderator
Selaras dengan bentuk pelaksanaan PdPc KP, kehadiran PR dalam kitaran KP ke-3
dan ke-4 turut dilaporkan memberi manfaat kepada guru. Hasil temu bual bersama
peserta kajian, kehadiran PR dalam pelaksanaan PdPc KP telah dianggap sebagai
pemudah cara atau moderator kepada guru. Menurut peserta kajian, perkongsian ilmu
melalui perbincangan KP bersama PR meningkatkan kefahaman guru dari aspek
strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran. Hal ini seperti dijelaskan contoh
petikan temu bual bersama Cikgu Chan dan Cikgu Norol.
“…bimbingan guru yang pakar dalam PdPc seperti dalam KP banyak
menunjukkan contoh PdPc yang baik dan berkesan. Sebenarnya mereka
ini sebagai pemudah cara …”
[G1\SA\Chan\TB:54-56]
“…dengan kehadiran pakar rujuk atau KO dalam sesi perbincangan KP,
mereka ini sebenarnya sebagai moderator lah kerana kami dapat banyak
strategi, pendekatan, kaedah dan teknik PdPc …”
[G4\SB\Norol\TB:42-45]
Sehubungan itu, pemerhatian pengkaji ketika pelaksanaan sesi pengajaran KP
dan sesi refleksi pengajaran guru menyaksikan PR atau KO turut hadir dalam kedua-
dua sesi tersebut. Melalui pemerhatian, pengkaji mendapati PR atau KO berkebolehan
menggunakan sesi refleksi untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru
dalam pengajaran. PR juga memainkan peranan untuk memastikan guru-guru aktif
dalam sesi perbincangan dan berfikir secara mendalam semasa sesi refleksi melalui
teknik penyoalan tentang isu-isu PdPc yang kritikal. Catatan pemerhatian berikut turut
menjelaskan dapatan kajian tersebut.
Catatan Pemerhatian: Cikgu Aqmal melakukan refleksi pengajaran
bersama tujuh ahli kumpulan KP. PR atau KO bertindak sebagai