ABANG ROMANTIK
RUMAH
SEBELAH
EZDIANI ABD RAHMAN
Abang Romantik Rumah Sebelah/ Ezdiani Abd Rahman
Malay Fiction
Teks : ©Ezdiani Abd Rahman
Penerbitan : ©Ezdiani Abd Rahman
Editor : Eastkey
Konsep Muka : Ezdiani Abd Rahman
Reka bentuk : Ezdiani Abd Rahman
Diterbitkan oleh: EZR Global Enterprise
No 5 Lorong Pancur Utama 4,
Taman Pancur Utama,
14300 Nibong Tebal,
Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang
Tel : 01115157006
HAK CIPTA TERPELIHARA
Tiada bahagian daripada penerbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan atau
ditukar ke dalam apa bentuk atau dengan apa alat jua pun kecuali dengan
kebenaran bertulis daripada penulis. Watak-watak yang terdapat di dalam novel
ini adalah hasil kreatif penulis semata-mata. Tiada kena-mengena dengan yang
hidup ataupun mati.
Terima kasih tak terhingga kepada semua yang sudi dapatkan ebook
Abang Romantik Rumah Sebelah ini.
Maaf seandainya ada terkurang pada naskah ini.
FB: Novelis Ezdiani Abd Rahman
Novelis East Diani
Page Fb: Ezdiani AbdRahman Fans
IG: eastdiani_ezdianiabdrahman
Pena Penulis
Terima kasih saya ucapkan kepada semua pembeli ebook Abang Romantik Rumah Sebelah
ini.
Untuk makluman, ebook ini tertakluk dengan syarat dan terma.
Ebook ini tidak boleh diedarkan kepada pihak lain secara percuma atau dijual
semula untuk apa tujuan sekalipun.
Hanya boleh didapatkan daripada pihak penulis atau agen yang sah
sahaja selepas pembayaran dibuat.
Jika didapati bersalah, tindakan undang-undang akan dikenakan
kepada pihak yang terlibat
Kerjasasama anda didahului dengan ucapan terima kasih.
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 1
“EH, apa ni curi-curi tengok?” Fazura menarik telefon bimbitnya lalu
didekatkan ke dada.
Faisha menangkap wajah Fazura yang berkerut. “Kau buat apa? Dari tadi
tak lepas langsung dengan telefon tu. Tak juling ke biji mata tu?”
Makin berkerut muka Fazura sambil menggeleng kepala laju. “Tak ada
nak juling.”
Faisha menjuih. “Orang lain pun bercinta juga, tapi tak adalah
menghadap telefon 24 jam macam kau.”
Faisha pula naik rimas tengok Fazura dengan telefon bimbitnya sahaja.
Tahulah tengah hangat bercinta. Angau sampai langsung tak kisah dengan teman
serumah yang ada. Macam duduk dalam dunia sendiri. Sekejap senyum, sekejap
gelak.
“Jangan duk angau lebih sangat. Nanti takut menangis di kemudian hari,”
bebel Faisha garang.
Anak mata Fazura berhenti melihat skrin telefon bimbitnya. Matanya yang
sepet itu tajam menjegil kepada Faisha.
“Alah... Bukan selalu macam ni. Alang-alang abang sayang aku cuti, baru
dapat nak berbalas WhatsApp macam ni. Kalau tak, nak balas WhatsApp aku pun
susah.” Fazura kerdip mata. Buat muka mengada-ada.
1
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Faisha menjuihkan bibirnya. Tak habis-habis dengan abang sayang dia tu.
Macam tak ada nama orang lain yang nak disebut. Fazura kalau sudah angau,
memang tak boleh nak ditegur. Yang pahit pun dia rasa manis. Bukan Faisha tak
tahu, kawan serumahnya tu berkawan dengan suami orang. Macam kat Malaysia ni
dah tak ada lelaki bujang. Suami orang juga yang dia berkenan.
“Dia tu sibuk sangat dengan kerja dan keluarga dia. Entah-entah dapat
WhatsApp dengan kau ni pun curi-curi. Kalau isteri dia ada di sebelah, mana dia
berani nak berbalas WhatsApp dengan kau. Betul kan apa yang aku cakap ni?”
Fazura mengerutkan mukanya. Tangan Faisha ditarik, mahu Faisha duduk di
sebelahnya. “Kau janganlah cakap macam tu, Faisha.”
Faisha menghelakan nafas. Muka Fazura ditenung tajam. “Dia tu suami
orang, Fazura. Kau tak rasa bersalah ke berkawan dengan suami orang?”
Fazura menundukkan kepalanya. Beberapa saat kemudian, dia angkat muka,
membalas renungan Faisha.
“Aku dah sayang dia. Aku dah cuba jauhkan diri daripada dia, tapi tak boleh.
Aku tak boleh nak berpisah dengan dia, Faisha. Takkan aku nak biarkan hati aku
sakit?”
Faisha menggeleng. Fazura memang sengaja cari nahas. Berani dia jolok
sarang tebuan. Bila kena sengat nanti, barulah nak rasa sakit.
“Kau kena faham. Perasaan aku kat Kimi langsung tak boleh dipadam macam
tu aje. Aku dah cuba jauhkan diri daripada dia, tapi makin kuat perasaan aku kat
dia. Dia pun sayangkan aku.” Fazura terus menegakkan benang yang basah. Dia
lebih pentingkan hati dan perasaannya.
“Aku kalau jadi kau, memang aku tak hadaplah suami orang. Lelaki bujang
pun belum pasti lagi aku nak tersangkut. Aku ni bab lelaki kurang nak percaya. Lagi-
lagi kes kau dengan Kimi. Nampak sangat Kimi tu hidung belang.”
2
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Faisha sudah serik. Dia pernah kecewa dalam percintaan. Selepas apa yang
terjadi, dia terus membawa diri dan menjauhkan perasaan sayang singgah di lubuk
hati. Hingga saat ini, tiada seorang lelaki pun yang berjaya mencuri hatinya.
“Kau tak berada di tempat aku. Kau takkan faham.” Fazura tetap mahu
menang.
“Aku tak mahu faham hal tu. Yang aku tak faham, sikap kau, Fazura. Kau dah
jadi orang ketiga dalam rumah tangga orang. Kalau isteri Kimi tahu, kau boleh
berhadapan dengan masalah yang bakal terjadi?”
Tajam pandangan Faisha menikam anak mata Fazura. Dia memang sakit
hati dengan sikap Fazura.
Fazura diam. Wajahnya nampak tegang.
“Aku rasa lebih baik kau putus aje dengan Kimi tu.” Faisha tegas dengan
kata-kata nasihatnya.
Naik turun nafas Fazura bila Faisha menasihatkannya agar memutuskan
hubungan dengan Kimi. Mana mungkin dia berpisah dengan Kimi. Segala hati dan
perasaan sudah diserahkan kepada lelaki itu.
“Kalau kau tak suka aku dengan dia, kau diamkan dan kunci mulut. Yang
bercinta dengan Kimi tu aku, bukan kau. Kalau kau tak suka, itu kau punya
pasallah!” Fazura mula bengang.
Dia bangun dan terus berlalu masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik
dihempas kuat tanda protes.
Faisha tersentak. Perlahan-lahan dia melepaskan keluhan kecil. Dia
menasihati Fazura untuk kebaikan Fazura juga. Dia tak mahu apa yang pernah
terjadi kepada dirinya dialami oleh Fazura pula.
LUTH FAHIM menghela nafas lega. Selesai juga kes perceraiannya dengan bekas
isterinya, Juliana. Setahun berkahwin dengan Juliana ada pahit manis yang perlu
dilupakan. Semua itu akan dianggap satu dugaan dalam kehidupannya.
3
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth keluar dari kawasan mahkamah. Dia berjalan bersama-sama dengan
peguam Saiful yang mewakili kesnya. Selepas berjabat tangan dan berterima kasih
kepada Saiful, Luth terus berlalu ke parkir kereta.
Belum sempat pintu kereta dikuak, Juliana menarik tangan Luth kemas. Tapi,
Luth cepat-cepat meleraikan pegangan itu.
“Apa awak cuba buat ni, Ju?” Tegang suara Luth.
Kaca mata hitam dibuka daripada terus melekap di mukanya. Merah mata
Juliana akibat menangis. Redup mata Juliana menangkap anak mata Luth.
“Abang... Ju minta maaf atas apa yang terjadi.” Mendatar suara Juliana.
Luth tersenyum sinis. Ungkapan maaf dari bibir Juliana tidak mampu
menyembuhkan hatinya yang terluka. Sudah tiada lagi kepercayaan. Juliana sendiri
yang menyebabkan kepercayaannya itu hilang.
Juliana cuba menyentuh tangan Luth. Dibiarkan sahaja air mata berjuraian di
pipinya. Dia mahu Luth tahu dia benar-benar menyesal dengan tindakannya
sebelum ini.
“Antara kita tak ada apa-apa hubungan lagi. Awak tak ada hak nak sentuh-
sentuh saya. Kita bukan mahram lagi. Awak bukan isteri saya lagi.” Luth mahu
Juliana faham. Mereka berdua bukan sesiapa lagi.
“Abang, Ju minta maaf. Kalau boleh diberi ruang, Ju nak tebus kembali
kesalahan yang Ju dah buat.” Juliana terus merayu, menagih simpati bekas
suaminya.
Lama dia diam dengan mata terus menikam wajah keruh Juliana. Kemudian
Luth melakar senyum. Dia tidak memberikan jawapan. Ya atau tidak, dia diamkan
sahaja. Badan Juliana ditolak perlahan ke tepi. Pintu kereta dikuak dan dia terus
masuk ke dalam. Tidak mahu berlama-lama di situ.
Enjin kereta terus dihidupkan. Terus dipandu kereta tanpa mempedulikan
Juliana yang terus menangis. Hatinya langsung tidak berasa simpati atau kasihan.
Yang dia tahu sekarang, kata maaf tidak dapat diberikan.
4
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Kereta yang dipandu perlahan mula menyelusuri jalan besar. Radio di dalam
kereta dipasang sambil mulutnya ikut menyanyi mengikut irama. Suaranya yang
sumbang itu langsung tidak membantutkan nyanyiannya.
Kereta yang bergerak perlahan dihentikan. Tersentak Luth bila satu
hentaman berlaku. “Allahuakbar!”
Luth segera menjenguk hadapan keretanya. Nampak motosikal jatuh di atas
jalan. Kalut dia membuka pintu dan mendapatkan orang yang dilanggarnya. Laju
sahaja debaran jantung Luth memainkan irama. Beberapa bekas piza sudah
bertaburan di atas jalan raya. Tertelan liur Luth bila melihat sebatang tubuh tidak
jauh dari motosikal.
5
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 2
LUTH duduk di sisi wanita piza yang dilanggarnya tadi. Dia betul-betul tidak perasan
dengan motosikal yang dipandu wanita itu. Mujur kereta yang dipandunya tadi
perlahan sahaja. Kalau tak, boleh mengundang maut wanita yang dilanggarnya tadi.
Telefon bimbitnya yang berbunyi segera dijawab. Luth bingkas bangun.
“Kamu ada di mana ni, Luth?” tanya Puan Aishah, ibu kepada Luth.
Sejam tadi, anaknya memberitahu dia sudah dalam perjalanan pulang ke
rumah. Tapi, setelah sejam berlalu, anaknya itu tidak kunjung tiba.
“Mama, Luth ada kat hospital ni,” beritahu Luth.
“Kenapa dengan kamu Luth? Kamu sakit ke?” tanya Puan Aishah risau.
Luth menghela nafas. Mukanya diraup beberapa kali.
“Luth tak apa-apa, mama. Cuma, tadi Luth terlanggar orang,” beritahu
Luth kendur.
“Allahuakbar! Kamu langgar orang? Macam mana dengan orang yang kamu
langgar tu? Kan mama dah pesan bawa kereta tu hati-hati,” bebel Puan Aishah
dengan pelbagai soalan.
“Luth tak perasan tadi, mama. Sekarang dia tak sedar lagi. Tapi, tak ada apa-
apa yang teruk. Cuma tangan dan kaki dia patah.” Gugup Luth memberitahu Puan
Aishah.
“Allahuakbar! Tangan dengan kaki patah pun kamu cakap tak apa-apa. Kamu
ni Luth,” dengus Puan Hannah di sebalik talian.
6
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Tak apalah, mama. Nanti Luth balik. Luth nak selesaikan kes ni dulu. Apa-
apa nanti, kita sembang kat rumah, ya. Assalamualaikum.” Luth terus mematikan
panggilan.
Dia tidak mahu mendengar bebelan Puan Aishah. Kepalanya sudah
cukup serabut dengan apa yang terjadi hari ini. Kakinya kembali diatur ke bilik yang
menempatkan Faisha Irdina. Masuk sahaja ke bilik itu, dilihat Faisha sudah
sedarkan diri. Perlahan-lahan dia menghampiri Faisha.
Terkedip-kedip mata Faisha memandang Luth yang berdiri di sisinya.
Berkerut mukanya saat wajah itu dipandang.
“Maaf, siapa awak ya? Saya tak kenal.” Perlahan-lahan Faisha
menggelengkan kepalanya. Mukanya berkerut menahan sakit.
“Saya Luth Fahim. Awak panggil Luth aje.” Luth memperkenalkan dirinya.
“Kenapa awak di sini? Rasanya awak bukan saudara saya, kan?” soal Faisha,
tidak selesa dengan kehadiran lelaki yang memperkenalkan dirinya dengan nama
Luth itu.
Luth berdeham, membetulkan nada suaranya.
“Saya yang langgar awak tadi.” Luth berkata tanpa berselindung.
Melopong mulut Faisha. Matanya menjegil luas memandang Luth. “Oh,
awak yang langgar saya tadi?”
Luth mengangguk.
“Kau bawa kereta macam mana, hah? Kau tak ada mata ke? Aku ni pun kau
tak nampak.” Melenting Faisha marahkan Luth.
Tak pasal-pasal badan dia dapat sakit. Tangan dan kaki patah disebabkan
lelaki di hadapannya.
“Maaf, saya tak sengaja langgar awak tadi.”
Faisha meledakkan tawa sinis. Kata maaf Luth diejek dengan mimik muka.
Betapa sakit hatinya bila dia perlu terlantar di hospital begini. Tangan kanannya
yang tidak cedera bergerak-gerak. Ditepuk dahinya bila teringat piza yang perlu
7
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
dihantarnya ke tempat yang sepatutnya. Dia cuba duduk, tapi kembali
membaringkan badannya bila pergerakannya itu membuatkan tempat cederanya
sakit.
“Awak tak boleh bergerak sangat,” pesan Luth.
Mencerlung mata Faisha memandang wajah Luth.
“Mana piza yang aku nak hantar tadi? Kau dah ambil semua piza tu dan
makan, kan?” tuduh Faisha.
Kata-kata tuduhan Faisha membuatkan Luth geli hati lantas terburai
ketawanya. Dalam sakit-sakit pun masih ingatkan kerjanya untuk menghantar piza.
“Dah kenyang saya telan semua piza tu,” seloroh Luth.
Melopong luas mulut Faisha.
“Kau ni jahat! Piza tu bukan kau punya. Kenapa kau habiskan?” marah
Faisha dengan muka bengis.
Makin geli hati Luth dengan Faisha. Percaya bulat-bulat apa yang
dicakapkannya.
“Saya tak makanlah piza awak tu. Takkanlah saya tak ada kesedaran sivik
sampai macam tu sekali. Pasal piza tu, awak jangan fikirlah. Saya dah maklumkan
kepada majikan awak.” Lembut tutur Luth.
“Habis tu, piza-piza tu mana?”
Luth menghela nafas perlahan. “Saya tak tahu pasal piza tu. Lepas langgar
awak tadi, saya terus bawa awak ke hospital. Piza yang jatuh tu sedekah ajelah kat
sesiapa. Dah rosak kut.”
Berkerut muka Luth. Lain macam tegas minah piza di depannya ni. Tak
padan dengan sakit, ada sahaja yang disoal.
“Entah-entah dah kenyang kau telan. Kau jangan makan yang bukan hak kau.
Nanti membusut perut tu aku sumpah.” Faisha masih tak puas hati.
Luth ketawa lagi. “Kita tengok nanti, perut saya membusut ke tak?”
8
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Berkerut muka Faisha menahan sakit bila dia menggerakkan sedikit
badannya. Ditahan dirinya daripada menjerit.
“Kau punya pasallah ni, habis sakit satu badan aku,” bising Faisha lagi.
“Maaf...” Luth mengangkat kedua-dua belah tangannya lalu disusun rapat.
Memohon maaf daripada Faisha.
Dalam hal ini, dia mengaku akan kesalahannya. Kemalangan itu terjadi
berpunca daripada dirinya. Dia akan bertanggungjawab dalam semua hal.
“Maaf aje yang reti cakap!” bentak Faisha.
“Dah betul saya salah, jadi saya kena minta maaflah.” Pening pula kepala
melayan perangai Faisha yang banyak songeh. Garang bukan main lagi walaupun
sakit.
“Awak nak saya hubungi keluarga awak ke? Beritahu awak kat hospital ni.”
Luth bertanya lagi.
Faisha geleng kepala.
“Saya ni yatim piatu. Tak ada keluarga,” balas Faisha. Pandangannya
dialih. Tiba-tiba hatinya jadi sebak.
“Oh... Maaf, saya tak tahu. Selain daripada tu, saudara terdekat ke? Suami
ke?” Takut-takut Luth bertanya.
Faisha menggelengkan kepalanya dengan muka berkerut.
“Tak ada saudara-mara. Suami pun belum ada.” Laju Faisha menjawab.
“Kawan? Kawan baik ke? Takkan tak ada juga?”
Faisha menghela nafas perlahan. Hanya Fazura sahaja yang dia ada sekarang
ni. Itu pun pagi tadi bukan main Fazura marahkannya sebab menegur hubungan
Fazura dengan suami orang. Tak mahulah dia ganggu Fazura.
“Ada tak? Saya boleh tolong contact kawan awak tu.”
Bibir bawah diketap. Perlahan-lahan dia menggeleng. “Tak payah hubungi
sesiapalah. Aku tak ada sesiapa dalam dunia ni. Selama ni aku hidup sendiri aje
pun.”
9
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Kedua-dua belah kening dijongket tinggi. Macam susah sahaja Luth nak
percaya. Takkan gadis di depannya itu tak kenal sesiapa? Mustahil dia tiada
keluarga langsung. Kalau tak ada keluarga, dari mana datangnya? Takkan dari buluh
betung kut? Habis kuat, mesti ada keluarga terdekat, getus Luth dalam hati.
Berkerut muka Faisha bila melihat Luth seakan-akan sedang berfikir. “Kau
boleh balik. Tak payah nak tunggu kat sini.”
“Tak apa ke saya tinggalkan awak sorang-sorang kat sini? Nanti tak ada
sesiapa, awak sedih pula. Saya boleh aje temankan awak kat sini.” Kesian pula Luth
dengan Faisha.
Laju Faisha menggeleng kepala. Dia langsung tak perlukan Luth untuk
menemaninya di sini. “Tak payah. Lagipun aku tak kenal pun kau ni siapa. Kita
bukannya bersaudara pun.”
Luth menyambut kata-kata Faisha dengan senyuman. Dihembus perlahan
nafasnya.
“Kita saudara seislam.” Luth menjawab tenang.
Faisha diam. Dalam hati sudah ditanam perasaan benci kepada lelaki.
Termasuklah lelaki di hadapannya ini. Sungguh dia tak selesa.
“Tapi, kita bukan mahram. Tetap salah,” tegas Faisha.
Luth mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia faham dan tahu adab. Daripada
sikap Faisha melayannya, dia tahu Faisha seorang gadis yang baik.
“Kalau macam tu, saya balik dulu. Jaga diri awak,” pesan Luth.
“Hmm, baliklah!” halau Faisha.
Luth mengeluarkan dompetnya dari seluar. Not 100 diambilnya empat
keping. Tidak lupa kadnya agar Faisha boleh menghubunginya selepas ini.
Dihulurkan duit dan kadnya kepada Faisha.
Faisha menggelengkan kepalanya.
“Aku tak mahu duit kau. Kau simpanlah balik duit kau tu. Bagi kat anak
bini kau lagi bagus,” dengus Faisha.
10
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Saya ikhlas ni. Ini duit ganti rugi atas apa yang berlaku tadi.” Duit di
tangannya terus diletakkan di bawah bantal Faisha.
“Kad saya pun ada kat situ. Apa-apa, awak boleh hubungi saya nanti.
Assalamualaikum...” Luth terus berlalu mengundurkan diri.
Sesekali dia berpaling ke belakang memandang wajah tegang Faisha.
Simpati.
LONGLAI langkah Luth masuk ke dalam rumah. Badannya yang letih terus
direbahkan di atas sofa.
Puan Aishah yang perasan anaknya itu pulang bergegas mendapatkan
Luth. “Kamu tak apa-apa ke, Luth?”
Puan Aishah terus duduk bersimpuh di bawah. Setiap inci badan anaknya itu
dibelek.
Tersenyum Luth dengan sikap prihatin mamanya. “Luth tak apa-apalah,
mama. Tak cedera langsung.”
Puan Aishah mendengus. “Macam mana kamu boleh langgar orang? Tak
perasan ke?”
Luth duduk bersandar di sofa. Kakinya diluruskan.
“Luth tak perasan. Tiba-tiba sahaja terasa langgar sesuatu. Rupa-
rupanya, Luth langgar orang naik motosikal,” cerita Luth dengan mimik muka
menyesal.
“Macam mana dengan orang tu sekarang? Luth dah hubungi keluarga dia?”
soal Puan Aishah.
Luth menjongketkan bahunya. Kepalanya digeleng.
Puan Aishah menepuk paha Luth. “Kenapa tak beritahu? Luth kenalah
bertanggungjawab dengan apa yang dah jadi. Luth yang salah, kan?”
11
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Perlahan-lahan Luth mengangguk. Memang dia salah kerana melanggar
Faisha Irdina. Dia terlalu ralit menyanyi, melepaskan tekanan yang sedang melanda
diri. Tanpa sedar, dia sudah mengundang kecelakaan kepada gadis itu.
“Dia tak ada sesiapa. Itu yang dia beritahu tadi.” Luth menghela nafas
panjang. Langsung tidak menyangka dia sendiri yang mengalami kemalangan.
“Oh! Kesiannya...” Berkerut muka Puan Aishah. Turut bersimpati dengan apa
yang menimpa gadis itu.
“Hmm, tak payah nak kesian sangatlah, mama. Luth ni dah berlembut
dengan dia, tapi bukan main garang dia dengan Luth.”
Kesian memang kesian, tapi sikap Faisha membuatkannya tawar hati nak
berlembut. Gaya pula macam kasar. Minah tomboi agaknya, desis hati Luth,
meneka.
“Aisy, tak bolehlah macam tu. Kalau mama jadi dia, mama pun marah juga.
Orang hati-hati tunggang motosikal, lepas tu tiba-tiba ada orang langgar dari
belakang.” Puan Aishah membela mangsa langgar anaknya itu.
Luth tayang sengih.
“Kalau mama kat tempat dia, mama akan ambil nombor telefon Luth. Mama
akan minta ganti rugi, lepas tu mama ajar Luth. Habis kuat belasah.”
Buntang biji mata Luth mendengar penjelasan Puan Aishah.
“Biar betul, mama.” Terkebil-kebil mata Luth cuba menghadam.
“Betullah.”
Setelah beberapa saat berdiam, Luth meledakkan tawa besar. “Ganas betul
mama.”
Puan Aishah yang serius tadi turut menyambut ketawa anaknya. Belakang
Luth ditepuk-tepuk.
“Tahulah kepala tu berserabut dengan kes kat mahkamah. Kalau ya pun ada
masalah, memandu tu tetap kena hati-hati. Peka dan fokus. Jangan fikir hal lain,”
nasihat Puan Aishah.
12
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth mengangguk tanda mengerti. “Luth langsung tak sangka, mama. Benda
dah jadi. Luth tak boleh nak undur masa lagi.”
“Lepas ni, sila berhati-hati. Jangan layan perasaan sedih berpisah dengan
Juliana tu. Bunga bukan sekuntum. Ramai lagi perempuan yang baik boleh Luth
buat teman hidup.”
Dari awal lagi Puan Aishah kurang berkenan dengan pilihan Luth. Juliana
bukanlah menantu pilihannya. Tapi, memandangkan Luth berkeras mahukan
Juliana sebagai isterinya, dia akur. Semuanya untuk kebaikan anaknya. Tapi,
semuanya separuh jalan sahaja. Ternyata nalurinya selama ini tepat belaka.
Kebahagiaan Luth bukanlah kekal bersama Juliana.
“Luth tahu, mama. Alhamdulillah, kes kami dah selesai. Bab pengganti, Luth
belum fikirkan hal tu. Biarlah dulu bunga yang ada di luar sana mekar dahulu,”
sambut Luth.
Tali leher dilucutkan. Butang bajunya dibuka satu per satu hingga ke paras
dada.
“Yang mekar tu nanti disambar orang. Apa-apa pun, mama doakan untuk
Luth. Kalau nak mama carikan calon, beritahu aje.” Tersenyum Puan Aishah.
Mahu sahaja dikenalkan anak kawan baiknya, Riana. Tunggu masa nanti, dia
akan kenalkan mereka berdua.
Luth hanya diam tak berkutik. Hatinya yang sakit ini masih perlu dirawat.
Mamanya pula sibuk mahu dia mencari pengganti. Dia dah serik untuk mencari
pengganti. Biarlah masa menentukan segalanya.
13
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 3
FAISHA menggagahkan diri bergerak, menyandarkan badannya di bantal. Bosan
bila dari tadi dia asyik terbaring sahaja. Dia cuba menggerakkan tangannya, tapi
pergerakannya terbatas. Rasa sakit itu membuatkan dia menghentikan
pergerakannya.
Faisha ketap gigi. Kalau bukan sebab mamat yang melanggarnya tadi, dia
pasti tidak akan terlantar di hospital begini. Sudahlah hidup sendiri, makin kekoklah
dia tanpa ada sesiapa yang datang menemaninya.
“Kurang ajar betul mamat tu. Ini semua salah dia.” Faisha meraba mukanya
yang terasa sakit.
Mukanya sedikit bengkak dan lebam akibat kemalangan tadi. Sakit hatinya
kepada Luth sampai ke saat ini masih belum reda. Tangannya menyentuh pula
kakinya yang bersimen. Habislah dia kalau kakinya nanti tempang sebelah. Jatuh
saham lagi buat kali kedua. Sudahlah dia memegang status janda, kaki pula
tempang. Tak dapat nak bayangkan kekurangan pada dirinya nanti.
“Assalamualaikum...” Luth menyapa Faisha.
Juling biji mata Faisha menjeling Luth yang berdiri di hujung kakinya.
“Kau lagi. Kan aku cakap tak payah datang sini lagi. Pandai-pandailah aku kat
sini,” bising Faisha.
Muka ketat Luth menunjukkan dia tak hairan dengan sambutan hambar
Faisha. Dia tidak mengendahkan kata-kata pedih Faisha. Memang patut pun Faisha
14
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
marahkannya kerana salahnya juga memandu secara tidak berhemah. Kaki diatur
ke sebelah Faisha. Jambangan bunga yang dibawa dihulurkan kepada Faisha, tapi
tidak bersambut.
“Ambillah ni.” Luth masih setia menghulurkan jambangan bunga itu kepada
Faisha.
Makin tajam Faisha merenung muka Luth. Ikutkan hati, mahu saja digigit-
gigit pemuda di hadapannya itu dengan gigi taringnya.
“Saya letak di sini aje.” Luth meletakkan jambangan bunga yang dibawa ke
meja. Kerusi di sisi Faisha ditarik lalu dihenyakkan punggungnya di situ.
“Eh, kau nak apa lagi ni? Pergilah balik,” marah Faisha, kurang senang
dengan kehadiran Luth.
Luth tidak mengendahkan kata-kata kasar Faisha. Biasalah perempuan
dalam keadaan marah. Memang garangnya itu lain macam. Boleh bergegar satu
hospital dibuatnya. Luth pamer senyuman sinis.
“Suka hati sayalah nak datang sini. Tak ada larangan pun yang tertulis kat
sini.” Luth membalas selamba.
Bergetar badan Faisha. Kenapalah Luth kembali lagi hari ini? Apa lagi yang
lelaki itu mahukan daripadanya? Tak cukup lagikah Luth membuatkannya terlantar
di sini? Kecil besar sahaja Faisha pandang Luth.
“Memanglah tak ada tulis. Tapi, aku tak sudi nak tengok muka kau kat sini.
Dah cukup-cukuplah buat aku sakit macam ni. Kau ada kat sini buat aku makin sakit
aje,” balas Faisha kasar.
Luth tertawa kecil menyambut amarah Faisha. Garang Faisha bagaikan
seekor singa kelaparan. Cara renungannya sahaja seperti mahu menerkamnya.
Tajam dan berbisa.
“Eh, kau ingat aku main-main ke?” tegas Faisha.
Luth melakarkan senyuman pada wajahnya. Bahunya dijongket.
15
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Pergilah balik. Tak guna kalau kau kat sini. Kau bukan boleh hilangkan
kesakitan aku pun. Kau kat sini hanya menambahkan rasa sakit hati aku aje.” Faisha
menarik selimut menutup pangkal pahanya.
Luth cuba bertenang. Tidak melenting dengan perangai Faisha. “Okey, saya
akan pergi. Tapi, dengan syarat.”
Kedua-dua belah kening Faisha terjongket disertai reaksi muka kurang
senang.
“Kau jangan nak suruh aku menyamar jadi kekasih kau. Klise sangat.” Faisha
ketawa mengejek.
“Awak nak menyamar jadi kekasih saya ke? Daripada menyamar, baik jadi
kekasih betul-betul,” balas Luth tenang.
Faisha menghela nafas. “Kau nak apa sebenarnya ni?”
Luth tersenyum. Muka garang Faisha itu ditenung redup. Faisha cepat-cepat
melarikan matanya bila mata mereka saling bertentangan antara satu sama lain.
“Saya tak minta awak menyamar sebagai kekasih. Tapi, saya cuma...” Dari
muka hingga ke hujung kaki Faisha ditenung Luth.
Mata Faisha dapat menangkap pandangan mata Luth ke tubuhnya. Darah
menyirap naik hingga ke kepala. Nafasnya sudah naik turun.
“Kau ingat aku ni perempuan murahan? Jangan tenung aku macam tu!
Jangan nak buat hal dengan aku!” sergah Faisha tidak puas hati. Pasti Luth ada niat
jahat dengannya.
Luth pandang wajah Faisha. Beberapa ketika kemudian, Luth meledakkan
tawa besar. Geli hati. Luth terus ketawakan Faisha.
“Awak tahu ke saya nak buat apa kat awak?” soal Luth sambil menjongket
keningnya.
“Aisy, dah kau pandang aku macam nak telan,” bidas Faisha.
“Awak jangan risau. Syarat saya hanya mahu awak benarkan saya tanggung
kos rawatan dan perubatan. Saya juga perlu bertanggungjawab dengan apa yang
16
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
terjadi kat awak ni.” Luth menyuarakan apa yang bersarang dalam mindanya. Dia
rasa bersalah.
Wajah Faisha yang tegang mula kendur. Dilepaskan keluhan kecil.
“Kalau aku tak terima semua tu?” uji Faisha.
“Saya akan selalu ada dekat dengan awak. Selagi awak kat sini, selagi itu
saya akan ada.” Pantas Luth menjawab pertanyaan Faisha.
Berkerut muka Faisha. “Eh, macam tu pula?”
Luth mengangguk. “Kalau awak tak mahu saya kat sini, awak kena terima
syarat-syarat saya tu. Boleh?”
Kening Faisha terjongket tinggi. Tajam matanya merenung wajah Luth. Boleh
percaya ke? Argh!
“Awak terima?” soal Luth, menanti jawapan Faisha.
Memuncung mulut Faisha. Dia diam berjeda seketika, mengambil ruang
untuknya berfikir. “Aku terima.”
Luth menyambut dengan senyuman. Kepala diangguk-angguk perlahan
tanda faham. Matanya menyorot pada telefon pintar milik Faisha yang diletakkan
di atas permukaan tilam. Lantas dia mencapai telefon pintar milik Faisha itu.
“Eh, apa ni ambil telefon orang.” Bulat mata Faisha.
Tiba-tiba pula Luth merampas telefonnya. Mahu bergerak terbatas, hanya
mulutnya sahaja yang bising mengomel.
Jarinya menyentuh skrin. Telefon dijarakkan sambil wajah menguntum
senyum. Kemudian, nombor telefon miliknya didail. Bunyi sahaja lagu telefonnya,
cepat-cepat dimatikannya kembali. Disimpan nombor itu di dalam telefon miliknya
dan Faisha. Telefon Samsung Galaxy J3 milik Faisha dihulurkan kembali kepada
gadis itu.
“Saya dah simpan nombor saya dalam telefon awak. Kalau ada apa-apa,
awak telefon saya.”
17
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Faisha membelek kembali telefon pintarnya. Mana tahu Luth mahu
mengenakannya. Selepas puas membelek, tiada apa-apa pula yang mencurigakan.
Faisha memegang kemas telefon pintarnya. Tidak mahu sesuatu terjadi pada
telefon kesayangannya. Walaupun harganya tidak sebesar mana, tapi dia hargai
hasil titik peluhnya mengumpul duit demi mendapatkan telefon itu.
“Jangan-jangan kau nak kenakan aku.” Faisha mula curiga.
“Tak adalah. Saya minta diri dululah. Tadi kan awak tak mahu saya kat sini.”
Luth terus berlalu.
Faisha mendengus kasar. Belum sempat dia bertanya lebih, Luth sudah
berlalu. Pelik betul mamat ni. Macam-macam singgah dalam benak fikiran Faisha.
Tapi, cepat-cepat dia menepis. Biarlah apa pun Luth nak buat.
Telefon pintarnya diambil kembali. Dia melihat kembali apa yang dilakukan
Luth pada telefonnya. Ada tersimpan nombor telefon bernama Luth Maco. Siap
disetkan dengan gambarnya yang sedang tersenyum. Daripada wajah serius, Faisha
meledakkan tawa geli hati. Perasan betul. Luth Maco sangat.
LUTH menghela nafas. Hon dibunyikan dan diberikan lampu berkali-kali oleh bekas
isterinya yang mengekorinya dari belakang. Kuat tangan Luth menghentak stereng
keretanya. Tak habis-habis Juliana mengganggu.
Kereta yang meluncur di atas jalan dihentikan di tepi bahu jalan. Kereta
Juliana turut berhenti di bahu jalan dan beberapa ketika kemudian, nampak kelibat
Juliana turun dari perut kereta. Laju sahaja Juliana mengatur langkah menghampiri
Luth yang masih berada di dalam kereta.
Tingkap kereta bahagian pemandu dibuka sedikit selepas Juliana mengetuk
tingkap. Luth melihat Juliana dengan pandangan mencerlung.
“Ada apa kejar-kejar ni?” soal Luth dengan nada mendatar.
“Sayang, bukalah pintu ni.”
18
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth sekadar menjeling. “Cakap ajelah.”
“Kalau ya pun, keluarlah dulu,” pinta Juliana.
Luth mendengus kasar. Badannya dipalingkan menghadap Juliana.
“Kalau nak cakap, cakap ajelah. Kalau tak mahu cakap, saya balik sekarang.”
Suara Luth kedengaran tegas pada pendengaran Juliana.
Juliana menghela nafas. Kedua-dua belah tangannya dijatuhkan pada hujung
cermin tingkap yang terbuka.
“Ju nak abang bagi peluang kedua. Tolong bagi peluang buat kali ini. Kita
rujuk semula, Luth Fahim.” Juliana masih mengharap.
Luth menghamburkan tawa mengejek. Perlahan-lahan dia menggelengkan
kepalanya. Juliana bagaikan orang gila talak mengejarnya. Takkan dia mahu jilat
semula ludahnya?
“Abang...”
“Juliana binti Khorie, antara kita memang takkan pernah rujuk semula. Saya
tetap dengan keputusan yang sama. Saya tak boleh nak terima apa yang awak dah
buat kepada saya. Awak dah nusyuz dan saya tak mahu jadi suami dayus. Berpisah
adalah jalan yang terbaik,” balas Luth panjang lebar.
Juliana menghulurkan tangannya melalui tingkap. Tangan Luth disentuhnya
lalu dipegang kuat. “Maafkan Ju, Luth.”
Tangan Juliana yang menyentuhnya ditarik kasar. “Dah terlambat. Perasaan
yang saya tanam dan bajai selami ini dah terkubur tak berbaja. Saya dah tak boleh
nak terima awak seperti dulu lagi. Awak dah hilangkan kepercayaan saya kat awak,
Ju.”
Juliana terus menarik-narik tangan Luth. “Tolonglah...”
“Tak perlu harapkan apa-apa lagi. Antara kita memang dah tak ada jodoh.
Setakat ini sahaja jodoh kita. Jadi, awak perlu terima. Relakan aje.”
Juliana menggeleng laju. “Tak boleh.”
19
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Kalau tak boleh juga, itu bukan masalah saya. Kalau dulu awak jaga
hubungan kita dengan baik, mungkin kita masih bersama. Tapi, awak dah hilangkan
kepercayaan saya. Awak dah jatuhkan maruah saya sebagai seorang suami. Mana
awak letak keimanan awak sebagai seorang isteri semasa kita masih suami isteri?
Saya kursus ke luar negeri, awak boleh pula bersama-sama dengan lelaki lain. Itu
yang saya tahu, yang saya tak tahu?” Panjang kata-kata Luth menembak
pendengaran Juliana.
Juliana tertunduk. Laju air matanya mengalir di pipi. Kesalahannya itu
disebut satu-satu oleh Luth.
“Kita pilih haluan masing-masing. Tolong jangan ganggu saya lagi lepas ni,”
tegas Luth melontarkan suaranya.
Dia berharap sangat Juliana faham dan mengerti maksud kata-katanya. Dia
sudah tawar hati untuk mengembalikan hubungan mereka seperti dahulu.
Kemanisannya itu sudah tiada lagi. Tidak guna dia berkorban hati dan perasaannya
demi Juliana.
“Tapi, Ju tak boleh.” Laju Juliana menggeleng kepala. Air mata penyesalan
laju membasahi pipi.
“Sudahlah, Ju. Saya tak sayang dan cintakan awak lagi. Tolong jangan ganggu
saya lagi dan jangan sesekali merayu untuk kembali.” Tangan Juliana ditolak keluar
dari tingkap kereta.
Luth meneruskan perjalanannya. Lagi lama dia di situ, makin menjadi-jadi
Juliana. Dia tidak mahu mengdengar lagi rayuan Juliana. Sudah puas dirinya disakiti.
Takkan dibiarkan semua itu berulang sekali lagi. Kemaafan memang sudah tidak
mampu diberikan lagi.
Kereta meluncur laju. Tidak sangka dia terserempak dengan Juliana ketika
dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia sudah letih dan penat mahu menghadap
rayuan Juliana.
20
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth menghela nafas kuat. Tidak tahu bagaimana dia perlu jelaskan kepada
Juliana. Rasanya sudah acap kali diberitahu kepada Juliana. Tapi, Juliana sahaja
degil dan tidak mengendahkan apa yang dia mahukan.
Luth cuba bertenang. Tidak mahu kehadiran Juliana tadi mengganggu
kembali emosinya. Cukuplah emosinya terganggu sebelum ini disebabkan wanita
itu. Kesetiaannya dibalas dengan kecurangan oleh wanita yang disayanginya itu.
Kini, rasa sayang itu sudah dibuangnya jauh-jauh walaupun sebenarnya masih
tercalit perasaan sayang dalam hati.
Telefon yang berbunyi dibiarkan. Pasti Juliana yang menghubunginya. Hanya
itu yang berada dalam minda Luth. Dia sudah malas hendak melayan kerenah
Juliana yang tidak matang. Semasa curang dengannya dahulu, tak mahu pula fikir
baik buruk yang bakal terjadi. Bila dia dah tawar hati dan buat keputusan untuk
berpisah, kalut Juliana merayu kemaafan daripadanya.
Nyanyian lagu di telefonnya yang tadi berhenti kini berbunyi kembali. Luth
mendengus kuat. Dijawab juga panggilan itu.
“Eh, awak tak faham bahasa ke Ju? Kan saya cakap jangan kacau saya. Saya
tak suka! Awak faham tak?” Kuat suara Luth menjerit marahkan Juliana.
“Ehem! Salam tak bagi, jawab telefon marah-marah,” tegur Puan Aishah di
sebalik talian.
Luth menggigit bibir bawahnya. Hujung pangkal lehernya digosok-gosok.
“Eh, mama.”
“Kamu ingat Ju ke? Aisy, kamu ni Luth. Tembak tak bertempat. Kenapa? Ju
ada kacau kamu lagi ke?” soal Puan Aishah.
Luth menghela nafas.
“Tak adalah, mama. Luth ingat dia yang telefon tadi. Tu Luth marah-marah,”
tipu Luth, tidak mahu Puan Aishah risau.
21
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Kedengaran suara Puan Aishah ketawa di sebalik talian. “Kamu tu dah 28
tahun hidup dengan mama. Nak menipu pun tak lepas. Ingat mama tak tahu Luth
sembunyikan sesuatu daripada mama. Juliana kacau Luth lagi, kan?”
Luth sengih sendiri. Tahu sahaja Puan Aishah.
“Tak adalah, mama. Mana ada,” nafi Luth.
“Yalah tu. Juliana merayu nak kembali dengan Luth lagi, kan?” Puan Aishah
terus menyoal.
Luth diam seketika. Dia memang susah nak berahsia dengan mamanya.
Hidung mamanya bagaikan dapat menghidu sahaja.
“Hmm, Luth singgah rumah mama sekejap. Ada hal sikit,” pesan Puan
Aishah. Ada hal yang mahu dibincangkan.
Belum sempat Luth menjawab, panggilan terus dimatikan oleh Puan Aishah.
Luth menghela nafas perlahan. Ada hal apa pulalah kali ini?
22
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 4
DI HADAPAN rumah orang tua Luth ada terparkir kereta Avanza putih. Mungkin
ada tetamu yang bertandang, sebab itu Puan Aishah beria-ia mahu dia singgah ke
rumah sekejap. Dari luar rumah sudah kedengaran riuh-rendah gelak ketawa dari
dalam rumahnya.
Perlahan-lahan Luth mengatur langkah ke dalam rumah bersama salam.
Langkahnya dihentikan. Tertunduk dia berjalan ke depan tetamu sambil bersalam-
salaman.
“Inilah anak kami, Luth.” Puan Aishah memperkenalkan anaknya kepada
Encik Jusuf dan Puan Salina.
Tersenyum Luth memaniskan wajahnya. “Mama... papa... Luth nak naik atas
dulu. Nak mandi dan solat dulu.”
Luth cuba mengelak daripada terus berada di situ. Dia tidak selesa dengan
anak gadis pasangan suami isteri itu. Dia perasan mata gadis itu galak
memandangnya sambil tersenyum-senyum.
“Yalah. Nanti datang sini semula. Boleh kenal-kenal dengan keluarga Aunty
Salina.” Puan Aishah berpesan kepada anaknya itu.
Luth sekadar mengangguk. Kakinya laju mengatur langkah menaiki anak
tangga. Sesekali matanya memandang pada gadis itu yang masih tersenyum sambil
memandangnya. Cepat-cepat dia berlalu naik ke biliknya. Rimas pula dengan sikap
gadis itu.
23
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Pintu bilik dikuak luas dan kembali ditutup rapat. Badannya yang letih terus
dihempas ke tilam yang lembut. Tangannya dibiarkan mendepa dan matanya
dipejamkan. Dia menghela nafas kuat bila wajah Faisha terbayang di matanya. Apa
hal pula wajah gadis itu mengganggu mindanya? Perlahan-lahan Luth tersenyum.
Dia bingkas bangun lalu mendapatkan tuala. Kaki melangkah masuk ke
dalam bilik air. Selepas membersihkan diri, dia segera solat zuhur. Dia duduk
berteleku di sejadah beberapa ketika sambil menadah tangan berdoa. Berharap
agar perjalanan hidupnya dipermudah.
“Luth?”
Pintu bilik diketuk beberapa kali. Kemudian, pintu bilik itu dikuak sedikit.
Terjengul Malisa di muka pintu.
Luth memalingkan wajahnya, memandang kakaknya. Kening dijongket.
“Mama dah panggil tu. Cepat sikit turun,” arah Malisa.
Luth mengangguk. Malas-malas dia bangun. Sejadah yang terbentang
dilipatnya kemas, lalu diletakkan di tempat asalnya. Malisa yang masih berdiri di
pintu dihampiri.
“Perlu ke Luth ada sekali?” soal Luth. Dia tidak selesa dengan renungan anak
gadis pasangan suami isteri itu.
Malisa menjuihkan bibirnya sebelum tersenyum nipis.
“Alah, turun ajelah. Sebab perlulah mama panggil tu.” Bahu Luth ditepuk-
tepuk. Mahu Luth segera turun ke bawah.
“Malaslah, kak. Akak kan ada. Akak pergi ajelah.” Luth kembali melangkah
masuk ke dalam biliknya.
Punggungnya dihenyakkan ke permukaan tilam. Tangannya menyambar
telefon bimbitnya lalu membelek-belek WhatsApp yang belum dibacanya.
“Aisy, mama tu suruh Luth turun sebab nak kenalkan Luth dengan anak
kawan mama tu,” beritahu Malisa.
24
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Pantas Luth panggung kepala memandang wajah kakaknya. Bagaikan orang
tak puas hati lagaknya.
“Luth baru berpisah dengan Ju. Takkan mama nak Luth cari pengganti?”
Berkerut dahi Luth.
Malisa menjongketkan bahunya, walaupun dia tahu memang itu niat
mamanya.
“Apa-apa pun, turunlah dulu. Kesian mama. Jangan malukan mama dan papa
depan tetamu. Pergilah kenal-kenal,” pujuk Malisa.
Luth melepaskan keluhan. “Malas...”
“Turun!” Malisa jegil mata.
“Kalau tak nak turun juga?”
“Riana yang akan jemput Luth kat bilik. Mahu?”
Berkerut dahi Luth. Riana? Siapa dia? Argh, mesti dia gadis yang mama mahu
kenalkan dengannya. Luth bangun bersama keluhan kecil. Mahu tidak mahu, dia
perlu turun berjumpa dengan para tetamu.
Berat sahaja langkah Luth menghampiri tetamu yang bertandang.
Langkahnya kelihatan pincang. Matanya liar mencari tempat kosong. Yang ada
hanya di sebelah gadis itu sahaja. Dengan berat hati dia melabuhkan punggungnya
di situ, tapi dijarakkan sedikit agar tidak bersentuhan.
“Turun jugak. Ingatkan tak mahu turun dah.” Puan Aishah berkata sinis.
Luth senyum senget. Mukanya pun terasa ketat sahaja mahu pamer reaksi.
Senyum pun tak ikhlas.
“Aunty dengar, Luth cikgu kat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang?
Sekolah lama Riana tu.” Puan Salina menyapa Luth ramah.
Luth senyum lagi. Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Luth ajar subjek apa?” soal Puan Salina lagi. Bukannya dia tak tahu, tapi dia
sengaja mahu bertanya sendiri dengan tuan empunya diri.
25
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Saya ajar matematik, aunty,” jawab Luth. Mula dah sesi soal jawab. Dia
betul-betul tak selesa bila ditanya soalan begitu.
Puan Salina mengangguk. Luth perasan Riana yang duduk di sebelahnya
sedang merenungnya tajam.
“Anak uncle, Riana ni pun bakal cikgu juga. Tapi, dia dapat kawasan pedalaman
sikit. Kat sebelah Kedah.” Encik Jusuf pula membuka topik mengenai anaknya.
“Hmm, jauh juga tu. Tapi, tak apa berkhidmat untuk anak bangsa. Kat mana-
mana pun kena ikhlas,” sambut Luth.
Riana mengangguk bersama sengihan.
“Hmm, kat mana-mana pun tak apa. Tapi, kalau boleh, nak dekat dengan
keluarga. Senang nak jenguk mama dan papa.” Halus sahaja suara Riana.
“Baguslah kalau macam tu. Tapi, tugas sebagai seorang guru ni perlu
banyakkan pengorbanan untuk anak didik. Tak kisahlah kena berjauhan dengan
keluarga atau tak, janji dalam diri tu kita dah tanam azam untuk mendidik anak
bangsa. Insya-Allah, Tuhan akan mempermudah semuanya nanti.”
Panjang berjela Luth menyusun ayatnya. Cara Riana seolah-olah dia tak ikhlas
mahu menjadi seorang pendidik.
“Eloklah dua-dua cikgu. Kalau satukan, senang cerita. Lagi senang nak minta
tukar. Ya tak, Lina?” Puan Aishah sempat mengenakan mereka berdua.
Terbatuk-batuk Luth. Dia tak suka dirinya digandingkan begitu dengan
seseorang. Kalau ya pun, biar dia sendiri yang cari calon isterinya. Lagipun dia
kurang berkenan dengan Riana. Walaupun ada manisnya, tapi hatinya langsung tak
berdebar-debar.
“Kenapa Luth?” soal Puan Aishah.
Luth buat mimik muka. Harap sangat mamanya faham.
“Malulah tu.” Puan Salina menyampuk.
Kemudian, suasana itu bertukar gamat dengan hilai tawa mereka yang ada.
Luth sahaja bagaikan orang asing di situ.
26
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth bangun menapak ke luar rumah. Dia mengatur langkah menghampiri
taman herba yang diusahakannya di laman rumah keluarganya. Ada pelbagai
tanaman herba yang ditanamnya di laman itu. Daun kunyit yang berlipat digulung
ulat daun itu disentuh. Dibuang ulat yang sudah mula memakan daun.
“Luth suka berkebun ke?” sapa Riana.
Terkejut Luth. Rupanya Riana mengekorinya ke taman herba. Luth menarik
senyum kelat.
“Hobi masa lapang,” jawab Luth sambil menyibukkan diri. Langsung tak
pandang wajah Riana yang berdiri di sebelahnya.
“Saya pun suka berkebun juga. Tapi, saya suka dengan pokok bunga.” Riana
cuba menarik perhatian Luth dengan minat yang sama.
Padahal pokok bunga di laman rumah keluarganya langsung tak pernah
disentuhnya. Sengaja nak nampak persamaan dengan Luth. Riana memerhati
sahaja gelagat Luth. Tersenyum Riana saat merakam wajah Luth. Memang wajah
Luth sangat sempurna. Wajah itu dalam gambar dan di luar nampak sama sahaja.
Memang betul Luth seorang pemuda yang kacak. Sedap mata memandang.
“Luth...” Meleret suara Riana memanggil Luth.
Luth telan liur. Peluh di dahi sudah bercerau menitis. Gaya Riana sahaja
sudah nampak seperti seorang penggoda.
“Hmm, ada apa ya?” soal Luth sudah gelisah. Namun, dia buat-buat biasa
sahaja.
“Awak dah berpu...”
Belum sempat Riana menghabiskan ayatnya, Luth mengangkat tangannya.
Memberi isyarat kepada Riana supaya diam. Tersungging lebar senyuman Luth bila
di skrin telefonnya terpamer nama Faisha di situ.
“Assalamualaikum, sayang. Baru jumpa tadi dah rindu ke?” Laju sahaja kata-
kata itu meluncur dari mulut Luth. Sengaja dia bersuara kuat agar didengar oleh
Riana.
27
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Menjuih labuh bibir Riana. Daun pokok buah tin yang ada dekat dengannya
itu ditarik dan dikoyak-koyaknya.
“Sayang rindukan Luth ke?” soal Luth lagi dengan sengih lebar.
“Eh, apa kau merepek ni? Bersayang-sayang bagai. Eh, gelilah aku.”
Panggilan terus dimatikan.
Namun, Luth terus dengan lakonannya. Dia berbual-bual sendiri. Padahal
Faisha sudah mematikan panggilannya.
“Okey, sayang. Muah... muah... Okey, sayang kita jumpa esok, ya? I love you
too, sayang.” Luth tersenyum sendiri bagaikan orang tengah angau. Telefon
bimbitnya cepat-cepat disimpan ke dalam poket seleuarnya.
“Maaflah. Kekasih saya telefon tadi. Awak nak tanya apa ya tadi?” Luth
teruskan dengan lakonannnya.
Bukannya dia tidak tahu soalan yang mahu ditanya Riana kepadanya. Cuma
dia buat-buat tak dengar.
“Hmm, tak ada apa-apalah. Saya dah lupa nak cakap apa tadi.” Berona
merah muka Riana. Malu sendiri.
“Ya ke?” Berkerut dahi Luth memandang Riana.
Riana angguk kepala. Masa masih banyak. Dia masih ada masa untuk mengenali
Luth. Kertas yang siap bertulis nombor telefon diberikan kepada Luth.
“Awak ambil ni. Ini nombor telefon saya. Kalau ada apa-apa, boleh telefon
saya.”
Luth mengambil kertas yang dihulurkan Riana. Argh, tak ada masa dia mahu
menghubungi Riana.
28
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 5
“GILA!” hambur Faisha.
Buang tabiat apalah Luth tu? Dia menghubungi pemuda itu kerana mahu
meminta tolong. Bila dah jawab panggilan, Luth memanggilnya sayang pula.
Laju Faisha menggeleng kepala. Salah orang kut. Faisha letak telefonnya di
atas tilam. Ingatkan mahu minta tolong Luth untuk carikan kawan serumahnya
Fazura. Dah berkali-kali dihubungi Fazura, tapi panggilannya langsung tak berjawab.
Mungkin Fazura masih marahkannya.
Faisha hela nafas. Tiada sesiapa yang datang melawatnya sepanjang dia
berada di hospital. Dia anak yatim piatu dan anak tunggal pula tu. Mak Ngah Salina
pula bukan ambil tahu pasal dirinya.
Sampai ke saat ini Faisha tidak dapat melupakan apa yang emak saudaranya
itu lakukan kepadanya. Dalam terpaksa, dia relakan. Pengalaman lalu sungguh
pahit untuk diingat kembali. Tapi, sesekali kenangan itu mengganggu mindanya
juga.
MENANGIS Faisha di hujung kaki Puan Salina. Kuat dan kejap tangannya memegang
hujung kaki emak saudaranya itu.
29
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Mak ngah jangan buat Faisha macam ni. Jangan buang Faisha daripada
keluarga. Faisha tak ada sesiapa dah.” Faisha merayu sambil menangis teresak-
esak.
“Kau ingat diri kau tu siapa? Berani kau sentuh anak aku, kan? Inilah
balasannya.” Telinga Faisha dipulas.
Meraung Faisha bila telinganya dipulas kuat. Menangis dan merayu, tapi
tangisannya itu tidak diendahkan. Puan Salina terus menyakiti dirinya.
“Kau tu hidup dengan aku sekarang ni. Bukan dengan mak bapak kau lagi.
Sekarang kau kenalah ikut cara aku. Apa yang Ana nak, kau jangan nak berebut. Dia
nak apa, kau bagi aje,” marah Puan Salina.
“Tapi, itu rantai loket peninggalan arwah mama kat Faisha. Mama belikan
untuk Faisha, mak ngah,” jawab Faisha tersedu-sedu.
“Sekarang rantai ni Riana punya. Kau tu menumpang dengan aku, jadi ikut
aje apa yang aku suruh,” bebel Puan Salina bengang.
Faisha menghulurkan tangannya, cuba meraih kembali rantai loket
kesayangannya. Satu-satunya harta peninggalan arwah mamanya. Tapi, tangannya
ditepis kasar oleh Puan Salina.
“Mak ngah... tolonglah bagi balik rantai tu. Jangan ambil rantai tu.” Faisha
merayu dengan limpahan air mata di pipinya.
Naik turun nafas Puan Salina. Tangannya mencekak pinggang. Mukanya
tegang menayang muka bengisnya. Sakit hati pula melihat muka Faisha di
depannya. Laju sahaja tangannya menyambar telinga Faisha.
“Hari ni kau tidur kat luar. Jangan sesekali masuk tidur dalam rumah.
Sebelum tu, aku nak kau kemas semua baju-baju kau dari bilik ni. Mulai sekarang,
bilik ni jadi milik Riana. Kau dengar tak?” Tinggi suara Puan Salina.
Faisha tunduk menahan rasa hati. Ingin memberontak, tapi semuanya
bagaikan terhenti. Dia hanya mampu menahan rasa.
30
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“EHEM!” Kuat suara Luth berdeham.
Air mata yang mengalir di pipi cepat-cepat diseka dengan hujung jari. Faisha
malu bila Luth melihat dia menangis. Badannya dipusingkan agar tidak dapat dilihat
Luth.
“Kenapa awak menangis?” soal Luth sambil menghulurkan sapu tangan.
Faisha menepis.
“Mana ada aku menangis,” balas Faisha kasar. Dijeling Luth yang sudah
menarik kerusi dan duduk di sebelahnya.
Luth tarik senyum.
“Eh, tadi tu awak bukan menangis ke? Habis tu, awak tengah berlakon ke?
Ada scene pelakon tambahan ke kat sini?” Sempat lagi Luth mengusik Faisha.
Tegang wajah Faisha. Rasa sedihnya tadi hilang serta-merta. “Sibuk aje.”
Luth senyum lagi. Keningnya dijongketkan.
“Ada lagi sisa air mata kat pipi awak. Ambil sapu tangan ni.” Luth
menghulurkan sapu tangannya.
“Tak payah!” Faisha menolak kasar.
“Atau awak nak saya lapkan air mata awak tu? Meh.” Luth mengacah untuk
menyapu air mata di pipi Faisha.
Laju sahaja Faisha merebut sapu tangan putih dari tangan Luth. Diseka air mata
yang bersisa. Sesekali matanya menjeling Luth yang menyandar di kerusi.
“Kenapa datang sini? Kan aku cakap aku tak nak tengok muka kau kat sini,”
bebel Faisha.
“Dah awak call saya. Saya datanglah sini. Awak rindukan saya ya?”
Tersungging senyum Luth menampakkan giginya yang putih tersusun.
Faisha buat mimik muka. Tak kuasa nak rindukan Luth. Baru kenal, tak ada
maknanya nak ada perasaan rindu.
“Jangan nak perasan sangat boleh tak?” bentak Faisha dengan muka
berkerut.
31
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth tenung lama muka Faisha. Walaupun gadis itu garang dengannya, tapi
wajah itu manis baginya. Tak puas dipandang. Kalau boleh, dia mahu tenung lama-
lama sampai puas.
Faisha tunjuk penumbuk kepada Luth. “Kau tenung aku lagi, ini lekat kat
muka kau.”
Faisha memberi amaran. Dia perasan anak mata Luth tidak lepas merenung
mukanya.
Luth sambut dengan hilaian tawa besar.
“Eh, gelak pula. Kau ingat aku main-main? Kalau kau rasa teringin nak makan
penumbuk, aku bagi aje.” Serius wajah Faisha. Sakit hati pula dengan pemuda di
depannya.
Luth menghela nafas. Pandangan mata Faisha di depannya itu dibalas. Ketika
mata mereka saling bertentangan, ada satu perasaan yang singgah dalam hati.
Jantung berdegup laju memainkan irama. Cepat-cepat Luth melarikan
pandangannya.
Faisha pun sama.
“Kau ni sihat ke tak? Kenapa kau panggil aku sayang? Suara kekasih sendiri
dengan aku pun tak boleh nak cam?” Sinis sahaja soalan Faisha terkena batang
hidung Luth.
Luth menyambut sindiran Faisha dengan sekuntum senyuman. Perlahan-
lahan dia mengalihkan wajahnya. Sekali lagi wajah di hadapannya itu dipandang.
“Cam. Takkanlah saya tak cam suara kekasih sendiri,” jawab Luth sudah
tergelak kecil. Dia selesa bila bersama Faisha, walaupun Faisha melayannya acuh
tak acuh sahaja.
“Habis tu? Buat apa panggil aku sayang? Dalam telefon tu letak nama aku
betul-betul. Kalau aku telefon, kau dah tahu siapa yang call kau,” bebel Faisha.
32
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth tergelak dengan keletah Faisha yang membebel. Tahulah dia. Awal-
awal lagi dia dah simpan nama Faisha dalam telefonnya. Teringat kembali wajah
tegang Riana, Luth rasa puas hati. Faisha betul-betul jadi penyelamatnya hari ini.
Faisha menolak kasar bahu Luth. Sakit hati pula dari tadi asyik tergelak-
gelak. Entah apa yang lawak sangat. “Kau ni apa hal? Macam orang gila.”
Luth mengangkat kedua-dua belah tangannya. Lihat sahaja wajah Faisha,
hatinya rasa tenang. Entah kenapa pula dia berperasaan begitu. Takkanlah dia jatuh
cinta kat minah kasar di depannya ini? Mustahillah.
“Saya nak ucapkan terima kasih kat awak.” Lambat-lambat Luth bersuara.
Faisha mengerutkan mukanya.
“Terima kasih untuk apa? Aku tak buat apa-apa pun kat kau.” Makin berkerut
dahi Faisha.
Luth menjongketkan keningnya. “Awak dah selamatkan saya.”
Faisha mendengus kasar. Tak faham betul dengan mamat di depannya.
Agaknya dah buang tabiat.
“Eh, kau ni gila ke? Sekejap-sekejap gelak, lepas tu kau ucap terima kasih kat
aku. Apa aku dah buat kat kau, hah?”
“Untuk apa-apa aje,” jawab Luth tersenyum lagi.
“Aisy, gilalah aku layan kau. Satu lagi, kenapa kau panggil aku sayang?”
“Saja. Sedap sikit dengar,” jawab Luth dalam nada bergurau.
Faisha tarik muka. Memang sah Luth gila.
“Saya ada bawa sesuatu untuk awak. Kalau lapar, awak makanlah.”
Bungkusan yang dipegang tadi diletakkan ke meja. Lupa pula pada bungkusan nasi
ayam berempah yang dibelinya tadi.
Luth keluar dari rumahnya dengan perut kosong. Kononnya mahu
bersarapan tengah hari di rumah keluarganya. Bila ada tetamu yang tak diundang,
Luth terus melupakan niatnya. Dia tidak mahu menghadap muka tetamu yang
bertandang. Lagi-lagi si Riana. Dia tak selesa bila gadis itu cuba mendekatinya.
33
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Faisha membelek bungkusan. Ada dua bekas polistirena.
“Nasi ayam. Kenapa dua bungkus?” soal Faisha.
“Satu untuk awak dan satu lagi untuk saya. Tadi saya tak sempat nak makan
tengah hari. Jadi, saya ingat nak makan kat sini dengan awak.” Luth mengeluarkan
kedua-dua bungkusan nasi ayam berempah itu dari plastik.
Satu diberikan kepada Faisha dan satu lagi untuk dirinya.
“Isy, kau ni. Tak payah susah-susah belikan makanan kat aku. Kat hospital ni
ada aje makanan. Tak kebulur pun aku kat sini.”
“Saya lapar. Ingat nak makan kat kedai aje, tapi seganlah sorang-sorang.
Jadi, saya belilah dua bungkus. Saya nak awak teman saya makan. Boleh?”
Tidak berkelip mata Faisha merenung bungkusan yang ada di depannya.
Tertelan air liurnya. Luth macam tahu-tahu sahaja makanan kegemarannya. Bau
ayam rempah itu pun dah buatkan dia naik selera.
“Jomlah kita makan sama-sama,” pelawa Luth.
“Kau mimpi apa ni buat baik dengan aku? Entah-entah kau letak racun
dalam nasi ni? Tak pun kau ada hembus-hembus jampi dalam nasi ni.” Faisha jual
mahal. Tak salah dia curiga dengan layanan Luth.
Luth panggung kepala. Mukanya ditarik seinci. “Itu namanya nak menjerat
ke tali gantung. Tak pasal-pasal mati katak bunuh orang. Agak-agaklah nak
berimaginasi pun. Saya ikhlas belikan nasi ni kat awak. Saya nak awak temankan
saya makan. Kalau awak tak percaya, mari kita tukar bungkusan ni. Baru awak puas
hati kut.”
Faisha menggeleng. “Betul ni tak ada racun?”
“Tak adalah. Awak tengok saya makan ni. Sedaplah awak.” Luth sudah
menyuap nasi ke dalam mulutnya.
Tertelan air liur Faisha. Bau wangi kuah sup dan ayam berempah
membangkitkkan seleranya.
34
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Makan ajelah. Saya berani bersumpah dengan nama Allah. Tak ada racun
pun. Jampi-jampi pun tak ada.” Berselera Luth menjamah nasi ayam berempah.
Faisha akur. Dia memang pantang nampak makanan kegemarannya. Satu
suap masuk ke dalam mulutnya. Suapan kedua Faisha terbatuk-batuk. Faisha
pegang lehernya. Dia bagaikan sesak nafas.
Kalut Luth bangun mendapatkan Faisha.
“Awak... awak kenapa ni? Saya panggil doktor.” Kalut Luth cuba dapatkan
bantuan.
Baru Luth bergerak selangkah, Faisha memburaikan tawa besar. Geli hati
tengok air muka Luth yang cuak.
Serta-merta Luth menghentikan langkahnya. Nafasnya naik turun. Faisha
boleh pula bergurau dalam hal begini.
“Sekali lagi awak buat macam ni, saya tak teragak-agak buat CPR kat awak.”
Luth bersuara dengan nada bengang. Perkara begini pun nak buat main-main.
“Hahaha... Aku gurau ajelah. Isy, itu pun nak gelabah.” Faisha terus sambung
jamah nasi ayam yang masih bersisa. Berselera Faisha menjamah makanan yang
dibeli Luth.
Luth menghela nafas. “Ada perkara yang boleh dibuat gurauan. Ada yang tak
boleh. Saya mati-mati ingat betul-betul awak sesak nafas.”
Faisha mengangkat tangannya. “Maaflah.”
Selepas habis menjamah nasi ayam, Luth tolong kemaskan bungkusan kosong itu.
Dibuangnya ke dalam tong sampah yang ada di bawah katil. Faisha pula hanya
memerhati sahaja apa yang dilakukan Luth.
“Kalau awak nak apa-apa, telefon aje saya. Nanti saya belikan,” pesan Luth.
Faisha kemam bibir. Muka Luth tidak lepas dipandangnya. “Kenapa kau baik sangat
dengan aku?”
“Sebab... memang saya baik.” Luth tayang sengih. Tersusun kemas giginya
yang putih bersih.
35
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Faisha ketawa lagi.
“Terima kasih untuk semua ni,” ucap Faisha.
“Sama-sama kasih,” jawab Luth dengan sengih lebar.
“Kita tak saling kenal lagi, kan? Aku Faisha Irdina binti Razali. Panggil Faisha.”
Faisha menghulurkan tangannya.
Luth menyambut huluran tangan Faisha.
“Saya Luth Fahim bin Luth Fadhil. Nama manja Luth. Umur saya 28 tahun dan
bujang tak ada isteri. Awak?” Panjang lebar Luth memperkenalkan dirinya.
Tergelak-gelak Faisha.
“Umur awak berapa? Dah berpunya ke belum?” soal Luth tanpa
berselindung.
“Saya 26 tahun. Saya milik Dia yang satu,” jawab Faisha tergelak-gelak.
36
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 6
LUTH tersenyum-senyum sendiri. Teringat pertemuannya dengan Faisha siang tadi
membuatkan hatinya berbunga-bunga. Walaupun Faisha nampak kasar, tapi dia
selesa bila bersama dengan gadis itu. Dia pun tak tahu kenapa dia perlu
berperasaan begitu.
Luth membetulkan baringannya. Pejam sahaja mata, terbayang wajah dan
gelak ketawa Faisha. Ligat wajah itu bermain dalam minda. Luth bangun daripada
baringannya. Dia mengeluh, kemudian wajahnya diraup buat beberapa ketika.
Malam sudah melabuhkan waktunya. Tapi, mata Luth segar dan masih
belum rasa mengantuk. Dah cuba lelapkan mata, tapi matanya tetap tidak dapat
dipejamkan. Luth bangun daripada baringannya. Dia mengheret kakinya ke anjung
bilik. Pintu di bahagian anjung itu ditarik lalu diloloskan badannya.
Punggungnya dilabuhkan pada kerusi malas yang diletakkan di luar biliknya
itu. Disandar badannya sambil mata menangkap pemandangan malam. Bintang-
bintang sedang berkerdipan. Bulan pula terang menyuluh malam.
“Luth! Luth sayang!” jerit Juliana dari luar.
Mencerlung mata Luth memandang arah suara yang bergema. Juliana terus
memekik, memanggilnya dari luar pagar rumah.
“Abang, bukalah pagar ni!” jerit Juliana lagi. Pagar rumah digoyang-goyang
kuat.
37
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth hanya memerhati gelagat Juliana dari jauh. Makin lama makin menjadi-
jadi pula Juliana dengan perangainya. Juliana yang terus memekik-mekik
memanggilnya membuatkan Luth hilang sabar. Laju kaki Luth keluar dari bilik dan
terus menuju ke pintu utama.
“Eh, kau ni tak malu ke? Bising-bising kat luar rumah, orang tengok nanti, tak
malu?” marah Luth, tidak suka dengan sikap Juliana. Bagaikan orang gila talak.
“Abang... Buka pagar ni, sayang. Ju nak masuk rumah kita.” Meleret-leret
suara Juliana merayu.
Luth menyambut kata-kata itu dengan hilai tawa besar. “Eh, ini rumah
akulah. Bukan rumah kita berdua. Kau tak payah nak jejak kaki kat sini lagi.
Sebelum aku kahwin dengan kau lagi aku dah beli rumah ni. Bukan harta bersama,
ya.” Luth Fahim mengingatkan Juliana.
“Please, Luth. Buka pagar ni.”
“Aku ingat kau dah fahamlah apa yang aku cakap sebelum ni. Tapi, kau tak
faham-faham juga. Kau bukan isteri aku lagi. Buat apa kau nak jejak kat rumah ni
lagi? Barang-barang kau pun aku dah hantar semua kat keluarga kau.” Luth
melepaskan segala kemarahannya.
Juliana memegang besi pagar itu kuat sambil digoyang-goyangnya, meminta
Luth membukakan pagar.
“Eh, kau pergi baliklah. Kau tak malu ke datang sini buat bising? Tak malu
dengan jiran?” Luth betul-betul hilang sabar dengan Juliana.
Juliana menggelengkan kepalanya. Pagar itu digoyang-goyangnya kuat.
“Luth... Ju merayu sangat kat Luth. Tolong maafkan Ju. Berikan Ju peluang
terakhir. Ju nak buktikan kepada Luth. Ju betul-betul nakkan Luth.” Juliana merayu
dengan rembesan air mata.
“Sudahlah Juliana.”
“I love and miss you, Luth. Ju tahu Luth pun masih sayangkan Ju, kan?”
Juliana tidak putus asa untuk terus merayu.
38
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth menarik-narik rambutnya. Mukanya yang tegang itu diraup. Dia
menghela nafas kuat.
“Juliana, kau dengar sini baik-baik. Aku langsung dah tak ada apa-apa
perasaan kat kau. Cinta aku kat kau dah mati. Kau yang bunuh perasaan aku ni.
Jadi, jangan nak merayu sangat.” Tegang wajah Luth.
Sudah acap kali diulang, tapi Juliana tetap begitu. Masuk telinga kanan,
keluar semula telinga kiri.
“Tipu!” Juliana menafikan kata-kata Luth.
Setahunya, Luth cinta gila kepada dirinya. Takkan semudah itu Luth
memadamkan perasaan cinta kepadanya?
“Buat apa aku nak tipu. Kau tengok tepat ke mata aku ni.” Dua jari Luth
dihalakan ke matanya.
“Juliana, aku dah ceraikan kau dan aku takkan rujuk semula dengan kau. Aku
dah tak cintakan kau lagi. Kau bukan sesiapa lagi untuk aku. Jangan kau ganggu lagi
hidup aku. Aku nak hidup tenang tanpa gangguan kau. Jelas?”
Terdiam Juliana. Makin menjadi-jadi esakannya. Tapi, Luth langsung tidak
mempedulikan tangisannya. Hatinya tidak lembut lagi melihat Juliana menangis.
Hatinya cukup keras selepas dirinya dikecewakan oleh Juliana.
“Ju takkan pernah mengalah, Luth. Ju akan usaha untuk mendapatkan
kembali hati Luth.” Kendur suara Juliana.
Luth diam tidak membalas. Dia masuk semula ke dalam rumah. Takut ada
sahaja kata-kata yang pedih akan keluar dari mulutnya.
“Ju akan buat abang melutut semula kat kaki Ju. Abang tunggu!” jerit Juliana
kuat. Kakinya dihentak kuat bila amarannya itu tidak diendahkan Luth.
Pintu dikunci semuanya. Perlahan-lahan Luth menghela nafas. Kakinya
melangkah menaiki anak tangga dan terus masuk ke bilik utama. Badannya
dihempas di atas tilam. Matanya liar memandang suasana di dalam bilik itu. Tiada
apa yang berubah. Yang berubah, dia kini hanya bersendiri tanpa isteri di sisi.
39
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Luth meraup mukanya. Kemudian, dia melepaskan keluhan kecil. Banyak
kenangannya bersama Juliana di rumah itu. Kadang-kadang ia terbayang di mata.
Dan di rumah ini juga kecurangan Juliana terbongkar.
Tangannya mencapai telefon bimbit. Jarinya laju sahaja bermain-main di
skrin telefonnya. Matanya tertumpu pada gambar rumah untuk dijual. Setiap
rumah itu ditilik harganya.
FAISHA hanya mendengar esakan Fazura di sebalik talian. Setelah beberapa hari dia
di hospital, barulah Fazura mencarinya.
“Aku minta maaf dengan kau, Faisha. Kau kat mana ni? Baliklah.” Fazura
merayu di talian. Dia mahu Faisha pulang semula ke rumah sewa mereka.
Faisha membulatkan matanya kemudian mengusap-usap rambutnya.
“Kalau aku ada pun, aku hanya sibuk nak jaga tepi kain kau aje. Aku tak balik
pun tak apa, kan?” Faisha bersuara dengan nada merajuk.
“Alah, janganlah macam tu. Aku tahu aku salah. Aku marahkan kau sebab
asyik ambil tahu hal aku. Lepas ni, aku tak kisah dah kau nak bebel aku atau tegur
aku. Janji kau balik. Aku sunyilah bila kau tak ada kat rumah,” luah Fazura.
Faisha hanya tersenyum. Sebenarnya dia rindukan Fazura. Tak sangka malam itu
Fazura menghubunginya.
“Sha, kau kat mana ni?” tanya Fazura lagi. Dia masih belum dapat jawapan
daripada Faisha.
“Baru malam ni kau nak cari aku, Fazura? Aku ingat kau dah tak anggap aku
kawan kau dah,” keluh Faisha sikit terasa.
“Kaulah kawan aku. Bila kau tak ada, sunyi aje rumah kita. Kalau tak, dengar
aje suara bising kau bebelkan aku. Kau baliklah, Faisha. Aku rindu kat kau,” pujuk
Fazura.
Faisha tertawa kecil.
40
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Kalau kau rindukan aku, kau datanglah jumpa aku.” Kendur suara Faisha.
“Jumpa kat mana?” soal Fazura lagi.
“Aku kemalangan ni. Kaki dan tangan aku patah. Nak bergerak sangat pun
tak boleh. Harapkan ihsan jururawat kat sini aje nak bergerak,” cerita Faisha.
“Allahuakbar! Kenapa kau tak beritahu aku?”
Faisha hanya tersenyum. Tanpa sedar ada air mata menitis di pipinya.
Rupanya Fazura masih ingatkan dirinya. Dia sahaja yang bersangka tidak baik
tentang sahabatnya itu.
“Aku tak mahu kacau dan menyusahkan kau.” Kendur suara Faisha meluah
rasa.
Fazura mendengus kuat. “Kau kat hospital mana? Beritahu aku. Sekarang
juga aku pergi teman kau.”
“Kat KPJ Ampang Puteri.”
Sebelum mematikan panggilan, sempat Fazura bercerita tentang hubungan
cintanya dengan si kekasih hati. Hubungannya dengan suami orang itu sedang
menanti belah. Hakimi bagaikan sedang mengejar bayangannya.
41
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 7
MATANYA tidak lepas memandang keadaan sekeliling rumah. Kawasan rumah itu
cantik dan kemas bagaikan dijaga baik oleh tuan rumah sebelum ini. Dari luar
rumah, Luth melangkah masuk ke dalam rumah pula.
Mata menangkap setiap inci ruang rumah. Dia sangat berpuas hati dengan
struktur rumah. Memang langkah kanan Luth bila kawan lama di sekolah
menengah ingin menjual rumahnya kerana akan berpindah ke selatan tanah air.
Hanya melihat melalui gambar sahaja, Luth mengambil risiko membeli rumah itu.
Lega hatinya bila lihat keadaan rumah yang masih terjaga elok. Puas hati.
“Assalamualaikum.”
Luth menjengah ke pintu depan ruang utama. Seorang gadis bertudung biru
menyapa dari rumah sebelah.
“Maaf, saya ganggu.” Perlahan-lahan Fazura menyusun ayat. Terpegun dia
bila pertama kali bertemu dengan Luth. Tertelan air liurnya.
“Ya, cik. Ada apa-apa ke?” soal Luth bersama sederet senyuman.
Tidak berkelip mata Fazura merenung jejaka kacak di hadapannya. Wajah
bersih Luth terus dirakam dalam benak ingatannya.
“Hmm... Maaf, encik. Saya nak minta tolong sikit.” Fazura menjawab gugup.
Matanya terus melekat pandang ke wajah Luth.
“Tolong apa ya?” tanya Luth.
42
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Fazura mengukir senyuman. Matanya menyorot pula pada anak kucingnya
yang sedang enak tidur di kaki lima rumah jirannya.
“Tolong saya ambilkan kucing tu,” jawab Fazura.
Kebiasaannya, Fazura terus masuk sahaja ke rumah kosong itu untuk
mengambil anak kucingnya. Tapi, bila melihat ada kereta di hadapan rumah itu, dia
mematikan hasratnya.
Luth menyorot pandang ke arah mata Fazura. Kucing yang sedang tidur itu
diambilnya dan dihulurkan kepada Fazura.
“Terima kasih,” ucap Fazura dengan senyuman tak lekang dari bibirnya.
“Sama-sama.”
“Ermm, encik tinggal sini ke?” tanya Fazura memulakan sesi perkenalan.
“Ya. Saya tuan baru rumah ni. Hmm, tak payah panggil saya encik. Panggil
aje Luth.”
Laju sahaja Fazura mengangguk.
“Saya Fazura.” Laju Fazura memperkenalkan dirinya. Senyumannya terus
menguntum manis. Gembira dapat berkenalan dengan Luth. Wajah itu tidak jemu
dipandangnya.
Luth menganggukkan kepalanya. Kekok pula nak berdepan dengan gadis di
depannya itu.
“Lepas ni kita berjiranlah. Saya sewa di sini dengan kawan saya,” cerita
Fazura ramah.
Luth menganggukkan kepalanya. Tak selesa bila sepasang mata di
hadapannya itu terus merenung wajahnya.
“Hmm, saya banyak kerja lagi ni nak buat. Saya masuk dulu, ya.” Luth cuba
mencari alasan untuk mengelak daripada terus berbual dengan Fazura.
Fazura menganggukkan kepalanya.
“Nanti kita jumpa lagi. Kalau terserempak, jangan segan tegur, ya.” Fazura
sempat berpesan kepada Luth.
43
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Fazura senyum bila Luth menyambut kata-katanya itu dengan senyuman
kecil.
Luth menghela nafas. Terasa lega bila dapat melarikan diri daripada Fazura.
Kakinya kembali mengatur langkah ke dalam rumah. Badannya terus dihempas ke
sofa. Permukaan sofa itu ditepuk-tepuk. Masih elok lagi keadaan sofa itu. Masih
baru. Sekali dengan barang-barang rumahnya itu dijual kepadanya.
Telefonnya berdering. Tertera nama Juliana di skrin telefonnya. Malas
hendak menjawab panggilan bekas isterinya itu. Sebuah keluhan dilepaskan apabila
nama itu terpapar. Naik rimas hendak melayan kerenah Juliana.
FAISHA berjalan menggunakan tongkat perlahan-lahan. Pulang juga dia ke rumah
sewanya. Matanya tertumpu pada rumah sebelah. Rumah yang sudah lama kosong
itu sudah berpenghuni? Faisha tertanya-tanya sendiri.
Sebaik punggung dihenyakkan di sofa, Fazura memulakan perbualan.
Berseri-seri sahaja wajah Fazura bagaikan sedang angaukan seseorang.
“Jiran baru kita tu kacak,” beritahu Fazura, memuji-muji Luth.
Berkerut dahi Faisha. Fazura tak pernah serik.
“Jadi, jiran kita tu lelaki?” soal Faisha.
Fazura mengangguk laju bersama sengih lebar.
“Bujang?” soal Faisha lagi. Wajah Fazura ditenung redup.
Fazura yang tersungging senyum mematikan senyuman. Kali ini mukanya
berkerut-kerut bagaikan sedang memikirkan sesuatu.
“Aku tak pastilah pula. Lupa pula aku nak tanya. Tapi, yang pasti, masa aku
tegur tu, dia sendiri. Mungkin bujanglah kut.” Fazura menjawab.
Naik juling biji mata Faisha.
“Kau kena pastikan dia bukan suami orang. Jangan buat hal lagi,” pesan
Faisha. Tidak mahu Fazura bermain kayu tiga dengan suami orang.
44
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Fazura diam seketika. Muka Faisha direnung. “Isy, kau ni. Aku cerita aje pasal
jiran kita tu. Bukannya aku nak mengurat dia pun.”
Faisha menjuih. Mana tahu kawannya itu berubah hati. Apa yang tersimpan
dalam hati, bukannya dapat diteka.
“Jangan duk gatal. Jaga sama adab. Kita ni orang perempuan. Kau kena ingat
tu,” nasihat Faisha.
Fazura tidak berkelip pandang muka serius Faisha. Bila Faisha sebut
perkataan kita ni orang perempuan, tersembur kuat ketawanya.
“Gelak pula. Aku nasihat kau aje.”
Fazura menjongketkan keningnya berkali-kali. “Kau perempuan ke?”
Sinis sahaja soalan Fazura. Sudah biasa sangat bercakap kasar sesama
mereka. Gurauan begitu langsung tidak menimbulkan rasa dalam hati.
“Jebon betul kau Zura. Kau ingat aku ni jantan ke? Pengkid lagilah bukan.
Kalau betul aku ni pengkid, dah lama aku bedal kau. Dah lama kau tergolek dengan
aku,” balas Faisha selamba. Buah epal hijau yang terhidang digigit.
Meledak ketawa besar Fazura. “Kalau kau ni lelaki, aku takkan pandang kau
pun. Muka kau tu manis sangat. Lepas tu six packs pun tak ada. Harap bukit kat
depan tu aje, nak buat apa? Aku pun ada.” Kasar gurauan Fazura.
“Ngek betul kau. Nanti aku ada six packs, kau tergoda pula. Sengal!” balas
Faisha sempat menjeling Fazura.
Fazura terus ketawa. Hatinya betul-betul terasa digeletek. Riak wajah Faisha
bagaikan tak puas hati sahaja. Namun, Fazura tak mengendahkan reaksi Faisha.
Hati Faisha keras. Setakat bergurau kasar begitu, dia takkan terasa hati. Dia kenal
sangat dengan Faisha Irdina. Perempuan hati batu.
“Jangan tanya kalau bukit kau kat depan tu tenggelam tak muncul-muncul.
Kut-kut kau bertukar jadi jantan.” Faisha membidas.
45