Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
SUDAH berkali-kali Puan Aishah menghubungi menantunya. Tetapi, tidak berjaya.
Faisha mungkin telah mematikan telefonnya agar tiada sesiapa boleh
menghubunginya.
Luth pula sudah tidak tentu arah. Merata tempat dicarinya Faisha, tapi
langsung tidak berjumpa.
“Luth dah mesej Faisha? Tinggalkan pesanan kat dia?” soal Malisa. Dia turut
risaukan keadaan adik iparnya.
Luth menganggukkan kepalanya.
“Dah berpuluh-puluh mesej dan WhatsApp Luth hantar kat dia, kak. Dari tadi
lagi Luth mesej, tapi langsung tak ada jawapan,” jawab Luth gelisah.
“Ke mana agak-agaknya Faisha pergi? Luth boleh agak tak? Rumah kawan
baik dia ke?” soal Malisa lagi.
“Kawan baik dia sebelah rumah Luth aje. Mustahil dia ada kat rumah sebelah
tu. Masa Luth pergi rumah tu, memang berkunci dan bermangga. Kawan dia Fazura
memang tak ada.” Luth menarik rambutnya lagi.
Habis, ke manakah Faisha pergi?
“Luth dah tanya Fazura?” soal Puan Aishah.
Luth menggelengkan kepalanya. Dia sibuk mencari Faisha di merata tempat
hari ini hingga lupa hendak bertanya kepada Fazura. Telefon di atas meja
disambarnya. Segera didail nombor Fazura. Namun, jawapan yang diterima begitu
menghampakannya.
“Macam mana?” soal Puan Aishah.
Luth menggelengkan kepalanya.
“Zura tak tahu pasal Faisha. Faisha pun tak ada telefon dia,” jawab Luth
kecewa.
Puan Aishah melepaskan keluhan berat. Mungkin Faisha pergi kerana
marahkannya. Dia betul-betul terkesan dan terasa dengan pemergian Faisha. Kalau
bukan kerananya, mungkin Faisha tidak akan pergi meninggalkan anaknya.
396
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Luth pelik, kenapa tiba-tiba aje Faisha pergi. Padahal kami okey aje tak ada
apa-apa masalah.” Luth meluahkan apa yang bersarang dalam hatinya.
“Mungkin sebab mama.” Puan Aishah tidak dapat mengelak daripada
menyalahkan dirinya sendiri.
Luth menggelengkan kepalanya.
“Faisha takkan lari sebab mama. Luth rasa bukan. Sebab Faisha yang selalu
pujuk Luth untuk balik jumpa mama, jangan marahkan mama,” cerita Luth akan
kebaikan isterinya.
Puan Aishah malu sendiri. Dia meminta Luth membenci Faisha, tapi
menantunya tidak pernah meminta anaknya bencikan dirinya. Walaupun macam-
macam kata nista yang telah dilemparkannya.
“Kita buat laporan polis aje,” cadang Puan Aishah.
Luth menggelengkan kepalanya. Faisha bukan hilang, tapi dia minta diberikan
masa untuk menenangkan fikirannya. Makin jauh Luth berfikir punca segala
masalah yang terjadi.
“Entah-entah sebab Aunty Salina kamu bagi amaran kat dia tak?” teka Puan
Aishah.
Luth diam sejenak. Mungkin ada betulnya juga. Mustahil Faisha nak merajuk
bawa diri tiba-tiba tanpa punca. Mesti ada sebab yang membuatkan Faisha jadi
begitu. Cuma mereka semua tidak tahu apa puncanya.
“Kita pergi ke rumah Aunty Salina,” ajak Puan Aishah.
Luth diam sejenak. Berfikir sama ada dia perlu ke rumah Puan Salina atau
hanya menunggu di rumah sahaja.
“Luth ikut. Ada sesuatu yang perlu Luth tanya sendiri pada Aunty Salina.
Mama tahu ke mat mana rumah Aunty Salina?” soal Luth.
Puan Aishah menganggukkan kepalanya.
397
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
RUMAH dua tingkat itu berkunci dari dalam hingga ke pagar. Kereta pun tiada di
rumah itu. Apabila dihubungi, Puan Salina juga tidak menjawab panggilannya.
Pesanan mesej daripada Puan Aishah juga tidak dibalasnya.
Puan Aishah melepaskan keluhan. Dia hanya memandang sahaja rumah itu.
“Betul ke ni rumah Aunty Salina?” soal Luth.
“Yalah, betul ni rumah Aunty Salina kamu.” Puan Aishah mengiakan. Sudah
beberapa kali dia bertandang ke rumah dua tingkat itu.
“Tapi, rumah ni berkuncilah, mama. Memang tak ada orang ni.” Luth
menggoyangkan pagar rumah. Geram pula dia bila orang yang dicari tidak ditemui.
Ketika mereka memekik-mekik riuh di luar rumah, jiran dari sebelah rumah
Puan Salina datang menegur. Dia nampak Puan Salina dan keluarganya tergesa-gesa
keluar dengan beg besar.
Puan Aishah menghela nafas. Mereka terlewat untuk beberapa ketika sahaja.
Mereka kembali ke rumah. Luth ada menghubungi Fazura bertanyakan
perihal Faisha. Dia berharap sekali Fazura dapat membantunya menjejaki Faisha.
Tapi, sayangnya Fazura tidak tahu-menahu tentang Faisha. Namun, Fazura berjanji
akan membantunya menjejaki Faisha.
398
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 60
FAISHA duduk berteleku di atas sejadah. Lama dia di situ sambil berdoa. Air
matanya yang laju tidak dapat dikawal lagi. Terdamparnya ke sini kerana membawa
diri. Sekali lagi dia membuat keputusan tanpa berfikir panjang dan memikirkan
perasaan orang sekelilingnya.
Kain sejadah dilipat dua, lalu diletakkan di birai katil. Kain telekung dilucutkan
dari badannya, lalu dilipat kemas. Longlai langkahnya berdiri di jendela yang
terbuka luas. Matanya membuang pandang pada hamparan sawah bendang yang
menghijau.
Riuh suara burung berkicau seakan-akan sedang menyanyikan lagu buatnya.
Sesekali matanya menangkap burung-burung yang sedang berterbangan itu.
Terbang riang bagaikan tiada masalah menimpa.
Faisha mencalitkan senyuman kelat pada wajahnya.
“Kan seronok kalau aku macam burung tu. Boleh terbang bebas, tiada sesiapa
pun yang mengganggu.” Faisha bercakap sendiri.
Faisha melepaskan keluhan. Wajahnya kembali keruh. Dia teringat kembali
kad jemputan perkahwinan suaminya dengan Riana yang akan berlangsung dua
minggu lagi. Hatinya sakit bagai dicarik-carik. Remuk dan hancur tidak dapat
digambarkan lagi.
Faisha tidak pernah menduga sejauh itu ibu mertuanya mahu menjodohkan
Luth dengan Riana. Dirinya yang dibenci terasa bagaikan terbuang jauh. Bila hatinya
399
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
sudah terbuka ruang untuk mencintai Luth, dirinya tertampar dengan kisah yang
amat menyakitkan.
Kenapa semua ini perlu terjadi dalam hidupnya? Apakah dia tidak layak untuk
hidup bahagia tanpa sebarang gangguan? Faisha kesal kerana membiarkan
perasaannya merajai segalanya. Dia tidak perlu menghadirkan perasaannya kepada
Luth. Tapi, dia sudah terbabas jatuh cinta.
Bukan secalit perasaan sayang dan cintanya itu tersemat dalam hati, malah
perasaannya sudah berganda-ganda. Tapi, bila jadi begini, dia tertampar dan rasa
ingin rebah. Dia tidak boleh berdiri menghadapi semua ini lagi.
Faisha melunjurkan kakinya. Matanya menangkap sawah bendang. Kelat
senyuman hadir pada wajahnya bila terimbas kenangan beberapa hari lalu sebelum
dia dan Luth pulang ke Kuala Lumpur.
Air mata kembali menemaninya. Teringat kata-kata manis Luth ketika mereka
kembali berbaik baru-baru ini. Hanya nama dia yang akan ada dalam hati Luth. Tapi,
kehadiran Riana pasti akan menjadi orang ketiga dalam hidup mereka berdua.
Faisha tidak boleh terima semua itu. Dirinya tidak kuat untuk menghadapi
semua itu. Dia tidak mampu membiarkan rasa bahagia itu terus menjadi milik
mereka berdua.
Air mata yang laju menitis diseka dengan hujung jarinya. Matanya merah dan
bengkak akibat seharian menangis. Nampak wajah keruh itu tidak ceria seperti
sebelum ini. Faisha sendiri tidak mampu untuk mengawal dirinya daripada berduka.
Lamunannya terhenti apabila telefonnya berbunyi. Dia hanya memandang
kosong apabila melihat nama yang tertera di skrin. Dari semalam Luth tidak jemu
menghubunginya, cuma dia sahaja yang tidak bersedia untuk menjawab panggilan
itu.
Bila dia tidak menjawab panggilan, akan masuk mesej di kotak WhatsApp. Dia
biarkan juga. Sengaja dia membiarkan panggilan dan mesej daripada Luth begitu
sahaja.
400
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
LUTH menarik rambutnya hingga kusut. Riak wajahnya yang tegang tidak dapat
dikawal lagi. Dia buntu apabila Faisha buat perangai begini. Kenapa Faisha
menjauhkan diri daripadanya? Apa kesalahan yang telah dia lakukan kali ini? Hingga
kini Luth belum tahu punca kepada masalah yang terjadi.
Luth menjerit melepaskan rasa gundah dalam hatinya.
“Sabar, Luth. Jangan macam ni,” tegur Encik Luth Fadhil.
Mata Luth bertakung dengan air mata.
“Luth tak faham kenapa Faisha pergi begitu aje. Kenapa Faisha buat Luth
macam ni?” keluh Luth kecewa. Tangannya terus menarik rambutnya.
“Mungkin ada sesuatu yang terjadi yang kita tak tahu, Luth.” Encik Luth Fadhil
cuba memujuk Luth dengan kata-katanya.
Kalau tidak, kenapa tiba-tiba Faisha pergi begitu sahaja.
Puan Aishah menganggukkan kepala, setuju dengan kata-kata suaminya.
“Mama pun rasa macam tu. Mesti ada sesuatu terjadi masa ketiadaan Luth. Luth
juga ada cakap potret perkahwinan Luth dengan Faisha pecah.”
“Kalau ya pun, Faisha tak patut pergi begitu aje. Faisha perlu dengar
penjelasan Luth.” Luth bersuara dengan nada kecewa.
Dia betul-betul sayangkan Faisha. Dan dia tidak mahu semua ini terjadi. Luth
juga kecewa kerana Faisha sudah berjanji tidak akan tinggalkannya lagi. Walau apa
pun dugaan yang melanda, mereka akan terus bersama-sama menempuhinya. Tapi,
Faisha akur dengan janjinya.
Luth menyandarkan badannya ke sofa. Badannya terasa letih dan lelah kerana
semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya. Mindanya berkecamuk.
“Luth, akak ada jumpa kad jemputan kahwin kau dengan Riana. Kau nak
kahwin dengan Riana ke?” Malisa datang ke ruang tamu. Kad jemputan itu
dihulurkan kepada Luth.
401
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Buat apa Luth nak kahwin dengan Riana? Luth kan dah ada Faisha,” nafi
Luth.
Kad jemputan yang sudah ronyok itu dibeleknya. Memang pada kad itu ada
tertera nama pengantin. Namanya dan juga Riana. Majlis yang akan berlangsung
hanya beberapa minggu sahaja lagi.
Puan Aishah merebut kertas keras itu dari tangan Luth. Tidak berkelip
matanya membaca apa yang tertulis. Berombak kencang dadanya bila ada nama
anaknya di situ.
“Apa semua ni? Memang aku dah agak ini mesti angkara Riana. Memang
melampau betullah perempuan ni. Kalau dapat, memang siap aku kerjakan,” rengus
Luth kasar. Marah betul dia dengan tindakan Riana.
Puan Aishah menghela nafas. Tak sangka Riana akan bertindak hingga begini
sekali.
“Luth tak fahamlah, kenapa Riana tekad sangat nak sakitkan hati Faisha?
Sedangkan Faisha tak pernah kacau pun hidup dia sebelum ni.” Luth menegakkan
badannya.
Puan Aishah dipandangnya lama. Apakah mamanya ada merahsiakan sesuatu
daripadanya? Dia perasan wajah mamanya berubah.
“Luth, dalam hal ni, mama yang salah. Mungkin sebabnya berpunca daripada
mama.” Puan Aishah menyuarakan kesilapannya.
Redup pandangan Luth memandang wajah mamanya.
“Maksud mama? Apa yang mama dah buat sampai mama rasa mama
bersalah dalam hal ni?” soal Luth inginkan kepastian.
Puan Aishah tertunduk. Jemarinya digenggam erat.
“Mama ada risik Riana. Mama ada berikan cincin tanda hubungan Luth
dengan Riana dah terikat. Riana adalah tunang Luth atas kata sepakat kami
bersama,” cerita Puan Aishah, tidak mahu berahsia lagi.
“Astaghfirullah al-azim! Kamu buat apa ni Aishah? Kenapa kamu bertindak
402
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
sampai macam tu sekali? Kamu dah bagi harapan kat Riana dan Puan Salina. Jadi,
kamu dah tetapkan majlis tu lagi dua minggu?” soal Encik Luth Fadhil.
Ada sahaja perkara yang dilakukan Puan Aishah yang tidak menyenangkan
hatinya. Suka buat tindakan dan keputusan sendiri tanpa memaklumkan kepadanya.
Puan Aishah panggung kepala. “Pasal majlis lagi dua minggu tu, saya tak tahu,
abang. Saya cuma bagi cincin tunang aje kat Riana. Tak sangka pula dia orang dah
buat kad semua ni.”
“Hmm, ini mesti sebab nak singkirkan Faisha daripada hidup Luth. Sebab itu
Riana sanggup lakukan apa sahaja asalkan Faisha dan Luth berpisah. Lisa tak fikir
lain dah. Memang itu rancangan Riana.” Malisa yakin dengan kata hatinya.
“Kenapa mama buat Luth macam ni? Mama tak suka ke tengok anak mama ni
bahagia? Sampai hati mama lamar Riana untuk Luth sedangkan mama tahu Luth
dah ada isteri. Faisha tu isteri Luth, mama. Luth tak pernah terfikir nak menduakan
Faisha. Kenapa mama tak mahu faham?” Luth bertanya kepada Puan Aishah.
“Mama minta maaf, Luth. Mama tak fikir panjang sebelum buat sesuatu
tindakan.” Puan Aishah terus meminta maaf.
“Riana tu memang hati hitam. Busuk mengalahkan bangkai dan sampah. Tak
sangka dalam dunia ni ada orang perangai macam tu,” dengus Luth. Kepalanya yang
tidak sakit dipicit-picit perlahan.
403
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 61
SEMALAM hujan turun dengan lebatnya. Angin kuat dan banyak pokok tua yang
tumbang. Cuaca pagi itu agak dingin berbanding hari-hari sebelumnya. Kesejukan
terasa hingga ke tulang putih.
Faisha memakai kardigan untuk memanaskan badannya yang sedikit
kesejukan. Tingkap dibuka luas. Pemandangan indah di depan mata dipandang
sepuas-puasnya. Sedap mata memandang keindahan ciptaan-Nya. Fikiran yang
kusut dapat ditenangkan dengan menghirup udara segar.
Kedua-dua belah tangannya digosok untuk memanaskan badannya. Perlahan-
lahan dia menghela nafas. Dia rindukan Luth. Hatinya tidak dapat menipu apa yang
sedang dirasakan saat ini. Setiap saat dan nafasnya, ingatannya kuat teringatkan
suaminya yang jauh di mata.
Andai angin pagi ini mampu menyampaikan salam rindunya, akan
disampaikan segunung rasa rindu buat Luth di sana.
Faisha berundur. Kakinya diatur masuk ke dalam kamar. Telefonnya yang
diletakkan di dalam laci almari solek dikeluarkan. Dia melangkah ke ruang hadapan
rumah. Punggungnya dihenyakkan di atas tangga.
Telefonnya yang dimatikan, dihidupkan semula. Banyak mesej dan WhatsApp
yang masuk ke telefonnya. Beratus-ratus mesej yang dititipkan daripada Luth
kepadanya. Ringan tangannya menekan mesej WhatsApp yang dihantar oleh Luth.
404
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Sayang kat mana ni? Abang rindukan sayang. Janganlah larikan diri daripada
abang. Jawablah mesej abang ni. Please, sayang. Sayang buat abang macam nak
gila.
Faisha lepaskan keluhan. Itu mesej WhatsApp terbaru yang dihantar Luth jam
9.00 pagi tadi. Baru lagi WhatsApp yang dihantar oleh Luth, memandangkan
sekarang baru jam 9.15 pagi.
Maafkan Faisha, abang. Faisha baik-baik aje. Abang jangan cari Faisha lagi. Abang
anggap aje Faisha dah tak wujud dalam hidup abang.
Faisha membalas WhatsApp Luth. Air matanya berlinang saat dia menaip
balasan WhatsApp kepada suaminya. Dia perlu mengeraskan hatinya. Beberapa saat
kemudian, telefonnya berdering nyaring. Faisha hanya memandang kosong.
Terketar-ketar tangannya. Akhirnya dibiarkan sahaja panggilan itu tidak berjawab.
Telefonnya berbunyi lagi. Tapi, kali ini telefonnya berbunyi tanda ada
WhatsApp masuk.
Tolong jawab, sayang. Kalau sayang tak jawab, jangan tanya dan menyesal sebab
lepas ni, sayang hanya akan jumpa jasad abang aje. Kalau Faisha tak mahu jumpa
abang, baik abang mati aje.
Makin kuat tangisan Faisha. Terus dia menghubungi Luth.
“Sayang... Sayang kat mana ni?” Kedengaran suara Luth di sebalik talian.
Faisha diam. Langsung tidak bersuara. Mulutnya terkunci bagaikan tiada apa-
apa yang perlu diluahkan.
“Sayang... tolonglah jawab. Abang nak dengar suara sayang,” pujuk Luth.
Faisha terus menangis. Dia tidak dapat mengawal perasaannya lagi. Suara
405
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
itulah yang dirinduinya. Lelaki itulah yang dicintainya. Dia rindu saat manis mereka
bersama.
“Sayang memang nak abang mati, kan?” ugut Luth. Kata-katanya itu
kedengaran jelas.
“Apa yang abang merepek ni? Kenapa abang nak mati? Abang dah tak sayang
nyawa abang lagi ke?” balas Faisha dengan suara agak sengau.
“Buat apa abang hidup kalau orang yang abang sayang pergi tinggalkan
abang. Apa salah abang kepada Faisha?” Luth bertanya.
Air mata yang membasahi pipi dibiarkan jatuh ke pipinya. Air mata itu adalah
saksi segala perasaan yang sedang dirasakannya kini.
“Abang jangan cakap macam tu. Jangan disebabkan Faisha, abang buat kerja
bodoh.” Sedikit kuat suara Faisha, walaupun suaranya tenggelam dengan
esakannya.
“Sampai hati Faisha tinggalkan abang. Kan Faisha dah janji, apa pun yang
terjadi kepada kita, Faisha takkan tinggalkan abang. Kita akan sama-sama sudah dan
senang. Kenapa Faisha mungkir janji? Kenapa sayang?” soal Luth agak hiba. Dia
turut menangis di sana.
Bibirnya digigit. Air mata yang makin lebat diseka dengan hujung jarinya. Dia
diam, tidak mampu menjawab soalan daripada Luth. Memang betul kata Luth, dia
mungkir janji.
“Sayang... Berapa kali abang nak cakap kat sayang. Cinta dan sayang abang
semuanya untuk sayang. Bukan untuk sesiapa pun. Abang sayang Faisha lebih
daripada segala-galanya. Abang nak hidup dengan sayang sampai bila-bila. Tapi,
sayang pergi tinggalkan abang macam tu aje. Kenapa sayang seksa hati abang
macam ni?”
Panjang luahan Luth. Dia mahu Faisha tahu betapa seksanya hatinya
menanggung segala perasaan yang ada.
“Faisha...” Hanya itu sahaja yang keluar dari bibir Faisha.
406
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Dia mati kata-kata lagi. Terkumat-kamit mulutnya bergerak, tapi tiada suara
yang keluar.
“Tolonglah jangan buang cinta kita macam tu aje, sayang. Sayang tak
sayangkan abang ke?” Suara Luth kedengaran sayu di talian.
Faisha kemam bibirnya.
“Sayang ke tak?” soal Luth lagi.
“Sayang,” jawab Faisha sepatah.
“Kalau sayang, kenapa perlu tinggalkan abang?” Luth mempersoalkan
tindakan Faisha.
Faisha melepaskan keluhan kecil. Mukanya diraup dengan tangan kirinya.
Jawapan apa yang perlu diberinya? Memang dia sayangkan Luth, tapi untuk
menjelaskan kenapa dia tinggalkan Luth, dia sendiri tidak mampu menjawabnya.
“Kenapa sayang? Susah sangat ke soalan abang ni? Kenapa sayang tinggalkan
abang?” Luth mahu Faisha menjawab dengan jujur walaupun dia sudah tahu
puncanya.
“Cukuplah abang tahu, Faisha sayangkan abang. Itu pun dah memadai.”
Luth ketawa mengejek. “Tak cukup! Sayang tak jujur kepada diri sendiri.
Sayang tak fikirkan perasaan sayang sendiri. Sayang seksa hati abang dan diri sayang
sendiri disebabkan orang lain. Apa semua ni sayang? Sayang patut fikirkan perasaan
kita berdua. Bukan perasaan Riana tu.”
Tegas suara Luth. Sekejap tinggi dan sekejap tenggelam suaranya.
Kata-kata Luth itu membuatkan Faisha lagi sebak. Makin kuat tangisannya.
“Abang tak faham.”
“Memang abang tak faham. Tolonglah sayang jangan jauhkan diri daripada
abang. Sayang bagi tahu abang, sayang ada kat mana? Abang pergi jumpa sayang
kat sana, ya?”
“Abang dengan Riana dah nak kahwin. Kenapa Faisha tak pernah tahu pun
pasal ni semua? Riana bakal jadi madu Faisha. Ya Allah... Faisha tak kuat abang tahu
407
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
tak? Faisha tak kuat...” Faisha meluahkan juga apa yang menjadi punca dia
melarikan diri.
Lepas diluahkan, panggilan terus dimatikan. Telefonnya juga ditutup dan
diletakkan semula atas meja. Dia berlari masuk ke dalam bilik. Badannya
direbahkan, lalu kembali melayan tangisannya.
LUTH menjerit kuat. Belum sempat dia terangkan kepada Faisha, panggilan terus
dimatikan begitu sahaja. Telefonnya dihempas atas tilam. Kain cadar yang
menyelimuti tilam ditariknya.
“Kenapa ni Luth?” Kalut Puan Aishah berlari mendapatkan anaknya selepas
mendengar anaknya menjerit.
Sudah dua hari Puan Aishah menemani Luth di rumah baru anaknya. Tak
sanggup dia mahu tinggalkan Luth sendirian. Bila diajak tinggal di rumah keluarga,
Luth menolak. Mahu tak mahu, melihat keadaan Luth begitu, Puan Aishah sendiri
yang rela menemani anaknya.
“Faisha call Luth,” beritahu Luth. Air matanya dibiarkan menitis laju ke pipi.
“Faisha ada kat mana?” soal Puan Aishah.
Luth menggelengkan kepalanya. Dia sendiri pun tak tahu di mana Faisha
berada.
“Luth tak sempat Tanya, Faisha dah matikan panggilan. Bila call semula dah
tak dapat. Macam mana ni, mama? Luth nak Faisha.” Luth merengek bagaikan anak
kecil.
Puan Aishah menganggukkan kepalanya.
“Fazura datang tu. Mungkin ada sesuatu yang dia nak bagi tahu kepada Luth,”
beritahu Puan Aishah.
Mendengar sahaja nama Fazura, Luth bingkas bangun. Dia ke bilik mandi
membersihkan wajahnya. Kain tuala yang tersangkut disambar, lalu dikeringkan
408
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
wajahnya. Terus dia mengatur langkah keluar dari bilik. Fazura yang menunggunya
di ruang tamu disapa.
“Luth, awak okey ke?” soal Fazura. Semasa dia sampai tadi dia dengar suara
Luth menjerit.
Luth menganggukkan kepalanya.
“Faisha call saya tadi,” cerita Luth.
“Dia cakap apa?” soal Fazura ingin tahu.
“Dia cakap jangan cari dia.” Hanya itu sahaja yang Luth kongsikan. Tentang
luahan hati mereka berdua disimpan rapi.
“Saya tahu Faisha kat mana. Saya dah dapat maklumat.” Fazura ada hubungi
emaknya di kampung.
Emaknya ada memberitahu ternampak Faisha di kedai runcit di kampung. Tak
sempat nak tegur, Faisha hilang daripada pandangannya.
Wajah Luth serta-merta berubah. Wajahnya yang keruh sudah kelihatan
ceria. “Kat mana, Zura?”
“Kat kampung saya. Saya rasa dia ke homestay yang kita inap dulu. Ke mana
lagi dia nak pergi kalau bukan ke situ. Sebab sebelum ni pun dia cakap, kalau dia nak
lari pun, dia tak ada arah tuju.” Fazura memberi klu kepada Luth.
Luth menganggukkan kepalanya. Dia berterima kasih sangat atas bantuan
Fazura. Sedikit sebanyak apa yang Fazura beritahu kepadanya dapat membantu.
409
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 62
FAISHA duduk bersila di batas bendang. Kakinya melunjur lurus ke parit kecil.
Sesekali nampak ikan melompat-lompat membuatkan air terpercik. Batu kecil yang
ada di situ diambil dan dibalingnya ke dalam air parit. Terpercik dan nampak ikan
berenang-renang.
Suasana petang itu memang tenang. Tidak panas seperti biasa. Cuaca
mendung sepertimana mendung dalam hatinya. Batu kecil dibaling satu per satu ke
dalam air. Faisha melepaskan keluhan kecil. Kali ini dia duduk sambil memeluk
lututnya.
“Faisha rindukan abang,” ujar Faisha.
“Kalau rindu kenapa menjauh?” Luth menyambut kata-kata Faisha.
Faisha menelan liurnya. Pantas dia berpaling. Kelihatan Luth sedang berdiri di
belakangnya. Terkulat-kulat Faisha bangun berdiri.
“Abang rindukan Faisha hingga semua yang abang lakukan tak menjadi. Tak
senang diri abang bila Faisha tak ada depan mata abang,” ujar Luth kepada Faisha.
Mata Faisha terus direnungnya. Sinar mata itu sangat dirinduinya.
Faisha diam tak berkutik. Dia cuba melarikan diri. Tidak sanggup berhadapan
dengan Luth. Hatinya jadi makin sebak.
“Sayang... jangan lari lagi daripada abang. Sayang tak kesiankan abang ke?”
Luth mengejar langkah Faisha. Tangan Faisha direntap untuk menghalang langkah
isterinya.
410
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Faisha mengetap bibirnya. Melarikan pandangannya. Tidak sanggup berbalas
renungan dengan suaminya.
“Pandang sini, sayang. Pandang mata abang,” pinta Luth.
“Kenapa abang di sini? Mana abang tahu Faisha ada kat sini? Sesiapa pun tak
tahu Faisha ada kat sini,” soal Faisha.
Sebenarnya dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakan. Hanya soalan itu
yang terbit dalam mindanya ketika itu.
“Bila hati dah rindu, ke mana sahaja menghilang pun, hati tetap terasa.
Makin kuat rindu, makin kuat hati berkata-kata. Jodoh takkan lari, kalau memang ia
milik kita, sayang. Sejauh mana sayang pergi tinggalkan abang, abang akan cari
sampai jumpa.” Lembut suara Luth bersuara.
Faisha diam. Dia tertunduk. “Macam mana kalau jodoh kita hanya setakat ini
aje? Dan bagaimana jika ini pertemuan kita yang terakhir?”
Luth melekapkan jari telunjuknya ke mulut Faisha. Kepalanya menggeleng
perlahan.
“Shhh... jangan sesekali cakap macam tu. Jodoh, ajal dan maut semuanya
ketentuan Tuhan. Siapa kita untuk menidakkannya. Begitu juga dengan jodoh kita.
Kalau Tuhan masih mahu kita bersama, kita akan tetap kekal bersama, sayang.”
Kedua-dua belah bahu Faisha dipegang kejap. Mata mereka saling
bertentangan.
“Faisha tak kuat nak hadapi semuanya. Tak lama lagi abang akan bersatu
dengan Riana. Faisha tak sanggup,” luah Faisha.
Luth menyentuh dagu Faisha lembut. Mahu Faisha mendongak memandang
tepat wajahnya. “Semua itu takkan terjadi, sayang.”
“Kan kad jemputan dah diedarkan?” Faisha ingat lagi tarikh majlis yang akan
berlangsung.
Luth menggelengkan kepalanya. “Tu kad jemputan kahwin palsu. Tak pernah
wujud pun semua tu. Kalau kad jemputan itu wujud sekalipun, sayang pasti ke
411
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
abang akan datang ke majlis tu? Kalau abang tak datang, majlis takkan berlangsung
juga, kan?”
Faisha diam, menghadam penjelasan Luth.
“Tapi, Faisha ada tengok video mak ngah dengan mama nak satukan abang
dengan Riana. Cincin tunang pun dah diberikan kepada Riana. Mungkin mama tahu
pasal majlis abang tu?” Faisha masih ragu-ragu.
Luth menarik senyum.
“Mama minta maaf, sayang.” Puan Aishah menyampuk perbualan dua
pasangan itu.
Faisha berpaling. Puan Aishah ada bersama waktu itu. Puan Aishah
menghampiri menantunya. Wajah keruh itu disentuhnya lembut.
“Sekali lagi mama minta maaf. Mama banyak berdosa dengan Faisha.” Tiba-
tiba Puan Aishah merendahkan tubuhnya. Dia melutut di hujung kaki Faisha.
“Mama sanggup melutut asalkan Faisha jangan tinggalkan Luth.” Puan Aishah
merayu.
Faisha menundukkan badannya. Tubuh Puan Aishah ditarik supaya berdiri.
“Apa mama buat ni? Jangan buat macam ni kat Faisha.” Badan Puan Aishah
ditarik agar berdiri tegak di hadapannya.
“Mama banyak dosa dengan Faisha. Mama tuduh dan fitnah menantu mama
sendiri. Mama terlalu percayakan cakap orang daripada anak menantu mama
sendiri. Kejamnya mama melayan Faisha.” Mendayu-dayu suara Puan Aishah.
Laju air mata Faisha menitis di pipinya.
“Ampunkan mama, sayang.”
Faisha menarik badan Puan Aishah, lalu didakapnya erat. “Sudahlah tu,
mama. Jangan minta maaf lagi dengan Faisha. Faisha maafkan mama.”
Esakan Puan Aishah makin menjadi-jadi. Terharu dengan kebaikan
menantunya. Selama ini dia termakan dengan kata-kata Puan Salina. Ternyata Puan
Salina hanya mahu menikamnya dari belakang.
412
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
MAGHRIB ini, mereka berempat solat berjemaah bersama-sama. Luth yang menjadi
imam pada solat kali ini. Usai solat, mereka sekeluarga berkumpul duduk di ruang
tamu. Selepas solat, nampak ketenangan pada wajah masing-masing. Lagi-lagi Luth
dan Faisha.
Encik Luth Fadhil dan Puan Aishah duduk bersama. Faisha dan Luth juga
duduk bersama sebelah-menyebelah.
“Papa nak sentuh sikit hal Luth dan Faisha. Sebelum tu papa nak minta maaf
kalau apa yang papa cakap ni akan menyinggung perasaan Luth atau Faisha.” Encik
Luth Fadhil membuka mukadimahnya.
Luth menarik tangan Faisha, lalu digenggamnya. Biar Faisha rimas sekalipun,
dia tidak akan membiarkan Faisha jauh daripadanya lagi.
“Aishah pun perlu dengar juga. Dan abang pun akan ambil ikthtibar juga
dengan apa yang terjadi antara kita berdua.”
Puan Aishah menganggukkan kepalanya. Kali ini, dia akan dengar setiap
teguran suaminya.
“Perkahwinan bukan satu permainan atau persinggahan. Perkahwinan itu
adalah ikatan yang mengikat dua hati. Ia adalah amanah Allah yang patut kita jaga
dengan baik. Papa tak cakap, papa seorang suami yang baik, tapi papa dah
berusaha jadi suami yang terbaik kepada mama.
“Begitu juga dengan Luth. Papa nak Luth jadi seorang pemimpin yang baik
yang boleh mendidik isteri dengan baik. Sebab itulah tadi papa nak Luth imamkan
solat kita. Alhamdulilah, anak papa boleh jadi imam yang baik.” Panjang berjela
ucapan Encik Luth Fadhil kepada keluarganya.
Luth sekadar mengangguk.
“Jangan jadikan alasan perpisahan jika ada masalah melanda. Syaitan suka
kita robohkan masjid yang dah terbina. Selagi boleh kita selamatkan, kita perlu
413
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
selamatkan. Iman di dada yang perlu kuat. Semua ini ujian Allah untuk kita hadapi.
Jangan cepat melatah dan melenting,” sambung Encik Luth Fadhil.
Faisha menghadam dengan baik apa yang diperkatakan oleh Encik Luth
Fadhil. Betul cakap ayah mertuanya. Dia tidak sepatutnya cepat melatah dengan
apa yang berlaku dalam rumah tangganya.
“Papa doakan hubungan Luth dan Faisha kembali pulih seperti sediakala.
Faisha, melarikan diri bukan jalan penyelesaian yang baik. Kita perlu duduk sama-
sama berbincang dan selesaikan dengan baik,” nasihat Encik Luth Fadhil.
Faisha menganggukkan kepalanya tanda mengerti.
“Aishah, abang pun nak minta maaf sebab merahsiakan pasal hubungan
abang dengan Nasuha.”
Puan Aishah menyambut dengan senyuman. Dia menganggukkan kepalanya.
“Aishah pun sama. Aishah nak minta maaf dengan abang. Yang lepas biarlah lepas,
abang. Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih. Aishah dah reda dengan
semua ni.”
Faisha senang melihat Puan Aishah. Hati ibu mertuanya itu kuat dan cekal.
Dalam ketegasannya ada kelembutan. Dia bangga dengan sikap Puan Aishah.
“Selepas ini, sama-samalah kita muhasabah diri. Cari ketenangan Ilahi.” Encik
Luth Fadhil mengharap sinar baru dalam keluarganya.
Biar hidup mereka sekeluarga diredai dan hidup berlandaskan hukum Islam.
PUAN SALINA menjerit kuat memanggil dukun Siam yang selalu dicarinya. Kali ini,
rumah itu sepi.
“Tok, bukalah pintu ni! Dah berpeluh saya kat luar ni dari tadi panggil tok!”
jerit Puan Salina. Pintu rumah papan itu diketuk-ketuknya kuat.
“Tok dukun dah dua hari ada kat dalam balai. Dah kena tangkap.” Tiba-tiba
seorang lelaki menyapa Puan Salina dari belakang.
Berkerut-kerut dahi Puan Salina. “Tok dukun kena tangkap? Kenapa?”
414
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Lelaki tua itu tersenyum sinis bila soalan itu meniti di bibir Puan Salina.
“Sebab kes tipulah. Tok dukun tu bukannya pandai berubat pun. Dia pandai
tipu duit orang aje. Entah jampi serapah apa yang dia sebut pun tak tahulah. Dah
ramai yang kena,” beritahu lelaki itu lagi.
Terus dia berlalu selepas menceritakan perihal dukun Siam yang dicari oleh
Puan Salina.
Melopong mulut Puan Salina. Riana yang mendengar juga turut terkejut.
“Apa ni mama? Selama ni mama datang jumpa bomoh tipu. Mama...” Riana
menghentak-hentakkan kakinya.
Puan Salina menelan air liurnya. Sudah hampir 20 ribu dia melaburkan
duitnya kepada dukun Siam itu, tapi ini yang dia dapat. Menangis tak berlagu Puan
Salina bila dapat tahu semua itu.
SELAMAT juga mereka berempat sampai ke Vila Sentosa. Kepulangan mereka
disambut oleh Puan Nasuha dan juga Malisa. Terharu Faisha melihat perubahan
yang tak disangka-sangka ini. Fazura dan Fattah juga ada bersama.
“Selamat pulang, tuan puteri Faisha Irdina.” Kuat suara Fazura menegur
kawan baiknya itu.
Faisha tersenyum senang. Tangannya didepakan, lalu membalas pelukan
Fazura. Kedua-dua belah pipi itu dilaga-lagakan.
“Rindunya aku kat kau, Faisha.” Pipi Faisha dicubit-cubit.
Mereka semua menapak masuk ke dalam rumah. Banyak juadah yang
disediakan unntuk menyambut kepulangan Faisha.
Selepas menjamah makanan yang disediakan, Encik Luth Fadhil menyentuh
hal Puan Salina dan suaminya. Encik Luth Fadhil ada mengupah orang untuk
menyiasat tentang harta pusaka milik keluarga Faisha yang diamanahkan kepada
mereka. Ternyata rumah banglo di kampung itu masih milik penama, iaitu Faisha
415
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Irdina. Cuma, mereka telah menyeleweng duit keluarga itu dengan membuka
syarikat baru.
Encik Luth Fadhil menceritakan semuanya kepada Faisha. Semua bukti juga
sudah dikumpulnya untuk mendakwa mereka sekeluarga.
“Papa dah buat laporan polis dan memberikan semua bukti semasa buat
laporan.” Kali ini Encik Luth Fadhil mengambil keputusan sendiri. Kalau dia minta
pendapat menantunya itu, dia sudah tahu jawapannya. Pasti Faisha meminta agar
membiarkan sahaja mereka. Orang seperti mereka perlu diberi pengajaran. Kalau
tidak, mereka akan buat lebih daripada itu.
“Sekarang macam mana, papa?” soal Luth.
“Semuanya ada di banglo milik Faisha kat kampung. Mereka menyorok kat
sana lepas kantoi hari tu. Sebab tu, masa mama pergi hari tu dia orang semua tak
ada kat sana. Dia orang dah lari selamatkan diri masing-masing.” Puan Aishah pula
menerangkan kedudukan semasa.
“Polis dah tahan reman pasangan suami isteri tu pagi tadi. Papa baru dapat
panggilan daripada Inspektor Razi tadi,” beritahu Encik Luth Fadhil.
Faisha diam. Mulutnya terkunci rapat. Tidak tahu apa yang perlu
diperkatakan. Perasaannya bercampur baur kini.
416
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Bab 63
SETAHUN hubungan Faisha dan Luth terjalin. Setakat bergaduh kecil sudah menjadi
asam garam dalam rumah tangga mereka. Suami isteri setakat tergigit lidah itu
biasalah. Begitu juga dengan Luth dan Faisha. Gaduh-gaduh manja, lepas tu berbaik
semula. Habis kuat, tarik muka sejam dua.
Faisha sudah disahkan hamil. Tiada alahan semasa mengandung. Faisha
seperti hari-hari biasa sahaja. Cuma, sesekali Luth yang akan mendapat alahan. Dia
akan selalu mual-mual. Bila terbau tumis masakan dan bau busuk ikan, pasti dia
yang akan muntah.
Geli hati Faisha melihat suaminya. Selalunya Faisha akan memasak ketika
suaminya di luar. Balik sekadar jamah makanan sahaja. Masuk bulan kedua, baru
Luth beransur pulih.
Fazura dan Fattah pula sudah selamat menjadi suami isteri. Majlis mereka
baru dua hari lepas berlangsung dengan besar-besaran. Faisha tumpang gembira
dengan ikatan yang baru terjalin antara mereka berdua.
Fazura pun sudah tidak diganggu lagi oleh Hakimi sebaik dia diberi amaran
oleh isterinya. Jadi lembu dicucuk hidung bila isterinya mengamuk dan mahu
berpisah. Sejak rahsianya terbongkar, Hakimi mula menjauhkan diri.
Semuanya atas usaha Faisha mencari maklumat pasal isteri Hakimi. Kerana
kasihan dan simpati kepada Fazura dan juga isteri Hakimi, dia tekad untuk
selesaikannya dengan menceritakan semuanya kepada isteri Hakimi.
417
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Pengakhiran Juliana agak sedih, bila dimaklumkan Juliana meninggal dunia
selepas setahun menanggung penyakit yang dihidapinya. Tapi, apa yang penting,
dia sempat bertaubat dan mendekatkan dirinya pada Tuhan. Soal dosa pahalanya,
hanya Tuhan sahaja yang mengetahui.
Riana pula sudah setahun tinggal di Sabah. Dia mendapat jodoh dengan
orang Sabah, seorang ahli perniagaan. Puan Salina dan suaminya pula hidup di
kampung mengusahakan tanah bahagian mereka yang sudah lama ditinggalkan
kerana mengejar kekayaan.
Atas budi bicara, Faisha memaafkan pasangan suami isteri itu dengan
jaminan mereka tidak akan mengapa-apakannya lagi. Segala harta milik keluarganya
dipulangkan semula kepadanya.
Faisha sudah mampu tersenyum. Satu per satu masalah sudah selesai. Kini,
dia mempunyai sebuah keluarga yang cukup bahagia. Dia dapat merasai kasih
sayang dua orang ibu dan seorang ayah. Encik Luth Fadhil, Puan Aishah dan Puan
Nasuha melayannya dengan baik seperti anak sendiri. Terharu Faisha dengan
layanan mereka semua.
Biar kebahagiaan ini kekal jadi miliknya sekeluarga.
Perut Faisha diurut lembut. Kepalanya diletakkan di perut isterinya.
Kemudian, satu kucupan diberi di situ.
“Assalamualaikum, sayang papa. Sayang papa duduk dalam tu baik-baik tau.
Nanti dah cukup bulan, papa tolong sambut sayang tau.” Luth berbisik perlahan.
Pantas tangan Faisha menampar lengan Luth. Matanya dijegilkan.
“Abang ni cakap yang bukan-bukan aje. Tak pasal-pasal nanti Faisha nak
bersalin, abang yang sambut. Ada berani ke?” Berkerut-kerut dahi Faisha.
Luth menarik tangan Faisha rapat ke dadanya.
“Tak cuba mana tahu, kan? Mana tahu nanti boleh jadi bidan terjun untuk
isteri sendiri. Bahagianya rasa bila dapat lihat dan sambut anak sendiri.” Luth sudah
berangan jauh.
418
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Faisha mencebik. Macamlah dia berani sangat nak sambut anak yang bakal
dilahirkan nanti. Entah-entah lintang-pukang Luth lari keluar dari bilik bersalin.
“Jangan nak cakap besar sangat boleh tak?”
“Abang sungguh-sungguh ni sayang. Biar abang yang sambut anak kita nanti.
Itu pun kalau diberi kesempatan.” Luth menjongketkan keningnya sambil tersenyum
manis.
Kata-kata Luth itu membuatkan Faisha geli hati. Tak apa, kita tunggu dan
lihat.
Tujuh bulan kemudian…
LUTH yang sedang tidur di sebelahnya ditolak lembut badannya.
“Abang, bangun,” panggil Faisha.
“Hmm... Ada apa sayang? Abang mengantuk sangatlah, sayang.” Luth
merengek perlahan.
Cadar tilam sudah digenggam kuat oleh Faisha. Rasa sakit pada perutnya
makin kerap terasa. Pada mulanya dia berasa sakit sejam sekali. Makin lama, 15
minit sekali rasa sakit itu berulang-ulang.
“Sakit ni, bang.” Badan Luth ditarik-tariknya.
“Hmm...”
“Abang! Bangunlah. Faisha rasa macam anak kita nak keluar dah ni. Cepatlah
bangun, hantar Faisha pergi hospital.” Badan Luth dicakar-cakar oleh Faisha.
Mendengar sahaja anaknya sudah mahu keluar, kalut Luth bangun. Luth
duduk sambil memegang bahu Faisha.
“Sakit sangat ke? Betul ke rasa baby dah nak keluar?” soal Luth lagi.
“Ya Allah, abang! Tolonglah bawa Faisha pergi hospital. Takkan abang nak
sambut anak kita kat rumah ni?” Faisha sudah terjerit-jerit.
Kalut Luth keluar dari bilik. Bergegas dia mencari kunci kereta dan
419
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
menghidupkan enjin keretanya. Kebetulan ketika itu Fattah dan Fazura ada di luar
rumah. Lalu dia meminta bantuan mereka berdua untuk membawa Faisha ke
hospital. Dalam keadaan gelisah begitu, Luth tak mampu nak memberi tumpuan
pada pemanduannya.
Faisha di dalam bilik terus dipapahnya dengan berhati-hati. Fattah dan Fazura
pula sudah siap sedia menunggu di dalam kereta. Sebaik sahaja Faisha masuk ke
dalam kereta, mereka terus memecut kereta menghala ke hospital yang paling
terdekat.
“Sabar, sayang. Jangan beranak dalam kereta ni.” Luth menggenggam jemari
Faisha.
Jemari Luth digenggam balas dengan kejap. Meraung-raung Faisha sepanjang
perjalanan.
“Wei,cepat sikit bawa kereta tu Fattah. Isteri aku sakit ni.” Luth semakin
gelisah lihat keadaan Faisha.
“Ya... dah nak sampai ni.” Kereta terus masuk ke pekarangan hospital. Jeritan
Faisha pula makin menjadi-jadi.
“Sabar, sayang.” Luth berbisik ke telinga Faisha. Sesekali diajar Faisha
membaca beberapa ayat al-Quran.
“Abang, Faisha rasa macam nak buang air besar ni. Sakit perut...” Kuat suara
Faisha.
Luth telan air liur. Isterinya sakit nak beranak atau sakit nak buang air besar?
“Okey, dah sampai sayang. Sayang tunggu sini sekejap. Abang panggil nurse
bawa sayang ke bilik bersalin, ya.”
Luth keluar dari kereta. Pintu di sebelah Faisha turut dibuka luas agar
memudahkan Faisha keluar dari kereta.
Belum sempat Luth mendapatkan bantuan, Faisha menarik tangannya. Nafas
Faisha turun naik. Beberapa ketika kemudian, terasa sesuatu meluncur keluar dari
celah kangkang isterinya.
420
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
“Allahuakhbar!” Terjerit Luth sambil menyambut bayi yang baru keluar dari
celah kangkang isterinya.
Tertelan air liurnya saat memandang bayinya yang berlumuran darah. Mujur
ketika itu beberapa orang jururawat sudah datang dengan menyorong stretcher.
Bayi di tangannya diambil oleh seorang jururawat.
Kepala Luth berpinar-pinar. Pandangannya yang terang tadi jadi gelap.
Akhirnya dia rebah tidak sedarkan diri.
SAYUP-SAYUP telinganya mendengar suara riuh-rendah ketawa. Perlahan-lahan
Luth mencelikkan matanya. Orang pertama yang dilihatnya ialah Puan Aishah.
Mamanya sedang tersenyum kepadanya.
“Mama... Kenapa Luth ada kat sini?’ soal Luth sambil memegang kepalanya.
“Kamu pitam tadi,” jawab Puan Aishah masih tersenyum-senyum.
Luth bingkas bangun. Baru dia perasan bajunya yang merah dengan darah.
“Mana Faisha? Mana anak Luth?” soal Luth. Dia yang terbaring di atas sofa
bingkas bangun.
Suara kembali riuh dengan hilai tawa.
“Sambut anak sampai pengsan. Tak sangka anak papa jadi bidan terjun tadi.”
Encik Luth Fadhil memerli anaknya Luth.
Luth menggaru-garu pangkal lehernya yang tidak gatal sambil tersengih malu.
Semua orang sudah tahu dia pengsan selepas menyambut kelahiran anaknya tadi.
“Sayang...” Luth duduk di sebelah Faisha. Jemari Faisha digenggamnya kejap.
Meleret senyuman Faisha saat memandang wajah suaminya. Dia turut geli
hati dengan apa terjadi tadi. Dalam saat getir melahirkan anak, boleh suaminya
pengsan selepas memberikan anak mereka kepada jururawat. Kecoh sebentar
keadaan gara-gara suaminya pengsan.
“Terima kasih, sayang.”
421
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Faisha menganggukkan kepalanya.
Dahi Faisha dikucup lama. “Anak kita baby boy atau baby girl?”
“Baby boy,” jawab Faisha sedikit lemah.
Luth melonjak gembira. Dia ada geng baru lepas ni.
“Abang nak azankan, tapi baju abang kotor.” Kendur suara Luth.
Encik Luth Fadhil menggeleng kepala melihatkan gelagat anaknya itu.
“Papa dah azankan tadi. Nak tunggu kamu sedar, entah-entah sampai ke
sudah tak azankan. Tak apalah, semuanya dah selesai. Kamu pun perlu bersihkan
diri dulu sebelum sentuh anak tu,” pesan Encik Luth Fadhil.
Luth mengangguk-anggukkan kepalanya. Jemari Faisha tidak lepas
digenggamnya. Hari ini adalah hari yang paling menggembirakannya.
“Lepas ni sayang rehat cukup-cukup. Anak kita nanti, biar abang yang uruskan
semuanya.” Batang hidung Faisha dicuit lembut.
“Terima kasih, abang.”
“Sama-sama, kasih. Lepas dah sihat, dah habis pantang nanti, abang nak anak
lagi. Nak anak perempuan pula. Boleh tak sayang?” bisik Luth perlahan di telinga
Faisha.
Melopong mulut Faisha, terkejut dengan soalan Luth. Rasa sakit melahirkan
anak masih lagi terasa, Luth memintanya beranak lagi. Terkebil-kebil mata Faisha
memandang suaminya.
“Bukan sekarang. Lepas habis pantang tau.” Luth mengenyitkan matanya.
Berona merah muka Faisha. Apa-apa sahaja untuk Luth dia sanggup lakukan.
Kali ini dia cukup bahagia dan gembira dengan kehadiran cahaya mata mereka. Dia
berharap hubungan cinta yang terbina ini akan terus kekal selama-lamanya.
“Okey, habis pantang nanti abang terus nak terkam sayang. Abang nak anak
kembar pula. Tak sabarnya nak tunggu 44 hari.” Luth menjongketkan keningnya.
Faisha menjegilkan matanya.
“Sayang nak pantang 100 hari,” usik Faisha dengan nada tegas.
422
Abang Romantik Rumah Sebelah Ezdiani Abd Rahman
Melopong Luth. 100 hari macam menunggu bulan yang tak mungkin jatuh.
Sabar ajelah...
-TAMAT-
TERIMA KASIH
423