The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nurimandina3025, 2022-05-22 19:54:25

ctdn

ctdn

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu / 26 - 30
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

HALA TUJU PEMARTABATAN BAHASA MELAYU DI INSTITUSI
PENGAJIAN TINGGI:

100 TAHUN UPSI-IPSI-MPSI-SITC

Md Amin Md Taff
Muhamad Fadzllah Haji Zaini
([email protected])
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Malaysia

Abstrak

Kertas ini bertujuan untuk menelusuri perjalanan yang dilalui bahasa Melayu sejak penubuhan
UPSI seabad yang lalu. Kertas ini akan mempamerkan hala tuju dan daya usaha UPSI-IPSI-
MPSI-SITC yang menjadi nadi pemartabatan bahasa ibunda di Institusi Pengajian Tinggi
selama 100 Tahun bermula dengan penubuhan Pejabat Karang-Mengarang dan
Khutubkhanah SITC yang menawarkan perkhidmatan bahasa Melayu. Kini, UPSI menuai hasil
dari tokoh bahasa dan generasi terdahulu dengan memperkembangkan prestij bahasa Melayu
di peringkat tempatan dan antarabangsa. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh UPSI untuk
memartabatkan bahasa Melayu. Terdapat tiga elemen penting selari dengan Pelan Tindakan
Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (2016-2021) dapat
dituai hasil langkah proaktif dari generasi ke generasi anak kandung suluh budiman. Antaranya
(1) perantarabangsaan bahasa Melayu yang melibatkan hubungan UPSI dan pihak
berkepentingan luar negara; (2) perkhidmatan bahasa Melayu sepanjang masa fokus terhadap
pembangunan masyarakat dan kebahasaan; dan (3) keperluan revolusi industri 4.0 membawa
UPSi menubuhkan pusat rujukan Bahasa Melayu melalui Pusat Korpus dan Forensik
Linguistik. Tiga teras ini mampu membawa nilai-nilai dan Pelan Strategik UPSI kebersamaan
dalam pemartabatan Bahasa Melayu. Selari dengan itu, UPSI meletak keutamaan tertinggi ke
atas KEIMANAN, KEILMUAN, KEBUDIDAYAAN, KETAMADUNAN, KEMANUSIAAN,
KEMASYARAKATAN dan KENEGARAAN. Implikasi daripada itu telah menuai
KECEMERLANGAN dalam setiap bidang aktivitinya.

Kata Kunci: Hala tuju, pemartabatan bahasa Melayu, Institut Pengajian Tinggi, UPSI-IPSI-
MPSI-SITC

PENGENALAN

Sekilas, perjalanan penubuhan Sultan Idris Training College (SITC) dari tahun 1922
hingga 1957 telah membangkitkan semangat nasionalisme masyarakat Melayu
sehingga negara mencapai kemerdekaan. SITC telah memperkenalkan sistem
pembelajaran, latihan di luar bilik darjah dan mata pelajaran yang terawal iaitu bahasa
Melayu. Bahasa Melayu merupakan satu kursus yang seusia dan sebati dalam
perjalanan sejarah 100 tahun penubuhan UPSI. Dengan adanya institusi seperti
Pejabat Karang-Mengarang dan Khutubkhanah SITC ketika itu memberi nilai tambah
dalam pembangunan bahasa Melayu. SITC telah menjadi guru untuk mendidik anak-
anak petani dan nelayan yang miskin bagi membolehkan merekan mengikuti kuliah
dalam bahasa Melayu untuk ditempatkan di sekolah-sekolah Melayu di serata pelusuk
negara. Dengan terbentuknya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896,
memungkinkan Sultan Idris Murshidul Adzam Shah dan sultan-sultan Melayu yang lain
memberi tekanan secara kolektif kepada British melalui Persidangan Raja-Raja
Melayu (Durbar) kali pertama pada tahun 1887 dan keduanya pada tahun 1903,
supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi di negeri-negeri Melayu dan orang

26

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Melayu diberikan pelajaran serta kemudahan pelajaran yang lebih sempurna setelah
tertubuhnya SITC (Raja Ahmad Shalaby, 2018). Sehingga hari ini, impak perjalanan
bahasa Melayu sentiasa tersemai dalam Anak Suluh Kandung Budiman yang
menjadikan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai perintis bahasa Melayu.

Melalui sektor pengajian tinggi, pelbagai dasar telah dibentuk untuk meningkatkan
serta memartabatkan bahasa Melayu dalam ruang akademia tertinggi. Bahasa Melayu
tidak lari daripada medium atau wadah penyampaian ilmu yang meliputi pelbagai
disiplin. Seperti Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Ilmu di Universiti Awam (2016-2021). Selaras dengan objektif pelan tindakan ini,
mampu menghasilkan graduan yang berketerampilan dalam bahasa Melayu,
merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan
mengantarabangsakan Malaysia sebagai pusat rujukan tentang ilmu Alam Melayu
(Salmah Jan Noor, 2022). Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dapat digunakan
dalam disiplin ilmu yang luas. Dengan adanya ruang inisiatif daripada pelbagai pihak
yang sayang akan bahasa Melayu, dapat memastikan bahasa Melayu terus
dipraktikkan di arena pengajian tinggi. Pada era terkini, semua pihak berkepentingan
perlu menuai hasil pemartabatan bahasa Melayu bukan sahaja bertindak menanam
benih sahaja. Langkah demi langkah perlu disusun untuk menilai hasil pemartabatan
bahasa Melayu yang telah dilakukan oleh Institusi Pengajian Tinggi agar menjadi
sumber prima ke arah negara maju acuan tersendiri.

100 TAHUN MENUAI HASIL MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU

Perantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu

Perihal soal antarabangsa, bahasa Melayu melalui Universiti Pendidikan Sultan Idris
sangat komited dalam melaksanakan pelbagai daya usaha mengantarabangsakan
bahasa Melayu. Antaranya, Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Peringkat Negara
Uzbekistan Tahun 2022 anjuran bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris dan
Kedutaan Besar Malaysia di Tashkent, Uzbekistan yang menjadi fenomena tatkala
penutur asing menyampaikan pidato dalam bahasa Melayu. Kebolehupayaan penutur
asing yang boleh berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu memberi
tamparan hebat dalam memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini dapat memberi galakan
kepada pelajar asing untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa Melayu dengan
baik walaupun digunakan di negara mereka. Lain daripada itu, usaha
mengantarabangsakan bahasa Melayu diteruskan dengan adanya syarahan
antarabangsa. Seperti Syarahan Akademik Antarabangsa Tahun 2022 disampaikan
oleh Prof. Madya Dr. Kukushkina Evgeniya Sergeeva dari Institut Pengajian Asian dan
Afrika, Moscow State University, Rusia. Menariknya, syarahan antarabangsa
sedemikian mengangkat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam
penyampaian syarahan dan komunikasi. Pertukaran bidang ilmu ini dengan
implimentasi bahasa Melayu sangat memberi kesan terhadap hubungan
antarabangsa antara Malaysia melalui UPSI dengan negara lain seperti Uzbekistan
dan Rusia.

Hubungan perantarabangsaan bahasa Melayu tidak terbatas kepada aktiviti
sedemkian sahaja, sebaliknya usaha mengeratkan dan saranan kerjasama masa
depan dimeteraikan melalui perjanjian persefahaman seperti MOU. Dalam usaha ini,
pihak UPSI telah mengadakan Perjanjian Persefahaman Bersama (1) The Scientific
Department of the Tashkent State University of Oriental Studies; (2) Uzbekistan State
World Languages University; (3) Institut Pengajian Asian dan Afrika, Moscow State

27

Hala Tuju Pemartabatan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi:
100 Tahun UPSI-IPSI-MPSI-SITC

University, Rusia; (4) Goethe University Frankfurt, Jerman; dan (5) University of
Dhaka, Bangladesh. Menerusi perjanjian sedemikian, usaha memartabatkan bahasa
Melayu dapat dipergiatkan seperti aktiviti pengajaran, penyelidikan, perundingan,
wacana ilmu, program sangkutan akademik, program pertukaran pelajar (mobiliti) dan
pelbagai aktiviti boleh dilakukan. UPSI telah melantik seorang Profesor Adjung Bahasa
Melayu dari Goethe University, Frankfurt, Jerman iaitu Prof. Dr. Arndt Graf. Hal ini
dapat memperkasa bahasa Melayu dan digunakan secara realiti menerusi konteks
antarabangsa.

Melalui perantarabangsaan bahasa Melayu, UPSI telah bersetuju mengambil inisiatif
untuk menghantar pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu ke luar
negara bagi tujuan latihan mengajar bahasa Melayu. Uniknya, pelajar yang berstatus
B40/Miskin akan diberikan kemudahan menjalankan latihan mengajar seperti tiket
penerbangan, kos sara hidup, dan tempat tinggal melalui Program Go Global. Pelajar
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu juga berpeluang menjalankan latihan
industri di sektor industri swasta. Hal ini dapat mendedahkan pelajar bahasa Melayu
kepada realistik bahasa dalam industri sebenar.

Di samping itu, program pasca siswazah dalam bidang Peradaban Melayu merentas
negara Asia juga dilakukan. Program ini melibatkan pasca siswazah yang hadir dari
pelbagai latar ilmu mendalami Peradaban Melayu di UPSI. Dalam pada masa yang
sama, program-program Peradaban Melayu seperti Siri Seminar dan Wacana dalam
talian. Program sedemikian telah membincangkan pelbagai topik peradaban Melayu
daripada aspek bahasa, linguistik, budaya, seni, arkeologi, seni bina dan ruang lingkup
intelektual Melayu. Penglibatan wacana sedemikian dengan pihak antarabangsa
menjadikan tarikan minat pengkaji, pengemar, pelajar dan guru bersama-sama
berkongsi ilmu mauduk Melayu.

Perantarabangsaan bahasa Melayu ini tidak bersifat sehala sahaja, sebalik
bertimbangan dua hala sangat diperlukan bagi perluasan penguasaan bahasa Melayu.
Melintas kepada generalisasi ini, UPSI telah menawarkan Kursus Bahasa Melayu
kepada pelajar dan pensyarah asing di dalam negara mahupun di luar negara. Kursus
ini bertindak melatih pelajar dan pensyarah asing agar mereka boleh berkomunikasi
dengan bahasa Melayu dengan baik. Sambutan kursus ini memberi cerminan kepada
signifikan bahasa Melayu dan manfaat buat mereka agar dapat menggunakan bahasa
Melayu dengan konteks pengajian tinggi. Kursus Bahasa Melayu ini juga dianjurkan
kepada pelajar dari Negara China yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat
pasca siswazah di UPSI. Kursus ini melibatkan 65 orang pelajar setahun. Oleh hal
demikian, UPSI telah menyediakan tenaga pengajar yang berkebolehan untuk melatih
pelajar dan pensyarah asing untuk berkomunikasi bahasa Melayu.

Perantarabangsaan Bahasa Melayu ini bukan sesuatu yang mudah, namun UPSI
telah menyambut usaha Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan
Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di
peringkat asia mahupun antarabangsa.

Pusat Kecemerlangan Pendidikan Bahasa Nadi Bahasa Melayu

UPSI melalui Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah menubuhkan Pusat
Kecemerlangan Pendidikan Bahasa yang menjadi agen utama menggerakkan
pelbagai aktiviti berteraskan bahasa, terutama bahasa Melayu. Pusat ini bukan sahaja
memfokuskan kepada pelajar atau akademia sahaja malah perkhidmatan kepada
masyarakat juga diketengahkan. Menyampaikan perkhidmatan bahasa daripada
segenap aspek seperti Unit Terjemahan Profesional yang mempunyai peranan
penting untuk membantu kerja-kerja terjemahan bahasa atau alih bahasa,

28

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

penyuntingan bahasa, perkhidmatan rujukan bahasa dan lain-lain perkhidmatan
bahasa serta linguistik. Kehadiran pakar-pakar bahasa UPSI telah merancakkan kerja-
kerja terjemahan dokumen pelbagai bahasa diterjemahkan kepada bahasa Melayu.
Seiring dengan perkhidmatan bahasa, terutama bahasa Melayu. Pusat Kemahiran
Bahasa telah menyediakan kursus bahasa Melayu bagi melatih pelajar universiti,
pensyarah, pendidik, dan agensi berkeperluan. Pusat ini juga telah mendominasi
kursus bahasa Melayu melalui Wacana Bahasa Melayu sebagai kursus wajib universiti
daripada aras Diploma sehingga Ijazah Sarjana Muda Pendidikan/ Bukan Pendidikan.
Setiap pelajar diasah supaya dapat menguasai dan menggunakan bahasa Melayu
dalam pelbagai konteks apabila tamat pengajian. Seterusnya, usaha Pusat
Kecemerlangan Pendidikan Bahasa juga telah memperkenalkan Pusat Pengajian
Bahasa di Luar. Pusat ini merancakkan lagi aktiviti perkhidmatan bahasa yang fokus
kepada luar daripada kampus UPSI. Perkhidmatan bahasa Melayu dapat dibawa dan
diberikan kepada masyarakat dan penggunanya. Pusat Pengajian Bahasa di Luar ini
memberi penawaran kepada masyarakat terhadap pembelajaran aspek bahasa
Melayu melalui modul yang telah dibangunkan.

Aktiviti perkhidmatan bahasa Melayu ini merupakan satu inisiatif penting membuka
dasar pergerakan terhadap memperkasakan bahasa Melayu. Kesedaran kepada
kepentingan ini telah lama terbentuk di UPSI dan berjaya mengelek Bahasa Melayu
dengan baik. Perkhidmatan sedemikian mampu menjelaskan bahawa masyarakat
sangat memerlukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Pusat Korpus dan Forensik Linguistik Sebagai Rujukan Data Raya Bahasa
Melayu

Berdepan dengan Revolusi Industri 4.0 telah memberikan daya usaha terhadap
peningkatan penggunaan sains dan teknologi dalam sektor pengajian tinggi. Bagi
bahasa Melayu perkara ini tidak dapat dielakkan, tetapi dapat dikawal dengan baik
telah pembentukan Pusat Korpus dan Forensik Linguistik melalui Fakulti Bahasa dan
Komunikasi telah menggabungkan elemen teknologi dan sains bahasa bagi kegunaan
pengajian tinggi. Pusat ini menempatkan jutaan data bahasa Melayu yang dinamakan
sebagai Korpus Kebangsaan Muallim (Muallim National Corpora) sehingga hari ini
terdapat 22 juta perkataan bahasa Melayu (Mazura Mastura & Muhamad Fadzllah,
2020). Korpus ini memberi manfaat kepada rujukan contoh bahasa Melayu yang
digunakan secara kerap melalui variasi senario. Signifikan data korpus ini memberi
manfaat kepada penyelidik, penggubal polisi, pasca siswazah, pasca kedoktoran dan
felo berkeperluan dalam kajian Bahasa Melayu. Pusat ini juga bakal menerima
kunjungan pengkaji luar negara yang ingin merujuk variasi data bahasa Melayu.

Daripada perspektif Linguistik Forensik merupakan satu bidang yang baru
berkembang dan sangat signifikan dalam penyelidikan bahasa dan jenayah. UPSI
telah mengadakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi
mendapatkan data jenayah dalam bahasa Melayu. Data jenayah ini terdiri daripada
soal siasat, surat ugutan, video-video jenayah dan sumber bahasa jenayah yang
berkaitan. Kesemua bahan jenayah ini diambil dalam bahasa Melayu dan bakal
menjadi rujukan kepada pihak kepentingan seperti PDRM, JPJ, dan Agensi
Penguatkuasaan Undang-Undang. Oleh hal yang demikian, pemartabatan bahasa
Melayu bukan sahaja menjadi satu omong kosong, sebaliknya realiti dalam dunia
agensi berkepentingan perlu diambil kira seperti Pusat Korpus dan Forensik Linguistik
yang menjadi rujukan data raya bahasa Melayu.

29

Hala Tuju Pemartabatan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi:
100 Tahun UPSI-IPSI-MPSI-SITC

GAGASAN KESIMPULAN
Dalam tempoh 100 tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI pelbagai usaha telah dilakukan.
Perkara ini bukan sahaja perkara baharu sebaliknya semangat iltizam dari jiwa tokoh
bahasa Melayu terdahulu telah berkembang dalam roh anak kandung suluh budiman.
Tekad dan usaha yang ada ini mampu menjadi mercu dalam memartabatkan bahasa
Melayu di arena pengajian tinggi secara antarabangsa. “Bulat air kerana pembentung,
Bulat manusia kerana muafakat” merupakan nadi kepada pemertabatan bahasa
Melayu di UPSI. Pada awal penubuhan SITC, Pejabat Karang-Mengarang SITC
berjaya menjadi lidah rasmi yang memartabatkan dan meninggikan bahasa ibunda
iaitu bahasa Melayu. Kini, UPSi telah menuai hasil daripada pemartabatan bahasa
Melayu yang telah diwarisi dari 100 tahun penubuhannya. Perkhidmatan Bahasa
Melayu diperkembangan secara antarabangsa, tempatan dan pengajian tinggi telah
memberi galakan yang utuh kepada UPSI untuk terus berjaya sebagai Universiti
Nombor Satu Pendidikan.

BIBLIOGRAFI
Raja Ahmad Shalaby, Raja Hassan, 2018. Sumbangan Lepasan Sultan Idris Training

College (SITC) Dalam Membangkitkan Semangat Nasionalisme 1922-1957. Tesis
Doktor Falsafah (Tidak Diterbitkan). Fakulti Sains Kemanusiaan: Universiti
Pendidikan Sultan Idris
Salmah Jan Noor, Mohammad. Menuai Hasil Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu
di IPTA. Dewan Bahasa. April 1, 2022. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur
Mazura Mastura, Muhammad. & Muhamad Fadzllah, Zaini. 2020. Muallim National
Corpora (MNC). Nombor Pemberitahuan Hak Cipta: CRLY00027387. Fakulti
Bahasa dan Komunikasi: Universiti Pendidikan Sultan Idris
Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti
Awam (2016-2021). Kementerian Pengajian Tinggi : Putrajaya

30

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu / 31 - 35
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

BAHASA DAN PERSURATAN KEBANGSAAN
DI PERSADA DUNIA

Raja Rajeswari Seetha Raman
([email protected])
Malaysia

Abstrak

Bahasa Melayu berperanan sebagai penanda identiti, alat pemancar imej dan lambang kedaulatan
negara. Bahasa Melayu mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi pada peringkat
antarabangsa sejak abad ke-15 hingga kini sebab kemampuan dalam menyalurkan ilmu, fikiran
abstrak, metaforikal, konseptual, idea metafizik dan tasawuf kompleks melalui bahasa konotatif.
Bahasa pertiwi masih mendapat tempat istimewa dalam acara berprestij bertaraf dunia anjuran
pelbagai pihak sama ada secara bersemuka atau maya sebab tradisi agungnya yang tersendiri,
namun di bumi sendiri etnosentrisme yang diasaskan oleh kolonial semasa era kolonialisme masih
kekal dan menebal dalam kalangan segelintir individu yang bergelar Keluarga Malaysia. Kini, kita
memerlukan azam, iltizam, keyakinan dan semangat yang tinggi daripada Keluarga Malaysia untuk
melonjakkan kegemilangan bahasa dan persuratan kebangsaan ke tahap yang gemilang bukan
sahaja di rantau ASEAN namun di seantero dunia. Aspirasi akan menjadi realisasi jika Keluarga
Malaysia bersikap sehati sejiwa, tekal dan kekal dalam semua kedudukan dan keadaan sebab
sokongan padu sudah ada pada peringkat antarabangsa.

Kata Kunci: Bahasa Melayu, persuratan kebangsaan, persada dunia, metafora, komuniti sastera

PENGENALAN

Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah mencipta tamadun yang agung dan
ulung pada abad ke-7. Pada abad ke-7 sudah ada “negara bangsa” di Palembang dan
bahasa yang digunakan ialah bahasa “K un-lun atau bahasa Melayu kuno. Tamadun yang
dicipta oleh bahasa dan bangsa Melayu telah mendahului tamadun Inggeris dan
terbangun di atas tapak peribuminya sendiri melalui kearifan atau kebijaksanaan akal
budi. Kebijaksanaan proses berfikir yang tercermin melalui korpus wacana intelektual
tinggi menyebabkan persuratan kebangsaan kita diiktiraf sebagai bahasa falsafah,
bahasa intelek dan menjadi pilihan sebagai bahasa lingua franca daripada 84 bahasa
yang dituturkan oleh pedagang dan mubaligh yang singgah di Selat Melaka pada abad
ke-14. Senario yang sama yang digapai pada era kegemilangan kerajaan Melayu Melaka
masih malar hijau dan persuratan kebangsaan masih mendapat penghormatan dan
pengiktirafan tertinggi di persada antarabangsa.

ISU KAJIAN

Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa lingua franca, bahasa pembina tamadun
suprawilayah dan supraetnik, bahasa ilmu, bahasa persuratan,bahasa pemikiran, bahasa
falsafah,bahasa diplomasi dan bahasa pentadbiran, malah menjadi bahasa perpaduan
yang menyatupadukan pelbagai bangsa dan agama sejak abad ke-15 hingga kini.

31

Bahasa dan Persuratan Kebangsaan di Persada Dunia

Kebijaksanaan proses berfikir bangsa Melayu melalui bahasa Melayu telah mendahului
bangsa dan bahasa Inggeris dengan lahirnya hikayat bahasa Melayu bertulisan Jawi,
Hikayat Raja-Raja Pasai pada pertengahan kedua abad ke-14. Hikayat Raja-Raja Pasai
telah terbit lebih awal daripada karya agung Inggeris yang pertama, yakni Canterbury
Tales oleh Geoferry Chaucer. Kelahiran naskhah agung Sulalat al-Salatin atau Peraturan
Segala Raja-Raja yang dikarang pada tahun 1612 dan Hikayat Hang Tuah selepas tahun
1641 membuktikan bahawa bangsa Melayu telah mempunyai sejarah tradisi agung
mendahului tamadun bangsa dan bahasa Inggeris.

Keunikan bangsa Melayu dalam membina tamadun bahasa melalui perbahasan ilmu dan
korpus wacana intelektual tinggi menyebabkan penobatan bahasa Melayu sebagai
bahasa lingua franca, setaraf dengan bahasa Perancis dan bahasa Latin sebagai bahasa
lingua franca di Eropah. Kedudukan bahasa Melayu ketika itu sama taraf dengan bahasa
Perancis atau bahasa Latin sebagai lingua franca di Eropah. Menurut Valentyn, pada
abad ke-17 atau ke-18 jika ada sesiapa di rantau tersebut yang tidak mengetahui bahasa
Melayu dan tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu maka mereka dianggap
sebagai tidak berpendidikan. Daripada kenyataan Valentyn, terbukti bahawa bahasa
Melayu telah lama mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi daripada sarjana
barat.

Keyakinan tinggi disandarkan pada keupayaan dan kemampuan bahasa Melayu sebab
ilmu dan fikiran yang abstrak, metaforikal dan konseptual dengan idea metafizik dan
tasawuf kompleks diketengahkan melalui karya filologi, karya sufi dan karya historiografi.

Bahasa Melayu mendapat keutamaan kerana tersebar ke seluruh pelosok dan ceruk
rantau bukan melalui paksaan, peperangan, penjajahan sebagaimana tersebarnya
bahasa Portugis, bahasa Belanda dan bahasa Inggeris (sekadar contoh) sebaliknya
tersebar melalui proses berfikir, proses sosial dan intelektualiti yang tinggi dalam mencipta
alegori, analogi dan metafora Melayu.

Metafora yang dicipta oleh bangsa Melayu dalam bahasa Melayu luar biasa daripada
metafora dalam bahasa Inggeris sebab metafora Melayu lahir berdasarkan pengalaman
pengamatan, pemerhatian, penaakulan dan pandangan hidup secara kolektif bersama-
sama masyarakat. Metafora konseptual tersebut lahir daripada pengalaman yang panjang
dan renungan akliah pemikir Melayu yang berinteraksi dengan alam sekeliling. Justeru
metafora Melayu bersifat pragmatik, kompleks serta tidak eksplisit seperti metafora
Inggeris (Hassan Ahmad, 2016:108).

Dalam metafora Melayu, ada peralihan makna daripada makna harfiah kepada makna
yang tidak harfiah atau makna lapisan kedua. Metafora analogis ini menggunakan
perkataan “bagai” dan “seperti” dan banyak ditemukan dalam peribahasa Melayu. Dalam
peribahasa Melayu, pemikiran mencapai tahap abstraksi dan kreativiti mental yang tinggi,
halus dan kompleks (Hassan Ahmad, 120-122).

Kaedah analogis yang digunakan untuk membentuk konsep yang abstrak daripada alam
flora dan fauna atau alam tabii sebagai bahan analogi untuk membentuk makna baharu
dalam bentuk metafora menyebabkan karya kreatif Melayu memiliki keunikan luar biasa
dan mendapat tempat istimewa dalam kalangan penyair dunia yang mengusahakan
laman sesawang, majalah digital,portal,blog antarabangsa dan komuniti sastera secara
maya di seantero dunia.

32

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

POINT Editions atau POINT merupakan akronim kepada Poetry International (Puisi
Antarabangsa. Majalah digital ini yang diasaskan oleh Germain Droogenbroot dari
Sepanyol mempunyai akses kepada portal dan blog terkemuka di luar negara termasuklah
di Jepun, Romania, Catalan, Kurdish, Itali, Sepanyol, England dan Belanda.

Peminat puisi Melayu POINT Editions lebih daripada 10 ribu orang di seantero dunia.
Daripada majalah digital POINT Editions, puisi Melayu bukan sahaja tersebar di 22 buah
negara, malahan ada akses dengan portal dan blog terkemuka di Poland, Romania,
China, Jepun, Catalan, Kurdish, Itali, Sepanyol, England, Belanda dan India ( www.point-
editions.com). Pada 22 Februari 2019, majalah puisi Romania (Romanian Climate Poetry
Magazine) telah memulakan ruangan puisi Melayu dalam majalah digital mereka.

Blog poetry bridges di Poland (www.poetrybridges.com.pl) juga memaparkan puisi Melayu
dalam ruangan puisi antarabangsa. Malgorzata Zurecka dan Miroslaw Grudzien dari
Poland mengusahakan blog poetry bridges kerana tertarik dengan puisi Melayu yang
memiliki muzikaliti, merdu, harmonis, berirama dan mirip kepada bahasa Poland.

Komuniti sastera di pelantar maya seperti Pertemuan Penyair Pelbagai Bahasa Dunia
Kaavya Kaumudi atau Kaavya Kaumudi International Multilingual Poets Meet dengan
Kerjasama Kerajaan Telangana dan Akademi Sahitya Telangana yang diasaskan oleh
Dr.Kumud Bala juga membuka ruang kepada deklamasi puisi dalam bahasa Melayu
saban bulan melalui pelantar ZOOM. Puisi yang dideklamasikan dalam bahasa Melayu
mendapat liputan dalam media antarabangsa dan dikumpulkan dalam bentuk antologi
puisi dengan mengekalkan versi aslinya dalam bahasa Melayu. Ini suatu penghormatan
tertinggi kepada bahasa dan sastera kebangsaan di pelantar digital khususnya komuniti
sastera maya. Peminat puisi Melayu yang ingin mendengar deklamasi penulis dalam
bahasa Melayu boleh tonton secara langsung melalui akaun facebook Kaaya Kaumudi
saban bulan.

Motivational Strips yang beribu pejabat di Oman merupakan forum gergasi dunia yang
diasaskan oleh En. Shiju H. Pallithazheth, Presiden Bersama di World Nations Writers
Union (WNWU) di Kazakhstan. Komuniti sastera maya terbesar ini dikunjungi oleh lebih
daripada 2.50,000 pengunjung saban hari yang terdiri daripada penulis, penyair, pengkaji,
pembaca, pelajar, wartawan dan peminat sastera dari 168 negara yang mendaftar
sebagai ahli Motivational Strips (MS).

Statistik pada laman sesawang Motivational Strips (MS) mencatatkan bahawa forum ini
menerima lebih daripada 10 juta orang pelawat saban bulan dan angka ini meningkat
setiap detik dengan peningkatan bilangan ahli dalam komuniti maya ini. Pelantikan penulis
sebagai Penasihat Kanan kepada Presiden pada 16 September 2021 untuk
mengantarabangsakan dan memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan di
seantero dunia melalui pelbagai aktiviti dan program kebahasaan, sastera dan terjemahan
merupakan pengiktirafan tertinggi kepada persuratan kebangsaan pada alaf baharu.
Julung-julung kali sayembara puisi World Nations Writers Union (WNWU) dalam bahasa
Melayu akan diperkenalkan bersama-sama 15 bahasa dunia oleh forum Motivational
Strips pada hujung tahun ini.

Persoalan yang menjadi isu kini, apabila negara dunia berlumba-lumba untuk
mengantarabangsakan bahasa dan sastera kebangsaan kita, di bumi sendiri minat akan

33

Bahasa dan Persuratan Kebangsaan di Persada Dunia

bahasa dan persuratan kebangsaan semakin merudum. Etnosentrisme yang diasaskan
oleh pihak kolonial British semasa era kolonialisme masih kekal dan menebal dalam
kalangan segelintir individu yang bergelar Keluarga Malaysia hingga ke hari ini.

GAGASAN KESIMPULAN

Bahasa Melayu mendapat penghormatan dan pengiktirafan tertinggi pada zaman silam
kerana bangsa Melayu, keturunan Tionghoa dan kaum India berfikir dan bertutur dalam
bahasa Melayu dengan penuh yakin.

Pada era kolonial, bahasa Melayu dikuasai dengan cemerlang oleh semua bangsa dan
menjadi bahasa komunikasi di rumah kaum India dan yang berketurunan Tionghoa.
Mereka fasih berbahasa Melayu dan anak-anak mereka juga mendapat skor yang tinggi
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Bahasa Melayu juga digunakan secara
meluas dalam aktiviti harian seperti aktiviti sosial, sukan dan kebudayaan dalam suasana
yang mesra dengan penuh rasa muhibah ketika itu. Fakta ini diperakui oleh Clough
Thuraisingam pemimpin kaum India sewaktu era kolonialisasi British dan tercatat dalam
Federal Legislative Assembly Debate, pada 10 Julai 1957, iaitu dalam lajur 2939.

Kini, kita memerlukan azam, iltizam, keyakinan dan semangat yang sama daripada
Keluarga Malaysia untuk melonjakkan kegemilangan bahasa Melayu ke tahap yang lebih
tinggi bukan sahaja di rantau ASEAN malah di seantero dunia sebab negara dunia sudah
memulakan inisiatif mengantarabangsakan bahasa dan persuratan kebangsaan secara
maya melalui blog, portal, majalah digital dan komuniti sastera secara efektif saban
minggu dan bulan.

Sehubungan dengan itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam
menzahirkan harapan dan visi YAB Perdana Menteri Malaysia kita agar bahasa negara
ini “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan bahasa utama dunia. Kita boleh
mengembalikan kegemilangan yang pernah digapai oleh bahasa pertiwi pada suatu
ketika dahulu jika Keluarga Malaysia yang menghuni bumi Malaysia bersikap sehati
sejiwa, tekal dan kekal dalam semua kedudukan, keadaan dan berpegang teguh pada
peribahasa Melayu “Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.”

BIBLIOGRAFI

Asmah Haji Omar, 2015. Dasar Bahasa Kebangsaan: Sejarah Memartabatkan Bahasa
Kebangsaan dan Bahasa Rasmi Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Cheeseman, H.R.,1948. Annual Report on Education in the Malayan Union for the Period
1st April 1945 to 31st December 1946. Kuala Lumpur: Department Of Education,
Malaya.

Chee, T.S, “Issues in Malaysian Education: Past, Present and Future” dlm. Journal of
Southeast Asian Studies 10:2, hlm. 321-50. 1979.

Hassan Ahmad. 2016. Bangsa dan Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Raja Rajeswari Seetha Raman, 2006.” Alegori dan Intelektualiti Melayu” dlm Mingguan
Malaysia. 19 Mac 2006.

34

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Raja Rajeswari Seetha Raman, 2017.” Bahasa Pertiwi Pembentuk Tamadun Negara
Bangsa dlm. Dewan Budaya, Oktober: 14-17.

Raja Rajeswari Seetha Raman, 2019. Point Editions dan Pengantarabangsaan Puisi
Melayu dlm Dewan Sastera, Mei: 48-52.

Raja Rajeswari Seetha Raman, 2021.”SULALAT AL- SALATIN: Penyatuan Negara
Bangsa Melalui Alegori dan Metafora dlm Sastera, Bahasa dan Budaya Pemersatu
Bangsa. Kuala Lumpur: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Raja Rajeswari Seetha Raman, 2022. “Mengantarabangsakan Bahasa Negara Melalui
Multibahasa dlm. Merawat Gundah Bahasa, Warkah untuk Malaysiaku, 191-195.

35

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu / 36 - 43
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN TINGGI DI KOREA SELATAN:
KAJIAN KES HANKUK UNIVERSITY OF FOREIGN STUDIES

Zubaidah Ibrahim
Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya

Kang, Myoung Sook
([email protected])

Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia

Abstrak

Malaysia dan Korea telah menjalin hubungan diplomatik pada 23 Februari 1960 dan Malaysia
menubuhkan Kedutaannya di Seoul pada 1964. Pada 1980-an, Malaysia melancarkan "Dasar
Pandang ke Timur" di bawah kepimpinan Dr Mahathir. Malaysia menghantar pegawai awam
dan pelajar ke Korea untuk belajar daripada pengalaman Korea dalam pembangunan ekonomi
dan ini membawa kepada pengajaran bahasa Korea di Malaysia. Walau bagaimanapun, lebih
10 tahun kemudian baharulah pengajaran Bahasa Melayu di Korea bermula. Bahasa Melayu
telah diajar di Hankuk ,University of Foreign Studies (HUFS) sejak 26 tahun lalu bersama
bahasa Indonesia. Artikel ini memberi penerangan ringkas tentang jabatan Bahasa Melayu-
Indonesia di HUFS. Disamping itu, dinyatakan juga latar belakang sejarah, kurikulum, aktiviti
akademik, ketersediaan bahan pengajaran dan rujukan. Kertas kerja ini diakhiri dengan
beberapa pemikiran tentang langkah ke hadapan untuk pengajian bahasa Melayu sebagai
bahasa asing di Korea dan di Malaysia.

Kata Kunci: Bahasa Melayu, Pengajian Tinggi Korea Selatan, Hankuk University of Foreign
Studies, Jabatan Melayu-Indonesia

PENGENALAN

Sejak penubuhan perkongsian dialog sektoral pada tahun 1989, Korea telah
membangunkan hubungan rapat dalam pelbagai bidang dengan ASEAN. Tidak lama
selepas Presiden Moon Jae-in mula memegang jawatan pada Mei 2017, beliau
melancarkan Dasar Selatan Baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan
ASEAN (Kim, 2022). Hasilnya, peranan pakar serantau dan ahli bahasa tempatan di
ASEAN semakin berkembang dan dikukuhkan.

Kertas kerja ini memberikan gambaran keseluruhan institusi akademik ini, diikuti
dengan penerangan ringkas tentang kursus Melayu-Indonesia, Jabatan Melayu-
Indonesia di Universiti Pengajian Asing Hankuk, dan peranannya dalam senario
pendidikan Korea. Maklumat tersebut amat berharga kepada mereka yang berminat
dengan pengajaran bahasa Melayu di Korea, dan dalam memahami cara program
Melayu-Indonesia meningkatkan usaha kerajaan Korea untuk memantapkan negara
tersebut dalam konteks global.

HANKUK UNIVERSITY OF FOREIGN STUDIES (HUFS) DAN THE GRADUATE
SCHOOL OF TRANSLATION AND INTERPRETING (GSIT)

Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) ialah universiti yang dibiayai swasta
yang ditubuhkan pada tahun 1954. Matlamatnya adalah khusus untuk mengajar
pelbagai bahasa asing di samping sains sosial, undang-undang, perniagaan, ekonomi
dan pengajian antarabangsa, untuk menyediakan anak muda Korea berurusan

36

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

dengan cabaran global dan sememangnya untuk menjadi pemimpin masa depan
Korea. HUFS ialah universiti yang bereputasi tinggi, disenaraikan dari segi tahap
globalisasi. Ia diamanahkan dengan latihan bukan sahaja pelajar prasiswazah dan
pascasiswazah tetapi juga kakitangan kerajaan dan pegawai syarikat gergasi Korea
seperti Samsung, LG dan Hyundai. Universiti ini mempunyai 18 sekolah (fakulti), yang
dibahagikan kepada 79 jabatan, menyediakan pendidikan dalam 45 bahasa, sembilan
sekolah siswazah, 31 pusat penyelidikan dan mempunyai populasi keseluruhan
pelajar kira-kira 20,000 (www.hufs.ac.kr, 2022). Sekolah Pascasiswazah Terjemahan
dan Interpretasi (GSIT) terkenal di peringkat antarabangsa dan telah memainkan
peranan penting dalam persidangan latihan dan jurubahasa perhubungan dalam lapan
bahasa: Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia dan Sepanyol. GSIT
adalah ahli CIUTI yang berprestij (Persidangan Universiti Antarabangsa Mengenai
Terjemahan dan Interpretasi) dan USIA (Persatuan Jurubahasa Pelajar Universiti),
dan telah mengambil bahagian dalam pelbagai acara antarabangsa yang melibatkan
warga Korea, sama ada isu politik, ekonomi atau kemanusiaan. Malangnya,
terjemahan dan interpretasi antara Korea dan Melayu-Indonesia di GSIT ditawarkan
buat sementara sahaja sebagai kursus percubaan dari 2001 hingga 2005, tetapi tidak
diteruskan selepas lima tahun masa percubaan.

Jabatan Melayu-Indonesia di HUFS

Jabatan Melayu-Indonesia di Hankuk University of Foreign Studies terbahagi kepada
dua kampus: Imun di Seoul dan Yongin di Gyeonggi-do.

Jabatan Melayu-Indonesia di Imun, Seoul sebagai kampus utama adalah di bawah
Kolej Bahasa Oriental yang merupakan institusi pendidikan bahasa Oriental dan kajian
kawasan yang terulung di Korea. Kolej ini termasuk Jabatan Melayu-Indonesia (satu-
satunya program seumpamanya di Korea), Jabatan Bahasa Arab, dan Jabatan
Mongolia, antara lain. Tanpa dihalang sempadan, kaum, budaya dan bidang pengajian
utama, Kolej Bahasa Oriental terus memupuk pemimpin global yang akan
meningkatkan lagi pengantarabangsaan rantau Asia-Pasifik.

Jabatan Melayu-Indonesia diselia oleh seorang Pengerusi (Pengerusi Jabatan),
dianggotai oleh lima profesor Korea, lima profesor asing dari Indonesia dan Malaysia
dan kuliah sambilan Korea. Imun di cawangan Seoul dan Yongin menerima kira-kira
60 pelajar setiap tahun, dan pada satu-satu masa, terdapat kira-kira 200 pelajar di
jabatan itu. Objektif utama jabatan adalah: (a) melahirkan tenaga kerja yang
berkeyakinan dan fasih berbahasa Melayu-Indonesia (b) melahirkan pakar bidang
yang mahir dalam bahasa dan berpengetahuan dalam hal-hal Malaysia dan Indonesia
(c) memastikan bahawa pelajar mempunyai kebolehan linguistik untuk meneruskan
pengajian di peringkat pascasiswazah dalam mana-mana bidang yang berkaitan
dengan pengajian Malaysia dan Indonesia.

Pengajaran Awal Bahasa Melayu di HUFS

Bahasa Melayu, dari segi penutur asli, termasuk dalam sepuluh bahasa teratas dunia
(Crystal 2005) dan mempunyai beberapa ragam (variety), yang utama adalah bahasa
Indonesia dan Malaysia. Ragam bahasa Indonesia (BI) telah diajar di HUFS sejak
1964, mencerminkan hubungan lama antara Korea dan Indonesia, justeru kebanyakan
pelajar dan kakitangan lebih terbiasa dengan bahasa Indonesia berbanding ragam
bahasa Malaysia. Program ini diajar oleh profesor Korea sendiri sehingga tahun 1966,
apabila, melalui MoU dengan Universitas Gadjah Mada (UGM), pada julung kalinya
penutur asli dijemput untuk mengajar Bahasa Indonesia. Hubungan juga diwujudkan
dengan universiti Indonesia kedua iaitu Universitas Indonesia (UI) pada tahun 1995.

37

Bahasa Melayu dalam Pendidikan Tinggi di Korea Selatan:
Kajian Kes Hankuk University of Foreign Studies

Menyedari kepentingan yang semakin meningkat dari segi hubungan antara Korea,
Malaysia dan Indonesia, jabatan Indonesia meluaskan skopnya dengan
menggabungkan bahasa Melayu dan kajian wilayah Malaysia ke dalam kurikulumnya
dan mematrikan Memorandum Persefahaman (MoU) pada 1996 dengan Universiti
Malaya. Ianya adalah hasil usaha Profesor Emeritus Asmah Hj. Omar dari Universiti
Malaya dan Profesor Dr. Chun Tai Hyun dari HUFS. Selepas 32 tahun Bahasa
Indonesia di HUFS, baharulah Bahasa Melayu (atau Bahasa Malaysia: BM)
diperkenalkan dan ini telah dilanjutkan pada 2005 melalui MoU dengan Universiti
Sains Malaysia (USM).

Salah satu objektif MoU antara institusi akademik adalah untuk melibatkan diri dalam
program kerjasama, contohnya, pertukaran kakitangan dan pelajar. Pada tahun 1996,
tenaga pengajar bahasa Melayu pertama, Megat Rus Kamari Megat Wah dari Jabatan
Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa dan Linguistik (FBL), Universiti Malaya (UM) telah
dipinjamkan ke HUFS untuk memenuhi kontrak mengajar selama setahun (boleh
diperbaharui) (Zubaidah, 2008).

Profesor penutur asli Indonesia bertugas bergilir-gilir antara UI dan UGM, sedangkan
untuk bahasa Melayu, pengajar dari UM dipinjamkan sejak awal. Adalah menjadi
falsafah universiti bahawa pelajar harus didedahkan kepada bunyi bahasa sebenar
dari mulut penutur asli. Chun (2001) berpendapat bahawa profesor asing harus
mengajar bukan sahaja mendengar dan bercakap, tetapi juga mata pelajaran lain,
seperti politik, ekonomi dan budaya untuk memberi pelajar penyertaan yang lebih
besar dan pendedahan yang meluas kepada bahasa tersebut. Dasar ini telah
dilaksanakan pada tahun 1980-an, tetapi tidak lagi diamalkan. Profesor asing pada
masa ini hanya dijemput untuk mengajar kemahiran bertutur kepada siswazah ijazah
dasar, linguistik Melayu kepada siswazah ijazah tinggi, dan satu subjek dalam bidang
budaya Melayu-Indonesia.

Aktiviti Akademik Selepas Mou

Sebagai aktiviti ilmiah, Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia di HUFS telah secara aktif
menganjurkan seminar, simposium dan persidangan di Korea, Malaysia dan Indonesia
untuk membincangkan pelbagai topik termasuk pengajaran bahasa dan kepelbagaian
budaya; pengajaran bahasa dan sumber atau penyediaan bahan, pengaruh
kesusasteraan Melayu/Indonesia zaman pendudukan Jepun, memperkenalkan tokoh-
tokoh sastera dan membincangkan isu-isu politik. Seminar sebegini menghimpunkan
ahli akademik dari universiti yang berbeza untuk pertukaran idea dan maklumat yang
lebih meluas. Dari Malaysia, profesor dari Akademi Pengajian Melayu (APM),
Universiti Malaya, dan ATMA di Universiti Kebangsaan Malaysia telah terlibat secara
aktif pada tahun 2000-an.

Sebagai acara terbesar yang pernah diadakan, jabatan Bahasa Melayu-Indonesia di
HUFS telah mengadakan acara ulang tahun ke-50 dari 14 hingga 16 Mei 2014 dan
180 peserta serta alumni telah menghadiri majlis ini. Satu persidangan antarabangsa
telah diadakan di bawah tema “Bridging the Unbridgeable: Changing Paradigms in
Malay-Indonesian Studies” diikuti dengan ucapan perasmian oleh Prof. Koh Yonghun,
ketua jabatan, ucapan alu-aluan oleh Prof. Kim In-cheol, Presiden HUFS, dan ucapan
tahniah oleh Duta Besar Indonesia ke Korea John. A. Prasetio (HUFSNEWS,
2014/05/27). Malangnya, duta Malaysia ke Korea ketika itu tidak hadir. Menurut Prof.
Koh, jabatan itu sebenarnya mengharapkan penyertaan duta Malaysia dan ramai lagi
peserta dari Malaysia tetapi ianya tidak begitu menepati jangkaan berbanding kadar
peserta dari Indonesia.

38

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Dari segi penerbitan, kakitangan akademik jabatan mempunyai akses dan peluang
untuk menyumbang penulisan akademik mereka kepada beberapa jurnal dan terbitan
berkala yang diterbitkan oleh universiti, beberapa yang berkaitan adalah Pengajian
dalam Pendidikan Bahasa Asing (Institut Pendidikan Bahasa Asing), Jurnal Asia
Tenggara (Pusat Kajian Asia Tenggara), dan Jurnal Kesusasteraan Asing.

Kursus Bahasa Melayu-Indonesia

Dalam program sarjana muda empat tahun, kursus dibahagikan kepada peringkat
rendah, pertengahan, lanjutan dan akhir. Berikut adalah kursus yang ditawarkan pada
setiap peringkat, untuk memberi pembaca gambaran tentang jenis program yang
terdapat di jabatan. Kelas yang dijalankan dalam bahasa Melayu/Indonesia
ditandakan dengan asterisk (").

Seperti yang dapat dilihat dalam jadual di bawah, tumpuan pada tahun satu dan dua
ialah penguasaan bahasa. Pelajar diajar kemahiran bahasa lebih dari yang lain:
membaca, bertutur, komposisi dan tatabahasa, tetapi sebagai tambahan diberikan
pengenalan kepada sejarah, kesusasteraan, masyarakat dan budaya
Indonesia/Malaysia. Yang terakhir adalah perlu kerana pelajar tahun satu
berkemungkinan mempunyai pengetahuan yang sangat sedikit tentang kedua-dua
negara. Pengenalan kepada masyarakat dan budaya penutur bahasa yang mereka
pelajari mampu menyediakan konteks, perspektif dan motivasi untuk belajar. Selain
itu, matlamat jabatan bukan sahaja untuk mengajar bahasa dan linguistik, tetapi untuk
memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sebanyak mungkin tentang
masyarakat, kesusasteraan, budaya dan ekonomi Malaysia dan Indonesia bagi
memudahkan mereka bekerja di rantau ini selepas tamat pengajian.

Jadual 1. Kursus yang ditawarkan di Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia di HUFS (2021)

Tahun 1 Semester 1 Semester 2
Tahun 2 Elementary Malay-Indonesian Elementary Malay-Indonesian (2)
1)
History and Culture of Malaysia
History and Culture of
Indonesia Audio-Visual Malay-Indonesian
Language (2)
Audio-Visual Malay- Elementary Malay-Indonesian
Indonesian Language (1) Conversation & Composition (2)*

Elementary Malay-Indonesian Readings in Malay-Indonesian (2)
Conversation & Composition
(1)* Religion & Society in Indonesia
Popular Culture of Malay-
Readings in Malay-Indonesian Indonesia
(1) History of Malay-Indonesian
Literature
Religion & Society in Malaysia Intermediate Malay-Indonesian
Conversation & Composition (2) *
Geography and Culture of
Malay-Indonesia Practical Malay-Indonesian
(listening skills using authentic a-
Literature and Society of v materials)
Malay-Indonesia

Intermediate Malay-
Indonesian Conversation &
Composition (1) *

Gender and Culture of Malay-
Indonesia

39

Bahasa Melayu dalam Pendidikan Tinggi di Korea Selatan:
Kajian Kes Hankuk University of Foreign Studies

Pada tahun tiga dan empat, pelajar memilih pengkhususan dalam bidang yang mereka

minati. Pelbagai pilihan pilihan tersedia untuk mereka termasuk Perbualan dan

Komposisi, Bahasa Melayu/Indonesia di Akhbar, Novel Melayu/Indonesia, Pengantar

Bahasa Jawa, Kajian Puisi dan Drama, Perbandingan ragam bahasa Malaysia dan

Indonesia, Perbandingan Bahasa Melayu/Indonesia, kesusasteraan, politik dan

ekonomi kontemporari, sosiolinguistik, dan Islam di Asia Tenggara (SEA). Adalah

dianggap penting untuk menawarkan kursus tentang Islam di SEA untuk memberi

pengenalan dan pemahaman tentang kepentingan Islam kepada rantau ini, kerana

Indonesia mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia.

Semester 1 Semester 2

Tahun 3 FLEX Malay-Indonesian FLEX Malay-Indonesian

Indonesian Regional Studies Malaysian Regional Studies

Current Information on Society & Language of Malay-

Malaysia-Indonesia Indonesia

Comparative Studies of Malay- Business Malay-Indonesian

Indonesian

Advanced Malay-Indonesian Advanced Malay-Indonesian

Conversation & Composition (1) Conversation & Composition (2) *

*

Indonesian Contemporary Malaysian Contemporary Literature

Literature

Tahun 4 Readings on the Contemporary Readings on the Contemporary

Malay-Indonesian Literature (1) Malay-Indonesian Literature (2) *

*

Practice of Translation and International Relations of Malay-

Interpretation between Indonesia

Malay/Indonesian and Korean

Chinese Society in Malaysia Chinese Society in Indonesia

Indonesian Politics & Economics Malaysian Politics & Economics

Malay-Indonesian Culture Malay-Indonesian Environment and

natural resources

Folktale of Malay-Indonesia Comparative literature of Malay-

Indonesia

Discussion in Malay-Indonesian Discussion in Malay-Indonesian (2)

(1)

Dalam program sarjana, pelajar dikehendaki mengambil dan lulus lapan kursus dan
selepas itu menulis disertasi. Ijazah kedoktoran, sebaliknya, dilanjutkan ke luar
negara, sama ada di Indonesia atau Malaysia, khususnya dalam bahasa dan linguistik
tetapi ada yang melanjutkan pengajian Ph.D di UK dan Amerika Syarikat apabila
mereka mengambil jurusan ekonomi dan politik antarabangsa.

Walaupun kurikulum Melayu-Indonesia telah lama bertapak, harus dinyatakan bahawa
majoriti graduan tidak cukup fasih untuk mengekspresikan diri mereka dengan cekap
dalam bahasa Melayu atau Indonesia dari segi pertuturan maupun tulisan. Chun
(2001) berpendapat bahawa penekanan terhadap kajian wilayah di HUFS telah
mengakibatkan kekurangan pendedahan kepada amalan bahasa sebenar yang
disediakan oleh profesor penutur asli. Trend dalam dekad yang lalu ialah pelajar
mengambil gap semester semasa pengajian mereka di Korea dan menghadiri kursus
bahasa di luar negara. Ramai pelajar yang telah ke Indonesia menjadi fasih, biasanya
selama satu semester. Mereka berpeluang meningkatkan kemahiran berbahasa
Indonesia, sama ada di pusat bahasa di Universitas Indonesia (Bahasa Indonesia

40

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

untuk Pelajar Asing - BIPA) atau Universitas Gadjah Mada di Jokjakarta yang
mempunyai program yang amat baik untuk pelajar asing.

Fakulti Bahasa dan Linguistik di Universiti Malaya sebaliknya tidak mempunyai
program tersendiri untuk Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing. Sebaliknya, kursus
penguasaan Bahasa Melayu tiga peringkat ditawarkan di Pusat Pendidikan Berterusan
Universiti Malaya (UMCCed), dengan tenaga pengajar dipinjamkan dari Fakulti. Atas
permintaan daripada HUFS, Fakulti Bahasa menganjurkan kursus bahasa jangka
pendek, dan Pusat Kebudayaan bekerjasama dengan menyediakan aktiviti
ekstrakurikuler kebudayaan seperti muzik tradisional Melayu, tarian dan seni
mempertahankan diri.

Pada masa ini, Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia di HUFS tidak terlibat secara rasmi
dalam penganjuran kursus bahasa di luar negara, pelajar Korea mendaftar secara
individu dengan menanggung perbelanjaan mereka sendiri. Profesor hanya
membantu mereka dalam membuat komunikasi awal dan memastikan program itu
mematuhi keperluan pemindahan kredit HUFS.

Peluang untuk Mengamalkan Bahasa Melayu-Indonesia

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di Malaysia
dianjurkan setiap tahun untuk kategori pelajar antarabangsa. Kedutaan Indonesia di
Seoul juga setiap tahun menganjurkan pertandingan pengucapan awam (lomba
pidato). Semua pelajar Melayu-Indonesia digalakkan menyertai pertandingan pidato
tersebut, yang biasanya mereka lakukan secara bersungguh-sungguh. Secara
keseluruhannya, cara pelajar boleh mempraktikkan bahasa Melayu-Indonesia di
Korea agak terhad.

Disebabkan tahap pengetahuan dan kemahiran IT yang tinggi, termasuk penggunaan
internet secara meluas, pelajar HUFS menyedari dan memanfaatkan peluang yang
disediakan oleh pihak berkuasa kerajaan atau syarikat-syarikat Korea untuk program
pertukaran pelajar; pekerjaan penterjemahan dan interpretasi untuk tujuan
pelancongan Indonesia/Malaysia, delegasi ekonomi atau politik di Korea dan
sebaliknya. Pekerjaan sedemikian, yang diambil semasa cuti semester, memberi
mereka peluang merasai penggunaan bahasa di dunia sebenar. Graduan juga sering
mendapatkan jawatan magang di Malaysia.

Bahan dan Kaedah Pengajaran

Hampir tidak ada sumber yang tersedia untuk pengajaran Bahasa Melayu di Korea,
dan banyak buku dalam bahasa Melayu di perpustakaan sudah lapuk dan masih
menggunakan ejaan lama. Pada masa ini, usaha sedang dilakukan oleh profesor
(dengan pembiayaan daripada universiti) untuk menyediakan perpustakaan dengan
bahan bacaan dalam bahasa Melayu. Bahan pengajaran untuk meningkatkan
kemahiran bertutur di dalam kelas biasanya direka oleh pensyarah sendiri.

Satu langkah besar ke hadapan telah dibuat apabila kamus Korea-Indonesia yang
disusun oleh Profesor Ahn Young-ho di jabatan itu diterbitkan pada tahun 1995 dan
beliau telah menaiktaraf kamusnya dan Kamus Besar Bahasa Indonesia-Korea yang
baru diterbitkan pada tahun 2016. Namun, tidak terdapat kamus seperti itu untuk
pengajaran bahasa Melayu di Korea. Satu lagi kamus yang terdiri daripada entri
Melayu-Korea amat diperlukan, bukan sahaja untuk memudahkan pengajaran, tetapi
juga untuk meluaskan ilmu dan perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu dalam
kalangan pelajar itu sendiri. Walaupun sering ditulis dan dikatakan bahawa bahasa

41

Bahasa Melayu dalam Pendidikan Tinggi di Korea Selatan:
Kajian Kes Hankuk University of Foreign Studies

Indonesia dan bahasa Melayu sangat mirip, namun kepada pelajar asing yang baru
mula belajar terdapat banyak perbezaan yang boleh menjadi sangat mengelirukan.
Banyak perkataan dalam kedua-dua bahasa itu merupakan "kawan palsu" dan konsep
penting seperti masa, ruang, persaudaraan boleh diungkapkan dengan cara yang
sangat berbeza (Zubaidah 2008). Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pihak
berkuasa bahasa Malaysia dan Indonesia untuk merapatkan kedua-dua ragam
bahasa tersebut, sekurang-kurangnya dari segi perbendaharaan kata dan struktur
tatabahasa, jika tidak sebutan dan gaya.

Pada tahun 1988, kerajaan Malaysia mengesahkan semula perjanjian 1956 dengan
mengisytiharkan bahasa baku sebagai sebutan bahasa Melayu untuk diajar di
sekolah. Beberapa bengkel telah diadakan pada tahun 1988 dan satu lagi pada tahun
1991 (Awang 2004: 201) dalam usaha mengajak rakyat Malaysia mengamalkan
sebutan bahasa Melayu baku. Walau bagaimanapun, hampir tidak terdapat sebarang
penambahbaikan dilakukan terhadap pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan
tersebut.

KESIMPULAN

Dapat disimpulkan bahawa pengajaran bahasa Melayu-Indonesia memang mendapat
perhatian yang sewajarnya oleh Jabatan dalam HUFS, bukan sahaja sebagai kajian
akademik (kedua-dua komponen sastera dan linguistik adalah penting) tetapi, sama
pentingnya, sebagai aplikasi praktikal bahasa dan kajian serantau dalam
perkembangan ekonomi-politik global semasa antara Korea dan Asia Tenggara
amnya, dan dengan Malaysia-Indonesia khususnya. Lebih-lebih lagi di Indonesia, di
mana, untuk menjalankan perniagaan dengan berjaya, ahli perniagaan dan kakitangan
Korea perlu fasih dalam bahasa tersebut di samping pemahaman yang baik tentang
aspek budaya. Oleh itu permintaan tahunan berterusan untuk bahasa Indonesia diajar
bukan sahaja dalam universiti tetapi juga kepada kakitangan daripada konglomerat
seperti Samsung dan Hyundai yang mempunyai kepentingan perniagaan yang besar
di negara itu.

Kerajaan Malaysia telah meneruskan usaha mempromosikan bahasa di Timur Jauh
melalui organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan
Buku Malaysia (ITBM), yang telah menyumbang dengan menganjurkan persidangan
dan seminar bersama. Walau bagaimanapun, perkara yang sama penting dan yang
memerlukan lebih banyak usaha dan komitmen ialah pengajaran berterusan bahasa
Melayu yang sebenar dan sokongan untuk meningkatkan keberkesanannya seperti
bahan pengajaran terkini (termasuk audio-visual), amalan terbaik dalam
mempraktikkan kaedah pengajaran.

Bagi Universiti Malaya, dan sememangnya, institusi pengajaran bahasa lain di
Malaysia, apa yang berlaku di Korea mempunyai mesej penting untuk menentukan
jenis program bahasa Melayu yang ditawarkan kepada warga asing (dan, semestinya,
kepada warga Malaysia bukan Melayu yang berminat). Kurikulum dan metodologi
pengajaran mereka perlu jauh lebih canggih dan disokong oleh penyelidikan, tenaga
pengajar dan bahan yang sesuai dan mencukupi. Nampak jelas bahawa kursus umum
tidak mencukupi untuk mereka yang ingin mempelajari bahasa itu sama ada untuk
tujuan ekstrinsik (profesional) atau intrinsik (budaya). Hanya dengan memikirkan
semula matlamat pengajaran bahasa, memastikan komitmen akademik, dan
mendapatkan pembiayaan yang mencukupi untuk penyelidikan asas dan terapan
dalam pengajaran Bahasa Melayu, bahasa itu akan berkembang, dan mampu
digunakan secara signifikan di peringkat tempatan dan global.

42

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

BIBLIOGRAFI
Awang Sariyan, 2004. Teras Pendidikan Bahasa Melayu Bentong: PTS Publications

and Distributors.
Chun Tai Hyun, 1999. “Some remarks on Foreign Language Teaching” in Journal of

Institute of Foreign Language Education No 13. Seoul: HUFS.
Chun Tai Hyun, 2001. “The role of native speaker teaching staff at HUFS/Peranan

Pengajar Penutur Asli di HUFS” in Bilingual Research Vol. 19. (53-76). Seoul: The
Korean Society of Bilingualism.
Chun Tai-hyun and Park Han-sang, 2003. “A Comparison of Korean and Malay
Plosives” in Journal of the Korean Society of Phonetic Science and Speech
Technology No 47. Seoul: Seoul National University.
Global Leaders Educated at HUFS (2007) Seoul: Hankuk University Press.
HUFS Odyssey (2005) Seoul: Hankuk University Press.www.hufs.ac.kr akses pada
10 Mei 2022
Kim, Young-sun, 2022. “30 Years of ASEAN-Korea Relations: What are the Future
Directions of the New Southern Policy?” in SNAC Vol. 4. Seoul National University
Asia Centre
Petig W.F., 2005. “Oral Proficiency: History, Structure, Application and Implications
for Teaching” in Studies in Foreign Language Education Volume 21. (241-254).
Seoul: Hankuk University Press.
The Korea Times, 2005. Education: HUFS Priming Global Multi-players. 6th July.
Proceedings of the Congress of the World’s Major Languages: National Language in
Nation Building, 2004. Kuala Lumpur, Malaysia.
Proceedings of Seminar Asia Timur dan Dunia Melayu: Jalinan Dunia Melayu dan
Asia Timur melalui Bahasa dan Persuratan, 2004 Seoul. South Korea.
Proceedings of International Conference in Commemoration of the 40th Anniversary
of Department of Malay-Indonesian Studies: Malay-Indonesian Studies in the
Globalising World. HUFS. Seoul, South Korea.
Zubaidah Ibrahim, 2008. Malay/Indonesian at Hankuk University of Foreign Studies,
Seoul, Republic of Korea Vol. 18 1 (2008): Journal of Modern Languages,
University of Malaya.

43

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu / 44 - 49
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

BAHASA MELAYU DAN PENGUKUHAN MELALUI UNDANG-UNDANG

Tun Abdul Hamid Mohamad
([email protected])

Malaysia

(Saya teruja untuk berucap di dewan ini hari ini, walaupun melalui rakaman video, kerana di sinilah
62 tahun dahulu (tahun 1960) kali pertama saya berucap ke seluruh negara, dibawa oleh Radio
Malaya. Pada masa itu saya mewakili zon Utara, Semenanjung Tanah Melayu dalam pertandingan
syarahan Minggu Bahasa Kebangsaan, peringkat akhir, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.)

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU TERLETAK KEPADA KEKUATAN POLITIK
MELAYU DAN KEMAHUAN POLITIK PEMIMPIN-PEMIMPIN MELAYU

Pertama sekali saya katakan, kedudukan bahasa Melayu berhubung rapat dengan
kedudukan politik Melayu: kuat kedudukan politik Melayu, kedudukan bahasa Melayu
boleh diperkukuhkan; lemah kedudukan politik Melayu, lemahlah kedudukan bahasa
Melayu.

Selama 50 tahun kedudukan politik Melayu kuat. Saya akui banyak telah dilakukan untuk
memperkukuhkan pemakaian bahasa Melayu dalam negara. Jika pada masa kita
mempunyai kuasa politik kita tidak berbuat secukupnya kerana kita tidak tahu apa yang
hendak dilakukan atau kerana kita tidak mempunyai kemahuan politik atau kerana kita
takut atau lalai, itu salah kita.

Lemahnya kedudukan politik Melayu semasa pemerintahan Pakatan Harapan
telah melihatkan betapa lemahnya kedudukan bahasa Melayu hinggakan apabila seorang
Menteri menggunakan bahasa Mandarin untuk urusan rasmi, Perdana Menteri yang
menjadi Presiden UMNO paling lama dalam sejarah dan dua orang bekas Timbalan
Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dalam Pakatan Harapan pun tidak
menegurnya. Mereka memerlukan sokongan parti bekas musuh politik mereka itu untuk
menubuh kerajaan. Pada masa itu juga kita melihat betapa kuatnya tuntutan Dong Zong
dan kerajaan nampak seperti menyebelahi mereka.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak bermaya untuk
berbuat sesuatu. Ia terpaksa memikirkan kedudukannya dahulu yang seperti telur di
hujung tanduk itu. Selagi sebuah kerajaan yang disepakati oleh parti-parti Melayu yang
kukuh tidak dapat ditubuh, tidak ada apa yang boleh berlaku untuk mengukuhkan
pemakaian bahasa Melayu.

Saya khuatir simposium ini juga akan menjadi seperti Juma’at Hari Jawi yang mati tak
berkubur seminggu selepas ia dilancarkan. Tetapi, simposium ini ada kelainannya: ia
dianjur oleh Pejabat Perdana Menteri. Kita ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri YAB
Dato’ Seri Ismail Sabri di atas keberaniannya menganjurkan simposium ini dan
membukanya dalam keadaan kerajaannya yang tidak kukuh itu. Kita harapkan ia
bukanlah sekadar untuk mendapat undi orang Melayu dalam pilihan raya umum tidak

44

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

lama lagi. Seorang Perdana Menteri perlu berfikir lebih jauh daripada pilihan raya umum
yang akan datang.

Sekurang-kurangnya simposium ini memberi peluang kepada kita untuk menyampaikan
kepada beliau atau sesiapa juga yang menjadi Perdana Menteri selepas PRU15
pandangan kita bahawa untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu, kekuatan
dan kemahuan politik perlu ada.

Maka, Perdana Menteri perlulah memikirkan bagaimana hendak memperkuatkan
kedudukan politik Melayu, terlebih dahulu.

Saya katakan, selagi dua parti politik terbesar Melayu, iaitu UMNO dan PAS tidak
bergabung dan selagi parti-parti nyamuk Melayu tidak dibubar atau dikuburkan, orang
Melayu akan terus berpecah-belah; kuasa politik Melayu terus lemah dan kerajaan
terpaksa mengharapkan sokongan parti-parti bukan Melayu, termasuk yang hanya
mempunyai satu kerusi Parlimen! Setiap kali pilihan raya kecil apatah lagi pilihan raya
umum akan diadakan, akan kedengaranlah tuntutan supaya Sekolah-sekolah Jenis
Kebangsaan (Cina) di bina. Tuntutan diberi, mereka undi DAP.

PENGUKUHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU
MELALUI UNDANG-UNDANG

Pengukuhan penggunaan bahasa Melayu melalui undang-undang hanya boleh dilakukan
dalam lingkungan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Selepas mengatakan bahasa Melayu adalah bahasa Kebangsaan Malaysia,
Perlembagaan Persekutuan, antara lain, menyebut mengenai penggunaannya seperti
berikut:

(i) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan bahasa lain,
selain bagi maksud rasmi. “maksud rasmi” ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama
ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud
sesuatu pihak berkuasa awam.

(ii) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada mengajarkan atau belajar,
apa-apa bahasa lain;

Perhatikan, halangan untuk menggunakan bahasa lain hanya untuk urusan rasmi. Maka,
undang-undang tidak boleh dibuat untuk menghalang syarikat-syarikat daripada
menggunakan selain daripada bahasa Melayu dalam urusan hariannya.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan pengajaran dan pembelajaran bahasa-
bahasa lain. Ia tidak menyuruh atau melarang kerajaan membina sekolah dan universiti
untuk mengajar dan belajar bahasa-bahasa lain. Terserahlah kepada kerajaan sama ada
hendak membinanya atau tidak. Biasanya ia tertakluk kepada kuat mana tekanan politik.
Sebab itulah saya tekankan kekuatan politik Melayu dan kemahuan politik pemimpin-
pemimpin Melayu.

45

Bahasa Melayu dan Pengukuhan Melalui Undang-undang

Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menghendaki semua urusan rasmi
kerajaan dijalankan dengan menggunakan bahasa Melayu, tertakluk kepada beberapa
perkara.

Saya fikir, kehendak undang-undang ini, tertakluk kepada pengecualian yang dibenarkan,
telah dilaksanakan sebaik mungkin di pejabat-pejabat kerajaan.

Peserta-peserta simposium ini yang datang dari universiti-universiti boleh menceritakan
bagaimana mereka mengajar dengan menggunakan bahasa Melayu, bagaimana pelajar-
pelajar menjawab soalan-soalan dengan menggunakan bahasa Melayu dan sama ada ia
mempunyai apa-apa kesan kepada mutu graduan-graduan itu.

PENGGUNAAN BAHASA KEBANGSAAN DI MAHKAMAH

Mengenai penggunaan Bahasa Kebangsaan di mahkamah, seksyen 8 Akta Bahasa
Kebangsaan 1963/1967 memperuntukkan, ringkasnya, segala prosiding (selain
pemberian keterangan oleh seseorang saksi) dalam Mahkamah hendaklah dalam Bahasa
Kebangsaan. Tetapi, Mahkamah boleh, selepas menimbangkan kepentingan keadilan
dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu (selain pemberian keterangan
oleh seseorang saksi) dijalankan sebahagiannya dalam Bahasa Kebangsaan dan
sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.

Pada masa ini, anggaran kasar saya mengenai penggunaan bahasa Melayu di
Mahkamah di Semenanjung Tanah Melayu adalah, di Mahkamah Majistret dan
Mahkamah Sesyen 95%, di Mahkamah Tinggi 70%, di Mahkamah Rayuan 10% dan di
Mahkamah Persekutuan 5%. Di Sabah dan Sarawak di Mahkamah Majistret 10%, di
Mahkamah Sesyen 5% dan di Mahkamah Tinggi 0%.

Kedudukan di Sabah dan Sarawak perlu dibaiki. Masalah utama di sana adalah sikap.

Pada masa yang sama, syarat pelantikan ke jawatan Hakim di seluruh Malaysia
hendaklah diperketatkan dengan menghendaki mereka boleh menulis alasan
penghakiman yang baik dalam bahasa Melayu.

Kita tidak perlu mensasarkan 100% penggunaan bahasa Melayu di mahkamah. Itu tidak
realistik, terutama sekali di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Persekutuan.

Penghujahan undang-undang adalah lebih mudah dilakukan dalam Bahasa Inggeris
disebabkan penghakiman-penghakiman dari dalam dan luar negara yang dipetik ditulis
dalam Bahasa Inggeris, dalam kes-kes perdagangan, dokumen-dokumen keterangan
adalah dalam Bahasa Inggeris.

Demikian juga, adalah lebih mudah dan cepat menulis penghakiman dalam bahasa
Inggeris. Penghakiman dalam bahasa Inggeris juga mendapat liputan penyiaran dan
pembacaan yang lebih luas. Hakim-Hakim Mahkamah Agung India dan Pakistan juga
menulis penghakiman mereka dalam bahasa Inggeris. Hinggakan penghakiman
mengenai riba’ yang ditulis oleh Taqi Usmani yang dianggap sebagai authority di seluruh
dunia, juga ditulis dalam bahasa Inggeris.

46

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Malaysia juga sedang berusaha untuk menjadi hab perbankan dan kewangan Islam di
dunia. Saya menghujahkan dalam Kuliah Memperingati Prof. Ahmad Ibrahim pada 07
Disember 2011 bahawa antara tarikan Malaysia ialah undang-undangnya dalam bahasa
Inggeris, peguam dan hakim fasih berbahasa Inggeris, prosiding di Mahkamah Tinggi ke
atas dalam bahasa Inggeris dan penghakiman ditulis dalam bahasa Inggeris. Kuliah itu
adalah artikel dalam bahasa Inggeris yang paling popular dalam laman web saya,
menunjukkan ia dibaca oleh pelawat di seluruh dunia.

Kita juga mahu menjadi pusat penimbangtara yang ulung di kawasan ini. Ini juga
memerlukan penggunaan Bahasa Inggeris. Kita kenalah membuat pengecualian untuk
tujuan itu.

PENGUKUHAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU JANGANLAH HINGGA
MENYEBABKAN PENGUASAAN BAHASA INGGERIS GRADUAN MELAYU

MENURUN

Pengukuhan penggunaan bahasa Melayu dalam negara boleh dibuat, tetapi janganlah
hingga menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris graduan Melayu menurun.
Sebenarnya ini telah berlaku. Saya perhatikan apabila kita melaksanakan dasar pelajaran
kebangsaan, semua sekolah menengah dan universiti mengajar dalam bahasa Melayu,
tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan undang-undang bangsa Melayu
dari universiti-universiti dalam negara turun mendadak. Ini menyukarkan mereka
mendapat pekerjaan dalam firma-firma undang-undang yang besar-besar atau syarikat-
syarikat multi-nasional. Pemimpin-pemimpin politik dan pegawai-pegawai kerajaan juga
menjadi mangsa dasar ini, hingga sekarang.

Mengapa saya bercakap mengenai perkara ini dalam simposium ini? Sebabnya, saya
tidak mahu kerana hendak mengukuh pelaksanaan bahasa Melayu hingga menyebabkan
penguasaan bahasa Inggeris graduan-graduan Melayu menjadi lemah. Yang rugi adalah
orang Melayu.

PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DI PERINGKAT ANTARABANGSA DAN
PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU

Ada antara kita yang melihat lebih jauh daripada sempadan negara kita. Mereka mahu
Bahasa Melayu digunakan di peringkat antarabangsa. Itu tidak salah. Cuma, saya harap
ia bukanlah kerana Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan pegawai-pegawai tinggi kita
malu berucap atau bercakap dalam bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa. Itu
mengundur masuk ke bawah tempurung. Saya katakan, di peringkat antarabangsa,
Perdana Menteri, Menteri-Menteri, pegawai-pegawai tinggi dan juga ahli-ahli akademik
kita hendaklah boleh berucap atau bercakap dalam bahasa Inggeris yang baik hingga
wakil-wakil negara lain kagum dan menunggu untuk mendengarnya, bukan hanya syok
sendiri berucap dalam Bahasa Melayu. Ingat, kita perlukan banyak pegawai yang boleh
berunding dengan pegawai-pegawai dari negara-negara lain dalam banyak hal.
Janganlah tugas itu sampai diserahkan kepada pegawai bukan Melayu. Saya pernah lihat
perkara seperti itu berlaku.

Untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu, saya nampak terlalu banyak masalahnya,
hinggakan nama bahasa yang hendak diketengahkan pun tidak dapat dipersetujui. Di

47

Bahasa Melayu dan Pengukuhan Melalui Undang-undang

dunia ini, bahasa Melayu hanya bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan di tiga buah
negara iaitu, Indonesia, Malaysia dan Brunei. Indonesia tidak bersetuju ia dipanggil
Bahasa Melayu. Jika Brunei bersetuju pun, setakat Malaysia dan Brunei yang hendak
mengantarabangsakannya, tidak ada sesiapa yang akan mengambil kisah, walaupun di
ASEAN. Selain dari itu, berlainan daripada bahasa Inggeris, perbezaan di antara bahasa
Melayu Malaysia dan bahasa Melayu Indonesia amat ketara. Yang mana hendak
diketengahkan?

Bahasa Inggeris menjadi bahasa antarabangsa akibat keluasan empayar British. Ia
berlaku dengan sendirinya perlahan-lahan. Empayar Melayu tidak mungkin berlaku, entah
kiamat lebih dahulu.

KESIMPULAN

1. Kukuh tidaknya kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan terletak
kepada kekuatan politik Melayu dan kemahuan politik pemimpin-pemimpin Melayu. Oleh
itu, untuk mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu, parti-parti politik Melayu perlulah
bergabung supaya dapat membentuk sebuah kerajaan pro-Bahasa Melayu yang kukuh.

2. Pengukuhan penggunaan bahasa Melayu melalui undang-undang hanya boleh
dilakukan dalam negara dan dalam lingkungan yang ditetapkan oleh Perlembagaan
Persekutuan. Apa yang dibuat terletak kepada kekuatan politik kerajaan pro bahasa
Melayu dan kemahuan politik pemimpin-pemimpinnya.

3. Penggunaan bahasa Melayu di mahkamah di Sabah dan Sarawak perlu dilebihkan.
Calon Hakim, di seluruh Malaysia, hendaklah boleh menulis alasan penghakiman dalam
Bakasa Melayu dengan baik. Mereka yang tidak mempunyai sikap yang betul terhadap
penggunaan bahasa Melayu di mahkamah hendaklah tidak dilantik menjadi Hakim.
Tetapi, kita tidak perlu mensasarkan 100% penggunaan bahasa Melayu di mahkamah.
Itu tidak realistik, terutama sekali di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan
Mahkamah Persekutuan. Ia juga bercanggah dengan usaha kita untuk menjadikan
Malaysia hab perbankan dan kewangan Islam di dunia dan pusat penimbangtara yang
ulung di rantau ini.

4. Pengukuhan penggunaan bahasa Melayu janganlah sampai melemahkan penguasaan
bahasa Inggeris graduan Melayu. Graduan-graduan Melayu yang lemah dalam bahasa
Inggeris tidak dapat bersaing dengan graduan-graduan bukan Melayu di pasaran. Kita
perlukan pemimpin-pemimpin politik Melayu, hakim-hakim, pegawai-pegawai, ahli-ahli
korporat dan ahli-ahli akademik yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

5. Di peringkat antarabangsa, Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Hakim-Hakim, pegawai-
pegawai tinggi dan juga ahli-ahli akademik kita hendaklah boleh berucap atau bercakap
dalam bahasa Inggeris yang baik sehingga mereka dikagumi. Kita pernah berada di tahap
itu, janganlah ia menurun pula. Terdapat terlalu banyak halangan untuk kita
mengantarabangsakan bahasa Melayu. Maka eloklah kita menumpukan kepada
pengukuhannya dalam negara. Tetapi, jika ada idea-idea baik yang boleh dilaksanakan,
mengambil kira peringatan saya tadi, teruskanlah.

Sekian. Terima kasih.

[email protected]

48

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

49

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu / 50 - 54
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

BAHASA MELAYU DAN PENGUKUHAN MELALUI UNDANG-UNDANG

Wan Ahmad Fauzi Bin Wan Husain1
([email protected])
Universiti Malaysia Pahang
Malaysia

PENGENALAN

Ungkapan popular, “Bahasa jiwa bangsa” mempunyai falsafah tersendiri yang
menyimpulkan banyak panduan dan iktibar dalam pengenalan, amalan adab budaya
serta jati diri kumpulan etnik mahupun bangsa berdaulat. Itulah hakikat pentingnya
suatu bahasa.

Bahasa Melayu seperti laras hari ini sudah digunakan sejak ratusan mungkin ribuan
tahun dahulu walaupun tidak kesemua sama dan ada sudut perbezaannya. Bahasa
bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi bahkan berbentuk pendidikan dan
undang-undang yang mengawal tadbir urus yang baik dalam masyarakat tempatan.
Masyarakat secara tidak langsung menghormati undang-undang dan peraturan yang
ditetapkan oleh institusi pemerintah melalui bahasa yang mereka fahami.

ISU KAJIAN

Kertas ini dihadkan untuk membicarakan dua perkara. Pertama, bagaimana fungsi
bahasa Istana dalam zaman dahulu dari aspek penguatkuasaan undang-undang.
Pemerhatian tersebut penting sebagai iktibar serta untuk menunjukkan betapa bahasa
memainkan peranan yang cukup besar dari aspek penguatkuasaan undang-undang
termasuklah pendidikan sosial. Kedua, pindaan yang perlu dilakukan ke atas Akta
Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Cadangan
ini penting untuk memenuhi hasrat YAB Perdana Menteri seperti dilaporkan media.

BAHASA ISTANA DALAM
PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG

Bahasa Istana tidak dapat dipisahkan dengan adat Melayu. Menurut WAFW Husain
(2020: 22), “adat Melayu adalah apa yang ditakrifkan sebagai adab budaya dan
undang-undang pada hari ini selain daripada hukum hakam seperti diwahyukan dalam
al-Qur’an dan al-Sunah; merangkumi sistem, peraturan, etos dan nilai yang tidak
bercanggah dengan prinsip perundangan Islam seperti diwarisi daripada amalan
masyarakat dan Kerajaan Melayu pada masa silam.”

Adat Melayu di Tanah Melayu secara umumnya berevolusi daripada Hukum Kanun
Melaka yang merupakan adat Melayu sekali gus undang-undang bertulis selewat-
lewatnya sejak tahun 1424. Hukum Kanun Melaka berkembang dengan berlandaskan
prinsip perundangan Islam yang mewarnai sistem politik, undang-undang malah

1Prof. Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussin ialah Pengasas Jurisprudens Watan, Fakulti
Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang.

50

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

mengandungi hukum syarak. Asal usul Hukum Kanun Melaka dinyatakan dalam versi
yang ditransliterasi oleh Profesor Dr Liaw Yock Fang daripada versi Biblioteca
Apostolica Vaticana, “Adapun ketahuilah olehmu akan adat ini turun temurun daripada
zaman Sultan Iskandar Zulqarnain datang sekarang, maka adalah ia itu akan teladan
dan akan ganti raja pada hal memerintah segala adat tuannya atas segala menteri itu,
maka atas dihimpunkan hukum ini atas sembilan hukum dan fasal.” (Liaw Yock Fang,
2003: 107-108).

Hukum Kanun Melaka turut menyebut tentang penggunaan bahasa yang dikhususkan
buat raja pemerintah seperti dalam peruntukan, “Fasal yang kedua pada menyatakan
hukum bahasa segala raja-raja lima perkara yang tiada dapat kita menurut kata ini
melainkan dengan titah tuan juga. Pertama titah, kedua berpatik, ketiga murka,
keempat karunia, kelima anugerah. Maka segala kata ini tiada dapat kita berkata lagi-
lagi. Adapun akan dihukum padanya demikian itu. Jikalau hamba raja dibunuh, jikalau
orang lain digocoh [Jika berkata demikian itu]. Adapun berpatik atau bertitah atau
murka itu tiadalah dapat berkata lagi pada seseorang pun melainkan bahasa itu
tertentu pada raja juga. Adapun jikalau seseorang dianugerah sebuah negeri atau
sungai, itu pun tiada harus berpatik dan bertitah dan murka melainkan dengan nama
anugerah titah tuannya juga maka dapat. Adapun jikalau tiada dengan nama anugerah
itu dibunuh hukumnya itu. Demikian lagi pada hukum menjunjung duli itu pun dibunuh,
jikalau tiada dengan anugerah itu. Demikian lagi berbuat surat titah itu. Demikianlah
adat kita itu kepada tuannya supaya bermulia tuannya. Itulah hukum kanun itu.” (Liaw
Yock Fang, 2003: 108-109)

Tegahan terhadap penggunaan lima perkataan iaitu titah, berpatik, murka, kurnia dan
anugerah juga terkandung dalam Hukum Kanun Pahang versi Muzium Negeri Pahang
yang diselenggarakan oleh Yaakub Isa. Tegahan tersebut terkandung dalam Fasal
kedua Hukum Kanun Pahang yang berbunyi, “Adapun Bahasa itu lima perkara yang
tiada harus dikata oleh orang yang lain daripada raja-raja itu. Pertama titah, kedua
patik, ketiga murka, keempat kurnia, kelima anugerah. Maka adapun di rumah [a-n-n-
y] kampong dan balai sendiri dapatlah berkata-kata dengan itu. Jika tiada, dibunuh
hukumnya dari kerana bahasa itu tiadalah dapat laku pada seorang jua pun yang lain
daripada raja-raja itu. Dan demikian lagi, jika seseorang dianugerah raja sesebuah
negeri anak sungai, maka tiada harus orang sungai itu berkata lima perkara itu. Jikalau
dikatanya demikian itu, atau menjunjung duli atau buat surat itu berkata lima perkara
itu, maka dibunuh hukumnya.” Yaakub Isa (2003: 107).

Terdapat tegahan lain selain daripada bentuk penggunaan bahasa tersebut, iaitu jika
sekiranya berlaku penyerupaan bentuk adat berpakaian seorang raja seperti warna
kuning, kain yang nipis lagi jarang, hulu keris emas seperti merubi dan bawang
sebongkol serta adat berpayung, puwadai juga menabur dirham ketika berlaku
kematian. Dirham adalah mata wang perak.

Hukuman yang begitu keras dikenakan bagi sesiapa yang menggunakan lima
perkataan tersebut termasuklah tegahan lain di atas selain daripada raja dan mereka
yang dibenarkan berbuat sedemikian mempunyai asas kukuh. Kesemua lima
perkataan tersebut menggambarkan bagaimana kuasa pemerintahan dilaksanakan
juga sifat khusus seorang raja di sisi adat Melayu yang dinyatakan, “adapun segala
raja-raja itu atas empat perkara. Pertama ampun, kedua murah, ketiga perkasa,
keempat melakukan hukumnya dengan kaharnya.” (Liaw Yock Fang, 2003: 108).

Perkataan “titah, berpatik dan murka” membayangkan bagaimana sistem
pemerintahan yang berpaksi pada kedaulatan raja, sistem kerajaan, kesetiaan rakyat

51

Bahasa Melayu dan Pengukuhan Melalui Undang-undang

dan ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang. Secara khususnya, titah
boleh membawa maksud arahan kerajaan dan suatu undang-undang yang
diperkenankan oleh raja. Berpatik membawa maksud seorang yang bersetia sebagai
rakyat raja dan kepada kerajaannya. Murka adalah hak yang terletak pada seorang
raja untuk menjatuhkan hukuman yang wajar apabila suatu arahan atau undang-
undang kerajaan dilanggar.

Manakala perkataan kurnia dan anugerah pula melambangkan prerogatif Diraja,
kebesaran kerajaan serta dasar berkebajikan raja pemerintah demi kesejahteraan
rakyat dan kemakmuran negeri. Misalnya, kurnia merupakan hak seorang raja untuk
memperkenan sesuatu pemberian daripada milik kerajaan termasuklah gelaran dan
pangkat kebesaran kepada seseorang. Anugerah pula merupakan suatu yang
dikurniakan oleh baginda yang tidak ada pada rakyat.

Di samping itu, tegahan tersebut dapat mengelakkan berlakunya penyamaran yang
boleh menggugat institusi beraja dan perpaduan rakyat oleh mereka yang mempunyai
muslihat tertentu. Jika sekiranya perkataan tersebut digunakan tanpa perkenan Diraja
berserta penggunaannya secara tersurat dan amalan menjunjung duli, tentu sudah
berlaku penderhakaan kerana layanan sedemikian menyaingi kedudukan seorang raja
pemerintah di dalam wilayah kekuasaan baginda.

Perkataan “menjunjung duli” merujuk perbuatan meletakkan kedua-dua belah tangan
rapat ke dahi sendiri sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada seorang raja serta
lambang sifat taat setia rakyat untuk berkhidmat sepenuh hati. Lantaran hukuman
bunuh bukanlah suatu yang tidak wajar untuk mencegah daripada berlakunya anarki
sesuai dengan keadaan ketika itu. Adat seperti di atas terjumlah dalam pendidikan
sosial yang sebati dalam masyarakat tradisional ketika itu.

Pada hari ini, tegahan seperti di atas begitu juga hukumannya tidak lagi
dikuatkuasakan. Hal ini mungkin berlaku kerana kini seorang raja lebih mudah dikenali
berbanding pada zaman dahulu. Pengenalan pada diri seorang raja tidak terhad pada
bahasa Istana. Pada sisi lain, pelbagai undang-undang sudah dikuatkuasakan untuk
mengatur urusan pentadbiran secara sistematik.

PINDAAN KE ATAS
AKTA BAHASA KEBANGSAAN 1963/67

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 digubal selaras dengan kedudukan bahasa Melayu
di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perkara 152 dan Akta
Bahasa Kebangsaan tidak diperuntukkan kesalahan serta dinyatakan hukuman bagi
pelanggarannya. Walau bagaimanapun, peruntukan Perkara 152 memberikan punca
kuasa yang cukup bagi maksud pemeliharaan kedudukan istimewa Bahasa Melayu
dan tadbir urus penguatkuasaan melalui penggubalan undang-undang persekutuan.

Perkara 152(1) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan
hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen
dengan syarat:

(1) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada
menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada
mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(2) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan
Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk
memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa
mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

52

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Maksud rasmi ditakrifkan oleh Perkara 152(6) sebagai apa-apa maksud Kerajaan,
sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa
maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Pada sisi yang sama Kerajaan Persekutuan
dan Kerajaan Negeri masih diberikan kuasa seperti dinyatakan oleh perenggan (2)
Perkara 152(1) untuk membuat pengecualiaan wajar bagi memelihara, meneruskan
dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di Malaysia.

Akta Bahasa Kebangsaan dan apa-apa jua undang-undang persekutuan yang
menyentuh Bahasa Melayu adalah tertakluk pada kuasa yang diberikan oleh Perkara
152, termasuklah jaminan yang diperuntukkan kepadanya.

Pindaan utama yang perlu diperuntukkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan adalah
mewujudkan kewajipan buat Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan
Bahasa kebangsaan selari dengan jaminan istimewa yang diberikan oleh Perkara
159(5) iaitu tiada pindaan boleh dibuat ke atas Perkara 152 tanpa mendapat
kebenaran Majlis Raja-Raja. Kewajipan tersebut termasuklah untuk membuat arahan
am bagi maksud untuk memelihara amalan Bahasa Kebangsaan termasuklah
mengadakan pengecualian yang perlu.

Pindaan lain termasuklah menjadikan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pihak
berkuasa utama bahasa selepas Yang di-Pertuan Agong, peruntukan kesalahan dan
syarat kelulusan pemaparan iklan, papan tanda dan penamaan yang memerlukan
perakuan Dewan Bahasa dan Pustaka.

PINDAAN KE ATAS
AKTA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA 1959

YAB Perdana Menteri telah memberi komitmen Kerajaan untuk meminda Akta Dewan
Bahasa dan Pustaka sebagai langkah untuk memartabatkan Bahasa Melayu, iaitu
Bahasa Kebangsaan kita. Pindaan yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri
bertujuan untuk memberikan kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa Pustaka
terhadap kesalahan bahasa.

Sejajar dengan saranan YAB Perdana Menteri, pindaan ke atas Akta Dewan Bahasa
dan Pustaka perlu dilaksanakan untuk meletakkan kedudukannya sebagai pihak
berkuasa bahasa utama selepas Yang di-Pertuan Agong.

Peruntukan berkaitan kuasa penguatkuasaan seperti yang diberikan kepada ejensi
Persekutuan lain perlu dimasukkan dalam pindaan tersebut. Untuk membolehkan
suatu kesalahan diwujudkan maka pindaan tersebut perlu menimbangkan
penggubalan peraturan yang memberi fungsi kuasa kawalselia oleh Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Fungsi kuasa kawal selia termasuklah tadbir urusnya yang selari dengan matlamat
Dewan Bahasa dan Pustaka perlu diwujudkan seperti pelesenan fungsi dan aktiviti. Ini
bertujuan untuk menyokong pelaksanaan polisi Dewan Bahasa dan Pustaka seperti
kursus munsyi bahasa dalam kapasiti yang lebih besar. Tadbir urus lain seperti
perakuan amalan bahasa yang mematuhi kehendak Akta Bahasa Kebangsaan,
pentauliahan bagi munshi bahasa contohnya, dan pengiktirafan bagi aspek akreditasi
dan penarafan boleh diberikan pertimbangan sewajarnya untuk menggalakkan
penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul.

53

Bahasa Melayu dan Pengukuhan Melalui Undang-undang

Pendekatan tersebut dapat mengukuhkan bukan sahaja fungsi Dewan Bahasa dan
Pustaka malah kedudukan bahasa Melayu itu sendiri.

GAGASAN KESIMPULAN
Berdasarkan pemerhatian di atas dapatlah disimpulkan bahawa bahasa memainkan
peranan yang penting sejak zaman sebelum Merdeka yang tidak terbatas kepada alat
komunikasi dan pendidikan.
Undang-undang sedia ada berkaitan hal ehwal Bahasa Kebangsaan masih belum
cukup untuk memartabatkan kedudukannya selaras dengan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan dan refleksi kepada “Bahasa Jiwa Bangsa”. Pindaan ke
atas Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959
perlu dibuat dengan memberi pertimbangan kepada cadangan seperti di atas.
Penggubalan undang-undang perlu dilaksanakan untuk mencapai maksud yang
dicadangkan pada peringkat pindaan akta-akta sedia ada, atau secara alternatifnya
menggubal suatu akta baharu buat Dewan Bahasa dan Pustaka untuk meningkatkan
tarafnya sebagai pihak berkuasa bahasa.

BIBLIOGRAFI
Liaw Yock Fang, 2003. Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut. Kuala

Lumpur: Yayasan Karyawan.
Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, 2020. Kenegaraan Malaysia: Sejarah, Kedaulatan

dan Kebangsaan. Kangar: Penerbit Universiti Malaysia Perlis.
Yaakub Isa, 2003. Hukum Kanun Pahang, Pekan: Lembaga Muzium Negeri Pahang.

54

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu / 55 - 67
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

DASAR-DASAR PENDIDIKAN DAN PERLEMBAGAAN NEGARA BRUNEI
DARUSSALAM: ISU PENGUKUHAN BAHASA MELAYU

Haji Awg Asbol Bin Haji Mail
([email protected])

Universiti Brunei Darussalam
Brunei

Abstrak

Artikel ini cuba melihat perubahan dasar-dasar pendidikan dan Perlembagaan 1959 Negara Brunei
Darussalam dalam isu pengukuhan bahasa Melayu. Sejak tahun 1954 sehingga kini telah
melihatkan lima dasar pendidikan negara telah digubal yang diselaraskan dengan perubahan
semasa. Dasar-dasar ini memang melihatkan hasrat kerajaan dalam langkah memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Brunei. Ia boleh dikesan
dalam Dasar Pendidikan Negara 1962 dan Dasar Pendidikan 1972. Langkah ini memang seiring
dengan kemahuan Perlembagaan Negeri Brunei 1959 yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi negara. Bagaimanapun ia menghadapi cabaran untuk dilaksanakan hingga
menimbulkan isu dalam pengukuhan bahasa Melayu. Ia berlaku bukan sahaja faktor dalaman
tetapi juga melibatkan faktor luaran. Masalah luaran berlaku apabila hubungan Brunei dan
Malaysia kurang mantap sehingga matlamat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar seperti yang disarankan dalam Dasar Pendidikan 1962 dan 1972 telah terbantut untuk
dilaksanakan. Oleh itu sekolah berbagai aliran terus wujud di Brunei seperti mana yang terdapat
pada Dasar Pendidikan 1954. Setelah Dasar Pendidikan Dwibahasa dan Sistem Penididikan
Negara Abad Ke 21 (SPN 21) bentuk, isu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga muncul.
Kedua-dua dasar ini tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sebaliknya
bahasa Inggeris telah digunakan. Hal ini disebabkan bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa
antarabangsa tetapi juga bahasa ilmu. Bagaimanapun demi menjaga keutuhan bahasa Melayu, ia
telah menjadi mata pelajaran teras kepada kedua-dua dasar pendidikan ini. Dasar Pendidikan
SPN21 yang diperkenalkan pada tahun 2008 bagi memperbaiki sistem pendidikan sebelumnya.
Dasar Pendidikan Dwibahasa dianggap sudah tidak dapat menyediakan program-program
akademik yang bersesuaian dengan kehendak negara. Landskap pendidikan negara perlu
diselaraskan dengan perkembangan perubahan dunia global berteknologi tinggi. Sungguhpun
begitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetap perhatian terhadap keperluan mengukuhkan bahasa
Melayu di Negara Brunei Darussalam yang dianggap baginda sebagai sebahagian nilai-nilai
penting kepada bangsa dan negara.

Kata Kunci: Dasar, pendidikan, dwibahasa, perlembagaan, global

PENGENALAN

Pada lazimnya dasar pendidikan perlu seiring dengan arus perubahan sosioekonomi dan
politik yang berlaku dalam negara dan juga perubahan yang berlaku di luar Negara
(Sufean Hussin, 2002: 125), lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dengan ledakan
teknologi maklumat telah mempengaruhi lanskap sistem pendidikan sesebuah negara.
Pendidikan formal mula diperkenalkan pada tahun 1914 dengan penubuhan Sekolah
Melayu di Negara Brunei Darussalam. (BAR, 1914:5) Namun kerajaan di bawah
pentadbiran Residen British, tidak pernah mengeluarkan dasar rasmi pendidikan negara

55

Dasar-Dasar Pendidikan dan Perlembagaan
Negara Brunei Darussalam: Isu Pengukuhan Bahasa Melayu

sehingga tahun 1954. Sedangkan dalam meningkatkan kualiti pendidikan generasi muda
Brunei, dasar pendidikan perlulah dibentuk.

Dasar ialah ketetapan dalam proses pengurusan sesebuah organisasi atau kerajaan.
Dasar pendidikan yang jelas adalah penting sebagai landasan padu bagi menentukan
hala tuju sistem pendidikan sesebuah negara. Manakala itu perlembagaan Brunei telah
digubal dan diisytiharkan pada 29 September 1959 yang membolehkan Sultan Omar Ali
Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien mengambil alih pemerintahan dalam negeri dari
tangan pentadbiran Residen British. Sementara hal ehwal luar negeri masih dipegang
oleh British. Perlembagaan ini bukan sahaja menjelaskan tentang struktur pentadbiran
Brunei tetapi juga telah mengisytiharkan bahasa Melayu dan agama Islam sebagai
bahasa dan agama rasmi negara. (Pehin Haji Mohd Jamil Al Sufri, 1990: 30-31). Jadi
artikel ini cuba menerokai bagaimana dasar-dasar pendidikan dan perlembagaan
berkaitan isu pengukuhan bahasa Melayu.

KEWUJUDAN DASAR-DASAR PENDIDIKAN

Meskipun dasar pendidikan sebelum tahun 1954 tidak pernah dikeluarkan secara jelas
oleh kerajaan, namun memang sudah wujud dasar pendidikan dalam bentuk ringkas
dengan fokus utama kepada matlamatnya. Bagaimanapun Brunei di bawah pentadbiran
Residen British tidak mahu menyatakan secara rasmi. Residen bimbang kelemahan-
kelemahan sistem pendidikan Brunei khasnya Sekolah Melayu itu akan terdedah dan
mendatangkan bantahan daripada rakyat terutama dalam kalangan mereka yang
terpelajar. (Haji Awg Asbol bin Haji Mail, 2006:27-28). Antara kelemahan sistem
pendidikan Sekolah Melayu pada ketika itu apabila sekolah ini hanyalah bagi
membolehkan anak-anak Melayu Brunei pandai membaca dan menulis dalam huruf rumi.
Tidak ada yang diajarkan kepada kanak-kanak Melayu melainkan untuk mewarisi kerjaya
orang tua mereka sama ada sebagai nelayan atau petani. Kelas paling tinggi bagi Sekolah
Melayu pada ketika itu hanyalah Darjah 6. Ternyata sistem pendidikan Sekolah Melayu
pada masa itu menyekat peluang belia-belia Brunei untuk melanjutkan pelajaran mereka
hingga ke peringkat universiti.

Residen British sedar, jika belia Brunei didedahkan dengan pendidikan tinggi, mereka ini
bakal menjadi tenaga pengerak kebangkitan semangat nasionalisme. Penentangan
golongan terpelajar di tanah-tanah jajahan British seperti di India sebelum ini menjadi
pengajaran kepada British. Hal ini yang menjadi agenda tersirat British untuk tidak
memberikan pendidikan tinggi kepada belia-belia Brunei. Jadi pada ketika ini tahap
bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Brunei berada dalam keadaan kurang
berkembang bagi melahirkan ramai golongan cendikiawan.

DASAR PENDIDIKAN 1954

Brunei memiliki dasar pendidikan secara rasmi pada tahun 1954. Kewujudan dasar ini
ekoran daripada pemerintahan Sultan Omar ‘Ali Saifuddein Sa’adul Khairi Waddien

56

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

melaksanakan Rancangan Kemajuan Lima Tahun pertama (1953 – 1958).1 Salah satu
kompenan penting dalam rancangan ini ialah meningkatkan perkembangan bidang
pendidikan. Ia perlu dimajukan memandangkan Brunei masih kekurangan golongan
terpelajar dan profesional dalam berbagai bidang bagi sama-sama membangun negara.
Selain itu terdapat tuntutan masyarakat tempatan supaya Brunei mewujudkan satu sistem
pendidikan yang baharu lebih teratur dan bersifat kebangsaan. Kesedaran ini begitu
menyerlah selepas Perang Dunia Kedua berakhir. (Haji Awg Asbol bin Haji Mail, 2006:28-
29)

Jabatan Pelajaran sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menangani
hal ehwal pendidikan Brunei telah mengeluarkan corak dan sistem pendidikan yang
diamalkan sejak tahun 1914 di negara ini. Penjelasan yang agak lengkap ini boleh
dianggap sebagai dasar pendidikan rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan. Dasar
Pendidikan 1954 menyatakan bahawa kerajaan menyediakan pendidikan percuma
kepada semua anak-anak Melayu bermula dari umur enam tahun. Mereka boleh belajar
sama ada di Sekolah Melayu, Inggeris atau vokasional. Di Sekolah Melayu, mereka boleh
meneruskan pelajaran sehingga Darjah 6. Mana-mana murid dari sekolah ini ingin
memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan, mereka perlu menduduki peperiksaan khas calon
ke sekolah tersebut. Apabila mereka berjaya memasuki Sekolah Inggeris Kerajaan,
mereka akan belajar sehingga Tingkatan 3. Mana-mana pelajar yang mempunyai prestasi
baik dalam pelajaran di sekolah ini akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran hingga
ke institusi pengajian tinggi di luar negeri (Padmore, 1954:3).

Manakala itu anak-anak Brunei yang berminat dalam lapangan pendidikan teknikal dan
vokasional akan dihantar untuk belajar di Sekolah Pertukangan Syarikat Minyak Shell di
Seria. Pada masa itu kerajaan belum menubuhkan sekolah seperti ini. Bagaimanapun
dalam pendidikan ini mendatangkan masalah kepada anak-anak Brunei apabila mereka
kurang berjaya dalam pendidikan vokasional kerana ia dilaksanakan dalam Bahasa
Inggeris. Sedangkan mereka datang dari Sekolah Melayu. Jelas dalam pendidikan ini
Bahasa Melayu tidak dapat digunakan. Dasar Pendidikan 1954 ini juga menyediakan
kelas-kelas membenteras buta huruf bagi orang-orang dewasa. Sekolah Misi dan Cina
bergerak secara bersendirian dan mendapat bantuan kewangan dari pihak kerajaan. Apa
yang jelasnya dasar pendidikan 1954 ini hampir sama dengan apa yang telah berlaku di
Tanah Melayu yang mengamalkan sistem berbagai aliran dalam pendidiknya.
Bagaimanapun yang berbeza dengan negara ini kerana Brunei tidak mempunyai sekolah
beraliran Tamil. Hal ini berlaku kerana masyarakat India tidak ramai di Brunei pada masa
itu. (Padmore, 1954:3)

Dasar Pendidikan 1954 ini tidak hanya mendapat perhatian daripada orang ramai dan
sasaran kritikan parti-parti politik, bahkan ia menjadi isu hangat dibahaskan dalam Majlis
Mesyuarat Negeri. Pada tahun 1962, salah seorang ahli majlis yang mewakili parti
pembangkang mengusulkan supaya kerajaan merangka satu Dasar Pendidikan bercorak
Kebangsaan. Cadangan ini jelas mahu memartabatkan Bahasa Melayu dalam sistem
pendidikan negara. Namun cadangan ini tidak mendapat sokongan mencukupi. Pegawai

1Rancangan kemajuan ini diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Negeri pada bulan Julai 1953 dengan peruntukan

kewangan sebanyak $100 juta. Matlamat utama rancangan ini untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial
sesuai dengan perubahan taraf hidup yang dialami oleh rakyat Brunei.

57

Dasar-Dasar Pendidikan dan Perlembagaan
Negara Brunei Darussalam: Isu Pengukuhan Bahasa Melayu

Pelajaran yang diwakili oleh seorang pegawai British, dalam menyanggah syor tersebut
mengatakan bahawa sistem pendidikan Brunei sudah mencapai kemajuan kerana
sekolah telah banyak didirikan. Pelajar juga semakin ramai yang dihantar keluar negeri
untuk melanjutkan pelajaran. Kenyataan ini tidak boleh dinafikan, namun gambaran
banyak sekolah sudah didirikan dan sudah ramai anak-anak Brunei menjejakkan kaki ke
alam persekolahan memang mencerminkan sebahagian dari kemajuan sesuatu sistem
pendidikan. (Penyata rasmi Majlis Mesyuarat Negeri Brunei, 1962; Pelita Brunei, 1962).
Bagaimanapun tanda aras kemajuan juga perlu diukur melalui sudah berapa ramai anak-
anak Brunei dapat melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti. Sedangkan pada
masa itu taraf pendidikan Sekolah Melayu masih terbatas di peringkat pendidikan rendah.
Jadi dasar pendidikan 1954 memang jelas tidak mengutamakan Bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar kerana sekolah-sekolah berbagai aliran masih dilaksanakan.

Bagaimanapun pada tahun 1962 ini juga kerajaan sebenarnya telah merancang untuk
mengwujudkan satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang baharu. Ini menunjukkan
pemikiran ahli parti pembangkang itu mendapat perhatian dari kerajaan. Dasar
pendidikan yang baharu perlu dibentuk kerana kerajaan bimbing terhadap perkembangan
Parti Rakyat Brunei telah mempengaruhi sebahagian rakyat Brunei ketika itu. Pendidikan
telah menjadi isu dan agenda perjuangan parti ini untuk meraih sokongan masyarakat
Brunei. Sudah menjadi kebiasaan kepada gerakan nasionalisme, selain mendapatkan
kemerdekaan dari kuasa penjajah akan diikuti pula usaha untuk menghidupkan kembali
warisan budaya tempatan, di antaranya ialah memartabatkan bahasa kebangsaan
(Sufean Hussin, 2002:134; Ramanathan, 1985:1). Jadi untuk membendung pengaruh ini
kerajaan memikirkan perlunya dibentuk satu Dasar Pendidikan Kebangsaan yang baharu
bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, perjuangan menobatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dari menjadi bahasa terpinggir sedang hangat dilakukan di Tanah
Melayu pada masa itu. Bahana perjuangan ini telah mempengaruhi masyarakat Brunei
terutama di kalangan guru-guru Melayu yang mengikuti kursus perguruan di sini untuk
sama-sama memartabatkan bahasa ini (Ramanathan,1985:36-40).

LAPORAN AMINUDDIN BAKI DAN PAUL CHANG

Brunei mengundang dua pakar pendidikan dari Tanah Melayu pada tahun 1959. Mereka
ialah Aminuddin Baki dan Paul Chang yang ditugaskan untuk mengkaji sistem pendidikan
Brunei yang sedang berjalan pada masa itu. Hasil kajian telah melahirkan satu laporan
yang dikenali sebagai “Laporan Aminuddin Baki dan Paul Chang 1959” Laporan ini telah
mencadangkan supaya kanak-kanak Brunei daripada semua bangsa disatukan di bawah
satu Sistem Pendidikan Kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar. Cadangan ini dibuat kerana mendapati sistem pendidikan Brunei pada
masa itu dilaksanakan dalam aliran bahasa yang berbeza. Jelas laporan ini ingin
mengukuhkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan Brunei pada ketika itu. Selain itu
ia boleh menjadi media perpaduan kepada semua lapisan rakyat berbilang kaum di
negara ini (Aminuddin Baki & Paul Chang.1959: 12-3).

DASAR PENDIDIKAN NEGARA 1962

Dengan yang demikian sebuah Jawatankuasa Mengkaji Pelajaran Brunei dibentuk bagi
mengkaji dan meneliti laporan ini. Hasil penelitian ini, maka jawatankuasa ini telah

58

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

mengeluarkan satu dasar pendidikan baharu yang dikenali sebagai Dasar Pendidikan
Negara pada 31 Oktober 1962 dengan matlamat yang sama dengan tujuan yang
dikemukakan dalam laporan tersebut. (Laporan Suruhanjaya Pelajaran Brunei, 1972:1).
Dasar Pendidikan Negara 1962 boleh dikatakan dasar pelajaran pertama Brunei yang
paling jelas kandungan dan matlamatnya berbanding dengan Dasar Pendidikan 1954. Di
antara perkara baharu dalam dasar ini ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar utama di sekolah-sekolah Brunei. Ia juga mahu menyatukan sekolah-sekolah
yang berlainan aliran bukan sahaja menjadi satu aliran, malahan menyatukan sistem
pendidikan dan kurikulumnya. (Haji Awg Asbol bin Haji Mail, 2006: 35) Dasar Pendidikan
Negara 1962 ini juga mencadangkan supaya pendidikan menjadi wadah memupuk nilai-
nilai jati diri belia-belia Brunei yang taat kepada Sultan dan negara. Apa yang jelasnya
dasar ini diwujudkan memang selari dengan kehendak Perlembagaan Negeri Brunei 1959
yang menjadi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Ini bererti dasar ini telah sama-sama
berperanan dalam pengukuhan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan Brunei.

Apabila Dasar Pendidikan Negara 1962 mahu dilaksanakan, ia berhadapan dengan
beberapa cabaran. Pertama, cabaran dari Revolusi 1962 yang dicetuskan oleh Parti
Rakyat Brunei pada 8 Disember 1962. Revolusi berdarah ini memaksa sekolah ditutup
dan dasar pendidkan Negara 1962 tidak dapat dilaksanakan. Cabaran kedua berlaku
apabila Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bertindak
menarik balik pengawai-pegawai dan guru-guru daripada Malaysia yang diperlukan
berkhidmat di Brunei. Tindakan ini diambil kerana Brunei menolak untuk menyertai
Persekutuan Malaysia. Sebelum ini Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar Sarawak,
Brunei dan Sabah bergabung di bawah gagasan Malaysia sebagai sebuah negara
persekutuan pada bulan Mei 1961. Akibat dari penarikan ini pentadbiran awam Brunei
menghadapi cabaran berat termasuk sistem persekolahan dari segi tenaga pengajar,
sistem peperiksaan, kurikulum, dan buku-buku teks (Mohamad Abu Bakar, 1981: 117;
Pelita Brunei, 1961: 117). Ia telah menjadi isu dalam mengukuhkan Bahasa Melayu
dalam sistem pendidikan Brunei. Bagi mengatasi cabaran ini, Sultan Omar Ali Saifuddien
Sa’adul Khairi Waddien mendatangkan pegawai-pegawai British untuk mengambil alih
jawatan pegawai-pegawai Malaysia yang telah dikosongkan. Ketiadaan pegawai-
pegawai dan guru-guru dari Malaysia ini menyebabkan Brunei agak sukar melaksanakan
dasar pendidikan yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di
sekolah-sekolah. Jadi hasrat untuk mengukuhkan penggunaan Bahasa Melayu dalam
sistem pendidikan Brunei selaras dengan kehendaki perlembagaan tidak berkesampaian.
Sebaliknya pengunaan bahasa Inggeris semakin berkembang aapbila jabatan-jabatan
penting diketuai oleh pengawai-pegawai British. Mujur juga ada Sekolah Agama Rendah
yang mula ditubuhkan pada tahun 1956 yang boleh mengimbangi perkembangan bahasa
Melayu dalam sistem pendidikan Brunei. Sekolah ini menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar di samping menggunakan tulisan jawi dalam
pembelajarannya.

DASAR PENDIDIKAN 1972

Apabila Dasar Pendidikan Negara 1962 tidak dapat dilaksanakan, maka pada bulan Mei
1970, Brunei mengorak langkah menubuhkan sebuah Suruhanjaya Pelajaran. Badan ini
diamanahkan untuk mengkaji sistem pendidikan Brunei. Pada masa ini Brunei berada di
bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji

59

Dasar-Dasar Pendidikan dan Perlembagaan
Negara Brunei Darussalam: Isu Pengukuhan Bahasa Melayu

Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah yang telah naik takhta pada 5 Oktober 1967.
Hasil daripada penelitian itu, Brunei akhirnya telah membentuk satu Dasar Pendidikan
Kebangsaan yang sesuai dengan cita-cita, kepentingan dan perkembangan ekonomi
serta kedudukan rakyat Brunei. (Haji Awg Asbol bin Haji Mail, 2006: 37) Kewujudan
Dasar Pendidikan 1972 ini bukan sahaja berpunca daripada kegagalan Dasar Pendidikan
Negara 1962, tetapi kemungkinan besar ada hubungan dan pengaruhnya daripada
peristiwa rusuhan kaum di Malaysia pada 13 Mei 1969. Kesan daripada rusuhan itu
kerajaan Malaysia telah melancarkan Dasar Ekonomi Baharu dan melaksanakan Dasar
Pendidikan Kebangsaan pada bulan Julai 1969 dengan tujuan utama untuk menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah. (Sufean Hussin, 2002:159).
Dasar-dasar ini dibentuk semata-mata untuk mempupuk nilai-nilai perpaduan kaum ke
atas masyarakat Malaysia yang berbilang etnik.

Pada asasnya kandungan Dasar Pendidikan 1972 tidak banyak berbeza dengan Dasar
Pendidikan Negara 1962. Kedua-duanya menekankan supaya bahasa Melayu menjadi
bahasa pengantar di semua sekolah di samping menekankan penggunaan tulisan jawi,
menyatukan sistem pendidikan, memenuhi keperluan tenaga manusia bagi
pembangunan negara dan melahirkan generasi yang taat dan setia kepada Sultan dan
negara. Perbezaan yang jelas antara kedua-dua dasar ini ialah Dasar Pendidikan 1972
cuba menonjolkan pendidikan Islam sebagai satu mata pelajaran penting untuk diajarkan
di sekolah-sekolah. Hal ini juga mungkin ada kaitan dengan apa yang berlaku di Malaysia
kerana pada waktu itu kebangkitan Islam sebagai pegangan hidup utama umat Islam
sedang giat diperjuangkan oleh sebahagian masyarakat Islam di negara tersebut.
(Mohamad Abu Bakar, 1986: 184-185). Dari senario ini jelas dasar ini bukan sahaja
selaras dengan kehendak Perlembagaan 1959 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi tetapi juga selaras dengan Islam sebagai agama rasmi negara.

Bagi menjadikan Dasar Pendidikan 1972 realiti dalam sistem pendidikan Brunei, kerajaan
memerlukan bantuan daripada Malaysia dari segi tenaga pengajar, buku-buku teks dan
sistem peperiksaan sebagaimana yang berlaku ke atas Dasar Pendidikan 1962.
Bagaimana pun hubungan Brunei sekali lagi berada dalam kurang mantap apabila
beberapa orang bekas pemimpin Parti Rakyat Brunei berjaya melarikan diri dari tahanan
dengan bantuan wadar penjara warga Malaysia yang berkhidmat di Brunei. Selain itu,
beberapa orang pelajar Brunei yang melakukan kegiatan menentang kerajaan juga telah
melarikan diri ke Malaysia. Mereka mendapat perlindungan kerajaan Malaysia. Dengan
yang demikian, Brunei bertindak balas dengan menarik balik pelajar-pelajarnya yang
sedang menuntut di Malaysia. Para pelajar tersebut telah menjadi mangsa keadaan
lantaran ada dalam kalangan mereka dalam detik-detik menduduki peperiksaan akhir di
universiti. Penarikan balik ini dilakukan kerana Brunei khuatir mereka akan dipengaruhi
oleh Malaysia bagi bangun menentang kerajaan. (Ranjit Singh, 1984: 203; Leake, 1990:
57-6).

Hal ini secara langsung telah memberi kesan kepada perlaksanaan Dasar Pendidikan
1972 yang mahu menjadi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Selain itu,
peluang pelajar aliran Melayu yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Malaysia
yang mempunyai sistem pendidikannya pengantar Bahasa Melayu telah pupus. Senario
ini telah mendorong ramai pelajar aliran Melayu menamatkan persekolahan mereka sama
ada setakat tingkatan lima atau tingkatan enam. Mereka memilih untuk memasuki alam
pekerjaan seperti menjadi guru, kerani dan lain-lain jawatan rendah di jabatan-jabatan
kerajaan atau swasta. Jadi kegagalan Dasar Pendidikan 1962 dan 1972, selain faktor

60

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

cabaran dalaman, ia juga disebabkan cabaran luaran terutamanya hubungan Brunei dan
Malaysia yang kurang baik pada waktu itu.

DASAR PENDIDIKAN DWIBAHASA 1984

Ekoran dengan kegagalan dasar Pendidikan 1972 ini, maka kerajaan mengwujudkan
pula dasar pendidikan baharu yang sesuai dengan perkembangan dan perubahan
sosioekonomi masyarakat Brunei, lebih-lebih lagi saat Brunei sudah mencapai
kemerdekaan penuh dari British pada tahun 1984. Dengan yang demikian pada 9 April
1984 kerajaan secara rasmi mengisytiharkan satu dasar pendidikan baharu yang dikenali
sebagai Dasar Pendidikan Konsep Dwibahasa atau Dasar Dwibahasa. (Pelita Brunei,
1984). Tujuan utama Dasar Dwibahasa tersebut tidak banyak bezanya dengan apa yang
terkandung dalam Dasar Pendidikan 1972. Contohnya penyatuan sistem pendidikan dari
segi kurikulum, peperiksaan dan penerapan nilai-nilai Islam. Bagaimanapun perbezaan
yang ketara pada dasar ini dengan Dasar Pendidikan 1972 ialah penggunaan bahasa
Inggeris sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan Brunei.

Menurut dasar ini murid-murid dari peringkat tadika hingga ke darjah tiga, semua mata
pelajaran akan diajarkan dalam bahasa Melayu, kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris.
Manakala, bermula dari darjah empat, semua mata pelajaran diajarkan dalam Bahasa
Inggeris kecuali mata pelajaran Agama Islam, Lukisan dan Pendidikan Jasmani.
Penggunaan Bahasa Inggeris begitu ditekankan dalam dasar ini adalah disebabkan
keinginan kerajaan supaya orang Brunei dapat menguasai bahasa ini dengan baik.
Bahasa ini dilihat bukan sahaja sebagai bahasa antarabangsa tetapi ia juga penting dalam
pentadbiran dan industri minyak Brunei.

DASAR PENDIDIKAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA ABAD 21 (SPN 21)

Pemikiran untuk mewujudkan satu sistem pendidikan baharu bagi menggantikan Dasar
Pendidikan Dwibahasa diawali daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darusssalam semasa acara
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-19 pada
23 Febuari 2003 yang menitahkan;

“Pendidikan negara hendaklah menyediakan program-program yang dinamik
dan melihat ke hadapan (forward looking) dalam menyediakan ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang berguna kepada industri dan lain-lain
perkhidmatan dengan tidak mengabaikan nilai-nilai penting.” (Sistem
Pendidikan Negara Abad ke-21 SPN21, 2009: 1)

Titah ini membayangkan bahawa sistem pendidikan negara yang ada, iaitu Dasar
Pendidikan Dwibahasa perlu diperbaiki lagi supaya dapat menyediakan program-
program yang bersesuaian dengan kehendak negara yang sentiasa berkembang maju
dalam bidang ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi memenuhi permintaan sektor awam

61

Dasar-Dasar Pendidikan dan Perlembagaan
Negara Brunei Darussalam: Isu Pengukuhan Bahasa Melayu

dan swasta. Bagi menyusuli titah ini, maka Kementerian Pendidikan pada penghujung
tahun 2005 telah memfokuskan perhatiannya kepada pendidikan umum, teknikal dan
pengajian tinggi. Sementara pentadbiran pendidikan agama diserahkan semula kepada
Kementerian Hal EhwalAgama. Kementerian Pendidikan telah membuat tiga kategori
perubahan, pertama, menyusun semula struktur organisasi ke arah menjadikan
Kementerian Pendidikan lebih efisien dan berkesan. Kedua, merangka pelan Strategik
Kementerian Pendidikan 2007-2011 yang mengariskan beberapa hala tuju dalam tempoh
lima tahun. Ketiga, membentuk Jawatankuasa Meneliti Semula Sistem Pendidikan
Negara bagi mengkaji semula dan membuat pembaikan ke atas Sistem Pendidikan yang
berjalan pada waktu tersebut.

Hasil daripada penelitian jawatankuasa ini telah berpendapat bahawa pendidikan yang
sedia ada belum dapat memberikan kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam
berhadapan dengan arus perubahan globalisasi dan perkembangan ekonomi yang pesat
di era teknologi maklumat (Information and Communications Technology, ICT). Oleh itu
jawatankuasa ini mencadangkan supaya sistem pendidikan negara yang ada diperbaiki
dan dihalusi serta disejajarkan dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2007-
2011. Akhirnya wujudlah satu sistem pendidikan baharu yang dikenali sebagai “Sistem
Pendidikan Negara Abad ke-21” atau nama pendeknya SPN21. Sistem pendidikan
negara yang baharu ini telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dalam titah baginda sempena
Sambutan Hari Keputeraan Baginda yang ke-62 tahun pada bulan Julai 2008:

“Kita perlu mempunyai sistem pendidikan yang sentiasa releven dengan
tuntuan zaman. Kita tidak mahu tercicir di belakang sambil kebekuan
membelanggu kita. Kerana itu Beta amat gembira bilamana Kementerian
Pendidikan sedang mengemaskinikan Sistem Pendidikan Negara yang
dikenali sebagai Sistem Pendidikan Negara Abad 21 atau SPN21`.
Langkah ini wajar demi menyedari bahawa arus proses globalisasi tidak
akan menunggu sesiapapun” (Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21
SPN21, 2009: 1)

Matlamat utama yang terkandung dalam Dasar Pendidikan SPN21 adalah; Pertama bagi

memenuhi keperluan-keperluan dan cabaran-cabaran dalam perkembangan dan

pembangunan ekonomi dan sosial di abad ke-21 ini. Kedua, bagi merealisasikan visi

dan misi Kementerian Pendidikan iaitu visinya untuk mewujudkan “Pendidikan berkualiti

ke arah negara yang maju, aman dan sejahtera.” Sementara misinya “Untuk memberikan

pendidikan yang holistik bagi mencapai potensi yang penuh bagi semua”. Ketiga,

mengembangkan kemahiran-kemahiran abad ke-21 terutama kemahiran-kemahiran asas

seperti kemahiran berkomunikasi, mengira, teknologi maklumat, berfikir dan

menyelesaikan masalah, pengurusan diri dan kompetitif, belajar dan bekerja, sosial,

fizikal dan estetika. Keempat, untuk memenuhi lima Tema Strategik Kementerian

Pendidikan 2007-2011 iaitu; Pendidikan berkualiti ke arah pembangunan bangsa dan

modal insan. Pendidikan berkualiti melalui kurikulum seimbang, releven, dinamik dan

berbeza. Pendidikan berkualiti melalui sistem jaminan kualiti yang berwibawa berasaskan

piawaian antarabangsa. Profesionalisme dan laluan kerjaya yang jelas bagi pendidik.

Sekolah kerajaan yang berkualiti dan bertahap tinggi dengan suasana pembelajaran yang

kondusif dan mempunyai daya tarikan. Terdapat tiga perubahan utama bagi memastikan

matlamat SPN21 tersebut tercapai iaitu menyusun semula struktur Sistem Pendidikan,

Kurikulum dan Penilaian, dan Pendidikan Teknik. Ternyata dasar ini telah menjadikan

62

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama. Sementara bahasa Melayu hanya
sebagai satu mata pelajaran yang wajib diambil dan wajib lulus.

Sebagai satu dasar pendidikan yang baharu, SPN 21 juga berhadapan dengan beberapa
cabaran dalam proses perlaksanaannya. Antaranya, apabila SPN 21 mula dilaksanakan
pada tahun 2008 pendidikan Agama Islam tidak lagi menjadi mata pelajaran teras apabila
pelajar yang memasuki ke peringkat menengah iaitu pada Tahun 9 hingga Tahun 11.
Malahan ia hanya menjadi mata pelajaran pilihan yang digabungkan bersama mata
pelajaran drama dan muzik. Hal ini mencetuskan rasa tidak senang kalangan masyarakat
Islam Brunei, kerana bertentangan dengan konsep negara Melayu Islam Beraja dan
konsep Negara Zikir. Selain itu dasar ini seolah-olah lupa dengan titah Kebawah Duli Yang
Maha Mulia supaya nilai-nilai penting yang boleh ditafsirkan memelihara keutuhan
Bahasa Melayu, Agama Islam dan Konsep Melayu Islam Beraja dalam merangka Dasar
Pendidikan Negara. Dalam hal ini, seolah-olah pendidikan Agama Islam kurang penting
sedangkan ia memainkan peranan dalam pembentukan saksiah pelajar. Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah sendiri menegur
perkara ini dalam titah baginda sempena menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei
Darussalam pada 23 Februari 2009. Antara lain baginda bertitah:

“Sumber manusia berkualiti adalah faktor penentu kepada keupayaan
negara untuk menikmati kemajuan secara berpanjangan. Kerana itu, kita
tidak pernah mengabaikan pendidikan. Dasar kita jelas, iaitu ingin
melahirkan seberapa ramai ilmuan, yang dapat menyaksikan kemunculan
golongan-golongan pemimpin, pemikir dan pengusaha yang berwibawa.
Dalam pada itu, Beta ingin mengingatkan, dasar dan sistem pendidikan kita,
tidak boleh sama sekali membelakangi nilai-nilai kita yang murni iaitu agama
maha suci serta adat resam bangsa yang luhur.” (Adakah SPN 21
Mendukung visi dan misi JPI, 3 Januari 2011:
https://ibnuziad.wordpress.com/category/spn21)

Kesan daripada teguran ini, maka Kementerian Pendidikan telah menjadikan mata
pelajaran Agama Islam sebagai mata pelajaran teras dalam SPN21 bersama Melayu
Islam Beraja yang sudah menjadi pelajaran wajib sejak tahun 1992 (Pelita Brunei, 2015).
Oleh sebab kemunculan SPN 21 dibuat dalam masa yang agak pendek, perancangannya
bermula pada tahun 2005 dan perlaksanaannya dilakukan pada tahun 2008, maka dasar
ini berhadapan dengan cabaran mendapatkan guru terlatih dalam mata-mata pelajaran
yang baharu diperkenalkan seperti mata pelajaran drama, muzik, pertanian dan masakan.
Sungguhpun sistem pendidikan Brunei menekankan penggunaan bahasa Inggeris,
namun Kebawah Duli Yang Maha Mulia memang tidak alpa dalam memartabatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa penting kepada Brunei. Baginda memang menyedari
pentingnya menguasai bahasa asing, bagaimanapun bahasa Melayu sebagai jati diri dan
identiti masyarakat Brunei tidak boleh diketepikan begitu sahaja, sebagaimana titah
baginda pada 17 September 2011 sempena menyambut 50 tahun penubuhan Dewan
Bahasa dan Pustaka Brunei berikut:

“Kita sama sekali bukan menafikan kepentingan bahasa asing…Cuma yang lebih penting
di sini ialah pendaulatan bahasa Melayu itu mestilah ia jangan dikendurkan, jangan
sampai dikelasduakan, atau kita dengan sengaja melangkahi dalam keadaan dan ketika
yang tidak perlu…..pemartabatan bahasa Melayu yang telah diperundangkan dalam

63

Dasar-Dasar Pendidikan dan Perlembagaan
Negara Brunei Darussalam: Isu Pengukuhan Bahasa Melayu

Perlembagaan Negeri Brunei Darussalam 1959 dan Pindaan 2004 sebagai bahasa rasmi
negara membuktikan, kerajaan beta adalah mengiktiraf peranan Bahasa Melayu itu. Ia
juga menandakan, tidak ada bahasa lain yang mengambil alih peranan bahasa Melayu
dalam memahami secara menyeluruh konsep, budaya dan minda bangsa Melayu” (Haji
Hashim Haji Abd Hamid, 2012: 3)

Oleh itu dicadangkan dalam langkah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi perlunya:

1. Setiap kepimpinan baharu hendaklah menerima hakikat, bahawa pengiktirafan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam Perlembagaan Negeri Brunei sudah
sewajarnya ditunaikan tanpa bertangguh-tangguh lagi.
2. Mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah bukan sahaja sekadar wajib
lulus dalam peperiksaan tetapi harus menguasai dan mahir dengan baik terhadap bahasa
ini termasuk dalam tulisan jawi.
3. Mata pelajaran sejarah yang berkaitan dengan sejarah Brunei dan sejarah bangsa
Melayu mestilah diajarkan dalam bahasa Melayu agar semangat cintakan agama, raja
dan bangsa dapat ditanam dan disemai dengan baik ke atas belia-belia Brunei.
4. Penubuhan institusi penterjemahan seharusnya dikukuhkan.
5. Pegawai-pegawai kerajaan diwajibkan menguasai bahasa Melayu dengan fasih
dan mahir di samping bahasa asing.
6. Mesyuarat, minit-minit mesyuarat dan laporan di sektor awam dalam bahasa
Melayu harus ditingkatkan.
7. Seminar-seminar antarabangsa tidak semestinya hanya menggunakan bahasa
asing bahkan bahasa Melayu juga perlu sama-sama memainkan peranan.
8. Pihak swasta terutama syarikat besar dan bank-bank sepatutnya mengutamakan
bahasa Melayu dalam kegiatan mereka, terutama apabila melibatkan kegiatan dalam
negara.

RUMUSAN

Dari perbahasan di atas jelas dari dasar-dasar pendidikan yang muncul silih berganti
dalam sistem pendidikan Brunei sejak tahun 1954 sehingga kini telah melihatkan
perubahan sesuai dengan perubahan zaman. Dasar-dasar ini memang melihatkan hasrat
kerajaan untuk memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem
pendidikan Brunei. Hal ini boleh dilihat dalam Dasar Pendidikan Negara 1962 dan Dasar
Pendidikan 1972. Langkah ini memang selaras dengan kehendak Perlembagaan Negeri
Brunei 1959 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Namun ia
menghadapi cabaran untuk dilaksanakan hingga menimbulkan isu dalam mengukuhkan
bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam. Hal ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor
dalaman tetapi juga menyangkut faktor luaran. Masalah luaran berlaku apabila hubungan
Brunei dan Malaysia kurang mantap sehingga matlamat untuk menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar seperti yang disarankan dalam Dasar Pendidikan 1962 dan
1972 telah gagal dilaksanakan. Dengan yang demikian sekolah berbagai aliran terus
wujud di Brunei seperti mana yang terdapat pada Dasar Pendidikan 1954. Apabila Dasar
Pendidikan Dwibahasa dan SPN 21 diwujudkan, isu Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar juga muncul. Apa yang jelasnya kedua-dua dasar ini tidak menjadikan Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar sebaliknya bahasa Inggeris telah digunakan. Hal ini

64

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

disebabkan bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa antarabangsa tetapi juga bahasa ilmu.
Bagaimanapun untuk menjaga keutuhan bahasa Melayu, ia telah menjadi mata pelajaran
teras kepada Dasar Pendidikan Dwibahasa 1984 dan SPN21. Dalam pada itu, SPN21
telah dilancarkan pada tahun 2008 bagi memperbaiki sistem pendidkan sebelumnya,
yang tidak dapat menyediakan program-program akademik dan kemahiran yang
bersesuaian dengan kehendak negara yang terus berkembang dalam dunia global
berteknologi tinggi. SPN21 juga berhadapan cabaran apabila mata pelajaran Agama
Islam dan Melayu Islam Beraja tidak menjadi mata pelajaran teras, sebaliknya hanya
menjadi mata pelajaran pilihan. Bagaimana dengan teguran daripada Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan sendiri yang mahukan rakyatnya diberikan
didikan agama dan Melayu Islam Beraja, maka pada tahun 2009 kedua-dua mata
pelajaran tersebut telah menjadi mata pelajaran teras bagi melahirkan insan cemerlang
bukan sahaja dalam ilmu pengetahuan tetapi juga insan yang berakhlak mulia dan
mempunyai semangat cintakan bangsa, agama dan sultan sebagai kepada negara.
Namun apa yang jelasnya kedua-kedua mata pelajaran ini juga mendokong kuat bahasa
Melayu dalam sistem pendidikan Brunei, sungguhpun bahasa Inggeris masih diutamakan.

BIBLIOGRAFI

A. BUKU

Haji Awg Asbol bin Haji Mail, 2006. Sejarah perkembangan pendidikan di Brunei 1950 –
1985. Bandar Seri Begawan: Pusat Sejarah Brunei, 2006.
Haji Awg Asbol bin Haji Mail, Haji Yusop bin Haji Awg Damit & Ampuan Haji Brahim bin
Ampuan Haji Tengah, 2014. Evolusi dan tranformasi kecemerlangan 100 tahun
pendidikan Negara Brunei Darussalam 1914 – 2014. Bandar Seri Begawan:
Kementerian Pendidikan.
Haris Md. Jadi,1990. Etnik Politik dan pendidikan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Himpunan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepanjang 1990.(1994). Bandar Seri Begawan:
Jabatan Penerangan.
Ibrahim Saad, 1986. Pendidikan dan politik di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Kegemilangan pentadbiran dan perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam. (2013).
Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkhidmatan Awam.
Kumpulan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepanjang 1993. (1994). Bandar Seri
Begawan: Jabatan Penerangan.
Leake.D.,1990. Brunei the modern Southeast Asian Islamic sultanate. Kuala Lumpur:
Forum.
Pehin Haji Mohd Jamil Al Sufri, 1990. Latar Belakang Sejarah Brunei. Bandar Seri
Begawan: Pusat Sejarah Brunei
Ramanathan. K.,1985. Politik dalam pendidikan bahasa 1930 – 1971, Petaling Jaya:
Fajar Bakti Sdn Bhd. 1985
Ranjit Singh D.S., 991. Brunei 1839-1983: The problem of political survival. Singapore:
Oxford University Press, 1991

65

Dasar-Dasar Pendidikan dan Perlembagaan
Negara Brunei Darussalam: Isu Pengukuhan Bahasa Melayu

Sabihah Osman,1990. Perkembangan pelajaran bumiputera Sarawak 1841-1941, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sabihah Osman, Muhammad Hadi Abdullah & Sabullah Haji Hakip, 1995. Sejarah Brunei
Menjelang Kemerdekaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sufean Hussin,1993. Pendidikan di Malaysia sejarah, sistem dan falsafah, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sufean Husin, 2002. Dasar pembangunan pendidikan Malaysia teori dan analisis, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.
B. ARTIKEL

Haji Hashim Haji Abd Hamid, 2012. Pendaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
negara. Syarahan Bulan Bahasa 2012: Satu pemikiran. Bandar Seri Begawan: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Abd Bakar, 1981. Politik Brunei menjelang penubuhan Malaysia. Malaysia dari
segi Sejarah, Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia no.10.
Mohamad Abd Bakar, 1986. Perspektif Islam semasa: Suatu tinjauan kritis. Islam dan
pembangunan negara. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sistem pelajaran kita harus segara dirubah, 1962. Majalah Suara Guru. Keluaran Feb.
bil. 3. Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei.

C. TESIS

Ahmad Haji Jumat, 1989. A chronological study of the development of education in Brunei
Darussalam from 1906 to 1984 with special reference to education policies and their
implementation. Ph.d. thesis. The School of Education California Coast University.
Hisham Haji Md Sum, 1993. Educational dependency: A case study on Brunei
Darussalam. Ph.d. thesis. University of Reading, United Kingdom.

D. DOKUMEN KERAJAAN

Minutes of the State Council Meetings 6 July 1946, 6 December 1946, 5 February 1947
dan 6 March 1947.Tidak and number rujukan.
Training of Teachers at Batu Lintang School. Siaran sementara no 22/1948 ref. no. (6) in
ed/75/1948 no. 406/1948.
Education policy for Brunei. BA/6469/1983, SUK 240/52.
Bevington. E.R. The economy and development of state of Brunei. 30 Jun 1955. CO
1030/300.
Padmore. H.J., 1954. Proposed development plan for Education Depatment 1954 -1960.
Bandar Brunei: Education Department.
Brunei education departmental triennial report for 1955 to 1957. (t.th). Bandar Brunei:
Education Department.
Bevington E.R. Penyata pembangunan Negeri Brunei 1953-1958, t.pt. Jun. 1958.
Aminuddin Baki dan Paul Chang. Laporan penyata pelajaran Negeri Brunei. 21. Sept.
1959. Dokumen yang tidak diterbitkan disimpan oleh Pusat Sejarah Brunei.
Penyata rasmi Majlis Mesyuarat Negeri Brunei 16 dan 17 April 1962.
Laporan pelajaran tiga tahun 1964-1966. (1967). Bandar Brunei: Jabatan Pelajaran.
Laporan pelajaran tahun 1972.,1973. Bandar Brunei: Jabatan Pelajaran.
Laporan Suruhanjaya Pelajaran Brunei 1972. (t.th). Bandar Seri Begawan: Jabatan
Setiausaha Kerajaan.

66

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam, 1985. Bandar Seri Begawan: Kementerian
Pelajaran dan Kesihatan.
Education in Brunei Darussalam, 1992. Bandar Seri Begawan: Ministry of Education.
Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN 21). 2009. Bandar Seri Begawan:
Kementerian Pendidikan.
Brunei Annual Report 1914 (Bar 1914)
Bar 1928
Bar 1929
Bar 1949
Bar 1951
Bar 1953
Bar 1954
Bar 1983-1984
E. AKHBAR
Berita Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei. 28. Nov. 1972
Berita Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei. 25. Sept. 1973
Borneo Bulletin. 15. Mac. 1958
Pelita Brunei. 6 Disember 1961.
Pelita Brunei. 18. April. 1962
Pelita Brunei. 18. April. 1984
Pelita Brunei. 5. Okt. 2015
Suara Bakti. 3. Nov. 1961
Suara Bakti. 24. Nov. 1961
F.INTERNET
Adakah SPN 21 mendukung visi dan misi JPI. 3. Jan. 2011. Diambil daripada
https://ibnuziad.wordpress.com/category/spn21

67

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu / 68 - 75
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

RANJAU KELESTARIAN BAHASA MELAYU DALAM
EKONOMI DAN PERNIAGAAN

Zafir Khan Mohamed Makhbul
([email protected])

Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Bahasa Melayu pernah dikenali sebagai ‘lingua franca’ atau sebagai bahasa yang digunakan
oleh para pedagang pada masa dahulu untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka di
Tanah Melayu. Pelbagai bangsa yang berurusan dalam perniagaan ketika itu bersetuju
bahawa bahasa anak negeri perlu difahami dan dikuasai. Semasa menjalankan urusan
berkaitan dengan ekonomi dan perniagaan, dialek melayulah yang paling asas dan ia
kemudiannya berkembang menjadi Bahasa Melayu. Sesungguhnya zaman silam
membuktikan bahawa bahasa Melayu telah mencapai tahap kesempurnaan yang tinggi dan
digunakan dalam pelbagai domain kehidupan sama ada dari aspek kehidupan
bermasyarakat, pentadbiran negara, mahupun urusan ekonomi dan perniagaan. Kini, sejarah
kegemilangan Bahasa Melayu semakin terpinggir. Perkembangan globalisasi masa kini telah
meninggalkan kesan mendalam kepada Bahasa Melayu. Fenomena ini telah mengukuhkan
penggunaan Bahasa Inggeris dalam urusan ekonomi dan perniagaan. Keperluan menguasai
Bahasa Inggeris semakin mendesak di dalam setiap organisasi tetapi pada masa yang sama
bahasa ibunda perlu dimartabatkan. Dalam situasi inilah wujudnya dilema dalam kalangan
masyarakat dan pemimpin. Meskipun pelbagai usaha mengembalikan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu, segelintir masyarakat masih gentar akan kewibawaan dan
keupayaannya, malah ada pihak secara terang-terangan mempertikaikan usaha murni
tersebut. Ranjau ini membawa kepada isu kelestarian Bahasa Melayu sebagai bahasa
perantaraan dalam ekonomi dan perniagaan. Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai teras
dalam ekonomi dan perniagaan memerlukan beberapa strategi dan perencanaan semula
beberapa aspek serta pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang
berkaitan dengannya.

Kata Kunci: kelestarian, ranjau, ekonomi, perniagaan, globalisasi

PENGENALAN

Bahasa merupakan khazanah bernilai tinggi yang perlu diperkasakan oleh setiap
individu tanpa mengira ras dan agama selagi bergelar warga sesebuah negara.
Dalam konteks negara Malaysia, keyakinan anak bangsa untuk melihat bahasa
Melayu terus berada pada kedudukan yang sepatutnya sangat penting dan bahasa
Melayu bukan hak mutlak kaum Melayu tetapi milik masyarakat majmuk Malaysia. Ia
dinyatakan dengan jelas melalui kajian yang dijalankan oleh beberapa orang sarjana.
Antaranya adalah peranan utama bahasa dalam menyatupadukan masyarakat
pelbagai bangsa yang boleh diterokai melalui perkongsian pemikiran, pandangan
semesta dan budaya berteraskan identiti kebangsaan. Penerokaan dalam kehidupan
ini menggambarkan peradaban manusia yang memerlukan hubungan sesama
sendiri melalui interaksi dan komunikasi antara satu sama lain sebagai agenda
kelestarian kehidupan (Zafir Mohd Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun, 2020; Siti
Nor Azhani Mohd Tohar, Adlina Ab Halim & Ku Hasnita Ku Samsu, 2017).
Penemuan kajian yang lain pula menunjukkan antara kaedah penting dalam
mewujudkan negara bangsa adalah menerusi penggunaan satu bahasa yang sama
iaitu bahasa Melayu (Ibrahim Majdi Mohamad Kamil & Maliati Mohamad, 2020).

68

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Kajian pengaruh Bahasa menunjukkan bahawa Bahasa kebangsaan sangat penting
bagi pembinaan identiti sesebuah negara (Sharifah Darmia, 2019).

Bahasa tidak mungkin dipisahkan daripada amalan hidup seseorang. Lebih tinggi
taraf bahasa yang digunakan dalam kehidupan lebih besar sumbangan yang dapat
diberikannya untuk membangunkan diri, keluarga dan Negara. Melalui bahasalah,
ekonomi dan taraf hidup masyarakat dapat ditingkatkan. Asmah Haji Omar (1984)
dan Abdullah Hassan (1987) menekankan bahawa keyakinan anak bangsa itu
sangat penting untuk melihat Bahasa Melayu terus berada pada kedudukan yang
sepatutnya. Collins (1999) dan Awang Sariyan (2000) menjelaskan bahawa
kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan ke-17, telah mencapai taraf bahasa
antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua
franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia
dan bahasa kesusasteraan. Hakikatnya, Bahasa Melayu telah diterima sebagai
bahasa yang mudah dibentuk dan dilentur serta sesuai dengan segala keadaan dan
keperluan (Nik Safiah Karim et al., 2008). Bahasa Melayu telah memperkasa anak
watan dalam pelbagai bidang khususnya bidang ekonomi dan perniagaan,
pendidikan, sains dan teknologi, sekali gus melahirkan golongan kelas menengah
yang menjadi sumber manusia pemangkin pembangunan bangsa dan negara.

Berikutan perubahan persekitaran perniagaan dan perkembangan globalisasi,
kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia semakin kukuh. Situasi ini turut
mempengaruhi kepentingan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
Perkembangan yang dianggap ranjau kepada perkembangan Bahasa Melayu ini
semakin memburuk sementelah ekonomi negara masa kini mula dikuasai oleh orang
luar dan bangsa asing. Menyedari hakikat kemerosotan penggunaan bahasa Melayu
dalam bidang ekonomi dan perniagaan, usaha dan strategi berterusan perlu
digembleng agar kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa
ilmu dapat dikembalikan khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU DALAM EKONOMI DAN PERNIAGAAN

Kegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ekonomi dan
perniagaan tidak perlu dipertikaikan satu ketika dahulu. Sesungguhnya catatan
sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu mencapai tahap kesempurnaan yang
amat tinggi dan digunakan dalam pelbagai domain kehidupan sama ada dari aspek
kehidupan bermasyarakat, pentadbiran negara, mahupun urusan ekonomi dan
perniagaan (Zafir Mohd Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun 2020). Bermula dari
zaman kegemilangan tamadun Melayu Melaka, ia berterusan sehingga Persekutuan
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Sejak detik pengisytiharan
kemerdekaan tersebut, bahasa Melayu telah dinobat sebagai bahasa kebangsaan,
bahasa rasmi, bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Perlembagaan Persekutuan juga
telah meletakkan bahasa Melayu ke tempat tertingginya, iaitu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang telah diwartakan dalam Akta
Bahasa Kebangsaan 1967. Kedudukannya diperkukuhkan lagi sebagai bahasa
pengantar dalam institusi pendidikan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan
1961 dan Akta Pendidikan 1966. Penyata Razak 1959, Laporan Rahman Talib 1960
dan Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran 1979 pula telah
memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi utama dalam sistem
pendidikan negara.

Bahasa Melayu sejak lebih daripada satu alaf memiliki martabat sebagai bahasa
besar dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Dari segi sejarah, bahasa Melayu

69

Ranjau Kelestarian Bahasa Melayu dalam
Ekonomi dan Perniagaan

terbukti berjaya sebagai ‘lingua franca’ sejak zaman-berzaman. Bahasa Melayu mula
menjadi bahasa perdagangan dalam kalangan penduduk Melaka, dan antara para
pedagang dari luar Tanah Melayu. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu menjadi
bahasa kerajaan, bahasa ekonomi dan perdagangan, bahasa pengajian agama dan
‘lingua franca’ bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Mereka
juga ketika itu telah bersetuju bahawa bagi memudahkan perniagaan, bahasa anak
negeri perlu difahami dan dikuasai. Kepulauan Melayu ketika itu terdiri dari
Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan
beberapa kepulauan lain. Setiap pulau mempunyai bahasa pertuturan sendiri tetapi
dalam urusan perniagaan terutama di Bandar pelabuhan, mereka menggunakan
Bahasa Melayu. Semasa menjalankan urusan berkaitan dengan ekonomi dan
perniagaan, dialek melayulah yang paling asas dan ia kemudiannya berkembang
menjadi Bahasa Melayu. Sebutan bahasa Melayu adalah mudah sehingga perkataan
pinjaman pun akan diselaraskan dengan pengucapan masyarakat setempat. Bahasa
Melayu merupakan satu bahasa pertuturan yang mula dipertuturkan oleh masyarakat
di kepulauan nusantara terutamanya Tanah Melayu. Setiap pedagang yang datang
ke Melaka mestilah mampu bertutur dalam bahasa Melayu bagi membolehkan
mereka berniaga secara bebas dan mendapat keuntungan optimum.

Bahasa Melayu bukan sahaja dipertuturkan di pelabuhan Melaka dan pelabuhan lain
di Alam Melayu malah ia digunakan di pelabuhan-pelabuhan besar dunia seperti di
Kaherah, Cambay, Ormus dan Venice. Jadi, tidak hairanlah jika bahasa Melayu
boleh didengari di pelabuhan Venice, iaitu sebuah pelabuhan yang sibuk
menghubungkan benua Eropah dan negara-negara di Timur. Berdasarkan catatan
sejarah ini, ia menunjukkan bahawa bahasa Melayu sebenarnya signifikan dalam
urusan perniagaan. Rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga kerana Bahasa
Melayu bukan sahaja masih diguna pakai di peringkat antarabangsa tetapi
menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia. Dengan
jumlah penutur Bahasa Melayu di dunia masa kini yang sudah pun melebihi 300 juta
orang, tidak mustahil ianya mengembalikan semula kegemilangan Bahasa melayu
sebagai ‘lingua franca’.

RANJAU PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Penguasaan besar bahasa Inggeris dalam hal-ehwal ekonomi dan perniagaan hari
ini menyebabkan penulis terpanggil mengajak semua masyarakat Malaysia
mengenang kembali zaman kegemilangan bahasa Melayu satu ketika dahulu. Hari
ini dunia mengangkat bahasa Inggeris sebagai lidah bagi kebanyakan kegiatan
ekonomi dan perniagaan sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa peranan
tersebut pernah dimainkan oleh bahasa Melayu. Berikutan perubahan landskap
ekonomi dan cabaran globalisasi, kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia semakin
kuat dan sedikit sebanyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu. Ia juga
berlaku disebabkan oleh pembudayaan yang mendalam melalui sistem pendidikan,
tempoh penjajahan negara yang panjang, dan penerimaan bidang moden yang
diasaskan oleh Tamadun Barat. Ia semakin memburuk sementelah sektor ekonomi
negara masa kini mula dikuasai oleh orang luar dan bangsa asing. Keadaan ini
akhirnya membawa kepada kekeliruan, konflik dan keraguan dalam kalangan
masyarakat dan pemimpin. Rakyat dilihat perlu menguasai bahasa Inggeris tetapi
dalam masa yang sama bahasa Melayu harus dipertahan dan dimartabatkan.

Meskipun wujud usaha mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam
bidang ekonomi dan perniagaan, masyarakat didapati masih gentar akan
kewibawaan dan keupayaannya, malah ada pihak secara terang-terangan
mempertikaikan usaha murni tersebut. Para pelajar disogokkan dengan pelbagai

70

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

bahan rujukan yang ditulis dalam pelbagai bahasa asing terutamanya bahasa
Inggeris. Keyakinan anak Malaysia terhadap keupayaan bahasa Melayu menjadi
semakin goyah dek pengaruh besar bahasa Inggeris. Sehubungan itu bahasa
Melayu secara beransur-ansur ditolak ke tepi, ditinggalkan dan seolah-olah
dianaktirikan di bumi sendiri. Hal ini adalah sepahit jadam untuk ditelan, lebih-lebih
lagi ia berlaku di negara kelahirannya sendiri.

Realiti menunjukkan tinjauan yang dijalankan oleh MediaCorp dalam tahun 2022
terhadap bahasa-bahasa yang sering digunakan di dunia dengan mengambil kira
bilangan penutur, termasuk penutur asli telah mendapati Bahasa Mandarin
mendahului senarai, dengan hampir 1.1 bilion penutur di merata dunia termasuk
China, Singapura dan Malaysia. Bahasa Inggeris pula, yang mungkin dipercayai
bahasa pengantara paling meluas digunakan dalam kehidupan seharian, menduduki
tangga kedua. Terdapat lebih 980 juta penutur Bahasa Inggeris di serata dunia tetapi
hanya sekitar 370 juta daripada mereka adalah penutur asli. Bahasa kelima yang
paling banyak digunakan di dunia adalah bahasa Arab. Lebih 400 juta orang yang
boleh berbahasa Arab di seluruh pelusuk dunia. Ia juga merupakan bahasa rasmi di
26 buah negara.

Seiring dengan kemajuan dan perkembangan disiplin sains dan teknologi,
penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan bahasa ilmu semakin
menguncup. Perkembangan sains dan teknologi semasa telah meletakkan pelbagai
bahasa asing seperti Jerman, Perancis, Jepun, Cina, Korea dan tidak ketinggalan
bahasa Inggeris di mata dunia. Hal ini berlaku kerana negara-negara tersebut juga
adalah kuasa besar ekonomi dan pengeluar utama bagi pelbagai peralatan sains dan
teknologi, perkakasan serta perisian komputer pada masa kini. Secara umum juga,
bahasa Inggeris menjadi bahasa utama pertuturan dalam ekonomi dan perniagaan
antarabangsa kerana bahasa ini telah difahami dan dikuasai oleh pelbagai pihak
yang terlibat dalam urusan tersebut. Dek kerana Malaysia masih lagi menjadi antara
negara pengguna sains dan teknologi terbesar dunia, mahu tidak mahu kita terpaksa
menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan ekonomi dan perniagaan global.
Natijahnya, semangat cinta akan bahasa ibunda semakin terhakis kerana
masyarakat tidak melihat bahasa Melayu sebagai satu aset penting untuk maju
dalam ekonomi dan perniagaan, sains serta teknologi.

Sungguhpun pelbagai usaha di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah
dijalankan untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu seperti pada zaman
kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu, namun
usaha tersebut hanya menjadi sia-sia sekiranya usaha di peringkat kebangsaan
diperlekeh oleh rakyat Malaysia sendiri. Situasi ini dapat dibuktikan melalui
perbuatan menganaktirikan bahasa Melayu di papan tanda premis-premis
perniagaan. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat juga perkataan bahasa
Melayu digunakan, tetapi tulisannya adalah lebih kecil dan kurang dominan
berbanding dengan perkataan dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, tindakan sesetengah Universiti Awam (UA) mewajibkan urusan
pengajaran dan pembelajaran dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris juga
turut mencabar kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sekali gus
menjadi ranjau kepada agenda memperkasakan dan mendaulatkan bahasa Melayu.
Hal ini disebabkan oleh UA merupakan gedung ilmu sepatutnya menjalankan usaha
yang lebih intensif untuk memantapkan dan memperluaskan pengembangan bahasa
Melayu. Ironinya, universiti-universiti luar negara seperti yang dibincangkan sebelum
ini giat memartabatkan dan memperkembangkan bahasa Melayu melalui
penubuhan-penubuhan Kursi Pengajian Melayu, akan tetapi sambutan UA tempatan

71

Ranjau Kelestarian Bahasa Melayu dalam
Ekonomi dan Perniagaan

adalah sebaliknya. Dalam konteks ini, sepatutnya bahasa Melayu diletakkan
mengatasi bahasa-bahasa lain selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan
Persekutuan. Bahkan menjadi bahasa yang diagungkan oleh segenap lapisan
masyarakat dan institusi-institusi ilmu di Malaysia.
Perkembangan teknologi komunikasi dan multimedia juga merupakan antara ranjau
baharu dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Realiti menunjukkan anak-
anak remaja merupakan pengguna tegar gajet pintar. Anak-anak remaja ini yang
terdiri daripada Generasi Z dan alpha yang seolah-olah dilahirkan kembar bersama
gajet mampu melayan pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, YouTube,
Twitter, WeChat, Snapchat, Facebook Messenger, LINE dan Instagram.
Perkembangan ini membawa kepada penggunaan bahasa khidmat pesanan ringkas
(SMS) dan bahasa kolokial (bahasa percakapan/basahan) yang mengandungi
pelbagai campuran bahasa, antaranya bahasa slanga, dialek dan bahasa pasar yang
tidak terkawal.

KELESTARIAN BAHASA MELAYU

Adakah benar bahasa Melayu tidak boleh dibawa ke tengah, terutamanya dalam
bidang ekonomi dan perniagaan? Adakah benar juga hanya bahasa Inggeris mampu
memajukan bangsa dan negara Malaysia? Jika kita benar-benar sayang akan lidah
rasmi negara kita ini, mempunyai tekad seteguh karang di dasar lautan dan sudi
belajar daripada orang lain, bahasa Melayu tidak mustahil kembali bersinar di
persada antarabangsa khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.
Mengambil contoh rakan-rakan di sebelah timur seperti China, Jepun dan Korea
Selatan, didapati mereka masih berjaya menguasai ekonomi dan perniagaan serta
menghasilkan teknologi inovatif, kreatif serta saintifik melalui bahasa ibunda masing-
masing. Masyarakat negara Jepun juga menggunakan seratus peratus bahasa
Jepun dalam semua bidang termasuk dalam sistem pendidikan mereka. Di Quebec
Kanada pula, bahasa Inggeris telah digantikan dengan bahasa Perancis yang mana
bahasa ini telah dituturkan oleh 130 juta penutur di seluruh dunia. Menyorot hakikat
ini dengan mata hati dan fikiran yang terbuka, maka adalah tidak mustahil
kegemilangan bahasa Melayu boleh dikembalikan dalam ekonomi dan perniagaan.

Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia diharap akan terus berusaha
memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga bagaikan sirih pulang
ke gagang, yang mana Institusi Pendidikan diharap dapat mengembalikan Bahasa
Melayu ke zaman kegemilangannya seperti suatu masa dahulu. Kesedaran ini amat
diperlukan kepada semua barisan kepimpinan tertinggi IPT agar usaha
memartabatkan Bahasa Melayu tidak menjadi sia-sia. Jika kita mampu meletakkan
bahasa Melayu ke tahap tertinggi dalam kehidupan bermakna kita telah membuat
suatu sumbangan yang besar untuk pembangunan diri, masyarakat dan negara. Ini
kerana pembangunan Negara amat berkait rapat dengan sistem pendidikan sama
ada peringkat rendah, menengah dan tinggi.

Sistem pendidikan negara dilihat sebagai agen penting dalam usaha memartabatkan
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia seiring dengan usaha Kerajaan Malaysia
yang menggarap konsep Keluarga Malaysia berdasarkan tiga teras utama iaitu
keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Kesemua teras ini jelas terkandung
dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan menjadi
pemangkin utama mewujudkan perpaduan di negara kita yang terdiri masyarakat
pelbagai kaum. Hubungan antara kaum dan etnik sentiasa menjadi agenda dalam
usaha kerajaan mencapai keharmonian masyarakat dan keamanan negara. Bahasa
Melayu mempunyai potensi atau kelebihan yang banyak untuk dimajukan sebagai
bahasa pembangunan ekonomi negara. Bahasa Melayu bukan sahaja mampu

72

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

menyampaikan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar
sebagai bahasa pernyatuan kaum di Malaysia. Perpaduan ini sekali gus akan
merancakkan lagi sektor ekonomi negara.

Dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris jangan
pula disalah tafsir. Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah untuk
membolehkan penerokaan pelbagai ilmu serta meningkatkan daya saing di peringkat
kebangsaan dan antarabangsa. Tujuan utama ini jauh tersasar apabila kelihatannya
dewasa ini melalui perkembangan teknologi komunikasi digital, masyarakat 5.0,
Industri 4.0 dan persaingan global, menampakkan Bahasa Inggeris dimartabatkan,
manakala Bahasa Melayu beransur-ansur ditolak ke tepi, ditinggalkan dan seolah-
olah dianaktirikan di bumi sendiri.

Bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan hakikatnya akan terpinggir
jika usaha-usaha untuk memartabatkannya tidak dilaksanakan. Bahasa Melayu
seharusnya menjadi bahasa rasmi dalam urusan berkaitan dengan ekonomi dan
perniagaan serta dalam masa yang sama bahasa Inggeris perlu diperkasakan.
Kegemilangan Bahasa Melayu semasa zaman kesultanan Melaka akan diulangi
dalam hal ehwal yang berkait dengan ekonomi dan perniagaan. Peningkatan
martabat bahasa Melayu sebagai teras dalam ekonomi dan perniagaan memerlukan
beberapa strategi dan perencanaan semula dalam beberapa aspek serta pada waktu
yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Antara
strategi yang boleh dilakukan termasuklah:
i. Pindaan dan perluasan peruntukan akta berkaitan yang memberikan cakupan

lebih luas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Pertubuhan, Akta
Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri
Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan. Selain itu, akta yang
sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang Kecil
Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas.
ii. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan
secara berterusan dalam semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat
negara selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta
Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang
terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati
malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan, daripada
pemimpin negara sehingga penjawat awam dan masyarakat.
iii. Meningkatkan penerbitan bahan ilmiah serta rujukan umum berbahasa Melayu
dalam bidang ekonomi dan perniagaan melalui pelbagai media (bercetak dan
elektronik). Usaha ini perlu berterusan agar meminimumkan jurang bahan
rujukan bidang ekonomi dan perniagaan berbahasa Melayu dalam Negara.
iv. Meningkatkan program latihan dan pembangunan dalam organisasi tentang
pentingnya penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan ekonomi dan
perniagaan. Insentif khas perlu diberikan oleh Kerajaan kepada organisasi
yang melaksanakan program latihan yang berunsurkan Bahasa Melayu dalam
urusan hal ehwal ekonomi dan perniagaan.
v. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa
terutamanya bahasa pengiklanan yang digunakan. Usaha ini perlu
dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan
tanggungjawab sebagai ejen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam
penyiaran iklan yang mempromosikan produk atau organisasi perniagaan. Ini
termasuklah papan tanda yang digunakan menandakan wujudnya entiti
perniagaan tersebut. Penguatkuasaan undang-undang perlu diperketatkan
dalam memastikan iklan perniagaan yang disiarkan mematuhi penggunaan
Bahasa Kebangsaan.

73

Ranjau Kelestarian Bahasa Melayu dalam
Ekonomi dan Perniagaan

vi. Proses pembinaan dan pengembangan istilah bahasa Melayu perlu diteruskan
dan ditingkatkan supaya penentangnya tidak dapat menggunakan alasan
vii. bahawa bahasa Melayu tidak sesuai sebagai bahasa ekonomi dan perniagaan
viii. dalam abad ke-21. Kerap kali kita mendengar alasan tidak cukup istilah
dikemukakan apabila mereka mencadangkan menggantikan bahasa Melayu
dengan bahasa Inggeris dalam mengungkap beberapa istilah dalam bidang
ekonomi dan perniagaan. Dewan Bahasa dan Pustaka perlulah memainkan
peranan penting dalam mengemaskini istilah Bahasa Melayu dalam bidang
ekonomi dan perniagaan melalui jaringan dan usahasama pakar-pakar dalam
bidang ekonomi dan perniagaan.
Usaha penterjemahan buku-buku Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dalam
bidang ekonomi dan perniagaan hendaklah ditingkatkan. Peranan Institut
Terjemahan Negara perlu ditambahbaik untuk menentukan bahawa salah satu
daripada kegiatannya meliputi terjemahan bahan-bahan dalam bidang ekonomi
dan perniagaan yang perlu dalam proses membitarakan penggunaan bahasa
Melayu.
Latihan pertuturan dan komunikasi peringkat tinggi harus diajar dan dipelajari
secara profesional. Ia akan menghapuskan sikap rendah diri apabila
mengunakan Bahasa Melayu dalam semua urusan yang berkaitan dengan
ekonomi dan perniagaan.

KESIMPULAN

Bahasa merupakan khazanah bernilai tinggi yang perlu diperkasakan oleh setiap
individu dan bahasa Melayu bukan hak mutlak kaum Melayu tetapi milik masyarakat
majmuk Malaysia. Cabaran globalisasi masa kini telah meninggalkan kesan
mendalam kepada bahasa Melayu. Usaha berterusan perlu digembleng bagi
mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu sebagai lingua franca dan bahasa
ilmu khususnya dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Peningkatan martabat
bahasa Melayu sebagai teras dalam bidang ini memerlukan keazaman yang kuat,
perencanaan semula dalam beberapa aspek dan dalam waktu yang sama
memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Jika kebitaraan
bahasa Melayu tidak diperkasakan, kedudukan bahasa Melayu dalam bidang
ekonomi dan perniagaan di Malaysia akan berterusan tergugat.

Ranjau serta cabaran yang telah diutarakan akan membawa kepada isu
kelestarian Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dalam ekonomi dan
perniagaan. Pemartabatan Bahasa Melayu dalam ekonomi dan perniagaan boleh
diperkasakan apabila penuturnya sendiri membiasakan diri menggunakannya pada
masa-masa tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Penuturnyalah yang menentukan
sama ada bahasa itu mahu digunakan di pasar ikan dan peniaga di kaki lima sahaja
atau sebenarnya mahu digunakan sehingga di gedung-gedung membeli belah
terkemuka, di hotel-hotel murah sehingga hotel enam bintang, dalam mesyuarat,
persidangan peringkat kebangsaan sahaja atau sehingga ke peringkat
antarabangsa, perniagaan runcit sahaja atau juga dalam urusan perbankan dan
perdagangan luar negara. Kesemuanya memerlukan anjakan paradigma setiap
individu bahawa Bahasa Melayu mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan
ekonomi dan perniagaan.

BIBLIOGRAFI
Abdullah Hassan, 1987. Isu-Isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan Bahasa

Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

74

Simposium Pengantarabangsan Bahasa Melayu
22-24 Mei 2022/Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Asmah Haji Omar, 1984. Pengajaran Bahasa Malaysia dalam Konteks Perancangan
Bahasa Kebangsaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan, 2000. Warna dan Suasana: Perancangan Bahasa Melayu di
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Collins, J. T., 1999. Malay Language. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
Ibrahim Majdi Mohamad Kamil & Maliati Mohamad, 2020. Cabaran Pemerkasaan

Bahasa Melayu dalam Usaha Mencapai Negara Bangsa di Malaysia. Asian
People Journal 3(2): 181-91.
Nik Safiah Karim, Farid, M. Onn, Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood, 2008.
Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sharifah Darmia Sharif Adam, 2019. Peranan dan Cabaran Bahasa Kebangsaan
dalam Menyatukan Pelbagai Etnik di Sabah. Malaysian Journal of Social Sciences
and Humanities 4(4): 1-11.
Siti Nor Azhani Mohd Tohar, Adlina Ab Halim & Ku Hasnita Ku Samsu, 2017.
Pengukuran Tahap Pemartabatan Bahasa Kebangsaan dalam Kalangan
Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi. Gema Online Journal of Language Studies
17(2): 105-22.
Zafir Mohd Makhbul & Fazilah Mohamad Hasun, 2020. Mengurus Insan: Ibrah
Peribahasa Melayu. Bangi: Penerbit UKM.

75


Click to View FlipBook Version