Koleksi Tulisan
Ahmat Adam 2
Animisme
Animisme ialah doktrin mengenai makhluk rohaniah (spiritual beings) yang wujud
dalam intipati falsafah Kerohanian, yang bertentangan dengan falsafah Kebendaan.
Seperti yang dihujahkan oleh Edward B. Tylor (Primitive Culture, 1871), ilmuan yang
mula-mula menggunakan istilah ini dan juga memperkenalkannya sebagai suatu
doktrin kepercayaan, teori animisme terbahagi kepada dua dogma, iaitu pertama
mengenai roh makhluk individu yang boleh terus menerus wujud selepas matinya,
ataupun binasanya tubuh badan; dan yang kedua mengenai lain-lain makhluk
halus. Makhluk halus dipercayai memberi kesan ataupun mengawal kejadian yang
berlaku dalam dunia material dan kehidupan manusia semasa hayatnya dan
selepas kematian.
Dalam kalangan bangsa-bangsa di Nusantara roh dan makhluk halus ini dinamakan
“Semangat”. Ia boleh menyebabkan penyakit, mendatangkan kejahatan, dan juga
boleh membawa kebaikan. Justeru itu semangat yang baik itu perlu dipuja, dan
yang jahat itu perlu dilawan dengan berbagai cara. Ia wujud atau hadir pada setiap
benda; contohnya: batu, gunung, sungai, pokok, padi, gelanggang, kawasan lapang,
rumah, kepala, rambut, gigi, pakaian, alat senjata, alat musik (seperti gamelan),
wayang kulit, dan lain-lain lagi. Semangat juga menjadi penghuni tubuh setiap
orang. Pada peribadi setiap individu nama seseorang adalah salah satu yang sangat
penting dijaga daripada ditulari oleh semangat atau roh yang jahat. Sebab itulah
wujudnya pantangan menyebut nama (name taboo). Bangsa-bangsa di Nusantara
pada zaman purba juga sangat prihatin pada nama.
Bagi masyarkat Melayu, jika nama anak yang diberi pada waktu kelahirannya tidak
sesuai (seperti selalu sakit, atau nakalnya luarbiasa) maka ia perlu digantikan
dengan nama lain. Nama seseorang pun boleh disihir oleh musuhnya. Seorang
jejaka yang ingin memiliki seorang gadis pun boleh memuja roh gadis itu jika
namanya diketahui. Justeru demikian nama panglima besar perlu dirahsiakan pada
zaman tradisiional. Yang boleh disebut hanyalah nama gelarnya, seperti “Datuk
Panjang”, “Orang Kaya Sogo” “Datuk Maharaja Lela”, “Datuk Panglima Bukit
Gantang”. “Seri Bija Diraja” dan lain-lain.
Walaupun bangsa-bangsa di Nusantara telah memeluk agama Hindu, Buddha,
Islam dan Keristen, namun dari segi sejarahnya pengaruh animisme telah berbaur
dengan agama-agama yang datang kemudian. Ini terpancar dalam tingkah laku dan
amalan kebiasaan atau adat sesuatu masyarakat. Animisme atau kepercayaan
terhadap semangat perlu difahami dengan jelas apabila orang membicarakan hal-
hal yang berkaitan dengan budaya, kesenian, sistem kepercayaan, adat pantang
larang, dan sistem nilai dalam kalangan masyarakat-masyarakat di Nusantara.
Pembinaan Nasion Malaysia: Sudah kita berjaya?
Seperti diketahui, terdapat sebahagian rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang
menganggap bahawa dua negeri tersebut tidak seharusnya merayakan hari ulang
tahun kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Tanggapan ini justeru kerana mereka ini
melihat bahawa sebagai sebuah nasion, MALAYSIA hanya wujud apabila ia
ditubuhkan pada 16 September 1963.
Pandangan sebegini memang dikongsi oleh ramai penduduk Sabah dan Sarawak
kerana ada benarnya bahawa pada tahun 1957 yang merdeka ialah Malaya atau
Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi jika saudara-saudari berpeluang membaca fail-
fail “colonial office” untuk tempoh 1942 - 1957 anda tidak boleh tidak akan sedar
betapa licik dan pintarnya British merancang secara politik pembinaan nasion yang
pada hari ini disebut ‘Malaysia’.
Sejak Jepun masih menduduki Malaya dan wilayah-wilayah Borneo lagi, British
pada awal tahun 1943 telah merancang tentang apa yang mereka akan lakukan.
Mereka merancang Malayan Union (tanpa Singapura) yang bererti penjajahan
Tanah Melayu secara langsung oleh Raja Inggeris. Pada tahun 1943 juga telah
dirancang pengambilan Sabah daripada Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan
negeri Sarawak daripada keluarga Brooke. Bahkan mereka juga merancang untuk
Brunei supaya pemerintahan Brunei tidak di bawah sultan yang autocratic.
Kesemua wilayah British di Asia Tenggara: iaitu Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak
dan Brunei hendak diletakkan di bawah kedaulatan Raja British secara langsung.
Mereka juga menyebut tentang “greater Malaya” (CO 1022/61 no 22) . Konsep
“Greater Malaya” atau Malaysia yang bermaksud gabungan antara Malaya,
Singapura dan wilayah-wilayah Borneo, telah menjadi semacam projek peribadi
Malcolm MacDonald sejak dia dilantik sebagai “Commissioner-General” bagi
wilayah British di Asia Tenggara dari 1948 hingga 1955. Dialah yang telah
berperanan mengemukakan gagasan kepada Pejabat Kolonial di London tentang
kemungkinan membentuk satu unit berpemerintahan-sendiri yang
menggabungkan Singapura, Persekutuan Tanah Melayu dan wilayah-wilayah
Borneo. Langkah permulaan MacDonald ialah dengan mengundang wakil-wakil dari
wilayah-wilayah Borneo dan Persekutuan hadir pada majlis pengangkatan John
Nicoll sebagai Gabenor Singapura pada April 1952 dan ke mesyuarat parlimen
komanwel tempatan. MacDonald sangat komited dalam usahanya untuk
mewujudkan penggabungan Malaya, Singapura dan wilayah-wilayah Borneo dalam
sebuah “Dominion of Southeast Asian States”. Dia mendapat sokongan daripada
C.C. Tan pengasas Parti Progresif di Singapura dan juga Dato’ Onn Jaafar, pemimpin
Independence of Malaya Party (Parti Kemerdekaan Malaya).
Pada tahun yang sama (1952), Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi Malaya pada
waktu itu, pun telah membangkitkan konsep “Southeast-Asia Dominion” ini. J. J.
Paskin, Setiausaha Rendah Negara di London menyatakan bahawa sejak 1945
memang menjadi dasar Colonial Office untuk mewujudkan “closer association
between (a) the Federation and Singapore and (b) the three Borneo territories; and
that there was ‘hope’ that there would ultimately be a union of the Malayan and
the Borneo territories.
British memang mahu mewujudkan pada akhirnya sebuah konfederasi seperti
kewujudan Malaysia sekarang ini kerana British bimbang kalau-kalau wilayah-
wilayah Borneo akan diambil alih oleh Indonesia. Kata J D Higham, Penolong
Setiausaha di Pejabat Kolonial dan Ketua bahagian Asia Tenggara, “I can see little
future for a self-governing Sarawak or North Borneo or even for a self-governing
Colony of British Borneo plus Brunei.’ Dia menganjurkan supaya segala usaha dibuat
untuk memajukan idea pembentukan sebuah “British Southeast Asia Dominion”.
Pegawai-pegawai di Pejabat Kolonial juga insaf pergabungan antara Malaya dan
Singapura sahaja tak mungkin akan mendapat sokongan orang Melayu. Mereka
tahu bahawa lebih mudah orang Melayu menerima penggabungan Persekutuan
dengan wilayah2 Borneo dan Singapura.
Gagasan bagi mewujudkan sebuah “Southeast Asia Dominion” juga kerana
didorong oleh kepentingan strategi British. Dan gagasan ini terus didukung hingga
ke tahun 1953. Tetapi lantaran Malaya dan Singapura pada tahun-tahun 1950 sibuk
dengan pilihanraya masing-masing maka gagasan itu terbantut buat seketika.
Pada tahun 1953 sebuah memorandum untuk perancangan bersama staf di
Kementerian Pertahanan British menyatakan bahawa memang diharapkan
penggabungan wilayah-wilayah Borneo dan kemudiannya diwujudkan “some form
of political association” antara wilayah-wilayah Malaya dan Borneo. Dijangkakan
dalam tempoh lapan ke sepuluh tahun, sebuah kerajaan Malaya atau gabungan
kerajaan Malaya bersama wilayah-wilayah Borneo akan menjadi kenyataan.
Tujuan Brritish: Integrasi Wilayah demi Keselamatan Serantaunya
Saya menyebutkan peranan British dalam pembentukan Malaysia seperti yang
telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman ini kerana kita harus menyedari
bahawa walaupun Malaysia tidak terbentuk pada 31 Ogos 1957 namun cita-cita itu
sudah wujud jauh sebelum itu. Perbincangan dan perundingan yang berlaku
selepas tahun 1961 apabila Tunku menyuarakan kembali idea MacDonald itu
hanyalah berupa prosedur sahaja. Konsep Malaysia itu memang sudah difikirkan
British. Kemasukan Sabah dan Sarawak dan juga Brunei memang diberi perhatian.
Tetapi diplomasi British yang halus tidak pernah menampilkan paksaan. Itulah
sebabnya Brunei akhirnya tidak jadi masuk Malaysia, sekalipun dipujuk. Kerangka
perlembagaan Persekutuan yang memang disediakan oleh British sejak tahun 1948
itu memudahkan perluasan keanggotaannya. Ini bererti Persekutuan yang bakal
dibentuk itu boleh saja menerima ahli-ahli baru yang ingin berada di dalamnya.
Sudahkah lahir Integrasi Wilayah Nasional Malaysia?
Sehingga kini masih timbul suara-suara yang menentang perayaan Hari Ulang
Tahun kemerdekaan pada 31 Ogos atas alasan apabila Malaysia dibentuk,
Persekutuan Tanah Melayu telah bubar. Memang benar, tetapi kerangka politik
yang disediakan oleh British itu merupakan satu idea. Idea kemerdekaan itu
menjadi nyata pada 31 Ogos 1957. Masuk atau keluarnya mana-mana anggota ke
dalam atau dari kerangka Persekutuan itu boleh saja berlaku. Ibarat sebuah
keluarga yang telah sedia wujud, kelahiran anak-anak atau kehilangan seorang
anak adalah perkara yang biasa berlaku kepada mana-mana keluarga.
Perbalahan atau perbantahan untuk menafikan kemerdekaan Malaysia pada 31
Ogos 1957 sebagai sebuah negara, atau keluarga awal atau keluarga induk, hanya
membuang masa saja. Amerika Syarikat boleh saja menerima anggota-anggota
baru selepas 1776 --- tarikh kemerdekaannya.
Yang lebih penting bagi orang Sabah, Sarawak, atau orang Melaka atau orang
Terengganu ialah menghayati dirinya sebagai orang Malaysia. Harus difikirkan
nasib kita sebagai sebuah nasion bukan hal-hal parokial yang sempit. Yang penting
bagi kita ialah erti kemerdekaan itu, bukan sebagai orang Sabah tetapi sebagai
rakyat Malaysia. Yang harus kita persoalkan ialah: apakah negara kita sudah wujud
sebagai negara yang berwibawa dalam menghadapi cabaran dan tantangan
bernegara, yakni pembinaan nasion?
Apakah sudah terjamin hidup kita sebagai rakyat sebuah negara yang menegakkan
hukum-hukum asas – yakni:
- bebas daripada kemiskinan dan kelaparan?
- bebas daripada belenggu rasuah yang merosakkan negara?
- bebas daripada ketidakadilan undang-undang?
- bebas daripada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa?
Kebebasan yang kita mahukan ini adalah juga kebebasan yang diperjuangkan oleh
semua rakyat Malaysia. Masyarakat Madani atau CIVIL SOCIETY yang ingin kita bina
tidak terkecuali kepada Sabah dan Sarawak sahaja.
Di negeri-negeri lain pun masalah menegakkan masyarakat madani ini sering di
kelabui oleh isu-isu yang boleh menambahkan polarisasi kaum.
Ada persepsi bahawa Malaysia hanyalah untuk satu-satu kaum sahaja. Ada persepsi
bahawa kaum-kaum tertentu tidak menunjukkan kesetiaan kepada raja, negara,
bahkan lagu kebangsaan. Ada persepsi juga bahawa kaum-kaum tertentu tidak
cekap berbahasa Malaysia, bahkan kelihatannya memperlecehkan bahasa
kebangsaan dan meremehkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat
berbilang kaum. Pokoknya, sesudah hampir 60 tahun usia pembinaan nasion
dijalankan masih ramai rakyat yang tidak boleh bercakap dalam bahasa kebangsaan
dengan baik.
Sesudah lebih setengah abad Malaysia terbentuk dan hampir 60 tahun
kemerdekaan diraih, nampaknya sistem sekolah kebangsaan tidak berjaya
meningkatkan kualiti pelajaran dan mempertahankan polarisasi kaum. Apakah ini
tidak melibatkan semua orang Malaysia - bukan Sabah dan Sarawak sahaja?
Soalnya sekarang: Bukan saja dipertanyakan di manakah Sabah dan Sarawak masa
kini, tetapi yang lebih utama: Di manakah kita sebagai sebuah nasion?
Dan bagaimanakah nanti masa depan kita yang semakin tertekan oleh polarisasi
kaum dan budaya korupsi?
Sabah dan Sarawak memiliki kekayaan alam semula jadinya yang tak ternilai. Kedua
negeri itu juga boleh berbangga dengan kehadiran suku-suku kaum peribuminya.
Tetapi POLARISASI KAUM kelihatannya lebih mencolok di Semenanjung berbanding
Sabah dan Sarawak. SABAH dan Sarawak boleh berbangga tentang hal ini.
TOLERANSI dalam masyarakat majmuk perlu diserapkan sebagai sebahagian
daripada doktrin kita bernegara.
Memang kemiskinan di Sabah dan Sarawak masa kini adalah sesuatu yang perlu
ditangani tetapi ia harus dilihat sebagai masalah nasional.
Namun, senjata yang paling ampuh untuk membasmi kemiskinan ialah pendidikan.
Peningkatan mutu pendidikan bergantung kepada kesedaran masyarakat.
Alangkah baiknya jika para jutawan di Malaysia ini sensitif terhadap masalah ini dan
cuba memberikan sumbangan masing-masing dalam bidang pendidikan.
Kualiti sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan perlu diberikan tumpuan
khusus oleh pemerintah pusat dan negeri kerana masa depan negara sangat
ditentukan oleh kualiti pendidikan. Betapapun juga, untuk menghadapai masa
hadapan, yang perlu ditanyakan ialah: Apakah kita sudah boleh berbangga sebagai
bangsa Malaysia yang bersatu? Apakah kita boleh berbangga dengan kualiti
pendidikan yang diterima oleh anak-anak kita di sekolah, maktab dan universiti?
TARIKH PENGASASAN MELAKA
Oleh Ahmat Adam
Menurut berita yang disampaikan kepada saya, pihak-pihak yang mempertahankan
dan ingin merasmikan tarikh 1262 sebagai tarikh pengasasan kerajaan Melaka kini
sedang melobi agar Kementerian Pendidikan mengarahkan supaya tarikh “ciptaan”
beberapa orang yang mengaku “sejarawan” itu dimasukkan ke dalam buku teks
Sejarah untuk kegunaan di sekolah-sekolah. Walaupun berita ini belum dapat
dipastikan kesahihannya, namun sebagai seorang yang belajar, menyelidik dan
menulis Sejarah Tanahair dan wilayah Nusantara, saya pun bimbang jika fantasi
mereka yang mahukan tarikh 1262 diterima sebagai tarikh pengasasan negeri
Melaka itu akan mempengaruhi pembuat kurikulum Sejarah Malaysia – kerana
maklum sahajalah, di negara ini “political pressure” boleh mengubah sesuatu
keadaan tanpa mempedulikan prinsip kebenaran.
Pemilihan 1262 sebagai tarikh penubuhan dan pengasasan kerajaan Melayu
Melaka telah diputuskan oleh satu pasukan “sarjana” yang mendakwa diri mereka
sebagai penyelidik yang sebenarnya telah dilantik oleh kerajaan negeri Melaka
menerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Pada 31 Mei
2010 mereka yang merupakan penyelidik upahan itu telah mengadakan “Seminar
Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka” yang dianjurkan oleh IKSEP dengan
dihadiri oleh beberapa orang “sarjana” dari Universiti tempatan.
Asas mereka yang bertegang merih hendak mempertahankan tarikh yang tidak
belandaskan bukti sejarah tu ialah bahawa jika dihitung masa pemerintahan
seseorang raja Melaka dengan bermula daripada tarikh penggulingan Sultan
terakhir di Melaka iaitu Mahmud Syah, oleh Portugis pada bulan Ogos 1511, dan
pengiraan usia tiap-tiap raja itu diundurkan ke belakang (kepada raja yang
pertama) maka mereka kononnya mendapati tarikh 1262 itulah tarikh pengasasan
kerajaan Melaka. Argumentasi yang dikemukakan oleh mereka yang membuat
andaian ini ialah bahawa sumber “Sejarah Melayu” perlu dijadikan satu-satunya
sumber primer utntuk menentukan tarikh pengasasan kerajaan Melaka.
Tetapi “Sejarah Melayu” mempunyai banyak versi. Setakat yang diketahui terdapat
tidak kurang daripada 44 naskhah (manuskrip) hikayat Melayu ini tetapi yang masih
ada tersimpan di beberapa perpustakaan seluruh dunia ialah 33 buah manuskrip
sahaja. Dalam pada itu ada di antaranya yang lengkap penceritaannya dan ada yang
tidak. Kesemua manuskrip ini hanyalah berupa salinan sahaja dan manuskrip
aslinya tidak pernah ditemui. Bahkan Manuskrip Raffles No. 18 yang tersimpan di
London itu pun hanya berupa salinan yang dibuat oleh penyalin yang tidak
diketahui namanya sekitar awal abad ke-19. Stamford Raffles, sebagai seorang yang
berminat mengumpulkan manuskrip-manuskrip Melayu telahpun menghubungi
pembesar kerajaan Siak agar mengirimkan kepadanya naskhah “Sejarah Melayu”.
Dan pada 19 Disember 1810 Datuk Seri Pikrama Raja iaitu Wazir Sultan Siak pun
menghantar surat kepada Raffles dengan menyatakan bahawa senaskhah “Sejarah
Melayu” ada dikirim melalui seorang India (mungkin Peranakan) bernama Ibrahim
Kandu.
Antara naskhah-naskhah “Sejarah Melayu” itu ada dua versi yang popular dan
dikenali orang; pertama ialah naskhah yang dinamakan Manuskrip Raffles 18, yang
menurut pendapat ramai sarjana ia disalin pada sekitar pertengahan 1612. Kedua
ialah versi yang lebih terkemudian, yang disalin dan dikenali sebagai versi
Shellabear atau versi yang disalin oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Satu lagi
versi ialah naskhah yang sampai kini tersimpan di St. Petersburg, Russia. Ia telah
disalin di Melaka pada tahun 1798. Sebuah resensi mengenainya telahpun saya
terbitkan pada tahun 2016 yang lalu.
Dalam membuat agakan tarikh pembukaan Melaka beberapa orang yang dibayar
oleh pihak berkuasa negeri Melaka itu telah menggunakan naskhah “Sejarah
Melayu”, MS. Raffles No. 18. Pemilihan ini dibuat barangkali kerana hanya dalam
versi ini sahajalah terdapat catatan tempoh masa pemerintahan Raja Iskandar Syah
(20 tahun), Sultan Megat (2 tahun), Sultan Muhammad Syah (57 tahun), Sultan
Muzaffar Syah (40 tahun), Sultan Mansur Syah (73 tahun), Sultan Alauddin Ri’ayat
Syah (33 tahun), dan Sultan Mahmud Syah (30 tahun). Oleh kerana mereka yang
mendakwa negeri Melaka diasaskan pada 1262 itu tidak meragui langsung tentang
kesahihan maklumat dalam kitab “Sejarah Melayu”, yang diangap oleh mereka
sebagai “buku sejarah yang sahih”, maka mereka pun secara enteng dan dengan
naifnya telah cuba menerka tarikh pembukaan negeri Melaka dengan cara
menghitung ke belakang usia raja-raja yang namanya disebut di dalam hikayat
Melayu itu. Suatu hal yang mereka abaikan ialah dalam penyelidikan sejarah
apabila terdapat konflik atau perselisihan mengenai satu-satu maklumat maka
penyelidikan yang lebih tuntas perlu dibuat. Selain itu yang lebih penting, prinsip
memepersoalkan kesahihan sesuatu sumber perlu dipakai oleh seorang sejarawan
yang berkredibiliti. Menurut Prof. Datuk Abdullah Zakaria Ghazali (seperti yang
dilaporkan oleh Utusan Online, 16 Mac 2016),
“Dengan melihat tempoh setiap tahun raja memerintah sehinggalah diserang dan
ditakluk Portugis, maka jumlah tahun pemerintahan raja-raja Melaka adalah 256.5
tahun, berdasarkan tahun bulan (kamariah).” Katanya lagi, “Memandangkan
jumlah itu mengikut tahun bulan [lunar], maka ia perlu ditukar ke tahun matahari
(syamsiah) terlebih dahulu sebelum ditolak dengan tahun 1511 (penaklukan
Portugis). Setelah ditukar [dengan] menggunakan kaedah pengiraan, jumlah tahun
pemerintahan Kesultanan Melaka adalah selama 248.7 tahun (dalam tahun
matahari). Seterusnya, tahun 1511 ditolak dengan 248.7, kita akan memperolehi
1262 sebagai tahun pengasasan kerajaan Melaka.” Demikian hujahnya. Untuk
menjadikan hal ini lebih celaru lagi, Ketua Menteri Melaka pada masa tarikh ini
diusulkan, telah berkata, “Keputusan [menetapkan tahun 1262 sebagai tarikh
sebenar penubuhan kerajan Melaka] “adalah muktamad”. Demikianlah kata
seorang politikus (Utusan Online, 1 Jun 2010).
Prof. Datuk Abdullah juga cuba menegaskan tanpa rasa kritis sedikitpun terhadap
kesahihan sumbernya; misalnya, layakkah “Sejarah Melayu” itu dijadikan sumber
sejarah pengasasan kerajaan Melaka? Bahkan dia mengkritik pula pendekatan yang
digunakan oleh O. W. Wolters (lihat The Fall of Srivijaya in Malay History) dalam
mempersoalkan niat terselindung ataupun “kebijaksanaan” pengarang “Sejarah
Melayu” mengabaikan kesinambungan pemerintahan Parameswara yang bermula
di Palembang dan kemudian di Singapura dan selepas itu disambung di Melaka.
Bahkan Prof. Abdullah juga menuduh: “Wolters juga menyatakan ahli salasilah
[maksudnya pengarang “Sejarah Melayu”] tidak memasukkan pemerintah Raja
Iskandar di Palembang kerana tujuan ahli salasilah adalah untuk menggantikan
sejarah Sumatera dengan ‘Sejarah Singapura’”.
Wolters juga dikatakannya cuba “untuk memulakan titik pencarian tahun
pengasasan Melaka bermula dari Jawa. Profesor ini pun menuduh Wolters cuba
menghubungkan Parameswara dengan Majapahit dengan mengaitkannya dengan
kacau bilau selepas kematian Hayam Wuruk pada tahun 1389. Tanpa memahami
sejarah gugatan Palembang oleh Majapahit, yang melibatkan Parameswara, jelas
professor ini tidak melihat sesuatu peristiwa sejarah dalam gambaran yang lebih
lebar.
Bayangkanlah betapa kesalahan pemahaman Prof. Datuk Abdullah Zakaria
terhadap analisis Wolters seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online (1 Jun 2010;
dan 19 Mac 2016), boleh menyebabkan kualiti seorang profesor Malaysia
dipersoalkan. Pertama, Profesor Datuk ini tidak faham akan analisis dan
argumentasi Wolters mengenai muslihat penulis “Sejarah Melayu” untuk
menunjukkan tempoh dua tahun masa Parameswara melarikan dirinya dari
Singapura ke Melaka itu adalah juga masa yang dianggap masa dia masih lagi
menjadi raja berdaulat dan justeru kerana itu ia telah menggabungkan tempoh
pelarian itu ke dalam masa 20 tahun di Melaka itu. Juga pengarang “Sejarah
Melayu” ingin menggabungkan tempoh masa 6 tahun Iskandar [Parameswara]
memerintah Singapura dengan 14 tahun di Melaka, dengan menjadikannya 20
tahun. Sesungguhnya berdasarkan bukti yang ada, pemerintahan Parameswara di
Melaka hanyalah 14 tahun sahaja. Wolters juga mentafsir bahawa pengarang
“Sejarah Melayu” itu tidak mahu menunjukkan bahawa pengganti-pengagantinya
(raja Melaka yang terkemudian) adalah berasal daripada keturunan orang yang
kalah yang melarikan diri dari Palembang.
Saya hairan mengapa petunjuk yang telah diberikan oleh Wolters agar sumber Cina,
“Ming Shi-lu” dirujuk untuk menulis sejarah Melaka yang lebih sahih. Jika sumber
“Ming Shi-lu” dirujuk maka tidak akan timbul rumusan karut yang mengangkat
tarikh 1262 itu sebagai tarikh pengasasan Melaka. Tetapi sayang sekali sumber ini
tidak dirujuk. Apakah mungkin lanataran sumber ini diterjemah dalam bahasa
Inggeris maka setengah-sentengah mereka yang bergelar “sarjana” atau
“professor” itu tidak membacanya? Rugilah mereka yang menganggap diri mereka
“pakar sejarah” sekiranya tidak ada naluri ingin tahu untuk membaca sumber China
ini.
Sebagai contoh, pada 4 Ogos 1411, Bai-li-mi-su-la [Parameswara], raja negeri
Melaka, dilaporkan akan mengadap di bailrung raja China. Sida-sida Hai Shou dan
juga Huang Shang seorang pengarah Kementerian Upacara, telah diarahkan
menyertai majlis jamuan untuknya (Geoff Wade,
http:epress.nus.edu.sg/msl/entry/1787). Satu lagi maklumat yang menarik ialah
pada 28 Oktober 1403 Sida-sida Yin Qing telah dihantar ke negeri Melaka dan
Cochin untuk membawa pengisytiharan diraja (China) bagi instruksi kepada raja-
raja negeri itu untuk dianugerahkan tabir kasa daripada sutera berhiaskan kelip-
kelip emas. Turut dikirim ialah beberapa kaki payung serta dengan kain sutera halus
beraneka corak dan juga kain sutera beraneka warna (Ming Shi-lu: Yong-le, Tahun
1, Bulan 10, Hari 13). .
Usia pemerintahan Parameswara [Iskandar Syah] yang disebut 20 tahun dalam
“Sejarah Melayu” MS. Raffles No. 18 itu adalah bukan usia yang sebenar seperti
telah disebutkan oleh Wolters. Ini terbukti daripada sumber Ming Shi-lu yang
melaporkan pada 5 Oktober 1414 tentang kunjungan Mu-gan Sa-yu(gan)-dier-Sha
[Megat Iskandar Syah] iaitu anak raja Melaka yang datang mengadap Raja China
untuk memberitahu bahawa bapanya Bai-li-mi-su-la [Parameswara] telah mangkat.
Bahkan usia pemerintahan Sultan Alauddin Ri’ayat Syah yang hanya memerintah
selama empat tahun sahaja (berdasarkan sumber warkah Melaka kepada raja
Ryukyu, tahun 1480 dan 1481) dan bukan 33 tahun (seperti yang disebutkan oleh
“Sejarah Melayu” naskhah Raffles 18) adalah bukti nyata bahawa sumber “Sejarah
Melayu” (walau dari versi apa pun) tidak boleh digunakan sebagai sumber Sejarah
Melaka.
Pendek kata, jika ada niat pihak yang memperjuangkan tarikh 1262 sebagai tahun
pengasasan Melaka – lupakan saja. Janganlah membohongi sejarah! Bangsa yang
dihormati ialah bangsa yang menulis sejarah berasaskan KEBENARAN.
Menelusuri pantai Zaman: Penaklukan Melaka oleh Portugis, Tahun 1511
(Sedikit perubahan telah dibuat terhadap rencana yang pernah diterbitkan di dalam
majalah Dewan Budaya 2013. Untuk kepentingan pelajar dan pencinta sejarah di
fb, penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada pihak DBP)
Oleh Ahmat Adam
Makalah ini bertujuan untuk mengajak pembaca merenung kembali sebuah
peristiwa penting dalam sejarah tanahair. Walaupun tulisan ini didasarkan pada
sumber kontemporari dan sekunder Portugis, tetapi dengan tujuan untuk
mengimbangi maklumatnya “Sulalatu's-Salatin” atau “Sejarah Melayu” telah juga
digunakan sebaik mungkin agar dapat mencerminkan pandangan pengarangnya
terhadap peristiwa malang yang menimpa kesultanan Melaka yang masyhur itu.
Afonso Dalboquerque tiba di Pelabuhan Melaka
Pada 1 Julai 1511 armada Portugis yang terdiri daripada 18 buah kapal, tiga
daripadanya berupa ghali panjang, yang memuatkan 1,400 orang soldadu (iaitu 800
orang Portugis dan 600 Malabari) telah berlabuh di pelabuhan Melaka. Angkatan
laut yang diketuai Kapten-Jeneral Afonso Dalboquerque mula-mulanya
melabuhkan sauh berhampiran dengan sebuah pulau kecil di perairan Melaka.
Melihat betapa banyak kapal, jong, banting (kapal bertiang dua), sampan dan
perahu yang berjenis-jenis yang sarat dengan muatan dagangnya beralabuh
disepanjang pantainya, Afonso Dalboquerque amat terkesan dengan
kemakmurannya pelabuhan Melaka dan bandarnya yang tersergam besar.
Walaupun hampir semua rumah-rumahnya dibina daripada kayu tetapi terdapat
juga bangunan-bangunan yang menampilkan seni bina yang indah, disertai
penduduknya yang ramai yang tinggal di kawasan datar dan tinggi.
Kendatipun pada mulanya hasrat Afonso Dalboquerque hanyalah untuk membalas
dendam terhadap Sultan Melaka, kerana merasakan bangsa Portugis telah
dimalukan oleh Sultan Mahmud Syah dalam peristiwa Diogo Lopez de Sequeira
pada tahun 1509, tetapi apabila melihat betapa Melaka mempunyai kekayaan yang
luar biasa, dan kedudukannya yang sesuai sebagai bandar perdagangan, dan
menyaksikan pula dengan matanya sendiri akan kehebatan Melaka sebagai kota
pelabuhan, maka tidaklah menghairankan jika Afonso Dalboquerque sesungguhnya
telah terpukau, dan pada hati kecilnya memang terselit niat untuk menakluki negeri
Melayu yang kaya-raya itu.
Kali pertama Melaka dikunjungi Portugis
Hampir dua tahun sebelum Dalboquerque datang dengan angkatan perangnya itu,
Melaka telahpun didatangi pada 1 Ogos 1509 oleh angkatan kapal dagang Portugis
yang diketuai oleh Diogo Lopez de Sequeira. Ekspedisi yang terdiri daripada lima
buah kapal itu telah menggemparkan rakyat dan pembesar Melaka serta kaum
pedagang di pelabuhan Melaka apabila ia menunjukkan kehadirannya dengan
melepaskan bedilan meriam. Walaupun ketika ia baru tiba Kapten Diogo Lopez de
Sequeira telah diangkat anak oleh Bendahara Seri Maharaja, namun pembesar
Melaka sejak mula lagi telah menjadi gusar dengan cara biadab yang ditunjukkan
oleh utusan de Sequeira yang bernama Hierom Teixera, yang secara kasar dan
tanpa beradat telah menyerahkan surat bertulisan Arab daripada Raja Portugal,
Emanuel, kepada seorang raja Melayu. Para bangsawan Melaka juga gempar
dengan perbuatan tidak beradab Teixera yang “mengenakan rantai emas
berpermata pada leher Bendahara Seri Maharaja”, seperti yang telah dilukiskan
oleh pengarang Sejarah Melayu (Sulalatu's-Salatin naskhah Krusenstern, 1798:171:
2 ).
Sekalipun orang Portugis telah menunjukkan sikap “tiada tahu bahasa” yang
sedemikian rupa, namun kedatangan angkatan Portugis untuk berdagang itu
diterima juga oleh Sultan Mahmud Syah. Diogo Lopez de Sequeira diizinkan
menggunakan bangsal di pelabuhan untuk tujuan berdagang. Bendahara Tun
Mutahir pun memberikan galakan sehingga termeterai perjanjian untuk menjalin
hubungan dagang dengan para pedagang dari Portugal. Tetapi entah mengapa,
perjanjian itu tidak terlaksana. Perhubungan antara de Sequeira dan rakan-
rakannya dengan para pembesar Melaka pun segera memburuk. Syak wasangka
orang Melayu terhadap orang Portugis itu beransur-ansur membawa kepada
perseteruan.
Sumber Portugis mendakwa kapal-kapal Diogo Lopez de Sequeira telah diserang
oleh banting-banting (perahu bertiang dua) orang Melaka. Tetapi sumber Sejarah
Melayu menyatakan pihak Potugis telah menggunakan meriamnya untuk
membedil ke arah pantai dan mengakibatkan kematian beberapa orang rakyat
Sultan. Sebagai kesan daripada itu, sekitar dua puluh orang Portugis yang diketuai
oleh Rui de Araujo, yang serba lengkap dengan senjata masing-masing, telah
ditangkap dan dibawa ke daratan untuk ditahan. Melihat betapa rakan-rakannya
telah ditawan, Diogo Lopez de Sequeira dan orang-orang Portugis selebihnya pun
membongkar sauh kapal-kapal mereka dan lantas meninggalkan Melaka. Pada
mata orang Portugis itu tindakan kesultanan Melaka terhadap Portugis jelas
menunjukkan bahawa pembesar-pembesar Melaka sebenarnya tidak berminat
untuk berdagang dengan mereka. Namun di sebalik itu, tentulah ada sesuatu yang
tidak disenangi oleh Bendahara Seri Maharaja dan orang Islam di Melaka terhadap
gelagat orang putih yang datang itu yang menyebabkan Diogo Lopez de Sequeira
dan teman-temannya tidak disukai, pada hal kehadiran pedagang-pedagang asing
yang lain seperti dari India, Cina, Pegu, Arab dan Parsi sangat dialu-alukan oleh
Melaka.
Utimutiraja [Sri Utama Raja] dan Portugis
Apakah ada sesuatu di dalam perangai dan budi pekerti orang Eropah yang
memang tidak disenangi oleh orang Melaka? Pertemuan pertama Melayu-Portugis
ini pun ternyata berlaku dalam keadaan syak dan prasangka. Ini dikeruhkan lagi
oleh perasaan hasad seorang pedagang kaya Jawa, yang bernama Utimutiraja (Sri
Utamaraja), yang telah membisikkan ke telinga Diogo Lopez de Sequeira bahawa
lantaran wujudnya perselisihan faham antara Portugis dengan para pembesar
Melaka itu ada kemungkinanya dia akan dibunuh oleh Raja Melaka. Muslihat Sri
Utamaraja ini bertambah membingungkan lagi apabila sumber Portugis
menyebutkan bahawa salah seorang anaknya telah naik ke kapal Diogo Lopez de
Sequeira dan merancang untuk membunuh Portugis pada masa anak-anak
kapalnya masih berada di darat. Peristiwa 1509 ini berlaku ketika Bendahara Seri
Maharaja Tun Mutahir masih lagi berkuasa, iaitu sebelum dia dibunuh dalam tahun
1510 oleh Sultan Mahmud Syah yang, menurut “Sejarah Melayu”, telah termakan
hasutan dan fitnah Raja Mendeliar dan Naina Sura Dewana, dua saudagar "Keling"
(India Selatan) yang "berdakwa-dakwaan antara sesamanya" (“Sulalatu's-Salatin”
naskhah Krusenstern, 1798: 177: 2 - 178).
Keangkuhan Dalboquerque
Pengusiran Diogo Lopez de Sequeira dan penahanan orang-orang Portugis yang lain
telah menjadi alasan kuat bagi Kapten-Jeneral Afonso Dalboquerque untuk
menunujukkan keangkuhan Eropah demi ‘mengajar’ orang Islam yang memang
sangat dimusuhinya seperti yang pernah dilakukannya di Goa. Maka demikianlah
yang terjadi pada tanggal 1 Julai 1511. Penduduk Melaka pun gempar dengan
kedatangan armada Portugis yang terdiri daripada sembilan belas buah ghali dan
fusta. Bedilan meriam juga telah dilepaskan atas arahan Dalboquerque selama kira-
kira setengah jam sebagai tanda bahawa mereka bukan berniat muhibah.
Kesan daripada peristiwa itu telah menyaksikan pada keesokan harinya, Afonso
Dalboquerque dikunjungi oleh dua buah pencalang (perahu besar) yang membawa
utusan raja Melaka, untuk bertanyakan tentang hajat dan maksud kedatangan
Portugis itu. Utusan itu juga memberitahu bahawa Sultan Melaka hanya mahukan
perdamaian. Dalboquerque memberitahu bahawa kedatangannya itu ialah untuk
membebaskan orang-orang Portugis yang dipenjarakan di Melaka. Walaupun
Sultan Mahmud Syah cuba memberi dalih dengan meletakkan kesalahan kepada
Bendahara Melaka -- seolah-olah kesemua yang telah berlaku yang menyebabkan
orang-orang Portugis itu dipenjarakan adalah angkara Almarhum Bendahara Tun
Mutahir --- sambil menyatakan bahawa oleh sebab itulah maka Tun Mutahir telah
dihukum bunuh, namun tohmah itu tidak dapat meyakinkan dan mententeramkan
hati Dalboquerque, dan Kapten-Jeneral Portugis itu sedikit pun tidak berganjak
daripada tuntutannya.
Beberapa hari kemudian, pencalang-pencalang raja yang keluar dari muara sungai
Melaka dianggap oleh orang Portugis sebagai percubaan untuk menunjuk-
nunjukkan kekuatan kerajaan Melaka. Dalam pada itu Dalboquerque yang masih
tertunggu-tunggu akan jawapan daripada Sultan mengenai keadaan orang Portugis
yang ditahan itu telah pun mengarahkan beberapa pencalang Portugis yang
dilengkapi senjata agar menyusur pantai berdekatan bandar Melaka seolah-olah
mereka mahu membuat tinjauan untuk menaksir kekuatan kubu pertahanan
kesultanan Melaka dan juga untuk mengenal pasti tempat yang akan membolehkan
tentera Portugis mendarat. Langkah memperagakan ghali dan jong-jong mereka
juga bertujuan untuk menakut-nakutkan orang Melaka dengan cara menunjuk-
nunjuk sebagai membalas kemunculan beberapa buah pencalang raja dan perahu
yang dilihat oleh Portugis sebagai usaha kesultanan Melaka untuk memperagakan
kekuatannya.
Tindakan hulubalang Portugis menunjuk-nunjukkan itu menyebabkan pada
keesokan harinya Afonso Dalboquerque dikunjungi lagi oleh utusan Raja Melaka
yang menanyakan apa sebenarnya yang diperlukan oleh Portugis. Utusan Raja
Melaka juga memberikan helah mengenai ketiadaan orang Portugis yang ditahan
itu ikut bersama-samanya, dengan memberikan alasan bahawa kelambatan
penyerahan orang-orang Portugis itu justeru kerana pakaian persalinan mereka
masih sedang dibuat. Dalam pada itu, seorang tahanan Portugis, iaitu seorang
pemuda bernama Bastiao [Bastian atau Sebastian] telah dihantar untuk mengadap
Dalboquerque. Tetapi sumber Portugis menyatakan bahawa Dalboquerqure
mengesyaki bahawa kunjungan Bastiao sebenarnya adalah bertujuan untuk seolah-
olah melaporkan tentang betapa besarnya pertahanan Melaka, dan tujuan dia
dihantar pun seolah-olah ingin menyatakan betapa pihak kesultanan
mengharapkan angkatan Portugis itu akan meninggalkan Melaka tanpa sebarang
kekecohan.
Syahbandar Muslim dan Portugis
Sementara itu, kehadiran Portugis di perairan Melaka yang dianggap bukan berniat
damai itu telah mendorong para pembesar Melaka untuk bermesyuarat. Dalam
perbincangan antara pembesar-pembesar kerajaan dengan syahbandar-
syahbandar asing yang beragama Islam, keputusan telah dibuat bahawa mereka
sepakat untuk menolak sebarang usaha membuat perjanjian dengan pihak Portugis
yang disyaki memang bertujuan tidak baik. Sebenarnya, sikap tidak percaya dan
rasa benci syahbandar-syahbandar Islam itu kepada Portugis bukanlah tanpa
sebab. Para pembesar Melaka dan pedagang-pedagang di pelabuhan pun telah
mendengar betapa orang Portugis telah bertindak zalim terhadap penduduk Goa,
terutamanya dalam melakukan kekajaman terhadap mereka yang beragama Islam.
Di pihak Afonso Dalboquerque pula, dia dan para panglimanya mempunyai
tanggapan bahawa syhabandar-syahbandar yang terdiri daripada orang India
Muslim itu sebenarnya telah meracuni pemikiran Sultan dan para pembesar
Melaka agar mencurigai maksud Portugis.
Dalam pada itu pula, dalam suasana yang penuh ketegangan itu masa pun berlalu
dengan cepatnya. Enam atau tujuh hari selepas Dalboquerque menyatakan
tuntutannya agar orang-orang Portugis yang ditahan dibebaskan segera, balasan
daripada Sultan Melaka mengenai hal itu masih juga ditunggu-tunggu. Afonso
Dalboquerque yang memang bukan bersikap muhibah, bahkan jauh sekali ingin
bersahabat, menjadi hilang kesabarannya. Dia pun mengira-ngira bahawa jika lebih
lama dia menunggu maka ia akan memberi masa kepada Raja Melaka
memperkuatkan kubu pertahanannya. Tambahan pula para panglima dan
hulubalang Portugis pun sememangnya mendesak-desak agar mereka segera
bertindak melancarkan perang.
(Akan disambung)
“Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511” (bahagian II)
Oleh Ahmat Adam
Portugis bertindak
Oleh yang demikian, dalam perbincangannya dengan para panglimanya, Afonso
Dalboquerque pun mengambil keputusan untuk melancarkan dasar bumi hangus
seperti yang telah dilakukannya semasa di India -- iaitu membakar seberapa banyak
rumah dan harta orang Melaka. Dasar seperti ini pernah dilakukannya di Goa pada
awal 1510 apabila ramai orang Islam dibakar hidup-hidup bersama-sama dengan
harta benda mereka.
Pada suatu malam, pada hari dan ketika yang sesuai, Afonso Dalboquerque pun
mengarahkan beberapa orang panglimanya untuk melayarkan ghali (kapal perang
bertiang tiga) dan fustanya agar berlabuh betul-betul berhadapan dengan bandar
Melaka. Ketika menjelang fajar, pembakaran kapal-kapal, dan perahu-perahu di
pelabuhan Melaka pun dilaksanakan, termasuk juga tiga buah jong besar saudagar
Islam Gujerati yang menyokong Raja Melaka, serta rumah-rumah bangsawan
Melayu yang di atas air di sepanjang pantai. Seiring dengan tindakan membakar itu
asykar Portugis juga melepaskan bedilan meriamnya beberapa kali dari ghalinya
atau “caravelles” (kapal perang) dan fustanya yang jelas membawa kerosakan dan
kemusnahan, termasuk meragut nyawa mereka yang terkena sasarannya. Seperti
yang digambarkan di dalam Sejarah Melayu:
“Maka berperanglah Feringgi dengan orang Melaka. Maka dibedilnya dari kapal,
seperti hujan datangnya, dan bunyi seperti guruh di langit. Rupa kilat apinya seperti
kilat di udara; bunyi setinggar [sic, istinggar] seperti kacang direndang. Maka segala
orang Melaka tiada boleh berdiri di pantai, daripada kesangatan bedil Feringgi itu.
Ghali dan fusta dilanggarkannya ke pantai ... (Sulalatu's-Salatin naskhah
Krusenstern, 1798: 186:2)”
Tindakan Portugis itu amatlah berkesan. Melihat betapa ganasnya tentera Portugis
itu melakukan tindakan bumi hangusnya, Sultan Mahmud telah memerintahkan
Rui de Araujo, (Ketua orang Portugis di dalam tahanan, yang bersahabat dengan
Nina Chatu, seorang saudagar Keling), bersama-sama dengan rakan-rakannya agar
segera dihantar dengan pencalang ke “nau” (kapal) Kapten-Jeneral Portugis yang
bernama “Flor de la Mar” itu.
Tetapi penyerahan orang-orang Portugis oleh Raja Melaka itu tidak bermakna
Dalboquerque berpuas hati. Bahkan juga percubaan Sultan Melaka untuk
meyakinkan Portugis bahawa kerajaan Melaka hanya mahukan perdamaian tidak
dipedulikan. Atas desakan dan hasutan Rui de Araujo, yang membesar-besarkan
cerita betapa kekayaan Melaka itu melimpah ruah, Afonso Dalboquerque dan para
panglimanya pun merancang untuk mengambil Melaka dan betekad hendak
menghapuskan orang Islam (Portugis: mouro). Kehadiran Rui de Araujo kini sangat
membantu Dalboquerque kerana segala yang diketahuinya tentang Melaka,
terutamanya mengenai kedudukan pertahanannya, persenjataannya, dan gudang-
gudang di mana harta kekayaan Melaka tersimpan merupakan maklumat penting
bagi Dallboquerque.
Portugis hendak membina loji
Kegigihan Portugis hendak menakluki Melaka menyebabkan Raja Melaka
mengambil langkah bersungguh-sungguh untuk berdamai dengan Portugis. Hal ini
disampaikan oleh utusan Sultan iaitu Tuān Bandāo [sic, Tun Bandan]; tetapi
permintaan itu dicemuh sahaja oleh Dalboquerque. Walau bagaimanapun,
sebelum utusan diraja itu berundur, Afonso Dalboquerque sempat berpesan
kepada Sultan Melaka, bahawa jika Melaka mahukan perdamaian maka hendaklah
sebuah loji besar yang teguh dibina untuknya dan orang-orang Portugis dizinkan
tinggal di dalamnya untuk menjalankan perdagangan. Tambahnya lagi, loji itu
hendaklah dibina sebelum Dalboquerque belayar kembali ke India. Dia juga
menuntut ganti rugi bagi harta Diogo Lopez de Sequeira yang dirampas, dan mahu
pampasan diberikan atas kesusahan yang dialami oleh Dalboquerque sendiri;
semuanya dihitung dan dianggarkan sebanyak tiga ratus ribu “cruzados”. Selain itu,
Sultan Melaka juga dituntut agar sanggup mengirim sembah kepada Raja Portugal
dan mengakui tunduk kepadanya. Tidak menghairankan, tuntutan ini pastinya
sukar diberi layanan oleh Sultan Melaka.
Amat disayangi, dari kitab “Sejarah Melayu” tidak banyak maklumat yang dapat
diperolehi mengenai tawar-menawar Raja Melaka dengan Afonso Dalboquerque.
Tetapi laporan sezaman Portugis menyatakan bahawa para pedagang Melaka yang
terdiri daripada orang Gujerati telah tidak bersetuju membenarkan pembinaan
sebuah loji Portugis di bumi Melaka. Pandangan mereka ini mungkin berasaskan
kepada apa yang telah mereka dengar dan ketahui mengenai sikap bermusuh
Portugis terhadap agama Islam dan perbuatan zalim mereka terhadap orang Islam
terutamanya para pedagang, seperti yang telah berlaku kepada kerajaan Goa pada
bulan Mac 1510.
Melaka bersiap untuk perang
Apabila tuntutan-tuntutan Portugis itu disampaikan kepada Sultan Mahmud Syah
dan pembesar-pembesar istana, sumber Portugis mengatakan bahawa Tengku
Alauddin [“Sejarah Melayu”: Sultan Ahmad], putera Sultan Mahmud Syah,
bersama-sama dengan bakal iparnya, Raja Pahang, yang sedang berada di Melaka,
kerana berurusan mengatur majlis perkahwinannya dengan puteri Sultan Mahmud,
telah memberikan pandangan bahawa kerajaan Melaka perlu menolak peras ugut
Portugis itu. Pandangan mereka ini mendapat sokongan daripada pembesar-
pembesar Melaka yang lain, dan juga para pedagang Islam yang terkemuka di kota
itu. Maka Sultan Mahmud pun bersetuju untuk tidak menghiraukan ancaman
Portugis itu tetapi sebaliknya bertekad mempertahankan kemerdekaan dan
kedaulatan kerajaan Melayu Melaka. Kendatipun demikian, Sultan Mahmud telah
menyerahkan kepada Tengku Alauddin [sic, Sultan Ahmad] dan Raja Pahang untuk
memimpin bala tentera kerajaan Melaka dalam menghadapi kemungkinan
serangan angkatan Perang Portugis itu. Tetapi Sultan sendiri menyatakan
bagindalah yang akan mengatur strategi pertahanan.
Melaka mengatur strategi
Untuk strategi pertahanan Melaka, Sultan Mahmud Syah telah membahagikan
pertahanan kerajaannya kepada empat kawasan. Kawasan pertama yang penting
ialah Upih (daerah Tengkera sekarang ini). Kawasan ini ditadbir oleh Sri Utamaraja,
pembesar dan saudagar kaya berketurunan Jawa yang dahulunya (tanpa
pengetahuan Raja dan Bendahara) telah menghasut Diogo Lopez de Sequeira. Sri
Utamaraja ini terkenal sebagai pedagang yang sangat kaya di Melaka; bahkan dia
disebut oleh sumber Portugis sebagai orang yang terkaya selepas Sultan Mahmud
Syah. Mereka yang datang dari Tuban, Japara, Sunda (Tanah Pasundan di Jawa
Barat) dan Palembang adalah di bawah kuasa dan wibawa Sri Utamaraja. Sumber
Portugis juga menyatakan bahawa saudagar kaya Jawa ini mempunyai tidak kurang
daripada sepuluh ribu orang hamba yang boleh dikerahnya pada bila-bila masa.
Sebuah lagi kawasan penting ialah Hilir (Bandar Hilir sekarang ini). Kawasan ini pun
ditadbir oleh seorang Jawa yang bernama Tuān ‘Colascar’ (sic, Kulasakra, istilah
Kawi (Jawa Kuno) yang bererti keturunan Indra). Ramai daripada pengikut-
pengikutnya adalah dari Gresik. Kubu penting ketiga ialah kawasan jambatan besar
Melaka. Di kawasan jambatan yang membelahi bandar Melaka kepada dua, yakni
Upih dan Hilir, Sultan Mahmud telah menugaskan Tuān [sic, Tun] Bandan, yang
menjadi utusan Sultan ketika menghubungi Afonso Dalboquerque, untuk
mempertahankannya. Kawasan jambatan besar ini paling penting kerana ia
merupakan pusat bandar Melaka; istana Raja Melaka dan Masjid Raya adalah
berhampiran dengannya.
Barisan pertahanan kerajaan Melaka yang keempat ialah kawasan pantai, di mana
para hulubalang Melaka telah diberi tanggungjawab mempertahankannya
daripada serangan Portugis. Tengku Alauddin [sic, Sultan Ahmad, menurut “Sejarah
Melayu”] bersama-sama dengan bakal iparnya, iaitu Raja Pahang,
dipertanggungjawabkan untuk memberi bantuan kepada mana-mana bahagian
pertahanan yang memerlukannya. Kedua-dua mereka itu dibekalkan pasukan bala
tentera dan pasukan gajah diraja masing-masing.
Portugis merancang
Sementara itu, ketika suasana perang sedang membahang, Afonso Dalboquerque
telah didatangi oleh enam orang kapitan Cina yang, justeru kerana menginsafi di
mana letak kepentingannya, telah menyebelahi Portugis. Mereka ini meminta izin
untuk kembali ke negeri mereka setelah berjaya melepaskan diri daripada
pembesar-pembesar Sultan. Mereka mengadu telah ditahan oleh Raja Melaka yang
mahukan anak-anak kapal dan senjata yang ada dalam kapal mereka, agar dapat
digunakan untuk pertahanan Melaka. Kepada Dalboquerque kapitan-kapitan Cina
itu telah berjanji bahawa mereka akan kembali dengan barang-barang dagangan
mereka setelah Portugis menakluki Melaka. Mereka juga telah melaporkan tentang
kekuatan pertahanan Melaka yang dianggarkan sebanyak dua puluh ribu orang,
lengkap dengan senjata yang berbagai, termasuk lapan ribu buah istinggar, panah
beracun dan tombak seligi.
Daripada orang Cina itu Dalboquerque telah memperoleh bantuan untuk
menggunakan tongkang mereka bagi mengangkut soldadu Portugis ketika
melancarkan serangan. Ketika mengatur serangannya, Dalboquerque pun mengira-
ngira bahawa kubu pertahanan orang Melaka yang paling kuat adalah di sebelah
jambatan besar sungai Melaka. Jambatan itu diperbuat daripada kayu jati dan di
kedua-dua belahnya (hujung ke hujung) pertahananannya amat kukuh; terutama
di sebelah kanan sungai (daerah Upih) di mana terdapat kampung-kampung orang
Melayu dan juga petempatan orang asing. Kedudukan bandar Melaka adalah di
sebelah kiri tebing sungai Melaka (iaitu jalan di kaki bukit Saint Paul yang menghala
ke Bandar Hilir sekarang ini). Oleh kerana itu pada firasat Afonso Dallboquerque,
jika serangan mahu dibuat ia mestilah ditumpukan lebih kepada kawasan jambatan
besar itu. Dalam perbincangan dengan para panglimanya keputusan pun dicapai
agar pasukan tentera Portugis memberikan tumpuan kepada serangan yang akan
dilakukan terhadap kawasan jambatan besar kota Melaka itu.
Menyerang kawasan jambatan Melaka
Seperti yang telah dirancangnya, Afonso Dalboquerque sendiri akan mengetuai
pasukannya ketika membuat penyerbuan ke atas kubu Melayu dekat jambatan.
Menurut Dalboquerque, seperti yang ditaklimatkannya, sebelas orang panglima
handalannya akan bersama-sama dengannya berserta pasukan soldadu masing-
masing dan akan mendarat di bahagian sebelah bandar; sementara sebuah
angkatan tentera Portugis yang terdiri daripada “fidalgo” (kesatria) dan soldadu
kapal yang dikepalai oleh D. Jao de Lima akan mendarat di bahagian sebelah masjid.
Sebaik sahaja pasukan Portugis berjaya memasuki kubu Melayu itu, mereka akan
menyerbu ke arah bahagian tengah jambatan itu sehinggalah mereka dapat
menganggarkan kekuatan pertahanan orang Melayu. Setelah memberitahu
rancangannya itu Dalboquerque pun menyuraikan para kaptennya agar bersedia
untuk melancarkan serangan pada keesokan harinya.
Pada besok harinya, dua jam sebelum waktu fajar, terompet pun ditiupkan dan
berikutya bergegaslah tentera Portugis bersiap untuk maju ke kuala sungai Melaka
dan lantas membuat serbuan ke atas jambatan besar Melaka. Serbuan Portugis itu
disambut dengan tembakan istinggar besar oleh orang Melayu. Beberapa orang
Portugis pun menderita luka-luka. Dalboquergue membalasnya dengan
mengarahkan agar ditiup terompet perang dan ini diiringi dengan laungan
“Sanctiago” (yakni “Saint James”). Kesemua Portugis itu pun menyerbu ke kubu
orang Melayu di jambatan itu. Maka serbuan Portugis pun disambut oleh panglima-
panglima Melayu itu dengan menghujani Portugis dengan panah dan lembing, dan
mereka menggunakan perisai sambil meniupkan tetuang daripada tanduk dan
terompet buatan sendiri. Laporan Portugis menyatakan mereka berjuang dengan
gagah berani buat beberapa waktu untuk mempertahankan kubu mereka, tetapi
pasukan tentera Portugis yang telah mendarat di sebelahan masjid dengan
kekuatan senjatanya yang cukup lumayan telah berjaya menyerbu masuk ke dalam
barisan pertahanan orang Melaka. Sumber Portugis juga menyebut, “Pada saat itu
Raja Melaka datang dengan menaiki seekor gajah, bersama-sama puteranya di atas
gajah yang lain dengan didampingi hulubalang mereka beserta dengan beberapa
ekor gajah yang dilengkapi di belakangnya dengan kepungan kayu yang seperti
rumah berisi senjata”. Pasukan Raja Melaka dan anaknya itu pun mengarahkan
orang Melayu yang berundur agar kembali mempertahankan kubu di jambatan itu.
Dalam pada itu D. Jao de Lima dan rakan-rakannya telah naik semangat apabila
melihat Raja Melaka di atas gajah itu. Mereka pun, menurut sumber Portugis, telah
bersungguh-sungguh menyerang para perajurit Melaka. Kegigihan mereka itu
ternyata berhasil kerana tidak lama selepas itu kawasan Masjid Raya Melaka pun
jatuh ke tangan Portugis. Sementara itu Afonso Dalboquerque yang berada di
bahagian yang tidak jauh dari bandar terus mengasak pertahanan orang Melayu di
jambatan itu. Bagi Dalboquerque, penaklukan jambatan besar sungai Melaka itu
adalah strategi yang paling penting untuk memenangi peperangan itu. Pada
perkiraan Dalboquerque dengan tertakluknya jambatan besar itu, semua jalan dan
lorong yang menuju ke jambatan itu akan tertutup kerana pasukan Portugis akan
memastikan lalu lintas perajurit Melayu dari semua jalan penting dapat disekat
sepenuhnya.
Oleh yang demikian, Dalboqurque pun mendapatkan bantuan susulan daripada
panglima-panglimanya yang ditugaskan menyerbu kawasan Masjid Raya dan
istana. Dengan strateginya itu Dalboquerque telah dapat memecahkan benteng
pertahanan di sekitar jambatan besar sehingga memaksa sebahagian hulubalang
Melayu berundur ke seberang iaitu ke daerah Upih. Kekalahan orang Melaka pun
semakin terserlah.
Seperti yang dilakarkan di dalam “Sejarah Melayu”,
“Setelah hari siang maka Feringgi pun naiklah ke darat. Maka Sultan Ahmad pun
naik gajah -- Juru Demang namanya; Seri Udani di kepala, Tun Ali Hati di buntut.
Maka baginda pun keluarlah dengan segala hulubalang. Maka berperanglah orang
Melaka dengan Feringgi. Maka daripada sangat tempuh hulubalang Melaka maka
Feringgi pun undur. Maka tampil Afongso Dhalberkarki dengan seribu soldadu
beristinggar, menempuh pada segala orang Melaka; bunyinya peluru istinggar
seperti kacang jatuh ke bidai. Demikianlah, daripada sangat tempuh anak Feringgi,
pecahlah perang orang Melaka, lalu undur.” (Sulalatu's-Salatin naskhah
Krusenstern, 1798: 187:2).
(Bersambung)
"Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511” (Bahagian III)
Oleh Ahmat Adam
Gugurnya Tun Bandan
Kegigihan Portugis hendak menakluki Melaka itu walau bagaimanapun bukanlah
tanpa tentangan habis-habisan oleh orang Melaka. Sekalipun Tuān Bandan (yang
disebut oleh sumber Portugis sebagai “Kapten Raja Melaka”) mengetuai
pertahanan kubu di jambatan itu dan hulubalang-hulubalang Melayu lain telah
berhempas pulas mempertahankan jambatan besar sungai Melaka, namun
kekuatan tentera Portugis sukar dilawan. Ketika sebahagian orang yang bertahan
di jambatan itu menunjukkan sikap tidak berupaya, Tun Bandan telah
mendapatkan bantuan 700 orang Jawa untuk memperkuat pertahanan jambatan
di bahagian sebelah bandar. Tetapi Dalboquerque telah mengarahkan orangnya
agar menghalangi pasukan Tun Bandan daripada menuju ke bandar. Akhirnya
pertembungan soldadu Portugis dengan pasukan Tun Bandan itu telah membawa
kekalahan kepada orang Melaka. Tun Bandan dan dua orang hulubalang Melaka
yang lain gugur di jambatan besar itu. Manakala hulubalang-hulubalang Melayu
yang terjun ke dalam sungai di bawah jambatan telah dihujani oleh tujahan dan
tikaman pedang dan lembing tentera Portugis yang sedia menunggu di dalam
perahu dan sampannya di bawah jambatan. Dengan tertawannya dua pertiga
bahagian jambatan itu, jelaslah tentera Portugis di bawah pimpinan Afonso
Dalboquerque telah hampir berjaya menakluki Melaka yang terkenal dengan
kemakmuran dan kekayaannya seantero dunia perdagangan. Tetapi kemenangan
Portugis itu bukanlah tanpa kerugian. Mereka pun mengalami padahnya apabila
ramai di antara asykar Portugis mati akibat ditembak oleh orang Melaka dengan
panah beracun.
Betapa pun demikian, menurut sumber Portugis, hulubalang Melaka telah berjuang
dengan hebatnya bersama-sama pasukan raja Melaka yang “lengkap dengan
senjata busur dan panah, dan buluh sumpitan yang berisi panah beracun”. Namun
apakan daya, mereka akhirnya terpaksa juga berundur dari jambatan itu.
Portugis mula membina kubu
Dalboquerque memang telah merancang bahawa sebaik sahaja jambatan besar
dikuasai, tentera Portugis akan mula mendirikan tembok tanah sebagai kubu.
Memang inilah yang berlaku. Pada suatu malam, sekitar pertengahan bulan Ogos,
Afonso Dalboquerque dan para hulubalangnya pun turun mendarat dan menuju ke
kawasan jambatan besar. Dalam keadaan gelap gelita itu Dalboquerque menyuruh
orang-orangnya mendirikan tiang-tiang agak ke dalam daripada bahagian
jambatan. Di seberang jambatan yang mengarah ke Upih disuruhnya bina satu
benteng kayu. Manakala di sekeliling bahagian dalam kubu benteng itu disuruhnya
bina sebuah lagi tembok setinggi orang berdiri dengan menggunakan batu-batan
yang ditemui. Dengan menggunakan peti yang berisi tanah dan dengan tiang yang
dirikan di sebelah kanan dan kiri kawasan jambatan, Dallboquerque pun membina
kubu dan meletakkan senjata-senjata yang dihadapkan ke bandar. Di atas peti-peti
berisi tanah itu diletakkan enam buah senjata berat (meriam) dan papan-papan
tebal yang diambil dari wangkang bagi menghimpap peti-peti itu. Di sebelah
kawasan yang menghadap Upih pun didirikan tiang-tiang untuk berbuat kubu.
Kerja-kerja membuat kubu itu dilakukan oleh soldadu-soldadu yang diselia oleh
Dalboquerque sendiri. Menjelang subuh kubu Portugis di sekitar kawasan jambatan
itu pun siap.
Suasana perang di antara orang Melayu Melaka dengan Portugis itu pun telah
digambarkan oleh pengarang “Sejarah Melayu” dengan sejelas-jelasnya:
“Maka Sultan Ahmad pun beradakkan tombak dengan Feringgi; kena tapak tangan
baginda; luka sedikit. Maka oleh Sultan Ahmad dikedangkannya [diregang lurus-
lurus] tangannya. Maka titah baginda, "Hei anak Melayu! Lihat tangan kita sudah
luka! Setelah melihat tangan baginda luka itu maka segala hulubalang Melayu pun
tampil pula. Maka beramuk-amukan dengan Feringgi...
Maka Melaka pun alahlah -- dinaikinya Feringgi, dari ujung balai, tiba-tiba lalu ke
dalam. Maka segala orang Melaka pun larilah. Maka Sultan Mahmud pun berlepas
dirinya. Maka bendahara ditandu orang. Maka Feringgi pun datanglah bersusun-
susun … (Sulalatu's-Salatin naskhah Krusenstern (1798: 187: 2 - 188 )
Melaka kalah
Sesungguhnya apabila jatuh jambatan Melaka ke tangan Portugis pada 15 Ogos
1511, maka alahlah angkatan perang Melaka. Walaupun orang Melaka bermati-
matian berperang, tetapi takdir telah menentukan bahawa Melaka yang dimegah-
megahkan itu akan kalah di tangan orang Barat yang lebih canggih dari segi
penguasaan teknologi persenjataannya dan lebih pengetahuan dan
ketrampilannya dari segi strategi peperangannya, bahkan juga lebih lihai dan rakus
dari segi tipu muslihatnya, serta lebih zalim daripada mana-mana bangsa Asia.
Dasar bumi hangus yang diamalkan oleh Afonso Dalboquerque terhadap orang
Islam di Goa pada awal tahun 1510, yang juga dilaksanakan tanpa peri kemanusiaan
di Melaka, bukanlah satu faktor yang boleh diremehkan dalam menaksir sebab dan
musabab kekalahan Melaka.
Kekalahan Melaka jelas disebabkan oleh keunggulan senjata Eropah. Walau
bagaimana berbisa sekalipun senjata tradisional Melayu, seperti panah beracun
dan seligi tajam yang membolehkan orang Melaka membunuh ramai orang
Portugis, tetapi yang juga jelas ialah bedil dan meriam besar Portugis sukar
dikalahkan. Senjata istinggar dan rentaka yang digunakan orang Melaka juga tidak
memberi kesan kerana menurut laporan Portugis juga, senjata-senjata itu jauh
lebih rendah mutunya berbanding meriam, senapang ‘berko’ (kata Portugis
“berço” bererti katil bayi) dan istinggar Portugis, terutama sekali meriam mereka
yang lebih besar pelurunya. Sukarlah bagi orang Melaka mengelakkan bedilan
meriam espera yang panjangnya antara dua hingga lima meter dan beratnya
sehingga 1,800 kilogram yang dipasang di ghali Portugis dan pelurunya yang berat
antara dua belas hingga dua puluh paun. Semangat Portugis yang berkobar-kobar
untuk merompak kekayaan Melaka juga membantu mereka mencapai
kemenangan walaupun tentera Melayu dikatakan berjumlah dua puluh ribu
sedangkan Portugis hanya berjumlah sekitar seribu empat ratus orang, iaitu yang
terdiri daripada lapan ratus orang Portugis dan enam ratus orang Malabari.
Tujuan Dalboquerque ke Melaka bukan sahaja kerana ingin membebaskan rakan-
rakan Portugisnya dan membalas dendam terhadap Sultan Melaka tetapi lebih
daripada itu ialah juga kerana hasad dan rasa bencinya terhadap orang Islam yang
disertai dengan rasa yakinnya akan memenangi perang terhadap Melaka yang
terkenal kaya dengan penjualan barang-barang dagangan sampai ke Kaherah dan
Venezia. Dalboquerque juga mempunyai iltizam untuk membina bagi raja dan
negaranya sebuah kota di atas bumi Melaka dengan titik peluh bangsa Portugis
sendiri supaya mereka dapat mengatakan bahawa mereka telah berjaya menakluki
bandar Melaka dengan darah dan tujahan tombak Portugis.
Portugis bermalam di masjid
Sesudah hulubalang Portugis menakluki kubu di jambatan dan setelah hari petang
para panglima dan “fidalgo” Portugis bersama-sama dengan soldadu seramai kira-
kira empat ratus orang pun berundur dan berkumpul di “Masjid Raya” untuk
bermalam di dalam masjid yang mereka cabuli itu. Sebelum matahari terbenam
mereka sempat mengambil dua buah meriam besar untuk dibawa ke masjid.
Dengan meriam-meriam itu mereka pun melepaskan bedilan kepada orang
Melaka, dari satu ketika ke satu ketika. Di sebuah jalan yang panjang dan besar,
Nuno Vaz, seorang panglima Portugis, telah ditugaskan berjaga pada malam itu
bersama-sama dengan empat ratus soldadu Portugis yang lain.
Keadaan masa itu jelas menunjukkan Melaka sudah alah. Portugis tiada memberi
peluang langsung kepada orang Melayu Melaka untuk sempat mengumpulkan
kembali kekuatannya. Kendatipun serangan secara perang gerilya dilakukan oleh
hulubalang Melaka setelah Melaka ranap dan musnah dengan keadaannya ibarat
padang jarak padang terkukur, tetapi pemuras dan berco [berko] Portugis yang
sentiasa bersedia untuk menembakkan peluru seberat tiga paun sungguh
mematahkan semangat orang Melaka. Kelaparan, kehausan, kecederaan, dan
kehilangan mutlak terhadap segala-galanya: iaitu sebuah kerajaan, maruah bangsa
dan agama, sanak keluarga, rakan dan orang yang disayangi, dan kehilangan
kepercayaan terhadap kebolehan raja dan pembesar, menambahi ratapan hati
yang sebak dan tidak mungkin dapat dibayangkan betapa kegetiran yang
dideritakan oleh rakyat Melaka.
Penanggungan kesengsaraan orang Melaka tentulah sama beratnya, kalau tidak
pun terlebih lagi, dengan kegundahan yang ditanggung oleh seorang raja yang
kehilangan kerajaannya, kerana jatuhnya raja bererti jatuhnya sebuah negeri,
sebuah tempat berteduh bagi rakyat Melaka. Semuanya ini melemahkan semangat
ataupun melumpuhkan sebarang niat jika pun ada, untuk berperang bersungguh-
sungguh semula. Sebaliknya pula, di pihak Portugis peperangan itu tidaklah begitu
berat ditanggung mereka. Lapan hari selepas kejatuhan Melaka beberapa orang
soldadu Portugis yang luka-luka kian bertambah pulih. Keadaan mereka ternyata
jauh lebih baik daripada rakyat Melaka yang menyaksikan mayat perajurit Melaka
bergelimpangan akibat bedilan dan tembakan senapang dan meriam Portugis.
Portugis menceroboh dan merompak harta orang Melaka
Akhirnya, menjelang minggu ketiga Ogos, keadaan pun reda walaupun Melaka
diselubungi duka yang tak terhingga. Bagi para pedagang asing, suasana yang baru
itu adalah satu kenyataan pula. Setelah melihat bahawa tentera Portugis berjaya
merampas Melaka daripada tangan kerajaan Melayu, para pedagang asing itu pun
beransur-ansur keluar dari tempat sembunyinya dan mulai memasuki bandar
Melaka. Setengah-setengah daripada mereka itu diberi “surat pas” atau izin laluan
oleh penguasa Portugis yang memberikan mereka suaka dan jaminan bahawa
mereka tidak akan diganggu; keyakinan itu terutamanya diberikan kepada para
pedagang dari Pegu dan Cina. Apabila keluar dari persembunyian masing-masing,
ada di antara pedagang dan ceti-ceti India itu lantas memuju-muji Portugis dan
menyalahkan serta memburuk-burukkan pembesar-pembesar Melayu di samping
menyalahkan para pedagang Islam yang dituduh telah memberikan nasihat yang
salah kepada Sultan Mahmud Syah. Lantaran itu laporan Portugis mengatakan tidak
ramai daripada pedagang-pedagang Islam itu kelihatan di bandar setelah Melaka
alah di tangan Portugis.
Menyedari akan hajat besar kesemua soldadu Portugis yang menunggu-nunggu
bila mereka akan diizinkan memasuki bandar Melaka untuk menggeledah dan
merompak segala kekayaannya, Afonso Dalboquerque pun memberi ingatan
bahawa mereka tidak boleh terpisah daripada pasukan masing-masing dan
diingatkan agar jangan melakukan rompakan selagi seluruh bandar Melaka tidak
digeledahi dan selagi orang Islam tidak dihapuskan habis-habisan, tidak kira
perempuan, isteri-isteri, kanak-kanak, atau orang tua. Semuanya harus dihabiskan.
Sebelum Dalboquerque menghebahkan kepada semua orang asing bahawa mereka
boleh memasuki bandar Melaka semula, dia telah memperuntukkan tempoh
selama tiga hari bagi soldadunya merompak dan menceroboh gudang-gudang dan
rumah-rumah orang kaya Melaka. Kecuali Nina Catu, yang mendapat perlindungan
keselematan daripada Rui de Araujo, Dalboquerque telah mengizinkan anggota-
anggota bala tenteranya merampas mana-mana harta orang Melaka sebagai
rampasan perang. Dalam masa tiga hari itu bukan sahaja harta yang dirampas,
tetapi juga perempuan dan anak gadis menjadi sasaran pemerkosaan Portugis
untuk memuaskan nafsu dan kebenciannya terhadap orang Islam. Bagi orang
Melayu Melaka, apabila melihat betapa perangai dan tingkah laku yang ditujukkan
oleh Dalboquerque dan para soldadu Portugis, mereka pun mendapat kesan,
betapa kerakusan, ketamakan dan kekejaman Portugis mencerminkan tamadun
orang Eropah dan agama Kristiannya, dan bahawa mereka itu merasakan seolah-
olah tindakan mencabuli hak orang Islam adalah bukan kebiadaban namanya.
Tindakan ‘pembersihan’
Pada 25 Ogos 1511 pada waktu subuh, Dalboquerque, bersama-sama dengan
soldadu-soladu di bawah pasukan para hulubalang kesatrianya ( “fidalgo”) masing-
masing dengan bersenjatakan lembing dan tombak, pun berjalan mengikut barisan
enam-enam serta memasuki bandar Melaka. Dalboquerque telah menempatkan
pasukan tenteranya yang diketuai oleh para “fidalgo” untuk memastikan tiada
orang Melaka yang boleh bertindak menentang. Dengan mengikuti jalan besar
sampai ke penghujungnya dia pun memastikan bahawa semuanya telah bersih
daripada sebarang ancaman orang Melayu. Kemudian, asykarnya pun memasuki
jalan yang lain, juga dengan tujuan untuk memastikan bandar Melaka sudah
dibersihkan daripada ancaman hulubalang Melaka. Menjelang tengah hari, Afonso
Dalboquerque pun meluahkan rasa puas hatinya kerana penentangan terhadap
soldadunya amat kecil sekali. Menurut laporan, setelah kembali ke pantai, didapati
hanya sedikit bilangan soldadu Portugis yang mati kerana dibunuh oleh hulubalang
Melaka, dan segelintir sahaja yang luka-luka.
(Bersambung)
BAHAGIAN IV:
“Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511”
Oleh Ahmat Adam
Mengapakah Melaka mudah dikalahkan?
Kemenangan besar Portugis lantaran berjaya menakluki kerajaan Melayu Melaka
yang begitu masyhur pada zaman itu tentulah ada sebab-musababnya. Walaupun
Melaka pernah menghadapi serangan dari orang asing seperti Siam, dan kerajaan
Melaka pun pernah menundukkan beberapa kerajaan di tanah semenanjung dan
di seberang Selat Melaka, namun pertembungannya dengan bangsa Eropah belum
pernah berlaku. Kehadiran orang Portugis di Melaka sejak kali pertama dalam
tahun 1509 sesungguhnya tidak disangka-sangka oleh Raja Melaka akan membawa
kepada kehancuran sebuah kerajaan. Kejatuhan Melaka juga boleh ditafsirkan
sebagai kesan dan akibat daripada pertembungan dua kebudayaan yang berbeza
yang jelas membawa nilai-nilai tamadun yang sangat bertentangan.
Kedatangan Dalboquerque ke Melaka bukan sahaja didorong oleh niat untuk
menebus malu dan membebaskan orang sebangsanya, tetapi juga untuk
mengambil kesempatan merampas sebuah ’lombong emas’ di perairan Selat
Melaka. Dengan dibakar oleh semangat keagamaan yang sangat membencikan
orang Islam, maka Dalboquerque pun mengulangi dasar bumi hangusnya yang
berjaya dilaksanakan di Goa, India. Maka Kapten-Jeneral Portugis itu pun bertindak
sekejam yang mungkin di bumi Melaka, tanpa ada sedikit pun perasaan
kemanusiaan yang diajarkan oleh agama Kristiannya. Teknologi perang dan
kelengkapan persenjataan yang dimiliki oleh tenteranya telah dimanfaatkan
sepenuhnya untuk membunuh rakyat Melaka yang dianggapnya tidak bertamadun.
Tetapi punca kekalahan tidak terletak di bahu Portugis sahaja. Di pihak kerajaaan
Melaka sendiri, masalah kepemimpinan orang Melayu juga menjadi sebab utama
kekalahan itu. Seorang Sultan yang zalim dan ketiadaan pimpinan yang mampu
merancang strategi pertahanan yang berkesan membawa padah yang buruk
kepada kerajaan Melaka, yang hanya baru wujud sekitar seratus sebelas tahun.
Selain itu, masalah-masalah dalaman kerajaan Melaka yang menyebabkan
pembesarnya tidak menyedari wujudnya gunting dalam lipatan juga mendedahkan
kelemahan kepemimpinan negeri. Amalan menerima rasuah yang dilakukan oleh
sebahagian pembesarnya, termasuk juga Bendahara, menjadi tanda kerendahan
akhlak dan kualiti kepemimpinan pada zaman penghujung kesultanan Melaka.
Strategi perang yang lemah
Dari segi strategi pertahanan jelaslah Raja Melaka tidak pernah terfikir bahawa
Melaka akan diserang pada suatu hari kelak secara besar-besaran oleh bangsa yang
rakus dan biadab. Kelemahan teknologi dalam peperangan dan ketiadaan ilmu
pertahanan menjadi faktor penting dalam kekalahan Melaka. Sekalipun seperti
yang dilaporkan oleh orang Portugis bahawa di Melaka mereka menemui lapan ribu
alat senjata, namun senjata seperti lela dan rentaka, istinggar, peluru timah,
lembing, bambu runcing, seligi, panah beracun dan keris serta pedang tidak
berkemampuan mencabar keberkesanan senjata api Eropah seperti meriam,
senapang, bedil, dan pemuras, dan juga “scimitar” (syamsir atau pedang besar)
Portugis. Penggunaan gajah untuk berperang juga bukan langkah yang bijak kerana
gajah sukar dikendarai untuk bergerak tangkas. Ketika melihat pengikut Sri
Utamaraja yang terdiri daripada orang Jawa enggan berperang, Sultan Mahmud
Syah, Raja Melaka, merasa amat keciwa sehingga terpaksa membayar upah kepada
mereka untuk menentang Portugis; tetapi ternyata asykar upahan orang Jawa itu
pun tidak bersungguh-sungguh menentang Portugis kerana dihalang oleh Sri
Utamaraja.
Sri Utamaraja ‘bermain kayu tiga’
Malang bagi orang Melayu Melaka, Sri Utamaraja yang kepada orang Portugis
dikenali sebagai Utimutiraja, yang dipercayai oleh Sultan Mahmud, pun bermain
kayu tiga dengan kerajaan. Apabila dia mendengar betapa akan berlakunya
peperangan yang akan menyaksikan penaklukan negeri Melaka oleh Portugis, Sri
Utamaraja telah secara halus berpaling tadah; secara sembunyi-sembunyi dia telah
menghubungi Afonso Dalboquerque dan meminta agar dia dan anak isterinya
diberikan jaminan dalam bentuk pemberian surat laluan (“surat pas”) agar dia dan
ahli-ahli keluarganya mendapat suaka. Permohonannya ini telah dikabulkan oleh
Dalboquerque yang licik kerana muslihatnya ialah untuk menjejaskan sokongan
terhadap Sultan Mahmud. Pada waktu perang sedang berkecamuk, para lasykarnya
yang sepatutnya dikerahkan oleh Sri Utamaraja dari Upih pun gagal menunjukkan
perjuangan yang bersungguh-sungguh dalam menentang Portugis. Tetapi selepas
Portugis berjaya menakuki Melaka Utimutiraja (atau Sri Utamaraja) dan anak serta
menantunya juga dituduh bertindak belot kepada Portugis. Dia telah dihukum
pancung oleh Dalboquerque bersama-sama dengan anaknya, menantunya, dan
cucunya pada 27 Disember 1511.
Taktik Dalboquerque
Kelicikan Portugis mengatur strategi, bukan sahaja dari segi perancangan
ketenteraannya tetapi juga dari sudut diplomasinya terhadap kaum-kaum asing di
Melaka, jelas menjejaskan pertahanan Melaka. Sebagai contoh, apabila saudagar
Cina di Melaka menyedari bahawa serangan Portugis ke atas negeri Melaka akan
menjadi kenyataan dalam masa kira-kira dua minggu selepas kedatangan Afonso
Dalboquerque, mereka yang berasa tidak terhutang apa-apa kepada sebuah
kerajaan yang tidak bersih, tidak cekap dan bahkan membenarkan rasuah dalam
amalan pentadbirannya, telah secara bermain kayu tiga mengkhianati raja Melaka.
Dikatakan para saudagar Cina ini pun menaruh dendam terhadap Sultan Mahmud
kerana layanan yang buruk yang diterima daripada Raja Melaka yang telah
merampas harta perniagaan mereka. Laporan Portugis pun mengakui bahawa
orang Cina yang telah dipujuk Portugis telah menawarkan bantuan untuk bersama-
sama berperang dengan tentera Dalboquerque. Meskipun Dalboquerque menolak
tawaran tersebut, tetapi dia sebaliknya telah meminta orang Cina meminjamkan
tongkang mereka demi membantu soldadu Portugis mendarat di bandar Melaka.
Tindakan ‘bumi hangus’ Portugis
Langkah Dalboquerque mengarahkan dua orang panglimanya dengan masing-
masing membawa seratus orang soldadu untuk membakar rumah-rumah di sekitar
jambatan besar ternyata telah berjaya menimbulkan suasana panik. Angin yang
bertiup kencang telah memarakkan api dan ini menyebabkan bukan sahaja rumah-
rumah yang hangus tetapi juga gudang-gudang di mana barang-barang dagangan
tersimpan pun mengalami kemusnahan.
Tindakan bumi hangusnya ini benar-benar didorong oleh rasa marah dan benci
terhadap orang Islam seperti yang telah dilakukannya semasa di Goa yang menolak
rasa peri kemanusiaan. Semasa penaklukan Goa, dengan mengecualikan petani
dan sami Hindu, Afonso Dalboquerque dilaporkan telah membunuh sekitar enam
ribu orang Islam. Ramai di antara orang Islam itu telah dibawa ke masjid dan
dibakar hidup-hidup. Kini di Melaka kezaliman yang sama dilakukan. Justeru kerana
orang Melayu Melaka itu beragama Islam maka dasar membakar rumah dan masjid
mereka serta membunuh kanak-kanak, perempuan dan orang tua dan mereka yang
tidak bersalah dihalalkan. Akibatnya, ramailah rakyat Melaka yang terkorban dalam
dasar bumi hangusnya itu. Seperti yang dilakukannya di Goa, bangunan Masjid
Raya yang diperbuat daripada kayu dan batu juga dibakarnya. Turut dijilat api ialah
istana Raja Melaka dan astaka berhias diraja yang indah yang dikatakan berdiri atas
tiga puluh buah roda yang berukuran sebesar kamar. Laporan Portugis menyatakan
bahawa astaka inilah yang bakal dijadikan kenderaan pengantin diraja pada ketika
perkahwinan puteri Sultan Mahmud dengan Raja Pahang [Sultan Mansur]
dilangsungkan.
Raja Pahang pulang dan Sultan memperkuat pertahanan
Mengikut sumber-sumber Portugis, ketika bandar Melaka diserang, Sultan
Mahmud sebenarnya telah berbalah dengan anaknya Raja Alaudin [sic, Sultan
Ahmad] dan bakal menantunya Raja Mansur dari Pahang. Setelah Raja Pahang itu
mendapati peperangan telah menyebabkan banyak kematian, dan istana Melaka
pun mengalami kebakaran, maka dengan menaiki gajah bersama-sama
rombongannya baginda pun kembali ke Pahang dengan memberi alasan bahawa
baginda akan kembali membawa bantuan. Tetapi mengikut sumber Portugis juga,
selepas pemergiannya itu baginda tidaklah kembali ke Melaka.
Dalboquerque menghasut orang asing
Sebagai upaya untuk menjejaskan perpaduan penduduk Melaka, Afonso
Dalboquerque cuba sekali lagi memujuk orang asing di Melaka. Kali ini dia
menghimbau kepada semua orang dagang supaya menyebelahi Portugis. Katanya
tindakan membakar rumah-rumah dan gudang-gudang di bandar Melaka bukanlah
bertujuan untuk merosakkan perdagangan orang asing. Dia menyatakan bahawa
Portugis tidak akan mengganggu mereka kerana peperangan Portugis hanyalah
dengan Raja Melaka dan orang Melayu. Jika mereka ingin meninggalkan Melaka
mereka dibenarkan tetapi jika mereka ingin berada di bandar itu mereka pun tidak
akan diapa-apakan.
Dengan himbauannya ini Afonso Dalboquerque berjaya mempengaruhi para
pedagang asing itu. Sebelum berlakunya serangan Portugis itu sudah pun ada di
antara pedagang-pedagang utama di Melaka datang mengadap Sultan Mahmud
Syah dan meminta agar kerajaan berdamai sahaja dengan Portugis. Jika wang yang
diperlukan untuk mencapai keamanan, mereka menyatakan bahawa mereka pun
sanggup memberikan sumbangan yang bererti.
Portugis memujuk Siam
Secara bijak dan lihai juga, Afonso Dalboquerque pun cuba menjalin hubungan
dengan Raja Siam dengan menghantar Duarte Fernandes, seorang tukang jahit,
sebagai utusan ke negeri Siam. Fernandes pergi dengan menumpang kapal orang
Cina yang akan kembali ke negeri China setelah mereka dibantu oleh
Dalboquerque. Tujuan Dalboquerque menghantar wakil ke Siam ialah kerana
hendak memarakkan semula permusuhan Raja Siam terhadap Melaka. Melalui
utusannya itu, Dlboquerque mengalu-alukan orang Siam untuk tinggal di Melaka.
BAHAGIAN V (akhir):
“Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511”
Oleh Ahmat Adam
Selepas Portugis merompak harta benda orang Melaka yang dianggarkan bernilai
lebih daripada lima puluh ribu “cruzados” (iaitu wang shyiling lama yang dibuat
daripada emas dan perak) dan merampas sebanyak tiga ribu daripada kira-kira
lapan ribu peralatan senjata yang menjadi milik orang Melaka, mereka juga
merompak khazanah yang terdapat di dalam istana Sultan Melaka. Dari istana itu
mereka memperoleh intan-berlian yang bernilai tidak kurang daripada 60,000
“cruzados”, empat buah balang emas berisi minyak wangi, setiap satunya bernilai
40,000 cruzados, dan bibit mutiara serta balang-balang yang diperbuat daripada
emas, yang bernilai jika diberikan kepada setiap orang Portugis yang berperang
akan bernilai 400,000 cruzados untuk seorang.
Setelah ramai daripada penduduknya yang lari kembali ke bandar Melaka,
Dalboquerque pun megambil langkah menyusun pentadbiran Melaka. Utimutiraja
diberikan tugas mentadbir orang Islam; manakala Nina Chatu diberikan tugas
mentadbir masyarakat tempatan yang bukan Islam.
Dalam pada itu ketika perang masih lagi belum selesai, Dalboquerque dimaklumkan
bahawa Sultan Mahmud telah pun berundur ke dusunnya di Bertam dan dari situ,
lantaran merasakan tekanan Portugis yang lebih mencemaskan selepas Melaka
alah, dan kota Melaka pun semakin dicabuli oleh Portugis, Sultan Melaka terakhir
itu pun terpaksa kemudiannya melarikan diri lebih jauh lagi, dengan meninggalkan
puteranya Alauddin (sic, Sultan Ahmad menurut “Sejarah Melayu”). Walau
bagaimanapun, putera Sultan Mahmud itu segera berusaha mendirikan kubu
berpancangkan kayu besar di sepanjang tebing sungai Melaka. Tetapi
Dalboquerque cepat menghantar 700 orang soldadunya berserta hamba sahaya
Utimutiraja dan 300 orang Pegu untuk memusnahkan kubu tersebut dengan cara
membakarnya. Namun, setibanya mereka dikubu itu Alauddin [sic, Ahmad] telah
pun meninggalkan tempat itu kerana hendak mencari bapanya, Sultan Mahmud
yang telah lari mencari suaka di tebing sungai Muar bersama-sama dengan
Bendahara Tepok atau Datuk Lubuk Batu serta dengan para pengikutnya yang
hanya berjumlah tidak lebih daripada lima puluh orang lelaki dan seratus orang
wanita.
Pada waktu itu juga tersebar berita bahawa Sultan dan anaknya telah bertelagah
sesama sendiri. Tetapi pelariannya itu telah diambil kesempatan oleh beberapa
orang pengikutnya untuk melarikan diri pula. Turut melarikan diri untuk kembali ke
Melaka ialah empat orang saudagar kaya yang pada mulanya menjadi penyokong
Sulan Mahmud.
Mlang bagi raja Melaka itu, ketika berada di Hulu Muar, Sultan Mahmud dan para
pengikutnya telah menghadapi masalah kebuluran makanan. Keadaan bertambah
sukar dan menjadi masalah apabila ramai pengikut Sultan telah melarikan diri.
Maka justeru kerana itu selepas beberapa ketika berada di Muar Sultan Mahmud
pun mengambil keputusan untuk meninggalkan Hulu Muar bersama-sama
pengikutnya dengan berjalan kaki ke Pahang. Di sana puterinya yang beribukan
permaisuri Kelantan itu telah dikahwinkan dengan raja Pahang, Sultan Mansur
Syah.
Pada waktu Sultan Mahmud masih berada di Muar itu Dalboquerque sendiri sedang
sibuk membangunkan sebuah kota di sebelah kiri tebing sungai Melaka,
berhampiran dengan kawasan Masjid Raya. Sebagai langkah permulaan dinding
kota itu dibuat daripada kayu. Tetapi Dalboquerque telah mengarahkan agar digali
lubang besar di dalam kawasan berdinding itu untuk membina sebuah fondasi yang
kedalamannya berukuran 8 kaki. Turut dicadangkan ialah fondasi itu akan dibina
dengan batu dan kapur. Dinding kayu itu adalah bersifat sementara dan akan
disiapkan sebelum terdirinya dinding batu dan kapur itu. Jenis batu yang digunakan
ialah batu granit yang berasal daripada batu nisan yang diambil daripada kubur
para bangsawan yang berdekatan dengan masjid, dan juga batu-batan daripada
bangunan-bangunan lain. Batu-batan yang diambil itu memang telah siap dipotong
secara blok, yang sebenarnya memudahkan kerja Portugis. Kebanyakan batu-batan
itu juga terdiri daripada batu nisan kubur para Sultan Melaka yang terdahulu.
Kezaliman Raja Melaka
Watak Raja Melaka, iaitu Sultan Mahmud Syah, menunjukkan betapa lemah dan
zalimnya seorang raja Melayu. Menurut sumber Portugis selepas Diogo Lopez de
Sequeira berjaya melepaskan dirinya dari perairan Melaka, Sultan Mahmud Syah
telah membunuh orang yang dipanggilnya ‘Pak Mutahir’, iaitu Bendahara Seri
Maharaja, kerana termakan fitnah yang ditaburkan oleh Raja Mendeliar,
Syahbandar masyarakat Keling, dan Kitul, peniaga yang ada hubungan keluarga
dengan Naina Sura Dewana. Perasaan dendam Sultan Mahmud juga didorong oleh
rasa hasadnya lantaran kecewa apabila Bendahara Seri Maharaja telah tidak
memberikan anaknya Tun Fatimah untuk menjadi isteri Sultan, tetapi sebaliknya
dikahwinkan dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja. Fitnah Raja Mendeliar, bahawa
Bendahara ingin mengambil alih kuasa Sultan, yang disampaikan melalui
Laksamana, juga berkesan sehingga menjadi alasan segera bagi Sultan Mahmud
untuk menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Bendahara Seri Maharaja bersama-
sama dengan anaknya, Tun Hasan Temenggung dan menantunya, Tun Ali iaitu
suami Tun Fatimah. Turut dibunuh ialah Seri Nara Diraja, bapa Tun Ali, yang juga
merupakan saudara dan besan kepada Bendahara Seri Maharaja,. Yang
diselamatkan hanyalah Tun Hamzah, adik Tun Fatimah; itu pun kerana Sultan
Mahmud mahu meninggalkan ‘benih’ Bendahara Seri Maharaja.
Sebagai seorang raja, Sultan Mahmud memang banyak melakukan kezaliman.
Menurut sumber “Sejarah Melayu”, sejak baharu naik takhta lagi (1481) dia telah
diajar membunuh. Ini berlaku apabila Temenggung Seri Maharaja menyuruhnya
membunuh seorang yang bersalah terhadap baginda. Kali kedua dia membunuh
ialah setelah dia mendapat tahu bahawa Seri Bija Diraja kononnya mempertikaikan
amanat Sultan Alauddin bahawa dia, Raja Mamat [kemudiannya bergelar Sultan
Mahmud], akan menggantikan almarhum bapanya. Oleh kerana perasaan
dendamnya terhadap Seri Bija Diraja itulah maka disuruhnya bunuh. Dia pun
pernah menyuruh orang membunuh saudaranya yang berlainan ibu, iaitu Raja
Zainal Abidin, lantaran cemburukan saudaranya yang kacak dan diminati ramai
wanita itu. Seorang lagi yang dibunuhnya ialah Tun Ali Sandang, suami Tun Dewi.
Terakhirnya, puteranya sendiri, Raja Ahmad pun dibunuhnya lantaran tingkah laku
Sultan Ahmad yang tidak disenanginya. Tetapi ini berlaku selepas Melaka alah di
tangan Portugis dan Sultan Ahmad berbuat negeri di Kopak (“Sulalatu's-Salatin”
naskhah Krusenstern, 1798: f. 188: 2 - f. 189). Menurut sumber Portugis kezaliman
Sultan Mahmud bukan setakat itu sahaja; dia juga telah dalporkan membunuh
salah seorang isterinya. Perkara ini, walau bagaimanpun, tidak dinyatakan oleh
pengarang “Sejarah Melayu”.
Keburukan akhlak Raja
Akhlak raja Melaka, Sultan Mahmud Syah pun mencerminkan betapa rendahnya
moral pemimpin Melaka. Nafsu syahwatnya yang tidak mengenal batasan sangat
diketahui oleh para bangsawan Melaka yang muda-muda. Dalam “Sejarah Melayu”
pengarangnya menceritakan peristiwa baginda bermukah dengan isteri Tun Biajit,
anak Laksamana Hang Tuha. Perbuatan Sultan Mahmud ini nyaris menyebabkan
Tun Biajit menumbukkan lembingnya ke dada Raja Melaka itu. Pada ketika yang
lain, Sultan Mahmud yang merayau sendirian pada malam hari, telah pergi ke
rumah seorang perempuan, Tun Dewi namanya. Tetapi dengan rasa kecewa,
didapati baginda suami perempuan itu, Tun Ali Sandang sedang berada di rumah.
Lantaran itu baginda pun berjalan balik. Tetapi tatkala baginda menoleh ke
belakang dilihatnya Tun Isap. Lalu diberikannya kepada Tun Isap sirih dari puannya
(tepak sirihnya) sendiri, sebagai satu tanda isyarat bahawa baginda mahukan Tun
Isap membunuh Tun Ali Sandang, suami Tun Dewi. Maka oleh Tun Isap dia pun
“berbalik ke rumah Tun Dewi, lalu dinaikinya; ditikamnya Tun Ali Sandang, kena
dadanya, lalu mati” (“Sulalat's-Salatin” naskhah Krusenstern, 1798: 137:2).
Budaya rasuah
Tahun-tahun terakhir kerajaan Melaka juga menyaksikan budaya rasuah menjadi
amalan pembesar negeri. Bendahara Seri Maharaja sendiri telah menerima
sogokan emas sebahara daripada Nayana Sura Dewana yang mempunyai niat
untuk mempengaruhinya dalam perkara dia berdakwa dengan Raja Mendeliar.
Laksamana Melaka yang bergelar Khoja Husan sendiri pun telah dapat di’beli’ oleh
Raja Mendeliar dengan memberikan rasuah sebahara emas dan beberapa jenis
permata dan pakaian yang baik-baik kepada Laksamana, pembesar yang dikatakan
sangat rapat dengan Sultan Mahmud Syah. Tujuannya ialah supaya Laksamana itu
menyampaikan kepada Sultan bahawa Bendahara Seri Maharaja hendak derhaka,
walaupun ini sebenarnya suatu fitnah. Manakala pengiring-pengiring Tun Hasan
Temenggung pula telah menerima rasuah daripada saudagar-saudagar India yang
mahu mengelakkan kedai mereka daripada dirobohkan oleh kerana letak kedai-
kedai itu menganjur ke jalan raya (Sulalatu's-Salatin naskhah Krusenstern, 1798:
178 - 179).
Khianat
Terdapat juga rasa tidak puas hati di kalangan pedagang Cina yang menganggap
Sultan telah mengeksploitasi mereka dan oleh kerana itu mereka dengan suka rela
telah menyebelahi Portugis. Gelagat para pedagang Cina ini yang memberikan
perahu dan bantingnya untuk kegunaan soldadu Portugis jelas telah menjejaskan
pertahanan Melaka. Terdapatnya orang-orang yang berwatak ‘gunting dalam
lipatan’ tetapi rapat dengan istana juga tidak diketahui oleh Raja. Watak Kitul, dan
khususnya Nina Chatu yang berjasa kepada Rui de Araujo, ketara benar telah
bertindak khianat terhadap Sultan dengan sikap berpura-pura yang ditunjukkan
olehnya. Menurut sumber Portugis, Nina Chatu, seorang saudagar Hindu, secara
senyap-senyap telah memberikan bantuan kepada Rui de Araujo dan rakan-
rakannya. Melalui Nina Chatu jugalah Rui de Araujo telah dapat menyeludupkan
maklumat kepada Dalboquerque mengenai kekuatan pertahanan kesultanan
Melaka. Selepas Melaka jatuh ke tangan Dalboquerque Nina Chatu telah dilantik
sebagai salah seorang daripada empat orang “bendahara” (yakni semacam
“penghulu” bandar Melaka). Tiga orang lagi ialah Naina Pam [sic], juga seorang
Keling (Quelin), dan dua orang Jawa iaitu Regoraje [sic] dan Tuan Kulasakra.
Perbuatan khianat juga ditunjukkan oleh orang yang dipercayai Sultan iaitu Sri
Utamaraja, seorang hartawan Jawa berusia antara tujuh puluh ke- lapan puluh
tahun yang berpura-pura menentang Portugis tetapi dalam diam-diam telah
meminta suaka daripada Afonso Dalboquerque apabila melihat kemungkinan
angkatan perang Portugis berjaya menakluki Melaka. Demikian pula sikap khianat
Tuan Colascar [Kulasakra], pembesar Jawa yang diamanahkan mempertahankan
kawasan Hilir. Setelah Melaka ditakluki Portugis, saudagar Jawa ini telah dilantik
sebagai penghulu orang Jawa sebagai membalas jasanya kerana berpaling tadah
terhadap Raja Melaka. Sumber Portugis juga menyebutkan tentang adanya usaha
dalam kalangan pembesar Melaka untuk memaksa Rui de Araujo dan rakan-
rakannya yang ditawan agar masuk Islam. Apabila Alfonso berjaya membebaskan
orang Portugis ini dia sama sekali tidak mempunyai kata-kata yang baik untuk
Sultan dan pembesar Melaka.
Iktibar sejarah
Ada beberapa pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa penaklukan
Melaka oleh Portugis. Pertama, kejatuhan Melaka justeru kerana rendahnya
pengetahuan strategi berperang dan disiplin di kalangan perajurit Melaka zaman
itu yang besar kemungkinannya disebabkan mereka itu tidak menerima apa-apa
latihan sehingga sukar menandingi keunggulan persenjataan dan disiplin orang
Portugis. Dalam hubungan Melaka dengan China, raja-raja Melaka telah lima kali
berkunjung ke benua China, bahkan mereka juga tinggal di China sehingga lima ke
enam bulan. Tetapi kunjungan ke negeri China itu tidak diambil kesempatan oleh
mana-mana raja Melaka untuk mempelajari sesuatu bidang ilmu dari negeri China.
Tiada mana-mana sumber yang menyatakan tentang hal ini.
Kedua, pemimpin tertinggi kerajaan Melaka iaitu Sultannya sendiri, ternyata
seorang yang rendah akhlak dan zalim, yang telah mengakibatkan perpecahan di
kalangan pemimpin dan rakyat. Pembunuhan Bendahara Seri Maharaja tidak lama
sebelum Portugis sampai ke Melaka telah menjejaskan perpaduan rakyat.
Ketiga, perbuatan khianat terhadap Sultan dan kerajaannya telah menjadi faktor
yang tidak kurang pentingnya dalam menyebabkan keruntuhan sebuah kerajaan
yang hanya sempat wujud sekitar seratus tahun lebih sedikit. Keempat, perpecahan
antara Sultan Mahmud dan puterannya, Tengku Alauddin (sic, Sultan Ahmad,
menurut “Sejarah Melayu”) dan bakal menantunya, Raja Mansur, telah
menyebabkan keluarga diraja Melaka tidak stabil.
Penutup
Kejatuhan Melaka di tangan bangsa Portugis adalah permulaan pada suatu
rentetan penjajahan oleh kuasa-kuasa asing di Tanah Melayu. Tertakluknya Melaka
oleh Portugis pada 15 Ogos 1511 dan pemusnahan ketatanegaraannya pada 25
Ogos 1511 apabila sultannya meninggalkan kerajaannya, bererti orang Melayu
pada umumnya, dan orang Melaka khasnya, telah kehilangan kemerdekaannya
yang mutlak. Dengan menelusuri sejarah kejatuhan Melaka ada banyak perkara
yang boleh dijadikan iktibar oleh orang Melayu jika mereka sesungguhnya ingin
belajar daripada sejarah silam Melaka.
Sekian. Wallahu ‘alam.
Sumber Bacaan
Manuskrip
"Sulalatu's-Salatin yakni per[tu]turan segala raja-raja. Dialih aksara dan disunting
dengan kritis serta diberi anotasi dan Pengenalan oleh Ahmat Adam" (berasaskan
naskhah yang tersimpan di Muzium Anthropologi Peter the Great di kota St.
Petersburg, Rusia).
Buku dan Makalah
1. Albuquerque Caesar Timur Teks-Teks Pilihan oleh Alfonso de Albuquerque dan
anaknya, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1995.
2. Cortesāo, Amando, The Suma Oriental of Tomé Pires and The Book of Francisco
Rodrigues, The Hakluyt Society, London, 1944.
3. De Gray Birch, Walter, The Commentaries of the Great Afonso Dalboquerque,
vol. 3, London: The Hakluyt Society, 1780.
4 De Jong, P. E. de Josselijn and H. L. A. van Wijk, “The Malacca Sultanate”, Journal
of Southeast Asian History, vol. 1, Jan. 1960.
5. Typescript. Terjemahan Fr. Manauel Joaquim Pintado (t.t.), ‘Departure to
Malacca and its conquest by Alfonso de Albuquerque in 1511’, berasaskan karya
Joao de Barros, Asia de Joao de Barros, Second Decade, sixth edition, updated and
annotated by Hernani Cidade; historical’s [sic] final notes by Manuel Mutias,
Divisao de Publicacoes e Bibliteca Agencia Gerald as Colonias, Lisbon, MCMXLVI.
6. Typescript. Terjemahan Fr. Manuel Joaquim Pintado (t.t.) berasaskan karya
Gaspar Correia, Lendas da India O. Cit. Livro Segundo Tomo II, Coimbra na imprensa
da Universidade, 1923.
7. Pintado, M. J. (penterjemah & penganotasi), Portuguese Documents on Malacca
Vol. 1 (1509 -1511), Aekib Negara, Kuala Lumpur, 1993.
7. Thomaz, Luis Filipe F. Reis, Nina Chatu and the Portuguese Trade in Malacca
(translated from the Portuguese by FR. M. J. Pintado), Luso-Malaysian Books,
Melaka, 1991.
8. Wilkinson, R. J., "The Capture of Malacca", Journal of the Malayan Branch of the
Royal Asiatic Society, No. 61, June 1912.
Dr. Abdul Rivai: sang pemula gerakan Kaum Muda
Oleh Ahmat Adam
(Makalah ini ditulis berdasarkan kandungan bab di dalam buku saya, “Sejarah Pers
dan Kebangkitan Kesadaran KeIndonesiaan, 1855-1913”).
Bahagian pertama
“Dasar Etika” dan Zaman Baru Kaum Pribumi
Peralihan abad ke-19 ke abad yang ke-20 merupakan satu periode yang amat
penting dalam sejarah Indonesia modern. Babak pertukaran abad itu bukan saja
memperlihatkan pemisahan kronologis dari satu zaman lama ke satu zaman ‘baru’
tetapi juga menandakan satu jangka masa yang penuh dengan peristiwa-peristiwa
penentu yang telah mencorakkan sejarah Indonesia pada abad yang ke-20 yang
lalu. Sekitar 1899-1901 itulah Indonesia yang dulunya dikenali dengan nama
“Hindia Timur Belanda” memulakan zaman perubahan yang pesat yang
memberikan kesan-kesan sosial, eknomi dan politik pada masyarakat pribumi dan
lain-lain penduduknya yang mengkibatkan tercetusnya gerakan nasionalisme yang
tersusun menentang penguasa kolonial Belanda sejak menjelang berlakunya
Perang Dunia Pertama. Susungguhnya dalam mengkaji sejarah pertumbuhan
faham kebangsaan di Indonesia permulaan abad ke-20 adalah menjadi satu
tempoh yang amat penting justeru kerana ia merupakan babak pertama dalam
sejarah bermulanya kesedaran itu.
Tahun 1901 ditandai dengan pengenalan “etische politiek” (dasar etika) yang
terdahulu daripada itu telah dilaksanakan dasar liberal yang memungkinkan
terbukanya pintu pengaliran modal Eropah ke Indonesia dengan seluas-luasnya.
Selama periode liberal ini rakyat pribumi, khasnya di Jawa di mana eksploitasi tanah
dan perluasan perkebunan tebu, kopi dan tembakau milik swasta, serta
perkembangan pemajakan candu yang beberapa waktu telah dimonopoli oleh
kaum Cina telah mengalami kerugian. Aakibat daripada semua ini telah
mendatangkan kesan ekonomi yang buruk yang berlarutan sejak selesainya Perang
Diponegoro pada tahun 1830. Lantaran kerugian besar yang mahu ditebus oleh
Belanda karena sumber uang Kompeni sudah menjadi kering justeru membiayai
perang melawan orang Jawa yang dipimpin Pangeran Diponegoro itu , maka
“politiek” atau dasar yang diambil ialah dengan mengeksploitasi sejauh mungkin
sumber daya agraria di desa-desa. Penduduk Indonesia dari berbagai kaum
khususnya di Jawa telah dieksploitasi secara terencana dengan “sistem kultur”
(sistem penanaman) yang menambah keperitan hidup orang pribumi di desa-desa.
Seiring dengan eksploitasi ekonomi itu ialah munculnya upaya pihak pemerintah
kolonial Belanda dan kaum pemodal menyediakan fasilitas infrastruktur yang lebih
lumayan serta memperkenalkan alat komunikasi seperti telefon, pos, keretapi dan
lain-lain lagi untuk mempermudah akses ke kawasan-kawasan yang mempunyai
sumber daya ekonomi. . Pembangunan fizikal ini akhirnya mendedahkan pulau
Jawa ke dunia baru yang modern. Tetapi perkembangan partisipasi Eropah dalam
usaha pekebunan, terutama dalam perusahaan gula telah pula menjejaskan
keadaan eknomi pribumi yang sudah memang sedia meleset akibat tekanan sistem
tanam paksa. Tanah-tanah sawah telah diambil alih demi kepentingan pabrik gula
dan ini menjadikan hasil padi bertambah merosot. Menjelang akhir kurun ke-19 itu
kondisi hidup rakyat pribumi pun menjadi begitu gawat sekali sehingga timbul
kritikan-kritikan yang mencaci “dasar liberal” itu dan menyarankan agar Belanda
menanyakan kepada “conscience”nya, betapakah caranya hutang budi terhadap
kekayaan yang mereka kaut dari rakyat Indonesia itu dapat dibayar kembali. Maka
akibat daripada kesedaran itu kelompok yang menamakan diri mereka puak “etis”
(golongan etika) itu pun meluahkan keperihatinan mereka menjelang 1901 untuk
membela kepentingan nasib orang pribumi dengan agenda untuk meningkatkan
darjat dan kebajikan umum mereka dari lembah kemiskinan iaitu sesuai dengan
ajaran moral Kristian seperti yang telah digerakkan oleh idea humanisme sejagat
dan “conscience” moral kaum Kalvinis yang lebih demokratis dan liberal serta
egalitarian sifatnya. Namun suara kaum ini pun terdengar semakin lantang hanya
pada dasawarsa penghujung kurun ke-19 melalui tulisan-tulisan dan polemik di
parlimen Belanda. Salah seorang perintis gerakan “etische” (etika) tersebut ialah
W. R.Baron van Hoevell yang menyatakan dalam tulisannya betapa dia sangat
simpati dengan nasib penduduk Indonesia umumnya. Berkata van Hoevell, “ … Kita
harus mempergunakan ilmu pengetahuan dan kepandaian kita yang berlebihan
serta keunggulan intelektual kita untuk, bukan saja menempatkan orang Jawa itu
di bawah kontrol kita, tetapi yang paling penting memberikan mereka itu manfaat
daripada tamadun kita”.
Justeru kerana menyedari hakikat perubahan yang berlaku itulah maka
pertumbuhan kesedaran kebangsaan Indonesia harus dilihat dalam kerangka
“politiek etis” (dasar etika) itu sebagai latar belakangnya. Dasar ini telah secara
sedar diserapkan untuk dilaksanakan sebagai dasar kolonial yang baru pada
permulaan kurun ke-20.
Tulisan yang ringkas ini bertujuan untuk melihat kemuculan salah seorang daripada
segelintir kaum intelektual pribumi itu yang telah ditakdirkan memainkan peranan
sebagai perintis yang menggerakan kesedaran kaumnya agar bangkit menyahut
cabaran abad yang baru lahir dengan tekad mahu merubah nasib demi
merealisasikan kemajuan yang diuar-uarkan oleh pendukung semangat “etische”
ketika itu agar dikejar dan dimiliki.
Dr.. Abdul Rivai putera Melayu Minangkabau
Abdul Rivai bin Abdul Karim adalah seorang putera Melayu Minangkabau kelahiran
Palembayan yang menyambut tantangan (cabaran) untuk maju itu. Dia dilahirkan
pada 13 Ogos 1871 dari sebuah keluarga berketurunan bangsawan. Bapanya Abdul
Karim yang bergelar Angku Gunung Raja pun lahir di Palembayan iaitu pada tahun
1838. Ibu Rivai, Siti Kemala Ria, sebetulnya adalah seorang wanita berdarah
bangsawan juga. Menurut Rivai sendiri moyang dari sebelah ibunya berasal dari
keluarga raja-raja Mokomoko di Bengkulu. Kedua-dua orang tua Rivai dikatakan
sangat alim. Mengenai Abdul Karim tidak banyak yang diketahui tentang dirinya,
kecuali bahawa pada usia mudanya dia seorang pria yang cerdik kerana pada tahun
1858 dia tamat belajar di Normaalschool (Sekolah Guru) di Bukit Tinggi. Pada zaman
abad ke-19 kemudahan pendidikan untuk bangsa bumiputera bukan mudah
diperoleh, apa agi untuk mendapat tempat di sekolah guru. Dua tahun selepas lulus
dari sekolah guru Angku Abdul Karim pun menjadi guru di Pasar Talo, Bengkulu.
Tidak lama kemudian iaitu pada tahun 1862 dia bepindah pula ke sekolah tahap 1
di kota Bengkulu di mana dia mengajar selama 11 tahun.
Pada penghujung masa dia berada di Bengkulu itulah anak lelaki keduanya yang
diberi nama Abdul Rivai lahir. Anak laki-lakinya yang tua bernama Muhammad
Lengah. Selepas kelahiran Rivai, Angku Abdul Karim pun berpindah lagi. Kali ini,
pada tahun 1874 dia ditukarkan ke sebuah sekolah dasar (sekolah rendah) di
Tanjung Pinang, Riau. Dapat diduga Abdul Rivai yang masih kecil itu menerima kasih
sayang yang secukupnya daripada ibunya ketika di Riau; tetapi kasih sayang ini
terputus apabila tiba-tiba ibunya meninggal dunia ketika Rivai baru berusia tujuh
atau delapan tahun.
Kesan kematian ibunya sekitar tahun 1878 atau 1879 itu pastilah telah meruntun
jiwa Rivai. Dia merasakan kehilangan seseorang yang sukar dicari ganti. Ketika
ibunya meninggal dunia itu bapanya Abdul Karim berusia kira-kira empat puluh
tahun; Rivai tidak menyebut sama ada bapanya berkahwin lagi atau tidak, tetapi
mengikut lazimnya amalan orang pada zaman itu tidaklah mustahil jika dia beristeri
lagi. Barangkali pengalaman Rivai masa kecil inilah yang kemudiannya membentuk
sikap dan fikirannya terhadap familinya. Kekurangan belaian kasih sayang inilah
yang menjadikan Rivai seorang yang bersikap keras terhadap orang lain waktu
dewasanya. Tugas berat bapanya sebagai guru yang berpindah dari satu tempat ke
satu tempat yang lain menyebabkan hidup Rivai pun tidak begitu stabil. Setelah
lima tahun berada di Tanjung Pinang, pada tahun 1879 oleh Jabatan Pendidikan
kolonial, bapa Abdul Rivai ditukarkan pula ke kota Padang, sebuah kota yang sangat
sibuk dan kosmopolitan sifatnya. Di sini Angku Abdul Karim mengajar selama tiga
tahun sebelum berpindah lagi ke Tanjung Ampalau di daerah Padang
“bovenlandsche” (daerah hulu atau darat) dan berada di situ selama kira-kira dua
tahun setengah. Pada tahun 1884 dia pun pindah lagi ke Lubuk Sikaping untuk
tinggal mengajar di sana selama setahun sebelum pindah ke daerah asalnya,
Palembayan dalam tahun 1885 sampailah dia bersara pada bulan Mei 1890.
Barangkali suasana berpindah randah ini juga telah mengganggu kehidupan
berkeluarga Angku Abdul Karim; dan pastinya anaknya Abdul Rivai juga terganggu.
Namun kesibukan bapanya dalam pekerjaannya tidak menghalang Abdul Rivai
untuk tekun belajar. Pada tahun 1885 ketika usianya menjangkau 14 tahun dia pun
mencoba untuk mengambil ujian yang membolehkannya masuk ke sekolah Raja
(“Hoofdenschool”) di Fort de Kock iaitu sekolah menengah rendah untuk orang
besar-besar yang mengajarkan bahasa Belanda kepada para muridnya. Peluang
belajar bahasa Belanda ini memang sesuatu yang dianggap istimewa buat anak
pribumi di Hindia Belanda pada zaman itu. Untuk mencapai cita-citanya dan
memastikan dia berjaya, Rivai telah keluar dari rumah bapanya dan mengikuti
abangnya, Muhamad Lengah yang juga menjadi guru di Bengkulu. Dengan
pertolongan peribadi Mohamad Lengah Abdul Rivai berkesempatan untuk belajar
bahasa Belanda sambil menolong abangnya itu membuat kerja-kerja rumah.
Dengan ketabahan dan ketahanan diri dua beradik itu ternyata cita-cita Rivai pun
terpenuhi. Dia telah boleh membaca dan menulis sedikit-sedikit dalam bahasa
Belanda. Melalui abangnya dia juga telah memperoleh pertolongan daripada
Residen di Bengkulu dan lantas diterima untuk belajar di Sekolah Dokter Jawa
(“School tot Opleiding van Inlandsche Artsen” atau STOVIA) di Betawi dalam tahun
1887. Sekolah ini adalah khusus bagi melatih anak-anak bumiputera menjadi
doktor tetapi tarafnya adalah lebih rendah daripada kelayakan doktor Eropah.
Dipendekkan cerita Rivai lulus dari STOVIA pada bulan Mac 1894 dengan “titel”
(gelar) inlandsche arts (“dokter jawa”, iaitu istilah yang digunakan untuk doktor
pribumi pada zaman itu) dan telah melamar pekerjaan di kota Medan iaitu dengan
Deli “maatschappij” (syarikat Deli). Semasa bekerja di Medan itu Rivai bergaul
dengan semua orang ternama di kota itu. Tetapi dia merasa jengkel apabila
dilihatnya bangsawan peribumi lebih menghormati “Orang Putih” iaitu
“ambtenaar” (pegawai) Belanda daripada bangsanya yang terpelajar tetapi berkulit
sawo matang. Menurut Parada Harahap yang pernah menulis riwayat hidup Dr.
Abdul Rivai, semasa di Medan itu Rivai telah berselisih faham dengan Tuanku Sultan
dan akibat kejengkelannya terhadap Sultan Deli itu dia pun menamakan anjingnya
“Sultan”. Perselisihannya dengan Residen Belanda juga telah menyebabkan dia
minta dilepaskan daripada pekerjaannya pada tahun 1899.
Abdul Rivai adalah seorang yang keras hati. Dia selalu menganggap dirinya sama
taraf dengan orang lain. Pada waktu itu untuk memperoleh darjat persamaan hak
dengan golongan Eropah di Hindia Belanda, seseorang pribumi boleh
mendapatkannya melalui pindah agama iaitu dengan menjadi Kristian.
Demikianlah yang terjadi pada Abdul Rivai. Semasa di Medan itu dia juga telah
berumah tangga degan seorang wanita Belanda bernama Dora, yang telah janda
dan beranak satu. Perkenalannya dengan wanita itu bermula ketika dia belajar di
Sekolah Dokter Jawa. Tetapi rumah tangganya bersama Dora dan anaknya berakhir
apabila Rivai meninggalkan Medan untuk berlayar ke Nederland.
Abdul Rivai waktu itu bukanlah Rivai yang dahulu, ketika masih bersama-sama
keluarganya. Tetapi Rivai yang berpelajaran telah banyak terdedah kepada
kehidupan bersendiri terutama sekali waktu dia belajar di Weltevreden, Betawi.
Proses permodenan yang dikembangan oleh idea-idea dari Eropah yang dilalui
masyarakat Hindia Belanda pada peralihan abad dewasa itu telah juga
mempengaruhinya sehingga merubah dan memutar corak kehidupan Abdul Rivai.