dalam memastikan kebenaran tentang sesuatu. Pembuktian itu diuji dengan
membuat penyelidikan. Penyelidikan adalah kaedah ilmu moden untuk merungkai
permasalahan, membentuk teori, membuat ‘discovery’ (atau penemuan) atau
membuat ciptaan atau ‘invention’. Penyelidikan memberikan sifat maju dan
dinamik. Ilmu -- yakni sains -- mencari dan memberikan pengetahuan yang benar.
Sebelum penyelidikan dijalankan orang akan membuat hipotesis. Misalnya suatu
hipotesis orang asing, khasnya Eropah, ialah bahawa orang peribumi di kepulauan
Asia Tenggara malas. Untuk mencari kebenaran duga-sangka ini kita membuat
penyelidikan. Kesimpulan yang diperoleh melalui penyelidikan akan menentukan
sama ada hipotesis ini benar atau salah. Jika benar maka ia akan bertepatan dengan
kenyataan yang wujud. Tetapi ia juga mungkin satu sangkaan yang silap.
Dalam mana-mana kajian ilmiah hipotesis adalah penting. Hipotesis adalah teori
sementara. Ia merupakan kesimpulan yang belum selesai, yakni dugaan fikiran,
yang besar kemungkinan kebenarannya, kerana setakat ini belum kelihatan unsur-
unsur yang menolaknya. Hipotesis cuba menerangkan atau menggambarkan
keadaan atau peristiwa, tetapi ia belum konklusif kerana belum disokong
secukupnya oleh fakta. Bagi sesuatu permasalahan, lebih daripada satu hipotesis
dapat dikemukakan. Hipotesis itu pun tidak mutlak. Ia boleh dipinda atau boleh
diganti. Data yang dihasilkan oleh penyelidikan boleh pula menolak sesuatu
hipotesis. Hipotesis adalah spekulasi yang belum dipastikan.
Walau bagaimanapun, hipotesis yang baik akan membantu memperjelaskan
permasalahan atau memberi petunjuk pada apa kaedah yang patut dipakai.
Hipotesis yang baik itu ditimbulkan daripada bidang yang diselidiki dan ia
seharusnya ada kaitannya dengan bidang itu. Tetapi seyogia diingati hipotesis
bukanlah persediaan kajian ilmiah, ia hanya persiapan untuk penyelidikan. Tanpa
hipotesis anda tak mungkin tahu apa yang hendak diselidiki. Ini kerana penyelidikan
itu sendiri bertujuan untuk menguji hipotesis. Namun demikian, di bidang ilmu
sejarah, ada juga penyelidikan dilakukan tanpa hipotesis. Sebagai ganti kepada
hipotesis dikemukakan permasalahan-permasalahan. Beberapa pertanyaan atau
soalan akan dikemukakan untuk memandu penyelidikan. Soalan-soalan itu
merupakan manifestasi daripada permasalahan besar yang ingin diselesaikan dan
ia menjadi tesis pada akhirnya.
Terkait dengan hipotesis ialah teori. Teori adalah perumusan tentang kemungkinan
(‘probabilities’). Ia memberi penjelasan yang logik mengenai fenomena atau fakta.
Sesbuah teori dibangunkan atas fakta-fakta. Teori dipergunakan untuk
menunjukkan setiap hipotesis dapat diakui kebenarannya atau tidak. Dengan kata-
kata lain, teori adalah dipandang sebagai dalil (yakni bukti yang menguatkan
kebenaran). Penemuan fakta baru atau penyemakan semula fakta lama boleh
mengubah teori yang ada. Jadi teori itu hanyalah anggapan kebenaran yang dibina
atas data yang cukup dan dapat menjelaskan secara logik gejala-gejala daripada
perkara yang diteorikan. Sesuatu teori itu benar hanya selagi ia belum ditolak.
Setelah ditemui fakta-fakta atau maklumat baru dan setelah verifikasi dilakukan
terhadap fakta-fakta lama, yang digunakan untuk membina teori yang ada itu, teori
itu akan terjatuh.
Apakah dia fakta?
Fakta adalah sesuatu yang wujud atau sesuatu yang sungguh-sungguh terjadi. Fakta
bagi ahli sejarah boleh ditafsirkan. Tetapi tafsiran pula bersifat nisbi (relatif).
Selepas sejarawan mengumpulkan fakta-fakta itu dia pun mengolah, dan
menyimpulkan fakta-fakta itu dalam bentuk kisah sejarah atau ‘historical
narrative’. Naratif itu adalah tafsiran terhadap data sejarah yang diperolehinya.
Tafsiran boleh berbeda antara sejarawan yang berlainan nilai dan budaya atau latar
belakang keagamaan. Prasangka peribadi sejarawan itu juga mempengaruhi
pentafsirannya terhadap fakta. Tetapi jika ini berlaku ia menunjukkan kelemahan
dalam pemakaian teori sejarah. Untuk mengelakkan perbedaan seperti ini maka
beberapa prinsip sejarah dari segi kaedah dan teorinya perlu dipatuhi. Jika tidak,
tafsiran itu boleh dianggap ‘bias’ (berat sebelah) atau tidak objektif. Objektiviti
sejarah adalah maha penting dalam kaedah sejarah. Jika sejarawan mengabaikan
teori seperti ‘objective historical consciousness’ (kesedaran sejarah yang objektif)
maka tidak dapat tidak sejarawan itu akan menyelewengkan atau membenamkan
bukti demi menegakkan apa yang disebut ‘teori pra-anggap’ (“preconceived
theory”). Namun demikian, ada sejarawan yang memegang teori perspektif iaitu
membuat tafsiran sejarah mengikut pandangannya sendiri. Sejarawan yang seperti
ini sukar mengamalkan objetiviti dalam pentafsiran sejarah.
Sejarawan tidaklah berpuashati semata-mata dengan menemukan fakta-fakta
zaman lampau. Mereka mahukan bukan sahaja menyatakan apa yang telah
berlaku, tetapi juga untuk menunjukkan mengapa ia berlaku. Sejarah bukanlah
hanya rakaman (rekod) tentang peristiwa masa lepas sahaja tetapi ia juga
merupakan rekod atau rakaman yang penting yang berupa periwayatan yang
menghubungkan kejadian-kejadian itu. Dengan mengaitkan atau
menghubungkaitkan peristiwa-peristiwa itu maka naratif itu sebenarnya
melibatkan apa yang disebut sifat atau ciri pemikiran sejarah. Seperti saintis
menghubungkan faktanya dengan melihatnya sebagai contoh pada undang-
undang umum, sejarawan juga memperhubungkan faktanya dan mencapai satu
kesimpulan umum, misalnya situasi jenis A akan menimbulkan situasi jenis B. Oleh
yang demikian, pemikiran sejarah adalah pada hakikatnya satu bentuk pemikiran
saintifik. Sejarah juga mempunyai undang-undangnya tersendiri.
Mengenai kebenaran dan fakta dalam sejarah, semua ahli falsafah dari semua
mazhab ilmu sejarah bersetuju bahawa ia sangat diutamakan dalam pemikiran
sejarah. Bahkan juga dalam konteks falsafah sejarah yang kritis. Bagi seseorang
sejarawan, satu fakta sejarah bererti ia seharusnya mengandungi kebenaran.
Namun, di dalam ilmu-ilmu lain faktanya boleh diperiksa dan kenyataan para pakar
boleh diuji dan dipastikan benar-benar cocok atau sesuai dengan fakta. Tetapi bagi
ilmu sejarah, fakta untuk menerangkan adalah fakta zaman silam. Fakta masa
lampau tidak semestinya boleh diperiksa atau diuji secara ‘direct’. Kita tak dapat
menguji ketepatan (‘accuracy’) sesuatu kenyataan sejarah kerana ia telah lama
berlaku. Misalnya kita tidak tahu benarkah Melaka sebuah kerajaan yang gilang-
gemilang dalam abad ke-15. Oleh yang demikian sejarawan selalu cuba mencari
bukti-bukti konkrit berdasarkan tinggalan sejarah yang berupa sumber-sumber
yang pelbagai, seperti dokumen atau wang logam, atau artifak arkeologi dan
bangunan.
Mencari kebenaran sejarah memerlukan bukti yang sahih
Tetapi dokumen yang dirujuk seperti sebuah manuskrip pun sangat perlu
dibuktikan kesahihannya. Sebagai contoh, seorang ‘profesor’ sejarah Malaysia
pernah cuba menyanggah dakwaan yang saya pernah tulis -- bahawa perkataan
“tuah” tidak wujud sebelum tahun 1630. Saya mengusulkan idea bahawa kata
“tuah” yang bererti untung atau nasib baik telah pertama kali digunakan di dalam
manuskrip “Hikayat Aceh” yang selesai dituls sekitar tahun 1636. Tetapi sang
‘profesor’ itu bertegas mengatakan ungkpan “orang bertuah” telah ditemuinya
dalam sebuah manuskrip yang dibacanya dan ini kononnya membuktikan kata
“tuah” sudah pun wujud kerana penggunaannya telah terdapat dalam manuskrip
yang disebutnya itu. Tetapi apabila saya tanyakan tahun berapakah manuskrip itu
ditulis, dia (‘profesor sejarah’ itu) menyatakan tiada tarikh disebutkan. Jadi, jikalau
dia tidak boleh menyatakan tarikh manuskrip itu ditulis bagaimanakah dia sebagai
seorang sejarawan berani mengatakan perkataan “tuah” sudah pun wujud ketika
“Sulalat u’s-Salatin” ditulis atau disalin sebelum “Hikayat Aceh” dihasilkan?
Inilah satu contoh penggunaan bahan bukti yang tidak sahih. Tidakkah sang
professor itu terfikir bahawa manuskrip itu boleh sahaja ditulis atau disalin pada
abad ke-19 ataupun pada abad ke-20, atau bila-bila masa sahaja selepas 1630?
Justeru yang demikian, para penyelidik Sejarah perlulah berwaspada tentang
sumber. Pastikan sumber itu sahih untuk dijadikan sebagai “evidence” sejarah. Ini
kerana hanyalah berdasarkan bukti-bukti sejarah sahjalah para sejarawan mampu
membuat konstruksi sejarah masa silam. Tanpa bukti ia tidak boleh dikatakan
sejarah. Ia hanya agak-agakan saja. Pendirian sebegini boleh dikaitkan dengan teori
yang mementingkan “historical truth”.
Penentuan kesahihan fakta harus bermula dengan rasa skeptik. Ini bererti bagi
sejarawan, semua bahan bukti tidak semestinya terus diterima atau dipercayai
sebagai “authentic” atau sahih. Seseorang sejarawan yang baik akan
mempersoalkan dulu sama ada dokumen atau bahan yang dikatakan sumber
primer itu boleh dipercayai. Sains atau ilmu itu biasanya bermula dengan keraguan.
Seorang ilmuan meragukan pendapat tentang sesuatu perkara. Justeru kerana itu
seseorang itu akan terdorong untuk menyelidik tanpa prejudis. Di dalam
penyelidikan mana-mana cabang ilmu, ia dilkakuan atas dasar fakta semata-mata.
Kaedah ilmiah ialah kaedah kajian yang dilakukan secara hati-hati dan lengkap atas
sermua maklumat yang diperolehi untuk menjawab sesuatu permasalahan.
Kesimpulan akan dibuat berdasarkan bukti-bukti yang ditemui dan ia mestilah
meyakinkan. Daripada kesimpulan yang dirumuskan, penyelidik itu membuat satu
teori atau hukum tentang permasalahan yang dihadapi. Teori atau hukum
merupakan serangkaian pengertian yang memberikan kefahaman mengenai
permasalahan yang diselidiki. Jadi, dia harus bersikap kritis. Fakta sejarah mesti
dipastikan dulu kesahihannya dan bukan diterima bulat-bulat tanpa kritik. Ini
termasuk karya yang berupa hasil pemikiran sejarawan, dan juga kenyataan yang
dibuat pada mula-mulanya baik oleh orang tertentu mahupun yang terdapat di
dalam sesuatu sumber.
Adalah menjadi tanggungjawab sejarawan untuk menggunakan semua bukti yang
dapat diperoleh apabila membuat satu-satu kenyataan, tetapi sejarawan juga
mesti memilih dan menentukan bahan yang mana dikatakan ‘authentic’. Ini kerana
ada dokumen yang palsu dan ada pula yang bukan sengaja dipalsukan. Ada
dokumen yang bersifat salinan daripada dokumen asal yang telah hilang buat
selama-lamanya. Penyalin telah menginterpolasi beberapa bahagian di dalam
dokumen ataupun mencampuradukkan fakta. Hal seperti ini berlaku pada hikayat-
hikayat dan teks-teks yang dikenali sebagai sastera sejarah. Bagi sejarawan, kaedah
yang dipakai untuk mengenal pasti sama ada sesuatu fakta itu akurat atau tidak
ialah kaedah “textual criticism” atau kritikan teks. Kaedah ini memerlukan
pengumpulan seberapa banyak salinan atau naskhah untuk dibuat perbandingan
antara teks-teks yang berlainan. Biasanya akan ditemui kata-kata atau ungkapan-
ungkapan atau ‘passage’ (petikan atau bahagian di dalam teks) yang tak terdapat
dalam beberapa teks. Soalan yang timbul ialah: Adakah kata-kata, ungkapan atau
‘passage’ itu merupakan tokok tambah pada salinan-salinan daripada naskhah yang
asal? Untuk menyelesaikan masalah ini maka diperlukan penyelidik membahagi-
bahagikan salinan atau naskhah itu kepada satu atau beberapa “keluarga” – yakni
kelompok teks-teks yang sama atau hampir sama antara satu sama lain dan
nampak seakan-akan berasal daripada sebuah naskhah induk baik secara langsung
mahupun tidak langsung. Selepas itu bila teks-teks yang dalam satu keluarga
dibandingkan dengan teks dalam keluarga yang lain akan dapatlah ditentukan
tarikh teks dalam satu keluarga secara perbandingan dengan yang lain. Jika teks-
teks daripada satu keluarga yang sama itu didapati disalin daripada teks antara satu
sama lain maka teks yang paling tua mungkin adalah yang terdekat dengan teks
yang asal. Apabila teks paling tua di dalam setiap keluarga teks itu diketahui maka
apabila dibuat perbandingan akan terdapat kata-kata dan ungkapan yang terdapat
dalam salinan naskhah yang tetentu tetapi tidak yang lain. Maka dengan cara itu
akan dapat diketahui kata-kata atau ungkapan yang mana telah ditokok tambah
oleh penulis/penyalin lain.
(Bersambung)
Bahagian 3 (Akhir): Liku-Liku Perjalanan Pelajar Sejarah dalam Mengikuti
Program Pascasiswazah
Oleh Ahmat Adam
Masalah Memilih Tajuk
Masalah yang sering dihadapi oleh calon-calon pascasiswazah ialah masalah
pemilihan sebuah tajuk yang mudah ditangani. Yang sangat penting dingati apabila
memilih tajuk ialah bahawa anda sendiri harus berminat untuk mengkaji tajuk itu.
Selain itu ada bebrapa petunjuk yang wajar diambil ingatan. Tanyalah diri sendiri
soalan-soalan seperti:
Apakah kawasan geografis yang hendak saya kaji? Pertanyaannya ialah: di mana?
Bandar tempat saya tinggal? Di Perak, di Singapura, di Malaysia Timur atau di Asia
Tenggara? Ataukah kampung saya?
Pertanyaan lain ialah yang bersifat biografi. Siapa? Tokoh yang mana menarik minat
saya? Masyarakat Melayu? Nenek moyang saya?
Soalan lain ialah tentang pentarikhan atau kronologi. Pertanyaan-pertanyaan
mengenainnya harus berkisar pada soalan “Bila”?, Periode apa? Abad ke-17?
Semasa zaman penjajahan British? Atau Tahun 1969?
Pertanyaan-lain yang berkisar pada soalan “Apa?” ialah mengenai aspek kajian.
Apakah yang hendak dikaji? Sistem pertanian? Kegiatan manusia yang seperti apa?
Ekonomi? Agama? Sukan? Sastera? Atau Politik?
Dengan mengajukan soalan-soalan seperti di atas seseorang calon pascasiswazah
yang sedang memikirkan tajuk yang diminatinya akan mendapat sedikit petunjuk.
Dia juga boleh memikirkan keterbatasan kajiannya.
Berkaitan dengan tajuk yang dipilih, calon juga harus memikirkan dari segi
kemampuan mendapatkan cukup bahan. Jika bahan itu terlalu banyak, calon
bolehlah membataskan kawasan yang hendak dikajinya, atau membataskan
periodenya atau jenis aktiviti atau bidang kehidupan manusia, atau bilangan orang
yang hendak dikaji. Jika dirasakan terlalu susah untuk mencari bahan maka tajuk
itu boleh diperluaskan dengan merangkumkan aspek-aspek berdasarkan
pertanyaan-pertanyaan tadi. Misalnya jika tajuk mengenai sejarah politik parti-
parti pembangkang di Kuala Selangor mempunyai bahan yang sedikit maka tajuk
itu boleh diperluaskan kepada sejarah persaingan politik parti pembangkang
dengan Barisan Nasional di seluruh negeri Selangor. Demikian pula jika tajuk itu
terlalu luas untuk sebuah tesis M.A. maka ia boleh diperkecilkan skop kajiannya.
Walau apapun tajuk yang dipilih untuk diselidiki, yang paling mustahak diingati
ialah apabila anda memilih sesebuah tajuk ia mestilah ada permasalahan yang
hendak dihuraikan. Apakah persoalan yang hendak dijawab dalam tesis anda?
Apakah pernyataan masalah yang hendak anda kemukakan? Dengan lain
perkataan: “What is your thesis?” Ingatlah bahawa kajian sejarah tidak cukup
dengan bentuk penceritaan sahaja. Anda perlu mempersoalkan sesuatu dalam tesis
anda dan berikanlah jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan. Misalnya, jika
anda memilih tajuk “Politik Negeri Selangor pada periode 2008 -- 2018” yang antara
lain menelusuri sejarah kebangkitan politik parti pembangkang yang bersaing
dengan parti gabungan Barisan Nasional dan seterusnya mebincangkan keadaan
politik di Selangor sepanjang satu dasawarsa, maka pertanyaan anda seharusnya:
“Apakah masalah yang hendak saya timbulkan?” Adakah pernyataan bahawa parti
pembangkang yang dahulunya disebut ‘Barisan Alternatif’, dan kemudiannya
‘Pakatan Rakyat’ (dan akhirnya ‘Pakatan Harapan’), diterima rakyat kerana ia
memberikan alternatif kepada parti Barisan Nasional sejak pada tahun 2008?
Bagaimanakah gabungan parti-parti bukan Barisan Nasional dapat bertapak di
Selangor sebagai pemerintah? Apakah kaitan perkembangan siasah Barisan
Nasional kontra parti pembangkang di peringkat nasional dengan perkembangan
politik di Selangor?
Calon yang memilih tajuk “Politik Negeri Selangor pada periode 2008 – 2018”
mungkin juga terdorong untuk bertanya: Apakah pendirian parti-parti dalam
gabungan ‘Pakatan Rakyat’ dan kemudiannya ‘Pakatan Harapan’ terhadap isu-isu
pembangunan, kebudayaan kebangsaan, pembinaan nasion, ketelusan
pentadbiran dan pembenterasan korupsi selama satu dasawarsa sampai kepada
periode menjelang pilihanraya 2018? Sejauh manakah gabungan parti yang
bergelar ‘Pakatan Rakyat’ itu mendapat dukungan semua kaum dan sokongan padu
daripada anggota gabungannya? Apakah dia perubahan-perubahan yang terlihat
kepada parti-parti gabungan (yang pada satu ketika berperanan sebagai
pembangkang), apabila dihadapi dengan masalah konflik ideologi politik antara PAS
dan DAP dalam strategi menentang UMNO dan Barisan Nasional di Selangor?
Bagaimana pula perkembangan gerakan pembangkang di peringkat nasional
(setelah munculnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan tertubuhnya ‘Pakatan
Harapan’) memberi dampak kepada upaya gabungan ini mencabar percubaan
Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO untuk kembali berkuasa di Selangor?
Akhirya, jika penyelidikan untuk tesis ini dilaksanakan selepas keputusan
pilihanraya 2018 diumumkan dan negeri Selangor pun menyaksikan penubuhan
kerajaan yang, sama ada diterajui oleh gabungan parti pembangkang ‘Pakatan
Harapan’, ataupun gabungan ‘Barisan Nasional’, penulis tesis tentulah sewajarnya
mengemukakan tesis atau kesimpulan kajiannya dengan menjawab pertanyaan
induknya: Apakah yang telah berlaku -- baik kepada ‘gabungan’ yang dipersepsikan
sebagai ‘pembangkang’ di dalam parlimen dan gabungan alternatif di Selangor,
mahupun gabungan ‘Barisan Nasional’ sepanjang satu dasawarsa -- yang
menyebabkan keputusan pilihanraya 2018 demikian rupa efeknya kepada kedua-
dua gabungan? Dengan kata lain, pertanyaan yang boleh ditanyakan ialah: Dalam
tempoh satu dasawarsa, apakah faktor-faktor utama yang membolehkan gerakan
‘parti pembangkang’ berjaya mengucilkan UMNO dan Barisan Nasional di
Selangor? Ataupun, jika gabungan parti bukan Barisan Nasional itu gagal apabila
keputusan pilihanraya 2018, maka yang harus disoalkan ialah: Mengapa? Ini adalah
persoalan-persoalan yang perlu dijawab jika anda memilih tajuk “Politik Negeri
Selangor periode 2008 - 2018”. Jawapan yang diberikan itu adalah tesis anda!
Sekian, wa’lLahu-a’lam
PENSEJARAHAN MALAYSIA DEWASA INI:
Tempatnya dalam Proses Pembinaan Nasion
(BAHAGIAN PERTAMA)
Oleh Ahmat Adam
(Makalah yang disiarkan secara bersiri ini adalah berdasarkan sebuah
pembentangan di Kongres Sejarah III pada 29 Ogos 2018 yang lalu. Untuk tujuan
mengelakkan plagiarisme beberapa notakaki telah digugurkan dengan sengaja).
Pengenalan
Setiap orang yang telah mencapai kedewasaan berfikir pastilah mempunyai ingatan
yang terkait dengan pengalaman dirinya. Bahkan melalui ingatannya itulah dia
mengenali dirinya. Bagi sesuatu bangsa pun ingatan menyeluruh terhadap
peristiwa-peristiwa yang telah dilalui oleh bangsa itu juga pasti mengingatkan para
anggotanya tentang siapa sebenarnya mereka itu --- seperti misalnya asal-usulnya
wilayah kediamannya, dan ciri-ciri kehidupan dan warisan budaya yang dikongsinya
bersama dengan lain-lain anggota yang turut menampilkan suatu jati diri yang
sepunya. Ingatan bersama yang dijalin oleh pengalaman-pengalaman yang telah
dilalui oleh para anggota bangsa itulah yang disebut memori kolektif dan ia menjadi
penting kerana peranannya menyuburkan apa yang dinamakan ‘national ego’.
Sejarah dan pembinaan nasion
Sejarah adalah cabang ilmu penyelidikan yang cuba merumuskan penceritaan tepat
dan pemahaman yang sah terhadap masa lampau sesuatu masyarakat. Tetapi
sejarah pun memerlukan kesinambungannya. Sejarah merupakan proses
pengalaman menyeluruh terhadap penghasilan kejadian-kejadian yang berlaku
sampailah kepada situasi yang mencirikan keadaan masa kini. Jika kita mahu
berbicara mengenai sejarah Malaysia, maka prosesnya itu harus dilihat daripada
masa lalu yang dapat dibuktikan kesahihan peristiwa-peristiwanya sampailah
kepada masa kini yang merupakan hasil daripada proses yang panjang itu. Masa
lampau dan realiti masa sekarang seharusnya boleh menjelaskan mengapa
keadaan masa kini sedemikian rupa bentuknya.
Bahawa sejarah amat penting bagi sebuah nasion muda seperti Malaysia adalah
jelas. Salah faham mengenai isu-isu kaum -- yang ada kaitannya dengan kejahilan
mengenai proses sejarah pembinaan nasion -- menandakan betapa perlunya rakyat
Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya diberikan pencerahan sejarah.
Langkah ini perlu kerana kajian ilmu sejarah sama seperti kajian ilmu-ilmu sastera
yang lain adalah bertujuan menangani aspek-aspek kehidupan manusia dan dalam
konteks perbincangan mengenai masyaraakat Malaysia ia menyentuh kehidupan
bernegara..
Dalam makalah ini saya menggunakan istilah “pensejarahan” (sama seperti
membentuk kata “penswastaan”, “pensyaratan” dan “penstrukturan”) dan tidak
“penyejarahan” seperti yang ditunjukkan oleh Kamus Dewan Bahasa. Bagi saya
“pensejarahan” lebih mudah ditanggapi untuk menyerlahkan makna periwayatan
sejarah, baik yang bersifat tertulis mahupun lisan.
Satu ciri yang kelihatan pada aliran sejarah negara ini ialah betapa ia memiliki
unsur-unsur beraneka (diversity) yang menampilkan perbezaan dan kelainan. Sifat
kepelbagaian ini justeru kerana sejarah silam Malaysia tidak boleh dipisahkan
daripada perjalanan sejarah serantau. Sejarah rantau ini yang disebut “Nusantara”
pula terangkum pada masa-masanya di dalam kerangka sejarah yang lebih besar
iaitu sejarah yang terdedah kepada anasir-anasir peradaban yang berbeza. Sama
seperti sejarah Nusantara, sejarah wilayah-wilayah yang kini terangkum dalam
negara Malaysia pun terdedah kepada anasir-anasir tamadun India, yang
membawakan budaya dan agama Hindu-Buddha walaupun bumi Nusantara sendiri
telah memiliki budaya dan sistem kepercayaan yang jarang disebutkan, iaitu
animisme.
Selain itu kontak dengan kebudayaan Cina, Arab dan Parsi juga telah memberikan
pengaruh kepada bahasa dan kesusasteraan, serta adat resam. Justeru yang
demikian, kedudukan wilayah-wilayah Malaysia, baik yang di Semenanjung
mahupun di Borneo, pada zaman silam telah diwarnai oleh berbagai ragam
kebudayaan dan melahirkan peristiwa-peristiwa yang menampakkan ciri-ciri
kepelbagaian atau keberlainan. Oleh kerana itu apabila orang berbicara mengenai
sejarah zaman silam Malaysia maka mereka tidaklah boleh melupakan
keterkaitannya dengan sejarah rantau kepulauan Asia Tenggara seperti
hubungannya dengan Sriwijaya, Majapahit dan Brunei serta juga Singapura tua.
Sekalipun pada dasarnya maklumat sejarah purbakala ini belum digarap dengan
mencukupi tetapi menyedari peri pentingnya memahami anasir-anasir luar itu
dalam pentafsran sejarah negara ini maka ia harus menyedarkan sejarawan betapa
lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan oleh mereka dan boleh pula merangsang
minat pelajar sejarah di institusi-institusi pengajian tinggi. Bahkan sejarah periode
yang lebih terkemudian pun, masih amat kurang dikaji.
Pada abad ke-17, umpamanya, negeri-negeri seperti Perak, Kedah, Pahang dan
Johor, serta juga Melaka ketika ia masih berada di bawah pemerintahan Portugis,
mengalami pertembungan dengan budaya Aceh ketika negeri itu diperintah oleh
Iskandar Muda. Tidak ramai orang yang mengetahui misalnya betapa Laksamana
Aceh hampir menakluki Melaka pada tahun 1629 dan betapa anak Raja Perak dan
Pahang pernah dirajakan sebagai Sultan Aceh.
Dalam pada itu penjarahan dan perluasan pengaruh orang Bugis-Makasar di
Semenanjung pada penghujung abad ke-17 dan periode abad ke-18 sehingga
mencampuri urusan politik orang Melayu dan berperanan mendirikan kerajaan
Selangor serta mencampuri urusan politik Johor-Riau-Lingga pun perlu dikaji.
Misalnya tidak ramai yang tahu bagaimana keluarga Temenggung Abdul Rahman
yang berdarah Bugis terlibat dalam politik negeri Johor dan terlibat pula bersama-
sama Sultan Husin Syah dalam penyerahan pulau Singapura kepada Syarikat Hindia
Timur Inggeris melalui beberapa perjanjan -- iaitu antara Temenggung dan Raffles,
pada 29 Januari 1819, antara Temenggung dan Sultan Husin dan Raffles, pada 6
Februari 1819, dan antara Temenggung dan Sultan, dan Raffles dan Farquhar, pada
25 Jun 1819. Ini diikuti dengan perjanjian antara Temenggung dan Sultan, dan
Raffles, pada 7 Jun 1823 dan akhirnya antara Temenggung dan Sultan, dan John
Crawfurd, pada 2 Ogos 1824 (Trocki, 2007: 72, notakaki 15). Perjanjian pada 6
Februrai 1819 itu memberikan hak kepada British untuk menduduki Singapura dan
Sultan Husin Syah menerima pampasan dalam bentuk bayaran tahunan sebanyak
5,000 rial Sepanyol dan Temenggung Abdul Rahman 3,000 rial setahun. Perjanjian
1824 yang menggantikan perjanjian 1819 memberikan Sultan Husin wang sebanyak
33,200 rial Sepanyol setahun dan elaun bulanan sebanyak 1,300 rial seumur hidup.
Temenggung Abdul Rahman pula menerima 26,800 rial serta elaun bulanan
sejumah 700 rial Sepanyol sepanjang hayatnya.
Crawfurd juga menggalakkan Sultan dan Temenggung meninggalkan Singapura
dengan janji membayar masing-masing 20,000 rial Sepanyol dan 15,000 rial
Sepanyol, supaya tidak timbul masalah rasa tidak senang pembesar Melayu dengan
cara pemerintahan Singapura oleh Inggeris. Pada 22 Ogos 1824 juga permintaan
Abdul Rahman kepada Stamford Raffles untuk membantunya agar anak sulungnya,
Abdullah, dijadikan penggantinya telah tidak dipedulikan oleh Inggeris; sebaliknya
adik Abdullah, iaitu Ibrahim, yang mewarisi jawatan Temenggung. Pada akhirnya,
Ibrahim jugalah yang secara rasminya diiktiraf oleh British menjadi Temenggung
Seri Maharaja negeri Johor pada 19 Ogos 1841 (Ahmat Adam 2009: 105-106) .
Penipuan Syarikat Hindia Timur Inggeris dalam memperdayakan kerajaan Kedah di
bawah pemerintahan Sultan Abdullah Kedah yng berkesudahan dengan
penyerahan Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada Farancis Light pada tahun
1786 juga sangat kurang diketahui oleh ramai orang Malaysia. Syarikat Hindia
Timur Inggeris telah mengambil kesempatan apabila pada tahun 1784 Francis Light
memujuk Sultan Abdullah Mukarram Syah Kedah memajakkan Pulau Pinang untuk
digunakan sebagai tempat memperbaiki kerosakan kapal-kapal Syarikat Inggeris
dan sebagai balasannya Light menjanjikan pembayaran sebanyak 30,000 rial setiap
tahun tetapi jumlah sebenar yang dibayar ialah 6000 rial setahun sahaja. Pada
bulan Julai 1786 Syarikat Hindia Timur Inggeris pun memerintah Pulau Pinang
dengan Francis Light sebagai Superintendent pertama tanah jajahan itu. Light
berjaya ‘menipu’ Sultan Kedah apabila dia membayangkan akan memberi bantuan
kepada Kedah terhadap ancaman Siam dan Burma. Tetapi janji yang digula-gulakan
oleh Light tidak pernah tertunaikan selepas enam bulan dan kemudiannya setahun
dan bahkan sampai enam tahun pun Sultan Kedah masih menunggu surat yang tak
kunjung tiba, baik daripada Gabenor-Jeneral, mahupun daripada penguasa kolonial
British di Eropah. Akhir-akhirnya Sultan Abdullah hanya menerima 10,000 rial
sahaja; lain-lain yang dijanjikan tiada dipenuhi oleh Light sampailah ke akhir hayat
Sultan.
Malang meyusul lagi bagi Kedah apabila pada tahun 1799 ketika Sir George Leith
menjadi Leftenan-Gabenor di Pulau Pinang, dia telah meminta pula agar wilayah
Seberang Perai diserahkan kepada Syarikat Inggeris. Kerana siasah yang tidak bijak
di pihak Sultan Kedah waktu itu, Sultan Diya’uddin Mukarram Syah, yang naik
takhta pada tahun 1798, telah menyerahkan Seberang Perai kepada Inggeris pada
tahun 1800 dengan menerima pampasan sebanyak 2,000 rial Sepanyol (Ahmat
Adam 2009: 35 – 42). Tetapi perebutan takhta antara Diyau’ddin dan anak
saudaranya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, telah berakhir dengan Ahmad
Tajuddin menaiki takhta pada tahun 1804; namun hal ini berlaku bukanlah tanpa
bantuan Siam.
Mengenai sejarah yang lebih purba lagi, besar kemungkinannya tidak ramai yang
tahu hubungan negeri-negeri Semenanjung (Hujung Medini) seperti Muar, Pahang,
Langkasuka, Kelang, Kedah, Jerai, Paka, Dungun, dan Kelantan dengan kerajaan
Majapahit (Slametmulyana, 1979:: 280). Selain itu, apabila berbicara tentang
sejarah penyebaran Islam di Malaysia, selama ini orang hanya menampilkan
peranan Melaka. Pada hal Islam sudah lebih terdahulu bertapak di Pahang iaitu
pada 419 Hijrah (1028 Masihi) dan Terengganu pada 708 Hijrah (1308 Masihi)
seperti yang dibuktikan oleh batu nisan Permatang Pasir di daerah Pekan, dan batu
bersurat di Kuala Berang, Terengganu (Ahmat Adam 2017 (a): 59). Bahkan sebelum
tarikh ini pun penemuan sebuah baldi (bekemungkinan di pantai timur juga) yang
berukir dengan tarikh 577 Sanah (1181 Masihi cenderung menunjukkan Islam
sudah bertapak jauh sebelum Melaka menjadi sebuah kerajaan.
(Bersambung)
Bahagian 2 Pensejarahan Malaysia Dewasa Ini: Tempatnya dalam Proses
Pembinaan Nasion
Oleh Ahmat Adam
Seyogia difahami juga, negara-negara yang didiami bangsa-bangsa rumpun Melayu
seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina (dan tidak terkecuali Singapura) adalah
negara-negara “baru” yang terbentuk hasil daripada kolonialisme Eropah dan
akibat proses sejarah yang berlaku sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua.
Justeru yang demikian tidak mungkin sejarah Sarawak dan Sabah dapat difahami
dengan baik tanpa merujuk kepada sejarah Brunei dan Sulu di Filipina. Namun,
lantaran kekurangan sumber keadaan yang tidak seimbang dalam kajian sejarah
antara negeri-negeri di Semenanjung dengan negeri-negeri di Borneo adalah masih
merupakan satu masalah yang belum teratasi. Selain masalah sumber, salah satu
sebabnya juga ialah lantaran kesepian sikap para sarjana di Semenanjung
umumnya, terhadap kajian mengenai Sabah dan Sarawak -- bukan sahaja di bidang
sejarah, tetapi juga di bidang-bidang ilmu kemasyarakatan yang lain.
Persoalan yang saya kira paling ruwat yang dihadapi oleh pengkaji sejarah dewasa
ini ialah persoalan periodisasi, yang masih kabur tempatnya dalam pensejarahan
Malaysia itu sendiri. Walaupun kita tidak mungkin boleh membicarakannya secara
khusus di sini, namun seyogia diingatkan betapa perlunya para sejarawan Malaysia
duduk bersama-sama membincangkan isu periodisasi ini. Ini kerana, saya kira,
pembahagian periode sejarah Malaysia berdasarkan kehadiran kuasa-kuasa
imperialis Eropah perlu ditinjau semula. Juga berkaitan dengan periodisasi ini ialah
tempoh masa sebelum pecahnya Perang Dunia Kedua yang memperlihatkan
gelombang pengaruh gerakan kiri yang dibawa oleh tokoh kiri seperti Tan Malaka
dengan gagasan “Melayu Raya” (Tan Malaka menyebutnya “Indonesia Raya”), yang
mendapat dukungan Ibrahim Haji Yaacob, dan betapa gerakan ini dimanifestasikan
dengan penubuhan Kesatuan Melayu Muda (Mei 1937) dan Partai Kebangsaan
Melayu Malaya (17 Oktober 1945). Justeru hal yang demikian, sejarah gerakan kiri
Melayu yang telah menjalin kerjasama politik kiri dengan All-Malaya Council of
Joint Action (AMCJA) melalui Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) perlu sangat disisipkan
dalam sejarah pembinaan nasion kerana melalui pertubuhan gabungan PUTERA-
AMCJA inilah Perlembagaan Rakyat telah dilahirkan pada bulan Oktober 1947, yang
jelas mendahului Perlembagaan 1948 tajaan British.
.
Demikan pula halnya dengan gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang bermula
pada tahun 1930. Dalam kalangan masyarakat masa kini pun terdapat pandangan
yang enggan menganggap sejarah PKM sebagai sebahagian daripada proses sejarah
pembentukan nasion Malaysia. Pada hal sejarawan perlu menulis sejarah dengan
berasaskan kepada penyelidikan jujur (‘honest investigation’) dan proses
penyelidikan yang terbuka (‘open processes of research’). Sejarawan
dipertanggungjawabkan untuk menghuraikan sejarah secara objektif tanpa
memesongkannya sehingga menjadi suatu diayah. Sejarah yang ditulis
seharusnyalah berupa sejarah hal-hal utama yang relevan yang bersifat ‘shared
history’ yang mencakupi peranan semua golongan dan lapisan masyarakat yang
memberi sumbangan kepada penyuburan ‘national ego’ seperti yang disebut di
bahagian pengenalan makalah ini.
Bagi rakyat Malaysia situasi masa kini yang merupakan penghasilan proses politik
yang telah melahirkan sebuah negara baru Persekutuan Malaysia, pun sangat perlu
diberikan penjelasan. Suara-suara sumbang yang dibangkitkan oleh golongan
cauvinis dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga kini jelas menunjukkan nasion
yang baru ini menghadapi masalah politik perkauman yang belum kelihatan
redanya. Sebagai contoh, baru-baru ini perlantikan seorang yang berketurunan
India sebagai Peguam Negara dan juga perlantikan beberapa orang bukan-
Bumiputera sebagai menteri dalam kabinet pasca pilihanraya ke-14 telah
menimbulkan kritikan dan kecaman daripada golongan yang bersikap rasis lantaran
tidak memahami isi kandungan Perlembagaan Persekutuan. Masih ada dalam
kalangan masyarakat Malaysia yang tidak mahu mengakui situasi masa kini yang
menunjukkan negara ini adalah negara berbilang kaum yang prasarana
pembinaannya telah diprakarsai oleh kolonialisme British selepas Perang Dunia
Kedua.
Dalam sejarah politik kolonial pasca-Perang Dunia kedua di Malaya langkah
pertama British untuk menyelesaikan masalah persengketaan ras dalam
masyarakat yang majmuk ialah dengan cuba merekayasa pada tahun 1944 suatu
gagasan penyatuan sistem pemerintahannya bagi negeri-negeri yang disebut
Federated Malay States, Unfederated Malay States serta Pulau Pinang dan Melaka
ke dalam sebuah “Kesatuan Malaya” yang lebih dikenali dengan nama Malayan
Union. (Nota: Pulau Pinang, Seberang Perai dan Melaka, bersama-sama dengan
Singapura dijadikan Negeri-Negeri Selat pada tahun 1826 tetapi diletakkan di
bawah kawalan pentadbiran British di India. Hanya mulai tahun 1867 baru
pentadbiran Negeri-Negeri Selat itu dipindahkan kepada “Colonial Office” di
London. Seyogia diingati, Pulau Pinang merupakan negeri Melayu pertama yang
dijajah oleh British. Ia telah diserahkan pada tahun 1786 atas muslihat Francis Light
yang mewakili Syarikat Hindia Timur Inggeris; dan Melaka pula selepas kekalahan
Belanda telah jatuh ke tangan Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1795;
namun akhirnya pada tahun 1824 Melaka secara rasmi telah ditukar-gantikan oleh
British dengan menyerahkan Bengkulu kepada Belanda).
Seyogia diingati, Pulau Pinang dan Melaka, mempunyai ramai orang Cina dan Tamil.
Apabila Pulau Pinang dan Melaka diletakkan di bawah kawalan pentadbiran
“Colonial Office” sebagai “British Straits Settlements” pada tahun 1867, penduduk
di kedua-dua wilayah itu pun diiktiraf sebagai rakyat British yang membezakan
kedudukan mereka daripada rakyat raja-raja Melayu di Negeri Melayu Bersekutu
dan Tidak Bersekutu.
Mengikut skema “Malayan Union”, British bercadang hendak memperluaskan
pemberian kewarganegaraan kepada semua golongan penduduk, termasuk
bangsa-bangsa bukan Melayu di seluruh Semenanjung. Alasan British ialah selepas
Perang Dunia Kedua pemulihan ekonomi amat sangat diperlukan dan ia juga
sebagai langkah awal untuk memberikan taraf berkerajaan sendiri kepada Malaya,
yakni sesuai dengan penandatanganan “Atlantic Charter” oleh Britain yang antara
lain menyatakan bahawa negara-negara yang dijajah berkemungkinan diberikan
hak menentukan nasib sendiri (“self-determination”). Tetapi tanah jajahan British
di Borneo dan Singapura tidak pula dimasukkan ke dalam rancangan seperti
“Malayan Union” itu. Sebaliknya, Labuan, Borneo Utara dan Sarawak (dan juga
Singapura) telah dijadikan “Crown Colonies”. Namun, sebaik sahaja “Malayan
Union” mahu dilaksanakan oleh British pada 1 April 1946 orang Melayu melalui
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah menentang secara besar-
besaran dan ini menyebabkan gagasan itu ditarik balik dan digantikan dengan
gagasan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.
Tetapi pada masa gagasan “Malayan Union” itu ditukar oleh British dengan
Perjanjian Persekutuan 1948, keadaan di Tanah Melayu nampak menggelodak
degan keresahan kaum buruh apabila harga getah jatuh mendadak pada
pertengahan tahun 1947 dan gaji dan upah dikurangkan sehingga 20 peratus.
Dengan berlakunya mogok kaum buruh dan penentangan terhadap pemilik ladang-
ladang Eropah, kerajaan British telah bertindak mengharamkan sebarang tindakan
mogok. Turut dilakukan ialah menangkap anggota-anggota parti komunis. Suasana
tegang di antara British dan golongan komunis itu telah merangsang Parti Komunis
Malaya (PKM) untuk melancarkan propaganda dalam kalangan ahli kesatuan
sekerja dan mencetuskan kegiatan-kegiatan ganas apabila orang-orang PKM
menyerang kaki tangan dan pekerja-pekerja lombong dan ladang milik orang
Eropah. Bahkan pada pertengahan Jun 1947 PKM telah bertindak membunuh tiga
orang pengurus ladang bangsa Eropah daripada lima orang awam dan ini
mendorong kerajaan British mengisytiharkan “Darurat” di seluruh Malaya. Susulan
daripada itu lebih 1700 orang komunis Cina telah ditangkap; ramai juga di antara
mereka diusir keluar dari Malaya. Secara umumnya kegiatan-kegiatan Parti
Komunis Malaya itu telah memberi kesan kepada pasukan keselamatan British
antara 1948 dan 1951.
Menjelang Oktober 1951 PKM mengambil jalan untuk melaksanakan strategi
politiknya dengan cuba mempengaruhi masyarakat Cina agar menyokong gerakan
mereka. Untuk membendung tindakan PKM itu British telah mengambil inisiatif
menubuhkan “Malayan Chinese Associaton” (MCA) dan melalui Rancangan Briggs
masyarakat Cina yang tinggal di pinggir-pinggir desa telah ditempatkan di
kampung-kampung baru yang dibina khas untuk mengasingkan komuniti Cina
terbanyak daripada jangkauan pengaruh PKM. British juga melalui Pesuruhjaya
Tinggi Gerald Templer, yang mula bertugas pada awal 1952, cuba mengumpan
orang Cina secara politik bahawa British bakal memberikan kemerdekaan kepada
Malaya dan seiring dengan umpanan ini British juga melalui Ordinan 1952 telah
membuka peluang kepada orang Cina untuk menjadi warga negara Tanah Melayu.
Kesannya, menjelang September 1952 sekitar 1, 200,000 orang Cina telah diberi
hak kewarganegaraan. Manakala angka warganegara berketurunan India pula ialah
180,000. Malahan Tunku Abdul Rahman sendiri menggalakkan kerjasama politik
orang Melayu dengan Cina melalui penubuhan Parti Perikatan. Maka demikianlah
terjadinya apabila British secara liciknya berjaya meminggirkan golongan komunis
yang secara majoritinya terdiri daripada orang Cina dan memberikan harapan
kepada orang Cina yang tidak bersekutu dengan orang-orang komunis untuk
menjadi warganegara yang diiktiraf.
(Bersambung)
Bahagian 3 PENSEJARAHAN MALAYSIA DEWASA INI: Tempatnya dalam Proses
Pembinaan Nasion
Oleh Ahmat Adam
Banci bangsa-bangsa di Malaya sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua
Sebelum masuknya penjajahan Jepun, bilangan penduduk Malaya menunjukkan
bahawa pada tahun 1931 daripada sejumlah 3,787,758 orang jumlah orang Melayu
adalah 1, 873, 872 atau 49.2 % peratus; sedangkan orang Cina dan India
mempunyai jumlah masing-masing pada kadar 1, 284, 888 atau 33.9 peratus dan
572, 613 orang atau 15.1 peratus. Menjelang tahun 1947 terdapat sejumlah 4, 908,
086 penduduk di seluruh Semenanjung . Daripada angka ini orang Melayu
berjumlah 2, 427, 834 orang atau 49.5 peratus, Cina 1, 884, 534 orang atau 38.4
peratus, India 530, 638 orang atau 10.8 peratus, dan lain-lain 65, 080 orang atau
1.3 peratus. Pada tahun 1955 mengikut anggaran yang diberikan oleh Perangkaan
Penduduk, anggaran jumlah penduduk Malaya ialah 6,058,300 orang. Walau
bagaimanapun, tiada angka perincian diberikan untuk masing-masing kaum yang
membentuk penduduk Malaya. Menjelang tahun 1957 angka-angka ini telah
meningkat, menjadikan penduduk Malaya 6, 278, 758 yakni terdiri daripada 3,125,
474 (49.8 %), Melayu, 2, 333, 756 Cina (37.2 %). dan 696, 186 India (11. 1 %); dan
lain-lain bangsa pula berjumlah 123, 342 orang (2.0%).
Angka-angka di atas jelas memperlihatkan betapa populasi Melayu itu sebenarnya
merupakan golongan yang minoriti katimbang (vis-a-vis) bangsa bukan Melayu --
bukan sahaja pada tahun 1931 tetapi juga tahun-tahun selepas Perang Dunia
Kedua, iaitu antara tahun 1947 dan 1957. Dengan angka-angka ini tidaklah dapat
dipertikaikan masyarakat di Tanah Melayu itu adalah masyarakat berbilang kaum,
sekalipun dari segi kewarganegaraan orang Melayu lebih mudah dianggap sebagai
warganegara jika dipakai kaedah kuat kuasa undang-undang.
Tidak juga boleh dipertikaikan bahawa nasion yang disebut “Malaya” pada masa
Merdeka dalam tahun 1957 itu adalah sebuah nasion yang bersifat “multi-racial,
multi-cultural dan multi-religious”. Tetapi ini tidak pula bererti bahawa proses
pembinaan nasion itu boleh menafikan hakikat bahawa arus sejarah negara ini
mempunyai permulaannya dan umat yang mendiami negara ini pun ada asal-
usulnya. Justeru itu dalam pada kita mengakui hakikat “multi-racial” dan “multi-
cultural”nya nasion ini, kita juga perlu memperkukuhkan upaya penyatuan dan
peneguhannya. Dari segi ini sejarah boleh memberikan sumbangannya iaitu
dengan menceriterakan masa silam itu berdasarkan penyelidikan -- demi
kebenaran. Dan caranya ialah dengan memperlebarkan perspektif dan meluaskan
tebaran jaring kajian para sejarawan.
Pembinaan sebuah nasion Malaysia yang berbilang kaum, berbilang bahasa, dan
berbilang budaya serta agama.
Sebuah nasion moden seperti Malaysia sesungguhnya mempunyai memori yang
melibatkan pengalaman yang beraneka ragam. Memang sudah ditakdirkan,
pembinaan nasion yang menyaksikan kewujudan Perlembagaan pada 31 Ogos
1957 tampaknya berlaku atas inisiatif pihak kolonial British yang telah menjajah
wilayah yang terangkum di dalam bumi yang kemudiannya dikenali sebagai
Malaysia semenjak paruh kedua abad ke-18. Perlembagaan 1957 itu pun
merupakan penggantian kepada suatu kerangka politik bikinan British ketika
termeterainya Perjanjian Persekutuan 1948. Kerangka perlembagaan yang disebut
Perlembagaan “Federation of Malaya” inilah yang kemudiannya menjadi asas
perundangan yang mengabsahkan kelahiran Persekutuan Malaysia pada 16
September 1963, yang dianggotai pada mulanya oleh Singapura, Sabah dan
Sarawak. Sudah ditakdirkan juga bahawa negeri Singapura telah menjadi sebuah
negara merdeka pada 9 Ogos 1965 apabila ia terkeluar daripada Persekutuan
Malaysia. Maka dengan itu tinggallah Sabah dan Sarawak yang menganggotai
Persekutuan Malaysia seperti sekarang ini.
Dewasa ini Malaysia adalah sebuah nasion yang masih dalam proses
pengukuhannya. Dikatakan demikian, justeru kerana masih terdapat banyak
masalah yang dihadapi oleh negara ini untuk tampil sebagai sebuah nasion yang
bersatu padu yang rakyatnya memperlihatkan kesepaduan dari segi identiti atau
jati dirinya yang bersifat nasional. Namun, kecemburuan kaum dan prasangka yang
bersifat rasial masih dapat dilihat dalam perbahasan dan polemik mengenai politik
kebangsaan sampai kini. Seyogia diingati nasion “Malaysia” (yang merangkumi
kawasan Semenanjung dan Sabah dan Sarawak) yag terdiri daripada bangsa-bangsa
yang berbagai etnik, budaya dan sejarah asal usul itu masing-masing hanya baru
digemblengkan -- yakni sekitar 45 tahun –demi menanamkan kesedaran bahawa
mereka adalah satu kesatuan kebangsaan Malaysia.
Walaupun sasaran menjadikan masyarakat berbilang kaum sebagai satu “kesatuan
kebangsaan” disedari oleh setengah-setengah negarawan yang kenal dan péka
serta tahu akan sejarah nagara ini, khususnya periode selepas berakhirnya Perang
Dunia Kedua, dan selepas British meninggalkan Semenanjung Tanah Melayu,
Singapura dan kemudiannya Sabah dan Sarawak, namun tidak ramai dari kalangan
orang politik di negara ini memahami secara telus bahawa negara yang terwujud
sekarang ini adalah kesinambungan daripada sebuah negara yang bersendikan
Perlembagaan yang digubal oleh sebuah suruhanjaya lantikan British atas
permintaan Parti Perikatan ketika ia menuntut diadakan pilihanraya persekutuan
antara tahun 1953 dan 1954.
Selepas memenangi pilihanraya persekutuan yang diadakan pada bulan Julai 1955,
pemimpin Perikatan, Tunku Abdul Rahman Putera, telah mendesak Setiausaha
Negara bagi Tanah Jajahan British, Allan Lennox-Boyd, agar diadakan perbincangan
mengenai kemerdekaan Malaya. Rentetan daripada perbincangan pihak kolonial
British dan Parti Perikatan itu maka diadakanlah satu persidangan di London pada
bulan Januari 1956 di antara kerajaan British, Parti Perikatan dan wakil-wakil bagi
sembilan orang Raja-Raja Melayu. Hasilnya, Persidangan London itu bersetuju
untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya yang dianggotai oleh beberapa orang
pakar undang-undang dari negara-negara Komanwel bagi menggubal sebuah
perlembagaan baharu dan pada masa yang sama menyatakan persetujuan untuk
memberikan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957.
Lord Reid, seorang Hakim Mahkamah Rayuan, telah dipilih untuk mengetuai
suruhanjaya perlembagaan itu. Ahli-ahli yang lain terdiri daripada Sir Ivor Jennings,
“Master” di Trinity Hall, dan bekas Naib-Canselor Universiti Cambridge, Sir William
McKell, bekas gabenor-jeneral dari Australia, Hakim B. Malik, yang menjadi Ketua
Hakim di Mahkamah Tinggi di Allahabad, India, dari Hakim Abdul Hamid dari
Mahkamah Tinggi Pakistan Barat pada masa itu.
Suruhanjaya Reid itu memulakan tugasnya pada hujung Jun 1956 dan telah
menerbitkan deraf perlembagaan pada 20 Februari 1957. Suruhanjaya itu telah
menerima 131 memorandum daripada berbagai pertubuhan politik dan sosio-
ekonomi dan telah pun mengadakan lebih daripada 100 “sesi mendengar” di
seluruh Malaya antara bulan Jun dan November 1956. Pada masa “sesi
mendengar” itu cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh berbagai pertubuhan
dan orang perseorangan, dan juga memorandum-memorandum kepada
Suruhanjaya perlembagaan itu, Lord Reid dan rakan-rakannya pun mendapat kesan
bahawa yang menjadi keprihatinan banyak orang dan pelbagai pihak ialah perkara-
perkara yang menyentuh isu-isu kebebasan beragama, pendidikan dan
penggunaan bahasa vernakular masing-masing kaum, serta hak sama rata
kewarganegaraan (Fernando & Rajagopal, 2017: 6).
Di antara yang menyampaikan pandangan ialah Parti Progresif Rakyat, yang
mendesak Suruhanjaya Reid agar mencontohi Perlembagaan India dan Pakistan
dalam hal-hal yang meyentuh Hak Asasi. Pertubuhan “Pan-Malayan Federation of
Chinese Associations” pula mendesak agar perlindungan perlembagaan diberikan
terhadap bahasa dan kebudayaan Cina. Parti Buruh pun menganggap hak-hak asasi
sebagai isu yang maha penting dan mengusulkan semua rakyat Malaya wajar
diberikan hak yang sama dan berkongsi tanggungjawab yang sama. Manakala
“Straits Chinese British Association” di Pulau Pinang pun menuntut hak asasi yang
sama. Pertubuhan-pertubuhan lain seperti “Eurasian Union of Malaya” mahukan
agar kebebasan beragama dijamin di dalam Perlembagaan. “Malayan Christian
Council” juga mendesak agar kebebasan asasi dijamin dan menekankan betapa
pentingnya wujud “kebebasan beragama sepenuhnya” (ibid: 7). Turut
mengemukakan usul ialah Persatuan Melayu Semenanjung di Johor Bahru yang
menuntut agar semua warganegara dianggap “sama di sisi undang-undang
kebangsaan dan semua warganegara diberi jaminan kebebasan menganuti mana-
mana agama” (ibid.).
Sekalipun tuntutan agar Islam dijadikan agama rasmi disuarakan oleh badan-badan
seperti UMNO dan parti-parti Melayu yang lain, Suruhanjaya Reid cuba mengelak
dengan memberikan dalih bahawa Raja-Raja Melayu telah meminta agar hal-hal
agama dikekalkan sebagai urusan Negeri (“State matter”) (Fernando, 2012: 129).
Pihak Raja-Raja mengemukakan pandangan bahawa perbekalan mengenai agama
rasmi akan hanya menjejaskan kedudukan Raja-Raja sebagai Ketua agama Islam di
dalam negeri masing-masing. Secara peribadi, ahli-ahli Suruhanjaya Reid pun
merasa berat hati dalam hal ini lantaran adanya kontradiksi antara deklarasi Parti
Perikatan bahawa Malaya adalah sebuah negara sekular dengan tuntutan UMNO
agar Islam dijadikan agama rasmi. (ibid). Ivor Jennings dari Cambridge pun dalam
catatan peribadinya pada laporan Suruhanjaya itu juga menyatakan sangat
keberatan dengan idea mana-mana “golongan minoriti” (merujuk kepada orang
Melayu yang pada ketika itu berjumlah kurang daripada separuh bilangan
penduduk Malaya) menuntut agama rasmi. Anggota Suruhanjaya dari Pakistan,
Hakim Abdul Hamid, pun pada mulanya bersetuju untuk tidak memasukkan
“agama rasmi” ke dalam Perlembagaan, tetapi kemudiannya bertukar fikiran;
namun demikian, akhir-akhirnya dia pun gagal menyakinkan ahli-ahli lain bahawa
masyarakat Islam di Malaya adalah bersifat “homogeneous” untuk memenuhi
syarat bagi menjadikan Islam sebagai agama rasmi.
Tidak menghairankan, apabila laporan perlembagaan Reid itu dihebahkan ia jelas
telah membangkitkan berbagai reaksi daripada penduduk Malaya, khasnya
daripada pertubuhan-pertubuhan politik. Parti Negara, Parti Islam Se Tanah
Melayu, dan Parti Ra’ayat adalah kelompok pembangkang Melayu yang menentang
kuat laporan Suruhanjaya Reid itu. Bahkan Parti Ra’ayat bertindak memulaukannya
dan menyatakan lebih baik Perlembagaan Tanah Melayu itu digubal oleh majlis
perhimpunan perwakilan tempatan (Fernando 2002: 159 (nota 62)). Walaupun
parti-parti pembangkang Melayu telah mengadakan Kongres Melayu kedua di
Kuala Lumpur pada 4 Mei 1957 namun hasilnya tidak memberi kesan yang besar
kerana isu-isu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu, tuntutan agar Islam
dijadikan agama rasmi, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah pun
diluluskan sebagai usul oleh majlis perhimpunan agung UMNO.
Perbincangan pelbagai pihak terhadap kandungan Perlembagaan yang
dicadangkan itu ternyata memberikan tumpuan utama mereka kepada soal-soal
kaum. Tampak jelas bahawa reaksi yang timbul adalah terbahagi terutamanya
kepada reaksi daripada bangsa Melayu dan bangsa-bangsa bukan-Melayu,
terutamanya Cina dan India. Betapapun demikian, mengenai isu kewarganegaraan,
perbekalan undang-undang yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan jelas
berasaskan hampir semua cadangan yang dikemukakan oleh memorandum Parti
Perikatan (J. M. Fernando, 2002: 124).
Sesudah terbentuknya Malaysia, kaedah memperoleh kewarganegaran telah
diubahsuai atau diselaraskan tetapi masih berasaskan kaedah yang menggunakan
prinsip kuat kuasa undang-undang, melalui pendaftaran, dan melalui naturalisasi.
Pada masa laporan Suruhanjaya Reid dibentangkan tidak banyak ditimbulkan atau
ditekankan oleh banyak pihak mengenai perkara-perkara mengenai struktur
pemerintahan dan peranannya; ataupun mengenai kuasa eksekutif dan kebebasan
badan kehakiman; ataupun mengenai peranan Persidangan Raja-Raja yang telah
dihadkan, ataupun baik-buruknya konsep Persekutuan. Sebaliknya, masalah
hubungan antara kaumlah yang diutamakan dalam perbahasan antara pemimpin-
pemimpin Malaya dengan Suruhanjaya itu.
Penggubalan perlembagaan Reid itu pun telah dikaji semula oleh sebuah
jawatankuasa di Kuala Lumpur yang dipanggil “Working Party”. Badan ini
dianggotai oleh Pesuruhjaya Tinggi British, wakil- wakil Parti Perikatan dan juga
wakil Raja-Raja Melayu. Kajian semula (“review”) itu dilakukan antara bulan
Februari dan April 1957. Setelah selesai penyemakan perlembagaan itu maka ia pun
dibahaskan pula oleh Parlimen British, dan juga di Majlis Perundangan Persekutuan
di Malaya; dan kemudiannya barulah ia diterima pakai pada ketika kemerdekaan
Malaya diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.
Bahagian 4 (Akhir): PENSEJARAHAN MALAYSIA DEWASA INI: Tempatnya dalam
Proses Pembinaan Nasion
Oleh Ahmat Adam
Kebebasan Asasi
Sebagai ringkasan pada hasil penggubalan Perlembagaan Persekutuan itu dapat
disimpulkan bahawa Perlembagaan inilah yang menjadi landasan pembinaan
nasion Malaya dan kemudiannya Malaysia. Suruhanjaya Reid yang menghasilkan
deraf Perlembagaan itu sangat menyedari betapa runcingnya perdebatan yang
bercirikan kaum dan justeru kerana itu para penggubalnya telah memastikan agar
kebebasan asasi atau “fundamental liberty” disisipkan sebagai jaminan bagi
menjaga hak-hak kebebasan warga negara yang “multi-racial” dan “multi-cultural”
di Malaya dan kemudiannya di Malaysia.
Justeru kerana ini satu daripada kebebasan asasi yang dimaktubkan dalam Perkara
8 (1) di dalam Perlembagaan Persekutuan ialah: “Semua orang adalah sama rata di
sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi
undang-undang”. Perkara 8 (2) juga mengukuhkannya: “Kecuali sebagaimana yang
dibenarkan secara nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi
terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat
lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlantikan
kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam
atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan
pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan
penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya
atau pekerjaan.”
Agama Islam
Mengenai kedudukan agama Islam, Perkara 3 (1) dalam Bahagian I Perlembagaan
Persekutuan ada menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi
agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana”. Fasal
(2) menyatakan di dalam Negeri-Negeri yang beraja, Raja berfungsi sebagai Ketua
agama Islam. Bagi Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, dan juga Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Yang Di-Pertuan Agong adalah
mewakili Raja-Raja sebagai Ketua agama Islam.
Perbekalan undang-undang ini adalah mengulangi apa yang telah termaktub di
dalam Perlembagaan 1957. Seperti yang telah disebutkan di atas tadi, di sebalik
tuntutan Tunku Abdul Rahman dan UMNO serta parti-parti pembangkang Melayu
yang menentang laporan Reid agar Islam dijadikan agama rasmi, Suruhanjaya Reid
walau bagaimana pun lebih bersikap mahukan Malaya berstatus sekular dari segi
agama. Akhirnya, Pejabat Kolonial British juga berasa lega apabila pada bulan Mei
1957 ketika diadakan Persidangan London para pemimpin Parti Perikatan telah
menyatakan bahawa mereka “tiada niat untuk membentuk sebuah teokrasi Muslim
dan bahawa Malaya akan menjadi sebagai Negara Sekular” (Fernando 3012: 163,
mengutip CO1030/494 (20) dan CO1030/496 (10)). Kertas Putih yang disediakan
oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk mencadangkan perubahan kepada
Suruhanjaya Perlembagaan Reid juga menyatakan bahawa “Telah dimasukkan di
dalam Perlembagaan Persekutuan yang dicadangkan itu suatu pengisytiharan
bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan. Dengan apa cara pun, ini tidak
akan memberi kesan kepada kedudukan Persekutuan sebagai sebuah Negara
sekular dan setiap orang adalah berhak untuk menganut dan mengamalkan
agamanya sendiri dan berhak untuk menyebarkan agamanya, sekalipun hak yang
terakhir ini akan tertakluk kepada mana-mana halangan yang dikenakan oleh
Undang-Undang Negara berkaitan dengan penyebaran apa-apa doktrin agama dan
kepercayaan dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.”
Walaupun istilah “sekular” tidak dicatat di dalam Perlembagaan Persekutuan
Malaysia namun Undang-Undang Persekutuan Perkara 4 (1) dengan tegas
menyatakan: “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-
apa undang-undang yang diluluskan selepas hari Merdeka yang tidak selaras
dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.” Perkara
128 (1) pun menyatakan bahawa “Hanya Mahkamah Persekutuan sahaja dan tidak
mana-mana mahkamah lain [termasuk Syariah], mempunyai bidang kuasa bagi
memutuskan mengikut mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia
perjalanan bidang kuasa sedemikian ----
Apa-apa soal sama ada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau
Badan Perundangan sesuatu Negeri adalah tidak sah atas alasan bahawa undang-
undang itu membuat peruntukan mengenai sesuatu perkara yang mengenainya
Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan. Badan Perundangan Negeri
itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang;
pertikaian atas apa-apa soal lain antara Negeri dengan Negeri atau antara
Persekutuan dengan mana-mana Negeri.
Keunggulan kedudukan Mahkamah Persekutuan juga ditegaskan lagi oleh Perkara
128 (2) yang menyatakan: “Tanpa menjelaskan apa-apa bidang kuasa rayuan
Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu
mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan
Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa (tertakluk
kepada mana-mana kaedah mahkamah yang mengawal selia perjalanan bidang
kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada
mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu.”
Undang-undang Syariah, walau bagaimanapun, dberikan kedudukan yang sah
apabila Perkara 121 (1A) menyebutkan bahawa kewujudan dua Mahkamah Tinggi
yang setara bidang kuasa dan tarafnya, [iaitu satu di Negeri-Negeri Tanah Melayu
… dan satu di Negeri Sabah dan Sarawak, tidaklah bererti mahkamah-mahkamah
itu mempunyai bidang kuasa “berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa
mahkamah syariah”.
Kebebasan beragama sesungguhnya ditekankan oleh Perlembagaan Persekutuan
Malaysia dalam Perkara 11 (1) yang menyatakan: “Tiap-tiap orang berhak
menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4)
mengembangkannya.” Fasal (4 ) menyatakan bahawa “Undang-undang Negeri dan
berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan
Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat
pengembagan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang
menganut agama Islam.
Konsep Persekutuan
Dari segi bentuk kenegaraan, baik dalam perlembagaan tahun 1957 mahupun
Perlembagaan Persekutuan Malaysia, sistem demokrasi berparlimen yang terdiri
atas dua buah dewan, adalah dimaktubkan sebagai kaedah pemerintahan negara.
Ia bertujuan untuk menjamin wujudnya sebuah kerajaan pusat yang kuat tetapi
dengan ruang untuk autonomi negeri-negeri.
Kedudukan Raja-Raja
Dalam sistem demokrasi berparlimen itu kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai raja-
raja berperlembagaan adalah terjamin, seperti yang termaktub di dalam Perkara
181 (1): “Kedaulatan raja-raja, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan
prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri
Sembilan di bawah wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada
dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas”. Turut dimaktubkan ialah
pemilihan seorang Ketua Utama Negara oleh Majlis Raja-Raja yang digelar Yang di-
Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun. Anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak
menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan
peranannya seperti (a) memilihYang di-Pertuan Agong, atau Timbalannya, (b)
memberikan nasihat mengenai apa-apa perlantikan, (c) memperkenankan atau
tidak memperkenankan apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan
sesuatu Negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau
kebesaran Raja-Raja; (d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa
perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara
menyeluruh; (e) perlantikan anggota Mahkamah Khas; (f) memberi ampun, tunda
hukum dan lega hukum, atau meremitkan, menggantung atau meringankan
hukuman.
Kedudukan Raja-Raja sebagai raja-raja berperlembagaan, walau bagaimanapun,
diperjelaskan lagi oleh Perkara 181 (2) yang menyatakan: “Tiada apa-apa jua
prosiding pun boleh dibawa di dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja
sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali di dalam Mahkamah Khas yang
ditubuhkan di bawah Bahagian XV”. Ini bererti Raja-Raja pun tertakluk kepada
Undang-Undang Perlembagaan.
Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu
Bahawa hasrat mewujudan suatu kebangsaan yang sepuya (“common
nationality”).adalah matlamat utama dalam pembinaan nasion Malaysia dapat
disaksikan daripada pemaktuban Perkara 152 1) yang menyatakan “Bahasa
Kebangsaan ialah bahasa Melayu. Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan ini tidak syak lagi adalah justeru kerana penggubal Perlembagaan
Persekutuan mengambil kira faktor sejarah yang telah memenyumbang ke arah
pembentukan nasion ini. Namun demikian, proses sejarah jugalah yang
menyebabkan termaktubnya Perkara 152 (1) (a) yang mensyaratkan: “Tiada
seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi
maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.”
Sehubungan dengan bahasa Inggeris pula, Perkara 152 (2) menyatakan, “Walau apa
pun peruntukan Fasal (1) selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan
selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh
digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-
tiap Negeri. Dan bagi segala maksud rasmi yang lain.”
Fasal 4 menyatakan: Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh
tahun selepas hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh
Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan
atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris. Demikian pula Fasal 5
yang menyatakan bahawa segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain
pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.
Hak Istimewa Orang Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak
Menyedari hakikat perlunya ada perseimbangan dalam pembinaan nasion yang
berbilang bangsa, budaya dan bahasa ini, para penggubal Perlembagaan juga
mengambil kira bahawa lantaran proses sejarah negara ini, undang-undang yang
boleh melindungi dan meningkatkan keupayaan orang Melayu dan anak negeri
Sabah dan Sarawak bersaing dengan kaum-kaum bukan-bumiputera di bidang
ekonomi, dan pendidikan perlu dimaktubkan, dan hasilnya ialah undang-undang
seperti yang terpancar di dalam Perkara 153 (1): “Menjadi tanggungjawab Yang di-
Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak
negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-
kaum lain dan juga menyatakan di dalam Perkara 153 (2): “… Yang di-Pertuan Agong
hendaklah menjalankan fungsinya untuk melindungi kedudukan istimewa orang
Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk
memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara
Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh
Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain
perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan
keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya, atau kemudahan khas
lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan apabila apa-apa
permit atau lessen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi
mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan …”.
Terkait dengan faktor arus sejarah negara juga ialah penggubalan undang-undang
yang melibatkan isu tanah, yang bertujuan melindungi hak pemilikan tanah rizab
orang Melayu. Di dalam Perkara 89 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan
“Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang merupakan tanah simpanan Melayu
sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus
menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga
diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu …”
Perkara 89 (6) pun menyatakan bahawa “tanah simpanan Melayu” ertinya tanah
yang disimpan untuk diberi hak milik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri
bagi Negeri tempat terletaknya tanah itu;” (Nota: Walaupun demikian Perkara 95D
dan 95E di dalam Perlembagaan menyatakan bahawa Negeri Sabah dan Sarawak
adalah terkeluar daripada kuasa Parlimen untuk meluluskan undang-undang
seragam mengenai tanah atau majlis tempatan; dan Negeri Sabah dan Sarawak
adalah terkeluar daripada rancangan negara bagi penggunaan tanah, kerajaan
tempatan, pembangunan dan sebagainya).
Penutup
Jika diperhatikan proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan sejak bermula
dengan Suruhanjaya Reid, maka jelas sekali Perlembagaan Persekutuan langsung
tidak mengenepikan faktor kepelbagaian dan kemajmukan masyarakat Malaya dan
kemudiannya Malaysia dalam proses pembinaan nasion. Dewasa ini nasion yang
telah wujud sejak 1957, dan diperbesarkan dengan pembentukan Persekutuan
Malaysia pada 16 Sptember 1963 adalah warisan sejarah yang tidak perlu
dipertikaikan kesahihannya. Arus perjalanan sejarah sehingga terbentuknya
Perlembagaan Persekutuan sebagai Undang-Undang Utama negara adalah bukti
kukuh kewujudan nasion yang tidak lagi boleh dipanggil sebagai nasion atau negara
orang Melayu, atau negara orang Cina, atau negara orang Dusun atau Iban, atau
negara yang hanya dimiliki oleh kaum tertentu sahaja – tetapi adalah negara
moden yang dimiliki oleh semua bangsa-bangsa yang memiliki
kewarganegaraannya iaitu berteraskan prinsip-prinsip kesamarataan hak dan
keadilan sejagat. Sekalipun kerangka prasarananya memperlihatkan kewujudan
institusi Raja berperlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan, serta
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, dan orang
Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak diberikan hak-hak istimewa, tetapi
ini hanyalah sebagai mengabsahkan perjalanan sejarah wilayah-wilayah
Malaysia dan suku kaum yang mendiaminya sejak waktu silam. Ia sama sekali
tidak melunturkan sifatnya sebagai sebuah negara berpemerintahan sekular dan
bersifat berbilang kaum, berbilang-budaya, dan bercirikan “diversity” atau
keberanekaan.
Sekian. Wa’lLahu-a’lam
Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511” (bahagian II)
Oleh Ahmat Adam
Portugis bertindak
Oleh yang demikian, dalam perbincangannya dengan para panglimanya, Afonso
Dalboquerque pun mengambil keputusan untuk melancarkan dasar bumi hangus
seperti yang telah dilakukannya semasa di India -- iaitu membakar seberapa banyak
rumah dan harta orang Melaka. Dasar seperti ini pernah dilakukannya di Goa pada
awal 1510 apabila ramai orang Islam dibakar hidup-hidup bersama-sama dengan
harta benda mereka.
Pada suatu malam, pada hari dan ketika yang sesuai, Afonso Dalboquerque pun
mengarahkan beberapa orang panglimanya untuk melayarkan ghali (kapal perang
bertiang tiga) dan fustanya agar berlabuh betul-betul berhadapan dengan bandar
Melaka. Ketika menjelang fajar, pembakaran kapal-kapal, dan perahu-perahu di
pelabuhan Melaka pun dilaksanakan, termasuk juga tiga buah jong besar saudagar
Islam Gujerati yang menyokong Raja Melaka, serta rumah-rumah bangsawan
Melayu yang di atas air di sepanjang pantai. Seiring dengan tindakan membakar itu
asykar Portugis juga melepaskan bedilan meriamnya beberapa kali dari ghalinya
atau “caravelles” (kapal perang) dan fustanya yang jelas membawa kerosakan dan
kemusnahan, termasuk meragut nyawa mereka yang terkena sasarannya. Seperti
yang digambarkan di dalam Sejarah Melayu:
“Maka berperanglah Feringgi dengan orang Melaka. Maka dibedilnya dari kapal,
seperti hujan datangnya, dan bunyi seperti guruh di langit. Rupa kilat apinya seperti
kilat di udara; bunyi setinggar [sic, istinggar] seperti kacang direndang. Maka segala
orang Melaka tiada boleh berdiri di pantai, daripada kesangatan bedil Feringgi itu.
Ghali dan fusta dilanggarkannya ke pantai ... (Sulalatu's-Salatin naskhah
Krusenstern, 1798: 186:2)”
Tindakan Portugis itu amatlah berkesan. Melihat betapa ganasnya tentera Portugis
itu melakukan tindakan bumi hangusnya, Sultan Mahmud telah memerintahkan
Rui de Araujo, (Ketua orang Portugis di dalam tahanan, yang bersahabat dengan
Nina Chatu, seorang saudagar Keling), bersama-sama dengan rakan-rakannya agar
segera dihantar dengan pencalang ke “nau” (kapal) Kapten-Jeneral Portugis yang
bernama “Flor de la Mar” itu.
Tetapi penyerahan orang-orang Portugis oleh Raja Melaka itu tidak bermakna
Dalboquerque berpuas hati. Bahkan juga percubaan Sultan Melaka untuk
meyakinkan Portugis bahawa kerajaan Melaka hanya mahukan perdamaian tidak
dipedulikan. Atas desakan dan hasutan Rui de Araujo, yang membesar-besarkan
cerita betapa kekayaan Melaka itu melimpah ruah, Afonso Dalboquerque dan para
panglimanya pun merancang untuk mengambil Melaka dan betekad hendak
menghapuskan orang Islam (Portugis: mouro). Kehadiran Rui de Araujo kini sangat
membantu Dalboquerque kerana segala yang diketahuinya tentang Melaka,
terutamanya mengenai kedudukan pertahanannya, persenjataannya, dan gudang-
gudang di mana harta kekayaan Melaka tersimpan merupakan maklumat penting
bagi Dallboquerque.
Portugis hendak membina loji
Kegigihan Portugis hendak menakluki Melaka menyebabkan Raja Melaka
mengambil langkah bersungguh-sungguh untuk berdamai dengan Portugis. Hal ini
disampaikan oleh utusan Sultan iaitu Tuān Bandāo [sic, Tun Bandan]; tetapi
permintaan itu dicemuh sahaja oleh Dalboquerque. Walau bagaimanapun,
sebelum utusan diraja itu berundur, Afonso Dalboquerque sempat berpesan
kepada Sultan Melaka, bahawa jika Melaka mahukan perdamaian maka hendaklah
sebuah loji besar yang teguh dibina untuknya dan orang-orang Portugis dizinkan
tinggal di dalamnya untuk menjalankan perdagangan. Tambahnya lagi, loji itu
hendaklah dibina sebelum Dalboquerque belayar kembali ke India. Dia juga
menuntut ganti rugi bagi harta Diogo Lopez de Sequeira yang dirampas, dan mahu
pampasan diberikan atas kesusahan yang dialami oleh Dalboquerque sendiri;
semuanya dihitung dan dianggarkan sebanyak tiga ratus ribu “cruzados”. Selain itu,
Sultan Melaka juga dituntut agar sanggup mengirim sembah kepada Raja Portugal
dan mengakui tunduk kepadanya. Tidak menghairankan, tuntutan ini pastinya
sukar diberi layanan oleh Sultan Melaka.
Amat disayangi, dari kitab “Sejarah Melayu” tidak banyak maklumat yang dapat
diperolehi mengenai tawar-menawar Raja Melaka dengan Afonso Dalboquerque.
Tetapi laporan sezaman Portugis menyatakan bahawa para pedagang Melaka yang
terdiri daripada orang Gujerati telah tidak bersetuju membenarkan pembinaan
sebuah loji Portugis di bumi Melaka. Pandangan mereka ini mungkin berasaskan
kepada apa yang telah mereka dengar dan ketahui mengenai sikap bermusuh
Portugis terhadap agama Islam dan perbuatan zalim mereka terhadap orang Islam
terutamanya para pedagang, seperti yang telah berlaku kepada kerajaan Goa pada
bulan Mac 1510.
Melaka bersiap untuk perang
Apabila tuntutan-tuntutan Portugis itu disampaikan kepada Sultan Mahmud Syah
dan pembesar-pembesar istana, sumber Portugis mengatakan bahawa Tengku
Alauddin [“Sejarah Melayu”: Sultan Ahmad], putera Sultan Mahmud Syah,
bersama-sama dengan bakal iparnya, Raja Pahang, yang sedang berada di Melaka,
kerana berurusan mengatur majlis perkahwinannya dengan puteri Sultan Mahmud,
telah memberikan pandangan bahawa kerajaan Melaka perlu menolak peras ugut
Portugis itu. Pandangan mereka ini mendapat sokongan daripada pembesar-
pembesar Melaka yang lain, dan juga para pedagang Islam yang terkemuka di kota
itu. Maka Sultan Mahmud pun bersetuju untuk tidak menghiraukan ancaman
Portugis itu tetapi sebaliknya bertekad mempertahankan kemerdekaan dan
kedaulatan kerajaan Melayu Melaka. Kendatipun demikian, Sultan Mahmud telah
menyerahkan kepada Tengku Alauddin [sic, Sultan Ahmad] dan Raja Pahang untuk
memimpin bala tentera kerajaan Melaka dalam menghadapi kemungkinan
serangan angkatan Perang Portugis itu. Tetapi Sultan sendiri menyatakan
bagindalah yang akan mengatur strategi pertahanan.
Melaka mengatur strategi
Untuk strategi pertahanan Melaka, Sultan Mahmud Syah telah membahagikan
pertahanan kerajaannya kepada empat kawasan. Kawasan pertama yang penting
ialah Upih (daerah Tengkera sekarang ini). Kawasan ini ditadbir oleh Sri Utamaraja,
pembesar dan saudagar kaya berketurunan Jawa yang dahulunya (tanpa
pengetahuan Raja dan Bendahara) telah menghasut Diogo Lopez de Sequeira. Sri
Utamaraja ini terkenal sebagai pedagang yang sangat kaya di Melaka; bahkan dia
disebut oleh sumber Portugis sebagai orang yang terkaya selepas Sultan Mahmud
Syah. Mereka yang datang dari Tuban, Japara, Sunda (Tanah Pasundan di Jawa
Barat) dan Palembang adalah di bawah kuasa dan wibawa Sri Utamaraja. Sumber
Portugis juga menyatakan bahawa saudagar kaya Jawa ini mempunyai tidak kurang
daripada sepuluh ribu orang hamba yang boleh dikerahnya pada bila-bila masa.
Sebuah lagi kawasan penting ialah Hilir (Bandar Hilir sekarang ini). Kawasan ini pun
ditadbir oleh seorang Jawa yang bernama Tuān ‘Colascar’ (sic, Kulasakra, istilah
Kawi (Jawa Kuno) yang bererti keturunan Indra). Ramai daripada pengikut-
pengikutnya adalah dari Gresik. Kubu penting ketiga ialah kawasan jambatan besar
Melaka. Di kawasan jambatan yang membelahi bandar Melaka kepada dua, yakni
Upih dan Hilir, Sultan Mahmud telah menugaskan Tuān [sic, Tun] Bandan, yang
menjadi utusan Sultan ketika menghubungi Afonso Dalboquerque, untuk
mempertahankannya. Kawasan jambatan besar ini paling penting kerana ia
merupakan pusat bandar Melaka; istana Raja Melaka dan Masjid Raya adalah
berhampiran dengannya.
Barisan pertahanan kerajaan Melaka yang keempat ialah kawasan pantai, di mana
para hulubalang Melaka telah diberi tanggungjawab mempertahankannya
daripada serangan Portugis. Tengku Alauddin [sic, Sultan Ahmad, menurut “Sejarah
Melayu”] bersama-sama dengan bakal iparnya, iaitu Raja Pahang,
dipertanggungjawabkan untuk memberi bantuan kepada mana-mana bahagian
pertahanan yang memerlukannya. Kedua-dua mereka itu dibekalkan pasukan bala
tentera dan pasukan gajah diraja masing-masing.
Portugis merancang
Sementara itu, ketika suasana perang sedang membahang, Afonso Dalboquerque
telah didatangi oleh enam orang kapitan Cina yang, justeru kerana menginsafi di
mana letak kepentingannya, telah menyebelahi Portugis. Mereka ini meminta izin
untuk kembali ke negeri mereka setelah berjaya melepaskan diri daripada
pembesar-pembesar Sultan. Mereka mengadu telah ditahan oleh Raja Melaka yang
mahukan anak-anak kapal dan senjata yang ada dalam kapal mereka, agar dapat
digunakan untuk pertahanan Melaka. Kepada Dalboquerque kapitan-kapitan Cina
itu telah berjanji bahawa mereka akan kembali dengan barang-barang dagangan
mereka setelah Portugis menakluki Melaka. Mereka juga telah melaporkan tentang
kekuatan pertahanan Melaka yang dianggarkan sebanyak dua puluh ribu orang,
lengkap dengan senjata yang berbagai, termasuk lapan ribu buah istinggar, panah
beracun dan tombak seligi.
Daripada orang Cina itu Dalboquerque telah memperoleh bantuan untuk
menggunakan tongkang mereka bagi mengangkut soldadu Portugis ketika
melancarkan serangan. Ketika mengatur serangannya, Dalboquerque pun mengira-
ngira bahawa kubu pertahanan orang Melaka yang paling kuat adalah di sebelah
jambatan besar sungai Melaka. Jambatan itu diperbuat daripada kayu jati dan di
kedua-dua belahnya (hujung ke hujung) pertahananannya amat kukuh; terutama
di sebelah kanan sungai (daerah Upih) di mana terdapat kampung-kampung orang
Melayu dan juga petempatan orang asing. Kedudukan bandar Melaka adalah di
sebelah kiri tebing sungai Melaka (iaitu jalan di kaki bukit Saint Paul yang menghala
ke Bandar Hilir sekarang ini). Oleh kerana itu pada firasat Afonso Dallboquerque,
jika serangan mahu dibuat ia mestilah ditumpukan lebih kepada kawasan jambatan
besar itu. Dalam perbincangan dengan para panglimanya keputusan pun dicapai
agar pasukan tentera Portugis memberikan tumpuan kepada serangan yang akan
dilakukan terhadap kawasan jambatan besar kota Melaka itu.
Menyerang kawasan jambatan Melaka
Seperti yang telah dirancangnya, Afonso Dalboquerque sendiri akan mengetuai
pasukannya ketika membuat penyerbuan ke atas kubu Melayu dekat jambatan.
Menurut Dalboquerque, seperti yang ditaklimatkannya, sebelas orang panglima
handalannya akan bersama-sama dengannya berserta pasukan soldadu masing-
masing dan akan mendarat di bahagian sebelah bandar; sementara sebuah
angkatan tentera Portugis yang terdiri daripada “fidalgo” (kesatria) dan soldadu
kapal yang dikepalai oleh D. Jao de Lima akan mendarat di bahagian sebelah masjid.
Sebaik sahaja pasukan Portugis berjaya memasuki kubu Melayu itu, mereka akan
menyerbu ke arah bahagian tengah jambatan itu sehinggalah mereka dapat
menganggarkan kekuatan pertahanan orang Melayu. Setelah memberitahu
rancangannya itu Dalboquerque pun menyuraikan para kaptennya agar bersedia
untuk melancarkan serangan pada keesokan harinya.
Pada besok harinya, dua jam sebelum waktu fajar, terompet pun ditiupkan dan
berikutya bergegaslah tentera Portugis bersiap untuk maju ke kuala sungai Melaka
dan lantas membuat serbuan ke atas jambatan besar Melaka. Serbuan Portugis itu
disambut dengan tembakan istinggar besar oleh orang Melayu. Beberapa orang
Portugis pun menderita luka-luka. Dalboquergue membalasnya dengan
mengarahkan agar ditiup terompet perang dan ini diiringi dengan laungan
“Sanctiago” (yakni “Saint James”). Kesemua Portugis itu pun menyerbu ke kubu
orang Melayu di jambatan itu. Maka serbuan Portugis pun disambut oleh panglima-
panglima Melayu itu dengan menghujani Portugis dengan panah dan lembing, dan
mereka menggunakan perisai sambil meniupkan tetuang daripada tanduk dan
terompet buatan sendiri. Laporan Portugis menyatakan mereka berjuang dengan
gagah berani buat beberapa waktu untuk mempertahankan kubu mereka, tetapi
pasukan tentera Portugis yang telah mendarat di sebelahan masjid dengan
kekuatan senjatanya yang cukup lumayan telah berjaya menyerbu masuk ke dalam
barisan pertahanan orang Melaka. Sumber Portugis juga menyebut, “Pada saat itu
Raja Melaka datang dengan menaiki seekor gajah, bersama-sama puteranya di atas
gajah yang lain dengan didampingi hulubalang mereka beserta dengan beberapa
ekor gajah yang dilengkapi di belakangnya dengan kepungan kayu yang seperti
rumah berisi senjata”. Pasukan Raja Melaka dan anaknya itu pun mengarahkan
orang Melayu yang berundur agar kembali mempertahankan kubu di jambatan itu.
Dalam pada itu D. Jao de Lima dan rakan-rakannya telah naik semangat apabila
melihat Raja Melaka di atas gajah itu. Mereka pun, menurut sumber Portugis, telah
bersungguh-sungguh menyerang para perajurit Melaka. Kegigihan mereka itu
ternyata berhasil kerana tidak lama selepas itu kawasan Masjid Raya Melaka pun
jatuh ke tangan Portugis. Sementara itu Afonso Dalboquerque yang berada di
bahagian yang tidak jauh dari bandar terus mengasak pertahanan orang Melayu di
jambatan itu. Bagi Dalboquerque, penaklukan jambatan besar sungai Melaka itu
adalah strategi yang paling penting untuk memenangi peperangan itu. Pada
perkiraan Dalboquerque dengan tertakluknya jambatan besar itu, semua jalan dan
lorong yang menuju ke jambatan itu akan tertutup kerana pasukan Portugis akan
memastikan lalu lintas perajurit Melayu dari semua jalan penting dapat disekat
sepenuhnya.
Oleh yang demikian, Dalboqurque pun mendapatkan bantuan susulan daripada
panglima-panglimanya yang ditugaskan menyerbu kawasan Masjid Raya dan
istana. Dengan strateginya itu Dalboquerque telah dapat memecahkan benteng
pertahanan di sekitar jambatan besar sehingga memaksa sebahagian hulubalang
Melayu berundur ke seberang iaitu ke daerah Upih. Kekalahan orang Melaka pun
semakin terserlah.
Seperti yang dilakarkan di dalam “Sejarah Melayu”,
“Setelah hari siang maka Feringgi pun naiklah ke darat. Maka Sultan Ahmad pun
naik gajah -- Juru Demang namanya; Seri Udani di kepala, Tun Ali Hati di buntut.
Maka baginda pun keluarlah dengan segala hulubalang. Maka berperanglah orang
Melaka dengan Feringgi. Maka daripada sangat tempuh hulubalang Melaka maka
Feringgi pun undur. Maka tampil Afongso Dhalberkarki dengan seribu soldadu
beristinggar, menempuh pada segala orang Melaka; bunyinya peluru istinggar
seperti kacang jatuh ke bidai. Demikianlah, daripada sangat tempuh anak Feringgi,
pecahlah perang orang Melaka, lalu undur.” (Sulalatu's-Salatin naskhah
Krusenstern, 1798: 187:2).
(Bersambung)
Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511” (Bahagian III)
Oleh Ahmat Adam
Gugurnya Tun Bandan
Kegigihan Portugis hendak menakluki Melaka itu walau bagaimanapun bukanlah
tanpa tentangan habis-habisan oleh orang Melaka. Sekalipun Tuān Bandan (yang
disebut oleh sumber Portugis sebagai “Kapten Raja Melaka”) mengetuai
pertahanan kubu di jambatan itu dan hulubalang-hulubalang Melayu lain telah
berhempas pulas mempertahankan jambatan besar sungai Melaka, namun
kekuatan tentera Portugis sukar dilawan. Ketika sebahagian orang yang bertahan
di jambatan itu menunjukkan sikap tidak berupaya, Tun Bandan telah
mendapatkan bantuan 700 orang Jawa untuk memperkuat pertahanan jambatan
di bahagian sebelah bandar. Tetapi Dalboquerque telah mengarahkan orangnya
agar menghalangi pasukan Tun Bandan daripada menuju ke bandar. Akhirnya
pertembungan soldadu Portugis dengan pasukan Tun Bandan itu telah membawa
kekalahan kepada orang Melaka. Tun Bandan dan dua orang hulubalang Melaka
yang lain gugur di jambatan besar itu. Manakala hulubalang-hulubalang Melayu
yang terjun ke dalam sungai di bawah jambatan telah dihujani oleh tujahan dan
tikaman pedang dan lembing tentera Portugis yang sedia menunggu di dalam
perahu dan sampannya di bawah jambatan. Dengan tertawannya dua pertiga
bahagian jambatan itu, jelaslah tentera Portugis di bawah pimpinan Afonso
Dalboquerque telah hampir berjaya menakluki Melaka yang terkenal dengan
kemakmuran dan kekayaannya seantero dunia perdagangan. Tetapi kemenangan
Portugis itu bukanlah tanpa kerugian. Mereka pun mengalami padahnya apabila
ramai di antara asykar Portugis mati akibat ditembak oleh orang Melaka dengan
panah beracun.
Betapa pun demikian, menurut sumber Portugis, hulubalang Melaka telah berjuang
dengan hebatnya bersama-sama pasukan raja Melaka yang “lengkap dengan
senjata busur dan panah, dan buluh sumpitan yang berisi panah beracun”. Namun
apakan daya, mereka akhirnya terpaksa juga berundur dari jambatan itu.
Portugis mula membina kubu
Dalboquerque memang telah merancang bahawa sebaik sahaja jambatan besar
dikuasai, tentera Portugis akan mula mendirikan tembok tanah sebagai kubu.
Memang inilah yang berlaku. Pada suatu malam, sekitar pertengahan bulan Ogos,
Afonso Dalboquerque dan para hulubalangnya pun turun mendarat dan menuju ke
kawasan jambatan besar. Dalam keadaan gelap gelita itu Dalboquerque menyuruh
orang-orangnya mendirikan tiang-tiang agak ke dalam daripada bahagian
jambatan. Di seberang jambatan yang mengarah ke Upih disuruhnya bina satu
benteng kayu. Manakala di sekeliling bahagian dalam kubu benteng itu disuruhnya
bina sebuah lagi tembok setinggi orang berdiri dengan menggunakan batu-batan
yang ditemui. Dengan menggunakan peti yang berisi tanah dan dengan tiang yang
dirikan di sebelah kanan dan kiri kawasan jambatan, Dallboquerque pun membina
kubu dan meletakkan senjata-senjata yang dihadapkan ke bandar. Di atas peti-peti
berisi tanah itu diletakkan enam buah senjata berat (meriam) dan papan-papan
tebal yang diambil dari wangkang bagi menghimpap peti-peti itu. Di sebelah
kawasan yang menghadap Upih pun didirikan tiang-tiang untuk berbuat kubu.
Kerja-kerja membuat kubu itu dilakukan oleh soldadu-soldadu yang diselia oleh
Dalboquerque sendiri. Menjelang subuh kubu Portugis di sekitar kawasan jambatan
itu pun siap.
Suasana perang di antara orang Melayu Melaka dengan Portugis itu pun telah
digambarkan oleh pengarang “Sejarah Melayu” dengan sejelas-jelasnya:
“Maka Sultan Ahmad pun beradakkan tombak dengan Feringgi; kena tapak tangan
baginda; luka sedikit. Maka oleh Sultan Ahmad dikedangkannya [diregang lurus-
lurus] tangannya. Maka titah baginda, "Hei anak Melayu! Lihat tangan kita sudah
luka! Setelah melihat tangan baginda luka itu maka segala hulubalang Melayu pun
tampil pula. Maka beramuk-amukan dengan Feringgi...
Maka Melaka pun alahlah -- dinaikinya Feringgi, dari ujung balai, tiba-tiba lalu ke
dalam. Maka segala orang Melaka pun larilah. Maka Sultan Mahmud pun berlepas
dirinya. Maka bendahara ditandu orang. Maka Feringgi pun datanglah bersusun-
susun … (Sulalatu's-Salatin naskhah Krusenstern (1798: 187: 2 - 188 )
Melaka kalah
Sesungguhnya apabila jatuh jambatan Melaka ke tangan Portugis pada 15 Ogos
1511, maka alahlah angkatan perang Melaka. Walaupun orang Melaka bermati-
matian berperang, tetapi takdir telah menentukan bahawa Melaka yang dimegah-
megahkan itu akan kalah di tangan orang Barat yang lebih canggih dari segi
penguasaan teknologi persenjataannya dan lebih pengetahuan dan
ketrampilannya dari segi strategi peperangannya, bahkan juga lebih lihai dan rakus
dari segi tipu muslihatnya, serta lebih zalim daripada mana-mana bangsa Asia.
Dasar bumi hangus yang diamalkan oleh Afonso Dalboquerque terhadap orang
Islam di Goa pada awal tahun 1510, yang juga dilaksanakan tanpa peri kemanusiaan
di Melaka, bukanlah satu faktor yang boleh diremehkan dalam menaksir sebab dan
musabab kekalahan Melaka.
Kekalahan Melaka jelas disebabkan oleh keunggulan senjata Eropah. Walau
bagaimana berbisa sekalipun senjata tradisional Melayu, seperti panah beracun
dan seligi tajam yang membolehkan orang Melaka membunuh ramai orang
Portugis, tetapi yang juga jelas ialah bedil dan meriam besar Portugis sukar
dikalahkan. Senjata istinggar dan rentaka yang digunakan orang Melaka juga tidak
memberi kesan kerana menurut laporan Portugis juga, senjata-senjata itu jauh
lebih rendah mutunya berbanding meriam, senapang ‘berko’ (kata Portugis
“berço” bererti katil bayi) dan istinggar Portugis, terutama sekali meriam mereka
yang lebih besar pelurunya. Sukarlah bagi orang Melaka mengelakkan bedilan
meriam espera yang panjangnya antara dua hingga lima meter dan beratnya
sehingga 1,800 kilogram yang dipasang di ghali Portugis dan pelurunya yang berat
antara dua belas hingga dua puluh paun. Semangat Portugis yang berkobar-kobar
untuk merompak kekayaan Melaka juga membantu mereka mencapai
kemenangan walaupun tentera Melayu dikatakan berjumlah dua puluh ribu
sedangkan Portugis hanya berjumlah sekitar seribu empat ratus orang, iaitu yang
terdiri daripada lapan ratus orang Portugis dan enam ratus orang Malabari.
Tujuan Dalboquerque ke Melaka bukan sahaja kerana ingin membebaskan rakan-
rakan Portugisnya dan membalas dendam terhadap Sultan Melaka tetapi lebih
daripada itu ialah juga kerana hasad dan rasa bencinya terhadap orang Islam yang
disertai dengan rasa yakinnya akan memenangi perang terhadap Melaka yang
terkenal kaya dengan penjualan barang-barang dagangan sampai ke Kaherah dan
Venezia. Dalboquerque juga mempunyai iltizam untuk membina bagi raja dan
negaranya sebuah kota di atas bumi Melaka dengan titik peluh bangsa Portugis
sendiri supaya mereka dapat mengatakan bahawa mereka telah berjaya menakluki
bandar Melaka dengan darah dan tujahan tombak Portugis.
Portugis bermalam di masjid
Sesudah hulubalang Portugis menakluki kubu di jambatan dan setelah hari petang
para panglima dan “fidalgo” Portugis bersama-sama dengan soldadu seramai kira-
kira empat ratus orang pun berundur dan berkumpul di “Masjid Raya” untuk
bermalam di dalam masjid yang mereka cabuli itu. Sebelum matahari terbenam
mereka sempat mengambil dua buah meriam besar untuk dibawa ke masjid.
Dengan meriam-meriam itu mereka pun melepaskan bedilan kepada orang
Melaka, dari satu ketika ke satu ketika. Di sebuah jalan yang panjang dan besar,
Nuno Vaz, seorang panglima Portugis, telah ditugaskan berjaga pada malam itu
bersama-sama dengan empat ratus soldadu Portugis yang lain.
Keadaan masa itu jelas menunjukkan Melaka sudah alah. Portugis tiada memberi
peluang langsung kepada orang Melayu Melaka untuk sempat mengumpulkan
kembali kekuatannya. Kendatipun serangan secara perang gerilya dilakukan oleh
hulubalang Melaka setelah Melaka ranap dan musnah dengan keadaannya ibarat
padang jarak padang terkukur, tetapi pemuras dan berco [berko] Portugis yang
sentiasa bersedia untuk menembakkan peluru seberat tiga paun sungguh
mematahkan semangat orang Melaka. Kelaparan, kehausan, kecederaan, dan
kehilangan mutlak terhadap segala-galanya: iaitu sebuah kerajaan, maruah bangsa
dan agama, sanak keluarga, rakan dan orang yang disayangi, dan kehilangan
kepercayaan terhadap kebolehan raja dan pembesar, menambahi ratapan hati
yang sebak dan tidak mungkin dapat dibayangkan betapa kegetiran yang
dideritakan oleh rakyat Melaka.
Penanggungan kesengsaraan orang Melaka tentulah sama beratnya, kalau tidak
pun terlebih lagi, dengan kegundahan yang ditanggung oleh seorang raja yang
kehilangan kerajaannya, kerana jatuhnya raja bererti jatuhnya sebuah negeri,
sebuah tempat berteduh bagi rakyat Melaka. Semuanya ini melemahkan semangat
ataupun melumpuhkan sebarang niat jika pun ada, untuk berperang bersungguh-
sungguh semula. Sebaliknya pula, di pihak Portugis peperangan itu tidaklah begitu
berat ditanggung mereka. Lapan hari selepas kejatuhan Melaka beberapa orang
soldadu Portugis yang luka-luka kian bertambah pulih. Keadaan mereka ternyata
jauh lebih baik daripada rakyat Melaka yang menyaksikan mayat perajurit Melaka
bergelimpangan akibat bedilan dan tembakan senapang dan meriam Portugis.
Portugis menceroboh dan merompak harta orang Melaka
Akhirnya, menjelang minggu ketiga Ogos, keadaan pun reda walaupun Melaka
diselubungi duka yang tak terhingga. Bagi para pedagang asing, suasana yang baru
itu adalah satu kenyataan pula. Setelah melihat bahawa tentera Portugis berjaya
merampas Melaka daripada tangan kerajaan Melayu, para pedagang asing itu pun
beransur-ansur keluar dari tempat sembunyinya dan mulai memasuki bandar
Melaka. Setengah-setengah daripada mereka itu diberi “surat pas” atau izin laluan
oleh penguasa Portugis yang memberikan mereka suaka dan jaminan bahawa
mereka tidak akan diganggu; keyakinan itu terutamanya diberikan kepada para
pedagang dari Pegu dan Cina. Apabila keluar dari persembunyian masing-masing,
ada di antara pedagang dan ceti-ceti India itu lantas memuju-muji Portugis dan
menyalahkan serta memburuk-burukkan pembesar-pembesar Melayu di samping
menyalahkan para pedagang Islam yang dituduh telah memberikan nasihat yang
salah kepada Sultan Mahmud Syah. Lantaran itu laporan Portugis mengatakan tidak
ramai daripada pedagang-pedagang Islam itu kelihatan di bandar setelah Melaka
alah di tangan Portugis.
Menyedari akan hajat besar kesemua soldadu Portugis yang menunggu-nunggu
bila mereka akan diizinkan memasuki bandar Melaka untuk menggeledah dan
merompak segala kekayaannya, Afonso Dalboquerque pun memberi ingatan
bahawa mereka tidak boleh terpisah daripada pasukan masing-masing dan
diingatkan agar jangan melakukan rompakan selagi seluruh bandar Melaka tidak
digeledahi dan selagi orang Islam tidak dihapuskan habis-habisan, tidak kira
perempuan, isteri-isteri, kanak-kanak, atau orang tua. Semuanya harus dihabiskan.
Sebelum Dalboquerque menghebahkan kepada semua orang asing bahawa mereka
boleh memasuki bandar Melaka semula, dia telah memperuntukkan tempoh
selama tiga hari bagi soldadunya merompak dan menceroboh gudang-gudang dan
rumah-rumah orang kaya Melaka. Kecuali Nina Catu, yang mendapat perlindungan
keselematan daripada Rui de Araujo, Dalboquerque telah mengizinkan anggota-
anggota bala tenteranya merampas mana-mana harta orang Melaka sebagai
rampasan perang. Dalam masa tiga hari itu bukan sahaja harta yang dirampas,
tetapi juga perempuan dan anak gadis menjadi sasaran pemerkosaan Portugis
untuk memuaskan nafsu dan kebenciannya terhadap orang Islam. Bagi orang
Melayu Melaka, apabila melihat betapa perangai dan tingkah laku yang ditujukkan
oleh Dalboquerque dan para soldadu Portugis, mereka pun mendapat kesan,
betapa kerakusan, ketamakan dan kekejaman Portugis mencerminkan tamadun
orang Eropah dan agama Kristiannya, dan bahawa mereka itu merasakan seolah-
olah tindakan mencabuli hak orang Islam adalah bukan kebiadaban namanya.
Tindakan ‘pembersihan’
Pada 25 Ogos 1511 pada waktu subuh, Dalboquerque, bersama-sama dengan
soldadu-soladu di bawah pasukan para hulubalang kesatrianya ( “fidalgo”) masing-
masing dengan bersenjatakan lembing dan tombak, pun berjalan mengikut barisan
enam-enam serta memasuki bandar Melaka. Dalboquerque telah menempatkan
pasukan tenteranya yang diketuai oleh para “fidalgo” untuk memastikan tiada
orang Melaka yang boleh bertindak menentang. Dengan mengikuti jalan besar
sampai ke penghujungnya dia pun memastikan bahawa semuanya telah bersih
daripada sebarang ancaman orang Melayu. Kemudian, asykarnya pun memasuki
jalan yang lain, juga dengan tujuan untuk memastikan bandar Melaka sudah
dibersihkan daripada ancaman hulubalang Melaka. Menjelang tengah hari, Afonso
Dalboquerque pun meluahkan rasa puas hatinya kerana penentangan terhadap
soldadunya amat kecil sekali. Menurut laporan, setelah kembali ke pantai, didapati
hanya sedikit bilangan soldadu Portugis yang mati kerana dibunuh oleh hulubalang
Melaka, dan segelintir sahaja yang luka-luka.
(Bersambung)
BAHAGIAN IV:
“Menelusuri Pantai Zaman: Melaka Tahun 1511”
Oleh Ahmat Adam
Mengapakah Melaka mudah dikalahkan?
Kemenangan besar Portugis lantaran berjaya menakluki kerajaan Melayu Melaka
yang begitu masyhur pada zaman itu tentulah ada sebab-musababnya. Walaupun
Melaka pernah menghadapi serangan dari orang asing seperti Siam, dan kerajaan
Melaka pun pernah menundukkan beberapa kerajaan di tanah semenanjung dan
di seberang Selat Melaka, namun pertembungannya dengan bangsa Eropah belum
pernah berlaku. Kehadiran orang Portugis di Melaka sejak kali pertama dalam
tahun 1509 sesungguhnya tidak disangka-sangka oleh Raja Melaka akan membawa
kepada kehancuran sebuah kerajaan. Kejatuhan Melaka juga boleh ditafsirkan
sebagai kesan dan akibat daripada pertembungan dua kebudayaan yang berbeza
yang jelas membawa nilai-nilai tamadun yang sangat bertentangan.
Kedatangan Dalboquerque ke Melaka bukan sahaja didorong oleh niat untuk
menebus malu dan membebaskan orang sebangsanya, tetapi juga untuk
mengambil kesempatan merampas sebuah ’lombong emas’ di perairan Selat
Melaka. Dengan dibakar oleh semangat keagamaan yang sangat membencikan
orang Islam, maka Dalboquerque pun mengulangi dasar bumi hangusnya yang
berjaya dilaksanakan di Goa, India. Maka Kapten-Jeneral Portugis itu pun bertindak
sekejam yang mungkin di bumi Melaka, tanpa ada sedikit pun perasaan
kemanusiaan yang diajarkan oleh agama Kristiannya. Teknologi perang dan
kelengkapan persenjataan yang dimiliki oleh tenteranya telah dimanfaatkan
sepenuhnya untuk membunuh rakyat Melaka yang dianggapnya tidak bertamadun.
Tetapi punca kekalahan tidak terletak di bahu Portugis sahaja. Di pihak kerajaaan
Melaka sendiri, masalah kepemimpinan orang Melayu juga menjadi sebab utama
kekalahan itu. Seorang Sultan yang zalim dan ketiadaan pimpinan yang mampu
merancang strategi pertahanan yang berkesan membawa padah yang buruk
kepada kerajaan Melaka, yang hanya baru wujud sekitar seratus sebelas tahun.
Selain itu, masalah-masalah dalaman kerajaan Melaka yang menyebabkan
pembesarnya tidak menyedari wujudnya gunting dalam lipatan juga mendedahkan
kelemahan kepemimpinan negeri. Amalan menerima rasuah yang dilakukan oleh
sebahagian pembesarnya, termasuk juga Bendahara, menjadi tanda kerendahan
akhlak dan kualiti kepemimpinan pada zaman penghujung kesultanan Melaka.
Strategi perang yang lemah
Dari segi strategi pertahanan jelaslah Raja Melaka tidak pernah terfikir bahawa
Melaka akan diserang pada suatu hari kelak secara besar-besaran oleh bangsa yang
rakus dan biadab. Kelemahan teknologi dalam peperangan dan ketiadaan ilmu
pertahanan menjadi faktor penting dalam kekalahan Melaka. Sekalipun seperti
yang dilaporkan oleh orang Portugis bahawa di Melaka mereka menemui lapan ribu
alat senjata, namun senjata seperti lela dan rentaka, istinggar, peluru timah,
lembing, bambu runcing, seligi, panah beracun dan keris serta pedang tidak
berkemampuan mencabar keberkesanan senjata api Eropah seperti meriam,
senapang, bedil, dan pemuras, dan juga “scimitar” (syamsir atau pedang besar)
Portugis. Penggunaan gajah untuk berperang juga bukan langkah yang bijak kerana
gajah sukar dikendarai untuk bergerak tangkas. Ketika melihat pengikut Sri
Utamaraja yang terdiri daripada orang Jawa enggan berperang, Sultan Mahmud
Syah, Raja Melaka, merasa amat keciwa sehingga terpaksa membayar upah kepada
mereka untuk menentang Portugis; tetapi ternyata asykar upahan orang Jawa itu
pun tidak bersungguh-sungguh menentang Portugis kerana dihalang oleh Sri
Utamaraja.
Sri Utamaraja ‘bermain kayu tiga’
Malang bagi orang Melayu Melaka, Sri Utamaraja yang kepada orang Portugis
dikenali sebagai Utimutiraja, yang dipercayai oleh Sultan Mahmud, pun bermain
kayu tiga dengan kerajaan. Apabila dia mendengar betapa akan berlakunya
peperangan yang akan menyaksikan penaklukan negeri Melaka oleh Portugis, Sri
Utamaraja telah secara halus berpaling tadah; secara sembunyi-sembunyi dia telah
menghubungi Afonso Dalboquerque dan meminta agar dia dan anak isterinya
diberikan jaminan dalam bentuk pemberian surat laluan (“surat pas”) agar dia dan
ahli-ahli keluarganya mendapat suaka. Permohonannya ini telah dikabulkan oleh
Dalboquerque yang licik kerana muslihatnya ialah untuk menjejaskan sokongan
terhadap Sultan Mahmud. Pada waktu perang sedang berkecamuk, para lasykarnya
yang sepatutnya dikerahkan oleh Sri Utamaraja dari Upih pun gagal menunjukkan
perjuangan yang bersungguh-sungguh dalam menentang Portugis. Tetapi selepas
Portugis berjaya menakuki Melaka Utimutiraja (atau Sri Utamaraja) dan anak serta
menantunya juga dituduh bertindak belot kepada Portugis. Dia telah dihukum
pancung oleh Dalboquerque bersama-sama dengan anaknya, menantunya, dan
cucunya pada 27 Disember 1511.
Taktik Dalboquerque
Kelicikan Portugis mengatur strategi, bukan sahaja dari segi perancangan
ketenteraannya tetapi juga dari sudut diplomasinya terhadap kaum-kaum asing di
Melaka, jelas menjejaskan pertahanan Melaka. Sebagai contoh, apabila saudagar
Cina di Melaka menyedari bahawa serangan Portugis ke atas negeri Melaka akan
menjadi kenyataan dalam masa kira-kira dua minggu selepas kedatangan Afonso
Dalboquerque, mereka yang berasa tidak terhutang apa-apa kepada sebuah
kerajaan yang tidak bersih, tidak cekap dan bahkan membenarkan rasuah dalam
amalan pentadbirannya, telah secara bermain kayu tiga mengkhianati raja Melaka.
Dikatakan para saudagar Cina ini pun menaruh dendam terhadap Sultan Mahmud
kerana layanan yang buruk yang diterima daripada Raja Melaka yang telah
merampas harta perniagaan mereka. Laporan Portugis pun mengakui bahawa
orang Cina yang telah dipujuk Portugis telah menawarkan bantuan untuk bersama-
sama berperang dengan tentera Dalboquerque. Meskipun Dalboquerque menolak
tawaran tersebut, tetapi dia sebaliknya telah meminta orang Cina meminjamkan
tongkang mereka demi membantu soldadu Portugis mendarat di bandar Melaka.
Tindakan ‘bumi hangus’ Portugis
Langkah Dalboquerque mengarahkan dua orang panglimanya dengan masing-
masing membawa seratus orang soldadu untuk membakar rumah-rumah di sekitar
jambatan besar ternyata telah berjaya menimbulkan suasana panik. Angin yang
bertiup kencang telah memarakkan api dan ini menyebabkan bukan sahaja rumah-
rumah yang hangus tetapi juga gudang-gudang di mana barang-barang dagangan
tersimpan pun mengalami kemusnahan.
Tindakan bumi hangusnya ini benar-benar didorong oleh rasa marah dan benci
terhadap orang Islam seperti yang telah dilakukannya semasa di Goa yang menolak
rasa peri kemanusiaan. Semasa penaklukan Goa, dengan mengecualikan petani
dan sami Hindu, Afonso Dalboquerque dilaporkan telah membunuh sekitar enam
ribu orang Islam. Ramai di antara orang Islam itu telah dibawa ke masjid dan
dibakar hidup-hidup. Kini di Melaka kezaliman yang sama dilakukan. Justeru kerana
orang Melayu Melaka itu beragama Islam maka dasar membakar rumah dan masjid
mereka serta membunuh kanak-kanak, perempuan dan orang tua dan mereka yang
tidak bersalah dihalalkan. Akibatnya, ramailah rakyat Melaka yang terkorban dalam
dasar bumi hangusnya itu. Seperti yang dilakukannya di Goa, bangunan Masjid
Raya yang diperbuat daripada kayu dan batu juga dibakarnya. Turut dijilat api ialah
istana Raja Melaka dan astaka berhias diraja yang indah yang dikatakan berdiri atas
tiga puluh buah roda yang berukuran sebesar kamar. Laporan Portugis menyatakan
bahawa astaka inilah yang bakal dijadikan kenderaan pengantin diraja pada ketika
perkahwinan puteri Sultan Mahmud dengan Raja Pahang [Sultan Mansur]
dilangsungkan.
Raja Pahang pulang dan Sultan memperkuat pertahanan
Mengikut sumber-sumber Portugis, ketika bandar Melaka diserang, Sultan
Mahmud sebenarnya telah berbalah dengan anaknya Raja Alaudin [sic, Sultan
Ahmad] dan bakal menantunya Raja Mansur dari Pahang. Setelah Raja Pahang itu
mendapati peperangan telah menyebabkan banyak kematian, dan istana Melaka
pun mengalami kebakaran, maka dengan menaiki gajah bersama-sama