The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

14.5.2020 Koleksi Tulisan Ahmat Adam 2

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by cheguridhwan81, 2021-06-05 01:11:24

Koleksi Tulisan Ahmat Adam 2

14.5.2020 Koleksi Tulisan Ahmat Adam 2

komponen strategi berfikir ini akan menyebabkan salah satu daripada tujuan atau
faedah belajar sejarah itu tidak tercapai.

Sasaran pengajaran sejarah

Sejarah adalah sumber inspirasi untuk manusia melahirkan gagasan, fikiran atau
idea untuk memperbaiki keadaan masa kini dan masa akan datang. Peranan sejarah
adalah untuk menerokai wilayah zaman silam demi mencerahkan pemahamannya
tentang masa kini dan masa hadapan. Oleh kerana ilmu sejarah itu merupakan
memori kolektif bagi sesebuah nasion maka amatlah penting pengajarannya
menuju kepada tujuan untuk memupuk kesejahteraan nasion yang sedang dibina.
Demi mencapai sasaran ini naratif sejarah negara seharusnya mencakupi ruang
masa yang lebih luas yang dapat menjelaskan asal-usul negara ini dan dapat
menjelaskan mengapa keadaan semasa demikian bentuk dan rupanya. Berbicara
tentang ruang masa, ia sebenarnya melibatkan soal periodisasi. Dengan
mengabaikan jangka masa sejarah Malaysia yang lebih panjang daripada apa yang
ditekankan dalam pengajaran di sekolah, mereka yang celik sejarah melihat betapa
terpesongnya pandangan sejarah yang tidak munasabah yang menganggap
"semuanya bermula dengan Melaka". Apakah ada motif tertentu untuk
menyatakan bahawa sejarah politi Melayu itu hanya bermula dari zaman
kesultanan Melaka yang Islam yang hanya berusia sekitar 111 tahun? Penafian
ruang masa yang lebih panjang yang menunjukkan tamadun orang Melayu pernah
pada suatu masa tidak bersendikan Islam, saya fikir, adalah suatu penyerongan
sejarah.

Juga, percubaan menyorokkan hakikat bahawa bangsa Melayu pernah menganut
agama Buddha dan agama sinkretik Buddha-Hindu selama hampir seribu tahun
sebelum masuknya Islam ke rantau kepulauan Melayu, dan bahawa sebahagian
daripada ‘psyche’ Melayu itu sebenarnya adalah warisan daripada nilai-nilai zaman
pra-Islam (seperti yang terjelma dalam konsep budi, seni dan etos kaum-kaum
rumpun Melayu), telah menyebabkan masyarakat Malaysia hari ini tidak dapat
memahami mengapa nilai Melayu yang diwarnai oleh tiga aliran agama besar dunia

(termasuk Islam) sangat berbeda dengan nilai orang Cina yang diwarnai oleh sistem
kepercayaan yang berpaksikan Taoisme, pemujaan roh nenek-moyang, dan
Konfusianisme. Percubaan membenamkan hakikat raja yang bergelar
Parameswara ketika membuka Melaka adalah beragama Buddha berbaur
Hinduisme sinkretik, dan kegagalan mengaitkan kemunculan kerajaan Melaka
sebagai penerusan politi Melayu yang telah bermula dengan kerajaan Malayu-
Jambi dan kerajaan Sriwijaya di Palembang adalah juga suatu kejanggalan dalam
pengajaran sejarah kerana pemutarbalikan atau ‘distortion’ yang dilakukan
melanggari filsafat sejarah yang cuba mencari kebenaran, sekalipun elusif sifatnya.

Oleh yang demikian, sikap memberi fokus yang berlebihan kepada kesultanan
Melaka demi menunjukkan "keagungan" kerajaan dan budaya Melayu-Islam
sehinggakan zaman Melaka menjadi seolah-olah titik mulanya orang Melayu
bertamadun adalah sebetulnya suatu ‘distortion’ sejarah. Orang mungkin berfikir
bahawa jika sejarah Sriwijaya itu diberikan ruang yang lebih luas maka ini akan
memperkecilkan niat untuk memberi fokus kepada negara Malaysia. Tetapi konsep
Malaysia itu bukanlah lahir secara tiba-tiba. Politi Melayu yang terpakai di Melaka
itu seperti yang disebutkan tadi adalah sebetulnya satu mata rantai dalam sejarah
peradaban Melayu yang bermula dengan politi kerajaan Malayu Jambi dan
kemudiannya Sriwijaya di Palembang. Bukti perkaitan sejarah tamadun purbakala
yang usianya menurut sumber arkeologi bermula pada sekitar abad ke-4 atau ke-5
Masehi tentulah tidak wajar diketepikan. Kita tahu bahawa sejarah Kedah pada
abad ke-7 pun tidak dapat dipisahkan daripada sejarah kerajaan Sriwijaya di
Palembang; dan kaitan Tanah Melayu, dengan Majapahit yang pernah menebarkan
wibawa pengaruhnya di negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu,
Pahang, Kedah, Johor, dan bahkan juga wilayah yang disebut di dalam
Nagarakrtagama seperti Paka, Dungun, Muar, Kelang, Jerai, Langkasuka, dan juga
Temasik adalah suatu hakikat sejarah. Kajian inskripsi Trengganu (bertarikh 1308)
yang saya lakukan sekarang ini pun menunjukkan betapa banyaknya istilah Jawa
Kuno yang dipakai di dalam teks batu bersurat itu, yang jelas menunjukkan
wujudnya pengaruh Majapahit. Pada zaman yang terkemudian, yakni pada abad
ke-17, negeri Kedah, Perak, Pahang, dan Johor pun pernah dijarahi dan dikuasai
oleh kerajaan Aceh. Mungkin tidak ramai pula yang tahu bahawa gelar Datuk
Maharaja Lela yang terpakai di Perak dan peristiwa golongan pembesar Aceh

melantik anak raja Perak dan Pahang menjadi Sultan Aceh adalah sebahagian
daripada sejarah Malaysia. Saya sebutkan perkara-perkara ini justeru kerana inign
menunjukkan bahawa kajian dan pengajaran sejarah Malaysia tidak dapat
dipisahkan daripada mengkaji keberkaitannya dengan kerajaan-kerajaan di
seberang Selat Melaka, terutamanya pulau Sumatera.

(bersambung)

Pendidikan Sejarah di Malaysia Dewasa Ini: Sejauh Manakah Ia Relevan Kepada
Pembinaan Nasion?”

Oleh Ahmat Adam

Bahagian 3

Justeru hal yang demikian, maka jelaslah kepada kita, persoalan besar yang
dihadapi oleh sejarawan di Malaysia kini ialah masalah periodisasi sejarah tanahair.
Persoalan ini terkait pula dengan kurangnya penyelidikan sejarah zaman awal
negara, sekalipun ia sebanyak sedikit telah diperbantu oleh data yang dikemukakan
oleh ahli-ahli arkeologi; di sebalik hakikat ini, ia masih kurang mendapat dukungan
kaum sejarawan untuk turut menyambung dan mencerahkan lagi sejarah awal
negara melalui penyelidikan. Minat untuk menyoroti kandungan manuskrip Jawi
lama di kalangan sejarawan di Malaysia juga secara relatif agak kurang. Masalah ini
juga berangkai dengan masalah kurangnya dana untuk para sarjana menjalankan
penyelidikan sejarah yang boleh, misalnya, memanfaatkan koleksi manuskrip di
perpustakaan-perpustakaan luar negara. Masalah ini pun menjadi bertambah
ruwet apabila (seperti yang telah disebutkan tadi), pengajaran sejarah dijadikan
sebagai alat mendakyah demi menegakkan persepsi sejarah orang-orang yang
membuat dasar dan mereka yang terlibat dalam penggubalan kurikulum yang saya
kira terdiri daripada kaum birokrat yang pada hakikatnya bukan sejarawan yang
‘bona fide’. Apabila penglibatan sepihak ini berlaku tanpa pakar dan sarjana sejarah
negara dirundingi, maka berlakulah ‘distortion’ atau tindakan memutarbalikkan
fakta dan matlamat pendidikan sejarah.

Masalah ‘distortion’ tidak terlepas daripada persoalan ingin menjadikan
pengajaran sejarah sebagai sesuatu yang mempunyai hala tuju yang khas, seperti
untuk menggembleng semangat patriotisme atau mewarnakan citra kebudayaan
bangsa Melayu itu sebagai hanya berasaskan Islam sahaja. Seharusnya yang
diutamakan ialah upaya memberikan huraian sejarah secara koheren dengan

melihatnya dalam konteks persekitarannya, seperti melihat tenaga-tenaga luar
yang mempengaruhi dan membentuk sesuatu fenomena sejarah. Sikap ini perlu
agar warga negara tidak berpandangan jumud dan sempit dalam pentafsiran
sejarah. Justeru kerana itulah apabila kita membicarakan isu nasionalisme,
perbincangan itu tidak boleh dipisahkan daripada melihat konteks zaman dan
meletakkannya dalam perspektif sejarah yang lebih luas, yang tentunya
memerlukan perhatian bukan sahaja terhadap orang Melayu dan kaum-kaum lain
di negara ini tetapi juga yang berupa pengaruh dari peristiwa-peristiwa yang
berlaku di luar tanah air. Oleh kerana itulah pengajaran tamadun-tamadun dunia
harus dilihat dalam konteks kaitan dan kesannya kepada pertumbuhan tamadun di
Asia Tenggara yang turut memberi impak kepada tamadun dan budaya masyarakat
di Malaysia.

Adalah juga suatu kejanggalan apabila buku teks tingkatan empat di sekolah
menengah tidak memberikan tumpuan yang sama berat ketika membicarakan
sejarah tamadun-tamadun dunia. Pemberatan sejarah Islam yang terlalu rinci, yang
diletakkan di dalam empat daripada sepuluh bab buku teks, berbanding dengan
perhatian yang sedikit terhadap sejarah tamadun Asia Tenggara, jelas
menampakkan sikap serong atau berat sebelah dalam penggubalan kurikulum.
Lebih malang lagi ialah dengan memasukkan sejarah tamadun-tamadun itu tanpa
ditimbulkan korelasinya dengan tamadun dan budaya tempatan, lantaran ia
diberikan secara terpisah-pisah, menyebabkan kefahaman sejarah mengenai
masyarakat Malaysia pun menjadi keliru. Yang juga sangat mencolok mata ialah
kandungan bahagian sejarah tamadun India ternyata sangat rinci iaitu melebihi
keperluan murid di tingkatan empat; tetapi ini pun tidak diintegrasikan dengan
bab-bab lain dan tidak juga dibahaskan kesan pengaruhnya ke atas budaya dan
masyarakat Asia Tenggara.

Walaupun sejarah tamadun Eropah diberikan ruang, tetapi pengajarannya tidak
membolehkan murid menghayatinya lantaran pengintegrasiannya dengan
tamadun dan budaya Asia Tenggara tidak dilakukan. Oleh kerana itu, tema-tema
penting seperti ‘renaissance’, reformasi gereja Kristian, feudalisme Eropah, revolusi
agraria dan industri, dan juga tema revolusi politik seperti revolusi Perancis, dan

revolusi Rusia dan juga konsep kolonialisme serta beberapa yang lain, tidak dapat
diperjelaskan. Bahkan, saya diberitahu oleh guru-guru yang saya temui bahawa
mereka tidak sempat pun menghuraikan sejarah tamadun Eropah dengan
secukupnya, lantaran silibus untuk tingkatan empat terlalu luas. Selain sifat
keterasingan bab-bab tamadun itu antara satu sama lain, maklumat yang diberikan
juga kelihatan terlalu rinci sehingga bahan-bahan yang digarap itu boleh digunakan
oleh mahasiswa di institusi pengajian tinggi -- dengan kata lain, tidak sepadan
dengan tahap keperluan dan kemampuan bagi murid sekolah.

Barangkali sejarah tamadun purbakala itu lebih bermanfaat bagi murid-murid jika
pendekatan berasaskan tema digunakan, yang melibatkan kaedah yang
menggunakan ‘conceptual framework’. Barangkali juga pengajaran sejarah
peradaban ini akan menjadi lebih efektif jika susunannya berkisar pada tema yang
berasaskan konsep-konsep seperti pemerintahan, ilmu dan teknologi, masyarakat
dan kebudayaan yang diduga berkemungkinan membawa kesan yang lebih baik
dari segi kemampuan murid memahami asal-usul, perkembangan dan pencapaian
tamadun-tamadun tersebut. Juga, di peringkat menengah pertengahan (tingkatan
empat dan lima) pengajaran sejarah negara akan mudah dihayati atau menjadi
lebih menarik bagi murid-murid Malaysia jika sifat ‘inclusiveness’ semua kaum
dalam proses pembinaan negara bangsa disisipkan. Tema sejarah pembangunan
ekonomi misalnya adalah sangat penting dalam sejarah negara tetapi sayangnya
tema ini pun sedikit sekali diberikan tumpuan, kecuali perkembangan ekonomi
negara pada zaman British. Saranan-saranan ini, walau bagaimanapun, hanyalah
berupa spekulasi semata-mata kerana pihak Kementerian Pendidikan difahamkan
sedang atau mungkin sudah pun selesai menggubal kurikulum yang baru untuk
pengajaran sejarah di sekolah.

Perlukah tokoh "wira" setiap kaum dimasukkan ke dalam silibus?

Sekalipun ada rungutan dari setengah-setengah pemerhati bahawa upaya
mengikutsertakan nama-nama tokoh dari kaum-kaum bukan Melayu tidak
mencukupi, saya fikir penggubal kurikulum tidak perlu tunduk pada tuntutan dan

desakan berdasarkan perkauman. Amatlah tidak munasabah jika ‘inclusiveness’
diertikan sebagai memastikan adanya perwakilan berasaskan kaum diambil kira
apabila berbicara mengenai sumbangan tokoh-tokoh dalam pembinaan negara
bangsa Malaysia. Sebaliknya, seharusnya nama seseorang tokoh itu hanya
dimasukkan bukan kerana dia mewakili kaumnya tetapi oleh kerana sumbangannya
kepada pembangunan dan kesejahteraan Malaysia. Oleh itu tidaklah boleh
dikompromikan matlamat asal pengajian sejarah yang menekankan hanya naratif
sejarah mengenai kejadian (dan tokoh) yang benar-benar telah memberi impak
yang bermakna kepada kelompok yang lebih besar sahaja yang diambil kira.
Justeru, jika kebenaran dan ‘accuracy’ dijadikan sebagai panduan dalam
pengajaran sejarah, tanpa ada niat untuk berpropaganda, sejarah untuk murid-
murid di Malaysia pastinya akan menjadi menarik, ‘exciting’ dan merangsang
minda.

Situasi pendidikan sejarah masa kini

Sogokan bertubi-tubi yang diulangi banyak kali dalam naratif sejarah Malaysia
ataupun sejarah Islam di beberapa tahap pembelajaran di sekolah, dan
pengisiannya di dalam buku-buku teks yang sarat dengan faktanya tetapi tidak
terintegrasi dari segi perkaitan idea antara satu sama lain, tentulah menjadikan
pembelajaran sejarah membosankan. Sejarah bukanlah semata-mata penceritaan
fakta sahaja, tetapi lebih daripada itu ia juga memerlukan pemahaman yang analitis
tentang mengapa peristiwa tertentu berlaku. Namun sayangnya, suasana dan
keadaan pendidikan masa kini terlalu menekankan peperiksaan dan hal ini juga
meletakkan murid dan guru dalam keadaan terpaksa bergantung kepada buku teks.
Di pihak guru-guru, mereka berasa seolah-olah harus berhempas pulas untuk
menyudahkan silibus sehingga sistem yang sangat berorientasikan peperiksaan ini
menghakis keyakinan guru untuk mendidik pelajar agar menghayati sejarah tanah
air. Justeru kerana ketiadaan keseimbangan, baik dari segi kandungan buku teks
mahupun pengintegrasian maklumat, maka timbul suara-suara yang kini
nampaknya semakin lantang menentang beberapa aspek pengajaran sejarah
sehingga dipersepsikan oleh setengah-setengah golongan sebagai rasial sifatnya.

Berdasarkan tinjauan saya di beberapa sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan,
guru-guru dan murid-murid merasakan bahawa maklumat yang diberikan di dalam
buku teks adalah ‘crucial’ untuk lulus pepriksaan dan justeru itu sikap berpegang
kepada buku teks adalah penting kerana jawapan yang terkeluar daripada buku
teks, walaupun fakta dan argumennya boleh dianggap munasabah, tidak akan
diterima oleh pemeriksa yang semata-mata berpandukan kepada apa yang
terkandung di dalam buku teks. Oleh kerana itulah guru dan murid terpaksa
bergantung kepada buku teks semata-mata dan kurang berminat untuk membaca
lagi bagi mendapatkan pengetahuan sejarah Malaysia dari sumber lain yang
mungkin memberikan tafsiran yang lebih meyakinkan walaupun berbeda. Keadaan
ini juga memberi isyarat kepada murid-murid tentang betapa pentingnya
menghafal fakta di dalam buku teks. Bagi murid-murid dan guru-guru bukan Islam
pula, pemberatan keterlaluan kepada sejarah Islam yang disajikan secara rinci
dalam bentuk yang kronologis, tanpa diimbangi dengan kerangka konseptual, juga
menyukarkan mereka memahami dan menghayati sejarah tamadun Islam bila
dibandingkan dengan tamadun-tamadun lain. Pemberatannya dari segi
penyusunan fakta yang banyak juga menimbulkan persepsi bahawa terdapat ciri-
ciri ‘bias’ dalam pengajaran sejarah kerana mereka tidak nampak relevansinya
dengan sejarah pembinaan nasion Malaysia.

Apakah jalan keluar daripada kemelut ini?

Jalan keluar kepada masalah pengajaran sejarah kebangsaan di sekolah-sekolah
ialah penggubal dasar dan pembuat kurikulum harus kembali kepada premis asal
ilmu sejarah iaitu menelusuri zaman silam yang telah lalu dengan tekad mencari
kebenaran demi untuk memahami situasi masa kini Malaysia dan menghadapi
cabaran masa depannya. Pengajaran sejarah yang berkesan dan menyeluruh dari
segi menanamkan kefahaman mengenai proses pembinaan negara bangsa (‘nation
state’) akan dengan sendirinya menanamkan satu ‘sense of belonging’ rakyat dari
berbagai kaum dan keturunan, dan sekali gus menggembleng rasa cinta tanah air
tanpa perlu disogokkkan dengan dakyah terang-terangan lantaran ingin
menanamkan semangat patriotisme. ‘Sense of belonging’ yang akhir-akhirnya juga
akan membawa kepada kesetiaan, hanya akan lahir pada diri anak Malaysia apabila

generasi yang diasuh dengan pengajaran sejarah yang betul dan ‘transparent’
benar-benar memahami proses pembinaan nasion yang dilalui oleh negara.
Pemahaman yang betul ini akan membolehkan anggota generasi itu megenali diri
dan identiti mereka sebagai sebahagian daripada nasion Malaysia yang dibentuk
itu dengan penuh keyakinan dan keinsafan.

Untuk melestarikan pengajaran sejarah yang diterima dan disokong penuh oleh
semua lapisan masyarakat, perancangan yang efektif oleh pemerintah dalam
memperbaiki prasarana pendidikan sejarah di sekolah perlu segera diusahakan.
Kekurangan guru-guru yang terlatih dalam disiplin sejarah hendaklah segera
ditangani. Perpustakaan sekolah harus memberi tumpuan kepada usaha
memperbesarkan koleksi buku-bukunya, termasuk buku-buku dan jurnal-jurnal
sejarah, bukan sahaja yang diterbitkan dalam bahasa Melayu tetapi juga dalam
bahasa Inggeris. Tindakan ini perlu kerana tidak boleh dinafikan bahawa penyelidik
dan penulis sejarah yang menggunakan bahasa Inggeris ternyata telah
menghasilkan lebih banyak karya mengenai sejarah Malaysia dan Asia Tenggara.
‘Field-trips’ atau lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah, selain muzium
dan tapak warisan budaya, amat perlu digalakkan. Tetapi ini hanya boleh berlaku
jika pemerintah sanggup menambah peruntukan kewangan sekolah-sekolah dan
bilangan murid-murid di dalam sesebuah kelas tidak terlalu ramai. Juga tidak
kurang pentingnya ialah meringankan bebanan yang terlalu bergantung kepada
buku teks lantaran isi kandungan kurikulum yang terlalu sarat.

Pengajaran sejarah di maktab-maktab perguruan pun perlu direformasi agar kualiti
latihan guru ditingkatkan lagi dengan memberi penekanan kepada penggunaaan
sumber yang berbagai. Ini bermakna calon guru-guru sejarah hendaklah terdiri
daripada mereka yang suka membaca dan memiliki daya ‘inquiry’ sejarah yang
kuat. Dan tidak kurang pentingnya ialah penyelidikan sejarah Malaysia perlu diberi
dukungan kuat oleh universiti dan pemerintah. Antara bentuk dukungan itu ialah
dengan menyediakan dana yang mencukupi untuk para sarjana menjalankan
penyelidikan. Terkait dengan soal ini ialah kualiti pengajaran dan penyelidikan di
universiti pun sudah barang tentu memerlukan peningakatan juga.

Sekian. WalLahu a'lam.

“Memperkasa kajian Sejarah di Malaysia”

Oleh Ahmat Adam

Bahagian 1

Sebuah nasion yang masih dalam proses pembinaannya, seperti Malaysia, sudah
barang tentu perlu menjadikan pengalaman sejarah yang dilalui oleh kelompok-
kelompok kaum yang membentuk ‘nasion’ itu sebagai sumber rujukan dalam
melestarikan pembinaan negara buat masa kini dan masa depannya. Sejarah
masing-masing kaum itu pun tidak dapat menyisihkan sejarah yang dialami oleh
semua golongan atau lapisan masyarakat, termasuk mereka yang dianggap
‘subaltern’ yakni penduduk yang dari segi sosialnya, politiknya, dan geografisnya
ternyata berada di luar struktur kuasa yang hegemonik dalam tanah air yang
pernah terjajah. Istilah ‘subaltern’ itu sendiri telah diperkenalkan oleh tokoh
intelektual Marxis berbangsa Itali, Antonio Gramsci, yang menekankan betapa
pentingnya mengkaji “sejarah dari bawah” yakni meneliti peranan golongan yang
bukan penguasa yang sering dilupakan oleh penulis sejarah.

Harus diakui sejarah Malaysia yang dikaji selama ini masih kelihatannya terlalu
banyak kelompangannya, baik dari segi periodisasai, mahupun pembawaan tema
yang boleh menunjukkan peranan masyarakat berbilang etnik dengan tidak
memisah-misahkan pelaku sejarah itu secara perkauman. Sang penulis sejarah pun
sewajarnya mengelakkan diri daripada kecenderungan untuk menjurus khusus
kepada sejarah kaum tertentu (biasanya kaumnya sendiri) ketika memberikan
naratif tentang peranan kaum tersebut dalam sesuatu peristiwa sejarah, sekalipun
peristiwa itu melibatkan pelaku yang berasal dari kaum yang berbeza-beza. Ini
mengingatkan saya akan kata-kata seorang sejarawan Malaysia beberapa tahun

yang lalu yang, antara lain, mengungkapkan keprihatinannya terhadap para
sejarawan kontemporari yang agak culas mengkaji aspek-aspek sejarah Malaysia
yang masih lompang kedudukannya, khasnya mengenai sejarah yang berunsur
keagamaan, perburuhan, sukan dan olahraga, serta etnisiti.

Barangkali ketika sejarawan itu meluahkan kata-katanya itu, dia lebih cenderung
memikirkan penulisan sejarah tanah air yang merujuk kepada Semenanjung
Malaysia sahaja. Yang tidak disentuhnya pada ketika itu ialah penulisan sejarah
wilayah Malaysia Timur. Mendiang Datuk James Ongkili, yang sewaktu hayatnya
merupakan seorang sejarawan yang amat gigih, pernah mengeluh tentang betapa
lemahnya pengkajian dan pengkaryaan sejarah negeri Sabah, Sarawak, dan Brunei
sebelum kedatangan Barat. Saya fikir kedaaan yang tidak seimbang dalam kajian
sejarah antara negeri-negeri di Semenanjung dengan negeri-negeri di Borneo itu
memang pun masih belum teratasi. Kesepian sikap para sarjana di Semenanjung
(kecuali sebilangan yang amat kecil) terhadap kajian mengenai Sabah dan Sarawak
bukan sahaja di bidang sejarah tetapi juga di bidang-bidang ilmu kemasyarakatan
yang lain, juga menyebabkan ketandusan dalam kajian mengenai dua buah negeri
yang sangat penting diberi perhatian dari segi pembinaan nasion Malaysia secara
keseluruhannya. Justeru kerana itu bagi kaum sejarawan ada jurang yang besar
yang masih belum dapat dirapatkan, demi menjadikan sejarah Sabah dan Sarawak
sebahagian yang integral daripada sejarah kebangsaan Malaysia.

Tidak ramai dalam kalangan rakyat Malaysia di Semenanjung, misalnya,
mengetahui tentang ketokohan panglima Iban yang bernama Rentap atau Libau
(m. 1863) yang menentang James Brooke dari tahun 1844 hingga 1861, Datu Mat
Salleh dari suku Suluk-Paitan yang menentang Syarikat Berpiagam Borneo Utara
(1895 - 1900) atau Ontoros anak Antanom, panglima suku Murut Tagol, yang
melancarkan pemberontakan Rundum (1915), atau penglibatan nasionalis Muhd.
Rukawi Yusuf dalam Fajar Sarawak (1930) ataupun tentang pertubuhan Persatuan
Melayu Sarawak (1937) atau penglibatan Awang Rambli, dan Rosli Dhobi dalam
Gerakan Rukun 13 (1948) dalam perancangan membunuh Gabenor Duncan
Stewart. Kurangnya penyelidikan mengenai, misalnya, sejarah pemberontakan Mat
Salleh, menyebabkan ada prasangka di kalangan setengah-setengah anggota elit

Sabah yang buta sejarah, sehingga memberikan pandangan yang negatif terhadap
mereka yang memberontak pada peralihan abad 19 ke-20 itu berbanding dengan
sikap mereka memuja asykar-asykar Ausralia yang dilihat sebagai pejuang
membebaskan Sandakan daripada keganasan Jepun.

Berbicara tentang sejarah kebangsaan, satu kelompangan yang menyolok juga
terlihat pada kurikulum pengajaran sejarah di sekolah dan universiti. Penekanan
kepada sejarah kerajaan Melayu Melaka dengan menyisihkan sejarah Sriwijaya,
misalnya, dan juga sejarah Kedah sejak munculnya tamadun Lembah Bujang pada
abad kedua Masehi, menyukarkan pelajar sejarah untuk memberikan kesatuan
historis atau sejarah yang kohesif mengenai sejarah kebangsaan yang integral
sifatnya yang berpangkal daripada sejarah nusantara, termasuk daerah-daerah
Borneo.

Seyogia difahami, negara-negara rumpun Melayu seperti Malaysia, Indonesia,
Brunei, Filipina dan Singapura adalah negara-negara baru yang terbentuk hasil
daripada kolonialisme dan proses sejarah yang berlaku selepas Perang Dunia
Kedua. Tidak mungkin sejarah Sarawak dan Sabah dapat difahami dengan baik
tanpa merujuk kepada sejarah Brunei dan Sulu di Filipina. Kehadiran suku Bisaya di
Sabah dan Sarawak pun ada kaitannya dengan kepulauan Visaya di Filipina. (Nota:
Pulau-pulau Visaya terdiri daripada tiga kumpulan wilayah iaitu, Visaya Barat,
Tengah dan Timur. Pulau utama di wilayah Barat ialah Panay dan Negros; manakala
di wilayah Tengah ialah pulau Cebu dan Bohol; Visaya Timur mengandungi pulau
Leyte dan Samar. Pada abad ke-12 pelarian dari kerajaan Srivijaya, Majapahit dan
Brunei, dikatakan telah berhijrah ke pulau Panay. Nama Bisaya ada kaitannya
dengan nama Srivijaya. Sejarah wilayah-wilayah ini pun memerlukan huraiannya,
iaitu yang dikaitkan dengan sejarah kerajaan Sriwijaya, yang dalam aksara Cina
disebut Chin-li-p’i-shih iaitu wilayah yang wujud di barat laut Borneo pada abad ke-
7 M). Srivijaya di wilayah Borneo ini juga dikenali dengan nama Vijayapura
(Saunders, 2006: 17; Nicholl; 1980: 221).

Vijayapura yang dipercayai telah diasaskan oleh raja-raja Funan pada abad ke-7
juga dikenali dengan nama Po'- li atau Po’- ni (Brunei). Kekurangan sumber tidak
mendinginkan semangat penulis seperti Robert Nicholl untuk memberanikan diri
menulis sejarah Brunei dengan menggunakan sumber yang ada, termasuk sumber
Cina dan Arab. Tetapi persoalan yang saya kira paling besar yang dihadapi oleh
pengkaji sejarah dewasa ini ialah persoalan periodisasi dalam sejarah Malaysia itu
sendiri. Saya tidak ingin membicarakan persoalan periodisai di sini kerana tajuk ini
memerlukan penulisan yang berasingan. Memadailah jika saya katakan bahawa
para sejarawan Malaysia sangat perlu duduk bersama-sama membincangkan isu
periodisasi ini. Ini kerana saya kira, pembahagian periode sejarah Malaysia
berdasarkan kehadiran kuasa-kuasa imperialis Eropah perlu ditinjau semula.
Periodisasai juga boleh dibahagikan mengikut tema yeng menonjol, seperti
meletakkan sejarah perkembangan Sufi Islam antara abad ke-13 dan ke-18 sebagai
satu jangka masa penting. Saya usulkan agar persoalan periodisasai ini dikaji
semula justeru kerana dewasa ini periodisasi sejarah negara ini masih kabur. Ada
yang menganggap Melaka sebagai titik permulaan segala-galanya. Pada hal
penemuan ahli-ahli arkeologi mengenai sejarah peradaban yang berpusat di
Lembah Bujang dan kedudukan negeri Kedah sebagai sebuah kerajaan yang
mengawali Melaka perlu diberi tempat dalam kerangka periodisasi sejarah
tanahair. Juga perlu diberikan perhatian ialah pertapakan Islam di Terengganu dan
kaitan negeri itu (yang disebut ‘mandala’ dalam tulisan pada batu bersurat yang
ditegakkan di Kuala Berang pada tahun Hijrah 708 atau 1308 Masehi) dengan
Majapahit, seperti yang dapat dibuktikan berdasarkan bahasa pada batu bersurat
itu. Seyogia diingati, kajian terhadap batu bersurat sebelum tahun 2017 terang-
terang mempunyai banyak kelemahan terutama dari segi pentarikhannya dan
pembacaan teks pada batu tersebut. (Bersambung)

Memperkasa kajian Sejarah di Malaysia”

Oleh Ahmat Adam

Bahagian 2

Periode Pembukaan Melaka

Mengenai periodisasi kerajaan negeri Melaka sendiri nampaknya telah terjebak
dalam satu dilemma yang terkait dengan persoalan ‘historical method’ dan
‘historical truth’. Mereka yang terlibat dalam skandal pensejarahan ini begitu
nekad melontarkan dakwaan bahawa Melaka telah dibuka pada tahun 1262 tanpa
mengemukakan bukti yang boleh dipertanggungjawabkan kesahihannya. Sikap
nekad sebegini, saya fikir, berpunca daripada dua faktor utama: 1). Sejarah telah
dipolitikkan oleh orang politik yang berkepentingan; 2). Tiadanya penyelidikan yang
rapi untuk dijadikan asas pada hujah yang dilontarkan.

Adalah menjadi asas kajian mana-mana sejarah yang moden sifatnya untuk
membuat hipotesis atau lontaran idea beradasarkan bukti. Mereka yang belajar
sejarah tentulah faham benar betapa pentingnya bukti atau ‘evidence’ dalam
pembikinan fakta sejarah; dan betapa perlunya juga sejarawan mempersoalkan
atau mencurigai kesahihan sesuatu sumber untuk mempastikan kekuatan
pembuktian dalam sejarah. Satu kelemahan yang ketara dalam kalangan pelajar-
pelajar sejarah ialah kurangnya sikap kritis terhadap penilaian sumber, pada hal
satu prinsip penting dalam kaedah penyelidikan sejarah ialah menilai sumber
secara kritis. Terkait dengan isu ini ialah ketiadaan komitmen sang penyelidik
menyelongkar sebanyak mungkin sumber yang sahih. Kita ambil contoh penubuhan
kerajaan Melaka. Sehingga kini sumber Cina yang berupa rekod Ming Shi-lu adalah
sangat membantu dalam kajian mengenai kerajaan-kerajaan tua di Asia Tenggara.
Rekod-rekod ini telah pun diterjemahkan oleh beberapa orang sarjana dan kini

sumber ini dapat diakses dengan mudah melalui internet. Kehadiran rekod Cina
tersebut sebagai sumber, walau bagaimanapun, tidak semestiya digarap untuk
diterima secara bulat-bulat tanpa pendekatan yang kritis oleh seseorang murid
sejarah. Maklumatnya sewajarnya dinilai dengan pandangan yang kritis dengan
membuat perbandingan dengan sumber-sumber lain -- umpamanya “Sulalatu's-
Salatin” atau “Sejarah Melayu” dan sumber Siam seperti “Pongsawadan Luang
Prasoet” yang ditulis dalam tahun 1680. Karya-karya klasik seperti “Pararaton”
(terjemahan oleh Gusti Putu Phalgunadi) dan “Nagarakertagama” yang ditulis pada
tahun 1365 oleh Mpu Prapanca sesungguhnya tidak perlu dinyatakan peri
pentingnya kepada murid-murid sejarah yang ingin mengakaji sejarah tua Asia
Tenggara. Tetapi penggunaan naskhah-naskhah ini termasuk naskhah-naskhah
“Sejarah Melayu” dan “Ponsawadan Luang Prasoet” sebagai sumber pun harus
dilakukan secara hati-hati. Di sinilah murid sejarah itu perlu mengaplikasikan daya
intelektualnya untuk menimbang, menilai dan menyaring fakta daripada mitos dan
legenda agar historiografi kritis boleh dibezakan dengan ‘hagiography’ yang berifat
dongeng.

Bercakap mengenai sumber, pengalaman saya membaca tesis di perpustakaan
universiti tempat saya membuat penyelidikan (ketika menjadi felo peyelidik pada
suatu ketika dahulu), menunjukkan betapa saya merasa kurang puas terhadap
penggunaan sumber oleh setengah-setengah penulis tesis itu. Selain merasakan
bahawa penggunaan sumber oleh banyak penulis tesis itu telah dilakukan tanpa
pertimbangan yang kritis, saya juga tertanya-tanya mengapa karya atau tulisan-
tulisan yang terhasil mengenai tema yang mirip dengan kajian, ataupun yang ada
hubungannya dengan kajian sesebuah tesis (bahkan di tahap doktor falsafah
sekalipun), tidak digunakan. Timbul pertanyaan kepada saya: Apakah pembimbing
pelajar berkenaan tidak memberikan pandu arah yang mencukupi? Atau apakah
sang calon pascasiswazah itu tidak begitu rajin menyelongkar segala sumber agar
dapat dimanfaatkan dalam tela'ahnya untuk menghasilkan satu karya yang
akhirnya ‘publishable’?

Seyogia diingati, sesebuah karya ilmiah bukanlah untuk simpanan di rak-rak
perpustakaan sahaja. Ia perlu diterbitkan untuk manfaat masyarakat ilmuan dan

umum yang lebih luas. Oleh kerana itu sang penyelia dan calon untuk ijazah tinggi
itu perlu senantiasa berwaspada agar karya yang dihasilkan mengutamakan kualiti
dan layak untuk diterbitkan oleh penerbit yang berwibawa dan berkualiti. Tidaklah
perlu ditekankan bahawa dalam budaya ilmu dan kesarjanaan, aspek kualitilah
yang diutamakan dan bukannya kuantiti.

Bahawa sejarah amat penting bagi sebuah nasion muda seperti Malaysia adalah
jelas. Kajian ilmu sejarah, sama seperti kajian ilmu-ilmu sastera yang lain, adalah
menangani aspek-aspek kehidupan manusia. Sejarah dianggap sebagai penyimpan
ingatan kolektif sesuatu bangsa dan ia menjadi penting kerana peranannya
menyuburkan apa yang dinamakan ‘national ego’. Sejarahlah yang melahirkan ego
kolektif sesuatu bangsa itu lantaran jati diri sesebuah nasion itu dikenali melalui
sejarah yang dikongsi bersama. Dalam semua masyarakat, sejarah juga adalah
merupakan wahana utama bagi pemasyarakatan generasi muda kerana sejarahlah
yang mengajarkan masa lampau demi membolehkan mereka mengetahui siapa
mereka sebenarnya. Sejarah adalah cabang ilmu penyelidikan yang cuba
merumuskan penceritaan tepat dan pemahaman yang sah terhadap masa lampau
sesuatu masyarakat. Dari sinilah lahirnya sejarah kolektif, yakni sejarah yang
mengkaitkan pengalaman-pengalaman sebilangan besar individu atau unit sosial
secara langsung dengan pola tingkah laku atau perubahan yang dilihat masa kini.

Tetapi sejarah pun memerlukan kesinambungannya. Sifat kohesifnya pun sangat
perlu dipelihara. Masa lampau dan realiti masa sekarang seharusnya boleh
menjelaskan mengapa keadaan masa kini sedemikian rupanya. Justeru apabila
terdapat suara-suara dalam kalangan setengah-setengah puak cauvinis dan kelas
oportunis di negara ini mempersoalkan dasar pendidikan dan bahasa kebangsaan
yang bertujuan untuk membawa pepaduan dan integriti kebangsaan maka tampak
jelas suara-suara itu tidak mahu memahami sejarah. Mereka bahkan mengklaim
melalui tulisan-tulisan mereka, misalnya, dasar pelbagai aliran sekolah yang
mereka perjuangkan dan pertahankan adalah sebahagian daripada hak asasi
manusia sedangkan umum mengetahui jika mereka berada di negara yang maju
seperti Britain, Australia, dan Amerika Syarikat, bahkan di negara Cina sekalipun,
integrasi nasionalnya tetap dibina melalui satu sistem persekolahan yang

menekankan satu bahasa utama sebagai pengantarnya. Apatah lagi jika ingin
mengangkat bahasa sukuan atau bahasa ibunda ke taraf yang lebih rasmi sifatnya,
ia tentunya menimbulkan kericuhan kerana pertimbangan sejarah telah diabaikan.
Gugatan seperti ini yang jelas menunjukkan betapa penulis-penulis yang
memperjuangkan sekolah yang berbagai jenis bahasa pengantar itu dalam sistem
persekolahan yang bersifat nasional, pada hakikatnya adalah buta sejarah atau
sengaja tidak mahu mengakui hakikat sejarah masa silam -- kerana kolonialismelah
yang telah memberi dampak dan mengalihkan arus sejarah negeri ini -- termasuk
wilayah Sabah dan Sarawak -- dan secara beransur-ansur melahirkan bentuk ‘polity’
seperti yang wujud sekarang ini.

Namun tidak juga boleh dipertikaikan bahawa Malaysia kini adalah sebuah nasion
yang bersifat “multi-racial, multi-cultural dan multi-religious”. Tetapi ini tidak pula
bererti bahawa proses pembinaan nasion itu boleh menafikan hakikat bahawa arus
sejarah negara ini mempunyai permulaannya dan umat yang mendiami negara ini
pun ada asal-usulnya. Justeru itu dalam pada kita mengakui hakikat ‘multi-racial’
dan ‘multi-cultural’nya nasion ini, kita juga perlu memperkukuhkan upaya
penyatuan dan peneguhan nasion kita. Dari segi ini sejarah boleh memberikan
sumbangannya iaitu dengan menceriterakan masa silam itu berdasarkan
penyelidikan -- demi kebenaran. Dan caranya ialah dengan memperlebar perspektif
dan meluaskan tebaran jaring kajian para sejarawan.

Walau bagaimanapun, kegigihan untuk mendidik rakyat dan generasi muda
Malaysia agar peka terhadap sejarah, kaum sejarawan pun harus mengakui betapa
sesuatu yang benar itu sebenarnya adalah sangat elusif. Yang boleh dilakukan oleh
sejarawan hanyalah menulis sejarah dengan berasaskan kepada penyelidikan jujur
(‘honest investigation’) dan proses penyelidikan yang terbuka (‘open processes of
research’) serta penglibatan dalam perbincangan awam seperti yang pernah
dihebohkan pada suatu waktu dahulu mengenai peranan seorang anggota Parti
Komunis Malaya bernama Mat Indera, dalam tindakan anti-penjajahan kelompok
yang disertainya. Sejarawan dipertanggungjawabkan untuk menghuraikan sejarah
secara objektif tanpa memesongkannya sehingga menjadi suatu diayah. Sejarah
yang ditulis seharusnyalah berupa sejarah hal-hal utama yang relevan yang bersifat

‘shared history’ yang mencakupi peranan semua golongan dan lapisan masyarakat
yang memberi sumbangan kepada penyuburan ‘national ego’ seperti yag disebut
di atas tadi.

(Bersambung)

Memperkasa kajian Sejarah di Malaysia”
Oleh Ahmat Adam

Bahagian 3.

Historiografi mengikut Kaum

Sampai ketika ini kebanyakan ahlii sejarah Malaysia cenderung mengkaji dan
menulis dengan menumpukan perhatian khusus mengenai kaumnya sendiri. Belum
banyak karya yang dihasilkan yang memberi perhatian kepada masyarakat
Malaysia yang menyeluruh, yang melihat sesuatu masalah bukan dari sudut
pandangan sesuatu kaum tetapi kelas atau persoalan dan tema yang melibatkan
semua kaum. Walaupun Malaysia sebagai sebuah negara sangat prihatin terhadap
isu perpaduan atau integrasi kebangsaan tetapi yang terjadi ialah rakyat Malaysia
lebih cenderung melihat sesuatu isu dari segi etniknya. Berdasarkan 'persaingan
perkauman' ini, sejarah Malaysia sudah semestinya terdiri daripada banyak
bahagian yang pada setakat masa yang tertentu tidak dapat bergabung. Dengan
kata lain tidak ada sifat kohesifnya. Jadi timbul pandangan bahawa penulisan
sejarah Malaysia mengenai setiap tiga bangsa utama di Malaysia "menampakkan
unsur tak seimbang ".

Sejarawan Khoo Kay Kim memberi alasan bahawa justeru kerana terlalu
kompleksnya masyarakat Malaysia maka sejarah negara ini tidaklah 'biasa' sifatnya.
Katanya, "Sebarang cubaan untuk melihat perkembangan sejarah Malaysia sebagai
proses kohesif yang berkesinambungan adalah suatu distorsi kenyataan" (Khoo
1978: 28). Tetapi apakah para sejarawan mahu meneruskan keadaan ini? Apakah
tidak ada keinginan untuk menjadikan sejarah sebagai ilmu yang kajiannya bukan
sahaja objektif tetapi cuba mengelakkan pendirian serong dan berat sebelah?
Mungkin sejarah Malaysia akan lebih berimbang dan menarik jika sejarah yang

ditulis mengenai satu-satu kaum dihasilkan oleh penulis yang bukan dari kaumnya
sendiri. Gejala ini sudah pun kelihatan apabila orang asing yang menulis sejarah
orang Melayu, Cina atau India.

Satu hal yang menjadi penghalang kepada pengkaji untuk melihat sejarah Malaysia
sebagai sejarah "orang Malaysia" (‘the Malaysians’) ialah kerana mereka kurang
melengkapi dirinya dengan ketrampilan bahasa. Contohnya seorang sejarawan
berketurunan Cina atau India akan merasa kekurangan bila hendak membaca
naskhah-naskhah lama jika tiada menguasai tulisan Jawi dan bahasa Melayu yang
baik apabila mengkaji sejarah silam orang Melayu. Demikan pula seorang
sejarawan Melayu akan kelihatan kekurangannya bila tidak menguasai salah satu
daripada bahasa suku atau bahasa utama orang Cina atau India jika dia mahu
mengkaji masyarakat yang berkenaan. Bahasa sebagai alat penyelidikan bagi
seorang sejarawan adalah sangat penting. Dan oleh kerana itulah apabila seorang
sejarawan tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik maka dia akan
menghadapi masalah apabila berhadapan dengan dokumen bahasa Inggeris di
arkib. Hal ini sering dianggap sebagai ‘matter of fact’ sahaja oleh banyak orang,
tetapi sebenarnya ia juga merupakan realiti yang dihadapi oleh banyak murid
sejarah. Tafsiran dan pembacaan yang kurang tepat dari dokumen menyebabkan
setengah-setengah pelajar yang menulis tesis tersilap memberi makna yang betul
kepada fakta sejarah yang digarapnya. Untuk mengurangi masalah ini saya fikir
Jabatan Sejarah di mana-mana universiti perlulah mengadakan kemudahan belajar
bahasa kaum yang utama untuk penyelidikan sejarah Malaysia di samping
menyediakan kemudahan belajar tulisan Jawi dan kaedah membaca dokumen
kepada pelajar-pelajar pasca siswazah jurusan sejarah. Keperluan ketrampilan
khusus yang saya sebutkan ini walau bagaimanapun lebih memanfaatkan kajian
sejarah Malaysia yang silam, ketika negara ini masih dijajah ataupun pada zaman
sebelum penjajahan. Sejarah zaman pasca penyerahan kemerdekaan dan pasca
penubuhan Persekutuan Malaysia memerlukan pula wawasan sejarawan yang
sedar dan insaf akan peranan sejarah sebagai perakam upaya berbagai pihak dalam
mendirikan sebuah nasion yang serba moden sifatnya.

Konsep sejarah nasional

Pentingnya para sejarawan Malaysia membuat kajian yang sedapat mungkin
menyertakan partisipasi pelaku sejarah dari berbagai kaum yang membentuk
nasion ini tidak perlu diperbesar-besarkan ceritanya. Bahawa pengajaran dan
penulisan sejarah tanah air harus dilihat sebagai wahana yang membantu
memperjelaskan pengalaman-pengalaman yang dikongsi bersama oleh komuniti-
komuniti yang membentuk nasion Malaysia barangkali tidak perlu mengundang
bantahan seandainya ia tidak diungkapkan sebagai diayah atau propaganda.
Historiografi yang dihasilkan walau bagaimanpun seharusnya berteraskan sejarah
yang bersifat kebangsaan. Kebangsaan tidak usah diertikan sebagai sesuatu yang
bertentangan dengan kolonial tetapi yang bersifat menyeluruh yang mencakup
konsep ke Malaysiaan. Sejarah kebangsaan adalah sejarah komuniti kebangsaan
yang melihat negara bangsa atau nasion Malaysia sebagai ‘frame of reference’nya.
Persoalan ‘national history’ ini sebenarnya masih belum berakar dalam kalangan
komuniti sejarawan Malaysia umumnya. Jika dibandingkan dengan para sejarawan
di negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Thailand, persoalan ‘national history
‘ itu telah ditakrif dengan lebih jelas oleh mereka.

Bahawa konsep sejarah kebangsaan masih belum mapan ditanggapi tentunya akan
lebih ketara jika tuan-tuan dan puan rajin mengikuti perbincangan terbuka
mengenai isu sejarah tanah air di laman-laman web dewasa ini. Isu-isu yang
ditimbulkan oleh para pembaca facebook, misalnya, yang memberi respons kepada
isu-isu yang berkaitan dengan pembinaan nasion tampak benar berpandangan
serong, sempit dan rasis. Apabila komunalisme dan rasisme ditonjolkan dalam hal-
hal yang sangat menghina orang Melayu umpamanya, yang dituduh sebagai
imigran yang sama tarafnya dengan kaum imigran yang lain, maka jelas kelihatan
kegagalan kaum sejarawan dalam menghasikan kajian-kajian yang dapat
menghakis prasangka dan sikap buta sejarah dalam kalangan mereka yang menolak
upaya ‘nation-building’ yang meletakkan simbol-simbolnya pada tempat yang
tinggi seperti bahasa kebangsaan, lagu dan bendera kebangsan, sekolah
kebangsaan, identiti kebangsaan dan institusi dan lembaga tradisonal yang
berpaksikan sejarah.

Bahawa negara yang berciri majmuk ini bukan secara tiba-tiba sahaja lahir secara
mendadak tanpa evolusinya ternyata telah tidak ditanggapi dan diberikan
pengertian yang sewajarnya. Ada juga persepsi masyarakat yang melihat ada upaya
dari pihak yang berwibawa untuk menenggelamkan periode sejarah yang
memperlihatkan kebudayaan Melayu itu diwarnai oleh unsur-unsur dari animisme,
Buddhisme dan Hinduisme dalam pengajaran sejarah nasional.

Bukan tujuan saya untuk bersikap rasis atau cuba meremehkan peranan Islam
dalam sejarah purba negara ini, tetapi justeru kerana semata-mata untuk
menunjukkan betapa lebih banyak kajian perlu dihasilkan dan persoalan periodisasi
sejarah tanah air pun perlu diperjelaskan. Bahawa pentingnya sejarah Malaysia
disorot seawal mungkin yang menampilkan betapa sejarah pada zaman tanah
Semenanjung dan sebahagian tanah Kalimantan Utara adalah terikat dalam
rangkaian sejarah kepulauan Melayu seperti yang saya sebutkan pada awal-awal
tadi amat perlu benar diberikan perhatian. Persoalan ini seharusnyalah menjadikan
tumpuan para sejarawan yang prihatin. Dalam pada itu hakikat sejarah Malaysia
yang melibatkan partisipasi semua kaum dan golongan sejak pada akhir abad ke-19
untuk membangunkan negara yang hari ini dikenali sebagai Malaysia pun perlu
dikaji dan ditulis secara obejktif tanpa diselubungi oleh sentimen perkauman dan
historiografi yang serong. Sejarah kebangsaan Malaysia tidak wajar menyisihkan
pihak-pihak yang telah memberi sumbangan ke arah kewujudan dan kesejahteran
negara ini. Dengan kata lain sejarawan juga perlu juga memberi perhatian kepada
golongan yang terpinggir, yakni menulis apa yang dikatakan ‘subaltern history’ yang
merentasi suku kaum, kelas, dan wilayah geografis.

Kesimpulan:

Kaum sejarawan sewajarnyalah menginsafi hakikat bahawa keadaan masa
sekarang ini adalah hasil daripada sejarah masa lampau. Seperti yang diungkapkan
oleh Lord Acton, sejarah, yakni masa silam yang telah berlalu, sesungguhnya
mengandungi anak kunci kepada masa kini (Lord Acton, 1950: xv).

“Pendirian saya terhadap Sejarah Tanah Air”

Oleh Ahmat Adam

“Mengapakah saya selalu berbeza pendapat dengan setengah-setengah sejarawan
tempatan?” Demikian soalan yang pernah ditanyakan kepada saya oleh seorang
wartawan.

1. Mungkin penyoal soalan di atas mempunyai tanggapan sedemikian justeru
kerana saya sering mempersoalkan kejituan sesuatu pendapat oleh rakan-rakan
sejarawan lain mengenai sejarah tanah air. Misalnya, saya mempersoalkan
kesahihan dakwaan beberapa sejarawan tempatan bahawa Melaka dibuka dalam
tahun 1262. Hal ini telah saya sanggah dalam sebuah tulisan kerana ia lebih bersifat
propaganda politik. Saya juga mempersoalkan sikap terlalu bergantung kepada
sarjana Barat mengenai pentafsiran sejarah Malaysia.

Walaupun saya akui bahawa sarjana dan kaum Orientalis Barat telah banyak
membuka mata kita tentang sejarah negara ini dan mengenai sastera dan budaya
tanah air, dan kerana itu kita harus berterima kasih, tetapi saya tidak dapat
menerima bulat-bulat kesemua pendapat mereka; dan justeru itu pengaruh
mereka yang telah mencengkam minda kita selama berabad-abad perlu diluputkan.
Caranya ialah degan membuat penyelidikan yang tekun dan mendalam untuk
membuktikan bahawa kita tersilap menjadi “Pak Turut” mereka. Pengalaman saya
bergaul dengan rakan-rakan sarjana dari Barat mengajar saya bahawa kita harus
berani mempersoalkan kenapa orang asing yang tidak pun tahu tulisan Jawi kita
dengan lancar, bahasa kita dengan fasih, agama kita dengan betul, boleh membuat
teori dan tafsiran mengenai sejarah, sastera, budaya, dan bahkan aspek-aspek
agama kita.

Soalan yang kedua: “Di manakah saya menerima pendedahan kepada
pembelajaran ilmu sejarah?”

2. Saya terlatih di Universiti Malaya pada awalnya (1967-1970) dalam bidang
Sejarah dan Pengajian Melayu. Semasa menjadi mahasiswa saya juga
berkesempatan mempelajari bahasa Sanskrit dan kesusasteraan Sanskrit yang
sangat memberi faedah pada zaman kematangan usia saya. Tetapi kaedah dan
pendekatan ilmu sejarah yang bersifat lebih kritis saya peroleh ketika belajar di
School of Oriental & African Studies, University of London sewaktu menjadi murid
kepada, antara lain, C. D. Cowan (“19th Century Malaya”), John Bastin (“The British
in West Sumatra, 1685 – 1825”), M. C. Ricklefs (“Modern Javanese Historical
Tradition”), dan Ruth Mcvey (“The Rise of Indonesian Communiasm”). Yang
terakhir merupakan guru sejarah politik yang membimbing saya untuk menulis
sebuah tesis ‘doctoral’ tentang ‘press’ anak negeri dan pertumbuhan nasionalisme
di Indonesia.

Menjadi murid kepada orang-orang ini bukan bererti saya diasuh untuk menjadi
pak turut kepada pandangan mereka. Saya sebaliknya sedar bahawa pendedahan
yang saya peroleh banyak membentuk sikap kritis saya terhadap banyak perkara.

Soalan yang ketiga: “Mengapakah saya berbeza pendekatan mengenai
historiografi?”

3. Pergeseran akademik yang saya alami dengan beberapa orang sejarawan
tempatan (yakni bukan semuanya) ialah sikap mereka yang terlalu emosional dan
ada kalanya mencampur adukkan sejarah dengan politik cauvinis; bahkan ada yang
sanggup mendambakan diri kepada kepentingan orang politik. Saya percaya ilmu
sejarah menuntut sejarawan bersikap bebas dalam sebarang tindakan intelektual.
Membenamkan kebebasan intelektual bererti melumpuhkan daya kreatif mencipta
dan ini akan merugikan nasion ini.

Soalan yang keempat: Mengapakah Sejarah, berbanding mitologi, mempunyai
sifatnya yang tersendiri sebagai ilmu?

4. Saya fikir ramai orang terkeliru dengan takrif dan erti sejarah dan beza ilmu
sejarah dengan mitologi. Seperti yang saya seringkali ungkapkan, sesuatu yang
menepati pengertian sejarah haruslah berasaskan bukti. Bukti itu boleh bersifat
dokumen arkib, batu bersurat atau inskripsi, wang logam, penemuan arkeologi,
tugu atau monumen, bahkan batu nisan yang mempunyai tarikh yang sahih.
Sehingga kini tiada apa-apa bukti pun untuk menunjukkan bahawa manusia
bernama “Hang Tuah” [ sic ] itu wujud pada abad ke15 dan 16. Mereka yang tidak
faham sejarah sering mendakwa sumber seperti “Sejarah Melayu” (“Sulalat u’s-
Salatin”) dan “Hikayat Hang Tuah” [sic, Hikayat Hang Tuha] adalah bukti kuat untuk
menyatakan Hang Tuah [sic] itu wujud. Tetapi soal yang tidak pernah ditanyakan
dan dijawab dengan jujur ialah: Apakah “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuha”
itu karya sejarah? “Hikayat Hang Tuha” bukanlah karya sejarah. Ia adalah karya
sastera yang sangat indah dan tidak dinafikan pengaruhnya dari segi menyebarkan
kisah wira yang dimitoskan itu memang sangat besar. Tetapi episod yang
dimuatkan di dalam hikayat itu adalah berupa jiplakan daripada karya lain,
terutamanya daripada “Sejarah Melayu”. Kisah-kisahnya pun berupa dongeng atau
mitos belaka.

“Sejarah Melayu” memang ada unsur-unsur sejarahnya, seperti terdapatnya
beberapa nama raja Melaka yang ada kebenaran sejarahnya. Sistem tata negara
(polity) Melayu tradisional pun dapat dipelajari daripada karya klasik Melayu itu.
Tetapi ia tidak lebih daripada sebuah karya sastera sejarah sahaja. Bahkan lebih
tepat lagi jika dikatakan “Sejarah Melayu” atau “Sulalat u’sSalatin” itu adalah
sebuah karya agung kesusasteraan Melayu. Dalam kedua-dua karya klasik Melayu
itu hulubalang yang digelar dalam huruf Jawi sebagai /h/ng/ /t/w/h/ [ ‫ ] توه‬itu
sewajarnya dibaca: “Hang Tuha”. “Tuha” ialah perkataan Melayu Kuno dan Jawa
Kuno yang membawa erti ketua yang cekap, pemimpin yang terampil. Jika /h/ng/
/t/w/h/ [ ‫ ]ھڠ توه‬dibaca sebagai “Hang Toh” maka ia membawa makna orang pandai
yang menjadi taruhan atau sandaran. “Toh” itu bererti petaruh atau taruhan
seperti seorang yang menjadi harapan raja.

Adat pantang larang orang Melayu dan bangsa rumpun Melayu di Nusantara pada
zaman dahulu (sebelum masuknya permodenan) yang tidak mengizinkan nama
seseorang hulubalang atau pembesar disebutkan. Contohnya nama Panglima Kinta
Datuk Jabor, Datuk Maharaja Lela, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Perpatih
Nan Sebatang, Datuk Sikeude (gelaran Aceh) , Datuk Bendahara Tepok, Laksamana
Datuk Panjang – semuanya berupa nama gelar sahaja. Pantangan menyebut nama
ini bersesuaian dengan cara berfikir masyarakat dahulu kala yang berasaskan
kepercayaan kepada semangat (animisme). Nama seseorang pembesar atau
hulubalang besar itu dipakai hanya sebelum dia mempunyai gelar. Oleh yang
demikian, tidak mungkin mana-mana hulubalang diketahui namanya, kecuali
gelarnya.

Oleh kerana Laksamana Melaka itu memang sah kewujudannya dalam sejarah
Melaka, maka gelarnya ialah Hang Tuha (yang bererti Sang Ketua yang trampil) atau
Hang Toh (yang bermaksud orang taruhan atau yang dijadikan sandaran dalam
satu-satu pertandingan, perlawanan atau pertempuran). Kita tidak akan mungkin
mengetahui nama sebenarnya. Tetapi Laksamana Melaka itu. dan seorang lagi
hulubalang Melaka yang tidak diketahui namanya, iaitu Seri Bija Adiraja, tetap
menjadi wira Melayu yang sebenar.

Soalan yang kelima: “Apakah cabaran dalam sejarah yang perlu dihadapi oleh orang
Melayu?”

5. Orang Melayu mestilah menghadapi dunia moden yang serba mencabar ini
dengan berpegang kepada kebenaran dan ketelusan sebagai asas kehidupan
hariannya. Dan ini bererti langkah permulaannya ialah sejarah tanah air orang
Melayu itu sendiri perlu “dibersihkan” daripada tahyul, dongeng dan apa jua
bentuk mitos. Janganlah sekali-kali menganggap mitos sebagai sejarah kerana
bangsa yang beradab tidak pernah menganggap mitos sebagai sejarah. Cerita-
cerita rakyat dan dongeng bangsa Greek tidak pernah dianggap oleh bangsa
tersebut sebagai sejarahnya.

Soalan yang keenam: “Mengapakah saya mengakatakan tarikh batu bersurat yang
diyakini orang Maaysia dan kaum sarjana selama ini sebetulnya silap?

6. Mengenai mengapa saya berkata tarikh baru batu berusurat Terengganu yang
betul ialah 708 Hijrah atau 1308 Masihi, saya memperolehnya berdasarkan
penyelidikan saya yang teliti. Ada beberapa istilah Kawi, Jawa Tengahan, Sanskrit,
dan Melayu Kuno yang tidak ditonjolkan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu – bukan
Prof. Tan Sri Syed Naquib Alatas seorang – seperti perkataan adi pratama, nang,
uwarang, pada (kata Sanskrit yang bererti syurga), saratan (bukan syaratan seperti
yang dianjur oleh Tan Sri Syed Naquib), meraksa (istilah Kawi dan Melayu Kuno), ko
(bukan “ku” tetapi “kau”), inger dan banyak lagi yang tersilap dibaca oleh pengkaji
terdahulu sejak tahun 1924. Saya sendiri pun pada mulanya tersilap apabila turut
membaca ejaan /ta/ta/waw/alif/ [ ‫ ] تتوا‬di permukaan batu sisi C sebagai “tetua”
(yakni orang tua-tua) seperti mana yang dibaca oleh Prof. Syed Naquib. Sebetulnya
ejaan /ta/ta/waw/alif/ [ ‫ ] تتوا‬itu wajib dibaca “tatwa” iaitu kata Jawa Kuno yang
membawa erti sesungguhnya, sebenarnya, atau kenyataan. Kata ini berasal
daripada kata Sanskrit “tattwa” (atau dieja ‘tattva’).

Seyogia diingati, pada awal abad ke-14 Terengganu adalah salah sebuah daripada
mandalika atau koloni kerajaan Jawa Timur di Semenanjung Melayu (bermula pada
zaman Singhasari dan sampai munculnya Majapahit). Dalam kajian yang telah saya
laksanakan, saya menemui sistem kalendar terawal di Nusantara yang merupakan
takwim yang berasaskan putaran kumpulan 8 tahun sebelum orang Jawa memberi
nama “windu” dalam sistem kalendarnya. Ungkapan adi pratama adalah merujuk
kepada pusingan pertama dalam sistem yang kemudiannya dikenali sebagai sistem
“windu” di Jawa yang berdasarkan kitaran atau siklus delapan tahun. Sistem
putaran delapan tahun ini pun mempunyai empat pusingan pula yang menjadikan
jumlahnya 32 tahun. Tetapi setiap 8 tahun itu adalah satu siklus atau kemudiannya
di Jawa disebut satu “windu”. Dengan berdasarkan pengiraan tahun dalam lapan
pusingan itu saya mendapati tarikh 708 H (1308 M.), iaitu bersamaan dengan tahun
“Pausa” Hindu yang sejajar dengan tahun 1230 Saka Jawa, jatuh dalam siklus adi
pratama itu. Tetapi tahun 702 Hijrah/1303 Masihi (tahun yang diusulkan Prof Syed

Naquib) lantaran ia bersamaan dengan tahun Saka 1224 jatuh dalam siklus
“Sangara” iaitu siklus yang ketiga dalam sistem kalendar Jawa. Oleh kerana batu
bersurat itu menyebut “Adi pratama adi Jumaat” maka tidak mugkinlah tahun 702
Hijrah betul.

Tentang menamakan sesuatu tahun berdasarkan seekor ‘binatang’, ini adalah
pengaruh daripada budaya Jawa dan juga Siam yang juga mempunyai tahun-tahun
yang bernama haiwan dalam sistem kalendar mereka. Kata “Saratan” dalam bahasa
Arab selengkapnya ialah “saratan al-bahri” yakni dalam bahasa Melayunya disebut
tahun Udang Kara. Kebetulan tahun Udang Kara dalam kalendar Jawa jatuh dalam
lingkugan tahun Adi. Selama ini kajian terhadap batu bersurat Terengganu tidak
menyentuh sistem kalendar yang tampaknya banyak dipengaruhi oleh Jawa.

Soalan yang ketujuh: “Dalam pengkajian Sejarah Malaysia, apakah masalah utama
yang dihadapi masyarakat Malaysia masa kini?”

7. Masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia pada masa kini ialah
kajian mengenai sejarah tanah air masih berasaskan perkauman. Sangat sedikit
sarjana bukan Melayu yang berminat untuk mengkaji sejarah purba negara
Malaysia. Dalam kalangan sarjana Melayu pun amat kurang bilangannya yang
berminat bukan sahaja dalam sejarah tua tanah air, tetapi juga dalam bidang
kesusasteraan dan kebudayaan Melayu lama sendiri. Apabila saya menimbulkan
budaya pantang menyebut nama (‘tabooed names’) yang menyebabkan tidak
mungkin Laksmana Melaka diketahui namanya, ramai yang bergelar ‘sarjana’ tidak
percaya bahawa pantang larang menyebut nama adalah sebahagian daripada
budaya yang berasaskan kepada kepercayaan terhadap “semangat” atau roh yang
menghuni pada setiap benda dalam alam samada yang berbentuk pejal atau cair --
- yang mewarnai pemikiran orang Melayu zaman dahulu. Ramai pula yang tidak
pernah mendengar nama pengarang jauh sekali membaca karya seperti “The
Golden Bough” dan “Taboo and the Perils of the Soul” oleh James Frazer dan
“Malay Magic” oleh William Skeat. Pengalaman saya apabila menyuarakan betapa
bahasa Jawa Kuno amat besar pengaruhnya terhadap bahasa dan kesusasteraan

Melayu lama, seperti “Sejarah Melayu” dan “Hikayat Hang Tuha” misalnya, mereka
yang bergelar sarjana itu langsung tidak boleh menerimanya dan jelas tidak mahu
menyelidiki isu yang dibangkitkan itu.

Ada sarjana yang meneliti khusus tentang cerita-cerita Panji pun melahirkan rasa
tidak senangnya apabila saya katakan peranan cerita Panji dalam mempengaruhi
sastera Melayu lama tidak boleh diremehkan. Rupa-rupanya sarjana ini memang
tidak pernah menyelidiki pengaruh cerita Panji terhadap sastera Melayu lama
sekali pun dia mendakwa menjadi pakar cerita Panji!

Soalan yang kelapan: “Bagaimanakah generasi muda Malaysia, khususnya
golongan inteligensianya, boleh mengatasi persoalan ketandusan ilmu dalam
pembelajaran dan pengembagan sejarah tanah air?”

8. Untuk generasi muda Malaysia dewasa ini, baik dari kalangan bijak pandai
Melayu, mahupun bukan Melayu, suka saya mengingatkan sekali lagi, bahawa anak
kunci bagi mengatasi banyak masalah tentang ilmu ialah dengan bergiat dan
berusaha memperluaskan pembacaan, bukan sahaja dalam bidang pengkhususan
sendiri tetapi juga dalam bidang-bidang pengetahuan lain, terutamanya yang ada
kaitannya dengan disiplin ilmu masing-masing. Pembelajaran dan pengembangan
sejarah tanah air mestilah tidak didorong oleh kepentingan kaum sendiri tetapi
kepentingan memelihara warisan sejarah Malaysia.

WalLahua’lam.

Islam di Asia Tenggara

Oleh Ahmat Adam

(Seperti lazimnya, dalam makalah ini pun saya sengaja tidak membubuh nota kaki
dan sumber rujukan lantaran hendak mengelakkan makalah ini daripada diplagiat
oleh mereka yang tidak bertanggungjawab)

Bilakah Islam bertapak di Asia Tenggara?

Sampai kini kajian mengenai pengislaman rantau kepulauan Asia Tenggara adalah
berasaskan penemuan bukti-bukti arkeologi, sumber asing (khususnya sumber Cina
dan tulisan Arab), dan sumber kesusasateraan peribumi. Menurut penemuan
arkeologi, pada abad ke-8 dan ke-9 orang asing beragama Islam dari luar telah pun
datang ke tempat-tempat seperti Kalah (sebuah tempat yang diduga terletak di
daerah Kelang ataupun menurut setengah-setengah pendapat Kalah juga merujuk
kepada Kedah), ‘Qakullah’ dekat Takuapa, dan pulau Kakha, kesemuanya diduga
terletak di utara Semenanjung Melayu. Arkeologis Alaistair Lamb pun menyatakan
bahawa serpihan tembikar dan kaca bercorak seni Islam yang bertarikh sekitar
abad ke-9 dan ke-10 telah ditemui di Lembah Bujang, Kedah.

Penemuan kubur Muslim yang pada nisannya tercatat tahun yang diagak Hijrah 219
(iaitu bersamaan dengan Tahun Masihi 903) dengan nama si mati Abdul Qadir ibni
Husin Syah ‘Alyarah’ (Othman Yatim & Abdul Halim 1990: 42). di tanah perkuburan
Kampung Tanjung Inggeris, Langgar, tidak pernah dibuktikan kesahihanya secara
tuntas namun ada tekaan ia berkemungkinan milik seorang Parsi. Tarikh 219 H. itu
masih boleh dipertikaikan kerana ada kemungkinannya sebahagian daripada angka
itu sudah patah ataupun terhakis. ((ibid: 44). Menurut maklumat yang diberikan
kepada saya oleh seorang pakar arkeologi tempatan, tarikh pada nisan itu pun tidak
pernah diverifikasikan oleh mana-mana ahli arkeologi yang ‘bona fide’. Jadi
sukarlah bagi kaum sejarawan mempastikan kesahihan maklumat mengenai batu
nisan itu. Betapapun demikian, jika didasarkan pada kajian arkeologi mendiang

Alaistair Lamb, maka jelas sekali orang Islam sudah berada di Kedah pada abad ke-
9 dan 10. Bahkan kehadiran Islam itu pun disokong dengan dalil bahawa pada ketika
tahun 878/87M apabila berlaku pembunuhan beramai-ramai oleh kaum
pemberontak yang dipimpin oleh Huang Chao ke atas para pedagang asing (Arab,
Yahudi, Parsi, Kristian dan penganut agama Zorostarian) di wilayah Guanzhou,
China, ramai di antara pedagang Arab dan Parsi itu telah pun melarikan diri ke Kalah
(Kedah) untuk mencari suaka

Bahawa orang Islam telah berada di rantau Asia Tenggara telah terbukti dengan
penemuan batu nisan yang bertarikh 1 Rabi'ul-awal 431H/21 Nov. 1039M di
Champa, di semenanjung Indochina, iaitu milik seorang penganut Syi'ah bernama
Abu Kamil. Juga telah ditemui di Campa , ialah batu bersurat bertarikh 1035 yang
juga merakamkan undang-undang Islam. Di pulau Jawa juga telah ditemui batu
nisan di daerah Leran, Gresik, bertarikh 475H/1082M kepunyaan Fatimah binti
Maimun. Manakala di Sumatera pula, selain berdasarkan batu nesan Sultan Pasai,
Malik al-Salih yang bertarikh 696H/1297M, bukti kedatangan Islam juga berasaskan
sumber China, Yuan-shi (zaman Kublai Khan), yang menyebut bahawa pada tahun
1282M raja "Sa-mu-tu-la" telah mengirim dua orang menterinya bernama Husin
dan Sulaiman ke negeri China. Tidak berapa lama dahulu para arkeologis di
Sumatera juga telah menemui batu nisan di Kota Lubhok, Lamreh, di daerah Aceh
Besar dengan ukiran tarikh 22 Safar 398H (5 November 1007M) dan sebenarnyalah
ia menguatkan lagi hujah bahawa Islam sesungguhnya telah sampai ke Asia
Tenggara paling tidak pada abad ke-11M ataupun mungkin lebih awal lagi.

Di Tanah Semenanjung, adalah menjadi satu kenyataan yang sah bahawa kali
pertama aksara Arab digunakan dalam bahasa Melayu ialah pada batu bersurat
Terengganu yang bertarikh 4 Rajab 708H/1308M (20 Disember. 1308M). Batu
bersurat itu merakamkan penguasa Trengganu yang dipanggil Sri Paduka Tuhan
mengarahkan agar didirikan batu bersurat tersebut untuk mengumumkan
pelaksanaan undang-undang Islam yang antara lain menjatuhkan hukuman denda
dan sebat atau rejam, kepada mereka yang melanggarinya yakni bergantung
kepada kesalahan masing-masing, baik lelaki mahupun perempuan. Yang menarik,
inskripsi pada batu tersebut didapati serupa dengan yang ditemui pada batu yang

dijumpai di Campa yang bertarikh lebih awal. Namun demikian, sekalipun batu
nisan itu dikatakan milik seorang Islam berbangsa Parsi dan memberikan tarikh
1039M, namun tiada bukti lain untuk menunjukkan bahawa agama Islam telah
diterima luas oleh orang Melayu di Champa, walaupun pada hakikatnya seorang
raja Melayu Kambuja yang bernama Reameathipadai I (1642 -1658) telah memeluk
Islam dan mengambil nama Sultan Ibrahim. Suatu hal yang menarik juga ialah
penemuan batu nisan di Pahang iaitu di Pulau Tambun di daerah Pekan. Tarikh yang
ada pada nisan ini ialah 10 Rabi’ul-awal 419H atau 8 Mei 1028M. Namun tulisannya
diperkira oleh ahli arkeologi membawa gaya tulisan Arab abad ke-14. Oleh yang
demikian kesahihannya perlu diverifikasi lagi. Namun demikian hakikat Islam besar
kemungkinannya telah bertapak di kawasan sebelah timur Semenanjung
tampaknya sangat munasabah diskong pula oleh penemun sebuah baldi gangsa
yang menurut bacaan saya terukir tarikh “27 Rajab 577 Sanah” yang bersamaan
dengan tarikh 1181 Masihi..

Dalam pada itu, di pulau Jawa sendiri, batu nisan yang dipercayai oleh para pengkaji
sebagai milik seorang orang asing memberikan tarikh 475H iaitu bersamaan
1082M. Sekalipun batu nisan di Pulau Jawa itu bertarikh abad ke-11, namun ia tidak
pula bererti Islam sudah bertapak dalam kalangan penduduk tempatan. Drewes
menyebutkan bahawa sebelum 1478 M. Majapahit masih berupa sebuah kerajaan
Hindu (Drewes, (1968: 456). Ini seakan-akan sama keadaannya dengan penemuan
batu nisan di Pahang itu. Tetapi tidak semua orang menerima pandangan ini,
terutama orang di Jawa. Sementara di Patani Islam secara rasmi bertapak di Patani
sekitar 1374M. apabila rajanya yang bernama Indra memeluk Islam dan mengambil
nama Sultan Mahmud Syah.

Bagaimana pula dengan Borneo? Pada pendapat ahli arkeologi, mendiang Tom
Harrisson, Islam telah pun berada di Brunei dan Sabah pada sekitar suku atau
pertengahan abad ke-14. Berdasarkan kajian suatu naskhah Idahan milik suku
Idahan di Madai, di daerah Lahad Datu, Sabah, Tom Harrison, yang membuat kajian
bersama-sama isterinya, Barbara, Harrisson, telah menyarankan bahawa Islam
telah pun bertapak di kawasan utara Borneo pada tahun c.1350 dan di Brunei c.
1325 – 1350M. Apabila berlaku penemuan batu nisan Sulaiman bin Abdul Rahman

bin Abdullah Nurullah yang bertrikh 1418/19M maka ia seolah-olah menyokong
tarikh yang dikemukakan oleh Harrisson. Kendati demikian, penemuan batu nisan
seorang perempuan Muslim bertarikh 440H/ 1048M di Brunei, telah pun
menimbulkan berbagai soalan kepada peminat sejarah. Ada dugaan misalnya,
“Apakah batu nisan ini an isolated case (kes yang terpencil) seperti batu nisan yang
dijumpai di Leran, Jawa Timur?” Mungkin tempat-tempat penemuan itu hanya
merupakan petempatan orang asing yang beragama Islam. Mengenai pengislaman
Filipina pula, ia berlaku dengan wujudnya kerajaan Islam Magindanao [Mindano]
dan Sulu menjelang 1490 (Shaughnessy, 1967: 119). Ternate pun menyaksikan
sebuah kerajaan Islam pada masa raja Ternate yang bernama Kolano Marhum (r.
1465 - 1486). Penemuan-penemuan bukti mengenai proses pengislaman di Asia
Tenggara ini tentulah sangat menarik perhatian para peminat sejarah.

Murid-murid sejarah pun dapat merumuskan bahawa berdasarkan kajian arkeologi
dan naskah-naskhah tua, telah terdapat konsensus umum dalam kalangan para
sejarawan bahawa walaupun Islam telah berkembang sejak abad ke-12 Islam tetapi
prosesnya adalah secara beransur-ansur iaitu sejak abad ke-12, dan mencapai
kemucaknya pada abad ke-14 dan 15. Jelaslah Islam telah bertapak kuat di Asia
Tenggara dengan lebih jelas pada abad ke-14 dan ke-15: di tanah semenanjung
(abad ke-14), wilayah Melayu selatan Thailand (penghujung abad ke-14),
Kalimantan Barat (pertengahan abad ke-14), dan pulau Jawa (akhir abad ke-15)
Ternate (abad ke-15) dan Filipina (juga pada abad ke-15). Bertahap-tahapnya
perkembangan Islam adalah disebabkan prosesnya berlaku secara beransur-ansur.
Malahan kemantapannya lebih nyata apabila raja atau pembesar tempatan
memeluknya terlebih dahulu, dan ekorannya ialah lahirnya kerajaan Islam.

Contohnya ialah peranan yang dimainkan oleh kesultanan Melaka. Hanya selepas
penubuhan kerajaan Melaka pada kira-kira dasawarsa pertama abad ke-15 baru
tampak jelas agama Islam itu bertapak di Melaka dan lantas berkembang di
kepulauan Melayu. Seyogia diingati, raja pertama Melaka, yang bergelar
Parameswara (ertinya dalam bahasa Kawi ialah Maharaja atau Dewa tertinggi),
dipercayai telah memeluk agama Islam bersama-sama keluarganya ketika dia
berusia sangat tua (kemungkinannya dalam usia tujuh puluhan iaitu, jika mengikut

Tome Pires, 72 tahun). Tentang bila raja Melaka pertama itu masuk Islam menarik
juga diperhatikan sumber ‘Ming Shi-lu’ yang melaporkan pada bulan Ogos 1411
mengenai lawatan Parameswara ke negeri China. Laporan Ming itu menyebut,
bahawa setiap hari raja Melaka dan para anggota rombongannya yang seramai 540
orang itu telah dibekalkan “lembu dan kambing sebagai bekalan makanan (lihat
Ahmat Adam 2016: xliviii – xlix).

Pada tahun 1414 ketika Ma Huan, seorang Muslim yang menjadi jurubahasa
Laksamana Cheng Ho, singgah di Melaka dia pun ada melaporkan bahawa pada
tahun tersebut raja negeri Melaka dan rakyatnya “kesemuanya mengikuti agama
Islam, melakukan puasa, ibadat korban dan solat”. Kenyataan Ma Huan ini secara
tidak langsung menunjukkan bahawa Islam sudah pun bertapak di Melaka sebelum
1414. Kendati demikian, jika ada mana-mana pihak yang meragukan hal
Parameswara memeluk Islam itu maka kenaikan takhta Megat Iskandar Syah
(r.1414-1423/24) sebagai pengganti bapanya, Parameswara, adalah satu kepastian.
(Nota: Bacaan nama Sultan “Megat” [ ‫ ] مكت‬oleh Winstedt atau Raja “Megat” oleh
Shellabear ternyata lebih tepat berbanding dengan bacaan A. Samad Ahmad,
Muhammad Haji Salleh dan Abdul Rahman Haji Ismail yang masing-masing
membacanya sebagai Sultan “Mahkota”).

(Bersambung)

Bahagian 2 (Akhir)

Islam di Asia Tenggara

Oleh Ahmat Adam

Justeru yang demikian saya fikir sumber “Sejarah Melayu” naskhah Raffles no. 18
yang mengatakan pengganti Sultan Iskandar Syah ialah Raja Kecil Besar yang juga
bergelar Sultan Megat adalah menarik. Kenyataan ini sangat mirip dengan laporan
‘Ming Shi-lu’ justeru ia seakan-akan menepati maklumat dari rekod Ming itu
bahawa anak Parameswara yang naik takhta menggantikan bapanya.pada tahun
1414 ialah Mu-wo Sa-yu-di-er Sha (atau disebut Mu-gan-Sa-yu(gan)-di-er-Sha) iaitu
Megat Iskandar Syah. (Di dalam semua versi “Sejarah. Melayu” nama Parameswara
tidak disebut, tetapi sebaliknya nama Iskandar Syah yang ditulis sebagai raja
Melaka pertama). Tetapi nakhah Raffles no. 18 juga menyebut bahawa yang
menggantikan Iskandar Syah ialah Raja Kecil Besar yang apabila menjadi raja
bergelar Sultan Megat. Jadi, dia adalah Raja Melaka yang kedua. Menurut “Sejarah
Melayu” versi Raffles no. 18 dia mangkat setelah memerintah selama dua tahun.
Kemudian, menurut naskhah Raffles 18 juga, Sultan Megat digantikan pula oleh
anaknya yang bergelar Raja Tengah. Versi “Sejarah Melayu” ini mengatakan dialah,
(ertinya raja Melaka yang ketigalah) yang bermimpi bertemu dengan Nabi
Muhammad S. A. W. dan diajar mengucap “dua kalimah syahadat”.

Ramai orang termasuk para sarjana membuat kesimpulan bahawa raja Melaka
yang bermimpi bertemu dengan Rasul Allah itulah yang mula-mula masuk Islam.
Hampir semua sarjana pun percaya bahawa raja yang mula-mula masuk Islam ialah
raja yang namanya disebut di dalam ‘Ming Shi-lu’ sebagai Seri Maharaja (1423/24
– 1444/45) iaitu raja yang ketiga. Mungkin andaian ini berdasarkan kenyataan di
dalam naskhah Raffles no. 18 yang juga menyebut bahawa raja Melaka yang ketiga
iaitu Raja Tengahlah yang pertama masuk Islam. Jika versi Raffles no. 18
mengatakan Raja Tengah telah diberitahu bahawa namanya adalah Sultan
Muhammad setelah mengucap dua kalimah syahadat, maka di dalam versi-versi
“Sulalat u’s-Salatin” yang lain (iatu versi Shellabear, naskhah milik Krusenstern,

Abdullah Munsyi, Munsyi Mohammad Ali, dan Haji Othman Abdullah, nama raja
Melaka yang kedua (iaitu anak Iskandar Syah) ialah Raja Besar Muda (A. Samad
Ahmad ternyata keliru kerana pada satu tempat membacanya “Raja Muda” dan
pada halaman lain ditulisnya Raja Besar Muda). Seyogia diingatkan, selepas
kematian Raja Besar Muda, dalam semua versi “Sejarah Melayu” (kecuali naskhah
Raffles no. 18) disebutkan pengganti raja Melaka yang kedua ini ialah Raja Tengah.
Dia kemudiannya digantikan oleh anaknya Raja Kecil Besar.

Dengan menjadikan watak Raja Kecil Besar (“Sejarah Melayu” versi yang bukan
naskhah Raffles no. 18), atau Raja Tengah (mengikut naskhah Raffles no. 18)
sebagai raja Melaka yang mula-mula masuk Islam pengarang “Sejarah Melayu’
sebenarnya telah sama ada terkeliru dengan nama Raja Megat atau Sultan Megat,
ataupun sebetulnya memang tidak tahu bahawa Megat Iskandar telah pun
beragama Islam ketika menjadi raja Melaka (1414 – 1423/24). Atau mungkin juga
kerana pengarang pun tidak tahu bahawa Parameswara pun sudah masuk Islam
sebelum dia mangkat dalam tahun 1414. Bagi pengarang “Sejarah Melayu” juga,
dengan tidak menyebut nama Parameswara (suatu gelaran Hindu yang bererti
Maharaja atau Dewa yang maha tinggi) ia boleh dilihat sebagai suatu helah
pengarang untuk mengelakkan diri daripada menyebut nama gelar Parameswara.
Bahkan pengarang juga secara sedar enggan menyebut kedatangan Sang Supraba
ke Bukit Siguntang kerana nama itu adalah nama lain bagi Gautama Budhha dan
kata ‘supraba’ bererti cahaya gemilang yang melambangkan kedatangan agama
Buddha di Bukit Siguntang bersama-sama dengan nama Nila Pahlawan dan Krishna
Pandeyan (atau Karna Pandita); kedua nama yang terkemudian adalah nama-nama
yang melambangkan agama Hindu mazhab Vishnu (‘nila’ bererti biru iaitu warna
tubuh Vishnu. Untuk keterangan lanjut sila baca Ahmat Adam, “Sulalat u’s-Salatin”
(2016). Justeru kerana tidak pasti raja yang mana yang mula-mula masuk Islam
maka pengarang memanfaatkan muslihat untuk menyorokkan unsur bukan Islam
dalam penulisannya dengan merekayasa cerita raja Melaka masuk Islam itu secara
menciplak episode mimpi dalam “Hikayat Raja-Raja Pasai”.

Walaupun ada sedikit kekeliruan yang timbul dalam menggunakan “Sejarah
Melayu” sebagai sumber bagi menentukan raja Melaka yang mana satu yang mula-

mula masuk Islam, namun dari segi kebenaran sejarahnya harus diwaspadai
kesahihan mimpi raja Melaka bertemu dengan Nabi S. A. W. seperti yang dilukiskan
oleh pengarang asal “Sejarah Melayu”, kerana ia boleh dipertikaikan. Ini kerana
seperti yang terbukti daripada beberapa peristiwa lain di dalam “Sejarah Melayu”,
episode mimpi raja Melaka bertemu dengan Nabi S. A. W. itu sebenarnya telah
dijiplak oleh pengarang “Sejarah Melayu” yang bijaksana itu daripada suatu
episiode di dalam “Hikayat Raja-Raja Pasai” iaitu peristiwa Měrah Silo bermimpi
bertemu dengan Rasul Allah:

... sebermula maka dilihatinya dalam mimpinya itu ada seorang orang menampung
dagunya dengan segala jarinya dan matanya pun ditutupnya dengan empat jarinya.
Demikian katanya, “Hai Měrah Silo, ucap olehmu dua kalimah syahadat”. Maka
sahut Měrah Silo, “Tiada hamba tahu mengucap akan dia.” Maka ujarnya, “Bukakan
mulutmu.” Maka dibukakan oleh Měrah Silo, maka diludahinya mulut Měrah Silo
itu, rasanya lemak manis. Maka ujarnya akan Měrah Silo, “Hai Měrah Silo,
engkaulah Sultan Malik al-Saleh namamu sekarang. Islamlah engkau dengan
mengucap dua kalimah syahadat itu.”

Seyogia diingati, menurut laporan Ma Huan, jurubahasa Laksamana Cheng Ho yang
ikut rombongan Cheng Ho melawat Melaka pada tahun 1414, dewasa itu iaitu pada
masa pemerintahan Megat Iskandar Syah, agama Islam sudah pun bertapak kuat di
Melaka. Ma Huan menyatakan dalam laporannya bahawa rakyat dan Raja Melaka
didapati sudah pun mengamalkan ibadat seperti solat, puasa dan mengorbankan
haiwan. Secara tidak langsung laporan Ma Huan ini juga mengukuhkan fakta
bahawa pada zaman Megat Iskandar memerintah itu, Islam telah sah bertapak di
Melaka. Namun bagi pengarang “Sulalat u’s-Salatin” yang menulis berdasarkan
himpunan “segala riwayat orang tuha-tuha dahulu kala”, dia pastilah telah
mendengar nama Megat Iskandar yang disebutnya ”Raja Tengah” alias “Sultan
Megat” (raja Melaka yang kedua). Bahawa Raja Tengah mengambil nama gelar
Sultan Megat dinyatakan di dalam “Sejarah Melayu” versi Raffles no. 18. Tetapi
kekeliruan mungkin telah timbul sewaktu penyalinan dibuat oleh ‘pengarang’ atau
‘penyalin’ lain yang menyebut nama raja Melaka pertama yang masuk Islam
sebagai “Raja Kecil Besar”.

Perlukisan kisah raja Melaka masuk Islam itu pun dijadikan motif oleh salah seorang
pengarang/penyalin dengan menjiplak dari “Hikayat Raja-Raja Pasai” yang memang
dijadikan oleh pengarang sebagai salah sebuah teks rujukannya ketika menuls
“Sulalat u’s-Salatin”. Seyogia diingati, pendirianya pengarang “Sejarah Melayu”
yang tampak Islamik, alim atau warak, bukan sahaja secara sedar tidak mahu
menyebut nama Parameswara (suatu gelaran raja Hindu) tetapi juga tidak
menyebutkan kedatangan agama-agama Buddha dan Hindu di daerah Buktit
Siguntang.

Motif (tema) raja Melaka bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S. A. W.

Sesungguhnya, ketika Sultan Megat (atau “Megat” Iskandar Syah dalam sumber
‘Ming Shi-lu’) naik takhta pada tahun 1414 itu Islam memang sudah berkembang
jika laporan Ma Huan diambil kira. Kemiripan nama “Megat” (iaitu dari kata Kawi
‘Měgět’ yang merujuk kepada bangsawan yang diserahi kedudukan tinggi di istana)
memperkuatkan perasaan saya bahawa justeru kerana Parameswara merupakan
raja Melaka yang mula-mula masuk Islam, maka dapat diduga dialah yang
mengambil nama Sultan Muhammad. Saya pun sangat bersetuju dengan kenyataan
Tan Sri Syed Naquib al-Attas bahawa hanya orang [sic, raja] yng berdarjat tinggi
sahaja yang akan memilih nama “Muhammad” sebagai tanda dia telah memeluk
Islam. Saya fikir tidak mungkin Megat Iskandar Syah atau Seri Maharaja (r. 1423/24
- 1444/45) (nama yang terdapat dalam sumber “Ming Shi-lu”) itu yang mengambil
nama Sultan Muhammad. Berdasarkan catatan Ma Huan, jurubahasa Cheng Ho
yang beragama Islam itu, jelaslah ketika Cheng melawat Melaka pada tahun Megat
Iskandar Syah baru naik takhta, Islam sudah cukup kuat dan kekuatannya itu
bukannya bermula pada zaman pemerintahan Seri Maharaja (1423/24 – 1444/45).
Kekeliruan ramai sarjana selama ini boleh jadi berpunca daripada kekeliruan
mentafsirkan nama yang diberikan oleh pengarang awal “Sejarah Melayu”
sehubungan dengan nama Sultan Megat, Raja Tengah, dan Raja Kecil Besar.

Seyogia diingati, kemakmuran Melaka terpelihara pada abad ke-15 justeru kerana
rasa selamatnya daripada gangguan musuh. Sejak awal lagi Melaka telah diberi
naungan oleh raja-raja Ming (r.1368 - 1644). yang cuba menggunakan Melaka
untuk memperkuat strategi dagangnya dan untuk menjalin hubungan dengan
kerajaan-kerajaan luar China. Oleh kerana itulah sejak awal abad ke-15 hinggalah
menjelang ia jatuh ke tangan Portugis (1511), Melaka telah mendapat naungan
daripada kerajaan dinasti Ming iaitu daripada masa pemerintahan Maharaja Yung-
lo (r.1398-1424) yang, mengikut beberapa sumber adalah seorang Muslim,
sampailah pada ketika pemerintahan Maharaja Zheng-de (r.1505 - 1521). Begitu
rapatnya hubungan Melaka dengan China juga terbukti daripada lawatan ke istana
Raja Ming yang dibuat oleh raja-raja Melaka seperti Parameswara (1411), Megat
Iskandar Syah (1414), Sri Maharaja (1424 dan 1433), dan Sultan Mansur Syah
(1459). Bahkan selain rajanya, duta atau perwakilan diraja Melaka juga telah
mengadap maharaja China sebanyak 28 kali antara tahun 1405 hingga 1508.

Bagaimankah Islam dikembangkan?

Kajian terkini yang berasaskan bukti arkeologi dan beberapa bahan sastera
tempatan jelas menunjukkan bahawa terdapat peranan kaum Sufi dalam
penyebaran agama Isam pada zaman permulaannya (walaupun ini tidak bererti
peranan pedagang Islam harus ditolak begitu sahaja). Kajian-kajian lepas
menunjukkan betapa kedua-dua pihak, baik golongan pendakwah Sufi mahupun
pedagang, dan istimewanya pengamal tasawuf berketurunan Indo-Parsi dari benua
kecil India, atau wilayah Parsi sendiri telah berperanan dalam menyebarkan agama
Islam di Asia Tenggara.

Seyogia diingati pula bahawa ketika pendakwah Islam yang awal ini sampai ke
rantau Asia Tenggara, ada kemungkinannya mereka telah bertembung dengan
sistem budaya dan amalan kepercyaan yang dibentuk oleh agama seperti
Buddhisme Mahayana, dan Hinduisme mazhab Vishnu dan Shiva. Pertembungan
budaya antara agama ini tidaklah boleh diremehkan. Naskhah-naskhah Melayu tua
dan naskhah bahasa Jawa bertulisan Pegon yang menghuraikan tentang

kepercayaan terhadap amalan ‘divination’ yang disebut menengok ‘ketika’, atau
amalan tilik, tenungan atau peramalan, dan juga ilmu sihir dalam berbagai bentuk
yang wujud di gugusan kepulauan Melayu, seperti mana yang diamalkan dalam
astrologi, dan ilmu falak, serta perhitungan (Jawa: pitungan) menurut sistem
kalendar atau takwim, dan juga pembuatan tangkal dan azimat, wafaq (sihir segi-
empat) dan perubatan melalui perbomohan, jelas menunjukkan betapa ketika
Islam sampai di rantau ini unsur-unsur dari agama Buddha dan Hindu -- dan
animisme -- masih terpakai dan amalan-amalan itu pun menerima penyesuaian
atau telah melalui proses sinkretisme dengan bentuk amalan yang dibawa oleh
agama yang baru.

Terdapat iras persamaan antara konsep pencapaian nirwana dengan fana misalnya,
dan konsep inkarnasi dalam agama Hindu dan hulul dalam ilmu tasawuf, .sekalipun
hal ini dinafikan keras oleh puak Sunnah. Bahawa konsep transenden dalam agama
Buddha, Hindu, dan Islam Sufi pun memerlukan kajian adalah jelas. Suatu perkara
yang penting diingati juga ialah bahawa aliran Sufi Islam yang datang ke dunia
Melayu pada tahap awalnya adalah yang berbentuk sinkretik yang, justeru kerana
ia lebih menekankan kesinambungan unsur-unsur fahaman yang terdapat di dalam
agama-agama lama di Asia Tenggara dengan elemen Islam yang baru, maka
pendkawahan kaum Sufi itu lebih mudah menarik orang untuk 'masuk Islam'
(Azyumardi Azra, 2004: 100, 113). Satu daripada doktrin yang dibawa oleh kaum
Sufi itu ialah ajaran Ibn 'Arabi yang dikenali sebagai “wahdat al-wujud”. Melalui
doktrin inilah teori tentang ciptaan Tuhan dan simbol alam yang dicipta itu
disampaikan dalam ajaran mistik yang disebut ‘ilmu huruf’.

Berdasarkan naskhah-naskhah (manuskrip) Melayu, pada tahap awalnya Islam
kelihatannya telah disebarkan oleh kaum Sufi sama ada dari benua kecil India,
dengan membawakan unsur-unsur Indo-Parsi, atau dari Asia Barat khasnya
tempat-tempat seperti Khorasan, di Parsi purba, dan Yemen, ataupun dari kedua-
dua wilayah itu. Walaupun kemungkinannya besar bahawa unsur Syi'ah telah
dibawa oleh pendakwah awal pada sekitar antara abad ke-11 dan ke-14, tetapi
mazhab Syafi'ilah yang akhirnya tersebar luas. Memang tidak boleh dinafikan
bahawa Islam telah disebarkan oleh orang Arab baik dari kalangan pedagang

mahupun pendakwah seperti yang dinyatakan di dalam Sejarah Melayu (atau
Sulalat u's-Salatin). Walau demikian, pada pendapat saya pendakwah-pendakwah
awal itu lebih terdahulu datang ke Sumatera Utara dan kemudiannya baru
menyebarkan Islam ke kawasan-kawasan pesisir Selat Melaka. Mereka itu terdiri
daripada kaum Sufi yang disebut sebagai Sufi sinkretik dan di antaranya pula ada
juga yang datang dengan membawa doktrin Syi'ah.

WalLahua’lam.

Liku-Liku Perjalanan Pelajar Sejarah
dalam Mengikuti Program Pascasiswazah

(Bahagian 1)

oleh Ahmat Adam

(Posting ini adalah esei yang telah disunting berdasarkan ceramah yang
disampaikan kepada kumpulan pelajar pascasiswazah ketika saya berada di
Universiti Malaya pada suatu masa dahulu. Ia diturunkan semula lantaran saya
memikirkan ada baiknya ia dibaca oleh para pelajar dan mereka yang berminat
dalam persoalan penyelidikan sejarah).

Pengenalan: Persediaan sebagai pelajar pascasiswazah dalam bidang Sejarah

Semua calon pascasiswazah, tidak terkecuali tuan-tuan dan puan-puan, sedar
bahawa pengajian pascasiswazah dalam jurusan Sejarah secara kulitatifnya adalah
berlainan sifatnya daripada masa menjadi ‘undergraduate’. Jika pada masa
prasiswazah anda hanya mengikuti kuliah dan tutorial, di peringkat pascasiszah
anda perlu menjalin kolaborasi dengan penyelia anda khususnya mengenai projek
tesis yang boleh membantu meningkatkan pemahaman dan penghayatan anda
terhadap ilmu sejarah secara ilmiah.

Seseorang pelajar Sejarah yang baru mengikuti program pascasiswazah tentulah
merasa gundah dan memiliki rasa ‘anxiety’ seolah-olah “tak tahu apa nak buat” dan
juga merasa was-was bila diberitahu tentang projek penyelidikan tesis. Tidak
mustahil, seandainya seseorag calon M.A. ataupun Ph.D. yang mengikuti program
melalui penyelidikan semata-mata akan terkial-terkial dan meraba-raba mencari
arah dan pedoman dalam banyak perkara. Ini berlaku terutamanya kepada calon
yang tidak mempunyai latar belakang dalam pengajian sejarah. Mungkin di antara
anda ada calon yang akan menghadapi kebuntuan bila disuruh membuat kertas

cadangan (‘proposal’) untuk tesis. Setengah-setengah calon Master’s pula
barangkali akan merasa susah nak mengikuti dan memahami perkara-perkara yang
ditimbulkan dalam seminar atau muzakarah tentang kaedah dan falsafah sejarah.
Semua ini akan menjadi masalah besar jika calon M.A. atau Ph.D itu tidak tekun ke
perpustakaan atau keberatan membaca buku-buku ilmu sejarah!

Masalah Sejagat Pelajar Pascasiswazah

Masalah universal yang dilalui oleh kebanyakan pelajar pascasiswazah di mana-
manapun, sebenarnya hampir sama. Di Eropah dan Amerika Utara di mana tradisi
universiti itu sendiri telah lebih lama berkembang, peratusan kegagalan atau
lambat menyelesaikan program adalah masalah yang sering diungkapkan oleh
lembaga-lembaga pendidikan pascasiswazah atau komite penyelidikan. Dalam
beberapa kajian yang telah dibuat di Australia suatu masa dahulu, didapati pelajar-
pelajar yang mendaftar sepenuh masa pada umumnya jarang dapat menyelesaikan
pengajian mereka dalam tempoh masa lima tahun. Pelajar-pelajar separuh masa
pula memerlukan masa kira-kira 25% lebih lama daripada pelajar sepenuh masa
untuk menyelesaikan tesis mereka. Kajian itu juga mendapati bahawa pelajar-
pelajar sains boleh menyelesaikan ijazah mereka lebih cepat daripada pelajar di
bidang kemanusiaan dan sains kemasyarakatan. Nisbah pelajar terkandas pula
ialah antara 29 dan 49 peratus.

Rungutan terhadap penyelia

Secara rambang dapat diketengahkan beberapa rungutan para pelajar
pascasiswazah dalam mengharungi pengajian mereka. Antara punca rasa tidak
puas hati itu ialah:

Faktor syahsiah: rungutan bahawa pelajar sukar bertemu dengan penyelia. Atau
penyelia lambat mengembalikan draf tulisan pelajar mengenai bab atau bahagian
tesis; ini ada kaitannya dengan faktor berikut;

faktor profesional. Ada penyelia yang kurang pengetahuan mengenai perkara yang
ingin dikaji oleh pelajar tetapi ditugaskan menyelia. Ada penyelia yang tak berminat
dalam bidang yang dikaji. Jadi, untuk mengetahui bidang sebenar penyelia, bacalah
karya-karyanya!

jurang komunikasi (communication gap) antara pelajar dan penyelia lantaran
wujudnya “personality clash”: perbedaan usia, budaya dan bahasa.; dan perbedaan
sikap dan cara kerja/pendekatan kerja.

Pemilihan penyelia yang macam mana? Yang “lembut”atau yang akan memastikan
anda membuat kerja?

faktor organisasi. Ada penyelia yang oleh kerana terlalu ramai calon MA atau
Ph.Dnya maka dia tidak dapat memberikan waktu yang secukupnya secara individu
kepada calon yang diselianya itu. Kesannya ialah penyeliaan kurang efektif dan
pelajar tidak dapat bimbingan yang secukupnya.

Olah dan Helah Pelajar

Tetapi tidak semua kelemahan mesti dilompokkan kepada penyelia. Rungutan yang
biasa dari penyelia ialah: pelajar tidak memperlihatkan kemajuan yang berkesan.
Ini mungkin dapat dikaitkan dengan pelajar kurang menguasai bahasa untuk
penyelidikan dan penulisan tesis. Seperti yang anda sendiri maklum, kerana anda
barangkali kurang menguasai bahasa Inggeris maka anda mungkin tidak boleh
membaca dengan lancar dan kurang faham pula apa yang dibaca khasnya yang
tertulis dalam bahasa Inggeris. Kerana kurang fasih membaca dalam bahasa
Inggeris pelajar atau calon menjadi kurang minat untuk membaca bahan-bahan
atau sumber dalam bahasa Inggeris. Mereka akan hanya cuba menggunakan
bahan-bahan dalam bahasa Melayu sahaja. Akibatnya maklumat yang diperoleh
tidak bervariasi dan selalunya tidak cukup. Jika dokumen itu di dalam bahasa
Inggeris ada kemungkinannya fakta yang diambil itupun tersalah difahami.

Masalah waktu juga dihadapi oleh calon-calon separuh masa. Calon tiada waktu
untuk membaca di perpustakaan. Bahkan waktu diadakan kelas seminar pun calon
yang tidak boleh menguruskan masa sering datang lambat! Jika masalah ini tidak
dapat diatasi lebih baik saja calon menangguhkan pengajian. Atau menukar
program pengajian.

Ada pelajar yang tidak menguasai ilmu yang akan dijadikan “tool” atau alat
perkakas untuk kerjanya sebagai calon M.A. atau Ph.D. Mereka masih kurang
faham tentang apa dia ‘proposal’ atau ‘kertas cadangan’. Malah ramai yang tidak
tahu tentang konsep TESIS. Persoalan ini ada kaitannya dengan faktor hubungan
pelajar dengan penyelianya. Terkait dengan masalah ini ialah perkara motivasi. Ada
pelajar yang perlu sedikit tekanan untuk membuat kerja. Ada yang lebih sensitif
dan tidak suka dipaksa atau diberi tekanan. Ada pelajar boleh bekerja secara
mandiri atau dengan sedikit bimbingan. Ada pula yang memerlukan bimbingan dan
tunjuk ajar yang berterusan.

Para penyeliapun perlu memahami temperamen pelajarnya untuk mengenal pasti
apa bentuk intervensi yang patut digunakan. Jika bentuk tekanan digunakan dalam
situasi yang tidak wajar maka ada kemungkinannya pelajar akan mengalami stres
dan padahnya ialah bahawa pelajar akan meninggalkan program.

Hubungan pelajar dengan penyelia

Bukanlah sesuatu yang luar biasa jika terdapat ketengangan antara pelajar dan
penyelia. Syahsiah penyelia itu sendiri kadang-kadang menyebabkan sukar bagi
seseorang pelajar memupuk keakraban dan persahabatan dengan penyelianya.
Betapapun demikian keadaannya, sebaik-baik bentuk hubungan ialah “hubungan
yang mesra” tetapi masih memelihara sifat perhubungan antara guru dan murid.
Tetapi kitapun pernah mendengar pelajar dieksploitasi oleh penyelia dalam
berbagai rupa. Ada penyelia yang memaksa pelajar yang diselianya agar

menyertakan namanya sebagai pengarang bersama apabila pelajar itu sudah
berjaya menghasilkan sebuah tesis dan cuba menerbitkan sebuah makalah
berhubung dengan kajiannya. Biasanya pelajar enggan membangkitkan isu
kepengarangan itu pada masa tesis itu sedang ditulis dan belum diserahkan untuk
diperiksa. Mereka pun tahu jika hal ini dihebohkan ia akan ditafsir sebagai
peenentangan terhadap penyelia sebagai mentor. Bertambah pula kalau-kalau
penyelia pernah memberikan pertolongan atau bantuan kepada pelajar yang
menyebabkan pelajar terhutang budi. Mana tahu satu hari nanti penyelia itu
mungkin akan membantunya pula untuk mendapatkan jawatan atau sekurang-
kurangnya menulis surat sokongan untuknya! Jika ada kedapatan penyelia yang
bersikap cuba mencantumkan namanya kepada tulisan seorang calon M.A. atau Ph.
D. yang berdasarkan penemuan tesis calon itu, adalah hak calon untuk
membantahnya atau mengelakkan daripada perkara itu berlaku. Baik bagi penyelia
mahupun pelajar persoalan etika akademik perlu dijaga.

Yang disebut etika akademik adalah perkara akhlak seseorang dalam bidang ilmu.
Ia ada sangkut pautnya dengan kejujuran akademik. Seseorang penyelidik
(termasuklah pelajar yang menulis tesis Sejarah) harus telus dan jujur dalam
mengemukakan hasil penyelidikannya. Perbuatan memanipulasi data demi untuk
mengukuhkan sesuatu pendapat atau menyokong satu-satu kesimpulan yang telah
dijangkakan atau diramalkan perlulah dijauhi. Seseorang penyelidik sejarah perlu
senantiasa ingat bahawa kesimpulan yang dibuat mestilah berdasarkan bukti yang
ada -- tidak kira bukti itu akan menyokong atau bertentangan dengan pendapat
penyelidik.

Kepuasan Seorang Calon Pascasiswazah Jurusan Sejarah

Secara umumnya, dapat dirumuskan bahawa kejayaan seseorang pelajar
pascasiswazah menyiapkan tesis atau disertasinya akan memberi kesan kepada
empat pihak: yakni kepada calon sendiri; kepada penyelia; kepada universiti dan
masyarakat ilmuan keseluruhannya kerana masing-masing ada kepentingannya.
Faedah dan manfaat dari hasil penyelidikan yang bagus akan menguntungkan

negara – tetapi yang lebih beruntung ialah calon pascasiswazah itu sendiri. Sebuah
disertasi atau tesis yang bagus akan mengharumkan nama penulisnya. Thesis yang
dihasilkan akan menyebabkan seseorang itu terkenal sebagai pakar dalam aspek
bidang yang dikajinya. Bagi seseorang calon yang akan menghasilkan tesis sejarah,
segala liku-liku yang bersifat ujian dan dugaan yang menuntut kesabaran,
ketabahan dan ketekunan serta semangat waja perlu dianggap sebagai
pengalaman yang bermakna kerana dengannya lah calon dapat menyelesaikan
tesisnya.

Sebagai calon pascasiswazah di bidang Sejarah, anda semua mestilah menghayati
beberapa perkara seperti konsep: Apa dia Sejarah?, pendekatan Sejarah dan
Kaedah Sejarah. Calon-calon yang tidak pernah belajar sejarah pada peringkat
prasiswazah akan menghadapi masalah besar jika mereka tidak memahami
‘epistemology’ ilmu sejarah. Epistemologi bererti falsafah teori ilmu yakni
mengenai kaedah, ‘validity’, dan skop ilmu yang dikaji misalnya, ilmu Sejarah.

Apakah Falsafah Sejarah?

Terdapat dua konsepsi (penanggapan) sejarah yang dominan iaitu moral dan
politik. Dua aliran ini diwakili oleh Herodotus (484 SM – 425 SM [?]) dan Thucydides
(460 SM – c.395 SM). Herodotus, menurut orang Barat, adalah “bapa ilmu sejarah”;
manakala Thucydides pula adalah “bapa mazhab realisme politik”. Dia juga
dianggap sebagai “bapa sejarah saintifik” Herodotus cenderung menjadikan
sejarah sebagai pemberi rasa kemuliaan kepada manusia agung pada zamannya.
Dia melihat jasa dan kekuatan wira agung, pendeta dan raja sebagai pengajaran
moral yang mengandungi nilai yang berharga. Herodotus menganggap orang-orang
besar inilah yang membawa perubahan kepada sejarah. Ini mengingatkan kita
kepada orang yang mengarang “Sejarah Melayu” yang juga ingin menceritakan
tentang silsilah raja-raja Melayu supaya dapat diketahui oleh keturunan orang
Melayu. Namun bagi Herodotus, perkembangan sejarah yang tak dapat
dijelaskannya dikatakan sebagai kehendak atau takdir dewa-dewa. Thucydides
menolak pandangan Herodotus ini. Katanya keinginan mengajar akhlak dan niat

memuaskan rasa ingin tahu adalah tidak relevan. Baginya sejarah haruslah tidak
mengandungi kepentingan peribadi. Sejarah menurut Thucydides adalah cabang
sastera didaktik (“didactic literature”) untuk mereka yang inginkan pengetahuan
tepat tentang masa lampau sebagai anak kunci bagi masa depan”. Penekanan
orang Yahudi tentang keesaan Tuhan dan campur tangan Tuhan dalam
menentukan perubahan sejarah mempengaruhi ahli falsafah sejarah Kristian yang
melihat bahawa konflik atau pertentangan-pertentangan yang berlaku dalam
sejarah adalah justeru kerana intervensi Tuhan. Mereka pun melahirkan falsafah
sejarah yang disebut pendekatan ‘teleology’ sejarah (yang berkaitan dengan, atau
mengenai, tujuan (maksud) wujudnya atau berlakunya sesuatu) -- yakni kejadian-
kejadian yang dialami manusia adalah kerana satu perancangan Tuhan. Falsafah ini
juga disebut falsafah sejarah spekulatif.

Falsafah seajarah spekulatif adalah salah satu cabang daripada ilmu falsafah
sejarah. Yang satu lagi ialah falsafah sejarah kritikal. Sejarawan yang menganut
falsafah sejarah spekulatif menganggap sejarah manusia bergerak secara
berterusan dari satu titik ke titik yang lain, walaupun tidak semestinya dalam
bentuk yang lurus (Kant, Herder, Hegel).

Tetapi falsafah sejarah yang berkembang pada abad ke-17 dan 18 melahirkan
falsafah rasionalis yang menekankan penggunaan akal dan penakkulan dalam
menghuraikan maklumat yang telah terhimpun. Tetapi pada abad ke-19lah falsafah
sejarah mengalami polemik yang hebat dan melahirkan pemikiran sejarah yang
moden. Dewasa ini pemikiran sejarah menekankan, seperti ilmu falsafah yang lain,
tentang ‘scientific inquiry’ yakni mencari kebenaran. Mengikut takrifannya kini,
falsafah sejarah adalah istilah bagi dua kumpulan permasalahaan falsafah: ia
mengandungi bahagian yang spekulatif dan bahagian yang analitis (analytic).
Sejarah analitis menganuti falsafah sejarah yang kritis atau critical philosophy of
history. Yang disebut masalah “critical philosophy of history” tergolong dalam 4
jenis:

 Sejarah dan bentuk-bentuk pengetahuan lain.

 Kebenaran dan Fakta Sejarah
 Keobjektifan Sejarah
 Penjelasan dalam Sejarah.

Yang pertama itu merangkumi soalan-soalan/pertanyaan-pertanyaan tentang sifat
atau ‘nature’ pemikiran sejarah. Apakah dia sejarah dan apa hubungannya dengan
cabang-cabang ilmu yang lain? Yang menjadi isunya ialah sama ada pengetahuan
sejarah adalah ‘sui generis’ (sju: ai djeneris) [‘unique’], atau ia boleh ditunjukkan
sebagai serupa sifatnya dengan beberapa bentuk pengetahuan yang lain – seperti
pengetahuan yang diterokai dalam ‘natural sciences’ (sains semula jadi) atau pun
pengetahuan ‘perceptual’ (yang ditanggapi melalui deria). Pandangan yang sering
diterima ialah bahawa Sejarah adalah dikaitkan dengan pengetahuan yang
ditanggapi (pengetahuan ‘perceptual’). Kaedah sejarah hanya bersifat saintifik jika
saintifik dimaksudkan “mampu menentukan fakta yang boleh dibuktikan”. Ini
bermakna bahawa tugas mustahak sejarawan ialah untuk
menyingkap/menemukan fakta-fakta. Seperti data persepsi yang digunapakai
sebagai bahan oleh ‘natural scientist’, data sejarawan juga memberi sumbangan
bahan kepada ‘social scientist’, yang mempunyai tugas untuk memberi sumbangan
kepada keilmuan manusia yang serba-penting. Jadi, seolah-olah tugas sejarawan
mencari maklumat tentang apa yang berlaku dan ahli sains sosial untuk
menerangkannya. Tetapi di sinilah berakhirnya persamaan tugas itu kerana kerja-
kerja sejarawan lebih daripada mengumpulkan maklumat.

(Bersambung).

Bahagian 2: Liku-Liku Perjalanan Pelajar Sejarah

oleh Ahmat Adam

Apakah dia Sejarah?

Sejarah secara ringkasnya adalah rakaman peristiwa masa lalu. Sejarah menangani
isu-isu yang melibatkan pengalaman manusia. Sejarah meliputi keseluruhan
(‘totality’) aksi manusia yang telah lepas; ia juga merupakan naratif (kisah) masa
lampau yang dikonstruksikan sekarang. Ia berbeda daripada Sosiologi yang
menangani isu-isu mengenai hubungan manusia dan tenaga-tenaga yang
menentukan undang-undang yang mengatur hubugan itu dan fenomena yang
timbul sebagai kesan daripada hubungan itu dari masa ke masa. Ahli sosiologi akan
cuba mengkaji efek tenaga-tenaga itu seperti keturunan (‘heredity’), iklim, ras,
naluri, cara pengeluaran (‘means of production’) dan idea-idea. Ahli sosiologi akan
cuba mengkaji sifat atau karakeristik khas misalnya tatacara dan adat (‘modes and
customs’), ciri-ciri yang berulang seperti kebangkitan dan kejatuhan, konflik,
putaran (‘cycles’), migrasi atau hubungan antara iklim dan budaya, teknologi dan
seni, hidup di kota dan jenayah dan sebagainya. Falsafah sejarah tidak berminat
pada ‘details’ (perincian) hidup secara berkumpulan. Ahli falsafah sejarah juga tidak
berminat mengkaji kumpulan tertentu dan perkara-perkara yang ada hubungan
dengannya. Sebaliknya ahli falsafah sejarah lebih prihatin terhadap perjalanan
hidup manusia secara keseluruhannya; dan masalah besarnya ialah untuk
mengetahui sifat perubahan dalam sejarah manusia.

Apakah Pengetahuan?

Yang dimaksudkan dengan pengetahuan ialah perkara ilmu atau sains. Tujuan
penyelidikan ialah untuk menemui pengetahuan baru, memperkembangkan
pengetahuan dan memperbetulkan pengetahuan. Sains menghendaki pembuktian


Click to View FlipBook Version