351
5.1. Ringkasan dapatan kajian
Secara khususnya, pada bahagian ini, dapatan-dapatannya boleh dibahagikan iaitu:
Dapatan tasamuh dalam al-Qur`an secara umum yang terkandung di dalamnya
prinsip-prinsip tasamuh, praktik, ruang dan cakupan tasamuh serta dapatan tasamuh
dalam hadith secara umum.
Dapatan tasamuh dalam al-Qur`an secara khusus, dapatan praktik tasamuh dalam
hadith secara khusus dan dapatan tentang definisi operasional bagi tasamuh dan
dapatan nilai-nilai tasamuh.
Dapatan kajian berkaitan pengetahuan undang-undang Islam dan dapatan persepsi
responden terhadap nilai-nilai tasamuh dalam undang-undang jenayah Islam.
i. Prinsip-prinsip tasamuh dalam al-Qur`an secara umum
Berdasarkan hasil kajian, maka didapati prinsip-prinsip tasamuh terdapat dalam
pelbagai ayat. Ia menggabungkan prinsip-prinsip tasamuh, praktik tasamuh dan
ruang cakupan tasamuh. Ayat-ayat yang dimaksudkan ialah dalam surah-surah
berikut iaitu:
a. Surah al-Baqarah ayat 190 dan ayat ayat 256:
Ayat ini berkaitan dengan peperangan dan prinsip tasamuh yang bersangkutan
dengan peperangan. Antara prinsip tasamuh tersebut ialah perkataan ungkapan
firman Allah “”ولا تعتدوا. Ungkapan ini merupakan ciri-ciri utama prinsip tasamuh
Islam ketika terjadinya peperangan, iaitu dilarang membunuh wanita, kanak-kanak,
352
orang yang lemah, orang tua, jangan merosakkan tempat ibadat, jangan menebang
pokok buah-buahan, jangan membunuh orang yang ingin menyerah kalah, jangan
mencincang orang yang telah mati, jangan membunuh binatang, jangan membunuh
orang yang membayar jizyah dalam kalangan bukan Islam.
Ayat 256 pula berkaitan dengan larangan memaksa seseorang untuk memeluk Islam.
Ayat ini menyerlahkan prinsip tasamuh kerana Allah telah menetapkan kebaikan
dan keburukan lalu diserahkan urusan memilih agama menurut akal bukan dengan
paksaan.
b. Surah Ali ‘Imran ayat 64
Ayat ini merupakan seruan kepada golongan ahli Kitab agar kembali kepada aqidah
yang benar. Ajakan ini sebagai bukti konkrit bahawa kekerasan bukanlah uslub
dakwah. Sebaliknya seruan dan penjelasan lebih utama berbanding paksaan.
c. Surah al-Nisa' ayat 58
Ayat ini menegaskan tentang kewajipan menunaikan amanah kepada yang berhak
dan berlaku adil dalam penghakiman. Ayat ini juga mengisahkan tentang amalan
tasamuh RasululLah yang berlaku adil apabila menyerahkan kembali urusan-
urusan hijabah kepada orang yang berhak menerimanya, iaitu 'Uthman ibn Talhah
walaupun ketika itu kekuasaan berada pada tangan Baginda .
d. Surah al-Ma`idah ayat 8
Ayat ini memberi petunjuk bahawa Islam adalah agama yang sangat bertasamuh
dalam menjaga hak dan menjamin keadilan kepada seluruh umat manusia.
353
Sebagaimana yang diungkapkan oleh sayyid Qutb, tasamuh yang tertinggi adalah
berlaku adil sekalipun dalam keadaan marah atau benci.
e. Surah al-`An’am ayat 108
Dalam ayat ini Allah melarang orang Islam daripada menghina sembahan
penganut agama lain. Hal ini kerana penghinaan tersebut tidak membawa mereka
kepada hidayah Allah, sebaliknya boleh menyebabkan mereka semakin menjauhi
kebenaran dan bertambah kedegilan. Larangan tersebut bertujuan menyekat
kemudaratan yang lebih besar, iaitu cacian mereka ke atas Allah .
f. Surah al-Taubah ayat 6
Ayat ini memerintahkan agar melayani bukan Islam dengan baik. RasululLah
telah mempraktikkan sikap demikian terhadap utusan Quraisy semasa perjanjian
Hudaybiyyat. Sikap demikian telah berjaya menarik mereka memeluk agama Islam.
g. Surah al-Taubah ayat 60
Ayat di atas mengisahkan tentang mustahiq zakat. Al-Qurtuby berpendapat bahwa
perkataan al-fuqara' meliputi ahl al-dhimmah. Menurut catatan sejarah, RasululLah
pernah memberikan bahagian zakat kepada ketua-ketua suku Arab tertentu dengan
tujuan menarik mereka kepada Islam dan mencegah mereka daripada membahayakan
orang Islam.
h. Surah Yunus ayat 99
Ayat di atas memberi peringatan bahawa tidak dibolehkan memaksa manusia untuk
memeluk Islam kerana hidayah adalah milik mutlak Allah . Ayat ini sekaligus
menafikan tohaman bahawa Islam tersebar melalui peperangan
354
i. Surah al-Hajj ayat 39–40
Ayat di atas menceritakan prinsip tasamuh Islam, iaitu tidak boleh menumpahkan
darah tanpa alasan yang benar apatah lagi untuk melakukan peperangan yang
pastinya akan menyebabkan banyak nyawa yang akan terkorban. Namun, peperangan
yang dibenarkan dalam Islam mempunyai sebab-sebab yang tertentu. Peperangan
bukanlah prinsip asal dalam Islam. Hal ini difahami daripada khitab Allah dalam
ayat tersebut melalui penggunaan kalimat أُ ذن.
j. Surah al-Hajj ayat 39–40
Ayat di atas menyatakan secara jelas tentang keizinan Allah kepada umat Islam
untuk berinteraksi dengan bukan Islam. Daripada penjelasan dan tafsirannya jelas
menunjukkan bahawa berbuat baik kepada bukan Islam yang tidak memusuhi Islam
merupakan tasamuh Islam. Bahkan menjaga hubungan yang baik dengan mereka
sebenarnya sangat dituntut oleh Islam.
ii. Prinsip-prinsip tasamuh secara umum dalam hadith
Dapatan kajian menunjukkan bahawa Islam menyeru kepada umat Islam agar jangan
menyakiti, menzalimi serta membunuh ahl al-dhimmat dengan sewenang-
wenangnya. Kehormatan, nyawa dan harta mereka perlu dipelihara dan dijamin.
Dapatan juga menunjukkan bahawa umat Islam perlu menunaikan hak jirannya yang
bukan Islam sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘A`isyah . Jiran bukan
Islam termasuk ke dalam jiran yang mempunyai satu hak dan mereka berhak
memperolehi hak sebagaimana jiran muslim
355
Berdasarkan huraian-huraian di atas, dapatlah dirumuskan bahawa terdapat prinsip-
prinsip tasamuh terdapat dalam segenap bidang kehidupan manusia. Hal ini menjadi
bukti bahawa ajaran Islam berasaskan kepada prinsip-prinsip tasamuh.
iii. Dapatan unsur tasamuh secara khusus dalam al-Qur`an
Dapatan kajian menunjukkan bahawa tasamuh Islam dalam bidang jinayat digali
daripada beberapa praktik Nabi dan para Sahabat dalam proses penghakiman
dalam hadd-hadd berikut, iaitu hadd al-riddat (Q.S. Al-Baqarah: 217), hadd syurb
al-khamr (Q.S al-Ma`idah: 90-91), hadd al-zina (Q.S. Al-Nur: 2), hadd al-qadhf
((Q.S. Al-Nur: 4-9), hadd al-sariqat (Q.S. Al-Ma`idah: 38), hadd al-hirabat (Q.S.
Al-Ma`idah 33) dan hadd al-baghy (Q.S. Al-Hujurat: 9).
Dapatan juga membuktikan bahwa perbincangan dalam surah al-Ma`idah ayat 42
menjadi asas kepada perbincangan tentang pelaksanaan undang-undang Islam ke atas
bukan Islam. Hasil perbincangan fuqaha’ mendapati bahawa terdapat dua pandangan
berhubung perkara tersebut. Golongan pertama menyatakan bahawa orang yang
tertakluk di bawah undang-undang Islam ialah ahli dhimmiy. Manakala golongan
harbiy pula tidak tertakluk kepada undang-undang Islam. Hal ini bermakna bukan
Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam tertakluk kepada perundangan
Islam sepenuhnya. Manakala golongan kedua menyatakan bahawa bagi golongan
yang mempunyai perjanjian dengan kaum muslimin, mereka dibenarkan untuk
memilih hukuman yang diinginkan.
iv. Dapatan praktik tasamuh dalam hadith Nabi secara khusus
356
Dapatan menunjukkan bahawa para hakim hendaklah mencari jalan agar tertuduh
tidak dihukum dengan mencari ruang-ruang syubhat sekiranya ada. Begitu juga
adanya ruang taubat dalam masalah murtad. Dalam kes minum khamar, tidak boleh
mencaci orang peminum khamar. Sentiasa memastikan setiap pengakuan dibuat
dalam keadan sedar dan waras. Tidak boleh membuat tuduhan secara melulu
sebelum memenuhi syarat yang dikehendaki. Tiada kompromi dalam melaksanakan
hukuman dengan melayan sama rata di antara orang yang berpengaruh dengan rakyat
biasa. Adanya hukuman yang setimpal terhadap penjenayah dalam jenayah hirabat.
Demikian juga adanya larangan yang tegas agar jangan mengejar pemberontak yang
telah lari, tidak boleh membunuh tawanan perang dan tidak boleh membunuh
pemberontak yang terluka sebagaimana yang ditetapkan dalam hadd al-baghy.
v. Dapatan tentang definisi operasional bagi tasamuh dalam undang-
undang jenayah Islam
Definisi tasamuh yang dimaksudkan dalam tesis ini adalah berlandaskan kepada
sabda Nabi sebagai “ ” الحنيفية السمحةyang kemudiannya diterjemahkan melalui
beberapa praktik daripada Nabi , para Sahabat dan juga pandangan para fuqaha’.
Nilai-nilai seperti adanya unsur kemudahan, unsur keinsanan dan keihsanan,
penafian hukuman sekiranya terdapat syubhat dalam proses pensabitan mahupun
dalam pelaksanaan hukuman dalam undang-undang jenayah Islam memperlihatkan
bahawa dalam undang-undang Islam adalah undang-undang yang berpaksikan
kepada nilai-nilai tasamuh. Ia nampak tegas, keras dan rigid, tetapi dalam
pelaksanaannya ia sangat fleksibel dan bertasamuh.
Atas dasar itu, definisi operasional tasamuh yang dimaksudkan di dalam tesis ini ialah:
357
“Ruang-ruang yang diberikan oleh perundangan hudud Islam untuk membebaskan
seseorang yang dituduh melakukan kesalahan hudud daripada dikenakan hukuman
hudud pada peringkat pembuktian atau meringankan hukuman pada peringkat
perlaksanaannya setelah sabit kesalahan. Ruang-ruang ini difahami daripada
petunjuk-petunjuk nas secara mantuq dan mafhum yang diterjemahkan melalui
praktik RasululLah , para Sahabat dan ijtihad fuqaha' yang menunjukkan
ketinggian tahap kemaafan, kelapangan, ketelitian, keinsanan dan keihsanan syariat
Islam khususnya dalam perlaksanaan sistem perundangan hudud Islam.”
vi. Dapatan nilai-nilai tasamuh dalam undang-undang jenayah Islam
Hasil penemuan kajian mendapati bahawa hukuman setiap hadd mempunyai dua sisi
yang berbeza. Pertama, dari segi hukuman, ia bersifat mandatori. Kedua, dari segi
pelaksanaannya, ia bersifat anjal. Dengan perkataan lain, dari segi hukumannya
setiap hadd yang terkandung dalam kategori hudud tidak boleh diubah atau
ditambah. Namun, dalam pelaksanaannya sama ada dalam proses pensabitan atau
penghakiman, seseorang boleh terlepas daripada hukuman atau diringankan hukuman
berdasarkan keriteria-kriteria yang telah dikenalpasti.
Dapatan dalam kes murtad sebagaimana yang dibincangkan dalam bahagian riddat
adalah:
i. Tidak semua jenayah murtad akan dihukum. Ibn Taymiyyah
membahagikan murtad kepada tiga kategori. Pertama, murtad tetapi
menyembunyikan kemurtadannya. Kedua, murtad lalu menzahirkan
kemurtadannya dan ketiga, murtad, menzahirkan dan menyerang Islam.
Murtad kategori pertama tidak dihukum kerana kemurtadannya tidak
358
diketahui oleh sesiapa. Manakala kategori kedua dan ketiga akan
dihukum.
ii. Perlaksanaan pada peringkat penghakiman pula, seseorang yang telah
didapati murtad hendaklah diminta bertaubat (istitab) terlebih dahulu.
Bahkan, wajib memintanya bertaubat kerana orang yang telah membuat
keputusan untuk murtad, pasti ada keraguan dalam hatinya.
iii. Minimum tempoh taubatnya adalah tiga hari atau dua bulan
sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Musa. Malahan ada riwayat
yang mengatakan 20 hari. Hikmah istitab ialah untuk mengetahui sama
ada terdapat unsur-unsur syubhah atau tidak.
iv. Syaratkan saksi dalam kes murtad mestilah dalam kalangan orang yang
adil, jika bukan ahli ilmu, maka diserahkan kes tersebut kepada orang
yang mempunyai kepakaran dalam menentukan keluar tidaknya
seseorang itu daripada Islam.
v. Sekiranya orang yang murtad itu hamil, maka ditangguh hukuman
sampai dia melahirkan anaknya. Hukuman hendaklah dilaksanakan
sekiranya telah ada tempat penyusuan dan bayi tersebut mahu menyusu
di tempat tersebut. Sekiranya tidak ada tempat penyusuan atau bayi
tersebut tidak mahu menyusu di tempat tersebut, maka hakim wajib
menangguhkan hukuman bunuh sehingga sempurna tempoh penyusuan
oleh ibu kandungnya, yakni dua tahun.
vi. Bagi yang mahu bertaubat, maka taubat adalah memadai dengan ucapan
dua kalimah syahadah. Sekiranya seorang yang murtad dihadapkan ke
muka pengadilan, kemudian terus mengucapkan dua kalimah syahadah,
359
maka syahadahnya diterima dan dilarang mempertikaikan
keislamannya.
Dapatan dalam kes syurb al-khamr sebagaimana yang dibincangkan dalam bahagian
syurb al-khamr adalah:
i. Hasil penemuan tasamuh dalam kes syurb al-khamr pula mendapati
bahawa penurunan ayat-ayat khamar sebelum diharamkan
melambangkan kaedah didikan Allah yang unik dan efektif yang
melibatkan kombinasi teguran, nasihat, petunjuk dan hukuman.
Daripada lima tahapan pengharaman arak, maka tahap keempat dinilai
oleh Muhammad Salim al-'Awwa sebagai tahap yang memadai untuk
mengetahui pengharamannya. Menurut beliau, terdapat lapan peringkat
pengharamannya:
a. Allah mengkategorikan khamar, berjudi, (berkorban untuk)
berhala, mengundi nasib dengan panah sebagai perbuatan
perbuatan keji.
b. Allah menghukum khamar sebagai amalam syaitan.
c. Allah menggunakan ungkapan ا ْجتَنِتوه, iaitu suatu lafaz yang lebih
kuat daripada lafaz حرمزت. Alasan beliau, sekiranya Allah
menggunakan lafaz حرمزت, maka ia boleh membawa maksud haram
meminumnya sahaja. Sebaliknya lafaz ٌٌا ْجتَنِتوهmembawa maksud
yang lebih luas, iaitu diharamkan meminum, menjual, memakan
hasilnya, membeli, membawa, menghidang dan sebagainya.
360
d. Adanya perkaitan antara meninggalkannya dengan kejayaan ()الفزلاح
kerana kejayaan tidak akan datang sekiranya khamar tidak
ditinggalkan.
e. Khamar menimbulkan permusuhan dan kebencian dalam kalangan
manusia. Keenam, menghalangi seseorang daripada mengingat
Allah kerana dengan mengingati-Nya akan membawa kepada
ketenangan. Sebaliknya orang yang tidak meninggalkannya akan
sentiasa berada di dalam kesedihan, gelisah dan sempit hidupnya.
Ketujuh, menghalangi seseorang daripada melakukan solat kerana
solat adalah pencegah kepada perbuatan keji, mungkar dan zalim.
Manakala yang kelapan, Allah memberi peringatan "berhentilah
kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu) merupakan uslub ancaman
yang paling konkrit sehingga dengan ancaman itu, para Sahabat
mengatakan انتهينا يا رب انتهينا.
ii. RasululLah melarang memaki orang yang terlibat dengan khamar
sebaliknya hendaklah mendoakan kebaikan untuk mereka.
iii. Pensabitan hadd syurb al-khamr melalui saksi-saksi mestilah disaring
oleh hakim dengan soalan-soalan tertentu untuk memastikan tiada
unsur-unsur syubhah.
iv. Pensabitan melalui iqrar akan gugur sekiranya pada saat-saat akhir dia
menarik balik pengakuannya. Apa yang jelas di sini ialah tidak perlu
dipersoalkan lagi sama ada pengakuannya benar atau tidak.
361
v. Seterusnya, kaedah darurat menghalalkan yang haram diaplikasikan
dalam kes peminum khamar. Seseorang yang tercekik makanan dan
hanya ada khamar dibolehkan meminumnya untuk menyelamatkan
nyawa.
vi. Hukuman tidak boleh bergantung kepada bau khamar pada mulut
seseorang kerana ia mengandungi unsur-unsur syubhah.
vii. Kaedah sebatan ke atas peminum khamar memenuhi nilai-nilai tasamuh
dan hal ini sangat berbeza dengan hukuman sebatan masa kini. Antara
teknik sebatan yang ditekankan di dalam Islam adalah pelaksanaan
hadd hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri bagi lelaki dan tidak
dalam keadaan terikat. Elakkan sebatan pada tempat-tempat yang boleh
mendatangkan bahaya terutamanya pada bahagian muka, kepala,
kemaluan dan bahagian rusuk. Manakala pukulan hendaklah dilakukan
di merata-rata bahagian tubuh badan. Hindari pukulan secara berterusan
pada satu tempat karena ia boleh mendatangkan kesakitan kepada
pesalah. Hendaklah perbanyakkan pukulan pada bahagian yang
mempunyai isi yang banyak seperti punggung dan paha.
viii. Hukuman terhadap wanita pula ialah dijalankan hadd dalam keadaan
duduk dan tidak menampakkan auratnya. Pakaian mestilah diikat
dengan kemas supaya auratnya tidak terbuka. Orang yang memukul
hendaklah sentiasa memastikan pukulan itu tidak sampai membunuh
pesalah. Alat yang digunakan untuk menyebat ialah pelepah tamar,
sandal dan kain. Penggunaan rotam hukumnya adalah harus. Orang
yang ditugaskan menjalankan hukuman diingatkan agar tidak
mengangkat tinggi tangannya sehingga menampakkan ketiaknya dan
362
juga tidak terlalu rendah. Selain itu, dilarang mengikat tangan pesalah
ketika hukuman dijalankan.
ix. Boleh membuat penangguhan hukuman kerana faktor kesihatan
termasuk kehamilan dan faktor cuaca.
Hasil penemuan seterusnya ialah dalam undang-undang jenayah zina sebagaimana
yang telah dibincangkan dalam bahagian zina. Antara dapatan nilai-nilai tasamuhnya
adalah:
i. Zina boleh disabitkan dengan kerelaan sendiri. Lelaki yang di paksa
berzina dikenakan hadd menurut fuqaha' Hanbali selagi ada intisyar.
Sebaliknya tidak dihadd menurut Abu Hanifah.
ii. Syarat saksi dalam kes zina amat ketat, iaitu saksi mestilah terdiri
daripada empat orang lelaki Islam yang memiliki sifat-sifat terpuji
seperti adil, tidak fasiq, merdeka, melihat sendiri perbuatan zina
tersebut secara terang dan jelas. Saksi mestilah al-asalat yakni saksi
sebenar bukan saksi di atas persaksian orang lain.
iii. Bilangan saksi-saksi didatangkan di dalam al-Qur`an dengan kalimat al-
khas yang menatijahkan dalalat yang qat’iyy. Oleh itu, kedudukan saksi
adalah tetap dan kekal selama-lamanya sebagai bukti utama (primer),
iaitu mestilah seorang manusia yang mempunyai sifa al-’adalat. Dalam
masa yang sama Islam menolak tegas saksi selain manusia. Oleh itu,
CCTV, foto dan DNA tidak diterima menduduki tempat sebagai saksi.
Sungguhpun demikian, Islam tidak menolak penggunaannya secara
total. Cuma ia hanya berfungsi sebagai bukti sekunder dalam
pembuktian. Oleh itu, sekiranya bahan atau peralatan ini diajukan
363
sebagai bahan pembuktian, maka kes perlu diadili dan hukuman yang
disabitkan hanyalah hukuman ta’zir.
iv. Para saksi perlu disaring dengan satu mekanisme yang dinamakan
tazkiyyat al-syuhud. Tazkiyyat yang dianggap paling sesuai adalah
tazkiyyat al-sirr. Tazkiyyat bertujuan memastikan bahawa para saksi
termasuk orang yang berkelayakan menjadi saksi menurut hakim.
v. Pertanyaan RasululLah kepada Ma'iz "barangkali engkau hanya
menciumnya atau merabanya atau sekadar melihatnya" menjadi panduan
untuk hakim agar untuk membuatkan orang yang diadili menceritakan
apa yang telah berlaku secara jelas.
vi. Wajib istitar (menyembunyikan aib) dan istitab (minta pesalah
bertaubat). Oleh sebab itu, menyebarkan atau menghebah-hebahkan
fahisyah adalah dilarang dan menghukum tanpa meminta pesalah
bertaubat juga dilarang.
vii. Menurut Wahbah al-Zuhayly, apabila seseorang membuat pengakuan
zina, maka seelok-eloknya hakim menzahirkan kebencian atau
menyuruhnya pulang.
viii. Pengakuan zina boleh dilakukan sekali atau empat kali.
ix. Pengakuan hendaklah konsisten. Sekiranya berubah pada saat akhir,
maka hadd hendaklah dielakkan.
x. Pengakuan hanya menjadi sah apabila ia dilakukan di hadapan hakim.
xi. Hukum hendaklah ditangguhkan sekiranya seseorang wanita itu
didapati mengandung sehingga tempoh penyusuan.
xii. Dilarang mencemuh orang yang akan dikenakan hadd sebagaimana
yang ditegaskan oleh RasululLah .
364
xiii. Sepanjang sejarah Islam, belum pernah seseorangpun dihukum dengan
persaksian. Fakta ini berkaitan rapat dengan tuntutan kualiti dan kuantiti
kesaksian yang sangat tinggi. Syarat ini juga ditetapkan bertujuan
menyekat tersebarnya fahisyah di samping menjaga maruah seseorang.
Dalam kes qadhf pula, maka dapatan tasamuhnya adalah seperti berikut:
i. Tuduhan yang tidak boleh dibuktikan dengan empat orang saksi akan
dihadd dengan hadd qadhf. Akan tetapi jika tuduhan tersebut datangnya
daripada suami, maka kedua-duanya (suami dan isteri) hendaklah
melakukan li'an.
ii. Tuduhan zina ke atas seseorang boleh merosakkan nama baiknya dan
ahli keluarganya.
iii. Adanya persyaratan yang saksi sangat ketat bertujuan untuk
menghalang seseorang atau kelompok daripada sesuka hati membuat
tuduhan.
iv. Jenayah qadhaf dihukum dengan hukuman `asliyyah dan tab'iyyah.
Hukuman 'asliyyah ialah disebat dengan 80 kali sebatan. Manakala
hukuman tab'iyyah ialah kesaksiannya ditolak selama-lamanya.
v. Hadd ke atas penuduh akan gugur dengan syarat berikut, iaitu sekiranya
maqdhuf (tertuduh) memaafkannya, maqdhuf membenarkan apa yang
dituduh, qadhif membawa bukti atas tuduhannya atau berlaku
mula'anah dalam kes suami dan isteri
vi. Proses mula'anah hendaklah dilakukan di khalayak ramai.
vii. Hukuman-hukuman berikut berlaku sebaik sahaja suami melakukan
li'an iaitu: Pertama, suami terlepas daripada hadd qadhaf. Kedua, anak
365
yang dikandung isteri ternafi nasabnya. Ketiga, suami isteri terpisah
secara serta merta. Keempat, haram menikahinya untuk selama-lamanya
dan kelima, isterinya wajib dikenakan hadd zina.
viii. Sekiranya isteri mengucapkan li'an, maka hadd qadhaf ke atas suami
dan hadd zina ke atasnya juga akan gugur.
ix. Hakim hendaklah terlebih dahulu memberi nasihat dan ingatan kepada
tertuduh tentang seksaan Allah di akhirat yang lebih dahsyat berbanding
hukuman rejam. Nasihat ini bertujuan menyedarkan tertuduh bahawa
jika dia benar-benar melakukan apa yang telah dituduh, maka mengaku
itu lebih baik daripada menafikannya.
x. Dalam lafaz li'an, Allah mengkhususkan laknat kepada lelaki dan
kemurkaan kepada wanita adalah kerana kemurkaan adalah hukuman
yang lebih berat berbanding laknat. Rasionalnya adalah seburuk-buruk
perbuatan adalah apabila seorang isteri melakukan zina berbanding
suami melakukan qadhaf.
xi. Hadd ke atas kesalahan qadhaf lebih kepada tindakan preventif atau
sadd dhara`i'. Secara tidak langsung ia juga mendidik masyarakat agar
berhati-hati sebelum membuat tuduhan.
Hasil dapatan nilai-nilai tasamuh daripada hadd al-sariqat pula ialah seperti berikut:
i. Hadd ke atas pencuri diakui dan ditambah dengan syarat-syarat tertentu
bertujuan kesempurnaan kebaikan manusia.
ii. Saidina 'Umar menggugurkan hukuman ke atas pencuri kerana
wujudnya unsur syubhah, iaitu kemarau panjang.
366
iii. Syafaat boleh dilakukan oleh masruq minhu kepada sariq sekiranya kes
tersebut belum diajukan kepada hakim. Dengan kata lain, syafaat
dibenarkan sebelum berlaku pendakwaan ke atas sariq.
iv. Sekiranya kes telah dibawa kepada hakim, maka diharamkan syafaat
sama ada syafaat itu daripada hakim sendiri ataupun orang lain.
v. Penyelesaian kes pencurian adalah dengan cara berikut: Pertama,
pencuri memulangkan barang curian sekiranya barang tersebut masih
ada. Kedua, mengangganti atau membayar nilai barang sekiranya
barang tersebut telah rosak atau hilang.
vi. Adanya persamaan hadd di antara orang yang dianggap mulia dengan
orang biasa.
vii. Syarat-syarat barang curian ialah: Pertama, harta tersebut dicuri secara
tertutup dan sembunyi-sembunyi, Kedua, barang yang dicuri mencukupi
nisab. Ketiga, harta yang dicuri adalah harta yang layak dimiliki
menurut ukuran syara'. Keempat, harta dicuri dari tempat penjagaan.
Kelima, bukan harta syubhah. Keenam, pencuri itu baligh dan berakal
dan terikat hukuman dalam Islam.
viii. Sekiranya pensabitan dibuat melalui iqrar, maka hakim hendaklah
menyoal siasat tentang harta atau barangan yang dicuri, cara pencurian,
tempat kecurian, masa pencurian dan lain-lainnya. Hal ini bertujuan
memastikan sariq tidak mencuri sesuatu yang tidak dihukum hadd al-
sariqat.
ix. Saksi-saksi tidak boleh bercanggah ketika memberikan kesaksian
mereka. Jika berlaku percanggahan fakta, maka hadd digugurkan kerana
dianggap tidak mencukupi nisab saksi.
367
x. Saksi-saksi hendaklah seseorang yang tidak mempunyai permusuhan
dengan sariq atau hubungan kekerabatan. Tujuannya adalah kerana
Islam menutup ruang-ruang yang boleh menimbulkan syubhah.
Hasil dapatan nilai-nilai tasamuh dalam hadd hirabat ialah seperti berikut:
i. Fuqaha' Hanafiyah, Syafi'iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa huruf
( ) أوberfungsi sebagai al-bayan (penjelasan) dan al-tafsil (perincian).
Oleh itu, maka hukuman akan dilaksanakan secara berurutan (al-tartib).
ii. Imam Malik berpendapat bahawa penentuan hukuman dalam ayat
tersebut membawa maksud al-takhyir. Pendapat ini turut dipersetujui
juga oleh Sa'id Ibn Musayyab, Mujahid, 'Ata' dan Ibrahim dan Mahmud
Syaltut.
iii. Fuqaha' Hanabilah dan al-Syafi'iyah, dan Malikiyah tidak mensyaratkan
cukup nisab bagi setiap orang sekiranya rompakan itu dilakukan oleh
beberapa orang.
iv. Golongan Hanafiyah berpendapat bahawa bahagian setiap perompak
mestilah mencukupi nisab untuk dikenakan hadd hirabat.
v. Cakupan hirabat meliputi kehormatan seseorang ( )اعزراض النزاس. Oleh itu,
perkosaan terhadap wanita adalah termasuk dalam hirabat dan akan
dihukum dengan hadd hirabat sebagaimana yang telah dijelaskan dalam
ayat hirabat. Hal ini dipersetujui oleh Ibn Hazm, fuqaha' al-Syafi'iyah,
Malikiyah dan 'Abdul Karim Zaydan. Bahkan Ibn al-'Arabiy
menegaskan bahawa pencerobohan ke atas faraj lebih keji daripada
pencerobohan ke atas harta.
vi. Wajib atas wanita terbabit mempertahankan diri mereka walaupun
terpaksa membunuh perogol kerana seseorang dibolehkan
368
mempertahankan hartanya daripada dirampas walaupun terpaksa
membunuh, maka mempertahankan kehormatan adalah lebih utama.
Antara kehormatan dan harta statusnya tidak sama. Harta boleh
dilepaskan tetapi maruah tidak boleh diserahkan.
vii. Puak 'Ukl dan 'Uraynah di samping menerima hadd al-hirabat turut
dikenakan hadd qisas.
viii. Muharib yang bertaubat sebelum ditangkap, diterima taubatnya dan
gugur hadd al-hirabat.
ix. Taubat tidak menggugurkan hak hamba. Hak hamba seperti
pembunuhan. Oleh itu, waris mangsa mempunyai hak ke atasnya, iaitu
hak qisas, hak memaafkan dan diyat. Sekiranya waris memberi
kemaafan, maka muharib terlepas daripada hukuman qisas. Kenyataan
ini berbeza dengan undang-undang masa kini yang memebrikan kuasa
kemaafan kepada selain waris.
x. Sekiranya muharib pernah merampas harta, maka harta itu hendaklah
dikembalikan. Jika harta tersebut telah hilang atau musnah, maka
hendaklah diganti dengan harga atau nilainya kerana harta yang
dirampas itu bukan miliknya.
xi. Harta yang tidak diketahui warisnya, maka ia diserahkan kepada baitul
mal.
Seterusnya dapatan nilai-nilai tasamuh dalam jenayah al-baghy adalah seperti
berikut:
i. Al-Mawardiy berpendapat bahawa sekiranya seseorang atau
sekelompok enggan menunaikan zakat, maka berlaku hukum ke atas
mereka sebagaimana hukuman ahl al-riddat. Akan tetapi, jika mereka
369
enggan membayar namun mengakui kewajipan menunaikan zakat,
maka berlaku hukum bughat.
ii. Sebelum memerangi golongan pemberontak, mereka hendaklah diajak
berdamai. Imam al-Syarbiny menyatakan bahawa dilarang memerangi
mereka sebelum dihantar seseorang yang amanah dan bijaksana untuk
menasihati pemberontak dan nasihat hendaklah dilakukan beberapa
kali.
iii. Sekiranya pemberontak menyatakan terdapat unsur-unsur kezaliman
daripada pihak pemerintah, maka kezaliman tersebut hendaklah
dihapuskan terlebih dahulu. Kemudian pemberonak diajak sekali
lagiuntuk mentaati pemerintah sebaik sahaja kezaliman dihapuskan.
Sekiranya mereka masih enggan, maka barulah mereka diperangi.
iv. Pemberontak yang lari dalam peperangan tidak boleh dikejar, tidak
boleh membunuh pemberontak yang luka, tawanan juga tidak boleh
dibunuh. senjata yang ditinggalkan tidak boleh dirampas dan kemudian
diserahkan kepada ahli waris.
v. Pemberontak yang lari kemudian didapati terbunuh, maka warisnya
berhak mendapat diyat yang diambil daripada baitulmal.
vi. Harta benda yang ditinggalkan tidak boleh dirampas. Bahkan
pemerintah bertanggung jawab menjaga dan mengembalikannya apabila
mereka telah sedar daripada kesilapan.
vii. Terdapat lapan perbezaan memerangi golongan pemberontak
berbanding golongan musyrik dan murtad. Kelapan-lapan perbezaan
sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Mawardy menyerlahkan nilai-
nilai tasamuh Islam terhadap golongan pemberontak.
370
viii. Islam menolak konsep seseorang menanggung dosa orang lain. Oleh itu,
sekiranya tawanan pemerintah dibunuh oleh golongan bughat, maka
pemerintah tidak boleh membunuh tawanan pemberontak.
vii. Dapatan kajian berkaitan pengetahuan undang-undang Islam
Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengetahuan responden tentang kewujudan
undang-undang Islam adalah sederhana berdasarkan data berikut; Data menunjukkan
bahawa jawapan yang tepat berkaitan undang-undang riddat diketahui oleh 117
orang (45.7%), jawapan yang tepat berkaitan undang-undang jenayah syurb al-khamr
pula dipersetujui hanya oleh 84 orang (32.8%). Seterusnya, jawapan yang tepat
berkaitan undang-undang qadhf pula dipilih oleh 102 orang (39.8%). Manakala
jawapan yang tepat berkaitan dengan undang-undang sariqat pula diketahui oleh 121
orang (47.34%). Bagi jawapan yang tepat berkaitan undang-undang zina, ia hanya
dipilih oleh 63 orang (24.6%). Selebihnya, undang-undang al-hirabat dan al-baghy,
jawapan yang tepat bagi masing-masingnya hanya diketahui oleh 100 orang (39.1%)
dan 125 orang (48.8%).
Daripada ketujuh-tujuh jenis undang-undang tersebut, tiga daripadanya dijawab
dengan tepat oleh responden. Ketiga-tiga undang-undang tersebut adalah undang-
undang riddat, sariqat dan al-baghy. Manakala empat jenis undang-undang lagi
menunjukkan bahawa responden tahu adanya hukuman bagi kesalahan-kesalahan
qadhf , syurb al-khamr, zina dan al-hirabat cuma jawapannya sahaja yang tidak
tepat.
371
viii. Dapatan persepsi responden terhadap nilai-nilai tasamuh dalam
undang-undang jenayah Islam
Dapatan kajian mendapati bahawa ketujuh-tujuh aspek kefahaman dan penilaian
tasamuh dalam undang-undang jenayah Islam berada pada persepsi positif. Bagi
tasamuh dalam kes zina, nilai min persepsinya adalah positif, iaitu berada pada nilai
min 3.21. Dari segi item-itemnya, maka item 3 ialah item yang paling positif, iaitu
responden bersetuju bahawa gambar tidak boleh menjadi bukti kerana ia boleh
dieksploitasi untuk memburuk-burukkan imej seseorang melalui teknik super impose
mendapat nilai min 4.06. Dari segi tahap minnya pula, terdapat lima item berada
pada tahap tertinggi dan empat pada tahap sederhana.
Seterusnya hasil dapatan menunjukkan bahawa responden mempunyai persepsi yang
positif terhadap tasamuh dalam kes pencurian dengan nilai min 3.20. Daripada lima
item, item 11 merupakan item yang paling positif, iaitu pencuri yang mencuri barang
berharga yang diletakkan dalam peti besi mesti dihukum dengan nilai min 4.08. Dari
segi tahap minnya pula, terdapat tiga item berada pada tahap tertinggi dan empat
item pada tahap sederhana.
Dapatan persepsi responden terhadap tasamuh dalam kes murtad pula adalah positif
walaupun undang-undang ini dianggap amat sensitif dengan nilai min persepsi 3.86.
Item 18 iaitu orang Islam yang telah menukar agama hendaklah diberi peluang untuk
membela dirinya sebelum dihukum dipilih sebagai item yang mempunyai nilai min
persepsi tertinggi iaitu 4.27. Dari segi tahap minnya pula, terdapat empat item berada
pada tahap tertinggi dan dua item pada tahap sederhana.
372
Item 24, iaitu minum arak hingga mabuk, hisap ganja dan penyalahgunaan dadah
boleh merosakkan akal seseorang merupakan item yang mempunyai min persepsi
yang paling positif, iaitu 4.32. Secara keseluruhannya, responden mempunyai
persepsi yang positif terhadap tasamuh dalam kes minum khamar yang mencatatkan
min persepsi positif dengan nilai min 3.79. Dari segi tahap minnya pula, terdapat tiga
item berada pada tahap tertinggi, dua item pada tahap sederhana dan dua item pada
tahap rendah.
Pesepsi responden terhadap tasamuh dalam kes rompakan juga adalah positif dengan
nilai min persepsi 3.80. Manakala dari segi itemnya pula, maka item 32, iaitu
rompakan bersenjata boleh menimbulkan ketakutan dan trauma yang mendalam
kepada mangsa memperoleh nilai min positif iaitu 4.54. Dari segi tahap minnya pula,
terdapat tiga item berada pada tahap tertinggi dan satu item pada tahap sederhana.
Hasil dapatan kajian seterusnya, iaitu tasamuh dalam kes tuduhan seks menunjukkan
bahawa responden mempunyai persepsi yang positif dengan nilai min persepsi 3.69.
Manakala item 34 merupakan item yang paling positif, iaitu orang yang telah dituduh
melakukan hubungan seks boleh menyebabkan namanya dan ahli keluarganya
tercemar mendapat nilai min pesepsi positif 4.31. Dari segi tahap minnya pula,
keempat-empat item berada pada tahap tertinggi.
Berbanding item-item yang lain, item 39, iaitu pemberontak patut diajak berdamai
terlebih dahulu sebelum menghukum mereka merupakan item yang mempunyai min
persepsi yang positif, iaitu 3.79. Secara keseluruhannya, responden mempunyai
persepsi yang positif terhadap tasamuh dalam kes pemberontakan yang mencatatkan
373
nilai min persepsi 3.68. Dari segi tahap minnya pula, terdapat tiga item berada pada
tahap tertinggi dan satu item pada tahap sederhana.
Dapatan persepsi responden terhadap tasamuh dalam keterangan pula menunjukkan
persepsi positif dengan nilai min persepsi 3.69. Manakala dari segi itemnya pula,
maka item 44, iaitu pengakuan mesti dibuat dengan kerelaan sendiri bukan dipaksa
memperoleh nilai min positif 4.11. Dari segi tahap minnya pula, enam item berada
pada tahap tertinggi dan dua item pada tahap sederhana.
Berdasarkan data tersebut, penemuan dapatan ini menjelaskan bahawa keseluruhan
min responden terhadap tasamuh dalam setiap undang-undang jenayah Islam berada
pada kedudukan min positif. Hal ini menandakan bahawa persepsi responden
terhadap nilai-nilai tasamuh dalam undang jenayah Islam adalah positif. Paling
mengejutkan adalah apabila keenam-enam item di dalam tasamuh dalam kes murtad
mempunyai nilai min positif yang agak tinggi, iaitu di antara nilai min positif 3.44.
hingga 4.27 atau telah dipersetujui oleh antara 125 hingga 188 orang daripada
keseluruhan 256 responden.
Bahkan, pernyataan-pernyataan di dalam aspek kefahaman dan penilaian toleransi
lain turut mencapai nilai min 4.00 ke atas seperti item 44 dalam persepsi toleransi
dalam kes zina, item 11 dalam persepsi toleransi dalam kes pencurian, item 24 dan
28 dalam persepsi toleransi dalam kes minum khamar, item 32 dan 33 dalam persepsi
toleransi dalam kes rompakan, item 34 dan 38 dalam persepsi toleransi dalam kes
tuduhan seks dan terakhir item 44 dan 43 dalam persepsi toleransi dalam keterangan.
Daripada 50 item yang disediakan, 39 item adalah positif, manakala 11 item lagi
adalah negatif. Daripada kelapan-lapan kefahaman dan penilaian toleransi dalam
374
setiap kes, maka dari segi tahapnya didapati enam berada pada tahap positif dan dua
berada pada tahap negatif.
Dapatan juga menunjukkan bahawa usaha memberi penjelasan tentang nilai-nilai
tasamuh undang-undang jenayah Islam perlu dipergiatkan kerana data menunjukkan
bahawa hanya dengan penjelasan dan perbincangan sahajalah yang mampu
mengubah persepsi bukan Islam terhadap undang-undang jenayah Islam.
Kesemua data di atas secara tidak langsung mengesahkan bahawa responden
mengakui bahawa undang-undang jenayah Islam adalah undang-undang yang
bertasamuh.
5.2. Implikasi kajian dan cadangan dasar
Berdasarkan hasil dapatan kajian, terdapat beberapa implikasi kajian dan cadangan
dasar. Implikasi kajian dan cadangan dasar dapat dibahagikan kepada tiga bahagian.
Pertama, implikasi terhadap pentingnya kajian tasamuh dalam undang jenayah Islam.
Kedua, implikasi terhadap pentingnya dilakukan transformasi dalam kaedah
penyampaian. Ketiga, implikasi terhadap pertubuhan dan organisasi Islam. Manakala
yang keempat ialah implikasi kajian di peringkat negara.
i. Implikasi terhadap pentingnya kajian tasamuh dalam undang-
undang jenayah Islam
Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam tinjauan kajian lepas, perbincangan,
tulisan dan penyampaian berkaitan undang-undang jenayah lebih tertumpu kepada
persoalan hukuman. Sebaliknya, aspek tasamuhnya tidak banyak ditonjolkan. Tidak
salah menyajikan aspek hukuman, namun perubahan perlu dilakukan seiring dengan
375
perubahan sosio-ekonomi dan politik negara dan dunia hari ini. Aspek kelebihan dan
kebaikan undang-undang Islam perlu ditonjolkan agar masyarakat boleh memahami
dan seterusnya membuat perbandingan. Oleh sebab itu, kajian undang-undang dari
aspek tasamuh perlu dilakukan sebanyak mungkin agar persepsi masyarakat bukan
Islam dan Islam dapat diperbetulkan.
Realitinya, imej Islam bukan sahaja diburukkan oleh musuh Islam, bahkan kadang-
kadang turut dicemari oleh orang Islam. Perdebatan-perdebatan tentang Islam di
media tidak patut dilakukan kerana ia hanya akan menimbulkan kecelaruan kepada
orang yang tidak mempunyai pengetahuan yang mantap. Adakalanya persepsi
masyarakat bukan Islam berpunca daripada kurangnya bahan bacaan yang berkaitan
dengan kebaikan Islam. Akibatnya, kebaikan Islam tidak berjaya ditonjolkan.
Sebaliknya yang dipertontonkan hanyalah keburukan. Bayangkan, masyarakat bukan
Islam masih belum memahami Islam walaupun mereka dikelilingi oleh orang-orang
Islam. Oleh itu, kajian perlu diperbanyakkan agar masyarakat boleh menjadikannya
sebagai panduan.
ii. Implikasi terhadap pentingnya dilakukan transformasi dalam
kaedah penyampaian.
Kaedah penyampaian boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja lebih-lebih lagi bagi
mereka yang terlibat dengan dunia pendidikan dan dakwah. Para pendakwah, guru,
pensyarah dan orang ramai perlu melakukan transformasi dalam penyampaian
dengan menonjolkan nilai-nilai tasamuh yang terdapat dalam undang-undang
jenayah Islam. Jika ini dilakukan secara berterusan, maka kekeliruan akan dapat
diatasi. Secara rasionalnya, sepatutnya bukan Islam mempunyai persepsi negatif
terhadap undang-undang Islam kerana semua jenis media memaparkan wacana yang
376
kurang baik terhadap undang-undang Islam. Namun sebaliknya mereka mempunyai
persepsi yang positif. Hal ini dibuktikan daripada dapatan kajian yang membuktikan
bahawa pengetahuan mereka tentang nilai-nilai tasamuh undang-undang Islam dalam
semua hukuman undang-undang Islam adalah positif. Malahan, hukuman murtad
berada pada persepsi yang positif.
Oleh sebab itu, penyampaian perlu dipertingkatkan lagi agar persepsi bukan Islam
dan orang Islam menjadi bertambah baik.
iii. Implikasi terhadap pertubuhan Islam
Kajian ini boleh menjadi panduan kepada pertubuhan-pertubuhan dan organisasi
Islam untuk merangka strategi dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat
bukan Islam dan memberi kefahaman kepada orang-orang Islam. Pertubuhan-
pertubuhan atau organisasi Islam mempunyai potensi yang besar memandangkan
mereka mempunyai anggota yang ramai yang boleh digerakkan pada bila-bila masa.
Sekiranya mereka dapat menyampaikan nilai-nilai tasamuh terkandung di dalam
undang-undnag jenayah Islam, maka tidak mustahil usaha untuk memberi kesedaran
kepada masyarakat bukan Islam akan dapat dicapai dengan cepat dan berkesan.
iv. Implikasi kajian pada peringkat negara
Penyampaian Islam kepada masyarakat di peringkat negara bukanlah suatu yang
susah untuk dilakukan. Tambahan lagi, kerajaan mempunyai segala kemudahan sama
ada di peringkat pusat hinggalah ke kampung-kampung di pedalaman. Oleh itu,
tidaklah menjadi kesukaran sekiranya kerajaan berhasrat untuk mempromosikan
nilai-nilai tasamuh undang-undang jenayah Islam secara konsisten. Sekiranya
377
kempen-kempen kesadaran bahaya dadah, bahaya denggi, rasuah dan pelaksanaan
prinsip Islam Hadhari suatu ketika dahulu boleh dilakukan dengan kerap dan
konsisten, maka kempen kesedaran undang-undang Islam dan nilai-nilai tasamuh
boleh dilakukan juga.
Pelaksanaannya juga boleh dilakukan di setiap kementerian. Misalnya Kementerian
Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dengan menyusun dan membuat
penambahbaikan kepada silibus yang sedia ada. Jika hal ini dapat dilakukan,
persepsi negatif mereka terhadap Islam pasti akan berubah.
5.3. Cadangan Kajian Masa Hadapan
Adalah tidak mungkin untuk dikaji kesemua bahagian dalam undang-undang jenayah
Islam yang melibatkan tiga aspek berikut, iaitu aspek hudud, qisas diyat dan ta'zir.
Kajian ini hanya menyentuh satu aspek sahaja daripada undang-undang jenayah
Islam. Oleh sebab itu, ada beberapa cadangan untuk kajian masa hadapan.
i. Kajian tasamuh dalam qisas diyat dan ta'zir
Selain aspek hudud yang dikaji, aspek qisas diyat dan ta'zir patut dibuat kajian
seterusnya.
ii. Kajian salah satu hukuman hudud
Kajian ini boleh dilakukan dengan menfokuskan kajian kepada salah satu daripada
hukuman hudud. Kajian tersebut boleh dilakukan dengan mendalam dan saiz sampel
boleh diperbesarkan melibatkan antara negeri-negeri atau antara institusi-institusi
pengajian tinggi awam dan swasta atau mana-mana sahaja yang difikirkan sesuai
hingga membolehkan kajian tersebut digeneralisasikan.
378
iii. Kajian perbandingan
Kajian boleh dilakukan dengan membuat perbandingan pengetahuan pelajar-pelajar
bukan Islam di antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi
Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).