The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by SMK ISKANDAR SHAH, 2023-11-29 20:28:41

Prosiding Persidangan Penyelidikan Pendidikan Peringkat Kebangsaan XVI Tahun 2022

Prosiding_Persidangan_Penyelidikan_Pendidikan_Peringkat_Kebangsaan

Keywords: pppk,eprd,prosiding,ygtho

344 i. Pelaksanaan Langkah 2 Murid diberikan modul Jom Artcellent Monokromatik setiap seorang. Murid dapat memahami asas warna dengan mudah melalui aktiviti dalam modul ini. Modul ini mengandungi latihan tahap mudah dan sukar. Penggunaan kad Artcellent Monokromatik sangat diperlukan untuk bahagian langkah mudah sebagai sumber imitasi dan berkembang ke langkah sukar dengan menggunakan kemahiran yang dipelajari daripada langkah mudah. ii. Pelaksanaan Langkah 3 Murid diberikan modul Jom Cuba untuk mereka membuat lima latihan ringan semasa cuti pertengahan tahun. Langkah ini diambil kerana murid ini sering lupa dengan pembelajaran yang telah diajar. Pelaksanaan aktiviti ini sedikit sebanyak dapat mengimbas kembali pembelajaran yang lepas dan mengurangkan tekanan semasa PdPR selama berminggu-minggu. iii. Pelaksanaan Langkah 4 Untuk langkah terakhir, murid diberikan modul Jom Taksir sebagai penilaian kefahaman dan keberhasilan intervensi yang dijalankan. Sebanyak lima latihan format soalan sebenar diberikan untuk murid membuktikan kemahiran mewarna mereka dengan menitikberatkan pengurusan masa yang betul. 6. Membuat Pemerhatian Semula Setelah melaksanakan langkah tindakan, pengkaji melaksanakan penilaian prestasi secara semakan penghantaran tugasan melalui hasil kerja rumah, pemarkahan PBD dan penghasilan video PBL. Proses langkah pemerhatian semula adalah seperti berikut: i. Langkah Pemerhatian 1 Murid mula memahami bagaimana kad Artcellent Monokromatik berfungsi dan boleh membezakan penggunaan kedua set imitasi yang diberikan. ii. Langkah Pemerhatian 2 Murid dapat mengasah kemahiran psikomotor tangan untuk memegang pensel dengan betul. Daripada kemahiran baru yang dipelajari, murid dapat menghasilkan ton warna dengan tepat dan bersesuaian dengan pencahayaan yang sepatutnya sesebuah karya perlukan. iii. Langkah Pemerhatian 3 Murid dapat melakukan aktiviti mewarna dengan bebas tanpa tekanan. Murid mula menunjukkan minat dalam aktiviti mewarna. iv. Langkah Pemerhatian 4 Berpandukan video tutorial yang diberikan oleh guru, murid dapat menghasilkan aktiviti mewarna tugasan dengan lebih cepat dan bersistematik. Murid mula menunjukkan peningkatan kualiti warna, ton, pencahayaan dan pengurusan masa dalam menghasilkan tugasan mereka.


345 7. Membuat Refleksi Semula Refleksi merupakan suatu aktiviti untuk menyelesaikan masalah dalam pengajaran yang berkesan dan juga bertindak sebagai suatu proses pembangunan diri seseorang guru. Refleksi juga merupakan kaedah memperbaiki kelemahan melalui langkah tindakan yang telah dibuat. Sekiranya kurang berjaya, pengkaji harus menjalankan kembali langkah pertama sehinggalah berjaya. Murid dapat memahami dan berjaya dalam menyelesaikan masalah mewarna yang dihadapi oleh mereka. Murid lebih fokus dalam PdPR dan dapat mencapai objektif pengajaran yang ingin diperolehi. 8.0 DAPATAN KAJIAN Bahagian ini menerangkan keputusan analisis data berdasarkan soalan inkuiri kendiri dan catatan dapatan refleksi seperti yang dinyatakan di Jadual 2. Pemerhatian ini dilakukan dengan menggunakan senarai semak yang disediakan oleh pengkaji sebelum menjalankan sesi PdP. Berikut merupakan dapatan pemerhatian melalui senarai semak terhadap 14 orang peserta kajian. Jadual 2 Refleksi Berdasarkan Pemerhatian Isu dan Inkuiri Kendiri Inkuiri Kendiri Refleksi Kemahiran apakah yang mereka lemah? Mewarna objek yang sesuai dengan tahap kriteria pemarkahan DSKP PSV. Mengapakah murid mengalami masalah mengenali kemahiran sendiri? Aktiviti bersemuka amatlah singkat semasa tingkatan empat menyukarkan guru memperkenalkan kemahiran memilih media mewarna. Murid juga tidak fokus semasa pembelajaran di dalam kelas. Apakah latar belakang murid ini? Beberapa orang murid sememangnya lemah dalam seni visual dan berlatar belakang aliran muzik semasa menengah rendah. Mengapakah media yang digunakan sebelum ini di dalam kelas tidak berjaya membuat mereka faham? Guru menggunakan pendekatan menggunakan media poster warna, pensel warna dan pensel 9B yang merupakan arasnya lebih tinggi menyebabkan murid tidak mampu untuk memahami dengan lebih jelas. Apakah kesan kepada murid sekiranya masalah ini berterusan dan tidak ditangani dengan kadar segara? Murid akan terus tidak mahir mewarna dengan teknik yang betul dan tidak dapat mengenali media warna dengan kadar dengan tepat. Apakah tahap kebolehan asas yang murid perlu dikuasai sebelum mempelajari asas mewarna? Murid harus menguasai teknik mewarna sewarna dan cara menetapkan pencahayaan dalam sesebuah karya.


346 Mengapakah murid mengalami masalah ini semasa PdP? Murid tidak membawa bahan asas mewarna ke kelas. Mereka terpaksa berkongsi bahan yang terhad bersama rakan lain semasa aktiviti mewarna dijalankan. Selain daripada itu, murid tidak mahir membuat eksperimentasi warna seperti campuran biru dan kuning menghasilkan warna hijau. Murid juga tidak mahir mengaplikasikan kepelbagaian saiz berus semasa mewarna. Guru pula mengambil banyak masa untuk memberikan penerangan terperinci cara mengaplikasikan teknik yang diajar sehinggakan kekangan waktu mengajar. Mengapakah murid mengalami masalah mengatur masa semasa membuat latihan? Murid kurang mahir mewarna sehingga mengambil masa yang lama untuk menyiapkan sehelai kertas tugasan. Murid memiliki kemahiran mewarna tahap yang rendah kerana kebiasaan menggunakan teknik sekolah rendah iaitu menggunakan pensel warna. Murid juga kurang berlatih di rumah dan mengharapkan 100% aktiviti di dalam kelas sahaja. Mengapakah murid tidak melibatkan diri secara aktif semasa belajar? Murid takut untuk mencuba sendiri tanpa bimbingan daripada guru dan mereka tidak yakin untuk menunjukkan hasil yang tidak menarik kepada guru. Murid mengalami masalah kurang keyakinan kerana dalam fikiran mereka seni itu memiliki tahap kesukaran yang tinggi. Selain itu, sifat malu untuk bersaing masih lagi tinggi dalam diri mereka. Apakah yang perlu guru lakukan untuk menggalakkan murid melibatkan secara aktif dalam pembelajaran? Semasa PdPC guru perlu mewujudkan suasana kelas yang ceria seperti guru perlu mesra menyambut kehadiran murid ke Studio Artcellent. Guru juga perlu memberikan kebebasan kepada murid untuk berkarya. Semasa PdPR pula guru perlu menyediakan video-video pengajaran yang menarik untuk ditonton oleh murid. Hasil karya mereka akan dimuat naik ke laman Facebook Geng Artcellent sebagai bentuk penghargaan supaya murid lebih seronok menghantar tugasan yang diberikan. Berdasarkan refleksi, murid dapat meningkatkan kemahiran menterjemahkan nilai warna, ton, pencahayaan dan pengurusan masa yang baik dalam sesebuah karya dengan gabungan warna pensel warna air dan pen berus. Rajah 8 menunjukkan kualiti tugasan yang dilaksanakan oleh murid yang menjadi titik tolak keberhasilan intervensi ini.


347 Rajah 8 Penghantaran Tugasan Murid Penilaian Pencapaian Murid Pemerhatian ini dilakukan dengan menggunakan senarai semak yang disediakan oleh pengkaji sebelum menjalankan sesi PdP. Jadual 3 berikut merupakan dapatan pemerhatian melalui senarai semak terhadap empat belas orang peserta kajian. Jadual 3 Perbandingan Markah Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) dan Ujian Julai tingkatan Lima Jade Bil. Murid PPT Ujian Julai 1 A 39% 45% 2 B 28% 44% 3 C 36% 40% 4 D 23% 41% 5 E 35% 45% 6 F 23% 38% 7 G 42% 45% 8 H 19% 34% 9 I 37% 38% 10 J 23% 32% 11 K 21% 34% 12 L 24% 36% 13 M 24% 33% 14 N 29% 38%


348 Semasa Peperiksaan Pertengahan tahun bagi markah kertas 2, seramai sembilan orang murid tidak dapat melepasi 30 markah. Walau bagaimanapun, pada ujian pada bulan Julai pula, 100% orang murid berjaya memperbaiki markah masing-masing iaitu rata-rata murid mendapat markah melebihi 30 markah minimum lulus. Jadual 4 Perbandingan Tahap Penguasaan (TP) PBD bulan Mac dan Julai Tingkatan Lima Jade Bil. Murid TP Mac TP Julai 1 A 4 6 2 B 2 4 3 C 3 4 4 D 2 4 5 E 2 4 6 F 3 5 7 G 4 4 8 H 2 5 9 I 3 4 10 J 3 5 11 K 3 5 12 L 2 4 13 M 3 5 14 N 3 5 Merujuk kepada Jadual 4, seramai lima orang murid mendapat TP 2 dalam penilaian PBD pada bulan Mac dan kesemua murid dapat melepasi TP 4 pada pentaksiran bulan Julai. Hal ini kerana peserta kajian dapat menjalankan aktiviti dengan baik melalui tugasan yang diberikan melaksanakan intervensi dengan bersungguh-sungguh dan penuh fokus. Refleksi saya, terdapat peningkatan pencapaian murid yang ketara dalam menguasai kemahiran mewarna selepas intervensi dilaksanakan. Murid berjaya meningkatkan keyakinan diri semasa mengaplikasi, mengeksperimentasi dan meneroka media baharu dalam aktiviti mewarna. Secara keseluruhannya, semua murid berjaya mencapai tahap pencapaian yang baik, iaitu mengikut perbandingan penghantaran tugasan di tunjukkan dalam Rajah 9.


349 Rajah 9 Perbandingan Kualiti Mewarna Selepas Intervensi Murid A Murid B Murid C 9.0 RUMUSAN DAN PERBINCANGAN Berikut ialah rumusan dan perbincangan mengenai dapatan kajian berdasarkan kepada objektif kajian. Objektif Kajian 1: Meningkatkan Kemahiran Menterjemahkan Nilai Warna, Ton, Pencahayaan dan Pengurusan Masa yang Baik dengan Menggunakan Media Gabungan Warna Pensel Air dan Berus. Saya mendapati penggunaan intervensi ini dapat menghasilkan pulangan yang positif kepada murid semasa melakukan aktiviti mewarna. Murid mampu untuk menterjemahkan nilai warna, ton dan pencahayaan yang tepat pada setiap tugasan. Murid juga mampu mengurus masa dengan baik semasa aktiviti mewarna dijalankan. Peruntukan masa selama satu jam lima belas minit diaplikasikan secara berterusan walaupun pada mulanya agak sukar untuk diamalkan. Dengan menggunakan media gabungan warna pensel air dan pen berus, masalah masa dapat diatasi kerana penggunaan kedua bahan ini sememangnya dapat menjimatkan masa. Psikomotor tangan murid juga akan terbentuk dengan baik semasa melaksanakan latihan yang berterusan dengan menggunakan kad imitasi Artcellent Monokromatik dengan media gabungan bahan baharu ini. Menurut Mohd. Yusoff dan Husain (2021), seni lukis merupakan salah satu bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum berupaya bertutur dan merupakan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi. Melukis memberi kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain membina kekuatan otot. Secara tidak langsung menajamkan daya intuisi kanak-kanak. Walaupun masih pada tahap bukan profesional, hasil yang ditunjukkan oleh murid boleh dikategorikan cemerlang pada tahap sekolah menengah kerana daripada segi pemarkahan kertas 2, mereka mampu untuk melepasi markah minima logika untuk lulus dalam peperiksaan PSV. Penghasilan tugasan yang tepat pada waktunya dan lebih berkualiti membolehkan mereka mendapat TP 4, 5 dan 6 seperti mana yang termaktub di dalam DSKP PSV tingkatan empat dan lima. Bagi meningkatkan kefahaman dan minat murid dalam PdPC yang dijalankan, pemilihan aktiviti dalam bilik darjah perlulah bersesuaian dengan murid. Banyak faktor yang harus dipertimbangkan sebelum menjalankan aktiviti (Nor et al., 2020)


350 Alat intervensi ini berjaya membantu dalam perubahan sikap dalam menarik minat murid terhadap PSV dan meningkatkan kemahiran mewarna. Penggunaan ABM ini menjadikan terapi kepada murid untuk merasa senang dengan aktiviti mewarna yang dijalankan dan sebagai persediaan untuk tugasan yang lebih rumit. Menurut Shahuddin et al., (2021) tugasan seni terapeutik merupakan ‘warm up acitivity’ dan sesuai dilaksanakan sebelum pengajaran sebenar PSV bermula. Aktiviti yang terdapat dalam tugasan seni terapeutik ini lebih mudah dan membantu murid untuk bersedia mempelajari pelajaran seterusnya. Selain berfungsi sebagai kaedah penilaian untuk keberkesanan intervensi yang dijalankan, murid perlu menunjukkan bukti kefahaman terhadap intervensi ini dengan menghasilkan karya yang paling baik secara berperingkat. Murid memberi maklum balas yang positif bahawa mereka dapat melaksanakan aktiviti mewarna dengan menggunakan teknik dan strategi mewarna yang saya perkenalkan dengan mudah. Hasil mewarna mereka menjadi lebih cantik daripada sebelumnya. Objektif Kajian 2: Meningkatkan Keyakinan Murid Semasa Meneroka Media Baharu dalam Aktiviti Mewarna. Melalui pengamatan saya sepanjang intervensi dijalankan, murid mula mampu untuk menonjolkan bakat yang lama terpendam kerana kurang galakkan dan pendedahan mengenai kemahiran mewarna sebelum ini. Murid sudah mula membuat penerokaan media baharu semasa mewarna. Murid berjaya mengaplikasikan teknik yang betul ke dalam hasil-hasil karya yang diberikan. Murid juga tidak sabar untuk mendapatkan video tugasan yang baharu dan bersungguh-sungguh menghantar tugasan di aplikasi Google Drive masing-masing. Penggunaan TMK dalam pengajaran sedikit sebanyak menambahkan pengetahuan murid dengan dunia ICT di samping penghasilan video PBL dengan menggunakan pelbagai aplikasi telefon, murid dapat menghasilkan video kreatif hasil dari proses penggunaan intervensi yang dijalankan. Menurut Bin Husain, H (2021) berdasar dapatan kajian jelas menunjukkan aktiviti seni yang menggunakan perisian aplikasi TMK dapat meningkatkan integrasi domain pembelajaran dalam kalangan murid. Setiap aktiviti seni yang dilakukan berasaskan teknologi ada sumbangan daripada aspek pembangunan kognitif, pembinaan afektif dan pengurusan psikomotor secara serentak. Menurut Seman dan Khairani (2020), PBL meningkatkan penglibatan murid dalam PdPC yang mewujudkan komunikasi dua hala. Murid juga lebih berkeyakinan untuk menyertai pertandingan-pertandingan seni visual ke peringkat lebih tinggi seperti Pameran Artgeng, Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah, Pertandingan Antarabangsa Generasi 21 dan Doodle kemerdekaan anjuran badan kerajaan. Saya juga teruja melihat hasil karya mereka yang lebih matang dan sangat cemerlang. Ada antara mereka memenangi pertandingan tersebut. Objektif Kajian 3: Menjadikan Guru Lebih Bersedia untuk Proses Pdpr dan Pengurusan Tugasan Secara Lebih Sistematik. Kemenjadian murid pada kajian ini menjadikan guru lebih bersedia untuk proses PdPR dan cara pengurusan pemberian tugasan kepada Murid menjadi lebih sistematik dan menarik. Guru juga menjadi seronok dan tidak sabar untuk berjumpa murid di kelas yang seterusnya. Penambahbaikan daripada segi penggunaan ICT dalam pengajaran juga amat


351 memberi kesan yang baik dalam proses penyebaran maklumat kepada murid. Perubahan sikap guru juga sangat membantu dalam menjayakan intervensi ini. Dapatan kajian menunjukkan kaedah pengajaran multimedia interaktif dapat meningkatkan pencapaian murid berbanding kaedah konvensional (Basiron 2012). Mengikut kajian Abdullah dan Amran (2021), guru-guru berperanan untuk memilih kaedah PdPR yang dirasakan paling sesuai dan efektif supaya murid mendapat manfaat yang optimum melalui PdPR yang dilaksanakan semasa pandemik COVID-19. Oleh yang demikian, saya mencuba untuk melakukan pembaharuan menggabungkan PdP yang konvensional dengan PdP kaedah TMK berkonsepkan ICT yang interaktif. 10.0 KESIMPULAN Secara keseluruhannya, kajian ini telah membantu saya untuk meningkatkan kemahiran dalam sesi PdP. Setelah melihat kelemahan dan kekuatan murid, ada perkara perlu ditambah baik agar dapat menambah kualiti sesi pengajaran yang akan diadakan pada masa akan datang. Pada pemerhatian yang pertama, pengajaran guru yang tidak dapat memahami kemahiran sedia ada murid menjadikan permasalahan ini sedikit rumit untuk diselesaikan di samping kekangan masa bersama murid yang singkat. Namun setelah meneliti permasalahan ini, saya telah merangka semula rancangan intervensi yang lebih teratur dan berstruktur agar murid dapat mempelajari kemahiran mewarna dengan mudah dan berjaya. Hasil daripada aktiviti yang dijalankan, murid menyatakan teknik baharu yang diperkenalkan oleh guru berjaya memikat hati mereka untuk membuat latihan mewarna dengan lebih kerap. Kesimpulannya, semoga hasil kajian ini dapat mencetuskan idea untuk mewujudkan proses pengajaran yang lebih menyeluruh, efisien dan lebih berkesan kepada guru-guru lain dalam menghasilkan murid yang kreatif, dan kritis di bawah payung seni visual.


352 RUJUKAN Abdullah, N. A., & Amran, M. S. (2021). Perspektif guru terhadap penglibatan murid dan pembelajaran secara atas talian semasa pendemik Covid-19 di Malaysia. International Journal of Advanced Research in Islamic Studies and Education, 1(4), 32-39. Ahmad, K. A. (2019). Mini Diorama Art (Minda) meningkatkan pemahaman pelajar seni dalam proses penghasilan karya. Azmi, M. I. A. (2016). Meningkatkan kemahiran murid mengenal warna asas dan warna sekunder menggunakan roda warna. http://www.academia.edu/27683502 Affifatukakmar. (2017). Aplikasi Teknik Latih Tubi Meningkatkan Kemahiran. IPG Kampus Rajang. https://fdokumen.site/reader/full/aplikasi-teknik-latih-tubi-meningkatkankemahiran-mewarna Basiron, I. (2012). Kesan kaedah pengajaran multimedia interaktif dalam pengajaran seni visual. Doctoral dissertation, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Belland, B. R. (2014). Scaffolding: Definition, current debates, and future directions, In Handbook of research on educational communications and technology (pp. 505-518). Springer, New York. Chung, M. H. C., & Fam, H. L. P. (2018). Keberkesanan Penggunaan Teknik Warna dalam Pengajaran Penulisan Bahasa Melayu Tahun Dua. Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak. https://docplayer.info/130129168-Keberkesanan-penggunaan-teknikwarna-dalam-pengajaran-penulisan-bahasa-melayu-tahun-dua.html Dzulkifli, M. A., & Mustafar, M. F. (2013). The influence of colour on memory performance: a review. The Malaysian journal of medical sciences: MJMS, 20(2), 3–9. Etikan, I., & Bala, K. (2017). Sampling and sampling methods. Biometrics & Biostatistics International Journal, 5(6), 00149. Maswan, S. (2013). Mengaplikasikan Teori-Teori Pembelajaran di dalam Mereka Bentuk Bahan Pengajaran berasaskan ICT untuk Pendidikan Seni Visual. Institut perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang. https://sajadstudio.info/artikal/teoripemb_psv.pdf Mohd. Yusoff. S.H., & Husain. H (2021). Penggunaan perisian aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi meningkatkan integrasi dominan pembelajaran dalam karya murid belajar gaya visual. Jurnal Penyelidikan Dedikasi, 18(1), 140-160. Nor, R. M., Yusoff, N. M. R. B. N., & Haron, H. B. (2020). Meneroka Kaedah Pengajaran Guru Cemerlang Pendidikan Seni Visual Selangor (GCPSV): Satu Kajian Kes. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(5), 125-140.


353 Pratama, U. N. (2020). Analisis Gaya Belajar Mahasiswa Pendidikan Seni Pertunjukan Berdasarkan Modalitas Preferensi Sensori. Jurnal Inovasi Teknologi Pembelajaran, 7(2), 107-115. Quah, W. B, (2017). Fleming VAK sebagai gaya pembelajaran pembelajaran terkesan. Kolej Komuniti Sungai Petani. https://www.researchgate.net/publication/321361237 Rauf, F. A., & Tan, W. H. (2020). Potensi realiti terimbuh dalam aktiviti mewarna: Satu kajian di sebuah prasekolah. Southeast Asia Early Childhood Journal, 9(2), 1-10. Seman, M. S., & Khairani, M. Z. (2020). Pendekatan Project Base Learning Mural Pendidikan Seni Visual Dalam Kalangan Murid Masalah Pembelajaran. Journal of Applied Arts, 2(1), 158-163. Shahuddin, S. A., Khairani, M. Z., & Ibrahim, M. N. (2021). Tugasan seni terapeutik dalam meningkatkan tahap keyakinan diri murid di Sekolah Rendah. KUPAS SENI: Jurnal Seni Dan Pendidikan Seni, 9(2), 42-51. Suardipa, I. P. (2020). Proses Scaffolding Pada Zone of Proximal Development (ZPD) Dalam Pembelajaran. Widyacarya: Jurnal Pendidikan, Agama dan Budaya, 4(1), 79- 92. Suhaimi, Z. A., & Hussin, R. (2018). Inovasi Penggunaan Facebook Sebagai Satu Media Pengajaran dan Pembelajaran Murid Sekolah dalam Pendidikan Seni Visual. KUPAS SENI: Jurnal Seni dan Pendidikan Seni, 6, 30-46. Sunarto, B. (2013). Metodologi Penciptaan Seni. Institut Seni Indonesia Surakarta.


354 LAMPIRAN Lampiran 1 Keterangan BBM Kit Artcellent Monokromatik


355 KOOL KIT 4.0 MENINGKATKAN MOTIVASI DAN PENCAPAIAN SUBJEK SEJARAH DALAM KALANGAN MURID TINGKATAN 5 NORAINI BAJOORI SMK Dulang, Kedah [email protected] ABSTRAK Motivasi murid dan pencapaian layak sijil SPM dalam subjek Sejarah sentiasa menjadi bahan perbincangan dalam kalangan warga pendidikan. Antara punca yang dikenal pasti ialah Sejarah dianggap sebagai subjek yang amat membosankan dan susah untuk dipelajari kerana terdapat pelbagai fakta yang perlu dihafal. Di samping itu, pendekatan penyampaian guru, terutamanya semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut menyumbang kepada punca murid tidak menguasai isi kandungan yang menyebabkan mereka tidak berjaya mendapat pencapaian layak sijil SPM. Justeru, tujuan kajian tindakan ini ialah untuk mengenal pasti keberkesanan penggunaan intervensi KOOL KIT 4.0 (Keen and Overjoyed Orientation Learning Kit 4.0) bercirikan PdPR PAK-21 dengan suntikan teknologi digital dalam meningkatkan kemahiran motivasi dan pencapaian murid sasaran Tingkatan 5 SO seramai 28 orang dalam subjek Sejarah. Kit pengajaran ini juga dilengkapi dengan pelbagai alat bantu mengajar menjurus format SPM untuk diaplikasi semasa PdPR. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah kajian tindakan yang melibatkan pemerhatian, refleksi, perancangan dan tindakan. Berdasarkan refleksi pengkaji, murid dikenal pasti kurang bermotivasi sewaktu pengajaran dan pembelajaran secara konvensional. Malahan, mereka tidak berupaya menjawab soalan dengan tepat kerana tidak menguasai isi kandungan dan kemahiran menjawab yang diperlukan dalam subjek Sejarah. Selepas intervensi dijalankan, impak yang amat tinggi dilihat daripada segi motivasi penglibatan murid dalam memberi respon dan menyiapkan tugasan dengan tepat. Sebagai seorang guru, pengkaji turut mengalami suatu pengalaman baharu bahawa PdPR bercirikan PAK-21 mampu menarik minat murid untuk meneroka pembelajaran kendiri mereka dengan lebih berkesan Oleh itu, pengkaji berpendapat bahawa penggunaan bahan bantu mengajar yang tepat dan seiring dengan situasi pendidikan semasa perlu diaplikasi dengan sebaik mungkin. Ini penting untuk kelestarian guru berkualiti dan kemenjadian murid seperti mana yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Kata kunci: motivasi, pencapaian layak sijil, Sejarah, KOOL KIT 4.0, PAK-21


356 1.0 PENGENALAN SMK Dulang merupakan sebuah sekolah di kawasan pedalaman daerah Yan. Majoriti murid datang daripada keluarga berstatus sosial ekonomi rendah dan terpaksa bekerja semasa cuti sekolah untuk membantu ekonomi keluarga. Justeru, motivasi belajar dan pencapaian akademik murid berada pada tahap yang amat rendah. Seramai 28 orang murid dari 5SO SMK Dulang, Yan telah dipilih sebagai sampel. Pengkaji telah mengenal pasti isu motivasi dan kemahiran menjawab soalan Sejarah melalui pemerhatian semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan ujian 1. Keputusan ujian 1 menunjukkan 14 orang murid mendapat markah yang amat rendah dalam Kertas 1 (K1) dan 16 orang murid mendapat markah yang amat rendah dalam Kertas 2 (K2) subjek Sejarah. Justeru, bilangan gagal layak sijil amat tinggi dalam kalangan murid kelas tersebut semasa ujian 1 dan memberi impak kepada peratus layak sijil sekolah. Tambahan pula bagi subjek Sejarah, minat dan penguasaan murid dalam subjek layak sijil SPM ini begitu membimbangkan. Ia sering kali dikaitkan dengan hafalan serta membosankan dengan kaedah pedagogi guru yang kurang tepat. Perkara ini dibuktikan dengan pendapat Fadzillah (2010), Ambika et al., (2017) serta Sri Wahyuni dan Anuar (2019) telah menjelaskan bahawa murid-murid kurang bermotivasi dengan PdP Sejarah yang tidak menarik disebabkan penyampaian guru yang kurang berkesan. Bagi mengatasi dua isu tersebut, pengkaji perlu lebih dinamik dan kreatif untuk mengaplikasi intervensi PdPR bercirikan PAK-21 iaitu KOOL KIT 4.0. 2.0 PERNYATAAN MASALAH Dalam senario pandemik, timbul isu murid kurang memberi respon yang memberangsangkan dan isu keciciran semasa PdPR sekiranya kaedah pedagogi dan bahan bantu mengajar yang dipilih guru tidak efektif, terutamanya bagi subjek Sejarah. Menurut Dr. Anuar, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia, berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikeluarkan pada 11 Oktober 2020, kadar keciciran murid sekolah rendah meningkat kepada 0.13% pada tahun berkenaan berbanding 0.12% pada 2019. Sementara kadar keciciran murid sekolah menengah pula meningkat daripada 1.14%s kepada 1.26% bagi tempoh sama. Isu tersebut dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan kadar ketinggalan dalam pembelajaran serta mencetuskan isu hilang motivasi atau learning burnout dalam kalangan murid. Oleh itu, pendekatan PdPR yang berfokus kepada menyelesaikan isu ini perlu dilaksanakan dengan terancang. Berdasarkan pemerhatian pengkaji, didapati bahawa murid menganggap subjek Sejarah sangat membosankan, malahan murid sering tidur di dalam kelas semasa mengikuti PdPR secara dalam talian melalui maklum balas ibu bapa. Mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada PdPR yang dijalankan untuk tempoh yang lama. Selain itu, sikap suka berangan dan tidak memahami kemahiran menjawab soalan juga menjadi faktor murid hilang tumpuan. Murid sering terpinga-pinga dan mengambil masa yang agak lama untuk memberi jawapan semasa guru bertanyakan soalan. Murid juga kurang menunjukkan kesungguhan dalam menyiapkan tugasan kertas 1 dan kertas 2 menggunakan modul yang dibekalkan semasa PdPR. Kebanyakan markah yang diperoleh daripada tugasan tersebut amat rendah kerana mereka tidak bermotivasi dan tidak memahami kehendak


357 soalan untuk menjawab dengan lengkap. Di samping itu, penggunaan bahan bantu mengajar yang kurang efektif digunakan oleh pengkaji tidak menarik minat murid untuk terus kekal fokus di dalam kelas dan ini menyebabkan mereka kerap tidur semasa PdPR berlangsung. Pendekatan kaedah pedagogi yang berpusatkan guru juga menyebabkan murid pasif. Komunikasi pelbagai hala daripada pelbagai aspek tidak dipraktikkan oleh pengkaji menyebabkan sesi PdPR interaktif tidak berlaku. Isu yang berlaku ini amat membimbangkan pengkaji kerana ia akan menjadi faktor utama murid tidak berjaya memperolehi keputusan layak sijil. Pemerhatian yang dijalankan menunjukkan isu kurang motivasi dapat dilihat berdasarkan Rajah 1. Rajah 1 Pemerhatian Guru dan Respon Ibu Bapa Berkaitan Isu Motivasi Murid semasa PdP dan PdPR Hasil Ujian 1 yang dijalankan menunjukkan isu kemahiran menjawab kertas 1 dan kertas 2 dapat dilihat berdasarkan Rajah 2. Rajah 2 Murid Tidak Menguasai Kemahiran Menjawab dan Memperolehi Markah yang Rendah Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan segera, murid akan terus mengamalkan budaya tidak peduli dan motivasi belajar mereka akan terus menurun dan akan memberi kesan terhadap pencapaian layak sijil SPM bagi tahun 2020.


358 2.1 Kerangka Konsep Kajian Pengkaji melaksanakan kajian ini berdasarkan model Kemmis dan McTaggart (1988) yang telah diadaptasi (Rajah 3) di mana ia melibatkan proses memerhati, refleksi, merancang dan tindakan. Proses ini amat membantu pengkaji untuk mengenal pasti isu yang timbul dan melaksanakan intervensi yang tepat bagi mengatasi isu tersebut mengikut kitarannya. Rajah 3 Model Kajian Tindakan (adaptasi Kemmis dan McTaggart 1988) Berdasarkan model ini, pengkaji bermula dengan gelung pertama iaitu melalui pemerhatian di mana murid kurang bermotivasi semasa mengikuti PdPR Sejarah. Pengkaji melaksanakan refleksi kendiri untuk mengenal pasti punca isu motivasi yang seterusnya memberi kesan kepada isu kemahiran murid menjawab soalan K1 dan K2. Data yang diperoleh semasa ujian 1 juga digunakan untuk mengenal pasti sejauh mana kemahiran menjawab yang telah dikuasai murid serta intervensi yang dapat mengatasi isu tersebut. Seterusnya, pengkaji membuat diagnosis data untuk membuat perancangan intervensi yang paling tepat bagi melaksanakan intervensi yang telah dikenal pasti dapat menyelesaikan isu kurang motivasi dan kemahiran menjawab dalam kalangan murid. Kitaran ini akan berulang sekiranya terdapat isu yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Dalam kajian ini, pengkaji telah melengkapkan kitaran dengan sepenuhnya dengan menggunakan intervensi KOOL KIT 4.0. 3.0 TUJUAN KAJIAN Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan motivasi murid dan pencapaian layak sijil SPM untuk subjek Sejarah. 4.0 OBJEKTIF KAJIAN Objektif kajian ini adalah: i) membangunkan KOOL KIT 4.0 bagi meningkatkan motivasi murid mempelajari Sejarah dengan menggunakan bahan PdPR bercirikan PAK 21; dan ii) meningkatkan kemahiran murid menjawab soalan Kertas 1 (K1) dan Kertas 2 (K2) Sejarah bagi meningkatkan prestasi layak Sijil SPM 2020.


359 5.0 PERSOALAN KAJIAN Kajian ini berfokus kepada dua persoalan kajian iaitu : i) Adakah KOOL KIT 4.0 boleh meningkatkan motivasi murid mempelajari Sejarah? ii) Bagaimanakah murid dapat menguasai kemahiran menjawab soalan Kertas 1 (K1) dan Kertas 2 (K2) Sejarah bagi meningkatkan prestasi layak Sijil SPM 2020? 6.0 BATASAN KAJIAN Skop kajian intervensi ini dilaksanakan hanya kepada murid-murid tingkatan 5 dan terhad kepada subjek Sejarah sahaja. Di samping itu, lokaliti sekolah terletak di kawasan pedalaman dan majoriti murid terdiri daripada keluarga berstatus sosial ekonomi rendah. Tempoh masa pelaksanaan kajian ini juga dijalankan dengan pelbagai kekangan dalam situasi pandemik. Kemungkinan ia akan lebih menunjukkan impak yang lebih tinggi dengan lokaliti dan tahap sosio ekonomi murid yang lebih baik daripada lokaliti bandar. Kajian ini juga mungkin boleh diaplikasi dalam pelbagai subjek selain daripada subjek Sejarah. Justeru, pada masa akan datang, intervensi ini boleh digunakan untuk pelbagai subjek untuk melihat keberkesanannya dengan lebih meluas. 7.0 TINJAUAN LITERATUR Berdasarkan kepada isu yang diperhatikan semasa PdPR, pengkaji telah mengenal pasti intervensi bahan bantu mengajar dan belajar bercirikan PAK 21 yang berfokus kepada peningkatan tahap motivasi yang tinggi dalam kalangan murid untuk menguasai kemahiran menjawab soalan dengan tepat. Di samping itu juga, bertepatan dengan amalan instruksional guru bercirikan PAK 21 dengan nilai tambah teknologi digital yang dapat menentukan transformasi pendidikan PdPR berlaku dengan jayanya. 7.1 Bahan Bantu Mengajar dan Belajar Bercirikan PAK 21 PdP Sejarah yang pasif tanpa berbantukan bahan bantu belajar dan mengajar yang menarik dan terkini semestinya akan membosankan murid. Terdapat pelbagai kajian yang dilakukan mencadangkan transformasi dalam PdP Sejarah dengan mempelbagaikan penggunaan sumber teknologi berasaskan teknologi maklumat terkini (Mohamad Johdi Salleh & Ariegusrini Agus, 2009). Cabaran PdP abad ke-21 ini adalah tertumpu pada penguasaan kemahiran menggunakan media dan teknologi maklumat terkini. Bahan bantu belajar yang diintegrasi dengan teknologi amat digalakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia supaya guru lebih berinovasi dan murid lebih bermotivasi. Oleh itu, guru digalakkan untuk menggunakan bahan bantu belajar dan pendekatan PdP yang berpusatkan murid dengan mengaplikasikan elemen teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2017). Namun begitu, masih ramai guru yang mengajar Sejarah amat selesa menggunakan kaedah konvensional (Ahmad & Jinggan, 2017). Antara faktor yang dikenal pasti ialah kompetensi guru dalam menguasai kemahiran teknologi dan komunikasi (Mookan et al., 2021) dan kekurangan prasarana teknologi di sekolah (Samsudin & Shaharuddin, 2020). Fenomena ini telah memberi impak yang besar ke atas minat, motivasi dan pencapaian murid sekolah menengah dalam mata pelajaran Sejarah (Kaviza, 2020).


360 Selain itu, Ramlah (2020), pula menyatakan bahawa kelemahan guru yang tidak menguasai kaedah pengajaran dan tidak mengaplikasikan inovasi dalam pengajaran turut memberikan kesan ke atas pencapaian murid dalam subjek Sejarah. Keadaan ini menyebabkan murid hilang minat dan bosan dengan subjek Sejarah yang seterusnya mempengaruhi pencapaian mereka. Kenyataan ini turut disokong oleh kajian yang telah dijalankan oleh Ahmad et al., (2009) dan Ramli dan Siti, (2020) yang menjelaskan bahawa terdapat perhubungan yang signifikan antara minat dengan motivasi murid untuk belajar dan mendapat pencapaian yang cemerlang dalam akademik. Oleh itu, para sarjana mencadangkan agar guru mengaplikasikan teknologi dan menggunakan bahan bantu belajar yang lebih inovatif dalam melaksanakan PdP agar dapat mengembalikan minat serta memberi motivasi kepada murid untuk belajar dan seterusnya akan meningkatkan pencapaian akademik murid. 7.2 Kemahiran Menguasai Subjek Sejarah Sejarah merupakan subjek yang berkaitan dengan fakta tentang masa lalu. Sebenarnya, subjek Sejarah adalah penting kerana ia merupakan sumber pengalaman dan asas untuk kehidupan hari ini. Namun begitu, masih kedengaran bahawasanya Sejarah merupakan subjek yang membosankan sejak dahulu sehingga kini. Fenomena ini seringkali dikaitkan dengan pendekatan, kaedah dan strategi yang digunakan oleh guru-guru yang dianggap kurang sesuai untuk diamalkan. Menurut Booth (2011), secara keseluruhannya, murid yang berkualiti terhasil menerusi proses PdP yang berkesan. Selain itu juga, kualiti guru merupakan faktor yang paling signifikan pada peringkat sekolah yang paling penting bagi keberhasilan murid yang dapat meningkatkan faktor minat, sikap dan gaya pembelajaran murid (Nor Erna & Leong, 2014). 8.0 METODOLOGI KAJIAN Kajian ini adalah kajian tindakan yang mengikuti langkah yang sistematik berdasarkan Model Kemmis dan McTaggart (1988) yang telah diadaptasi di mana ia melibatkan proses memerhati, refleksi, merancang dan melaksanakan tindakan. Kumpulan sasaran murid terdiri daripada 28 orang murid Tingkatan 5SO. Pengkaji mengenal pasti isu berkaitan motivasi dan pencapaian murid dalam subjek Sejarah melalui pemerhatian semasa PdP/PdPR dan juga maklum balas daripada ibu bapa berkaitan pembelajaran murid di rumah. Seterusnya, pengkaji membuat refleksi kendiri daripada segi motivasi murid dalam PdPR dan juga penyampaian guru. Isu dikenal pasti dan pengkaji merancang proses intervensi bagi menyelesaikan isu tersebut dengan menggunakan KOOL KIT 4.0. Pengkaji bertindak melaksanakan intervensi dengan melibatkan proses memerhati, menjalankan pemerhatian, mengutip dan menganalisis data bagi mengenal pasti keberkesanan KOOL KIT 4.0 sama ada perlu kitaran kedua atau sebaliknya. Kajian ini melibatkan urutan langkah berikut: a) mengenal pasti isu berkaitan motivasi dan pencapaian murid dalam subjek Sejarah; b) membuat pemerhatian; c) refleksi berdasarkan inkuiri kendiri;. d) membuat perancangan.


361 i. Intervensi : KOOL KIT 4.0 Kit bahan bantu belajar dan mengajar ( Rantai Kunci Cinta Hatiku, QR Code, Penanda buku, Quizizz, Google Form, FB Live, Tik Tok) ii. Indikator/ petunjuk kejayaan intervensi : - Peratus lulus prestasi layak sijil Sejarah SPM 2020 meningkat kepada 85%. - Peningkatan jawapan yang betul melalui modul yang diakses daripada QR Code, Quizizz dan Google Form. e) melaksanakan tindakan : - Dilaksanakan secara dalam talian dan bersemuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula Februari 2020 hingga Mac 2021. f) membuat pemerhatian semula; dan g) membuat refleksi semula. 9.0 DAPATAN KAJIAN Berdasarkan isu yang diperhatikan, pengkaji telah membina inkuiri kendiri dan catatan dapatan refleksi seperti yang dinyatakan di Jadual 1. Jadual 1 Refleksi Berdasarkan Pemerhatian Isu dan Inkuiri Kendiri INKUIRI KENDIRI REFLEKSI Mengapa murid kurang fokus, bosan, bahan yang membebankan dan kurang motivasi untuk belajar? Kaedah PdPR yang pengkaji gunakan tidak berkesan kerana menggunakan kaedah konvensional. Pengkaji tidak berjaya membuat murid mencapai objektif pembelajaran kerana murid tidak fokus dan tidak berminat untuk belajar Sejarah. Mengapakah murid tidak memberi respon dan kurang aktif semasa mengikuti PdPR menggunakan modul? Penggunaan modul sahaja tidak mampu menarik minat murid untuk terlibat dalam PdPR secara aktif kerana tiada unsur rangsangan yang boleh menggalakkan murid terlibat secara aktif. Murid juga enggan berhadapan dengan bahan rujukan Sejarah yang terlalu tebal, besar dan sukar dibawa menyebabkan murid tidak minat dengan subjek Sejarah. Murid menganggap subjek Sejarah membosankan dan sukar untuk lulus. Mengapakah murid kurang mahir dan tidak dapat menjawab soalan K1 dan K2 Sejarah? Murid tidak dapat menguasai teknik menjawab soalan K1 dan K2 kerana tidak menguasai isi kandungan dan tidak memahami kehendak soalan. Murid juga kurang gemar membuat ulangkaji menggunakan buku teks.


362 Mengapakah murid alami masalah untuk menjawab K1 dan K2 Sejarah? Sesi PdPR yang kurang interaktif dan berpusatkan guru menyebabkan murid tidak diberi peluang untuk lebih berfikir secara kreatif dan kritis. Justeru, menyebabkan murid bersifat pasif dan tidak berjaya menguasai kemahiran menjawab soalan dengan baik. Mengapakah murid tidak bersemangat dan kurang bermotivasi untuk belajar menggunakan modul? Pengkaji beranggapan murid boleh menyiapkan tugasan melalui modul dengan mudah. Kemungkinan juga teknik atau kaedah pengajaran kurang sesuai dengan keupayaan dan minat murid. Apakah yang saya perlu buat untuk menarik minat murid? Kaedah PdPR yang pengkaji gunakan tidak berkesan kerana menggunakan kaedah konvensional. Pengkaji mengubah kaedah PdPR dengan menggunakan bahan bantu belajar KOOL KIT 4.0. Mengapakah murid tidak melibatkan diri secara aktif semasa belajar? Murid enggan berhadapan dengan bahan rujukan sejarah yang terlalu padat dengan fakta yang perlu dihafal dan difahami. Murid menganggap subjek Sejarah sebagai subjek yang membebankan dan perlu mencari jawapan yang panjang. Apakah yang saya perlu buat untuk murid melibatkan diri secara aktif? Pengkaji mendapati murid tingkatan 5 lebih suka belajar menggunakan alat teknologi terkini terutamanya telefon pintar walaupun secara dalam talian. Murid lebih teruja dan bermotivasi menggunakan modul yang boleh diakses menggunakan aplikasi QR Code. Soalan-soalan dijana menggunakan Google Form serta pengajaran guru yang mempunyai pelbagai grafik dapat meningkatkan motivasi murid. Mengapakah hal ini terjadi? Murid tidak dapat menguasai teknik menjawab K1 kerana kurang latihan dan tidak suka membuat ulangkaji buku teks yang tebal dan membebankan dengan kaedah yang lama. Murid tidak menguasai isi kandungan bab kerana kurang minat untuk membuat pembacaan menggunakan buku teks. Berdasarkan refleksi, pengkaji membuat perancangan untuk meningkatkan tahap motivasi dan penguasaan murid dalam subjek Sejarah. Ini selari dengan matlamat untuk mencapai objektif kajian. Bahan bantu belajar dan mengajar yang terdapat dalam KOOL KIT 4.0 diaplikasi semasa PdPR dapat meningkatkan motivasi murid dan membantu murid-murid meningkatkan penguasaan kemahiran menjawab soalan K1 dan K2 Sejarah. Pengkaji menggunakan empat aktiviti bercirikan PdPR PAK 21 sebagai elemen penting dalam mewujudkan pembelajaran menyeronokkan dan bermakna.


363 a) Pelaksanaan Intervensi i) Aktiviti 1: K1 Magik Hebat (Februari 2020 - Mac 2021) Pengkaji membina modul pengajaran mengikut standard kandungan dan pembelajaran dengan menggunakan aplikasi Quizizz. Klon soalan subjek Sejarah SPM K1 dijana dalam aplikasi Quizizz untuk menjadikan lebih menarik dan interaktif. Latihan ini diberikan mengikut bab dari bulan Februari hingga Ogos 2020 dan soalan-soalan subjek Sejarah SPM sebenar dari bulan September 2020 hingga Mac 2021. Pengkaji akan menghantar pautan Quizizz ke dalam WhatsApp Group kelas untuk diakses oleh murid. Aktiviti ini dijalankan 4 hari dalam seminggu kerana penglibatan murid yang amat memberangsangkan. Latihan yang telah disiapkan perlu dihantar oleh murid melalui hantaran screenshot kepada pengkaji untuk maklum balas. Data yang diperoleh oleh pengkaji adalah secara real time sebagai bukti pentaksiran berlaku. Secara tidak langsung, ia memudahkan kerja guru untuk menyemak dan memberi latihan pengukuhan sekiranya perlu. Rajah 4 Pautan Quizizz yang Dihantar Mengandungi Latihan yang Perlu Disiapkan oleh Murid Pemerhatian 1 Murid amat teruja menggunakan Quizizz kerana boleh diakses di mana-mana sahaja dan amat menyeronokan. Ganjaran diberikan kepada murid yang berjaya menjawab dengan tepat dan pantas. Refleksi menunjukkan murid aktif menjawab soalan dalam Quizizz walaupun mendapat markah yang rendah pada bulan Februari tetapi mereka mulai mendapat markah yang lebih baik selepas beberapa kali sesi latihan dan juga impak maklum balas daripada pengkaji.


364 Rajah 5 Pencapaian Markah yang Semakin Meningkat Hasil daripada Penglibatan Aktif Murid untuk Menjawab Soalan dengan Tepat ii) Aktiviti 2: Ujian Kilat Tepat K1 (Februari 2021-Mac 2021) Pengkaji turut membina soalan-soalan klon Sejarah SPM untuk Kertas 1 melalui Google Form mengikut standard kandungan dan pembelajaran. Pautan Google Form dikongsi dalam WhatsApp Group kelas untuk diakses oleh murid. Soalan-soalan daripada bab yang berbeza diberikan 3 kali seminggu daripada bulan Mac hingga Ogos 2020 diikuti dengan soalan-soalan SPM sebenar bermula September 2020 hingga Mac 2021. Maklum balas secara real time akan memberi impak kepada pembelajaran murid supaya mereka dapat mengetahui tahap penguasaan kendiri dalam pembelajaran mereka. Rajah 6 Pautan Google Form K1 yang Dibina oleh Pengkaji


365 Pemerhatian 2 Refleksi menunjukkan hasil tugasan murid pada bulan Februari mula bermotivasi untuk belajar menggunakan kaedah KOOL KIT 4.0. Rajah 7 Murid Amat Bermotivasi untuk Menjawab Soalan-Soalan Latih Tubi Menggunakan Aplikasi Google Form b) Intervensi 3: Penanda Buku Ajaib ( Februari 2020 - Mac 2021) Murid sering memberi alasan tidak menyiapkan tugasan disebabkan isu buku teks yang tebal dan sukar mencari fakta penting daripada buku teks. Pengkaji mengatasi isu ini dengan membina modul pengajaran mengikut standard kandungan dan pembelajaran berdasarkan buku teks dengan menggunakan kaedah QR Code dan diletakkan pada penanda buku. Penggunaan bahan bantu belajar yang menarik dengan soalan-soalan Sejarah K1 dan K2 SPM. Murid dibekalkan dengan penanda buku yang mengandungi QR Code di mana murid boleh mendapatkan bahan modul daripada penanda buku menggunakan telefon pintar. Latihan yang disertakan contoh jawapan memudahkan murid membuat latihan kendiri secara bermakna. Pengkaji akan memberi ganjaran kepada murid yang cepat menghantar tugasan dengan tepat. Markah diperoleh setelah pengkaji siap memeriksa latihan murid. Pengkaji akan menjalankan aktiviti ini 3 kali seminggu dengan soalan-soalan daripada bab yang berbeza. Latihan ini diberikan mengikut bab dari bulan Januari hingga Ogos 2020 dan seterusnya murid akan diuji dengan soalan-soalan SPM sebenar dari bulan September 2020 hingga Mac 2021.


366 Rajah 8 Penanda Buku Ajaib Mengandungi QR Code untuk Murid Mendapat Akses kepada Modul dan Soalan-soalan Sejarah Rajah 9 Penanda Buku Ajaib Mengandungi QR Code untuk Murid Mendapat Akses kepada Modul dan Soalan-soalan Sejarah Pemerhatian 3 Murid menunjukkan tahap penguasaan kemahiran menjawab soalan yang tinggi dan amat bermotivasi untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Mereka juga menunjukkan minat untuk membuat latihan secara kendiri di rumah dengan menggunakan latihan yang terdapat pada penanda buku ajaib kerana skema jawapan disediakan. Secara tidak langsung hal ini dapat meningkatkan pemahaman mereka berkaitan bab yang diuji.


367 Refleksi menunjukkan hasil tugasan murid yang lengkap dengan jawapan yang tepat. Murid berjaya menguasai kemahiran menjawab K1 Sejarah dengan mendapat markah yang tinggi. Hal ini dibuktikan berdasarkan gambar hasil tugasan murid yang diambil dalam bulan Oktober 2020. Rajah 10 Murid Berjaya Menguasai Kandungan Bab dan Kemahiran Menjawab Soalan dengan Tepat Menggunakan Modul yang Boleh Diakses daripada Penanda Buku Ajaib Rajah 11 Kandungan Modul yang Terdapat dalam QR Code Dijadikan Isi Kandungan Bab Aplikasi Tik Tok Serta Dikongsi kepada Semua Murid sebagai Bahan Bantu Belajar Sewaktu PdPR Intervensi 4 : Rantai Kunci Cinta Hatiku (Februari 2020 – Mac 2021) Pengkaji membina Modul Sejarah K2 yang mana soalan-soalan ini dijana menggunakan QR Code dan diletakkan pada rantai kunci untuk memudahkan murid membawanya ke mana sahaja. Pengkaji memberi murid kerja rumah dan murid boleh melaksanakan tugasan dengan mengimbas QR Code menggunakan telefon pintar untuk menyiapkan tugasan.


368 Tugasan murid yang lengkap akan disemak sebagai bukti tugasan telah dilengkapkan dan disemak. Pengkaji akan memberi tugasan tersebut seminggu sekali dari bulan Februari 2020 hingga Mac 2021. Kandungan daripada Rantai Kunci Cinta Hatiku dijadikan bahan bantu belajar melalui FB Live dan aplikasi Tik Tok turut digunakan dalam PdPR menjadikan suasana pembelajaran lebih menarik dan murid lebih teruja untuk belajar. Pautan FB Live dan Tik Tok dikongsi dalam WhatsApp Group kelas supaya murid dapat menonton dan belajar mengingat fakta-fakta Sejarah secara santai tetapi berjaya mencapai matlamat pembelajaran. Murid juga boleh memberi respon semasa sesi FB Live. Hal ini, akan dapat memberi keyakinan kepada murid untuk lebih berdaya saing dan berani mengemukakan pendapat dan menjawab soalan. Rajah 12 Rantai kunci Cinta Hatiku Mengandungi Soalan-soalan Sejarah K2 dan Kandungan Modul Diaplikasi dalam FB Live dan Tik Tok untuk Menarik Minat Murid Menguasai Isi Kandungan serta Kemahiran Menjawab Pemerhatian 4 Murid lebih fokus dan lebih bertanggungjawab dalam menyiapkan tugasan yang diberi. Kehadiran murid semasa FB Live dan tontonan Tik Tok amat memberangsangkan di mana mereka lebih berminat untuk mencuba situasi pembelajaran norma baharu yang lebih menyeronokkan. Refleksi menunjukkan murid lebih berdaya saing dalam menyiapkan tugasan kerana ada kalanya pengkaji akan memberikan tugasan secara berkumpulan. Hasil tugasan yang lengkap secara kolaboratif menjadikan murid lebih kreatif dan kritis. Tugasan yang lengkap akan disemak dan diberi maklum balas oleh pengkaji supaya murid dapat melakukan penambahbaikan.


369 Rajah 13 Hasil Tugasan Murid Yang Lengkap dan Dilaksanakan secara Kolaboratif. Mutu Jawapan yang Berkualiti dan Menunjukkan Murid Menguasai Kemahiran Menjawab Soalan Rajah 14 Peningkatan Pencapaian Subjek Sejarah Tingkatan 5 SO Graf menunjukkan peningkatan pencapaian peratus lulus subjek Sejarah murid tingkatan 5SO. Ini jelas membuktikan bahawa intervensi yang digunakan telah berjaya di mana selepas pelaksanaan intervensi, peningkatan pencapaian dari 45% pada ujian 1 kepada 50% pada ujian 2, seterusnya meningkat kepada 65% pada peperiksaan percubaan SPM dan akhirnya berlaku peningkatan yang memberangsangkan kepada 85% pada peperiksaan SPM 2020. Peningkatan peratusan lulus ini turut menyumbang kepada peningkatan layak sijil SMK Dulang 2020 kepada 84.07% pada tahun 2020 berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 69%. Analisis data ini jelas menunjukkan murid lebih berminat dan mudah faham dengan penggunaan bahan bantu belajar yang tepat dan menarik. Ia mudah diakses dan boleh dimuat turun menggunakan aplikasi QR Code. Bahan PdPR dan latihan yang ditonjolkan dalam KOOL KIT 4.0 mampu menarik minat murid untuk belajar dan memahami kandungan pembelajaran. Perkara ini juga dibuktikan dengan kajian daripada Che Suriani dan Fariza (2014), yang mengatakan bahawa penggunaan teknologi secara langsung dapat menarik minat perhatian murid untuk terus kekal fokus dengan pembelajaran mereka. Unsur ini penting dalam proses PdPR yang sedang dialami oleh semua warga pendidikan.


370 Tahap penguasaan murid memahami isi kandungan subjek serta menguasai kemahiran menjawab sebelum dan selepas penggunaan KOOL KIT 4.0 meningkat. Teknologi digital mempunyai keupayaan dalam menyampaikan sesuatu maklumat dengan cepat, tepat dan mampu menjadi daya tarikan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Melalui perkembangan penggunaan teknologi digital dan internet ini telah membuka lebih banyak peluang kepada guru dan murid untuk meraih pengetahuan dan memberi kemudahan mendapatkan maklumat serta bahan-bahan PdP dengan mudah dan pantas secara atas talian (Wan Hazenah, 2014). Kajian ini juga menunjukkan kejayaan dalam membantu murid melibatkan diri dalam PdPR seterusnya meningkatkan kefahaman murid dalam pembelajaran secara menarik dan fleksibel daripada segi masa. Para waris juga bersetuju bahawa kaedah ini memberi kesan positif kepada anak mereka dan memudahkan waris memantau tahap penguasaan murid bagi subjek Sejarah. Peningkatan peratus pencapaian layak sijil SMK Dulang terutamanya untuk subjek Sejarah meningkat pada tahun 2020 berbanding tahun-tahun sebelumnya. 10.0 RUMUSAN DAN PERBINCANGAN Berikut ialah rumusan dan perbincangan mengenai dapatan kajian berdasarkan kepada objektif kajian. 1. Membangunkan KOOL KIT 4.0 bagi Meningkatkan Motivasi Murid Mempelajari Sejarah dengan Menggunakan Bahan PdPR Bercirikan PAK 21. Pengintegrasian bahan pembelajaran dengan penggunaan teknologi digital dapat mewujudkan pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan. Oleh itu, kemahiran guru terhadap penggunaan media dan teknologi maklumat terkini seharusnya dipertingkatkan sewajarnya dengan situasi semasa. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran Sejarah, kemahiran abad ke-21 memberi suatu cabaran baharu kepada guru dan murid untuk menerapkan dan mengaplikasikan elemen ini. Subjek Sejarah sering dianggap membosankan, ketinggalan dan tidak menarik kerana perlu mengkaji ilmu dan peristiwa masa lalu serta sukar untuk menghafal fakta-fakta sejarah (Ariegusrini & Mohamad Johdi, 2009; Yong, 2013; Malar, 2013). Tetapi dengan kemahiran abad ke-21 ini dilihat dapat memberi nafas baharu yang dapat meningkatkan minat dan motivasi murid untuk meneruskan pembelajaran mereka dalam subjek Sejarah. Perkara ini selari dengan kajian Renuka et al., (2013) yang menyatakan bahawa guru perlu lebih proaktif dengan menjadi lebih kreatif dan inovatif untuk meneroka teknologi baru. Justeru, pengkaji mendapati bahawa penggunaan KOOL KIT 4.0 dapat menarik minat murid belajar Sejarah dengan mengunakan kaedah interaktif dan digital sesuai dengan minat murid dan peredaran zaman. Kepesatan perkembangan teknologi mendesak murid untuk mempunyai literasi terhadap maklumat dan media sekiranya ia tidak berlaku murid akan ketinggalan. Pembelajaran sejarah juga menekankan penggunaan sains dan teknologi dalam pengajaran sebagai kaedah yang digunakan untuk meneroka sumber yang pelbagai (Lee, 2013). KOOL KIT 4.0 yang dihasilkan ini adalah untuk membantu murid lebih bermotivasi dan fokus ketika


371 belajar Sejarah. Di samping itu juga, dapat meningkatkan kemahiran murid menjawab K1 dan K2 secara berkesan. Murid tidak lagi mudah merasa bosan dengan kaedah pengajaran guru secara konvensional apabila murid diberi peluang dan ruang untuk terlibat secara aktif dalam pembelajaran mereka. Bahan pembelajaran KOOL KIT 4.0 adalah selari dengan amalan baik instruksional PAK 21 di mana murid didedahkan dengan suasana pembelajaran norma baharu yang lebih interaktif dan menyeronokkan. Pelbagai aktiviti latihan secara digital melalui KOOL KIT 4.0 ini juga dapat meningkatkan motivasi dan keyakinan diri murid apabila mereka sendiri membina dan menguasai kemahiran menjawab K1 dan K2 secara individu atau berkumpulan secara lebih menyeronokkan dan mencabar. Dapatan ini adalah selari dengan kajian Adamson dan Lewis (2017) yang menyatakan bahawa penggunaan alat bantu mengajar akan menyebabkan murid terlibat secara aktif semasa pembelajaran berlangsung. Pengkaji juga mengamalkan pelaksanaan langkah-langkah intervensi konsep PdP daripada aras mudah kepada aras yang lebih sukar berdasarkan modul yang dibina menggunakan aplikasi digital. Murid-murid didedahkan dengan kemahiran asas menguasai fakta Sejarah terlebih dahulu supaya murid lebih faham dan secara tidak langsung dapat mengukuhkan kefahaman dan ingatan bagi kemahiran menjawab soalan Sejarah K1 dan K2. Murid-murid Kelas 5 SO ini memerlukan bahan bantu belajar dan mengajar yang dapat menarik minat mereka untuk terus menguasai kemahiran menjawab K1 dan K2 dengan baik. Penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik bukan sahaja dapat menarik minat mereka malah dapat meningkatkan penguasaan dalam kemahiran menjawab K1 dan K2 Sejarah. Sepanjang tempoh pelaksanaan kajian tindakan, murid menunjukkan minat belajar yang amat memberangsangkan apabila pengkaji menggunakan bahan pembelajaran yang terdapat dalam KOOL KIT 4.0. Murid kelihatan teruja untuk belajar sambil memberi respon dalam FB Live menggunakan kaedah PAK 21. Murid-murid lebih berminat terhadap pembelajaran Sejarah. Mereka lebih bermotivasi dan berminat untuk belajar Sejarah. Penerapan peneguhan positif seperti pujian dan kata-kata galakan membantu pengkaji meyakinkan murid untuk menyempurnakan tugasan. Melalui cara ini, murid lebih fokus dan cuba menyempurnakan tugasan sebaik mungkin. Pengalaman menghasilkan sendiri KOOL KIT 4.0 merupakan perkara paling berharga bagi pengkaji. Melalui pendekatan ini, murid-murid menunjukkan perubahan positif terutamanya semasa sesi PdPR. Penggunaan modul versi digital menggunakan aplikasi QR Code sebagai latihan kendiri dan pengukuhan bagi menjawab soalan-soalan klon SPM dapat membantu murid mengenal pasti tahap penguasaan dan pemahaman mereka secara kendiri. Modul ini dapat membantu murid menilai tahap penguasaan mereka dalam menguasai kemahiran menjawab soalan SPM sebenar. Penggunaan modul digital ini sebagai alat pentaksiran formatif membolehkan pengkaji menilai tahap penguasaan murid secara langsung semasa PdPR dilaksanakan. Ini amat penting kerana kemahiran guru dalam menyampaikan pengajaran amat mempengaruhi pencapaian akademik dan kefahaman pelajar dalam mata pelajaran Sejarah (Anuar Ahmad & Nelson Jinggan, 2015).


372 2. Meningkatkan Kemahiran Murid Menjawab Soalan Kertas 1 (K1) dan Kertas 2 (K2) Sejarah bagi Meningkatkan Prestasi Layak Sijil SPM 2020. Kajian ini telah memberi impak yang sangat baik kepada murid yang terlibat dan aktiviti pembelajaran dalam talian semakin meningkat. Seterusnya, peningkatan perkongsian bahan secara digital daripada pengkaji menyebabkan peningkatan murid semasa sesi perkongsian melalui FB Live. Selain itu, penglibatan murid dalam PdPR meningkat dan interaksi pelbagai hala berlaku antara pengkaji dan murid serta menarik perkongsian secara kolektif. Secara tidak langsung, respon secara lisan dan bertulis untuk menjawab soalan ini dapat meningkatkan kemahiran murid dalam menjawab soalan. Kajian lepas juga menunjukkan penggunaan sumber berasaskan multimedia dilihat dapat menimbulkan minat murid terhadap subjek Sejarah dan meningkatkan kreativiti murid untuk mencari maklumat atau sumber sejarah seperti dokumen, rekod bertulis, foto dan artifak (Renuka Ramakrishnan et al., 2013). PdP yang berbantukan laman sosial seperti aplikasi WhatsApp, Telegram, Instagram, Google Plus dan sebagainya perlu ditingkatkan dan diaplikasikan secara meluas. Penggunaan laman sosial dalam PdP menunjukkan keberkesanan dalam meningkatkan motivasi dan kefahaman pelajar mengenai Sejarah (Nur Syazwani et al., 2015). Selain itu, ia dapat menggalakkan penggunaan pendekatan kolaboratif (teknologi, komunikasi dan kemahiran sepasukan antara guru dan murid serta perkongsian ilmu dengan rakan-rakan di mana pendekatan kolaboratif mampu membantu mereka belajar dengan lebih berkesan (Sumarli & Eka Murdani, 2015). Di samping itu juga, kaedah ini amat bersesuaian dengan teori pembelajaran konstruktivisme di mana guru mengambil kira pengetahuan sedia ada murid serta menggalakkan murid menghubungkan idea asal dan idea baharu bagi menstruktur semula idea mereka dalam suasana pembelajaran kolaboratif antara guru, murid dan bahan pembelajaran (Wang Chenyu 2011; Abu Hassan, 2003). Melalui kajian ini juga, banyak perubahan yang berlaku dalam kalangan murid dan pengkaji. Murid mempunyai keyakinan diri yang tinggi untuk lulus Sejarah. Selain itu, murid lebih bermotivasi untuk belajar Sejarah. Murid juga mudah mengingati fakta-fakta Sejarah melalui Tik Tok, FB Live dan modul-modul yang telah ditambah baik secara digital menjadi Penanda Buku Ajaib dan Rantai Kunci Cinta Hatiku. Kaedah ini juga didapati menarik perhatian dan penglibatan guru lain untuk menarik penglibatan murid mereka dalam perkongsian bengkel teknik menjawab dan meningkatkan motivasi belajar murid. Teknik menjawab soalan menggunakan aplikasi Google Form dan Quizizz juga telah menarik minat murid untuk belajar Sejarah. Penguasaan daripada segi fakta dan kemahiran menjawab ditingkatkan melalui latih tubi soalan digital secara berulang kali menggunakan kedua-dua aplikasi ini. Pengkaji hanya bertindak sebagai pemudah cara dan membimbing murid apabila mereka memerlukan bimbingan. Murid hanya menggunakan telefon pintar untuk pembelajaran secara fleksibel dan bermakna. Ia dapat meningkatkan prestasi mata subjek Sejarah. Hasrat utama pengkaji ialah murid dapat memiliki sijil SPM untuk pembelajaran sepanjang hayat yang lebih bermakna. Kejayaan kajian ini ialah disebabkan bahan bantu belajar dan mengajar yang terdapat dalam KOOL KIT 4.0 menepati kehendak objektif kajian. Pengkaji telah berjaya mencipta


373 intervensi yang menarik dan berkesan. Justeru, pengkaji akan meneroka kaedah yang lebih menarik dan mudah dalam menghasilkan bahan pengajaran dan modul yang berkualiti serta bersifat interaktif. Selain itu, pengkaji akan membuat analisis keberkesanan intervensi agar pengkaji dapat menghasilkan bahan PdP berunsur digital yang lebih menarik dan berkesan agar murid lebih menguasai kemahiran menjawab soalan dan bermotivasi untuk belajar. Perkongsian melalui media sosial seperti FB Live, WhatsApp dan Telegram group perlu dipergiatkan supaya ia boleh digunakan secara menyeluruh oleh semua lapisan warga guru dan murid. Pada masa akan datang, pengkaji perlu menyediakan jadual yang lengkap mengandungi butiran tarikh, masa dan perincian bahan yang dikongsi supaya ia memudahkan murid dan guru yang mengikuti sesi perkongsian PdPR mendapat maklumat yang lengkap dan teratur. Pengkaji amat yakin dan positif dengan keberkesanan intervensi kajian ini yang boleh diangkat ke peringkat seterusnya. Apa yang perlu dilakukan seterusnya ialah pengkaji akan mewujudkan kolaboratif bersama-sama rakan-rakan guru Sejarah seluruh Malaysia dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, JPN Kedah untuk menyumbang bahan PdPR berkaitan subjek Sejarah SPM sepanjang pandemik COVID-19. Jalinan kepakaran dan pengetahuan dapat ditingkatkan bersama-sama tenaga pendidik seluruh Malaysia. Pengkaji amat yakin bahawa guru sangat berminat dengan penggunaan bahan PdPR yang mudah dan fleksibel. Hal ini juga, dapat membantu mengatasi isu motivasi murid dan pencapaian akademik murid semasa PdPR. 11.0 KESIMPULAN Kesimpulannya, berdasarkan hasil kajian ini, intervensi KOOL KIT 4.0 telah memberi kesan yang positif pada motivasi murid dan kemahiran menjawab soalan dengan cemerlang. Namun begitu, perlunya penambahbaikan dibuat pada kit bantu mengajar dan belajar ini, antaranya kandungan kit ini perlu disusun dengan lebih baik dan teratur agar dapat disesuaikan kepada semua peringkat umur murid dan pelbagai di peringkat sekolah menengah. Ini bagi memastikan kit ini dapat digunakan maksimum yang mungkin serta dapat menghasilkan impak yang lebih tinggi kepada semua guru dan murid. Oleh yang demikian, pada masa akan datang diharapkan lebih ramai lagi pengkaji dalam bidang ini menyumbang daripada segi idea dan kepakaran agar PdP dan PdPR dalam subjek Sejarah akan lebih menarik dan tidak membosankan malah dapat dihayati oleh murid dengan baik sekali. Kajian sebegini seharusnya dapat memberi manfaat kepada para guru khususnya dalam meningkatkan profesionalisme mereka dalam bidang perguruan. Selain itu, kajian ini juga membuktikan perkembangan sains dan teknologi memberi pengaruh yang besar dalam sektor pendidikan negara. Transformasi pendidikan dalam situasi pandemik perlu berorientasikan teknologi maklumat dan komunikasi bagi memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21. Perubahan ini berpandukan pada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai persiapan untuk menyediakan generasi yang berkualiti dan mampan dalam menghadapi cabaran abad ke-21. Secara tidak langsung, ia juga akan memberi suatu impak yang besar kepada pendidikan terutamanya dalam


374 konteks PdP subjek Sejarah. Penggunaan portal DELIMa perlu digunakan secara optimum oleh semua guru dan murid untuk kelangsungan PdP yang berkualiti. Oleh itu, tahap profesionalisme guru Sejarah dalam bidang teknologi maklumat perlu ditingkatkan mengikut keperluan semasa. Antara aspek untuk meningkatkan profesionalisme, guru perlu sentiasa peka dengan setiap perubahan dasar yang berlaku dalam sistem pendidikan serta memahami matlamat, visi dan misi yang ingin dicapai. Selain itu, guru Sejarah juga perlu sentiasa dinamik dan lebih kreatif dengan mencipta inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran seiring dengan keperluan abad ke-21 untuk mencapai matlamat gelombang 3 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.


375 RUJUKAN Ahmad, A., & Jinggan, N. (2017). Pengaruh kompetensi kemahiran guru dalam pengajaran terhadap pencapaian akademik murid dalam mata pelajaran Sejarah. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 3(2), 1-11. Akar, H. (2020). Anuar Ahmad & Nelson Jinggan. (2015). Pengaruh kompetensi kemahiran guru dalam pengajaran terhadap pencapaian akademik dalam mata pelajaran sejarah. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 3(2): 1-11. Kaviza, M. (2020). Hubungan antara amalan kemahiran 4C dan pencapaian sejarah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(12), 405-412. Kementerian Pelajaran Malaysia (2017). Kurikulum standard sekolah menengah. Kementerian Pelajaran Malaysia: Putrajaya. Lee Bih Ni. 2013. ICT dan Pengajaran-Pembelajaran Sejarah di Sekolah. Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi 2013. Universiti Malaysia Sabah, Sabah. Malar a/p Muthiah.2013. Kesan Kaedah STAD Terhadap Ketekalan Pengetahuan Sejarah dan Kemahiran Sosial Murid Tingkatan Dua. Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi 2013. Universiti Malaysia Sabah, Sabah. Masyuniza Yunos & Zamri Mahamod. 2013. Penyepaduan Kemahiran Abad Ke-21 Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Seminar Pascasiswazah Pendidikan Bahasa Melayu & Kesusasteraan Melayu Kali Pertama 2013. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Mohamad Johdi Bin Salleh & Ariegusrini Bte Agus. 2009. Transformasi Pengajaran Sejarah Berasaskan Multimedia. Dlm Abdul Razaq & Isjoni. Transformasi Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah. Penerbitan Bersama: Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dan FKIP, Universitas Riau, Pekan Baru Indonesia. hlm.113 – 126. Mohd Samsudin & Shahizan Shaharuddin. (2012). Pendidikan dan pengajaran mata pelajaran sejarah di sekolah di Malaysia. Malaysian Journal of History, Politics & Strategy, 39 (2): 116-141. Mookan, N., Ahmad, A. R., & Othman, N. (2021). Pendekatan kepelbagaian pengajaran dari aspek penyampaian, alat bantu mengajar, pedagogi dan peneguhan dalam pembelajaran sejarah. Jurnal Dunia Pendidikan, 3(1), 227-238. Nor Erna Abu & E.K. Leong. (2014). Hubungan antara sikap,minat, pengajaran guru dan pengaruh rakan sebaya terhadap pencapaian matematik tingkatan 4. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik, 2(1): 1-10.


376 Nur Syazwani Abdul talib, Kamarul zaman Abdul Ghani & Nur Azuki Yusuff. (2016). Tahap pengetahuan dan sikap graduan IPT serta hubungannya dengan minat terhadap sejarah: usaha awal memupuk semanagt cinta negara. Jurnal Pemikir Pendidikan, 7, 57-72. Renuka Ramakrishnan, Norizan Esa, & Siti Hawa Abdullah. 2013. Kesan Penggunaan Sumber Digital terhadap Amalan Pemikiran Sejarah. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Sri Wahyuni Marimun & Anuar Ahmad. (2019). Tahap Kesediaan Pelajar Melayu Mempelajari Sejarah di Sekolah Aliran Cina SRJK (C) menggunakan bahasa Mandarin dan hubungannya dengan pencapaian. International Journal of Humanities, Philosophy and Language, 2(7), 93-106. Sumarli & Eka Murdani. 2015. Model Pembelajaran Kolaboratif dengan Tutor Sebaya pada Pokok Bahasan Rangkaian Seri-Paralel Hambatan Listrik. JRKPF UAD Vol.1 No.2 Utusan Melayu. 2014 Wang, Chenyu (2011) Design of the Model of Constructivist Learning Theory for Moral Education in Physical Education Teaching, International Education Studies, 4(3), 62-65. Zaki Ahmad & Zaki Abd. Rahman. 2014. Intrinsik Dan Ekstrinsik : Tinjauan Motivasi Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Agama. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.


377 PEMBUDAYAAN KAJIAN TINDAKAN DALAM KALANGAN GURU ZALIZA MD YASIN, M. SELVARAJAH A/L MANIKAM, URA PIN @ CHUM, DEWANI GOLOI, AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNRI, NURHAFIZAH ABDUL MUSID Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM [email protected] ABSTRAK Kajian Tindakan (KT) merupakan satu aktiviti dalam bidang pendidikan yang penting dilaksanakan oleh para pendidik untuk menangani isu dalam profesion masing-masing dan sentiasa berusaha menambah baik tahap amalan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah atau dalam pengurusan pendidikan. Oleh yang demikian, amalan pembudayaan KT perlu dipandang serius dan digalakkan secara berterusan. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan untuk mengkaji amalan pembudayaan KT dalam kalangan guru sekolah rendah dan sekolah menengah. Amalan yang dikaji adalah dalam konteks sikap, pengetahuan dan kemahiran menjalankan KT berdasarkan faktor demografi. Kajian ini juga meninjau cabaran yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan KT sebelum dan semasa pandemik COVID-19. Sampel kajian terdiri daripada 1,670 orang guru sekolah rendah dan 1,640 orang guru sekolah menengah. Instrumen yang digunakan adalah soal selidik dan analisis data secara statistik deskriptif dan inferensi. Dapatan menunjukkan bahawa sikap, pengetahuan dan kemahiran guru dalam KT adalah pada tahap sederhana bagi sekolah rendah serta pada tahap tinggi bagi sekolah menengah. Tidak terdapat perbezaan amalan KT guru berdasarkan lokasi, jantina dan kelayakan akademik. Tahap pembudayaan KT oleh guru sekolah menengah adalah lebih tinggi berbanding guru sekolah rendah. Cabaran utama guru dalam melaksanakan KT sebelum pandemik COVID-19 adalah tiada pengalaman/pengetahuan KT, tiada kemahiran membina instrumen. Manakala cabaran utama semasa pandemik COVID-19 adalah kesukaran mengumpul data, kekangan masa dan kurang mendapat kerjasama daripada murid. Kata kunci: kajian tindakan, pembudayaan, refleksi, pemerhatian, perancangan


378 1.0 PENGENALAN Pembudayaan Kajian Tindakan (KT) merupakan satu aktiviti penting dalam pembangunan profesionalisme guru secara berterusan. KT dalam kalangan guru bukan sahaja boleh dijalankan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah tetapi juga boleh digunakan untuk memperkukuh pengurusan di sekolah. KT secara umumnya dapat dijelaskan sebagai satu bentuk kajian untuk mengenal pasti masalah yang wujud dalam sesebuah komuniti dan mencari kaedah penyelesaian terbaik bagi masalah tersebut. 2.0 PERNYATAAN MASALAH Pembudayaan KT sangat diutamakan dalam sistem pendidikan di negara kita. Walau bagaimanapun, didapati pembudayaan KT dalam kalangan guru di Malaysia masih kurang menggalakkan walaupun pelbagai usaha telah dibuat seperti menjalankan kursus, bengkel dan seminar penyelidikan, serta memberi peruntukan kewangan kepada para guru bagi menjalankan KT dan sebagainya. Guru didapati masih memerlukan bimbingan dalam melaksanakan KT di sekolah. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan kajian terperinci wajar dijalankan untuk mengkaji amalan pembudayaan KT dalam kalangan guru sekolah rendah dan menengah di Malaysia. Hal ini selaras dengan hasrat KPM untuk menjadikan KT sebagai suatu amalan rutin atau kelaziman kepada setiap guru. 3.0 KERANGKA KONSEPTUAL KAJIAN Kajian ini dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat daripada guru berkaitan pelaksanaan KT dalam kalangan guru daripada segi sikap, pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menjadikan KT sebagai suatu amalan kebiasaan di sekolah. 4.0 TUJUAN KAJIAN Kajian ini adalah bertujuan untuk mengkaji amalan pembudayaan KT dalam kalangan guru sekolah rendah dan menengah. 5.0 OBJEKTIF KAJIAN Objektif kajian ini adalah: i) mengenal pasti tahap pembudayaan KT dalam kalangan guru berdasarkan sikap, pengetahuan dan kemahiran; • Guru Sekolah Rendah • Guru Sekolah Menengah Pelaksanaan KT dalam Kalangan Guru Amalan Pembudayaan Kajian Tindakan dalam Kalangan Guru • Sikap • Pengetahuan • Kemahiran


379 ii) mengenal pasti tahap pembudayaan KT guru berdasarkan faktor demografi; iii) Mengenal pasti perbezaan pembudayaan menjalankan KT antara guru yang pernah membuat KT dengan guru yang tidak pernah membuat KT berdasarkan sikap, pengetahuan dan kemahiran; dan iv) Mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan KT. 6.0 TINJAUAN LITERATUR Pada tahun 1990-an, idea “guru sebagai penyelidik” telah menjadi sebahagian daripada kandungan kursus program praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sehingga kini. Kegiatan KT terus mendapat perhatian daripada KPM dari tahun 1993 hingga 1996 apabila projek Programme for Innovation, Excellence and Research (PIER) dilaksanakan dengan peruntukan Pinjaman Bank Dunia Sektor Pendidikan Rendah dan Menengah Ketiga. Program PIER diurus setiakan oleh Unit Penyelidikan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP). Selepas PIER tamat pada tahun 1996, BPPDP telah meneruskan usaha memupuk budaya penyelidikan melalui KT sehingga kini dengan menggunakan pelbagai peruntukan kewangan iaitu daripada Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan KPM sendiri. Usaha ini diteruskan sehingga kini melalui kursus, bengkel dan seminar KT oleh KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Kini, KT dalam pendidikan telah diperluas dan diperkasakan lagi sebagai satu medium perkongsian pintar dalam kalangan pihak yang berkepentingan untuk menambah baik sistem pendidikan sedia ada (Tor 2004, Asrul & Sitorus, 2016). 6.1 Sikap, Pengetahuan dan Kemahiran Guru Melaksanakan Kajian Tindakan Kajian yang dijalankan oleh Ikhsan Abdul Latif et al. (2017) mendapati guru mempunyai pengetahuan yang kurang terhadap teori KT (definisi, prinsip dan langkah KT). Oleh itu, guru menghadapi kesukaran dalam menghasilkan kertas cadangan untuk melaksanakan KT. Antaranya, faktor kompetensi guru yang rendah dalam menghasilkan kertas cadangan (Sadimin et al., 2017), kompetensi guru kurang dalam bidang yang terdapat dalam KT, kefahaman yang rendah dalam kalangan guru tentang kebaikan KT, kekurangan kompetensi guru dalam KT dan kekurangan produk KT yang dihasilkan oleh guru. Kajian yang dijalankan Phoebe Taruc (2016), menunjukkan guru mempunyai kefahaman dan sikap yang positif terhadap penyelidikan dan KT. Guru turut menyatakan secara positif niat mereka untuk terlibat dengan KT. Oleh itu, kajian yang dijalankan ini menyediakan justifikasi yang kukuh kepada pihak sekolah untuk menyediakan intervensi pembangunan profesional yang relevan, tepat pada masanya dan akan mendapat sambutan untuk menggalakkan lebih ramai guru terlibat dengan KT bagi meningkatkan kompetensi PdP murid. Eileen Ferrance (2000), menyatakan KT mempengaruhi kemahiran berfikir, unsur efikasi, kesungguhan untuk berkongsi dan berkomunikasi, dan sikap ke arah proses perubahan. Hal ini demikian kerana KT melibatkan individu yang berusaha untuk meningkatkan kemahiran, teknik dan strategi.


380 7.0 METODOLOGI KAJIAN Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif. Soal selidik telah diedarkan secara dalam talian (Google Form) untuk mengumpul data. Sampel kajian ini terdiri daripada guru yang mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bagi sekolah rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Teknik (SMT) serta Kolej Tingkatan 6 (KT6) bagi sekolah menengah. Pemilihan sampel bagi soal selidik menggunakan kaedah rawak berstrata. Secara keseluruhan, seramai 3,310 orang guru telah dilibatkan dalam kajian ini yang terdiri daripada 1,670 orang guru sekolah rendah dan 1,640 orang guru sekolah menengah. Data kuantitatif dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 32.0. Analisis statistik inferensi digunakan untuk menjawab soalan kajian ini ialah frekuensi, peratusan, min dan sisihan piawai. Selain itu, ujian-t tidak bersandar juga digunakan untuk melihat perbezaan sikap, pengetahuan dan kemahiran guru terhadap tahap pembudayaan KT mengikut lokasi, perbezaan tahap pembudayaan KT berdasarkan faktor demografi daripada segi jantina, lokasi, tempat bertugas dan kelayakan akademik serta perbezaan pembudayaan menjalankan KT antara guru yang pernah membuat KT dengan guru yang tidak pernah buat KT dari aspek sikap, pengetahuan dan kemahiran. Interpretasi min dapatan kajian ini menggunakan lima tahap iaitu sangat rendah (1.00- 1.49), rendah (1.50-2.49), sederhana (2.50-3.49), tinggi (3.50-4.49) dan sangat tinggi (4.50-5.00). Kajian ini juga menggunakan pendekatan kualitatif untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan KT pada tahun 2018, 2019 dan 2020. 8.0 DAPATAN KAJIAN a) Tahap Pembudayaan KT dalam Kalangan Guru Berdasarkan Sikap Secara keseluruhannya sikap guru terhadap pembudayaan KT dalam PdP berada pada tahap tinggi bagi sekolah rendah dan menengah. Perkara yang mendapat skor min tertinggi bagi guru sekolah rendah dan menengah adalah memudahkan guru menyesuaikan diri dengan perubahan dalam sistem pendidikan, aktiviti KT menyeronokkan, dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran guru dan memberi guru lebih peluang untuk mengenali murid. Walau bagaimanapun, item yang mempunyai skor min paling rendah dan pada tahap sederhana bagi kedua-dua guru sekolah rendah dan menengah adalah tidak membazirkan masa guru menjalankan KT. Dapatan juga menunjukkan sikap guru sekolah rendah dan sekolah menengah terhadap pembudayaan KT mengikut lokasi di bandar dan luar bandar adalah sama iaitu pada tahap tinggi. b) Tahap Pembudayaan KT dalam Kalangan Guru Berdasarkan Pengetahuan Dapatan menunjukkan pengetahuan guru terhadap pembudayaan KT secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana bagi sekolah rendah dan tahap tinggi bagi sekolah menengah. Skor min tertinggi bagi guru sekolah rendah dan menengah


381 adalah pengetahuan tentang proses KT, menentukan fokus KT, menentukan jenis data yang perlu dikutip, mengetahui konsep KT dan mengenal pasti masalah KT. Dapatan juga menunjukkan pengetahuan guru sekolah rendah dan menengah berada pada tahap sederhana bagi menyediakan instrumen KT, melakukan refleksi ke atas dapatan kajian, membuat catatan pemerhatian KT, bagaimana merancang KT dan bagaimana mengambil tindakan dalam KT. Selain itu, terdapat beberapa lagi perkara yang menunjukkan pengetahuan guru sekolah rendah berada pada tahap sederhana iaitu menulis laporan KT, bagaimana mereflek KT, bagaimana membuat pemerhatian dalam KT, menganalisis data KT yang dikumpul dan bagaimana berkongsi idea pengajaran KT dengan guru-guru lain. Namun begitu, analisis data juga menunjukkan terdapat enam perkara berikut berada pada tahap sederhana bagi pengetahuan guru sekolah menengah terhadap pembudayaan KT. Antaranya adalah kekurangan pengetahuan guru dalam menyediakan instrumen KT, melakukan refleksi berdasarkan dapatan kajian, menulis laporan penuh KT, pengetahuan merancang KT, membuat catatan pemerhatian KT, dan mengambil tindakan dalam KT. Analisis perbandingan akan pengetahuan guru terhadap pembudayaan KT menunjukkan tidak terdapat perbezaan antara guru di bandar dan di luar bandar. Hal ini menunjukkan pengetahuan KT guru sekolah rendah di bandar dan luar bandar adalah sama iaitu pada tahap sederhana. Begitu juga untuk sekolah menengah, tidak terdapat perbezaan bagi pengetahuan guru terhadap pembudayaan KT antara guru sekolah menengah di bandar dan di luar bandar. Dapatan menunjukkan pembudayaan KT guru sekolah menengah di bandar dan luar bandar adalah sama iaitu pada tahap yang tinggi. c) Tahap Pembudayaan KT dalam Kalangan Guru Berdasarkan Kemahiran Secara keseluruhannya, tahap kemahiran guru terhadap pembudayaan KT berada pada tahap sederhana bagi sekolah rendah manakala pada tahap tinggi bagi sekolah menengah. Terdapat tiga perkara mendapat skor min tahap tinggi bagi sekolah rendah iaitu kemahiran dalam menyepadukan hasil KT dalam pengajaran, diikuti dengan mempelajari cara berinteraksi dengan murid dan membina instrumen KT. Dapatan juga menunjukkan kemahiran guru sekolah rendah berada pada tahap sederhana dalam sembilan perkara berikut. Guru menghadapi masalah dalam membuat catatan KT, mengenal pasti masalah yang hendak dikaji, menentukan jenis data yang perlu dikutip, merancang KT, melakukan refleksi ke atas dapatan kajian, memberi maklum balas terhadap keperluan murid, menulis laporan KT, menentukan fokus KT dan menganalisis data yang diperoleh. Sementara itu, min paling tinggi bagi sekolah menengah adalah menyepadukan hasil KT dalam pengajaran guru, diikuti mempelajari cara berinteraksi dengan murid, membina instrumen KT, menentukan fokus KT dan menganalisis data yang diperoleh. Walau bagaimanapun, dapatan menunjukkan kemahiran guru sekolah menengah terhadap tujuh perkara berikut berada pada tahap sederhana iaitu membuat catatan KT, mengenal pasti masalah yang hendak dikaji, menentukan jenis data yang perlu dikutip, merancang KT, melakukan refleksi berdasarkan dapatan kajian, menulis laporan KT dan memberi maklum balas terhadap keperluan murid. Analisis perbandingan kemahiran guru di bandar dan di luar bandar terhadap pembudayaan KT menunjukkan tidak terdapat perbezaan. Hal ini menunjukkan kemahiran guru terhadap


382 pembudayaan KT guru sekolah rendah di bandar dan luar bandar adalah sama. Begitu juga, tidak terdapat perbezaan bagi kemahiran guru terhadap pembudayaan KT antara guru sekolah menengah di bandar dan di luar bandar. d) Tahap Pembudayaan KT dalam Kalangan Guru Berdasarkan Jantina Kajian ini menunjukkan tahap pembudayaan KT dalam kalangan guru lelaki (min=3.61; s.p.=0.370) dan perempuan (min=3.60; s.p.=0.389) adalah pada tahap sama dan tinggi. Analisis data juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap pembudayaan guru berdasarkan jantina. e) Tahap Pembudayaan KT dalam Kalangan Guru Berdasarkan Lokasi Hasil kajian juga menunjukkan tahap pembudayaan KT dalam kalangan guru berdasarkan lokasi bandar (min=3.60; s.p.=0.382) dan luar bandar bandar (min=3.61; s.p.=0.387) adalah pada tahap tinggi. Seterusnya, dapatan kajian juga menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap tahap pembudayaan KT guru berdasarkan lokasi. f) Tahap Pembudayaan KT dalam Kalangan Guru Berdasarkan Tempat Bertugas Dapatan menunjukkan tahap pembudayaan KT dalam kalangan guru berdasarkan tempat bertugas bagi sekolah rendah (min=3.58; s.p.=0.381) dan sekolah menengah (min=3.63; s.p.=0.386) adalah pada tahap tinggi. Namun begitu, perbandingan antara guru dalam kalangan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah terdapat perbezaan yang signifikan dalam tahap pembudayaan KT. g) Tahap Pembudayaan KT dalam Kalangan Guru Berdasarkan Kelayakan Akademik Analisis data menunjukkan tahap pembudayaan KT dalam kalangan guru siswazah (min=3.60; s.p.=0.386) dan guru bukan siswazah (min=3.64; s.p.=0.352) adalah pada tahap tinggi. Dapatan juga menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan pembudayaan KT antara guru siswazah dan guru bukan siswazah. h) Perbezaan Pembudayaan Menjalankan KT antara Guru yang Pernah Membuat KT dengan Guru yang Tidak Pernah Membuat KT Berdasarkan Sikap, Pengetahuan dan Kemahiran Dapatan menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara guru yang pernah membuat KT (min=3.92; s.p.=0.364) dengan guru yang tidak pernah membuat KT (min=3.90;s.p.=0.372) berdasarkan sikap di mana kedua-duanya berada pada tahap yang sama iaitu tahap tinggi. Dapatan juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan bagi guru yang pernah membuat KT dengan guru yang tidak pernah membuat KT berdasarkan pengetahuan. Walau bagaimanapun guru yang mempunyai pengalaman menjalankan KT pengetahuannya berada pada tahap tinggi (min=3.51; s.p.=0.482)


383 berbanding guru tidak mempunyai pengalaman KT (min=3.49; s.p.=0.505) yang mana pengetahuannya berada pada tahap sederhana. Akhir sekali dapatan menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara guru yang pernah membuat KT (min=3.48; s.p.=0.448) dengan guru yang tidak pernah membuat KT (min=3.48; s.p.=0.466) berdasarkan kemahiran. Hal ini menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara guru yang mempunyai pengalaman menjalankan KT dan guru tidak mempunyai pengalaman menjalankan KT, kemahirannya adalah pada tahap yang sama iaitu tahap sederhana. i) Cabaran yang Dihadapi oleh Guru dalam Melaksanakan KT pada 2018- 2019 Dapatan soalan terbuka menunjukkan bahawa guru tidak dapat menjalankan KT adalah disebabkan oleh tiada pengalaman menjalankan KT. Ini diikuti dengan cabaran lain seperti tiada kemahiran dalam pembinaan instrumen, kurang pengetahuan dalam melaksanakan KT, kurang kerjasama daripada murid, kurang kemahiran menulis laporan penuh KT, kurang kemahiran analisis data dan kesukaran mengumpul data. Hanya sebilangan kecil guru menyatakan bahawa kekangan masa menjadi penghalang utama dalam pembudayaan KT. j) Cabaran yang Dihadapi oleh Guru dalam Melaksanakan KT Semasa Pandemik COVID-19 (Tahun 2020) Dapatan berkaitan cabaran guru melaksanakan KT semasa pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa guru menghadapi kesukaran mengumpul data khususnya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Di samping itu dapatan juga menunjukkan halangan lain seperti kekangan masa, kurang kerjasama daripada murid, kurang pengetahuan dalam melaksanakan KT, tiada kemahiran dalam pembinaan instrumen, kurang kemahiran analisis data, kurang kemahiran penulisan laporan KT dan tiada pengalaman dalam menjalankan KT. Walau bagaimanapun, guru berpandangan beban tugas tidak merupakan halangan untuk melaksanakan KT. 9.0 KESIMPULAN Secara keseluruhan, didapati tahap pembudayaan KT dalam kalangan guru bagi sikap adalah pada tahap tinggi dan pada tahap sederhana bagi pengetahuan dan kemahiran. Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam pembudayaan KT berdasarkan jantina, lokasi, kelayakan akademik serta antara guru yang pernah membuat KT dengan guru yang tidak pernah membuat KT berdasarkan sikap, pengetahuan dan kemahiran. Guru sekolah menengah menunjukkan tahap pembudayaan KT yang lebih tinggi berbanding guru sekolah rendah. Manakala cabaran utama yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan KT adalah tiada pengalaman dan tiada kemahiran dalam membina instrumen.


384 RUJUKAN Asrul, A., & Sitorus, A. S. (2016). Strategi pendidikan anak usia dini dalam membina sumber daya manusia berkarakter. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. (1992). Laporan Kajian Keupayaan Guru-Guru Sekolah Menengah Menjalankan Kajian Tindakan di Sekolahsekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. (1994). Prosiding Seminar Kajian Tindakan Pertama (1993). Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. (1996). Kajian Tindakan: Penyelidikan dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. (1999). Laporan Pelaksanaan Program Kajian Tindakan. Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. (2008). Manual Kajian Tindakan: Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. (2009). Laporan Penilaian Kursus Jurulatih Utama Kajian Tindakan. Kementerian Pendidikan Malaysia. Burns, A. (2005). Action research: an evolving paradigm?. Language Teaching 38(2): 57-74. Eileen Ferrance. (2000). Themes in Education: Action Research. Providence, Rhode Island: Brown University. Ikhsan Abdul Latif, Dewi Retno Sari, & Riyadi. (2017). Teachers’ Competence in Creating Classroom Action Research (CAR) Proposal. Advances in Social Science, Education and Humanities Research 158: 372-380. Jamil Ahmad. (2002). Pemupukan budaya penyelidikan di kalangan guru di sekolah: satu penilaian. Universiti Kebangsaan Malaysia. Tesis PhD. Jun Zhou. (2013). Problems teachers face when doing action research and fnding possible solutions. Chinese Education and Society, 45(4), 68-80. Kementerian Pelajaran Malaysia. (2001). Pembangunan Pendidikan Malaysia 2001-2010. Kuala Lumpur. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia. Lee Soon Guan. (1997). Guru sebagai penyelidik: Faktor-faktor yang mempengaruhi kekerapan aktiviti kajian tindakan di sekolah. Tesis sarjana. Universiti Utara Malaysia.


385 Madzniyah Md. Jaafar. (2006). Pelaksanaan kajian tindakan oleh guru di sekolah. Tesis Dr. Fal. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Nunnally, J.C. (1978). Assessment of Reliability. In: Psychometric Theory (2nd ed.). New York: McGraw-Hill. Othman Lebar. (2011). Kajian tindakan dalam pendidikan: Teori dan amalan. Perak: UPSI. Phoebe Taruc. (2016). Influence of Teachers’ Beliefs and Attitude towards Action Research. Liceo Journal of Higher Education Research 12(2). Sadimin, Wahyu Hardyanto, Achmed Slamet, and Titi Prihatin. (2017). Developing an E-Module-Based Classroom Action Research Management Training Model for Teacher High School. International Journal of Education and Research 5(2): 80. Salmah Ibrahim. (2014). Hubungan amalan kajian tindakan dengan tahap profesionalisme guru. Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tesis Master. Sekaran, U. (2010). Research Methods for Business A Skill Building Approach. Journal of Education for Business Book Review 1(3). Diakses daripada https://doi.org/10.10 80/08832323.1993.10117635. Soon Seng Thah. (2007). Kursus Pemantapan Jurulatih Utama Kajian Tindakan. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. Kementerian Pelajaran Malaysia. T. Subahan Mohd. Meerah & Kamisah Othman. (2013). What is ‘Action’ in action research: A malaysian exposure. Asian Social Science, 9(16), 148-153. Tor, G. H. (2004). Masalah pembelajaran sejarah: satu kajian tindakan.


386


387 PENTAKSIRAN BILIK DARJAH: ISU, CABARAN DAN HALA TUJU DR. WAN NOR FADZILAH WAN HUSIN, DR. LOGESWARI ARUMUGAM, NOOR ALIZA NOORDIN, NOORAINI KAMARUDDIN Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM [email protected] ABSTRAK Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan salah satu komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah diperkenalkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Walaupun PBD telah diperkenalkan sejak tahun 2011 lagi, masih terdapat keluhan dalam kalangan guru berhubung dengan pelaksanaan PBD. Artikel ini membincangkan tentang pelaksanaan PBD, isu dan cabaran yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaan PBD. Selain daripada itu, artikel ini juga menghuraikan dengan lebih jelas hala tuju PBD bagi mengatasi atau meminimunkan segala cabaran. Antaranya adalah pemugaran kefahaman PBD dan penyelarasan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), penambahbaikan pelaporan PBD serta penjaminan kualiti PBD agar sejajar dengan tujuan dan matlamat pelaksanaan PBD ini. Kata Kunci: pentaksiran bilik darjah, tahap penguasaan, pemerkasaan, penjaminan kualiti


388 1.0 PENGENALAN Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan proses yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan penguasaan murid terhadap matlamat kurikulum yang dihasratkan (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019). PBD pada awalnya diperkenalkan sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) yang merupakan salah satu komponen akademik di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah diperkenalkan oleh KPM pada tahun 2011 melalui Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 3 tahun 2011 bertarikh 29 Julai 2011 (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019). Namun, penggunaan istilah PS mengelirukan ramai guru dan pentadbir sekolah, maka PS digantikan dengan istilah PBD pada tahun 2016. Sejajar dengan transformasi kurikulum, maka kaedah pentaksiran juga mengalami perubahan. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dilaksanakan secara berperingkat bermula pada tahun 2011 dan ditambah baik pada tahun 2017 agar selari dengan saranan PPPM 2013-2025. Pelaksanaan KSSR (Semakan 2017) bermula dengan Tahun 1 pada tahun 2017 dan juga Tingkatan 1 bagi Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Perubahan dan penambahbaikan kurikulum bertujuan untuk meningkatkan keberhasilan murid untuk mencapai enam aspirasi iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang disyorkan dalam PPPM (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2017). Transformasi kurikulum melibatkan perubahan ke atas kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Pentaksiran dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan perkembangan dan pencapaian pembelajaran murid bagi mengenal pasti sejauh mana murid menguasai standard pembelajaran dan dilapor secara deskriptif kepada ibu bapa. PBD membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mendapat maklum balas secara kualitatif dan kuantitatif tentang perkembangan diri murid (Ahmad & Mahamod, 2016). Maklumat daripada PBD membolehkan guru dan ibu bapa merancang tindakan susulan bagi menambah baik penguasaan dan pencapaian murid. Di samping itu, proses pembelajaran murid dapat diperkukuhkan. Bagi guru pula, pentaksiran yang berterusan akan memberi gambaran tentang kemajuan pembelajaran dan menunjukkan hasil pengajaran guru. Secara tidak langsung, guru dapat membuat refleksi, membuat analisis bagi menilai keberkesanan proses PdP seterusnya membuat penambahbaikan yang bersesuaian. PBD adalah satu pentaksiran yang holistik dan mengesan perkembangan pembelajaran secara menyeluruh mencakupi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek termasuk kognitif, psikomotor dan afektif seseorang murid. Pelbagai kecerdasan, perkembangan emosi atau sosial emosi (Stillman et al., 2018) dan sahsiah murid dapat ditaksir termasuk aspek nilai dan kompetensi yang diperlukan masa kini. Terdapat sembilan ciri PBD iaitu dirancang oleh guru, bersistem, formatif dan sumatif, pelbagai kaedah, berasaskan kriteria, menekankan perkembangan individu, mengesan perkembangan pembelajaran secara menyeluruh, membolehkan tindakan susulan dan menggalakkan pentaksiran kendiri serta rakan sebaya (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019) menjadikan PBD satu kaedah pentaksiran yang signifikan dengan kemenjadian murid seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelaksanaan PBD membuka era baharu dalam sistem pentaksiran yang terlalu berorientasikan peperiksaan, selaras dengan langkah KPM


389 memansuhkan peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan akhir tahun bagi tahap satu (Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3) di sekolah rendah mulai 2019 sebagaimana yang diwartakan dalam Surat Siaran KPM Bil 14 Tahun 2018. Peperiksaan mengukur pencapaian murid melalui gred terakhir dan ini menyebabkan guru mengajar semata-mata untuk menyediakan murid menghadapi peperiksaan (Idris, 2016; Wong, Osman & Maat, 2018). Ini menyebabkan pentaksiran formatif tidak begitu disenangi oleh guru dan beranggapan proses mengumpul maklumat sebagai bukti untuk melaporkan perkembangan murid membebankan (Ilhavenil & Noraidah, 2018, Black & Wiliam, 2009). Namun begitu, setiap murid mempunyai keupayaan dan potensi yang berbeza. Oleh itu, pendekatan yang berorientasikan peperiksaan tidak lagi relevan untuk mencungkil bakat dan mengembangkan potensi murid (Yates & Johnson, 2018). Melalui PBD yang berorientasikan perkembangan murid, guru dapat memberi tumpuan bagi menyediakan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna, di samping itu, penekanan dapat diberikan kepada pembentukan karakter murid dan pemupukan nilai murni dalam bentuk rutin harian. Menurut Acar-Erdol dan Yildizli (2018) dan Wiliam dan Leahy (2015), pentaksiran formatif dapat memberi gambaran tentang perkembangan dan kemajuan pembelajaran murid, kekuatan dan kelemahan dapat dikenal pasti serta merta, dan tindakan susulan yang bersesuaian boleh dirancang oleh guru, ibu bapa bagi meningkatkan penguasaan murid dalam PdP. Guru memainkan peranan penting dalam melaksanakan PBD dengan menentukan objektif pembelajaran berdasarkan Standard Pembelajaran yang hendak ditaksir, merancang dan membina instrumen pentaksiran, melaksanakan pentaksiran, merekod hasil pentaksiran, menganalisis maklumat pentaksiran, melapor dan membuat tindakan susulan. PBD bertujuan menambah baik pembelajaran murid melalui pentaksiran formatif, iaitu Pentaksiran Untuk Pembelajaran dan Pentaksiran Sebagai Pembelajaran. Namun begitu PBD juga boleh berlaku untuk melihat pencapaian atau penguasaan murid selepas sesuatu tempoh yang bersesuaian, melalui pentaksiran sumatif. PBD membolehkan murid, guru, ibu bapa, dan pihak sekolah mengetahui kualiti pembelajaran murid. Pentaksiran ini dilihat sebagai Pentaksiran Tentang Pembelajaran (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019). Dalam pentaksiran untuk pembelajaran, guru perlu merancang standard kandungan dan standard pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Guru perlu merancang kaedah dan instrumen pentaksiran yang bersesuaian dengan objektif pengajaran bagi memastikan murid dapat menguasai kandungan pembelajaran melalui strategi dan aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah. Pentaksiran boleh dilaksanakan oleh guru melalui kaedah pemerhatian, lisan dan bertulis atau gabungan kaedah-kaedah tersebut bergantung kepada kesesuaian. Setelah selesai beberapa kelompok bidang, kemahiran atau tema, guru menentukan tahap penguasaan murid berdasarkan standard prestasi dalam DSKP. Langkah penting disini ialah guru perlu merekod perkembangan murid di dalam templat luar talian yang disediakan atau guru boleh merekod mengikut kreativiti masing-masing. Berdasarkan rekod dan maklumat yang dianalisis, guru boleh merancang strategi atau langkah seterusnya dalam pengajaran ke arah meningkatkan pembelajaran murid dan tahap penguasaan mereka. Guru juga perlu memberikan maklum balas yang bersesuaian


390 dan tindakan susulan bagi meningkatkan tahap penguasaaan (Pattalitan Jr., 2016; Zhao, Huevel-Panhuizen, Velduis, 2017). Selain daripada itu, dalam menentukan tahap penguasaan, guru perlu menggunakan pertimbangan profesional berdasarkan kepada pengetahuan, pengalaman, input murid dan mengamalkan tanggung jawab profesional. Maklum balas daripada guru sangat penting bagi membolehkan setiap murid mendapat bimbingan yang sewajarnya berdasarkan kekuatan dan kelemahan murid tersebut tanpa perbandingan dengan murid yang lain (Black, 1998). Kajian oleh Tante (2018), mendapati maklum balas yang sesuai dan bermotivasi membolehkan murid mengetahui kesilapan sendiri dan membimbing murid menjalankan pentaksiran kendiri, namun begitu Gurman et al., (2018) mendapati guru-guru kurang memberikan maklum balas terhadap projek atau kerja kursus yang dijalankan oleh murid. Data-data daripada rekod perkembangan murid memberikan maklumat kepada guru, ibu bapa atau pihak sekolah dalam merancang penambahbaikan bagi meningkatkan penguasaan murid dalam pembelajaran. Menurut Black dan Wiliam’s (2018), pentaksiran formatif merangkumi prinsip inklusif, autentik dan mengikut kesesuian setempat. Selain daripada itu, pelaksanaan PBD yang baik akan dapat meningkatkan prestasi pembelajaran murid. Ini dibuktikan oleh Yuh dan Kenayathulla (2020) yang mendapati pelaksanaan PBD guru di SJKC adalah tinggi pada setiap peringkat PdP iaitu sebelum PdP (perancangan), semasa PdP dan selepas PdP. Dapatan kajian tersebut menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara tahap pelaksanaan PBD dengan prestasi murid. Langkah terakhir dalam pelaksanaan PBD ialah pelaporan. Pihak sekolah perlu melaporkan PBD murid kepada ibu bapa sekurang-kurangnya dua kali setahun. Pelaporan ialah proses penyampaian maklumat pentaksiran dari semasa ke semasa tentang kemajuan dan pemerolehan pengetahuan, penguasaan kemahiran, penerapan nilai, pembangunan sikap dan pencapaian murid yang dikemukakan kepada pihak berkepentingan terutamanya ibu bapa. Melalui pelaporan, ibu bapa dapat memantau perkembangan pembelajaran dan tahap penguasaan anak mereka (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019). Sebelum pelaporan diserahkan kepada ibu bapa, pihak sekolah perlu menjalankan proses penjaminan kualiti yang berterusan bagi memastikan PBD dilaksanakan sebaik-baiknya. Untuk itu, proses pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan oleh pihak pentadbir sekolah perlu dirancang dan dilaksanakan dengan berkesan. 2.0 ISU DAN CABARAN DALAM PELAKSANAAN PBD KSSR bermula secara berperingkat pada tahun 2011 dan seterusnya pada tahun 2017, KSSR (Semakan 2017) serta KSSM telah bermula. Tahun 2022 ini menunjukkan KSSR telah berusia sebelas tahun, begitu juga dengan PBD. Pemansuhan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun pada 2019 dan pembatalan UPSR serta PT3 akibat pandemik pada tahun 2020 telah mengubah persepsi umum terhadap PBD. Tambahan pula pada tahun 2021, pengumuman pemansuhan UPSR menjadikan PBD satu-satunya kaedah pentaksiran yang ada bagi melihat tahap perkembangan dan pencapaian muridmurid. Pelaksanaan PBD sejak sebelas tahun yang lalu di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah, bukanlah satu jangka masa yang singkat. Kemahiran guru dalam pelaksanaan PBD menunjukkan prestasi yang amat baik. Kajian oleh Ilhavenil et al., (2020) mendapati guru berupaya menjalankan pentaksiran melalui pelbagai aktiviti PdP


391 dan mengukur pencapaian murid menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran. Terdapat beberapa kajian berkaitan PBD telah dijalankan, antaranya ialah kajian oleh Salleh et al., (2019) dan Rosli et al., (2022) yang mendapati guru-guru telah biasa dengan pelaksanaan PBD. Siti Nor Aisah et al., (2018) dalam kajiannya mendapati guru-guru percaya bahawa pelaksanaan PBS membantu murid memperbaiki kelemahan dalam pembelajaran, mengurangkan tekanan murid dalam menghadapi peperiksaan seterusnya meningkatkan pencapaian murid. Walaupun kajian ini meliputi keseluruhan PBS, namun PBD adalah salah satu komponen PBS, maka dengan kata lain, perkembangan pembelajaran murid dapat ditaksir dengan lebih holistik melalui PBD. Guru memainkan peranan yang penting dalam PBD. Oleh yang demikian, dalam merancang PdP dan kaedah pentaksiran, guru perlu meneliti dan memahami setiap tajuk dalam DSKP, menentukan objektif pembelajaran seterusnya mengenal pasti kaedah yang sesuai. Guru perlu bersedia, mempunyai pengetahuan isi kandungan dan sentiasa meningkatkan kompetensi dalam melaksanakan pentaksiran. Menurut Lim et al., (2014), guru perlu menguasai pengetahuan kandungan, pembinaan instrumen, penentuan tahap penguasaan murid, mentafsir dan menganalisis markah ujian serta kaedah pentaksiran yang pelbagai. Guru juga perlu mentafsir keputusan pentaksiran dan membuat analisis yang sewajarnya (Aniza & Zamri, 2015), memastikan teknik dan instrumen pentaksiran sesuai dengan isi kandungan dan objektif pembelajaran (Guskey & Jung, 2013). Konsep pentaksiran formatif dan sumatif perlu jelas dan difahami sepenuhnya oleh guru malah guru seharusnya dapat melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif merentasi bidang pengajaran agar penilaian berterusan dalam PdP dapat dijalankan (Black & William, 2018; DeLuca & Johnson, 2017). Walaupun banyak kajian yang menunjukkan pelaksanaan PBD adalah baik, terdapat juga pelbagai isu dan cabaran yang sering diperkatakan oleh guru-guru terutamanya dalam media sosial. Antaranya PBD belum mencapai matlamat sepenuhnya dan pelbagai cabaran dihadapi oleh guru dalam pelaksanaan PBD yang berkesan (Aniza & Zamri, 2015, Wan Omar, 2019), guru kurang pengetahuan dalam mengendalikan ujian-ujian mengikut tahap pentaksiran sebagaimana yang dinyatakan dalam DSKP, (Abdullah et al., 2020) dan guru kurang kefahaman terhadap penentuan tahap penguasaan (Arumugham, 2020). Ali dan Veloo (2017) pula mendapati guru bias dalam menentukan tahap penguasaan, tidak amanah dan ini akan memberikan pelaporan yang tidak tepat. Setiap murid perlu dibimbing dan diberi peluang untuk mencapai sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan 3 bagi semua mata pelajaran yang merupakan tahap penguasaan minimum (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019). Tahap penguasaan minimum menunjukkan murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran atau tugasan pada sesuatu situasi. Namun, potensi dan keupayaan individu murid tidak sama. Di sinilah peranan guru untuk menambah baik PdP seterusnya mengambil tindakan susulan yang bersesuaian dengan murid masing-masing. Sekiranya murid tidak dapat mencapai tahap penguasaan minimum, intervensi yang sesuai perlu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap penguasaan murid. PBD memberi peluang dan ruang kepada guru dan murid untuk memperbaiki kelemahan dan seterusnya meningkatkan tahap penguasaan murid. Selain daripada itu, isu pelaporan juga menjadi satu cabaran yang perlu ditangani sebaik mungkin. Kajian oleh Karen Reenai dan Maslawati (2020) pula mendapati guru


392 merasakan penyediaan laporan PBD ialah satu beban dan guru juga kurang keyakinan untuk menghasilkan laporan berdasarkan format PBD. Faktor-faktor seperti kurang pengetahuan dan kefahaman PBD, bahan dan sumber yang terhad, faktor masa serta pentadbiran yang kurang cekap menyukarkan lagi proses pelaksanaan PBD dengan berkesan. Dapatan ini disokong oleh kajian (Idris et al., 2014) yang mendapati kurang pemantauan daripada pihak pentadbir, guru-guru berpengalaman sukar bekerjasama dan pengurusan sekolah yang sering mempersoalkan kredibiliti guru-guru dalam pelaksanaan PBD serta mementingkan keputusan sahaja. Pengurusan PBD di sekolah melibatkan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan. Tujuan pengurusan PBD adalah untuk memastikan pelaksanaan PBD yang berterusan, berkesan dan berkualiti di sekolah. Guru diberi autonomi untuk menjalankan PBD yang seiring dengan PdP yang sejajar dengan DSKP (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019). Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kajian oleh Ali et al., (2019) mendapati guru masih tidak mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan berkaitan dengan pelaksanaan tugas kerana masih bergantung dengan keputusan pihak pentadbir sekolah. Dapatan-dapatan kajian perlu diambil perhatian yang serius di semua peringkat sama ada peringkat pelaksanaan di sekolah hinggalah ke peringkat kementerian. Kompetensi guru yang lemah dalam melaksanakan pentaksiran akan menyebabkan perkembangan pembelajaran murid tidak dapat ditaksir dengan baik, perancangan pengajaran akan terjejas dan tidak dapat membuat keputusan yang adil. Ini akan membawa kepada pelaporan PBD yang tidak tepat yang akan menimbulkan isu ketidakpercayaan dan keraguan dalam kalangan ibu bapa (Mahaya et al., 2019). Akibatnya potensi sebenar murid-murid tidak dapat dicungkil. Peranan pentadbir juga memberi kesan ke atas pelaksanaan PBD. Pengetua/Guru Besar (PGB) harus mempunyai pengetahuan tentang PBD dan kemahiran melaksanakan PBD, selain memberi sokongan sepenuhnya kepada guru. Bagi menjayakan pelaksanaan PBD di peringkat sekolah, pihak sekolah, JPN dan PPD memainkan peranan penting untuk membantu dan memberi sokongan kepada guru. Selain daripada itu, peranan PGB adalah melaksanakan penjaminan kualiti melalui proses pementoran, pemantauan, penyelarasan dan pengesanan. Penjaminan kualiti ini merupakan piawaian untuk menentukan kualiti pelaksanaan PBD mengikut garis panduan yang ditetapkan (Bahagian Pembangunan Kurikulum, 2019). Kualiti hendaklah menjadi keutamaan dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran bagi memastikan kebolehpercayaan terhadap PBD kerana pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat. Selaras dengan itu, perkembangan pembelajaran dan tahap penguasaan murid dapat dilaporkan dengan tepat bagi membolehkan guru dan murid melakukan perubahan yang sewajarnya untuk meningkatkan PBD. 3.0 HALA TUJU PBD PBD perlu dilihat kembali secara holistik, malah aspek-aspek tertentu perlu diperkasakan lagi bagi mengatasi cabaran-cabaran tersebut. Menurut Rosli et al., (2022), dalam melahirkan insan yang bersepadu, sudah pasti transformasi demi transformasi dalam pendidikan perlu dilakukan. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya pelaksanaan PBD ini memberi impak yang signifikan seperti mana yang dihasratkan Oleh itu, hala tuju yang jelas perlu ada dan untuk itu, beberapa inisiatif bagi


393 memperkasakan PBD telah dan akan terus dilaksanakan. Antara inisiatif tersebut adalah pengukuhan kefahaman konsep PBD, pelaksanaan PBD secara dalam talian, pelaporan PBD Tahun 6 dan Tingkatan 3, penjaminan kualiti dan latihan serta bimbingan. 3.1 Pengukuhan Kefahaman Konsep PBD PBD telah diperkenalkan selaras dengan KSSR (2011) dan KSSM (2017), namun begitu, masih berlaku ketidakselarasan kefahaman konsep PBD antara guru, pentadbir sekolah, PPD dan JPN. Justeru itu, kefahaman konsep PBD perlu diselaras, diperkukuh dan diperkasakan agar semua pihak dapat melaksanakan PBD mengikut peranan masingmasing dengan berkesan. Untuk itu, beberapa langkah telah dilaksanakan iaitu: i) Penataran Kepada Guru, PPD, JPN dan Bahagian KPM Penataran ini dilakukan melalui beberapa siri Webinar termasuklah Webinar Pemerkasaan PBD yang memaparkan PBD secara umum telah dijalankan seiring dengan Program Pemerkasaan Kurikulum. Webinar bersama Bahagian-bahagian KPM termasuk IAB juga dijalankan yang memberi fokus kepada peranan pentadbir dalam pengurusan PBD dan persepsi ibu bapa serta guru terhadap PBD. ii) Infografik PBD Beberapa infografik tentang PBD telah dihasilkan dan dimuat naik ke portal BPK untuk membantu guru memahami tentang PBD. Infografik memaparkan konsep dan pelaksanaan PBD secara grafik yang menarik dan ringkas. iii) Video Penerangan Video penerangan dalam bentuk animasi yang menarik telah dihasilkan untuk membantu guru melaksanakan PBD dengan lebih berkesan di samping memberikan maklumat umum PBD untuk ibu bapa dan semua pihak berkepentingan. iv) Help Desk Help Desk atau meja bantuan disediakan bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan PBD serta menyelaras soalan lazim atau Frequently Asked Question (FAQ). Selain daripada itu, help desk juga membolehkan guru-guru yang masih belum menguasai pemberian TP dalam mata pelajaran tertentu dapat berhubung terus dengan pegawai mata pelajaran. 3.2 Pelaksanaan PBD Secara Dalam Talian BPK telah mengeluarkan Buku Panduan Pelaksanaan PBD Edisi ke-2 pada tahun 2019. Namun begitu, bagi membantu guru-guru melaksanakan PBD dalam situasi PdPR, satu Panduan Pelaksanaan PBD Secara Dalam Talian telah dimuat naik dalam Portal BPK. Selaras dengan PdPR yang sedang dilaksanakan, PBD akan berlaku seiring dan berterusan sama ada dalam talian atau di luar dengan menggunakan aplikasi yang sesuai. Antara peralatan komunikasi yang sesuai digunakan untuk PBD dalam talian adalah seperti telefon, komputer, tablet, mesin faksimili dan sebagainya. Manakala aplikasi komunikasi pula adalah seperti sistem pesanan mesej, suara, e-mel atau sidang video. Contoh aplikasi yang boleh digunakan adalah seperti Google Meet, Telegram, WhatsApp, Zoom dan lain-lain. KPM juga menyediakan pelantar pembelajaran Digital Educational


Click to View FlipBook Version