Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
industri perbankan dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja
Syarikat-Syarikat Pembuatan Getah hanya boleh mewakili
pekerja-pekerja dalam syarikat pembuatan getah. Jabatan Hal
Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) diberi tanggungjawab untuk
memastikan kesatuan sekerja di Malaysia didaftar mengikut
peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang.
Pemisahan kesatuan sekerja mengikut pertubuhan, tred,
industri dan jawatan telah bermula sejak penubuhan kesatuan
sekerja di Tanah Melayu bagi membendung penularan
ideologi komunis dalam kalangan ahli kesatuan. Langkah
mengasingkan keahlian kesatuan sekerja mengikut pertubuhan,
tred, industri dan jawatan ini menyebabkan kesatuan sekerja
terpaksa bergerak dalam skala yang kecil dan ini tindakan ini
berjaya membantutkan usaha penyebaran gerakan komunis
dalam kalangan ahli kesatuan sekerja pada masa tersebut (Wu,
1982). Sehingga kini, kelayakan kesatuan sekerja memainkan
faktor penting dalam penubuhan kesatuan sekerja di Malaysia.
Menurut hakim dalam kes Minister of Labour & Manpower lawan
Paterson Candy (M) Sdn. Bhd. [1980] 2 MLJ 122, hanya kesatuan
sekerja di Malaysia yang didaftar berdasarkan pertubuhan,
tred dan industri sahaja dibenarkan untuk menjalankan
aktiviti kesatuan secara sah. Selain itu, pekerja-pekerja hanya
boleh menjadi ahli kesatuan mengikut lokasi mereka bekerja
sama ada di Semenanjung, Sabah atau Sarawak. Keadaan ini
menyebabkan kesatuan sekerja di Malaysia bergerak mengikut
pertubuhan, tred, industri, jawatan dan lokasi masing-masing.
Menurut Ramasamy (2015) gerakan kesatuan sekerja mengikut
pertubuhan, tred, industri dan jawatan menyebabkan kesatuan
sekerja bergerak dalam skala yang kecil dan tidak efektif
(Ramasamy, 2015). Ini dapat dilihat dari arah aliran kepadatan
kesatuan sekerja di Malaysia.
125
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
Jadual 4.1 Kepadatan Kesatuan Sekerja Malaysia (2006-2016)
Tahun Kepadatan Kesatuan Sekerja (%)
2006 10.5
2007 10.3
2008 10.1
2009 9.9
2010 9.1
2011 8.5
2012 9.3
2013 9.4
2014 9.2
2015 8.8
2016 8.8
Sumber: Pertubuhan Buruh Antarabangsa, 2021
Jadual 4.1 menunjukkan kepadatan kesatuan sekerja di
Malaysia adalah paling tinggi pada tahun 2006, iaitu sebanyak
10.5 peratus dan kepadatan telah berterusan menurun
sehingga tahun 2011 di mana kepadatan kesatuan sekerja
adalah paling rendah, iaitu 8.5 peratus. Seterusnya pada tahun
2014 kepadatan kesatuan sekerja kembali meningkat ke 9.4
peratus dan kemudian kembali menurun dan kekal pada 8.8
peratus sehingga tahun 2016. Senario ini menunjukkan trend
perkembangan kesatuan sekerja yang tidak stabil di Malaysia.
Menurut Kuruvilla et al. (2002) faktor-faktor seperti perubahan
ekonomi, ideologi politik dan undang-undang sesebuah negara
memberi kesan pada kepadatan dan pertumbuhan kesatuan
sekerja.
Dalam kes Electrical Industry Workers Union (EIWU) lawan
Registrar of Trade Unions [1976] 1 MLJ 177, Kesatuan Pekerja-
Pekerja Perusahaan Letrik ingin mewakili pekerja-pekerja
Mosanto Electronics Sdn. Bhd. Peraturan 3 Perlembagaan
Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik menyatakan
126
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
keahlian kesatuan sekerja adalah untuk semua pekerja kecuali
pekerja pengurusan, pekerja sulit dan kerahsiaan dan pekerja
keselamatan, dan terlibat dalam aktiviti penghasilan dan
pembaikan sel kering, bateri, penghasilan dan pembaikan
penghawa dingin dan peti sejuk dan penghasilan dan pembaikan
pelbagai radas elektrik. Mahkamah memutuskan Kesatuan
Pekerja-Pekerja Perusahaan Letrik tidak layak mewakili
pekerja-pekerja tersebut kerana mereka tidak terlibat dalam
aktiviti penghasilan dan pembaikan produk elektrik. Pekerja-
pekerja Mosanto Electronics Sdn. Bhd. seharusnya diwakili oleh
kesatuan sekerja elektronik memandangkan mereka terlibat
dalam aktiviti penghasilan dan pembaikan produk elektronik.
Walaupun di negara lain pekerja elektrik dan elektronik bergerak
sebagai satu kesatuan sekerja, di Malaysia pekerja elektrik dan
elektronik diwakili oleh kesatuan sekerja yang berasingan. Hal
ini kerana faktor ekonomi dan pelabur asing memberi pengaruh
besar pada perkembangan kesatuan sekerja di Malaysia (Wad,
2012). Sektor elektrikal dan elektronik menjadi tulang belakang
kepada ekonomi negara dan sebagai penyumbang penting
kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) (Zainuddin,
2020). Hal ini dapat dilihat, iaitu pada tahun 2016 hingga 2020,
sektor ini berkembang pada kadar 5.6 peratus setahun dan pada
tahun 2020 sektor elektrikal dan elektronik telah menyumbang
RM86.1 bilion atau 6.4 peratus kepada KDNK Malaysia,
sementara nilai eksport pula mencecah RM380 bilion (Jabatan
Statistik Malaysia, 2020). Selain itu, sektor elektrik dan elektronik
mendominasi eksport negara dengan sumbangan 45.6 peratus
atau RM386.1 bilion pada 2020. Oleh itu, walaupun kesatuan
sekerja elektrik dan elektronik memainkan peranan penting
dalam mewakili hak pekerja, namun demikian, aktiviti kesatuan
sekerja yang terkawal dan selamat adalah penting bagi menarik
minat dan kepercayaan pelabur asing terhadap sektor elektrik
dan elektronik di Malaysia.
Kesatuan sekerja yang kompeten merupakan satu kriteria
terpenting dalam proses pengiktirafan kesatuan sekerja. Hal ini
127
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
bermaksud hanya kesatuan sekerja yang berlatarbelakangkan
pertubuhan, tred, industri dan jawatan yang serupa dengan
pekerja layak untuk mewakili pekerja untuk berunding
dengan majikan. Menurut APP 1967, KPKS diberi kuasa
untuk menentukan kelayakan sesebuah kesatuan sekerja bagi
tujuan pengiktirafan (Seksyen 26(3)). Apabila aduan berkenaan
permohonan pengiktirafan kesatuan sekerja dibuat, KPPP akan
merujuk perkara tersebut kepada KPKS bagi menentukan
kelayakan kesatuan sekerja. Perkara ini dinyatakan dengan jelas
dalam kes Marulee M Sdn Bhd lawan Menteri Sumber Manusia &
Anor [2007] 6 MLJ 222) seperti berikut:
Keputusan-keputusan penyiasatan-penyiasatan
yang telah dijalankan oleh KPPP dan jabatan KPKS
adalah bahan yang penting untuk membolehkan
DGIR pada peringkat pertama menyelesaikan
pertikaian ini. Laporan-laporan ini adalah
relevan dan bahan yang penting dalam membuat
pertimbangan keputusan oleh Menteri di bawah
s 9(5)Akta tersebut. Penyerahan laporan-laporan
ini kepada menteri membuktikan bahawa Menteri
telah dimaklumkan secukupnya dan menilai
fakta-fakta relevan bagi membolehkannya untuk
membuat pertimbangan keputusan atas isu tuntutan
pengiktirafan yang tidak dapat diselesaikan oleh
KPPP. Menteri jelasnya berhak untuk berpegang
kepada laporan yang telah diserahkan.
Penentuan kelayakan kesatuan sekerja adalah mengikut budi
bicara KPKS (Peguam Negara Malaysia lawan Kesatuan Pekerja-
Pekerja Kimia Malaysia [1971] 1 MLJ). KPKS diberikan budi
bicara yang luas menentukan sama ada kesatuan sekerja
tersebut adalah serupa dengan pekerja yang hendak diwakili.
Menurut mahkamah, “serupa” bermaksud serupa menurut
128
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
pendapat dan budi bicara KPKS (Metal Industries Employees’
Union lawan Registrar of Trade Unions [1976] 1 MLJ 80). Malahan,
mahkamah juga tidak masuk campur dengan keputusan KPKS
dalam penentuan kelayakan kesatuan sekerja. Prinsip ini dapat
dilihat dalam kes Electrical Industry Workers Union lawan Registrar
of Trade Unions [1976] 1 MLJ 177 di mana mahkamah bertegas
untuk enggan masuk campur bidang kuasa KPKS dalam
menentukan kelayakan kesatuan sekerja. Walau bagaimanapun,
KPKS perlu menggunakan kuasa yang diberi dengan berhati-
hati dan waspada (Tanjong Jaga Sdn. Bhd. lawan Minister of Labour
& Manpower [1987] 1 MLJ 124). Oleh itu, bagi memastikan
keadilan dalam proses pengiktirafan, KPKS perlu menjalankan
proses siasatan yang adil dan telus seperti contoh membuat
lawatan ke tempat kerja dan menemu bual pekerja dan majikan.
Semua maklumat penting perlu dikumpul dan kriteria-kriteria
tertentu disediakan bagi sebagai garis panduan bagi membantu
KPKS membuat keputusan kelayakan. Dalam sesetangah
keadaan, KPKS akan merujuk pendapat pakar dan industri
bagi memastikan kesatuan sekerja layak diberi pengiktirafan.
Kaedah penentuan kelayakan kesatuan sekerja dijelaskan oleh
mahkamah dalam kes Euromedical Industries Sdn. Bhd. lawan Menteri
Sumber Manusia & Yang Lain [1998] MLJU 68 di mana mahkamah
berpendapat skop keahlian di bawah sesebuah perlembagaan
kesatuan sekerja akan menentukan keputusan pengiktirafan
kesatuan sekerja. Dalam kes ini, permohonan pengiktirafan
yang dibuat oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja
Syarikat-Syarikat Pembuat Keluaran Getah (NUECMRP)
daripada majikan untuk mewakili pekerja-pekerja Euromedical
Industries Sdn. Bhd. telah ditolak. Aduan telah dibuat pada
KPPP dan bagi menentukan kelayakan NUECMRP, KPPP
merujuk pada KPKS untuk membuat siasatan kelayakan.
Perkara 3 Perlembagaan NUECMRP adalah seperti berikut:
129
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
Keahlian kesatuan sekerja adalah dibuka kepada
pekerja yang terlibat di dalam penghasilan semua
jenis produk getah seperti tiub dan tayar, sarung
kaki tervulkan, industri, perubatan dan bahan
getah mekanikal dan lain-lain seperti sarung tangan
getah, tikar, span dan bahan-bahan tervulkan dari
getah sintetik atau semulajadi, gutta percha, balata
atau gutta siak; tebus guna getah daripada tayar
terpakai, getah sekerap dan sisa getah; pembuatan
dan pemvulkanan tayar, pencelupan, pencampuran,
penggolekan, pemotongan dan proses yang berkaitan
dengan getah semulajadi dan di bawah umur 16
tahun dan tempat kerja di dalam Malaya;…
Berdasarkan perlembagaan tersebut, KPKS telah memutuskan
NUECMRP tidak layak untuk mewakili pekerja-pekerja
Euromedical Industries Sdn. Bhd. kerana hasil siasatan
menunjukkan hanya 47 peratus bahan getah telah ditemui
dalam produk yang dihasilkan oleh pekerja. Tambahan,
Euromedical Industries Sdn. Bhd. telah menerima Anugerah
Eksport Cemerlang pada tahun 1987 oleh Kementerian
Perdagangan dan Perindustrian Malaysia di bawah kategori
kimia, petrokimia dan plastik. Oleh itu, menurut mahkamah,
kesatuan sekerja industri kimia, petrokimia dan plastik adalah
lebih layak untuk mewakili pekerja-pekerja Euromedical
Industries Sdn. Bhd. berbanding dengan NUECMRP.
Keputusan yang sama dapat dilihat dalam kes Kesatuan
Kebangsaan Perkerja-Perkerja Syarikat-Syarikat Pembuatan Keluaran
Getah (NUECMRP) lawan YB Menteri Sumber Manusia & Anor
[2012] MLJU 620. NUECMRP telah membuat permohonan
pengiktirafan kepada majikan untuk mewakili pekerja-pekerja
syarikat kerana pekerja-pekerja tersebut bekerja dalam
penghasilan alat caterer lateks, iaitu peralatan perubatan yang
mengandungi bahan getah. Walau bagaimanapun, permohonan
tersebut ditolak atas alasan pekerja-pekerja syarikat bekerja
130
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
dalam penghasilan produk perubatan dan pembungkusan
produk di mana hanya ada 3.0% bahan getah dan 97.0 peratus
bahan bukan getah. Mahkamah dalam penghakimannya
menyatakan:
15. Daripada produk yang dihasilkan, Responden
Kedua didapati hanya mengeluarkan Latex Foley
catheters yang diperbuat daripada getah. Selain itu,
terdapat juga charters yang diperbuat daripada PVC
dan chateters ini dibeli daripada pihak luar (diimport).
16. Responden Kedua didapati lebih banyak
menjalankan aktiviti memasang, membungkus dan
mensteril peralatan-peralatan yang dibeli/diimport
daripada pembekal luar untuk menjadikan tripack,
tray kit, strip pack, suprapubic, prefilled, medicon kit dan
interglide.
17. Dalam menentukan isu kelayakan (competency),
jika terdapat pelbagai bahan mentah yang
digunakan untuk menghasilkan sesuatu produk,
maka pengukurannya adalah bahan mentah
yang digunakan mesti melebihi 51 peratus untuk
menghasilkan produk tersebut …
Daripada kes ini, dapat dirumuskan bahawa pekerja-pekerja
syarikat mestilah bekerja dalam penghasilan produk getah
yang mempunyai lebih 51 peratus bahan berasaskan getah bagi
membolehkan NUECMRP layak mewakili pekerja-pekerja.
Dapat dirumuskan bahawa kelayakan kesatuan sekerja bukan
hanya bergantung pada skop keahlian seperti dinyatakan di
bawah perlembagaan kesatuan sekerja, malahan peratusan
bahan yang dihasilkan oleh pekerja juga memainkan faktor
penting.
131
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
Cabaran untuk mendapatkan pengiktirafan kesatuan sekerja
juga dapat dalam sektor pengangkutan. Seperti contoh,
dalam kes Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-
Alat Pengangkutan (NUTEAIW) dan Sekutu lawan Menteri Sumber
Manusia & Anor [2016] MLJU 1215, Peraturan Perlembagaan
NUTEAIW menyatakan:
Peraturan 3(c):
Keahlian kesatuan ini adalah dibuka kepada semua
pekerja tetapi tidak termasuk pekerja pentadbiran,
pekerja sulit dan keselamatan yang terlibat di dalam
syarikat pembuatan, penggabungan dan membaiki
kenderaan, motosikal, basikal, traktor, jentolak,
pembuatan aksesori dan bahagian kenderaan, yang
berumur 16 tahun ke atas dan bekerja di Malaysia
Barat.
Mengikut perlembagaan kesatuan tersebut, NUTEAIW hanya
boleh mewakili dua kategori pekerja. Pertama, di mana skop
tugas pekerja berkaitan dengan pembuatan, penggabungan
dan pembaikan kenderaan. Kedua, jika berkaitan dengan
pembuatan aksesori kenderaan. NUTEAIW berpendapat
mereka layak untuk mendapat pengiktirafan memandangkan
pekerja-pekerja syarikat terlibat dalam aktiviti pembuatan audio
kereta yang dimuatkan di dalam kenderaan dan audio kereta
merupakan sebahagian daripada aksesori kenderaan. Namun
begitu, hasil siasatan kelayakan oleh KPKS mendapati keahlian
NUTEAIW adalah untuk pekerja yang terlibat dalam aktiviti
menghasilkan bahagian dan komponen asas yang penting untuk
kenderaan dan bukan hanya aksesori di mana jika tanpanya,
kenderaan masih boleh bergerak. Mahkamah bersetuju dengan
pendapat KPKS dan menyatakan bahawa frasa “aksesori
kenderaan” mestilah berkait rapat dengan bahagian atau
aksesori yang penting untuk operasi, fungsi dan pengendalian
kenderaan. Aksesori seperti rim tayar, paip ekzos dan tali kipas
132
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
jatuh di bawah kategori kedua memandangkan bahagian ini
adalah penting dalam pengendalian dan operasi kenderaan.
Berdasarkan takrifan itu juga, audio kereta merupakan aksesori
yang tidak penting dalam pengendalian dan operasi kenderaan.
Maka dalam permohonan pengiktirafan ini, pembuatan audio
kereta yang dilakukan oleh pekerja-pekerja syarikat tersebut
tidak memberi kesan kepada pengendalian kenderaan yang
dihasilkan. Tambahan, siasatan KPKS mendapati majikan
akan menghantar produk yang telah dihasilkan ke negara
atau syarikat lain untuk proses seterusnya supaya lengkap dan
boleh digunakan. Hal ini bermaksud audio yang dihasilkan
oleh pekerja-pekerja itu digabungkan oleh syarikat lain dan
bukan untuk tujuan pemasangan kereta oleh syarikat tersebut.
Maka, mahkamah mendapati keputusan untuk tidak memberi
pengiktirafan pada NUTEAIW adalah berasas dan kukuh.
Isu kelayakan NUTEAIW dalam proses pengiktirafan juga
telah timbul dalam kes Minister of Human Resources, Malaysia
lawan Diamet Klang (M) Sdn Bhd and Another Appeal [2015] 6 CLJ
181. Dalam kes ini, NUTEAIW telah membuat permohonan
untuk mewakili pekerja Diamet (Klang) Malaysia Sdn. Bhd.
(Diamet). Diamet mendakwa NUTEAIW tidak layak untuk
mewakili pekerjanya memandangkan syarikat tersebut hanya
menghasilkan komponen dan subkomponen. Tambahan,
hanya 46 peratus subkomponen yang dihasilkan oleh pekerja
digunakan untuk industri automotif. Sebaliknya, NUTEAIW
berpendapat perkataan “bahagian” dalam Peraturan 3
Perlembagaan NUTEAIW bermaksud “alat-alat pengganti
kereta”. Memandangkan Diamet mengeluarkan alat-alat
pengganti kereta berupa “Automobile and Motorcycles Engine
transmission parts, shock absorber parts” dan juga “Sintered
Oiless Bearing” yang digunakan di dalam stereng kereta, maka
alat yang dikeluarkan oleh syarikat ini jatuh dalam maksud
“bahagian” di bawah perlembagaan NUTEAIW, dan seterusnya
menunjukkan NUTEAIW layak untuk mewakili pekerja Diamet.
Mahkamah mengenepikan fakta yang dinyatakan oleh peguam
Diamet bahawa data pecahan produk yang dihasilkan memberi
133
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
kesimpulan bahawa majoriti komponen dan subkomponen
adalah bukan untuk industri automotif. Menurut mahkamah lagi,
data pecahan bukanlah merupakan satu faktor untuk diambil
kira dalam menentukan kelayakan sesebuah kesatuan sekerja
untuk diiktiraf. Mahkamah dalam kes ini merujuk kepada kes
BP Chemical (M) Sdn. Bhd. lawan Menteri Sumber Manusia & Anor
(No.R3 (1)-25-72-07) dalam penghakimannya dan menyatakan
bahawa kelayakan kesatuan sekerja untuk diiktiraf bukanlah
bergantung pada peratusan proses penghasilan kimia tetapi
melihat kepada aktiviti perniagaan majikan iaitu petroleum,
kimia dan bahan yang berasaskan petrokimia.
Dapat dilihat daripada kedua-dua kes ini bahawa proses siasatan
kelayakan dalam proses pengiktirafan kesatuan sekerja telah
memberi impak besar pada pekerja dalam industri automotif
kerana skop pekerjaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu,
pertamanya pada skop pembuatan, penyatuan dan pembaikan
kenderaan. Keduanya, dalam skop penghasilan aksesori
kenderaan dan ketiga pada skop penghasilan subkomponen
yang akan digunakan di dalam bahagian automotif. Keputusan
pengiktirafan kesatuan sekerja seperti kes-kes yang dibincangkan
ini akan mempengaruhi permohonan pengiktirafan kesatuan
sekerja pada masa hadapan. Kesannya, pekerja-pekerja yang di
luar skop perlembagaan NUTEAIW tidak dapat diwakili oleh
NUTEAIW dan seterusnya mereka tidak mendapat peluang
untuk membaiki kontrak pekerjaan mereka dengan majikan.
Keadaan ini juga menyebabkan kekurangan ahli dalam kesatuan
sekerja dan akan menyebabkan kesatuan sekerja aktiviti yang
dilakukan oleh kesatuan sekerja kurang efektif.
Kapasiti Pekerja dalam Proses Undi Sulit
Dalam proses pengiktirafan kesatuan sekerja, apabila kesatuan
sekerja diberi kelayakan oleh KPKS, suatu proses undi sulit akan
diadakan. Oleh itu, majikan perlu menghantar senarai nama
pekerja mereka untuk disemak oleh pegawai perhubungan
134
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
perusahaan. Objektif prosedur ini adalah bagi menyemak
kelayakan pekerja untuk mengundi kesatuan sekerja semasa
proses undi sulit. Menurut APP 1967, pekerja yang berada di
bawah kategori pengurusan, eksekutif, sulit, dan keselamatan
dalam syarikat majikan dikecualikan daripada mengundi
(Seksyen 9). Pengecualian ini bukan bermaksud pekerja-pekerja
di bawah kategori pengurusan, eksekutif, sulit, dan keselamatan
tidak boleh diwakili kesatuan sekerja, mereka masih boleh
diwakili asalkan kesatuan sekerja tersebut serupa dengan
kategori mereka. Pekerja-pekerja di bawah kategori pengurusan,
eksekutif, kerahsiaan dan keselamatan tidak dibenarkan
mengundi kerana kumpulan-kumpulan pekerja ini berkait
rapat dengan urusan pentadbiran syarikat majikan. Walau
bagaimanapun, penentuan kelayakan pekerja untuk mengundi
bukanlah suatu perkara yang mudah kerana takrifan atau skop
pekerja pengurusan, eksekutif, sulit dan keselamatan tidak
dinyatakan dalam APP 1967 atau Akta Pekerja 1955. Oleh itu,
KPPP berperanan untuk melakukan siasatan bagi menentukan
kelayakan pekerja untuk mengundi. Bagi membuat keputusan,
KPPP akan mengambil kira faktor seperti jawatan, gred, skop
kerja dan ganjaran yang diterima pekerja dan faktor-faktor lain
yang berkaitan untuk menentukan sama ada pekerja tersebut
di bawah kategori pengurusan, eksekutif, sulit dan keselamatan.
Tafsiran pekerja di bawah kategori pengurusan telah dibuat
oleh mahkamah dalam kes South Pacific Textile Industries Ltd lawan
Kesatuan Pekerja-Pekerja South Pacific Textile Industries Ltd. (Award
No. 6/67, 16 October 1967) [1965-67] Mal. L.L.R. 163. di mana
pekerja di bawah skop pengurusan bertanggungjawab untuk
berhubung, memindahkan, menggantung, mengingatkan,
mempromosi, memberhentikan, memberi tugasan, memberi
ganjaran atau mendisiplinkan pekerja atau bertanggungjawab
untuk mengarahkan, mengendalikan aduan pekerja, di mana
dalam menjalankan tugas tersebut, ia bukanlah hanya rutin atau
kerja perkeranian biasa tetapi lebih daripada itu. Manakala,
dalam kes Non-Metallic Mineral Products Manufacturing Employees
Union lawan United Asbestos Cement Bhd (Award No. 18/69, 23 August
135
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
1969) [1968-69] Mal. L.L.R 229 pekerja pengurusan ditakrifkan
sebagai pekerja yang terlibat dalam tugas merancang kerja
dan menggunakan tenaga kerja secara efisien, mengarah dan
mengawal pekerja di bawah jabatan dan seksyen dengan kuasa
untuk mengeluarkan arahan, menilai latihan dan prestasi pekerja
dengan kuasa untuk menyokong kenaikan pangkat, penurunan
pangkat, pemberhentian pekerja, pemindahan pekerja dan juga
untuk mendengar dan menyelesaikan aduan daripada pekerja.
Kedua-dua kes ini menunjukkan seseorang pekerja itu jatuh di
bawah kategori pengurusan jika skop pekerjaan pekerja tersebut
melibatkan aktiviti pengurusan pekerja-pekerja organisasi
majikan. Oleh itu, jika pekerja tersebut jatuh di bawah kategori
pengurusan, maka pekerja itu tidak layak untuk mengundi
kesatuan sekerja bagi tujuan pengiktirafan.
Manakala bagi tafsiran pekerja eksekutif, mahkamah telah
mentafsir pekerja eksekutif dalam beberapa kes. Dalam kes
Silverstone Bhd lawan Menteri Sumber Manusia & Anor [2005] 4 MLJ
774 dan kes Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. lawan The Honourable
Minister of Human Resources Malaysia & Anor [2018] 1 MLJ 277
mahkamah menyatakan jawatan “penyelia” yang diberikan oleh
majikan adalah di bawah kategori pekerja eksekutif. Dalam kes
Menteri Sumber Manusia lawan Association of Bank Officers, Peninsular
Malaysia [1999] 2 MLJ 337, persoalannya adalah sama ada
pekerja yang berjawatan “pegawai dalaman” ditafsir sebagai
pekerja eksekutif di bawah Seksyen 9(1) APP 1967? Siasatan
kelayakan pekerja oleh KPPP mendapati pekerja-pekerja
yang dinaikkan pangkat sebagai pegawai dalaman tersebut
tidak dikira sebagai pekerja kategori eksekutif kerana skop
pekerjaannya tidak meliputi tugas seperti menyemak laporan,
penyata dan statistik pinjaman dan menyemak dokumen
permohonan pinjaman tetapi mereka melakukan tugasan
seperti promosi produk pinjaman dan memproses dokumen.
Jika pegawai dalaman ini ditafsir sebagai pegawai eksekutif,
maka Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)
tidak boleh mewakili kumpulan pekerja tersebut dan perjanjian
kolektif yang telah dibuat tidak meliputi pekerja-pekerja
136
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
tersebut. Mahkamah menolak keputusan kelayakan tersebut dan
menyatakan bahawa pekerja-pekerja yang berjawatan pegawai
dalaman tersebut masih di bawah kategori eksekutif kerana
hanya beberapa pekerja sahaja daripada kumpulan pekerja itu
yang tidak melakukan tugas eksekutif untuk menyemak laporan,
penyata dan statistik pinjaman dan menyemak dokumen
permohonan pinjaman. Kenaikan pangkat dan penukaran
nama jawatan kepada “pegawai dalaman” bukanlah alasan yang
kukuh untuk membuatkan pekerja tersebut keluar daripada
kategori eksekutif. Kes ini menunjukkan dalam pentafsiran
kategori pekerja eksekutif, nama yang diberikan pada jawatan
pekerja tidak menjadi pemberat, sebaliknya perlu melihat skop
pekerjaan yang diberikan kepada pekerja. Tugasan menyemak
dan menyiapkan laporan dan dokumen sesebuah syarikat akan
menjadikan pekerja tersebut pekerja eksekutif.
Seterusnya, mahkamah mentafsirkan pekerja berjawatan
“penjaga” yang dilantik oleh bank adalah di bawah kategori
pekerja keselamatan dalam Seksyen 9 APP 1967 (Malayan
Commercial Banks Association lawan National Union of Bank Employees
(Award No. 69/76, 9 September 1976). Manakala dalam kes South
Pacific Textile Industries lawan Kesatuan Pekerja-Pekerja South Pacific
Textile Industries Ltd. (Award No. 6/67, 16 October 1967) (1965-
1967) Mal. L.L.R. 163 mahkamah menyatakan pekerja di bawah
kategori kerahsiaan adalah pekerja yang terlibat dalam skop
pekerjaan yang melibatkan kewangan, cukai, polisi pekerja dan
syarikat dan definisi ini telah diguna pakai dalam kes National
Union of Employees in Companies Manufacturing Rubber Products lawan
Wilkinson Rubber Process Co. Ltd. (Ind. Ct. Award No. 6, 21 March
1964) [1965-67] Mal. L.L.R. 51.
Menurut mahkamah dalam kes Bank Malaysia lawan Menteri
Sumber Manusia, Malaysia & Anor [2012] MLJU 630, KPPP perlu
merujuk kepada nama jawatan pekerja dan skop pekerjaan
daripada hanya melihat pada gred jawatan kerana gred
jawatan tidak boleh digunakan sebagai kayu pengukur untuk
menentukan sama ada pekerja di bawah kategori pengurusan,
137
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
eksekutif, kerahsiaan atau keselamatan. Selain itu, mahkamah
dalam kes Bank Islam Malaysia Bhd. lawan Yang Berhormat Menteri
Sumber Manusia, Malaysia & Anor [2016] MLJU 1595 menyatakan
KPPP tidak seharusnya hanya bergantung pada carta organisasi
syarikat majikan untuk menentukan kelayakan pekerja tetapi
perlu juga mengambil kira faktor-faktor lain seperti skim
ganjaran yang diterima pekerja bagi tujuan mengenal pasti sama
ada pekerja-pekerja tersebut di bawah kategori pengurusan,
eksekutif, kerahsiaan atau keselamatan. Siasatan kapasiti
pekerja yang adil oleh KPPP dapat dilihat dalam kes Malaysia
Airlines Berhad lawan Menteri Sumber Manusia, Malaysia dan lain-lain
[2019] MLJU 1394. Afidavit jawapan KPPP menyatakan:
Merujuk kepada perenggan 21 di Afidavit Sokongan
Pemohon, saya sesungguhnya menyatakan bahawa
dalam melaksanakan siasatan di bawah Seksyen
9(1B) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta
177) saya telah melaksanakan bidang kuasa tugas
saya selaras dengan peruntukan undang-undang.
Selain daripada itu, saya juga telah mengambil kira
skop kerja bagi seseorang penjawat, fungsi dan tugas-
tugas sebenar mereka dalam menentukan kapasiti
seseorang jawatan pekerja yang dipertikaikan.
16. Dalam melaksanakan siasatan di bawah Seksyen
9(1B) Akta 177 saya sesungguhnya telah mengambil
kira dokumen-dokumen yang dikemukakan serta
fungsi dan tugas-tugas sebenar yang dijalankan oleh
pekerja bagi jawatan-jawatan yang dipertikaikan
tersebut melalui siasatan, temuduga dan soal selidik
yang dijalankan secara mendalam.
17. Dalam melaksanakan siasatan di bawah Seksyen
9(1B) Akta 177, saya telah membuat pertimbangan
138
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
setelah menjalankan siasatan secara temu duga
secara rawak terhadap setiap seorang jawatan
pekerja yang dipertikaikan.
18. Dalam menjalankan siasatan di bawah Seksyen
9(1B) Akta 177, saya telah memberi peluang
kepada Pemohon untuk mengemukakan dokumen
yang berkaitan seperti cabin crew responsibility dan
melalui mesyuarat yang telah dijalankan. Saya
juga telah memberi peluang kepada Pemohon
untuk berbincang mengenai senarai nama pekerja-
pekerja yang dipertikaikan termasuk jawatan-
jawatan yang dipertikaikan oleh responden ketiga
melalui mesyuarat rundingan damai yang telah pun
ditetapkan.
Oleh yang demikian, KPPP dalam melaksanakan tugasnya untuk
menentukan kelayakan pekerja perlu mengambil kira pelbagai
faktor dalam menentukan kategori pekerja. Seharusnya APP
1967 perlu mentafsirkan pekerja-pekerja yang berada di bawah
kategori pengurusan, eksekutif, kerahsiaan dan keselamatan
bagi tujuan pengiktirafan kesatuan sekerja.
Menurut Rabiu & Hassan (2006) bagi memastikan keadilan
dalam proses penentuan kelayakan pekerja adalah menjadi
satu keperluan untuk merujuk pada garis panduan yang
dikeluarkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa. Tindakan
ini penting bagi menutup sebarang ruang salah tafsiran dan
bagi membendung ketidakadilan dalam proses undi sulit di
mana ia akan memberi kesan pada sokongan yang sepatutnya
diberikan pada kesatuan sekerja untuk diiktiraf.
139
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja Menurut Akta
Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020: Dimensi
Baharu
Pada tahun 2019, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah
proaktif dengan mengambil kira aduan kesatuan sekerja dan
majikan dan telah melakukan perubahan menyeluruh pada
proses pengiktirafan kesatuan sekerja. APP 1967 telah dipinda
dan kini dikenali sebagai Akta Perhubungan Perusahaan
(Pindaan) 2020. Akta yang baharu ini mula berkuatkuasa pada
Januari 2021. Beberapa peruntukan berkaitan dengan proses
pengiktirafan telah dipinda. Pertama, perubahan dapat dilihat
pada subseksyen 9(1D) di mana keputusan berhubung sama
ada seseorang pekerja digajikan dalam kapasiti pengurusan,
eksekutif, sulit atau keselamatan dan keputusan tuntutan
pengiktirafan kesatuan sekerja tidak lagi diputuskan oleh
Menteri Sumber Manusia tetapi oleh KPPP. Kuasa keputusan
pengiktirafan yang diberi pada KPPP ini diharap dapat
memendekkan masa proses pengiktirafan yang sebelum ini
memakan masa sehingga bertahun. Namun begitu, ini juga
bermakna KPPP akan diberi kuasa dan budi bicara mutlak dan
lebih luas dalam memutuskan tuntutan pengiktirafan kesatuan
pekerja.
Selain itu, Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020 ini
juga menunjukkan KPPP tidak perlu lagi merujuk permohonan
pengiktirafan kesatuan sekerja kepada KPKS untuk menentukan
kelayakan. Hal ini bermaksud KPKS tidak lagi mempunyai
kuasa untuk menentukan kelayakan kesatuan sekerja dan
kesatuan sekerja juga tidak perlu lagi membuktikan mereka
dalam pertubuhan, tred, industri dan jawatan yang serupa
dengan pekerja-pekerja yang hendak diwakili. Perubahan yang
dilakukan ini memihak pada kesatuan sekerja kerana kesatuan
sekerja kini bebas mewakili pekerja-pekerja dalam sektor yang
berbeza. Tambahan, dengan menghilangkan kuasa KPKS
dalam proses pengiktirafan kesatuan sekerja, proses pengiktirafan
kesatuan sekerja, proses pengiktirafan ini dapat dipercepatkan.
140
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
Perubahan ini walau bagaimanapun tidak memihak pada
majikan kerana lebih banyak kesatuan sekerja akan membuat
permohonan pengiktirafan untuk mewakili pekerja mereka.
Didapati juga, terdapat peruntukan baharu yang dikenali
sebagai hak berunding tunggal telah diperkenalkan dalam Akta
Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020 yang menyatakan
satu kesatuan sekerja akan dilantik mewakili kesatuan-kesatuan
sekerja yang hendak mewakili para pekerja majikan. Kesatuan
sekerja yang dilantik itu akan diberi hak berunding tunggal,
mewakili semua kesatuan sekerja yang ingin berunding dengan
majikan. Walau bagaimanapun, peruntukan-peruntukan yang
dinyatakan ini hanya akan dikuatkuasakan selepas pindaan
terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262) diluluskan
oleh Parlimen kelak.
Perubahan pada proses pengiktirafan kesatuan sekerja ini
merupakan usaha murni kerajaan bagi memastikan hak
pekerja-pekerja di Malaysia selaras dengan hak pekerja yang
disyorkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (The Edge,
2019). Pindaan baharu ini akan memberi lebih banyak peluang
kepada para pekerja untuk diwakili kesatuan sekerja yang
bersesuaian dengan mereka dan seterusnya meningkatkan
peluang para pekerja untuk memperbaiki kontrak pekerjaan
dengan majikan mereka.
Kesimpulan
Proses pengiktirafan kesatuan sekerja penting bagi memastikan
hanya kesatuan sekerja yang layak mewakili suara pekerja-
pekerja dalam perundingan secara kolektif bersama majikan.
Cabaran-cabaran dalam proses pengiktirafan kesatuan sekerja
haruslah diatasi bagi membolehkan pekerja menikmati
kebebasan untuk berpersatuan melalui kesatuan sekerja dengan
berunding secara harmoni dengan majikan bagi membaiki
terma dan kondisi kontrak pekerjaan mereka. Langkah positif
kerajaan untuk meminda APP 1967 dilihat sebagai satu usaha
141
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
yang baik bagi mentransformasi proses pengiktirafan kesatuan
sekerja dan menambaik hak pekerja dan kesatuan sekerja.
Lebih-lebih lagi dalam usaha kerajaan untuk menghadapi
revolusi perindustrian keempat yang akan datang. Perwakilan
kesatuan sekerja dalam sektor penyumbang utama ekonomi
negara seperti sektor elektrik dan elektronik penting bagi
memastikan kelestarian ekonomi negara. Majikan juga perlu
memberikan kerjasama yang baik pada kesatuan sekerja dalam
proses pengiktirafan kesatuan sekerja dan mengelak daripada
melakukan tindakan yang hanya akan memberi kerugian pada
kedua-dua belah pihak. Pengiktirafan sukarela pada kesatuan
sekerja yang layak mewakili pekerja mereka akan memudahkan
kedua-dua pihak untuk memulakan proses perundingan.
Kerjasama yang baik antara majikan dengan kesatuan sekerja
akan mewujudkan perhubungan perusahaan yang harmoni
antara kesatuan sekerja dengan majikan dan seterusnya
akan merangsang pertumbuhan ekonomi yang sihat. Selain
itu, kerajaan Malaysia juga perlu mengambil langkah untuk
menambah baik proses pengiktirafan kesatuan sekerja seperti
meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa
(ILO) No. 87 – Kebebasan Berpersatuan dan Perlindungan
Hak Untuk Berorganisasi, 1948 di mana dengan tindakan
meratifikasi konvensyen tersebut, proses pengiktirafan kesatuan
sekerja di Malaysia dijalankan dengan lebih adil (Razak &
Mahmod, 2021).
142
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
Rujukan
Akta Kesatuan Sekerja 1959 (Akta 262). Kuala Lumpur:
International Book Series.
Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177). Kuala Lumpur:
International Book Series
Aun, W. M., 1982. Industrial Relations Law of Malaysia. Kuala
Lumpur; Singapore: Heinemann Educational.
Bank Islam Malaysia Bhd lawan Yang Berhormat Menteri Sumber
Manusia, Malaysia & Anor [2016] dlm. Malayan Law Journal
(MLJU) 1595.
Electrical Industry Workers Union lawan Registrar of Trade Unions
[1976] 1 dlm. Malayan Law Journal 177.
Euromedical Industries Sdn Bhd lawan Menteri Sumber Manusia & Yang
Lain [1999] 5 dlm. Current Law Journal 171.
HSBC Bank Malaysia lawan Menteri Sumber Manusia, Malaysia &
Anor [2012] dlm. Malayan Law Journal (MLJU) 630.
ILO Official Bulletin Series 13, 63(2) (1980):66.
Jabatan Statistik Malaysia (2020).
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perusahaan Alat-Alat Pengangkutan
dan Sekutu lawan Menteri Sumber Manusia & Anor [2016] dlm.
Malayan Law Journal (MLJU) 1215.
Kesatuan Kebangsaan Perkerja-Perkerja Syarikat-Syarikat Pembuatan
Keluaran Getah lawan YB Menteri Sumber Manusia & Anor [2012]
dlm. MLJU 620.
Kementerian Sumber Manusia (2021). Statistik Pekerjaan dan
Perburuhan.
Kennesion Brothers Sdn. Bhd. lawan Construction Workers Union [1990]
1 dlm. International Law Report 125.
Malayan Commercial Banks Association lawan National Union of Bank
Employees (Award No. 69/76, 9 September 1976.
143
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
Marulee M Sdn Bhd lawan Menteri Sumber Manusia & Anor [2007] 6
dlm. Malayan Law Journal 222.
Metal Industries Employees’ Union lawan Registrar of Trade Unions
[1976] 1 dlm. Malayan Law Journal 80.
Menteri Sumber Manusia lawan Association of Bank Officers, Peninsular
Malaysia [1999] 2 dlm. Malayan Law Journal 337.
Minister of Human Resources, Malaysia lawan Diamet Klang (M) Sdn.
Bhd. and another appeal [2015] 6 dlm. Current Law Journal 181.
Minister of Labour & Manpower lawan Paterson Candy (M) Sdn. Bhd.
[1980] 2 dlm. Malayan Law Journal 122.
National Union of Employees in Companies Manufacturing Rubber
Products lawan Wilkinson Rubber Process Co. Ltd. (Ind. Ct. Award
No. 6, 21 March 1964)[1965-67] dlm. Malaysia Law Report 51.
NSG (M) Sdn Bhd lawan YB Menteri Sumber Manusia, Malaysia &
Anor [2011] 9 dlm. Malayan Law Journal 435.
Peguam Negara Malaysia lawan Kesatuan Pekerja-Pekerja Kimia
Malaysia [1971] 1 dlm. Malayan Law Journal.
Ramasamy, N. (2015). “Shaping the Future of Trade Unions
in a Rapidly Changing Working Environment”. [Paper
Presentation]. MTUC/LO-Norway National Seminar
on New Approaches to Wage Fixing in the Light of
Globalization, Subang Jaya, Selangor, Malaysia.
Razak, S. S. A. & Mahmod, N. A. K. (2018). “Trade Union
Recognition in Malaysia: Legal Issues” dlm. UUM Journal
of Legal Studies, 9(1), 23-37. https://doi.org/10.32890/
uumjls.9.2018.9103
Razak, S. S. A. & Mahmod, N.A.K. (2021). Pertanika Journal
Social Science & Humanities 29 (1): 193 - 206
Shatsari, R.S (2007). “Constitutional Protection of Freedom of
Association for Trade Union Purposes [2007]” dlm. Malayan
Law Journal 1(i), 1-17
Sheridan and Groves, The Constitution of Malaysia (4th Ed.),
(Singapore: MLJ 1987) 71, note 8.
144
Cabaran dan Kes-kes dalam Proses Pengiktirafan Kesatuan Sekerja di Malaysia
Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. lawan The Honourable Minister of
Human Resources Malaysia & Anor [2018] 1 dlm. Malayan Law
Journal 277.
Silverstone Bhd. lawan Menteri Sumber Manusia & Anor [2005] 4 dlm.
Malayan Law Journal 774.
South Pacific Textile Industries Ltd lawan Kesatuan Pekerja-Pekerja South
Pacific Textile Industries Ltd. (Award No. 6/67, 16 October 1967)
(1965-1967) dlm. Malaysian Legal Law Report 163.
Statistik dan Petunjuk-petunjuk Utama. Jabatan Perhubungan
Perusahaan Malaysia (2019).
Tanjong Jaga Sdn. Bhd. lawan Minister of Labour & Manpower [1987]
1 dlm. Malaysian Law Journal 124.
The Edge (2019). “Ministry tables eight amendments to Industrial
Relations Act”. https://www.theedgemarkets.com/article/minister-
tables-eight-amendments-industrial relations-act
Wad, P. (2012). “Revitalizing the Malaysian Trade Union
Movement: The Case of the Electronics Industry”, dlm.
Journal of Industrial Relations, 54(4), 494-509.
Zainuddin, M. Z. (2020). “COVID-19: Eksport barangan elektrik,
elektronik susut RM29.12 bilion” dlm. Berita Harian. https://
www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/05/688308/
covid-19- eksport-barangan-elektrik-elektronik-susut-r m2912-
bilion
145
BAB
LIMA
PERKEMBANGAN
ALIRAN PEMIKIRAN
DALAM KESATUAN
SEKERJA DAN
PENGARUHNYA
TERHADAP
MALAYSIA
Kassim Thukiman
Mohd Azhar Abd Hamid
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
KANDUNGAN BAB
Sejarah kesatuan sekerja global bermula
dari zaman feudal. Aliran pemikiran dalam
kesatuan sekerja berkembang di Barat dan
Timur, dan akhirnya turut berkembang di
Malaysia. Kewujudan kesatuan sekerja di
peringkat global mempunyai kaitan dengan
perkembangan aliran pemikiran ekonomi-
politik. Amalan sistem liberal-kapitalis
misalnya, menyebabkan kecenderungan
golongan pemodal lebih mengutamakan
pemerolehan keuntungan secara maksimum.
Sebaliknya, nasib dan kebajikan pekerja telah
dikesampingkan. Justeru, aliran pemikiran
sosialis dan komunis mula meresap dalam
penubuhan kesatuan sekerja di peringkat
global. Sosialisme dan komunisme secara
halus mempengaruhi falsafah, pemikiran
dan tindakan dalam kalangan kepimpinan
kesatuan sekerja. Di Malaysia contohnya,
mereka mula menguasai Parti Buruh, Malayan
Democratic Union, Parti Sosialis Malaysia
dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Malah,
ada dalam kepimpinan kesatuan sekerja yang
menganggotai Parti Tindakan Demokratik
(DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
bagi memperjuangkan hak golongan pekerja.
Justeru, bab ini berusaha menganalisis
perkembangan ekonomi dan politik klasik dan
moden serta hubungannya dengan kesatuan
sekerja yang berusaha menjaga kebajikan
golongan pekerja atau proletariat.
148
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
Pendahuluan
Kesatuan sekerja atau Trade Union secara sederhana bermaksud
pertubuhan pekerja yang berfungsi menjaga kebajikan dan
melindungi kepentingan pekerja. Menurut Mahadirin et al.
(2019), Kesatuan sekerja berperanan sebagai sebuah institusi
untuk mengimbangi kuasa pihak majikan dan kuasa pihak
pemerintah. Peranan ini merupakan faktor utama yang
akan menentukan keberkesanan kesatuan dan seterusnya
mempengaruhi pergerakan institusi tersebut. Selain itu, terdapat
faktor lain yang mempengaruhi peranan tersebut seperti
keadaan ekonomi, sikap pihak majikan dan dasar perburuhan
oleh pemerintah menyebabkan pergerakan kesatuan sekerja
turut mengalami perubahan (Mahadirin et al., 2019).
Dalam konteks di Malaysia, berdasarkan Akta Kesatuan Sekerja
(1959), kesatuan sekerja berperanan sebagai: (i) melindungi
kepentingan ahlinya, (ii) mengawal selia perhubungan antara
pekerja dengan majikan mereka, (iii) menjalankan tawar-
menawar kolektif dengan pekerja untuk menyempurnakan
Perjanjian Kolektif, (iv) mewakili pekerja dalam pertikaian
perusahaan dengan majikan mengenai hal-hal disiplin, (v)
mewakili pekerja dalam Mahkamah Perusahaan, Mahkamah
Buruh dan lain-lain, (vi) menjalankan aktiviti lain untuk
menggalakkan aktiviti sosial, rekreasi dan budaya dalam
kalangan ahlinya, dan (vii) menggalakkan atau mengatur apa-
apa tindakan perusahaan yang sah, termasuk mogok, tertakluk
kepada peruntukan Akta Kesatuan Sekerja 1959.
Dengan kata lain, para pekerja yang menjadi ahli kesatuan akan
membolehkan dirinya diwakili oleh kesatuan untuk membuat
tuntutan, penawaran, rundingan, desakan yang bersifat kolektif
terhadap majikan dalam perkara-perkara yang melibatkan
kebajikan dan kepentingan pekerja. Menerusi kesatuan sekerja,
sesuatu tindakan akan menjadi lebih bermatlamat dan berkesan
dalam jangka pendek mahupun jangka panjang. Selain majikan,
seperti mana yang dinyatakan Mahadiri et al. (2019), kerajaan
149
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
turut menjadi perantara penting kepada kesatuan sekerja dalam
membentuk dasar yang memberi kesan positif kepada kesatuan
sekerja dan pekerja sama ada dalam sektor kerajaan mahu pun
sektor swasta.
Sebelum perbincangan dilanjutkan dalam konteks aliran
pemikiran yang mendasari perjuangan kesatuan sekerja,
beberapa persoalan asas dan penting perlu diketengahkan
untuk mengupas fenomena ini, iaitu:
1. Apakah yang dimaksudkan dengan aliran pemikiran?
2. Benarkah kesatuan sekerja dipengaruhi oleh aliran
pemikiran tertentu?
3. Apakah aliran pemikiran yang mempengaruhi kesatuan
sekerja tersebut?
4. Bagaimanakah aliran pemikiran mempengaruhi kesatuan
sekerja?
5. Apakah kesan aliran pemikiran ini kepada kesatuan sekerja?
Kesemua persoalan di atas akan digarap secara sederhana
berdasarkan perbincangan ilmiah berikutnya.
Ideologi dan Aliran Pemikiran
Ideologi berasal daripada perkataan Greek iaitu ideo (idea atau
pemikiran); manakala logos bermaksud ilmu atau pengetahuan
(Ahmad Sunawari, 2006). Selain ideologi yang biasa digunakan
untuk merujuk istilah dalam sains politik dan sosiologi, ia juga
dikenali sebagai aliran pemikiran (school of thought) dalam bahasa
Melayu. Perkataan ideologi pertama kali mula berkembang
pada akhir abad ke-18 oleh pengarang berbangsa Perancis
bernama Destutt de Tracy (Barbash, 1943). Beliau menyatakan
bahawa ideologi ialah kumpulan idea yang serius yang berkait
dengan bidang sosiologi. Sutarjo (2013) menyatakan Ideologi
sebagai suatu aliran pemikiran telah berkembang lebih awal,
iaitu semasa zaman Greek kuno. Ahli-ahli falsafah awal
seperti Socrates, Aristotles dan Plato antara ahli falsafah awal
150
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
yang telah mengembangkan idea-idea umum tentang alam
fizik dan metafizik. Ahli-ahli falsafah awal inilah yang telah
menginspirasikan ahli-ahli falsafah selepasnya melahirkan
pelbagai ideologi yang lebih kompleks dan beragam. Idea-idea
besar falsafah ini berkembang dengan hebat dalam tamadun-
tamadun besar seperti Rom, Islam, China dan India serta
melahirkan ramai ahli falsafah yang menyumbangkan kepada
pertumbuhan ideologi atau aliran pemikiran manusia sehingga
kini (Mohd. Nasir, 2013). Bukan itu sahaja, malah idea-idea
besar ahli falsafah ini juga telah mencetuskan beberapa revolusi
utama di seluruh dunia seperti Revolusi Perancis, Revolusi
Bolshevik, Revolusi Saintifik, Revolusi Industri dan sebagainya
(Sivachandralingam, 2002). Idea-idea besar dalam bidang
falsafah ini telah berkembang dan merentas dalam bidang
lain seperti sains natural, sains gunaan dan sains sosial (Mohd.
Nasir, 2013). Idea-idea besar falsafah inilah yang kemudiannya
menjadi asas kepada pembentukan pelbagai ideologi atau aliran
pemikiran dalam kalangan sarjana, intelektual dan masyarakat
awam di seluruh dunia (Ahmad Sunawari, 2006).
Pada masa kini, ideologi menjadi konsep penting dan sering
dikaitkan dengan disiplin sains politik. Ideologi atau aliran
pemikiran membawa maksud gagasan idea atau pemikiran
yang menjadi anutan dan pegangan individu atau kelompok
dalam menentukan paradigma dan tindakannya dalam konteks
kehidupan. Ideologi berakar daripada perkataan “idea”. Idea
ialah pemikiran yang menggambarkan sesuatu konsep abstrak
tentang sesuatu perkara yang difahami oleh seseorang. Idea atau
pemikiran wujud dalam bentuk simbol dan gambaran mental
dalam minda (Mohd Azhar, 2004). Idea dan pemikiran yang
kuat akan tertanam dalam minda seseorang dan membentuk
pola berfikir atau paradigma (Mohd. Azhar, 2018). Paradigma
inilah yang menjadi kerangka rujukan kepada seseorang dalam
berfikir, bertindak dan membuat keputusan tentang sesuatu
perkara. Menurut Abdul Latif dan Khairul Anwar (2001),
idea atau pemikiran tidak muncul secara tiba-tiba dan sangat
berkaitan dengan paradigma seseorang dan menurutnya
151
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
ideologi memberi kesan kepada perkembangan sosial, politik
dan ekonomi sesebuah masyarakat.
Fungsi asas ideologi atau aliran pemikiran ialah membantu
ahli-ahlinya mencapai objektif yang ditentukan. Ahli-ahli yang
menerima sesuatu ideologi secara konsensus mengukuhkan
pegangan nilai dan norma sesebuah kumpulan. Penerimaan
ideologi secara konsensus ini akan mengukuhkan emosi dan
ikatan antara ahli kumpulan. Ideologi akan memberikan hala
tuju setiap ahli ke mana dan bagaimana objektif boleh dicapai
dengan berkesan. Dalam disiplin pengurusan sumber manusia,
Fox (1971) menyatakan terdapat tiga bentuk ideologi yang boleh
difahami iaitu:
1. Unitaris – kesatuan sekerja sebagai suatu pasukan dengan
objektif sepunya.
2. Pluralis – kesatuan sekerja mengandungi beberapa kumpulan
dengan objektif yang kadangkala berkonflik antara satu
sama lain. Kesatuan sekerja berusaha mencapai lebih
kuasa tawar-menawar. Konflik tidak dapat dielakkan.
3. Radikal – konflik kelas yang tidak dapat dielakkan. Golongan
pemodal sentiasa berkuasa. Kerajaan menyebelahi golongan
pemodal berbanding dengan kesatuan sekerja. Konsep
kepentingan nasional tidak penting.
Namun, kerangka ideologi dalam konteks pembangunan sumber
manusia dan hubungan industri ini tidak disentuh dalam bab
ini. Sebaliknya, tumpuan bab ini hanya terhadap ideologi yang
lebih bersifat makro, iaitu dalam konteks ideologi ekonomi-
politik. Dalam konteks kesatuan sekerja antara idea penting
yang sering diperjuangkan adalah seperti keadilan (justice) dan
ketidakadilan (injustice) dan hak asasi manusia (Sutarjo, 2013).
Idea-idea ini telah pun dibahaskan oleh tokoh penting ahli
falsafah bermula sejak tamadun Greek dan Rom sehingga ke hari
ini. Pada peringkat awal, ia muncul sebagai salah satu daripada
reaksi daripada pemikiran golongan Stoik yang berpandangan
bahawa tindak-tanduk dan tingkah laku manusia mestilah
152
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
diukur berdasarkan hukum alam tabii. Hal ini bermaksud suatu
undang-undang yang mengiktiraf kebebasan individu sebagai
warganegara. Aliran pemikiran ini kemudian berkembang
lebih terbuka pada zaman pertengahan sekitar abad ke-10
hingga ke-18 Masihi. Antara aliran pemikiran penting yang
mengambil tempat dalam membina kesedaran kepada manusia
termasuklah golongan pekerja adalah humanisme, rasionalisme
dan liberalisme. Aliran falsafah ini kemudiannya mengambil
tempat dalam memberi takrifan kebebasan terhadap perilaku
dan tindakan manusia dengan manusia lainnya, khususnya
dalam aspek politik, sosial dan ekonomi (Farid, 2014).
Selepas abad ke-18, aliran pemikiran berasaskan ekonomi-
politik menjadi dominan dan mempengaruhi individu, komuniti,
organisasi dan negara. Aliran pemikiran seperti kapitalisme,
sosialisme, liberalisme dan neo-liberalisme muncul dengan
mengangkat doktrin-doktrin kebebasan diri dan kebebasan
bersuara dan keadilan. Pelbagai aliran pemikiran ini muncul
akibat faktor-faktor dalaman dan luaran sesebuah negara dan
wilayah. Feudalisme yang berlaku di Eropah misalnya adalah
akibat daripada kejatuhan autokrasi raja di Eropah. Feudalisme
yang berlaku di Eropah Barat pada abad ke-9 (England,
Perancis, Itali, Jerman, Sepanyol dan Portugal) turut berlaku di
Eropah Timur, Asia Tengah di China dan Timur Jauh seperti
Jepun. Malah, sejarah turut mencatatkan bahawa feudalisme
juga berlaku di negara-negara lain seperti di Indonesia dan
Tanah Melayu (Mahayudin, 2000) dengan konsep dan amalan
yang berbeza-beza mengikut konteksnya.
Selepas zaman feudal pada abad ke-9 di Eropah Barat
sehinggalah muncul abad ke-21 pada hari ini, konsep-konsep
sosial, ekonomi dan politik seperti kesedaran individu terhadap
kesamaan (equality) dan kebebasan (freedom atau liberty) menjadi
keperluan umum yang diwajarkan menerusi deklarasi Hak
Asasi Manusia atau Human Rights (Mohd Farid, 2014).
153
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
Justeru, terbentuknya kesatuan sekerja ialah reaksi daripada
keperluan golongan pekerja terhadap konsep-konsep penting
seperti hubungan timbal balik antara pekerja dengan majikan
seperti keadilan, kebajikan, dan kesejahteraan, dan keselamatan.
Kewujudan konsep-konsep seperti ini tentulah berakar
daripada aliran dan falsafah pemikiran yang tercetus daripada
pelbagai faktor, isu, kejadian dan peristiwa yang berlaku kepada
manusia di seluruh dunia. Kesemua ini akan dijelaskan dalam
perbincangan dalam subtema tertentu selepas ini.
Justeru, bab ini berusaha menghuraikan bagaimana aliran
falsafah pemikiran mempengaruhi kesatuan sekerja di seluruh
dunia. Ketiga-tiga pembahagian aliran pemikiran tersebut
akan dicerakinkan agar gambaran keseluruhan tentang aliran
pemikiran ini akan dapat difahami dalam konteks pengaruhnya
terhadap kesatuan sekerja. Aliran-aliran falsafah pemikiran ini
berkembang berdasarkan dan mempengaruhi pembangunan
sosial, ekonomi dan politik sejak sebelum masihi lagi. Namun
begitu, bab ini hanya menyorot perkembangan falsafah
pemikiran selepas zaman perindustrian pada abad ke-18 kerana
pada ketika inilah falsafah pemikiran kapitalisme, sosialisme
dan liberalisme dapat dilihat mempengaruhi kesatuan sekerja
di Eropah dan di seluruh dunia.
Pengaruh Aliran Pemikiran dan Kesatuan Sekerja
Kesatuan sekerja penting sebagai institusi yang menjaga
hal-hal berkaitan kebajikan dan kepentingan pekerja dalam
sektor awam mahupun swasta. Selain fungsi utama tersebut,
MacDonald (2019) menyatakan kesatuan sekerja turut diresapi
oleh ideologi mainstream yang memungkinkannya menjadi
penggerak kesedaran ekonomi, politik dan sosial. Ideologi
mainstream yang dimaksudkan ini ialah ideologi ekonomi-politik
seperti yang akan dibincangkan pada bahagian berikutnya.
Namun menurut MacDonald, pada masa kini kesedaran politik,
ekonomi dan sosial dalam kalangan ahli juga bergantung pada
154
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
jurang pengetahuan yang dimiliki oleh ahli-ahlinya. Justeru,
dalam kalangan ahli yang berpendidikan tinggi khususnya
di negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun,
ahli-ahlinya memiliki kesedaran yang lebih tinggi terhadap
keperluan berpartisipasi dalam pelbagai konteks seperti pilihan
raya dan sebagainya.
Perkembangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sejak
ditubuhkan menggambarkan pengaruh aliran pemikiran
mainstream seperti Marxisme, sosialisme dan liberal-demokrat
(kapitalis) sejak 100 tahun yang lalu. Aliran pemikiran ini
wujud sama ada pada peringkat tertinggi organisasi ILO
mahupun kesatuan-kesatuan yang bernaung di bawahnya di
seluruh dunia. Situasi ini menggambarkan bahawa perjuangan
golongan pekerja dipengaruhi oleh aliran pemikiran mainstream
yang muncul pada ketika berkembangnya sesuatu aliran
pemikiran ekonomi-politik tersebut.
ILO merupakan sebuah agensi yang bernaung di bawah
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang memainkan peranan
penting dalam menetapkan piawaian perburuhan antarabangsa.
ILO dianggotai oleh 187 negara-negara anggota daripada 193
buah negara dalam PBB. ILO mengamalkan triparti yang terdiri
daripada kerajaan, kesatuan sekerja dan majikan. Ketiga-tiga
pihak inilah berperanan dalam perbincangan dan perundingan
dalam membuat keputusan serta menentukan piawaian
perburuhan di negara masing-masing. Justeru, dalam sejarah
ILO, terdapat naratif yang mencatatkan pelbagai peristiwa
dan insiden yang berlaku antara ketiga-tiga pihak ini sejak awal
penubuhannya boleh dilihat dalam perspektif pengaruh aliran
pemikiran politik-ekonomi yang akan dibincangkan selepas ini.
Aliran Pemikiran Feudalisme
Feudalisme ialah fenomena yang berlaku di seluruh dunia
bermula pada abad ke-9 sehinggalah memasuki abad ke-
155
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
20. Feudalisme bukan hanya berlaku di Eropah Barat seperti
England, Jerman, Itali, Perancis tetapi juga di banyak negara
lain seperti di Rusia, China dan Jepun (Sivachandralingam
dan Ayadurai, 1999; Mohd Azhar dan Esa, 2004). Konsep dan
corak amalan feudalisme ini berbeza-beza mengikut negara
dan wilayah sesuatu kawasan. Corak dan konsep yang berbeza
ini disebabkan oleh pengaruh pelbagai faktor dalaman dan
luaran seperti faktor kepercayaan dan budaya. Secara umum,
feudalisme menjelaskan tentang suatu konsep hubungan timbal
balik daripada segi politik, ekonomi dan sosial antara pemimpin
dengan golongan yang dipimpin. Kedua-dua golongan ini
diwakili oleh raja sebagai pemimpin yang berkuasa penuh dan
golongan yang dipimpin, iaitu terdiri daripada beberapa kelas
seperti bangsawan, pembesar, tentera, pihak gereja serta rakyat
biasa (petani, peniaga dan hamba).
Secara operasional, terdapat beberapa pemain dan elemen
penting yang menyebabkan wujudnya aliran pemikiran ini.
Antara pemain utamanya ialah raja, pembesar, bangsawan dan
rakyat biasa seperti peniaga dan petani. Selain itu, elemen lain
seperti kuasa, kedaulatan dan sistem naungan serta simbol-
simbol kekuasaan seperti tanah, ladang dan tentera mengikat
struktur feudalisme ini antara kedua-dua belah pihak tersebut.
Kesemua pemain dan elemen penting ini wujud dalam mana-
mana negara, wilayah atau kawasan yang mengamalkan
feudalisme namun dengan corak dan amalan yang berbeza-
beza. Hubungan politik, sosial dan ekonomi ini bersifat top-down
dengan raja berkuasa mutlak. Kekuasaan ini diperturunkan
kepada golongan pembesar dan bangsawan menerus suatu
proses ikatan timbal balik iaitu kesetiaan.
Elemen kesetiaan ini pula diikat menerusi sistem tanah yang
diserahkan dan disewakan oleh raja kepada pembesar sebagai
syarat taat setia dan sekali gus menjaga keselamatan raja
di wilayah kekuasaannya. Para pembesar (Baron/Lord) akan
menjaga keselamatan raja menerusi pahlawan-pahlawan
(knights) yang digajikan. Pembesar pula (Lord, Baron, Duke, Knights,
156
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
Daimyo) akan menyewa dan memajakkan tanah-tanahnya
kepada petani atau hamba untuk diusahakan (Maswari, 1994).
Struktur sosial masyarakat feudalisme ini berbentuk piramid
dengan raja berada pada kedudukan tertinggi, pembesar dan
para bangsawan di peringkat pertengahan dan rakyat biasa
seperti petani, peniaga dan hamba berada pada kedudukan
terbawah (Sivachandralingam dan Ayadurai, 1999).
Persoalannya, adakah dalam aliran pemikiran feudalisme ini
wujudnya kesatuan sekerja? Berdasarkan konsep dan amalan
feudalisme ini, kesatuan sekerja dalam erti kata yang terdapat
pada hari ini adalah tidak wujud sama sekali. Antara faktor
yang tidak menggalakkan perkembangan kesatuan sekerja
dalam aliran pemikiran feudal ini ialah:
1. Idea-idea humanisme, individualisme dan liberalisme masih
belum berkembang akibat daripada ciri ekonomi dan politik
yang tertutup dan class centred. Idea-idea pembaharuan
sosial bukan merupakan prioriti yang diperjuangkan oleh
golongan pemerintah. Perubahan sosial hanya penting
dalam mengekalkan status quo golongan raja dan bangsawan.
Perhambaan masih berlaku secara berleluasa dan menjadi
tradisi serta amalan yang lazim. Justeru, senario ini amat
tidak menggalakkan kesatuan sekerja berkembang untuk
memperjuangkan isu-isu perhambaan, ketidakadilan dan
kesetaraan.
2. Feudalisme ialah suatu sistem politik, sosial dan ekonomi
yang bersifat sehala dan eksklusif (atas-bawah) dan tiada
kebebasan bersuara diberikan kepada kelas bawahan,
iaitu rakyat biasa atau pekerja. Pihak atas seperti raja dan
bangsawan/pembesar berkuasa mutlak dan tidak berlakunya
apa-apa yang dinamakan interaksi atau dialog antara kedua-
dua pihak ini. Hubungan sehala ini lebih mengarah kepada
hubungan pasif seperti tuan dan hamba. Justeru, tiada
ruang bagi golongan pekerja untuk berkesatuan, apatah
lagi menyuarakan tuntutan-tuntutan berkaitan pekerjaan
kepada golongan atasan.
157
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
3. Sistem pengeluaran yang masih bercorak tradisi dengan
tumpuan hanya pada faktor ekonomi terpenting, iaitu tanah
mengehadkan kepelbagaian ekonomi merentas pertanian.
Dalam ekonomi yang masih mengamalkan sistem barter dan
penggunaan teknologi yang terhad menyebabkan kurangnya
kebergantungan sistem pengeluaran kepada tenaga kerja
berkemahiran.
4. Struktur sosial atas-bawah (top-down) sangat mengikut peranan
antara raja, bangsawan dan rakyat biasa serta hamba.
Konsep-konsep seperti monarki, diktator, hubungan yang
sangat rigid ini tidak memungkinkan terdapatnya kesempatan
rakyat biasa atau pekerja ini untuk “berorganisasi”, sekali
gus menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja terhadap
raja. Masyarakat yang wujud pada masa ini bersifat tertutup
dan bersifat class centred. Setiap kelas hanya memperjuangkan
kepentingan dan kelangsungan hidup masing-masing.
5. Kebajikan dan keselamatan rakyat biasa atau pekerja
terletak di bawah tanggungjawab para pembesar
sepenuhnya. Pembesarlah yang menjaga segala keperluan
pekerja dari segi makan, minum, tempat tinggal, hiburan
dan sebagainya. Golongan pekerja hanya menerima tanpa
protes apa jua yang disediakan untuk mereka. Justeru, pada
zaman ini memang berlakunya pelbagai ketidakadilan dan
diskriminasi terhadap golongan pekerja. Situasi ini dapat
dilihat di Britain, Perancis, China dan India.
6. Majoriti rakyat dan pekerja adalah buta huruf dan tidak
berpendidikan. Fungsi utama mereka hanyalah bekerja
mengikut aturan dan suruhan. Pekerja berperanan
memberikan hasil kerja terbaik kepada pembesar dan raja.
Pembesar pula akan menjaga para pekerja dengan peraturan
dan undang-undang yang ditetapkan untuk dipatuhi. Hak-
hak mereka sedikit tetapi tugas mereka banyak. Kerapkali
mereka ini tidak diberikan layanan yang memuaskan oleh
tuan-tuan mereka. Peluang untuk menjadi kaya dan masyhur
dengan usaha sendiri sangat tipis bagi mereka. Seorang
hamba misalnya akan menjadi hamba seumur hidup dan
anaknya akan mewarisinya sebagai hamba.
158
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
Namun begitu, menjelang abad ke-12 hingga ke-14, corak
penempatan telah berubah. Bandar menjadi semakin penting
sebagai pusat perniagaan dan perdagangan. Pertumbuhan
bandar-bandar baharu ini menjadikan corak ekonomi
feudal semakin terbuka dengan keperluan tenaga kerja yang
berkemahiran. Migrasi dan keperluan baharu terhadap
perdagangan yang lebih kompleks telah mewujudkan kelas
baharu dalam masyarakat bandar di Eropah yang dinamakan
burghers (golongan pertengahan) (Gies dan Gies, 1981) yang
terdapat di beberapa bandar utama seperti di Liege, Utrecht,
Cologne, Vienna, London dan Milan.
Justeru, sistem perantisan telah membuka peluang dan ruang
kepada keperluan golongan pekerja berkemahiran sebagai
tukang kasut, tukang kayu, tukang rumah dan tukang logam.
Hal ini menyebabkan mereka menubuhkan kesatuan sesama
mereka, yang bertujuan untuk menjaga kualiti perantisan dan
pekerja berkemahiran. Kesatuan pertukangan dan pedagang
ini mensyaratkan seseorang apprentices (awal) dan journeymen
(pertengahan) sekurang-kurangnya seseorang itu dianggap
pakar dengan pengalaman antara 10 hingga 12 tahun sebelum
mencapai tahap masters (tinggi). Selain itu, kesatuan ini turut
memberi perhatian terhadap kebajikan ahli-ahlinya.
Dalam organisasi kesatuan pedagang, ahlinya mengendalikan
perdagangan antara bandar, manakala kesatuan tukang pula
membuat dan menjual barang dalam bandar sendiri. Bandar-
bandar yang pesat berkembang menjadi pasaran untuk semua
jenis barang, pakaian kasut, kulit dan barangan besi khususnya
untuk pembinaan rumah, dinding gereja dan bandar. Oleh itu,
tidak hairanlah jika bandar menarik para petukang. Dengan
pengecualian pembuat besi, tukang melapis batu-bata (brick
layer) dan lain-lain lagi, tukang-tukang boleh bekerja di rumah
mereka sendiri, kebiasaannya mereka menggaji beberapa orang
tukang dan pembatu tukang terlatih. Mulai abad ke-12 atau
awal darinya, pekerja yang bekerja dalam bidang yang sama
akan bersatu dalam kesatuan tukang-tukang. Kesatuan ini
159
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
tidak lebih daripada persatuan yang mempunyai kepentingan
ekonomi yang sama, memberikan perlindungan kepada ahli-
ahlinya apabila mereka meninggalkan kampung halaman
mereka (Sivachandralingam, 2002). Kesatuan yang sama
dikenali sebagai Trade Guilds seperti yang wujud di Eropah,
juga terdapat dalam kalangan pedagang-pedagang Cina di
Negeri-negeri Selat, terutamanya di Pulau Pinang. Fungsi dan
peranannya juga sama, iaitu menjaga kepentingan ahli-ahlinya
daripada saingan peniaga-peniaga lain (Ruslan, 2003).
Selain itu, menurut Sivachandralingam (2002) kesatuan ini juga
memberikan bantuan kewangan kepada mereka yang cacat,
tidak bernasib baik dan orang tua atau yatim piatu dan janda.
Di bandar-bandar besar misalnya, terdapat dua kesatuan tetapi
di bandar-bandar kecil hanya satu persatuan sahaja. Kesatuan-
kesatuan tukang ini hanya berjaya menentukan beberapa
peraturan dan perdagangan selepas beberapa dekad antaranya
seperti hak untuk menentukan syarat-syarat perantisan, jumlah
jam bekerja, kualiti barang dan harga.
Perkembangan mutakhir pada zaman pertengahan ini telah
mewujudkan kelas petukang dan pedagang di kawasan bandar.
Dengan adanya modal dan kemahiran yang mereka miliki ini,
mereka telah berjaya menubuhkan kesatuan petukang dan
pedagang di banyak kawasan bandar. Sungguhpun, kesatuan
petukang dan pedagang ini merupakan kelas pertengahan yang
baru muncul, namun kewujudan kesatuan ini menjadi pencetus
kesedaran berkesatuan dalam kalangan pekerja di Eropah
dan seluruh dunia. Sungguhpun kesatuan pekerja tukang dan
pedagang ini daripada segi fungsi dan matlamatnya hanyalah
untuk menjaga kepentingan kelas ini, tetapi ia membuka
lembaran baharu kepada kewujudan kesatuan sekerja yang
mewakili golongan pekerja secara keseluruhannya sehingga
hari ini.
160
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
Aliran Pemikiran Kapitalisme
Kapitalisme bukanlah suatu ideologi utuh yang bermula secara
ilmiah dengan parameter yang yang jelas seperti mana ideologi
Marxisme (Sutarjo, 2013). Sesetengah sarjana berpandangan
amat sukar meletakkan tarikh pemutus kepada permulaan
aliran pemikiran kapitalisme. Segelintir sarjana berpandangan
kapitalisme telah pun bermula sejak sebelum Masihi lagi.
Pada zaman Greek, elemen “kapitalis” telah muncul dalam
ekonomi yang simple seperti sistem barter. Sesetengah sarjana
pula berpandangan ia bermula sejak sistem monarki, iaitu
penguasaan raja terhadap rakyat. Kejatuhan feudalisme telah
menyebabkan meresapnya pengaruh kapitalisme yang agak
ketara dalam sistem ekonomi dan politik di seluruh dunia.
Kejatuhan sistem feudal, monarki serta kewujudan merchantilisme
adalah antara faktor yang mencetuskan kelahiran aliran
pemikiran ekonomi-politik kapitalisme yang kemudiannya
memberi kesan langsung terhadap kewujudan kesatuan sekerja
di seluruh dunia. Sebahagian besar sarjana berpendapat
Revolusi Industri (1760-1840) yang bermula di England ialah
pencetus kepada permulaan kapitalisme moden sehingga kini.
Selain beberapa faktor yang telah dinyatakan di atas, terdapat
faktor-faktor lain yang menyuburkan perkembangan fahaman
dan idea-idea ekonomi-politik ini, antaranya:
i. Kemajuan dalam bidang pertanian dan penternakan.
ii. Kemajuan dalam perindustrian dan teknologi berkaitan
industri serta tumbuhnya bandar-bandar metropolitan
baharu seperti Liverpool, York dan Birmingham di
England.
iii. Kemajuan dalam teknologi pengangkutan.
iv. Penghijrahan dan pertambahan penduduk.
v. G e r a k a n re n a i s a n s d a n re f o r m a s i p a d a a b a d
pertengahan.
vi. Berkembangnya fahaman Calvinisme.
vii. Dasar merchantilisme.
161
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
viii. Kewujudan negara bangsa dan nasionalisme.
ix. Dasar kolonialisme.
x. Perkembangan industri kewangan dan perbankan.
Kapitalisme secara sederhana bermaksud sistem ekonomi
dan sosial yang mementingkan pengumpulan kekayaan oleh
individu tanpa campur tangan kerajaan. Dengan kata lain,
kapitalisme merupakan suatu sistem ekonomi liberal yang
menghendaki kebebasan seluas-luasnya bagi setiap individu
untuk melakukan aktiviti dan tindakan ekonomi. Idea-idea
kapitalisme bertentangan sama sekali dengan feudalisme,
Marxisme dan sosialisme. Ia juga suatu sistem yang menentang
polisi merchantilisme dan monopoli negara ke atas sistem
pengeluaran. Fahaman individualisme sangat kuat mengikat
aliran pemikiran ini yang berakar daripada hedonisme pada
zaman Yunani kuno. Bagaimanapun, faham kapitalisme klasik
ini terlalu ekstrim dan lebih berorientasikan golongan pemodal
per se.
Istilah Latin bagi kapitalisme ekonomi-politik ialah laissez faire
(persaingan bebas), iaitu suatu sistem ekonomi pasaran terbuka
yang berasaskan penentuan permintaan dan penawaran
pasaran. Permintaan dan penawaran dalam sistem pasaran bebas
ini memungkinkan mencari keuntungan maksimum kepada
pemodal. Keuntungan oleh golongan pemodal (commercial society)
ini akan mewujudkan kesejahteraan masyarakat. Ia adalah
suatu situasi yang menunjukkan peranan minimum kerajaan
atau disebut juga sebagai the invisible hand.
Revolusi Industri telah menzahirkan kemakmuran baharu
terhadap golongan pemodal yang berkeupayaan memiliki
alat-alat produksi dan modal. Buruh menggantikan petani
pada zaman ini dengan ciri-ciri yang lebih progresif, cekap,
meritokrasi dan pengkhususan kerja. Buruh yang memiliki
kriteria seperti ini akan mampu mengeluarkan produk dengan
lebih berkualiti dan cekap. Justeru, dalam perspektif ini
kapitalisme ialah suatu sistem yang berasaskan mod pengeluaran
162
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
yang bertujuan mencapai keuntungan setinggi-tingginya yang
diperoleh menerusi sistem pengeluaran dengan menekankan
kos pengeluaran yang minimum. Salah satunya diperoleh
menerusi upah pekerja yang rendah.
Bapa ekonomi moden iaitu Adam Smith, antara sarjana
dan ahli falsafah yang telah mempopularkan idea kebebasan
ekonomi menerusi industrial capitalist. Adam Smith turut
dipengaruhi idea-idea protestanisme, rasionalisme, idealisme
dan individualisme daripada beberapa orang pemikir seperti
Rene Descartes, Martin Luther King dan John Calvin pada
abad pertengahan. Adam Smith dalam bukunya The Theory of
Moral Sentiment (1759) dan Inquiry into The Nature and Cause of
The Wealth of Nations (1776) telah mengkritik aliran dan amalan
feudalisme dan monarkisme yang bertentangan dengan nilai-
nilai alamiah manusia. Justeru, untuk melahirkan ekonomi yang
sihat dan sempurna dapat dicapai dengan cara campur tangan
yang minimum oleh kerajaan. Sebaliknya, keputusan-keputusan
ekonomi diserahkan kepada kekuatan pasaran bebas. Hal ini
menurut Adam Smith, sejarah feudalisme dan monarkisme
telah membataskan kebebasan individu beraktiviti dalam
ekonomi. Individu yang dimaksudkan oleh Adam Smith ialah
sesiapa sahaja asalkan memiliki modal dan faktor pengeluaran
yang boleh bersaing secara terbuka dalam pasaran.
Setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua, kapitalisme mula
mengambil bentuk baharu yang lebih sederhana khususnya di
Amerika Utara. Di sini terdapat kesepaduan aliran pemikiran
sosialisme dan demokrasi. Negara mula berperanan dalam
keputusan-keputusan ekonomi. Namun Hitler dan Mussolini
di Itali, mula mengembalikan peranan dan kawalan kerajaan
dalam industri-industri asas untuk menghidupkan ekonomi
yang tidak prokapitalis. Di England, Parti Buruh yang berkuasa
melakukan perkara yang sama tetapi dalam skala yang lebih
sederhana. Di Amerika Syarikat pula terdapat kerjasama antara
pihak swasta dengan pihak kerajaan dalam menangani situasi
ekonomi.
163
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
Menjelang abad ke-21, kapitalisme telah beradaptasi
dengan idea-idea liberalisme, sosialisme, individualisme dan
pascamodenisme yang sekali gus melahirkan sistem ekonomi
politik yang dikenali sebagai neo-liberalisme. Idea-idea neo-
liberalisme mula berkembang pada awal tahun 1940-an. Pada
awal tahun 1980-an, dua tokoh pemimpin dunia Margaret
Thatcher (Perdana Menteri Britain) dan Ronald Reagan
(Presiden Amerika Syarikat), antara pemimpin yang telah
meningkatkan amalan liberalisme dalam sistem ekonomi
kapitalis.
Menjelang abad ke-21 juga menunjukkan pemikiran tentang
kapitalisme mengalami perubahan. Beberapa sarjana
seperti Lester Thurow (The Future of Capitalism) dan Francis
Fukuyama (The End of History) melihat masa depan aliran
kapitalisme menghadapi pelbagai rintangan dan halangan
untuk berkembang lebih positif ekoran runtuhnya ideologi
komunisme dan fasisme.
Neo-liberalisme
Neo-liberalisme lahir daripada liberalisme klasik. Premis
liberalisme ialah kebebasan dan dan persamaan hak ialah
nilai utama. Pemikiran liberalisme mencita-citakan sebuah
masyarakat yang bebas berfikir dan bertindak tanpa campur
tangan pihak lain. Idea-idea liberalisme klasik ini telah dipelopori
oleh Thomas Hobbes dan John Locke. Idea-idea pembebasan
ini juga turut disumbangkan daripada dua peristiwa besar dalam
sejarah manusia, iaitu Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika.
Kedua-dua revolusi ini mengungkapkan prinsip-prinsip penting
kebebasan individu seperti liberty, egality dan fratility. Ringkasnya,
faham ini menekankan kepada membesarkan ruang individu
dan mengecilkan ruang awam (public). Kapitalisme menerima
sejumlah prinsip-prinsip sosialisme seperti perlunya negara ikut
campurtangan dan bertanggungjawab dalam sektor ekonomi
164
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
untuk kesejahteraan seluruh rakyat menjadi suatu keutamaan.
Maka muncullah sistem liberal-demokrasi dalam sosial,
ekonomi dan politik.
Aliran pemikiran neoliberal ini bermula pada awal abad ke-
21. Bagaimanapun, sebagai suatu aliran pemikiran ekonomi-
politik ia telah bermula secara evolusi sejak abad ke-14. Dua
orang sarjana yang telah mengembangkan idea-idea neoliberal
ekonomi ini adalah Frederich Von Hayek (1899-1992) dan
Milton Friedman (1912-2006). Premis aliran pemikiran
ekonomi neoliberal ini ialah wujudnya situasi pasaran mengatur
dirinya sendiri (self-regulated) seperti penentuan harga. Idea-idea
neoliberal Friedman memberi keutamaan kepada fungsi nilai
guna. Menurut Friedman, kenaikan gaji akan menyukarkan
golongan pekerja berkemahiran rendah untuk mendapatkan
pekerjaan. Gaji pasaran mestilah setara dengan kemahiran
yang dimiliki oleh pekerja. Gaji yang tinggi kepada pekerja
berkemahiran tinggi akan memberi nilai guna yang tinggi
kepada pendapatan individu dan negara untuk jangka panjang.
Manakala idea-idea Von Hayek pula memberi tumpuan
terhadap penawaran yang berfungsi dalam skala ekonomi mikro.
Menurutnya, pasaran ialah jalan terbaik untuk pengagihan
sumber-sumber untuk mencapai keseimbangan sempurna
(perfect equilibirium). Campur tangan kerajaan dalam pasaran
akan meruntuhkan persaingan pasaran, contohnya pemilikan
kerajaan terhadap syarikat berasaskan kerajaan (GLC). Secara
ringkas, antara ciri sistem ekonomi ini ialah:
i. Pemilikan peribadi.
ii. Kebebasan individu.
iii. Menekankan kekayaan berbanding dengan pengagihan
semula.
iv. Persaingan dalam pasaran tanpa regulasi atau dengan
regulasi minimum.
v. Tanpa campur tangan kerajaan atau campur tangan
kerajaan yang minimum.
165
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
Kelemahan Sistem Ekonomi Liberal
Antara kelemahan sistem ekonomi liberal adalah seperti berikut:
i. Persaingan bebas yang tidak sihat.
ii. Birokrat rasuah.
iii. Jurang kelas melebar.
iv. Berlakunya monopoli.
v. Konflik ekonomi antara kelas akibat agihan sumber
yang tidak adil.
vi. Peraturan pendapatan sukar dilakukan kerana
persaingan bebas.
Berdasarkan perbincangan aliran pemikiran ekonomi-politik
liberalisme dan neo-liberalisme dalam konteks kapitalisme,
antara faktor yang mendorong perkembangan kesatuan sekerja
menerusi aliran pemikiran ini ialah:
i. Penguasaan golongan kapitalis terhadap pasaran.
ii. Eksploitasi dan manipulasi oleh golongan kapitalis
terhadap pekerja.
iii. Kemajuan dalam teknologi komunikasi dan maklumat
(ICT).
iv. Kesedaran terhadap individualisme, liberalisme dan
humanisme terhadap hak asasi manusia.
v. Campur tangan kerajaan yang semakin longgar dan
berkurangan dalam aktiviti ekonomi.
vi. Third force sebagai ruang alternatif golongan pekerja
memperjuangan keadilan, kesejahteraan dan kebajikan
pekerja.
Keruntuhan Tembok Berlin pada tahun 1989 dan pembubaran
Kesatuan Soviet pada tahun 1991 menandakan tamatnya Perang
Dingin. Penguasaan korporat besar terhadap ekonomi dunia
telah dipacukan oleh proses perluasan kuasa korporat melalui
globalisasi yang dipelopori oleh institusi-institusi global yang
mengamalkan dasar neo-liberal, termasuk Bank Dunia, Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan
166
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
Sedunia (WTO). Konsensus Washington dijadikan preskripsi
dasar yang dipaksakan oleh institusi kewangan global (IMF dan
Bank Dunia) ke atas negara-negara sedang membangun untuk
membayar hutang negara mereka. Konsensus Washington
mendukung langkah-langkah neo-liberal seperti liberalisasi
perdagangan, penswastaan, penyahkawalseliaan terhadap
modal dan pemansuhan sistem negara kebajikan, untuk
menyelamatkan keuntungan korporat multinasional. Amalan
neoliberal ini pernah berlaku berlaku ketika krisis mata wang
di Asia Tenggara dan beberapa negara di Amerika Latin. IMF
telah mengenakan beberapa pelan pemulihan sebagai syarat
pinjaman ke atas Malaysia. Hal ini menyebabkan Malaysia
beralih kepada pinjaman secara mudah daripada bank-bank
Jepun bagi memulihkan ekonomi negara.
Aliran Pemikiran Sosialisme-Marxisme-Komunisme
Sosialisme, Marxisme dan komunisme ialah ideologi. Ia
merupakan suatu doktrin (ajaran) yang telah diperkenal dan
dikembangkan oleh Karl Marx. Das Kapital dan Communist
Manifesto (bersama Frederich Angels) ialah dua buah buku
yang telah memberi idea alternatif kepada kelemahan sistem
ekonomi kapitalisme. Menurut Karl Marx, perindustrian telah
mewujudkan dua kelas dalam masyarakat, iaitu kelas borjouis
(pemodal) dan kelas proletariat (pekerja). Aliran pemikiran ini
bermula daripada reaksi Karl Marx daripada kelemahan idea
dan amalan feudalisme, merchantalism, monarkisme dan sistem
pengeluaran kapitalisme yang berkembang sejak sebelum dan
selepas Revolusi Industri pada abad ke-18.
Selain Marx, beberapa tokoh lain seperti Frederich Angels,
Lanin dan Stalin di Rusia, Mao Tze Dong di China dan Pol
Pot di Kemboja. Aliran pemikiran sosialisme, Marxisme dan
komunisme ialah suatu pakej ideologi yang saling melengkapi
antara satu sama lain. Namun, ketiga-tiga aliran pemikiran
ini memiliki perbezaan dari segi konsep dan amalan. Apatah
167
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
lagi, aliran pemikiran yang wujud pada abad ke-18 ini masih
berkembang sehingga kini di beberapa negara dengan elemen
dan amalan yang baharu yang lebih adaptif. Secara sederhana,
dapatlah diperjelaskan bahawa Marxisme ialah idea-idea yang
lahir daripada pemikiran Karl Marx tentang penglahiran sebuah
masyarakat tanpa kelas. Manakala sosialisme ialah suatu bentuk
fahaman yang bertitik tolak daripada sistem ekonomi berpusat
yang pemerintah dan kerajaan memegang peranan penting dan
dominan dalam pengaturan kegiatan ekonomi. Komunisme
pula ialah tahap terakhir kelahiran masyarakat dan negara
tanpa kelas yang boleh dicapai menerusi pendekatan revolusi
dengan ciri-ciri seperti kesamataraan, kerjasama, komuniti,
kelas sosial dan hak milik bersama (Sutarjo, 2013).
Karl Marx berpendapat kewujudan dua kelas ini tidak baik
untuk kesejahteraan masyarakat kerana kedua-dua kelas ini
berjuang atas kepentingan yang berbeza. Golongan borjouis
memiliki modal, produk dan sistem pengeluaran termasuk
mesin dan peralatan. Pemilikan ini akan memudahkan kelas
borjouis menguasai ekonomi dan pasaran. Kuasa modal dan
pasaran yang mereka miliki juga membolehkan mereka mengaut
keuntungan setinggi mungkin dan salah satu yang dapat
dilakukan adalah dengan memerah keringat golongan pekerja
atau buruh. Manakala kelas pekerja pula hanyalah objek kelas
borjouis memperoleh keuntungan. Ia dapat dilakukan dengan
membayar gaji yang rendah dan penyediaan kemudahan kerja
yang ala kadar. Menurut Karl Marx, situasi ini mewujudkan
ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan dan memanipulasi
golongan yang lemah. Maka, kesedaran terhadap hak kesamaan
dan kesetaraan amat penting kepada kelas pekerja agar mereka
bertindak untuk mewujudkan suatu situasi masyarakat tanpa
kelas.
Karl Marx melihat pertembungan kepentingan dan hak ini akan
menyebabkan berlakunya konflik dan ia tidak dapat dielakkan.
Inilah idea asas bagaimana kelas pekerja perlu bertindak
untuk akhirnya memperoleh kesetaraan dan kesamaan dalam
168
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
sebuah masyarakat sosialis. Justeru, idea-idea komunisme
ialah idea tertinggi yang ingin dicapai oleh kelas pekerja yang
berjuang dalam masyarakat kapitalis. Namun, untuk mencapai
tahap masyarakat tanpa kelas tersebut, pembentukan sebuah
masyarakat dengan idea-idea sosialisme amat penting kerana
sosialisme ialah tahap terakhir sebelum sebuah masyarakat
tanpa kelas dengan ciri-ciri yang sempurna dicapai menerusi
komunisme. Dictactorship merupakan elemen penting dalam
usaha mencapai tahap komunisme kerana dengan kaedah
kediktatoran, negara dapat dikuasai dan diurus dengan keras
kerana dengan kekerasan sahaja elemen-elemen borjouis ini
dapat dihapuskan.
Pada akhir abad ke-19, industrialisasi dan nasionalisme
telah membentuk negara Eropah Barat yang lebih terbuka,
demokratik dan liberal. Sistem ekonomi kapitalis selari dengan
aliran pemikiran sosial di Eropah yang dikembangkan oleh ahli-
ahli falsafah zaman pertengahan dan zaman moden. Namun,
idea-idea Marxisme masih mendapat sambutan dalam kalangan
pemimpin dan kesatuan sekerja di Eropah. Pada tahun 1864
misalnya, kesatuan-kesatuan sekerja beraliran Marxis telah
berjaya membentuk organisasi antarabangsa yang dikenali
sebagai Organisasi Buruh Antarabangsa. Ekoran tindakan
dan tuntutan yang radikal menjadikan ia sering dikecam oleh
persatuan majikan Eropah dan akibatnya organisasi ini telah
dibubarkan pada tahun 1876. Selain kecaman para majikan,
kerajaan nasionalis di beberapa negara Eropah turut mengkritik
dasar-dasar yang diperjuangkan. Malahan, ahli-ahli kesatuan
juga sering bergaduh dan tidak sehaluan sesama sendiri.
Bagaimanapun, idea-idea sosialis sederhana masih menjadi
dukungan dalam kesatuan sekerja di Eropah, terutamanya
di beberapa negara seperti Jerman, Austria, Perancis dan
Hungary. Pada tahun 1883, di Jerman telah muncul dua parti
buruh yang berhaluan sosialis dipimpin oleh Ferdinand Lasalle,
manakala Parti Buruh berhaluan Marxis dipimpin oleh Wilhem
Liebknecht. Selepas 100 tahun kemudian, kedua-dua parti ini
169
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
bersatu menjadi parti Sosialis-Demokrat yang kehilangan ciri-
ciri Marxisme.
Pada tahun 1884, di England telah muncul gerakan sosialis
yang disebut Fabian Society. Fabian Society pada peringkat awalnya
bermatlamat memperjuang hak-hak golongan buruh secara
damai. Fabian Society kemudiannya membentuk Parti Buruh pada
tahun 1900 dan diperbaharu lagi pada tahun 1923. Parti-parti
sosialis mendirikan organisasi buruh dan sosialis antarabangsa
pada tahun 1923. Organisasi ini bertujuan memperjuangkan
cara kerja yang lebih demokratik dan pembaharuan
kesejahteraan buruh secara damai. Selepas Perang Dunia
Kedua, parti-parti sosialis berjaya menguasai pemerintahan
di kebanyakan negara Eropah khususnya di negara-negara
Scandinavia seperti Norway, Sweden, Finland dan Denmark.
Bahkan di Sweden sejak 1932, Parti Sosialis masih menarik
hati golongan pekerja dan rakyat. Di England, Perancis dan
Jerman Barat dapat dikatakan parti-parti konservatif berhaluan
kanan dan parti-parti buruh (sosialis) silih berganti menguasai
kerajaan hingga masa kini. Berbanding dengan aliran sosialisme
sederhana, aliran pemikiran komunisme hanya berupaya
melahirkan sebuah negara komunis, iaitu Persekutuan Rusia
dan akhirnya runtuh pada tahun 1990.
Pada 1889, Pertubuhan Buruh Antarabangsa II ditubuhkan
untuk menghimpunkan gerakan-gerakan kaum buruh di seluruh
Eropah. Namun, Perang Dunia Pertama telah menyebabkan
dua aliran pemikiran, iaitu sosialis dan kelompok Marxis telah
berkonflik dengan matlamat perjuangan yang berbeza. Blok
sosialis berpandangan kesatuan sekerja seharusnya menjaga
kepentingan dan kebajikan ahlinya dengan tidak menafikan
kepentingan nasional (negara) manakala blok Marxis pula
berpandangan buruh tidak memerlukan negara-bangsa.
Berbeza dengan Marx, Lenin berpandangan pekerja perlu
memiliki kesedaran untuk mencapai puncak komunisme.
Namun berdasarkan realiti dan budaya, Lenin mendapati
170
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
kelas pekerja tidak mampu mengembangkan kesedaran kelas
kerana pada kebiasaannya apa-apa yang sering diperjuangkan
oleh pekerja hanyalah untuk naik gaji. Dalam komunisme, naik
gaji bukanlah matlamat tertinggi yang ingin dicapai. Justeru,
Lenin melihat peranan parti yang bersifat revolusioner penting
untuk menjatuhkan kapitalisme. Justeru, apa-apa yang berlaku
di Rusia pada akhir abad ke-18 ialah kerajaan monarki Rusia
digulingkan dan digantikan dengan sistem pemerintah baharu
dengan ideologi komunisme pada menerusi Revolusi Bolshevik
pada 1917.
Selepas terbentuknya negara komunis Soviet Union (USSR),
Lenin telah menghimpunkan keseluruhan parti komunis di
Eropah dan seluruh dunia menerusi Comintern III. Ia bertujuan
menyebarluaskan idea dan faham radikal bagi membina
sebuah negara berfahaman komunis. Pada tahun 1919, Lenin
mengarahkan parti-parti komunis di Eropah menyebarkan
ideologinya ke tanah jajahan mereka di Asia. Strategi yang
mereka gunakan adalah dengan menyusup masuk dalam
pertubuhan nasionalis di Asia seperti negara China, India,
Jepun, Korea, Filipina, Indochina, Indonesia dan Tanah
Melayu (Malaya). Pada tahun 1928, Kongres Keenam Komunis
Antarabangsa telah menggariskan tiga asas yang perlu dijadikan
panduan gerakan revolusiner untuk menyebarkan ideologi
komunis di negara-negara sebelah Timur, iaitu:
i. Mewujudkan hubungan rapat antara parti komunis
dengan kesatuan sekerja di negara imperialis dengan
pertubuhan revolusioner di tanah jajahan.
ii. Gerakan revolusi peringkat awal hendaklah bertumpu
pada menganjurkan tunjuk perasaan secara besar-
besaran, kegiatan propaganda secara intensif.
iii. Melancarkan perjuangan secara menyeluruh ke atas
kuasa penjajah melalui satu program bertindak yang
tersusun.
Bagi memastikan semua usaha ini dapat berjalan dengan lancar,
Kongres Keenam ini menekankan betapa pentingnya dibentuk
171
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
sebuah parti komunis yang kuat dengan mendapat sokongan
yang meluas serta hubungan rapat dengan kesatuan sekerja
(Hanrahan, 1979). Parti-parti komunis ini telah memainkan
peranan mempengaruhi banyak pihak, khususnya kesatuan
sekerja dalam merealisasikan dasar perjuangannya yang radikal
(Sutarjo, 2013) di kebanyakan negara di Asia, termasuklah
Tanah Melayu pada ketika itu. Namun selepas Lenin, Stalin
berpandangan untuk mewujudkan masyarakat tanpa kelas,
negara tidak perlu dihapuskan. Negara seharusnya menjadi
pemilik dan mengawal modal dan alat-alat pengeluaran kerana
hanya dengan cara ini transformasi sosial dapat dilakukan.
Lenin telah berjaya mempengaruhi banyak negara di Eropah
Tengah dan Eropah Timur dan sekali gus membentuk regim
komunis di negara-negara berkenaan (Ruslan, 2003). Idea
Stalin ini telah menyebabkan gerakan kaum buruh di Eropah
terpecah dua, iaitu yang berfahaman sederhana dan radikal
(revolusi). Gerakan buruh yang berfahaman sederhana ini
telah membentuk parti sosialis (buruh), sedangkan golongan
yang berfahaman radikal membentuk parti komunis. Pada hari
ini, parti komunis terbesar terdapat di Eropah Barat seperti di
Perancis, Itali dan Portugal.
Komunisme sebagai sebuah ideologi ekonomi-politik semakin
diminati menjelang akhir abad ke-19 dan ke-20. Namun pada
akhir abad ke-20, apa-apa yang berlaku di Kesatuan Soviet
(USSR) ialah berakhirnya komunisme disebabkan dasar
yang lebih terbuka diperkenalkan oleh Mikhail Gorbachev
dan Boris Yeltsin menerusi dasar ekonomi terbuka - Glasnost
and Perestoraika. Dasar-dasar ekonomi yang lebih terbuka dan
liberal ini mengadunkan idea-idea liberalisme, humanisme
dan individualisme dalam aktiviti ekonomi sosialis. Perkara
yang sama turut berlaku di negara Eropah Tengah dan Eropah
Timur seperti Bulgaria, Hungary dan Yugoslavia.
Berakhirnya Perang Dingin antara blok Barat (kapitalisme) dan
komunisme (Rusia dan sekutu) telah menyebabkan ideologi
Marxisme ini semakin tidak popular. Runtuhnya Kesatuan
172
Perkembangan Aliran Pemikiran dalam Kesatuan Sekerja
Soviet Rusia dan Kesatuan Yugoslavia telah merencatkan
perkembangan ideologi Marxisme ini. Sesetengah pengkaji
politik ekonomi berpandangan komunisme ialah suatu ideologi
yang bersifat utopia dan tidak berasaskan realiti. Ideologi
sosialis semakin mengecil dan hanya kekal di beberapa buah
negara yang seperti di Eropah Timur, Asia Tengah, Cuba,
Vietnam, Korea Utara dan China. Namun, ideologi sosialis
di kesemua negara ini telah beradaptasi dengan idea-idea
demokrasi-kapitalis dengan membentuk suatu sistem baharu
yang dinamakan sosialis demokrasi yang bersifat evolusi dan
beradaptasi. Dengan cara ini, idea-idea sosialis berinovasi
dengan keperluan semasa dan menjadi lebih mapan. Pada hari
ini, idea-idea radikal Marxisme tersebut berkembang dalam
platform baharu termasuklah kesatuan sekerja dan gerakan-
gerakan sosial yang lain yang memperjuangkan golongan
rentan dan berkeperluan khas seperti golongan rentan, LGBT,
ekologi, emansipasi wanita dan sebagainya.
Idea-idea komunisme tersebar di seluruh dunia termasuklah
di beberapa buah negara di Asia seperti Korea, Indonesia,
Vietnam, Kemboja, Laos, Myanmar dan Malaysia dalam bentuk
parti yang bersifat revolusi dan radikal. Di Tanah Melayu, idea-
idea subversif komunisme telah bermula pada tahun 1920-an
sehinggalah 1960. Ia bertujuan membentuk sebuah negara
komunis. Idea-idea radikal komunisme mempengaruhi ahli Parti
Komunis Malaya (PKM) untuk berjuang dan membebaskan
Tanah Melayu daripada blok Jepun dan British dengan jalan
revolusi. Bagi komunisme, pada asasnya kolonialisasi dan
imperialisme Barat, kedua-duanya ialah medan golongan
borjouis membiak, membesar dan mengeksplotasi kelas pekerja.
Maka kesedaran meningkatkan perjuangan kelas pekerja sangat
penting dan mesti dilaksanakan. Hanya dengan jalan revolusi
sahaja kemiskinan dapat dihapuskan dan kebebasan bersuara
dapat diwujudkan untuk semua. Justeru, jika ia tidak dibendung
cita-cita mewujudkan masyarakat tanpa kelas akan terbantut.
Bertitik tolak daripada pandangan Lenin, kebanyakan
pengikut-pengikut (comrad) yang telah diindoktrinasi dengan
173
Perkembangan dan Isu-Isu Kesatuan Sekerja di Malaysia
komunisme akan mewujudkan parti revolusi bertujuan untuk
menumbangkan kerajaan sedia ada. Pada bahagian kedua bab
ini, dibincangkan secara lebih terperinci bagaimana pengaruh
aliran pemikiran komunisme meresap masuk ke dalam
kesatuan-kesatuan sekerja di Tanah Melayu dan mencetuskan
pemberontakan bersenjata (Ruslan, 2003).
Justeru, susur galur aliran pemikiran ini bukan hanya
meresap di Eropah malah merebak ke Amerika Utara, Afrika,
Amerika Selatan Asia dan Asia Oceania sehingga ke hari
ini. Bagaimanapun, sebahagian besar aliran pemikiran sosial
demokrat yang masih bertahan sehingga kini, manakala
perjuangan aliran Marxisme ini hampir menemui jalan mati
dan gagal menyerap ke dalam kesatuan sekerja pada zaman
ini. Sebaliknya, ideologi liberal-demokrat dan kapitalisme
menguasai hampir di kebanyakan negara di dunia termasuk
Malaysia.
Ideologi ini telah menyuburkan pembentukan dan
perkembangan kesatuan sekerja di Eropah, Amerika Latin,
Rusia, China, Korea Utara, Asia Tenggara (Filipina,
Vietnam, Myanmar, Kemboja, Malaysia dan Indonesia)
serta Asia Oceania. Idea-idea radikal ke arah “kesaksamaan
dan kesetaraan” akibat daripada kelemahan sistem ekonomi
kapitalisme yang berpusatkan modal, keuntungan dan
pemilikan peribadi diperjuangkan menerusi radikalisme yang
bersifat revolusi.
Antara faktor yang mendorong dan menghalang perkembangan
kesatuan sekerja menerusi aliran pemikiran ini ialah:
i. Perjuangan ke arah kesamaan dan kesetaraan menerusi
pemilikan bersama.
ii. Perjuangan kebebasan individu.
iii. Perjuangan yang bersifat revolusi.
iv. Pemikiran antitesis.
v. Pemerintahan kediktatoran.
vi. Masyarakat utopia.
174