The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by itasukri, 2021-01-10 07:37:26

Datanglah Cinta_10012021_final

Datanglah Cinta_10012021_final

DATANGLAH
CINTA

“The emotion that can break your heart is sometimes the
very one that heals it...”

-Nicholas Sparks-

Prolog I

“THAT THING IS NOT MINE.”

Telunjuk lelaki ini lurus ke arah abdomenku. Lebih tepat ke arah perutku. Rasa nak
pitam dengar. Sampai hati dia cakap macam ni. Riak muka langsung tak bersalah. Sekelumit
rasa berdosa pun tak terpancar.

“Abang!”

Suara keras aku tekan dalam desir perlahan. Mata memandang liar pada pintu yang
ternganga. Tak mahu didengar makcik. Ini urusan aku dengan lelaki ini. Urusan yang harus
diselesaikan hari ini jugak. Apa nak jadipun jadi la. Aku tetap takkan berganjak selagi dia
bertindak segera.

“I know you very well, Fatin. I know what you did behind me.” Sinis riaknya melekat
di mata. Membakar rasa. Mudah betul dia mencipta helah. Menghumban beban salah untuk
aku pikul seorang diri. Mana boleh! Sedangkan dia tahu apa yang berlaku ini puncanya
daripada dia. Segalanya berpunca dari dia!

“Jangan nak menuduh ye. Ingat TUHAN tak nampak ke apa jadi hari tu? Abang
jangan nafikan. You know what you have done.” Sinisku sama memanjat. Telunjuk ikut naik
membalas. Biji mata mencerlung tajam. Jangan ingat dia senang-senang nak cakap aku
macam tu. Aku dan dia sama-sama tahu apa yang dah terjadi.

“Pandai dah sebut nama TUHAN.” Senyum mengejeknya terjala. “Tak payahlah nak
tunjuk alim. Kalau alim tak jadi la yang dalam tu.” Jarinya cuba singgah di perut. Aku tepis
kuat. Memang jahanam punya perangai.

Rasa nak tinju aje muka segak dia. Bengang. Geram. Persetan kalau dia nak cakap
aku tak hormat dia. Sedap mulut dia bercakap. Selincah-lincah pergaulanku dengan rakan
sekampung, dosa pahala masih aku belum buta untuk membacanya. Apatah lagi
melanggarnya.

“Abang jangan nak fitnah ye. Fatin tahu siapa Fatin pada abang. Fatin berani
bersumpah kalau itu yang abang mahu. Fatin tak buat semua tu. Fatin tak buat!” Aku tahu diri
sendiri. Dan aku tau “benda ini” dari mana puncanya.

“Tak payah nak sumpah-sumpah la. Buang masa aje. Tepi!” Tubuhku ditolak kasar.
Bibir terkemam. Terkejut bercampur sedih dengan perbuatannya yang langsung tak terduga.
Sungguh aku terpempan seketika.

Dia cuba melangkah. Dan sebaik tersedar daripada rasa terkejut tadi pantas lengannya
aku sambar. Perhitungan ini belum selesai. Sedih dan risau saling bergumpal. Sedih dengan
sikapnya yang tiba-tiba berubah. Risau memikirkan keadaan diri sendiri. Kolam mata
berbahang. Dindingnya mulai merekah. Laju aku kelip mata. Menahan dari pecah.

“Abang…tolonglah. Jangan buat Fatin macam ni. Tolonglah, abang. Fatin takut. Kita
kena selesaikan hal ini cepat sebelum makcik tau. Abang kena buat sesuatu.” Untuk pertama
kali aku merayu pada lelaki ini. Aku dah tak boleh nak fikir. Aku buntu bila memikirkan apa
yang akan jadi nanti. Aku memang takut. Takut sangat-sangat!

That thing is yours with someone else. Not mine. Why should I?”

“Abang!!!” Terlepas jeritku. Tak mampu nak tahan. Kalau boleh meraung memang
aku dah meraung. Tapi aku tak mahu perkara ini pecah ke pengetahuan makcik. Mati aku
nanti.

“That is the product of your betrayal.”

“Astagfirullahalazim. Cukup la tuduh Fatin yang bukan-bukan. Cukup la, abang. Ini
salah kita berdua. You. Me. This is our mistake. Together. We created this together. You are
the only one who has touched me. The only man. Don’t you dare accusing me alone for the
sins we had shared.” Mana mungkin aku lupa. Akan aku ingat sampai bila-bila hari malang
itu. Kalaulah aku ikut makcik ke kenduri hari tu…

ALLAH.

Ampunkan aku.

Ampunkan khilaf dan dosaku.

“Hey perempuan. Apa dosa-dosa ni. Kau yang rela. Aku tak paksa. Kau bagi, aku
ambil la. Itu pun kau tak boleh fikir ke? Dasar lembab!” Mata terpejam sesaat. Tak pernah dia
bercakap kasar dengan aku selama ini. Jauh sekali berkurang ajar. Tapi kalau sudah ber aku
engkau tingkah bicara, aku bukanlah bodoh untuk tidak faham. Kalau orang sudah berkurang
ajar, aku pun tak ingin menunjuk santun.

“Sebab kau yang memujuk rayu. Sebab kau yang sungguh berjanji mati. Sebab kau
yang bersumpah akan bertanggungjawab kalau apa-apa jadi. Sebab kau kata kita memang dah
nak kahwinpun. Tak lama pun lagi. Sebab kau kata yang kita akan simpan hal ini. Rahsia kita
berdua. Kau jangan lupa apa yang kau dah cakap kat aku masa tu. Kau jangan nak lari dari
tanggungjawab ni! “Benda” ni, kau pun ada saham dosanya sama tau tak?!” Lengannya
direntap dari pautan. Kepalaku terus ditunjal kuat.

“Kau cakap apa? Tanggungjawab?” Senyum sinisnya menikam renung. “Kau ni
memang bodoh kan? Harap muka dengan batang tubuh kau aje yang meletup cantik.”
Tubuhku rakus dijamah biji matanya dari atas ke bawah. Aku ketap gigi kuat-kuat. Setan
punya jantan!

“Perempuan bodoh memang nasib macam kau ni. Mudah kena tipu. Kau ingat aku
bodoh ke nak buat bini perempuan macam kau. Kau tu untuk buat sedap aje. Tak layak pun
jadi bini aku.”

“Bastard! Liar!” Aku tumbuk dada dia kuat dan bertalu-talu. Sakit hati dan geram
saling bergaul. Tergamak dia buat aku macam ni. Tergamak dia tipu aku. Tergamak dia
hancurkan kepercayaan aku. Tergamak dia meletakkan maruahku serendah itu.

Tindakanku dibalas. Tubuh ditolak kasar. Tersasar langkah ke belakang. Nasih ada
dinding untuk bersandar. Tidak, memang aku dah terlentang. Telunjuknya naik menekan
dahi. Kuat. Aku ketap bibir dan tepis tangannya. Malangnya dua tanganku dikunci dan dikilas
kuat ke belakang. Berkerut muka menahan sakit. Bila kaki aku cuba membalas, sebelah
kakinya mengunci ketat. Buat aku terikat. Tak boleh bergerak.

“Lepaslah!” Tubuh meronta. Cubaan untuk lepaskan diri dari pautan dua tangannya
yang kuat dan keras macam besi.

“Diam!”

“Lepaskan aku la!”

“Kau dengar sini, Fatin.”

“Apa!”

“Kau jangan nak babitkan aku dan famili aku dalam masalah kau ni. You deal with it.
Yourself. I am not in the picture. Get it in your tick skull.” Dahi ditunjal kuat dan serentak

dua tanganku dilepaskan. Belitan kakinya ikut sama terlerai. Nafas mendengus kuat. Jelingan
tajam terhumban. Jangan dia ingat aku takut dengan amaran dia. Boleh pergi jahanam!

“Aku tak peduli! Aku akan cerita semua apa yang dah jadi hari tu kat makcik. Aku tak
kira. Biar mak kau tau apa yang kau dah buat kat aku. Biar makcik tau perangai buruk kau
yang sebenarnya. Dasar setan! Iblis!”

Dada turun naik menahan geram dan sakit hati yang saling bertempur di medan rasa.
Marah dengan amaran yang dilontar. Aku akan bongkar dan cerita pada makcik apa yang dah
berlaku. Apa yang dah anak tunggal dia lakukan padaku. Ketawa kecilnya yang bertali-tali
menampar telinga. Sakit telinga mendengarnya.

“Kau rasa mak aku akan percaya cakap kau yang menumpang ni atau cakap anak dia
yang tak pernah buat masalah kat dia? Selama ini yang banyak masalah tu kau. Bukan aku.”
Aku ketap gigi kuat-kuat. Dalam masa yang sama sedih dicop menumpang. Tak sangka dia
sanggup cakap macam tu.

“Kau fikir mak aku nak dengar cakap kau yang mengharap duit belanja dari dia atau
dengar cakap anak harapan dia ni yang tiap bulan bagi dia duit yang banyak untuk belanja,
hmmm?” Telunjuknya naik menekan pelipis. Aku tepis tangannya.

Senyum sinis lelaki ini terhumban. Aku kepal tangan kuat-kuat. Aku tumbuk
belakang badan dia bertubi-tubi. Dia buat tak endah. Langkahnya di hala keluar dari bilik
menuju ke pintu yang ternganga. Aku berlari kejar dia. Langkahnya aku halang dengan dua
tangan lurus memagar. Betul-betul di depan jenang pintu. Mata membuntang.

“Move.”

“No!”

“We are done, Fatin. Don’t waste my time. Baik kau keluar dari rumah ni sebelum
mak aku halau kau. Sebelum aku suruh mak aku humban kau keluar.”

“Ap…apa maksud kau?” Sungguh aku jadi terkaku sesaat dengar kata-kata yang
diucapkan.

Halau?

Humban keluar?

“Kita putus.” Belum sempat otak cari jawapan kata-katanya tadi, telinga ditampar
kata-kata yang paling mengejutkan. Jari manis ditegakkan dan gelung perak yang tersarung di
situ ditanggalkan dan dilemparkan ke dalam bilik. Mata hanya memandang kosong gelung
perak itu bergolek lalu masuk ke bawah katil. Kepala kembali diketuk kata-kata lelaki ini
sebentar tadi.

Putus.

Tak. Tak. Tak boleh. Tak boleh!

Tak boleh putus.

Aku paut tangan ke dahi. Jantung berdegup kencang. Apa akan jadi nanti padaku?
Tangan yang kemudian melorot ke bawah dan melekat di perut. Kepala menggeleng laju. Tak
boleh. Tak boleh putus. Tangannya pantas aku sambar.

“Abang, jangan. Tolong jangan buat Fatin macam ni. Tolong, abang.” Air mata
berjuraian. Esak bergema. Tak pernah aku menangis depan dia selama ini. Tapi hari ini tak
terdaya mahu menahan. Tangannya aku goncang.

“Abang, jangan buat Fatin macam ni.” Kepala menggeleng.

“Move!’”

Dan serentak tubuhku ditolak kuat ke tepi. Aku gagal imbangi langkah yang
terhuyung-hayang mencari tempat untuk berpaut. Tubuh terhempas ke lantai. Sakitnya kepala
tatkala terhentak ke lantai. Mata terpejam rapat menahan sakit. Bahagian abdomen pula terasa
sakit yang teramat bila terasa ada benda yang menekan. Memijak-mijak. Aku buka mata.
Nampak dia yang berdiri sambil kaki berada di tengah abdomenku. Ditekan. Jeritku bergema.

“Arghhhhhhh!!! Jangannn!!!” Dua tangan cuba menolak kakinya. Tak berdaya.
Gagal mengatasi kekuatan fizikalnya yang maha dominan. Tapak kakinya dipusing-pusing
dan ditekan lagi di situ. Rasa nak tercabut nyawa. Raungan bergema.

“Ya ALLAH…sakitnyaaaa!!! Jangan, abanggg!!!”

“Makcikkkk!!! Tolonggggg Fatinnnn!!!”

Prolog II

TURUN DARIPADA perut teksi aku tunduk memandang ke dalam semula. Pemandu
berbangsa cina yang sudah lanjut usia itu ikut menoleh. Memang selama ini aku selalu
gunakan khidmat dia kalau nak ke mana-mana. Dia dan isterinya memang tinggal di kawasan
kejiranan yang aku menyewa. Jadi kami memang saling kenal dan saling percaya.

“Uncle Lim tunggu 20 minit saja. Just give me 20 minutes. Saya bayar extra nanti.
Uncle boleh terus on itu meter.” Telunjuk ke terarah pada alat empat segi yang tertera angka
100. “Saya sudah jumpa itu orang kahwin saya cepat-cepat keluar.” Kepalanya mengangguk.

“Okey. Saya tunggu sama lu sini. Lu pergi la.” Aku tarik senyum.

“Terima kasih, uncle.” Tubuh kembali tegak. Pintu teksi aku tolak. Mata
menghumban pandang ke depan. Kepala kemudian berpusing perlahan ke kiri dan kanan.
Ada rasa sakit yang mengikis jiwa. Aku hela nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan. Kaki
mula melangkah.

LANGKAH kaki terhenti di depan meja makan yang dikhaskan untuk pasangan pengantin.
Betul-betul di depannya. Dia yang tunduk tersenyum manis melirik pada pasangan di sebelah
sambil menyuap makanan tiba-tiba mengangkat kepala.

Seakan tahu sedang diperhatikan. Bait-bait kejam yang dia lemparkan suatu waktu
dahulu berlumba-lumba menerjah kepala. Mengasak jiwa. Setiap aksara tersusun lengkap.
Untuk aku baca dan hafal sekali lagi.

Matanya tak berkelip ketika dua pasang biji mata kami bertempur tatap. Seperti
ternampak susuk makhluk yang amat menakutkan. Mata yang kemudian jatuh ke bawah dan
berhenti di abdomenku. Kemudian naik semula melekat di wajahku. Terus tak berkalih
pandang aku.

Lohong nafasnya bergerak-gerak. Laju. Menelan liur. Sebelah tanganku ikut naik
melekat di situ. Ngilu dipijak tanpa belas masih terasa hingga ke hari ini. Rasa yang akan aku
kenang hingga ke liang lahat.

Sorotan renung masih tak berganjak. Terpasung segala gerak tubuh sasanya.
Pasangannya ikut memandangku. Berkerut seketika namun bibir merahnya tetap menguntum
senyum. Tanpa sangsi. Aku ikut membalas. Senyum simpati.

Mata menjunam ke atas meja dan terhenti pada kendi berwarna perak yang paling
hampir denganku. Aku hala mata padanya. Seakan tahu apa yang bakal berlaku, rengkung
nafasnya bergerak laju seperti tadi. Namun duduknya masih terpaku. Masih tak berganjak
pandang aku.

“Assalamualaikum.” Salam aku lafaz tenang.

Ya. Sepanjang perjalanan ke sini, aku seru tenang untuk pegang hati dan jiwa aku hari
ini. Kerana aku tahu diri aku macam mana. Aku tahu sabar itu tiada had. Hadnya hanya akan
berakhir di liang lahat. Tapi aku tak sekuat itu. Sungguh aku tak kuat.

Renungku naik memanjat ke seraut wajah bujurnya. Tidak banyak berubah. Hanya
sedikit gelap. Melihat dia dalam persalinan pengantin, ada pilu yang menetak dada. Aku telan
liur yang berpasir. Bibir layang senyum. Memanggil manis untuk melekat di bibir.

“Selamat pengantin baru, Encik Adam Nuh.”

Matanya terkelip-kelip mendengar ucapan tahniahku. Matanya kemudian jatuh pada
tubuh kendi yang aku angkat dan diletakkan atas meja. Mangkuk di bawahnya aku buka
penutupnya lalu aku pegang kuat. Sekuat hati. Menahan sakit. Sakit yang dia cipta tanpa
sekelumit rasa bersalah. Jauh sekali berdosa. Melihat dia saat ini, jiwa bagai sedang dilapah
dan dicincang. Isi mangkuk berisi air bekas cuci tangan aku humban deras ke mukanya.

“Ahhh! Apa…apa ni!!! Eh…perempuan! Kau dah gila ke?!!!”

Jerit pasangannya nyaring menampar cuping. Siap dengan pakej jelingan tajam. Aku
rasa dia nak maki hamun aku tapi kena kawal diri sebab status pengantin yang tersarung di
tubuh. Nanti sampai ke anak cucu cicit orang bercerita. Wajah yang bermandikan air bekas
basuhan tangan tetamu di meja pengantin masih tegun merenung. Aku baling wajah tak
berperisa.

Sikit aje tu, Adam Nuh. Sikit aje yang aku bagi kat kau. Tak sebanding apa yang kau
buat kat aku dulu.

Suasana jadi riuh-rendah. Sekelip mata meja pengantin jadi tumpuan. Semua saling
memandang padaku. Pastinya masih ada yang ingat dan kenal aku mula berbisik-bisik sesama
sendiri. Ada yang melontar jeling. Aku tak peduli. Tak berganjak. Hanya fokus pada figura
yang lengkap berbaju melayu kuning air di depan mata.

Tangan pengantin perempuan yang menjerit tadi deras menyambar kotak tisu dan
menarik kasar segumpal isinya. Dilap wajah mematung di sebelah yang lencun. Bibir layang
senyum sinis. Tu baru air basuh tangan, Adam Nuh. Kotor yang melekat di muka dan tubuh
kau tu tak seberapa. Takkan terbanding dengan kotor yang kau tinggalkan untuk aku
tanggung seumur hidup.

Aku dan dia masih beradu renung. Aku masih berdiri di depan meja. Suasana terus
kelam-kabut dan makin riuh. Semua tetamu yang aku rasa dari sebelah pengantin perempuan
memandang aku kehairanan.

Wajah yang basah bermandikan air sisa cucian tangan di depan mata masih kaku
memandangku. Langsung tak bergerak. Duduk pegun di kerusi baldu putih yang mewah.
Lidahnya ikut terpalang. Tak berdaya untuk bersuara. Bagaikan sedang disihir kuasa paling
dahsyat hingga tak berupaya untuk bersuara.

“Fa…Fa…Fatin.”

Suasana yang tadinya riuh jadi sepi. Kepala menoleh. Sosok gempal yang cukup aku
kenali hinggap di mata. Wajah terkejutnya tak mampu disorokkan. Macam nampak hantu pun
ada. Bibir ukir senyum. Aku hulur tangan selamba. Macam tak ada apa yang berlaku. Dia
teragak-agak menyambut. Wajahnya kalau ditoreh pasti tiada setitis darah yang mengalir.
Pucat lesi!

“Apa khabar, makcik?” Nada suara aku pun lagak biasa juga. Seperti aku bercakap
dengan dia dulu-dulu.

“Ba…baik. Ma…marilah makan.” Tergagap suaranya. Ada getar di situ. Aku tahu
pasal apa jadi macam tu. Orang dah buat salah memang macam ni reaksi balas dia. Lagi-lagi
semua mata sedang pandang kat dia dan aku. Kepala perlahan menggeleng. Tak ingin aku
jamah hidangan dari duit manusia bertopengkan syaitan.

“Saya datang bukan untuk makan. Lagipun, saya kan dah diharamkan daripada jamah
sesen pun duit makcik. Lupa ke?”

Bibir layang senyum sinis. Aku pulangkan semula kata-katanya dahulu. Terkebil-
kebil matanya pandang aku. Aku takkan lupa hamunnya hari tu. Hari yang aku akan kenang
kisahnya selagi nyawa masih bersatu di badan. Kisah yang akan aku bawa hingga ke liang
lahat.

“Urusan saya di sini dah selesai. Maaf mengganggu majlis makcik. Tahniah dapat
menantu. Cantik orangnya. Padan dengan anak makcik yang baik hati tu. Kan?”

Tiada balasan dari lidahnya. Haruslah tak mampu nak bersuara. Hilang sudah segala
kosa katanya yang cukup kaya dengan bahasa setajam belati selama ini. Mana mungkin aku
lupa seranah sumpah dan makinya dahulu. Tak. Aku takkan lupa. Sampai mati.

Mata kembali singgah ke meja pengantin. Aku pandang dia yang masih seperti tadi.
Agaknya dia tak sangka aku masih hidup. Masih bernafas untuk melihat dia jadi raja sehari.
Melihat bukti dia sudah buang aku dalam hidup. Agaknya dia fikir aku dah berkubur bersama
“masalah” yang dia cipta dan tinggalkan bersamaku dahulu.

“Terima kasih kirimkan undangan sindiran kau. Terkejut kan? Aku sahut cabaran kau,
Adam Nuh. Jangan ingat aku tak berani muncul depan kau hari ini.” Aku jala senyum kecil.
Bergerak laju halkumnya. Pasangan di sebelah memandang hairan. Lantaklah. Aku tak
peduli.

Undangan wajib dipenuhi walaupun caranya cukup sinis. Kamisah, bekas rakan
sekolahku yang kini sudah berpindah ke Sarawak yang beritahu aku pasal undangan si iblis
ini. Dialah yang banyak membantuku dahulu dari segi kewangan waktu ditimpah musibah.
Kami masih berhubung dan dia kirimkan tangkap layar sindiran lelaki ini padaku.

Kata Kamisah dia baca status di FB lelaki ini yang mengumumkan majlis
perkahwinannya. Kamisah kata dia tanya la tak jemput aku ke. Dan komen balas lelaki ini
penuh sindiran. Mencabar aku untuk datang kalau tak malu.

Dan aku kini di depan matanya. Menyahut cabaran. Aku memang tak malu. Kenapa
mesti malu? Kan dia dah puas malukan aku selama ini. Kali ini biar dia pula yang rasa
dimalukan.

“Aku datang penuhi undangan sinis kau tu. Meraikan hari istimewa kau.” Mungkin
dia tak menyangka kemunculanku. TUHAN itu maha kaya, Adam Nuh. Kau lupa tentang itu
saat kau permainkan takdirNYA.

“Moga kau bahagia dengan keputusan ini, Adam Nuh.” Aku tahu dia faham
maksudku. Kalau dia sudah memutuskan dan membuang segalanya, aku terlebih dahulu
sudah menguburkannya. Biar ia dimamah cacing. Biar ia reput ditelan bumi.

“Aku nak kau tahu satu perkara. Antara kita…” Hela nafas terluncur perlahan. Aku
pandang tepat ke matanya. “…sudah selesai. Tamat. Titik. Pastikan kau jangan muncul lagi
depan mata aku. Sebab aku tak janji apa yang berlaku kat kau nanti masa tu.” Usai cakap,
terus aku berpusing dan mengatur langkah meninggalkan meja.

Suasana kembali riuh. Tetamu yang terus-terusan memandang dan berbisik-bisik tidak
aku hiraukan. Apa yang aku mahu sekarang cuma segera pergi dari sini. Mahu melupakan
segala apa yang dah terjadi tadi. Mahu lenyapkan segala kenangan tadi. Juga kenangan antara
aku dan dia. Melenyapkan seraut wajah yang telah meranapkan seluruh hidupku. Memijak
lumat maruah dan harga diriku.

Mata terasa hangat. Laju aku hayun langkah menuju ke depan. Ke arah jalan utama.
Sebelah tangan naik menyapu mata yang basah. Makin deras langkahku. Makin laju air mata
menuruni pipi. Dua tangan melekat di pipi.

Hati…tolong jangan menangis.

Kuat, Fatin.

Kuat!

Bab 1

“FATIN!”

Tangan yang menyusun stok tas tangan dan suit wanita untuk ke pejabat yang baru
tiba dari ibu pejabat CUIR de Boutique di Shah Alam terhenti. Tuan empunya suara nyaring
kasar tertampal di depan kelopak mata yang terbuka. Terpacak sambil mencekak pinggang.

Susuk gempal yang sedang menghumban tatap tajam ini tidak asing di mata. Gaya
tenung macam selalu. Ala-ala harimau nak telan mangsa. Cuma dia ni spesies harimau yang
patah taring. Tapi masih nak tunjuk eksen. Dasar harimau tak sedar diri!

Wani dan Lili di sudut setentang yang sedang menggantung dress-dress stok baharu
beri isyarat menjelir lidah daripada belakang. Kalau Nozi dengan Alice ada, mahunya buat
benda yang sama. Siap meniru aksi bercekak pinggang lagi. Nasiblah dua cik kak murai tu
cuti hari ini.

Mata masih mencuri pandang pada kedua-duanya. Bukan main sakan menjelir lidah.
Sahlah jeliran tu ditujukan untuk orang depan aku ni. Nak ketawa sebenarnya tapi aku tahan
kuat-kuat. Kalau terbarai gelak memang mengundang malapetaka. Ini pun aku rasa angin-
angin malapetaka bakal muncul bila cik kak ni muncul. Selalunya memang begitu.

Entah mengapa sejak aku bekerja di sini dia seperti memusuhi. Memang jelas sangat.
Ada sahaja benda yang dia buat untuk mencari pasal denganku. Benda kecil pun dia buat jadi
besar.

Paling aku tak boleh lupa sampai sekarang tentulah kisah aku panaskan bekalan
makan tengah hari yang aku bawa dari rumah gunakan microwave milik butik yang
dikhaskan untuk kegunaan staf. Itu pun dia boleh jadikan sebab untuk mengadu kat bos kami.
Dia kata bau makanan yang aku panaskan tu melekat kat baju-baju dalam butik. Pelanggan
komplen.

Aku tahu dia sengaja buat cerita. Walhal, tak pernah pun aku, Lili, Wani, Nozi
mahupun Alice terima aduan macam tu daripada pelanggan. Microwave tu kat dapur. Nun
jauh kat stor belakang. Tertutup. Mana baunya nak lepas sampai ke depan.

Lagipun aku cuma panaskan nasi putih aje. Bukannya gulai tempoyak. Sejak tu
memang tak pernah dah nak guna bendalah tu. Tak berani aku dah. Nanti jadi hal lagi. Makan
nasi sejuk pun tak apalah dari jadi punca dia kenakan aku lagi.

Aku pun tak tahu apa masalah dia dengan aku. Nak kata aku yang mula buat hal
dengan dia memang taklah. Aku bukan jenis yang suka cari pasal dan ambil tahu hal orang.
Kacau hidup orang jauh sekali. Aku ni sejak bekerja di sini rutinnya dua aje. Datang kerja,
Buat kerja.

Habis masa kerja, balik rumah mengadap Ash. Melayan Ash. Itu aje hidup aku. Itu
aje dunia aku. Tak ada yang lain. Tak ada nak masuk dunia orang lain. Jadi aku bingung
fikirkan apa yang dia tak puas hati kat aku. Tak adapun aku interframe dalam hidup dia. Apa
yang dia nak kat aku sebenarnya?

Selalunya memang dia yang kaki buat aduan pasal staf butik ni. Ada aje benda yang
tak kena. Akulah yang selalu kena. Nak kata aku goda laki dia, memang kirim salam la. Tak
teringin pun. Bukan handsome pun. Tempias pun tak ada. Aku tak kutuk tapi kenyataannya
memang gitu. Kaya pun tidak.

Dia tu yang tak sedar laki dia tu miang nak mampus. Pantang dapat peluang.
Mengayat aku dengan staf-staf kat sini. Siap curi-curi bagi hadiah kat aku. Aku buang aje.
Tak hingin nak ambil. Kami kat sini aje malas nak cerita pasal perangai buruk laki dia.
Bukannya dapat faedah pun. Laki dia tu kat mata dia macam malaikat. Dia tak tau belakang
dia perangai laki dia tu serupa macam hantu tanah.

Kadang aku heran dengan Kak Shima ni. Ada aje topik yang dia mengadu dekat Datin
Miara; tuan punya CUIR de Boutique ni pasal aku. Aku itulah. Aku inilah. Bla bla bla.
Hikayat pasal hal aku ni kalau diadaptasi ke drama mahu makan berpuluh episod. Kalau dia
yang terbitkan mahu kaya Kak Shima.

“Kau berkhayal apa ni haa sampai aku panggil kau tak menyahut. Tak reti hormat?
Aku ni supervisor. Kau tu kuli.” Kalau tak menyinis aku sehari memang boleh tumbuh bisul
kat mulut dia ni aku rasa. Harap masin mulut aku. Biar bisul yang banyak mata.

“Ya, Kak Shima supervisor. Saya dengar. Nak cakap apa ni?”

Macam biasa aku akan jawab jugak dia. Suka tak suka kena juga jawab. Meluat atau
menyampah melangit tetap juga aku kena jaga etika kerja dengannya. Nanti ada point dia
kenakan aku. Itu memang aku dah masak sangat.

“Tu.” Bibir tebalnya yang merah pekat dan berkilat menjuih ke depan. Buruk betul
rupanya. Aku ikut berpaling ke belakang. Kening berkerut-kerut dengan mata mengecil. Nak
tau juga apa benda kat belakang aku. Ada rak runtuh ke? Tak ada pulak. Elok aje keadaan kat
belakang aku ni sampai ke selekoh masuk ke pejabat. Tak ada yang huru-hara.

“Ada apa ni sebenarnya, Kak Shima? Cakap aje la.” Terus aku terjah dia. Tak faham
aku dengan bahasa muncung bibir dia tu. Perasan seksi. Aku yang tengok ni rasa nak muntah.

“Lembab betul kau ni la. Eeei!”

Sedap aje mulut dia melembabkan aku. Macam la dia tu pantas. Terkedek-kedek
macam angsa betina tak sedar.

“Bos panggil kau laa. Cepat pergi!” Perkataan cepat pergi tu ditekan keras. Siap
dengan pakej jelingan macam nak telan aku hidup-hidup. Cucuk biji mata tu baru tau. Dengar
dia sebut nama boss panggil tu kepala aku laju aje buat kesimpulan. Apahal pulak ulah dia
kali ini. Tak habis-habis la dia ni.

“Ada apa pulak aduan kali ni, Kak Shima?’ Sengaja aku cakap macam tu. Biar dia
tahu, kalau tak sebab mulut jahat dia yang bawa cerita kat Datin Miara, tak adanya aku kena
mengadap selalu. Macam sebelum-sebelum ni. Sampai aku dah boleh hafal apa ayat yang
bakal keluar dari mulut Datin Miara.

Awak kena ikut arahan Shima

Awak jangan melawan Shima

Awak kena hormat Shima

Awak pekerja. Shima ketua awak.

Awak itu.

Awak ini.

Awak…awak…awak.

Aku jugak yang salah. Aku juga balik-balik yang kena. Aku jugak yang tak betul.

“Eh. Mana la aku tahu. Kau tanyalah Datin sendiri. Bodoh betul.” Sinis bukan main
lagi jawapan dia. Kurang ajar tu memang kembar dia. Tak kurang ajar dengan kami staff kat
sini memang boleh demam dia aku agak. Rasa nak aje aku tonyoh-tonyoh bibir tebal dia tu.
Macamlah seksi. Bibir beruk lagi lawa.

“Akak kan supervisor. Takkan la tak tau. Apa guna jadi supervisor macam tu. Baik
jadi macam saya aje.” Sengaja aku pulangkan balik sinis tadi kat dia. Mata galaknya
memicing. Nampak rahangnya bergerak-gerak. Menahan geram la tu. Nasiblah. Peduli apa
aku. Sah-sah memang dia yang bawa mulut kat bos ngadu pasal aku.

“Kau ni memang kaki melawan kan.” Telunjuknya naik dan dihunus depan muka aku.
Nak aje aku patahkan jari gemuk dia tu. Kurang ajar betul.

“Cakap aje, kak. Tak payah la pakai telunjuk macam tu. Saya ni bukan budak-budak.
Akak lagilah. Dah tua. Elok-elok sikit perangai.”

“Pandai melawan ek kau ni. Tak apa. Kau tunggu aje nasib kau lepas ni. Baru kau
tahu langit tu tinggi ke rendah.” Bibir dia humban senyum sinis. Nampak jahat senyum dia.

“Apa maksud akak ni?” Aku rasa tak sedap hati aje bila dengar dia cakap macam tu.
Mesti hal yang dia ngadu kali ni lebih besar dan berat. Hati aku berat ke situ. Kenapalah dia
ni sakit hati dengan aku? Apa dosa aku kat dia?

Tanpa menjawab pertanyaaanku, tubuh gempalnya berpusing dan terus berlalu.
Meninggalkan aku yang masih bergelut mencari jawapan sendiri. Sempat lagi bibirnya
menjuih. Tengok reaksi dia, memang aku boleh agak dia mesti ada mengadu pasal aku kat
bos. Dari ekor mata, aku nampak Wani dan Lili terbongkok-bongkok kat belakang rak
kemudian laju berlari mendekati bila bayang Kak Shima hilang di sebalik pintu untuk ke
pejabat.

“Fatin.” Wani cuit lenganku. Lili di sebelah terjongket-jongket kepala sambil pandang
ke arah depan. Takut kalau-kalau Kak Shima tiba-tiba muncul semula la tu. Nanti dorang
pulak yang kena bambu.

“Hmmm.” Beberapa buah tas tangan yang tersangkut di jari-jemari aku letak kat
hujung rak semula. Karang sambung balik susun lepas jumpa Datin. Kepala aku masih fikir
kata-kata Kak Shima tadi. Hati rasa tak sedap.

“Amende tadi tu?”

“Ha’a. Makcik bibir tebal acah seksi tu nak apa?” Suara Lili ikut menyampuk.

“Dia cakap Datin nak jumpa aku.”

“Hurm.” Bibir Lili mencebik. “Ada la tu cerita baru pasal kau dia sampaikan kat
Datin. Kerat jari la, Fatin.” Semua rakan sekerja kat butik ni memang dah maklum perangai
buruk Kak Shima. Cuma aku dan dia orang malas nak panjangkan pada Datin. Tak kuasa nak
jadi kaki report macam dia.

“Aku pun rasa macam tu jugak laa, Fatin.” Wani angguk. Mengeyakan kata-kata Lili.
Mata jatuh pada kedua-duanya.

“Kan?”

Dua-dua saling memandang dan mengangguk. Kemudian pandang aku. Tapi aku tak
jawab. Atau bagi apa-apa reaksi. Hati aku berdebar semacam aje sekarang ni. Tak pernah-
pernah aku rasa macam tu. Tapak tangan melekat ke dada. Istighfar berlagu. Menghalau bisik
yang bukan-bukan. Dalam kepala masih ligat memikirkan kata-kata Kak Shima tadi. Apa
maksud dia cakap macam tu? Ada perkara tak baik yang bakal menanti aku dalam bilik Datin
Miara ke nanti?

ALLAH.

Harap tak laa.

“Kau tak tanya dia ke apa hal Datin nak jumpa?”

“Dia tak jawab.” Aku jawab senada. Lemah. Hati makin libang-libur bila memikirkan
apa yang bakal berlaku sekejap lagi. Risaunya.

“Sah la tu ada benda yang dia mengadu. Mulut puaka sungguh. Tumbuh bisul baru
padan, tak boleh buat jahat dah kat orang. Lagi-lagi kat kau, Fatin. Benci la aku dengan si
gemuk tu.” Eh. Sama pulak dengan apa yang aku cakap tadi.

“Memang. Aku doakan tumbuh bisul-bisul besar kat bibir dia tu. Baru tak boleh
bercakap. Padan muka dia.”

Berderai ketawa kedua-duanya. Aku hanya diam. Langsung tak ikut ketawa dengan
Wani dan Lili.

Kau tunggu aje nasib kau lepas ni. Baru tahu langit tu tinggi ke rendah.

Dan biarpun puas aku tepis dan halau, entah kenapa aku rasa macam ada perkara tak
baik akan berlaku kat aku hari ini. Perkara paling buruk.

Ya ALLAH. Permudahkanlah urusanku.

Takdirkanlah aku yang baik-baik.

“Aku pergi jumpa Datin dulu la. Korang doa-doakan aku tau!” Bahu Lili dan Wani
aku tepuk serentak bersama sejalur senyum. Senyum yang cuba menutup rasa gementar yang
mula mengintai. Kaki melangkah bersama debaran yang mula bergendang. Dalam kepala
ligat memikirkan ada apa-apa silap atau cuai yang aku buat dalam minggu ni. Mana tau kalau
itu dijadikan aduan Kak Shima kat bos kami itu. Sekurang-kurangnya aku dah bersedia
dengan hujh balas.

“Hati-hati. Baca-baca la surah apa yang patut sebelum kau ketuk pintu tu.” Tubuh
pusing semula ke belakang. Wani buat isyarat angkat dua tangan yang dirapatkan separas
dada. Lili pun sama. Aku angguk sambil raup dua tapak tangan ke muka. Sambil kaki
melangkah kepala memikirkan semula perkara tadi.

Rasanya aku tak ada cuai atau buat silap mahupun salah minggu ni. Memang aku
ingat betul-betul. Sepanjang minggu ni, kerja aku siap dan selesai. Tak ada juga aduan dari
pelanggan. Teguran pun tak ada. Malah siap dapat tips lagi sebab dorang puas hati dengan
layananku.

Jadi…pasal apa bos nak jumpa aku?

SOALAN tadi terus mengasak kepala hingga langkah aku sudah berada di depan pintu bilik
Datin Miara. Hela nafas panjang sambil baca lafaz bismillah, kura tangan melantun ketukan.

“Masuk.”

Aku kemam bibir seketika dan kemudian kembali menghirup nafas. Memujuk debar
untuk tenang. Tangan capai tombol pintu dan diputar lalu ditolak ke dalam. Tubuh melolos
masuk.

“Selamat Pagi, Datin.” Susuk tubuh berkebaya rona citrus berbunga hijau yang
sedang bersandar di kerusi setentang melekat di mata. Riak wajahnya tak macam selalu.
Senyum pun tidak. Selalunya kalau aku bagi ucapan macam ni dia akan balas. Kali ini mulut
dia macam tak sudi nak balas. Tengok muka dia macam ni hati kembali dilanda huru-hara.
Liur yang ditelan pun pahit aje rasanya.

“Kak Shima kata Datin nak jumpa saya.” Perlahan aje suaraku bertanya. Entah kenapa
aku rasa dia macam menyampah aje pandang aku. Bukan tak faham bahasa muka dia bila
pandang aku macam. Isyarat tangannya menghala pada kerusi baldu merah di depanku.

“Duduk, Fatin.”

Bab 2

“SAYA DIBERHENTIKAN KERJA?”

Jantung seolah-olah kena rentap usai wanita bernama Datin Miara Junaidi yang duduk
bersandar tenang depan aku ini selesai bercakap tadi. Memang masa aku masuk dan duduk
aje dia terus cakap akan berhentikan aku. Langsung tak ada mukadimmah. Tak ada bunga-
bunga bicara. Tanya khabar. Tanya kerja macam mana. Tembak terus. Straight to the point.

Nak hela nafas pun macam tak berdaya. Kepala pulak umpama dihempuk batu paling
berat. Dosa besar apa yang dah aku lakukan sampai dijatuhkan hukuman paling zalim ini?
Apa yang dah Kak Shima adukan kali ini sampai Datin Miara tergamak pecat aku? Fikiran
jadi libang-libu. Apa yang Kak Shima tak puas hati sangat kat aku ni sebenarnya?

Kalau tak sebab tubuh masih melekat di atas kerusi, memang dah lama aku terjelepuk
ke lantai dek dihumban berita paling mengejutkan ini. Menerawang kepala memikirkan apa
yang bakal jadi pada hidup kalau wanita ini benar-benar maksudkan kata-katanya.

Dalam hati bertali doa moga Datin Miara tarik balik kata-katanya. Atau aku harap dia
cakap dia cuma mahu bergurau denganku. Tapi bergurau jadah apanya waktu kerja tengah
bertimbun kat luar tu. Dia pun tau stok baharu banyak sampai.

“Ya. Saya terpaksa berhentikan awak, Fatin. Berkuatkuasa serta merta.” Suara dia
sezarah pun tiada nada bersalah disebalik perkataan “terpaksa” yang disebut. Tak macam
gaya terpaksa pun. Riak muka macam sang algojo yang menunggu masa nak pancung aku
ada la. Tak ada perasaan ihsan. Dan segala yang aku doakan tadi terus berderai. Sama seperti
hati yang ikut pecah berkecai.

Berhentikan awak.

Serta merta.

Sekali lagi ayat pembunuh yang terluncur daripada bibirnya berputar dalam kepala.

“Awak boleh kemaskan barang-barang awak dan balik sekarang. Ini gaji awak untuk
bulan ini.” Liur terasa jadam. Kepala macam nak pitam. Berpinar-pinar biji mata pandang
riak wajah dia yang bersahaja. Terus-terang dia halau aku. Sampul putih di tangannya
diletakkan di atas meja lalu di tolak deras ke depanku. Rasa terhina sungguh diperlakukan
begini. Macam gayanya dia nak baling sampul tu kat muka aku.

Mata pandang muka Datin Miara tak berkelip. Hampir nak rebah tadi dengar apa yang
baru keluar dari mulutnya. Kaki masih rasa lembik. Rasa tak jejak lantai. Patutlah hati
berdebar-debar. Patutlah perasaan lain macam sejak dengar ayat Kak Shima tadi. Patutlah
kaki menggigil aje bila nak masuk pejabat ini tadi. Dan semua itu rupanya petanda.

Ya ALLAH. Ujian apakah lagi yang mahu KAU berikan pada aku?

“Tapi kenapa, Datin? Saya ada buat apa-apa salah ke? Tolonglah, Datin. Tolonglah
jangan berhentikan saya. Tolonglah. Kalau saya ada buat apa-apa yang salah, saya minta
maaf. Kalau Datin nak hukum saya, marah saya, maki saya, denda saya…saya terima.

Tapi tolonglah jangan berhentikan saya kerja. Saya sayang kerja ni, Datin. Ini tempat
saya cari rezeki. Dah dekat empat tahun saya kerja kat sini. Tolonglah, Datin. Kesianlah kat
saya.” Kolam air mata pecah tanpa mampu ditahan.

Aku harap sangat dia tak jadi pecat aku. Bukan senang nak cari kerja sekarang. Aku
ni bukannya ada kelulusan tinggi. Setakat SPM aje. Bila memikirkan semua ini ada rasa kesal
di hati kerana tak berkeras untuk sambung belajar dahulu. Rasa bodoh kerana terlalu menurut
telunjuk orang lain untuk mengatur hidup sendiri. Akhirnya aku sendiri yang dicampakkan
bak sampah.

“Saya tak ada pilihan, Fatin. Keputusan saya muktamad. Ini demi kebaikan butik
saya. Saya tak nak staf-staf butik ni nanti dapat tempias cerita tak baik awak. Tempias status
kotor diri awak yang cuba awak sembunyikan selama ini. Saya tak nak butik ini dapat nama
yang tak elok sebab ada pekerja macam awak.”

Tempias cerita tak baik.

Tempias status kotor diri aku.

Sungguh aku tak faham. Apa semua ni?

“Mak…maksud, Datin?”

“Awak tahu maksud saya, Fatin. Tak perlu nak pura-pura depan saya. Tak perlu nak
berlagak suci.” Sinis aje suaranya. Aku tahan rasa sedih. Tak tahu kenapa Datin Miara sindir
aku sampai macam ni.

Aku geleng kepala.

“Demi ALLAH, saya tak faham apa yang Datin maksudkan ni.”

Sungguh aku tak tahu dan tak dapat nak meneka apa yang Datin Miara cuba beritahu.
Cerita tak baik apa yang dia maksudkan. Selama hampir empat tahun bekerja di sini, aku tak
pernah buat perkara tak elok.

Aku ikut semua peraturan yang Kak Shima beri untuk semua staf. Sampaikan kalau
dia suruh aku kerja lebih masa hujung minggu dan gantikan staf-staf yang ambil cuti tiba-tiba
pun aku tak pernah bantah. Aku ingat jasa Datin Miara sebab sudi terima aku bekerja di sini.

Wanita penuh bergaya depan aku ini silang dua tangan ke dada. Tiada riak mesra di
wajahnya macam selalu. Tajam mata galaknya pandang aku. Seakan ada sesuatu benda yang
sangat jelik melekat kat muka aku.

“Ash.”

“Ash Faheem. Does that ring a bell?” Berdegup kencang bila nama anakku tetiba
dipetik. Kenapa dengan Ash?

“Budak tu sebenarnya anak luar nikah awak kan?” Mata terkelip-kelip. Liur terpasung
dengar ayat kejam wanita ini. Seraut wajah comel yang menyalin lesung pipit di kanan pipiku
singgah di mata.

“Anak hasil zina awak kan? Tak sangka saya budak tu anak luar nikah rupanya.”

Ya ALLAH. Dada sedang dihempap batu paling besar. Kejamnya kata-kata Datin
Miara.

“Awak cakap awak ibu tunggal. Suami awak dah meninggal dunia. Tapi sebenarnya
awak ni perempuan yang tak bermaruah. Buat kerja terkutuk sampai mengandung!” Aku
tekup mulut sambil kepala menggeleng laju. Kelopak mata hangat menderu.

“Biar saya jelaskan perkara sebenar, Datin. Tolong, Datin.” Kalau ini dapat
menyelamatkan kerjaku di sini, biarkan aku singkap aib yang selama ini aku tutup rapat.
Demi Ash, aku sanggup telan segala caci- maki. Demi anakku yang tak berdosa yang mahu
aku lindungi dari cercaan masyarakat, biarlah segala kutukan dan ludahan terpalit di wajahku.
Aku rela. Aku reda. Aku yang salah. Aku yang khilaf. Aku yang berdosa.

Bukan Ash.

Bukan!

“It is too late. I do not want hear any sympathy story from you.” Sinisnya menampar
tapi aku telan dan hadam. Demi Ash, biarlah aku jadi tak malu.

“Datin…tolonglah. Saya merayu sungguh-sungguh. Datin beri saya peluang jelaskan
hal sebenarnya. Bukan niat saya nak menipu. Saya ada alasan saya. Tolonglah, Datin.
Dengarlah penjelasan saya.”

Tak putus asa, aku tebalkan muka merayu. Untuk Ash aku sanggup buat apa sahaja.
Tak apalah jika aku dicop keji, jijik. Asal sahaja aku tetap dapat terus bekerja dan mencari
rezeki halal untuk anakku.

“Saya tak mahu dengar apa-apa lagi. Awak tolong keluar dari butik saya ni. Saya tak
nak nama baik butik saya tercemar kalau pelanggan-pelanggan dapat tau butik ni ada pekerja
yang keji dan rendah moralnya macam awak. Ada anak luar nikah! Anak haram!”

Liurku terhenti dari mengalir ke rengkung saat ayat-ayat belati itu meluncur dari bibir
Datin Miara. Jantung direntap kasar. Tanpa ikhsan. Tanpa belas. Sampai hati Datin cakap
macam ni. Kolam mata yang hangat, pecah juga akhirnya. Meluncur membasahi pipi.

“Datin…saya merayu sangat-sangat. Tolonglah jangan pecat saya. Kesianlah pada
anak saya. Dia tak bersalah.” Sebelah tangan naik menyapu pipi yang basah. Masih menaruh
harapan agar wanita di depanku ini menukar fikiran.

“You heard me. Loud and clear.” Sorotan tajam matanya isyarat jelas yang aku sudah
tiada harapan lagi untuk terus kekal bekerja di sini.

Sabarlah, Fatin. Redalah pada ujian-NYA. Hati sedang sayu memujuk di saat jiwa
sudah terjelepuk pasrah.

“Saya tak nak tengok muka awak lagi. Sila keluar dari bilik dan butik saya. Saya
haramkan awak pijakkan kaki di butik saya. Out now!” Berderai sekali lagi air mata. Hina
sungguh aku rasa saat ini.

Macam bangkai yang jijik. Busuk.

"MISS?”
Itu anak luar nikah awak kan?
Telinga macam terdengar bunyi suara di sebelah. Sebelah tapak tangan naik menyapu

kelopak mata yang basah.
“Miss?”
Anak hasil zina awak kan?
ALLAH. Bibir aku kemam kuat. Mata kembali basah. Laju aku lap dengan dua tapak

tangan. Esak aku tahan dari terlepas.
Saya tak nak nama baik butik ni tercemar kalau pelanggan-pelanggan saya tau butik

ni ada pekerja yang rendah moralnya.
“Miss…” Terasa ada tangan yang melekap di lengan. Kepala laju berpusing. Terkejut.
“Awak...awak okey?" Susuk tubuh wanita berbangsa India yang aku rasa dalam

lingkungan lewat lima puluhan melekap di kornea. Riak prihatinnya jelas terbentang.
Mungkin terkejut tengok muka aku yang lembab. Mata yang merah. Itu semestinya. Rupa
orang lepas menangis.

Cepat-cepat aku pusingkan muka ke arah bertentangan dan sapu pinggir mata dengan
dua belah tapak tangan macam tadi. Wajah aku palingkan semula ke arah suara yang
menegur. Sedaya upaya aku senyum walaupun TUHAN tahu ia sesuatu yang teramat berat
untuk dizahirkan.

"Okey. Saya okey, auntie." Senyum aku lebarkan biarpun mulut macam kena koyak
secara paksa.

"Kenapa awak menangis? Awak ada masalah ke?"

Pertanyaannya buat pilu yang aku kepung dek teringat sindiran dan hinaan Datin
Miara tadi terburai. Agaknya mudah sahaja dia baca apa yang terlukis di wajahku saat ini.
Orang yang dah lama makan garam kehidupan pasti mahir menelah.

Tengok muka yang masih ada bekas air mata dan mata aku yang merah pun dia dah
tahu aku sedang bergelumang dengan “masalah”. Aku tarik senyum sambil geleng kepala.
Tak mahu melibatkan sesiapa. Lagi-lagi orang yang aku tak kenal. Agaknya dah lama dia
perhatikan aku. Cuma aku aje yang tak sedar kehadirannya di perhentian bas ini sebab masa
aku sampai tadi memang aku sorang aje kat sini. Tangannya yang melekat di lengan kini
berpindah ke kura tanganku. Dielus lembut.

“Lama saya tengok sama awak."

Kan betul aku cakap.

"Saya tau awak mesti ada masalah besar punya. Awak cakaplah. Kalau saya boleh
tolong, saya mesti tolong sama awak. Saya tengok awak ini macam saya tahu awak mesti
sangat sedih. Jangan nangis. Cakap apa awak punya masalah. Saya mahu dengar. Kalau awak
cerita, nanti awak sini…” Telunjuk kirinya terarah ke dadaku. “…tak sakit lagi. Saya tau itu
rasa macam mana. Now you don’t cry okay. Tell me your problem. If I can help, I sure will
help you." Kura tanganku ditepuk lagi.

Suara prihatin wanita ini menggamit renungku jatuh ke wajah jernihnya.
Anggukkannya yang terpancar keikhlasan buat hati yang tersayat sedikit terubat. Perlahan-
lahan aku hela nafas dan lepaskan. Rengkung bergerak-gerak. Kura tanganku ditepuk.
Kepalanya ikut mengangguk. Isyarat dia sedia mendengar apa yang tersangkut di lorong
suara.

“Baru sekejap tadi saya sudah kena berhenti kerja, auntie. Saya sedih sangat. Saya
susah hati jugak. Fikiran saya kosong sekarang. Tak tahu apa nak buat sekarang. Sekarang
bukan senang mahu cari kerja. Saya bukan sekolah tinggi. Saya tak pandai. Saya bodoh. Saya
risau nanti saya punya anak macam mana?

Apa mahu bagi dia makan kalau saya tak ada kerja. Dia kecil lagi. Mana mahu cari
duit bayar sewa rumah. Saya takut nanti kena halau, auntie. Mana saya mahu duduk.” Pinggir
mataku kembali panas dan bergenang. Sedih dengan nasib diri yang tidak henti diduga dan
terus diduga.

Kura tanganku dielus lembut. Mata kami bertaut. Gerakan wajahnya memberi isyarat
seolah-olah ingin beritahu yang dia faham perasaanku dan semuanya akan baik-baik sahaja
nanti.

“Awak punya suami tak ada kerja ka? Sakit ka?” Sedikit pun aku tak terkejut dengan
pertanyaannya. Soalan yang dah acapkali aku hadap selama ini. Cuping telingapun dah tebal
asyik dengar benda yang sama. Bibir tayang senyum pahit.

“Sudah lama mati, auntie.” Itu jawapan yang sudah acapkali juga aku berikan pada
yang bertanya. Malas mahu bersoal jawab. Mati itu jawapan selamat. Orang takkan bertanya
lagi. Dan aku memang harapkan begitu. Tak mahu bercakap tentang perkara yang maha pahit
dalam hidup. Tapi aku tak duga, kerana hal ini juga jadi punca aku diberhentikan kerja.
Hanya kerana aku mahu melindungi anakku dari dihina dan dikeji masyarakat.

Kepalanya mengangguk sambil mata merenung sayu. Mungkin dia simpati bila aku
cakap “suami” aku dah lama mati.

“Awak mahu kerja?”

Pertanyaan yang tiba-tiba buat bibir menghampar senyum. Haruslah aku nak kerja.
Tidak, macam mana nak sara hidup aku dan Ash.

“Kerja apa, auntie?”

“Awak boleh kemas sama bersih rumah? Mop lantai? Lap cermin tingkap? Cuci bilik
air? Cuci tandas? Basuh baju? Lipat baju? Iron baju? Cuci longkang? Siram pokok?” Setiap
kerja yang dia sebutkan bukan asing bagiku. Dah jadi darah daging sejak kecil waktu tinggal
dengan makcik.

Tak ada masalah untukku. Asal ada kerja sudah syukur buatku. Itu sudah sebesar-
besar nikmat dan rahmat. Dalam keadaan sekarang, aku tak boleh nak memilih kerja. Orang
macam aku ni, mana boleh nak pilih-pilih. Sekolah pun tak sampai mana.

“Gaji berapa, auntie?” Baik aku tanya terus-terang. Kalau ikut cerita wanita ini tadi
gaya kerja yang dia sebut tu macam pembantu rumah. Tak kisahlah. Kalau itu yang mampu
beri rezeki buat aku dan Ash, aku akan terima. Janji ada kerja. Aku tak boleh tak ada kerja..
Aku perlukan duit untuk sara hidup dan besarkan Ash.

“Okey. Saya kasi tahu sama awak pasal ini kerja. Gaji dua puluh lima ringgit satu
jam. Satu hari awak kerja 5 jam saja. 8 pagi mula kerja. Pukul satu awak sudah boleh balik
rumah. Senang. Kerja 3 hari satu minggu saja. Petang awak boleh cari part time kalau mahu
cari duit extra. Saya dulu buat itu macam. Sekarang saya sudah tua, saya tak ada buat. No
energy.”

Dua tangan digoyang-goyang. Acah-acah reput tulang la tu. Aku humban senyum
kecil. Betul juga cakap dia. Balik pukul satu, aku boleh cari kerja part time sampai pukul 6.
Dapatlah duit lebih.

Aku mencongak-congak dalam kepala. Dua puluh lima ringgit sejam. 5 jam sehari. 3
hari seminggu. Dicampur dan darab dapatlah dalam seribu lima ratus sebulan. Alhamdulillah.
Kepala laju mengangguk.

“Saya mahu itu kerja, auntie.”

“Itu macam awak mari ikut saya.”

Tercengang seketika aku dengan kata-katanya.

“Pergi mana?”

“Saya mahu pergi ambil saya punya gaji. Ini hari saya punya last day kerja. Saya
mahu pindah Singapore ikut saya punya anak duduk sana. Saya mahu introduce sama awak
saya punya bos. Dia ada minta saya cari orang replaced saya punya kerja. Sudah banyak hari
dia suruh cari. Saya tak dapat juga.

Saya banyak susah hati. Saya kesian sama saya punya bos. Dia baik punya orang.
Hari-hari saya doa sama TUHAN bagi saya jumpa orang untuk replace saya. Hari ini
TUHAN sudah tolong sama saya. TUHAN hantar awak. Saya banyak happy. Hati saya
banyak suka tengok awak.”

Sengihnya terhampar depan mata. Ayat akhirnya terngiang di telinga.

TUHAN hantar awak.

Moga ALLAH mudahkan urusanku ini.

Aku pandang dia. Kata-katanya tadi kembali terdesir di telinga. Terus telan liur.
Jumpa bos dia sekarang. Apa yang aku nak cakap kat bos dia? Kalau bos dia tak suka aku
macam mana?

Seakan faham kegusaranku wanita ini terus senyum.

“Awak jangan bimbang. Saya tau awak mesti fikir macam-macam. Ada betul?” Aku
senyum pahit. Pandai betul dia masuk dalam kepala aku yang tengah ting tong ni.

“Saya punya bos baik punya orang. Sangat baik. Not difficult person. Don’t worry
okay. You will like my bos.” Kepalanya ikut tergeleng-geleng. Mahu mengeyakan kata-
katanya.

Bunyi enjin bas yang datang buat kepala wanita ini berpaling. Tubuhnya terus tegak
dan berpaling semula padaku.

“Mari. Kita naik itu bas pergi rumah saya punya boss. Dia ada di rumah tunggu mahu
bagi saya punya gaji. Nanti saya introduce awak sama dia. Mari.” Tangannya tarik tanganku.

Aku macam kena pukau. Ikut bangkit dari duduk. Dalam hati aku panjatkan doa agar
urusanku ini dipermudahkan dan aku diterima bekerja. Hanya itu yang aku harapkan. Kalau
aku tak kerja, macam mana dengan Ash?



Bab 3

BESARNYA!

Ini bukan rumah. Ini banglo laa. Apalah Auntie Vasanthi ni. Terlopong sekejap aku
dengan mata takjub melihat bangunan serba putih dua tingkat yang tersergam depan mata.
Memang aku biasa tengok banglo. Datin Miara pun duduk banglo dan aku pernah pergi masa
dia buat majlis hari jadi anak dia tiga bulan lepas. Tapi yang ini cantik dan besar dia lain
macam sungguh. Gerenti orang super have have ni.

Tapi tadi Auntie Vasanthi cakap majikan dia duduk sorang. Tak takut ke duduk
banglo besar ni sorang-sorang. Kalau aku, memang taklah. Seram ooi!

“Mari Fatin. Kita masuk.” Kepalanya terangguk. Mengajak. Aku pun mengangguk
sama.

Masa dalam bas untuk perjalanan ke sini tadi, aku dan Auntie Vasanthi berkenalan.
Aku suruh dia panggil aku Fatin aje. Terbelit lidah dia nak sebut nama penuh aku tadi.
Sampai terlepas ketawa aku dibuatnya. Tengah mood sedih bercampur risau pun aku boleh
sempat ketawa. Seronok juga borak dengan dia dalam perjalanan tadi. Habis salasilah
keluarga dia nak diceritakan kat aku. Kesimpulan aku, Auntie Vasanthi ini orangnya peramah
dan baik hati.

Bila aku tanya hal kisah dia kerja kat banglo ini, dia cakap dah 10 tahun dia bekerja
dengan majikan sekarang. Kata Auntie Vasanthi dia buat kerja rumah dengan gaji harian dan
untuk tempoh 5 jam sehari. Tugas yang memerlukan dia datang tiga kali seminggu.

Katanya lagi, tugasnya ringan dan tak memberatkan. Senang sangat dia cakap.
Tambahan pulak majikannya sangat baik dan tak banyak kerenah. Keluarga majikan dia pun
baik-baik semuanya.

Selalu dia dapat hadiah kalau dia orang balik bercuti dari luar negara. Lapang dan
tenang juga kepala dengar cerita tentang majikan dia yang nak dia kenalkan. Harapnya
majikan dia naklah terima aku bekerja. Menggantikan tempat Auntie Vasanthi. Itu aje yang
aku doakan sepanjang perjalanan ke sini.

Kaki melangkah melepasi pintu pagar besar yang tiba-tiba terbuka. Macam tau-tau aje
kita orang dah sampai. Mesti prof ni pasang smart camera yang boleh bagi notifikasi kat dia
ada orang kat luar pagar banglo dia. Sebaik kami masuk, pintu pagar tu pun tertutup. Auto
smart gate with sensor ni. Aku pernah tengok rencana tentang ni.

Langkah wanita India yang berumur 59 tahun ini aku ikuti dari belakang. Dia yang
beritahu umur dia tadi. Sebab yang menjadi faktor dia mahu berhenti kerja. Anak
perempuannya yang bekerja sebagai akauntan di Singapura tak benarkan lagi dia bekerja
disebabkan umurnya yang dah masuk kategori umur bersara. Nak tak nak dia kena ikut
saranan anak tunggalnya itu. Kata Auntie Vasanthi anaknya bimbangkan keadaan dirinya
yang dah tua.

Mendekati kiri halaman ada sebuah wakaf kayu di sudut tengahnya. Ada susuk tubuh
seorang yang sedang duduk di situ. Membelakangkan kami yang sedang datang dari arah
belakangnya. Susuk tubuh lelaki. Itu aku pasti sangat. Macam yang wanita ini ceritakan
padaku masa kami berjalan kaki dari perhentian bas ke banglo ini. Bos dia lelaki. Tak tua dan
tak muda bila aku tanya umurnya. Pertengahan la kut. Kan?

Aku yakin lelaki itu sedang tunggu kedatangan wanita di sebelahku ini. Juga
kedatanganku. Macam yang Auntie Vasanthi cerita kat dia masa dalam bas untuk ke sini tadi.
Masa dalam bas tadi wanita ini ada menghubungi majikannya ini dan beritahu yang dia akan
datang bawa aku bersama untuk diperkenalkan.

Aku dengar jugak tadi dia panggil majikan dia “Prof Man” dalam perbualan telefon
tu. Dia pun pesan kat aku nanti kena panggil majikan dia dengan panggilan Prof Man. Aku
tanya juga apa nama sebenar majikan dia.

Takkanlah Man aje. Mustahil la tu nama betul dia. Macam nama panggilan aje
bunyinya. Mesti ada nama yang lengkap. Sulaiman ke. Kamarulzaman ke. Jazman ke.
Takpun panjang sikit Habiburrahman.

Kata Auntie Vasanthi memang itu nama yang disebut majikannya masa dia mula-mula
kerja dulu. Tapi katanya nama penuh lelaki tu panjang sangat. Pernahlah dia dengar lelaki itu
sebut sekali kat dia. Dia pun susah nak sebut. Dahlah panjang. Berbelit pulak tu. Macam
nama aku juga. Sama berbelit lidah.

Dia cakap susah la Fatin mahu pronounce. I give up. Tergelak aku dengar lelucon
dia. Ikut cerita wanita ini, majikan dia seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan.
Kiranya aku ini bakal berboskan seorang professor la kan. Moga adalah rezeki aku.

“Good morning, Prof Man.”

Susuk tubuh yang dipanggil Prof Man oleh Auntie Vasanthi berpusing dan bangun
daripada duduk. Ada sebuah buku di tangannya. Mesti dia tengah baca buku tu sambil tunggu
kami. Mata aku memang tak lepas peluang. Laju aje menjamah seluruh pelusuk dan lekuk
wajah di depan.

Tinggi dan tegap. Sedap sedap punya potongan badan orang kata. Berkulit cerah.
Rambut hitam lurus mencecah bawah tengkuk. Alis yang tak terlalu tebal. Hidung mancung
dan sederhana besar. Jambang nipis yang menghiasi kedua-dua rahang rapi sekali. Kemas
terjaga.

Satu aje yang aku boleh simpulkan. Bakal bos aku ni giler namatee punya handsome.
Kalau dia lalu kat mana-mana ni memang tertoleh-toleh kaum bukan sejenis dengannya.
Biasalah. Perempuan kan suka tengok lelaki handsome.

Kalaulah Lili dan Wani juga Alice yang tengok ni mahu kena serang dengan sawan
histeria. Beribu-ribu kilometer handsome lelaki ini tinggalkan hero-hero K Pop pujaan anak
dara bertiga tu. Nozi tu sama naik juga kadang-kala gediknya walaupun dah anak tiga.

Aku yang berdiri di sebelah Auntie Vasanthi koyak senyum kecil dan mengangguk
sekali. Tanda hormat. Dia pandang aku sekilas sebelum kembali pandang Auntie Vasanthi.
Langsung tak senyum.

Fuh.

Telan liur aku tengok reaksi balas spontan lelaki ini. Macam tak suka aje. Tak
dapatlah gamaknya kerja ni. Liur pahit aku telan. Tak apalah. Bukan rezeki aku kat sini. Tak
apalah, Ash. Mama cari tempat lain. Mungkin rezeki kita kat tempat lain. Ada sayu yang
bergayut di tangkai hati bila terkenangkan seraut wajah comel itu.

“Morning, auntie.” Suara garau seksi lelaki ini menghentam telinga. Tak boleh
bawak bincang dia punya mengancam. Bergegar jugak jantung.

Fatin…tolonglah.

Ya. Cik jantung dan hati tolonglah tenang. Jangan goda aku boleh tak?

Wajahnya yang ketat tadi terus aje bertukar mesra bila membalas sapaan wanita di
sebelah aku ini. Elok aje senyum. Dengan aku tak pun senyum. Sahlah dia tak suka aku.
Agaknya dia tak yakin perempuan muda macam aku boleh jadi tukang kemas dan tukang
bersih banglo dia. Tak apalah, Prof Man. Saya faham. Orang macam prof ni ramai aje saya
dah jumpa kat luar sana. Suka menghukum.

“Come. We sit over there. Then we can talk.” Sebelah tangannya menghala ke depan.
Ada meja bulat dan beberapa kerusi kayu di situ. Auntie Vasanthi capai dan tarik perlahan
tanganku. Akupun nak tak nak ikut aje langkah dia walaupun tau harapan memang dah tak
ada. Kami berjalan membuntuti lelaki ini.

Duduk aku labuhkan bila dia bagi isyarat mata suruh aku duduk. Seram pulak tengok
bahasa mata dia yang hitam dan galak. Macam helang yang mahu menerkam mangsa aje
lagaknya. Eh tak tak. Eagle tu Khabib Nurmagomedov la, Fatin. Orang lain tak masuk la.

Ha’a. Apalah kau ni Fatin. Spontan tapak tangan melekat kat pelipis. Tindakan yang
buat matanya mengecil. Terus aku tunduk. Alamak. Malunya!

“Prof, ini miss nama Fatin. Tadi saya call dalam bas mau mari sini ada cerita sama
prof bukan?” Lelaki ini mengangguk. Menjawab pertanyaan Auntie Vasanthi.

“Dia cakap sama saya dia cari kerja. Saya tanya sama dia mahu ka kerja replace saya.
Dia cakap dia mahu kerja sini rumah, prof. Saya sudah tanya sama dia boleh buat semua kerja
saya buat sini rumah prof. Dia okey. Itu semua kerja boleh buat. No problem. Prof don’t
worry.” Auntie Vasanthi dulu-dulu buka mulut. Tatabahasa dia walaupun berputar-putar tapi
aku boleh faham.

Agaknya dia pun tak nak buang masa. Dalam perjalanan tadi dia pun ada cakap dia
nak balik cepat. Anak dia dah tunggu kat rumah tolong dia kemas baju-baju. Dia nak bertolak
petang ni ke Singapura.

Anak dia tak dapat cuti panjang. Lusa dah kerja. Lelaki ini menghantar tatap pada
aku. Sekali lagi aku telan liur. Agaknya kalau aku jadi kerja di sini mahunya hari-hari telan
liur sebab kena tenungan membunuh lelaki ini. Bersedia aje la Fatin.

“Nama awak siapa?”

“Fatin, Prof Man.”

“Prof cukup.” Arahan yang cukup jelas di telinga. Nada suara dia pun tak ada perisa.
Bunga-bunga tegas. Aura pensyarah garang ni. Ataupun acah-acah garang. Aduh. Apa yang
aku merepek ni.

Fokus, Fatin. Fokus!

Aku lirik pandang Auntie Vasanthi. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Isyarat suruh
aku ikut aje apa yang lelaki ini arahkan. Bila pusing pandang ke depan, bertembung pulak
dengan sepasang mata dia yang menjatuhkan renung. Terkejut punya pasal sebab kena
renung terus terkelip kelopak mata. Deham kecil ikut terluncur. Takkan marah kut aku kelip
mata. Tak sengaja la, prof.

“Ba…baik, prof.”

“Fatin aje nama awak? Nama penuh?”

“Fatin Iman Layyin, prof.” Laju aje aku jawab. Senafas pulak tu. Mungkin sebab tak
sangka dia akan tanya nama penuh aku.

“Layyin?”

“Ya, prof.”

“Layyin?”

“Ya, prof.”

Kening dia yang sederhana tebal itu berkerut. Semacam aje dia tengok aku. Lama
pulak tu. Aku pulak yang rasa tak sedap kena tenung macam tu. Dah dua kali ni dia jatuhkan
renung. Nasib la aku tak balas kelip mata macam tadi. Tapikan apa yang tak kena dengan
nama aku ek? Dua kali pulak tu dia tanya. Janganlah nama aku sama dengan nama bekas
isteri dia. Mahu haru biru kelabu asap.

Haa. Ini Auntie Vasanthi yang cerita kat aku bila aku tanya majikan dia dah
berkeluarga ke. Dia cakap majikan dia dah bercerai. Dah lebih 10 tahun. Masa dia mula kerja
tu, lelaki ini baru bercerai. Aku tak tanyalah sebab apa dia bercerai. Bukan urusan aku pun.
Jadinya prof ni duda. Duda handsome namatee. Mesti ramai student kat kampus minat kat
dia. Haruslah. Bachelor yang super oh-handsomenyerr.

Wah Fatin. Jauh betul kau menyibuk ye.

Terus tapak tangan naik menampar pelipis. Dan saat aku pandang ke depan, matanya
macam tadi. Menghunus renung. Fuh. Nafas macam kena sedut tapi aku cuba berlagak biasa.
Seolah-olah macam tak ada apa-apa yang berlaku.

Kenapalah otak aku asyik ting tong aje depan dia ek? Masalah sungguh la kau ni
Fatin. Dua kali dah ni. Masuk tiga kali harus dia halau aku balik sebab tak fokus depan dia.
Baru padan dengan muka aku.

“Umur awak berapa?”

Tadi tanya nama penuh. Ni tanya umur pulak.

“Umur saya, prof?” Apahal pulak dia tanya umur aku ek. Ah. Jawab aje la kan. Nanti
dia tahu jugak. Kalau dia terima aku kerja kat sini la.

“Hmmm.”

“22, prof.”

“Very young and pretty girl. Right, prof?” Suara Auntie Vasanthi yang mencelah
menjemput senyum di bibir lelaki ini. Walla. Dia punya senyum tu aku rasa boleh buat nafas

terpause seketika. Cuma dia tak senyum kat aku la. Kalau dia senyum kat aku, alamat pendek
umur la aku jawabnya.

“Awak boleh buat semua kerja rumah?”

“Boleh, prof.” Laju aku jawab.

Awak boleh cuci tandas?"

"Boleh, prof."

"Cuci longkang?"

"Boleh, prof."

"Muka macam awak ni betul ke boleh buat semua kerja tu?"

Ait. Lain macam pulak ayat dia.

"Prof nak kata muka saya cantik ke?" Sengaja aku buat lawak bodoh. Nak cover rasa
gerun tengok muka serius lelaki ini. Auntie Vasanthi dah tersengih. Lelaki ini pulak tetap
dengan reaksi keras batu bata macam tadi.

“Bila boleh mula kerja?”

“Dia cakap sama saya tadi hari ini boleh start kerja, prof.” Auntie Vasanthi yang
tolong jawabkan. Aku angguk kepala. Mengeyakan. Lelaki ini pandang aku. Diam dan
tenung. Dia ini memang suka tenung orang agaknya. Tapi tenungan dia tu memang seram
lain macam. Kalah slot seram Sabtu macam kat TV yang aku curi-curi tengok.

Takut tapi nak tengok jugak. Terpengaruh punya pasal dengan cerita si Lili dan Wani
yang hantu cerita Korea. Bergerak-gerak rengkung salur nafas bila mata bertaut dengan
pandangan lelaki ini. Liur aku telan rakus. Berapa kali dah aku telan liur ni.

“Baik. Awak cuci longkang-longkang dan tandas-tandas dalam rumah ni dulu. Saya
nak tengok hasil kerja awak. Kemudian kemas dan bersih yang lain. Kalau lulus, saya terima
awak bekerja.” Aku pandang Auntie Vasanthi. Kepalanya laju mengangguk sambil bagi
isyarat suruh aku bangun dan gerak masuk ke dalam rumah ikut dia.

Laju kaki ikut langkah Auntie Vasanthi yang sudah sampai ke pintu masuk utama.
Entah kenapa kepala aku boleh pulak pusing ke belakang semula. Dan lelaki itu…dia
memang sedang pandang aku sambil dua tangan berpaut ke tubuh. Melekat ke dada.

Muka haram nak senyum. Elok juga dia tak senyum. Mahunya aku sesak nafas nanti.
Bila matanya tajam pandang aku, terus aku pusing semula ke depan dan berlari-lari anak
mengikut langkah pantas Auntie Vasanthi.

Sambil berjalan, tangan laju menyanggul rambut panjangku. Kena kemas. Baru
senang nak buat kerja cuci longkang-longkang dan tandas-tandas nanti. Bunyi macam
banyak aje. Berapa banyak la longkang dan tandas kat banglo ni gamaknya.

Lengan kanan dan kiri baju kurung ikut aku lipat. Kasut aku tanggalkan dan kaki
melangkah masuk bila Auntie Vasanthi dah menggamit laju. Isyarat suruh aku cepat masuk.

Kerja tukang kemas dan tukang bersih pun kena test dulu. Dahsyat sungguh. Tak
pernah dibuat orang rasanya. Macam-macam betul prof ni. Kerek namatee. Bibir spontan
mencebik.

Jangan merungut. Jangan mengutuk. Tak baik. Kata nak cari rezeki kan. Kata nak
kerja kan. Buat aje. Jangan banyak cakap. Laju tapak tangan tepuk tepi pelipis bila otak dan
hati seiringan menempelak. Eh. Jap. Kepala liar pandang kiri kanan. Fuh. Tangan urut dada.

Nasib baik dia tak ada!

Bab 4

“AWAK BOLEH MULA kerja esok. Saya setuju terima kerja di rumah saya. Menggantikan
Auntie Vasanthi.”

Ya ALLAH.

Terima kasih.

Alhamdulillah. Dua tangan naik mencecah muka.

“Terima kasih, prof.” Ini kira tawaran rasmi daripada dia. Tadi masa dengan Auntie
Vasanthi kira dia cakap yang tak rasmi.

Senyum lebar memang tak boleh nak sorok usai dua tangan melorot ke riba. Rasa nak
melompat sambil tumbuk langit. Aku rasa dia pun perasan aku senyum bukan main lebar lagi.
Gembira mestilah senyum lebar-lebar kan. Takkan itu pun tak faham.

Ahh. Lantaklah. Aku tak kisah. Leganya dengar. Syukur. Syukur. Alhamdulillah.
Ash! Mama dapat kerja! Kalau dia depan mata mahunya aku peluk dan dukung dia sambil
berpusing-pusing. Lepas tu sama-sama ketawa. Indahnya. Tak sabar nak balik dan peluk dia.

“Faham tak ni?”

Apa pulak tak fahamnya. Bukannya dia cakap bahasa Rusia. Kepala laju
mengangguk.

“Esok pagi kan, prof?”

“Awak nak kerja malam? I have no issue at all.”

Ekeleh. Selamba kura-kura aje ayat dia. Sarkastik pulak tu. Depan Auntie Vasanthi
elok aje dia buat gaya bebas yang manis dan sopan. Kalau berdua dengan aku, kuak lentang
kupu-kupu pulak yang keluar. Saje la tu nak tayang kerek dia. Kerek aku dia belum tahu lagi.
Kepala terus menggeleng.

Siapa pulak nak kerja malam? Gila apa. Aku lebih rela kena kejar dengan hantu-hantu
Korea ataupun zombie-zombie The Walking Dead daripada berdua-duaan dengan dia dalam
banglo gedabak ni. Kena cekup mahu nahas.

Aku panjangkan leher memandang ke arah pintu belakang banglo dari kerusi kayu
yang sedang aku duduk. Dia yang duduk setentang hanya melihat gelagatku. Aku buat muka
acah selamba. Mana pulak auntie ni? Lama la pulak dia kat belakang tu. Kata nak ambil kasut
yang tertinggal. Takkan tak jumpa-jumpa lagi kut kasut dia.

“Fatin.” Suaranya yang memanggil namaku buat fokus kembali terarah ke depan.
Bertentang mata pulak aku dengan dia.

“Ya, prof.”

“Tadi awak kata ada perkara penting nak cakap dengan saya. You can speak now.”
Seketika aku diam sambil pandang dia. Kata-kata dia buat perasaan gembira tadi terus kena
telan. Berganti rasa yang huru-hara.

Memang tadi usai dia “nilai” hasil kerjaku dan cakap dia puas hati lalu setuju
tawarkan aku kerja, aku dah terfikir pasal hal ini. Bila dia cakap aku akan menggantikan
Auntie Vasanthi dan mahu aku mula bekerja kat banglo ni secepat mungkin, terus aku cakap
ada benda penting nak cakap dengan dia.

Kepala masa tu cuma fikir satu aje. Aku kena beritahu dia. Aku tak mahu apa yang
jadi penyebab aku dipecat Datin Miara berulang lagi. Cukuplah sekali aku buat silap. Aku tak
mahu ulang lagi. Kepala mengangguk lembut.

“Hmm. Ya, prof. Memang saya ada perkara penting nak cakap.” Kepalanya
mengangguk perlahan.

“Okay. I am listening.”

Aku telan liur sambil mata tak berkelip tengok dia yang bersandar tenang. Tanda dia
dah bersedia nak dengar perkara penting yang mahu aku beritahu. Tiba-tiba perasaan kembali
jadi gementar.

Insiden pagi tadi waktu di pejabat Datin Miara kembali terlayar dalam kepala.
Sebelah tangan naik meraup wajah. Aku perasan dia pandang aku tak lepas. Tapi aku buat-
buat tak perasan. Serius aku rasa macam nak kena gantung aje saat ini.

Jari-jemari saling bergelut. Dada berdebar. Risau bercampur takut. Tapi kalau aku tak
cakap sekarang, aku takut nanti kalau terbongkar hal tu dan lelaki ini dapat tahu, mesti dia
akan halau aku macam Datin Miara buat. Jadi, kalau dia halau aku sekarang, sekurang-

kurangnya aku dah sedia dan tak rasa apa-apa sebab belum kerja lagi kat sini. Perasaan
sayang itu belum ada.

Aku ini memang jenis kalau dah kerja, aku akan sayang kerja aku sungguh-sungguh.
Sanggup bekerja lebih masa tanpa berkira. Sebab tu aku sedih sangat-sangat bila kena pecat
dengan Datin Miara. Sebab sayang jugalah aku sanggup merayu kat dia supaya jangan pecat
aku. Itu kerja pertama aku sejak pindah ke bandar ini. Kerja yang dah sebati dengan diri dan
hidup. Kerja yang beri rezeki aku membesarkan Ash selama ini.

“Saya nak beritahu prof tentang status diri saya.”

Status?”

“Hmmm.”

“Do I need to know?”

“Ya, prof. Sebab…” Aku berdeham kecil. Kornea kekal melekat pada raut wajah
tenang di depan. “…saya tak nak ia jadi punca saya diberhentikan kerja untuk kali kedua. So,
I really need you to know about this.” Kening lelaki ini berkerut halus.

“Meaning?”

Dengar dia jawab macam tu, makin berdebar perasaan kat dalam dada. Bunyinya
macam biasa aje tapi tidak di telingaku. Macam-macam yang melintas dalam fikiran. Cakap
yang jujur Fatin. Lepas tu tawakal. Yang penting beritahu dia perkara yang sebenar. Kepala
mengangguk. Mengeyakan kata hati.

“Saya ada sorang anak lelaki. Nama dia Ash Faheem. Umur dia empat tahun, prof.”
Senafas aku sebut. Rasa macam lega sedikit. Kurang dah beban yang menekan dalam dada.
Dua tangannya bersilang ke dada.

Aku perasan dia macam terkejut dengar tapi bijak sembunyikan dengan riak ketat
muka dia tu. Aku rasa dia mungkin tak sangka aku dah ada anak. Atau mungkin tak sangka
aku ni “dah kahwin.”

“Suami awak masih bekerja?” Kan betul apa yang aku sangka. Kepala menggeleng
perlahan. Senyum tawar terluncur daripada bibir.

“Saya tak ada suami, prof.” Berpasir liur yang mengalir di rengkung.

Suami.

Layak ke aku untuk ada?

Adakah ada lelaki budiman yang sudi untuk jadi suami perempuan seperti aku?

“Bercerai?” Suaranya mengembalikan fikiran berpijak pada realiti sekeliling. Kepala
menggeleng lagi.

“Meninggal dunia?” Kepala sekali lagi bergerak ke kiri dan kanan. Nafas aku tarik
dalam-dalam. Berat mahu melafazkannya. Tapi memang dah nekad. Dan aku sedia terima
apa juga penerimaan dan tanggapan lelaki ini kat aku. Telinga dah lali. Hati pun dah mangli.

“Saya tak pernah berkahwin, prof.”

Terus-terang suara humban ayat berani mati. Riak terkejutnya terhampar. Tapi cuma
seketika. Aku lepaskan deham halus. Lega sangat bila dah luahkan apa yang aku mahu
beritahu dia. Mata masih pandang dia. Bila dia diam aje tapi terus renung aku, tahulah aku
jawapan dia. Tak apalah. Bukan rezeki kau kat sini, Fatin. Jangan sedih.

Tak.

Aku tak sedihpun.

Sikitpun tak.

“Kalau prof rasa keberatan terima saya bekerja sebab status saya ni…” Kepala
mengangguk reda. Bibir pamer senyum ikhlas kat dia. Memang aku dah reda. Tak boleh nak
paksa orang faham keadaan aku dan Ash.

“…saya faham. Saya tak kecewa. Saya dah siap sedia. Saya bentang aib sendiri
supaya tak timbul hal ini di kemudian hari. Saya tak mahu prof dengar perkara ini daripada
mulut orang lain.” Aku tak mahu fikir apa tanggapan dia kat aku. Hak dia. Tugas aku cakap
yang benar. Ceritakan siapa aku supaya tak timbul cerita lain tentang aku di kemudian hari.

“Kalau prof dapat tahu hal ni daripada mulut orang lain…mungkin masa tu nanti prof
akan anggap saya tak jujur. Anggap saya penipu. Saya mahu cari rezeki halal untuk sara anak
saya, prof. Saya sanggup buat apa sahaja kerja halal demi anak saya.

Saya tak kisah. Jadi tukang sapu sampah pun saya rela. Jadi biarlah saya cakap yang
jujur sekarang. Biar saya berterus-terang tentang diri saya pada prof. Saya tak pernah
berkahwin dan saya ada sorang anak lelaki berusia empat tahun. Itu status diri saya. Orang
bijak macam prof mesti faham maksud saya.”

Giliran dia berdeham. Aku tenang aje. Bersedia dengan apa yang bakal keluar dari
mulut dia. Aku tak mampu nak paksa orang supaya jangan pandang serong kat aku. Hukum
alam memang begini. Manusia nak jadi TUHAN. Suka ambil kerja TUHAN. Biarkanlah.

“I like your work. Very neat. Clean. Tidy.” Bibir tayang senyum tawar dengar
pujiannya. Still not good, prof. Just let me have your decision. I am all ears.

“I don’t deal with personal matter when it comes to professional decision. Your
personal is yours. Who is me to judged? You are good in your work. That’s what is matter to
me because I needed a good assistant in this house.” Aku diam dan terus pasang telinga
dengar dia bercakap. Terusik dan terharu dengan pandangan ikhlas lelaki ini. Dalam hati aku
panjatkan kesyukuran. Sekurang-kurangnya dia tak macam Datin Miara.

“Awak masih nak kerja di sini?” Pertanyaan dia buat aku tersentak seketika. Hela
nafas perlahan, aku terus mengangguk.

“Kalau prof sudi terima saya bekerja di rumah prof ni, saya seribu kali sudi nak kerja.
Saya janji akan kerja dengan sungguh-sungguh. Kalau saya buat silap, prof boleh marah saya.
Saya takkan ambil hati. Saya faham sebagai pekerja saya perlu terima teguran kalau buat
salah.”

“Then I see you tomorrow morning. 8am sharp. I don’t like late comer. Clear?”

Euwww. Mesti professor yang garang dengan student dia ni. Sebelah tangan naik ke
pelipis. Memberi tabik.

“Yes, sir!”

Mata dia mengecil. Aku layang sengih. Tangan naik melambai bila nampak kelibat
Auntie Vasanthi yang mengangkat tangan. Isyarat untuk kami beredar. Orang kat depan aku
ni pun ikut berpusing ke belakang. Aku berdiri dan melangkah ke arah depan. Lelaki ini pun
ikut sama melangkah beriringan jalan denganku.

“Lamanya auntie cari kasut. Jumpa tak?” Aku humban tanya sambil pandang plastik
putih yang dijinjit. Rasanya dalam tu ada kasut yang dia cari tadi.

“Saya sudah lupa mana saya letak ni kasut la, Fatin. Itu pasal la lama sikit saya cari.
Tapi saya sudah jumpa.” Plastik putih yang dijinjit diangkat dan dibuka untuk aku lihat
isinya. Kepala menjenguk ke dalam perut plastik. Memang ada sepasang kasut berwarna
hitam.

Macam kasut kungfu aje. Mesti dia guna kasut ni masa buat kerja-kerja kat luar
banglo ni. Aku pun kena beli ni. Takkan nak pakai selipar jepun pulak. Silap-silap tergelincir.
Barulah malapetaka jadinya.

“Awak sudah cakap sama prof ka itu cerita?” Mata sempat melirik kat orang sebelah
yang tayang muka bersahaja. Tahu yang dia faham apa yang wanita ni maksudkan.

Aku angguk sambil senyum. Dalam bas tadi aku cerita kat dia pasal apa yang berlaku
di butik yang jadi sebab aku dipecat. Wanita ini walaupun bukan sebangsa dan seagama
denganku tapi dia amat memahami tanggapan masyarakat sekeliling terhadapku.

Dia tidak memandang hina. Tidak juga memandang rendah. Banyak yang dia beri
nasihat dan kata-kata semangat. Yang aku takkan lupa bila dia cakap manusia tak pernah tak
buat salah dan silap. Tapi manusia kena belajar supaya jangan buat salah dan silap yang
sama. Terharu aku dengan kata-katanya.

Dia juga yang minta aku berterus-terang dengan bekas majikannya ini. Kata Auntie
Vasanthi, dia yakin lelaki di sebelah kami ini seorang yang sangat baik. Dia takkan melihat
hal peribadiku sebagai asas untuk aku tidak diterima bekerja.

Aku cakap kalau aku diterima aku akan cakap. Dan tugas itu dah pun selesai aku
tunaikan. Lega sangat. Hilang segala beban yang memberat di bahu. Yang menekan dada dan
menghentak jiwa. Kepala pun dah rasa ringan. Dan buat aku dua kali lega bila lelaki ini
terima aku bekerja tanpa melibatkan situasi peribadiku.

“Okay. Good girl.” Dia tepuk lembut kura tanganku. Kami sama-sama bertukar
senyum.

Bab 5

“PROF.”

“Yes, auntie.”

“I want to say my last words to you. Farewell words. Can, prof?” Wanita ini
melontar wajah rusuh. Pilu terpamer jelas. Aku pun ikut rasa sedih. Suaranya juga terdesir
bibit-bibit esak nan halus. Aku undur langkah ke belakang. Beri ruang untuk wanita ini
mengucapkan kata-kata terima kasih kepada lelaki yang telah menjadi majikannya selama 10
tahun.

Saat yang aku kira sangat sentimental bagi sesiapa saja yang melalui frasa begini.
Kalau aku kat tempat Auntie Vasanthi mesti lagi teruk punya esak nangis. Lagi-lagi terpaksa
berhenti sebab keadaan diri yang tak mengizinkan. Bukan sebab lain.

Macam akulah contohnya. Kena pecat. Lagi sadis…kena halau sehelai sepinggang.
Diharamkan jejak kat situ. Dahsyat punya hukuman. Besar sungguh dosa aku sebab ada anak
macam Ash. Sedih sangat aku bila kenangkan apa yang berlaku pagi tadi.

“I am honoured, auntie. Please.” Lelaki ini tunduk hormat. Wah. Gentleman
sungguh. Suarapun lemak-lemak gemersik aje. Dengan aku tadi tak ada pun. Selamba kura-
kura aje. Tak apa. Dia belum kenal aku lagi. Kalau dah kenal nanti harus dia tak mampu nak
berpisah dengan aku. Hehehe.

Eh. Apa yang kau mengarut ni Fatin? Tangan spontan naik ketuk kepala sendiri. Dan
bila aku angkat mata, sepasang matanya sedang merenung. Auch. Sudah terkantoi untuk kali
ke tiga ni. Terus aku buat-buat pandang kiri dan kanan halaman. Pandang ler auntie tu. Yang
pandang sini dah kenapa prof ooi. Bukan aku yang nak bagi ucapan selamat tinggal.

“Thank you so much for everything, prof. You are a good boss. I am so sad have to
leave this job and this house. I pray to God to give you a good life because you are a good
and kind person. I also pray to God to give you a new wife. Pretty. Kind like you.” Terharu
pulak aku dengar kata-kata Auntie Vasanthi. Ikhlasnya dia mendoakan yang baik-baik untuk
lelaki ini.

“Thank you, auntie. I wish you a happy life too with your daughter in Singapore.
This…” Sekeping sampul putih dihulurkan pada Auntie Vasanthi. Wanita ini menyambut
sambil mengesat kelopak mata. Aku usap belakang badan dia.

“…is your last drawn salary. And this …” Sekeping sampul berwarna perang
keemasan bertukar tangan “…is my special thought for your 10 years services with me.
Thank you very much for your loyalty and patient with me all these whiles. Thank you for
everything.”

Aku agak ni mesti duit penghargaan untuk perkhidmatan Auntie Vasanthi di sini.
Beruntungnya dihargainya oleh majikan. Nasib aku tak sebaik wanita ini. Dia dihargai. Aku
dihina caci dan dihalau pergi. Dua sampul di tangannya dilekapkan ke dada sambil sebelah
tangan mengesat air mata.

“Thank you, prof. You are a very good man. I am so happy for these.” Dua sampul
yang melekat di dada ditayangkan di depan lelaki ini.

“You are most welcome, auntie. You deserved them.”

Mereka saling bertukar senyum dan aku tukang jadi saksi. Tumpang terharu tengok
hubungan kedua-duanya. Sangat indah bagi aku. Sampul yang dipegang kemudian
dimasukkan ke dalam beg tangan yang tersangkut di bahu.

Tanganku tiba-tiba dicapai wanita ini lalu digenggam. Terkelip-kelip aku pandang
dia. Hairan juga apahal dia tiba-tiba pegang tangan aku. Orang depan aku ni siap letak dua
tangan dia kat belakang. Dah serupa macam pengadil garisan gelanggang badminton la pulak
gayanya.

“Fatin.”

“Err…ya, auntie.”

“You promise me one thing. Can?”

“Err…Can. Su..sure, auntie. Sure.” Tergagap pulak aku dek terkejut disuruh berjanji
benda yang aku sendiri pun tak pasti.

“Awak kena jaga sama prof baik-baik. Kerja baik-baik sini rumah prof. Kerja kasi
rumah prof cantik dan bersih macam saya tunjuk sama awak tadi. Faham ka?” Aku balas

genggaman tangannya. Perkara ni rupanya. Buat terkejut aku aje auntie ni. Haruslah aku akan
buat kerja elok-elok sebagai membalas budinya memberikan aku peluang bekerja di sini.

Eh jap. Ayat awal wanita ni tadi cakap aku kena jaga orang depan aku ni baik-baik
kan? Mata aku laju aje pindah ke depan. Elok pulak dia pun sama tengah pandang aku.
Macam tau-tau aje aku nak pandang dia. Saya tukang kemas dan bersih banglo ni aje, prof.
Skop kerja saya tak masuk jaga prof kan? Itu kena tungga prof naikkan pangkat saya la. Betul
tak, prof? Sengaja aku kelipkan mata. Terus mengecil biji mata lelaki ni. Aku sengih
kemudian laju larikan mata pandang Auntie Vasanthi.

“Janji sama saya okey.”

“Okey, auntie. Saya janji sama auntie. Saya akan jaga rumah ini. Saya akan buat kerja
baik-baik di sini. Semua sama kasi cantik dan bersih. Auntie jangan risau. Okay, auntie?” Dia
menganggukkan kepala. Tanda faham. Kami berdua spontan lontar pandangan kat lelaki ini.

“Prof sure will like me and love my work. Right, prof?” Aku baling sengih nakal. Dia
berdeham kecil. Membalas usikanku. Sweet la pulak aku tengok muka acah-acah malu lelaki
ini.

“Yes…yes. I know prof sure will love you, Fatin.” Besar biji mataku sambil geleng
kepala. Auntie Vasanthi dah tepuk mulut. Lepas tu ketawa lepas sebab sedar dah salah cakap.

“Love my work laa, auntie. Not love me. Jangan cakap itu macam tau, auntie. Nanti
girlfriend prof marah sama saya tau.”

“Aiyoo. Sorry, prof.”

Auntie Vasanthi tekap dua tapak tangan ke dada dan geleng-gelengkan kepala. Aku
nak tergelak tengok orang depan aku ni dah merah-merah muka. Relaks la, prof. Kita orang
usik-usik aje laa. Itupun nak gabra.

TURUN aje daripada bas, terus kaki berjalan laju masuk ke lorong menghala ke rumah Kak
Nah. Tadi masa dalam perjalanan, aku dah hantar pesanan WhatsApp kat dia. Aku beritahu
aku lambat sikit.

Dari rumah prof tadi, lelaki itu hantar aku sampai ke perhentian bas kemudian
teruskan perjalanan untuk hantar Auntie Vasanthi sampai ke rumah. Aku yang minta dia
turunkan aku kat perhentian bas aje. Tak mahu menyusahkan dia. Lagipun wanita itu tinggal
di Balakong. Lagi jauh dari tempat tinggalku.

Mula-mula tu Auntie Vasanthi dengan aku menolak. Tak nak menyusahkan dia. Tapi
dia cakap dia memang niat nak hantar wanita itu pulang. Tanda terima kasih yang terakhir.
Barulah Auntie Vasanthi setuju. Aku pun ikut aje la. Kaki membelok laju ke selekoh
menghala ke rumah Kak Nah. Mesti Ash sedang tunggu aku. Rasa macam tak jejak tanah aku
berjalan.

Sorry, sayang. Mama lambat hari ni.

KAK NAH atau nama penuh dia Maznah Jamaluddin. Dia pengasuh yang jaga Ash sejak dia
masih dalam kandungan hingga sekarang. Aku kenal dia masa ditahan di hospital kerana
pendarahan kesan kejadian perutku dipijak dahulu.

Lepas kejadian dipijak hari itu, aku ditinggalkan di hospital sendirian oleh Makcik
Jumiriah. Langsung dia tak datang menjenguk lepas tu. Sekalipun tak pernah. Semuanya
kerana percayakan cerita anaknya tentang keadaanku.

Dia malahan menyumpahku dan mengharamkan duitnya untuk diberikan padaku dan
kandungan haramku. Sedihnya aku saat itu hanya TUHAN yang tahu. Dibuang satu-satunya
ahli keluarga itu hukuman terzalim. Masih aku ingat bagaimana aku tebalkan muka dengan
pandangan para pesakit dan petugas hospital di wad aku ditahan memohon simpatinya.

Air mata sudah tak tersukat tumpahnya. Sayangnya langsung dia tak mahu mendengar
rayuan dan penjelasanku. Balasannya aku dimaki dan dicarut. Cerita Adam Nuh pastilah
lebih meyakinkan daripada aku yang cuma menumpang ikhsan. Aku sumpah Adam Nuh
takkan dikurniakan zuriat sampai mati!

Berita aku dimasukkan ke hospital diketahui Kamisah, bekas rakan sekolahku. Dialah
yang datang membantu. Lepas keluar dari hospital dia tolong aku dan bawa menumpang di
rumah kakaknya di Kuala Lumpur.

Dia cakap dia minta tolong kakak dia jaga aku sampai bersalin. Bila kandunganku
alami pendarahan, kakaknya hantar aku ke hospital. Dia beritahu statusku kat jururawat yang
bertugas masa tu. Dia cakap dia tak ada pilihan lain. Aku tak salahkan dia. Dia bagi aku
tumpang rumah dia dan jaga aku pun aku dah syukur.

Adik ipar Kak Nah, Kak Azie lah jururawat itu. Bila Kakak Kamisah beritahu dia tak
mampu jaga aku sebab takut kejadian sama berulang, Kak Azie yang tawar diri jaga aku. Dia
yang jaga aku sepanjang ditahan di hospital. Kak Nah dapat tahu ceritaku daripada Kak Azie.
Kak Azie ni suami dia adik Kak Nah. Kak Nah dan Kak Azie banyak tolong aku. Mereka
yang jaga aku sepanjang tempoh mengandung hinggalah masa pantang.

Ya. Ash Faheem itu anak kandung aku. Anak daripada khilafku. Anak yang menjadi
sumber kekuatan untuk aku terus harungi dunia dan mengerti makna TUHAN itu masih
sayang padaku. Mahu beri aku peluang untuk menebus segala silap dan dosa.

Ash Faheem itu jugalah benih yang cuba dilupuskan si penyumbang separuh DNA
dalam tubuhnya. Tapi TUHAN itu penentu sekali. Kun Faya Kun. Jika DIA berkehendakkan
sesuatu berlaku, tiada apa yang mampu menghalang.

Aku beri dia nama Ash…dari singkatan Ashim. Moga-moga dia jadi manusia yang
menjauhi maksiat. Jangan ulangi dosa yang pernah aku lakukan. Nama Faheem itu Kak Nah
yang beri. Kata Kak Nah moga-moga dia jadi anak yang pintar dan bijaksana. Anak yang
berjaya dalam ilmu dunia dan akhirat. Yang akan membela nasibku nanti. Insya-Allah. Tak
pernah putus doaku buat Ash. Hanya dialah hartaku di dunia. Harta yang akan membantuku
di sana nanti.

Aku tak ada sesiapa. Aku ni anak yatim piatu yang dipelihara oleh ibu saudaraku
Makcik Jumiriah waktu berusia tujuh tahun. Hanya dia saudara terdekat arwah ibuku. Arwah
bapaku seorang mualaf dari Chiang Mai. Apa yang aku tahu daripada cerita ibu saudaraku,
keluarga arwah bapaku tidak mahu memeliharaku kerana kesempitan hidup. Lalu hak
penjagaanku sepenuh diserahkan kat Makcik Jumiriah.

Aku dijaga dengan baik dan diberikan hak untuk bersekolah. Aku ni memang dari
kecil sangat lincah. Mesra dengan semua orang. Kerana itu aku ramai kawan. Tak kira lelaki
dan perempuan.

Makcikku tidak suka dengan pergaulanku yang dianggap terlalu bebas. Acapkali dia
marahkan aku kerana aku selalu ikut aktiviti luar kawan-kawan. Bila aku membalas dia
mengungkit. Akhirnya dia buat keputusan untuk tunangkan aku dengan anak tunggalnya
Adam Nuh yang aku panggil Abang Adam.

Aku mula bantah juga. Abang Adam tu dah kerja. Mestiah ada pilihan sendiri. Aku
tak nafikan aku pun sukakan dia. Sebab dia layan aku dengan baik selama ini dan selalu beri
aku duit belanja tambahan. Tapi aku tak sangka yang dia ada hati denganku selama ini. Kata
makcik senang nanti ada orang jaga aku lepas habis sekolah. Ikutkan aku akan disatukan
dengan Abang Adam sebaik sahaja aku tamat SPM. Akhirnya aku setuju. Lagipun kami suka
sama suka. Aku harap nanti dia akan jaga aku dengan baik. Macam yang dia layan aku
selama ini.

Tapi itulah. Manusia ni penuh dengan harapan dan impian. Manusia juga tak lari
daripada buat silap. Dan kerana silapku yang didorong oleh penglibatan dominan Abang
Adam, aku yang jadi mangsa.

Aku yang disabitkan tuduhan bersalah. Aku yang dijatuhkan hukuman paling kejam.
Dihumban keluar. Dinyahkan dari keluarga. Terkontang-kanting. Sebatang kara. Tanpa arah
tujuan. Terkapai-kapai. Aku takkan lupa apa yang dah mereka lakukan padaku. Sampai mati
aku takkan lupa!

DARI jauh aku nampak Ash sudah sedia menanti dengan beg tersangkut di bahu. Comel
sungguh lahai dia. Duduk menunduk di bangku kayu di luar pintu dapur rumah Kak Nah.
Selalu memang di situlah tempat dia tunggu aku jemput dia balik. Tengok dia yang tunduk
mesti dia bosan menunggu aku yang tak nampak-nampak bayang.

Mesti dia letih tunggu aku. Maafkan mama ya, sayang. Mama pergi cari kerja. Sebab
tu mama lambat jemput Ash. Langkah kaki makin menghampiri rumah Kak Nah. Sebaik saja
dia angkat kepala dan nampak aku, senyum manisnya terhampar. Laju dia bangun dan berlari.

“Mama! Mama!”

Tubuh Ash aku dukung. Pipinya aku cium. Harum rambutnya aku hidu rakus. Rindu
macam selalu.

“Kenapa mama lambat? Ash tunggu lama. Ash penat. Ash letih. Ash lapar.” Aku
muncungkan bibir lalu jatuhkan ciuman ke pipinya.

“Alololo. Kesiannya dia penat dan lapar ye. Maaf la, sayang. Mama banyak kerja.
Lepas tu bas lambat sangat. Penat tau mama tunggu. Lama mama tunggu bas. Mana ni bas
mama cakap. Nanti Ash mesti merajuk tunggu mama lambat. Kesian tau kat mama.”

Aku cebik bibir macam tadi. Selalunya kalau buat muka sedih dia akan simpati.
Tangannya naik mengelus pipi. Rambutku ikut diraup dengan dua tangan halusnya.

“Mama penat?”

“Emmm. Penat sangat. Ash kesian tak kat mama?”

“Emmm…” Kepalanya mengangguk bersama wajah polos yang tulus. Kepalanya aku
tarik dan kucup dahinya.

“Ash lapar?”

“Emmm.”

“Kenapa tak makan dengan ibu dulu?” Ash memang panggil Kak Nah ibu. Kepalanya
menggeleng perlahan.

“Ash nak dinner dengan mama.” Aku usap pipinya. Memang rutin setiap hari lepas
balik dari rumah Kak Nah aku siapkan makan malam dan kami makan bersama. Nanti dia
bercerita la kat aku apa yang dia buat hari ni kat rumah Kak Nah.

“Nanti kita dinner kat rumah ye.”

“Emmm.” Kepalanya mengangguk. Aku kucup pipinya.

Langkah mendekati pintu dapur Kak Nah. Susuk tubuh pengasuh Ash ini tegak
menanti. Aku layang senyum. Kasut yang tersarung aku tanggalkan.

“Mengadu la tu.” Aku cebik kat Kak Nah yang menayang senyum.

"Lapar. Penat."

"Hurm." Giliran Kak Nah muncungkan bibir.

"Ajak makan tak nak. Eksen." Aku gelak kecil.


Click to View FlipBook Version