The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by itasukri, 2021-01-10 07:37:26

Datanglah Cinta_10012021_final

Datanglah Cinta_10012021_final

“Nak tumpang solat jap, Kak Nah.” Tubuh sudah melolos masuk ke dalam rumah.
Aku letakkan beg-beg di tepi sofa. Aku dudukkan Ash di atas sofa.

“Hesy. Macam tak biasa. Solat aje kat dalam bilik Zana.”
“Terima kasih, Kak Nah.”
“Sama.”

Bab 6

“SEBAB ASH FAHEEM?”

Bulat mata Kak Nah lepas aku habis cerita kisah aku kena pecat dengan Datin Miara.
Gara-gara aduan jahat Kak Shima. Berbakul-bakul juga Kak Nah maki-hamun Kak Shima.
Aku pun heran juga daripada mana Kak Shima tahu kisah silam aku. Kak Nah pun tanya
jugak pasal tu. Tapi aku memang tak ada jawapan. Tak apa. Satu hari nanti aku akan tau.
Dunia ni bukannya luas sangat. Pusing-pusing nanti berlaga hidung jugak akhirnya.

Selama hampir empat tahun aku kerja di sana, kisah pahit ini tak pernah terlepas dari
bibir. Hatta Lili, Wani, Alice dan Nozi pun tak tahu. Aku tak pernah bercerita kat sesiapapun.
Aku bukan malu. Aku hanya mahu melindungi anakku. Aku tak mahu dia jadi bahan cercaan.
Nak caci maki aku tak apa. Aku dah kebal. Tapi jangan sesiapa sentuh Ash Faheem!

“Ya, Kak Nah.” Tangan elus rambut Ash yang lena diriba. Penat dia tunggu aku kata
Kak Nah. Pujuk duduk dalam rumah pun tak mahu. Nak jugak tunggu aku kat pintu dapur.
Kak Nah cakap ajak makan pun tak mahu. Nak makan dengan aku. Memang makan malam
kami makan bersama. Cuma hari ini agak lewat sikit dari biasa aku balik, gara-gara terlepas
bas di kawasan perumahan rumah prof untuk ke Perhentian Pasar Seni tadi.

“Apasal Datin boleh jadi kejam sangat macam tu? Otak pergi mana orang kaya tu?
Tak boleh fikir ke? Sia-sia TUHAN bagi akal.” Bertali-tali amarah Kak Nah kat Datin Miara.
Aku tayang senyum pahit. Agaknya bekas majikanku itu anggap aku ni perempuan kotor dan
jijik. Perempuan murahan. Perempuan tak bermaruah. Hati aku memang mengeyakan.
Fikiran pun sama seiringan.

“Fatin tak cerita kisah sebenar?”

“Dah cuba, Kak Nah. Banyak kali juga. Tapi…” Kepala menggeleng. “Orang dah tak
sudi nak dengar, kak. Kalau benar dia tu bos yang adil, dia patut beri peluang saya bela diri.
Tapi…” Bibir mencebik. Kepala ikut menggeleng. Bukan aku tak merayu pagi tadi. Bukan
aku tak mohon ikhsan.

Tapi ditolak mentah-mentah!

“Tak apalah. Mungkin rezeki saya kat situ sampai pagi tadi aje, Kak Nah. Saya reda.
Rezeki tu ALLAH yang bagi. Tinggal kita aje yang kena usaha.” Kepalanya mengangguk.

“Yelah. Kena reda. ALLAH tu tak zalim. Yang zalim tu manusia, Fatin. Kak Nah pun
tak sangka Datin Miara macam tu. Patutnya dia dengar cerita dua belah pihak. Ini tidak.
Telan bulat-bulat cerita si Shima puaka perigi buta tu. Kesian kat Fatin.” Pahaku ditepuk
lembut. Bibir koyak senyum. Nak ketawa aku dengan gelaran Kak Nah untuk Kak Shima.

“Fatin okey, Kak Nah. Alhamdulillah. Rezeki ALLAH bagi ada kat tempat lain.” Aku
cerita juga kat dia tadi hal aku dah dapat kerja baru. Hal yang jadi penyebab aku lewat jemput
Ash hari ini. Selalunya pukul 6 petang aku dah sampai. Hari ni memang lewat sungguh. Dah
melangkah lepas maghrib. Kenalah aku tumpang solat rumah Kak Nah. Takut terlepas nanti
bila sampai kat rumah.

Kak Nah ni balu anak dua. Dua-dua orang anak dia dah besar. Sorang 15 tahun.
Sorang lagi 17 tahun. Zaid Harith dan Rozana. Dua-dua tinggal di asrama. Itu yang dia nak
sangat jaga Ash. Sayang sangat kat anak aku. Yelah. Dia yang jaga daripada dalam perut aku
lagi. Mana tak sayang. Ash pun panggil dia ibu.

Sesekali dia minta juga aku benarkan dia ambil Ash bermalam kat rumah dia. Aku
faham dia sunyi. Aku tak kisah. Aku pun dah anggap dia macam keluarga aku sendiri. Yelah.
Kat KL ni aku mana ada siapa-siapa. Kak Nah dan keluargalah yang jadi keluarga aku. Kak
Nah pun dah anggap aku adik angkat dia. Kalau orang tanya hubungan kami, itu yang dia
jawab.

Suami Kak Nah dah meninggal dunia tujuh tahun lepas akibat kemalangan kereta
masa nak ke tempat kerja. Untungnya Kak Nah ni, keluarga mentua dia sampai sekarang
banyak bantu dia. Tak putuskan hubungan mereka. Kak Nah pun sayang sangat kat mak
mentua dia. Selalu jugak aku jumpa Hajah Hapisah tu kalau jemput Ash. Baik sangat
orangnya. Dia pun tahu kisah aku. Selalu nasihatkan aku supaya banyak bersabar.

“Haa. Tempat baru ni macam mana? Kerja apa, Fatin?” Ash yang merengek kecil aku
tepuk-tepuk belakang badannya. Penat menunggu aku sampai mengantuk dia.

“Kerja tukang kemas dan bersih banglo orang, Kak Nah. Alhamdulillah. Tak berat.
Senang aje kerja baru saya ni. Saya bersyukur sangat dapat kerja. Sekarang ni bukan senang

nak dapat kerja. Beribu kat luar yang menganggur.” Memang aku rasa sangat bersyukur
diterima bekerja. Gaji pun okey dan masa bekerja pun tak membebankan.

“Yelah. Kesian tengok graduan yang ada sampai bertahun tak dapat-dapat kerja.
Macam mana la nak hidup.”

“Tu la kan. Jadi…kita kena bersyukur. Masih diberikan rezeki. Kan, Kak Nah?” Kami
saling berbalas angguk dan senyum.

“Majikan Fatin yang baru ni macam mana orangnya? Bangsa apa?”

“Nama dia Professor Man. Dia suruh panggil prof aje.”

“Man aje nama dia? Biar betul.” Kening Kak Nah berkerut. Kepalaku mengangguk.
Mengeyakan.

“Ha’a.”

“Pelik betul.”

Kalau Kak Nah pelik, aku lagi la tersangat pelik. Tapi dah orang tu pun tak nak cakap
nama dia, apa boleh buat. Nama dia panjang sangat-sangat kut. Takut terbelit lidah aku ni
menyebutnya nanti. Macam yang Auntie Vasanthi cakap bila komen pasal nama aku.

“Prof tu orang kita, Kak Nah. Pensyarah Matematik kat universiti.” Hal ni Auntie
Vasanthi yang beritahu aku. Katanya dia ada tanya dulu. Itu yang prof cakap kat dia. Kagum
aku dengar. Dalam masa yang sama sedih kenangkan nasib diri.

Keputusan SPM aku bagus juga. Dua subjek math pun A. Tapi aku tak beruntung
macam yang lain. Aku reda. Yang utama dalam hidup sekarang hanya Ash. Moga dia ada
rezeki sambung cita-citaku nanti.

“Alhamdulillah. Lega Kak Nah dengar. Bujang ke dah kahwin?”

“Duda.”

“Auw. Dudaaa?” Kak Nah angkat-angkat kening. Mula laa tu mood masuk air dia.
Nak tergelak aku tengok riak wajah nakalnya.

“Handsome tak?”

“Namatee punya handsome.” Aku bab melayan sengal Kak Nah memang juara.
Sama-sama masuk air baru seronok berenang. Hahaha.

“Woo! Ada chance.”

“Euww! Jangan cari nahas ooi! Kena sesah nanti dengan makwe dia.”

Kami sama-sama gelak. Lepas tu sama-sama tutup mulut. Kak Nah ni memang boleh
aje mood gila-gila masuk air dengan aku. Sebab tu aku tak kekok bercakap hal-hal begini
dengan dia.

“Tak ke nanti berdua-duaan dengan bos kamu dalam banglo tu. Tu yang nahas.
Jangan buat pasal, Fatin.” Riak muka Kak Nah cuak semacam. Aku gelak kecil. Faham dia
risau.

“Taklah, Kak Nah. Saya sampai kat banglo, dia pun gerak la ke kampus. Dia balik
mengajar dan sampai ke banglo, saya pun geraklah balik. Tak adanya nak berdua-duaan.
Bekas pekerja dia yang dulu pun macam tu jugak jadualnya.”

“Alhamdulillah la macam tu. Bukan apa. Kita ni hidup bermasyarakat. Orang keliling
memandang. Yang tak elok tu cepat aje tersebarnya. Lagilah sekarang. Hujung jari aje orang
boleh pedajal kita. Kak Nah ni risau kan Fatin. Faham kan? Menjauhi fitnah tu lebih baik.”
Aku angguk. Faham dengan ingatan Kak Nah.

“Faham, Kak Nah. Insya-Allah. Saya jaga diri saya.”

“Pukul berapa Fatin masuk kerja?”

“Saya kerja 3 hari seminggu aje Kak Nah. Dari pukul 8 pagi sampai 1 petang. 5 jam
sehari. Dua puluh lima ringgit sejam. Dapatlah seribu lima ratus sebulan, Kak Nah. Saya
cadang habis kerja kat banglo dia, nak cari kerja part time sampai pukul enam. Dapatkan duit
lebih sikit.”

“Elok juga tu. Usahalah. Selebihnya serah pada ALLAH. Eh…” Kak Nah tepuk
lembut paha aku sekali lagi. “Berborak sampai lupa. Kak Nah masak sambal goreng ikan
selar kesukaan, Fatin. Kak Nah dah masukkan dalam bekas tupperware. Nanti Fatin balik
panaskan aje. Nasi pun Kak Nah dah siap masakkan. Jap Kak Nah pergi ambil kat dapur.”

“ALLAH, Kak Nah. Segan la saya. Selalu sangat dah ni dapat makan free. Makin naik
lemak nanti saya.” Aku ketawa kecil. Memang beginilah Kak Nah. Sikap baik hatinya selalu
buat aku rasa kerdil. Tak pernah berkira. Selalu ingat kat aku dan Ash kalau bab makanan.
Mesti ada bahagian kami yang dia simpan.

“Hesy. Apa pulak. Rezeki Fatin ni. Kak Nah tahu kesukaan kamu. Azie tadi singgah
bawak ikan selar banyak. Katanya dia beli lebih untuk Fatin sama. Tu yang Kak Nah masak
lebih. Bahagi dengan Fatin. Sama-sama dapat merasa.” Tubuhnya bangkit dari duduk dan
melenggang ke dapur.

“Kak Azie datang tadi, Kak Nah?” Lama jugak aku tak jumpa Kak Azie. Sejak dia
berpindah ke Johor mengikut suaminya makin jarang dah kami bertemu. Hanya berkirim
khabar kat WhatsApp aje. Atau sesekali aku tulis komen kat status FB yang dia muatnaik.

“Ha’a. Mazlan ada urusan sikit kat bank negara katanya. Terlanjur dorang turun KL,
singgah la ke sini.” Satu beg kain warna merah diletakkan di sisiku.

“Oo. Abang Lan pun datang sama ye.” Bibir memuncung sambil kepalaku terangguk.
Aku jenguk ke dalam beg kain di sebelah. Nampak macam ada tiga bekas plastik. Entah apa
lagi yang dia masukkan kat dalam tu.

“Terima kasih, Kak Nah.” Aku tunjuk kat beg kain merah di sebelah.

“Sama-sama. Bukan main suka lagi Ash dapat jumpa dengan mummy dan daddy dia.
Menangis juga la tadi waktu dorang nak balik.” Aku senyum sambil usap pipi Ash. Lena
sungguh dia. Memang Kak Azie dan Abang Mazlan bahasakan diri masing-masing sebagai
mummy dan daddy kat Ash.

“Ni…Azie dan Mazlan suruh bagi kat Fatin.” Satu sampul hijau macam sampul duit
raya dihulurkan kat aku.

“Apa pulak ni, Kak Nah?” Walaupun aku dah boleh agak isinya tetap aku segan nak
terima. Dah kerap sangat dia orang suami-isteri hulurkan duit kat aku.

“Rezeki Ash. Mummy dengan daddy dia bagi. Ambil la, Fatin. Jangan tolak rezeki.”
Nak tak nak aku sambut juga bila Kak Nah kata untuk Ash. Nanti aku nak hantar WhatsApp
kat Kak Azie cakap terima kasih. Terharu dengan kebaikan dia serta suami padaku dan Ash.

“Ash tadi Kak Nah masakkan sup ikan merah dengan sayur kobis goreng. Kawankan
dengan ikan singgang tenggiri yang Fatin bekalkan. Suka benar dia. Banyak dia makan
tengah hari tadi. Bertambah-tambah. Kak Nah dah siapkan bekalnya juga. Fatin panaskan
nanti ye.” Kepala mengangguk. Patutlah ada tiga bekas dalam beg kain tu. Dua lagi lauk
untuk Ash. Jauh di sudut hati aku selalu berdoa agar TUHAN beri balasan yang baik pada
Kak Nah dan keluarga. Terlalu besar budi mereka kat aku selama ini. Tak terbalas aku.

“Terima kasih, Kak Nah. Buat susah-susah aje. Selalu masakkan saya dengan Ash
lauk.”

“Apa pulak susah. Tak ada susahnya. Bukan payah nak merendang bagai. Campak-
campak aje. Siap!” Tangan dia lincah buat aksi memasak. Macam bersilat pun ada. Berderai
ketawaku dengan lelucon wanita yang sangat aku hormat ini.

Mata mendongak pandang jam dinding di atas pintu menghala ke dapur. Dah pukul
sembilan. Rancak berbual dengan Kak Nah sampai terlajak isyak. Nak kena balik. Esok nak
keluar awal. Sebelum pukul lapan kena sampai rumah prof. Itu yang Auntie Vasanthi pesan.
Jangan biar prof tunggu kita. Prof sangat jaga masa. Tak suka sampai ke kampus lambat.

“Fatin beransur dulu la, Kak Nah. Esok nak bangkit awal. Nak kena sampai awal kat
tempat kerja baru tu.”

“Yelah. Tak elok hari pertama kerja sampai lambat.”

“Tu la, Kak Nah.”

Aku angkat Ash perlahan-lahan dan dukung tubuhnya. Beg dia dan tas tanganku aku
sangkut kat bahu. Beg kain merah berisi lauk bekalan Kak Nah aku jinjit. Kaki melangkah ke
pintu utama.

“Balik dulu, Kak Nah. Assalamualaikum.” Tangannya aku salam dan kucup. Rumah
flat yang aku sewa di lorong seberang depan sana aje. Tak adalah jauh sangat dari rumah
Kak Nah. Dalam 10 minit berjalan kaki sampailah.

“Waalaikumsalam. Hati-hati jalan dukung budak tu. Dah gelap ni.” Kepala Ash yang
terlentuk di bahuku diusap lembut.

“Baik, Kak Nah. Saya jalan dulu.”

Bab 7

TEPAT PUKUL TUJUH aku dah terpacak depan pintu pagar banglo ini. Kena ikut peraturan
majikan baruku ini. Kan dia cakap semalam…I don’t like a late comer. Dan tak sampai
beberapa detik, pintu pagar pun terbuka. Betul la agaknya tekaan aku semalam. Prof mesti
guna auto smart gate with sensor dengan auto smart camera.

Sebaik aku masuk, pintu pagar tertutup secara automatic semula. Terus kepala
mendongak ke atas. Kut la prof intai aku dari bilik dia. Hesy kau ni, Fatin. Tak ada kerja dia
nak intai kau. Jangan nak perasan. Bibir mencebik. Ala…aku cakap aje la.

Pagi ini selesai aje solat Subuh, terus aku keluar dari rumah sambil dukung Ash yang
masih tidur dan jinjit serta sandang beg-beg ke rumah Kak Nah. Pukul empat setengah pagi
aku dah bangun. Masak bekal untuk aku dan Ash. Auntie Vasanthi semalam pesan suruh aku
bawak bekal makan sendiri. Susah nak beli makanan kat kawasan banglo prof. Lagipun
masak sendiri lagi jimat. Bersih pun bersih kan.

Kaki melangkah masuk ke kawasan halaman. Kereta mewah berwarna kelabu
menjalar depan halaman. Kata Auntie Vasanthi, majikan aku ni ada sebuah lagi kereta mewah
berwarna hitam yang tersimpan dalam garaj.

Sambung wanita itu, keluarga prof ada beberapa syarikat perniagaan kereta import
yang sangat berjaya. Sebab tu jangan hairan kalau prof adakala tukar kereta. Jangan fikir
yang bukan-bukan. Kalau dia nak tukar hari-hari pun boleh. Jadi betul la telahan aku
semalam. Prof ini memang orang super have have.

Mata humban pandang ke bangunan banglo depan mata. Lampu dalam banglo
terpasang semua. Terang benderang. Kaki menapak menuju ke kawasan pintu dapur. Kunci
pintu grill dan pintu dapur aku keluarkan dari beg yang disandang.

Ini satu amanah yang aku kena simpan. Prof yang serahkan kat aku semalam. Amanah
yang sebelum ini dijaga dengan baik selama 10 tahun oleh Auntie Vasanthi.

Tugas pertama sebaik sampai kena masak air dan buatkan kopi untuk lelaki itu. Dia
kena minum kopi sebelum ke kampus. Semalam pun aku dah kena test buat kopi. Lulus. Kata
Auntie Vasanthi kopi yang aku buat sedap sangat. Dia pun kalah. Aku belajar buat kopi ni
masa kerja sambilan di warung Pak Hassan setiap kali waktu cuti sekolah. Warung ni tak jauh
dari kawasan rumah di kampungku dahulu. Pak Hassan yang tunjuk ajar cara buat kopi dan
teh yang kaw.

Kemudian lepas aku pindah ke Kuala Lumpur, aku juga pernah kerja jadi tukang buat
air di kedai kopi Hainan Teng Leong tak jauh dari kawasan rumah Kak Nah sebelum aku
dapat kerja kat butik. Di kedai kopi ini aku juga belajar lagi cara buat kopi yang kaw punya
daripada Tauke Leong.

Sementara tunggu air masak, aku letakkan tiga beg yang aku bawa ke dalam bilik
kecil di sebelah bilik stor di belakang dapur. Bilik untuk rehat kata Auntie Vasanthi. Ada satu
sofa kecil dan katil bujang. Ada kipas. Sangat kemas. Walaupun kecil, bilik ni cukup selesa
di mataku.

Beg yang berisi telekung dan sejadah aku keluarkan isinya dan letakkan di atas sofa.
Beg berisi bekalan aku keluarkan dari dalam beg dan bawa ke dapur. Nanti lepas prof ke
kampus barulah aku sarapan. Aku memang siapkan bekalan sarapan dan makan tengah hari.

Tiga bekas plastik yang berisi bekalan aku letakkan di sudut kabinet. Aku tolak ke
dalam sedikit. Laci di depan aku tarik. Sehelai apron aku ambil keluar. Ada beberapa helai
dalam laci. Kena pakai apron kata Auntie Vasanthi. Baru kemas.

Cakap pasal kemas, rambut panjang aku ikat ekor kuda. Tinggi. Ketat-ketat. Kak Nah
pun hairan tengok penampilan aku pagi ni. Bersarung t-shirt kuning air dan jeans biru, dia
cakap nampak santai dan aku comel sangat ikat rambut macam tu.

Aku kata bukan nak nampak comel. Kena kemas-kemas. Kerja pun kan tukang
kemas. Pakai jeans dan t-shirt ni pun aku ikut cakap Auntie Vasanthi. Jangan pakai kain.
Nanti susah nak bergerak pantas. Apron aku sarung dan ikat rapi ke tubuh.

“Assalamualaikum.”

Suara garau seksi yang menyapa telinga dengan salam buat kepala berpaling. Bibir
layang senyum hormat walaupun sedikit terkejut dengan kemunculan lelaki ini. Sempat aku

belek dia yang segak dengan kemeja lengan panjang biru lembut dan tali leher gelap berjalur.
Handsome sungguh lahai!

“Waalaikumsalam, prof. Selamat pagi.” Mata dia lama tengok aku. Agaknya sebab
aku nampak lain dengan apron. Lepas tu sarung t-shirt serta jeans dan rambut ekor kuda.
Semalam kan pakai baju kurung dan rambut pulak lepas bebas aje. Takpun sebab aku nampak
comel macam yang Kak Nah cakap pagi tadi. Manalah tau kan.

“Morning to you too.”

“Sekejap ye prof saya buatkan kopi. Prof duduk la dulu kat meja makan. Nanti saya
bawakan.” Pantas tangan tuangkan air yang dah masak ke dalam teko berisi uncang kopi.
Daripada ekor mata aku perasan dia tak berganjak tapi bersandar di tepi tembok pemisah
antara dapur dan ruang makan utama. Aku teruskan kerja. Tak hiraukan pandangan lelaki ini.
Mesti dia perhatikan aku buat kerja.

Langkahnya kemudian masuk ke ruang dapur dan menuju ke arah peti sejuk. Aku
sambung kerja dan teruskan bancuh kopi. Balang gula aku capai dan masukkan gula dalam
teko kopi. Sambil kacau tu baca selawat moga-moga kopi yang aku buat ni menepati
seleranya.

“Apa yang awak bawak tu?” Kepala terus menoleh ke arahnya dan kemudian menuju
pada tiga bekas plastik yang aku sorokkan di hujung meja kabinet. Nampak aje mata dia. Aku
bawa teko berisi air kopi ke kitchen island.

“Bekal saya, prof. Sarapan dengan makan tengah hari nanti.” Aku berpusing dan buka
pintu kabinet atas di belakangku. Cawan dan piring porselin yang Auntie Vasanthi tunjukkan
semalam aku ambil. Hati-hati aku keluarkan. Set pinggan mangkuk import mahal ni. Pintu
kabinet aku tutup semula. Kena cepat. Nanti lambat pulak dia ke kampus.

Air panas dari cerek elektrik aku tuangkan ke dalam cawan. Rendam sekejap dengan
air panas sebelum tuangkan kopi. Ini petua Tauke Leong yang ajar. Dia cakap nanti kopi akan
kekal panas lama sikit. Cawan porselin boleh menyerap haba dalam tempoh yang agak lama.
Jadi kopi akan kekal panas dan wangi dalam tempoh yang lama.

Cawan yang sejuk bila dituangkan dengan kopi yang panas akan menghasilkan rasa
kopi yang kurang sedap. Kalau yang biasa minum di kedai kopi milik orang cina akan

perasan. Mereka memang akan rendam sekejap cawan dengan air panas sebelum tuangkan
kopi yang dibancuh. Usai rendam aku bawa cawan ke sinki dan buangkan air rendaman tadi.

“Hmmm. What do you have for breakfast?” Kaki kembali semula ke kitchen island.

“Lempeng kelapa dengan sambal tumis bawang, prof.” Kopi di dalam teko kaca
berwarna jernih dan berbunga merah aku tuangkan ke dalam cawan.

“Can I have some?” Terhenti gerakan tangan. Kepala terangkat. Mataku dan dia
saling bertaut. Macam tak percaya aje apa yang aku dengar. Biar betul prof ni.

“Orang bandar macam prof makan ke lempeng kelapa dengan sambal tumis bawang?
Tu makanan orang kampung.” Aku baling senyum manis. Kakinya menapak mendekati
kitchen island. Tubuh segak dan tingginya berdiri betul-betul di depan mata. Dua tangan
tersangkut ke dada. Terkesima seketika aku tengok dia.

“Orang bandar tak boleh makan lempeng kelapa dengan sambal tumis bawang orang
kampung ke?” Muka memang serius namatee.

Aduhai. Lain macam punya ayat dia bagi. Sarkastik aje bunyinya. Dahlah mata
macam nak telan aku. Aku salah cakap ke? Tapi kalau tengok reaksi orang kat depan ni
memang aku salah cakap la tu. Apa yang kau dah buat ni mulut? Tengok. Hari pertama kerja
dah mengundang marah bos. Habislah kau, Fatin. Aku tayang muka tenang. Tarik senyum
kecil walaupun dia langsung tak balas. Tak apa. Salah sendiri kan. Padan dengan muka aku.

“Bukan macam tu maksud saya, prof. Saya minta maaf kalau saya buat prof
tersinggung. Salah lidah saya ni.” Tak tunggu jawapan balas dia, laju kaki mendekati kabinet
di hujung. Bekas plastik berisi lempeng dan sambal tumis bawang yang aku masak awal pagi
tadi aku angkat dan bawa ke kitchen island.

Letak dua bekas plastik tu kat situ aku pusing dan buka pintu kabinet di belakang
sekali lagi. Dua piring putih saiz sederhana aku capai. Tutup pintu dan pusing semula ke
kitchen island. Aku perasan dia tengok aje apa aku buat. Dan aku buat tak tahu aje. Karang
kalau aku pandang dia mahu tak jadi kerja.

Bekas berisi lempeng dan bekas berisi sambal tumis bawang aku buka. Semerbak bau
sambal tumis. Sudu yang berada di dalam bekas bulat diperbuat daripada besi di tengah

kitchen island aku capai. Sekeping lempeng aku keluarkan dan letakkan ke atas piring. Nasib
baiklah aku bawa dua keping.

Patutlah tergerak hati nak bawa dua keping pagi tadi. Rupanya TUHAN gerakkan hati
aku tu sebab ada rezeki orang lain untuk yang sekeping lagi. Aku ceduk sambal tumis dan
masukkan ke dalam piring. Kesemuanya kemudian aku masukkan ke dalam talam berisi
cawan air kopi tadi. Sepasang sudu dan garfu turut aku letakkan di dalam talam.

“Jom prof, sarapan. Nanti lambat pulak prof ke kampus.” Aku angkat talam dan
berjalan keluar dari dapur untuk ke ruang makan. Aku dengar derap kakinya mengekori. Aku
letakkan talam di atas meja makan utama dan keluarkan kesemua dan susun di atas meja.
Telinga dengar kerusi di tepiku ditarik. Aku undur sedikit ke belakang.

“Sila, prof.” Dia duduk dan pandang sekilas apa yang terhidang di atas meja. Dua
tangannya terangkat separas dada dan kemudian diraup ke wajah. Tangan kanannya capai
cawan kopi dan bawa ke bibir. Tertib aje dia cicip kopi. Usai seteguk dua, cawan
dikembalikan atas piring. Aku yang tengok pulak berdebar-debar.

“Err…o…okey ke kopi tu, prof? Kalau tak sedap beritahu. Saya buat yang lain.”

“Hmmm. Fine. Okay with me.”

Alhamdulillah. Lega dengar. Aku memang ikut macam mana yang aku buat semalam
kat Auntie Vasanthi. Tangannya tarik piring lempeng. Sudu dan garfu dicapai lalu dipotong
kecil. Satu potongan kecil tadi ditekan dengan garfu dan dicecah ke dalam piring sambal
tumis.

Setiap tindakannya aku perhatikan dengan penuh gundah. Takut juga lempeng dengan
sambal tumis bawang tu tak masuk dengan selera dia. Aku tenung aje dia yang mengunyah
dengan penuh sopan dan perlahan. Sekeping potong kecil lempeng ditekankan lagi dengan
garfu dan dicecah ke dalam piring sambal tumis bawang. Dan potongan demi potongan terus
dijamah. Kalau dah ulang makan banyak kali tu makna okey la kut kat selera dia.

“Awak yang masak lempeng kelapa dan sambal tumis bawang ni?” Mulut bertanya
tapi dia tak pandang aku. Aku pulak masih tengok dia sambung makan. Nampak berselera aje
dia makan lempeng dengan sambal tumis tu. Sedap la agaknya.

“Ya, prof.”

“Kenapa sambal tumis awak ni tak ada ikan bilis? Tak suka ikan bilis?”

Aduhai. Tak terbayang dalam kepala aku soalan ini yang dia tanya. Terkebil sekejap
aku nak proses jawapan.

“Err. Sebab stok ikan bilis kat rumah dah habis, prof. Saya terlupa nak beli hujung
minggu lepas masa pergi pasar. Kebetulan duit pun cukup-cukup aje.” Kali ini kepalanya
terangkat pandang aku. Memang itulah sebenarnya. Aku terlupa beli ikan bilis hujung
minggu lepas masa pergi pasar. Aku ternampak lemang. Ash memang suka makan lemang.
Terus beli lebih sikit sebab nak bagi kat Kak Nah sama. Tu yang tak cukup duit nak beli ikan
bilis bila tersedar aku terlupa beli.

“Awak ada duit tak untuk beli makanan awak dengan anak awak nanti?”

“Er…ada, prof. Ada.” Tak sangka pulak dia fikir aku tak ada duit. Aku memang jenis
tak suka bawa duit lebih bila pergi pasar. Nak elak beli benda yang tak masuk dalam senarai.
Nanti membazir. Tapi terbeli juga lemang yang tak masuk dalam senarai. Ingat Ash suka
makan tu yang aku beli. Tapi aku terharu dengan sikap prihatin lelaki ini sebab dia fikirkan
aku dan Ash.

“Sure?” Cawan kopi dicapai dan dicicip hingga habis. Mata dia terangkat pandang
aku. Tunggu aku jawab soalan dia la tu. Bahasa mata dia tu kalau diterjemahkan ke bahasa
pertuturan sebenarnya dia nak cakap, awak cakap betul-betul dengan saya. Jangan malu.
Jangan segan.

“Yes, prof. Sure.” Tersampuk pulak lidah aku balas cakap omputih dengan dia. Tipu
kalau aku cakap aku tak tersentuh dengan sikap ambil berat lelaki ini. Aku kalih pandang
piring lempeng. Licin! Bibir ikat senyum dari terlepas. Lega bila tengok apa yang aku masak
dinikmati dengan penuh berselera oleh lelaki ini.

“Terima kasih untuk sarapan orang kampung awak ni. Orang bandar ni boleh aje
makan. Tak ada masalah.” Dalam dia puji sempat lagi dia selitkan perli. Memang perli aku la
tu.

Tubuhnya ditegakkan. Kerusi ditolak ke belakang dan dia menapak ke tepi lalu kerusi
ditolak semula ke depan. Aku perhati aje tiap tindakan dia. “Lepas ni jangan lagi sebut
makanan orang kampung…makanan orang bandar dengan saya. Faham?”. Yelah. Aku
memang salah. Tak cakap lagi dah pasal perkara tu lepas ni. Kepala mengangguk.

“Baik, prof. Maaf.”

“Hmmm.”

Hmmm aje? Cakaplah okey ke. Maaf diterima ke. Sedap jugak telinga aku dengar.
Hampeh betul.

Piring-piring dan cawan kopi yang dah kosong dia masukkan ke dalam talam dan
diangkat. Kaki dia menonong aje menuju ke dapur. Seketika aku terlogo lihat apa yang
sedang terjadi depan mata. Sekejap aje la. Bila fikiran kembali duduk dalam kepala, terus aku
terpa langkahnya.

“Eh…eh. Prof. Tak apa. Tak apa. Biar saya yang angkat. Ni kerja saya.” Dia langsung
tak hiraukan kata-kataku. Terus melangkah dan letak talam di tepi sinki. Aku yang mengekori
dari belakang mendekat dan pegang hujung talam. Nak tarik supaya dia berundur. Kenapa
pulak dia yang angkat dan cuci ni. Semalam tak ada pun Auntie Vasanthi cakap hal ni.
Renungnya naik memanjat. Aku buat-buat berani walaupun seram nak mati.

“Saya yang makan tadi kan?”

“Err…ya.”

Memanglah. Takkan klon dia pulak yang makan. Apa punya soalan daa.

“Saya yang minum tadi kan?”

“Haa…ya.”

Lagi mahu tanya.

“Jadi…biar saya yang kemas dan bersihkan. Tugas awak tolong buatkan kopi untuk
saya tiap pagi. Awak bukan orang gaji. Ingat tu.” Matanya kemudian jatuh menjunam pada
hujung talam yang aku pegang. Isyarat yang mudah itu aku faham.Terus terangkat tanganku.
Kaki pun terundur ke belakang. Tangan mula memicitkan botol cecair pencuci dan diletakkan
di atas span.

“Tapi saya kan tukang bersih, prof. Jadi memang kerja saya bersih-membersih ni.
Biarlah saya yang bersihkan cawan dan piring tu.” Hai mulut ni. Nak jugak menjawab.
Karang dia baling dengan renungan pedang samurai baru padan muka kau, Fatin. Terputus

dua badan kau karang. Tubuh dia dianjakkan sedikit. Cawan yang berlumur dengan sabun
pencuci dihulurkan kat aku. Kening berkerut. Tak faham.

“Awak kata awak tukang bersih kan? So…please clean it.” Teragak-agak aku
dekatkan langkah bila matanya beri isyarat aku berdiri kat sebelah. Cawan bertukar tangan.
Kepala paip aku putar perlahan. Takut terpercik kat baju kemeja dia. Memang cari pasal
namanya.

“Saya tukang cuci…awak tukang bersih. Deal?” Tetiba pulak dia buat acara cuci
piring dan cawan berjemaah dah kenapa? Aku tayang senyum kecil. Sebenar nak kawal rasa
gementar yang meletup-letup ala popcorn kat dalam dada sebab kena berdiri rapat sebelah
dia. Bauan yang menggoncang naluri dari tubuhnya meradak rongga. Bauan seksi dan
menggoda yang aku cukup kenal. Acqua Di Gio. Aku tahu sebab pernah teman Alice belikan
haruman ini untuk tunang dia. Aku ni bau bedak Johnson & Johnson jer. Bedak kongsi
dengan Ash. Syampu pun sama. Senang.

Laju aku kelipkan mata. Hidung pun kembang kempis. Tahan, Fatin. Tahan. Jangan
hidu lebih-lebih bau seksi orang sebelah. Nanti nahas kau. Macam mana nak tahan tak hidu.
Nanti tak bernafas la. Ikut mulut la bernafas bongok. Itu pun nak ajar ke?

Dugaan namatee ni!

“Something wrong with you?” Aku pusing pandang dia dengan muka blur. Terbang
segala yang berputar dalam kepala.

“Hurm?” Isyarat matanya menghala ke wajahku.

“Hidung kembang kempis. Mulut terbuka. Awak sakit?”

Ah sudah! Rasa nak hantuk kepala kat kepala paip.

“Err…Tak la, Prof. Saya okey. Hidung ni…aaa…tersumbat. Haa. Hidung tersumbat,
prof.” Lain macam dia pandang aku. Antara percaya tak percaya aje. Dahlah aku cakap pun
gagap. Jangan la terkantoi. Mahu aku mandi dengan Sunlight ni karang. Kepala laju
mengangguk. Mengeyakan kata-kata sendiri. Pepagi dah buat dosa kering aku ni.

“Nanti saya bagi ubat untuk hidung tersumbat awak tu, hmmm.”

“Errr…” Tapi bila aku tengok dia macam tahan senyum, sahlah dia tahu aku bohong.
Laju aku jatuhkan mata ke bawah sambil bilas piring di tangan. Mata terpicing sambil bibir
terkemam.

Malunya!

Bab 8

“AWAK sudah siap buat kopi sama prof, awak terus siram itu pokok-pokok. Baik-baik siram
okey. Itu pokok-pokok prof banyak sayang. Itu pokok-pokok make him happy. Bila prof sudah
pergi kerja, awak kemas sama bersih dalam ini rumah. Ini barang-barang dalam rumah
awak be careful. Jangan kasi jatuh. Jangan kasi rosak…pecah. Semua very expensive.

Kasi kemas bersih ni 1st floor juga okey. Tapi itu locked room, tak payah. Itu prof
punya bilik. Tak boleh masuk. Remember. Bukan dia tak percaya sama kita tapi dia memang
kasi kemas sama bersih sendiri dia punya bilik. Dia nanti letak itu luar pintu pakaian yang
mahu kasi cuci dan iron. Nanti dia masuk itu kotor punya pakaian dalam bakul. Mau iron
punya dia kasi sama hanger. Then you know that one to be iron. Masa awak iron, kasi cantik.
Licin okey. Prof very particular.

Lain bilik awak buat. Habis siap. Awak cuci pakaian prof. In the same time awak
boleh cuci tandas, mop. Siap cuci pakaian awak kasi jemur di belakang. Then awak kasi iron
baju prof. Siap iron awak hang dalam bilik sebelah. Nanti dia ambil. Dia tak suka cakap
banyak kali. Sekali mesti faham.

Siap semua kerja ini dalam rumah baru awak kemas luar. Sapu sampah sama cuci
longkang. Itu saja. Siap kerja semua awak boleh rehat, makan. Mahu sembahyang juga
boleh. Tunggu prof balik from campus. Prof balik baru awak boleh balik. Boleh faham,
Fatin?”

Pesanan dan “amaran” tentang do and don’t lelaki itu yang Auntie Vasanthi cakap
semalam berputar dalam kepala. Satu banglo ini dia bawak aku tour. Tunjuk semua. Prof
yang suruh. Tempat simpan barang-barang untuk aktiviti mengemas dan membersih dia
tunjuk. Semuanya aku dah hafal sejak semalam. Nampak lelaki itu bergerak ke depan, laju
aku bawa kaki ke arah pintu dapur.

Next. Siram pokok!

KEPALA paip di luar aku putar. Gelung getah berwarna hitam aku tarik dan halakan pada
laman mini di sebelah kiri halaman. Prof ni mesti suka pokok bonsai. Ada beberapa saiz dan
rupa. Cantik. Orang yang suka seni tanaman bonsai ni jenis yang tekun…fokus dan teliti.

Suka aku tengok landskap laman mini bonsai ini. Semalam sempat curi jeling aje.
Kalau aku ada rezeki miliki rumah sendiri nanti aku nak gabungkan laman bonsai dan orkid.
Aku suka sangat bunga orkid. Mesti super cantik. Buat air terjun mini. Sejuk aje mata
memandang. Hmmm. Berangan tu kan percuma. Tak salah berangan. Asal jangan ditimpa
angan-angan sudah. Bibir koyak senyum sambil tangan terus menyiram pokok-pokok di
depan mata.

“Fatin.”

Suara menyeru buat kepala berpusing. Menyentak khayalan yang baru membibit
dalam kepala. Relung getah paip yang berada di tangan aku letakkan ke bawah dan kaki laju
menuju ke arah kepala paip. Terus kunci aliran air. Dua tangan yang basah aku lapkan pada
apron yang melekat di tubuh. Ayunan langkah menghampirinya yang sedang berdiri di tepi
kereta. Mata sempat menilai penampilan lelaki ini. Segak. Kemas. Seksi. Euuww. Terserlah
ketokohan seorang pendidik berprofil tinggi.

“Ya, prof.”

“Saya nak gerak ke kampus. Awak kerja elok-elok.” Tangannya sedang menaip
sesuatu pada telefon pintar yang dipegang.

“Baik, prof.” Kepala mengangguk. Mata perhatikan lagi dia yang masih rancak
menaip di telefon yang berada dalam pautan tangan.

“Pukul satu petang nanti saya sampai.Insya-Allah.”

“Ya, prof.” Sekali lagi aku angguk. Dah macam belatuk pulak aku rasa. Tiba-tiba dia
hulurkan telefon pintarnya padaku. Terkebil-kebil aku pandang dia. Dah kenapa pulak bagi
telefon dia kat aku?

Nak selfie dengan saya ke, prof?

Bengong kau, Fatin.

“Masukkan nombor telefon awak.” Suara dia menyentak khayalan.

“Bu…buat apa prof nak nombor telefon saya?”

“Nak mengurat awak.”

“Mengurat?!” Terlongo sekejap aku. Terkejut campur tak percaya apa yang telinga
baru dengar. Kepalanya menggeleng. Tengok riak ketat muka lelaki ini aku rasa nak aje
hantuk kepala kat bumbung kereta dia. Sahlah dia tahu aku sedang ting tong.

“Awak ingat saya nak buat apa dengan nombor telefon awak tu?”

“Prof cakap tadi kan nak mengurat saya. Nak berkenal-kenalan ke?” Bendul aje aku
jawab. Memang dia yang cakap macam tu apa. Orang tu perli pun kau tak faham. Bongok la
kau ni, Fatin.

Ciss!

“Cut the crap. Masukkan nombor awak tu cepat.” Matanya terhala pada gajet yang
aku pegang. “Saya dah lambat ni. Saya missed call awak nanti. Apa-apa hal kat rumah ni
boleh call saya. That is why you need my number. I don’t have time for flirting.”

Kemain sarkastik lagi ayat dia. Siapa pulak yang mengarut. Aku cakap apa yang dia
cakap tadi aje. Dan aku tak cakap pun dia nak menggatal kan. Tahapaapaje dia ni. Gelabah
bonsai betul. Perlahan-lahan aku sambut dan menekan lantai kekunci.

“Save nama penuh ke nama tak penuh, prof?”

“Fatin Iman Layyin.” Terangkat kepala bila dengar dia sebut nama penuh aku.
Bertembung pandangan kami. Hafal nama penuh aku tu. Amboi amboi. Aku pun tak tahu
nama penuh dia. Setakat Man aje. Man apa. Suparman kut. Hesy. Tak aci betul.

“Fatin tu ramai. Students saya pun ramai nama Fatin. Nanti salah orang.”

Aku tak tanya pun kan. Awat yang dia gabra bonsai. Ke dia sebenarnya nak hint kat
aku yang nama girlfriend dia pun Fatin. Takut terkantoi panggil aku sayang nanti ler tu. Klise
sungguh!

“Dah save. Fatin Iman Layyin tukang kemas comel.” Aku sengih sambil hulur telefon
kat dia semula. Mata lelaki ini mengecil pandang aku. Aku tayang riak selamba suci murni.

“Fatin yang comel tu tak ramai. Saya sorang aje. Gerenti tak salah orang, prof.”

Hahaha. Nak tergelak aku tengok muka meluat namatee dia. Seronoknya dapat balas
kerek dia.

Yeay!

Fatin satu. Prof satu.

SIAP!

Fuh. Lega. Mata jatuh kat pergelangan tangan. Pukul dua belas tengah hari dah. Tak
sedar masa berlalu. Dah siap kemas dan bersihkan tingkat bawah tadi aku naik ke tingkat
atas. Ada empat bilik semuanya. Tiga memang tak berkunci. Cuma bilik yang di tepi tangga
aje yang berkunci.

Itu bilik prof. Macam yang Auntie Vasanthi tunjuk kat aku semalam. Kemudian basuh
pakaian-pakaian kotor lelaki itu. Aku belek juga. Tak ada pulak pakaian dalam. Dia basuh
sendiri kut. Lantaklah kan. Bukan urusan aku.

Sambil mesin pakaian berputar, aku cuci semua tandas dan bilik air. Lepas tu mop
rumah. Siap terus jemur pakaian kat kawasan jemur pakaian kat belakang. Laundry room.
Ada kawasan khas berbumbung lut sinar di belakang sudut dapur. Ada ampaian buluh. Ala-
ala macam Jepun pulak. Tapi memang unik sangat. Dan cantik.

Kawasan tu pun ada ditanam rumput karpet. Bersebelahan dengan kawasan yang
terletak mesin pencuci dan pengering. Ada waiting area yang dilengkapi set 4 buah kerusi
kayu dan sebuah meja. Sambil tunggu pakaian dicuci, bolehlah duduk berbual di situ. Nak
membawang pun boleh. Kalau ada teman la kan. Atau tetamu. Pandai betullah prof setkan
laundry room dia ni. Lengkap serba-serbi.

Semua alatan untuk cucian pakaian tersimpan kemas pada kabinet dua tingkat yang
melekap di dinding. Kagum dan ralit aku tengok bahagian yang ini. Sambil jemur siap aku
berangan kalau ada rumah sendiri nanti aku pun nak buat kawasan khas macam ni. Jadi kalau
hujan tak perlu risau.

Lepas jemur pakaian aku terus keluar untuk siapkan kerja-kerja kat luar banglo. Cuci
longkang. Sapu sampah daun-daun kering. Kemudian aku tersangkut sekali lagi kat laman
bonsai tuan banglo ini. Leka aku kat situ. Patutlah Auntie Vasanthi cakap laman tu buat prof

gembira. Aku rasa pokok-pokok dengan lanskap memukau kat situ buat hati lelaki tu tenang
dan damai. Sama macam yang aku rasa.

Kaki melangkah masuk ke dapur. Bekal makanan tengah hari hujung kabinet aku
capai dan masukkan ke dalam microwave. Tadi aku dah minta izin prof nak panaskan lauk.
Siap aku beritahu dia nak panaskan nasi putih dengan ikan selar sambal dan sayur kobis
goreng.

Aku nak dia tau aku tak gunakan microwave dia untuk panaskan makanan-makanan
yang berbau kuat. Mana tau nanti dia nak gunakan untuk panaskan makan malam dia ke.
Bekal yang aku bawak ni lauk yang Kak Nah bekalkan malam tadi. Memang aku tak makan
malam tadi. Kenyang. Minum milo kosong cukup. Jadi lauk untuk aku tu aku simpan dalam
peti sejuk. Aku cuma suapkan Ash aje.

Usai tidurkan Ash malam tadi, baru aku masuk Group Tingkap Hijau geng butik.
Riuh dan kecoh semua. Aku tahu dorang semua risaukan aku. Keluar daripada bilik Datin
pagi tadi terus dia panggil Shima untuk tengok aku kemas barang kat loker dan terus keluar
dari butik. Memang tak berpeluang langsung nak cakap apa-apa kat Lili dan Wani.

Aku cuma hantar WhatsApp kat group kita orang cakap Datin Miara dah pecat aku.
Aku tak boleh nak cakap apa-apa kat dia orang masa tu. Bagi aku ruang dan masa, sebab
masa tu aku memang tengah sedih giler. Aku cuma cakap nanti malam aku akan update.

Dan aku kotakan janji. Dia orang semua pun sedang tunggu aku.

Aku: Hai korangs…It’s me in the house. Ada yang belum tido lagi ke?

Lili: aku

Nozi: aku.

Alice: Me darling

Wani: aku beb

Lili: Fatin! Kau macam mana? Aku risau macam namatee tau. Nak makan pun

tak lalu.

Aku: Aku okey laa. Gi makan. Dah lewat ni.

Wani: Fatin, Aku sedih la apa yang jadi. Cilake la si gemuk bibir tebal tu.
Puaka betul. Aku doa dia kena gelek dengan lori baja taik lembu.

Aku: Kau ni. Adoi.

Lili: Betul apa, Fatin. Biar mampus betina tu. Jahat macam setan bertanduk.
Eei. Bencikk aku dengan dia tu tau!

Wani: Setan betina dia tu, Lili.

Alice: Fatin…aku nangis tau bila Lili call kata kau kena berhenti. Jahatlah
Shima tu. Datin pun sama. Sampai hati pecat kau. Huhuhu.

Nozi: Aku pun nangis. Pastu berbakul aku maki Shima tak gune tu. Mampus lagi

bagus.

Aku: Aku okey dah laa. Korangs jangan risau

Nozi: Giler tak risau. Kau geng kita aar.

Aku pasti dia orang semua dah tau kisah sebenar. Kerat jari mesti Kak Shima dengan
bangganya dah sebarkan sebab aku dipecat. Pastinya juga dia orang terkejut besar dan tak
percaya mungkin sebab tu dia orang diam aje. Aku tahu dia orang serba salah nak tanya. Jadi
biarlah aku jernihkan segalanya supaya jelas.

Aku: Aku minta maaf tau sebab tak cerita hal sebenar pasal aku kat korang.
Aku tau mesti Kak Shima dah ceritakan sebab apa aku kena pecat. Aku bukan nak menipu.
Aku bukan nak sorok kat korang pasal aku. Aku sebenarnya malu kat diri sendiri. Tapi yang
penting aku cuma tak nak Ash kena hina. Anak aku tak berdosa. Yang buat salah tu aku.
Kalau korang nak kutuk dan caci maki, aku terima. Asal korang jangan buat benda tu kat
Ash. Anak aku tak salah.

Lili: Aku tak salahkan kau Fatin. Aku tau kau baik. Kita ni semua pernah buat

dosa.

Wani: Aku pun sama. Betul cakap Lili. Kita semua manusia. Ada aje buat dosa.
Yang penting kita sedar dan taubat.

Nozi: Betul tu. Manusia memang la banyak dosa. Shima tu tunggu laa giliran
dia nanti. Aku tepuk kaki tangan sekali.

Alice: Kau baik sangat. Itu aje yang aku tahu. Yang penting aku tetap kawan
kau tau. Aku sayang kau tau, Fatin.

Nozi: Shima tu buka aib orang. Nanti ALLAH buka pulak aib dia. Tengok la

nanti.

Wani: Ha’a. Kita tunggu aje. Sekarang ni TUHAN bayar cash.

Aku: Terima kasih korang. Aku sayang korangs.

Bila aku cerita dah dapat kerja baru, semuanya menjerit seronok dan ucap tahniah. Sibuk
tanya aku kerja kata mana. Aku sebut aje kerja tukang kemas kat rumah orang. Macam part
time maid laa. Aku tak cerita banyak-banyak. Nahas kalau aku cerita boss aku duda

handsome meletup mahunya si anak dara bertiga tu skodeng nanti. Silap-silap prof pecat aku
pulak. Mampus!

Usai panaskan dan bersih dalaman microwave, aku menapak ke sinki. Putar kepala
paip dan cuci tangan. Kemudian bawa makanan ke kitchen island. Panjat kerusi kat situ.
Selesai baca doa, aku suap nasi dan cubit selar sambal. Hmm. Sedap. Kak Nah memang
pandai masak. Aku pun banyak belajar dengan dia masak lauk-lauk untuk Ash. Aku mana
ada pengalaman.

Dia yang banyak tunjuk ajar. Sudu kat depan aku capai dan ceduk kobis goreng.
Gaul dengan nasi dan sumbat dalam mulut. Sambil mengunyah aku ralit perhati keliling
dapur. Ada dapur kering dan basah. Sayang betul. Dapur lengkap dan cantik macam ni tak
ada yang guna. Kalau aku dapat dapur heaven macam ni hmmmm memang melompat
tumbuk langit.

Semalam masa Auntie Vasanthi tunjukkan peralatan di dapur ni dia cakap prof
memang tak masak. Jarang makan. Selalunya dia akan makan di luar atau makan rumah
orang tua dia. Aku tanya juga kenapa dia tak ambil pembantu rumah full time. Boleh masak
untuk dia. Kata wanita tu, prof tak mahu. Dia pun tak pasti apa sebabnya.

Hmmm. Sambil mengunyah kepala berputar mencari jawapan. Sebab apa ek prof tak
nak ambil pembantu rumah?

Hesy. Apasal yang aku menyibuk ni?

Usai makan, aku kemaskan dapur dan bersihkan bekas makanan. Keringkan dan bawa
masuk ke dalam bilik kecil sebelah stor. Sayup-sayup telinga dengar azan. Memang kat
hujung jalan besar untuk masuk ke kawasan banglo ini ada sebuah masjid. Selesai masukkan
bekas makanan dalam beg terus aku masuk semula ke dapur dan melangkah laju ke bilik air
untuk berwuduk.

Usai beri salam, telinga macam dengar air dari arah dapur. Pintu bilik ni memang aku
tak tutup. Takut aku terlupa tutup air tadi masa ambil wuduk terus mengelupur aku bangun.
Telekung pun aku tak tanggalkan. Laju kaki menuju ke arah pintu dapur. Namun langkahku
terhenti bersama mata yang membulat.

“Kus semangat! Huh! Huh! Terperanjat saya.” Tangan urut dada sendiri. Terkejut
pandang susuk tubuh yang keluar dari bilik air dapur. Dia rupanya yang guna bilik air.

Patutlah dengar bunyi air. Aku pulak ingatkan aku lupa tutup paip air. Lelaki depan mata aku
ni selamba aje duduk di kitchen island bar chair. Lepas tu relaks aje pandang aku yang
macam ternampak hantu.

“Bila prof balik?”

“Are you done?”

“Haa?” Lain yang aku tanya, lain pulak yang dia jawab. Apa yang dah selesainya?

Matanya hala kat aku. Lebih tepat kat tubuh aku. Mata jatuh melorot ke arah tubuh
sendiri. Baru perasan aku masih bertelekung. Patutlah dia tanya.

“Oh. Baru sudah, prof.”

“Hmmm. Awak dah boleh balik. Dah pukul satu setengah.” Tak balas kata-katanya
terus aku pusing dan kembali ke bilik kat belakang. Sambil berjalan telekung aku tanggalkan.
Kepala ligat berfikir.

Kenapa lelaki tu duduk kat dapur? Kalau dah balik pun duduk la kat ruang tamu. Atau
masuk bilik ke? Entah-entah dia nak skodeng aku. Nak tengok aku mengular ke. Membuta
ke kan. Manalah tau. Hari ni kan hari pertama aku bekerja.

Baru habis sembahyang dah buat dosa kering kan kau Fatin. Entah-entah dia nak
minum air sebab dahaga. Kan panas kat luar tu. Masuk bilik air kat dapur tu mungkin tiba-
tiba rasa nak buang air. Manalah tau. Berdosa la tuduh orang. Lagi berdosa kau tuduh bos
sendiri. Tangan spontan naik menampar kepala. Telekung aku lipat dan masukkan semula ke
dalam beg.

LANGKAH aku hayun ke arah halaman. Lelaki itu sedang berdiri memandang laman bonsai.
Beg telekung yang disandang aku betulkan kedudukannya. Dua beg yang dijinjit aku pegang
kemas. Kaki makin mendekati lelaki ini.

“Prof.” Tubuh berpusing pandang aku.

“Saya dah siapkan semua kerja. Saya balik dulu. Assalamualaikum.” Kepala tunduk
sikit tanda hormat.

“Waalaikumsalam.” Usai dengar dia jawab salam, aku melangkah ke arah pintu pagar
yang mula terbuka.

“Fatin.”

Terhenti langkah. Aku pusing ke belakang. Langkahnya mendekat. Aku hanya
mematung. Mata tengok dia seluk poket seluar. Dan sebaik tangan dikeluarkan ada tiga
keping not ungu di tangannya.

“Take it.” Terlopong sekejap aku.

“Eh. Du…duit apa pulak ni, prof? Duit gaji saya hari ni ke?” Kalau ikut gaji aku hari
ni 125 ringgit aje. Tapi gaji aku dia akan kreditkan dalam akaun tiap hujung bulan. Macam
yang aku minta. Tengok jumlah ni pun tahu memang lebih. Apahal yang sampai tiga keping
not seratus? Nak kata salah kira tak mungkin. Pensyarah Matematik kut.

“Untuk awak buatkan saya sambal tumis ikan bilis.”

“Haa?”

Kejadah apanya sambal tumis ikan bilis sampai 300 ratus ringgit? Nak mandi sambal
tumis dengan ikan bilis ke prof ni? Melihat aku masih termangu terus dia masukkan not-not
di tangannya ke poket beg yang aku sandang.

“Eh…tapi…tapi…prof…duit ni…duit ba…” Terkelip-kelip aku pandang dia dan
poket beg di bahu. Ayat pun tersangkut-sangkut.

“You better make move.”

“Tapi…tapi, prof. Duit ni ba…”

“Nanti lambat. Anak awak mesti tunggu awak.” Laju aje dia cantas ayat aku. Bila dia
sebut anak terus wajah Ash terlayar di mata. Terkocoh-kocoh aku pusing ke depan dan
berjalan laju. Mama nak balik ni ye, Ash. Ash tunggu ye, sayang.

“Fatin.”

Suara dia spontan menghentikan kaki yang melangkah. Aku pusing pandang dia yang
tenang aje berdiri di depan.

“Ya.”

“Where do you stay?”

“Wangsa Maju, prof.”

“Hati-hati.” Aku senyum kecil dan mengangguk. Kembali berpusing ke depan. Laju
kaki melangkah mendekati pintu pagar. Harap tak terlepas bas macam semalam.

Bab 9

“MACAM MANA kerja hari ni?”

Soalan Kak Nah menjemput senyum di bibir. Aku angguk. Duduk yang berlabuh di
kerusi kayu luar pintu dapur sambil menyedut udara petang yang nyaman terasa damai
sungguh. Melepaskan lelah bekerja dengan cara macam ni sambil melihat Ash bermain riang
di depan mata menyimpul seribu kali nikmat.

“Alhamdulillah, kak. Semua okey. Beres. Saya pun dah dapat kerja part time kat Mini
Market Ah Seng. Dia cakap kebetulan pembantu Indonesia dia dah balik kampung. Jadi ada
pembantu tu ringan sikit dia.”

Memang rezeki yang ini aku pun tak sangka. Turun dari bas tadi aku singgah kat mini
market tu nak beli roti krim butter kesukaan Ash. Masa nak tolak pintu kaca aku nampak
iklan yang ditampal kat luar pintu. Terus aku tanya kat Ah Seng.

Memang aku biasa beli barang kat situ jadi kenal dah dengan bosnya. Dia suruh aku
terus mula kerja tadi. Gaji dibayar hari. Aku on aje la. Alhamdulillah. Rezeki anakku. Mata
memandang Ash yang berlari-lari riang mengejar kucing di halaman dapur Kak Nah.

“Alhamdulillah. Senanglah dapat kerja kat situ aje. Dekat. Tak jauh dari rumah.”

“Tu la, Kak Nah. Syukur sangat saya. Rezeki Ash…mama dia dapat kerja mudah
aje.” Bibir koyak senyum melihat telatahnya mendakap geram kucing yang berjaya
ditangkap. Meronta-ronta kucing tu minta dilepaskan.

“Ha’a rezeki budak lesung pipit comel tu.” Aku sambung senyum. Kak Nah kadang
memang panggil Ash budak lesung pipit comel.

“Boss handsome awak apa khabar tadi?” Kak Nah sengih-sengih. Ada je part dia nak
mengusik. Bila dia tanya pasal lelaki itu langsung aku teringat cerita lempeng kelapa dengan
sambal tumis bawang pagi tadi.

“Dia sihat aje. Ni Kak Nah nak tau cerita pagi tadi tak?”

“Haa cerita apa tu?” Wajah teruja Kak Nah memang dia tak sorok langsung.

“Pagi tadi saya bawak bekal lempeng kelapa dengan sambal tumis bawang untuk
sarapan. Bos saya itu minta sikit sarapan saya, Kak Nah.”

“Makan ke dia?”

“Licin, Kak Nah. Habis sekeping. Sambal tu pun licin.”

“Mesti dia suka la tu. Tak pernah makan. Sekali rasa…tu diaaa. Terangkat.” Kak Nah
gelak-gelak. Aku pun sama gelak.

“Agaknya la, Kak Nah. Tak pernah makan gamaknya. Mula-mula tu cuak jugak nak
bagi masa dia mintak. Takutlah kan tak masuk selera dia. Saya ni orang kampung. Makanan
tu pun yang biasa saya makan masa kat kampung. Sekali bila tengok dia makan…”

“Tak berhenti-henti suap sampai licin pinggan.” Kak Nah cantas ayat aku dengan
ketawa kecil. Aku ikut ketawa.

“Tu la pasal. Terkejut saya tengok dia makan.”

“Mesti lepas ni dia minta lagi sarapan yang Fatin bawak. Gerenti punya. Baiklah Fatin
bawak lebih.” Harap tak laa. Mungkin pagi tadi dia lapar sebab tak makan malam gamaknya.
Aku teka la.

“Esok tu cadang nak goreng cucur bawang bilis kucai cecah kuah cili aje. Tadi saya
beli ikan bilis kat Mini Market si Ah Seng. Dapatlah diskaun harga staff. Cucur macam tu dia
tak makan kut, Kak Nah. Apa kerlas professor macam dia makan cokodok tepung pagi-pagi.”

“Eh. Mana tau. Kut dia nak rasa lagi air tangan Fatin. Tadi dah tertawan dengan
lempeng kelapa sambal tumis bawang. Esok cucur bawang bilis kucai pulak. Hai…lama-lama
dengan tuan badan sekali dia tertawan.” Kak Nah gelak-gelak lagi sambil tepuk paha aku.

“Hesy akak ni. Kesitu pulak. Jangan nak mimpi la, kak.” Aku geleng kepala.
Mengarut aje.

“Hesy. Jodoh tu mana kita tahu, Fatin.”

“Tak ada maknanya. Orang macam tu tak adanya nak pandang orang macam saya ni,
kak. Lagilah dia dah tau status saya.” Muka Kak Nah nampak terkejut bila dengar aku cakap
macam tu.

“Fatin dah cerita kat prof tu ke?”

Kepala mengangguk.

“Baik cerita semua, Kak Nah. Bila dia terima saya bekerja semalam, saya dah
ceritakan status saya. Citer pasal Ash. Saya tak nak apa yang dah jadi kat butik berulang
semula. Sekurang-kurangnya dia dah tahu saya siapa.

Mana tau satu hari nanti dia terserempak saya dengan Ash. Lepas tu saya pulak tak
pernah cerita siapa Ash. Tak ke nanti dia anggap saya menipu.” Kak Nah tepuk-tepuk
perlahan pahaku.

“Baguslah Fatin fikir macam tu. Terpulang laa kat dia nak anggap apa.”

“Saya tak kisah apa anggapan dia kat saya, kak. Itu hak peribadi dia. Hak saya untuk
beritahu sebab dia majikan saya. Saya buat demi Ash. Saya kerja kuat demi Ash. Hidup saya
hanya untuk Ash. Saya tak fikir apa-apa lagi untuk diri saya.” Kura tanganku dielus lembut.

“Jangan cakap macam tu. Fatin masih muda. Masih panjang perjalanan hidup. Masa
depan akan tetap ada. TUHAN takkan menguji apa yang kita tak mampu nak pikul. Setiap
ujian tu ada hikmah. Percayalah.”

Aku telan liur sendiri. Bukan tak percaya pada yang Kak Nah cakapkan. Aku cuma
dah berhenti berharap pada perkataan masa depan. Segala yang diharapkan dulu dah musnah.
Punah. Hancur. Lebur. Sedih memang teramatlah sedih. Tapi untuk apa dikenang lagi.
Segalanya dah terkubur. Tiada nesan.

Mata berlari mencari Ash. Susuk kecil itulah kekuatan aku selama bertahun ini. Aku
hidup dan berusaha keras cari rezeki demi masa depan Ash. Itu sahaja yang aku pegang
selama ini dan akan terus aku pegang sampai bila-bila. Demi Ash aku sanggup lakukan apa
sahaja.

“Saya reda kalau orang pandang hina kat saya, Kak Nah. Asal jangan hina anak saya.
Dia tak bersalah. Dia tak minta dilahirkan di dunia ni.” Kak Nah tarik kepala aku dan
jatuhkan ke bahunya. Mata bergenang memandang Ash yang seronok berlari. Mama takkan

biarkan sesiapapun hina Ash ye, sayang. Mama akan pertahankan Ash walau dengan nyawa
mama sendiri.

DIA BUAT LAGI!

Betul kata Kak Nah semalam. Hari ini pun sarapan yang aku bawa harus dibahagi
dua. Kena “rompak” dengan tuan punya banglo ini. Lebih daripada separuh kena ngap
dengan dia. Sabar aje laa. Nasiblah aku tergerak masak lebih cucur ni pagi tadi. Ikut nasihat
Kak Nah. Tidak memang tak merasa la aku sarapan sendiri.

Seperti ulangan kisah semalam. Pagi tadi pun dia muncul kat dapur waktu aku tengah
sibuk bancuh kopi. Muncul dengan baju kemeja biru laut dipadan dengan tali leher kelabu
gelap berpetak-petak. Memang aumm sangat. Telan liur la jugak aku.

Nasib baik dapat cover. Kalau dia perasan haruslah aku buat-buat jadi tugu. Dia terus
ke kabinet tempat aku simpan bekas bekalan makanan dan tanya apa bekal sarapan aku pagi
ini. Sebijik macam dialog semalam jugak.

"What do you have for breakfast today?"

"Cucur bawang bilis dengan kucai lawan kuah cili, prof."

"Can I have some?"

Takkan aku nak cakap tak boleh pulak kan. Tak juga aku tanya dia makan ke cucur
orang kampung. Mahunya kena libas dengan ayat perli macam semalam. Tak kuasa. Tak
banyak cakap aku keluarkan piring dari dalam kabinet dan letakkan semua dalam talam.
Kemudian bawak ke meja makan utama.

“Jemput, prof.” Aku letakkan piring berisi cucur bawang bilis kucai dan kuah cili di
depannya. Cawan kopi aku letakkan di sisi. Ada bekas mangkuk berisi air cuci tangan pun
aku letakkan sama. Takkan nak makan cucur guna sudu garfu. Haruslah pakai tangan. Pakai
tangan kenalah cuci tangan dulu.

Aku perhati adab makan dia. Sangat tertib dan sopan. Baca doa makan. Celup tangan
dalam mangkuk basuh tangan. Lap tangan. Cicip kopi seteguk dua. Lepas tu baru capai

sekeping cucur dan dicecah kuah cili dan gigit. Perlahan-lahan dikunyah. Kalau aku memang
ngap aje separuh terus masuk mulut.

“Awak memang selalu masak sarapan sendiri?” Pertanyaan lelaki ini menyentak
khayalan. Terpinga sekejap.

“Err…ya, prof.”

“Tak beli kat luar?”

Kepala menggeleng.

“Tak pernah?”

Sekali lagi kepala menggeleng. Memang tak pernahpun. Aku kena berjimat. Gaji
bukannya besar.

“Jimat buat sendiri, prof. Terjamin suci dan bersih. Kan?”

“Hmmm.”

Hmmm aje. Cakaplah betul. Macam yang saya makan ni. Suci dan dijamin bersih.
Saya suka cucur bilis bawang kucai awak ni. Sedap. Garing di luar dan lembut di dalam.
Kuah cili ni pun pedas-pedas manis. Tak cair tak pekat. Sedang-sedang elok aje. Haram.
Hampeh betul. Tengok dia makan aku teringat hal duit tiga ratus ringgit semalam.

“Prof.”

“Hmmm.”

Hmmm. Lagi.

“Pasal duit untuk buat sambal tumis ikan bilis tu…saya buat minggu depan la ye.
Saya pergi pasar hujung minggu nanti saya beli ikan bilis yang elok sikit kat sana. Kat pasar
ikan bilis cantik-cantik, prof.” Sejak malam tadi aku fikir berapa nak beli bahan-bahan untuk
sambal tumis yang dia minta. Banyak tu duit dia bagi.

“Tak perlu.” Jawapan dia mengundang rasa terkejut. Berkerut kening dengar jawapan
lelaki ini.

“Kenapa pulak?”

“Bila-bila awak nak masak nanti bawakkan untuk saya. With the coconut pancake.”

Hai. Tersampuk lempeng kelapa dengan sambal tumis aku rupanya bos handsome
namatee ni…hehehe. Aku tiup-tiup dan hembus-hembus nanti habislah dia. Bengong kau,
Fatin. Bibir tanpa sedar koyak senyum. Dan bila aku perasan dia nampak aku senyum, terus
aku kemam bibir sambil gosok-gosok tengkuk. Hmmm. Bulan depan la aku buat. Boleh buat
lebih sikit bagi Kak Nah dengan Kak Hanum; jiran sebelah rumah.

“Esok awak nak masak apa pulak untuk sarapan?”

Terbang segala yang ada dalam kepala. Aku pandang muka dia yang tengah
mengunyah. Apasal aku rasa dia nak tumpang sarapan aku lagi esok. Aku tak kisah. Cuma
aku hairan aje. Tak ada pulak Auntie Vasanthi cerita yang sarapan dia selalu dikongsi dengan
lelaki ini. Musykil pulak aku.

Ke…dia sengaja nak rompak sarapan aku. Supaya nanti bekalan aku tinggal sikit.
Lepas tu nanti aku akan kutuk dia kaw-kaw kat belakang. Dia dapat pahala free. Kan?

Tak baik la kau cakap macam tu, Fatin. Tak baik tau berprasangka kat orang. Dia tu
bos kau tau. Handsome namatee pulak tu. Rugi tau kutuk bos handsome.

Ciss!

Anggap aje sarapan kau yang dia makan tu sedekah. Kau dapat pahala free. Tak nak
ke?

Yelah. Yelah.

“Fatin?” Suara dia yang menyeru buat mata laju mencari wajah kacaknya yang
menyegar pandangan. Tengok cara dia pandang yang ala-ala aku ni sarapan paling sedap
haruslah akal kembali ke alam realiti. Hilang segala yang terkhayal tadi.

“Err…ya, prof?”

“Awak dengar tak apa yang saya tanya tadi?”

“Aahh…” Mata terkelip-kelip. Apa ek yang dia tanya tadi. Tengok dia pandang aku
sambil mengunyah terus lampu dalam kepala menyala.

“Sarapan esok. Kan?”

“Hmmm.”

“Ermm.” Telunjuk garu pelipis. Cuba bayang dan ingat apa yang ada dalam peti
sejuk. Kacang panjang ada. Telur ada. Cili padi ada. Ikan bilis pun ada. Buat nasi goreng la.
Boleh makan untuk tengah hari sekali. Jimat dah kan.

“Nasi goreng kampung dengan telur dadar kut, prof. Bahan-bahan semua ada dalam
peti sejuk. Campak-campak. Kacau. Siap!”

“Bring some for me.”

Eh eh dia ni. Amboi amboi. Dah lebih ni.

“Saya ni memang hari-hari kena masak sarapan untuk prof ke? Tak cakap pun kan
masa terima kerja hari tu.” Tak tunggu lama terus aku humban musykil yang bersarang dalam
kepala. Pertanyaanku buat kunyahannya terhenti. Aku bukan kedekut. Bukan juga berkira.
Aku cuma nak kepastian daripada dia. Kurang-kurang kalau dia cakap ya, aku tahulah dan
boleh susun menu apa yang nak masak.

“Whatever is in your mind, just let it out.”

Selamba badak aje dia jawab. Tengok tu. Boleh dia sambung makan macam tak ada
apa. Aku pulak yang kena berhempas-pulas cari jawapan untuk soalan dia. Nak kena dia ni.

“Saya nak tau ya atau tidak aje untuk soalan saya tadi, prof. Itu aje saya nak tau.”
Baik bagi jawapan selamat. Tak payah nak merepek meraban cerita panjang-panjang sampai
ke Sudan.

Dia tak bagi reaksi. Sebaliknya sambung makan sampai habis 10 keping cucur yang
aku letakkan dalam piring. Lapar ke dia ni? Takkan tak makan malam lagi macam semalam
kut. Teko kopi dicapai dan dituangkan ke dalam cawan. Dah tiga kali dia tambah. Aku
pandang aje teko yang dah kosong dan piring yang dah licin.

Sah! Dia memang lapar.

Dan lapaq ayaq kopi aku.

Tubuh ditegakkan dan kerusi ditolak ke belakang. Aku perhatikan aje. Dan seperti
juga ulangan adegan semalam dia kemaskan sendiri meja makan. Semua piring yang kosong

serta cawan dan teko dia masukkan dalam talam dan angkat lalu berpusing untuk ke ruang
dapur. Aku mengekor aje macam semalam. Cuma kali ni tak rebut talam dengan dia.

“Are you going just to stand there or come forward?”

“Haa?” Aku terkelip pandang dia dan tangan dia yang berlumur cecair sunlights.

“Here. Next to me.” Mata dia bagi isyarat aku berdiri di sebelah. Tubuh mendekat.
Sedikit berjarak dengan dia. Haruman Acqua Di Gio sekali lagi meradak rongga. Godaan
sungguh. Takkan nak bernafas dengan mulut lagi macam semalam. Seksa tau tak?

“Nearer.” Matanya dikerdipkan. Selangkah aku mendekat.

“Are you afraid of me?” Cawan yang berlumur buih dihulurkan. Aku sambut dan
putar kepala paip.

Kepala menggeleng. Hidung sedang sedaya menahan bauan dari ditelan rongga.
Payahlah ooi.

“Hidung tersumbat lagi?”

Adoii. Doremon tolonglah hilangkan aku dapat poket kau.

Bab 10

PEJAM celik pejam celik dah masuk dua bulan aku kerja di banglo ini. Dua bulan yang buat
aku lihat lelaki ini dari sudut yang berbeza dari sebelumnya. Dia taklah berat mulut. Cuma
jenis tak banyak cakap. Tak juga mahal senyum. Adakala dia senyum je kat aku kalau kena
gaya.

Bos aku ni sebenarnya baik hati orangnya. Tak cerewet. Senang dikendalikan. Macam
yang Auntie Vasanthi pernah beritahu. Dia pun dah boleh layan borak dengan aku. Adakala
boleh ketawa juga kalau aku buat lawak spontan. Seksi giler pulak tu kalau dia ketawa.

Satu perkara penting tentang kerja aku kat sini ialah dah dua bulan jugalah aku jadi
tukang masak sarapan rasmi untuk dia. Sabar aje la prof ni. Bertambah satu lagi cabang job
description aku.

Breakfast preparer.

Ya. Dia minta aku masakkan sarapan untuk dia. Dia berikan aku duit sarapan yang
aku sediakan untuk dia. Tambahan empat ratus ringgit dalam gaji yang dia kreditkan di dalam
akaun. Terkejut aku masa tengok dulu sebab banyak sangat. Esoknya terus aku pulangkan
dua ratus ringgit kat dia. Aku cakap separuh pun dah cukup.

Aku bukannya masak sarapan yang mahal-mahal. Semuanya masakan yang aku selalu
makan setiap pagi sejak kecil hingga dewasa. Dia diam tak jawab. Duit tu pun dia tak ambil.
Dan dia tetap masukkan jumlah yang sama dalam akaun aku semalam. Bila aku ulang
semula apa yang aku cakap kat dia bulan lepas, jawapan dia buat aku terdiam. Hilang seluruh
kosakata.

“Can I ask you a question?”

“Boleh, prof.”

“What make you accepted my offer to work here?” Tak sangka pulak lepas dua bulan
aku kerja baru dia tanya soalan ni.

“Cari duit, prof. Cari rezeki halal untuk sara hidup saya dan anak saya.”

“Rezeki halal?”

“Ya.”

“Duit yang saya bagi kat awak tu halal. Duit tu rezeki. Awak tolak duit tu makna
awak tolak rezeki halal.” Alahai. Salah faham la pulak tuan professor ni.

“Bukan macam tu maksud saya, prof.” Rasa bersalah pulak aku kat dia. Dua kali dah
aku buat dia salah faham maksud aku. Dua-dua pun pasal makanan.

Mata masih tak berganjak. Bukannya aku tolak duit yang dia bagi tu. Cuma aku rasa
terlampau banyak sangat yang dia masukkan dalam akaunku. Berdosa aku rasa kalau ambil
berlebih dari sepatutnya. Itu yang aku cuba nak beritahu dia.

“ALLAH suka hamba-NYA yang berusaha dan berpenat untuk cari rezeki halal.
Awak boleh cari hadis daripada Rasulullah ni. Empat ratus ringgit tu rezeki awak berpenat
bangun awal pagi sebab nak sediakan sarapan untuk saya.

Tak kiralah sarapan mahal atau sarapan murah. Yang dikira dan disebut dalam hadis
tu usaha awak. Awak tolak maknanya awak tak suka dengan pemberian ALLAH.” Mata
saling bertembung. Langsung terkunci mulut. Setepek kena kat muka. Aku kemam bibir.

Padan muka kau, Fatin.

“Maaf, prof.”

“Don’t bring this topic again.” Kepala mengangguk. Faham dengan arahannya.
Faham juga yang itu isyarat dia tak suka aku sebut pasal duit yang dia bagi. Rezeki jangan
ditolak. Itu kesimpulan daripada kata-katanya tadi. Hela nafas perlahan, tubuh seraya
berpusing ke belakang. Pintu kabinet aku tarik.

“Just for info, my mother is going to drop by here around 10am.” Tanganku yang
sedang masukkan piring dalam kabinet terhenti. Berpusing tubuh ke belakang. Dia yang
tengah duduk di bar chair memang sedang pandang aku.

“Mak prof nak datang sini?” Dalam kepala tertanya jugak apahal mak dia nak singgah
sini waktu dia tak ada. Apa aku nak buat nanti? Apa nak cakap dengan mak dia nanti ek? Nak
hidang apa? Aduh. Kacau bilau pulak hati aku. Janganlah aku gelabah nanti. Mahunya satu
kerja pun tak jadi. Habislah aku.

“Yeap.”

“Okay. Noted, bos.” Aku tarik senyum segaris dan sambung balik masukkan piring
dalam kabinet. Senyum cover dup dap yang bergendang kat dalam dada. Apa-apa pun
siapkan kerja kat dapur ni dulu. Siap urusan dalam kabinet, aku berpusing dan bertembung
dengan renung dia. Seketika mata tak berganjak.

“Anything you want to say?” Laju aku geleng kepala. Nak cakap apanya. Aku cuma
terkejut dengar apa yang dia cakap tadi je. Agaknya dia pun perasan muka terkejut aku
gamaknya. Janganlah dia dapat teka yang hati aku sedang huru-hara saat ini. Relaks, Fatin.
Tetamu datang, kau sambut. Apa susah. Buatkan dia air. Settle.

Hmmm. Agak-agak nanti nak buat air apa ek untuk mak dia.

Sejuk ke panas?

Mak dia suka minum apa ek?

“She loves coffee too.”

Macam tau-tau aje dia apa dalam kepala otak aku ni. Nak suruh aku buat kopi untuk
mak dia la tu. Kalau setakat nak hidang kopi tu, petik jari aje. Tapi mak dia nak singgah sini
untuk apa ek sebenarnya? Takkan nak skodeng aku kut.

Hesy. Tak ada kerja apa.

Eh, jangan sibuk la, Fatin.

Haah. Sibuk la kau ni.

Bukan urusan kau. Suka hati mak dia la. Ini kan rumah anak dia. Ha’ah. Suka hati
mak dia la nak datang rumah anak dia. Kau buat aje kerja kau. Bila hati dan otak sama-sama
bergabung menyembur, memang laju aje tapak tangan tampar pelipis. Bongok!

“Please don’t do that act again in front of me.”

“Haa?”

“Your hand.” Dia buat aksi aku tampar pelipis tadi. Aku kemam bibir. Tahan senyum
dari terlepas. Comel pulak tengok dia buat macam tu.

“I am serious.”

“Kenapa tak boleh?”

Dari sejak aku masuk kerja dulu dia memang anti betul bila tengok aku buat macam
tu. Tak tahu kenapa. Dia pandang aku seketika tapi tak jawab pun pertanyaan aku. Tubuh
tingginya terus bangun daripada duduk dan melangkah keluar dari ruang dapur. Orang tanya
tak nak jawab. Bibir mencebik.

Mesti dia malas nak layan pekerja yang banyak cakap macam aku. Yelah. Dia bukan
jenis banyak cakap. Boleh kira berapa aje patah perkataan dia dalam sehari. Lain kali depan
dia kalau aku nak ketuk kepala sendiri atau tampar pelipis aku cepat-cepat pusing belakang.
Kan dia cakap jangan buat depan dia. Buat membelakangkan dia tak apa kan?

Bengong la kau, Fatin

Betul apa!

SIAP KEMAS dapur aku keluar ikut pintu dapur untuk ke halaman. Siram pokok-pokok dan
laman bonsai dia. Port favourite aku. Sambil siram aku akan belek-belek pokok bonsai dia.
Dari ekor mata aku nampak dia melangkah mendekati. Apasal tak pergi lagi ni? Sempat aku
jeling kat jam di pergelangan tangan. Dah pukul 8 ni. Selalu memang dah berdesup.

Hari ni dia handsome terlebih dengan kemeja merah lembut. Orang kulit cerah macam
dia memang nampak sangat sweet dengan warna tu. Ditambah dengan tali leher hitam corak
abstrak yang ada percikan warna merah lembut.

Memang masuk sesangat dengan kemeja yang tersarung. Sejak kat dapur pagi tadi
aku terlongo sekejap tengok dia. Agaknya hari ni ramailah students dia yang tak boleh
concentrate masa dia mengajar. Pakat semua tenung makhluk handsome overdose kat depan
kelas.

“Awak suka bonsai?”

“Suka tengok. Tapi nak beli memang tak mampu laa. Pokok mahal, prof. Orang have-
have aje yang mampu.”

“Orang have-have?” Keningnya berkerut nipis. Aku tak jawab soalan dia. Bibir baling
senyum segaris kemudian sambung siram pokok-pokok di sekitar. “Tapi saya suka sangat
dengan orkid. Saya boleh habiskan masa berjam-jam tengok orkid. Kalau orkid ada kat dalam
lanskap laman bonsai prof ni mesti extra cantik.” Memandai pulak aku cadangkan. Mana la
tau kut dia anti-orkid.

“Hmmm. Orchids lover.” Dia angkat kening. Aku angguk sambil baling senyum
sekali lagi.

“Prof tau tak, dulu masa kat kampung...” Dan tetiba mulut tak jadi nak teruskan ayat
seterusnya. Perkataan kampung tu buat aku rasa hiba sangat. Jiwa dibadai pilu. Terus kemam
bibir kuat-kuat. Janganlah nak sedih-sedih depan orang lagi, Fatin. Move on.

“Anything happened?” Laju aku geleng kepala. Bibir tayang senyum tawar. Tapi
kerat jari dia memang tau aku tipu dia bila keningnya berkerut pandang aku.

“Awak suka apa lagi?” Agaknya dia tak mahu nak tanya lanjut, dia pindah soalan lain
pulak.

“Makan.”

Kali ini bibir dengan suka rela lempar senyum lebar. Memangpun aku suka makan.
Nikmat yang tak harus disia-siakan. Tapi bukanlah makan sampai tak ingat dunia. Dia tak
balas. Pandang aku aje.

Agak mesti tak sangka itu yang aku jawab. Kut la dia ingat aku cakap suka barang
make-up, suka minyak wangi. Suka beg tangan, aksesori perempuan, pinggan mangkuk
mahal, barang kemas. Semua benda yang sinonim dengan perempuan.

“Tu aje yang awak suka?”

“Saya suka masak. Dulu saya tak pandai sangat. Tapi bila dah ada anak, kena belajar
masak dan kena pandai masak. Sekarang ni okey la. Masak ni kena rajin. Kena selalu buat.
Nanti suka tu akan datang. Bagi saya kerja pun sama macam tu. Kena rajin. Nanti suka kat
kerja tu akan datang.”

“So…do you love your work now?”

Lagi mahu tanya. Giler tak suka.

“Suka. Suka sangat.” Aku kelip-kelipkan mata lepas tu sengih. Dia tak balas. Hanya
jatuhkan renung sebelum berdeham kecil. Gelabah la tu bila aku kelip-kelipkan mata. Suka
betul aku usik dia. Dan dia pun memang masak dah perangai aku yang satu ini.

“Okay. I need to make a move.” Dia mula melangkah sambil membetulkan ikatan tali
leher.

“Baik, prof. Save journey.” Kepalanya menoleh pandang aku semula.

“Remember…”

“Apa tu?” Matanya spontan mengecil. Aku gelak.

“Remember my mother will drop by later. Make her coffee. Same like you always
made for me.”

Hai. Mak dia pun lapaq ayaq kopi aku ke?

Bab 11

“NAMA SEBENAR FATIN APA?”

“Fatin Iman Layyin, Puan Sri.”

Ya. Mak bos aku ni berstatus Puan Sri rupanya. Puan Sri Aisya Humairah. Aku haram
tak tahu. Prof pun tak cakap dan pesan apa-apa tadi. Jadi manalah aku tahu. Aci confident
panggil mak dia auntie. Mak dia pun bahasakan diri dia auntie. Aku pun rasa betul dah apa
yang aku buat.

Tapi muka tiba-tiba jadi kejung bila pemandu mak dia yang tadinya macam sedang
ambil sesuatu di kereta kembali semula dan hulurkan dua beg kertas kat mak dia panggil
wanita ini Puan Sri. Muka tak tau nak beriak macam mana. Jadi patung cendana sekejap.
Dalam hati masa tu cakap habis la aku. Mak dia yang perasan muka kejung aku terus senyum.

“Panggil auntie pun okey. Lokman ni memang dah biasa. Tak boleh nak reverse dah
lidah dia tu.”

“Maaf, Puan Sri. Saya tak tau.” Aku hulur tangan sambil koyak senyum manis. Cover
malu.

“It is okay, darling. No worries. Dah. Jom kita masuk ke dalam. Boleh borak-borak.
Auntie ni suka berborak.” Bahuku dipaut lembut. Lega sikit aku rasa bila tengok respon mak
dia yang relaks aje atas kesilapanku tadi.

Mak dia panggil aku darling okey. Gila sempoi mak prof ni. Sikit pun tak berlagak.
Bagus betul. Ada jugak orang kaya yang humble and down to earth macam ni. Dan aku tahu
sekarang dari mana prof warisi sikap merendah diri. Wanita ini la puncanya.

Waktu mak prof sampai tadi, aku baru selesai kemas tingkat atas dan sedang turun
tangga dengan jinjit bakul pakaian untuk dibawa ke laundry room. Laju langkah turun ke
bawah bila dengar loceng pintu depan berbunyi.

Dalam kepala dah set ni mesti mak prof dah sampai. Sebelum buka pintu tu sempat
telek muka dan penampilan kat cermin besar tepi pintu utama. Mana tau comot ke kan.
Kenalah tunjuk imej kemas dan bersih. Sesuai dengan jawatan sebagai tukang kemas dan
tukang bersih. Lepas tu aku pun buka la pintu. Lain pulak yang muncul depan pintu. Ada
seorang lelaki dalam pertengahan umur terpacak depan aku. Cuak jugak aku. Siapa pulak dia
ni? Yang aku tunggu mak prof. Apasal pulak pakcik ni pulak yang muncul?

“Assalamualaikum. Ni Fatin ye?”

Eh. Mana pakcik ni tau nama aku? Terus aku keluar dan tutup pintu. Takut juga kut
orang jahat walaupun gaya tak macam tu. Dia pun undur ke belakang. Tu yang aku nampak
Maserati menjalar kat halaman dengan seorang perempuan berselendang dan berbaju kurung
hijau firus sedang menapak ke atas kami. Wanita dalam lingkungan umur yang aku agak
pertengahan enam puluhan. Tapi cukup bergaya sekali.

Aku teka umur dia gitu sebab umur umi Datin Miara pun macam tu jugak. Susuk
tubuhpun lebih kurang sama. Aku agak ni mesti mak prof. Kalau tak macam mana dia boleh
masuk. Mesti prof yang bukakan auto smart gate tu. Aku pandang semula lelaki separuh
abad yang masih terpacak depan aku.

“Waalaikumsalam. Ya, saya. Pakcik ni…”

“Fatin ye?” Belum pun dapat jawapan lelaki depan aku ni, wanita di belakangnya
yang menyapa. Lelaki ini kembali berundur dan menapak ke arah kereta dan buka pintu
penumpang belakang. Macam nak ambil sesuatu.

“Auntie mama bos, Fatin. Dia ada cakap auntie nak datang tak?”

Oh...mama. Bukan mak. Tak ada pulak prof tegur bila aku sebut mak tadi. Apa laa dia
tu.

“Err. Ada, auntie. Prof ada cakap kat saya pagi tadi.”

“Lokman tadi tu pemandu keluarga auntie.”

“Ooh.” Kepala aku terangguk. Dan lelaki yang dipanggil Lokman tadi kembali
dengan dua beg kertas di tangan.

“Ni barangnya, Puan Sri.”

Gulp!

Terkelip-kelip mata aku. Alamak. Aku dah buat apa ni. Masaklah aku. Lain kali tu
tanya la nak panggil apa. Jangan main selamba badak aje lidah kau tu kan. Spontan tangan
naik menampar pelipis. Apakah aku akan kena sembur nanti sebab tak beri panggilan hormat
kat mama prof ni? Habislah kau, Fatin.

Itu yang ada dalam kepala masa tu. Tapi realitinya yang terhidang depan mata
sekarang ini.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam banglo tadi terus dia nampak bakul pakaian yang
aku letak kat tengah ruang tamu. Dia tanya aku nak cuci baju prof ke. Aku angguk lurus. Dia
cakap tak apa, buat aje kerja. Dia takkan ganggu tugasku. Dia cakap sambil kerja boleh
borak. Buat macam biasa aje. Tak perlu nak layan dia macam tetamu.

Dan saat ini dia elok aje duduk kat waiting area dalam laundry room dan berbual
dengan aku yang sedang belek-belek pakaian yang nak dimasukkan ke dalam mesin. Harus
belek dan seluk dulu. Kut ada barang yang tertinggal dalam poket seluar prof.

Tengok dia yang duduk kat situ aku pulak yang serba-salah. Aku dah suruh dia duduk
kat ruang tamu. Lebih selesa. Aku buatkan air. Dia cakap tak apa. Boleh aje aku teruskan
kerja sambil berbual dengan dia.

“Ni kopinya, Puan Sri. Jemput minum. Hati-hati. Panas muk ni.” Muk berisi kopi
yang aku alas dengan piring aku letakkan kat depan dia. Dia yang suruh aku buat dalam muk.
Banyak sikit dia cakap dapat minum. Cawan sikit dia kata. Kelakar betul mama prof ni.

“Hmmm. Sedap baunya.” Senyum manisnya terhampar. Aku ikut sama koyak
senyum.

“Terima kasih, Fatin.”

“Sama-sama, Puan Sri.”

“Bos Fatin tu cakap Fatin punya kopi the best in town.” Aku senyum kecil. Pandailah
orang tu promot kopi aku ye. “Kalah kopi yang auntie buat. Tu yang tak nak dah minum kopi
kat Shah Alam.”

Oh…rumah mama dia kat Shah Alam.

“Katanya kat rumah dia dah ada pembuat kopi terbaik. Suruh auntie cuba kalau tak
percaya. Mesti super best kan kopi Fatin ni sampai bos awak tu puji melambung.” Aku putar
mesin pencuci sambil layang senyum kecil. Duduk aku labuhkan di kerusi setentang
dengannya.

“Tak ada la, Puan Sri. Sama aje macam kopi biasa kat luar sana tu. Prof tu saje
melawak.” Entah apalah yang dah prof cerita kat mama dia agaknya sambil wanita ini
sanggup ke sini semata-mata nak rasa kopi yang aku buat. Dia dekatkan bibir muk ke
bibirnya. Dicicip sopan. Sama macam cara prof minum. Tertib aje. Mesti ikut daripada mama
dia ni.

Mata dan kepalanya terangkat pandang aku bersama muk yang sudah dijarakkan dari
bibir. Berdebar pulak aku tengok gaya dia pandang. Tak sedap ke? Pahit? Kurang gula atau
terlebih manis?

“Mana Fatin belajar buat kopi sedap sangat macam ni?”

Fuh. Lega aku dengar.

Dia sambung cicip kopi tapi mata tak lepas pandang aku. Haruslah tunggu aku jawab
soalan dia.

“Err…” Terpause pulak lidah aku kena terjah soalan tak terjangka dari wanita ini.

“Dulu…masa saya sekolah, setiap kali cuti panjang hujung tahun saya kerja buat air
kat satu warung kopi di kampung. Tuan punya warung tu yang ajar saya macam mana buat
minuman yang dia jual, Puan Sri.

Lepas tu bila saya pindah ke KL ni, saya pernah kerja sekejap kat Kopitiam Hainan.
Macam kedai kopi kat kampung-kampung tu style kedai dia. Tauke tu pun ajar saya buat kopi
yang kaw.” Aku senyum. Teringat pengalaman dahulu. Banyak ilmu yang diajar Tauke
Leong dan Pak Hassan padaku.

“Ooo. Begitu kisahnya ye.” Kepalanya terangguk perlahan. “Patutlah lain macam
rasanya. Tukang bancuhnya pernah kerja buat kopi di warung dan kedai kopi. Kopi warung
dengan kopi kat Kopitiam Hainan ni kaw dia lain macam tau. Macam ada jampi!” Dia kenyit
mata. Reaksi yang mengundang ketawa spontanku. Dia pun ikut ketawa. Entah kenapa aku
rasa selesa dengan wanita ini. Dia buat aku rasa cukup relaks.

“Auntie suka laa kopi Fatin ni. Sedap sangat. Patutlah anak auntie tu puji.” Muk
diangkat sedikit dan dihala kat aku. Tanda terima kasih. “Rasa nak minum hari-hari. Boleh
ke?” Bibir koyak senyum kecil.

“Boleh aje, Puan Sri. Nanti saya kirim kat Pakcik Lokman. Okey?” Aku jongket
kening. Bibirnya mencebik.

“Tak nak?”

“Nak minum kat sini baru best. Kirim-kirim tu sampai kat rumah auntie nanti dah
sejuk. Tak syok minum.” Kepalanya menggeleng. Ketawa kecilku meletus. Terhibur dengan
aksi wanita ni. Nampak comel aje dia buat macam tu.

“Okey aje, Puan Sri. No hal.” Ibu jari kanannya tegak ke atas. Aku pun balas isyarat
yang sama.

“Nanti hari-harilah auntie kena singgah sini pekena kopi Fatin. Boleh la ajak uncle
sekali. Boleh? Tak susahkan Fatin kan?” Uncle tu mesti papa prof. Kalau dah mamanya Puan
Sri, tentulah papanya Tan Sri kan. Hai. Tan Sri pun nak rasa kopi kampung saya ye.

“Eh. Apa salahnya, Puan Sri. Kopi aje pun. Sekejap aje buatnya. Tak susahpun.”

“Terima kasih, Fatin.” Tanganku ditepuk lembut. Serius aku rasa terharu sangat
dengan layanan dan budi bahasa wanita ini. Merendah diri. Sopan lidah dia bercakap. Hilang
segala debar dalam dada. Rasa lapang. Rasa seronok aje berbual dengan dia.

“Tadi Fatin cakap nama penuh Fatin apa ye. Auntie terlupa pulak. Kena pukulan kopi
kaw ni, langsung hilang ingatan.” Dia gelak kecil. Aku ikut tergelak sama. Kelakar jugak
mama prof ni.

“Fatin Iman Layyin, Puan Sri.” Keningnya berkerut kecil.

“Layyin?”

“Ya, Puan Sri.”

Lama dia tenung aku. Tak berkelip. Langsung aku teringat reaksi yang sama masa
prof tanyakan nama aku dulu. Heran dan musykil aku dibuatnya. Nama aku ni ada kena
mengena dengan seseorang dalam keluarga diaorang ke? Tapi kalau nak tanya memang
taklah. Sekali buatnya bukan. Tak ke haru?

“Sedap nama Fatin. Makna pun elok. Nama auntie, Aisyah Humairah.” Lama berbual
barulah aku tahu nama mama prof yang selamba dan sempoi ini.

“Nama Puan Sri pun sedap dan maksudnya pun baik. Sekejap ye, Puan Sri. Saya nak
keluarkan pakaian prof. Nak jemur.” Aku bangun dan tunduk sikit tanda hormat dan minta
izin.

“Tak apa. Buat aje kerja tu. Sambil-sambil tu boleh kita terus borak kan.” Aku
senyum dan hala kaki ke mesin pencuci.

“Macam mana kerja dengan bos kunun handsome tu? Okey?” Kepala berpusing
sedikit pandang dia.Tengok dia sengih, terlepas ketawa kecil. Comel aje dia kutuk anak dia
sendiri.

“Alhamdulillah. Prof okey. Dia majikan yang baik, Puan Sri. Saya seronok kerja kat
sini.” Sungguh aku memang seronok kerja kat sini. Walaupun sunyi sebab keseorangan
dalam banglo ini tapi hati rasa tenang buat kerja. Tak ada herdikan dan bebelan yang acapkali
aku terima masa kerja kat butik dulu.

Penutup mesin aku buka dan pakaian di dalamnya aku pindahkan ke dalam bakul
plastik di tepiku. Selesai keluarkan semua isi dari dalam perut mesin pencuci aku capai
beberapa penyangkut baju yang tersangkut kemas di aras rak bersebelahan dan bekas berisi
penyepit baju. Tak sedarpun dia dah berdiri di sebelah.

“Lega auntie dengar.” Aku layang senyum. Tangan pantas masukkan kedua-duanya
ke dalam bakul. Sebelah tangan kemudian mengangkat bakul dan hala kaki ke depan menuju
ke kawasan ampaian beratap lut sinar. Wanita ini pun ikut sama. Sehelai kemeja aku
keluarkan dan kibas-kibaskan sebelum sarungkan penyangkut baju ke dalamnya.

“Bos Fatin tu cakap dia suka kerja Fatin. Cekap. Kemas. Bersih. Buat breakfast pun
sedap.” Spontan aku pandang wanita ini. Hai. Yang itu pun dia cerita kat mama dia ke.
Hujung penyangkut aku sorongkan pada batang buluh ampaian.

“Fatin jangan salah faham. Bos Fatin tu berat mulut. Anak auntie tu susah nak
bercerita. Kalau auntie tak korek memang tak adalah dia nak berbunyi. Tapi kebelakangan ni
nampak ringan mulut dia. Tak macam dulu-dulu.”

Agaknya Puan Sri boleh baca apa dalam kepala aku tadi. Buat dosa kering aje aku
fikir yang tak betul pasal lelaki tu. Pasal ringan mulut tu aku setuju. Nak dibandingkan
sekarang dengan hari mula-mula aku jumpa dia memang banyak beza. Sekarang ni dah boleh
borak-borak dengan dia. Bibir dia tu pun dah murah bagi senyum dan tawa. Kalau
dulu…jangan harap!

“Ni pun sebab auntie ugut suruh dia pindah balik Shah Alam lepas Vasanthi berhenti
barulah dia buka cerita tentang Fatin. Punyalah lama dia simpan. Senyap aje tak beritahu dia
dah dapat pengganti Vasanthi. Dah dua bulan Fatin kerja kat rumah ni baru malam tadi auntie
tau. Bos Fatin tu memang perahsia orangnya.” Terkejut juga aku dengar. Tak sangka pulak
prof jenis perahsia orangnya sampai hal aku kerja dengan dia pun keluarga dia tak diberitahu.
Mungkin…sebab status aku ke?

Hesy, Fatin. Jangan fikir buruk ye. Berdosa laa.

Astaghfirullahalazim.

Maaf, prof.

“Hal-hal yang berkaitan dengan hidup dia susah dia nak share. Dengan auntie pun
puas korek…pusing sana-sini. Tak jalan. Pandai aje dia elak. Last…terpaksa laa guna cara
ugut. Baru dia surrender. Kalau tidak, tak dapatlah auntie kenal si pembuat kopi sedap yang
cantik manis putih melepak ni.” Dia ketawa kecil. Aku hanya tersenyum.

“Bos Fatin tu susah nak puji orang. Jadi kalau dia puji tu, auntie memang percaya.
Dah terbuktipun. Mata auntie ni jadi saksi.” Senyum manisnya melekat di mata. Bibir aku
pulak tak sudah tayang senyum. Serius aku tak tahu nak balas apa. Senyum aje la jawabnya.
Segan bila kena puji depan-depan macam ni.

Tangan sambung kerja sarungkan penyangkut pada beberapa helai t-shirt juga slack
dan pajama. Selesai aku sorongkan pada batang buluh ampaian. Prof ni mesti pencinta alam
sekitar. Orang semua buatan ampaian besi, dia pulak buat daripada buluh dan kayu. Tapi
yang pasti ampaian dia ni memang cantik dan cukup berseni.

“Fatin umur berapa ye? Tengok rupa memang muda lagi ni. Betul tak tekaan auntie?”
Kami berbalas senyum lagi.

“22 tahun, Puan Sri.”

“Kan betul apa yang auntie teka. Muda sungguh. Dekat nak separuh umur bos Fatin
tu. Dia 42.”

Oh. Umur prof 42 tahun la. Tapi aku tengok dia macam tiga puluhan aje. Tak nampak
pun macam four series. Awet muda sungguh.

Perbualan aku bersama mama prof ini berlanjutan hinggalah aku selesai semua kerja-
kerja di dalam dan di luar rumah. Paling aku terkejut dia selamba aje tumpang bekal makan
tengah hari yang aku bawa.

Aku memang pelawa. Orang kata berbahasa walaupun segan lauk yang aku bawa
cuma masak kicap ikan cencaru dan goreng taugeh kasar dengan kucai serta tahu kering. Tapi
tak sangka dia sudi nak makan sama. Sungguhlah ALLAH gerakkan aku bawa lebih bekalan
hari ni. Kunun nak makan banyak. Rupanya ada rezeki orang lain.

Seronok tengok dia makan dengan selera. Siap puji cencaru masak kicap aku sedap.
Minta resipi lagi. Sambil makan aku sambung dengar cerita daripada dia tentang macam-

macam isu semasa. Nasib baiklah juga aku ni ikut perkembangan dan membaca sikit-sikit.
Tidak, harusnya aku melongo.

Mama prof ni peramah sungguh. Kalau orang tak kenal memang tak sangka dia
berstatus Puan Sri. Dia tak macam klise watak Puan Sri yang selalu kita tengok kat tv tu.
Cengeh. Berlagak nak mampus. Sombong. Muka ketat. Pakai sunglass walaupun tak panas.
Entah apa-apa aje.

Banyak juga yang aku tahu tentang prof daripada mama dia. Dia anak ketiga. Ada
seorang kakak, seorang abang dan seorang adik lelaki. Abang dan kakak dia dah berkahwin
dan masing-masing ada dua anak perempuan.

Kakak prof menetap di Hamburg, Jerman bersama suami dan anak-anak
perempuannya. Suaminya rakyat Jerman yang punya perniagaan berkaitan jual beli
kenderaan di sana.

Mereka juga pembekal kenderaan import untuk rangkaian syarikat kenderaan milik
keluarga prof. Kata Puan Sri, Prof pulak tak dikurniakan anak daripada perkahwinan dulu.
Macam yang Auntie Vasanthi pernah cerita kat aku, prof dah bercerai hampir10 tahun.

Kata Puan Sri, perceraian tu sangat memberi kesan pada majikanku itu hingga dia
bertukar profession. Meletak jawatan dalam syarikat keluarga mereka. Tidak mahu lagi
terlibat dengan dunia korporat.

Sambung Puan Sri, selepas berhenti, anaknya tu ambil keputusan menyambung buat
PhD di negara Uncle Sam dan kembali jadi pensyarah di universiti dia mengajar sekarang.
Mulut ringan aje nak tanya prof letak jawatan tu ada kaitan dengan bekas isteri dia ke. Tapi
tak terkeluar soalan tu daripada mulut. Macam tak patut aje aku tanya. Itu kan hal peribadi
dia. Kenapa aku nak menyibuk kan. Tapi…mungkin kut. Kan?

Stop it, Fatin. Mind your own business.

Yelah. Yelah.

Terharu juga bila mama dia cakap, sejak dua bulan ni dia nampak anaknya itu banyak
berubah. Dah boleh bergurau. Tidak lagi seperti dahulu. Puan Sri cakap dia tahu akulah yang
jadi penyebab anaknya itu berubah.


Click to View FlipBook Version