Di luar nampak batang-batang ubi yang kena selongkar.
Batang-batang keladi yang kena renyuk. Tungkul-tungkul jagung
yang licin kena ratah dan rumpun-rumpun padi yang rebah berkecai.
Mata Kamat pindah semula dari Wenchister berlaras dua ke
peluru-peluru selingkar yang tergantung di dinding. Hati Pinah pula
hancur didera pandangan menyayat melalui pintu pondok mereka itu.
Lalu dengan lembut dia melangkah tenang menuju dapur.
Sambil meninggalkan Kamat yang masih bingung itu dia
merungut lemah: “Suka hati abanglah. Pinah ni apalah sangat. Tapi,
kalau abang nak teruskan juga menembak babi-babi tu untuk dijual,
Pinah tak mau subhat. Pinah tak mau makan duit haram. Pinah tak
mau diam di pondok ini lagi. Pinah nak ke rumah emak. Hantarkan
Pinah ke kampung balik.”
Rungutan lemah mengandung hampa dari bibir isterinya itu
sungguh menikam terasa di jantung. Memedihkan. Entah kepada siapa
hendak disalahkan lagi, kata hati Kamat. Kepada dirinya yang
sanggup mengerjakan tanah baru itu sebelum mengkaji risikonya
terlebih awal?
Kepada Pinah yang bersungguh-sungguh mengajaknya
membuka perkebunan baru itu? Entahlah. Tapi yang jelas mereka
berdua itulah yang pernah beberapa kali memohon tanah rimba
kerajaan itu. Kamat sendiri yang selalu berkata bahawa dia laparkan
tanah. Semenjak beristerikan Pinah dia merasa begitu terhimpit hidup
di kampung. Mengambil upah mengopek kelapa sudah tidak boleh
menjamin hidup lagi. Apa lagi kalau sudah menanggung isteri dan
seterusnya beranak-pinak pula.
Tapi sekarang hampa saja yang melanda hati Kamat. Tanah
baru yang diterokanya itu tidak memberi erti apa-apa lagi. Segala
tanamannya habis dibongkar babi hutan dan diratah beruk. Padi,
300
jagung, pisang, keladi, keledek dan terungnya tidak bersisa lagi. Titik
peluhnya selama ini tidak kelihatan membuahkan hasil. Yang
kelihatan hanyalah binatang-binatang jahanam itu saja yang
berkeliaran ke sana ke mari. Bermaharajalela sungguh binatang-
binatang itu. Waktu siang beruk meraja. Hilang saja matahari babi-
babi hutan itu pula mengganas di kebunnya.
“Abang buatke putusan sekarang,” tiba-tiba Pinah menjenguk
dari dapur. Rambutnya kusut. Mukanya masih merah. “Sama ada
abang pulangkan balik senapang itu, atau hantarkan Pinah balik ke
rumah emak.”
Kamat serba salah. Dia memandang pula keluar pintu yang
memang terdedah itu. Pandangan yang menderakan hatinya itu
menjelma kembali: rumpun padi yang rebah berkecai, tungkul-
tungkul jagung yang licin memutih, batang-batang ubi yang rebah
tersungkur dan batang-batang keladi yang renyuk-renyuk tindih-
menindih. Sebal sungguh hati Kamat dibuatnya.
“Baiklah, Pinah. Aku ikut katakau.” Lalu ia pun bangkit
berdiri, mencapai Wenchister laras dua dan peluru-peluru selingkar
yang tersangkut pada paku di dinding.
“Dan batalkan janji abang dengan Arumugam tu,” ujar Pinah
lagi.
Seperti yang telah dijanji, petang itu datang Arumugam ke
rumah Kamat hendak menemuinya. Memang Kamat telah mengikat
janji dengannya tiga hari dulu. Dia mahu menjual babi-babi hutan
yang ditembaknya kepada Arumugam. Arumugam pula menjanjikan
harga yang baik.
Tapi Kamat tidak jadi berburu hari itu. Senapang yang
dipinjamnya dari Wak Darmo tidak sempat digunakan. Hajatnya
301
hendak menebus hutang dengan wang hasil buruannya tidak tercapai.
Pinah dengan keras sekali menentangnya. Pinah menentang habis-
habisan.
Sekarang hati Kamat makin berkecai mengenangkan
kecemasan binatang-binatang yang tak bertimbang rasa itu. Bukan tak
pernah diikhtiarkan untuk menghapusnya. Bukan tak pernah dipasang
jerat untuk menangkap babi-babi hutan itu. Tapi seekor pun belum
pernah terperangkap.
Satu hari Kamat bersua dengan sarang babi hutan itu. Dengan
parang tapek dimusnahkannya sarang itu. Hatinya puas. Tapi pada
malam itu juga babi-babi itu balas dendam. Segala batang-batang
keladi, ubi dan pisang yang ditanam dirusuk pondoknya itu habis
disungkur-sungkur dan dibongkar-bongkar. Tidak bersisa lagi.
Kamat termenung selalu. Sekarang dia termenung lagi. Kacau
betul fikirannya. Persoalan-persoalan mulai timbul. Hendak
ditinggalkan tanah yang diterokanya itu? Ah, tak berfaedah. Sudah
bertahun-tahun dia bermandi peluh bersama miang di situ. Bukan
mudah pula mendapatkan tanah itu dulu. Masakan begitu mudah pula
ditinggalkan. Tanah boleh membuat orang senang dan berkuasa.
Boleh membuat orang kaya. Tanah tak pernah menyusahkan orang
kalau diusahakan. Beralun-alun kembali ingatan itu menusuk
benaknya.
“Jadi, kaumau kita berpindah dari sini, Pinah?” Kamat hendak
menduga hati isterinya itu.
“Kalau berpindah hendak ke mana pula kita?” balas Pinah.
“Habis, kalau masih juga kita berdegil tinggal di sini, apa
sudahnya? Apa akhirnya? Yang jelas babi-babi itu juga yang kenyang.
Titik peluh kita juga yang tumpah sesia. Bila aku cuba nak pelihara
302
anjing untuk menghalau babi-babi tu, kau juga membantah. Mestikah
lagi kita menunggu?”
Pinah duduk termenung dengan hati mendongkol di kepala
tangga. Dia memandang dengan hiba lagi kepada rumpun-rumpun
padi, tungkul-tungkul jagung, batang-batang keladi, batang-batang
ubi dan batas-batas keledek yang musnah itu. Di sana sini kelihatan
tanah hitam terbongkar. Berlubang-lubang dan berbonggol-bonggol.
Hasil titik peluh bertahun-tahun kelihatan bersepai di merata-rata.
Esoknya Pinah menolong Kamat lagi mencangkul-cangkul
tanah dan meratakannya. Dia membina kembali batas-batas keledek
yang rebak-rebak itu. Sebentar saja dia sudah menyiapkan beberapa
jalur batas sedia untuk ditanami keledek. Baju Pinah sudah basah-
lembab bermandi peluh.
“Tengoklah, Pinah. Bukankah kerja kita ini sesia saja? Hari ini
kita bertanam, esok babi-babi itu menyelongkarnya. Dia yang
kenyang. Apakah semua tanaman kita untuk habuan babi belaka?”
kata Kamat berdiri, sebelah tangan memégang batang cangkul.
sebelah lagi menghapuskan peluh di dahi.
Pinah membisu saja. Tak kuasa hendak membalas. Dia terus
juga membalik-balik tanah hitam subur yang sedia menanti ditanami
itu. Tanah hitam subur itu kelihatan sedih menyerah dengan
kesetiaannya.
Hati meradang, kesal dan putus asa. Dengan perasaan itulah
Kamat memandang ke sana, ke rimba tebal yang memagari tanahnya.
Dalam rimba gelap itulah raja babi dan raja beruk bersama rakyat
mereka yang pelahap itu bersembunyi.
“Memang sesia kerja kita ni. Pinah.” rungut Kamat. masih
berdiri memegang hulu cangkul.
303
Pinah terus juga mencangkul-cangkul. Tak dihiraukan
rungutan suaminya itu. Tanah hitam berbonggol-bonggol di depannya
itu memberikan bukan sedikit semangat dan harapan kepadanya.
”Pinah! Dengar cakap aku niiii!"
Pinah terhenti menghayun cangkulnya. Dia meluruskan
pinggang, memandang jengkel kepada Kamat yang tercegat dengan
tangannya masih kejap ke hulu cangkul.
“Kau dengar cakap aku, tak?”'
“Pinah dengar, bang. Pinah dengar abang merungut tak habis-
habis. Abang merungut tentang tanaman kita yang dimusnahkan babi-
babi hutan tu.”
“Dengar pun kau. Tapi, Pinah, kaufikir aku tak berikhtiar
menghapuskan babi-babi itu? Kau ingat aku tak usaha?”
Pinah tak berfikir begitu, bang. Selamanya Pinah tau bahawa
abang bertungkus-lumus hendak menjahanamkan binatang-binatang
itu. Pinah tau abang telah membuat beberapa jerat untuk
memerangkapnya. Tapi babi-babi hutan tu bukan senang diperangkap.
Dia lebih cerdik. Babibabi itu boleh mencium bau manusia mengikut
arah datangnya angin. Musuhnya berbatu-batu boleh dikesannya”
“Tau pun engkau. Tapi, masihkah kita hendak terus tinggal di
sini?”
“Habis bagaimana flkiran abang? Kita pindah?”
304
“Tanah ini memang tak berguna kepada kita, Pinah. Tanah ini
bukan tempat bercucuk tanam. Padi, jagung, keladi, pisang tak boleh
hidup di sini. Kau mengerti?”
“Habis apa yang boleh hidup di sini?” tanya Pinah garang
matanya.
“Babi.”
“Babi?”
“Ya, babi. Babi lebih elok subur di sini. Makanannya pun
senang didapati.”
Pinah tercengang. Ternganga sedikit mulutnya.
“Pelihara babi di sini lebih baik dari tanam padi atau jagung.”
“Hah? Apa abang ni dah gila?”
“Gila? Mengapa pulak kaukata aku gila?”
“Abang nak pelihara babi....”
“Bukan aku yang hendak pelihara babi tu, Pinah. Aku nak
panggil si Ah Seng, anak tauke kelapa tu. Aku nak suruh dia tinggal
di tanah ini. Aku nak suruh dia pelihara babi di sini. Aku sanggup
carikan modal untuknya"
“Hm, abang mengarut lagi. Jika abang nak bela babi pun
belalah. Tapi, sekarang juga abang hantarkan Pinah pulang ke rumah
emak,” marah Pinah, tegang urat lehernya. Menyinga betul.
“Bukan aku yang bela, Pinah. Ah Seng!”
305
“Serupa! Apa abang ingat PInah ni jahil sangat? Tak tau
hukum? Abang bela Ah Seng dan Ah Seng bela babi! Cih, dah
melampau sangat abang ni. Dah gila betul!”
Hati Pinah yang panas itu dibawqnya bersejuk dengan
meneruskan kerjanya. Sebentar kemudian cangkul itu dipikulnya ke
bawah pondoknya dan disimpan di situ. Di tepi rusuk pondok itu ada
sebuah perigi kecil yang tak berdinding. Pinah berkejar ke situ hendak
membasuk muka, tangan dan kakinya. Lepas itu ia akan naik semula
ke pondok dan menyembamkan tangisnya. Kamat mengerti,
demikianlah perangai isterinya itu bila merajuk marah.
Tengahari esoknya Kamat pulang dari pekan membawa sedikit
makanan untuk dapur. Di anak tangga, Pinah sudah menunggu dengan
pakaian yang agak kemas sedikit. Sudah berdandan rapi. Kepulangan
Kamat disambutnya dengan mata yang memendam sesuatu.
“Abang belum tau?”
“Belum. Apa dia, PInah?” Kamat kehairanan.
“Kalau abang ke surau Kampung Baruh tu malam tadi, abang
tentu tau. Tulah malas sangat nak jengukkan muka ke surau itu. Tak
mau campur orang. Dahlah kita terpencil. Kisah orang abang tak tau.”
“Aku tak faham.”
“Pinah diberitahu Makcik Loyah tadi, orang-orang surau di
Kampung Baruh dah sepakat hendak gotong-royong leburkan musuh-
musuh tanaman yang bersarang di rimba tu.”
“Mereka nak hapuskan babi-babi hutan tu?”
306
“Begitulah keputusan mesyuarat mereka malma tadi. Pagi lusa
abang mesti sediakan senjata-senjata untuk memerangi musuh-musuh
tanaman kita tu bersama orang-orang Kampung Baruh. Mereka pun
dah lama gaduh kerana babi-babi hutan tu dah meluaskan serangan ke
sana. Banyak padi mereka yang rosak.”
Kamat terasa tersindir. Tapi sebenarnya dia gembira. Lapang
dadanya. Rupanya dia mendapat simpati juga dari orang-orang
Kampung Baruh yang disangkanya tidak mau menolong itu. Dia yang
salah anggap selama ini.
“Betul katakau ni, Pinah?”
“Takkan Makcik Loyah tu bohong. Dia yang suruh kita bersiap
pagi lusa. Orang-orang kampung tu akan berkumpul di sini sebelum
meredah rimba tu.”
“Hah, malu aku dengan mereka.”
“Tulah. Pinah dah kata. Orang sentiasa memandang kita
walaupun kita tinggal terpencil dari mereka. Abang saja yang tak
menghargai mereka selama ini.”
Kamat melangkah menaiki anak tangga. Sebelum sampai ke
bendul pintu, Pinah memegang kukuh lengan suaminya itu. ’
“Bagaimana dengan rancangan abang dengan Ah Seng tu?
Jadi?”
Kamat tersenyum. Dia menoleh kepada isterinya yang
kelihatan lembut di dalam baju kurungnya itu.
“Pinah, manusia sanggup melakukan apa saja bila dilanda
hampa dan terdesak. Apa juga hukum pun diketepikan orang."
307
Pinah mengerti maksud Kamat itu. Dia memandang keluar
pintu. Nampak batas-batas keledek yang sudah diselimuti daun-daun
subur. Dia memandang pula ke batas-batas ubi yang baru siap
dibinanya tadi. Tanah hitamnya kelihatan menyerah dengan
kesetiaannya....
308
29. DIA TAK MENGERTI
AI LIAN berkejar ke pintu bila mendengar kereta suaminya mengaum
pulang. Memang lambat sedikit suaminya pulang hari itu. Volvonya
diberhentikan di halaman rumah saja, tidak terus ke garaj seperti biasa.
Ai Lian memerhatikan lagi suaminya itu keluar dari keretanya.
Dia pulang membawa sebeban buah-buah mempelam padi dan sebiji
tembikai. Ai Lian tahu suaminya itu sudah memenuhi hajatnya hendak
memakan mempelam dan tembikai. Berhari-hari sudah dia mengidam
buah itu.
Memang semenjak akhir-akhir ini Ai Lian bertambah-tambah
sayangkan suaminya itu. Suaminya itu pun menunjukkan sikap yang
demikian juga kepadanya. Ah, manisnya hidup ini, fikir Ai Lian.
Tambahan pula ia sedang mengandung.
“Nah, ini buah-buahkau,” kata Swee Fook sambil
mengunjukkan buah-buahan itu.
Tapi Ai Lian tidak terus mencapai buah-buahan itu dari tangan
suaminya. Dia mahu memberitahu suaminya sesuatu yang lebih
panting dari buah-buah itu dulu.
“Dah lupa, ya?” dia membariskan giginya yang melepak putih-
putih itu.
“Lupa? Eh. Lupa apa?”
Manja tawa Ai Lian. Berjela-jela dan berekor-ekor.
Sehinggakan bergoncang-goncang tubuhnya yang kecil mongel tapi
kembung di tengah itu.
“Dari mana sampai begini lambat?”
309
“Ah, kan dah aku beritahukau malam tadi. Aku ke hospital.”
“Oh, bagaimana dengan keadaannya?” Ai Lian menjegilkan
matanya sedikit.
“Hmmm... nampaknya tak berkurangan. Kata doktor dia perlu
rawatan yang lebih rapi. Penyakitnya itu bertambah melarat,” wajah
Swee Fook jelas menunjukkan kepedihan.
Ai Lian menggeleng-geleng. Dia mengerti punca kerusuhan
hati suaminya itu.
“Ingat tak, hari ini hari apa?”
Terpegun sebentar Swee Fook. Dia merenung mata Ai Lian
dalam-dalam. .
“Hari ini hari Rabu, kan? Mengapa pulak?”
“Oh, sungguh awak sudah lupa. Memang awak pelupa.”
“Tapi apa yang hendak kauberitahu aku, ni, Ai Lian?”
“Kan hari ini hari Rabu, tarikh 12 Mei?”
“Ya, tapi kenapa dengan hari ini?” mata Swee Fook bertambah
terjegil. Buah-buah mempelam itu masih kemas dalam pegangannya.
Kemudian pelan-pelan dia melepaskannya bila Ai Lian menariknya.
“Kan emak suruh tunggu di stesen keretapi? Kan hari ini dia
sampai?”
310
“Hah,” Swee Fook terlonjak, hampir tergelunsur buah
tembikai yang di dalam dakapannya. “Ya, ya, emak datang dari
Singapura hari ini. Saya lupa, hai, hai,” sambil menepuk-nepuk
dahinya bertalu-talu.
Swee Fook cepat mengunjukkan buah tembikai itu kepada Ai
Lian. Ai Lian menyambutnya. Bila suamin)’a hendak melangkah
pergi. memburu ibu mertuanya ke stesen keretapi. Ai Lian segera
menahannya.
“Nanti dulu.” Ai Lian memegang lengan suaminya. "Tak
usahlah pergi. Tak guna pun. Emak sudah sampai ke rumah. Baru
sebentar dia sampai dengan beca," Ai Lian menarik muka kelat.
“Emak sudah sampai? Hah, mana dia?”
“Dia ada di belakang sedang berehat. Katanya letih. Dalam
keretapi penuh sesak. Tak dapat nak merehatkan badan.”
Swee Fook buru-buru ke belakang. Dia mahu segera menemui
ibu mertuanya yang baru sampai dari Singapura itu. Dia mahu
meminta maaf kepadanya kerana kelalaiannya menunggunya di stesen
keretapi. Pada hal, surat dari ibu mertuanya itu sudah seminggu lalu
sampai ke tangannya. Dia terlupa langsung akan perkara itu.
Ibu mertuanya itu datang kerana jemputan dari Ai Lian sendiri.
Ai Lian, anak bongsunya itu, sedang sarat mengandung anak
sulungnya. Kerana itulah dia datang hendak berada di samping Ai
Lian ketika dia akan melahirkan cucunya yang kedua puluh satu itu.
“Apa khabar, mak?” kata Swee Fook gocoh-gocoh melutut di
hadapan ibu mertuanya yang sedang duduk terbenam di sofa.
311
Ibu mertua itu memperlihatkan senyum mesranya, biar pun
kelihatan seperti dibuat-buat kerana dipengaruhi kedut-kedut dan
retak-retak yang berselirat di mukanya yang kering itu.
“Kabar baik,” jawabnya ringkas. Tersenyum lebar lagi
menampakkan tulang pipi dan mulut lapang yang tak bergigi.
“Saya minta maaf, mak. Saya terlupa menunggu emak di
stesen keretapi,” kata Swee Fook bergetar suaranya.
“Tak mengapa. Emak sudah sampai. Emak naik beca saja tadi.
Emak tau engkau sibuk dengan urusan. Ai Lian sudah bilang tadi.”
Tapi, Swee Fook terus menggeleng-gelengkan kepala selaku
amat kesal di atas kelalaiannya itu. Dia memang tak mahu perkara
serupa itu berulang lagi. Dia percaya tentu hati ibu mertuanya itu
sudah terguris.
“Saya sebenarnya ke hospital tadi, mak," ujar Swee Fook,
kemudian menjeling Ai Lian yang tercegat berdiri tidak jauh darinya.
“Ke hospital? Eh, kata Ai Lian kaubanyak urusan.”
“Ya, mak, saya memang banyak urusan hari ini. Tapi saya
terpaksa ke hospital juga,” sambil menjeling lagi isterinya. Dilihatnya
bibir Ai Lian terjebik dan bertambah kelat mukanya.
“Kau ke hospital buat apa? Siapa sakit?” ibu tua itu terlonjak
sedikit - terperanjat.
“Saya menziarah seorang kawan yang sedang sakit kuat, mak.
Saya hantar makanan untuknya. Kesian dia. Sudah hampir tiga bulan
terlantar dalam wad.”
312
“Sakit apa tu?”
“Sakit dalam perut, mak. Kadang-kadang dia buang air darah.
Dahsyat benar saya tengok. Kata doktor dia sudah teruk. Perlu dirawat
sungguh-sungguh .”
“Barah dalam perut?”
“Mungkin agaknya. Saya kurang pasti pula. Tapi, oh. kesian!
Badan yang begitu gempal sekarang tinggal tulang dan kulit pembalut.
Mukanya cengkung, pucat tidak macam orang hidup lagi.”
Ibu tua itu terkelip-kelip matanya mendengar cerita Swee
Fook. Airmukanya juga kelihatan agak berubah sedikit. Mungkin dia
sedih. Mungkin dia sedang membayangkan kedahsyatan penyakit si
malang itu. Dia menggeleng-gelengkan kepala menyatakan
simpatinya.
“Kawankau itu apa kerjanya?” tanya ibu mertuanya lagi
“Dia tak berkerja, mak. Kedua-dua belah kakinya lumpuh
semenjak berpuluh-puluh tahun. Dia mengidap itu sejak mudanya
lagi."
"Oh. kesian!” ibu tua itu menggeleng-geleng lagi.
“lsteri dan anak-anaknya bagaimana?"
“Dia tak beristeri dan tak beranak. Dia tak pemah kawin. Siapa
mau dengan orang lumpuh?”
“Saudara maranya?”
313
“Pun tak ada,” Swee Fook mengembangkan tangan. “Er...
sebenarnya ada, mak. Tapi saudara-maranya tidak mengakui dia. Dia
dah macam orang terbuang. Dia sendiri pun tidak mau mengakui ada
saudaranya. Dia memang tak mau membebankan saudara maranya
dengan penyakitnya itu.”
“Mengapa begitu? Oh, nasibnya!” keluh ibu tua itu. Dia
menggeleng-geleng lagi. Dia mengelip-ngelipkan mata lagi.
“Ada saudara maranya itu di sini?”
“Tak ada, mak. Adik-beradiknya semua tinggal jauh dari sini.
Dan dia selalu berpesan supaya jangan beritahu saudara-maranya
tentang kemasukannya ke hospital.”
“Hai, ganjil! Mengapa begitu?”
“Dah saya katakan dia sudah terbuang. Dia tak mau
menyusahkan orang. Sebab itulah dia masuk hospital tanpa akuan
warisnya.”
“Habis kalau tak berkerja bagaimana dia nak makan?” tanya
lagi ibu mertuanya itu yang kelihatan amat terharu dengan penderitaan
pesakit malang itu.
“Dia seorang dukun, mak.”
“Seorang dukun? Mengubat orang sakitlah.”
“Itu sajalah mata pencariannya, mak. Dia mengubat penyakit-
penyakit yang katanya tidak mau disembuhkan oleh doktor. Memang
ramai juga orang yang berubat kepadanya. Sekelian bangsa yang
mempercayai kedukunannya.” ‘
314
“Sungguh Tuhan sayang kepadanya. Walaupun kedua belah
kakinya tak berdaya, tapi dapat juga menyara dirinya,” geleng-geleng
lagi si ibu tua itu. Nyata sekali pada wajah tua usang itu bertapak
kesangsaraan hidup seorang manusia malang yang rasa-rasa pernah
ditemuinya semasa di negeri kelahirannya dulu.
“Yang saya hormati dia ialah, dia tak pernah hendak mengemis
di tepi jalan, mak. Tabah betul hatinya.”
“Ya, tabah hatinya. Teringatlah emak kepada cerita Ah Kong
dulu. Katanya, di negerinya pun ada kisah-kisah macam ini juga,” ibu
tua itu mengenang-genang pula.
“Yang lebih saya hormati dan saya sanjung ialah ketulusan
hatinya, mak,” tiba-tiba Ai Lian pula mencelah.
Ibu tua itu berpaling pada Ai Lian. Ai Lian rapat kepada
ibunya. Di wajah ibunya itu masih terbayang keharuan yang sungguh
membekas di hati.
“Engkau juga kenal pada si malang itu, Ai Lian?”
“Betapa tidak, mak! Dia jiran kami di sini.”
“Jiran engkau?” dia mengalih pandang kepada Swee Fook pula
dengan mata yang agak terbeliak semula.
“Ya, mak. Dia itu jiran kami. Dia memang orang baik. Hatinya
ikhlas dan jujur. Saya sanjung dia kerana budinya yang susah dibalas.
Sungguhpun kedua kakinya lumpuh, tapi kami terhutang budi dan
nyawa kepadanya,” Swee Fook terbayang-bayang di matanya akan
manusia malang yang terinsut-insut ke sana ke mari lantaran kakinya
yang tepok itu. Dialah yang membawa si malang itu ke hospital.
315
“Engkau kata dia itu jiran engkau? Tapi di mana rumahnya?”
batang leher ibu tua itu semakin panjang bagai kepala kura-kura yang
menjulur dari perlindungannya.
“Kalau emak nak tengok rumahnya, mari ke mari,” kata Swee
Fook sambil mengajak ibu mertuanya itu ke tingkap yang terhampir.
Tingkap yang separuh terbuka itu dikuak luas-luas. Ibu
mertuanya itu datang ke tingkap yang sudah terbuka lapang itu. Dia
menjulurkan kepala. Ai Lian membuntutinya pula.
“Mana?”
“Emak nampak pondok buruk itu, tak?” tunjuk menantunya.
“Ya, mak nampak. Itu sebuah pondok buruk. Kecil dan
dindingnya robek-robek. Barangkali atapnya pun dah bocor.
“Di situlah dia tinggal, mak. Pondok itu sudah uzur benar
kerana telah ditinggalkan selama hampir tiga bulan.”
“Oh, kesian! Melihat pondok buruknya itupun hati emak sudah
belas. Tapi, siapa namanya, Emak terlupa tanyakau tadi.”
Swee Fook memandang isterinya yang juga turut melontarkan
pandangan dari tingkap ke pondok buruk yang jauhnya tak berapa ela
saja dari rumah mereka itu.
“Pak Amir namanya, mak.”
“Pak Amir? Melayu?”
“Ya, mak. Dia orang Melayu. Hatinya sungguh bersih.”
316
Ai Lian nampak wajah ibunya itu semakin layu. Ibunya
memandang lagi ke pondok buruk yang robek-robek itu. Kelihatan
bibir kering yang kerepot itu bergerak-gerak. Tulang pipi yang
menonjol itu makin tergantung dan pipinya kelihatan makin
cengkung. Kedua belah matanya lembab. Lalu ia undur ke sofa dan
membenamkan diri di situ.
Petang itu mereka bertiga makan dengan tenteram. Di meja
makan, sambil mengunyah, mereka bercakap dan bercerita. Ai Lian
makan sedikit,saja. Katanya kurang selera. Dia banyak menceritakan
kandungannya yang selalu membuat dia berperasaan berbagai-bagai.
Ibunya pula banyak mengisahkan anak-anak dan cucu-cucunya di
sekeliling pinggang yang hidup dalam pergolakan kotaraya Singapura.
Swee Fook saja yang kurang bercakap. Dia memang pendiam
orangnya. Tapi, Ai Lian mengagak tentu suaminya itu dibawa
kenangan ke wad hospital. Di sana Pak Amir sedang terlentang
dengan matanya saja tinggal terkelip-kelip di atas ranjang.
Selepas makan dan bual-bual sekejap, Swee Fook melarikan
pula keretanya ke hospital. Ibu mertuanya memandang saja tanpa
berkata sepatah pun melihat menantunya yang pergi macam ribut itu.
Dia memanggil anaknya yang berada di bilik. Ai Lian keluar dengan
perutnya memboyot tegang, kelihatan agak cemas.
“Mak panggil saya?”
“Ya, duduklah.”
“Kenapa, mak? Saya nampak muka emak susah. Emak tak
sihat?”
“Emak sihat macam biasa,” ibu tua itu terbatukbatuk sedikit.
“Emak nak tau saja, Ai Lian. Emak nak tanyakau. ”
317
“Saya dengar, mak. ”
“Ke mana suamikau tu? Terburu-buru benar nampaknya.”
“Katanya, nak ke hospital. Mengapa?”
“Ke hospital lagi?”
“Ya, mak. Begitulah dia. Kalau petang-petang begini, di
hospital itulah dia menghabiskan masanya. Jarang-jarang lagi dia
main golf sekarang. Kadang-kadang dari pejabat terus saja dia ke
hospital.”
“Berjumpa Pak Amir?”
“Ya, mak. Dia memang sayang pada Pak Amir. Selalu dia
menyebut-nyebut nama dan jasa-jasa Pak Amir tu.”
“Dan kau ditinggalkannya begini selalu? Dia lebih pentingkan
si Melayu tu?”
Ai Lian tersenyum. Dia nampak ada sesuatu yang patut
dicurigai oleh ibunya itu. Dia tersenyum lagi.
“Semenjak Pak Amir masuk hospital, memang selalu dia ke
situ mak. Katanya, budi baik Pak Amir tak dapat dilupakannya. Pak
Amir itulah yang rnenyelamatkan nyawa kami. Kami memang
terhutang nyawa kepadanya mak...” Ai Lian menundukkan muka.
“Terhutang nyawa kepada Pak Amir?”
“Ya, mak. Emak tak tau peristiwa di sini. Emak di Singapura
waktu itu.”
318
Ibu tua itu makin bingung. Mulutnya yang lapang tak bergigi
itu terlopong. Bergetar bibir dan jari-jari tangannya.
“Peristiwa apa tu, nak?”
“Kalau tidak kerana Pak Amir entah apalah terjadi kepada
kami berdua. Pak Amirlah yang melindungi kami. Seminggu lamanya
kami makan di rumah orang tua itu. Dialah yang beri kami makan.
Peristiwa 13 Mei itu sungguh menyayat hati, mak.”
“Peristiwa 13 Mei?”
“Ya, mak. Tapi tak usahlah mak minta saya menceritakan lagi.
Saya hendak melupakannya. Semua orang di sini pun hendak
melupakannya, mak. Syukur sajalah kepada Tuhan kami telah
selamat.”
Mulut ibu tua itu makin terlopong kosong. Kedua bibimya
bergarit-garit lagi. Sungguh dia tak mengerti.
Mengaum kembali kereta Swee Fook di halaman rumah. Ai
Lian berkejar ke pintu. Dia nampak Swee Fook keluar dengan wajah
yang amat menekan. Kusut sedikit rambutnya.
“Ada apa?” tanya Ai Lian yang dapat membaca sesuatu dari
muka suaminya itu.
Swee Fook tidak terus menjawab. Dia melangkah masuk
dengan tenang. Mukanya ditundukkan sedikit.
“Pak Amir dah meninggal,” katanya perlahan-lahan.
“Pak Amir dah meninggal? Ohhh...”
319
Ai Lian meraung. Ibunya datang dan tercengang.
“Pak Amir dah meninggal, mak,” kata Swee Fook lagi. Dia
memicit-micit dahi dan tunduk.
Si ibu tua itu semakin tidak mengerti.
320
30. EMAK DAN NYONYA
EMAK terbujur di atas ranjang. Terlentang. Badannya tidak bergerak.
Kaki, tangan dan kepalanya terkulai lesu. Kedua matanya terpejam.
Cuma yang tinggal hanya dada mengombak kencang. Dan nafasnya
masih turun-naik. Oh, emak masih bernyawa.... Alhamdulillah....
Tapi, itu, tiub yang merentang panjang dari tabung botol ke
lubang hidung emak sungguh menyakitkan hati. Sungguh menderakan
perasaan. Tiub celaka itu bikin hati kecil berontak. Tapi apakan
daya....Allah.
Emak membuka sedikit kelopak matanya. Dalam sinarnya air
jernih menggenang berkaca-kaca. Jernih bagai air embun yang
bergayut di hujung rumput. Kemudian meluncur laju, berderai.
Ya Allah, mata lembut itu merenungku. Tajam dan sayu.
Bening dan bererti. Permai dan mengharap. Ia memohon seribu harap.
Meminta sejuta kasih. Tapi, oh, emak tak dapat nak bercakap. Mulut
sudah terkunci.
Ya Allah, ya Tuhanku....
Emak memutar-mutar biji mata merenung seluruh wajah
bulatku. Bibirnya terjebik sedikit. Kemudian mata jernih itu
dipejamkan semula. Rapat. Embun di hujung rumput gugur ke bumi.
Pipi emak berbekas airmata. Lalu aku mengesatnya.
Tapi, itu, tiub panjang jemih yang menyelinap masuk ke
lubang hidung emak amat melukakan jantung. Bagai disembelih
dengan pisau tumpul berkarat. Sungguh menyeksakan emak. Tapi,
kata misi, tiub panjang itu menyalur gelukus ke perut emak. Memang
pun perut emak sudah kosong semenjak empat hari yang lalu. Hanya
botol gelukus yan tergantung itulah saja yang menjiwai emak
321
sekarang. Pagi Jumaat itu, kata Makcik Dah, emak rebah sewaktu
dalam perjalanannya hendak memerun kebun jagung di seberang
sungai. Dia rebah di tepi rumput. Bangun dan terus pulang kerana
terasa pening. Tiba di rumah ia tersungkur lagi di pinggir kepuk padi.
Di situlah emak termuntah-muntah dan buang air besar cair dengan
banyaknya. Dia tidak sedarkan diri lagi.
Aku tak tau apa-apa. Cuma bila sedang tekun merampai
Tawarikh di sekolah, barulah Pakcik Ali datang memberitahu. Aku
pulang dibawa Pakcik Ali dengan basikalnya. Tapi, alangkah
terperanjatnya: Di rumah emak sudah tidak ada. Cuma orang ramai
saja masih tertunggu-tunggu di halaman. Mak Tua Munah
memelukku. Makcik Jah menggosok-gosok kepalaku. Makcik Dah
memimpin tanganku naik tangga.
“Mana emak?”
“Dia dah dibawa ambulan kc hospital.”
“Mengapa?”
“Sakit. Tapi kaujangan risau. Dia akan sembuh,” Makcik Dah
berkata lembut dan barangkali ingin menenangkan gelora dan badai
yang mengamuk di dalam hatiku.
Tapi, mengapa ramai orang di halaman rumah? Mengapa
setiap wajah ditarik panjang memandangku? Mengapa wajah-wajah
itu berwama begitu ganjil sekali? Mengapa tidak lagi mereka
menyakat-nyakat aku dengan tawa gembira? Mengapa tidak lagi salah
seorang di antara mereka mencubit geram pipiku yang montok lembut
ini?
Oh, Tuhan, selamatkan emak. Emak saja tempat aku
bergantung. Tempat meletak manja. Tempat tumpang merengek.
322
Tempat menghuraikan perasaan terpendam. Aku sayangkan emak.
Aku kasihkan emak sampai kiamat. Sampai padang mahsyar.
Emaklah seorang duniaku yang tinggal.
“Abang Ramlan mana? Kak Aini mana?”
“Abang dan kakakkau sudah ke hospital menghantar
emakkau,” kata Makcik Dah lagi. Dia menanggalkan beg sekolahku
yang tersandang melendut di bahu. Meletakkannya di tepi dinding.
Rasa terjebik hendak menangis. Darah sejuk terasa bergelora
dan berlumba-lumba ke sana ke mari. Aku memikirkan kemungkinan
kehilangan emak. Ya Allah, dijauhkan Tuhan! Aku tak mau
ditinggalkan emak! Jangan lagi aku ditinggalkan. Jangan macam ayah
yang meninggalkan aku sebelum sempat aku mengenalinya.
Hari keempat emak di hospital baru aku dibawa oleh Makcik
Dah menemuinya. Kakiku terasa sejuk bila melangkah masuk wad 8
itu. Dalam hati terasa seketul air batu menyengkang. Dan mataku liar
mencari-cari yang mana satu emak di antara yang ramai terbaring itu.
Oh, itu dia. Makcik Dah memimpin aku menuju ranjang yang paling
tepi, dekat pintu keluar masuk.
Emak sedang terlentang tidak bergerak. Mukanya sudah
cengkung. Bibirnya pucat sekali. Matanya terpejam. Dada emak
masih bergerak pantas. Nafasnya dihela turun naik agak kencang.
Tapi, oh, tiub penyalur gelukus ke lubang hidung emak itu sungguh
menggerunkan. Seksanya terasa menimpa dan menghempet diriku
pula.
Kupandang muka emak. Tapi emak tidak pandang muka aku
lagi. Dia tidak lagi memandang lembut dan penuh kasih padaku. Aku
tengadah. Nampak botol yang tergantung di sisi ranjang emak,
kandungannya semakin susut. Tinggal separuh. Setitik demi setitik
323
dipaksakan meluncur ke lubang hidung emak melalui saluran sebesar
kelingking itu.
“Emak! Emakl”
Airmata terhambur bersama suara pekat lantang membelah
kesepian wad.
“Eh, Didi, jangan buat begitu. Nanti kita dihalau misi,”
Makcik Dah merenggangkan aku dari tubuh emak yang sudah kupeluk
erat.
Airmata gugur dan memecah. Terasa satu benda yang amat
keras menyengkang dalam kerongkong pula. Seksa sungguh menahan
esakan yang menekan itu.
“Diam, Didi, diam. Jangan menangis. Kalau kaumenangis
nanti misi datang. Nanti doktor datang. Mereka halau kita.” Makcik
Dah menghapuskan air jemih yang meleleh di pipiku.
Rupanya tangisku itu menarik perhatian pesakit-pesakit dalam
wad itu. Ramai pesakit yang memanjangkan leher memandang kami.
Wajah-wajah mereka semuanya kelihatan muram, lesu dan sugul.
Seorang nyonya Cina gemuk mengangkat kepalanya, lantas duduk
melunjur. Tempatnya selang sekatil dengan katil emak. Dan aku
nampak wajahnya juga ditarik panjang dan membayangkan sesuatu
yang biasa ditunjukkan kepadaku oleh wajah-wajah lain semenjak
masuk wad emak.
“Abang Ramlan dan Kak Aini, mana, Makcik?”
“Mereka dah pulang. Esok mereka akan datang balik.”
“Didi tak mau pulang, Makcik.”
324
“Ya, memang sekarang giliran kita menunggu.”
“Didi nak tinggal di sini Makcik.”
“Eh, tak boleh. Sekejap lagi kita akan disuruh keluar. Kita
boleh tunggu di luar wad ini. Bila emakkau sembuh, kita akan pulang
bersamanya, ya?”
Suara Makcik Dah makin terharu bunyinya. Aku tau dia juga
sungguh sayangkan emak. Emak ialah kakaknya. Makcik Dah selalu
membantu emak ke sawah atau ke mana-mana semenjak ayah
meninggal. Oleh kerana Makcik Dah belum bersuami dan
menumpang pula di rumah kami, tidaklah susah baginya menolong-
nolong emak.
Sekarang emak menggeretak-geretakkan giginya. Berderik-
derik bunyinya. Tangannya mulai merapai-rapai. Dalam
ketidaksedarannya itu kulihat tangan emak cuba Pendak mencabut
tiub yang menusuk lubang hidungnya itu. Dia cuba hendak merentap
benda Allah yang menikam tembus hidungnya yang lantas ke
kerongkongnya itu.
Misi Serani yang sentiasa mengawasi emak sedari tadi
berkejar datang. Dengan dua helai kain putih yang dipintal, lalu ia
mengikat kedua belah tangan emak ke besi pinggir ranjang itu.
Sekarang kedua belah tangan emak sudah terbelenggu. Tak dapat lagi
dia merapai-rapai. Meronta-ronta pula ia. Peluh memercik. Giginya
gemertap melawan sesuatu. Peluh yang memercik mengalir di sana
sini. Ya Allah, kejamnya perbuatan itu.
“Emakkau perlukan gelukus itu,” kata Makcik Dah.
“Tapi mengapa tangannya diikat?”
325
“Supaya jangan dicabutnya tiub itu.”
Aku mengelap lagi kening emak yang basah. Aku mau
menjerit memanggilnya. Aku mau meraung. Ya Allah. Tapi emak
tidak lagi membuka kelopak matanya. Ombak dadanya saja yang
tinggal melambung-lambung.
“Emak, emak!” aku melepaskan suara perlahan di telinga
emak.
“Emak! Emak!! Ini Didi. Ini Didi, mak!”
Ernak tidak juga membuka kelopak matanya. Bagaikan
suaranya itu tidak didengarnya lagi. Dan aku pasti emak sekarang
tidak mengetahui langsung kehadiranku di sisinya itu.
Aku pandang Makcik Dah. Dia mulai mengesat matanya. Aku
pandang nyonya yang terlunjur di sebalik ranjang sana. Matanya
terkelip-kelip dan bibirnya terjebik-jebik.
Mengapa nyonya itu mengalirkan airmatanya pula? Mengapa
dia masuk wad? Mengapa dari semenjak ketibaanku matanya tidak
lekang-lekang memandang ke arah emak. aku dan Makcik Dah?
“ltu anak bongsu Cik Ramlah?” tanyanya kepada Makcik Dah
yang sudah selesai mengeringkan airmatanya.
“Ya, ini anak bongsunya. Sekolah darjah empat.”
“Kesian! lni macam susahlah! Hayyaaa!”
“Ya, betul kata nyonya.”
“Gua sudah bilang Cik Ramlah banyak baik punya orang.
Dulu, belum perang punya jam kita dua orang kawan banyak baik.
326
Rumah pun dekat-dekat. Tapi lepas gaduh-gaduh punya jam kita
sudah pecah-pecah duduk. Hayya! Sudah 25 tahun gua tak jumpa
sama dia,” nyonya itu menggeleng-geleng dan terus duduk
menjuntaikan kakinya di pinggir ranjang.
Oh, rupanya nyonya Cina itu kawan emakku 25 tahun yang
lalu. Memang emak pernah menceritakan padaku perihal ayahku
membuka kedai di kampung yang penduduknya beranika keturunan.
Tiba-tiba aku ditarik Makcik Dah ke tepi. Doktor India
berpakaian serba putih datang bersama misi Serani yang bertugas di
wad itu. Mereka bercakap sesuatu yang tidak aku mengerti. Mereka
mendekati emak. Tangan emak dipegang oleh doktor India itu sambil
merenung jamnya. Beberapa pemeriksaan lagi dilakukannya dan
setelah mcyakinkan sesuatu kepada misi itu ia pun beredar pergi.
Sekarang tinggal aku keseorangan tercegat memerhatikan raut
muka emak yang kelihatan tenang saja itu. Makcik Dah sudah pergi
ke bilik air hendak buang air kecil. Dia berpesan supaya jangan aku
ke mana-mana.
Ombak dada emak yang tadinya kencang sekarang bertukar
perlahan. Perlahan sekali dan satu-satu ia menghela nafasnya. Wajah
emak kelihatan tenang. Tidak lagi seperti orang baru berlari 100
meter.
“Emak!!” gegar wad itu dengan suaraku. Bulu roma bagai
hendak tercabut rasanya.
Dan misi Serani yang bertugas itu pun sudah berada terpacak
di sisiku. Entah bila datangnya. Dia menjamah kening dan nadi emak.
“Aci! Oksigen!” misi itu melaung seorang pelayan yang sering
juga hilir mudik dalam wad 8 itu.
327
Datanglah tangki oksigen dengan cepatnya. Lalu emak pun
diberi pertolongan gas itu. Dada emak membukit mendatar menghala
oksigen yang diserkupkan ke lubang hidungnya. Lagi terasa diri
melambung dan melayang entah ke mana bila melihat tarikan nafas
itu kian lemah. Aku berasa lemas.
Kemudian misi menguji dada emak dengan stetoskopnya.
Lama juga dia mengamat-amatinya. Sebentar-sebentar matanya
menggeliat mengerling padaku. Mukanya juga setenang muka emak.
Lalu berpalinglah dia untuk merobohkan hatiku.
“She‘s dead.”
Lama juga agaknya mataku terbeliak dan mulut terlopong
sehingga nyonya gemuk yang di sebelah sana itu menerpa dan
memeluk badanku. Dia meraung.
“Dia sudah pergi. Lu punya emak sudah tidak ada lagi.”
“Emak!!!” Wad itu aku gegar lagi dengan raungan gila.
Aku memeluk tubuh emak. Nyonya itu masih memeluk erat
tubuhku sambil meraung bersamaku. Dan raungan nyonya itu kurasa
lebih hebat dari raunganku sendiri.
328
OTHMAN RASUL dilahirkan pada 3 Ogos
1940 di Sungai Tukang Sidin, Teluk Intan
Perak. Nama sebenarnya Othman bin Mohd
Rasul mendapat pendidikan awal di Sekolah
Melayu Sungai Tukang Sidin, Teluk Intan
(1948-1951) hingga tamat Darjah Empat.
Kemudian beliau meneruskan persekolahan
dalam aliran Inggeris apabila memasuki
Special Malay Class di Government English
School, Teluk Intan (1952-1954). Beliau
melanjutkan pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim,
Perak. Pada tahun 1975 beliau lulus Sijil Tinggi Pelajaran (STP) dan pada
tahun 1977 mengambil Kursus Siaran Pendidikan di Universiti Sains
Malaysia, Pulau Pinang. Kemudian, beliau melanjutkan pendidikan ke
Universiti Malaya sehingga mendapat B.A. (Hons) dalam bidang Penulisan
Kreatif dan Deskriptif.
Bidang penulisan mula diceburinya sejak tahun 1961 melalui karya
cerpen, novel (kanak-kanak dan remaja), rencana, skrip drama radio dan
drama televisyen. Beliau pernah memenangi hadiah kedua Hadiah Sastera
Remaja ESSO-GAPENA dan hadiah penghargaan Peraduan Menulis
Cerpen Berunsur Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri. Antara kumpulan
cerpen persendirian yang telah berjaya dihasilkan beliau berjudul Gerimis
Berpanjangan, Tersingkir, Jejak Remaja selain antologi cerpen bersama
dengan penulis lain berjudul Membawa Harapan, Menggulung Perlahan,
Bintang di Langit Lain dan Guruh.
Kesemua cerpen dalam antologi cerpen Emak & Nyonya ini pernah
tersiar di akhbar-akhbar, majalah dan buku tempatan dari tahun 1963 hingga
1985. Cerpen-cerpen ini mengisahkan kehidupan masyarakat melalui
pelbagai peristiwa hidup yang mereka alami. Ceritanya bertemakan
cemburu, rasuah, konflik jiwa, ketabahan hati, ragam remaja yang gigih,
pemimpin yang amanah, termasuk cerita dari alam kehidupan binatang yang
menyindir segolongan manusia, semua digarap hebat dalam kumpulan
cerpen beliau. Kesemua situasi yang mencorakkan kehidupan masyarakat
Malaysia itu disampaikan dengan berkesan dan menghiburkan dengan
adunan bahasa yang segar dan kreatif.
329