The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by , 2020-12-02 18:36:06

EMAK DAN NYONYA

FIKSYEN B. MELAYU

"Hei! Tolonglah turun! Sama-sama kita tolak!" seorang
daripada yang memakai seluar jerut berteriak-teriak.

Makin ramai penumpang lelaki yang melucutkan seluar dan
baju untuk turun memberi pertolongan. Yasin juga turut mengungkai
seluar dekron dan baju putih non-ironnya. Dia terjun ke dalam air, lalu
sama-sama menolak bot itu. Akhirnya motobot dapat berjalan
kembali, tetapi tidak selaju tadi lagi. Motobot menepi. Kemudian
berhenti membiarkan penumpang-penumpang turun. Ramai
penumpang yang turun dan banyak barang yang diturunkan.

"Cantik-cantik pemandangan di sini, ya, bang," ujar Rogayah
mengkagumi keindahan kampung yang ditumbuhi berbagai pokok
buah-buahan itu.

"Ya, cantik! Lihat pokok kelapa di sana. Buah rambutan yang
memerah di tepi air dan pokok durian yang meredupkan. Di tempat
Yah tak ada macam ini, bukan?" Rogayah mengangguk. Kemudian
dia merapatkan tubuhnya ke bahu Yasin. Duduknya separuh
bersandar. Yasin terlihat kepada seorang pemuda yang duduk dekat
enjin merenungnya. Pemuda itu cepat-cepat mengalih pandangannya.

Di atas motobot yang menggigil. Rogayah berasa tulang
belakangnya sakit. Lantas baring memanjang sambil meletakkan
kepalanya ke atas paha Yasin. Yasin sempat melihat mata beberapa
orang penumpang memerhatinya. Seorang perempuan tua di situ
menceberkan bibir. Kemudian meludah ke air.

"Sejam lagi tibalah," kata Yasin mengejutkan Rogayah yang
sedang khayal di atas ribanya.

"Ai, jemulah rasanya!"

"Itulah yang nak ditanggung."

150

Motobot yang mereka tumpangi menyusur terus dengan
malasnya di muka sungai yang berbelok-belok itu. Mereka lalui
rumah-rumah yang berderetan di tepi tebing. Di kiri kanan penuh
dengan pokok buah-buahan yang membuahkan rambutan, langsat,
rambai, durian, manggis dan pisang.

Motobot itu merapati tebing. Yasin memapah isterinya turun.
Kemudian memunggah keluar beg pakaian serta dua buah bakul yang
sarat dengan buah-buahan dari kampung. Di atas sebatang kayu
tumbang, sekumpulan pemuda duduk berborak-borak. Apabila
melihat seorang wanita berpakaian cantik dan rambut mengurai-urai
turun, seorang di antara mereka bersiul-siul. Ada pula yang mengeluh-
ngeluh kekaguman.

"Baru sampai, cikgu?" seorang pemuda dari kumpulan itu
datang tersengih-sengih merapati Yasin.

“Ya, baru sampai. Apa macam?"

"Yang itu siapa?" pemuda itu berbisik dengan melepaskan
jelingan ke arah Rogayah.

"Isteri saya," jawab Yasin dengan senyum mengulum.

"Oh, oh, bila cikgu kahwin?"

"Dalam cuti inilah, " jawab Yasin tersipu-sipu.

"Wah, cikgu kahwin diam-diam, tak beri tahu orang sini," kata
pemuda itu selaku kesal. Yasin tergelak kuat. Dan sekejap itu juga
Rogayah datang ke dekatnya. Pemuda itu tersengih-sengih, lalu undur
pergi. '

151

“Di mana sekolahnya, bang?" tanya Rogayah sambil
memerhati keliling.

"Dua batu lagi ke dalam."

Rogayah mengeluh lagi. Jawapan Yasin sudah cukup
menghentakkan hatinya ke tanah. Apabila mengingat penjelasan itu
dapat dia merasakan kekuatan hati seorang isteri terhadap suaminya
yang tercinta.

Teringat dia pada suatu ketika di atas sebuah bangku panjang
di taman bunga di Kuala Lumpur.

"Tidakkah Yah menyesal mengikut abang nanti?"

"Tidak. Apa yang hendak disesalkan?"

"Mahukah Yah meninggalkan kota K.L. ini?" bisik Yasin ke
telinga Rogayah.

"Kenapa pulak tidak?"

"Kalau abang diperintahkan pergi mengajar di ceruk hutan?"
"Yah ikut."

"‘Terpaksa naik bot, sampan, rakit dan gajah!"

"Tak kiralah." Dan Rogayah melepaskan ketawa mengekek
menggegarkan tubuhnya. Yasin memeluknya erat-erat. Kemudian dia
terkenang isi surat Yasin yang diterimanya di awal tahun.

Terperanjat juga dia membaca isi surat yang ditulis oleh Yasin.
Di antara kandungan surat itu dia menulis: "Yah, semasa abang
menulis surat ini abang sedang berada di tengah-tengah hutan Tanah

152

Melayu. Abang terpaksa menaiki motobot untuk datang ke kampung
ini yang jauhnya berpuluh-puluh batu dari bandar. Apa boleh buat,
sudah nasib abang di hantar ke mari”

"Eh, apa yang nak dimenungkan itu? Yah suka tempat ini?"
Rogayah terkejut dari lamunannya. Sekarang dia sedar bahawa dirinya
sedang berada di dalam kampung yang serba serbinya jauh berbeza
daripada tempat tinggalnya di bandar. Dia tidak dapat mengelak diri
daripada menghadapi pelbagai kemungkinan nanti.

"Bagus tempat ini ya, bang."

Yasin tersenyum mengulum sambil melemparka
pandangannya ke hala seorang budak yang datang dengan basikal
buruk.

"Man, mari sini!" panggil Yasin.

Budak yang hanya memakai seluar biru kusam berselekeh itu
datang terkial-kial mengayuh basikalnya Dengan wajahnya yang
bercampur takut dia datang mendekati Yasin.

"Nak apa, cikgu?" tanyanya. Suaranya parau. "Tolong
hantarkan barang-barang cikgu ini ke rumah."

Lalu Yasin pun menaikkan barang-barangnya ke atas basikal
yang berkaria besar itu. Budak itu pergi membawa basikal yang
dibebani sebuah beg besar dan dua buah bakul.

Hari sudah senja, baharulah mereka tiba di kawasan sekolah.
Yasin memperkenalkan kepada Rogayah akan bangunan sekolahnya
yang jauh lebih buruk daripada sebuah kandang lembu yang pernah
dilihatnya. Keliling sekolah penuh dengan sampah sarap dan rumput-
rumput.

153

Dalam masa cuti kawasan ini tidak diurus. Empat orang guru
yang mengajar di sini, hanya Yasin sahaja yang tinggal menjaga
sekolah. Dan sudah empat minggu bangunan sekolah ini tidak
bertunggu.

"ltulah rumah kita," kata Yasin menuding ke sebuah pondok
buruk di sudut kawasan sekolah itu. Budak pembawa beg tadi
kelihatan duduk menjuntai-juntaikan kaki di atas tangga.

Yasin membuka pintu. Rogayah menaiki anak tangga yang
terbuat daripada keratan kayu sebesar lengan itu dengan hati-hati
sekali.

"Kemaskanlah rumah ini. Biar abang hidupkan api di bawah,"
kata Yasin seperti memerintah, lalu turun ke bawah rumah untuk
membakar sabut.

Rumah itu dipusungi asap tebal. Nyamuk dan agas yang riuh
berterbangan itu mesti dihalau. Dan Rogayah terbatuk-batuk oleh asap
itu. Matanya berair.

Malam itu Rogayah tidak dapat tidur lena. Senja lagi sudah
terdengar bunyi cengkerik dan katak memekik-mekik di keliling
rumah. Tengah malamnya terdengar pula laungan burung hantu sahut
menyahut. Bunyi burung hantu yang menggerunkan itu meremangkan
bulu tengkuknya. Semua ini tidak pernah didengar di Kuala Lumpur.

“Bagaimana rasa Yah tinggal di sini?” tanya Yasin esok
paginya.

"Bagus. Semuanya bagus. Cuma malam tadi saja Yah tak
dapat tidur nyenyak. Tak apalah kerana belum biasa lagi. Di tempat
Yah pun bising juga bunyi motokar di waktu malam." Yasin terbahak.

154

Rogayah tergoncang-goncang tuuhnya oleh derai ketawanya yang
membubung-bubung.

"Tapi tentu pemandangan di Kuala Lumpur lebih itik, bukan?
Ada stadium cantik, jalan biadak, Bangunan Parlimen.”

"Tidak. Pemandangan di sini lebih menarik. Suasana di sini
lebih mesra. lebih permai. Yah sudah benci dengan hidup di kota.
Orang-orangnya semuanya angkuh dan sombong. Semuanya nak
tunjuk lagak, nak tunjuk kebesaran masing-masing."

"Yah tak suka kalau abang ditukarkan ke bandar?"

"Tak suka."

"Apa sebabnya?"

"Kalau di bandar tentu abang beli kereta. Kemudian abang
bawa perempuan lain naik kereta abang. Abang pun mulalah pulang
jauh-jauh malam bila dapat gaji."

"Takkan Yah kecam abang semacam itu," kata Yasin membela
diri.

"Dah banyak Yah tengok. Bila guru-guru bergaji besar,
mereka jadi peminum, jadi penjudi. Isteri di rumah tak dipedulikan,"
ujar Rogayah semakin rancak.

Yasin menengadah, menyandarkan kepalanya ke dinding. Dia
memandang ke sekeping gambar kawannya yang tergantung di
dinding.

"Tapi bukan semuanya macam itu, Yah. Tengok gambar itu.
Yang itu Ramli. Dia sudah tamat FMC. Gajinya sudah naik. Yang lagi

155

seorang itu Azmi. Dia akan mengambil periksa HSC tahun ini.
Bermakna taraf hidupnya akan meningkat. Mereka berpeluang belajar
kerana mereka itu mengajar di sekolah dekat bandar. Yah tak suka
kalau abang belajar dan dapat gaji besar?"

Rogayah terdiam sekejap. Ternyata dia sedang memikir-mikir.

"Yah suka, tapi Yah bimbang. Yah bimbang bila abang bergaji
besar abang akan lupakan Yah. Dan banyak orang yang bergaji besar
simpan perempuan di tempat sulit."

"Abang bukan macam itulah, Yah. Cuba tukarkan abang ke
bandar. Dapatlah abang buktikan," sahut Yasin bersemangat. Hatinya
sudah terusik oleh cabaran isterinya itu. Jantungnya berdenyut.

"Takkan mereka nak tukarkan abang ke bandar. Dah berapa
pucuk surat abang kirimkan? Buat penat saja menulis surat ke pejabat.
Siapa yang nak menggantikan abang datang ke mari? Takkan guru-
guru yang sudah kotai di bandar itu nak datang masuk hutan ini."

Hari itu masih cuti lagi. Yasin mengeluarkan peluh di
badannya dengan mencangkul-cangkul di keliling rumah, membuang
rumput-rumput yang mulai menjongol di sana sini.

Rogayah turun menolong membersihkan kawasan rumah. Dia
membakar daun-daun kering yang banyak rontok itu.

Kemudian Yasin membawa Rogayah pergi ke tepi sungai.
Yasin membawa sebilah joran pancing. Di sana mereka duduk-duduk
menikmati kemesraan suasana kampung. Rogayah mengkagumi
pemandangan yang mengkhayalkannya.

"Cantik ya, bang!" kata Rogayah merenung air yang jemih,
deras mengalir itu. Dia lantas merapatkan badannya ke badan Yasin.

156

“Ya, cantik!” balas Yasin sambil membiarkan umpan digetur
ikan. Rogayah makin merapatkan badannya dengan manja.
Rambutnya sudah mencecah telinga Yasin.

"Jaga, Yah, jaga! Abang nak membalas!"

Seekor anak baung tercabut dari muka air dan melenting-
lenting di udara. Rogayah terjerit kaget. Dia melompat mendapatkan
anak baung itu. Kemudian mereka mandi di tepi sungai itu. Yasin
terjun menghambur dari atas sebatang pohon rambai. Dia berenang ke
tengah, kemudian kembali mendapatkan Rogayah. Rogayah berpaut
pada sebatang akar yang menyumbul di tepi tebing. Dia menggosok-
gosok badannya di situ.

Di sebelah hilir terdengar pekikan budak-budak muda yang
juga mandi di situ. Mereka berlumba-lumba berenang merebut
sepotong kayu hanyut. Di seberang sana, sekumpulan anak-anak gadis
yang juga mandi, bersorak-sorak dengan girangnya. Mereka
menyunggah-nyunggahkan air ke atas. Ada yang menyirami muka
kawan.

"Sudahlah, bang. Sejuk," kata Rogayah memeluk dadanya.
Yasin naik ke tebing dengan mata yang merah.

Tengah hari Yasin pulang dari sekolah menghulurkan
sepangkuan buku kepada isterinya yang menunggu di muka pintu.
Yasin memberikan senyumnya.

Rogayah tidak membalas senyumnya itu. Dia terus ke meja
meletakkan buku-buku yang disambutnya itu. Kemudian bergegas
masuk ke bilik tidur. Sepatah pun dia tidak berkata-kata kepada Yasin.
Perbuatannya itu menyebabkan Yasin berasa sungguh aneh.

157

Dengan seribu tanda tanya yang berputar-putar di dalam
kepala, lalu Yasin pun pergi mendapatkan Rogayah. Di dalam bilik,
di atas katil, dilihatnya Rogayah sedang menyembamkan muka ke
bantal. Dia tersedu-sedu di situ.

"Eh. Yah, kenapa menangis? Apa yang ditangis kan?" tanya
Yasin datang mendekati Rogayah dan duduk memegang bahunya
yang tersengok-sengok.

"Gadis-gadis jiran kita itu, bang," kata Rogayah mengangkat
kepalanya. Kelihatan pipinya basah diterjuni air mata.

"Apa halnya?"

"Mereka sindir-sindir Yah. Mereka kata-kata Yah. Mereka
pulaukan Yah," kata Rogayah tersedu-sedu.

"Ah, sudahlah. Biarkan!"

"Yah tak tahan, bang. Yah tak tahan. Yah malu."

"Apa yang disindirnya?" tanya Yasin mula mahu tahu apakah
sindiran yang begitu mengusik hati isterinya itu. Rogayah duduk
menjuntaikan kaki. Dia mengesat air matanya yang menjalur di pipi.

"Tadi, waktu Yah membasuh kain di sungai, mereka datang.
Mereka sindir-sindir Yah. Mereka giat-giat Yah. Pedih hati Yah
dibuatnya. Rasa nak Yah anyam mulut mereka itu." .

"Apa kata mereka?"

"Seorang daripada mereka berkata kepada kawannya: Yah tak
bermalu. Merampas kekasih orang. Yah perampas kekasih orang,

158

katanya. Diingatnya Yah ini apa? " Yasin tersenyum sedikit
mendengar keterangan itu.

Di dalam hatinya berkata bahawa inilah seorang perempuan
yang tidak tahan digiat-giat dan disindir-sindir. Terutama jika digiat-
giat tentang hal keburukan dan kerendahan dirinya.

"Habis, diamkan saja cukuplah. Mereka itu memang suka nak
berseloroh sebab Yah orang baru di sini."

"Takkan nak berseloroh macam itu. Kalau dia tak menyentuh
peribadi Yah, tak apalah. Ini dikatanya pulak Yah perampas kekasih
orang. Jangan-jangan abang yang dimaksudkannya sebagai
kekasihnya itu?"

"Tolong jangan panjang-panjangkan hal yang macam ini, Yah.
Tak baik. Buruk padahnya nanti."

"Kemudian mereka membasuh kain dekat Yah. Yah cubalah
nak campuri. Yah sampuk bualan mereka. Tapi sedikit pun mereka tak
endahkan Yah. Mereka pulaukan Yah. Macam manalah tak radang
hati Yah."

Lalu Yasin pun bangkit daripada duduknya. Dia berjalan ke
sana ke mari berpusing-pusing. Hatinya sudah disarangi kebimbangan
mengenangkan hal ketenteraman isterinya itu.

Yasin datang lagi mendekati Rogayah, lalu menarik
tangannya, mengajak makan.

"Yah mesti pekakkan telinga saja. Yah mesti pandai
mengambil hati mereka. Campuri mereka. Dan jangan tunjukkan
sangat tentang perbezaan diri Yah dengan diri mereka," kata Yasin
mengajar.

159

"Bagaimana Yah nak mencampuri mereka? Di belakang Yah
mereka berkata bahawa Yah tak layak bercampur gaul dengan mereka
kerana kata mereka Yah orang bandar. Moden. Tak tahu hal
masyarakat kampung. Baju Yah tak laku dipakai di sini. Rambut Yah
macam sarang tebuan."

"Ah, sudahlah, Yah! Memang orang perempuan macam itu.
Tak hairan. Di mana-mana pun orang perempuan tak pernah puas.
Sentiasa nak mengatasi kaum sejenisnya,"

Malam itu Yasin pulang lewat dari madrasah. Apa bila sampai
di halaman, dilihatnya di dalam rumah masih terang benderang,
menandakan Rogayah masih belum tidur lagi.

"Yah, Yah, buka pintu!" panggil Yasin.

"Siapa?"

"Abang."

Daun pintu direnggangkan. Rogayah mengenjuk dengan pelita
di tangan. Di sebelah tangan lagi terpegang sebilah parang panjang.
.

"Hai, apa pulak ini?" tanya Yasin terkejut demi terpandang
parang panjang berjela itu. "Kenapa abang lambat?"

"Ada mesyuarat di madrasah tadi."

"Apa yang abang dapat bermesyuarat itu? Apa guna masuk
campur dengan hal orang-orang di sini. Tak ada untung."

"Hai, apa halnya? Dah pandai cemburu pulak? Di mana
belajar?" tanya Yasin merenung muka Rogayah.

160

"Abang asyik bermesyuarat dengan orang-orang tua di
madrasah saja. Abang lupakan budak-budak mudanya. Tengah abang
bermesyuarat tadi, budak-budak itu datang ke mari. Mereka jentik-
jentik dinding di luar. Mereka jolok-jolok Yah dari bawah rumah."

Yasin mengelukan lidahnya. Dia tidak harus mempercayai
segala aduan isterinya itu. Yang ada di kepalanya sekarang ialah satu
siri rintangan yang merintang-rintang yang telah ditempohnya
semenjak bertugas di kampung itu.

Ketika hendak memejamkan matanya di dalam pelukan
suaminya untuk tidur, Rogayah bertanya: "Bang, bila abang nak
ditukarkan dari sini?"

"Bila abang mati."

161

16. TERSINGKIR

MEMANG dia sedar kedatangannya ke kampung rumah murah itu
tidak dikehendaki sesiapa, kecuali isterinya. Dia tahu dia tidak akan
diterima di sini. Hanya isterinya saja yang bersungguh-sungguh benar
mengajaknya tinggal menetap di kampung ini.

“Bang, kita beli sajalah rumah murah tu.”

“Tapi, Putih saya tak pemah merancang nak tinggal di situ.”

“Memang tak pernah abang merancang nak beli rumah.
Sekarang apa dah jadi?”

“Sebenamya rancangan saya bukan begitu. Lebih besar dari
itu. Tapi, ah . . . tak berguna lagi . . . ” ia mengeluh.

Burhan memalingkan mukanya keluar tingkap, membiarkan
matanya menyoroti kereta-kereta yang lalulalang. Tak berani lagi dia
menentang tepat muka dan mata isterinya. Tak seperti beberapa tahun
lalu yang dipandangnya mata isterinya itu sebagai batu yang tak
berguna saja. Sekarang benar-benar dia telah insaf. Dia telah kembali
kepada dirinya.

Dia terkenang kata-kata Putih yang selalu terluah begini: ltulah
abang, masa itu sedikitpun tak beringat. Cakap saya abang tak
umpamakan. Tengok Encik Muin. Encik Abu dan Encik Mansur,
semuanya dah pun berumah batu sendiri. Tak macam kita yang . . .
Masih terdengar lagi kata-kata itu.

Mata Burhan masih lagi tertumpu keluar tingkap rumah sewa
mereka yang terletak betul-betul di persimpangan empat yang setiap
waktu sibuk dilalui kereta-kereta. Kesibukan dan kebisingan di tempat
itu tidak lagi mengganggu fikirannya. Sekarang tidak lagi dia

162

merungut-rungut pemandu-pemandu yang kadang-kala agak biadap di
persimpangan sibuk itu.

“Sekarang barulah kita terpaja-paja. Barulah tau sempitnya
dunia,” kata Putih kesayuan.

Sebuah rumah murah berharga tujuh ribu ringgit. Inilah rumah
Burhan dan isterinya bersama anak angkatnya Norma. Sudah dua
bulan mereka pindah ke rumah ini. Dan selama itulah Burhan merasa
hidupnya tersingkir. Tidak sedikitpun di hati kecilnya dapat menerima
kehadirannya dalam masyarakat kampung rumah murah itu.

Burhan menghadapi masalah hidup dalam masyarakat
kampung rumah murah itu. Bukan masalah wang untuk membayar
rumah, tetapi masalah lain yang selalu menyengat perasaannya.

“Abang pergilah berjamaah dengan orang-orang tu. Pergilah,
bang . . .”

Berjemaah di surau? Itulah rangkaian kata yang benar-benar
menyenakkannya. Hatinya gugup serta-merta apabila mendengar usul
Putih itu. Bukan kerana dia baru insaf. Malah, semenjak beberapa
bulan ini dia sentiasa saja menghampiri Tuhan. Dia telah membeli dan
membaca buku-buku agama. Telah beramal siang dan malam
mengadap Tuhan dan memohon ampun kepadanya.

“Tengok Norma. Dia dah mesra dengan orang-orang di sini.
Masuk kelas agama, kursus dakwah. Tapi awak masih belum nak ke
surau.”

Terpegun lagi Burhan. Kata-kata isterinya itu semenjak
beberapa hari lalu lagi telah memukulnya. Kegiatan Norma dengan
dakwahnya pun telah memukulnya sudah lama. Bukan dia mengutuk
kegiatan dakwah Norma. Bukan dia membantah isterinya yang setiap

163

malam berjemaah di surau kampung itu. Tapi ada sesuatu yang lebih
hebat dan berat memalu jantungnya. Itulah punca besar yang
membentuk sikapnya sekarang.

“Abang pergilah. Abang akan diterima. Mereka akan
menerima abang, percayalah,” Putih separuh memujuk menyuruh
suaminya itu supaya ke surau juga.

Ketakutan itulah yang menghimpitnya sekarang. Dia takut dia
tidak akan diterima. Dia takut dia akan disingkirkan. Dipencilkan
seorang diri di penjuru surau. Terpencil? Ah, dia telah lama tau, orang-
orang yang ditakutinya itu pasti ada di surau itu berjemaah. Ya, dalam
surau pasti ada Pak Hitam, Lebai Mat, Hasyim, Suki, Latif dan ramai
lagi. Mereka tentu menunggu saja ketibaannya . . .

“Awak bukan tak tau, Putih. Mereka yang memusuhi saya dulu
ada di situ. Bagaimana saya nak pergi? Saya tau mereka tentu
menunggu saja. Tentu mereka akan menyerangbalas. Mereka
mendendami saya. Mereka akan mengejek dan meludah-ludah saya
nanti.”

Burhan tak sangka betul zaman boleh mengubahnya
sedemikan rupa. Dia sering terkenangkan peristiwa-peristiwa berlalu.
Waktu itu dia menjadi seorang pegawai kerajaan di pejabat daerah.
Dia sedar itu kesalahannya. Dia yang mencetuskan kebencian orang
kepadanya. Itulah kesalahan besar yang sampai sekarang sungguh
memusuh dan menyiksanya. Ia merasa tersingkir lagi.

“Selagi abang masih mau duduk bertapa dalam rumah ni,
selagi itulah abang akan dipencilkan orang.”

Burhan terbayang muka Hasyim yang pernah ditengkingnya
dalam pejabat. Sekarang nampak wajah itu menggertupkan gigi geram
dengan kedua biji mata yang memerah.

164

Burhan terbayangkan muka Lebai Mat yang pernah disakiti
hatinya dengan kata-kata kesat yang mengecewakan di depan
kakitangan lain. Sekarang muka itu nampak keras kejang dan mahu
memamahnya sampai lumat.

Burhan teringatkan peristiwa dia memarahi Pak Itam sebagai
orang tua bodoh dan tak tahu bersopan santun apakala berjumpa
seorang pegawai. Sekarang muka itu kelihatan memijar marah
menyeringainya.

Burhan terkenangkan waktu dia mengherdik keras dan kasar
akan Suki yang terlupa mengucapkan “selamat pagi, tuan” waktu
masuk biliknya. Sekarang muka itu nampak berkerut-kerut
menggerutu - terlalu buruk - mahu mengunyahnya bulat-bulat.

Lepas itu terbayang Latif, Sanusi, Daim dan ramai lagi.
Semuanya mahu menelan atau meludahnya dengan wajah jegang dan
mata merah. Mereka ini tentu sekarang sedang berkumpul dalam surau
kampung rumah murah itu. Tentu saja mereka sedang membualkan
hal dirinya. Tentu saja mereka sedang menunggu hendak
bertindakbalas, melepaskan geram yang sekian lama mendesak dada.

Burhan memikirkan gejala buruk ini sudah lama. Tapi apakan
dayanya sekarang, dia sudah lemah, tak berkuasa lagi. Lemah bagai
mempulur pisang yang sudah layu dibakar matahari. Sekarang tidak
pernah orang memanggilnya “tuan” lagi. Tidak siapa lagi yang mahu
mengucapkan apa-apa lagi kepadanya. Tiada siapa pun lagi yang
tertunduk-tunduk ketakutan apabila melintas di depannya sekarang.

Kini Burhan hanyalah seorang biasa. Sudah meninggalkan
gelaran ‘Datuk Burhan P.J.K. dan J.P.’nya. Tak ada bezanya lagi
dengan Pak Itam, Lebai Mat, Hashim, Suki, Latif dan ramai lagi
penduduk kampung rumah murah itu. Dia dikenali sebagai Pak
Burhan saja sekarang. Anak-anak muda memanggilnya ‘kojek’ saja

165

kerana kepalanya yang berkilau dan perutnya yang masih sedikit
gendut.

Waktu mengunyah keledek rebus petang itu dengan isterinya,
Burhan teringatkan Norma yang tidak ada bersama.

“Mana Norma?”

“Ke surau.”

“Apa dibuatnya lagi?”

“Kan petang ini kaum perempuan berkumpul nak adakan kelas
berzanji. Normalah dilantik jadi setiausahanya.”

Burhan mengangguk saja. Dia mengunyah dan menghirup
kopinya.

“Abang tak dijemput Encik Latif?” tanya Putih.

Burhan tidak berkata apa-apa. Kedua matanya saja terkelip-
kelip. Encik Latif pernah jadi kerani di bawahnya semasa di pejabat
dulu. Tapi sudah bersara tiga tahun lalu. “Petang esok dia kenduri
aruah nak ke tanah suci. Abang tak dijemputnya?"

Burhan masih lagi mengunyah. Lagi dia terbayangkan Latif,
bekas kerani pejabatnya itu. Orangnya lurus dan tidak banyak
bercakap. Tetapi selalu dimarahnya di depan kakitangan-kakitangan
lain. Dia tahu Latif tersinggung dengan perbuatannya itu. Tapi Burhan
menganggap tindakan serupa itu adalah sebahagian dari tugasnya
sebagai seorang pegawai.

“Dia jemput saya, tapi . . . "

166

"Abang itulah. Dah ada seorang berdua yang mengenang
abang, tapi abang berdegil juga. Abang nak berlagak macam pegawai
juga. Macam dulu juga.”

“Awak tak faham, Putih. Bukannya kerana saya dulu seorang
pegawai, tapi di rumah Latif tu . . . mereka yang mendendam saya itu
tentu dijemput sama. Macam mana nak menentang muka mereka?
Macam mana nak mendekati mereka? Macam mana saya nak berbual-
bual dengan mereka? Mereka tentu menunggu saja. Mereka tentu
hendak membidas saya di depan orang jemputan. Saya akan mereka
keji dan cerca secukupnya sampai saya benar-benar malu."

Burhan terbayangkan kembali muka Lebai Mat, Pak Itam,
Suki, Latif dan ramai lagi. Mereka tentu menunggu saja untuk
membasuhnya. Memang ini giliran mereka pula hendak memberi
malu di depan khalayak. Alangkah pucat dan pedihnya nanti kalau
pergi juga.

“Fikir abang saja begitu, tapi abang belum pergi kepada
mereka.”

“Saya takut, Putih.”

“Takut? Heh, kan mereka yang takutkan abang dulu ?” Putih
menyindir tajam, menusuk ke ulu hatinya.

Burhan menahan marahnya. Dia tau Putih memulangkan paku
buah keras. Memang isterinya dari dulu lagi sentiasa memberi ingatan.
Jangan takbur dan angkuh. Orang akan benci. Apalah ertinya
keangkuhan? Bukankah manusia itu sama saja dilahirkan? Bukankah
kelahiran itu datangnya dari tempat yang paling hina?

Sekarang Burhan selalu teringatkan ingatan isterinya itu.
Entah dari sumber mana Putih mendapat kata-kata bermakna itu, dia

167

kurang pasti. Mungkin dari Ustaz Sehak yang memberi kuliah subuh
di surau. Atau mungkin dari salah sebuah buku pengetahuan agama
yang dibelinya. Atau mungkin juga dia pemah mendengarnya
menerusi siaran radio. Masih lagi dia tidak pasti.

“Putih, bukan awak tak tahu. Saya bukan macam dulu lagi.”

“Benar kata abang tu. Dulu abang berkuasa,” kata lagi Putih
menyindir.

“Saya dah insaf. Tapi mengapa mereka masih memandang
sepi terhadap saya? Bila bertembung mereka tak mau menegur sapa
saya lagi.”

“Mungkin mereka marah kerana abang tak ke surau: Tak mau
campur hal mereka. Mungkin juga mereka fikir abang masih macam
dulu juga.”

“Tapi perbuatan mereka tu salah, kan?”

“Bagaimana kalau mereka nak menyedarkan abang?”

“Tapi mereka mendendam saya. Percayalah. Bukankah
dendam-mendendam itu dicela disisi hukum Tuhan?”

“Benar, tapi abang mesti bergaul dengan mereka. Barulah tau
benar tidaknya mereka mendendam abang. Tak boleh menuduh buta
tuli saja. Tuhan murka kalau kita menaruh prasangka yang bukan-
bukan.”

Terdiam lagi Burhan. Kata-kata isterinya yang memalu
jantungnya itu kian halus dan tajam terasa menyelinap manuk akalnya.
Mungkin benar mereka memusuhi aku kerana aku tak pernah
menghormati mereka. Mungkin benar mereka menolak kehadiranku

168

di kampung rumah murah ini kerana kesombonganku ketika menjadi
pegawai dulu. Atau mungkin benar mereka memalingkan muka dariku
kerana aku memencilkan diri dari mereka.

Memang Burhan sudah kembali kepada dirinya sekarang.
Semasa menjadi pegawai dulu bukan pula dia lupa kepada Tuhan.
Tidak. Memang semenjak kecil dulu lagi dia sedar dia seorang Islam.
Tak pernah makan babi. Tak pernah sentuh bulu anjing. Dia tidak
membunuh dan tidak merogol. Burhan tau sedari kecil perbuatan
demikian itu memang haram hukumnya. Dia tahu akan erti pahala dan
dosa. Dia tahu akan perbuatan terlarang dan yang diperintahkan Allah.
Segalanya itu dia arif benar. Dia membaca dan mendengarnya selalu
akan suruhan dan larangan Tuhan. Memang dia mengaku dia seorang
Islam . . .

Tapi dia mulai melupakan kewajipannya. Waktu menjadi
kerani dulu pernah juga dia sekali-sekala ke surau mendengar
syarahan agama. Tapi semenjak jadi pegawai dia mulai sibuk dengan
urusan. Tidak sempat lagi mengaji agama dengan tuan guru di surau.
Urusan pejabat dan tugas-tugas lain hampir menenggelaminya pula.

Kenalan mulai kian bertambah. Hubungan makin subur
dengan orang-orang yang agak boleh berkira bicara. Taukeh-taukeh
dan pemborong-pemborong mulai menyusul seorang demi seorang
mengetuk pintu berspring biliknya. Dia sudah tahu memilih orang-
orang yang boleh mengenyangkan. Perut Burhan kian membuncit dan
keretanya sudah bertukar panjang menjalar.

Putih hampir dilupakannya. Jadual hariannya sudah berubah.
Dia lebih lama di luar daripada di rumah. Waktu malam, mengunjungi
kelab malam atau bar. Masa semakin menghanyutkannya, dan bibir
sudah lama tidak menyebut nama Tuhan lagi.

169

Sementara itu dia diekori oleh pegawai B.S.N. Dia disiasat dan
didapati bersalah kerana terlibat dalam rasuah. Jawatannya terlucut,
bintangnya luruh, lalu meringkuklah dia di penjara selama enam
bulan. Tapi Burhan tahu siapa orangnya yang melaporkan ke B.S.N.
itu.

Cuaca hari itu amat garang dengan matahari petangnya
menjunam ke halaman rumah Burban. Ia sedang mencangkul-cangkul
menggemburkan tanah hitam yang menyuburkan pohon-pohon cili,
terung dan bendi di bahagian rusuk rumahnya. Peluhnya memercik,
mengalir dari kening, tengkuk dan perutnya yang sedikit memboyot
dan kendur itu.

Norma baru balik dengan basikalnya. Dia mendekati ayahnya
yang masih terbongkok-bongkok tekun itu.

“Ayah, ini surat dari Pak Tam.”

“Pak Tam?” sambil meluruskan pinggangnya.

“Ya, Pak Tam. Dia setiausaha jawatankuasa surau kita.”

Burhan membuka surat yang agak kemas lipatannya itu. Surat
itu ringkas saja isinya, bertulis jawi yang indah. Terperanjat juga dia
membacanya. Dengan segala hormatnya tuan dijemput ke surau
malam ini kerana hal yang di atas. Burhan selesai membacanya
senafas saja. Dia tercungap.

Burhan menggaru kepala botaknya sambil memerhati Norma
yang pergi menyorong basikalnya ke belakang rumah. Dia meletakkan
cangkul lalu bergerak ke tangga. Dia bertenggek di atas salah satu
anak tangga itu sambal merenung lagi surat kecil yang masih tersepit
di jarinya. Putih terjengah di muka pintu tiba-tiba.

170

“Surat apa tu?” mata Putih terpaut pada kertas biru di tangan
Burhan.

“Surat dari Pak Itam.

“Abang dijemput ke majlis mesyuarat tu?”

“Ya.”

“Ha, tengok, mereka dah memerlukan abang sekarang.”

“Kenapa mereka memerlukan saya? Kan saya disingkirkan?”
sinis ia berkata sambil mendongak kepada isterinya itu.

“Abang mereka perlukan. Mereka tentu berkehendakkan
fikiran abang.”

“Kenapa mesti saya?”

“Kerana abang boleh memberi fikiran. Mereka bukan tak tau
abang pemah mentadbir. Tentu mereka fikir abang sangat berfaedah.”

Burhan terdiam sebentar. Dia menghapuskan kesan peluh yang
mengilatkan dahi dan kepalanya. Dia tahu benar isterinya itu memang
memandang berat akan pasang surut hidupnya. Sejak akhir-akhir ini
baru Burhan mengenal akan kesetiaan dan ketinggian budi isterinya
itu. Sanggup mengharung gelombang samudra dari tepian ke tepian
bersamanya.

“Betulkah mereka memerlukan saya?” Burhan meragukan
surat itu.

“Apa abang masih tak percaya?”

171

“Entahlah, tapi . . .

“Tapi, abang masih takut bukan?”

Burhan membatu lagi. Hatinya berdebar semula.

“Abang takut pada mereka?” ulang Putih.

Burhan mengangguk. Dia masih belum dapat menghilangkan
ketakutan itu. Puaslah dia menepis-nepis ingatan-ingatan yang
bermain dalam kepalanya. Wajahwajah Lebai Mat, Pak Itam, Suki,
Hasyim, Latif dan ramai lagi itu masih jelas bagai di layar putih di
ruang matanya. Bukankah mereka itu yang melaporkan saya kepada
B.S.N. dulu? Terlintas pula ingatan itu di kepalanya sekarang.

Tapi itu kisah yang sudah berlalu. Mereka tentu sudah senang
hati. Dan saya telah dihukum. Tidak berfaedah lagi mengingat-ingat
akan hal itu. Saya sudah insaf. Sudah kembali kepada diri saya.
Sedang kembali mengingat Allah. Amat dilarang membalas dendam.

“Saya fikir mereka masih mendendam saya, Putih.”

“Dah berapa lama abang berfikir begitu?”

“Kalau tidak, mengapa dijemput saya ke surau? Tentu mereka
nak mengajar saya. Tentu mereka menunggu saja kedatangan saya tu
nak melepaskan dendam.”

“Kita baru tiga bulan tinggal di sini dan abang telah menaruh
perasaan yang bukan-bukan kepada orang-orang di sini. Tuhan
murka.”

Lagi Burhan merasa hatinya terpalu oleh kata-kata Putih itu.
Bagaimanapun dia tak menampakkan kejengkelannya.

172

“Kalau saya pergi juga, apa akan mereka buat kepada saya?”

“Tidak apa-apa,” Putih meyakinkan lagi. “Apa abang takut
pada manusia?”

Burhan tidak mengangguk lagi. Sebenamya dia hendak
menjawab bahawa dia bukan takutkan Tuhan. Dia takut pada
perbuatannya sendiri. Kesalahannya yang telah lalu itulah membuat
dia sampai sekarang merasa sakit. Kesalahan itulah juga membuat dia
merasa tersingkir. ”

“Tapi, Putih, maukah mereka memaafkan saya?

“Selagi abang tak ke surau selagi itulah abang berfikir begitu.
Dan selagi itulah abang merasa takut.”

“Tapi, dosa saya pada mereka, besar, Putih. Saya telah
menganiya mereka. Hidup mereka, anak isteri mereka, dan . . ” Burhan
tiba-tiba kehilangan kata-kata. Dia berasa sedih benar. Dia menghela
nafasnya panjang-panjang dan menghembuskannya. “Aku akan ke
surau malam ini,” parau suaranya.

Menjelang maghrib Burhan sudah siap mandi dan berpakaian.
Dia memakai baju teluk belanga kuning lumpur, berpelikat biasa dan
berketayap putih yang masih keras. Duduk berehat di atas kerusi rotan
sambil menyedut dalam-dalam paip kenangan ketika menjadi pegawai
dulu.

“Assalamualaikum!” satu suara serak menyapa di luar.

“Alaikumsalam!”

Burhan bergegas ke serambi, menjenguk ke bawah.

173

“Oh, Lebai Mat! Silakan naik.”

Burhan menyambut dengan hormat di muka pintu. Hatinya
mulai berdebar-debar dan tertanya-tanya. Apakah tujuan Lebai Mat
datang petang-petang begini? Dia masih ingat, pernah mengecewakan
hati Lebai Mat waktu memohon tanah kerajaan dulu. Dia bukan saja
dikecewakan bahkan disindir tajam di depan orang lain.

Burhan mempersilakan Lebai Mat duduk setelah bersalaman.
Putih menjengukkan muka sekejap, kemudian menghilang ke dapur
semula.

“Saya baru saja dapat tau yang tuan tinggal di kampung ini.”

Burhan rasa tersindir juga bila dia dipanggil ‘tuan’. Tapi
mungkin Lebai Mat ikhlas dan hendak menunjukkan budi bahasanya.

“Ya, saya baru tiga bulan diam di sini.”

“Tapi dah lama benar saya tak nampak tuan.”

“Benar, Lebai. Saya selalu uzur . . . ” Sebenamya Burhan sukar
benar hendak menjawab soalan itu. Dibiarkannya suasana sepi
seketika.

“Tuan, tujuan saya datang ni hendak menjemput tuan ke surau
malam ini. Kita akan bermesyuarat, hendak memutuskan beberapa
perkara. Jadi, kami fikir tentu tuan boleh beri fikiran dan nasihat.
Kami ni maklum sajalah . . . ”

“Terima kasih, Lebai, kerana jemputan itu. Tapi, pikiran saya
ni apalah sangat. Saya orang tua. Kan ramai yang muda-muda di sini
yang berkebolehan.”

174

“Tapi, tuan, budak-budak muda itu pemarah benar. Sedikit
kena bangkang dah merajuk.”

Perbualan mereka makin rancak dan lancar. Melarat-larat
hingga menyentuh kisah lama. Sesekali Lebai Mat tertawa terbahak.
Burhan tersengih memanjang dan sesekali tersentuh juga hatinya.
Putih keluar membawa hidangan lalu mereka pun minum.

“Kami tunggu juga tuan di surau, tapi . . . ” cetus Lebai Mat
tertawa.

“Bukan saya tak mau ke surau tu, Lebai, tapi . . . ”

“Tuan uzur?”

“Hmmm, lebih baik saya berterus-terang, Lebai.”

“Apa yang hendak tuan terus-terangkan tu? Apa tuan masih
nak kenang peristiwa lama? Kan itu perkara dunia,” Lebai Mat seolah-
olah dapat membaca air muka Burhan sambil tersenyum-senyum
menampakkan giginya yang masih tinggal beberapa batang.

“Benar, Lebai, itu perkara dunia. Tapi dunia inilah yang
mencelakakan saya. Dan dunia inilah juga yang mengajar saya.”

“Saya tidak menyangkal pendapat tuan itu. Memang dunia ini
dijadikan begitu oleh Tuhan. Tapi terserahlah kepada manusia
menilainya. Kan otak kita ni satu alat yang paling istimewa kumiaan
Tuhan? Alangkah amat berfaedahnya kalau otak manusia itu
digunakan sepanjang waktu untuk mengawal diri?”

“Saya akui pendapat Lebai tu. Tapi manusia ini juga yang
lemah. Kadang-kala saya sendiri pun macam tak percaya kepada diri

175

sendiri. Otak yang saya miliki ini pun kadang-kadang tak dapat
bekerja seperti maksud Lebai itu.”

Lebai Mat tertawa besar. Dia tahu Burhan hendak
mengendurkan keseriusan yang nampak kian jelas pada muka dan
tutur katanya. Burhan tak menyangka pula Lebai Mat yang pemah
dianggapnya bodoh di pejabat dulu rupanya bukan demikian. Malah
sekarang dia kagum dengan hujah-hujah Lebai Mat yang menyenak
ke otaknya.

“Kita lupakan saja perkara yang sudah tu, tuan.”

“Betul, Lebai. Saya dan Lebai boleh melupakannya. Tapi
bagaimana pula dengan yang lain-lain tu?”

Lebai Mat tertawa kecil, bertali-tali. Perasaan Burhan tak
menentu sebentar. Dia gugup. Berdebar sedikit dadanya.

“Janganlah tuan menyimpan apa-apa syak lagi. Kami sudah
pun sepakat di surau. Pendeknya sedangkan Nabi lagi mengampunkan
umatnya.”

“Jadi, mereka memaafkan saya?”

Lebai Mat tersenyum sambal mengangguk penuh yakin.

“Lapang dada saya, Lebai, ” kata Burhan sambal geleng-
geleng kepala mengurut dadanya.

“Barangkali tuan menyangka yang bukan-bukan terhadap
kami agaknya selama ini.”

176

“Benar, Lebai,” Burhan mengangguk lagi. “Saya fikir saya
akan terus disingkirkan orang. Saya fikir tentu orang mendendami
saya lagi.”

Lebai Mat mau melupakan saja perkara itu. Lalu ia pun
mendendami saya lagi.”

Ketenangan senja itu terkocak oleh alunan suara azan Maghrib
dari pembesar suara surau. Burhan kenal benar akan suara yang
melambai-lambai itu. Suaranya lunak dan sedap mengalun. Itulah
suara dari lidah Pak Itam yang pernah dihinanya kerana tidak tahu
bertutur dengan baik semasa menemuinya di pejabat dulu.

177

17. KETAKUTAN

PAGI yang direnjis renyai, sejuknya menusuk tulang, aku baru saja
selesai menunaikan fardhu subuh. Telekung dilipat dan disidaikan
baik-baik. Hati terasa lapang sedikit kerana tanggungjawab sudah
disempurnakan. Perintah Tuhan sudah ditunaikan.

Tapi, di bilik sebelah aku dengar dengkur ayah. Ayah masih
mendengkur, bergulung di bawah selimut tebalnya. Enak dengan
hangat dari suhu badannya sendiri. Di luar renyai hujan masih
berkemerabai turun. Semakin kasar dan tajam menjunam ke bumi.

Dan ayahku masih juga mendengkur. Tadi sudah dua kali
kukejutkan ia: Ayah dah subuh. Ayah, dah subuh. Tapi kejutan itu
tidak diendahkan. Ayah terus juga mendengkur. Matanya masih juga
terpejam erat. Terlalu letih barangkali ayah kerana kelewatannya
pulang malam tadi.

Ya, Allah, kembalikanlah ayahku seperti sediakala.

Aku berdoa panjang tadi. Dalam titis air mata, aku mengenang
nasib yang menimpa diriku juga. Lagi aku tunduk dan menghambakan
diri padaMu, ya Allah. Kembalikanlah ayahku seperti sediakala. Aku
ingin melihat tali yang putus itu bersambung semula. Sudah putuskah
tali itu?

Benar-benar aku dalam ketakutan sekarang. Ketakutan yang
kini menyelubung dan menjerut seluruh badan. Dalam termangu aku
cuba juga mengumpulkan kekuatan dalam diri. Berikan padaku
kekuatan itu ya, Allah.

Kematian ibulah yang menyebabkan punca ketakutanku. Dari
saat ituluh kulihat ayah sudah tergelincir jauh dari landasan suci itu.
Dari semenjak itulah ayah sudah menyeleweng ke persimpangan jalan

178

yang tak kuduga. Akan lebih jauhkah ayah akan menyimpang?
Semakin difikir semakin ganas ketakutan itu menyerang. Semakin
direnung semakin berat ketakutan itu menyerkup datang.

“Zaleha, kalau kau nak minum, airnya dah siap atas meja.“
Makcik Diah menjenguk di pintu kamar. Mukanya bersih dan jujur.

“Kita minum sama, Makcik."

Makcik Diah, orang gaji yang setia itu merenung legat padaku.
Dia bersetuju. Minumlah kami semeja di dapur. Kopi panas itu
kuhirup saja tanpa mengusik kuih-muih yang disediakan oleh Makcik
Diah. Fikiran masih melayang dan ketakutan masih menguasai
perasaan.

Ketakutan itulah yang membuat aku kadang-kala lupa pada
diri sendiri. Aku takut pada tindakan ayah seterusnya. Aku takut. Aku
takut pada diri sendiri. Dan aku takut pada Tuhan!

Apakah yang kutakutkan?

Makcik Diah bukan orangnya yang tidak mengerti akan hal
yang berlaku. Sudah dua puluh tahun Makcik Diah bekerja di
rumahku. Ia pandai memasak dan mengurus rumah. Dan hari-hari
kami makan air tangannya itu.

“Makanlah, Zaleha. Makcik lihat badan kau dah susut.” Aku
cuba mengunyah sepotong kuih. Tapi kuih yang baru kutelan itu pun
tak dapat menghapus ketakutanku. Malah air yang kuminum itu pun
tidak dapat melenyapkan perasaan yang kacau.

“Jangan kau susah hati lagi, Zaleha. Sebentar saja ayah kau
akan berperangai begitu. Nanti dia akan kembali seperti dulu. Hanya
hatinya saja sekarang belum tenteram.”

179

Aku tahu Makcik Diah memang mengambil berat segala hal
yang berlaku di sekitar keluargaku. Sungguhpun ia hanya orang gaji
kami, tapi setiap riak dan alun yang menggulung dalam arus hidup
keluargaku diambil beratnya. Memang dia seorang janda yang tak
punya anak dan tak punya keluarga yang rapat. Tapi kebajikannya
kepada kami membuat kami menganggapnya salah seorang anggota
keluarga kami juga.

Dan aku sendiri terhutang budi kepada Makcik Diah. Dialah
yang mengajar aku mengaji Quran. Lalu aku pemah diangkat sebagai
johan pertandingan membaca Al-Quran sekolah dulu. Dialah yang
giat mengajar aku sembahyang. Lalu sembahyanglah aku seperti
orang-orang Islam lain. Lantas sembahyanglah kami termasuk ayahku
juga.

“Takkan sampai hati ayah kau berbuat begitu,” Makcik Diah
hendak menghapuskan ketakutanku.

Aku tunduk, mata terkelip-kelip, lalu teresak-esak. Bahuku
yang bergoncang dipegang oleh Makcik Diah.

“Makcik tahu, ayah kau hanya kusut fikiran. Bila tenang nanti
tentu dia akan berbalik ke pangkal jalan. Makanlah, Zaleha. Badan
kau dah susut benar. Nanti kau sakit.”

“Ayah dah banyak berubah, Makcik. Dulu sembahyang,
sekarang tidak. Dulu ayah tak pernah sentuh minuman itu. Tapi
sekarang tiap malam bila pulang mulutnya berbau minuman itu. Dulu
dia di rumah saja menghabiskan malamnya. Tapi sekarang ayah di
kelab sampai pagi.”

Makcik Diah menggeleng-geleng. Aku mengesat air mata
untuk kesekian kalinya. Hati di dalam turut menangis. Tangisanku ini

180

benar-benar berlagu ketakutan dan kebimbangan. Badan terasa bagai
terapung dilambung-lambung kegelisahan yang mencemaskan itu.
Bibir Makcik Diah sudah kering menasihatiku. Tapi bekasnya tidak
kurasakan. Malah ketakutan yang menghantu itu juga yang datang
bertalu-talu.

Kalau ibu masih hidup segalanya ini tidak akan berlaku. Arus
hidup keluargaku akan mengalir aman dan tenang. Aku akan terus
hidup bahagia dengan segala kemewahan keluarga. Harta kekayaan
ayahku sendiri sudah menjamin kebahagiaan di samping beribadat.

Tapi ibu sudah pergi tiga bulan Ialu. Kehilangannya inilah
yang meributkan hidup dalam keluarga. Tiba-tiba saja ayah berubah
perangai. Dari seorang yang menyembah Tuhan menjadi seorang yang
melupakanNya. Dari seorang yang mentaati ajaran Islam menjadi
seorang yang tidak menghiraukannya Iagi.

Makcik Diah bukan orangnya yang tidak memahami sejarah
keluargaku. Ayah datang dan keluarga Tionghua. Ibu, orang Melayu
turunan Sumatera Barat yang sudah lama menetap di negara ini.
Tuhan telah memperjodohkan ayah dan ibu bersebab cinta sama cinta.
Lalu lahirlah aku ke dunia ini sebagai zuriat orang Islam. Dan besarlah
aku di bawab naungan mereka. Diberilah aku pelajaran seperlunya
bingga ke peringkat universiti.

“Percayalah, Zaleha. Takkan sebodoh itu ayah kau mengambil
sikap. Kaulah satu-satunya anaknya. Takkan sanggup dia
menghancurkan hati kau.”

“Tapi, Makcik, ayah mungkin akan hilang pertimbangan.
Tengok Ai Lian, dua pupunya itu. Selalu benar dia datang menemui
ayah. Selalu benar dia mengumpan ayah sekarang. Saya takut ayah
dapat diperdayakannya. Saya takut ayah akan mengahwininya.”

181

Kalau ayah kahwin dengan dua pupunya itu sudah tentu ayah
akan melucutkan agamanya. Sudah tentu ayah akan beralah. Kerana
penentangan dari keluarga ayah terhadap pengislamannya dulu pun
amat hebat. Dan aku berani bertaruh bahawa Ai Lian yang selalu
mengunjungi ayah itu pasti dapat mengheret ayah keluar agamanya.
Ai Lian terkenal dengan cantiknya. Pemah menyandang ratu beberapa
kali dalam pertandingan merebut ratu cantik. Dan setiap kali ia datang
ziarah ayah di rumahku ia akan berpakaian menjolok mata. Aku amat
benci melihatnya.

Kalau ayah ditakdir kahwin dengan wanita gatal itu? Ah,
sudah barang tentu ayah akan sekuali dan sehidangan makan
dengannya. Ayah akan makan babi semula. Ayah akan makan sup
katak dan entah apa-apa lagi. Ayah akan dapat anak yang akan tidak
lagi turunan Islam.

Dan aku ini bagaimana? Oh, Tuhan! HambaMu mohon
janganlah ditakdirkan begitu. Aku takut. Aku bimbang. Berkecai
semua urat nadiku memikirkan semua ini.

“Kau ni, Zaleha, selalu benar memikirkan perkara yang bukan-
bukan. Makcik tahu kau mengikat diri kau sendiri. Makcik tahu kau
menakut-nakutkan diri kau sendiri dengan andaian-andaian kau,”
Makcik Diah setiap kali berkata demikian akan merenung dalam-
dalam ke anak mataku. Aku tahu dia ikhlas.

“Kemungkinan berlakunya tak dapat dinafikan, Makcik.”

“Itulah Makcik selalu bilang jangan terlalu melayan pikiran.
Kepala kita ni tempat mainan syaitan. Apa yang harus kau buat ialah
bersabar. Jangan lupa kepada Tuhan. Jangan alpa sesaat pun
kepadaNya. Hanya dengan berbuat demikian pikiran kau akan
tenang.”

182

Demikian Makcik Diah memberi aku ingat selalu. Demikian
ia mengajarku sedari kecil lagi. Tunduklah aku beberapa ketika
mendengar nasihatnya itu. Aku mengerti Makcik Diah bukan
orangnya yang suka melihat orang lain jadi jahanam. Dan masakan
aku belum mengerti pula bahawa Tuhan itu berserta dengan orang
yang sabar menghadapi apa juga cubaan dan rintangan hidup.

Sekarang tiba lagi cubaan Tuhan itu kepada hambaNya. Aku
tertidur di bangku panjang menunggu ayah. Lewat malam itu ayah
pulang dihantar oleh sahabat sepemiagaannya. Ayah mabuk agaknya.
Ayah berjalan hoyong-hayang dipapah oleh temannya itu. Mulut ayah
bau arak. Seisi ruang itu sudah bau arah. Lalu kupimpin ayah dan
kududukkan ia di atas kerusi panjang. Air mata sudah terasa mengalir
panas di pipi. Hati di dalam sudah sebak.

Ayah mulai merepek, meracau dan tertawa gila. Tersedu dan
meracau lgi.

“Mana Makcik Diah kau?” suara ayah longgar dan meleweh.

Aku tidak kuasa menjawab kerana ayah mabuk. Ayah tidak
siuman. Orang yang tidak siuman bercakap yang bukan-bukan. Aku
hendak ke dapur saja mendapatkan segelas air limau kapas. Dengan
segelas air limau kapas masam itu ayah akan siuman semula.

“Mana Makcik Diah kau?” bentak ayah. Matanya merah
menyerlah menghalaku. Rambutnya kusut-masai.

“Dia dalam biliknya,” jawabku dengan perlahan.

“Pergi panggil.”

“Dia tengah tidur.”

183

“Bangunkan.”

Aku kecut lalu bergegas ke bilik Makcik Diah. Kuketuk pintu
dan kubangunkan dia. Aku berlari ke dapur menyediakan air limau
kapas masam. Sebentar kemudian kami sudah berada tercegat di
depan ayah. Air limau yang kuhulur digogoknya. Tapi matanya yang
merah saga itu terus merenung dan merenung kami bergilir-gilir.
Badan ayah kelihatan begitu letih. Tapi dalam keadaan demikian ia
cuba mengumpulkan tenaga untuk meluahkan sesuatu kepada kami
berdua.

“Kau orang tau mengapa aku buat begini? Kau orang mengerti
kenapa aku jadi begini?” suara ayah masih longgar melewih dan
sesekali tersedu.

Makcik Diah tunduk. Ayah yang berwajah kusut itu kurenung
juga melalui air mata yang menggenang.

“Jangan kau berdua tak mengerti. Aku buat begini kerana
hendak hapuskan rungsing dan rindu. Kematian ibu kau, Zaleha
memabukkan aku. Semenjak dia pergi hati aku luluh. Dan hanya
dengan berbuat begini aku dapat melupakan ibu kau sekejap,” ayah
tersedu lagi. Sendawa. Bau arak masih semerbak dalam ruang.

Selamanya aku dapat memahami keluhuran cinta ayah
terhadap ibu. Sepanjang hayatnya ibukulah tempat ayah menumpukan
kasih sayang.

“Tapi perbuatan ayah ini berdosa. Ayah bukan tak tau,”
suaraku cepat menerkam.

Ayah menggeleng. Menggeleng lagi ia seperti hujahku tadi
tidak dapat diterimanya langsung.

184

“Encik harus bersabar, encik. Bersabar itu sebaik-baiknya.
Setiap yang hidup akan mati. Ini memang kehendak Tuhan . . . ”
Makcik Diah pula menghamburkan suaranya terketar-ketar.

Ayah tertawa saja sambil menggeleng-geleng lagi.

“Cuba lihat tubuh badan aku ini. Sudah kurus bukan? Kurus
menahan sabar. Kau orang harus mengerti. Kau berdua mesti
mengerti! Aku minum untuk hilangkan runsing. Aku ke kalab-kelab
malam untuk hapuskan rindu pada Zaitun.”

“Tapi perbuatan ayah ini tetap dikutuk Tuhan. Tuhan benci
pada orang yang tak dapat menguasai fikiran dan diri. Ayah tau
bukan?”

Ayah terdiam. Dia terbatuk dan tersedu.

“Leha fikir ayah boleh tenangkan fikiran dengan mengingati
Tuhan. Ayah boleh tenteramkan perasaan dengan sembahyang.”

Ayah mendongak. Matanya masih merah merenungku.
Kemudian pandangannya dialih kepada Makcik Diah. Makcik Diah
mengangguk-angguk.

“Kalau ayah ke masjid, dada ayah akan berasa lapang dari jika
ayah ke kelab malam.”

Ayah merenungku lagi. Lepas itu merenung Makcik Diah
pula. Makcik Diah mengangguk-angguk lagi.

Ayah menekup matanya. Rupanya dia menangis. Lalu ia pun
mengongoi tiba-tiba macam budak. Dan kami tinggalkan ayah di situ.

185

Ai Lian datang lagi petang itu. Dan aku bertambah takut.
Ketakutanku bukan kerana memikirkan ayah akan terpikat lalu
mencurahkan hartanya kepada gadis itu. Sebenarnya harta padaku
tidak bermakna lagi. Yang aku takut Ai Lian akan mengheret ayah
keluar agamanya. Benar-benar aku takut kalau ayah kahwin gadis
kafir Tionghua itu. Apakah akan jadi akhimya.

Bukan aku takut beribu tiri. Malah aku senang kalau ayah
cepat kahwin. Aku mahu lihat ayah kembali ke pangkal jalan. Aku
gembira kalau ayah kahwin sekarang sebenamya. Tapi biarlah kahwin
dengan perempuan Islam.

Ia memakai skirt pendek merah pinang masak. Rambutnya
yang terhurai itu sengaja digerbangkannya begitu. Percayalah, lelaki
mana pun akan terpempan memandang Ai Lian berpakaian begitu.
Tapi mataku ini amat meluat memandangnya. Hatiku radang bukan
kepalang kalau ia datang ke rumahku dengan pakaian yang menjolok
mata.

“Ayah kau ada di dalam?” tegumya bila melihat aku berdiri
dekat pintu.

“Ada.”

“Saya nak bertemunya.”

“Boleh. Tapi nanti; ayah sedang mandi.”

“Terima kasih.”

Gadis yang kubenci itu lalu mengambil tempatnya di ruang
tamu. Aku menjelingnya saja dengan ekor mata.

186

Memang dia seorang yang beradab sopan. Tidak sombong
pula kepadaku. Setiap kali ia datang ke rumahku akan kelihatanlah
ramah mesranya. Dan inilah yang menambah ketakutanku lagi. Dasar
seorang perempuan yang mahu memikat hati lelaki haruslah
menunjukkan watak-watak demikian. Senjata yang aku pasti dapat
menundukkan ayah sudah ada pada gadis kafir Tionghua itu. Bila-bila
saja ia akan dapat menguasai jiwa ayahku.

“Ayah kau itu perlu ditenangkan pikirannya," kata Ai Lian.
“Saya nampak jiwa ayah kau itu hampir akan kosong. Saya takut
fikirannya akan terganggu. Saya takut perniagaannya akan terjejas
pulak.”

Dengan apakah Ai Lian akan menenangkan fikiran ayah?
Dengan kembali menyembah Tok Pekongnya akan mententeramkan
jiwa ayah? Takutku bertambah galak datang menghempap hati.

“Sudah puas kami nasihatkan dia. Sudah puas kami suruh dia
bersabar. Tapi ayah degil.”

“Memang dia benar-benar merasakan kehilangan ibu kau.
Kematian tiba-tiba ibu kau membuat dia betul-betul bingung.”

Sudah disebut-sebutkannya pula ibuku. Dia bukan tidak tahu
ibuku sudah meninggal. Dia bukan tidak tahu ibuku yang tiba-tiba saja
menemui Tuhannya bersebab darah tinggi. Dia bukan tidak tahu
bahawa segala yang berlaku berpunca dari kematian ibuku. Ah,
dasarnya yang mau menggantikan tempat ibuku! Jelas benar ia mau
mengahwini ayah.

Kedatangannya petang itu benar-benar menjelaskan
maksudnya hendak memiliki ayahku. Jelas dia mau takluk seluruh
jiwa ayah. Gadis kafir ini harus dihalau saja keluar dari rumah. Dia
akan terus memujuk ayah. Dia akan terus memikat ayah. Dia akan

187

mengahwini ayah. Ayah akan kahwin gadis kafir kutukan Tuhan ini.
Ayah akan menyembah Tok Pekongnya. Pemeluk-pemeluk agamaku
akan mengeji dan mengejek. Aku akan jadi bahan gossip di kalangan
teman-temanku di kampus apabila kembali nanti. Dan mungkinkah
masyarakat akan menyingkirkan aku pula?

Hati ini belum dapat ditenangkan walau dengan bersabar
sekalipun. Gadis kafir Tionghua yang duduk di depanku ini benar-
benar membimbangkan. la datang di petang-petang yang nyaman ini
untuk bertemu dengan ayah. Ia datang hendak mengajak ayah keluar
menghirup petang bersamanya. Katanya hendak mementeramkan hati
ayah. Hendak mengubat hati ayah yang telah parah konon! Cih, dasar
perempuan keparat.

Aku tak berniat hendak memberinya minuman kerana hati
terlalu radang. Malah mau rasanya aku menghambat dan
menghalaunya keluar rumah sekejap itu juga. Tapi ayah sudah keluar
dari biliknya. Sudah siap dia berkemas dengan baju batik cerah dan
berseluar abu berkilat-kilat. Ayah tidak terperanjat melihat Ai Lian
yang duduk menanti hampir terlunjur di depanku. Kedatangan gadis
ini sudah tentu diketahuinya lebih dulu melalui telefon.

“Zaleha, mungkin ayah akan pulang lewat sikit malam ini. Ada
urusan penting yang harus dibereskan. Jangan tunggu ayah. Kunci
rumah sorokkan di tempat biasa,” ayah berpesan, lalu keluar diekori
gadis sial itu.

Lagi tinggal aku sendirian menangis. Air mata bagai akan
kering rasanya. Rupanya Makcik Diah yang sedari tadi memerhatiku
dari belakang tabir perlahan-lahan datang mendekatiku.

“Makcik tau bagaimana perasaan kau, Zaleha.”

188

“Tentu Makcik tau. Tapi apa yang dapat saya lakukan
Makcik?”

“Bersabarlah, Leha. Makcik percaya segala-galanya akan
berakhir dengan baik. Tuhan tidak akan mempersiakan doa kau.
Sesungguhnya Tuhan amat mengasihani dan amat penyayang.
Bersabar dan berdoalah kepadanya.”

Aku menangis terus. Tak dapat hendak menahan air mata yang
mahu hendak membendung perasaan getir yang menyebak dada.
Sungguh aku sudah lemah.

“Makcik, mungkinkah ayah akan kahwin dengan Ai Lian?"

Makcik Diah tidak menjawab. Menggeleng tidak,
mengangguk pun tidak. Lantas aku dirangkulnya saja rapat ke
dadanya. Aku merasa seolah-olah dirangkul oleh ibuku sendiri. Dan
ini membuat aku menangis teresak-esak pada bahu Makcik Diah.

Ayah sakit tiba-tiba, lalu dimasukkan ke rumahsakit.
Terlantarlah ayah dalam wad dengan badannya bertambah susut setiap
hati. Tidak kupastikan apakah penyakit ayah, tapi doktor bilang suruh
ayah berehat banyak-banyak dan jangan ganggu fikirannya.

Tapi setiap kali aku ziarah ayah, gadis kafir keparat itu ada saja
menunggu ayah di tepi wad atau di tepi ranjangnya. Ayah dihantarnya
makanan istimewa. Berbagai jenis makanan diletakkan di atas meja di
tepi katil buat ayah. Dan hati ini tidak akan senang kalau tidak mataku
mengerling ke dalam bekas makanan. Siapa tahu entah-entah dalam
makanan yang berminyak itu dicampur daging babi. Aku genyi.

“Ayah kau ini perlu rehat. Kata doktor dua hari lagi dia akan
sembuh betul,” Ai Lian hendak menyenangkan hatiku barangkali.

189

Oh, syukurlah. Ayah akan sembuh. Dia akan sihat dan
dapatlah meneruskan perniagaannya semula. Tapi bagaimana nanti
kalau ayah betul-betul akan kahwin gadis Tionghua itu? Sedang Ai
Lian nampaknya sungguh-sungguh benar memikat hati ayahku.
Jasanya sudah banyak dicurah kepada ayah. Kalau hati ayah sudah
tertawan mudah benarlah ayah akan diseret keluar dari agamanya.

“Jangan bimbang, Zaleha. Saya akan jaga ayah kau dengan
baik,” tambah Ai Lian sambil menunjukkan wajahnya yang penuh
jujur.

Bagaimana hati ini tidak bimbang? Bagaimana setiap waktu
hati ini tidak diperah ketakutan?

Ketakutan ini makin menggalang dalam kepala pula. Makan
tidurku sudah tidak sempurna lagi. Makcik Diah tidak henti-henti
memberi ingat. Aku disuruhnya lagi bersabar dan mengingat Tuhan.
Disuruhnya lagi berdoa memohon kepada Ilahi agar kembali seperti
sediakala.

Doaku sudah dimakbulkan Tuhan. Semenjak ayah keluar
rumah sakit dia tidak ke kelab malam lagi. Pulang saja dari urusan
hariannya dia akan duduk diam-diam di rumah. Ayah jadi seorang
pendiam. Dia sudah mulai sembahyang. Lega hatiku sekarang.
Bersyukur lagi aku kepada Allah.

Tapi ketakutan yang menyerangku itu belum juga hapus bila
Ai Lian datang lagi ke rumahku. Seperti biasa kedatangannya memang
membawa hajat hendak bertemu ayah. Ayahku masih dihajati untuk
terus memasukkan jarum citanya.

Petang itu Ai Lian tidak mengajak ayah keluar menghirup
angin. Mereka kelihatan bercakap-cakap amat serius di ruang tamu.
Memang bahasa Hokkian aku tidak mengerti. Tapi wajah Ai Lian

190

membayangkan kesungguhannya. Perbualan itu begitu rancak dan
berjalan begitu mesra.

“Zaleha!” panggil ayah.

“Saya, ayah.” Aku melangkah ke mang tamu dari balik tabir.
Ayah menyuruh aku duduk di depannya, di sebelah Ai Lian, gadis
yang merisaukan hatiku itu.

“Sudah tiba masanya ayah nak bercakap torus-terang dengan
kau,” ayah bersuara penuh kesungguhan. Aku mendongak dengan hati
berdebar. Darah terasa merentas naik. Aku menunggu. Dup dup dup
bunyi jantung.

“Ya, Zaleha,” tambah Ai Lian. “Untuk kebaikan ayah kau dan
untuk kebaikan kita juga.”

“Maksud ayah?” “Lihatlah gadis di sebelah kau ni. Dia bukan
orang lain. Berasal dari keluarga ayah juga.”

“Zaleha belum faham.”

“Ini Ai Lian. Dia akan jadi ibu kau.”

“Apa?”

“Ya, ayah akan kahwin dengannya. Ayah harap kau setuju.”

“Ayah!! Mengucap!”

“Kau terperanjat?” ayah sedikit tersenyum. Ai Lian legat
memandang muka ayah.

“Ayah nak kahwin dengan Ai Lian ini?”

191

“Benar. Apa kau tak mahu beribu tiri?”
“Bukan tak mahu beribu tiri. Tapi .....
“Kerana Ai Lian beragama lain?”
“Ayah bukan tak mengerti. Orang Islam tak boleh kahwin
dengan orang kafir.” Lagi ayah tertawa terbahak-bahak. Ai Lian masih
legat memandang muka ayah.
“Jangan kau tak tahu, Zaleha. AI Lian sudah memeluk agama
islam. Dia bersetuju akan kahwin dengan ayah.”
“Ai Lin sudah islam?”
“Benar,” jawab Ai Lian. “Say sudah lama memikirkannya.
Dengan dorongan hati sendiri. Saya harap ayah kau akan bahagia
semula.”
“Kau dengar itu, Zaleha?”
“Dan nama saya sekarang Faridah.”
Ayah tertawa lagi. Oh, Tuhan menghidangkan minuman
kehairanan melihat kami bertiga serentak tertawa.

192

18. SEBUAH KUBURAN

MADERUS sudah siap merumput kuburan yang tak bernisan, tapi
hanya berkalang air itu. Atas kuburan tidak terdapat walau sehelai
rumput pun lagi. Kecuali dua batang pokok puding berdaun merah
belak-belak kuning hijau yang sememang dibiarkan hidup subur.
Daun puding berwama-warni itu meninggalkan semacam rasa
kedamaian dalam hati Maderus.

Ditolehnya keliling bermaksud membanding kuburan itu
dengan kuburan-kuburan lain yang bertaburan di sekitarnya. Ternyata
kuburan itu yang paling bersih dari rumput-rampai. Lain halnya
dengan kuburan-kuburan yang penuh semak-samun setinggi
pinggang.

Maderus puas hati. Dia merasa sudah menunaikan kehendak
ibunya dengan merumput bersih kuburan itu. Memang dia tidak akan
membiarkan pusara ibunya dicemar rumput liar dan menyemakkan
itu. Dan setiap pagi Jumaat dia akan ke mari merumput sambil
membisikkan beberapa potong ayat suci yang dapat diingatnya.

Dengan dada lapang ia meninggalkan pusara itu. Bergeraklah
ia menghayunkan kaki kanannya yang pengkar dan memangku tangan
kirinya yang hodoh terbengkok itu. Dengan langkah yang longgar-
longgar dan tempang itu Maderus terus saja hendak pulang. Tidak
mahu hendak ke mana-mana lagi. Tidak terniat dihatinya hendak
mundar-mandir lagl dalam kampung seperti budak-budak lain yang
tidak cacat.

Sampai pada sebatang pokok kelapa condong Maderus
berhenti. Dia tidak lagi menghela kakinya yang pengkar itu. Matanya
bertembung mata Jakin. Jakin tengah duduk sedap-sedap bersandar
pada pokok kelapa condong itu. Mata Jakin penuh ejekan
memandangnya.

193

“Dari mana engkau?” jerkah Jakin dengan senyum yang juga
dilemparkan penuh ejekan.

“Dari kubur.”

“Kubur emak engkau?”

Maderus mengangguk. Nafasnya keras ditarik satu-satu.

“Bodoh. Buat apa susah-payah?”

Mata Maderus merah. Nada suara Jakin juga penuh dengan
ejekan. Memang tak asing lagi. Si Jakin inilah budak yang mengejek
dan menyakitkan hatinya selalu.

“Kubur emak engkau akan dikorek orang. Akan dipindahkan
ke tempat lain.”

Maderus memandang legat akan gelagat Jakin yang menghina
dan mengejeknya itu. Matanya semakin merah.

“Engkau tak percaya kubur emak engkau akan dipindahkan ”
Jakin tertawa pula, menggelekek menampakkan giginya yang rongak-
rongak.

Maderus menggeleng-geleng.

“Baguslah kubur emak engkau dipindahkan. Biar jauh dari
kampung ini. Biar selamat orang-orang kampung.”

“Mengapa kau kata begitu?" '

194

“Emak engkau mati jadi hantu. Mengacau orang-orang
kampung. Semua orang takut hantu emak engkau.”

“Pernah kau tengok?"

“Disimpangkan malaikat. Tapi orang dah heboh mengatakan
hantu emak engkau menggangu orang. Orang dah takut keluar malam
hari.”

Mata Maderus makin merah. Hati sebak dan meruap-ruap.
Jakin memang anak kurang ajar. Berani mencemar nama baik ibunya.
Tuduhan Jakin mengatakan ibunya jadi hantu itu sudah keterlaluan
amat. Telinganya tak tahan lagi mendengar kata-kata itu. Maderus
mahu saja pergi meninggalkan Jakin. Jakin selalu membakar hatinya.
Dia tak mengerti kenapa.

“Engkau tak percaya kubur emak engkau akan dipindahkan
orang?”

Maderus mengetap bibir dan menggeleng-geleng marah.

“Oh, masih tak percaya! Tengok itu ramai orang di depan
rumah Tok Sidang,” Jakin menuding ke arah halaman Tok Sidang
Karim yang sedang dihadapi oleh beberapa orang yang buncit-buncit.

Maderus melempar pandangan ke sana.

“Mereka sedang berunding hendak bongkar isi kubur emak
engkau. Mereka tak mahu kubur emak engkau lagi.”

“Bohong.”

“Kalau tak percaya pergi pulang. Tanya bapak engkau. Tanya
Tok Sidang. Tanya semua orang.”

195

Lagi Jakin tertawa mengejek. Sungguh menyakitkan, dan
memilukan. Mahu saja dia mengajar Jakin yang bermulut jahat itu.
Kalaulah tidak kerana kecacatan anggotanya sudah tentu Jakin diajar
cukup-cukup. Sudah tentu mulut Jakin digonyoh-gonyoh ke perdu
pokok kelapa condong itu. Biar bibirnya, biar lidahnya hancur disagat
kulit keras pokok kelapa yang berkelarah itu.

“Bohong! Bohong!!!”

Lantas Madems meninggalkan tempat itu. Menghela kaki
kanannya yang tempang. Memangku tangannya yang hodoh
terbengkok. Dan Jakin dengan tertawa yang bertali-tali memerhatikan
Maderus berlalu terhincut-hincut.

Maderus terus pulang mahu tanya adiknya yang sekolah darjah
lima. Adiknya tentu lebih tahu darinya. Adiknya tentu pernah dengar
cerita-cerita dari orang kampung berhubung dengan tuduhan jahat
Jakin itu tadi. Kalau benarlah kubur ibunya akan dibongkar dan
dipindahkan ke tempat lain, alangkah kecewa dan hancur hatinya.

Lewat di depan rumah Tok Sidang Karim, Maderus tidak toleh
kiri kanan lagi. Dia tidak juga boleh pandang beberapa orang yang
buncit-buncit yang sedang mengadap Tok Sidang Karim. Dia tak
mahu dengar kalau ada sebarang rancangan dari orang-orang itu
hendak mencemar pusara ibunya.

Sampai di halaman rumah didapati Deraman, adiknya sedang
tertinggung-tinggung melontar-lontar guli mainannya. Kedatangan
Maderus ke sisinya tidak dihiraukan. Deraman asyik saja dengan guli-
guli kacanya yang bila dilagakannya bercempera sana sini atas tanah
laman itu.

“Deraman.”

196

Adiknya mendongak sambil mengumpul guli-gulinya.
Maderus yang berdiri tempang di depannya itu diamatinya.”

“Ayah ke mana?”

“Ke kedai beli lauk.”

“Ada tak ayah cerita tentang kubur emak?”

“Kubur emak? Mengapa?”

“Orang kata kubur emak akan dibongkar. Dipindahkan ke
tempat lain.”

“Oh, itu memang betul. Ayah pernah bercakap dengan Tok
Sidang Karim,” jawab Deraman yang masih tertinggung tidak berbaju
itu.

“Mengapa pula dipindahkan?”

“Dalamnya banyak bijih.”

“Bijih?”

“Haah. Tadi taukeh-taukeh lombong datang lagi ke rumah Tok
Sidang Karim. Bukan kubur emak saja: Kubur-kubur lain pun akan
dipindahkan juga.”

Berderau darah Maderus. Sekarang dia sudah mulai faham.
Betul kata Jakin tadi. Kuburan ibunya yang dikasihinya itu akan
dibongkar dan dipindahkan ke tempat lain. Ibunya yang terlantar
dalam perut kubur itu akan dikeluarkan. Sebuah kuburan yang dibelai

197

dan dipuja selama ini akan dijahanamkan lombong. Memang dia amat
kasih kepada kuburan itu seperti kasihnya terhadap ibunya juga.

“Mana engkau tahu semua ni?” Maderus seperti belum mahu
percaya.

“Eh, kan semua orang dah tahu. Taukeh lombong nak beli
tanah wakaf tu. Dalamnya penuh bijih. Semua orang akan dapat duit
banyak taukeh lombong beri.”

“Ke mana kubur itu hendak dipindahkan ?”

“Taukeh lombong beri tanah wakaf lain atas bukit di hujung
kampung.”

Semakin mengerti Maderus sekarang. Kuburan ibunya yang
disayanginya itu akan dijahanamkan. Akan dibongkar segala isinya.
Akan dipindahkan ke tempat lain. Ini bererti pertalian kukuh di
antaranya dengan kubur ibunya itu akan direntap ganas. Betapa
kejamnya.

Malam itu Maderus payah hendak memejamkan mata. Dalam
kepala sentiasa menjelma kuburan yang tak bernisan, tapi berkalang
air itu. Sebenarnya sudah lama ia mau kuburan itu bernisan. Din mahu
melihat dua batang nisan tercacak indah di pusara ibunya. Tapi
ayahnya tidak mampu membeli batu-batu nisan.

Mulailah dia bercita-cita mengumpul wang. Maderus ke
belukar mencari buluh-buluh liar. Batang-batang buluh dibelah-belah,
diracik-racik, diraut dan dianyamnya. Dia sudah menghasilkan
beberapa buah raga. Raga-raga itu dipasarkannya di kedai runcit Pak
Akub. Dengan wang yang terkumpul ia akan membeli dua batang
nisan berukir indah nama ibunya.

198

“Abang buat raga lagi?” tegur Deraman bila melihat Maderus
duduk bersila di halaman rumah meraut-raut bilah-bilah buluh.

“Nah beli batu nisan emak?”

“Ya.”

“Kan kubur emak hendak dipindahkan?”

Maderus tunduk saja sambil jari-jemarinya lincah meraut-raut
bilah-bilah buluh itu. Dia tak mahu bercakap banyak. Dia mahu
siapkan beberapa buah raga lagi. Kalau raga-raga itu siap dan dapat
pasaran tentunya wangnya sudah cukup untuk beli dua batang nisan.
Itulah cita-citanya.

Deraman yang tahu benar akan kegilaan abangnya itu tidak
mahu mengganggunya lagi. Biarlah dia dengan raga-raganya itu.
Deraman kembali asyik dengan guli-guli kacanya. Lagi guli-guli itu
berantukan dan bercempara sana sini di kawasan laman. Kemudian
guli-guli itu dikumpul semula.

“Deraman,” laung Maderus pula. “Ya.” “Mari kejap.”

Deraman dengan segenggam guli-guli kaca itu merapatinya. '

“Engkau tau bila orang-orang itu bongkar kubur emak kita?”

“Entah. Tapi takkan lama lagi. Sebab orang-orang kampung
suruh taukeh-taukeh itu segerakan. Mereka nak duit.

“Engkau suka kubur emak kita dibongkar dan dipindahkan?”

199


Click to View FlipBook Version