KEPELBAGAIAN INTERVENSI UNTUK KECEMERLANGAN
Tips 2. Susun Ikut Keutamaan
Memang sukar untuk menentukan keutamaan apabila kita ingin menjadi
cemerlang kerana kita merasakan semua aspek adalah penting. Jadi,
untuk mengenal pasti perkara yang paling utama, hendaklah melihat
semula kepada matlamat anda. Secara umumnya, dua soalan berikut
boleh membantu anda untuk menyusuan aktiviti mengikut keutamaan:
Pertama, tanya diri tentang kenapakah anda melakukan aktiviti tersebut?
Kedua, tanya diri sejauh mana aktiviti yang ingin lakukan itu membantu
pencapaian matlamat anda. Maka, lakukan perkara yang paling utama
terlebih dahulu. Matriks keutamaan berikut boleh membantu anda
menentukan keutamaan untuk dilakukan.
Jadual 2.2 Matriks Keutamaan
SEGERA TIDAK SEGERA
PENTING Lakukan Segera Buat Jadual
Penting dan Lakukan Segera Penting dan Lakukan
- Kerja rumah Kemudiaan
- Tugasan Sekolah - Rujukan tambahan
- Demam/Sakit - Latihan
- Kes kecemasan - Kemas kini nota
- Bacaan tambahan
TIDAK PENTING Perlu Bantuan Abaikan
Tidak Penting tapi Perlu Tidak Penting dan Tidak
Lakukan Segera Segera
- Susun jadual kelab - Media sosial
- Beli tiket bas sekolah - Menonton TV
- E-mel tertentu - Permainan video
- Panggilan telefon tertentu - Lepak
- Berbual
51
BIMBINGAN MENARA GADING
Tips 3. Membuat Senarai Tugas
Senarai tugas adalah satu sistem peringatan yang memberitahu
anda tentang apa yang perlu dilakukan. Menyimpan senarai tugasan
membantu anda tetap teratur dalam merancang kehidupan. Ia membantu
menyelesaikan hal-hal yang kecil dan mengingatkan anda supaya tidak
lupa untuk melakukan hal-hal penting. Jangan hanya menyimpan semua
yang perlu anda lakukan di dalam kepala. Sebaliknya, buat senarai
tugasan. Rancang aktiviti harian, mingguan atau bulanan dan tampalkan
di dinding yang kerap anda nampak. Susunkan keutamaan item pada
senarai tersebut menggunakan matriks tersebut. Perlu tulis dengan
jelas target untuk anda siapkan dan pastikan anda memberitahu orang
yang rapat dengan anda kerana ia menjadi satu desakan psikologi untuk
siapkan sebelum tarikh tersebut.
Tips 4. Waktu yang Produktif
Jadual dapat membantu daripada kekeliruan dan kehendak. Sekiranya
anda seorang yang bangun pada awal pagi dan dapat melakukan aktiviti
yang produktif maka, anda perlu menyusun aktiviti dan tugasan yang
penting pada waktu pagi. Hal ini kerana waktu tersebut merupakan
waktu anda mampu untuk melakukan sesuatu yang kreatif dan produktif.
Namun, sekiranya kreativiti anda meningkat pada waktu petang maka
lakukan tugasan yang penting di waktu petang dan tugasan santai
seperti melihat e-mel atau membalas panggilan telefon pada waktu
pagi. Anda perlu memahami irama diri sendiri dan memanfaatkan masa
dengan aktiviti yang betul. Ingat, anda tidak mencari masa untuk perkara
penting tetapi, anda meluangkan masa untuk melakukan perkara
penting dengan penjadualan.
Tips 5. Satu Kerja Satu Masa untuk Hasil Berkualiti
Adakah anda merasakan masa menjadi lebih berkualiti jika anda
boleh melakukan banyak aktiviti pada satu masa, seperti bercakap
di telefon sambil melayari Internet dan mencatat nota. Multitasking
boleh menjejaskan kualiti kerja anda. Lakukan satu tugasan pada satu
masa. Menyiapkan satu tugasan sebelum tugasan yang lain membawa
kepada penggunaan masa yang lebih baik berbanding menghabiskan
52
KEPELBAGAIAN INTERVENSI UNTUK KECEMERLANGAN
masa menyiapkan pelbagai tugasan pada satu masa. Sekiranya anda
lebih gembira dan cenderung untuk melakukan multitasking, anda perlu
dilatih.
Tips 6. Kurangkan Gangguan
Panggilan telefon daripada rakan, media sosial, mesej mahupun berbual
dengan rakan ketika belajar atau menyiapkan tugasan merupakan
satu gangguan dan halangan kepada penggunaan waktu yang efektif.
Kegelisahan dan terleka akan menghilangkan tumpuan dan menghalang
anda daripada menyiapkan tugasan dengan baik. Ia juga boleh menjadi
satu tekanan kepada anda. Oleh itu, kenal pasti gangguan yang dapat
menghalang anda daripada menyiapkan tugasan. Lakukan apa sahaja
yang boleh mengembalikan fokus anda seperti mematikan televisyen
dan menutup talian Internet atau meletakkan nota ‘Jangan Ganggu’ di
pintu masuk bilik anda. Anda perlu memaksimumkan produktiviti dan
menghargai masa yang ada.
Tips 7. Berehat dan Berdoa
Anda akan menghasilkan kerja berkualiti jika mendapat rehat yang
cukup dan baik. Jika anda belajar atau bekerja 8 hingga 10 jam, maka
anda perlu mencuri masa untuk berhenti dan berehat seketika. Rehat
yang baik adalah dengan mengerjakan solat dan berdoa. Dengan cara
ini, otak anda dapat berehat dan dapat berfikir dengan baik. Mengambil
masa untuk rehat bukan bermakna anda membuang masa. Ini adalah
pengurusan masa yang pintar. Anda menghasilkan kerja berkualiti
apabila anda berehat dengan baik. Anda lazimkan berdoa ketika berehat
dan lazimkan juga mengerjakan solat sewaktu berhenti rehat. Anda
boleh menetapkan masa untuk mengingatkan anda apabila masa
rehat telah habis. Aktiviti meregangkan badan seperti berjalan kaki dan
senaman ringkas juga membantu menyegarkan kembali anda. Ini dapat
membantu badan dan minda anda kekal cergas. Jangan lupa untuk makan
kerana otak dan badan anda tidak boleh berfungsi secara optimum jika
perut kosong. Anda juga perlu bersikaf realistik dan fleksibel. Anda tidak
boleh merancang untuk segala-galanya. Rintangan dan cabaran yang
tidak diingini pasti akan timbul. Anda perlu lebih bersikap terbuka dan
53
BIMBINGAN MENARA GADING
fleksibel. Jangan menyerah kalah. Anda perlu menyediakan rancangan
dan jadual yang lain bagi merealisasikan impian anda jika rancangan
sedia ada gagal menjadikan anda mencapai matlamat anda.
PENUTUP
Dalam mengejar kejayaan, perlulah dirancang dengan baik, bersahabat
dengan orang cemerlang, berada dalam kelompok yang inginkan
kejayaan, hormati guru, pupuk sikap murni, lakukan sesuatu bersungguh-
sungguh, jangat cepat berputus asa, dan berdoa. Ingatlah bahawa dunia
ini adalah tempat untuk manusia mengurus kejayaan dengan cemerlang.
Kisah hidup setiap individu adalah pelbagai, namun bagaimana individu
mengurus hidup memberi natijah yang berbeza. Matlamat kejayaan
dan kecemerlangan bukan sekadar untuk kehidupan dunia, namun jauh
daripada itu adalah bagaimana kejayaan dan kecemerlangan dunia ini
menjadi modal untuk kecemerlangan pada hari-hari kemudian. Kata-
kata hikmah Aristotle “The roots of education are bitter, but the fruit is
sweet” semoga anda semua berjaya dengan cemerlang!
Gambar 2.1 Access Leadership Program U.S. Embassy Kuala Lumpur
AMG-YASA
54
BIMBINGAN MENARA GADING
Pembelajaran Bersama
Rakan Sebaya
(Peeragogy) Akademi
Menara Gading
Prof. Madya Dr. Jalaluddin Abdul Malek
Universiti Kebangsaan Malaysia
PENGENALAN
Pembelajaran bersama rakan sebaya (Peeragogy)
merupakan kaedah pembelajaran yang melengkapkan
kaedah pedagogi dan andragogi. Jiwa remaja sangat
mudah dipengaruhi oleh rakan taulan yang rapat
dengan mereka. Pelajar Akademi Menara Gading
(AMG) merupakan remaja yang mempunyai ramai
rakan taulan setiap kohort pengambilan, iaitu tidak
kurang daripada 100 orang setiap kohort. Oleh itu,
pembelajaran “Peeragogy” sangat sesuai diperkenalkan
dan diteruskan dalam usaha memantapkan lagi
program AMG. Perbincangan ini mencadangkan satu
kaedah dan teknologi belajar bersama-sama bersama
rakan. Dalam bahasa Melayu ianya disebut Peeragogi.
Peeragogi juga mengamalkan sukatan pelajaran
dan aktiviti pembelajaran mengguna media dalam
talian untuk belajar bersama dan berkongsi ilmu
pengetahuan bersama rakan-rakan sebaya.
55
BIMBINGAN MENARA GADING
MAKNA PEERAGOGI
Peeragogi bermaksud secara “Peribadi” menyokong dan membantu
“rakan sebaya” dalam pembelajaran. Peeragogi dapat memupuk
budaya membantu dan memberi sokongan sehingga menjadi
inspirasi dalam hidup yang lebih berkembang, responsif dan menjadi
pelajar yang cemerlang. Peeragogi adalah rangkaian pembelajaran
antara peribadi kepada individu yang lain. Peeragogi merupakan
usaha membina rangkaian pembelajaran berkumpulan. Peeragogi
menjelaskan bagaimana rangkaian pembelajaran peribadi yang kuat
dapat menyumbang dan berkembang kepada rangkaian pembelajaran
rakan sebaya yang berkesan. Peeragogi merupakan nilai tambah kepada
pedagogi dan andragogi.
Maksud “Peer” ialah menyokong “peribadi” atau individu. Manakala,
‘gogy’ ialah pendidikan atau bimbingan. Gabungan antara kedua
perkataan ini disebut “Peeragogy” atau Peeragogi dalam bahasa Melayu.
Ini bermakna Peeragogi adalah usaha kerjasama untuk membangun
rancangan bersama secara kolektif dalam kumpulan. Melalui usaha
peeragogi ini pelajar dapat mencari penyelesaian persoalan pengetahuan,
praktikal yang betul serta mempunyai sesuatu untuk dipelajari. Lebih-
lebih lagi, jika antara pelajar sendiri bersedia meminta bantuan dan
menawarkan bantuan kepada orang lain, maka pembelajaran setiap
pelajar akan lebih meningkat. Peeragogi ialah bentuk pembelajaran
interpersonal yang berkesan dan penting dalam membina rancangan
pembelajaran pelajar supaya lebih berkesan.
Peeragogi merupakan teknik spesifik yang boleh gunakan
untuk membina kumpulan pembelajaran rakan sebaya pelajar. Makna
Peeragogi yang mana merujuk kepada “paragogi“, adalah amalan terbaik
pembelajaran rakan sebaya yang berkesan untuk pelajar. Peeragogi
juga merupakan teori pembelajaran dan pengajaran yang berbentuk
“peer-to-peer” yang membicarakan bagaimana rakan sebaya boleh
menyokong aspek pembelajaran kendiri (Danoff 2014). Peeragogi juga
merujuk hubungan “peer-to-peer” di ruang siber yang mempunyai
banyak kandungan pembelajaran yang berkualiti tinggi, malah dapat
berhubung dengan berjuta-juta pelajar di Internet, yang menjadi nilai
tambah kepada pendidikan menengah dan pendidikan tinggi (Schmidt
2007). Ini bermakna peeragogi adalah pembelajaran berasaskan rakan
56
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
sebaya atau pembelajaran antara pelajar dengan rakan yang lain.
Peeragogi mengiktiraf kuasa hubungan rakan sebaya dalam membentuk
pertumbuhan profesional dan siasah peribadi pelajar.
Peeragogi diasaskan berdasar prinsip andragogi yang merangkumi
aspek seni dan sains bagaimana orang dewasa belajar. Ia mempunyai
akar dalam refleksi yang lebih mendalam yang berlaku apabila rakan-
rakan sebaya bertukar idea, pemikiran dan pandangan mengenai topik
pembelajaran tertentu. Pembelajaran berasaskan peeragogi juga
berfungsi sebagai pemangkin kepada kewujudan perspektif yang berbeza
dan menjana pelbagai hujah tentang tafsiran, makna dan penerapan
topik pendidikan dengan lebih luas dan tepat (Malcolm Knowles 2015).
Oleh itu, Peeragogi merupakan satu pendekatan pembelajaran
rakan sebaya yang berkembang daripada psikologi kognitif, dan
diterapkan dalam kerangka pendidikan arus perdana. Pembelajaran
Peeragogi adalah satu amalan pendidikan di mana pelajar berinteraksi
dengan pelajar lain untuk mencapai matlamat pendidikan yang lebih
berkesan dan responsif terhadap kehendak semasa.
WACANA KONSEP DAN TEORI PEERAGOGI
Konsep Peeragogi
Konsep Peeragogi berdasar kepada idea dan pengalaman Corneli (2016)
telah mencerminkan teori berkongsi kuasa (memperkasakan pelajar).
Prinsipnya, semakin ada tindakan memberi kuasa guru kepada pelajar
menguasai sendiri ilmu pengetahuan dan mendorong mereka untuk
mengambil lebih banyak tanggungjawab untuk pembelajaran mereka
sendiri, maka semakin mendorong guru mengubah bagaimana reka
bentuk pengajaran supaya sesuai dengan keadaan keperluan pelajar.
Ini bermakna kaedah pedagogi dan andragogi itu berkembang melalui
peeragogi seperti wujudnya pembelajaran berpusat pelajar serta
pembelajaran berasaskan alam sekeliling. Selain itu, konsep peeragogi
menghasilkan budaya berkongsi interaktiviti dan kerjasama antara
pelajar. Membentuk budaya bekerjasama dan kolaboratif sebagai
satu pasukan dengan pelajar lain di dalam kelas dan di luar kelas.
Implikasinya, akan lahir pelajar yang bertanggungjawab dan mampu
berkongsi pengetahuan serta amalan hasil proses kolaborasi tadi dan
bukan hanya sebagai penonton untuk menikmati hasil akhir sahaja.
57
BIMBINGAN MENARA GADING
Prinsip peeragogi juga berasas kepada berkongsi tanggungjawab.
Semua pelajar dan kumpulan mereka mengambil tanggungjawab setiap
minggu untuk menyampaikan perkara utama teks pembelajaran dan
membantu guru dengan melibatkan diri dalam perbincangan kelas
mengenai sesuatu pembelajaran. Peeragogi juga bermakna bersama
iaitu pelajar bersama datang ke dalam ruang siber (Ubuntu) dengan
amalan seperti bereksperimen dengan kursus yang diberikan secara
sendiri melalui dalam talian yang dapat dikongsi bersama rakan
yang lain. Ini seterusnya dapat merealisasikan prinsip peeragogi iaitu
berkongsi pengetahuan seperti guru mengajar para pelajar dan waktu
yang sama guru sendiri belajar daripada mereka. Implikasi seterusnya
motivasi pelajar itu sendiri meningkat dan mereka menjadi kuat
menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Daripada segi kemahiran
para pelajar yang mengamal peeragogi mampu mencipta teknik baharu
pembelajaran dan rekacipta produk. Komitmen “mewujudkan bersama” ,
iaitu prinsip peeragogi mengubah corak kerjasama antara rakan sebaya
menjadi lebih akrab. Pengalaman pelajar juga bertambah sehingga
berjaya keluar dari kotak pembelajaran tradisional dan memberi nilai
tambah kepada sistem pendidikan tradisi.
Ketika menyertai projek penyelidikan Peeragogy, Corneli dan
Danoff (2011) telah melakukan penilaian ringkas tentang apa yang
membuatnya beralih kepada prinsip pembelajaran peeragogi. Pertama,
disebabkan konteks di mana peeragogi menepati keperluan pendidikan
dan pembelajaran masa hadapan. Kedua, kerana masa dan urutan di
mana pembelajaran secara peeragogi lebih menyeronokkan apabila
pelajar boleh membuat tugasan dengan lebih cepat tanpa menunda
pada tugasan yang lain. Ketiga, kerana pengukuhan sosial, iaitu hasilnya
mendapat petua daripada rakan sebaya tentang bagaimana menjelajah
dan tular maklumat daripada alam siber, misalnya dapat mencari fakta
dan maklumat yang pelbagai daripada rakan dalam dan rakan luar negara
melalui Internet. Keempat, kerana kesedaran pengalaman itu sendiri.
Daripada proses peeragogi ianya menyedarkan para pelajar tentang
cara membaca, menulis dan mengira dengan lebih betul daripada rakan
sebaya. Tingkat keupayaan kaedah berfikir aras tinggi (High order of
thinking) semakin mahir dan matang.
Ini bermakna pada prinsipnya peeragogi memanfaatkan tiga
perkara. Pertama, kepakaran pelajar sendiri semakin bertambah kerana
58
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
secara profesional mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang
relevan di luar sana dan disesuaikan dengan pedagogi dalam bilik
darjah. Budaya kecemerlangan rakan sebaya telah mendorong pelajar
mengubah sikap dan siasah mereka. Kedua, kemahuan dalaman (intrinsic)
pelajar datang sendiri untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.
Dalam usaha membantu rakan sebaya, mereka lebih cepat mahu sendiri
memperbaiki diri dan mampu membantu orang lain. Bekerjasama dan
kolaborasi dengan rakan sebaya diakui mampu meningkatkan akauntabiliti
bersama untuk menghasilkan pembelajaran yang menuju kecemerlangan.
Ketiga, dapat menangani isu khusus dalam organisasi dan diri pelajar itu
sendiri. Apabila isu khusus seperti kemiskinan dapat diatasi menurut dunia
sebenar para pelajar melalui bantuan rakan-rakan ianya memudahkan
mereka membuat penyesuaian pembelajaran serta meningkatkan
potensi untuk pemindahan pembelajaran tanpa mengganggu keperluan
urusan harian mereka. Penglibatan dalam pembelajaran oleh pelajar
miskin dapat dimanfaatkan apabila mereka tidak berasa bimbang tentang
kekurangan yang mereka hadapi berbanding rakan sebaya, sebab mereka
saling bantu membantu (Dewey 2004).
Oleh itu, prinsip peeragogi mempunyai rangka kerja yang mudah
dilaksana oleh para pelajar tertakluk kepada lima syarat. Pertama,
mereka kenal pasti arahan dan matlamat yang sesuai untuk pembelajaran
masa depan. Kedua, mereka mempunyai kekuatan luaran dan dalaman
untuk melibatkan diri dalam bidang pembelajaran yang hendak
dipelajari. Ketiga, para pelajar kenal pasti matlamat dan rancangan
untuk penambahbaikan cara pembelajaran mereka. Keempat, ada
usaha pemantauan terhadap tindakan para pelajar supaya disesuaikan
dengan objektif dan matlamat seperti yang diperlukan untuk mencapai
matlamat mereka. Kelima, kemas kini matlamat supaya bersesuaian
dengan kemajuan pembelajaran dan pendidikan pelajar dari semasa ke
semasa.
Prinsip peeragogi juga memberi faedah yang maksimum kepada
komuniti seperti pelajar AMG khasnya. Sebelum dapat mengambil prinsip
yang dinyatakan, adalah penting untuk menyedari amalan terbaik yang
telah dibangunkan untuk komuniti rakan sebaya seperti komunikasi dalam
talian sama ada ianya bertema pendidikan atau tidak. Kod etika amalan
berkomunikasi dalam ruang siber, misalnya perlu dikuat kuasa supaya
perbincangan yang telus dan terbuka mencapai objektif pembelajaran
59
BIMBINGAN MENARA GADING
dan pendidikan yang betul-betul berkesan (Jean Lave & Etienne Wenger
1991). Berdasar kepada tujuh saranan yang disenaraikan di bawah ini
ianya bertujuan untuk mencapai keseimbangan berkomunikasi dan
kolaborasi rakan sebaya sama ada secara manual atau melalui reruang
siber. Pertama, merancang komuniti untuk berkembang secara semula
jadi kerana sifat komuniti seperti pelajar mempunyai kepentingan,
matlamat dan tujuan yang berbeza-beza. Kedua, mencipta peluang
untuk dialog terbuka sama ada di dalam atau dengan pihak luar demi
mencapai manfaat bersama dan boleh menangani perbezaan yang ada.
Ketiga, di samping mencipta peluang pihak terbabit perlu membenarkan
tahap penyertaan yang berbeza daripada komuniti pelajar. Dalam hal ini
Vygotsky (1986) mengenal pasti tiga tahap penyertaan utama. Pertama,
kumpulan teras yang terlibat secara aktif dalam komuniti melalui
perbincangan dalam projek pembelajaran dan pendidikan. Kumpulan ini
biasanya mengambil peranan kepimpinan dalam membimbing kumpulan
lain. Kedua, tahap kumpulan aktif yang menghadiri dan menyertai secara
teratur, tetapi tidak kepada tahap pemimpin.
Ketiga, kumpulan periferal sementara, iaitu peserta pasif dalam
masyarakat pelajar, masih belajar mengenai tahap penglibatan mereka.
Wenger (1998) menyatakan bahawa kumpulan ketiga biasanya mewakili
majoriti masyarakat. Keempat, membangunkan ruang komuniti
awam dan swasta dengan masyarakat pelajar. Dalam hal ini aktiviti
“benchmarking” dan lawatan boleh dilakukan supaya dengan kerjasama
agensi awam dan swasta demi membincangkan, mendedahkan dan
meneroka idea baharu dalam kalangan komuniti pelajar. Kelima,
memberi fokus kepada nilai berkomuniti bersama rakan sebaya, iaitu
pelajar secara jelas dapat membincangkan nilai dan produktiviti
penyertaan mereka dalam kumpulan. Keenam, menggabungkan
kebiasaan dan keseronokan dalam bimbingan rakan sebaya supaya
peluang untuk ahli membentuk pengalaman pembelajaran bersama-
sama seperti melalui “brainstorming” dan uji kaji berkaitan dengan topik
pelajaran yang mereka bincangkan. Ketujuh, menemukan dan memupuk
nilai kebiasaan bagi menyelaras kitaran aktiviti supaya pelajar boleh
sentiasa bertemu dengan selesa, mengekalkan tahap penglibatan yang
tinggi serta meningkatkan daya ketahanan para pelajar. Melalui tujuh
saranan yang dijelaskan, faedah maksimum daripada kaedah peeragogi
menjadi mudah untuk direalisasikan.
60
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
Prinsip peeragogi seterusnya adalah kaedah utama dalam
membantu masalah pedagogi yang kritikal. Selama berabad-abad, ahli
teori pendidikan telah mencabar keberkesanan model guru-pelajar
tradisional, iaitu terletak pada premis di mana guru bertanggungjawab
untuk memindahkan fakta dari buku ke minda pelajar. Individu yang
terkenal dengan pemahaman pendidikan awal di Amerika Syarikat
adalah John Dewey yang menganjurkan teknik baharu pedagogi, iaitu
“progressive education”. Dalam bukunya, terbitan tahun 1916 bertajuk
“Demokrasi dan Pendidikan”, Dewey (2004) berpendapat pendidikan
bukan urusan ‘menceritakan’ dan ‘diberitahu’, tetapi perlu kepada proses
yang aktif dan konstruktif. Dalam esei beliau terkemudian bertajuk
“Pengalaman dan Pendidikan”, Dewey memaparkan lebih banyak
tentang sains perkembangan kanak-kanak. Antaranya tentang teori
pembelajaran konstruktivis dimana pengetahuan itu dicipta melalui
pengalaman rakan sebaya yang bukan diperturun daripada guru kepada
pelajarnya melalui seni hafalan sahaja. Begitu juga ahli psikologi Rusia,
Vygotsky (1986), yang membangunkan konsep Zon Pembangunan
Proksimal, adalah penyokong pembelajaran konstruktivis. Berdasar
karangan bukunya bertajuk “Pemikiran dan Bahasa”, beliau memberikan
bukti bahawa pelajar belajar lebih baik melalui aktiviti penyelesaian
masalah bersama rakan sebaya secara kolaboratif daripada latihan
secara individu. Pengikut Vygotsky iaitu Jerome Bruner (1996) dianggap
sebagai pencetus kepada kaedah peeragogi dalam sistem pendidikan
di Amerika Syarikat di mana pembelajaran bersama rakan sebaya telah
memberi pembaharuan kepada pedagogi yang sedia ada.
Daripada segi pendekatan sejarah budaya untuk kognitif, Edwin
Hutchins (1980) seorang ahli psikologi kognitif dan antropologi 1980-
an telah mengembangkan teori Kognisi Teragih (DCog). Dalam teori
ini, pengetahuan tidak hanya terletak pada individu tetapi dalam
persekitaran sosial dan fizikal individu tersebut. Kognisi yang diagihkan
merujuk kepada proses di mana sumber kognitif dikongsi secara
hubungan sosial untuk memperluas sumber daya kognitif individu atau
untuk mencapai sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh seorang individu
sahaja. Malah, proses kognitif boleh diagihkan antara manusia dan mesin
seperti teknologi ICT sama ada kognisi yang diedarkan secara fizikal
atau antara agen kognitif yang diedarkan secara sosial (Wang & Kang
2006). Manakala, Siemens (2005) telah menunjukkan bahawa sistem
61
BIMBINGAN MENARA GADING
kognisi yang diedarkan membentuk sistem yang terdiri daripada ejen
individu, rakan sebaya, guru, dan alat kognitif sosiokultur yang dibentuk
sesuai dengan masyarakat setempat.
Profesor Psikologi Harvard, iaitu Lauren B. Resnick (1987)
menggabungkan pembelajaran konstruktivis dan konsep pemikiran aras
tinggi dalam bukunya bertajuk “Pendidikan dan Pembelajaran Berfikir”.
Tugas guru adalah untuk membina makna dan menyesuaikan pelajaran
dengan struktur situasi pelajarnya dan bukannya mengharapkan pelajar
boleh mencari makna dengan sendiri. Sarjana pendidikan Barat seperti
Resnick telah membincang konsep peeragogi banyak menyumbang
kepada penyelesaian masalah kognitif yang dihadapi oleh bidang
pedagogi. Beliau menegaskan peeragogi adalah pendekatan pengajaran
yang menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan secara kreatif
mengenai apa yang mereka perhatikan sebagai bertentangan dengan
budaya pasif selama ini.
Dalam konteks sosiopolitik yang lebih besar, pedagogi kritikal
melibatkan pelajar dan pengajar dalam menganalisis dan mengkaji
struktur kuasa di sekeliling mereka. Cendekiawan yang paling
berpengaruh dalam bidang ini ialah Paulo Freire. Dalam buku karya
agungnya bertajuk, “Pedagogy of the Oppressed” (1976), beliau menolak
hanya bergantung kepada kerangka pengajaran tradisional. Beliau
menggambarkan pengajaran tradisional menganggap pelajar seperti
kapal kosong untuk diisi dengan pengetahuan dan konsep kehidupan.
Sebaliknya, Freire menganjurkan hubungan baharu yang lebih adil antara
guru dan pelajar dimana semua pelajar dalam kelas bekerja bersama
untuk mencipta pengetahuan dengan bimbingan guru. Visi Freire untuk
menjadikan pendidikan dialogik, di mana pembelajaran terletak dalam
pengalaman hidup pelajar bersama rakan sebaya (Schmindhuber 2010).
Cabaran pelajar dengan pengalaman dan gaya pembelajaran yang
berbeza diperburukkan lagi dalam sistem pendidikan awam yang terlalu
banyak jarak perbezaan antara pedagogi, andragogi dan peeragogi
(Nuryanto 2011). Namun, menurut Paulo Blikstein, Penolong Profesor
Pendidikan di Universiti Stanford, teknologi boleh digunakan sebagai
alat untuk membuat peeragogi Freirean menjadi kenyataan. Berdasar
kepada teknologi pendidikan sebagai ejen emansipasi yang diilhamkan
oleh ahli matematik MIT Seymour Papert, beliau telah mereka bentuk
62
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
bahasa pengkod komputer pertama untuk kanak-kanak (LOGO).
Blikstein menjalankan satu siri bengkel kreatif ekspresif untuk pelajar
di sekolah awam di São Paulo, Brazil menggunakan LOGO. Hasilnya,
beliau mendapati melalui aktiviti penerokaan yang dijalankan pelajar,
mereka bukan sahaja menjadi lebih autonomi dan bertanggungjawab,
malah pelajar boleh belajar dan mengajar antara satu sama lain. Ini
bermakna teknologi ICT khususnya Internet telah menjadi salah satu
premis peeragogi yang paling berkesan untuk memudahkan pembinaan
kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar.
Teori Peeragogi
Permulaan teori peeragogi berkait rapat dengan teori konstruktivisme
sosial, iaitu salah satu bahagian asas pedagogi kritikal moden. Golongan
pendidik kerap menggabungkan aktiviti dalam pengajaran mereka
berdasarkan kaedah peeragogi. Profesor Psikologi Pendidikan Alison
King menerangkan pendidikan secara peeragogi melalui hubungan rakan
sebaya dapat membuktikan teori konstruktivisme mudah direalisasikan
dalam pembelajaran di sekolah. Perbuatan mengajar dan belajar sesama
rakan sebaya membolehkan individu pelajar menjelaskan, menghuraikan,
dan sebaliknya menyusun semula bahan supaya lebih mudah difahami.
Joss Winn (2012), Pensyarah Kanan dalam Penyelidikan Pendidikan
di University of Lincoln, mencadangkan bahawa sekolah secara
radikal mentakrifkan hubungan guru-pelajar agar sesuai dengan teori
konstruktivis pengetahuan. Manakala Carl Rogers (2007) berpendapat
secara konstruk pembelajaran peeragogi memberi tumpuan kepada
pengalaman individu tentang pembelajaran yang berkesan, dan akhirnya
menyimpulkan bahawa hampir keseluruhan struktur pendidikan
tradisional memang bertentangan dengan pengalaman pengajaran
berasaskan peeragogi ini. Pembelajaran tersendiri dalam kumpulan
rakan sebaya mampu menjadikan seorang pelajar sebagai pemudah
cara dan ianya merupakan pendekatan baharu dalam dunia pendidikan
menurut teori konstruktivisme.
Penggunaan teknologi ICT dalam peeragogi dapat meningkatkan
pemahaman pelajar tentang pengetahuan dan pendidikan melalui
rakan sebaya. Yochai Benkler (2006) dalam bukunya The Wealth of
Networks menerangkan bagaimana teknologi ICT seperti komputer
63
BIMBINGAN MENARA GADING
dapat membantu menghasilkan dan memproses pengetahuan
pelajar dengan rakan sebaya. Kemajuan dan pengguna teknologi ICT
merealisasikan teori pembelajaran digital oleh George Siemens (2006)
yang memperkenalkan teori baharu yang disebut Connectivism. Menurut
George Siemens connectivism merupakan teori pembelajaran untuk
zaman digital di mana teknologi ICT telah mengubah cara pelajar belajar
daripada bersua muka kepada belajar dengan rakan sebaya secara atas
talian. Manakala, Teori Behaviorism mengatakan pembelajaran adalah
mengenai mengubah tindak balas kita kepada rangsangan; kognitivisme
mendefinisikan pembelajaran sebagai proses mengurus dan mengingati
masa lampau; konstruktivisme mengatakan bahawa pelajar membina
pengetahuan berdasar makna dengan memahami pengalaman mereka
di atas dunia. Semua teori ini menggambarkan pembelajaran sebagai
satu proses yang terkandung di dalam individu. Tetapi teori new-
Connectivism mencadangkan pengetahuan dapat diakses melalui
hubungan pelajar dengan rakan sebaya dan orang lain sehingga
maklumat yang dibawa dalam fikiran seperti sama antara satu dengan
yang lainnya. Ini bermakna proses pembelajaran tidak semestinya di
bawah kendali individu, tetapi juga terjadi di luar kawalan diri kita seperti
melalui bimbingan rakan sebaya (Wang 2008).
Teori konektivisme dalam peeragogi sangat penting sebagai
amalan pembelajaran dan pendidikan melalui reruang siber bersama-
sama rakan sebaya sama ada dari dalam dan luar negara. Jaringan siber
memungkinkan pelajar mendapat sumber bahan pendidikan pada masa
akan datang dengan lebih luas tanpa dibatasi sempadan, masa dan
tempat. Tambahan pula melalui hubungan jaringan para pelajar dengan
rakan di lokal, serantau dan global pendedahan mereka terhadap pelbagai
maklumat dan pengetahuan menjadi lebih meluas melebihi daripada
set pengetahuan yang mereka dapati secara individu dan melalui guru.
Cuma para pelajar perlu diberi panduan dan garis panduan bagaimana
mereka boleh manfaatkan kemudahan jaringan Internet itu supaya dapat
digunakan secara positif. Pelajar generasi Y dan Alpha dianggap sebagai
generasi Netizen. Menurut Siemens (2005) pembelajaran dan pendidikan
pada zaman era ICT adalah pendidikan seumur hidup, dan kebanyakan
sistem pembelajaran dari alam siber telah mengambil tempat peranan
sekolah dan kolej. Maka, pendidikan era siber itu lebih memperkukuh
lagi peranan peeragogi sebagai kaedah pembelajaran di samping
64
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
kaedah pedagogi dan andragogi. Freire (2005) berhujah bahawa institusi
pendidikan harus mempertimbangkan pembelajaran yang baharu, di
mana pembelajaran timbul daripada interaksi kumpulan rakan sebaya
pelajar yang diatur sendiri (peeragogi) terutama dalam zaman digital ini.
Zaman Web 2.0 kepada Web 3.0 serta sistem komunikasi 1G kepada 5G
sangat memberi ruang kepada pelajar belajar secara berkumpulan, iaitu
peeragogi, termasuk boleh berkongsi maklumat secara pantas. Walau
bagaimanapun, kawalan penggunaan reruang siber tetap diteruskan
supaya hasil pembelajaran melalui reruang siber dan berkomunikasi
rakan sebaya tidak membawa kepada perkara negatif dan tersasar
daripada matlamat sebenar.
Wang dan Kang (2005) dan Wang (2008) melihat zaman digital
membuka ruang potensi “pembelajaran partisipatif”, iaitu bagaimana
pelajar hari ini menggunakan teknologi untuk menyertai komuniti maya
dan bertukar idea bersama rakan sebaya. Banyak institusi pengajian
tinggi mula menghargai jenis pembelajaran ini dan mengamalkan sistem
pendidikan jarak jauh. Malah, perkembangan ini juga berkembang di
sekolah sebagai nilai tambah kepada sistem pembelajaran di bilik darjah.
Wang dan Kang (2005) memperkenalkan 10 prinsip untuk masa depan
pembelajaran. Sepuluh prinsip tersebut termasuk pembelajaran kendiri,
harizontal dan pendidikan sumber terbuka (open source). Sepuluh
prinsip tadi bersesuaian dengan teori konektivisme serta pembelajaran
dan pendidikan baharu yang memberi tumpuan kepada interaksi antara
rakan sebaya (peeragogi).
Teori pembelajaran baharu peeragogi yang diterangkan sebelum
ini sedang diuji dalam komuniti “peer-learning” di seluruh dunia. Salah
satu daripada komuniti pertamanya bernama Peer 2 Peer University
(P2PU) yang ditubuhkan pada tahun 2009 oleh Philipp Schmidt. Beliau
percaya bahawa program inisiatif seperti P2PU banyak menyumbang
kepada kandungan percuma yang berkualiti tinggi, boleh berhubung
dengan berjuta-juta pelajar di Internet dan merealisasi hubungan di
antara industri dengan pusat pengajian tinggi. Namun begitu, berapa
cabaran perlu dihadapi termasuk menyediakan perkhidmatan yang
berkualiti terutama merangkumi kawasan yang terpencil. Cabaran
mengadakan sistem pendidikan atas talian yang murah kepada para
pelajar miskin di negara membangun. Cabaran seterusnya tidak
meluasnya perlaksanaan e-pembelajaran di sesetengah pusat pengajian
65
BIMBINGAN MENARA GADING
tinggi. Schmidt menubuhkan kursus P2PU sebagai percubaan pertama
dengan pengenalan kepada sastera Cyberpunk, bermain poker dan
kursus pemikiran strategik. Implikasi daripada percubaan tersebut,
mereka berpendapat bahawa sistem sosioteknika peeragogi di Internet
hari ini menjadikannya mudah para pelajar membangun model kendiri,
mengamalkan tingkah laku yang positif dan dapat menyerlah bakat
masing-masing. Jadi, P2PU adalah salah satu contoh paling awal
komuniti pembelajaran rakan sebaya (peeragogi) yang dalam talian.
Kursus atas taliannya telah memberi inspirasi kepada pihak universiti
sedia ada untuk merealisasikan kursus atas talian dalam sistem
pembelajaran dan pengajian selepas itu.
Antara cabaran pelaksanaan peeragogi manual dan peeragogi atas
talian dalam kalangan pelajar adalah masih bertembung dengan sistem
pendidikan tradisional yang enggan membuat penambahan terutama
usaha menyokong kelompongan pendekatan pedagogi dan andragogi itu
sendiri. Cabaran seterusnya usaha melestarikan kursus supaya sesuai
dengan konsep peeragogi itu sendiri supaya lebih berdikari, terurus dan
kandungannya sesuai menurut perubahan daripada penambahan kepada
pendekatan pedagogi dan andragogi tadi. Sebagai contoh, teknologi ICT
biasanya dilihat sebagai teknologi yang bebas dan mesra manusia, tetapi
ia juga boleh mencipta struktur pendidikan yang sedia ada jadi tidak
berkesan bila disalah guna atau berlaku faham yang salah. Bimbingan
guru secara manual masih perlu untuk dilihat kebebasan mengguna
teknologi ICT tadi bukan satu yang mutlak. Ini bermakna komuniti pelajar
peeragogi mempunyai peluang untuk menyusun semula persekitaran
pembelajaran mereka di luar kelas di samping menggunakan versi
pendidikan digital dan peperiksaan biasa (Balschke 2012).
Cabaran seterusnya peeragogi adalah bagaimana bilik darjah boleh
dijadikan pusat atau ruang masyarakat pelajar berilmu pengetahuan.
Sejauh mana keterbukaan sekolah dalam membenarkan para pelajar
boleh menggunakan komputer untuk berkomunikasi dan mendapat
pengetahuan dari rakan sebaya daripada dunia luar dengan kawalan
yang wajar? Jika cabaran ini tidak dapat diselesaikan, penyalahgunaan
teknologi atas nama pembelajaran rakan sebaya bukan terletak kepada
kelemahan pada teknologi itu, tetapi kelemahan dalam melaksana nilai
tambah peeragogi berdasar kepada keperluan pelajar.
66
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
Akhir sekali, adalah penting untuk diingat bahawa peeragogi
bukan sekadar satu bahagian atau satu set latihan dalam pedagogi dan
andragogi. Peeragogi adalah bermatlamat mencapai maksud dan titik
pertemuan yang sama dalam kalangan pelajar untuk menjadi karakter
komuniti berpendidikan yang berdisiplin. Pelaksanaan peeragogi tidak
mengambil mudah tentang unsur pembentukan insan dan sahsiah
para pelajar. Dalam dunia pembelajaran dan pendidikan menurut Dasar
Pendidikan Kebangsaan, para pelajar mempunyai tanggungjawab
terhadap diri sendiri, rakan, sekolah dan juga masyarakat. Peeragogi
sebenarnya mengasuh para pelajar bukan sahaja cemerlang dalam
aspek pembelajaran tetapi juga cemerlang di mata masyarakat secara
praktikalnya. Dalam hal ini, peeragogi mesti difahami semua pelajar
dalam bentuk amalan yang sangat holistik, iaitu dari sudut pandangan
dunianya (worldview), keilmuannya dan amalannya (Burger & Starbird
2013). Pendekatan peeragogi bersama-sama pedagogi dan andragogi
sangat terkait dalam usaha membentuk kejiwaan sosial dan jati diri
positif para pelajar. Dalam dunia Revolusi Perindustrian Keempat (4IR)
pelaksanaan peeragogi, pedagogi dan andragogi kepada pelajar bukan
hanya menyangkut penggunaan teknologi maju sahaja. Tetapi yang
terpenting para pelajar mampu mengurus kejiwaan sosial dan jati diri
mereka yang merangkumi skop perubahan sosioteknologi seperti
pemikiran (mind), jiwa (heart), spirit (soul), fizikal (body) dan ketaatan
(faith) (Rajah 3.1).
Berdasarkan Rajah 3.1, kejiwaan sosial dan kejatian diri boleh
dibentuk dalam era 4IR dengan tiga cara. Cara ini telah lama diamalkan
dan sudah menjadi teras pembelajaran dan pendidikan dalam AMG.
Pertama, fokus kepada pembangunan sahsiah diri. Kedua, fokus kepada
kecemerlangan akademik dan ketiga, fokus kepada inovasi sosial dalam
kalangan pelajar. Fokus kepada sahsiah diri antaranya, membentuk
gaya fizikal, sikap, perilaku, berkomunikasi, berinteraksi, bertatatertib,
dan cakna kepada persekitaran “learning centre” dan ekologi sosial
yang ada. Tumpuan utama aspek ini adalah mengatur semula batang
tubuh pelajar (body) dan minda (mind) supaya selari dengan matlamat
AMG untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi sahsiah. Fokus
kecemerlangan akademik pula memberi tumpuan kepada minat, tekun,
rajin, empati dan kesungguhan dalam menerima pelajaran sama ada
menurut kaedah pedagogi, andragogi, dan peeragogi. Tumpuan utama
67
BIMBINGAN MENARA GADING
aspek ini adalah meningkatkan semangat (soul), kecekalan (heart),
minda (mind) dan pegangan yang kukuh (faith) supaya pelajar AMG
menjadi pelajar yang cemerlang dari segi akademik. Manakala fokus
inovasi sosial pula mendedahkan para pelajar kepada dunia luar,
bagaimana mereka berhubung, rasa simpati dan empati, macam mana
mereka boleh praktik dan lakukan selari dengan pendidikan sahsiah dan
Gambar 3.1 Kem Waja Diri Akademi Menara Gading melatih peserta tentang
disiplin, nilai dan integriti
Mind
Soul Faith Heart
Body
Rajah 3.1 Kejiwaan Sosial dan Kejatian Diri Masyarakat Berilmu Dalam Era 4IR
Sumber: diubah suai daripada Schwab (2017), Schmindhuber (2010) dan
Corneli dan Mikroyannidis (2012)
68
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
akademik yang diterima. Tumpuan inovasi sosial pelajar AMG sangat
sinergi antara fizikal (body), kemahiran pemikiran (mind), kekuatan
dalaman (soul), naluri (heart), dan pegangan kukuh (faith).
Pengukuhan sahsiah, kecemerlangan akademik dan inovasi sosial
juga telah dipraktik oleh para peserta AMG melalui kaedah peeragogi
bersama rakan sebaya. Antara perkara praktik peeragogi yang telah
dilakukan oleh para peserta sepanjang dua tahun dalam program AMG
adalah bimbingan rakan sebaya, belajar berkumpulan, muhasabah
bersama – budaya tegur menegur, budaya kerjasama dan gotong-royong,
empati kongsi perasaan kegembiraan dan kedukaan, pembelajaran rakan
siber, berguru kepada rakan, berbakti kepada masyarakat, komunikasi
dan berkomunikasi, penanda aras (lawatan dan learning).
PERLAKSANAAN PEERAGOGI DALAM AMG
Setelah hampir 20 tahun pelaksanaan AMG dari kohort 1 hingga kohort 11,
banyak kaedah peeragogi telah terlaksana dan boleh diambil pengajaran.
Setakat perbincangan ini, lebih kurang 10 pelakuan peeragogi pelajar
AMG. Pelakuan peeragogi itu telah dapat membantu peningkatan
pedagogi mereka sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM). Sepuluh perlakuan peeragogi tersebut seperti
dijelaskan selepas ini yang akan diselang seli dengan puisi dan seloka
oleh Tenas Effendy (2006) sebagai panduan dan pengajaran. Asas kepada
peeragogi yang dilakukan oleh peserta AMG sesuai dengan lima prinsip
oleh Corneli (2016) di mana menjadi prinsip asas peeragogi itu sendiri,
iaitu ‘Berhak untuk bercakap’, ‘Berhak untuk didengar’, ‘Berhak untuk
mendengar’, ‘Berhak untuk bekerjasama’, dan ‘Berhak untuk memimpin
bersama’.
Bimbingan Rakan Sebaya
Salah satu amalan peeragogi yang dilakukan oleh para peserta AMG
adalah amalan bimbingan rakan sebaya. Pihak pengurusan AMG dan
guru sangat menggalakkan pelajar yang ada kelebihan membimbing
rakan-rakan lain dalam pelajaran khususnya mata pelajaran yang
sukar. Peserta AMG yang berpusat di “learning centre” sentiasa terbuka
membimbing rakan yang lemah setiap mata pelajaran yang mereka
69
BIMBINGAN MENARA GADING
kuasai (Abdul Razaq 2007). Mata pelajaran seperti Matematik tambahan,
fizik, kimia dan biologi sering dipraktik oleh bimbingan rakan sebaya
AMG. Sikap yang ditunjukkan oleh pelajar AMG itu sesuai dengan riwayat
resam kita:
Adat hidup berkawan-kawan
Sama melangkah seiring sejalan
Sama mengingat sama menjagakan
Sama merasa rezeki di pinggan
Sama meneguk air secawan
(Tenas Effendy 2006)
Dalam dunia pendidikan cemerlang, bimbingan rakan sebaya itu
bukan perkara asing. Hal ini sudah lama dipraktikkan dalam apa sahaja
kegiatan berilmu. Pengajaran ilmu persilatan, sekolah pondok dan
sekolah berasrama penuh telah lama menerapkan budaya ini dalam
kaedah pembelajaran dan pendidikan mereka. Syarat utama kejayaan
bimbingan rakan sebaya mesti ada kejiwaan sosial dan kejatidirian yang
kukuh seperti ikhlas, tidak kedekut ilmu, empati kepada rakan yang
lemah serta tidak riak dengan ilmu yang ada.
Belajar Berkumpulan
Amalan belajar berkumpulan juga telah lama diterapkan dalam program
AMG. Para peserta AMG dibahagikan kepada kumpulan tertentu mengikut
bidang pengajian (Abdul Razaq & Norzaini 2005). Melalui cara ini mereka
dapat belajar secara berjemaah dan dapat mempraktikan bimbingan
rakan sebaya. Belajar berkumpulan atau berjemaah sebenarnya boleh
menjadikan minda, semangat, jiwa dan pegangan iltizam para pelajar
cepat memberi tumpuan kepada pelajaran jika diambil peluang
sebaiknya. Belajar berkumpulan boleh berkongsi nota, berkongsi
kefahaman, saling ingat mengingati fakta serta meningkatkan daya
hafalan. Belajar berkumpulan yang dilakukan oleh para peserta AMG
selama ini sesuai dengan riwayat resam kita:
70
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
Adat hidup sama sebanjar
Sama beri tunjuk dan ajar
Dalam sempit sama berlegar
Dalam susah sama bersandar
Dalam gelabah sama bersabar
Dalam duduk sama setikar
(Tenas Effendy 2006)
Belajar berkumpulan dan berjemaah ini perlu diambil ingatan
oleh para peserta AMG, iaitu kejayaan atau kecemerlangan dalam hidup
bukan satu perkara yang diwarisi, tetapi perlu diusahakan. Antara contoh
usaha adalah belajar secara berkumpulan. Begitu juga, kejayaan dan
kecemerlangan pelajar tidak berlaku dengan tidak sengaja tetapi perlu
dirancang rapi oleh individu dan kelompok pelajar itu sendiri.
Berguru kepada Rakan
Selain bimbingan rakan sebaya dan belajar secara berkumpulan, budaya
terapan yang disuntik dalam program AMG ialah berguru kepada rakan.
Berguru kepada rakan dipraktik sama ada secara langsung dan tidak
secara langsung. Tidak boleh dinafikan terdapat pelajar AMG yang
berkebolehan dan berketrampilan dari segi siasah dan kepimpinan
(Abdul Razaq & Shaharom 2005). Pelajar AMG yang boleh diharap dan
boleh dicontohi. Dalam keadaan kitaran peeragogi berguru kepada rakan,
boleh sahaja berlaku secara sinergi dan simbiosis antara rakan sebaya
terutama kepada perkara baik yang bermanfaat. Mereka berkongsi
rasa, cita-cita dan mengambil tauladan daripada rakan sebaya yang
ada kelebihan tanpa berasa rendah hati. Berguru kepada rakan tidak
asing dalam dunia Islam kerana sudah diamal oleh para ulamak dan
cendekiawan Islam sejak ratusan tahun dahulu. Imam Shafie, misalnya
telah berguru dengan Imam Malek, Imam Hanafi dan Imam Hambali.
Ulama Nusantara juga tidak ketinggalan mengamalkan berguru kepada
rakan untuk meningkatkan keilmuan mereka. Konsep “aku sudah pandai”
dan “aku sahaja yang pandai” tiada dalam kamus hidup mereka. Dalam
hal berguru kepada rakan ini sesuai dengan riwayat resam kita:
71
BIMBINGAN MENARA GADING
Apa tanda Melayu berilmu
Pada yang adil ia bertumpu
Pada yang benar ia berguru
Ilmu dituntut pada yang patut
Ilmu dicari pada yang berisi
Apa tanda Melayu berilmu
Bekerja tidak mencari seteru
(Tenas Effendy 2006)
Peserta yang hendak cemerlang tidak berasa segan dan malu
berguru kepada rakan yang berkebolehan kerana dapat berkongsi
ilmu dan pengalaman yang luas. Dalam pada itu, budaya saling bantu-
membantu dalam kalangan pelajar terutama untuk memahami sesuatu
mata pelajaran, dapat pula menghilangkan rasa bosan dan jemu. Perkara
paling penting dalam masa dua tahun, ukhuwah dalam kalangan peserta
AMG semakin rapat seperti hidup bersama-sama saudara sendiri.
Muhasabah Bersama dan Budaya Tegur Menegur
Muhasabah bersama dan budaya tegur-menegur memang menjadi
budaya terapan dalam program AMG. Tidak dinafikan dalam tempoh
dua tahun mengikuti program AMG, para peserta mempunyai pelbagai
ragam, perangai dan kelakuan. Ada yang baik, nakal dan ketikanya di
luar kawalan. Kita semua faham para pelajar yang mengikuti program
AMG terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga dan dari sekolah
yang berlainan (Abdul Razaq 2007). Keberagaman pelajar ini merupakan
satu anugerah kepada program AMG, dan untuk mengurusnya budaya
muhasabah bersama dan budaya tegur-menegur terus dilakukan.
Pelajar AMG diberi kefahaman, iaitu setiap perkara yang baik dijadikan
amalan dan perkara yang tidak elok dijadikan sempadan. Kata-kata
hikham Umar ibnu Khattab RA, “Orang yang paling aku sukai adalah
dia yang menunjukkan kesalahanku”. Budaya sebegini sesuai dengan
riwayat resam kita:
72
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
Adat hidup Melayu bahari
Sesama makhluk berbaik budi
Yang hilang sama dicari
Yang kurang sama diberi
Yang kosong sama diisi
Yang salah sama dibaiki
Yang bengkok sama dilurusi
Yang semak sama dikemasi
(Tenas Effendy 2006)
Budaya muhasabah bersama serta budaya tegur-menegur dalam
program AMG ini memperkuatkan siasah diri dan kecemerlangan diri
untuk boleh menjadi insan yang bestari serta pintar (SMART). Insan
SMART bermaksud S = Sedar akan matlamat hidup dan nilai serta
tanggung jawab diri, M = mahir dalam perkara asas kehidupan seperti
agama dan keduniaan, A = akhlak yang baik dan berdisiplin, R = rajin,
istiqomah dan bersungguh-sungguh, T= tengan, ceria, dam berserah diri
kepada Tuhan (Supyan 2003).
Empati Kongsi Perasaan Kegembiraan dan Kedukaan
Tiada lautan yang tiada gelombang, begitu juga apa yang dihadapi oleh
para peserta AMG. Mereka datang daripada keluarga B40 dan keluarga
miskin. Hasil lawatan para pensyarah ke rumah-rumah terdapat peserta
yang ekonomi keluarga mereka ‘kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang’ (Abdul Razaq 2007). Walaupun ada antara mereka
mempunyai pelbagai cabaran hidup, simpati dan empati daripada rakan-
rakan sangat tinggi. Himpunan peserta AMG di “learning centre” secara
langsung, rakan yang menghadapi masalah dibimbing dan dinasihat
oleh rakan lain dan dibantu mana yang patut. Pihak YASA juga tidak
membiarkan mereka yang menghadapi masalah ekonomi, masalah
peribadi dan masalah pembelajaran tidak dibantu. Pertemuan dengan
ibu bapa bersama anak-anak mereka menyedarkan para peserta AMG
tentang perlunya simpati dan empati terhadap cabaran hidup yang
73
BIMBINGAN MENARA GADING
dihadapi oleh rakan mereka. Budaya pandang rendah kepada orang lain,
budaya rendah diri dan kecewa tiada dalam kamus peserta AMG. Empati
kongsi perasaan kegembiraan dan kedukaan sesama rakan sebaya
menjadi ubat motivasi kepada keyakinan diri pelajar untuk menghadapi
dugaan hidup. Budaya seperti ini sesuai dengan riwayat resam kita:
Adat hidup Melayu terpilih
Sesama makhluk berbagi kasih
Menolong dengan muka yang jernih
Menolong dengan hati yang bersih
Pantang mencari silang selisih
Taat setia tiada beralih
(Tenas Effendy 2006)
“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan
nama”, nama yang baik, nama yang berjasa dan dikenang budi oleh
kawan dan taulan. Berkongsi perasaan dan kedukaan dalam rakan
sebaya menjadi amal baik kerana setiap insan dituntut untuk tidak
pentingkan diri sendiri. Sikap cakna dan membantu rakan taulan sudah
menjadi resepi budaya kecemerlangan para peserta AMG.
Komunikasi dan Berkomunikasi
Peserta-peserta AMG bukanlah komuniti yang tertutup. Mereka sentiasa
didedahkan hidup bermasyarakat sama ada sesama rakan sebaya atau
masyarakat. Peristiwa banjir di Kuantan pada tahun 2014, misalnya
peserta AMG dikerah untuk membantu operasi membersihkan rumah
penduduk yang dilanda banjir. Selain itu, peserta AMG juga diminta
menghadiri program membantu para peniaga pasar pagi di UTC Kuantan
sebagai program muhasabah diri betapa susah mencari rezeki. Oleh
itu, para peserta AMG diajar komunikasi dan berkomunikasi secara
betul. Para pensyarah, guru dan rakan sebaya membimbing bagaimana
berkomunikasi melalui bacaan ikrar, berpidato, persembahan pentas,
berbahas dan sebagainya (Abdul Razaq & Norzaini 2005). Malu pada
tempatnya itu ajaran AMG, peserta AMG digalakkan berani bercakap dan
74
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
berani memberi pendapat tanpa rasa malu, gugup dan segan. Keyakinan
diri sangat dibina dalam sesi komunikasi dan berkomunikasi bersama
rakan sebaya. Resam ini sesuai dengan riwayat bait-bait seloka:
Apa tanda Melayu berilmu
Tahu salah membawa malu
Tahu elok menebus malu
Mengaku bodoh tiada malu
Mengaku pandai tiada mau
(Tenas Effendy 2006)
Sistem komunikasi dan berkomunikasi yang baik ada syaratnya,
iaitu pelajar perlu mahir mengawal keadaan dan bukan sebaliknya
sewaktu berdebat, memberi pendapat dan berbincang. Setiap masalah
atau tekanan yang berlaku semasa berkomunikasi merupakan proses
untuk mendewasa dan mematangkan hidup peserta. Perasaan ego,
rendah hati serta memandang rendah pada orang lain harus dibuang
supaya proses berkomunikasi berjalan lancar dan memberi manfaat.
Pembelajaran Rakan Siber
Merujuk kepada teori peeragogi, kaedah pembelajaran rakan siber
merupakan salah satu kaedah yang ampuh untuk mendapatkan ilmu
yang lebih meluas. Melalui rakan siber dari dalam negeri dan luar negara
peserta AMG mendapat manfaat bertukar-tukar fikiran tentang sesuatu
ilmu. Antara program AMG ialah membawa pelajar membuat lawatan
ke Indonesia, Singapura, Thailand, Korea Selatan, dan Jepun. Hasil
program ini sudah tentu mereka mempunyai rakan siber bukan sahaja
dalam negara, tetapi dari luar negara. Seperti mana tujuan program
AMG untuk memberi pandangan dunia (worldview) peserta, mereka
digalak mengguna reruang siber untuk berhubung dengan para para
pelajar dari negara yang dilawati tadi untuk menimba ilmu (Abdul Razaq
& Shaharom 2005). Konsep “Luas padang luas permainan, jauh berjalan
luas pandangan” sepatutnya diamalkan dalam penggunaan reruang
siber, iaitu sesuai dengan puisi oleh cerdik pandai dalam dunia ICT:
75
BIMBINGAN MENARA GADING
Teman siber melalui komputer
Komputer meja komputer riba
Belajar bersama di alam siber
Ilmu digali berganda ganda
Walau bagaimanapun, cara operasi pembelajaran rakan siber yang
betul mestilah; pertama ahli kumpulan terdiri daripada rakan sebaya
yang mempunyai persamaan azam yang tinggi, sikap yang positif dan
bertanggung jawab. Kedua, bilangan ahli kumpulan tidak terlalu ramai,
bilangan yang besar dalam satu-satu kumpulan akan merumitkan proses
perbincangan, kadang-kadang boleh tersasar isu. Ketiga, setiap ahli
kumpulan hendaklah memahami tujuan belajar berkumpulan. Keempat,
setiap ahli perlu diberi tugas membaca topik tertentu dan kemudian
membentang dalam kumpulan, hendaklah melaksana tugasnya dengan
penuh amanah. Kelima, setiap perbincangan hendaklah diambil nota
seperti dalam bentuk peta minda dan sebagainya. Keenam, elakkan
daripada berborak kosong dalam “WhatsApp” atau “Telegram” dengan
membuat perkara lain daripada berbincang tentang pelajaran. Terakhir,
perbezaan pendapat merupakan sesuatu yang positif kerana akan
meningkatkan lagi kualiti pemikiran ahli kumpulan. Akan tetapi setiap
pendapat hendaklah disokong dengan fakta dan hujah logik yang boleh
diterima (Supyan 2003).
Budaya Kerjasama dan Gotong-royong
Turutan bicara teori peeragogi sebelum ini, budaya “Ubuntu” (kerjasama)
dan gotong-royong memang menjadi budaya pupuk sahsiah peserta
AMG. Kecemerlangan akademik sahaja tidak membawa makna jika
diri pelajar mempunyai perasaan pentingkan diri sendiri. Seperti mana
perbincangan sebelum ini mengenai pembelajaran rakan sebaya dan
berguru kepada rakan, konsep “Ubuntu” dan gotong royong ini menjadi
asas kerjasama dan perpaduan kukuh antara peserta AMG. Kebersihan
“learning centre”, tandas, ruang solat dan ruang belajar dijaga bersama
melalui sesi gotong-royong bersama rakan sebaya (Abdul Razaq 2007).
Budaya gotong-royong ini secara langsung memupuk perasaan sepunya
76
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
dan bersatu hati dalam kalangan peserta AMG. Dalam wilayah Nusantara,
budaya tersebut sudah menjadi adat resam kita:
Adat hidup Melayu beradat
Sesama makhluk ia bersahabat
Berbuat baik menjadi sifat
Tolong menolong sudah melekat
Tenggang menenggang sesama umat
Bertanam budi tiada terhad
(Tenas Effendy 2006)
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat mengajar kita
bahawa kejayaan hijrah ke Madinah adalah hasil perancangan yang
teliti dan kerjasama. Penglibatan para sahabat yang tua, yang dewasa,
wanita dan belia/remaja dan kanak-kanak telah membawa kejayaan
besar kepada perancangan hijrah. Sehingga tertubuh negara Madinah
al-Munawwarah. Dalam konteks hari ini, untuk menjana pelajar yang
cemerlang, semua peserta AMG hendaklah bersama-sama berganding
bahu, memainkan peranan masing-masing dan tidak meletakkan
tanggungjawab hanya kepada seorang individu sahaja untuk cemerlang.
Sikap tolong menolong dan kerjasama dalam kalangan peserta AMG
boleh menghasilkan tempat belajar yang bersih dan suasana belajar
yang harmoni.
Berbakti kepada Masyarakat
Pembelajaran dari kaedah peeragogi rakan sebaya peserta AMG boleh
dilihat semasa program berbakti kepada masyarakat. Program teresebut
menyeronokkan dan banyak boleh diambil pengalaman oleh peserta
AMG. Program membantu pelajar miskin, golongan penjaja, mangsa
banjir, dan sebagainya merupakan kaedah peeragogi secara langsung
pelajar bersama rakan sebaya memahami permasalahan dunia (Abdul
Razaq 2007). Program simpati dan empati sebegini mampu menjadi
jiwa pelajar insaf dengan cabaran kehidupan seperti dapat mengenal
golongan yang lebih susah dan daif. Berbakti kepada masyarakat bukan
perkara asing dalam generasi pelajar sama ada di universiti, di kolej atau
sekolah seperti mana riwayat adat resam kita:
77
BIMBINGAN MENARA GADING
Apa tanda Melayu jati
Hidup ikhlas menanam budi
Apa tanda Melayu jati
Elok perangai mulia pekerti
Sakit senang menanam budi
(Tenas Effendy 2006)
Penerapan nilai-nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
termasuk juga kegiatan, iaitu berbakti kepada masyarakat. Terapan
nilai-nilai murni secara komperehensif ini disisipkan melalui kesemua
mata pelajaran dan diperkukuhkan melalui kegiatan kokurikulum,
formal dan tidak formal, kegiatan dalam, dan di luar bilik darjah telah
diguna sepenuhnya dengan cara bersepadu supaya penerapan nilai-nilai
murni boleh berhasil dengan berkesan dalam kalangan peserta AMG.
Nilai-nilai murni yang dimaksudkan baik hati, berdikari, berhemah tinggi,
hormat menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian,
kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesedaran,
kesyukuran, rasional, dan semangat bermasyarakat.
Penanda Arasan (Lawatan dan Learning)
Program penanda arasan (Benchmarking) seperti mengadakan lawatan
dan program “learning” sangat memberi faedah kepada para peserta
AMG. Lawatan penanda arasan seperti ke Indonesia, Singapura, Thailand,
Korea Selatan, dan Jepun banyak memberi manfaat kepada para peserta
seperti mana telah dihurai di bahagian rakan siber. Begitu juga program
penanda arasan di sekolah berasrama penuh (SBP) banyak memberi
manfaat kepada para peserta AMG (Abdul Razaq 2007). Program penanda
arasan ini sesuai dengan riwayat resam kita:
Kalau memandang jauh ke depan
Siaplah ia menghadapi perubahan
Kalau memandang jauh ke depan
Banyak akal dijalankan
78
PEMBELAJARAN BERSAMA RAKAN SEBAYA (PEERAGOGY)
Siapa memandang jauh ke depan
Dirinya tak ketinggalan zaman
Siapa memandang jauh ke depan
Siaplah ia menghadapi persaingan
(Tenas Effendy 2006)
Program penanda arasan adalah satu proses yang sistematik
dan berterusan bagi mengenal pasti, mempelajari, mengubah suai
dan melaksana amalan terbaik daripada organisasi yang sama atau
organisasi yang lain untuk mencapai prestasi unggul. Program penanda
arasan ke SBP, misalnya telah membuka peluang kepada para peserta
AMG berkongsi idea dan pengalaman dengan pelajar terbaik. Misalnya,
bagaimana menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Selain itu, peserta
AMG dapat menimba kemahiran belajar yang betul dan berkesan
terutama memperbaiki daya ketekunan, teknik menjawab soalan
peperiksaan dan teknik menyelesaikan masalah dalam mata pelajaran
yang sukar. Pelajar AMG juga dapat belajar bagaimana pelajar SBP
mengurus diri dengan baik, bagaimana membahagikan masa belajar dan
bermain, serta sangat berdisiplin.
PENUTUP
Oleh itu, pembelajaran bersama rakan sebaya (peeragogy) dalam AMG
sangat penting diteruskan setelah melihat kebaikan yang diperoleh.
Kaedah peeragogi dalam program AMG dapat menjadi nilai tambah kepada
kaedah pedagogi dan andragogi yang diterapkan selama ini. Lebih-lebih
lagi kaedah peeragogi ini diyakini dapat membantu pencapaian matlamat
dan objektif modul “Multiple Integrated Intervention” program AMG.
79
BIMBINGAN MENARA GADING
Gambar 3.2 Sesi bergambar dan pemeriksaan barisan peserta AMG oleh
KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim
Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
80
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
Intervensi dan
Kemahiran Motivasi
Kendiri
Datin Dr. Anisa Saleha M. Nunuh Saleh
Uni Akademia
PENGENALAN
Kata-kata hikmah Abu Bakar Sibli, “Hiduplah seperti
pohon kayu yang lebat buahnya, hidup di tepi jalan
dan dilempari dengan batu, tapi membalas dengan
buah”. Matlamat utama kejadian manusia di dunia ini
adalah untuk menjadi makhluk yang mengabdikan diri
kepada Allah SWT dengan mentaati suruhan-Nya dan
meninggalkan larangan-Nya. Perkara ini disebutkan
Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan
untuk mengabdikan diri kepada-Ku”
(Al-Dzariyat, ayat 56)
Penjelasan dan penentuan matlamat hidup
yang dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran ini
bertujuan memandu manusia dalam menjalani
kehidupan dunia yang penuh mencabar ini dan dalam
masa yang sama membantu mempersiapkan diri
81
BIMBINGAN MENARA GADING
untuk kehidupan akhirat. Tindakan menjauhkan diri daripada panduan
ini akan menyebabkan manusia tersasar daripada jalan kehidupan yang
digariskan Allah SWT yang secara tidak langsung menghakis daripada
dalam diri manusia rasa keterikatan kepada Pencipta.
Al-Quran mengajar manusia berkenaan kepentingan hidup
dengan matlamat yang betul ini menerusi pelbagai pendekatan. Antara
pendekatan tersebut adalah menerusi penjelasan watak manusia
hebat dalam aspek berkaitan kehidupan dunia dan dalam masa sama
berpegang dengan matlamat hidup sepertimana digariskan Allah
SWT. Misalnya, Nabi Nuh digambarkan sebagai rasul yang tidak jemu-
jemu menyeru kaumnya untuk kembali kepada matlamat hidup yang
sebenar. Pada masa yang sama Allah SWT menjelaskan bahawa baginda
merupakan seorang yang hebat dalam aspek keduniaan pada zaman
tersebut iaitu antaranya menerusi kepakaran dalam pembinaan kapal.
Perkara ini dijelaskan secara tidak langsung menerusi nas-nas berkaitan
kejayaan baginda membina kapal yang ampuh menempuh banjir besar
yang sangat luar biasa (Mansor 2019), seperti dipetik dalam al-Quran
yang bermaksud:
“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa
mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu)
Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang
terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami,
dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir”.
(Hud, ayat 42)
Walaupun menerusi cerita ini kita dapat bayangkan betapa
hebatnya kepakaran Nabi Nuh menerusi pembinaan kapal yang mampu
menghadapi ombak setinggi gunung. Tetapi apa yang ditekankan al-Quran
berkenaan kisah ini adalah peranan baginda sebagai pemimpin ummah
yang cuba membawa manusia kepada jalan Allah SWT. Ia sebagai mesej
kepada kita berkenaan perkara utama dalam hidup ini, iaitu memastikan
kita tetap menjadi hamba Allah mengikut yang sepatutnya.
Ianya juga menunjukkan bahawa usaha merealisasikan matlamat
untuk menjadi hamba Allah yang sebenar tidak sepatutnya menjadikan
kita terpisah daripada dunia ini. Bahkan mereka yang memahami
matlamat ini dan menghayatinya akan menjadi manusia yang dapat
82
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
memenuhi ciri-ciri sebagai khalifah selayaknya untuk menjadi penghuni
dunia ini seterusnya di akhirat pula mendapat syurga (Mansor 2019).
Tetapi sekiranya kita tersasar daripada matlamat ini, boleh jadi kita
menjadi manusia yang hebat atau sebaliknya di dunia pada pandangan
kasar mata manusia, tetapi di akhirat kita akan menjadi orang yang
sangat rugi lantaran hilang kelayakan untuk mendapat tempat di syurga
Allah SWT.
KITA SEMUA BERBEZA, NAMUN LENGKAP-MELENGKAPI
Cuba anda lihat tapak tangan kanan anda. Garis yang ada dalam telapak
tangan ciptaan Allah SWT itu sungguh unik. Keunikannya adalah betapa
Allah Maha Kaya, mencipta tapak tangan kita tidak pernah ada yang sama
garis-garisnya. Ada yang bersambung cantik dari hujung ke hujung. Ada
yang terputus-putus di tengah telapak tangannya. Lihatlah latar belakang
fizikal yang lain, keperibadian, gaya berfikir, gaya berkomunikasi, tingkah
pertuturan, dan seumpamanya, semuanya berbeza antara manusia.
Namun, perbezaan ini bukanlah sesuatu yang perlu dikesali dan
diratapi. Perbezaan ini bukanlah juga sesuatu yang perlu mewujudkan
apa dipanggil sebagai “inferiority complex” dalam diri kita. Ia perlu
diraikan sebagai satu usaha membentuk motivasi dan semangat dalam
diri. Ia perlu diraikan sebagai usaha untuk membentuk “ukhwah fillah”
(perhubungan kerana Allah), ada rasa perlu-memerlukan, mewujudkan
perkaitan, bantu-membantu, dan lengkap-melengkapi antara kita
dengan orang lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu daripada
seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.
Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang
yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.”
(Al-Hujurat, ayat 13)
Ayat tersebut secara tersuratnya menyatakan bahawa manusia
dijadikan berbilang kaum supaya saling mengenali. Cuma apabila kita
memerhatikan sekeliling dan cuba mendalami ‘inti pati’ ayat tersebut
(berdasarkan terjemahannya, dan kemudian dibandingkan dengan
83
BIMBINGAN MENARA GADING
cerapan dan berfikir), kita boleh melihat bahawa hikmah terjadinya
pelbagai golongan manusia itu seakan lebih daripada sekadar saling
kenal-mengenali. Kepelbagaian golongan manusia hakikatnya
didatangkan secara pakej dengan kelebihan dan kekurangan. Masing-
masing ada keupayaan dan ketidakupayaan yang berbeza (dan mungkin
hampir sama). Selain keupayaan fizikal, keupayaan mental dan naluri
juga berbeza (dan ada yang hampir sama) antara manusia. Justeru,
‘hikmah’ penciptaan pelbagai kelompok manusia, menurut apa yang
boleh kita fahami, antaranya adalah untuk memenuhi kehendak dan
keperluan sesama manusia.
Saban hari apabila berinteraksi dengan orang lain, kita dapat
merasai bahawa kita beroleh “sesuatu yang baharu” daripada interaksi
tersebut. Kadang-kadang orang memberitahu kita suatu perkara
yang tidak atau belum kita ketahui. Ada masanya kita melihat orang
melakukan perkara yang sama sekali tidak mampu kita lakukan.
Ada pula orang yang menghadapi suatu perkara yang terlalu ekstrem
sehinggakan kita seakan-akan kagum dengannya kerana kita belum
tentu mampu menghadapi keadaan tersebut. Ada orang dapat ilham
dan cetusan fikiran yang tidak pernah kita terfikir, dan segala macam
kelebihan lagi ada pada orang lain. Justeru, dengan adanya orang lain
yang mempunyai kelebihan, dapat menampung pelbagai ‘kekurangan’
yang ada pada diri, bahkan yang mungkin kita tidak sedari jika kita tidak
berinteraksi dengan orang tersebut.
KITA MUNGKIN BERBEZA, TAPI MATLAMAT SAMA
Cuba kita lihat kecenderungan pemikiran kita dengan orang lain. Ada
kalanya, orang suka mengaitkan warna kegemaran dengan jantina.
Sebab itu biru kelihatannya sinonim dengan jantina lelaki dan merah
jambu atau pink dengan wanita. Namun, apa pula jadinya kalau seseorang
lelaki menggemari warna merah jambu dan perempuan suka warna biru?
Adakah ianya satu bentuk kesongsangan? Kita lihat pula kaedah belajar.
Ada pelajar suka belajar berlatarbelakangkan alam sekitar, penuh
ketenangan, tiada bunyi-bunyian bising, seakan-akan sedang belajar
sambil mengadap pemandangan indah hamparan sawah padi di kaki
bukit yang mempunyai anak sungai mengalir perlahan. Sebaliknya, ada
pelajar yang menggemari kaedah belajar dengan alunan muzik rancak
84
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
dan laju. Semakin muzik bertenaga dan kuat, semakin lajulah aliran
hormon “adrenaline”, seiring dengan semangat belajar yang rancak.
Kedua-dua kaedah ini terletak di “continuum” yang cukup berbeza,
tapi masing-masing tetap ‘layan’ bukan? Inilah apa yang disebut oleh
peribahasa Melayu, “lain padang, lain belalang”.
Persoalannya, apakah perbezaan yang terserlah sebegini tidak
boleh merungkai persamaan matlamat pada akhirnya? Seperti mana
yang dihuraikan dalam bahagian sebelum ini, matlamat tetap boleh
dicitrakan menjadi sama dan serupa, selagi mana matlamat mendapat
keredhaan Allah SWT menjadi ultimatum atau sebagai tunggaknya.
Dalam menuntut ilmu jua sebegitu, laluilah apa cara sekali pun dalam
kaedah, suasana, strategi, pelaksanaan, dan sebagainya. Asalkan, ianya
terpaksi kepada usaha menuntut ilmu untuk mencapai kebahagiaan
dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Seperti mana yang dinyatakan
oleh al-Imam al-Shafi’e dalam salah satu kata-kata agungnya:
“Barang siapa yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan dalam
kehidupannya di dunia, maka hendaklah ia berilmu. Barang siapa yang
inginkan kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupannya di akhirat,
maka hendaklah ia berilmu. Barang siapa yang inginkan kejayaan
dan kebahagiaan dalam kehidupannya di dunia dan di akhirat, maka
hendaklah jua ia berilmu.”
MOTIVASI MELALUI GAYA BERFIKIR
Kita biasa mendengar seseorang akan berkata “berfikirlah dahulu
sebelum bertindak”. Pernyataan ini memberikan gambaran bahawa
sesuatu tindakan itu secara normalnya perlu didahului dengan usaha
berfikir secara rasional. Ianya sangat-sangat berkaitan dengan konsep
‘sebab-akibat’ atau ‘punca-kesan’. Jika bertindak tanpa berfikir,
kebiasaannya natijah atau hasil sesuatu perbuatan itu akan bersifat
negatif atau merosakkan. Berbeza dengan tindakan yang didahului
dengan berfikir, hasil yang diperoleh biasanya adalah bersifat murni,
baik dan positif.
Sapora dan Khairunneezam (2006) telah membawa satu konsep
berfikir dan bertindak yang sangat menarik dalam menyuburkan
motivasi diri seseorang. Berfikir adalah menggunakan akal dan minda
85
BIMBINGAN MENARA GADING
(otak) manakala bertindak pula adalah menggunakan aksi (perbuatan).
Antara kedua-duanya wujud jaringan keseimbangan pola fikir dan pola
laku seseorang manusia. Berfikir tidak memerlukan kos yang tinggi,
Cuma kesanggupan, niat dan istiqamah yang tinggi terhadap sesuatu
yang hendak difikirkan. Secara umum dapat dinyatakan bahawa terdapat
sekurang-kurangnya empat golongan “berfikir dan bertindak” iaitu:
Berfikir – Bertindak (Orang yang beruntung)
Orang yang berfikir dan bertindak dikatakan sebagai orang yang
beruntung. Walaupun dia gagal dalam tindakannya, tetapi pengalaman
dalam tindakannya akan memberikan kelebihan kepadanya dalam
proses tindakan yang selanjutnya. Namun, perlu diingatkan yang berfikir
dan bertindak ini mestilah dalam kerangka “paradigma tauhid” selain
menyedari bahawa diri kita telah dipertanggungjawabkan untuk tugas
semurni itu.
Berfikir – Tidak Bertindak (Orang yang rugi)
Orang yang berfikir tanpa disertai keinginan untuk bertindak adalah
orang yang sangat rugi. Berfikir sudah memberikan kelebihan kepadanya
untuk memulakan tindakan, namun kemungkinan akan kegagalan
menyebabkan dia tidak bertindak. Orang yang seperti ini hanya melihat
tanpa ada rasa keinginan untuk menggerakkan fizikalnya ke arah
kebaikan.
Bertindak – Tidak Berfikir (Orang yang lalai)
Bertindak tanpa berfikir adalah amat berbahaya, dan orang sebegini
dikatakan sebagai golongan yang lalai. Orang yang lalai tidak prihatin
terhadap kesan daripada tindakannya. Baginya bertindak amat mudah
jika mengikut kebiasaan yang telah diamalkan sebelumnya, dan ia tidak
menyukarkan selagi seseorang itu mematuhi amalan dan kebiasaan
tersebut. Namun, tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan
amalan kebiasaan. Persoalan, masalah dan perkara baharu memerlukan
cara dan kaedah penyelesaian yang baru. Menerusi kegiatan berfikir, ia
akan memandu, memberi arah dan hala tuju bagaimana tindakan yang
sesuai dengan persoalan dan sesuatu masalah itu harus disasarkan.
86
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
Tidak Bertindak – Tidak Berfikir (Orang yang malang)
Orang yang tidak bertindak dan tidak berfikir adalah orang yang malang.
Malang kerana ia membiarkan dirinya kosong umpama vakum. Akal
dan kekuatan fizikalnya tidak digunakan untuk memperbaiki kualiti diri,
memberi sumbangan kepada bangsa, negara dan agamanya. Malah, orang
seperti ini telah gagal memikul tanggungjawabnya sebagai ‘khalifah’
Allah SWT di muka bumi ini. Orang seperti ini hanya suka berada dalam
‘zon selesa’ ciptaannya tanpa disedari bahawa dirinya adalah umpama
melukut di tepi gantang daripada perspektif masyarakat.
KAEDAH BERFIKIR
Terdapat beberapa kaedah berfikir yang digagaskan oleh para sarjana,
antaranya adalah seperti berikut:
Berfikir Secara Perseptif
Persepsi ialah proses minda membaca, mentafsir, dan memahami alam.
Persepsi ialah tahap pertama proses berfikir. Tahap kedua ialah logik. Daya
persepsi ialah daya survival yang paling penting. Logik dikatakan sebagai
“hamba dungu” kepada persepsi, ini adalah persepsi mempengaruhi apa
yang dilihat oleh logik. Setiap perkara dapat dilihat melalui pelbagai
persepsi. Sebagai contoh, perniagaan membuat dan menjual stoking
boleh dilihat dengan persepsi seperti ia adalah perkhidmatan membuat
stoking untuk orang-orang yang memerlukannya dan pembuat stoking
menerima ganjaran kewangan atas perkhidmatan itu atau ia adalah
suatu kegiatan mencari keuntungan daripada stoking.
Berfikir secara Analitikal
Berfikir secara analitikal ditandai oleh daya usaha untuk melihat
sesuatu itu secara lebih terperinci. Analisis adalah proses kita
memecahkan masalah besar kepada bahagian yang lebih kecil supaya
dapat kita tangani. Analisis ialah proses kita mencari punca itu. Analisis
ialah usaha kita untuk memahami situasi yang kompleks dengan cuba
melihat situasi itu melalui unsur-unsurnya. Yang menjadi masalah kita
bukanlah berdebat sama ada analisis berguna atau tidak tetapi sama
87
BIMBINGAN MENARA GADING
ada analisis sahaja sudah cukup. Kalau meja kita mempunyai dua batang
kaki, tiap batang kaki adalah berguna tapi sepasang kaki belum cukup.
Kita memerlukan empat batang kaki.
Kita membuat pelbagai analisis kerana kita mahu menjawab
soalan-soalan seperti Apa, Mengapa, Bila, Bagaimana, Siapa, dan Mana.
Ada sangkaan yang mengatakan analisis terperinci dapat membantu
penyelesaikan masalah. Ada masalah yang dapat diselesaikan dengan
cara menganalisis punca masalah tersebut. Tetapi kebanyakan masalah
tidak dapat diselesaikan dengan mengunakan analisis. Jenis-jenis
masalah yang berpunca daripada sifat semula jadi tabiat manusia ialah
contoh masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan cara analisis.
Ada masalah yang boleh kita selesaikan dengan cara menganalisis
punca-punca masalah tersebut. Walau bagaimanapun, banyak masalah
tidak dapat diselesaikan dengan cara mencari dan membuang puncanya.
Kalau mata kita rabun, sukar untuk membaca, kita tidak mungkin akan
membuang mata kita. Bagi tiap-tiap masalah, kita tahu punca masalah
yang kita alami, tapi kita tidak dapat menyelesaikan masalah itu dengan
cara membuang puncanya kerana hal itu tidak dapat dilakukan.
Banyak jenis masalah adalah terdiri daripada jenis yang hanya
dapat diselesaikan dengan menggunakan teknik pemikiran ‘reka cipta’
selain daripada menganalisis. Untuk menyelesaikan masalah itu kita
mereka cipta penyelesaiannya, bukan menganalisis punca-puncanya.
Pemikiran reka cipta mengkehendaki kita supaya melakukan itu ini,
semata-mata kerana hendak mendapatkan penyelesaian. Kita bukan
cuba membuang punca, malah kita peduli pada apa punca masalah dan
sebenarnya kita mereka cipta jawapannya.
PENGURUSAN MASA: APA YANG PERLU ANDA TAHU?
Menyebut tentang masa, sudah tentu ramai yang telah membaca,
mendengar bahkan menggunakan kaedah-kaedah pengurusan masa
yang banyak dan mempunyai ‘mazhab-mazhab’ yang berbeza. Begitu pun
berapa ramai daripada kita yang mengimani pepatah Arab yang cukup
sinonim sebagai halwa telinga kita iaitu, ‘kalau kita tidak mendahului
masa, maka masa bakal memenggal leher kita’? Berapa ramai jua yang
istiqamah menjaga susun atur aktiviti dan urusan kehidupan mengikut
88
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
ketetapan pengurusan masa yang baik? Menurut Hettich (1998, dalam
Sapora dan Khairunneezam, 2006), “Time expands for those who court
it.” Hakikatnya, masa merupakan sumber yang paling berharga yang
dikurniakan oleh Tuhan kepada manusia. Malangnya, tidak semua dalam
kalangan kita mengetahui cara yang paling efisien untuk memanfaatnya
dengan bijaksana. Sebagai pelajar, pengurusan masa memainkan
peranan penting dalam menentukan prestasi pencapaian mereka. Walau
bagaimanapun, pengurusan masa tidak bermaksud bahawa seseorang
pelajar itu terpaksa mengorbankan masa untuk beristirahat dan sia-sia.
Sebaliknya, pengurusan masa yang cekap dan efisien membantu kita
mencapai keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.
Tidak dinafikan bahawa pada peringkat sekolah bahkan di alam
pengajian tinggi, strategi pengurusan masa yang berkesan dan efisien
dalam kalangan pelajar merupakan tunjang kepada kecemerlangan
pencapaian akademik dan keseimbangannya dengan pencapaian
kokurikulum mereka. Hubungan antara kecemerlangan akademik dan
pengurusan masa adalah sentiasa positif, semakin baik atau mantap
kemampuan seseorang pelajar mengurus masa, semakin meningkat
dan cemerlanglah prestasi akademik mereka. Masa merupakan sumber
yang unik. Dari sehari ke sehari, setiap orang mempunyai jumlah masa
yang sama, tidak lebih tidak kurang. Pengurusan masa ialah proses
peribadi dan mestilah sesuai dengan gaya dan keadaan. Ia memerlukan
penglibatan yang banyak untuk mengubah tabiat lama, tetapi pilihannya
terpulang kepada anda untuk membuat keputusan. Sekiranya anda
membuat keputusan untuk mengamalkan prinsip ini, anda akan
memperoleh ganjaran hasil daripada pelaburan masa yang lebih baik.
Pengurusan Masa Berpandukan Prinsip
Untuk menguruskan masa dengan baik, anda perlu memulakan dengan
menetapkan matlamat hidup. Sekiranya matlamat hidup seseorang
individu itu tidak diuruskan secara tepat, akibatnya masa akan diuruskan
secara lintang-pukang. Kebanyakan pelajar hanya memikirkan soal nilai
semasa yang kadang kala berubah-ubah mengikut perubahan masa
dan keadaan. Justeru, pengurusan masa mestilah berpusatkan prinsip,
bukan semata-mata nilai. Oleh itu, sebagai seorang pelajar, sebelum
89
BIMBINGAN MENARA GADING
menguruskan masa, perlulah anda selesaikan dahulu persoalan utama
iaitu apakah matlamat anda?
Pengurusan masa yang tidak berdasarkan prinsip, akan
menyebabkan seseorang tertumpu kepada matlamat jangka pendek
atau pada tugas hariannya tanpa terfikir apakah yang perlu dicapai dalam
hidup yang singkat ini. Cita-cita, wawasan dan matlamat hidup anda
sepatutnya menjadi dominan dalam pengurusan masa anda berbanding
rutin hidup harian yang ‘stereotype’ sifatnya. Selalunya terdapat tiga
kategori perkara yang perlu anda susun mengikut keutamaan masa:
Penting dan Segera
Ini adalah tugas yang wajib dilaksanakan pada masa itu juga atau
pada waktu yang terdekat. Contohnya, jika hari ini seorang pensyarah
meminta anda untuk menyempurnakan satu tugasan akademik dan
menyerahkannya pada pukul 11 pagi esok. Selalunya, seseorang dapat
melaksanakan tugas dalam kategori ini dengan tepat. Seseorang itu
mampu melaksanakan dengan baik kerana didorong oleh sifat ‘segera‘
dan kepentingannya. Tetapi sering juga terjadi pengabaian sekiranya
hidup seseorang itu tidak berdasarkan prinsip yang tepat. Contohnya,
apabila sudah masuk waktu solat, masih ramai yang mengabaikannya
walaupun pada hakikatnya adalah persoalan yang penting dan segera.
Penting Tetapi Tidak Segera
Kejayaan melaksanakan tugas dalam kategori kedua inilah yang
membezakan antara individu yang berkesan dan yang tidak berkesan.
Malangnya, kebanyakkan perkara penting dalam hidup seseorang tidak
termasuk dalam kategori ‘segera’. Contohnya, perkara dalam kategori
ini bagi pelajar sekolah adalah kelas tambahan yang perlu dihadiri pada
hujung minggu, tugasan menyiapkan portfolio subjek tertentu pada
hujung penggal dan sebagainya. Bagi seseorang mahasiswa di universiti,
ia mungkin kursus yang perlu dihadiri untuk mempertingkatkan
kemahiran profesional, kertas kerja yang perlu dibentangkan, jurnal
yang perlu diterjemahkan. Ini akan dapat mengelakkan ‘pengangguran
masa’ dan akan dapat mendisiplinkan diri anda sebagai seorang pelajar.
90
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
Seterusnya, pengurusan yang unggul dapat dicapai melalui
kebijaksanaan pengurusan masa. Anda perlu tahu bahawa sumber
yang paling penting yang perlu diagihkan pada setiap masa ialah
masa itu sendiri. Antara tugas penting sebagai seorang mahasiswa
adalah mengagih-agihkan masa di antara belajar dengan aktiviti yang
lain seperti melibatkan diri dengan persatuan, kebajikan masyarakat
dan aktiviti riadah yang lain. Ilmu psikologi pun menekankan apabila
seseorang berada dalam keadaan tekanan dan ketakutan, dia akan
hilang pertimbangan. Jadi, sebahagian masa perlu diperuntukkan untuk
menenangkan fikiran.
Setiap detik masa yang berlalu amat bermakna kepada orang yang
tahu untuk menghargainya. Oleh sebab masa itu bersifat perdana, anda
harus menggunakannya dengan lebih produktif bagi menghasilkan kerja
yang bermutu. Kebiasaannya, masa yang lebih produktif dalam sehari
ialah pada awal pagi. Seseorang akan berasa segar, berjaga-jaga dan
rehat. Kita mempunyai lebih tenaga dan bersedia untuk pergi bekerja.
Pada tahap ini, konsentrasi seseorang sangat tinggi dan mempunyai
jarak tumpuan yang jauh.
Dalam hal ini mahasiswa perlu sedar bahawa otak yang cergas
datangnya dari badan yang sihat. Islam sendiri pun menuntut agar
umatnya terus berusaha kerana rezeki bermula selepas solat subuh.
Peluang ini perlu digunakan oleh mahasiswa sebaik yang mungkin
kerana tanggungjawab dan amanah yang perlu dilakukan amat besar
sekali. Sekiranya anda menangguhkan kerja terhadap projek yang
penting sehingga tenaga hilang, kedua-dua kualiti kerja dan produktiviti
secara keseluruhannya akan hilang. Seseorang mungkin tahu tentang
diri sendiri bilakah waktu produktifnya dalam sehari. Sama ada awal pagi
atau lewat pagi, awal atau lewat tengah hari. Bila-bila sahaja, objektif
menepati masa perlu dilakukan dan ianya perlu digunakan secara
cekap. Dalam kehidupan kampus, mahasiswa perlu menggunakan dan
mengagihkan masa dengan konsisten seperti menyiapkan tugasan
pada tarikh yang ditetapkan, membuat penyelidikan luar, rujukan di
perpustakaan, berpersatuan, beriadah, dan mengulang kaji pelajaran
bagi menghadapi peperiksaan.
91
BIMBINGAN MENARA GADING
Segera Tetapi Tidak Penting
Perkara atau kerja dalam kategori ini selalunya menuntut tindakan yang
segera tetapi jika diteliti secara objektif perkara ini sebenarnya kurang
utama. Contohnya, kita diajak untuk menghadiri satu pertemuan, diminta
untuk ber‘Facebook Live’ untuk membantu jualan produk, atau seorang
kawan mengajak kita menemaninya membeli-belah. Kita mungkin
menyedari bahawa perkara ini sepatutnya kurang diberi keutamaan,
tetapi masalahnya seseorang sedang menanti di hadapan meja kita
untuk mendapat jawapan. Akhirnya kita tewas, lalu bersetuju kerana kita
tidak mampu mencari alasan yang baik dan manis untuk menolaknya.
MEMBENTUK PERANCANGAN DAN JADUAL BELAJAR
Terdapat banyak kaedah pengurusan masa berasaskan pembentukan
jadual terutamanya dalam kalangan pelajar. Ada yang membuat
jadual pembelajaran berasaskan konsep harian, mingguan, bulanan,
dan sebagainya. Di bawah adalah satu contoh pembentukan jadual
semester plan berdasarkan kepada strategi pengurusan masa yang
efisien (Sapora & Khairunneezam 2006). Perancangan ini adalah sesuai
dibuat pada minggu kedua permulaan setiap semester bagi pelajar di
universiti. Ini kerana pada masa itu, pensyarah telah mengedarkan
rangka kursus dan tajuk tugasan kepada para pelajar. Begitu pun, jadual
ini tetap juga sesuai diaplikasikan oleh pelajar di sekolah. Untuk mereka
ini, jadual ini boleh saja dibuat terus pada awal persekolahan bermula
kerana ia tidak akan mengganggu waktu pembelajaran di sekolah,
bahkan menggabungjalinkan dengan semua waktu selain di sekolah
dalam setiap minggu. Selepas beberapa minggu menggunakan jadual
ini, penilaian harus dibuat ke atasnya untuk menentukan keefektifannya.
Jadual perancangan ini adalah seperti berikut:
92
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
Jadual 4.1 Perancangan Mingguan (Semester Plan)
Hari/Waktu Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu Ahad
0700
0800
0900
1000
1100
1200
1300
1400
1500
1600
1700
1800
1900
2000
2100
2200
2300
Panduan Pengisian Jadual untuk Pelajar Sekolah
Antara tatacara pembentukan dan pengisian aktiviti dalam jadual ini tidak
banyak berbeza dengan panduan untuk pelajar universiti. Pertamanya,
catatkan semua aktiviti anda termasuk waktu belajar, mengulang kaji,
beriadah, berehat, dan bersosial. Kedua, buat jadual waktu mingguan
yang merangkumi aktiviti anda setiap hari bermula daripada bangun
tidur hingga waktu tidur. Ketiga, agihkan waktu yang cukup untuk tidur,
makan dan rekreasi. Pelajar harus faham mereka tidak boleh terlalu
terfokus kepada aktiviti akademik semata-mata dan mengabaikan
aktiviti kokurikulum dan rehat yang mencukupi. Keempat, pelajar perlu
susun tugas mengikut keutamaan yang boleh dirujuk dalam topik
sebelum ini. Kelima, pelajar perlu meluangkan waktu untuk berbincang
93
BIMBINGAN MENARA GADING
atau mengulang kaji pelajaran sebelum ke sekolah atau masuk ke kelas.
Keenam, sediakan waktu untuk mengulang kaji pelajaran selepas waktu
sekolah kerana anda mungkin akan lupa pelajaran tersebut sekiranya
pelajaran itu tidak diulang baca dalam tempoh 24 jam.
Mengurus masa dengan efektif dan efisien boleh menjadi satu
cabaran terutama kepada mahasiswa. Jadual semester plan diwujudkan
untuk menyusun aktiviti dalam kehidupan pada setiap hari. Sebagai
pelajar, anda perlu dapat memberikan tumpuan yang lebih kepada
perkara yang penting, tetapi dalam masa yang sama juga anda perlu
mengimbangkannya dengan keperluan rutin harian. Dalam membuat
jadual utama anda perlu mengenal pasti masa yang penting, iaitu
masa kuliah, dan tutorial, makmal atau bengkel, masa untuk sebarang
komitmen seperti perjumpaan study group atau sebarang aktiviti
persatuan dan kelab.
Selain itu, anda perlu mengetahui kegiatan asas harian hidup
seperti makan, tidur, berehat dan beriadah. Ini semua adalah penting
untuk menjadikannya realistik untuk mengetahui berapa lama aktiviti
tersebut memakan masa. Contohnya, membahagikan enam jam supaya
mendapat tidur yang cukup (mengikut kesesuaian dan kebiasaan
individu), sejam untuk makan tengah hari dan malam, beberapa jam
untuk beribadah, dan sebagainya supaya anda tidak perlu tergesa-gesa
atau berpeluang untuk bersosial dengan kawan-kawan.
Dalam membuat jadual untuk membahagikan masa penting,
masa peribadi dan masa untuk rutin harian, anda juga perlu mengetahui
tahap kecergasan tenaga anda, iaitu bilakah masa yang paling cergas
dan sebaliknya. Ini penting kerana ia mempengaruhi jadual seharian
anda. Jika tidak ia akan mempengaruhi jadual yang telah dirancang.
Contohnya, membuat ulang kaji setelah selesai latihan sukan. Keadaan
sebegini akan menjejaskan keadaan kerana tenaga akan berkurangan
untuk mengulang kaji kerana penat bersukan. Oleh itu, seseorang tidak
dapat menumpukan perhatian dalam membuat ulang kaji.
Sesetengah pakar pengurusan masa juga mensyorkan supaya
jadual yang dibuat adalah fleksibel. Mereka mencadangkan supaya
dua jam daripada 24 jam tidak dijadualkan. Oleh itu, anda perlu bijak
membahagikan masa dalam membuat jadual yang realistik dan mampu
serta mempunyai disiplin untuk mengikutinya. Berikut adalah contoh
jadual perancangan mingguan bagi seorang pelajar universiti:
94
Masa / Hari 6-7 pagi Jadual 4.2 “Semester Plan” Pelajar Sekolah 7-8 8-9 9-11
Isnin 7-2 2-3 3-5 5-7
Selasa Bangun
Rabu Kemas Diri U
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
Khamis95 Solat L
Siap ke Sekolah
Jumaat AS S
Kemas Diri
Sabtu Solat NO O U
L
Ahad Waktu Persekolahan GL L T A
N
Solat KA A V G
Makan K
AT T / A
J
J/ / S I
IR M O
IL
TAAA
Mengemas Rumah / UDK T
Aktiviti Keluarga I AA
SHN
Riadah Ulang kaji
Y
E
N
Jadual 4.3 “Semester Plan” Mahasiswa Universiti
Hari/ Isnin Selasa Rabu Khamis Jumaat Sabtu Ahad
Waktu
0600 Kuliah Prinsip Zakat Persiapan Kendiri / Solat Subuh Rehat Group Rehat
0700 dan Cukai Tutorial Study / /
0800 Makmal Sarapan Tugasan
0900 Ilmiah Riadah
1000 Kuliah Pengurusan Makmal Kuliah Ulangkaji /
Baitulmal Wakaf dan Statistik Rehat
1100 Kuliah Perniagaan / Sukan
1200 Faraid Prinsip Etika
1300 Kerja Islam Rehat Riadah
1400 BIMBINGAN MENARA GADING/
96 Tutorial
1500 Rehat / Solat Zohor Sukan
1600 Kuliah Kuliah Kuliah Rehat
1700 Pengurusan Ekonomi Pengajian Halaqah Tutorial
1800 Malaysia
1900 Risiko
2000
2100 Rehat / Solat Asar Tutorial Solat Asar Tutorial
2200 Solat Asar Sukan / Rekreasi
2300 Kuliah Sukan /
2400 Fiqh Muamalat Rekreasi Rehat
Rehat / Makan Malam / Solat Maghrib & Isyak
Ulangkaji / Tugasan Ilmiah Group Kuliah Ulangkaji / Tugasan Ulang kaji
Study e-Dagang Ilmiah / Tugasan
Ilmiah
Tidur / Rehat
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
BUDAYA MEMBACA
Membaca boleh didefinisikan sebagai suatu bentuk aktiviti yang
melibatkan pemikiran dan penumpuan perhatian dalam memahami
sesuatu idea yang ditulis dalam buku yang dibaca. Menurut Mortimer
Adler dalam bukunya “How to Read a Book” menyatakan bahawa
membaca adalah proses mentafsir atau memahami tentang apa
saja bahan bacaan yang boleh merangsang pemikiran (dalam Sapora
dan Khairunneezam, 2006). Dalam kemahiran membaca, terdapat
banyak teknik yang digunakan untuk memastikan cara belajar yang
lebih baik. Para sarjana menyifatkan membaca sebagai proses untuk
memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang bercetak atau
bertulis. Seseorang akan dapat memahami apa yang dibaca apabila
berlaku interaksi antara pengamatannya tentang lambang yang dibaca,
kebolehannya berbahasa dan pengetahuannya tentang alam sekeliling.
Pada wahyu pertama itu terdapat isyarat yang cukup penting buat
seluruh umat Islam. Mengapa agaknya ketika Nabi SAW diwahyukan
pada wahyu yang pertama dengan satu surah yang menyuruh baginda
membaca sedangkan baginda tidak tahu membaca dan menulis. Ayat
pertama daripada surah al-‘Alaq ini sebenarnya ingin memberitahu kita
satu formula agung bahawa sebenarnya lima ayat inilah merupakan
titik-tolak kepada bangunnya sebuah tamadun Islam, lahirnya seorang
Nabi akhir zaman yang mengajarkan apa yang diwahyukan daripada
Tuhan-Nya, berkembangnya ketamadunan ini sehingga menjadi pelopor
kepada ilmu utama dalam dunia moden ini.
“Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang
menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku
darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar
manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang
tidak diketahuinya,” (Al-‘Alaq : Ayat 1-5)
Sedar atau tidak kita adalah satu tamadun yang bangun
dengan membaca. Dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) ini sesiapa
yang tidak berusaha untuk menambah ilmu dan pengetahuan serta
tidak mengaplikasikannya untuk survival kehidupan, maka dia akan
ketinggalan. Penambahan ilmu pengetahuan ini sudah tentulah didukung
oleh budaya membaca. Sayangnya, dalam kalangan masyarakat
97
BIMBINGAN MENARA GADING
Malaysia terutamanya golongan millennial yang rata-ratanya berada
di institusi pengajian tinggi dan di sekolah menyerlahkan purata
pembacaan buku hanya dua dan empat buah sahaja dalam setahun.
Angka ini sangat rendah untuk sebuah negara yang cuba meluncur maju
pesat membangun seperti Malaysia. Untuk itu, sebagai pelajar budaya
membaca dan dibuat secara efektif adalah sangat diperlukan dalam
menuntut ilmu pengetahuan.
SEIMBANG DAN HOLISTIK DALAM PELAJARAN KUNCI
KEJAYAAN KEHIDUPAN
Sebagai seorang penuntut ilmu tidak kiralah di institusi persekolahan
mahu pun di universiti, anda perlulah sedar dan tahu apakah matlamat
dan perjuangan yang perlu diangkat sepanjang menuntut ilmu. Apakah
strategi dan kaedah pembelajaran yang perlu dibudayakan agar di
penghujung destinasi pengajian kelak akan membuahkan sesuatu
yang bermakna sebagai bekal memasuki fasa seterusnya, iaitu semasa
bekerja.
Menjadi kebiasaan bagi kita bertemu dengan dua kutub personaliti
dalam kalangan pelajar. Pertamanya, golongan ulat buku yang
kelihatannya sangat cenderung kepada perkuliahan, pembacaan, setia
mentelaah dan mensintesis setiap inci ilmu yang diperturunkan oleh
pensyarah dalam kuliah. Lazimnya, golongan ini juga dipanggil “mat atau
minah skema” lantaran dedikasi tinggi mereka dalam akademik. Aktiviti
selain akademik dianggap mengganggu fokus mereka untuk meraih
keputusan cemerlang setiap semester.
Golongan keduanya, adalah mereka yang terfokus kepada aktiviti
selain daripada bilik kuliah, tidak kiralah sibuk berpersatuan, menyertai
pelbagai aktiviti kesukanan, mahupun aktiviti sosial dan kemasyarakatan.
Pada mereka, minat dan kecenderungan perlu dirai, lantaran medan dan
peluang sangat terbuka luas disediakan, digabung pula dengan sifat
keremajaan mereka yang suka bereksperimentasi dengan sesuatu yang
baharu. Namun, persoalannya di sini adalah, benarkah ulat buku akan
mendominasi pentas kejayaan apabila bergelar pekerja kelak? Begitu
jua halnya dengan mereka yang terlalu aktif berpersatuan dan menjalani
aktiviti luar, bolehkah mereka ‘survive’ atau mempunyai kelebihan untuk
memenangi hati bakal majikan tanpa keputusan peperiksaan yang
secemerlang para ulat buku?
98
INTERVENSI DAN KEMAHIRAN MOTIVASI KENDIRI
Gambar 4.1 KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum
Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, bergambar bersama sebahagian
pelajar AMG
Gambar 4.2 KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum
Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, merakamkan gambar kenangan
bersama jawatankuasa AMG
99
BIMBINGAN MENARA GADING
Memetik pandangan cendekiawan Islam, Yusuf Al-Qardhawi, iaitu
satu-satu generasi yang mengikuti sesebuah sistem pendidikan perlu
bersandarkan kepada realiti dan keilmuan. Generasi ini adalah generasi
yang berlepas daripada segala sangkaan dan berhukum dengan keilmuan
dan kebenaran yang nyata. Pelajar di universiti merupakan generasi
yang dimaksudkan oleh Yusuf al-Qardhawi ini dengan syarat mereka
tidak terlalu ekstrem kepada salah satu daripada dua kutub personaliti
yang disebutkan tadi.
The American Psychological Association telah menjalankan kajian
pada penghujung tahun 2019 dalam kalangan alumni universiti negeri
merentasi seluruh Amerika Syarikat mengenai bakat, kebolehupayaan
dan kebolehpasaran mereka dalam tempoh lima tahun pertama bekerja.
Salah satu daripada dapatan kajian menyerlahkan bahawa hampir 85
peratus alumni yang baru saja bekerja ini percaya keseimbangan yang
mereka serlahkan dalam konteks akademik dan kokurikulum sepanjang
pengajian di universiti sangat membantu menyerlahkan potensi,
kompetensi dan sikap yang dikehendaki oleh majikan mereka.
Islam adalah agama fitrah, dan fitrah manusia selalu menginginkan
keseimbangan. Dengan keseimbanganlah alam ini berjalan teratur. Allah
SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dialah yang telah
mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau
tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang
keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau
ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu), dapatkah engkau melihat
sebarang kecacatan?” (Al-Mulk, 3). Sesungguhnya, keseimbangan yang
disebut Allah SWT inilah yang menjadi roh dan inti pati ajaran Islam.
Sebagai seorang bakal graduan di universiti awam mahu pun
swasta, setiap pelajar perlulah memiliki keseimbangan dalam hal ehwal
pembelajaran mahu pun aktiviti lain di luar bilik kuliah, bukan terlalu
fokus kepada salah satu daripadanya. Tuntasnya, keseimbangan yang
harus ada pada seseorang pelajar itu terbahagi kepada dua dimensi
yang utama, iaitu keseimbangan dalaman dan keseimbangan luaran.
Keseimbangan dalaman diperihalkan melalui kemampuan memenuhi
hak peribadi secara adil dalam aspek fizikal (kesihatan tubuh badan),
emosional (perasaan yang bersih), mental (fikiran yang jernih) dan
spiritual (hubungan dengan Allah SWT yang terbaik).
100