The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by MAHADZIR ADUN, 2020-07-17 21:46:21

Bimbingan Menara Gading ebook

Bimbingan Menara Gading ebook

Keywords: AMG-YASA

KERANGKA MINDA PELAJAR CEMERLANG

kepakaran dalam mentransformasi minda pelajar ke arah melahirkan
pelajar cemerlang. Maka, segala aspek tersebut tidak dapat diukur
secara tepat. Rata-rata kalangan pelajar tidak dapat dinilai berdasarkan
aspek-aspek yang digariskan seperti yang terdapat dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan. Oleh itu, pihak sekolah seharusnya dibantu
oleh pelbagai institusi yang sekurang-kurangnya dapat membawa
pelajar untuk mencapai aspek-aspek yang digariskan bagi mengukur
keberkesanannya.

Dalam aspek-aspek yang diharapkan untuk dicapai dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan 2013-2025, peranan pelbagai institusi luar
dilihat sangat penting untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam
pelbagai bidang dan bukan hanya cemerlang dalam bidang pendidikan
sahaja sepanjang mereka berada di zaman persekolahan. Ketika pelajar
belajar di tingkatan empat dan lima, pelbagai aspek perkembangan
sepatutnya diterapkan ke dalam minda pelajar agar dapat memberi
manfaat kepada diri pelajar itu sendiri. Di samping itu, kepentingan
golongan muda yang cemerlang sudah semestinya menjadi pemangkin
kepada pembangunan negara dari sudut politik, ekonomi dan juga sosial.
Adalah sesuatu yang perlu difahami oleh pelbagai intitusi bahawa
sekolah secara asasnya lebih bersifat umum dalam menyediakan
peluang pendidikan kerana kekangan dana dan kepakaran. Institusi
sekolah lebih banyak memberi ruang pembangunan diri pelajar secara
umum khususnya pengetahuan berasaskan subjek yang dipelajari
sahaja. Namun, jika wujud pelbagai institusi yang sedar akan nilai tambah
terhadap perkembangan pelajar adalah sesuatu yang amat diharapkan.
Hal ini kerana pendedahan kepada pelbagai nilai tambah memerlukan
dana dan tenaga kepakaran yang pastinya menelan kos yang tinggi. Isu ini
sepatutnya disedari oleh semua pihak bahawa pendidikan bukan hanya
tanggungjawab pihak sekolah semata-mata dalam usaha melahirkan
generasi muda yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH

Sekolah di Malaysia secara umumnya menggunakan dana kerajaan
manakala sekolah-sekolah persendirian akan mengenakan bayaran
kepada ibu bapa yang berkemampuan kerana kerajaan tidak menanggung
sepenuhnya dana untuk pembangunan pendidikan. Penyediaan
pelajaran kepada generasi muda adalah suatu bentuk pelaburan yang

251

BIMBINGAN MENARA GADING

boleh dilihat dan dinilai untuk jangka pendek dan jangka panjang. Dalam
jangka pendek tentulah pelajar lepasan SPM akan memasuki pelbagai
sektor kemahiran yang berupaya menggerakkan pembangunan ekonomi
negara. Manakala untuk jangka panjang, nilai pulangan dapat dilihat
melalui aspek yang melibatkan pelbagai kepakaran yang dihasilkan
melalui penyediaan pendidikan di peringkat pengajian tinggi. Oleh itu,
semasa di sekolah, aspek pengajaran dan pembelajaran diharapkan
dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai nilai tambah dalam
menyediakan tenaga kerja yang memerlukan pelbagai kemahiran.

Corak pengajaran sepatutnya mempunyai penambahbaikan untuk
tempoh-tempoh tertentu contohnya dalam latihan perguruan kerajaan
perlu berupaya menyediakan kalangan guru yang mampu melonjakkan
pencapaian murid untuk melihat masa depan yang lebih optimis dengan
sokongan nilai tambah yang mungkin tidak dapat dipenuhi oleh pihak
sekolah. Pencapaian ini dapat dicapai sekiranya pelbagai institusi
membantu dengan menyumbang dana dan kepakaran untuk melahirkan
pelajar yang mempunyai nilai tambah seperti yang diharapkan dalam
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Didapati gaya
pembelajaran di sekolah-sekolah perlu melalui transformasi agar
enam aspek penting dapat dicapai seperti yang digariskan dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025. Jika tidak, ilmu yang
diperoleh oleh pelajar yang menerima pelajaran di sekolah hanyalah
lebih kepada menggunakan pengetahuan bagi tujuan peperiksaan
semata-mata. Ini tentulah merugikan tenaga muda yang mana mereka
diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan negara khususnya
untuk jangka panjang.

MAKNA CEMERLANG DAN DISIPLIN KENDIRI PELAJAR

Sering kali slogan cemerlang menjadi agenda penting kepada pelbagai
institusi khususnya yang terlibat dalam bidang pendidikan. Agak sukar
untuk mendefinisikan makna cemerlang dalam konteks sesebuah
institusi pendidikan yang ingin dinilai. Besar kemungkinan sesuatu yang
cemerlang hanya dilihat dari satu aspek pencapaian sahaja ataupun lebih
daripada itu. Dalam aspek pencapaian sekolah harian dengan Sekolah
Berasrama Penuh, perbandingan sering kali dilihat melalui keputusan
peperiksaan kebangsaan khususnya SPM. Jika Sekolah Berasrama

252

KERANGKA MINDA PELAJAR CEMERLANG

Penuh mendapat keputusan cemerlang 100 peratus, seolah-olah konsep
cemerlang itu tidak terpakai. Ini disebabkan cemerlang biasanya tidak
merujuk kepada majoriti. Oleh itu, pencapaian yang digunakan adalah
perkara biasa yang sepatutnya dicapai oleh pelajar Sekolah Berasrama
Penuh yang memang lengkap dengan kemudahan untuk belajar.

Oleh itu, pelajar Sekolah Berasrama Penuh sepatutnya dapat
menunjukkan kecemerlangan bukan sahaja dari segi akademik bahkan
lebih menyeluruh meliputi pelbagai aspek pembangunan seseorang
remaja ataupun pelajar. Namun, setiap tahun yang diuar-uarkan
hanyalah lebih kepada aspek akademik sahaja. Oleh itu, negara tentulah
kerugian kerana warganegara yang hanya cemerlang akademik, besar
kemungkinan tidak kreatif dalam aspek-aspek tertentu yang sangat
diperlukan dalam pembangunan negara. Bagi sekolah-sekolah harian
yang sifatnya tidak mengawal secara keseluruhan kehidupan dan budaya
pelajar, tentulah sukar untuk membina pelbagai elemen yang diharapkan
kecuali adanya kesedaran dan semangat dalam diri seseorang pelajar
itu sendiri. Yang mahu mencapai kecemerlangan dan dapat bersaing
dalam dunia kerjaya bagi pelajar sekolah harian tentulah kekuatan
disiplin kendiri terutamanya penjadualan waktu belajar kerana tiadanya
sebarang halangan untuk mereka tidak menumpukan kepada pelajaran.
Peranan ibu bapa juga semakin mengecil pada masa ini contohnya
ada ibu bapa yang tidak terdedah dalam dunia pendidikan dan mereka
tentulah tidak berupaya untuk membantu anak-anak mereka sendiri
dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran. Maka, peranan pelbagai
pertubuhan bukan kerajaan diharapkan tampil untuk membantu seperti
menyediakan kemudahan pembelajaran seperti yang terdapat di
sekolah-sekolah berasrama penuh kepada sekolah-sekolah harian yang
pastinya mempunyai jumlah bilangan pelajar yang lebih ramai.

Berbalik kepada disiplin pelajar yang mahu menuju kecemerlangan
akademik, tentulah motivasi diri yang kuat dengan pelbagai kemahiran
amat diperlukan dalam menghadapi pelajaran agar dapat mendatangkan
hasil yang lebih baik. Peratusan jam belajar dengan penuh disiplin adalah
satu aspek yang diyakini boleh membawa kepada kecemerlangan
akademik seseorang pelajar. Dengan lain perkataan, seseorang pelajar
itu mampu mencapai tahap kecemerlangan dalam kehidupan bukan
hanya berdasarkan kecemerlangan akdemik semata-mata namun
kemahiran dan nilai tambah yang dimiliki boleh menjadi asas kepada
kehidupan yang lebih cerah terutamanya dalam pembangunan kerjaya.

253

BIMBINGAN MENARA GADING

KEUSAHAWANAN SEBAGAI KERJAYA

Dunia kerjaya semakin berubah masa kini. Kalangan lepasan SPM
dan juga yang lebih tinggi daripada tersebut lebih mudah diterima
menyambung pengajian di peringkat pengajian tinggi. Corak pekerjaan
yang disediakan oleh pihak kerajaan tidak lagi mampu dilayan. Ekonomi
berasaskan teknologi tidak lagi memerlukan tenaga kerja dalam banyak
industri berasaskan perkhidmatan. Maka, persoalan penting adalah, ke
manakah arah kerjaya kalangan pelajar lepasan sijil, diploma dan juga
ijazah? Inilah tahap kecemerlangan sebenar terhadap kalangan pelajar
yang mampu melihat pengetahuan melalui pemikiran aras tinggi. Aspek
inovasi dalam kerjaya semakin diperlukan dan biasanya menghasilkan
pulangan yang lebih lumayan. Apa yang penting, kemampuan dalam
konteks kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi
dalam dunia yang memerlukan pemikiran kreatif dan inovatif dengan
perkembangan teknologi yang begitu canggih. Sebagai contoh, dalam
perniagaan dalam talian, usahawan perniagaan cara ini telah mampu
menyediakan peluang pekerjaan dengan kos tetap yang lebih minimum

Akses 100% enrolmen merentas semua peringkat pendidikan daripada
prasekolah hingga menengah atas menjelang tahun 2020

Kualiti Negara dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran
antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun

Ekuiti 50% pengurangan dalam jurang pencapaian
(bandar-luar bandar, sosioekonomi, gender) menjelang tahun 2020

Perpaduan Sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian pengalaman dan
nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian

Kecekapan Sistem yang memaksimumkan keberhasilan murid mengikut
peruntukan sedia ada

Rajah 14.2 Aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia

254

KERANGKA MINDA PELAJAR CEMERLANG

berbanding dengan membayar sewa atas bangunan yang digunakan
untuk perniagaan. Begitu juga pelbagai perkhidmatan yang seterusnya
sampai ke tangan pelanggan semakin popular dalam zaman ini. Oleh itu,
kecemerlangan pelajar perlu diukur dalam konteks idea-idea baharu dan
bersifat masa depan yang berkemungkinan pelik tetapi pada suatu masa
idea tersebut amat diperlukan atau akan digunakan. Dalam konteks
ini, kecemerlangan bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik
yang hanya menghimpunkan pengetahuan semata-mata tetapi mampu
menggunakan pengetahuan tersebut untuk sampai ke tahap menilai
dan juga mencipta sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada
kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

NILAI TAMBAH DALAM PEMBANGUNAN DIRI

Nilai kendiri dalam kalangan pelajar yang bakal menduduki SPM penting
dalam konteks menyediakan ruang dan peluang kerjaya dalam dunia
yang mana maklumat telah mencapai tahap luar biasa. Sehubungan itu,
pembangunan kendiri yang berasaskan pemikiran dan nilai positif amat
penting bagi mereka yang cemerlang dengan mempunyai nilai tambah
berbanding cemerlang dalam akademik semata-mata. Aspek nilai
tambah adalah aspek membangunkan potensi diri dengan menunjukkan
nilai tertentu seperti kebolehan berbahasa yang dijelmakan dalam
kemahiran berdebat. Bakat digilap dalam menyampaikan sesuatu hujah
yang boleh memberi keyakinan kepada orang lain.

Di samping itu, daya kepimpinan pelajar itu sendiri akan
menunjukkan bahawa pelajar tersebut mengamalkan kepentingan
disiplin kendiri yang tinggi. Dengan kata lain, pelajar tersebut boleh
dicontohi dan mampu membimbing rakan sebayanya. Keupayaan
komunikasi yang baik juga boleh melonjakkan pembangunan diri pelajar
itu sendiri dan menjadi bukti bahawa nilai diri dan disiplin pelajar tersebut
boleh mencapai tahap luar biasa. Aspek penting untuk cemerlang
tentulah dengan membuat latihan yang tidak jemu-jemu bagi mencapai
tahap cemerlang yang boleh dikategorikan sebagai luar biasa.

255

BIMBINGAN MENARA GADING

KEJAYAAN AMG DALAM MELAHIRKAN PELAJAR
CEMERLANG

Akademi Menara Gading (AMG) adalah satu pertubuhan bukan
kerajaaan yang mendapat jaminan dan perlindungan daripada ketua
sebuah kerajaan negeri di Pahang. Sebagi satu badan kebajikan yang
berteraskan pendidikan, maka pelbagai pembangunan pendidikan
diaplikasikan kepada kalangan pelajar yang menyertai program
tersebut. Program ini bermula dengan kelas-kelas bimbingan terhadap
subjek-subjek tertentu yang menumpukan kepada kalangan pelajar di
negeri Pahang Darul Makmur yang secara umumnya berada pada zon
kemiskinan dan punca pendapatan ibu bapa yang rendah. Pada awalnya,
mereka yang mengikuti program ini mungkin berasa terbeban dengan
pelbagai aktiviti untuk menjana nilai tambah dalam pembangunan nilai
kendiri namun pada akhirnya program ini berjaya memberi impak positif
yang besar kepada para pesertanya. Kalangan pelajar yang dikelaskan
mengikut kohort perlu melalui proses kecemerlangan yang dipandu
oleh tenaga pakar samada dari universiti ataupun sekolah. Kelainan
yang dilalui berbanding dengan sistem sekolah ialah masa belajar yang
lebih panjang dan terdapat nilai-nilai kendiri yang perlu wujud dalam
diri pelajar seperti ketahanan mental dan fizikal, nilai kepimpinan dan
kerohanian.

Gambar 14.1 Analisis Skor A untuk meningkatkan kecemerlangan akademik
peserta AMG

256

KERANGKA MINDA PELAJAR CEMERLANG

Proses sosialisasi dalam kalangan pelajar yang mengikuti
program ini bukan sahaja menjurus kepada akademik semata-mata
tetapi perlu melalui pelbagai pendedahan yang boleh menjadikan
pelajar berkeyakinan dalam melalui proses pendidikan di sekolah
dengan pelbagai nilai tambah. Kebanyakan para pelajar yang menjadi
keluarga AMG pada mulanya mempunyai pelbagai kelemahan seperti
tidak berkeyakinan, cuba menutup kelemahan diri, berpura-pura
dalam belajar dan tidak dapat menentukan matlamat untuk mencapai
keputusan terbaik dalam SPM yang bakal ditempuhi.

Pendedahan yang diberikan kepada pelajar AMG terhadap dunia
luar khususnya tentang proses pembelajaran di universiti, di sekolah
berasrama penuh dan lawatan ke pelbagai institusi pendidikan di luar
negara telah banyak memberi manfaat terutamanya dalam usaha
mencari makna kecemerlangan diri. Untuk menjadikan mereka lebih
berani dan yakin, mereka diminta menguasai bahasa Inggeris dengan
lebih efektif seperti mempunyai keupayaan menulis, membaca dan
juga berkomunikasi. Pembinaan semangat samada jiwa, mental dan
fizikal telah menjadikan mereka tahu berdikari dan dapat menumpukan
perhatian terhadap pelajaran dengan masa yang lebih panjang. Mereka
akhirnya dilihat berbeza dengan pelajar yang tidak mengikuti program
AMG di sekolah.

Pengambilan pelajar yang mengikuti AMG dibuat untuk tempoh
dua tahun sekali bagi membolehkan sesuatu program itu mempunyai
susulan dan dapat diketahui keberkesanannya. Di peringkat sekolah,
biasanya sesuatu program yang dijalankan adalah bersifat “one-off” dan
biasanya tiada data dibuat untuk melihat perkembangan kendiri pelajar
secara menyeluruh. Oleh itu, mana-mana badan yang mempunyai dana
wajar melihat kejayaan AMG dalam menyediakan kalangan pelajar yang
pada asalnya mungkin gagal tetapi mampu menjadi pelajar berjaya
dengan nilai tambah yang cukup mengkagumkan. Pada masa kini AMG
boleh berbangga kerana telah mempunyai alumni yang mana kalangan
kohort terdahulu telah melahirkan kalangan pelajar yang berjaya dalam
pelbagai bidang dan mereka mempunyai semangat untuk membantu
para peserta baharu dengan aspek-aspek pembangunan yang lebih
terkini bagi membolehkan mereka mampu menghadapi masa dengan
dengan lebih cemerlang. Apa yang pasti, AMG telah dibantu dengan
pelbagai kepakaran daripada para pensyarah universiti dan guru-guru

257

BIMBINGAN MENARA GADING

cemerlang. Lepasan pelajar yang disokong oleh nilai tambah daripada
AMG ini telah berjaya membuktikan keupayaan mental dan fizikal
serta kerohanian yang baik menyebabkan mereka setia peka dengan
kehidupan yang sifatnya sentiasa dinamik.

PENUTUP

Kerangka minda cemerlang pelajar pada zaman teknologi maklumat
ini tidak lagi dilihat sebagai keupayaan hafalan dan juga penyimpanan
maklumat semata-mata. Di samping cemerlang dalam aspek akademik
tentulah ia perlu diikuti dengan kecemerlangan nilai tambah yang lain
seperti disiplin diri, kepimpinan, kematangan pemikiran dan sebagainya
agar dapat mencapai standard yang diharapkan oleh masyarakat dan
negara. Oleh itu, dalam kalangan pelajar yang mencapai darjat cemerlang
tidak akan berasa bimbang dengan corak kerjaya masa hadapan samada
memerlukan persaingan ataupun sebaliknya. Keupayaan berfikir dalam
jiwa minda pelajar cemerlang membolehkan tahap kematangan tinggi
dicapai untuk melihat pembangunan masa depan yang optimis. Maka,
makna cemerlang bererti optimis terhadap kerjaya dan percaya nilai
tambah yang ada dalam jiwa dan sanubari pelajar menjadi aset penting
dan dalam konteks ekonomi pula ia boleh membawa pulangan yang
tinggi serta menguntungkan.

258

MENGUASAI BAHASA INGGERIS DENGAN CEPAT

Menguasai Bahasa
Inggeris dengan Cepat

Dr. Harwati Hashim

Universiti Kebangsaan Malaysia

PENGENALAN

“You don’t have to be great to start, but you have
to start to be great.” – Zig Ziglar

Lazimnya Bahasa Inggeris menjadi satu mata
pelajaran yang sangat ditakuti di sekolah. Oleh itu,
mempelajari bahasa Inggeris bukanlah sesuatu
yang mudah bagi mereka yang kurang fasih atau
langsung tidak menggunakan bahasa tersebut. Walau
bagaimanapun, kepentingan bahasa Inggeris dalam
melonjakkan kecemerlangan seseorang individu atau
pelajar memang tidak dapat dinafikan. Oleh itu, mahu
atau tidak, seseorang individu atau pelajar tetap perlu
berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
mereka. Bab ini akan membincangkan bagaimanakah
caranya seseorang individu atau pelajar boleh
memajukan tahap kemahiran berbahasa Inggeris.
Tips dan teknik bagi memantapkan bahasa Inggeris
menggunakan teknik AWESOME! akan dikongsikan
dalam bab.

259

BIMBINGAN MENARA GADING

TEKNIK AWESOME!

Tips dan teknik dalam memantapkan bahasa Inggeris ini dipanggil
AWESOME! Perkataan ‘Awesome’ dalam bahasa Inggeris ini membawa
maksud ‘Hebat’. Walau bagaimanapun, perkataan ‘Awesome’ ini dipilih
kerana setiap hurufnya mewakili satu strategi bagi memantapkan
penguasaan bahasa Inggeris anda.

Berikut adalah strategi yang terkandung dalam teknik AWESOME!
Dalam teknik AWESOME! ada tujuh (7) strategi yang boleh digunakan
untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris. Strategi tersebut
adalah A=Active, W=Write, E=rEad, S=Speak, O=gO, M=Motivate dan
E=listEn. Mari kita lihat huraian teknik tersebut satu-persatu.

A ctive
W rite
r E ad
S peak
gO
M otivate
list E n

Rajah 15.1 Teknik AWESOME!

Active (Aktif)
Tips yang pertama dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
teknik AWESOME! adalah ‘Active’ - Aktif. Apakah yang dimaksudkan
dengan ‘Aktif’? Aktif merangkumi banyak aspek yang penting dalam
memantapkan penguasaan bahasa Inggeris anda. Pembelajaran aktif
sangat penting dan membantu dalam meningkatkan pemahaman
(Agbatogun, 2014). Seseorang individu atau pelajar yang aktif dalam
pelbagai aktiviti seperti melibatkan diri dalam sesi dialog, berdebat,
menulis, dan sebagainya akan lebih mudah memahami atau menguasai.

260

MENGUASAI BAHASA INGGERIS DENGAN CEPAT

Belajar melalui Belajar secara Belajar melalui
pengalaman berkumpulan rakan
sebenar

Rajah 15.2 Kaedah belajar cara aktif

Berdasarkan Rajah 15.2, terdapat tiga kaedah belajar secara aktif
yang dapat meningkatkan interaksi seseorang individu atau pelajar
dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris. Tiga kaedah tersebut
adalah belajar secara berkumpulan, belajar melalui rakan, dan belajar
melalui pengalaman sebenar. Ketiga-tiga kaedah ini dapat membantu
memberikan ruang dan peluang untuk seseorang individu atau pelajar
mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris mereka. Lebih-lebih lagi
jika rakan-rakan dalam kumpulan adalah terdiri daripada mereka yang
fasih berbahasa Inggeris. Sebagai seorang individu atau pelajar pula
mereka perlu aktif dalam proses pembelajaran itu sendiri (Johnson &
Johnson, 2008; Kelly, 1997).

Selain itu, mereka juga perlu aktif dalam mencatat atau mengambil
nota apabila mendengar atau membaca perkataan atau ekspresi
baharu. Tips ini mungkin berbunyi klasik. Walau bagaimanapun, tips ini
merupakan tips yang sangat berguna. Seseorang individu atau pelajar
yang ingin mempelajari bahasa Inggeris dan memantapkannya dengan
cara pantas perlu aktif mengambil nota dan mencatat perkataan baharu
yang telah mereka dengar atau baca.

Untuk itu, seseorang pelajar atau individu perlu sentiasa
membawa buku nota kecil ataupun boleh juga menggunakan telefon
bimbit mereka untuk mencatat. Setiap kali mendengar atau membaca
perkataan atau ekspresi bahasa Inggeris yang baharu, catatlah di dalam
buku nota tersebut. Apabila mencatat, perlulah dicatat dalam konteks
apa perkataan atau ekpresi itu digunakan dalam bentuk ayat beserta
dengan maksudnya.

261

BIMBINGAN MENARA GADING

Selain itu, individu atau pelajar boleh juga memuat naik aplikasi
mainan dalam bahasa Inggeris. Walaupun sekadar aplikasi mainan,
tetapi ia akan cepat mempengaruhi penguasaan bahasa Inggeris anda.
Lihat sahaja kanak-kanak yang secara mudah menghafal penggunaan
frasa atau perkataan yang mudah yang mereka dengar dan pelajari
dari aplikasi permainan. Ia juga boleh membantu anda memperkaya
tatabahasa (Haida Umiera et al., 2019).

Write (Tulis)
Tips yang kedua dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
teknik AWESOME! adalah ‘Write’ - Tulis. Dalam mempraktikkan
penggunaan bahasa Inggeris, penulisan juga penting sebagaimana
mempraktikkan pertuturan. Pelbagai cara boleh dilakukan dalam
mempraktikkan penulisan bahasa Inggeris seperti memperbanyakkan
menulis esei-esei atau di platform kegemaran seperti blog atau media
sosial seperti Facebook, Instagram, malahan juga WhatsApp. YouTube
juga merupakan satu platform yang berkesan dalam meningkatkan
penguasaan penulisan dalam bahasa Inggeris (Mayora, 2009).

Rajah 15.3 Jenis media sosial yang boleh digunakan
seperti Facebook, WhatsApp dan e-mel

262

MENGUASAI BAHASA INGGERIS DENGAN CEPAT

Mungkin tips ini kedengaran biasa, tetapi percayalah, menulis
semula perkataan yang didengari memang sangat membantu dalam
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Walaupun agak leceh,
namun ia sangat membantu. Melalui tulisan, seseorang individu atau
pelajar akan lebih fokus dan memahami maksud dalam ayat berkenaan.
Ia akan memudahkan mereka untuk faham dan belajar sesuatu perkataan
secara efisien. Menulis jurnal atau diari dalam bahasa Inggeris setiap
hari juga sangat membantu dalam meningkatkan penguasaan bahasa
tersebut.

Rajah 15.4 Menulis jurnal dalam bahasa Inggeris juga merupakan kaedah yang
sangat membantu dalam meningkatkan penguasaan bahasa tersebut

Melalui penulisan, invididu atau pelajar dapat mengasah

penggunaan bahasa Inggeris mereka dengan membiasakan menulis
mengikut konteks. Ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan
keyakinan untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai tujuan.

rEad (Baca)
Tips yang ketiga dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
teknik AWESOME! adalah ‘Read’ – baca. Adalah sangat penting bagi
seseorang yang ingin meningkatkan dan memantapkan penguasaan

263

BIMBINGAN MENARA GADING

bahasa Inggeris mereka untuk membaca bahan bacaan yang ditulis
menggunakan bahasa Inggeris.

Membaca dalam konteks ini tidak hanya merangkumi buku
novel mahupun surat khabar, malahan apa sahaja bahan bacaan
yang menggunakan bahasa Inggeris seperti majalah, blog, emel,
laman sesawang, brosur ringkas mahupun paket atau kotak makanan
ringan anda. Mengapa perlu membaca? Dengan membaca, seseorang
individu atau pelajar dapat mempelajari perkataan baharu walaupun
ianya berkaitan dengan jus oren! Kandungan bahan bacaan ini dapat
meningkatkan lagi jumlah perkataan sedia ada seseorang.

Percaya atau tidak, kamus juga merupakan salah satu bacaan
yang penting dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Jadi,
berkawan rapatlah dengan kamus! Jika seseorang individu atau pelajar
itu serius untuk mempelajari dan meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris mereka, cara ini juga didapati amat berkesan. Simpan dan
bawalah kamus ke mana sahaja, kerana ia memudahkan individu atau
pelajar untuk merujuk dan mendapatkan kepastian sekiranya ragu-ragu
akan penggunaan atau maksud sesuatu perkataan. Jika bukan untuk
merujuk sekalipun, selak sahaja kamus itu, tentu ada perkataan menarik
perhatian untuk diguna. Kalau seseorang itu bersungguh-sunguh mahu
membina keyakinan, cuba adaptasi perkataaan itu dalam kehidupan
harian, guna sebanyak mungkin!

Rajah 15.5 Jadikan kamus sebagai teman rapat untuk memantapkan
penguasaan bahasa Inggeris

264

MENGUASAI BAHASA INGGERIS DENGAN CEPAT

Mempelajari perkataan baharu adalah sangat penting dalam
meningkatkan penguasaan basa Inggeris kerana jumlah perkataan yang
dikuasai akan membantu penggunaan bahasa tersebut (Gu & Johnson,
1996). Kebanyakan individu yang gagal menguasainya menyatakan
mereka tidak dapat menyampaikan maksud atau ekspresi mereka dalam
bahasa Inggeris kerana tidak tahu perkataannya dalam bahasa tersebut!
Oleh itu, teruskan membaca tanpa mengira apa jenis bahan sekalipun.

Speak (Bertutur)

Tips yang keempat dalam meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris teknik AWESOME! adalah ‘Speak’ - Bertutur. Seseorang yang
berazam untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris mereka
haruslah mencari ruang dan peluang untuk bertutur menggunakan
bahasa tersebut. Walau bagaimanapun, ramai yang dalam proses
menguasainya berasakan strategi ini adalah strategi yang paling sukar
untuk dilakukan. Hakikatnya, strategi ini sangat penting kerana, hanya
dengan bertutur, seseorang dapat mempraktikkan penggunaan bahasa
tersebut, dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri mereka apabila
menggunakannya. Antara tips yang boleh dipraktikkan di bawah strategi
ini adalah seperti berikut:

Bercakap dengan teman atau orang lain

Salah satu cara untuk menguasai bahasa Inggeris adalah dengan
menggunakan bahasa tersebut. Apakah fungsi bahasa jikalau tidak
digunakan untuk berkomunikasi? Berkomunikasi dalam bahasa Ingeris
dengan teman atau orang lain dapat memberikan anda ruang untuk
mempelajarinya. Ini kerana apabila kita berinteraksi, kita secara tidak
langsung menerima input bahasa dan tentulah memerlukan kita untuk
menghasilkan output juga.

Dalam proses komunikasi, mendengar perkataan, bunyi dan
konteks ayat serta melihat gerak mulut, bahasa badan dan reaksi wajah
dapat memberikan ruang pembelajaran yang lengkap, dan berkesan.
Adalah penting untuk seseorang yang ingin meningkatkan bahasa
Ingeeris mereka untuk mengetepikan perasaan malu kerana jika
demikian, maka pastinya anda akan mengelak untuk berinteraksi dan

265

BIMBINGAN MENARA GADING

berkomunikasi dengan mereka yang lebih fasih. Ambil sikap positif dan
belajar dari teman yang lebih fasih!

Gunakan Teman Anda!
Janganlah lari bila jumpa orang yang pandai berbahasa Inggeris!
Sebaliknya, jadikanlah mereka teman dan anda pasti akan terikut dengan
cara pemikiran mereka yang percaya bahasa Inggeris adalah bahasa
yang mudah untuk dikuasai. Anda ada teman yang suka menggunakan
status mereka dalam talian menggunakan bahasa Inggeris? Gunakan
teman untuk belajar serta meningkatkan keyakinan diri anda. Mulakan
sedikit demi sedikit. Belajar sesuatu menerusi interaksi dua hala. Jika
anda malu untuk bercakap secara berhadapan, gunakan “voice message”
di Whatsapp anda untuk ruang berbicara dalam bahasa Inggeris.

Tanya Pelbagai Soalan
Sikap ingin tahu dan bertanya perlu dimiliki jikalau anda ingin menguasai
bahasa Inggeris dengan jayanya. Sambil belajar dan berinteraksi, ambil
peluang untuk bertanya terutamanya apabila melibatkan penggunaan
konteks yang betul mahupun tatabahasa yang betul. Sekiranya anda
belajar melalui seorang guru atau tutor, jangan segan untuk bertanya
dan carikan jawapan kepada persoalan tersebut sehingga ditemui.

Kadangkala, seseorang individu atau pelajar mungkin tahu
bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi takut salah. Jangan risau,
seseorang invdividu atau pelajar tidak akan dapat menjadi seperti
penutur asal bahasa tersebut 100 peratus. Jadi, apa salahnya jikalau
wujud sedikit kesalahan apabila bertutur bahasa tersebut? Apabila
bercakap, ia akan meningkatkan keyakinan diri, sekali gus tampil berani
bercakap dalam bahasa berkenaan.

Bercakap di Hadapan Cermin
Tips bercakap di hadapan cermin juga amat membantu. Cara ini agak
‘konservatif’ tapi ia adalah kaedah yang memberi keyakinan kepada diri
seseorang. Mungkin pada peringkat awal terasa kelakar atau tidak selesa
tetapi jika dilakukan secara kerap, seseorang akan dapat membiasakan
diri.

266

MENGUASAI BAHASA INGGERIS DENGAN CEPAT

gO (Pergi)
Tips yang kelima dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
teknik AWESOME! adalah ‘gO’ - Pergi. Pergi dalam konteks teknik
AWESOME bermaksud seseorang individu atau pelajar yang benar-benar
ingin meningkatkan bahasa Inggeris mereka untuk pergi mencari ilmu
dan ruang serta peluang untuk meningkatkan pemahaman terhadap
penggunaan bahasa tersebut.

Salah satu cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
adalah dengan mngikuti kursus jangka pendek atau apa-apa kelas
sambilan secara bersemuka atau dalam talian. Terapat banyak kursus
yang disediakan mahupun kelas secara dalam talian yang lebih fleksibel
dan sesuai bagi mereka yang jadualnya agak padat.

Bagi mereka yang berkemampuan pula adalah disarankan untuk
cuba menjelajahi dan melawat negara yang menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar seperti Australia, New Zealand,
United Kingdom, Amerika Syarikat, dan Kanada. Apabila anda berada
di negara tersebut, secara automatik anda akan memaksa diri untuk
berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Rajah 15.6 Menjelajah ke negara yang menggunakan bahasa Inggeris

267

BIMBINGAN MENARA GADING

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang kurang berkemampuan,
jangan bimbang. Dengan keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi
pada masa kini, anda masih boleh menjelajah secara maya. Adalah
disarankan, agar anda mencari video di laman YouTube untuk melihat
serta mempelajari bahasa tersebut.

Motivate (Motivasi)

Tips yang keenam dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris
teknik AWESOME! adalah ‘mOtivate’ - Motivasi. Motivasi sangat penting
dalam mempelajari bahasa Inggeris. Kebanyakan kajian yang telah
dijalankan dalam kalangan pelajar yang lemah dalam berbahasa Inggeris
kerana mereka mempunyai tahap motivasi yang rendah (Harwati & Ida
Sariani, 2012). Ia berkemungkinan kerana mereka tidak terdedah atau
terbuka terhadap kepentingan bahasa tersebut. Berikut adalah tips
dalam meningkatkan motivasi individu atau pelajar.

Pembelajaran bahasa Inggeris seseorang individu atau pelajar
mungkin pergi lebih jauh dan cepat jika mereka sentiasa mengingatkan
diri motif mereka untuk belajar. Apabila individu atau pelajar mempunyai
motif untuk belajar, secara automatik, mereka akan berusaha ke arah
mencapai matlamat mereka (Verma, 2005). Sikap sentiasa berusaha
untuk memperbaiki diri serta penguasaan bahasa Inggeris akan
memberikan tahap motivasi yang sangat tinggi.

Seseorang individu atau pelajar yang ingin meningkatkan
penguasaan bahasa Inggeris, mereka haruslah sentiasa memberi
semangat kepada diri sendiri walaupun dikecam rakan atau kenalan
yang menganggap mereka ‘berlagak’ apabila bertutur dalam bahasa
Inggeris. Fikir positif dan yakin anda boleh melakukannya!

ListEn (Dengar)

Tips yang ketujuh dan terakhir dalam meningkatkan penguasaan
bahasa Inggeris teknik AWESOME! adalah ‘Listen’ – Dengar. Mendengar
perbualan, laporan berita dan lagu bahasa Inggeris di radio juga
memahirkan penguasaan anda dalam bahasa tersebut. Apabila anda
mendengar sesuatu yang baharu sebutlah dengan kuat dan jelas, ia akan
membantu menambahkan pengetahuan dan memperkukuh tatabahasa
(Zaki et al., 2017).

268

MENGUASAI BAHASA INGGERIS DENGAN CEPAT

Gambar 15.1 KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in melancarkan Akademi Menara Gading

Kohort I di UKM tahun 1999

269

BIMBINGAN MENARA GADING

Apabila mendengar, janganlah mendengar begitu sahaja.
Sebaliknya, cubalah menghafal walaupun ayat yag ringkas. Walaupun
terpaksa menghafal tetapi kaedah itu lama-kelamaan akan menjadikan
seseorang individu atau pelajar fasih bercakap dengan betul. Di samping
itu, boleh juga menonton filem, siri drama atau sitkom Inggeris tanpa
sarikata. Tanpa sarikata, seseorang itu akan lebih cenderung untuk
mendengar. Cuba fahami apa yang cuba disampaikan. Tontonlah
sebanyak mungkin bagi melihat atau mendengar variasi bahasa yang
digunakan. Filem daripada Hollywood tanpa slang bahasa yang pekat
lebih mudah untuk difahami dan tentu sekali, belajar!

Selain itu, mendengar radio saluran bahasa Inggeris juga dapat
membantu dalam memantapkan penguasaan bahasa tersebut.
Mendengar perbualan, laporan berita dan lagu-lagu bahasa Inggeris
dalam radio juga memahirkan penguasaan seseorang dalam bahasa
berkenaan. Apabila anda mendengar sesuatu yang baharu sebutlah
dengan kuat dan jelas, ia akan membantu menambahkan pengetahuan
dan memperkukuh tatabahasa.

PENUTUP

Mempelajari dan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris merupakan
satu proses yang berterusan. Tidak dapat kita nafikan bahawa menguasai
bahasa Inggeris penting pada masa kini kerana adalah bahasa utama
terutamanya dalam pendidikan. Untuk menguasai bahasa tersebut,
ia tidak boleh berlaku dalam sehari, namun ia mungkin mengambil
masa berbulan-bulan. Dengan menggunakan teknik AWESOME! lama-
kelamaan, menguasai bahasa Inggeris akan dilihat lebih mudah dari
sebelumnya.

270

BELAJAR DAN DAYA TAHAN AKADEMIK

Belajar dan Daya
Tahan Akademik

Prof. Madya Dr. Nor Aniza Ahmad

Universiti Putra Malaysia

PENGENALAN

“Problems are not stop signs; they are guidelines”
– Robert Sculler

Setiap individu pasti pernah menghadapi pelbagai
bentuk ujian dalam hidupnya. Ujian ini datang dalam
bentuk musibah atau kesenangan. Contohnya musibah
juga datang dalam pelbagai bentuk seperti kematian
ibu bapa atau orang yang anda kasihi, perceraian,
menghidap penyakit yang serius, kemalangan atau
hidup dalam keadaan serba kekurangan kerana
kemiskinan. Justeru, sebagai seorang pelajar,
bagaimanakah anda menghadapi atau menyesuaikan
diri dalam situasi tersebut? Bagaimanakah anda boleh
mengharunginya? Kebanyakan orang menanganinya
dengan reaksi emosi yang berbeza walaupun berada
dalam situasi yang sama. Ini kerana setiap individu
mempunyai daya tahan atau ‘resilience’ yang berbeza.

271

BIMBINGAN MENARA GADING

APA ITU DAYA TAHAN?

Pada asasnya, daya tahan merujuk kepada penyesuaian atau adaptasi
positif atau keupayaan untuk mengekalkan atau mengembalikan
semula kesihatan mental ketika berhadapan dengan situasi sukar
(Wald et al, 2006). Contoh situasi sukar adalah seperti trauma, tragedi,
ancaman atau tekanan hidup seperti kematian ahli keluarga, masalah
keluarga dan hubungan kekeluargaan, masalah kesihatan yang serius
atau masalah kewangan. Dengan kata lain, daya tahan ialah keupayaan
individu untuk bangkit semula selepas melalui suatu pengalaman yang
sukar. Namun, perlu difahami bahawa terdapat pelbagai takrif daya
tahan dan ianya berbeza merentasi budaya, etnik, jantina, umur, dan
status sosioekonomi (Gilgun & Abrams, 2005).

Sebagai seorang pelajar, memiliki daya tahan akademik boleh
dianggap suatu keperluan untuk berjaya dalam pelajaran. Kajian
menunjukkan bahawa pelajar yang hidup dalam keadaan yang serba
kekurangan masih boleh berjaya dalam pelajarannya kerana mempunyai
daya tahan yang positif (Erberber et al, 2015). Maka, daya tahan akademik
adalah merujuk kepada keupayaan pelajar untuk berusaha mencapai
kejayaan dalam pelajaran walaupun mereka merupakan pelajar yang
berisiko untuk gagal dan seterusnya tercicir dalam pelajaran (Benard,
1991; Finn & Rock, 1997).

Daya tahan adalah satu tindak balas normal individu apabila
berhadapan dengan situasi sukar. Berdaya tahan bukanlah bermakna
seseorang itu langsung tidak mengalami kesukaran atau kesusahan
kerana ia adalah tindak balas normal seseorang terhadap masalah.
Oleh itu, individu yang berdaya tahan bukan hanya mampu memikul
atau menangani kesukaran, konflik, kegagalan, malah kejadian positif,
kemajuan atau tanggungjawab yang meningkat.

APAKAH CIRI-CIRI INDIVIDU YANG BERDAYA TAHAN?

Konep ‘daya tahan’ adalah merujuk kepada sesuatu yang fleksibel
dan relatif. Ianya tidak berlaku dalam satu masa secara serentak
tetapi berlaku secara berperingkat dan berterusan. Tiada siapa yang
mempunyai daya tahan yang sempurna atau yang mempunyai daya
tahan untuk semua keadaan. Secara umumnya, daya tahan adalah

272

BELAJAR DAN DAYA TAHAN AKADEMIK

tentang belajar atau bekerja atau bermain, dan mengharapkan yang
terbaik dan berfungsi pada tahap yang terbaik dalam suatu keadaan
tertentu. Antara ciri-ciri individu yang mempunyai daya tahan positif
adalah seperti berikut:

Mempunyai Personaliti yang Positif
Individu yang mempunyai personaliti atau keperibadian yang positif
lebih mudah menyelesaikan masalah yang dihadapi dan mampu
menyerap tekanan yang dihadapinya. Kajian mendapati bahawa trait
personaliti utama, iaitu keterbukaan kepada pengalaman (openness to
experience), kehematan (conscientiousness), ekstraversi (extraversion),
dan kesetujuan (agreeableness), menunjukkan hubungan yang positif
dengan daya tahan (Fayombo, 2010). Oleh yang demikian, individu dengan
memiliki trait personaliti yang positif adalah lebih berdaya tahan.

Suka Berjenaka (Sense of Humor)
Individu yang mempunyai sifat humor atau suka berjenaka mampu
membuatkan dirinya dan juga orang lain di sekelilingnya ketawa. Beliau
juga tidak terlalu serius apabila berhadapan dengan sesuatu perkara.

Bersikap Optimis
Individu yang optimitik sentiasa melihat apa yang berlaku dalam
kehidupannya dengan pandangan yang positif atau harapan yang baik,
lebih-lebih lagi ketika menghadapi situasi yang sukar dan mencabar.
Seorang pelajar yang optimistik lebih bermotivasi untuk tekun
belajar dan mempunyai kekuatan fizikal dan mental yang kuat dalam
pembelajarannya.

Bersikap Autonomi
Individu yang mempunyai sifat autonomi mempunyai kesedaran
terhadap kemampuan dirinya sendiri, mampu berdikari dan mengawal
persekitarannya, dan mempunyai matlamat untuk membina kehidupan
yang lebih baik. Individu ini bebas memilih untuk membuat apa yang

273

BIMBINGAN MENARA GADING

beliau inginkan atau memberi sebab-sebab tertentu (justifikasi) ke atas
tindakan yang diambilnya. Sikap ini dapat meningkatkan rasa harga diri
dan kawalan diri individu tersebut.

Mengamalkan Tabiat Kesihatan yang Baik
Individu yang mengamalkan tabiat kesihatan yang baik sentiasa mendapat
tidur yang cukup, pemakanan yang sihat dan seimbang, bersenam, tidak
merokok atau meminum alkohol dan sentiasa mengekalkan penampilan
peribadi, dan kebersihan diri yang baik.

Menghargai Diri Sendiri (Penghargaan Kendiri)
Individu yang menghargai diri sendiri sentiasa membuat penilaian
terhadap dirinya sendiri bukan hanya dengan nilai positif bahkan nilai
negatif tanpa mengira waktu dalam hidupnya. Terdapat tiga asas
kepada penghargaan kendiri, iaitu menerima diri sendiri baik dari segi
fizikal mahu pun emosi, mempunyai harga diri dan mencintai diri sendiri.
Individu yang mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi mampu
menghadapi cabaran dalam hidupnya.

Mempunyai Efikasi Diri
Individu yang memiliki efikasi diri yang tinggi yakin dan percaya dengan
kemampuannya untuk mengejar dan mencapat matlamat hidupnya.
Dalam situasi tertentu atau situasi sukar, beliau mampu menyusun
tindakan yang diperlukan untuk menangani situasi sukar yang dihadapi
berdasarkan penilaian atau pertimbangan beliau. Beliau cenderung untuk
memilih tugasan yang berisiko, lebih bermotivasi untuk menyelesaikan
suatu masalah, mampu bangkit dan bertahan apabila ditimpa musibah,
dan percaya kepada diri sendiri dalam menangani stres.

Mempunyai Kecekapan Kemahiran Sosial
Individu yang cekap menggunakan kemahiran sosialnya mampu
menyesuaikan dirinya dalam pelbagai situasi dan tekanan sosial,
sentiasa komited untuk menjalin hubungan dan mempunyai sikap

274

BELAJAR DAN DAYA TAHAN AKADEMIK

saling bergantungan terutamanya dengan ahli keluarga, rakan sebaya
dan orang di sekelilingnya. Kemahiran sosial antaranya adalah (1)
kemahiran membina dan mengekalkan hubungan dengan individu lain
atau masyarakat menerusi sikap bertolak ansur dan saling menghargai
antara satu sama lain, (2) kemahiran bekerjasama dengan orang lain
atau masyarakat untuk mencapai matlamat atau tujuan yang sama,
(3) kemahiran berkomunikasi dalam mendengar, menerima atau
menyampaikan mesej, (4) pemangkin kepada perubahan dalam suatu
organisasi atau kepada individu lain, (5) keupayaan untuk mempengaruhi
orang lain untuk mendengar dengan menggunakan kemahiran memujuk
yang efektif, (6) keupayaan untuk memimpin individu atau kumpulan
apabila diperlukan, dan (7) kecekapan menguruskan sesuatu konflik
atau pertikaian dengan sikap terbuka dan secara menang-menang
(Noriah et al, 2006).

Memiliki Lokus Kawalan Dalaman

Individu yang memiliki tahap lokus kawalan dalaman yang tinggi percaya
bahawa bahawa segala peristiwa yang berlaku dalam hidupnya adalah
berpunca daripada dirinya sendiri. Beliau tidak mudah menunding jari
kepada orang lain sekiranya musibah atau kegagalan menimpa dirinya.
Beliau yakin dapat menentukan takdir sendiri menerusi usaha dan kerja
keras, kemahiran yang dimilikinya dan latihan yang berterusan. Dengan
kata lain, individu yang mempunyai lokus kawalan dalaman berasa lebih
gembira dalam hidupnya, kurang tertekan dan kurang stres.

Berorientasi Masa Depan

Orientasi masa depan adalah gambaran masa depan yang dimiliki
oleh seseorang tentang dirinya. Individu yang memiliki sikap ini lebih
bermotivasi untuk mencapai matlamat dalam hidupnya. Dengan kata
lain, beliau percaya bahawa hidupnya mempunyai makna dan tujuan.
Justeru, gambaran masa depan ini dapat menjadikan beliau menentu,
menilai dan merealisasikan tujuan hidupnya. Terdapat tiga aspek yang
saling berinteraksi dalam pembentukan orientasi masa depan, iaitu
motivasi, perancangan dan penilaian. Aspek motivasi merangkumi
motif, minat dan tujuan yang berkaitan dengan orientasi masa depan.

275

BIMBINGAN MENARA GADING

Aspek perancangan pula bertujuan untuk menentu, menyusun dan
melaksanakan strategi yang telah dibuat. Manakala, aspek penilaian
pula adalah peringkat di mana minat atau tujuan tersebut diharapkan
tercapai atau terlaksana (Nurmi, 1991).

FAKTOR PENENTU KEPADA DAYA TAHAN

Terdapat gabungan beberapa faktor yang menyumbang kepada daya
tahan. Faktor-faktor tersebut boleh dibahagikan kepada tiga kategori,
iaitu faktor peribadi, faktor biologi dan faktor persekitaran (Herrmann et
al. 2011).

Faktor Peribadi
Trait personaliti seperti keterbukaan, lokus kawalan dalam, penguasaan
diri, kemandirian diri, harga diri, penilaian kognitif, dan optimis adalah
merupakan faktor-faktor peribadi seseorang yang menyumbang
kepada daya tahan. Kajian juga mendapati faktor-faktor seperti fungsi
kecerdasan emosi, fleksibiliti kognitif, hubungan sosial, konsep diri
yang positif, regulasi atau kawalan emosi, kerohanian, keyakinan diri,
harapan, dan kepintaran boleh dikaitkan dengan daya tahan (Joseph &
Linley 2006). Selain itu, faktor-faktor demografi seperti umur, jantina,
bangsa, etnik kaum, dan ciri-ciri penduduk sesuatu kawasan juga boleh
memberi kesan terhadap daya tahan seseorang. Faktor-faktor ini boleh
meningkatkan daya tahan seseorang pada peringkat kehidupan yang
tertentu atau berlaku di sepanjang hayatnya.

Faktor Biologi
Daripada sudut perubatan, daya tahan individu terjejas apabila berlaku
perubahan pada otak dan proses biologi yang lain dalam badannya.
Perubahan pada otak termasuklah perubahan pada saiz otak, kepekaan
reseptor, jalinan neuron otak, dan neurotransmiter (penghantar impuls).
Kajian dalam bidang perubatan mendapati bahawa perubahan fizikal ini
berlaku disebabkan oleh persekitaran awal (semasa bayi dan kanak-
kanak) yang kasar boleh mempengaruhi perkembangan struktur, fungsi
dan sistem otak (Cicchetti & Curtis 2006).

276

BELAJAR DAN DAYA TAHAN AKADEMIK

Faktor Persekitaran

Sokongan sosial seperti hubungan dengan keluarga, guru dan rakan
sebaya juga dikaitkan dengan daya tahan. Hubungan emosi yang kuat
antara ibu dan anak, keluarga yang stabil dan kemahiran keibubapaan
yang baik dapat mempengaruhi kesihatan dan kekuatan mental
seseorang. Hubungan kekeluargaan yang berteraskan kasih sayang
dan kepercayaan, menjadi contoh dan galakan serta keyakinan dalam
meningkatkan daya tahan seseorang. Oleh yang demikian, mempunyai
sebuah keluarga yang stabil dan harmoni adalah penting untuk membina
personaliti dan daya tahan yang tinggi. Selain itu, faktor komuniti seperti
sekolah yang baik, pekhidmatan komuniti, budaya dan agama turut
menyumbang kepada perkembangan daya tahan.

MEMBINA DAYA TAHAN

Membina dan membentuk daya tahan diri adalah suatu perjuangan yang
bersifat peribadi. Ini kerana setiap orang akan bertindak balas terhadap
satu situasi sukar yang sama dengan cara yang berbeza. Malah,
langkah-langkah yang diambil untuk membina daya tahan juga berbeza
antara individu. Justeru, strategi yang digunakan untuk memupuk daya
tahan adalah berbeza merentasi budaya, etnik, jantina, umur, dan status
sosioekonomi (Gilgun & Abrams, 2005).

Berikut adalah kaedah yang boleh dipertimbangkan oleh individu
pelajar untuk memupuk dan membina daya tahan dirinya.

Jaga Diri Anda (Self-Care)

Kenyataannya adalah hanya anda sendiri yang mampu menjaga dan
mengambil berat akan diri anda. Menjaga diri anda adalah sangat
penting dalam setiap aspek kehidupan. Oleh itu, anda perlu memberi
perhatian kepada keperluan fizikal, keperluan emosi, keperluan
sosial dan keperluan rohani anda sendiri untuk menghadapi cabaran
seharian. Contoh menjaga keperluan fizikal ialah tidur yang mencukupi,
bersenam dan makan makanan yang seimbang. Bagi keperluan emosi
pula beberapa perkara yang anda boleh lakukan antaranya adalah
mendapatkan bantuan awal sekiranya mengalami kesedihan, tahu
kelemahan diri, mendengar muzik yang dapat memenangkan fikiran,

277

BIMBINGAN MENARA GADING

dan membina rutin hidup anda. Untuk memenuhi keperluan sosial pula
anda perlu menyedari gejala pengasingan sosial (social withdrawal or
social isolation), iaitu perasaan tidak suka bergaul dengan masyarakat
sekeliling atau tidak minat untuk melakukan aktiviti yang selalunya
anda suka lakukan sebelum ini. Ini kerana masalah pengasingan sosial
ini boleh menyebabkan anda mengalami kemurungan (depression).
Seterusnya, bagi memenuhi keperluan rohani anda boleh mendekatkan
diri anda kepada Tuhan dengan bersolat, membaca buku agama, berdoa
dan bersyukur.

Bina Hubungan Baik dengan Keluarga atau Orang Lain
Hubungan baik dengan ahli keluarga, rakan sebaya atau orang lain di
sekeliling anda seperti orang dewasa (Mcmillan & Reed 1994), jiran dan
guru (Hjemdal 2007) adalah sangat penting. Ini adalah bantuan dan
sokongan, sama ada secara sosial atau emosi, daripada mereka dapat
membantu menguatkan ketahahan diri anda. Ini dapat membantu anda
berasa tidak berseorangan dalam menghadapi kesukaran. Banyak
kajian telah dijalankan, sama ada di Malaysia ataupun di luar negara,
yang menunjukkan kefungsian sesebuah keluarga memainkan peranan
yang sangat penting dalam perkembangan daya tahan individu (Siti
Hajar & Yahya 2016). Siti Hajar & Yahya (2016) juga menekankan bahawa
aspek daya tahan dan kefungsian keluarga adalah sangat penting
untuk menghasilkan golongan pelajar yang berkualiti, khususnya dalam
masyarakat di Malaysia.

Pupuk Pemikiran Positif dalam Diri Anda
Pemikiran positif ialah sikap mental di mana anda mengharapkan
keputusan yang baik dan menggembirakan. Dalam erti kata lain,
pemikiran positif adalah proses mewujudkan pemikiran yang mencipta
dan mengubah tenaga menjadi realiti. Walau bagaimanapun, memupuk
pemikiran positif bukanlah satu kerja yang mudah kerana ianya
memerlukan anda mengubah perkara yang sudah biasa dilakukan
(tabiat) sepanjang hidup. Mengubah pemikiran negatif menjadi positif
memerlukan latihan dan seterusnya mengamalkannya.

278

BELAJAR DAN DAYA TAHAN AKADEMIK

MEMUPUK PEMIKIRAN POSITIF

Antara latihan dan amalan yang anda boleh lakukan untuk memupuk
pemikiran positif anda adalah seperti berikut:

1. Gunakan perkataan yang positif semasa bercakap. Jika anda
sentiasa mengatakan “saya tidak boleh”, anda boleh meyakinkan diri
anda bahawa ia adalah benar. Gantikan perkataan negatif dengan
perkataan yang positif. Beritahu diri anda bahawa anda boleh
berusaha sebaik mungkin untuk mencapai suatu keputusan yang
baik dan menggembirakan anda.

2. Buang semua perasaan yang negatif. Jangan biarkan pemikiran dan
perasaan negatif menguasai anda terutamanya ketika mood anda
tidak elok. Sebaliknya, cubalah menumpu kepada perkara yang
positif dalam hidup anda.

3. Gunakan perkataan yang membangkitkan kekuatan dan kejayaan.
Isi fikiran anda dengan perkataan yang membuatkan anda berasa
kuat, gembira, atau mempunyai kawalan ke atas hidup anda. Anda
perlulah berusaha untuk memberi tumpuan kepada perkataan
tersebut dan bukannya memberi tumpuan kepada perkataan yang
mencadangkan kegagalan atau ketidakcekapan diri anda.

4. Amal ikrar atau frasa positif. Salah satu latihan yang paling biasa
untuk pemikiran positif adalah dengan menggunakan ikrar atau
frasa positif. Contoh frasa positif ialah “saya layak untuk menjadi
gembira”, “saya layak untuk cemerlang” atau “saya layak untuk
disayangi.” Mempercayai bahawa kenyataan ini adalah benar dan
mengulanginya beberapa kali akan membuatkan anda berasa lebih
positif tentang hidup anda.

5. Kawal dan alih fikiran anda. Kaedah ini berkesan untuk mengawal
fikiran anda apabila mengalami emosi negatif seperti kemurungan
atau keresahan. Apa yang perlu dilakukan adalah menjana imej yang
positif dalam minda, iaitu sesuatu yang membuat anda berasa lebih
baik untuk mengawal perasaan negatif tersebut.

6. Fikirkan yang anda akan berjaya. Anda perlu yakin sepenuhnya
dengan kemampuan diri untuk mencapai matlamat hidup peribadi.

7. Kaji kesilapan lalu. Berfikir secara positif bukanlah bermaksud anda
tidak boleh melakukan kesilapan dalam kehidupan. Sebaliknya, anda

279

BIMBINGAN MENARA GADING

perlulah mengambil masa untuk melihat apakah kesilapan yang
dilakukan dan mengkaji puncanya. Ini bertujuan untuk mengelakkan
kesilapan yang sama berulang pada masa hadapan.
8. Fikirkan suatu kegagalan sebagai satu peluang. Kadangkala, perkara
yang paling negatif dalam kehidupan anda adalah satu peluang yang
tidak dijangka sama sekali.

Ubah Persepsi Negatif terhadap Sesuatu Masalah
Apabila anda dilanda krisis atau masalah, jauhi tanggapan bahawa ianya
adalah sebagai satu masalah yang tidak dapat diatasi. Anda memang
tidak mampu menghalang masalah tersebut daripada menimpa diri,
tetapi anda boleh menukar persepsi atau mengubah pandangan
terhadap masalah tersebut. Pemikiran yang positif boleh mengubah
persepsi anda. Anda mungkin berasakan bahawa persepsi anda adalah
suatu yang sangat nyata, tetapi persepsi tersebut bergantung kepada
bagaimana anda melihat suatu perkara tersebut dan apa yang dipercayai.
Kedua-dua faktor ini pula bergantung kepada apa yang anda fikirkan.
Contohnya, jika selalu berfikir bahawa hidup ini adalah sukar maka,
anda akan mula mempercayai bahawa hidup adalah sukar dan anda
akan melihat kehidupan sebagai sukar. Akhirnya, ini akan menyebabkan
persepsi anda terhadap kehidupan adalah sukar. Justeru, apabila anda
menukar persepsi, anda akhirnya boleh mengubah realiti peribadi. Ini
adalah kuasa pemikiran positif dan itulah sebabnya hal ini menjadi
penting untuk mengaplikasikan pemikiran positif setiap hari.

Terima Hakikat Bahawa Perubahan Adalah Sebahagian daripada Hidup
Sesetengah matlamat hidup atau apa yang anda idamkan dalam
kehidupan mungkin tidak lagi mampu dicapai akibat dari situasi sukar
yang menimpa. Dengan menerima hakikat bahawa anda tidak boleh
mengubah perkara yang sudah berlaku dapat membantu diri untuk
fokus kepada keadaan atau situasi yang boleh diubah.

Bergerak ke Arah Matlamat
Pastikan sentiasa bergerak ke arah mencapai matlamat anda. Senaraikan
matlamat anda dan langkah-langkah perancangan yang perlu dilakukan

280

BELAJAR DAN DAYA TAHAN AKADEMIK

dengan teratur untuk mencapai matlamat yang telah tetapkan. Sentiasa
membuat catatan dan mengemas kini pencapaian anda walaupun ianya
kelihatan seperti satu pencapaian yang sangat kecil. Setiap individu
perlu mempunyai matlamat hidup. Tanpa matlamat hidup, seseorang itu
boleh diibaratkan sebagai sebuah kapal yang belayar tanpa haluan.

Ambil Tindakan Segera
Bertindak segera untuk mengatasi sesuatu masalah dan jangan berpura-
pura tidak melihatnya. Anda juga tidak boleh terus mengelakkan
diri daripada berhadapan dengan masalah kerana masalah tersebut
tidak akan selesai dengan sendirinya, malah akan menyebabkan anda
mengalami tekanan perasaan yang berterusan. Elakkan membuat
keputusan ketika dalam keadaan sedih atau marah atau ketika emosi
anda terganggu.

Cari Peluang untuk Perbaiki Diri Menerusi Pengalaman
Akibat daripada tragedi atau kesusahan yang menimpa, anda mungkin
mulai kenal sesuatu tentang diri sendiri. Anda mungkin mendapati
bahawa anda lebih matang dalam menangani sesuatu masalah. Anda
juga boleh belajar melalui pengalaman orang lain tentang bagaimana
mereka mengharungi ujian atau masa sukar dalam kehidupan mereka.
Menurut kajian, pengalaman silam dapat menjadikan seseorang itu lebih
berdaya tahan. Ini kerana individu tersebut lebih fokus kepada kekuatan
dirinya berbanding merasa tertekan dengan masalah yang dihadapinya
(Waaktar et al. 2004).

Sentiasa Memandang pada Masa Depan
Apabila anda berada dalam satu situasi sukar, pemikiran yang positif
boleh membuatkan anda sentiasa berharap perkara baik akan berlaku
dalam hidup anda. Jauhi diri daripada mencari kesilapan dalam hidup
anda. Sebaliknya, anda perlu membayangkan apa yang anda mahu untuk
masa depan anda yang ideal. Amalan visualisasi ini dapat membantu
anda untuk mencari dan menumpu kepada matlamat anda. Hal ini
berlaku kerana apabila anda menggambarkan matlamat anda, secara

281

BIMBINGAN MENARA GADING

fizikal atau hanya dalam minda, emosi yang berkaitan dengan daya
tahan akan muncul untuk memotivasikan anda mencapai matlamat.

Dapatkan Bantuan daripada Pakar yang Bertauliah
Anda boleh mendapatkan perkhidmatan ahli psikologi pendidikan atau
kaunselor yang bertauliah sebagai salah satu usaha untuk membina
strategi daya tahan anda. Bersegeralah mendapatkan bantuan daripada
pakar jika anda berasa tidak dapat berfungsi atau menjalankan aktiviti
asas harian akibat daripada trauma atau tekanan hidup.

PENUTUP

Pada masa kini, pelajar terutamanya golongan remaja perlu memiliki
daya tahan yang tinggi untuk menghadapi pelbagai bentuk cabaran agar
tidak mudah terjebak dalam masalah sosial, salah laku atau gejala lain
yang tidak sihat. Untuk membina daya tahan yang tinggi, anda perlulah
memahami terlebih dahulu apakah faktor-faktor yang mempengaruhi
daya tahan anda seperti faktor peribadi, biologi dan persekitaran. Walau
bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa banyak kajian mendapati
aspek kefungsian keluarga yang baik merupakan faktor yang penting
untuk memupuk daya tahan yang tinggi. Seterusnya, anda perlulah
berusaha untuk membina dan memiliki daya tahan yang tinggi supaya
anda dapat belajar serta mampu menjadi pelajar yang produktif dan
akhirnya dapat memberikan sumbangan idea, tenaga dan kemahiran
kepada kecemerlangan diri dan seterusnya memberi impak kepada
pembangunan negara.

282

BELAJAR DAN DAYA TAHAN AKADEMIK

Disiplin dan Sikap
Orang yang Berjaya

Prof. Madya Dr. Sayuti Ab Ghani

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

PENGENALAN

“Kurang semangat mengakibatkan lebih banyak
kegagalan berbanding kurangnya kebijaksanaan
atau kemahiran” – Flower A. Newhouse

Kejayaan adalah satu kenikmatan dalam kehidupan.
Apakah ukuran kejayaan? Ukuran kejayaan adalah
berbeza dalam semua bidang. Dalam bidang
pendidikan, kejayaan tertinggi adalah pada peringkat
Doktor Falsafah (PhD), manakala anugerah profesor
adalah menjadi impian kepada semua para sarjana.
Dalam bidang ekonomi, ukuran kejayaan seseorang
ialah bergantung kepada harta yang dimiliki. Begitu
juga kejayaan dalam bidang politik diukur pada tahap
pencapaian kepimpinan dan penguasaan kuasa
dalam masyarakat. Perkara ini memberi maksud
ukuran kejayaan adalah berbeza-beza antara setiap
bidang yang diceburi. Oleh itu, dalam mencapai dan
menikmati kejayaan dalam bidang yang kita lalui
ianya perlu kepada faktor-faktor yang merangsang

283

BIMBINGAN MENARA GADING

kejayaan. Ini memberi maksud kejayaan bukannya mudah dan dapat
dengan cara percuma. Ia memerlukan pengorbanan jiwa dan raga dan
penentuan akhir kejayaan ialah Allah SWT.

Kejayaan adalah kemuncak kehidupan. ‘Kejayaan’ merujuk kepada
hal berjaya, kemenangan dan kemajuan. Semua orang ingin berjaya
dalam kehidupan dan semua orang ingin mengecapi kesenangan dalam
kehidupan. Timbul pelbagai persoalan yang harus dijawab bagi mencapai
kejayaan. Pertama, apakah kita sudah bersedia untuk berjaya? dan
kedua, apakah telah kita lakukan untuk berjaya? Kedua-dua persoalan
ini merupakan kunci kepada kejayaan individu, kepimpinan, organisasi,
dan sebagainya. Sekiranya kita merujuk kepada orang yang telah
berjaya dalam apa jua bidang kehidupan yang telah mereka lalui, kita
dapati tiada seseorang pun menyatakan kejayaan mereka yang dikecapi
dengan mudah. Pelbagai rintangan dan dugaan telah tempuhi yang
akhirnya mereka mengecapi kejayaan. Itulah asam garam kehidupan
dalam menuju kejayaan.

DISIPLIN PERMATA KEJAYAAN

Disiplin adalah platform kepada kejayaan dan merupakan resipi terbaik
kejayaan. Pada kebiasaannya aspek disiplin amat sinonim dengan bidang
kerjaya ketenteraan dan penguatkuasaan. Mereka yang mempunyai
disiplin yang tinggi sahaja yang mampu menjadikan ketenteraan dan
penguatkuasaan sebagai kerjaya. Kita harus ingat pada asal mereka
adalah seperti orang awam yang lain sekiranya mereka tidak menceburi
bidang ketenteraan, atau dengan kata lain mereka adalah sama seperti
kita. Kenapa tentera berdisiplin? Mereka berdisiplin kerana mereka
dilatih, dididik yang akhirnya disiplin menjadi permata kejayaan dalam
bidang ketenteraan.

Disiplin bukan sifat semula jadi bagi semua manusia. Untuk menjadi
individu berdisplin tidak memerlukan seseorang itu menyertai kerjaya
ketenteraan atau bidang penguatkuasaan. Cuma masyarakat hari ini
telah mengaitkan disiplin dengan bidang ketenteraan atau dengan kata
lain perkataan disiplin amat sinonim dengan tentera. Antara aspek yang
terserlah dengan disiplin tentera adalah menerusi penampilan fizikal,
pakaian dan komitmen. Inilah disiplin yang merupakan permata bagi
bidang ketenteraan.

284

DISIPLIN DAN SIKAP ORANG YANG BERJAYA

Gambar 17.1 KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji
Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berinteraksi dengan murid Orang Asli AMG

Tidak disangkal lagi, bahawa disiplin adalah juga permata kejayaan.
Sejarah ketamadunan Islam telah menonjolkan sikap disiplin dalam
kalangan anggota tentera dan kepatuhan kepada kepimpinan menjadi
tonggak kejayaan dalam siri pembukaan dan peperangan dilalui oleh
tentera Islam. Sebaliknya, kita juga menyaksikan akibat mengabaikan
aspek disiplin tentera Islam mengalami kegagalan dalam peperangan.
Hal ini menjadi pengajaran yang cukup berguna dalam meletakkan
disiplin sebagai aspek yang cukup penting dan bernilai dalam kerjaya
yang diceburi.

Aspek disiplin ini juga seharusnya dihayati dan amalkan secara
berterusan dalam kehidupan. Ianya tidak seharusnya dipraktikan dalam
suasana tertentu sahaja, tetapi aspek disiplin ini seharusnya dipraktikan
dalam semua keadaan sama ada diwaktu alam pekerjaan mahupun
selepas waktu bekerja atau dengan kata lain ianya perlu diamalkan
sepanjang kehidupan. Kita jangan lupa bahawa kita berada dalam sebuah
masyarakat yang sentiasa diperhatikan oleh anggota masyarakat yang
lain terutamanya orang yang terdekat dengan kita. Kita seharusnya
menjadi contoh kepada mereka bahawa aspek disiplin adalah perkara
yang penting diamalkan dalam kehidupan. Oleh itu, kita seharusnya
menjadikan aspek disiplin sebagai satu amalan berterusan dalam
kehidupan kerana implikasi aspek disiplin ini ialah membawa kepada

285

BIMBINGAN MENARA GADING

unsur dan bibik-bilik kejayaan begitu tinggi dalam kehidupan seseorang.
Disamping itu, aspek disiplin juga seharusnya dapat disesuaikan dalam
semua keadaan bagi mempastikan keberkesanaan pelaksanaanya
dalam merangka kejayaan.

Hari ini kita menyaksikan disiplin merentasi kerjaya. Apa jua
bidang yang diceburi jika mengabaikan aspek disiplin, maka akhirnya
akan membawa kepada kegagalan dan kekecewaan. Perkongsian
orang yang telah berjaya dalam semua aspek kehidupan seseorang
ialah penekanan pada aspek disiplin. Apa yang dimaksudkan disiplin?
Sering kali kita dengar disiplin adalah mengikut peraturan yang telah
ditetapkan. Sering juga kita menyaksikan orang berdisiplin juga gagal
dalam mengecapi kejayaan dalam kehidupan. Sekiranya keadaan
ini berlaku, apakah perkara yang perlu ada dalam disiplin? Hasilan
pembacaan yang dilakukan mendapati bahawa orang yang benar-benar
berjaya tidak mengabaikan aspek disiplin semata-mata malahan ada
perkara yang lain perlu diperkukuhkan.

SIKAP ORANG YANG BERJAYA

Apa yang dimaksudkan dengan sikap? Sikap kebiasaannya dikaitkan
dengan tingkah laku, perangai dan akhlak seseorang. Sikap seseorang
menggambarkan nilai hati seseorang, ini memberi maksud sikap yang
ditonjolkan oleh seseorang adalah berkaitan dengan nilai dalaman.
Apakah unsur yang mempengaruhi sikap seseorang? Banyak perkara
yang diperbincangkan dalam membentuk sikap seseorang. Kebanyakan
mereka yang mengutarakan pandangan tentang sikap adalah
bergantung kepada bidang kajian dan displin ilmu masing-masing. Orang
berpendidikan agama meletakkan akhlak yang baik ialah berpaksikan
kepada sumber-sumber agama, manakala dalam kalangan sarjana
mengupas tentang sikap berdasarkan logik dan akal semata-mata.

Perkara ini membentuk dua perbezaan dalam menghuraikan
pembentukan sikap seseorang. Dalam membicarakan sikap yang
merupakan salah satu punca kepada kejayaan ialah sikap positif. Sikap
positif menyebabkan seseorang itu bersangka baik dalam semua urusan
yang dilakukan. Bagaimana membentuk sikap positif dalam diri? Ianya
bergantung kuat pada unsur dalaman terutamanya pegangan agama
dan kepercayaan seseorang. Dengan bergantung harap pada Yang Maha

286

DISIPLIN DAN SIKAP ORANG YANG BERJAYA

Kuasa sudah tentu sikap positif sentiasa mengiringi diri seseorang dan
seterusnya, mampu mengukir kejayaan dalam bidang yang ditempuhi.
Selain daripada sikap yang mampu membentuk kejayaan seseorang
mahupun organisasi, terdapat banyak lagi perkara yang mampu
membantu mencapai kejayaan seseorang. Pembentukan sikap orang
berjaya perlu dilengkapi unsur yang lain, sama ada unsur dalaman
mahupun luaran.

SOKONGAN LUARAN KEJAYAAN

Kejayaan yang hendak dicapai perlukan bantuan sokongan sama
ada sokongan fizikal mahupun kerohanian. Sokongan luaran dan
dalaman amat diperlukan dalam mencapai kejayaan yang diimpikan.
Pada kebiasaan seseorang memerlukan sokongan unsur luaran bagi
membentuk keyakinan dalaman. Yang dimaksudkan dengan unsur
luaran adalah merujuk kepada perkara yang menyokong kejayaan
seseorang. Unsur luaran ialah bersifat kebendaan ataupun sesuatu
perkara yang mampu difikirkan dan diusahakan oleh setiap manusia.
Untuk mencapai kejayaan ianya perlu dirangka, disusun dan dirancang
dengan rapi agar persediaan dapat dilakukan lebih awal. Antara perkara
yang boleh dikategorikan sebagai unsur luaran yang sangat diperlukan
oleh sesiapa sahaja yang mahu berjaya adalah seperti berikut:

Ilmu Pengetahuan

Ilmu pengetahuan sangat penting dalam mencapai kejayaan. Tanpa ilmu
pengetahuan seseorang manusia tidak mampu memperolehi kejayaan.
Bagi sesiapa yang dicipta oleh Allah SWT yang mempunyai kesempurnaan
akal dan kesempurnaan fizikal amat bersyukur berbanding dengan
kejadian manusia yang kurang sempurna. Kesempurnaan ini mampu
dijadikan alat untuk menimba ilmu pengetahuan yang terbentang luas
kepada setiap manusia. Menyusuli sejarah kerasulan Nabi Muhammad
SAW yang diutuskan oleh Allah SWT menerusi wahyu pertama, iaitu
surah al-Alaq adalah yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan. Hasil
daripada ilmu pengetahuan yang akhirnya Nabi Muhammad SAW menjadi
manusia yang disegani dan memimpin sebuah negara Islam Madinah.

Tanpa ilmu pengetahuan manusia akan ketinggalan sama ada
kejayaan dunia mahupun akhirat. Manusia perlu memperlengkapkan diri

287

BIMBINGAN MENARA GADING

dengan ilmu pengetahuan. Belajarlah selagi mampu dan dengan sesiapa
sahaja yang boleh memberi ilmu pengetahuan yang berguna kerana
dengannya manusia mampu mengubah diri kepada kejayaan. Menuntut
ilmu tiada batas sempadan mahupun usia. Seseorang seharusnya terus
melangkah ke hadapan dalam memperlengkapkan diri dengan ilmu
pengetahuan yang berguna. Dunia terlalu pantas bergerak ke hadapan
dan bukannya ke belakang. Kesempurnaan ilmu perlu digabungkan, iaitu
ilmu dunia dan ilmu akhirat. Gabungan ilmu ini sudah tentu membawa
kepada kelebihan pada diri sendiri dan manfaat pada orang lain. Oleh
itu, ilmu pengetahuan yang ada dalam diri kita mampu membentuk
kejayaan dunia dan akhirat. Ilmu pengetahuan perlu dikongsi atau
disampaikan kepada orang lain. Konsep ini akan membawa keberkatan
ilmu yang dimiliki. Setiap manusia tiada batasan dalam mencari ilmu
pengetahuan, carilah dan terokailah ilmu Allah SWT yang Maha luas
ini, mudah-mudah kita dipertemukan oleh Allah SWT ilmu yang amat
memberi manfaat pada diri kita mahupun orang lain. Ilmu yang dimiliki
bukan bertujuan untuk mencari kesalahan orang lain atau lebih buruk
lagi untuk menjatuhkan orang lain, tetapi kita jadikan ilmu pengetahuan
yang diperoleh untuk mendekatkan kita dengan Allah SWT.

Rangsangan Motivasi

Kejayaan perlu dimotivasikan atau dengan kata lain perlu dirangsangkan.
Manusia dijadikan oleh Allah SWT berbeza sifat dan kenalurian. Oleh
itu, dalam merangka kejayaan dalam kehidupan seseorang itu perlu
dimotivasikan agar naluri kejayaan dalam diri manusia dapat diaktifkan.
Pelbagai pendekatan yang mampu digunakan dalam memotivasikan
kejayaan seseorang. Ini membawa maksud rangsangan kejayaan
perlu disesuaikan dan berbeza pada setiap seseorang. Kadang-kadang
kita melihat orang berjaya ianya dirangsangkan dengan melihat
orang berjaya, kadang-kadang ianya dirangsang dengan menghadiri
majlis atau program motivasi. Perkara inilah yang disebut sebagai
kesesuaian rangsangan yang ada pada setiap diri manusia. Apa maksud
motivasi? Motivasi ialah semangat yang kuat pada diri seseorang yang
mendorongnya untuk berusaha atau melakukan sesuatu dengan tujuan
mencapai kejayaan. (Kamus Dewan 2005). Ia menjadi penggerak kepada
kejayaan seseorang atau keinginan dalam mencapai sesuatu.

288

DISIPLIN DAN SIKAP ORANG YANG BERJAYA

Keperluan kepada motivasi boleh dikenal pasti, antaranya adalah
sikap yang sering diberikan atau alasan yang dikemukakan untuk
mengelakkan seseorang dalam melaksanakan tugas yang diberikan.
Contohnya, seorang pelajar yang sering menangguhkan dalam
menyiapkan kerja sekolah atau kita sering melihat seseorang yang
sering melewati tarikh akhir yang perlu disiapkan. Hal ini membuktikan
bahawa dalam diri mereka telah ada naluri atau unsur kejayaan tetapi
mungkin ianya belum dikeluarkan atau ia perlukan sesuatu untuk
dikeluarkan nilai kejayaan yang ada pada mereka. Oleh itu, di sinilah
peranan motivasi dalam mengilap potensi kejayaan yang ada pada
seseorang.

Motivasi juga dikaitkan dengan proses mengaktifkan sifat
kenalurian pada diri seseorang. Namun, motivasi juga boleh memberi
kesan negatif kepada seseorang. Oleh itu, dalam merangsang nilai positif
yang ada pada setiap individu ianya perlu kepada kesesuaian pada aspek
fizikal individu, masa dan juga tempat agar peranan motivasi itu dapat
membantu atau mengubah kepada yang lebih baik. Selain daripada itu,
motivasi kerap kali dikaitkan dengan mengerakkan tenaga dalaman
dalam diri seseorang kepada pembentukan tingkah laku bagi memenuhi
keinginan hingga mendorongnya untuk berusaha dan melakukan
sesuatu bagi mencapai kejayaan.

Selain itu, motivasi adalah satu proses yang bertenaga kepada
tingkah laku yang menghala ke arah matlamat yang betul. Lantaran
itu, konsep motivasi bukan sahaja melibatkan sesuatu keperluan dan
keinginan yang menggerakkan, bahkan dari segi hala tuju yang diambil
oleh seseorang untuk memuaskan keperluan dan keinginannya.

Pengaruh motivasi amat besar dalam kehidupan. Kadang-
kadang kita menyaksikan perubahan seseorang kepada lebih positif
dalam kehidupan adalah bukan kerana faktor sokongan yang lain seperti
ganjaran, kemewahan dan sebagainya tetapi dirangsang, oleh diri sendiri
atau kehendak diri yang akhirnya menggerakkan diri untuk melakukan
sesuatu. Perkara inilah yang sering disebut kuasa yang luar daripada
kuasa manusia, atau dengan istilah tepat ianya disebut sebagai hidayah
dari Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki.
Perkara ini di luar daripada kemampuan manusia, tetapi tidak mustahil
ianya mampu dimiliki oleh manusia dan akhirnya membantu kejayaan kita.

289

BIMBINGAN MENARA GADING

Keyakinan Pada Diri Sendiri

Keyakinan pada diri sendiri adalah tiket utama kejayaan dalam
kehidupan. Apakah yang dimaksudkan yakin diri sendiri? Keyakinan pada
diri sendiri ialah kita menerima kelebihan dan kekurangan yang ada pada
diri dan dalam masa yang sama meletakkannya sebagai satu kelebihan
pada diri kita tanpa rasa kekurangan. Dengan adanya perasaan ini kita
dapat membuang sifat malu dan merasakan kekurangan berbanding
dengan orang lain. Sekiranya perasaan kekurangan kita positifkan sudah
tentu kita telah meletakkan keyakinan tinggi pada diri kita sendiri.
Pada kebiasaan manusia cuba menyembunyikan kelemahan diri dan
seterusnya berusaha mengelakkan daripada diketahui oleh orang lain.
Sifat seperti ini meletakkan diri kita pada landasan orang yang tidak
berjaya. Kita kena ketahui semua manusia adalah lemah dan tiada
seorang pun yang sempurna kecuali Maha Pencipta. Orang lain juga
mempunyai kelemahan yang sama dengan kita, mungkin kelemahan itu
berbeza antara seseorang dengan seseorang. Orang yang yakin pada diri
sendiri akan membentuk sikap yang sentiasa berusaha memadamkan
kelemahan diri dan akhirnya, meletakkan dirinya dalam acuan kejayaan.
Kita kena yakin bahawa tiada sesiapa yang mampu menolong diri kita
kecuali kita sendiri.

Pencapaian individu adalah berbeza, malah ianya tidak sama
daripada segi masa, tempat dan sebagainya. Misalnya, daripada sudut
pencapaian dalam bidang pelajaran, kita menyaksikan bahawa ramai
yang berjaya di peringkat sekolah rendah tetapi mereka menempa
kegagalan pada peringkat menengah ataupun ada yang berjaya pada
peringkat menengah tetapi kurang berjaya pada peringkat universiti.
Adakah perkara ini telah diduga oleh manusia? Jawapannya tidak. hal ini
kerana perancangan Allah SWT lebih tepat daripada perancangan yang
dibuat oleh manusia. Oleh itu, segala kejayaan dan kegagalan ada hikmah
yang sukar ditafsirkan oleh manusia, tetapi yang pasti Allah SWT tidak
pernah menzalimi makhluknya. Percayalah diri kita sendiri sebelum kita
meyakinkan orang lain untuk mempercayai diri kita. Antara cara yang
mampu membentuk keyakinan pada diri sendiri adalah seperti berikut:

1. Menyakini dan memahami bahawa manusia semuanya mempunyai
kelemahan sama ada fizikal mahupun mental.

2. Menyakini bahawa kelemahan bukan penghalang kepada mencapai
kejayaan.

290

DISIPLIN DAN SIKAP ORANG YANG BERJAYA

3. Berusaha menutup segala kelemahan yang ada pada diri sendiri.

4. Meyakini bahawa Allah Maha Penyayang kepada hambanya.

Membentuk Semangat Kerjasama

Seterusnya, motivasi berjaya ialah membentuk semangat kerjasama.
Secara prinsipnya, manusia tidak mampu hidup dengan sempurna
tanpa bantuan dan kerjasama daripada orang lain. Ini memberi maksud
kesempurnaan kerja atau dengan kata lain kejayaan akan dicapai dengan
sempurna apabila kita berkongsi, kita bekerjasama dalam mencapai
sesuatu yang diimpikan. Semangat berkumpulan bukan sahaja bantuan
fizikal tetapi juga merupakan bantuan kerohanian melalui doa kejayaan
daripada orang lain terhadap usaha yang kita lakukan. Perkara ini amat
bertepatan dengan peribahasa Melayu yang menyebut, “Berat Sama
Dipikul Ringan Sama Dijinjing”.

Bagaimanakah kita hendak membentuk semangat kerjasama
secara berkumpulan? Perkara ini terlalu mudah sekiranya kita
memulakan dahulu dengan menyertai segala bentuk yang melibatkan
kerja secara beramai-ramai, seperti aktiviti gotong-royong. Perkara ini
sedikit sebanyak membentuk naluri dalaman yang mana kita perlukan
orang dalam mencapai kejayaan yang dilakukan. Natijahnya, kita
dapat menyaksikan dalam segala apa ataupun dalam organisasi mana
sekalipun kejayaan tidak mampu diukir dengan seorang sahaja dengan
tanpa bantuan orang lain.

Selain daripada itu, kejayaan yang dikecapi oleh seseorang perlu
dikongsi dengan anggota masyarakat. Ini memberi maksud masyarakat
juga sama-sama merasai sedikit penghargaan atas sebarang kejayaan
yang telah dikecapi. Sebenarnya, anggota masyarakat tidak mahu harta
atau pangkat yang telah kita kecapi tetapi apa yang penting bagi mereka
ialah rasa tidak melupai jasa orang lain apabila kita telah berjaya. Jangan
sampai kita dilabel oleh anggota masyarakat sebagai individu “Kacang
melupakan kulit” selepas mencapai kejayaan.

Kerja Berpasukan (espirit de corp) adalah terlalu dekat dengan
budaya masyarakat Timur khasnya masyarakat Melayu. Perkara ini
berlaku tanpa mengira bangsa, agama dan budaya yang akhirnya
membentuk nilai kasih sayang dan memerlukan antara satu sama lain.
Masyarakat Melayu telah lama membudayakan kerja berpasukan dan

291

BIMBINGAN MENARA GADING

merupakan ramuan kehidupan yang dilalui dalam kehidupan mereka
terutamanya terserlah dalam kenduri-kendara, membina rumah dan
sebagainya. Ia berlaku tanpa wujudnya batasan usia, pangkat dan
kedudukan dalam masyarakat. Kerja berpasukan adalah kunci kepada
pembentukan kejayaan yang hakiki dalam masyarakat. Sekiranya kita
tidak memasyarakatkan diri kita apabila berada dalam masyarakat, kita
seolah-olah disisih serta diabaikan yang akhirnya kita sendiri berasa
tidak selesa dan tidak tenteram berada dalam masyarakat. Akhirnya,
kita menemui dengan sebuah kegagalan dalam kehidupan yang dilalui.
Dalam apa jua, siapa atau keadaan kita, sama ada kita sebagai pekerja
dalam organisasi, kita sebagai pelajar dalam sebuah universiti, ataupun
kita sebagai rakyat dalam sesebuah masyarakat dan sebagainya, ciri-ciri
yang dinyatakan di bawah adalah amat diperlukan dalam membentuk
semangat kerjasama sebagai sebuah pasukan:

1. Komitmen
2. Bertanggungjawab
3. Menghubungkan silaturahim
3. Menuju satu matlamat
4. Menghargai satu sama lain

Hasil daripada ciri-ciri tersebut akan melahirkan rasa tanggungjawab
yang akhirnya membawa impak positif terutama kita berkongsi idea
dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Kepuasan akan dikecapi apabila
perancangan kita mencapai kejayaan.

Rangsangan Dalaman
Selain daripada pengaruh atau rangsangan luaran, rangsangan dalaman
juga perlu diberi perhatian dalam mencari kejayaan dalam kehidupan.
Lazimnya, unsur dalaman dikaitkan dengan sesuatu yang tidak
dapat digambarkan dengan deria atau fizikal, tetapi dikaitkan dengan
kepercayaan dan tradisi yang diwarisi sejak turun-menurun. Kita juga
seharusnya mengetahui bahawa setiap manusia akan mengalami
perubahan dalam kehidupan yang berbeza antara individu dengan

292

DISIPLIN DAN SIKAP ORANG YANG BERJAYA

individu yang lain. Kadang kala perubahan manusia disebabkan masa,
usia dan sebagainya.

Antara faktor dalaman yang tersurat mengenai perubahan
seseorang yang tidak perlu disangkal adalah faktor agama dan
kepercayaan yang dianuti seseorang. Faktor agama adalah bersifat
dalaman yang secara tidak langsung mengajak penganutnya melakukan
perubahan daripada baik kepada lebih baik atau berjaya kepada
lebih berjaya. Sesetengah di antara kita mudah lupa kepada agama.
Kadang-kadang mereka ingat kepada agama apabila seseorang itu
mengalami kesusahan atau kegagalan. Ketika itu ramai kawan-kawan
menghilangkan diri atau mula menjauhkan diri daripada kita, yang
akhirnya kita mulai rasa tertekan dan rasa kehilangan sesuatu dalam
kehidupan. Maka, sejak daripada itu, mereka kembali kepada agama dan
bergantung harap kepada Allah SWT.

Allah tidak pernah melupakan manusia dan tidak memberi
kesusahan kepada setiap makhluknya kecuali ada hikmah di sebalik
itu dan mengikut kemampuan masing-masing. Allah SWT yang bersifat
Maha Pemurah dan Maha Penyayang sentiasa memberi rahmat kepada
setiap manusia yang berusaha kuat untuk mendapatkan kejayaan
dalam kehidupan. Bagaimanakah cara mendapat pertolongan Allah
SWT untuk berjaya dalam kehidupan? Kita harus kembali kepada asal
ciptaan manusia itu sendiri, tiada lain dan tidak bukan ialah beribadah
kepada Allah SWT. Inilah cara kita untuk mendapat kasih sayang Allah
SWT dengan cara kita memperhambakan diri kepada-Nya. Ibadah yang
dilakukan adalah bukti kita tidak lupa bahawa manusia diciptakan oleh
Allah SWT dan kita mengharapkan keredaan-Nya.

Dalam mengejar kejayaan yang hakiki kita perlukan Allah SWT
dalam kehidupan. Hal ini memberi maksud mereka yang berjaya dalam
kehidupan tetapi melupakan Allah SWT memberi maksud mereka
seolah-olah berjaya di dunia sahaja namun, di hari akhirat kita sengsara.
Allah SWT tidak pernah membezakan antara kita, sama ada kita kaya
atau miskin, berpangkat atau tidak. Di sisi Allah SWT, setiap manusia
adalah sama dan yang membezakan antara satu sama lain ialah sejauh
mana mereka bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam mengejar kejayaan di dunia dan akhirat jangan lupa
kita berdoa kepada Allah SWT agar Dia mengurniakan kebaikan dan

293

BIMBINGAN MENARA GADING

Gambar 17.2 Lawatan ke Kolej Matrikulasi Selangor, Banting bagi memberi
bimbingan berterusan kepada sebahagian peserta AMG Kohort IX

kejayaan kepada kita. Doa adalah senjata kepada orang Islam, yang
mana dikala kita berdoa kita meluahkan apa yang kita inginkan dalam
kehidupan. Kadang-kadang kita jangan jemu untuk kita sentiasa berdoa
walaupun kita rasakan banyak yang didoakan tidak dimakbulkan. Ianya
bukan bererti Allah SWT bukannya tidak sayang kepada kita, tetapi ia
membentuk sifat kesabaran bagi diri manusia yang ingin berjaya dalam
kehidupan. Kejayaan yang ingin dicapai dalam bidang kehidupan bukanya
perkara mudah tetapi ianya perlu menghadapi pelbagai cabaran dan
dugaan dalam kehidupan. Oleh itu, doalah kepada Allah SWT supaya
kita diberikan keberkatan dalam setiap kejayaan yang diperolehi dalam
kehidupan.

Selain daripada itu juga, kita tidak pernah menafikan kejayaan
seseorang dalam apa jua bidang di atas usaha yang telah dilakukan dan
dalam masa yang sama ianya juga telah ditakdir oleh Allah SWT dalam
menentukan kejayaan seseorang. Walau bagaimanapun kita jangan
sekali-kali menafikan ransangan persekitaran juga memainkan peranan
yang amat luar biasa di atas kejayaan yang dikecapi dalam semua bidang
yang diceburi. Rangsangan ini disebut sebagai ransangan persekitaran,
iaitu ianya meliputi dorongan orang perseorangan, sama ada keluarga,
adik beradik mahupun sahabat handai yang sentiasa merangsang serta
mendoakan kejayaan seseorang.

Selain itu juga, kadang-kadang rasangan kejayaan dilihat pada
setiap isu yang dihadapi dan pengalaman yang dilalui sama ada diri

294

DISIPLIN DAN SIKAP ORANG YANG BERJAYA

sendiri mahupun orang lain dalam jatuh bangun seseorang dalam bidang
tertentu juga menjadi tonik dalam membangkitkan semangat untuk
berjaya dalam aspek kehidupan yang diceburi. Oleh itu, perlu diingatkan
kepada diri kita sendiri bahawa jangan kita mudah lupa akan rangsangan
persekitaran yang banyak serta memacu kepada kejayaan yang kita
kecapi. Dalam masa yang sama, kita jangan sekali-kali sombong
bahawa kejayaan kita di atas usaha kita semata-mata dengan langsung
melupakan agen-agen persekitaran yang merangsang kejayaan kita
selama ini terutamanya kedua-dua ibu bapa kita yang tidak pernah jemu
mendoakan kejayaan kita dunia akhirat.

MANUSIA PERLU BERUBAH

Motivasi kejayaan juga dikaitkan dengan manusia perlu berubah.
Islam mengajar kita bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri ingin berubah. Perkara ini jelas
memberi gambaran yang jelas kepada semua bahawa diri kitalah yang
meletakkan asas sama ada kita mahu berjaya ataupun gagal. Orang
lain tidak mampu mengubah kehidupan kita kecuali kita sendiri. Kita
sendiri yang mengetahui di mana kelebihan dan kekurangan kita. Setiap
kekurangan diri perlu diperbaiki dan setiap kelebihan diri dikongsi
dengan orang lain. Inilah yang sepatutnya berlaku dalam mengejar
kejayaan dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, banyak faktor luaran
dan dalaman juga akan mempengaruhi pembentukan dan perubahan
seseorang. Ia juga akan mempengaruhi keperibadian, tingkah laku,
perangai dan perwatakan seseorang sehingga dapat menampilkan ciri-
ciri keperibadian sebagai seorang yang berjaya dalam kehidupan.

Sikap atau perangai adalah lambang diri dan perwatakan seseorang
dan ianya mencerminkan keperibadian seseorang. Masyarakat mampu
menilai sikap sesorang menerusi perkataan yang dipertuturkan
mahupun perbuatan yang ditonjolkan. Masyarakat memainkan peranan
yang besar dalam mengejar kejayaan dalam kehidupan. Kadang-kadang
kita melihat seseorang itu telah mencapai kejayaan dalam kehidupan,
mereka sudah berharta, berpangkat dan berpengaruh, tetapi malangnya
mereka sombong, bangga diri dan dalam masa yang sama mereka telah
menjauhi daripada kehidupan beragama. Sejarah telah membuktikan
ramai yang diberikan kejayaan dan kekayaan tetapi akhirnya mereka

295

BIMBINGAN MENARA GADING

binasa dalam kehidupan dunia dan neraka menunggu mereka di akhirat
kelak. Mereka hanyut dengan kejayaan dan kemewahan dan akhirnya
mereka melakukan syirik kepada Allah SWT iaitu mereka mengatakan
kejayaan ini adalah hasil usaha mereka sendiri bukan kurniaan Allah SWT.

Oleh itu, tips untuk berjaya ialah kita seharusya memperhiasi
diri kita dengan keperibadian mulia. Ukuran keperibadian mulia ialah
berdasarkan agama dan kepercayaan yang kita pegang, ini kerana
sekiranya ukuran kebaikan disandarkan kepada akal dan rasional
semata-mata mungkin akan berlaku kebaikan yang dilakukan itu
semata-mata diterima oleh manusia bukan Allah SWT. Inilah penilaian
yang seharusnya kita lakukan dalam mengejar kejayaan yang ianya tidak
semata-mata mengejar kepuasan diri semata-mata tetapi kejayaan
yang dikecapi juga boleh memberi manfaat pada orang lain. Terdapat
tips yang perlu dilakukan dalam mengapai kejayaan dalam kehidupan
yang berkaitan dengan perubahan diri sendiri. Tips yang dikemukakan ini
adalah berbentuk persoalan. Perkara ini ditimbulkan adalah disebabkan
manusia mungkin mumpunyai alasan tersendiri untuk berubah dan
perubahan bukannya perkara yang senang dilakukan, antaranya ialah:
1. Kenapa kita perlu berubah?
2. Apakah sebab kita berubah?
3. Bilakah kita mahu berubah?
4. Bagaimanakah cara kita mahu berubah?
5. Sanggupkah berubah?

Sekiraya kita mempu memberi jawapan berdasarkan persoalan
yang dikemukan di atas sudah pasti kita terangkum dalam ciri-ciri orang
berjaya. Kalau kita merujuk kepada orang berjaya dalam kehidupan
dan bidang yang diceburi, tiada seorangpun menyatakan kejayaan
mereka dapatkan dengan cara yang mudah, semuanya bermula dengan
pengorbanan dan perubahan yang mereka telah lakukan.

KEINGINAN UNTUK BERJAYA

Tidak dapat dinafikan bahawa keinginan untuk berjaya adalah tahap
motivasi yang tinggi dan kuat. Motivasi ini menjadi benteng yang kukuh

296

DISIPLIN DAN SIKAP ORANG YANG BERJAYA

pada diri seseorang terutamanya dalam menghadapi cabaran dan
dugaan dalam meniti kejayaan. Kadang kala impian menuju kejayaan
menghadapi suasana suram, banyak ragam dan ujian ditempuhi, maka
ketika itu kita perlu kembali kepada matlamat asal kita dan impian
yang ingin dicapai yang akhirnya sedikit sebanyak meningkat kembali
semangat dan motivasi untuk berjaya.

Keinginan ingin berjaya dalam kehidupan mahupun kerjaya
mempunyai pengalaman tertentu. Ada antara kita pernah mengalami
kegagalan dalam kehidupan berkeluarga, kegagalan dalam kerjaya,
kegagalan dalam pelajaran, kegagalan dalam bidang perniagaan, dan
sebagainya. Kebangkitan semula daripada kegagalan yang dialami
adalah tonik atau motivasi terbaik. Kenapa ia dikatakan motivasi terbaik?
Seseorang itu telah mempunyai pengalaman kenapa ia gagal. Perkara
ini amat penting dalam membina kejayaan setelah gagal. Kejayaan
yang dibina oleh seseorang selepas gagal adalah sebuah kejayaan yang
sempurna.

Keinginan kuat untuk berjaya juga sering dikaitkan dengan
keinginan untuk merubah sama ada diri sendiri berbanding orang
lain atau merubah keluarga berbanding kejayaan keluarga yang lain.
Sekiranya keinginan ingin berubah ini telah meresapi diri seseorang
maka, sudah tentu mereka tidak lagi memandang ke belakang dan
terus bangkit menuju ke hadapan untuk mencapai kejayaan. Semuanya
bergantung pada keinginan seseorang. Terdapat dalam kalangan
masyarakat kita menyisihkan atau mempunyai pandangan yang serong
terhadap kelemahan dan juga di atas kegagalan kita yang lalu. Keazaman
inilah yang mempunyai nilai yang tinggi, iaitu bagi membuktikan
kepada mereka bahawa kita bukan seperti yang disangkakan dan
pandangan mereka atas kelemahan dan kegagalan yang pernah kita
hadapi bukanlah bersifat kekal. Kejayaan inilah yang akhirnya membina
maruah diri sendiri, maruah keluarga dan menutup segala sengkaan
buruk kepada seseorang. Inilah kejayaan umpama sebiji permata yang
sentiasa diimpikan oleh semua manusia.

MERAIKAN KEJAYAAN

Alhamdulillah dan syukur merupakan ungkapan yang sering diungkapkan
oleh sesiapa sahaja yang yang kebiasaanya beragama Islam memperolehi

297

BIMBINGAN MENARA GADING

kejayaan yang diimpikan dalam kehidupan mereka. Ungkapan ini secara
tersurat dan tersiratnya kita telah meletakkan keredaan Allah SWT di
atas nikmat yang telah dikurniakan olehNYA. Ungkapan ini juga secara
langsung kita telah memberi gambaran tahap keimanan kita kepada
Allah yang mengharapkan Allah segala-galanya. Ini bermakna, semakin
banyak kejayaan dikecapi semakin hampir dengan Allah SWT bukannya
semakin jauh dengan Allah SWT. Inilah sikap sebenarnya orang yang
meraikan kejayaan dalam kehidupan. Sebenarnya kejayaan adalah milik
Allah SWT yang iaNYA berkuasa memberi kejayaan kepada siapa yang
dikehendaki dan iaNYA juga mampu menarik kembali setelah kejayaan
diberikan kepada seseorang. Perkara ini telah diperjelaskan oleh Allah
dalam al-Quran Surah Ibrahim, Ayat 7, yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika
kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu,
tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat
berat”

Sebenarnya Allah SWT telah banyak memberi kejayaan kepada
hambanya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Antara
nikmat yang paling besar yang Allah SWT kepada kita ialah nikmat Islam
dan Iman yang akhirnya kita tetap kukuh dengan aqidah Islam. Oleh
sebab itu, sekiranya kita renung sejenak tentang nikmat Allah SWT dan
kejayaan yang telah diberikan kepada kita langsung kita tidak ada ruang
untuk melupakanNYA atau apatah lagi untuk menderhakaiNYA. Perkara
ini juga telah dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran Surah al-Nahl, ayat
18 yang bermaksud;

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak
dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang”

Oleh itu, sikap orang berjaya ialah sentiasa mensyukuri nikmat
yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap hambanya sama ada
kejayaan itu besar mahupun kecil. Ini kerana disebalik nikmat kejayaan
yang diberikan oleh Allah SWT itu adalah ujian, iaitu Allah SWT mahu
menguji kita sejauhmana kita mampu meraikan setiap kejayaan yang
dilakukan. Kejayaan yang diberikan oleh Allah SWT dalam kehidupan

298

JANGAN PUTUS ASA: KEJAYAAN MILIK ANDA

manusia di dunia adalah berbeza-beza dan tidak semuanya apa yang kita
impikan dalam kehidupan mendapat kejayaan. Sudah pasti pengalaman
mengajar kita di mana kita dapat melihat sendiri Allah SWT yang telah
memberikan kejayaan dalam pelbagai bentuk dan keadaan sepertimana
Allah SWT berikan kejayaan pada ibu bapa tetapi tidak pada anaknya, ada
yang berjaya itu anaknya tidak pada ibu bapanya dan ada juga Allah SWT
memberi kejayaan kedua-duanya iaitu ibu bapa dan anaknya. Semuanya
itu adalah ujian daripada Allah SWT kepada mereka yang berjaya.
Berjaya atau gagal ke atas ujian ini adalah bergantung sepenuhnya
kepada iman dan takwa hambanya kepada Allah SWT. Oleh itu, raikanlah
setiap kejayaan yang dikecapi dengan tidak lupa kepada Allah SWT serta
tidak lupa kepada kedua-dua ibu bapa kita sama ada mereka masih
hidup atau telah meninggal dunia serta tidak lupa kepada insan-insan
tersayang dan semuanya yang sentiasa mendoakan kejayaan kita sama
ada kejayaan di dunia mahupun akhirat. Semoga kejayaan kita diberkati
oleh Allah SWT. Antara cara yang mampu kita menzahirkan dan meraikan
setiap kejayaan diperolehi dalam kehidupan ialah, dengan;

1. Mensyukuri dengan hati.

2. Mensyukuri dengan lidah.

3. Mensyukuri dengan anggota badan.

4. Mensyukuri dengan amalan.

5. Memuji dan reda diatas ketentuan Allah SWT.

PENUTUP

Banyak faktor yang mempegaruhi kejayaan seseorang dalam segenap
bidang kehidupan diceburi dan kesemua faktor yang merangsang
kejayaan seseorang adalah tidak sama dan ianya perlu disesuaikan dengan
kemampuan diri sendiri, masa dan tempat. Walau bagaimanapun, faktor
luaran dan faktor dalaman amat diperlukan oleh semua individu yang
mahu berjaya dalam kehidupan. Berjaya dalam kehidupan mempunyai
tahap yang berbeza bagi setiap individu. Oleh itu, apa yang penting bagi
meniti dan menggapai kejayaan kita sentiasa dan perlu berusaha serta
bertawakal kepada Allah SWT agar kejayaan menjadi milik kita. Dengan
rasa rendah hati, kita perlu bersyukur kepada pemilik kejayaan yang

299

BIMBINGAN MENARA GADING

sebenar, iaitu Allah SWT. Kejayaan sebenar bagi seseorang insan adalah
kejayaan dunia yang mampu memberi manfaat kepada manusia yang
lain dan kejayaan akhirat adalah Allah SWT menempatkan kita di dalam
syurga-Nya.

Gambar 17.3 KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad
Shah Al-Musta’in Billah sempena Pelancaran Buku Bimbingan Menara Gading

300


Click to View FlipBook Version