The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Muhammad Abdullah bin Suradi

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by reenmnor, 2021-02-11 08:51:15

Lembaran Hidup Ulama'

Muhammad Abdullah bin Suradi

Keywords: Hidup Ulama'

Lembaran
Hidup
Ulama’

Imam Syafie & Imam Ahmad pandai bersyair? Imam Malik tahu menyanyi?
Ibnu Firnas, lakukan cubaan pertama terbang di udara? Ibnu Sina,
selamatkan perut raja? Ibnu Sirin, pandai menafsir mimpi? Ibnu Hazm,
sibuk bercinta? Imam Nawawi, membujang demi ilmu? Hamka, ceramahnya
boleh memukau orang? Imam Bukhari, kuburnya berwangi Misk? Jenazah
Imam Ahmad, Said Nursi & Syeikh Al-Albani dihadiri ramai orang?

Muhammad Abdulloh bin Suradi

1

Dedikasi

Ku dedikasikan buku ini buat ayah dan ibu yang dikasihi yang telah
mengasuhku hingga ketahap keupayaan sekarang ini , guru-guruku yang
tercinta yang telah mendidikku dengan pengorbanan yang tidak kenal lelah
& bakti yang meluas. Merekalah yang telah menjadikan ku insan berguna &
bermanfaat untuk orang lain. Sesungguhnya kejayaan ku hari ini ialah hasil
daripada didikan & jasa guru-guruku yang telah berkorban jiwa & raga
untuk anak-anak muridnya. Juga buat penuntut-penuntut ilmu & pencari
ilmu yang sentiasa mencari & mendalami ilmu dengan tekun, bersungguh-
sungguh & ikhlas kerana Allah. Juga buat pemuda-pemudi Islam agar lebih
mengetahui kehidupan para ulama, meneladani keperibadian mereka dan
menghargai jasa-jasa dan sumbangan mereka yang besar untuk Islam yang
tercinta.

2

‫َﻭ ِﻣﻦَ ﺍﻟﻨﱠﺎﺱِ َﻭﺍﻟ ﱠﺪﻭَﺍﺏﱢ َﻭﺍ َﻷْﻧ َﻌﺎ ِﻡ ُﻣ ْﺨﺘَِﻠ ٌﻒ ﺃَْﻟ َﻮﺍُﻧ ُﻪ َﻛﺬَِﻟﻚَ ﺇِﱠﻧﻤَﺎ ﻳَ ْﺨ َﺸﻰ ﺍﻟﻠﱠﻪَ ِﻣﻦْ ﻋِﺒَﺎﺩِﻩِ ﺍﻟْ ُﻌﻠَﻤَﺎء ﺇِ ﱠﻥ ﺍﻟﱠﻠ َﻪ ﻋَﺰِﻳ ٌﺰ‬
ٌ‫َﻏﻔُﻮﺭ‬

“Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan
binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan
jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-
hambaNya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha

Pengampun.”
(Fathir: 28)

َ‫ ِﺇ ﱠﻥ ﺍْﻷَﻧْﺒِﻴَﺎء‬،‫ﻟَﻢْ ُﻳ َﻮ ﱢﺭُﺛﻮْﺍ ِﺩﻳْﻨَﺎ ًﺭﺍ ﻭَ َﻻ ﺩِﺭْﻫَﻤًﺎ ﺇِﻧﱠﻤَﺎ َﻭ ﱠﺭﺛُ ْﻮﺍ ﺍﻟْﻌِْﻠﻢَ َﻓ َﻤﻦْ َﺃ َﺧﺬَ ِﺑﻪِ َﻓﻘَ ْﺪ ﺃَ َﺧ َﺬ ﺇﻥ ﺍﻟْﻌُُﻠﻤَﺎ ُء َﻭﺭََﺛﺔُ ﺍْ َﻷْﻧﺒَِﻴﺎ ِء‬
ٍ‫ﺑِ َﺤﻆﱟ َﻭﺍِﻓﺮ‬

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi. Sungguh para Nabi tidak
mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu

maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bahagian
yang banyak.”

(Riwayat Tirmizi, Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah. Disahihkan
oleh Al-Albani)

“Alangkah indah diri dapat berdamping dengan para ulama sentiasa.
Meneguk rasa manis bersama Allah setiap saat.”
(Ibnu Mubarak)

“Aku melihat menyibukkan diri dengan fiqah dan dengan mendengar hadis
tidak cukup untuk merawat hati melainkan ilmu itu digabungkan dengan
perkara-perkara yang melembutkan hati dan membaca cerita sejarah orang

soleh.

Adapun mengetahui perkara halal dan haram bukanlah satu peranan yang
besar di dalam melembutkan hati. Sesungguhnya yang melembutkan hati
ialah dengan menyebut cerita-cerita yang menyentuh hati dan cerita-cerita
orang soleh kerana mereka ialah golongan memahami maksud daripada
hadis-hadis yang dinukil. Mereka keluar daripada zahir cerita kepada aspek

rohani dan sentimen cerita-cerita tersebut.

Tidaklah aku ceritakan perkara ini melainkan untuk merawat dan mengubat
kerana aku melihat pelajar-pelajar yang belajar hadis, minat mereka hanya

pada mendapat sanad hadis yang tinggi dan minat fuqaha ialah untuk
memperhebatkan pendebatan mereka.”
(Ibnu Jauzi)

3

Isi Kandungan

Kata Penulis ….. i

1. Imam Abu Hanifah, Pendiri Mazhab Pertama ….. 1
2. Imam Malik, Sangat Menghormati Hadis Nabi S.A.W. ….. 5
3. Imam Syafie, Ulama Feqah Yang Pandai Bersyair ….. 12
4. Imam Ahmad bin Hanbal, Konsisten Mengamalkan Sunnah ….. 21
5. Imam Bukhari, Munajatnya Di Penghujung Hayat ….. 34
6. Imam Muslim, Terlalu Banyak Makan Kurma ….. 43
7. Imam Abu Daud, Akhlaknya Menyerupai Imam Ahmad bin Hanbal ….. 48
8. Ibnu Sirin, Ulama Tafsir Mimpi Terkenal ….. 53
9. Sufyan bin Uyainah, Kunikahi Dia Kerana Agamanya ….. 56
10. Sayyidah Nafisah, Sufi, Alim dan Guru Imam Syafie ….. 60
11. Junaid Al-Baghdadi, Ulama Yang Bertasauf Mengikuti Sunnah ….. 64
12. Imam al-Ghazali, Ulama Tasauf dan Hujjatul Islam ….. 68
13. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Ulama Sufi dan Sultanul Aulia ….. 80
14. Ibnu Firnas, Melakukan Cubaan Pertama Terbang Di Udara ….. 87
15. Ibnu Sina, Menyelamatkan Perut Raja ….. 90
16. Ibnu Hazm, Ulama Yang Sibuk Bercinta ….. 96
17. Imam Nawawi, Membujang Demi Ilmu ….. 101
18. Ibnu Jauzi, Ulama Alim Yang Pepatahnya Memukau ….. 105
19. Maulana Zakariyya al-Kandahwali, Ulama Hadis India Terkenal ….. 109
20. Syeikh Muhammad Ali as-Sanusi, Pengasas Tarekat Sanusiyah ….. 112
21. Haji Abdul Rahman Limbong, Ulama Yang Warak dan Pejuang Bangsa
Sejati ….. 114
22. Tok Kenali, Ulama Melayu dan Wali Allah Terkenal ….. 124
23. Haji Sulong al-Fatani, Ulama dan Pejuang Patani Sejati ….. 141
24. Sheikh Abdullah Fahim, Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara ….. 144
25. Badi’uddin As-Sindi, Ulama Hadis Syria ……151
26. Badiuzzaman Said Nursi, Ulama, Sufi dan Pejuang Abad 20 ….. 153
27. Hamka, Ceramahnya Boleh Memukau Orang ….. 165
28. Abdullah Nasih Ulwan, Selagi Nadi Berdenyut Pena Sentiasa Menulis
….. 174
29. Said Hawa, Ulama Yang Gigih ….. 180
30. Sayyid Abdullah Siddiq al-Ghumari, Ulama Hadis Moroko Terkenal …..
183
31. Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Memiliki Hati Yang Sangat Lembut
….. 190
32. Syeikh Mutawalli Sya’rawi, Kealiman Yang Dikagumi, Kamatian Yang
Ditangisi ….. 197
33. Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi, Zuhud Yang Berjiwa Sufi ….. 209
34. Syeikh Al-Albani, Ulama Berjiwa Sunnah ….. 215
35. Sayyid Sabiq, Ulama Sunnah Yang Bersahaja ….. 240

4

Penutup
- Kasturi Salaf dan Orang Soleh ….. 245
Rujukan ….. 246

5

Kata Penulis

Sesungguhnya segala puji milik Allah, kami memujiNya, memohon
pertolongan dan ampunan kepadaNya. Kami berlindung kepada Allah dari
berbagai kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami.
Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada Nabi s.a.w., beserta
keluarga, para sahabat dan pengikutnya yang lurus hingga hari kiamat.

Para ahli ilmu baik yang terdahulu hingga saat ini telah menulis sejarah
para ulama. Mereka menyusun karya-karya besar menyebutkan kemuliaan
dan peninggalan-peninggalan mereka sebagai kenyataan sabda Rasulullah
s.a.w.:

“Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak menghormati seorang yang
lebih tua, tidak menyayangi seorang yang lebih kecil dan tidak mengakui
hak seorang alim.” (Riwayat Ahmad, disahihkan oleh Al-Albani)

Sesungguhnya kisah hidup para ulama penuh dengan haruman hikmah,
teladan, ilmu dan manfaat. Apabila kita membaca sesuatu kisah hidup
ulama itu, pastinya kita akan mendapat ketenangan hati dan semangat diri.
Juga dapat melembutkan hati kita dan seterusnya dapat meneladani
peribadi para ulama yang penuh dengan mutiara kemuliaan.

Buku ini mengajak pembaca untuk menyusuri kisah hidup para ulama
dengan lebih mendalam lagi merangkumi kehidupan, peribadi, minat, ilmu,
keluarga dan jasa-jasa dan sumbangan para ulama yang hebat. Agar mereka
lebih mengenal keperibadian dan kehebatan-kehebatan para ulama dalam
pelbagai bidang ilmu.

Tentu ramai lagi yang belum mengetahui bahawa para ulama itu bukan
sahaja hebat dalam bidang ilmu yang mereka ceburi, tetapi ada di antara
para ulama itu memiliki kelebihan yang luar biasa dalam bidang ilmu yang
lainnya lagi. Pernahkah anda mendengar, Imam Syafie dan Imam Ahmad
bin Hanbal pandai mengalunkan syair? Imam Malik tahu menyanyi?

Ini sebenarnya ialah kelebihan mereka masing-masing dalam bidang ilmu
tersebut. Mereka telah cuba berusaha untuk menuntut dan mempelbagaikan
ilmu mereka selain didorong oleh minat mereka sendiri. Ini ialah suatu
kebanggaan yang patut kita kagumi.

Selain itu, Ibnu Firnas ialah orang pertama melakukan cubaan terbang di
udara dalam sejarah. Ramai tidak mengetahui perkara ini sebenarnya. Kita
lebih mengetahui mengenai Wright Bersaudara yang telah mencipta pesawat

6

terbang berbanding ilmuwan Islam kita ini yang telah terlebih dahulu
melakukan percubaan terbang di udara, seribu tahun sebelum Wright.

Seseorang ulama itu juga sanggup menghabiskan seluruh hidup dan masa
mereka untuk perkara-perkara yang bermanfaat sahaja. Sehinggakan Imam
Nawawi, lebih rela membujang untuk dapat menelaah dan mengkaji ilmu
dengan lebih lagi.

Kemuncak kemuliaan seseorang itu dapat dilihat pada saat-saat akhir
hayatnya. Seperti yang telah berlaku pada akhir hayat Imam Ahmad bin
Hanbal, Badiuzzaman Said Nursi dan Syeikh Al-Albani. Jenazah mereka
telah dihadiri dan ditangisi ramai orang yang mencecah ribuan jumlahnya.
Perjuangan, kemuliaan dan kebenaran para ulama tersebut tampak pada
hari kematian mereka.

Kita sepatutnya lebih bangga dan kagum dengan para ulama yang telah
menyerahkan seluruh hidup mereka untuk Islam tercinta. Kita sepatutnya
menjadikan mereka wira idaman yang kita minati dan sanjungi. Daripada
kita menjadikan tokoh-tokoh Barat, artis-artis Barat dan sebagainya sebagai
wira idaman.

Pemuda-pemudi kini lebih banyak menjadikan tokoh-tokoh Barat dan artis-
artis Barat sebagai wira mereka. Sepatutnya mereka sedar yang wira-wira
mereka itu tidak patut untuk dijadikan teladan dalam hidup. Kerana
kehidupan mereka penuh dengan kegelapan. Mereka sanggup mengambil
banyak tahu mengenai kehidupan, peribadi dan minat tokoh-tokoh yang
penuh dengan kegelapan.

Kita sepatutnya lebih merasa bangga dengan wira kita sendiri seperti yang
terutama sekali ialah Rasulullah s.a.w., para sahabat Nabi s.a.w. dan para
ulama yang kehidupan mereka jauh lebih mulia lagi dan penuh dengan
hikmah teladan.

Kehidupan para ulama sangat bermanfaat untuk dibaca dan dihayati dalam
cabaran dan fatamorgana dunia kini. Hati kita akan bisa menjadi lembut
dan akan dituruni rahmat apabila kita membaca dan menghayati kehidupan
para ulama. Banyak akan kita dapati ilmu dan manfaat mereka. Dan kita
akan temui diri kita sebenarnya kembali, menguatkan semangat kita dan
seterusnya menyemarakkan semangat perjuangan kita untuk Islam.

Buku ini juga telah disajikan dengan gambar-gambar para ulama yang
menarik supaya anda lebih menghayati kehidupan seseorang ulama itu.
Apabila kita melihat wajah seseorang ulama, itu sebenarnya telah dikira
sebagai ibadah.

7

Di harapkan, buku ini dapat lebih menyedarkan kita akan kehidupan para
ulama yang penuh dengan kemuliaan dan manfaat yang jarang kita hayati,
peribadi mereka yang jarang kita teladani, sifat dan minat mereka jarang
kita ketahui, keluarga mereka yang jarang kita ambil tahu dan sumbangan
mereka yang jarang kita hargai.
Tatapilah karya pertama yang telah saya hasilkan ini. Semoga anda dan
diriku sendiri lebih menghargai dan mengenang jasa-jasa para ulama yang
begitu besar demi Islam tercinta. Semoga usaha saya ini mendapat
keredhaan Allah SWT dan kira sebagai amal soleh yang berpanjangan
sehingga ke akhir hayat ini. Amin.
Muhammad Abdulloh bin Suradi @ M.A.Uswah
16 Februari 2009
Sandakan, Sabah
www.tamanulama.blogspot.com

8

1
Imam Abu Hanifah, Pendiri Mazhab Pertama

Imam Abu Hanifah ialah salah seorang daripada imam-imam mazhab empat
dalam Islam. Beliau diperanakkan terlebih dahulu daripada imam-imam
yang lain begitu juga wafat. Beliau ialah pendiri Mazhab Hanafi.
Imam Abu Hanifah dilahirkan pada tahun 80 H/660 M.
Imam Abu Hanifah dan Perniagaan
Pada permulaannya Imam Abu Hanifah ialah seorang peniaga, selepas itu
beliau berpaling menceburkan dirinya dalam ilmu pengetahuan. Beliau ialah
seorang yang amanah dan pernah menjadi wakil sebuah syarikat perniagaan
pada waktu itu. Beliau berjaya merapatkan dengan baik di antara ilmu
pengetahuan dan perniagaan.
Menuntut Ilmu
Imam Abu Hanifah tinggal di bandar Kufah di Iraq. Bandar ini termasyhur
sebagai satu bandar yang menerima perubahan dan perkembangan dalam
ilmu pengetahuan. Beliau seorang yang bijak dan gemar kepada ilmu
pengetahuan.
Pada mulanya beliau mempelajari sastera bahasa Arab. Oleh kerana ilmu
bahasa, tidak banyak yang boleh digunakan akal fikiran beliau
meninggalkan pelajaran ini dan berpaling untuk mempelajari pelajaran
fiqah. Beliau berminat kepada pelajaran yang banyak menggunakan fikiran.
Di samping mempelajari ilmu fiqah, beliau berpeluang mempelajari ilmu-
ilmu yang lain, seperti tauhid. Di antara buku kajiannya ialah al-Fiqhul
Akbar dan al-Alim wal Muta’alim.

9

Beliau berpaling kepada bertungkus-lumus dalam ilmu pengetahuan ialah
sebagai menerima nasihat seorang gurunya yang bernama al-Sya’ab.

Guru-guru Imam Abu Hanifah

Di antara guru-guru Imam Abu Hanifah ialah:

1. Anas bin Malik
2. Abdullah bin Harith
3. Imam Muhammad al-Baqir

Sifat-Sifat dan Peribadi Imam Abu Hanifah

Imam Abu Hanifah ialah seorang yang bentuk tubuh badannya sederhana,
tidak terlampau tinggi dan tidak pula rendah. Warna kulitnya hitam
kemerahan. Beliau ialah sebaik-baik manusia dalam bahasa percakapan,
bentuk badannya cantik dan pakaiannya selalu berbau harum sehingga
beliau dikenal dengan baunya di kala beliau keluar dari rumahnya. Beliau
amat gemar kepada bau-bauan yang harum dan pemurah. Sehingga terdapat
di antara pakaiannya yang berharga tiga puluh dinar. Beliau sangat suka
menjaga pakaian sehingga Abu Yusuf pernah menceritakan tentang
kasutnya: Beliau sangat menjaga kebersihan kasutnya sehingga tidak
ternampak sedikit pun kedut dan kotor.

Oleh kerana itu, Imam Abu Hanifah sangat mengambil berat serta menjaga
kedudukan dan pakaian. Beliau juga memberi perangsang kepada orang-
orang lain supaya mengikutinya.

Imam Abu Hanifah ialah seorang bijak dan pintar. Dengan kebijakan akal
fikiran, beliau dapat membuat kesimpulan-kesimpulan hokum dan berbahas
dengan baik yang dapat menghilangkan kekeliruan.

Imam Abu Hanifah ialah seorang pemurah, baik budi pekerti dan
meghormati rakan. Beliau suka membelanja, memberi hadiah-hadiah dan
beliau berbuat baik kepada sesiapa sahaja sekadar kuasa. Boleh jadi beliau
berkelakuan sedemikian disebabkan beliau seorang yang kaya. Apabila
beliau membelanjakan wang untuk anak-anaknya beliau akan bersedekah
pula dengan kadar itu juga, begitu juga apabila beliau memakai pakaian
baru, beliau akan memberi hadiah pakaian kepada orang lain yang sama
harganya. Beliau bersedekah lebih dari separuh perbelanjaan untuk
makanan.

Imam Abu Hanifah seorang berhati cekal dan tegas dengan kebenaran. Oleh
kerana sikapnya yang tegas beliau telah menolak perlantikan menjadi kadi

10

yang mana menyebabkan beliau dipenjara. Sikapnya yang demikian menjadi
bukti kepada ketegasan pendirian.

Imam Abu Hanifah ialah seorang yang sangat menjaga maruah dalam
kesemua aspek hidupnya. Seperti menjaga hak-hak jiran tetangga,
seumpama mengambil tahu hal ehwal mereka serta memberi pertolongan
jika diperlukan sekali pun jiran tetangga itu berlainan sumber mata
pencarian atau aat dan budi pekerti.

Imam Abu Hanifah sangat warak dalam kesemua lapangan hidup. Semua
perbuatannya menjadi contoh kepada orang lain. Contoh kewarakannya:
Pada satu hari, Imam Abu Hanifah meninggalkan dari memakan daging
kambing selama tujuh puluh tahun, setelah beliau mendapat tahu bahawa
seekor kambing dari bandar Kufah telah hilang, kerana sudah menjadi
kebiasaan kepada beliau, beliau tidak membeli sesuatu untuk dimakan
melainkan setelah beliau Tanya tentang perkara itu. Beliau berjaga-jaga dan
bimbang bahawa kambing yang haram itu masih hidup dan beliau termakan
daging yang tersebut, sungguhpun tidak menjadi dosa jika termakan barang-
barang yang tidak diketahui barang itu tetap daripada barang-barang yang
haram.

Seorang penyair pernah berkata, maksudnya:
Alangkah baik jika agama dan dunia disatukan.

Ertinya, jika pekerjaan untuk hidup duniawi disamakan dengan ibadat
untuk akhirat. Sebenarnya Imam Abu Hanifah bukan menyamakan agama
dan dunia sahaja tetapi beliau samakan juga antara tiga perkara. Justeru
itu seorang itu lebih mulia dan besar, penyamaan antara mencari kekayaan
dan kesenangan, penyamaan antara menuntut ilmu dan fiqh dan penyamaan
antara ibadat dan taqwa kepada Allah.

Imam Abu Hanifah adalah seorang ulama yang wara’ dan abid. Beliau telah
dikurniakan penglihatan mata hati oleh Allah dengan dapat meneka sesuatu
yang tidak boleh dilihat oleh mata orang biasa. Suatu hari Imam Abu
Hanifah sedang duduk di dalam masjid, tiba-tiba datang seorang lelaki
berjalan di hadapan beliau.

“Lelaki ini orang asing, di dalam bajunya ada gula-gula dan dia adalah
seorang guru kepada kanak-kanak.” kata Imam Abu Hanifah.

Seorang teman beliau yang kebetulan ada di situ ingin tahu kesahihan
tekaan itu. Maka dengan senyap-senyap, dia mengikuti gerak-geri si lelaki
dan diikutinya ke mana perginya. Ternyata betul, lelaki itu memang orang
asing, di dalam bajunya ada menyimpan gula-gula dan seorang guru kanak-
kanak.

11

Asal Usul Mazhab Imam Abu Hanifah

Mazhab Imam Abu Hanifah sebagai gambaran yang terang dan nyata
tentang kesesuaian hukum-hukum feqah dalam Islam dengan kehendak-
kehendak masyarakat di segenap lapangan hidup. Kerana Imam Abu
Hanifah mendirikan mazhabnya berdasarkan al-Quran, hadis, ijma, qiyas
dan istihsan.

Imam Abu Hanifah berkata: “Aku memberi hukum berdasarkan al-Quran
manakala aku tidak mendapatkan dari al-Quran, aku gunakan hadis
Rasulullah s.a.w. dan jika tidak ada pada kedua-keduanya, aku berdasarkan
kepada pendapat-pendapat sahabat Nabi s.a.w.. Aku mengambil kepada
pendapat sesiapa saja dari mereka dan aku meninggalkan yang mana saja
aku tidak sukai dan aku tetap berpegang kepada satu pendapat sahaja.”

Berpandukan kepada asas kemudahan dalam bidang-bidang kehidupan
bermasyarakat, maka Imam Abu Hanifah berhak menyandang gelaran
‘ketua ahli fikir’ (Imam Ahlul Ra’yi) dalam Islam. Imam Abu pernah
berijtihad dan menggunakan qias manakala tiada nas-nas yang terang dari
al-Quran atau hadis-hadis Rasulullah s.a.w..

Wafatnya Imam Abu Hanifah

Mati ialah merupakan penghabisan bagi setiap makhluk yang hidup
bernafas, begitu juga bagi Imam Abu Hanifah sebagai satu makhluk Allah
yang akan menemui mati.

Imam Abu Hanifah wafat pada tahun 150 Hijrah. Beliau wafat semasa
dalam tahanan.

Diceritakan sebelum Imam Abu Hanifah menghembuskan nafas yang
terakhir, beliau berpesan (wasiat) supaya jenazahnya dikebumikan di tanah
perkuburan yang baik, beliau masksudkan dengan tanah yang baik iaitu
tanah yang tidak dirampas oleh raja atau ketua negeri.

Hasan bin Ammarah dan rakan-rakannya memandikan jenazah Imam Abu
Hanifah, beliau dipuji tentang ibadah, puasa, tahajud di waktu malam dan
membaca al-Quran.

Sungguh ramai daripada orang awam mengiringi jenazah Imam Abu
Hanifah, lebih kurang lima puluh ribu orang yang turut solat jenazahnya.

12

Satu perkara yang aneh iaitu Abu Jaafar al-Mansur, pemerintah negeri pada
masa itu yang telah menahan Imam Abu Hanifah semasa hidupnya, turut
sama solat ke atas jenazahnya.
Jenazah Imam Abu Hanifah telah dikebumikan di tanah perkuburan ‘Al-
Khaizaran’ di timur bandar Baghdad. Kubur beliau sangat terkenal di sana,
semoga Allah meredhainya.
Pengakuan Rakan Terhadap Imam Abu Hanifah
Abdullah bin Mubarak menerangkan bahawa Imam Abu Hanifah ialah
lambing. Seorang daripada musuhnya bertanya: “Lambang kebaikan atau
kejahatan?” Abdullah menjawab: “Engkau diam, Abu Hanifah ialah lambang
kebaikan dan perantaraan dari kejahatan.”
Ibnu Jarir merasai sedih tatkala mendengar kematian Imam abu hanifah
dan berkata: “Ilmu sudah hilang!.”

“Roti sepotong, air segelas dan kain selembar yang diperolehi dengan jalan
halal, lebih baik daripada hidup mewah yang kemudian jadi penyesalan.”

(Imam Abu Hanifah)

13

2
Imam Malik, Sangat Monghormati Hadis Nabi S.A.W.

Imam Malik ialah imam yang kedua daripada imam-imam mazhab empat
serangkai dalam Islam dari segi umur. Beliau ialah salah seorang tabiut
tabiin. Beliau ialah pendiri Mazhab Maliki.

Imam Malik dilahirkan pada tahun 93 Hijrah di satu tempat bernama
Zulmarwah di utara Madinah.

Perjalanan Hidup Imam Malik

Imam Malik menghafaz al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w..
Ingatannya sangat kuat dan sudah menjadi adapt kepadanya manakala
beliau mendengar hadis-hadis daripada guru-guru terus disimpulkan tali
bagi menyenangkan perhitungan bilangan hadis-hadis yang sudah beliau
pelajari.

Pada permulaan hidup, Imam Malik bercita-cita hendak menjadi biduan.
Ibunya menasihatkan supaya beliau meninggalkan cita-citanya itu dan
meminta beliau supaya mempelajari ilmu fiqh. Beliau menerima nasihat
ibunya dengan baik.

Apabila ibunya mengetahui beliau bercita-cita sedemikian ibunya
memberitahu kepadanya: “Bahawa biduan yang mukanya tidak cantik tidak
digemari ramai, oleh itu ibunya meminta supaya beliau mempelajari ilmu
fiqh.

Tujuan ibunya berkata demikian ialah hendak menegah Imam Malik
daripada menjadi seorang biduan, kerana apa yang diketahui Imam Malik
ialah terkenal seseorang disebabkan cantik mukanya.

Menurut apa yang diketahui bahawa Imam Malik hidup dalam kemiskinan
selama beberapa tahun. Sebagai buktinya bahawa anak perempuannya

14

selalu menangis kelaparan. Akhirnya beliau menjadi seorang yang senang
dan kaya.

Sifat-sifat dan Peribadi Imam Malik

Imam Malik gemar kepada pakaian yang baik dan elok, seperti pakaian yang
diperbuat di Aden. Beliau sangat mengambil berat tentang pakaian, antara
kegemarannya juga ialah memakai bau-bauan. Beliau tidak suka mencukur
misai bahkan beliau mencela perbuatan tersebut serta beliau memandang
perbuatan itu tidak baik.

Sementara makanan Imam Malik pula adalah dari barang-barang yang baik,
tiap-tiap hari beliau berpeluang makan daging. Beliau sangat gemar
memakan pisang kerana katanya: “Pisang adalah seumpama buah-buahan
dari syurga oleh kerana pisang adalah antara buah-buahan yang dapat
dimakan di musim panas juga di musim sejuk.

Imam Malik ialah seorang yang sangat kuat ingatan dan sangat insaf. Beliau
dapat menghafal berpuluh-puluh hadis sebaik sahaja beliau mendengarnya.
Beliau seorang yang banyak sabar dan kuat azam untuk mengatasi segala-
gala kesusahan dan menjayakan cita-cita. Beliau seorang yang sangat pintar
dan seorang yang mempunyai kekuatan tenungan ‘Farasah’.

Imam Malik ialah seorang yang sangat hebat, lantaran itu beliau ditakuti
atau digeruni oleh murid-muridnya dan juga orang-orang yang
mengenalinya. Beliau ditakuti juga oleh pemerintah dan khalifah.
Kehebatan Imam Malik adalah terbit dari kekuatan jiwa dan
kemasyhurannya diikuti pula oleh peribadinya yang tinggi dan mulia.

Imam Malik seorang yang sangat bijak akal dewasa itu. Beliau menjaga
maruah. Beliau sangat mengambil berat tentang kehidupan manusia serta
beliau bersifat keinsafan yang mendalam, tidak banyak bercakap kerana
menjaga lidah, beliau tidak banyak mencampuri orang ramai dan tidak
banyak memberi fatwa. Akhlak Imam Malik sangat baik samada terhadap
orang ramai atau keluarga dan banyak beribadah. Apabila beliau memasuki
rumahnya beliau menghabiskan waktunya dengan menatapi dan membaca
al-Quran.

Minat Kepada Nyanyian

Berhubung dengan kegemaran Imam Malik kepada bersedap-sedap dengan
keindahan atau kemanisan hidup ialah penumpuannya kepada nyanyian.
Kita telah tahu bahawa Imam Malik pada masa kecil berminat kepada
nyanyian lantaran itu beliau ingin mempelajari nyanyian serta menuruti

15

biduan-biduan, tetapi ibunya melarangnya serta meminta beliau
mempelajari ilmu fiqah dan lain-lain.

Sungguhpun Imam Malik telah dipisahkan dari mempelajari nyanyian tetapi
kegemarannya yang asli itu tidak juga terpisah buat selama-lamanya, beliau
tetap menikmati lagu-lagu dan memandang tinggi kepadanya.

Diceritakan bahawa pada suatu hari seorang biduan sedang asyik menyanyi
suatu rangkap pantun yang bererti:

Apakah keadaan kaum kamu wahai Ribah
Mereka memandang dengan ekor mata seolah-olah kemarahan.

Mendengar lagu itu Imam Malik pun membuka jendelanya terus berkata
kepada penyanyi itu: Hai orang yang tidak berguna, engkau telah membuat
beberapa kesilapan, alunan tidak betul, penyampaian tidak juga baik,
kemudian beliau pun nyanyikan lagu itu dengan lebih sedap dan baik.
Penyanyi itu hairan dengan kebolehan Imam Malik serta bertanya: Dari
manakah lagu ini?

Imam Malik menceritakan kepada orang itu katanya: Pada masa kecil aku
berminat kepada nyanyian, Orang itu bertanya: Bolehkah aku ulangi sebagai
gentian kepadamu? Imam Malik menjawab: Jangan, tidak bagus, engkau
akan berkata bahawa engkau mempelajarinya dari Imam Malik bin Anas.

Diceritakan lagi, bahawa pada suatu masa Imam Malik berjalan-jalan
bersama-sama dengan Ibnu Abi Uwais tiba-tiba mereka terdengar suara
seorang hamba sedang menyanyi rangkap yang bererti:

Tidakkah aku bumi kepada Salma?
Di mana kakinya akan menekan ke atasku
Tidakkah aku senjata kepada Salma?
Yang dipakai di atas belakangnya
Tidakkah aku khadam kepada Salma?
Sehingga aku dapat menatapi wajahnya.

Imam Malik bertanya: Siapakah penyanyi yang tersebut? Dikatakan: Dia
ialah Ghazal seorang hamba kepada suku ‘Ammarrah. Imam Malik berkata:
Dia ialah seorang biduanita yang lancer, lemak-merdu suaranya dan tepat
pula tempohnya.

Abu Al-Ala’ telah menerangkan dalam kitabnya ‘Risalatul Ghufran’ bahawa
nama khalifah yang kelima Umar bin Abdul Aziz dan Imam Malik pernah
disebutkan dalam riwayat penyanyi. Oleh itu, setengah dari pengkaji sejarah

16

mengambil keputusan bahawa Imam Malik mengharuskan nyanyian,
lantaran itu beliau tidak sedikit pun menyebut pendapatnya yang
mengharamkan nyanyian dalam kitabnya Al-Muwatta’ padahal beliau
banyak menceritakan tentang larangan perkara yang lain-lain. Sekiranya
beliau fakir bahawa nyanyian tidak baik tentulah beliau menyebut
pendapatnya berhubung dengan larangan terhadap nyanyian.

Imam Malik dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Imam Malik dianggap sebagai seorang ketua (imam) bagi ilmu hadis.
Sandaran-sandaran (sanad) yang dibawa oleh beliau termasuk salah satu
dari sanad yang terbaik dan benar. Kerana beliau sangat-sangat mengambil
berat tentang hadis-hadis Rasulullah.

Beliau seorang yang dipercayai adil dan kuat ingatan, cermat serta halus
memilih pembawa-pembawa hadis (rawi). Pendeknya Imam Malik tidak
diragui dalam perkara ini.

Imam Malik ialah seorang yang sangat alim dalam ilmu hadis. Untuk
meningkat ke darjat seperti ini adalah satu perkara yang amat sukar. Beliau
sampai ke tingkat ini adalah sebagai hasil usahanya yang tidak mengenal
jemu dan beliau sangat-sangat menghalusi tentang pengambilan hadis-
hadis.

Imam Malik ialah seorang yang sangat-sangat menghormati hadis-hadis
Rasulullah s.a.w.. Sungguh ramai benar manusia dating mempelajari ilmu
pengetahuan dalam berbagai-bagai bidang. Apabila beliau ditanya
berhubung dengan ilmu fiqh, beliau terus keluar dari biliknya serta memberi
fatwa-fatwa atau jawapan-jawapan kepada mereka yang bertanya
kepadanya

Tetapi jika soalan itu berhubung dengan ilmu hadis beliau tidak terus keluar
bahkan beliau terlebih dahulu mandi dan memakai pakaian yang bersih
serta memakai bau-bauan dan memakai serban. Ini adalah semata-mata
bertujuan untuk menghormati atau membesarkan hadis Rasulullah s.a.w..

Diceritakan pada suatu hari Imam Malik digigit oleh seekor lipan pada masa
beliau sedang menceritakan sepotong hadis daripada Rasulullah s.a.w..
Beliau teruskan juga pembacaan hadis itu. Apabila beliau ditanya apakah
sebab beliau berbuat demikian, jawabnya: “Aku bersabar kerana
menghormati hadis Rasulullah s.a.w..

Imam Malik tatap berpegang teguh dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w..
dan menganggapkan bahawa hadis-hadis itu adalah petunjuk, penyuluh

17

kepada seluruh manusia dan tidak harus bagi seseorang meninggalkan atau
membelakangkannya.

Dalam majlis-majlis pelajaran hadis beliau selalu menunjukkan kepada
maqam Rasulullah s.a.w. serta berkata: “Siapa yang mengambil atau
meninggalkan perkataan-perkataannya, kesemuanya adalah kepunyaan
pemilik kepada maqam ini (Raudah).

Imam Malik sangat kasih kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan sudah
pasti beliau kasih juga kepada pemiliknya iaitu Rasulullah s.a.w.. Oleh
kerana beliau sangat kasih kepada Rasulullah maka beliau kasih pula
kepada Madinah dan beliau tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali di
musim-musim haji lantaran beliau lebih suka hendak berhampiran dengan
Rasulullah s.a.w..

Sungguhpun ada beberapa orang daripada khalifah meminta beliau pindah
ke Baghdad untuk tinggal di sana dengan segala kesenangan dan
kemudahan tetapi beliau menolak tawaran tersebut dan beliau selalu
menyebut-nyebut hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Bahawa
Madinah Munawwarah lebih baik untuk mereka jika mereka ketahui.

Oleh kerana beliau sangat memuliakan Rasulullah s.a.w. beliau rasa malu
dan segan menunggang binatang-binatang seperti kuda dan lain-lain dan
beliau berkata” “Aku rasa mali menunggang binatang yang kakinya
meneekan di atas bumi maqam Rasulullah s.a.w..

Wafatnya Imam Malik

Imam Malik mengalami sakit selama 20 hari. Pada malam beliau
menghembus nafasnya yang terakhir, dengan secara kebetulan Bakar
Sulaiman As-Sawaf ada bersama mereka yang ada di rumahnya, mereka
berkata: Wahai Abdullah bagaimanakah keadaan kamu sekarang? Beliau
menjawab: Aku tidak tahu apa yang aku hendak katakana kepada kamu,
cuma aku ingin juga berkata: Adakah kamu semua akan ditentukan pada
keesokan hari (hari kiamat) mendapat kemaafan yang tidak diperhitungkan.
Selepas tak berapa lama Imam Malik pun mengucap dua kalimah syahadah
dan berkata: Kesemua perkara adalah bagi Allah, samada sebelum mahupun
selepasnya, beliau oun menyerah rohnya kepada AllahYang Maha Esa.

Imam Malik wafat di Madinah iaitu pada 14 Rabiulawal 179 Hijrah. Imam
Malik dikebumikan di tanah perkuburan al-Baqi, kuburnya di pintu al-Baqi,
moga-moga Allah meredhainya.

18

Imam Syafie pernah berkata: Imam Malik ialah pendidik dan guruku.
Darinya kita mempelajari ilmu, tidak seorang pun yang terlebih selamat
bagiku selain dari Imam Malik. Aku jadikan sebagai hujah antara aku
dengan Allah Taala.

“Ulama itu adalah pelita dari zamannya.”
(Imam Malik bin Anas)

19

3
Imam Syafie, Ulama Feqah Yang Pandai Bersyair

Imam Syafie ialah imam yang ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran.
Beliau ialah penyokong kepada ilmu hadis dan mujaddid bagi abad yang
kedua Hijrah. Beliau ialah pendiri Mazhab Syafie.
Imam Syafie dilahirkan pada tahun 105 Hijrah di bandar Gaza dalam
Palestin.
Menuntut Ilmu
Imam Syafie dapat menghafaz al-Quran dengan mudah iaitu semasa beliau
kecil lagi dan beliau menghafaz serta menulis hadis-hadis. Beliau sangat
tekun mempelajari kaedah-kaedah dan nahu bahasa Arab.
Di samping mempelajari ilmu pengetahuan, beliau berpeluang pula
mempelajari memanah, sehingga beliau dapat memanah sepuluh batang
panah tanpa melakukan satu kesilapan. Beliau pernah berkata: “Cita-citaku
ialah dua perkara: Panah dan ilmu, aki berdaya mengenakan sasaran
sepuluh dari sepuluh. Mendengar percakapan itu orang yang bersamanya
berkata: Demi Allah bahawa ilmu engkau lebih baik dari memanah.
Sebagaimana kita telah ketahui bahawa Imam Syafie pada masa mudanya
banyak menumpukan tenaganya kepada mempelajari syair dan sejarah,
tetapi Allah menyediakan baginya beberapa sebab yang mendorong beliau
kepada mempelajari ilmu fiqah dan ilmu-ilmu yang lain.
Guru-guru Imam Syafie
Di antara guru-guru Imam Syafie yang terkenal ialah:
1. Imam Malik bin Anas

20

2. Sufyan bin Uyainah
3. Ibrahim bin Saad

Sifat-Sifat dan Peribadi Imam Syafie

Imam Syafie ialah seorang yang cantik rupa parasnya, badannya tinggi serta
tengkoknya jinjang. Warna kulitnya hitam emerahan, suaranya merdu dan
baik sebutan, manusia menangis tatkala mendengar pembacaan al-Quran
daripadanya. Imam Syafie tidak banyak membelanja untuk pakaian.

Imam Syafie seorang yang mengetahui tentang ilmu kedoktoran dan seorang
yang cekap menunggang kuda. Imam Syafie ialah seorang yang cekap
pemikiran, kuat fahaman serta luas pandangan dan fikiran.

Imam Syafie seorang yang sangat fasih lidah, luas penerangan serta kuat
iman. Beliau juga seorang yang bijak dalam syarahan. Imam Syafie juga
seorang yang sangat luas pandangan serta sangat mengetahui rahsia jiwa-
jiwa.

Antara akhlak dan budi pekerti Imam Syafie ialah menjaga maruah,
sehingga Yahya bin Muin berkata: “Jika berdusta itu harus tentulahImam
Syafie menahan berdusta kerana menjaga maruah. Imam Syafie pernah
berkata: “Jika ku dapati meminum air sejuk itu menjatuhkan maruah tentu
aku tidak meminumnya.

Antara akhlaknya juga ialah lembut dan murah hati. Pada suatu masa,
Imam Syafie datang ke Makkah, bersama beliau wang sebanyak sepuluh
ribu dinar, mana sampai sahaja ke Makkah beliau membahagi-bahagikan
kesemua wangnya. Semasa beliau berada di Mesir beliau banyak menerima
hadiah pakaian, terus pakaian itu dibahagikan kepada orang ramai.

Imam Syafie tetap berpegang dengan kebenaran dan kebaikan pada
permulaan hidupnya, beliau menjauhi diri dari maksiat dan perkara yang
tidak baik, apa yang ternampak kepada kita beliau sangat mengambil
perhatian dan sangat berkesan dengan nasihat yang diberi oleh gurunya,
Imam Malik kepadanya.

Antara akhlak Imam Syafie juga ialah berperasaan taat setia yang kuat,
serta sangat kuat penjagaan dan perhatian dan ketakutannya yang kuat
terhadap perhitungan Allah. Dikatakan kepadanya: Apakah khabar tuan?
Beliau menjawab: Khabarku ialah sebagaimana khabar seorang yang
dituntuti oleh lapan perkara:

21

Allah SWT dengan al-Quran, Nabi s.a.w. dengan sunnahnya, malaikat
hafazah dengan apa yang dicakap. Syaitan dengan maksiat, masa dengan
penggunaannya, jiwa dengan nafsu syahwat, anak-anak dengan makanan
dan Malaikat Maut dengan roh.

Imam Syafie ialah seorang yang sangat banyak beribadat dan bertahajud,
sebagaimana telah diketahui bahawa beliau membahagi masa malamnya
kepada tiga bahagian: Satu pertiga untuk menulis, satu pertiga untuk
sembahyang dan bertahajud dan satu pertiga lagi untuk tidur.

Ilmu Feqah Imam Syafie

Ilmu feqah yang dibawa oleh Imam Syafie ialah merupakan suatu zaman
perkembangan feqah dalam sejarah perundangan Islam, lantaran beliau
menghimpun atau menyatukan ilmu feqah ahli-ahli akal dan fikir dengan
ilmu feqah ahli-ahli akal dan hadis.

Ilmu feqah Imam Syafie juga merupakan ikatan sunnah dengan qias dan
pemikiran dengan beberapa timbangan dan sekatan, sebagaimana ia ialah
juga ilmu feqah yang menetapkan kaedah-kaedah pengeluaran hukum dan
kesimpulannya, lantaran itulah beliau berhak dianggap pendiri bagi ilmu
usulul-fiqh.

Mengikut apa yang ternyata bahawa Imam Syafie mulai menyusun mazhab
feqahnya selepas beliau mempelajari ilmu feqah Madinah dan begitu juga
ilmu feqah orang-orang Iraq. Beliau membuat perbandingan antara
keduanya serta beliau berbincang dengan orang yang ahli dari kedua-dua
tempat.

Sesungguhnya mazhab Imam Syafie mula berkembang di Makkah,
kemudian berpindah pula ke Baghdad, beliau menyempurnakan mazhabnya
di sana, kemudian berpindah pula ke Mesir. Di Mesir, bintang mazhabnya
mulai memancar. Imam Syafie menambah dan juga mengurang atau
mengubah ilmu feqahnya disebabkan perubahan masyarakat dan keadaan
sekitar.

Ilmu feqah dan mazhab Imam Syafie menjadikan al-Quran sumber yang
pertama bagi hukum-hukum dan perundangan, kemudian beliau berkata
bahawa as-Sunnah ialah menyamai taraf al-Quran, lantaran ia penerang
juga pentafsir bagi al-Quran, lantaran itu beliau menganggapnya sebagai
sumber yang kedua selepas al-Quran.

22

Apabila didapati hadis yang benar di sisinya beliau mengikutnya, beliau
pernah berkata: “Adakah bagi seseorang lain hujah terhadap Rasulullah?”
Dan beliau berkata: “Apabila hadis itu benar (sah) maka ia ialah mazhabku.”

Apabila Imam Syafie menemui sesuatu masalah, pertama sekali beliau
mencari hadis untuk panduan, beliau pernah menasihatkan murid-muridnya
meninggalkan pendapat beliau dan mengambil hokum-hukum yang dibawa
oleh hadis jika didapati hadis itu berlawanan dengan pendapatnya.

Dari kajian dan penyelidikan itulah beliau mendirikan suatu peraturan yang
lengkap bagi al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan qias. Beliau bukan hanya
berdasarkan kepada setengah-setengah sahaja sebagaimana yang terjadi
kepada orang-orang lain.

Imam Syafie ialah sebagai seorang penerang kepada penyimpulan hukum-
hukum dari al-Quran dan hadis. Oleh itu tidak syak lagi bahawa Imam
Syafie ialah orang pertama sekali menyusun ilmu usulul-fiqh. Beliau ialah
juga seorang yang tidak dapat ditandingi bahkan tidak ada orang yang apat
menghampirinya dalam memahami kitab Allah dan sunnah Rasul s.a.w..
Beliau dapat pula merujukkan setengah darinya kepada setengah yang lain.

Imam Syafie Penyair

Harus manusia tercengang kehairanan apabila mendengar orang
mengatakan bahawa Imam Syafie ialah seorang penyair. Sebenarnya hal ini
disebabkan mereka tidak pernah menuruti sejarah hidup Imam Syafie.

Sesungguhnya Imam Syafie adalah seorang penyair yang bijak serta pandai
tentang menggunakan syair yang tinggi dan baik, sekali pun beliau tidak
menumpu segala tenaganya untuk mendalami bidang ini. Lantaran
kesibukan beliau mempelajari ilmu feqah dan ilmu-ilmu yang lain.

Al-Mubarrid berkata: “Imam Syafie adalah seorang penyair paling bijak
serta seorang sasterawan yang paling terkemuka, beliau juga seorang yang
lebih mengetahui tentang ilmu bacaan. Memang baik dan sepatutnya Imam
Syafie seorang yang alim dalam ilmu feqah, mengetahui dengan baik pula
tentang syair.

Sebagaimana yang telah diketahui Imam Syafie pada permulaan hidupnya
mempelajari sastera bahasa Arab. Beliau pernah mengembara ke suatu
kampong bagi kabilah Huzail. Beliau tinggal di sana untuk beberapa tahun
bagi mempelajari bahasa kabilah itu. Beliau banyak menghafal syair dari
kabilah yang tersebut, sehingga beliau menjadi tempat rujukan bagi syait
Huzail.

23

Al-Asma’i berkata: “Aku memperbaiki syair Asy-Syanfari dengan Imam
Syafie semasa beliau berada di Makkah! Imam Syafie menghafal syair-syair
sehingga beliau mempelajari ilmu fiqah dan hadis. Beliau dapat mengulangi
syair-syair itu dengan baik sungguhpun syair-syair itu sukar bagi orang lain.

Mas’ab bin Az-Zubair berkata: “Bapaku san Imam Syafie pernah membaca
syair-syair bersama-sama, manakala Imam Syafie membaca rangkap syair
dari kabilah Huzail dengan lancar. Beliau berkata” “Janganlah engkau
ajukan syair ini kepada siapa pun daripada ahli-ahli hadis kerana mereka
tidak akan berdaya menghafalnya!”

Menghafal syair-syair adalah suatu langkah yang luas dan baik bagi
seseorang yang bersedia untuk menyusun atau mengatur rangkap-rangkap
syair. Apalagi jika penghafalnya seorang yang sudah mempunyai bakat
dalam syair.

Menurut apa yang ternyata kepada kita bahawa Imam Syafie ialah seorang
yang mempunyai bakat asli untuk menyusun syair-syair. Kesemua rangkap-
rangkap itu adalah menunjukkan ketinggian, keluasan dan kemuliaan
tujuan yang ingin diperkatakan.

Imam Syafie pernah bersyair dengan dua rangkap syair dalam
menggambarkan bagaimana beliau mencintai pengembaraan dan berdagang
untuk menjayakan cita-citanya yang mulia dan tiinggi, beliau tisak
menghiraukan samada beliau terselamat atau binasa. Berikut dua rangkap
syair tersebut:

Aku akan menjelajah ke segenap pelusuk negeri
Aku tidak menghiraukan samada cita-citaku
tercapai atau aku mati keseorangan
Jika ku binasa atau mati maka segala-galanya
terserah kepada Allah
Dan jika ku terselamat tidak lama aku akan kembali

Memang benar dan tepat sekali Imam Syafie menyusun rangkap syair di
atas kerana beliau ialah seorang yang sangat menggalak kepada
pengembaraan dan musafir sebagaimana yang diterangkan dalam rangkap-
rangkap syairnya yang termasyhur, yang bererti:

Musafirlah, engkau akan menemui ganti bagi mereka yang engkau
tinggalkan
Dan beribadahlah kerana kelazatan hidup dalam peribadatan
Sesungguhnya aku fikir bahawa air yang tidak mengalir itu merosakkannya

24

Jika air mengalir akan menjadi baik dan jernih,
dan sebaliknya menjadi rosak jika tidak mengalir
Singa tidak akan mengganas jika tidak meninggalkan hutan rimba
Anak panah tidak mengenai sasaran jika tidak meninggalkan baulnya
Logam emas seumpama tanah jika masih di tempatnya
Kayu ‘ud di bumi adalah umpama kayu biasa.

Karya-karya Imam Syafie

Imam Syafie banyak menyusun dan mengarang kitab-kitab. Mengikut
setengah ahli sejarah bahawa beliau menyusun 13 buah kitab dalam
beberapa bidang ilmu iaitu seperti ilmu feqah, tafsir, ilmu usul dan sastera
dan lain-lain.

Antara karyanya ialah ar-Risalah yang mana membicarakan tentang ilmu
usul feqah. Beliau menyusun kitab tersebut sebagai penerimaan bagi
permintaan Abdur Rahman bin al-Mahdi, beliau ialah imam bagi ahli hadis
pada masa itu. Manusia pada umumnya telah menyambut dengan baik kitab
ar-Risalah. Pendapat mereka terhadap kitab tersebut adalah bermacam-
macam.

Selain itu, Imam Syafie juga menghasilkan karya yang berjudul Diwan as-
Syafie yang merupakan himpunan syair-syair karangan beliau.

Penyakit dan Kematian Imam Syafie

Maqam Imam Syafie

Imam Syafie banyak menghidapi penyakit semasa hidupnya. Antaranya
ialah penyakit bawasir yang mana menyebabkan keluar darah pada
kebanyakan waktu. Pada suatu masa darahnya keluar dengan banyak dan
beliau pun meninggal dunia.

Diceritakan bahawa Ar-Rabie’ masuk menemui Imam Syafie di masa hampir
wafatnya, beliau berkata kepadanya: Bagaimanakah keadaan engkau?

25

Beliau menjawab: Aku sedang meninggal atau berpisah dari dunia dan juga
perpisahan dari rakan-rakanku dan aku sekarang sedang meneguk gelas
kematian dan aku sedang menemui amal-amal tidak baik dan kepada Allah
aku menuju, kemudian beliau pun menangis.

Imam Syafie meninggal dunia di Mesir pada malam Khamis selepas
Maghrib, iaitu pada malam akhir bulan Rejab tahun 204 Hijrah. Umurnya di
waktu itu ialah 54 tahun. Beliau wafat di tempat kediaman Abdullah bin
Abdul Hakam dan kepadanyalah beliau meninggalkan wasiat.

Jenazah Imam Syafie dikebumikan pada hari Jumaat pada keesokan
harinya. Anak-anak Abdul Hakam mengebumikannya di tanah perkuburan
mereka. Kuburnya ialah di sebelah barat Al-Khandak, di sekeliling
kuburnya ialah kubur-kubur anak Zahrah. Yahya berkata: Kuburnya sangat
masyhur di sana sebagai dalil bagi kebenarannya!

Selepas Imam Syafie Wafat

Ibnu Farhun menceritakan dalam kitab ‘Ad-Dibajul Mazhab’ bahawa
sekumpulan manusia duduk di majlis pelajaran Imam Syafie selepas saja
beliau wafat. Tiba-tiba datanglah seorang Arab, orang itu mengucap salam
dan bertanya di manakah Imam Syafie. Katanya: “Di manakah bulan dan
matahari bagi majlis ini?” Mereka menjawab kepadanya: “Beliau telah
wafat.”

Orang itu pun menangis dengan kuat kemudian berkata: ‘Moga-moga Allah
mengasihaninya juga diampunkan dosa-dosaku.” Katanya lagi: ‘Beliau ialah
pembuka kepada pintu-pintu hujah yang tertutup, juga penutup muka
lawannya dengan hujah ysng terang. Beliau juga penyuci air muka yang
hitam seterusnya beliau pembuka fikiran-fikiran yang tertutup rapat!”

Moga-moga Allah meredhainya! Amin.

“Aku cinta kepada orang-orang soleh padahal aku bukan termasuk dari
golongan mereka. Barangkali aku boleh dapat syafaat dari mereka. Aku benci
kepada orang-orang yang perdagangannya adalah maksiat-maksiat kepada

Allah SWT. Walaupun barang-barang dagangan kita sama.”

(Imam Syafie)

26

Elaika (Rintihan)

Kupersembahkan (rintihan) kepadaMu Tuhan
sekalian makhluk akan harapanku

Sekalipun aku seorang yang berdosa wahai yang
Maha Pemberi dan Maha Pemurah

Bilamana keras hatiku dan terasa sempit perjalananku
Kujadikan rayuan (rintihan) daripadaku sebagai
jalan untuk mengharapkan keampunanMu

Bilamana Engkau yang memiliki keampunan
menghapuskan dosa yang berterusan ini
KurniaanMu dan keampunanMu adalah
merupakan rahmat dan kemuliaan

Bukankah Engkau yang memberi aku makan
serta hidayah kepadaku

Dan janganlah Engkau hapuskan kurniaan
anugerah dan nikmat itu kepadaku

(walaupun aku seorang yang sentiasa berdosa)

Semoga orang yang memiliki ihsan
mengampunkan kesalahanku

Dan menutup dosa-dosaku serta setiap
perkara yang telah lalu

Sekiranya Engkau ampunkan aku,
ampunkan dari kederhakaan

kezaliman, penganiayaan yang tak akan
terhapus di hari berhimpun kesedihan

Namun jika Engkau membalas siksa terhadapku,
aku tidak akan berputus asa

Sekalipun dosa-dosaku itu akan memasukkan
diriku ke dalam neraka

Dia adalah seorang yang fasih
ketika menyebut/mengingati Rabbnya
Dan bilamana dia bersama selain Tuhannya

di dunia ini dia membisu

Dia (Rasulullah s.a.w.) berkata: Kekasihku,
Engkaulah tempatku meminta dan berharap

Cukuplah Engkau bagi yang berharap
sebagai tempat bergantung dan memohon
Ku pelihara kasihku yang dicemari nafsu

27

Dan ku jaga janji kasih yang telah tercalar
Di saat ku jaga, aku rindu,

dan di saat ku lelap aku berharap
Mengiringi langkahku dengan penuh

semangat dan berulang
Sesungguhnya dosaku adalah

besar sejak dulu dan kini
Namun (ku tahu) keampunanmu yang
mendatangi hamba adalah lebih besar

(agung) dan lebih mulia
(Syair Imam Syafie)

28

5
Imam Ahmad bin Hanbal, Konsisten Mengamalkan Sunnah

Imam Ahmad bin Hanbal ialah imam mazhab yang keempat dari fuqaha
Islam. Beliau ialah seorang yang mempunyai sifat-sifat yang luhur dan
tinggi iaitu sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang yang hidup
semasa dengannya, juga orang yang mengenalinya. Beliau ialah pendiri
Mazhab Hanbali.
Beliau imam bagi umat Islam seluruh dunia, juga imam bagi bagi Darul
Salam, mufti bagi negara Iraq dan seorang yang alim tentang hadis-hadis
Rasulullah s.a.w., penerang untuk dunia dan sebagai contoh dan teladan
bagi orang-orang ahli sunnah, seorang yang sabar di kala menghadapi
percubaan dan seorang yang soleh dan zuhud.
Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan di Baghdad, pada bulan Rabiulawal
tahun 164 Hijrah (780 Masihi), iaitu setelah ibunya berpindah dari bandar
'Murwa' tempat tinggal ayahnya.
Menuntut Ilmu

Imam Ahmad bin Hanbal menghafal al-Quran dan mempelajari bahasa.
Beliau belajar menulis Diwan, umurnya waktu itu ialah 14 tahun. Beliau
hidup sebagai seorang yang cinta kepada menuntut ilmu dan bekerja keras
untuknya, sehingga ibunya rasa kasihan kepadanya kerana kegigihannya
dalam menuntut ilmu.

Pernah berlaku bahawa beliau kadangkala ingin keluar menuntut ilmu
sebelum terbit fajar, ibunya meminta supaya lewatkan sedikit sehingga
manusia bangun dari tidur.

Pada permulaannya beliau menyalin kitab-kitab yang berdasarkan kepada
pemikiran serta beliau menghafalnya, kemudian beliau tidak lagi

29

menatapinya bahkan beliau lebih gemar kepada mempelajari hadis, lantaran
itu beliau mengumpulnya dari beberapa tempat. Pengumpulan ini
dimulakan pada tahun 179 Hijrah.

Sungguhpun beliau seorang miskin, beliau pernah mengembara ke Makkah,
Madinah, Syria, Yaman, Kufah, Basrah dan Jazirah untuk menuntut ilmu.
Seorang daripada rakannya berkata apabila beliau melihatnya sangat
banyak mengembara dengan takjub beliau berkata: “Sesekali ke Kufah dan
sesekali pula ke Basrah! Sehingga bilakah!?”

Pengembaraannya yang pertama ialah ke Kufah, iaitu pada tahun 133
Hijrah dan pada tahun inilah gurunya yang bernama Husyaim bin Busyair
meninggal dunia. Beliau mengembara ke Basrah untuk kali pertamanya
ialah pada tahun 186 Hijrah dan pertamanya ialah pada tahun 186 Hijrah
dan pertama kali beliau mengerjakan haji ialah pada tahun 187 Hijrah.

Antara perkara yang ganjil yang disebutkan semasa beliau dalam menuntut
ilmu, kebenaran riwayat ini terserlah kepada penceritanya. Pada suatu masa
Imam Ahmad mengembara dari Baghdad ke Syria untuk belajar dengan
seorang masyhur di sana, apabila beliau sampai, didapati orang itu sedang
memberi makan kepada seekor anjing. Beliau duduk menunggunya, perawi
itu tetap juga memberi makan kepada anjing tersebut sehingga beliau naik
jemu.

Apabila perawi itu selesai dari memberi makan kepada anjing, beliau pun
berpaling kepadanya dan berkata: “Boleh jadi engkau rasa hendak marah
kepada aku.” Imam Ahmad menjawab: “Ya.” Perawi itu pun berkata: “Di
negeri kami tidak ada anjing, anjing ini mengikuti aku dan meminta
makanan dan minuman lantaran itu sudah tentu ia lapar dan dahaga, aku
telah menunaikan hajatnya.

Aku pernah mendengar suatu hadis daripada Abi Az-Zanad daripada Al-Araj
dan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
“Sesiapa tidak menunai hajat orang yang berhajat Allah akan tidak menunai
hajatnya di hari kiamat.”

Imam Ahmad tersenyum dan berkata: “Hadis ini sudah mencukupi untukku,
kemudian beliau pun pulang ke Baghdad.

Tidak menjadi hairan jika Imam Ahmad mengambil berat tentang riwayat-
riwayat hadis iaitu dengan cara-cara yang tertentu. Hadis ialah asas dan
tiang, faedahnya tidak akan tercapai dengan baik dan sempurna sekiranya
tidak dijaga dan dihalusi serta diketahui pula jalan-jalannya.

30

Oleh itu beliau berkata: “Sesiapa tidak menghimpun hadis bersama-sama
dengan jalan-jalannya juga perselisihan-perselisihannya maka tidak harus
baginya memberi hukum terhadap hadis itu dan tidak juga harus ia memberi
fatwa dengannya.”

Guru-guru Imam Ahmad bin Hanbal

Di antara guru-guru Imam Ahmad bin Hanbal yang terkenal ialah:

1. Imam Syafie
2. Sufyan bin Uyainah
3. Yahya bin Saud al-Qathan

Sifat-sifat dan Peribadi Imam Ahmad bin Hanbal

Imam Ahmad bin Hanbal adalah seorang yang tinggi badannya, warna
kulitnya hitam kemerahan, beliau gemar memakai inai dan memakai
pakaian yang kasar dan memakai serban, kurang memakan makanan,
beliau tidak berpeluang memakan makanan yang bermacam-macam pada
kebanyakan makanannya dimasukkan cuka, beliau mengambil wudhuk
tanpa pertolongan orang lain dan beliau membeli kasut dari kayu atau lain-
lainnya serta dibawanya sendiri dan beliau duduk di atas hamparan yang
lama sehingga carik-carik.

Imam Ahmad adalah seorang yang kuat ingatan, seorang yang faham
dengan apa yang dihafalnya, juga beliau seorang yang bersifat sabar dan
mempunyai azam dan juga selalu berkemahuan yang kuat, tetap dengan
pendirian, tidak riak dan selalu menjauhi dari bergurau senda sehingga
manusia lain tidak berani bergurau-senda di kala beliau ada bersama.

Imam Ahmad hidup bahagia, padahal pakaian putih yang dipakainya penuh
dengan tampalan yang dijahitnya dengan tangannya sendiri. Tempat tinggal
yang dihuninya diperbuat daripada tanah lait yang hanya memiliki tiga
bilik. Makanan yang dimakannya pun hanya sepotong roti dengan dilumuri
minyak zaitun. Adapun kasutnya sebagaimana yang diperkatakan oleh para
penulis biografinya telah berusia 17 tahun, yang dibuat dan dijahitnya
sendiri.

Beliau memakan daging hanya sekali dalam sebulan. Beliau banyak
berpuasa. Beliau datang dan pergi menjelajahi dunia dalam rangka mencari
hadis. Sekalipun demikian, beliau merasa kesenangan, tenang, mantap,
hidup tanpa bebanan dan memperolehi ketenangan kerana beliau memiliki
hati yang kukuh, cita-cita yang tinggi, mengetahui kesudahannya, mencari

31

pahala dari Allah, meraih imbalan dan beramal untuk akhirat dan
merindukan syurga.

Antara sifat Imam Ahmad yang mulia ialah memaafkan orang yang
membuat kesalahan terhadapnya, bahawa banyak benar riwayat-riwayat
yang menceritakan hal ini. Dan boleh jadi yang paling dahsyat dan sangat
berkesan kepada jiwa ialah bahawa sesetengah daripada orang jahil yang
sangat taksub kepada Imam Abu Hanifah pernah berkata kepadanya: Air
kencing Abu Hanifah lebih banyak memenuhi dunia ini dari orang yang
seumpama engkau!”

Kemudian orang itu pun keluar. Tidak lama kemudian orang itu sedar
dengan dosa apa yang dicakapkan, dia pun kembali menemui Imam Ahmad,
meminta maaf katanya: “Wahai Abi Abdullah, apa yang aku katakana itu
adalah tidak dengan sengaja, aku harap engkau maafkan. Imam Ahmad
berkata: “ Kedua-kedua kakiku masih lagi pada tempatnya untuk apakah
kumaafkan.”

Di antara budi pekertinya juga ialah beliau merendah diri kepada fakir
miskin dan orang yang lemah, sekalipun beliau adalah seorang yang mulia
di hadapan orang yang besar dan mulia.

Seorang muridnya yang bernama Al-Maruzi pernah berkata: “Aku tidak
pernah lihat orang fakir lebih mulia darinya sewaktu berada di majlis Abi
Abdullah, Imam Ahmad menghormati mereka dan meninggalkan ahli-ahli
dunia, beliau seorang yang lembut dan tenang, beliau tidak bergopoh-gapah,
sangat merendah diri dan mengatasinya pula ketenangan dan mulia, apabila
beliau duduk di majlis pelajarannya selepas Isyak untuk memberi fatwa,
beliau tidak bercakap sebelum disoal, apabila beliau keluar ke masjidnya
beliau tidak pulang, bahkan beliau duduk bersama orang ramai sehingga
tamat majlis tersebut.

Imam Ahmad telah mengerjakan haji sebanyak lima kali, tiga kali dengan
berjalan kaki, beliau membelanja pada tiap-tiap kali hanya sebanyak tiga
puluh dirham sahaja.

Imam Ahmad adalah seorang yang sangat bersih, suci, zuhud dan menjaga
diri dari perkara yang haram. Abu Hafs bertanya kepadanya: “Dengan
apakah hati manusia menjadi lembut? Jawabnya: “Dengan memakan
makanan yang halal wahai anakku.” Apabila Abu Hafs menceritakan
jawapan tersebut kepada Bisyr Al-Harith katanya: “Seumpama itu juga.”
Apabila dibentangkan kepada Abdul Wahab bin Abi Al-Hasan jawabnya:
“Seumpama itu juga, sebenarnya asalnya adalah sebagaimana yang
dikatakan!”

32

Imam Ahmad seorang yang banyak beribadah dan bertahajud. Anaknya
Abdullah menceritakan bahawa bapanya sembahyang pada tiap-tiap hari
dan malam sebanyak tiga ratus rakaat. Apabila beliau dalam uzur dengan
sebab penderitaannya yang dahsyat beliau sembahyang sebanyak satu ratus
lima puluh rakaat sehari semalam, umurnya pada waktu itu sudah hampir
lapan puluh tahun. Beliau membaca al-Quran sekali khatam pada tiap-tiap
tujuh hari.

Dari Hujung Pena Ke Pintu Kubur

Imam Ahmad menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau tetap dengan
mempelajari hadis sehinggalah beliau menjadi seorang imam. Sesetengah
daripada manusia pernah berkata kepadanya disebabkan kehairanan
dengan ketetapannya dalam menuntut ilmu sekalipun beliau sudah menjadi
ketua dan tinggi kedudukannya, kata mereka: "Sehingga bilakah lagi engkau
hendak menunutut ilmu pada hal engkau sudah menjadi imam bagi seluruh
umat Islam? Imam Ahmad menjawab dengan berkata: "Dari hujung pena
sehinggalah ke pintu kubur!"

Alangkah tingginya percakapannya! Ia adalah suatu percakapan yang
mengkagumkan seluruh manusia dan seluruh alam. Ia adalah pengajaran
yang mulia dari ajaran Islam yang mengajarkan kita bahawa ilmu itu
dituntut dari buaian sehinggalah ke liang lahad. Menuntut ilmu adalah
sesuatu kegemaran yang tidak dijemu-jemu. Imam Ahmad adalah orang
yang menggunakan dakwat, pena, kertas di sepanjang hidupnya
sebagaimana penyambungan kepada pelajarannya.

Imam Ahmad menguatkan lagi tujuan-tujuan percakapannya yang di atas,
dengan katanya:
"Aku menuntut ilmu sehingga aku masuk ke lubang kubur."

Alangkah baiknya bagi tiap-tiap orang penuntut jika mereka meletakkan
kata-kata Imam Ahmad di hadapan mereka di setiap waktu: Dari hujung
pena ke lubang kubur!

Percakapan Imam Ahmad di atas boleh jadi dirujukkan kepada percakapan
yang digunakan oleh ahli-ahli akal dan fikir terhadap ahli-ahli hadis dan
nakl, mengikut yang lahir kepada kita bahawa mereka menamakannya
'Ashabul Mahabir' sebagai menunjukkan bahawa mereka tidak hanya
berpegang kepada akal fikiran sahaja bahkan mereka berpegang kepada
tulisan-tulisan yang disalin dari buku-buku, mereka menuruti atau
mempelajari hadis-hadis serta menulisnya dan dikatakan juga mereka

33

adalah 'Hasywiyyah' perkataan Al-Hasy, ertinya ialah percakapan yang
tinggi.

Konsisten Mengamalkan Sunnah

Di masa hidup Imam Ahmad, beliau sangat konsisten dalam mengamalkan
sunnah Rasulullah s.a.w.. Muridnya, Imam Abu Daud mengatakan: "Aku
melihat Imam Ahmad apabila menghantar jenazah, ketika mendekati
pemakaman, menanggalkan sandalnya."

Imam Ahmad mengamalkan sunnah ini berdasarkan hadis di bawah ini:

"Ketika Rasulullah s.a.w. berjalan bersama Basyri, pandangannya terbentur
pada seorang yang sedang berjalan di perkuburan dengan memakai
sandalnya, kemudian baginda menegurnya: "Wahai si pemakai sandal,
celakalah engkau! Tanggalkanlah kedua sandalmu." Orang itu kemudian
menoleh dan ketika diketahuinya bahawa yang menegur adalah Rasulullah
s.a.w., segera saja dia tanggalkan kedua sandalnya." (Riwayat Abu Daud,
An-Nasa'i, Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah dan Al-Hakim dengan sanad yang
sahih).

Syeikh Al-Albani berkata di atas sikap Imam Ahmad mengamalkan sunnah
ini: "Semoga Allah menganugerahkan kepadanya rahmat, betapa
konsistennya orang ini dalam mengikuti as-Sunnah."

Abu Hatim pernah berkata: "Jika kamu dapati seseorang yang mengasihi
Ahmad bin Hanbal maka ketahuilah orang itu adalah dari ahli Sunnah."

Imam Ahmad bin Hanbal dan Syair

Boleh jadi suatu perkara yang aneh bagi kita apabila kita membincangkan
tentang syair dalam suasana pembicaraan tentang Imam Ahmad bin Hanbal.
Sebagaimana kita ketahui beliau ialah seorang ahli agama, seorang zuhud,
wara’ dan ahli pemberatan. Walaubagaimanapun syair adalah suatu perkara
yang mendapat tempat juga pada riwayat hidup imam yang terbesar ini.

Abu Hamid al-Khalqani pernah bertanya kepadanya: “Apakah pendapat
tuan tentang kasidah-kasidah?” Beliau bertanya kasidah atau syair yang
sebagaimanakah? Abu Hamid berkata: Seumpama engkau berkata:

Apakah Tuhanku bertanya kepadaku
Tidakkah engkau malu engkau membuat maksiat kepadaku
Engkau menyembunyikan dosa dari orang lain
Sedangkan engkau membuat maksiat terhadapku.

34

Imam Ahmad mengulangi rangkap tersebut dan dengan mengulanginya
seolah-olah beliau memberi fatwa tentang harusnya syair dan membacanya.
Tetapi hendaklah diingatkan bahawa syair yang manakah yang diharuskan
oleh Imam Ahmad?

Bahawa beliau mengharuskan syair yang seumpama kita telah lihat iaitu
yang membicarakan tentang ajaran-ajaran, nasihat, taubat ibadah dan
meminta ampun atau seumpamanya lantaran itu beliau bertanya tentang
jenis syair sebelum diberi fatwa terhadapnya. Apabila didapatinya tidak
terkeluar dari pembicaraan tentang ajaran agama dan nasihat beliau
mengharuskannya.

Ikutilah pula bagaimana Imam Ahmad menggunakan rangkap syair untuk
menyeru kepada memerangi perkara yang tidak baik dan kesesatan, juga
untuk menyeru kepada beramal dengan ilmu baik pada zahir mahupun pada
batin dan untuk menjaga sunnah dan athar. Berikut ialah syairnya:

Wahai penuntut ilmu jauhkan dari segala perkara
yang membawa kepada kerosakan

Setiap pengikut hawa nafsu tidak tetap dan bergoncang

Ikutilah ilmu kamu baik pada lahir mahu pun batin

Ia akan memberi manfaat bagi diri kamu di suatu
hari nanti

Jangan kamu sekali-kali mengikut perkara bid'ah

Pengikutnya sesat lantaran banyak mengatakan itu
dan ini

Ikutilah apa yang dibawa kepada engkau dari
sunnah dan athar

Sama sepertinya atau seumpamanya

Jika tidak jadilah seorang pengikut yang bersih fahaman

Engkau akan hidup terpuji, tinggalkan fikiran-fikiran
yang sesat.

Dihormati Oleh Jin

35

Diceritakan bahawa pada suatu hari Imam Ahmad sedang duduk-duduk di
masjidnya. Tiba-tiba datang seorang teman rapatnya yang diutus oleh
Khalifah Al-Mutawakkil.

"Wahai Imam! Di rumah Amirul Mukminin ada seorang jariah baginda yang
sedang dirasuk syaitan, Baginda telah mengutus saya untuk meminta tuan
agar berdoa untuk kesihatannya." kata teman Imam Ahmad itu.

Imam Ahmad memberikan sepasang terompah kayu kepada temannya
sambil berkata: "Pergi ke rumah Amirul Mukminin dan duduklah di sisi
kepala jariah yang sedang sakit itu, kemudian katakan kepada jin: "Wahai
jin! Imam Ahmad berkata kepadamu, "Yang mana satu yang engkau suka,
engkau keluar dari tubuh jariah ini atau aku tampar engkau dengan
terompah ini sebanyak tujuh puluh kali."

Orang itu pun pergi ke rumah khalifah dengan membawa terompah kayu
dari Imam Ahmad. Kemudian dia duduk di sisi kepala si jariah dan
mengucxapkan perkataan seperti yang diucapkan oleh Imam Ahmad.

Maka berkatalah jin yang merasuk melalui lisan si jariah: "Aku mendengar
dan taat kepada Imam Ahmad. Sekiranya beliau menyuruh aku keluar dari
negeri Irak inipun, nescaya aku keluar."

Kemudian jin itu berkata lagi: "Kerana beliau adalah seorang yang taat
kepada Allah, sedangkan barangsiapa yang taat kepada Allah, dia akan
dipatuhi oleh segala sesuatu."

Lepas berkata demikian, jin itu keluar dan jariah sembuh sebagaimana sedia
kala dan melahirkan beberapa anak dari khalifah.

Beberapa tahun kemudian, Imam Ahmad meninggal dunia. Tiba-tiba jin itu
datang lagi dan merasuk tubuh jariah buat kali kedua. Kerana Imam Ahmad
sudah tidak ada, khalifah menyuruh teman Imam Ahmad agar berbuat
seperti ketika masih ada Imam Ahmad. Maka teman itu duduk di sisi kepala
jariah yang sakit dengan memegang terompah kayu dari Imam Ahmad.

"Hai jin! Keluarlah engkau. Kalau tidak, engkau kupukul dengan terompah
ini sebanyak tujuh puluh kali." kata orang itu.

Tiba-tiba jin itu menjawab melalui mulut jariah yamg dirasuknya: "Aku
tidak akan tunduk kepadamu dan tidak akan keluar dari sini. Adapun Imam
Ahmad adalah seorang yang taat kepoada Allah, maka aku diperintah untuk
tunduk kepadanya."

36

Maka tetaplah jin itu di tubuh si jariah, kerana dia tahu yang menyuruh
keluar bukan Imam Ahmad, sebab beliau telah meninggal dunia.

Murid-murid Imam Ahmad bin Hanbal

Di antara murid-murid Imam Ahmad bin Hanbal yang terkenal ialah:

1.Imam Bukhari
2. Imam Muslim
3. Imam Abu Daud
4. Dan lain-lain

Keluarga Imam Ahmad bin Hanbal

Imam Ahmad berkahwin dengan melalui perhambaan iaitu degan memiliki
seorang hamba jariah namanya Husan. Beliau berbuat demikian sebagai
mengikuti Nabi s.a.w. apabila junjungan memiliki Mariyyah al-Qibtiyyah
dengan secara perhambaan.

Husan melahirkan beberapa orang anak, mereka itu di antaranya: Said,
Muhammad, al-Hasan, Zainab dan Fatimah, juga dua orang anak yang
kembar diberi nama Hasan dan Husain, kedua-duanya meninggal dunia
selepas sahaja diperanakkan.

Imam Ahmad berkahwin juga dengan al-Abbasah binti al-Fadl. Melalui
isterinya itu, beliau mendapat beberapa orang anak antaranya, Salih,
anaknya yang tertua, gelarannya ialah Abul-Fadl dilahirkan pada tahun 203
Hijah dan wafat pada tahun 265 Hijrah, beliau memegang jawatan
kehakiman di Asbahan dan beliau menulis sejarah ringkas hidup bapanya.

Antara anaknya juga melalui al-Abbasah ialah Abdulah, gelarannya ialah
Abu Abdur Rahman, beliau seorang ketua bagi ilmu hadis, wafat pada tahun
290 Hijrah, anak perempuan Imam Ahmad dikebumikan bersamanya dan
begitu juga ramai daripada pengikut-pengikutbya dikebumikan berhampiran
dengan kuburnya.

Karya-karya Imam Ahmad

37

Musnad Ahmad bin Hanbal

Imam Ahmad tidak mengarang selain dari hadis dan sunnah. Pada
keseluruhannya kitab-kitabnya membicarakan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
sehingga surat atau risalahnya pun juga dengan pembicaraan yang sama.
Kesemuanya berdasarkan kepada dalil-dalil dari al-Quran atau percakapan-
percakapan Rasulullah s.a.w. juga sahabat-sahabat Nabi s.a.w. dan
percakapan sahabat adalah dinamakan ‘Atharus-Sahabah’.

Karyanya yang termasyhur sekali ialah Musnad Ahmad bin Hanbal yang
mana beliau menghimpun di dalamnya beberapa banyak hadis-hadis
Rasulullah s.a.w.. Beliau mulai menyusun kitab tersebut pada tahun 180
Hijrah dan dijadikan kitabnya al-Musnad sebagai ketua atau imam.

Apabila ada perselisihan di kalangan orang ramai tentang hadis Rasulullah
s.a.w. mereka merujukkan kepada kitab tersebut, beliau berkata: “Jika ada
sesuatu perselisihan atau pertelingkahan tentang hadis hendaklah kamu
kembali kepada al-Musnad. Jika kamu dapatinya ia ada hujah dan sekiranya
tidak ada maka ia tidak menjadi hujah.”

Imam Ahmad bin Hanbal banyak menghabiskan masa hidupnya dengan
menghimpun hadis-hadis dari perawi-perawi hadis yang dipercayai.
Penumpuannya ialah dengan penuh tenaga.

Pada permulaannya, beliau menulis hadis yang didengar di atas sekeping
kertas yang berasingan, kemudian beliau menghimpunnya, selepas itu
direncanakan kepada keluarganya supaya ditulisnya. Beliau bacakannya
kepada sesiapa sahaja yang ditemuiya, tetapi saying beliau wafat sebelum
kitabnya siap disusun atau diatur.

Imam Ahmad bin Hanbal memuatkan ke kitabnya Musnad Ahmad bin
Hanbal, empat puluh ribu hadis. Setengah dari para ulama mengatakan
kesemua hadis-hadisnya adalah sahih. Tetapi mengikut apa yang
sebenarnya terdapat juga hadis-hadis yang lemah, sungguh pun demikian ia
adalah kitab yang besar.

38

Anaknya yang bernama Abdullah meriwayatkan hadis dari kitab al-Musnad
seterusnya beliau menyiarkan kepada seluruh manusia.

Antara karyanya juga ialah Az-Zuhd. Kitab ini membicarakan tentang zuhud
nabi-nabi, sahabat dan khalifah dan juga sesetengah daripada imam-imam
yang berdasarkan kepada hadis, athar dan akhbar-akhbar.

Antaranya juga ialah As-Salah, ia ialah sebuah kitab yang kecil yang
dikeluarkan bersama-sama kitab yang lain.

Antara kitab-kitabnya juga ialah al-Manasikul Kabir, al-Manasikus Saghir,
an-Nasih wal Mansukh, Fadhailus Sahabah dan lain-lainnya.

Sakit dan Wafatnya Dihadiri Ramai Orang

Menjelang wafatnya, beliau jatuh sakit selama sembilan hari. Mendengar
sakitnya, orang-orang pun berdatangan ingin menjenguknya. Mereka
berdesak-desakan di depan pintu rumahnya, sampai-sampai sultan
menempatkan orang untuk berjaga di depan pintu. Akhirnya, pada
permulaan hari Jumaat tanggal 12 Rabiulawal 241H (855 Masihi), beliau
menghadap kepada Rabbnya menjemput ajal yang telah ditentukan
kepadanya. Beliau wafat dalam usia 77 tahun.

Kaum Muslimin bersedih dengan kepergian beliau. Tak sedikit mereka yang
turut menghantar jenazah beliau sampai beratusan ribu orang. Ada yang
mengatakan 700 ribu orang, ada pula yang mengatakan 800 ribu orang,
bahkan ada yang mengatakan sampai satu juta lebih orang yang
menghadirinya. Semuanya menunjukkan bahawa sangat banyaknya mereka
yang hadir pada saat itu demi menujukkan penghormatan dan kecintaan
mereka kepada beliau. Beliau pernah berkata ketika masih sihat, "Katakan
kepada ahlu bid'ah bahawa perbezaan antara kami dan kalian adalah
(tampak pada) hari kematian kami."

Bersiar-Siar Di Syurga

Setelah Imam Ahmad wafat salah seorang teman yang juga muridnya
bermimpi melihat beliau berjalan bersiar-siar dalam keadaan riang gembira.

"Wahai saudaraku! Engkau berjalan dalam keadaan riang gembira seperti
ini?" tanya temannya.

"Beginilah cara berjalan khadam-khadam Allah di dalam syurga
Darussalam." jawab Imam

39

Ahmad. "Apa yang telah Allah buat kepadamu?" tanya temannya lagi.

"Allah telah mengampunkan aku dan diberinya aku sepasang kasut yang
terbuat dari emas. Dia (Allah) berkata kepadaku: "Inilah balasan untukmu
yang telah berani berkata bahawa Al-Quran itu Kalamullah yang
diturunkan oleh Allah itu bukan makhluk." Kemudian Dia berkata lagi:
Wahai Ahmad! Pergilah ke mana-mana tempat yang engkau suka."

Maka aku pun masuk ke dalam sebuah taman, di situ aku berjumpa dengan
Sufyan At-Thauri. Dia memakai sayap berwarna hijau sedang terbang dari
satu pokok ke pokok lain. Aku mendengar dia sedang membaca ayat al-
Quran:

"Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janjiNya kepada kami dan
telah mewariskan kepada kami tempat ini sedang kami (diperkenankan)
menempati tempat dalam syurga di mana saja yang kami kehendaki, maka
syurga itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Az-Zumar: 74)

"Kemudian bagaimana pula khabar si Abdul Wahid Al-Waraq?" tanya
temannya.

"Aku telah melihatnya sedang berada di lautan cahaya di atas kenderaan
cahaya juga sedang menziarahi Tuhannya Yang Maha Pengampun."

"Lalu bagaimana dengan khabar Bisyr Al-Khafi?"

"Aduh...! Aku telah melihatnya sedang berada di hadapan Maha Agung. Dia
berkata kepadanya: "Makanlah wahai orang yang tidak makan di dunia,
minumlah wahai orang yang tidak merasakan keseronokan di dunia."

Hanya sampai sekian mimpi teman Imam Ahmad hingga dia terjaga dari
tidurnya

“Manusia berkehendak kepada ilmu seumpama ia berkehendak kepada roti
dan air.”

(Imam Ahmad bin Hanbal)

Agama Nabi Muhammad s.a.w. membawa berita,
Athaar (hadis) merupakan sebaik-baik kenderaan.

Janganlah kamu bencikan hadis dan peminatnya,
Sedang fikiran (semata) itu sebagai malam dan hadis itu siang (terang-

cuaca).

40

Mungkin seorang pemuda tidak mengerti kesan yang membawa petunjuk,
Sedang terbitnya matahari membawa cahaya terang.
(Syair Imam Ahmad bin Hanbal)

41

5
Imam Bukhari, Munajatnya Di Penghujung Hayat

Imam Bukhari dilahirkan pada hari Jumaat, 13 Syawal 194 H yang berkat di
Bukhara, Uzbekistan. Nama sebenarnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin
Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardazabah al-Jafi al-Bukhari.
Beliau ialah penyusun kitab hadis Sahih Bukhari yang terkenal.
Sejak kecil, Imam Bukhari telah mengalami penglihatan yang buta. Ibunya
ialah seorang perempuan yang solehah serta doanya yang selalu mustajab.
Ibunya telah berdoa kepada Allah SWT supaya menyembuhkan penglihatan
anaknya.
Pada suatu malam, ibunya telah bermimpi. Nabi Ibrahim a.s. berkata
dengannya: “Wahai ibu! Allah telah mengembalikan penglihatan anakmu
disebabkan doamu yang banyak.” Kemudian Imam Bukhari bangun pagi,
sedangkan Allah telah mengembalikan kepadanya penglihatannya.
Daya Ingatan Yang Kuat
Sejak kecil lagi, Imam Bukhari tidak pernah memakan makanan yang
syubhat, apalagi yang haram. Oleh itu, beliau telah dikurniakan oleh Allah
otak yang sangat cerdas dan daya ingatan yang kuat untuk merakam setiap
pelajaran yang diperolehinya.
Dalam usia belum sampai sepuluh tahun, beliau telah menghafal ribuan
hadis lengkap dengan urutan sanadnya. Biasanya beliau hanya
mendengarkan saja hadis-hadis yang dibaca oleh gurunya sementara temsn-
temanya yang lain sibuk mencatatnya.
Imam Bukhari pernah berkata: ‘Aku dapat menghafal sebanyak seratus ribu
hadis sahih dan dua ratus ribu hadis yang tidak sahih.”

42

Pengembaraannya

Imam Bukhari telah banyak belayar dan berpindah-pindah, sepertimana
dilakukan oleh ramai daripada ulama-ulama kita yang terkemuka.
Pelayaran-pelayarannya itu bertujuan supaya mencari ilmu ataupun
menyampaikan ilmu, kerana menuntut ilmu merupakan satu kewajipan dan
menyampaikannya satu amanah pula.

Beliau juga amat memahami dan insaf dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang
telah diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan An-Nasai, ertinya:
“Sesiapa yang berjalan supaya mencari ilmu, nescaya Allah memudahkan
baginya jalan ke syurga.”

Beliau telah banyak menghadapi dugaan serta kesusahan terhadap usaha-
usahanya yang murni ini. Beliau telah menceritakan tentang dirinya: “Aku
telah memasuki negeri-negeri Syria, Mesir dan Jazirah dua kali, Basrah
empat kali, aku telah tinggal di Hijaz enam tahun dan tidak terbilang berapa
kalikah aku telah memasuki Kufah dan Baghdad dengan para ahli hadis.”

Beginilah, beliau telah berdagang dan belayar selama lebih kurang enam
belas tahun, sesungguhnya masa-masa beliau berdagang ini telah
mempunyai hasil yang bermutu tinggi, yang hasilnya dengan izin Allah serta
mengumpul manfaat yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Sifat-sifat dan Peribadinya

Sesungguhnya Imam Bukhari lemah lembut orangnya, baik sifatnya, amat
halus perasaannya, sebagaimana beliau bersifat sentiasa puas dengan
bahagiannya dan zahirnya selalu tepat dengan batinnya.

Abdullah bin Muhammad As-Sarafi telah berkata mengenainya: “Aku
pernah berada bersama dengan Muhammad bin Ismail di rumahnya, salah
satu hamba daripada hamba-hambanya mendatanginya, sedang dia mahu
masuk rumah, dia terlanggar bekas dakwat yang berada di depannya.

Dia bertanyakan kepada hamba itu: “Bagaimanakah kamu berjalan?”
Hamba itu menjawab: “Jika tidak ada jalan bagaimanakah aku berjalan?”
Kemudian dia membentangkan kedua-dua tangannya dengan berkata:
“Pergilah, saya membebaskan kamu” Dia ditanya: “Wahai Abdullah! Adakah
ia menimbulkan kemarahanmu?” Beliau menjawab: “Aku telah merelakan
diri dengan apa yang saya telah lakukan.”

Jika halnya seperti ini dengan seorang hamba, bagaimanakah kamu fikir,
layanannya dengan ibunya serta keluarga rumahnya dan juga sahabat-
sahabatnya yang mulia?

43

Sesungguhnya beliau merupakan benar-benar seorang manusia yang telah
dilengkapkan pendidikanya dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan telah
diasah oleh sumber yang amat mulia, yang beliau timba siang dan malam,
sehingga sumber itu menjadi sebagai pendidik kepadanya dan satu cara
yang boleh dihayati sepanjang hidupnya, sampai beliau menjadi sebagai
‘hadis’ bergerak dan menjelajah di seluruh pelusuk bumi.

Imam Bukhari amat tawadu’ serta amat merendahkan diri kepada saudara-
saudaranya, beliau amat berbelas kasihan serta amat pemberi dan bermurah
hati dalam setiap keadaan, beliau menganggap dirinya sebagai salah satu
daripada kumpulan mereka, tanpa apa-apa perbezaan atau kelebihan.

Al-Waraq berkata: “Semasa Abu Abdullah al-Bukhari sedang
membangunkan satu tempat tinggal di luar Bukhara, ramai orang datang
menolongnya dalam usahanya itu, beliau juga terus mengangkat batu-batu,
saya telah berkata dengannya: “Wahai Ibnu Abdullah! Tidak payah lagi
kamu membuat apa-apa, memadailah dengan mereka.” Beliau menjawab:
“Inilah yang memanfaatkanku.” Sampai Rawi berkata: Beliau makan amat
sedikit dan amat bermurah hati dengan para pelajar dan amat pemberi.

Beginilah Imam Bukhari yang penuh dengan kecergasan, keikhlasan dan
mencintai kerja-kerjanya. Beliau bukan mempunyai satu keadaan di mana
beliau tenggelam timbul di dalamnya, tetapi beliau mempunyai seluruh
keadaan atau sudut kebaikan beserta dengan tahap zuhud yang amat tinggi
dan juga sifat wara’ yang amat banyak.

Muhammad ibn Abi Hatim al-Warraq juga pernah bercerita, jika mereka
berpergian, anggota rombongan lain akan tinggal sebilik dan al-Bukhari
akan tinggal sendirian di dalam satu tempat. Aku sering melihat al-Bukhari
bangun 15 sehingga 20 kali sepanjang malam dengan menyalakan sendiri
lampu. Kemudian dia bangun untuk membaca dan membetulkan hadis
kemudian tidur semula. Al-Warraq yang melihat keadaan itu menawarkan
bantuan tetapi al-Bukhari menjawab: “Kamu masih muda dan aku tidak
mahu mengganggu tidurmu.”

Dari Abu Bakar bin Munir dia menceritakan: “Suatu hari ketika Imam al-
Bukhari sedang bersembahyang, tebuan menyengatnya di 17 tempat. Sebaik
sahaja selesai dia bersembahyang, dia berkata: “Cuba kamu lihat apa yang
menyakitiku dalam solat aku tadi?” Mereka mencarinya dan mendapati
tebuan telah menyengatnya di 17 tempat pada tubuhnya, dia tidak langsung
menghentikan solatnya.”

Mengumpulkan Hadis dan Menyusun Sahih Bukhari

44

Sahih Bukhari

Imam Bukhari telah mengembara dari tempat kelahirannya ke berbagai
negeri untuk belajar dan mengumpulkan hadis. Beliau telah menempuh
jalan yang penuh suka dan duka, merentas hutan dan padang pasiir,
berjalan di atas batu dan rumput yang berduri. Di mana ada ulama yang
mengetahui suatu hadis, beliau segera datang kepadanya untuk
mengesahkan hadis tersebut.

Suatu hari, beliau mendengar ada seorang ulama mengetahui suatu hadis.
Setelah beliau berjalan lebih lebih kurang dua ratus batu, sampailah beliau
ke rumah ulama tersebut. Didapatinya ulama tadi sedang memanggil
kudanya dengan menunjukkan satu bekas rumput yang kosong.

“Tuan guru, apa yang ada di dalam bakul itu?” tanya Imam Bukhari.

“Tidak ada apa-apanya, sekadar agar kuda itu mahu datang sahaja.’ jawab
ulama itu.

Imam Bukhari terus naik ke atas kenderaannya lalu pergi meninggalkan
orang tersebut tanpa mengambil hadis daripadanya.

“Mengapa tuan tidak mahu mengambil hadis daripadanya?” tanya teman-
temannya.

“Aku dapati dia sudah sanggup menipu kudanya, bagaimana aku akan
mengambil hadis daripadanya?” jawab Imam Bukhari.

Begitulah Imam Bukhari dalam menerima hadis. Setelah mengembara ke
sana ke mari, terkumpullah beratus ribu hadis. Dipilihnya mana-mana yang
sahih dan mana-mana yang tidak sahih dengan diukur dengan syarat-
syaratnya.

45

Selain itu, untuk menuliskan setiap hadis ke dalam kitabnya, beliau terlebih
dahulu membersihkan dirinya dengan mandi, kemudian mengerjakan solat
Istikharah dua rakaat meminta petunjuk kepada Allah. Bayangkan betapa
berat tugas yang dikerjakan dan berapa banyak solat yang dikerjakannya.

Setelah bertungkus-lumus selama enam belas tahun, barulah Imam Bukhari
dapat menyelesaikan sebuah kitab hadis yang bertajuk al-Jami’ush Sahih
yang selepas itu dikenali dengan Sahih Bukhari.

Imam Bukhari berkata: “Aku susun kitab al-Jami’ ini yang dipilih dari
600,000 hadis selama 16 tahun.”

Al-Firabri, salah seorang murid Imam Bukhari pernah mendengar Imam
Bukhari berkata: “Aku menyusun kitab Al-Jami’ al-Sahih ini di Masjidil
Haram, dan aku tidak memasukkan ke dalamnya sebuah hadis pun, kecuali
setelah aku bersembahyang istikharah dua rakaat dan memohon kepada
Allah terlebih dahulu dan sesudah itu, barulah aku meyakini bahawa hadis
itu sememangnya benar-benar sahih.”

Imam Bukhari juga pernah berkata: “Aku tidak memasukkan ke dalam kitab
al-Jami’ush Sahih ini kecuali hadis-hadis yang benar-benar sahih dan aku
tinggalkan banyak hadis sahih kerana khuatir ia membosankan.”

Ibnu Solah dalam kitabnya Muqaddimah ada menyebutkan, bahawa jumlah
hadis Sahih Bukhari sebanyak 7275 buah hadis, termasuk hadis-hadis yang
disebutnya berulang kali atau dihitung sebanyak 4000 buah hadis tanpa
pengulangan. Perhitungan ini diikuti oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, al-
Taqrib.

Dihalau Keluar Dari Bukhara

Pada suatu hari seorang utusan dari gabenor Bukhara datang kepada Imam
Bukhari membawa pesanan gabenor.

“Tuan imam diminta datang ke istana dengan membawa kitab hadis dan
sirah yang tuan susun kerana gabenor ingin mendengarkannya daripada
tuan.” kata utusan itu.

“Katakan kepada tuan gabenor! Aku sekali-kali tidak akan merendahkan
darjat ilmu dan aku tidak mahu membawanya melalui pintu-pintu istana
raja. Jika gabenor ingin mendengarkan kitab hadis yang aku susun ini,
sepatutnya beliaulah yang datang ke masjidku atau ke rumahku. Jika
sekiranya gabenor marah kepadaku kerana aku dianggap tidak menghargai
kedudukannya sebagai pemimpin, suruhlah beliau melarang aku daripada
mengadakan majlis ilmu.

46

“Maka dengan demikian, aku punya alasan di hadapan Allah kelak bahawa
aku tidak menyembunyikan ilmu. Ketahuilah bahawa aku tidak akan
mengkhususkan satu golongan tertentu untuk mendengarkan ilmu-ilmu
yang ada padaku, sedangkan golongan lain tidak dapat mendengarkannya.”
kata beliau..

Utusan itu pulang ke istana dan menceritakan apa yang telah diucapkan
oleh Imam Bukhari. Gabenor sangat marah dan Imam Bukhari dihalau
keluar dari Bukhara. Maka keluarlah beliau dari Bukhara mencari tempat
yang lebih selesa untuk meneruskan perjuangannya di jalan Allah.

Karya-karyanya

Imam Bukhari telah menulis beberapa kitab-kitab yang berbagai-bagai, yang
telah tersebar ke seluruh timur dan barat bumi ini.

Beliau berkata: “Jarang sekali terdapat mana-mana nama melainkan ada
pada aku suatu kisah mengenainya. Tetapi aku tidak suka kitab bertambah
tebal.”

Beliau telah menulis kitabnya yang berjudul al-Qadzaya As-Sahabah ketika
beliau berumur 19 tahun sahaja.

Antara karya-karyanya ialah:

1. Sahih Bukhari
2. Adabul Mufrad
3. al-Jamik al-Kabir
4. al-Musnad al-Kabir
5. al-Qadzaya As-Sahabah
6. Dan lain-lain

Kedudukannya

Seluruh ulama serta seluruh faqih dan para ahli zuhud yang semasa dengan
Imam Bukhari telah mengiktiraf beliau dengan kedudukan ilmunya,
fiqahnya, zuhudnya dan lain-lain.

Ramai ulama menganggap beliau sebagai seorang daripada Mujtahidin, di
mana beliau telah mengeluarkan dengan kefahamannya, dari matan-matan,
banyak makna-makna yang telah dibahagi-bahagi dalam bab-bab kitabnya,
mengikut kesesuainnya.

Imam Nawawi berkata: “Bahawa al-Bukhari bukan bertujuan supaya
memadai dengan hadis-hadis sahaja, tetapi tujuannya ialah mengambil dan

47

mengeluarkan dalil-dalil darinya, supaya diatur dalam bab yang tertentu
yang beliau mahukan.”

Pujian Para Ulama Kepadanya

Muhammad bin Abi Hatim berkata, “Aku mendengar Ibrahim bin Khalid Al-
Marwazi menceritakan, “Aku melihat Abu Ammar al-Husein bin Harits
memuji Abu Abdillah al-Bukhari, lalu beliau berkata, “Aku tidak pernah
melihat orang seperti dia, dia seolah-olah diciptakan oleh Allah hanya untuk
hadis”.

Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah berkata, “Aku tidak
pernah melihat di bawah lembayung langit ini seseorang yang lebih
mengetahui dan lebih kuat hafalannya tentang hadis Rasulullah s.a.w.
daripada Muhammad bin Ismail (al-Bukhari).”

Muhammad bin Abi Hatim berkata, “Aku mendengar Abu Abdillah (Imam
Bukhari) berkata: “Sahabat ‘Amr bin ‘Ali al-Fallas pernah meminta
penjelasan kepadaku tentang status (kedudukan) sebuah hadis. Aku katakan
kepada mereka, “Aku tidak mengetahui status (kedudukan) hadis tersebut”.
Mereka jadi gembira dengan sebab mendengar ucapanku dan mereka segera
bergerak menuju kepada ‘Amr. Lalu mereka menceritakan peristiwa itu
kepada ‘Amr. ‘Amr berkata kepada mereka, “Hadis yang status
(kedudukannya) tidak diketahui oleh Muhammad bin Ismail bukanlah
hadis”.

Munajatnya Di Penghujung Hayat dan Kuburnya Berwangi Misk

Diceritakan bahawa pada suatu hari, Imam Bukhari pergi ke Samarkand
untuk menziarahi saudara-maranya yang tinggal di sana dan menginap
sehingga beberapa malam. Sebagaimana kebiasaannya, beliau
menghabiskan malam-malamnya untuk bertahajud kepada Allah tidak kira
di mana tempatnya.

Suatu malam, saudara-maranya mendengar beliau berdoa selepas solat
malamnya: “Wahai Allah, kiranya dunia yang luas ini telah sempit bagiku,
maka oleh itu kembalikanlah nyawaku ini ke hadiratMu.”

Tidak sampai sebulan selepas mengucapkan doa tersebut, beliau telah
dipanggil oleh Allah SWT untuk menghadap ke hadiratNya.

Diceritakan pula bahawa Imam Bukhari tinggal di rumah seseorang
bernama Ghalib bin Jibril. Setelah beberapa hari Imam Bukhari tinggal di

48

rumah tersebut, tiba-tiba beliau jatuh sakit yang setiap hari bertambah
parah. Maka datanglah saudara-maranya dari Samarkand meminta agar
beliau sudi tinggal bersamanya di sana.

Imam Bukhari tidak keberatan dan menerima pelawaan mereka. Maka
dengan dipapah, beliau keluar dari rumah Ghalib untuk pergi ke
Samarkand. Akan tetapi, baru saja berjalan lebih kurang dua puluh langkah,
tiba-tiba badannya sudah lemah dan tidak kuat lagi melangkah.

“Aduh, kembalikan saja aku ke rumah itu, aku sudah tidak kuat lagi
melangkah.” Kata beliau.

Mereka pun berpatah balik dan mengembalikan Imam Bukhari ke rumah
yang didiami sebelumnya. Ghalib bin Jibril sendiri yang memegang tangan
beliau sewaktu berjalan.

Beliau terus berbaring sambil terus-menerus berzikir dan berdoa kepada
Allah. Peluh bercucuran di sekujur tubuhnya. Tidak banyak yang diucapkan
pada saat-saat akhir tersebut kecuali beliau hanya berkata: “Kafanilah aku
dengan tiga helai kain tanpa baju dan serban.”

Tidak lama selepas itu, beliau pun menghembuskan nafasnya yang terakhir
pada malam Hari Raya Aidilfitri, tahun 256 H/870 M, ketika berusia 62
tahun. Beliau dikebumikan selepas zohor, esoknya, selepas satu kehidupan
yang penuh dengan berbagai usaha yang mulia serta murni

Ghalib bin Jibril berkata: “Kami telah menunaikan pesanannya, sudah
mengafaninya, kemudian menyolatkannya, barulah kami memasukkannya
ke dalam liang lahad. Sejurus itu terdapat bau yang amat wangi seperti
‘Misk’ terbesar dari tanah perkuburannya dan ia berterusan beberapa hari.”

Al-Firabri berkata: “Aku bermimpi melihat Nabi s.a.w. di dalam tidurku.”
Baginda s.a.w. bertanya kepadaku, “Engkau hendak menuju ke mana?” Aku
menjawab: “Hendak menuju ke tempat Muhammad bin Ismail al-Bukhari”.
Baginda s.a.w. berkata, “Sampaikan salamku kepadanya!”

Beginilah keadaan akhir kehidupan seorang pendiri yang kuat kepada ilmu
hadis, alim terkemuka di berbagai bidang. Alim yang bijaksana, yang telah
menghabiskan berpuluh-puluh tahun bermunajat dengan Rasulullah s.a.w..
Beliau tidak langsung mempunyai masa melainkan beliau gunakannya
dalam amal-amal yang soleh, sehingga dipanggil secara mengejut menemui
Tuhannya.

49


Click to View FlipBook Version