The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Muhammad Abdullah bin Suradi

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by reenmnor, 2021-02-11 08:51:15

Lembaran Hidup Ulama'

Muhammad Abdullah bin Suradi

Keywords: Hidup Ulama'

Munajat Seorang Hamba

Di kala malam yang sunyi sepi
sedang bani insan tenggelam dalam tidur dan mimpi

musafir yang malang ini tersentak bangun
pergi membasuh diri

untuk datang mengadapMu Tuhan.

Lemah lutut berdiri di hadapanMu
sedu-sedan tangisku keharuan

hamba yang lemah serta hina ini
Engkau terima jua mendekati

bersimpuh dibawah duli Kebesaran.

Tuhan
hamba tidak tahu pasti
bagaimana penerimaanmu
dikala mendengar pengaduan hamba
yang penuh dosa dan noda ini.

Dalam wahyu yang Engkau nuzulkan
Kau berjanji menerima pengaduanku
Engkau berjanji untuk sedia menerima pengaduan

dan sudi memberi keampunan.

Dan Muhammad RasulMu yang mulia itu
pernah menagatakan:

”Ampunan Tuhan lebih besar dari kesalahan insan.”
Hamba percaya pada tutur kepastian itu

Sebab itu hamba datang wahai Tuhan
bukan tidak redha dengan ujian
cuma hendak mengadu padaMu
tempat hamba kembali nanti

memohon sakinah, maghfirah dan muthmainnah,
(Puisi dan rintihan Imam Bukhari)

50

6
Imam Muslim, Terlalu Banyak Makan Kurma

Imam Muslim ialah salah seorang ulama hadis besar yang enam yang
memiliki kitab musnad hadis. Imam Muslim dilahirkan pada tahun
206H/820M yang berkat di Nisabur. Nama sebenarnya Abu Husain Muslim
bin Hajjaj bin Muslim. Beliau berasal dari keturunan Bani Qusyair salah
sebuah kabilah Arab.
Pengembaraan dan Kesukaannya Kepada Ilmu
Imam kita ini amat suka kepada ilmu dan amat menggemari bersua muka
dengan ulama-ulama. Beliau belayar melintasi padang-padang pasir dan
menyeberangi lautan. Segala tujuannya ialah menjumpai ulama-ulama
terkenal pada masanya dan para cerdik pandai sezaman dengannya dan juga
mereka yang bijaksana yang sewaktu dengannya. Beliau belayar ke Hijaz,
Iraq, Mesir dan Syria. Beliau telah pergi ke Baghdad lebih dari sekali. Beliau
telah mendapat banyak faedah dari penduduk-penduduknya. Dan kali
terakhir pemergiannya ke Baghdad ialah pada tahun dua ratus lima puluh
sembilan.
Dan bila masa Imam Bukhari telah datang ke Naisabur, pada masa itulah
Imam Muslim banyak menghubunginya serta mengakui kelebihannya.
Bahkan lebih dari itu, bila masa Imam Bukhari telah tinggal di Naisabur.
Pada akhirnya, Imam Muslim terus berdamping dengannya, sebab itulah
kita telah mendapatinya, mengikut jejak langkah serta mempunyai banyak
kesan dari gurunya Imam Bukhari. Hal ini amat jelas dalam sahihnya.

51

Tetapi, walaupun beliau berguru dengannya, beliau tidak meriwayatkan dari
riwayat-riwayatnya, kemungkinan besar kerana beliau merasa memadailah
dengan apa yang telah dikarang oleh gurunya.

Dan sesungguhnya pelayaran-pelayarannya itu telah memudahkan
kepadanya penemuan-penemuannya dengan bilangan besar dari ulama-
ulama terkemuka dan bijaksana seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Abdullah
bin Salamah, Ibnu Rahawaih, Ibnu Mahran, Said bin Mansur dan ramai lagi.

Sememangnya Imam Muslim amat meminati ilmu hadis dari kecil lagi.
Ketika beliau mula mendengar hadis dari umur amat muda sangat, iaitu
pada tahun 218H. Keadaan sedemikian telah menjadikannya sebagai orang
yang amat menguasai serta menunjukkan kebolehan dalam bidang ini. Ini
semua telah melayakkannya menduduki tempat yang amat tinggi serta
kedudukan amat mulia dan juga mencapai tahap amat istimewa dalam
bidang tersebut.

Beginilah imam kita, amat meminati ilmu dan beginilah hasil-hasil
ilmiahnya. Ialah pemberian yang tidak terhad mengenai hadis-hadis.

Kemegahannya

Imam Muslim, pada masa dahulu amat bermegah dengan apa yang telah
dikurniakan oleh Allah kepadanya dari nikmat ilmu serta telah diberi
hidayah bagi mencapai segala apa yang beliau telah usahakan. Beliau
bermegah dengan perasaan syukur. Beliau pernah berkata, memuji
sahihnya, ”Jika seluruh penghuni bumi ini menulis hadis selama dua ratus
tahun, pasti huraian mereka berdasarkan sanad ini.

Sesungguhnya ini tidak syak lagi, beliau begit menjaga dan meneliti,
peringatannya cukup tajam dan kukuh kajiannya dalam riwayat hadis. Dan
dialah yang berkata: ”Saya tidak pernah meletakkan sesuatu melainkan
dengan hujah atau meninggalkan sesuatu melainkan dangan hujah pula”.

Sifatnya Merendahkan Diri

Beliau amat suka menonjolkan kebenaran walau melalui orang lain, tujuan
yang diperlukan dan dikehendaki ialah hanya kebenaran, bagi mengikut
perintah Allah serta mencapai keredhaanNya. Kerana itulah, kita
mendapaiti dengan sepenuh tawadhuk serta akhlak yang amat mulia
menunjukkan kitabnya kepada para hafiz yang dipercayai semasa
dengannya, bagi memberikan pendapat serta kritikan mereka mengenainya.

Imam Muslim berkata, ”Saya telah menunjukkan kitab saya ini kepada Abu
Zara’ah Ar-Razi, segala apa yang diisyaratkan, bahawa ia mempunyai

52

sesuatu kelemahan yang telah meninggalkannya dan segala apa yang beliau
kata ialah sesungguhnya beliau adalah sahih dan tidak mempunyai apa
kelemahan yang terbit darinya.”

Dan dengan segala kajian serta penapisan itu, beliau telah mencapai dua
belas ribu hadis sahih, beliau telah tamat penulisannya dalam tempoh masa
lima belas tahun.

Imam Muslim berkata lagi, ”Saya telah membentukkan kitab hadis ini, dari
tiga rauts ribu hadis yang telah didengar”. Dengan ini, dia tidak meletakkan
kesemua hadis sahih dalam kitabnya Sahih Muslim, tetapi beliau hanya
meletakkan hadis-hadis yang telah mencapai tahap ijmak mengikut ilmu
dan penguasaannya.

Kerana itu kita dapatinya berkata, ”Bagi saya, bukan setiap apa yang saya
telah dapati sahih, saya hanya telah memuatkan apa yang telah mencapai
darjat ijmak”. Beginilah keadaan Imam Muslim dan sifatnya dari hal
menjaga, meneliti dan juga dia mempunyai pandangan mengkaji serta
menyelidik.

Kedudukannya

Sesungguhnya amat molek, apa yang telah dikatakan oleh sebilangan orang,
bila mereka membandingan di antara kedua-dua omam yang mulia ini,
Imam Bukhari dan Imam Muslim, mereka menggabungkan kedua-dua imam
ini seperti seorang yang ssdang sembahyang dan orang yang mengikut
dengannya secara langsung.

Mereka berkata: ”Walaupun Imam Bukhari lebih terkemuka dalam bidang
hadis sahih serta ilmu mengenai riwayat hadis dan penguasaan serta
luasnya daya menghafal. Sebenarnya Imam Muslim, dialah orang yang
sedang sembahyang dan dialah orang yang mengikutinya dalam ilmu, fadilat
dan kedudukan”.

Keadaan ini tidak langsung menghairankan kerana Imam Muslim adalah
muridnya dan juga lepasannya. Mengenai hal sedemikian al-Khatib al-
Baghdadi berkata:: ”Sesungguhnya Imam Muslim telah mengikut jejak
langkah Imam Bukhari, mengkaji ilmunya dan mencontohinya.

Murid-Muridnya

Sesungguhnya kita tidak berupaya dengan mudah dan senang, menyebut
mereka yang telah memuji Imam Muslim dengan tepat atau
mengagungkannya. Dengan ini, mungkin sudah memadai dengan
mengetahui, bahawa Imam Muslim telah mempunyai murid-murid yang

53

telah menjadi di antara ulama-ulama terkemuka pada masa mereka dan
telah memenuhkan seluruh dunia dengan ilmu, kebajikan serta berkat. Di
antara mereka yang bijaksana ialah Imam At-Tirmizi, Yahya Ibnu Said,
Ibnu Khuzaimah, Ibnu Mubarak dan ramai lagi yang lainnya.

Mari kita lihat bagaimanakah keikhlasan murid-muridnya dengannya dan
bagaimanakah mereka selalu menolongnya, sentiasa menjaga serta berusaha
bagi mencapai keredhaannya semata-mata kerana Allah bagi mencapai
kebenaran serta mendapat ilmu, walau mereka menghabiskan seluruh umur
muda mereka.

Terdapat satu riwayat dari Ahmad Ibnu Salamah, iaitu salah seorang
daripada murid-muridnya yang paling berwibawa, bahawa dia telah menulis
dengan Imam Muslim semasa beliau mengarang Sahihnya, selama lima
belas tahun iaitu sebanyak dua belas ribu hadis.

Beginilah keadaan murid-muridnya dengannya. Hal ini dengan jelasnya
menunjukkan, sejauhmana kemuliaan akhlak guru ini, ketinggian ilmunya,
sifat tolak ansurnyadan sifatnya yang amat mulia. Dan juga karangannya
As-Sahih telah diatur dan disusun dengan paling rapi dan teratur. Di
samping ia juga merupakan salah satu dari dua kitab yang paling sahih dan
dipercayai selepas Kitabullah dan yang telah diterima oleh umat Islam
dengan sebaik-baiknya.

Karya-Karyanya

Selain karyanya yang terkenal iaitu Sahih Muslim, Imam Muslim telah
mengarang berbagai-bagai kitab serta penulisan-penulisan yang lain yang
telah tersebar dikalangan orang-orang seperti tersebarnya angin di tempat
yang terbuka, tanpa apa-apa halangan, supaya ia sampai ke hati serta akal
para pembacanya. Isi kitab-kitab itu telah bercampur gaul dalam jiwa
mereka seperti tercampurnya air dalam segala yang hidup.

Antara karya-karyanya itu ialah:
1. Al-Musnad al-Kabir
2. Al-Asma’ Wal Kunni
3. At-Tamnyiz
4. Al-Ifrad
5. Sualat Ahmad Ibnu Hanbal
6. Lain-lain lagi

Keistimewaan Sahih Muslim

Imam kita Muslim telah melakukan satu cara yang tunggal serta mat
istimewa dalam penulisan Sahihnya. Beliau telah melakukannya dengan

54

satu metodologi yang lain dari metodologi Imam Bukhari dalam Sahihnya.
Sesungguhnya Sahih Muslim telah mempunyai keistimewaan, bahawa
penulisnya telah mengikut satu metodologi yang baik, iaitu dia telah
mengumpul matan-matan kesemuanya dengan riwayatnya dalam satu
tempat, tanpa ditaburkan dalam bab-bab.

Dia juga tidak memutus-memutuskan dalam berbagai-bagai penjelasan,
sepertimana telah dilakukan oleh Imam Bukhari, dia juga tidak mengulang-
ulangnya kecuali dalam sesuatu keadaan yang tidak boleh tidak, pasti
disebut dan diulang hadis itu yang mempunyai apa-apa tambahan atau
sanad yang dibawakan di sebelah sanad lain, dengan suatu sebab.
Sesungguhnya ini adalah satu keistimewaan serta kelebihan Imam Muslim
dari ulama-ulama yang sebelumnya dari hal penulisan Sahihnya.

Terlalu Banyak Makan Kurma

Al-Khatib menceritakan sebab kematian Imam Muslim. Suatu hari Imam
Muslim mengadiri majlis muzakarah bersama para ilmuan yang
terutamanya membahaskan ilmu hadis. Salah seorang di antara peserta
muzakarah bertanya satu adis kepada Imam Muslim, tapi beliau tidak
mengetahui akan hadis tersebut. Beliau balik debgan tekad untuk
membongkar lagi catatan-catatan hadisnya.

Sesampainya di rumah, beliau terus masuk ke dalam biliknya dan
menyalakan lampu.

”Sesiapa pun tidak boleh masuk menjumpaiku pada malam ini.” kata Imam
Muslim kepada keluarganya.

Pada siang harinya, seseorang telah menghadiahkan sebakul kurma kepada
beliau. Maka kurma itu pun di bawa masuk ke dalam biliknya.

Mulailah beliau menyemak catatan-catatan hadisnya. Apabila selesai
membaca satu hadis, beliau mencapai sebiji kurma lalu dimakannya.
Kemudian membaca satu hadis lagi, lalu mencapai sebiji kurma dan
memakannya setelaj satu hadis yang dibacanya selesai. Demikianlah
seterusnya sehingga pagi dan tanpa disedarinya dan satu bakul kurma telah
habis dimakannya. Akibatnya, beliau sakit perut yang membawa ada
ajalnya. Maka pada hari Ahad malam Isnin, 25 Rejab 261H/875M, imam
besar itu wafat dan dikebumikan pada esok harinya. Beliau telah
menjangkau umur 53 tahun sahaja.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, sesuai dengan segala
jihadnya, manfaat yang dia telah menghulurkannya serta jihad dan
kesabarannya, bagi membuahkan ilmu yang dia telah tinggalkan.

55

7
Imam Abu Daud, Akhlaknya Menyerupai Imam Ahmad bin

Hanbal

Imam Abu Daud ialah salah seorang di antara ulama hadis yang enam,
seorang hafiz yang wara’ dan banyak ibadahnya. Imam Abu Daud dilahirkan
pada tahun 202 Hijrah. Nama sebenarnya ialah Sulaiman bin Al-Asya’ath
bin Ishak bin Basyir bin Syadad bin Yahya bin Imran Abu Daud As-Sijistani.
Usaha-usahanya Mencari Ilmu
Imam Abu Daud sejak kecil lagi amat berminat dengan ilmu pengetahuan,
beliau juga amat gemar duduk bersama para ulama serta berbincang dengan
ahli ilmu.
Beliau amat suka dan inginkan menjelajah, tidak terhenti-henti, berpindah-
pindah dari tempat ke tempat yang lain bagi mencari ilmu. Beliau selalu
berhijrah dari negeri bagi menambahkan ilmu pengetahuan atau
mempastikan sesuatu hakikat.
Beliau sudah menjelajah ke seluruh negara dan mendengar dari ramai
orang-orang di Hijaz, Syria, Mesir, Iraq, Khurasan dan lain-lain. Hal
sedemikian telah menolongnya mengetahui bilangan yang amat banyak dari
hadis-hadis serta mengkaji dan menghalusinya, kemudian memasukkan
isinya dalam kitabnya Sunan Abu Daud.
Dengan ini, Imam Abu Daud telah telah menjelajah bagi mencapai tujuan
dan kehendak yang amat murni.

56

Beliau sentiasa menjelajah dari negara ke negara sedangkan pada masa itu,
berpindah dari tempat ke tempat merupakan satu perkara yang amat rumit
dan susah, memandangkan pelayaran menggunakan binatang-binatang,
keadaannya hampir-hampir seperti berjalan kaki.

Begitulah ulama-ulama kita yang terkemuka dan berwibawa, sentiasa
berusaha dengan menunggang binatang melintasi padang-padang pasir bagi
mencari ilmu, atau mempastikan satu hakikat ilmu pengetahuan. Di
manakah usaha kita, berbanding dengan mereka itu?

Kebanggaannya

Pada hakikatnya, Imam Abu Daud sendiri menghargai dirinya sendiri.
Beliau berbangga diri tanpa sifat bongkak atau besar hati ke atas segala
penat lelahnya, serta pemberiannya dalam kitabnya yang terpuji, sehingga
beliau berkata: “Aku tidak mengetahui selain al-Quran masih ada kitab yang
lebih layak untuk dipelajari oleh orang ramai selain dari kitabku ini, iaitu
Sunan Abu Daud.

Di samping itu semua, ada dikatakan bahawa beliau bermazhab Hanbali.
Ada juga dikatakan bahawa beliau bermazhab Syafie pula. Tetapi apa yang
jelas bagi kita ialah bahawasanya beliau ialah seorang mujtahid seperti yang
sudah jelas di dalam sunannya.

Kemasyhurannya

Imam Abu Daud yang mulia ini boleh dianggap salah satu yang termasyhur
di antara mereka yang terkemuka daripada penulis-penulis pada masa
tercatatnya ‘As-Sunnah al-Mutaharah’ pada kurun ketiga Hijrah.

Dan di antara mereka ialah Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Bukhari, Imam
Muslim, Imam Tirmizi, Imam An-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Jarir At-
Tabari.

Di samping itu, Imam Abu Daud mempunyai murid-murid yang terkemuka
dan pengikut-pengikut yang mengasihinya, yang telah mengambil darinya
hadis. Antara mereka ialah Imam Tirmizi, Imam An-Nasai, Abu Uwanah
dan lain-lain.

Kasih Sayang Orang Terhadapnya

Sesungguhnya para ulama serta seluruh orang yang semasa dengan Abu
Daud amat menghargainya dan sentiasa menyebutnya dengan segala
kepujian di setiap tempat serta bermurid dengannya di mana sahaja.

57

Bahkan terdapat di antara mereka yang berlebih-lebihan (melampau) dalam
usahanya bagi menunjukkan penghargaan itu kepadanya. Mereka meminta
Imam Abu Daud sesuatu, seakan-akan beliau bergurau senda yang
bercampur dengan keanehan.

Beliau telah didatangi oleh Sahl bin Abdullah At-Tustari, seorang ulama
kenamaan yang juga terkenal kerana kesufiannya untuk menziarahi beliau.
Imam Abu Daud menerimanya dengan baik dan mempersilakannya duduk.

Kemudian Sahl berkata: “Wahai Abu Daud, saya memerlukan satu hajat
daripada kamu!” Imam Abu Daud bertanyakan: “Apakah hajat itu?

Sahl menjawab: “Saya tidak akan menyebutnya melainkan tuan imam kata:
“Saya akan tunaikan mengikut kemampuan.” Imam Abu Daud berkata
sedemikian.

Terus Sahl meminta: “Keluarkanlah lidahmu yang telah melaluinya, tuan
telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah s.a.w. supaya aku boleh
menciumnya. Imam Abu Daud mengeluarkan lidahnya dan Sahl terus
menciumnya.

Di samping itu, banyak yang dikatakan mengenainya dari kepujian kepada
kerja-kerja serta usaha-usahanya yang agung dan sifat-sifatnya yang mulia.

Musa bin Harun berkata: “Kehadiran Imam Abu Daud ke dunia ialah untuk
hadis dan di akhirat nanti ialah untuk syurga.”

Syeikh Ibrahim Al-Harbi berkata: “Hadis dilembutkan terhadap Abu Daud
sebagaimana dilembutkannya besi di hadapan Nabi Daud a.s..

Bahkan sebilangan mereka telah memujinya lebih lagi, sehingga Abu Bakar
al-Khalal telah berkata mengenainya: “Abu Daud yang merupakan imam
terkemuka pada zamannya ialah seorang lelaki yang tidak pernah didahului
oleh sesiapa di zamannya dalam bidang ilmu mengeluarkan hadis-hadis,
mengenalinya serta martabatnya.”

Kepujian Terhadap Sunan Abu Daud

Imam Abu Daud boleh dianggap imam yang ketiga daripada enam imam
hadiss. Beliau telah mengarang kitabnya, Sunan Abu Daud di Baghdad dan
membentangkannya kepada gurunya, Imam Ahmad bin Hanbal yang
memujinya serta menerimanya dengan baik.

58

Di samping itu daripada ulama yang semasa dengannya telahpun
mencurahkan ke atasnya kepujian-kepujian mereka. Abu Sulaiman al-
Khattabi berkata: “Ketahuilah, moga-moga Allah melimpahkan rahmat ke
atasmu, bahawa kitab As-Sunan oleh Abu Daud ialah kitab yang amat
mulia, tidak pernah ditulis di mana-mana kitab mengenai ilmu agama yang
sepertinya.”

Imam al-Ghazali juga telah berkata mengenainya: “Kiranya cukup bagi
seseorang mujtahid menelaah kitab tersebut (Sunan Abu Daud) untuk
mengetahui hadis-hadis Nabi.”.

Di Antara Keanehan-keanehannya

Sesungguhnya Imam Abu Daud yang mulia ini, akhlaknya hampir sama
dengan gurunya yang terkemuka, Imam Ahmad bin Hanbal. Jadi beliau
banyak beribadah, amat pemalu dan amat menjauhkan diri dari syubhat.
Beliau juga amat soleh dan bersifat wara’.

Kehidupan dan keadaan Imam Abu Daud banyak menyerupai gurunya
tersebut. Sehingga ada yang mengatakan: “Ibnu Mas’ud iras-iras dengan
Nabi s.a.w. dalam gerak geri dan keadaan tubuhnya, Alqamah menyerupai
Ibnu Mas’ud, Ibrahim menyerupai Alqamah, Mansur menyerupai Ibrahim,
Sufyan menyerupai Mansur, Waki’ menyerupai Sufyan. Adapun Imam
Ahmad bin Hanbal menyerupai Waki’ sedang Abu Daud menyerupai Imam
Ahmad bin Hanbal.”

Begitu juga beliau mempunyai keanehan dalam sebahagian tindak tanduk
lahirnya, beliau tidak begitu mengambil perhatian mengenai pakaiannya,
walau ia dikritik atau dikata oleh sesiapa.

Tetapi beliau bertindak dan melakukan apa saja yang beliau merasa sesuai
atau suka, tetapi ia tidak melampaui sempadan yang diperlukan. Sebagai
contoh, beliau mempunyai hikmah serta falsafah dalam bentuk pakaiannya.

Bahawa pada masa dahulu, beliau mempunyai satu lengan luas dan satu
lengan sempit, kemudian beliau ditanya sebab perbuatannya itu. Beliau
menjawab: “Yang luas supaya membawa kitab-kitab, yang sempit pula tidak
diperlukan. Jadi jika diluaskan juga, ia merupakan satu perbuatan
membazir.”

Wafatnya

Imam Abu Daud wafat pada hari Jumaat, 16 Syawal 275 H/889 M di Basrah
dalam usia 73 tahun selepas beliau memenuhkan seluruh masanya dengan

59

ilmu yang mencurah ke atas kita, tidak mengenal penat lelah dan
mendiamkan diri.
Semoga Allah mencucuri rahmatNya serta melimpahkan keredhaanNya
sejajar dengan segala usaha yang beliau telah lakukan.

60

8
Ibnu Sirin, Ulama Tafsir Mimpi Terkenal

Ibnu Sirin dilahirkan pada abad ke-8 di Basrah, Iraq. Nama sebenarnya
ialah Muhammad bin Sirin dan terkenal dengan panggilan Ibnu Sirin.
Beliau ialah seorang ulama tafsir mimpi terkenal pada masanya.
Guru-gurunya
Guru-guru Ibnu Sirin kebanyakannya dari kalangan sahabat Nabi s.a.w.. Di
antaranya Abu Hurairah, Abu Said al-Khudri, Abdullah bin Umar, Abdullah
bin Abbas dan Anas bin Malik.
Peribadinya
Ibnu Sirin ialah seorang yang warak dan abid, menangis di malam hari dan
berjuang di siang hari. Kebiasaannya beliau berpuasa sehari dan berbuka
sehari.
Sesuatu yang patut ditiru daripada Ibnu Sirin ialah beliau tidak pernah
menyebut tentang seseorang, kecuali kebaikannya saja. Jika ada orang
bercakap tentang keburukan seseorang di hadapannya, beliau akan
menceritakan kebaikan orang yang sama beliau ketahui.
Ibnu Sirin sangat takut kepada Allah, sehingga apabila beliau teringat akan
mati, maka setiap anggotanya menjadi kaku dan mukanya menjadi pucat.
Jika ada orang bertanya mengenai tafsir mimpi, beliau akan berkata kepada
Allah di waktu jaga, maka mimpimu tidak akan mempermain-mainkan
engkau.”

61

Ibnu Sirin masuk pasar pada waktu tengahari, ketika orang ramai sedang
asyik berurus niaga dan membeli belah. Di tengah-tengah pasar itu, beliau
bertakbir dan bertasbih banyak-banyak dengan suara yang kuat. Apabila
ditanya, beliau menjawab: “Kerana pada masa-masa seperti sekarang inilah
manusia lupa kepada Allah.”

Makan Sebelum Kenduri

Ibnu Aun menceritakan Ibnu Sirin tidak mahu makan di tempat orang lain.
Jika beliau diundang pada walimah atau kenduri lainnya, beliau dating tapi
tidak mahu makan. Diceritakan pula bahawa apabila beliau mendapat
jemputan untuk menghadiri kenduri kahwin, beliau dating. Akan tetapi
sebelum berangkat ke walimah beliau akan masuk terlebih dahulu ke
rumahnya untuk makan.

“Bawa ke sini makanan dan minuman.” Katanya kepada keluarganya. Lalu
beliau makan seperlunya. “Tuan akan menghadiri undangan makan,
mengapa mesti makan terlebih dahulu?” Tanya seseorang.

“Aku tidak ingin membawa laparku pada hidangan dan makanan mereka.”
jawabnya.

Tafsir-tafsir Mimpinya

Kepakaran Ibnu Sirin yang terkenal ialah dalam menafsirkan mimpi. Tiada
seseorang yang dating kepada beliau mengadukan mimpinya, melainkan
beliau menerangkan tafsirannya.

Dengan terburu-buru dan perasaan cemas seorang lelaki datang kepada
Ibnu Sirin dan berkata: “Malam tadi aku bermimpi meletakkan kakiku di
wajah Rasulullah s.a.w..”

“Apakah engkau tidur dengan memakai kasut?”

“Ya, aku berkasut.” jawabnya.

“Sila buka kedua-dua kasutmu dan tengok apa yang ada di dalamnya. Lelaki
itu membuka kasutnya dan ternyata di bawah tapak kakinya ada wang
dinar bertulis ‘Muhammadurrasulullah.”

Seorang lelaki datang dan berkata: “Wahai syeikh, aku bermimpi seolah-olah
janggutku menjadi panjang dan aku melihatnya. Apa maksudnya?”

62

“Apakah engkau seorang tukang azan?” tanya Ibnu Sirin.
“Ya.” jawab lelaki itu.
“Bertakwalah kepada Allah, jangan mengintai-intai rumah jiranmu.” Kata
Ibnu Sirin.
Pada masa yang lain seorang lelaki datang kepada beliau dan berkata:
“Wahai syeikh, aku bermimpi seolah-olah janggutku menjadi sangat panjang
sehingga aku memotongnya, aku masukkan ke dalam baju lalu kujualnya di
pasar.”
“Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya engkau ini ialah seorang saksi
palsu.” jawab Ibnu Sirin.
“Wahai syeikh, aku telah bermimipi seolah-olah aku makan jari-jari
tanganku sendiri.” kata seseorang.
“Oh, engkau makan hasil tanganmu.” jawab Ibnu Sirin.
Karyanya

Tafsir al-Alam
Antara karyanya terkenal ialah ‘Tafsir al-Alam’ yang membincangkan
tentang tafsir-tafsir mimpi.
Wafatnya
Ibnu Sirin wafat pada tahun 109 Hijrah.

63

9
Sufyan Bin Uyainah, Kunikahi Dia Kerana Agamanya

Ulama tabiut tabiin ini dilahirkan pada tahun 107H pada pertengahan
Syawal. Nasab lengkapnya, Sufyan bin Uyainah bin Abi Imran al-Kufi. Dia
dikenal dengan panggilan Abu Muhammad.
Ayahnya seorang pegawai pada masa Khalid bin Abdillah Al-Qasri. Tatkala
Khalid diberhentikan dari jabatan Gabenor Iraq dan digantikan oleh Yusuf
bin Umar at-Tsaqafi, pejabat baru ini mencari-cari para pekerja pada masa
pemerintahan Khalid, sehingga mereka berlarian untuk menyembunguikan
diri. Uyainah, ayah Sufyan, melarikan diri sampai ke kota Makkah dan
akhirnya memutuskan menetap disana.
Menuntut Ilmu Dengan Ulama
Ketika ia meningkat usia 15 tahun, ayahnya memanggilnya, seraya
berpesan: “Wahai Sufyan! Masa kanak-kanak sudah lepas darimu, maka
kejarlah kebaikan, supaya engkau termasuk orang-orang yang mengejarnya.
Jangan tertipu dengan pujian orang-orang yang menyanjungmu dengan
pujian yang Allah mengetahui, bahawa keadaanmu berlawanan dengan itu.
Sebab, tidak ada orang yang berkata baik kepada orang lain tatkala ia
sedang senang, kecuali ia akan berkata kejelekan kepadanya serupa ketika ia
sedang dilanda amarah. Nikmati kesendirian daripada bergaul dengan
kawan-kawan yang buruk. Jangan engkau alihkan prsangka baikku
kepadamu kepada prasangka lain. Dan tidak akan ada orang yang
berbahagia bersama dengan ulama, kecuali orang-orang yang mentaati
mereka”.

64

Mendengar nasihat ayahnya ini Sufyan berkata dalam hati : ”Sejak itu, aku
menjadikan pesan ayah sebagai arah kompasku, berjalan bersamanya, tidak
menyimpang darinya”.

Begitulah yang ia jalani. Sejak usia dini, ulama besar ini telah menyibukkan
diri pada pendalaman ilmu agama. Tepatnya pada tahun 119H.

Ibnu Uyainah mengisahkan tentang dirinya: ”Aku keluar menuju masjid,
dan aku melihat-lihat halaqah-halaqah (majlis ilmu) yang ada. Bila aku lihat
ada kumpulan ulama dan orang-orang tua, maka aku menghampirinya”.

Dia menceritakan: ”Aku duduk di majlis ilmu Ibnu Syihab dalam usia enam
belas tahun tiga bulan”.

Salah satu yang menunjukkan keberuntungannya, sebanyak 80 ulama besar
dari kalangan tabi’in sempat ia jumpai. Misalnya, ’Amr bin Dinas, az Zuhri,
Muhammad bin al Munkadir, al A’masy, Sulaiman at Taimi, Humaid ath
Thawil.

Menjadi Sumber Rujukan

Tentang kekuatan hafalannya, ia berkata, ”Aku tidak pernah menulis
sesuatu, kecuali sudah aku hafal sebelum aku menuliskannya.”

Tak sia-sia, berkat pergaulannya dengan ulama-ulama besar, telah
membentuk dirinya menjadi peribadi yang teguh, luas ilmunya dan
mendalam. Ia menjadi sumber rujukan dalam berbagai permasalahan dan
tempat curahan isi hati.

Yahya bin Yahya an Naisaburi menceritakan: ”Suatu hari, ada seorang lelaki
mendatangi Sufyan dengan berkata : ’Wahai , Abu Muhammad (yang
dimaksud adalah Sufyan). Aku ingin mengadukan kepadamu tentang
keadaan isteriku. Aku menjadi lelaki yang paling hina dan rendah
dimatanya”.

Maka Sufyan menggeleng-gelengkan kepala hairan dan kemudian berujar:
”Mungkin, keadaan itu muncul kerana engkau menikahainya untuk meraih
kehormatan?”

Lelaki itu pun mengakuinya: ”Ya, betul wahai Abu Muhammad”.

Sufyan lalu berpesan: ”Barang siapa pergi kerana mencari kehormatan,
nescaya akan diuji dengan kehinaan. Barangsiapa mengerjakan sesuatu
lantaran dorongan harta, nescaya akan diuji dengan kefakiran. Barangsiapa

65

bergerak kerana dorongan agama, nescaya Allah akan menghimpun
kehormatan dan harta bersama agamanya”.

Kunikahi Dia Kerana Agamanya

Berikutnya, Sufyan mulai berkisah:

”Kami adalah empat bersaudara, Muhammad, Imran, Ibrahim, dan aku
sendiri. Muhammad adalah abang sulung., Imran anak bungsu. Sedangkan
aku berada di tengah-tengah. Tatkala Muhammad ingin menikah, ia
menginginkan kemuliaan nasab. Maka ia menikahi wanita yang lebih tinggi
kedudukannya. Kemudian Allah mengujinya dengan kehinaan.

Sedangkan Imran, (saat menikah) ingin mendapatkan harta. Maka ia
menikahi wanita yang lebih kaya dari dirinya. Allah kemudian mengujinya
dengan kemiskinan. Keluarga wanita mengambil seluruh yang dimilikinya,
tidak menyisakan sedikitpun.

Aku pun merenungkan nasib keduanya. Sampai akhirnya Ma’mar bin Rasyid
datang menghampiriku. Aku pun berdiskusi dengannya. Aku ceritakan
kepadanya peristiwa yang menimpa para saudaraku. Ia mengingatkanku
dengan hadis Yahya bin Ja’daj dan hadits Aisyah.

Hadis Yahya bin Ja’dah yang dimaksud, iaitu sabda Nabi shallallahu alaihi
wa sallam:

”Wanita dinikahi kerana empat perkara: Kerana hartanya, keturunannya,
kecantikannya dan agamanya. Carilah wanita yang beragama, nescaya
kamu akan beruntung”.

Sedangkan hadis Aisyah, Nabi shallallahu alaIhi wa sallam bersabda :

Wanita yang paling besar berkahnya adalah wanita yang paling ringan
beban pembiayaannya”

Maka, aku memutuskan untuk memilih bagi diriku (wanita yang) memiliki
din dan beban yang ringan untuk mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu
alahi wa sallam. Allah menghimpunkan bagiku kehormatan dan limpahan
harta dengan sebab agamanya”.

Itulah salah satu hikmah yang muncul dari lisannya. Tidak sedikit untaian
hikmah dari Sufyan yang mencerminkan kedekatannya dengan Al-Khaliq,
Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Kata-Kata Hikmahya

66

Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang hakikat wara’, Dia pun
menjelaskan: Wara’ adalah keinginan untuk mendalami ilmu din yang
menjadi sarana untuk mengenal selok-belok wara’. Sebagian orang
menganggap sikap wara’ tercermin pada sikap diam dalam waktu yang lama
dan sedikit bicara, padahal tidak demikian. Menurut kami, sesungguhnya
orang yang berbicara lagi alim, itu lebih afdhal dan lebih wara’ dibandingkan
lelaki yang jahil lagi diam.
Sufyan bin Uyainah juga memiliki hikmah yang menunjukkan kedalaman
ilmunya. Dia menyatakan, perumpamaan ilmu adalah bagaikan negeri kufur
atas negeri Islam. Apabila penganut Islam meninggalkan jihad, nescaya
orang-orang kafir akan datang dan mengambil Islam. Jika orang-orang
meninggalkan ilmu, maka mereka menjadi manusia-manusia bodoh.
Tentang pentingnya menyampaikan ilmu yang sudah diketahui, dia berkata:
”Tidaklah disebut (sebagai) alim orang yang mengetahui kebenaran dan
kejelekan. Tetapi, orang alim sejati ialah orang yang mengetahui kebaikan
dan mengikutinya, serta mengetahui kejelekan dan menjauhinya”.
Wafatnya
Sufyan bin Uyainah wafat pada hari Sabtu, 1 Rejab 198H.
Semoga Allah menganugerahinya dengan rahmat yang luas dan
menempatkannya di syurgaNya yang tertinggi.

67

10
Sayyidah Nafisah, Sufi, Alim dan Guru Imam Syafie

Sayyidah Nafisah ialah salah satu keturunan Rasulullah s.a.w.. Beliau
puteri Imam Hasan al-Anwar bin Zaid al-Ablaj bin Imam Hasan bin Imam
Ali r.a.. Beliau lahir di Makkah, pada 11 Rabiulawal 145H, hidup dan besar
di Madinah.

Hijrah Ke Mesir

Demi keamanan dan ketenangan hidup Sayyidah Nafisah berhijrah ke Mesir
bersama suaminya, Ishaq al-Mu'tasim bin Ja'far as-Siddiq, pada tahun 193H,
setelah sebelumnya ziarah ke makam Nabi Ibrahim a.s.. Di Mesir beliau
tinggal di rumah Ummi Hani’.

Sayyidah Nafisah menetap di Mesir selama 7 tahun. Penduduk Mesir sangat
menyayanginya dan percaya akan karamahnya. Mereka selalu berduyun-
duyun mendatanginya, berdesakan mendengarkan mauizahnya dan
memohon doanya. Hal ini membuat suaminya berfikir untuk mengajaknya
pindah ke tanah Hijaz, namun beliau menolak dan menjawab: “Aku tidak
bisa pergi ke Hijaz kerana aku bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w.. Beliau
berkata kepadaku: "Janganlah kamu pergi dari Mesir kerana nanti Allah
akan mewafatkanmu di sana (di Mesir).”

Peribadinya

Sayyidah Nafisah adalah seorang yang sangat kuat beribadah kepada Allah.
Siang hari dia berpuasa sunat sedangkan pada malamnya dia bertahajjud
menghidupkan malam dengan berzikir dan membaca Al Quran. Dia sungguh
zuhud dengan kehidupannya. Hatinya langsung tidak terpaut dengan
kehidupan dunia yang menipu daya. Jiwanya rindu dengan syurga Allah dan
sangat takut dengan syurga Allah. Disamping itu Sayyidah Nafisah sangat

68

taatkan suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami dan melayan
suaminya dengan sebaik-baiknya.

Sayyidah Nafisah adalah seorang yang terkenal zuhud dan mengasihi
manusia yang lain. Pernah satu ketika, beliau menerima wang sebanyak
1000 dirham dari raja untuk keperluan dirinya. Beliau telah membahagikan
wang tersebut kepada fakir miskin sebelum sempat memasuki rumahnya.
Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak diambilnya untuk kepentingan
dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Demikianlah
dermawannya Sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin.

Keutamaannya

Sayyidah yang mulia ini sudah mendapatkan keutamaan sejak kecil lagi.
Suatu ketika, demikian al-Hafiz Abu Muhammad dalam kitabnya Tuhfatul
Asyraf bercerita: Al-Hasan, ayahanda Sayyidah Nafisah membawa Nafisah
semasa kecil ke makam Rasulullah s.a.w.. Di sini sang ayah berkata :
"Tuanku, Bagindaku Rasulullah, ini puteriku. Aku redha dengannya.
Kemudian keduanya pulang. Di malam hari sang ayah bertemu Rasulullah
bersabda: "Wahai Hasan Aku redha dengan puterimu Nafisah kerana
keredhaanmu itu. Dan Allah SWT juga redha kerana redhaku itu.

Salah satu keutamaan Sayyidah Nafisah adalah selama hidupnya beliau
telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 4000 kali. Selain itu, meskipun
tinggal jauh dari tanah suci, beliau melakukan ibadah haji sebanyak 17 kali.

Sayyidah Nafisah dan Imam Syafie

Sejarah sepakat mengatakan bahawa Sayyidah Nafisah semasa dengan
Imam Syafie. Keduanya saling menghormati. Di ceritakan bahawa Imam
Syafie meriwayatkan hadis dari Sayyidah Nafisah. Setiap berkunjung ke
kediaman Sayyidah Nafisah Imam Syafie dan pengikutnya sangat
menjunjung tinggi adab sopan santun terhadap beliau.

Imam Syafie setiap tertimpa penyakit selalu mengirim utusan ke Sayyidah
Nafisah agar berkenan mendoakannya dengan kesembuhannya. Dan benar,
setelah itu Imam Syafie mendapatkan kesembuhan. Ketika Imam Syafie
tertimpa penyakit yang menyebabkan beliau wafat, Sayyidah Nafisah
berkata pada utusan Imam Syafie: "Semoga Allah memberikan kenikmatan
pada Syafie dengan melihat wajahNya yang mulia.”

Karamahnya

Sebelum menceritakan karamah-karamah Sayyidah yang mulia ini, perlu
diketahui bahwa suami Sayyidah Nafisah (Ishaq bin al Mu'taman bin Ja'far

69

ash Shadiq) pernah berkeinginan untuk memindah makam beliau ke
pemakaman Baqi' (Madinah). Kemudian penduduk Mesir meminta suami
Sayyidah Nafisah untuk mengurungkan keinginannya, kerana penduduk
Mesir ingin mendapatkan berkah darinya. Akhirnya, pada suatu malam
suami Sayyidah Nafisah bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w.. Rasulullah
bersabda, "Wahai Abu Ishaq, janganlah kamu menentang keinginan
penduduk Mesir, karena Allah akan memberikan berkahNya kepada
penduduk Mesir melalui Sayyidah Nafisah".

Di antara karamahnya ialah ketika pembantu Sayyidah Nafisah yang
bernama Jauharah keluar rumah untuk membawakan air wudhu untuk
beliau, pada waktu itu hujan deras sekali. Akan tetapi, tapak kaki Jauharah
tidak basah dengan air hujan.

Di antara karamahnya juga ialah, ada sebuah keluarga Yahudi yang tinggal
di dekat kediaman Sayyidah Nafisah di Mesir. Keluarga itu mempunyai
seorang anak perempuan yang lumpuh. Suatu ketika ibu anak itu berkata:
"Nak, kamu mahu apa ? Kamu mahu ke kamar mandi ?. Si anak tiba-tiba
berkata: "Aku ingin ke tempat perempuan mulia tetangga kita itu.” Setelah
si ibu minta izin pada Sayyidah Nafisah dan beliau memperkenankannya,
keduanya datang ke kediaman Sayyidah Nafisah. Si anak didudukkan di
pinggir rumah. Ketika datang waktu solat Zuhur, Sayyidah Nafisah beranjak
untuk berwudhuk di dekat gadis kecil itu. Air wudhuk beliau mengalir ke
tubuh anak tersebut. Seperti mendapatkan ilham anak itu mengusap
anggota tubuhnya dengan air berkah tersebut. Dan seketika itu juga ia
sembuh dan bisa berjalan seperti tidak pernah sakit sama sekali.

Kemudian si anak pulang dan mengetuk pintu. Pintu dibuka oleh ibunya.
Dengan hairan dia bertanya: "Kamu siapa Nak?” “Aku puterimu.” Sambil
memeluk si ibu bertanya bagaimana ini bisa terjadi. Si anak kemudian
bercerita dan akhirnya keluarga itu semuanya masuk Islam.

Selain itu, pernah suatu ketika sungai Nil berhenti mengalir dan mengering.
Orang-orang mendatangi Sayyidah Nafisah dan memohon doanya. Beliau
memberikan selendangnya agar dilempar ke sungai Nil. Mereka
melakukannya. Dan seketika itu juga sungai Nil mengalir kembali dan
melimpah.

Karamah-karamah beliau setelah wafat juga banyak. Di antaranya, pada
tahun 638H, beberapa pencuri menyelinap ke masjidnya dan mencuri enam
belas lampu dari perak. Salah seorang pencuri itu dapat diketahui, lalu
dihukum dengan diikat pada pohon. Hukuman itu dilaksanakan di depan
masjid agar menjadi pelajaran bagi yang lain. Pada tahun 1940, seseorang
yang tinggal di daerah itu bersembunyi di masjid itu pada malam hari. Ia
mencuri syal dari Kasymir yang ada di makam itu. Namun, ia tidak

70

menemukan jalan keluar dari masjid itu dan tetap terkurung di sana sampai
pelayan mesjid datang di waktu subuh dan menangkapnya.
Wafatnya
Al-Sakhawi bercerita, "Ketika Sayyidah Nafisah merasakan ajalnya sudah
dekat, beliau menulis surat wasiat untuk suaminya, dan menggali kubur
beliau sendiri di rumahnya. Kubur yang digalinya itu ialah untuk beliau
sentiasa mengingatkan akan kematian. Kemudian beliau turun ke liang
kubur itu, memperbanyak solat dan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 109
kali. Kalau tidak mampu berdiri, beliau solat dengan duduk, memperbanyak
tasbih dan menangis. Ketika sudah sampai ajalnya dan beliau sampai pada
ayat: “Bagi mereka (disediakan) tempat kedamaian (syurga) di sisi
Tuhannya dan Dialah Pelindung mereka disebabkan amal-amal soleh yang
selalu mereka kerjakan.” (Surah Al-An’am: 127), beliau pengsan kemudian
dan menghembuskan nafas terakhir menghadap Sang Maha Kasih Abadi
pada hari Jumaat, bulan Ramadhan 208H.
Sewaktu disembahyangkan sangat ramai orang yang menghadirinya.
Sehingga kini maqamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk
dunia. Demikian kehebatan yang Allah anugerahkan kepada Sayyidah
Nafisah yang terkenal dengan kewarakan kepada Allah dan ketaatannya
kepada suami. Semoga ianya menjadi contoh buat generasi wanita akhir
zaman ini.

71

11

Junaid Al-Baghdadi, Ulama Sufi Yang Bertasauf Mengikuti
Sunnah

Junaid Al-Baghdadi adalah seorang ulama sufi dan wali Allah yang paling
menonjol namanya di kalangan ahli-ahli sufi. Tahun kelahiran Imam Junaid
tidak dapat dipastikan. Tidak banyak dapat ditemui tahun kelahiran beliau
pada biografi lainnya. Beliau adalah orang yang terawal menyusun dan
memperbahaskan tentang ilmu tasauf dengan ijtihadnya. Banyak kitab-
kitab yang menerangkan tentang ilmu tasauf berdasarkan kepada ijtihad
Imam Junaid Al-Baghdadi.

Imam Junaid adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya. Beliau memiliki
sebuah gedung perniagaan di kota Baghdad yang ramai pelanggannya.
Sebagai seorang guru sufi, beliau tidaklah disibukkan dengan menguruskan
perniagaannya sebagaimana sesetengah peniaga lain yang kaya raya di
Baghdad.

Waktu perniagaannya sering disingkatkan seketika kerana lebih
mengutamakan pengajian anak-anak muridnya yang dahagakan ilmu
pengetahuan. Apa yang mengkagumkan ialah Imam Junaid akan menutup
kedainya setelah selesai mengajar murid-muridnya. Kemudian beliau balik
ke rumah untuk beribadat seperti solat, membaca al-Quran dan berzikir.

Setiap malam beliau berada di masjid besar Baghdad untuk menyampaikan
kuliahnya. Ramai penduduk Baghdad datang masjid untuk mendengar
kuliahnya sehingga penuh sesak.

Imam Junaid hidup dalam keadaan zuhud. Beliau redha dan bersyukur
kepada Allah SWT dengan segala nikmat yang dikurniakan kepadanya.
Beliau tidak pernah berangan-angan untuk mencari kekayaan duniawi dari
sumber pekerjaannya sebagai peniaga.

72

Beliau akan membahagi-bahagikan sebahagian dari keuntungan
perniagaannya kepada golongan fakir miskin, peminta dan orang-orang tua
yang lemah.

Bertasauf Mengikut Sunnah Rasulullah saw

Imam Junaid seorang yang berpegang kuat kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Beliau sentiasa merujuk kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah saw dalam
setiap pengajiannya.

Beliau pernah berkata:

"Setiap jalan tertutup, kecuali bagi mereka yang sentiasa mengikuti
perjalanan Rasulullah saw. Sesiapa yang tidak menghafal al-Quran, tidak
menulis hadis-hadis, tidak boleh dijadikan ikutan dalam bidang tasauf ini."

Memiliki Beberapa Kelebihan dan Karamah

Imam Junaid mempunyai beberapa kelebihan dan karamah. Antaranya
ialah berpengaruh kuat setiap kali menyampaikan kuliahnya. Kehadiran
murid-muridnya di masjid, bukan saja terdiri daripada orang-orang biasa
malah semua golongan meminatinya.

Masjid-masjid sering dipenuhi oleh ahli-ahli falsafah, ahli kalam, ahli fekah,
ahli politik dan sebagainya. Namun begitu, beliau tidak pernah angkuh dan
bangga diri dengan kelebihan tersebut.

Beberapa Orang Kristian Masuk Islam Melaluinya

Suatu ketika Junaid Al-Baghdadi diserang penyakit mata. Maka dia pun
memanggil seorang doktor kristian untuk mengubatnya.

"Jika matamu masih terasa pedih, elakkan dari terkena air." pesan doktor
setelah mengadakan pemeriksaan.

Setelah tuan doktor pulang, Junaid ingin mengerjakan solat, tapi wuduknya
telah batal. Oleh kerana itu, dia pergi mengambil wuduk tanpa
menghiraukan nasihat doktor. Kemudian dia mengerjakan solat, lalu tidur.

Apabila jaga dari tidur, ternyata matanya telah sembuh seperti tidak pernah
sakit sebelumnya. Ketika itu juga Junaid mendengar seruan: "Junaid telah
rela mengorbankan matanya demi nikmatKu. Sekiranya untuk tujuan yang
sama dia berdoa kepadaku untuk semua penghuni neraka, nescaya aku
perkenankan doanya."

73

Pada hari berikutnya doktor yang mengubat mata Junaid datang lagi untuk
mengadakan pemeriksaan. Alangkah terkejutnya doktor itu apabila melihat
mata Junaid telah sembuh seperti sedia kala.

"Apa yang telah kamu buat?" tanya doktor.

"Aku berwuduk, lalu bersolat." jawab Junaid.

Mendengar keterangan itu, tabib kristian itu sangat terharu dan sedar
bahawa agama Junaid adalah benar. Maka dia pun masuk Islam ketika itu
juga.

"Kesembuhan ini tentu dari Maha Pencipta, bukan dari makhluk-makhluk
ciptaanNya." kata doktor.

Kemudian dia berkata lagi: "Selama ini hatikulah yang sakit, bukan
matamu, dan engkaulah pengubatnya."

Pada hari yang lain, tersiar berita bahawa Junaid Al-Baghdadi akan
berpidato di sebuah dewan besar. Maka ramailah orang yang datang untuk
mendengarnya. Di antara yang hadir ada seorang pemuda beragama
kristian, namun tak seorang pun yang tahu bahawa dia kristian. Tiba-tiba
pemuda itu mengajukan soalan: "Wahai syeikh Junaid! Rasulullah saw
bersabda: "Waspadalah engkau terhadap firasat orang mukmin kerana dia
dapat melihat dengan Nur Allah." Apakah maksudnya?"

Junaid menundukkan kepalanya sebentar kemudian diangkatnya semula
dan terus memandang ke arah pemuda itu.

"Sesungguhnya masa keislamanmu sudah dekat. Oleh itu, maka Islamlah
kamu." jawab Junaid.

Orang ramai terkejut dengan jawapan itu. Akan tetapi ternyata si pemuda
itu memang beragama kristian. Maka ketika itu juga dia menyatakan masuk
Islam di hadapan Junaid. Ini dilakukannya setelah membuktikan kebenaran
sabda Nabi Muhammad saw tersebut.

Diuji Dengan Seorang Wanita Cantik

Setiap insan yang ingin mencapai keredhaan Allah selalunya menerima
ujian dan cabaran. Imam Junaid menerima ujian daripada beberapa orang
musuhnya setelah pengaruhnya meluas. Mereka telah membuat fitnah
untuk menjatuhkan imej Imam Junaid.

74

Musuh-musuhnya telah bekerja keras menghasut khalifah di masa itu agar
membenci Imam Junaid. Namun usaha mereka untuk menjatuhkan
kemasyhuran Imam Junaid tidak berhasil.

Musuh-musuhnya berusaha berbuat sesuatu yang boleh memalukan Imam
Junaid. Pada suatu hari, mereka menyuruh seorang wanita cantik untuk
memikat Imam Junaid. Wanita itu pun mendekati Imam Junaid yang
sedang tekun beribadat. Ia mengajak Imam Junaid agar melakukan
perbuatan terkutuk.

Namun wanita cantik itu hanya dikecewakan oleh Imam Junaid yang
sedikitpun tidak mengangkat kepalanya. Imam Junaid meminta pertolongan
dari Allah agar terhindar daripada godaan wanita itu. Beliau tidak suka
ibadahnya diganggu oleh sesiapa. Beliau melepaskan satu hembusan
nafasnya ke wajah wanita itu sambil membaca kalimah Lailahailallah.
Dengan takdir Tuhan, wanita cantik itu rebah ke bumi dan mati.

Khalifah yang mendapat tahu kematian wanita itu telah memarahi Imam
Junaid kerana menganggapnya sebagai suatu perbuatan jenayah.

Lalu khalifah memanggil Imam Junaid untuk memberikan penjelasan di
atas perbuatannya. "Mengapa engkau telah membunuh wanita ini?" tanya
khalifah.

"Saya bukan pembunuhnya. Bagaimana pula dengan keadaan tuan yang
diamanahkan sebagai pemimpin untuk melindungi kami, tetapi tuan
berusaha untuk meruntuhkan amalan yang telah kami lakukan selama 40
tahun," jawab Imam Junaid.

Wafatnya

Akhirnya kekasih Allah itu telah menyahut panggilan Ilahi pada 297 Hijrah.
Imam Junaid telah wafat di sisi As-Syibli, seorang daripada muridnya.

Ketika sahabat-sahabatnya hendak mengajar kalimat tauhid, tiba-tiba Imam
Junaid membuka matanya dan berkata, "Demi Allah, aku tidak pernah
melupakan kalimat itu sejak lidahku pandai berkata-kata."

“Aku ini hamba yang tidak punya kemerdekaan. Aku akan pergi bila Allah
menyuruhku pergi, sama ada ke syurga atau ke neraka.”

(Junaid al-Baghdadi)

75

12
Imam al-Ghazali, Ulama Tasauf dan Hujjatul Islam

Imam al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 H/1058 M, di sebuah kampung
bernama Ghazalah, Tus, di dalam wilayah Khurasan. Beliau telah
dilahirkan dalam keluarga miskin tetapi kuat pegangan agamanya.
Ayahnya seorang penenun bulu dan mempunyai sebuah kedai tempat dijual
barang dagangan di pekan Tus. Ayah beliau seorang yang soleh, baik,
sentiasa merendah diri serta seorang ahli sufi.
Semasa kecil, Imam al-Ghazali telah belajar di kampungnya sendiri iaitu di
Tus dengan seorang guru bernama Imam Ahmad al-Razkani. Beliau telah
mempelajari ilmu fiqah daripada ulama tersebut. Aspek pelajaran yang
diikuti di peringkat ini adalah sama dengan anak-anak sebaya dengannya.
Pelajaran yang menekankan aspek menghafal al-Quran, mempelajari asas-
asas membaca dan menulis diikuti oleh pelajaran tatabahasa Arab dan nahu,
matematik, fiqah dan lain.
Bertemu Perompak Mengambil Bukunya
Selepas kewafatan ayahnya, Imam al-Ghazali telah melanjutkan pelajaran
ke Jurjan. Dengan semangat yang tinggi, bertahun-tahun beliau belajar
kepada ulama-ulama dan orang-orang bijak setempat.
Semasa di Jurjan, beliau telah berguru dengan Syeikh Ismail bin Saadah
Ismail. Untuk menjaga ilmu pengetahuan yang diperolehnya, beliau telah
mencatat setiap yang didapati daripada gurunya itu. Beliau sangat
mencintai jerih payahnya ini, bagaikan dirinya sendiri.

76

Beliau telah membuat catatan apa yang dipelajari berhubung dengan fiqah
mazhab Syafie daripada guru tanpa menghafal. Tempoh pengajianya di sana
selama lima tahun.

Dan setelah bertahun-tahun belajar, akhirnya pada tahun 470 H, Imam al-
Ghazali berhasrat untuk pulang ke kampung halamannya. Beliau menyusun
dan mengumpulkan catatan-catatannya, lalu ikut kafilah yang akan pergi ke
kampungnya. Ditengah jalan, kafilah itu dihalang oleh sekumpulan
perompak. Mereka mengambil setiap barang yang dijumpai.

Pada giliran barang-barang bawaan Imam al-Ghazali, beliau berkata kepada
perompak tersebut, “Kalian boleh ambil semua barang-barangku, tapi tolong
jangan kalian ambil yang satu ini.” Perompak tersebut menduga bahawa
pasti itu ialah barang-barang yang bernilai. Secepat kilat mereka merebut
dan membukanya. Mereka tidak melihat apa-apa kecuali lembaran kertas-
kertas yang hitam.

“Apa ini? Untuk apa engkau menyimpannya? tanya para perompak itu.

“Itulah barang-barang yang tidak akan berguna bagi kalian, tapi berguna
bagiku,” jawab beliau.

“Apa gunanya?”

“Ini adalah hasil pelajaranku selama beberapa tahun. Jika kalian
merampasnya dariku, maka ilmuku akan habis dan usahaku yang bertahun-
tahun itu akan sia-sia. “

“Hanya yang ada dalam lembaran-lembaran inikah ilmumu?” Tanya salah
seorang perompak “

“Ya.” Jawab beliau.

“Ilmu yang disimpan dalam bungkusan dan yang dapat dicuri, sebenarnya
bukanlah ilmu. Fikirkanlah nasib dirimu baik-baik.”

Ucapan sederhana yang keluar dari mulut perompak tersebut, benar-benar
menggoncang jiwa dan kesedaran beliau. Beliau yang sampai saat itu masih
berfikir untuk sekadar mengikut gurunya dan mencatat ilmunya di buku-
buku catatan sahaja, seketika berubah fikiran, yakni berusaha melatih
otaknya lebih banyak, mengkaji dan menganalisa, lalu menyimpan ilmu-
ilmu yang bermanfaat itu di “buku otaknya”.

77

Imam al-Ghazali berkata: “Sebaik-baik nasihat yang membimbing
kehidupan pembelajaranku adalah nasihat yang kudengar dari mulut
seorang perompak.”

Beliau telah mengubah ciri pembelajarannya daripada bentuk membuat
catatan kepada hafalan yang mana beliau telah menghafal buku-buku
catatan keseluruhannya.

Dengan tindakan dan perubahan yang dibuat telah menjadikan beliau pakar
dalam pelbagai bidang ilmu yang diikuti sehingga para pengkaji telah
menyifatkan beliau sebagai ensiklopedia zaman itu.

Dari sudut lain pula, perubahan yang dibuat itu menunjukkan beliau ialah
seorang yang benar-benar peka dengan apa yang dialami serta mengambil
tindakan segera bagi menyelamatkan diri aripada menghadapi keadaan
yang boleh merosakkan dirinya. Kepekaan itu kelihatan sama dalam konteks
tindakan dan sumbangannya menyelamatkan masyarakat.

Berguru dengan Imam al-Haramain

Selepas menamatkan pelajaran fiqah di Tus dan Jurjan, Imam al-Ghazali
berpindah ke Naisabur pada tahun 473H. Ketika itu beliau berumur 23
tahun.

Di sini beliau berguru dengan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam pelbagai
bidang ilmu seperti ilmu falsafah dan fiqah mazhab Syafie.

Imam al-Ghazali ialah seorang murid Imam al-Juwaini yang paling pintar
dan kuat berusaha serta suka menyelidik dan mengkaji sehingga guru itu
menyifatkan beliau sebagai ‘lautan yang melimpah’. Dengan imam besar ini
beliau mendalami ilmu fiqah lebih mendalam lagi.

Sifat Peribadi Imam al-Ghazali

Imam al-Ghazali tidak pernah mengenal masa kosong dalam hidupnya,
malah kesemuanya dipenuhkan dengan amalan yang berfaedah. Beliau
mengambil manfaat dari setiap detik masanya, yang menunjukkan betapa
beliau menghargai masanya dengan serius tanpa mengenal penat lelah dan
jemu. Inilah yang melayakkannya mencapai kemuncak keilmuan di dalam
dunia Islam, padahal umurnya belum menjangkau 34 tahun.

Kemungkinan kajian Imam al-Ghazali tentang falsafah, menjadi contoh yang
dapat menunjukkan tentang sifat dan kekuatannya. Imam al-Ghazali
memberitahu tentang pembelajarannya mengenai falsafah tanpa bantuan

78

dari mana-mana guru, padahal beliau sendiri begitu sibuk dengan tugas
mengajar kepada 300 orang pelajar di Universiti Nizamiyah.

Penyelidikan ini dilakukan beliau di masa-masa kosong setelah beliau
selesai mengarang. Dalam waktu yang terbatas ini antara ruang mengajar
menyampaikan syarahan dan mengarang, beliau berjaya sampai ke
kemuncak ilmu ahli falsafah kurang dari dua tahu. Sekaligus membuka
jalan kepadanya untuk mengeluarkan dua buah karyanya selepas itu iaitu
Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah.

Allah SWT menganugerahkan kepada Imam al-Ghazali keinginan yang kuat,
di mana dengan keinginan ini, beliau berjaya menguasai dirinya dan
merubah perjalanan hidupnya secara menyeluruh. Saat manis ini berlaku
ketika beliau berada dikemuncak kecemerlangan ilmu. Para umara, wazir-
wazir dan juga ulama berguru kepadanya.

Kejayaan yang dicapai oleh Imam al-Ghazali, menjadi cita-cita yang ingin
dicapai oleh semua orang. Bagaimanapun apabila beliau meneliti dan
memeriksa diri menurut neraca akhirat, beliau mendapati dirinya berada
dalam suasana kehidupan yang menyimpang dari landasan kebenaran.
Zahirnya diisi dengan agama dan ilmu, tetapi batinnya inginkan dunia dan
kemungkaran.

Ketika berlaku perubahan ini, Imam al-Ghazali meninggalkan semua
jawatan, pangkat, harta benda dan kemasyhuran yang dimilikinya. Beliau
menzuhudkan diri dari semua ini dalam satu masa sahaja, malah beliau
meninggalkan segala kemewahan dan kemegahan dan berpindah kepada
satu suasana yang lain dengan merempuh cara hidup orang-orang fakir dan
dagang, demi mempelajari dan memgamalkan sifat ikhlas pada diri.

Perubahan ini tidak mungkin berlaku, jika tidak kerana keinginan yang
kuat yang dimiliki oleh Imam al-Ghazali. Perjalanan hidup beliau ini
menggambarkan perjalanan hidup para salafus soleh seperti Umar bin
Abdul Aziz.

Kehidupan Imam al-Ghazali baik sebelum bertasauf mahupun selepasnya,
penuh dengan kebanggaan dengan kemampuan diri dan kedudukannya.
Perkara ini berlaku semasa beliau belum memasuki kehidupan tasauf.

Imam al-Ghazali melihat tidak ada orang yang benar-benar layak untuk
melakukan tugas membongkar penyelewegan golongan batiniyyah, kerana
tugas itu terlalu besar dan berat. Pendirian yang sama juga diambil oleh
beliau, ketika berhadapan dengan golongan falsafah. Tidak ada seorangpun

79

ulama muslimin yang dapat membatalkan hujah golongan tersebut dengan
cara yang betul.

Dengan caa seperti, beliau begitu bangga dengan kemampuan yang dimiliki
oleh beliau. Kebanggaan ini berterusan meskipun sesudah beliau bertasauf.
Cuma bentuknya sahaja yang lain. Beliau mengharapkan agar ia dapat
menjadi mujaddid kurun ke-5.

Keinginan dan harapan ini, dapat dilihat apabila beliau kembali semula ke
lapangan pengajaran selepas beruzlah selama 10 tahun.

Begitulah, walaupun setelah bertasauf, Imam al-Ghazali masih melihat
dirinya paling layak menjalankan tugas yang dinyatakan. Ini menjelaskan
tentang keaslian sifat ini pada diri beliau, sekalipun fenomenanya telah
berubah dari membuat kepastian kepada menaruh harapan dan cita-cita.

Mengajar di Universiti Nizamiyah

Selepas Imam al-Haramain al-Juwaini wafat pada tahun 478H, Imam al-
Ghazali telah berpindah ke Mu’askar dan menemui seorang menteri
kerajaan dari pemerintahan Saljuk, Turki bernama Nizamul Mulk. Beliau
telah mendapat sambutan yang baik di sana daripada menteri tersebut dan
juga para alim ulam tempatan.

Setelah beberapa pertemuan dengan ulama-ulama sana, akhirnya mereka
telah mengakui bahawa beliau seorang ulama besar. Dalam masa yang
sama, Menteri Nizamul Mulk telah melantik beliau sebagai pensyarah di
Universiti Nizamiyah dalam tahun 484 H di Baghdad.

Di sana beliau telah mengajar selama 4 tahun. Ramai pelajar dari institute
tersebut telah memberikan perhatian mereka terhadap pengajaran beliau.
Keahlian beliau dalam banyak cabang ilmu telah menarik perhatian para
ulama dan pelajar.

Menempuhi Kehidupan Tasauf dan Beruzlah

Imam al-Ghazali memulakan penghidupan tasaufnya pada bulan Rejab
tahun 488 H. Beliau telah meninggalkan Baghdad dengan niat untuk
beruzlah, mengasingkan diri daripada kehidupan manusia biasa. Selama 10
tahun beliau mengasingkan diri dengan rela hati. Sepanjang pemencilan
dirinya, beliau menetap di Damsyik, Syria. Lebih kurang 2 tahun beliau
hidup menyendiri.

80

Di peringkat awal penghidupannya berlaku tarik menarik di dalam dirinya
antara syahwat dunia dengan dorongan-dorongan akhirat. Sebelah kakinya
menuju ke hadapan, sebelah lagi mundur ke belakang. Di pagi hari
keinginan untuk menempuh kehidupan bertasauf begitu kuat, tetapi di
waktu petang, keinginan ini menjadi lemah semula sehingga akhirnya beliau
dapat juga menumpukan kepada jalan menuju ke akhirat.

Suasana ragu-ragu ini berlaku pada diri beliau selama enam bulan. Tempoh
yang lama, disebabkan oleh tarikan kebendaan yang bermain dalam diri
beliau. Dalam masa yang sama, tidak ada seorangpun yang memberi idea
dan pendapat kepada beliau yang membolehkan beliau terus menerus
memenuhi hasratnya itu.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah pengurusan secara peribadi semata-mata.
Perasaannya wujud dari tumpuan kepada ilmu tasauf, yang
menyedarkannya dan mendorongnya memuhasabah diri dan menilai
tindakan-tindakannya.

Imam al-Ghazali menempuh jalan tasauf dengan cara melakukan
mujahadah terhadap diri sendiri, tanpa bergantung kepada sebarang syeikh
atau guru. Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan pengakuan beliau
sendiri dalam Ihya Ulumuddin, yang menafikan kewujudan syeikh yang
mempunyai sifat-sifat yang layak untuk memikul tugas membimbing murid
dalam menempuh jalan tasauf di zamannya.

Menempuh jalan tasauf tanpa guru, bukanlah asing kepada Imam al-
Ghazali. Beliau mempunyai cita-cita dan keazaman yang kuat yang boleh
melintasi segala rintangan. Seperti sebelum ini, bagaimana ilmu falsafah
tunduk dan menyerahkan kepimpinannya kepada beliau.

Amalan pertama yang dilakukan beliau ialah mengagihkan harta yang ada
padanya. Beliau menyatakan:

“Aku bahagikan harta yang ada pada diri saya dan tidak menyimpan kecuali
sekadar yang perlu untuk aku dan anak-anak sahaja. Harta benda di iraq
aku waqafkan untuk muslihat orang-orang Islam. Aku tidak pernah melihat
di mana-mana di dalam dunia ini satu system pembahagian harta yang lebih
baik dari pada itu iaitu si alim mengambil wangnya untuk menyara
keluarganya sekadar yang perlu.”

Begitulah Imam al-Ghazali tidak merasa keberatan lagi untuk
meninggalkan kemegahan dan harta dan memulakan pengembaraannya.
Pengembaraan yang merubah kedudukannya sebelum ini yang sentiasa
mendapat kemuliaan dan sanjungan kepada kehidupan dalam bentuk

81

mengasingkan diri daripada orang ramai dan tidak memperkenalkan diri
kepada mereka.

Amalan beliau selepas itu ialah melakukan uzlah, mengadakan latihan dan
bermujahadah, di samping membersihkan diri, meluruskan akhlak dan
menumpukan hati untuk berzikir kepada Allah, sebagaimana yang
diperolehi daripada ilmu ahli-ahli sufi.

Imam al-Ghazali bercerita: “Kemudian aku menuju ke Damsyik, menetap di
sana hampir 2 tahun. Tidak ada pekerjaan kecuali hanya beruzlah, melatih
batin dan berjuang menentang nafsu untuk membersihkan diri, mendidik
akhlak dan mencuci hati dengan mengingati Tuhan sebagai ajaran yang aku
beroleh daripada ilmu tasauf. Aku mengunci diri di dalam Masjid Damsyik,
setiap hari naik ke puncak menara yang tinggi dan mengunci pintu dari
dalamnya.”

Ibnu Jauzi berkata: “Al-Ghazali tidak makan kecuali dari upah dari hasil
karangan-karangannya.”

Dalam tempoh uzlah ini, beliau telah mengarang kitab Ihya Ulumuddin dan
lain-lain.

Menuju ke Palestin, Mesir dan Tanah Suci

Pada tahun 490H, beliau menuju pula ke Palestin dan beruzlah di Masjidil
Aqsa, Beliau mengambil sikap demikian kerana keadaan politik pada masa
itu begitu kalut.

Beliau akhirnya meninggalkan Palestin dan menuju ke Mesir
menyelamatkan diri dari angkara tentera salib. Dari Kaherah, beliau
menuju ke Iskandariah dengan niat dihatinya untuk ke Moroko bagi
memenuhi undangan muridnya Muhammad bin Tumart yang telah
mendirikan pemerintahan di sana.

Beliau membatalkan niatnya ke Moroko dan sebaliknya menuju ke timur
iaitu ke Makkah dan Madinah. Selama lima tahun beliau berlindung di
bawah lindungan Kaabah bermunajat kepada Tuhan. Dari sana beliau
kembali semula ke Baghdad terjun ke dalam masyarakat berbekalkan
fahaman sufi yang diperolehinya berkat ilham dari Tuhan di tanah suci
Makkah dan Madinah.

Mengajar Semula Di Universiti Nizamiyah

82

Selepas pemencilan diri begitu lama, pada tahun 499H, Imam al-Ghazali
telah mengajar semula di Universiti Nizamiyah di Naisabur, Baghdad atas
permintaan sultan. Tetapi beliau tidak lama di situ. Beliau mengundurkan
diri sekali lagi dan terus mengasaskan sebuah madrasah serta mula
mengajar ilmu tasauf di Tus.

Beliau telah kembali ke tempat kelahirannya semula iaitu di Tus. Ketika itu
beliau berumur 43 tahun dan tinggal di sana selama 6 tahun dan beliau
mengarang bukunya berjudul Al-Munqiz min al-Dhalal.

Mendirikan Madrasah bagi Ahli Sufi dan Ahli Fiqah

Di sana Imam al-Ghazali mendirikan sebuah madrasah untuk ahli-ahli sufi
dan juga ahli fiqah. Beliau menceritakan kegembiraan yang dialami semasa
menjalankan tugas mengajar:

“Aku tahu bahawa aku akan kembali menyebarkan ilmu dan ini bererti
mengulang kaji lama hidup aku. Pada masa yang lampau, aku menyebarkan
ilmu hanyalah untuk mencari kemegahan. Begitu juga ucapan, perbuatan
dan niat serta tujuanku. Tetapi sekarang aku memberi ilmu dengan
meninggalkan niat kemegahan dan menjauhkan segala maksud yang
menuju kemegahan. Mudah-mudahan Tuhan mengetahui akan niat aku itu.”

Di samping mengajar dan mendidik para sufi, beliau menggunakan
waktunya untuk mengarang dalam segala bidang ilmu, diperbahurui semula
segala isi bukunya dan disesuaikan dengan fahaman sufi yang dianuti pada
masa itu.

Keluarga Imam al-Ghazali

Imam al-Ghazali mempunyai seorang isteri dan telah dikurniakan 3 orang
anak perempuan sedangkan anak lelakinya, Hamid telah wafat terlebih
dahulu. Ada seorang anak lelakinya yang tinggal iaitu bernama Abu Ahmad
Mujidudin.

Karya-karya Imam al-Ghazali

83

Ihya Ulumuddin

Imam al-Ghazali sememangnya seorang penulis yang kaya dengan idea dan
buah fikiran dalam menghasilkan karya. Minat dan daya penulisannya
sangat kuat serta bertenaga dan ideanya yang tidak luntur dek zaman
walaupun sewaktu beliau mengasingkan diri untuk menghayati kehidupan
seorang sufi.

Pada saat ini, beliau telah berjaya mengarang kitabnya yang agung dan
bernilai iaitu Ihya Ulumuddin. Gaya penulisan beliau terbahagi kepada dua
bentuk iaitu bercorak ilmiah dan juga umum. Buku bercorak umum ditulis
untuk masyarakat umum yang tidak mendapat peluang pelajaran tinggi.

Dalam buku-buku ini, beliau telah mengemukakan perkara-perkara agama
dan akhlak dengan bahasa yang mudah. Antara karya tersebut ialah
Bidayatul Hidayah dan Minhaj al-Abidin.

Manakala buku-buku ilmiah yang ditulis ialah untuk individu yang memiliki
kemampuan daya pemikiran yang bebas di mana dianggap oleh beliau
sebagai syarat asas dalam setiap kerja ilmiah.

Di antara karya-karyanya yang terkenal ialah:

1. Ihya Ulumuddin
2. Bidayatul Hidayah
3. Al-Munqiz min al-Dalal
4. Kimia as-Sa’adah
5. Misykatul Anwar
6. Minhaj al-Abidin
7. Tahafut al-Falasifah
8. Dan lain-lain

Mengalihkan Tumpuan Pada Hadis Di Akhir Hayatnya

84

Didalam Tabaqaat al-Subki menjelaskan bahawa Imam al-Ghazali melalui
peringkat ketidak stabilan pada awalnya dan keadaan menjadi lebih jelas
pada peringkat akhir hayatnya. Telah diriwayatkan bahawa beliau pada
akhir hayatnya kembali kepada hadis-hadis sahih, dimana beliau sendiri
mempelajari dan menghafal kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.
Dikatakan pada penghujung penghidupannya, beliau telah mendengar
Sahih Bukhari dari Abu Sahl Muhammad Abdul Hafsi, dan Sunan Abu Daud
dari Qadhi Abu al-Fath al-Hakimi al-Thusi.
Diceritakan oleh murid beliau, Abdul Ghafur al-Farisi mengenai tahap akhir
penghidupan gurunya: “Pada peringkat akhir beliau telah menunjukkan
minat yang mendalam berkenaan hadis al-Mustafa (Hadis Nabi s.a.w.) dan
mentelaah Sahih Bukhari dan Muslim.
Menurut Ibnu Katsir: “(Pada akhir hayat) dia telah pulang ke negerinya Tus
dan tinggal disana, membentuk perhubungan, mengadakan rumah yang
baik, menanam tanan-tanaman di kebun yang indah, membaca al-Quran dan
menghafal hadis-hadis sahih. Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau lebih
cenderung kepada mendengar hadis-hadis Bukhari dan Muslim dan
menghafalmnya.

Imam Az-Zahabi berkata: “Pada akhir kehidupannya, beliau tekun menuntut
ilmu hadis dan berkumpul dengan ahlinya serta menelaah shahihain (Sahih
Bukhari dan Muslim). Seandainya beliau berumur panjang, niscaya dapat
menguasai semuanya dalam waktu singkat. Beliau belum sempat
meriwayatkan hadis dan tidak memiliki keturunan kecuali beberapa orang
puteri.”
Wafatnya Imam al-Ghazali

85

Maqam Imam al-Ghazali

Adik Imam al-Ghazali, Ahmad menceritakan saat menjelang ajal abangnya:
“Pada waktu subuh hari Isnin, abangku Abu Hamid mengambil wuduk lalu
bersolat. Kemudian beliau berkata: “Bawakan kain kapanku,” lalu diambil
dan dicium serta diletakkan di mata sambil berkata lagi: “Aku patuh dan
taat untuk masuk kepada malaikat.” Kemudian al-Ghazali mengunjurkan
kakinya dan menghadap ke kiblat dan wafat sebelum matahari terbit.”

Imam al-Ghazali wafat pada pagi Isnin, 14 Jamadilakhir 505H/19 Disember
1111M di Tus dengan kitab hadis atas dadanya. Jenazah beliau dikebumikan
di makam al-Tabaran, bersebelahan dengan makam penyair besar yang
terkenal, Firdausi.

Diceritakan bahawa Syeikh Abul Hasan al-Syadzili bermimpi bahawa dia
melihat Nabi s.a.w. menunjukkan Imam al Ghazali kepada Nabi Musa dan
Isa, sambil bertanya kepada kedua mereka, “Adakah terdapat orang alim
yang bijaksana dalam umat anda berdua?” Jawab keduanya tidak ada.

“Sesungguhnya memandang wajah ulama dan orang-orang soleh adalah
ibadah.”

(Imam al-Ghazali)

“Tidak boleh para pelajar bermatlamat menuntut ilmu untuk tujuan mencari
pangkat, harta kekayaan dan kebesaran, menindas orang bodoh dan
membanggakan diri di hadapan teman-temannya.”

(Imam al-Ghazali)

86

“Sesiapa yang berilmu lalu mengamalkannya, dia adalah diakui sebagai
orang besar di kerajaan langit.”
(Imam al-Ghazali)

“Apabila anda mengadakan penyelidikan terhadap ilmu, pasti anda akan
melihat kelazatan pada ilmu tersebut. Oleh itu tujuan mempelajari ilmu itu

kerana ilmu itu sendiri.”
(Imam al-Ghazali)

87

13
Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Ulama Sufi dan Sultanul

Auliya

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dilahirkan pada tahun 470 H di sebuah
kampung Nif, di daerah Jilan, Iran. Beliau berketurunan Arab iaitu
daripada sebelah ayahnya yang sampai kepada Hasan bin Ali.
Kedua ibu bapanya sangat warak. Menurut kisah, dahulu ibunya seorang
wanita yang tidak pernah melihat perkara yang diharamkan, tidak pernah
mendengar umpatan dan tidak pernah mengucapkan perkataan yang kotor.
Berhijrah Ke Baghdad dan Mencari Ilmu
Pada tahun 488 H, ketika berumur 18 tahun, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani
telah berhijrah ke kota Baghdad untuk mencari ilmu dan pada masa yang
hampir sama, ulama besar tasauf, Imam al-Ghazali sedang meninggalkan
Baghdad untuk mencari kebenaran.
Sebelum berangkat dari rumahnya untuk mengikuti satu kafilah yang akan
menuju ke Baghdad, ibu Syeikh Abdul Qadir telah memberinya sedikit wang
sebagai belanja pergi dan balik serta sedikit bekalan makanan. Sebelum
anaknya berangkat, ibunya telah menyembunyikan wang anaknya itu pada
bahagian lengan baju anaknya lalu dijahitnya supaya tidak diketahui orang.
Setelah segala-galanya siap, ibunya pun berpesan kepada anaknya: “Hai
anakku, dengarlah baik-baik pesan ibu ini. Apabila engkau dalam perjalanan
dan berada di negeri orang, engkau hendaklah sentiasa bercakap dan
berlaku benar. Ketahuilah bahawa orang Islam tidak boleh bercakap dusta.
Hendaklah engkau ingat hai anakku akan sabda baginda Nabi: “Bahawa

88

amanah itu kekayaan.” Berlaku benarlah baik dalam tuturkata mahupun
dalam perbuatan supaya engkau beroleh selamat dan dilindungi oleh Allah
SWT.” Demikian indahnya ibunya berpesan.

Maka setelah lama dalam perjalanan mengikuti kafilah yang akan pergi ke
Baghdad itu, tiba-tiba kafilah yang disertai oleh Syeikh Abdul Qadir telah
diserang rompak oleh penyamun. Habis segala barang yang dibawa oleh
beliau dirompak mereka. Ketika habis barang kepunyaannya dirompak,
salah seorang penyamun itu telah bertanya kepada beliau, katanya:

“Hai budak! Apa lagi yang ada pada engkau. Cakaplah benar kepadaku!”
gertak penyamun itu dengan suara yang keras, lalu dijawab oleh beliau: “Ya
ada! Aku ada empat puluh ashrafis,” ujarnya tegas dan bersahaja.

Penyamun itu lantas terkejut mendengarkan kata-kata budak itu kerana
sangkanya tentulah budak itu mempersendakannya. Masakan seorang
budak hendak memberitahu kepada seorang penyamun dia masih ada wang
lagi.

“Apakah engkau mahu memperolok-olokkan aku?”

“Tidak, sungguh tuan, saya tidak berkata dusta.” Sahut Syeikh Abdul Qadir
lalu menyambung:

“Tuan, tidakkah tuan tahu bahawa orang yang sedang menuntut atau
mengejar ilmu itu seperti sedang berjalan menuju ke syurga kerana sentiasa
disertai malaikat yang sedia menolongnya. Saya bercita-cita menjadi seorang
yang beriman lagi berilmu. Saya ialah keturunan Rasulullah s.a.w. dan saya
benci sekali bercakap bohong. Apalah ertinya wang 40 ashrafis pada saya ini
tuan, hingga saya terpaksa berbohong? Seorang Islam yang sejati tidak
sekali akan berbohong sekalipun dalam bahaya dan kesulitan!”

Kali ini penyamun itu merasa semakin terkejut lagi mendengarkan kata-
kata Syeikh Abdul Qadir. Dia berasa hairan memikirkan sikap budak itu
yang secara berani dan tegas memperkatakan yang benar tanpa berganjak
sedikit[un. Dengan perasaan bingung penyamun itu pun lalu membawa
Syeikh Abdul Qadir menemui ketua mereka.

“Siapa nama engkau dan dari kota mana engkau datang?” tanya ketua
penyamun kepadanya apabila dibawa mengadap.

“Nama saya Abdul Qadir dan saya datang dari Jilan.”

“Ke mana engkau hendak pergi?”

89

“Baghdad.”

“Tujuan apa engkau ke sana?”

“Saya hendak menuntut ilmu.”

“Bagus! Bagus! Engkau tentu bawa wang bukan?”

“Benar! Saya mempunyai 49 ashrafis.”

Mendengarkan pengakuan budak itu ketua penyamun ini pula menjadi
terkejut lantas dia berkata lagi: “Apa benarkah apa yang engkau katakana
hai budak atau engkau sengaja hendak memperolok-olokkan aku?”

“Benar tuan! Saya tidak suka dan tidak pernah bercakap bohong kerana
saya seorang Islam. Inilah ajaran ibu saya semenjak saya pandai bercakap
lagi. Apalah erti wang 40 ashrafis bagi saya ini hingga saya terpaksa
berbohong. Dan apalah gunanya saya hendak bersusah payah mencari ilmu
di tampat yang jauh kalau untuk menjadi seorang pembohong! Akan sesialah
segala amal dan ibadat saya dan akan sesialah pula asuhan dan didikan ibu
saya!”

Dengan kuasa Allah SWT, ketua penyamun itu menjadi terpaku sebentar
tatkala mendengarkan kata-kata Syeikh Abdul Qadir yang penuh iman dan
hikmat itu lantas dia pun menjadi malu dan insaf. Akhirnya dengan
bercucuran air mata kesedihan ketua perompak itu memohon maaf daripada
Syeikh Abdul Qadir lau bertaubat dari melakukan kerja yang mungkar lagi
hina itu.

Di Baghdad, Syeikh Abdul Qadir menghabiskan masanya dengan mendalami
ilmu di bawah asuhan guru-guru agama yang masyhur seperti Abu Zakaria
al-Tabrizi, Wafa’ Ibnu Aqil dan lain-lainnya. Di samping itu, beliau belajar
ilmu tasauf dengan Qadhi Abu Said.

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ialah seorang murid yang bijak dan cemerlang
kerana dapat menamatkan pengajian agama dan latihan rohaninya dalam
masa singkat. Gurunya, Qadhi Abu Said telah melantik beliau sebagai guru
untuk memimpin murid-murid yang baru.

Dalam masa beberapa tahun, nama Syeikh Abdul Qadir al-Jailani telah
terkenal dan menjadi sebutan para penduduk kota Baghdad. Beliau sentiasa
menerima penghormatan dan sanjungan.

90

Walaupun namanya telah masyhur, beliau tetap merendah diri. Beliau
seorang yang pengasih, pemurah, tinggi akhlaknya dan tidak sombong.
Beliau memuliakan orang-orang tua, mendekati orang awam dan suka
bersedekah kepada orang miskin.
Sifat Peribadi Syeikh Abdul Qadir al-Jailani

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ialah seorang yang lemah lembut, tulus
hatinya dan mulia akhlaknya. Usia hidupnya dipenuhi dengan amal
kebaikan. Setiap detik dan masa, beliau melakukan amalan terpuji dan
menjauhkan diri daripada segala amalan keji. Setiap saat beliau sentiasa
khusyuk berzikir dan mengingati Allah.
Seorang ahli di zamannya berkata: “Aku tidak pernah melihat dengan kedua
mataku orang yang lebih bagus akhlaknya, lebih lapang dadanya, lebih
mulia jiwanya, lebih lembut hatinya dan lebih menepati janjinya dari Syeikh
Abdul Qadir al-Jailani. Beliau dengan kesabarannya, ketinggian
kedudukannya dan keluasan ilmunya bergaul dengan orang-orang yang
lebih muda, menghormati yang lebih tua, selalu memulai salam lebih dulu,
bergaul dengan orang-orang lemah dan fuqara.”
Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ialah seorang suka bersedekah. Beliau sering
menemui orang-orang miskin yang memerlukan bantuan. Jika beliau
membuat jamuan, beliau menjemput orang-orang miskin datang makan di
rumahnya. Beliau tidak sanggup memakai pakaian yang elok selagi masih
ada orang-orang yang tiada berpakaian.
Sekiranya beliau dikurniakan oleh Allah harta seluas muka bumi, beliau
akan membelanjakannya kepada orang-orang miskin.

91

Kehidupan beliau adalah zuhud dan serba kekurangan sedangkan beliau
boleh memiliki apa sahaja yang diminta. Berbeza pula halnya orang-orang
miskin yang hidup serba kekurangan disebabkan tidak memiliki harta.

Muhammad bin Yusuf al-Isybili berkata: “Syeikh Abdul Qadir ialah seorang
yang dikabulkan doanya, sering menitiskan air mata, selalu berzikir, banyak
tafakur, berhati lembut, selalu ramah, berjiwa mulia, dermawan, berilmu
luas dan berakhlak mulia dengan keteguhan dalam ibadah dan ijtihad.”

Berdakwah

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani bersama beberapa orang ulama besar di
zamannya telah berusaha memperbetulkan kembali masyarakat Baghdad
yang rosak. Mereka menyampaikan dakwah melalui kuliah-kuliah dan
ceramahnya. Mereka turut memulihkan kehidupan social, akhlak dan rohani
masyarakat secara meluas seperti membuka pusat-pusat pengajian ilmu.

Kesannya, beribu-ribu orang telah bertaubat kepada Allah dan
meninggalkan maksiat.

Karamah Syeikh Abdul Qadir al-Jailani

Salah satu daripada kemasyhuran Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ialah
memiliki karamah yang luar biasa. Karamah yang dimaksudkan ialah beliau
berjaya memberikan keyakinan dan semangat kepada golongan yang lemah
iman dan berputus asa.

Beliau telah menghidupkan roh kehidupan beragama dan mengembalikan
kekuatan rohani manusia. Ia terbukti, ramai orang telah bertaubat,
manakala orang-orang Yahudi dan Kristian memeluk Islam secara beramai-
ramai.

Syeikh Izzuddin bin Abdissalam berkata: "Tidak ada seorangpun yang
karamahnya diriwayatkan secara mutawatir kecuali Syeikh Abdul Qadir
Jailani."

Syeikh Nuruddin asy-Syathanufi al-Muqri mengarang sebuah buku yang
menjelaskan tentang sirah dan karamah beliau dalam 3 jilid, dalam buku
tersebut dikumpulkan semua berita yang berkaitan dengan syeikh sama ada
itu berita yang benar, palsu mahupun hanya cerita rekaan. Wallahua'lam.

Anak-anaknya

Syeikh Abdul Qadir memiliki 49 orang anak, 27 di antaranya ialah lelaki.

92

Antara anak-anaknya ialah Syeikh Abdul Wahab dan Musa.

Karya-karya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani

1. al-Fath ar-Rabbani (Wahyu Agung)
2. Futuh al-Ghaib (Penyingkapan Keghaiban)
3. Malfuzat (Nasihat-Nasihat Syeikh Abdul Qadir al-Jailani)

Karya-karya lain meliputi risalah-risalah ringkas mengenai serangkaian
doa, doa-doa dan munajat dan syair-syair kesufian.

Pujian Para Ulama Kepadanya

Imam Az-Zahabi berkata: "Intinya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani memiliki
kedudukan yang agung. Tetapi terdapat kritikan-kritikan terhadap
sebahagian perkataannya dan Allah menjanjikan (ampunan atas kesalahan-
kesalahan orang-orang beriman). Namun sebahagian perkataannya
merupakan kedustaan atas nama beliau."

Imam Az-Zahabi juga berkata: "Tidak ada seorangpun para ulama besar
yang riwayat hidup dan karamahnya lebih banyak kisah hikayat, selain
Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dan banyak di antara riwayat-riwayat itu
yang tidak benar bahkan ada yang mustahil terjadi."

Ibnu Jauzi berkata: “Beliau berbicara kepada manusia dengan lisan nasihat,
terkenal dengan kezuhudannya, memiliki sifat-sifat yang agung dan
berwibawa. Beliau biasa mengadakan majlis di tembok kota Baghdad,
bersandar ke Ribath dan banyak manusia yang bertaubat di majlisnya.”

Diuji Suara Panggilan Dari Syaitan

Syeikh Abdul Qadir al-Jailani telah berjaya melepasi beberapa halangan
untuk mencapai iman yang tinggi. Beliau telah berjaya mematahkan bisikan
syaitan ketika menjalani ibadahnya.

Ada sebuah kisah yang diriwayatkan dari Musa bin Syeikh Abdul Qadir al-
Jailani, beliau berkata: Aku mendengar ayahku bercerita:

“Pada suatu waktu, ketika aku sedang berada dalam perjalanan di sebuah
gurun. Berhari-hari lamanya aku tidak menemukan air dan aku sangat
kehausan. Tiba-tiba ada awan yang melindungiku dan turun darinya setitis
air kemudian aku meminumnya dan hilang rasa dahagaku, kemudian aku
melihat cahaya terang-benderang, tiba-tiba ada suara memanggilku, "Wahai
Abdul Qadir, Aku Tuhanmu dan Aku telah halalkan segala yang haram
kepadamu."

93

Maka Abdul Qadir berkata: "Pergilah wahai engkau syaitan terkutuk." Tiba-
tiba berubah menjadi gelap dan berasap, kemudian ada suara yang
mengucapkan: "Wahai Abdul Qadir, engkau telah selamat dariku (syaitan)
dengan amalmu dan fiqihmu."
Wafatnya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani

Maqam Syeikh Abdul Qadir al-Jailani
Anak beliau, Musa menceritakan semasa sakit menjelang ajal Syeikh Abdul
Qadir al-Jailani, beliau berusaha hendak mengucapkan kata ta’azzaza,
beliau tidak dapat membetulkan lidahnya bagi mengucapkannya dengan
tepat, jadi beliau mengulang-ulang menyebut ta’azzaza secara perlahan-
lahan dan tetap, hingga lidahnya dapat menyebut: “Allah, Allah, Allah…”
hingga suaranya menghilang dan lidahnya terangkat ke langit-langit
(mulut). Kemudian itu beliau pun menghembuskan nafas terakhir.
Semoga Allah meredhainya dan memberinya kepuasan! Semoga Dia
mempersatukan kita kembali dengannya “di tempat kediaman yang pasti, di
hadapan Raja Yang Maha Perkasa.”
Syeikh Abdul Qadir al-Jailani wafat pada malam Sabtu, 8 Rabiulakhir 561
H/1166 M di Baghdad, ketika berusia 90 tahun.
Beliau merupakan penghulu segala wali Allah yang meninggalkan ramai
murid-murid yang soleh dan warak. Semoga Allah meredhai dan
menempatkan beliau dalam keluasan jannahNya.

“Seorang sufi ialah seorang yang bersih batin dan zahirnya dengan
mengikuti Kitabullah dan sunnah RasulNya.”
(Syeikh Abdul Qadir al-Jailani)

94

14
Ibnu Firnas, Melakukan Cubaan Pertama Terbang Di

Udara

Pada abad ke-8, seorang Muslim Sepanyol, Ibnu Firnas, telah menemukan,
mencipta dan menguji konsep pesawat terbang. Konsep pesawat terbang
Ibnu Firnas inilah yang kemudian dipelajari Roger Bacon selepas 500 tahun
setelah Ibn Firnas meletakkan teori-teori dasar pesawat terbang.
Sekitar 200 tahun setelah Bacon atau 700 tahun percubaan Ibnu Firnas,
barulah konsep dan teori pesawat terbang dikembangkan.
Ibnu Firnas atau nama sebenarnya, Abbas Qasim bin Firnas dilahirkan di
Ronda, Sepanyol pada tahun 810 M. Dia dikenal sebagai orang Barbar yang
ahli dalam bidang kimia dan memiliki daya kreatif dan kerap menciptakan
barang-barang berteknologi baru saat itu.
Ilmuwan yang suka bermain muzik dan mengarang puisi ini hidup pada saat
pemerintahan Khalifah Umaiyah di Sepanyol (dulu bernama Andalusia).
Masa kehidupan Ibnu Firnas sezaman dengan masa kehidupan pemuzik
Iraq, Ziryab.
Melakukan Cubaan Pertama Terbang Di Udara

95

Pada tahun 875 M, Ibnu Firnas telah membuat sebuah model pesawat
terbang dengan meletakkan bulu pada sebuah bingkai kayu. Inilah catatan
dokumentasi pertama yang sangat lama tentang pesawat terbang.
Setelah menyelesaikan model pesawat terbang yang dibuatnya, Ibnu Firnas
mengundang masyarakat Cordova untuk datang dan menyaksikan hasil
karyanya itu. Beliau ingin melakukan percubaan terbang dari menara
Masjid Mezquita dengan menggunakan sayap atau jubah tanpa lengan yang
dipasangkan di tubuhnya.
Warga Cordova saat itu menyaksikan dari dekat menara tempat Ibnu Firnas
akan melakukan penemuannya. Namun karana cara meluncur yang kurang
baik, Ibnu Firnas terhempas ke tanah bersama pesawat terbang buatannya.
Beliau pun mengalami cedera belakang yang sangat parah. Cederanya inilah
yang memaksa Ibnu Firnas tidak berdaya untuk melakukan percubaan
berikutnya.
Ada catatan yang menyebutkan, Ibnu Firnas lalai memperhatikan
bagaimana burung menggunakan ekor mereka untuk mendarat. Beliau pun
lupa untuk menambahkan ekor pada model pesawat terbang buatannya.
Kelalaiannya inilah yang mengakibatkan beliau gagal mendaratkan pesawat
ciptaannya dengan sempurna.

Masjid Mezquita di Cordova
Menara Masjid Mezquita di Cordova saat itu menjadi saksi bisu perwujudan
konsep pertama pesawat terbang yang lahir dari pemikiran seorang muslim.
Cedera belakang yang tidak kunjung sembuh mengalihkan tumpuan Ibnu
Firnas pada projek-projek penelitian dan pengembangan konsep serta teori
dari gejala-gejala alam yang diperhatikannya.

96

Karya-karya baru pun bermunculan dari buah pemikiran Ibnu Firnas. mulai
dari puisi, kimia, sampai astronomi, semuanya dipelajarinya dengan satu
tujuan, iaitu mampu memberikan manfaat bagi umat manusia.
Di antara hasil karyanya yang monumental adalah konsep tentang
terjadinya halilintar dan kilat, jam air serta cara membuat gelas dari garam.
Ibnu Firnas juga membuat rantai rangkaian yang menunjukkan pergerakan
benda-benda planet dan bintang. Selain itu, Ibnu Firnas pun menunjukkan
cara bagaimana memotong batu kristal yang saat itu hanya boleh dilakukan
oleh orang-orang Mesir.
Sayang, tidak lama setelah itu, tepatnya pada tahun 888 M, Ibnu Firnas
wafat dalam keadaan berjuang menyembuhkan cedera belakang yang
dideritanya akibat kegagalan melakukan pendaratan pesawat terbang
buatannya.
Philip Hitti seorang sejarawan Arab berkata: “Ibnu Firnas ialah orang
pertama dalam sejarah yang mencipta ilmu pengetahuan tentang pesawat
terbang.”
Ketika orang-orang barat mengajar anak-anak mereka mengenai Wright
Bersaudara, negara-negara Islam mengajar anak-anak mereka mengenai
Ibnu Firnas, seribu tahun sebelum Wright.

Tugu Ibnu Firnas di Iraq
Libya mengeluarkan setem sebagai menperingatinya. Iraq membina tugu
bagi memperingati dirinya dalam perjalanan ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Iraq dan Lapangan Terbang Ibnu Firnas di utara Baghdad
dinamakan sempena namanya.

97

15
Ibnu Sina, Menyelamatkan Perut Raja

Ibnu Sina adalah seorang ilmuwan Islam di abad pertengahan yang
mempunyai banyak kepakaran. Di Barat, beliau dikenal sebagai Avicenna
dan karya-karyanya sangat digemari di sana.
Ibnu Sina dilahirkan di Isfahan pada bulan safar tahun 370 Hijrah/980
Masihi.
Nama sebenarnya ialah Abu Ali Al-Husain bin Abdullah bin Hasan bin Ali
bin Sina. Ketika berusia sepuluh tahun, Ibnu Sina telah hafal ayat-ayat suci
Al-Quran dan menguasai ilmu Al-Quran beserta berbagai ilmu lainnya
ketika berusia belum sampai tujuh belas tahun.
Belajar Sendiri
Ibnu Sina sudah menguasai ilmu tafsir dan usuludin ketika berusia sepuluh
tahun lagi. Kemudian beliau mentelaah falsafah, politik dan logik,
matematik, fizik, politik dan kedoktoran hingga berusia 16 tahun.
Kecerdasannya semakin tampak apabila beliau sering kali menyelesaikan
persoalan yang tidak dapat diselesaikan oleh gurunya. Setelah berusia 16
tahun, beliau mula belajar sendiri. Beliau sangat menyenangi ilmu
kedoktoran dan metafizik.
Gurunya yang pertama adalah bapanya sendiri, seorang alim, Abdullah
Natalia. Beliau mempelajari ilmu kedoktoran daripada seorang kristian yang
bernama Isa bin Yahya. Sebelum usianya mencecah 17 tahun nama beliau
telah terkenal sebagai seorang tabib.
Ibnu Sina juga terkenal sebagai seorang pengembara. Setelah kematian
ayahnya ia mulai berkelana, menyebarkan ilmu dan mencari ilmu yang

98

baru. Tempat pertama yang menjadi tujuannya setelah hari duka itu adalah
Jurjan, sebuah kota di Timur Tengah. Di sinilah ia bertemu dengan seorang
sasterawan dan ulama besar Abu Raihan Al-Biruni. Al-Biruni adalah guru
baru dengan ilmu yang baru pula bagi Ibnu Sina.

Setelah Jurjan dan Al Biruni, tidak lama Ibnu Sina melanjutkan lagi
pengembaraannya. Rayy dan Hamadan adalah kota selanjutnya, sebuah
kota dimana karyanya yang terkenal Al-Qanun Fi Al-Tibb mulai dituliskan.
Di tempat ini pula Ibnu Sina banyak berjasa, terutama pada raja Hamadan.

Seakan tak pernah lelah, beliau melanjutkan lagi pengembaraannya, kali ini
daerah Iran menjadi tujuannya. Di sepanjang jalan yang dilaluinya itu,
banyak lahir karya-karya besar yang memberikan manfaat besar pada dunia
ilmu kedoktoran khususnya.

Ketua Segala Doktor

Ibnu Sina mula menjadi doktor ketika berusia 18 tahun. Beliau
menyembuhkan Raja Nuh bin Mansur, pemerintah kerajaan Samaniyah.
Sejak itu, beliau dilantik menjadi doktor istana. Pembesar negeri lain seperti
Ratu Sayyidah dan Suktan Majdud dari Rayy, Syamsu Dawla dari Hamadan
dan Alaud Dawla dari Isfahan juga pernah mengundangnya.

Oleh sebab keahliannya, Ibnu Sina digelar 'al-Syeikh al-Ra'is' (guru para
raja). Dalam bidang kedoktoran, beliau digelar 'pengeran para doktor' dan
'raja ubat'. Dalam dunia Islam, beliau dianggap sebagai puncak ilmu
kedoktoran.

Menyelamatkan Perut Raja

Otak Ibnu Sina sangat luar biasa, setiap ilmu yang dipelajarinya lekat dalam
fikirannya. Dalam usia yang masih remaja, dia telah menguasai ilmu tafsir,
perubatan, falsafah, logika, matematik, astronomi, muzik dan lain-lain.

99


Click to View FlipBook Version