diajarkan oleh mereka ini adalah ilmu sains yang tumbuh dan subur dalam alam
tauhid yang di dalamnya disedari bahawa wujud Allah meliputi segalanya.
Jika dilihat bidang kesenian, maka boleh dibuat beberapa kenyataan dan
pengamatan tentang hal ini dengan secara amnya. Antaranya ialah: bahawasanya
kesenian dalam erti fine arts atau seni halus tidak begitu digalakkan dalam Islam.
Oleh sebab itu seni lakon, seni suara, seni pahat, dan sebagainya tidak mendapat
tempat yang terhormat dalam kebudayaan Islam, oleh kerana ketentuan-
ketentuan syariat dalam perkara ini. Kalaulah disebutkan seni lukis maka kita
teringat kepada larangan dalam hadis ke atas usaha melukis makhluk yang
bernyawa, dan memang ada pula beberapa hal yang boleh diingatkan dalam
hubungan dengan perkara ini. Berkenaan dengan seni suara, maka yang jelas ialah
keizinan diberikan kepada pembacaan al-Quran dengan suara yang merdu,
termasuk juga suara azan, yang semestinya dilagukan berdasarkan kepada aturan-
aturan qiraat yang terkenal. Seni suara yang dijadikan bidang kegiatan untuk
mencari nafkah, apalagi bila melibatkan wanita dan penggunaan alat-alat yang
terlarang, merupakan sesuatu yang tidak direstui. Juga dalam hubungan dengan ini
perlu diingatkan larangan terhadap nyanyian wanita yang merdeka yang
diperdengarkan kepada lelaki ajbani, kecuali yang diperdengarkan kepada wanita
sahaja, itupun dengan syarat hendaklah isi kandungannya bukanlah perkara yang
terlarang, dan dengan tidak menggunakan alat-alat bunyian yang terlarang.
Nampaknya yang jelas tidak terlarang ialah nyanyian lelaki mengandungi seni kata
yang baik dan konstruktif yang diiringi dengan paluan yang tidak terlarang, seperti
duff, termasuk nyanyian demikian dalam majlis keramaian dan kesukaan, seperti
pada masa perkahwinan dan majlis berkhatan.
Tanpa berpanjang lebar tentang hal ini, boleh disebutkan amalan yang dikecualikan
dalam sejarah Islam, iaitu majlis yang di dalamnya ada bunyi dan nyanyian yang
dihadiri oleh mereka yang benar-benar berkelayakan: maksudnya ialah majlis as-
Sama’. Majlis yang demikian ini ada disebutkan oleh mereka yang dihormati dalam
sejarah Islam, seperti al-Ghazali dalam Kimiya’ as Sa’adah dan Ihya’ ‘Ulumi’d-
Dinnya, Jalaluddin Rumi dalam Mathnawi Ma’nawinya dan al-Hujwiri dalam Kashf
al-Mahjubnnya. Majlis itu dilakukan dengan keadaan tertutup, dibacai di dalamnya
syair-syair tentang kasih sayang iaitu kasih sayang dengan Tuhan; dan mungkin ada
bunyian yang dibunyikan. Tujuannya ialah untuk menimbulkan rasa kasih sayang
yang lebih tinggi terhadap Tuhan, dan itu boleh meningkatkan lagi darjah rohaniah
seseorang itu kepada paras yang lebih tinggi.
Dikalangan pemikir Islam semasa, ada yang membuat pengamatan tentang bunyi-
bunyian ini seperti Syed Hossein Nasr, kata beliau:
“Tetapi di kalangan kesenian-kesenian tradisional muzik ada mempunyai tempat
yang istimewa, kerana ia begitu kurang mengolah benda-benda material dan
bentuk-bentuk benda berbanding dengan kesenian-kesenian yang lain, dan ianya
adalah lebih terhubung secara langsung dengan alam yang terdiri daripada zat-zat
rohaniah (al-mujarradat) Maka bukanlah tidak beralasan apabila orang-orang
Hindu menganggap kesenian yang mula-mula diturunkan dari alam syurga kepada
manusia ialah muzik, dan bahawa golongan arifin (dalam Islam) menganggap muzik
sebagai alat yang terbaik untuk melafazakan rahsia-rahsia rabbaniah yang paling
rumit. Seperti kata Jalaluddin Rumi:
“Pemuzik itu mula bermain di hadapan orang Turki yang mabuk itu dalam tabir
hijab senandung berkenaan rahsia-rahsia janji abadi antara Tuhan dan insan (srar-
i-alast)
Walaupun asalnya adalah alam transenden, roh insan menjadi tergabung dengan
jasad dari tanah melalui sesuatu talisman, yang rahsianya hanya diketahui oleh
Allah, dengan itu maka hayatnya wujud dalam alam yang rendah ini. Tetapi roh itu
selalulah menyimpan ingatan tentang tempat watan asalnya dan negeri asalnya,
dan semua usaha manusia untuk mencapai kesempurnaan, walaupun terhad
kepada alam kebendaan ini, adalah berakar umbi daripada ingatan ini. Dalam alam
transenden roh, insan tidak berhenti-henti mendengar senandung merdu yang
berterusan, yang harmoni dan indah, yang daripadanya ia mendapat menafaat dan
dia juga mengambil peranan di dalamnya. Melalui muzik tradisional (seperti yang
ada dalam majlis sama’ yang diadakan di kalangan ahli sufi dan bukan yang
diperdagangkan dalam pertunjukan-pertunjukan moden) maka roh insan dalam
sangkar jasadnya sekali lagi mengingati watan asalnya. Talisman yang melaluinya
roh itu tergabung dengan jasad insan sampai boleh menjadi terputus, walaupun
untuk beberapa saat, dengan itu burung roh insan itu diizinkan untuk terbang
membuka sayapnya dalam angkasa tak terbatas alam malakut dan boleh
memainkan peranan merasai sama kebahagiaan dan kegembiraan serta kelazatan
dan keghairahan, yang merupakan sebahagian daripada unsur alam (yang
sempurna) itu.
Dalam kata-kata Sa’d al-Din Hamuyah: (terjemahan)
Bila qalbu menghadiri majlis sama’, ia melihat Yang Dikasihi dan ia mengangkat
rohnya ke alam Rahsia-rahsia Rabbaniah
Senandung itu adalah kuda tunggangan roh kami; ia mengangkatnya ke alam
tinggi dan ia mengambil nya dengan gembira ke alam Kekasih”.
Seseorang yang telah pun mencapai peringkat kesempurnaan rohaniah sudah
tentu tidak lagi memerlukan kepada mana-mana tunggangan atau kenaikan sebab
ia sendiri mempunyai kemampuan untuk menaiki alam tinggi. Tetapi sehingga ia
mencapai darjah ini, muzik yang bersifat rohaniah seperti muzik tradisional Parsi,
boleh merupakan sebagai suatu cara yang paling kuat untuk membangunkan orang
yang berkelayakan daripada tidur kelalaian rohaniah. Ianya adalah suatu kenaikan
yang tepat dan boleh diharapkan, sesuatu yang boleh mengambil insan terkeluar
daripada jurang alam kebendaan dengan semua kepayahan dan kesakitan di
dalamnya supaya ia memasuki puncak kesakitan dan penderitaan terubah menjadi
kebahagian dan kegembiraan. Tasawuf mengambil muzik Parsi Purba, dan
sebagaimana dengan bentuk rupa yang lain yang banyak itu, ia menggilapnya dan
menyempurnakannya, sehingga ianya menjadi tunggangan rohaniah yang
dikehendaki itu. Oleh kerana itu, dilihat dari kesan yang ditinggalkan keatas jiwa
seseorang itu, tidak penting dari mana asalnya sesuatu itu, baik ianya dari aliran
Barbadi ataupun yang sampai ke zaman Achaemenian. Apa yang penting ialah
bahawa ia mampu masuk di bawah pengaruh tasawuf dan menjadi berubah
menjelma dengan kerananya dengan sedemikian rupa sehingga di dalamnya dan
juga darinya timbul segi dimensi kebatinannya, dan boleh membawa jiwa orang
yang berkelayakan sebenarnya mengalami pendakian rohaniah dengan Yang
Dikasihi, dan membebaskan insan, buat beberapa ketika, dari keterbatasan dan
kewujudan alam benda yang melingkunginya.
Perhubungan antara muzik Parsi tradisional dengan tasawuf bukanlah merupakan
sesuatu yang berlaku secara kebetulan, dan bukan hanya merupakan sesuatu yang
bersifat sejarah. Bahkan, ianya adalah hakikat yang mendalam yang ada
meninggalkan pengaruh yang perlu diambil kira dalam caranya muzik memberi
kesan ke atas pendengarnya. Untuk menjadikan hakikat ini difahami dengan
sepenuhnya, maka perlulah diambil kira peringkat-peringkat dalam perjalanan
rohaniah, (sair wa suluk). Walaupun ada beberapa jalan untuk memberi gambaran
berkenaan dengan jalan ke arah perdampingan dengan tuhan dalam ajaran
tasawuf, ini semua boleh diringkaskan dalam tiga peringkat yang besar:
Peringkat pertama (dari segi rohaniahnya) dipanggil peringkat penyempitan
(qabd). Dalam peringkat itu, beberapa daripada jiwa manusia mesti mengalami
maut; peringkat ini adalah berkaitan dengan sifat zuhud dan takwa dan dengan
pentajalian keadilan Tuhan dan Sifat Jalal-Nya. Peringkat keduanya ialah peringkat
pembukaan atau pengembangan (bast), yang di dalamnya suatu aspek daripada
jiwa manusia itu menjadi terkembang luas dan wujud insan itu melintasi batasnya
sendiri, sehingga ianya merangkumi seluruh alam ini, dan seseorang itu boleh
berkata dengan Sa’di: (terjemahannya)
“Aku bergembira dalam dunia ini kerana dunia ini bergembira di dalam- Nya.”
Peringkat ini terhubung dengan perasaan bahagia dan keghairahan dan ini adalah
pentajalian Keindahan dan Rahmat Tuhan. Peringkat ketiga ialah bercantum
dengan Kebenaran (wisal bil-haqq) dengan jalan mencapai perhentian-perhentian
rohaniah yang dipanggil penghapusan (fana’) dan keabadian (baqa’). Pada paras ini
maka si arif itu telah melintasi semua darjah rohaniah yang lainnya dan hal-haknya
(ahal wa maqamat) dan ia sampai kepada darjah mengadap Wajah Yang Dikasihi.
Ia menyaksikan dengan jelasnya, sehingga dalam kata-kata Hatif dari Isfahan:
“Dia adalah Esa, dan tidak ada yang lain lagi melainkan Dia tidak ada Tuhan
melainkan dia sahaja.”
Muzik adalah berkenaan dengan peringkat-peringkat kedua dan ketiga dalam
pejalan rohaniah) dan bukan berkenaan dengan peringkat pertama. Oleh sebab
itulah dalam Islam, hukum syariat melarang seseorang mendengar muzik,
melainkan muzik dalam bentuknya yang paling murni dan tinggi dari semua
senandung, iaitu pembacaan al-Quran – kerana hukum syariat hanya berkaitan
dengan hukum-hukum agama dan keadilan Tuhan, dan tasawuf pula iaitu ilmu
berkenaan dengan perjalanan rohaniah, muzik dibenarkan, dan dalam setengah-
setengah tarikah seperti tarikah Maulawiyah dan Chistiyyah, ianya mempunyai
kepentingan yang patut diambil kira.” (Dalam eseinya “The influence of Sufism on
Traditional Persian Music”, SCR: 6 :4 : 227 – 229).
Dari kenyataan-kenyataan di atas jelas bahawa muzik mempunyai kedudukan yang
tinggi apabila kena pada tempatnya, dan dilaku oleh mereka yang ahli dalam
bidangnya. Yang ditolak oleh kebudayaan Islam tradisional ialah muzik yang
membawa kepada kerendahan budi dan gangguan kepada perkembangan jiwa dan
peribadi manusia, dan yang diperdagangkan secara murah, dengan menggunakan
alat –alat yang terlarang.
Berhubung dengan seni bina ada beberapa pengamatan yang am yang boleh
dibuat . Antaranya ialah sebuah binaan, (katakanlah seperti sebuah masjid, sebab
masjid merupakan suatu hasil seni suci yang nyata dalam kebudayaan Islam
tradisional); sebuah masjid pada keseluruhannya melambangkan alam semesta
dengan pentarafannya sebagimana yang diisyaratkan dalam al-Quran dan Sunnah
Nabi s.a.w. Dengan itu maka dalam masjid dapat dilihat maksud-maksud tertentu
seperti kubahnya yang melambangkan Arasy; bahagian atasnya yang melengkung
melambangkan langit, yang ia pula melambangkan alam ghaib; lampu-lampunya
yang bergantungan melambangkan bintang-bintang; lantainya melambangkan
permukaan bumi; dan apabila seseorang itu berdiri dalam masjid, ia seolah-olah
khalifah Tuhan di muka bumi berdiri di atas bumi Tuhannya, di bawah langit dan di
bawah kerajaan Arasy-Nya. Empat penjuru dindingnya melambangkan empat
unsur yang menjadikan alam benda ini sebagaimana yang dijelaskan dalam ilmu
fizik tradisional. Ceruk di bahagian kiblatnya melambangkan ceruk (misykat) yang
disebutkan dalam Surah an-Nur langit dan bumi. Demikianlah seterusnya.
Seseorang yang berdiri di dalam masjid teringat kepada status dirinya yang
sedemikian itu, dan dia tidak akan terlalai daripada menyedari hakikat itu. Ini
adalah kerana pengaruh alam sekitar masjid itu sebagai seni suci yang menjalankan
fungsi ke atas jiwa dan roh manusia. Ertinya di sini ialah : fungsi senibina adalah
yang terpentingnya – selain daripada memberi tempat teduh dan sebagai kepada
insan – adalah untuk membangkitkan insan kepada kesedaran tentang status
dirinya yang sebenarnya dalam hubungan dengan Tuhannya dan alam sekitarnya.
Demikianlah juga cara hidup dan susunan bahagian sebuah rumah Muslim adalah
berdasarkan kepada apa yang ada dalam masjid. Sebab itulah dinyatakan oleh Abu
Bakar Siraj Ed-Din dalam salah sebuah ceramahnya di Azhar, bahawa beberapa
abad lamanya rumah orang Islam adalah sebagai sambungan kepada masjid.
Maksudnya sebuah rumah orang Islam memperingatkan kepada penghuninya
bahawa dia adalah khalifah Tuhan di bumi yang hidupnya adalah untuk
mengabdikan dirinya kepada Tuhannya, dan untuk taat kepada Tuhannya, dan
untuk taat kepada –Nya dalam hidup dirinya dan dalam hubungan dengan alam
sekitarnya. Tidak ada rumah Muslim pada zaman klasik yang memperingatkan dia
kepada rumah hiburan ataupun panggung wayang.
Berkenaan dengan seni sastera umpamanya, katakanlah dalam persajakan, maka
secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawasanya seni sastera adalah untuk
memperingatkan insan, kebenaran tentang Tuhan alam dan kehidupan. Kaca mata
yang digunakan ialah kaca mata tradisional, iaitu kaca mata yang diajarkan oleh
Islam dan falsafah agama dalam Islam, yang timbul dalam acuan syariat dan sunnah
itu sendiri. Hendaklah ianya bersifat objektif dalam erti kata penzahiran kebenaran
yang ‘mengatasi’ kita dengan sekalian subjektiviti kita sendiri. Nilai-nilai di
dalamnya adalah nilai-nilai yang memberangsangkan manusia supaya hidup
dengan rasa mulia diri dalam memperjuangkan kebenaran tanpa ada rasa putus
asa dan nihilsme dalam pandangannya. Kalau tidak sastera menjadi candu kejiwaan
(psycholigical opium) yang mengkhayalkan dan melemahkan, seperti pengalaman
The Lotus Eaters. Sastera Islam sebenarnya ialah sastera yang menyedarkan serta
menghiburkan insan tentang status dirinya dalam hubungan dengan dirinya sendiri,
Tuhannya, dan alam sekitar serta peradabannya. (Ini telah dibicarakan dalam bab
VIII buku Memahami Islam, karangan penulis).
Mungkin pada peringkat ini bermanfaat dibicarakan sifat keintelektualan atau
akliah yang ada pada kesenian Islam dengan menyebut seni perhiasan
sebagaimana yang ada pada seni khat yang diukir bersebati dengan awan larat dan
seni pakaian sebagai contoh, antara yang lainnya. Seni perhiasan Islam
menzahirkan aspek akliah atau keintelektualan Islam sebenarnya: ertinya kesenian
itu adalah merupakan penzahiran apa yang menjadi ‘isi’ bagi akal insan dan dirinya
yang batin, itu ‘isi’ yang menyelamatkan dirinya dan peradaban serta budayanya.
Biasanya kelihatan dinding-dinding rumah si Muslim perhiasan ayat-ayat al-Quran
dan hadis Nabi s.a.w. dan kadang-kadang kata athar dari para Salaf yang
disebatikan dengan awan larat; ertinya motif ayat-ayat Quran (yang
melambangkan wahyu) dan motif alam tabii itu sendiri. Maka ayat-ayat yang
sedemikianlah yang menyelamatkan manusia dan yang menyembuhkannya
daripada penyakit lalai atau ghaflah akliah dan rohaniah. Kesebatian tanda alam
tabii dengan tanda dari alam wahyu, dan juga nubuwah serta hikmah,
dilambangkan pada lukisan ayat al-Quran dan lainnya dengan awam larat itu.
Kadang-kadang awan larat itu disebatikan dengan tulisan-tulisan ayat yang
dituliskan dalam rupa hablur; ini mengingatkan kita kepada dua segi alam tabii iaitu
alam galian (dalam rupa hablur) dan alam tumbuhan (dengan awam larat); kedua-
duanya merupakan ayat Tuhan.
Inilah antaranya yang dimaksudkan bahawa apa yang menjadi perhiasan itu ada
mempunyai konotasi atau pengertian yang bersifat intelektual. Demikian juga
keadannya dengan pahatan batu yang didapati di Alhamra yang dijadikan
sedemikian indah. Batu yang dipahat dengan sedemikian rupa itu bukan lagi
kelihatan sebagai batu yang pejal dan berat pada pandangan mata, bahkan ianya
kelihatan ringan dan bercahaya. Ertinya rupanya sebagai hablur (crystal) jelas
kelihatan; dengan ini lahirkan maksud bahawa kesenian Islam menzahirkan hakikat
yang ada pada benda yang diciptakan oleh Tuhan. Batu itu sebenarnya terdiri
daripada crystals atau hablur-hablur yang tidak terbilang banyak; dalam batu biasa
keindahannya sebagai hablur yang berbahaya terlindung; maka seniman Islam yang
mengenali hukum-hukum berkenaan dengan benda dan sifat-sifat menzahirkan
keindahan yang Tuhan jadikan pada benda itu supaya ianya keluar dan boleh
disaksikan oleh manusia. Dengan jalan demikian maka seniman Islam seolah-olah
menjadi co-worker dengan Allah Taala pada paras kemakhlukannya. Dan Tuhan
pula adalah “Indah dan cintakan keindahan”. (Sudah tentu pada peingkat yang
muktamad, keindahan yang paling tinggi dan menyelamatkan ialah keindahan
rohaniah).
Seni berpakaian adalah merupakan sebahagian daripada seni suci atau sacred art
dalam Islam; ianya merupakan sebahagian daripada Sunnah nabi Muhammad
s.a.w. Pakaian Islam yang tradisional seperti jubah , qamis, dengan sarban serta
kopiahnya ada mempunyai pengertiannya yang tersendiri, iaitu berkaitan dengan
manusia dan kedudukannya. Pakaian yang lega, yang tidak menzahirkan bentuk
badan itu melambangkan kedudukan insan sebagai khalifah Tuhan di muka bumi
yang ditugaskan untuk melaksanakan hukum-Nya dan kehendak-Nya, serta sebagai
hamba-Nya yang tunduk menyerah kepada –Nya dan mengabdikan dirinya kepada-
Nya. Ertinya pakaian itu menunjukkan insan sebagai makhluk ibadat, tafakur dan
musyahadah, serta kegiatan hidup yang berpaksikan pengalaman ibadat dan
musyahadah. Sarban di kepalanya menandakan aspek kemalaikatan yang ada pada
insan itu sendiri, yang dalam sebuah hadis dikatakan melambangkan malaikat
(sim’l-malai’kat), selain daripada ianya melambangkan kedudukan insan sebagai
‘raja’ sekalian makhluk. Kalau dikatakan sebahagian daripada nasionalisme Arab,
bukan sunnah, maka boleh dijawab: bila bentuk (form) sudah dijadikan sunnah
baginda s.a.w. maka ia menjadi universal, dan contoh untuk seluruh umat. Dengan
ini kearabannya itu diuniversalkan. Ertinya menghidupkan pakaian itu adalah
menghidupkan sebahagian daripada sunnah dan bukan menghidupkan al-Urubah.
Kalau dikatakan pula bahawa Islam tidak memandang kepada bentuk-bentuk
tertentu, kerana ianya memandang kepada makna, maka boleh dijawabkan
bahawa alam ini sendirinya adalah alam berbentuk dan berupa (word of forms),
maka selama kita berada di sini maka kita tidak boleh mengelakkan diri daripada
bentuk-bentuk, bahkan oleh itu hendaklah kita memilih antara bentuk-bentuk yang
mana satu yang sesuai dengan world-view atau pandangan kita tentang alam dan
kehidupan. Maka apabila kita berada dalam alam bentuk atau rupa ini baginda
s.a.w. menganjurkan kepada kita supaya kita memilih antara bentuk-bentuk yang
ada itu supaya ada antaranya yang dijadikan universal untuk Islam, yang
dimasukkan ke dalam sunnahnya.
Kedudukan pakaian dalam Islam ini menjadi jelas apabila kita lihat pakaian di Barat
sebagaimana yang ada sekarang melambangkan kedudukan manusia sebagaimana
yang dipandang oleh orang-orang Barat dalam world-view mereka. Titus
Burckhardt menyatakan:
“Modern masculine attire, which has its origins partly in the French Revolution and
partly in the English puritanism represents an almost perfect synthesis of anti-
spiritual and anti-aristocratic tendencies. If affirms the forms of the body, while
“correcting” them to fit in with the conception that is inept as well as being hostile
to nature and to the intrinsically divine beauty in man.”
Terjemahannya:
“Pakaian lelaki moden, yang berasal sebahagiannya dalam zaman Revolusi
Perancis dan sebahagiannya pula dalam zaman aliran Puritan Inggeris, mewakili
satu sintesis yang hampir-hampir paling sempurna bagi anti-rohaniah dan
antibangsawan (iaitu kebangsawanan kejiwaan dan kerohanian selain daripada
kebangsawanan dari segi keturunan). Pakaian itu menonjolkan bentuk badan,
sambil “memperbaikinya” untuk disesuaikan dengan konsepsi yang sangat tidak
munasabah dan yang juga bertentangan dengan alam tabii dan dengan keindahan
malakuti yang asasi yang ada pada diri insan” (Secred Art in East and West, nota 15,
hlm 119)
Berhubungan dengan fine art rasanya perlu juga disentuh sedikit lagi tentang
kedudukannya dalam Islam yang tidak begitu diberikan galakan. Nampaknya fine
arts sebagaimana yang ada dalam peradaban Barat moden, yang berpunca
daripada tamadun Yunani Purba dan Rom Purba tidak begitu kelihatan berkembang
dalam peradaban Islam. Yang dimaksudkan ialah bagimana tidak adanya hiburan
luar rumah secara besar-besaran dengan institusi-institusi yang banyak muncul
berkaitan dengannya. Zaman sekarang tarian dengan segala jenisnya daripada
tarian sophisticated seperti ballet dan pop, nyanyian dengan segala jenisnya, serta
lakonan, sebagaimana yang sedemikian banyaknya didapati sekarang ini membuka
peluang kepada manusia untuk mendapat hiburan yang sangat banyak di luar
rumah. Keadaan sedemikian ini sudah berada di Barat bermula dalam zaman
Yunani dan Rom Purba lagi; ianya diteruskan sekarang dalam peradaban Barat
moden. Berbanding dengan suasana demikian nampaknya masyarakat Islam
tradisional tidak begitu banyak menunjukkan kewujudan hiburan di luar rumah,
dan suasana dalam masyarakat tradisional Islam adalah kelihatan agak sepi
berbanding dengan suasana di Barat demikian itu. Mungkin ada setengah-setengah
pihak hendak menyebut fakta ini sebagai sesuatu yang negatif dalam kehidupan
budaya Muslimin, seolah-olah misalnya menunjukkan bahawa mereka tidak begitu
mempunyai artistic sensibility. Nampaknya pada kita ini adalah suatu faktor
kekuatan yang positif untuk kebudayaan Islam; permainan yang tidak mempunyai
pengertian rohaniah dan akliah yang semata-mata memberi keseronokan
perasaan, apalagi yang melibatkan unsur-unsur yang tidak boleh direstui dari segi
ketentuan syariat, tidak diberi perhatian oleh Islam. Hanya mereka yang rosak
jiwanya dan agamanya yang menceburkan diri ke dalam kegiatan-kegiatan
demikian itu. Ada sikap yang memandang bahawa apa yang ada di Barat itu
menunjukkan kemajuan murni dalam bidang budaya dan kesenian. Keadaan yang
sebenarnya mungkin sebaliknya. Banyaknya hiburan di luar rumah yang beraneka
ragam itu menunjukkan jiwa manusia sedang dalam keadaan kegelisahan serta
kerisauan serta kesebakan, dan oleh itu mereka memerlukan ‘ubat’ atau pain killer
kejiwaan untuk menenangkan jiwa yang demikian itu. Kita teringat dalam
hubungan dengan perkara ini kenyataan seorang penulis Barat yang berkata dalam
pembicaraannya:
The are born into anguish
They live in anguish
And they die in anguish
Mereka dilahirkan ke dalam penderitaan
Mereka hidup dalam penderitaan
Dan mereka mati dalam penderitaan
dalam memberi gambaran tentang jiwa orang-orang Barat yang gelisah dan
hauskan hiburan untuk melupakan penderitaan batin mereka. Wallahuaklam.
Ertinya mereka adalah golongan yang merasai kehausan jiwa dan mereka sedang
mengidap sesuatu jenis ‘penyakit’.
Sebenarnya sejarah menunjukkan bahawa hiburan demikian itu bukan boleh
mengubati jiwa manusia yang ‘sakit’ bahkan menjadikan jiwa manusia itu terlebih
‘haus’ lagi , sebagaimana keadaannya dengan seseorang yang minum air laut,
semakin ia minum semakin ia haus. Berbanding dengan itu, umat Islam yang hidup
dalam suasana tradisional – baik fizikal atau spiritual – tidak begitu memerlukan
hiburan yang sedemikian itu, ini adalah selain daripada hiburan-hiburan yang
diharuskan oleh syariat. Seseorang Muslim tidak seharusnya mengikuti jejak
langkah orang Barat dalam mencari hiburan untuk dirinya dan keluarganya; selain
menikmati hiburan yang diharuskan oleh syarak, sepatutnya seseorang Muslim itu
mendapat kekuatan rohaniah dan kejiwaan dengan beribadat dengan Tuhannya,
dan mendapat hiburan yang mencukupi daripada hidup rumahtangganya yang
diberkati hasil daripada kehidupan yang dilaksanakan mengikut syariat dan sunnah.
Dalam hubungan dengan hal ini kita teringat kepada suatu kenyataan Muhammad
Iqbal, Allah merahmatinya, tentang bagaimana kuatnya hidup kekeluargaan
Muslim apabila dia tidak libatkan diri dengan hiburan yang tidak direstui oleh ajaran
Islam di luar rumahnya, dan dia membentuk kerukunan rumahtangga dan
mendapat hiburan daripada hidup kekeluargaannya itu.
Ringkasnya, kalaupun ada fine arts dalam Islam, maka ciri-cirinya adalah berlainan
daripada apa yang ada di Barat. Ciri-ciri fine arts itu menjadi sama apabila umat
Islam mengalami pembaratan dan sekularisasi dalam hidup estetiknya keran dia
tidak taat kepada norma-norma dan prinsip-prinsip yang mengawal peradaban
dalam Islam. Antara yang boleh disebutkan dalam hubungan dengan hal ini ialah
bagaimana hibyran dan fine arts dalam Islam bukan semata-mata untuk memberi
kepuasan kepada perasaan (feeling) manusia sahaja, bahkan ianya lebih-lebih lagi
mempunyai ciri-ciri yang langsung berhubung dengan keutamaan rohaniah dan
akliah (spiritual and intellectual virtues)
Pada tahap ini mungkin bermanfaat kita tumpukan perhatian kita kepada
persoalan: Apakah perbezaan antara semangat (spirit) kebudayaan Islam dengan
semangat kebudayaan Barat? Atau apakan perbezaannya antara roh kebudayaan
Islam tradisional dengan kemodenan? Sebenarnya persoalan ini sudah dijawab
walaupun secara tidak langsung dalam beberapa kesempatan sebelum ini
(Antaranya dalam Seminar Antarabangsa Berkenaan dengan Islam dan Kebudayaan
Melayu, 1986 yang lalu). Untuk meringkaskan huraian, boleh disebutkan beberapa
aspek daripada persoalan ini, antaranya ialah: kedudukan kontemplasi dan
kegiatan lahir dalam peradaban; konsep ilmu yang sekular dan suci; kedudukan
individualisme; konsep kesamarataan; kekecohan hidup sosial; dan materialisasi.
Ataupun persoalan ini boleh difahami dengan kita mengamati beberapa ciri penting
dalam pandangan ini, seperti: rasionaliti, kebebasan, kemanusiaan, konsep
antarabangsa, dan sains dan teknologi apabila difahamkan pandangan Islam
tentang hal-hal asasi ini maka bolehlah dibandingkan fahaman itu dengan
kemodenan. (Cf Memahami Islam, 204 ff. serta bibliografinya).
Berhubung dengan kegiatan lahir insan dan kontemplasi atau tafakur, maka
peradaban Barat sebenarnya sudah tidak dapat lagi menilai aktiviti kontemplasi
sebagaimana yang difahamkan dalam Islam dengan ibadatnya, tafakurnya dan
masyahadahnya yang merupakan kegiatan terpuncak (the supreme human
activity), iaitu kegiatan yang merupakan tujuan daripada penciptaan insan itu
sendiri. Ini antaranya dilambangkan dengan kisah Israk Mikraj semasa baginda
s.a.w. menerima perintah sembahyang itu sewaktu baginda berada pada paras
pucak dalam pendakian pada malam Mikraj itu. Orang-orang Barat mementingkan
kegiatan lahir dalam kebudayaan dan peradaban mengatasi kegiatan yang lain,
bahkan kesahihan kegiatan intelektual itu pun didapati pada kegiatan lahir juga,
dan mereka tidak peduli kepada kontemplasi dalam pengertian yang sebenarnya.
Kenyataan ini dibuat tanpa melupai pula kenyataan bagaimana sedang
merebaknya pula di kalangan orang-orang Barat beberapa banyak agama palsu
(pseudo-religions) dan gerakan-gerakan spiritual murahan yang mengajar meditasi
dan seperti yang tercatat dalam The New Religions oleh Needleman, dan lainnya,
dan Yoga Journal dari Amerika Syarikat itu. Ini adalah kerana di kalangan mereka
itu ahli-ahli yang sebenarnya sudah tidak ada, dan ini antara yang dijelaskan oleh
Rene Guenon dalam buku The Crisis. Dan inilah yang boleh diperhatikan sampai
sekarang. Ini menjadi lebih jelas apabila diingatkan bahawa mereka sudah menjadi
kufur terhadap agama yang sebenarnya, sebagaimana yang jelas dalam sejarah
agama mereka sendiri apalagi sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran. Dengan
kekufuran, pengalaman demikian itu terputus.
Dalam Islam kontemplasi atau tafakur dan ibadat serta musyahadah (mengikut
taraf peribadi-peribadi yang terlibat di dalamnya) adalah kegiatan rohaniah yang
setingginya. Dalam Islam kegiatan lahir mempunyai pengertian, makna dan
mencapai maksudnya apabila dihubungkan dengan kontemplasi atau tafakur dan
ingatan hati.
Sebab itu kita dapat nas-nas tentang tertingginya kedudukan sembahyang, puasa
dan sebagainya; dan tingginya kedudukan tafakur sehingga ada kenyataan bahawa
tafakur sesaat adalah lebih afdal daripada ibadat sunat tujuh puluh tahun dan
sebagainya.
Dengan ini Islam mengajar kedudukan yang setepatnya antara kontemplasi atau
tafakur dan kegiatan lahiriah dalam hidup dan peradaban, dan tidak mengorbankan
yang satunya kerana yang lainnya. (Cf huraian mendalami S.H. Nasr dalam bab 6
bukunya Islam and the Flight of Modern Man)
Tentang kedudukan ilmu yang sekular dan suci, maka perlu diperhatikan bahawa
di Barat, sesudah berjayanya aliran rasaional dan intektual mereka dalam masa
Renaissance dan seterusnya maka ilmu-ilmu menjadi terputus hubungannya
dengan ajaran agama dan metafizik Kristian yang bagaimanapun telah mampu
memberi bimbingan untuk pembentukan ilmu yang bersifat suci. Dengan itu
berlakulah profanasi atau proses menjadikan tidak suci atau pemisahan ilmu-ilmu
dari ajaran rohani dan suci, tegasnya proses sekular bermula dalam peradaban
Barat. Ini boleh diperhatikan dalam Introduction to the History of Science oleh
Sarton. Dengan itu ilmu-ilmu manusia hilang pimpinan dari ajaran yang boleh
menyelamatkannya dalam konteks budaya Kristian di Barat. Konsep ilmu menjadi
rosak kerana autonominya dan pelaksanaanya yang membahayakan manusia itu
sendiri. Dan dalam majalah The Scientific American dan Omni keluaran terbaru
bulan September 1989 boleh dilihat tulisan-tulisan berkenaan dengan bahaya-
bahaya yang muncul dalam peradaban Barat dan seluruh dunia yang terkena
pengaruhnya akibat daripada penggunaan ilmu-ilmu yang terputus hubungannnya
daripada pimpinan kerohanian dan agama serta etika yang sangat–sangat
diperlukan itu. Sebaliknya dalam ajaran tradisional Islam selularisasi tidak ada dan
ilmu adalah merupakan satu kesatuan yang berpaksikan tauhid. Hanya yang perlu
disedari ialah pentarafan ilmu-ilmu dan pelaksanaanya dalam hidup manusia serta
kedudukan ilmu-ilmu itu masing-masing. Dalam Islam tidak ada ilmu yang sekular
dan tidak yang profane, sebagaimana juga tidak ada sebesar zarah pun dalam alam
semesta ini yang terkeluar daripada genggaman kekuasan Allah Yang Maha Tinggi
dan Maha Berkuasa. Demikian juga dalam persoalan ilmu dalam Islam ditentukan
bahawa wahyu berada di puncak segalanya, bersama dengan nubuwah. Akal fikiran
manusia terletak di bawahnya. Dalam skima pertelingkahan antara akal fikiran dan
wahyu sebagaimana yang berlaku di Barat tidak timbul.
Berhubungan dengan individualisme, boleh dinyatakan di Barat manusia individu
itu menduduki taraf yang sedemikian tinggi sehingga ianya menjadi sesuatu yang
prinsipal. Dengan pengangkatan individu kepada taraf yang prinsipal demikian itu,
segala kelemahan-kelemahan manusiawi sebagai individu serta keinginan-
keinginannya menjadi perkara-perkara yang diterima, dan keadaan menjadi
bertambah buruk oleh kerana kritikan terhadap manusia tidak dapat dilakukan oleh
kerana konsep manusia secara universal tidak dimiliki oleh mereka, sebagaimana
yang ada dalam Islam. Ini mendatangkan suasana huru-hara dalam pemikiran dan
ilmu pengetahuan.
Dalam Islam manusia sebagai individu difahamkan kedudukannya dalm
hubungan dengan diri yang sempurna sebagaimana yang ditunujukkan contohnya
dalam peribadi sempurna Nabi Muhammad s.a.w Huraian tentang ciri-ciri al’insan
al’kamil atau insan semesta atau insan sempurna di kalangan sufiah juga
merupakan suatu neraca yang boleh digunakan bagi memahami kedudukan
manusia individu dalam Islam. Selain ilmu tentang al-fada’il atau sifat-sifat
keutamaan rohaniah menjelaskan struktur diri manusia yang menjadi contoh
sebenarnya sebagaimana yang diajarkan dalam Islam. Selain itu boleh dilihat kesan
negatif dari konsepsi insan yang tidak tepat di Barat itu dalam hasil-hasil kesenian
mereka yang sedemikian subjektif sifatnya, yang menunjukkan tidak adanya neraca
universal di kalangan mereka bagi memahami insan sebenarnya. Dalam Islam
pengawasan individu di bawah prinsip wahyu dan nubuwah menyelamatkan
manusia dan peradaban secara hakiki.
Konsep kesamarataan (egalitarianisme) sangat popular di Barat, sehingga
ianya digunakan sebagai slogan yang mendatangkan kejayaan dalam Revolusi
Perancis misalnya. Anggapan moden ialah bahawa semua manusia adalaha
samarata, sebagaimana juga alam ini samarata, mendatar, secara horizontol; yang
terdiri daripada alam benda semata; yang selain daripada benda ialah minda, itu
pun dikatakan sebagai an outgrowth of matter; sesuatu pertumbuhan daripada
benda juga. Alam-alam taraf tinggi seperti alam Malakut dan alam Lahut tidak ada
dalam kosmologi Barat. Fahaman moden seperti ini yang menafikan alam ghaib
dengan pentarafannya, dan itu membawa kepada ternafinya pentarafannya, dan
itu membawa kepada ternafinya pentarafan di kalangan manusia sendiri dan juga
ternafinya pentarafan fakulti-fakulti dalam diri manusia itu sendiri. Pentarafan di
kalangan manusia berdasarkan kepada pentarafan mengikut sifat-sifat keutamaan
yang hakiki tidak ada. Ajaran tentang kesamaratan ini adalah sesuatu yang
memalsukan kedudukan sebenarnya tentang apa yang ada ini.
Kehilangan kemampuan untuk melihat pentarafan (hierarchy) dalam apa yang
ada inilah menyebabkan timbulnya pelbagai bentuk kesesatan cara moden dalam
memahami kedudukan manusia sesama mereka (misalnya antara lelaki dan
wanita), perhubungan sesama mereka dan perhubungan mereka dengan ‘Yang
Mutlak;, dan alam ghaib, serta juga fakulti-fakulti mereka sendiri. Ini menimbulkan
kesesatan dalam memahami manusia dan kejadiannya sendiri.
Sebagaimana yang kita lihat, Islam mengajarkan kesedaran tentang
pentarafan dari apa yang ada ini, mulai dari konsepsi alam yang mempunyai paras-
parasnya, sampai kepada konsepsi manusia dengan fakulti-fakulti yang ada taraf-
tarafnya, juga konsepsi manusia dalam masyarakat dan rumahtangga yang
mempunyai taraf-tarafnya. Kesedaran tentang pentarafan ini adalah dihubungkan
kesedaran tentang tercapainya kebahagiaan untuk semua bila sesuatu itu
melaksanakan tugas yang sesuai dengan taraf yang ditakdirkan untuknya.
Perbincangan demikian iti tidak perlu dikaitkan dengan pengertian kasta yang
menyeleweng dalam setengah-setengah masyarakat tradisional yang mengalami
keruntuhannya.
Materialisasi (dari Materialisation) juga merupakan suatu daripada unsur-
unsur yang tepenting kalaupun tidak terpenting dalam senarai ciri-ciri modeniti dari
segi falsafahnya. Yang dimaksudkan materialisasi ialah pemahaman terhadap
segala yang ada ini dari segi bendanya sahaja, dan yang dimaksudkan benda di sini
ialah benda sebagaimana yang ada dalam ilmu fizik klasik, iaitu sesuatu yang ada
beratnya dan yang wujud dalam ruang. Benda memang ada, itu memang diakui
oleh Islam. Yang menjadi persoalan ialah pandangan atau sikap intelektual yang
mengganggap bahawa apa yang hakiki dan yang sebenarnya ataupun yang bernilai
sebenarnya ialah benda, bahkan fikiran itu sendiri (atau minda, dari mind)
dikatakan ‘tumbuh’ daripada benda juga. Dalam falsafah kebendaan seperti ini
tidak ada ruang lagi untuk Tuhan dan alam ghaib serta hal-hal rohaniah. Misalnya
dalam separuh pertama abad ke-19 Masihi. Hamilton mengajarkan bahawa semua
metafizikal mestilah ditolak sebagai ilmu yang tidak sah, oleh kerana fikiran
manusia dengan strukturnya itu boleh mengetahui apa yang ada alam yang terhad
ini sahaja. Ia tidak boleh bersifat metafizikal. Manusia tidak ada mempunyai
kemampuan atau keupayaan untuk mengetahui alam yang melintasi alam fizikal
ini. Semenjak Hamilton menyebut perbahasan ini, ianya menjadi perbahasan dn
hujah yang selalu digunakan buat menolak ajaran yang bersifat rohaniah dan
metafizikal. Sebenarnya kebenaran dalam ilmu pun sekarang sudah diturunkan
taraf kepada taraf kebendaan. Bidang sains misalnya dimuliakan dalam hubungan
dengan perlaksananya dalam industri. Dan ini seolah-olahnya menjadi sebagai
suatu cult moden, sehingga oleh kerana itu maka bangsa-bangsa yang dipanggil NIC
(New Industrialised Country), iaitu Negara Industri Baru, mendapat penghormatan
istimewa di kalangan bangsa-bangsa di dunia. Ilmu tidak begitu dimuliakan lagi
dalam hubungan dengan kontemplasi serta tafakur secara rohaniah atau falsafah
tradisional. Pandangan yang seperti inilah yang berupa pandangan moden dengan
segala ragamnya.
Sudah tentu pandangan Islam adalah bertentangan dengan pandangan yang
sedemikian itu; dalam seluruh zaman perkembagan kebudayaannya tidak pernah
timbul pemberontakan terhadap realiti atau hakikat alam ghaib dan yang bertalian
dengannya, apalagi Tuhan sendiri yang merupakan ‘Prinsip Megatasi Segala’. Ini
bukan pula bahawa Islam menapikan adanya benda; itu adalah sesuatu sikap yang
tidak timbul, dan itu tidak munasabah sama sekali. Dan kata-kata ahli musyahadah
tentang yang dilihatnya hanya satu, iaitu ‘Wajah Tuhan’ yang lain adalah fana, itu
bukannya kenyataan yang boleh dirujuk untuk memaksudkan tidak adanya alam
benda; itu adalah pengalaman musyahadah mereka yang tertentu yang sampai
kepada suatu tahap dalam pengalaman mereka bila mana disaksikan bahawa pada
hakikatnya tidak ada yang lain, yang ada hanyalah Allah.
Apa yang diajarkan oleh Islam bukannya alam benda tidak ada tetapi yang
diajarkan ialah bahawasanya wujud benda adalah wujud yang nisbi atau relatif,
yang bermula dengan keadaan tidak ada, kemudian diakhiri dengan tidak ada pula
selepas ada buat beberapa waktu yang ditentukan; wujudnya bukan mutlak. Dan
juga nilainya tercapai bila benda itu digunakan dalam hubungan dengan mencapai
‘Yang Mutlak’ ataupun menundukkan diri kepada ‘Yang Mutlak’ itu. Selain dari itu,
wujud alam benda adalah ‘bayang’ kapada alam yang berada di atasnya. Alam
benda wujudnya bukannya autonom sebagaimana yang disangkakan oleh golongan
materialis.
Satu daripada ciri-ciri kemodenan yang tertonjol ialah kerasionalan.
Maksudnya ialah diberikan kedudukan yang setingginya kepada ratio atau fakulti
kerasionalan, fakulti mengenal ilmu; dianggap bahawa fakulti inilah yang
membolehkan manusia mencapai kebenaran setakat yang boleh dicapai oleh
fakulti ini. Ini sudah pun terbayang dalam kenyataan berkenaan dengan pemikiran
Hamilton sebelum ini. Tidak ada lagi fakulti yang mengatasi fakulti ini. Tentang
rasionaliti ini boleh kita nyatakan bahawa Islam ada memberikan tempat yang
sewajarnya kepada fakulti yang dikatakan ratio itu. Bagaimanapun fikiran atau ratio
bukanlah boleh mencapai kebenaran dengan sendirinya; ia boleh menjalankan
fungsinya dengan cara yang menyelamatkan insan dan peradabannya bila ia
berjalan dalam suluhan cahaya wahyu dan nubuwah; ini ialah kerana fakulti itu
sendiri tersekat perjalanannya oleh kerana adanya unsur subjektiviti dalam
peribadi insan dengan adanya nafs serta nafsunya yang berkaitan. Tanpa
bimbingan dan suluhan cahaya dari wahyu dan nubuwah akal atau ratio manusia
mendatangkan kesesaatan, terutama sekali dalam hubungan dengan kebenaran-
kebenaran yang bukan berkaitan dengan fakta-fakta berhubungan dengan alam
benda. Dengan adanya bimbingan wahyu dan nubuwah serta tradisi maka ratio
manusia tidak menyesatkan.
Memang dalam Islam ada terdapat unsur-unsur kerasionalan dalam huraian-
huraiannya; maksud unsur rasional itu ialah bahawa perkara berkenaan itu adalah
munasabah pada akal fikiran atau ratio, tetapi tidak ada rasionalisme di dalamnya;
maksud rasionalisme itu ajaran yang semata-mata bersandarkan kepada pemikiran
sahaja dan yang rasionalistik ialah sesuatu yang berdasarkan kepada ajaran yang
berpandu semata-mata kepada ratio. Ertinya huraian-huraian Islam adalah
huraian-huraian yang rasional tanpa bersifat rasionalistik. Ringkasnya ratio atau
fikiran mengikut ajran Islam adalah ber’bapa’kan wahyu dan nubuwah. Sebab
itulah tidak pernah timbul konflik antara keimanan dan fikiran dalam Islam,
sebagaimana yang ada ciri-cirinya dalam peradaban Barat.
Kebebasan juga merupakan sesuatu yang penting dalam roh peradaban Barat
moden. Kebebasan ini sedemikian dimuliakan dalam konteks konsep tentang
manusia sehingga ianya menjadi suatu bahagian daripada slogan Revolusi Perancis.
Kebebasan yang sedemikian itu membawa kepada timbulnya berbagai peristiwa
dalam sejarah politik, sosial dan kesenian Barat. Islam memang memberikan
tempatnya kepada kebebasan manusia, tetapi kebebasan itu bukanlahh kebebasan
yang mutlak, ianya adalah bersifat nisbi. Pendirian Islam dalam hal ini adalah
berdasarkan hakikat yang ada. Insan itu sendiri adalah kejadian atau makhluk yang
nisbi, nukan mutlak. Oleh kerana ianya adalah makhluk yang nisbi, bukan mutlak,
kebebasannya juga adalah nisbi atau relatif, bukan mutlak. Kebebasan yang mutlak
dan tidak terhad hanya milik Zat Yang Mutlak, Allah. Kebebasan manusia adalah
tertakluk kepada syariat dan juga kehendak Ilahi dalam qada dan qadar-Nya. Oleh
kerana inilah kebebasan manusia terkawal dalam Islam. Teringat kita kepada suatu
kisah yang dihubungkan dengan seorang sahabat yang terkenal; bagaimana
sahabat berkenaan itu menyuruh seorang yang bertanya itu mengangkat kakinya
sebelah (untuk menunjukkan manusia ada mempunyai kebebasan secara nisbi),
kemudian disuruhnya orang itu mengangkat kakinya yang sebelah lagi tanpa
meletakkan terlebih dahulu kaki yang telah terangkat tadi, dan diberikan syarat
kepada orang itu, iaitu hendaklah dia itu jangan terjatuh. Sudah tentu orang itu
tidak dapat melakukannya, sebab bila sebelah kaki sudah terangkat yang sebelah
lagi tidak boleh diangkat, kalau diangkat mestilah orang itu terjatuh. Ini adalah
bertujuan untuk menunjukkan suatu hakikat tentang kebebasan manusia iaitu
kebebasannya adalah nisbi bukan mutlak. Dia hanya bebas untuk mengangkat
sebelah kaki sahaja; kalau dia hendak mengangkat kaki yang sebelah lagi itu
hendaklah terlebih dahulu dia meletakkan dahulu kaki yang terangkat itu, barulah
dia boleh mengangkatnya. Insan bebas dari suatu segi untuk melakukan usahanya
yang diizinkan oleh Tuhan untuk melakukannnya, tetapi ia tertakluk kepada qada
dan qadar Allah yang menentukan segalanya. Roh peradaban Barat moden
menekan prinsip kebebasan manusiawi tanpa mengenali batas-batasnya pada
dirinya sendiri dan alam sekitarnya. Dengan itu beberapa penyelewengan boleh
timbul akibat daripada konsepsi kebebasan manusia yang tidak mengenal batas-
batas dirinya sendiri itu.
Aliran kemanusiaan (humanisme) juga merupakan suatu daripada unsur-
unsur pokok dalam peradaban Barat; aliran kemanusiaan Barat sekular (western
secular humanism) menekankan aliran mencari penyelesaian tentang masalah-
masalah manusiawi yang biasa tanpa merujuk kepada perkara-perkara yang
menyentuh kepentingan rohaniah yang mendalam. Aliran yang demikian ini adalah
berlawanan dengan Islam. Keinsanan manusia dijelaskan dalam Islam dengan
berdasarkan kepada hakikat dirinya sebagai makhluk rohaniah dan akliah dengan
menekankan tugas-tugasnya yang suci yang tertentu, sebagai khalifah Tuhan di
muka bumi dan sebagai hamba-Nya. Humanisme Barat yang sekular
mencanangkan konsep manusia dan kemaslahatan dirinya dengan sekalian
kelemahan-kelemahan manusiawinya dan diletakkan di atas tempat yang
sedemikian tinggi, sebagai ideal; sikap ini timbul oelh kerana para pemikir Barat
moden tidak mempunyai neraca untuk memandangkan manusia dari kaca mata
insan yang universal. Humanisme Barat yang mendatangkan kebencanaan dalam
kesenian dan ilmu pengetahuan tidk boleh diterima oleh Islam. (Cf konsep universal
humanisme dalam sastera moden dalam rantau ini, yang merupakan serpihan kecil
daripada secular humanism Barat yang tersasul daripada tradisi Islamiah).
Humanisme yang sedemikian tidak pernah timbul dalam sejarah peradaban dan
kebudayaan Islam, oleh kerana ajaran Islam tentang insan tidak mengizinkan
kemunculan pemikiran yang sedemikian menyeleweng itu.
Suatu lagi aspek yang penting dari roh peradaban Barat ialah kesedaran
tentang ciri-ciri kehidupan dan pemikiran serta budaya yang dipanggil sebagai
bertaraf antarabangsa. Dan nampaknya yang bertaraf antarabangsa itu adalah
pada zahirnya ditentukan norma-normanya oleh PBB yang seolah-olah mewakili
keseluruhan bangsa-bangsa dunia dan aspirasi mereka yang terbaik serta dengan
mengambil kira kemaslahatan yang global. Tetapi sebagai norma-norma dalam
hidup budaya dan pengetahuan ianya ditentukan oleh budaya Dunia Utara yang
bersifat sensate budayanya, yang bersifat kebendaan pandangan hidupnya, dan
yang utilitarian dan expedient dalam etikanya. Analisa tentang budaya ini yang
dikatakan mendatangkan kesedaran yang bersifat internasional, adalah
sebenarnya tidak menepati apa yang dicadangkan itu.
Konsep antarabangsa dan norma-norma yang dicanangkan oleh pelbagai
agensi itu diatasi oleh Islam dalam budanya dalam pelbagai segi, bukan sahaja dari
huraian ilmu dan falsafah, tetapi juga dari segi amalinya. Islam mula-mulanya
menunjukkan contoh-contoh perhubungan antara bangsa-bangsa dengan sebaik-
baiknya dalam sejarah yang berdasarkan perhubungan itu di atas kebenaran dan
keadilan, serta konsep makhluk sebagai ‘keluarga Tuhan’ (iyak Allah), dan juga
dalam masa hadir. Muslimin di kalangan mereka sendiri mengamalkan
persaudaraan Islam, tanpa mengira warna kulit dan keturunan dan dalam
berhadapan dengan bangsa-bangsa lain dan agama lain, mereka mengamalkan
dasar keadilan sebagaimana yang dianjurkan dalam al-Quran. Umat Islam tidak ada
melakukan jenayah terhadap mana-mana bangsa dalam sejarah mereka
berbanding dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang Barat terhadap mereka di
Sepanyol dan di Semenanjung Krimea; juga tidak ada berlaku peristiwa
memangsakan orang-orang Yahudi sebagaimana yang diperlakukan ke atas mereka
oleh orang-orang Nazi Jermn. Juga mereka tidak pernah memusnahkan nyawa
manusia berbanding dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang Barat dalam dua
kali peperangan dunia; dan sekarang manusia sedang berada dalam kebimbangan
takut-takut berlaku peperangan dunia ke-III yang melibatkan kuasa nuklear yang
mungkin memusnahkan manusia pada para dan kadar yang tidak terkhayalkan oleh
daya khayal manusia pada paras dan kadar yang tidak terkhayalkan oleh daya
khayal manusia tentang kedasyatannya. Kezaliman orang-orang perseorangan
yang berlaku dalam sejarah Islam tidak mencederakan dasar ini dalam ajaran Islam
tentang peradaban dan sejarahya.
Selain itu lebih mendalam lagi, Islam mengajarkan kesedaran yang bersifat
semesta atau universal, yang ada di dalam ajaran itu manusia disuruh menganggap
segala yang ada sebagai makhluk Allah, dan hendaklah kezaliman dielakkan, juga
Islam mengajarkan perhubungna yang bermakna antara insan dan alam tabii yang
meluas itu. Ini antaranya diulaskan dengan nyata oleh Prof Nasr dalam bukunya
The Encounter Between Man and Nature. Sebab itulah tafakur tentang alam tabii
atau bahagian-bahagian daripadanya dianjurkan dalam Quran antaranya dalam
ayat yang bermaksud: “Tidakkah mereka memerhatikan unta bagaimana ia
diciptakan? Dan langit bagaimana ia dihamparkan?” (Surat al-Ghasyiah: Ayat 17-
20). Imam al Ghazali ada mengajarkan nilai dan kedudukan tafakur terhadap alam
tabii, dan juga cara-cara melakukan tafakur irtu dengan panjang lebar dalam
kitabnya yang terkenal Ihya’ Ulumi’d–Din dalam kitab tentang tafakur. JUga dalam
hubungan dengan perkara ini boleh diingatkan bagaimana Islam mengajarkan
perhubungan antara manusia sebagai alam kecil (microcosm) dengan alam tabii
dan alam raya (macrosm), serta perhubungan keduanya dengan Tuhan yang
merupakan Prinsip Mengatasi Segala (Metacosm). Ajaran itu bukanlah sesuatu
yang disampaikan sebagai mental exercise atau latihan otak, bahkan ianya
diajarkan dengan kaedah pencapaiannya di kalangan mereka yang terpilih dalm
umat ini yang bersedia mengahadapi kehidupan yang penuh dengan kewajipan-
kewajipan yang berat dan mencabar.
Tentang kedudukan sains dan teknologi yang terputus hubungannya dengan ajaran
suci serta epistemologi keagamaan dan rohaniah, yang dipanggil oleh Schuon
sabagai autonomous modern science and technology, maka itu sudah disentuh
sedikit dalam perbincangan kita yang telah lalu dalam hubungan dengan ilmu yang
sekular dan ilmu yang bersifat suci atau sacred. Demikian juga tentang keadaan
ilmu dalam Islam yang semuanya berpaksikan tauhid, itu pun sudah dibicarakan
dalam bahagian awal huraian ini.
Mungkin yang boleh ditimbulkan dalam bahagian ini ialah pengamatan kita tentang
sudah ada timbulnya aliran yang dipanggil counter culture dalam pemikiran Barat
tentang budaya dan ilmu pengetahuan. Antara buku-buku yang sedemikian itu
ialah karangan-karangan mereka seperti Simone Weil, dengan The Need for
Rootsnya antara lain, Theodore Roszak9 dengan bukunya Where the Wasteland
Ends yang memberikan kritikan ilmiah dan intelektual serta spritual terhadap
kehidupan Barat yang menyeleweng sekular yang membawa kepada berlakunya
pencemaran alam sekitar yang sangat dahsyat; dan pada akhirnya beliau memberi
beberapa cadangan tentang bagaimana caranya hendak mengubati suasana yang
sangat parah ini demi untuk survival umat manusia dalam planet bumi ini.
Karangan-karangan lain datang dari penulis-penulis yang disebut oleh Roszak
dalam karangannya itu dan kerangannya yang lain, demikian juga huraian-huraian
yang mengkritik suasana semasa dalam kehidupan dan nilai-nilai Barat,
terutamanya dari pena Rene Guenon, A. Coomaraswamy, dan F. Schuon; termasuk
ke dalam senarai mereka ini ialah seperti Schumacher, antaranya dengan bukunya
Small is Beautiful and Guide to the Perplexed.
Jelaslah bahawa kemodenan yang merupakan doktrin yang diamalkan dalam
peradaban sekarang adalah doktrin yang berlawanan dengan ajaran Islam dan
tradisionalnya secara total. Tetapi bagaimanapun hendaklah diingatkan bahawa
modeniti adalah penyelewengan besar, bahkan ianya adalah pemalsuan agung
tanpa tara setakat ini. Damn Islam adalah hakikat yang sudah sediakala ada, yang
ada, dan yang terus–menerus Akan sampai ke akhir zaman. Kebenaran yang
sediakala itu berlawanan dengan penyelewengan dalam kehiduapan manusia.
Islam adalah paling sesuai dengan fitrah insaniah sebagaimana yang dimaksudkan
oleh ayat al-Quran yang bermaksud:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah
atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada
perubahan pada fitrah Allah (atau kejadian Allah); itulah agama yang lurus, tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui. Dengan kembali bertaubat kepada-Nya
dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikan sembahyang, dan jangan kamu
termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang
memecah belah agama meereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-
tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Surah
Rum 30-32, Tr. Dept. Agama Jakarta).
Jelas ianya sesuai dengan fitrah insaniah, maka ianya dengan semua masa, kerana
ianya adalah timeless, tidak tertakluk kepada masa. Yang berubah-ubah adalah
suasana dalam kehidupan manusia kerana runtunan nafsu mereka bukannya
kerana fitrah manusia berubah.
Untuk menunjukkan bagaimana relevannya Islam dan kebudayaannya pada
manusia zaman ini, kita boleh membuat beberapa pengamatan berkenaannya;
antaranya ialah sebagaimana berikut:
Islam dan kebudayaannya yang mengajarkan kebenaran untuk insan dalam erti
kata insan dengan kepenuhan dan luasan sifat insaniah yang keadaannya tidak
berubah-ubah itu adalah sangat-sangat diperlukan, apalagi pada zaman sekarang
bila mana ramai manusia yang dipengaruhi oleh ajaran-ajaran palsu zaman ini;
ajaran-ajaran dan nilai-nilai palsu itu hanya boleh dihadapi cebarannya oleh
kebenaran dari Islam dan kebudayaannya sebagai ajaran fitrah yang sediakala ada
dan terus-menerus akan ada. Dan lanjutan dari hakikat ini boleh dikatakan bahawa
kalaulalh ada kritrikan akliah dan rohaniah terhadap zaman ini yang diberikan oleh
seseorang berdasarkan kepada kebenaran Islam, tradisinya serta kebudayaannya,
maka itu adalah merupakan suatu sedekah yang sangat mahal kepada manusia
zaman ini kalaulah mereka boleh memahami harganya. Oleh itu hendaklah kritikan
itu diterima dengan berlapang dada dan bukan dihadapi dengan semangat bangga
diri dan rasa tinggi diri (superiority complex)
Kebudayaan Islam memang diperlukan oleh manusia zaman ini oleh kerana di
dalamnya diberikan huraian kedudukan sebenar antara kontemplasi dengan
kegiatan lahiriah dalam kehidupan dan peradaban manusia, tanpa melupai mana-
mana seginya yang diperlukan. Peradaban sekarang sedang berada dalam bahaya
yang sangat besar oleh kerana ia terlalu menekankan kegiatan lahiriah tanpa
memperdulikan soal kontemplasi dan pemusatan di atas kebenaran sebagai yang
diajarkan oelh agama samawi terakhir, iaitu Islam. Dengan itu penglibatan manusia
dalam Islam dan kebudayaannya yang murni menjadi sebagai ubat penawar yang
boleh menyembuhkan diri manusia serta kehidupan dan budayanya daripada
kehiduapan pincang dengan penumpuan kepada kehidupan kebendaan tanpa
dimensi rihaniah sewajarnya yang menyelamatkannya.
Islam dan kebudayaannya sangat-sangat diperlukan oleh manusia sekarang ini
oleh dia mengajarkan serta dengan memberikan contoh sejarahnya sekali konsep
ilmu yang sebenarnya beserta dengan perlaksanaan ilmu-ilmu itu dalm peradaban
manusia yang natijah-natijahnya yang menyelamatkan boleh disaksikan oleh
mereka yang berpandangan objektif. Dengan itu maka bahaya-bahyay yang timbul
dari konsep ilmu yang palsu serta perlaksanaan ilmu secara palsu boleh diberikan
koreksi oleh Islam dan kebudayaannya; dan tamadun Islam itu boleh merupakan
pemberi isyarat tentang apa yang sepatutnya dilakukan dalam hubungan dengan
soal ini.
Islam dan kebudayaannya sangat-sangat diperlukan untuk memberi kesedaran
kepada manusia–manusia moden tentang kedudukan menusia serta kejadian
dirinya dan struktur dirinya yang sebenarnya dilihat dari sifat-sifat keutamaan yang
mseti dimilikinya. Tanpa ajaran demikian dari Islam dan kebudayaannya, insaniah
dari diri dan kehidupan manusia akan hilang.
Islam dan kebudayaannya sangat-sangat diperlukan untuk menunjukkan kepada
manusia kepalsuan ajaran meterialisme, atau aliran falsafah kebendaan, yang
berupa seperti dajal mata sebelah yang membawa kepada manusia syurga dan
neraka palsu, yang menjerumuskan manusia ramai ke dalam neraka dan
menjadikan mereka itu terluput syurga. Tanpa ajaran Islam yang mujarab dan
panduan budaya Islam yang murni, manusia akan terus hidup dalam alam
kebendaan yang meyesatkan mereka seterusnya. Dan memang dalam punca-
punca tradisional Islam ada dinyatakan bahawa pada akhir zaman Islam akan
meyelamatkan manusia ada dinyatakan bahawa pada akhir zaman Islam akan
menyelamatkan manusia daripada meterialisme sebagai suatu ‘campur tangan’
daripada Tuhan sendiri yang menzahirkan rahmat-Nya yang meliputi.
Islam dan kebudayaannya sangat-sangat diperlukan oleh manusia zaman kini
untuk mengubati mereka daripada penyakit rasionalisme yang membawa mereka
bergantung kepada fakulti rasional batas itu, yang membawa kepada mereka
pelbagai kebencanaan. Kritikan terhadap rasionalisme yang menyesatkan itu
merupakan hadiah yang tidak ternilai harganya bagi manusia yang menyedarinya.
Islam dan kebudayaannya juga diperlukan oleh kerana ianya boleh memberi
panduan kepada manusiai yang banyak menghadapi mala petaka kerana kesilapan
mereka dalam memberi penilaian tentang kebebasan dan dalam melaksanakan
kebebasan yang tersilap itu dalam hidup dan budaya mereka.
Islam dan konsep kebudayaannya sangat-sangat diperlukan untuk manusia
supaya ianya boleh memberi panduan kepada mereka dalam memahami
kedudukan teknologi dalam kehidupan serta bagaimana hendak melaksanakan
teknologi itu supaya natijah-natijahnya mendatangkan kebaikan untuk manusia
dan kesan-kesan negatifnya dielakkan. Dalam hubungan dengan konsepsi Islam
tentang teknologi dan perlaksanaannya boleh memainkan peranan dalam memberi
panduan itu. (Cf dalam bidang perekonomian dalam mana sistem kewangan tanpa
riba sudah mula diakui sebagai sesuatu yang perlu dilaksanakan demi kebaikan
dalam bidang ini).
Dan selain dari itu perlulah diingatkan bahawa Islam sebagai al-din, iaitu agama dan
tradisi sebenarnya menyelamatkan manusia sekarang oleh kerana beberapa
perkara:
Islam memberikan kepada insan huraian tentang perhubungan yang tepat antara
manusia, Tuhan dan alam sekitarnya, dan alam semesta seluruhnya.
Ia memberikan kepada manusia kaedah perlaksanaan tugas rohaniah, demi
untuk menjadikannya berjaya sebagai makhluk rohaniah serta berhubung dengan
Tuhan yang menjadikannya. Kebahagiaannya terletak pada perlaksanaan tugas
rohaniah yang murni yang menyelamatkannya.
Ajaran Islam dan budayanya membantu manusia dalam memberikan kepada
ajaran tentang kepentingan sifat-sifat keutamaan dan perlaksanaan sifat-sifat
keutamaan itu dalam diri dan kehidupannya; inilah yang menjayakan kebenaran
dalam diri dan masyarakat serta peradaban yang didukungnya.
Islam dan ajaran kebudayaannya memberikan kepada manusia aturan-aturan
kehidupan yang lengkap dari masalah-masalah sekecilnya, sampailah kepada
masalah yang sebesarnya melalui sistem syariat yang puncanya adalah transenden,
berbeza daripada undang-undang bikinan manusia yang tidak boleh mencapai
darjah penghormatan sebagaimana yang boleh didapati pada sistem yang
transenden itu. Manusia boleh membina peribadi sebagai khalifah Tuhan di muka
buni serta membentuk kehidupan peradaban dan budayanya berdasarkan kepada
sistem yang lengkap itu. Inilah hadiah yang tidak terkira harganya untuk
kemanusiaan dam rupa sistem hidup yang lengkap yang perlu dijalankan oleh
manusia untuk kebaikan sendiri, dan untuk mengelakkan peradaban daripada
menjadi mangsa kezaliman sistem bikinannya sendiri serta penyalahguna
kekuasaan yang menindas manusia dari Timur sampai ke Barat.
Sudah tentu kehidupan Islam dan kebudayaannya bukanlah sesuatu yang timbul
dari kekosongan. Ianya adalah sesuatu yang keluar dari mata air yang bersih. Mata
air punca atau punca mata air itu adalah masyarakat Islam itu sendiri yang individu-
individu di dalamnya melaksanakan kehidupan mereka mengikut iltizam mereka
kepada Islam. Maka untuk mendapatkan natijah demikian itu perlulah umat Islam
berusaha dengan itu rahmat kehidupan Islamiah dan budaya Islamiah yang murni
muncul di kalangan kita sebagai air bersih yang menghilangkan haus akliah dan
rohaniah kita seta membersihkan kehidupan kita. Apakah yang perlu dilakukan oleh
indivdu Muslim dan masyarakat mereka?
Antara perkara-perkara yang perlu dilakukan sekarang ialah hendaklah semua
orang Islam menyedari kedudukan tradisi Islamiah mereka sendiri serta ciri-cirinya,
dan kepentingan mereka kembali kepadanya.
Selain daripada itu sudah tentulah perlu diulang-ulangkan keperluan Muslimin
kembali kepada akidah mereka yang sah serta mengenali hakikat–hakikat dalam
akidah itu serta penyelewengan-penyelewengan daripadaya, baik yang datang dari
pemikiran masyarakat lama di Timur dan juga penyelewengan-penyelewengan
daripada sistem pemikiran Barat moden dalam berbagai bentuknya, termasuk
positivisme, humanisme, historisisme, sainstisme, liberalisme, utilitarianisme dan
sebagainya. Juga perlulah mereka mengenali dengan rapatnya tugas-tugas
kerohanian mereka dan melaksanakan tugas-tugas itu dalam pengertiannya yang
luas, selain daripada pengertiannya yang khusus. Demikian juga perlulah mereka
kembali kepada nilai-nilai etika dan akhlak Islamiah yang membantu dalam
pembentukan peribadi unggul sebagaimana yang dikehendaki dalam konsep insan
sabagaimana yang diajarkan oleh Islam; dan dalam skima kehidupan Islam,
hendaklah setiap individu Muslim mengenali secara rapat ajaran-ajaran dan nilai-
nilai syariat dalam semua aspek kehidupan dan melaksanakan ajaran-ajaran serta
ketentuan itu dalam hidup amaliah mereka; kalau tidak Islam hanya menjadi
‘intelektual Islam’ dan bukan sesuatu yang dihidupkan dalam masyarakat manusia
dan dalam pembentukan peribadi yang dikehendaki.
Dalam hubungan dengan ini juga perlu diadakan usaha yang terencana dalam
menjayakan penterjemahan teks-teks penting dan asasi dalam tafsir Quran, hadis,
sirah, hikmah, akhlak, sains dan sebagainya, juga ilmu kemasyarakatan yang
merupakan ilmu-ilmu yang berbentuk dalam alam tradisional Islam. Ini adalah
untuk menjadi asas bagi generasi kita mengenali tradisi akliah dan rohaniah Islam
daripada punca asalnya. Di atas kesefahaman yang kukuh sedemikian ini boleh
dibinakan usaha-usaha untuk memberi penyelesaian kepada persoalan-persoalan
dalam bidang budaya ilmu dan budaya umumnya yang dihadapi sekarang ini.
Mungkin konsep memperkenalkan Hundred Islamic Books patut diperkenalkan
melalui penterjemahan yang terancang.
Dan dalam hubungan dengan ini program penterjemahan yang sedang diusahakan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan direstui oleh pihak Kementerian
Pendidikan mungkin boleh diperluaskan lagi skopnya dan dijadikannya lebih
dipentingkan lagi; bahkan ianya adalah sesuatu yang urgent. Pernah dalam suatu
persidangan sastera di USM beberapa tahun dulu saya membuat cadangan supaya
diadakan terjemahan klasik dalam sastera Islam untuk memperkenalkan tradisi
Islam dalam bidang ini sebelum kita menghasilkan sesuatu yang baru dan asli dalam
erti kata yang kita dikehendaki. Saya ulangkan sekali lagi cadangan itu di sini, moga-
moga ianya diteruskan dengan usaha yang berganda lagi, serta dengan mendapat
sokongan dari semua pihak yang berkenaan, demi untuk menjayakan program kita
mengenali kembali tradisi Islamiah yang maha kaya dan bernilai tanpa tara itu. Dan
mungkin penterjemahan teks-teks Islamiah yang fundamental dalam semua bidang
ini, sebab ianya memerlukan kepakaran dan juga persiapan-persiapan lain yang
berkaitan dengannya, kerana iannya tidak boleh dilakukan dengan secara sambilan
sahaja. Dengan usaha beginilah antaranya kita boleh mulakan usaha untuk
menanamkan kefahaman apa itu tradisi Islamiah-the Islamic tradition-sebenarnya
dikalangan masyarakat kita. Sudah tentu kita boleh sebutkan badan-badan seperti
ASASI dan institut-institut pengajian tradisional secara Islam yang perlu memberi
kerjasama dalam rangka kerja sedemikian ini.
Dan rasanya perlu juga disebutkan bahwa dalam hubungan dengan ini diperkenal
pendekatan yang ada dalam ‘Traditional Studies’ sebagaimana yang dibinakan
bidangnya oleh mereka seperti Rene Guenon, A.K. Coomaraswamy, F. Schuon,
Hossein Nasr dan Martin Lings, antara lainnya, untuk membantu kita mengambil
pendekatan yang bermanfaat dalam rangka usaha kita memahami kembali tradisi
Islamiah, dan juga dalm menghadapi pemikiran Barat moden ini, demi untuk
menjaga kesucian tradisi dan pemikiran kita serta mempertahankan diri dalam
menghadapi pemikiran sekular Insya-Allah Tuhan akan menolong kita.
Nota:
Selain daripada Kamus Dewan, Teuku Iskandar, 1970 boleh dilihat kamus-kamus
seperti Wilkinson dan Winstedt dalam hubungan dengan ini. Dalam bahasa Inggeri
boleh dilihat The Oxford English Dictonary, 1933 terdiri daripada 12 jilid… “culture”.
Dalam hubungan dengan kebudayaan umumnya boleh dilihat Polemik Kebudayaan
(ed) Sultan Takdir Alisjhabana; Jakarta: Pustaka Jaya 1948, antaranya boleh dilihat
tulisan Dr. Zainal Kling, “Konsep Kebudayaan Kebangsaan”, dalam Ideologi dan
Kebudayaan Kebangsaan. (ed) Dr. Wan Abdul Kadir Yusoff dan Zainal Abidin
Borhan, Jabatan Pengajian Melayu, 1985; juga Muhammad Anu Bakar,
“Pengislaman, Pembudayaan dan Pertembungan Budaya di Malaysia”, dalam
sumber di atas; juga elok diberikan perhatian kepada Rumusan Seminar Dasar I
bertajuk “Unsur-Unsur Budaya Tradisional dengan Keperibadian Kebangsaan
Malaysia”, dalam Asas Kebudayaan, Kem. Keb. Belia dan Sukan, Kuala Lumpur,
1973; juga buku Orang Melayu; Masalah dan Masa Depannya oleh Prof Dr. Syed
Husain Ali, 1979.
Antara buku-buku yang boleh dimanfaatkan untuk memahami kebudayaan
sebagaimana unga diungkapkan oleh sarjana Barat, termasuk: Edward Sapir,
Culture Language, and Personality, (ed) David G. Mandelbaum, Berkerly-Los
Angeles, 1970; Ralph Linton, The Tree of Culture, New York, 1957; T.S. Eliot,
Towards the Definitions of Culture, New York 1949; Simone Weil, Selected Essays,
London, 1962; Ralph Linton, The Study of Man: An Introduction, New York:
Appleton Century-Crofts, 1936. F. Allan Hanson, London-Boston, 1975; Theodore
Roszak, Where The Wasteland Ends, Politics and Transcendence in Postidustrial
Society, London 1973; dan tentang Islam, lihat Ismail Raji al-Faruqi (ed), Islamic
Thought and Culture, IIIT, 1982; Dr. Muhammad Faruq al-Nabhan, Mabadi’ ath-
Thaqafah al-Islamiah, Kuweit, 1974, antara lainnya. Wallahuaklam.
Tentang Istilah-istilah itu bolehlah didapati maklumat-maklumatnya dalam kitab-
kitab kamus Arab seperti Tajul ‘Arus, Lisan al-Arab, at Tahanawi dan sebagainya.
Diantara punca-punca Barat yang klasik yang boleh dimanfaatkan dan kemudan
boleh dibandingkan dengan asalnya ialah karangan Lane, Arabic-English Lexicon,
terdiri daripada 8 jilid; yang supplementnya dihabiskan oleh anaknya. Punca-punca
ini boleh membantu kita di dalam memahami istilah-istilah din millah, thaqafah,
hadarah, dab, ummah dan tamadun.
Tentang perbincangan berkenaan dengan perjalanan masa sebagaimana yang
difahamkan dalam pendangan tradisonal lihat Abu Bakar Siraj Ed-Din, Islamic and
the Christian Conception of the March of Time, The Islamic Quarterly, London.
Mengikut Imam al-Ghazali dalam Misykatul–Anwarnya tiap sesuatu yang ada
dalam alam zahir ini mempunyai pengertian di sebaliknya. Demikian juga dengan
sesuatu kenyataan yang ada dalam Quran dan hadis ada mempunyai pengertian-
pengertian yang bersifat kerohanian, di sebalik apa yang nyata itu. Orang yang
mempunyai ilmu yang tepat dan benar menerima kedua-dua realiti itu.
Antara buku-buku Titus Burckhardt yang bermanfaat dari segi hendak memahami
ajaran-ajaran suci, sebagai latar belakang memahami kesenian ialah seperti An
Introduction to sufi Doctrine Lahore, 1959; - “Arab or Islamic Art?” dalam the Sword
of Gnosis, ed Needleman, Penguin Metaphysical Library, 1974, 317-329; -,
“Cosmology and Modern Science”, ibid, 122-178;-, “Perennial Values in Islamic
Art”, ibid., 304-316;, Sacred Art In East and West, London 1967;
Perbezaan yang fundamental antara modeniti dan spirit tradisional dibicarakan
dengan mendalamnya oleh Rene Guenon, dalam The Crisis of Modern Man, dan
The Reign of Quantity and the Signs of the Times. Dan sebelum ini penulis ini
menyentuh tajuk ini dalam Islam dan Kebudayaan Melayu, terb K.K.B.S., Kuala
Lumpur, 1977, 62-89.
Tentang wahdatul-wujud yang sebenarnya (yang disilap fahamkan sebagai
pantheism, walhal itu dalah tidak tepat), di kalangan sajian moden dihuraikan
dengan jayanya oleh Martin Lings dalam bukunya, A Muslim Saint of the Twentieth
Century: His Spritual Heritage and Legacy, London: George Allen & Uwin 1961, oleh
Martin Lings and The Three Muslims Sages, oleh S.H. Nasr, salain daripada punca-
punca tradisional seperti Ihya’ ulum’d-Din oleh Imam al-Ghazali, Moden Pustaka
Indonesia 1966 dan yang sebagainya.
Tentang kesatuan ilmu-ilmu dan pentarafan ilmu-ilmu boleh dilihat huraian yang
jelas oleh S.H. Nasr dalam Science and Civilization in Islam, Cambridge-
Massachusetts, 1968;-,Islamic Science, AN Illustrated Study, London, 1976; An-
Introduction to Islamic Cosmological Doctrines, Cambridge-Massachusetts, 1964;
dan islam and the Plight of Modern Man, London, 1975.
Antara karangan-karangan Roszak yang lainnya ialah The Making of a Counter
Culture dan juga The Dissenting Academy (sebagai editor). Selain daripada pemikir-
pemikir demikian ini boleh kita menyebut mereka yang lain yang membuat kritikan
mendalam tentang sistem Barat baik dari segi metafizika, ideational, institusi, dan
sebagainya seperti Roger Garaudy, yang kemudiannya memeluk agama Islam.
Antara buku Garaudy yang sangat menarik perhatian kita ialah Mencari Agama
pada Abad XX Wasiat Filsafat Roger Garaudy, Indonesia oleh Prof Dr. H.M. Rasjidi,
Jakarta, 1986. Terima kasih banyak diucapkan kepada sahabat kita Dr. Kamal
Hassan kerana maklumatnya. Di dalam buku ini dinyatakan keyakinannya kepada
penghidupan kembali kebudayaan Islam di atas dasar pembentukan peribadi yang
berdasarkan konsep insan yang sempurna, mencakupi keperibadiannya yang hakiki
serta dengan kaedahnya; konsep masyarakat dan ummah yang transenden sifatnya
dan puncanya, serta nilai-nilai dalam islam yang positif yang membangunkan
manusia dan budayanya di atas dasar-dasar teguh mulai daripada Tradisi
Ibrahimiah.
___________________________________________________________________
_________________
* Kertas kerja ini dibentang di Siri Forum PEMIKIR BUDAYA I
Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka