EPISTEMOLOGI AHLIS-SUNNAH WAL-JAMA'AH DAN
KEPENTINGANNYA DALAM PEMBINAAN TAMADUN
OLEH
MUHAMMAD 'UTHMAN EL-MUHAMMADY
Pendahuluan
Yang dimaksudkan dengan “epistemology” atau faham ilmu, atau falsafah ilmu
ialah teori tentang ilmu pengetahuan, keadaannya, dasar-dasarnya, batasan-
batasannya, dan kesahihannya.
Yang dimaksudkan ilmu itu - antaranya pada al-Baqillani rh dalam at-Tamhidnya
pada bahagian awalnya - ialah mengenali apa yang dimaklumi itu mengikut
keadaan hakikatnya yang sebenarnya. (“ma’rifatul-ma’lum bima huwa bihi”).
Para ‘ulama usul al-din Ahlis-Sunnah mentarafkan peringkat mengenali itu sebagai
peringkat tertinggi, iaitu mengenali apa yang diketahui dengan sebenarnya, dengan
yakin berdasarkan kepada dalil. Ianya melebihi sangkaan yang kuat (zann), syak
(sama banyak antara yang ya atau tidak), sangkaan yang lemah (waham), kejahilan
semata (al-jahl), dan jahil yang bersusun (jahil al-murakkab), iaitu tidak disedari iaya
jahil, disangkanya dirinya mengetahui sebenarnya. Ianya mesti dengan dalil dan
yakin; tanpa dalil dan yakin tidak dipanggil ilmu atau ma’rifah.
Yang dimaksudkan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah ialah ajaran dan amalan yang berasal
daripada Nabi s.a.w. dan para Sahabatnya sebagaimana yang ternyata daripada
hadith yang menyebut umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, yang
selamat hanya satu, iaitu mereka yang dipanggil sebagai jemaah yang selamat dan
benar, yang berpegang kepada dasar hidup nabi dan para Sahabatnya, mereka
itulah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.
Dasar dan amalan inilah yang kemudiannya berkembang di kalangan para ulama
Ahlis-Sunnah dalam pelbagai disiplin ilmu, yang dihuraikan oleh tokoh-tokoh dalam
bidang tafsir Quran, qiraat, hadith dan cawangan-cawangannya, usul al-din, fiqh,
usul al-fiqh, akhlak dan tasawwuf, termasuk falsafahnya, demikian seterusnya
dengan pelbagai cawangan dan disiplin ilmu, antaranya sebagaimana yang
dihuraikan dalam “al-Muqaddimah” oleh ‘Abd al-Rahman ibn Khaldun rh antara
lainnya. (c.f. Osman Bakar, The Classification of Knowledge).
‘Abd al-Qahir al-Baghdadi rh membahagikan Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dalam
bahagian yang kemudian dalam kitabnya al-Farq bainal-Firaq kepada beberapa
bahagian mengikut disiplin ilmu dalam epistemologi Ahlis-Sunnah wal-jamaah
seperti: ilmu al-kalam atau usul al-din, ilmu tafsir Quran dan qiraat, ilmu hadith dan
cawangan-cawangannya, ilmu fiqh dan ahli-ahlinya (termasuk usul al-fiqhnya), ilmu
sastera dan nahu sarafnya, ilmu lughahnya, ilmu tasawwuf dan para ahlinya.
Termasuk ke dalam golongan mereka itu orang awam yang mengikut panduan
ulama Ahlis-Sunnah wal-jamaah dan juga mereka yang menjaga sempadan negeri-
negeri Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.
Cawangan-Cawangan Ilmu Ahlis-Sunnah Dan Ciri-Cirinya:
1. Ilmu Tafsir:
Berdasarkan kepada panduan-panduan ayat-ayat Quran
Panduan hadith-hadith
Huraian-huraian para ulama Ahlis-Sunnah yang muktabar dalam bidangnya seperti
al-Baidawi, al-Nasafi, al-Jalalain, a-Khazin, al-Baghwi, Fakhrul-razi dan seterusnya;
sampailah kepada para mufassirin zaman kemudian.
2. Ilmu Hadith:
Berdasarkan ilmu-ilmu hadith oleh para imam yang diakui seperti para pengumpul
"kutub sittah" dan lainnya dan para pensyarah kitab-kitab mereka.
Huraian para ulama tentang mustalah al-hadith.
Huraian para ulama tentang "al-jarh wa ta’dil".
Huraian para ulama tentang sejarah perkembangan hadith.
3. Ilmu usul al-din:
Berdasarkan kepada Quran, Sunnah, dan ijma’.
Berdasarkan kepada huraian para ulama Ahlis-Sunnah yang muktabar dalam
bidang ini seperti Imam Abul-Hasan al-Ash’ari, al-Maturidi, al-Baghdadi, al-
Baqillani, al-Nasafi, dan seterusnya dalam memberi huraian tentang Tuhan, para
nabi, malaikat, kitab samawi, akhirat, dan qadha dan qadar.
Juga berdasarkan kepada huraian mereka yang menolak Mu’tazilah, Jabariah,
Qadariah, Murji’ah, Khawarij, Batiniah, dan Syiah atau Rafidah.
Semuanya perlu diketahui dengan jelas dan simpati supaya akidah Ahlis-Sunnah
dijadikan pegangan dan dihayati dan yang lain-lain dijadikan sempadan dan ditolak,
samaada dalam bentuk lama atau baharu, klasik atau moden.
Yang moden yang perlu difahami dan ditolak seperti materialisme, sekularisme,
dekonstruksinisme, pasca-modernisme dan seterusnya, iaitu mana-mana yang
berlawanan dengan ciri-ciri pegangan Ahlis-Sunnah wal-jama’ah.
Mana-mana tulisan moden yang boleh membantu dalam memahami akidah ini
boleh dimanafaatkan seperti tulisan-tulisan Dr. Zandani, juga pemikir-pemikir Barat
seperti Fritjof Chapra antaranya dengan The Tao of Physicsnya antara lainnya.
Tulisan Dr. Iqbal seperti The Reconstruction of Religious Thought in Islam juga perlu
difahami dengan jelas dan penuh simpati serta manafaat daripadanya perlu
didapati, walaupun mungkin dalam beberapa perkara tentang pemikirannya kita
berbeza dengannya.
Cabaran-cabaran terhadap pemikiran dan akidah Ahlis-Sunnah dalam penulisan
semasa - termasuk apa yang ada dalam internet - perlu diberi respons yang tepat
oleh para ulama dan sarjana Muslim dengan kerjasama mereka yang berwenang.
Nusantara atau Dunia Melayu Muslim mesti dikekalkan akidah Ahlis-Sunnah wal-
jamaahnya dengan ciri-cirinya demi untuk menjaga kesahihan akidahnya dan juga
kestabilan intelektuil dan rohaninya sebagai asas yang kukuh bagi pembinaan
tamadun dan budaya di rantau ini (selain daripada mengambil kira dan
memanafaatkan perkembangan-perkembangan terbaharu dalam ilmu
pengetahuan dan teknologi termasuk ICT).
Perlu dihadapi dengan cara berkesan fenomena pihak-pihak yang tertarik dengan
pemikiran Syiah sehingga dianggap perlu menggantikan pemikiran dan akidah
Ahlis-Sunnah di Dunia Melayu.
Juga perlu dihadapi dengan berkesan fenomena Kristianisasi dan yang sepertinya.
4. Ilmu Fiqh:
Ilmu berkenaan dengan detail-detail hukum Syara’ dalam Islam berdasarkan
kepada Quran, Sunnah, Ijma’ mereka yang muktabar, dan Qias mereka yang
berwenang. Juga istihsan, istislah, istishab dan seterusnya.
Berdasarkan kepada mazhab-mazhab yang diakui dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah,
dan kalau di Nusantara mazhab Imam Syafi’I rd dengan tambahan-tambahan dalam
bentuk fatwa-fatwa dan keputusan-keputusan baharu yang diperlukan
berdasarkan kepada kaedah-kaedah mazhab yang diakui.
Ini demi untuk menjaga kesahihan dalam perkembangan dan pengamalan hukum
serta keseragaman dalam perlaksanaan hukum dan kesenangan dalam
menguruskan kehidupan kolektif umat di rantau ini.
Perlu dihadapi fenomena pemikiran dan pemahaman tentang hukum yang
terbebas daripada mazhab yang muktabar (aliran “al-lamadhhabiyyah”) kononnya
kerana hendak “kembali kepada Quran dan Sunnah” sahaja, atau kerana “hendak
menghapuskan sarang labah-labah yang berabad-abad itu” (“the web of the
centuries”) dan sebagainya.
Perlu dihadapi fenomena memberi fatwa atau pendapat secara tidak mengikut
adab dan ketertiban sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama muktabar
tentang fatwa dan membuat keputusan hukum (‘istinbat’), mengeluarkan
pendapat sendiri-sendiri, atau mengikut apa yang dipanggil sebagai ulama “haraki”
dan ditolaknya yang “tidak haraki” sampai terjejas ciri-ciri sahih keputusan hukum
dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah (c.f. teguran al-Hudaibi terhadap almarhum
Maududi dalam hubungan dengan istilahnya yang empat yang menyalahi ijma’
Ahlis-Sunnah wal-jamaah; demikian pula teguran yang dibuat dalam hubungan
dengan pemikiran almarhum Syed Qutb rh dengan penuh penghormatan kita
kepada beliau yang sangat banyak berjasa itu).
Perlu dihadapi fenomena yang bercanggah dengan dasar “bertanyalah kepada ahli
ilmu kalau kamu tidak mengetahui” yang tertingginya merujuk kepada para
mujtahidin sebenarnya;
Juga fenomena yang bercanggah dengan pengajaran dalam hadith:
…المسلمين لأئمة…النصيحة الدين
Keceriaan yang murni dan sungguh-sungguh dalam hubungan dengan para ulama
dan para pemimpin dalam kehidupan bermasyarakat sekaligus dengan
mengamalkan adab-adab dan cara-cara berinteraksi dengan mereka sebagaimana
yang ada dalam teks-teks Ahlis-Sunnah wal-jamaah.
5. Ilmu Akhlak dan Tasawwuf:
Keperluan kepada usaha merujuk dan mengambil panduan daripada sistem ilmu
tasawwuf yang muktabar sebagaimana yang ada dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah
seperti Imam al-Ghazali rd dan al-Qushairi rh serta al-Junaid al-Baghdadi rh dan
lainnya serta teks-teks mereka dan perjalanan hidup mereka.
Keperluan mengelak daripada ciri-ciri yang tidak wajar dalam kefahaman sufiah dan
amalan-amalannya, apa lagi yang bercanggah dengan hukum Syara’ dan ciri-ciri
Batiniah yang sesat dan menyesatkan yang muncul atas nama tasawwuf atau ilmu
hakikat yang palsu dan juga keperluan menyelesaikan masalah-masalah yang
timbul berkaitan dengannya.
Keperluan mengembalikan umat kepada “makarim al-akhlak” dengan pemusatan
kepada sifat-sifat yang mulia dan utama serta mengikis sifat-sifat yang sebaliknya
melalui ilmu pengetahjuan yang berkenaan dan latihan-latihan akhlak dan adab
amaliah dalam kehidupan harian.
Keperluan untuk menghalang dengan pelbagai cara yang mungkin melalui undang-
undang, pendidikan, dan kawalan masyarakat, serta media peribadi-peribadi yang
sesat daripada menyesatkan orang ramai melalui dakwaan-dakwaan palsu tentang
kemampuan memberi kepimpinan rohaniah yang tinggi.
Beberapa Segi Epistemologi Sunni:
Antaranya ini boleh dilihat pada bab kelima al-Farq Bainal-Firaq: antara dasar-dasar
atau “usul”nya ialah:
Rukun Yang Pertama
Yang disepakati dikalangan mereka rukun pertamanya mengithbatkan hakikat-
hakikat dan ilmu-ilmu yang mereka ijma’kan tetapnya ilmu-ilmu itu dengan makna-
makna yang ada pada para ulama dan dianggap sesat mereka yang menafikan ilmu
dan lain-lain sifat (a’rad) seperti yang berlaku pada golongan “Sophists” (ini boleh
terkena pada pemikiran pascamodernisme) yang menafikan ilmu dan hakikat-
hakikat benda-benda yang ada. Demikian pula sesatnya mereka yang menganggap
semua pegangan dan kepercayaan sebagai sah walau pun yang saling berlawanan
dan bercanggahan.
Ulama ahli Sunnah membahagikan ilmu manusia kepada yang bersifat badihiah,
yang hissi, dan istidlali - mereka yang menafikan ilmu yang bersifat badihi dan hissi
- melalui pengamatan pancaindera - sebagai golongan degil.
Mereka yang menafikan ilmu dari tilikan akal (al-nazar) dan istidlali (dengan
mengambil dalil pemikiran) , kalau ianya seperti golongan Sumniyah yang
mengingkari penilikan akal dalam ilmu akliah ia kafir mulhid, seperti golongan
dahriah atau materialist, yang berpegang kepada sediakalanya alam, penafian
adanya Tuhan Pencipta alam, berserta dengan fahaman membatalkan semua
agama-agama (dan ini juga menyentuh pemikiran pascamodernisme sekarang).
Kalau orang demikian berpegang kepada tilikan akal dalam ilmu akliah dan menolak
kias dalam cawangan hukum Syara’ seperti mazhab Zahiriah, itu tidak membawa
kepada kekufuran.
Ahlis-Sunnah mengajarkan pancaindera yang mengesani perkara-perkara zahir
yang boleh dikesani olehnya (al-mahsusat) ialah pemandangan mata bagi
mengesani apa yang boleh dilihat, perasa yang mengesani seperti rasa makanan,
penciuman bagi mengesani bau, sentuhan bagi mengesani panas dan sejuk, basah
dan kering, sifat lembut dan kasar.
Ahlis-Sunnah mengajarkan apa-apa yang dicapai melalui pancaindera ini berupa
sebagai makna-makna (al-ma’ani) yang berdiri dengan alat-alat pancaindera itu.
(Ilmu yang berpunca daripada pengesanan melalui pancaindera dan tilikan akal
boleh diperpanjangkan dengan perlaksanaan kaedah saintifik, penyelidikan, dan
pemikiran serta rumusan ilmu pengetahuan dan alat-alat kelengkapan yang
diperlukan zaman sekarang sampailah kepada ICT dan seterusnya).
Mereka mengajarkan bahawa khabar berita yang mutawatir - yang sampai melalui
punca yang terlalu banyak yang tidak memungkinkan salahnya - adalah jalan ilmu
yang daruri - tidak boleh tidak - yang sah bila cukup syarat-syaratnya pada mereka.
Termasuk ke dalam contoh ini ialah pengetahun kita tentang para nabi dan raja-
raja sebelum kita dalam sejarah. Adapun sahnya penegasan tentang pangkat
kenabian para anbiya itu maka itu sah melalui hujah-hujah nazariah atau tilikan
akal. Maka dikirakan kafir mereka yang mengingkari ilmu dari kaedah atau jalan
riwayat mutawatir.
Mereka memperincikan ciri-ciri riwayat yang mutawatir, yang mustafid, dan yang
bersifat ahad, yang terakhir dengan periwayat seorang atau terlalu sedikit.
Berita ahad pada Ahlis-Sunnah bila sahih sandarannya dan matannya tidak mustahil
pada akal, maka mesti diamalkan ajarannya. Dengan kaedah ini para ulama fiqh
mensabitkan kebanyakan hukum Syariat dalam ibadat, mu’amalat, dan lain-lain
bab haram dan halal.
Mereka menganggap sesat golongan-golongan yang menggugurkan wajib beramal
dengan riwayat ahad seperti golongan Syiah Rafidah, Khawarij, dan lain-lain
golongan yang mengikut hawa nafsu mereka.
Khabar mustafid adalah ditengah-tengah antara mutawatir dan ahad - mesti
berilmu dengannya dan mesti beramal dengannya. Termasuk di bawah kaedah ini
ialah ilmu tentang beberapa ma’jizat Nabi s.a.w. seperti terbelah bulan,
bertasbihnya anak batu, meratapnya pelepah tamar, cukupnya makanan sedikit
bagi orang ramai dan seterusnya.
Khabar mustafid banyak terdapat dalam hukum Syara’ seperti nisab zakat, had
khamar, ilmu tentang menyapu dua kasut panjang, hukum rejam, dan yang
sepertinya yang disepakati ulama fiqh tentang penerimaan terhadapnya; dianggap
sesat mereka yang menyalahi mereka dalam hal ini seperti golongan Khawarij, yang
mengingkari rejam.
Dan dikirakan kafir mereka yang mengingkari ru’ya atau memandang Allah di
Syurga, Kolam nabi di akhirat, syafa’ah dan azab kubur.
Sabitnya Quran, zahirnya, dan mu’jizatnya yang menyebabkan ianya tidak boleh
ditentang itu melalui riwayat mutawatir yang menjadikannya ilmu daruri.
Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Allah mentaklifkan para hambaNya mencapai
ma’rifat terhadapNya, dan mereka diwajibkan tentangnya, juga mereka disuruh
berma’rifat dalam hubungan dengan RasulNya, dan KitabNya, serta beramal
dengan apa yang ditunjukkan oleh Kitab dan Sunnah nabiNya.
Dianggap kafir mereka yang menegaskan bahawa Allah tidak menyuruh ma’rifat
seseorang itu, seperti yang diperpegangi oleh Thumamah, dan al-Jahiz, dan
segolongan daripada Syiah Rafidah.
Mereka bersepakat bahawa usul Hukum Syariat ialah Quran, Sunnah, dan Ijma’
golongan Salaf.
Mereka anggap kafir pihak yang menegaskan - seperti golongan Syiah Rafidah -
bahawa tidak ada hujah sekarang ini pada Quran dan Sunnah kerana pada dakwaan
mereka para Sahabat telah mengubah sebahagian dari Quran itu dan melakukan
“tahrif” pada setengah daripadanya.
Mereka anggap kafir golongan Khawarij yang menolak semua hadith-hadith Sunan
yang dinukilkan oleh para periwayatnya oleh kerana mereka mengatakan para
penukil hadith itu - termasuk Sahabat - menjadi kafir.
Mereka menganggap kafir al-Nazzam yang menolak hujah ijma’ dan hujah
mutawatir, dan yang berpegang kepada harus berlakunya persepakatan umat Islam
atas kesesatan dan kemungkinan berlaku pembohongan di kalangan mereka yang
terlibat dalam riwayat yang mutawatir.
Tentang Rukun Yang Kedua.
Tentang baharunya alam ini, yang mereka sepakati ialah alam itu ialah sekelian
yang selain dari Allah.
Maka sekelian yang lain dari Allah dan sifat-sifatNya yang azali adalah makhluk yang
diciptakanNya.
Pencipta alam bukan makhluk, bukan dicipta, bukan dari jenis alam, bukan dari
jenis sesuatu bahagian atau juzu’ alam.
Mereka bersepakat alam ini terdiri dari zat dan sifat (jauhar dan ‘arad).
Mereka mengajarkan tiap jauhar - iaitu atom - tidak boleh dibahagi (Sekarang ini
ianya boleh dibahagi- proton, neutron, dan sebagainya, dengan entiti-entiti baharu
seperti “quarks” dan seterusnya dalam fizik quantum).
Mereka mengajarkan adanya para malaikat, jin, dan syaitan-syaitan daripada
makhluk-makhluk dalam alam.
Mereka aggapkan kafir mereka yang mengingkari ini semua seperti golongan ahli
falsafah dan puak Batiniah.
Mereka menganggapkan sesat golongan yang mengajarkan fahaman serba-dua (al-
thanawiyah) iaitu jisim terdiri daripada nur atau cahaya, dan zulmah atau
kegelapan; yang baik daripada nur, yang jahat daripada zulmah.
Mereka bersepakat tentang baharunya ‘arad pada semua jisim-jisim, dan mereka
menganggap tiap-tiap ‘arad itu baharu pada tempatnya ‘arad itu tidak berdiri
sendirinya.
Ahlis-Sunnah bersepakat tentang fananya seluruh alam ini dan mereka
mengajarkan kekalnya syurga dan neraka, syurga dengan ni’matnya dan neraka
dengan azabnya melalui jalan Syara’.
Mereka menganggap kafir golongan Jahmiah yang mengajarkan syurga dan neraka
itu binasa.
Mereka menganggap kafir Abul-Hudhail yang berpendapat akan terputusnya
ni’mat syurga dan azab neraka;
Rukun Ketiga Berkenaan Dengan Pencipta Alam.
Semua peristiwa yang berlaku mesti ada yang melakukannya dan yang
menjadikannya.
Ahlis-Sunnah menganggap kafir Thumamah dan pengikutnya dari golongan
Qadariah yang mengajarkan bahawa perbuatan-perbuatan itu timbul sendiri - al-
mutawallidah - tanpa pembuatnya. Mereka mengajarkan Pencipta alam hanya
menjadikan jisim-jism dan ‘arad sahaja, bukan perbuatan-perbuatan.
Mereka menganggap kafir Ma’mar dan para pengikutnya dari golongan Qadariah
yang mengajarkan Allah tidak menciptakan sesuatupun daripada ‘arad-‘arad yakni
sifat-sifat yang ada pada jisim-jisim. Ia hanya menjadikan jisim-jisim sahaja. Jisim-
jisimlah yang menjadikan ‘arad-‘arad sendirinya.
Golongan pelampau atau ghulat dari kalangan Syiah Rafidah mengajarkan bahawa
‘Ali adalah jauhar makhluk, yang baharu dijadikan, kemudian ia menjadi Tuhan
Pencipta Alam dengan meresap masuk - hulul - roh Tuhan ke dalamnya. Mereka ini
mengajarkan Tuhan tidak ada kesudahan dan hadNya.
Hasyim bin Hakam al-Rafidi mengajarkan Tuhan yang disembahnya tujuh jengkal
dengan jengkalnya sendiri.
Ahlis-Sunnah mengajarkan mustahil Tuhan itu ada rupa bentuk dan anggota, khilaf
bagi golongan ghulat Rafidah dan para pengikut Daud al-Hawari yang mengajarkan
bahawa Tuhan ada, mempunyai rupa bentuk seperti rupa manusia.
Ahlis-Sunnah bersepakat mengajarkan bahawa Tuhan tidak dikandung ruang atau
tempat, dan tidak berlalu atasNya perjalanan masa; ini berlawanan dengan
pegangan kaum Syihamiyah dan Karramiyah yang mengajarkan bahawa Tuhan
bersentuh dengan ‘Arasy.
Dinukilkan oleh Ahlis-Sunnah bahawa baginda ‘Ali rd menyataan bahawa Allah
menjadikan ‘Arasy bagi menzahirkan QudratNya, bukan bagi menjadi tempat untuk
ZatNya (izharan li-Qudratihi la makanan li Dhatihi). Katanya lagi: Telah ada Ia dan
tiada tempat (bagiNya), dan Ia sekarang sebagaimana telah adaNya dahulu.
Ahlis-Sunnah menafikan adanya kecelaan, kesahan, dan kesakitan pada Tuhan.
Mereka menafikan gerak dan diam padaNya. Ini berlawanan dengan Syiah Rafidah
yang mengajarkan bahawa tempatNya baharu menjadi daripada gerakNya.
Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Allah Maha Kaya tidak memerlukan pertolongan
makhlukNya, dan Ia tidak mendapat manafaat daripada makhlukNya untuk DiriNya,
dan Ia tidak menolak kemudaratan dariNya melalui makhlukNya. Ini berlawanan
dengan dakwaan para Majusi yang mengajarkan bahawa Allah menjadikan para
malaikat untuk menolak kesakitan daripada Syaitan terhadapNya.
Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Pencipta Alam adalah Esa. Ini berlawanan
dengan Majusi yang mengajarkan ada dua yang kadim, iaitu Nur dan Zulmah.
Ini juga berlawanan dengan Rafidah yang mengajarkan bahawa Allah menyerahkan
tadbiran alam kepada ‘Ali, ialah Pencipta Yang Kedua (al-Khaliq al-Thani).
Berkenaan Dengan Rukun Yang Keempat.
Berkenaan Dengan Sifat-Sifat Allah: IlmuNya, QudratNya, HayatNya, IradatNya,
Sama’Nya, BasarNya, dan KalamNya, yang semuanya Sifat-Sifat Yang Azali dan
Kekal.
Mu’tazilah menafikan semua Sifat-Sifat Azali bagi Allah: mereka mengajarkan tidak
ada bagi Allah sifat Qudrat, Ilmu, Hayat, Basar, dan tidak ada PencapaianNya bagi
semua yang boleh didengar.Mereka mensabitkan bagiNya kalam yang baharu.
Kata Ahlis-Sunnah: menafikan sifat bermakna menafikan apa yang disifatkan,
sebagaimana menafikan perbuatan bermakna menafikan pembuat.
Ahlis-Sunnah bersepakat Kuasa Allah berlaku atas semua yang ditakdirkan, dengan
QudratNya yang satu. Dengan Qudrat yang satu berlaku semua yang ditakdirkan.
Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Ilmu Allah adalah satu dengan Ilmu itulah Ia
mengetahui semua maklumat secara terperinci tanpa pancaindera, cara badihiah,
dan mengambil dalil.
Kaum Rafidah di kalangan Syiah mengajarkan Allah tidak mengetahui sesuatu
sebelum jadinya.
Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Sifat Basar dan Sama’ Allah meliputi semua yang
boleh dilihat dan didengar dan Allah berterusan melihat DiriNya dan Mendengar
KalamNya.
Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Allah boleh dilihat oleh orang mukmin di akhirat.
Mereka berpendapat harus melihatNya dalam tiap-tiap hal dan bagi tiap-tiap yang
hidup melalui jalan akal. Dari mereka mengajarkan wajib orang mu’min melihatnya
secara khusus di akhirat melalui jalan khabar dalam nas. Ini berlawanan dengan
pendapat Qadariah dan Jahmiyah yang mengajarkan mustahil Ianya boleh dilihat.
Ahlis-Sunnah bersepakat bahawa Kehendak Allah - Iradat dan Masyi’ahNya -
tertakluk atas segala perkara.
Mereka mengajarkan bahawa tidak ada yang berlaku dalam alam melainkan
dengan KehendakNya, apa yang dikehendakiNya jadi, apa yang tidak
dikehendakiNya, tidak menjadi.
Golongan Qadariah Basrah berpendapat ada Allah kehendaki apa yang tidak
menjadi, dan ada yang menjadi apa yang tidak dikehendakiNya.
Ahlis-Sunnah bersepakat Hayat Tuhan tanpa roh dan makanan; dan semua arwah
adalah makhluk. Ini berlawanan dengan Nasrani yang mendakwa sediakalanya
bapa, anak dan roh (dalam tiga oknum mereka).
Mereka bersepakat bahawa kalamullah adalah SifatNya yang azali, dan itu bukan
makhluk, bukan baharu.
Rukun Yang Kelima Berkenaan Dengan Nama-Nama Allah.
Nama-Nama Allah pada Ahlis-Sunnah adalah perkara tauqif, iaitu samaada ianya
diambil daripada al-Quran atau Sunnah yang sahih atau ijma’ umat tentangnya;
tidak dibolehkan qias tentangnya.
Berlawanan dengan pihak seperti Mu’tazilah Basrah yang membolehkan qias. Al-
Jubba’I misalnya menyesatkan bila ia memberi nama Muti’ (yang taat) kepada
Allah melalui jalan qias kerana katanya Allah memberi kehendak hambaNya.
Ahlis-Sunnah mengajarkan tentang adanya Sunnah yang menyebut nama Tuhyan
sebanyak sembilan puluh sembilan, dan sesiapa yang membilang-bilangnya masuk
syurga. Maksudnya bukan hanya menyebut dan membilang tetapi mempunyai ilmu
tentangnya dan beriktikad tentang makna-maknanya.
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa Nama-Nama Tuhan ada tiga bahagian:
sebahagian yang menunjukkan ZatNya, seperti al-Wahid (Yang Esa), al-Ghani (Yang
Maha Kaya), al-Awwal (Yang Kadim tanpa permulaan), al-Akhir (Yang Kekal tanpa
kesudahan), al-Jalil (Yang Maha Hebat), al-Jamil (Yang Maha Indah), dan lain-lain
yang Ia berhak bersifat dengannya.
Sebahagian lagi yang memaksudkan Sifat-SifatNya yang azali yang bersekali dengan
ZatNya seperti al-Hayy (Yang Maha Hidup), al-Qadir (Yang Maha Berkuasa), al-‘Alim
(YangMaha Mengetahui), al-Murid (Yang Maha Berkehendak), as-Sami’ (Yang
Maha Mendengar), al-Basir (Yang Maha Melihat), dan lain-lain Nama daripada
Sifat-Sifat Yang berdiri dengan ZatNya.
Sebahagian lagi Nama-Nama yang timbul daripada perbuatan-perbuatanNya
seperti al-Khaliq (Yang menjadikan alam), ar-Razig (Yang Maha Mengurnia rezeki),
al-‘Adil (Yang Maha Adil), dan yang sepertinya.
Bagi golongan pascamodernis yang menolah naratif agung- akidah seperti ini dalam
agama - dan golongan materialis, ini semua tertolak sebagai bahan-bahan tanpa
makna yang tidak perlu diambil kira. Ini perlu diberi respons dan perlu dihadapi
dengan berkesan).
Tentang Rukun Yang Keenam.
Tentang Keadilan Ilahi dan Hikmat KebijaksanaanNya. Mereka mengajarkan
bahawa Allah menjadikan jisim-jisim dan ‘arad-arad yang baiknya dan yang
buruknya semua sekali (kalau sekarang boleh dikatakan Ia menjadikan semua
atom-atom, neutron-neutron, proton, elektron, quark-quark, serta lain-lainnya
seperti yang ada ini semua, samaada dalam bentuk gelombang atau zarrah, dengan
sifat-sifatnya semua sekali).
Bahawa Allah menjadikan usaha para hambaNya, tidak ada yang menjadikannya
selain daripada Allah. Ini berlawanan dengan golongan Qadariah yang menegaskan
Allah tidak menjadikan sesuatupun daripada usaha para hambaNya, dan
berlawanan dengan golongan Jahmiyah yang mengajarkan bahawa hamba tidak
melakukan usaha dan tidak berkuasa atas usaha mereka.
Pada Ahlis-Sunnah sesiapa yang berpegang kepada ajaran bahawa para hamba
menjadikan usaha mereka, ia Qadariyah, syirik dengan Tuhannya, kerana
mendakwa para hamba menjadikan seperti Tuhan mennjadikan ‘arad-‘arad seperti
gerak-gerak dan diam dalam ilmu dan iradat, kata-kata dan suara.
Dan - mereka mengajarkan - sesiapa yang menegaskan bahawa hamba tidak ada
upaya untuk berusaha, ia tidak melakukan amal, serta tidak melakukan usaha,
maka ia Jabariyah. Sesiapa yang berpegang kepada ajaran bahawa hamba berusaha
bagi amalnya dan Allah pencipta usahanya, maka ia Ahlis-Sunnah.
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa hidayah adalah dari Allah dari dua segi: iaitu
segi menerangkan yang benar dan menyeru kepadanya, serta membentangkan
hujah-hujah dan dalil untuknya. Dari segi in maka sah dinisbahkan hidayah kepada
para Rasul a.s.s dan da’I kepada agama Allah kerana mereka memberi panduan
yang benar kepada Allah. Ini penafsiran terhadap ayat yang bermaksud
“Sesungguhnya tuan hamba menyeru kepada Jalan Yang Lurus” (Surah al-Shura:
ayat 52).
Segi keduanya: hidayah pertunjuk Allah terhadap para hambaNya dalam erti
menjadikan bimbingan hidayat dalam hati para hamba sebagaimana yang ada
dalam ayat yang bermaksud “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi
hidayat kepadanya, ia membukakan dadanya bagi menerima agama Islam, dan
sesiapa yang Ia kehendaki supaya dibiarkan dalam kesesatan Ia menjadikan
dadanya sempit…” (Surah al-An’am: ayat 126). Hidayat dalam aspek ini hanya Allah
sahaja yang berkuasa melakukannya.
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa sesiapa yang mati maka itu kerana ajalnya, dan
Allah Maha Kuasa untuk memanjangkan umurnya.
Ahlis-Sunnah mengajar tentang rezeki iaitu sesiapa yang makan atau meminum
sesuatu itu rezekinya, samaada halal atau haram, itu berlawanan dengan golongan
Qadariah yang menegaskan bahawa manusia kadang-kadang makan apa yang
bukan rezeki baginya.
Tentang Rukun Yang Ketujuh Berkenaan Dengan Kenabian dan Kerasulan.
Mereka mengajarkan hakikat adanya kenabian dan kerasulan serta mereka
menegaskan kebenaran adanya para Rasul a.s.s yang diutuskan Allah kepada para
hambaNya. Ini berlawanan dengan ajaran Brahminisme (juga golongan materialis
dan pascamodernis) yang menafikan itu walaupun mereka percaya kepada Tuhan
Yang menjadikan alam.
Ahlis-Sunnah membezakan antara Rasul dan Nabi. Nabi ialah setiap orang yang
turun wahyu kepadanya dari Allah melalui malaikat dan ia diperkuatkan dengan
mu’jizat-mu’jizat yang menyalahi adat. Rasul ia sesiapa yang bersifat dengan sifat-
sifat tersebut serta dikhaskan baginya syariat yang baharu, ataupun atau ia datang
memansukhkan sebahagian daripada syariat yang terdahulu daripadanya.
Ahlis-Sunnah menganggapkan kafir orang yang mengaku nabi samaada sebelum
Islam seperti Zardasyt, dan Mazdak dan sebagainya, dan yang selepas Islam seperti
Musailamah al-Kazzab, Sajah, dan seterusnya.
Ahlis-Sunnah menganggap kafir golongan yang menisbahkan kenabian bagi imam-
imam atau mengaku mereka itu Tuhan seperti golongan al-Bayaniah, al-Mansuriah,
al-Khattabiyah, dan yang menjalani perjalanan mereka. (Termasuk ke dalam
kategori ini golongan-golongan sesat yang mengaku Tuhan dalam diri mereka, atau
pemimpin mereka menerima wahyu daripada Jibril, atau pemimpin mereka mi’raj,
bersemayam atas ‘Arasy dan seterusnya, termasuk juga mereka yang mengaku
adanya imam-imam maksum).
Mereka mengajarkan: para Nabi a.s.s lebih afdhal daripada para malaikat yang
berlawanan dengan pendapat al-Husain bin al-Fadl berserta dengan kebanyakan
daripada golongan Qadariah yang mengajarkan malaikat lebih utama daripada para
Rasul a.s.s.
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa para Nabi lebih afdal daripada aulia, ini
berlawanan dengan mereka yang berpendapat para aulia lebih afdal daripada
anbia.
Mereka mengajarkan para nabi maksum iaitu bersih daripada dosa. Ini berlawanan
dengan pegangan golongan Hisyamiah daripada firkah Syiah Rafidah yang
berpegang kepada pendapat para nabi boleh berdosa tetapi mereka mengajarkan
bahawa para imam itu maksum bersih daripada dosa.
Rukun Yang Kelapan, Tentang Mu’jizat Dan Karamah.
Mereka mengajarkan bahawa mu’jizat ialah perkara zahir yang menyalahi adat
timbul pada seseorang nabi dalam menghadapi kaumnya dan kaumnya lemah
untuk menghadapinya, dan ini membenarkan dakwaannya sebagai nabi; maka
wajib ditaati nabi yang demikian.
Mereka mengajarkan harus zahirnya kekeramatan dari para aulia yang
menunjukkan benarnya hal mereka itu.
Golongan Qadariah mengingkari adanya karmah aulia kerana mereka tidak
mendapati orang yang mempunyai karamah dalam golongan mereka.
Ahlis-Sunnah mengajarkan Quran ada mu’jizatnya dalam bentuk susunannya; ini
berlawanan dengan pendapat Qdariah, seperti an-Nazzam, yang menyatakan
bahawa tidak ada mu’jizat dalam susunan sistem al-Quran.
Mereka mengajarkan ada mu’jizat Nabi Muhammad s.a.w. dalam bentuk
terbelahnya bulan, bertasbihnya anak batu di tangannya, keluarnya air di celah-
celah jarinya, memadainya makanan sedikit untuk orang yang sedemikian ramai,
dan yang sepertinya. Golongan Qadariah seperti al-Nazzam mengingkari yang
demikian itu.
Berkenaan Dengan Rukun Kesembilan Tentang Syariat Islam Dan Rukun-Rukunnya.
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa Islam terdiri daripada lima rukun, iaitu
syahadah, perlaksanaan sembahyang lima waktu, pembayaran zakat, puasa
Ramadhan, dan ibadat haji ke Baitullahil-Haram.
Mereka mengajarkan sesiapa yang menggugurkan sesuatu rukun yang wajib
daripada yang lima ini dan mentakwilkannya seperti yang dilakukan oleh golongan
al-Mansuriah, dan al-Janahiah dari golongan ghulat Syiah Rafidah, maka ia kafir. (Ini
sama seperti setengah golongan sesat yang menggugurkan wajib sembahyang
kononnya kerana makam rohani yang tinggi yang dicapai oleh mereka).
Mereka mengajarkan sembahyang lima waktu, dan mereka menganggap kafir
orang yang menggugurkan setengah daripadanya, seperti Musalamah al-Kazzab
yang menggugurkan wajibnya sembahyang Subuh dan Maghrib; ia
menggugurkannya itu sebagai mahar bagi perkahwinannya dengan isterinya Sajah
yang juga mengaku nabi; maka ia menjadi kafir mulhid. (Ini sama dalam setengah
perkara dengan golongan semasa yang mengajarkan sembahyang itu bukan lima
waktu, dan caranya bukan seperti yang biasa diamalkan Ahlis-Sunnah, kerana
golongan ini mahu berpegang kepada Quran sahaja mengikut tafsiran sendiri
bukannya mengikut sistem ilmu atau epistemologi Sunni).
Ahlis-Sunnah mengajarkan wajib sembahyang Jumaat dan mereka menganggap
kafir golongan Khawarij dan Syiah Rafidah yang mengajarkan tidak ada
sembahyang Jumuat sehingga zahir imam mereka yang mereka sedang nanti-
nantikan. (Maka tidak benar ajaran yang membolehkan orang-orang bersuluk tidak
sembahyang Jumaat dengan alasan bersuluk, kerana dikatakan penyakit hati yang
memerlukan suluk lebih besar daripada penyakit badaniah yang membolehkan
orang mukallaf meninggalkan sembahyang Jumaat).
Ahlis-Sunnah mewajibkan zakat emas dan perak, wang, lembu kerbau, biji-bijian,
makanan utama seperti tamar dan seterusnya, dan sesiapa yang mengatakan tidak
wajib zakat dalam perkara-perkara tersebut, ia menjadi kafiir. Dijauhkan Allah.
Mereka mengajarkan wajib puasa pada bulan Ramadhan bila masuk bulan
Ramadhan dengan ru’yah.
Mereka anggapkan sesat Rafidah yang berpuasa sebelum kelihatan anak bulan
sehari dan berbuka sehari sebelum dibolehkan berbuka.
Mereka mengajarkan wajib menunaikan haji sekali seumur hidup bila seseorang itu
ada kemampuan melakukannya dan aman jalannya.
Mereka menganggap kafir golongan yang mengatakan tidak wajib ibadat haji
seperti golongan Batiniah. Tetapi mereka tidak menganggap kafir pihak yang
mengatakan umrah tidak wajib kerana ada khilaf antara imam-imam tentang
wajibnya.
Mereka mengajarkan syarat-syarat sah sembahyang yang terdiri daripada menutup
aurat, masuk waktunya, mengadap kiblat, setakat yang mungkin.
Sesiapa yang menggugurkan syarat-syarat ini atau sesuatu daripadanya walhal itu
mungkin dilakukan maka ia kafir.
Mereka mengajarkan bahawa jihad menghadapi para seteru Islam adalah wajib
sehingga mereka tunduk dalam Islam, atau menunaikan jizyah.
Mereka mengajarkan harus berjual beli dan haram riba.
Mereka menganggap sesat golongan yang mengharuskan riba kesemuanya.
Mereka mengharuskan nikah dan mengharamkan zina; mereka menganggapkan
kafir golongan al-Mu’badiyah dan al-Mahmarah dan al-Khurramiyah yang
mengharuskan zina. (Ini menyentuh golongan yang mengamalkan ‘nikah batin’
dalam kalangan golongan sesat yang mengajarkan ‘ilmu hakikat’).
Ahlis-Sunnah mengajarkan wajib dilaksanakan hukum-hukum had atas zina,
perbuatan meminum arak, mencuri, dan menuduh zina.
Mereka anggap kafir golongan yang mengatakan tidak wajib had kerana minum
arak, dan hukum rejam kerana zina seperti golongan Khawarij.
Mereka mengajarkan bahawa punca-punca Syariah ialah al-Quran, Sunnah dan
Ijma’ Salaf.
Mereka anggap kafir golongan Khawarij yang menolak hujah-hujah ijma’ dan
sunah-sunah, juga mereka anggap kafir golongan Syiah Rafidah yang mengajarkan
tidak ada hujah dalam semua perkara tersebut. Yang menjadi hujah hanya ajaran
imam ghaib yang mereka sedang nanti-nantikan.
Rukun Yang Kesepuluh Suruh dan Tegah Dalam Syara’.
Mereka mengajarkan bahawa perbuatan orang-orang mukallaf terbahagi kepada
lima bahagian, iaitu yang wajib, haram, sunat, makruh, dan harus. (Diikuti dengan
definisi-definisinya).
Rukun Kesebelas Berkenaan Dengan Hilangnya Para hamba dan hukum mereka
di Akhirat.
Mereka mengajarkan Allah berkuasa membinasakan seluruh alam dan
membinasakan setengah jisim dan mengekalkan yang lainnya.
Mereka mengajarkan bahawa Allah akan mengembalikan semula hayat manusia
dan makhluk-makhluk lainnya yang mati di dunia, ini berlawanan dengan golongan
yang mengatakan bahawa Allah menghidupkan semula manusia sahaja tidak yang
lain-lainnya.
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa Syurga dan Neraka adalah makhluk yang
dijadikan, berlawanan dengan pendapat golongan yang mengatakan bahawa
kedua-duanyua bukan makhluk.
Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa ni’mat Syurga kekal dan azab Neraka kekal atas
ahli-ahlinya yang terdiri daripada mereka yang tidak membawa iman dan yang
munafik. Ini berlawanan dengan pegangan mereka yang mengatakan bahawa
Syurga dan Neraka tidak kekal, akan fana.
Ahlis-Sunnah mengajarkan yang kekal dalam neraka ialah mereka yang tidak
membawa iman, berlawanan dengan pendapat Khawarij dan Qadariah yang
mengajarkan kekal di dalamnya tiap-tiap orang yang masuk ke dalamnya.
Mereka mengajarkan golongan Qadariah dan Khawarij - yang telah dijelaskan sifat-
sifatnya - kekal dalam Neraka. Dijauhkan Allah.
Mereka mengajarkan tetap ada soal dalam kubur dan ada fitnah dan azab di
dalamnya bagi mereka yang berkenaan. Mereka memutuskan bahawa mereka
yang mengingkari azab kubur akan diazabkan di dalamnya.
Mereka mengajarkan adanya Kolam Nabi, Sirat, dan Mizan.
Mereka mengajarkan adanya syafaat dari Nabi s.a.w. dan daripada mereka yang
salih dari umatnya bagi mereka yang berdosa di kalangan Muslimin dan orang yang
ada sebesar zarah iman dalam kalbunya. Mereka yang mengingkari syafaat tidak
akan mendapat syafaat.
Rukun Kedua Belas Berkenaan Dengan Kilafah dan Imamah.
Imamah, atau khilafah wajib atas umat Islam supaya pihaknya menjalankan hukum
dan amanah-amanah, menjaga dan menguatkan kubu-kubu pertahanan, serta
menghantar tentera jihad, membahagi-bahagikan fay’ - iaitu harta yang didapati
bukan melalui peperangan, dan menyelesaikan masalah penzaliman ke atas
mereka yang dizalimi.
Diikuti dengan syarat-syarat imamah: ilmu, keadilan, bangsa Quraisy.
Rukun Ketiga Belas Berkenaan dengan Iman, Islam.
Mereka mengajarkan asal iman ialah ma’rifah, tasdiq (pembenaran) dengan hati.
Mereka mengajarkan wajib taat dalam perkara yang wajib dan sunat dalam perkara
yang sunat.
Ahlis-Sunnah mengajarkan keimanan tidak hilang dengan berlakunya dosa, tetapi
hilang dengan berlakunya kekufuran. Dijauhkan Allah. Orang yang berdosa dia
mu’min, bukan kafir, walaupun ia menjadi fasik kerana dosanya.
Ahli Sunnah mengajarkan tidak halal membunuh orang mu’min melainkan kerana
salah suatu daripada yang tiga: murtad, zina selepas kahwin, atau hukum qisas
kerana orang itu membunuh orang.
Ini berlawanan dengan golongan Khawarij yang mengharuskan bunuh tiap-tiap
orang yang melakukan maksiat.
Rukun Keempat Belas Berkenaan Dengan Para Wali dan Imam-Imam.
Ahlis-Sunnah mengajarkan para malaikat maksum daripada semua dosa
berdasarkan ayat yang bermaksud: ”Mereka tidak derhaka terhadap Allah tentang
perkara yang diperintahkan kepada mereka dan mereka lakukan apa yang disuruh”
(Surah at-Tahrim: ayat 6).
Kebanyakan mereka dalam Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa para nabi a.s.s.
melebihi kedudukan para malaikat, berlainan daripada mereka yang menyatakan
bahawa para malaikat melebihi kedudukan para nabi. Pendapat ini menyebabkan
pegangan bahawa malaikat Zabaniah penjaga Neraka itu melebihi kedudukan ulul-
‘azmi di kalangan para rasul.
Ahlis-Sunnah mengajarkan: para nabi melebihi para wali, ini berlawanan dengan
golongan Karramiah yang mengajarkan para wali melebihi nabi.
Ahlis-Sunnah mengajarkan: keutamaan sepuluh orang Sahabat yang diputuskan
oleh Nabi bahawa mereka ahli syurga terdiri daripada empat khalifah, kemudian
Talhah, Zubair, Sa’ad bin Abi Waqqas, Sa’id bin Zaid, dan ‘Abd al-rahman bin ‘Auf,
dan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Allah meredhai mereka.
Mereka mengajarkan: terutamanya mereka yang menjadi ahli perang Badar
berserta dengan Nabi dan diputuskan bahawa mereka ahli Syurga (Ini semua
berlawanan dengan golongan yang mengkritik dan mencela para sahabat terdiri
daripada golongan Syiah Rafidah dan lainnya, dan juga pengarang-pengarang
moden yang suka mengkritik para Sahabat dan melanggar adab-adab dalam
hubungan dengan mereka, yang pembelaan tentang mereka itu banyak dibuat oleh
Qadi ‘Iyad rh dalam kitabnya al-Shifa).
Rukun Yang Kelima Belas Berkenaan Dengan Hukum Tentang Para Musuh Islam.
Ahlis-Sunnah mengajarkan: Para musuhnya ada dua: yang sebelum Islam dan yang
lahir zaman Islam dan yang menunjukkan secara zahirnya mereka Orang Islam.
Mereka yang sebelum Islam terdiri daripada pelbagai golongan: para penyembah
berhala dan patung;
Yang mengikut aliran hululiah yang mengajarkan roh Tuhan masuk meresap dalam
bentuk-bentuk yang cantik; para penyembah matahari, bulan, bintang-bintang
semuanya atau setengah daripadanya;
Yang menyembah malaikat dan memanggilnya sebagai anak-anak perempuan
Allah; yang menyembah Syaitan (menyentuh “satanic cult” sekarang); menyembah
lembu; menyembah api;
Pada Ahlis-Sunnah mereka yang menyembah berhala, manusia, dan malaikat,
bintang, api, dan sebagainya haram berkahwin dengan wanita mereka.
Tentang jizyah boleh diterima daripada Ahlil-Kitab dan mereka yang ada sesuatu
kitab seperti Ahlil-Kitab.
Mereka yang tidak membawa iman sebelum Islam: golongan “sophist” - as-
sufista’iyah - yang mengingkari adanya hakikat ilmu, termasuk golongan al-
Sumniyah yang mengajarkan alam ini kadim, dan mereka mengingkari tilikan akal
dan pengambilan dalil dalam pemikiran, dengan dakwaan bahawa tidak ada yang
boleh diketahui melainkan yang melalui pancaindera sahaja.
Termasuk golongan Materialist klasik - dahriyah - yang mengajarkan alam ini kadim.
Termasuk golongan yang mengajarkan kadim benda awal alam (hayula al-‘alam)
Termasuk golongan ahli falsafah yang mengajar alam ini kadim dan mereka
menolak adanya Tuhan Maha Pencipta; antara, mereka ialah Pythagoras. (Antara
ahli sains moden tidak sedikit yang materialist dan menolak adanya Tuhan dan alam
rohani).
Muslimin bersepakat bahawa semua golongan tersebut tidak boleh dimakan
sembelihan mereka dan wanita mereka tidak boleh dikahwini oleh Muslimin.
(Diikuti dengan pendetailan hukum tentang jizyah dari mereka, perkahwinan
dengan wanita mereka dan sebagainya).
Tentang mereka yang tidak membawa iman dalam daulah Islam dan berselindung
dengan zahir Islam mereka, dan memperdaya Muslimin secara rahasia: mereka
ialah golongan Syiah ghulat rafidah al-Sababiah, al-Bayaniyah, al-Muqanna’iyyah,
al-Mansuriah, al-janahiah, al-Khattabiyah, dan lainnya yang berpegang kepada
mazhab hulul dan batiniah; juga mereka yang berpegang kepada tanasukh al-arwah
- berpindah-pindahnya roh masuk ke dalam badan manusia - terdiri daripada para
pengikut ibn Abil-Auja’ juga mereka yang mengikut ajaran Ahmad bin Ha’it dari
golongan Mu’tazilah.
Juga termasuk: mereka yang berpegang kepada ajaran Yazidiah dari golongan
Khawarij yang menegaskan bahawa Syariat Islam menjadi mansukh dengan adanya
nabi dari golongan orang bukan Arab. Demikian seterusnya. (Termasuk ke dalam
golongan ini mereka yang mendakwa Syariat Islam “tergantung” kerana Imam
Mahadi belum datang; maka diharuskan oleh mereka itu zina, arak, dan
sebagainya). Golongan ini semua tidak halal dimakan sembelihan mereka dan
wanita mereka tidak boleh dikahwini oleh Muslimin.
Ringkasnya Ahlis-Sunnah mengajarkan bahawa orang-orang yang menunjukkan
amalan dan pegangannya dalam Ahlis-Sunnah ialah mereka yang bebas daripada
amalan-amalan dan pegangan-pegangan golongan-golongan yang terkeluar
daripada Islam, dan yang terdiri daripada mereka yang mengikut hawa nafsu,
walaupun mereka dinisbahkan kepada Islam seperti Qadariah, Murjiah, Syiah
Rafidah, Khawarij, Jahmiah, Najjariah dan Mujassimah.
Keperluan Kepada Ilmu-Ilmu Islam Lainnya:
Keperluan menyuburkan pendidikan melibatkan disiplin-disiplin ilmu Islam lainnya
yang difikirkan perlu demi untuk membangun umat dan budaya dalam rangka
pegangan dan amalan serta nilai-nilai dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah
Keperluan kepada ilmu-ilmu lainnya diberikan perspektifnya mengikut
epistemologi Ahlis-Sunnah dan faham alamnya (iaitu Islamisasi ilmu-ilmu
sebagaimana yang dihuraikan oleh almarhum Prof. Ismail al-Faruqi).
Keperluan Nusantara atau Dunia Melayu Kepada Empat Wacana Agung Sunni:
Secara ringkasnya Dunia Melayu Sunni sehingga kini ditentukan sifat-sifatnya oleh
beberapa ciri pokok:
Akidahnya Ahlis-Sunnah wal-Jamaah berdasarkan kepada ajaran Imam Abul-Hasan
al-Asy’ari rd - walaupun sekarang ada pihak yang mencabarnya dan hendak
menggantikannya dengan sesuatu yang lain dengan pelbagai alasan bidaah dan
sebagainya – ini perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan seperlunya
samaada dalam hubungan dengan fahaman-fahaman klasik dan tradisional yang
tidak benar atau aliran-aliran baharu moden yang perlu diberi huraiannya dalam
perspektif.
Dari segi kefahaman tentang Hukum Syara’ dan perlaksanaannya ianya
berpandukan kepada mazhab Syafi’i. Ini perlu diteruskan dengan tambahan-
tambahan seperlunya yang terdiri daripada keputusan-keputusan atau fatwa-fatwa
baharu yang diperlukan kerana perkembangan masa dan budaya.
Dari segi kerohanian dan akhlak rantau ini dipandukan oleh huraian-huraian Imam
al-Ghazali rd, khususnya mengikut ajarannya yang ada dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-
Din nya. Kepentingannya sedemikian rupa sehingga bila ditanya kepada almarhum
Syaikh Muhammad ‘Abduh tentang buku yang terbaik untuk panduan generasi
muda dalam bidang akhlah dan kerohanian maka dijawabnya kitab itu ialah kitab
Ihya’ karangan Imam al-Ghazali rd. Maka kitab itu diringkaskan oleh al-Qasimi rh
dalam buku Ma’izatul-Mu’mininnya. Ini perlu diteruskan dengan tambahan-
tambahan seperlunya dalam menghadapi masalah-masalah lama atau baharu.
Keempatnya, sangat ingin mengulangi usul saya, bahawa saya sangat berhasrat
sedalam-dalamnya supaya wacana agung ibn Khaldun rh dalam kitabnya al-
Muqaddimah - yang ada terjemahan Inggerisnya oleh Franz Rosenthal dan
terjemahan Melayunya yang diselenggarakan oleh DBP - dijadikan wacana agung
yang memberi panduan dalam perkembangunan intelektuil dan budaya Dunia
Melayu di Nusantara. Ianya paling penting untuk pemerkasaan budaya dan
tamadun apa lagi dalam menghadapi cabaran budaya ilmu, maklumat dan
globalisasi sebagaimana yang dialami sekarang ini.
Epistemologi Sunni Dan Pembinaan Tamadun:
Peradaban yang hendak diteruswkan pembinaannya ini ialah peradaban yang
dipandukan oleh ajaran Islam aliran Ahlis-Sunnah wal-jamaah di kalangan manusia
Dunia Melayu.
Ianya dengan mengambil kira faham alam Sunni - dengan huraian tentang
Tuhannya, alamnya, manusianya, alam dengan isinya, termasuk alam sekitar dalam
erti ekologi yang dibicarakan sekarang.
Dengan mengambil kira epistemologinya - dengan takrifnya, punca-puncanya,
batasan-batasannya, bidang-bidangnya, kaedah-kaedahnya, matlamat-
matlamatnya, samaada matlamat terakhir atau matlamat terdekat.
Mengambil kira aksiologi atau falsafah dan huraiannya tentang nilai-nilai unggul
dan utamanya dan apa yang sebaliknya, serta cara-cara pemupukan yang utama
dan pengikisan yang sebaliknya.
Mengambil kira sistem ilmu tradisionalnya, termasuk yang ada di Dunia Melayu,
dan perkembangan-perkembangan ilmu terkini dalam sains dan teknologi,
termasuk ICTnya, bioteknologinya (setakat yang difikirkan perlu).
Mengambil perhatian terhadap persoalan-persoalan ilmu yang timbul akibat
perkembangan-perkembangan terkini dalam teknologi dan sains antaranya seperti
yang disebutkan oleh Naisbitt dalam bukunya High Tech High Touch.
Memberi perhatian kepada pendaulatan Bahasa Melayu di rantau ini sebagai
bahasa perantaraan dan bahasa budaya tinggi dan bahasa peradaban, selain
daripada mengakui penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang ilmu dan hubungan
antara bangsa yang diperlukan.
Memberi perhatian seberatnya terhadap persoalan membina dan menguatkan
budaya berfikir dan budaya ilmu tinggi yang tergabung dengan hidup moral dan
rohani sewajarnya demi untuk pemerkasaan budaya dan tamadun.
Mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memupuk kesedaran dan
penerimaan terhadap gagasan perpaduan dan kerjasama bangsa Melayu dalam
rangka membentuk kesepaduan sosial (al-‘asabiyah dalam takrif Ibn Khaldun rh)
sebagai syarat dalam menjayakan budaya dan tamadun yang kuat dalam
membentuk kehidupan bernegara dalam rantau dan negara yang di dalamnya
terdapat pelbagai kaum dan budaya dalam membina tamadun bersama.
Wallahu a’lam.
Muhammad ‘Uthman El-Muhammady
Kg Kasar
17000 Pasir Mas
Kelantan.
Konspirasi Intelektual Serang Institusi Mufti
Falsafah pasca modenisme pengaruhi tafsiran al-Quran
TUESDAY, AUGUST 14, 2007
Mufti sepatutnya menjadi sebuah institusi yang dihormati. Kehebatan ilmu agama,
pengalaman luas dan faktor usia menyebabkan pandangan mereka diterima dan
tidak disanggah.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, pandangan mufti dipertikai dan
diperlekehkan. Keadaan lebih dahsyat dalam laman web apabila mufti dimaki dan
dihina. Apakah keadaan ini berlaku secara kebetulan atau ada usaha terancang
untuk menyerang institusi mufti? Ikuti temu bual wartawan Berita Minggu,
Ziauddin Sharuddin, bersama Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam
Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman el-Muhammady.
Apakah latar belakang hingga menimbulkan senario ada sesetengah pihak
mempertikaikan kewibawaan institusi mufti?
Peristiwa dalam dunia ini saling berkaitan kerana teknologi komunikasi canggih.
Suatu peristiwa yang berlaku di Malaysia diketahui dengan cepat di Tel Aviv dan
Washington. Pada masa sama, mungkin peristiwa berlaku di sana diketahui di
negara ini. Ini dikatakan dunia tanpa sempadan. Saya menyebut ini untuk memberi
suatu pengamatan mengenai apa yang berlaku di sini tidak terpisah dengan Barat.
Di Barat, orang Islam dihentam dalam pelbagai segi. Laporan media massa
cenderung memburukkan orang Islam. Umat Islam digambarkan sebagai miskin,
jahil, fanatik dan usang. Kebetulan keadaan negara Islam miskin. Istilah digunakan
Barat adalah khayalan sosial. Bagi mereka, ilmu itu dilahirkan oleh khayalan
masyarakat, iaitu mereka tidak suka sesuatu yang tetap, sama ada nilai, adat dan
berkaitan zaman lampau, termasuk agama. Dari segi falsafah, ini pemikiran
dipengaruhi pasca modenisme. Jika moden, ilmu, takrif pengetahuan, akal fikiran,
rasional adalah tetap dan hanya menolak agama dan kerohanian. Bagaimanapun,
dalam era pasca modenisme, semua tidak tetap. Apabila perkara yang tetap dan
stabil tidak disukai, institusi agama yang menimbulkan nilai dan cara bertindak yang
tidak serasi dengan mereka disebut dengan sifat negatif.
Memang tabiat media massa Barat seperti itu. Tidak perlu saya sebut secara
khusus, hampir semua mempromosikan begitu. Hanya Islam adalah tamadun yang
kekal dengan wacana intelektual utuh, tanpa musnah dan tidak bersimpang siur
hampir 1,500 tahun. Kristian? Semua wacana sudah musnah dan tidak bertahan.
Banyak gereja kosong dan minat orang terhadap agama sangat rendah.
Bagaimanakah falsafah pasca modenisme membawa kepada serangan terhadap
institusi mufti?
Antara menjadi pengawal nilai yang tetap dan stabil ialah mufti kerana mereka
orang yang membuat keputusan menggunakan metodologi syariah. Barat
dipengaruhi khayalan sosial era pasca modenisme nampak tamadun Islam sebagai
ketat dan ada sesuatu yang tidak betul. Mereka hendak masuk dalam masyarakat
kita, menjadi guru dan mengajar kita bahawa ini tidak betul. Anda mesti mengikut
kami. Strategi digunakan adalah menyerang mufti.
Media massa Barat menyerang dan media massa tempatan juga secara sedar atau
tidak, terikut dan dari segi intelektual dan budaya menjadi kelompok yang tiada
tulang belakang.
Institusi mufti diserang, termasuk oleh sesetengah entiti yang kukuh dalam
masyarakat Islam sendiri, yang sedikit sebanyak terpengaruh dengan cara berfikir
ini. Mungkin mereka terlepas pandang konspirasi falsafah di sebalik perkara yang
sedang berlaku. Mereka menyangka yang berlaku adalah perkara pemodenan,
positif, membawa kebaikan dan pencerahan tamadun. Ia adalah perkara yang kita
perlu waspada.
Adakah kejadian ini berlaku secara menyeluruh dalam dunia Islam?
Saya nampak berlaku di semua negara Islam. Di Mesir memang sudah banyak
berlaku. Prof Nasr Hamid Abu Zayd yang sekarang berada di Belanda adalah
seorang yang sangat mahir dalam sastera, tetapi membuat kritikan terhadap al-
Quran. Dia mahu membuka jalan supaya orang boleh menafsir al-Quran bukan
mengikut metodologi diakui dalam ilmu aliran perdana, tetapi mengikut falsafah
pasca modenisme.
Di Afrika Selatan, ada Farid Esack. Di New York, Amina Wadud, berbangga menjadi
imam perempuan pertama dalam sejarah orang Islam. Di Paris, ada Prof Emeritus
Mohammed Arkoun, yang mempromosikan falsafah ini. Mereka adalah golongan
intelektual, tetapi terpesona dengan wacana falsafah pasca modenisme.
Mereka intelektual dan bukan calang-calang orang. Adakah mereka sebenarnya
dipergunakan Barat?
Setakat yang saya faham mengenai sejarah perkembangan pemikiran Barat dan
percubaan yang berlaku untuk mempengaruhi dan mencairkan keintelektualan
umat Islam, usaha ini sudah lama berlaku. Menimbulkan syak terhadap hadis
dilakukan intelektual Barat seperti Ignac Goldziher dan Joseph Schacht. Teori
mereka diterima oleh Mohammed Arkoun sedangkan ulama Islam membuktikan
hadis itu sahih.
Godziher dan Schacht menyatakan bahawa hukum Islam adalah hasil fikiran
manusia biasa dipengaruhi adat dan tamadun Kristian serta Yahudi. Mereka juga
menekankan bahawa penafsiran al-Quran perlu menggunakan cara baru yang
moden dan tidak mengikut metodologi yang ada. Mohammed Alkoun pun
mengambil pendekatan Sosiologi dan Antropologi. Tidak mengapa jika kita
menambah cara itu. Saya boleh bersetuju, tetapi dia membuang langsung ilmu
tradisi. Pemikiran Ibnu Khaldun yang bestari tidak dipedulikan begitu juga
pandangan Imam Ghazali.Pemikiran dipengaruhi khayalan sosial menyebabkan
mufti menjadi tumpuan serangan, termasuk orang Islam yang barangkali terlepas
pandang mengenai konspirasi intelektual yang sangat teliti berlaku di Barat
dikuasai penyelidik bidang orientalisme. Ini dinyatakan Edward Said dalam
bukunya, Orientalism. Walaupun Kristian, dia menyatakan kebenaran.
Media massa tempatan pun sudah mengikut rentak Barat.
Ya! Memang sudah berlaku dan saya perhatikan orang tempatan sudah masuk
dalam kepompong itu. Sesetengah mereka rapat dengan orang penting kita. Sebab
itu saya selalu menekankan bahawa kita perlu kembali kepada paradigma
intelektual arus perdana Islam. Hanya umat Islam di dunia ini masih memiliki
paradigma ini.
Ada pihak berpandangan perkara agama bukan hak mutlak institusi mufti. Orang
biasa pun berhak bercakap.
Itu antara tanggapan pasca modenisme menyatakan semua orang boleh bercakap
mengenai agama. Ahli ekonomi boleh bercakap dan artis pun boleh bercakap.
Antara orang berpandangan begini adalah Mohammed Arkoun. Persoalannya,
adakah ini mengikut piawaian intelektual yang betul dalam tamadun?
Dalam bidang perubatan, adakah semua orang boleh bercakap sebagai pakar.
Dalam bidang pembedahan, adakah orang dengan sewenang-wenang boleh
melakukan pembedahan. Islam membabitkan soal roh manusia yang kekal abadi.
Ini bukan perkara main-main. Sebab itu dalam Islam, kita disuruh bertanyakan
orang yang mahir.
Dalam usul fekah, kita perlu bertanyakan pakar jika tidak tahu dan pakar dalam
agama ialah ulama dan ulama adalah waris nabi. Orang yang dipengaruhi pasca
modenisme berkata, ulama masuk bakul angkat sendiri. Golongan pasca
modenisme berpendapat semua ini dilahirkan oleh khayalan masyarakat.
Betulkah? Adakah al-Quran, usuluddin dan fekah lahir hasil khayalan sosial.
Bagaimana institusi mufti menghadapi serangan yang cuba menjatuhkan
kewibawaan mereka?
Tidak ramai mempertahankan mufti. Antara mereka ialah saya, walaupun tidak
terlalu lantang dalam media massa. Saya mempertahankan mufti kerana institusi
ini adalah teras kepada pengawasan amalan agama.
Mengikut al-Mawardi, tugas pertama pihak berkuasa di kalangan orang Islam ialah
menjaga supaya agama berada di atas dasar yang benar, tulen dan dengan kaedah
betul. Jika ada pihak menyimpang dan menimbulkan keburukan, dia perlu
diperbetulkan. Jika tidak boleh, dia perlu disisihkan daripada masyarakat.
Mengambil contoh zaman moden, golongan tegar komunis di kalangan masyarakat
tidak boleh dipulihkan terpaksa ditahan. Bagaimanapun, gangguan terhadap
agama dari segi ilmu adalah lebih berat.
Internet kini menjadi senjata ampuh menyerang institusi mufti. Bagaimana Dr
menilai kejadian di alam maya?
Saya mengeluh panjang apabila membaca tulisan dalam internet hingga saya
melafazkan ‘kita datang daripada Allah dan kepada Allah kita kembali’. Malapetaka
yang sangat berat berlaku dan kebiadapan tidak ada tolok banding dalam tamadun
Asia jika kita melihat nilai tamadun Asia yang wakilnya ada di sini.
Perangai dalam internet langsung tidak dapat dipertahankan, memalukan,
mengaibkan dan menghina orang yang berbicara sendiri hingga dia menjadi
intelektual pariah.
Bahasa sungguh kesat dan menunjukkan bahawa jiwa orang yang sedang bercakap
itu sangat mengaibkan. Tiada istilah yang boleh saya gunakan. Tidak ada integriti
intelektual rohani dan moral, walau sebesar zarah. Yang ada hanya keakuan yang
menjadi gelembung seperti gergasi, menelan semua melainkan nafsu sendiri.
Kerajaan patut memantau dan mengawal keadaan berlaku seperti perkara aib yang
kita pandang depan mata. Perkara yang memalukan dari segi keintelektualan
dalam dunia elektronik sama saja seperti alam nyata. Sama seperti kita mengawal
di luar, internet pun perlu dikawal. Jika tidak dikawal, ini akan membawa
gelombang sendiri dan menjatuhkan martabat jiwa bangsa kita.
Adakah mufti juga perlu menguasai IT untuk bertahan dan melakukan serangan
balas?
Mufti menerusi pegawai mereka memang mempunyai pengetahuan dan
kemahiran internet. Saya tahu sesetengah mufti boleh berkomunikasi
menggunakan e-mel. Cuma kemampuan itu perlu diperluaskan. Bagaimanapun,
mengapa hanya ditujukan kepada mufti? Berapa ramai pegawai kerajaan tidak tahu
menggunakan e-mel! Ada pegawai kanan saya kenal baik tidak tahu menggunakan
komputer. Khayalan masyarakat sekarang dibentuk untuk memberikan imej negatif
terhadap mufti.
Mufti digambarkan sebagai kolot, ketinggalan zaman dan tidak peka dengan
perubahan zaman!
Itu tanggapan dan khayalan kerana kita tidak tahu kerja dalaman mufti kerana
mereka tidak perlu menonjolkan diri. Fungsi mufti adalah untuk membuat
keputusan tidak diketahui orang. Hanya selepas disahkan baru diketahui.
Orang kata ulama tidak tahu mengenai aspek moden seperti bioteknologi,
pembedahan plastik dan klon. Tidak betul! Apabila memerlukan kepakaran pihak
lain, mufti bergabung dengan pakar bidang ilmiah untuk memutuskan semua itu.
Di Malaysia, wujud kerjasama harmoni antara institusi mufti dan intelektual.
Perkara ini tidak dipedulikan dan orang masih berminat menghentam mufti.
Sesetengah orang angkuh seolah-olah mufti kena dengar cakapnya.
Bagaimanapun, gambaran sesetengah kelompok masyarakat terhadap mufti masih
negatif.
Mufti membuat keputusan dengan baik. Bagaimanapun untuk menerangkan
kepada masyarakat, pihak lainlah pula kerana tugas mufti adalah untuk membuat
fatwa dan mereka dididik untuk itu. Jika ada perkara lain perlu ditangani seperti
falsafah, intelektual perlu bekerjasama dan bukan menghentam mufti.
Itu perangai yang dibentuk Yahudi yang mahu kita menghentam ulama kerana
mereka sebenarnya memulakannya secara terancang dalam sejarah tamadun
Islam. Imam Ghazali pernah mengkritik, tetapi secara ilmiah. Kerja ini juga
dilakukan golongan orientalis seperti yang dinyatakan Edward Said, intelektual
terkemuka yang berada di Barat. Dia sendiri memberitahu kita rahsia itu.
Bagaimanapun, kita terperangkap dengan menghentam ulama, mufti, fekah, kitab
kuning (kitab agama tua Melayu) yang saya pertahankan sejak 1960-an lagi. Siapa
yang tidak bersetuju, kita boleh berbincang dan bertukar fikiran. Kita perlu faham
tradisi intelektual yang ada dan moden pun kita perlu tahu. Selepas itu, kita
menapis aliran tidak serasi dengan kita.
Sepatutnya tugas mempertahankan institusi mufti adalah tanggungjawab setiap
umat Islam. Pandangan Dr?
Sepatut orang luar membantu dan bukan menghentam mufti. Dalam al-Quran,
disebutkan ‘Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan
pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak
menjalankan (dasar bantu membantu sesama sendiri yang diperintahkan Allah) itu,
nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang
besar (Ayat 73 Surah al-Anfaal).
Dalam konteks Malaysia, jika orang Islam tidak menolong mufti, maka akan berlaku
fitnah dan kerosakan besar. Apakah fitnah yang lebih besar selain orang
menghentam mufti dan kemudian syariat disalahkan. Pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) luar pula menggunakan NGO tempatan untuk menghentam mufti kerana kes
tertentu di mahkamah yang puncanya bukan kerana Islam, tetapi faktor lain seperti
prosedur atau pelaksanaan mahkamah, tetapi mereka menghentam syariah.
Akibatnya nama Islam, Mahkamah Syariah dan mufti rosak. Ini seperti kita
meletakkan pisau di leher sendiri.
Bagaimana usaha boleh dilakukan untuk memperkukuhkan institusi mufti?
Kita perlu mengetahui fungsi, kerja dan kesulitan yang mufti hadapi. Kita perlu
membantu institusi mufti berfungsi dengan berkesan kerana mufti adalah pihak
mempertahankan disiplin tertinggi dalam umat Islam. Ini menunjukkan tamadun
kita merosot, walaupun pandai. Ini memalukan. Sepatutnya apabila ada alat seperti
komputer, kualiti kemanusiaan menjadi tinggi. Alat itu membantu mencapai
kejayaan manusia bertaraf tinggi dari segi budaya. Malah, kita menggunakan alat
ini untuk menurunkan martabat menjadi lebih rendah.
Adakah masih belum terlewat untuk membetulkan keadaan?
Kita perlu berhenti menghentam mufti. Kita perlu berhenti mengeluarkan komen
negatif sesama kita. Jika ada perkara sensitif, bincang secara tertutup. Selepas itu,
keputusan yang membantu kita dihebahkan. Perkara negatif, sensitif dan tidak
membantu ke arah penyelesaian tidak dihebahkan kerana al-Quran melarang
perbuatan itu. Allah tidak suka keburukan dibicarakan secara terang-terangan di
depan orang ramai kecuali orang dizalimi. Itu pun jika nak suarakan, dengan cara
yang boleh menyelesaikan masalah dan hanya kepada pihak berkenaan.
Perkembangan yang berlaku sekarang menunjukkan orang bukan Islam turut
mengkritik mufti berhubung isu berkaitan Islam.
Ini kebiadapan dan kerja intelektual koboi. Sepatutnya mereka membiarkan kerja
agama ditangani pakar dalam bidang Islam. Jika orang Islam tidak mengganggu
tatacara mereka untuk beribadat dan undang-undang keluarga mereka, kita juga
minta mereka tidak mengganggu kita. Bagaimana kita mentafsir hukum agama kita,
itu adalah milik kita dan keyakinan kita terhadap Allah dan Rasul.
Masalah bermula apabila orang Islam sendiri menghentam sesama sendiri dan
memberi contoh tidak baik. Kehebatan institusi agama kita dihilangkan oleh orang
Islam sendiri hingga kelihatan kerdil sedangkan sepatutnya dipandang hebat dan
diperkukuhkan. Oleh itu, orang luar mengambil peluang dan menerkam. Ini jenayah
kita sendiri terhadap agama, intelektual, budaya dan moral.
Tidakkah sebelum ini ada usaha mempertahankan institusi mufti.
Memang ada! Itu kewajipan kita. Adakah kita hendak meletakkan pisau di leher
sendiri? Itu orang kurang akal. Peliknya ialah orang yang melakukan kerja itu tidak
menganggap kerja itu meletakkan pisau di leher sendiri.
Jika institusi mufti ada kekurangan, kita patut bantu. Jika memerlukan maklumat
saintifik, ahli sains boleh membantu dengan menghubungi mufti. Jangan belasah
dalam surat khabar ‘tengok institusi agama jahil’. Kita perlu mengambil berat
terhadap apa yang berlaku dan mengambil sikap proaktif supaya masalah selesai
dan mengelakkan kontroversi. Ada pelbagai cara boleh dilakukan, menulis,
bercakap, bertemu secara peribadi, menandatangani memorandum beramai-
ramai.
Adakah semua bentuk serangan ini disedari oleh institusi mufti?
Berdasarkan hubungan peribadi, mereka tahu serangan yang berlaku. Walaupun
mereka tidak meminta pertolongan, tetapi mereka perlu ditolong. Umat Islam yang
perlu menolong dan bukan pihak lain. Barat memang mahu institusi agama kita
menjadi lemah. Saya tahu menerusi hasil penulisan mereka sendiri. Antaranya,