The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Ketuhanan, Kebudayaan dan Peradaban Islam. Koleksi tulisan Dr Muhammad Uthman el Muhammady

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by cheguridhwan81, 2020-02-23 20:16:22

Ketuhanan, Kebudayaan dan Peradaban Islam

Ketuhanan, Kebudayaan dan Peradaban Islam. Koleksi tulisan Dr Muhammad Uthman el Muhammady

Keywords: uthman el muhammady

belum tertiup roh padanya. Dan (ada riwayat hadith) dari Maisarah al-Dabbi
katanya: Aku bertanya kepada Baginda: Wahai Rasulullah, bilakah tuanhamba
menjadi nabi? Jawabnya: Sewaktu Adam masih antara roh dan jasad. (hal. 9)

Dalam Sahih Muslim dari Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam bahawa Baginda
bersabda: Sesungguhnya Allah azza wa jalla memaktubkan takdir sekelian makhluk
sebelum dijadikan langit dan bumi selama lima puluh ribu tahun dan ‘ArashNya
berada di atas air, dan termasuk ke dalam jumlah yang termaktub dalam Ibu Kitab
ialah bahawa Nabi Muhammad adalah khatam sekelian anbia. (ibid. hal.9).

Dan dari al-‘Irbad bin Sariyah dari Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam: sabdanya:
Sesungguhnya aku di sisi Allah adalah khatam anbiya’ walhal Adam terbujur dalam
jasadnya iaitu terbujur sebelum ditiupkan roh padanya. (ibid. hal. 9-10).

Hadith-hadith yang menunjukkan kedudukan hakiki dan kelebihan nabi salla’Llahu
‘alaihi wa sallam juga dibicarakan oleh al-Imam Suyuti (men. 911 Hijrah) dalam
kitabnya al-Hawi lil-Fatawi, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, 1421/2000) dalam
jilid 2 hal.136 dan seterusnya. Beliau menulis antaranya:

Hadith dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab, Anas, Jabir, ibn ‘Abbas, ibn ‘Umar, Abi
Darda’, Abu Hurairan dan lainnya (meriwayatkan) bahawa nabi salla’Llahu ‘alaihi
wa sallam memberitahu yang Baginda itu tertulis (namanya) atas ‘Arash dan tiap-
tiap langit, dan tiap-tiap pintu Syurga, atas daun-daun Syurga: ‘la ilaha illa’Llah
Muhammadun Rasulullah’ Dan tidak termaktub yang demikian itu dalam alam
malakut melainkan atas daripada nama-nama anbia lainnya [dan itu tidak lain]

melainkan untuk para malaikat menyaksikannya dan [untuk mereka mengetahui]
hal keadaan Baginda diutus kepada mereka[ juga selain daripada diutus kepada
manusia].

Dan ibn ‘Asakir mengeluarkan riwayat daripada Ka’b al-Ahbar bahawa
Adammemberi wasiat kepada anaknya Syith katanya: Tiap-tiap kali kamu berzikir
menyebut nama Allah maka sebutkan juga dengannya nama Muhammad;
sesungguhnya aku melihat nama Baginda itu termaktub atas tiang ‘Arash walhal
aku di antara ruh dan jasad, kemudian aku mengerling lihat lalu aku dapati tidak
ada mana-mana tempat di langit melainkan tertulis padanya nama Muhammad.
Dan aku tidak melihat dalam Syurga sebuah istana dan bilik melainkan tertulis
padanya nama Muhammad, dan aku melihat namanya tertulis atas leher bidadari…
(hal 136-137 al-Hawi).

Imam al-Suyuti seterusnya menyatakan seperti berikut:

Dan al-Subki menyatakan dalam kitab karangannya bahawa Baginda salla’Llahu
‘alaihi wa sallam diutus kepada sekelian anbia –Adam dan nabi-nabi kemudiannya,
bahawa Baginda salla’Llahu ‘alaihi wa sallam adalah nabi bagi mereka dan Rasul
atas mereka semuanya, dan boleh diambil dalil tentang yang demikian itu daripada
hadith nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam ‘Aku sudah nabi walhal Adam [masih]
antara ruh dan jasad’ dan hadithnya ‘Aku dibangkitkan kepada umat manusia
seluruhnya’ (bu’ithtu ilan-nas kaffatan’). Katanya [yakni kata al-Subki]: Dan kerana
ini Allah mengambil janji atas semua nabi-nabi untuk nabi Muhammad, seperti
dalam firman Allah: [bermaksud] ‘Dan Allah mengambil perjanjian …adakah kamu

berikrar dan mengambil sebagai perjanjian denganKu, mereka berkata kami
berikrar, firmanNya Saksikanlah, Aku bersama kamu sebagai saksi’ [Ali
‘Imran.81][Kata Imam al-Suyuti]: Dikeluarkan hadith oleh ibn Abi Hatim dari al-
Suddi tentang ayat itu, katanya: Tidak dibangkit seseorang nabi mulai dari Adam
melainkan Allah mengambil janjinya supaya ia benar-benar beriman dengan
Muhammad .Dan ibn ‘Asakir mengeluarkan hadith dari ibn ‘Abbas, katanya: Terus-
menerus Allah mengutamakan dan mendahulukan nabiu Muhammad salla’Llahu
‘alaihi wa sallam sampai kepada Adam dan nabi-nabi selepas daripadanya
…(ibid.II.137)

Dan al-Hakim mengeluarkan hadith dari ibn ‘Abbas katanya: Allah mewahyukan
kepada ‘Isa: Berimanlah engkau den gan Muhammad dan suruhlah sesiapa yang
bertemu dengan Baginda itu dari umatmu supaya beriman dengannya, kalaulah
tidak kerana Muhammad Aku tidak jadikan Adam, Syurga, dan Neraka.
Kata al-Subki: Kita tahu melalui khabar [hadith] yang sahih hasilnya kesempurnaan
–sebelum Adam dijadikan lagi- bagi nabi kita Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa
sallam dari sisi Tuhannya, dan Tuhan telah kurniakan kmepada Baginda itu
nubuwwah dari waktu itu lagi [waktu Adam pun belum ada], kemudian Allah
mengambil dari para nabi ikut janji untuk beriman dengan Muhammad, untuk
memberitahu kepada mereka bahawa bagfinda itu terdahulu dean terkedepan
daripada mereka, dan Baginda itu nabi dan rasul bagi mereka, dan pada makna
mengambil janji itu ada makna istikhlaf [yakni para nabi lain itu bertindak atas
nama Muhammad], kerana itu masuklah di dalamnya [dalam kata-kata tentangnya]
lam al-qasam dalam ‘latu’minunna bihi’ dan ‘wa latansurunnahu’ [maknanya kamu

benar-benar beriman dengannya dan kamu benar-benar menolongnya bila sampai
masanya]. (ibid.II.137)

Kemudian Imam al-Suyuti seterusnya menyebut tentang kelebihan nabi s.a.w.
diambil janji untuknya, bagaimana nabi-nabi lain menjadi makmum sembahyang di
belakangnya pada malam Isra’ Mi’raj, kemudian bagaimana nabi ada dua wazir di
langit Jibril dan Mika’il, dan di bumi dua, iaitu Abu Bakar dan ‘Umar, berdasarkan
hadith yang dikeluarkan oleh ibn al-Mundhir, ibn Abi Hatim, al-tabarani, ibn
Marduyah, dan Abu Nu’aim dalam ‘al-Dala’il’.

Pada tahap ini penulis ingin menukilkan catatan Dr GF Haddad dalam artikelnya
“The Light of Muhammad” dalam http://www.abc.se/~m9783/nurn_e.html dan
dalam artikelnya “The First Thing that Allah created was my nur” dalam
http://www.abc.sel/~m9783/fiqhi/fiqha_e30.html;

Antara para ulama yang disebut oleh beliau yang membicarakan soal Nur
Muhammad ialah:

1. Qadi ‘Iyad yang terkenal dengan kitab al-Shifanya,
2. Imam al-Suyuti dalam Tafsir Jalalainnya
3. Firuzabadi dalam Tanwir al-Miqbasnya atau tafsir ibn ‘Abbasnya
4. Imam Fakhru’d-Din al-Razi, mujaddid abad ke 6 Hijrah, dengan Tafsir al-

Kabirnya
5. Qadi al-Baidawi dengan Tafsir al-Baidawinya
6. Al-Baghwi dengan Ma’alim al-Tanzilnya

7. Pengarang tafsir Abi Su’ud dengan huraiannya
8. Al-Tabari dengan Tafsir at-tabarinya
9. Pengarang Tafsir al-Khazin dengan huraiannya
10.Al-Nasafi dengan Tafsir al-Madariknya
11.Al-Sawi dengan syarahnya atas al-jalalain
12.Al-Alusi dengan Ruh al-ma’aninya
13.Ismail Haqqi dengan syarahnya atas Tafsir Ruh al-Ma’ani
14.Al-Qari dengan Sharah al-Shifanya
15.Suyuti dengan al-Riyad al-Aniqanya
16.Ibn Kathir dengan Tafsirnya
17.Qadi ‘Iyad dengan al-Shifanya
18.Al-Nisaburi dengan tafsirnya Ghara’ib al-Qur’an
19.Al-Zarqani dengan Sharah al-mawahib al-laduniyyahnya
20.Ibn Hajar dengan al-Isabahnya
21.Tirmidhi dengan Sunannya
22.Baihaqi dengan Daala’il al-Nubuwwahnya
23.Ibn Hajar Haitami dengan D ala’il al-Nubuwwahnya
24.Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad dengan kitab hadith mereka masing-

masing yang memberi gambaran tentang nabi s.a.w.
25.Al-Hakim dengan al-Mustadraknya
26.Ibn Kathir dengan Tafsirnya dan Maulid Rasul Allahnya
27.Ibn Ishaq dengan Sirahnya
28.Dhahabio dengan Mizan al-I’tidalnya
29.Al-Tabari dengan al-Riyad al-Nadiranya
30.Al-Shahrastani dengan al-Milal wan-Nihalnya

31. ‘Abd al-Haq al-Dihlawi dengan Madarij al-Nubuwwahnya (dalam Bahasa

Parsi)
32. ‘Abd al-Hayy al-Lucknowi dengan al-Athar al-marfu’ fi al-akhbar al-

maudu’anya
33. ‘Abd al-Razzaq dengan Musnadnya

34. ‘Abidin (Ahmad al-Shami) men.1320 H. dengan komentarnya atas syair ibn

Hajar al-Haitami al-Ni’;matul-Kubra ‘alal-‘Alamin
35.Al-‘Ajluni (Isma’il bin Muhammad, men.1162) dengan Kashf al-Khafa’nya
36.Bakri (Sayyoid Abu al-hasan Ahmad ibn ‘Abd Allah men.abad ke3 H) dengan

al-Anwar fi Maulid al-Nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallamnya
37.Diyarbakri (Husain bin Muhammad, meninggal 966 H.) yang memulakan

kitabnya Tarikh al-Khamis fi Ahwal Anfasi Nafisa dengan kata-kata Segala
puji-pujian tertentu bagi Allah yang menjadikan cahaya nabiNya sebelum
daripada segala sesuatu…”
38.Fasi (Muhammad ibn Ahmad men.1052 H.) dengan kitabnya Matali’ al-
Masarrat
39.Shaikh ‘Abd al-Qadir al-Jilani men.561 H. dengan kitabnya Sirr al-Asrar fi Ma
Yuhtahu ilaihi al-Abrar (hal.12-14 edisi Lahore) yang menyatakan: Ia
memberi dalil bahawa Baginda adalah punca bagi segala sesuatu yang
maujud, dan Allah Maha Mengetahui.
40.Haqqi (Ismail, men.1137) menukil hadith itu dalam tafsirnya Ruh al-Bayan
41.Ibn Hajar al-Haitami (men.974 H) dengan Fatawa Hadithiyyahnya

42.Syaikh Ismail al-Dihlawi (men.1246 H) dengan risalahnya Yek Rauzah di mana
beliau menyatakan: Sebagaimana yang diisyaratkan oleh riwayat: perkara
yang awal dijadikan Allah adalah nurku.

43.Sulaiman al-Jamal (men.1204 H) yang menukil hadith tentang nur
Muhammad awal-awal dijadikan Allah, dalam syarahnya ke atas al-Busiri
berjudul al-Futuhat al-Ahmadiyyah bi al-Minah al-Muhammadiyyah.

44. ‘Abd al-Qadir al-Jili dengan Namus al-A’zam wa al.-Qamus al-Aqdam fi
Ma’rifat Qadar al-Bani sallka’lahu ‘alaihi wa sallam menyebut hadith nur
Muhammad.

45.Kharputi (‘Umar bin Ahmad, men.1299) dalam syarahnya terhadap al-Busiri
menyebutnya.

46.Maliki al-Hasani (Muhammad ibn ‘Alawi) menyebutnya dalam syarahnya
terhadap kitab al-Qari Hasyiyah Al-Maurid al-Rawi fi Maulid al-Nabi. Pada
halaman 40 beliau menyatakan “Sanad Jabir adalah sahih tanpa pertikaian,
tetapi ulama berbeza pendapat tentang teksnya kerana khususiahnya,
Baihaqi juga meriwayatkan hadith itu dengan beberapa kelainan.”

Ini antara teks-teks yang disebut oleh beliau dalam tulisannya.

Kesimpulan:

Daripada pembentangan riwayat-riwayat di atas berdasarkan dokumentasi para
mufassirin dan muhaddithin yang merupakan imam-imam dalam bidangnya, ada
beberapa kesimpulan yang boleh dibuat. Antaranya ialah: bahawa Nabi

Muhammad s.a.w. sudah ada hakikatnya, nurnya, sebelum sekelian makhluk
dijadikan. Bahkan nurnyalah yang merupakan makhluk pertama yang dijadikan
oleh Tuhan, sebagai kekasihNya. Ia juga punca bagi sekelian makhluk yang lain, baik
alam tinggi atau alam bawah atau alam rendahnya, alam yang boleh dipandang
dengan mata atau alam yang tidak boleh dipandang dengan mata. Ia makhluk yang
terawal dicipta dan yang terkemudian sekali dibangkit dengan jasad dan rohnya
dalam sejarah alam ini. Namun kewujudannya sebagai nabi dan rasul diketahui oleh
sekalian nabi dan rasul dalam seluruh sejarah umat manusia, antaranya, khususnya
jelas daripada hadith-hadith berkenaan dengan Isra’ dan Mi’raj yang banyak dinukil
oleh ibn Kathir dalam Tafsirnya berkenaan dengan ayat awal Surah bani Isra’il.

Nampaknya tidak timbul keperluan untuk sesiapa terlintas pada mindanya dan
terfikir bahawa ulama tafsir, hadith, sirah, syama’il dan lainnya yang berbicara
berkenaan dengan nabi meminjam idea itu daripada mana-mana punca lain; tidak
ada tercatit dalam sejarah berlaku “peminjaman” idea ini dalam ulama kita, kecuali
ada penyelidikan kemudian yang mengikuti kaedah yang boleh diterima oleh ahli
ilmu kita. Nampaknya ia timbul daripada sumber Ahlis-Sunnah sendiri. Ini jelas
sampai para nabi dan rasul membuat perjanjian dengan Tuhan untuk beriman
kepadanya dan membantunya bila ia zahir dalam sejarah perjuangannya. Riwayat
tentangnya berada dalam generasi-generasi anbia dalam sejarah nampaknya
diterima oleh ulama yang berotoritas dalam ilmunya. Dalam umat ini.

Kalau terlintas diminda bahawa ini adalah tidak munasabah pada akal, maka
banyak perkara yang boleh dikatakan tidak munasabah pada akal yang berfikir
secara ‘biasa’, misalnya teori quantum tentang dunia yang ada ini dengan benda-

bendanya tidak “pejal’ bahkan ia samaada bersifat sebagai gelombang atau zarrah
yang tidak menentu sifatnya, samaada gelombang atau zarrah. Yang kelihatan
pejal, keras pada pandangan mata, pada neraca teori quantum adalah tidak
demikian. Kalau mengikut fikiran secara ‘biasa” e=mc2 adalah tidak munasabah;
tetapi pada ahlinya ia bukan sahaja ‘munasabah’ tetapi ada kebenarannya yang
sangat nyata. Atau lihat sahaja benih manusia yang terpancar ke dalam rahim,
kemudian selepas sembilan bulan lebih kurang ia menjadi manusia kecil yang
bergerak, hidup, demikian seterusnya, kemudian berkata-kata dalam beberapa
bulan. Orang boleh berkata sekarang: itu memang demikian. Ya, memang demikian
yang berlaku dalam sunnah Tuhan. Demikian pula kita boleh sebutkan demikian
sunnah Tuhan dalam hubungan dengan kejadian alam daripada nur Nabi kita s.a.w.

Kalau terlintas pada minda tentang hal yang demikian berlawanan dengan kejadian
manusia, dan nabi juga, daripada tanah, maka perspektifnya ialah: pada hakikatnya
tanah itupun asalnya daripada ‘nur’, yang kemudian dimanifestasikan dalam
bentuk tanah dan lainnya. Tetapi asalnya daripada zat-sebelum-benda yang satu
itu, nur itu, sebagaimana yang dihuraikan oleh kosmologi ulama Sunni kita. Allah
memberi rahmat kepada mereka.

Dengan itu ‘nur’ nabi itu bukan sahaja maknawi, secara bahasa misalan, tetapi
memang hakikatnya ia nur, yang melintasi sekelian nur, sehingga ia makhluk yang
berupa nur yang daripadanya dijadikan nur-nur yang lain dan zat-zat yang lain.

Kalau sekarang mereka berbicara tentang alam dari segi elektron, proton, neutron,
‘quarks’, ‘photon’ dan apa lagi, maka pada kita, sekalian daripada itu semua, dasar

segalanya adalah asalnya ‘nur’ nabi kita. Yang lain-lain itu, bila benar pada
pengamatan ilmiah yang mentaati syarat-syaratnya boleh diterima.

Kalau terlintas untuk minda sesiapa membuat tanggapan bahawa ini pantheisma,
ini juga tidak timbul, sebab pantheism adalah falsafah Barat yang baharu timbul
dalam abad ke IX yang memaksudkan serba-Tuhan, semuanya juzuk-juzuk daripada
Tuhan, walhal ini bukan demikian. Yang diajarkan ialah bahawa Tuhan menjadikan
nur Baginda sebagai makhluk terawal, yang menjadi punca segalanya kemudian
Baginda muncul dengan jasadnya dan rohnya bila tiba gilirannya di akhir zaman.

Inilah antara yang terlintas pada penulis yang kurang pengetahuan ini untuk
menukilkan riwayat-riwayat dari punca-punca para ulama yang muktabar dalam
umat ini untuk kefahaman dan pegangan bersama. Mudah-mudahan kita semua
mendapat rahmat dan barakah dariNya.

Amin ya Rabbal-‘alamin.
Wallahu’a’lam.

===============================

*Penulis amat berterima kasih kepada Encik Aman Hj Hasan dan Encik ‘Abd al-‘Aziz
Hj Hasan dari Pustaka Aman Press –jazaka’llahu khairan kathiran untuk mereka

berdua – atas kebenaran menggunakan bahan-bahan yang ada dalam Aman Press
untuk menjayakan penulisan ini.

‫الرحيم الرحمن الله بسم‬
‫الكريم رسوله على ونصلى نحمده‬

KEBUDAYAAN DALAM PANDANGAN ISLAM*

OLEH:

USTAZ MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

Insha Allah, dalam catatan-catatan berikutnya akan dibicarakan kebudayaan dan
ciri-cirinya sebagaimana yang ada dalam pandangan Islam dengan menitikberatkan
kesarwajagatannya, dengan mengambil kira ciri-ciri yang timbul dalam sejarahnya,
termasuk juga faktor-faktor penentu dalam kebudayaan itu, dengan berdasarkan
kepada pandangan yang bersifat tradisional dalam pengertian setepatnya.
Perbandingan dengan beberapa ciri modeniti atau kemodenan dari segi identional,
amalan dan institusi akan dibuat demi untuk menunjukkan ciri-ciri keislaman yang
tradisional itu secara yang lebih nyata lagi. Perbincangan ini akan diakhiri dengan
beberapa pengamatan tentang apa yang berlaku di kalangan Muslimin secara
amnya yang menunjukkan mereka berada dalam suasana serba-salah untuk
menghidupkan kehidupan dan budaya secara Islamiah, walhal mereka menghadapi
berbagai-bagai cabaran yang menuntut mereka membuat pilihan yang sebaiknya.
Perlu juga diberi perhatian di sini, bahawasanya penulis membuat huraian dalam
kertas ini sebagai seorang penuntut dalam pemikiran Islam, dan bukan seorang
penuntut dalam sosiologi atau antropologi.

Istilah ‘kebudayaan’ itu sendiri, Kamus Dewan memberikan definisi “cara hidup
sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi)” iaitu merujuk
kepada keseluruhan cara hidup manusa dalam semua bidang yang melibatkan akal
budi dan daya usaha mereka. Mungkin boleh menyatakan bahawa dalam zaman
klasik, istilah kebudayaan itu tidak digunakan, dan ditempatnya digunakan istilah
‘adat’, sebagaimana yang disyaratkan oleh Dr Zainal Kling.

Dalam bahasa Inggeris disebut culture, yang merangkumi seluruh cara hidup
manusia, lahir batin, termasuk institusi-institusi yang diwujudkan dan juga nilai-
nilai, serta pengetahuan yang dihasilkan, termasuk alat-alat yang direkakan. Sudah
tentu alam tabii sebagai sesuatu yang bukan buatan manusia tidak boleh dikatakan
kebudayaan.

Dalam Islam, apabila dibicarakan masalah kebudayaan, nampaknya perlulah
terlebih dahulu dilibatkan semantic content ataupun kandungan maksud-maksud
yang ada dalam istilah-istilah yang digunakan dalam sejarah Islam bagi menyebut
hidup kolektif Muslimin, antaranya ialah millah, ummah, thaqafah, tamaddun,
hadarah dan akhirnya adab.

Kalimat millah, jamaknya milal digunakan dalam al-Quran dlam hubungan dengan
Nabi Ibrahim a.s., seperti dalam Surah al-Baqarah, 130, 135; ali ‘Imran, 95; an-Nisa’,
124, an’ Am, 162; an-Nahl, 123; al-Haji, 78; dan dalam hubungan dengan ahlil-Kitab,
al-Baqarah, 120.

Perkataan ini berasal daripada malla, yamullu, mallan dengan pengertian menjahit
(pakaian); kalau imtalla, dengan pengertian meletak (seperti roti dan daging) dalam
bara untuk dimasak; malla diperbetulkan (seperti busur panah) dalam api;
amalla’ala merencanakan sesuatu (pengajaran) kepada seseorang; tamallala dan
intalla bermakna memeluk sesuatu agama; millah pl. Milal bermakna agamma,
syariat, hukum, cara beribadat.

Antara pengertian yang menarik hati kita dalam memahami kedudukan
kebudayaan dalam Islam ialah pengertian millah sebagai agama, cara beribadat;
ertinya manusia disebut serentak dengan organisasi serta hukum dan tujuan
keagaman dengan ibadatnya. Dalam struktur yang suci demikian manusia diikat
dengan teguhnya; hayat mereka diperbetulkan mengikut norma-norma tradisi;
mereka dimatangkan; pengajaran diturunkan untuk mereka melalui tanzil atau
melalui rasul yang diutuskan yang mengajar mereka dan menyucikan diri mereka
dan hayat mereka. Millah sebagaimana yang disebutkan dalan al-Quran untuk
umat seperti umat Islam memaksudkan umat atau golongan manusia yang suci,
yang berpegang kepada agama serta mengamalkan sistem syariat serta mereka
menjalankan tugas rohaniah mereka dalam hidup dan peradaban mereka. Di sinilah
kelihatan timbulnya kebudayaan yang bersifat tradisional dan keagamaan dalam
erti yang setepatnya

Sebagai tambahan boleh diingatkan huraian Raghib al-Isfahani (rh) dalam
Mufradat al-Faz al-Quran (edisi Nadim Mar’asyili. 491-492) yang menyebutkan
bahawa millah adalah seperti din, agama, iaitu yang disyariatkan oleh Allah ke

atas para hamba-Nya melalui lidah para rasul-Nya supaya dengan itu mereka
mencapai kehidupan menghampirkan diri mereka dengan-Nya. Perbezaannya
dengan din ialah bahawa millah tidak dihubungkan dengan yang lain selain
daripada nabi atau rasul; kerana itu, didapati dalam al Quran ayat yang bermaksud:
“Ikutlah millah Ibrahim “ dan ayat yang bermaksud “Aku mengikuti millah datuk
nenekku”. Ianya tidak dihubungkan dengan Allah, dan tidak pula dengan seseorang
daripada umat Nabi Muhammad s.a.w. Ada juga dikatakan bahawa millah itu ialah
dengan mengambil kira maksudnya sebagai sistem yang disyariatkan oleh Allah,
dan din itu adalah dengan mengambil kira pihak yang mendirikannya, kerana
maknanya ialah ketaatan.

Suatu lagi kalimat yang biasa sangat digunakan dalam hubungan dengan Muslimin
sebagai entiti bersifat kolektif ialah kalimat umat. Kalimat ini yang pluralnya ialah
umam digunakan dalam al-Quran hampir 40 kali (misalnya lihat Fathu’r-Rahman,
31-32). Kalimat ini memaksudkan golongan besar manusia yang dihubungkan
dengan pimpinan nabi atau rasul. Ianya adalah dari kata kerja amma, ya’ummu,
amman, serta ammama dan ta’ammama, serta i’tamma, yang bermaksud:
mengarahkan perjalanan seseorang ke arah sesuatu arah yang tertentu;atau
merancangkan sesuatu. Adapun amma, ya’ummu, imamatan bermakna: berjalan
di hadapan; berada di hadapan sekali (tentera); kalau i’tamma bi bermakna meniru
atau mengikut contoh seseorang; i’tamma bi dan ista’amma bermakna: mengikut
seseorang menjadikannya sebagai pemimpin; adapun kalimat iman dengan
pluralnya a’immah bermakna imam, pemimpin, ketua; jalan besar; imamah:
kedudukan sebagai imam dan pimpinan, sebagai imam; ummah pl. umam: bangsa
manusia, syariat, agama; keadaan hidup yang makmur dan baik;keadaan pimpinan

sebagai imam; ataupun seseorang yang menghimpunkan ke dalam dirinya
kebaikan; atau imam; atau golongan manusia yang dihantar kepada mereka rasul
a.s.s., baik mereka itu beriman kepadanya, atau kufur terhadapnya (na’udhubillahi
min dhalik).

Umat Islam dipanggil umat yang terbaik dalam alQuran (ali’Imran: 110); pengertian
di dalamnya ialah bahawa umat Islam itu ialah golongan manusia yang suci,
mukaddas, bukan yang secular, atau profane, tanpa tujuan-tujuan atau sifat-sifat
sebagai pelaksana ajaran dan syariat dari Tuhan.

Umat itu dengan sendirinya mempunyai sifat-sifat ma’mum, iaitu terpimpin, oleh
imam tertinggi, iaitu Rasul Allah s.a.w.; perjalanan hidup umat itu adalah bersyariat,
mempunyai arah kehidupan yang ditentukan dalam tanzil, dalam wahyu yang
diturunkan, bukan berdasarkan semata-mata kepada pemikiran sendiri serta hasil
percubaan sendiri; hidup mereka meniru rasul s.a.w.; dan umat itu menjadi contoh
kepada manusia; mereka berjalan di hadapan (dari segi hakiki dan keagamaan) di
kalangan bangsa-bangsa di dunia. Ringkasnya umat memberi pengertian:
kumpulan manusia yang berdasarkan kepada syariat Illahi, dengan pimpinan suci,
dan itu menjadikan umat itu kumpulan manusia yang mempunyai kedudukan yang
suci, dan bukan secular atau profane, tanpa hubungan dengan ajaran Illahi, bukan
sebagai kumpulan-kumpulan semut di pangkal-pangkal pokok, atau di tepi-tepi
semak, tanpa maksud apa-apa; tanpa dimensi yang transenden sebagaimana yang
dikatakan oleh Roger Garaudy dalam bukunya Mencari Agama di Abad ke-XX.
Dalam rangka konsep umat inilah perlunya difahamkan kedudukan kebudayaan

Islam serta peranannya dan ciri-cirinya dalam hidup manusia, sebagaimana yang
dibentuk oleh Islam

Kebudayaan dalam bahasa Arab disebut antaranya dengan menggunakan kalimat
ath-tahaqafah; dan ath-thaqafah al-Islamiyah itu bermaksud keseluruhan cara
hidup dan berfikir serta nilai-nilai dan sikap, termasuk institusi-institusi serta
artifak-artifak yang membantu manusia dalam hidup, yang semuanya itu timbul
dan berkembang serta disuburkan dalam acuan syariat Islamiah dan sunnah Nabi
s.a.w.

Kalimat itu datangnya daripada kata dasar thaqifa, yathqafu, thaqafan, atau
thaqufayathqafu, thaqafan, atau thaqafatan, atau thuqufan. Dalam bahasa Arab
klasik bermaksud: menjadi tajam akal seseorang itu, ataupun menjadi cerdas atau
cerdik, ataupun mempunyai keahlian yang tinggi dalam bidang-bidang tertentu;
juga maksudnya mengatasi seseorang lain atau mengatasi sesuatu. Thaqafah pula
maksudnya: membetulkan sesuatu, atau mendidik seseorang atau menjaganya.
Tathaqqafa bermaksud: menjadi terdidik dengan baik; menjadi lebih baik daripada
keadaan yang dulunya tidak begitu baik, ataupun menjadi berdisiplin. Ertinya dari
segi bahasa, kalimat thaqafah itu mengandungi maksud-maksud: ketajaman,
kecerdasan dan kecerdikan akal, dan keahlian yang tinggi hasil pendidikan yang
dilalui; ataupun kedudukan yang berdisiplin yang timbul daripada ushaha tarbiah
yang dilaksanakan. Ianya lebih menunjukkan pembentukan diri manusia sebagai
insan dilihat dari segi akal dan budi serta disiplin dirinya sebagai makhluk rohaniah
dan akliah. Apabila aspek-aspek ini terdiri dengan baiknya dalam diri seseorang itu
maka dengan sendirinya aspek-aspek lain dari hidupnya terbentuk sama, oleh

kerana inilah yang menjadi paksi bagi dirnya, sebagai makhluk yang theomorphic,
sebagaimana yang dinyatakan oleh F. Schuon.

Kalimat al-hadarah digunakan bagi menyebut kehidupan secara kolektif dan
peradaban yang tinggi (civilization). Dengan itu digunakan kalimat al-hadarah al-
Islamiah, terutama zaman moden ini. Kalimat itu datang daripada kata dasar:
hadara, yahduru, hadaratan, yang bermaksud: pergi menetap dalam kawasan
negeri tempat ramai manusia yang menetap padanya, berbeza daripada kawasan
yang dipanggil badiyah. Dengan ini maka kalimat hadar dan hadarah dalam bahasa
Arab klasik bermaksud: kawasan negeri yang didiami oleh manusia dan
dibangunkan kehidupan kekotaan atau kehidupan yang agak maju berbanding
dengan kehidupan mereka di kalangan orang-orang Badwi. Kalimat hadir
bermaksud: datang; suku yang besar; datang ke sebuah kota; tempat kediaman
yang berhampiran dengan kawasan air; wilayah yang dibinakan kehidupan
kekotaan di dalamnya; atau kawasan pendiaman.

Berdasarkan kalimat-kalimat tersebut, maka apabila membicarakan kebudayaan
Islam dibicarakan juga aspek-aspek kehidupan sosial dan nilai-nilai yang berkenaan
berdasarkan kepada ajaran Islam yang timbul dan diamalkan di kalangan mereka
bila dibentuk kehidupan bernegara dengan kota pertahanannya serta kehidupan
kolektifnya yang tersusun.

Mungkin perlu diingatkan, apabila membicarakan kebudayaan dalam Islam
ditelitikan juga kalimat at-tamaddun, dan kebudayaan Islam dipanggil sebagai at-
tamaddun dan kebudayaan Islam dipanggil sebagai at-tamaddun al-Islami. Ini
mengingatkan kita kepada karangan terkenal Tarikh at-Tamaddun al-Islami oleh
Jurji Zaidan. Kalimat ini datang dari kata dasar maddana, yamdunu, mudunan,
bermakna datang (ke sebuah bandar); dengan harf bi yang bermakna menduduki
sesuatu tempat; maddana pula bermaksud membina bandar-bandar atau kota-
kota, ataupun menjadi kaum atau seseorang yang mempunyai peradaban atau
tamadun (iaitu sama dengan civilization dalam bahasa Inggeris).

Kata tamaddana bermakna: menjadi kaum yang mempunyai peradaban atau
tamadun. Madinah dengan pl. mudun, mudn dan mada’in bermakna bandar atau
kota. Tamaddun bermaksud keadaan hidup sosial yang terkedepan. Kalimat
madinah dengan pluralnya juga tercatat dalam kamus-kamus sebagai berasal
daripada kalimat dana yang bermaksud meminjam atau menjadi terhutang; ini juga
kata dasar bagi kalimat agama –din- sebagaimana yang akan dibicarakan juga.
Ertinya penggunaan istilah tamadun ini menekankan aspek pendudukan kota dan
hidup kekotaan serta dengan masyarakat yang tersusun dengan aturan-aturannya,
pada peringkat yang agak terkedepan dari segi kebendaannya daripada hidup
sederhana di kalangan orang-orang Arab seperti mereka dalam kalangan Badwi.

Antara istilah yang elok diberikan perhatian adab. Prof. Ismail Faruqi bersetuju
dengan kalimat adab itu dimaksudkan sebagai culture atau kebudayaan yang
dikehendaki itu. Dalam hubungan ini kita boleh sebutkan hadis Nabi s.a.w. yang
bermaksud: "Tuhan telah memberikan kepadaku pendidikan adab – addabani –
dan Ia telah memperbaik atau menyempurnakan pendidikan adab itu terhadapku."
Dan adab yang dimaksudkan ini adalah adab dalam pengertian yang paling luas
yang merangkumi kemampuan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang
sewajarnya, iaitu sifat yang timbul daripada kedlaman ilmu dan disiplin sesorang
itu. Sifat yang sedemikian bila disebarkan ke dalam masyarakat dan kehidupan
budaya, akan menimbulkan kesan yang menyeluruh di dalam kehidupan kolektif.
Kesedaran tentang maksud adab yang menyeluruh sedemikian itu terbayang
dengan nyatanya walaupun dalam tajuk kitab, seperti Adab ad-Dunya wa’d-Din
karangan Abul-Hasan al-Mawardi rahimahullahi Taala: dan huraian tentang
kehidupan beradap itu didapati dalam karangan terbesar Iman al-Ghazali
rahimahullahu Taala, iaitu Ihya’ ‘Ulumi’d-Dinnya

Inilah antaranya istilah-istilah yang digunakan bagi menyebutkan identiti kolektif
umat Islam, dan yang kandungan semantiknya boleh membantu kita dalam
memahami beberapa ciri, baik dari segi ideational, institutional, dan juga
axiological dalam kebudayaan Islam itu sendiri.

Tentang istilah-istilah yang berkenaan ini kita akhiri pebincangan kita dengan
membicarakan semantic content atau kandungan maknanya bagi istilah din, iaitu
istilah yang digunakan dalam al Quran bagi menyebut Islam itu sebagai agama,
antaranya dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diterima) di

sisi Allah ialah al-Islam”. (ali-‘Imran 19). Kalimat al-din itu sendiri terdapat lebih dari
empat puluh kai digunakan dalam al-Quran. (Cf. Fathu’r-Rahman, 157).

Kalimat din itu datangnya dari kata dasar dana, yadinu, dinan, atau dengan kata
terbitan dainan, (dengan pengertian yang sedikit berlainan), bermaksud: ia menjadi
taat, ataupun ia taat, dan inilah yang merupakan pengertian yang utama dari
kalimat ini.Ataupun mengikut setengah pihak pengertiannya yang utama ialah ia
menjadi hina, taat,dan tunduk; atau ia telah menjadi hina dan dijadikan sebagai
hamba dan ia taat; atau maknanya ia telah menjadi (hamba kepada Allah) taat
sebagai seorang Muslim; kata-kata “dana bi dinihim” bermakna: “ia mengikuti
agama mereka”.

Maka kalimat din yang biasa digunakan dalam persuratan Islam bermakna
ketaatan, dan inilah maksud yang terutamanya. Pluralnya ialah adyan; juga ianya
bermaksud keaddan tunduk merendah diri; kata-kata ad-din li’llah bermakna
ketaatan adalah untukAllah, dan perkhidmatan atau kebaktian (yang hakiki) adalah
untuk Allah.

Selain itu din dengan pluralnya adyan memaksudkan agama dalam pengertian
yang paling luas, dengan sifat-sifat universalnya, baik ianya mencakupi segi-segi
‘akidah, dan juga segi-segi yang amaliah; oleh itu kalimat ini bersamaan maknanya
dengan syariah sebagimana yang dicatatkan dalam Tajul-‘Arus dan kepercayaan
tentang mentauhidkan Allah, serta sifat-sifat ketakwaan dan kewarakan mereka
yang salih.

Din juga memberi pengertian hukum tertentu, atau aturan-aturan tertentu, dengan
itu ia sama maknanya dengan hukum, juga sama dengan kalimat qada’ (yang sama
dengan hukum yang dijatuhkan)

Ia juga bermaksud sistem amalan ataupun upacara-upacara yang dilakukan dan
yang sepertinya yang diwarisi daripada beberapa generasi yang telah lalu. Dalam
pengertian ini maka din sama maknanya dengan tradisi sebagaimana yang
dihuraikan di kalangan mereka yang membuat pengkhususan dalam Pengajian
Tradisional atau Traditional Studies di Barat

Kata-kata kana ‘ala din qaumihi bermaksud: beliau mengikut amalan-amalan lama
kaumnya yang diwarisi daripada Nabi Ibrahim dan Ismail a.s. dalam hubungan
dengan ibadat haji dan istiadat-istiadat perkahwinan mereka, dan juga dalam cara-
cara membahagi harta pusaka mereka, termasuk juga di dalamnya cara-cara
berjual beli dan amalan-amalan lainnya yang termasuk ke dalam aturan-aturan
keagamaan.

Kalimat din juga membawa maksud amalan kebiasaan atau tabiat yang merupakan
satu daripada pengertian-pengertiannya yang utama. Di samping membawa erti
sesuatu jalan, cara bertindak, atau budi pekerti dan yang sepertinya. Dengan ini ia
juga terangkum ke dalamnya pengertian tadbir, aturan-aturan atau tatacara
melaksanakan urusan-urusan.

Selain itu din membawa makna keadaan sesuatu perkara ataupun situasi;
pembalasan terhadap sesuatu; kiraan, pertimbangan, misalnya sebagaimana yang

ada dalam ayat yang bermaksud:”Itulah, agama, kiraan, yang betul” (Surah Taubah
:36). Juga ianya bermakna paksaan ke atas keinginan; meletakkan sesuatu di bawah
kehendak atau perintah,serta kedaulatan, pemerintahan atau kekuasaan dan
autoriti.

Apabila dikaitkan pengerian-pengertian itu dalam hubungan dengan Islam sebagai
ajaran dan amalan keagamaan yang lengkap, maka jelas bahawa kalimat itu
menunjukkan ciri-ciri yang ada dalam Islam itu sendiri sebagai agama samawi dan
sebagai suatu kebudayaan serta peradaban yang timbul natijah daripada
bertemunya agama samawi itu dengan masyarakat manusia yang ditakdirkan untuk
menerimanya.
Antaranya ialah bahawa dengan memeluk agama Islam sebagai anutan dan amalan
hidup maka manusia secara individu dan kolektif melaksanakan ketaatan kepada
Tuhan dan kebenaran yang diturunkan oleh-Nya; dan dengan demikian juga
manusia hidup dengan kerendahan dan ketundukan kepada Tuhan dan kebenaran
yang diturunkan itu. Inilah yang menimbulkan kebudayaan Islam yang bersifat
tradisional itu. Inilah yang menjamin kebahagiaan hakiki bagi manusia dari hidup
dalam alam ini sampai hidup ke alam abadi, sebab manusia dilahirkan untuk
mencapai keabadian bukan untuk dimusnahkan .

Jadi, dengan melaksanakan kehidupan secara Islam maka manusia berpegang
kepada akidah yang menunjukkan kepada kebenaran-kebenaran berkenaan
dengan pegangan dan pandangan hidup, yang menyentuh keimanan dan amaliah
yang terangkum di bawah syariat yang terdiri daripada hukum-hukum berkenaan
seperti sembahayang, puasa, zakat, haji, dan amalan-amalan lain yang direstui oleh

aturan dan roh syariat Islamiah itu sendiri. Kesan amalan dan pegangan demikian
itu jelas kelihatan dalam corak budaya Islamiah, baik dalam bidang akliah, rohaniah,
kemasyarakatan ataupun kesenian. Dengan ini timbullah cara hidup yang tersusun
rapi mengikut peraturan-peraturan, yang semuanya berdasarkan kepada syarat
Islamiah sebagai suatu sistem kehidupan yang menyeluruh.

Dengan melaksanakan hidup mengikut ajaran Islam ini sebagaimana yang
diisyaratnya dalam kalimat din itu sendiri, maka manusia dapat menjayakan
hidupnya berdasarkan aturan-aturan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka
yang melaksanakan hidup mengikut kebiasaan-kebiasaan yang normatif itu. Disini
timbullah penghormatan kepada generasi Salaf yang salih. Dan boleh dikatakan
bahawa dalam pengertian din di sinilah timbulnya kedudukan hidup manusia
beragama dalam Islam sebagai suatu tradisi dalam pengertian yang tepat
sebagaimana yang dijelaskan oleh mereka yang memberi huraian tentang tradisi
dalam Pengajian Tradisional (Traditional Studies), seperti Rene Guenon, A.
Coomaraswmy, F. Schuon, S.H. Nasr, dan lainnya, dalam tulisan mereka yang mula
mendapat perhatian di kalangan pemikir semasa tentang ilmu dan budaya.

Dan pengertian ini bolehlah digandingkan dengan pegertian din sebagai suatu
jalan atau cara tindakan, dan dengan sendirinya tergabung ke dalamnya pengertian
tadbir dan pengurusan atau pengarahan sesuatu urusan dalam hidup manusia.
Ringkasnya, kalimat din ini banyak sekali boleh dihubungkan dengan pengertian
yang merangkumi masalah kebudayaan yang menyentuh kehidupan manusia
secara individu dan kolektif.

Dalam memahami sejarah budaya biasanya ditumpukan perhatian kepada huraian
tentang proses penambahan dan perbaikan teknik serta penghalusan kaedah-
kaedah secara kuantitatif dalam manusia menghadapi kehidupan dan alam tabii.
Dalam pandangan demikian timbullah anggapan bahawa kosepsi sedemikian
sahaja yang sah dalam memberi gambaran tentang kehidupan budaya manusia.
Dengan sendirinya pandangan yang demikian membawa kepada sikap melihat
budaya lain dalam konteks development atau progress dalam aliran masa sejarah,
serta dengan kosepsi sejarah yang bersifat evolutionistic dan huraian budaya pula
menjadi bersifat kuantitatif. (Cf. Nasr, Science and Civilization in Islam).

Dalam kaca mata si Muslim, sejarah merupakan rentetan peristiwa yang berlaku
yang tidak memberi kesan kepada prinsip-prinsip Islam yang abadi yang mengatasi
masa. Si Muslim itu adalah lebih berminat untuk ‘merealisasikan’ dan ‘mengenali’
prinsip-prinsip ini dan bukan sangat berminat untuk mencari-cari dan
mengusahakan ‘keaslian’ (Originality) dan perubahan sebagai nilai-nilai yang
intrinsic. Sebagaimana yang dinyatakan oleh S.H. Nasr, lambang bagi peradaban
Islam dan oleh itu kebudayaannya bukannya sungai yang sentiasa mengalir tetapi
bentuk persegi Kaabah dan kestabilannya yang melambangkan ciri-ciri yang kekal
dan tidak berubah-ubah dalam Islam itu sendiri.

Bila roh daripada wahyu Islamiah itu mengeluarkan peradaban dan kebudayaan
yang ciri-cirinya boleh dikatakan bersifat Islamic, dengan mengambil kira warisan
budaya yang terdahulu daripadanya, dan melalui sifat keistimewaannya sendiri –
geniusnya minat dan tumpuan terpaling daripada perubahan dan ‘penyesuaian’.
Bidang-bidang seni, sains dan budaya sebaliknya memiliki sesuatu sifat kestabilan

dan ‘penghabluran’ (crystallization) berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang tidak
berubah-ubah yang daripadanya muncul peradaban dan kebudyaan Islam itu.
Keadaan stabil inilah yang selalunya di Barat – dan di kalangan Muslimin yang
terpengaruh dengan cara berfikir dunia Utara – dianggap sebagai kebekuan dan
kemandulan (sterility)

Kesenian, ilmu sastera dan sains dalam Islam adalah berdasarkan kepada tauhid,
yang merupakan paksi bagi wahyu dalam Islam. Sebagaimana yang dapat dilihat
dalam kesenian Islam yang murni baik dalam bentuk istana Alhamra atau Taj Mahal
yang menzahirkan bentuk dan rupa yang melaluinya dasar tauhid itu dijelmakan
dan disaksikan, demikian juga dalam ilmu-ilmu dalam peradaban dan kebudayaan
Islam didapati penzahiran dan kesatuan dalam alam tabii itu sendiri, yang juga
menjadicermin bagi penyaksian Keesaan Tuhan. Dan sebagaimana yang dikatakan
oleh Dr. Nasr bahawa tujuan semua ilmu Islam, dan secara amnya semua ilmu
kosmologi zaman tengah dan purba, adalah bertujuan untuk menunjukkan
kesatuan dan dasar saling hubung-menghubungi yang ada antara sekalian yang
maujud ini; maka dengan memandang keesaan dan kesatuan alam ini dalam
kebudayaan Islam dan konsep ilmunya, insan dibawa untuk menyaksikan keesaan
Penciptanya itu sendiri.

Peradaban Islam dan kebudayaannya, sebagimana keadaannya dengan
kebudayaan dan peradaban tradisional yang lain adalah berdasarkan kepada
pandangan tertentu, atau point of view yang tertentu; iaitu wahyu yang
ditanzilkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah ‘murni’ dan sederhana yang
merupakan agama Nabi Adam a.s. dan Nabi Ibrahim a.s.; dan Islam yang datang

kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah merupakan pengembalikan kembali
kepada agama fitrah yang asal yang paling pokok.

Kalimat ‘Islam’ itu sendiri bermakna ‘tunduk menyerah’ dan ‘kesejahteraan’,
ataupun ‘menjadi sama dengan Kehendak Tuhan’. Kalimat syahadat dalam Islam
itu yang berbunyi la ilaha illa’Llah Muhammadu’r-Rasulu’Llah memberi maksud
yang paling ringkas dan padat terhadap sikap dan roh Islam itu sendiri.

Untuk memahami sikap dan roh Islam, memadailah sesorang itu memahami
bahawa Tuhan Maha Esa, dan Rasulullah s.a.w. yang membawa wahyu yang di
tanzilkan itu diutuskan oleh-Nya. Dan di dalam sistem yang sedemikian maka
terdapat struktur ajaran yang berlainan misalnya daripada ajaran Kristian. Setiap
Muslim adalah berkedudukan sebagai ‘orang agama’ yang dirinya itu boleh
melakukan semua fungsi keagamaan dan kerohanian dalm hidupnya, dan kalau
perlu, dalam masyarakatnya juga. Tidak ada kelas ‘orang agama’ atau priestly class
dalam Islam. Peranan imam yang ada dalam Islam itu tidak sedikit pun
mengurangkan kedudukan kerohanian dan keagamaan yang ada pada setiap orang
Mulsim itu.

Dalam Islsm ajaran ortodoks yang besar itu sentiasa mempunyai kedudukan
mengatasi segalanya dalam peradaban dan kebudayaan Islam, dan dengan
berpandukan ajaran yang ortodoks ini ia boleh memasukkan den meyerapkan ke
dalamnya unsur-unsur yang tidak berlawanan dengan ajaran ortodoksnya itu.
Perkara yang sedemikian itu dilihat dalam perjalanan sejarah Islam dan dalam
hidup harian Muslimin. Ini dinyatakan tanpa mendapat adanya amalan-amalan

yang tidak serasi dengan ajaran ortodots yang timbul oleh kerana kelemahan
manusiawi yang ada di kalangan Muslimin.

Sebagai yang nyata dari punca-punca tradisional Islam, dilihat pada paras
semestanya mempunyai tiga pengertiannya. Pertama seluruh makhluk dalam alam
ini boleh dikatakan bersifat Muslim dalam pengertian yang paling amnya, iaitu
dalam ertikata semuanya tunduk menyerah kepada Kehendak Allah yang wujud
yang mengatur seluruh sistem alam yang ada ini. Misalnya boleh disebutkan
bahawa burung tidak ada pilihan lain melainkan ianya mesti terbang sebab itu
kejadiannya, ikan tidak ada pilihan lain melainkan ia mesti berenang, air mestilah
mengalir; demikianlah seterusnya seluruh alam ini daripada paras galian sempai
kepada paras kemalaikatan di alam tertinggi mentaati hukum kejadian dirinya yang
telah ditentukan. Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata bahawa seluruh alam
ini adalah Muslim dalam pengertian yang paling amnya.

Dalam pengertian yang keduanya semua manusia yang membuat pilihan untuk
tunduk dibawah Kehendak Tuhan dalam bentuk peraturan syariat-Nya, maka ia
adalah Muslim, kerana ia tunduk menyerah kepada Kehendak Tuhan dalm hukum
itu. Apabila ‘Uqbah bin Nafi’ pembuka empayar Islam di Afrika itu mengucapkan
selamat tinggal kepada keluarganya dan menunggang kuda perangnya untuk
melaksanakan jihad pada Jalan Tuhannya sejauh dua ribu batu sampai akhirnya di
tepi Laut Atlantik dan dia berteriak “Sekarang ya Allah ambilah roh hamba “ kita
tidak boleh bayangkan bangaimana Iskandar Agung dalam sejarah Barat
mempunyai ingatan yang sama semasa dia mencapai kemenangan nya walapun
pada lahirnya ada persamaan dalam kemengangan ketenteraan keduanya itu.

Dalam hal ‘Uqbah keadaannya sebagai pasif dalam hubungan dengan Kehendak
Tuhannya menjelma menjadi amalan dalam alam ruang dan waktu yang tidak dapat
disekat-sekat oleh sesiapa .

Akhirnya pada paras ilmu yang paling tinggi dan murni, iaitu peringkat ahli
makrifah dan ahli musyahadah pengertian Muslim mncapai puncak pengertiannya.
Dalam pemikiran dan budaya Islam, orang ‘arif peribadinya yang ‘menyerah dengan
seluruh wujud dirinya kepada tuhan dan Kehendaknya; dua boleh dikatakan tidak
lagi mempunyai wujud dirinya sendiri. Dia adalah sebagi mana keadaannya dengan
alam tabii dan unsur-unsur yang ada dalam alam semesta ini, yang tunduk
sepenuhnya kepada tuhan tetapi berlainan daripada yang lain itu, kerana dia
membayangkan al-‘qlul-llahi’ dalam dirinya dengan secara cergas dan sengaja
walhal yang lainnya itu mencerminkan dengan secara yang pasif . Dalam hubungan
dengan peribadi yang demikian ini maka ilmu pengetahuan memainkan peranan
bukan lagi sebagai sesuatu yang bersifat analytical dan sebagai rasa ingin tahu
secara biasa sahaja. Islamnya orang arif dan Islamnya alam tabii menjadi hakikat
yang saling melengkapi satu sama lainnya.

Dalam hubungan dengan perspektif yang sedemikian inilah maka dalam
peradaban dan kebudayaan Islam timbulnya peribadi-peribadi seperti al-Ghazali,
ar-Razi, Ibn Sina dan Ibn Khaldun, antara lain-lainnya yang dianggap sebagai the
universal figures of Islamic intellectuality, Allah mencucurkan rahmat kepada
mereka itu, menjelmakan pelbagai spektrum dalm hidup akliah dan rohaniah dlam
Islam.

Fungsi penaklukan (intellectuality) dalam pengertian yang dimaksudkan di sini
adalah berlainan daripada apa yang biasa difahamkan dalam iklim intelektual
sekarang ini. Kebanyakkan daripada ahli ilmu pengetahuan dan sains dalam
peradaban dan budaya Islam melaksanakan kegiatan-kegiatan mereka dalam alam
pandangan yang sedemikian itu. Iklim intelektual demikian itu adalah lebih dekat
kepada sikap kontemplatif di kalangan mereka dalam Zaman Tengah di bawah
pengaruh ajaran kontemplatif Kristian.Dalam zaman moden nampaknya sikap ini
ada sedikit persamaannya dengan sikap mereka yang terlibat dengan gerakan
Jerman yang dipanggil Naturphilosophie dan juga dengan mereka yang terlibat
dalam gerakan 'Romantik’ yang berusaha untuk mengadakan perhubungan mesra
dengan alam tabii. Bagaimanapun pembukaan jiwa ahli-ahli ‘Romantik’ adalah
lebih bersifat sentimental (dan mereka sendiri memang menggunakan istilah
sensibility untuk mengungkapkan pengalaman mereka), dan itu tidak dapat
disamakan dengan pengalaman musyahadah dalam hubungan dengan alam tabii
sebagaimana yang dialami oleh mereka di kalangan arifin.

Alam tabii dalam Islam boleh dipandang sebagai sesuatu seperti kitab yang tanda-
tandanya adalah sebagimana keadaannya dengan ayat-ayat Quran. Quran dan juga
alam tabii menunjukkan kepada kewajipan manusia melakukan tugas ‘ubudiyah
terhadap Tuhannya yang menjadikan segalanya, termasuk dirinya sendiri. Ini
mengingatkan kita kepada ayat Quran yang bermaksud: “Kami akan
memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk

dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka kebenaran”. (Surah
Fusilat: Ayat 53).

Di kalangan para fuqaha (mereka yang ahli dalam hukum syariat) ayat ini
merupakan sesuatu yang menentukan tugas mereka sebagai orang yang beriman,
dan alam tabii bagi mereka sebagai latar belakang untuk mereka melakukan
amalan mereka dalam mengabdikan diri kepada Allah. Pada mereka yang arif di
kalangan sufiah, Quran ada mengandungi makna isyari atau perlambangan (selain
daripada yang lahiriahnya) sebagaimana juga alam tabii ada mempunyai makna
perlambangannya bagi mereka yang mengrealisasikannya. (CF. al-Ghazali, dalam
Mishkatul-Anwarnya). Kalaulah kefahaman tentang ayat-ayat Tuhan menjadi
semata-mata yang bersifat harfiah, yang mesti sah pada paras dirinya sendiri,
dengan hilangnya takwil, maka alam tabii tidak lagi boleh di’baca’ oleh manusia
sebagai ‘kitab’ yang memberi bimbingan kepada manusia. Dan bila perkara
demikian itu berlaku maka alam tabii akan menjadi sesuatu yang hilang hubungan
dengan paras-paras alam yang lebih tinggi dan hakikat-hakikat dalam alam yang
berkenaan itu, dan ianya akan berupa fakta-fakta (facts) sahaja untuk manusia
dalam penelitian ilmunya. Inilah sesuatu yang fakulti akliah dalm Islam dan
budayanya tidak boleh menerimanya.

Roh Islam menekan kesatuan dalam alam tabii dan kesatuan itu juga yang
ditujukan dalam ilmu-ilmu kosmologi dan kesenian Islam serta ilmu sasteranya:
kesenian islam ini diisyaratkan dengan adanyakait-mengait dan sifat gulung-
menggulung awan larat secara Arabesque yang terkenal itu, yang memadukan

antara hidup tumbuh-tumbuhan yang segar dan subur dengan sifat-sifat hablur
dari ilmu algebra, dari ayat-ayat al-Quran al Karim.

Oleh itu kita boleh lihat konsep kesatuan itu bukan sahaja dalam ilmu-ilmu Islam
dan sains dalam kebudayaan Islam, tetapi juga konsep ini mendominasi penzahiran
ilmu-ilmu dan kesenian itu. Dengan itu kita lihat bahawa penggambaran sesuatu
objek secara individual, terutamanya makhluk yang bernyawa , menjadi sebagai
sesuatu yang berupa seperti graven image, sesuatu seperti ‘berhala yang
berbahaya kepada pemikiran dan jiwa manusia; dasar kesenian Islam adalah
abstraction, iaitu menjadikan sesuatu itu bersifat maknawi.

Hanya kesatuan sahaja yang patut dizahirkan dalam penggambaran. Maka oleh
kerana ianya tidak dapat digambarkan secara langsung, ianya diperlambangkan
sahaja dengan menggunakan isyarat-isyarat. Tidak ada lambang yang konkrit yang
boleh menggambarkan kesatuan dengan secara langsung. Pengungkapannya ialah
dengan secara penapian; oleh itu ianya terus-menerus menjadi sesuatu yang
maknawi bagi insan yang hidup dalam alam kepelbagaian ini.

Seterusnya boleh kita memajukan pertanyaan: bolehkan pemikiran seseorang
individu itu ‘menangkap’ sesuatu objek yang ada dengan sendirinya? Atau kita
memahami sesuatu objek yang ada itu dalam keperihalan alam semesta? Dalam
kata lain, dari segi kosmologi, adakah alam semesta ini suatu kesatuan, dan mana-
mana objek itu atau peristiwa itu suatu tanda (suatu ‘fenomenon’ atau ‘rupa’) yang
mempunyai maksud yang tidak begitu nyata? Atau adakah sebaliknya? Bagi
Muslimin, mereka memberikan keutamaan kepada keadaan alam sebagai realiti

yang konkrit, dan yang menandakan pada paras alam itu sendiri kewujudan Zat
Ketuhanan itu sendiri, walaupun tidak boleh difahamkan secara yang lain lagi
daripadanya. Apa yang dibawakan oleh Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh
Dr Nasr ialah pandangan tauhid yang seteguhnya yang menekankan keesaan, dan
selain daripada penekanan kepada pengabdian terhadap Tuhan dan kehendak-Nya
ia membolehkan Islam menghidupkan kembali kegiatan ilmu pengetahuan yang
mati di Athens dan Iskandariah.

Untuk meneruskan perbincangan kita tentang ciri-ciri kebudayaan Islam itu kita
perlu ingatkan perbezaan yang sangat jelas antara kebudayaan Islam yang normatif
yang bersifat Islamiah setepatnya dengan kebudayaan yang diamalkan oleh orang-
orang Islam. Kebudayaan Islam yang normatif adalah kebudayaan yang lahir
batinnya mengikut ajaran Islam atau melahirkan cita-cita serta nilai-nilai Islam,
walhal kegiatan-kegiatan kebudayaan di kalangan umat Islam tidak semestinya
bersifat Islam semuanya. Banyak antaranya yang tidak serasi atau bercanggah
dengan Islam dan oleh itu tidak boleh disifatkan sebagai kebudayaan Islam.

Selain itu patutlah diingatkan pula bahawa agama Islam dalam erti kata yang
diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah kebudayaan, oleh
kerana hakikat-hakikatnya yang terkandung dalam apa yang diwahyukan itu bukan
ciptaan manusia, ianya kebenaran-kebenaran dari sisi Tuhan sendiri yang
ditanzilkan dari alam tinggi. Yang dipanggil kebudayaan itu ialah cara hidup dan
berfikir serta nilai-nilai dan institusi-institusi yang terbentuk dalam acuan
kehidupan mengikut syariat dan sunnah.

Dari awal-awal lagi perlu dinyatakan bahawa kebudayaan Islam adalah kebudayaan
tradisional dalam erti kata yang setepatnya. Dalam kebudayaan yang sedemikian
itu maka tradisi menentukan segalanya. Dan boleh diingatkan dalam penelitian ini
apa yang dipentingkan di sini ialah nilai-nilai tradisi yang menentukan kebudayaan
Islam itu sendiri.

Tradisi yang dimaksudkan di sini bukanlah pengertian yang biasa digunakan secara
popular, tetapi yang dimaksudkan ialah gugusan daripada kebenaran-kebenaran
(haqa’iq) yang diturunkan dari alam tinggi dan yang kemudian diterima oleh
golongan manusia yang ditakdirkan untuk menerimanya, dan kemudian timbullah
dari situ pandangan hidup, upacara-upacara, nilai-nilai serta institusi-institusi yang
berdasarkan kepada kebenaran-kebenaran itu. Sebelum terlaksananya kebenaran-
kebenaran itu dalam alam ruang dan waktu ianya dipanggil wahyu, dan bila
dilaksanakan dalam hidup dan peradaban serta kebudayaan maka timbullah tradisi
yang dimaksudkan itu. Maka bila dikatakan tamadun Islam dan kebudayaannya
adalah bersifat tradisional, maksudnya ialah bahawa kebudayaan itu atau
peradaban itu adalah berdasarkan kepada tradisi dalam pengertian ini. Tradisi
dalam pengertian sedemikian ini yang universal sifatnya menyamai istilah al-din
dalam bahasa Arab.

Bagaimanakah sifat-sifat kebudayaan Islam yang tradisional itu? Untuk menjawab
persoalan ini maka perlulah diingatkan kembali walaupun secara sepintas lalu
‘kandungan’ dari ajaran dan amalan Islamiah itu sendiri sebagaimana yang
diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Antaranya boleh disimpulkan bahawa haqa’iq ataupun kebenaran-kebenaran yang
diajarkan oleh Baginda s.a.w. terdiri daripada kebenaran-kebenaran dalam
akidah,ibadah, makarim al-akhlaq, dan hukum sebagaimana yang ada dalam sistem
syariat yang meliputi sifatnya itu. Akidah menghuraikan segala kebenaran yang
perlu diketahui dan dipegangi berkenaan dengan Allah, alam ghaib, kerasulan,
kehidupan manusia, awalnya, akhirnya, serta tujuannya, dan qada dan qadar yang
merupakan ketentuan Allah ke atas sekalian yang maujud. Ertinya kebenaran-
kebenaran tentang Penjadi segala, hakikat yang ada, serta tujuan daripada segala
yang ada dengan penumpuan kepada keselamatan hakiki manusia dan
kejadiannya.

Akidah ini dihuraikan dalam bentuk usuluddin atau dalam bentuk metafizik. Kedua-
duanya merupakan aliran yang diterima dikalangan ahlinya. Ibadat merupakan
pengabdian manusia kepada ‘kebenaran’ serta berupa ‘jalan’ bagi mencapai
‘kebenaran’ dalam erti kata sesungguhnya. Tanpa jalan itu maka ‘kebenaran’ akan
berupa sebagai ilmu mainan otak, dan dengan adanya jalan itu maka ianya dicapai
dan dihubungi oleh manusia serta dikenal-Nya oleh mereka.

Makarim al-akhlak adalah ilmu yang menghuraikan kedudukan diri insan serta
kehidupan dan ciri-ciri peribadi dan kehidupan yang dikehendaki, dan apa yang
sebaliknya. Tujuan ilmu itu ialah supaya diri insan dibawa mencapai
kedudukannya yang asal dengan kemurniannya sebagai yang dilambangkan oleh
kedudukan Adam a.s. dalam alam kesyurgaannya. Dengan menjayakan makarima
al-akhlak maka sifat-sifat yang keji dalam peribadi manusia boleh dihapuskan. Pada
paras itu barulah manusia itu dikatakan memiliki dirinya yang sebenarnya.

Dalam syariat dihuraikan aturan-aturan dan hukum-hukum yang mesti diamalkan
oleh manusia dalam hidup individu dan hidup kolektifnya, hidup rohaniah dan
kebendaanya, hidup duniawi dan ukhrawinya. Maka kebudayaan Islam yang
berupa kebudayaan tradisional itu terbentuk oleh prinsip-prinsip Islam yang
sedemikian itu; kenyataan ini dibuat tanpa melupai adanya unsur-unsur horizontal
yang diakui peranannya dalam ajaran Islam setakat mana pengaruh-pengaruh itu
disahkan oleh doktrin Islam itu sendiri. Dengan terbentuknya kebudayaan Islam
oleh dasar-dasar sedemikian itu maka timbullah kebudayaan yang bersifat
tradisional itu.

Perlu diperingatkan sekali lagi kebudayaan Islam dari segi ‘punca-punca’nya.
‘Punca-punca’ nya ialah wahyu (al-Quran), nubuwah (ajaran daripada Nabi s.a.w.),
serta juga keupayaan manusia dan usaha-usahanya dalam pelbagai bidang
kehidupan yang berdasarkan kepada acuan syariat dan sunnah. Keupayaan
manusia dan keja-kerjanyalah yang disebut sebagi ijtihad atau qiyas, sebagaimana
yang dikenali dalam Hukum Islam dan Filsaftnya.

Dalam hubungannya dengan Quran dan hadis sebagai autoriti yang menentukan
segala, boleh dikatakan bahawa dalam apa aspek kehidupan manusia dan
pemikiran mereka maka kedua autoriti ini adalah muktamad. Apa yang tidak ada
dalam Quran maka diambil ketentuannya daripada hadis. Bila tidak didapati dalam
hadis maka barulah digunakan ijtihad sendiri atau keputusan pemikiran oleh
mereka yang ahli, dengan berdasarkan kepada syarat-syarat tertentu; dengan
mentaati syarat-syarat tertentu, maka sesuatu keputusan itu dianggap keputusan
yang boleh diakui dan bukan keputusan yang bersifat sebagai pendapat biasa

sahaja. Oleh kerana sikap yang demikian ini, maka dalam kebudayaan Islam selain
daripada Quran dan hadis, huraian para ulama sangat dihormati, oleh kerana
mereka dianggap sebagai pemimpin-pemimpin keagamaan yang mewakili para
anbia; ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud:”Ulama adalah pewaris
para anbia” (riwayat al-Bukhari)

Seperkara lagi dalam kebudayan Islam jelas terdapat kesedaran dan amalan
tentang pentarafan dari sekalian yang maujud, mulai daripada pentarafan alam
semesta, sampailah kepada fakulti dalam diri manusia sampailah kepada
kedudukan manusia itu sendiri. Maksudnya, dalam Islam alam ini terdiri daripada
beberapa paras, alam yang paling rendah dikatakan alam Nasut, yang di dalamnya
manusia memainkan peranannya; keduanya alam al-Malakut yang dipenuhi oleh
zat-zat kemalaikatan; ketiganya alam Lahut yang paling ‘rapat’ dengan Hadrat Allah
Taala. Inilah pentarafan alam yang paling ringkas sekali. Alam Lahutlah yang paling
tinggi sekali dilihat dari segi pentarafannya dan alam Nasut pula merupakan alam
yang paling rendah dari segi kualitatifnya.

Dalam diri seseorang manusia itu fakulti-fakulti yang paling tinggi dari segi tarafnya
ialah fakulti-fakulti rohaniahnya sebab inilah yang merupakan ‘paksi’ atau ‘pusat’
dirinya; dan inilah yang menentukan harga dirinya yang sebenarnya. Fakulti-fakulti
yang berhubung dengan alam kebendaan terletak di bawah fakulti-fakulti
rohaniahnya. Demikian pula dalam masyarakat manusia maka manusia yang paling
dihormati ialah mereka yang banyak mempunyai sifat-sifat keperibadian yang
dikehendaki yang ditentukan oleh perkembangan dirinya dari segi rohaninya. Oleh
sebab itulah maka dalam masyarakat tradisional Islam kepimpinan ditentukan oleh

nilai-nilai keagamaan. (Cf sifat-sifat kepimpinan tertinggi dihuraikan oleh Ibn
Khaldun dalam al-Muqaddimahnya ialah: ilmu, keadilan, kemampuan
melaksanakan tugas, dan keselamatan anggota badan dan seterusnya. Demikian
pula huraian al-Mawardi dalam al-sa-Sultaniyyahnya). Kekuasaan diterima bila
dipandukan dengan nilai-nilai kebenaran dan keadilan dan penghormatan kepada
syariat Islamiah. Sikap ini adalah berlawanan dengan sikap memandang segalanya
sebagai benda-benda yang sama sahaja tarafnya; seolah-olah wali dan nabi adalah
sama sahaja dengan penjenayah; atau alam kebendaan adalah sama sahaja dengan
alam rohaniah. Sikap memandang segalanya sama rata tanpa mempunyai
pentarafan apa-apa adalah pandangan egalitarianisme yang merupakan satu
daripada ciri intelektual Barat sekular.

Dalam kebudayaan Islam juga kelihatan penghormatan yang sangat besar yang
diberikan kepada pandangan-pandangan dan amalan-amalan yang asal sebagai
pedoman. Adalah yang asal itu murni, benar tanpa penyelewengan itu terangkum
unsur-unsurnya dalam konsep Ahli-Sunnah wal-Jamaah, iaitu istilah yang terdapat
dalam hadis Nabi s.a.w. Apa yang tersimpul dalam istilah ini ialah hal-hal yang
berhubungan dengan pegangan, keyakinan nilai-nilai serta hukum-hukum.
Kalaulah kita hendak meminjam istilah dari Barat untuk mengungkapkan hal yang
demikian ini maka kita boleh meminjam istilah orthodoxy sebagaimana yang
difahamkan pada asalnya, iaitu sesuatu gugusan daripada ajaran dan amalan serta
nilai-nilai asli dalam tradisi yang benar dan tepat yang digunakan sebagai neraca
untuk mengukur apa-apa yang berlaku dalam peradaban dan kebudayaan
tradisional. Apa sesuai dengan orthodoxy diterima dan diamalkan dan apa yang
tidak sesuai dengannya ditolak. Ini dinyatakan tanpa melupai adanya unsur-unsur

budaya yang wujud yang tidak serasi dengan orthodoxy oleh kerana tekanan
keadaan dan kelemahan-kelemahan manusiawi dalam kehidupan manusia. Yang
ditekankan ialah adanya orthodoxy yang menjadi penentu dalam amalan dan
pandangan hidup dalam kebudayaan dan oleh itu tidak timbul cultural relativism
atau kenisbian dari segi kehidupan budaya yang menjadi ciri yang sangat jelas dalm
budaya yang tidak ada neraca sedemikian itu.

Dalam rangka orthodoxy yang dimaksudkan itu maka jelas terdapat ciri-ciri yang
tetap dalam hukum serta bidang akidah dan pandangan hidup antara lain-lainnya
Dilihat dari segi hukum, huraian yang benar dan tepat adalah huraian yang terdapat
dalam mazhab-mazhab yang terkenal itu, yang pada masa sekarang terhimpun
dalam aliran-aliran mazhab fiqh yang empat itu, dan dalam bidang akidah pula
huraian yang ortodoks itu ialah hurai-huraian yang ada dalam karangan-karangan
mereka seperti al-Asy’ari, al Maturidi, diikuti oleh mereka yang kemudian seperti
al-Ghazali, al-Razi, al-Baqillani, al-Juwaini, as-Sanusi dan seterusnya sampailah
kepada mereka yang membuat huraian-huraian dalam persuratan Islam Melayu
dalam rantau ini seperti Syekh Daud al-Fatani dan Syekh Ahmad al-Fatani, Allah
merahmati mereka semuanya. Kalau diluaskan konsep orthodoxy untuk
merangkumi bidang rohaniah dan akliah, maka boleh dikatakan bahawa huraian-
huraian tentang masalah-masalah rohaniah yang ortodoks ialah yang dilakukan
oleh mereka seperti al-Qusyairi, al-Baghdadi, al-Ghazali, al-Jilani termasuk juga Ibn
Arabi Allah merahmati mereka semuanya, walaupun nama yang terakahir ini
menimbulkan kontroversi yang banyak dalam hubungan dengan huraiannya
tentang wahdatul-wujud yang disalahtafsirkan sebagai pantheisme.

Dengan ini boleh dinyatakan bahawa kalaulah orthodoxy itu dalam bidang hukum
dan akidah, maka kelihatan tanda-tanda dan pengaruhnya dalam kebudayaan
Islam mulai daripada perkara-perkara yang paling bersifat rohaniah sampailah
kepada perkara-perkara yang sekecilnya sampailah kepada yang sebesarnya.
Misalnya ini terdapat pada huraian-huraian sufiah dan seni bina; daripada tulisan
khat sampai kepada bangunan masjid.

Dalam kebudaayan Islam yang tradisional itu juga terdapat kesedaran yang
mendalam terhadap masa lampau yang sangat diagung-agungkan yang kadang-
kadang di kalangan modenis dianggap sabagai sikap nostalgic atau kerinduan
terhadap masa lampau sedemikian ini adalah berdasarkan kepada konsep zaman
yang dilihat bukan berjalan secara linear progression, secara evolutionistic, yang
menimbulkan anggapan berlakunya perubahan ke arah yang lebih baik dan
kompleks, tetapi sebagai sebuah sungai yang mengalir yang semakin jauh daripada
punca terbitnya. Punca tradisi Islamiah ialah zaman Nabi s.a.w dan kedudukannya
semakin jauh daripada kemurniaan apabila ia berkembang semakin jauh daripada
zaman berkenaan itu. Ini antaranya berdasarkan kepada hadis yang bermaksud
“Generasi yang terbaik adalah generasiku, kemudian yang datang selepas itu dan
kemudian yang datang selepas itu,” dan juga hadis yang bermaksud: “Tidak ada
suatu hari melainkan yang kemudian itu lebih buruk daripada apa yang terdahulu
daripadanya”.

Dalam pengertian keislaman sebaiknya–yang melihat dari segi kesempurnaan
hakiki insan dan budayanya–zaman keemasan dalam budaya Islam ialah masa
Rasullah s.a.w., kemudian zaman yang datang selepas itu kemudian yang datang

selepas itu. Ada pun zaman Umaiyah dan Abbasiyah yang biasa dipanggil Zaman
Keemasan (The Golgen Age) dalam sejarah secara duniawi dan lahiriah itu, adalah
merupakan sebenarya zaman kecemerlangan budaya dan politik secara dilihat dari
segi kehidupan sosial dan akliah sahaja. Dari segi hakikinya zaman itu adalah zaman
keruntuhan amalan-amalan dan nilai-nilai Islamiah dan rohaniah sebenarnya. Sikap
demikian ini jelas kelihatan dalam huraian Ibn Khaldun dalam al-Muqadimahnya.
Sebab itulah dalam kebudayaan Islam terdapat sikap menoleh balik ke dalam
sejarah yang awal itu. Itulah zaman yang didalamnya sebanyak mungkn ajaran dan
amalan Islam yang murni dijayakan; Itulah zaman apabila pintu langit terbuka dan
rahmat Tuhan melimpah di mana-mana. Kegemilangan duniawi dan semangat
mercantile pada zaman kemudian tidak dapat menggantikan zaman keemasan
yang hakiki itu. Melalui sajarah kita dapat melihat bahawa terdapat kesedaran
tentang kejayaan agama Islam pada masa akan datangnya. Dalam kebudayaan
seperti ini tidak terdapat rasa putus asa terhadap kebenaran walau sesaat pun. (Cf.
Peristiwa setengah-setengah peribadi moden terkenal dalam budaya Jepun
menoleh balik kepada zaman gemilang budaya tradisionalnya yang menyebabkan
orang berkenaan membunuh diri menunjukkan pengorbanan untuk zaman itu yang
tidak diharapkan akan berulang lagi oleh kerana timbulnya kemodenan dalam
kehidupan budaya Jepun).

Dilihat dari segi keilmuan pula jelas bahwa dalam kebudayaan Islam terdapat
sistematisai ilmu-ilmu Islamiah dan ilmu-ilmu yang bertalian dengannya.
Sistematisasi itu berlaku antaranya sebagaimana yang dihuraikan oleh Ibn Khaldun
dalam al Muqaddimahnya, Haji Khalifah dalam Kasf al-Zununnya, Ibn Nadim dalam
al-Fihristnya dan Tashkopruzadah dalam Kitab as-Sa’adahnya. Sistematisasi itu

berlaku oleh kerana tekanan keadaan manusia yang ‘lari’ daripada ‘Kebenaran’
yang sepatutnya mereka jayakan hidup mereka. Ertinya langkah sistematisasi itu
diambil untuk menyedarkan manusia yang sudah menjadi sedemikian ‘lalai’
terhadap ‘Kebenaran’. Kalaulah mereka melihat ‘Kebenaran’ dalam erti
sebenarnya, maka sistematisasi ilmu-ilmu mungkin tidak perlu berlaku, sebab
literacy itu sendiri tidak mempunyai nilai yang intrinsic dilihat dari segi kepentingan
manusiawi yang hakiki. Ia adalah sebagai alat semata-mata. Sebaliknya literacy
mungkin membunuh manusia, bahkan telah membunuh mereka apabila ia
disalahgunakan.

Berhubung dengan sistematisasi ilmu pengetahuan Islam dalam pelbagai
bidangnya, kita lihat timbulnya syarah-syarah terhadap teks-teks dan kemudian
syarah di atas sysrah itu lagi, dalam hubungan dengan ilmu-ilmu tentang Quran,
(iaitu tafsir), hadis dan syarahnya, ilmu-kalam, fiqh, tasawuf, falsafah, manik dan
lainnya; termasuk kedalamnya perkembangan dalam ilmu-ilmu berhubungan
dengan bahasa Arab, sasteranya dan nahunya. Adanya syarah-syarah itu adalah
merupakan keperluan untuk membantu mereka bagi memahami teks-teks yang
berkenaan, iaitu teks-teks yang menjadi ‘punca’ bagi ilmu-ilmu yang berkenaan itu.
Keperluan kepada adanya syarah-syarah itu, selain daripada sebab-sebab
sejarahnya berhubungan dengan kelemahan manusia sendiri ada hubunagn juga
dengan sikap dalam kebudayaan Islam terhadap kitab-kitab yang dianggap sebagai
punca-punca ilmu itu. Al-Quran dan juga hadis adalah punca yang tertinggi dilihat
dari segi authoritinya. Tulisan-Tulisan lain adalah berupa percubaan untuk
memahami kedua-duanya itu, bukan untuk mengambil alih keduanya itu. Fungsi
akal fikiran manusia adalah untuk memahaminya dan menghuraikan maksudnya,

bukannnya untuk mendapat apa-apa yang baharu yang belum ada di dalamnya,
ataupun apa yang original atau asli dalam erti kata yang terpisah daripada
keduanya.

Di sinilah jelas kedudukan syarah-syarah terhadap teks-teks yang tidak begitu
disenangi oleh setengah-setengah modenis sebab mereka menganggapkan
kemunculan syarah-syarah terhadap teks-teks sebagai petanda dekadensi yang
timbul dalam alam akliah dan pengetahuan dalam sejarah kebudayaan Islam.
Kalaulah timbul anggapan bahawa adanya syarah-syarah itu bercanggah dengan
keaslian pemikiran manusia, maka jawabnya ialah-keaslian dalam ajaran agama
dan pengetahuan dalam sejarah kebudayaan Islam. Kalaulah timbul anggapan
bahawa adanya keaslian dalam erti kata seseuatu itu timbul hasil daripada
perhubungan orang yang berkenaan dengan alam yang mengatasi alam kebendaan
ini yang menjadi punca tempat timbulnya sesuatu kebenaran itu. Ertinya apa yang
asli dar pengertian tradisional itu ialah apa yang dialami sendiri secara first hand
experience atau pengalaman sendiri, dalam hubungan dengan alam ghaib punca
kebenaran itu sendiri. Apabila seseorang itu bercakap hasil daripada
pengalamannya sendiri yang sedemikian. Itu maka itulah yang dikatakan hasl
daripada pengalamannya sendiri yang sedemikian itu, maka itulah yang dikatakan
sesuatu yang asli sebenarnya. Di luar daripada keaslian dalam pengertian
tradisional demikian, tiadak ada keaslian yang diakui oleh tradisi. Mereka yang
dianggap wajar untuk mengadakan bab-bab baru dalam ilmu-ilmu tradisional
dalam Islam adalah wajar untuk mengadakan bab-bab baru dalam ilmu-ilmu
tradisional dalam islam adalah mereka yang ada autoriti yang mempunyai syarat-
syaratnya yang jelas. Dan apabila timbul apa-apa yang ‘baru’ daripada mereka yang

sewajrnya itu, katakanlah dari Imam al-Ghazali misalnya, maka apa yang baru itu
bukanlah dianggap hasil fikiran peribadinya sendiri, atau personal opinionnya,
bahkan itu adalah tradisi yang berbicara melaluinya; beliau itu adalah ‘saluran’
tradisi berbicara dalam peradaban manusia. Konsep keaslian sedemikian inilah
yang bercanggah dengan keaslian atau originality yang biasa difahamkan dalam
budaya moden. (Adapun masalah penemuan-penemuan saintifik dan rekaan-
rekaan itu termasuk ke dalam bidang yang berlainan pula). Kebenaran mengatasi
manusia dan fikirannya dilihat sebagai suatu peribadi individu yang personal.

Berhubungan dengan syarah-syarah terhadap teks-teks, perlu disebutkan juga
bahawa dalam kebudayaan Islam yang tradisional itu timbul peristilahan yang
teratur dan tersusun rapi, tercanai seperti permata yang tercanai yang memantul
cahayanya dalam berbagai-bagai bidang pengetahuan. Sistem peristilahan iaitu
baik timbul dan terbentuk serta menjalani proses sistematisasi kerana keperluan
yang timbul dalam hidup budaya Islamiah. Dengan adanya peristilahan itu dalam
pelbagai cawangan ilmu pengetahun Islamiah, misalnya seperti dalam at-Ta’rifat
oleh al-Jurjani, Kashshaf Istilat al-Funnun al-Islamiyah oelh at-Tahanawi dan juga
Mufradat Alfaz al-Quran oleh al-Isfahani, Allah merahmati mereka semuanya
antara lain-lainnya maka wujudlah sistem untuk memberi makna-makna yang
terkandung dalam pelbagai istilah itu, dan dengan itu timbullah keseragaman
istilah-istilah serta semantic continuity atau persambungan terus-menerus dalam
keseragaman makna-makna bagi istilah-istilah yang menyetuh pelbagai bidang
ilmu. Dengan ini pemahaman terhadap istilah-istilah dalam Islam menjadi nyata
dan tetap serta terang, dan ini amat memberi bantuan kepada mereka yang ingin
memperdalamkan ilmu mereka tentang Islam dan kebudayaannya. Hakikat ini juga

kedapatan dalam perkembangan persuratan Islam dalam bahasa Melayu dalam
rantau kita ini. Kalaupun timbul perbezaan dalam maksud-maksud bagi setengah-
setengah istilah, maka perbezaan dalam maksud-maksud bagi setengah-setengah
istilah, maka perbezaan itu dapat difahami dan diikuti ‘mazhab’ atau aliran yang
berkenaan; ertinya perbezaan-perbezaan yang ada itu bukanlah hasil daripada
penggunaan oleh sesuatu peribadi dengan sewenangnya, tetapi hasil daripada
penggunaannya di kalangan ahli-ahli yang mempunyai aliran fahaman masing-
masing.

Dalam memahami kebudayaan Islam secara amnya bermanfaat juga difahami
personality types ataupun jenis-jenis yang diakui yang muncul didalamnya. Dalam
Islam peribadi yang tertinggi kedudukannya ialah peribadi nabi dan rasul a.s.s.
Mereka inilah yang paling tinggi kedudukannya dan mereka mendapat
penghormatan yang paling tinggi; mereka berkedudukan demikian oleh kerana
kedudukan mereka yang sedemikian tinggi dari segi rohaniah dan juga oleh kerana
jasa mereka dalam pembinaan peradaban manusia. (Cf. Ayat Quran yang
bermaksud: “Bagi tiap-tiap umat itu ada rasulnya”.) Tidak ada jenis type peribadi
yang mengatasi mereka.

Selepas mereka itu, golongan yang paling dihormati ialah golongan yang
menyambungkan tugas mereka dalam melaksanakan pimpinan berdasarkan
kepada ajaran rohaniah dan keagamaan semata-mata, ataupun dalam bidang
keduniaan, bila timbul keperluan untuk itu sebagimana yang berlaku di kalangan
Khulafa Rasyidin. Mereka yang tertinggi dalam pimpinan rohaniah adalah para aulia
dan ulama yang amilin yang beramal dengan ilmu mereka baik dalam kehidupan

mereka sendiri dan juga dalam kehidupan kolektif. Dalam istilah budaya Barat
mereka tergolong ke dalam golongan priest. Perkara ini disebutkan dengan
menyedari kelainan dalam kedudukan priest itu dengan pimpinan keagamaan
dalam kebudayaan Islam. Tanpa golongan ini memegang autoriti dalam
pelaksanaan agama dalam hidup masyarakat dan dalam kefahaman, peradaban
Islam dan kebudayaannya tidak mungkin wujud. Penghormatan diberikan kepada
golongan penguasa setakat mereka menjalankan tugas berdasarkan kepada
kebenaran dan keadilan sebagimana yang ada dalam ajaran syariat. Demikian juga
pihak-pihak lain yang seperti mereka, yang ada dalam golongan perwira dan orang-
orang biasa di kalangan rakyat yang hidup dengan menjalankan tugas mereka
dengan baik. Mereka mendapat penghormatan bila mereka menjalankan tugas
mereka dengan baik. Golongan yang dipanggil profance genius yang terkenal di
Barat semenjak zaman Renaissance tidak begitu timbul dalam kebudayaan Islam
iklim rohaniah dan akliah yang tidak mengizinkan kemunculan mereka itu.

Ada juga personality type yang disebutkan secara yang agak berlainan, tetapi
membawa kepada natijah yang sama juga. Misalnya dalam ‘Ihya’ ‘Ulumi’d-Din oleh
Syekh Abdu’s-Samad al-Falimbani-Allah merahmati mereka berdua-dinyatakan
bahawa golongan manusia yang menuju kepada Allah terdiri daripada enam
golongan, sebagaimana yang ada dalam masyarakat dan budaya tradisional Islam.
Mereka itu ialah ‘abid’ ahli ibadat yang melakukan tugas-tugas rohaniahnya
terhadap Tuhannya, yang melakukan program hidupnya mengikut ketentuan-
ketentuan syariat dan sunnah. Keduanya ialah golongan alim atau guru, yang
menjalankan tugas mereka menyampai kebenaran dan hukum Tuhan kepada
masyarakat. Mereka menjalankan tugas mereka di siang hari dan melakukan wirid-

wirid dan latihan rohaniah yang intensif pada waktu malam. Ketiganya golongan
muta’allim atau pelajar yang mempelajari kebenaran dan hukum Islam serta tradisi
daripada orang alim itu. Bila pengajian mereka berlaku sepenuh masa, maka
mereka menjalankan kegiatan dan latihan-latihan rohaniah yang intensif pada
waktu malam. Keempatnya penjaga keluarga yang berusaha – muhtarif – yang
menjalankan tugas untuk memberi saraan kepada keluarganya dengan rezeki yang
halal; beliau melakukan kegiatan-kegiatan perekonomian yang ada dalam
masyarakat berdasarkan kepada ketentuan-ketentuan syariat dan sunnah. Masa
siang mereka dipenuhi dengan usaha mencari habuan hidup; maka masa mereka
melakukan latihan-latihan rohaniah yang intensif ialah waktu malam. Kelimanya
ialah petugas untuk umat iaitu walin; dalam masyarakat tradisional Islam mereka
ini termasuklah khalifah, sultan, amir, mufti dan kadi, yang menggunakan masa
siang mereka untuk menjalankan tugas bagi kepentingan umat sebenarnya; maka
mereka ini menjalankan tugas dan latihan-latihan rohaniah yang instensif pada
waktu malam juga. Akhir sekali golongan ahli tauhid yang karam dalam pengalaman
rohaniah mereka, yang rahsianya hanya diketahui oleh mereka yang arif dalam
bidang itu. Personality type sedemikian ini pernah ada dalam masyarakat Islam
tradisional. Mereka inilah yang menentukan iklim tradisional dalam masyarakat.
Imbasan-imbasan daripada personality type yang sedemikian ini masih ada pada
zaman sekarang walaupun ini sudah mengalami gerhananya.

Untuk melihat aspek-aspek yang berlainan sedikit daripada apa yang telah
dipaparkan di atas, maka boleh dinyatakan bahawa Islam adalah dari awal dan
akhirnya berdasarkan kepada tauhid: “Laillahaillallah: Tiada Tuhan yang disembah
dengan sebenarnya melainkan Allah”. Selain ia memaksudkan hakikat keesaan Zat

Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Mutlak itu, ia juga merupakan kaedah pemaduan
atau integrasi dalam hidup ini. Oleh kerana ianya adalah kaedah integrasi, bila
diamalkan maka manusia mencapai integrasi peribadi, hidup bermasyarakat dan
pembentukan budaya, dan ini memang kelihatan jelas dalam sejarah kebudayaan
Islam. Bila seseorang itu mencapai tauhid yang sebenarnya maka ia mengenali
Allah, dan keesaan-Nya, dan ia juga merealisasi kewujudan tauhid daripada segala
maujud ini.

Mula-mula Islam mengajak manusia supaya mencapai tauhid dalam hidupnya
sendiri. Dalam setiap kehidupan seseorang itu dikehendaki menjalankan dasar
lailahaillallah iaitu hendaklah dia berfikir mengikut lailahaillallah; hendaklah dia
bertindak dalam hidupnya mengikut lailahaillallah: hendaklah dia berazam dan
berniat mengikut lailahaillallah; dan hendaklah dia bersentimen mengikut
lailahaillallah; demikian seterusnya. Setiap gerak dan diamnya dilakukan mengikut
keyakinan yang tertanam, dalam kalbunya. Hendaklah dia jangan berpecah-pecah
dalam fikiran, perbuatan serta khayalannya. Daripada adab makan minum
sampailah kepada tindakan-tindakan dalam pentadbiran negeri dan gerak
perjuangan di medan perang, hendaklah dia memakai dasar lailahaillallah. Dengan
ini maka segala segi kehidupan melahirkan nilai yang diyakini dalam hati.

Dalam hidup kemasyarakatan pula Islam melahirkan manifestasi dari dasar
integrasi atau pemaduan masyarakat manusia yang memang dilaksanakan dengan
jayanya dalam sejarah, sampai ke zaman sekarang ini, sebagaimana yang diakui
oleh semua pihak yang berfikir secara objektif. Dengan ini timbullah perpaduan
yang berdasarkan kepada keyakinan dan faktor-faktor dalam alam kebendaan.

Dengan ini Islam menjadikan manusia mengatasi apa yang dipanggil sebagai earth-
rootedness - keterikatan manusia dan peradaban mereka kepada faktor alam
kebumian – sebagaimana yang disebutkan oleh Iqbal, allah merahmatinya, dalam
suatu daripada kenyataan-kenyataannya. Dilihat dari segi politik pula Islam (al-
ummah) itu sebagai satu-satunya unit yang ada. Dengan ini maka berlakulah
perpaduan umat manusia berdasarkan kepada pegangan rohaniah dan bukan
berdasarkan kepada faktor-faktor yang nonideational seperti kawasan tanah,
keturunan, dan lainnya. Boleh diingatkan bahawa ajaran tentang satunya
masyarakat manusia adalah berdasarkan kepada hakikat lailahaillallah yang pada
paras setingginya berupa hakikat metafizik yang dilahirkan dalam bentuk
kehidupan bermasyarakat dan berbudaya. Inilah yang dikatakan segi transenden
dalam masyarakat Islam sebagaimana yang disebutkan oleh Roger Garaudy.

Dasar tauhid ini juga yang menyebabkan Islam tidak membezakan hidup rohaniah
daripada hidup maddiyah atau kebendaan. Sebab itu dalam bahasa-bahasa utama
yang digunakan oleh umat Islam tidak ada istilah yang bermaksud temporal atau
secular sebagaimana yang didapati dalam bahasa-bahasa Barat. Sebab itu tidak
timbul gerakan sekularisme dalam kebudayaan Islam sebagaimana yang timbul
dalam peradaban Barat dan budayanya. Islam mementingkan keperluan si
waliyullah yang paling suci dan juga kepentingan seorang Muslim biasa yang awam
yang menundukkan dirinya kepada Allah dengan mengamalkan hukum syariat-Nya
setakat yang terdaya olehnya.

Keesaan yang diajarkan dalam tauhid juga jelas kelihatan dalam kebudayaan Islam
dalam kesatuan konsep ilmu-ilmu dalam pelaksanaan ilmu dalam budayanya.

Semua ilmu adalah pancaran dari sifat allah yang bernama al-‘Alim, Yang Maha
Mengetahui. Dengan ini maka natijahnya timbullah pemaduan antara ilmu-ilmu,
iaitu antara ilmu-ilmu yang paling bersifat rohaniah dan ilmu-ilmu yang paling
bersifat ‘keduniaan’ sifatnya; kedua-dua jenis ilmu ini terjalin kedalam satu
kesatuan yang sukar dipisahkan; demikian pula penyatuan antara sains dan
sasteranya. Hanya yang perlu difahamkan dalam hubungan dengan perkara ini
ialah bahawa dalam penyatuan dan pemaduan ilmu-ilmu ini ada terdapat
pentarafannya. Misalnya ilmu yang paling tinggi kedudukannya dilihat dari segi
hakiki ialah ilmu-ilmu yang membicarakan hakikat ketuhanan dan alam ghaib, iaitu
ilmu yang termasuk di bawah ilmu mukasyafah atau al-Hikmatu’l-Ilahiyah. Disinilah
terdapatnya huraian dasar-dasar tentang hakikat segala sesuatu yang merupakan
punca segalanya. Keduanya ialah al-‘Ulum asy-Syar’yah, iaitu ilmu-ilmu keagamaan
Islam yang membantu dalam menimbulkan peribadi dan peradaban serta
kebudayaan bercorak Islamiah; ilmu-ilmu itu adalah ilmu-ilmu yang membicarakan
akidah, ibadah, akhlak, serta hukum-hukum. Kemudian barulah disebutkan ‘ilmu-
ilmu akal yang membincarakan keadaan alam benda dan alam tabii serta kegunaan
alam tabii itu untuk kepentingan manusia dan kehidupannya. Ketiga-tiga ilmu ini
bagaimanapun adalah sepadu dan semuanya berpaksikan tauhid. Oleh kerana
konsep ilmu yang sedemikian maka dapat dilihat bahawa golongan intelektual
sebenarnya ilmu dalam Islam adalah golongan yang dipanggil hukama’ (sages) iaitu
golongan ahli-ahli hikmah yang memahami ilmu-ilmu secara sepadu pada zaman
mereka. Antara mereka ini bolehlah disebutkan beberapa nama seperti al-Ghazali,
Ibn Arabi, al-Razi, Ibn Khaldun, Ibnu Sina, al-Khawarizmi, dan Umar Khayyam, Allah
merahmati mereka, antara yang lain-lain yang sekian ramai itu. Kalau hendak
disebutkan ilmu sains, maka boleh dikatakan bahawa ilmu-ilmu sains yang


Click to View FlipBook Version