Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Mohd Ajib Ismail
DAKWAH TAK USAH LELAH! / [Haji Mohd Ajib Ismail] ; Disusun oleh
SAIFUL AZHAR SAADON.
ISBN 978-67-2261-15-5
1.Da’wah (Islam).
2. Islam -- Missions
3. Islam and state -- Malaysia.
4. Government publications – Malaysia.
I. Saiful Azhar Saadon. II. Judul.
297.74
Diterbitkan oleh:
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Kompleks Pusat Islam
Jalan Perdana, 50676 Kuala Lumpur
© Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana
bahagian artikel, ilustrasi dan kandungan buku ini dalam apa-apa jua
bentuk dan cara sekalipun sama ada fotokopi, mekanikal, rakaman,
elektronik atau cara-cara lain tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan
bertulis daripada penerbit.
Cetakan Pertama 2020
Pereka Bentuk Kulit:
Ilham Vektor Trading
Foto oleh:
Siti Sakinah binti Hayat dan
Mohammad Irfan Amin Chang bin Abdullah
Dicetak oleh:
Global Smart Printing Sdn. Bhd.
Sekalung penghargaan kepada
Akhbar Harian Metro, Berita Harian, Al-Hijrah Online dan
Bernama yang sudi memberikan ruang untuk artikel-artikel
dalam buku ini disiarkan.
ii
Prakata
Buku ini menghimpunkan artikel dalam pelbagai topik dan isu
sebagai salah satu bentuk respon dakwah kepada ummah. Ia
mengajak para pembaca untuk menghayati isu berkaitan
kenegaraan, kepedulian umat, tarbiyah, kekeluargaan, peranan
institusi masjid dan pelbagai lagi di dalam mendepani cabaran
semasa. Artikel-artikel tersebut juga mencatatkan tentang
bagaimana JAWI berperanan dan berinteraksi dengan pelbagai
isu melibatkan kepentingan ummah selaras dengan misinya di
dalam melaksanakan pengurusan hal ehwal Islam untuk
kemaslahatan masyarakat di Wilayah-Wilayah Persekutuan
melalui pemantapan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah
dan akhlak.
Semoga makalah ini dapat memberikan manfaat buat semua
para pembaca!
Haji Mohd Ajib bin Ismail, KMW
Pengarah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
iii
Isi Kandungan Halaman
o Pengenalan ……………………………………………………….. i
o Penghargaan ……………………………………………………… ii
o Prakata……………………………………………………………… iii
1
1. Laksana Al-Targhib, Al-Tarhib Dalam Berdakwah …………..... 6
2. Santuni Masyarakat Memerlukan, Tuntutan Ajaran Islam …… 11
3. Ada Hikmah Di Sebalik Musibah Menimpa Diri ……………….. 15
4. Jujur Dalam Kerja Ikhlas Kepada Allah ………………………… 20
5. Kerja Sukarelawan Tergolong Amal Soleh …………………….. 25
6. Budaya Tuntut Ilmu Berterusan, Manfaat Dunia Dan Akhirat … 29
7. Dakwah Lisan Menerusi Khutbah Jumaat ………………………. 36
8. Subur Cinta Kepada Negara Manifestasi Iman ………………… 45
9. Pengorbanan Jiwai Kesatuan ……………………………………. 53
10. Masjid Rahmah, Pusat Kegemilangan Ummah ………………… 58
11. Islam Muliakan Martabat Wanita ………………………………… 65
12. Dakwah Kreatif Era Baharu ……………………………………… 69
13. Siapkan Bekalan Ilmu, Akhlak Ceburi Bidang Dakwah ……… 74
14. Hayati Mukjizat Al-Quran Dalam Kehidupan …………………… 77
15. Doa, Usaha, Dan Tawakal Hadapi Musibah …………………… 81
16. Selidik Kesahihan Sebelum Sebar Maklumat ………………….. 85
17. Amalkan Sikap Bertolak Ansur ………………………………… 90
18. Perbanyakkan Ibadah Dekatkan Diri Kepada Allah …………… 94
19. Cara Hidup Sempurna ……………………………………………. 98
20. Erti Bahagia Pada Kekayaan Jiwa ………………………………. 102
21. Dekati Kelompok Masyarakat Seiring Peredaran Zaman ……. 107
22. Taati Arahan Ulil Amri …………………………………………….
iv
23. Hargai Pengorbanan Dengan Ikhtiar Dan Berserah …………… 112
24. Rawat Hati Gelisah ……………………………………………….. 116
25. Kematian Sebagai Peringatan …………………………………… 120
26. Mencari Hikmah Di Sebalik Kebiasaan Baharu ………………… 124
27. Senjata Ramadan Mampu Perangi Wabak ……………………. 128
28. Muslim Di Era Masyarakat Digital ……………………………….. 131
29. Tradisi Ilmu Bersemuka ………………………………………….. 135
30. Kaitan Takwa Dan Puasa Enam ………………………………… 141
31. Syukurlah Malaysia Aman ……………………………………….. 145
32. Rindu Nak Beribadah …………………………………………….. 150
33. Bangga Perbuatan Maksiat, Natijah Hilang Rasa Malu ………. 155
34. Didik Diri Jadi Pemurah …………………………………………… 160
35. Jom Penuhkan Rumah Allah …………………………………….. 166
36. Kegemilangan Islam Tercipta ……………………………………. 172
37. Membela Mualaf Qulubuhum ……………………………………. 178
38. Syukuri Nikmat Keharmonian Dalam Masyarakat …………….. 184
39. Tiga Amalan Suci Jiwa …………………………………………… 190
40. Rasulullah SAW Teladan Ummah Sepanjang Zaman ………… 197
41. Pengimarahan Masjid Pasca Covid-19 …………………………. 203
42. Amalan Bersedekah Serlah Solidariti Ummah …………………. 208
43. Walimatulurus Dalam PKPP …………………………………….. 212
44. Kembalikanlah Sifat Qawwam …………………………………… 217
45. Doa Senjata Mukmin Paling Ampuh ……………………………. 223
46. Islam Santuni Golongan OKU …………………………………… 229
v
Laksana Al-Targhib, Al-Tarhib Dalam Berdakwah
Berdakwah adalah tugas dan tuntutan mulia dalam masyarakat
sehingga digandingkan dengan gelaran umat terbaik
sepertimana firman Allah SAW di dalam al-Quran Surah Ali
Imran ayat 110 yang bermaksud “Kamu (wahai umat
Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi
(faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat
segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara
yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada
Allah (dengan sebenar-benar iman).
Matlamat dakwah ialah membawa masyarakat ke arah
perubahan sosial secara menyeluruh merangkumi individu,
keluarga, masyarakat sama ada dalam aspek berfikir mahupun
cara hidup.
Dalam melaksanakan dakwah, komunikasi yang digunakan bagi
tujuan menyampaikan, memberi kefahaman dan meyakinkan
masyarakat dengan mesej Islam mestilah melalui pendekatan
hikmah, peringatan yang baik, dan berdialog dengan cara paling
baik jika berlaku pertentangan pandangan. Perkara ini
dinyatakan di dalam ayat al-Quran Surah al-Nahl ayat 125 yang
bermaksud “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan
hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka
1
dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah
yang lebih mengetahui tentang siapa yang sesat dari jalanNya
dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat
petunjuk.”
Dakwah boleh dilaksanakan melalui pendekatan pendidikan,
pencegahan, dan hukuman. Dalam konteks Wilayah
Persekutuan misalnya, pelaksanaan Undang-Undang
Kesalahan Jenayah Syariah adalah berdasarkan dua prinsip
asas yang telah dinyatakan iaitu menyeru kepada kebaikan dan
mencegah daripada kemungkaran (al-amru bil ma’ruf wa al nahyi
a’nil munkar). Kedua-dua prinsip ini menjadi asas penting bagi
mewujudkan masyarakat yang selamat dan bebas daripada
segala perbuatan maksiat serta mengundang dosa serta
perlakuan yang tidak baik.
Usaha-usaha bagi meningkatkan kesedaran kepada semua
lapisan masyarakat mengenai Undang-Undang Kesalahan
Jenayah Syariah perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Perkara ini selaras dengan ajaran Islam yang memberikan
penekanan agar mendidik ummah bagi mencapai taraf
masyarakat yang berilmu pengetahuan dalam menjaga setiap
langkah dan tindakan dengan berfikir dahulu sebelum
melakukan sesuatu perkara.
2
Usaha mengawasi manusia daripada melanggar syariat yang
telah ditetapkan oleh Allah SWT serta menyedarkan manusia
tentang tanggungjawab memelihara hak Allah SWT, hak
manusia dan hak bersama iaitu antara Allah SWT dan manusia
adalah bertujuan untuk memperbaiki kehidupan serta
memelihara kemaslahatan masyarakat selaras dengan maqasid
syariah yang lima iaitu penjagaan agama, nyawa, akal,
keturunan dan harta.
Dengan demikian, kehidupan masyarakat dapat menuju kepada
sebuah negara yang dirahmati Allah menepati prinsip “Baldatun
Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur” iaitu sebuah negara gemilang
yang bukan sahaja kaya dan maju, bahkan merupakan sebuah
negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT iaitu
berpandukan syariah.
Dakwah juga harus mempertimbangkan elemen al-Targhib dan
al-Tarhib dalam pelaksanaan. Al-Targhib adalah suatu bentuk
galakan, rangsangan dan motivasi kepada umat manusia, agar
sentiasa mempertingkatkan ketakwaan dan ibadah kepada Allah
S.W.T. Al-Targhib juga boleh dimaksudkan sebagai janji-janji
baik dan ganjaran pahala kepada orang-orang soleh. Manakala
al-Tarhib pula adalah peringatan dan ancaman kepada manusia
supaya mereka menghindari daripada sebarang kejahatan dan
kemaksiatan sama ada zahir dan batin. Firman Allah SWT di
dalam al-Quran Surah al-Mu’min ayat 18 yang bermaksud “Dan
3
berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang
(hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati
seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil
masing-masing menahan perasaannya itu.”
Konsep al-Targhib dan al-Tarhib adalah konsep dakwah yang
memberikan rangsangan agar mendorong ke arah ketaatan
kepada Allah dan ancaman supaya menghindarkan diri daripada
berbuat kejahatan.
Hakikatnya amar makruf nahi mungkar atau menyuruh orang
berbuat baik dan mencegah perbuatan mungkar dan dosa
adalah suatu amanah dan tanggung jawab setiap Muslim untuk
disebarkan kepada seluruh umat manusia. Tugasan ini juga
merealisasikan matlamat pengutusan Rasul sepertimana firman
Allah di dalam al-Quran Surah al-Anbiya’ ayat 107 yang
bermaksud “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian
alam.”
Di dalam usaha untuk menyampaikan rahmat ini, penting bagi
seseorang untuk memahami konsep al-Targhib dan al-Tarhib,
yang mengandungi elemen motivasi dan rangsangan dalam
penyampaian dakwah yang lebih menyentuh hati di samping
perintah dan larangan semata-mata.
4
Semua pihak haruslah memberikan komitmen dan sokongan
yang berterusan terhadap pendekatan pendidikan, pencegahan
dan pemulihan di samping aspek penguatkuasaan Undang-
Undang Syariah dalam kalangan umat Islam ke arah
mendaulatkan dan menjunjung tinggi syariat Islam serta
melahirkan umat yang terbaik.
5
Santuni Masyarakat Memerlukan, Tuntutan Ajaran Islam
Di dalam kehidupan bermasyarakat, setiap manusia saling
memerlukan di antara satu sama lain bagi meneruskan
kelangsungan kehidupannya. Allah SWT telah menciptakan
manusia dengan kepelbagaian latar belakang bagi tujuan saling
mengenali dan melengkapi keperluan masing-masing. Justeru
setiap insan harus memiliki sifat peduli terhadap sesama
manusia agar dapat saling membantu di antara satu sama lain.
Pada dasarnya manusia diciptakan oleh Allah SWT dalam
keadaan lemah, sebagaimana dijelaskan dalam surah An-Nisa’
ayat 28 yang bermaksud “Allah (sentiasa) hendak meringankan
(beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan
berkeadaan lemah.” Allah SWT juga berfirman dalam al-Quran
surah Ar-Rum ayat 54 yang bermaksud “Allah-lah yang
Menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia
Menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat,
kemudian Dia Menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah
(kembali) dan beruban.”
Berdasarkan ayat al-Quran berkenaan, bukanlah bermaksud
keadaan lemah itu menjadi alasan untuk manusia tidak
melakukan sesuatu. Bahkan dengan menyedari kelemahan, kita
akan berusaha untuk mencari sumber kekuatan bagi
memperbaiki keadaan diri. Dalam masyarakat, golongan yang
sering dikategorikan sebagai orang yang lemah terdiri daripada
6
pelbagai latar belakang sama ada mengalami kesempitan dari
segi ekonomi, kesengsaraan dan penderitaan yang
menyebabkan tidak mampu bekerja, berkeadaan tidak berdaya
sama ada fizikal mahupun mental ataupun dalam keadaan
tertindas kerana dizalimi dan dijajah. Golongan ini mungkin
terdiri daripada wanita, anak yatim, orang miskin, warga emas,
Orang Kurang Upaya (OKU) dan lain-lain. Golongan yang lemah
ini amat memerlukan perlindungan dan pembelaan agar mereka
tidak mengalami penderitaan yang lebih parah dan
berpanjangan.
Allah SWT memerintahkan agar melindungi kaum yang lemah
seperti firmanNya dalam surah An-Nisa’ ayat 75 yang
bermaksud “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu)
tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan
agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang
tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu
mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan
kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang
penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah
bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal
(keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari
pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman
musuh)".
7
Berdasarkan ayat berkenaan, menjadi tanggungjawab setiap
manusia untuk saling melindungi, terutama kaum yang kuat
melindungi kaum yang lemah. Para ahli tafsir mentafsirkan
perkataan al-mustad’afin sebagai golongan yang lemah, orang
yang dianggap tidak berdaya oleh masyarakat. Hakikatnya,
manusia itu tidak hidup sendiri, sebaliknya hidup bersama orang
lain yang berada di sekitarnya seperti keluarga, saudara mara,
rakan-rakan, mahupun jiran tetangga. Justeru setiap manusia
pasti akan memerlukan bantuan orang lain.
Sifat peduli terhadap keperluan dan kesukaran yang dialami oleh
orang lain harus ditanam dan disemai dalam masyarakat. Allah
SWT memerintahkan hambanya untuk saling tolong menolong
dan bantu membantu sebagaimana firmanNya dalam surah al-
Ma’idah ayat 2 yang bermaksud “Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan
janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah,
kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi
sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Sifat peduli ini dapat disemai melalui keperihatinan dan empati.
Empati bermaksud menghayati situasi yang sama terhadap
kesusahan yang dialami oleh orang lain yang akan
membangkitkan semangat untuk membantu mereka. Melalui
rasa simpati kepada golongan yang memerlukan, maka akan
8
timbul perhatian dan kesediaan untuk menghulurkan bantuan
dengan hati yang terbuka. Kepedulian juga bermaksud
mengorbankan kepentingan diri sendiri dan mengutamakan
keperluan orang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam Al
Quran surah Al Hasyr ayat 9 yang bermaksud “Dan orang-orang
(Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum
mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri
mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan
berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang
berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang
berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka
dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah),
sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada
dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang
yang berjaya.”
Bantuan dan pertolongan terhadap golongan yang memerlukan
boleh diberikan dalam pelbagai bentuk sama ada zakat,
sedekah, bantuan sosial, perlindungan dan lain-lain. Pelbagai
usaha telah dilakukan bagi meringankan bebanan golongan ini
dalam masyarakat terutamanya melalui bantuan zakat dan
pemberdayaan asnaf, pelbagai program masjid yang
meringankan bebanan anak kariah seperti Gerobok Rezeki,
Mesin ATM Beras, JAWI Food Bank, Search to Serve, Jelajah
RAHMAH, Program Agihan Makanan Asnaf, dan lain-lain.
Inisiatif ini selaras dengan pelan Sustainable Development Goals
9
(SDGs) melalui agenda pembangunan lestari ke arah mengakhiri
kemiskinan. Ia juga selaras dengan tuntutan Maqasid Syariah
yang mengutamakan pemeliharaan agama, nyawa, akal,
keturunan, dan harta.
10
Ada Hikmah Di Sebalik Musibah Menimpa Diri
Tiada sesiapa yang mahu ditimpa musibah dalam kehidupan.
Kita juga sedaya upaya berusaha mengelakkan diri daripada
rasa kesedihan dan berdukacita dalam kehidupan. Salah satu
doa ma’thur diriwayatkan oleh Abu Daud yang diajarkan oleh
Nabi Muhammad SAW kepada kita adalah agar dijauhkan dari
perasaan keluh kesah dan dukacita. “Ya Allah ya Tuhan kami,
sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah
dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan
dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut
dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan
hutang dan kezaliman manusia.”
Namun ujian dan dugaan adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian
dan musibah mungkin hadir dalam pelbagai bentuk seperti
kehilangan, kematian, kecelakaan, kemalangan, kemusnahan,
kesakitan, kesengsaraan atau apa-apa sahaja keadaan yang
sudah pasti mendatangkan perasaan tidak senang di dalam jiwa.
Di dalam al-Quran Surah Al-Mulk ayat 2 Allah SWT telah
mengingatkan bahawa setiap manusia itu pasti diuji, untuk
memperlihatkan tahap kualiti amalan yang dikerjakannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud “Dia lah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih
11
baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi
Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”.
Sesiapa sahaja yang ditimpa sesuatu musibah dalam kehidupan
perlu sering diingatkan dengan pesanan agama. Pesanan
tersebut termasuklah bersangka baik dengan Allah SWT,
perbanyakkan berdoa, berikhtiar sehabis baik, bertawakkal dan
bersabar. Peringatan ini haruslah dimulakan dengan diri sendiri,
ahli keluarga, saudara-mara, rakan taulan, dan jiran tetangga.
Kesedaran hidup beragama harus tertancap kukuh di dalam diri
sendiri. Ia adalah sebuah kesedaran yang telah digigit kuat dan
digenggam erat dalam pelbagai situasi kehidupan. Agama
bukanlah ibarat candu dalam kehidupan yang hanya menjadi
ubat penenang pada waktu tertentu untuk melenyapkan
perasaan sukar dan duka lara serta melarikan diri dari
kesusahan. Sebaliknya agama adalah sebuah cara hidup yang
sebati dan berkekalan. Agama adalah sebuah kesedaran
kerohanian yang harus dibangunkan dan dihidupkan dalam diri
sepanjang masa.
Setiap manusia yang ditimpa dengan musibah dan ujian dalam
kehidupan haruslah bersangka baik dengan Allah. Allah SWT
selalu mengiringkan situasi kepayahan dengan kemudahan
seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran Surah Al-Insyirah
ayat 5-6 yang bermaksud “Oleh itu, maka (tetapkanlah
12
kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran
disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa
sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”.
Ujian dan musibah juga adalah waktu untuk kita lebih
mendekatkan diri dan hampir kepada Allah. Perbanyakkanlah
berdoa agar urusan kehidupan dipermudahkan. Dalam situasi
musibah tertertu misalnya musibah banjir dan bencana alam
yang melanda, ikutilah nasihat dan langkah-langkah
keselamatan yang disarankan. Jadikanlah ia sebuah medan
untuk menilai semula jika musibah yang berlaku adalah akibat
perbuatan dan kealpaan manusia kerana tanggungjawab
melestarikan kehidupan yang alami melalui memelihara dan
memulihara alam sekitar adalah tanggungjawab semua
manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud “Telah timbul
pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia;
(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan
mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk
yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan
bertaubat)” (Ar-Rum: 41).
Ketika kita semua menerima ujian dan musibah, renungkanlah
kembali sejauhmana sebenarnya hubungan kita dengan Allah
SWT. Jadikanlah sebarang musibah yang berlaku, sebagai
medan untuk bermuhasabah diri. Firman Allah SWT yang
13
bermaksud “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu
dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan
buah-buahan, dan berikanlah berita gembira kepada orang-
orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa
musibah, mereka mengucapkan, “Inna lillaahi wa innaa ilaihi
raaji’uun.” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang
sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah
orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Al-Baqarah: 155-157).
14
Jujur Dalam Kerja Ikhlas Kepada Allah
Integriti merupakan suatu istilah yang biasa didengari. Maksud
integriti ialah kejujuran iaitu keadaan yang sempurna dan utuh
serta mempunyai atau menunjukkan komitmen terhadap
sesuatu. Ia juga bermaksud melaksanakan kerja, tugasan,
amalan secara bersunguh-sunguh, sempurna dan terbaik
mengikut tatacara, peraturan, disiplin yang ditetapkan.
Dalam Islam, integriti merupakan perkara yang sangat penting
terutamanya dalam aspek pekerjaan. Ia dapat dikaitkan dengan
istilah ihsan sepertimana maksud hadis “Kemudian dia bertanya
lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan.
Rasulullah SAW menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau
menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika
engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat
engkau (HR. Muslim).
Ihsan menurut pengertian yang dinyatakan dalam hadis
berkenaan ialah kita menyembah Allah SWT seolah-olah kita
melihat-Nya. Jika kita tidak dapat melihat-Nya, maka
sesungguhnya Allah SWT melihat kita. Menyembah Allah bererti
mengabdikan diri kepada-Nya dengan beribadat menurut cara
yang paling baik pada zahirnya dan batinnya. Ibadah yang
dilaksanakan menurut hakikat ihsan mesti ditumpukan kepada
15
Allah SWT semata-mata, bukan kepada yang lain atau kerana
orang lain.
Ihsan dalam ibadah adalah antara martabat yang paling mulia
dan tertinggi. Oleh itu, ibadah perlu dibina atas dua dasar yang
penting agar memenuhi matlamat ihsan. Pertama ialah cinta
kepada Allah SWT iaitu merasa tawaduk dan tunduk di hadapan
Allah SWT agar timbul perasan meminta dan mengharap hanya
kepada Allah SWT sahaja. Kedua ialah takwa, takut dan merasa
kerdil apabila berhadapan dengan kebesaran dan kasih sayang
Allah SWT. Ibadah seperti ini menyebabkan seseorang merasa
lebih bertanggungjawab terhadap ibadahnya, dan akan
melaksanakannya dengan penuh ikhlas. Keikhlasan menjadi
asas penting dalam menentukan kesempurnaan amalan dan
ibadah seseorang.
Uniknya ihsan dalam perspektif Islam ialah manfaat ihsan itu
akan kembali kepada diri sendiri. Perkara ini dapat dilihat dalam
firman Allah SWT yang bermaksud “Jika kamu berbuat kebaikan
(maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri
kamu dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesan yang buruk)
berbalik kepada diri kamu juga”. (Surah al-Isra’: 7).
Al-Syahid Imam Hasan al-Banna berkata “Islam menggalakkan
manusia bekerja dan mencari rezeki. Malah Islam menetapkan
orang yang berkemampuan wajib bekerja. Islam amat memuji
16
pekerja-pekerja yang mahir lagi professional. Islam juga
mengharamkan manusia meminta-minta”.
Islam menjelaskan bahawa ibadah yang terbaik ialah bekerja.
Bekerja adalah sunnah para Nabi. Hasil usaha yang terbaik
adalah dengan hasil usaha tangan sendiri. Islam mengecam
mereka yang menganggur dan juga mereka yang menjadi beban
kepada masyarakat walau dengan alasan apa sekalipun.
Konsep bertawakal kepada Allah SWT adalah dengan cara
melakukan sesuatu dan yang boleh mendatangkan hasil. Jika
salah satu perkara ini tidak dilakukan, ia tidak menepati konsep
tawakal. Rezeki yang ditentukan berkait dengan usaha yang
berterusan. Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah ayat
105 yang bermaksud “ Dan katakanlah (wahai Muhammad):
Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu
juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, dan kamu akan
dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan
nyata . Lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu
kerjakan.”
Al-Qurtubi berkata: “kalaulah seseorang melakukan sesuatu
perkara dalam tembok batu, tiada pintu dan tingkap sekalipun,
nescaya keluar amalannya itu kepada manusia”.
Manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan unsur kerohanian
dan fizikal yang merupakan potensi bagi membolehkan manusia
17
mengurus tadbir dunia berbanding makhluk Allah yang lain.
Proses pemantapan fungsi manusia akan menjadi sempurna
apabila kedua-dua unsur tersebut berkembang secara
bersepadu dan seimbang. Unsur kerohanian adalah unsur
abstrak yqng terdiri dari roh, akal dan nafsu perlu dididik dengan
nilai-nilai yang bersifat kerohanian yang memerlukan mekanisme
pemantauan yang dikenali sebagai muhasabah diri. Tanpa
didikan dan kawalan akan menyebabkan nafsu menguasai
tindakan individu dan seringkali juga akal tidak dapat
melaksanakan fungsinya yang sebenar. Apabila situasi ini
berlaku akan mendorong individu melakukan sesuatu
yang bertentangan dengan norma kehidupan, peraturan dan
undang-undang.
Dalam konteks pengurusan dan tadbir urus organisasi,
pembudayaan integriti memerlukan kefahaman dan kesedaran
bahawa etika tersebut mesti diamalkan dan pengabaiannya akan
membawa kerosakan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi
juga kepada orang lain dan organisasi. Integriti dapat dipupuk
dan dimantapkan melalui peringatan bahawa tugas adalah
amanah, tindak tanduk individu dipantau melalui konsep ihsan,
konsep pengetahuan dan penyaksian Allah SWT tidak ada
batasan waktu dan tempat. Manakala konsep-konsep lain yang
berteraskan nilai ajaran Islam yang akan menambah kekuatan
dalaman untuk menghadapi tugasan yang semakin mencabar.
18
Di antara tips yang boleh diamalkan bagi menyemai sifat integriti
dalam kehidupan ialah ; Jauhi sifat tamak dan buruk sangka.
Hadapilah dengan sifat manaruh kepercayaan kepada apa yang
ada ; Jauhi sifat cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-
angan. Hadapilah dengan perasaan takut terhadap kedatangan
maut yang boleh berlaku saban hari ; Jauhi sifat cintakan
kemewahan. Hadapilah dengan kayakinan bahawa kenikmatan
itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti ; Jauhi sifat
kagum terhadap diri sendiri (‘ujub). Hadapilah dengan rasa
terhutang budi kepada Allah SWT ; Jauhi sifat memandang
rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka.
Hadapilah dengan mengenali hak-hak serta menghormati
mereka ; Jauhi sifat hasad dengki. Hadapilah dengan sifat
berpada (qanaah) dan redha terhadap kurniaan Allah SWT
kepada makhluk-Nya ; Jauhi sifat riya’ dan sukakan pujian.
Hadapilah dengan sifat keikhlasan ; Jauhi sifat bakhil dan
kedekut. Hadapilah dengan menyedari bahawa segala yang ada
pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu hanyalah
Allah SWT ; Jauhi sifat (takabbur) membesar diri. Hadapilah
dengan rasa tawaduk (rendah diri) ; Jauhi sifat tamak haloba.
Hadapilah dengan kepercayaan ganjaran yang disediakan di sisi
Allah SWT.
19
Kerja Sukarelawan Tergolong Amal Soleh
Islam adalah agama yang amat menganjurkan budaya kerja
berpasukan, tolong menolong, bantu membantu dan
kesukarelawanan. Dalam sejarah Islam, ketika peperangan
Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun ke 9 hijrah, ramai
para sahabat secara sukarela menyumbang harta benda untuk
peperangan mengikut kemampuan masing-masing termasuk
Saidina Uthman bin Affan, Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan
Saidina Umar al-Khatab.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang
bermaksud “Dan hendaklah kamu bantu membantu dalam
perkara kebajikan dan ketaqwaan dan jangan kamu saling tolong
menolong pada melakukan kemaksiatan (perbuatan yang
mengundang dosa) dan kehancuran; sebaliknya bertaqwalah
kepada Allah kerana Allah amat berat azab siksanya (bagi
mereka yang melanggar perintahnya)”.
Melaksanakan gerak kerja berpersatuan dan kesukarelawanan
amat memerlukan semangat saling membantu kerana ia adalah
suatu tugasan dan amanah di samping tugas hakiki yang
dilaksanakan.
20
Kesukarelawanan dalam perspektif Islam menghampiri maksud
al-amal ijtima’i atau amal Islami dalam bahasa Arab. Dalam al-
Quran, aktiviti sukarelawan termasuk dalam perbuatan amal
soleh. Terdapat 125 ayat dalam al-Quran berkaitan amal soleh.
Di antara ayat yang boleh dikaitkan secara langsung dengan
sukarelawan ialah seruan berlumba-lumba melaksanakan amal
kebajikan (fastabiq al-khairat) dalam Surah al-Maidah ayat 48,
Surah Ali Imran ayat 114, Surah al-Maidah ayat 2, Surah Yasin
ayat 12, dan Surah al-Ma’un ayat 1-3.
Matlamat kesukarelawanan dalam Islam adalah selaras dengan
matlamat dakwah iaitu ke arah perubahan sosial masyarakat
secara menyeluruh merangkumi individu, keluarga, masyarakat
sama ada dalam aspek berfikir mahupun cara hidup.
Konsep kesukarelawanan dalam Islam juga adalah berteraskan
saranan ayat al-Quran yang bermaksud “Kamu (wahai umat
Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi
(faedah) manusia, umat (kerana) kamu menyuruh berbuat
segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara
yang salah (buruk & keji), serta kamu pula beriman kepada Allah
dengan sebenar-benar iman” (Surah Ali Imran : 110).
Kesukarelawanan bertujuan merealisasikan tanggungjawab
berdakwah dalam kalangan umat Islam seperti firman Allah di
dalam al-Quran yang bermaksud “Dan hendaklah ada di antara
21
kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan,
menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar;
merekalah orang-orang yang beruntung” (Surah Ali Imran : 104).
Di dalam melaksanakan gerak kerja sukarelawan dan
berpersatuan, kita haruslah mempunyai kefahaman yang jelas
berkaitan asas-asas kesukarelawanan dalam Islam termasuklah
falsafah, prinsip dan etika serta kepentingan sukarelawan dalam
Islam.
Selain itu kita juga perlu memahami konsep dan kepentingan
berorganisasi dalam gerak kerja sukarelawan serta isu-isu
berkaitan aktiviti kesukarelawanan. Keperluan tanzim
(penyusunan/perancangan) serta menentukan dan memilih
wasilah atau medium yang sesuai dalam gerak kerja
sukarelawan adalah penting bagi memastikan keberkesanan
penyampaian.
Para sukarelawan mestilah mempunyai pengetahuan tentang
data dan statistik serta maklumat terkini berkaitan isu tertentu.
Perkara ini penting bagi sukarelawan mengetahui dan dapat
menganalisis maklumat serta data ke arah merangka strategi
bersesuaian dalam menangani sesuatu isu.
Para sukarelawan juga perlu memiliki kemahiran- kemahiran
tertentu dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawanan. Di
22
antara kemahiran-kemahiran tersebut adalah seperti komunikasi
interpersonal, psikologi, kaunseling, kepimpinan dan
pengurusan konflik. Kemahiran komunikasi interpersonal adalah
berasaskan pendekatan komunikasi Islam atau dakwah seperti
kemahiran menegur dan memberi nasihat serta berinteraksi
secara berkesan. Tugas menyeru masyarakat ke arah kebaikan
seperti yang dilaksanakan oleh sukarelawan perlu
mempertimbangkan bentuk-bentuk komunikasi yang sesuai.
Selain itu, kaedah memahami pemikiran dan emosi klien juga
turut diperlukan. Kemahiran menguruskan tekanan dalam
menghadapi permasalahan dan ujian hidup juga perlu
dilaksanakan melalui pendekatan berpesan-pesan dengan
kesabaran selaras dengan saranan ayat al-Quran Surah Al-Asr :
103 : 3 yang bermaksud : “Kecuali orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Perkara paling utama yang perlu dimiliki oleh para sukarelawan
adalah kemahiran melaksanakan aktiviti temuseru dalam
mendepani sesuatu isu. Aktiviti temuseru haruslah berasaskan
pendekatan Islam seperti berpandukan asas iman, keikhlasan,
memiliki ilmu serta doa, harapan dan motivasi.
Bagi membudayakan kerja-kerja kesukarelawanan, JAWI
sebagai contoh mengambil inisiatif seperti mewujudkan
Sukarelawan Dakwah Islamiyah (SUDI) yang menjalankan
23
pelbagai aktiviti seperti menyantuni gelandangan, JAWI Food
Bank, melibatkan Sukarelawan Rahmah dalam program Karnival
Rahmah 2019, menginisiatifkan Sukarelawan Street Dakwah di
Putrajaya, melibatkan Sukarelawan Alami (Go Green) dalam
program Street Raya JAWI dan lain-lain.
24
Budaya Tuntut Ilmu Berterusan, Manfaat Dunia Dan Akhirat
Merujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara, pendidikan adalah
suatu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini bertujuan melahirkan warganegara Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian
masyarakat dan negara.
Pendidikan dalam perspektif Islam pula adalah suatu proses
penyampaian ilmu yang berterusan sehingga ilmu itu dapat
dijiwai dan meresap ke dalam pemikiran, perlakuan dan tindakan
terhadap diri sendiri, sesama manusia dan alam sekeliling,
sesuai dengan peranan manusia sebagai hamba Allah dan
khalifah di muka bumi.
Pendidikan dalam Islam juga disebut dengan istilah tarbiyah,
(pemeliharaan,asuhan dan didikan) serta ta’lim dan ta’dib yang
bermaksud proses menyampaikan ilmu kepada seseorang
dalam usaha membentuk peribadi dan sahsiah dalam kehidupan
seharian berlandaskan ajaran Islam.
25
Berdasarkan falsafah pendidikan Islam, aspek penting yang
perlu diberikan penekanan ialah menyediakan potensi manusia
untuk memikul tugas dan amanah sebagai khalifah Allah di atas
muka bumi.
Falsafah Pendidikan dalam Islam meliputi pendidikan berterusan
ke arah perkembangan diri individu dari segi rohani, intelek,
emosi dan fizikal yang membawa kepada individu yang beriman,
berilmu, berakhlak dan bertakwa dan beramal soleh untuk
membina masyarakat harmoni, hormat menghormati dan bantu
membantu antara satu sama lain. Matlamat pendidikan Islam
adalah untuk membentuk serta mengembangkan aspek-aspek
kesempurnaan manusia yang mencakupi fizikal, spritual, mental
dan sosial menurut pembentukan rabbani bagi melahirkan insan
kamil dan mukmin yang bertakwa untuk mengabdikan diri
kepada-Nya.
Menurut pandangan Ibn Khaldun dalam kitabnya al-
Muqaddimah “Adalah pendidikan Islam mengarah kepada dua
tujuan iaitu : 1. Matlamat keagamaan, maksudnya ialah beramal
untuk akhirat, sehingga ia menemui Tuhannya, dalam keadaan
ia telah menunaikan hak Allah yang diwajibkan ke atasnya. 2.
Matlamat ilmiah – keduniaan, iaitu apa yang diungkapkan dalam
pendidikan moden dengan tujuan kemanfaatan, atau persiapan
untuk hidup.
26
Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
“Barang siapa berjalan untuk tujuan menuntut ilmu, maka Allah
SWT akan membimbingnya ke jalan syurga. Sesungguhnya
orang yang berilmu itu dimohon keampunan oleh makhluk di
langit dan di bumi, termasuk ikan-ikan di laut dan sesungguhnya
ulama itu adalah pewaris nabi. (Hadis riwayat Abu Daud dan
Tirmizi). Firman Allah SWT yang bermaksud “Allah meninggikan
darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang yang
diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. (Surah al-Mujadalah,
ayat 11).
Zakiyah Daradjat pula memberikan pandangan bahawa
"Pendidikan berlangsung seumur hidup dan dilaksanakan di
dalam lingkungan rumah tangga, sekolah dan masyarakat.
Kerana itu pendidikan adalah tanggung jawab bersama antara
keluarga, masyarakat dan kerajaan.”
Justeru pelbagai usaha dilakukan di dalam membangunkan
prasarana pendidikan sama ada dari aspek fizikal mahupun
modul merangkumi kurikulum dan kokurikulum. Inisiatif ini
dilaksanakan dengan hasrat membina kemenjadian insan yang
mempunyai nilai moral yang tinggi agar menjadi modal insan dan
aset penting kepada masa hadapan negara.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, peluang pendidikan Islam
disediakan oleh JAWI melalui Sekolah Rendah Agama (SRA),
27
Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) dan Kelas al-
Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Perkara ini selaras dengan
matlamat JAWI untuk meningkatkan kesedaran tentang
kepentingan pendidikan Islam diterapkan dalam masyarakat.
Keberhasilan kemenjadian insan ini dapat dilihat melalui
beberapa rekod kejayaan seperti peserta dari SIRAJ Saidina
Uthman muncul sebagai Johan Tilawah Peringkat Wilayah
Persekutuan dan menjadi wakil ke Peringkat Kebangsaan
manakala seorang peserta dari sekolah yang sama menjadi
Johan Pertandingan Khat Peringkat Wilayah Persekutuan.
Selain itu, seorang pelajar SIRAJ Saidina Uthman turut mewakili
Malaysia dalam kejohanan Taekwando Antarabangsa di
Bandung Indonesia.
Peruntukan Belanjawan 2020 baru-baru ini untuk mengurus dan
pembangunan Islam berjumlah RM 1.3 bilion yang turut
memberikan manfaat kepada sekolah agama, pondok, institusi
tahfiz dan guru KAFA amat besar maknanya dalam mendokong
agenda membangun kemenjadian insan dan memartabatkan
pendidikan Islam di Malaysia. Insentif ini diharapkan menjadi
pemangkin terhadap pemerkasaan prasarana dan pengiktirafan
kepada murabbi ummah sekaligus bertepatan dengan prinsip
maqasid syariah yang menekankan aspek penyuburan akal
dengan budaya ilmu kepada masyarakat ke arah melahirkan
sebuah negara yang gemilang.
28
Dakwah Lisan Menerusi Khutbah Jumaat
Dakwah bermaksud panggilan kepada kebenaran atau seruan
untuk mentauhidkan Allah SWT. Dakwah juga merupakan usaha
untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan dan
mengingatkan manusia supaya menjauhkan diri dari perkara
yang boleh mengundang azab Allah SWT.
Matlamat utama dakwah ialah merealisasikan Islam sebagai
agama rahmah dengan membawa masyarakat ke arah
kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Dakwah sebenar
mempunyai hala tuju untuk menjadikan masyarakat terbaik,
umat tertinggi, umat terkuat dan termulia di kalangan umat-umat
yang lain. Firman Allah di dalam al-Quran Surah Ali Imran ayat
110 yang bermaksud “Kamu adalah umat yang terbaik yang
dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan
mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.
Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka,
di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka
adalah orang-orang yang fasik.”
Nabi Muhammad SAW telah memberikan contoh pendekatan
dakwah kepada umatnya dengan pelbagai cara sama ada
melalui lisan, tulisan ataupun perbuatan. Dakwah melalui lisan
adalah suatu pendekatan penyampaian informasi atau mesej
29
dakwah melalui lisan seperti ceramah atau sebarang bentuk
komunikasi langsung antara pendakwah dan masyarakat.
Salah satu bentuk penyampaian dakwah melalui lisan yang
popular dalam masyarakat adalah melalui khutbah Jumaat.
Saban minggu, masyarakat Islam akan memenuhi masjid-masjid
bagi menunaikan solat Jumaat dan mendengar Khutbah yang
menjadi tuntutan dalam ajaran Islam.
Terdapat dua elemen utama dan saling berkaitan dalam
penyampaian khutbah iaitu khatib dan teks khutbah. Kedua-dua
elemen ini memainkan peranan besar bagi menghasilkan
khutbah yang menarik. Teks khutbah yang baik menjadi tidak
menarik apabila disampaikan oleh khatib tanpa menjiwai
khutbah tersebut, apatah lagi jika disampaikan tanpa
persediaan.
Justeru ciri-ciri khutbah yang baik bergantung kepada khatib
yang menyampaikan, topik yang dibicarakan, wujud unsur
teguran, nasihat atau galakan, gaya penulisan yang menepati
kaedah Bahasa yang betul, serta wujud unsur tarikan melalui
persoalan yang dapat mengetuk hati pendengar supaya berfikir.
Bagi memastikan perhimpunan mingguan umat Islam ini dapat
dimanfaatkan sebaik-baiknya serta menjadi medium
penyampaian ilmu dan maklumat yang berkesan kepada
30
masyarakat, beberapa strategi disusun agar penyampaian
khutbah dapat dilaksanakan secara berkesan. Dalam konteks
Wilayah Persekutuan, penulis-penulis khutbah yang disediakan
oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terdiri
daripada pakar dan ilmuan dari pelbagai bidang termasuklah
pensyarah universiti, pegawai agama dari Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan
institusi kewangan.
Teks khutbah disediakan berdasarkan isi dan fakta melalui
bengkel penyediaan khutbah serta mengikut beberapa dokumen
panduan seperti Garis Panduan Penulisan Teks Khutbah JAWI
dan Manual Panduan Penyediaan Teks Khutbah dan
Khutbah Multimedia 2007. Prosedur penyediaan Teks khutbah
Jumaat JAWI misalnya menggariskan beberapa peringkat yang
perlu dilalui sebelum sesuatu teks khutbah diterbitkan. Prosedur
penyediaan teks khutbah tersebut termasuklah pemilihan tajuk-
tajuk khutbah sepanjang tahun, bengkel sinopsis khutbah,
penulisan oleh panel penulis teks khutbah, menaip dan
menjawikan teks khutbah, semakan teks khutbah oleh panel
penyemak, pengesahan oleh Bahagian Pengurusan Masjid,
kelulusan pejabat Mufti, bacaan pruf dan pengesahan akhir,
cetakan dan pembukuan, edaran, serta bacaan di atas mimbar
Jumaat. Arkib serta teks khutbah JAWI setiap minggu boleh
dimuat turun melalui laman web JAWI.
31
Bengkel khusus penulisan dan semakan khutbah juga dianjurkan
bagi mendapatkan pandangan daripada beberapa pihak bagi
tujuan menyediakan topik dan sinopsis khutbah yang berkualiti,
mantap serta menepati situasi semasa masyarakat khususnya di
Wilayah-Wilayah Persekutuan. Topik dan sinopsis ini dapat
membantu para penulis khutbah dalam penghasilan khutbah
yang berkualiti dan berinformasi.
Bagi memastikan khutbah sentiasa menarik dan terbaik,
pendekatan yang digunakan oleh JAWI termasuklah
menetapkan agar hanya menggunakan hadis-hadis yang sahih
sebagai hujah di samping keizinan menggunakan hadis ḍaif
sebagai pendorong mendapatkan kelebihan beramal. Selain itu
ketetapan masa dan jumlah halaman teks khutbah turut diambil
kira sebagai kawalan agar khutbah tidak terlalu panjang.
Khutbah juga perlu ditulis berdasarkan pembahagian teks
kepada tiga bahagian utama dengan saranan isi kandungan
yang baik untuk dimuatkan di setiap bahagian tersebut.
JAWI turut menerima draf teks khutbah untuk dibaca daripada
agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Wilayah
Persekutuan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan
Kebajikan Masyarakat, Jabatan Waqaf, Zakat & Haji dan
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta dari pelbagai pihak
lain. Draf ini akan dimurnikan semula mengikut keperluan dan
keadaan serta perkembangan semasa. Teks khutbah yang
32
disediakan akan disemak oleh Jawatankuasa Penyemakan
Khutbah JAWI sebelum dikemukakan untuk kelulusan.
Khutbah Jumaat juga disediakan mengikut perkembangan
semasa terutamanya jika menyentuh kepentingan umat Islam. Isi
kandungan khutbah disediakan selaras dengan prinsip Maqasid
Syariah yang menekankan aspek penjagaan Agama, Nyawa,
Akal, Keturunan dan Harta. Contohnya teks khutbah yang
menyentuh isu pengharaman merokok di premis makanan.
Khutbah telah menyentuh perkara ini melalui tajuk “Pelihara
Nyawa, Hargai Jiwa” pada 11 Januari 2019. Khutbah juga
menyentuh keperihatinan terhadap isu alam sekitar melalui tajuk
“Alam Dipelihara, Ummah Sejahtera” pada 20 September 2019
ketika isu jerebu sedang melanda negara baru-baru ini.
Penekanan terhadap isu semasa amat dititikberatkan di dalam
khutbah termasuklah isu-isu penting seperti perpaduan kaum,
penyalahgunaan dadah, salah faham makna jihad dan
sebagainya. Panel dan Bahagian yang menyediakan teks
khutbah juga sentiasa peka dengan perkembangan semasa
yang berkaitan dengan kepentingan ummah, masyarakat
pelbagai kaum dan negara. Ada kalanya, penulis khutbah
terpaksa menyediakan teks dalam tempoh yang singkat
mengambilkira keperluan dan perkembangan semasa yang
perlu disampaikan di dalam teks khutbah. Tindakan ini dilakukan
kerana mengambilkira bahawa teks khutbah bertujuan untuk
33
memberikan maklumat terkini, isu-isu yang menyentuh ummah
dan keperluan semasa serta nasihat agar sesuatu perkara
tersebut dapat diambil berat dan mendapat perhatian
masyarakat.
Bagi membudayakan keharmonian hidup di dalam masyarakat,
JAWI komited menerapkan isu perpaduan dalam masyarakat
berbilang kaum melalui medium khutbah. Banyak tajuk khutbah
yang menggalakkan masyarakat Islam supaya sentiasa
memelihara hubungan pelbagai kaum seperti Jauhi Sengketa
Bahagia Bersama (4 Januari 2019), Malaysia Harmoni (16
November 2018), Jalinkan Kebersamaan Eratkan Perpaduan
(29 Jun 2018) dan lain-lain.
Muttakhir ini, beberapa inovasi baru turut diperkenalkan bagi
membantu meningkatkan penyampaian khutbah secara lebih
optimum misalnya melalui paparan multimedia info grafik
khutbah bagi meningkatkan fokus dan tumpuan serta kefahaman
pendengar terhadap isi utama khutbah.
JAWI sedaya upaya berusaha untuk memastikan agar
teks khutbah Jumaat yang dihasilkan memenuhi keperluan
masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan selaras dengan realiti
kehidupan warga kota yang sentiasa sibuk dan berhadapan
dengan pelbagai konflik dan permasalahan hidup. Perkara ini
penting agar ia menepati tujuan utama pensyariatan
34
khutbah Jumaat iaitu untuk memberikan tazkirah dan panduan
mingguan kepada masyarakat Islam.
35