The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Alhamdulillah. Buku ini terbit ketika manhaj Rabbani dijadikan dasar pentadbiran Islam dalam negara. Lebih 40 topik di dalam buku ini menyentuh bagaimana kepentingan thaqafah (keilmuan), ruhaniyyah (kerohanian) dan da'wah (khidmat masyarakat) dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan masyarakat.

Bantuan JAWI Food Bank, dakwah kepada golongan mualaf dan OKU, pengimarahan masjid, dakwah kreatif, tips kekayaan jiwa dan keluarga bahagia antara topik yang terkandung di dalam buku ini.

Selamat membaca !

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Rak Buku Maya Al-Busyra JAWI, 2021-02-08 10:01:06

Dakwah Tak Usah Lelah!

Alhamdulillah. Buku ini terbit ketika manhaj Rabbani dijadikan dasar pentadbiran Islam dalam negara. Lebih 40 topik di dalam buku ini menyentuh bagaimana kepentingan thaqafah (keilmuan), ruhaniyyah (kerohanian) dan da'wah (khidmat masyarakat) dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan masyarakat.

Bantuan JAWI Food Bank, dakwah kepada golongan mualaf dan OKU, pengimarahan masjid, dakwah kreatif, tips kekayaan jiwa dan keluarga bahagia antara topik yang terkandung di dalam buku ini.

Selamat membaca !

Dalam hadis yang lain dinyatakan : Daripada Anas bin Malik RA
berkata: Maksudnya: Adapun Rasulullah berdoa: (Ya Allah aku
berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan
penyakit-penyakit yang buruk)”.” [Riwayat Abu Daud (1554)]

Kita boleh sahaja berdoa dengan apa jua doa yang ingin
dipanjatkan kepada Allah SWT agar dijauhkan dari segala
bentuk kemudaratan yang tidak diingini.

Di samping berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT,
kita juga dituntut agar bermuhasabah tentang punca sesuatu
musibah tersebut melanda. Mungkin ia sebagai ujian untuk
meningkatkan darjat keimanan dan sebagai penghapus dosa.
Justeru kita disarankan agar memperbanyakkan Istigfar dan
merenungi dosa-dosa yang pernah kita lakukan. Musibah juga
mungkin berlaku disebabkan perbuatan dan kealpaan manusia
sendiri. Oleh itu kita hendaklah berusaha menjauhkan diri dari
melakukan sebarang tindakan yang mengundang kerosakan dan
kebinasaan. Firman Allah SWT yang bermaksud “Telah timbul
pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan
dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia;
(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan
mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk
yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan
bertaubat)” (Ar-Rum: 41).

79

Selain itu, selaras dengan maqasid syariah yang lima iaitu
memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, kita juga
disarankan agar berusaha menghadapi musibah dan berikhtiar
sehabis baik dengan melaksanakan langkah-langkah yang
sewajarnya, mengikuti segala nasihat keselamatan dan
pencegahan yang diberikan oleh pihak berkuasa serta akhirnya
bertawakal kepada Allah SWT.

80



Selidik Kesahihan Sebelum Sebar Maklumat

Kewujudan pelbagai aplikasi mudah alih dan akses kepada
maklumat tanpa sempadan seiring dengan perkembangan
revolusi industri 4.0 pada masa kini telah menggalakkan kepada
budaya perkongsian maklumat secara pintar di hujung jari di
mana-mana sahaja pada bila-bila masa oleh sesiapa sahaja.

Justeru situasi ini amat memerlukan sifat amanah dan
tanggungjawab setiap individu sebelum menyebarkan atau
berkongsi sesuatu maklumat. Di dalam ajaran Islam, kita dituntut
agar menyelidiki sebarang berita sebelum ia disebarkan.
Masyarakat perlu mengamalkan budaya ‘tabayyun’, iaitu
menyelidik kesahihan setiap maklumat yang diperoleh sebelum
mempercayainya apatah lagi menyebarkannya kepada pihak
lain. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, Surah Al-Hujurat ayat
6 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Jika
datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya
kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang
tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) -
sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah
lakukan.”

Ayat al-Quran ini memberikan peringatan terhadap implikasi
buruk yang akan menimpa sesebuah masyarakat sekiranya tidak

81

menitikberatkan budaya memastikan kesahihan sesuatu
maklumat dan berita yang diterima.

Bagi memastikan budaya kesahihan maklumat dalam
masyarakat, sesuatu maklumat yang diterima haruslah
dipastikan diterima daripada pihak berautoriti yang adil. Pelbagai
usaha dan tindakan juga harus dilakukan untuk menegah
sebarang penyebaran maklumat yang palsu. Setiap individu juga
perlu memeriksa sumber sesuatu maklumat yang diterima.
Maklumat itu juga seharusnya tidak bercanggah dengan
panduan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan as-
Sunnah. Ajaran Islam menetapkan agar menyelidik sumber
maklumat yang diterima daripada orang fasik yang tidak boleh
dipercayai kerana golongan ini tidak memiliki sifat-sifat terpuji
atau tidak berupaya memproses dan mengakses maklumat
dalam bentuk yang tepat dan benar.

Kecanggihan dunia tanpa sempadan juga menyebabkan
maklumat boleh disebarkan tanpa menyatakan pihak
bertanggungjawab yang menyebarkannya. Oleh itu, semasa
mengakses sesuatu maklumat, kita perlulah meneliti sama ada
penulis atau organisasi tersebut dapat dipercayai atau
sebaliknya.

Setiap individu muslim bertanggungjawab memastikan
penyebaran maklumat yang benar sahaja, hanya menyebarkan

82

maklumat yang berfaedah serta memilih sumber maklumat yang
telah disahkan kesahihannya oleh para ahlinya.

Sesungguhnya setiap amalan dan perbuatan manusia akan
dipertanggungjawabkan termasuklah penyebaran maklumat
yang tidak dipastikan kesahihannya. Dalam hal ini, Rasulullah
SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang
bermaksud “Cukuplah pembohongan seseorang itu apabila dia
menyampaikan semua yang dia dengar.” Sehubungan itu, wajib
bagi setiap Muslim meneliti kesahihan setiap berita diterima
supaya ia tidak menjadi bahan fitnah serta tidak bersubahat
melakukan amalan yang mengundang dosa besar itu. Di dalam
ayat al-Quran yang lain Allah SWT berfirman bermaksud “Iaitu
semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu
dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu
akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang
sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil,
pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar
dosanya.” (Surah An Nur : 15).

Setiap perbuatan panca indera kita akan dihisab dan
dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT sebagaimana
firmanNya yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang
menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara
kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang
kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia

83

dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang
besar; Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki
mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang
segala yang mereka lakukan. Pada hari itu Allah akan
menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang
berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan
mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi
nyata keadilanNya.” (Surah An Nur : 23-25).

Penyebaran dan perkongsian maklumat dan berita, jika
dilakukan dengan beradab dan bertanggungjawab pasti akan
mengundang ganjaran pahala yang besar sebagai menyebarkan
kebaikan dan dakwah sepertimana sabda Nabi Muhammad
SAW yang bermaksud “Barangsiapa yang menunjuki kepada
kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala
orang yang mengerjakannya” (HR. Muslim no. 1893). Sebaliknya
jika adab dan tanggungjawab ini diabaikan ia boleh menjadi
perbuatan yang mengundang dosa besar dan fitnah serta
ditimpa bencana oleh Allah SWT dan kemudaratan dalam
kehidupan bermasyarakat.

84



Amalkan Sikap Bertolak Ansur

Membina sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera adalah
tuntutan ajaran Islam. Islam sebagai agama yang mengatur
segenap aspek kehidupan manusia sentiasa menganjurkan
umatnya untuk menjalinkan hubungan yang baik sesama
manusia terutama dengan ahli keluarga. Manusia lumrahnya
tidaklah hidup bersendirian bahkan memiliki keluarga meskipun
berhadapan dengan pelbagai isu dan konflik dalam hubungan
kekeluargaan. Keluarga adalah asas dalam pembinaan
masyarakat dan negara serta menjadi tempat seseorang
dibesarkan, diasuh serta dididik sebelum menjalani kehidupan
dalam masyarakat.

Sebuah keluarga terdiri dari suami, isteri, anak dan anggota
keluarga lain yang mempunyai pertalian darah atau nasab serta
hubungan pernikahan yang sah mengikut hukum syarak.
Keluarga dalam Islam merupakan rumah tangga yang
dibangunkan hasil pernikahan antara seorang lelaki dan wanita
yang dilaksanakan selaras dengan syariat Islam yang memenuhi
syarat pernikahan dan rukun nikah yang ditetapkan. Dalam
ajaran Islam, pernikahan menjadi asas dalam membangunkan
rumah tangga seterusnya membentuk keluarga yang sakinah,
mawaddah dan rahmah sebagaimana firman Allah SWT dalam
Surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud “Dan di antara tanda-
tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya,

85

bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-
isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan
hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu
(suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-
keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang
yang berfikir.”

Ajaran Islam menetapkan kaedah serta peranan yang perlu
dilaksanakan dalam membangun dan menjalankan fungsi
sesebuah keluarga. Di antara fungsi keluarga dalam Islam
adalah menyempurnakan keperluan kebajikan dan ekonomi,
mendidik dengan asas moral dan akhlak bagi membentuk
keperibadian terpuji, menjadi tempat untuk menyemai dan
menyuburkan perasaan kasih sayang, memberikan rasa
ketenangan, serta paling utama menanam nilai keagamaan dan
memelihara daripada perbuatan dosa dan maksiat seperti firman
Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan
keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya:
manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh
malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak
menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya
kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang
diperintahkan.”

86

Terdapat beberapa elemen penting yang perlu dihayati bagi
mendapatkan kebahagian dan kedamaian dalam keluarga dan
rumahtangga iaitu mengamalkan sikap saling menyayangi dan
sentiasa mengungkapkan ucapan sayang, memberikan
panggilan kepada suami isteri dengan panggilan yang terbaik,
sentiasa berhubungan dan berkomunikasi walau di mana berada
dengan memanfaatkan media terkini. Selain itu, setiap anggota
keluarga juga perlu mengamalkan sikap sentiasa memahami
dalam apa jua situasi termasuk ketika berhadapan dengan
cabaran dan perubahan persekitaran. Setiap ahli keluarga
terutama pasangan suami isteri harus mengamalkan sifat
memberi dalam erti kata bertolak ansur dalam melaksanakan
tanggungjawab memberikan nafkah serta saling membantu
dalam urusan rumahtangga. Dalam hadis yang diriwayatkan
daripada al-Aswad RA, beliau bertanya kepada Saidatina Aishah
RA: “Apakah yang Nabi SAW lakukan ketika berada bersama
keluarganya?” Aishah menjawab: “Rasulullah SAW biasa
membantu pekerjaan keluarganya di rumah. Jika tiba waktu
solat, beliau berdiri dan segera menuju solat.” (HR Bukhari).

Setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa mengambil berat antara
satu sama lain dengan bertanya khabar dan mengambil peduli
serta saling berkongsi kesenangan dan kepayahan kerana ia
adalah lambang dan bukti kecintaan. Sifat memaafkan juga
adalah penting untuk dibudayakan kerana setiap rumah tangga

87

dan keluarga pasti berhadapan dengan pelbagai konflik dan
dugaan.

Di dalam al-Quran dijelaskan bahawa perkara tauhid yang paling
besar adalah menyembah Allah SWT dan sekali-kali tidak
mensyirikkan-Nya. Perintah utama yang datang selepas itu
adalah berbuat baik dan ihsan kepada ahli keluarga. Firman
Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 36 yang bermaksud “Dan
hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu
sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu
berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan
anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga
yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan
orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sebaik-baik kalian,
adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan Aku
adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku”.

Berhadapan dengan pelbagai situasi mencabar dan
permasalahan semasa ummah, marilah kita kembali
memperkukuhkan fungsi asas dan peranan kekeluargaan serta
berdoa agar dikurniakan sebuah keluarga yang diberkati dan

88

diredhai Allah seperti yang dianjurkan di dalam al-Quran surah
al-Furqan ayat 74 yang bermaksud “Dan juga mereka (yang
diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-
isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang
menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan
bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

89



Perbanyakkan Ibadah Dekatkan Diri Kepada Allah

Melaksanakan ibadah adalah merupakan tanggungjawab
hamba kepada Penciptanya. Di antara tujuan utama manusia
diciptakan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT
selaras dengan firmanNya di dalam al-Quran surah al-Dzariyat
ayat 56 yang bermaksud “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan
jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan
beribadat kepadaKu.” Justeru setiap insan perlu menginsafi
tanggungjawab besar dan utama di atas muka bumi adalah
untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata.
Pengabdian diri kepada Allah SWT mestilah dilakukan dalam
segenap aspek amalan dan pekerjaan dalam kehidupan. Bagi
menjadikan sesebuah amalan sebagai ibadah, maka setiap
perlakuan, perbuatan, pekerjaan tersebut hendaklah
dilaksanakan dengan niat yang ikhlas bertujuan mentaati
perintah Allah SWT.

Beribadah kepada Allah SWT adalah merupakan hakikat fitrah
seorang insan. Perjanjian manusia untuk mengabdikan diri
kepada Allah SWT telah dibuat seawal fitrah kejadiannya lagi.
Firman Allah dalam surah Yasin ayat 60-61 yang bermaksud
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam,
supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia
musuh yang nyata terhadap kamu! "Dan (Aku perintahkan):
hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.” Ayat ini

90

menjelaskan bahawa manusia telah berjanji dengan Allah SWT
untuk beribadah kepadaNya. Oleh itu sekiranya manusia lalai
menunaikan hak dan janjinya, maka dia telah mengundang
kemurkaan Allah SWT dan akan menerima balasan di akhirat
kelak.

Ibadah boleh dilihat dalam konteks yang luas bergantung kepada
niat dan cara ia dilakukan. Ibadah adalah sebarang bentuk
kerendahan diri, kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT
dalam pelbagai aspek kehidupan. Misalnya seorang anak yang
berbakti kepada kedua ibu bapanya, seorang isteri yang
mentaati suaminya dan seorang pekerja yang mematuhi arahan
majikannya. Ibadah bukan hanya amalan ritual yang dilakukan
pada masa dan tempat tertentu sahaja, bahkan merupakan
suatu cara hidup yang merangkumi segala aspek akidah, akhlak,
kekeluargaan, kemasyarakatan, pentadbiran, sosial, politik,
ekonomi dan sebagainya. Mengamalkan tuntutan atau perintah
Allah SWT dalam semua perkara tersebut juga dikira sebagai
ibadah, sebaliknya amalan yang zahirnya dilihat sebagai ibadah
tidak dihitung sebagai ibadah seandainya dilakukan tanpa niat
yang ikhlas semata-mata kepada Allah SWT.

Bagi memastikan sesuatu amalan diterima sebagai ibadah,
selain memastikan niat kerana Allah SWT, amalan yang
dilakukan dan pelaksanaannya mestilah tidak melanggar hukum
syarak, hasil pekerjaan tersebut adalah untuk kemakmuran alam

91

dan manusia sejagat, ibadah asas dan wajib tidak diabaikan,
serta amalan tersebut dilakukan dengan penuh ketekunan.

Setiap manusia juga akan memperoleh ganjaran yang sama
dalam setiap amalan dan ibadah yang dilakukan. Dalam Surah
Ali-Imran, ayat 195, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang
yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau
perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari
setengahnya yang lain.”

Justeru marilah kita sentiasa berusaha meningkatkan amalan
dan ibadah kepada Allah SWT sebagai bukti kecintaan
kepadaNya lebih-lebih lagi dengan ketibaan bulan Rejab, iaitu
bulan yang merupakan salah satu daripada bulan yang istimewa
buat umat Islam. Ini kerana, ia termasuk di dalam bulan-bulan
Haram sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith sahih
yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bahawa Nabi SAW
bersabda: Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana
keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi.
Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya
terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya
mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang
keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir
dan Sya’ban.” [al-Bukhari (4054)]

92

Selain daripada melaksanakan amalan seperti berpuasa dan
solat sunat, kita juga boleh merebut peluang mengikuti pelbagai
kelas pengajian, majlis ilmu dan pelbagai program
pengimarahan yang dilaksanakan saban hari di semua masjid
dan surau di seluruh negara oleh tenaga pengajar bertauliah dan
berkepakaran. Kita juga boleh mengambil peluang untuk
menghulurkan derma dan sumbangan melalui inisiatif kutipan
derma di masjid, sumbangan kepada gerobok rezeki di masjid,
serta berinfaq melalui pelbagai kemudahan teknologi terkini yang
disediakan.

93



Cara Hidup Sempurna

Islam adalah merupakan agama yang membawa ajaran serta
cara hidup yang sempurna meliputi seluruh aspek kehidupan
manusia baik daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-
besar perkara seperti kenegaraan dan pemerintahan. Allah SWT
telah menyempurnakan Islam melalui pengutusan rasul yang
terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Kesyumulan ajaran Islam
bukan sahaja khusus kepada amalan ritual keagamaan tetapi
merangkumi tatacara kehidupan yang lain seperti sosial,
ekonomi, politik, pendidikan, pembangunan dan lain-lain.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ma’idah ayat 3 yang
bermaksud “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu
agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu,
dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Kesempurnaan Islam dapat dilihat dalam aspek yang paling
penting dan utama iaitu akidah dengan menetapkan keyakinan
dan keimanan kepada Allah SWT sebagai pegangan asas dalam
kehidupan. Justeru, ajaran Islam amat menggesa agar manusia
menjauhi perbuatan syirik, merosakkan akidah, serta sebarang
perlakuan yang menghina agama.

Selain itu, kesyumulan Islam juga dapat dilihat dalam aspek
syariah yang menetapkan panduan dan tatacara melaksanakan

94

ibadah, ketaatan dalam melaksanakan perintah serta hukum-
hakam termasuk peraturan dan undang-undang negara yang
tidak bercanggah dengan syariat. Tujuan segala peraturan ini
ditetapkan adalah bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia
serta mengatur manusia supaya melaksanakan perbuatan yang
ma’ruf dan menjauhi yang mungkar.

Kesempurnaan Islam dalam aspek akhlak pula dapat dilihat
melalui ketetapan tatacara muamalah serta panduan bagi
memelihara hubungan dalam keluarga, jiran tetangga,
masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam, serta makhluk
yang lain termasuk alam sekitar. Manusia hakikatnya tidak
dibezakan berdasarkan pangkat dan darjat, warna kulit, bangsa
dan keturunan, kaya dan miskin mahupun pengaruh. Allah SWT
berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan
kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu
berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang
lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang
yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan
keadaan dan amalan kamu).”

95

Sebagai Muslim, kita dianjurkan untuk saling mengenali antara
satu sama lain dan diperintahkan agar kita memelihara kesatuan
dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam sebagai
pegangan yang akan menyelamatkan kita dari seksaan api
neraka sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam surah Ali-
Imran ayat 103 bermaksud “Dan berpegang teguhlah kamu
sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu
bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika
kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah
menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu
dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat
Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu
telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu
semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu
(disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan
kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat
petunjuk hidayahNya.”

Dalam kehidupan bermasyarakat, ajaran Islam menganjurkan
agar setiap warga negara membudayakan amalan menyantuni,
prihatin dan peduli sesama masyarakat. Setiap warga negara
juga perlu membudayakan sifat cinta kepada keamanan,
keadilan dan kesejahteraan. Segenap lapisan masyarakat harus
mengamalkan cara hidup yang harmoni dengan menghargai
kemajmukan, hidup dalam kedamaian, serta menjaga hubungan
antara kaum dan agama. Selain itu, setiap warga negara perlu

96

memiliki sifat yang mesra dan berinteraksi dengan semua pihak
termasuk meraikan kelompok rentan dan minoriti dalam
masyarakat seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan
lain-lain. Akhirnya, masyarakat dalam sebuah negara perlu
mengekalkan sifat saling menghormati di atas prinsip
kemanusiaan, serta menghormati perbezaan dan kepelbagaian
agama dan kepercayaan.
Sesungguhnya segala sifat kesyumulan Islam diserlahkan
melalui Maqasid Syariah yang lima yang menekankan aspek
penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta yang
akhirnya akan menatijahkan sebuah negara yang makmur,
harmoni dan sejahtera.

97



Erti Bahagia Pada Kekayaan Jiwa

Setiap insan berlumba-lumba untuk mengecapi kebahagian dan
kesenangan dalam kehidupan. Justeru apa sahaja perkara yang
dilakukan dalam hidup, bermatlamat mendatangkan
kebahagian. Ukuran kebahagian itu pula berbeza-beza mengikut
latar belakang seseorang. Mencari kebahagian adalah perkara
yang disarankan oleh ajaran Islam. Perkara ini dapat dilihat
melalui ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 201, iaitu doa yang
sering dibacakan setiap kali selepas solat bermaksud “Dan di
antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai
Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, kebaikan di dunia yang dimaksudkan
dalam ayat tersebut meliputi seluruh keinginan duniawi, sama
ada kesihatan, rumah yang luas, isteri yang cantik, rezeki yang
melimpah, ilmu yang bermanfaat, amal soleh, kenderaan yang
baik, pujian dan sebagainya. Manakala kebaikan di akhirat
meliputi permohonan syurga, ketenangan jiwa, kemudahan
hisab, keselamatan daripada api neraka, perlindungan daripada
segala dosa dan larangan, terhindar daripada pelbagai syubhat
dan perkara haram.

Pelbagai usaha dilakukan oleh seseorang untuk mendapatkan
kebahagian dalam kehidupan. Segelintir manusia sibuk bekerja

98

tanpa henti, mengejar pangkat dan kedudukan, merebut
sebanyak mungkin harta serta mengejar gelaran dan populariti.
Islam membenarkan kita menikmati kehidupan di dunia namun
tidaklah sehingga lalai dari mengingati Allah SWT serta
menyediakan bekalan menuju kehidupan akhirat. Ingatan ini
penting agar kita dapat menjauhkan diri daripada amalan hidup
yang tidak seimbang di antara keperluan fizikal, emosi, spiritual
dan rohani.

Setiap insan dituntut agar menyatukan kepentingan hidup di
dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah SWT dalam al-
Quran surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud "Dan tuntutlah
dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu
akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau
melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia;
dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana
Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya
yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan
kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berbuat kerosakan ".

Ayat al-Quran ini dengan jelas memerintahkan agar manusia
menggunakan potensi-potensi nikmat yang diberikan oleh Allah
SWT seperti harta, kesihatan, ilmu dan sebagainya untuk
mencari kebahagiaan di akhirat, bukan semata-mata untuk
mencari kesenangan di dunia. Namun ayat ini juga

99

mengingatkan untuk tidak melupakan bahagian kenikmatan
dunia yang dihalalkan oleh Allah SWT. Orang yang dapat
memanfaatkan nikmat untuk mendapatkan kebahagian akhirat
akan memperoleh keuntungan yang besar.

Sesungguhnya kebahagian dan kesenangan sebenar adalah
dengan kekayaan jiwa, iaitu orang yang merasa cukup dengan
pemberian kepadanya (qana’ah), redha dan tidak tamak dalam
mencari harta. Seseorang yang kaya jiwanya berakhlak dengan
akhlak terpuji dalam setiap perlakuan sama ada melibatkan
hubungan dengan Allah SWT, sesama manusia dan makhluk
yang lain. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bermaksud “Bukanlah
kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu
adalah kaya hati (jiwa)."

Di antara tips untuk memiliki kekayaan jiwa ialah, bersyukur
sama ada ketika memperolehi kebaikan seperti kesihatan,
keluarga, sahabat mahupun ketika menghadapi kesusahan
dalam hidup. Kita juga disarankan agar berfikiran positif,
mengutamakan kebenaran dan kasih sayang, memberikan
harapan, mendahulukan perkara yang utama, menghargai waktu
dan tidak berlengah dalam bertindak, serta sentiasa
menyebarkan kebaikan. Selain itu, setiap manusia harus
berkongsi nikmat kurniaan Allah SWT serta menggunakan
nikmat ke arah kebaikan melalui amalan bersedekah dan

100

memanfaatkan harta ke jalan Allah SWT dengan membantu
golongan fakir miskin dan memerlukan. Hakikatnya jiwa yang
kaya penuh dengan sifat mulia seperti lemah lembut dan rahmah
terhadap sesama manusia, gemar membantu, tenang dan
berpuas hati dengan apa yang dimiliki, menghormati sesama
insan, dan tidak memiliki sifat-sifat hati yang tercela seperti
sombong, meninggi diri dan seumpamanya.

101



Dekati Masyarakat Seiring Peredaran Zaman

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai
sebuah agensi yang melaksanakan tanggungjawab
menyampaikan dakwah kepada masyarakat, khususnya di
Wilayah Persekutuan, memberikan perhatian yang serius
terhadap agenda dakwah melalui pelbagai perancangan dan
strategi.

Dalam hal ini, Pelan Strategik JAWI telah menetapkan bahawa
salah satu teras utamanya adalah memantapkan agenda
dakwah secara menyeluruh dan professional. Justeru dalam
konteks dakwah kreatif, pelbagai aspek dan pendekatan diambil
kira termasuklah memanfaatkan media sebagai platform
penyebaran dakwah yang berkesan.

JAWI melalui Bahagian Dakwah misalnya semenjak dahulu
menggerakkan pelbagai bentuk program dakwah termasuklah
melalui media massa seperti radio dan televisyen, media cetak
dan dakwah media baharu seperti facebook, whatsapp,
instagram, youtube dan lain-lain. Bagi tujuan ini, kita
mengenalpasti dan menyediakan bahan-bahan dakwah untuk
tujuan hebahan seperti tazkirah pendek, kapsul dakwah, sketsa
dan drama pendek, poster, serta memuat naik status facebook
yang ringkas dan menarik minat pembaca. Kita juga
mengaturkan pelbagai kursus dan latihan kepada para pegawai

102

seperti penulisan dakwah kreatif di media sosial dan pembikinan
video pendek dakwah melalui telefon pintar sebagai usaha
meningkatkan dan mempelbagaikan kemahiran dalam
menjayakan agenda ini. Sepanjang tahun 2019 misalnya, JAWI
telah menganjurkan lebih 60 program dakwah pelbagai bentuk
serta menerbitkan lebih 20 siri video pendek dakwah pelbagai
tema di media sosial.

Di samping itu, di masjid dan surau seluruh Wilayah
Persekutuan, bentuk-bentuk program dakwah tidak lagi hanya
terhad kepada ceramah, kuliah, kelas pengajian dan tazkirah
secara tradisional, tetapi kita turut menganjurkan program
dakwah kreatif melalui konsep penganjuran karnival yang
dipenuhi dengan pelbagai pengisian dakwah secara tidak
langsung seperti program JAWI Food Bank, pemberian wang
saku pelajar sekolah, pemberian minyak petrol motorsikal,
perkhidmatan gunting rambut, open market, hiburan santai
kumpulan buskers, pelbagai acara sukan, larian amal dan
berbasikal, konvoi bermotorsikal, tayangan filem dakwah dan
pelbagai lagi bentuk pengisian kreatif penyampaian dakwah
yang menarik minat masyarakat.

Kelompok masyarakat yang menjadi sasaran dakwah sentiasa
berubah seiring dengan perubahan masa dan zaman. Lebih-
lebih lagi, masyarakat kini turut terdiri daripada khalayak yang
rata-ratanya merupakan generasi baharu yang lebih tertarik

103

dengan kandungan kreatif dan penggunaan media sosial.
Justeru pendekatan dakwah yang lebih santai, interaktif dan
menarik minat pelbagai golongan terutama golongan muda amat
wajar dipergiatkan. Sekiranya perkara ini tidak dilakukan,
dikhuatiri minat masyarakat akan tertumpu kepada pelbagai
bentuk kandungan yang sia-sia dan melalaikan.

Selain itu, penyampaian dakwah kreatif ini juga harus digerakkan
melalui media sosial yang menjadi pilihan utama sebahagian
besar masyarakat berbanding media konvensional seperti radio
dan televisyen. Gaya hidup masyarakat kini menuntut mereka
agar mendapat akses kepada pelbagai maklumat termasuk
mesej-mesej dakwah pada bila-bila masa dan di mana-mana
sahaja berada. Dakwah kreatif sama ada dalam bentuk
penyampaian atau program perlu dilaksanakan bagi menarik
minat masyarakat untuk hadir mengimarahkan masjid dan surau.
Di samping itu para pendakwah juga boleh melaksanakan
dakwah dengan menemui masyarakat melalui aktiviti seperti
street dakwah atau dakwah santai di lapangan mendekati
kumpulan sasaran.

Masjid dan surau harus dikekalkan fungsi dan peranannya
sebagai pusat beribadah dan penyatuan ummah. Elakkan
menjadikan masjid sebagai tempat bersengketa dan membesar-
besarkan jurang perbezaan. Justeru pihak yang
dipertanggungjawabkan menjalankan tadbir urus masjid dan

104

surau perlu merancang dan melaksanakan pelbagai bentuk
program pengimarahan sama ada berbentuk tradisi mahupun
kreatif mengambil kira keperluan masyarakat setempat.
Program-program pengimarahan juga harus dipelbagaikan agar
dapat menarik minat pelbagai latar belakang masyarakat untuk
menyertainya. Di Wilayah Persekutuan, bagi tahun 2019 sahaja,
JAWI telah melaksanakan lebih daripada 2,654 program
pengimarahan di masjid-masjid melibatkan penyertaan lebih
400,000 orang. Manual Standard Penarafan Masjid di Wilayah
Persekutuan juga diperkenalkan sebagai usaha menyediakan
persekitaran masjid yang kondusif yang diharapkan dapat
meningkatkan penyertaan masyarakat dalam majlis ilmu dan
program pengimarahan di masjid.

Pelbagai program latihan dan kursus juga diatur bagi
meningkatkan profesionalisme dan kemahiran para pendakwah
mengambil kira perubahan zaman dan kehendak semasa
masyarakat. Latihan-latihan ini dilaksanakan bersama pelbagai
agensi dan NGO dakwah yang berpengalaman dalam bidang
masing-masing. Sebagai contoh, program Training Of Trainers
(TOT) kepada Sukarelawan Dakwah melalui pendedahan di
lapangan kepada Sukarelawan Dakwah (SUDI) serta
pendedahan berkaitan dakwah melalui media baharu kepada
para pendakwah.

105

Di samping itu, JAWI juga menetapkan kepada para pendakwah
agar mengikuti syarat pentauliahan sedia ada di Wilayah
Persekutuan agar menepati standard penyampaian dakwah
yang telah ditetapkan.

106



Taati Arahan Ulil Amri

Pada saat artikel ini ditulis, kita semua sedang melalui tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang dikeluarkan oleh
Kerajaan Malaysia di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan
Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Situasi ini adalah
susulan perkembangan terkini penularan wabak penyakit Covid-
19 dalam negara. Oleh itu, sebagai tindak balas terhadap
perintah tersebut, menjadi kewajipan kepada setiap warga
negara umumnya dan umat Islam khasnya mentaati dan
mematuhinya. Dalam perspektif ajaran Islam, perkara ini
merupakan suatu arahan daripada pemerintah atau Ulil Amri
yang bertujuan memelihara kemaslahatan awam. Perihal
mentaati perintah Ulil Amri ini sentiasa ditekankan oleh Allah
SWT sebagaimana di dalam al-Quran surah An-Nisa’ ayat 59
yang bermaksud ‘Wahai orang-orang yang beriman, taatlah
kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan
kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan
kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan)
dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu
mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan
(Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan
hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan
lebih elok pula kesudahannya.’

107

Dalam konteks pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di
Wilayah Persekutuan, arahan yang berkaitan telah dikeluarkan
mengambilkira perkembangan semasa serta pandangan dan
persetujuan ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak
Wilayah Persekutuan. Justeru, semua aktiviti di masjid dan surau
termasuk solat berjemaah juga adalah ditangguhkan sementara
waktu. Walaubagaimanapun laungan azan tetap
dikumandangkan sebagai syiar Islam serta menandakan
ketibaan waktu solat di samping menyeru agar orang ramai
menunaikan solat di rumah dan tempat masing-masing
sebagaimana panduan hukum yang telah dijelaskan.

Sesungguhnya, bagi seorang muslim, tempoh masa ini
seharusnya mengingatkan kita kembali terhadap hikmah wabak
penyakit yang menjadi ujian dan peringatan daripada Allah SWT
kepada umat manusia. Allah SWT telah berfirman dalam al-
Quran surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud ‘Demi
sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit
perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai)
kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta
benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira
kepada orang-orang yang sabar.’

Selain ujian, sebahagian daripada bencana yang melanda
kehidupan adalah disebabkan kelalaian dan kealpaan manusia
sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Ruum ayat 41

108

yang bermaksud ‘Telah timbul berbagai kerosakan dan bala
bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah
dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian)
kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari
balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan,
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).’

Setiap ujian atau bencana yang hadir dalam kehidupan manusia
adalah untuk ia kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT
yang menciptakannya dengan melaksanakan sebanyak
mungkin amalan ibadah. Doa dan Zikir kepada Allah SWT
adalah merupakan amalan yang paling ampuh bagi
mengelakkan diri daripada sifat panik dan tenggelam punca
sewaktu menghadapi sebarang musibah. Firman Allah SWT
dalam al-Quran yang bermaksud surah Ar-Ra’d, ayat 28 yang
bermaksud ‘(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang
tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan
"zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.’

Ketika manusia mencari jawapan dan kebergantungan kepada
kebuntuan dan kebingungan yang melanda kehidupannya,
ingatlah kembali kepada firman Allah SWT dalam al-Quran surah
al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud ‘Dan apabila hamba-
hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir
(kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang

109

berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka
menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan
hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi
baik serta betul.’

Justeru, lakukanlah amalan yang bermanfaat sepanjang tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan ini. Gunakanlah kesempatan
untuk memperbanyakkan berdoa dan berzikir serta
melaksanakan solat berjemaah di rumah bersama keluarga
tercinta. Jadikanlah ia suatu peluang untuk merapatkan
hubungan kekeluargaan dan meningkatkan perasaan mahabbah
bersama ahli keluarga. Syarahan dan kuliah agama juga masih
boleh diikuti secara atas talian melalui sumber berautoriti. Bagi
mereka yang perlu berkhidmat sepanjang tempoh ini,
laksanakanlah kewajipan dengan penuh dedikasi dan semoga
Allah SWT mengganjarinya dengan amal soleh. Manakala bagi
mereka yang perlu melakukan kerja dari rumah, laksanakanlah
dengan penuh sifat amanah demi kemaslahatan ummah. Bagi
mereka yang dikurniakan kelebihan rezeki, jadikanlah ia medan
untuk meningkatkan rasa syukur serta menginsafi golongan
yang kekurangan dan memerlukan. Jika berpeluang, ambillah
kesempatan untuk menghulurkan sumbangan serta berkongsi
rezeki bersama golongan yang memerlukan terutama pada
waktu kesempitan ini.

110

Selain itu, ikutilah segala nasihat kesihatan yang telah diberikan
oleh pihak berkuasa serta elakkan diri daripada mendedahkan
diri kepada risiko yang berbahaya. Kita berkewajipan
melaksanakan segala ikhtiar agar dihindari daripada penyakit
dan situasi yang berbahaya. Perkara ini selaras dengan firman
Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud ‘Dan
belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan)
agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri
kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil);
dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan)
perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-
orang yang berusaha memperbaiki amalannya.’

Semoga ujian yang melanda ini akan menjadikan kita muslim
yang lebih menginsafi diri, kembali dekat kepada Tuhan serta
menyucikan diri dari segala dosa. Kita semua berdoa agar Allah
SWT mengembalikan kesejahteraan dan keselamatan
berpanjangan kepada negara Malaysia yang tercinta.

111



Hargai Pengorbanan Dengan Ikhtiar Dan Berserah

Kita kini memasuki minggu yang kedua tempoh Perintah
Kawalan Pergerakan oleh kerajaan Malaysia. Ketaatan dan
kepatuhan masyarakat terhadap perintah ini amat penting demi
memastikan keadaan lebih baik dalam berhadapan dengan
pandemik ini.

Jangan pula kita menjadi masyarakat yang ingkar dengan
menyandarkan kepada alasan takdir semata-mata. Dalam ajaran
Islam adanya hukum sebab musabab. Begitu juga adanya
konsep ikhtiar dan usaha. Nabi Muhammad SAW juga
menganjurkan agar berubat bagi menyembuhkan kesakitan.
Pemahaman yang tepat terhadap konsep qada' dan qadar amat
penting kerana ia menjadi salah satu rukun iman. Perkara ini juga
bagi mengelakkan terjebak dalam pengaruh pemikiran Jabbariah
yang percaya manusia tidak mempunyai sebarang ikhtiar ke atas
dirinya.

Terdapat sebuah kisah yang masyhur mengenai Khalifah Umar
bagaimana beliau membatalkan niat untuk memasuki Negara
Syam pada waktu itu kerana tersebarnya wabak. Lalu Abu
Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir
Allah? Umar menjawab: Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah
untuk menuju kepada takdir Allah yang lain.

112

Abdul Rahman bin Auf pula berkata: Sesungguhnya aku
mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah
mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu
mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu
datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit
di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka
janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya.” [HR Bukhari
5288].

Maka antara ikhtiar yang perlu kita lakukan dalam keadaan
tersebarnya wabak Covid-19 ini adalah akur perintah kawalan
pergerakan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

Bagi orang yang beriman, kita sentiasa percaya bahawa dalam
setiap kesukaran akan ada kesenangan sebagaimana firman
Allah SWT dalam surah al-Insyirah ayat 5 bermaksud 'Oleh itu,
maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya
tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan'. Justeru orang mukmin
bersifat optimis dalam kehidupannya melalui jalan ikhtiar dan
doa kepada Allah SWT.

Sesungguhnya terkandung hikmah besar dalam setiap
ketentuanNya. Sepanjang tempoh ini kita menyaksikan banyak
pihak yang berkorban tenaga, masa, dan nyawa yang sudah
tentu menuntut kesabaran yang tinggi. Kepemimpinan negara
berusaha mencari jalan terbaik memastikan rakyat dapat

113

menjalani kehidupan dengan sejahtera di samping terhindar dari
wabak berbahaya. Petugas barisan hadapan bekorban demi
memastikan pesakit mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Ibu
bapa dan pasangan bekorban memastikan kerukunan rumah
tangga dan keluarga terpelihara. Mereka yang bekerja dari
rumah berkorban mengurus masa antara tugasan dan urusan
keluarga. Mereka yang didapati positif wabak berkorban
bertarung nyawa dan terpisah dengan ahli keluarga.

Semangat berkorban harus disuburkan dalam diri umat Islam
dan seluruh warga masyarakat. Manakala amalan menghulurkan
bantuan pula wajar diterapkan dan menjadi sifat utama orang
bertakwa dengan sentiasa berinfaq sama ada dalam keadaan
lapang mahupun kesempitan. Menghulurkan sumbangan
melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat. Ia juga
mengajar erti solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah, perdamaian,
serta keperihatinan terhadap umat.

Sifat memberi akan melahirkan umat yang memiliki sifat empati
sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan
dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama
manusia. Setiap individu perlu menyedari bahawa semua umat
Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah
ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah
al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-
orang mukmin adalah bersaudara, maka kerana itu damaikanlah

114

antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya
kamu mendapat rahmat.”

Justeru amat wajar bagi kita merenung kembali peranan masing-
masing yang telah dilaksanakan selama ini agar lebih dihargai.
Peranan suami isteri dalam menguruskan keluarga, pemimpin
dalam menguruskan negara, dan petugas barisan hadapan
dalam memastikan masyarakat sejahtera. Kita juga harus
menginsafi nikmat kebebasan bergerak, bekerja dan hidup
dalam negara yang aman dan merdeka, nikmat kesihatan, serta
nikmat kemudahan menunaikan solat secara berjemaah di
masjid dan surau dengan aman.

Marilah kita bersoladariti dengan segala cabaran yang dihadapi
dalam saat getir ini. Hidupkan amalan cakna kepada kesukaran
dan saling bertolong bantu meringankan beban. Dalam konteks
Wilayah Persekutuan, inisiatif Musaadah Covid19 melalui
sumbangan JAWI Food bank dan gabungan masjid dan surau
Jumaat di Wilayah Persekutuan telah dilaksanakan bagi
meringankan beban dan memberikan dorongan semangat
kepada petugas barisan hadapan dan masyarakat yang terkesan
dengan situasi ini.

Kita berdoa agar semua terus diberikan kekuatan mengharungi
ujian ini dan semoga keadaan kembali pulih sedia kala serta kita
menjadi muslim yang lebih baik dalam kehidupan.

115



Rawat Hati Gelisah

Manusia secara tabiatnya sering bersifat keluh kesah apabila
dilanda kesusahan dalam kehidupan. Perkara ini dijelaskan oleh
Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ma'arij ayat 19-20 yang
bermaksud 'Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah
gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia
sangat resah gelisah'.

Terdapat pelbagai situasi yang menyumbang serta
menambahkan lagi perasaan resah gelisah dalam kehidupan.
Mungkin ia berpunca daripada konflik dan tekanan dalam
keluarga dan rumah tangga, tempat kerja, serta musibah yang
melanda termasuk situasi getir seperti wabak Covid-19 yang
sedang kita hadapi. Perasaan ini sekiranya gagal dikawal akan
menyebabkan tekanan dan kemurungan sehingga sanggup
melakukan pelbagai tindakan yang membahayakan diri serta
orang lain. Bahkan dalam sesetengah situasi, tekanan yang tidak
dapat dikawal akhirnya menyebabkan individu mengambil jalan
singkat dengan membunuh diri. Baru-baru ini media melaporkan
tentang seorang menteri di Jerman yang dijumpai maut
dipercayai akibat membunuh diri ekoran kebimbangan
melampau terhadap wabak Covid-19 dalam menangani krisis
ekonomi.

116

Statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
mendedahkan penyakit mental mengalami trend peningkatan
yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat
Malaysia. Justeru masyarakat disarankan agar menjalani gaya
hidup yang sihat dan seimbang mengambil kira keperluan fizikal,
mental, sosial dan spiritual.

Dalam konteks kehidupan seorang muslim, kita harus kembali
kepada pendekatan kerohanian dan spiritual bagi menghadapi
perasaan resah gelisah melalui proses penyucian jiwa. Manusia
menurut pandangan Imam al-Ghazali terdiri daripada komponen
jasmani dan rohani. Justeru aspek keagamaan perlu diterapkan
dalam pembangunan jiwa dan spiritual seseorang kerana ia
berperanan dalam pembentukan perilaku, tindakan dan
keputusan bagi seseorang manusia.

Amalan yang pertama yang perlu dilaksanakan dalam penyucian
jiwa ialah melalui taubat kepada Allah SWT. Taubat perlu
dilaksanakan dengan menginsafi kekhilafan dan maksiat yang
telah dilakukan serta disusuli dengan tindakan menggantikan
perlakuan dosa dengan perbuatan yang diperintahkan Allah
SWT.

Amalan yang kedua pula ialah melalui sifat sabar dan doa.
Dalam konteks agama, sabar bermaksud menerima ujian Tuhan
dalam perjuangan memperolehi keredaan Allah SWT. Individu

117

yang memiliki sifat sabar akan memiliki personaliti baik yang
menggambarkan perasaan cintanya terhadap Tuhan. Dengan
bersabar, seseorang dapat menahan diri daripada melakukan
perbuatan yang tidak rasional dan bercanggah dengan syariat
serta melakukan segala ikhtiar yang benar dalam kehidupannya.

Manakala doa adalah suatu bentuk pengabdian dan
pergantungan individu terhadap Tuhan seperti maksud firman
Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186 “Dan apabila hamba-
hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir
(kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang
berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka
menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan
hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi
baik serta betul." Setiap doa individu seharusnya dilakukan
dengan bersungguh-sungguh dan yakin ia akan dikabulkan oleh
Allah SWT.

Amalan seterusnya ialah melalui sifat berharap hanya kepada
Allah SWT iaitu melalui sifat optimis individu untuk mendapat
rahmat Tuhan yang disediakan kepada hamba-hambanya yang
soleh. Sifat berharap adalah berlawanan dengan sifat berputus
asa. Individu yang mempunyai sifat berputus asa adalah individu
yang dianggap putus hubungan dengan Allah SWT. Muslim yang
baik tidak sepatutnya hilang rasa optimis dan kepercayaan

118

terhadap rahmat Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran surah
Yusof ayat 87 yang bermaksud “Wahai anak-anakku! Pergilah
dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya
(Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta
pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat
dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Selain daripada meningkatkan amalan kerohanian, kita juga
disaran mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan dan
para kaunselor bertauliah dalam menghadapi situasi resah
gelisah. Mengambil ibrah peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW,
ketika bersembunyi di dalam Gua Thur buat sementara daripada
buruan kaum Musyrikin Makkah, Rasulullah SAW menyuntik
kata-kata semangat kepada Abu Bakar dengan pesanan: La
tahzan Innallaha Ma’ana bermaksud: “Janganlah bersedih
kerana Allah bersama kita.” Dalam situasi terkini wabak Covid-
19 yang melanda negara, terdapat pelbagai kemudahan yang
disediakan secara atas talian bagi mendapatkan nasihat
mendepani saat yang tidak menentu ini.

Justeru amat penting bagi semua masyarakat menghayati
saranan yang diberikan terutama dalam menghadapi tempoh
getir ini agar perasaan resah dan gelisah dapat dirawat
seterusnya dijauhkan dari hati.

119


Click to View FlipBook Version