Pengimarahan Masjid Pasca Covid-19
Institusi masjid kembali menjadi perhatian orang ramai apabila
solat berjemaah dan aktiviti pengimarahan yang lain terpaksa
ditangguhkan susulan wabak Covid-19 yang melanda negara.
Namun, perkembangan mutakhir ini mengembalikan semula
sepenuhnya fungsi dan peranan masjid dalam masyarakat.
Walaupun masjid ditutup ketika awal tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP), tetapi program-program masjid menyantuni
masyarakat dan komuniti setempat yang terkesan dan
memerlukan tetap dilaksanakan di samping cabaran yang
dihadapai oleh institusi masjid sendiri untuk kekal mandiri
lantaran kekangan aktiviti penjanaan ekonomi dalam tempoh
PKP.
Bagi meningkatkan momentum pengimarahan masjid-masjid
terutamanya pasca pandemik Covid-19, suatu Pelan
Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024
telah dibangunkan cetusan idea Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapannya beliau
menegaskan “Bagi menghidupkan dan menyemarakkan lagi
peranan dan fungsi masjid khususnya di Wilayah-Wilayah
Persekutuan, Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah
Persekutuan 2020-2024 dibangunkan bagi tujuan berkenaan.
Saya ingin melihat pada zaman saya, masjid dan surau meriah
dengan jemaahnya serta hidup dengan majlis ilmunya.”
203
Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) Tahun 1993 [Akta 505] menyebut dengan jelas
tentang pengurusan masjid di Wilayah Persekutuan menerusi
Seksyen 72 sehingga Seksyen 83 Akta ini. Di bawah naungan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
(MAIWP) sebagai pembuat dasar dalam mentadbir Masjid dan
Surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan
Labuan manakala Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(JAWI) sebagai pelaksana memainkan peranan penting dalam
mengurus dan mentadbir masjid-masjid termasuk surau-surau di
Wilayah Persekutuan.
Justeru inisiatif untuk membangunkan Pelan Pengimarahan
Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan yang bersifat dinamik
adalah sangat penting dalam memastikan peranan masjid
sentiasa relevan dan memenuhi keperluan semasa. 5 teras
utama yang digariskan dalam pelan tersebut iaitu ibadah,
dakwah, pendidikan dan keilmuan, sosial, komuniti dan alam
sekitar serta ekonomi amat bertepatan dalam merealisasikan
peranan masjid sebagai institusi penyatuan ummah.
Pelan ini akan mewujudkan landskap baharu program
pengimarahan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah
Persekutuan bagi memastikan peranan dan fungsi masjid dan
surau dapat digerakkan dengan sebaik mungkin. Pelan
204
pengimarahan ini akan dilaksanakan melalui inisiatif jangka
masa pendek dalam tempoh enam (6) bulan iaitu bermula Julai
hingga Disember 2020 dan jangka masa panjang 2021 - 2024.
Pelan tersebut digubal oleh sebuah panel khas yang dianggotai
oleh mantan-mantan pegawai kanan sektor agama serta individu
yang berpengalaman dalam bidang perancangan strategik
melalui sesi Round Table Discussion (RTD) dan sumbang saran
serta beberapa siri bengkel bagi mendapatkan input-input yang
diperlukan.
Sebanyak 17 strategi telah digariskan, dengan 34 program yang
meliputi pelbagai golongan sasaran. Daripada 34 program yang
dicadangkan, terdapat 5 buah program berimpak tinggi yang
diberikan fokus untuk dilaksanakan dalam jangka masa enam
bulan. Program-program tersebut ialah Ihya’ Subuh meliputi
kempen solat subuh berjemaah di masjid dengan
mempelbagaikan aktiviti bagi menarik jemaah ke masjid dengan
melibatkan tokoh dan selebriti, Kuliah Subuh Perdana, Sarapan
Pagi, Riadah dan Cuci-Cuci Masjid.
Program Shoutul Masjid iaitu inovasi sistem penyampaian
dakwah melalui media interaktif, masjid mesra jemaah, serta
mewujudkan pusat dakwah domestik dan antarabangsa melalui
aktiviti Konti Masjid Interaktif, Mosque Online News, Mosque to
Mosque, dan Masjid Pelancongan.
205
Program Pondok Masjid meliputi aktiviti penghayatan Al-Quran,
Kitab-kitab Turath serta ilmu-ilmu kontemporari, antaranya
Kursus Pengajian Al-Quran, Pembelajaran kitab-kitab Turath,
Kursus Bermodul dan Kelas Bersijil (Kelas tambahan/Kemahiran
TVET/Kemahiran Bahasa).
Program MosqueCare meliputi aktiviti menyantuni masyarakat
setempat dan membela golongan yang kurang berkemampuan
dengan mewujudkan program Masjid Prihatin, Dapur It’am,
Tabung Musaadah, dan Haqqul Jar.
Program Bazar@masjid meliputi aktiviti memperkukuhkan
masjid mandiri dari segi keupayaan kewangan dan ekonomi
seperti Jualan Mesra Masjid, Preloved@Masjid, dan
CarbootSale@Masjid.
Pelan ini mensasarkan peningkatan jumlah jemaah serta
program-program keilmuan bermodul untuk diperluaskan. Selain
itu, program dakwah melalui media baharu perlu menjadi pilihan
utama masjid-masjid serta kepentingan institusi penting umat
Islam ini mempunyai sumber ekonomi yang kukuh hasil aktiviti
ekonomi yang lebih agresif. Pelan ini dapat dijadikan rujukan
rangka kerja dan panduan yang komprehensif dalam menjadikan
masjid-masjid di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai model
masjid terunggul yang boleh dijadikan sebagai penanda aras
kepada institusi masjid yang terdapat di seluruh negara. Impian
206
yang ingin dicapai melalui pelan ini ialah agar masjid-masjid di
Wilayah Persekutuan dapat diimarahkan dengan maksimum
melibatkan pelbagai peringkat ahli kariah dan komuniti.
Syiar kehebatan masjid-masjid di tengah perbandaran pesat
yang mempunyai komposisi kariah yang unik akan lebih
terserlah dan menampilkan keunggulan yang luar biasa.
Institusi-institusi masjid akan menjadi penggerak dan pemangkin
ketamadunan ummah serta pusat untuk menyantuni masyarakat
tanpa mengira latar belakang dan warna kulit selain bertindak
sebagai pusat pembangunan rohani.
Semua usaha ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
bahawa “Jadikan masjid ini sebagai tempat bagi pembinaan dan
penyuburan perpaduan. Beta yakin, pengunjuran program-
program keagamaan dan kemasyarakatan di masjid selain dari
solat berjemaah yang dilaksanakan, menjadi salah satu kaedah
untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan umat Islam.
Beta menegaskan, bahawa perpaduan di kalangan umat Islam
amat penting dan perlu dipelihara kerana ia adalah tuntutan
agama.”
207
Amalan Bersedekah Serlah Solidariti Ummah
Di dalam kehidupan bermasyarakat, setiap manusia saling
memerlukan di antara satu sama lain bagi meneruskan
kelangsungan kehidupannya. Allah SWT telah menciptakan
manusia dengan kepelbagaian latar belakang bagi tujuan saling
mengenali dan melengkapi keperluan masing-masing. Justeru
setiap insan harus memiliki sifat prihatin terhadap sesama
manusia agar dapat saling membantu atau berta'awun di antara
satu sama lain.
Sifat prihatin terhadap keperluan dan kesukaran yang dialami
oleh orang lain harus ditanam dan disemai dalam masyarakat.
Allah SWT memerintahkan hambanya untuk saling tolong
menolong dan bantu membantu sebagaimana firmanNya dalam
surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud “Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan
janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah,
kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi
sesiapa yang melanggar perintahNya).”
Amalan menghulurkan bantuan wajar diterapkan dan menjadi
sifat utama orang bertakwa dengan sentiasa berinfaq sama ada
dalam keadaan lapang mahupun kesempitan. Menghulurkan
sumbangan melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat.
208
Ia juga mengajar erti solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah,
perdamaian, serta keperihatinan terhadap umat.
Sifat memberi akan melahirkan umat yang memiliki sifat empati
sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan
dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama
manusia. Setiap individu perlu menyedari bahawa semua umat
Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah
ketakwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah
al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-
orang mukmin adalah bersaudara, maka kerana itu damaikanlah
antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya
kamu mendapat rahmat.”
Selaras dengan asas ini, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al Bakri,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
telahpun menginisiatifkan program MusaadahCovid19 yang
melibatkan kerjasama semua agensi agama. Inisiatif ini
dilaksanakan bagi meringankan beban dan memberikan
dorongan dalam usaha mengurangkan impak wabak ini terhadap
aspek kesihatan, sosial dan ekonomi masyarakat. Komitmen
seluruh agensi agama di dalam inisiatif ini adalah demi
memastikan sekurangnya ada makanan di atas meja dalam
setiap rumah pada tempoh getir sepanjang Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP).
209
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui
JAWI Food Bank dengan kerjasama Masjid-Masjid dan Surau-
Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan serta rakan strategik telah
menyahut saranan ini dengan melaksanakan inisiatif
memberikan sumbangan dan bantuan kepada petugas barisan
hadapan Covid19 seperti Hospital, Klinik Kesihatan, Polis,
petugas stesen penyiaran serta Rakan Jalanan (gelandangan)
dan ahli kariah yang terjejas dan memerlukan sepanjang tempoh
PKP. Inisiatif tersebut bermula melalui kerjasama JAWI Food
Bank dan Restoran Ali Maju yang menyumbangkan makanan
kepada petugas barisan hadapan Covid-19 di Pusat Perubatan
Universiti Malaya (PPUM) pada 19 Mac 2020.
Bantuan dan sumbangan di bawah inisiatif ini dihulurkan bukan
sahaja kepada warga negara tetapi juga diperluaskan kepada
bukan warga negara Malaysia. Bantuan juga dihulurkan tanpa
mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya. Usaha
menyantuni segenap lapisan masyarakat ini adalah bagi
melunaskan hak-hak insan dalam kehidupannya sebagaimana
tuntutan agama.
Sehingga September 2020, JAWI Food Bank telah mengagihkan
sejumlah 339,870 pek makanan bermasak (ready to it) dan 4,724
barangan keperluan asas dengan jumlah kos RM 2,400,820.00
kepada golongan penerima yang terdiri daripada Petugas
Barisan Hadapan, Rakan Jalanan (Gelandangan), Asnaf, Orang
210
Bukan Islam, Warga Asing, Orang Kurang Upaya (OKU), dan
Golongan B40.
Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh menghulurkan bantuan dalam
kapasiti dan kemampuan masing-masing bagi meringankan
bebanan yang dihadapi. Dalam hal ini, terdapat sebuah hadis
daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa
Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara
terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan
tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan
hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan
hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang
Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya
pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim,
maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”
(Hadith riwayat al-Bukhari, No.2442, 6901, Muslim, No.2580).
Justeru, menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap Muslim
membantu dan meringankan beban apabila ada di antara
Muslim yang ditimpa musibah serta kesulitan. Orang yang
berbuat demikian, Allah SWT akan memperkenankan hajatnya.
211
Walimatulurus Dalam PKPP
Antara berita yang sering ditunggu-tunggu oleh ramai pihak
sepanjang mengikuti perkembangan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) mendepani Covid-19 ini termasuklah
berkaitan kebenaran mengadakan majlis akad nikah dan resepsi
perkahwinan. Perkahwinan hakikatnya adalah suatu ibadah
dalam Islam. Ia dianjurkan bagi memelihara sekurang-kurangnya
salah satu daripada maqasid syariah iaitu memelihara nasab dan
keturunan.
Perkahwinan juga disyariatkan bagi mengurus keperluan
semulajadi manusia selaras dengan tuntutan agama. Firman
Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud “Dan tiap-tiap jenis
Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati
(kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).” (Surah al-Dzariyat
ayat 49). Perkahwinan adalah dituntut apabila seseorang itu
berkemampuan dari segi fizikal dan mental serta bimbang jika
dirinya akan terjerumus dalam perbuatan dosa dan maksiat. Ia
bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang
bermaksud “Wahai anak muda. Sesiapa daripada kamu yang
mampu untuk berkahwin, hendaklah dia berkahwin.
Sesungguhnya ia akan menundukkan pandangan dan
memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah
dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu adalah perisai.” (Sahih
Muslim, Kitab an-Nikah).
212
Tujuan perkahwinan dalam Islam adalah supaya dapat
melaksanakan tanggungjawab dan peranan secara adil dan
saksama bukan untuk menyakiti dan menganiayai pasangan.
Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Nisa’ ayat 3 yang
bermaksud “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap
perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan
mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu
berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau
empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di
antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang
sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu
miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah)
supaya kamu tidak melakukan kezaliman”.
Perkahwinan melatih individu membangunkan sifat
kepemimpinan dalam diri, memupuk rasa kebersamaan dalam
menghadapi cabaran rumahtangga, menjadikan suami dan isteri
semakin matang dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar
dengan karenah pasangan dan anak-anak serta saling
membantu dalam usaha mencari nafkah keluarga.
Perkahwinan yang didirikan atas asas syariat akan mewujudkan
suatu ikatan kekeluargaan yang kukuh, mantap dan berkekalan
berteraskan kasih sayang dan rahmat Allah SWT sebagaimana
maksud ayat al-Quran "Dan di antara tanda-tanda yang
213
membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa Ia
menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari
jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup
mesra dengannya. Dan dijadikanNya di antara kamu (suami
isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi keteranganketerangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".
(Surah al-Rum : 21).
Menganjurkan kenduri kahwin atau walimatulurus juga adalah
suatu tuntutan syariat. Ia adalah jamuan yang menjadi tuntutan
agama dan bukan sekadar suatu upacara, adat atau budaya
semata-mata. Sebahagian ulama berpendapat hukum
mengadakannya adalah sunat muakkad berdasarkan sabda
Nabi Muhammad SAW kepada Abdul Rahman bin Auf sewaktu
beliau berkahwin bermaksud “Hendaklah kamu mengadakan
walimah walaupun dengan seekor kambing." Walimah itu adalah
jamuan makan yang diadakan kerana menerima khabar gembira
tentang perkahwinan. Ia juga dilaksanakan untuk menzahirkan
rasa syukur serta menghebahkan berita berkenaan kepada
saudara mara, sahabat handai dan masyarakat setempat. Para
tetamu yang hadir juga dituntut agar mendoakan pasangan
pengantin dengan kebaikan seperti hadis riwayat Abu Hurairah
RA bahawa Nabi Muhammad SAW apabila mengucapkan
tahniah kepada pengantin, baginda akan menyebut: Semoga
Allah memberkatimu, mengurniakan keberkatan kepadamu, dan
214
mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan. (Jami' at-Tirmizi,
Kitab an-Nikah).
Namun begitu, kenduri kahwin atau walimatulurus yang paling
baik hendaklah dilakukan secara sederhana tidak sampai
terjerumus dalam permasalahan hutang yang serius serta
berlaku pembaziran yang amat dikeji oleh Islam. Perbuatan
tersebut hanya akan membebankan pasangan berkenaan serta
keluarga kedua-dua belah pihak pada masa hadapan. Sekiranya
panduan dan nasihat agama dalam penganjuran walimah ini
dipatuhi, perkara lain yang lebih utama serta perancangan masa
hadapan dalam melayari bahtera rumah tangga akan dapat
dilakukan dengan lebih tenang. Keadaan ini akan memberi
kesan dan impak yang amat baik kepada pasangan dalam
menjalani kehidupan berumahtangga.
Sepanjang tempoh PKP ini, Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI) telah mengeluarkan beberapa garis
panduan dan inisiatif bagi memudahkan urusan perkahwinan
masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan. Pada
peringkat awal PKP dilaksanakan, majlis akad nikah secara
sidang video telah dibenarkan melalui ketetapan dan syarat
tertentu. Selain itu, Ujian Pemahaman Secara Dalam Talian
telah diadakan sebagai alternatif sementara dalam tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagai ganti
kepada Kursus Pra Perkahwinan Islam. Manakala bakal
215
pengantin di Wilayah Persekutuan akan diberi kelonggaran
untuk mengikuti kursus Pra Perkahwinan secara dalam talian
mulai Julai depan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan
Pemulihan (PKPP). Pasangan yang bakal mendirikan rumah
tangga akan diberi pilihan sama ada menghadiri kursus secara
fizikal atau dalam talian bagi menyokong amalan penjarakan
sosial dan mengelak perhimpunan ramai. Selain itu, khidmat
nasihat dan runding cara kekeluargaan turut ditawarkan melalui
medium atas talian bagi memastikan kerukunan rumah tangga
yang telah dibina sentiasa terpelihara.
Kebenaran yang diumumkan oleh kerajaan bagi penganjuran
majlis resepsi perkahwinan sudah pasti suatu berita yang
dinanti-nantikan. Namun perkara yang lebih utama adalah
tanggungjawab semua pihak untuk terus mematuhi segala SOP
yang telah ditetapkan serta mengikuti panduan syariat dalam
penganjuran majlis agar perkahwinan mendapat keberkatan.
216
Kembalikanlah Sifat Qawwam
Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan supaya saling
melengkapi di antara satu sama lain bagi melahirkan ummah
yang harmoni dan sejahtera. Perkara ini dijelaskan melalui
firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 1 yang
bermaksud “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada
Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri
yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu
pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari
keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai.
Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta
dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan
(silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah
sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
Kaum lelaki mempunyai ciri-ciri khusus dan tanggungjawab
fitrahnya sebagai pelindung kepada kaum wanita dan menjadi
pemimpin yang berwibawa. Hal ini ditegaskan melalui firman
Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang
bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana
Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa
keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana
orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah)
sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan
217
yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan
yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib
dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan
pemuliharaan Allah dan pertolonganNya.”
Istilah Qawwam berasal dari perkataan Qaim yang bermaksud
bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan,
mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela.
Seseorang yang qawwam adalah orang yang memiliki
sifat qaim secara berterusan, iaitu berterusan mengambil berat,
bertanggungjawab, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin,
memimpin, mengawal dan membela kaum wanita. Berdasarkan
ayat al-Quran tersebut Allah SWT juga telah menerangkan salah
satu ciri qawwam iaitu memberi nafkah kepada anak dan isteri.
Tugas seorang lelaki yang qawwam ialah melindungi
keluarganya daripada sebarang bahaya di dunia dan akhirat
serta tidak mengabaikan keluarga.
Tanggungjawab lelaki sebagai ketua yang paling utama adalah
memelihara ahli keluarga daripada perbuatan dosa dan maksiat
seperti firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6 yang
bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri
kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan
bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan
dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya);
mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang
218
diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan.”
Di dalam sebuah hadis riwayat Ahmad Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud “Tiga yang telah Allah haramkan
baginya syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada
ibu bapa dan si dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh
ahli keluarganya." Berdasarkan hadis tersebut, kita dapat
memahami bahawa dayus bermaksud si suami atau bapa yang
langsung tiada perasaan risau dan mengambil endah perbuatan
maksiat yang dilakukan oleh ahli keluarganya.
Manakala di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas
bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku ingin
menceritakan satu perkara yang telah aku dengar daripada
Rasulullah SAW yang tidak memberitahu kepada seorang pun
melainkan aku. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya sebahagian daripada tanda-tanda hari Kiamat
ialah akan diangkat ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan,
ramai yang minum arak, sedikitnya lelaki dan ramainya wanita
sehingga mencapai lima puluh perempuan berbanding satu
lelaki”.
Justeru tugas dan peranan kaum lelaki kini lebih teruji
mendepani pelbagai cabaran sosial dan ekonomi semasa. Ujian
getir penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan
219
negara misalnya, memberi tamparan kepada para lelaki di dalam
melaksanakan tugas sebagai pemimpin rumahtangga untuk
memastikan kelangsungan kehidupan keluarga terpelihara.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu,
tanggungjawab kaum lelaki benar-benar teruji apabila segelintir
daripadanya melalui pengalaman pertama kali mengimamkan
solat berjemaah di rumah serta mengetuai bacaan takbir dan
khutbah Hari Raya. Bahkan pelbagai gelagat lucu yang
ditularkan berkaitan aksi pertama kali sesetengah lelaki keluar
bersendirian ke pasar membeli barang keperluan harian.
Sebahagian besar kaum lelaki berperanan sebagai petugas
barisan hadapan dalam tempoh pandemik yang melanda.
Sebahagian yang lain terpaksa melakukan pelbagai jenis
pekerjaan seperti penjual jeruk manga di tepi jalan serta
penghantar makanan yang berhujan dan berpanas di bawah
terik matahari bagi mencari rezeki untuk anak dan isteri. Suatu
ketika, pernah tular berita tentang kegigihan seorang bapa muda
yang terpaksa membesarkan anak kembarnya sendirian setelah
kematian isterinya.
Semua gambaran ini memperlihatkan dedikasi kaum lelaki di
dalam melaksanakan tanggungjawab yang saban hari semakin
mencabar. Tugasan tersebut amat memerlukan kekuatan fizikal,
mental, dan rohani. Berdasarkan statistik di Malaysia, jangka
hayat lelaki adalah lima hingga enam tahun lebih pendek
220
berbanding wanita, di mana seorang bayi lelaki yang dilahirkan
pada tahun 2018 boleh hidup sehingga usia 72.7 tahun
berbanding bayi perempuan yang boleh hidup sehingga 77.6
tahun. Lelaki didapati mempunyai tahap kesihatan yang lebih
rendah berbanding wanita dan terdedah kepada pelbagai risiko
penyakit. Merujuk Pelan Kesihatan Lelaki Kebangsaan, kes
kesihatan mental dalam kalangan lelaki adalah tinggi tetapi
kerap tidak dikesan kerana lelaki tidak menunjukkan simptom
dan tanda kepada masyarakat. Lelaki lebih cenderung untuk
menyendiri dan tidak berkongsi lalu melepaskan rasa atau
kesedihan mereka melalui perkara lain seperti melakukan
keganasan, mengambil alkohol, dadah atau membunuh diri.
Justeru amat penting bagi kaum lelaki untuk menitikberatkan
aspek kesihatan dari pelbagai sudut bagi membolehkan peranan
sebagai qawwam dilaksanakan. Teladani keperibadian nabi
Muhammad SAW sebagai suami, bapa, ketua keluarga, ketua
negara dan panglima dalam peperangan. Selain daripada
menyantuni ahli keluarga, baginda paling kuat beribadah dan
berdoa di malam hari bagi memperoleh kekuatan di dalam
peperangan yang dipimpinnya. Catatan sirah merekodkan
bahawa sebelum sesuatu pertempuran bermula, Nabi
Muhammad SAW menghabiskan banyak waktu untuk berdoa.
Ibnu Katsir menggambarkan keadaan Rasulullah SAW, pada
malam perang Badar baginda melakukan solat dekat sebatang
pohon. Dalam sujudnya baginda Nabi Muhammad SAW
221
membasahi lisannya dengan kalam, ‘Ya Hayyu, Ya Qayyum,’
dan baginda mengulangi ucapan itu. Dalam solat tahajudnya,
baginda menangis, tersendu sambil berdoa terus menerus
memohon bantuan dan pertolongan kepada Allah SWT.
Ketibaan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 2020
dengan tema ‘Kita Jaga Keluarga’ pada tahun ini sekurang-
kurangnya mengajak kita kembali mengingati tanggungjawab
besar yang dipikul oleh para lelaki terutama di dalam
memastikan kelestarian keluarga. Mempertahankan keluarga
terutama di dalam memelihara agama diberikan ganjaran yang
besar walau terpaksa bermatian kerananya. Sabda Nabi
Muhammad SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud
“Siapa yang terbunuh kerana melindungi hartanya, dia adalah
seorang syahid. Sesiapa yang terbunuh kerana melindungi
keluarganya, dia adalah seorang syahid. Sesiapa yang dibunuh
kerana melindungi agamanya, dia adalah seorang syahid. Siapa
yang terbunuh kerana melindungi dirinya, dia adalah seorang
syahid.” (Sunan al-Nasaie (4095)
Jadikanlah doa dan munajat sebagai kekuatan paling ampuh di
dalam mengembalikan fungsi dan peranan kaum lelaki sebagai
qawwam di dalam masyarakat mendepani pelbagai badai yang
melanda.
222
Doa Senjata Mukmin Paling Ampuh
Doa hakikatnya mengandungi pengakuan seseorang hamba
tentang kelemahan dan kekurangan dirinya. Imam Al-Ghazali
menyatakan bahawa doa merupakan tatacara yang harus dilalui
dalam menggapai sesuatu harapan, terutama berkaitan perkara
ghaib dari Allah SWT. Justeru kita dianjurkan untuk berdoa
memohon agar segala urusan kehidupan dipermudahkan dan
menepati tuntutan syariat Islam. Doa sebaik-baiknya dipanjatkan
dengan perasaan rendah hati seperti firman Allah SWT di dalam
Al-Quran surah Al -Anbiya ayat 90 yang bermaksud "Maka Kami
perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya)
Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul,
(untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai
ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya
mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan,
dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta
gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat)
kepada Kami." Begitu juga firman Allah di dalam surah Al -A'raf
ayat 55 yang bermaksud "Berdoalah kepada Tuhan kamu
dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
melampaui batas."
Doa adalah suatu bentuk pengabdian dan pergantungan individu
kepada Allah SWT sebagaimana maksud firman Allah di dalam
223
surah al-Baqarah ayat 186 "Dan apabila hamba-hambaKu
bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa
apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut
seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah
mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta
betul."
Setiap doa individu seharusnya dilakukan dengan bersungguh-
sungguh, penuh pengharapan dan perasaan yakin bahawa ia
akan dikabulkan oleh Allah SWT. Perasaan penuh pengharapan
bermaksud sifat optimis individu untuk mendapat rahmat Tuhan
yang disediakan kepada hamba-hambanya yang soleh. Harapan
atau raja' yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali juga ialah
sifat individu yang beramal soleh, membersihkan diri dari sifat-
sifat yang buruk dan seterusnya mengharapkan nikmat dan
rahmat Allah sehingga akhir hayat serta baik kesudahannya
(husn al-khatimah). Sifat harap adalah berlawanan dengan sifat
putus asa. Individu yang mempunyai sifat putus asa adalah
individu yang dianggap putus hubungan dengan Allah SWT.
Orang mukmin tidak sepatutnya hilang rasa optimis dan
kepercayaan terhadap rahmat Allah SWT yang Maha Pengasih
dan Penyayang.
224
Antara adab-adab utama dalam berdoa adalah seseorang
perlulah meminta kepada Allah SWT dalam keadaan dirinya
bersangka baik dengan-Nya dan juga perasaan takut dari doa
tertolak. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu
Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda bermaksud "Berdoalah
kamu kepada Allah dalam hal keadaan kamu yakin dengan
penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak
menerima doa daripada hati orang yang lalai. (Hadis riwayat al-
Tirmizi (3479).
Doa hendaklah dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah SWT
sebelum meminta sebarang hajat. Hal ini sebagaimana
digambarkan di dalam doa yang dilafazkan melalui surah al-
Fatihah. Ia berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Hurairah
bahawa Rasulullah SAW menceritakan berkenaan bacaan al-
Fatihah di dalam solat. Lalu Allah SWT membahagikan solat
kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-
Nya. Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada
ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima kepada Allah SWT.
Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan
atau doa.
Kita juga perlu mengelak dari melakukan amalan yang
menyebabkan doa tertolak misalnya terlibat dalam perbuatan
yang haram. Daripada Abu Hurairah RA berkata : "...Kemudian
Nabi Muhammad SAW menceritakan tentang seorang lelaki
225
yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga
rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat
tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai
Tuhanku.” Padahal, makanannya dari barang yang haram,
minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan
diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan
memperkenankan doanya?” (Hadis riwayat Muslim).
Kita juga ditegah dari mendoakan perkara buruk, dosa dan
mungkar, berdoa memutuskan silaturrahim serta tergesa-gesa
dan putus asa dalam berdoa. Nabi Muhammad SAW bersabda
yang bermaksud "Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan
selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa ataupun untuk
memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang
sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan
dengan terburu-buru?" Rasulullah SAW menjawab "Yang
dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang
berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa,
tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa
dan tidak pernah berdoa lagi" (Hadis riwayat Muslim).
Berdoa juga tidak harus dilakukan dalam keadaan lalai dan tidak
yakin ia dimakbulkan. Daripada Abu Hurairah RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda bermaksud "Berdoalah kepada Allah
dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan.
Dan ketahuilah bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan
226
doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa" (Hadis riwayat
al-Tirmizi).
Semenjak negara dilanda penularan wabak Covid-19, saban
waktu kita diseru agar memperbanyakkan berdoa memohon
pertolongan dan perlindungan dari Allah SWT agar rantaian
wabak berkenaan segera dihentikan. Di Wilayah Persekutuan
walaupun surau dan masjid ditutup ketika awal tempoh Perintah
Kawalan Pergerakan, namun seluruh masjid menganjurkan
Wilayah Persekutuan Bermunajat melalui 3 orang petugas
masjid yang dibenarkan serta disiarkan secara langsung di
facebook masjid-masjid. Berdasarkan perkembangan terkini
Covid-19 di dalam negara, Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI) berterusan menyarankan agar masjid dan
surau melaksanakan solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah
memohon segala urusan dipermudahkan. Bahkan doa dan
munajat turut dianjurkan sempena ketibaan Maulidur Rasul SAW
baru-baru ini. Terkini saranan mengadakan solat Hajat dan
munajat pada setiap malam termasuk di kediaman masing-
masing agar kita semua terus menerus menyandarkan
kebergantungan kepada Allah SWT di samping segala ikhtiar
dan usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak.
Sesungguhnya doa adalah merupakan detik paling hampir
seseorang hamba dengan Tuhan. Rayuan dan rintihan yang jujur
dan ikhlas penuh pengharapan pada saat getir pasti
227
diperkenankan oleh Tuhan sebagaimana doa dan rintihan Nabi
Muhammad SAW pada malam hari ketika mengharungi
peperangan Badar mendepani tentera musuh yang berlipat kali
ganda dari jumlah tentera muslim. Allah SWT akhirnya
menganugerahkan kemenangan kepada tentera muslimin.
228
Islam Santuni Golongan Orang Kurang Upaya (OKU)
Di antara elemen utama persaudaraan dalam Islam adalah
perasaan berkasih sayang yang merentasi batas keturunan,
warna kulit, bangsa mahupun kedudukan. Mesej penting ini
dirakamkan di dalam ayat al-Quran surah Al-Hujurat ayat 13
yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami
telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami
telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu
dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan
yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan
keadaan dan amalan kamu).”
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh,
rupa paras dan luaran kamu sebaliknya melihat kepada hati dan
amalan kamu.” (Riwayat Muslim).
Di dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kategori
masyarakat seperti negara kita Malaysia, agama Islam turut
dianuti oleh pelbagai golongan termasuk Orang Kurang Upaya
(OKU). Golongan ini lazimnya amat memerlukan pembelaan dan
pemberdayaan dalam pelbagai aspek. Ajaran Islam tidak
229
membezakan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna
ataupun memiliki kelainan upaya dan kekurangan. Malahan hak
golongan tersebut untuk mendapatkan peluang mempelajari
agama serta mengikuti program-program dakwah boleh
dinikmati seperti masyarakat yang lain. Peluang seperti ini
penting agar golongan istimewa ini juga dapat menjadi muslim
yang mengamalkan ajaran agamanya dengan sempurna.
Dalam konteks ini, Abu Zarr al-Ghifari pernah mengadu kepada
Rasulullah SAW berkaitan kewajipan setiap insan untuk
mengeluarkan sedekah bagi dirinya dan ke atas dirinya. “Wahai
Rasulullah, bagaimana kami mahu bersedekah sedangkan kami
tidak memiliki harta? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya
sebahagian daripada pintu-pintu sedekah itu ialah takbir, zikir,
kamu menyuruh dengan perkara kebaikan, kamu mencegah
daripada kemungkaran, kamu membuang duri, tulang dan batu
dari laluan orang ramai, kamu memimpin orang buta, kamu
memperdengarkan orang pekak dan bisu sehingga mereka
memahami agama.”
Berdasarkan maksud hadis ini, masyarakat Islam harus
berperanan membantu dengan memberikan tunjuk ajar dan
membimbing golongan istimewa ini ke jalan yang diredai agar
mereka merasa dihargai dan tidak tersisih dari masyarakat.
230
Selain memberi bantuan khusus kepada golongan istimewa,
hadis riwayat Imam al-Baihaqi itu turut memberi mesej bahawa
sebagai umat Nabi Muhammad SAW, mencari ilmu dan memberi
khidmat kepada mereka yang memerlukan ialah asas kepada
kemanisan hidup bersyariat.
Selain itu, bukti Islam menyantuni golongan Orang Kurang
Upaya (OKU) dapat dilihat berdasarkan teguran Allah kepada
Rasulullah SAW di dalam al- Quran Surah Abasa. Peristiwa
tersebut berlaku apabila seorang cacat penglihatan iaitu
Abdullah Ibn Umm Maktum datang kepada Rasulullah SAW
ketika baginda dikelilingi oleh pembesar Quraisy. Mereka
sedang mengikuti ceramah dan penjelasan mengenai Islam.
Nabi pula ingin menggunakan peluang tersebut untuk menarik
mereka menganut ajaran Islam. Ketika itulah datangnya
Abdullah Ibn Umm Maktum meminta Nabi membaca dan
menyampaikan kepadanya ajaran Islam. Beliau mengulangi
permintaan tersebut kepada Nabi beberapa kali, sedang dia
sendiri tidak tahu keadaan Nabi yang sedang sibuk melayani
orang kenamaan tersebut. Nabi sendiri tidak mahu
menangguhkan perbincangannya dengan para kenamaan
Mekah berkenaan dan berpaling ke arah lain. Kemudian turunlah
ayat tersebut. Selepas peristiwa itu Rasulullah SAW sentiasa
memberikan layanan baik jika melihat beliau datang dengan
menyebut ucapan “Marhaban (selamat datang) wahai saudara
yang telah menyebabkan daku ditegur oleh Allah”. Rasulullah
231
SAW akan bertanya beliau, “Adakah apa-apa perkara yang
memerlukan pertolongan daku.”
Di dalam usaha menyantuni golongan Orang Kurang Upaya,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) misalnya
pernah menganugerahkan seorang tokoh pendakwah kepada
individu OKU pendengaran sebagai penerima Anugerah
Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun
2018. Pengiktirafan tersebut bertujuan menjadi pemangkin
semangat kepada penerima untuk terus mengembangkan
dakwah Islam dalam kalangan komuniti OKU pendengaran.
Selain itu, JAWI juga berusaha membantu penyebaran dakwah
dalam kalangan komuniti OKU pendengaran dengan
mengadakan kelas agama dan kelas pengajian al-Quran.
Kerjasama dibuat bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
bagi menganjurkan latihan kemahiran menggunakan bahasa
isyarat untuk membantu melancarkan penyebaran dakwah Islam
dalam kalangan komuniti tersebut. Beberapa buah masjid di
Wilayah Persekutuan turut menyediakan kemudahan yang lebih
selesa kepada golongan OKU. Bahkan Imam Masjid Jamek
Sultan Abdul Samad juga adalah seorang OKU penglihatan.
Agensi-agensi agama yang lain seperti JAKIM juga
menyediakan khidmat Juru Bahasa Isyarat bagi Khutbah Jumaat
dan majlis ilmu di samping tidak lupa menyantuni golongan
tersebut di dalam misi bantuan Musaadah Covid-19.
232
Tuntutan menyebarkan syiar Islam termasuk perbuatan
menyantuni golongan OKU akhirnya akan memperlihatkan
kepada kita bahawa Islam adalah agama yang sangat indah dan
syariatnya merupakan anugerah yang syumul.
233