The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Alhamdulillah. Buku ini terbit ketika manhaj Rabbani dijadikan dasar pentadbiran Islam dalam negara. Lebih 40 topik di dalam buku ini menyentuh bagaimana kepentingan thaqafah (keilmuan), ruhaniyyah (kerohanian) dan da'wah (khidmat masyarakat) dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan masyarakat.

Bantuan JAWI Food Bank, dakwah kepada golongan mualaf dan OKU, pengimarahan masjid, dakwah kreatif, tips kekayaan jiwa dan keluarga bahagia antara topik yang terkandung di dalam buku ini.

Selamat membaca !

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Rak Buku Maya Al-Busyra JAWI, 2021-02-08 10:01:06

Dakwah Tak Usah Lelah!

Alhamdulillah. Buku ini terbit ketika manhaj Rabbani dijadikan dasar pentadbiran Islam dalam negara. Lebih 40 topik di dalam buku ini menyentuh bagaimana kepentingan thaqafah (keilmuan), ruhaniyyah (kerohanian) dan da'wah (khidmat masyarakat) dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan masyarakat.

Bantuan JAWI Food Bank, dakwah kepada golongan mualaf dan OKU, pengimarahan masjid, dakwah kreatif, tips kekayaan jiwa dan keluarga bahagia antara topik yang terkandung di dalam buku ini.

Selamat membaca !

Kematian Sebagai Peringatan

Saban hari kita mendengar tentang berita kematian dalam
kehidupan. Ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19,
sehingga detik artikel ini ditulis, sebanyak 63 kes kematian akibat
jangkitan ini telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia. Kematian hakikatnya adalah lumrah kehidupan serta
rahsia Allah SWT yang tiada siapa pun mengetahuinya. Asbab
kematian itu pula berbeza-beza, tanpa mengira latar belakang
dan usia.

Kematian boleh jadi melibatkan ahli keluarga kita, saudara mara
dan rakan taulan. Baru-baru ini kita juga dikejutkan dengan
pemergian pendakwah, ustazah Shadiya Abbas yang banyak
terlibat dalam kerja-kerja dakwah dalam negara. Perkhabaran
tentang kematian menjadikan ia terasa semakin hampir dengan
kita. Tidak ada sesiapapun yang boleh melarikan diri dari
kematian. Allah SWT berfirman dalam surah al-Jumu'ah ayat 8
bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut
yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan
menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada
Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu
Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan
(serta membalasnya)".

Sebagai seorang muslim, apabila mendengar berita tentang
kematian, kita dianjurkan untuk mengucapkankan takziah,

120

berpesan dengan kesabaran dan mendoakan, menguruskan
jenazah dan mengiringi ke perkuburan serta meringankan beban
ahli keluarga yang tinggal. Dalam sebuah hadis Nabi
Muhammad SAW bersabda yang bermaksud "Buatkan untuk
keluarga Ja’far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu
(musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan
mereka. (Riwayat Abu Daud (3132).

Mengingati kematian adalah suatu tuntutan agama. Hikmah di
sebalik mengingati kematian adalah agar kita dapat
mempersiapkan diri dengan amal soleh serta memperbaiki kualiti
amalan selaras dengan tuntutan syariat. Justeru seseorang yang
mengingati kematian akan menyegerakan amal kebajikan dan
mencegah diri dari melakukan perbuatan maksiat.

Terdapat sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang menyifatkan
manusia yang mengingati kematian sebagai manusia yang
cerdik. Daripada Abu Ya'la Syaddad bin Aus RA daripada Nabi
SAW, Baginda SAW bersabda: "Orang yang cerdik (yang
berakal) adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal
untuk hari setelah kematian, sedangkan orang yang lemah
(imannya) adalah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya
dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan
mengampuninya)." (Hadis riwayat at-Tirmizi, No. Hadith : 2459).

Mereka yang menyedari betapa dekatnya jarak antara dirinya
dengan kematian, akal dan mindanya akan segera menyuruh

121

untuk bersegera berbuat baik, memperbanyakkan zikir dan
memberikan manfaat dalam kehidupan. Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud "Perbanyaklah mengingat-ingat
sesuatu yang melenyapkan semua kenikmatan, iaitu kematian,"
(Hadis riwayat at-Tirmizi). Walaubagaimanapun, mengingati
kematian bukanlah melemahkan semangat untuk hidup, bahkan
menjadikan kita berusaha menjalani kehidupan sebagai muslim
yang lebih baik.

Setiap muslim disarankan untuk sentiasa berdoa agar mendapat
kesudahan yang baik dalam kehidupan. Keadaan kematian yang
husnul khatimah atau su'ul khatimah menjadi nilaian sebenar di
sisi Allah SWT pada saat akhir amalan yang dilakukan dalam
kehidupan.

Oleh itu, berdoa untuk mendapat husnul khatimah adalah
bertepatan dengan maksud hadis Nabi Muhammad SAW yang
bermaksud “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan
kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia
dan siksaan hidup di akhirat.” [Riwayat Ibn Hibban (949)].

Dalam konteks kematian akibat wabak Covid-19 misalnya,
laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu artikel
yang diterbitkan pada 27 Mac 2020 telah menyatakan “Kami
menyimpulkan bahawa sesiapa yang meninggal dunia kerana
wabak COVID-19 ini dianggap sebagai mati syahid
sebagaimana yang telah difahami daripada Hadis-hadis yang

122

sahih. Namun, syahid yang dimaksudkan di sini ialah syahid
akhirat iaitu mendapat pahala syahid di hari akhirat kelak.”
Marilah kita semua mendoakan kesejahteraan kepada mereka
yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita serta
mempersiapkan diri bagi menghadapi saat kematian. Firman
Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 18 bermaksud "Wahai
orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan
hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia
telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat).
Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan
segala yang kamu kerjakan."

123



Mencari Hikmah Di Sebalik Kebiasaan Baharu

Kita baru sahaja dikhabarkan tentang perlanjutan tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-3
minggu ini. Perdana Menteri di dalam ucapannya tempoh hari
menyebut tentang kebiasaan baharu atau the new normal yang
perlu dihadapi sama ada semasa atau setelah tamat PKP ini.
Beliau membayangkan situasi ketibaan bulan Ramadan yang
menjelang tiba dalam keadaan kita tidak boleh ke bazar
Ramadan untuk membeli juadah berbuka seperti biasa. Kita juga
tidak boleh ke masjid untuk berterawih dan perlu menunaikannya
di rumah bersama keluarga. Bahkan kita juga mungkin tidak
boleh pulang ke kampung berhari raya seperti biasa. Ringkasnya
sesuatu yang menjadi amalan kebiasaan sebelum ini bakal
mengalami perubahan.

Perubahan adalah sesuatu yang selari dengan sifat Islam yang
dinamik atau murunah. Ajaran Islam menetapkan selain
daripada perkara pokok dan dasar yang tidak boleh berubah,
terdapat perkara ranting dan cabang yang boleh berubah
mengikut kesesuaian dan maslahah manusia seiring peredaran
masa. Perkara ini menjadikan ajaran Islam sentiasa sesuai dan
mudah untuk diamalkan. Penyesuaian terhadap perubahan
adalah bukti Islam agama yang sempurna dan relevan
sepanjang zaman.

124

Ajaran Islam mementingkan kemudahan dan tidak sesekali
menyusahkan umatnya dalam mengamalkan segala ajaran.
Justeru beberapa ketetapan khusus yang dibuat sepanjang
tempoh PKP sebelum ini seperti larangan mengadakan
sebarang aktiviti perhimpunan serta solat Jumaat di masjid
adalah mengambilkira maslahah atau kepentingan yang lebih
utama. Agama juga memberikan rukhsah dan kemudahan
beribadah dalam situasi tertentu. Firman Allah dalam surah
al-Baqarah ayat 286 bermaksud "Allah tidak memberati
seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat
pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung
dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan
berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan
kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami !
Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat
sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang
yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya
memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta
ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.
Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk
mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

Dalam melakukan sesuatu perubahan, Islam menuntut supaya
kita mengubah kebiasaan yang tidak baik serta melakukan tajdid
atau pembaharuan dalam amalan dan cara kerja bagi

125

meningkatkan kualiti peribadi dan kehidupan. Tajdid menurut
Imam Al-Ghazali perlu dimulakan dengan perubahan dalam diri
insan itu sendiri serta melaksanakan pembaharuan berasaskan
penghayatan kepada ajaran Islam yang sebenar.

Walaupun aktiviti berjemaah di masjid tidak dibenarkan, tetapi ia
masih boleh dilaksanakan di rumah bersama keluarga. Asas
pendidikan hakikatnya bermula daripada keluarga sepertimana
dinyatakan oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan, ketauladanan
merupakan pendekatan yang berkesan dalam membentuk anak-
anak secara moral, spiritual dan sosial yang bermula daripada
ibu bapa dan keluarga dalam menghayati cara hidup Islam.

Selain itu, pelbagai kebiasaan baharu boleh diamalkan dan
diteruskan sepanjang PKP ini seperti mengutamakan kebersihan
serta merancang dan berjimat dalam berbelanja. Masjid dan
surau masih diimarahkan dengan laungan azan, zikir dan
munajat serta rumah masih menjadi syurga bagi keluarga. Jika
sebelum ini kita jarang memberi, kini kita belajar untuk berkongsi.
Jika kita selalu memikirkan tentang diri sendiri, kini fikirkan juga
tentang orang lain. Jika kita tidak selalu menikmati kesihatan dan
kebebasan, belajarlah untuk lebih menghargainya. Jika kita
jarang mengaji di rumah, rajinkanlah mengaji sendiri atau
bersama keluarga. Jika kita tidak selalu mengimamkan solat di
rumah, mulakanlah. Jika kita terpaksa bekerja dari rumah,
lakukankanlah dengan penuh amanah.

126

Kebiasaan baru seperti ini bakal menjadikan kita muslim yang
lebih baik. Hakikatnya, ujian dalam kehidupan adalah bertujuan
mengangkat martabat insan di sisi Allah SWT.

127



Senjata Ramadan Mampu Perangi Wabak

Ramadan tahun ini tiba dalam keadaan dunia diuji dengan
penularan wabak Covid-19. Walaupun suasana Ramadan kali ini
mungkin berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, ia tidak
menjadi alasan dan halangan kepada umat Islam untuk
menunaikan rukun Islam yang ketiga ini dengan sempurna. Kita
harus menginsafi dan mengambil iktibar terhadap situasi
segelintir negara lain yang terpaksa menyambut ketibaan
Ramadan dalam suasana konflik dan serba kedhaifan.
Sekurang-kurangnya kita masih dapat meraikan ketibaannya
dalam keadaan aman, harmoni, dan budaya saling memberi.

Perkara yang lebih penting dan utama adalah tujuan ibadah
puasa seperti melatih sifat sabar, sihat, berdisiplin dan empati
dapat dicapai sepanjang bulan Ramadan supaya pada akhirnya
kita menjadi muslim yang bertakwa sepertimana firman Allah
SWT surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud "Wahai orang-orang
yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,
supaya kamu bertaqwa".

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan
kebanyakan orang lebih masa di rumah yang boleh
dimanfaatkan dengan memberikan lebih perhatian terhadap
amalan-amalan wajib dan sunat sepanjang Ramadan. Ia juga

128

memberikan lebih cabaran kepada ibu bapa dalam
mendisiplinkan anak-anak bagi menjalani ibadah puasa dan
menunjukkan contoh tauladan terbaik bagi mengimarahkan
Ramadan bersama ahli keluarga.

Menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk mentaati perintah
dan syariat berpuasa serta menghormati bulan Ramadan
dengan menjaga adab yang telah ditetapkan. Rukhsah atau
kelonggaran hanyalah diberikan kepada golongan tertentu
dengan syarat yang ditentukan seperti firman Allah SWT dalam
al-Quran surah al-Baqarah, ayat 185 bermaksud "dan sesiapa
yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka,
Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan
itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian
itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya
kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan
supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Berpuasa menjadikan kita lebih kuat untuk terus berjuang
menempuhi ujian penularan wabak Covid-19 ini sama ada
sebagai pesakit, petugas barisan hadapan mahupun warga
masyarakat secara amnya. Kita harus mengambil iktibar
beberapa peristiwa besar dan siri peperangan yang diharungi
oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam

129

bulan Ramadan seperti peperangan Badar. Inspirasi di sebalik
peristiwa Badar Kubra seperti perjuangan pasti diuji, menlazimi
syura, mentaati pemimpin, perancangan rapi dan berstrategi,
munajat dan doa, bersangka baik dengan Allah serta bersatu hati
boleh dipraktikkan dalam mendepani cabaran kini.

Suasana sambutan Ramadan yang berbeza kali ini juga
memberi peluang untuk kita menilai kembali sama ada tradisi
amalan yang dilaksanakan sebelum ini bersandarkan ibadah
atau adat semata-mata. Ibadah di dalam Islam lahir daripada diri
seseorang muslim kerana niat menjunjung perintah Allah SWT
serta selaras dengan kehendak-Nya. Rasulullah SAW bersabda
bermaksud “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan
sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka
sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka
hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya
kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk
dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah
kepadanya” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam konteks Wilayah Persekutuan, garis panduan khusus
dikeluarkan bagi memastikan masjid dan surau tetap
diimarahkan serta amalan bersedekah dan memberi sumbangan
yang telah menjadi tradisi masyarakat di bulan Ramadan masih
dapat diteruskan dengan mengambil kira aspek kesihatan dan
keselamatan seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

130



Muslim Di Era Masyarakat Digital

Budaya hidup masyarakat kian berubah terutama dalam tempoh
negara berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.
Perdana Menteri Malaysia menyebutnya sebagai Kebiasaan
Baharu terutama dalam konteks interaksi dan komunikasi yang
semakin rancak dilaksanakan secara maya atau atas talian
dalam segenap urusan kehidupan harian. Walaupun
perkembangan ini telah dibincangkan lebih awal dengan
pelbagai persediaan oleh kerajaan, namun beliau berkata,
proses pendigitalan masyarakat perlu disegerakan membabitkan
pelbagai aspek termasuk pendidikan, urusan perniagaan atau e-
dagang, e-kerajaan dan dalam kehidupan harian.

Perkembangan teknologi maklumat atau ICT, merupakan
fenomena yang wujud hasil kepesatan perkembangan sains dan
teknologi. Ia mengubah cara hidup manusia dalam perniagaan,
pendidikan, kemasyarakatan, perhubungan dan sebagainya.
Teknologi maklumat dan komunikasi memberi perubahan
kepada sosioekonomi dan budaya persekitaran manusia
termasuk dalam kehidupan beragama.

Secara asasnya, Islam menuntut agar manusia berkomunikasi
dan berinteraksi dengan kaedah terbaik dan berkesan.
Komunikasi merupakan aktiviti tradisi dalam kehidupan
bermasyarakat dan berkembang mengikut peredaran dan

131

perubahan zaman. Walaubagaimanapun, ia mestilah dipandu
berasaskan nilai-nilai keagamaan dan terjamin kebenarannya
serta membawa keselamatan dalam kehidupan di dunia dan
akhirat.

Umat Islam dituntut agar merebut peluang dalam era teknologi
maklumat dan menguasainya untuk mengembangkan,
memperkenalkan serta membudayakan penghayatan Islam
dengan lebih sempurna. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl
ayat 78 bermaksud "Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut
ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan
Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan
serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur".

Sindrom fobia terhadap perkembangan teknologi maklumat atau
kecenderungan untuk tidak mengikuti dan menguasai bidang
berkenaan perlu diubah terutama bagi masyarakat Islam kerana
ia sikap yang tidak menguntungkan. Umat Islam tidak harus
terlalu skeptikal terhadap perkembangan ini dengan
menyalahkan barat semata-mata sebagai penyebar dakyah
yang menyesatkan. Sebaliknya perkara yang lebih utama adalah
asas keimanan dan pengetahuan yang jitu dalam memahami
perkembangan ini. Kita perlu mengetengahkan ajaran Islam
yang ideal, bersifat semasa serta kemurnian mesej Islam untuk
semua lapisan masyarakat dalam mendepani era masyarakat
digital.

132

Hakikatnya, komunikasi dan interaksi walau melalui cara apapun
adalah suatu yang dituntut oleh agama bagi memenuhi
kepentingan masyarakat meliputi penyampaian ilmu fardhu ain
iaitu ibadah khusus seperti solat, syahadah dan puasa dan
keperluan fardu kifayah umat Islam seperti dakwah,
pembelajaran ilmu pengetahuan, urusan pekerjaan,
kemasyarakatan dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, Islam mengajar umatnya agar menjaga
adab dan tertib dalam berkomunikasi dan berinteraksi terutama
dalam era digital ini kerana segala tindakan manusia bakal
dihisab di akhirat kelak. Justeru ia mesti dilakukan atas landasan
kebenaran dan ketakwaan agar muamalah tersebut dikira
sebagai ibadah dalam kehidupan.

Menjadi kewajipan umat Islam untuk memastikan punca dan
sumber sesuatu maklumat serta segala mesej yang disampaikan
bagi menegakkan yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran.
Menyampaikan pesanan yang benar adalah pra syarat dalam
kemaslahatan amalan. Ia mesti menjadi asas utama agar setiap
perbuatan yang dilakukan menurut neraca agama.

Jauhi fitnah, mengadu domba atau namimah, serta
meyampaikan berita tidak baik yang menghancurkan
masyarakat. Allah SWT berfirman dalam al-Quran surah Al-Nur

133

17-19 bermaksud "Sesungguhnya orang-orang yang suka
terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-
orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang
tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah
mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui
(yang demikian)". Selain itu, umat Islam juga harus mengelakkan
diri dari menggunakan teknologi maklumat bagi tujuan tidak
berfaedah dan melalaikan.

Ramadan tahun ini juga menyaksikan budaya berubah seiring
perkembangan masyarakat digital. Walaupun tiada bazar
Ramadan, majlis berbuaka puasa dan terawih di masjid, namun
pelbagai aktiviti keagamaan masih boleh diikuti melalui atas
talian seperti program tazkirah dan kuliah, zikir munajat, tadarus
al-Quran, serta zakat dan sedekah boleh ditunaikan secara atas
talian. Juadah berbuka juga masih boleh dipesan melalui
perkhidmatan e-hailing. Namun harus diingat, elakkan
pembaziran dan berhemah dalam berbelanja kerana ia perkara
asas yang diajar Islam walaupun budaya hidup masyarakat
berubah.

134



Tradisi Ilmu Bersemuka

Guru merupakan individu penting yang mendidik dan
menyampaikan ilmu dalam kehidupan manusia. Guru boleh jadi
sesiapa sahaja yang menyampaikan ilmu yang benar kepada
insan lain.

Dalam sirah Nabi Muhammad SAW, Malaikat Jibril menjadi guru
kepada baginda melalui beberapa peristiwa penting dan
bersejarah. Di antaranya adalah peristiwa penurunan wahyu
pertama di Gua Hira' pada malam 17 Ramadan. Nabi
Muhammad SAW yang dilahirkan sebagai buta huruf atau ummi,
telah diperintahkan untuk membaca ayat al-Quran. Lalu Malaikat
Jibril kemudiannya mengajarkan kepada baginda dengan ayat 1
hingga 5 surah al-'Alaq.

Peristiwa ini dirakamkan dalam sebuah hadis sahih al-Bukhari
diriwayat oleh Saidatina 'Aisyah RA yang bermaksud "Sewaktu
Baginda di dalam Gua Hira’ maka datang kepadanya Malaikat,
lalu ia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”. Berkata junjungan: “Ma ana
biqari’ (Tiada aku pandai membaca)”. Bercerita junjungan:
“Kemudian Jibril mengambil (menarik) akan daku maka
dipeluknya kuat-kuat hingga terasa kepadaku kesungguhannya,
kemudian dilepaskan aku, lalu ia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”.
Maka aku berkata: Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca),
kemudian diambilnya aku lalu dipeluknya ketat-ketat kali yang

135

kedua hingga terasa kepada aku kepayahan. Kemudian itu
dilepaskan aku dan dia berkata: “Iqra’! (Bacalah)”. Maka berkata
aku: “Ma ana biqari’ (Tiada aku pandai membaca)”. Setelah itu
mengambil ia akan daku buat kali yang ketiganya lalu dipeluknya
sungguh-sungguh sehingga terasa aku eratnya, kemudian
dilepaskannya aku, maka ia berkata : Bacalah dengan nama
Rabb engkau yang menjadikan, yang menjadikan manusia
daripada darah, bacalah demi Rabb engkau yang mulia.”
(Al-’Alaq :1-3).

Dalam suatu peristiwa yang lain, Malaikat Jibril diutuskan kepada
Nabi Muhammad SAW untuk mengajar tentang makna Islam dan
iman. Peristiwa ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis
riwayat Muslim yang bermaksud "Sedang kami duduk di dalam
majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba
muncul di dalam majlis itu seorang lelaki yang berpakaian serba
putih, berambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang
musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu dia
duduk bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya
dengan kedua lutut Rasulullah SAW, serta diletakkan kedua
tapak tangannya ke atas kedua peha Rasulullah SAW, lalu ia
berkata: Ya Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam?
Rasulullah SAW bersabda: Islam itu ialah kamu bersaksi
(bersyahadah) bahawa tiada ilah melainkan Allah dan
bahawasanya Muhammad itu adalah Rasul Allah, dan hendaklah
kamu mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan

136

Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah jika kamu mampu
mengerjakannya. Lelaki itu berkata: Benar katamu."

Seseorang guru haruslah berperanan sebagai mursyid, yang
mendidik dalam menyampaikan kebenaran kepada ummah.
Mereka bukan sekadar perlu menyampaikan maklumat yang
betul tetapi juga ilmu yang benar. Kedudukan guru adalah mulia
di sisi Allah SWT kerana mereka adalah insan yang mendidik
dan mengajar manusia menjadi insan yang berguna kepada
agama, bangsa dan negara. Firman Allah SWT yang
bermaksud:“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya
daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan
mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal
yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
(Surah Fussilat: 33).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah RA,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya
Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di
bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti
berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang
mengajarkan kebaikan kepada manusia”. (Riwayat al-Tirmizi).

137

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad
SAW bersabda yang bermaksud “Jika seseorang manusia
(Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya
melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu
pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau
kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal
baik dan sentiasa mendoakan kepadanya” (Riwayat Muslim).

Rasulullah SAW adalah sebaik baik contoh dan ikutan bagi para
guru sepanjang zaman. Peranan Rasulullah SAW adalah
sebagai guru, pendidik, dan murabbi yang mendidik dan
memimpin umatnya ke arah kebaikan. Firman Allah SWT dalam
surah al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud: "(Nikmat
berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu),
samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu
seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang
membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan
kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan
kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan,
dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui."

Setelah ketiadaan nabi, para ulama' menjadi pewaris nabi-nabi.
Sesungguhnya para nabi tidaklah mewariskan dinar atau dirham
melainkan mewariskan ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi.

138

Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham.
Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang
mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil
bahagian yang banyak”. (Riwayat Abu Daud).

Justeru pemergian ke Rahmatullah murabbi ummah, Datuk
Ismail Kamus baru-baru ini merupakan suatu kehilangan besar
dan amat dirasai oleh seluruh masyarakat dan negara.

Dalam situasi perubahan masyarakat era digital dan normal
baharu, menjadi cabaran kepada para guru untuk menyesuaikan
diri dengan memanfaatkan segala platform digital bagi
penyampaian ilmu di samping menjadi cabaran kepada para
pelajar untuk mengekalkan adab-adab menuntut ilmu.

Syarat-syarat menuntut ilmu harus dititikberatkan berpandukan
nasihat dan pesanan oleh Imam Al-Shafie seperti kecerdikan,
keterujaan dan keazaman, kegigihan, kemampuan, bimbingan
para pendidik, serta masa yang berpanjangan.

Bagi mendepani perubahan budaya baharu masyarakat,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut
memanfaatkan era digital bagi menyampaikan ilmu melalui
medium atas talian seperti kelas pengajian takmir, tazkirah dan
kuliah agama, khidmat nasihat kerohanian dan psikososial,

139

Kelas Pengajian Saudara Baru serta Pengajaran dan
Pemudahcaraan Murid secara atas talian agar pengajaran ilmu
dan kehidupan beragama dapat disempurnakan dalam era
masyarakat digital.

140



Kaitan Takwa Dan Puasa Enam

Antara amalan sunat yang dituntut dilakukan dalam bulan
Syawal adalah melaksanakan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan
ini. Tuntutan tersebut thabit dari amalan Nabi SAW berdasarkan
hadis mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu
bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Di
dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari
RA, Rasulullah SAW telah bersabda bermaksud 'Barangsiapa
yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan
enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa
sepanjang tahun.' (Riwayat Muslim (1164).

Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal adalah sebahagian daripada
puasa-puasa sunat sepanjang tahun yang disarankan dalam
ajaran Islam selain puasa wajib sebulan di bulan Ramadan.
Tujuan terpenting ibadah puasa dilaksanakan adalah bagi
mencapai ketakwaan di sisi Allah SWT.

Takwa bermaksud takut kepada Tuhan yang mulia, beramal

dengan kitab yang diturunkan, redha dengan sedikit dan bersiap

sedia untuk hari kesudahan. Takwa menjadikan seseorang

malakukan amar ma’ruf dan nahi munkar, di

samping taqarrub atau hampir kepada Allah SWT dengan

melakukan amalan-amalan sunat. Kepentingan takwa amat jelas

141

apabila dinyatakan bahawa manusia yang paling mulia di sisi
Allah SWT ialah yang paling bertakwa.

Di antara cara untuk mendapatkan sifat takwa ialah dengan
memperbaiki ibadah seperti solat, tadabbur al-Quran, berkumpul
dengan orang soleh, menuntut ilmu, tadabbur melihat alam
semesta, melaksanakan perintah Allah SWT secara konsisten,
menghayati hikmah di sebalik perintah Allah SWT, muhasabah
diri, menjauhi lingkungan yang negatif, tidak terpedaya dengan
dunia, menjauhi hawa nafsu, bersyukur, memperbanyakkan
zikir, dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.

Ibadah puasa mendidik kita untuk melaksanakan kepatuhan dan
ketaatan kepada Allah SWT walaupun tanpa diketahui oleh
orang lain. Justeru ganjaran bagi orang berpuasa ditentukan
secara khusus oleh Allah SWT kerana mereka yang mempunyai
keimanan yang kental sahaja mampu melaksanakannya,
sebaliknya amat sukar bagi mereka yang goyah dan mudah
mengikut hawa nafsu. Di dalam sebuah hadis riwayat Abu
Hurairah, Rasulullah SAW bersabda 'Setiap amalan anak Adam,
pahalanya akan digandakan sepuluh kali ganda sehinggalah
tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa.
Sesungguhnya ia milik Aku. Akulah yang akan membahagi-
bahagikan ganjaran pahalanya. (Sahih Muslim, hadis no:1952).

142

Berkaitan maksud hadis tersebut, Imam al-Munawi berkata
'Orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala
yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa
diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-
makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-
Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat
maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah SWT.' (Faidh
al-Qadir: 4/250)

Cabaran paling utama dalam kehidupan seharian manusia
adalah melakukan kawalan kendiri walaupun tanpa sebarang
peraturan dan undang-undang yang dapat dilihat. Di dalam
Islam, pengawasan ini disebut sebagai amalan muraqabah.
Muraqabah bermaksud pengawasan dan pemantauan kendiri
dengan keyakinan yang ada pada diri seseorang bahawa Allah
SWT sentiasa mengawasi, melihat, mendengar dan mengetahui
segenap perbuatan yang dilakukan. Orang yang menyedari
bahawa Allah SWT sedang mengawasi tingkah lakunya sudah
tentu akan menjaga setiap tindakan dan perilaku pada setiap
masa atau di mana-mana sahaja berada. Muraqabah dapat
membentuk mental dan keperibadian seseorang sehingga
menjadi manusia yang jujur. Sepanjang melaksanakan ibadah
puasa, kita juga berusaha mengelakkan diri daripada sifat-sifat
terkeji seperti menipu dan bercakap perkara yang tidak baik.

143

Syawal kali ini disambut dengan sedikit kelainan susulan kita
masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan
Bersayarat (PKPB). Fasa kelonggaran bersyarat ini menuntut
warga masyarakat mengamalkan norma baharu dengan disiplin
dan kawalan kendiri yang tinggi dalam mematuhi garis panduan
atau SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi
mendepani wabak Covid-19. Kejayaan semua memerangi
wabak ini memasuki fasa baru yang amat bergantung kepada
disiplin diri yang tinggi walaupun tiada lagi peraturan ketat yang
mengikat.
Justeru, hikmah ibadah puasa diharap dapat menguatkan kita
menjadi muslim yang mempunyai sifat muraqabah dan kawalan
kendiri yang tinggi dalam segenap aspek kehidupan.

144



Syukurlah Malaysia Aman

Di antara ciri-ciri kepemimpinan Rasulullah SAW di Kota
Madinah ialah mempunyai wawasan, misi dan visi yang jelas,
mempunyai nilai serta akhlak yang unggul dan mempunyai daya
ketahanan yang kental. Justeru pemimpin yang baik harus
memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan,
memupuk nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai
integriti yang tinggi.

Sebuah kepemimpinan haruslah bermatlamat untuk melahirkan
sebuah negara ‘Baldatun Taiyyibatun Wa Rabbun Ghafur’ iaitu
sebuah negara yang dinamik dengan ciri-ciri asas yang tidak
berubah, iaitu berpandukan syariah. Dalam masa yang sama,
sebuah negara Islam hendaklah memperakui dan membenarkan
segala peraturan lain demi memelihara kemaslahatan manusia
selagi berada di bawah pengawasan dan pengiktirafan syariah.

Pemimpin berkewajiban untuk mempertahankan negara dari
ancaman musuh dan melunaskan tanggungjawab keagamaan
dengan melaksanakan hukum hakamnya serta menegakkan
hukum ke atas semua yang menyeleweng dan melanggar
ajarannya.

Pemimpin juga adalah golongan yang memainkan peranan yang
paling utama dalam menegakkan syiar agama kerana

145

sebahagian besar tanggungjawab agama hanya dapat
dilaksanakan dengan sempurna melalui pemerintahan yang adil.
Justeru dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA telah
dinyatakan bahawa salah satu daripada 7 golongan yang
mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat kelak termasuklah
pemimpin yang adil.

Begitulah juga perihalnya dengan rakyat. Setiap warga negara
haruslah menghayati tanggungjawab kepada negara dengan
memberikan taat setia kepada pemimpin. Menurut panduan
Islam, masyarakat bertanggungjawab memberikan ketaatan
kepada pemimpin selagi mana ia tidak bercanggah dengan
syariat Islam. Ketaatan rakyat kepada pemimpin adalah
berasaskan firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah
dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulu al-Amr"
dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah
(berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu
mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan
(Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan
hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan
lebih elok pula kesudahannya (Surah al-Nisa’ (4): 59).

Di dalam konteks negara Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong adalah pemimpin tertinggi yang menjadi Ketua
Negara dan memayungi kedaulatan negara berlandaskan

146

perlembagaan. Baginda juga berperanan sebagai Ketua Agama
khususnya dalam konteks Wilayah-Wilayah Persekutuan
sepertimana dinyatakan dalam Perkara 3(5) Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan:"Walau apa pun apa-apa jua
dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah
menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya;"

Komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab ini dizahirkan di
dalam titah Baginda bahawa "Kedudukan Islam sebagai agama
Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan akan terus dipertahankan. Selaras dengan ajaran
Islam yang syumul dan dengan dipacu oleh prinsip Maqasid
Syariah, Beta mahu Kerajaan mewujudkan pentadbiran agama
Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan
agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban
ke arah kesejahteraan sejagat. Pada masa yang sama, Kerajaan
Beta akan terus mempertahankan hak-hak penganut agama lain
untuk terus bebas mengamalkan agama mereka secara
berhemah dan aman."

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hakikatnya adalah
merupakan Raja untuk semua rakyat Malaysia. Justeru baginda
turut menzahirkan keperihatinan agar memelihara keharmonian
masyarakat melalui titah bahawa "Setiap kaum perlu

147

menunjukkan sikap dan tauladan yang jujur untuk mengeratkan
hubungan. Pada hemat Beta, sebarang bentuk tindakan
provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan
norma, adat dan undang-undang, biarpun dilakukan oleh
segelintir pihak, perlu dibendung sebelum ia merebak dan
menjadi barah kepada kestabilan negara." Baginda turut
menitahkan bahawa agenda perpaduan nasional dapat
diterapkan secara menyeluruh menerusi elemen-elemen
kepercayaan dan jati diri yang teguh berlandaskan kepada
prinsip Rukun Negara.

Sehingga hari ini, rakyat Malaysia masih dapat menikmati
kehidupan yang tenteram dan aman berbanding persekitaran
dan suasana kehidupan rakyat di kebanyakan negara Islam yang
lain terutamanya di Asia Barat. Dalam hal ini, pergolakan politik,
pergaduhan dan persengketaan antara etnik dan agama yang
membawa kepada pertumpahan darah di beberapa negara luar
sewajarnya menginsafkan kita tentang betapa penting dan tinggi
nilainya erti sebuah perpaduan, keamanan dan kestabilan.
Tanggungjawab untuk mempertahankan sebuah negara yang
berdaulat harus dihayati oleh setiap warga negara tanpa mengira
bangsa dan agama serta jauh dari unsur kepentingan peribadi.

Keperihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
sebagai pemimpin tertinggi negara terhadap perkara yang
melibatkan maslahah ummah dapat dilihat melalui sifat cakna

148

Baginda ketika negara berhadapan cabaran getir wabak Covid-
19 yang melanda dunia. Baginda menzahirkan penghargaan
secara peribadi terhadap dedikasi dan pengorbanan semua
petugas barisan hadapan Covid-19 sewaktu Istiadat Pembukaan
Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang lalu. Baginda juga turut
berperanan penting dalam pelbagai agenda berkaitan
pentabiran hal ehwal Islam khususnya di Wilayah-Wilayah
Persekutuan. Beberapa berita tular berkenaan sifat Baginda
yang mesra dan sering turun ke lapangan bagi menyantuni
rakyat tidak mengira masa, tempat dan latar belakang lebih-lebih
lagi golongan yang memerlukan menjadi bukti jelas
keperihatinan dan teladan yang ditunjukkan oleh Baginda
sebagai Raja yang memayungi rakyat.

149



Rindu Nak Beribadah

Antara tanda-tanda seseorang mendapat kemanisan iman ialah
apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah
kepada Allah SWT. Melalui kemanisan iman, seseorang akan
mempunyai sifat istiqamah dalam dirinya untuk kekal melakukan
amalan ibadah serta sentiasa menunggu-nunggu dan merasa
rindu untuk melakukan ibadah seperti solat, puasa, membaca al-
Quran, berzikir serta menjauhi perbuatan maksiat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis
yang bermaksud "Tiga perkara apabila terdapat pada diri
seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya
kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang
lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah
(dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci
kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya
(daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan
dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Muslim).

Sebaliknya tanpa kemanisan iman, seseorang tidak lagi merasa
nikmat keindahan dalam melakukan ibadah. Sebagai contoh, jika
sebelum ini solat yang didirikan membuatkan dirinya merasa
tenang dan lapang, namun amalan tersebut seolah-olah sudah
tidak begitu berbekas di dalam hati malah seperti kosong dan
sepi.

150

Sebagai seorang muslim, kita amat beruntung jika dapat
menyedari berkurangnya rasa kemanisan dalam beribadah agar
ia menjadi hikmah untuk kita bermuhasabah dan mencari jalan
untuk memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

Terdapat beberapa tips untuk kita mengekalkan nikmat
beribadah seperti berusaha bersungguh-sungguh untuk
mentaati perintah Allah SWT, menjauhkan diri dari dosa, menjadi
manusia yang berakhlak mulia, menjadikan ibadah sebagai jalan
mendekati Allah dan meyakini bahawa ibadah tersebut bernilai
sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Selain itu, kemanisan dalam beribadah juga diperolehi melalui
cara menjauhi sifat mengejar reda manusia semata-mata,
menjauhi teman-teman yang fasik serta meninggalkan sifat
mencari kesenangan dunia semata-mata.

Kemanisan iman bermaksud kita dapat merasakan kelazatan
dalam beribadah, melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT,
menuruti ajaran Rasulullah SAW dan berkemampuan
menghadapi kesulitan serta mengutamakan agama daripada hal
keduniaan. Sebagai hamba Allah SWT, kita berkewajiban
melaksanakan amalan-amalan yang boleh mendekatkan diri
dengan Allah SWT seperti solat, zikir, membaca Al-Quran dan
lain-lain.

151

Amalan-amalan tersebut seharusnya dapat mengingatkan kita
kepada Allah SWT pada setiap masa dan ketika. Ia tidak wajar
hanya menjadi amalan kebiasaan semata-mata tetapi mestilah
dapat meninggalkan kesan dalam seluruh aspek kehidupan
sehingga merubah akhlak dan pemikiran selaras dengan
tuntutan syariat. Kita perlu bermuhasabah sama ada kelaziman
melakukan ibadah misalnya menunaikan solat berjemaah di
masjid dan surau adalah sekadar rutin biasa yang tidak memberi
sebarang rasa kemanisan beribadah atau memberi impak dalam
kehidupan sebagai seorang muslim.

Apabila seseorang merasakan kemanisan dalam beribadah dan
mendekatkan diri kepada Allah SWT, ia merupakan petanda
bahawa dia mengingati Allah dan Allah juga mengingatinya.
Seseorang yang merasai kemanisan beribadah akan merasakan
kerinduan yang tinggi apabila leka dan alpa daripada
menunaikan amalan ibadah kepada Allah SWT. Dia akan
bersegera untuk menunaikan amalan-amalan tersebut dan
timbul rasa penyesalan yang tinggi apabila tertinggal
melaksanakannya kerana kesibukan atau sebab-sebab yang
lain.

Ujian penularan wabak Covid-19 yang melanda negara telah
banyak merubah kelaziman kita dalam melaksanakan ibadah.
Walaupun ibadah boleh dilaksanakan di mana-mana tempat dan
masa bersesuaian, namun bagi mereka yang sering

152

mengunjungi masjid untuk menunaikan solat berjemaah dan
mengikuti pelbagai aktiviti kelimuan yang lain mulai merasa rindu
untuk kembali melaksanakan rutin ini setelah sekian lama.
Semenjak awal fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kini
Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan
melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
telah berusaha memastikan jalan terbaik bagi memberikan ruang
agar rutin tersebut dapat dilaksanakan dalam keadaan
pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan demi
kemaslahatan umat.

Pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal
Ehwal Agama) baru-baru ini telah memberikan kelonggaran
kepada beberapa perkara dalam hal ini termasuk kapasiti
jemaah dan kebanaran mengadakan kuliah Subuh dan Maghrib
di masjid, surau Jumaat dan surau di Zon Hijau khususnya di
Wilayah Persekutuan. Hari pertama pelaksanaan Prosedur
Operasi Standard (SOP) PKPP berkaitan perkara ini telah
menyaksikan keterujaan orang ramai untuk kembali menunaikan
solat Jumaat dengan mematuhi segala panduan yang
ditetapkan. Perdana Menteri Malaysia juga telah mendapat
gambaran yang positif berkaitan pematuhan SOP ini apabila
beliau sendiri berpeluang menyertai solat Jumaat yang diadakan
di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara.

153

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah R.A, Nabi Muhammad
SAW bersabda bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang
akan mendapat naungan daripada Allah pada hari kiamat
termasuklah orang yang hatinya terpaut pada masjid. Allah SWT
memberikan naungan istimewa di hari kiamat bagi golongan
yang meramaikan masjid dan berusaha menghidupkan masjid
dengan solat berjamaah, menjaga kesuciannya dan melakukan
kegiatan-kegiatan berfaedah di dalamnya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud "Hanyasanya yang layak
memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah
orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta
mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut
melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang
tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari
golongan yang mendapat petunjuk." (Surah al-Taubah ayat 18).
Ayat ini menjelaskan besarnya keutamaan memakmurkan
masjid yang didirikan kerana Allah SWT dan perbuatan terpuji ini
merupakan bukti benarnya iman dalam hati seorang hamba.

Semoga Allah SWT sentiasa memelihara hati kita semua agar
berterusan merindui untuk melaksanakan amalan ibadah dan
mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa serta
merasai kemanisan iman dalam beribadah sepanjang
kehidupan.

154



Bangga Perbuatan Maksiat, Natijah Hilang Rasa Malu

Perubahan budaya dan cabaran kehidupan alaf baru
menyaksikan umat Islam terdedah kepada perbuatan maksiat
dan menyalahi syariat melalui cara dan medium yang berbeza.
Tanpa menafikan manfaat yang diperolehi hasil perkembangan
teknologi dan aplikasi terkini khususnya media sosial seperti
Facebook, Instagram, Twitter, Bigo Live dan lain-lain, medium ini
juga turut mengundang mudarat apabila segelintir masyarakat
menggunakannya bagi tujuan melakukan perbuatan dosa dan
maksiat sehingga berbangga serta mempromosikannya kepada
umum.

Islam amat menegah perbuatan mempamerkan perbuatan
maksiat. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Setiap umatku
diberikan kemaafan melainkan golongan al-Mujahirin.
Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu
adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu
malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah
menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang
lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah
melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah
tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia
bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”
(Riwayat Al-Bukhari (6069).

155

Perkara utama yang mencegah manusia daripada melakukan
dosa dan maksiat adalah perasaan takut kepada Allah SWT dan
balasanNya serta perasaan ingin menjauhkan diri dari hukuman
serta kemurkaan Allah. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nur
ayat 63 yang bermaksud “Oleh itu, hendaklah mereka yang
mengingkari perintahNya, beringat serta berjaga-jaga jangan
mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.”

Perbuatan maksiat akan memberikan kesan yang buruk dalam
kehidupan seperti dijauhkan dari ilmu dan rezeki, berasa
kesunyian dan jauh dari Allah, mengalami kesukaran hidup,
menggelapkan hati dan jauh dari ketaatatan, mencetuskan
perbuatan maksiat yang lain serta sukar menjauhi
lingkungannya, merosakkan akal, menganggap perbuatan
maksiat sebagai perkara biasa serta dosa akan berbekas di
dalam hati sehingga menjadi orang yang lalai sebagaimana
firman Allah dalam surah al-Mutaffifin ayat 14 yang bermaksud
‘Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan
mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan
sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.'

Walaupun seseorang berterusan melakukan maksiat serta
masih menerima pelbagai rezeki dan nikmat dari Allah SWT,
namun ia merupakan sebuah istidraj iaitu ‘hukuman’ yang
diberikan sedikit demi sedikit secara tidak langsung akan

156

menyebabkan semakin jauh dan tenggelam dalam kemaksiatan
yang dilakukannya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan
daripada ‘Uqbah bin ‘Amir RA, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud “Apabila kamu melihat Allah SWT memberi kepada
hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkannya, sedangkan
dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah)
bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah SWT.”

Perbuatan maksiat yang berterusan akan menghilangkan
perasaan malu sedangkan malu itu mencegah seseorang
daripada melakukan amalan yang buruk. Di dalam sebuah hadis
riwayat Muslim juga menyatakan sifat malu itu akibatnya adalah
baik, dan katanya lagi Rasulullah SAW bersabda, “Malu itu
keseluruhannya adalah baik.” Manakala dalam sebuah hadis
yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “jika
engkau tidak malu maka lakukan apa saja sesuai kehendakmu.”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Perbuatan dosa dan maksiat berpunca dari nafsu yang tidak
terdidik dengan sempurna. Nafsu jika tidak ditundukkan, akan
mendorong manusia melakukan maksiat sehingga perbuatan
tersebut menjadi sebati dalam diri. Justeru Ibnu Qayyim al-Jauzi
menekankan makna jihad adalah termasuk memerangi hawa
nafsu. Seseorang tidak mungkin dapat berjihad melawan musuh
jika tidak terlebih dahulu berjihad menundukkan hawa nafsu
yang menguasai dirinya dalam mentaati Allah SWT.

157

Jihad melawan nafsu sampai ke tahap sejahtera apabila
mencapai peringkat mutmainnah. Bagi tujuan ini, perkara
pertama yang harus dilakukan adalah melalui proses penyucian
jiwa atau Tazkiyatun Nafs sebagimana Firman Allah yang
bermaksud “ Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan
kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan
keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan
yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya
kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang
menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah
bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya
hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih -
itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran
maksiat) (As-Syams: 7-10).

Mengawal nafsu adalah kunci kepada kehidupan yang selaras
dengan tuntutan syariat. Kebahagiaan itu ialah pada
kemenangan memerangi hawa nafsu dan menahan
kehendaknya yang berlebihan. Justeru jihad melawan nafsu
disifatkan sebagai sebuah peperangan yang besar. Nafsu
sekiranya tidak dapat dikawal akan mendorong kepada
perbuatan mungkar dan maksiat. Sebaliknya jika diruskan
dengan baik, mendorong kepada kebaikan dan amal soleh.
Islam menganjurkan agar menundukkan nafsu melalui sifat
sabar, mengerjakan solat dan berdoa serta memperbanyakkan
zikir sebagai senjata yang paling ampuh.

158

Setiap manusia yang terlanjur melakukan dosa dan maksiat juga
diperintahkan agar bertaubat dengan menyesali perbuatan yang
lalu serta menggantikan perlakuan dosa dengan perbuatan yang
diperintahkan Allah SWT dan meningkatkan amal ibadah serta
mengamalkan sifat-sifat mahmudah dalam kehidupan.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 53
yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri
mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat),
janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana
sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa;
sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani."

159


Click to View FlipBook Version