The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Alhamdulillah. Buku ini terbit ketika manhaj Rabbani dijadikan dasar pentadbiran Islam dalam negara. Lebih 40 topik di dalam buku ini menyentuh bagaimana kepentingan thaqafah (keilmuan), ruhaniyyah (kerohanian) dan da'wah (khidmat masyarakat) dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan masyarakat.

Bantuan JAWI Food Bank, dakwah kepada golongan mualaf dan OKU, pengimarahan masjid, dakwah kreatif, tips kekayaan jiwa dan keluarga bahagia antara topik yang terkandung di dalam buku ini.

Selamat membaca !

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Rak Buku Maya Al-Busyra JAWI, 2021-02-08 10:01:06

Dakwah Tak Usah Lelah!

Alhamdulillah. Buku ini terbit ketika manhaj Rabbani dijadikan dasar pentadbiran Islam dalam negara. Lebih 40 topik di dalam buku ini menyentuh bagaimana kepentingan thaqafah (keilmuan), ruhaniyyah (kerohanian) dan da'wah (khidmat masyarakat) dapat diterjemahkan dalam realiti kehidupan masyarakat.

Bantuan JAWI Food Bank, dakwah kepada golongan mualaf dan OKU, pengimarahan masjid, dakwah kreatif, tips kekayaan jiwa dan keluarga bahagia antara topik yang terkandung di dalam buku ini.

Selamat membaca !

Didik Diri Jadi Pemurah

Kedatangan bulan Zulhijjah amat besar maknanya di dalam
kalendar tahunan umat Islam. 10 hari pertama dalam bulan
Zulhijjah adalah hari yang paling istimewa. Dalam sebuah hadis
daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Tidak ada hari yang amal solehnya lebih dikasihi
Allah selain daripada hari-hari yang 10 ini.” Para sahabat
bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah
bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang
keluar (berjihad) membawa diri dan hartanya serta tidak kembali
lagi selepas itu (syahid).” (Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi).

Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah telah
menyambut dua hari raya. Maka Rasulullah SAW telah bersabda
maksudnya : ''Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada
kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya
Aidiladha.'' (Riwayat Imam Ahmad). Hari Raya Aidiladha atau
lebih dikenali dengan Hari Raya Korban ditetapkan pada hari
kesepuluh pada bulan Zulhijjah iaitu bulan terakhir dalam
kalendar Hijrah Islam.

Ibadah korban dan haji yang merupakan ibadah utama dalam
bulan Zulhijjah pada tahun ini disambut dalam keadaan negara
masih berhadapan dengan ujian wabak Covid-19 yang melanda.
Walaupun negara sedang melalui fasa pemulihan, namun SOP

160

khusus telah ditetapkan oleh kerajaan dalam meraikan Hari
Raya ini termasuklah pelaksanaan ibadah korban yang lazimnya
dilaksanakan oleh umat Islam khususnya di masjid dan surau.
Dalam konteks Wilayah Persekutuan, Garis Panduan
Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan Pemulihan (PKPP) disediakan bagi panduan
masyarakat berhubung kaedah dan cara melaksanakan ibadah
korban di Zon Hijau dan Zon Kuning. SOP pelaksanaan ibadah
korban disediakan demi memastikan maslahah awam
terpelihara dalam masa yang sama umat Islam masih
berpeluang menunaikan ibadah tersebut dengan sempurna.

Bagi ibadah haji, kerajaan telah membuat keputusan
penangguhan haji bagi jemaah dari Malaysia sebagaimana
kenyataan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal
Ehwal Agama). Walaupun beliau mengakui keputusan tersebut
berat untuk dilakukan namun ia dibuat demi memastikan
keselamatan dan kesihatan para jemaah terpelihara. Menurut
beliau lagi, Ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima
berkait rapat dengan syarat istito’ah, iaitu berkemampuan
menunaikan haji daripada aspek kesihatan, keselamatan,
keizinan melakukan perjalanan ke Tanah Suci dan kewangan.
Tanpa keupayaan atau kemampuan dalam perkara tersebut,
maka menurut hukum syariah syarat istito’ah tidak dicapai untuk
mewajibkan kita menunaikan haji.

161

Setiap kali tibanya hari raya Aidiladha, umat Islam dituntut
melaksanakan Ibadah korban bagi memperingati kisah
pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup melaksanakan
perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya
kepada Allah S.WT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang
bermaksud “Maka ketika anaknya itu sampai ke peringkat umur
yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya,
Nabi Ibrahim telah bermimpi di mana dalam mimpinya Allah telah
memerintahkannya untuk menyembelih anaknya bernama
Ismail. Nabi Ibrahim berkata kepada anaknya : Wahai anak
kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku
bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu?
Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang
diperintahkan kepadamu. Insya Allah, ayah akan mendapati aku
termasuk orang-orang yang sabar.” (Surah as-Saffat, ayat 102).

Saban tahun kita diingatkan dengan kisah pengorbanan Nabi
Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s serta berusaha menterjemahkan
pengorbanan tersebut di dalam kehidupan seharian. Antara
hikmah disyariatkan ibadah korban adalah bagi meneladani
perjuangan, pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s serta
keluarganya terhadap perintah Allah SWT. Ketaatan Nabi
Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam melaksanakan perintah
Allah jelas menunjukkan betapa teguhnya keimanan mereka
terhadap Allah SWT. Peristiwa pengorbanan yang dilakukan
oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. memberi makna yang

162

amat besar kepada seluruh umat Islam dan ia memperlihatkan
secara jelas sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah
yang sanggup melakukan apa sahaja di dalam menegakkan
syiar Islam.

Ketika Hari Raya Aidiladha, umat Islam menyembelih binatang-
binatang korban dan mengagihkan kepada orang ramai
terutamanya golongan yang kurang bernasib baik dan fakir
miskin. Penyembelihan binatang korban merupakan ibadah
sunat yang sangat dituntut di dalam Islam dan harus
dilaksanakan oleh mereka yang mampu sebagaimana yang
dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Kautsar,
ayat 1-2 yang bermaksud 'Sesungguhnya Kami telah
mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang
banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah
sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah
korban (sebagai bersyukur).'

Ibadah korban merupakan sunnah yang dilakukan oleh Nabi
Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya Allah
mensyariatkan ke atas Nabi Ibrahim ketika Allah menebus anak
Nabi Ibrahim dengan seekor binatang sembelihan yang besar.
Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam, dikatakan kepada
Rasulullah SAW: Maksudnya: ''Apa itu korban?.'' Baginda
bersabda, ''Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim,'' Beliau
bertanya lagi, ''Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai

163

Rasulullah ?'' Baginda bersabda, ''Setiap helai rambut adalah
pahala.'' Katanya lagi, ''Bagaimana pula dengan bulunya?''
Baginda bersabda, ''Setiap helaian rambut daripada bulunya
ialah pahala.'' Riwayat Imam Ahmad (19283), al-Baihaqi (19489)
di dalam Sunan al-Kubra,Ibnu Majah (3217).

Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri
kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala
nikmat kurniaan-Nya. Selain itu, ibadah korban juga dapat
melatih umat Islam agar dapat menghakis sifat tamak dan bakhil
dalam mengeluarkan harta serta melahirkan sifat pemurah untuk
membelanjakan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan
membantu golongan yang lebih memerlukan seperti golongan
fakir dan miskin.

Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang telah
menunjukkan soladariti yang tinggi serta berkorban dalam
mengharungi tempoh getir negara berhadapan wabak Covid-19.
Segenap lapisan masyarakat sama ada petugas barisan
hadapan dan orang awam memainkan peranan penting dalam
memerangi pandemik yang melanda dunia. Justeru gambaran
negatif seperti yang dilaporkan oleh segelintir pihak yang tidak
bertanggungjawab amat wajar disangkal kerana hanya
menggugat kesatuan dan memberikan gambaran yang salah
tentang kesungguhan dan komitmen seluruh rakyat Malaysia.

164

Agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama) melalui misi Musaadah Covid19 dan inisiatif
Wilayah Cakna telah memberikan sumbangan dalam pelbagai
bentuk kepada masyarakat yang terkesan dengan wabak Covid-
19 tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya.
Kesediaan pelbagai pihak berkorban masa, tenaga, dan harta
merupakan lambang penghayatan yang sebenar di sebalik
falsafah ibadah korban yang disyariatkan. Semoga nilai-nilai
murni yang tercerna ini dapat diteruskan dan semua pihak
menghargai pengorbanan yang telah dilakukan serta tidak alpa
dan leka sehingga menjadikan segala pengorbanan yang telah
dilakukan menjadi sia-sia.

165



Jom Penuhkan Rumah Allah

Situasi semasa negara dilanda wabak Covid-19 menjadikan
masjid sebagai sebuah institusi yang semakin mendapat
perhatian dalam kalangan umat Islam. Justeru penutupannya
dalam tempoh getir Perintah Kawalan Pergerakan mengundang
pelbagai reaksi daripada masyarakat. Bagi menghadapi
keadaan ini, pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan demi
memastikan masjid dan surau tetap berfungsi dan orang ramai
berpeluang mengimarahkannya, pada masa yang sama
maslahah awam berkaitan keselamatan dan nyawa seperti yang
ditekankan dalam maqasid syariah sentiasa dipelihara.

Kebenaran untuk masjid dan surau beroperasi secara
berperingkat telah diberikan oleh kerajaan bermula dengan
pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal
Agama) yang membenarkan solat berjemaah dilaksanakan di
masjid dan surau Zon Hijau sahaja dengan bilangan maksimum
30 orang jemaah berdasarkan SOP yang ketat. Kebenaran ini
kemudiannya dilonggarkan secara berperingkat seperti
perluasan bilangan jemaah kepada satu pertiga kapasiti dewan
solat utama di Zon Hijau dan Zon Kuning serta kapasiti penuh
masjid termasuk ruang legar dengan penjarakan fizikal. Terkini,
di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (JAWI) memberikan kebenaran sementara kepada
surau biasa yang terpilih bagi menunaikan solat Jumaat agar

166

lebih ramai orang berpeluang melaksanakan solat Jumaat.
Selain itu, aktiviti pengimarahan masjid seperti kuliah dan majlis
ilmu kembali dibenarkan dengan syarat pematuhan terhadap
SOP yang ditetapkan.

Walaubagaimanapun, seperti yang dilaporkan oleh beberapa
media, tinjauan awal Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal
Ehwal Agama) ketika solat berjemaah kembali dibenarkan di
masjid, kehadiran jemaah masjid khususnya di Wilayah
Persekutuan adalah kurang memberangsangkan. Keperihatinan
dan kerinduan orang ramai kepada masjid haruslah
diterjemahkan dan diubati dengan kembali hadir beramai-ramai
mengimarahkannya. Di beberapa acara rasmi yang dihadiri oleh
Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau secara berseloroh
menyebutkan agar masjid dan surau yang berkemampuan
menyediakan jamuan makan dengan hidangan kambing untuk
menarik lebih ramai jemaah hadir ke masjid. Lantaran itu
program Dapur It’am telah diinisiatifkan sepanjang bulan
Ramadan yang lalu melibatkan masjid dan surau di Wilayah
Persekutuan. Dapur It’am adalah program berkonsepkan
memberi makanan kepada golongan yang memerlukan tanpa
mengira latar belakang bangsa dan agama. Matlamatnya adalah
untuk menjadikan masjid sebagai sebuah badan atau pusat yang
bertindak memberikan bantuan makanan kepada golongan yang
memerlukan. Amalan memberi makan adalah amat digalakkan
terutamanya kepada golongan fakir miskin dan anak yatim. Allah

167

SWT memuji orang yang bersedekah seperti dalam bentuk
makanan sebagaimana maksud ayat al-Quran surah al-Insan
ayat 8 “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan
yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak
yatim serta orang tawanan”.

Masjid dan surau perlu segera kembali diimarahkan dengan
pelbagai pendekatan seiring peredaran masa. Pengimarahan
masjid dan surau harus meliputi aspek fizikal dan pengisiannya.
Ia bermaksud membina, mengislahkan serta menjadikan masjid
begitu menarik dan amat gemar dikunjungi dalam melakukan
ibadat. Manakala pengisiannya dengan program kerohanian,
ilmu dan suasana yang menepati maksud asalnya iaitu tempat
sujud dan tempat beribadat. Dengan itu, ia akan menarik
sejumlah jemaah bagi melaksanakan perintah Tuhan.

Masjid seperti ciri-ciri pengimarahan yang dinyatakan ini adalah
selaras dengan maksud pembinaan Masjid Quba’ iaitu masjid
pertama yang dibina oleh Rasulullah SAW ketika berhijrah dari
Makkah ke Madinah sehingga keberkatannya digambarkan
dalam sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Barangsiapa
telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-
baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di
dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala
umrah.” (Hadis Riwayat Ibn Majah).

168

Namun sebaliknya kita haruslah menjauhi agenda Masjid Dhirar
yang dibangunkan oleh golongan Munafik di Madinah dan telah
dihancurkan atas perintah Nabi Muhammad SAW. Bangunan ini
dibina dengan tujuan untuk memecahbelahkan perpaduat umat
Islam sepertimana maksud firman Allah dalam al-Quran surah
al-Taubah ayat 107-108 "Dan (di antara orang-orang munafik
juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan
membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan
(menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-
belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk
(dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah
dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang
buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:"
Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini)
melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah
menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya,
kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai
Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula
(wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di
dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil
berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi
orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”

Mengambilkira kepentingan ini, JAWI dalam konteks Wilayah
Persekutuan telah merangka dan bakal melancarkan sebuah

169

Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan demi
memastikan masjid benar-benar berperanan sebagai pusat
penyatuan dan kegemilangan ummah. Program-program
pengimarahan yang dirancang akan mengambilkira aspek
ibadah, dakwah, pendidikan dan keilmuan, sosial, komuniti dan
alam sekitar, serta ekonomi.

Masjid dan surau mesti dikekalkan fungsi dan peranannya
sebagai pusat beribadah dan penyatuan ummah. Elakkan
menjadikan masjid sebagai tempat bersengketa dan membesar-
besarkan jurang perbezaan. Justeru masjid-masjid perlu ditadbir
secara profesional berdasarkan akta dan garis panduan yang
berkuatkuasa agar institusi ini sentiasa bebas dari sebarang
anasir yang memecahbelahkan masyarakat.

Pihak yang dipertanggungjawabkan menjalankan tadbir urus
masjid dan surau perlu merancang dan melaksanakan pelbagai
bentuk program pengimarahan sama ada berbentuk tradisi
mahupun program kreatif dan inovatif mengambil kira keperluan
setempat serta norma baharu masyarakat.

Orang ramai pula perlu memberikan sokongan terhadap semua
usaha ini sama ada dengan hadir menyertai program atau
menghulurkan sumbangan tenaga dan wang ringgit agar
pengimarahan masjid kembali dirancakkan. Impian akhir yang
ingin dicapai ialah agar masjid-masjid dapat diimarahkan secara

170

maksimum melibatkan pelbagai peringkat ahli kariah dan
komuniti. Dengan itu, syiar kehebatan masjid masjid akan lebih
menyerlah.

Marilah kita bersama-sama kembali mengunjungi dan
mengimarahkan masjid sekaligus merebut ganjaran yang besar
sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesiapa
yang pergi ke masjid atau pulang, Allah akan sediakan baginya
tempat dalam syurga sepertimana pergi dan pulang.” (Hadis
Riwayat Muslim (669).

Jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua
institusi kemasyarakatan serta kembali memainkan peranannya
dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki
kerosakan masyarakat, memerangi kemungkaran dan membina
masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah. (al-Sirah al-
Nabawiyyah: Durus wa `Ibar).

171



Kegemilangan Islam Tercipta

Al-Mubarakfuri membuat catatan bahawa Nabi Muhammad SAW
keluar dari rumah baginda menuju ke rumah Abu Bakar al-Siddiq
RA bagi memulakan hijrah ke Madinah pada waktu malam, 27
Safar tahun ke-14 kenabian. Ibn Hisyam menjelaskan bahawa
apabila Nabi SAW diwahyukan supaya keluar dari rumah bagi
memulakan hijrah, maka baginda menyuruh Ali bin Abu Talib
menggantikan tempat tidur baginda dengan menyelimutkan diri
menggunakan baju selendang Nabi Muhammad SAW yang
selalu digunakan semasa tidur bagi mengelirukan musyrikin
Quraisy yang mengepung kediaman dan merancang untuk
membunuh baginda.

Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukanlah suatu
tindakan yang dilakukan secara kebetulan dan tanpa berfikir,
tetapi dengan perancangan yang teratur dan langkah yang
tersusun bagi menjamin matlamatnya tercapai. Nabi Muhammad
SAW memberikan tunjuk ajar kepada umat baginda agar
membuat perancangan secukupnya dengan langkah yang tepat
dalam pelaksanaan sesuatu tugasan.

Allah SWT menjelaskan keutamaan hijrah dalam al-Quran surah
An-Nisa' ayat 100 yang bermaksud "Dan sesiapa yang berhijrah
pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam),
nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang

172

banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari
rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya,
kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah
tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kedatangan tahun baru hijrah pada setiap tahun harus menjadi
medan untuk kita memperbaharui niat, azam dan matlamat
dalam kehidupan. Detik ini perlu menjadi peringatan kepada kita
untuk sentiasa memperbaiki diri menjadi muslim yang taat
kepada perintah Allah SWT dan menjadi manusia yang
bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan
negara. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud
“Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya);
dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang
ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari
akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan
segala yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr, ayat 18).

Permulaan tahun baru hijrah merupakan suatu detik yang
bermakna bagi memperingati peristiwa besar hijrah Rasulullah
SAW, dari Tanah Haram Mekah Mukarramah ke Kota Madinah
Munawwarah. Penghijrahan dengan segala pengorbanan jiwa,

173

harta dan tanah air tercinta menjadi titik tolak perubahan dan
pemangkin penyebaran syiar Islam ke serata alam.

Justeru, menjadi tanggungjawab kepada kita semua untuk
meneruskan kesinambungan perjuangan dan pengorbanan
baginda dan para sahabat dengan memberikan sumbangan dan
khidmat bakti kepada ummah dalam apa juga kemampuan yang
ada. Sesungguhnya, syiar Islam tertegak di atas kesediaan
umatnya untuk berkorban menyumbang khidmat bakti dalam
melaksanakan tugasan dakwah.

Perpindahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukanlah
semata-mata untuk lari daripada tekanan Quraisy dan musyrikin
Mekah, tetapi juga mencari tempat baru supaya Islam dapat
berkembang terus menerus dengan secepat mungkin.

Peristiwa hijrah mengajarkan bahawa gerakan dakwah
memerlukan dokongan pelbagai pihak yang mempunyai
pengaruh dan kekuatan termasuk politik dan kewangan seperti
dimiliki oleh Abu Talib, Saidatina Khadijah, Abu Bakar al-Siddiq
dan Othman bin Affan. Nabi Muhammad SAW menggunakan
segala potensi yang ada untuk memulakan hijrah baginda ke
Madinah melalui peranan Ali bin Abu Talib, Abu Bakar al-Siddiq
dan anak buahnya, gua untuk berlindung, dan pemandu jalan ke
Madinah, iaitu Abdullah bin ‘Uraiqit walaupun bukan Islam.

174

Kelebihan yang ada digunakan untuk memainkan peranan yang
sesuai mengikut potensi masing-masing. Kepentingan hijrah
sebagai strategi dakwah akhirnya berjaya membangunkan
negara Islam pertama di Madinah. Oleh itu, formula untuk
membina negara dengan memanfaatkan segala sumber dan
kelebihan yang ada wajar dijadikan teladan.

Peristiwa hijrah juga mengajarkan sifat keperihatinan dan
kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan
keturunan. Islam menganjurkan kepada setiap muslim agar
selalu peduli dengan nasib muslim yang lain. Kepedulian
tersebut diwujudkan dengan rasa simpati dan senasib
sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
"Perumpamaan kaum Mukmin dalam berkasih sayang dan
persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika
salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut
merasa sakit dengan berjaga malam dan demam." (HR Ahmad
No: 17654).

Di dalam peristiwa hijrah, golongan ansar di Madinah telah
menunjukkan sifat yang baik dengan mengutamakan saudara
mereka dari golongan muhajirin lebih dari diri mereka sendiri
dengan memberikan bantuan tanpa sebarang hajat dan
muslihat. Hal ini digambarkan melalui firman Allah dalam surah
al-Hasyr ayat 9 yang bermaksud "Dan orang-orang (Ansar) yang
mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka,

175

mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan
tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa
yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan
mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih
daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan
kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang
menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh
tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

Sepanjang negara berdepan dengan musibah penularan wabak
Covid-19, seluruh rakyat Malaysia telah berjaya menunjukkan
keperihatinan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan
yang terkesan dan memerlukan tanpa mengira latar belakang
bangsa dan agama. Sifat santun dan perihatin ini dapat menjadi
sarana dakwah yang berkesan dalam menarik minat golongan
bukan Islam kepada Islam.

Sifat dan akhlak mulia melalui pergualan yang mesra dan ceria,
ucapan yang baik dan sopan santun, mengambil berat terhadap
kesulitan dan meringankan kesusahannya mengikut
kemampuan kita adalah contoh pekerti terpuji yang boleh kita
amalkan dalam kehidupan bermasyarakat sebagaimana yang
dilakukan oleh golongan Ansar ketika menerima kedatangan
Muhajirin dari Mekah.

176

Kegemilangan Islam tercipta selepas berlakunya hijrah
Rasullulah SAW dari kota Mekah ke kota Madinah yang
mengeluarkan masyarakat daripada tekanan kepada
kebebasan, kemiskinan kepada kekayaan, dan sengsara kepada
kedamaian. Justeru, detik tahun baru hijrah boleh menjadi
pemangkin untuk kita kembali mencari peluang, kekuatan dan
keyakinan bagi meneroka perubahan kepada yang lebih baik
setelah menempuhi pelbagai ujian yang melanda kehidupan.

Kejayaan hijrah ke Madinah, dari sudut sebab musababnya
adalah hasil daripada usaha kerja yang tersusun dengan
mantap, yang dilakukan sekian lama. Ia bukan suatu kebetulan
tanpa perancangan dan strategi yang diatur. Hijrah menjadi
sangat penting dan sungguh besar ertinya, kerana ia
menentukan bahawa Islam dan umatnya terus hidup untuk
berkembang dengan jayanya. Atas kepentingan peristiwa hijrah,
maka ia diabadikan ingatannya dengan dijadikan tahun pertama
bagi kalendar Islam.

177



Membela Mualaf Qulubuhum

Mualaf ialah mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang
diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau
yang memeluk Islam tetapi belum kukuh Islamnya. Golongan ini
terbahagi kepada dua kategori iaitu beragama Islam, sama ada
baru memeluk agama Islam atau orang yang memeluk Islam
tetapi masih lemah imannya. Kedua, bukan beragama Islam,
namun boleh dipujuk supaya menganut Islam serta cenderung
hatinya kepada ajaran Islam.

Golongan mualaf memainkan peranan penting dalam sejarah
awal pengembangan ajaran Islam. Di antara mereka adalah para
sahabat Nabi Muḥammad SAW yang mengembangkan ajaran
Islam melalui pengorbanan jiwa dan harta.

Menurut Aṭ-Ṭabari, perkataan al-Mu’allafah Qulubuhum
ditafsirkan dengan mereka yang lembut hati mereka terhadap
Islam, yang tidak perlu dibantu diri dan keluarga mereka seperti
Abi Sufyan, ‘Uyaynah bin Badr, al-Aqra’ bin Habis dan
sebagainya dari kalangan pembesar kabilah. Muhammad ’Ali Al-
Sobuni pula berpendapat bahawa Muallaf Qulubuhum ialah
mereka yang diberikan zakat oleh Rasulullah SAW dengan
tujuan supaya menjinakkan hati mereka untuk masuk Islam atau
supaya menetapkan diri mereka dalam Islam. Sepertimana yang
diriwayatkan oleh Sofwan bin Umaiyah bahawa dia berkata: Nabi

178

SAW telah memberikanku zakat, sedangkan dia adalah orang
yang paling aku benci. Baginda berterusan memberikanku zakat
sehingga dia menjadi orang yang paling aku kasihi.” (Riwayat
Muslim) Ibn Kathir menjelaskan bahawa golongan mualaf juga
adalah orang yang diberi sedekah agar Islamnya menjadi baik
dan hatinya tetap dengan keislamannya.

Mualaf adalah mereka yang dijinakkan hatinya agar
berkeinginan memeluk Islam sehingga tidak lagi memberikan
gangguan kepada umat Islam ataupun golongan yang baru
memeluk Islam sehingga mereka tidak kembali kepada agama
lamanya. Para mualaf berhadapan dengan pelbagai cabaran
dalam perjalanan pengislamannya sehingga sebahagian
daripada mereka kehilangan pekerjaan, putus hubungan dengan
keluarga dan diusir oleh masyarakat kaumnya. Justeru mereka
wajar disantuni dengan memenuhi keperluan hidup dan
kebajikan agar dapat merasai nikmat persaudaraan Islam.

Sebagai saudara seakidah, kita berkewajipan membantu dan
membimbing para mualaf untuk mempelajari Islam dengan
sempurna. Bimbingan dan pendidikan agama bagi mualaf
sangat penting kerana mereka sebelum ini berasal dari
kepercayaan agama yang berbeza.

Di antara hak mualaf yang perlu ditunaikan termasuklah
menerima zakat, mendapatkan bimbingan dan pendidikan

179

agama serta hak memperoleh keamanan. Apabila dua kalimah
syahadah dilafazkan oleh seorang mualaf, maka harta dan diri
mereka tertakluk di bawah undang-undang agama serta
terpelihara darah dan harta. Perkara ini selaras dengan maksud
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari “Sesungguhnya
Miqdad bin ‘Amr al-Kindi RA, salah seorang sahabat yang
menyertai peperangan Badar bersama Rasulullah SAW berkata
kepada Rasulullah SAW: Apakah pandangan tuan, jika aku
bertemu dengan seorang lelaki dari golongan kafir lantas kami
saling berbunuhan, dia berjaya menetak salah satu tanganku
dengan pedang dan memotongnya. Kemudian pergi berlindung
di sebatang pokok dan berkata: Aku masuk Islam kerana Allah,
adakah boleh aku membunuhnya wahai Rasulullah setelah dia
mengucapkannya? Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu
membunuhnya”. Beliau berkata: Wahai Rasulullah, dia telah
memotong tanganku, kemudian mengucapkannya setelah itu?
Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu membunuhnya, jika
kamu membunuhnya, maka dia seperti berada di kedudukanmu
sebelum kamu membunuhnya, dan kamu berada ditempatnya
sebelum dia melafazkan ungkapan yang dikatakan.”

Para mualaf berkewajipan melaksanakan seluruh perintah Allah
SWT dan menjauhi semua laranganNya sepertimana yang
dipertanggungjawabkan ke atas umat Islam yang lain. Untuk
menjadi seorang Muslim yang sempurna, selain wajib
mengucapkan dua kalimah syahadah, kita juga perlu

180

melaksanakan tanggungjawab yang lain dalam rukun Islam yang
lima seperti mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan
ibadah haji dan berpuasa di bulan Ramadan.

Umat Islam perlu sentiasa mendekati para mualaf bagi menjadi
umat terbaik yang bertanggungjawab menyeru kepada kebaikan
dan mencegah kemungkaran. Oleh itu para mualaf wajar
didekati melalui pendekatan dakwah yang hikmah. Dakwah
kepada golongan mualaf boleh dilaksanakan secara
berperingkat bermula dengan mewujudkan hubungan
silaturahim, ziarah-menziarahi, mengadakan dialog tentang
Islam serta usaha menangani isu-isu kebajikan masyarakat. Di
antara aktiviti yang sesuai dilaksanakan termasuklah program
motivasi, gotong royong, keluarga angkat, sukaneka, kesenian
dan hiburan, khidmat masyarakat dan majlis dialog. Orang bukan
Islam juga boleh dijemput menghadiri program kemasyarakatan
yang dianjurkan. Selain mendekatkan golongan bukan Islam
kepada Islam, usaha seperti ini juga dapat mengelakkan
ketegangan, mengurangkan salah faham serta merapatkan
jurang perbezaan dan penerimaan kelompok minoriti dan majoriti
dalam sesuatu masyarakat. Interaksi yang berlaku di antara
penduduk Islam dan bukan Islam dalam masyarakat akan dapat
membentuk kesefahaman dan kesepaduan yang menyumbang
kepada sikap penerimaan sesama anggota masyarakat. Bahkan
interaksi masyarakat Islam dengan bukan Islam melalui

181

sambutan perayaan bersama misalnya secara tidak langsung
dapat menarik orang bukan Islam kepada Islam.

Firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 159 bermaksud
“maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah
(kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-
lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan
kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka
lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai
kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah
ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka
dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian
apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk
membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal
kepadaNya.”

Dalam konteks Wilayah Persekutuan, golongan muallaf
disantuni melalui pelbagai program kebajikan, kelas pengajian,
bimbingan dan pusat perlindungan seperti dilaksanakan di
Kompleks Darul Hidayah selain bantuan zakat oleh Majlis
Agama Islam Wilayah Persekutuan. Dalam negara kita terdapat
ramai dalam kalangan mualaf yang dapat menjadi contoh terbaik
dan menyumbang semula sebagai pendakwah dalam
masyarakat. Mereka berjaya dalam pelbagai bidang yang
diceburi dan menjadi contoh ikutan. Keprihatinan kerajaan

182

terhadap pengupayaan golongan mualaf ini dapat dilihat melalui
cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal
Agama) baru-baru ini yang berhasrat menghantar mualaf terpilih
menyambung pengajian agama ke peringkat lebih tinggi serta
melantik guru takmir dalam kalangan masyarakat orang asli.
Mengambil kira kepentingan ini juga, JAWI turut memasukkan
agenda Mualaf Care di dalam Pelan Pengimarahan Masjid-
Masjid Wilayah Persekutuan demi memastikan program
bimbingan dan kebajikan melibatkan golongan ini terus terbela
serta akhirnya dapat memainkan peranan penting di dalam
usaha menegakkan syiar Islam sebagaimana zaman awal
pengembangan Islam.

183



Syukuri nikmat keharmonian dalam masyarakat

Di antara kejayaan dakwah dan hijrah baginda nabi Muhammad
SAW ke Madinah adalah pembentukan sebuah model negara
Islam yang gemilang dan dikagumi masyarakat dunia. Baginda
bukan sahaja berjaya mempersaudarakan golongan Muhajirin
dari Makkah dan golongan Ansar di Madinah, tetapi juga
mengharmonikan hubungan penduduk Madinah yang terdiri
daripada pelbagai suku kaum dan kepercayaan.

Justeru resipi paling utama dalam membangunkan sebuah
negara yang terhormat adalah dengan memperkukuh hubungan
kaum di samping membentuk perpaduan yang utuh dalam
kalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama. Agenda ini
termaktub di dalam fasal terawal Sahifah Madinah iaitu sebuah
perlembagaan yang dibangunkan bagi menetapkan perjanjian
atau kontrak sosial antara umat Islam yang terdiri daripada
Muhajirin dan Ansar serta golongan bukan Islam yang berjuang
bersama dengan umat Islam.

Sahifah Madinah adalah suatu kontrak sosial yang bersandarkan
perjanjian berasaskan konsep sebuah komuniti yang terdiri
daripada pelbagai puak dan kaum yang hidup di bawah naungan
satu Tuhan. Sahifah Madinah juga telah menetapkan suatu
kaedah yang menyelesaikan segala pertelingkahan dalam
kalangan kaum dan kumpulan dalam masyarakat secara aman

184

tanpa memaksa semua warga untuk memeluk satu agama, atau
satu bahasa atau satu budaya. Langkah ini membuktikan
bahawa tindakan Rasulullah SAW berasaskan kemahiran
diplomatik yang sangat tinggi yang dibentuk selaras dengan
pertimbangan yang praktikal tanpa mengenepikan prinsip-
prinsip agama.

Warga Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang
kaum dan kabilah hidup dalam keadaan tegang dan berpecah
belah sebelum kedatangan Islam. Selain dari orang Arab yang
terdiri daripada beberapa kabilah atau bani, terdapat beberapa
kumpulan minoriti seperti penganut Kristian, penganut agama
pagan dan animisme, mereka yang berasal dari luar Madinah
dan juga kumpulan-kumpulan puak kecil yang lain.

Kedatangan golongan Muhajirin telah membuka suatu lembaran
baru bagi peradaban masyarakat Madinah. Pendekatan
mempersaudarakan bani Aus dan Khazraj yang bertelagah di
bawah satu nama iaitu Ansar serta menjalinkan ikatan
persaudaraan antara muhajirin dan ansar telah menjadi suatu
titik penting persaudaraan muslim di Madinah termasuk dengan
golongan bukan Islam.

Negara Madinah terbentuk atas jalinan perpaduan antara setiap
individu serta bangsa, puak, dan kumpulan. Setiap warga
mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara.

185

Berdasarkan asas perpaduan ini, Madinah telah menjadi sebuah
negara yang mantap dan disegani. Setiap warga telah
bekerjasama membangunkan Madinah dalam segenap aspek
politik, ekonomi dan sosial. Sahifah Madinah juga telah
membentuk masyarakat yang kukuh dari sudut politik melalui
penerimaan kepimpinan Rasulullah SAW.

Dalam usaha kita membangunkan sebuah negara yang makmur
dan harmoni, pertelingkahan tidak wajar diperbesarkan
sebaliknya berusaha mencari jalan memantapkan dan
mempereratkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hanya dengan perpaduan akan mempertingkatkan
pembangunan Malaysia ke arah keseimbangan yang holistik
dalam segenap aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berfikir dan bertindak
sebagai satu bangsa Malaysia dan segala tindakan yang diambil
haruslah berdasarkan kehendak dan kepentingan semua
kumpulan etnik dalam negara ini.

Teras perpaduan dalam kalangan masyarakat haruslah
berlandaskan prinsip kenegaraan seperti yang terkandung di
dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, dan
keadilan sosial. Manakala nilai-nilai murni yang perlu diterapkan
adalah seperti persefahaman, ketaatan kepada pemimpin,
keprihatinan serta penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang
kaum. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Maidah ayat

186

8 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman,
hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang
menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan
kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua)
kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Kemajmukan dan keberagaman manusia adalah fitrah dan
sunnatullah yang telah ditetapkan. Kepelbagaian bangsa dan
etnik bertujuan agar manusia saling kenal mengenali,
memahami pemikiran, budaya dan adat resam, bukannya
bersengketa serta berpecah belah. Firman Allah SWT dalam
surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa
dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya
di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam
PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

187

Bagi menjayakan matlamat ini, sikap bertoleransi di mana satu
kaum menerima keunikan kaum lain serta menghargai kelebihan
dan keunikan yang ada dengan saling menghormati adalah
sangat diperlukan bagi setiap rakyat Malaysia merangkumi
semua kaum, etnik, dan kumpulan. Ia juga haruslah berteraskan
akidah dan kedaulatan Islam sebagaimana firman Allah dalam
al-Quran surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud “Dan
berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama
Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah
nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan
(semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati
kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam),
maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang
Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi
jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah),
lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat
Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-
ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk
hidayahNya.

Bagi membudayakan dan menghayati kesepaduan dalam
masyarakat “Ummah Rabbani, Negara Harmoni” juga telah
diangkat sebagai tema sambutan Maal Hijrah tahun ini selaras
dengan slogan “Malaysia Prihatin” yang menjadi tema Hari
Kebangsaan 2020. Dasar pentadbiran Islam semasa juga
menyantuni masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang

188

dilaksanakan seperti Musaadah Covid-19 yang memberikan
sumbangan dan bantuan kepada golongan terkesan dan
memerlukan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
Selain itu inisiatif menghargai sumbangan golongan bukan Islam
di dalam usaha pembangunan ummah turut dibuat melalui
penganugerahan salah satu daripada kategori anugerah
Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan kepada
penerima bukan Islam.
Semua inisiatif ini dilaksanakan bagi menyampaikan mesej
bahawa tanggungjawab memelihara keharmonian dan
kemakmuran negara adalah tanggugjawab bersama agar
Malaysia terus gemilang, menjadi contoh kepada masyarakat
dunia serta diredhai oleh Allah SWT.

189



Tiga Amalan Suci Jiwa

Menjaga kesihatan diri sama ada jasmani mahupun rohani
adalah perkara yang amat dituntut di dalam ajaran Islam. Melalui
kesihatan fizikal dan mental, seseorang dapat menjalankan
peranan dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat
dan negara. Menurut Badan Kesihatan Sedunia (WHO),
kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang
individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi
zikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari
penyakit atau tidak berdaya. Manakala kesihatan mental pula
merujuk kepada keadaan kesejahteraan di mana seseorang
individu menyedari kebolehan mereka sendiri, dapat
menghadapi tekanan normal kehidupan, boleh bekerja secara
produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

Justeru Islam menegah sebarang perbuatan dan amalan yang
boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental misalnya
melalui ketetapan syariat yang mengharamkan arak. Firman
Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 219 yang
bermaksud “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad)
mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya ada
dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia
tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.”
Perintah ini selaras dengan tuntutan memelihara maqasid

190

syariah yang lima iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan
dan harta.

Islam juga menegah dari melakukan sebarang perbuatan dosa
dan maksiat kerana kesannya mengotori hati serta menjejaskan
kesihatan rohani. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah
hadis yang bermaksud “Ketahuilah bahawa pada jasad itu
terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh
jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya,
ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” (Riwayat al-Bukhari
(52) dan Muslim (1599)

Kegagalan menguruskan penjagaan kesihatan fizikal dan mental
dengan baik akan menjejaskan fungsi dan peranan individu
tersebut dalam masyarakat. Keadaan kesihatan fizikal yang tidak
baik mungkin disebabkan faktor pemakanan, gaya hidup dan
persekitaran manakala keadaan kesihatan mental yang tidak
sihat pula mungkin disebabkan oleh tekanan, kebimbangan,
kemurungan dan lain-lain.

Kesihatan mental merupakan aspek yang sangat penting bagi
setiap fasa kehidupan manusia sebagaimana pentingnya
kesihatan fizikal. Ketika seseorang mengalami masalah
kesihatan mental, dia memerlukan pertolongan orang lain untuk
mengatasi masalah yang dihadapinya.

191

Tabiat manusia yang bersifat keluh kesah apabila dilanda
kesusahan dalam kehidupan dinyatakan di dalam al-Quran
surah al-Ma'arij ayat 19-20 yang bermaksud 'Sesungguhnya
manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil
kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah
gelisah'.

Terdapat pelbagai situasi yang menyumbang serta
menambahkan lagi perasaan resah gelisah dalam kehidupan.
Mungkin ia berpunca daripada konflik dan tekanan dalam
keluarga dan rumah tangga, tempat kerja, serta musibah yang
melanda termasuk situasi getir seperti wabak Covid-19 yang
sedang kita hadapi. Perasaan tersebut sekiranya gagal dikawal
akan menyebabkan tekanan dan kemurungan sehingga
sanggup melakukan pelbagai tindakan yang membahayakan diri
serta orang lain. Bahkan dalam sesetengah situasi, tekanan
yang tidak dapat dikawal akhirnya menyebabkan individu
mengambil jalan singkat dengan membunuh diri atau ahli
keluarga sendiri.

Baru-baru ini media melaporkan tentang tindakan seorang bapa
berusia 40 tahun yang ditahan oleh pihak polis selepas
dipercayai membunuh anak kandungnya yang baru berusia
lapan bulan. Suspek sebelum ini yang dipercayai mengalami
masalah gangguan mental telah membunuh anak kandungnya
dan melumur badan mangsa dengan garam kasar sebelum

192

disumbat ke dalam guni. Melihat daripada cara pembunuhan
tersebut, suspek disyaki mengalami halusinasi kerana sebelum
pembunuhan itu berlaku, suspek memberitahu dia mendengar
suara ‘malaikat’.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan
penyakit mental mengalami trend peningkatan yang semakin
membimbangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Justeru
masyarakat disarankan agar menjalani gaya hidup yang sihat
dan seimbang mengambil kira keperluan fizikal, mental, sosial
dan spiritual.

Dalam konteks kehidupan seorang muslim, kita harus kembali
kepada pendekatan kerohanian dan spiritual bagi menguruskan
tekanan hidup serta melakukan amalan yang dapat menyucikan
jiwa. Manusia menurut pandangan Imam al-Ghazali terdiri
daripada komponen jasmani dan rohani. Justeru aspek
keagamaan perlu diterapkan dalam pengisian jiwa dan spiritual
seseorang kerana ia berperanan dalam pembentukan perilaku,
tindakan dan keputusan bagi seseorang individu.

Amalan yang pertama yang perlu dilaksanakan dalam penyucian
jiwa ialah melalui taubat kepada Allah SWT. Taubat perlu
dilaksanakan dengan menginsafi kekhilafan dan maksiat yang
telah dilakukan serta disusuli dengan tindakan menggantikan

193

perlakuan dosa dengan perbuatan yang diperintahkan Allah
SWT.

Amalan yang kedua pula ialah melalui sifat sabar dan doa.
Dalam konteks agama, sabar bermaksud menerima ujian Tuhan
dalam perjuangan memperolehi keredaan Allah SWT. Individu
yang memiliki sifat sabar akan memiliki personaliti baik yang
menggambarkan perasaan cintanya terhadap Tuhan. Dengan
bersabar, seseorang dapat menahan diri daripada melakukan
perbuatan yang tidak rasional dan bercanggah dengan syariat
serta melakukan segala ikhtiar yang benar dalam kehidupannya.

Manakala doa adalah suatu bentuk pengabdian dan
pergantungan individu terhadap Tuhan seperti maksud firman
Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186 “Dan apabila hamba-
hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir
(kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang
berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka
menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan
hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi
baik serta betul." Setiap doa individu seharusnya dilakukan
dengan bersungguh-sungguh dan yakin ia akan dikabulkan oleh
Allah SWT.

194

Amalan seterusnya ialah melalui sifat berharap hanya kepada
Allah SWT iaitu melalui sifat optimis individu untuk mendapat
rahmat Tuhan yang disediakan kepada hamba-hambanya yang
soleh. Sifat berharap adalah berlawanan dengan sifat berputus
asa. Individu yang mempunyai sifat berputus asa adalah individu
yang dianggap putus hubungan dengan Allah SWT. Muslim yang
baik tidak sepatutnya hilang rasa optimis dan kepercayaan
terhadap rahmat Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran surah
Yusuf ayat 87 yang bermaksud “Wahai anak-anakku! Pergilah
dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya
(Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta
pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat
dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Selain daripada meningkatkan amalan kerohanian, kita juga
disaran mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan dan
para kaunselor bertauliah dalam menghadapi situasi tekanan
hidup. Mengambil ibrah peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW,
ketika bersembunyi di dalam Gua Thur buat sementara daripada
buruan kaum Musyrikin Makkah, Rasulullah SAW menyuntik
kata-kata semangat kepada Abu Bakar dengan pesanan: La
tahzan Innallaha Ma’ana bermaksud: “Janganlah bersedih
kerana Allah bersama kita.”

195

Bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang diperingati
pada 10 Oktober setiap tahun, amat penting bagi semua
masyarakat menghayati saranan dan petunjuk yang diberikan
bagi mengekalkan kesejahteraan fizikal dan mental terutama
dalam menghadapi tempoh getir yang sedang melanda negara.

196



Rasulullah SAW Teladan Ummah Sepanjang Zaman

Ketibaan Maulidur Rasul SAW saban tahun menjadi detik
bermakna kepada seluruh umat Islam untuk memperingati
nikmat terbesar pengutusan Nabi Muhammad SAW iaitu
penyebaran risalah Islam. Justeru bagi menzahirkan kesyukuran
atas pengutusan Nabi Muhammad SAW, umat Islam
bertanggungjawab mempertahankan syiar agama, memelihara
akidah dan iman, mempamerkan serta mengamalkan akhlak
terpuji seperti yang ditunjukkan oleh nabi sepanjang hayat
baginda dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT di dalam
surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud “Demi sesungguhnya,
adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan)
Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan
mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang).”

Terlalu banyak sifat Nabi Muhammad SAW yang tercatat di
dalam sirah dan disebutkan di dalam al-Quran yang merupakan
teladan bagi kita semua. Di antara sifat-sifat tersebut ialah
ketabahan baginda di dalam menempuh kehidupan sebagai
anak yatim, ketika menghadapi kebencian kaum musyrikin
Mekah, kesedihan yang menimpa hidup kerana kehilangan bapa
saudara, isteri dan anak tercinta, dan paling utama kesabaran
baginda menghadapi pesona kekuasaan dengan tawaran

197

pangkat dan darjat agar meninggalkan misi dakwah. Dalam hal
ini, Ibn Kathir menyatakan bahawa tawaran tersebut diajukan
oleh ‘Utbah bin Rabi’ah yang bertemu baginda di rumahnya.
Dalam riwayat yang lain menyebut bahawa tawaran itu diajukan
al-Walid bin al-Mughirah dan al-‘As bin Wa’il.
Walaubagaimanapun baginda dengan tegas menolaknya kerana
misi memperkenalkan masyarakat kepada Allah SWT adalah
lebih berharga berbanding tawaran yang diberikan.

Baginda nabi Muhammad SAW juga bersifat dermawan, gemar
menjamu tetamu, berinfak, menderma kepada orang yang lapar,
membantu jiran terdekat serta menjenguk orang sakit. Nabi
Muhammad SAW sentiasa berbuat baik kepada sesama
manusia sama ada orang Islam ataupun mereka yang bukan
beragama Islam. Berkaitan hal ini terdapat banyak kisah dalam
kehidupan dan pesanan Nabi Muhammad SAW kepada umat
Islam. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang
bermaksud “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik”
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Darimi).

Di dalam suatu kisah diceritakan bahawa baginda nabi pergi
menziarahi seorang Yahudi yang ditimpa kesakitan. Dalam
sebuah hadis daripada Anas RA, beliau berkata: Ada seorang
budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah
menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda
duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: "Masuklah Islam". Budak

198

itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya,
lalu bapanya berkata,: "Taatilah Abu al-Qasim SAW". Lantas
budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil
bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan
budak itu dari neraka.” Riwayat al-Bukhari (1356).

Baginda nabi Muhammad SAW bersifat berani, teguh hati, dan
tidak melarikan dari medan peperangan. Baginda memimpin
beberapa siri peperangan yang dimenangi oleh tentera muslimin.
Berdasarkan hadis riwayat Sahal bin Sa`ad RA bahawa dia
ditanya tentang luka Rasulullah SAW dalam perang Uhud.
Jawab Sahal, "Muka Rasulullah SAW luka, taring beliau patah,
dan topi baja yang dipakainya pecah. Lalu Fatimah binti
Rasulullah yang membersihkan darahnya, Ali bin Thalib yang
menyiramkan air dari perisai. Ketika dilihat Fatimah darah
bertambah banyak keluar, diambilnya potongan pelepah kurma,
lalu dibakarnya sampai jadi abu. Kemudian abu itu diletakkannya
di atas luka beliau sehingga darahnya berhenti keluar." (Sahih
Muslim No.1759)

Baginda juga bersifat zuhud dan sederhana dan mengambil
dunia sekadar perlu. Baginda tinggal di rumah yang sangat
sederhana dan berpakaian sederhana. Baginda terkenal dengan
sifat tawaduk, menghormati orang tua, simpati kepada orang
miskin, menolong orang yang lemah, ramah dengan orang,
melakukan sendiri kerja rumah seperti menjahit pakaiannya

199

sendiri dan menyantuni pelbagai golongan termasuk kanak-
kanak. Dalam sebuah hadis daripada Jabin Samurah RA: "Aku
solat Zuhur bersama Rasulullah SAW, kemudian baginda keluar
ke tempat keluarganya dan aku pun ikut keluar. Selanjutnya,
beliau disambut oleh kanak-kanak, kemudian baginda
mengusap pipi mereka seorang demi seorang hingga sampailah
pada giliranku. Baginda mengusap pipiku dan ternyata
kurasakan tangan baginda begitu sejuk dan harum baunya
seakan-akan tangan baginda baru dikeluarkan dari kantung yang
berisi minyak wangi. (Riwayat Muslim).

Baginda bersifat bijaksana, halus pekerti dan lembut pergaulan,
murah hati dan memaafkan, menenangkan dengan akhlak dan
toleransi, tersenyum kepada orang yang marah, serta membalas
keburukan dengan kemaafan dan damai. Ketika baginda
ditawarkan untuk membalas perbuatan penduduk Taif yang
menolak dakwah dengan kekasaran, Nabi Muhammad SAW
sebaliknya menjawab; “Tidak, bahkan aku berharap agar Allah
mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang
menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan apapun
juga.” (Riwayat Muslim).

Baginda bersifat belas ihsan, mengasihi sesama insan dan
bergurau senda dengan ahli keluarga dan para
sahabat. Aisyah RA berkata: "Jika Rasulullah SAW berada di
rumah, dialah orang yang paling murah senyum dan ketawa". Ali

200

bin Abi Talib menceritakan bahawa Rasulullah SAW selalu
kelihatan ceria, tenang dan santai, banyak tersenyum di
hadapan para sahabat, semangat dan kagum dengan
pembicaraan mereka, malah kadang kala tertawa sehingga
terlihat gigi gerahamnya.

Baginda juga selalu berzikir dan suka berdoa. Rasulullah SAW
menangis ketika sembahyang tahajud, maka Aisyah bertanya:
“Mengapakah engkau menangis? Sebenarnya Allah SWT sudah
mengampunkan dosa engkau yang terdahulu mahupun yang
terkemudian. Maka Nabi Muhammad SAW menyatakan: Adakah
tidak patut aku dalam kalangan hamba yang banyak bersyukur?”
(HR Ibnu Hibban)

Penghayatan sifat-sifat nabi perlu dibudayakan di setiap
peringkat sama ada dalam keluarga mahupun melalui institusi
pendidikan bagi melahirkan sebuah ummah yang rabbani. Ia
juga harus diserlahkan dalam segenap aspek kehidupan
misalnya melalui program dakwah yang meraikan masyarakat
yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya, dan agama.

Sempena ketibaan Maulidur Rasul SAW ini, marilah kita
mengisinya dengan amalan selawat, menghidupkan sunnah dan
menghayati sifat-sifat baginda agar dapat menyuburkan dan
meningkatkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi
Muhammad SAW. Sirah Nabi Muhammad SAW harus dijadikan

201

sumber rujukan dan panduan terpenting di dalam pelbagai aspek
kehidupan serta menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi
umat Islam terutama ketika negara sedang berperang melawan
wabak Covid-19.

202


Click to View FlipBook Version