38
kaunseling dalam konteks umat Islam yang mempunyai ikatan kuat dan tidak terpisah
dengan nilai-nilai agama dalam kehidupan.
Amalan kaunseling yang memisahkan agama dengan kaunseling ini walau
bagaimanapun mengalami satu bentuk 'paradigm shift' atau anjakan paradigma dan
berputar 180° apabila badan-badan profesional psikologi Barat seperti American
Psychological Association (APA) mula mengiktiraf bahawa agama adalah termasuk dalam
salah satu elemen yang perlu dan penting serta harus dihormati dan seterusnya meletakkan
bidang ini pada bahagian ke-36 dalam divisi kaunseling sebagai salah satu bidang psikologi
yang diiktiraf.
Menurut APA, elemen agama merupakan antara faktor yang membantu manusia
untuk berfungsi dalam kehidupan (American Psychological Association, 2015). Hasil
tinjauan juga menunjukkan lapan daripada sepuluh individu dalam dunia ini
mengasosiasikan kehidupan mereka dengan agama (Pew-Templeton Global Religious
Futures Project, 2012) dan hal ini sekaligus menunjukkan keperluan tinggi dalam aspek
agama untuk diterapkan dalam amalan kaunseling secara menyeluruh seperti yang
dianjurkan melalui kajian ini untuk meneroka amalan kaunseling perspektif Islam dalam
sesi kaunseling yang dijalankan oleh para kaunselor Muslim.
Sikap keterbukaan Barat juga memperlihatkan semakin banyak kajian dan
penambahbaikkan dijalankan terhadap bidang keagamaan dalam kaunseling ini. Kajian
oleh Farah dan Dykeman (2011) misalnya mengangkat tema agama, spiritual dan budaya.
39
Kajian ini menggariskan penilaian dari segi budaya, agama dan spiritual untuk
menjalankan kaunseling dengan Muslim Amerika dan Imigran Muslim di Amerika yang
memperlihatkan trend yang semakin peduli akan elemen agama dalam amalan kaunseling
dan psikoterapi. Hal ini diakui oleh Corey (t.th) yang menyatakan bahawa elemen agama
adalah sumber kekuatan yang sangat kritikal kepada para klien dalam pencarian kepada
makna kehidupan serta kesejahteraan hidup. Perkara ini jelas menunjukkan isu-isu agama
sangat relevan untuk dikaji bersama dengan amalan kaunseling kerana keduanya saling
melengkapi.
Malah, begitu banyak kajian oleh sarjana Barat yang mengakui akan keberkesanan
integrasi elemen agama dalam amalan kaunseling yang juga membawa hasil positif kepada
para klien melalui kesejahteraan hidup mereka dan juga secara tidak langsung kepada
kompetensi dan pengetahuan kaunselor (Joshi, Kumari, & Jain, 2008; O’brien & Curry,
2010; Walker, Gorsuch, Tan, & Otis, 2008; Walker, Gorsuch, & Tan, 2005). Perkara ini
sememangnya tidak dapat disangkal lagi dan menunjukkan keperluan yang besar untuk
terus meneroka bidang pengetahuan berkaitan amalan kaunseling dan agama bagi
membolehkan aplikasinya disebarluas dan dimurnikan dengan sebaiknya.
Kajian lain yang dijalankan adalah berkaitan penggunaan modul bimbingan dan
kaunseling yang melihat aspek agama dan spiritual yang telah dijalankan menggunakan
kaedah eksperimen oleh Finney dan Maloney (1985) yang memperlihatkan rawatan
pendekatan agama berupaya mengurangkan tahap tekanan dan meningkatkan konsep
kendiri klien dalam kajian ini. Hal ini juga turut dipersetujui oleh Paukert, Phillips, Cully,
40
Romero dan Stanley (2011) dalam kajian mereka yang melihat penggunaan elemen agama
berupaya meningkatkan keberkesanan untuk merawat depresi dan kebimbangan. Kesan
seperti ini telah dijangkakan kerana agama khususnya dalam konteks ini adalah agama
Islam, merupakan penawar kepada sebarang dilema yang dihadapi manusia (Md Noor
Saper, 2016).
Pendapat berhubung isu agama dalam amalan kaunseling di Barat ini diperkuat pula
melalui kajian oleh Weiss (1999) dan Holder (2006) yang menyatakan bahawa terdapat
desakan atau keperluan untuk menyediakan program latihan berkaitan bidang keagamaan
dalam bidang kaunseling pendidikan. Hasil kajian ini juga mendapati peserta kajian
melihat aspek keagamaan sebagai sumber personal dan profesional yang amat penting
tetapi masih tidak ada sebarang teknik atau pendekatan yang dapat dikenal pasti digunakan
dalam menyepadukan aspek ini dengan kaunseling. Perkara ini memperlihatkan satu
keperluan besar untuk penerokaan ilmu bagi memahami amalan kaunseling perspektif
Islam dengan lebih mendalam bagi memudahkan penyebaran aplikasi amalan kaunseling
jenis ini dalam setiap sesi kendalian seperti yang ditonjolkan oleh kajian ini.
Terdapat juga kajian tentang bagaimana kaunselor melihat dan menilai peranan
mereka dalam bidang keagamaan dijalankan oleh Shuler (2009), Francis (2011) dan Harper
(2012) memperlihatkan bahawa para kaunselor lebih peka terhadap pengaruh agama dalam
amalan kaunseling mereka. Tambahan lagi, hasil dapatan mendapati klien dalam sesi
kaunseling kelompok berasakan isu-isu keagamaan merupakan salah satu isu yang relevan
dan perlu dalam sesebuah sesi. Klien dan kaunselor juga menunjukkan bahawa intervensi
41
keagamaan perlu diteroka dengan lebih baik lagi (Post, 2012). Perkara ini memperlihatkan
ruang yang amat luas untuk para kaunselor meneroka elemen agama bagi memenuhi
kehendak klien.
Apa yang nyata, elemen agama dari pentas dan kaca mata Barat juga bukanlah
sesuatu yang janggal dan terbiar kerana telah ada kesedaran dan juga kajian-kajian sejak
awal lagi terhadap kesan elemen agama dan spiritual ini terhadap sesi kaunseling. Secara
tidak langsung, sarjana Barat telah mengakui bahawa elemen agama dan kaunseling bukan
sesuatu yang terpisah kerana secara empirikalnya telah banyak kajian yang membuktikan
hasil yang sebaliknya selain sikap dan penerimaan masyarakat sendiri yang menilai
kaunseling agama ini sebagai sesuatu yang sangat membantu dalam menyumbang kepada
kesejahteraan hidup mereka. Walaupun ada komponen-komponen dalam kaunseling
konvensional yang tidak bercanggah dengan Islam, namun dalam konteks negara kita yang
berasaskan Islam ini adalah sesuatu yang amat pelik dan jelik untuk kita terus membontoti
Barat secara total yang terus serong dalam mengamalkan kaunseling secara konvensional
kerana kita telah pun mempunyai pilihan dengan amalan kaunseling berbentuk keagamaan
dalam konteks ini merujuk kepada agama Islam untuk diamalkan.
Satu lagi isu menarik yang boleh diketengahkan berhubung isu agama dalam
amalan kaunseling ini adalah berkenaan dengan sikap peduli dan memandang serius oleh
para ilmuwan Barat terhadap aspek keagamaan ini yang dilihat bermula daripada tindakan
Alfred Adler yang menghindar dari fahaman Freud (Khalif, 2012). Hal ini memperlihatkan
senario sebenar fitrah manusia yang menolak pemisahan elemen agama daripada
42
kehidupan dengan pernyataan oleh Freud yang secara terang-terangan melabel agama
sebagai candu kepada kehidupan. Alfred Adler menyatakan melalui pendekatan beliau
bahawa ia tidak menolak aspek agama serta menerima elemen keseluruhan (holistic) dalam
memahami dan membawa perubahan kepada personaliti individu (Othman, 2005).
Pendapat Adler ini kemudian diterjemah dalam konteks kajian awal dalam negara
oleh Misnan Jemali (1989) yang menolak acuan teori psikoanalitik Freud dan cuba
mengetengahkan amalan kaunseling yang menggunapakai acuan al-Quran dan Sunnah. Isu
dalam kajian beliau ini dilihat selari dengan apa yang ingin ditonjolkan oleh kajian ini
melalui amalan kaunseling yang memegang kuat asas al-Quran dan Sunnah sebagai sumber
rujukan dan garis panduan utama dalam menjalankan sesi. Hal ini juga menunjukkan telah
ada kesedaran dan minat oleh pengkaji-pengkaji terdahulu dalam negara kita berhubung
isu amalan kaunseling ini namun, kajian yang dijalankan masih di peringkat asas dan
penerokaan amalan kaunseling seumpamanya masih tidak memadai dan menyaksikan
keperluan untuk kajian ini dijalankan.
Begitu juga dengan kajian dalam negara seperti yang dijalankan oleh Nik Rosila
Nik Yaacob (2012) yang menyatakan amalan kaunseling Islam adalah berdasarkan kepada
konsep hisbah iaitu satu konsep yang menganjurkan kepada ‘amar makruf nahi mungkar’
yang juga bermaksud menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Konsep
hisbah ini dipelopori oleh Rasulullah yang digunapakai dalam segenap aspek hidup
termasuklah dalam amalan kaunseling.
43
Perkara ini dilihat juga sejajar dengan apa yang ingin diketengahkan oleh kajian ini
menerusi amalan kaunseling yang berpandukan kepada ajaran Islam secara langsung yang
juga terdapat dalam firman Allah dalam surah Ali Imran (104) yang bermaksud “Dan
hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan,
menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah
orang-orang yang beruntung.”
Konsep ‘amar makruf dan nahi mungkar’ ini turut dibawa oleh Abdullah Mohamed
(2004) yang menyatakan kaunselor Muslim lebih efektif dalam amalan kaunseling mereka
kerana tanggungjawab yang berasaskan konsep ini. Beliau juga berpendapat perkhidmatan
kaunseling kini semakin mencabar kerana perubahan yang dialami oleh manusia
menyebabkan sistem kehidupan manusia tergugat dan beliau turut bersetuju bahawa
terdapat keperluan yang amat tinggi untuk pelaksanaan amalan kaunseling yang
disesuaikan dengan kehendak dan nilai agama dalam sebuah negara yang membawa Islam
sebagai agama rasmi.
Amalan kaunseling perspektif Islam juga dilihat perlu selari dengan konteks budaya
dan nilai agama yang ada dalam masyarakat (Hassan Langgulung, 1990) dan isu inilah
yang ingin diteroka oleh kajian ini yang secara khusus memfokus kepada penerokaan
amalan kaunseling yang menggunapakai elemen-elemen yang menyentuh nilai agama
kerana penggunaan amalan kaunseling Barat didapati tidak ideal dan bersesuaian dalam
masyarakat Islam kerana dilihat seolah-oleh memaksa sesuatu masyarakat untuk menerima
44
amalan kaunseling sedia ada tanpa mempertimbangkan perbezaan budaya, ideologi,
pandangan dan nilai dalam masyarakat tersebut.
Malah, kajian oleh Abdu Rahman Ibrahim (2001) melihat keperluan besar untuk
mengasimilasikan nilai-nilai agama dalam amalan kaunseling dengan kaunselor
berperanan untuk membawa klien kembali kepada Allah. Perkara ini juga merupakan salah
satu elemen utama yang ingin diketengahkan berkaitan kajian ini berkaitan amalan
kaunseling yang mampu membawa klien kembali kepada Allah dan hal ini menunjukkan
pengkaji terdahulu sedar akan keperluan kepada isu-isu seumpama ini tetapi masih di
peringkat awal dan perlu kepada penerokaan yang lebih mendalam seperti yang
diketengahkan oleh kajian ini.
Isu ini turut dipersetujui oleh Salasiah Hanin Hamjah (2008) dalam kajiannya
berkaitan penggunaan pendekatan dakwah al-Irsyad al-Nafsiyy menurut al-Ghazali dalam
sesi kaunseling yang menyatakan bahawa terdapat kelemahan yang ketara berhubung
amalan kaunseling semasa dan hal ini menjadi titik tolak kepada pengkaji untuk
meneruskan kajian berkaitan penerokaan amalan kaunseling perspektif Islam dalam
kalangan kaunselor ini bagi membuka ruang pengetahuan yang lebih luas tentang amalan
kaunseling jenis ini.
Kelemahan dalam amalan kaunseling semasa juga dapat dilihat melalui kajian oleh
Mazidah Mohd Dagang, Raja Zirwatul Aida Raja Ibrahim dan Azlina Abu Bakar (2015)
yang menunjukkan terdapat integrasi yang sederhana dalam kalangan kaunselor dalam
45
amalan kaunseling mereka dan kajian ini turut mencadangkan agar latihan dan pendedahan
berterusan berkaitan isu integrasi agama dalam amalan kaunseling perlu diwujudkan bagi
meningkatkan lagi tahap kompetensi kaunselor yang berminat mempraktikkan amalan ini.
Hal ini kerana kebanyakan kaunselor didapati mempunyai tahap kompetensi spiritual yang
sederhana walaupun wujud hubungan yang signifikan antara kompetensi spiritual dalam
amalan kaunseling dengan kompetensi pelbagai budaya kaunselor (Mazidah Mohd
Dagang, Rusnani Abdul Kadir, Sidek Mohd Noah, & Maznah Baba, 2013).
Kekurangan atau lompong dari aspek agama dan spiritual dalam amalan kaunseling
dan psikoterapi ini juga dikatakan berpunca daripada jurang dan konflik yang tercetus
antara psikologi dan agama di mana terdapat satu kepercayaan yang menyatakan bahawa
aspek agama dan spiritual adalah hak golongan agama semata (Melati Sumari, Ida Hartina
Ahmed Tharbe, Norfaezah Md Khalid, & Azmawaty Mohamad Nor, 2014). Hal ini
nyatanya tidak menyempitkan aspek yang diteroka oleh kajian ini yang memfokus kepada
aspek penerokaan amalan berkaitan kemahiran, teknik dan proses selain aspek pengetahuan
kaunselor berkaitan amalan kaunseling mereka.
Kepentingan untuk memasukkan elemen agama dalam amalan kaunseling juga ada
diketengahkan oleh Asmah Bee Md Noor (2004) yang secara khusus juga ada menekankan
berkaitan konsep Islam, iman dan ihsan. Konsep Islam, iman dan ihsan ini diambil secara
langsung daripada al-Quran dan merupakan antara elemen yang diberi perhatian dalam
kajian ini. Penerapan aspek agama dalam kaunseling juga didapati dapat memberikan celik
akal kepada klien berhubung kepercayaan yang ada dalam diri mereka selain pendekatan
46
agama yang turut dilihat lebih menyeluruh dan mampu memenuhi keperluan manusia
(Halimah Abd Halim & Zainab Ismail, 2015; Md Noor Saper, 2012; Norhafizah Musa et
al., 2018; Norhafizah Musa & Che Zarrina Sa’ari, n.d.). Selain itu, psikoterapi dalam Islam
juga dikatakan sebagai salah satu medium untuk proses Islamisasi sains dan ilmu-ilmu
kaunseling yang bersumberkan al-Quran, hadis dan juga pengetahuan agama (M Hamdani
Bakran Adz-Dzaky & Ahmad Norma-Permata, 2001) dan isu inilah yang akan diteroka
dengan lebih mendalam dalam kajian ini kelak.
2.2.1 Kemahiran dalam Amalan Kaunseling
Amalan kaunseling yang berkesan memerlukan pengendalian oleh kaunselor yang
mempunyai kemahiran yang baik. Kajian-kajian lalu begitu banyak memfokus kepada
kemahiran-kemahiran yang perlu ada dan perlu dipraktikkan dalam amalan kaunseling
termasuklah kemahiran-kemahiran asas kaunseling yang merangkumi kemahiran membina
hubungan (rapport), kemahiran melayan mendengar, kontak mata, posisi badan, tona suara,
kemahiran menyoal, kemahiran merefleksi, memparafrasa dan juga kemahiran merumus
(D. Evans, Hearn, & Uhlemann, 1998; G. Evans, 2013; Geldard & Geldard, 2005; Ivey,
D’Andrea, & Ivey, 2011; Nelson-Jones, 2008)
Malah, Drab (2015) ada menyenaraikan sepuluh kemahiran kaunseling utama yang
dirasakan amat penting untuk para kaunselor yang merangkumi kemahiran mendengar,
empati, tulen (genuine), penerimaan tanpa syarat, kejelasan, soalan-soalan terbuka,
47
pendedahan kendiri kaunselor, kemahiran interpretasi dan juga kemahiran memberi
maklumat. Dillon (2018) pula menyenaraikan kemahiran-kemahiran asas yang sedikit
berbeza yang perlu ada pada kaunselor untuk mempraktikkan amalan kaunseling dengan
baik iaitu kemahiran komunikasi, kemahiran kemanusiaan, kemahiran pengurusan amalan
dan juga sifat peribadi kaunselor. Hal yang sama juga dinyatakan oleh Pompon (2017) yang
turut menyatakan kemahiran asas yang penting seperti kemahiran kesedaran kendiri,
kemahiran melayan, kemahiran mengumpul maklumat, kemahiran memberi maklumat dan
kemahiran untuk mempromosikan perubahan kepada klien.
Miller (2018) pula menyenaraikan lapan lagi kemahiran-kemahiran kaunseling asas
yang penting dan efektif untuk kaunselor iaitu kemahiran komunasi, kemahiran menerima,
empati, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran membina hubungan, fleksibel,
kesedaran kendiri dan juga kompetensi pelbagai budaya. Apa yang dapat disimpulkan di
sini, kemahiran-kemahiran asas yang dianjurkan oleh para sarjana Barat ini tidak
bertentangan dalam Islam dan masih boleh digunakan dalam amalan kaunseling yang
dikendalikan oleh kaunselor Muslim terutamanya dari aspek kemahiran pelbagai budaya
atau silang budaya yang diketengahkan mereka. Hal ini kerana, aspek pelbagai budaya atau
silang budaya ini merupakan komponen yang penting dalam mengenal pasti dan
mengangkat nilai-nilai agama dalam amalan kaunseling.
Kajian-kajian lalu juga banyak menyentuh berkenaan kemahiran pelbagai budaya
yang menekankan kepentingan untuk membuka ruang yang luas bagi membolehkan
amalan kaunseling berkaitan pelbagai budaya dan silang budaya berlangsung serta
48
kesediaan kaunselor untuk meningkatkan kompetensi mereka berhubung aspek ini (Collins
& Arthur, 2010; Ivers, Johnson, Clarke, Newsome, & Berry, 2016; Ivey et al., 2011;
LeBeauf, Smaby, & Maddux, 2009; O’brien & Curry, 2010). Aspek pelbagai budaya yang
menjurus kepada elemen agama merupakan asas utama dalam kajian ini yang melihat
keperluan yang sama seperti yang telah diketengahkan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu.
Namun, kajian seumpamanya dari konteks dalam negara masih kurang.
Kajian berkaitan kemahiran pelbagai budaya yang menjurus kepada aspek agama
yang dijalankan dalam negara oleh Hilal Wani, Raihanah Abdullah dan Lee (2015)
mengangkat ayat al-Quran dari surah al-Hujurat ayat 13 berkaitan kepelbagaian yang
membawa maksud “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang
laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-
suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara
kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Kajian ini melihat pengurusan kepelbagaian agama dari sudut Islam melalui titik
persamaan yang harus dicari oleh setiap penganut agama. Kompetensi kaunselor
berhubung isu agama dan spiritual ini juga amat dititikberatkan supaya aplikasi amalan
kaunseling berasaskan agama ini dapat berlangsung dengan lebih efektif (W.Aeshah
Ameriha W Ahmad, Rohaizan Baru, & Mohd Shahril Othman, 2014). Apa yang
diketengahkan ini selari dengan kajian oleh Mazidah Mohd Dagang dan rakan-rakan
(2013) yang turut menekankan keperluan bagi kaunselor untuk mempunyai dan
49
meningkatkan kompetensi pelbagai budaya untuk meningkatkan keberkesanan amalan
kaunseling dan perkara ini dilihat selari dengan konteks kajian ini berkaitan aspek amalan
kaunseling perspektif Islam.
Selain isu pelbagai budaya dan silang budaya yang diketengahkan dalam kajian-
kajian lepas, isu kemahiran spesifik kaunselor dalam amalan kaunseling perspektif Islam
ini juga ada dicatatkan dalam beberapa kajian seperti kajian oleh Mizan Adiliah Ahmad
Ibrahim, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali dan Hanif Osman (2006) yang menyatakan
pengamal kaunseling perspektif Islam ini seharusnya mempunyai kemahiran, ilmu,
kekuatan emosi dan rohani yang lebih berbanding klien yang ingin dibantu supaya proses
menolong dapat berlangsung dengan baik.
Di samping itu, penggunaan kemahiran-kemahiran asas kaunseling yang dibawa
oleh Barat juga boleh diteruskan pengaplikasiannya dalam amalan kaunseling perspektif
Islam kerana ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Hal ini dapat dilihat melalui
kajian oleh Salasiah Hanin Hamjah, Zainab Ismail dan Noor Shakirah Mat Akhir (2012)
yang memperlihatkan dapatan kajian berhubung penerapan elemen ibadah dalam
kaunseling yang juga mengenal pasti kemahiran kaunseling yang sesuai bagi menerapkan
ibadah kepada klien dengan hasil kajian mendapati kemahiran yang paling banyak
digunakan oleh responden ialah kemahiran refleksi pengalaman, diikuti kemahiran
membuat rumusan besar, kemahiran membuat rumusan kecil, kemahiran menyoal dan
kemahiran yang paling kurang digunakan ialah kemahiran konfrantasi.
50
Begitu juga saranan oleh Asmah Bee Md Noor (2004) yang menyarankan beberapa
kemahiran penting yang perlu ada pada kaunselor Muslim yang ingin mempraktikkan
amalan kaunseling perspektif Islam ini antaranya ialah kecekapan diri kaunselor Muslim,
sahsiah mulia dan memahami kemajuan diri, dapat menentukan tahap pegangan agama dan
sistem kepercayaan klien dan mempunyai pengetahuan berhubung dengan model
perkembangan spiritual manusia. Hal-hal ini dilihat terkait secara langsung dengan kajian
ini terutamanya penentuan tahap pegangan agama dan sistem kepercayaan klien. Namun
demikian, kajian ini tidak pula memfokuskan kepada kemahiran berkaitan pengetahuan
model perkembangan spiritual manusia seperti yang diketengahkan oleh Asmah Bee Md
Noor (2004) ini.
Salasiah Hanin Hamjah (2008) pula dalam kajian beliau memfokus kepada
kemahiran-kemahiran kaunselor berdasarkan kemahiran al-Irsyad dan juga al-Ghazali.
Namun, beliau tidak memperincikan secara khusus berkaitan kemahiran-kemahiran ini.
Walaubagaimanapun, kajian ini ada mengambil metod al-Ghazali yang dipelopori oleh
Yatimah (2005) yang menggariskan beberapa kemahiran untuk para kaunselor Muslim
sebagai prasyarat untuk mempraktikkan amalan kaunseling jenis ini iaitu kemahiran
memahami peranan hati, kemahiran menghayati sirah Rasulullah, kaedah mendidik hati,
mengetahui sifat-sifat mahmudah dan mazmumah, bersabar, istiqamah, menjaga adab,
kemahiran berkaitan faktor halal-haram, mengetahui tahap pelaksanaan ibadah klien dan
juga kemahiran untuk sentiasa positif.
51
Kemahiran-kemahiran ini amat penting kerana ianya memberi kesan kepada
penerapan amalan kaunseling perspektif Islam dalam sesi kaunseling seperti kajian oleh
Salasiah Hanin Hamjah (2010) yang menunjukkan keberkesanan kaunseling di Pusat
Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (PK MAINS) adalah disebabkan oleh
faktor kaunselor yang berkemahiran dan bersikap profesional. Hal ini turut dipersetujui
oleh Nur Fadhilah Abdullah Fauzi dan Mariani Omar (2002) dalam kajian mereka yang
menyataka kaunselor perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran
sebagai seorang kaunselor Muslim yang mana kemahiran-kemahiran ini akan menjamin
kewujudan kualiti dalam amalan kaunseling yang dijalankan serta berupaya memberikan
kesan positif kepada klien.
2.2.2 Teknik dalam Amalan Kaunseling
Amalan kaunseling juga tidak kurang dengan kepelbagaian teknik untuk dipraktikkan oleh
para kaunselor bagi menjamin perjalanan sesi kaunseling yang baik dan bermanfaat.
Penggunaan teknik dalam amalan kaunseling dilihat memenuhi keperluan kaunselor untuk
menggunakan pendekatan pelbagai dalam proses membantu klien (Jacobs, 1992).
Penggunaan teknik-teknik ini juga menurut Jacob (1992) berupaya membantu proses
pembelajaran klien dalam sesi, membantu memberi fokus sepanjang sesi berlangsung dan
juga mampu mempercepatkan proses kaunseling.
52
Teknik dalam amalan kaunseling juga dikatakan sebagai medium untuk kaunselor
melihat permasalahan yang dialami klien dari sudut yang pelbagai contohnya dari sudut
pandangan, pendengaran dan juga gaya pembelajaran klien (Schimmel & Jacobs, 2011).
Penggunaan teknik berupaya membantu membina hubungan dalam sesi selain
menggalakkan komunikasi antara kaunselor-klien (Bruneau & Protivnak, n.d.). Teknik-
teknik dalam amalan kaunseling ini begitu luas dan tidak terhad kepada teknik tertentu
yang diketengahkan oleh teori-teori kaunseling dan ia bergantung kepada kreativiti
kaunselor dalam menggunakan teknik-teknik yang dirasakan sesuai dan mampu
membantunya dalam amalan kaunseling (Chan, Berven, & Kenneth, 2015; Erford, 2015).
Selain itu, kajian oleh Bennet, Le, Lindahl, Wharton dan Tin Weng Mak (2017)
berkaitan teknik dalam kaunseling menyatakan amalan kaunseling yang semakin mencabar
dengan kepelbagaian budaya dan latar belakang klien juga memerlukan kaunselor untuk
mempersiapkan diri mereka dengan berbagai-bagai teknik kaunseling yang kreatif dan
mampu meningkatkan ekspresi verbal dan non-verbal daripada klien dalam bentuk yang
teraputik. Hal ini selari dengan kehendak kajian ini yang tidak melihat kaunselor perlu
terikat kepada teknik-teknik tertentu berbentuk Islamik tetapi membebaskan kreativiti
kaunselor asalkan teknik yang digunakan tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Bagi konteks amalan kaunseling perspektif Islam, teknik-teknik yang digunakan
juga tidak terhad kepada teknik kaunseling tertentu dalam teori yang spesifik. Terdapat
juga teknik-teknik khusus seperti teknik ibadah dalam kajian oleh Salasiah Hanin Hamjah
dan rakan-rakan (2012), teknik dakwah dalam kaunseling (Ab. Aziz Mohd Zin & Yusmini
53
Md Yusoff, 2001; Abdu Rahman Ibrahim, 2001; Salasiah Hanin Hamjah, 2008), teknik
berlawanan seperti yang dianjukan oleh al-Ghazali (Nik Rosila Nik Yaacob, 2012; Salasiah
Hanin Hamjah, 2008) ataupun teknik kaunseling kerohanian (Roslee Ahmad, Mohamed
Sharif Mustaffa, Sulaiman Shakib Mohd Noor, et al., 2008).
Teknik-teknik kaunseling lain tetap juga diterapkan dan diaplikasikan namun masih
berpasak kepada Quran dan Sunnah seperti yang diangkat dalam kajian oleh (Amirah
Diniaty, 2013) yang menyatakan bahawa teknik dalam amalan kaunseling mengambil
templat daripada amalan Rasulullah iaitu secara bilhikmah, maw’izah hasanah dan juga
mujadalah. Teknik-teknik dalam amalan kaunseling yang digunakan adalah mudah dan
menjurus kepada elemen bimbingan dan membantu klien agar berupaya membuat
penilaian terhadap dirinya dan mengaitkannya dengan permasalahan yang wujud (Nik
Rosila Nik Yaacob, 2012).
Perkara ini amat penting kerana kaunselor perlu mengaplikasikan teknik-teknik
dalam amalan kaunseling perspektif Islam yang berupaya membantu klien untuk
menyelesaikan masalah, mengenal diri, memahami potensi dan kelebihan diri,
menggalakkan klien menerima qada’ dan qadar Allah serta membantu klien membuat
keputusan yang selari dengan syariat Islam untuk mendapatkan keredhaan Allah (Hassan
Langgulung, 1990). Selain itu, teknik-teknik yang digunakan dalam amalan kaunseling
juga perlu mempertimbangkan aspek hubungan manusia dengan pencipta, memahami
tujuan hidup dan matlamat akhir kehidupan seseorang (Roslee Ahmad, Mohamed Sharif
Mustaffa, Sulaiman Shakib Mohd Noor, et al., 2008)
54
Hal ini juga kerana kaunselor itu sendiri adalah teknik dalam satu-satu amalan
kaunseling lebih-lebih lagi amalan kaunseling perspektif Islam yang mencerminkan
kaunselor sebagai qudwah hasanah kepada klien selain penggunaan teknik dalam amalan
kaunseling yang berkaitan dengan lisan untuk menyeru manusia menuju jalan yang
diredhai Allah dan menyingkir dari laranganNya (Ab. Aziz Mohd Zin & Yusmini Md
Yusoff, 2001). Hal ini dilihat bertepatan dengan hadis dari imam Muslim iaitu
Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan
tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka
dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim,
40:69)
Kaunselor juga dalam teknik-teknik yang digunakan bersandar kuat kepada
dimensi taqwa. Hal ini kerana taqwa ini terletak antara ikhtiar dan juga teknik yang
digunakan oleh seseorang kaunselor dalam amalan kaunselingnya untuk membantu klien
dan dimensi taqwa ini harus diperkuat dengan sifat-sifat Nabi seperti sidik, fatanah, tabligh
dan juga amanah bagi memastikan teknik-teknik yang dijalankan memberi impak positif
dan berupaya dijadikan qudwah hasanah oleh para klien (Othman Mohamed, 2000)
55
Selain itu, satu lagi teknik dalam amalan kaunseling perspektif Islam yang sering
dipandang enteng dan dikesampingkan oleh para sarjana Barat adalah teknik nasihat (Ivey
et al., 2011; Nik Rosila Nik Yaacob, 2012; Nur Fadhilah Abdullah Fauzi & Mariani Omar,
2002). Kamal Abd Manaf (2000) menyatakan bahawa teknik nasihat berupaya merangsang
klien untuk meninggalkan perkara yang buruk dan nasihat dengan cara yang baik dan
berlemah-lembut mampu membawa kesedaran dan keinsafan kepada klien. Hal ini
menunjukkan teknik nasihat merupakan teknik yang amat berkuasa dalam amalan
kaunseling apatah lagi ianya turut terkandung dalam al-Quran daripada surah an-Nahl ayat
ke 125 yang bermaksud, “Serulah (manusia hai Muhammad) kepada jalan Tuhanmu
dengan hikmat dan mau’izah (nasihat) yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan
cara yang lebih baik.”
Teknik berkaitan nasihat ini juga ada diketengahkan oleh Siti Zalikhah Md Nor
(2002) yang turut menganjurkan beberapa lagi teknik lain dalam amalan kaunseling seperti
tazkirah (peringatan), irshad (menunjuk ke arah kebenaran), qudwah (menjadi contoh
teladan yang baik), qiyadah (kepimpinan), tawsiyyah (pesanan) dan islah (perubahan sikap
yang lebih baik). Kesemua teknik ini membolehkan kelemahan diri klien dianalisa dari
sudut pandangan ikhlas dan penilaian serta seterusnya menggalakkan perkembangan nilai
positif dalam diri klien (Abdullah Mohamed, 2004).
Apa yang dapat dirumuskan, walaupun subtopik ini hanya menyentuh beberapa
contoh teknik-teknik yang terdapat dalam kajian-kajian lepas tetapi realitinya penggunaan
teknik-teknik dalam amalan kaunseling perspektif Islam adalah luas dan tidak terbatas
56
asalkan ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Ia sekaligus memperlihatkan
diversiti dalam teknik-teknik yang ada dalam amalan kaunseling perspektif Islam kerana
ia tidak terkongkong dalam teori tertentu tetapi dibebaskan mengikut kreativiti kaunselor
selain turut mempertimbangkan keperluan klien semasa dalam sesi. Jelasnya, teknik-teknik
ini berupaya membantu kaunselor dalam amalan kaunseling untuk melancarkan sesi selain
membenarkan hubungan menolong untuk berkembang dengan baik seiring dengan
perjalanan sesi kaunseling.
2.2.3 Proses dalam Amalan Kaunseling
Kajian lepas berkaitan proses dalam amalan kaunseling sememangnya meluas kerana
kaunseling sendiri telah berevolusi dengan sekian banyak pendekatan dan teori-teori yang
mendasari proses kaunseling itu sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui kajian oleh Scholl,
Ray dan Brady-Amoon (2014) yang menyatakan bahawa pendekatan humanistik yang juga
sama dengan apa yang diketengahkan dalam kajian ini lebih memberi tumpuan kepada
proses, klien, kaunselor dan juga hubungan teraputik yang berlangsung. Malah, kajian ini
juga menyatakan proses dan juga hasil daripada intervensi humanistik adalah berkait rapat
dan sangat penting dalam sesuatu sesi kaunseling. Apa yang lebih menarik, terdapat kajian
yang menyatakan kebanyakan pelopor kepada pendekatan humanistik ini berasal daripada
latar belakang agama tetapi melalui proses perubahan untuk memenuhi kehendak klien
yang hidup dalam paradigm spiritual yang baru (Lines, 2002).
57
Kajian oleh Waehler dan Lenox (1994) pula membuat analisa ringkas berkaitan
beberapa model proses dalam amalan kaunseling seperti model Burke, Cormier dan
Hackney, Doyle, Egan dan Peterson dan Nisenholz mendapati proses kaunseling daripada
model-model ini hampir sama walaupun model Egan memecahkan proses kepada yang
lebih terperinci berbanding model lain dan kedua pengkaji ini mengetengahkan pula model
proses kaunseling mereka sendiri yang didakwa lebih fleksibel dan berupaya untuk
diintegrasikan.
Tahun demi tahun yang berlalu menyaksikan proses dalam amalan kaunseling
melalui proses penambahbaikkan yang pesat melalui penggunaan teori dan proses
kaunseling yang lebih bersifat eklektik dan praktikal dari sudut pengamal. Hal ini dapat
dilihat melalui kajian-kajian oleh Morgan dan Mac Millan (1999) berkaitan proses
kaunseling untuk membantu perubahan konstruktif klien melalui model kaunseling
integrasi tiga fasa serta kajian oleh Petrocelli (2002) berkaitan proses kaunseling dan
perubahan pada diri klien apabila menggunakan model perubahan Transteoritikal yang
lebih menekankan kepada pengaruh teknikal eklektisme dan juga integrasi teori terhadap
proses kaunseling.
Model-model proses ini dilihat mengetengahkan tahap dan langkah-langkah dalam
kaunseling secara umum dan jelas sekali dipelopori oleh Barat yang kurang
mempertimbangkan aspek-aspek keagamaan kerana didapati bertentangan dengan aspek
penerimaan tanpa syarat yang digariskan mereka melalui penerapan nilai agama kepada
klien (Melati Sumari et al., 2014; Zaharudin, 2017). Hal ini kerana menurut kajian oleh
58
Mazidah Mohd Dagang dan rakan-rakan (2015), agama menjadi satu kerangka yang
digunakan untuk mengenal pasti sesuatu masalah yang dihadapi klien dan juga satu bentuk
intervensi berbentuk keagamaan seperti solat dan doa yang digunakan untuk membantu
klien mencapai matlamat dalam sesi.
Namun demikian, walaupun terdapat pertentangan pendapat berkaitan penerapan
nilai keagamaan dalam proses kaunseling oleh Barat, terdapat juga kaunseling pastoral
yang juga mempunyai banyak model proses kaunseling dengan templat yang pelbagai.
Model kaunseling pastoral ini juga merupakan model proses kaunseling keagamaan yang
dipelopori oleh para psikologis Kristian contohnya seperti model Kaunseling Pastoral
Strategik yang dipelopori oleh David G. Benner (2003) yang menggariskan tiga tahap
dalam kaunseling pastoral iaitu tahap bersemuka untuk kaunselor dan klien berbincang
tentang keperluan klien. Tahap kedua iaitu tahap penglibatan yang menuntut penerokaan
terhadap perasaan, pemikiran dan tingkah laku klien. Tahap terakhir adalah tahap
penamatan yang mana tahap ini digunakan untuk menyemak dan menilai perkembangan
klien sepanjang sesi berlangsung.
Model Benner ini dilihat agak popular dan banyak dijadikan rujukan dalam kajian-
kajian terkini. Zietlow (2016) dalam kajiannya pula mengemukakan lima tahap dalam
proses kaunseling pastoral yang dilihat tidak banyak berbeza dengan kaunseling
konvensional yang biasa. Lima tahap tersebut meliputi pembinaan hubungan, penilaian dan
diagnosis, pembinaan matlamat kaunseling, intervensi dan penyelesaian masalah serta
59
penamatan dan susulan. Lima tahap ini dibezakan daripada kaunseling biasa melalui
peranan pastor dan elemen agama dalam setiap tahap.
Terdapat juga model empat langkah dalam kaunseling pastoral yang dibawa oleh
Gutterman dan Leite (2006) yang juga dilihat hampir serupa dengan kebanyakan templat
proses kaunseling biasa dengan langkah pertama untuk pembinaan matlamat dan mengenal
pasti masalah, langkah kedua mengenal pasti dan dan mengelakkan kekecualian, langkah
ketiga memilih tindakan serta langkah keempat penilaian keberkesanan tindakan dan
menilai semula matlamat dan masalah. Empat langkah ini dikatakan mengintegrasi aspek
agama dan spiritual dalam sesi kaunseling. Malah, terdapat juga model proses
menggunakan pendekatan berfokus penyelesaian dilihat amat menarik yang dipopularkan
oleh Kolllar (1997).
Melalui model proses ini, klien dibantu untuk memfokus secara langsung kepada
kekuatan diri klien dan keutuhan fahaman klien bahawa Tuhan sememangnya telah
memainkan peranan besar dalam kehidupan klien (Der Pan, Deng, & Tsai, 2015). Model
proses ini walaubagaimanapun dilihat tiada langkah ataupun fasa khusus yang jelas kerana
ia memfokus kepada dua tahap penting yang berupa kemahiran-kemahiran yang digunakan
kaunselor untuk membantu klien dalam perjalanan rohani menuju penyelesaian. Model-
model proses kaunseling pastoral ini dilihat mempunyai sedikit persamaan dengan model
proses dalam amalan kaunseling perspektif Islam dengan memberi fokus kepada elemen
ketuhanan dan kerohanian.
60
Model-model proses kaunseling pastoral ini juga dilihat memberikan banyak
peluang untuk penerokaan oleh para pengamalnya melalui kajian-kajian dan juga aplikasi
penggunaan model-model. Melalui kajian lebih awal pula, pengkaji dalam bidang
kaunseling pastoral dilihat lebih menjurus ke arah penggunaan Bible sebagai asas kepada
proses kaunseling seperti model proses tujuh langkah oleh Crabb (1975) yang merangkumi
mengenal pasti masalah perasaan, mengenal pasti masalah tingkah laku, mengenal pasti
masalah pemikiran, menjelaskan pemikiran Bible, menetapkan komitmen, merancang dan
melaksanakan tingkah laku berasaskan Bible dan mengenal pasti dorongan jiwa. Model
proses ini kelihatan berfokus terus kepada aspek Bible dan menjadikan Bible sebagai asas
kepada intervensi tingkah laku klien.
Malah penggunaan Bible, doa dan juga skriptur agama dilihat memberi kesan yang
amat positif kepada para klien yang dilihat mampu membawa impak perubahan kepada
klien tanpa mengira apa jua masalah yang dihadapi (Der Pan, Deng, Tsai, & Yuan, 2015;
Garzon, 2005; Monroe, t.th). Perkara ini sekiranya dilihat dengan teliti mempunyai dasar
yang sama dengan amalan kaunseling perspektif Islam yang menjurus kepada dua asas
utama iaitu Quran dan Sunnah. Hal ini dapat dilihat melalui kajian oleh Salasiah Hanin
Hamjah dan Nadhirah Muhamad Arib (2015) yang memperlihatkan jenis-jenis amalan
keagamaan yang dibincangkan dalam sesi kaunseling iaitu doa, bacaan ayat-ayat Quran,
solat dan juga selawat. Perkara ini dilihat selari dan tidak bertentangan dengan syariat.
61
Kajian-kajian lepas berkaitan proses kaunseling keagamaan juga ada dijalankan.
Contohnya seperti kajian oleh Galindo (1997) berkaitan pertimbangan yang perlu diambil
oleh kaunselor untuk memasukkan elemen agama dalam proses kaunseling. Pertimbangan
berkaitan perspektif dari sudut epistemologi amat penting bagi menjamin kelancaran
proses kaunseling. Hal ini dilihat selari dengan proses dalam amalan kaunseling perspektif
Islam yang dianjurkan dalam kajian ini yang melihat pertimbangan kaunselor dari sudut
agama Islam adalah amat penting dalam proses membantu.
Sermabeikian (1994) dalam kajiannya berhubung penggunaan proses kaunseling
terapan daripada psikologi analitik oleh Jung pula menyatakan kepentingan penggunaan
terapan psikoanalitik ini untuk meneroka spiritual klien bagi membolehkan konstruk
agama dan ideologi falsafah klien dapat difahami dengan lebih baik. Hal ini secara
langsung juga dilihat berupaya membantu meningkatkan kefahaman berkaitan panduan
agama dan kepercayaan klien selain nilai-nilai yang dipegang serta menyumbang kepada
perhubungan teraputik dan hal ini dilihat amat baik dan tidak bertentangan dengan apa
yang telah digariskan dalam Islam.
Kajian berkaitan proses kaunseling menggunakan elemen keagamaan dan spiritual
dalam menangani masalah ketagihan yang dijalankan oleh Cashwell, Clarke, dan Graves
(2009) pula menghasilkan 12 langkah dalam proses tersebut untuk membantu klien. Hal
ini dilihat satu usaha yang sangat baik untuk meneroka kekuatan teknik agama dan spiritual
dalam menangani masalah ketagihan serta lengkap dengan langkah demi langkah untuk
dilaksanakan oleh kaunselor dalam bidang pemulihan dalam proses kaunseling.
62
Pengkaji dalam negara juga memperlihatkan pemahaman berkaitan proses
kaunseling dalam kalangan pengamal (Zakaria, Wan Ibrahim, Asyraf dan Fadzli, 2012)
yang mana kajian ini menyingkap penggunaan proses kaunseling dalam kalangan
pengamal. Hasil kajian mendapati para pengamal kaunseling memahami proses kaunseling
berdasarkan teori yang mereka digunakan selain memberi penekanan kepada peringkat
tertentu dalam proses kaunseling yang dirasakan penting.
Dalam konteks negara kita, model proses dalam amalan kaunseling perspektif
Islam sebenarnya telah lama wujud melalui beberapa kajian oleh para sarjana tempatan
seperti Salleh Aziz (1993) yang mencadangkan proses kaunseling Islam dalam empat
tahap:
1. Memulakan Perhubungan
• Galakkan bacaan Bismillah dan al-Fatihah.
• Tanggungjawab ke atas kaunselor untuk menerangkan kepada klien.
• Melibatkan teknik-teknik yang berupaya mengendurkan tekanan dan
menggalakkan komunikasi kaunselor-klien.
63
2. Mengenal pasti Masalah Klien
• Klien diberi lebih tanggungjawab.
• Kaunselor titikberatkan kemahiran komunikasi yang berkesan.
3. Merancang untuk Menyelesaikan Masalah
• Klien perlu mengetahui dan memahami sepenuhnya permasalahan yang
dihadapinya.
• Kaunselor memasukkan elemen Islamik dengan memohon petunjuk dari Allah
untuk semua usaha yang dijalankan dalam intervensi yang difikirkan bersama
klien.
4. Penamatan
• Apabila matlamat kaunseling telah tercapai.
• Digalakkan menutup sesi secara keseluruhan dengan al-Fatihah dan dua
kalimah Syahadah supaya segala yang diusahakan mendapat berkat Allah.
64
Model proses ini dilihat mempunyai fokus kepada aspek-aspek agama melalui
tujuan dan tatacara kaunseling dijalankan dan perkara ini dilihat mempunyai persamaan
dengan model proses kaunseling yang dikemukakan oleh Salleh (1993) yang pada dasarnya
kelihatan sama sahaja dengan model-model kaunseling yang dipelopori Barat tetapi dengan
memasukkan sedikit sahaja unsur-unsur Islamik dan kelihatan unsur-unsur yang
dijelaskannya dalam proses itu sendiri terbatas dalam perkara-perkara tertentu seperti
Bismillah, al-Fatihah, kalimah Syahadah dan beberapa perkara sahaja tanpa sebarang garis
panduan yang lebih jitu dan lengkap. Perkara ini berkemungkinan kerana kajian ini masih
di peringkat awal (zaman 90-an) dan dilihat menyediakan platform kepada pengkaji-
pengkaji akan datang untuk meneroka lebih dalam lagi.
Othman Mohamed (2005) muncul dengan model proses kaunseling Islam yang
lebih kemas dan terperinci melalui teori psikologi kognitif Ad-Din. Menurut Othman
(2005), terdapat beberapa peringkat dalam proses kaunseling berdasarkan teori ini yang
perlu dijalani oleh kaunselor dan klien sepanjang sesi berlangsung iaitu :
1. Peringkat pertama
• Peringkat asas untuk menimbulkan keyakinan dan sokongan kepada klien.
• Galakkan kepada kaunselor untuk memberi penerangan tentang al-nafs supaya
klien sedar bahawa ia perlu menggunakan aqalnya untuk perubahan kesedaran.
65
2. Peringkat kedua
• Kaunselor dan klien mengenal pasti gangguan masalah yang dialami.
• Dikatakan peringkat diagnosis.
• Meliputi penelitian aspek fikiran, emosi dan tingkah laku klien.
3. Peringkat ketiga
• Kaunselor bersedia untuk intervensi dimensi taqwa berhubung masalah dan
kecelaruan klien.
• Sifat-sifat kaunselor seperti sidik, amanah, tablik dan fatanah ditekankan
sepenuhnya pada peringkat ini.
4. Peringkat ikhtiar
• Peringkat ini melalui tiga lagi tahap perlaksanaan iaitu :
i. Peringkat Inisiatif Swadiri
ii. Peringkat Perincian Strategi
iii. Peringkat Tindakan
66
5. Peringkat Keempat
• Persetujuan berkenaan penyempurnaan matlamat kaunseling dan tindakan oleh
klien.
• Peringkat ini yang menggerakkan klien untuk mencuba amalan perlakuan yang
baru melalui teknik seperti teknik zikir, bertafakur dan sebagainya.
Othman (2005) dilihat benar-benar mendalami ilmu kaunseling perspektif Islam
dan memberikan gambaran yang baik melalui teori psikologi kognitif Ad-din ini dan
perkara ini menyumbang sesuatu yang amat positif dalam percambahan ilmu berhubung
amalan kaunseling perspektif Islam ini. Namun demikian, penebaran ilmu berkaitan teori
psikologi kognitif Ad-din ini terbatas melalui bahan bacaan dan kurang pendedahan
berkaitan aplikasinya dalam dunia kaunseling sebenar.
Model proses kaunseling perspektif Islam ini kemudiannya diteruskan lagi oleh
Sapora Sipon (2007) yang muncul dengan model proses kaunselingnya yang lebih
terperinci dan mengkhusus. Model proses kaunseling Sapora (2007) ini meliputi empat
belas tahap ataupun peringkat :
1. Berkenalan (Taaruf)
2. Persediaan (Bayan)
3. Mendekati dan Mengenali Allah
4. Penerangan Tentang Konsep Nafs dan Kaitannya dengan Kalbu dan Akal Manusia
67
5. Mengingati dan Bertaqwa kepada Allah
6. Pengenalpastian Masalah
7. Peringkat Intervensi Taqwa
8. Peringkat Intervensi Taqwa Inisiatif
9. Peringkat Perincian Strategi
10. Peringkat Tindakan
11. Perlakuan Baru dan Kesyukuran
12. Penyerahan Diri kepada Allah
13. Pemindahan Pembelajaran
14. Penamatan Perhubungan Sesi Kaunseling
Sama seperti model proses yang diketengahkan oleh Salleh Aziz (1993) dan
Othman (2005), model proses kaunseling perspektif Islam yang ditonjolkan oleh Sapora
(2007) juga dilihat kurang pendedahan pada tahap aplikasi dan belum diperkasakan
walaupun mempunyai asas dan nilai Islami yang sangat tinggi dan menyeluruh. Hal ini
juga menunjukkan keperluan yang tigggi untuk menjalankan kajian bagi meneroka amalan
kaunseling perspektif Islam melalui kemahiran, teknik dan proses kerana ilmu pengetahuan
tidak akan datang secara tiba-tiba tanpa penerokaan dan proses penimbaan ilmu. Kajian
seumpama ini akan menghasilkan pengetahuan yang lebih mendalam terhadap ilmu-ilmu
berkaitan amalan kaunseling Islam yang lebih mantap untuk disebarluas dan dikongsi
dengan para pengamal.
68
Atas dasar tersebut juga, kajian ini memfokus kepada model proses kaunseling al-
Ghazali yang diketengahkan oleh Yatimah (2005). Model proses ini memfokuskan kepada
lima langkah utama dalam proses kaunseling selain turut memberi tumpuan kepada amalan
kaunseling dari segi kemahiran dan teknik-teknik yang digunakan secara khusus. Kajian
berkaitan teori kaunseling oleh al-Ghazali dalam konteks negara kita telah pun dijalankan
oleh beberapa pengkaji dan terdapat beberapa kajian yang mempelopori teori ini seperti
kajian yang mendalam melalui kitab Ihya Ulumuddin oleh Yatimah (2005) sendiri yang
menyatakan al-Ghazali mendasarkan teori ini kepada sifat manusia yang dipengaruhi oleh
aspek-aspek dalamannya iaitu roh, hati, nafsu dan akal. Elemen-elemen ini bersatu dan
terzahir menjadi sikap dan tingkah laku manusia. Perkara ini dilihat selari dengan kajian
oleh Salasiah Hanin Hamjah (2010) tentang bimbingan spiritual menurut al-Ghazali
berkaitan empat elemen spiritual yang disebut sebagai al-nafs, al-qalb, al-ruh dan al-aql.
Salasiah (2010) menyatakan bahawa bimbingan spiritual menurut al-Ghazali
adalah satu bentuk kaedah pengajaran, bimbingan dan tunjuk ajar untuk menuju suatu
matlamat atau ke arah kebaikan yang berpandu kepada syariat Islam yang memfokus
kepada aspek spiritual manusia yakni al-nafs, al-qalb, al-ruh dan al-aql. Hal ini juga selari
dengan penelitian mendalam oleh Yatimah (2005) dalam kajiannya tentang dasar
pemikiran al-Ghazali, ia menyatakan perubahan atau penyimpangan sikap manusia
menurut al-Ghazali dikatakan boleh diperbetul dan diperelok melalui penilaian dan
pembetulan aspek-aspek dalaman dahulu dan perlu pula dijalankan secara menyeluruh dan
mengambil kira keseluruhan aspek dalaman ini tanpa meninggalkan salah satu atau
melebihkan yang lain.
69
Hal berkaitan memperbetul aspek dalaman manusia ini juga perlulah berlandaskan
syara’ dan tidak disandarkan kepada pendekatan lain yang tidak bersesesuaian. Proses ini
memerlukan manusia untuk berbalik kepada aqidah tauhidnya. Menurut Yatimah (2005)
lagi, al-Ghazali merupakan seorang ahli tasawuf dan teori yang dibangunkan ini
sememangnya terdapat elemen tasawuf yang menebal dan berlandaskan syariat Islam yang
sebenar tanpa sebarang bentuk ikut-ikutan dan elemen sesat dan terpesong daripada agama.
Pandangan teori ini tentang manusia adalah manusia akan berada dalam keadaan
gelisah dan bersalah kerana menyalahi fitrah dirinya. Hal ini merujuk kepada surah al-
A’raf ayat 172 yang bermaksud:
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari
sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya
berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau
Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari
kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-
orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan).
Menurut ayat di atas, manusia asalnya sebelum ditiupkan ke alam rahim dan semasa
dalam alam ruh telah pun mengakui akan keesaan Allah sebagai tuhan yang satu dan secara
fitrahnya manusia terikat dengan pengakuan ini dan merupakan makhluk yang suci
70
daripada dosa apabila ia lahir ke alam dunia. Namun, apabila berbuat dosa, manusia
dikatakan cenderung untuk berasa bersalah dan gelisah (Yatimah, 2005).
Sehubungan dengan kenyataan ini Yatimah (2005) mengupas proses kaunseling
menurut al-Ghazali yang mengandungi lima langkah iaitu :
1. Pengenalan dan Bina Hubungan
• Bina hubungan
• Berdoa , berjanji dan bertawakal
• Bincang konsep-konsep Islam (matlamat hidup, kewajipan, hukum perlakuan ,
halal dan haram , sabar dan syukur)
• Sifat-sifat Allah dan Sunnah Rasul mengikut keperluan dan kesesuaian kes.
2. Mengenal Diri dan Bina Matlamat Hidup
• Meneroka kriteria diri klien yang membawa kepada masalah berdasarkan
pemerhatian, percakapan dan soalan andaian.
• Membimbing klien membuat muhasabah diri dalam melaksanakan syariat.
• Klien menyedari kelalaian dan kekurangan yang ada pada dirinya.
71
3. Punca dan Jenis Masalah
• Gabungan langkah (1) dan (2) jadi asas meneroka punca dan jenis masalah.
• Kaunselor dan klien mencapai kefahaman yang sama mengenai diri dan
permasalahan klien
• Rumusan masalah :
▪ Kefahaman Islam
▪ Penghayatan /amalan syariat
4. Memberi Ubat Yang Sesuai dengan Penyakit
• Memperbaiki diri dengan :
▪ Mempelajari ilmu Islam
▪ Meningkatkan amalan
▪ Bertaubat
▪ Berzikir
▪ Berdoa
▪ Menjaga pergaulan
▪ Menjauhi maksiat
▪ Menjaga makan minum
▪ Menjaga pandangan
▪ Menjaga pertuturan
▪ Menjaga daripada penyakit hati seperti sombong , riyak , ujub , dan takbur.
72
5. Penilaian Kefahaman / pelaksanaan
• Melihat perubahan klien melalui air muka , gerak-geri dan pertuturan daripada segi:
▪ Peningkatan akidah
▪ Memahami diri sendiri
▪ Reda dengan musibah
▪ Keyakinan diri yang tinggi
▪ Melaksanakan tuntutan agama
▪ Takwa dan tawakal
Proses kaunseling lima langkah mengikut acuan al-Ghazali ini memperlihat usaha
pengkaji ini untuk menyediakan lebih pilihan secara ilmiah kepada para kaunselor untuk
diaplikasikan dalam pengendalian sesi. Jika ditelusuri secara lebih teliti, setiap langkah
yang diambil amat tertib dan mengkhusus serta mencerminkan sifat Islam sebagai agama
yang sempurna dan sesuai dalam semua situasi. Dalam konteks kajian ini, walaupun kajian
ini disandarkan kepada model proses kaunseling al-Ghazali ini tetapi pengkaji tidak
membataskan kajian ini khusus untuk meneroka aplikasi model proses oleh peserta kajian
tetapi dijadikan sebagai sandaran dan asas kepada kajian ini melalui pengisiannya untuk
meneroka lain-lain amalan kaunseling perspektif Islam dengan lebih baik.
Seperti yang telah dibincangkan dalam subtopik ini, model kaunseling proses yang
dipelopori Barat dilihat berbentuk pelbagai dan terlihat juga usaha-usaha menggabungjalin
elemen agama dan spiritual dalam proses kaunseling itu sendiri secara khusus melalui
73
kaunseling pastoral. Model proses ini bertindak sebagai panduan dan templat bagi
pengamal untuk memudahkan mereka mengendalikan sesi kaunseling mengikut acuan
yang selesa, mudah dan dipercayai berkesan oleh pengamal kaunseling itu sendiri. Namun
demikian, ada sebahagian komponen atau elemen dalam model proses kaunseling acuan
Barat yang tidak bertentangan dalam Islam dan dilihat berupaya dimurnikan dan diadaptasi
dalam model kaunseling perspektif Islam melalui kajian-kajian empirikal bagi tujuan
penambahbaikkan.
Walau apapun, penggunaan proses kaunseling perspektif Islam seperti yang telah
dibincangkan pada sub-sub topik sebelum ini dilihat membuka ruang yang luas untuk
meneroka dengan lebih mendalam berhubung aplikasinya dalam amalan kaunseling
perspektif Islam yang digunakan oleh para kaunselor. Hal ini sejajar dengan keperluan
masyarakat yang dahagakan bantuan dari sudut keagamaan dan spiritual mereka dan
konteks masyarakat majoriti Muslim di negara kita, model proses seperti ini perlulah
disampaikan dan diberi pendedahan kepada para kaunselor bagi membolehkan klien-klien
terbantu melalui medium yang lebih mantap dan terbukti berkesan.
2.3 Kaunseling Perspektif Islam
Kaunseling perspektif Islam bukanlah sesuatu yang sangat baharu dalam dunia kaunseling
kerana telah pun terdapat banyak usaha yang dijalankan hasil daripada kesedaran kepada
kepentingan integrasi elemen agama dalam sesi kaunseling baik di Barat mahupun di
74
negara kita sendiri. Pengaruh Malik Badri (1996; t.th) melalui gerak kerjanya dalam
Psikologi Islam seawal 1963 berkenaan dengan pendekatan agama dalam aspek psikologi
dilihat memberikan impak terhadap kesedaran untuk memperbanyak dan memperkukuh
ilmu-ilmu dan juga pembinaan teori-teori baru yang menjurus kepada elemen agama yakni
Islam dalam proses psikoterapi dan kaunseling.
Sebagai kesinambungannya, kajian-kajian tentang pendekatan Islam dalam bidang
kaunseling telah pun dijalankan di luar dan dalam negara kita. Dari konteks dalam negara,
telah muncul kajian-kajian awal berkaitan kaunseling perspektif Islam seperti kajian
perbandingan konsep manusia dan personaliti berdasarkan teori-teori kaunseling yang
digunapakai Barat dengan pendekatan Islam oleh Abdul Rahman Hj.Salleh (1982) dan juga
kajian oleh Muhd Mansur Abdullah (1987) yang membawa intipati awal berkaitan
kaunseling berasaskan nas daripada al-Quran menerusi surah an-Nahl berkenaan konsep
dakwah dalam Islam dan juga surah at-Taubah.
Sebagai tambahan kepada usaha-usaha di peringkat awal oleh pengkaji terdahulu,
telah ada usaha bagi pembentukan teori kaunseling Islam yang dipelopori oleh Nor Anisah
Abdul Malek (1985) yang memfokuskan kepada perbincangan isu berkaitan konsep
manusia mengikut perspektif Islam bagi membentuk teori yang mampu dijadikan sandaran
oleh para kaunselor Muslim. Kajian-kajian awal ini dilihat membenarkan penyataan oleh
Hassan Langgulung (1990) bahawa kaunseling yang dipelopori Barat tidak berupaya
menerobos masuk ke dalam jiwa masyarakat Islam kerana terlalu banyak percanggahan.
Hal ini sekaligus mencerminkan kesedaran di peringkat awal lagi berkaitan ketidaksuaian
75
pendekatan Barat dengan masyarakat Islam yang membuka ruang seluasnya bagi kajian ini
untuk meneroka khusus kepada amalan kaunseling perspektif Islam.
Melangkah ke era milenia, dapatan daripada kertas kerja Roslee Ahmad, Mohamed
Sharif Mustaffa dan Sulaiman Shakib Mohd Noor (2008) pula mendapati bahawa di
Malaysia masih belum begitu banyak pengkajian secara empirikal yang dilakukan
berkaitan psikologi dan kaunseling daripada perspektif Islam. Hal ini nyatanya
memperlihat masih ada ruang yang luas untuk para pengkaji masa kini terus meneroka
amalan kaunseling perspektif Islam ini. Tapak dan asasnya sudah pun dimulakan oleh
pengkaji-pengkaji terdahulu dan perlu diperkaya dan diteroka oleh pengkaji-pengkaji masa
kini atas dasar ilmu dan pemantapan. Bagaikan memberi respons kepada dapatan ini,
seiring dengan perkembangan dunia kaunseling perspektif Islam dalam negara, terdapat
kajian-kajian dalam bidang kaunseling perspektif Islam yang menyumbang kepada
percambahan ilmu kaunseling Islam di Malaysia.
Antaranya adalah kajian Yatimah Sarmani (2005) berkaitan pendekatan kaunseling
Islam menerusi model kaunseling Islam berasaskan sifat-sifat manusia oleh Imam al-
Ghazali yang memperlihatkan ulasan mendalam berkaitan pendekatan al-Ghazali melalui
kitab Ihya’ Ulumuddin. Kajian Yatimah dilihat turut menghasilkan model proses
kaunseling berteraskan al-Ghazali yang cukup baik untuk diteroka dan diaplikasikan selain
memberi gambaran jelas tentang pemikiran al-Ghazali terhadap kaunseling perspektif
Islam dan hal ini menarik minat pengkaji untuk menjadikannya sebagai kerangka model
bagi sandaran kepada kajian ini.
76
Kajian Yatimah ini juga dilihat mempunyai kesinambungan dengan kajian oleh
Salasiah Hanin Hamjah (2010) berkaitan bimbingan spiritual menurut al-Ghazali dan
hubungannya dengan keberkesanan kaunseling yang dijalankan di Pusat Kaunseling Majlis
Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Kajian ini mendapati sememangnya terdapat
beberapa aspek bimbingan spiritual menurut al-Ghazali yang diaplikasikan dalam sesi
kaunseling terutamanya aspek Tazkiyyah An-Nafs. Dapatan kajian ini juga mendapati
terdapat hubungan yang signifikan antara bimbingan spiritual dari perspektif al-Ghazali
dengan keberkesanan kaunseling. Hal ini jelas menunjukkan bahawa hubungan antara
agama dan kaunseling yang amat utuh dan berupaya membantu klien secara menyeluruh
meliputi kehidupan dunia dan akhirat klien. Atas dasar ini juga, pengkaji memilih aspek
ini sebagai antara aspek yang ingin diteroka melalui kajian berkaitan amalan kaunseling
perspektif Islam ini.
Selain itu, ia juga memperlihat hubungan yang kuat antara amalan kaunseling dan
Islam dan ini menolak teori-teori kaunseling Barat yang sebahagiannya menolak agama
dari kehidupan. Kajian Salasiah (2010) juga berhubung kaedah mengatasi kebimbangan
dalam kaunseling yang menggunakan analisis dari perspektif al-Ghazali juga mendapati
kaedah al-Ghazali bagi mengatasi kebimbangan ada diterapkan dalam amalan kaunseling
oleh kaunselor-kaunselor di PK MAINS. Jadi, penerapan kaunseling perspektif Islam
bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia kaunseling di Malaysia dan dalam kajian ini,
ianya menggunakan pendekatan al-Ghazali yang mana penerapan seumpama ini
membuktikan bahawa proses kaunseling yang menggunapakai templat agama tidak
mustahil untuk diaplikasikan jika sesuai dengan kemahiran dan ilmu yang dibekalkan.
77
Dalam konteks Malaysia sendiri, kajian-kajian berkaitan kaunseling dari perspektif
Islam ini ada dijalankan oleh beberapa pengkaji seperti Md Noor Saper (2012) berkaitan
Modul Bimbingan Tazkiyah al-Nafs yang menunjukkan resiliensi individu dapat
ditingkatkan menggunakan modul keagamaan dengan perspektif Islam melalui bimbingan
dan latihan. Kajian ini dilihat senada dengan kajian beliau berhubung keperluan kaunseling
perspektif Islam dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang memperlihatkan
intervensi keagamaan berupaya membantu menangani isu salahlaku pelajar, meningkatkan
resiliensi, penghayatan agama dan membantu dalam perkembangan diri (Md Noor Saper,
2016). Begitu juga kajian oleh Mazidah, Raja Zirwatul Aida dan Azlina (2015) yang
melihat tahap integrasi agama dalam kalangan kaunselor berdaftar yang memperlihatkan
hubungan yang sederhana menunjukkan telah ada minat dan kajian yang dijalankan dalam
negara bagi penerapan elemen-elemen Islam dalam kaunseling.
Begitu juga dengan kajian-kajian lain berkaitan kaunseling perspektif Islam seperti
kajian oleh Nik Rosila Nik Yaacob (2012) berkaitan keperluan kaunseling Islam yang
membawa kepentingan tunjang Islam dalam sesi kaunseling menurut konsep ‘Amar ma’ruf
dan nahi mungkar’, kajian lain oleh pengkaji yang sama iaitu Salasiah Hanin Hamjah
(2010) yang mengutarakan kajian berkaitan bimbingan spiritual menurut al-Ghazali dan
hubungannya dengan keberkesanan kaunseling. Kajian-kajian dalam negara ini
menunjukkan minat daripada pengkaji untuk memperlihatkan bahawa kaunseling
perspektif Islam telah mendapat perhatian dan mendapat tempat dalam kalangan pengkaji.
78
Kajian demi kajian terus pesat dijalankan berkaitan kaunseling perspektif Islam
yang menunjukkan kesungguhan dan keinginan yang kuat untuk meneroka dan
menyebarluas ilmu berkaitan kaunseling perspektif Islam baik melalui proses, amalan dan
lain-lain elemen yang terdapat dalam kaunseling itu sendiri. Sebagai contoh kajian
berkenaan aplikasi ciri takwa dalam amalan kaunseling perspektif Islam oleh Shamsul
Bahrain Haron (2017) yang memperlihatkan aplikasi ciri taqwa sebagai nilai tambah yang
amat membantu dalam proses kaunseling. Hal ini tentu sahaja berkaitan dengan sikap yang
perlu diterapkan kepada kaunselor dan juga klien dalam sesi untuk penambahbaikkan
kaunseling perspektif Islam. Hal ini selari juga dengan cadangan oleh Meriam Ismail dan
Noor Azniza Ishak (2016) berkaitan penggunaan al-Quran, Sunnah dan juga Asmaul Husna
sebagai teras kepada kaedah dan teknik dalam kaunseling perspektif Islam. Variasi yang
pelbagai dalam kaunseling perspektif Islam memberikan banyak pilihan dan penerokaan
yang semakin mendalam untuk diaplikasikan oleh para kaunselor yang juga menjadi teras
utama kepada kajian yang dijalankan ini.
Seterusnya, kajian oleh Roslee Ahmad, Mohamed Sharif Mustaffa, Sulaiman
Shakib Mohd Noor dan Jamaludin Ramli dalam kajian terdahulu mereka pada tahun 2005
tentang kesihatan mental rakyat Malaysia masa kini melalui pendekatan kaunseling
berdasarkan nilai-nilai Islam menggariskan amalan kaunseling berdasarkan Imam al-
Ghazali dan juga pendekatan kaunseling berdasarkan elemen rohani. Pendekatan
kaunseling menurut Imam al-Ghazali adalah berdasarkan firman Allah s.w.t yang
menekankan kepada tiga pendekatan kaunseling iaitu cara bijaksana, nasihat yang baik dan
perbincangan yang baik. Manakala pendekatan kaunseling berdasarkan elemen rohani
79
manusia pula, menekankan kepada aspek pembangunan roh, menghidupkan akal,
menjernihkan hati dan mengimbangi nafsu. Sekali lagi, kajian seperti ini memperlihatkan
adunan kaunseling perspektif Islam dalam sesi kaunseling ada dijalankan dalam konteks
budaya Timur dan kelompok masyarakat Islam.
Model al-Ghazali yang banyak digunapakai dalam kaunseling perspektif Islam
turut dibahaskan melalui kajian berkaitan model al-Ghazali yang dijadikan pegangan teori
oleh Md Noor Saper (2017) yang memperlihat penggunaan model al-Ghazali telah
membuka jalan kepada kewujudan Kaunseling Syarie yang dipelopori oleh JAKIM selain
asas model al-Ghazali itu sendiri yang mengambil kira keperluan manusia yang
menyeluruh dan komprehensif. Melalui kajian seumpama ini, pengamal kaunseling
khususnya berupaya mencambah ilmu terutama berkaitan penggunaan model-model proses
kaunseling yang banyak dibincangkan dalam konteks negara kita.
Hal ini juga secara tidak langsung memperlihat bahawa Islam sendiri sememangnya
mempunyai garis panduan yang sangat dekat dengan proses membantu ini. Sebagai satu
agama yang syumul, tidak syak lagi Islam adalah cara hidup dan tidak hairanlah apabila
terbukti bahawa Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam pengaplikasian nilai-nilai Islam
dalam kaunseling dan kehidupan tanpa terpisah dan hal ini amat menarik minat pengkaji
untuk menjalankan penerokaan yang lebih mendalam. Hal ini disokong dengan kajian oleh
Salasiah Hanin Hamjah, Zainab Ismail dan Noor Shakirah Mat Akhir (2012) berkaitan
penerapan elemen ibadah dalam sesi kaunseling yang mendapati bahawa sememangnya
terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan oleh para kaunselor untuk menerapkan
80
elemen ibadah dalam sesi kaunseling yang mana hal ini dikenalpasti oleh pengkaji sebagai
salah satu aspek yang amat penting untuk diteroka.
Begitu juga dapatan oleh pengkaji yang sama iaitu Salasiah Hanin Hamjah, Zainab
Ismail dan Noor Shakirah Mat Akhir (2014) yang menyatakan kaunseling dalam perspektif
Islam yang diaplikasikan oleh para kaunselor di PK MAINS dapat dikategorikan kepada
tiga aspek utama iaitu aqidah (kepercayaan), ibadah dan akhlak (moral) yang mana dapatan
kajian juga mendapati kaunseling dari segi aspek ini adalah selari dengan ajaran Islam yang
terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah. Hal ini juga selari dengan dapatan oleh Tareq
(2014) yang menyatakan bahawa kaunseling merupakan satu mekanisme yang mana
membawa perubahan personal dan sosial dalam Islam dan perlu dipraktikan secara
profesional. Hal ini menunjukkan pendekatan Islam adalah lebih berbentuk mencegah
berbanding mengubati dan ianya mengandungi kesepaduan antara mental dan fizikal
dengan spiritual seseorang.
Kajian lain berkaitan dengan kaunseling perspektif Islam adalah berkaitan dengan
nilai keagamaan yang didapati mampu memberikan asas untuk berfungsi dengan lebih baik
kepada para kaunselor, klien dan juga amalan mereka (Yusmini, 2014). Perkara ini amat
penting kerana untuk berfungsi dengan baik, manusia memerlukan asas kehidupan yang
teguh dan berakar umbi dan prinsip dan kepercayaan yang kuat terhadap prinsip hidup yang
berteraskan agama. Terdapat juga kajian berhubung kepentingan memasukkan dimensi
agama dan spiritual dalam amalan kaunseling, persiapan diri kaunselor memahami
pendekatan yang digunakan dan fenomena khusus yang memerlukan dimensi agama dan
81
spiritual dalam proses kaunseling yang menyarankan penggunaan dimensi agama dan
spiritual dalam amalan kaunseling di Malaysia (Asmah Bee, 2004). Saranan seperti ini
disahut dengan cepat dan cekatan oleh pengkaji kerana melalui proses penggeledahan
sumber-sumber ilmu bagi membolehkan aplikasi amalan kaunseling perspektif Islam ini
disebar luas penggunaannya.
Prof Emeritus Dato’ Dr. Amir Awang (2016) dalam penyampaiannya berkenaan
anjakan paradigma dari kaunseling konvensional kepada kaunseling Islam ada membuat
perbandingan antara kaunseling konvensional dengan kaunseling perspektif Islam. Beliau
menyatakan bahawa kaunseling kovensional hanya mengambil kira tiga domain sahaja
iaitu kognitif, afektif dan psikomotor tetapi kaunseling perpektif Islam mempunyai enam
domain atau elemen sekurang-kurangnya iaitu jasad, akal, qalbu, nafsu, ruh dan juga emosi.
Perkara ini sekaligus mencerminkan nilai Islam itu sendiri yang bersifat menyeluruh dan
lengkap. Domain-domain ini dilihat oleh pengkaji memainkan penting dalam membina
jiwa klien dan berupaya ditangani dengan penerokaan dan pengaplikasian proses
kaunseling perspektif Islam yang mantap dan berkesan.
Jelasnya, pendapat beliau berkaitan domain-domain jasad, akal, qalbu, nafsu, ruh
dan juga emosi di sokong oleh Datu Haji Kipli (2017) yang menyatakan domain-domain
tersebut turut memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan akhlak insan
yang unggul kerana ketandusan penghayatan agama akan menyebabkan hati manusia mati.
Pendekatan seumpama ini jelas mengikut templat yang diambil secara terus melalui al-
Quran dan as-Sunnah yang dijadikan panca sila atau pegangan kuat ummat Islam. Hal ini
82
memperlihat kekuatan sumber-sumber yang ada dalam agama Islam itu sendiri kerana
menurut Ahmad Fakhrurrazi (2017), Islam bukanlah satu teori tetapi disebut sebagai
prinsip kerana pengisian Islam melalui al-Quran dan as-Sunnah itu adalah sesuatu yang
tidak berubah-ubah.
Kewajipan kaunseling perspektif Islam juga tidak terbatas terhadap klien yakni
manusia semata tetapi terikat kepada obligasi kepada Allah juga melalui niat yang ikhlas.
Bentuk hubungan kaunseling perspektif Islam juga berbeza berbanding kaunseling
konvensional yang menekankan rapo dengan klien sahaja yang berbentuk horizontal atau
mendatar tetapi hubungan kaunselor-klien dalam kaunseling perspektif Islam berbentuk
horizontal dengan klien dan juga vertikal dengan tuhan yang membawa konsep ‘hablum
minallah’ dan ‘hablum minannas’. Aspek-aspek ini diberikan perhatian khusus dalam
kajian ini bagi membolehkan penerokaan amalan kaunseling perspektif Islam ini
memberikan satu bentuk pengetahuan yang lebih mantap dan efektif.
Tetap juga selari dengan konsep Carl Rogers berkenaan tulen, empati dan
penerimaan tanpa syarat tetapi juga dipercantik dengan elemen niat, ikhlas dan ihsan.
Kaunseling perspektif Islam amat menekankan kesejahteraan jasad, akal, emosi, qalb, nafs
dan ruh. Lebih dari itu kaunseling perspektif Islam memberi tumpuan khas kepada ‘amar
makruf, nahi munkar’ sebagai matlamatnya. Kaunseling perspektif Islam memberi
pendedahan kepada kaunselor dan klien tentang tingkat nafsu manusia dan fungsi
kaunseling yang mengambil kira tazkiyah atau pembersihan atau penyucian diri melalui
proses muhasabah diri, bertaubat, sabar, khauf (takut) dan roja’ (optimis). Hal ini tidaklah
83
menyebabkan kaunseling perspektif Islam hanya terhad kepada elemen ini semata tetapi
berupaya dijadikan asas yang baik untuk penerokaan seterusnya.
Menurut Prof Emeritus Dato’ Dr. Amir Awang (2016) juga, kaunseling perspektif
Islam ada menggariskan ciri-ciri kaunselor Muslim profesional yang khusus iaitu :
1. Beriman dan bertaqwa kepada Allah
2. Mengakui dan menerima Rasulullah sebagai kaunselor terbaik
3. Siddiq
4. Amanah
5. Tabligh
6. Fatonah
7. Berani dan adil
8. Sabar dan tenang
9. Sentiasa menambah ilmu dan kemahiran
10. Tawadduk dan altruistik
11. Bertolak ansur dan bertoleransi
Beliau juga menjelaskan terdapat konsep-konsep penting bagi menjamin
ketenangan dan kesentosaan jiwa yang tidak terdapat dalam kaunseling konvensional yang
merujuk kepada redha akan takdir Allah dengan sabar, tawakkal, empowerment dan juga
yakin. Apa yang dapat disimpulkan melalui penerangan beliau berkenaan kaunseling
84
perspektif Islam adalah sandaran Quran dan nas dalam membantu membangunkan diri
klien di mana klien sebenarnya mampu membantu dirinya sendiri apabila berhadapan
sebarang jenis kebuntuan sekiranya klien mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah.
Ia juga memperlihatkan kaunseling sebagai satu proses yang melibatkan takhalli
(membuang yang buruk) dan tajalli (membawa masuk yang baik) dalam tazkiyah atau
pembersihan jiwa klien yang membantu kepada proses kaunseling perspektif Islam yang
lebih mantap dan berkesan.
Selain kajian dalam negara, terdapat juga kajian dari luar negara berkaitan isu ini
antaranya kajian oleh Long (2014) yang menyatakan dari segi sejarahnya bahawa
kaunselor Muslim telah sedar akan kekurangan teori-teori Barat yang tidak bersesuaian
untuk diaplikasikan dalam sesi yang melibatkan Muslim dan mereka mula membina sendiri
kerangka teori dan proses kaunseling berdasarkan pemahaman Islam. Hal ini disokong oleh
kajian berkaitan perbandingan antara kaunseling bersepadu dengan kaunseling Islam yang
dijalankan oleh Qulsoom Inayat (2001) yang menyatakan bahawa kaunseling Islam
mempunyai nilai tambah yang dapat diintegrasikan dalam kaunseling bersepadu dan
kaunseling Islam memperlihat hubungan antara klien dengan Penciptanya.
Keperluan kepada kaunseling berperspektif Islam dalam kelompok masyarakat dan
juga rakyat yang majoritinya Muslim turut dikongsikan oleh sahabat serumpun daripada
Acheh melalui tinjauannya berkaitan perkembangan kaunseling dan psikoterapi
berperspektif Islam di Acheh di mana Kusmawati Hatta (2017) menyatakan keadaan
masyarakat Acheh pada masa kini amat memerlukan kepada kaunseling perspektif Islam
85
yang sesuai dengan budaya dan kondisi masyarakat di Acheh. Hal ini menjukkan keperluan
yang tinggi terhadap kaunseling perspektif Islam dalam menangani apa jua isu yang
berlegar dalam masyarakat Islam secara khusus. Malah, melalui kajian terkini di Acheh
oleh Abizal Muhammad Yati (2017) yang menyatakan pendekatan Islam dalam kaunseling
melalui amalan-amalan seperti solat, doa, istighfar, tawakkal, qana’ah dan sedekah
berupaya membantu dalam pemulihan diri klien berhubung isu kemiskinan harta dan jiwa.
Kajian ini merupakan bukti nyata yang memperlihat keberkesanan dan keupayaan
kaunseling perspektif Islam secara terus dalam kehidupan manusia.
Begitu juga dengan kajian oleh Hodge dan Aneesah (2008) yang menyatakan
keperluan untuk mengintegrasi pendekatan kaunseling sedia ada yang berorientasikan
Barat dan bersifat sekular dengan pendekatan Islam yang lebih sesuai dengan nilai-nilai
kehidupan. Melalui kajian seumpama ini, ia berupaya membuka jalan-jalan penerokaan
yang lebih baik untuk membantu 1.6 billion ummat Islam (Pew-Templeton Global
Religious Futures Project, 2012) yang bertebaran di seluruh dunia dengan menggunakan
kaunseling perspektif Islam berbanding terus menerus menggunakan kaunseling
konvensional. Kajian Hodge dan Aneesah tadi tidak jauh berbeza dengan hasil dapatan
kajian oleh Isgandarova (2011) yang melihat adalah perlu untuk menghubungkan
intervensi Islamik dengan psikoterapi kontemporari bagi membolehkan bidang kaunseling
Islam lebih efektif. Perkara ini memperlihatkan fleksibiliti Islam sebagai cara hidup yang
mampu diadaptasi dengan mudah dalam segenap aspek.
86
Namun demikian, walaupun kajian-kajian lalu banyak menjelaskan berkaitan
keperluan dan terdapat permintaan yang tinggi berkaitan kaunseling jenis ini, pengkaji
berpendapat kajian berkaitan amalan kaunseling perspektif Islam yang efektif masih perlu
diperkembang dan diperluas bagi sebaran ilmu segar berpaksikan Islam kepada para
kaunselor dapat diaplikasikan dengan baik dan lebih mantap. Hal ini disandarkan kepada
penerokaan amalan kaunseling perspektif Islam yang menjurus kepada kemahiran, teknik
dan proses yang digunakan selain pemahaman yang lebih baik terhadap pengetahuan dan
juga cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para kaunselor dalam amalan kaunseling
perspektif Islam mereka.
2.4 Rumusan
Bab ini secara umumnya mengupas dan mengetengahkan kajian-kajian lepas berhubung
beberapa sub topik yang berkaitan dengan kajian ini iaitu amalan kaunseling yang dilihat
dari sudut kemahiran, teknik dan juga proses yang menghuraikan proses dalam amalan
kaunseling secara umum dan juga model proses kaunseling yang dihuraikan secara umum
dan seterusnya dihuraikan lebih lanjut melalui dua lagi lensa; model proses kaunseling
secara umum dan juga model proses kaunseling Islam. Seterusnya, bab ini juga mencakupi
kajian lepas berkaitan kaunseling perspektif Islam.
87
Kesemua kandungan dalam bab ini menghurai dari kaca mata pengkaji-pengkaji
lalu yang telah pun menjalankan kajian berhubung sub topik yang telah diketengahkan
dalam kajian ini. Hal ini dilihat membantu pengkaji melihat kajian ini dari perspektif yang
umum sebelum mengkhususkan tumpuan pengkaji kepada kajian-kajian yang sinonim dan
relevan dengan kehendak kajian kerana bidang kaunseling keagamaan ini jika disimpulkan
melalui kajian-kajian lepas yang dibaca oleh pengkaji dilihat berupaya dijadikan asas dan
disesuaikan untuk kajian bidang kaunseling perspektif Islam untuk percambahan ilmu dan
pemahaman ilmu kaunseling perspektif Islam yang lebih mendalam.