The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Meneroka amalan kaunseling perspektif islam dalam kalangan kaunselor

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by husainiaga, 2020-07-01 22:28:51

Meneroka amalan kaunseling perspektif islam dalam kalangan kaunselor

Meneroka amalan kaunseling perspektif islam dalam kalangan kaunselor

88

BAB 3

METODOLOGI

3.1 Pengenalan

Bab ini seterusnya membincangkan metodologi yang digunakan dalam kajian yang dibuat.
Kajian ini bertujuan meneroka amalan kaunseling perspektif Islam dalam kalangan
kaunselor. Jadi, bab ini akan merangkumi rasional menggunakan kaedah kualitatif,
populasi dan sampel kajian, instrumen kajian, peranan pengkaji, strategi untuk kesahan dan
kebolehpercayaan dalam kaedah kualitatif, prosedur pengumpulan data, sumber data,
proses pengekodan data, analisis data dan juga rumusan.

89

3.2 Rasional Menggunakan Kaedah Kualitatif

Kajian ini adalah kajian berbentuk kualitatif. Kajian kualitatif adalah merujuk kepada
makna, konsep-konsep, definisi-definisi, ciri-ciri, kiasan dan ibarat, simbol dan makna
sesuatu perkara (Berg, 2012). Kajian kualitatif dijalankan dalam latar semula jadi dan
pengkaji merupakan instrumen utama dalam pengumpulan data dalam bentuk perkataan
atau gambar, menganalisisnya secara induktif, memberi fokus kepada makna yang dibuat
oleh peserta kajian serta dijelaskan dalam bahasa yang ekspresif dan menarik (Othman
Lebar, 2014). Secara umumnya pula dapat disimpulkan kajian atau pengkajian kualitatif
adalah sebarang kajian yang menghasilkan dapatan yang bukan melalui prosedur statistik
atau lain-lain bentuk pengiraan (Strauss & Corbin, 1998).

Rangka kajian kualitatif lebih memberi ruang penyesuaian mengikut keperluan
kajian. Penggunaan pendekatan kualitatif dalam kajian adalah untuk meneroka proses
kaunseling perspektif Islam dalam kalangan kaunselor berdasarkan beberapa alasan.
Pertama, kesesuaian untuk menerokai bidang yang kurang diselidiki sebelum ini dan dapat
memberi kefahaman terperinci tentang fenomena yang dikaji (Creswell, 2002). Kedua,
kajian kuantitatif mempunyai batasan iaitu, tidak dapat menyediakan perspektif yang kaya
dan terperinci. Ketiga, kajian kualitatif membantu pengkaji memahami lebih mendalam
tentang proses kaunseling perspektif Islam dalam kalangan kaunselor.

Kajian yang dijalankan menepati ciri-ciri kajian kualitatif yang diperincikan oleh
Merriam (1998), iaitu pertama, memberi fokus kepada meneroka amalan seseorang

90

kaunselor Muslim dalam menjalankan sesi kaunseling perspektif Islam terhadap kliennya.
Kajian ini bukan untuk meramal atau membuat generalisasi, sebaliknya mencari pengertian
terhadap bentuk-bentuk amalan kaunselor menjalankan sesi kaunseling perspektif Islam.
Kedua, pemilihan peserta kajian secara ‘purposive sampling’ dengan hasrat untuk
memperoleh seberapa banyak mungkin data atau maklumat yang berkaitan. Ketiga, kajian
ini mengambil pendekatan induktif, iaitu menjurus kepada pembinaan konsep dan kategori
terhadap kes yang dikaji melalui data yang dipungut semasa di tempat kajian.

Bagi tradisi kajian pula, pengkaji memilih tradisi kajian kes. Hal ini kerana tujuan
tradisi ini sendiri adalah untuk meneroka amalan kaunselor tentang kaunseling perspektif
Islam. Hal ini juga berkait rapat dengan huraian oleh Othman Lebar (2014) sendiri
berhubung kajian kes kualitatif yang dijalankan bagi meneroka, membuat interpretasi dan
mendapatkan kefahaman yang mendalam tentang sesuatu kes dan bukan untuk menguji
hipotesis. Penekanan kepada kajian kes adalah kepada huraian mendalam sesuatu
fenomena yang wujud dalam konteks semulajadi yang digunakan untuk mengenal pasti
sempadan antara konteks tersebut dan juga fenomena yang berlaku (Yin, 2015).
Pengetahuan sesuatu perkara dari perspektif kajian kes juga berbentuk lebih konkrit yakni
sesuai dengan pengalaman pengkaji kerana ia lebih jelas dan mudah difahami. Selain itu,
ia juga bersifat lebih kontekstual iaitu pengalaman pengkaji berakar umbi dalam konteks
tertentu (Othman Lebar, 2014).

Hays dan Singh (2012) pula menyatakan kajian kes amat berguna dalam bidang
kaunseling dan juga bidang pendidikan kerana pengamal amat berminat kepada dimensi

91

sesuatu kes dan juga kemudahan untuk mengaplikasikannya terhadap individu lain. Kajian
kes dari perspektif kualitatif juga membolehkan pengkaji bertemu dan berinteraksi secara
langsung dengan peserta kajian serta mewujudkan elemen empati dari sudut pengkaji
sebagai alat ujian (Yin, 2015). Selain bertindak sebagai salah satu tradisi kajian yang
terawal, kajian kes juga berupaya mencari tahu sesuatu fenomena dalam dunia sebenar dan
membenarkan penggunaan pelbagai cara dalam proses pengumpulan data (Yin, 2014).
Kajian ini menggunapakai kajian kes yang berbentuk deskriptif dan bersifat menghurai
iaitu meneroka amalan kaunseling perspektif Islam dalam kalangan kaunselor.

3.3 Populasi dan Sampel Kajian

Sebelum proses pengumpulan data dilaksanakan, peserta kajian dikenal pasti terlebih
dahulu. Oleh kerana kaedah kualitatif bukan untuk membuat generalisasi kepada populasi
kajian tetapi lebih kepada meneroka secara mendalam fenomena yang dikaji (Creswell,
2006), pengkaji memilih peserta kajian yang dapat menyumbangkan input dan maklumat
bagi membantu memahami secara mendalam mengenai perkara yang dikaji. Pengkaji
memilih peserta kajian yang mempunyai ciri-ciri persamaan dan strategi ini juga dikenali
sebagai persampelan homogenus (Othman Lebar, 2014). Ini bertujuan bagi memperolehi
data secara lebih mendalam dan berfokus. Dengan demikian, ianya membantu pengkaji
memahami dan memperihalkan ciri-ciri dalam bentuk-bentuk amalan kaunseling
perspektif Islam.

92

Persampelan bertujuan memerlukan pengkaji membina kriteria yang spesifik untuk
peserta kajian sebelum memasuki lapangan kajian (Hays & Singh, 2012). Hays dan Singh
(2012) juga menyatakan tiga kategori persampelan bertujuan yang perlu dipertimbangkan
oleh pengkaji iaitu perwakilan sampel, huraian dan persembahan fenomena dan juga
pembinaan teori dan juga verifikasi. Atas pertimbangan tersebut, peserta kajian untuk
kajian ini dipilih menggunakan teknik persampelan bertujuan. Hal ini juga kerana pengkaji
tidak mempunyai maklumat formal atau data tertentu berkenaan kaunselor yang
mempraktikkan amalan kaunseling perspektif Islam ini dalam sesi kaunseling kendalian
mereka.

Justeru, pengkaji bertindak menyertai beberapa konferens kaunseling Islam bagi
meluaskan jaringan dan mengumpul maklumat berkaitan pengamal kaunseling perspektif
Islam ini. Kemudian, pengkaji menghantar mesej susulan melalui aplikasi ‘Whatsapp’ dan
menghantar surat pengenalan (introductory letter) kepada kaunselor yang telah dikenal
pasti. Apabila kaunselor menyatakan persetujuan untuk menjadi peserta kajian, pengkaji
menetapkan tarikh untuk temu bual dan melaksanakan proses temu bual. Proses
persampelan ini memudahkan pengkaji dan menjimatkan masa serta memfokuskan terus
kepada kriteria khusus dalam pemilihan peserta kajian yang mengamalkan kaunseling
perspektif Islam dalam sesi kaunseling kendalian mereka.

Saiz sampel yang dirancang oleh pengkaji adalah seramai enam orang yang mana
selari dengan garis panduan umum dari Creswell (2013) yang menyatakan untuk tradisi
kajian kes, saiz sampel cadangan adalah di antara tiga hingga lima orang. Manakala

93

Dworkin (2012) menyimpulkan saiz sampel yang mencukupi adalah di antara lima hingga
50 orang dan ini bergantung kepada keperluan kajian itu sendiri. Hal ini dilihat bersesuaian
dengan sasaran masa, pembiayaan dan keupayaan pengkaji selain ruang masa untuk
mendapatkan peserta. Hal ini juga setelah mengambil kira beberapa aspek lain lagi iaitu
skop kajian, pengisian topik kajian, kualiti data yang dipungut dan reka bentuk kajian
(Morse,2000).

3.4 Kriteria Peserta Kajian

Dalam kajian ini, pengkaji memecahkan kriteria yang digunakan untuk memilih peserta
kajian kepada dua; kriteria inklusi dan eksklusi. Bagi kriteri inklusi, pengkaji telah
menggariskan beberapa ciri iaitu :

1. Kaunselor Muslim (beragama Islam)
2. Praktis kaunseling dalam masa sekurang-kurangnya enam bulan
3. Berumur 25 ke atas
4. Terlibat dalam mana-mana organisasi atau klinik kaunseling
5. Ada mengamalkan kaunseling perspektif Islam dalam sesi

94

Bagi kriteria eksklusi pula, terdapat beberapa ciri yang diketengahkan iaitu :

1. Kaunselor bukan Muslim
2. Praktis kaunseling kurang daripada enam bulan
3. Berumur kurang 25 tahun
4. Bebas. Tidak terikat dengan mana-mana organisasi atau klinik kaunseling
5. Tidak mengamalkan kaunseling perspektif Islam dalam sesi

Bagi kriteria inklusi, peserta yang terlibat perlulah merupakan seorang kaunselor
yang beragama Islam. Berumur sekurang-kurangnya 25 tahun bagi memastikan kaunselor
ini tamat pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang kaunseling yang diiktiraf.
Kaunselor juga tidak diperlukan untuk berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor. Jadi,
kedua-dua kaunselor berdaftar dan tidak berdaftar termasuk di bawah kriteria inklusi untuk
kajian ini.

Seterusnya, peserta perlu terlibat dalam mana-mana organisasi yang menawarkan
kaunseling seperti sekolah, pejabat agama, klinik kaunseling dan sebagainya. Kriteria
inklusi terakhir dan yang paling penting adalah peserta ada mengamalkan kaunseling
perspektif Islam dalam sesi yang dikendalikan dan hal ini diketahui melalui senarai semak
awal berkaitan amalan kaunseling perspektif Islam yang diberikan kepada individu yang
berpotensi untuk menjadi peserta kajian.

95

Merujuk kepada kriteria eksklusi, kajian ini tidak melibatkan kaunselor non-
Muslim kerana mereka tidak beragama Islam dan tidak mengamalkan prinsip Islam dalam
kehidupan mereka. Seterusnya, kaunselor yang hanya mempraktikkan kaunseling kurang
dari enam bulan kerana hal ini bersangkutan dengan kompetensi dan pengalaman mereka
dalam mengendalikan sesi. Kaunselor yang berumur kurang 25 tahun kerana mengambil
kira umur purata bagi graduan sarjana muda kaunseling sekurang-kurangnya berumur
dalam lingkungan 25 tahun dan ke atas. Kajian ini juga tidak memasukkan kaunselor yang
tidak mengamalkan kaunseling perspektif Islam dalam sesi kendalian mereka yang
diketahui melalui senarai semak yang diberikan kepada calon peserta kajian ini kerana
menyimpang daripada objektif-objektif yang telah digariskan dalam kajian ini.

3.5 Instrumen kajian

Kajian ini menggunapakai instrumen yang dapat digunakan bagi pengumpulan data
berbentuk kualitatif. Untuk proses pengumpulan data secara kualitatif, kajian ini
menggunakan teknik temu bual. Teknik ini dilihat memadai untuk proses triangulasi data
bagi kajian kes yang dijalankan (Flick, 2004).

96

3.5.1 Temu bual

Teknik yang digunakan bagi tujuan pengumpulan data dalam kajian ini adalah temu bual.
Kaedah ini adalah berbentuk bersemuka antara pengkaji dengan peserta kajian dan
dijalankan secara langsung (Hays dan Singh, 2012). Kebiasaannya temu bual secara
mendalam digunakan untuk mengumpul data-data yang relevan daripada peserta kajian
mengenai topik kajian yang dijalankan (Yin, 2015).

Temu bual bagi pengkaji adalah untuk mengetahui apa yang terdapat dalam
pemikiran seseorang yang mana menurut Patton (2002, 2015) temu bual dijalankan untuk
mengetahui perkara yang tidak boleh diperhatikan secara langsung seperti perasaan,
pemikiran dan niat juga tingkah laku yang telah lalu, situasi dan juga cara manusia
mengorganisasi dunia mereka dan memberi makna kepada perkara tersebut. Ia juga adalah
salah satu cara untuk masuk ke dalam perspektif peserta kajian.

Temu bual yang dijalankan bersama peserta kajian memberikan pengkaji
pengesahan dan penjelasan tentang apa yang difikirkan berlaku untuk mencapai kefahaman
yang mendalam terhadap sesuatu peristiwa yang dialami oleh peserta kajian (Gillham,
2000). Seterusnya temu bual juga membantu pengkaji melihat situasi mengikut pandangan
peserta kajian (Berg, 1989). Patton (2002) menyenaraikan empat jenis temu bual iaitu temu
bual perbualan tidak formal, temu bual pendekatan berpandu (guide approach), temu bual
terbuka standard (standardize open-ended), dan juga temu bual tertutup dan respons tetap
(closed, fixed response). Namun demikian, Hays dan Singh (2012) mengetengahkan tiga

97

jenis temu bual individu; temu bual berstruktur, temu bual separa berstruktur dan temu bual
tidak berstruktur. Temu bual secara berstruktur berbentuk rigid dan telah ditentukan sekuen
dan soalannya sebelum temu bual berlangsung. Soalan-soalan adalah standard dan disoal
secara tersusun. Manakala temu bual tidak berstruktur adalah berhubung dengan
pemerhatian dan memberi fokus lebih kepada konteks sekeliling sewaktu temu bual
berlangsung. Lazimnya digunakan dalam etnografi.

Temu bual secara separa berstruktur atau juga disebut temu bual mendalam (in-
depth interview) menggunakan protokol dan juga bertindak sebagai panduan dan
permulaan untuk pengalaman temu bual. Temu bual jenis ini lebih memberi penekanan
kepada peserta atau individu yang ditemu bual. Walaupun ada protokol temu bual, tetapi
tidak semua soalan perlu ditanya dan tidak perlu juga mengikut sekuen yang standard.
Malah, soalan-soalan baru boleh ditanya kepada peserta kajian seiring dengan sesi temu
bual yang berlangsung. Temu bual jenis ini juga didapati paling bersesuaian merentas
budaya (Esterberg, 2002).

Jadi, kajian ini memutuskan untuk menggunakan temu bual separa berstruktur ini
yang mana soalan utama disediakan oleh pengkaji melalui penggubalan protokol soalan
berdasarkan soalan kajian dan soalan susulan adalah berdasarkan kepada respons daripada
peserta kajian. Tujuan temu bual adalah untuk mendapatkan maklumat sebanyak mungkin
sekaligus memastikan soalan-soalan kajian yang dikemukakan dalam kajian ini dijawab
dengan sebaiknya. Bagi memastikan segala butiran di dalam temu bual tidak tercicir,
pengkaji telah merakamkan keseluruhan temu bual tersebut. Rakaman dibuat dengan

98

menggunakan aplikasi alat perakam pada telefon bimbit. Tujuannya ialah bagi memastikan
proses rakaman berjalan dengan lancar.

3.5.1.1 Soalan protokol temu bual untuk peserta kajian

Protokol untuk temu bual yang dijalankan dalam kajian ini dibuat berdasarkan objektif dan
juga soalan kajian. Protokol pada asasnya dibina berdasarkan kepada apa yang ingin
dicapai oleh kaedah kajian. Hal ini merangkumi kategori-kategori yang luas (Berg dan
Lune, 2012). Protokol temu bual membantu pengkaji supaya tidak tercicir sebarang
maklumat teras yang diperlukan sepanjang temu bual selain mengingatkan pengkaji
tentang hal-hal berkaitan tujuan kajian dan juga kerahsiaan peserta kajian (Hays dan Singh,
2012).

Protokol temu bual membolehkan asas maklumat yang sama akan disoal untuk
setiap peserta di mana protokol menyediakan topik atau subjek yang bebas diteroka oleh
pengkaji untuk mendapatkan maklumat tertentu. Ia juga bertindak secara sistematik dalam
membantu pengkaji memfokus kepada perkara-perkara yang ingin dikaji (Patton, 2015).
Selain itu, ia bukan sahaja bertindak sebagai satu senarai soalan yang perlu diajukan tetapi
juga sebagai prosedur temu bual termasuk sebagai skrip sepanjang temu bual berlangsung
(Jacob dan Furgerson, 2012).

99

Protokol temu bual ini juga dibina berasaskan kepada model kaunseling al-Ghazali
(Yatimah Sarmani, 2005) yang menggariskan amalan kaunseling berdasarkan proses,
teknik dan kemahiran yang digunakan dalam amalan kaunseling selain mengambil kira
lima langkah yang dijalankan dalam model proses ini berkaitan pengenalan dan membina
hubungan, mengenal diri dan membina matlamat hidup, punca dan jenis masalah, memberi
ubat yang sesuai dengan penyakit serta penilaian kefahaman atau pelaksanaan. Elemen-
elemen dalam kerangka ini digunakan sebagai rujukan dalam membina protokol.

Kajian ini juga mengambil pendapat Jacob dan Furgerson (2012) dalam pembinaan
protokol temu bual. Mereka menggariskan protokol temu bual perlulah mengandungi :

1. Topik yang mendatangkan minat pengkaji
2. Soalan dipandu oleh kajian yang dilakukan
3. Menggunakan skrip untuk memulakan dan mengakhiri temu bual
4. Soalan-soalan terbuka
5. Mulakan dengan soalan-soalan asas
6. Mulakan dengan soalan-soalan mudah dan kemudian beralih kepada soalan

yang lebih spesifik dan sukar
7. Menggunakan ayat “Boleh ceritakan pada saya…”
8. Soalan-soalan yang membina dan membuka ruang
9. Bersedia untuk menggunakan soalan lanjutan
10. Bersedia untuk merombak segera protokol temu bual

100

Pertimbangan di atas digunakan bagi membolehkan protokol temu bual dibina
selari dengan kehendak objektif dan soalan kajian sekaligus memudahkan proses temu bual
dan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada peserta kajian. Antara soalan-
soalan yang dibina adalah seperti berikut:

i. Soalan pembuka/ membina hubungan
a. Bertanya khabar dan keselesaan klien untuk ditemuramah
b. Memohon kebenaran untuk memulakan sesi temuramah
c. Boleh tuan/puan kongsikan latar belakang pendidikan dalam bidang kaunseling?
d. Apakah pengalaman tuan/puan dalam bidang kaunseling dari segi amalan?
Kekerapan mengendalikan sesi, jenis klien dan sebagainya.

ii. Soalan kajian : Bagaimanakah pengetahuan kaunselor tentang kaunseling perspektif
Islam?
a. Apa yang boleh tuan/puan kongsikan tentang kaunseling Islam? Apakah
perbezaan antara kaunseling Islam dengan kaunseling konvensional?
b. Adakah tuan/puan mendapat pendidikan formal atau latihan khas berkaitan
kaunseling perspektif Islam ini?
c. Apakah elemen-elemen yang ada dalam kaunseling perspektif Islam?
d. Mengapa perlunya proses kaunseling perspektif Islam ini?
e. Apakah keistimewaan yang terdapat pada kaunseling jenis ini?
f. Apakah kemahiran-kemahiran yang perlu ada pada kaunselor yang ingin
menjalankan proses kaunseling perspektif Islam?

101

iii. Bagaimanakah penggunaan proses kaunseling perspektif Islam dalam kalangan
kaunselor?
a. Boleh tuan/puan kongsikan proses kaunseling perspektif Islam yang tuan/puan
gunakan?
b. Apakah tujuan proses kaunseling berdasarkan kaunseling perspektif Islam?
c. Boleh tuan/puan kongsikan punca-punca masalah klien berdasarkan
kaunseling perspektif Islam?
d. Bagaimana kaunselor dan klien membincangkan fasa tindakan dalam proses
kaunseling perspektif Islam ini?
e. Apakah bentuk penilaian dalam proses kaunseling ini?
f. Apakah rumusan yang boleh dibuat tentang proses kaunseling perspektif
Islam?

iv. Apakah cabaran yang dihadapi kaunselor berkaitan penggunaan proses kaunseling
perspektif Islam dalam amalan perkhidmatan?
a. Bagaimana tuan/puan melihat senario kaunseling Islam dalam sesi kaunseling
kini?
b. Pada pendapat tuan/puan sendiri, adakah proses kaunseling perspektif Islam ini
sukar diaplikasikan dalam pengendalian sesi? Mengapa?
c. Apakah cabaran khusus yang dihadapi untuk pengamal kaunseling
mempraktikkan proses kaunseling jenis ini?
d. Apakah pula cadangan-cadangan yang boleh dikongsikan bagi
penambahbaikkan?

102

3.6 Peranan Pengkaji

Dalam metod kualitatif, penekanan dalam aspek peranan pengkaji dititikberatkan bagi
membolehkan suara peserta kajian benar-benar diketengahkan oleh pengkaji dan bukan
suara pengkaji itu sendiri. Sub topik ini akan membincangkan strategi yang digunakan oleh
pengkaji untuk memperkemas peranan sebagai pengkaji dalam bidang kualitatif meliputi
refleksiviti pengkaji, peranan pengkaji sebagai pengkaji dalaman atau pengkaji luaran,
subjektiviti pengkaji dan juga suara peserta.

3.6.1 Refleksiviti Pengkaji

Refleksiviti pengkaji melibatkan proses refleksi yang dijalankan secara aktif oleh pihak
pengkaji dalam proses kajian (Hammersley & Atkinson, 2007 dalam Hays & Singh, 2012).
Sebagai tambahan, refleksiviti dalam kajian kualitatif adalah ciri yang sangat penting
(Potter, 1996). Jadi, pengkaji perlu mengambil perhatian penuh untuk menjalankan
refleksiviti dalam kajian bagi membolehkan ciri-ciri kualitatif dalam sesuatu kajian
ditonjolkan dan diketengahkan sebagai faktor pemisah antara kajian jenis kualitatif dan
kuantitatif. Refleksiviti bertindak sebagai lensa kepada pengkaji terhadap proses kajiannya
kerana perasaan dan pemikiran pengkaji dan juga reaksi serta interpretasi pengkaji terhadap
data-data kajian merupakan sebahagian daripada proses kajian (Hays & Singh, 2012).

103

Refleksiviti juga adalah berkait langsung dengan pengkaji secara personal dan juga
proses kajian yang selari dengan kematangan, introspeksi, perkongsian tanggungjawab
dalam menyumbang kepada jangkaan pengkaji (Gibson, 2011). Selain itu, refleksiviti juga
adalah bukti pengkaji mahu mengiktiraf dan mengambil tanggungjawab bahawa mereka
dalam banyak cara sebagai pengkaji ada mempengaruhi dapatan kajian (Cunliffe, 2004).

Dalam konteks kajian ini, pengkaji menyimpan jurnal refleksi tentang kajian dan
juga temu bual yang dijalankan dengan peserta kajian untuk melihat kembali pemikiran
dan perasaan pengkaji sendiri sepanjang proses kajian berlangsung. Ianya selari dengan
pendapat oleh Lincoln dan Guba (1985) yang menyokong penggunaan jurnal refleksi
sepanjang kajian berlangsung bagi membantu pengkaji menyimpan rekod keputusan yang
mereka lakukan dalam kajian dan refleksi terhadap apa yang berlangsung sepanjang kajian
berdasarkan penilaian pengkaji sendiri. Jurnal refleksi ini ditulis dalam sebuah buku nota
dan dikemaskini oleh pengkaji sepanjang kajian ini berlangsung dari awal sehingga ke
akhirnya. Pengkaji kemudian bertindak memisahkan jurnal ini dan menghimpunkannya
dalam bentuk nota kecil supaya mudah untuk dirujuk. Untuk tujuan itu, pengkaji
mengadaptasi model Rogers yang diketengahkan dalam Hays dan Singh (2012) berkaitan
jurnal refleksi yang perlu mempunyai tiga ciri; autentik, penerimaan tanpa syarat dan
empati.

104

Jadual 3.6.1 Soalan Refleksi
Tiga Ciri Jurnal Refleksi
Ciri • Apakah pandangan saya tentang topik
Autentik kajian?

• Bagaimana perasaan saya tentang topik
kajian dari segi kualiti dan darjah emosi
(positif, neutral,negatif)

• Apa yang saya jangkakan untuk didapati
daripada peserta kajian saya?

• Bagaimana jangkaan ini mempengaruhi
bagaimana saya menginterpretasi data?

Penerimaan tanpa syarat • Apakah reaksi saya kepada topik
dan/atau adakah apa yang saya dapati
daripada peserta kajian saya
mengejutkan saya?

• Apakah penilaian yang saya ada tentang
peserta kajian dan/atau topik kajian?

Empati • Adakah saya mempunyai reaksi tidak
mengiktiraf atau menerimanya perkara
tertentu tentang kajian saya?

• Adakah saya ‘melihat’ data dalam
kajian saya selari atau tidak selari
dengan apa yang dikatakan oleh peserta
kajian?

Diadaptasi daripada Qualitative Inquiry in Clinical and Educational Settings oleh Hays
dan Singh, 2012.

105

3.6.2 Pengkaji Dalaman atau Luaran

Elemen seterusnya yang perlu diterangkan adalah peranan pengkaji sama ada sebagai
pengkaji dalaman atau pengkaji luaran (insider researcher or outsider researcher). Apa itu
pengkaji dalaman atau pengkaji luaran? Secara asasnya, pengkaji dalaman (insider
reseacher) adalah pengkaji yang memilih untuk mengkaji kumpulan yang berkaitan dengan
mereka sendiri manakala pengkaji luaran (outsider researcher) adalah pengkaji yang tidak
terlibat dengan kumpulan kajian mereka (Breen, 2007). Hays dan Singh (2012) pula
menyatakan pengkaji dalaman adalah pengkaji yang tidak semestinya merupakan
sebahagian daripada organisasi ataupun fenomena yang dikaji tetapi mempunyai
pengetahuan berkaitan organisasi atau fenomena hasil daripada pembacaan mereka.
Manakala bagi pengkaji luaran pula adalah pengkaji yang tidak mempunyai pengalaman
dengan peserta mahupun topik yang ingin dikaji.

Kajian ini mengetengahkan peranan pengkaji sebagai pengkaji dalaman kerana
pengkaji bekerja dalam seting kaunseling sebagai kaunselor di sebuah sekolah dan melihat
keperluan untuk kajian berkaitan dijalankan dan hal ini menjadikan pengkaji sebagai
pengkaji dalaman kepada kajian ini kerana pengkaji sendiri berada dalam seting kajian.
Antara kelebihan sebagai pengkaji dalaman menurut Bonner and Tolhurst (2002) adalah
dapat memahami secara mendalam sesuatu topik yang dikaji, tidak mengubah aliran
interaksi sosial secara tidak natural dan juga mengukuhkan hubungan rapat yang sekaligus
meningkatkan penilaian tentang kebenaran aspek yang dikaji. Sebagai tambahan, pengkaji
dalaman mempunyai kelebihan kerana lebih mengetahui berkaitan politik dan karenah

106

birokrasi yang terlibat dalam seting kajian dan berupaya menyusun strategi terbaik bagi
memudahkan kajian untuk berlangsung (Unluer, 2012).

3.6.3 Subjektiviti Pengkaji

Dalam kajian kualitatif, subjektiviti merujuk kepada cara kajian ini dipengaruhi oleh
perspektif, minat dan juga latar belakang pengkaji (President & Fellows Harvard
University, 2008). Ia juga berkait rapat dengan isu ‘bias’ atau berat sebelah dalam kajian.
Ia juga bermaksud pemahaman dalaman pengkaji terhadap sesuatu fenomena (Schneider,
1999 dalam Hays dan Singh, 2012). Subjektiviti secara umum pula dikaitkan dengan
pemikiran, perasaan, kepercayaan dan keinginan yang berada dalam diri seseorang.

Hal ini dilihat memberi pengaruh kepada interpretasi, perspektif, cara melihat,
ideologi dan juga cara seseorang mentafsir sesuatu (MacKellar). Objektiviti pula merujuk
kepada sifat neutral pengkaji yang membenarkan fakta-fakta memberikan bukti tanpa
dipengaruhi secara langsung oleh nilai peribadi dan ‘bias’ pengkaji (Macionis, 2009). Oleh
kerana pengkaji berada dalam kontinum objektiviti-subjektiviti dalam keseluruhan kajian
jadi, terdapat langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan ‘bias’ yang teruk
berlaku sepanjang kajian kualitatif dan seterusnya bakal mempengaruhi hasil kajian kerana
harus diingatkan, subjektiviti dalam kajian kualitatif tidak dikurangkan tetapi diterangkan
dan dihuraikan (Ratner, 2002).

107

Jadi, untuk menghuraikan subjektiviti pengkaji dalam kajian ini setiap soalan perlu
diajukan kepada diri pengkaji sendiri sepanjang menjalankan kajian. Hal ini termasuklah
ketika proses pengumpulan data berlangsung di mana kadang-kala peserta kajian memberi
respons yang berbeza dengan apa yang diharapkan oleh pengkaji. Jadi, pengkaji bertindak
bijak dengan mengurangkan bias yang ada dalam diri pengkaji melalui kawalan diri dan
tidak bertindak ‘mengajar’ atau menukar serta memanipulasi respons yang diterima
daripada peserta kajian untuk disesuaikan dengan kehendak diri pengkaji. Hal ini disedari
sepenuhnya oleh pengkaji dan berusaha dielakkan sepanjang kajian ini berlangsung.

Pengkaji juga menggunakan kaedah semakan rakan dengan meminta peserta kajian
menyemak semula transkrip temu bual yang telah dijalankan oleh pengkaji. Selain itu,
pengkaji juga tidak melaksanakan proses analisis secara bersendirian tetapi pengkaji
bertindak untuk berbincang secara langsung dengan penyelia berkaitan data-data yang
dikumpul dan bagaimana analisis dan interpretasi data dijalankan.

Selain itu, pengkaji menggunapakai strategi mengurus subjektiviti berdasarkan
soalan-soalan yang digariskan oleh Gough dan Madill (2012) iaitu:

1. Bagaimana peserta kajian dapat dibantu untuk menghuraikan respons mereka?
2. Bagaimana sepatutnya respons tambahan peserta digabungjalin dalam kajian?
3. Bagaimana seharusnya respons yang tidak relevan daripada peserta kajian

diuruskan?
4. Bagaimana pertimbangan peserta kajian dimasukkan ke dalam laporan kajian?

108

5. Apakah rasanya menjadi peserta kajian?
6. Dengan cara apakah subjektiviti pengkaji boleh dikawal?
7. Bagaimana sikap refleksif membantu dalam kajian?

3.6.4 Suara Peserta

Dalam kajian kualitatif, ini apa yang diketengahkan adalah merupakan suara peserta. Apa
yang dimaksudkan dengan suara peserta? Suara di sini bermaksud hak dan juga kebolehan
untuk didengari dan membolehkan orang lain mengetahui pengalaman dan perspektif diri
selain sebagai satu penglibatan dalam pembangunan diri dan pilihan bagaimana hendak
memperlihatkan diri kepada orang lain (Christine Ashby, 2011). Malah, tujuan utama
pengkaji sepanjang kajian adalah untuk memahami makna suara peserta dalam kajian
kualitatif (Hays & Singh, 2012). Hal ini termasuklah pertimbangan pengkaji terhadap hal-
hal berkaitan ketepatan, kesempurnaan dan juga emosi.

Melalui tiga aspek ini, pengkaji mengambil pendekatan yang diketengahkan oleh
Hays dan Singh (2012) untuk mempertimbangkan suara peserta dalam kajian. Ketepatan
diperincikan sebagai peranan pengkaji untuk mempersembahkan hasil kajian dengan
sejujur mungkin, secara tepat tanpa berselindung tentang apa yang didapati daripada
peserta. Hal ini melibatkan teknik semakan rakan sekiranya pengkaji tidak memahami atau
keliru dengan apa yang disampaikan oleh peserta.

109

Dari sudut kesempurnaan, adalah menjadi peranan pengkaji untuk memastikan
seberapa lengkap suara peserta kajian diangkat dalam kajian ini meliputi keselesaan peserta
semasa berkongsi pengalaman amalan kaunseling perspektif Islam sehinggalah kepada
peruntukan masa untuk proses perkongsian ini berlangsung. Bagi emosi pula, pengkaji
berperanan mengambil berat dan meneliti emosi yang ditunjukkan peserta kajian sepanjang
kajian berlangsung kerana emosi boleh berbentuk verbal dan non-verbal. Hal ini
termasuklah pemerhatian emosi dan bertanya secara langsung tentang emosi kepada
peserta. Kesemua perkara ini dipraktikkan oleh pengkaji sepanjang menjalankan kajian ini
bagi memastikan suara peserta diangkat dan disalurkan sebagai data utama kajian.

3.7 Strategi Untuk Kesahan Dan Kebolehpercayaan Dalam Kaedah Kualitatif
(Trustworthniness)

Kesahan dan kebolehpercayaan dalam kajian kualitatif dikatakan amat sukar untuk
ditentukan berbanding kesahan dan kebolehpercayaan dalam kajian kuantitatif yang lebih
berbentuk pembuktian melalui nombor-nombor (Bloomberg & Volpe, 2012). Jadi, terdapat
strategi yang digunakan oleh pengkaji lalu untuk mengukuhkan kesahan dan
kebolehpercayaan dalam kaedah kualitatif. Guba dan Lincoln (dalam Hays & Singh,2012;
Bloomberg & Volpe, 2012) menggunakan terma kredibiliti, kebergantungan
(dependability), kesahan (confirmability), kebolehpindahan (transferability), keaslian
(authenticity), sampel yang cukup (sampling adequacy), kesahan substantif, kreativiti dan
menyatakan kesahan dan kebolehpercayaan dalam kaedah kualitatif haruslah dijalankan
menggunakan cara yang berbeza dengan kaedah kuantitatif.

110

Strategi pengkaji untuk menggunakan kriteria-kriteria ini adalah melalui
penggunaan jurnal refleksi, memo, semakan rakan (member checking), triangulasi dan juga
jejak audit. Kesemua strategi ini digunakan oleh pengkaji sepanjang proses kajian
berlangsung dan kesemuanya akan dilengkapkan dan dimasukkan ke dalam jejak Audit
bagi membolehkannya disemak oleh auditor bebas.

3.7.1 Jurnal Refleksi

Refleksiviti dalam kajian kualitatif bukanlah sesuatu yang asing. Berbanding menidakkan
dan memendam sebarang bentuk nilai yang dipegang oleh pengkaji, kajian kualitatif kini
lebih bersikap terbuka dengan mengiktiraf nilai yang ada pada diri pengkaji. Dalam hal ini,
penggunaan jurnal refleksi amat penting untuk mendokumentasikan sebarang pengalaman,
pendapat, pemikiran dan juga emosi sepanjang kajian berlangsung kerana sebagai manusia
biasa, kita sememangnya tidak lari daripada sebarang nilai ataupun bias (Ortlipp, 2008).
Pengkaji melalui kajian ini mencatat dalam jurnal pengalaman, emosi dan pemikiran
berhubung dengan sebarang isu yang berkait dengan kajian dan menyemak semula jurnal
ini bagi membolehkan pengkaji memperbaiki kekurangan dan berusaha mengurangkan
sebarang bias sebagai seorang pengkaji sepanjang kajian ini berlangsung.

Melalui jurnal refleksi juga, pengkaji berupaya menyampaikan sebarang bentuk
jangkaan dan matlamat peribadi dan menjelaskan sebarang kepercayaan yang terlibat dan

111

juga subjektiviti pengkaji. Penggunaan jurnal refleksi ini juga selari dengan kesahan etika
sebagai salah satu strategi dalam memastikan kesahan dan kebolehpercayaan dalam kajian
kualitatif (Hays & Singh, 2012).

Ortlipp (2008) pula menjelaskan penggunaan jurnal refleksi ini bertindak sebagai
penjelasan yang telus bagi membuktikan pengkaji melalui setiap fasa dalam kajian dan
mengalami sendiri pengalaman daripada peringkat awal kajian sehinggalah akhir dan hal
ini dijalankan oleh pengkaji melalui jurnal refleksi yang dicatat sejak awal penulisan
proposal kajian semasa proses permohonan biasiswa untuk melanjutkan pengajian, semasa
memasuki semester satu dan bermacam proses pemilihan tajuk, penukaran objektif,
pengisian kajian, arah tuju kajian sehinggalah proses akhir penyediaan disertasi
berlangsung. Penggunaan jurnal refleksi ini juga membolehkan pengkaji menyemak
kembali catatan maklumat-maklumat yang didapati secara ‘on-site’ dalam proses analisis
data dan juga perbincangan kajian.

3.7.2 Memo

Penggunaan memo berbentuk reflektif sepanjang kajian kualitatif berlangsung iaitu dari
pengumpulan data, pengekodan dan juga analisis data merupakan salah satu teknik
berbentuk kredibiliti untuk memastikan kesahan dan kebolehpercayaan dalam kajian
kualitatif ini. Kredibiliti bermaksud keyakinan yang boleh diletakkan pada data dan juga
pada analisis data yang telah dikutip (Flick, 2004; Morrow & Smith, 2000). Namun

112

demikian, memo juga tidak terhad kepada fasa tertentu dalam kajian semata. Ia juga
membantu pengkaji dalam topik kajian, menyediakan pengkaji terhadap jangkaan-
jangkaan dan juga perspektif yang subjektif dalam kajian dan membantu dalam
pembangunan kaedah kajian (Birks, 2008).

Menurut Birks (2008) lagi, memo juga bertindak sebagai asas pemetaan kepada
kajian yang mana memo-memo yang telah ditulis membantu pengkaji dalam setiap fasa
dalam kajian. Seterusnya, memo bertindak untuk mengeluarkan makna daripada data-data
yang telah dikumpul. Ia juga bertindak untuk mengekalkan momentum kajian dan juga
membuka kepada perbincangan dalam semakan rakan (member checking) bagi
memantapkan lagi analisis kajian kelak. Pengkaji juga memilih strategi ini kerana memo
tidak bersifat terikat dengan format tertentu dan bersifat bebas serta mengikut acuan
pengkaji sendiri (Given, 2008).

Jadi, pengkaji mengambil keputusan untuk menggunakan memo sebagai salah satu
strategi berbentuk kredibiliti untuk kesahan dan kebolehpercayaan dalam kajian ini kerana
memo ini bentuknya ringkas dan mudah serta bersifat bebas. Pengkaji bertindak mencatat,
membuat gambar rajah ringkas dan simbol serta membina kod-kod tertentu melalui
perbincangan dengan penyelia, sewaktu sesi memerah otak untuk merangka strategi-
strategi kajian dan juga ketika proses pengutipan dan analisis data berlangsung. Memo-
memo seperti ini bertindak sebagai bukti konkrit dalam bentuk rekod yang membantu
kredibiliti data kajian.

113

3.7.3 Semakan Rakan (Member Checking)

Data-data yang didapati sepanjang kajian berlangsung dirujuk kepada penyelia dan rakan
pengkaji yang juga berpengalaman mengikuti kursus kualitatif. Pengalaman mengikuti
kursus dan mempunyai asas dalam kajian berbentuk kualitatif membolehkan perbincangan,
komen dan penilaian sewajarnya dilaksanakan bagi meningkatkan kesahan dan
kebolehpercayaan kajian. Rakan pengkaji memberikan perspektif berbeza kepada pengkaji
bagi membolehkan pengkaji menilai semula dan memantapkan kajian. Hal-hal semakan
rakan ini juga meliputi proses pengumpulan data melalui protokol temu bual, pengkodan
data, analisis data dan juga interpretasi data. Semakan rakan ini juga memberi pengkaji
idea dan respons yang berguna untuk kajian ini dijalankan dengan lebih mantap.

Berhubung semakan rakan ini juga, pengkaji bertanggungjawab untuk membuat
transkrip temu bual dengan peserta kajian dan menyerahkan semula transkrip itu kepada
pihak peserta kajian untuk tujuan semakan. Sekiranya peserta kajian tidak berpuas hati
dengan tranksrip yang dibuat oleh pengkaji, peserta kajian berhak membuat sebarang
pembetulan dan penambahbaikkan bagi membolehkan beliau menyatakan apa yang
sebenarnya ingin disampaikan kepada pengkaji dalam temu bual. Pengkaji perlu
mengambil kira transkrip yang telah disemak oleh peserta kajian dan membuat
penambahbaikkan kepada data yang telah dikutip. Hal ini juga membolehkan data yang
dikutip mempunyai lebih nilai kebolehpercayaan.

114

3.7.4 Triangulasi

Triangulasi merupakan salah satu strategi dalam memastikan kesahan dan
kebolehpercayaan dalam sesuatu kajian kualitatif dan juga digunakan oleh pengkaji dalam
kajian ini sebagai salah satu strategi. Triangulasi adalah berkaitan dengan penggunaan
sumber maklumat yang pelbagai oleh pengkaji untuk membina kategori atau tema dalam
kajian kualitatif (Othman Lebar, 2014). Adalah penting untuk memilih jenis triangulasi
yang tepat untuk kajian kualitatif yang dijalankan bagi memastikan kekuatan kajian.
Triangulasi juga dilihat memenuhi beberapa strategi dalam memastikan kesahan dan
kebolehpercayaan dalam kajian kualitatif dapat dicapai iaitu kredibiliti, kesahan
(confirmability), kebolehpindahan (transferability), keaslian (authenticity), sampel yang
cukup (sampling adequacy), kesahan substantif dan juga kreativiti (Hays & Singh, 2012).

Dalam kajian ini, pengkaji memilih triangulasi data sebagai strategi untuk kesahan
dan kebolehpercayaan kajian kualitatif ini. Hays dan Singh (2012) juga menyatakan
triangulasi data boleh melibatkan beberapa peserta kajian yang menunjukkan perspektif
yang sama, mempunyai peranan yang berbeza dalam seting, merasai pengalaman tentang
fenomena dalam cara yang berbeza tetapi mempunyai karakteristik yang sama dan
sebagainya. Pengkaji memilih triangulasi data kerana peserta dalam kajian ini datang
daripada latar belakang kaunseling yang pelbagai, seting pekerjaan yang pelbagai dan
mempunyai pengalaman tentang amalan kaunseling perspektif tersendiri. Triangulasi data
kajian ini melibatkan analisis data-data temu bual yang diperolehi daripada para peserta

115

kajian dan kemudian dipersembahkan dalam bentuk huraian dan jadual bagi membolehkan
pemahaman berkaitan data yang lebih jelas dan menyeluruh.

3.7.5 Jejak Audit

Strategi seterusnya untuk memastikan kesahan dan kebolehpercayaan dalam kajian
kualitatif dapat dicapai adalah dengan penyimpan semua bukti dan data-data, jurnal, memo
dan sebagainya yang reflek kepada diri pengkaji sepanjang proses kajian berlangsung.
Jejak audit ini menurut Hays dan Singh (2012) memenuhi stratetgi kredibiliti, kesepaduan
(coherence), kesahan substantif dan juga kreativiti. Dalam kajian ini, pengkaji mengambil
pandangan daripada Wolf (2003) untuk kandungan jejak audit. Menurut Wolf (2003), jejak
audit perlulah mempunyai tiga komponen utama iaitu data mentah yang terdiri daripada
transkrip temu bual, dokumen-dokumen, nota, memo dan sebagainya. Kedua, bahagian
analisis dan interpretasi data yang melibatkan proses pengekodan data melalui ‘data
reduction’, pembinaan semula dan juga proses sintesis data. Bahagian terakhir iaitu
bahagian ketiga adalah hasil dapatan kajian yang perlu dipersembahkan dalam bentuk yang
mudah difahami oleh auditor dan pembaca.

116

3.7.6 Penggunaan Auditor Bebas

Bagi membolehkan semua bukti dan data-data ini disemak dan dinilai, adalah penting
untuk melantik seorang auditor bebas. Fungsi auditor bebas ini adalah untuk melihat
semula jejak audit yang telah dilengkapkan oleh pengkaji dan dinilai sama ada ianya adalah
sebuah kajian yang komprehensif dan rapi dari segi kualitatif.

Auditor bebas ini merupakan seorang yang pakar dan mempunyai minat dalam
bidang yang dikaji sekaligus membantu pengkaji membina kesahan dan kebolehpercayaan
dalam kajian kualitatif yang dijalankan. Auditor adalah orang yang benar-benar tidak
mempunyai sebarang kepentingan dan kaitan langsung dengan kajian kerana dia perlu
bertindak untuk mencari bukti-bukti yang menyalahi tema utama kajian sekiranya ada dan
auditor ini sekaligus perlulah seorang yang objektif, adil terhadap data dan juga kepada
individu yang diwakili serta seorang yang sangat teliti (Hays dan Singh, 2012).

Dalam kajian ini, pengkaji memilih seorang Auditor bebas yang mempunyai latar
belakang kaunseling dan juga pengamal kajian secara kualitatif daripada sebuah universiti
di Lembah Klang bagi membolehkan jejak audit pengkaji disemak dan dinilai secara teliti
dan seterusnya memastikan proses kajian dalam landasan yang terbaik. Auditor ini tidak
mempunyai sebarang kepentingan dalam kajian yang berupaya menimbulkan konflik
kepada pengkaji dan juga kajian ini. Berikut merupakan biodata ringkas Auditor bebas bagi
kajian ini.

117

Jawatan : Pensyarah dalam bidang kaunseling

Pendidikan tertinggi dalam bidang kaunseling : Ijazah Doktor Falsafah

Pengalaman dalam bidang kaunseling : 10 Tahun

Pengalaman dalam bidang kualitatif : 7 Tahun

Sebagai rumusannya, kajian ini menggunakan beberapa strategi untuk memastikan
kesahan dan kebolehpercayaan dalam kaedah kualitatif (trustworthniness) iaitu
penggunaan jurnal refleksi oleh pengkaji, memo, semakan rakan atau ‘member checking’,
triangulasi data kajian dan juga jejak audit yang akan disemak oleh seorang auditor bebas.
Bagi pemahaman secara ringkas berhubung subtopik ini, rumusan berkaitan strategi untuk
memastikan kesahan dan kebolehpercayaan yang digunakan dalam kajian ini boleh dirujuk
dalam Jadual 3.6.

Jadual 3.7

Strategi Untuk Memastikan Kesahan Dan Kebolehpercayaan Dalam Kajian Kualititif

Jurnal Memo Semakan Triangulasi Jejak

Refleksi Rakan Audit

Kredibiliti • ••

Kebolehpindahan •
(Transferability)

Kesahan (Confirmability) • •• • •
Keaslian (Authenticity) •• • •
Berkesinambungan
(Coherence) • •
Sampel Yang Cukup
(Sampling Adequacy) • •
Pengesahan Etika •• •
Kesahan Substantif
Kreativiti

Diadaptasi daripada Criteria and Strategies of Trustworthiness oleh Hays dan Singh, 2012.

118

3.8 Prosedur Pengumpulan Data

Sub topik ini akan membincangkan berkaitan prosedur pengumpulan data yang digunakan
dalam kajian ini meliputi aspek memasuki lapangan, strategi memastikan keselamatan dan
maklumat sulit peserta kajian dan juga prosedur pengumpulan data kajian.

3.8.1 Memasuki Lapangan

Sebelum memasuki lapangan kajian, pengkaji telah melakukan beberapa persediaan
berdasarkan pendapat Hay dan Singh (2012) yang menggariskan beberapa pertimbangan
sebelum memasuki lapangan kajian. Antara pertimbangan tersebut adalah :

1. Metod persampelan
2. Saiz sampel
3. Membina hubungan dengan pihak berkepentingan dan juga peserta
4. Keluar dari lapangan

Memandangkan ini adalah kali kedua pengkaji menjalankan kajian secara kualitatif
(pengkaji pernah menjalankan kajian secara ‘mix method’ semasa di peringkat Sarjana
Muda) tetapi kali pertama menjalankan temu bual menggunakan soalan-soalan protokol
dan profesional maka, persediaan dan pertimbangan sebelum memasuki lapangan adalah
sangat penting dan perlu bagi melicinkan lagi proses pengumpulan data selain membina

119

dan meninggalkan impak yang baik kepada peserta kajian dan juga pihak yang
berkepentingan terutamanya peserta kajian itu sendiri, peserta dan juga organisasi yang
terlibat.

Untuk keempat-empat pertimbangan, pengkaji mengambil langkah sewajarnya
bagi penentuan metod persampelan secara bertujuan (purposive sampling), saiz sampel
yang sesuai dengan kajian ini yang menggunakan tradisi kajian kes, membina hubungan
dengan pihak berkepentingan dan juga peserta kajian yang mana pengkaji telah
menggunakan saluran yang terbaik untuk tujuan menghubungi dan berurusan dengan
semua peserta kajian dan juga pertimbangan terbaik untuk keluar dari lapangan apabila
selesai urusan pengumpulan data dengan melihat semula praktis dari segi etika, penilaian
hubungan antara pengkaji dan juga peserta, meninggalkan peserta dengan hasil akhir
(digunakan juga dalam semakan rakan) dan menjalankan penilaian kendiri ke atas pengkaji
(dimasukkan dalam memo dan jurnal refleksi).

120

3.8.2 Strategi Memastikan Keselamatan Dan Maklumat Sulit Peserta Terjaga

Demi memastikan keselamatan dan maklumat sulit peserta terjaga sepanjang kajian
berlangsung, pengkaji telah mengambil beberapa langkah iaitu :

3.8.2.1 Menyediakan borang persetujuan termaklum

Melalui borang persetujuan termaklum ini, peserta kajian akan dimaklumkan berkaitan
hak-haknya sebagai peserta kajian. Borang persetujuan termaklum ini juga bertujuan
memberi pengetahuan kepada peserta kajian tentang latar belakang pengkaji, tujuan kajian,
penglibatan peserta kajian dalam kajian, batasan maklumat sulit dan juga risiko dan faedah
yang didapati oleh peserta kajian sekiranya bersetuju menjadi peserta kajian (Hays dan
Singh, 2012). Peserta kajian juga perlu dimaklumkan berkaitan penyertaan secara sukarela
dan berhak untuk menarik diri bila-bila masa dalam proses kajian berlangsung tanpa ada
apa-apa tindakan atau paksaan daripada pihak pengkaji (New Zealand Association of
Counsellors, 2002; Shuriye, 2004). Dalam kajian ini, pengkaji menerangkan satu per satu
komponen yang ada dalam borang persetujuan termaklum yang dibina oleh pengkaji bagi
membolehkan peserta kajian memahami implikasinya dan peserta kajian menandai
persetujuan dengan tanda tangan mereka.

121

3.8.2.2 Strategi penyimpanan

Segala borang maklumat demografi, persetujuan termaklum, rakaman dan juga transkrip
yang berkaitan dengan peserta kajian adalah di bawah kategori sulit dan harus dikendalikan
dengan baik supaya tidak terdapat sebarang kebocoran maklumat dan penjajaan privasi
peserta kajian kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat yang tidak baik.
Hak-hak privasi peserta kajian harus diutamakan dan atas alasan itu strategi penyimpanan
rekod-rekod ini perlu dirangka bagi membolehkan pengkaji menjaga etika dengan baik.

Antara strategi yang digunakan pengkaji adalah dengan meletakkan kata laluan
sulit kepada sebarang fail yang disimpan dalam komputer. Hal ini dapat memastikan tidak
ada kecurian maklumat berlaku dan kata laluan haruslah disimpan dengan selamat dan
hanya diketahui oleh pengkaji sahaja. Kedua, data-data atau rekod dalam bentuk salinan
nyata diletakkan dalam almari berkunci yang tidak mudah dipecahkan dan diceroboh.
Seterusnya, rekod-rekod yang tidak digunakan lagi dimusnahkan sepenuhnya tanpa ada
sebarang sisa.

3.8.3 Prosedur Pengumpulan Data Kajian

Kajian ini menggunapakai tradisi kajian kes yang melihat ‘live experience’ daripada
peserta kajian berhubung amalan kaunseling perspektif Islam dalam kalangan kaunselor.
Kajian secara kualitatif mengetengahkan pengkaji sebagai instrumen kajian. Oleh sebab

122

itu, pengkaji perlulah bersedia dan memperlengkap diri dengan kemahiran dan
pengetahuan yang mantap berhubung kajian yang akan dijalankan. Pertimbangan-
pertimbangan seperti yang telah disebutkan sebelum ini berhubung memasuki lapangan
perlu dititikberatkan bagi memastikan prosedur pengumpulan data berjalan lancar. Hal ini
termasuklah cara menjalankan temu bual, penyediaan dan pengendalian soalan protokol.

Tahap pertama dalam prosedur pengumpulan data kajian adalah mengenal pasti
kaunselor yang menjalankan amalan kaunseling perspektif Islam. Hal ini ditentukan
melalui tindakan pengkaji meluaskan jaringan dan mengumpul maklumat berkaitan
pengamal proses kaunseling ini. Pengkaji kemudian mengedarkan senarai semak kepada
individu yang berpotensi sebagai peserta kajian. Setelah mengenal pasti peserta kajian yang
memenuhi kriteria inklusi dan eksklusi, pengkaji menghantar mesej susulan melalui
aplikasi ‘Whatsapp’ dan menghantar surat pengenalan (introductory letter) kepada
kaunselor terbabit. Apabila kaunselor menyatakan persetujuan untuk menjadi peserta
kajian, pengkaji menetapkan tarikh temu bual dan menjalankan sesi temu bual.

Langkah seterusnya adalah pengkaji berada di lapangan kajian di mana proses
pengumpulan data berlangsung. Pengkaji memperkenalkan diri dan tujuan untuk temu bual
berlangsung bagi memenuhi kehendak kajian berkaitan penerokaan amalan kaunseling
perspektif Islam kepada peserta. Pengkaji seterusnya menerangkan kepada peserta
berkaitan borang persetujuan termaklum, kepentingan maklumat mereka terhadap kajian,
risiko dan hak peserta untuk menarik diri daripada kajian sekiranya peserta berasa tidak
selesa. Pengkaji juga memohon keizinan untuk proses rakaman temu bual direkodkan

123

dalam bentuk audio dan akan diubah bentuk ke dalam perkataan melalui proses transkripsi.
Apabila peserta bersetuju dengan semua terma dan syarat serta menurunkan tanda tangan
pada dokumen yang disediakan barulah pengkaji meneruskan proses pengumpulan data
dengan mengedarkan borang senarai semak. Setelah peserta selesai mengisi borang senarai
semak tersebut, barulah pengkaji memulakan sesi temu bual dengan peserta.

Kaedah temu bual yang digunakan dalam kajian ini adalah temu bual separa
berstruktur berbentuk bersemuka antara pengkaji dengan peserta kajian dan dijalankan
secara langsung berlandaskan kepada soalan-soalan protokol yang telah dibina oleh
pengkaji sebelum masuk ke lapangan. Soalan-soalan protokol ini dibina bersesuaian
dengan soalan-soalan kajian dan telah melalui proses penambahbaikkan melalui semakan
penyelia. Sesi temu bual dirakam sepenuhnya dan rakaman dibuat dengan menggunakan
aplikasi alat perakam pada telefon bimbit. Tujuannya ialah bagi memastikan proses
rakaman berjalan dengan lancar. Data yang telah dikumpul akan dikodkan dan dianalisis.

3.9 Sumber Data

Sumber data daripada kajian ini datang daripada tiga sumber iaitu borang senarai semak
peserta kajian, borang demografik peserta kajian dan juga temu bual individu dengan
peserta kajian. Borang senarai semak mengandungi senarai semak ringkas bagi mengenal
pasti peserta kajian ini memenuhi kriteria inklusi dan eksklusi yang digariskan dalam
kajian ini.

124

Borang demografik peserta pula mengandungi maklumat-maklumat asas berkaitan
peserta kajian seperti umur, bangsa, tempoh menjadi kaunselor, jenis sekolah atau
organisasi yang diwakili dan sebagainya. Borang demografik ini merujuk kepada kriteria
inklusi dan eksklusi yang digariskan oleh pengkaji sendiri. Melalui sumber temu bual
individu pula terdapat soalan protokol yang akan diajukan kepada peserta kajian. Soalan
protokol ini dibina oleh pengkaji berdasarkan soalan-soalan kajian dan berbentuk separa
berstruktur bagi membolehkan soalan-soalan susulan diajukan kepada peserta kajian
sebagai respons kepada soalan-soalan protokol tersebut.

Temu bual yang dijalankan direkodkan dalam format audio MP3. Audio ini
kemudiannya dipindahkan ke fail yang lebih selamat dalam komputer pengkaji lengkap
dengan kata laluan dan seterusnya melalui proses transkripsi yang dilakukan sendiri oleh
pengkaji. Dalam proses transkripsi ini, pengkaji perlu menyalin semula perbualan temu
bual dalam bentuk salinan perkataan (soft copy) bagi membolehkan proses analisis data
berlangsung. Proses ini perlu berlangsung dengan jujur oleh pihak pengkaji bagi
mengelakkan sebarang bentuk pengelakkan dan manipulasi data berlaku atas dapatan temu
bual.

125

3.10 Proses Pengekodan Data

Setelah proses pengumpulan data selesai, pengkaji berhadapan dengan data-data mentah
yang perlu diasing dan dikategorikan bagi memudahkan proses pengkodan data. Saldana
(2008) dalam penulisannya menyatakan kod biasanya terdiri daripada perkataan atau frasa
pendek yang memberi sesuatu makna kepada sumber data berbentuk bahasa mahupun
visual. Data-data terdiri daripada transkrip temu bual, data pemerhatian lapangan, nota
lapangan, jurnal, dokumen dan sebagainya. Bagi Hays dan Singh (2012) pula, kod
merupakan label atau tanda yang mengasingkan pelbagai data berdasarkan kepada kes
tertentu atau unit analisis tertentu. Dalam hal ini dapat disimpulkan bahawa proses
pengekodan dan analisis data adalah dua perkara yang berbeza walaupun pengekodan
merupakan salah satu aspek yang amat penting dalam analisis data.

Dalam kajian ini, pada peringkat awal ia merangkumi data mentah tranksrip temu
bual dengan peserta kajian dan juga dokumen berbentuk laporan sesi. Kod hadir dalam
dua tahap iaitu tahap pertama adalah berkaitan dengan mengenal pasti maklumat berkaitan
data kajian dan tahap kedua adalah konstruk intrepretasi yang berkaitan dengan analisis
data (Merriam, 2009). Melalui tahap pertama, pengkaji bertindak melabelkan transkrip dan
dokumen yang didapati dengan kod tertentu. Contohnya bagi peserta pertama, pengkaji
meletakkan kod P01 dan diikuti dengan kod-kod seterusnya bagi kesemua peserta kajian.
Penggunaan nama samaran ini adalah untuk menjaga hak privasi peserta kajian. Dalam
data transkrip ini juga pengkaji turut menyertakan maklumat kod berkaitan tarikh, tempoh
temu bual berlangsung dan juga siapa yang mentranskripkan temu bual tersebut. Pengkaji

126

juga bertindak meletakkan nombor bagi setiap barisan perkataan dan perenggan dalam
transkrip temu bual untuk memudahkan proses analisis.

Seterusnya, pengkaji bertindak meletakkan kod-kod yang telah dikenal pasti dalam
tranksrip dan juga dokumen yang didapati daripada proses pengumpulan data. Pengkaji
perlu membaca secara keseluruhan transkrip dan juga dokumen dengan teliti bagi
membolehkan tema yang sama dapat dikenal pasti untuk setiap transkrip dan dokumen
yang diperolehi. Bagi membolehkan data-data asal diakses untuk tujuan rujukan semula
tanpa sebarang kesukaran, pengkaji bertindak menyalin dan menyimpan data-data asal dan
mengasingkannya daripada data-data yang telah dikodkan. Proses pengekodan amat
penting kerana ianya bukan semata-mata proses melabel tetapi juga merupakan proses
menghubungkan antara data yang didapati dengan idea dan tujuan kajian itu sendiri
(Saldana, 2009).

3.11 Analisis Data

Menganalisis data kualitatif merupakan suatu proses yang berterusan. Ianya bermula
sebaik sahaja kutipan data pertama bermula. Langkah pertama adalah proses penyaringan
data di mana langkah dimulai dengan membuat transkripsi dari rakaman kepada verbatim
semua peserta kajian. Proses penyalinan transkrip ini memerlukan pemerhatian yang penuh
seseorang pengkaji dan mengambil masa yang lama. Data yang diperoleh daripada
rakaman audio ditranskripkan dalam bentuk verbatim. Hal ini menyenangkan pengkaji

127

membuat analisis selanjutnya. Ini selaras dengan pandangan Merriam (2001) yang
menyatakan bahawa transkrip yang dibuat secara verbatim merupakan pengkalan data
terbaik untuk dianalisis.

Dalam melakukan proses menganalisis data, pengkaji mengurus data melalui model
Lichtman (2006) yang telah memperkenalkan analisis 3C’s untuk membantu pengkaji
menganalisis sesuatu data melalui pemahaman tentang sesuatu konsep. Apa yang dimaksudkan
dengan 3C’s adalah Coding, Categorizing, dan Concepts yang mana beliau telah
membahagikan tiga proses ini kepada enam langkah. Enam langkah dalam proses 3C’s ini
ditunjukkan dalam melalui model Licthman dalam Rajah 3.11.

Data Mentah

Data Mentah Kod Kategori/ Konsep/
Temu bual 1
Subtema Tema

Data Mentah

Temu bual 2

Rajah 3.11. Tiga C’s untuk Data Analisis : Kod, Kategori dan Konsep. Diadaptasi daripada
Lichtman, 2010.

128
Langkah melalui model Lichtman (2010) ini dimulakan dengan pengkaji
memasukkan kod awal (initial codes) melalui fungsi komen pada aplikasi Office Word
yang digunakan oleh pengkaji. Proses pengekodan transkrip dilakukan dengan melabelkan
kod tersendiri kepada setiap baris transkrip (line-by-line coding). Proses ini diulang dengan
transkrip-transkrip temu bual lain yang telah diubah ke dalam bentuk verbatim tadi. Bagi
gambaran yang lebih jelas, boleh merujuk kepada rajah 3.11.1.

Rajah 3.11.1 Proses Memasukkan Kod Awal. Diadaptasi daripada Lichtman, 2010
Pada tahap ini, apabila sahaja pengkaji selesaikan melaksanakan langkah pertama,

pengkaji telah berhasil merekodkan sekelompok besar kod-kod. Langkah seterusnya
adalah pengkaji bertindak melakukan proses pembuangan kod-kod yang tidak diperlukan
dan menamakan semula kod bagi mengemaskan lagi proses analisis. Kesemua kod yang

129

dihasilkan menggunakan ayat oleh pengkaji sendiri dan diubahsuai melalui maklumat yang
didapati dalam temu bual dengan peserta kajian.

Langkah ketiga adalah pengkaji bertindak menyusun kod-kod yang telah
diubahsuai kepada kelompok-kelompok yang sama. Kelompok-kelompok ini disebut
sebagai kategori. Pengkaji mendapati ada sesetengah kod yang dominan dan membentuk
kategori yang berupaya mengelompokkan kod-kod yang lain di bawah kategori yang sama.
Jadi, pengkaji bertindak menyusun kod-kod tersebut mengikut kesesuaian kategorinya.

Langkah seterusnya adalah dengan mengubahsuai kategori-kategori yang
terbentuk. Pengkaji membuat keputusan untuk membuang kategori yang dirasakan tidak
begitu signifikan berbanding yang lain. Pengkaji juga menyemak semula sekiranya ada
kategori yang dapat digabungkan. Pengkaji juga bertindak untuk mewujudkan subkategori
yang dirasakan relevan untuk menjelaskan lagi kategori-kategori yang telah dibentuk.
Namun demikian, tidak semua kategori yang terbentuk mempunyai subkategori. Hanya
sebahagian yang dirasakan benar-benar perlu untuk menjelaskan lagi dapatan kajian sahaja
yang diwujudkan.Tahap ini penting kerana pengkaji memerlukan kategori-kategori ini
dalam keadaan paling mantap untuk membentuk tema.

Langkah kelima bermula dengan tindakan pengkaji menyemak semula senarai
kategori dan membuang kategori yang bertindan. Seterusnya pengkaji mengenal pasti
elemen-elemen penting yang terhasil daripada kategori yang telah dikenal pasti tersebut.
Langkah ini amat penting kerana pada tahap ini pengkaji benar-benar memutuskan apa

130

yang benar-benar penting untuk membentuk tema-tema yang berupaya menjawab soalan-
soalan kajian.

Langkah terakhir atau langkah keenam dalam model Lichtman (2010) ini adalah
dengan pengkaji bertindak membentuk tema-tema yang menggambarkan data yang telah
dikutip sepanjang kajian. Tema-tema yang terhasil adalah daripada penyusunan yang
berhati-hati dan penuh pertimbangan kategori dan subkategori daripada pengkaji bagi
memastikan ianya berupaya memberi impak yang selari dengan data-data yang didapati.
Licthman (2010) juga mencadangkan sebanyak lima hingga tujuh tema sebagai jumlah
yang optimal untuk dipersembahkan dalam kajian.

Apa yang jelas, pengkaji melalui proses analisis data menggunakan model
Lichtman (2010) ini mendapati setiap kod yang ditranskripsi dikelompokkan di bawah
tema, kategori dan subkategori tertentu dengan menggunakan kod-kod yang khusus. Gerak
kerja ini juga dilakukan oleh pengkaji secara manual tanpa menggunakan sebarang jenis
aplikasi. Proses membaca transkripsi dan memindahkan kod-kod ke bawah kategori dan
subkategori tertentu diulang sehingga semua kod yang memberi makna habis
dikelompokkan. Kod-kod yang tidak memberi makna disingkirkan. Proses ini dilakukan
untuk semua transkrip.

Pengkaji juga membuat semakan yang berulang-ulang bagi memastikan setiap kod
betul-betul menggambarkan tema, kategori dan subkategori yang ditentukan. Bagi kategori
yang tidak dapat ditempatkan di mana-mana tema, pengkaji perlu memikirkan tema yang

131

sesuai dan keadaan ini mengikut Gillham (2000) merupakan keadaan yang paling
mencabar kepada pengkaji. Oleh itu, bagi memudahkan menentukan tema, pengkaji
sentiasa merujuk kepada asas berhubung dengan kajian ini melalui model kaunseling al-
Ghazali (Yatimah Sarmani, 2005). Perkaitan antara tema, kategori dan subkategori dibuat
bagi menggambarkan wujudnya interaksi antara maklumat yang diperoleh. Hasilnya
muncul tema-tema yang berkaitan dengan penerokaan amalan kaunseling perspektif Islam
dalam kalangan kaunselor. Langkah terakhir ialah membuat rumusan dan menulis laporan.

3.12 Rumusan

Bab ini merupakan antara bab yang terpenting dalam kaedah kajian secara kualitatif kerana
ia membolehkan pembaca memahami bagaimana kajian dijalankan secara teliti dan rapi
selain menunjukkan bagaimana kajian secara kualitatif mengekalkan kesahan dan
kebolehpercayaan berdasarkan strategi-strategi yang telah digariskan.

132

BAB 4

DAPATAN KAJIAN

4.1 Pengenalan
Bab ini akan membincangkan tentang dapatan kajian berhubung meneroka amalan
kaunseling perspektif Islam dalam kalangan kaunselor. Selain itu, bab ini juga akan
memaparkan latar belakang peserta kajian juga dapatan yang menjawab soalan-soalan
kajian yang telah dikemukakan.

133

4.2 Latar Belakang Peserta Kajian

4.2.1 Latar Belakang Peserta Kajian Pertama

Peserta kajian pertama adalah seorang lelaki. Berumur 37 tahun. Menjawat jawatan sebagai
Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa di sekolah menengah dengan gred DG44.
Berkhidmat di sekolah harian biasa tetapi mempunyai banyak pengalaman berkhidmat di
pelbagai jenis sekolah; SBP, SM Teknik, SMKA dan lain-lain lagi. Mempunyai Sarjana
Muda dan Sarjana dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling dari Universiti Teknologi
Malaysia (UTM).

Beliau mempunyai latar belakang sekolah agama dan aktif mengikuti seminar dan
konferens berkaitan ilmu kaunseling dan juga ilmu-ilmu lain untuk mencambahkan
pemikiran. Melalui senarai semak kaunseling perspektif Islam yang diberikan, peserta
mengakui menggunakan kaunseling perspektif Islam dalam sesi kaunseling kendaliannya
yang mana peserta kajian pertama ini mengendalikan sesi mengikut proses kaunseling
perspektif Islam acuannya sendiri.

Beliau merupakan seorang kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor
Malaysia dan beliau mempunyai 15 tahun pengalaman mengendalikan sesi kaunseling
menggunakan proses kaunseling perspektif Islam sepanjang perkhidmatan dengan klien
yang terdiri daripada pelajar semuda darjah empat hingga tingkatan enam juga warga

134

sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat. Klien yang dikendalikan tidak terhad di
sekolah sahaja dengan purata 3 sesi dalam sehari.

4.2.2 Latar Belakang Peserta Kajian Kedua

Peserta kajian kedua adalah seorang lelaki. Berumur 62 tahun dan merupakan seorang
pesara kerajaan namun mempunyai pengalaman yang amat luas dalam penggunaan dan
pengendalian kaunseling perspektif Islam. Pernah bertugas di sekolah menengah
kebangsaan sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling dan juga di Institut Pendidikan Guru.
Beliau mempunyai diploma, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang kaunseling serta
kerap mengikuti kursus-kursus kaunseling untuk percambahan ilmu.

Peserta kajian kedua ini bukan merupakan seorang kaunselor berdaftar di bawah
Lembaga Kaunselor Malaysia. Namun demikian, beliau mempunyai klien setiap hari dan
klien beliau terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat; pelajar sekolah rendah
sehinggalah warga tua. Melalui senarai semak kaunseling perspektif Islam yang diberikan,
peserta mengakui menggunakan kaunseling perspektif Islam dalam sesi kaunseling
kendaliannya. Beliau juga menggunakan proses kaunseling perspektif Islam yang
dibangunkan oleh beliau sendiri dalam setiap sesi kendaliannya. Berpengalaman 20 tahun
dalam pengendalian sesi kaunseling dan 16 tahun dalam menggunakan proses kaunseling
perspektif Islam.

135

4.2.3 Latar Belakang Peserta Kajian Ketiga

Peserta kajian ketiga adalah seorang perempuan. Berumur 57 tahun. Merupakan seorang
pensyarah di salah sebuah institusi pendidikan dalam negara. Mempunyai Sarjana Muda
Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, Diploma Kaunseling Islam, Diploma al-Quran,
Sarjana Pendidikan Psikologi dan Doktor Falsafah dalam bidang kaunseling dari Universiti
Utara Malaysia (UUM).

Beliau merupakan seorang kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor
Malaysia. Beliau mempunyai minat yang mendalam kepada bidang Psikologi dan
Kaunseling dan melalui senarai semak kaunseling perspektif Islam yang diberikan, peserta
mengakui menggunakan kaunseling perspektif Islam dalam sesi kaunseling kendaliannya.

Beliau kerap mengendalikan sesi kaunseling dengan pelbagai jenis klien dari
pelbagai latar belakang menggunakan proses kaunseling perspektif Islam acuannya sendiri.
Kes-kes kendalian beliau banyak berkisar kepada kaunseling keluarga dan konsultasi.
Peserta kajian ketiga ini juga mempunyai 13 tahun pengalaman mengendalikan sesi
kaunseling dan sembilan tahun dalam menggunakan proses kaunseling perspektif Islam
sepenuhnya.

136

4.2.4 Latar Belakang Peserta Kajian Keempat

Peserta kajian keempat adalah seorang perempuan. Berumur 47 tahun dan merupakan
seorang pensyarah di salah sebuah institusi pendidikan dalam negara. Mempunyai Diploma
dalam Psikologi Kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Muda
Usuluddin dari Universiti Malaya (UM), Sarjana Usuluddin dari UM dan Doktor Falsafah
dalam Dakwah dan Kaunseling dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau merupakan seorang kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor
Malaysia. Peserta kajian keempat ini juga masih aktif menjalankan sesi kaunseling dan
klien beliau terdiri daripada pelajar, staf, masyarakat dan juga rujukan-rujukan kes. Melalui
senarai semak kaunseling perspektif Islam yang diberikan, peserta mengakui menggunakan
kaunseling perspektif Islam dalam sesi kaunseling kendaliannya. Malah, beliau
melaksanakan kajian dan menggunakan templat beliau sendiri dalam mengendalikan sesi
kaunseling perspektif Islam. Beliau mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam
mengendalikan sesi kaunseling dan enam tahun pengalaman dalam menggunakan proses
kaunseling perspetif Islam sepenuhnya.

4.2.5 Latar Belakang Peserta Kajian Kelima

Peserta kajian kelima adalah seorang perempuan. Berumur 55 tahun dan merupakan
seorang pensyarah di salah sebuah institusi pendidikan dalam negara. Mempunyai Diploma

137

dalam Psikologi Kaunseling dari UKM dan atas minat dan keperluan, beliau mempunyai
mempunyai dua sarjana; sarjana Bimbingan dan Kaunseling dari UKM dan sarjana
Pengajian Islam. Beliau kemudiannya memperoleh Doktor Falsafah dalam Kaunseling dari
USM dengan pengkhususan kepada proses kaunseling Islam dalam kalangan pasangan
bermasalah dalam perkahwinan.

Beliau juga merupakan seorang kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga
Kaunselor Malaysia. Melalui senarai semak kaunseling perspektif Islam yang diberikan,
peserta mengakui menggunakan kaunseling perspektif Islam dalam sesi kaunseling
kendaliannya. Mempunyai pelbagai jenis klien dan klien beliau tidak terhad kepada pelajar
institusi sahaja tetapi juga terdiri daripada ahli komuniti yang menginginkan perkhidmatan
kaunseling daripada beliau. Jenis-jenis kes kendalian beliau meliputi isu remaja akhir, kes
percintaan dan akademik serta kes berkaitan rumah tangga.

4.2.6 Latar Belakang Peserta Kajian Keenam

Peserta kajian keenam adalah seorang lelaki. Berasal dari Kuala Terengganu. Beliau
mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Paka, Dungun. Selepas itu, beliau
melanjutkan pengajian menengah di Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek,
Kuala Terengganu. Setelah menduduki SPM beliau melanjutkan pengajian peringkat sijil
dan diploma di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Terengganu dalam bidang
Pengajian Islam Syariah.


Click to View FlipBook Version