The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by SK Tansau Putatan SKTs, 2021-02-17 22:04:52

MENGURUS KHIDMAT B&K SEKOLAH

Mengurus khidmat B&K di Sekolah

Keywords: eBOOK Mengurus Khidmat B&K

142 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

BIMBINGAN KELOMPOK BESAR AKTIVITI PERBINCANGAN

Proses perkembangan kelompok perbincangan boleh dibahagikan kepada tiga slot
iaitu taklimat awal, latihamal dan membuat rumusan. Taklimat awal merupakan
aktiviti memberikan penerangan dan penjelasan tentang perjalanan aktiviti dan juga
penyampaian input tugasan atau kemahiran yang akan diajarkan. Tujuan taklimat
awal ialah untuk mengawal perjalanan aktiviti dan memberikan kefahaman tentang
konsep, input atau intipati maklumat berkaitan kemahiran yang akan disampaikan.
Proses komunikasi boleh berlaku dalam bentuk sehala iaitu fasilitator memberikan
penerangan atau dua hala di mana ahli-ahli kelompok mengemukakan soalan dan
fasilitator memberikan penjelasan. Latihamal adalah aktiviti menimba pengalaman
dan penghayatan terhadap aktiviti yang dipelajari di dalam kelompok bimbingan.
Rumusan merupakan strategi bagi memberi dan membina pengukuhan tentang apa
yang telah dipelajari dan dipraktikkan.

Rajah 47 : Mengendalikan Aktiviti Kelompok Besar

Pada peringkat awal, fasilitator memberikan taklimat tentang aktiviti yang
akan dijalankan dan seterusnya menyampaikan input. Semasa penerangan dan
penjelasan dijalankan, alat pandang dengar dan bahan edaran diperlukan untuk
membantu memudahkan pemahaman ahli kelompok. Misalnya, fasilitator ingin
mengajar ahli kelompok tentang kaedah atau kemahiran mencatat nota. Selepas
memberikan penerangan tentang perjalanan aktiviti, fasilitator akan menerangkan
tentang konsep serta kaedah mencatat nota. Semasa penerangan berjalan, ahli-ahli
kelompok boleh mengemukakan soalan jika terdapat keraguan atau ketidakfahaman.
Selepas aktiviti penerangan selesai, semua ahli kelompok diminta bersedia untuk
menjalankan praktik atau latih amal. Penerangan akan menjadi sia-sia sekiranya
pelajar tidak menjalankan latihan atau amali. Fasilitator akan membahagikan ahli
kelompok besar kepada beberapa kelompok kecil. Ahli kelompok akan berada
dalam kelompok kecil (kelompok perbincangan atau tugasan) masing-masing ketika
menjalankan latihamal.

Input latihamal disediakan dalam bentuk tajuk perbincangan terpimpin atau

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 143

aktiviti berstruktur yang perlu dilaksanakan dalam kelompok kecil. Susunan aktiviti
yang dirancang dengan baik memudahkan proses bagi menghasilkan output yang
bernas. Sebagai contoh, bagi aktiviti mengumpul kata kunci yang terdapat dalam
petikan atau bahan rujukan yang disediakan oleh fasilitator perlu melalui prosedur
atau kaedah tertentu. Kata kunci yang diperolehi dijadikan nota ringkas (output).
Tugasan yang dijalankan di dalam kelompok kecil boleh dijalankan dalam bentuk
perbincangan sama ada menggunakan kaedah sumbangsaran atau percambahan
fikiran. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua dan seorang pencatat. Ketua
bertindak menjadi pengerusi, memimpin setiap perbincangan supaya aktiviti dapat
berjalan lancar, memfokus tajuk perbincangan, memastikan setiap ahli mendapat
peluang untuk mengambil bahagian dan memastikan hasil (out put) diperolehi pada
akhir perbincangan. Pencatat berperanan untuk mencatatkan isi atau fakta penting
yang diperolehi dalam perbincangan, menyusun semula idea atau fakta supaya
senang difahami dan dapat digunakan oleh ahli-ahli kelompok.

Bagi mengendalikan slot latihamal supaya ianya menjadi lebih dinamik,
berkesan, seronok dan dapat memberi pulangan hasil yang maksimum, fasilitator
boleh menggunakan salah satu daripada tiga kaedah perbincangan dalam kelompok.
Kaedah tersebut ialah kaedah kelompok belajar, kaedah pembelajaran stesen dan
kaedah pembelajaran koperatif. Contoh : Fasilitator mengendalikan kelompok besar
seramai 100 orang pelajar. Kelompok besar dibahagikan kepada kelompok kecil
sebanyak 10 kelompok. Setiap kelompok akan mengandungi 10 orang ahli. Setiap
kelompok perlu melantik 5 orang ketua dan 5 orang pencatat. Tetapkan bagi setiap
ketua dan pencatat mengikut urutan nombor 1 hingga 5 iaitu bersesuaian dengan
bilangan kelompok. Fasilitator perlu menyediakan sebanyak 5 tugasan dan setiap
tugasan perlu dilaksana dan diselesaikan dalam tempoh masa yang tertentu atau
mengikut masa yang telah diseragamkan. Bagi kaedah pembelajaran koperatif dan
kaedah stesen, bilangan kelompok mestilah diseragamkan dengan bilangan tugasan
atau topik perbincangan. Jika menggunakan kaedah kelompok belajar, fasilitator
perlu menyelaras dan menentukan jumlah tugasan dengan jumlah ketua kelompok
serta disesuaikan dengan masa yang diperuntukkan.

1. Kaedah Kelompok Belajar
Prosedur Pengendalian
a. Aktiviti atau tugasan kelompok kecil dijalankan secara serentak bagi semua
kelompok kecil yang ada. Aktiviti atau tugasan dilaksanakan mengikut
urutan tugasan. Tugasan disediakan dalam bentuk tajuk perbincangan atau
aktiviti terancang.
b. Ketua 1 dan pencatat 1 bagi setiap kelompok akan menjalankan tugasan 1.
Ahli kelompok kecil akan berbincang atau menjalankan aktiviti seperti
yang diarahkan dalam tugasan.
c. Setelah tempoh masa tamat, fasilitator akan membunyikan wisel atau siren.
d. Semua kelompok diminta berhenti melakukan tugasan.
e. Ketua 2 dan pencatat 2 setiap kelompok mengambilalih pula peranan dan
menjalankan tugasan 2.
f. Setelah tempoh masa tamat, fasilitator akan membunyikan wisel atau siren.
g. Langkah (d) diteruskan dan setiap ketua serta pencatat tugasan seterusnya
akan menjalankan aktiviti seterusnya sehinggalah semua tugasan dapat
dilaksanakan.

144 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

2. Kaedah Stesen
Prosedur Pengendalian
a. Setiap stesen disediakan tugasan dan ditentukan nombor mengikut urutan
tugasan. Misalnya stesen 1 untuk tugasan 1, stesen 2 untuk tugasan 2 dan
seterusnya.
b. Kelompok kecil akan diletakkan di setiap stesen dan mereka diminta untuk
melaksanakan tugasan yang terdapat di stesen tersebut.
c. Ketua dan pencatat yang akan bertanggungjawab memimpin aktiviti dalam
stesen. Misalnya bagi stesen 1 dan tugasan 1 akan dipimpin oleh ketua 1
dan pencatat 1.
d. Setelah tempoh masa tamat, wisel atau siren akan dibunyikan.
e. Kelompok diminta bergerak ke stesen berikutnya. Ketua dan pencatat
berikutnya akan mengambilalih tugas untuk memimpin kelompok bagi
melaksanakan tugasan yang terdapat di stesen tersebut. Misalnya bagi
stesen 2 dan tugasan 2 akan dipimpin oleh ketua 2 dan pencatat 2.
f. Begitulah seterusnya sehinggalah semua tugasan di setiap stesen berjaya
dilaksanakan oleh semua kelompok kecil.

3. Kaedah Pembelajaran Koperatif
Prosedur Pengendalian
a. Fasilitator meminta setiap ketua dan pencatat berkumpul bagi membentuk
kelompok kecil yang baru berdasarkan nombor tugasan. Kelompok ini
dikenali sebagai ‘kelompok pakar’. Misalnya : semua ketua 1 dan pencatat
1 berkumpul dalam kelompok tugasan 1 untuk melaksanakan tugasan 1.
Semua ketua 2 dan pencatat 2 diminta berkumpul dalam kelompok tugasan
2 untuk melaksanakan tugasan 2 dan seterusnya.
b. Kelompok tugasan diminta melantik seorang ketua dari kalangan ketua-
ketua kelompok kecil untuk memimpin kelompok perbincangan dan seterus-
nya melaksanakan tugasan. Setiap pencatat daripada setiap kelompok ada-
lah berperanan untuk mencatat setiap hasil perbincangan atau tugasan untuk
kelompok masing-masing.
c. Perbincangan atau aktiviti dilaksanakan sehinggalah tamat tempoh masa.
Tujuan utama kelompok pembelajaran koperatif ialah untuk menghasilkan
kelompok pakar. Oleh itu, setiap ketua dan pencatat perlulah mahir atau
dapat menguasai dan memahami dengan tepat setiap hasil perbincangan atau
aktiviti kerana mereka perlu membentangkan hasil tugasan tersebut dalam
kelompok masing-masing.
d. Wisel atau siren dibunyikan dan setiap kelompok pakar diminta berhenti
dari menjalankan aktiviti. (Fasilitator perlu bijak mengendalikan arahan
masa dan memberikan keutamaan kepada penyelesaian semua tugasan
yang dilaksanakan di dalam semua kelompok pakar).
e. Setiap ketua dan pencatat diminta kembali ke kelompok masing-masing.
Ketua 1 akan membentangkan hasil tugasan 1 dan hasil perbincangan yang
diperolehi di dalam kelompok pakar. Setiap ketua (ahli kelompok pakar
dengan tugasan masing-masing) akan menjalankan aktiviti pembentangan
dan penerangan bagi semua tugasan mengikut turutan tugasan.
Slot rumusan dapat memberikan ruang dan peluang kepada ahli kelompok

membentang atau mempersembahkan hasil kerja mereka. Sekiranya menggunakan

BAB9 PERKHIDMATAN UTAMA 145

kaedah kelompok belajar atau kaedah stesen, fasilitator bolehlah menentukan urutan
pembentangan mengikut urutan kelompok. Misalnya kelompok 1 membentang dan
mempersembahkan hasil perbincangan atau aktiviti tugasan 1. Kelompok 2 pula
akan membentang dan mempersembahkan hasil daripada perbincangan atau aktiviti
tugasan 2 dan seterusnya. Cara ini akan dapat menjimatkan masa. Semasa proses
pembentangan dijalankan, ahli-ahli kelompok bolehlah memberikan komen yang
membina atau dapat membuat penambahbaikkan. Jika fasilitator menggunakan
kaedah pembelajaran koperatif, pembentangan hanya dijalankan di dalam kelompok
masing-masing. Setiap ketua akan dibantu oleh pencatat diminta membentangkan
hasil perbincangan atau aktiviti tugasan masing-masing. Sesi ini kadang-kadang
dipanggil sebagai sesi lebah (buzz session) di mana semua kelompok kecil ‘sibuk’
dengan tugas pembentangan hasil perbincangan di dalam kelompok masing-masing.

Sebelum menamatkan aktiviti kelompok besar, fasilitator akan membuat
rumusan besar. Input rumusan besar perlulah menyentuh secara keseluruhan semua
dinamik dan proses kelompok seperti perjalanan aktiviti, kerjasama, komitmen dan
sumbangan ahli kelompok. Semua bahan yang dihasilkan seperti nota ringkas, peta
minda, strategi belajar dan sebagainya bolehlah diperbanyakkan supaya setiap hasil
kerja dapat dimanfaatkan oleh semua ahli kelompok.

INTERVENSI KAUNSELING

Di antara tugas Guru Kaunseling yang dipertanggungjawabkan oleh Kementerian
Pelajaran ialah merancang, melaksana, mengawalselia perkhidmatan kaunseling
individu atau kelompok secara profesional dan beretika. Intervensi kaunseling sama
ada individu dan kelompok adalah kaedah yang digunakan oleh Guru Kaunseling
untuk membantu pelajar atau klien yang menghadapi masalah peribadi. Orientasi
perkhidmatannya adalah pencegahan, pemulihan dan krisis. Bagi mengendalikan
kedua-dua intervensi tersebut Guru Kaunseling perlu memiliki kepakaran dan
kemahiran yang khusus dalam bidang kaunseling.

Sekiranya Guru Kaunseling kurang yakin dengan kemampuan diri ketika
mengendalikan kaunseling kelompok, mereka boleh menggunakan modul aktiviti
berstruktur. Terdapat pelbagai modul aktiviti berstruktur yang boleh digunakan
sama ada secara individu atau kelompok. Sekadar menyebut beberapa penulis
modul aktiviti berstruktur. Misalnya Penland (1974) telah mengemukakan modul
aktiviti berstruktur yang boleh digunakan untuk menggerakkan dinamik kelompok
dan perkembangan individu. Pfeiffer dan Jones (1974) telah menulis buku tentang
manual aktiviti berstruktur bagi membina perhubungan antara manusia. Newstrom
dan Scannell (1980) mengemukakan pelbagai aktiviti berstruktur yang merangkumi
pelbagai aspek yang digunakan oleh jurulatih bagi melatih pelatih-pelatih mereka.
Unit Bimbingan dan Kaunseling, Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan
Malaysia (1992) telah menghasilkan sebuah modul latihan asas bagi Pembimbing
Rakan Sebaya yang mengandungi banyak aktiviti berstruktur.

Sebenarnya, Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling mampu membina
modul aktiviti berstruktur mengikut acuan mereka sendiri berpandukan kepada
modul-modul yang telah sedia ada. Hakikat sebenarnya, personel lebih tahu akan
keperluan klien mereka dan ke mana klien mereka hendak dibawa. Perlu diingatkan
bahawa aktiviti berstruktur hanya sebagai ‘pencetus’ atau semata-mata sebagai alat
untuk menghasilkan dinamik kelompok. Sekiranya Guru Kaunseling kurang mahir

146 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

mengendalikan intervensi kaunseling kelompok, dikhuatiri nanti ahli-ahli kelompok
hanya dapat ‘pengalaman bermain’ atau menjalankan aktiviti berstruktur semata-
mata. Oleh itu, setiap Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling perlu mahir dan
seharusnya mampu memproses setiap dinamik yang berlaku di dalam kelompok.
Jika aktiviti berstruktur dapat dijalankan dengan baik pelbagai dinamik kelompok
akan terhasil melalui interaksi di antara ahli kelompok semasa menjalankan aktiviti
berstruktur tersebut.

PRINSIP KAUNSELING

Menurut Mizan dan Halimatun (1996), terdapat lima prinsip utama dalam intervensi
kaunseling iaitu :
1. Manusia mempunyai maruah dan harga diri.
2. Manusia itu unik dan berbeza di antara satu sama lain.
3. Manusia yang memiliki personaliti yang bersepadu adalah manusia yang sihat.
4. Manusia cenderung ke arah kesempurnaan kendiri.
5. Manusia berkembang melalui proses sosialisasi.

PENDEKATAN DAN TEORI KAUNSELING

Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling perlu memiliki suatu pendekatan teori yang
lengkap dengan tekniknya dan boleh dijadikan panduan bagi membantu mereka
mengendalikan proses kaunseling yang begitu kompleks. Memang tidak dinafikan,
tanpa menggunakan sebarang pendekatan teori seseorang individu masih lagi boleh
membantu individu yang lain. Sebagai Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling
yang efektif dan autentik, mereka memerlukan suatu kerangka kerja yang teratur,
menggunakan suatu formaliti atau panduarah piawai yang dapat menempatkan
pengalaman dan ruang rujuk mereka bagi mendapatkan perspektif yang betul dalam
amalan serta menggerakkan usaha-usaha bagi mempertingkatkan perkhidmatan
mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa teori kaunseling hanya semata-mata
sebagai ‘muzik latar’ dan tidak banyak membantu proses kaunseling. Kemahiran
menolong adalah segala-galanya. Bagaimanapun, personel sekurang-kurangnya
perlu mempunyai pandangan tentang manusia terutama bagi mengenali pelbagai
aspek berkaitan psikologi manusia. Sebagai seorang guru terlatih, Guru Bimbingan
atau Guru Kaunseling sebenarnya sudah memenuhi syarat tersebut kerana setiap
guru yang dilatih oleh Kementerian Pendidikan sudah dilengkapkan dengan ilmu
pengetahuan tentang psikologi atau sekurang-kurangnya psikologi pendidikan
semasa mereka diberikan latihan perguruan.

Menurut Kottler dan Brown (2000), pendekatan dan teori kaunseling boleh
dikategorikan kepada tiga kelompok utama iaitu teori berorientasikan celik akal,
teori berorientasikan tindakan dan teori yang dihasilkan melalui integrasi atau
eklektik. Empat pendekatan teori yang dipilih dari orientasi celik akal dan empat
pendekatan teori dari orientasi tindakan untuk dijadikan panduan dan perbandingan.
Kaunseling Islam dianggap sebagai teori integrasi atau eklektik.
1. Pendekatan Teori Berorientasikan Celik Akal

• Kaunseling Psikoanalitik / Psikodinamik
• Kaunseling Adlerian / Psikologi Individu
• Kaunseling Tumpuan Klien / Rogerian

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 147

• Kaunseling Gestalt
2. Pendekatan Teori Berorientasikan Tindakan

• Kaunseling Behaviural (Ketingkahlakuan)

• Kaunseling Tingkah Laku Rasional Emotif

• Terapi Realiti

• Terapi Ringkas Berorientasikan Penyelesaian
3. Pendekatan Integrasi

• Kaunseling Eklektik

• Kaunseling Islam
Setiap pendekatan teori dipaparkan dalam bentuk jadual merujuk kepada
pandangan beberapa penulis bidang kaunseling seperti Corey (1986), Gibson dan
Mitchell (1986), George dan Cristiani (1990), Furman dan Ahola (1992), Gladding
(1996), Kottler dan Brown (2000) serta pandangan beberapa penulis kaunseling
Islam. Hanya tiga aspek sahaja yang akan disentuh.

Pendekatan Teori Berorientasikan Celik Akal

Pendekatan Teori Kaunseling Psikoanalitik / Teori Psikodinamik
Pengasas
Pandangan Asas Sigmund Freud
Tentang Manusia
Manusia ditentukan oleh tenaga psikik dan pengalaman awal.
Konsep Utama Motif tidak sedar dan konflik adalah perkara utama yang
mencorakkan tingkah laku. Tenaga tidak rasional sangat kuat,
Teknik individu didorong oleh naluri seks dan agresif. Pengalaman awal
amat penting kerana masalah personaliti berakar umbi daripada
konflik zaman kanak-kanak yang telah terpendam.

Pembentukan personaliti yang normal adalah berdasarkan kepada
kejayaan resolusi dan integrasi perkembangan dalam tahap-tahap
psikoseksual. Personaliti yang ‘salahsuaian’ disebabkan individu
tersekat pada tahap-tahap tertentu. Id, ego dan superego adalah
komponen personaliti. Kerisauan berlaku apabila konflik
dipendamkan. Mekanisme bela diri dibentuk untuk mengawal
kerisauan. Model berpaksi kepada ketentuan (deterministik) iaitu
perlakuan dan personaliti manusia adalah diwarisi sejak lahir.

Teknik utama ialah interpretasi, analisis mimpi, perkaitan bebas,
analisis keengganan (resistance) dan analisis pemindahan (trans-
ference). Teknik digunakan untuk membolehkan klien membuat
analisis terhadap konflik minda bawah sedar bagi mendapatkan
celik akal. Diagnosis dan ujian digunakan. Soalan dibentuk bagi
mengesan kes-kes yang berlaku pada masa silam.

Pendekatan Teori Kaunseling Alderian / Psikologi Individu

Pengasas Alfred Adler
Pandangan Asas
Tentang Manusia Memberikan penekanan kepada pandangan yang positif terhadap
manusia. Manusia dimotivasikan oleh faktor sosial, sentiasa
berusaha mencapai matlamat dan menangani serta menguruskan
tugas-tugas kehidupan. Manusia mempunyai pilihan. Manusia
menentukan takdirnya sendiri dan bukannya menjadi mangsa
kepada takdir. Sejak kanak-kanak lagi, setiap individu telah
membentuk stail kehidupan mereka yang unik dan proses itu
berterusan di sepanjang hayatnya.

148 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

Konsep Utama Berasaskan model pertumbuhan yang menekankan tentang
Teknik keupayaan individu untuk hidup dan bekerjasama dengan orang
lain dalam masyarakat. Model menekankan tentang penyatuan
personaliti, keperluan untuk melihat manusia melalui perspektif
mereka yang subjektif dan kepentingan matlamat hidup yang
menentukan halatuju perlakuan. Manusia dimotivasikan oleh
kecenderungan bermasyarakat, mencari matlamat hidup dan
berusaha untuk mencapainya. Matlamat kaunseling ialah untuk
menyediakan sokongan dan membantu klien mengubah perspektif
kognitif mereka.

Kaunseling Alderian menggunakan pelbagai teknik dan ada yang
dipinjam oleh beberapa pendekatan yang lain. Teknik yang
digunakan seperti diagnosis, penilaian, memberikan dorongan,
konfrantasi, interpretasi, mengumpul data maklumat berkaitan
sejarah hidup (kedudukan dalam keluarga dan pengumpulan
pengalaman awal), kontrak teraputik, tugasan rumah, penggunaan
soalan, niat yang paradoksikal (contoh : niat lain tetapi buat lain)
serta saranan atau cadangan.

Pendekatan Teori Kaunseling Tumpuan Klien / Rogerian
Pengasas
Pandangan Asas Carl Roger
Tentang Manusia
Pandangan terhadap manusia adalah positif iaitu bersifat baik,
Konsep Utama boleh dipercayai, sentiasa bergerak mencapai matlamat tetapi
amat sukar untuk difahami. Manusia secara semulajadinya
Teknik mempunyai kecenderungan dan berpotensi untuk mencapai
kesempurnaan kendiri. Bagaimanapun, manusia seringkali
menafikan perasaan dan menghalang dari kesedaran. Manusia
berupaya merealisasikan potensi kendiri, bersifat kespontanan,
percaya kepada diri sendiri dan memiliki dorongan dari dalam
dirinya.

Klien berpotensi untuk menyedari kewujudan masalah dan cuba
untuk merungkai dan menyelesaikannya. Kepercayaan dan
kesetiaan yang ada dalam diri klien merupakan kekuatan untuk
menentukan arah diri. Kesihatan mental merupakan keselarasan
di antara kendiri sempurna dengan kendiri sebenar. Salahsuaian
merupakan hasil dari kelemahan memenuhi kehendak orang lain
dan mengabaikan kehendak sendiri. Fokus adalah ‘masa kini’
yakni apa yang sedang dialami dan peluahan perasaan.

Klien dilihat dari perspektif fenomenologikal. Menggunakan
sedikit sahaja teknik tetapi menekankan tentang sikap kaunselor.
Kaunselor perlu menerima klien tanpa syarat, tulen dan kongruen.
Teknik asas ialah mendengar secara aktif (lisan dan bukan lisan),
berempati, refleksi perasaan, minta penjelasan, dan ‘berada atau
mengalami situasi ketika itu’. Model ini tidak menggunakan
ujian diagnostik, membuat interpretasi, mengambil sejarah kes
atau menjalankan soal siasat bagi mendapatkan maklumat.

Pendekatan Teori Kaunseling Gestalt

Pengasas Frederick Salomon Perls
Falsafah Tentang
Manusia Manusia sentiasa berusaha ke arah kebersatuan (wholeness) dan
pengintegrasian pemikiran, perasaan dan perlakuan. Pandangan
model ini bersifat tidak mengikut ketentuan, di mana setiap

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 149

Konsep Utama individu mempunyai kebolehan serta berupaya mengenalpasti
Teknik bagaimana pengaruh masa lalu telah menyebabkan kesukaran
atau menimbulkan masalah masa kini. Pertumbuhan melibatkan
pergerakan daripada bergantung kepada sokongan persekitaran
kepada membentuk sokongan kepada diri sendiri.

Model memberikan penekanan kepada ‘apa’ dan ‘bagaimana’
seseorang individu mengalami situasi ‘di sini’ dan ‘di masa kini’
yang dapat membantu klien menerima pertentangan dalam dirinya
(sifat atau sikap yang bertentangan di dalam diri klien). Konsep
utama model ini melibatkan tanggungjawab terhadap diri sendiri,
urusan yang belum selesai (unfinished business), menghindari,
mengalami dan kesedaran masa kini.

Pelbagai teknik digunakan untuk meningkatkan keupayaan klien
belajar mengalami-menghayati dan mengintegrasikan semua
perasaan yang berkonflik. Teknik seperti konfrantasi, dialog
dengan aspek diri yang bertentangan, main peranan, ‘berada
bersama perasaan’, memecah kebuntuan, menghidupkan dan
mengalami semula urusan yang belum selesai dalam bentuk
melepaskan geram atau rasa bersalah. Diagnosis yang formal dan
ujian tidak dilakukan. Interpretasi dibuat oleh klien sahaja dan
tidak dilakukan oleh kaunselor. Konfrantasi hanya digunakan
untuk menumpukan perhatian kepada aspek yang bercanggah.

Pendekatan Teori Berorientasikan Tindakan

Pendekatan Teori Kaunseling Behaviural (Ketingkahlakuan)
Pengasas
Falsafah Tentang Burrhus Frederick Skinner, Joseph Wolpe, Albert Bandura,
Manusia John Krumboltz, Donald Meichenbaum
Konsep Utama
Tingkah laku merupakan produk pembelajaran. Semua manusia
Teknik merupakan produk dari persekitaran dan manusia juga menjadi
pengeluar kepada persekitaran.

Model memberikan fokus kepada tingkah laku masa kini yang
sering menimbulkan masalah, ketepatan dalam menentukan
matlamat rawatan, pembinaan pelan rawatan yang spesifik, dan
penilaian yang objektif terhadap hasil kaunseling. Kaunseling
berasaskan kepada prinsip teori pembelajaran. Tingkah laku
normal adalah dipelajari melalui peneguhan dan peniruan.
Tingkah laku bilazim adalah hasil produk atau manifestasi
daripada pembelajaran yang salah.

Teknik utama ialah disensitisasi bersistem, kaedah bersantai,
teknik peneguhan, model, penstrukturan semula kognitif, fikiran
terhenti-henti, latihan asertif, latihan kemahiran sosial, program
pengurusan kendiri, pengulangan tingkah laku, melatih diri dan
lain-lain. Diagnosis dan penilaian dijalankan di luar sesi untuk
membentuk dan mengendalikan pelan rawatan. Soalan yang
digunakan seperti ‘apa’, ‘bagaimana’ dan ‘bila’ (soalan ‘kenapa’
dielakkan). Kontrak dan kerja rumah seringkali digunakan.

Pendekatan Teori Kaunseling Tingkah Laku Rasional Emotif (RET)

Pengasas Albert Ellis
Falsafah Tentang
Manusia Manusia berpotensi untuk mempunyai pemikiran yang tidak
rasional dan cenderung memikirkan yang bukan-bukan. Manusia

150 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

Konsep Utama menjadi mangsa kepada kepercayaan tidak rasional dan seringkali
Teknik mengindoktrinasikan diri mereka dengan kepercayaan tersebut.
Manusia semakin tidak rasional apabila menerima idea-idea tidak
rasional ke dalam sistem kepercayaan mereka.

Neurosis merupakan hasil dari pemikiran dan tindakan yang tidak
rasional. Gangguan emosi berakar umbi dari zaman kanak-kanak
tetapi telah dikekalkan melalui indoktrinasi semula pada masa
kini. Sistem kepercayaan individu merupakan penyebab atau
punca utama kepada masalah emosi. Dalam kaunseling, klien
dicabar untuk menyemak semula kesahan kepercayaannya.
Kaedah saintifik model ini sering digunapakai dalam kehidupan
harian manusia.

Kaunselor RET menggunakan pelbagai teknik kognitif, afektif
dan tingkah laku, kepelbagaian teknik digunakan bagi memenuhi
keperluan klien yang berbeza-beza. Kaedah kognitif seperti
mempertikaikan kepercayaan tidak rasional, melaksanakan kerja
rumah berkaitan kognitif, dan menukar bahasa dan corak
pemikiran seseorang. Teknik afektif ialah main peranan,
gambaran imej dan latihan ‘menyerang perasaan malu’. Pelbagai
teknik tingkah laku digunakan untuk meningkatkan penglibatan
klien supaya bersungguh-sungguh dalam sesi kaunseling.

Pendekatan Teori Terapi Realiti
Pengasas
Falsafah Tentang William Glasser
Manusia
Manusia bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan arah
Konsep Utama kehidupannya. Manusialah yang bertanggungjawab untuk
memenuhi keperluan fisologikal dan psikologikalnya sendiri.
Teknik Manusia yang dapat memenuhi keperluan tersebut membentuk
‘identiti berjaya’ jika sebaliknya membentuk ‘identiti gagal’.

Fokus asas teori ialah apa yang klien lakukan dan bagaimana
menghindari mereka daripada membuat penilaian bahawa apa
yang mereka sedang lakukan adalah sesuai dengan diri mereka.
Menentukan klien sama ada mereka dalam golongan ‘identiti
berjaya’ atau ‘identiti gagal’. Manusia mencipta perasaan melalui
pilihan yang mereka buat dan tindakan yang mereka lakukan.
Setiap orang bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Tingkah
laku yang akan mengawal dan menentukan persepsi manusia.
Model ini menolak idea terapi konvensional (ch. : psikoanalisis)

Model ini merupakan terapi yang aktif, terarah dan dedikasi.
Sebarang teknik tingkah laku boleh digunakan bagi membolehkan
klien menilai apa yang sedang dilakukan bagi melihat sama ada
mereka bersedia untuk berubah. Jika klien mendapati tingkah
laku sekarang tidak berkesan, mereka perlu membina pelan
tindakan atau kontrak yang spesifik dan melakukan komitmen
untuk membuat perubahan. Tiada alasan diterima dan klien perlu
bertanggungjawab jika gagal mencapai matlamat.

Pendekatan Teori Terapi Ringkas Berorientasikan Penyelesaian

Pengasas Milton H. Erickson
Falsafah Tentang
Manusia Manusia mempunyai keinginan untuk berubah. Manusia secara
tabii mempunyai keupayaan untuk melakukan perubahan sendiri.
Oleh itu, kemahiran atau pengetahuan baru adalah tidak perlu.

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 151

Konsep Utama Kaunselor hanya perlu membantu menghubungkaitkan kemahiran
Teknik yang sedia ada dengan situasi yang menimbulkan masalah itu.
Mengetahui “mengapa?” (sebab sesuatu masalah wujud) adalah
berguna tetapi bukan prasyarat untuk mengetahui “bagaimana?”
(tindakan untuk membuat perubahan positif). Klien mendapat
90% manfaat daripada teraputik dalam usaha penyelesaian
masalah tetapi hanya 10% dari usaha memahami etiologi atau asal
usul sesuatu masalah. Setiap individu membina makna bagi
realiti hidup. Makna realiti seseorang individu itu boleh diubah
secara perundingan. Kadang-kadang masalah dapat diselesaikan
tanpa sebarang perubahan tingkah laku. Apa yang diperlukan
hanyalah perubahan makna (tingkah laku untuk mentafsir realiti)
terhadap tingkah laku tertentu atau pun perubahan dalam cara
mentafsir realiti hidup. Perubahan dalam suatu tingkah laku atau
perhubungan akan mempengaruhi tingkah laku dan perhubungan
yang lain (kesan gelombang atau ripple effect iaitu perubahan
pada satu titik mempengaruhi persekitaran). Perubahan bukan
sahaja berlaku tetapi tidak dapat dielakkan.

Pendekatan ini hanya menggunakan hasrat klien sebagai sumber
utama membentuk intervensi khas bagi klien. Keengganan klien
untuk melaksanakan tugasan digunakan sebagai panduan bagi
mengubahsuai strategi. Kaunselor perlu membuat penilaian
secara berterusan sepanjang masa berinteraksi dengan klien
dengan memberi perhatian kepada respon atau gerakbalas klien
khususnya terhadap tugasan yang diberikan. Gaya respon atau
gaya kerjasama akan menunjukkan ke arah manakah intervensi
yang baru hendak dituju. Untuk mendapatkan kerjasama, iaitu
menghapuskan keengganan menjalankan tugasan, pola bahasa
klien hendaklah digunakan dalam interaksi. Perbezaan di antara
“fakta” dan “maksud” sesuatu percakapan sering membantu
mendapatkan strategi intervensi. Klien diajar untuk mengesan
perubahan kecil dan seharusnya berasa puas hati walaupun hanya
dapat mencapai sesuatu perubahan yang kecil.

Pendekatan Eklektik Dan Kaunseling Islam

Pendekatan Teori Kaunseling Eklektik
Pelopor
Frank A. Nugent (fenomenologikal psikologis), Arnold Lazarus
Falsafah Tentang (teknikal eklektisme), Cavanagh (pendekatan eklektik yang sihat)
Manusia
Mengikut kepercayaan kaunselor sendiri terhadap tabii kejadian
manusia berdasarkan teori-teori yang telah dikemukakan. Contoh
pengamal eklektik : Nugent (1981) percaya bahawa manusia
memiliki struktur organisasi dalaman (otak, sistem saraf, organ
deria). Melalui struktur tersebut manusia mampu menentukan
matlamat dan membuat pilihan. Dengan potensi yang ada
manusia bebas daripada kawalan persekitaran. Hasil interaksi
manusia yang berterusan dengan persekitaran membolehkan
manusia berupaya untuk mengubah persekitaran. Pembinaan
personaliti dan gaya hidup adalah hasil interaksi secara seimbang
di antara proses intelek dan emosi. Interaksi di antara intelek dan
emosi menghasilkan tanggapan terhadap realiti yang akan
menentukan tingkah laku.

152 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

Konsep Utama Kaunselor bebas menentukan konsep kaunselingnya. Misalnya
Teknik ada yang percaya bahawa setiap klien perlu menguasai tugas
perkembangan sebagai rangka kerja kaunselingnya. Sesetengah
teori memberikan fokus kepada aspek tertentu psikologi manusia.
Bagi pengamal eklektik, mereka menerima sebahagian dan
menolak sebahagian yang lain dan ada juga yang menerima
semuanya tetapi secara terpilih. Bagi mereka, fokus utama ialah
mengambil kira setiap keperluan klien.

Kepelbagaian teknik dan kemahiran digunakan asalkan ianya
sesuai dengan klien. Contoh : Brammer (Amir Awang, 1981),
Ivey & Downing (1980), Egan (1982), Ivey (1983), Corey (1986)
dan lain-lain.

Pendekatan Teori Kaunseling Islam
Pelopor
Falsafah Tentang Terdapat beberapa tokoh atau penulis yang cuba mengemukakan
Manusia teori kaunseling Islam di Malaysia seperti Hasan (1990), Aziz
(1993), Ishamuddin (1993) dan Kamal (2000)
Konsep Utama
Manusia atau insan adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan
Teknik oleh Allah. Manusia pertama adalah Adam yang diciptakan oleh
Allah daripada tanah. Manusia secara fitrahnya dilahirkan suci
bersih. Pandangan mulia terhadap manusia adalah bagi menolak
dakwaan agama Kristian, manusia dilahirkan bersama dengan
dosa nabi Adam dan fahaman agama Yahudi yang mengatakan
bahawa manusia ketika dilahirkan adalah dalam keadaan najis
(Mohd Ali, 1991). Manusia terbentuk daripada unsur material
(jasmani) dan spiritual (rohani). Unsur material membentuk jasad
manusia terdiri daripada darah daging, tulang-belulang, urat saraf,
organ dan rambut. Unsur spiritual terdiri daripada roh, hawa
nafsu, kalbu dan akal fikiran. Manusia juga telah diciptakan
dengan sifat-sifat kehaiwanan (mempunyai nafsu dan kehendak)
dan sifat-sifat ketuhanan (Asma Ul-Husna). Kaunselor Islam
perlu mengamalkan sifat-sifat kenabian iaitu benar, amanah,
menyampaikan (tidak menyembunyikan) dan bijaksana.

Manusia adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.
Walaupun terdapat konsep ketentuan Allah (qada’ dan qadar)
tetapi manusia perlu berusaha menentukan takdirnya. Kehendak,
nafsu syahwat dan syaitan mendorong manusia menjadi tidak
bertanggungjawab. Personaliti manusia terbina melalui proses
hidayah (ilmu) Allah, pendidikan dan ibadah. Melalui iman
manusia bertindak balas mengekang kehendak hawa nafsu dan
godaan syaitan dengan menggunakan kekuatan roh, kalbu dan
akal. Asas kehidupan insan muslim ialah iman, amal dan taqwa.

Teknik yang digunakan seperti hisbah (proses pengajaran dan
pembelajaran sosial), nasihat (halus dan kasar) serta muhasabah.
Teknik diperolehi dari amalan Imam Ghazali dan Ibnu Timiyah.
Kaunselor boleh menggunakan teknik atau meminjam kemahiran
menolong seperti yang dikemukakan oleh pengamal kaunseling
Barat, asalkan tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam seperti
mengawal batas pergaulan antara berlainan jantina, kebebasan
membuat pilihan dan keputusan serta bertatakelakuan tetapi
mestilah berlandaskan al-Quran, hadis, sunah nabi dan itjmak
ulama.

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 153

PERIBADI SEORANG PERSONEL KAUNSELING

1. Memiliki kualiti dan personaliti yang sesuai dan bertepatan dengan keperluan
profesion. Ciri-ciri personaliti seperti matang, stabil, objektif, praktikal, bebas,
mesra, sabar, sensitif, prihatin, sosial dan memiliki tret-tret personaliti yang
stabil. Bagi Guru Bimbingan dan Guru Kaunseling yang beragama Islam maka
sifat-sifat kenabian perlulah ada dalam dirinya dan sentiasa diamalkan

2. Memiliki aras pengetahuan yang mencukupi tentang pendekatan dan teori
kaunseling serta mampu mengintegrasikannya mengikut kesesuaian klien dan
keperluannya.

3. Memiliki kecekapan atau kompetensi kemahiran menolong dan kemahiran
kaunseling bagi membantu klien menghasilkan output yang bermakna.

4. Mengutamakan etika kaunseling ketika berurusan dengan klien.
5. Mempunyai misi dan visi yang jelas dan boleh dicapai.
6. Mempunyai keinginan belajar yang tinggi serta sentiasa berusaha memperbaiki

dan meningkatkan keupayaan diri.
7. Sentiasa sedar tentang keupayaan diri (kemampuan sebenar dan limitasi diri)

dan sering melakukan muhasabah atau penilaian kendiri.

KAUNSELING INDIVIDU

Terdapat pelbagai variasi definisi kaunseling yang telah dikemukakan oleh pakar-
pakar kaunseling Barat dan juga tempatan mengikut keperluan klien dan dimensi
masing-masing. Tolbert (Shertzer dan Stone, 1980) mendefinisikan kaunseling
sebagai perhubungan bersemuka yang berbentuk peribadi di antara dua individu.
Kaunselor melalui perhubungan itu dibantu oleh kebolehannya iaitu pengetahuan
dan kemahiran, dapat menyediakan suatu situasi pembelajaran kepada klien. Klien
merupakan individu normal yang dibantu untuk mengenali situasi dirinya pada masa
kini dan pada masa hadapan yang membolehkan klien menggunakan kriteria dan
potensi diri yang dimiliki untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan seterus-
nya klien dapat belajar menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan dirinya
pada masa akan datang.

Kottler dan Brown (2000) melihat intervensi kaunseling melalui aspek
kenapa dan bagaimana ianya dijalankan. Kaunseling merupakan suatu profesion
yang mempunyai sejarah dan memiliki satu set piawaiannya tersendiri, berbeza
daripada disiplin yang serumpun dengannya seperti kerja sosial, psikologi dan juga
psikiatri. Aktiviti-aktiviti kaunseling dibentuk khusus bagi individu normal yang
sedang menghadapi masalah perkembangan dan penyesuaian diri. Perhubungan
yang dibina sama ada dalam bentuk kaunseling individu, kelompok atau keluarga
dapat menggalakkan kepercayaan, rasa selamat serta usaha-usaha untuk melakukan
perubahan. Kaunseling mempunyai pelbagai dimensi berkaitan dengan perasaan,
pemikiran dan tingkah laku manusia sama ada di masa lalu, masa kini dan masa
hadapan.

Suradi (2001) telah mentakrifkan kaunseling individu sebagai perhubungan
peribadi secara bersemuka di antara dua orang, yang seorang ialah kaunselor dan
seorang lagi ialah kaunseli atau klien. Kaunselor melalui hubungan itu dan dengan
kebolehannya menggunakan kemahiran khusus, menyediakan suatu situasi dan
suasana, apabila klien, seorang yang normal, dibantu memahami atau mengetahui

154 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

tentang dirinya, memahami situasi semasanya dan juga kemungkinan situasi pada
masa hadapannya, supaya dia boleh menggunakan sifat-sifat keperibadian serta
potensinya dengan cara yang memuaskan dirinya dan dapat memberi faedah kepada
masyarakat dan selanjutnya, mempelajari cara-cara menyelesaikan masalah, dan
memenuhi keperluannya pada masa akan datang.

Mizan Adiliah dan Halimatun Halaliah (1996) menyatakan kaunseling ialah
proses berinteraksi secara bersemuka yang melibatkan hubungan dua hala. Peranan
kaunselor ialah membimbing dan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan
kepada klien mencari sumber dirinya bagi memahami peranan diri dan persoalan
yang dihadapinya. Kaunseling merupakan proses pembelajaran semula melalui
perkongsian maklumat atau pengalaman perasaan. Hasil daripada interaksi bersama
dengan kaunselor, klien mendapat maklumat atau pengetahuan, pengalaman dan
kemahiran baru melalui model yang ditunjukkan oleh kaunselor atau melalui aktiviti
main peranan.

Dari perspektif kaunseling Islam, Hasan (1990) mengemukakan konsep
‘hisbah’ yang pernah diamalkan oleh beberapa tokoh Islam seperti Imam Ghazali,
Ibnu Timiyah dan Fakhrurazi. Hisbah dikatakan sebagai suatu pendekatan yang
hampir sama dengan kaunseling Islam. Hisbah merupakan proses pengajaran dan
pembelajaran sosial yang berlaku dalam suasana bersemuka di antara seorang yang
pakar (muhtasib) dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan perintah, larangan
dan aspek yang membawa kebaikan dengan seorang yang memerlukan (muhtasib
‘alaih) sehingga terjadi hubungan kemanusiaan yang profesional di mana berlaku
nasihat-menasihati dalam kebenaran dan juga kesabaran pada perbuatan-perbuatan
di mana berlaku hisbah tersebut.

Aziz (1993) mendefinisikan kaunseling Islam sebagai satu proses seorang
kaunselor menolong individu atau individu-individu secara memberi bimbingan dan
nasihat bagi membolehkan klien membuat pilihan atau keputusannya sendiri untuk
mencapai sesuatu matlamat. Setiap keputusan dan pemilihan yang dibuat perlulah
berdasarkan kepada ajaran al-Quran, hadis, sunah nabi dan ijtmak ulama. Manusia
yang bersifat lemah boleh membuat keputusan atau pilihan sendiri secara sedar
tetapi perlu dipandu (dipimpin) supaya tidak terkeluar dari keredaan Allah.

Jika mengambil kira pelbagai definisi yang telah dikemukakan oleh penulis
atau pengamal kaunseling sama ada pakar dari Barat atau tempatan maka secara
umumnya intervensi kaunseling yang hendak diamalkan atau dijalankan di sekolah
perlulah mengambil kira kriteria-kriteria berikut.
1. Suatu proses berstruktur yang dijalankan dalam jangka waktu yang pendek

(lazimnya 30 hingga 50 minit).
2. Bilangan sesinya sedikit dan sebaik-baiknya lebih dari satu sesi.
3. Intervensi kaunseling boleh dijalankan di mana-mana premis yang selesa dan

sesuai. Persekitarannya selamat dan jauh dari gangguan.
4. Intervensi yang melibatkan hubungan interpersonal bagi membantu klien yang

normal berasaskan teori psikologi tentang tabii manusia.
5. Intervensinya melibatkan pelbagai dimensi berkaitan perasaan, pemikiran dan

tingkah laku manusia sama ada di masa lalu, masa kini dan masa hadapan.
6. Intervensinya dapat membantu klien mengenali kendiri, membuat penyesuaian

dengan persekitaran dan masalah yang mereka hadapi, serta membolehkan
mereka berkemampuan untuk menyelesaikan masalah perkembangan diri dan
masalah semasa yang dihadapi.

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 155

7. Aktiviti kaunseling perlulah dikawal oleh etika dan peraturan piawai yang telah
ditetapkan.

8. Intervensi kaunseling melibatkan proses yang melalui beberapa peringkat atau
tahap tertentu iaitu prasesi (persediaan), membina hubungan yang jelekit dan
mewujudkan suasana teraputik, menstruktur, membina matlamat, membuat
penerokaan, memilih alternatif, mengambil tindakan dan penamatan sesi.

9. Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling perlulah mahir dalam penggunaan
kaedah, teknik dan kemahiran menolong semasa menjalankan intervensi
kaunseling.

10. Perkara yang diberikan penekanan adalah berkaitan dengan isu atau masalah
perkembangan diri iaitu peribadi, psikososial, pendidikan, vokasional dan
kerjaya.

11. Intervensi kaunseling boleh dijalankan dalam bentuk individu atau dalam
bentuk kelompok (lebih dari seorang klien).

12. Mana-mana personel yang berhasrat untuk mendapatkan pengiktirafan atau
lesen sebagai seorang pengamal kaunseling yang profesional iaitu menyandang
gelaran ‘kaunselor berdaftar’ mestilah memiliki sekurang-kurangnya ijazah
sarjana muda atau sarjana dalam bidang bimbingan dan kaunseling atau bidang
psikologi serta memenuhi syarat-syarat lain yang diperlukan oleh institusi yang
memberi pengiktirafan.

TUJUAN KAUNSELING INDIVIDU

Seorang personel yang efektif seharusnya dapat mengenalpasti tujuan menjalankan
intervensi kaunseling kepada pelajar bagi membolehkan personel menetapkan fokus
terhadap aspek yang dapat memenuhi keperluan klien. Mohd Salleh (1993) telah
menyenaraikan sebanyak 10 tujuan intervensi kaunseling individu dijalankan.

• Menolong klien memperkembangkan sesuatu identiti yang berjaya
melalui tindakan yang bertanggungjawab.

• Menggalakkan klien membina tingkah lakunya sendiri.
• Melatih klien berfikir secara bijaksana dan bertindak dalam bentuk

rasional.
• Memberi keyakinan dan memulihkan semangat klien yang mengalami

masalah psikologi dan tekanan jiwa.
• Membantu klien memahami dan membentuk sikap positif terhadap

kehendak masyarakat sekeliling.
• Menolong klien memilih mata pelajaran elektif seperti yang terdapat

dalam pakej mata pelajaran yang disediakan oleh pihak Kementerian
Pelajaran yang sesuai dengan minatnya.
• Menerangkan teknik-teknik belajar yang berkesan kepada individu yang
memerlukannya.
• Menyampaikan maklumat-maklumat penting tentang peluang-peluang
belajar selepas tamat persekolahan peringkat rendah, menengah rendah
dan menengah atas.
• Membantu pelajar menyelesaikan masalah dalam pemilihan kerjaya.
• Mencegah pelajar daripada terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan
bahaya HIV dan penyakit AIDS.

156 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

MATLAMAT KAUNSELING

Mizan Adiliah dan Halimatun Halaliah (1996) telah menggariskan matlamat umum
intervensi kaunseling. Di antara matlamat tersebut ialah

1. Mengajar klien bertanggungjawab ke atas diri sendiri.
2. Memperbaiki imej diri yang negatif dan membentuk imej diri yang positif.
3. Mengajar klien menyesuaikan diri dengan orang lain atau persekitaran.
4. Mempermudah atau menggerakkan perubahan tingkah laku klien.
5. Membantu klien menjadi lebih produktif.
6. Membimbing klien mencari dan memupuk sumber dalaman yang dimiliki.
7. Mempertingkatkan kemampuan klien membuat keputusan.
8. Membantu klien mengurus masalah yang ‘belum selesai’ dalam hidupnya.

PROSES KAUNSELING

Secara umumnya proses kaunseling melalui tiga tahap yang utama iaitu membina
hubungan, bekerja di dalam hubungan dan penamatan sesi (Gladding, 1996). Ivey
(1983) telah menggariskan lima langkah dalam proses kaunseling iaitu

1. Membina hubungan yang jelekit dan membuat penstrukturan
2. Mendefinisikan masalah
3. Mendefinisikan matlamat
4. Penerokaan pelbagai alternatif dan mengkonfrantasi percanggahan
5. Generalisasi kepada kehidupan harian.
Brammer (Amir Awang, 1981) telah mengemukakan lapan peringkat di dalam sesi
temubual kaunseling. Peringkat-peringkat tersebut ialah kemasukan, penjelasan,
struktur, perhubungan, penerokaan, pengukuhan, perancangan dan penamatan.

Mizan Adiliah dan Halimatun Halaliah (1996) telah mengemukakan tujuh
langkah dalam proses kaunseling. Walaupun penstrukturan tidak dimasukkan tetapi
Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling sepatutnya sudah dapat memahami bahawa
ianya tetap dijalankan sama ada pada awal atau di pertengahan sesi. Mereka telah
menggariskan beberapa langkah yang perlu dijalankan dalam proses kaunseling.

1. Menyediakan prasesi
– mengetahui maklumat profil klien.

2. Membina hubungan, melayan, mendengar dan memahami
– Panduan Guru Kaunseling untuk mewujudkan hubungan yang jelekit
dan teraputik ialah
• menunjukkan tingkah laku tanpa lisan yang mesra
• menunjukkan keinginan untuk menolong
• mendengar apa yang diperkatakan
• mendengar luahan perasaan yang dinyatakan
• mendengar dan memahami perasaan dan erti yang tidak
dinyatakan
• tidak cepat membuat tanggapan dan penilaian
• mendengar dengan telinga, mata dan tubuh badan tentang apa
yang ditunjukkan oleh klien sama ada perkataan atau tingkah laku
• kurangkan bercakap tetapi lebih banyak mendengar dan
memahami.

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 157

3. Meneroka dan menganalisis masalah
– Memahami perkara pokok yang menjadi masalah dari aspek pemikiran,
perasaan, perlakuan atau pengalaman.

4. Mengenalpasti punca masalah
– Mengenalpasti punca utama dan masalah sampingan.

5. Membincang alternatif
– Mengenalpasti dan memilih alternatif.
– Menghuraikan altenatif yang telah dipilih.

6. Mengambil tindakan
– Membincangkan langkah yang perlu diambil.
– Menentukan masa langkah akan diambil.
– Meminta klien menyatakan semula keputusan yang telah dipersetujui.
– Memberi peluang kepada klien untuk mendapat sokongan untuk
rujukan dan pertemuan seterusnya.

7. Menamatkan sesi
– Penamatan setiap sesi.
– Menamatkan intervensi setelah satu masalah dapat diuruskan.

KEMAHIRAN KAUNSELING

Menurut Kottler dan Brown (2000), matlamat utama kaunseling teraputik ialah
membentuk tingkah laku baru yang lebih adaptif, memperkayakan kendiri dan
memenuhi keperluan peribadi klien. Matlamat pertama dalam proses menolong
ialah membuat penerokaan. Langkah seterusnya ialah menggunakan kemahiran
melayan, memberi respon, menggerakkan inisiatif, membina hubungan dan diakhiri
dengan tindakan yang konstruktif. Apa yang perlu dilakukan oleh Guru Bimbingan
dan Guru Kaunseling semasa mengendalikan intervensi kaunseling ialah memudah-
carakan klien untuk membuat penerokaan kendiri, klien dapat memahami kendiri
dan membantu klien melakukan perubahan tingkah laku, perasaan dan fikiran.

Semasa intervensi kaunseling klien memerlukan layanan secara fizikal dan
psikologikal seperti kedudukan badan atau postur yang sesuai, anggukan kepala,
ekspressi muka, kontak mata, bahasa isyarat dan dorongan secara lisan. Personel
juga perlu peka terhadap perubahan yang berlaku pada diri klien seperti perubahan
air muka, bibir yang menggetar, kerutan dahi, anak mata mengecil atau membesar,
pergerakan anggota badan, kaki dan tangan. Kesemuanya dapat membantu personel
memahami apa yang sedang dialami oleh klien. Terdapat tiga kemahiran utama
semasa melayan klien iaitu kemahiran mendengar secara aktif, kemahiran membuat
penerokaan dan kemahiran melaksanakan tindakan.

1. Kemahiran Mendengar Secara Aktif
Mendengar secara aktif merupakan kemahiran melayan yang paling asas yang
perlu dikuasai oleh personel. Mendengar bukan sahaja pada lisan tetapi juga
pada bukan lisan. Soalan-soalan terbuka dan tertutup sering digunakan untuk
mengiatkan klien supaya terus bercakap dan membuat pendedahan kendiri.
• Mendengar secara pasif iaitu menggunakan dorongan minima dan melayan
tanpa lisan untuk mengesan mesej yang ingin disampaikan oleh klien.
o Misalnya : uh-huhh…, hm..hmmm
ya… ya…, teruskan…, lagi…

158 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

• Mengulang semula apa yang diperkatakan oleh klien untuk menunjukkan
personel berminat serta mendengar setiap isi percakapan dengan tepat.
o Klien : Sungguh sedih pada hari itu.
o GK : Wahid benar-benar sedih pada masa itu.

• Parafrasa iaitu mengulangi semula intipati percakapan klien dalam ujaran
personel sendiri untuk memastikan ketepatan pemahaman atau memfokus
perhatian klien.
o Klien : Saya sedih bila memikirkan tiada seorang pun faham
dengan diri saya.
o GK : Wahid berasa sedih bila orang lain tidak dapat memahami
diri Wahid.

• Penjelasan iaitu untuk mendapatkan kepastian tentang ketepatan mesej yang
disampaikan oleh klien atau menggalakkan klien menerangkan idea yang
dikemukakan dengan lebih lanjut.
o GK : Wahid mengatakan bahawa mempercayai orang lain boleh
membuatkan Wahid terus berasa sedih. Cuba Wahid jelas-
kan kenapa Wahid berkata begitu.

• Refleksi perasaan iaitu menggalakkan peluahan perasaan (katarsis) dan
ekspressi kendiri.
o Klien : Saya tidak tahu. Jika saya terus berkawan dengan mereka
saya akan terus dipermainkan. Menyampah betul!
o GK : Wahid rasa kecewa dan sakit hati apabila Wahid terus
menjalinkan hubungan dengan kawan-kawan Wahid.

• Merumus iaitu menghubungkaitkan dan menyimpul beberapa idea untuk
memperolehi celik akal, mengawal percakapan klien yang meleret-leret,
mengenalpasti tema-tema penting atau membuat kesimpulan.
o GK : Setakat ini Wahid telah bercakap tentang bagaimana untuk
menjauhkan diri dari kawan-kawan. Wahid akan berasa
sedih setiap kali kawan-kawan Wahid mempersendakan
Wahid. Wahid juga telah menceritakan bagaimana kawan-
kawan Wahid melayan Wahid sepertilah Wahid .….

2. Kemahiran Membuat Penerokaan
Guru Bimbingan dan Guru Kaunseling perlu membentuk suatu set tingkah laku
yang dapat mengesan perkara yang dititikberatkan oleh klien, memudahcara
proses mendapatkan celik akal dan meneroka pemikiran serta perasaan klien.
• Mendapatkan maklumat iaitu mengemukakan soalan terbuka dan tertutup
(bukan soalsiasat) bagi mengumpul pelbagai maklumat yang diperlukan
atau merangsang klien membuat penilaian kendiri
o GK : Apa yang Din akan lakukan apabila menghadapi masalah
yang sama? (soalan terbuka)
GK : Bila peristiwa itu berlaku? (soalan tertutup)
• Memberi perhatian ketika itu (immediacy) iaitu usaha personel untuk
membawa klien memfokuskan kepada ‘masa kini’, atau memberi komen
kepada gaya berinteraksi semasa dalam sesi atau memberi maklumbalas.
o GK : Seperti masa yang lalu, Din masih memberikan pelbagai
alasan kenapa Din tidak dapat meluahkan perasaan.

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 159

• Pendedahan kendiri iaitu personel berkongsi contoh pengalaman yang
pernah dilalui dengan klien untuk membina kepercayaan, mempamerkan
keberkesanan contoh teladan atau menjadikan sumber proses identifikasi.
o GK : Saya masih ingat lagi sewaktu saya sebaya dengan Din, saya
juga malu untuk berterus terang. Saya takut tidak diterima.
Apabila saya mula berkenalan dengan ramai orang, saya
mula berani mengambil risiko.

• Interpretasi iaitu menggalakkan celik akal dengan cara menjelaskan makna
atau pola tingkah laku yang tersirat.
o GK : Jadi bagi mendapatkan perhatian yang tidak pernah Din
perolehi dari ayah dan ibu, Din cuba mendampingi dan
bergantung kepada guru-guru yang boleh memahami Din.

• Konfrantasi iaitu mengenalpasti percangahan secara diplomasi bagi
(a) apa yang telah diperkatakan oleh klien sebelum dengan apa yang
diperkatakan oleh klien sekarang.
(b) apa yang telah diperkatakan oleh klien dengan apa yang sedang
dilakukannya.
(c) apa yang telah diterangkan oleh klien tentang dirinya dengan apa
yang diperhatikan oleh personel.
o GK : Din kata Din sayangkan ayah tetapi setiap kali Din bercerita
tentang ayah, Din akan menarik muka masam.
o GK : Di awal perbualan, Din sayang kepada ibu bapa Din.
Sekarang Din benci pula dengan bapa Din.

3. Kemahiran Melaksanakan Tindakan
Adakalanya Guru Bimbingan dan Guru Kaunseling terpaksa bergantung kepada
beberapa respon tindakan bagi menggiatkan klien untuk membentuk perubahan
dalam hidup mereka.
• Memberikan maklumat iaitu menyediakan maklumat yang ringkas, tepat
dan berasaskan fakta untuk menolak fahaman salah atau kepercayaan karut,
menafikan apa yang dihasratkan oleh klien atau menstruktur semula.
o GK : Satu sebab utama kenapa Azman tidak mempercayai kawan-
kawan Azman ialah kerana pengalaman Azman yang sering
dikecewakan oleh bapa Azman. Azman telah menyamakan
kawan-kawan Azman dengan bapa Azman.
• Memberi nasihat iaitu memberikan beberapa cadangan yang praktikal atau
memotivasikan klien untuk mengambil tindakan.
o GK : Sekiranya Azman ingin berkawan dengan orang lain, Azman
perlulah mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan
berkesan.
• Menetapkan matlamat iaitu menstrukturkan arahtuju, membina rancangan
masa depan, memberikan garis panduan untuk memastikan kejayaan bagi
setiap rancangan dan mendapatkan kepastian dari klien tentang komitmen
mereka dalam membuat perubahan.
o GK : Tadi Azman mengatakan bahawa mulai minggu depan
Azman akan cuba menumpukan kepada cara berinteraksi
dengan kawan-kawan secara lebih terbuka. Azman akan

160 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

mencubanya sebanyak tiga kali. Azman juga akan cuba
menerangkan tentang diri Azman yang mereka tidak ketahui.
• Peneguhan iaitu memberi sokongan dan perangsang supaya klien dapat
meningkatkan dan meneruskan usaha membentuk tingkah laku yang
diingini atau dirancang.
o GK : Lebih banyak usaha yang Azman lakukan maka lebih banyak
keyakinan diri yang akan Azman perolehi. Saya percaya
Azman pasti akan dapat melakukannya.
• Mengarah iaitu memberikan arahan terpimpin bagi mengubah corak atau
struktur interaksi atau komunikasi bagi mencapai tujuan-tujuan tertentu.
o GK : Sekiranya Azman telah mencuba tetapi tidak berjaya, saya
cadangkan Azman gunakan cara yang lebih asertif supaya
kawan-kawan akan menghormati Azman.

KAUNSELING KELOMPOK

Kaunseling kelompok adalah suatu proses perkembangan individu yang dinamik
yang memberikan fokus kepada pemikiran dan tingkah laku sedar. Proses itu
melibatkan suasana teraputik yang membenarkan perkembangan dan pertumbuhan
individu berlaku, orientasi kepada realiti, katarsis dan saling percaya mempercayai,
perhatian, faham memahami dan saling memberi sokongan. Fungsi terapi diwujud
dan dipupuk dalam satu kelompok kecil melalui perkongsian hal-hal berkaitan
peribadi di antara ahli-ahli kelompok dan juga kaunselor. Ahli-ahli kelompok
merupakan individu yang normal yang mempunyai pelbagai urusan. Individu yang
berada di dalam kelompok mempunyai kelemahan yang memerlukan perubahan
personaliti. Ahli-ahli kelompok menggunakan interaksi dalam kelompok untuk
meningkatkan kefahaman dan penerimaan pelbagai nilai dan matlamat hidup untuk
mempelajari atau tidak mempelajari sesuatu sikap atau tingkah laku (Gadza, 1984).

KEPIMPINAN DALAM KELOMPOK

Pemimpin kelompok (fasilitator) perlu memiliki beberapa ciri kepimpinan diri, aras
kemahiran yang mencukupi dan juga kepelbagaian ilmu pengetahuan. Di antara
ciri-ciri personal seorang pemimpin kelompok yang efektif ialah

• mengambil berat
• keterbukaan
• fleksibel
• mesra
• objektif
• boleh dipercayai
• jujur dan ikhlas
• bertenaga
• sabar
• sensitif, peka dan prihatin
• sedar tentang keupayaan diri.

Seorang pemimpin kelompok yang efektif seharusnya berpengalaman,
menggunakan dan memahami pendekatan teori kaunseling dan teori kelompok yang

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 161

relevan dan sesuai serta memiliki aras pengetahuan dan kemahiran menolong yang
mencukupi.

1. Memiliki pengalaman bersama dengan orang lain atau sekurang-kurangnya
pernah mengendalikan sesi kaunseling individu.

2. Berpengalaman mengendalikan kelompok. Lebih banyak mengendalikan
intervensi kaunseling kelompok maka lebih banyak pemimpin itu belajar
dari kesilapan masa lalu. Bagi seorang pemimpin kelompok yang baru,
beliau perlulah memulakan pengendalian kelompok dengan topik atau
bidang yang dapat dikuasainya dengan baik.

3. Memiliki kemahiran yang baik dalam merancang serta mengorganisasikan
kelompok seperti merancang masa, tajuk atau topik, minat ahli, menentukan
apa yang dilakukan berfaedah dan bermakna. Memastikan topik yang
dipilih adalah relevan, aktiviti atau latihan diberikan sesuai dan terdapat
urutan atau kesinambungan antara topik atau aktiviti.

4. Kaya dengan pelbagai pengetahuan dan maklumat. Misalnya bila bercakap
tentang perceraian, tahu tentang isu-isu perceraian, hak dan perundangan
berkaitan perceraian, hak penjagaan anak, nafkah dan apa sahaja yang
berkaitan dengan perkara yang akan dibincangkan.

5. Memahami dengan baik asas konflik dan dilema manusia terutama dari segi
faktor terjadi, kesan dan akibat serta langkah untuk mengatasinya.

6. Memahami dengan baik pendekatan teori kaunseling dan teori kaunseling
kelompok. Misalnya dapat memahami dan menggunakan pelbagai teori
kaunseling dan dinamik kelompok.

DINAMIK KELOMPOK

Dinamik kelompok mengandungi dua elemen terpenting iaitu kandungan kelompok
dan proses kelompok (Gladding, 2003). Kandungan kelompok merujuk kepada
semua maklumat yang terdapat di dalam kelompok dan tujuan kelompok dijalankan.
Proses kelompok adalah merujuk kepada sikap dan interaksi ahli-ahli kelompok dan
pemimpin kelompok semasa mereka bekerja di dalam kelompok. Ianya melibatkan
interaksi dan tenaga yang terpancar di antara ahli kelompok dengan ahli kelompok
yang lain serta di antara ahli kelompok dengan pemimpin kelompok. Dinamik
kelompok ini dikaitkan dengan kehadiran beberapa daya (forces) yang sentiasa
wujud sepanjang kelompok beroperasi.

Kandungan kelompok melibatkan perkataan, idea dan pertukaran maklumat
yang sebenarnya yang berlaku di dalam kelompok. Ahli-ahli kelompok bercakap
tentang pelbagai maklumat dan tujuan mereka berada di dalam kelompok. Pada
kebiasaannya sebelum seseorang individu memasuki kelompok dan menjadi ahli
kelompok, mereka sudah pun memperolehi beberapa maklumat asas tentang sesuatu
aspek yang diperlukan atau kemungkinan akan berlaku di dalam kelompok. Melalui
kelompok mereka akan mendapat beberapa maklumat tambahan. Bagaimanapun,
maklumat yang banyak belum tentu dapat menjamin ahli-ahli kelompok mampu
membuat keputusan tanpa mengambil kira interaksi yang berlaku semasa mereka
berada di dalam kelompok. Oleh itu, dinamik kelompok perlulah mengandungi
pelbagai kombinasi di antara pelbagai maklumat, tujuan dan interaksi yang dapat
membantu ahli-ahli kelompok untuk membuat atau mengambil sebarang keputusan
dengan berkesan.

162 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

PERINGKAT PERKEMBANGAN KELOMPOK

Menurut Corey (1985), Kottler dan Brown (2000) dan Gladding (2003) terdapat
lima peringkat yang lazimnya dilalui oleh ahli-ahli dan juga pemimpin kelompok
dalam intervensi kaunseling kelompok. Lima peringkat tersebut ialah peringkat
Prasesi, Bermula, Transisi, Bekerja dan Penamatan.

Peringkat Prasesi – Pembentukan Kelompok

Sebelum memasuki sesuatu kelompok, ahli-ahli perlu didedahkan kepada beberapa
maklumat asas berkaitan penyertaan mereka di dalam kelompok. Berikut adalah
isu-isu berkaitan peranan ahli-ahli kelompok.

• Setiap ahli seelok-eloknya telah mengetahui beberapa maklumat asas
berkaitan kelompok yang boleh memberikan kesan secara langsung atau
tidak langsung kepada mereka.

• Ahli perlu memiliki keupayaan untuk memilih pemimpin kelompok (Guru
Bimbingan atau Guru Kaunseling sekiranya ada pilihan) yang sesuai
dengan diri mereka pada ketika itu.

• Semua ahli diberi peluang terlibat sama menentukan ahli-ahli kelompok
yang akan dipilih untuk menyertai kelompok.

• Ahli kelompok perlu menyediakan diri mereka sebelum menyertai atau
mengambil bahagian dalam kelompok seperti memikirkan tentang apa
yang mereka inginkan dan bagaimana mereka boleh mencapai matlamat
tersebut.

Peringkat Bermula – Orientasi dan Penerokaan

Apabila sesi kelompok bermula, aspek utama yang perlu diberikan perhatian oleh
pemimpin kelompok ialah memberikan peluang kepada setiap ahli kelompok untuk
menyesuaikan diri mereka ketika berada di dalam kelompok. Pemimpin kelompok
perlu menstruktur kelompok. Ahli-ahli kelompok diberikan garis panduan tentang
tanggungjawab dan peranan mereka semasa berada di dalam kelompok, tatacara
berinteraksi yang sihat, membina matlamat peribadi, berkongsi tentang jangkaan
yang mungkin akan berlaku di dalam kelompok dan sebagainya. Fenomena atau
ciri-ciri yang mungkin berlaku dalam peringkat permulaan kelompok ialah

• Ahli kelompok menguji suasana dalam kelompok dan mula berkenalan.
• Ahli kelompok mula mengenali norma kelompok, jangkaan, memahami

perjalanan kelompok dan bagaimana untuk melibatkan diri.
• Ahli kelompok mula menunjukkan sikap penerimaan sosial tetapi masih

berhati-hati terutama untuk meluahkan pendapat atau perasaan.
• Kejelekitan dan kepercayaan terhadap ahli-ahli yang lain akan beransur-

ansur terbina sekiranya ahli-ahli kelompok bersedia untuk berkongsi
pendapat dan perasaan.
• Ahli kelompok mula mengenalpasti sama ada mereka terlibat atau tidak
terlibat sama di dalam kelompok dan memikirkan kedudukan dan peranan
mereka dalam kelompok.
• Isu utama ialah dipercayai atau tidak dipercayai. Sekiranya diterima dan

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 163

dipercayai, ahli-ahli mula memikirkan setakat mana mereka harus terlibat.
Adakah mereka akan selamat ketika berada di dalam kelompok. Siapakah
di antara ahli yang disukai (diterima) atau yang tidak disukainya (tidak
diterima).
• Ahli-ahli kelompok akan belajar tentang beberapa sikap seperti hormat-
menghormati, empati, penerimaan, mengambil berat dan bertindak balas.
Semua sikap tersebut akan membantu memudahkan ahli-ahli kelompok
membina kepercayaan di antara satu sama lain.

Peringkat Transisi – Menangani Gendala (Rintangan atau Halangan)

Dalam peringkat transisi, perkembangan kelompok dapat dikesan apabila ahli-ahli
kelompok mula menampakkan perasaan risau, keliru serta banyak menggunakan
helah bela diri. Keadaan tersebut menimbulkan gendala dalam proses kelompok.
Pada peringkat ini ahli-ahli kelompok

• mula memikir dan mengambil berat tentang diri sendiri terutama jika
mereka meningkatkan pendedahan kendiri adakah akan diterima atau
ditolak oleh ahli-ahli kelompok.

• menguji pemimpin dan ahli-ahli kelompok yang lain untuk menentukan
adakah mereka akan berasa selamat atau menghadapi risiko jika terlalu
banyak melibatkan diri dalam kelompok.

• berkonflik dan berkonfrantasi dengan ahli-ahli yang lain dan pemimpin
kelompok, ahli-ahli akan mendapat pengalaman dalam usaha mereka
untuk menguasai dan mengawal kelompok.

• menunjukkan keengganan untuk turut serta dalam kelompok kerana
bimbang ahli-ahli kelompok yang lain tidak ambil peduli.

• akan memerhatikan pemimpin kelompok untuk menentukan sama ada
beliau boleh dipercayai dan melaluinya ahli belajar bagaimana untuk
menangani konflik.

• mempelajari bagaimana untuk menonjolkan diri sendiri supaya ahli-ahli
kelompok yang lain akan mendengar dan memberikan perhatian.

Peringkat Bekerja – Kejelekitan dan Produktiviti

Pada peringkat bekerja, ahli-ahli kelompok bekerja untuk menangani isu-isu yang
spesifik, mengkonfrantasikan setiap aspek yang didapati tidak konsisten, meneroka
isu dan berkongsi perkara-perkara peribadi. Kriteria-kriteria berikut mungkin akan
berlaku di dalam kelompok.

• Aras kepercayaan dan kejelekitan menjadi semakin tinggi.
• Komunikasi di antara ahli-ahli kelompok semakin terbuka dan mereka

dapat menyatakan apa yang sebenarnya mereka alami dengan tepat.
• Fungsi kepimpinan dapat dikongsi dan dirasai bersama dan setiap ahli

mampu berinteraksi secara bebas dan terbuka.
• Ahli-ahli kelompok berani memperkatakan isu atau topik yang lebih

mencabar terutama topik-topik yang bersifat peribadi.
• Sekiranya wujud konflik dalam kelompok, ianya dapat ditangani secara

terus, telus dan efektif .

164 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

• Ahli-ahli kelompok menunjukkan kesanggupan untuk bekerja di luar
kelompok bagi membuat perubahan tingkah laku.

• Ahli-ahli kelompok berasa mereka sentiasa diberikan sokongan jika ingin
berubah dan mereka menjadi lebih yakin untuk cuba membuat perubahan
tingkah laku yang lebih mencabar.

• Ahli-ahli kelompok memperolehi keyakinan diri untuk berjaya jika
mereka sanggup mengambil tindakan.

Peringkat Penamatan – Pengukuhan dan Penamatan

Pada peringkat ini ahli-ahli boleh menilai semula apa yang telah mereka pelajari,
membincangkan pelan untuk perubahan dan meneroka perasaan tentang apa yang
telah dialami.

• Ahli-ahli bertekad menyelesaikan segala urusan yang belum selesai.
• Ahli-ahli kelompok menilai prestasi atau pencapaian mereka semasa

berada di dalam kelompok.
• Mengucapkan selamat berpisah dan menyelesaikan isu-isu berkaitan

dengan penamatan.
• Pemimpin kelompok juga perlulah menilai keberkesanan peranan beliau

di dalam kelompok. Pemimpin perlu memastikan setiap ahli kelompok
dapat mempelajari sesuatu dari proses kelompok, matlamat kelompok
dapat dicapai dan setiap ahli kelompok telah diberikan peluang yang
maksimun untuk pertumbuhan dan perkembangan diri mereka semasa
mereka berada di dalam kelompok.

KHIDMAT PERUNDINGAN

KONSEP PERUNDINGAN

Menurut Myrick (Zuraidah, 2001), perundingan (rundingcara) ialah sesuatu yang
berlaku apabila orang dewasa yang signifikan di dalam kehidupan seorang pelajar
berkumpul dan berbincang tentang cara untuk membantu pelajar. Caplan (Brown
et. al, 1987 dan Zuraidah, 2001) mendefinisikan perundingan sebagai satu proses
interaksi di antara dua profesional – perunding, seorang yang pakar dan pelanggan
(konsulti), yang meminta bantuan perunding tentang masalah kerjanya ‘masa kini’
di mana pelanggan menghadapi kesulitan yang dirasainya memerlukan kepakaran
orang lain (perunding). Masalah kerja yang dimaksudkan adalah perkara atau isu-
isu yang berkaitan aspek pengurusan atau menyediakan rawatan kepada seorang
atau beberapa orang klien, membuat perancangan atau mengimplementasi program
bagi membantu klien mereka.

BIDANG PERKHIDMATAN PERUNDINGAN

Selain daripada memberikan khidmat bimbingan dan intervensi kaunseling kepada
pelajar, Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling juga bertanggungjawab untuk
memberi dan menyediakan khidmat perundingan kepada pihak pentadbir sekolah,
guru-guru dan ibu bapa. Blackham (Gibson dan Mitchell, 1986) mencadangkan

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 165

beberapa aktiviti, peranan dan tanggungjawab yang boleh dijalankan oleh personel
di sekolah seperti dalam jadual di bawah.

Bersama Pentadbir Bersama Guru Bersama Ibu Bapa

1. Merancang program 1. Mengenalpasti dan 1. Membantu membina
pendidikan di sekolah. menganalisis kelemahan hubungan yang positif
yang terdapat dalam antara sekolah dengan
2. Mengenalpasti perkembangan akademik ibu bapa.
keperluan tertentu dan psikologikal pelajar.
pelajar. 2. Mempertingkatkan
2. Membentuk kemahiran kefahaman ibu bapa
3. Menjalankan peranan bagi memahami tingkah tentang perkembangan
sebagai seorang laku pelajar, mengurus anak-anak, kebolehan
pegawai perhubungan bilik darjah dan dan kesulitan yang
(ex-officio) di antara mengendalikan sesi dihadapi oleh anak-
pihak sekolah dengan rundingcara antara guru anak mereka.
masyarakat dan ibu dengan ibu bapa.
bapa. 3. Membantu ibu bapa
3. Membentuk program memperbaiki kaedah
pemulihan atau belajar anak-anak dan
preskriptifnya bagi menangani masalah
membantu secara salah laku.
individu atau kelompok.
4. Mengendalikan
4. Membantu membina seminar keibubapaan.
strategi pengajaran yang
lebih efektif.

5. Membantu guru
membina program
pendidikan kerjaya
yang lebih berkesan.

Jadual 12 : Cadangan Aktiviti Perundingan Di Sekolah

Personel juga boleh menjalankan perundingan untuk tujuan meningkatkan
keberkesanan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Ee Ah Meng (2003) telah
menyenaraikan peranan Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling dalam perundingan
atau rundingcara yang melibatkan pihak pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa.
Di antara peranan-peranan yang boleh dijalankan oleh personel ialah
1. Menolong pihak pentadbir dan staf sekolah memahami dengan lebih mendalam

akan program bimbingan dan kaunseling di sekolah.
2. Menolong ibu bapa pelajar dalam hal kebajikan para pelajar.
3. Berunding dengan staf sekolah tentang cara-cara untuk meningkatkan tahap

prestasi khidmat bimbingan dan kaunseling sekolah.
4. Merancang bersama-sama guru tentang cara-cara yang paling berkesan untuk

mengawasi kemajuan para pelajar.
5. Mengadakan hubungan dengan ibu bapa untuk bersama-sama mengawasi

kemajuan anak-anak mereka terutama dalam pelajaran.
6. Menghubungi ibu bapa apabila kemajuan para pelajar tidak memuaskan.
7. Bekerjasama dengan ibu bapa bagi mewujudkan disiplin yang baik di kalangan

pelajar.
8. Mengadakan sesi bimbingan atau kaunseling keluarga jika didapati masalah

yang dihadapi oleh pelajar berpunca dari keluarga.

166 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

9. Mengadakan prosedur-prosedur tertentu dalam merujuk kes-kes tertentu kepada
agensi-agensi atau pakar-pakar seperti doktor, pakar kanak-kanak, pakar jiwa,
pegawai kebajikan, Agensi Dadah Kebangsaan dan sebagainya.

KEMAHIRAN SEORANG PERUNDING

Dinkmeyer dan Carlson (George dan Cristiani, 1990) telah mencadangkan supaya
kaunselor (Guru Bimbingan dan Guru Kaunseling) perlulah memiliki beberapa
kemahiran atau kompetensi jika berhasrat untuk menjadi seorang perunding yang
efektif.

1. Seorang yang empati, mampu untuk memahami dan menjelajah perasaan
serta pengalaman yang sedang dialami oleh orang lain.

2. Mampu memahami kanak-kanak atau remaja (klien) dan orang dewasa
(pelanggan) serta hubungkait di antara kedua-duannya. Mampu untuk
membentuk hubungan yang jelekit (rapport) dan sentiasa memberikan
kerjasama kepada pelanggannya.

3. Perlu perihatin terhadap keperluan manusia. Berupaya untuk memenuhi
keperluan pelanggan dan keperluan klien pelanggannya.

4. Sentiasa sedar tentang dinamik psikologikal, motivasi dan tujuan setiap
perlakuan manusia ‘di sini’ dan ‘di masa kini’.

5. Memiliki ketajaman daya persepsi terhadap dinamik kelompok iaitu dapat
melihat impak di antara daya-daya yang wujud dalam kelompok seperti
kepentingan ibu bapa dengan kepentingan anak-anak, guru dengan pelajar
atau pihak pentadbir dengan guru, pelajar dan ibu bapa.

6. Mampu membina perhubungan berasaskan kepercayaan dan rasa hormat-
menghormati di antara satu sama lain.

7. Seorang yang bebas daripada rasa bimbang yakni mempunyai keyakinan
diri yang tinggi atau berani mengambil keputusan atau tindakan yang
berisiko terhadap sesuatu isu yang penting. Risiko yang mungkin berlaku
seperti membuat pilihan tidak tepat atau kesilapan dalam tindakan.

8. Yakin diri dengan keupayaan untuk membina hubungan yang diperlukan
serta dapat memenuhi matlamat perhubungan sewajarnya. Personel perlu
kreatif, spontan dan imaginatif.

9. Mampu memperagakan wibawa kepimpinan dalam pelbagai peringkat.
Misalnya pada peringkat pentadbiran sebagai seorang yang pakar dalam
bidang pentadbiran dan pengurusan hinggalah kepada peringkat ibu bapa
sebagai seorang yang pakar dalam bidang psikologi kanak-kanak.

PROSES PERUNDINGAN

Intervensi perundingan merupakan suatu proses berinteraksi yang melalui beberapa
peringkat tertentu. Rajah 48 menunjukkan suatu proses perundingan yang berlaku
di antara seorang Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling dengan seorang guru
akademik. Langkah-langkah berikut menunjukkan peringkat atau tahap proses
perundingan yang berlaku.
(1) Seorang pelajar (klien) kerap kali mengganggu pengajaran seorang guru dalam

kelasnya seperti ponteng kelas, tidak membuat kerja rumah, tidur dalam kelas,
mengganggu rakan semasa guru sedang mengajar, bersikap kurang ajar dan

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 167

(2)

Guru Bimbingan / (3) Guru
Guru Kaunseling (Pelanggan)

(1)

(4)

Pelajar
(Klien)

Rajah 48 : Proses Perundingan
Sumber : Myrick (Terj. : Zuraidah, 2001).

Bimbingan dan kaunseling perkembangan.
DBP : Kuala Lumpur

sebagainya. Pelajar telah diberi nasihat, dipujuk dan diberi amaran tetapi
pelajar masih tidak menunjukkan sebarang perubahan.
(2) Guru (pelanggan) berjumpa dengan Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling
(perunding) untuk mendapatkan nasihat kepakaran bagi mengatasi masalah
berkaitan isu dalam tugasnya iaitu gangguan seorang pelajar terhadap proses
pengajarannya (masalah klien).
(3) Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling berbincang, berkongsi maklumat,
menjelajah idea dan membuat rancangan tindakan dengan guru.
(4) Guru dan Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling menjalankan rancangan
dengan pelajar (klien).

TAHAP-TAHAP DALAM PERUNDINGAN

Kurpius (George dan Cristiani, 1990) mencadangkan sembilan peringkat atau tahap
yang perlu dilalui oleh personel dan pelanggan dalam proses perundingan. Tahap-
tahap yang dipaparkan boleh dgunakan untuk tujuan perundingan di sekolah.

1. Prakemasukan
– Sebelum memulakan hubungan perundingan, seorang perunding perlu
membuat penilaian kendiri berkaitan dengan sistem kepercayaan, nilai,
keperluan, andaian, amalan, dan kemahiran berkaitan proses penyelesaian
masalah bagi pelanggan dan organisasi.

2. Kemasukan
– Apabila memulakan perhubungan perundingan, perunding menjelaskan
peranan dan keperluan dalam perundingan kepada pelanggannya.

168 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

– Membuat kontrak secara bertulis tentang masalah yang ingin dibawa oleh
pelanggannya.

3. Mengumpul Maklumat
– Maklumat tambahan diperlukan bagi mendapatkan gambaran yang lebih
jelas tentang masalah yang dibawa.
– Semakin banyak maklumat berjaya dikumpulkan semakin jelas masalah
sebenar yang sedang dihadapi.
– Perunding perlu memastikan bahawa maklumat yang diperolehi adalah
bersifat objektif (fakta yang sebenar).
– Kaedah pengumpulan maklumat yang digunakan termasuklah mendengar,
membuat pemerhatian, soal selidik, catatan rekod, temubual atau pertemuan
dalam kelompok (jika pelanggan lebih dari seorang)

4. Mendefinisi Masalah
– Pada peringkat ini, semua maklumat perlu dinilai dan setiap pernyataan
masalah diterjemahkan kepada pernyataan matlamat.
– Pernyataan matlamat perlu ditulis dan dipersetujui oleh perunding dan
pelanggan.

5. Mengenalpasti dan Memilih Pilihan Penyelesaian
– Penyelesaian kepada masalah dibincang bersama berdasarkan analisis dan
sintesis maklumat yang telah diperolehi.
– Perunding dan pelanggan bolehlah menggunakan kaedah percambahan
fikiran bagi menyusun pilihan (aktiviti atau tindakan) mengikut prioriti atau
keutamaan dalam proses penyelesaian masalah.

6. Menyatakan Matlamat
– Matlamat perlu dinyatakan dengan jelas bagi setiap proses penyelesaian
masalah.
– Matlamat yang akan dilaksanakan seharusnya boleh diukur dalam tempoh
masa dan keadaan-keadaan yang ditentukan.

7. Implementasi
– Peringkat ini banyak bergantung kepada peringkat-peringkat sebelumnya.
– Ianya adalah langkah permulaan dalam proses penyelesaian masalah.

8. Penilaian
– Mengawasi semua aktiviti yang akan dijalankan oleh pelanggan untuk
menyelesaikan masalah klien mereka serta mengambil beberapa langkah
tertentu supaya matlamat (hasil) akan dapat dicapai.

9. Penamatan
– Pada peringkat ini, perunding dan pelanggan mengambil keputusan untuk
menamatkan hubungan.
– Bagaimanapun keputusan untuk menamatkan hubungan perlu mengambil
kira sama ada objektif atau matlamat sudah tercapai atau sebaliknya, setakat
mana pencapaian dan apakah tindakan seterusnya diperlukan sama ada
untuk merekabentuk dan mengimplementasi semula proses penyelesian
masalah atau menamatkan terus hubungan perundingan.

KAUNSELING ANTIDADAH

Fenomena pengambilan dan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di kalangan
pelajar sekolah semakin membimbangkan pelbagai pihak terutama ibu bapa, pihak

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 169

sekolah dan masyarakat. Justeru itu, kerajaan telah meletakkan sasaran ‘Sekolah
Bebas Dadah Tahun 2012’. Pendidikan Pencegahan Dadah sekolah perlu bergerak
cergas memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada pelajar, guru, kaki-
tangan pendidikan dan ibu bapa mengenai bahaya dadah agar mereka menjauhinya
dan berupaya menentang ancaman dadah. Guru Kaunseling telah diberikan peranan
dan tanggungjawab yang khusus iaitu menjalankan intevensi kaunseling pencegahan
dadah atau kaunseling antidadah. Mereka seharusnya dapat memberikan kesedaran
serta memulihkan mana-mana pelajar yang disahkan terlibat dalam gejala tersebut.

Begitulah retorik yang dilaung-laungkan. Hakikat yang harus ditelan ialah
sehingga kini Guru Kaunseling hanya dibekalkan dengan pelbagai maklumat umum
tentang dadah seperti kategori dan jenis dadah, kesan dadah, faktor penyalahgunaan
dadah, simptom ketagihan dadah dan sebagainya. Mereka tidak pernah diberikan
kepercayaan menjalankan sendiri ujian pengesanan pengambilan dadah. Sehingga
kini tiada satu pun pendekatan yang komprehensif telah disediakan untuk digunakan
oleh personel dalam menjalankan intervensi kaunseling mereka. Guru Kaunseling
sendiri tidak pernah diberi pendedahan atau dilatih dengan suatu pendekatan yang
komprehensif dan sesuai digunakan di sekolah. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada
personel yang diarah untuk menjalankan intervensi akan menggunakan pendekatan
dan proses kaunseling yang lazim mereka gunakan, memberi taklimat tentang dadah
dan bahayanya atau kadang-kadang setakat memberi nasihat dan panduan sahaja.

Di peringkat sekolah, Guru Kaunseling dianggap memiliki kewibawaan
untuk menjalankan intervensi kaunseling antidadah. Kebolehan dan kemahiran asas
menolong dan aras pengetahuan mereka tentang maklumat dadah dirasakan ampuh
dan mencukupi. Sekurang-kurangnya personel berupaya untuk mengumpulkan data
maklumat tentang pelajar yang terlibat dengan dadah. Seterusnya mereka bolehlah
merujuk klien mereka kepada mana-mana pakar atau doktor yang berkaitan.

KERANGKA KERJA KAUNSELING ANTIDADAH

Guru Kaunseling memerlukan kerangka kerja yang sistematik ketika menjalankan
intervensi kaunseling antidadah. Kerangka kerja perlulah mengandungi beberapa
langkah atau tahap tertentu dalam membantu pelajar yang telah pun dikenalpasti
berisiko mengambil dadah atau telah disahkan mengambil dadah. Personel bolehlah
menggunakan contoh kerangka kerja kaunseling drug untuk dijadi panduan bagi
menjalankan intervensi kaunseling antidadah. Kaunseling drug dikhususkan kepada
pesakit yang mengambil dadah atau drug yang dikawal oleh pihak kesihatan untuk
tujuan rawatan dan diagnosis penyakit yang mereka hidapi. Menurut Azmi (1996),
fokus utama kaunseling drug adalah bagi mengenalpasti sebarang masalah berkaitan
dengan pengambilan drug. Personel seharusnya berupaya mengenalpasti masalah
tersebut sebelum dapat memberi bimbingan, nasihat serta mencadangkan langkah-
langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah itu. Individu yang terlibat dengan
penggunaan dadah sama ada dibenarkan (dengan kawalan ahli farmasi atau doktor)
atau penggunaan secara terlarang, sangat terdedah kepada pelbagai rangsangan yang
boleh mempengaruhi pemikiran mereka untuk terus mengambil dadah. Oleh itu,
personel memerlukan suatu proses pemikiran yang jelas, teratur dan sistematik agar
setiap intervensi kaunseling dapat dilakukan dengan sempurna.

Azmi (1996) telah mengemukakan empat langkah yang perlu dijalankan
dalam kerangka kerja tersebut. Kerangka kerja tersebut sesuai untuk digunapakai

170 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

oleh kaunselor drug atau ahli farmasi dalam membantu amalan penggunaan drug
pesakit mereka. Sedikit adaptasi perlulah dibuat terhadap kerangka kerja tersebut
bersesuaian dengan peranan dan kompetensi Guru Kaunseling. Di antara langkah-
langkah yang dicadangkan dalam kerangka intervensi kaunseling antidadah ialah

1. Pengumpulan data maklumat asas
2. Senarai masalah pengambilan dadah
3. Penyampaian maklumat kaunseling
4. Penilaian kaunseling, susulan dan rujukan.
Bagi tujuan menjalankan intervensi kaunseling antidadah, personel perlu membuat
integrasi pendekatan iaitu menggabungkan pelbagai teori, kaedah dan kemahiran.
Kerangka kerja berikut mungkin dapat membantu personel menjalankan intervensi
kaunseling antidadah mereka.

1. Pengumpulan Data Maklumat Asas
Intervensi kaunseling antidadah perlu dijalankan secara individu kerana setiap
klien menghadapi masalah dan corak pengambilan dadah yang berlainan antara
satu sama lain. Maklumat yang perlu diperolehi semasa pengumpulan data
asas ialah
• data demografi klien seperti umur, jantina, kaum, tingkatan, berat badan,
tinggi, agama dan alamat tempat tinggal (termasuk nombor telefon).
• kesan pengambilan dadah yang dialami, sejarah alahan, sejarah merokok.
Ada teori yang mengatakan bahawa tabiat merokok merupakan langkah
pertama ke arah penyalahgunaan dadah.
• sejarah perubatan masa kini dan masa lampau.
• pengetahuan asas klien tentang kesan dan bahaya dadah yang diambil.
• pengalaman klien dalam pengambilan dadah.
• kepercayaan, keyakinan dan harapan klien terhadap intervensi kaunseling
antidadah.
Guru Kaunseling perlu menggunakan segala kemahiran menolong yang
sesuai semasa proses pengumpulan maklumat. Kemahiran tersebut seperti
membina hubungan, melayan, mendengar secara aktif, memberi maklumbalas,
memimpin dan sebagainya. Kepercayaan serta keyakinan klien penting untuk
diraih supaya personel dapat mengumpul maklumat yang sebenar dan boleh
dipertanggungjawabkan sebelum meneruskan langkah seterusnya. Peringkat
pengumpulan data maklumat juga kadang-kadang sudah dapat memberikan
celik akal kepada klien tentang risiko yang sedang dilalui dan dialami.

2. Senarai Masalah Pengambilan Dadah
Bagi klien kaunseling drug tumpuan ialah kepada masalah pengambilan dadah
dari segi disiplin diri, sikap dan amalan menggunakan dadah serta kesan-kesan
sampingan yang mungkin di alami. Dalam langkah ini, klien bagi kaunseling
antidadah perlu diberitahu tentang bahaya dadah yang diambil, komplikasi yang
mungkin akan timbul kesan dari pengambilan dadah secara tidak terkawal atau
berlebihan, kesan toleransi atau pergantungan terhadap dadah yang terpaksa
ditanggung dan juga implikasi atau akibat yang akan diterima dari segi undang-
undang. Personel boleh menggunakan kaedah mengajar, mendidik, memberi
maklumat, menasihat dan apa sahaja yang sesuai supaya klien berupaya untuk

BAB 9 PERKHIDMATAN UTAMA 171

memahami kesan akibat tindakan mereka. Klien juga diberikan panduan dan
maklumat berkaitan saluran bagi mendapatkan pertolongan untuk mengubah
sikap dan perlakuan mereka. Sekiranya klien menunjukkan sikap menentang,
ianya memberikan indikator bahawa personel masih lagi belum dapat meraih
kepercayaan dan keyakinan klien, klien masih belum bersedia untuk berubah
atau klien belum mendapat sebarang celik akal.

3. Penyampaian Maklumat Kaunseling
Dalam langkah ini, Guru Kaunseling perlu menjalankan proses kaunseling yang
lebih mendalam dan personal. Personel perlu arif untuk menentukan matlamat
kaunseling yang sesuai. Misalnya klien akan mengubah sikap untuk tidak cuba
menyimpan hasrat mengulangi perbuatan yang lalu atau klein bersetuju untuk
membuat perubahan tingkah laku yang dirancang bersama dengan personel.
Personel perlu menggunakan kemahiran membuat penerokaan dan kemahiran
membuat tindakan. Penerokaan perlulah lebih mendalam terutama tentang
aspek peribadi seperti sikap, tabiat, mentaliti, persepsi, kepercayaan salah dan
sebagainya. Di akhir langkah ini, personel dan klien akan membina satu pelan
tindakan. Personel perlulah mengajar satu atau dua kemahiran pengurusan diri
atau kemahiran khusus yang sesuai terutama yang berkaitan dengan perubahan
sikap atau membina tingkah laku adaptif atau amalan yang sihat. Contohnya;
mengajar kemahiran asertif, menyatakan ‘tidak kepada dadah’, memilih prioriti
(keutamaan) atau pengurusan diri, pengurusan masa dan sebagainya. Pelan
tindakan perlu dijalankan melalui pemantauan bagi memastikan klien komited
dengan apa yang telah dipersetujui. Personel boleh menggunakan instrumen
peneguhan seperti jaminan untuk melakukan perubahan atau menandatangani
kontrak bersetuju untuk menjalankan pelan tindakan.

4. Penilaian Kaunseling, Susulan dan Rujukan
Langkah yang terakhir merupakan intervensi penilaian dan susulan. Klien dan
Guru Kaunseling akan membuat penilaian serta maklumbalas daripada setiap
intervensi yang telah dijalankan. Guru Kaunseling boleh membina instrumen
penilaian yang sesuai. Menggunakan data dan maklumat yang telah diperolehi
melalui penilaian, personel bolehlah merujuk klien kepada pakar yang lain atau
doktor untuk tujuan mendapatkan rawatan dan pemulihan sekiranya didapati
perlu dan bersesuaian. Setelah semuanya usai maka personel perlu menamat-
kan semua intervensi. Bagaimanapun, sekali-sekala personel perlu berjumpa
dengan klien secara tidak rasmi untuk memberi sokongan atau ingin mengikuti
perkembangan dirinya atau sekurang-kurang bertanya khabar.

PROGRAM-PROGRAM KHAS BAB

10

Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling perlu merancang dan menyediakan program
khas bagi merealisasikan pelaksanaan perkhidmatan mengikut bidang-bidang yang
telah ditentukan seperti yang terdapat dalam sukatan perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling Sekolah. Program tidak semestinya banyak. Walaupun jumlahnya
sedikit tetapi seharusnya berkualiti, menepati keperluan dan dapat memberikan hasil
atau output yang diharapkan. Bidang-bidang tersebut ialah akademik, pendidikan
kerjaya, psikososial dan kesejahteraan mental, pembangunan pelajar, pendidikan
pencegahan dadah, HIV dan AIDS serta keibubapaan. Program boleh dijalankan
dalam bentuk kursus, seminar, bengkel, perkhemahan, kolokium, pameran, lawatan,
tayangan video dan biblio kaunseling. Jika personel tidak berkemampuan untuk
menyampaikan input dengan berkesan, personel bolehlah menjemput penceramah
undangan. Personel yang berketrampilan juga perlu menjemput penceramah dari
luar kerana lazimnya ‘bomoh dalaman’ kadang-kadang taringnya menjadi kurang
berbisa dan sekali-sekala perlu mendapatkan khidmat ‘bomoh luar’.

AKADEMIK

Bidang akademik merupakan bidang utama atau ‘urusan periuk nasi’dalam sistem
pendidikan sekolah. Pihak pengurusan sekolah, guru-guru dan ibu bapa meletakkan
harapan yang tinggi terhadap pencapaian akademik pelajar atau anak-anak mereka.
Di antara komponen penting dalam bidang akademik yang perlu dilaksanakan oleh
Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah ialah

• Motivasi Belajar
• Kemahiran Belajar
• Kemahiran Pengurusan Masa
• Strategi Menghadapi Peperiksaan
• Kemahiran Belajar Sokongan

MOTIVASI BELAJAR

Istilah motivasi berasal dari perkataan Latin iaitu movere yang bermaksud untuk
menggerak. Motivasi didefinisikan sebagai keadaan dalaman yang menggerak dan
memberi arah kepada pemikiran, perasaan dan tingkah laku; ia merupakan keadaan
yang menggerak dan mengawal tingkah laku ke arah pencapaian matlamat (Ma’rof
dan Haslinda, 2004). Motivasi belajar bermaksud menggerakkan pelajar ke arah
membuat persediaan untuk menghadapi perjuangan belajar. Menurut Malek (2004)
terdapat dua aspek penting dalam motivasi belajar yang perlu dijelaskan oleh Guru
Bimbingan atau Guru Kaunseling kepada semua pelajar.

1. Kesediaan belajar
a. Kesediaan fizikal
• Menjaga dan memelihara kesihatan tubuh badan seperti mendapatkan
rawatan jika sakit, mendapatkan rehat dan tidur yang cukup, menjaga
keselamatan pancaindera dan deria, memelihara keselamatan bahagian

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 173

kepala (otak) dan sebagainya.
• Menjaga makanan dan pemakanan iaitu mengambil makanan yang

seimbang dan berzat, mengelak diri dari mengambil bahan atau anasir
yang boleh melemahkan kecerdasan minda seperti merokok, penyalah-
gunaan dadah, inhalan, pil psikotropik dan sebagainya.
• Mendapatkan peralatan belajar yang lengkap seperti alat tulis, buku
teks, buku bimbingan, nota, soalan-soalan peperiksaan dan sebagainya.
• Menyediakan jadual waktu belajar secara persendirian atau peribadi dan
akur kepada jadual waktu yang dibina.
• Membentuk kumpulan belajar yang serasi, mempunyai iltizam yang
tinggi dan melaksanakan kegiatan belajar dalam kumpulan secara serius
dan terancang.
b. Kesediaan mental dan minda
• Menjaga kesihatan mental supaya dapat berfungsi dengan baik, lancar
dan berkesan. Misalnya menggunakan kaedah berfikir yang betul,
menumpukan daya fikiran kepada bahan pelajaran, menjana dan
mempertajamkan minda untuk mempertingkatkan keupayaan berfikir
secara logik dan rasional, mengukuhkan keupayaan daya ingatan dan
mampu menjana kreativiti dalam pembelajaran.
• Melatih minda berfikir secara sistematik, teratur, spontan, tepat dan
bernas tentang isu, topik perbincangan atau menjawab soalan-soalan
peperiksaan.
• Segala usaha dan komitmen dalam perjuangan belajar seharusnya
disulami dengan doa, ikhtiar, pasrah dan keyakinan diri yang tinggi.
Yakinlah bahawa setiap apa yang telah diperjuang dan diusahakan
dengan tekun, sabar dan bersungguh-sungguh pasti akan membuahkan
hasil serta kejayaan yang cemerlang, insyaAllah.
2. Membina matlamat belajar dan matlamat kehidupan
a. Membina matlamat jangka pendek melalui pencapaian akademik dalam ujian
di kelas dan peperiksaan sekolah.
b. Membina matlamat peperiksaan iaitu sasaran pencapaian dalam peperiksaan
yang terdekat iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM.
c. Membina matlamat jangka panjang iaitu mendapatkan maklumat tentang
kursus-kursus di IPTA atau IPTS selaras dengan cita-cita dan minat kerjaya.
d. Membina matlamat jangka panjang selepas tamat belajar iaitu persediaan dari
segi kemahiran diri bagi mendapatkan pekerjaan, peningkatan dalam kerjaya
dan menempuh kehidupan berkeluarga sehinggalah ke hari tua.

KEMAHIRAN BELAJAR

Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling perlu mengetahui dan menguasai beberapa
kemahiran belajar. Peranan personel ialah untuk mengajar dan melatih mana-mana
kemahiran yang diperlukan oleh para pelajar melalui kaedah ceramah dan bengkel
kemahiran belajar. Perkara utama yang perlu diberikan penekanan ialah merancang
aktiviti belajar. Di antara aspek yang perlu diberikan penekanan ialah

a. Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri dalam proses pembelajaran
dengan mengambil ujian atau inventori belajar.

174 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

b. Mendapatkan maklumat tentang kemahiran belajar seperti kemahiran
membaca pantas, menulis, membuat rujukan, mencatat nota, mengingat dan
mengulangkaji.

c. Mengenalpasti dan mempelajari kemahiran yang diperlukan berdasarkan
kelemahan dalam teknik atau cara belajar.
Malek (2004) telah membincangkan beberapa kemahiran belajar yang perlu

diajarkan kepada pelajar. Berikut adalah kemahiran belajar yang perlu diketahui
dan diamalkan oleh pelajar bagi menghasilkan keberkesanan belajar.

• Teknik belajar yang berkesan seperti SQ3R, OK4R atau PANORAMA
• Kemahiran membaca pantas
• Kemahiran berfikir secara kreatif
• Kemahiran mendengar
• Kemahiran memberikan tumpuan (konsentrasi)
• Kemahiran menulis
• Kemahiran mencari maklumat
• Kemahiran mencatat nota
• Kemahiran mengingat
• Kemahiran mengulangkaji.

KEMAHIRAN PENGURUSAN MASA

Personel perlu mendedahkan beberapa aspek pengurusan masa terutama ketika
pelajar melaksanakan jadual belajar di luar waktu persekolahan. Di antara perkara
yang perlu diberikan penekanan ialah

a. maklumat tentang pengurusan masa.
b. merancang dan membina membina jadual waktu peribadi iaitu merancang

aktiviti belajar semasa di luar jadual waktu persekolahan.
c. mengurangkan waktu bagi aktiviti bermain atau bersosial dan menumpukan

lebih banyak masa kepada aktiviti belajar.
d. mempraktik dan melaksana jadual waktu belajar peribadi sepanjang masa.

STRATEGI MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Peperiksaan merupakan destinasi persekolahan yang terakhir bagi seorang pelajar.
Personel perlu mendedahkan beberapa kemahiran atau strategi untuk menghadapi
peperiksaan. Perkara penting yang perlu dijelaskan kepada pelajar semasa membuat
persediaan sebelum menghadapi peperiksaan ialah

a. Mengumpul maklumat tentang teknik dan strategi menghadapi peperiksaan.
b. Mencari dan mengamalkan teknik menjawab soalan peperiksaan berdasarkan

kepada skima jawapan yang ditetapkan melalui seminar atau bengkel teknik
menjawab soalan.
c. Memantapkan dan memperkayakan keupayaan diri dengan maklumat dan
fakta pelajaran untuk menghadapi peperiksaan dengan membuat latih tubi
berterusan, membentuk kumpulan perbincangan, menghadiri kelas tambahan
atau tuisyen dan mendapatkan bimbingan belajar dari seorang guru (mentor).
d. Mempelajari dan membuat latihan menggunakan teknik dan strategi yang
betul bagi menghadapi ujian lisan, ujian amali dan peperiksaan bertulis.

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 175

Di antara tip-tip penting yang perlu diingatkan kepada pelajar ketika mereka
menghadapi peperiksaan ialah

a. Membuat persediaan sebelum peperiksaan seperti menyediakan peralatan
menjawab soalan (alat tulis, alat lukis, buku sifir, kalkulator) dan dokumen
diri (kad pengenalan, slip peperiksaan) yang diperlukan semasa peperiksaan.

b. Membuat persediaan terakhir pada malam sebelum hari peperiksaan.
c. Menduduki peperiksaan dengan kesediaan dari segi ketenangan mental,

kestabilan emosi dan kekayaan minda yang penuh bermaklumat.
d. Menjawab soalan peperiksaan dengan penuh keyakinan diri, kesungguhan,

berusaha sedaya upaya, bertawakal, teliti dan kemas, mengikut arahan serta
memberikan jawapan menepati kehendak soalan peperiksaan.
e. Selepas tamat setiap kertas soalan, elakkan dari berbincang dengan rakan-
rakan tentang jawapan yang telah ditulis sebaliknya memberikan tumpuan
kepada kertas soalan seterusnya.

KEMAHIRAN BELAJAR SOKONGAN

Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling perlu memberikan pendedahan tentang
kemahiran belajar sokongan kepada pelajar mereka. Kemahiran belajar sokongan
merupakan kemahiran yang perlu dimiliki oleh pelajar apabila mereka menghadapi
sesuatu masalah semasa mereka menjalankan aktivti belajar. Di antara kemahiran
sokongan yang dicadangkan ialah

• Kemahiran membuat pelan tindakan belajar
• Mengatasi masalah mengantuk semasa belajar
• Kemahiran belajar dalam kumpulan
• Mengurus tekanan atau stres
• Kemahiran menyelesaikan masalah
• Kemahiran membuat keputusan.

PELUANG BELAJAR DAN LATIHAN

MENYAMBUNG PELAJARAN

Selepas UPSR
Selepas Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pelajar menyambung pelajaran
mereka dalam Tingkatan Satu di sekolah menengah. Sebahagian kecil pelajar yang
cemerlang berpeluang belajar di sekolah-sekolah berasrama penuh atau sekolah
asrama harian. Sebelum mereka belajar di sekolah menengah berasrama, pelajar
perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan kehidupan sebagai pelajar
yang akan tinggal di asrama. Di antara maklumat-maklumat yang berguna adalah
seperti berikut :

• Senarai sekolah-sekolah yang menjadi pilihan iaitu sekolah berasrama
penuh, sekolah berasrama harian, sekolah aliran agama dan sebagainya.

• Syarat-syarat kemasukan ke sekolah pilihan iaitu
o Pencapaian akademik sekurang-kurangnya
§ 5A untuk Sekolah Berasrama Penuh, MRSM
§ 4A 1B, 3A 2B untuk Sekolah Berasrama Harian

176 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

o Penglibatan dan pencapaian dalam aktiviti kokurikulum.
• Fizikal dan kesihatan

o Badan sihat walafiat
o Mampu menjaga kesihatan diri
o Tidak terlalu cerewet memilih makanan
o Boleh menyesuaikan diri di tempat baru
o Jika ada alahan mampu mengurusnya sendiri.
• Kemahiran sosial dan interpersonal
o Boleh berkawan dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja
o Memiliki kemahiran berkomunikasi
o Sedia bertolak ansur dengan orang lain
o Boleh berkongsi dengan orang lain
o Tidak terlalu mementingkan diri sendiri
o Menghormati hak sendiri dan hak orang lain.
• Kewangan
o Keluarga mampu membiayai perbelanjaan
o Boleh mengurus, menjaga dan menyimpan wang sendiri
o Mengamalkan sikap jimat cermat dan belanja berhemat
o Berusaha mencari peluang bantuan kewangan.
• Kawalan emosi dan perasaan
o Sanggup berpisah atau berjauhan dari keluarga
o Boleh mengurus tekanan (stres) di tempat baru
o Mampu mengurus emosi secara bersendirian
o Bersabar bila berhadapan dengan kerenah pelajar lain.

Selepas PMR
Selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR), pelajar Tingkatan Tiga berpeluang
untuk belajar di sekolah-sekolah berasrama penuh, asrama harian atau sekolah
menengah teknik. Bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam PMR
mereka berpeluang meneruskan pelajaran di sekolah-sekolah berasrama penuh atau
asrama harian. Bagi pelajar yang berminat dan memenuhi syarat-syarat kemasukan
ke aliran teknik, vokasional atau kemahiran, mereka boleh menyambung pelajaran
di Sekolah Menengah Teknik. Personel perlu memberikan pendedahan tentang
syarat-syarat kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut dan keperluan serta persediaan
untuk menjadi penghuni asrama.

Selepas SPM atau STPM
Pelajar lepasan SPM atau STPM berpeluang untuk menyambung pelajaran mereka
di institusi pendidikan awam atau swasta. Pelajar lepasan SPM boleh menyambung
pelajaran mereka di peringkat matrikulasi, kursus persediaan, sijil atau diploma.
Bagi pelajar lepasan STPM mereka pula boleh menyambung pelajaran di peringkat
diploma atau ijazah pertama bergantung kepada kelulusan yang diperolehi. Setiap
personel perlu mendedahkan pelbagai maklumat berkaitan kursus-kursus pengajian,
syarat-syarat kemasukan, yuran pengajian dan pembiayaan sama ada biasiswa atau
pinjaman kepada pelajar mereka. Pendedahan maklumat tersebut dapat membantu
pelajar membuat pilihan kursus yang sesuai dengan minat dan pakej mata pelajaran
yang mereka ambil. Di samping itu, pelajar akan dapat membuat keputusan dan

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 177

menyesuaikan pilihan mereka dengan tepat sesuai dengan kelulusan mereka dalam
SPM atau STPM nanti. Personel boleh menyediakan bahan maklumat seperti buku-
buku panduan kemasukan, pamflet, brosur atau cakera padat yang mengandungi
maklumat tempat-tempat pengajian, bidang kursus dan maklumat-maklumat lain
yang diperlukan. Personel boleh menyebarkan maklumat melalui aktiviti pameran,
tayangan video atau bibliokaunseling. Jika ada kesempatan, pelajar perlu diberi
peluang untuk mendapat pengalaman sebenar dengan suasana kehidupan di kampus
melalui program lawatan ke kampus-kampus universiti, kolej atau politeknik yang
berhampiran. Melalui pengalaman tersebut, diharap pelajar dapat meningkatkan
motivasi belajar, menetapkan matlamat dan pilihan bagi tempat-tempat pengajian
serta kursus yang akan diikuti dan seterusnya mereka ‘tidak mengalami kejutan
budaya belajar’ apabila mereka berada di sana nanti.

PELUANG LATIHAN

Bagi lepasan SPM atau STPM, mereka berpeluang meneruskan pelajaran dalam
bidang latihan yang menjurus kepada bidang kerjaya. Terdapat pelbagai institusi
latihan awam dan swasta yang menyediakan pelbagai latihan ikhtisas dan latihan
kemahiran kepada pelatih-pelatih mereka. Pelajar lepasan SPM atau STPM boleh
mengikuti latihan ikhtisas dan mereka yang berjaya akan memperoleh sijil atau
diploma. Contoh institusi latihan ikhtisas ialah Institut Pendidikan Guru, Institut
Latihan Kejururawatan, Institut Latihan KEMAS, Pusat Latihan Polis (PULAPOL),
Kolej Latihan Ketenteraan (Darat, Udara dan Laut), Akademi Tentera Malaysia
(ATMA), Institut Latihan Penerbangan dan pelbagai institusi latihan ikhtisas yang
lain. Bagi para pelajar lepasan SPM, latihan kemahiran juga boleh dikuti di bawah
program latihan anjuran pihak kerajaan (awam) atau swasta. Institusi latihan awam
di bawah kelolaan beberapa buah agensi kerajaan seperti Institut Kemahiran Belia
Negara (Kementerian Belia dan Sukan), Institut Latihan Perindustrian (Jabatan
Tenaga Rakyat), Institut Kemahiran MARA (Kementerian Pembangunan Luar
Bandar), Institut Pertanian (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) dan
sebagainya. Majlis Amanah Rakyat atau MARA merupakan agensi yang paling
aktif dan banyak menyediakan institusi latihan kemahiran.

Terdapat pelbagai institusi latihan kemahiran anjuran pihak swasta yang
tumbuh bagai cendawan selepas hujan di negara kita. Ada yang berwibawa dan
tidak kurang juga yang telah gulung tikar. Oleh itu, Guru Kaunseling perlu peka
dengan situasi semasa supaya pelajar tidak terjebak dengan masalah institusi latihan
kemahiran yang bermasalah. Kebanyakan institusi tersebut menyediakan kursus-
kursus di peringkat sijil kemahiran sama ada Tahap 1 atau Tahap 2. Syarat untuk
kemasukan mestilah para pelajar lepasan SPM. Bagi pelajar lepasan PMR yang
kurang bersedia untuk meneruskan pelajaran di Tingkatan 4 dan mengambil SPM,
mereka boleh meneruskan pelajaran di mana-mana sekolah menengah teknik yang
menyediakan kursus aliran kemahiran. Mereka yang berjaya dalam kursus tersebut
akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 yang diiktiraf oleh Majlis Latihan
Vokasional Kebangsaan, Kementerian Sumber Manusia.

PENDIDIKAN KERJAYA

Perkhidmatan Pendidikan Kerjaya boleh dibahagikan kepada tiga bidang utama

178 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

iaitu perkhidmatan inventori, perkhidmatan maklumat dan perkhidmatan kaunseling
kerjaya (Mizan et.al, 1992). Perkhidmatan inventori bertujuan untuk membantu
pelajar memahami dan menerima keadaan diri mereka. Alat-alat yang digunakan
untuk mengumpul maklumat diri pelajar seperti laporan, temubual, rekod anekdot,
rekod pemerhatian, kad kumulatif dan ujian-ujian psikometrik.

Perkhidmatan maklumat bertujuan untuk mengumpul pelbagai maklumat
berkaitan pendidikan, pekerjaan dan faktor-faktor sosial. Maklumat tersebut akan
dapat membantu pelajar membuat persediaan dari segi pendidikan atau kelayakan
dan meneroka alam kerjaya iaitu mengumpul seberapa banyak maklumat pekerjaan
(sifat, keadaan, suasana, gaji, upah atau ganjaran). Maklumat yang diperolehi akan
membantu pelajar membuat pilihan kerjaya. Di samping itu, pelajar perlu diberikan
pendedahan tentang prosedur dan peluang-peluang bagi mendapatkan latihan atau
kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan.

Perkhidmatan bimbingan atau kaunseling kerjaya merupakan aktiviti atau
intervensi yang dijalankan oleh Guru Bimbingan atau Guru kaunseling di pelbagai
peringkat dengan tujuan untuk menyedia dan menggerakkan perkembangan kerjaya
pelajar. Aktiviti yang dijalankan ialah membantu pelajar membuat perancangan
kerjaya, mengambil keputusan dan membuat penyesuaian diri (Muhd. Mansur dan
Siti Nordinar, 1989). Melalui hubungan kaunseling (hubungan bersemuka) pelajar
dapat memahami fakta-fakta berkaitan kendiri dan persekitaran mereka serta dapat
membuat pertimbangan yang lebih realistik.

BIDANG PENDIDIKAN KERJAYA DI SEKOLAH RENDAH

1. Mengenali Diri – Personaliti, Minat dan Nilai
• Menjalankan ujian personaliti, minat dan nilai.
• Ujian psikologikal atau ujian psikometrik yang diberi perlu sesuai dengan
aras pelajar sekolah rendah.
• Memproses dan membuat diagnosis setelah ujian diberi kepada pelajar
sama ada melalui bimbingan individu, kelompok kecil atau kelompok besar.

2. Perkembangan Kerjaya
• Input boleh diperolehi daripada buku Panduan Pendidikan Kerjaya Sekolah
Rendah yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
• Maklumat boleh disampaikan melalui bimbingan kelompok kecil atau
kelompok besar.
• Input-input terdiri daripada
o Definisi kerjaya
o Personaliti dan kerjaya
o Kerjaya dalam persekitaran sekolah, keluarga dan dalam persekitaran
lain
o Maklumat pelbagai kerjaya
o Pemilihan kerjaya.

BIDANG PENDIDIKAN KERJAYA DI SEKOLAH MENENGAH

1. Pendidikan kerjaya
• Input disebarkan melalui seminar (ceramah dan bengkel), bimbingan

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 179

kelompok kerjaya (kelompok kecil atau kelompok besar), pameran atau
biblio kaunseling.
• Pengumpulan dan sebaran maklumat berkaitan pekerjaan.
• Institusi yang menyediakan latihan kemahiran lepasan SPM atau STPM.
2. Mengenali personaliti, minat dan nilai berhubung dengan pemilihan kerjaya
• Menggunakan inventori atau ujian psikometrik berkaitan kerjaya.

o Personaliti – Inventori Personaliti Sidek (IPS)
o Minat – Soal Selidik Minat Kerjaya (SDS)
o Nilai – Inventori Nilai Pekerjaan Sidek.
• Memproses dan membuat diagnosis setelah ujian diberikan kepada pelajar
sama ada secara bimbingan individu, kelompok kecil atau kelompok besar.
• Jika perlu boleh dijalankan intervensi kaunseling kerjaya sama ada secara
individu atau kelompok.
3. Maklumat pakej pensijilan terbuka berkaitan mata pelajaran elektif di sekolah
menengah, kursus-kursus dan kerjaya lepasan SPM dan STPM
• Boleh dijalankan melalui ceramah atau taklimat.
4. Pendedahan kerjaya
• Tinjauan di lokasi kerja
o Lawatan ke tempat-tempat kerja.
o Membuat pemerhatian di tempat kerja.
• Eksplorasi kerjaya
o Mendapatkan pengalaman sebenar tentang kerja atau urusan kerja

yang dilakukan oleh seorang penjawat atau pekerja yang dipilih
dari bidang-bidang kerjaya tertentu.
o Contoh : Sehari bersama seorang jurutera awam.

TEORI PERKEMBANGAN KERJAYA

Setiap personel perlu memiliki beberapa pengetahuan asas tentang beberapa teori
perkembangan kerjaya. Terdapat pelbagai teori kerjaya yang telah dikemukakan
oleh pakar-pakar bidang kerjaya di Barat. Tiada suatu teori yang dianggap tepat dan
sesuai digunakan sepanjang masa. Personel perlu mahir untuk memilih beberapa
teori yang dianggap sesuai dan bertepatan dengan peranan dan keperluan bidang
pendidikan kerjaya di sekolah. Di antara teori-teori perkembangan kerjaya yang
pernah dikemukakan oleh pakar bidang kerjaya di Barat ialah

• Teori Perkembangan Kerjaya Donald Super
• Teori Perkembangan Kerjaya Eli Ginzberg
• Teori Keperluan Anne Roe
• Teori Pemilihan Kerjaya Johd Holland
• Teori Komposit Robert Hoppock
• Teori Kognitif dan Pembelajaran Sosial Tiedeman dan O’Hara
• Teori Pembelajaran Sosial John Krumboltz’

Teori Perkembangan Kerjaya Super

Teori ini telah diasaskan oleh Donald Super dalam tahun 1957. Bagi Super (Kottler
dan Brown, 2000) konsep kendiri merupakan aspek penting sebagai penentu kepada

180 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

perkembangan kerjaya seseorang individu. Proses perkembangan kerjaya adalah
proses yang berlaku secara berperingkat dan berterusan di sepanjang kehidupan
manusia.

Peringkat Ciri-Ciri
PERKEMBANGAN
Lahir – 14 tahun Konsep kendiri terbentuk melalui identifikasi dengan
individu penting dalam keluarga dan sekolah. Keperluan
PENEROKAAN dan fantasi paling dominan di peringkat awal
15 – 24 tahun perkembangan. Minat dan keupayaan menjadi semakin
PEMANTAPAN penting apabila penglibatan dalam sosial dan mencuba
(25 – 44 tahun) realiti semakin meningkat. Belajar tingkah laku berkaitan
membantu diri, interaksi sosial, arah kendiri, latihan
PERSARAAN pekerjaan dan menentukan matlamat.
(45 – 64 tahun)
Membuat penilaian kendiri, mencuba main peranan dan
PENURUNAN meneroka pekerjaan di sekolah, menjalankan aktiviti masa
(65 tahun ke atas) lapang dan melakukan kerja sambilan.

Setelah menemui bidang pekerjaan yang sesuai, individu
berusaha untuk kekal dengan pekerjaannya. Perubahan
seterus yang berlaku hanyalah dalam kedudukan, tugas atau
majikan dan bukannya perubahan dalam pekerjaan.

Setelah mendapat tempat yang tetap dalam dunia pekerjaan,
tumpuan diberikan kepada bagaimana mengekalkannya.
Usaha-usaha adalah untuk mengekalkan status yang dicapai
di samping menghadapi saingan dari pekerja-pekerja yang
lebih muda.

Apabila kekuatan mental dan fizikal semakin berkurangan,
aktiviti kerja bertukar dan akhirnya berhenti. Peranan baru

perlu dibentuk, mula-mula sekadar mengambil bahagian
kemudian hanya menjadi pemerhati. Individu mestilah
mencari pengganti sumber kepuasan bekerja yang telah
hilang setelah bersara.

Jadual 13 : Peringkat Kehidupan Kerjaya Manusia Mengikut Teori Super

Teori Pemilihan Kerjaya John Holland

Holland percaya bahawa pemilihan kerjaya merupakan ekspressi personaliti secara
keseluruhan. Kepuasan kerjaya bergantung kepada kesesuaian situasi kerja dengan
stail personaliti. Holland mengemukakan empat andaian dalam teorinya.
1. Individu boleh dikategorikan kepada enam jenis personaliti iaitu realistik,

investigatif, artistik, sosial, enterprising dan conventional (RIASEC). Enam
jenis personaliti tersebut berkaitrapat dengan minat, keutamaan pemilihan dan
kemahiran.
2. Persekitaran boleh dikelaskan kepada enam jenis iaitu realistik, investigatif,
artistik, sosial, enterprising dan conventional. Keenam-enam persekitaran
didominasi mengikut keserasian personaliti.
3. Individu mencari keserasian persekitaran dengan jenis personalitinya. Contoh :
individu artistik mencari persekitaran artistik, individu sosial akan mencari
persekiatan sosial dan seterusnya.
4. Tingkah laku individu ditentukan oleh interaksi di antara jenis personaliti
dengan ciri-ciri persekitaran. Sekiranya jenis personaliti dan persekitaran kerja
telah dapat dikenalpasti, pemilihan pekerjaan, pencapaian dan perubahan kerja
akan dapat dijangka.

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 181

Sidek (1998) telah menyenaraikan stail personaliti, persekitaran dan jenis
pekerjaan yang sesuai dalam membentuk profil individu bagi Soal Selidik Minat
Kerjaya (Self- Directed Search) (ujian sesuai untuk pelajar sekolah menengah).

Realistik – R
Individu yang logikal, objektif dan suka berterus terang. Individu yang mempunyai
kemahiran atletik atau mekanikal. Suka bekerja dengan objek, mesin, peralatan,
tumbuhan dan binatang iaitu banyak menggunakan kemahiran motor. Lebih suka
bekerja di luar bangunan daripada di dalam bangunan.
Contoh pekerjaan :
Jurutera Awam, Jurutera Kereta Api, Operator Mesin, Mekanik Kapal Terbang,
Mekanik Kereta, Juruteknik Elektronik, Ahli Ilmu Perkebunan, Tukang Kayu dan
lain-lain.

Investigatif – I
Banyak bersandar kepada kemahiran intelek dan kognitif. Individu yang analitikal,
kritikal, intelektual, sistematik, tepat, rasional dan tidak banyak cakap. Individu
yang suka membuat pemerhatian, mempelajari, menyelidik, menganalisis, menilai
dan menyelesaikan masalah melalui penyelidikan. Mempunyai kemahiran saintifik
dan matematik serta meminati beberapa kerjaya saintifik dan kerjaya yang bercorak
teknikal.
Contoh pekerjaan :
Ahli Kaji Cuaca, Ahli Biologi, Ahli Botani, Ahli Agronomi, Ahli Fizik, Ahli Kaji
Bintang, Ahli Kimia, Ahli Kaji Bumi, Penyelidik Sains, Antropologis dan lain-lain.

Artistik – I
Individu yang sensitif, impulsif, kreatif, emosional, suka kebebasan bekerja (kerja
yang tidak berstruktur) dan tidak suka terkongkong kepada nilai dan peraturan.
Individu yang mempunyai kebolehan artistik dan inovatif. Mempunyai kebolehan
intuisi dan suka bekerja dalam situasi yang tidak atau kurang berstruktur. Tidak
selesa dengan kerja yang rutin atau berulang-ulang. Selalu menggunakan imaginasi
dan kreativiti.
Contoh pekerjaan :
Penyair, Pemimpin Orkestra, Penyanyi Konsert, Pengubah Lagu, Pengarang,
Pelukis Perdagangan, Pelukis Potret, Wartawan, Pelukis Kartun, Penghias Rumah,
Arkitek dan lain-lain.

Sosial – S
Individu yang sentiasa menerima orang lain, bertanggungjawab, ceria, mesra, suka
membantu dan mengambil berat tentang orang lain. Individu yang bekerja dan
berinteraksi dengan manusia. Mempunyai minat dalam memberitahu, menolong,
melatih, memperkembang, mengubati dan membuat kebajikan kepada orang lain.
Mempunyai kemahiran menggunakan kata-kata serta mahir berkomunikasi dengan
orang lain. Matlamat utama individu ialah untuk membuat kebajikan.
Contoh pekerjaan :
Ahli Sosiologi, Guru, Kaunselor, Guru Kaunseling, Guru Bimbingan, Pengetua,
Doktor, Jururawat, Pegawai Perhubungan Awam, Pengarah Agensi Kebajikan,
Pengarah Belia dan lain-lain.

182 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

Enterprising – E
Individu yang bersemangat tinggi, bertenaga, suka mendominasi, pandai memujuk,
ekstrovert dan agresif. Individu yang suka bekerja dan berinteraksi dengan orang
lain. Mempunyai minat dalam mempengaruhi, mengarah, memimpin dan mengurus
individu lain. Pandai dan mahir dalam memanipulasi orang lain. Matlamat akhir
individu ialah untuk mencapai keuntungan organisasi dan keuntungan ekonomi.
Contoh pekerjaan :
Spekulator, Aktuaris, Eksekutif Pengiklanan, Peguam, Ahli Politik, Eksekutif
Perniagaan, Pengarah Syarikat, Pengarah Publisiti, Pengurus Hotel, Pengurus Bank,
Jurujual Insuran dan lain-lain.

Conventional – C
Individu yang suka bekerja dengan data dan nombor. Suka kepada kerja yang rutin,
berstruktur dan praktikal. Individu yang mempunyai kawalan diri, patuh kepada
peraturan, teratur dan efisien. Mempunyai kemahiran dalam bidang perkeranian
serta mempunyai kebolehan dan kemahiran dalam menggunakan nombor.
Contoh pekerjaan :
Penyimpan Kira-Kira, Guru Perdagangan, Pakar Cukai, Kerani Bank, Kerani Gaji,
Jurutrengkas, Akauntan, Operator Komputer, Penilai Harta, Kerani Insuran dan
lain-lain.

Teori Keperluan Anne Roe

Teori kerjaya yang dikemukakan oleh Anne Roe pada tahun 1957 menegaskan
bahawa minat atau pemilihan kerjaya terbentuk hasil daripada interaksi di antara ibu
bapa (individu yang signifikan) dengan anak-anak mereka. Pilihan kerjaya individu
terpancar hasil daripada keinginan individu untuk memenuhi keperluan yang tidak
dapat diperolehi daripada ibu bapa mereka semasa melalui zaman kanak-kanak
(Gladding, 1996). Individu atau pekerja yang bekerja dalam sektor pekerjaan yang
berorientasikan manusia selalunya datang dari keluarga yang mesra dan penuh kasih
sayang serta diterima oleh kedua ibubapanya. Sementara individu atau pekerja yang
bekerja dalam sektor yang tidak berorientasikan manusia datang dari keluarga yang
mengalami suasana hidup yang dingin dan tidak dipedulikan di mana keperluan
emosinya tidak dipenuhi dengan secukupnya (Sidek, 1996).

Menurut Anne Roe terdapat 3 corak atau cara gaya asuhan ibu bapa kepada
anak-anak mereka iaitu

• Penumpuan emosi pada anak-anak
• Penolakan terhadap anak-anak
• Penerimaan terhadap anak-anak.
Cara gaya asuhan penumpuan emosi pada anak-anak terdiri daripada gaya asuhan
terlalu mengongkong dan terlalu mendesak. Gaya asuhan mengongkong bermaksud
ibu bapa melakukan dan menentukan semua perkara untuk anak-anak mereka yang
menyebabkan anak-anak menjadi terlalu bergantung (tidak boleh berdikari). Gaya
asuhan terlalu mendesak bermaksud ibu bapa amat mementingkan pencapaian anak-
anak mereka. Kanak-kanak yang diasuh sedemikian akan sentiasa memerlukan
maklumbalas dan ganjaran. Lazimnya, individu yang lahir dari cara gaya asuhan ini
akan memilih pekerjaan yang boleh memberikan pengiktirafan dari orang lain
seperti seni pentas.

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 183

Terdapat dua kemungkinan hasil daripada corak gaya asuhan penolakan
terhadap anak-anak. Pertama, ibu bapa yang mengabaikan anak-anak menyebabkan
hanya sedikit sahaja keperluan anak-anak yang telah dapat dipenuhi oleh ibu bapa.
Kedua, anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa menyebabkan keperluan anak-
anak langsung tidak dipenuhi. Menurut Roe, kanak-kanak yang dibesarkan melalui
gaya asuhan tersebut akan menumpukan minat pada bidang saintifik dan mekanikal
bagi mendapatkan kepuasan dalam hidup mereka. Mereka lebih cenderung kepada
benda dan idea.

Corak hubungan ibu bapa – anak-anak yang ketiga ialah penerimaan ibu
bapa terhadap anak-anak. Anak-anak yang diterima oleh ibu bapa biasanya akan
diberikan kasih sayang yang mencukupi. Hubungan dan gaya asuhan tersebut akan
menghasilkan individu yang kurang pergantungan. Individu akan mencari kerjaya
yang dapat mengimbangi aspek peribadi dan bukan peribadi seperti mengajar atau
pekerjaan yang melibatkan memberi pertolongan kepada orang lain.

Teori Perkembangan Kerjaya Yang Lain

1. Eli Ginzberg
Perkembangan kerjaya merupakan suatu proses yang berterusan dan proses
membuat keputusan berlaku di sepanjang hayat dalam kehidupan manusia.
Dalam proses membuat keputusan, individu akan mengharmonikan semua
matlamat yang ingin dicapai dan mempersiapkan diri untuk menyesuaikannya
dengan semua peluang yang ada dan terhad dalam kehidupan sebenar mereka.
Teori ini mengambil kira pengaruh persekitaran, atribut psikologi, peluang
pendidikan dan pencapaian seseorang. Individu akan semakin sedar tentang
peluang-peluang pekerjaan apabila mereka menjadi dewasa. Pada masa itu
individu akan dapat membuat keputusan dengan tepat. Pemilihan kerjaya yang
tepat seharusnya berdasarkan kepada minat, kebolehan, nilai dan ciri-ciri dunia
pekerjaan tersebut.

2. David Tiedeman dan O’Hara
Perkembangan kerjaya adalah proses mengenalpasti pekerjaan melalui interaksi
di antara personaliti dengan masyarakat. Mereka telah memberikan penekanan
terhadap betapa pentingnya membuat keputusan dalam proses memperjelaskan
hubungan di antara personaliti dengan kerjaya. Menurut teori ini, terdapat
beberapa langkah yang perlu diambil oleh individu semasa membuat pemilihan
kerjaya (Mohd Salleh, 1993).
• Mengkaji dan membuat saringan terlebih dahulu iaitu memilih yang terbaik.
• Memikirkan pengalaman yang ada, menimbangkan keperluan matlamat,
menentukan kewajaran tindakan dan meramalkan hasil atau ganjaran yang
akan diperolehi.
• Bersedia untuk menceburi bidang yang dipilih.
• Sebelum menetapkan bidang yang dipilih individu perlu mendapatkan
maklumat yang jelas untuk mengurangkan ketidakpastian. Maklumat yang
jelas adalah penting kerana kemungkinan apabila individu memulakan
sesuatu pekerjaan di tempat lain dia akan mengalami gangguan emosi dan
wujud masalah perbezaan integrasi dan budaya di tempat kerja.

184 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

MODEL KURIKULUM PENDIDIKAN KERJAYA

Model kurikulum bagi pendidikan kerjaya mengandungi kompetensi dan indikator
yang dibentuk bagi pelajar sekolah rendah di Amerika Syarikat oleh Jawatankuasa
Maklumat dan Koodinasi Pekerjaan Kebangsaan (Kottler dan Brown, 2000). Bagi
pengalaman tentang tahap pendidikan kerjaya di negara kita, model ini dianggap
masih sesuai dan relevan jika ianya digunakan bagi pelajar di peringkat menengah
rendah (Peralihan hingga Tingkatan Tiga).

Model Kurikulum Pendidikan Kerjaya – Kompetensi dan Indikator

Pengetahuan Tentang Kendiri
Kompetensi 1 : Pengetahuan tentang kepentingan konsep kendiri
Kompetensi 2 : Kemahiran berinteraksi dengan orang lain.
Penerokaan Pendidikan dan Pekerjaan
Kompetensi 3 : Kesedaran tentang kepentingan pertumbuhan dan perubahan
Kompetensi 4 : Kesedaran tentang faedah pencapaian dalam pelajaran
Kompetensi 5 : Kesedaran tentang hubungan di antara kerja dengan belajar
Kompetensi 6 : Kemahiran memahami dan menggunakan maklumat kerjaya
Kompetensi 7 : Kesedaran tentang kepentingan tanggungjawab peribadi dan

tabiat bekerja yang baik
Kompetensi 8 : Kesedaran tentang bagaimana kerja mempunyai kaitan dengan

keperluan dan fungsi masyarakat.
Perancangan Kerjaya
Kompetensi 9 : Memahami bagaimana membuat keputusan
Kompetensi 10 : Kesedaran tentang hubungkait di antara peranan-peranan dalam

kehidupan
Kompetensi 11 : Kesedaran tentang hubungan di antara kerja dengan belajar
Kompetensi 6 : Kesedaran tentang kepelbagaian pekerjaan dan perubahan

peranan dalam pekerjaan bagi lelaki dan perempuan.

MODUL KAUNSELING KERJAYA BERSEPADU

Menurut Weinrach (Sidek, 1997), model kaunseling kerjaya Pendekatan Tret dan
Faktor terdiri daripada tiga langkah iaitu

1. mengenalpasti tret-tret dan ciri-ciri individu (potensi diri)
2. menganalisis keperluan-keperluan pekerjaan dan
3. memadankan individu dengan pekerjaan.
Matlamat terakhir pendekatan atau model Wienrach ialah untuk memastikan ciri-
ciri personal individu selaras dengan keperluan-keperluan dalam sesuatu bidang
kerjaya.

Sidek (1997) memurnikan lagi idea tersebut dan telah menghasilkan Model
Perkembangan Kerjaya Bersepadu seperti ditunjukkan dalam jadual 14. Model ini
mengandungi lima fasa. Fasa pertama ialah pelajar mengenali diri sendiri melalui
ujian-ujian psikologikal iaitu ujian personaliti, minat dan nilai pekerjaan. Mereka
dibantu oleh personel untuk membina matlamat atau halatuju kerjaya berdasarkan
personaliti, minat dan nilai pekerjaan yang telah dikenalpasti. Fasa ketiga adalah
fasa mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan bidang kerjaya yang telah dipilih.

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 185

Fasa keempat dan kelima merupakan proses untuk menguasai beberapa kemahiran
yang diperlukan bagi merealisasikan matlamat dan menjayakan pelan tindakan.

FASA 1 FASA 2 FASA 3 FASA 4 FASA 5

KENAL BINA BERI TEKNIK 1 TEKNIK
DIRI MATLAMAT MOTIVASI LANJUTAN
Teknik belajar
Personaliti Pelan tindakan Ceramah dan Teknik membaca Teknik menulis
Nilai kursus motivasi resume
Minat pantas
Pencapaian Teknik menjawab Teknik
menghadiri
soalan temuduga
Teknik mengambil
* Meneroka
kekuatan dan nota
kelemahan
diri

Jadual 14 : Model Perkembangan Kerjaya Bersepadu

PSIKOSOSIAL DAN KESEJAHTERAAN MENTAL

Istilah psikososial merupakan gabungan dua perkataan iaitu psikologi dan sosial.
Psikologi ialah kajian saintifik tentang tingkah laku dan proses mental (Morris dan
Maisto, 2002). Menurut Kamus Dewan, sosial bermaksud perhubungan, pergaulan
atau hal-hal yang berkaitan kemasyarakatan. Oleh itu, istilah kesejahteraan mental
bermaksud keselarasan proses mental (sihat, stabil dan berfungsi dengan waras)
yang dipamerkan oleh pelajar melalui cara bertingkah laku yang sihat dan normal
ketika mereka menjalin hubungan intrapersonal dan interpersonal.

BIDANG PSIKOSOSIAL DAN KESEJAHTERAAN MENTAL DI SEKOLAH
MENENGAH

1. Penggunaan ujian, inventori atau senarai semak berkaitan psikososial atau
personaliti

2. Mendedahkan atau mengajar kemahiran kendiri

• Kemahiran komunikasi
• Kemahiran asertif
• Kemahiran mengurus tekanan
• Kemahiran menyelesaikan masalah
• Kemahiran membuat keputusan
• Penyaringan maklumat
• Kemahiran rohani
• Kemahiran pengawalan diri
• Pengekalan penghargaan kendiri
• Psikososial

– perhubungan rakan sebaya dan orang dewasa (autoriti)

• Kognitif – pemikiran
• Afektif – emosi dan perasaan
3. Pengupayaan Minda

• Pemikiran kreatif

186 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

• Generik minda
4. Kemahiran Pengetahuan

• Aplikasi
• Sintesis
• Analisis
5. Orientasi Pelajar
• Orientasi pelajar baru
• Orientasi semula pelajar
6. Psikologi Perkembangan Remaja
• Fisiologikal / biologikal

– fizikal
– seksual
• Psikologikal
– personaliti
– konsep kendiri
– penghargaan kendiri
• Pendidikan Psikososial
• Pendidikan Psikoseksual
• Kesejahteraan Mental
– kesihatan mental
– personaliti
– konsep kendiri.

BIDANG PSIKOSOSIAL DAN KESEJAHTERAAN MENTAL DI SEKOLAH
RENDAH

1. Kemahiran Interpersonal dan Komunikasi
• Tingkah laku dalam berkomunikasi
• Nilai murni dalam berkomunikasi
• Komunikasi lisan dan bukan lisan
• Kerjasama dan tolak ansur
• Perbezaan dan persamaan individu
• Kemahiran mendengar.

2. Penyataan / Penyelesaian Konflik
• Penyesuaian diri dalam persekitaran, hubungan keluarga dan interaksi
dengan orang lain
• Kesan pengaruh media massa
• Konflik menghadap peperiksaan
• Konflik fizikal
• Konflik kecemerlangan akademik.

3. Penyelesaian Masalah dan Membuat Keputusan
• Pilihan dalam penyelesaian masalah
• Sikap positif dan negatif dalam membuat keputusan
• Proses membuat keputusan
• Kesan terhadap keputusan
• Pelan tindakan bagi penyelesaian masalah

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 187

• Kawalan diri menilai pengaruh dari luar dan dari dalam sekolah
• Kemahiran membuat keputusan.

PELAKSANAAN DAN INTEGRASI PROGRAM

Sebahagian kecil peruntukan kewangan perlulah diperuntukkan bagi melaksanakan
program psikososial dan kesejahteraan mental. Personel seharusnya memiliki ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyampaikan pelbagai input
dan kemahiran berkaitan dengan bidang ini. Jika hendak diajar semua kemahiran
kepada pelajar sudah pasti personel tidak mempunyai ruang masa dan tenaga yang
mencukupi. Sebahagian daripada program boleh diintegrasikan secara bersama atau
‘tumpang sekaki’ dengan program-program lain daripada unit lain seperti integrasi
dengan program yang dijalankan oleh JK Hal Ehwal Murid, JK Kokurikulum, JK
Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), JK Kurikulum, program-program asrama
dan sebagainya. Program atau aktiviti pendidikan psikososial dan kesejahteraan
mental yang boleh diintegrasikan dengan unit-unit lain ialah

1. JK Hal Ehwal Murid
a. JK Badan Pengawas – kursus kepimpinan, Pendidikan Pencegahan
Jenayah, kempen atau minggu adab sopan, anugerah model pelajar
b. JK Ketua Kelas – kursus kepimpinan dan pengurusan organisasi
c. Pendaftaran pelajar dan minggu orientasi.

2. JK Kokurikulum
a. Perkhemahan kokurikulum
b. Aktiviti unit uniform – kemahiran interpersonal, kemahiran
berkomunikasi.

3. JK Pendidikan Pencegahan Dadah
a. Perkhemahan antidadah
b. Kursus Personal dan Interpersonal
c. Program wajadiri / wajanita
d. Ceramah antidadah.

4. JK Asrama
a. Kursus kepimpinan
b. Kursus orientasi kehidupan di asrama
c. Ceramah kesihatan penghuni asrama
d. Kemahiran interpersonal dan berkomunikasi.

5. JK Kurikulum
a. Kursus atau ceramah peningkatan keupayaan minda
b. Kursus pemikiran kreatif
c. Bidang Kemanusiaan
i. Panitia Pendidikan Islam – Kursus Bina Insan
ii. Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan – Ceramah
kesihatan, kempen hidup sihat.

Personel juga boleh menjalankan aktiviti mereka sendiri melalui kegiatan
kokurikulum Pembimbing Rakan Sebaya, Kelab Bimbingan dan Kerjaya (Kelab
Bimbingan), Kelab Antijenayah atau Skim Lencana Antidadah. Beberapa aspek
kemahiran diri dan input-input perkembangan kanak-kanak dan remaja boleh juga
didedahkan melalui bimbingan kelompok, paparan maklumat di papan pamer atau
menyediakan risalah atau pamflet yang berkaitan.

188 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

PEMBANGUNAN PELAJAR

Bidang Pembangunan Pelajar lebih banyak menumpukan kepada membantu pelajar
meningkatkan keupayaan kendiri melalui kemahiran-kemahiran tertentu. Tujuan
utama mengajar kemahiran tersebut ialah membantu pelajar menghadapi masalah
atau gendala dalam kehidupan mereka. Bidang pembangunan pelajar adalah amat
berkaitrapat dengan aspek permasalahan pelajar. Oleh itu, bidang ini juga kadang-
kala dikenali sebagai bidang permasalahan pelajar.

Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling diberikan tanggungjawab yang amat
berat iaitu membantu mengatasi permasalahan pelajar. Pelajar bermasalah dianggap
sebagai ‘pengganggu’ kepada proses pembelajaran. Kebanyakan masalah peribadi
pelajar ditangani melalui khidmat bimbingan atau intervensi kaunseling sama ada
secara individu atau kelompok. Lazimnya, orientasi yang digunakan adalah bersifat
pencegahan atau pemulihan. Namun begitu, pendekatan bimbingan atau kaunseling
boleh juga diintegrasikan ke dalam bentuk kursus atau kem bina insan iaitu pelajar
yang bermasalah dikumpulkan dan diberikan kursus pengurusan diri secara lebih
berkesan. Modul dan input kursus mestilah berfokus kepada kemahiran pengurusan
diri, perubahan sikap dan cara berfikir serta penyesuaian atau adaptasi tingkah laku.
Permasalahan pelajar yang perlu diambil perhatian ialah
1. Masalah Peribadi

• Salahlaku disiplin
o Pelanggaran peraturan di sekolah dan di asrama
o Tingkah laku maladaptif atau bilazim

2. Penyesuaian diri terhadap persekitaran
• Tekanan atau stres
• Hubungan interpersonal
• Hubungan komunikasi

3. Pengurusan diri
• Penjagaan kesihatan diri
• Kawalan diri
• Memilih prioriti atau keutamaan
• Kepimpinan diri.

PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH

PENYALAHGUNAAN DADAH DAN BAHAN TERLARANG

Penyalahgunaan dadah berlaku apabila individu (pelajar) menggunakan dadah atau
bahan terlarang secara salah iaitu tanpa mendapat nasihat dari doktor. Mereka yang
terlibat dalam penyalahgunaan dadah biasanya menggunakan dadah dengan cara
menghisap, menghidu atau menyuntik bahan terlarang ke dalam badan bagi tujuan
mendapatkan keseronokan, keghairahan atau menenangkan perasaan (Ee Ah Ming,
2003). Beberapa kajian yang telah dijalankan oleh beberapa agensi yang berkaitan
mendapati bahawa faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya penyalahgunaan
dadah di kalangan pelajar sekolah ialah
1. perasaan ingin tahu
2. tidak menyedari bahayanya dadah

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 189

3. pengaruh kawan-kawan
4. cuba lari dari masalah seperti masalah keluarga, peribadi atau kegagalan
5. mententeramkan jiwa atau melupakan pengalaman pahit yang dilalui
6. mengikut kehendak hati dan hawa nafsu
7. cuba mengurang atau melupakan kerungsingan
8. kurang mendapat kasih sayang dan perhatian dari ibu bapa atau keluarga
9. kesunyian kerana kekurangan kawan
10. gagal menyesuaikan diri dengan tekanan hidup di bandar
11. kononnya dapat membantu pelajar dalam tempoh yang lama
12. kebosanan hidup.

PELAKSANAAN PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH DI SEKOLAH

Kementerian Pendidikan Malaysia (2003) telah menyediakan sebuah buku panduan
iaitu ‘Panduan Pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah di Sekolah’. Buku
panduan tersebut telah menggariskan latar belakang, matlamat, rasional, objektif,
prinsip, strategi dan aktiviti bagi Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) yang perlu
dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk merealisasikan hasrat Sekolah Bebas Dadah
2012 dan Negara Bebas Dadah 2015. Dari segi pelaksanaan di peringkat sekolah
rendah atau menengah, pihak sekolah diarahkan membentuk sebuah Jawatankuasa
Pendidikan Pencegahan Dadah Sekolah. Seorang Guru Pendidikan Pencegahan
Dadah (Guru PPDa) perlu dilantik dan diberikan peranan sebagai setiausaha bagi
Jawatankuasa PPDa Sekolah. Komponen pengurusan yang perlu dilaksanakan bagi
menjayakan PPDa di sekolah ialah

1. Menubuhkan Jawatankuasa PPDa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana PPDa
di sekolah.

2. Menyenaraikan peranan / tugas Jawatankuasa Pelaksana.
3. Merancang program / aktiviti PPDa di sekolah.
4. Melaksanakan program / aktiviti PPDa di sekolah.
5. Menyelaras program / aktiviti peringkat sekolah.
6. Membuat pemantauan dan penilaian.
7. Menyediakan laporan.

Aktiviti PPDa yang telah dicadangkan di sekolah terdiri daripada empat
bidang aktiviti iaitu pengurusan dan kepimpinan, kurikulum, kokurikulum dan
pembentukan sahsiah antidadah.
1. Pengurusan dan Kepimpinan

o Pembentukan Jawatankuasa PPDa Sekolah
o Rancangan PPDa Sekolah
o Perkembangan Staf
o Program Gerak Sedar Bersepadu (PROGRESS)
o Ujian Urin
o Minggu Antidadah.
2. Kurikulum
o Mesej Jauhi Dadah
o PPDa Dalam KBSM
o Program Pintar
o Ceramah Antidadah
o Pameran Antidadah.

190 BAHAGIAN 3 MENGURUS DAN MELAKSANA PERKHIDMATAN

3. Kokurikulum
o Skim Lencana Antidadah (SLAD)
o Perkhemahan
o Aktiviti Seni Jauhi Dadah
o Dikir Barat
o Poster Antidadah
o Penulisan Sajak Antidadah
o Deklamasi Sajak Antidadah
o Boria Antidadah
o Nasyid Antidadah
o Buku Skrap Antidadah

4. Pembentukan Sahsiah Antidadah
o Kemahiran Personal dan Interpersonal
o Kaunseling PPDa
o Program Intervensi Pelajar
o Kolokium Kepimpinan PPDa
o Program Waja Diri
o Seminar PPDa
o Program Keibubapaan.
Dari segi organisasi PPDa sekolah rendah dan sekolah menengah, Guru

Bimbingan dan Guru Kaunseling diberikan peranan bersama dengan Guru Disiplin
sebagai Ahli Jawatankuasa iaitu perlu melaksanakan aktiviti Pembentukan Sahsiah
Antidadah. Kadang-kadang pihak pengurusan sekolah mengambil jalan mudah iaitu
melantik Guru Bimbingan atau Guru Kaunseling sebagai Setiausaha Jawatankuasa
PPDa. Masalah mungkin timbul apabila personel diberikan bebanan yang terlalu
berat dan kemungkinan banyak program tidak dapat dijalankan. Selain daripada
bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa PPDa sekolah, personel juga seharusnya
menjalankan programnya sendiri di bawah bidang Pendidikan Pencegahan Dadah,
AIDS dan HIV. Di antara aktiviti dan input yang boleh diberikan kepada pelajar
dalam bidang tersebut ialah
1. Kemahiran komunikasi interpersonal
2. Perkembangan individu
3. Kemahiran asertif
4. Kemahiran sosial
5. Sikap benci terhadap rokok, alkohol, dadah, inhalan dan pil-pil psikotropik
6. Psikologi perkembangan remaja
7. Kemahiran menghindari jangkitan HIV dan AIDS
8. Pendidikan perkembangan seksual.

PENDIDIKAN PENCEGAHAN HIV DAN AIDS

Satu lagi komponen penting yang sering dipinggirkan ialah pendidikan pencegahan
AIDS dan HIV. Walaupun penyakit AIDS dan HIV bukanlah merupakan masalah
yang serius di kalangan pelajar sekolah tetapi langkah pencegahan perlu diambil.
Para pelajar seharusnya diberikan maklumat, sekurang-kurang mereka tahu apa itu
AIDS dan HIV, simptom-simptom serta langkah-langkah untuk menghindarkan diri
daripada jangkitan. Di antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah ceramah tentang
bahaya HIV dan jangkitan AIDS, amalan pergaulan dan penjagaan kesihatan yang

BAB 10 PROGRAM-PROGRAM KHAS 191

sihat atau pendidikan pencegahan dadah dan risiko jangkitan AIDS. Personel juga
boleh menggunakan peruntukan PCG untuk membeli buku-buku atau carta-carta
berkaitan dadah, HIV dan AIDS untuk tatapan pelajar. Lazimnya, pihak sekolah
melantik seorang Guru Kesihatan yang bertanggungjawab untuk menyebarkan
maklumat tentang bahaya AIDS dan HIV melalui ceramah, sebaran maklumat dan
pameran. Bagaimanapun terdapat juga kes-kes terpencil di mana Guru Bimbingan
atau Guru Kaunseling dilantik sebagai Guru Pendidikan AIDS dan HIV. Oleh itu,
personel seharusnya bersedia untuk memiliki sekurang-kurangnya pengetahuan asas
tentang HIV dan AIDS serta berkebolehan untuk menjelaskan atau menyampaikan
kepada pelajar tentang simptom, bahaya-bahaya dan cara mengelak diri dari terkena
jangkitan HIV dan AIDS.

MAKLUMAT PENDIDIKAN PENCEGAHAN HIV DAN AIDS

Apa Itu AIDS ?
Menurut Rusli (2002), akronim AIDS merupakan singkatan bagi Acquired Immune
Deficiency Syndrome (Sindrom Kekurangan Daya Keimunan Secara Perolehan).
Daya keimunan atau pertahanan badan yang bertahan daripada serangan penyakit
berkurangan sehingga ke tahap yang mengakibatkan individu berkenaan tersangat
mudah dijangkiti oleh beraneka kuman. Kuman-kuman yang bertanggungjawab
untuk melumpuh serta membinasakan sistem keimunan seseorang individu itu
merupakan sejenis virus yang dinamakan Human Immunodefiency Virus (HIV).

Virus HIV
Virus HIV merupakan hidupan atau makhluk ciptaan Allah s.w.t. yang paling kecil
yang pernah ditemui. Virus hanya mengandungi sama ada bahan genetik DNA
(Deoxyribonucleic Acid) atau RNA (Ribonucleic Acid) yang berkaitan dengan
sintesis bahan-bahan penting untuk melakukan fungsi virus berkenaan. Virus HIV
mengandungi bahan genetik RNA yang boleh menukar RNA genom kepada DNA
dengan bantuan sejenis enzim yang dinamakan transkriptase songsang. Oleh itu,
virus HIV dikelaskan sebagai retrovirus kerana mempunyai keupayaan unik untuk
melakukan transkripsi songsang.

Sistem Keimunan
Sistem keimunan merupakan pertahanan khusus di dalam tubuh manusia. Sistem
imun merangkumi pelbagai elemen yang dapat mengelakkan diri manusia daripada
jangkitan pelbagai sumber jangkitan atau penyakit. Sistem imun manusia terdiri
daripada komponen-komponen seperti organ, tisu, sel dan pengantara larut tertentu.
Terdapat dua jenis organ sistem imun iaitu organ limfoid primer (sistem limfoid
pusat) dan organ limfoid sekunder (sistem limfoid periferi). Organ limfoid primer
terdiri daripada timus dan sumsum tulang yang berfungsi sebagai pusat penghasilan
atau pematangan sel-sel imun. Organ limfoid sekunder pula terdiri daripada limpa,
nodus-nodus limfa dan apa-apa tisu yang berkaitan dengan tisu limfoid. Organ ini
merupakan tapak bagi aktiviti dan saling tindak komponen sistem imun yang lain.

Sistem keimunan manusia terbahagi kepada dua iaitu keimunan tak spesifik
dan keimunan spesifik. Keimunan tak spesifik ialah fungsi pertahanan yang sedia
ada apabila manusia dilahirkan atau dikenali sebagai keimunan semulajadi. Contoh
keimunan semulajadi ialah faktor fizikal seperti kulit dan membran mukosa, sel-sel


Click to View FlipBook Version