The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Fauziah Gee, 2020-12-06 06:31:24

MALAYSIA 2014

Hbec_2303publication

bawah Akta Majlis Perundingan Negara 2011, kenyataan-kenyataan media,
artikel-artikel dan video berhubung gaji minimum untuk rujukan. Berikutan
pelancaran Portal Gaji Minimum ini juga, beberapa Siri Klinik Gaji Minimum
diadakan di seluruh negara bermula dengan siri pertama yang melibatkan para
pemain industri. Klinik ini diadakan bagi membolehkan pelbagai agensi yang
berkaitan berkongsi maklumat dan pandangan tentang kaedah serta manfaat
positif dalam melaksanakan gaji minimum.

KEKK 2013 pertama kali dianjurkan bagi memberikan
pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan
bidang kemahiran dan peluang latihan yang ditawarkan

Karnival Dan Ekspo Kemahiran Kebangsaan (KEKK)
KEKK 2013 merupakan program berskala besar dan julung kali dianjurkan
oleh Kementerian Sumber Manusia telah diadakan di Taman Ekspo Pertanian
Malaysia (MAEPS) Serdang dari 26 - 29 September 2013. Majlis Perasmian
disempurnakan oleh Dato’ Sri Richard Riot Jaem, Menteri Sumber Manusia
pada 27 September 2013 manakala majlis penutup pula disempurnakan
oleh Dato’ Ismail Abd Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia pada 29
September 2013. KEKK bakal diadakan setiap 2 tahun bagi memberikan
pendedahan kepada orang ramai mengenai bidang dan latihan kemahiran
yang menjadi tunjang kepada pembangunan modal insan berpengetahuan
berorientasikan teknologi. Seramai 90,000 orang mengunjungi KEKK 2013
melepasi sasaran yang ditetapkan.

Malaysia 2014 339

Akta Umur Persaraan Minimum
Akta Umur Persaraan Minimum 2012 telah mula dilaksanakan pada 1 Julai
2013 ke atas semua majikan sektor swasta di seluruh Malaysia. Melalui Akta
ini, umur persaraan minimum seseorang pekerja ditetapkan pada umur 60
tahun. Penetapan tersebut dijangka memanfaatkan seramai 7.98 juta pekerja
dalam sektor swasta. Bagi menjamin proses penguatkuasaan dan siasatan
Akta yang lebih efisyen, satu Peraturan di bawah Akta Umur Persaraan
Minimum 2012 telah digubal untuk kegunaan para pegawai penguatkuasaan
Jabatan Tenaga Kerja. Peraturan yang dinamakan Peraturan-peraturan Umur
Persaraan Minimum (Siasatan) 2013, telah diwartakan pada 23 Disember 2013
dan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2014. Penggubalan Akta ini merupakan
satu usaha untuk melanjutkan tempoh pekerjaan dan mengurangkan tempoh
persaraan pekerja. Namun dalam masa yang sama, tidak menjejaskan peluang
pekerjaan bagi golongan muda. Perlanjutan tempoh pekerjaan ini akan dapat
mengekalkan pekerja-pekerja yang berpengalaman luas dalam bidang masing-
masing serta menyumbang kepada matlamat negara untuk menjadi negara
maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Seramai 12,000 pekerja daripada sektor awam dan swasta membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil bagi
memeriahkan Sambutan Hari Pekerja 2013 pada 22 Jun 2013 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri
Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Sambutan Hari Pekerja 2013
Sambutan Hari Pekerja tahun 2013 telah diadakan pada 22 Jun 2013 bertempat
di Stadium Putra Bukit Jalil. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Perdana
Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah menyampaikan

340 Malaysia 2014

amanat dan penghargaan kepada warga pekerja yang hadir seramai 12,000
orang dari sektor awam dan swasta. Sambutan yang bertemakan ‘Pekerja
Pemangkin Transformasi Negara’ turut memberi Anugerah Hari Pekerja kepada
pekerja dan majikan cemerlang.

Program Saringan Kesihatan
Majlis Pelancaran Program Saringan Kesihatan telah disempurnakan oleh
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin pada 18
Februari 2013. Sehingga 31 Disember 2013 seramai 326,690 orang berinsurans
telah menjalani saringan kesihatan dengan perbelanjaan melebihi RM27 juta.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan melalui PERKESO yang diumumkan
dalam Pembentangan Bajet 2013 pada 28 September 2012.

JABATAN/AGENSI

Jabatan Tenaga Manusia (JTM)
JTM yang dahulunya lebih dikenali sebagai Jabatan Tenaga Rakyat (JTR)
ditubuhkan secara rasmi pada 8 Mei 1969. Pada tahun 2002, bidang
tugas JTM telah dirombak dan dikhususkan kepada satu aktiviti utama iaitu
membantu negara ke arah penggunaan tenaga manusia yang optimum.
Pelaksanaan aktiviti tersebut adalah melalui program latihan perindustrian
untuk mengeluarkan dan meningkatkan bilangan tenaga mahir serta berdaya
saing agar memenuhi keperluan sektor perindustrian di Malaysia.

Jabatan Tenaga Manusia, Aras 6, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-88865555/6 Faks: 03-88892412/2417 Laman
web: www.jtm.gov.my

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM)
JTKSM telah ditubuhkan pada tahun 1912 dengan nama Jabatan Buruh.
JTKSM bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan ekonomi dan
sosial warga pekerja melalui pelaksanaan standard perburuhan dan langkah-
langkah perlindungan yang ditetapkan di bawah dasar dan undang-undang
buruh negara; membantu meningkatkan daya pengeluaran negara melalui
pelaksanaan sistem pentadbiran perburuhan negara secara berkesan
untuk mewujudkan satu angkatan tenaga kerja yang terjaga, berdisiplin dan
produktif; pemberian khidmat nasihat undang-undang buruh bagi membantu
meningkatkan kecekapan proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan.
Ia juga membantu menggalakkan keseimbangan kaum dalam struktur guna
tenaga di sektor swasta; membantu dalam pelaksanaan dasar guna tenaga
dengan memberi keutamaan peluang pekerjaan kepada warganegara melalui
pencegahan dan pengawalan penggajian pekerja-pekerja bukan warganegara;
membantu meningkatkan kualiti kehidupan para pekerja di sektor perladangan;

Malaysia 2014 341

membantu menghidupkan konsep masyarakat penyayang melalui pelaksanaan
kepentingan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dan yang
memerlukan perlindungan khas.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Aras 5, Blok D3, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-88865192
Faks: 03- 88892368 Laman web: http://jtksm.mohr.gov.my

Jabatan Tenaga Kerja Sabah
Jabatan Tenaga Kerja Sabah mula wujud semasa pentadbiran British North
Borneo Company dalam tahun 1880-an. Antara tanggungjawab yang
dimainkan oleh jabatan ini ialah melatih pegawai dan kakitangan, menjalankan
penyelidikan dan perancangan, melakukan pemeriksaan statutori ke tempat-
tempat pekerjaan untuk menentukan peruntukan Undang-undang Buruh
dipatuhi oleh para majikan dan pekerja, menyiasat dan menyelesaikan aduan-
aduan buruh dan tuntutan pampasan pekerja, mengawal pengambilan dan
penggajian pekerja-pekerja bukan pemastautin melalui pengeluaran Lesen
Untuk Menggaji Pekerja Bukan Pemastautin.

Jabatan Tenaga Kerja Sabah (Ibu pejabat), Tingkat 1, Blok C & D, Bangunan KWSP, P.O
Box 14557, 88852 Kota Kinabalu, Sabah. Tel: 088 238 755/233 820/237 258. Faks:
088 242 445 Laman web: http://jtksbh.mohr.gov.my

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak
Jabatan Tenaga Kerja Sarawak telah ditubuhkan pada 27 Julai 1960 dan dikenali
sebagai Jabatan Buruh Sarawak (JBSWK). Antara fungsi Jabatan ini ialah
menasihati Menteri Sumber Manusia menerusi Ketua Setiausaha Kementerian
Sumber Manusia, pihak kerajaan Negeri Sarawak, orang awam dan warga
industri mengenai perundangan perburuhan dan hal ehwal perburuhan di
Sarawak; menyiasat dan memutuskan penyelesaian terhadap pertikaian warga
industri berkaitan pembayaran, terma dan syarat penggajian, perkara di bawah
bidang kuasa Akta Pampasan Pekerja 1952 dan menjalankan pendakwaan
berhubung perlanggaran peruntukan undang-undang perburuhan di dalam
Mahkamah; bekerjasama dengan pihak Polis berkenaan hal keselamatan,
terutama Peraturan-peraturan Keselamatan Dalam Negeri (Pendaftaran Buruh),
1960.

Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Tingkat 13, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang
Tiga, 93532 Kuching, Sarawak. Tel: 082-242261 Faks: 082-244909 Laman web:
jtkswk.mohr.gov.my

342 Malaysia 2014

Mahkamah Perusahaan Malaysia
Mahkamah Perusahaan telah ditubuhkan pada tahun 1940 di bawah ‘Industrial
Court and Court of Inquiry Rules’ tetapi tidak dapat berfungsi akibat penaklukan
Jepun. Mahkamah Perusahaan berfungsi untuk membicarakan dan menurun
keputusan atau award pertikaian perusahaan sama ada yang dirujuk Menteri
atau rujukan terus oleh pihak yang bertikai; mendaftar dan memberi pengiktirafan
perjanjian kolektif yang diamanahkan oleh majikan/kesatuan.

Mahkamah Perusahaan Malaysia, Jalan Mahkamah Persekutuan, 50544 Kuala Lumpur.
Tel: 03-9236 5000 Faks: 03-2691 6418 Laman web: www.mp.gov.my

Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM)
JPPM ditubuhkan pada 21 Disember 1972 bertujuan untuk memupuk
serta memelihara perhubungan yang positif dan harmoni di antara majikan
dan pekerja serta kesatuan-kesatuan sekerja bagi mewujudkan suasana
perhubungan perusahaan yang aman dan tenteram dalam negara. Matlamat
utama JPPM adalah untuk membantu iklim pelaburan yang bersesuaian untuk
menarik pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara bagi merangsang ekonomi
negara di samping membantu meningkatkan daya pengeluaran negara.

Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Aras 9, Blok D4, Kompleks D, Pusat
Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-8871 1205 Faks: 03-8889
2355 Laman web: jpp.mohr.gov.my

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja
Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dahulunya dikenali sebagai Pejabat
Pendaftar Kesatuan Sekerja telah ditubuhkan pada Julai 1946 untuk
menguatkuasakan Enakmen Kesatuan Sekerja 1940. Antara fungsi Jabatan
ini ialah untuk menguatkuasakan Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Peraturan-
Peraturan Kesatuan Sekerja 1959 seperti menyelia, mengarah dan mengawal
secara am mengenai semua perkara yang berkaitan dengan kesatuan sekerja
di negara ini dan menimbangkan permohonan-permohonan untuk pendaftaran
kesatuan sekerja yang ditubuhkan oleh para pekerja dan majikan.

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Aras 8, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran
Persekutuan, 62500 Putrajaya. Tel: 03-8886 5000 Faks: 03-8889 2429 Laman web:
jheks.mohr.gov.my

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bertanggungjawab
untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang
sedang bekerja serta melindungi orang-orang lain daripada bahaya-bahaya
keselamatan dan kesihatan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan.

Malaysia 2014 343

Ia merangkumi pelbagai sektor iaitu pengilangan, perlombongan dan kuari,
pembinaan, hotel dan restoran, pertanian, perhutanan dan perikanan,
pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi, perkhidmatan awam dan pihak
berkuasa berkanun, kemudahan gas, elektrik, air dan perkhidmatan kebersihan,
kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Aras 2,3 & 4, Blok D3, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-88865342/3 Faks:
03-88892443 Laman web: www.dosh.gov.my

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dahulunya dikenali sebagai Majlis
Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) ditubuhkan pada 2 Mei 1989 melalui
penyusunan Lembaga Latihan Perindustrian dan Persijilan Ketukangan
Kebangsaan (LLPPKK). Tujuan utama penubuhan JPK adalah bagi merumus,
menggalak dan menyelaras strategi dan program latihan kemahiran sejajar
dengan keperluan serta perkembangan teknologi dan ekonomi negara. Nama
MLVK telah ditukarkan kepada JPK setelah Akta Pembangunan Kemahiran
Kebangsaan 2006 [Akta 652] telah dikuatkuasakan mulai 1 September 2006.
Fungsinya adalah meluluskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan dan
menasihati Menteri Sumber Manusia tentang pembangunan kemahiran.

Jabatan Pembangunan Kemahiran, Aras 7 & 8, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran
Kerajaan Persekutuan, 62530 Putrajaya. Tel: 03-8886 5589 Faks: 03-8889 2423 Laman
web: www.dsd.gov.my

Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA)
Kerajaan menyedari akan hakikat bahawa dalam persaingan global masa kini,
usaha menarik pelaburan dan sumber hanya akan dapat ditangani melalui
pengurusan sumber manusia yang berkesan. Justeru, Institut Sumber Manusia
Kebangsaan (ISMK) ditubuhkan berdasarkan teras strategik Pelan Induk Ketiga
Perindustrian Negara (Third Industrial Master Plan) 2005 – 2010. Tenaga buruh
merupakan salah satu elemen penting dalam meyokong usaha Negara untuk
menjadi sebuah Negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan telah memperkenalkan Inisiatif
Pembaharuan Strategik Pembangunan Modal Insan (SRI HCD) di bawah Dasar
Transformasi Negara (DTN). Melalui SRI HCD, ISMK telah dijenamakan semula
menjadi Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), berkuatkuasa
mulai 1 Mei 2012. Selari dengan penjenamaan semula ini, ILMIA telah diberi
tanggungjawab dan peranan yang baru iaitu untuk menyediakan pengkalan
data berpusat sebagai asas bagi analisis pasaran buruh untuk menyokong
penggubalan dasar-dasar Kerajaan.

344 Malaysia 2014

Institut Maklumat & Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Kementerian Sumber Manusia,
G07-G12,Right Wing, Block 2320, Century Square, Jalan Usahawan, Cyber 6, 63000
Cyberjaya, Selangor, Malaysia Tel: 03-8318 2433 Faks:03-8318 0709 Laman web:
www.ilmia.gov.my

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ditubuhkan untuk memberi
perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja-pekerja dan tanggungan
mereka apabila berlaku kontingensi bencana kerja termasuk penyakit dan
keilatan atau kematian akibat sebarang sebab kepada pekerja itu melalui dua
skim insurans iaitu Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.
Objektif utamanya adalah memastikan dan menjamin pembayaran faedah
yang secukupnya dalam masa yang tepat dengan keadilan sosial serta
mempertingkatkan taraf keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Pertubuhan Keselamatan Sosial, Menara PERKESO, 281, Jalan Ampang, 50538 Kuala
Lumpur Tel: 03-4264 5000 Pusat Panggilan: 03-4257 5755 Faks: 03-4256 7798 Laman
web: www.perkeso.gov.my

Pembangunan Sumber Manusia Berhad
Pewujudan Skim Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM)
adalah sangat penting dari segi pembangunan negara dan selaras dengan
usaha-usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju
menjelang tahun 2020. Fungsi PSMB seperti diperuntukkan di bawah Akta
Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 adalah untuk menilai dan
menentukan jenis-jenis, takat latihan dan latihan semula pekerja selaras
dengan keperluan-keperluan sumber manusia bagi industri-industri; untuk
menggalakkan dan meningkatkan latihan tenaga manusia; menentukan terma-
terma dan syarat-syarat yang di bawahnya apa-apa bantuan kewangan atau
pemberian yang hendak diberikan.

Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Wisma PSMB, Jalan Beringin, Damansara
Heights, 50490 Kuala Lumpur. Tel: 1800-88-4800 / 03-2096 4800 Laman web:
www.hrdf.com.my

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH)
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) ditubuhkan
sebagai syarikat dengan jaminan pada 24 Jun 1992. Fungsi NIOSH
adalah untuk memberi latihan, khidmat runding dan nasihat, menyebar
maklumat serta menjalankan penyelidikan, dalam bidang keselamatan dan
kesihatan pekerjaan. Seperti yang termaktub di dalam Memorandum dan
Tataurusan Syarikat, matlamat NIOSH adalah untuk menyumbang ke arah
usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui

Malaysia 2014 345

pembangunan kurikulum dan program latihan untuk pekerja, majikan dan
mereka yang bertanggungjawab, secara langsung atau sebaliknya, terhadap
keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, Lot 1, Jalan 15/1, Seksyen 15,
43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Tel: 03-8769 2100 Faks: 03 8926 2900 Laman web:
www.niosh.com.my

Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ditubuhkan melalui Akta
Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) dan berkuat kuasa pada 1
Jun 2006. PTPK menguruskan satu dana pusingan, iaitu Tabung Pembangunan
Kemahiran (TPK) yang bertujuan memberi pinjaman kepada pelatih jurusan
teknikal dan vokasional di penyedia-penyedia latihan kemahiran awam atau
swasta. Matlamat PTPK adalah untuk memberi peluang yang lebih luas
kepada orang ramai untuk mendapatkan latihan kemahiran dengan pemberian
pinjaman. Pinjaman ini dibuka kepada pelatih yang menjalani program latihan
Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan
Kemahiran dan diluluskan oleh PTPK.

Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Aras 15,16,17,18,19 dan 27 Menara
Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra, No 45, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur
Tel: 03-40476200 Faks: 03-40476108 Laman web: www.ptpk.gov.my

Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan
Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan adalah forum tripartite yang berperanan
membincangkan hal-hal berkaitan buruh dan isu-isu tenaga kerja termasuk
polisi perburuhan dan perundangan. Ia berperanan untuk memberikan
pandangan kepada Menteri Sumber Manusia berhubung suasana keharmonian
perusahaan bagi meningkatkan produktiviti pekerja. Majlis ini dipengerusikan
oleh Menteri Sumber Manusia dan dianggotai oleh 14 orang wakil dari pihak
kerajaan, 14 orang wakil dari pihak majikan dan 14 wakil dari pihak pekerja.

Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP)
MNKKP adalah sebuah badan tertinggi yang bertanggungjawab menentukan
hala tuju dan dasar negara berhubung dengan keselamatan dan kesihatan
pekerjaan di Malaysia. Ia ditubuhkan oleh Menteri Sumber Manusia pada
tahun 1995 mengikut kehendak Seksyen 8, Akta Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan 1994 (Akta 514). Penubuhan MNKKP bertujuan sebagai usaha
berterusan kerajaan untuk menjadikan semua tempat kerja di Malaysia selamat
di samping meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Seterusnya menjadikan amalan kerja selamat dan sihat sebagai sebahagian
daripada budaya kerja rakyat Malaysia.

346 Malaysia 2014

Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN)
MPGN ditubuhkan di bawah seksyen 3 Akta 732. Majlis ini berperanan
menasihati Kerajaan tentang semua perkara yang berhubungan dengan gaji
minimum termasuk perkembangannya di peringkat antarabangsa, membuat
syor kepada Kerajaan tentang kadar dan liputan gaji minimum mengikut sektor,
jenis pekerjaan dan kawasan wilayah. MPGN diberi kuasa untuk mengkaji
semula Perintah Gaji Minimum sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap 2
tahun. Keanggotaan MPGN terdiri daripada 6 orang wakil majikan, 6 orang
wakil pekerja, 6 orang wakil pegawai awam dan 5 orang anggota lain.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan anugerah kepada para
pemenang pada Majlis Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2013 yang diadakan pada 23
Januari 2014. MATEPM merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada pemenang terbaik
keseluruhan di Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) dan Myskills 2013 bagi 22 bidang yang
dipertandingkan

Malaysia 2014 347

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013

Aras G-7, Blok 2, Menara Seri Wilayah
Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 Putrajaya

Telefon : 03-8889 7888

Faks : 03-8889 7922

Laman Web : www.kwp.gov.my

348 Malaysia 2014

MENTERI

YB Dato’ Seri Tengku
Adnan Bin Tengku
Mansor

TIMBALAN MENTERI

YB Dato’ Dr. Loga
Bala Mohan A/L
Jaganathan (Senator)

Kerajaan sedang melaksanakan projek pengindahan
besar-besaran sungai-sungai di Kuala Lumpur yang
juga dikenali sebagai projek River of Life. Kerajaan
tidak mahu wang berbilion ringgit yang dibelanjakan
untuk membersihkan dan mengindahkan sungai ini
menjadi sia-sia oleh kerana kekotoran yang dibuang
atau mengalir terus ke sungai”

Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Menteri Wilayah Persekutuan

Malaysia 2014 349

PENGENALAN
Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan pada tahun 1979 untuk
menjalankan tugas dan fungsi sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta
Fungsi-Fungsi Menteri 1969. Pada masa itu, Kementerian Wilayah Persekutuan
juga berfungsi sebagai penyelaras perancangan dan pembangunan Kuala
Lumpur dan kawasan Lembah Klang. Namun, bermula 1981, statusnya
diturunkan sebagai satu bahagian di bawah pentadbiran Jabatan Perdana
Menteri yang beroperasi sebagai Unit Perancangan Lembah Klang. Menerusi
penyusunan semula Kabinet pada 2004, Kementerian Wilayah Persekutuan
ditubuhkan semula untuk memberi tumpuan khusus terhadap kemajuan
Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) di samping
bertanggungjawab untuk menyelaras Perancangan Lembah Klang. Sementara
itu, pada 23 Oktober 2009, menerusi Pembentangan Bajet 2010 Perdana
Menteri telah mengumumkan perluasan peranan Kementerian meliputi
program kesejahteraan bandar yang membawa kepada pertukaran nama
kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Kini,
melalui penstrukturan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tahun 2013,
Kementerian kembali kepada fungsi asalnya dan fungsi kesejahteraan bandar
diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

PENCAPAIAN DAN AKTIVITI PENTING 2013

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013
Pada tahun 2013, Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada setiap
1 Februari telah diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Bandar
Tun Razak. Sambutan kali kesembilan ini memilih tema ‘Perpaduan Teras
Kesejahteraan Wilayah Persekutuan’. Upacara perbarisan dan perarakan
disertai oleh 144 kontinjen dengan jumlah penyertaan seramai 8,200 peserta
yang melibatkan penyertaan dari pelajar-pelajar, agensi kerajaan, NGO,

350 Acara Perarakan dan Perbarisan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2013 yang diadakan di
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak

Malaysia 2014

persatuan penduduk, GLC, badan-badan korporat, agensi pelancongan, ahli
sukan dan unit beruniform. Program Konvoi Berbasikal SHWP 2013 turut
diadakan dan disertai lebih 1,300 peserta sejauh 25km.

Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013
Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya 2013 anjuran Perbadanan
Putrajaya bersama-sama rakan pengajur Duago Corporation Sdn. Bhd. telah
diadakan di Pusat Maritim, Presint 5, Putrajaya pada 30-31 Ogos, 13,14 dan
15 September dan 2 Oktober 2013. Pelancaran pertandingan disempurkan
oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abduk Razak pada malam 30
Ogos 2013 sempena Sambutan Ambang Merdeka. Sebanyak enam negara
menyertai pertandingan kali ini iaitu China, Emiriyah Arab Bersatu, Amerika
Syarikat, Korea Selatan, Perancis dan Malaysia. Pertunjukan bunga api yang
diiringi muzik dan persembahan pancaran laser memberi kelainan pada
pertandingan yang telah berjaya menarik 500,000 pengunjung.

Festival Taman dan Bunga Putrajaya (FLORIA) 2013
FLORIA Putrajaya merupakan pameran bunga dan taman berbentuk festival
yang dianjurkan bermula 2007. Semenjak 2009 acara ini dijadikan acara tahunan
berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung. FLORIA
2013 merupakan sambutan kali keenam dan telah menarik 23 penyertaan
daripada 18 negara iaitu Australia, China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Itali,
Jepun, Kenya, Korea, Myanmar, New Zealand, Filipina, Romania, Singapura,
Afrika Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Dianggarkan sejuta orang telah
mengunjungi Taman Orchid Floria 2013 yang bertemakan “Appreciating The
Equisite Blooms”.

Ekspo Minyak dan Gas 2013 WP Labuan
Buat kali ketiga Wilayah Persekutuan (W.P.) Labuan menganjurkan Ekspo
Minyak dan Gas 2013 pada 12 – 14 November 2013 bertempat di Ujana
Kewangan, W.P. Labuan. Pameran disertai daripada syarikat luar negara
antaranya daripada negara China, Indonesia, Singapura dan Amerika Syarikat
termasuk beberapa agensi kerajaan. Seramai 3,870 orang telah mengunjungi
ekspo yang telah berjaya mewujudkan transaksi sebanyak RM200 juta.
Sementara itu, Perbadanan Labuan turut menganjurkan “Job Fair” sempena
ekspo tersebut bagi memberi peluang kerjaya kepada penduduk tempatan
dalam bidang minyak dan gas.

Pencapaian Projek Greater KL/KV
Peruntukan EPP Greater KL/KV bagi tahun 2013 sebanyak RM47 juta untuk
peruntukan mengurus dan RM742 juta untuk peruntukan pembangunan telah
disalurkan kepada agensi pelaksana. Pencapaian Greater KL/KV pada tahun
2013 adalah seperti berikut:

Malaysia 2014 351

• EPP 1 - InvestKL berjaya memuktamadkan 15 syarikat multinasional
daripada Eropah, Asia dan Amerika Utara.

• EPP 2 - Talent Corp berjaya menarik 2,316 pekerja berkelayakan dan
berpengalaman di bawah Returning Expert Programme, sejumlah 2,096
pekerja lagi di bawah Residence Pass Talent Programme.

• EPP 3 - Projek KL-Singapore High Speed Rail, diketuai oleh Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), telah menyiapkan Fasa 1B Kajian
Kesesuaian/Kebolehlaksanaan Terperinci. Kini, projek berada pada Fasa
2A merangkumi persediaan Pelan Pembangunan Sosio Ekonomi, Analisa
Impak Persekitaran dan perbincangan dengan Kerajaan Singapura.

• EPP 4 - Projek Mass Rapid Transit (MRT), kerja-kerja pembinaan
terowong dan elevated guide-ways telah bermula pada 2013. Kebanyakan
infrastruktur fizikal akan disiapkan menjelang penghujung 2014.

• EPP 5 - Projek River of Life (RoL) telah melepasi sasaran tahunan kepada
105%. Beberapa projek di bawah inisiatif pembersihan sungai diketuai
oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan
Pembentungan (JPP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis
Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya
(MPAJ) telah disiapkan. Pencapaian utama RoL adalah kejayaan Program
Public Outreach dengan komuniti setempat yang mendiami kawasan
sepanjang koridor sungai untuk memberikan kesedaran untuk memastikan
kebersihan sungai.

• EPP 6 - Greener KL, EPP #7 Iconic Places dan EPP #8 Pedestrian Network
diwujudkan untuk menambahbaik faktor daya huni Kuala Lumpur. Dengan
lebih daripada 45,000 pokok ditanam di kawasan bandar, Greener KL telah
berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan pada 154%.

• EPP 7 - Pengurusan Sisa Pepejal menyasarkan untuk memanjangkan dan
mengurangkan penggunaan sanitary landfill. Mesin-mesin untuk kerja-
kerja pembangunan kemudahan pemusnahan sisa telah dihantar ke Sg.
Kertas, sementara isu tanah untuk Loji Anaerobic Digestion, Sungai Besi
telah berjaya diselesaikan.

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan
Wilayah Persekutuan (DKBPWP)
DKBPWP 2013 telah berlangsung di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala
Lumpur pada 1 Februari 2013 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Kementerian Wilayah Persekutuan telah melaksanakan Penganugerahan
Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sebagai acara
tahunan semenjak tahun 2008 bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan
warga Wilayah Persekutuan yang banyak berjasa membangunkan wilayah ini
serta mereka yang bukan bermastautin tetapi turut memberi sumbangan dan
khidmat yang cemerlang dan terbilang untuk Wilayah Persekutuan. Sebanyak

352 Malaysia 2014

1,326 pencalonan telah diterima iaitu peningkatan sebanyak 13.4% berbanding
tahun lepas iaitu sebanyak 1,148 pencalonan. Istiadat Penganugerahan Darjah
Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan disempurnakan oleh Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam
Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

JABATAN/AGENSI

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Daripada sebuah pekan kecil Kuala Lumpur telah menjadi Ibu Kota Negara
dan sebuah bandar yang terbesar di Malaysia. Bandar Raya Kuala Lumpur kini
menjadi penting dan menjalankan peranan dalam pelbagai bidang termasuk
perniagaan, kewangan, pentadbiran, pendidikan, agama, kebudayaan dan
sukan. Hal ehwal perbandaran Kuala Lumpur ditadbirkan oleh satu perbadanan
tunggal (sole corporation) sejak 1 April 1961 iaitu Pesuruhjaya Ibu Kota yang
kemudian diubah kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur apabila Kuala Lumpur
dianugerahkan taraf Bandar Raya pada 1 Februari 1972.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala
Lumpur Tel: 03-2617 9000 Laman web: www.dbkl.gov.my

Floria 2013

Malaysia 2014 353

Pertunjukan Bunga Api di Putrajaya

Perbadanan Putrajaya (PPJ)
PPJ telah ditubuhkan di bawah Akta 536 Perbadanan Putrajaya 1995 bagi
tujuan mengurus dan mentadbir Wilayah Persekutuan Putrajaya. Perbadanan
Putrajaya juga dipertanggungjawabkan dengan fungsi sebagai pihak berkuasa
tempatan dan pihak berkuasa perancangan tempatan melalui beberapa
perintah dan pemberitahuan di bawah Akta Kerajaan Tempatan. Peranan
PPJ antaranya untuk menyediakan infrastruktur, perumahan, mempromosi
pembangunan perdagangan, serta merangsang pembangunan sosioekonomi.

Perbadanan Putrajaya, Kompleks Perbadanan Putrajaya, 24, Persiaran Perdana, Presint 3,
62675 Putrajaya. Tel: 03-88877000 Faks: 03-88875000 Laman web: www.ppj.gov.my

Perbadanan Labuan (PL)
PL ditubuhkan pada 1 Julai 2001 hasil penggabungan dua agensi utama yang
terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Lembaga Pembangunan Labuan
dan Majlis Perbandaran Labuan. Berdasarkan Akta 609 - Akta Perbadanan
Labuan 2001, PL berperanan untuk memaju dan merangsang pembangunan
di Wilayah Persekutuan Labuan dalam sektor pelancongan, sebagai kawasan
bebas cukai, perdagangan, kewangan, perumahan, infrastruktur serta
meningkatkan sosioekonomi dan kualiti hidup penduduk setempat.

354 Malaysia 2014

Perbadanan Labuan, Wisma Perbadanan Labuan, Jalan Merdeka, Peti Surat 81245,
87022 Wilayah Persekutuan Labuan Tel: 087-408600/408601 Faks: 087-428997 Laman
Web: www.pl.gov.my

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP)
MSWP ditubuhkan pada tahun 1979 di bawah Akta Majlis Sukan Negara 1971.
Majlis Sukan Kuala Lumpur yang pada masa itu berada di bawah pentadbiran
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertanggungjawab untuk melaksanakan
program pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mulai
28 Oktober 1996, Majlis Sukan Kuala Lumpur dipisahkan daripada Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur dan diletakkan di bawah Bahagian Kemajuan Wilayah
Persekutuan dan Perancangan Lembah Klang, Jabatan Perdana Menteri
mengikut keputusan Jawatankuasa Kerja Bagi Mengkaji Jawatan-Jawatan
Tertinggi. Apabila Kementerian Wilayah Persekutuan ditubuhkan kembali pada
2004, ia mengambil tindakan menubuhkan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan
dan penubuhan tersebut telah diwartakan pada 9 Mac 2006. MSWP bertindak
sebagai badan induk kepada Majlis Sukan Kuala Lumpur, Majlis Sukan Labuan
dan Majlis Sukan Putrajaya.

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Aras 2, Blok 1, Menara PjH, Presint 2, 62100 Putrajaya.
Tel: 03-88897888 Faks: 03-8881 0196

Malaysia 2014 355

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Festival Belia 2013

Menara KBS
No. 27, Persiaran Perdana
Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62570 Putrajaya

Telefon : 03-8871 3333/3000

Faks : 03-8888 8770

Laman Web : www.kbs.gov.my

356 Malaysia 2014

MENTERI

YB Tuan Khairy
Jamaluddin Bin Abu

Bakar

TIMBALAN MENTERI

YB Dato’ Saravanan
A/L Murugan

Melalui persidangan ini (ACOS 2013), kita dapat
berkongsi amalan terbaik dalam kalangan negara
ASEAN mengenai pelaksanaan ‘Sukan Untuk Semua’
iaitu penerapan budaya sukan dalam kalangan
masyarakat peringkat akar umbi”

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Menteri Belia dan Sukan

Malaysia 2014 357

PENGENALAN
Sejarah penubuhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bermula pada
tahun 1953 dengan tertubuhnya Bahagian Kebudayaan di bawah Jabatan
Kebajikan Masyarakat yang bertanggungjawab mengenai belia. Pada tahun
1964, Bahagian Kebudayaan ini telah dipindahkan di bawah Kementerian
Penerangan. Ekoran daripada perkembangan pesat dalam kegiatan belia secara
berpersatuan, Bahagian Belia dan Bahagian Sukan telah ditubuhkan di bawah
kementerian ini bertujuan memupuk serta memantau perkembangan tersebut.
Kementerian Belia dan Sukan diwujudkan pada 15 Mei 1964, bersempena
Hari Belia Negara. Pada tahun 1972, Bahagian Kebudayaan telah diwujudkan
dan nama Kementerian Belia dan Sukan telah diubah kepada Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan. Portfolio ini kekal sehingga tahun 1987 apabila
Bahagian Kebudayaan telah dipindahkan di bawah Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan. Dengan perpindahan Bahagian Kebudayaan itu,
nama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah kembali kepada nama
asalnya iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hingga sekarang. KBS telah
diamanatkan untuk melaksanakan dasar kerajaan Malaysia khususnya dalam
pembangunan belia dan sukan.

PENCAPAIAN DAN AKTIVITI PENTING 2013

Persidangan ASEAN Mengenai Sukan Untuk Semua 2013 (ACOS 2013)
ACOS 2013 berlangsung pada 30 hingga 31 Oktober 2013 di Putrajaya. Melalui
persidangan ini, Negara anggota dapat berkongsi amalan terbaik mengenai
pelaksanaan Sukan Untuk Semua, iaitu penerapan budaya sukan dalam
kalangan masyarakat peringkat akar umbi. Persidangan dua hari itu dihadiri
145 peserta termasuk 30 wakil dari negara ASEAN.

Program ‘Lend A Hand’
Program ‘Lend A Hand’ yang berteraskan kesukarelawan telah dianjurkan oleh
Cawangan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan bermula 22 Jun hingga
24 Jun 2013 bertempat di Lorong Seni, Menara Kementerian Belia dan Sukan.
Pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang 2 hari program antaranya RockCorp,
Do Something Good, 1M4U, Celebrity Corner (Suara Generasiku), Charity Ria,
Charity Bazaar, Mad Hop Clinic, Yike Bike dan Car Boot Sale. Semua acara
berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga jam 6.00 petang. Keadaan berjerebu
tidak menghalang anak muda untuk datang memeriahkan aktiviti yang ada
sepanjang dua hari ini. Ketua Setiausaha KBS, Datuk Jamil Salleh juga tidak
melepaskan peluang bersama anak muda untuk menyaksikan kemeriahan
program ini. Persembahan jalanan yang menarik perhatian pengunjung
turut menggamit suasana di Lorong Seni. Sudut Master Chef juga menjadi

358 Malaysia 2014

penyeri apabila ‘alumni’ dari program MasterChef Malaysia sendiri membuat
persembahan masakan untuk tontotan peserta. Menteri Belia dan Sukan, Tuan
Khairy Jamaluddin turut hadir memeriahkan acara pada 23 Jun 2013.

Kompleks Rakan Muda Puchong jadi Pusat iM4U
Pusat iM4U diwujudkan untuk belia dan sukarelawan berkumpul serta berkongsi
pengalaman masing-masing dan melibatkan diri dalam kegiatan dan aktiviti
yang diminati mereka. Hasrat ini menjadi realiti apabila Kompleks Rakan Muda
Puchong di bawah Kementerian Belia dan Sukan ditransformasikan menjadi
Pusat iM4U. Kerja pengubahsuaiannya dijalankan oleh sukarelawan yang
terlibat dalam iM4U. Kepakaran pelajar universiti digunakan untuk menyumbang
terhadap reka bentuk dan pembinaan semula pusat berkenaan. Pengujudan
pusat ini berikutan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman
(MoU) di antara Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), 1Malaysia For Youth
(iM4U) dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Bangunan Perdana Putra
di Putrajaya disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul
Razak dan Menteri Belia dan Sukan pada 28 Mei 2013.

Festival Belia Putrajaya 2013
Festival Belia Putrajaya 2013 adalah penjenamaan semula Himpunan Jutaan
Belia 2012 yang diadakan pada 23 hingga 26 Mei 2013. Penganjuran acara
sebagai kemuncak kepada sambutan Hari Belia Negara yang disambut pada
setiap 15 Mei telah melakar kejayaan tersendiri walaupun dianjurkan sebulan
selepas Pilihan Raya Umum ke-13. Festival yang berkonsepkan pembangunan
potensi diri, melestari kreativiti dan inovatif, memartabat perpaduan serta jati
diri diisi dengan 30 segmen dan 500 acara. Kesemua pengisian memberi fokus
kepada aktiviti pendidikan, kerohanian, kemahiran, kesenian, bakat, interaksi
dan sukarelawan. Lokasi kesemua acara ini akan diadakan di sepanjang lima
kilometer di Persiaran Perdana, Putrajaya dari Presint 6, 18, dan 20. Festival
Belia Putrajaya 2013 menonjolkan sekurang-kurangnya empat acara yang
menjadi ikonik antaranya ialah pelancaran festival oleh Perdana Menteri pada
25 Mei 2013, Perarakan Mega Belia, acara-acara antarabangsa (melibatkan
ASEAN+3) dan Feista Muzik Dunia.

Sukan SEA ke-27, Myanmar
Penyertaan Malaysia ke temasya Sukan SEA ke-27 di Myanmar menyaksikan
kontinjen negara mengutip 43 pingat emas sekali gus mengatasi sasaran awal
40 pingat emas. Selepas 18 hari temasya dwitahunan itu berlangsung, Malaysia
mengutip keseluruhan 43 pingat emas, 38 perak dan 76 gangsa untuk berada
di tempat kelima dalam kedudukan pingat keseluruhan, berbanding edisi 2011
di Jakarta dan Palembang, Indonesia, apabila Malaysia meraih 59 emas, 50
perak dan 82 gangsa.

Malaysia 2014 359

Sukan Malaysia 2013
Tirai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 dilabuhkan secara sederhana
selepas sebelas hari pertandingan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara
(MSN) Bukit Jalil pada 8 Julai 2013. Majlis penutup yang dihadiri kira-kira
5,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen yang mengambil bahagian itu
disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Selangor muncul
sebagai juara keseluruhan pada temasya kali ini dengan meraih 23 pingat emas,
17 perak dan 30 gangsa. Kejayaan itu adalah yang kelapan buat Selangor. Dua
atlet gimnastik artistik, Daniel Iskandar Richard (Selangor) dan Esmelda Arecia
Menti Alfred Giling (Sarawak), masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Lelaki
Terbaik dan Atlet Wanita Terbaik. Mereka membawa pulang trofi dan hadiah
wang tunai RM1,000 masing-masing. Sebaik sahaja bendera temasya SUKMA
diturunkan dan obor temasya dipadamkan, Khairy kemudian menyerahkan
bendera itu kepada Menteri Besar Perlis, Azlan Man sebagai simbolik Perlis
akan menjadi Tuan Rumah kepada temasya SUKMA ke-17 tahun 2014.

Antara kejayaan arena sukan 2013
• Skuad hoki remaja lelaki Malaysia memahat sejarah tersendiri dengan

mengulangi pencapaian tempat keempat dalam kejohanan Hoki Piala
Dunia Remaja Lelaki seperti yang pernah dicipta pada edisi 1979, 1982
dan 1985.
• Atlet elit olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli merangkul
emas dalam acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran) lelaki
di Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa
(IPC) di Lyon, Perancis pada Julai 2013.
• Loh Sea Keong, pelumba kelahiran Kelantan mencipta sejarah sebagai
pelumba terbaik keseluruhan perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 (jersi
kuning). Rentetan kejayaan yang dikecapi sepanjang 2013, pelumba
profesional negara itu menerima lamaran pasukan Pro Tour, Argos-
Shimano untuk menyertai pasukan itu musim 2014 dan sekali gus menjadi
pelumba tempatan pertama beraksi bersama pasukan berstatus Pro Tour
dalam kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
• Datuk Nicol Ann David dalam sukan skuasy masih mengekalkan ranking
pertama dunia. Juara dunia tujuh kali itu telah menjuarai lima kejohanan
jelajah Persatuan Skuasy Wanita (WSA) iaitu Terbuka Malaysia (15
September), Terbuka Carol Weymuller (6 Oktober), Terbuka Amerika
Syarikat (18 Oktober), Terbuka China (27 Oktober) dan Terbuka Hong Kong
(8 Disember).
• Datuk Lee Chong Wei dalam badminton masih mengekalkan ranking
pertama dunia dan muncul pemain pertama yang memenangi Superseries
Dunia BWF Akhir untuk kali keempat berturut-turut. Kejayaan itu juga
adalah yang ketujuh beliau dalam siri Kejohanan Superseries tahun ini iaitu
di Korea Selatan, Malaysia, India, Indonesia, Jepun dan Hong Kong.

360 Malaysia 2014

JABATAN/AGENSI

Majlis Sukan Negara
Majlis Sukan Negara ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia
1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979). Pelancarannya secara
rasmi telah dilakukan oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia
ke-2 pada 21 Februari 1972. Matlamat penubuhan Majlis Sukan Negara
Malaysia adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara iaitu bertanggungjawab
sepenuhnya ke arah penggalakan, pembangunan dan pencapaian cemerlang
sukan pada pertandingan di peringkat tertinggi.

Majlis Sukan Negara Malaysia, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Sri Petaling, 57000
Kuala Lumpur. Tel: 03-8992 9600 Faks: 03-8996 7708 Laman web: www.nsc.gov.my

Institut Sukan Negara
Penubuhan Institut Sukan Negara (ISN) adalah sejajar dengan Dasar Sukan
Negara yang diluluskan oleh Kabinet pada 20 Januari 1988. Pembinaan ISN
yang mengambil masa kira-kira tiga tahun, telah dirasmikan oleh Dato’ Annuar
Hj. Musa, Menteri Belia dan Sukan ketika itu pada 20 Oktober 1992. Institut
ini ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan sains sukan, perubatan
sukan, penyelidikan dan pembangunan serta pendidikan berterusan ke arah
mencapai kecemerlangan sukan negara. Ia juga merupakan pusat sumber
maklumat dalam memberi ilmu bermanfaat kepada jurulatih-jurulatih negara
seiring dengan fungsi ISN sebagai pusat kecemerlangan sukan negara.

Institut Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Sri Petaling 57000 Kuala
Lumpur. Tel: 03-8992 9600 Faks: 03-8996 8748 Laman web: www.isn.gov.my

Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil
Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (KSNB) adalah kompleks sukan terbesar
di Malaysia. Ia terletak di Bukit Jalil, 20 km sebelah selatan Kuala Lumpur.
“Kompleks sukan dalam taman” ini mula dibina pada tahun 1992 ketika
Malaysia dilantik menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998. Kompleks ini
dibuka secara rasmi pada 11 Julai 1998 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika
itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. KSNB yang mempunyai lima buah arena
iaitu Stadium Nasional, Stadium Putra, Stadium Hoki Nasional, Pusat Akuatik
Nasional dan Pusat Skuasy Nasional berserta 3 kawasan rekreasi (Taman Sukan
X-Treme Nasional, Bukit Komanwel dan Pesisiran Sungai Kuyoh) diuruskan
oleh Perbadanan Stadium Malaysia mulai 1998.

Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Aras 1, Stadium Nasional, 57700 Sri Petaling, Kuala
Lumpur. Tel: 03-8994 4660 Faks: 03-8994 4663 Laman web: www.stadium.gov.my

Malaysia 2014 361

Kompleks Sukan Bukit Kiara
Kompleks Sukan Bukit Kiara adalah kompleks sukan utama di Bukit Kiara,
Kuala Lumpur. Kompleks ini adalah di bawah pengurusan Perbadanan Stadium
Malaysia sejak 1 Julai 1998. Kompleks Sukan ini mempunyai dua buah arena
iaitu Stadium Juara dan Pusat Boling Padang Nasional.

Kompleks Sukan Bukit Kiara, Lot 3959, Jalan 1/70D, Bukit Kiara, 60000 Kuala Lumpur
Tel: 03-2095 4209 Faks: 03-2092 3718 Laman web: www.stadium.gov.my

Perbadanan Stadium Malaysia
Perbadanan Stadium Malaysia sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan
Stadium Merdeka. Ia ditubuhkan melalui Akta Parlimen No. 11 tahun 1963.
Sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang berkuat kuasa mulai 26
Disember 1963, PSM diamanahkan untuk mentadbir dan mengurus empat
Kompleks Sukan iaitu Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan
Bukit Kiara, Kompleks Sukan Negara Panasonic dan Kompleks Sukan Negara
Jalan Duta.

Perbadanan Stadium Malaysia, Aras 1, Stadium Nasional, Kompleks Sukan Negara
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur. Tel: 03-8992 0888 Faks: 03-8994 4663
Laman web: www.stadium.gov.my

Pusat Belia Antarabangsa
Pusat Belia Antarabangsa (IYC) ditubuhkan melalui keputusan Jemaah Menteri
pada 6 Februari 1985 dan dirasmikan pada 16 April 1988 oleh Perdana Menteri
Malaysia pada masa itu Tun Dr. Mahathir Mohamad. Peranan utama institut ini
ialah membangunkan kemahiran dalam kalangan belia Malaysia supaya selaras
dengan keperluan National Occupational Skills Standard (NOSS) khususnya
dan industri amnya. Latihan kemahiran telah ditawarkan kepada seramai
mungkin belia dalam pelbagai bidang kemahiran melalui pelbagai pendekatan
berinstitusi dan tidak berinstitusi bertujuan untuk menyediakan tenaga kerja
mahir dan separa mahir serta melahirkan teknoprenur muda yang berdaya
saing.

Pusat Belia Antarabangsa, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras, 56000 Kuala
Lumpur. Tel: 03-9171 9204/05/07 Faks: 03-9172 3599 Laman web: www.iyckul.org.my

362 Malaysia 2014

Simbolik penyerahan Kompleks Rakan Muda Puchong menjadi Pusat iM4U selepas majlis menandatangani
dua memorandum persefahaman di antara Jabatan Latihan Khidmat Negara, 1Malaysia For Youth (iM4U)
dengan Kementerian Belia dan Sukan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya disaksikan oleh Perdana
Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Belia dan Sukan pada 28 Mei 2013

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM)
IPPBM ialah sebuah pusat penyelidikan nasional di bawah naungan
Kementerian Belia dan Sukan. Institut ini menjalankan kajian terhadap pelbagai
aspek pembangunan belia dan kaitannya dengan perubahan yang berlaku di
peringkat nasional, rantau dan antarabangsa. Untuk mencapai matlamatnya,
IPPBM melaksanakan pelbagai program penyelidikan, menganjurkan
persidangan, bengkel, syarahan dan seminar; menerbitkan jurnal dan monograf
hasil penyelidikan serta mewujudkan program pendidikan dan latihan. Institut
ini juga menyediakan kemudahan penyelidikan yang pelbagai, termasuklah
sebagai sebuah pusat sumber dan data mengenai pembangunan belia. IPPBM
telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi
pada 15 Mei 2005 bersempena dengan Hari Belia Malaysia.

Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Aras 10, Menara KBS, No 27
Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62570
Putrajaya. Tel: 03-8871 3705 Faks: 03-8871 3342 Laman Web: www.ippbm.gov.my

Malaysia 2014 363

KEMENTERIAN KESEJAHTERAAN BANDAR,
PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN

Hari Kitar Semula 2013

No. 51, Persiaran Perdana
Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 Putrajaya

Telefon : 03-8000 8000

Faks : 03-8891 5557

Laman Web : www.kpkt.gov.my

364 Malaysia 2014

MENTERI

YB Dato’ Haji Abdul
Rahman Bin Dahlan

TIMBALAN MENTERI

YB Dato’ Halimah
Binti Mohd Saddique

Sebagai sebuah negara pesat membangun, kawasan-
kawasan bandar di negara ini semakin berkembang dan
menjadi trend di dunia, majoriti masyarakat menetap di
bandar. RFN (Rancangan Fizikal Negara) menunjukkan
sebanyak 72 peratus penduduk Malaysia tinggal di
bandar pada tahun 2013”

Dato’ Abdul Rahman Dahlan
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Malaysia 2014 365

PENGENALAN
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ditubuhkan pada 24
Mei 1964 dengan nama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Pada 18 Julai 1978, berikutan dengan penyusunan semula Kabinet, organisasi
kementerian telah diubah dan disusun semula dengan nama Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Penubuhan ini adalah hasil cantuman
di antara Kementerian Perumahan dan Kemajuan Perkampungan dengan
Bahagian Kerajaan Tempatan yang sebelumnya terletak di bawah Kementerian
Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan. Antara fungsi utama kementerian
ini ialah menyelaras penyediaan perumahan yang mencukupi kepada
semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah; mewujudkan
pihak berkuasa tempatan yang kukuh dan mampu menyumbang ke arah
mewujudkan masyarakat yang maju dan persekitaran yang selesa dan indah;
memberi perkhidmatan pencegahan dan pengawalan kebakaran yang cekap
dan berkesan bagi keselamatan nyawa dan harta benda dan memperkukuhkan
dan melaksanakan sistem perancangan fizikal, sosial, ekonomi dan alam
sekitar bandar dan desa berdasarkan Akta Perancangan Bandar dan Desa,
1976. Pengumuman penyusunan semula beberapa Kementerian pada 15
Mei 2013 selepas Pilihanraya Umum Ke-13, KPKT telah disusun semula dan
dikenali sebagai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan. Peranan dan fungsi KPKT kini turut melibatkan pelaksanaan
program dan aktiviti bagi meningkatkan kualiti hidup warga bandar.

PENCAPAIAN DAN AKTIVITI PENTING 2013

Pengiktirafan oleh The Malaysia Book of Records
KPKT telah menerima dua pensijilan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan
Perindustrian Malaysia (SIRIM) iaitu Pensijilan MS 1900:2005 Quality
Management Systems – Requirements from Islamic Perspectives dan MS ISO
9001:2008 Quality Management Systems – Requirements berkuatkuasa dari
13 September 2013 sehingga 12 September 2016. Kedua-kedua pensijilan ini
telah melayakkan KPKT diiktiraf sebagai kementerian pertama yang menerima
MS 1900:2005 dan MS ISO 9001:2008 secara serentak daripada SIRIM oleh
The Malaysia Book of Records.

Anugerah Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti
KPKT telah menerima Anugerah Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks
Akauntabiliti Tahun 2012 sebanyak empat bintang daripada Ketua Audit
Negara kerana berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam pengurusan
kewangan. Kementerian ini juga telah berjaya berada di tangga lima teratas
daripada kesemua 25 kementerian yang dinilai di bawah Indeks Akauntabiliti
2012.

366 Malaysia 2014

Penarafan 5 Bintang dalam Penilaian Portal dan Laman Web Kerajaan
Malaysia 2013
KPKT berjaya mengekalkan penarafan lima bintang dalam Penilaian Portal
dan Laman Web Kerajaan Malaysia 2013 yang dijalankan oleh Perbadanan
Pembangunan Multimedia (MDeC). Di samping itu, semua jabatan di bawah
KPKT juga berjaya memperoleh penarafan lima bintang iaitu Jabatan
Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Jabatan Bomba
dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perumahan Negara, Jabatan Kerajaan
Tempatan, Jabatan Landskap Negara, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal
Negara dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
KPKT Host Pelancaran My Beautiful Malaysia Peringkat Negeri Kedah
KPKT dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah (ICU) telah
dipertanggungjawabkan untuk menyelaras Program My Beautiful Malaysia
peringkat negeri Kedah. Dato’ Seri Chor Chee Heung, Menteri Perumahan
dan Kerajaan Tempatan (ketika itu), menyempurnakan pelancaran program ini
pada 3 Februari 2013 di Taman Rekreasi Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah.
Program ini juga turut dilaksanakan di 33 lokasi seluruh negeri Kedah yang
melibatkan 11 pihak berkuasa tempatan (PBT). Jumlah keseluruhan penyertaan
sukarelawan bagi negeri Kedah ialah seramai 244,423 orang melebihi sasaran
awal iaitu sebanyak 85,000 orang.

Dato’ Seri Chor Chee Heung, Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan (ketika itu) menanam pokok sempena Program My

Beautiful Malaysia peringkat negeri Kedah diadakan pada 3 Februari
2013 di Taman Rekreasi Gunung Keriang, Alor Setar, Kedah

Malaysia 2014 367

Perluasan Program MyBN Tahun 2013
Program Kejiranan Indah (My Beautiful Neighbourhood: MyBN) adalah Strategi
Lautan Biru Kebangsaan 7 (NBOS 7) di antara KPKT dan Kementerian Dalam
Negeri yang dimulakan pada 2012 telah menampakkan kejayaan. Program ini
bertujuan untuk menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk perumahan
awam seperti kerosakan kemudahan awam, persekitaran tidak terurus dan
kotor seterusnya menjejaskan kualiti hidup rakyat. Pada 2013 sebanyak 21
projek membaik pulih kawasan perumahan awam dan sembilan projek ’house
build’ telah dilaksanakan di bawah inisiatif ini.

Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2013
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri Chor Chee Heung
(ketika itu) telah merasmikan Hari Landskap Negara 2013 yang bertemakan
1Malaysia:Komuniti Penggerak Negara Taman pada 3 Mac 2013 bertempat
di Taman Mergong Jaya (Fasa 2), Alor Setar, Kedah. HLN 2013 dianjurkan
dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar berlangsung dari 1 hingga 3
Mac 2013.

Pelancaran Kempen Kawalan Tikus
Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri KPKT telah melancarkan Kempen
Kawalan Tikus di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Gotong-
royong Perdana Peringkat Kebangsaan pada 24 Ogos 2013 di Dewan Pekan
Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah. Kempen ini turut dilancarkan serentak
diseluruh negara (kecuali negeri Johor) dengan penglibatan 154 PBT. Kempen
ini dilancarkan berikutan masalah kesihatan awam, kebersihan dan peningkatan
jumlah kes jangkitan penyakit terutamanya disebabkan oleh tikus.

Dato’ Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan melancarkan Kempen Kawalan Tikus di Kawasan Pihak
Berkuasa Tempatan dan Gotong royong Perdana Peringkat Kebangsaan
pada 24 Ogos 2013 di Dewan Pekan Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah

368 Malaysia 2014

Larian Kitar Semula 2013
Larian Kitar Semula 2013 yang bersifat ’fun run’ sejauh 3.5km telah berlangsung
secara serentak pada 15 Jun 2013 di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia
kecuali Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abd Rahman Dahlan melepaskan
larian di lokasi utama di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Seramai 38,000 peserta
mendaftar pada tahun ini di seluruh Semenanjung Malaysia. Penyertaan secara
percuma yang terbuka kepada semua lapisan umur memerlukan peserta
menyerahkan barangan kitar semula untuk melayakkan penyertaan.

Penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk
Pada 25 Oktober 2013, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul
Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM63 juta untuk
menubuhkan 24 zon Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di setiap PBT.
JPP merupakan satu entiti yang dianggotai wakil masyarakat setempat bagi
menyokong program pembangunan masyarakat, di samping menangani isu-
isu perbandaran di kawasan PBT. KPKT telah merangka untuk menubuhkan
148 JPP di setiap kawasan bandar di bawah pentadbiran pihak berkuasa
tempatan (PBT) seluruh negara kecuali Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Program Rumah Transit di Bandar
Program Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil telah dipilih sebagai
program perintis Rumah Transit iaitu kemudahan perumahan untuk pasangan
yang baru berkahwin. Dilaksanakan pada awal 2014, program ini bertujuan
mengurangkan beban pasangan muda yang berpendapatan rendah, untuk
memulakan kehidupan dan memiliki rumah sendiri di bandar. PPR Bukit Jalil
dipilih berdasarkan kedudukannya yang strategik iaitu lebih kurang 15 minit
dari Pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Sebanyak 632 unit rumah diperuntukkan
kepada 632 pasangan kelamin muda. Setiap unit rumah berkeluasan 650 kaki
persegi dan dilengkapi dengan kipas, lampu, lantai jubin dan kad akses lif
untuk ke unit individu. Selain itu, PPR ini juga dibangunkan dengan pelbagai
kemudahan antaranya sistem kamera litar tertutup (CCTV), pondok pengawal
keselamatan, kawasan berpagar, Unit Komuniti Bomba, unit untuk penjagaan
kanak-kanak, surau dan ruang serbaguna.

Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2013
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’
Abdul Rahman Dahlan telah merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia
Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 pada 19 November 2013 di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Tema sambutan pada tahun
ini ialah “Tandas Kita: Bersih, Ceria dan Selesa” bersesuaian dengan Tahun
Melawat Malaysia 2014. Sempena sambutan ini, pelbagai aktiviti diadakan

Malaysia 2014 369

antaranya Anugerah Tandas Bersih – 1Malaysia yang mempertandingkan 11
kategori dan penyertaan terbuka kepada sekolah, kawasan pelancongan,
pejabat-pejabat kerajaan, hentian awam, restoran, PBT, pusat beli-belah dan
rumah ibadat.

Ops Raya dan Kempen Anti Litter
Sempena Musim Perayaan 2013 YB Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan telah melancarkan
program Ops Raya dan Kempen Anti Litter sempena musim perayaan 2013
pada 18 Julai 2013 di Plaza Tol Sungai Besi. Ops Raya 2013 buat julung kalinya
diadakan secara bersepadu antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSPN) Negara. JBPM
menjalankan Ops Raya pada 1 hingga 18 Ogos di 16 lokasi yang berisiko dan
melibatkan seramai 9,100 pegawai (71 peratus pegawai bertugas) daripada
13,000 anggota (29 peratus anggota menjalankan tugasan pentadbiran)
yang akan bertugas selama 24 jam secara giliran. Sebanyak 267 buah balai
bomba terlibat dalam Ops Raya, membuat rondaan di jalan Persekutuan, Jalan
Bandaran dan lain-lain jalan sepanjang tempoh tersebut. Tujuan Ops Raya ini
dijalankan adalah untuk memberi kesedaran orang ramai terhadap bahaya
kebakaran dan kemalangan jalanraya, seterusnya membendung kehilangan
nyawa dan harta benda.

Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2013
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah
merasmikan Majlis Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2013 pada 18
November 2013. Memasuki 13 tahun pelaksanaannya kempen ini berjaya
meningkatkan kesedaran masyarakat untuk kitar semula apabila kadar kitar
semula meningkat dari lima peratus pada tahun 2006 kepada 10.5 peratus
pada tahun 2012.

Pelancaran Skim MyHome
Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) telah diumumkan oleh
Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika membentangkan
Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober
2013. KPKT dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan dan memastikan
kejayaan skim ini yang akan menawarkan insentif sehingga RM30,000 seunit
kepada pembeli-pembeli rumah dan pemaju-pemaju swasta. Skim MyHome
mula dilaksanakan pada 1 April 2014 di seluruh negara. Skim ini melibatkan
peruntukan sebanyak RM300 juta bagi pembinaan 10,000 unit rumah mampu
milik di seluruh negara adalah langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi
menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah mampu milik.

370 Malaysia 2014

JABATAN/AGENSI

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia
Pejabat Perancangan Bandar yang pertama telah dibuka di Bangunan
Sekretariat Kuala Lumpur (Bangunan Sultan Abdul Samad) pada 18 Januari
1921. Antara aktiviti awal termasuklah perancangan dan penyusunan semula
lot tanah perancangan bangunan dan perumahan awam, pelebaran jalan dan
pelurusan Sungai Klang. Fungsi jabatan ini ialah untuk mengukuhkan sistem
pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi di kawasan bandar dan desa bagi
meningkatkan taraf kehidupan selaras dengan matlamat negara; mengatur,
mengawal dan menyelaras pemajuan, penggunaan dan pemuliharaan tanah
melalui pelaksanaan berkesan Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172)
dan akta-akta berkaitan; menggubal dan melaksana kaedah, dasar, pelan dan
garis panduan perancangan serta memastikan pemakaian yang berkesan
oleh semua agensi di peringkat perancangan; dan memastikan perkhidmatan
perancangan.

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia. Tingkat 1, Blok
Tanjung, Jalan Cenderasari, 50646 Kuala Lumpur. Tel: 03-2698 9211 Faks: 03-2692
9994 Laman web: www.townplan.gov.my

Jabatan Kerajaan Tempatan
Jabatan Kerajaan Tempatan dipertanggungjawabkan untuk membantu
membimbing dan menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merancang,
mengawal dan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi dan
perkhidmatan perbandaran ke arah pembentukan masyarakat makmur,
sejahtera dan berdaya maju selaras dengan matlamat pembangunan negara.
Selain itu jabatan ini juga berperanan menentukan PBT wujud sebagai unit-
unit kerajaan tempatan yang cekap dan berupaya dari segi pentadbiran
dan kewangan agar mereka dapat menyedia dan memberi perkhidmatan-
perkhidmatan yang moden dan bermutu untuk faedah dan kesejahteraan
masyarakat tempatan yang ditadbirkan.

Jabatan Kerajaan Tempatan, Aras 25-29, No. 51, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100
Putrajaya Tel: 03-8891 5000 Faks: 03-8891 3090 Laman web: http://jkt.kpkt.gov.my/bm

Jabatan Perumahan Negara (JPN)
JPN telah ditubuhkan pada tahun 1976 berasaskan kepada keputusan
Jemaah Menteri bagi menggantikan Amanah Perumahan Malaysia. Ianya telah
diwujudkan sejak tahun 1950 dan dibubarkan melalui Akta 339 (Pembubaran)
Amanah Perumahan 1976. Antara fungsi utama jabatan ini ialah merangka dasar,
perundangan dan peraturan berkaitan sektor perumahan di peringkat nasional;
merancang dan melaksana Program Perumahan Rakyat (PPR); melaksanakan

Malaysia 2014 371

penyelidikan dan pembangunan perumahan serta menyediakan maklumat–
maklumat berkaitan sektor perumahan; dan memproses serta mengeluarkan
lesen dan permit iklan dan jualan kepada pemaju–pemaju perumahan swasta.

Jabatan Perumahan Negara, Aras 30-38, No. 51, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100
Putrajaya Tel: 03-8000 8000 Faks: 8891 4088 Laman web: http://ehome.kpkt.gov.my

Jabatan Landskap Negara (JLN)
JLN secara rasminya ditubuhkan pada 1 Januari 1996 hasil keputusan kerajaan
untuk mewujudkan sebuah jabatan yang bertanggungjawab khusus ke atas
usaha melandskap seluruh negara. Penubuhan jabatan diasaskan kepada
peningkatan taraf Bahagian Penyelarasan dan Pengawasan Taman-taman
Awam dan Landskap, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung
Malaysia. Antara fungsi utama jabatan ini ialah merancang, menyelaras,
melaksana dan mengawal selia pembangunan landskap, keperluan kawasan
lapang, kawasan hijau dan kemudahan rekreasi negara; penguatkuasaan
perundangan, pelaksanaan dasar dan garis panduan di pelbagai peringkat
dalam perancangan; dan perlaksanaan dan pengurusan pembangunan
landskap.

Jabatan Landskap Negara, Tingkat 7, Plaza Permata-IGB, Jalan Kampar Off Jalan Tun
Razak, 50400 Kuala Lumpur. Tel: 03-4047 0000 Faks: 03-4045 2416 Laman web:
www.kpkt.gov.my/jln

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Perkhidmatan Bomba di Malaysia bermula pada tahun 1883 dengan
penubuhan Bomba Sukarela Negeri Selangor yang diketuai oleh H.F Bellamy
bersama 15 anggota. Pasukan ini diletakkan di bawah Lembaga Kebersihan
yang kemudiannya menjadi Pasukan Bomba dan Penyelamat Tetap pada tahun
1895. Perkhidmatan Bomba terus berkembang di setiap negeri dan diletakkan di
bawah Majlis Perbandaran atau Lembaga Luar Bandar. Jabatan ini berperanan
untuk memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran;
melindungi nyawa dan harta sekiranya berlaku kebakaran; menentukan
adanya jalan keluar kebakaran, penyelenggaraan dan pengawalseliaan yang
sempurna; menjalankan penyiasatan tentang sebab, punca dan hal kebakaran;
dan melaksanakan khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan
harta semasa berlakunya apa-apa bencana.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lebuh Wawasan, Presint 7, 62250 Putrajaya.
Tel: 03-88880036/37/38/40 Faks: 03-88880025 Laman web: www.bomba.gov.my

Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR)
TTPR iaitu satu badan bebas telah ditubuhkan berkuat kuasa pada 1 Disember
2002 ekoran daripada pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan

372 Malaysia 2014

Pelesenan) 1966 (Akta 118) sebagaimana yang diperuntukkan di bawah
Seksyen 16B, Bahagian VI Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan)
(Pindaan) 2002 (Akta 1142). Bidang kuasa TTPR hanya meliputi Semenanjung
Malaysia sahaja (tidak termasuk Sabah dan Sarawak). Tribunal ini menyediakan
satu saluran atau kemudahan alternatif kepada pembeli rumah untuk menuntut
ganti rugi dan pampasan daripada pemaju perumahan dengan cara mudah,
murah dan cepat.

Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah, Aras 3, No. 51, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100
Putrajaya Tel: 03-8891 4758/4746/4774 Faks: 03-8891 4755 E-mel: [email protected]

Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata
Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengurusan Strata
(TPS) telah ditadbir di bawah satu organisasi yang dikenali sebagai Tribunal
Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) bermula Januari 2014. Kedua-dua
jenis tribunal ini mempunyai fungsi dan bidang kuasa yang berbeza serta khusus
dalam melaksana dan mengendalikan undang-undang. TTPR ditubuhkan
pada 1 Disember 2002 melalui seksyen 16B Akta Pemajuan Perumahan
(Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] manakala, TPS ditubuhkan melalui
seksyen 102 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] yang telah diluluskan
dan diwartakan pada 8 Februari 2013. TTPR merupakan satu forum alternatif
kepada pembeli rumah untuk menuntut ganti rugi dan pampasan daripada
pemaju perumahan dengan cara mudah, murah dan cepat. TPS pula
merupakan forum alternatif untuk mendengar dan menentukan apa-apa
tuntutan dan pertikaian mengenai pengurusan dan penyenggaraan bangunan
berstrata sepertimana yang diperuntukkan dalam Bahagian I, Jadual Keempat,
Akta 757. Walau bagaimanapun, Akta 757 masih belum dikuatkuasakan dan
demikian TPS masih belum dapat beroperasi lagi.

Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, Aras 3 & 4, No. 51, Persiaran
Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya Tel: 03-8891 5000 Faks: 03-8891 4755
E-mel: [email protected]

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN)
JPSPN ditubuhkan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan
Awam 2007 (Akta 672) yang diluluskan Parlimen pada 17 Julai 2007 dan
diwartakan pada 30 Ogos 2007, bagi mengintegrasikan sistem pengurusan
sisa pepejal di peringkat nasional. Akta ini memberi kuasa eksekutif kepada
kerajaan persekutuan untuk melaksanakan tanggungjawab mengenai
pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. JPSPN memainkan
peranan dalam penyediaan dasar, strategi dan perancangan pengurusan
sisa pepejal (PSP) bersepadu di peringkat makro, selain bertanggungjawab
menggubal peraturan-peraturan sebagaimana terkandung dalam (Akta 672)

Malaysia 2014 373

Dato’ Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berinteraksi
dengan gelandangan semasa aktiviti turun padang beliau
pada 2 Ogos 2013

serta menetapkan standard, spesifikasi dan tata amalan. Jabatan ini juga
bertanggungjawab melaksanakan penswastaan penuh PSP, meluluskan dan
memberi lesen perkhidmatan dan kemudahan PSP serta pembersihan awam.

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. Aras 23-24, No. 51, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62100 Putrajaya Tel: 03-8891 5000 Faks: 03-8891 3190 Laman web:
www.kpkt.gov.my/jpspn

Institut Latihan Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan
Institut ini ditubuhkan dengan peranan untuk melaksanakan latihan mengenai
penempatan manusia, persekitaran dan kualiti hidup, perancangan dan
pengurusan bandar serta perkhidmatan perbandaran melalui kajian ke
atas demografi, migrasi, sosiobudaya, ekonomi, pembangunan teknologi,
pengurusan, perubahan teknologi dan perkembangan semasa pentadbiran
negara. Selain itu, institut ini juga menyediakan kertas-kertas makluman untuk
dibentangkan di peringkat kebangsaan dan persidangan antarabangsa dalam
menangani isu-isu berkaitan perumahan dan kerajaan tempatan.

Institut Latihan Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan KM 48,
Persimpangan Lebuhraya Bertingkat Karak, Berjaya Hills, 28750 Bukit Tinggi, Pahang

374 Malaysia 2014

Tel: 09-2229000/9001 Faks: 09-2229014/9015 E-mel: [email protected] Laman
web: http://ilpkt.kpkt.gov.my

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
Perbadanan ini ditubuhkan untuk mengesyorkan dasar, perancangan dan
strategi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam
kepada JPSPN. Antara fungsi utama perbadanan ini ialah melaksanakan,
menggalakkan penyertaan dan mempertingkatkan kesedaran orang awam
mengenai program kesedaran dan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan
pembersihan awam; menerapkan amalan kitar semula dan pengasingan sisa
di sumber secara sistematik di samping menekankan ciri-ciri pembangunan
yang mapan meliputi aspek ekonomi, politik dan sosial; dan memproses
permohonan baru, pembaharuan dan pembatalan / penggantungan lesen
pembekal perkhidmatan pengurusan sisa pepejal sehingga pengesyoran
kepada JPSPN.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Bangunan Wisma UOA,
Tingkat Mezzanine 2, 3 dan 4, No. 11, Jalan Pantai Jaya (Jalan 4/83 A), 59200 Kuala
Lumpur. Tel: 03-2245 9292 Faks: 03-2245 9394/9293 Laman web: www.ppsppa.gov.my

Malaysia 2014 375

KEMENTERIAN SAINS,
TEKNOLOGI DAN INOVASI

Majlis Perasmian 1001 Inventions Malaysia 2013

Aras 1-7
Blok C4 & C5, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62662 Putrajaya

Telefon : 03-8000 8000

Faks : 03-8888 9070

Laman Web : www.mosti.gov.my

376 Malaysia 2014

MENTERI

YB Datuk Dr. Ewon Ebin

TIMBALAN MENTERI

YB Datuk Dr. Abu Bakar
Bin Mohamad Diah

Sehingga 31 Ogos 2013 daripada sejumlah RM2.9
bilion peruntukan yang disalurkan untuk membiayai
projek R,D&C oleh MOSTI dan agensi, sejumlah
RM2.3 bilion nilai jualan telah dijana. Di samping itu,
sebanyak 313 projek telah dikomersilkan daripada
1,288 projek yang berpotensi. Daripada projek yang
dikomersilkan ini, sebanyak 14,320 peluang pekerjaan
telah diwujudkan”

Datuk Dr. Ewon Ebin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

Malaysia 2014 377

PENGENALAN
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi asalnya dikenali sebagai Kementerian
Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan yang ditubuhkan pada tahun
1973. Kemudian, pada tahun 1976 kementerian ini ditukar nama kepada
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar selaras dengan penekanan
kerajaan ke atas hal-hal berkaitan alam sekitar. Pada 27 Mac 2004, Kabinet
memutuskan pertukaran nama kementerian ini kepada Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi seiring dengan kepentingan aplikasi sains, teknologi dan
inovasi dalam pembangunan negara bagi mempertingkatkan daya saing dan
seterusnya mencapai Wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju.

PENCAPAIAN DAN AKTIVITI PENTING 2013

Kajian R&D Kebangsaan Tahun 2012
Pada tahun 2013, Pusat Maklumat Sains dan Teknologi (MASTIC) telah
melaksanakan empat kajian utama iaitu Kajian R&D Kebangsaan Tahun 2012,
Kajian Inovasi Kebangsaan 2009-2011, Kajian Bibliometrik 2012 dan Kajian
Inventori Kemudahan dan Peralatan S&T 2012. Kajian R&D Kebangsaan 2012
bertujuan menganalisis statistik semasa aktiviti R&D negara yang dilaksanakan
oleh sektor awam (institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan institut
penyelidikan kerajaan) dan sektor perniagaan bagi tempoh tahun kewangan
2008 hingga 2011. Antara petunjuk yang diperoleh pada tahun 2011 ialah
perbelanjaan kasar dalam R&D, GERD (RM9.422 bilion), GERD/GDP (1.07%),
bilangan penyelidik (73,752 orang) dan nisbah penyelidik/10,000 tenaga kerja
(58.2).

Star Trek: The Exhibition – Pertama di Asia
Penganjuran pameran bertema Star Trek: The Exhibition yang berlangsung dari
13 Disember 2012 sehingga 31 Mac 2013. Pameran yang dihasilkan daripada
filem Star Trek ini adalah buat julung-julung kalinya di bawa ke Asia dan Pusat
Sains Negara merupakan destinasi yang pertama. Pameran ini memberi
peluang kepada pengunjung untuk melihat koleksi terbesar artifak, kostum
serta kelengkapan yang digunakan dalam kesemua 5 siri televisyen dan 11
filem Star Trek yang pernah ditayangkan. Seramai 31,202 orang telah hadir
sepanjang tempoh pameran ini diadakan.

World Economic Forum (WEF)
Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Menteri Sains, Teknologi dan
Inovasi telah menghadiri World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland
dari 23 – 26 Januari 2013 sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia
yang diketuai oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Hj. Abd Razak. Selaras
dengan tema forum bagi tahun 2013 iaitu ‘Resilient Dynamism’, Menteri telah

378 Malaysia 2014

menghadiri beberapa sesi WEF termasuk “The Social Technology Context,”
“The Healthcare Context,” “The Economic Malaise and its Perils,” “Bolstering
Ocean Resilience,” “Sustainable Competitiveness,” “An Insight, An Idea with
Mohd Najib bin Tun Abdul Razak,” “Meeting the Innovation Imperative,” dan
“The Global Science Outlook.”

Delivering The Borneo Bioeconomy Innovation – Persidangan Bio-
Borneo 2013
Program ini telah diadakan pada 19-20 Februari 2013 di Magellan Sutera,
Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah dengan tema “Delivering the
Borneo Bioeconomy Innovation” yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk
Seri Panglima Musa Haji Aman yang diwakili oleh timbalannya Datuk Seri
Panglima Yahya Hussin. Seramai 224 peserta persidangan dan 40 pempamer
pameran bioteknologi telah menyertai program ini. Turut diadakan program
promosi bioteknologi ke sekolah-sekolah yang dikenali sebagai MyBiotech@
School bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada para
pelajar serta guru mengenai bioteknologi.

Pengiktirafan OECD on Mutual Acceptance Data (MAD)
Pada 29 Mac 2013, Malaysia telah diberi pengiktirafan sebagai fully adherent
to Organisation for Economic Co-operation Development (OECD) Mutual
Acceptance of Data for Good Laboratory Practices. Salah satu outcome MAD
ini adalah untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan 40 negara-negara
OECD seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Jerman terutamanya dalam
bidang kimia dan produk kimia, racun perosak, feed additive dan bioteknologi.

Persidangan Pencapaian Program Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang
(CTI)
Persidangan Pencapaian CTI dianjurkan bersama oleh NOD, MOSTI dan
WWF Malaysia pada 10-11 Jun 2013 di Putrajaya, bertujuan untuk melapor
dan menilai kejayaan dan pencapaian pelaksanaan program CTI di Malaysia.
Mantan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, TYT Paul W. Jones turut
menghadiri perasmian Persidangan sebagai tanda sokongan Amerika Syarikat
selaku rakan pembangunan CTI.

1001 Inventions: Kegemilangan Tamadun Muslim
Penganjuran pameran bertema 1001 Inventions: Kegemilangan Tamadun
Muslim yang berlangsung dari 31 Ogos 2013 sehingga 28 Februari 2014.
Pameran yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri ini diadakan
bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pencapaian
saintifik dan kebudayaan tamadun Islam pada kurun ke-7 sehingga kurun
ke-14.

Malaysia 2014 379

The 3rd Global Science and Innovation Advisory Council (GSIAC)
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengiringi Perdana Menteri yang
mempengerusikan The 3rd Global Science and Innovation Advisory Council
(GSIAC) and The 7th BIO International Advisory panel (BIO IAP) Meeting dari
21 hingga 24 September 2013 di San Francisco, Amerika Syarikat.

BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013
Program ini telah diadakan pada 21-23 Oktober 2013 di Pusat Konvensyen
Antarabangsa, Persada Johor Bahru dengan tema ‘Convergence of Ideas,
Confluence of Opportunities’ dan dirasmikan oleh Datuk Seri Muhamed Khaled
Nordin, Menteri Besar Johor. Seramai 400 orang tetamu kehormat dan lebih 90
pempamer dari dalam dan luar negara seperti China, Singapura, Jepun, Korea,
Dubai, India, USA, The Netherlands dan Switzerland serta pelbagai jabatan
dan agensi kerajaan serta swasta telah menyertai program ini.

The 15th ASEAN Ministerial Meeting on S&T (AMMST-15) dan The 66th
The ASEAN Committee on Science and Technology (ASEAN COST-66)
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan AMMST-15 yang
diadakan pada 12 November 2014 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.
Mesyuarat dua tahun sekali ini dipengerusikan oleh Malaysia, dihadiri oleh
Menteri-menteri Sains dan Teknologi negara anggota ASEAN. Sebagai tuan
rumah Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam membangunkan
pelan tindakan sains, teknologi dan inovasi (STI) baru yang akhirnya akan
menentukan pembangunan dan peranan (STI) dalam merealisasikan Komuniti
ASEAN yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan pada tahun 2020. Sebelum
berlangsungnya AMMST-15, ASEAN COST-66 yang mengumpulkan pegawai-
pegawai kanan Sains dan Teknologi ASEAN sejak 7-11 November 2014, di
lokasi yang sama telah bersetuju memperluaskan skop Kumpulan Wang
Amanah ASEAN untuk sains dan teknologi bagi menyokong pelbagai rangkaian
aktiviti.

World Innovation Forum Kuala Lumpur 2013 (WIF-KL 2013)
WIF-KL 2013 merupakan kesinambungan program Kuala Lumpur Innovation
Forum (KLIF) yang telah diadakan pada tahun 2010 dan 2011 serta WIF-
KL 2012. Forum ini juga merupakan salah satu program tahunan utama di
bawah Dekad Inovasi (2010-2020) Penganjuran WIF-KL 2013 bertujuan untuk
menyediakan platform strategik bagi kumpulan sasar di kalangan penggubal
dasar sektor awam, swasta dan masyarakat sivil untuk berkongsi pandangan
dan idea bagi mempertingkatkan kreativiti dan inovasi. WIF-KL 2013 juga
mengandungi aktiviti forum yang telah disusun atur berserta 1 komponen
utama iaitu Persidangan dan Pameran Inovasi Kebangsaan (National Innovation
Conference and Exhibition-NICE).

380 Malaysia 2014

Datuk Dr. Ewon, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (duduk) melawat tapak
pameran semasa Majlis Perasmian WIF-KL 2013 pada 13 November 2013

Sebanyak 4 acara satelit bertaraf antarabangsa seperti persidangan, forum,
bengkel dan pameran turut diadakan bermula dari 11 hingga 14 November
2013. Secara keseluruhannya, seramai 19,938 peserta dari dalam dan luar
negara dan sejumlah 58 negara telah terlibat dalam acara forum atau pameran
sepanjang penganjurannya.

Bengkel Saintifik Kedua dan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kedua
Kerjasama Antara China-Malaysia Dalam Bidang Sains dan Teknologi
Marin
Bengkel Saintifik Kedua dan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Kedua
Kerjasama antara China-Malaysia dalam bidang Sains dan Teknologi Marin
telah diadakan pada 18 dan 19 November 2013 di Kuala Lumpur dan Putrajaya
untuk mengenalpasti dan memadankan projek-projek kerjasama penyelidikan
di antara penyelidik dan agensi dari kedua-dua negara. Delegasi China diketuai
oleh Timbalan Pentadbir State Oceanic Administration (SOA), TYT Chen
Lianzeng manakala delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha MOSTI,
Dato’ Dr. Rosli Mohamed mewakili Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr. Abu
Bakar Mohamad Diah. Dalam mesyuarat tersebut, SOA dan MOSTI komited
untuk meneruskan 5 program keutaamaan (flagship) dan menggariskan
beberapa tindakan susulan bagi mengukuhkan kerjasama ini.

Malaysia 2014 381

Most Number of Butterfly Specimens Created in a Single Event -
Malaysia Book of Record
Pada 4 Disember 2013, Pusat Sains Negara telah menempa nama dalam
Malaysia Book of Record apabila berjaya mencipta satu rekod baharu sebagai
‘Most Number of Butterfly Specimens Created in a Single Event’ semasa
berlangsungnya Festival Sains 2013. Jumlah penyertaan yang dicatatkan di
dalam rekod ini ialah sebanyak 400 orang yang terdiri daripada pelajar tadika,
pelajar sekolah, pelajar IPT serta daripada kalangan ibu bapa.

Menandatangani Memorandum Persefahaman
Sebanyak dua Perjanjian/Memorandum Persefahaman di peringkat
antarabangsa dalam kerjasama Sains dan Teknologi telah ditandatangani pada
tahun 2013 seperti berikut:
(i) Malaysia dan Republik Kesatuan Myanmar, 5 Februari 2013, Putrajaya;

dan
(ii) Malaysia dan Republik Rakyat China, 4 Oktober 2013, Kuala Lumpur.

Tahun Pengkomersilan MOSTI 2014 (MCY2014)
MCY2014 dengan tema STI for Wealth Creation adalah inisiatif bagi
menyediakan peluang seluasnya kepada teknopreneur mengkomersilkan
hasil R&D mereka. Isu-isu utama serta pain-points dan valley of death dalam
pengkomersilan akan ditangani. Inisiatif dalam MCY2014 perlu diteruskan agar
pengkomersilan teknologi merupakan sebahagian dari budaya rakyat Malaysia.
Melalui inisiatif ini, teknologi anak watan akan diperkasakan ke persada dunia.
Objektif MCY2014 adalah mensasarkan sekurang-kurangnya 60 produk R&D
untuk dikomersilkan; menyediakan satu platform pengkomersilan komprehensif
meliputi aktiviti-aktiviti seperti penambahbaikan dan pembangunan produk
yang mematuhi piawaian dan ujian klinikal dengan kebolehpasaran yang tinggi;
dan meningkatkan kemampuan dan keupayaan usahawan tekno melalui
akademik, teknologi, teknikal, generik dan keusahawanan.

JABATAN/AGENSI

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM)
JMM yang pada mulanya dikenali sebagai Perkhidmatan Kajicuaca Malaya
telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 November 1946 di Singapura. JMM
dipertanggungjawabkan untuk membekalkan pelbagai khidmat meteorologi,
seismologi dan tsunami yang berkesan bagi memperbaiki perlindungan hayat,
harta benda dan persekitaran, meningkatkan keselamatan di darat, laut dan
udara dalam mempertingkatkan kualiti hidup dan pertumbuhan ekonomi
mapan. JMM juga memantau rapi keadaan cuaca, iklim dan aktiviti gempa
bumi serta mengeluarkan amaran awal mengenai cuaca buruk, laut bergelora

382 Malaysia 2014

dan tsunami. Di samping itu, JMM juga memantau keadaan jerebu merentas
sempadan yang melanda negara dan menjalankan operasi pembenihan awan
ketika musim kemarau.

Jabatan Meteorologi Malaysia, Jalan Sultan, 46667 Petaling Jaya, Selangor.
Tel.: 03-7967 8000 Faks:03-7955 0964 Laman Web: www.met.gov.my

Jabatan Kimia Malaysia (JKM)
Jabatan Kimia Malaysia pada mulanya dikenali sebagai Makmal Analisis
Kerajaan bagi Negeri-Negeri Selat di Singapura pada tahun 1885 di bawah
kerajaan Kolonial British dan penubuhan cawangannya di Pulau Pinang pada
tahun 1909. Pada tahun 1946, Makmal Kimia di Institut Penyelidikan Perubatan
(IMR) dan Makmal Kimia, Jabatan Perdagangan dan Kastam bergabung. Fungsi
jabatan ini bergantung kepada fungsi bahagian yang terkandung di bawahnya
iaitu forensik, kesihatan alam sekitar, penyelidikan dan jaminan kualiti, industri
dan klasifikasi tarif dagangan dan pembangunan dan maklumat teknologi.

Jabatan Kimia Malaysia, Jalan Sultan, 46661 Petaling Jaya, Selangor Tel: 03-7985
3000 Faks: 03-7985 3092. Laman web: www.kimia.gov.my

Jabatan Standard Malaysia
Jabatan Standard Malaysia adalah badan standard kebangsaan dan badan
akreditasi kebangsaan di Malaysia yang telah ditubuhkan secara rasminya
pada 28 Ogos 1996. Jabatan Standard Malaysia juga bertanggungjawab
dalam aktiviti – aktiviti akreditasi yang juga pada asalnya dijalankan oleh Majlis
Akreditasi Kebangsaan (MAC). Tugas dan fungsi Jabatan Standard Malaysia
adalah tertakluk kepada Akta Standard Malaysia 1996 (Akta 549).

Standards Malaysia, Century Square, Aras 1 & 2, Blok 2300, Jalan Usahawan,
63000 Cyberjaya. Tel.: 03-8318 0002. Faks: 03-8319 3131. Laman web:
www.standardsmalaysia.gov.my

Agensi Nuklear Malaysia (ANM)
Agensi Nuklear Malaysia diberikan kepercayaan untuk memenuhi wawasan
kerajaan bagi memperkenalkan dan mempromosikan penggunaan teknologi
nuklear dalam pembangunan Negara. Telah ditubuhkan pada 19 September 1972,
ketika itu ia dikenali sebagai Pusat Penyelidikan dan Aplikasi Tenaga Nuklear
(CRANE), dan kemudian dinamakan semula sebagai Pusat Penyelidikan
Atom Tun Ismail (PUSPATI). Pada Jun 1983, PUSPATI diletakkan di bawah
Jabatan Perdana Menteri dan dikenali sebagai Unit Tenaga Nuklear (UTN). Ia
dipindahkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada Oktober
1990 dan pada 10 Ogos 1994 dikenali sebagai Institut Penyelidikan Teknologi

Malaysia 2014 383

Nuklear Malaysia (MINT). Pada 28 September 2006, MINT sekali lagi diberi
identiti baru sebagai Agensi Nuklear Malaysia (NUKLEAR MALAYSIA).

Nuklear Malaysia, Bangi 43000 Kajang, Selangor Tel: 03-8911 2000 Faks : 03-8925
3827 Laman web: www.nuclearmalaysia.gov.my

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)
ANGKASA bertanggung jawab mempelopori pembangunan sektor angkasa
negara. Mula beroperasi pada tahun 2004, ANGKASA melaksanakan program
pendidikan dan kajian sains angkasa, pembangunan sistem dan infrastruktur
angkasa, serta pembangunan teknologi, aplikasi dan industri angkasa
tempatan. ANGKASA juga membantu kerajaan menyediakan Dasar Angkasa
Negara sebagai rangka kerja utama pembangunan sektor angkasa negara.
Program pembangunan satelit negara seperti TiungSAT-1, RazakSAT dan
RazakSAT-2 dan Program Angkasawan Negara adalah antara program utama
ANGKASA. Antara fasiliti di bawah kendalian ANGKASA adalah Planetarium
Negara, Observatori Negara Langkawi dan Pusat Angkasa Negara.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Lot
2233, Jalan Turi, Kg. Sungai Lang, 42700 Banting, Selangor, Banting, Selangor. Tel:
03-3180 4377 Faks: 03-3180 8503 Laman web: www.angkasa.gov.my

Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM)
Agensi Remote Sensing Malaysia dahulunya dikenali sebagai Pusat Remote
Sensing Negara (MACRES) ditubuhkan pada tahun 1988. Agensi ini berfungsi
sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan (P&P) dalam bidang teknologi
remote sensing dan teknologi berkaitan (Sistem Maklumat Geografi - GIS dan
Sistem Penentududukan Global – GPS). Peranan utama Remote Sensing
Malaysia adalah untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (P&P)
aplikasi remote sensing dan teknologi berkaitan dan melaksanakan pembekalan
imej satelit remote sensing kepada pengguna. Agensi ini adalah pembekal
tunggal data satelit remote sensing kepada agensi-agensi kerajaan.

Agensi Remote Sensing Malaysia, No.13, Jalan Tun Ismail, 50480 Kuala Lumpur. Tel:
03-2697 3400 Faks: 03-2697 3350/ 3360. Laman web: www.remotesensing.gov.my

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB)
AELB berperanan mengatur, mengawalselia dan mengawal aktiviti tenaga
atom di Malaysia selaras dengan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta
304). AELB yang ditubuhkan mulai 1 Februari 1985 adalah sebuah jabatan
di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), membantu bagi
memastikan kesejahteraan negara dalam mengawal penggunaan teknologi

384 Malaysia 2014

nuklear dan sinaran demi menjaga kesejahteraan rakyat, keselamatan dan
sekuriti Negara serta alam sekitar.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Batu 24, Jalan Dengkil, 43800 Dengkil, Selangor
Tel: 03-8922 5888 Faks: 03-89223685 Laman web: www.aelb.gov.my

SIRIM Berhad
SIRIM Berhad sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia di bawah
Menteri Kewangan Diperbadankan adalah sebuah organisasi penyelidikan dan
teknologi khusus untuk pembangunan industri di Malaysia. Tiga bidang utama
yang diterajui SIRIM dalam meningkatkan daya saing perindustrian tempatan
adalah Tenaga & Alam Sekitar, Teknologi Perubatan serta Loji dan Mesin.
SIRIM menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam pembangunan teknologi,
perkhidmatan teknikal dan juga penilaian pematuhan. SIRIM turut memberikan
perkhidmatan reka bentuk, kejuruteraan dan pembangunan prototaip bagi
produk automotif dan elektronik, mesin dan peralatan, sistem automasi, acuan
dan dai bagi pengeluaran, serta komponen dan peralatan. Dalam bidang
standard dan kualiti, SIRIM menyediakan perkhidmatan komprehensif dalam
pensijilan, pemeriksaan dan pengujian kepada industri sebagaimana yang
diakreditasi standard antarabangsa seperti Jabatan Standard Malaysia dan
United Kingdom Accreditation Services.

SIRIM Berhad, No.1, Persiaran Dato’ Menteri, Seksyen 2, Peti Surat 7035, 40911 Shah
Alam, Selangor Tel: 03-5544 6694 Faks: 03-5510 8095 Laman web: www.sirim.my

Taman Teknologi Malaysia (TPM)
TPM ditubuhkan pada tahun 1996 dan berfungsi untuk menyediakan Malaysia
ke arah era informasi. TPM bertindak sebagai R&D, inovasi dan pengkomersilan
teknologi kebangsaan, dan menyediakan platform bagi penubuhan rangkaian
perniagaan dan teknologi yang strategik antara institusi penyelidikan dan industri.
TPM juga menjadi pemangkin dan memainkan peranan dalam pembangunan
Multimedia Super Corridor (MSC) dan agenda bioteknologi negara. Pada masa
ini, TPM mempunyai infrastruktur penyelidikan dan pembangunan K-industri
antara yang paling maju dan lengkap di dunia.

Taman Teknologi Malaysia (TPM), Aras 5, Enterprise 4, Technology Park Malaysia,
57000 Bukit Jalil, Kuala Lumpur Tel: 03-8998 2020 Faks: 03-8998 2110 Laman web:
www.tpm.com.my

Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC)
MTDC sebuah syarikat milik penuh Khazanah Nasional Malaysia, telah
ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1992. Fokus utama MTDC

Malaysia 2014 385

ialah menyediakan perkhidmatan bersepadu yang merangkumi pengurusan
dana, pengurusan pusat teknologi serta khidmat nasihat dan bimbingan
kepada syarikat tempatan yang berteraskan teknologi, khususnya generasi
baru usahawan tekno tempatan, daripada peringkat makmal hingga ke tahap
pengkomersilan sepenuhnya. MTDC menguruskan dua dana, iaitu Dana
Pengkomersilan, Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) yang membiayai
pengkomersialan R&D dari kedua-dua sektor iaitu sektor awam dan swasta
pada skala komersial, dan Dana Perolehan Teknologi (TAF) yang membiayai
aktiviti berkaitan pemerolehan teknologi dari luar Negara.

Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC), Aras 8 – 9, Menara
Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, 55100 Kuala Lumpur. Tel:03-2172 6000 Faks:
03-2163 7542 Laman web: www.mtdc.com.my.

Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp)
BiotechCorp bertanggungjawab menggalakkan pembabitan sektor swasta
dalam bidang bioteknologi. Ia juga berperanan mempromosikan negara
sebagai pusat bioteknologi serantau, menyelaras aktiviti penyelidikan dan
pembangunan (R&D) berasaskan komersial serta menyelaras permohonan
insentif-insentif yang ditawarkan kerajaan berkaitan bioteknologi. BiotechCorp
dikawal selia oleh Majlis Pelaksanaan Bioteknologi dan mendapat nasihat
daripada Panel Penasihat Bioteknologi Antarabangsa. Kedua-dua badan ini
dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Perbadanan Bioteknologi Malaysia, Aras 23, Menara Atlan, 161B Jalan Ampang, 50450
Kuala Lumpur. Tel: 03-21165588 Faks: 03-21165411 Laman web: www.biotechcorp.
com.my

Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM)
MRM ditubuhkan pada tahun 1993 untuk meneroka inovasi dan mempromosi
serta meneraju program reka bentuk bagi meningkatkan kemahiran rekabentuk
industri, kemampuan dan standards di Malaysia. Selain itu, MRM juga
berperanan sebagai sebuah badan pemikir dan penasihat dalam merevolusikan
rekabentuk yang berinovatif dan memastikan ianya standing dengan standard
antarabangsa.

Majlis Rekabentuk Malaysia, Aras 11-12 (Sayap Barat) Menara MATRADE, Jalan
Khidmat Usaha Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur Tel: 03-6203 0030 Faks: 03-6203
0093 Laman web: www.mrm.gov.my

Akademi Sains Malaysia (ASM)
ASM ditubuhkan di bawah Akta Akademi Sains Malaysia pada 1 Februari 1995
sebagai sebuah badan pemikir kepada kerajaan di bidang sains, kejuruteraan

386 Malaysia 2014

dan teknologi. Misi ASM adalah bagi meneruskan, menggalakkan dan
meningkatkan inovasi sains kejuruteraan dan teknologi untuk pembangunan
negara dan faedah manusia sejagat.

Akademi Sains Malaysia, Tingkat 20, Sayap Barat, Menara MATRADE, Jalan Khidmat
Usaha Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur Tel: 03-6203 0633 Faks: 03-6203 0634
Laman Web: www.akademisains.gov.my.

Pusat Sains Negara
Pusat Sains Negara telah dibuka secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri
Malaysia, YABhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 29 November 1996.
Misi utama Pusat Sains Negara adalah untuk menggalakkan pembelajaran
sepanjang hayat Sains dan Teknologi (S&T) danmemupuk semangat inovasi di
kalangan rakyat Malaysia. PSN mempunyai pelbagai jenis pameran yang direka
untuk merangsang, menarik dan menggalakkan pengunjung untuk memupuk
minat yang aktif dalam S&T. Ia bertujuan supaya PSN menjadi pilihan pertama
bagi pengunjung yang mencari peluang untuk meneroka sains, teknologi dan
inovasi. Untuk mencapai matlamat ini, Pusat Sains Negara menggunakan dua
pendekatan iaitu Program In-reach dan Program Outreach.

Pusat Sains Negara, Pesiaran Bukit Kiara 50662 Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Tel: 03-20921150 Faks: 03-20921259 Laman Web: www.psn.gov.my

Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd (ATSB®)
ATSB® telah ditubuhkan pada tahun 1997 menerusi mandat yang diberikan
untuk meningkatkan kemajuan Negara di dalam bidang satelit dan teknologi
angkasa lepas khususnya di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan
(R&D) reka bentuk teknologi yang inovatif mengikut sistem piawaian yang
telah ditetapkan. ATSB® telah memainkan peranannya sebagai perintis dalam
menguasai bidang tersebut bukan sahaja di Malaysia malah di Asia Tenggara
menerusi beberapa program yang telah dilaksanakan dengan jayanya termasuk
pelancaran satelit TiungSAT-1 dan RazakSAT® iaitu satelit remote sensing
pertama di dunia mengelilingi orbit berhampiran Khatulistiwa telah berjaya
dilancarkan pada 14 Julai 2009. ATSB® turut mengaplikasi teknologi satelit
yang diperolehi secara inovatif untuk memenuhi program angkasa negara yang
lain seperti projek Angkasawan, Sistem Amaran Awal Tsunami Kebangsaan,
Teleskop Robotik Stellar Balai Cerap Solar Negara, Sistem Solar Virtual Realiti
Al-Falak, Projek Masjid Pintar, Sistem Pemantauan Radiasi Persekitaran serta
Sistem Pemantauan Angin dan Penglihatan Kawalan Trafik Udara.

AstronauticTechnology (M) Sdn. Bhd (ATSB®), 2, Jln Jururancang U1/21, HICOM
Glenmarie Industrial Park, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Tel: 03-5569 0100
Faks: 03-5569 6109 Laman web: www.atsb.my

Malaysia 2014 387

MIMOS Berhad
MIMOS menjalankan penyelidikan gunaan dalam bidang ICT, semikonduktor
dan mikroelektronik melalui perkongsian pintar pelbagai pihak berkepentingan
iaitu Universiti-universiti, institut penyelidikan, sektor kerajaan dan industri
dengan fokus kepada teknologi terkehadapan. MIMOS memberi penekanan
kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang didorong pasaran
untuk memastikan teknologi boleh dikomersilkan untuk pertumbuhan yang
mampan. Usaha R&D adalah tertumpu kepada enam kluster teknologi iaitu
Informatik Termaju, Pengkomputeran Grid, Keselamatan Maklumat, Teknologi
Pengetahuan, Mikrosistem dan MEMS dan Komunikasi Tanpa Wayar.

MIMOS Berhad, Technology Park Malaysia, 57000 Kuala Lumpur. Tel: 03-89955000
Faks: 03-89962755 Laman we: www.mimos.my

Cybersecurity Malaysia
Peranan CyberSecurity Malaysia sebagai pusat pakar keselamatan siber
nasional telah mendapat pengiktirafan sama ada di peringkat tempatan
mahupun antarabangsa. Dengan penubuhan CyberSecurity Malaysia, rakyat
Malaysia terutamanya pengguna internet kini mempunyai satu pusat rujukan
bagi isu-isu berkaitan keselamatan internet dan ancaman siber. Antara
perkhidmatan yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia adalah Pusat
Bantuan Cyber999 yang dikendalikan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan
Komputer Malaysia (Malaysia Computer Emergency Responce Team –
MyCERT), Perkhidmatan Forensik Digital, Pengurusan Keselamatan Maklumat
dan Amalan Terbaik, Jaminan Keselamatan, Pembangunan Profesional
Keselamatan Maklumat, Program Kesedaran Keselamatan Maklumat melalui
Program Cyber Security Awareness for Everyone (CyberSAFE), Perkhidmatan
Penilaian Kelemahan serta Badan Pensijilan Common Criteria Malaysia dan
Kajian Dasar Keselamatan Maklumat.

Cybersecurity Malaysia, Tingkat 8, Blok A, Mines Waterfront Business Park, No. 3
Jalan Tasik, The Mines Resort City, 43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.
Tel: 03-89460999 Faks: 03-89460888 Laman web: www.cybersecurity.my

Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPHARM)
Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (IPHARM) diasaskan pada
tahun 2006 berperanan untuk menerajui sektor bioteknologi kesihatan negara.
Bioteknologi kesihatan memainkan peranan penting untuk merealisasikan Dasar
Bioteknologi Kebangsaan yang dirangka pada tahun 2005. Kekayaan sumber
semula jadi negara mampu mengerakkan usaha penemuan, pembangunan
dan pemasaran farmaseutikal dan nutraseutikal, seterusnya menyumbang
kepada pembangunan sosioekonomi negara.

388 Malaysia 2014


Click to View FlipBook Version