INDEKS RASUAH - TRANSPARENCY INTERNATIONAL
TAHUN 2020
10 negara terbaik dunia 10 negara paling tinggi
rasuah dunia
Denmark Somalia
New Zealand Selatan
Sudan
Finland Syria
Singapore Yemen
Switzerland Venezuela
Sweden Guinea
Norway Libya
Netherland Korea Utara
Luxembourg
Republik
Germany Congo
Haiti
36
64. Manakala 10 negara paling tinggi rasuah di dunia mengikut
senarai TI ialah Somalia, Selatan Sudan, Syria, Yemen,
Venezuela, Guinea, Libya, Korea Utara, Republik Congo dan
Haiti. Ironinya di sini, daripada data yang disenaraikan, dapat
dilihat majoriti negara-negara yang sangat tinggi rasuahnya
merupakan negara-negara termiskin dunia, tahap pendidikan
rakyatnya masih rendah, struktur pentadbiran negara amat
lemah dengan tahap penguatkuasaan undang-undang hampir
sifar manakala sistem politiknya kerap kucar-kacir dan dibolot
sepenuhnya oleh golongan Oligarki politik yang disokong oleh
kumpulan ahli perniagaan yang berkepentingan. Ini dapat dilihat
daripada senarai negara-negara paling korup di dunia seperti
Somalia, Selatan Sudan, Korea Utara, Libya dan beberapa
lagi. Rakyat jelata menjadi kumpulan marhaen yang menjadi
mangsa kerakusan pemimpin yang rasuah ini. Juga majoriti
negara-negara yang tinggi tahap rasuahnya merupakan
negara-negara Islam.
INDEKS GLOBAL INI MEMBABITKAN 180 BUAH NEGARA
DI SELURUH DUNIA, MENYAKSIKAN MALAYSIA MENURUN
KE TANGGA KE-62 (2021) DARIPADA TANGGA 51 (2019)
65. Penulis dan rakyat Malaysia ingin melihat apakah negara
kita boleh dikategorikan sebagai 10 negara yang ‘top 10’
menghindari rasuah. Apakah penulis dapat melihat negara ini
dalam tahun-tahun yang terdekat dapat berubah sebab faktor
umur penulis sudah menjejak 75 tahun. Hanya rintihan doa
37
kepada Ilahi yang dapat dilakukan setiap hari, semoga negara
kita kembali bebas dan pulih daripada rasuah, rakyat dan
pelbagai kaum dan agama sama-sama ke arah itu. Bilakah
tibanya panggilan Ilahi saatnya belum pasti. Penulis mahu
melihat negara Malaysia menjadi contoh negara Islam yang
berprinsip, bermaruah dan boleh diteladani.
Kita mengharapkan indeks global yang tertera di atas akan
berubah kepada Malaysia Boleh?, segala-galanya boleh sebab
perkataan Malaysia Boleh selalu dilaungkan di dalam bidang
sukan. Malaysia Boleh, negara Malaysia boleh, pemimpin boleh,
lapisan rakyat di bawah pun boleh. Boleh untuk mengubah
perkara yang tidak dibolehkan menjadi sesuatu yang lebih baik
dan dihormati.
AKHIRNYA MARCOS DAN IMELDA TERSUNGKUR DI
PENTAS DUNIA
66. Penulis teringat, dan dunia tidak lupa tentang kisah
bagaimana Presiden Marcos yang digulingkan melalui
demonstrasi rakyat dengan skandal melarikan wang negara
Filipina bernilai bilion USD pada tahun 1970an dan dijatuhkan
hukuman penjara seumur hidup dan mati dalam buangan di
Hawaii setelah melarikan diri ke Amerika Syarikat.
Hayatilah rangkap puisi di bawah:
Tak tumbuh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata,
Sebab pulut santan binasa,
Sebab mulut badan binasa.
Sebab tamak keturunan binasa
Sebab kerakusan rakyat binasa
Sebab kekayaan keluarga dihina
Sebab kurang integriti maruah binasa
Sebab sayangkan anak dimanja-manja
Sebab sayangkan isteri ikut apa saja
Akhir Marcos tersungkur di pentas dunia
Akibat kerenah Imelda yang durjana
Maruah tidak boleh dibeli dengan kekayaan dunia
Begitulah nasib Marcos dan Imelda tak dilupai di seluruh dunia.
38
KEPENTINGAN DIRI DAN PENGEKALAN KUASA ITULAH
FALSAFAH KEBANYAKAN AHLI POLITIK KEBANYAKAN
NEGARA DI DUNIA INI
67. Persoalan yang sentiasa membelenggu pemikiran rakyat di
kebanyakan negara ialah mampukah sistem politik negara
berubah demi kebaikan dan kemajuan negara? Atau adakah
harapan rakyat akhirnya menjadi debu yang berterbangan,
melihat kepada sikap pemimpin politik yang menerajui sesebuah
negara kekal rakus dengan sifat pentingkan diri sendiri dan
kegilaan mengekalkan kuasa dengan sanggup mengenepikan
prinsip perjuangan yang digembar-gemburkan selama ini.
Bagi kita hamba yang beriman kepada qada dan qadar
ALLAH SWT ambillah panduan daripada ayat al-Quran di
bawah ini sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah
al-Ra’d ayat 11:
Maksudnya: “...Sesungguhnya ALLAH SWT tidak
mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga
mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Dan apabila ALLAH SWT menghendaki untuk menimpakan
kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan
mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat
menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan
tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi
mereka selain daripadaNya”.
Ayat ini jelas memberikan pengajaran kepada semua
bahawa pilihan untuk tidak melakukan jenayah rasuah atau
bersekongkol dengan mana-mana pihak yang melakukan
rasuah sebenarnya ada di tangan masing-masing. Kita tidak
terdesak untuk melakukan rasuah kerana ALLAH SWT
menjamin rezeki setiap hambanya untuk kelangsungan hidup,
dan ALLAH SWT juga menganugerahkan sumber kekayaan dan
rezeki yang amat luas kepada negara kita Malaysia. Malahan
juga, kita tidak akan mati kebuluran jika tidak mengambil rasuah,
bahkan hidup akan lebih tenang dari belenggu noda dan dosa
yang lambat laun akan terbongkar juga. Setiap manusia tidak
boleh lari daripada kematian kerana kematian suatu yang
pasti sebagaimana ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 185:
39
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai
mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu”.
Mati bererti bercerai nyawa dari badan dan berpisah jasad
dari roh, bukan itu sahaja bahkan mati juga terpisah daripada
segala kesenangan, kekayaan, kemewahan, orang yang
tersayang, dan harta dunia yang tidak boleh dibawa bersama
ke alam barzakh (alam selepas mati). Hanya amal soleh atau
kebaikan yang boleh membantu seseorang hamba ALLAH SWT
ketika di dunia sebagai peneman abadi bila keseorangan dalam
alam barzakh. Kebiasaannya di negara kita Malaysia selepas
sahaja solat jenazah dilaksanakan imam akan menoleh
kebelakang lalu bertanya dengan suara yang lantang “Apa kita
saksikan ke atas mayat ini?” lalu dijawab oleh para makmum
serentak “baik” sebanyak tiga kali. Ketika itu sanjungan dan
kesaksian orang hidup belum tentu dapat menyelamatkan
dirinya daripada azab ALLAH SWT kerana ALLAH SWT
Maha Mengetahui dengan segala amalannya. Akhirnya jasad
disemadikan ke dalam tanah hanya bertemankan tiga
lembar kain kafan yang dililit pada tubuh badan dengan
harganya yang tidak seberapa, tidaklah ratus, ribu, juta
atau pun bilion. Renung-renungkanlah dan berfikir dengan
mata hati yang mendalam.
40
68. PANDANGAN DAN PETIKAN BEBERAPA PEMIMPIN DAN
PERSONALITI BERHUBUNG DENGAN HUKUMAN KEPADA
PEMBERI, PERANTARA DAN PENERIMA RASUAH
ULAMA’, UMARA’ JANGAN PEJAM MATA TERHADAP
RASUAH - RAJA NAZRIN
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Raja Nazrin Muizzuddin Shah.
- Foto BERNAMA
Penulis bersalaman dengan DYMM Tuanku Raja Nazrin
Muizzuddin Shah, Raja Muda Perak di satu Majlis Forum
pada tahun 2009.
41
Penulis bergambar kenangan bersama Tun Ahmad Sarji Bin Abdul Hamid
(Mantan Ketua Setiausaha Negara) di Pejabatnya di Damansara,
Ogos 2020.
“Rasuah ini perlu dijadikan sebagai bahan yang amat menjijikkan dan
dihapuskan di peringkat keluarga. Ibu bapa perlu berperanan untuk
memastikan anak-anak serta generasi muda tidak terjebak dengan
gejala rasuah.
- Tun Ahmad Sarji Bin Abdul Hamid.
“Corruption undermines Democracy and the Rule Of Law. It leads to
violation of human rights. It erodes public trust in Government and it
can kills “(Korupsi/Rasuah merendahkan martabat (tahap) Demokrasi
dan Undang-undang yang perlu dipatuhi. Ianya melanggar hak asasi
manusia. Ianya melenyapkan kepercayaan awam tehadap kerajaan
dan ianya boleh membunuh).
Ban Ki Moon - Setiausaha Agung PBB Tahun 2007 - 2016.
42
Jokowi: Koruptor Dihukum Mati Kalau Masyarakat Berkehendak.
Presiden negara China Xi Jinping mengarahkan penjenayah
rasuah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati.
43
Datuk Tengku Muhammad Taufik bin Tengku Aziz - Presiden /
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas memberi amaran kepada
kakitangan Petronas terhadap amalan rasuah - “Kami akan
singkirkan kamu tanpa rasa ragu-ragu dan penyesalan”.
Datuk Hussamuddin Yaacub
44
RUMUSAN
69. Mengenali gejala rasuah ini bukannya sesuatu yang mudah
untuk diatasi, maka kaedah pencegahan yang hendak diambil
perlulah bersifat holistik dan dinamik kerana gejala rasuah
ini sendiri tidak bersifat statik (cara dan kaedah rasuah dan
salah guna kuasa berubah dari masa ke semasa). Justeru itu
perkara-perkara berikut dicadang perlu dilaksanakan oleh pihak
kerajaan iaitu :-
i) Memasukkan silibus integriti dan bahaya rasuah di dalam
subjek pendidikan wajib kepada pelajar dari peringkat
pendidikan rendah sehingga peringkat pendidikan tinggi
bagi meningkatkan kefahaman pelajar mengenai jenayah
rasuah. Subjek ini menekankan kepada aspek hubungan
antara manusia dengan manusia dan antara manusia
dengan ALLAH SWT. Justeru itu, janganlah kita memikirkan
amalan rasuah itu nampak senang di dunia sengkek di
akhirat.
ii) Perkhidmatan Awam Kerajaan yang sering terdedah
dengan amalan gejala rasuah perlu diperkemaskan lagi
melalui sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap
(kompeten), akauntabiliti dan telus. Ini dapat dicapai
dengan penjawat awam yang bertugas diberi latihan dan
kursus memerangi rasuah dari masa ke semasa,
mengadaptasi sistem kerja yang efisien dan berkesan,
pengurangan proses interaksi kerja menggunakan tenaga
kerja manusia kepada adaptasi sistem “digitalisasi dan
online” dan memperhebatkan kempen anti-rasuah di
kalangan penjawat awam seperti slogan “Bersih, Cekap &
Amanah” serta “Kepimpinan Melalui Teladan” dan lain-lain.
iii) Rasuah politik merupakan satu lagi gejala yang amat
sukar untuk dibendung 100%. Ini kerana politik menagih
kuasa daripada rakyat di mana dengan kuasa yang dimiliki
itu akan memberi pihak yang menagih itu melaksanakan
polisi, dasar dan peraturan yang sepatutnya untuk
kepentingan rakyat. Namun sering kali kuasa yang dimiliki
itu disalahgunakan untuk kepentingan kumpulan serta
kepentingan individu melalui kuasa politik ini. Di sinilah satu
perubahan struktural dari segi dasar dan undang-undang
untuk membanteras salah guna kuasa dan rasuah ini perlu
45
dilaksanakan dengan tegas serta dikemaskinikan dengan
segera seperti Rang Undang-Undang Pembiayaan Parti
Politik, Rang Undang-undang Pengisytiharan Aset dan
Kewangan Ahli Parlimen dan Dewan Negara, Akta
Perlindungan Pemberi Maklumat dan sebagainya.
iv) Masyarakat juga tidak boleh berdiam diri dan bersikap tidak
prihatin mengenai gejala rasuah ini. Peranan masyarakat
amatlah penting dalam memastikan jaringan serta
rangkaian rasuah ini terputus di antara pemberi dan
penerima rasuah. Masyarakat perlu bertindak sebagai
“telinga dan mata kerajaan” dalam memberi maklumat dan
laporan mengenai kejadian rasuah. Juga bertindak sebagai
penyampai kepada kempen-kempen Anti-Rasuah yang
diadakan oleh pihak berkuasa dan mendidik masyarakat
muda ke arah masyarakat yang bebas rasuah.
Penguatkuasaan Undang-undang yang tegas dengan
tindakan yang cepat oleh pihak berkuasa akan meyakinkan
lagi rakyat untuk turut berganding bahu bersama pihak
berkuasa di dalam memerangi rasuah.
70. Kita selalu berdoa lepas daripada solat dengan ungkapan
yang sering kita ucapkan:
Maksudnya: “Ya ALLAH ya Tuhan kami, berikanlah kami
kebaikan di dunia dan di akhirat, jauhilah kami daripada
azab api neraka”.
71. Di sisi ALLAH SWT hanyalah ada dua jalan sama ada ke syurga
atau ke neraka justeru itu pilihan sama ada senang di dunia
dan senang di akhirat atau senang di dunia sengkek di
akhirat. Jawapannya sudah pasti orang yang bijak tidak mahu
sengkek di akhirat maka kita tiada pilihan melainkan menjauhi
amalan rasuah buat selama-lamanya. Kesudahannya sudah
pasti akan kekal selama-lamanya dalam syurga. Renungilah
dengan mata hati firman ALLAH SWT dalam surah
al-Waqi’ah, ayat 1 - 60 yang bermaksud: “Apabila berlaku
hari kiamat itu, [1] Tiada sesiapapun yang dapat
mendustakan kejadiannya, [2] Kejadian hari kiamat itu
merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan
(golongan yang taat), [3] (Ia berlaku) semasa bumi
46
bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. [4] Dan
gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-
leburnya, [5] Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran, [6]
Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan
keadaannya); [7] Iaitu puak pihak kanan; alangkah
bahagianya keadaan puak pihak kanan itu? [8] Dan puak
pihak kiri; - alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?
[9] Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang
telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia),
- yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-
baiknya di akhirat kelak); [10] Mereka itulah orang-orang
yang didampingkan (di sisi ALLAH SWT), [11] (Tinggal
menetap) di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat. [12]
(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia
yang terdahulu; [13] Dan sebilangan kecil dari orang-orang
yang datang kemudian. [14] (Mereka duduk di dalam syurga
itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan
permata; [15] Sambil berbaring di atasnya dengan cara
berhadap-hadapan. [16] Mereka dilayani oleh anak-anak
muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya),
yang sentiasa beredar di sekitar mereka, [17] Dengan
membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala
atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya
yang mengalir. [18] Mereka tidak merasa pening kepala dan
tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. [19] Dan
juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-
jenis yang mereka pilih [20] Serta daging burung dari jenis-
jenis yang mereka ingini. [21] Dan (mereka dilayani)
bidadari-bidadari yang cantik parasnya, [22] Seperti mutiara
yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. [23] Semuanya itu
sebagai balasan bagi amalan-amalan baik yang mereka
telah kerjakan. [24] Mereka tidak akan mendengar dalam
syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu
yang menyebabkan dosa; [25] Mereka hanya mendengar
ucapan: “Selamat! Selamat!” (dari satu kepada yang lain)
[26] Dan puak kanan, - alangkah bahagianya keadaan puak
kanan itu? [27] Mereka bersenang-lenang di antara pohon-
pohon bidara yang tidak berduri. [28] Dan pokok-pokok
pisang yang tersusun rapi buahnya, [29] Dan naungan yang
tetap terbentang [30] Dan air yang sentiasa mengalir [31]
Serta buah-buahan yang banyak, [32] Yang tidak putus-
putus dan tidak pula terlarang mendapatnya, [33] Dan
47
tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya. [34]
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka
dengan ciptaan istimewa, [35] Serta Kami jadikan mereka
sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), [36] Yang tetap
mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. [37]
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan; [38] Iaitu
sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu [39] Dan
sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.
[40] Dan puak kiri, - alangkah seksanya keadaan puak kiri
itu? [41] Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan
air yang menggelegak [42] Serta naungan dari asap hitam,
[43] Tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan
(keselesaan). [44] Sesungguhnya mereka sebelum itu
dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum
Tuhan). [45] Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa
yang besar, [46] Dan juga mereka selalu berkata: “Adakah
sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah
kita akan dibangkitkan hidup semula? [47] “Dan adakah
juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan
hidup semula)?” [48] Katakanlah (wahai Muhammad kepada
mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan
orang-orang yang terkemudian, [49] “Tetap akan dihimpunkan
pada masa yang ditentukan - pada hari kiamat yang termaklum.
[50] “Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang
yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat), [51]
Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok,
iaitu pokok zaqqum, [52] “Maka kamu akan memenuhi perut
kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu [53] “Selepas itu
kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
[54] “Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit
sentiasa dahaga dan tidak puas-puas”. [55] Inilah (jenis-
jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada
hari pembalasan itu [56] Kamilah yang telah menciptakan
kamu (dari tiada kepada ada - wahai golongan yang ingkar),
maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan
kamu hidup semula pada hari kiamat) [57] (Mengapa kamu
masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air
mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? [58] Adakah
kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakan-
nya? [59] Kamilah yang menentukan (dan menetapkan
masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami
tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan; [60]
48
RUJUKAN
1) Al-Quran al-Karim.
2) Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran.
3) Tafsir Ruh al-Ma’ani Fi al-Quran al-Azim
– Mahmud al-Alusi, Dar Ihya’ al-Turaht al-Arabi.
4) Tafsir al-Jami’ Li Ahkam al-Quran (Tafsir al-Qurtubi)
– Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi, Muasasah al-Risalah.
2006.
5) Tafsir al-Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran (Tafsir al-Tabari)
– Muhammad bin Jarir al-Tabari.
6) Tafsir al-Sha’rawi: Khawatir Imaniyyah
– Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi.
7) Ensiklopedia Akhirat Azab Api Neraka
– Mahir Ahmad Ash-Syufiy.
8) At-Takhwif Min al-Nar wa At-Ta’rif bi Hal Ahli al-Bawar
– Ibnu Rajab al-Hanbali.
9) Mausu’ah al-Mu’jam al-Mufahris Li Alfaz al-Hadis al-Nabawi
al-Syarif.
10) Rad al-Muhtar oleh Muhammad Amin (Ibnu Abidin) tahun 2011.
11) Fiqh Bulugh al-Maram karangan Muhammad al-Zuhaily cetakan
Maktabah Dar al-Bayan 2022.
12) Fath al-‘Allam Fi Dirasah Ahadis Bulugh al-Maram cetakan
Muassasah al-Risalah 2019.
13) al-Mustadrak ala Sahihain oleh al-Hakim cetakan Dar Minhaj
al-Qawem 2018.
14) Syu’ab al-Iman oleh al-Baihaqi 5/57 cetakan Dar Kutub Ilmiyah
2017)
49
15) Awjaz al-Masalik Syarah Muwattha’ oleh Zakaria al-Kandahlawi
cetakan Dar Kutub Ilmiyah 2010.
16) al-Taudhih Syarah al-Jami’ al-Sahih 32/530 cetakan Syarikat
Gharas Kuwait 2010
17) Minhaj al-Muhaddisin syarah Sahih Muslim karangan al-Nawawi
11/41 cetakan Dar Minhaj al-Qawem 2020
18) al-Musnad al-Musannaf al-Muallal 17/270 cetakan Dar al-Gahrb
al-Islami 2013
19) Buku Arthasastra - oleh BC Kautrya.
20) Jurnal Laporan Tahunan PBB.
21) Laporan IMF Global Standard.
22) Laporan Transparency International.
23) World Bank Report 2005.
24) Laporan Washington Based Global.
25) Global Corruption Index Report 2020.
26) Global Corruption Barometer - Asia 2020.
27) Berita Harian - Online.
50
KOLEKSI SEBAHAGIAN KULIAH SUBUH, MAGHRIB
SERTA JEMPUTAN DAN ARTIKEL-ARTIKEL,
PUISI-PUISI YANG TELAH DITERBITKAN DALAM
SINAR HARIAN DAN UTUSAN MALAYSIA
BERMULA SEPTEMBER 1986 HINGGA NOVEMBER 2021
HUKUM JENAYAH RASUAH MENURUT EMPAT MAZHAB
YANG MUKTABAR
DALIL RASUAH DAN MAKSUDNYA DARIPADA SUMBER
AL-QURAN
72. Perbuatan memberi dan menerima rasuah merupakan
dosa besar dan dilaknat oleh ALLAH SWT dan RasulNya.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188
maksudnya: “Dan janganlah kamu makan harta atau
mengambil harta orang lain di antara kamu dengan jalan
yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta
kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak
memakan atau mengambil sebahagian dari harta manusia
dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui salahnya”.
Dalam surah al-Maidah ayat 62 firman ALLAH SWT
maksudnya: “Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka
berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan
serta memakan yang haram (al-Suht/Suhtun maknanya
harta yang diusahakan dengan jalan haram. Dipetik
daripada kamus Idris al Marbawi). Demi sesungguhnya
amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan”.
51
Dalam surah al-Takaathur ayat 1-8 ALLAH SWT juga
berfirman maksudnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada
mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba
untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta
benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh) [1] Sehingga
kamu masuk kubur [2] Jangan sekali-kali (bersikap
demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang
buruk semasa hendak mati)! [3] Sekali lagi (diingatkan):
jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan
mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!
[4] Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa
yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yaqin,
(tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang
menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). [5] (Ingatlah)
demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang
marak menjulang [6] Selepas itu - demi sesungguhnya! -
kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya
dengan penglihatan yang yaqin (semasa kamu dilemparkan
ke dalamnya)! [7] Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan
ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu
telah menikmatinya)! [8].
DALIL RASUAH DAN MAKSUDNYA DARIPADA SUMBER
AL-HADIS
ALLAH SWT MELAKNAT PEMBERI RASUAH DAN
PENERIMA RASUAH
73. Terdapat banyak hadis daripada Nabi SAW yang melarang
perbuatan memberi dan mengambil rasuah. Antara hadis-hadis
tersebut daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As RA katanya:
Aku pernah mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya:
“ALLAH SWT melaknat orang yang memberi dan yang
menerima rasuah” [Riwayat al-Tirmizi]. Daripada Jabir bin
Abdullah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Tidak akan memasuki syurga, daging yang tumbuh
daripada yang haram (rasuah), api neraka lebih utama
baginya” [Riwayat Ahmad]. Daripada Abdullah bin Umar RA
katanya: Nabi SAW bersabda maksudnya: “Setiap daging
52
yang tumbuh daripada as-suht maka neraka lebih layak
untuknya”. Dikatakan kepada baginda: Apakah itu as-suht:
Jawab Nabi: “as-suht iaitu memberi rasuah dalam urusan
kehakiman”. [Riwayat al-Hakim]. Bahkan pihak ketiga yang
menjadi perantara dalam urusan rasuah juga termasuk dalam
kategori golongan yang dilaknat oleh ALLAH SWT dan
RasulNya, dalam hadis riwayat Thauban RA katanya :
“Nabi SAW melaknat orang yang memberi, menerima dan
menjadi perantara dalam rasuah” [Riwayat al-Hakim].
74. Pengertian al-Suht/Suhtun maknanya harta yang diusahakan
dengan jalan haram. Dipetik daripada kamus Idris al Marbawi
diperjelaskan dalam satu riwayat daripada Masruq bin al-Ajda’
katanya: Aku pernah bertanya Saidina Umar bin al-Khattab RA:
“Wahai Amirul Mukminin apakah pendapat tuan tentang rasuah
yang diberikan kepada hakim, adakah perbuatan tersebut
tergolong dalam al-Suht/Suhtun”. Jawab Saidina Umar RA :
“Perbuatan tersebut bukan al-Suht/Suhtun saja, bahkan ianya
adalah kufur”. Tambah Saidina Umar RA lagi: “al-Suht/Suhtun
bermaksud seorang lelaki yang berjawatan dalam kerajaan dan
mempunyai hajat tertentu, sedangkan di pihak lain ada orang
yang mempunyai hajat tertentu untuk dituntut dari pemerintah
maka pegawai kerajaan tersebut tidak akan melaksanakan
urusan pihak tadi melainkan setelah diberikan hadiah tertentu,
itulah maksud al-Suht/Suhtun”. (Rujuk al-Awsad fi al-Sunan wa
al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf Ibnu al-Munzir al-Naisabury 3/622). Dari
kalangan ulama mazhab Syafie.
75. Definisi rasuah menurut Zaffar Ahmad al-Uthmani al-Tahaniwi
merujuk kepada pemberian suatu ganjaran yang tidak
sepatutnya boleh diterima oleh penerima ganjaran tersebut
disebabkan tugas hakiki yang digalasnya, sama ada dalam
konteks fardhu Ain seperti tugas seorang hakim atau fardhu
kifayah seperti seorang waris yang sepatutnya menjadi wali
dalam perkahwinan. (Sebagai contoh seorang bapa yang
mensyaratkan bayaran atau ganjaran tertentu untuk menjadi
wali dalam perkahwinan anaknya).
76. Bahkan pihak ketiga yang menjadi perantara dalam urusan
rasuah juga termasuk dalam kategori golongan yang dilaknat
oleh ALLAH SWT dan RasulNya, dalam hadis riwayat Thauban RA
katanya : “Nabi SAW melaknat orang yang memberi, menerima
53
dan menjadi perantara dalam rasuah” [Riwayat al-Hakim].
77. Ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis ini menjadi sandaran semua
mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah di kalangan mazhab empat
yang muktabar secara Ijma’ bahawa perbuatan memberi,
menerima dan menjadi perantara (orang tengah) rasuah adalah
haram dalam Islam. Pendapat-pendapat ini boleh dilihat dalam
kitab al-Bahr al-Raiq karangan Ibnu Nujaim (wafat:970H) 6/285
cetakan dar kitab Islamy (Mazhab Hanafi), Nihayatul Muhtaj
8/255 karangan al-Ramli (wafat:957H) cetakan Dar Kutub
Ilmiyyah (mazhab Syafie), al-Mughni karangan Ibnu Qudamah
(wafat:620H) 14/59 cetakan Dar Alam al-Kutub (mazhab Hanbali)
dan al-Jami’ Li Ahkam al-Quran karangan al-Qurtubi (wafat:671H)
7/485 cetakan Muassasah al-Risalah (mazhab Maliki).
RASUAH, PERINCIANNYA DAN HUKUMNYA
78. Menurut Mohamad Amin Ibnu Abidin (wafat:1252H)
daripada kalangan ulama mazhab Hanafi dalam kitab Rad
al-Muhtar Syarah Dur al-Mukhtar, membahagikan rasuah ada
empat kategori dari sudut hukumnya.
Pertama: Haram kepada pemberi dan penerima, sekiranya
rasuah bertujuan untuk mendapatkan jawatan selaku hakim
atau menjadi pemimpin. Contohnya seorang pemimpin yang
menyogok pengundi untuk mendapatkan undi agar terpilih
menjadi wakil rakyat.
Kedua: Haram kepada pemberi dan penerima, sekiranya
rasuah diberikan kepada hakim untuk mempengaruhi keputusan
hakim agar berpihak kepada pemberi. Contohnya seseorang itu
menyogok hakim agar mengubah keputusan berpihak kepada
dirinya sama ada melibatkan harta, maruah atau nyawa.
Ketiga: Haram kepada penerima rasuah sahaja, sekiranya
pemberi terpaksa menyogok pihak berwajib untuk mendapatkan
haknya yang tertahan atau menolak mudarat ke atas dirinya
yang dizalimi. Contohnya keengganan pegawai imigresen
mengeluarkan visa pelajar atau pekerja tanpa sebarang sebab
yang menyalahi undang-undang hanya kerana inginkan wang
pelincir daripada pelajar atau pekerja tersebut.
Keempat: Haram kepada penerima rasuah sahaja, sekiranya
pemberi terpaksa menyogok pihak tertentu bertujuan agar pihak
54
tersebut tidak melakukan kezaliman ke atas dirinya atau harta
miliknya. Contohnya seorang peniaga terpaksa membayar wang
pelincir kepada tonto/pemeras ugut yang menguasai suatu kawasan
perniagaan. Jika peniaga tersebut tidak menyerahkan sejumlah
wang tertentu gangster akan merosakkan harta benda miliknya atau
mengancam nyawanya.
MEMPERINCIKAN PEMBAHAGIAN HUKUM MEMBERI,
PERANTARA DAN MENERIMA RASUAH MENGIKUT EMPAT
MAZHAB YANG MUKTABAR
79. Daripada pembahagian yang dikemukakan dalam mazhab
Hanafi para fuqaha mazhab empat memperincikan hukum
memberi dan menerima rasuah kepada beberapa pecahan
masalah seperti berikut:
1. Sekiranya pemberi terpaksa menyogok pihak tertentu untuk
mendapatkan haknya yang tertahan atau menolak mudarat
dan kezaliman ke atas dirinya hukumnya adalah harus.
Dalam kes seperti ini dosa hanya ditanggung oleh pihak
penerima rasuah. Pendapat ini juga merupakan pendapat
jumhur (majoriti) ulama mazhab empat seperti yang disebut
dalam kitab al-Hidayah Syarah al-Bidayah karangan
al-Marghinani (wafat:593H) 3/1209 (Mazhab Hanafi),
al-Hawi al-Kabir karangan al-Mawardi (wafat:450H) 16/288
cetakan Dar Kutub Ilmiyah (mazhab Syafie), Kasyf al-Qina’
karangan al-Bahuti (wafat:1051H) 11/437 (mazhab
Hanbali), Mawahib al-Jalil karangan al-Hattab (wafat:954H)
7/485 (mazhab Maliki).
2. Menurut Yahya bin Abi al-Khair al-Umrani dalam kitab
al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie dari kalangan ulama
mazhab Syafie, sekiranya pemberi rasuah menyogok pihak
tertentu bertujuan untuk memberikan tekanan agar hakim
membuat keputusan yang salah (batil) atau menghalang
suatu hukuman dari dikenakan ke atas dirinya maka
perbuatan tersebut adalah haram. Rasuah dalam kategori
inilah yang termasuk dalam maksud laknat yang
disabdakan oleh Nabi SAW dalam hadis sebelumnya.
Namun jika terpaksa memberikan rasuah untuk menolak
kezaliman atau mendapatkan haknya maka perbuatan
tidaklah haram bagi pemberi dan haram bagi yang
menerimanya.
55
3. Menurut Zaffar Ahmad al-Uthmani al-Tahaniwi (wafat
1974M) dari kalangan ulama Hanafi dalam I’la’ al-Sunan
( ) cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyah 2018 jilid 15/75
memberi rasuah bertujuan untuk melakukan kezaliman
kepada pihak lain hukumnya adalah haram menurut
kesepakatan semua ulama mazhab. Jika bertujuan untuk
menolak kezaliman hukumnya adalah harus dan pihak yang
menerima rasuah tersebut hukumnya haram. Justeru itu
maksud hadis riwayat Abdullah ibn ‘Amr bin al-‘As RA
dengan katanya aku pernah mendengar Nabi SAW
bersabda maksudnya: “ALLAH SWT melaknat pemberi
rasuah dan penerima rasuah” (Riwayat al-Tirmizi) bererti
larangan yang membawa kepada dosa ialah memberi
rasuah yang bertujuan untuk mendatangkan kezaliman
kepada pihak lain sahaja. Ianya tidak bermaksud untuk
menolak kezaliman ke atas dirinya kerana ketika itu dirinya
sedang dizalimi.
Keharusan ini boleh dilihat dalam suatu peristiwa pada
zaman Nabi SAW dalam hadis riwayat al-Zuhri dengan
katanya: “Ketika keadaan umat Islam berada dalam
keadaan sukar akibat dikepung oleh tentera Ahzab dalam
peperangan Khandaq (peperangan parit) Rasulullah
mengutuskan utusan kepada Uyainah bin Husyain dan
al-Haris bin Abi Auf yang ketika itu merupakan pemimpin
suku Qatafan yang turut bersama mengepung kota
Madinah. Rasulullah memberikan kepada mereka satu
pertiga daripada hasil tanaman penduduk Madinah sebagai
jaminan untuk mereka mengundurkan tentera mereka,
maka dengan itu terlaksanalah perdamaian di antara kedua
belah pihak”. Walaupun hadis ini berada dalam kategori
Mursal (hadis yang gugur daripada sanadnya sahabat)
namun ianya diterima oleh ulama hadis dan dijadikan hujah
bagi mengharuskan perdamaian dengan orang kafir dengan
menyerahkan kepada mereka ganjaran tertentu sekiranya
perbuatan tersebut lebih baik untuk maslahat umat Islam.
Justeru perkara tersebut pada zahirnya sama sahaja seperti
rasuah namun hakikatnya ia tidak membawa maksud
rasuah yang diharamkan dalam Islam.
Oleh itu laknat yang dimaksudkan dalam hadis
Abdullah ibn ‘Amr bin al-‘As RA di atas merujuk kepada
kebiasaannya perbuatan penerima rasuah untuk
menjatuhkan hukum secara tidak benar atau melakukan
56
Kezaliman, begitu juga pemberi rasuah bertujuan untuk
sesuatu hukuman berpihak kepada dirinya secara batil atau
menafikan kenyataan sebenar maka selayaknya kedua-dua
pihak ini dilaknat.
4. Sekiranya pemberi terpaksa menyogok pihak ketiga selaku
perantara di antara beliau dengan pihak berkepentingan
seperti pegawai kerajaan/pihak berkuasa untuk
mendapatkan haknya yang tertahan atau menolak mudarat
dan kezaliman ke atas dirinya hukumnya juga adalah harus
menurut semua mazhab.
5. Sekiranya pemberi menjanjikan atau memberikan sejumlah
wang atau seumpamanya kepada perantara (orang tengah)
sebagai ganjaran untuk urusan tersebut, maka perbuatan
tersebut adalah haram kepada kedua-dua belah pihak
menurut pendapat semua mazhab.
6. Sekiranya pemberi tidak mensyaratkan atau menawarkan
sebarang ganjaran ketika meminta perantara (orang
tengah) melakukan urusan tersebut, akan tetapi
memberikan sejumlah wang atau seumpamanya sebagai
ganjaran atau hadiah atas bantuan yang dilakukan dan
perbuatan tersebut sudah menjadi kebiasaan (adat) yang
difahami dalam budaya setempat. Dalam kes seperti ini
menurut majoriti ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan
Hanbali hukumnya adalah haram kerana ganjaran tersebut
terikat dengan kerja yang dilakukan.
7. Sekiranya pihak perantara (orang tengah) menghulurkan
bantuan tanpa mensyaratkan sebarang ganjaran diberikan
dalam urusan tersebut, akan tetapi pemberi memberikan
sejumlah wang atau seumpamanya sebagai ganjaran
setelah urusan tersebut selesai. Dalam kes seperti ini
menurut mazhab Hanbali dalam Kasyaf al-Qina’ 6/281
hukumnya adalah haram.
80. Justeru itu, hukum rasuah menurut Jumhur (majoriti) ulama
mazhab empat memberi rasuah dalam keadaan terpaksa untuk
mendapatkan haknya yang sepatutnya atau menolak mudarat
dan kezaliman ke atas diri sendiri, keluarga atau harta
hukumnya adalah harus. Perbuatan seperti merasuah petugas
57
kepada penguasa yang zalim demi melepas sesuatu kezaliman
kepada diri sendiri atau pihak tertentu, atau mengembalikan
sesuatu hak yang diambil dengan cara yang zalim maka dosa
tersebut ditanggung oleh pihak yang mengambilnya, tidak atas
pihak yang memberikan suapan tersebut. Namun, yang paling
baik adalah bersabar dan hendaklah berusaha dengan apa cara
yang tidak merasuah sesiapa pun serta berserah kepada
ALLAH SWT sehingga dipermudahkan urusannya.
PERBEZAAN RASUAH DAN HADIAH
81. Dalam konteks kefahaman masyarakat, rasuah sering
berlakunya salah tafsir daripada setengah pihak yang
mendakwa habuan yang diberikan sebagai hadiah tidak ada
kena mengena dengan jenayah rasuah. Oleh itu, pengertian
rasuah dan hadiah perlu diperjelaskan agar perkara haram
tidak diambil mudah oleh anggota masyarakat. Rasuah
menurut definisi Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 22/220
yang dipetik daripada pendapat dalam mazhab Maliki
bermaksud “Apa sahaja yang diberikan dengan tujuan
memalsukan kebenaran dan membenarkan kepalsuan”. Definisi
ini jelas menerangkan bahawa rasuah adalah pemberian sama
ada dalam bentuk harta atau manfaat tertentu yang bertujuan
untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi
hak pihak lain. Adapun hadiah adalah pemberian atas sebab
suka atau memuliakan seseorang tanpa sebarang niat
terselindung yang mensyaratkan ganjaran balas. Perbuatan
memberi hadiah dituntut dalam Islam dan hukumnya adalah
sunat kerana boleh mengekalkan hubungan silaturahim
sesama manusia. Namun, apabila pemberian hadiah membawa
niat tidak baik untuk mendapatkan balasan tertentu ianya boleh
bertukar menjadi haram. Dalam sebuah hadis riwayat
daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW sabdanya yang
bermaksud: “Barangsiapa menjadi perantara (orang tengah)
untuk membantu saudaranya lalu orang itu memberikan
hadiah atas urusan tersebut dan ia menerimanya,
sebenarnyalah ia telah mendatangi satu pintu terbesar dari
pintu-pintu riba”. [Riwayat Ahmad dan Abu Daud]
82. Hadiah pada kebiasaannya merupakan pemberian kepada
seseorang kerana prestasi kerja atau sebagai suatu
penghormatan dan hadiah juga boleh membawa maksud
tertentu secara tersirat untuk kepentingan tertentu. Atas dasar
58
sering berlakunya salah tafsir di antara hadiah dan rasuah para
ulama memberikan penjelasan bahawa hadiah yang diberikan
dengan tujuan atau maksud tertentu terutama untuk
memesongkan kebenaran adalah sama hukumnya seperti
rasuah dalam erti kata haram dan membawa kepada dosa.
83. Kamaluddin Ibnu Humam (wafat:861H) daripada kalangan
ulama mazhab Hanafi dalam kitab Fath al-Qadir syarah
al-Hidayah, membahagikan hadiah kepada empat kategori dari
sudut hukumnya.
- Pertama: Halal kepada pemberi dan penerima, sekiranya
bertujuan untuk menghargai hubungan silaturahim.
- Kedua: Haram kepada pemberi dan penerima, sekiranya
hadiah yang diberikan bertujuan untuk membantu pihak
yang menerima melakukan kezaliman.
- Ketiga: Haram kepada penerima sahaja, sekiranya
pemberi terpaksa memberikan sesuatu atas nama hadiah
untuk menghentikan kezaliman ke atas dirinya daripada
pihak penerima.
- Keempat: Haram kepada penerima sahaja, sekiranya
pemberi terpaksa memberikan sesuatu atas nama hadiah
bertujuan agar penerima tersebut tidak melakukan
kezaliman ke atas diri, harta, keluarga atau kehormatannya.
84. Imam al-Bukhari meletakkan satu bab dalam kitab hadis al-Jami’
al-Musnad al-Sahih beliau yang diberi nama: Bab pada
menyatakan golongan yang tidak berhak menerima
hadiah kerana sebab tertentu. Antara sebab yang tidak
membolehkan hadiah diterima menurut Badruddin al-Áini
(wafat 855H) ialah hadiah yang diberikan kepada seseorang
untuk tujuan menyelesaikan suatu urusan dengan pihak ketiga
atau menjadi pemudah cara dengan memberikan sokongan
bagi pihaknya dalam suatu urusan.
85. Dalam bab ini Imam al-Bukhari mengemukakan kisah tokoh
terkenal Islam Umar bin Abdul Aziz yang menolak hadiah ketika
menjadi khalifah umat Islam. Kisahnya bermula apabila Khalifah
Umar berkeinginan untuk menjamah epal namun beliau tidak
59
mendapati di rumahnya sesuatu yang boleh digunakan untuk
membelinya. Maka beliau keluar bersama seorang pembantu
bernama Furat bin Muslim dengan menunggang kuda,
dipertengahan jalan beliau bertemu dengan beberapa orang
di kalangan mereka yang bertugas bagi pihak gereja sedang
menjunjung bakul berisi epal. Umar mengambil sebiji epal dan
menciumnya kemudian mengembalikannya semula ke dalam
bakul. Kata Furat bin Muslim: Aku pun bertanya kepadanya
mengenai hal tersebut. Jawab Umar: Aku tidak
menginginkannya lagi. Kata Furat bin Muslim: Bukankah
Rasulullah, Abu Bakar dan Umar menerima pemberian hadiah?.
Maka Umar bin Abdul Aziz menjawab: “Sesungguhnya bagi
mereka adalah hadiah, tetapi hadiah tersebut pada hari ini buat
saya adalah suapan (rasuah)”. (Lihat Umdah al-Qari karangan
Badruddin al-Áini 13/219-220 cetakan Dar Kutub Ilmiyah 2018).
86. Menurut Imam al-Nawawi maksud hadis yang disebutkan oleh
Umar bin Abdul Aziz adalah sama dengan suatu hadis lain yang
berstatus marfu’ (hadis yang disandarkan secara terus atau
jelas kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, ikrar
dan juga sifat Nabi SAW) yang diriwayatkan oleh Imam
Ahmad dan al-Tabrani dari hadis Abu Humaid yang
bermaksud: “Hadiah untuk penjawat awam adalah
pengkhianatan” di mana Nabi SAW mencela Ibnu Lutbiyah
(lihat para no: 98) yang menerima hadiah yang diberikan
kepadanya ketika kedudukannya pada waktu itu merupakan
seorang pegawai pemungut zakat yang dilantik oleh Nabi SAW.
(Lihat Fath al-Bari karangan Imam al-Nawawi Syarah al-Bukhari
14/405 cetakan Pustaka Azzam 2010).
87. Justeru itu, hadis ini memberikan jawapan yang cukup jelas
kenapa Umar bin Abdul Aziz menolak pemberian epal tersebut?
Kalaulah bukan jawatan Khalifah yang dipikulnya tidak akan ada
mana-mana pihak memberikan kepada beliau sebarang hadiah.
Maka tidak hairanlah zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz
memerintah selama dua tahun setengah, iaitu sekitar 30 bulan
membawa keberkatan kepada negara dan umat. Dalam tempoh
tersebut Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintahkan
pegawainya untuk mengedarkan zakat kepada hamba rakyat
di kalangan fakir-miskin akhirnya wang zakat tersebut pulang
semula ke Baitul Mal kerana tidak ditemukan lagi orang yang
berhak menerima zakat. Umar bin Abdul Aziz telah membuat
60
seluruh rakyatnya menjadi senang dan kaya.
88. Justeru itu, Mohamad Amin Ibnu Abidin (wafat:1252H) dalam
kitab Rad al-Muhtar Syarah Dur al-Mukhtar menyatakan semua
petugas/penjawat awam yang dilantik menguruskan urusan
rakyat seperti pemungut hasil dan pengutip zakat hukumnya
haram menerima sebarang hadiah sama seperti hakim.
89. Menurut al-Subki (wafat:771H) daripada kalangan ulama
mazhab Syafie dalam kitab Fatawa al-Subki: Ganjaran yang
diberikan kepada pemerintah, pemimpin, hakim, ketua-ketua
jabatan dan penjawat awam boleh menjurus kepada maksud
rasuah atau hadiah. Sekiranya berupa rasuah hukumnya haram
secara Ijma’ kepada pemberi, penerima dan orang tengah
dan wajib dipulangkan kepada pemiliknya serta tidak boleh
diserahkan ke baitulmal kecuali pemiliknya tidak dapat dikenal
pasti. Adapun hadiah yang diterima daripada mana-mana pihak
yang pernah memberikan kepada mereka sebelum daripada
menjawat jawatan tersebut dan kadar yang diberikan tidak lebih
daripada kebiasaannya hukumnya adalah harus, namun
paling baik adalah tidak menerimanya.
90. Menurut Ibnu Rif’ah dari kalangan ulama mazhab Syafie:
Seorang hakim berhak mengambil hadiah berupa upah atau
ganjaran tertentu sekiranya tidak diperuntukkan gaji tertentu
dari Baitulmal, selain daripada itu setiap ganjaran yang
diterimanya adalah rasuah yang haram hukumnya (Rujuk
Kifayah al-Nabih Syarah al-Tanbih karangan Ibnu Rif’ah 17/102).
91. Menurut al-Juwaini (wafat 478H) dari kalangan ulama Syafie
dalam kitab Nihayah al-Matlab 18/575 cetakan Dar al-Minhaj
2007 hadiah yang diterima seorang hakim hukumnya adalah
haram dan tidak boleh dijadikan hakmilik sekiranya pemberi
hadiah pernah diadili dalam sebarang pendakwaan di hadapan
hakim yang sama. Namun sekiranya pemberi hadiah tidak diadili
dalam sebarang pendakwaan atau kes-kes tertentu di hadapan
hakim yang sama, ganjaran atau hadiah yang diberikan kepada
hakim tersebut hukumnya makruh dan boleh dijadikan hak milik.
92. Menurut al-Izmiri (wafat 1165H) dari kalangan ulama Hanafi
dalam kitab Kamal al-Dirayah wa Jam’I al-Riwayah wa
al-Dirayah ( ) cetakan Dar al-Kutub
61
al-Ilmiyah 2017 jilid 7/119 seorang hakim yang menjawat
jawatan melalui saluran rasuah perlu dilucutkan jawatannya dan
segala penghakiman yang telah dilaksanakannya adalah
terbatal, kecuali jika penghakiman tersebut diadili semula oleh
hakim lain dan keputusannya sama seperti yang sebelumnya.
Keadaan yang sama berlaku kepada hakim yang dilantik
berdasarkan kepada sokongan atau pengaruh seseorang,
jawatannya juga perlu dilucutkan namun tidak membatalkan
penghakiman yang telah berlaku sebelumnya.
93. Menurut al-Qarafi (wafat 684H) dari kalangan ulama Maliki
dalam kitab al-Zakhirah fi Furu’ al-Malikiyyah cetakan Dar
al-Kutub al-Ilmiyah 2017 8/80 seorang hakim tidak boleh
menerima sebarang hadiah daripada sesiapa sekalipun, sama
ada orang tersebut pernah memberikan kepadanya sebelum
menjawat jawatan tersebut, saudara mara atau rakan taulan
walaupun nilai hadiah tersebut amat besar. Kecuali yang
memberinya itu seperti bapa atau anaknya dari kalangan
keluarga terdekat dari kalangan mahramnya. Al-Qarafi
menukilkan daripada Ibnu Habib (dari kalangan ulama Andalus
meninggal pada 238H) bahawa hukum tidak boleh menerima
sebarang hadiah tidak hanya terhad kepada para hakim, bahkan
termasuk juga pegawai-pegawai kerajaan khususnya yang
melibatkan kutipan hasil. Pemerintah berhak mengambil
kembali daripada pegawai berkenaan sekiranya terbukti harta
yang dimiliki melebihi daripada pendapatan yang sewajarnya
seperti mana yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab RA
dimana beliaumelakukan audit terlebih dahulu kepada pegawai
yang ingin dilantik. Apabila terdapat lebihan harta yang
meragukan dalam suatu tempoh perkhidmatan pegawai
tersebut kadar berlebihan tersebut diambil daripadanya. Dalam
kes tertentu di mana harta yang berlebihan tersebut tidak dapat
ditentukan kadarnya, Saidina Umar bin al-Khattab RA
membahagikan keseluruhan harta yang dimiliki pegawai
tersebut kepada dua bahagian. Separuh daripada harta diambil
pemerintah dan separuh lagi dikekalkan kepadanya. Hal inilah
yang dilakukan oleh beliau kepada harta yang dimiliki
Abu Hurairah dan Abu Musa al-‘Ash’ari. Dalam satu riwayat ada
menyebutkan ketika Mu’awiyah bin Abu Sufyan dalam keadaan
nazak beliau meminta agar separuh daripada hartanya
dikembalikan ke Baitul Mal (Perbendaharaan negara) bagi
mencontohi perbuatan Saidina Umar bin al-Khattab RA.
62
94. Menurut Ibnu Rif’ah (wafat 710H) dari kalangan ulama mazhab
Syafie: Seorang hakim berhak mengambil hadiah berupa upah
atau ganjaran tertentu sekiranya tidak diperuntukkan gaji
tertentu dari Baitul Mal, selain daripada itu (pegawai yang
dibayar gaji) setiap ganjaran yang diterimanya adalah rasuah
yang haram hukumnya (rujuk Kifayah al-Nabih Syarah al-Tanbih
karangan Ibnu Rif’ah 17/102). Menurutnya lagi, mendapatkan
jawatan sebagai hakim secara rasuah hukumnya adalah haram
kerana jawatan tersebut didapatkan secara batil, ini bermakna
menjatuhkan hukum dalam penghakiman juga terlaksana
secara batil. Dalam dua keadaan tersebut hukumnya adalah
haram.
95. Pendapat Ibnu Rif’ah ini boleh ditafsirkan dengan fenomena
yang sering berlaku ketika kutipan zakat fitrah dilaksanakan
oleh Amil yang dilantik. Dalam kes ini Amil zakat dikategorikan
sebagai golongan yang terlibat secara langsung dengan institusi
zakat sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan
mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan,
urusan kewangan dan sebagainya, sama ada dilantik secara
kontrak atau tetap. Istilah Amil sahaja sudah jelas bahawa
dirinya salah satu golongan yang berhak untuk menerima zakat
daripada apa yang telah ditetapkan oleh syari’at iaitu 1/8
daripada bahagian zakat mengikut amalan tradisi. Namun pada
ketika ini Amil yang dilantik secara kontrak atau tetap
diperuntukkan gaji bulanan atau elaun tertentu berdasarkan
terma kontrak yang diputuskan pihak pentadbir zakat. Sebagai
contoh upah atau elaun Amil zakat fitrah di Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur diberi pada nisbah 1/12 sahaja kerana tugas
Ketua Amil dan Amil adalah hanya menjalankan tugas mengutip
Zakat Fitrah, manakala urusan pengagihannya adalah
dijalankan oleh Majlis Agama Wilayah. Ketetapan ini bererti Amil
zakat fitrah yang dilantik telah diperuntukkan kadar bayaran atau
upah tertentu yang ditolak daripada keseluruhan zakat yang
dapat dikutip dengan nisbah tertentu mengikut ketetapan
institusi zakat masing-masing.
96. Dalam kes tertentu yang biasanya berlaku dalam menjalankan
tugas sebagai seorang amil, kadang-kala pembayar zakat tidak
mahu mengambil baki wang zakat fitrah yang dibayar dan
menghadiahkannya kepada Amil, persoalannya adakah boleh
amil mengambil duit baki tersebut?. Justeru itu menurut Ibnu
63
Rif’ah setiap ganjaran yang diterimanya adalah dikategorikan
sebagai rasuah yang haram hukumnya. Jika ada pembayar
zakat yang tidak mahu mengambil baki zakat yang dibayar dan
memberikan bakinya kepada Amil maka Amil hendaklah
menolaknya secara baik atau memaklumkan kepada pembayar
zakat untuk menyerahkannya kepada pihak lain seperti tabung
kebajikan dan seumpamanya. Sebaliknya jika wang lebihan
tersebut telah diambil atau terpaksa diambil maka wang tersebut
tidak boleh dijadikan pemilikan peribadi. Sebagai jalan keluar
wang tersebut hendaklah dipulangkan kepada pemiliknya serta
tidak boleh diserahkan ke baitulmal kecuali pemiliknya tidak
dapat dikenal pasti atau boleh dimasukkan ke tabung masjid,
menderma kepada faqir miskin atau mencampurkannya kembali
dengan wang zakat yang lain.
97. Rumusannya, Ijma’ ulama mazhab empat Hanafi, Maliki, Syafie
dan Ahmad menyatakan hadiah yang diberikan kepada
pemimpin, hakim, dan penjawat awam dalam urusan yang
menjadi tanggungjawab mereka melaksanakan amanah kepada
rakyat hukumnya adalah haram bagi pemberi dan penerima dan
hukumnya sama seperti rasuah. Sabda Nabi SAW maksudnya:
“Hadiah yang diterima pemimpin merupakan suatu
pengkhianatan” [Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi].
Menurut Zaffar Ahmad al-Uthmani al-Tahaniwi maksud
pengkhianatan dalam hadis tersebut bertitik-tolak daripada
perbuatan perajurit yang mengambil harta rampasan perang
sebelum harta tersebut dibahagikan mengikut bahagian
masing-masing. Hal ini bermaksud mengambil sesuatu yang
bukan miliknya dalam urusan perkhidmatan awam merupakan
khianat (ghulul) kepada amanah dan termasuk dalam kategori
mencuri. Ini kerana sebarang ganjaran atau bayaran kepada
penjawat awam perlu diserahkan kepada Baitul Mal
(Perbendaharaan negara). Justeru itu sebarang hadiah yang
diterima atas tugasan yang diamanahkan wajib dikembalikan
ke Baitul Mal (Perbendaharaan negara) berbeza dengan
rasuah, ianya wajib dipulangkan kepada pemilik asalnya.
Justeru, Islam melarang keras perbuatan memberi hadiah
kepada rantaian perkhidmatan awam di bawah kaedah sadd
al-Zara’i ( ) (menutup ruang yang berkemungkinan
membawa kepada perkara-perkara yang dilarang dalam
agama).
64
98. Dalam sebuah hadis daripada Abu Humaid al-Sa’idi RA katanya
Sesungguhnya Rasulullah SAW mengangkat seorang pegawai.
Ketika selesai daripada pekerjaannya, dia mendatangi
Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah SAW, ini
untukmu (untuk baitulmal) dan ini dihadiahkan untukku.
Kemudian Nabi SAW berkata kepadanya: Tidakkah engkau
duduk di rumah ayah ibumu, lalu engkau tunggu apakah engkau
diberi hadiah atau tidak? Rasulullah SAW pun menyampaikan
khutbah malam hari setelah solat. Beliau mengucapkan
syahadah, memuji ALLAH SWT dengan pujian yang layak
bagi-Nya, lalu Baginda SAW bersabda maksudnya: “Apa jadi
dengan pegawai yang kami utuskan, kemudian pulang dan
berkata: “Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia
duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan
diberikan hadiah kepadanya atau tidak?! Demi ALLAH SWT,
dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu
melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung
pemberian itu atas tengkoknya” [Riwayat al-Bukhari]. Dalam
hadis lain daripada ‘Adi bin Amirah Al Kindi RA. dia berkata,
“Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Barangsiapa di antara kamu yang kami tugaskan untuk
suatu pekerjaan (urusan), kemudian dia menyembunyikan
dari kami (meskipun) sebatang jarum, atau sesuatu yang
lebih kecil dari itu, maka itu adalah ghulul (pengkhianatan)
yang pada hari kiamat akan ia bawa (untuk di dakwa).”
‘Adi bin ‘Amirah RA berkata, “Kemudian seorang lelaki hitam
dari Ansar berdiri mengadap Nabi SAW, seolah-olah aku
melihatnya, lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, kalau begitu
saya akan tarik kembali tugas yang pernah anda bebankan
kepada saya!” Nabi SAW bertanya: “Ada apa denganmu?” dia
menjawab, “Saya telah mendengar bahawa engkau bersabda
seperti ini dan seperti ini (maksudnya perkataan di atas).”
Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sekarang saya
sampaikan, bahawa barangsiapa dari kalian yang kami
tugaskan untuk suatu pekerjaan hendaklah ia membawa
kembali (seluruh hasil), sedikit atau banyak. Kemudian apa
yang memang diberikan untuknya ia boleh mengambilnya,
dan apa yang memang dilarang untuknya, maka ia perlu
menahan diri.” [Riwayat Muslim].
99. Menurut Ibnu Ruslan (wafat 844H) dari kalangan ulama
Syafie dalam kitab syarah Sunan Abu Daud 14/618 cetakan
65
Darul Falah 2016 seorang pegawai pemungut hasil tidak berhak
mengambil sedikit pun daripada wang yang dikutip melainkan
dengan keizinan daripada pemerintah termasuk hadiah atau
sumbangan yang diberikan kepadanya secara khusus.
Perbuatan mengambil hadiah tersebut bererti mengambil
harta secara batil kerana harta tersebut milik Baitul Mal
(Perbendaharaan Negara).
100. Dari Abi Hariz seorang lelaki memberikan hadiah kepada
kepada Saidina Umar al-Khattab RA setiap tahun berupa paha
kambing. Suatu hari lelaki ini datang untuk menuntut
penghakiman daripada Saidina Umar RA. Katanya: “Wahai
Amirul Mukminin buatlah suatu keputusan yang jelas dalam
kes ini seperti mana tuan hamba menerima paha kambing tanpa
banyak soal”. Setelah itu Saidina Umar RA mula menulis
surat kepada semua gabenornya dengan memerintahkan
“Jangan ada di kalangan kamu menerima sebarang hadiah
kerana perbuatan tersebut adalah rasuah”. (Rujuk Adillah
al-Hanafiyyah, Muhammad Qasim al-Muzaffarfuri 3/224)
101. Dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam, kadangkala
terdapat pelanggan yang berurusan memberikan hadiah
sebagai penghargaan di atas perkhidmatan yang telah
diberikan. Penerimaan hadiah oleh penjawat awam boleh
menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan imej
perkhidmatan awam. Justeru itu, dalam pekeliling Peraturan-
peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998 (PP Bil. 3/1998)
menjelaskan berhubung pemberian dan penerimaan hadiah
di mana penjawat awam dilarang daripada memberi atau
menerima hadiah sekiranya berkaitan dengan tugas awamnya
dan/atau bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan
dengan maksud hadiah itu diberi (jika penerimaan hadiah tidak
berkaitan dengan tugas awam). Sebarang penerimaan tertakluk
oleh kelulusan Ketua Jabatan jika dalam keadaan penerimaan
hadiah itu sukar ditolak semasa menjalankan tugas awam
seperti akan memalukan si pemberi atau menimbulkan keadaan
serba salah. Undang-undang negara kita Malaysia, Seksyen
3 (a), (b) & 4 (a) (b) Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan
1971) menjelaskan atau menafsirkan rasuah sebagai
“menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai satu
dorongan, upah atau galakan kepada seseorang untuk
66
melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan
sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya”.
Manakala suapan pula menurut seksyen 2 Akta Pencegahan
Rasuah 1997 ialah “wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran
berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa
jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat
seumpamanya”.
RASUAH DALAM PEMBERIAN DAN PENERIMAAN HADIAH
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
102. Tafsiran dan penjelasan oleh KPKPj Nazli Rasyid Sulong,
Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, setiap kali
menjelang musim perayaan sama ada menyambut Aidilfitri bagi
masyarakat Islam dan Tahun Baru Cina bagi masyarakat Cina,
amalan kunjung-mengunjung sesama keluarga dan sahabat
merupakan amalan yang mengeratkan hubungan silaturahim
dan ukhuwah persaudaraan antara satu sama lain.
Kebanyakan negara, termasuklah Malaysia, amalan
pemberian buah tangan merupakan satu adat yang diamalkan
oleh masyarakat supaya tidak hadir ke rumah orang dengan
‘tangan kosong’.
Perkara ini juga sememangnya telah dipraktikkan dan
sebati dalam dunia korporat dan perniagaan di mana ianya satu
kebiasaan untuk bertukar-tukar momento atau hadiah korporat
semasa sesuatu lawatan kerja, perasmian, program dan
sebagainya.
Amalan memberi hadiah atau buah tangan selalunya
diibaratkan sebagai sedekah atau tanda penghargaan dan
pengiktirafan daripada pemberi.
Amalan ini memanglah dianggap baik seandainya
pemberian itu dibuat dengan niat yang ikhlas, jujur dan
bertujuan untuk mengeratkan persahabatan dan ukhuwah
antara pemberi dan penerima. Namun, pemberian hadiah itu
boleh menjadi rasuah apabila hadiah itu diberi dengan tujuan
untuk mendapatkan sesuatu keistimewaan, keuntungan,
perkhidmatan daripada pihak yang berkaitan dengan tugas atau
urusan rasminya dan ianya akan menjadi ‘barah’ dalam
masyarakat.
Masyarakat pada umumnya masih tidak begitu jelas sama
ada pemberian atau penerimaan sesuatu hadiah itu dibolehkan
mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada.
67
Kesamaran ini berkemungkinan berpunca daripada keadaan
di mana adakalanya hadiah atau tanda ingatan yang pada
peringkat awalnya memang boleh diterima atau diberi, tetapi
disebabkan adanya faktor kepentingan (favour) iaitu urusan
rasmi dengan sesuatu jabatan atau majikan boleh menjurus
kepada perbuatan rasuah yang merupakan satu kesalahan.
TAFSIRAN RASUAH
103. Rasuah ditafsirkan sebagai pemberian atau penerimaan
wang sogokan, komisen, pelincir, duit kopi, ‘ang pow’, ‘kau tim’
atau ‘under table money’ bagi masyarakat umum. Dalam
Bahasa Melayu, rasuah bermaksud pemberian untuk
menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk
(sogok, suap) (Kamus Dewan edisi keempat 2005, Dewan
Bahasa Pustaka).
Dalam konteks Bahasa Arab, rasuah disebut sebagai
‘ar-risywah’ atau ‘ar-rasywah’ yang bermaksud sesuatu
penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta
sogokan.
Rasuah dalam Bahasa Latin pula berasal daripada
perkataan corruption, iaitu daripada kata kerja corrumpere yang
membawa erti busuk, rosak, menggoyahkan, memutar belit, dan
menyogok.
Dari sudut undang-undang, pengertian rasuah tidak
dinyatakan secara khusus, tetapi yang hanya dinyatakan adalah
takrifan suapan. Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 menakrifkan suapan sebagai:
(a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga,
harta atau kepentingan mengenai harta, iaituapa-apa jenis
harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau
apa-apa manfaat seumpamanya itu yang lain;
(b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan
atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk
memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan
atas apa-apa sifat;
(c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian
apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada
keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
68
(d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen,
rebat, bonus, potongan atau peratusan;
(e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-
apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
(f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain;
(g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat
atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut
pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f).
104. Memberi sokongan ada ketikanya baik dan ada ketikanya tidak
baik. Termasuk dalam kategori sokongan yang baik menurut
Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir 3/191 cetakan Dar
al-Fikr 2003 sekiranya sokongan tersebut menjaga hak-hak
seorang muslim, menolak kemudharatan, mendatangkan
manfaat, bertujuan ikhlas kerana ALLAH dan bebas daripada
rasuah atau menggagalkan salah satu daripada perlaksanaan
jenayah yang menjadi perintah ALLAH atau berkaitan dengan
hak sesama manusia. Jika syarat tersebut dapat dipenuhi maka
sokongan yang diberikan hukumnya adalah harus. Namun jika
berlaku sebaliknya dengan syarat-syarat tersebut tidak dapat
dipenuhi seperti mana yang berleluasa pada masa ini iaitulah
sokongan perlu dibayar dengan sogokan sehingga
menyebabkan hak orang lain terabai dan diambil secara zalim.
Pada ketika itu perbuatan memberikan sokongan termasuk
dalam kategori tidak baik. Masruq bin al-Ajda’seorang tokoh
tabiin pernah dihadiahkan kepada seorang hamba sahaya
sebagai balasan kepada sokongan yang telah diberikannya
kepada seseorang dengan perasaan marah beliau menolak dari
menerima hadiah tersebut seraya berkata: “Seandainya dari
awal aku tahu apa yang terbuku dalam hati kamu sudah pasti
aku tidak akan memberikan kamu sokongan untuk membantu
kamu”.
LARANGAN MEMBERI DAN MENERIMA HADIAH
105. Pegawai awam dilarang daripada memberi atau menerima
hadiah sekiranya berkaitan dengan tugas awamnya dan/atau
bentuk, amaun atau nilai hadiah itu tidak sepadan dengan
maksud hadiah itu diberi (jika penerimaan hadiah tidak berkaitan
dengan tugas awam. Penerimaan hadiah dianggap tidak
69
sepadan dengan maksud hadiah itu diberi jika nilai semasa
hadiah itu melebihi satu perempat emolumen bulanan atau
melebihi RM500, mana yang lebih rendah.
Penerimaan hadiah itu hendaklah dilaporkan kepada Ketua
Jabatan untuk kelulusan.
Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 3 Tahun 1998
(PP Bil.3/1998) mentakrifkan hadiah termasuklah wang, harta
alih atau tak alih, kenderaan, tambang percuma, saham, tiket
loteri, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian
kelab, apa-apa bentuk diskaun atau komisen, hamper, barang
kemas, perhiasan, apa-apa pemberian, cenderamata, atau
apa-apa benda yang bernilai yang diberi kepada atau diterima
oleh pegawai itu, isterinya atau mana-mana orang lain bagi
pihaknya daripada mana-mana orang, dengan tiada balasan
(without consideration) atau balasan yang diketahui oleh
pegawai itu tidak mencukupi ataupun mencukupi.
POLISI HADIAH BAGI SEKTOR SWASTA DAN KORPORAT
106. Bagi sektor swasta dan korporat pula, Polisi Penerimaan
dan Pemberian Hadiah dibangunkan di peringkat organisasi
sendiri. Kebanyakan syarikat mengambil inisiatif melaksanakan
Polisi Pengurusan Hadiah sebagai panduan yang jelas
dan terperinci bagi warga kerja organisasi dalam mengatasi
sebarang isu serta menjawab sebarang pertanyaan dan
kemusykilan berkaitan hadiah.
Antara perkara yang termaktub dan terkandung di dalam
Polisi ini meliputi Pengertian dan Definisi Hadiah, Bentuk dan
Had Nilai Hadiah, Pematuhan kepada Polisi, Saluran Pelaporan,
Saluran Aduan Salah Laku, Borang Perakuan Penerimaan atau
Pemberian Hadiah dan sebagainya.
Polisi ini dihebahkan kepada seluruh warga kerja bagi
memupuk kesedaran dan meningkatkan pemahaman tentang
tatacara penerimaan dan pemberian hadiah yang betul.
Kebanyakan syarikat juga mengenakan penalti dan
tindakan tatatertib yang tegas terhadap mana-mana staf atau
kakitangan yang ingkar atau gagal mematuhi Polisi Hadiah yang
telah ditetapkan.
Selain itu juga, Polisi ini juga diuar-uarkan kepada
pemegang taruh (stakeholders), pihak ketiga (third parties) seperti
vendor atau pembekal dan orang awam bagi mempertahankan
etika kerja dan ketelusan dalam hubungan dan aktiviti
perniagaan untuk mengelakkan percanggahan kepentingan.
70
RUJUK KEPADA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH
MALAYSIA (SPRM)
107. Penerimaan hadiah oleh warga kerja sektor awam dan
swasta boleh menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan
imej perkhidmatan awam dan syarikat. Sekiranya wujud
perasaan sangsi atau musykil berhubung pemberian dan
penerimaan hadiah, rujukan perlu dibuat kepada Ketua Jabatan,
Pengurus Syarikat atau SPRM.
HUKUM JENAYAH RASUAH MENURUT ISLAM
108. Oleh kerana itu rasuah merupakan suatu kesalahan
jenayah di dalam Islam yang membawa kepada dosa ke atas
pelakunya dan juga wajib dihukum di dunia bagi memberikan
keadilan kepada pihak-pihak yang dizalimi atas dasar
perbuatannya tadi.
109. Dalam Islam perbuatan dosa terbahagi kepada dua. Pertama:
Dosa antara seorang hamba dengan ALLAH SWT di mana
mudarat dosa tersebut kembali kepada dirinya sendiri
contohnya zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya.
Dalam erti kata lain, ianya dosa ataupun aib peribadi antara
hamba dengan Tuhannya. Kedua: dosa antara seorang
dengan ALLAH SWT namun pada masa sama mendatangkan
bahaya ataupun mudarat kepada pihak lain seperti rasuah,
menyebarkan hadis palsu, merompak, mencuri, mengedar
dadah, merogol, pecah amanah dan seumpamanya. Dosa ini
bukan sahaja antara hamba dengan ALLAH SWT, tetapi ia boleh
mengancam pihak lain. Kategori kedua ini memberikan
kemudaratan kepada pihak lain, maka kita boleh
mendedahkannya untuk memelihara keselamatan dan
kemaslahatan pihak lain. Walaupun pelaku dosa dalam
kategori kedua bertaubat sekalipun dan menyesal dengan
bersungguh-sungguh serta memohon keampunan ALLAH SWT
ianya tidak akan berakhir di situ sahaja. Urusannya dengan
ALLAH SWT terserah kepada ALLAH SWT untuk menerima
taubatnya, namun urusannya dengan manusia wajib diadili
sebaik sahaja kesnya dibawa kepada pihak berkuasa
berlunaskan undang-undang yang diperakukan syara’ bagi
mengembalikan keadilan ke tempatnya dan memberi
pengajaran kepada pihak lain agar tidak melakukan perbuatan
jenayah tersebut.
71
110. Islam memberi perhatian berat terhadap pelaku jenayah dengan
menggariskan hukum yang perlu diselesaikan di dunia dan
hukumnya di akhirat terserah kepada ALLAH SWT, supaya
nyawa dan harta terpelihara dan keselamatan terjamin. Aspek
perundangan Islam merupakan salah satu jalan keluar
daripada kerosakan nilai dan jenayah yang berlaku. Matlamat
perundangan Islam adalah untuk mencapai asas
kemaslahatan dalam kehidupan yang bersumberkan ketetapan
oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya SAW. Implimentasinya
adalah menurut kesesuaian dan kemaslahatan semasa,
melalui mekanisme ijtihad dan ijmak yang merupakan
sebahagian daripada elemen pembentukan syariah Islam
yang luas. Justeru itu, bagi mencapai matlamat tersebut
undang-undang jenayah Islam dikuatkuasakan semenjak
zaman Nabi SAW dengan membahagikan jenayah kepada
tiga pembahagian utama berasaskan kepada hukuman yang
dikuatkuasakan iaitulah Hudud, Qisas dan Ta’zir.
PENGERTIAN HUDUD ( )
111. Hudud dari sudut bahasa berasal daripada bahasa Arab
merujuk kepada perkataan jamak (plural) daripada perkataan
had yang bermaksud sempadan, had, halangan atau sekatan.
Dalam istilah syarak hudud merujuk kepada hukuman yang
tidak boleh dipinda yang ditetapkan oleh ALLAH SWT dalam
al-Quran dan Sunah. Hudud dianggap sebagai hak ALLAH SWT
dan hukumannya tidak boleh diubah, dipinda, ditambah atau
dikurangkan oleh badan perundangan, pemerintah atau
hakim. Hukuman hudud melibatkan kesalahan zina
(persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki
dengan perempuan). Bagi kesalahan berzina pesalah yang
belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali. Bagi
pesalah yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati.
Qazaf (menuduh wanita yang mukhsanat melakukan zina)
dalam erti kata melemparkan tuduhan zina tanpa bukti yang
mencukupi terhadap orang yang baik. Bagi kesalahan qazaf
pesalah hendaklah disebat 80 kali. Sariqah (mencuri) yang
bermaksud mengambil harta orang lain secara senyap atau
sembunyi dengan syarat-syarat tertentu. Bagi kesalahan
mencuri hukuman potong tangan diperuntukkan. Hirabah
(merompak) dalam erti kata mengambil harta orang lain
dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan
ancaman. Bagi kesalahan merompak sekiranya melibatkan
72
pembunuhan penjenayah hendaklah dihukum bunuh. Jika
hanya merompak sahaja hendaklah dipotong tangan dan
kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri
dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan
yang berulang. Jika tindakan perompak hanya mengganggu
ketenteraman awam hendaklah dipenjara. Minum arak dalam
erti kata minuman yang memabukkan dan boleh menghilangkan
kewarasan akal. Bagi kesalahan minum arak sebat 40 kali
hendaklah dilaksanakan. Murtad (keluar seseorang Islam
daripada agama Islam sama ada dengan perbuatan dan
perkataan). Hukuman yang diperuntukkan adalah hukuman
bunuh setelah diberi tempoh untuk bertaubat. Dalam Islam
hukuman hudud ini kekal dan tidak boleh diubah sehingga
hari kiamat.
PENGERTIAN QISAS ( )
112. Qisas dari sudut bahasa merupakan perkataan Masdar
(kata terbitan) bermaksud memotong. Dari segi istilah syarak
Qisas bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui
nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW dalam kes-kes
jenayah yang melibatkan hak manusia secara individu seperti
jenayah pembunuhan dan mencederakan anggota tubuh badan.
Jika penjenayah terbukti bersalah dalam kes seperti ini balasan
atau hukuman yang sama boleh dikenakan. Dalam erti kata lain
penjenayah yang membunuh atau mencederakan anggota
tubuh dikenakan hukuman yang menyamai dengan jenayah
yang dilakukannya. Contohnya, bagi kesalahan bunuh dibalas
dengan hukuman mati, bagi kesalahan membutakan mata
dibalas dengan hukuman membutakan mata dan
seumpamanya. Namun demikian sekiranya penjenayah terbukti
dengan sabitan membunuh, pilihan diberikan kepada wali
mangsa sama ada untuk meneruskan hukuman qisas atau
menggantikannya dengan diyat (ganti rugi yang wajib dibayar
kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas) atau
memaafkannya.
PENGERTIAN TAKZIR ( )
113. Takzir dari aspek bahasa berasal daripada kata terbitan
‘azara ( ) yang bermaksud menolak atau menghalang.
Dari segi istilah menurut Wahbah al-Zuhaili dalam mausuah
al-Fiqh al-Islami ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang
yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang
73
mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman
keseksaannya di dalam al-Quran dan Hadis seperti hudud atau
qisas sama jenayah tersebut terkait dengan ALLAH SWT sahaja
seperti makan pada siang Ramadan, meninggalkan solat
dan lain-lain atau terkait dengan hubungan sesama manusia
seperti amalan rasuah, pecah amanah, mencaci, memanggil
dengan panggilan penghinaan, merampas hak orang lain,
meliwat isteri dan lain-lain.
114. Peranan undang-undang jenayah Islam mewujudkan keamanan
dan kesejahteraan dalam masyarakat. Undang-undang jenayah
Islam bertindak dengan menjatuhkan hukuman secara adil dan
saksama sebagai contoh orang yang membunuh dihukum
bunuh balas. Ini menyebabkan warisnya berpuas hati dan hilang
perasaan dendam. Dengan adanya hukuman jenayah Islam
yang kemas dan tegas menyebabkan penjenayah dan orang
ramai takut dan gerun untuk mengulangi jenayah, akhirnya
kehidupan masyarakat aman dan sejahtera. Hukuman jenayah
Islam mengandungi unsur-unsur pendidikan kepada penjenayah
dan orang ramai. Hukuman yang dikenakan mendorong
seseorang penjenayah bertaubat dan menyesali kesalahan
yang dilakukannya. Oleh itu hukuman takzir lebih kepada
memberikan pengajaran dan keinsafan kepada pelaku salah.
Matlamat utamanya untuk melindung masyarakat daripada
bahaya jenayah dan mencegah sebelum ia berlaku, untuk
memperbaiki penjenayah dan membetulkan penyelewengan. Ini
dapat dilihat daripada kesan yang ditinggalkan oleh hukuman
ke atas penjenayah yang memberi pengajaran, memperbaiki
dan menghalang seseorang daripada melakukan jenayah untuk
membersih dosa penjenayah dan menyelamatkannya daripada
azab akhirat. Dengan ini jenayah akan berkurangan dalam
masyarakat. Justeru itu, hukuman takzir bermula dengan
nasihat ( ) : Menasihati orang yang melakukan kesalahan
kecil bagi yang pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi
kesalahan pada masa akan datang. Teguran ( ): Teguran
rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan
ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar
orang yang melakukan kesalahan akan berusaha memperbaiki
dirinya. Ancaman ( ): Mengancam orang yang bersalah
agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut
dikenakan hukuman. Setelah itu barulah dilaksanakan tindakan
yang lebih keras dan menzahirkan maksud hukuman itu sendiri.
74
115. Bersandarkan kepada sejarah panjang umat Islam terdapat
pelbagai bentuk hukuman takzir pernah dilaksanakan dalam
sejarah termasuk pada zaman Nabi SAW sendiri. Dalam sebuah
hadis riwayat Bahz bin Hakim RA bahawa Nabi SAW pernah
memenjarakan seseorang sebelum dibebaskan atas suatu
dakwaan [Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Tirmizi dan al-Nasaei].
Perkara yang sama berlaku pada zaman Saidina Umar RA
bahkan ada riwayat yang menyatakan pada zaman beliau
diperkenalkan sistem penjara secara rasmi. Justeru itu,
hukuman penjara merupakan salah satu daripada kaedah
hukuman takzir.
116. Dalam kes melibatkan jenayah harta yang dikategorikan
sebagai takzir seperti rasuah al-Qarafi (wafat 684H)
berpendapat pemerintah tidak berhak menahan pesalah takzir
tersebut dalam penjara sekiranya harta tersebut dapat
dirampas kembali dengan nilai yang sama daripada pesalah
yang diambil secara batil atau apa-apa bentuk lain seperti
rumah, tanah yang boleh dinilai untuk mendapatkan kembali hak
yang terabai. Ini kerana penahanan pesalah tersebut secara
berterusan bererti melakukan kezaliman terhadap mereka
kecuali pesalah tidak dapat mengembalikan harta tersebut
secara sempurna seratus peratus.
117. Ada juga hukuman kepada pesalah rasuah dalam kategori takzir
dengan disebat dengan rotan dan rupa paras pelaku rasuah
dilumur dengan arang dan dibotakkan kepalanya bertujuan
untuk menjadi pengajaran kepada orang awam agar tidak
melakukan jenayah rasuah. Pesalah itu tadi akan
dipertontonkan kepada khalayak ramai seperti di pasar awam
sebagai balasan kepada kejahatan yang dilakukannya.
Pendapat ini dikemukakan oleh Ibnu Nujaim di kalangan ulama
mazhab Hanafi berdasarkan tindakan Saidina Umar bin
al-Khattab RA yang menulis surat kepada Gabenornya
di bumi Syam, sekiranya ada jenayah saksi palsu pesalahnya
hendaklah dihukum dengan sebat 40 rotan, muka dilumur
arang, kepala dibotakkan dan dipenjarakan untuk satu tempoh
yang panjang.
118. Dalam mazhab Hanafi dan Maliki pesalah dalam kategori takzir
seperti rasuah boleh dikenakan hukuman mati sekiranya
diperakukan oleh pemerintah dan perbuatan tersebut dilakukan
75
berulang kali setelah tindakan dan peringatan yang lebih ringan
telah dilakukan. Menurut ulama kategori ini dinamakan sebagai
hukuman mati bersandarkan kepada maslahat sesuai dengan
pertimbangan pemerintah ( ). Rujuk al-Fiqh al-Islami
wa Adillatuhu oleh Wahbah al-Zuhaili 6/200 cetakan Dar al-Fikr,
Damascus. Justeru, pelaksanaan hukuman merupakan
kemuncak kepada kesalahan jenayah yang sudah membarah
tahap empat di kalangan masyarakat dalam sesebuah negara
dan tiada pertimbangan lain yang boleh diambil oleh pemerintah
untuk membendung jenayah tersebut.
119. Justeru itu menurut Imam al-Shawkani dalam kitab Nail al-Awtar
(wafat:1255 H) hukuman bagi pelaku korupsi bukanlah hudud
tetapi takzir yang diserahkan kepada pertimbangan hakim untuk
menghukumnya. Dalam menentukan kewajaran hukuman kepada
pesalah rasuah kategori takzir lebih fleksibel dan mempunyai
kekuatan tersendiri tanpa perlu terikat dengan dalil yang
mengikat pemerintah untuk patuh. Ini kerana tidak ada dalil
syara’ yang konkrit dijadikan sandaran untuk menjatuhkan
hukuman kepada pesalah rasuah dengan hanya satu hukuman
sahaja. Hikmat ALLAH SWT mengembalikan tindakan kepada
perasuah di bawah keputusan pemerintah amat besar
kebaikannya kerana berat atau ringan kesalahan tersebut perlu
mengambil kira kepada maslahat umum dan negara termasuk
faktor-faktor lain yang membawa kepada berleluasanya amalan
rasuah seperti gaji yang terlampau rendah, peluang berada
di depan mata, birokrasi pengurusan untuk kepentingan awam
dan lain-lain.
RUMUSAN RASUAH DAN HADIAH
120. Antara bentuk salah laku yang berlaku di sebahagian
negara ialah ada antara wanita yang sanggup menggadai
maruah dan kehormatan diri mereka demi mendapat kenaikan
pangkat atau habuan gaji yang lebih lumayan. Bukan itu sahaja,
ada juga dalam kalangan manusia yang mendapat kenaikan
pangkat disebabkan kelulusan lebih tinggi yang diperolehi
dengan cara yang tidak jujur atau menipu. Tidakkah mereka
sedar bahawa rezeki yang diperolehi dengan cara yang batil ini
akan mengundang kemurkaan ALLAH SWT dan mencabut
keberkatan hidup mereka.
76
121. Sememangnya tidak diragukan lagi bahawa rantaian pemberi,
penerima dan perantara rasuah merupakan perbuatan curang
dengan memakan harta batil dan perbuatan seperti ini sering
kali berlaku kepada manusia yang tidak jujur dan kurang nilai
keimanannya kepada ALLAH SWT. Tidak kira di mana sahaja
perbuatan tersebut dilakukan sama ada kepada individu tertentu
atau institusi tertentu hukumnya tetap haram dan berdosa.
Institusi kerajaan sebagai contoh bertanggungjawab memungut
cukai yang ianya merupakan salah satu sumber perolehan
utama kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek prasarana,
pembangunan, perkhidmatan dan infrastruktur demi
kesejahteraan rakyat serta negara. Apa yang berlaku institusi
ini sering berhadapan dengan situasi di mana golongan peniaga
dan pelancong yang tidak jujur ketika mengisytiharkan dalam
borang kastam bagi barangan yang diimport. Kebiasaannya nilai
yang diisytiharkan adalah lebih rendah daripada nilai dan
kuantiti yang sebenar.
122. Perbuatan seperti ini mendatangkan kerugian yang besar
kepada negara kerana kutipan cukai yang sepatutnya lebih
tinggi tidak dapat dikutip. Akibatnya kerajaan kerugian hasil
berbilion ringgit setiap tahun dan sepatutnya hasil tersebut dapat
dimanfaatkan untuk rakyat jelata. Justeru itu, perbuatan lari
daripada membayar cukai melalui pelbagai bentuk helah dan
penipuan adalah dilarang kerana perbuatan menipu itu sendiri
jelas satu bentuk dosa yang ditegah oleh agama. Selain
daripada itu perbuatan tersebut boleh membawa kepada
berkurangnya hasil dana negara, seterusnya menyukarkan
kerajaan menyusun atur polisi ekonomi, merancang program-
program pembangunan serta menghulurkan bantuan untuk
kemaslahatan rakyat.
123. Rantaian pemberi, penerima dan perantara rasuah juga berlaku
dalam pengurusan masa khususnya golongan pekerja dalam
semua sektor sama ada kerajaan atau swasta. Setiap pekerja
mempunyai masa kerjanya tersendiri, guru terikat dengan waktu
kehadirannya ke sekolah jam 7.30 pagi, pekerja kilang dengan
tempoh bertugasnya mengikut giliran tertentu dengan
tempohnya tersendiri dan begitulah seterusnya. Seorang yang
bercadang untuk melancong ke luar negara sebagai contoh,
sudah pasti mempunyai jadual perlepasan pesawatnya
tersendiri dan terikat dengan masa perlepasan tersebut.
77
Seorang pelancong yang bijak akan tiba terlebih awal di
lapangan terbang sebelum pesawat dijadualkan berlepas dalam
tempoh 3 jam dalam negeri dan 4 jam untuk keluar negara.
Ia berbuat demikian kerana memahami konsep penumpang
menunggu kapal terbang bukan kapal terbang menunggu
penumpang. Dalam erti kata mudah kita menunggu kapal
terbang atau kapal terbang menunggu kita? (kalau kita yang
menunggu kapal terbang kita akan tiba dengan selamat ke
destinasi yang ditujui, tetapi kalau kita mengharapkan kapal
terbang yang menunggu kita sudah pasti kita tidak akan ke
mana-mana). Sikap menghargai masa dan peraturan seperti ini
akan meningkatkan produktiviti dan semua perkara akan
berjalan lancar.
124. Kehidupan duniawi ibarat suatu perniagaan yang sedang
diusahakan, di mana laba atau keuntungannya akan kita
peroleh di hari Akhirat kelak. Namun, sebahagian pekerja tidak
begitu sensitif terhadap “modal masa”, berbanding modal yang
berupa “wang ringgit” kerana itu pembaziran masa berlaku
sewenang-wenangnya melalui perbualan-perbualan kosong,
masa interaksi di media sosial yang tidak berfaedah dan
pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain untuk “menghabiskan masa”.
Masa sepatutnya bukan “dihabiskan” tetapi digunakan untuk
perkara-perkara bermanfaat kerana masa itu sebenarnya usia
kita dan menghabiskan masa itu bermakna kita membazirkan
usia kita sendiri. Penjawat awam sebagai contoh, jika leka
dengan waktu rehat sambil makan dan minum sehingga terabai
tugas hakiki membawa kepada pengabaian tugas dan mencuri
masa sedangkan ianya merupakan suatu amanah waktu,
bukankah perkara tersebut merupakan suatu perbuatan khianat
dan berdosa. Dari sudut lain mutu kerja tidak memuaskan,
produktiviti tidak efisyen dan kesannya perolehan kerajaan
terjejas sedangkan manfaatnya adalah untuk kesejahteraan
semua rakyat jelata. Siapa yang patut dipersalahkan kalau
bukan sikap pekerja yang tidak menghargai masa. Dalam sektor
swasta seperti perkilangan pula, perkara yang sama juga
berlaku di mana syarikat mensasarkan pengeluaran dengan
angka dan unit tertentu. Apa yang berlaku ialah mereka duduk
berjam-jam, berborak kosong dan melepak menyebabkan KPI
yang disasarkan syarikat tidak terlaksana dan kuantiti
pengeluaran merosot.
78
125. Suka menunda pekerjaan hari ini kepada esok juga tidak
sepatutnya berlaku. Kerja yang sepatutnya dapat diselesaikan
dalam tempoh satu hari menjadi berhari-hari disebabkan sikap
tidak menghargai masa. Namun, sekiranya suatu urusan
tersebut perlu kepada tempoh tertentu untuk disiapkan atau
pembekal memerlukan masa tambahan untuk menghantar
pesanan maka Islam mengajarkan umatnya suatu konsep yang
amat mudah dalam membuat perancangan dan menunaikan
janji. Setiap janji tersebut hendaklah diiringi dengan perkataan
insya-ALLAH yang bermaksud dengan izin ALLAH. Seorang
pekerja yang diminta melaksanakan tugasnya dalam tempoh
tertentu seperti dua atau tiga hari tidak sepatutnya memberikan
alasan kepada pihak atasan nanti saya siapkan atau
seumpamanya. Ini kerana ramai dalam kalangan pekerja
khususnya peniaga yang berurusan dengan pelanggan untuk
membekalkan barang tertentu pada masa akan datang hanya
sekadar menyebut “Ok, besok saya hantar ke rumah”. Cara
seperti ini tidak betul dan perlu diperbaiki untuk menunjukan
kesungguhan bahawa perkara tersebut boleh atau pasti
dilaksanakan. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Kahfi ayat
23-24 yang bermaksud: “Dan janganlah sekali-kali engkau
berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan):
“Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, besok hari”.
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya-
ALLAH” yakni jika dikehendaki ALLAH. Dan ingatlah serta
sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah
“Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk
yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.
126. Mencari rezeki yang halal dengan bekerja sama ada sendiri atau
dibayar gaji merupakan suatu tuntutan fardhu ain kepada semua
manusia yang beriman kepada ALLAH SWT dan ia juga
sebahagian daripada jihad. Dengan bekerja secara jujur dan
beramanah seseorang pencari rezeki telah melaksanakan suatu
tuntutan ibadat yang cukup besar ganjarannya di sisi ALLAH
SWT. Rasulullah SAW sentiasa memperingatkan golongan
sahabatnya dan umat Islam agar bekerja bersungguh-sungguh
bagi mencari rezeki yang halal dan sah. Setiap pekerjaan baik
merupakan ibadah yang bakal mendapat ganjaran dan
keampunan ALLAH SWT. Daripada Anas RA, sabda Nabi SAW
yang bermaksud: “Sesiapa yang bermalam dalam keadaan
penat kerana mencari rezeki yang halal maka dia bermalam
79
dalam keampunan (Tuhan)”. [Riwayat Ibnu Asakir). Ini kerana
pekerja tersebut menyedari bahawa hakikat tugas adalah
amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, maka
ia berusaha mengelakkan diri dari sebarang penyelewengan
dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumber wang dan
peralatan serta tenaga kerja.
127. Kita sering membaca di media cetak dan media massa lain
laporan kes-kes pecah amanah, penyalahgunaan wang
organisasi, penindasan pekerja bawahan dan sebagainya yang
dilakukan oleh sebilangan pekerja dalam pelbagai sektor
pekerjaan di negara kita. Malah ada dalam kalangan para
pekerja yang dikenakan tindakan tatatertib termasuk dipecat
dari pekerjaan. Antara perbuatan curang yang sering mendapat
perhatian umum dan berlaku secara berleluasa dalam alam
pekerjaan ialah mencuri masa ketika bekerja sebagaimana
berikut;
i. Tidur, membuang masa atau keluar minum sesuka hati
dalam waktu kerja.
ii. Meninggalkan tempat kerja waktu pejabat untuk
menjalankan urusan peribadi seperti: pergi membayar bil,
mengambil anak, urusan bank, repair kereta, balik rumah
dan sebagainya.
iii. Menggunakan waktu pejabat bagi melaksanakan urusan
yang tiada bersangkutan dengan kerja seperti menjalankan
perniagaan peribadi (jual kosmetik, kain baju, kuih-muih,
promosi Multi Level Marketing (MLM) dan sebagainya),
berbual-bual kosong malahan bergayut di telefon
berkenaan urusan peribadi.
iv. Menggunakan kemudahan dan peralatan tempat kerja
untuk urusan peribadi (melayari internet, download movie
dan muzik, membuat blog, melayari Facebook, Instagram
dan lain-lain lagi).
v. Menggunakan atau menipu semasa waktu kerja overtime
untuk balik ke rumah dan datang semula hanya untuk
punch out atau meminta rakan mengetip kehadiran dan
pulang, bak kata orang datang lewat balik awal.
vi. Mengambil cuti sakit sedangkan pekerja tersebut tidak sakit.
80
128. Perkara-perkara yang disebutkan di atas merupakan amalan-
amalan buruk semasa bekerja yang boleh mencacatkan
kesempurnaan dan keberkatan bekerja. Menurut kajian
Greenfield dan Davis yang dilakukan pada 2002 melaporkan
bahawa anggaran masa yang dihabiskan berkaitan dengan
mencuri masa oleh golongan responden dalam melayari internet
sahaja ialah antara 2 jam 30 minit sehingga 3 jam seminggu.
129. Sebagai seorang pekerja, amanah yang perlu dipikul antaranya
ialah waktu bekerja. Waktu bekerja yang telah ditetapkan oleh
majikan adalah suatu amanah yang perlu dijaga dan diambil
berat oleh pekerja. Ini dapat kita lihat bahawa kadang kala
pekerja lalai dalam melaksanakan tanggungjawab yang
diberikan dalam mengurus masa bekerja yang telah ditetapkan.
Ada juga pekerja yang meninggalkan tugasnya sehingga tugas
terpaksa diambil alih rakan sekerja yang sekaligus terpaksa
melakukan dua tugas serentak. Sikap tersebut mengakibatkan
satu-satu operasi menjadi lemah dan tidak efisyen. Tabiat buruk
seperti ini sepatutnya dijauhi bukan saja bagi memastikan
operasi sesebuah organisasi berjalan lancar bahkan ianya juga
memberikan persepsi buruk kepada organisasi tersebut. Apabila
seseorang itu gagal dalam menjalankan amanah yang
diberikan, maka hilanglah kejujuran dalam dirinya. Hadis dari
Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Hendaknya kamu jujur kerana kejujuran itu akan
membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu akan membawa
ke dalam syurga.” [Riwayat al-Bukhari]
130. Kita sering mendengar perbuatan mencuri seperti mencuri
kasut, telur, hasil tanaman dan seumpamanya. Dalam sejarah
manusia pernah berlaku kes rompakan besar-besaran seperti
“The Great Train Robbery” yang berlaku di England pada
8 Ogos 1963. Dianggarkan sejumlah £2.6 juta berjaya dilarikan
perompak dengan kadar pertukaran mata wang setelah
mengambil kira faktor inflasi bersamaan USD60 juta dengan
nilai semasa pada hari ini. Walaupun kisah tersebut sudah
berlaku puluhan tahun perompak-perompak tersebut sehingga
hari ini belum dapat dikenalpasti malahan wang hasil rompakan
tersebut lesap begitu sahaja. Walaupun keretapi tersebut
mempunyai gerabak khas untuk menyimpan barang-barang
berharga penjenayah mempunyai perancangan lebih teliti dan
hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja untuk
81
memindahkan wang tersebut ke dalam kenderaan lain.
131. Moral dari kisah tersebut bermaksud mencuri dalam erti kata
sebenar mengambil harta orang lain dengan cara bersembunyi
dan diambil daripada tempat yang disimpan secara zahirnya
di tempat selamat. Namun ada sejenis lagi perbuatan mencuri
sama ada sedar ataupun tidak di mana ianya sering berlaku
di mana-mana. Perbuatan tersebut ialah mencuri masa atau
lebih difahami dengan istilah ‘curi tulang’ ketika bekerja. Curi
tulang berlaku apabila pekerja mengabaikan tugas dan
tanggungjawab, melengahkan kerja atau meninggalkannya
sama sekali kerja dengan pelbagai helah dan cara. Budaya curi
tulang dalam kalangan pekerja adalah isu yang serius dan perlu
ditangani bagi menjamin kestabilan sesebuah institusi.
Sesebuah institusi akan mengalami kerugian, menjatuhkan
integriti dan mencemarkan imej perkhidmatan di institusi
berkenaan jika budaya ini tidak dibendung di peringkat awal.
132. Perkataan mencuri adalah suatu kata kerja yang dipandang
hina. Mencuri dalam Islam adalah suatu perbuatan haram yang
mendapat dosa dan kemurkaan di sisi ALLAH SWT. Mencuri
masa pula boleh dikategorikan sebagai khianat dengan amanah
masa atau ghulul dan perbuatan tersebut dari sudut makna
sama seperti mencuri harta batil. Keduanya-duanya termasuk
salah satu daripada dosa-dosa besar. Firman ALLAH SWT
dalam surah al-Anfal, ayat 27 yang bermaksud: “Wahai orang-
orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati
(amanah) ALLAH dan RasulNya, dan (janganlah) kamu
mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu
mengetahui (salahnya)”.
133. Setiap pekerja di dalam sektor kerajaan atau swasta pasti akan
menerima surat tawaran kerja yang tercatat di dalamnya
perintah tetap atau “standing orders” mengenai bidang tugas
yang dipertanggungjawabkan. Sebarang perbuatan dan
tingkahlaku ketika bekerja yang tidak patuh kepada “standing
orders” bermaksud curang ataupun khianat. Termasuklah
di sana perbuatan mencuri tulang yang ianya memberikan
implikasi tersendiri dari sudut hukum dengan gaji yang
diperolehi pada setiap hujung bulan atau awal bulan. Cuba
fikirkan, apakah adil jika kita menerima upah atau gaji, tetapi kita
tidak melaksanakan kerja kita dengan beretika, amanah dan
82
sebaik-baiknya? Kemudian apakah berkat dan halal wang gaji
yang kita peroleh itu untuk kita gunakan bagi menyara
kehidupan isteri dan anak-anak?. Patutkah seorang yang
bekerja sambil lewa dengan mencuri masa membawa pulang
gaji penuh setiap bulan?. Jawapannya sudah pasti tidak kerana
menurut hukum fiqh dalam bab al-Ijarah sebarang ganjaran
tertakluk kepada terma yang dipersetujui bersama dalam
kontrak. Gaji hanya patut dibayar secara sempurna sekiranya
terma tersebut tidak dilanggari. Perkara ini ditegaskan dalam
firman ALLAH SWT dari surah al-Maidah, ayat 1 yang
bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Patuhilah setiap
perkara yang kalian akadkan (terma yang termaktub dalam
kontrak)”.
134. Justeru, setiap kontrak seperti jadual masa kerja, skop dan
tanggungjawab kerja ditandatangani antara dua pihak adalah
wajib dipatuhi selagi mengikuti prinsip dan syariat. Implikasi
kontrak dimeterai bukan sahaja terhadap hak sesama manusia,
malah kesannya terkait langsung dengan hak ALLAH. Seorang
pekerja yang mengambil gaji atau upah dengan cara mencuri
masa boleh dikategorikan sebagai harta batil kerana tidak jujur.
Firman ALLAH SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 29-30 yang
bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah
kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu
dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali
dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama
suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-
bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa
Mengasihani kamu”. Dan sesiapa berbuat demikian dengan
menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia
ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu
adalah mudah bagi ALLAH, (tidak ada sesiapapun yang
dapat menghalangnya).
135. Oleh itu, seorang pekerja yang jujur tidak akan mengambil hak
orang lain secara batil. Dalam erti lain, jika tempoh bekerja
seharian digunakan sebagai contoh 1 jam untuk urusan
peribadi, melepak di kedai kopi, keluar tanpa kebenaran dan
seumpamanya yang melanggari terma pekerjaan ganjaran atau
upah untuk tempoh tersebut tidak boleh diambil. Pekerja
tersebut wajib memulangkan semula kepada majikan masing-
masing sama ada di sektor kerajaan atau swasta, kerana
83
ganjaran tersebut bukan miliknya lagi. Persoalannya berapa
ramai daripada golongan pekerja yang berbuat demikian?.
Perkiraan kasar contoh seperti jadual di bawah:
1. 1 bulan = 26 hari
26 hari x 8 jam sehari = 208 jam
1 jam sehari = 26 jam sebulan
Sekiranya Gaji RM4000 sebulan.
RM4000 × (26/208) = RM500 (dipulangkan)
2. Kalau 2 jam sehari = 52 jam sebulan RM4000 × (52/208)
= RM1,000 (dipulangkan)
3. 3 jam sehari 3x26 = 78
RM4000 x (78/208) = RM1500 (dipulangkan)
136. Atas sebab kecurangan tersebutlah kita sering mendengar ada
golongan pekerja tidak pernah cukup dengan pendapatan untuk
menampung kehidupan diri dan keluarga. Bila dapat gaji hujung
bulan, kadang-kadang rasa tak cukup untuk perbelanjaan dan
untuk disimpan kerana gaji halal dah bercampur dengan gaji
haram kerana curi tulang!. Ada juga yang mengeluh gajinya
banyak tetapi tidak menjamin hidup selesa dan bahagia.
Hakikatnya fenomena sebegitu amat terkait dengan perilaku
sendiri dalam melaksanakan amanah dalam pekerjaan
seharian. Memang masih ramai tidak segan silu melakukan
perbuatan curang dalam pekerjaan seharian. Curang
dimaksudkan penulis adalah sikap tidak amanah mencuri masa
atau curi tulang, kerja sambil lewa, menipu kedatangan, buat
kerja sampingan yang tidak memenuhi kontrak pekerjaan
sebagaimana termeterai dengan majikan. Walhal Islam
memandang serius aspek amanah dalam mengotakan setiap
apa yang dipersetujui majikan dan pekerja sebagaimana
kontrak yang ditandatangani.
84
RUJUKAN
1) Al-Quran al-Karim.
2) Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran.
3) Al-Mughni karangan Ibnu Qudamah cetakan Dar Alam al-Kutub
(mazhab Hanbali).
4) Al-Hawi al-Kabir karangan al-Mawardi cetakan Dar Kutub
Ilmiyah (mazhab Syafie).
5) Kasyaf al-Qina’ karangan Mansur bin Yunus al-Bahuti cetakan
Alam al-Kutub (mazhab Hanbali).
6) Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran karangan al-Qurtubi cetakan
Muassasah al-Risalah (mazhab Maliki).
7) Al-Bahr al-Raiq karangan Ibnu Nujaim cetakan dar kitab Islamy
(Mazhab Hanafi).
8) Rad al-Muhtar Ibnu Abidin cetakan Dar Kutub Ilmiyah 2011.
(Mazhab Hanafi).
9) Nihayatul Muhtaj karangan al-Ramli cetakan Dar Kutub Ilmiyyah
(mazhab Syafie).
10) Fatawa al-Subki karangan Taqiyuddin Ali al-Subki cetakan
Dar al-Ma’arif (mazhab Syafie).
11) Fath al-Qadir syarah al-Hidayah karangan Kamaluddin ibnu
Humam cetakan Bulaq.
12) Al-Awsad fi al-Sunan wa al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf Ibnu al-Munzir
al-Naisabury cetakan Dar Kutub al-Ilmiyyah 2012 (mazhab
Syafie).
13) Adillah al-Hanafiyyah, karangan Muhammad Qasim al-Muzaffarfuri
cetakan Dar al-Qalam Damascus 2017 (Mazhab Hanafi).
14) Kifayah al-Nabih Syarah al-Tanbih karangan Ibnu Rif’ah, Ahmad
bin Muhammad 17/102 cetakan Dar Kutub al-Ilmiyyah 2009
(mazhab Syafie).
85