The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by DatukMohamadDin, 2022-06-28 13:38:00

Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengket Di Akhirat

tidur orang tua yang sedang bersama dan aurat terbuka dalam
tiga masa setiap hari iaitu sebelum Subuh, waktu tengah hari dan
selepas Isyak.

Namun ayat itu tidak bermaksud membawa larangan khulwah
atau bersendirian dengan mahram sendiri satu hari dalam tiga masa
atau pada waktu-waktu lain dengan syarat ada keperluan dan
diberikan keizinan orang tua.

Jika keizinan sukar dilakukan disebabkan keadaan orang tua
yang kurang pendengaran atau masalah lain, bilik mereka boleh
dimasuki dengan mengambil kira hukum darurat seperti kaedah fiqah
yang menyatakan ‘keadaan darurat boleh mengharuskan perkara
yang dilarang’.

Ulama mazhab empat Hanafi, Malik, Syafie dan Hanbali
mengharuskan khulwah atau bersendirian dengan mahram sendiri
yang berlainan jantina dalam kategori hubungan nasab (sebelah
bapa) dengan syarat tidak menimbulkan keinginan syahwat.

Justeru, seorang anak perempuan yang perlu berkhidmat
kepada bapanya yang uzur perlu menjaga batasan auratnya dan tidur
berlainan katil dengan tidak mendedahkan auratnya melebihi pada
kadar dibenarkan oleh agama.

KEPERLUAN
Berlakunya sentuhan ketika adanya keperluan atau darurat

seperti mencuci najis di bahagian alat sulit mahram dibolehkan
dalam Islam dengan syarat sentuhan berlapik menggunakan
sarung tangan, melihat tempat aurat sekadar diperlukan sahaja
dan tidak menimbulkan fitnah.

Kebajikan seorang anak terhadap ibu bapanya ketika mereka
masih berada di dunia ini perlu dilaksanakan dengan sempurna
apabila mereka telah meninggal dunia. Walaupun menguruskan
jenazah hukum asalnya adalah fardu kifayah, namun sebagai
seorang anak yang taat kepada ibu bapa, peranan tersebut
seharusnya dilakukan oleh anak tersebut.

Menurut Imam al-Nawawi, keutamaan memandikan jenazah
hendaklah diserahkan kepada ahli keluarga terdekat dalam kalangan
lelaki, dalam erti kata sekiranya yang meninggal dunia itu seorang
bapa, tanggungjawab memandikan jenazahnya hendaklah diuruskan
oleh anak lelakinya yang lebih afdal.

Pada masa yang sama, sekiranya isteri si mati masih hidup,
beliau juga berhak memandikan jenazah suaminya kerana
dalam sebuah riwayat Aishah yang bermaksud: “Sesungguhnya
Abu Bakar mewasiatkan kepada (isterinya) Asma’ binti ‘Umais

286

untuk memandikan (jenazahnya).”
Jadi, keutamaan jenazah lelaki didahulukan secara tertib

golongan lelaki daripada kalangan kaum kerabat, kemudian isteri,
kemudian orang lelaki ajnabi (bukan kerabat) dan kemudiannya
wanita-wanita mahram (seperti anak perempuan). Dalam erti kata
lain, pengurusan jenazah lelaki diuruskan oleh lelaki dan begitulah
sebaliknya.

Setelah itu anak lelaki bertanggungjawab mengimamkan solat
jenazah ibu bapanya sebagai lambang khidmat terakhir buat
orang tuanya. Anak perempuan juga harus melaksanakan solat
jenazah walaupun tuntutan fardu kifayah tidak tertakluk kepada
mereka.

Semoga segala jasa dan pengorbanan mereka diberi ganjaran
selayaknya di sisi ALLAH SWT sebagai anak yang soleh.

287

KERANA MASA, EMAS BINASA
Oleh

Datuk Mohamad Din bin Yusoh

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas
acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh
17.94 meter yang merupakan rekod baru dunia disebabkan lewat

melaporkan diri di bilik menunggu sebelum pertandingan
berlangsung.

RAKYAT MALAYSIA digemparkan dengan insiden mengejutkan
selepas Muhammad Ziyad Zolkefli dinafikan sebagai pemenang
pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran
sejauh 17.94 meter yang merupakan rekod baharu dunia. Beliau
telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak
memulakan persaingan disebabkan lewat melaporkan diri di bilik
menunggu sebelum pertandingan berlangsung. Bahananya maruah
negara tercalar dan ganjaran bernilai lebih satu juta ringgit mungkin
terlepas begitu sahaja hanyalah disebabkan kerana masa yang tidak
dipatuhi atau bukan kesalahan beliau sendiri dan juga kontinjen
negara yang tidak diketahui.

ALLAH SWT bersumpah dengan masa dalam Surah al-Asr
kerana masa itu adalah sangat penting pada seseorang insan.

288

Seseorang insan itu berjaya atau gagal di dunia ini adalah berkait
rapat dengan pengurusan masanya sama ada ia dimanfaatkan
dengan sebaiknya atau dia membiarkan masa berlalu begitu
sahaja tanpa dimanfaatkan. Masa dapat dikaitkan dengan amanah,
masa dikaitkan dengan amal soleh, masa dikaitkan dengan
pengalaman, masa dikaitkan dengan kehidupan untuk mencari
rezeki, masa juga dikaitkan dengan janji.

Oleh itu, Surah al-Asr ini sinonim dengan kehidupan semua
makhluk ciptaan ALLAH SWT di atas muka bumi. ALLAH SWT
memberikan suatu modal yang amat berharga dan tiada galang
gantinya. Dengan modal ini, manusia bahkan binatang dapat
meneruskan kehidupan sehariannya dengan cukup sempurna
sekiranya dilakukan secara berhemah. Modal tersebut sudah
tentunya ‘masa᾿ yang tiada tolok bandingnya. Namun berapa
ramaikah dalam kalangan kita yang mengambil pengajaran daripada
ayat di atas?

TERSUNGKUR DI PENTAS DUNIA
Terlalu ramai yang tersungkur di pentas arena dunia fana

apabila dikaitkan dengan pengurusan masa. Mereka lebih rela
menghabiskan masa yang tidak berfaedah dengan keseronokan
tanpa sedikit pun memikirkan tentang kematian yang saban hari
mendekati mereka dan kita.

Makhluk kerdil ciptaan ALLAH SWT seperti burung secara
fitrahnya bijak menghargai masa, ketika keluar mencari makan untuk
dibawa pulang kepada anak-anaknya dan kembali semula ke
sarangnya tetap dengan masanya, kalau tidak anak-anak burung
akan kelaparan, bagaimana pula dengan manusia? Atas dasar
itulah Nabi Muhammad SAW memberikan contoh di dalam hadis
baginda berkaitan mencari rezeki dengan mengaitkannya dengan
sikap burung yang tubuhnya kecil, tetapi tawakal dan kecekalannya
ibarat gunung. Sabda Nabi Muhammad SAW daripada riwayat
Umar al-Khattab RA yang bermaksud: “Sekiranya kamu benar-
benar bertawakal kepada ALLAH SWT, nescaya ALLAH SWT
akan memberi rezeki kepada kamu seperti mana Dia memberi
rezeki kepada burung, ia keluar dengan perut yang kosong pada
waktu pagi dan pulang pada petang harinya dengan perut
kenyang.” (Riwayat al-Tirmidzi) Pendek kata, masa memerlukan
komitmen. Jika anda tidak mampu memberikan komitmen kepada
masa, mungkin anda bukan orang yang menepati masa. Seterusnya
jika anda bukan orang yang tidak menepati masa, maka anda juga
bukan orang yang menepati janji. Jika anda bukan orang yang boleh

289

menepati janji, maka anda mempunyai sifat-sifat seorang munafik.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu
apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak
ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)

MANUSIA TERIKAT DENGAN MASA
Hadis di atas jelas kepada kita begitu penting kepada

seseorang itu menepati janji yang pada awalnya bermula pada
masa. Setiap orang terikat dengan masa tersendiri, pekerja
mempunyai masa kerjanya tersendiri, guru terikat dengan waktu
kehadirannya ke sekolah jam 7.30 pagi, pekerja kilang dengan
tempoh bertugasnya mengikut giliran tertentu dengan tempohnya
tersendiri dan begitulah seterusnya. Seseorang yang bercadang
untuk melancong ke luar negara sudah pasti mempunyai jadual
pelepasan pesawatnya tersendiri dan terikat dengan masa pelepasan
tersebut.

Seorang pelancong yang bijak akan tiba terlebih awal di
lapangan terbang sebelum pesawat dijadualkan berlepas dalam
tempoh tiga jam dalam negeri dan empat jam untuk keluar negara.
Dia berbuat demikian kerana memahami konsep penumpang
menunggu kapal terbang bukan kapal terbang menunggu
penumpang. Dalam erti kata mudah, kita menunggu kapal terbang
atau kapal terbang menunggu kita? Jikalau kita yang menunggu
kapal terbang, kita akan tiba dengan selamat ke destinasi ditujui,
tetapi kalau kapal terbang yang menunggu kita sudah pasti kita
tidak akan ke mana-mana.

Dengan adanya sikap menghargai masa dan peraturan seperti
ini, produktiviti kerja dalam pebagai bidang dapat dipertingkatkan
dan semua perkara akan berjalan lancar. Apa yang akan berlaku
sekiranya seorang guru datang lewat ke kelas, sudah pasti murid
di dalam kelas ibarat kambing mengembek begitulah juga dalam
sektor-sektor lain. Oleh itu, kehidupan duniawi ibarat suatu
perniagaan yang sedang diusahakan di mana laba atau
keuntungannya akan kita peroleh di hari akhirat kelak. Namun
sebahagian pekerja tidak begitu sensitif terhadap ‘modal masa᾿
berbanding modal yang berupa ‘wang ringgit᾿ kerana itu pembaziran
masa berlaku sewenang-wenangnya melalui perbualan-perbualan
kosong, masa interaksi di media sosial yang tidak berfaedah dan
pelbagai lagi aktiviti lain untuk menghabiskan masa.

Justeru, marilah kita gunakan masa yang ada ini untuk

290

memperbanyakkan amal soleh kita untuk dibawa sebagai bekalan
di alam kubur, yang muda gunakan usia muda dengan menambah
ilmu sebanyaknya untuk meningkatkan kualiti amalan di hari tua.
Yang tua, jangan gunakan masa tua hanya banyak termenung
mengenang kisah muda yang banyak lekanya.

Gunakan masa yang ada untuk amal soleh yang pasti
menerangi kubur yang gelap gelita. Tidak kira apa jua kebaikan di
dunia ini jangan kita persiakan. Walaupun ianya kecil, tapi besar bila
ditimbang di neraca Tuhan. Setiap saat berlalu, maka berlalulah
modal tersebut sama ada ia telah memberikan keuntungan kepada
kita pada hari akhirat kelak atau sebaliknya, ianya terpulanglah
bagaimana cara kita menguruskannya. Benarlah pepatah Arab
yang bermaksud: “Masa ibarat pedang jika kamu tidak
menggunakannya untuk memotong, ia akan memotong kamu.”

291

BENARKAH PESAKIT COVID
YANG KEMBALI KE RAHMATULLAH
MATI SYAHID DUNIA DAN AKHIRAT?

Oleh
Datuk Mohamad Din bin Yusoh

1. KEMATIAN merupakan perjalanan terakhir setiap insan yang
dilahirkan di atas muka bumi ini tanpa berkecuali. Setiap yang
bernyawa pasti akan merasai kematian, kerana kematian
merupakan sunnatullah yang sudah ditetapkan garis waktunya
untuk semua makhluknya. Kematian juga merupakan peralihan
untuk menuju alam abadi dan mendapat tempat yang
selayaknya di sisi ALLAH SWT sama ada syurga atau neraka.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8 yang
bermaksud: “Katakanlah, sesungguhnya kematian yang
kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu
akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan
kepada ALLAH, yang mengetahui yang ghaib dan yang
nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu
kerjakan”.

2. Setiap orang yang beriman inginkan kesudahan hayatnya
dengan cara yang diredai ALLAH SWT dan tertulis di sisinya
sebagai husnul-khatimah. Namun, bukanlah suatu perkara
mudah mendapatkan perkara tersebut kecuali dengan izin
ALLAH SWT dan rahmatnya ke atas makhluk serta iltizam
seorang hamba berada di atas jalan istiqamah melaksanakan
amal soleh dan nahi munkar. Penghormatan tertinggi daripada
ALLAH SWT ke atas hambanya boleh diukur dengan cara
kematian yang berlaku. Justeru mati syahid dengan tiga
kategorinya secara berurutan merupakan suatu anugerah
ALLAH SWT kepada hamba-hambanya yang terpilih. Tidak syak
lagi golongan mendapat tempat yang terbaik di sisi ALLAH SWT
berdasarkan pandangan mata kasar manusia yang menilai
kematian tersebut berlaku dan kesudahannya milik mutlak
ALLAH SWT untuk menentukannya.

3. Tiga kategori syahid yang dikemukakan oleh ulama
berpandukan kepada hadis-hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Pertama: Syahid dunia & akhirat. Syahid kategori ini hanya
bagi mereka yang terkorban dalam medan peperangan

292

fisabilillah dengan niat ikhlas meninggikan syiar agama Islam
dan mengharapkan keredaan ALLAH SWT. Dalam kategori ini
pengurusan jenazahmereka terikat dengan hukum-hakam
khusus di dunia iaitu tidak dimandikan, dikebumikan dengan
pakaian yang dipakai ketika peperangan dan tidak disolatkan
menurut semua mazhab kecuali mazhab Hanafi. Bagi
mereka sudah pastinya ganjaran tertinggi di akhirat menanti.
Kedua: Syahid dunia bagi mereka yang pada zahirnya terbunuh
ketika dalam peperangan tetapi sebaliknya diselubungi
dengan nawaitu yang tidak jujur atau semacam dipaksa, ini
boleh merosakkan pahala jihad. Dalam kategori ini pengurusan
jenazah mereka terikat dengan hukum-hakam khusus di dunia
seperti kategori pertama juga, namun tiada sebarang ganjaran
di akhirat kelak. Ketiga: Syahid akhirat bagi golongan tertentu
yang dinamakan oleh Rasulullah SAW secara khusus selain
daripada peperangan fisabilillah, seperti mati terbakar, wabak
(seperti Covid), lemas, ditimpa runtuhan, kematian melahirkan
anak dan sebagainya. Dalam kategori ini pengurusan jenazah
mereka seperti mana biasa dimandikan, dikafankan dan
disolatkan kemudian dikebumikan. Buat mereka ganjaran
pahala tersedia di sisi ALLAH SWT pada hari kiamat kelak.

4. Pesakit Covid yang menjadi korban akibat pandemik ini
tergolong dalam kategori syahid akhirat seperti mana sabda
Nabi SAW daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud:
“Wabak taun itu adalah penyebab mati syahid bagi setiap
muslim” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Pengertian wabak
seperti dalam hadis tadi bersifat umum, apa sahaja jangkitan
penyakit yang menular kepada umum sehingga mengakibatkan
kematian dalam skala luar biasa maka yang menjadi korbannya
sekiranya beragama Islam mereka adalah syahid akhirat.
Namun demikian, berlaku kekeliruan dalam masyarakat apabila
pengurusan jenazah Covid tidak dimandikan pada ketika ini,
sehingga ada yang beranggapan golongan ini mati syahid dunia
dan akhirat. Justeru kekeliruan ini perlu dijawab secara
akademik bukan dengan kefahaman secara tidak ilmiah.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham
berdasarkan hasil bedah siasat satu mayat oleh Institut
Penyelidikan Perubatan, IMR, mendapati terdapat virus Covid
dikesan pada permukaan badan mayat, melalui analisis
Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) dan bendalir
yang keluar daripada jenazah Covid mempunyai potensi

293

kebolehjangkitan. Oleh kerana itu, bagi mengurangkan risiko
terhadap petugas daripada terkena air atau tersentuh kulit yang
mempunyai risiko penyebaran virus kepada pihak pengurusan
jenazah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
bersetuju untuk menukarkan prosedur asal mandi jenazah,
kepada tayammum sahaja.

5. Justeru jenazah pesakit Covid tidak dimandikan, kerana boleh
memudaratkan pihak lain bukan dikecualikan dengan nas
daripada mana-mana hadis dan seumpamanya. Menurut
ketetapan Fatwa al-Azhar Mesir, jika keadaan membolehkan
untuk dimandikan jenazah Covid hukumnya adalah wajib
sekadar melalukan air ke atas jenazah tanpa digosok. Namun
jika keadaan tidak membenarkan jenazah untuk berbuat
demikian, jenazah boleh dikebumikan tanpa dimandi dan
ditayammumkan kerana menjaga nyawa manusia yang masih
hidup adalah lebih utama. Dalam hal ini jelas pengecualian
daripada memandikan jenazah dalam peperangan fisabilillah
merupakan anugerah khusus daripada ALLAH SWT untuk
mereka yang gugur dalam medan pertempuran meninggikan
syiar agama Islam dan mengharapkan keredaan ALLAH SWT
sahaja. Sabda Nabi SAW daripada hadis Abdullah bin
Abbas RA yang bermaksud: “Kebumikanlah jenazah mereka
dengan darah-darah mereka” (Riwayat al-Bukhari). Dalam
hadis lain riwayat Jabir bin Abdillah RA. Nabi SAW bersabda
yang bermaksud: “Jangan kamu mandikan jenazah mereka,
kerana setiap luka atau darah, akan mengeluarkan bau
harum kasturi pada hari kiamat nanti.” (Riwayat al-Bukhari)

6. Urusan melibatkan persoalan hukum-hakam merupakan
persoalan amanah kepada ilmu yang membawa kesan
besar kepada masyarakat, apatah lagi sekiranya yang
mengutarakannya tokoh-tokoh ilmuan tertentu. Oleh itu, saya
mengajak diri saya dan semua agar kita mengambil sikap
tabayyun atau menyemak asas kebenarannya terlebih dahulu
sebelum dikemukakan kepada orang ramai. Dalam sebuah
hadis daripada Tamim bin Aus RA, Nabi SAW bersabda yang
bermaksud: “Agama itu adalah nasihat” [Riwayat Muslim].
Dalam hadis ini Nabi berpesan agar umat Islam perlu bersikap
hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti yang berkait
dengan isu yang berbangkit agar kita tidak terjerumus dalam
kancah fitnah.

294

ANTARA PERINTAH SUAMI, SOP COVID DAN IBU BAPA
MANA YANG DIPATUHI?
Oleh

Datuk Mohamad Din bin Yusoh

MEMBINA kerukunan rumah tangga merupakan sunnatullah
kepada semua umat manusia semenjak daripada Nabi Adam AS
untuk memelihara kelangsungan keturunan daripada hubungan
kelamin yang sah. Sudah menjadi rahsia umum seorang isteri wajib
patuh dan taat kepada suami dalam perkara ma’ruf. Keredaan
suami menjadi asbab keredaan ALLAH SWT dan mempermudahkan
perjalanan seorang isteri menuju syurga kelak. Isteri yang tidak
mendapat keredaan suami dianggap berlaku nusyuz atau derhaka.
Oleh itu, dalam Islam hak suami di atas isterinya mengalahkan
hak sesiapapun setelah hak ALLAH SWT dan Rasul-Nya,
termasuklah hak kedua ibu bapanya sendiri. Adalah menjadi
tanggungjawab seorang isteri mentaati suaminya untuk layak
diberikan gelaran Isteri Solehah. Firman ALLAH SWT yang
bermaksud: “Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah
yang taat (kepada ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara
(kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika
suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan ALLAH dan
pertolonganNya” (al-Nisa: 34). Menurut al-Tabari perkataan taat
dalam ayat tersebut merujuk kepada ketaatan kepada para suami.
Dalam sebuah hadis riwayat ‘Aishah RA yang bermaksud: Aku
pernah bertanya kepada Nabi SAW “Siapakah manusia yang
paling berhak dipatuhi atas seorang isteri?” Baginda SAW
bersabda yang bermaksud, “Suaminya.” Aku bertanya lagi,
“Lalu siapakah manusia yang paling berhak dipatuhi atas
seorang lelaki?” Baginda SAW bersabda yang bermaksud,
“Ibunya.”

Namun demikian, dalam suasana negara diancam wabak
Covid, pihak kerajaan lebih menjaga keselamatan dan nyawa
rakyat dan tidak membenarkan pergerakan rentas negeri, daerah dan
sebagainya untuk mencegah penularan wabak termasuk menziarahi
ahli keluarga terdekat terutama musim perayaan. Disebabkan terlalu
lama tidak menziarahi ahli keluarga terdekat mungkin ada segelintir
para isteri bertindak keluar menziarahi ibu bapa mereka tanpa
keizinan suami. Lebih malang lagi perbuatan tersebut membawa
kepada penularan wabak ke rumah sendiri tanpa disedari,
persoalannya adakah perbuatan ini wajar dan dibenarkan dalam

295

agama walaupun dengan alasan menjaga hubungan silaturahim
antara anak dan ibu bapa?

Para ulama’ sepakat menyatakan di antara kewajipan isteri
dalam mentaati suaminya ialah memberikan khidmat dan tinggal di
rumah suaminya. Hal ini bermaksud isteri tidak boleh sewenang-
wenangnya keluar dari rumah kelamin tanpa sebab yang syar’ie
kecuali dengan keizinan suami untuk mencari rezeki keluarga.
Dalam sebuah hadis riwayat Saidatina ‘Aisyah RA bahawa beliau
pernah meminta izin kepada baginda untuk pulang ke rumah ibu
bapanya. Saidatina ‘Aisyah RA berkata kepada Nabi SAW yang
bermaksud: “Adakah Rasulullah SAW mengizinkanku untuk
mendatangi kedua ibu bapaku? Maka Rasulullah SAW
mengizinkan daku”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Menurut
Ibn Hajar Al-Asqalani hadis ini menjadi dalil bahawa wanita tidak
boleh keluar dari rumah suaminya tanpa keizinan daripada suami.
Justeru, isteri wajib memohon keizinan suaminya untuk keluar
daripada rumah suaminya sekalipun dengan tujuan untuk menziarahi
kedua-dua ibu bapanya.

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa,
kata-kata nasihat yang sentiasa segar mekar dalam masyarakat
Malaysia yang berbilang kaum, tidak dapat dinafikan menjaga
hubungan baik antara anak dan ibu bapa tiada batasan masa dan
tempat. Atas dasar itu, menurut mazhab Hanafi dan Maliki suami
tidak berhak menghalang isteri untuk menziarahi ibu bapanya
sendiri setiap minggu sekali, pada hari Jumaat dan isteri berhak
berbuat demikian walaupun tanpa keizinan suami dengan syarat
keselamatan terjamin. Begitu juga dalam mazhab Syafie dan
Hanbali, dalam kitab Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu ada disebutkan
harus bagi suami untuk melarang isterinya untuk menziarahi
keluarganya, tetapi yang lebih baik adalah tidak menghalangnya
melihat kepada uruf atau adat resam masyarakat setempat
contohnya ibu bapa dalam keadaan sakit yang tenat, menghadiri
majlis pengkebumian kedua ibu bapanya ketika mereka meninggal
dunia, kerana larangan tersebut boleh membawa kepada terputusnya
hubungan silaturrahim. Pendek kata sekiranya larangan tersebut
boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus, atau ibu bapa
yang uzur dan memerlukan khidmat anak adalah diharuskan bagi
isteri untuk keluar sekalipun tanpa keizinan suaminya.

Namun, ketika ini amat tidak wajar seorang isteri keluar tanpa
izin suami dalam keselamatan tidak terjamin dan adanya SOP
Covid yang tidak membenarkan untuk berbuat demikian. Keadaan
sekarang berada dalam darurat di mana keutamaannya adalah

296

menjaga nyawa sesuai dengan firman ALLAH SWT yang bermaksud:
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam
bahaya kebinasaan (al-Baqarah : 195). Bagaimana jika si isteri tadi
dijangkiti Covid dan membawa pulang ke rumah sehingga menular
kepada suami, anak-anak dan pembantu rumah? Sudah pasti
dalam kes seperti ini isteri melakukan dua dosa, pertama tidak
mentaati suaminya dan kedua ingkar kepada arahan pemerintah
yang hukumnya wajib seperti firman ALLAH SWT yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH
dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri”
(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”. [al-Nisa : 59]

Sebagai seorang muslim yang beriman kepada ALLAH SWT
kita diminta untuk berusaha sedaya upaya mengelakkan diri daripada
jangkitan Covid dan tidak meletakkan segalanya kepada takdir atau
ketentuan ALLAH SWT. Perbuatan reda dan pasrah kepada
ALLAH SWT apabila dijangkiti Covid sedangkan usaha tidak
langsung dilakukan merupakan ajaran aliran al-Jabariyyah yang
bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini bererti reda
dengan ketentuan ALLAH SWT mestilah berlaku setelah segala
usaha dilakukan untuk menghindari jangkitan Covid dengan
mengambil vaksin dan sebagainya. Ada yang mengatakan ambil
vaksin dua dos pun mati juga, kalau begitu ada baiknya tidak diambil,
kenyataan ini boleh merosakkan aqidah. Ketentuan hidup atau mati
hak mutlak milik ALLAH SWT itulah aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
yang tiada khilaf lagi, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Kami lah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian
(tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali
dapat dikalahkan atau dilemahkan” [al-Waqi’ah : 60].

297

WAKAF BUKU DEMI DIDIK MASYARAKAT
Oleh

Datuk Mohamad Din bin Yusoh

Majlis pelancaran Buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia yang
disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali
Mohd Rustam di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh, Melaka pada awal April lalu.

PENULARAN Covid yang melanda seluruh dunia termasuk
Malaysia telah memberikan impak yang besar kepada kehidupan
masyarakat sehingga menyebabkan kita terpaksa menjalani
kehidupan dengan norma baharu.

Perubahan itu telah memberikan ilham kepada Pengasas Utas
Travel & Tours, Datuk Mohamad Din Yusoh untuk menerbitkan buku
bertajuk Covid Melanda Negara dan Dunia dengan mewujudkan
satu konsep baharu yang dipanggil wakaf ilmu dalam era pandemik
ketika ini.

Kandungan buku itu yang mempunyai 226 halaman mempunyai
beberapa tajuk iaitu Ujian Kepada Manusia dan Peringatan ALLAH,
Menghargai Masa Semasa Covid, Selepas Covid dan Mencuri
Masa di Tempat Kerja dan Cara Solat Jumaat Semasa Covid.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Nor Farhana Yaacob
bersama Mohamad Din baru-baru ini.

SINAR HARIAN : Boleh Datuk ceritakan bagaimana tercetusnya idea
penghasilan buku ini?

MOHAMAD DIN : Idea menulis buku ini hadir ketika dunia dilanda
musibah Covid dan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan

298

Pergerakan (PKP) pada Mac 2020. Saya terfikir untuk menyumbang
idea dan rujukan dalam bentuk penulisan yang boleh dikongsikan
bersama rakyat Malaysia.

Saya bermula dengan mengkaji dan mengumpul maklumat
daripada bahan-bahan bercetak yang terdapat di perpustakaan
peribadi saya di rumah. Bagi memastikan maklumat yang
dikemukakan dalam buku ini tepat, berwibawa, hukum-hakamnya
teratur, ia telah disemak dan diteliti oleh para ilmuan Islam dan
pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan.

APAKAH ANTARA ISI KANDUNGAN YANG MENARIK DALAM
BUKU INI?

Buku ini membawa kepada solusi-solusi dan penyelesaian
masyarakat berkaitan pelaksanaan solat Jumaat disebabkan arahan
yang berbeza-beza antara negeri-negeri lain. Contoh solat Jumaat
3 orang termasuk imam, 3 orang tidak termasuk imam, 12 orang
termasuk imam dan ada juga 40 orang termasuk imam. Rujuk buku
“Covid-19 Ujian Kepada Manusia dan Peringatan ALLAH,
Menghargai Masa Semasa Covid, Selepas Covid Dan Mencuri Masa
Di Tempat Bekerja, Cara Solat Jumaat Semasa Covid”.

Alasan utama adalah disebabkan untuk menjaga penjarakan
fizikal. Justeru, apa yang berlaku perlu dilihat dari sudut positif
bagaimana kita sebagai umat Islam perlu memahami dan mendapat
jawapan tepat berkaitan dengan persoalan yang berlegar dalam
kalangan masyarat mengenai hikmah ujian besar ini kepada
manusia, khususnya kepada umat Islam itu sendiri.

Buku ini juga turut menyingkap persoalan dan kupasan
pelaksanaan solat Jumaat ketika pandemik ini melanda sebagai
alternatif untuk melaksanakan syariat Islam secara berterusan.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN BAHAWA BUKU INI DAPAT
MEMBERI PENGAJARAN DAN KEINSAFAN KEPADA PEMBACA?

Saya mengangkat tema bencana Covid dalam buku ini untuk
melihat kepada pengajaran dan merumusnya kembali secara tersurat
dan tersirat. Jika pembaca menghayati dan mendalami perkara ini
mereka akur bahawa alam ini dicipta oleh ALLAH SWT dilengkapi
dengan peraturan alam yang telah ditentukan olehNya.

BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENDAPATKAN BUKU
TERSEBUT?

Bagi individu atau sesiapa sahaja yang berhasrat memiliki
buku ini untuk koleksi sendiri atau diwakafkan sebagai wakaf ilmu,

299

boleh hubungi Pustaka Tawjih yang terletak di Bandar Baru Bangi,
Selangor.

Pihak percetakan dan saya sendiri tidak menyimpan stok buku
ini. Semuanya berada di Pustaka Tawjih selaku pengedar tunggal
buku ini. Perlu saya ingatkan lagi, buku ini diwakafkan sepenuhnya
tanpa sebarang bayaran kecuali untuk kos penghantaran.

BERAPAKAH SASARAN JUMLAH BUKU YANG AKAN
DIWAKAFKAN?

Buku ini sebenarnya telah diedarkan di Melaka melalui Jabatan
Mufti Negeri di tempat saya sebanyak 8,000 naskhah manakala di
negeri Johor yang diselia oleh YB Dato’ (DR) Haji Nooh bin Gadot
sebanyak 11,000 naskhah mengambil kira keluasan negeri tersebut.

Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Jabatan Mufti Pahang
masing-masing 8,000 naskhah dan mufti-mufti negeri-negeri lain
kemungkinan dalam proses menyemak.

Terkini saya turut mendapat permintaan daripada mufti kerajaan
Negara Brunei sebanyak 3,000 naskhah. Ini bererti keseluruhan
naskhah yang dicetak telah mencecah 60,000 dan kerja-kerja
mencetak sedang berjalan untuk cetakan kelima. Jika ada lagi
permintaan daripada jabatan-jabatan mufti di negeri-negeri yang
belum menerima buku ini saya menjangkakan unit yang tercetak
akan mencecah hingga 107,000 naskhah.

MENGAPA ORANG RAMAI PERLU MENDAPATKAN BUKU INI?
Saya berkeyakinan mereka yang telah membaca buku ini atau

belum memiliki dan berhasrat untuk membaca buku ini pasti dapat
mengambil manfaat daripada setiap topik yang dikemukakan.

Buku ini merangkumi banyak perkara yang wajib dihayati ketika
kita berada dalam musibah Covid ini terutamanya daripada aspek
aqidah kupasan terperinci berkaitan hukum-hakam yang berlegar
dalam kehidupan harian seperti solat Jumaat dan solat-solat sunat
yang lain.

Tidak ketinggalan juga daripada aspek pengurusan ekonomi
yang membawa kepada sebab utama keruntuhan institusi keluarga
pada hari ini.

Buku ini sesuai untuk semua peringkat umur berdasarkan
kepada topik-topik perbincangan yang telah disusun khususnya
kepada orang Islam.

300


Click to View FlipBook Version