15) Mausu’ah al-Mu’jam al-Mufahris Li Alfaz al-Hadis al-Nabawi
al-Syarif.
16) Mausu’ah al-Fiqh al-Islami karangan Wahbah al-Zuhaili cetakan
Dar al-al-Fikr.
17) Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah cetakan Dar
al-Ummah 2008.
18) Nail al-Awtar karangan Muhammad bin Ali al-Shawkani cetakan
Dar al-Hadis.
19) Al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie karangan Yahya
al-Umarani cetakan Dar Minhaj Saudi 13/31.
20) Tafsir al-Munir karangan Wahbah al-Zuhaili cetakan Dar al-Fikr
2003.
21) Fath al-Bari Syarah al-Bukhari karangan Imam al-Nawawi
cetakan Pustaka Azzam 2010.
22) Umdah al-Qari karangan Badruddin al-Áini cetakan Dar Kutub
Ilmiyah 2018).
23) I’la’ al-Sunan karangan Zaffar Ahmad al-Uthmani al-Tahaniwi
cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyah 2018 jilid 15/75.
24) Nihayah al-Matlab karangan al-Juwaini 18/575 cetakan Dar
al-Mihaj 2007.
25) Kamal al-Dirayah wa Jam’I al-Riwayah wa al-Dirayah karangan
al-Izmiri cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyah 2017 jilid 7/119.
26) Syarah Sunan Abu Daud karangan Ibnu Ruslan 14/618 cetakan
Darul Falah 2016.
27) Al-Zakhirah fi Furu’ al-Malikiyyah karangan al-Qarafi cetakan
Dar al-Kutub al-Ilmiyah 2017 8/80.
86
NERAKA PENJARA AKHIRAT SEUMUR HIDUP
Oleh
Datuk Mohamad Din bin Yusoh
NERAKA DISEBUT 145 KALI BERBANDING SYURGA
135 KALI DALAM AL-QURAN
137. Al-Quran al-Karim merupakan sumber hukum dan ilmu
pengetahuan yang bersifat qat’ei yang wajib diyakini oleh
umat Islam sebagai kalamullah (firman ALLAH SWT) yang
mutlak dan pasti benar. Al-Quran al-Karim diturunkan kepada
Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman hidup bagi umat
manusia sejagat berisi ajaran yang lengkap dan menyeluruh
secara mujmal (prinsip-prinsip umumnya saja) dan diperincikan
oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui sunnahnya
sepanjang 23 tahun selepas diutus menjadi rasul. Di antara
perkara pokok intipati al-Quran mengajak manusia beriman
kepada hari kiamat yang terkandung di dalamnya keimanan
kepada balasan neraka dan syurga. Perkataan neraka di dalam
al-Quran disebut sebanyak 145 kali dalam beberapa surah
yang berbeza manakala syurga disebut sebanyak 135 kali.
Secara perbandingan neraka lebih kerap disebut di dalam
al-Quran dari syurga maka ianya memberikan suatu maksud
yang cukup signifikan dengan kehidupan manusia selepas alam
kematian.
Dalam artikel ini penulis memfokuskan persoalan
neraka tanpa menafikan kepentingan syurga dan nikmatnya
atas dasar untuk melahirkan kesedaran dan keinsafan umat
agar sentiasa beringat dan takut dari azab neraka.
ALLAH SWT sendiri ada ketikanya mendahulukan sebutan
neraka dari syurga seperti dalam ayat 20 surah al-Hashr
firman ALLAH SWT maksudnya:
Maksudnya: “Tidaklah sama penghuni neraka dan
penghuni Syurga; penghuni Syurgalah orang-orang yang
beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini)”.
Dalam surah al-A’la ayat 12-13 firman ALLAH SWT
maksudnya:
87
Maksudnya: “Dia lah orang yang akan menderita dalam
pembakaran neraka yang amat besar (azab seksanya) [12]
Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula
hidup senang [13]”.
Keadaan yang sama berlaku ada ketikanya ALLAH SWT
mendahulukan kematian daripada hidup seperti firman
ALLAH SWT dalam surah al-Mulk ayat 2:
Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya
kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan
keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik
amalannya; dan Ia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
ALLAH SWT juga mendahulukan perkataan wanita
daripada lelaki dalam surah al-Syuraa ayat 49:
Maksudnya: Bagi ALLAH SWT jualah hak milik segala yang
ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang
dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan
kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan
anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
SEAWAL USIA KANAK-KANAK DIAJAR MEMBACA DAN
MENGHAFAL AYAT-AYAT LAZIM DARIPADA AL-QURAN
138. Dalam kehidupan kita seharian bermula dari kecil sampai
dewasa bahkan sebelum menempuhi alam kematian kita
diingatkan dengan ganjaran syurga dan azab neraka. Seawal
usia kanak-kanak kita telah diajar untuk membaca dan
menghafal ayat-ayat lazim di kelas-kelas fardhu Ain, sedarkah
kita di antara ayat-ayat pendek tersebut beberapa surah berkait
rapat dengan neraka. Antaranya surah al-Humazah,
al-Qari’ah, al-Adiyaat di mana terkandung di dalamnya
pertanyaan ALLAH SWT kepada Nabi SAW yang
bermaksud: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui,
apa dia “Al-Hutamah” itu?” (al-Humazah, ayat 5), “Dan apa
jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari
yang menggemparkan itu”? (al-Qari’ah, ayat 3).
88
FAHAMI, TADABBUR DAN HAYATILAH SURAH
AL-TAKAATHUR AYAT 1-8 DENGAN HATI YANG TENANG
139. Persoalan akhirat dan neraka turut sama dirangkumkan
ALLAH SWT dalam surah al-Takaathur ayat 1-8 maksudnya:
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti)
oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan
sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat
dan pengaruh) [1] Sehingga kamu masuk kubur [2] Jangan
sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui
kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! [3]
Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap
demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang
buruk pada hari kiamat)! [4] Demi sesungguhnya! Kalaulah
kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan
pengetahuan yang yaqin, (tentulah kamu akan mengerjakan
perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari
akhirat). [5] (Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan
melihat neraka yang marak menjulang [6] Selepas itu - demi
sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka)
akan melihatnya dengan penglihatan yang yaqin (semasa
kamu dilemparkan ke dalamnya)! [7] Selain dari itu,
sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang
segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! [8].
GAMBARAN NERAKA DARIPADA PENGLIHATAN NABI SAW
KETIKA ISRA’ DAN MI’RAJ
140. Justeru itu, kita perlu mencari jawapan kenapa neraka
secara khusus sentiasa diulang-ulang selalu tanpa kita takut?
Dan kenapa kita perlu berwaspada daripada azab neraka
selalu sedangkan kita tidak pernah melihat jauh sekali
merasainya? Perkara pokok dalam isu neraka ianya merupakan
urusan aqidah yang tidak boleh ditolak sama sekali. Jika ditolak,
89
membawa kepada kekufuran yang akhirnya nanti penolaknya
ditolak masuk ke dalam neraka. (Kami
berlindung dengan ALLAH SWT daripada perkara tersebut).
Menurut al-Tahawi dalam kitab Aqidah al-Tahawiyah syurga dan
neraka kedua-duanya makhluk ciptaan ALLAH SWT seperti kita
manusia yang diberikan keistimewaan oleh ALLAH SWT tidak
akan ada penghujungnya seperti manusia dalam erti kata
berkekalan selama-lamanya. Penciptaan syurga dan neraka
bermula lebih awal sebelum daripada manusia diciptakan oleh
ALLAH SWT. Buktinya Nabi SAW telah melihat dengan mata
kepala baginda sendiri ketika berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj.
NERAKA DARIPADA ILMU YAQIN KEPADA AINUL YAQIN
SETERUSNYA HAQQUL YAQIN
141. Berita kewujudan neraka secara yakin kita perolehi
daripada al-Quran al-Karim dan daripada mulut Nabi SAW
dan kita beriman dengan informasi tersebut walaupun kita
tidak pernah melihatnya sendiri. Dalam masa yang sama
keyakinan ini bertambah-tambah dan memasuki fasa ‘Ainul
yaqin dan Haqqul yaqin walaupun kita tidak pernah melihat
dan merasainya sendiri kerana perkara tersebut sudah
menjadi pengetahuan dan keyakinan umum dan tidak dapat
ditolak lagi. Ini kerana Nabi SAW dalam perjalanan Isra’ dan
Mikraj telah diperlihatkan kepada baginda syurga dan neraka
dengan mata kasar baginda sendiri. Isra’ dan Mikraj itu
menjadi kewajipan kepada kita dan sebahagian daripada
aqidah untuk beriman kepada ALLAH SWT. Justeru itu,
syurga dan neraka adalah Haqqul Yaqin ciptaan ALLAH SWT
yang tidak boleh diragui lagi kewujudannya sama sekali.
142. Neraka merupakan tempat kekal menanti penghuni-penghuninya
dari kalangan orang-orang yang kafir, menyekutukan ALLAH
SWT, murtad, munafik dan musuh ALLAH SWT, mendustakan
para nabi dan tempat persinggahan sementara orang-orang
beriman yang melakukan maksiat, fasiq, berbuat dosa dan
melanggar perintah ALLAH SWT ketika di dunia, sebagai
lambang kehinaan kepada mereka. Firman ALLAH SWT dalam
surah al-Taubah ayat 63 maksudnya: “Tidakkah mereka
mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-
perintah) ALLAH SWT dan RasulNya, maka sesungguhnya
adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalam-
nya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar”.
90
143. Di dalam al-Quran ALLAH SWT sentiasa mengingatkan
hamba-hambaNya tentang ancaman api neraka agar mereka
merasa takut dan gerun untuk tidak melanggar perintahNya.
Gambaran dahsyat balasan penghuni neraka sering kali
disifatkan melalui orang-orang kafir yang merupakan penjara
selama-lama di dalamnya. Firman ALLAH SWT dalam surah
al-Zumar ayat 16 maksudnya: “Bagi mereka (yang kafir
disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas
mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka;
dengan (azab) yang demikian, ALLAH SWT menakutkan
hamba-hambaNya: “Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai
hamba-hambaKu!”
144. Perbuatan menakut-nakutkan hamba manusia tidak bererti
ALLAH SWT berhasrat suka atau ingin mencampakkan
mereka ke dalam neraka bertujuan untuk menyeksa dan
memenuhkan setiap ruang neraka yang maha luas, akan
tetapi dengan nerakalah satu-satunya jalan yang mampu
melahirkan rasa takut kepada seksaan ALLAH SWT jika maksiat
dilakukan seperti (memakan harta batil, rasuah, riba, melanggar
perintah ALLAH SWT). Justeru itu, dengan lahirnya perasaan
takut dan dalam masa yang sama mengharapkan keampunan
daripada ALLAH SWT sahajalah yang dapat memacu manusia
ke jalan kebenaran serta menjadi benteng pertahanan paling
ampuh daripada dirempuh oleh syaitan dan godaan hawa nafsu.
MAKANAN PENGHUNI NERAKA IALAH BUAH ZAQQUM
YANG SEPERTI TEMBAGA CAIR, MENDIDIH DALAM
PERUT DAN MELUAP-LUAP PANASNYA DAN DHARI’
(POHON BERDURI YANG SANGAT KERAS, PALING PAHIT
BUAHNYA DAN TIDAK MENGHILANGKAN RASA LAPAR)
145. Rasa takut dan gementar ini akan lahir secara semulajadi
seandainya para pembaca, membaca dan menghayati
gambaran sebenar neraka yang diceritakan oleh al-Quran dan
Nabi Muhammad SAW menggambarkan berbagai bentuk
seksaan dan azab yang terdapat di dalamnya seumpama
makanan dan minuman penghuni neraka sahaja Zaqqum
(berbentuk sebatang pohon yang keluar dari dasar neraka dan
buahnya seperti kepala syaitan-syaitan yang mengerikan),
Dhari’ (pohon berduri yang sangat keras dan tidak
menghilangkan rasa lapar), Ghislin (minuman yang dibuat
daripada nanah yang bercampur dengan darah dan berasal
91
daripada tubuh para penghuni neraka lainnya), Hamim
(minuman panas yang masuk ke dalam mulut dan perut hingga
membuat isi di dalam perut menjadi hancur terburai), Ghassaq
(minuman sejuk yang terhasil daripada nanah yang kental dan
berbau sangat menyengat). Lantas perkara-perkara ini
melahirkan rasa gerun dan menginsafkan diri agar sentiasa
takut kepada ALLAH SWT.
KENAPA PERLU TAKUT NERAKA?
146. Di antara ciri-ciri orang beriman yang disentuh di dalam
al-Quran firman ALLAH SWT dalam surah al-Furqan ayat
63-66 maksudnya: “Dan hamba-hamba Ar-Rahman (Tuhan
yang maha pemurah itu) ialah mereka yang berjalan di
muka bumi dengan sopan santun dan rendah hati. Dan
apabila orang-orang yang biadab lagi jahil, hadapkan kata-
kata kesat kepada mereka, mereka menjawab dengan kata-
kata yang baik. [63] Dan mereka (yang diredai ALLAH SWT
itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan
mereka pada malam hari dengan bersujud dan berdiri. [64]
Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai
Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami,
sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan. [65]
Sesungguhnya neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk
tempat penetapan dan kediaman. [66]”
147. Di dalam ayat ini jelas orang yang beriman sentiasa memohon
daripada ALLAH SWT agar sentiasa terhindar daripada azab
api neraka dan ianya merupakan amalan Nabi SAW di mana
baginda sentiasa membacakan doa ini
Maksudnya: “Ya ALLAH sesungguhnya aku berlindung
kepadaMu dari panasnya api neraka” (Hadis Riwayat
al-Nasaie). Kalau Nabi seorang yang maksum terpelihara
daripada sebarang dosa sentiasa membacakan doa ini
bagaimana pula kita insan biasa yang terdedah kepada dosa
setiap ketika? sudah pasti perlu bertambah-tambah rasa takut
dan bimbang. Perkara inilah yang dilakukan oleh para sahabat
terdahulu kerana menginsafi amalan yang mereka lakukan
seperti mana yang diriwayat bahawa Saidina Umar bin
al-Khattab RA pernah berkata yang bermaksud : “Seandainya
ada suara yang memanggil dari langit wahai sekalian manusia
92
kamu semua sila masuk ke syurga kecuali hanya seorang, pasti
aku sangat bimbang orang yang dimaksudkan itu adalah diriku”.
Walhal Saidina Umar RA sendiri dijamin oleh Nabi sebagai
penghuni syurga. Bagaimana pula jika seseorang itu tidak
mengendahkan dan mengambil peringatan akan seksa neraka
ini malahan menganggapnya sebagai hal yang tak perlu
ditakutkan? Ada juga yang bersikap sinis...... masuk neraka
cuma sebentar, kan kita orang Muslim pasti lambat launnya
ke syurga juga kan? ALLAH SWT menempelak golongan ini
dengan sekeras-kerasnya dalam surah al-Baqarah, ayat 80
maksudnya: “Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali
akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang
tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu
sudah mendapat janji dari ALLAH SWT supaya (dengan itu)
ALLAH SWT tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya
kamu mengatakan atas nama ALLAH SWT sesuatu yang
tidak kamu mengetahuinya?”
148. Oleh itu, orang yang beriman dan takutkan azab neraka
ALLAH SWT hendaklah sentiasa mengimbangi antara
mengharapkan ganjaran syurga dan terhindar daripada api
neraka serta melaksanakan perintah ALLAH SWT dengan tulus
ikhlas. Ini kerana menurut Wuhaib bin al-Ward yang bermaksud:
“Janganlah kamu menjadi seperti seorang buruh yang
memberikan jawapan kepada majikannya aku hanya akan
melakukan pekerjaan tersebut sekiranya ganjaran lumayan”.
149. Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali perasaan takut kepada seksaan
neraka tidak bermaksud takut kepada azab itu sendiri, akan
tetapi azab tersebut hanyalah pembakar semangat, ibarat rotan
bagi orang yang malas bekerja. Lantas mereka berusaha keras
menyiapkan tugasan yang diberi dan mendapat ganjaran seperti
yang dijanjikan. Justeru, neraka bagi orang beriman perlu
dilihat sebagai satu rahmat supaya mereka bermotivasi
menjauhi segala larangan ALLAH SWT dan sentiasa merasa
takut untuk melanggari larangan tersebut.
150. ALLAH SWT menjadikan api di atas dunia untuk
dimanfaatkan dalam semua urusan manusia namun, dalam
masa yang sama api itu juga boleh dijadikan pengajaran
seperti mana firman ALLAH SWT dalam surah al-Waqi’ah,
ayat 73 maksudnya: “Kami jadikan api (yang tercetus dari
93
kayu basah) itu sebagai peringatan (bagi orang-orang yang
lalaikan kebenaran hari akhirat dan sebagai benda yang
memberi kesenangan kepada orang-orang musafir)”. Api
dunia adalah cebisan kecil daripada api neraka yang telah
dilemahkan kekuatan dan keupayaannya untuk keperluan
manusia. Api dunia ketika kecil boleh dijadikan kawan tetapi
apabila besar gulung menggulung menjadi lawan yang
sukar dikalahkan. Begitulah gambaran api di dunia yang
sukar dikawal apabila marak membakar rumah dan hutan
belantara berbulan-bulan untuk dipadamkan. Api neraka
berlipat kali ganda lebih dahsyat daripada itu. Dalam satu
riwayat daripada Jisr bin Farqad, daripada al-Hasan
daripada Anas, dia mengatakan bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud : “Api dunia yang kamu semua
panaskan satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian api
neraka Jahannam. Seandainya api tersebut tidak dicelup di
lautan sebanyak dua kali sudah pasti kamu tidak dapat
mengambil manfaat daripadanya. Bahkan api dunia
tersebut berdoa kepada ALLAH SWT supaya tidak
dikembalikan lagi ke dalam neraka” (Riwayat Hakim). Dalam
satu lagi riwayat daripada Ibn Abbas RA yang bermaksud :
“Api ini telah disiram dengan air laut sebanyak tujuh kali.
Jika tidak maka ia tidak bermanfaat.”
DI MANAKAH TERLETAKNYA NERAKA?
151. Neraka sifatnya makhluk ciptaan ALLAH SWT yang
mengambil tempat dalam mana-mana ruang sama seperti
manusia. ‘Athiyyah meriwayatkan daripada Ibn Abbas RA
dengan katanya yang bermaksud: “Syurga terletak di langit
ke tujuh dan ALLAH SWT menempatkannya pada hari
kiamat sesuai kehendakNya. Manakala neraka Jahannam
berada di lapisan bumi ketujuh.” (Riwayat Abu Nuaim).
Dalam satu riwayat lain daripada Ibnu Mandah yang
meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Yahya al Qattat,
daripada Mujahid, dengan katanya yang bermaksud: “Aku
bertanya kepada Ibn Abbas: Di manakah syurga itu berada?
Dia menjawab: Di langit ketujuh. Aku bertanya lagi: Di
manakah letak neraka? Dia menjawab: Di bawah lapisan
laut ketujuh”. Terdapat juga riwayat yang mengatakan
neraka berada di bumi seperti dalam sebuah hadis riwayat
Abu Hurairah RA katanya yang bermaksud: “Kami pernah
bersama Nabi SAW tiba-tiba beliau mendengar seperti
94
suara benda jatuh ke dasar. Nabi SAW bertanya, ‘Tahukah
kalian suara apa itu?’ Kami menjawab, ‘ALLAH SWT dan
RasulNya lebih mengetahui.’ Baginda bersabda yang
bermaksud, “Ini adalah batu yang dilemparkan ke neraka
sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru mencapai
dasarnya” (Riwayat Muslim).
152. Barangkali terlintas di fikiran kita bagaimana pula neraka
berada di bumi sedangkan Nabi SAW melihatkannya berada
di langit dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj? Tiada yang
mustahil bagi ALLAH SWT sama ada neraka berada di
langit atau bumi, malah sebahagian ulama mengatakan
kewujudan neraka di bumi bersesuaian dengan firman
ALLAH SWT dalam surah Ghafir, ayat 46 maksudnya:
“Mereka (orang-orang kafir) didedahkan kepada bahang
api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka
berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya
kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah
Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa
api neraka yang seberat-beratnya!”. Namun demikian para
ulama berbeza pendapat dalam menentukan di manakah
tempatnya neraka sama ada di bumi atau di langit. Pendapat
paling selamat menurut Imam Suyuti dengan menyerahkan
urusan tersebut kepada ALLAH SWT kerana tiada dalil yang
konkrit menyatakan demikian.
BERAPA LUASKAH NERAKA?
153. Luasnya neraka tidak dapat dilakukan perbandingan
dengan luasnya bumi atau dunia kerana neraka sebanyak
mana sekalipun dibuang ke dalamnya orang kafir dan
orang-orang yang berdosa tidak akan penuh, seperti mana
firman ALLAH SWT dalam surah Qaf, ayat 30 bermaksud:
(Peringatkanlah manusia) mengenai hari di mana Kami
bertanya kepada neraka Jahannam: “Adakah engkau sudah
penuh?” Ia menjawab: “Adakah lagi sebarang tambahan?”.
Daripada ayat tersebut jelas neraka masih tetap boleh diisi
oleh penghuni-penghuninya secara terus-menerus dan
tidak akan penuh meskipun diisi oleh seluruh jin, orang-
orang kafir dan manusia yang berdosa dari awal manusia
diciptakan-Nya sampai hari kiamat nanti.
154. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah RA Nabi SAW
95
bersabda yang bermaksud: “Gigi taring orang kafir di dalam
neraka dan tebal kulitnya sejauh perjalanan tiga hari”
(Riwayat Muslim). Hadis ini jelas memberikan gambaran saiz
penghuni neraka dari kalangan orang kafir mengembang dan
membesar dan sudah pasti tempatnya juga perlu lebih luas
untuk menampung ramainya penghuni.
155. Dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA dan Abu Umamah RA
daripada Nabi SAW sabdanya yang bermaksud: “Seandainya
seketul batu dibuang ke dalam neraka dari tebingnya
nescaya batu tersebut meluncur ke dalamnya selama tujuh
puluh tahun namun belum pasti sampai ke dasarnya”
(Riwayat al-Hakim). Demikianlah gambaran dalam dan jauhnya
dasar neraka sehingga penghujungnya hampir tidak kunjung tiba.
156. Hadis Nabi SAW juga memberikan gambaran betapa luasnya
neraka dengan ramainya para malaikat yang bertugas dalam
satu-satu masa apabila penghuni neraka diheret masuk ke
dalamnya. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud : “Pada hari kiamat neraka
diperlihatkan kepada manusia dengan tujuh puluh ribu tali
belenggu membelit penghuni neraka yang setiap satu
daripadanya dikendalikan oleh tujuh puluh ribu malaikat”
(Riwayat Muslim). Bilangan manusia yang dibelenggu dengan
dengan seutas tali besar tersebut sudah cukup menggambarkan
betapa ramainya para malaikat yang bertugas untuk mengawasi
mereka dalam perjalanan menuju ke neraka.
157. Neraka Jahannam sahaja menurut Ibnu Abbas RA seperti yang
diriwayatkan oleh Mujahid dengan katanya yang bermaksud:
“Apakah kamu semua tahu berapa luaskah neraka Jahannam
itu?” Kami semua menjawab: “Tidak tahu”. Jawab Ibnu Abbas
RA: “Demi ALLAH SWT kamu semua tidak akan mengetahui
bahawa jarak di antara lubang yang ada di telinga untuk tempat
digantungkan anting-anting salah seorang penghuni neraka
dengan hidungnya adalah perjalanan selama tujuh puluh tahun”.
APAKAH BAHAN BAKAR API NERAKA?
158. Bahawa bahan bakar api neraka ada 2 jenis (2 benda)
sebagaimana yang diterangkan dalam surah al-Tahrim
ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang
96
bahan-bahan pembakarannya adalah manusia dan batu
(berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-
malaikat yang keras dan kasar (layanannya); mereka
tidak menderhaka kepada ALLAH SWT terhadap apa yang
diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan apa yang diperintahkan”. Batu merujuk kepada
berhala yang disembah oleh manusia ketika di dunia sebagai
satu bentuk penghinaan kepada penyembahnya. Ketika di dunia
berhala tersebut tempat mereka bergantung harap ternyata
di dunia mereka kecewa dan akhirat bertambah-tambah
kekecewaan. Batu sebagai bahan bakar memberikan gambaran
bahawa api tersebut sangatlah panas dan tiada tandingannya
kerana batu merupakan objek keras tidak seperti kayu dan
semestinya api yang menyala pada batu sudah tentu berkali-
kali lipat gandanya dengan panasnya dibandingkan dengan api
yang hanya menyala daripada kayu. Manakala manusia
(al-Nas) menurut Ibnu Jarir al-Tabari termasuk juga bangsa jin
kerana taklif hukum juga merangkumi golongan ini. Bukan
hanya di dalamnya manusia sahaja bahkan golongan jin atau
syaitan juga penghuni tegar neraka dan menjadi bahan bakar
api neraka juga. Bahawa penyebutan manusia dan batu sebagai
bahan bakar api neraka ini sebagai bentuk ancaman, atau
bentuk peringatan khususnya ditujukan kepada manusia.
Nama manusia disebut dengan nyata sebagai bahan bakar
api neraka agar manusia sentiasa takut dan berhati-hati
supaya tidak tergelincir masuk ke dalam neraka.
ADAKAH NERAKA MEMPUNYAI JURANGNYA SENDIRI?
159. Jika syurga diciptakan ALLAH SWT bertingkat-tingkat
sesuai dengan kelayakan penghuninya, begitulah
keadaannya neraka diciptakan dengan bertingkat-tingkat
sesuai dengan amal perbuatan dosa dan kejahatan tetamunya.
Pelaku dosa paling durjana dengan mensyirikkan ALLAH
SWT dan memperolok-olokkan agama (golongan munafik)
tempat di lapisan yang paling bawah ( ) dari
sudut susunannya dan maha dahsyat azabnya, iaitulah
neraka Jahannam dan begitulah keadaannya untuk
kategori-kategori dosa-dosa yang lain. Firman ALLAH SWT
dalam surah al-An’am ayat 132 maksudnya: “Dan bagi tiap-
tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat
(tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang
mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah
97
lalai dari apa yang mereka lakukan”.
NERAKA SERTA NAMANYA ADA TUJUH
160. Susunan tingkatan neraka bermula dari dasarnya yang
paling bawah menurut ulama adalah seperti berikut. 1. Neraka
Jahannam, seburuk-buruknya dan penghuni kekal di dalamnya.
Tempat istimewa ini bagi orang-orang kafir dan mereka kekal
di dalam selama-lamanya. 2. Laza, tingkat kedua yang dihuni
pendusta agama ALLAH SWT dan berpaling daripada
ajarannya. 3. Huthamah, tempat mereka yang lalai dalam
mengerjakan perintah ALLAH SWT kerana dipengaruhi harta
dunia. 4. Sa’ir, dihuni mereka yang makan harta anak yatim.
Mata dan telinga mereka menjadi buta dan pekak manakala
kulitnya tebal seperti Jabal Uhud. 5. Saqar, penghuninya ialah
orang tidak menunaikan solat, tidak memberi makan orang
miskin dan tidak percaya kepada Hari Pembalasan. 6. Jahim,
penghuninya melakukan dosa besar seperti berzina,
membunuh, mendustai agama ALLAH SWT dan minum arak.
7. Hawiyah, menempatkan orang memusuhi dan menentang
perjuangan para Nabi dan Rasul.
161. Kesemua neraka berasaskan seksaan daripada api yang
tidak akan terpadam selama-lamanya, seandainya api
tersebut agak reda ALLAH SWT menambahkan nyalaannya
kembali dengan lebih marak lagi. Hal ini bermaksud tiada
ruang dan masa untuk penghuni neraka beristirehat
walaupun kurang sedetik sekalipun. Firman ALLAH SWT
dalam surah al-Isra, ayat 97 maksudnya: “Dan sesiapa yang
diberi hidayah petunjuk oleh ALLAH SWT maka dialah yang
sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan dan
sesiapa yang disesatkanNya maka engkau (kamu) tidak
sekali-kali akan mendapati bagi mereka penolong-penolong
yang lain daripadaNya, dan Kami akan himpunkan mereka
pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-
masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan
pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-
tiap kali malap julangan apinya, Kami tambah mereka
dengan api yang menjulang-julang tinggi”.
Dalam ayat lain ALLAH SWT memberikan gambaran
setiap kali mereka memohon untuk diringankan azab,
balasannya azab akan bertambah lebih dahsyat daripada
sebelumnya. Firman ALLAH SWT, surah al-Naba’ ayat 30
98
maksudnya: “(Setelah mereka masuk ke dalam neraka,
dikatakan kepada mereka: “Oleh sebab kamu telah
mendustakan ayat-ayat Kami) maka rasalah kamu (azab
yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan selain
dari menambah berbagai azab kepada kamu”.
162. ALLAH SWT berjanji tidak akan melakukan kezaliman kepada
makhluk ciptaanNya dan janji pasti ditepati. Makhluk di
kalangan manusia dan jin yang terpilih dengan kehendak dan
ilmu ALLAH SWT untuk dimasukkan ke dalam neraka
merupakan mereka yang mengingkari perjanjian dengan
ALLAH SWT untuk tidak melakukan maksiat dan kekal taat
kepada perintahnya. Justeru, tetamu neraka adalah mereka
yang menzalimi diri sendiri, menyakiti dan merampas hak orang
lain secara batil, melakukan dosa dan lain-lain lagi. Penghuni
neraka yang paling ringan azab seksaannya daripada kalangan
orang beriman yang melakukan dosa dengan mengambil kira
jenis-jenis dosa yang dilakukan ketika di dunia. Manakala orang
kafir sudah pasti azab seksaannya bertambah-tambah di
lapisan paling dasar neraka.
163. Lama dan pendek tempoh diazab dalam neraka berdasarkan
dosa dan amalan masing-masing dan keampunan daripada
ALLAH SWT, yang pasti tiada layanan istimewa kelas pertama
di sana. Nabi SAW memberikan gambaran kepada penerima
seksaan dalam riwayat Imran bin Husyain RA dengan sabdanya
yang bermaksud: “Sesungguhnya suatu kaum dikeluarkan
dari neraka dengan terbakar tubuhnya kecuali paras wajah
mereka berputar sehinggalah mereka masuk ke syurga”
(Riwayat al-Bukhari).
164. Bentuk seksaan dalam neraka bermacam ragam, daripada
Nu’man bin Bashir RA bahawa Nabi SAW bersabda yang
bermaksud: “Sesungguhnya seringan-ringan seksaan-
seksaan penghuni neraka pada hari kiamat ialah seseorang
yang diletakkan di bawah dua telapak kakinya dua bara
api neraka sehingga mendidih otak yang ada di kepalanya.
(Dari sebab panasnya kedua bara api neraka tersebut)
Dia mengira bahawa tidak ada orang lain yang lebih
dahsyat seksaan daripadanya, padahal dialah orang yang
paling ringan seksaannya”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
99
165. BENTUK-BENTUK SEKSAAN PENGHUNI NERAKA
1. Diseret ke neraka dengan muka tertiarap, mata buta,
lidah bisu dan telinga tuli. Firman ALLAH SWT dalam
surah al-Isra’ ayat 97 maksudnya: “Dan sesiapa yang
diberi hidayah petunjuk oleh ALLAH SWT maka dialah
yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan
dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau (kamu)
tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka penolong-
penolong yang lain daripadaNya, dan Kami akan
himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret
mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan
buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka:
neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya,
Kami tambah mereka dengan api yang menjulang-
julang tinggi”.
2. Dipakaikan pakaian dan alas tidur berapi yang
menghancurkan tubuh. Firman ALLAH SWT dalam
surah al-Hajj, ayat 19-21 maksudnya: “Inilah dua
golongan mukmin dan kafir yang berbantah-bantahan
tentang Tuhan mereka, maka orang-orang yang kafir
akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka
serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang
menggelegak. [19] Dengan air itu dihancur leburkan
segala apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit
badan mereka. [20] Dan mereka pula disediakan
batang-batang besi untuk menyeksa mereka [21]”.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-A’raf, ayat 41
maksudnya: “Disediakan untuk mereka hamparan-
hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-
lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah
Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan
keingkarannya)”.
3. Tempat seksaan yang cukup sempit. Firman ALLAH SWT
dalam surah al-Furqan, ayat 11-14 maksudnya: Mereka
bukan sahaja mendustakanmu (mendustakanmu:
merujuk kepada Nabi Muhammad SAW, dipetik dari
Tafsir al-Khawatir al-Imaniyyah) bahkan mereka juga
mendustakan hari kiamat; dan Kami telah sediakan bagi
sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang
100
menjulang-julang [11] Apabila neraka itu melihat
mereka iaitu orang-orang musyrikin dari tempat yang
jauh, kedengaranlah mereka suara kemarahannya yang
menggelegak dan mengeluh [12] Dan apabila mereka
dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka
itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah
mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang
melepaskan dari azab itu) [13] (Lalu dikatakan kepada
mereka): “Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada
hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah
kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang
menunggu kamu di sini banyak jenisnya) [14]”
4. Dilemparkan dari gunung yang tinggi. Firman
ALLAH SWT dalam surah al-Muddatthir, ayat 17
maksudnya: “Aku akan menyeksanya (azab) dengan
pendakian yang memayahkan”.
Dalam tafsir Ath-Thabari firman ALLAH SWT surah
al-Muddatthir ayat 17 maksudnya “Aku akan
membebaninya mendaki pendakian yang memayahkan,”
maksudnya adalah, “Aku akan membebaninya seksa
yang menyusahkan, dan dia tidak akan dapat selamat
dari seksa tersebut.” Ada riwayat yang mengatakan
bahawa Ash-shau’d adalah sebuah gunung di neraka
dari Abu Sai’d Al Khudhri, dari Rasulullah SAW, beliau
bersabda yang bermaksud, “Ash-shau’d adalah
gunung api, mendakinya selama 70 tahun, demikian
pula turunnya, selamanya.”
5. Tidak mati selama-lamanya. Firman ALLAH SWT dalam
surah Ibrahim, ayat 17 maksudnya: “Ia meminumnya
dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima
oleh tekaknya (kerana terlalu busuknya), dan ia
didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang
ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu);
dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat”.
6. Seksaan tidak pernah terhenti. Firman ALLAH SWT
dalam surah al-Zukhruf, ayat 74-75 maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa (dengan
kekufurannya), kekal selama-lamanya di dalam azab
seksa neraka Jahannam [74] Tidak diringankan azab
101
itu daripada mereka, dan mereka tinggal menderita
dengan berputus asa (daripada mendapat sebarang
pertolongan)”. [75]
7. Bau busuk yang menyeksakan. Penghuni neraka diazab
dengan pelbagai bentuk bau-bauan yang sangat busuk.
Menurut Ibnu Buraidah daripada ayahnya daripada Nabi SAW
dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya bau
alat kelamin para pelacur di dalam neraka menyeksa
deria cium penghuni neraka”. (Riwayat al-Bazzar)
SIAPAKAH GOLONGAN PERTAMA DIHISAB DAN DIAZAB
DI NERAKA?
166. Abu Hurairah RA pernah menceritakan daripada Nabi SAW
berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang
bermaksud: Sesungguhnya pada hari kiamat, ALLAH SWT akan
turun kepada hamba-hambaNya untuk menghakimi mereka,
sedang mereka dalam keadaan berlutut. Orang pertama yang
dipanggil untuk dihisab adalah orang yang menghafal al-Quran,
orang yang berjihad di jalan ALLAH SWT, dan orang yang
memiliki banyak harta. ALLAH SWT lalu bertanya kepada orang
yang membaca atau menghafal al-Quran: Bukankah Aku telah
mengajarkan kepadamu apa yang telah Aku turunkan kepada
utusanKu? Orang itu menjawab: Benar wahai ALLAH SWT.
ALLAH SWT kembali bertanya: Lantas apa yang telah kamu
lakukan dengan apa yang telah kamu ketahui? Orang itu
menjawab: Aku bangun di waktu malam dan siang hari.
ALLAH SWT berfirman kepadanya yang bermaksud: Kamu
telah berdusta. Malaikat berkata: Kamu telah berdusta.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Kamu hanya ingin
dikatakan bahawa si fulan adalah seorang pembaca al-Quran
yang baik. Dan sebutan itu sudah didapatkan. Lalu dihadapkan
kepada ALLAH SWT orang yang diberikan harta. ALLAH SWT
berfirman kepadanya yang bermaksud: Bukankah Aku telah
melapangkan rezeki bagimu hingga Aku tidak membiarkan
dirimu meminta-minta kepada orang lain? Orang itu menjawab:
Benar, wahai ALLAH SWT. ALLAH SWT bertanya: Apa yang
telah kamu lakukan dengan apa yang telah Aku anugerahkan
kepadamu? Orang itu menjawab: Aku menyambung silaturrahim
dan bersedekah. ALLAH SWT berfirman kepadanya yang
bermaksud: Kamu telah berdusta. Malaikat berkata kepadanya:
Kamu telah berdusta. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:
102
Akan tetapi dirimu hanya ingin dikatakan bahawa si fulan
(dirimu) adalah orang yang dermawan. Sebutan itu pun telah
didapatkan. Lalu dihadapkan orang yang terbunuh di jalan
ALLAH SWT. ALLAH SWT lalu bertanya kepadanya: Kerana
apa dirimu terbunuh? Orang itu menjawab: Aku diperintahkan
untuk berjihad di jalanMu. Aku lalu berperang hingga terbunuh.
ALLAH SWT berfirman kepadanya yang bermaksud: Kamu
telah berdusta. Malaikat berkata kepadanya: Kamu telah
berdusta. ALLAH SWT berfirman kepadanya yang bermaksud:
Akan tetapi kamu hanya ingin dikatakan bahawa si fulan (dirimu)
adalah orang yang gagah berani. Sebutan itu telah didapatkan.
Rasulullah SAW lalu memukul lututku dan bersabda maksudnya:
Wahai Abu Hurairah RA, mereka bertiga adalah makhluk
ALLAH SWT pertama yang merasakan api neraka pada hari
kiamat nanti. (Riwayat al-Tirmidzi, Ibnu Hibban dan al-Hakim).
KEADAAN PENGHUNI NERAKA
167. Pada hari akhirat kelak, manusia dibahagikan kepada tiga
golongan iaitu kelompok manusia yang beriman kepada
ALLAH SWT dan beramal soleh disediakan kenikmatan oleh
ALLAH SWT dengan ganjaran syurga. Kelompok kedua terdiri
daripada orang yang munafik yang berpura-pura beriman dan
memperolokkan urusan agama. Mereka yang memilih
melakukan dosa ketika hidup, munafik dari segi aqidah, ibadah
atau akhlak disediakan dengan azab neraka. Kelompok ketiga
pula di kalangan manusia yang kafir, yang tidak beriman kepada
ALLAH SWT dan hari pembalasan disediakan dengan seksa
neraka yang amat dahsyat.
168. Azab yang dikenakan ALLAH SWT kepada golongan kafir dan
munafik pada hari kiamat, mereka diheret di dalam keadaan
mukanya ke bawah dan dihumban ke dalam neraka.
Firman ALLAH SWT, surah al-Qamar, ayat 47-48
maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang berdosa
berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula
mereka berada dalam) api neraka [47] Semasa mereka
diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka
mereka, (serta dikatakan kepada mereka): “Rasalah kamu
sentuhan (bakaran) api neraka” [48].
Di dalam Surah Ghaafir, ayat 70-72 firman ALLAH SWT
maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendustakan
al-Quran dan segala apa yang dibawa oleh Rasul-rasul
103
Kami yang telah Kami utuskan; maka mereka akan
mengetahui kelak [70] Ketika belenggu dan rantai dipasung
di leher mereka, sambil mereka diseret [71] Ke dalam air
panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam
api neraka;” [72].
169. Penghuni neraka di kalangan golongan kafir dan munafik mula
membolak-balikkan wajah mereka di dalam keadaan tidak
mampu menahan azab ketika dibakar api neraka seperti
dipanggang di dalam neraka. Firman ALLAH SWT, surah
al-Anbiyaa’, ayat 39 maksudnya: “Kalaulah orang-orang
kafir itu mengetahui apa yang akan menimpa mereka ketika
mereka tidak dapat menahan atau mengelakkan api
neraka dari muka dan belakang mereka, dan mereka pula
tidak diberi pertolongan, (tentulah mereka segera beriman,
dan tidak berkata demikian)”. Selain itu mereka juga
diazab oleh ALLAH SWT di dalam keadaan hancur luluh
segala daging mereka dan dipakaikan baju yang diperbuat
daripada api neraka. Mereka disiram air yang menggelegak
(Hamim) di atas kepala mereka, maka hancur daging yang ada
pada perut dan kulit mereka, malah pada ketika itu juga
dipukul dengan cambuk-cambuk besi. Abu Hurairah RA berkata
yang bermaksud, “Sesungguhnya hamim (sejenis tembaga
yang panas menggelegak) akan dituangkan di atas kepala
mereka. Lalu dimasukkan ke dalam tempurung kepala mereka
dan mengalir ke bahagian perut sehingga putus urat-urat
perutnya, meleleh dan keluar ke bahagian kaki, kemudian
kembali semula kepada keadaan asal.”
170. Neraka yang menempatkan golongan kafir dan munafik ini
disempitkan ALLAH SWT dan hanya memuatkan ukuran
badannya dan sangat padat. Ketika hidup di dunia dahulu,
mereka ini tidak mempercayai dengan hari pembalasan dan
Padang Mahsyar. Firman ALLAH SWT di dalam surah
al-Furqaan, ayat 11-14 maksudnya: Mereka bukan sahaja
mendustakanmu (mendustakanmu: merujuk kepada
Nabi Muhammad SAW, dipetik dari Tafsir al-Khawatir
al-Imaniyyah) bahkan mereka juga mendustakan hari
kiamat; dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang
mendustakan hari kiamat itu, api yang menjulang-julang
[11] Apabila neraka itu melihat mereka iaitu orang-orang
musyrikin dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka
104
suara kemarahannya yang menggelegak dan mengeluh [12]
Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit
di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu,
menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan
(yang melepaskan dari azab itu) [13] (Lalu dikatakan kepada
mereka): “Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada
hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah
kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang
menunggu kamu di sini banyak jenisnya) [14]”
171. Menurut Ibnu Abbas RA ketika seseorang itu akan diseret ke
neraka, lalu kedengaran neraka itu menarik nafas seolah-olah
seperti seekor keldai yang bernafas di hadapan gandum,
sehingga tidak tinggal seorang pun kecuali rasa takut di saat
mendengar api neraka yang menarik dan kedengaran seperti
ingin menerkam manusia. Keadaan penghuni neraka di
kalangan golongan kafir dan munafik juga mereka dijatuhkan
ke dalam neraka bagaikan orang yang terjatuh daripada
gunung. Ketika mencuba untuk naik semula ke bahagian atas
neraka yang sangat menyukarkan, mereka ditolak kembali
dengan berasa gayat dan keadaan itu berterusan demikian
tanpa tiada kesudahannya.
172. Dahsyatnya seksaan neraka ALLAH SWT terhadap
golongan yang ingkar dirakamkan di dalam al-Quran, di
antaranya menerusi firman ALLAH SWT di dalam surah
Saba’ ayat 33 maksudnya: “Dan berkata pula orang-orang
yang tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur
itu: “Tidak! Bahkan (yang menghalang kami daripada
beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami malam
dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur
kepada ALLAH SWT dan mengadakan sekutu-sekutu
bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil
memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka
melihat azab; dan Kami pasangkan belenggu-belenggu
pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka tidak dibalas
melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.”
173. Azab penghuni neraka bermula dengan belenggu yang mengikat
tangan dan kaki mereka serta pakaian mereka daripada minyak
tar yang panas sebagai lambang penjenayah dunia-akhirat,
sama seperti penjenayah dunia dipakaikan dengan pakaian
105
seragam pusat tahanan. Belenggu tersebut cukup berat yang
menjadi beban berlipat kali ganda daripada berat mereka
sendiri. Firman ALLAH SWT dalam surah Ibrahim, ayat 49-50
maksudnya: “Dan engkau akan melihat orang-orang yang
berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu [49]
Pakaian mereka dari minyak tar (belangkin), dan muka (serta
seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka [50]”.
174. Menurut ulama tafsir seperti Wahbah al-Zuhaily ayat tersebut
bermaksud bahawa ALLAH SWT menyuruh malaikat Zabaniah
(penjaga neraka) untuk memegang orang kafir dengan
tangannya diletakkan di leher lalu diikat dengan belenggu, lalu
mereka dihumban ke dalam neraka dan dibakar. Menurut
al-Qurtubi setelah itu 100,000 malaikat berebut-rebut
memegang mereka yang dibelit dengan rantai dengan sekuat-
kuatnya yang panjangnya 70 hasta, setiap satu hasta sama
panjangnya dengan timur dan barat. Ketika itu berusaha keras
menantikan peluang untuk lari keluar dari neraka. Mereka
berusaha merangkak keluar menuju ke bahagian atas neraka
dan tindakan mereka itu dilihat oleh malaikat Zabaniah dengan
pandangan yang seolah-olah mengejek ahli neraka, dan
pandangan itu menambah beratnya bebanan yang ditanggung
sebagaimana yang digambarkan di dalam surah al-Muddathir,
ayat 17 maksudnya: “Aku akan menyeksanya (azab)
dengan pendakian yang memayahkan”. Apabila mereka
berada di dalam keadaan hampir untuk keluar dari neraka,
tiba-tiba didatangi malaikat Zabaniah datang dan memukul
mereka dengan besi dengan pukulan yang maha kuat
menyebabkan mereka terbenam semula ke dasar neraka.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-Hajj, ayat 21-22
maksudnya: “Dan mereka pula disediakan batang-batang
besi untuk menyeksa mereka [21] Tiap-tiap kali mereka
hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita
azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan:
“Rasalah kamu azab seksa yang membakar! [22]”.
175. Abu Said al-Qudri RA menyebut, Rasulullah SAW bersabda
maksudnya: “Kalaulah gunung itu walaupun hanya sekali
dihentam daripada belenggu besi penghuni neraka,
nescaya berkecai seluruh alam ini” (Riwayat Ahmad).
Imam Ahmad menyebut di dalam kitab al-Zuhd daripada Sayyar
bahawa Ja’far mendengar daripada Malik bin Dinar menyebut:
106
“Apabila penduduk neraka terkena pukulan belantan besi itu,
mereka terjatuh semula di dalam genangan air yang sangat
panas menggelegak, lalu dia menyelam di dalamnya dalam
keadaan terhina sebagaimana seorang yang jatuh ke dalam
air di dunia dengan rasa sangat malu kerana dipandang orang
terhadap perlakuannya itu.”
DHARI’ ADALAH POKOK BERDURI YANG PALING PAHIT
BUAHNYA, MAKANAN PENGHUNI NERAKA YANG TIDAK
MENGGEMUKKAN DAN TIDAK DAPAT MENGHILANGKAN
SEDIKIT KELAPARAN PUN
176. Penghuni neraka sentiasa berada dalam kelaparan dan
kehausan yang teramat sangat, mereka tidak dibiarkan begitu
sahaja maka ALLAH SWT menyiapkan kepada mereka
beberapa jenis makanan dan minuman, sesuai dengan diri
mereka selaku penjenayah musuh ALLAH SWT. Di antaranya
ialah al-dhari’ iaitu makanan yang berduri dan zaqqum. Di
dalam surah al-Ghaasyiyah, ayat 6-7 firman ALLAH SWT
maksudnya: “Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain
dari pokok-pokok yang berduri, [6] yang tidak
menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan
sedikit kelaparan pun.” [7] Dhari’ juga dikatakan berada di
bumi Syam dan Hijaz, ia juga merupakan duri yang tidak
dimakan oleh sesiapa, sekalipun seekor haiwan disebabkan
buruk rupanya, berbau busuk dan rasanya yang pahit.
Diriwayatkan oleh Imam al-Qurtubi daripada Ibnu Abbas RA,
dhari’ sejenis pohon berduri yang berada di dalam neraka yang
lebih pahit daripada pohon-pohon pahit di dunia, lebih busuk
daripada bangkai dan lebih panas daripada api.
MAKANAN PENGHUNI NERAKA IALAH BUAH ZAQQUM
YANG SEPERTI TEMBAGA CAIR, MENDIDIH DALAM
PERUT DAN MELUAP-LUAP PANASNYA
177. Di dalam neraka juga terdapat pohon Zaqqum yang juga
dinamakan sebagai pohon terlaknat. Zaqqum merupakan
makanan harian kepada mereka yang melakukan dosa.
Penghuni neraka datang memetiknya untuk melapik perut
mereka daripada kelaparan, namun apabila buah ini masuk ke
dalam perut mereka ianya menggelegak seperti mana
menggelegaknya air mendidih. Ada juga pendapat mengatakan
penghuni neraka yang sedang haus dan kelaparan ditangkap
oleh malaikat lalu diseret hingga ke tengah-tengah api neraka,
107
kemudian mulut mereka direnggangkan dan disumbat dengan
zaqqum. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Dukhan ayat
43-47 maksudnya: (Ingatlah), sesungguhnya pokok
Zaqqum, [43] (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang
berdosa (dalam neraka) [44] (Makanan ini pula panas)
seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, [45] Seperti
mendidihnya air yang meluap-luap panasnya [46] (Lalu
diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka):
“Renggutlah (ambillah) orang yang berdosa itu dan seretlah
dia ke tengah-tengah neraka [47]”.
PENGHUNI NERAKA DIBERI MINUM AIR DANUR ATAU
DARAH YANG BERCAMPUR NANAH
178. Selain itu di antara minuman neraka ialah sejenis nanah
bernama ghislin dan ghassaq. Sebagaimana yang terkandung
di dalam firman ALLAH SWT di dalam surah al-Haaqqah,
ayat 35-37 maksudnya: “Maka pada hari ini, tidak ada
baginya di sini (seorang pun dari) kaum kerabat serta
sahabat handai (yang dapat menolongnya) [35] Dan tidak ada
makanan (baginya) melainkan dari air danur iaitu minuman
ahli neraka (darah bercampur nanah) yang keluar dari tubuh
ahli neraka [36] yang tidak memakannya melainkan orang-
orang yang melakukan perkara yang salah [37]”.
179. Justeru itu, penghuni neraka masuk ke dalamnya untuk
menebus kembali kesalahan dan dosa ketika di dunia dengan
seksaan, sudah pasti keadaan mereka tidak seperti penghuni
syurga yang penuh dengan kenikmatan. Oleh itu, keadaan
mereka amat sedih dan ngeri sekali dengan hiruk-pikuk, hingar-
bingar, gegak-gempita melolong-lolong meminta tolong, merayu
empati, menangis air mata darah namun, permintaan tersebut
tidak didengar apalagi untuk dilayan. Rupa paras mereka
ketika di dunia berseri-seri dan penuh bergaya namun
bertukar rupa seperti mana firman ALLAH SWT dalam surah
Yunus, ayat 27 maksudnya: “Dan untuk orang-orang yang
melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap
satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding
dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi
mereka pelindung dari (seksa) ALLAH SWT; muka mereka
(hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa
bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita.
Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal abadi di dalamnya”.
108
180. Dahsyatnya azab neraka sehingga menyebabkan orang-orang
kafir berharap agar mereka tidak dibangkitkan daripada kubur
untuk mengadap ALLAH SWT. Mereka mengandaikan alangkah
baiknya menjadi tanah daripada diseksa dalam neraka kerana
mereka akan berkekalan di dalamnya selama-lamanya.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-Naba’ ayat 40
maksudnya: Sesungguhnya (dengan keterangan-keterangan
yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai
azab yang dekat (masa datangnya), - iaitu hari seseorang
melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang
kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau
aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk
dihitung amalku dan menerima balasan)”.
BALASAN AZAB BAGI PENDOSA-PENDOSA DI KALANGAN
ORANG BERIMAN
181. Neraka adalah tempat yang ALLAH SWT cipta buat
manusia yang ingkar perintahNya sama ada beriman ataupun
sebaliknya. Penghuni neraka di kalangan orang yang tidak
beriman dan berbuat syirik akan kekal selama-lamanya di
dalamnya. Di kalangan manusia yang beriman kepada
ALLAH SWT didapati ianya melakukan dosa, tidak mahu
memohon keampunan daripada ALLAH SWT dan ianya tidak
akan dianugerahkan rahmat keampunanNya atau syafaat
Nabi Muhammad SAW juga adalah golongan menempah
tempat di neraka buat sementara waktu. Hanya dengan rahmat
dan kasih sayang ALLAH SWT sahaja yang boleh
menyelamatkan manusia daripada termasuk dalam golongan
ahli neraka. Firman ALLAH SWT dalam surah an-Nisa’,
ayat 48 maksudnya: “Sesungguhnya ALLAH SWT tidak
akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya
(dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa
yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang
mempersekutukan ALLAH SWT (dengan sesuatu yang lain),
maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar”.
Setiap dosa akan diampuni ALLAH SWT sekiranya diri hamba
yang bertaubat nasuha melakukannya itu kembali bertaubat dan
tidak mengulangi lagi kesilapan silam. Siapa sahaja di kalangan
hamba ALLAH SWT yang tidak memohon keampunan
daripadaNya adalah golongan yang tidak mengiktiraf keesaanNya
bahkan takabbur dan sombong dengan diri sendiri, maka
109
layaklah mereka menjadi penghuni neraka yang disediakan
untuk membalas perbuatan melampaui batas ketika di dunia.
182. Terdapat banyak sekali nas dan dalil menceritakan tentang dosa
dan maksiat yang dapat menjerumus orang beriman ke dalam
neraka. Namun, masuknya mereka ke neraka bukan untuk
selama-lamanya. Hanya ALLAH SWT yang berhak menentukan
tempoh masa mereka diazab di sana kemudiannya keluar
menuju ke syurga dengan syafaat atau keampunan
ALLAH SWT. Sekecil-kecil dosa yang dilakukan oleh seorang
hamba melayakkan dirinya untuk diazab dalam neraka dan
begitulah keadaannya dengan sebesar-besar dosa. Namun
dosa yang berada dalam kategori dosa besar azab seksaannya
juga turut sama berat. Dosa-dosa ini dikategorikan sebagai
Kabair dalam erti kata dosa besar yang ALLAH SWT akhiri
dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau
azab seksa. Setiap kategori dosa besar yang tidak terhitung
banyaknya diberikan ancaman khusus dengan azab tertentu
pada hari kiamat. Nabi SAW mengingatkan umatnya agar tidak
melakukan tujuh perkara, ibu segala dosa besar. Dalam hadis
riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda
maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa yang membinasakan”.
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah ia?
Rasulullah menjawab, ‘Syirik terhadap ALLAH SWT, sihir,
membunuh jiwa yang diharamkan oleh ALLAH SWT kecuali
dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari ketika
peperangan, menuduh wanita baik-baik berzina”. (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
183. SEBAHAGIAN BENTUK-BENTUK DOSA BESAR DAN
BALASANNYA:
1. Membunuh orang beriman yang mengesakan ALLAH SWT
dengan sengaja dan menganggap halal perkara tersebut,
membawa kepada laknat ALLAH SWT dan kekal selama-
lamanya di dalam neraka. Firman ALLAH SWT dalam
surah an-Nisa ayat 93 maksudnya: “Dan sesiapa yang
membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka
balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya,
dan ALLAH SWT murka kepadanya, dan melaknatkannya
serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”
2. Memakan harta manusia secara batil dan zalim, ancaman
110
balasan azab neraka amat pedih bagi golongan ini.
Firman ALLAH SWT dalam surah an-Nisa ayat 29-30
maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu
sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang
dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan
janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
Sesungguhnya ALLAH SWT sentiasa mengasihani
kamu [29] Dan sesiapa berbuat demikian dengan
menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia
ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu
adalah mudah bagi ALLAH SWT [30]”
3. Menuduh wanita mukminah melakukan zina, firman
ALLAH SWT dalam surah an-Annur ayat 23-25
maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh
perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya,
yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan,
lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh ALLAH SWT) di
dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh
azab seksa yang besar; [23] Pada hari lidah mereka dan
tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi
terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang
mereka lakukan [24] Pada hari itu ALLAH SWT akan
menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa)
yang setimpal dengan dosa yang dilakukan dan mereka
pula akan mengetahui bahawa ALLAH SWT ialah Tuhan
Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya [25]”.
4. Hakim yang tidak berlaku adil, daripada Buraidah bin
al-Hashib RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Para qadi terbahagi kepada tiga golongan: satu dalam
syurga dan dua dalam neraka. Qadi di dalam syurga
ialah yang mengetahui kebenaran lalu menghukum
dengannya. Qadi mengetahui kebenaran lalu menzalimi
dalam menghukum maka dia dalam neraka. Qadi yang
menghukum antara manusia dalam keadaan jahil pula,
dia juga dalam neraka” (Riwayat Abu Daud).
184. Kesimpulannya, selama mana pun penghuni neraka di kalangan
orang beriman berada di dalam neraka pasti akan dikeluarkan
111
dan masuk ke syurga. Ketika itu tidak ada lagi seorang pun
penghuni neraka di kalangan orang beriman. Dalam sebuah hadis
diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud RA Nabi SAW menceritakan orang
yang terakhir keluar dari neraka dengan sabdanya yang
bermaksud: “Aku mengetahui orang yang terakhir daripada
neraka dan terakhir masuk ke syurga. Orang yang terakhir
keluar daripada neraka dalam keadaan merangkak, ALLAH
SWT berfirman kepadanya: Pergilah kamu ke syurga dan
masuklah ke dalamnya. Apabila dia pergi ke sana, ALLAH
SWT menunjukkan kepadanya bayangan bahawa syurga itu
sudah penuh dan terus mengadu kepada ALLAH SWT, lalu
diperintahkan pergi semula ke syurga. Namun diberi
gambaran lagi akan tiadanya kekosongan di sana dan
kembali mengadu kepada ALLAH SWT. Kemudian selepas
diperintahkan oleh ALLAH SWT untuk pergi ke syurga untuk
kali ketiga dan berkata kepadanya bahawa dia akan
mendapati keluasan di dalam syurga ialah seperti sepuluh
kali keluasan dunia. Hamba itu berkata: Adakah kamu
mempermainkan aku, ya ALLAH? Tatkala pada saat itu
sambil bersabda, Rasulullah SAW ketawa sehingga
menampakkan gigi gerahamnya kerana sesungguhnya
orang itu adalah yang paling rendah darjatnya tetapi
dimasukkan juga ke dalam syurga.” Amin Ya Rabbal Alamin.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Semoga kita dipelihara dari
kemurkaan ALLAH SWT dan azab api neraka..Amin.
RUJUKAN
1) Al-Quran al-Karim.
2) Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran.
3) Tafsir Ruh al-Ma’ani Fi al-Quran al-Azim - Mahmud al-Alusi,
Dar Ihya’ al-Turaht al-Arabi.
4) Tafsir al-Jami’ Li Ahkam al-Quran (Tafsir al-Qurtubi) -
Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi, Muasasah al-Risalah. 2006.
5) Tafsir al-Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran (Tafsir al-Tabari) -
Muhammad bin Jarir al-Tabari.
6) Tafsir al-Sha’rawi: Khawatir Imaniyyah - Muhammad Mutawalli
al-Sya’rawi.
7) Ensiklopedia Akhirat Azab Api Neraka- Mahir Ahmad Ash-Syufiy.
8) At-Takhwif Min al-Nar wa At-Ta’rif bi Hal Ahli al-Bawar- Ibnu
Rajab al-Hanbali.
9) Mausu’ah al-Mu’jam al-Mufahris Li Alfaz al-Hadis al-Nabawi
al-Syarif.
112
SYIAH, KHAWARIJ, MU’TAZILAH, JABARIYYAH DAN
QADARIYYAH; ALIRAN TERSESAT DALAM TERANG
Oleh
Datuk Mohamad Din bin Yusoh
185. Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) merupakan pegangan
yang dominan di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia,
khususnya di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Malaysia di antara negara yang menjadikan (ASWJ) sebagai
pegangan rasmi masyarakat Islam di negara ini berdasarkan
keputusan dan pengamalan Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan dan para mufti serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa
Seluruh Malaysia. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang
bersidang pada 5 Mei 1996 telah menetapkan bahawa “Umat
Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang
berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi
Aqidah, Syariah dan Akhlak”. Mengambil kira ketetapan
daripada keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan tersebut, mana-mana individu muslim yang
dipilih memimpin negara Malaysia pada peringkat kebangsaan
dan tempatan mestilah dipilih daripada kalangan mereka yang
mempunyai pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi
Aqidah, Syariah dan Akhlak termasuk berintegriti bebas
daripada rasuah. Ketetapan tersebut patut dijadikan garis
panduan dalam menentukan hala tuju kepimpinan orang-orang
politik bagi mentadbir negara.
186. Oleh yang demikian, ASWJ pada hari ini adalah satu mazhab
yang menjadi pegangan rasmi umat Islam seluruh dunia dalam
aspek Aqidah, Ibadat dan Akhlak. Walaupun begitu, masih
terdapat sebahagian umat Islam yang terkeliru tentang hakikat
ASWJ sehingga menimbulkan polemik di kalangan mereka,
golongan manakah yang termasuk di dalam kelompok ASWJ.
Justeru itu, artikel ini akan mengupas persoalan hakikat ASWJ
berdasarkan fakta dan hujah serta penyelewengan Syiah,
Khawarij, Mu’tazilah, Jabariyyah dan Qadariyyah kumpulan
terawal yang terpecah daripada landasan ASWJ.
KEMUNCULAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
187. Di antara ciri-ciri keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW
113
yang tidak dianugerahkan kepada umat-umat terdahulu ialah
mereka tidak akan berhimpun atau bersepakat di atas landasan
kesesatan selama-lamanya seperti mana tersasarnya umat
Nabi Musa AS beramai-ramai selepas kewafatan baginda akibat
fitnah Samiri. Sabda Baginda SAW, “Umatku tidak akan
bersepakat atas kesesatan” (Riwayat Ahmad). Namun
begitu, umat Nabi SAW masih terdedah kepada ancaman fitnah
perpecahan umat dalam bentuk kumpulan tertentu akibat
daripada munculnya ahli bid’ah daripada individu-individu
tertentu. Ya, Rasulullah SAW telah memberitahu tentang
perpecahan umat Baginda SAW yang bakal berlaku akan tetapi
dalam masa yang sama Rasulullah SAW juga telah memberikan
panduan yang jelas sebagai penyelamat ketika berlakunya
perpecahan dan kekeliruan ini. Panduannya cukup jelas
iaitulah berpegang kepada ajaran Rasulullah SAW dan para
Sahabat RA serta al-Jamaah (Majoriti ulama’ dan umat Islam).
188. Al-Jamaah yang dimaksudkan adalah pegangan Ahli Sunnah
Wal Jamaah (ASWJ) di mana “Kebenaran Kesepakatan
Ulama’ Umat Islam” menjadi kayu ukur yang penting dalam
menentukan kedudukan sesuatu kefahaman atau mazhab
pemikiran itu berada atas landasan ASWJ. Jika sesuatu
kefahaman dan pemikiran itu ditolak dan ditentang dengan
kesepakatan ulama’ umat Islam, maka dengan mudah kita
dapat mengetahui bahawa ia adalah sesuatu yang batil dan
perlu ditolak. Menurut Imam al-Syаtibі dalam kitab al-I’tisam,
Ahli Sunnah dan al-Jamа‘ah bererti golongan majoriti dalam
kalangan umat Islam yang terdiri daripada imam mujtahid, para
ulama dan ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka.
Dalam sebahagian hadis menyebut Ahli Sunnah dan Jama’ah
sebagai al-sawаd al-a‘zam.
189. Istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenarnya merupakan istilah
baru dan tidak diketahui dengan tepat tarikh kemunculannya,
begitu juga tentang tokoh yang mula memperkenalkan nama
Ahli Sunnah Wal Jamaah itu sendiri. Istilah Ahli Sunnah Wal
Jamaah baru digunakan dan berkembang pada pertengahan
zaman Khilafah ‘Abbasiyah, untuk membezakannya dengan
kelompok Syiah dan Khawarij, yang mula digunakan setelah
terbunuhnya Saidina ‘Ali bin Abi Thalib RA di tangan kaum
Khawarij. Istilah Syiah pula mulai digunakan, khususnya setelah
peristiwa tersebut dan setelah ‘Am al-Jama’ah (Tahun
114
Rekonsiliasi) yang terjadi pada masa Khalifah al-Hasan bin ‘Ali
bin Abi Thalib RA dengan Muawiyah bin Abi Sufyan. Dari situ,
istilah ini terus berkembang, walaupun ada pasang surutnya,
dan menjadi rebutan kelompok-kelompok tertentu sehingga
ke hari ini kerana berebut untuk menyatakan bahawa
kelompoknyalah yang paling benar.
190. Walaupun ada sedikit sebanyak perbezaan pendapat tentang
sejarah kemunculan istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun
apa yang jelas dan pasti ialah istilah ini muncul di zaman
Mutakallimin, zaman di mana para ahli kalam melalui ranjau
perdebatan yang cukup dalam dan parah dalam masalah
aqidah dan cabang-cabangnya, yang meninggalkan sejarah
hitam kepada umat Islam. Ahli Sunnah Wal Jamaah muncul
sebagai reaksi (tindak balas) kepada pendapat-pendapat yang
diketengahkan oleh kelompok Mu’tazilah dan Jabariah mengenai
persoalan qadha’ dan qadar yakni persoalan mengenai kehendak
dan perbuatan manusia dan beberapa persoalan lainnya.
191. Salah seorang tokoh terkemuka dalam aliran yang menggelar
diri mereka sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah Abu Hassan
al-Asy’ari (L-260 H /W- 324 H). Beliau mendirikan aliran yang
dikenali sebagai al-Asy’ariyyah di mana beliau dahulunya adalah
pengikut aliran Mu’tazilah. Gurunya, sekaligus orang yang
mempengaruhinya hingga masuk ke Mu’tazilah ialah al-Juba’iy.
Namun, setelah perdebatannya dengan gurunya, beliau keluar
daripada aliran Mu’tazilah dan mula mengetengahkan pendapat-
pendapat yang menentang kedua-dua aliran yang wujud
sebelumnya iaitu Mu’tazilah dan Jabariah. Begitu juga dengan
seorang tokoh Mutakallimin pada era tersebut Abu Mansur
al-Maturidi (L-233H /W-247 H), daripada kalangan anak murid
Abu Hanifah yang turut sama menentang pemikiran Mu’tazilah.
SEJARAH SYIAH
192. Syiah adalah sebutan untuk aliran dalam ilmu kalam yang
menjadi pengikut Saidina Ali bin Abi Talib RA. Dari sudut bahasa
Syiah berasal bererti pembela atau pengikut seseorang.
Kemudiannya istilah Syiah diguna pakai kepada satu kelompok
muslimin yang menganggap pengganti Nabi Muhammad SAW
atau khalifah merupakan hak istimewa yang dimiliki keluarga
Baginda SAW (ahlul bait). Pada mereka Saidina Ali RA berhak
menggantikan tempat Rasulullah SAW bukan yang lain.
115
193. Munculnya kumpulan Syiah dikaitkan dengan kemunculan
Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi yang berpura-pura
memeluk agama Islam dengan tujuan membawa fitnah. Dia
adalah orang yang bertanggungjawab menyalakan api fitnah
terhadap Saidina ‘Uthman RA mendakwa Saidina ‘Ali RA
sebagai pemegang wasiat Rasulullah SAW dan bersifat
ketuhanan serta memulakan cacian terhadap Saidina
Abu Bakar RA, Saidina ‘Umar RA, Saidatina ‘A’ishah RA
dan para Sahabat RA yang lain. Dia juga disebut sebagai
punca kepada tertubuhnya Syiah dan perang Jamal. Ketika
keadaan negara menjadi lebih tegang apabila Saidina
‘Uthman RA dibunuh dan sebahagian sahabat mendesak
Saidina Ali RA selaku khalifah perlu menangkap dan
melaksanakan qisas kepada pembunuh Saidina Uthman RA.
Para sahabat yang berpandangan bahawa hukuman atas
pembunuh Saidina ‘Uthman RA perlu disegerakan telah
berkumpul di Basrah di kalangan mereka adalah Saidatina
‘A’ishah RA, Talhah RA, al-Zubayr RA dan ramai lagi. Saidina
‘Ali RA juga bergerak ke sana untuk memperbaiki keadaan
dan menyatukan umat serta tidak ada sebarang azam di
kalangan mereka untuk berperang atau melakukan fitnah.
Melalui wakil Saidina ‘Ali RA bernama al-Qa’qa’ bin ‘Amr yang
bertemu dengan ketiga-tiga para sahabat tersebut, akhirnya
mereka semua bersetuju untuk menyerahkan urusan tersebut
kepada Saidina ‘Ali RA dan memberi masa yang cukup serta
hasil perdamaian tersebut diberitahu kepada orang ramai.
194. Malangnya persetujuan perdamaian ini disabotaj oleh Abdullah
bin Saba’ (Ibn al-Sawda’) dan beberapa orang lain. Pada
awalnya mereka membuat perancangan untuk membunuh
Saidina ‘Ali RA yang kemudiannya bertukar kepada
mencetuskan pertelingkahan sesama para sahabat perlu
dilakukan. Akhirnya sekitar 2000 orang yang tidak dikenali
menyelinap masuk ke penempatan rombongan Saidina ‘Ali RA
dan juga Talhah RA sebelum Subuh dan melakukan serangan
secara serentak. Kedua-dua belah pihak merasa terkejut dan
menyangka mereka dikhianati oleh pihak yang lain sedangkan
ianya sabotaj daripada pihak pelaku fitnah. Maka tercetusnya
pertembungan bersenjata antara tentera Saidina ‘Ali RA
sebanyak 20,000 orang dan tentera Saidatina ‘A’ishah RA
sebanyak 30,000. Dalam peperangan tersebut ramai di
kalangan para sahabat gugur syahid, ada yang meninggal di
116
medan perang dan Saidatina ‘A’ishah RA sendiri terjatuh dari
untanya. Peperangan ini dinamakan perang Jamal kerana
nisbah kepada unta yang dinaiki oleh Saidatina ‘A’ishah RA
yang berlaku pada tahun 36H.
KESESATAN SYIAH
195. SYIAH - “Kita yang beragama Islam perlu berpegang teguh
sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak sekeras-
kerasnya ajaran Syiah serta ajaran-ajaran ekstrem yang lain
yang bercanggah dengan Islam” (Petikan ucapan Tunku
Abdul Rahman Perdana Menteri Malaysia semasa
Perasmian Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat
Antarabangsa 1970, merangkap Setiausaha Sekretariat
Pertubuhan negara-negara Islam (OIC).
Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Antarabangsa 1970.
117
196. Menurut Muhammad Thalib Al Yamani ada 17 protokol
Syiah yang selalu mereka sembunyikan daripada pengetahuan
umat Islam berfahaman ASWJ sebagai langkah taqiyyah
(menyembunyikan aqidah Syi’ahnya) seperti berikut:
1. Dunia dengan seluruh isinya adalah milik para imam Syiah.
Mereka akan memberikan dunia ini kepada siapa yang
dikehendaki dan mencabutnya daripada siapa yang
dikehendakinya. (al-Kulainî, Ushûlul Kâfi, hlm. 259, cet.
India). Protokol ini jelas bertentangan dengan firman
ALLAH SWT dalam surah al-A’râf, ayat 128 yang
bermaksud: “Sesungguhnya bumi ini semua milik
ALLAH SWT, dan diwariskanNya kepada sesiapa yang
dikehendaki di antara hamba-hambaNya.” Kepercayaan
Syiah seperti ini merupakan kemuncak kebatilan dan sudah
pasti adalah syirik.
2. Saidina ‘Ali bin Abi Talib RA yang dianggap sebagai imam
Syiah yang pertama dan gelar sebagai sebagai zat yang
pertama dan terakhir, yang zahir dan yang batin
sebagaimana termaktub dalam surat al-Hadîd, ayat 3:
“ALLAH SWT lah yang ada sebelum yang lain ada, yang
tetap kekal setelah yang lain musnah, yang tampak
ciptaanNya, dan yang tidak tampak DzatNya.”
(Rijâlul Kashi hlm. 138).
3. Para imam Syiah merupakan wajah ALLAH SWT, mata
ALLAH SWT, dan tangan-tangan ALLAH SWT yang membawa
rahmat bagi para hamba ALLAH SWT (Usul al-Kafi hlm. 83).
4. Amirul Mukminin ‘Ali bin Abi Talib RA menurut Syiah
menjadi wakil ALLAH SWT dalam menentukan syurga dan
neraka, memperolehi sesuatu yang tidak diperolehi mana-
mana manusia sebelumnya, mengetahui yang baik dan yang
buruk, mengetahui segala sesuatu secara terperinci perkara
yang telah lepas dan akan datang (Usul al-Kafi hlm. 84).
5. Keinginan para imam Syiah adalah keinginan ALLAH SWT
juga (Usul al-Kafi hlm. 278).
6. Para imam Syiah mengetahui bilakah datang ajalnya dan
mereka sendiri yang menentukan saat kematian kerana
118
jika imam tidak mengetahui hal-hal seperti itu, maka sudah
tentu ia tidak berhak menjadi imam (Usul al-Kafi hlm. 158).
7. Para imam mengetahui segala yang tersembunyi, dapat
mengetahui dan menjawab apa sahaja jika kita bertanya
kepada mereka kerana mereka mengetahui hal ghaib
sebagaimana dalam pengetahuan ALLAH SWT (Usul
al-Kafi hlm. 193).
8. ALLAH SWT itu bersifat bada’ iaitu baru mengetahui
sesuatu perkara sesudah berlakunya perkara tersebut,
akan tetapi para imam Syiah mengetahuinya terlebih dahulu
sebelum terjadi perkara tersebut (Usul al-Kafi hlm. 40).
9. Para imam Syiah merupakan gudang ilmu ALLAH SWT dan
juga penterjemah ilmu ALLAH SWT. Para imam bersifat
maksum (bersih daripada kesalahan dan tidak pernah lupa
apa lagi berbuat dosa). ALLAH SWT menyuruh manusia
untuk mentaati imam Syiah, tidak boleh mengingkarinya
dan mereka menjadi hujjah ALLAH SWT atas langit dan
bumi (Usul al-Kafi hlm. 165).
10. Para imam Syiah sama dengan Rasulullah SAW (Usul
al-Kafi hlm. 165).
11. Yang dimaksud para imam Syiah adalah ‘Ali bin Abi
Talib RA, Husein bin ‘Ali, Hasan bin ‘Ali, dan Muhammad
bin ‘Ali (Usul al-Kafi hlm. 109).
12. Al-Qur’an yang ada sekarang telah berubah, dikurangi, dan
ditambah (Usul al-Kafi hlm. 670).
13. Menurut Syiah, al-Qur’an yang dibawa Jibril kepada Nabi
Muhammad SAW ada 17,000 ayat, namun yang tersisa
sekarang hanya 6660 ayat (Usul al-Kafi hlm. 671).
14. Abû Bakar, ‘Umar, Utsman bin Affan, Muawiyah, ‘Aisyah,
Hafshah, Hindûn, dan Ummul Hakâm adalah makhluk yang
paling kotor di muka bumi dan mereka ini adalah musuh-
musuh ALLAH. Barangsiapa yang tidak memusuhi
mereka, maka tidaklah sempurna imannya kepada ALLAH,
RasulNya, dan imam-imam Syiah (Haqqul Yâqîn hlm. 519
oleh Muhammad Baqîr al-Majlisî).
119
15. Menghalalkan nikah mut’ah, bahkan menurut doktrin Syiah
orang yang melakukan kawin mut’ah empat kali darjatnya
sama tingginya dengan Nabi Muhammad SAW (Tafsîr
Minhajush Shâdiqîn hlm. 356, oleh Mullah Fathullah
Kasanî).
16. Menghalalkan tukar-menukar budak perempuan untuk
disetubuhi kepada sesama temannya. Kata mereka, Imam
Ja’far berkata kepada temannya, “Wahai Muhammad,
kumpulilah budakku ini sesuka hatimu. Jika engkau sudah
tidak suka kembalikan lagi kepadaku” (Al-Istibshar III
hlm. 136 oleh Abû Ja’far Muhammad Hasan ath-Thûsî).
17. Rasulullah SAW dan para sahabat RA akan dibangkitkan
sebelum hari kiamat. Imam Mahdi akan dibangkitkan
sebelum hari kiamat dan dia akan membongkar kubur
Abû Bakar dan ‘Umar yang ada di samping kubur
Rasulullah SAW. Setelah dihidupkan, kedua orang ini akan
disalib. (Haqqul Yaqîn hlm. 360 oleh Mulla Muhammad
Baqîr al-Majlisî).
197. Ajaran Syiah juga jelas bertentangan dengan pegangan
Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam banyak perkara di
antaranya; menolak kewajipan solat Jumaat. Pada mereka
solat Jumaat hanyalah wajib dilaksanakan apabila Imam Mahdi
dibangkitkan suatu hari nanti. Pegangan seperti inilah yang
dilaksanakan di negara Iran yang beraliran Syiah Imamiah
berbeza dengan aliran Zaidiah yang mewajibkan solat Jumaat.
198. Penulis melalui pengalaman peribadi sekitar awal 90an, pernah
berkunjung ke bandar Isfahan di Iran bersama-sama Datuk
Bandar Kuala Lumpur dan rombongan seramai 15 orang.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) waktu itu memilih
penulis selaku ketua rombongan yang menguruskan kunjungan
mereka ke sana. Apa yang berlaku semasa di Isfahan
kebetulan pada hari Jumaat, kami turut serta bersolat Jumaat
di saf pertama di belakang imam. Selesai sahaja solat Jumaat
2 rakaat imam meneruskan sembahyang Asar 4 rakaat yang
dilakukan dalam waktu Zohor. Perkara ini menyebabkan kami
semua keliru sehingga ada ahli rombongan di sebelah saya
bertanya: “Solat apakah ini?”, saya hanya berdiam diri sahaja
pada waktu itu bagi menghormati tuan rumah. Saya teringat
120
bahawa orang Syiah Imamiah 12 atau pun Ja’fariah menunaikan
solat Asar dijamakkan selepas solat Jumaat. Pada mereka juga
apabila selesai melaksanakan solat Zohor bererti waktu Zohor
sudah tamat dan masuknya waktu Asar. Atas sebab itu mereka
melaksanakan solat Asar selepas solat Zohor dilaksanakan.
199. Sekembali kami ke hotel penginapan, saya memberikan taklimat
kepada ahli rombongan dan meminta mereka menunaikan solat
Zohor dengan Asar secara Jamak dan Qasar semula. Penganut
Syiah hanya menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid utama
dalam wilayah-wilayah Iran seperti Isfahan, Qum dan lain-lain
sebagai lambang solidariti Islam (mungkin wilayah-wilayah ini
bermakna negeri-negeri di Malaysia seperti Johor, Pahang dan
sebagainya). Di Tehran solat Jumaat hanya dilaksanakan
di Masjid Universiti Tehran. Ianya tidak dilakukan di daerah-
daerah dan kampung-kampung. Di tempat kita surau-surau
dijadikan tempat solat Jumaat untuk kemudahan orang ramai.
200. Menurut fahaman aliran Syiah Imamiah solat Jumaat hukumnya
wajib secara pilihan, dalam erti kata harus bagi penganutnya
menunaikan sembahyang Jumaat atau Zohor secara pilihan.
Hukum ini hanya berubah menjadi wajib secara fardhu ain
dengan tiada pilihan lain, apabila datangnya (muncul) Imam
Mahdi yang merupakan Imam ke 12 di kalangan mereka.
201. Pengalaman kami ini jelas menyaksikan mereka yang
berfahaman Syiah ini yang tidak menunaikan sembahyang
Jumaat amat menyeleweng aqidah dan ibadatnya serta
bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah anutan
Imam 4 yang muktabar iaitu Imam Hanafi, Hanbali, Malik dan
Syafie. Juga kewajipan menunaikan solat Jumaat jelas
seperti mana yang diwajibkan di dalam Islam seperti firman
ALLAH SWT di dalam al-Quran yang bermaksud seperti
berikut: “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru
untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu
kepada mengingati ALLAH SWT dan tinggalkanlah jual-beli.
Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu
mengetahui”. [al-Jumu’ah 62:9]
202. Kewajipan mengerjakan sembahyang Jumaat ini juga, terdapat
di dalam hadis Rasulullah SAW dengan sabdanya yang
bermaksud: “Solat Jumaat itu satu kewajipan yang mesti
121
dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah,
kecuali empat jenis manusia hamba sahaya yang dimiliki,
perempuan, kanak-kanak dan orang sakit”. [Riwayat
Abu Dawud dan al-Hakim]
203. Di sini jelas dari pengalaman saya dan ahli rombongan dari
lawatan ini, kami menyimpulkan dari segi aqidah dan ibadah
fahaman Syiah ini jauh tersasar dari apa yang termaktub di
dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW serta pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah. Perkara berlainan aqidah dan ibadah
ini serupa seperti mana pernah terjadi di Malaysia dengan
kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan.
204. Isu fahaman Syiah di negara kita ini juga telah diperdebatkan
dan diperhalusi dengan mendalam oleh Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan yang bersidang pada 2 dan 3 Mei 1996 telah
membuat keputusan bahawa menganuti fahaman dan
ajaran Syiah adalah haram di negara ini dan memperakui
ajaran Islam yang lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah
adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang-
undang Islam. Oleh yang demikian, anutan dan penyebaran
apa-apa ajaran lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah
adalah haram dan dilarang.
205. Justeru, tidak mewajibkan Jumaat menurut fahaman Syiah amat
menyeleweng dari sudut aqidah dan ibadah serta bertentangan
dengan fahaman Ahli Sunnah Wal jamaah anutan imam 4 yang
muktabar iaitu mazhab Hanafi, Syafie, Maliki dan Hanbali. Ini
kerana kewajipan menunaikan solat Jumaat jelas diperintahkan
oleh ALLAH di dalam al-Quran, menafikan perintah al-Quran
membawa kepada kekufuran dan terkeluar daripada agama
Islam dan pelakunya dihukumkan kafir.
NIKAH MUT’AH ALIRAN SYIAH IMAMIAH DAN SEJARAH
PENGHARAMANNYA
PENGENALAN
206. Mut’ah berasal daripada perkataan “tamattu” yang bererti
bersenang-senang, bersuka ria atau menikmati. Adapun secara
istilah mut’ah bererti seseorang lelaki menikahi seorang wanita
dengan memberikan sejumlah harta tertentu dalam waktu
122
tertentu, pernikahan ini berakhir sesuai dengan batas waktu
yang telah ditentukan tanpa talak serta kewajipan memberi
nafkah atau tempat tinggal dan tanpa adanya saling
perhubungan antara keduanya meninggal atau sebelum
berakhirnya masa perkahwinan mut’ah itu. Bentuk pernikahan
ini, seseorang lelaki datang kepada seorang wanita tanpa harus
ada wali atau saksi. Kemudian mereka membuat kesepakatan
mahar (upah) dan tempoh waktu tertentu. Sebagai contohnya,
tiga hari atau lebih, atau kurang dari hari tertentu. Pada
kebiasaannya tidak lebih dari 45 hari dengan ketentuan tidak
ada mahar kecuali yang telah disepakati, tidak ada nafkah,
tidak saling mewariskan dan tidak ada Idah kecuali istibra’ (iaitu
satu kali haid bagi wanita menopause, dua kali haid bagi
wanita biasa, dan empat bulan 10 hari bagi yang suaminya
meninggal), dan tidak ada nasab kecuali jika disyaratkan.
Definisi nikah atau perkahwinan mut’ah juga dikemukakan
oleh ulama mazhab Syafie dan Maliki yang pada dasarnya
menunjuk adanya pembatasan waktu tertentu.
SEJARAH PERKAHWINAN MUT’AH
207. Perkahwinan atau pernikahan mut’ah merupakan warisan
daripada tradisi masyarakat pra Islam atau awal Islam yang
dimaksudkan untuk melindungi wanita dalam lingkungan
sukunya. Pada masa awal Islam, nikah seperti ini mengalami
pasang surut. Pada masa Rasulullah SAW, nikah mut’ah
mengalami beberapa kali perubahan hukum, dua kali
dibolehkan dan dua kali dilarang, dan akhirnya diharamkan
untuk selamanya.
Pada masa sahabat, larangan Rasulullah SAW pada
dasarnya tetap menjadi pegangan jumhur sahabat. Akan
tetapi, ada sebahagian kecil di antara mereka yang masih
membenarkan, bahkan melakukan amalan nikah mut’ah, seperti
yang dilakukan oleh Jabir bin Abdullah.
Pada masa kekhalifahan Saidina Umar bin al-Khattab RA,
beliau secara tegas melarang siapa saja yang melakukan nikah
mut’ah dengan ancaman hukum rejam. Larangan Saidina
Umar RA ini dapat menghentikan secara keseluruhan amalan
nikah mut’ah. Keadaan ini tetap terpelihara sampai generasi
berikutnya. Dalam konteks ini al-Hafizh Ibnu Katsir berkata:
“Tidak ada keraguan lagi, nikah mut’ah hanya
diperbolehkan pada permulaan Islam. Sebahagian ulama
berpendapat, bahawa ia dihalalkan kemudian dimansuhkan
123
(dihapuskan), lalu dihalalkan kemudian dimansuhkan.
Sebahagian yang lain berpendapat, bahawa penghalalan dan
pengharaman berlaku terjadi beberapa kali”.
MENURUT EMPAT MAZHAB YANG MUKTABAR SERTA
JUMHUR SAHABAT DAN TABI’IN, YANG DIRUJUK OLEH
KAUM SUNNI, NIKAH MUT’AH ADALAH DILARANG
SEHINGGA HARI KIAMAT. ADA BEBERAPA DALIL DAN
JUSTIFIKASI YANG MENJADI DASAR LARANGAN
TERSEBUT IAITU:
Pertama, larangan Rasulullah SAW, dalam beberapa
hadis. Menurut Ibnu Rusyd larangan tersebut diketahui secara
mutawatir. Seluruh hadis yang memuat larangan ini menurut
ahli hadis adalah sahih. Di antaranya adalah hadis riwayat
Ibnu Majah, Rasulullah SAW, bersabda:
“Wahai sekalian manusia, aku telah membolehkan
kalian melakukan nikah mut’ah. Ketahuilah! Sekarang
ALLAH SWT telah mengharamkannya sampai hari kiamat
nanti.” (HR Ibnu Majah).
Kedua, sebahagian ulama berpendapat bahawa pengharaman
nikah mut’ah dalam Islam sudah merupakan ijmak.
Ketiga, dilihat dari tujuannya, nikah mut’ah hanya untuk
memenuhi keperluan syahwat nafsu sahaja, bukan untuk
menjaga kesejahteraan dan kelangsungan keturunan,
sebagaimana diharapkan daripada perkahwinan. Ketika para
ulama di kalangan Sunni berupaya menjelaskan pengharaman
nikah mut’ah, justeru ulama di kalangan Syiah sejak awal
membolehkan dan tetap mempertahankannya sampai
sekarang, bahkan menjadi bahagian daripada aturan hukum
perkahwinan yang mereka anuti. Menurut ulama kalangan
Syiah, nikah mut’ah tetap dibolehkan atau dihalalkan sehingga
sekarang.
HUKUM PERKAHWINAN MUT’AH
208. Pada awal perjalanan Islam, nikah mut’ah sememangnya
dihalalkan, sebagaimana yang terdapat dalam banyak hadis
di antaranya: Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA:
“Kami berperang bersama Rasulullah SAW sedangkan
kami tidak membawa isteri-isteri kami, maka kami berkata
bolehkah kami berkebiri atau berkembiri (Castrate)?”
(Dipetik dalam Kamus Dewan Perdana, maknanya lelaki
yang sudah dibuang sifat jantannya pada bahagian
124
kemaluan yang tidak boleh meninggalkan benih (anak atau
mandul). Apabila dia berkahwin tidak mendapat anak).
Namun Rasulullah SAW melarangnya tapi kemudian
baginda memberikan kami keringanan untuk menikahi
wanita dengan mahar pakaian sampai batas waktu tertentu”
(HR. Bukhari 5075, Muslim 1404).
Hadis Jabir bin Salamah RA: “Dari Jabir bin Abdillah RA
dan Salamah bin ‘Akwa RA berkata : Pernah kami dalam
sebuah peperangan, lalu datang kepada kami Rasulullah
SAW, dan berkata: Telah diizinkan bagi kalian nikah mut’ah
maka sekarang mut’ahlah” (HR. Bukhari 5117).
Namun hukum ini telah dimansuhkan dengan larangan
Rasulullah SAW untuk menikah mut’ah sebagaimana beberapa
hadis di atas. Akan tetapi para ulama berselisih pendapat
tentang pengharaman nikah mut’ah tersebut dengan
perselisihan yang tajam, namun terdapat pendapat yang lebih
tepat bahawa nikah mut’ah diharamkan pada waktu pembukaan
Kota Mekah tahun 8 Hijrah. Ini adalah pandangan Al-Hafidz
Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Bari 9/17. Telah datang dalil
yang amat jelas tentang haramnya nikah mut’ah, di antaranya
Hadis daripada Saidina Ali bin Abi Thalib RA berkata :
“Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang nikah mut’ah
dan memakan daging himar jinak pada perang khaibar”
(HR. Bukhari 5115, Muslim 1407).
Hadis Sabrah bin Ma’bad Al-Juhani RA berkata :
“Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk nikah
mut’ah, pada waktu pembukaan Mekah saat kami masuk
Mekah kemudian beliau melarang kami sebelum kami
keluar dari Mekah”.
Dalam riwayat lain : Rasulullah SAW bersabda : “Wahai
sekalian manusia, sesungguhnya dahulu saya telah
mengizinkan kalian nikah mut’ah dengan wanita. Sekarang
ALLAH SWT telah mengharamkannya sampai hari kiamat,
maka barang siapa yang memiliki isteri dari mut’ah maka
hendaklah diceraikan” (HR. Muslim 1406, Ahmad 3/404).
Hadis Salamah bin Akhwa RA berkata : “Rasulullah SAW
memberikan keringanan untuk mut’ah selama tiga hari pada
perang Awthas kemudian melarangnya” (HR. Muslim 1023).
209. Pada awalnya, Islam membenarkan nikah mut’ah (kahwin
kontrak) dalam konteks darurat ia diperbolehkan. Kemudiannya
datang nas-nas yang melarang pernikahan kontrak ini sehingga
125
hari kiamat berlaku. Di antara hadis yang menyebut dibolehkan
nikah mut’ah pada awal Islam ialah dari Rabi’ bin Sabrah RA,
dari ayahnya RA, bahawasanya ia bersama Rasulullah SAW,
lalu beliau bersabda yang bermaksud: “Wahai sekalian
manusia, sebelum ini aku telah mengizinkan kalian
melakukan mut’ah dengan wanita. Sesungguhnya
ALLAH SWT telah mengharamkannya hingga hari kiamat.
Maka biarkanlah! Jangan ambil sedikit pun dari apa yang
telah diberikan” (HR. Muslim, 9/159, (1406).
Beliau juga berkata yang bermaksud: “Rasulullah SAW
memerintahkan kami untuk mut’ah pada masa penaklukan
Kota Mekah, ketika kami memasuki Kota Mekah. Belum
kami keluar, Baginda SAW mengharamkannya ke atas
kami” (HR. Muslim, 9/159, (1406).
ALLAH SWT telah melarang sekeras-kerasnya
perkahwinan mut’ah ini hingga ke hari kiamat seperti
mengahwini isteri-isteri orang yang jelas berlawanan, dan
pegangan kaum Syiah masih mengekalkan pegangan
mereka dan terus menghalalkan perkahwinan mut’ah ini
dengan isteri-isteri orang. Pada mereka ini, lebih ramai
isteri-isteri orang yang mereka kahwini secara mut’ah,
lebih banyak ganjaran dan pahala yang mereka perolehi
dan terus masuk syurga. Sedangkan ALLAH SWT telah
jelas melarang dan mengharamkan perbuatan ini
sehingga hari kiamat dan perkara ini diperkukuhkan lagi
dengan hadis-hadis sahih Rasul SAW yang jelas
ditujukan kepada sahabat-sahabat Rasul SAW agar
menjauhi diri dari melakukan perbuatan yang telah
ALLAH SWT haramkan ini.
Pengharaman nikah mut’ah ini boleh dilihat
berdasarkan firman ALLAH SWT dalam surah An-Nisa (4) :
ayat 24 yang bermaksud:
“Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) wanita yang
bersuami, kecuali hamba sahaya perempuan (tawanan
perang) yang kamu miliki (ALLAH SWT telah menetapkan
hukum itu) sebagai ketetapannya atas kamu dan dihalalkan
bagi kamu selain yang demikian itu, jika kamu mencari
isteri-isteri dengan hartamu untuk dikahwini dan bukan untuk
berzina. Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campuri)
di antara mereka, berikanlah kepada mereka maharnya
(dengan sempurna) sebagai satu kewajipan. Sesungguhnya
ALLAH SWT Maha Mengetahui Lagi Bijaksana”.
126
210. Ayat dan hadis-hadis sahih di atas jelas menerangkan bahawa
pada awalnya Islam membenarkan umatnya melakukan amalan
nikah mut’ah (kahwin kontrak). Setelah itu datang ayat Quran
dan nas-nas melalui hadis Rasul SAW melarang melakukan
amalan mut’ah kepada seluruh umat manusia sehingga hari
kiamat. Berlaku juga pertelingkahan mengenai bilakah mulanya
Islam mengharamkan mut’ah? Satu lagi ayat dalam Surah
Al-Mukminun ayat 5-6: ALLAH SWT telah berfirman dengan
maksud: “Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya,
kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak-budak yang
mereka miliki (hamba sahaya), maka sesungguhnya mereka
dalam hal ini tiada tercela”.
Juga dalam surah yang sama ALLAH SWT berfirman :
Maksudnya: “Adalah barang siapa yang mempergunakan
kemaluannya untuk bersetubuh selain isteri dan budak
perempuannya (hamba sahaya), maka mereka itulah orang-
orang yang melampaui batas dan melanggar perintah
ALLAH SWT dan melanggar hal-hal yang telah ALLAH SWT
halalkan baginya kepada hal-hal yang telah diharamkan
atasnya”. Dalam maksud ini adalah berzina.
Berikut sedikit penjelasan daripada riwayat-riwayat
mengenai bermulanya Islam mengharamkan mut’ah
berasaskan hadis sahih iaitu:
1. Larangan dimulai ketika perang Khaibar (Muharam 7 Hijrah)
2. Ketika penaklukan Kota Mekah (Ramadan 8 Hijrah)
3. Semasa perang Awthas dikenali juga perang Hunain
(Syawal 8 Hijrah)
4. Perang Khaibar (Muharam 7 Hijrah)
Dari Muhammad Bin Ali (Muhammad Bin Hanafiah),
bahawa ayahnya Ali Bin Abu Thalib RA berkata kepada Ibnu
Abbas RA: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang mut’ah
dan makan daging keldai jinak pada masa Khaibar.”
(HR Muslim, 9/161, (1407).
211. Ketika Penaklukan Kota Mekah (Ramadan 8 Hijrah). Dan beliau
juga berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk
mut’ah pada masa penaklukan Kota Mekah, ketika kami
memasuki Kota Mekah. Belum kami keluar, Baginda SAW
mengharamkannya ke atas kami”. (HR Muslim, 9/159,
(1406).
127
Sabrah RA : Saya telah melihat Rasulullah SAW berdiri
di antara sudut Hajar Aswad dan pintu Kaabah (pada tahun
haji wada’) Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah
mengizinkan kamu kahwin mut’ah dengan wanita sebelum
ini, tetapi sekarang sesungguhnya ALLAH SWT telah
mengharamkannya hingga hari kiamat. Maka barang
siapa yang memiliki isteri yang dikahwini secara mut’ah,
hendaklah diceraikan atau dilepaskan dan janganlah kamu
ambil apa-apa barang yang telah kamu berikan kepada
bekas isteri mut’ahmu itu”. (HR Muslim, Ibnu Majah dan
Abu Daud)
212. Oleh itu jumhur ulama bersepakat bahawa nikah mut’ah ini
adalah haram dan tidak sah mengikut hukum di dalam Islam.
Perkahwinan tersebut adalah bercanggah dan tidak sesuai
dengan kehendak agama seperti yang dijelaskan di dalam
al-Quran. Mana-mana wanita bercerai hidup atau mati dengan
suami, maka ada penetapan idah, pusaka, nafkah, hadanah
anak dan lainnya. Sedangkan dalam perkahwinan mut’ah,
semua itu tidak berlaku. Pendapat jumhur berdasarkan kata-
kata Saidina Umar RA sewaktu beliau menjadi khalifah juga
menjadi sandaran yang pada suatu masa, ketika telah berucap
di atas mimbar dengan mengharamkan mut’ah dan sahabat lain
bersetuju dengan pendapat beliau. Hal tersebut tidak mungkin
Saidina Umar RA akan berdusta dan tanpa sandaran hadis
daripada Rasulullah SAW atau mengikut nafsu sahaja.
213. Walaupun dengan adanya keterangan yang jelas daripada
al-Quran, Surah An-Nisa (4) : ayat 24 dan hadis-hadis sahih
(riwayat Muslim, Ibnu Majah dan Abu Daud) melarang dan
mengharamkan perkahwinan Mut’ah ini, namun orang-orang
yang berfahaman ajaran Syiah mempertahan dan meneruskan
amalan mereka. Orang-orang Syiah menghalalkan nikah mut’ah
(kahwin kontrak) ini kerana beranggapan ia sesuatu yang
Syar’i dan boleh melepaskan syahwat hati. Padahal di
dalamnya mengandungi percanggahan dari segi aqidah dan
ibadah yang perlu difahami. Ramai kaum wanita telah berjaya
dipengaruhi dengan janji-janji pahala dan penerimaan upah jika
bersama melaksanakan nikah mut’ah ini. Sehingga mereka rela
kesucian diri mereka di ‘kontrak’ kepada lelaki yang sangat buas
hawa nafsunya dan mungkin dipersetujui bersama. Kita perlu
128
berhati-hati agar tidak terjerumus ke lembah penzinaan dengan
beranggapan nikah mut’ah ini merupakan sesuatu yang Syar’i.
Berikut ini diperturunkan beberapa pemesongan dan
percanggahan aqidah dan ibadah melalui nikah mut’ah yang
diamalkan oleh golongan Syiah :-
1) Barangsiapa yang menikah mut’ah ganjarannya seperti
telah menziarahi Ka’abah sebanyak 70 kali.
2) Barangsiapa yang tidak menikah mut’ah maka dianya telah
jatuh kafir.
3) Barangsiapa yang menikah mut’ah sebanyak 4 kali, maka
darjatnya adalah setaraf dengan Rasulullah SAW.
4) Nikah mut’ah dianggap sebagai salah satu rukun agama
Syiah.
5) Tidak ada batasan jumlah yang pasti yang boleh dinikahi
sehingga bilangannya boleh sampai 1000 wanita atau lebih.
6) Tidak ada hak waris dalam nikah mut’ah ini.
7) Boleh menikah mut’ah seorang gadis tanpa izin walinya.
8) Boleh menikah mut’ah seorang wanita yang bersuami.
9) Boleh menikah mut’ah dengan seorang pelacur.
10) Dibolehkan pinjam-meminjam isteri dengan dalih nikah
mut’ah.
11) Dalam nikah mut’ah boleh bersenggama di dubur dan
bukan di kemaluan.
SYIAH DAN HUKUM ALLAH SWT
214. Percanggahan antara Syiah dan Ahli Sunnah Wal
Jamaah dari segi usul atau aqidah sewajarnya telah membawa
kepada percanggahan dalam bidang feqah. Percanggahan
masalah feqah ini dapat dilihat dari amalan-amalan kaum Syiah
seperti membenarkan nikah mut’ah, bersetubuh dengan isteri
melalui dubur, menikah dengan anak saudara (lelaki atau
perempuan) dengan bapa atau emak saudara sendiri dan lain-
lain.
Jelas di sini golongan Syiah tidak mengiktiraf dan tidak
menerima Khalifah Saidina Abu Bakar RA dan Khalifah
129
Umar RA sebagai Khalifah yang menyambung tugas
menyebarkan Islam selepas Rasulullah SAW. Mereka
mempercayai hanya Syaidina Ali RA yang berhak sebagai
Khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Malah pengertian perkataan alJibt dan at’Taghut
terhadap Abu Bakar RA dan Umar RA juga digunakan oleh
golongan syiah dalam doa-doa mereka yang dinamakan
“DOA DUA BERHALA QURAISY” dalam kitab mereka
“Kunci Hati” dalam muka surat 114 yang bermaksud :
“Ya ALLAH, sejahterakanlah atas Muhammad SAW dan
kaum keluarga Muhammad SAW, dan laknatlah ke atas
dua berhala Quraish, kedua ahli sihir, kedua syaitan dan
kedua anak perempuan mereka berdua iaitu (Umm
alMukminin ‘Aishah dan Hafsah)”.
FATWA SYIAH – DARAH SUNNI HALAL (BOLEH DIBUNUH)
215. Diriwayatkan di dalam Al-Illal fi Al-Sahih (Kitab Syiah)
dari Daud bin Farqad, dia berkata : “Aku bertanya kepada
Abu Abdillah ‘alaihissalam, Bagaimana pendapatmu
tentang membunuh Al-Nasibi (Ahli Sunnah)”? Dia berkata,
“Darahnya halal (boleh dibunuh), tetapi aku khuatirkan
keadaan kamu dan aku berpesan supaya kamu berhati-hati,
maka jika engkau mampu untuk meruntuhkan tembok
ke atas mereka atau menenggelamkan mereka ke dalam
air, supaya tiada orang yang menyaksikannya, maka
lakukanlah” Aku berkata, “Bagaimana pendapatmu
mengenai harta mereka?” Dia berkata : “Ambillah hartanya
semampumu”. (Al-Hadaiq An-Nadhirah)
Seperti riwayat di atas, dianjurkan dalam Syiah
untuk membunuh Ahli Sunnah, dengan cara meruntuhkan
bangunan, atau meruntuhkan rumahnya supaya tidak diketahui
siapa yang bunuh, supaya orang menganggap orang itu mati
terkena runtuhan, sedangkan sebenarnya orang Syiah yang
meruntuhkannya. Dan kalau boleh, lemaskan di dalam air supaya
orang tidak tahu. Boleh bunuh tapi jangan bunuh terang-terang.
Imam Syiah, Ayatollah Al-Khomeini tokoh Syiah yang
menggerakkan Revolusi Iran pada tahun 1979, yang
menjatuhkan Raja Iran yang terakhir (Syah Iran), dia mati pada
tahun 1989, telah mengeluarkan Fatwa berikut :-
“Setelah membunuh Sunni, hartanya diambil dan satu
perlima diberikan kepada negara”.
130
RINGKASAN PERBEZAAN ANTARA KEPERCAYAAN (IKTIKAD)
AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DAN SYIAH
131
132
133
134
135