baharu seperti TS25 tetapi mengapa masih ramai yang tidak dapat
memahami dan menghayati matlamat, objektif dan proses program
seperti ini. Seronok rasanya apabila ada guru-guru yang bersikap
terbuka dan berfikiran positif seperti Cikgu Lan dan Cikgu Mi.
Kami meninggalkan meja dengan rasa lapang dan berharap
JPN Perak dan KPM mempunyai ramai guru yang berfikiran terbuka
untuk menyambut, memahami, menghayati dan melaksanakan dasar-
dasar KPM dengan baik.
35
CIKGU MOORTHY
HILMUN BINTI BAHARUDDIN
MASTER TRAINER TS25 (PERAK) IAB CAWANGAN UTARA
Matahari bersinar terik ketika Cikgu Moorthi menjejakkan kaki
di Jeti Pulau Tunggal. Peluh yang merecik di dahinya kelihatan mula
menitis membasahi baju kemeja yang dipakainya. Jam menunjukkan
pukul 11.00 pagi. “Masih sempat untuk terus ke sekolah lagi ni”, Cikgu
Moorthi bermonolog dalam hatinya.
“SK Kampung Unggul ye!” kata Cikgu Moorthi kepada
pemandu teksi yang berhenti di hadapannya sebaik memasuki teksi
tersebut. Pemandu teksi itu mengangguk dan tersenyum sambil
tangannya menekan suis pendingin hawa teksinya.
Minggu lepas, beliau menerima surat pertukaran dan
penempatan beliau di SK Kampung Unggul. Sekolah kedua beliau
ditempatkan sebagai Guru Besar setelah lulus Kursus Kelayakan
Profesional untuk Pemimpin Pendidikan (NPQEL) dari Institut
Aminuddin Baki Cawangan Utara, Jitra. Penempatan baharu ini
menuntut beliau untuk berhijrah ke sekolah yang terletak di sebuah
pulau peranginan kecil. Menurut seorang pegawai di JPN, sudah
beberapa bulan sekolah ini beroperasi tanpa Guru Besar yang
berpindah keluar ke tanah besar. Khabarnya sekolah ini terlibat
dengan Program TS25 tapi masih tidak melaksanakan sebarang
tugasan.
Cikgu Moorthi memutuskan untuk terus melapor diri ke
sekolah sebelum mencari rumah sewa atau menginap di kuarters
guru sahaja, memandangkan memang mustahil untuk berulang dari
rumahnya ke sekolah baharu ini setiap hari. Dari jauh telah kelihatan
bangunan sekolah yang terletak dalam perkampungan nelayan
Kampung Unggul. Ada sebuah kedai kopi kecil di sebelah pagar
sekolah. Kelihatan beberapa orang lelaki dewasa duduk berbual-
bual. Terdapat cawan-cawan kosong berselerak di atas meja seperti
menggambarkan sudah beberapa jam mereka berbual di situ.
Mungkin sudah beberapa kali pesanan untuk kopi dibuat, dan
36
diminum tetapi masih tidak pulang-pulang juga ke rumah. Teringat
pula kenyataan seorang sahabat. Kedai kopi kampung ni
perbincangannya sehebat persidangan Parlimen. Kadang-kadang
lebih lagi. Kalau di Parlimen Malaysia, perbincangannya banyak
berfokus kepada hal ehwal dalam negara sahaja, tetapi “Parlimen
kedai kopi” ini membincangkan hal ehwal global. ‘Ahli-ahli Parlimen
Kedai Kopi’ ini semuanya hebat-hebat dan pandai-pandai belaka
kerana mereka selalu mempertikaikan tindakan para YB ahli Parlimen
sebenar. Hairan juga ya, kenapa mereka tidak bertanding sahaja
semasa PRU yang lalu!
Semua yang berada di kedai kopi mengarahkan pandangan
mereka ke arah Cikgu Moorthi yang baru selesai mengeluarkan beg
pakaiannya dari ruang penyimpanan teksi tersebut. Aneh! Kenapa
pandangan yang dilemparkan seolah-olah pandangan benci. Oh,
Tuhan!
“Kami menentang pertukaran masuk Guru Besar baru ke SK
Kg Unggul! Dah habis ke Melayu untuk dilantik jadi Guru Besar!
Macam dah tak ada bangsa Melayu yang pandai. JPN bengap, PPD
makan gaji buta!”.
Kain rentang yang tertera kenyataan yang sangat rasis itu
digantung pada pagar sekolah memang sah ditujukan kepada dirinya.
“Ujian apakah yang Tuhan beri kepada aku ini? Wahai Tuhan, berilah
aku kekuatan untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab ini!”
“Allah uji tanda Allah sayang!” Cikgu Moorthy pernah terbaca
tulisan Ustaz Ebit Liew, pendakwah terkenal itu di laman
Facebooknya. ‘I have to be strong...!” bisik hatinya. Langkahnya
diteruskan ke pejabat sekolah. Ketika melalui bilik-bilik darjah tadi
kelihatan beberapa orang guru begitu bersemangat melaksanakan
PdPC. Murid-murid Tahun Satu juga begitu ceria menyanyikan lagu
Matematik beserta pergerakan yang aktif. Murid-murid Tahun Dua
yang sedang membuat simulasi kelihatan tersipu-sipu malu apabila
menyedari ada ‘orang asing’ melintas di hadapan kelas mereka tadi.
37
Tetapi ada sebuah kelas yang riuh rendah tanpa guru. Baru
sahaja Cikgu Moorthy melangkah melepasi kelas itu tiba-tiba, ”Prang!
Aduh!” Bunyi kaca pecah. Tindak balas spontan seorang pendidik
membuatkannya berpatah balik dan berlari ke arah bunyi kaca yang
pecah tadi. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki terduduk di atas
pecahan kaca tingkap sambal mengampu tangan kirinya yang cedera.
Darah merah meleleh laju di lengannya dan menitis ke lantai kelas.
Keadaan bertambah cemas apabila murid-murid perempuan yang
panik dan takut melihat darah, menjerit dan menangis.
“Sakit… sakit…!” kata murid yang cedera itu terketar-ketar
sambil menangis. Cikgu Moorthy cuba membuatkan murid yang
cedera itu berdiri tetapi tidak berjaya kerana kaki budak itu turut luka
dan berdarah. Darah semakin banyak keluar daripada luka yang agak
lebar di kaki murid itu. Cikgu Moorthy segera mengendongnya ke
meja guru tanpa mempedulikan titisan darah yang menitik. Sapu
tangan pemberian ibunya segera ditarik keluar dari poket seluar untuk
mengikat luka lebar di kaki murid itu. Apa tidaknya, muka murid itu
sudah semakin pucat. Tanpa berlengah Cikgu Moorthy segera
mengendong pula murid itu ke bilik guru untuk mendapatkan
pertolongan segera. “Tolong tunjukkan saya Bilik Guru!” katanya
kepada salah seorang murid di situ.
Kisah Cikgu Moorthy mengendong murid yang cedera ke Bilik
Guru untuk mendapatkan pertolongan segera dan membawa murid
tersebut ke Klinik Kesihatan berhampiran menjadi topik panas bukan
sahaja di sekolah, tetapi juga di seluruh Kampung Unggul hari itu.
Manakan tidak, kecederaan murid itu agak parah dan perlu dijahit.
Murid itu pula kehilangan agak banyak darah. Habis baju dan seluar
Moorthy dipenuhi darah. Cikgu Moorthy tidak meletakkan langsung
murid itu sejak mula mengendongnya sehinggalah sampai ke Klinik
Kesihatan. Dia sanggup meriba murid itu ketika berada di dalam
kereta Cikgu Mujahid, Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu.
Tetapi yang paling hot pada hari itu ialah murid tersebut diselamatkan
oleh Guru Besar baharu, yang baru hendak melapor diri. Ketika
masyarakat Kampung Unggul membincangkan nasib murid itu jika
tidak segera diselamatkan, masyarakat SK Kampung Unggul pula
38
membincangkan siapa yang sepatutnya berada di dalam kelas dan
siapa yang sepatutnya mengajar pada ketika kejadian itu berlaku.
Cikgu Moorthy melalui minggu pertama di SK Kampung
Unggul dengan tenang. Dokumen demi dokumen diteliti bagi
mendapatkan data-data penting untuk dianalisis bagi mengenal pasti
faktor-faktor dalaman dan luaran yang perlu. Perancangan Strategik
Sekolah dibelek sehelai demi sehelai. Strategi memacu
kecemerlangan sekolah perlu dijana segera. Bukan sahaja data
mengenai murid, data-data dan profil guru-guru juga diteliti satu
persatu. Data SKPMg2 turut diteliti dari Standard 1 sehingga Standard
4. Data pelaksanaan PLC, rekod pencerapan. Ah..., cerewet benar
orangnya ni. Senarai aset juga diperiksa. Laporan dan dokumentasi
program-program sekolah turut diselidik. Senarai pemegang-
pemegang taruh dan aktiviti-aktiviti PIBG juga tidak terlepas daripada
semakan tuan Guru Besar yang baharu ini. Pendek kata, semua ilmu-
ilmu yang dikongsikan oleh Rakan ELIT TS25 di sekolah lamanya
dipraktikkannya di sekolah ini.
Sudah masuk minggu kedua Cikgu Moorthy bertugas di
sekolah itu. Masing-masing tertunggu-tunggu bilakah Cikgu Moorthy
akan memanggil ‘Si Pesalah’ yang sewenang-wenangnya
meninggalkan kelas tanpa pengawasan yang kemudiannya
menyaksikan seorang murid cedera gara-gara berseloroh sesama
sendiri di dalam kelas. Sudah ramai yang menyampaikan cerita
tentang perilaku ‘Si Pesalah’ yang jarang masuk kelas. Ketika Guru
Besar terdahulu, selalu juga ‘Si Pesalah’ dipanggil. Macam-macam
salah laku yang dibuatnya. Beliau akan berubah sekejap, kemudian
buat hal lagi. Cuma pada masa itu, tiada sebarang insiden
berlangsung.
Sehinggalah pada suatu petang, Cikgu Moorthy singgah di
Kedai Kopi Kampung untuk membeli juadah makan malam.
Almaklumlah, tinggal seorang di kuarters guru, tiada siapa yang akan
memasak untuknya. Tiba-tiba matanya tertancap kepada seseorang
yang duduk di sebuah meja yang menghadap ke jalan raya. Cikgu
Azhar! Guru inilah yang sepatutnya berada di Kelas Tahun 5 yang
39
muridnya cedera tempoh hari. Cikgu Moorthy menghampiri meja
tempat Cikgu Azhar duduk.
“Cikgu Azhar, beli makanan ke?” tegur Cikgu Moorthy, ramah.
“Oh, Cikgu Moorthy! Ya cikgu, ubah selera hari ni, sekali-sekala,”
balas Cikgu Azhar. “Duduklah cikgu,” pelawa Cikgu Azhar. “Ok...
ok... terima kasih cikgu!” balas Cikgu Moorthy. “Peluang baik ni,” kata
Cikgu Moorthy dalam hati.
Kedai Kopi Kampung Unggul menyaksikan bermulanya
hubungan persahabatan yang akrab antara Cikgu Moorthy dan Cikgu
Azhar pada petang itu. Perbualan santai antara Guru Besar dan anak
buahnya itu tidak sedikitpun dirasakan sebagai proses bimbingan dan
permentoran (Coaching dan Mentoring) oleh Cikgu Azhar. Cikgu
Moorthy berjaya menyelami isi hati Cikgu Azhar dan sekali gus
menemui punca Cikgu Azhar ‘buat perangai’ tidak masuk kelas dan
macam-macam salah laku yang lain.
Rupanya Cikgu Azhar memberontak kerana ditugaskan
mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu sedangkan beliau ialah
guru opsyen Matematik. Sudahlah begitu, permintaan beliau untuk
mengajarkan mata pelajaran Seni juga tidak diendahkan oleh
pasukan pengurusan sekolah. Menurut Cikgu Azhar, beliau terkial-
kial untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. “Saya sendiri
pun buat ayat tak betul, inikan pula nak kena mengajar mata pelajaran
ini,” katanya.
“Saya ingat, dengan mogok tak masuk kelas, pihak
pengurusan akan menggantikan saya dengan cikgu lain, tapi dah tiga
tahun, masih juga menyuruh saya mengajar BM. Yang saya minat
sangat nak ajar Seni, mereka buat tak tahu je!” luah Cikgu Azhar
dengan kesal semasa beliau dan Cikgu Moorthy meluangkan masa
memancing bersama dengan beberapa anak muda Kampung Unggul.
Apa lagi, ibarat perahu sudah di air, galah sudah di tangan,
Cikgu Moorthy segera meneliti analisis profil guru-guru SK Kampung
Unggul dan mendapati terdapat ramai guru opsyen Bahasa Melayu
yang tidak diberi tanggungjawab mengajar Bahasa Melayu
40
sepenuhnya. Mereka dipertanggungjawabkan mengajar hanya satu
atau dua kelas Bahasa Melayu dan selebihnya diberi tanggungjawab
mengajar mata pelajaran lain seperti Pendidikan Jasmani, Seni dan
mata pelajaran bukan peperiksaan. Alasan terlepas pandang oleh
pasukan pengurusan sekolah memang tidak boleh diterima. Mereka
sepatutnya membuat keputusan dalam memberi tanggungjawab
mengajar kepada guru-guru berdasarkan analisis profil guru-guru
bukan main letak mengikut permintaan guru-guru sahaja.
Satu rombakan kecil guru-guru telah dilakukan. Cikgu Azhar
tersenyum gembira menerima tugas baharunya mengajar Matematik
Tahun 5. Beliau bukan sahaja sampai ke kelas tepat pada waktunya,
tetapi juga tiba paling awal ke sekolah setiap hari. Walaupun Cikgu
Azhar tidak dapat mengajar mata pelajaran Seni yang diminatinya,
tetapi beliau menawarkan diri untuk melakukan sesuatu berdasarkan
minatnya itu sebagai sumbangannya kepada SK Kampung Unggul.
Stor buruk yang berselerak SK Kampung Unggul telah berjaya
ditukarkan kepada galeri seni yang tidak putus-putus menerima
kunjungan murid-murid sewaktu rehat dan usai sesi persekolahan.
Kehebatan bakat seni Cikgu Azhar bukan setakat pandai melukis,
tetapi juga hebat dalam membentuk arca-arca dan beberapa
kraftangan yang lain. Jika sebelum ini Cikgu Azhar bagai dipinggir di
sekolah sendiri, kini beliau bagaikan seorang ketua dan pakar rujuk
kepada sekumpulan rakan guru yang turut meminati seni.
Berbalik kepada sikap rasis penduduk Kampung Unggul
kepada Cikgu Moorthy, ramai yang menjangkakan Cikgu Moorthy
pasti akan memohon pertukaran keluar secepat mungkin. ‘Ahli
Parlimen Kedai Kopi’ pasti tidak akan berdiam diri. Mereka akan cuba
bermacam-macam cara untuk ‘menghalau’ Cikgu Moorthy keluar dari
sekolah itu. Sindiran demi sindiran sengaja mereka perdengarkan
kepada Cikgu Moorthy apabila sahaja berpeluang. Hal itu belum
termasuk jelingan-jelingan tajam dan renungan-renungan benci
mereka kepada Cikgu Moorthy. Biasanya ketika waris menunggu
untuk mengambil anak-anak mereka, Cikgu Moorthy akan turut
berada di perkarangan sekolah bagi memastikan anak-anak muridnya
selamat. Guru-guru yang bertugas juga tidak akan melengah-
lengahkan masa untuk turut berada di pagar sekolah bagi
41
melaksanakan tugas mereka kerana Guru Besar telah awal-awal lagi
berada di sana.
Sehinggalah suatu hari, Cikgu Moorthy mencadangkan aktiviti
gotong-royong untuk membersihkan surau sekolah yang dikelilingi
dengan semak samun. Beliau bimbang murid-muridnya diancam
binatang berbisa. Para waris telah pun dimaklumkan tentang aktiviti
yang turut mendapat sokongan PIBG sekolah. Seperti biasa, semua
guru dan ibu bapa menjangkakan aktiviti tersebut akan bermula
selepas waktu Asar seperti yang tercatat pada surat makluman.
Namun, mereka sangat terkejut apabila Cikgu Moorthy telah mula
menghidupkan enjin mesin rumput sebaik sahaja sesi persekolahan
berakhir pada hari itu.
Waris-waris yang datang menjemput pulang anak-anak
mereka kelihatan tercengang-cengang. Ada yang tersipu-sipu malu
kerana Cikgu Moorthy yang mereka hina dan sindir sebelum ini telah
memulakan kerja membersihkan pekarangan surau tanpa rasa
canggung. Turut terasa dengan situasi itu ialah guru-guru dan
kakitangan sekolah. Seorang demi seorang kelihatan datang ke
kawasan surau untuk turut membantu. Paling tidak disangka apabila
taukeh Kedai Kopi Kampung Unggul menyumbang dua talam mi
goreng dan beberapa jag teh ais untuk dinikmati oleh mereka yang
terlibat dengan aktiviti gotong-royong tersebut.
Hubungan antara Cikgu Moorthy dengan pihak waris dan
komuniti dilihat semakin rapat. Minggu lepas Tok Imam Masjid Al
Khairiyah, Kampung Unggul datang menemui Cikgu Moorthy. Beliau
sangat berterima kasih kepada Cikgu Moorthy yang menganjurkan
Majlis Bacaan Yasin pada setiap pagi Khamis. Beliau sangat kagum
apabila Cikgu Moorthy yang paling awal berada di dewan sekolah
untuk membentang tikar bagi majlis tersebut.
“Terima kasih cikgu. Cikgu sanggup bersusah payah
membentangkan tikar untuk kami sebelum majlis bacaan Yasin tadi.
Cikgu boleh sahaja minta kami tolong,” kata Tok Imam.
42
“Apa salahnya Tok Imam. Oleh sebab saya tak boleh baca
Yasin, tak salah kalau saya tolong sediakan tempat. Pekerja
pembersihan saya sibuk pagi-pagi. Mereka kena pastikan kawasan
sekolah bersih dan selamat. Sebab itu saya tak kisah kalau buat
sendiri. Bukan besar sangat dewan kita tu. Tikar pun saya cuma
bentang sahaja. Pekerja dah sediakan kelmarin. Saya perlu pastikan
ada majlis sebegini kerana saya percaya, doa bertujuan meminta
perkara yang baik-baik sahaja. Jadi kesan yang baik juga akan turut
dirasai oleh semua”, balas Cikgu Moorthy.
Alangkah seronoknya hati, alangkah damainya jiwa apabila
kuntum-kuntum keharmonian telah mula berkembang dan
keindahannya dapat dilihat di mana-mana. Guru-guru mula berasa
seronok bekerja bersama. Mereka seolah tidak kisah untuk pulang
agak lewat sekali sekala untuk melaksanakan aktiviti PLC. Tiada lagi
kluster Tupperware, kluster Bling-bling atau kluster kayangan dalam
kalangan warga guru SK Kampung Unggul. Rakan ELIT yang sesekali
berkunjung ke sekolah turut berkongsi pengetahuan. Cikgu Moorthy
membimbing pasukan SLT sekolah menggunakan PInTaS untuk
mengenal pasti ruang penambahbaikan melalui pelaksanaan
intervensi bagi mencapai matlamat yang disasarkan. Kadar ponteng
menurun dengan banyaknya apabila murid seronok belajar secara
Fun Learning dan Active Learning. Aktiviti Kokurikulum juga
mendapat sambutan. Kelab Catur diwujudkan bila Cikgu Moorthy
mendapati ada guru yang merupakan jurulatih Catur Negeri.
Ahli kumpulan memancing Cikgu Moorthy dan Cikgu Azhar
juga telah semakin bertambah. Bukan sahaja rakan-rakan guru kaki
pancing yang turut bersama tetapi juga staf sokongan, waris-waris
termasuklah Tok Imam dan taukeh kedai kopi kampung itu. Mesra dan
meriah sungguh kumpulan ini sesekali mereka turun ke laut.
Sehinggalah pada satu hari, surat yang diterima oleh Cikgu
Moorthy mengundang rasa sedih mereka semua. Cikgu Moorthy
diarahkan bertukar ke sebuah sekolah di tanah besar. Walau pun
sepatutnya arahan itu merupakan berita gembira kepadanya kerana
dia boleh kembali bersama-sama keluarganya, tetapi Cikgu Moorthy
berasa sangat berat untuk meninggalkan SK Kampung Unggul,
43
warganya dan komuniti di sekelilingnya. Hubungan akrab yang terjalin
memutikkan rasa bagai berada dalam kalangan keluarga sendiri.
Selama lebih dua tahun berkhidmat di SK Kampung Unggul, beliau
berjaya memperoleh kepercayaan ahli pasukannya dan para waris
apabila keputusan peperiksaan UPSR pada tahun itu melonjak naik.
Cikgu Moorthy menutup pintu kuarters guru yang didiaminya
selama dua tahun lebih itu buat kali terakhir sebelum menyerahkan
kunci tersebut kepada Cikgu Mujahid yang akan menghantar beliau
ke jeti. Kereta Cikgu Mujahid bergerak perlahan-lahan meninggalkan
kawasan kuarters guru SK Kampung Unggul. Dari jauh, kelihatan
ramai yang berkumpul di pintu pagar sekolah berhampiran pondok
pengawal. Sepasang mata Cikgu Moorthy tiba-tiba terarah kepada
kain rentang yang digantung tinggi di hadapan pintu pagar.
“Kami menentang pertukaran Cikgu Moorthy! Baru sahaja
sekolah nak maju, dah ditarik keluar. Kalau macam ni bila sekolah ini
nak cemerlang? JPN dengan PPD boleh tak bertindak pakai otak?”
Cikgu Moorthy meminta Cikgu Mujahid memberhentikan
keretanya. Hendak mengucapkan terima kasih, katanya.
“Jadi juga ke cikgu nak tukar keluar?” tanya seorang waris.
Beliau merupakan waris murid yang cedera pada hari pertama Cikgu
Moorthy datang ke sekolah itu. “Saya kena ikutlah sebab ini arahan.
Pihak JPN ada sebab untuk tempatkan saya di sekolah baharu itu.
Mereka bukan main letak sahaja,” kata Cikgu Moorthy.
“Saya yakin, siapa sahaja yang akan menggantikan tempat
saya akan bekerja keras memastikan sekolah ini akan terus
cemerlang, sebab mendapat sokongan yang kuat dari tuan-tuan.
Saya minta maaf sekiranya saya ada melakukan kesalahan. Cuma
saya nak pesan satu perkara. Sekiranya tuan-tuan mahu melihat
kemenjadian murid dan usaha menjadikan sekolah ini sebagai
sekolah berkualiti berjaya, tuan-tuan perlulah memberi sokongan
yang padu kepada pengurusan sekolah. Sokongan ini akan
memudahkan pemimpin sekolah dan guru-guru bekerja keras sebagai
satu pasukan yang mantap. Bantulah juga pihak sekolah
44
menyediakan persekitaran belajar yang bermakna dan
menyeronokkan. Anak-anak kita akan merasakan sekolah ialah
rumah kedua yang membahagiakan alam kanak-kanak mereka,”
Cikgu Moorthy tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia rasa begitu
sebak.
“Terima kasih cikgu! Meski pun kita dilahirkan berlainan
bangsa, keikhlasan cikgu membuatkan kami begitu terharu. Kami juga
mohon maaf sekiranya ada di antara kami yang tidak menerima cikgu
pada awal kehadiran cikgu di sini dahulu. Semoga cikgu dapat
menyambung perkhidmatan cemerlang cikgu di sekolah baharu yang
bertuah itu,” kata Tok Imam seperti mewakili komuniti Kampung
Unggul. Air mata sudah bergenangan, menunggu masa untuk gugur
sahaja. Tanpa membuang masa, Cikgu Moorthy terus masuk kembali
ke dalam kereta. Ketika kereta Cikgu Mujahid bergerak perlahan-
lahan keluar dari perkarangan sekolah, Cikgu Moorthy sempat
menoleh ke arah bangunan sekolah yang disayanginya itu. “Selamat
tinggal SK Kampung Unggul! Saya tidak pernah menyesal
ditempatkan di sini kerana saya tahu Tuhan ingin saya belajar sesuatu
dan berbuat sesuatu untuk anak-anak di sini. Semoga berjumpa lagi!”
45
11 BULAN 9 HARI
KASMIYATI BINTI KATIMAN
PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH BAGAN DATUK
“…Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-
Nya dengan tidak dikira.”
(Surah Ali ‘Imran, ayat 37)
4.45 petang, 14 Januari 2019, tidak pernah
menjangka begitu cepat aku menerima surat
lantikan sebagai School Improvement Partner+
atau ringkasnya SIPartner+. Hal ini kerana, aku
baharu dua tahun menyandang tugas sebagai
Pengetua. Itu pun di dua buah sekolah iaitu SMK
Seri Muara dan SMK Khir Johari. Segala
perancangan transformasi sekolah untuk tiga
tahun belum selesai. Namun, aku reda dan akur
dengan ketentuan takdir. Sesungguhnya, Allah pemberi rezeki, rezeki
Allah tidak pernah salah alamat dan Allah sebaik-baik perancang. Aku
pasti Allah sedang menyediakan sesuatu yang lebih baik dan indah
melalui jawatan SIPartner+. Kalau sebelum ini aku hanya berjuang
untuk sebuah sekolah, namun dengan jawatan baharu, aku perlu
berjuang untuk 68 buah sekolah. Terima kasih Allah atas amanah ini.
Aku bersedia menggalasnya.
Langkah pertamaku sebagai SIPartner+ yang baharu ialah
membina hubungan atau “rapport” dengan Pengetua dan Guru Besar
(PGB). Senang ke? Apa aku nak buat? Di mana aku nak mula?
Dengan siapa? Aduh, macam tak percaya! Tapi aku ini jenis orang
yang tidak mudah putus asa. Paling utama aku mesti merangka dulu
kerjaku. Aku melaksanakan tugas baharu dengan dengan metodologi
PDCA (Plan, Do, Check, Act) sebagai satu strategi peningkatan
berterusan. Bersama-sama dengan Haji Rahim Affendi, pegawai
SIPartner+ senior, kami mula bekerja. 68 buah sekolah dibahagi dua
untuk tujuan bimbingan berfokus. Oleh sebab aku baharu memegang
jawatan ini, sudah pastinya plan awal ialah menyantuni serta membina
hubungan yang baik dengan leaders sekolah. KPI yang kusasarkan
46
dalam dalam tempoh setahun, aku mesti selesai menyantuni PGB
sekolah dengan takwim yang begitu tersusun.
Menyandang jawatan SIPartner+, tugasku bukan sekadar
membimbing PGB tetapi juga mengenal pasti isu-isu pengurusan serta
kepimpinan sekali gus merangka program intervensi yang
bersesuaian. Selain itu, hari-hariku dipenuhi dengan pelbagai tugasan
arahan Pegawai Pendidikan Daerah iaitu Haji Sulaiman bin Samsudin
sama ada yang terancang mahupun yang datang secara ad-hoc. Apa
yang penting peranan dan tanggungjawab SIPartner+ besar
amanahnya. Semoga aku dapat merealisasikan harapan KPM untuk
mempercepat penambahbaikan prestasi sekolah melalui Program
Transformasi Negeri dan Daerah.
Berbekalkan KPI sasaran kerja tahun 2019, aku perlu bergerak
pantas melaksanakan misi membina hubungan dengan 68 buah
sekolah tanpa sebarang alasan. Aku selalu ingat pesanan Ketua
Jabatan agar aku perlu membina hubungan baik dengan PGB
sebelum melaksanakan program bimbingan. Aku tidak menoleh ke
belakang lagi. Cara aku bekerja mesti smart iaitu bergerak dalam
tempoh yang singkat dengan melakukan satu kerja dalam satu masa
tetapi dapat mencapai dua, tiga matlamat. Ibarat kata pepatah Melayu,
sambil menyelam minum air atau sambil berdendang, biduk hilir. Gila
betul bunyinya, tetapi itulah cara gerak kerjaku sebagai pegawai
SIPartner+. Aku ingin menjadi pegawai SIPartner+ dengan caraku
sendiri tanpa terkeluar daripada landasan sebenar tanggungjawabku.
Aqif Azizan, seorang penulis ebook tegar berkata, “Untuk
mendapat kepercayaan segera daripada pelanggan, binalah rapport
(hubungan) dengan pelanggan”. Dengan cara inilah kita akan cepat
mendapat respon daripada pelanggan kita. Hal ini bermakna,
membina hubungan sangat penting untuk mendapat kepercayaan
daripada stakeholders kita. Apabila kepercayaan dapat kita bina
dengan stakeholders, pastilah mudah untuk aku melaksanakan tugas
sebagai pegawai SIPartner+. Cara yang paling berkesan untuk
mempengaruhi orang lain adalah dengan membina hubungan atas
dasar kepercayaan terlebih dahulu. Maklumlah barisan PGB ini
banyak ragamnya. Aku pula suka cabaran. Terfikir juga aku,
47
sempatkah aku menyelesaikan misiku sebelum Disember 2019? Ada
11 bulan lagi. “Insya-Allah sempat.”
Alhamdulillah, KPI untuk membina hubungan dan kepercayaan
bersama PGB di 68 buah sekolah berjaya direalisasikan. Masih ingat
lagi sekolah terakhir yang perlu aku kunjungi ialah SJKT Ladang
Stratmashie, sebuah sekolah kurang murid. Pengalaman yang agak
mengerikan terpaksa aku tempuh. Apa tidaknya, dari mula masuk,
sesat dan tawaf tiga kali kerana waze tidak boleh menunjukkan lokasi
yang betul. Seekor anjing garang pula mengikut dari belakang
kenderaan. Dalam hati terasa gementar juga kerana bimbang akan
sesat lebih jauh ke kawasan ladang, silap hari bulan tidak jumpa jalan
pulang. Namun, berbekalkan semangat dan keyakinan yang tinggi
bahawa Alllah ada untuk membantu, akhirnya sampai juga ke sekolah
terakhir. Lega rasanya, berakhir juga misi menyantuni 68 buah sekolah
pada bulan November 2019. Moral of the story: Kalau jadi pegawai
SIPartner+ perlu yakin dan berani menghadapi apa-apa juga situasi di
luar jangka.
11 bulan 9 hari menjadi SIPartner+, 68 buah sekolah berjaya
disantuni. Cepatnya, lajunya. “Apakah strategi boleh selesai dalam
tempoh yang singkat?” tanya rakan sejawatku. Selamba aku
menjawabnya, “Apa susah buatlah jadual.” Seminggu Isnin hingga
Khamis, aku pastikan empat buah sekolah aku kunjungi pada sebelah
pagi. Petang pula aku ke pejabat menyelesaikan laporan dan hal-hal
pentadbiran. Aku buat kerja bukan satu, bukan dua tetapi tiga sekali.
Apa tu, 3 in 1? Macam minuman kopi pula. Begini, apabila ke sekolah
aku bukan sekadar membina hubungan tetapi aku juga mengenal pasti
isu. Selepas itu, aku terus membimbing PGB. Sekiranya tidak boleh
selesai, balik ke pejabat, aku akan merujuk pegawai yang berkaitan.
Selepas itu aku melakukan Follow Up Follow Through. Aku bukan
SIPartner+ yang suka minta data, minta program, minta itu, minta ini,
sembang kosong, lepas itu balik. Aku nekad, aku mahu menjadi
SIPartner+ yang boleh dipercayai bukan sahaja oleh PGB tetapi juga
SLT, MLT, guru dan murid sekali. Aku juga mahu menjadi rakan baik
mereka di samping menjadi pendengar yang baik. Baharulah
keseronokan bekerja itu dapat dirasai.
48
Pembaca mesti tertanya-tanya. 11 bulan 9 hari tu apa? Apa
sebab aku pilih tajuk ini? Banyaknya persoalan, banyaknya tanda
tanya. 14 Januari 2019 aku dilantik menjadi SIPartner+ dan 22
Disember 2019 berakhir tugasku sebagai SIPartner+. Pelikkan?
Singkatnya aku memegang jawatan ini. Namun, ketentuan Allah tiada
siapa yang tahu. 23 Disember 2019 aku dilantik menjadi Pegawai
Pendidikan Daerah Bagan Datuk. Aku baharu mula jatuh cinta dengan
jawatan SIPartner+. Sayang untuk aku lepaskan. Aku sudah
merangka kerja SIPartner+ untuk tahun 2020 memandangkan rakanku
sudah bersara pada 5 Disember 2019, tetapi Allah tidak berkehendak
begitu ketika melakar perjalanan takdir hidupku. Aku ikhlas menerima
ketentuan dan rezeki-Mu, ya Allah. Pastinya ada rahmat dan rahsia di
sebalik semua takdir ini. Allahuakbar.
Pelantikan aku sebagai Pegawai Pendidikan Daerah
menamatkan kerjayaku sebagai pegawai SIPartner+. 11 bulan 9 hari,
satu tempoh yang singkat. Dalam tempoh sesingkat ini, aku boleh
buat apa? Keberhasilan apakah yang kuperoleh?
Syukur alhamdulillah, dalam jangka masa 11 bulan 9 hari itu,
banyak kejayaan yang aku capai dan pelbagai sumbangan yang dapat
aku beri. Aku sempat menulis buku bersama rakan-rakan SIPartner+
Perak berjudul PDCA: Menangani Isu-Isu Di Sekolah. Buku ini
diharapkan dapat membantu PGB mengurus isu-isu di sekolah
dengan baik. PGB di 68 buah sekolah mempercayaiku sebagai rakan
baik mereka dan sedia berkongsi apa-apa sahaja. Kerjasama erat
kami jalinkan untuk menjayakan program-program kecemerlangan
sekolah dan daerah. PGB berpuas hati dengan caraku membimbing
kerana setiap isu dapatku selesaikan dalam masa yang singkat. Tiada
kerenah birokrasi. Dalam bertindak aku berpegang kepada prinsip,
‘Jika kita memudahkan urusan orang lain, Insya-Allah, Allah akan
memudahkan urusan kita’. PGB mempercayaiku dan menerima
bimbinganku kerana mereka melihat kejayaanku sebagai Pengetua di
SMK Khir Johari. Kepimpinanku dijadikan model dan teladan untuk
PGB contohi serta ikuti. Terima kasih Allah kerana memudahkan
urusanku. Syukur dengan nikmatMu.
49
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi
sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah
nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur
ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih."
(Surah Ibrahim, ayat 7)
Paling manis juga dalam tempoh 11 bulan 9 hari, sekolah
angkatku iaitu SMK Khir Johari terus melakar kejayaan dalam bidang
akademik dan kokurikulum. Keputusan peperiksaan SPM dan STPM
terus menunjukkan peningkatan di bawah kepimpinan Pengetua Haji
Jainuri bin Aspar yang kupilih sendiri menggantikan tempatku. Beliau
berjaya merealisasikan segala perancanganku di sekolah ini. Dalam
tempoh ini juga, dengan izin Allah, aku berjaya melahirkan dua orang
Pengetua Cemerlang DG54 iaitu Haji Jainuri bin Aspar sendiri dan Haji
Jalani bin Kasmuri Pengetua SMK Tun Abdul Razak Selekoh. Lebih
membanggakan lagi, aku berjaya membantu PPD Bagan Datuk
berada di kedudukan Nombor 1 di Perak dalam peperiksaan SPM dan
STPM tahun 2019.
Aku juga bersyukur kerana berjaya menjadi Rakan ELITkepada
sekolah TS25 Kohort 4 iaitu SK Khir Johari dan SK Sungai Samak. SK
Khir Johari diterajui oleh Guru Besar Senior yang akan bersara pada
tahun 2021 manakala SK Sungai Samak diketuai oleh Guru Besar
wanita lulusan NPQEL. Lucunya aku tidak sempatpun menghabiskan
pembelajaran Modul TS25 hingga ke penghujungnya secara
bersemuka. Namun, aku belajar secara e-learning. Aku mesti tahu
semua Modul TS25 jika ingin menjadi Rakan ELITkepada PGB dan
memastikan pelaksanaan TS25 berjalan mengikut landasan yang
betul. Alhamdulillah, dalam tempoh setahun, kedua-dua sekolah
berjaya menghasilkan kejayaan dan berkongsi Amalan Terbaik
mereka. SK Sungai Samak dengan ‘1 Bunga 1 Cinta’ manakala SK
Khir Johari pula dengan ‘1 Guru 1 Inovasi’. Lebih membanggakan,
kedua-dua sekolah dapat menyertai Pembentangan Amalan Terbaik
TS25 Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan
Daerah Sabak Bernam, Selangor.
Aku juga sempat menghasilkan rekaan goodies bag warna
magenta untuk kegunaan pejabat. Kegembiraan berganda apabila
50
penilaian audit PKPPD 2019 Fail PDCA SIPartner+, aku berjaya
mendapat skor 5 dan menjadi contoh pengurusan dokumen audit
pegawai lain. Aku juga diberi kepercayaan oleh Ketua Jabatan untuk
memastikan pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk memiliki aura,
berinfo dan memiliki suasana persekitaran dengan tanaman pokok-
pokok bunga yang menghijau serta mendamaikan.
Kata orang, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”. Aku
berusaha dengan satu keazaman untuk mencapai matlamat dengan
perancangan teliti, cepat, pantas, efisien dan berkesan.
Alhamdulillah, 11 bulan 9 hari menjadi SIPartner+ di PPD Bagan Datuk
benar-benar memberikan aku satu kepuasan dengan pelbagai
keberhasilan. Apa yang paling penting hubungan dan kepercayaan
yang diberikan oleh PGB kepadaku tidak ternilai oleh wang ringgit. Hal
ini kerana pembinaan kepercayaan merupakan benih untuk kita
menyemai pengaruh. Satu hal yang penting apabila kita bekerja
jangan direnung letihnya berusaha, tetapi renunglah manisnya
kejayaan. Hingga saat ini, kemanisan itu masih terasa.
Manisnya secebis lingkaran kisahku yang mana aku diberi
kesempatan oleh Allah SWT menjadi pegawai SIPartner+ di Pejabat
Pendidikan Daerah Bagan Datuk hanya untuk 11 bulan 9 hari. Terima
kasih dan sekalung penghargaan aku titipkan buat Puan Zakidah binti
Haji Abdullah, Penolong Pengarah Unit Sekolah Jenis Khas, orang
kuat TS25. Tidak akan kulupakan juga rakan-rakan SIPartner+ Perak
yang pernah mewarnai dunia kerjayaku. Doaku kalian juga akan dapat
membina kejayaan dan sentiasa dirahmati Allah swt. Memang benar
kejayaan itu untuk orang tertentu iaitu orang yang berkeyakinan,
berusaha, berdoa, bersabar dan bertawakal. Semoga aku dapat
meneruskan legasi kejayaan ini ketika menjawat jawatan sebagai
Pegawai Pendidikan Daerah Bagan Datuk. Insya-Allah.
Kita hanya mampu merancang, tetapi perancangan yang hakiki
adalah di sisi Allah SWT.
51
HARAPANMU, HARAPAN SEMUA
LATIFAH BINTI A JAMIL
RAKAN ELIT (PERAK) IPG KAMPUS IPOH
PROLOG PERJALANAN RE TS25
Betulkah keputusan yang saya ambil ini? Persoalan ini
terungkap apabila memori tiga tahun yang lalu terimbau kembali.
Memori memilukan itu amat meruntun hati sehingga kini. Memori itu
ialah langkah pertama bermulanya Puan Roslifah sebagai RE TS25.
“Nama Puan Roslifah tersenarai untuk mengikuti kursus RE TS25 di
IAB Genting Highland dua minggu lagi,” maklum Ketua Jabatan
Roslifah. “Ke Genting Highland? Bila? Dengan siapa?” soal Roslifah
kepada Ketua Jabatan. “Surat ada di atas meja saya. Nanti ambil
salinan surat itu dan berpakatlah dengan rakan yang lain cara untuk
pergi ke sana. Kena berkongsi kereta ke sana,” balas Ketua Jabatan.
Manakala di rumah Puan Roslifah, suaminya tidak berapa
sihat sejak seminggu yang lalu. Sangat berat hati Puan Roslifah untuk
menyertai kursus itu. Lebih-lebih lagi dengan keadaan ibu yang tidak
sihat. Hampir dua bulan Puan Roslifah berulang-alik bergilir-gilir
menjaga ibu di rumah kakak. Dalam masa yang sama membawa
suami untuk mendapatkan rawatan mingguan. Adakala kerana
keletihan, langkah Puan Roslifah terlalu lemah dan menyebabkan
langkahnya tersadung lalu jatuh tersungkur.
Apabila sampai di rumah, Puan Roslifah menyuarakan
hasratnya kepada suami. “Abah, mama kena ikuti kursus di Genting
Highland. Rasanya nak tolaklah. Mak pun tak sihat. Lagipun siapa
hendak teman abah semasa ketiadaan mama?” ujar Puan Roslifah.
“Zizi pun baru mula bekerja. Takkan nak ambil cuti untuk teman abah?
Luluskah kalau Zizi ambil cuti?” sambung Puan Roslifah.
“Jika dah terpilih ikuti kursus itu, pergilah. Itu maksudnya orang
menaruh kepercayaan dan harapan terhadap mama. Pergilah.”
Jawab suami Puan Roslifah. Puan Roslifah menghela nafas panjang.
Redha atas ketentuan-Nya.
52
Perjalanan ke Genting Highland tidak lancar, terdapat
kemalangan di lebuh raya menyebabkan mereka lewat tiba di sana.
Namun semasa dalam perjalanan ke sana, Zizi menghubungi Puan
Roslifah. “Mama, Zizi on the way balik rumah. Zizi dapat cuti. Tadi
lepas meeting terus Zizi minta cuti. Ni nak sampai rumah, nak bagi
surprise kepada abah,” kata Zizi dengan riang kepada Puan Roslifah
melalui telefon.
“Nanti apabila sampai di rumah, tengok baju yang mama dah
susun untuk abah pakai. Tolong tengokkan baju tu, semuanya mama
dah asingkan dan letak atas katil. Bila sampai di rumah, call mama
semula. Mama nak cakap dengan abah, mama dah sampai Genting.
Dari tadi mama call abah tapi abah tak angkat. Sekarang ni mama call
tapi telefon abah off pula. Mungkin bateri dah habis.” Sambung Puan
Roslifah.
Lima minit selepas itu, Zizi menelefon ibunya, “Mama, abah
dah tak ada”. “Zizi, jangan main-main dengan mama, bagilah mama
cakap dengan abah,” pinta Puan Roslifah. ‘Ya mama, abah dah tak
ada.’ Tangis Zizi. Gelap terasa alam maya ini!
BERMULANYA LANGKAH RE TS25
“Jangan lupa hadir minggu ini kita ada perkongsian upskilling
untuk RE TS25. Bawa bersama modul dan kita buat kumpulan
perbincangan, perkongsian idea dan pengalaman sebagai
persediaan untuk memberi bimbingan ke sekolah nanti. Saya
harapkan kita mampu memberi bimbingan yang sebaik mungkin
kepada sekolah,” pinta penyelaras TS25.
“Minggu ni kami sibuk penyediaan soalan kerja kursus. Lepas
itu ada verifikasi pula. Boleh tangguhkan ke?” rayu rakan RE TS25
yang lain. “Ya, saya pun ada bimbingan praktikum ke sekolah. Tak
sempat nak siapkan soalan kerja kursus. Tambahan pula saya perlu
lengkapkan fail untuk kenaikan pangkat TBBK. Kelas ganti dah
hampir enam jam belum dibuat kerana ke sekolah. Kalau pergi kursus
upskilling minggu ni, bertambahlah ‘hutang’ kelas ganti saya kecuali
53
saya ganti kelas pada waktu malam atau hujung minggu ini,” kata
rakan RE TS25 yang lain dengan rasa serba salah.
PERKONGSIAN UPSKILLING MODUL 3
Penyelaras TS25 mengagihkan subtopik Modul 3 mengikut 7
subtopik yang ada. “Sila baca dan fahami intipati yang tersurat dan
tersirat dalam subtopik tersebut. Kita akan ada perkongsian dan
perbincangan daripada subtopik yang telah ditentukan kepada
kumpulan anda,” pinta penyelaras TS25.
“Kumpulan kami mendapat subtopik 3.1 iaitu guru sebagai
perancang,” lapor Puan Susheel. “Daripada tajuk subtopik itu amat
jelas dengan maksud yang hendak disampaikan. Sebagai seorang
guru, perlu membuat perancangan terutamanya dalam proses
pengajaran dan pembelajaran supaya pengajaran yang hendak
dilaksanakan akan lebih tersusun dan terancang dalam mencapai
objektif pengajaran yang dihasratkan dalam Dokumen Standard
Kurikulum,” ulas Puan Susheel.
“Dokumen rasmi perancangan guru ialah Rancangan
Pengajaran Harian (RPH). Penulisan RPH ini tertakluk kepada Akta
Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mewajibkan seorang guru itu perlu
menyimpan dan menyelenggara buku rekod persekolahan sukatan
pelajaran yang diajar. Buku rekod itu hendaklah senang dicapai untuk
pemeriksaan,” sambung Puan Susheel.
“Adakah di dalam Akta 550 itu dinyatakan RPH perlu ditulis
dalam bentuk buku rekod? Bagaimana dengan sistem sekarang yang
memperkenalkan e-rph. Adakah ini melanggar Akta 550? Jika ini yang
diutarakan nanti oleh pihak sekolah,” soal Dr Vasuki.
“Di dalam Akta 550 memang tidak dinyatakan secara khusus
buku rekod itu hanya dicatat dalam bentuk buku sahaja tetapi kita
perlu ambil maklum dengan peredaran semasa dan ayat yang
menyatakan buku rekod itu hendaklah senang dicapai. Oleh itu, e-rph
ialah bentuk rekod yang sesuai digunakan mengikut peredaran masa
54
dan suatu rekod yang senang dicapai pada bila-bila masa dan di
mana-mana sahaja. Namun, tertakluk kepada pihak sekolah untuk
menentukan sistem rekod yang ingin digunakan. Terserah kepada
pihak sekolah sama ada masih menggunakan buku rekod atau ingin
menggunakan sistem e-rph. Asalkan setiap guru mempunyai rekod
RPH. Jika hal ini gagal dilaksanakan, guru tersebut boleh disabitkan
kesalahan dengan didenda tidak lebih dari RM500,” hujah Puan
Susheel.
Sambung Puan Susheel lagi, “Guru juga perlu memastikan
penulisan RPH mengandungi tiga perkara. Perkara pertama ialah
menulis objektif yang hendak dicapai, perkara kedua ialah cara atau
bagaimana untuk mencapai objektif tersebut dan perkara yang ketiga
kenyataan sejauh mana objektif itu tercapai. Ketiga-tiga perkara ini
terdapat dalam SPI Bil.3/1999. Banyak juga perkara yang guru perlu
pertimbangkan dalam merancang pengajaran dan pembelajaran.
Guru perlu memahami dan mengimbangi iklim bilik darjah yang
diajarnya seperti kandungan pengajaran, murid yang pelbagai
kecerdasan dan sumber bahan pengajaran.”
Perkongsian upskilling berlarutan tanpa kami sedari telah
lewat masa. Rupa-rupanya ramai rakan telah pun clock out untuk
pulang. Dr. Hafidzah pula terlupa untuk menjemput anaknya. Begitu
asyiknya kami dalam perbincangan walaupun dari awal kami
kelihatan agak keberatan untuk mengikuti perkongsian upskilling ini.
Atas sebab tugas dan tanggungjawab, timbul minat dan
keseronokkan semasa perkongsian upskilling sehingga melekakan
kami bahawa masa telah berlalu. Semoga dengan perkongsian itu
dapatlah kami menunaikan tugas bimbingan ke sekolah sebaik
mungkin.
LANGKAH PERTAMA LAWATAN BIMBINGAN KE SEKOLAH
Persiapan untuk lawatan bimbingan ke sekolah telah dibuat.
Fail dan modul telahpun tersedia di dalam beg. Namun emosi Puan
Roslifah seolah-olah belum bersedia seperti persediaan bahan yang
55
lengkap sempurna di dalam beg. Rasa resah dan risau bercampur
baur. Pelbagai persoalan bermain di fikiran.
‘Bagaimanakah penerimaan mereka?’ ‘Apakah mampu saya tunaikan
amanah ini?’. ‘Adakah saya mahupun mereka telah bersedia?’. ‘Ya
Allah, berikanlah aku kekuatan dan kelancaran untuk memulakan
tugas ni. Semoga segalanya dipermudahkan,’ pinta Puan Roslifah
kepada Tuhan sebelum memulakan perjalanan ke sekolah untuk
memberi bimbingan. Cuaca pagi itu sangat nyaman. Lalu lintas juga
berjalan lancar. Kerisauan Puan Roslifah menipis sedikit demi sedikit.
Keyakinan dan semangat yang tinggi mulai menguasai kerisauan.
Akhirnya, Puan Roslifah sampai di pekarangan sekolah yang
dituju. Setelah melapor diri di pondok pengawal, Puan Roslifah pun
melangkah menuju ke pejabat. Dalam perjalanan, kedengaran satu
pengumuman dibuat melalui pembesar suara, “Perhatian kepada
guru dan pelajar, hari ini sekolah menerima pelawat dari luar untuk
pemantauan. Para guru dan pelajar diminta bersedia dan memberi
kerjasama.”
‘Ya Allah, ada pun tujuan lawatan saya ini bukanlah untuk
memantau atau mencari salah. Saya berkongsi ilmu dan membantu
dari aspek yang pihak sekolah perlukan,’ bisik hati Puan Roslifah. Sesi
perkenalan dengan pentadbir dan penolong kanan sekolah
menimbulkan kemesraan. Dalam perbualan awal, Puan Roslifah ingin
lebih tahu mengenai latar belakang sekolah kerana ini ialah lawatan
yang pertama.
Puan Roslifah menjelaskan tujuan lawatan bukanlah untuk
memantau. “Saya ingin mengetahui, mengenali dan memahami
situasi sekolah ini agar saya dapat mendalami isu yang dihadapi.
Maklumlah saya tidak sering berada di sini. Untuk itu, saya perlukan
lebih penjelasan untuk mengenali sekolah ini agar cadangan tindakan
yang kita bincangkan bersama adalah seiring.”
Fail-fail TS25 yang tersedia dirujuk dan diberi penjelasan oleh
Pengetua. Jelas sekali Pengetua ini seorang yang sangat menyokong
program TS25. Taklimat TS25 telah pun diberikan kepada guru-guru.
56
Sekarang, sekolah ini dalam proses membudayakan Program TS25
dalam kalangan warga sekolah. Guru-guru telah mula menulis kriteria
kejayaan (KK) murid pada papan putih sebelum sesi pengajaran. Di
dalam RPH juga, guru-guru mula menulis objektif pembelajaran (OP)
dan kriteria kejayaan (KK). Walaupun terdapat sedikit kesilapan,
namun itu adalah kebiasaan bagi sesiapa yang baru belajar. Daripada
kesilapan inilah mereka pelajari dengan bimbingan daripada MLT.
Hasil daripada perbualan dan pemerhatiannya, dia dapati
pengetua sekolah ini seorang yang cekal, tabah dan prihatin.
Walaupun terdapat isu yang perlu ditangani namun segala isu itu
dihadapi dengan tenang dan yakin. Warga sekolah ini juga turut
memberi sokongan kepada pengetua. Keadaan ini memudahkan dan
mempercepatkan lagi transformasi sekolah ini.
Walaupun terdapat kekurangan, sekolah ini mempunyai
kekuatan yang menjadi aset untuk terus maju. Dengan usaha yang
berterusan, kerjasama yang padu dan sabar akan membuahkan hasil
akhirnya. Walaupun pada peringkat awal transformasi ini terasa pahit,
yakinlah kepahitan itu akan hilang. Manisnya akan terasa nanti.
“Sama-samalah kita terima dan laksanakan tugas yang
diamanahkan. Kutunaikan tugasku demi harapanmu. Harapan
daripada semua pihak,” bisik hati Puan Roslifah.
57
DIALOG SEORANG PM TS25
KAMARULAZUA BIN ABU KASSIM @ AUZALURAMAK
PEGAWAI MEJA TS25 DAERAH KUALA KANGSAR
Pening! Penyakit yang popular dalam kalangan pemikir.
Memang pening. Terasa otak ditunjal-tunjal dan bagaikan ada
sesuatu yang mencucuk-cucuk bahagian kepala. Manakan tidaknya?
Semuanya datang serentak. Tidak mahu ikut barisan. Tidak mahu
hukum yang dulu didahulukan, yang kemudian sedarlah diri. Semua
kata penting. Tidak ada yang tidak penting. Berkehendakkan itulah,
berkehendakkan inilah. Kalau lambat sedikit, nanti disenakkan fikiran
kita dengan ayat ‘nanti bos marah’. Eh, eh, eh… kira dia sahaja boleh
marah. Orang lain tiada nafsu marahkah? Tidak profesional jika
perangai marah-marah begini.
Eh, nanti! Nanti! Apakah yang pening-pening ni? Kalau pening,
telan Panadol. Uphamol pun boleh. Bawa bertenang. Perkara boleh
dibawa berbincang. Apakah hal yang sebenarnya? Polemik awal
tahun lalu terbenam dalam fikiran aku. Teringat bicara polemik itu.
“Sekolah dan murid kita umpama ‘tikus putih’ yang menjadi mangsa
uji kaji pihak tertentu dalam sesuatu projek atau inovasi. Belumpun
sempat sesuatu program itu menghasilkan impak, program tersebut
akan ditambah baik, dijenamakan semula, ditukar dan yang paling
malang dibatalkan setelah mengeluarkan perbelanjaan yang besar.”
“Oh, isu tikus putih!” Ulas aku ringkas. “Bukan, bukan tikus!
Masalahnya sekarang, kenapa dipilih sekolah saya masuk sekolah di
bawah Program TS25? Ada banyak sekolah lain lagi. Kenapa sekolah
saya?” balasnya. Dalam diam, aku cuba menyusun jawapan yang
paling relevan untuk pentadbir ini.
Kau siapa, tidak mahu sekolah engkau dipilih? Menantu
Menteri Pendidikan ke? Terlintas juga jawapan kurang ajar dalam
kepala aku. Kalau aku balas seperti itu, nanti dibalas balik ayat yang
sama. Kau siapa? Kerja di PPD macam kerja di pejabat menteri ke?
Jadi, dua kali limalah aku dengan dia. Bagi aku, pentadbir ini seorang
yang rajin dan mesra dengan persekitaran. Kawan sama sekolah
58
semasa sekolah menengah dulu. Perhubungan kami memang akrab.
Disebabkan talian silaturahim itulah aku selalu berbual dan
berbincang soal-soal pendidikan dengannya dengan terbuka. Paling
tidak, aku mendapat sedikit input daripada kaca mata seorang
pentadbir. Buruk atau baiknya kena dengar. Kalau kita tidak ada
hubungan yang baik dengan pentadbir, kita akan dengar yang baik-
baik sahaja daripada mereka. Yang tidak menyenangkan, sorok
sahaja bawah permaidani. Nampak cantik tetapi berhabuk.
Aku menduga dia, “Engkau belum buat apa-apa lagi,
bagaimana pula boleh engkau boleh pening tak tentu hala?” “Tak
perlu buat. Dengar kawan-kawan lain sembang pun sudah
memeningkan. Tugas pentadbir sekolah ini bukan sekadar menjaga
guru dan murid. Banyak pekeliling dan surat siaran yang diterima
daripada pelbagai peringkat dalam Kementerian Pendidikan penuh
dengan arahan, permintaan dan program lain yang perlu dipatuhi dan
dilaksanakan. Untuk memenuhi kehendak semua, kita tidak dapat
memfokuskan kepada sesuatu program secara mendalam. Semua
program diberi perhatian tetapi secara surface sahaja. Banyak kursus
kena ikuti, ada tugasan pula. Tugasan perlu lengkap dalam tempoh
tertentu. Kalau tidak lengkap, orang atas akan telefon. Itu belum cerita
faham ke tak faham,” tambahnya.
Wow, panjang lebar ulasan dia. Belum laksana sudah pandai
beri ulasan panjang. “Dengan kawan mana bersembang? Jangan
bersembang dengan kawan yang belum terlibat dalam TS25.” Aku
menduga lagi.
“Kita memang dibayar gaji untuk menjadi pentadbir yang perlu
melaksanakan dasar-dasar kementerian,” sambungku. “Ya, dibayar
gaji! Betul! Tapi agak-agaklah. Lagi dua atau tiga tahun lagi aku
hendak keluar baris. Pencen! Usia pun sudah meningkat. Tidak
mampu hendak fikir semua dalam satu masa. Mike kena tolong
teman,” bantahnya.
Itulah ayat terakhir perbualan kami. Sebenarnya panjang lagi
tetapi jika aku tidak ringkaskan, semua orang akan pening. Pening!
Bicara hari ini berbeza sekali. Dia agak berhaluan kiri pemikirannya.
Tidak setuju sekolahnya dipilih menyertai TS25. Kebetulan pula, aku
59
Pegawai Meja TS25 yang baru dilantik. Memang tepatlah persoalan
ini diajukan kepadaku. Tetapi, bagaimana aku hendak menjawab
soalan ini dengan gaya yang lebih ‘memahamkan’. Mesti semua
hendak tahu maksud aku. Biar aku terangkan sedikit. Biasanya, kalau
kita memahami sesuatu, kita akan terima baik maklumat tersebut.
Paling tidak dengar dahulu. Balik rumah kita akan hadamkan.
‘Memahami’ itu sesuai untuk diri sendiri. Bagaimanakah pula hendak
‘memahamkan’ orang lain? Itulah cabarannya. Memahami tidak
bererti memahamkan. Kesimpulannya, kita mudah memahami
sesuatu tetapi kita sukar untuk memahamkan orang lain.
Sekarang aku pula yang pening dengan perbualan itu. Aku
pula kena fikir. Kena cari jalan untuk menyelesaikannya. Kenapa aku?
Aku pun hendak pencen. Buat apa susah-susah? Sekarang, kerja
engkau dikawal orang lain. Kau tahu, kerbau dicucuk hidung? Disuruh
buat itu ini. Dibentak itu tidak kena, ini tidak kena. Tiba-tiba sahaja aku
dikuasai penggoda jahat itu. Betul! Betul! Buat apa susah-susah?
Duduk sahaja tenang- tenang. Urus perkara yang sepatutnya. Buat
apa hendak fikir masalah orang lain, masalah negara? Biarlah bos-
bos besar itu fikir sendiri. Macam tuan-tuan besar. Gaji mereka lagi
besar. Pang! Bagai ada sesuatu menghantar tamparan untuk aku.
Ah, setan! Setan sungguh! Berani si setan ini masuk dalam fikiran aku.
Hei, setan. Aku tidak bekerja kerana gaji. Tipu! Tipu! Mana orang kerja
tidak mahukan gaji. Gaji! Gaji! Hujung bulan gaji! Dapat gaji boleh
‘bergumbira!’. ‘Hampeh, punya setan!’
“Kau dengar sini! Prinsip aku, aku tidak kerja kerana tuan-tuan
besar. Tuan-tuan besar akan mengadap malaikat maut macam aku
juga. Aku bukan kerja kerana dia kuistilahkan ‘Tuan’. Kenapa?
Hendak tahu kenapa? Kerana perkataan ‘Tuan’ kurang satu huruf
ditengah-tengahnya. Kurang huruf ‘h’.
“Habis itu, kau kerja untuk siapa?” “Aku? Aku kerja kerana ‘Tuhan’.
Kalau ‘Tuan’ tidak ‘power’ sebab tidak lengkap. Tuhan bagi aku
amanah yang perlu aku sempurnakan. Macam mana? Terbakar tak?
‘Cilakak’ punya setan.’
Aku mesti kekal dengan prinsip aku. Tetapi, dari mana aku
hendak mula untuk menyelesaikan masalah ini? Ada dua perkara
60
penting yang aku dapat simpulkan daripada perbualan aku dengan
rakan pentadbir itu. Pertama, belumpun melaksanakan TS25,
perasaan seram sejuk sudah muncul. Bagai ada lembaga putih di
tingkap rumah. Sebenarnya itu hanya satu persepsi berdasarkan
dengar kata orang. Bukan dialami sendiri. Keduanya, ayat terakhir
perbualan kami yang masih aku ingat, ‘Mike’ kena tolong teman. Ada
dua konotasi daripada ayat ini. Pertamanya, ayat ini membawa
maksud peluang bagi aku untuk membantunya. Dia sudah membuka
pintu mindanya untuk menerima pertolongan aku. Yang kedua pula
merupakan ayat pembunuh. Aku ini seorang lemah dengan perkataan
‘tolong’. Dengar sahaja perkataan tolong, batu seberat satu tan rasa
macam boleh diangkat. Kalau aku diarah-arahkan macam budak
sekolah hendak memakai kasut, belum pasti aku akan lakukan. Itu
tabiat keras kepala aku. Keputusannya, aku mesti tolong kerana ini
amanah yang diberikan kepada aku dan keduanya kerana ada
sahabat yang meminta pertolongan.
Langkah pertama mesti bermula dalam diri aku sendiri. Aku
perlu menerima amanah ini dengan penuh keredhaan. Bila aku redha,
perlahan-lahan aku rasa tenang dan boleh menerima tugasan ini.
Peningpun hilang. Bak lagu kumpulan Sweet Charity, ‘Hilang Gelap
Timbul Terang”. Kalau dengar lagu itu, boleh ditebaklah umur aku.
Seminggu kemudian, aku pergi ke sekolahnya dan
memberitahu perkara yang sama. Aku bagitahu dia, kita kerja bukan
untuk gaji sahaja. Lagi beberapa tahun hendak pencen, apa yang kita
cari? Kita perlu mencari kepuasan sebelum meletakkan noktah
kepada perkhidmatan ini. Bukanlah satu kerja yang mudah untuk
mendapat kepuasan melainkan dengan satu perjuangan. Perjuangan
inilah yang menjadi fokus kita. Perjuangan memangnya sukar. Penuh
ranjau yang menjadi musuh. Perjuangan yang sukar menghasilkan
kejayaan yang manis. Fahamkah? Dia faham. Lebih faham daripada
perkara yang aku bebelkan. Jawapan daripada mulutnya mudah
sangat. ‘Mike’ bolehlah… Wataniah. Aduh ke situ pula lencongnya.
Perjuangan mencari kepuasan dan perjuangan melunaskan amanah.
Bos-bos tidak boleh masuk campur.
61
Dia tanya aku. Pada pandanganku, apa lebihnya Program
TS25 ini? Adoi! Aku pun baru setahun jagung. Belum khatam semua
modul. Aku bukan SIP+ atau SISC+ tetapi aku menelaah juga modul-
modul TS25 tersebut. Bukan apa, kalau ditanya nanti tidaklah aku
terkejut beruk. Soalan ini merupakan buah pukulan yang baik buat
aku.
“OK! Kau kata aku, ‘wataniah’ ya? Aku analogikan jawapan
aku secara wataniah. Lebih intelek lagi, kita rujuk buku Seni
Peperangan Sun Zhu yang digemari olah Jeneral Douglas Mac Athur
dan Mao Zedong (Mao Tse Tung).”
“Perang adalah tempat di mana hidup dan mati bertemu; ia
adalah jalan menuju kehancuran atau keselamatan.” Itu kata Sun Zhu.
“’Mike’ faham ke?” Dia kata, dia macam faham pernyataan
tersebut terutama frasa ‘hidup dan mati bertemu’. Aku tengok dia
mengangguk-angguk. Faham atau tidak, aku tidak tahu. Dia kata
faham tetapi minta aku ulaskan analogi tersebut.
Aku kata macam ini, “hidup atau mati bertemu boleh dilihat di
sekolah. Adakah fizikal, mental, persekitaran sekolah boleh mati?
Bagaimana tentang kemenjadian murid? Pencapaian akademik?
Sukan? Sekolah boleh dianggap entiti yang hidup jika ada
peningkatan dalam kemenjadian murid sebaliknya dianggap mati jika
semuanya tidak dicapai. Lebih jelas lagi sekolah yang mati ialah
sekolah yang menuju kehancuran. Fizikal hancur, murid hancur, cikgu
hancur dan akhir sekali negara hancur. Jadi, ‘mike’ hendak sekolah
miker hidup ke mati? Hancur ke selamat? Kalau sekolah mati, orang
pertama yang dilihat ialah pentadbir. Orang akan bertanya,
pentadbirnya bila nak mati?”
Dihirupnya kopi “O” mak cik kantin. Pahit! Tetapi dihirup juga.
Pahit macam kata-kata aku agaknya. Hendak perang macam mana?
Hah, ditanyanya aku! Aku kena sambung panjang lagi.
“Prinsip seterusnya ‘Jeneral harus memiliki kebijaksanaan,
kejujuran, kebajikan, keberanian, dan disiplin’. Jeneral tu ‘mike’lah.
Beberapa ciri jeneral ini, ‘mike’ dah ada cuma perlu perkemaskan lagi.
62
Sebagai contohnya, kita perlu ada panglima-panglima yang akan
membantu kita. Panglima penting. Kalau panglima penakut kalahlah
kita. Kita perlu perkasakan panglima maksudnya kita perlu
perkasakan penolong kanan kita. Ini terdapat Modul 1 dan 2 Program
TS25. Panglima perkasa sahaja tidak cukup. Perajurit juga mesti
hebat. Boleh menggunakan apa-apa saja senjata sama ada manual
mahu pun automatik. Hal ini bermaksud, guru-gurunya mesti
mempunyai pelbagai ilmu, strategi mengajar, cara penyampaian yang
berkesan. Guru-guru perlu diberikan kursus untuk menambahkan ilmu
dan kemahiran pedagogi. Hal ini pun terdapat dalam modul-modul
seterusnya. ‘Mike’ bayangkan kalau ada jeneral hebat, panglima
mantap dan perajurit serba boleh. Apa yang akan terjadi kepada
sekolah? Hidup atau mati? Tepuk dada tanya selera. Aku beritahu dia
memang susahlah pada mulanya hendak ikut Modul TS25 dengan
tugasannya. Tetapi itulah rahsianya untuk mendapat kejayaan.
Emas, kena cuci lumpur dulu.
Dia faham perkara yang aku katakan dan boleh berhujah lebih
baik daripada aku. Tetapi, satu masalah dia. Dia malas hendak
peruntukan masa untuk berfikir tentang perkara itu. Tidak mengapa.
Aku faham. Malas berfikir itu penyakit baru yang akan menyertai
penyakit tiga serangkai sedunia. Aku meninggalkan pintu pagar dan
rakanku itu dalam persoalan.
Itu pertemuan pertama. Dalam pertemuan kedua aku
mengirimkan nota-nota modul Program TS25. Kubekalkan juga
lembaran-lembaran tugasan modul berserta contoh. Contoh tugasan
setiap modul ini banyak membantu pemahaman terutama bagi yang
sudah tumpul idea. Mudah faham, mudah langsaikan tugasan. Aku
uruskan kursus-kursus berkaitan dengan modul walau ditemani
pandemik Covid-19. Terima kasih kepada rakan-Rakan ELIT SIP+
dan SISC+ yang turun padang untuk membantu sekolah tersebut.
Kuuruskan juga dashboard kewangan yang selalu dilupakan oleh
kalangan pentadbir. Perkara ini pun satu hal juga. Peruntukan turun
dua kali setahun dalam tempoh masa lebih kurang enam bulan
menyebabkan ramai pentadbir lupa cara menguruskan kewangan
sekolah. Akhirnya PM daerah kena hambat dek PM negeri. Bila PM
negeri hambat kita, kita hambat sekolah. Itulah menariknya acara
63
hambat-menghambat dashboard yang berlaku. Mujur tidak ada
kemalangan. Kadang-kadang PM Negeri terpaksa campur tangan.
Tidak perlu dinyatakan PM negeri tersebut, takut tidak tertanggung
dengan pujian. Aku nampak rakan pentadbir aku ini lebih
bersemangat. Pencen bukan menjadi alasan untuk tidak meneruskan
perjuangan. Dia faham benar Seni Peperangan Sun Tzu. Keadaan
sudah menjadi sebaliknya. Sekarang dia pula menelefonku tidak kira
tengah malam atau subuh ‘sepi’. Naik pening juga aku. Tetapi, ingat.
Ini amanah… amanah… amanah.
Wow! Mengejutkan. Hampir hujung tahun, si pentadbir
tersebut menelefonku. Diajaknya datang ke sekolahnya. Masa ini,
memang mengejutkan aku. Sekolahnya sudah bertukar rupa. Cantik,
indah dan ceria. Itulah yang dapat aku gambarkan. Mural-mural dan
poster-poster yang cantik dan berinformasi tersusun di tempat-tempat
strategi. Bilik-bilik khas tertentu dihias kemas, ceria dan berfungsi.
Kemenjadian muridnya dapat dilihat. Murid memberikan penerangan
untuk setiap perkara yang dipaparkan di sekolah. Di kawasan
persekitaran pohon-pohon hijau menggamit kehadiran murid.
Sesekali aku terasakan bagaikan diri ditinggalkan. Namun, itu
hanyalah satu persepsi. Ternyata persepsinya juga berubah.
Ternyata juga ini hanyalah satu titik mula sebuah perjuangan. Banyak
musuh dan ancaman akan terus menguji seorang jeneral. Siapa
jeneral sebenarnya?
64
SKETSA CIK OP DAN CIK KK
NORHANI BEBE BINTI ALTA MIAH
RAKAN ELIT (PERAK) IPG KAMPUS IPOH
Cik OP dan Cik KK bersahabat baik sejak sekian lama.
Memang sukar hendak pisahkan mereka berdua. Ke mana-mana
sahaja pasti bersama, bagai aur dengan tebing lagaknya. Kadang-
kadang timbul juga cemburu di hati. Cik OP mesti rujuk Cik KK, begitu
juga sebaliknya. Alkisahnya, Cik OP dan Cik KK sangat perlu sebagai
rujukan semasa PdPc dilaksanakan di bilik darjah. Seawal kelas
bermula sehinggalah tamat.
“Cik OP, beritahulah tugas anda dalam proses PdPc. Jangan
bagi saya tertanya-tanya apa gerangannya,” rahsia Cik OP mula
dicungkil. Sambil tersenyum dengan tangan kanannya membetulkan
cermin mata comelnya, Cik OP bersuara dengan nada melankolik dan
meyakinkan.
“Tugas saya Cik OP sangat penting dalam setiap pentadbiran
PdPC. Sesiapa yang gagal untuk mengenali saya sukarlah hendak
mengajar. Ingat, saya merangkumi senarai perkara yang perlu atau
hendak dicapai pada akhir setiap proses pembelajaran yang
dijalankan di bilik darjah.” “Cik OP, Cik OP…, kenapa cikgu-cikgu
selalu tersilap dalam pemilihan Cik OP? Cik KK meminta penjelasan.
Bingung minda Cik KK memikirkannya. Mata Cik KK tepat
memandang wajah mulus Cik OP. Cik OP mengangguk-anggukkan
kepala tanda memahami kekusutan yang tersarat di benak Cik KK.
Cik OP menjelaskan, “Cikgu-cikgu yang hebat di luar sana
menggunakan dua model sebagai panduan untuk memilih dan
menyediakan saya, Model ABCD dan Model SMART. Mudah sahaja
jika berpaksikan formula yang betul dan tepat.” Kesuraman raut wajah
Cik KK mulai berarak.
“Betullah kata awak, Cik OP. Penting bagi cikgu-cikgu di luar
sana untuk menguasai kedua-dua model ini dengan kemas. Selain
itu, kemahiran merungkai standard menjadi keutamaan. Saya selaku
65
Cik KK pula merupakan indikator yang harus dicapai oleh murid
semasa PdPC dilaksanakan bagi mencapai segala hasrat awak, Cik
OP. Kita saling melengkapi dan berhubungan. Ikatan antara kita
sangat utuh. Jangan pisahkan kita. Saya sedih jika awak tidak ada,”
kata-kata Cik KK jitu serta ikhlas meluahkan segala gelora yang
mengganas di dada.
“Harap mereka tidak memisahkan kita berdua. Andai kata satu
antara kita digugurkan maka pincanglah irama dan lagunya. Sudah
hilang kesyahduan proses pembelajaran,” semangat sekali Cik OP
berceloteh.
Keakraban Cik OP dan Cik KK tidak dapat disangkal lagi.
Kedua-duanya berusaha sedaya-upaya mewujudkan iklim bilik darjah
yang mantap dan kukuh. Kemenjadian murid merupakan keutamaan.
Marilah bersama-sama berkenalan dengan Cik OP dan Cik KK…,
jangan malu-malu.
66
TUMIS UDANG PERIA KATAK
ABDUL RAHIM BIN GHAZALI
RAKAN ELIT SISC+ PPD BATANG PADANG
Suasana dalam bilik mesyuarat sepi tetapi riak wajah masing-
masing jelas tidak tenang. Semua sudah ada. Yang tidak kelihatan
cuma kelibat Cikgu Farid. Sudah kebiasaan begitu, menurut kawan-
kawannya. Kerusi Pengetua, Cikgu Shahidan juga belum
berpenghuni. Masing-masing gelisah. “Kali ini mesyuarat tergempar,”
kata Penolong Kanan Pentadbiran sebentar tadi. Mungkin ada
perkara penting hendak dibincangkan. Tidak pernah guru-guru
dipanggil untuk bermesyuarat pada waktu-waktu begini. Jam sudah
menunjukkan pukul 3.30 petang. Biasanya pukul 3.30 petang guru-
guru sudah mula mengosongkan parking kereta masing-masing.
“Assalamualaikum semua,” sapa Cikgu Farid kepada rakan-
rakan. Sambung Cikgu Farid lagi, “Apa ke hal ni, tak tahu ke dah pukul
berapa ni, kalau tak menyusahkan orang tak boleh ke? Rakan-rakan
lain cuma tersenyum, dah faham sangat mereka dengan fiil Cikgu
Farid, cikgu paling senior di SMK Serentang Baru. Cikgu Farid sudah
mengajar di sekolah itu selama 28 tahun, sekolah pertama Cikgu
Farid mula posting. Muda setahun daripada usia SMK Serentang
Baru. SMK Serentang Baru antara sekolah yang besar dengan murid
yang ramai di daerah Padang Batang. Bilangan gurunya sahaja
mencecah 97 orang. Masing-masing kini tertanya-tanya kenapa
mereka dipanggil bermesyuarat pada petang itu.
“Tuan Pengetua dah sampai,” suara Penolong Kanan
Pentadbiran memecahkan keheningan bilik mesyuarat yang kini
dihuni oleh 93 susuk tubuh warga pendidik SMK Serentang Baru. PK
HEM, Cikgu Muhaimin sedang mengikuti kursus NPQEL di IAB Utara,
Cikgu Muin dan Cikgu Nabihah mengikuti kursus CIDS di Hotel
Permai, Ipoh manakala Cikgu Nadira pula bermesyuarat di PPD dari
pagi lagi, mungkin sudah pulang ke rumah.
Nampak jelas keseriusan pada tampang muka Cikgu
Shahidan. Menimbulkan lagi kerisauan pada guru-guru. Sebenarnya
Cikgu Shahidan masih muda, antara pengetua yang termuda di
67
daerah ini. Beliau baru sahaja menamatkan kursus NPQEL dan terus
ditempatkan di SMK Serentang Baru. Asalnya orang Balik Pulau,
Pulau Pinang. Memang pekat loghat utaranya. Dalam usia yang baru
mencecah 49 tahun beliau kini diberi tanggungjawab untuk
menguruskan sebuah sekolah yang besar.
Guru-guru masih ingat inti pati ucapan pertama beliau semasa
mula melaporkan diri. Katanya, “Sebagai seorang pendidik, kita
hendaklah sentiasa hadir ke sekolah sekurang-kurangnya 15 minit
awal dan balik setelah semua kerja ditunaikan, sampaikan pengajaran
secara berkesan dan tidak mudah hilang sabar dengan kerenah
murid-murid, mempunyai hubungan yang akrab dengan rakan
sekerja, murid-murid dan ibu bapa serta kenali rakan sekerja, murid-
murid dan ibu bapa dengan lebih dekat dan sentiasa hadir dalam
setiap acara dan aktiviti sekolah dan sedia menyumbang tenaga
menjayakan segala acara dan aktiviti sekolah dengan rela hati.”
Tambahnya lagi, “Guru perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran
dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta memiliki kemahiran
berkomunikasi berkesan dan komunikasi interpersonal, memiliki
ketrampilan dan penampilan diri dan di mana-manapun berada,
sentiasa hormat dan taat kepada Pengetua dan pentadbir sekolah
serta sedia menjalankan tugas yang diarahkan dengan rela hati dan
mulakan kerja dengan niat yang betul, ikhlas dan sentiasa istiqamah
serta taat kepada agama dan Tuhan.”
Semua pesanan pengetua kekal dalam ingatan para guru,
tidak terkecuali Cikgu Farid. Masing-masing kini bersedia untuk
memulakan mesyuarat walaupun kata orang cuma jasad yang berada
di situ tetapi hati masing-masing entah ke mana. Mungkin di rumah,
di kedai mamak atau mungkin juga tidak sabar-sabar hendak
berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing. Jam sudah
menunjukkan angka 3.40 petang. Bilik berhawa dingin seakan-akan
hilang kesegarannya. Dengusan dan hembusan nafas mengisi ruang-
ruang bilik mesyuarat.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera.” Seperti
kebiasaannya, itulah mukadimah untuk memulakan mesyuarat.
Semua mata tertancap ke arah Cikgu Shahidan. Cikgu Farid mula
68
bermonolog. ‘Dia ni kalau tak menyusahkan orang tak boleh ke?’ ‘Tak
bahagia ke hidup dia kalau tak dapat menyusahkan hidup orang
lain?’.
Cikgu Shahidan memaklumkan tujuan beliau memanggil
semua guru untuk hadir ke mesyuarat pada petang itu. Beliau baru
sahaja mendengar taklimat daripada PPD berkaitan pelaksanaan PdP
Abad Ke-21 atau ringkasnya PAK21. Katanya juga, taklimat perlu
diadakan segera kerana PAK21 perlu dilaksanakan secepat mungkin
dan guru-guru mempunyai masa pada cuti hujung minggu untuk
mendapatkan lebih banyak info tentang PAK21 dan boleh merancang
pengajaran yang hendak dilaksanakan pada minggu depan.
“Ni sapa boleh bagitau kat saya apa itu PAK21?” tanya Cikgu
Shahidan. Tambahnya lagi, “saya tak mau yang panjang-panjang,
habaq kat saya yang mudah saja, yang cikgu tau pasal PAK21 ni.”
Semua kepala ke bawah dan mata memandang meja. Cikgu
Shahidan memandang ke arah cikgu-cikgunya sambil memerhati
kelibat Cikgu Farid. Nampaknya bilik mesyuarat kembali sepi.
‘Kan aku dah kata, apa susahnya, beritahu saja la apa maksud
PAK21 tu,’ getus hati kecil Cikgu Farid.
Setelah tiada reaksi, Cikgu Shahidan meneruskan taklimatnya.
“PAK21 dalam bahasa mudahnya bermaksud proses pengajaran dan
pembelajaran yang berpusatkan murid, berteraskan 4K 1N dan
penggunaan alat bantu mengajar atau teknologi maklumat dan
komunikasi yang berkesan.” Tambah Cikgu Shahidan lagi, “Saya
ulang lagi sekali, mesti berpusatkan murid.”
Jam sudah menghampiri pukul 4.45 petang. Cikgu Shahidan
memahami kegelisahan anak-anak buahnya. “Rasanya dah cukup
perkongsian saya pada petang ni. Bahan-bahan tadi saya akan share
dengan cikgu-cikgu dalam grup telegram kita. Kalau ada yang tak
berapa nak faham tu, refer la balik kat saya. Insya-Allah pihak PPD
akan bantu kita dan pegawai SISC+ akan mai bantu kita. Yang
pentingnya saya mau cikgu bersikap positif dan berlapang dada untuk
melaksanakan PAK21.”
69
Tepat jam lima sesi taklimat berakhir dan semua guru
bergegas meninggalkan bilik mesyuarat. Yang tinggal kini cuma Cikgu
Shahidan dengan Cikgu Farid. Dengan yakin Cikgu Farid memulakan
dialog, masa taklimat tadi satu perkataan pun tidak keluar dari
mulutnya.
“Ginilah cikgu,” kata Cikgu Farid. “Saya rasa PAK21 ni tak
sesuai untuk dilaksanakan lagi di sekolah kita, janganlah buat benda
yang susah cikgu. Saya dengar tadi cikgu kata berpusatkan murid,
sesuai ke dengan murid kita. Dalam kita dok cakap tak berhenti ni pun
depa tak faham-faham apatah lagi nak suruh depa belajar sendiri,
berpusatkan murid kononnya. Contoh yang cikgu tunjuk tadi di
sekolah pekan, budak-budak pandai dan ada semua kemudahan,”
Cikgu Farid meluahkan isi hati.
Cikgu Shahidan cuma tersenyum. Perasaan tidak puas hati
Cikgu Farid makin membuak. Akhirnya keluar juga perkara yang
mahu diluahkan. “Saya tau sekolah lain bukan nak buatpun PAK21,
tapi cikgu nak tunjuk pada PPD cikgu sanggup buat. Cikgu tahu tak,
cikgu dah menyusahkan semua guru. Kalau semua cikgu buat PAK21
kami dapat apa? Yang dapat cikgu seorang ja la. PPD akan puji cikgu.
Cikgu bukan buat apapun, yang susahnya kami.” Tersentap juga
Cikgu Shahidan dengan kata-kata Cikgu Farid tetapi Cikgu Shahidan
tetap tenang dan masih dapat mengawal perasaan.
Untuk menenangkan Cikgu Farid, Cikgu Shahidan cuba
jelaskan, “Cikgu balik baca dulu apa yang saya sampaikan tadi, dan
benda yang kita buat ni bukan untuk kita tapi untuk anak-anak murid
kita. Depa ni anak-anak generasi abad ke-21. Lagi pun sapa kata
sekolah kita saja yang kena buat PAK21. Benda ni benda dasar dan
KPM yang tentukan, lagipun KPM dan bagi panduan pada kita. Kata
Cikgu Shahidan lagi, “PdP Abad Ke-21 ni mesti dilaksanakan sesuai
dengan perubahan semasa, nak lengkapkan murid kita dengan
keperluan masa depan, kalis masa depan macam saya kata tadi.”
Tanpa sebarang kata Cikgu Farid meninggalkan Cikgu Shahidan.
Dah seminggu berlalu. “Puan Linda, jumpa saya sat”, tertera
mesej pada skrin Cikgu Linda, Penolong Kanan Pentadbiran.
70
Panjang juga perbualan antara Cikgu Shahidan dengan Cikgu Linda,
berkisar pelaksanaan PAK21 di sekolah.
Kesimpulannya, Cikgu Linda diminta mengadakan mesyuarat
dengan ketua-ketua panitia untuk mendapatkan maklum balas para
guru. Cikgu Farid ketua panitia Pendidikan Moral. “Memanglah saya
tahu macam mana nak gunakan semua kaedah yang ada bawah
PAK21 tu, tapi kalau kita sebagai cikgu buat, murid tak buat, tak
bersungguh-sungguh dan tak ikut apa yang kita suruh, tak jadi jugak
dan last sekali mengajar macam biasa, ajar kemudian tanya apa-apa
yang murid tak faham lepas tu ajar sampai murid faham”, terang Cikgu
Farid panjang lebar. Tambah Cikgu Farid, “Apa Pengetua ingat kita
tak buat apa-apa ke kalau tak guna PAK21? Susah betul kalau ada
bos yang suka menyusahkan cikgu-cikgu ni.”
Semua yang lain tertunggu-tunggu kalau-kalau ada lagi yang
nak dikongsikan oleh Cikgu Farid. Cikgu Linda selaku pengerusi cuba
mengawal situasi. “Tahniah Cikgu Farid, satu pandangan yang ikhlas
tu, saya ambil perhatian. Bagaimana dengan rakan-rakan ketua
panitia yang lain? Tak apa, cikgu boleh luahkan apa-apa sahaja, kita
bersikap terbuka,” kata Cikgu Linda.
Giliran Cikgu Sabina, Ketua Panitia Sains pula memberi
pendapat, “Kaedah yang cikgu patut guna dalam PAK21 seperti
Gallery Walk, Fan & Pick, Round Robin tu bukan senang nak dibuat
di dalam kelas dan susah nak libatkan semua murid. Murid-murid juga
macam tak berminat dan susah nak ajak mereka ambil bahagian.”
“Baiklah, saya cuba ulas yang ini dulu. Pendapat Cikgu Farid
dan Cikgu Sabina seolah-olah membayangkan kefahaman cikgu
bahawa pedagogi dalam PAK21 mewajibkan guru untuk
menggunakan kaedah-kaedah seperti itu. Jadi, apabila apa-apa yang
kita cuba buat tidak berjaya mendapat sambutan daripada murid-
murid tidak bermakna kita sudah gagal menjalankan PAK21. Cikgu-
cikgu ingat tak apa yang disampaikan oleh RE SISC+ Encik Rahim
masa beliau datang ke sekolah kita dulu iaitu apa yang dimaksudkan
dengan PAK21 adalah apa-apa sahaja kaedah pembelajaran yang
berpusatkan murid. Kalau murid-murid kurang berminat dengan
71
sesuatu kaedah yang diperkenalkan, kita sebenarnya masih bebas
untuk memilih kaedah yang lain. Hal ini kerana konsep utama dalam
PAK21 adalah pelaksanaan PdP secara aktif berpusatkan murid yang
melibatkan elemen 4K1N iaitu, ‘Komunikasi’, ‘Pemikiran Kritis’,
‘Kreativiti’, ‘Kolaboratif’ dan ‘Nilai Murni dan Etika’. Bagi saya
kefahaman yang agak kurang tepat ini menghalang matlamat dan
fungsi sebenar PAK21, iaitu untuk menjadi pendekatan pengajaran
dan pembelajaran yang menyeronokkan di dalam bilik darjah.” Jelas
Cikgu Linda panjang lebar dan meyakinkan. Jelas menunjukkan
mendalamnya pemahaman Cikgu Linda mengenai PAK21. “Jadi bagi
saya, tak pernah timbul isu Tuan Pengetua sengaja hendak
menyusahkan kita, dan saya pun tidak memaksa cikgu melaksanakan
semua yang disenaraikan sebagai pendekatan dalam PdP abad ke-
21 tu. Kita cuba buat apa-apa yang kita faham dulu”, Cikgu Linda
memberi ingatan.
“Cikgu Linda, saya nak berkongsi sedikit pengalaman saya”,
celah Cikgu Salwani, Ketua Panitia Sains Sukan. “Saya ada juga cuba
gunakan kaedah seperti traffic light, gallery walk dan parking lot untuk
menggalakkan pelibatan murid-murid namun murid-murid masih tidak
aktif seperti yang sepatutnya. Teruklah kalau nak kena bimbing
sorang demi sorang murid. Murid-murid cuma seronok apabila saya
gunakan traffic light semasa mengajar tapi bila saya minta mereka
buat kerja dalam kumpulan tak semua murid yang buat, murid yang
sama juga.”
Cikgu Linda cuba memancing pandangan guru-guru lain.
Nampaknya mereka seolah-olah bersetuju dengan pandangan Cikgu
Salwani. “Tahniah Cikgu Salwani, sekurang-kurangnya cikgu dah
memahami beberapa aspek penting dalam PAK21 dan cikgu juga
berani untuk mencubanya.” Cikgu Linda memulakan sesi
penghujahannya. “Dalam melaksanakan pendekatan pembelajaran
berpusatkan murid dalam PAK21, kita perlu faham bahawa kita
sebagai guru bukan sekadar dilihat sebagai penyampai ilmu semata-
mata, tetapi juga perlu berperanan sebagai pembimbing dan fasilitator
yang membantu dan memudahkan aktiviti pembelajaran. Kita
seharusnya perlu mengatasi cabaran yang timbul dengan
mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran yang aktif. Guru juga
72
perlu mengaplikasikan kemahiran psikologi dalam mendekati murid-
murid agar mereka dapat memainkan peranan dengan lebih baik dan
berasa seronok untuk mengambil bahagian dengan aktif dalam PdP.
PAK21 menekankan agar peranan kita sebagai guru perlu berubah ke
arah lebih menggalakkan murid-murid untuk meneroka dan
memahami kemahiran yang diperoleh. Kita akan bertindak sebagai
fasilitator atau moderator yang merancang menyediakan input yang
sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.”
Rata-rata para guru ketua panitia yang hadir sekadar mengangguk-
anggukkan kepala, bersetuju gamaknya. Ramai lagi ketua panitia
yang belum memberi pandangan.
Cikgu Farid lagi sekali mengangkat tangan. Tentu ada perkara
yang hendak dikongsi atau sekadar nak meluahkan rasa tidak puas
hati. Katanya, “Saya cuba juga nak gunakan ICT, tapi seperti yang
saya sebut selalulah, saya minat juga dengan ICT dan saya hadir juga
beberapa bengkel dan masuk dalam group guru ICT di telegram, cuba
pelbagai aplikasi tapi itulah saya tak dapat gunakan sepenuhnya
perkara tu untuk subjek saya sendiri. Saya buntu dan tak tahu di mana
silapnya dan saya rasa benda ni semua membuang masa, elok ja
guna cara lama.”
Cikgu Linda masih menunggu kalau-kalau ada lagi yang akan
keluar dari mulut Cikgu Farid. Nampaknya bernoktah di situ sahaja.
Sambil menjeling kepada Cikgu Naina, Guru Kanan VOTEK, dengan
isyarat mata, Cikgu Linda meminta Cikgu Naina membantunya. Cikgu
Naina yang berasal dari negeri mempelam harum manis ni memang
pakar dalam bidang ICT. Menjadi tempat rujukan rakan-rakan guru
dan anak-anak murid. Menurut Cikgu Naina, “ICT memang bukan
segala-galanya tapi amat membantu, satu untuk mendapatkan
maklumat dan satu lagi supaya PdP kita ada kelainan dan dapat
menarik minat murid-murid. Perkongsian maklumat dan bahan antara
sesama murid melalui ICT akan memudahkan mereka berinteraksi.
Murid-murid akan lebih bersemangat untuk melaksanakan tugasan
yang diberikan secara online. Mereka akan berhubung sesama
mereka untuk menyiapkan tugasan berkumpulan yang diberikan
melalui peranti mudah alih.” Tambah Cikgu Naina lagi, “ICT
memudahkan pengajaran guru di samping kita dapat berinteraksi
73
dengan murid tanpa terikat dengan masa dan tempat. Guru juga
mudah untuk mencari bahan tambahan dan murid pun seronok bila
guru berikan satu informasi yang baharu dan menarik.”
Nampaknya panjang lebar penjelasan Cikgu Naina. Kelihatan
di dalam bilik mesyuarat ketua-ketua panitia berbisik-bisik dan
bercakap-cakap sesama mereka. Tidak pasti bersetuju dengan
penjelasan Cikgu Naina atau ‘membawang’ sesama mereka.
Memang agak susah untuk membuatkan semua orang bergembira
dan berpuas hati. Yang jelas, Cikgu Farid seolah-olah sedang cuba
mempengaruhi beberapa orang rakan ketua panitia yang lain untuk
sama-sama menyebelahinya. Begitu yakin Cikgu Farid berbicara
walaupun patah-patah hujahnya kurang jelas. Mungkin sengaja
memperlahankan suara agar tidak kedengaran di telinga Cikgu Linda
dan Cikgu Naina. Cikgu Linda membiarkan sahaja perbincangan
sesama ketua panitia berlaku. Beliau sudah ada maklumat atau
rumusan yang hendak dikongsi selepas lebih sejam mesyuarat
berlangsung. Banyak maklumat yang diperoleh, ada fakta, ada
persepsi dan ada juga yang tidak ada kena mengena dengan PAK21.
Sebagai pentadbir sememangnya Cikgu Linda seorang pendengar
yang baik. Beliaulah penghubung antara guru dengan pengetua.
Beliau mesti bertindak dan berlaku adil kepada kedua-dua belah
pihak. “Win win situation” kata orang. Nampaknya Cikgu Linda sudah
bersedia untuk membuat kesimpulan.
INTIPATI RUMUSANNYA
“Mengapa perlunya PAK21? Dunia sekarang telah berubah.
Fungsi utama sekolah adalah untuk menyediakan murid-murid untuk
menghadapi masa depan. Memandangkan kita sendiri pun tidak tahu
apa yang akan berlaku pada mesa depan, menjadi tanggungjawab
kita untuk menyediakan murid-murid dengan kemahiran dan ilmu
yang boleh mereka gunakan untuk menghadapi dunia luar pada masa
akan datang. Kita tidak lagi boleh menyediakan murid-murid untuk
masa depan dengan kaedah masa lampau, PdP abad ke-21 perlu
dilaksanakan. Kita cuba fahami falsafah di sebalik 4K1N. Rakan
ELITSISC+ Encik Rahim telah jelaskan kepada kita apa yang tersirat
74
di sebalik 4K1N itu. ‘Creativity, Critical Thinking, Communication and
Collaboration’ merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid
di sepanjang tempoh PdP berlangsung. Sekeping ijazah tidak
menjamin masa depan pekerjaan seseorang. Seseorang perlu kreatif
dalam mengatur pekerjaannya. Mereka perlu ada kemahiran
berkomunikasi serta pandai atau tahu untuk bekerjasama dengan
orang lain di sekeliling mereka”.
Cikgu Farid nampaknya dah mula bersetuju dengan
pandangan Cikgu Linda. Mungkin Cikgu Farid teringat dia juga ada
anak-anak yang masih belajar dan sudah pasti akan menceburi alam
pekerjaan selepas tamat belajar. “Baiklah cikgu, er..., Puan Linda, apa
pula maksud cikgu dengan 1N tu, saya ada dengar masa Encik Rahim
buat ladap hari tu tapi kurang fokus pula?” tanya Cikgu Farid.
“Oh ya, terlupa saya, terima kasih Cikgu Farid.” Cikgu Linda
segera memberi respon. “N tu maksudnya nilai iaitu murid-murid perlu
menyedari dan memahami dan seterusnya mengamalkan aspek nilai
murni yang dipelajari serta hubung kaitnya dengan kehidupan
seharian. Kesemua nilai yang perlu kita ajar dan dikuasai oleh murid-
murid disenaraikan dengan jelas dalam DSKP dan buku-buku teks.”
Cikgu Linda melanjutkan lagi pencerahannya, “Antara kepentingan
kita membudayakan nilai murni dalam kehidupan murid-murid adalah
untuk membina profil murid yang mempunyai ciri-ciri murid abad ke-
21, melahirkan bakal pemimpin yang berwibawa, mendidik ahli
masyarakat yang bertanggungjawab, membina sahsiah terpuji dan
memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat lebih-lebih di negara kita
ini yang mempunyai rakyat pelbagai kaum.”
Akhir sekali Cikgu Linda juga menggariskan beberapa ciri asas
PAK21 yang mudah dilaksanakan. Antaranya adalah kriteria seperti
penyusunan fizikal bilik darjah, penggunaan ABM seperti Traffic Light,
Parking Lot, dan sebagainya. Baginya sekiranya semua guru
menghayati tujuan sebenar PAK21, sudah pasti para guru akan
faham bahawa kriteria fizikal seperti yang di atas diada-adakan
kerana perkara tersebut amat penting dalam PdP, dan bukannya
diwujudkan semata-mata kerana kita mahu membina atau
mewujudkan ‘Kelas abad ke-21.’ Traffic Light dan Parking Lot
75
diwujudkan kerana guru perlu sebuah mekanisma maklum balas
daripada murid secara sistematik dan terkawal. Walau
bagaimanapun, sekiranya para guru boleh menggunakan kaedah lain
yang lebih sesuai, maka itu bukanlah menjadi satu kesalahan. Begitu
juga dengan susunan kerusi meja. Susunan sebegitu semata-mata
untuk memudahkan pergerakan dan kolaborasi murid di dalam kelas.
Susunan biasa lebih mengutamakan kerja individu dan mentafsir
kejayaan individu murid sahaja, dan ini bermakna PAK21 belum
terjelma kerana PAK21 melibatkan kerja koperatif dan mencabar
pemikiran kritikal dan kreativiti murid-murid. Itulah kata-kata semangat
dan dorongan daripada Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Linda.
Berbeza sekali situasi pada petang itu. Tidak seperti selalu,
jika ada mesyuarat post mortem hendak memenuhkan bilik mesyuarat
bukan satu perkara yang mudah. Tepat jam 2.00 petang bilik
mesyuarat SMK Serentang Baru tiada kerusi kosong dan suasana
cukup ceria. Cikgu Farid juga cukup ceria, tidak seperti selalunya.
Pengetua, Cikgu Shahidan masuk ke bilik mesyuarat dengan diiringi
Cikgu Linda, Penolong Kanan Pentadbiran. Turut kelihatan Encik
Khairul, Rakan ELIT SISC+ dari Pejabat Pendidikan Daerah.
“Alhamdulillah, inilah kali pertama sekolah kita memperoleh
keputusan yang cukup cemerlang dalam peperiksaan percubaan
SPM. Semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan, begitu juga
dengan peratus layak sijil dan GPS. Tuan-tuan dan puan-puan dapat
lihat sendiri perubahan yang kita peroleh bermula daripada TOV, AR1
dan AR2. Saya amat yakin inilah hasilnya apabila kita mengubah
kaedah PdP kita selari dengan tuntutan semasa. Murid-murid seronok
mengikuti PdP yang menarik dan hasilnya ialah kemenjadian murid
kita dalam peperiksaan percubaan ini. Saya amat berharap agar
momentum ini dapat kita kekalkan dalam peperiksaan SPM sebenar
nanti.” Antara isi penting ucapan Cikgu Shahidan dalam mesyuarat
post mortem.
Sebelum menangguhkan mesyuarat, Cikgu Shahidan akhirnya
bersuara, “Saya bukanlah seorang yang “schdenfreude” yang suka
sangat melihat kesusahan dan penderitaan cikgu semata-mata untuk
menonjolkan kehebatan saya sebagai pengetua. Saya rasa saya
lebih menderita untuk memastikan tuan-tuan dan puan bekerja dalam
76
suasana yang menyeronokkan dan memastikan bahawa sekolah kita
sentiasa cemerlang dalam semua aspek. Penekanan saya terhadap
PAK21 bukanlah semata-mata akur dengan kehendak KPM tetapi
lebih kepada membina satu budaya menimba ilmu untuk kelestarian
masa depan generasi kita.”
“Sebelum mesyuarat ini ditangguhkan, Encik Khairul yang
hadir bersama-sama dengan kita dalam mesyuarat ini memaklumkan
bahawa sekolah kita telah terpilih sebagai sekolah di bawah Program
TS25 bagi Kohort 7 dan Rakan ELIT yang akan membantu kita ialah
Cik Lim,” kata-kata Cikgu Shahidan sebelum mesyuarat berakhir.
“Aduh, datang lagi bala!” reaksi segera Cikgu Farid tapi sambil
ketawa.
77
MASAM MANIS ASAM JAWA
ROZALI BIN DIN
RAKAN ELIT SISC+ PPD KINTA SELATAN
Pada tanggal 2 April 2017, aku telah dilantik sebagai Rakan
ELITTS25 di sebuah sekolah menengah di PPD Kinta Selatan.
Sekolah tersebut merupakan ambilan kedua atau kohort kedua. Aku
berasa sangat terbeban dengan tugasan ini. Aku mulai risau. Pelbagai
persoalan timbul di kepala. ‘Bagaimana aku hendak membimbing ini?’
‘Bolehkah aku memenuhi hasrat KPM, JPN dan PPD? ‘Ini sekolah
menengah.’ Aku tidak ada pengalaman mengajar di sekolah
menengah. Aku berasa lega, apabila Allahyarham Encik Adnan
SIPartner+ akan bersama-sama aku untuk membimbing sekolah ini.
Aku lupa tarikhnya, tetapi bulan dan tahunnya adalah pada Mei
2017, kami bersama-sama Pengetua dan PKP sekolah tersebut telah
dihantar untuk berkursus di IAB Jitra. Pendedahan awal ialah Modul
1 dan Modul 2. Dalam Modul 1, kami telah didedahkan tentang hala
tuju TS25 dan kemahiran coaching and mentoring. Hala tuju TS25 ini
dua sahaja iaitu sekolah berkualiti dan kemenjadian murid. Apabila
sebut sahaja sekolah berkualiti, akan teringat tiga perkara, guru
berkualiti, pemimpin berkesan dan sokongan ibu bapa dan komuniti
setempat. Masih terngiang-ngiang di telinga, kata-kata pensyarah
yang membimbing kami. Sebenarnya aku tidak faham apa-apapun.
Untuk pemantapan kemahiran coaching and mentoring kami telah
didedahkan dengan model GROW. Sumpah, inilah kali pertama aku
mendengar tentang model GROW. Aku cuba untuk memahami dan
menguasai kemahiran Coaching and Mentoring menggunakan model
GROW. Bosannya, semua rujukan dalam bahasa Inggeris. Aku ini
bukannya pandai sangat bahasa Inggeris, untuk diri sendiri bolehlah.
GROW bukan sahaja boleh digunakan kepada guru malah boleh
diguna pakai kepada murid bagi meningkatkan motivasi.
Pada hari ketiga dan keempat, kami telah didedahkan dengan
Modul 2. Penceramah menyentuh tentang big data dan PInTaS. Apa
pula PInTaS ini? Big data itu macam biasa saja. Aku mula memerah
otak untuk memahami teori pembinaan PInTaS. PInTaS ini
78
mengandungi 13 lajur. Lajur satu hingga enam, perancangan
strategik, manakala lajur enam hingga 13 ialah pelan tindakan, mudah
sahaja! Ha, ha, ha! Aku sudah mula pening. Apa-apapun kita kumpul
data, analisis, terjemahkan data kemudian buat SWOT dan analisis
jurang. Apabila sudah mengetahui kekuatan, kelemahan, peluang dan
ancaman barulah kita merancang intervensi. Kepala mula berpusing.
Aku ini dari dahulu lagi tidak pernah mengikuti apa-apa kursus tentang
pengurusan. SWOT, PInTaS dan apakah lagi lepas ini? Dalam Model
1, perkataan GROW itupun sudah menakutkan aku. Aku betulkan
niat. Aku hendak belajar, aku kena akui bahawa banyak perkara yang
aku tidak tahu. Ilmu kita seperti air yang hanya melekat pada batang
jarum yang dicelup dalam lautan, hanya setitik itu ilmu yang kita ada.
Itulah kata-kata ulama. Aku mula memerah otak untuk memahami
cara pembinaan PInTaS. Selama lima hari berkursus itu, secara jujur
aku tidak dapat hendak menggarap kandungan kursus yang
disampaikan. ‘Tidak mengapa, nanti boleh belajar dengan Haji
Adnan,’ kupujuk hati yang berkecamuk ini.
Pada bulan November 2017, kami telah dipanggil sekali lagi
untuk mengikuti kursus TS25 di IAB Cawangan Utara di Jitra, Kedah.
Kami telah didedahkan dengan Modul 3 dan 4, iaitu Pembelajaran
Bermakna dan Persekitaran Pembelajaran Bermakna. Dalam Modul
3, kami telah didedahkan dengan teori pembelajaran Gagnes dan
Hunter. Melalui gabungan teori Gagnes dan Hunter, lahirnya three-
part lesson. Sewaktu di maktab, kita telah didedahkan dengan set
induksi apabila hendak memulakan pengajaran. Dalam three-part
lesson ini, set induksi telah ditukar sebagai pemula ataupun starter.
Seorang pensyarah dari IPG, aku tidak ingat namanya, telah
menjelaskan tentang three-part lesson dengan bersahaja. Sehingga
kini masih terlekat di ingatan aku. Three-part lesson ini mengandungi
tiga bahagian utama iaitu starter, aktiviti utama dan penutup. Aktiviti
utama pula mengandungi tiga bahagian juga, iaitu dedah, latih dan uji.
Beliau telah menghubungkan aktiviti utama ini dengan pembelajaran
terbeza dan pembelajaran abad ke-21. Beliau juga telah
menghubungkaitkan three-part lesson dengan SKPMg2 Standard 4.
Kami juga telah didedahkan dengan pembelajaran koperatif.
Aku tertanya-tanya, adakah sekolah yang telah melaksanakannya?
79
Akhirnya persoalan aku itu terjawab apabila kami telah diberi peluang
mengadakan lawatan penanda aras. Kumpulan kami agak beruntung,
kerana telah diberi peluang untuk melawat sekolah TS25 Kohort 1,
yang bertujuan melihat pelaksanaan pembelajaran abad ke-21.
Kumpulan kami telah dibawa ke sebuah sekolah menengah yang
terletak dalam daerah Kuala Muda iaitu SMK Seri Badong. Lokasi
SMK Seri Badong ini terletak berhampiran dengan pusat pengeluaran
hasil laut iaitu pantai Tanjung Dawai. Hampir 100 peratus muridnya
dalam kalangan anak-anak nelayan. Walaupun anak nelayan, tetapi
kehadirannya melebihi 95 peratus. Hebat! Setibanya kami di sekolah
tersebut kami telah disambut dan dirai oleh murid-murid dengan
selaian guru. Kami telah diiringi dan dipandu oleh murid ke bilik
gerakan. Di sana kami disambut oleh pihak pengurusan tertinggi
sekolah. Aku sangat terkejut kerana ingatkan guru yang akan
mengelolakan majlis pada pagi itu, tetapi bukan. Bermula daripada
pengerusi, bacaan doa, pembentangan dan seterusnya sesi Q&A,
semuanya dikelolakan oleh murid. Wah, ini yang dikatakan
kemenjadian murid! Aku mula jelas tentang perkara yang
disampaikan oleh pensyarah IAB sewaktu kami berkursus. Sebelum
ini agak kabur, apabila disebut kemenjadian murid, pembelajaran
bermakna (deep learning), teringat pula selama aku menjadi guru,
yang aku lakukan hanya dedah dan uji sahaja. Talk and chalk. Aku
tersenyum-senyum sendiri.
Kami telah diiringi oleh guru untuk melihat persekitaran
sekolah khususnya pelaksanaan PdP di kelas. Aku dapat melihat
bagaimana PdP yang berpusatkan murid ataupun penglibatan murid
dalam aktiviti yang telah dirancang oleh guru mencecah hampir 100
peratus. Tanpa memerlukan arahan yang panjang lebar, murid
melaksanakan pembelajaran koperatif. Sebelum bertugas sebagai
Pegawai SISC+, aku tidak mengetahui tentang gallery walk, think pair
share, share your view, hot seat, dan banyak lagi alat pembelajaran
koperatif. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga aku, ucapan Dr. Amin
Senin melalui video sewaktu mula berkursus, “Sebarang reformasi
atau pun transformasi atau pun perubahan pendidikan yang kita
hendak lakukan, jika sekiranya transformasi itu tidak merubah apa
yang berlaku dalam bilik darjah, perubahan itu boleh dikatakan
perubahan yang gagal. Maksudnya, jika melakukan perubahan atau
80
transformasi tidak memberi impak kepada pelajar, tidak merubah
pengajaran dan pembelajaran guru dalam bilik darjah maknanya, kita
boleh katakan transformasi atau perubahan itu gagal…”.
‘Murid belajar, guru belajar,’ ialah konsep yang hendak
diterapkan dalam Modul 4 iaitu Persekitaran Pembelajaran
Bermakna. Dalam modul ini, kami didedahkan dengan 13 aktiviti
pembangunan profesionalisme berterusan yang digunakan untuk
meningkatkan kualiti guru. Bagi mengenal pasti aktiviti yang sesuai
bagi meningkatkan kualiti guru, kami telah didedahkan dengan model
inkuiri. Melalui model ini, kami didedahkan mengenai proses untuk
mendapatkan maklumat dengan menggunakan big data. Kami
dibimbing untuk memproses data dan menterjemahkan data itu
sehingga bermakna, seterusnya merancang intervensi yang sesuai
dengan data yang diperoleh dengan menggunakan Model Proses
Pembelajaran. Dalam modul ini, sekali lagi kami didedahkan dengan
PInTaS. Apabila telah didedahkan dengan teknik memperoleh dan
memproses data ini, aku rasa untuk menghasilkan PInTaS ini tidaklah
sesukar mana. Setelah selesai berkursus Modul 3 dan modul 4 ini,
aku agak bersemangat bila dibandingkan dengan Modul 1 dan 2.
Perkara yang hendak ditransformasikan sudah mula tergambar di
dalam kepala.
Pada bulan Mac, pihak KPM telah meminta kami untuk
membantu membuat bimbingan ke sekolah tersebut bersama-sama
dengan Pensyarah IAB Bandar Enstek iaitu Dr. Lela. Pada ketika itu,
aku hanya memerhati cara Dr. Lela membuat bimbingan kepada
pihak pengurusan tertinggi sekolah khususnya tentang pengumpulan
data-data melalui tugasan-tugasan daripada modul yang telah
didedahkan, seperti data suara guru, suara murid, learning walk,
penandaan buku, SKPMg2 Standard 4 dan sebagainya. Aku lihat Dr.
Lela mencatat sesuatu pada data yang tersimpan dengan kemas dan
rapi di dalam fail itu dengan pen berwarna merah. Kenapa ya? Bila
aku teliti, data tersebut masih lagi dalam bentuk data mentah. Data
tersebut tidak diproses lagi. Dr. Lela agak kecewa dengan
pembentangan PInTaS. Apabila aku buat penelitian, pada lajur yang
kedua iaitu pengumpulan data hanya ada sebaris ayat sahaja. Pada
aku, ayat itu tidak dapat menjelaskan tentang kualiti guru yang hendak
81
dibangunkan terlalu umum. Dr. Lela tidak akan membimbing dari
mula. Maka, kamilah yang memberi bimbingan seterusnya.
Dalam aku berkira-kira tentang perkara yang patut aku
lakukan, kami mendapat berita yang menyedihkan, iaitu pemergian
Haji Adnan, Rakan ELITSIP+ kami untuk selama-lamanya. Ya,
Allah…, peliharalah hamba-Mu! Tempatkannya dalam kalangan
orang yang beriman. Tempatnya telah diambil alih oleh Encik Zul.
Kami perlu bergerak ke hadapan. Perlu membuat tindakan yang
cepat. Kami sepakat untuk melaksanakan bengkel pembinaan
PInTaS. Pada tarikh, tempat dan masa yang telah ditetapkan kami
telah melaksanakan bengkel pembinaan PInTaS. Aku lihat
bersungguh-sungguh Encik Zul cuba memahamkan SLT dan MLT
sekolah tersebut iaitu tentang teknik pembinaan PInTaS. Akan tetapi,
aku perhatikan guru-guru seakan-akan masih belum faham. Apa-
apapun kami sudah mencuba sebaik mungkin. Aku mengharapkan
PInTaS yang lebih baik akan dihasilkan oleh pihak SLT.
Pada bulan Jun 2018, kami sekali lagi telah diminta untuk
membuat pemantauan dan bimbingan bagi kali ke-2 di sekolah
tersebut. Biasanya kami akan berjumpa dengan pengetua tetapi kali
ini aku ingin berjumpa dengan setiausaha TS25 bagi sekolah
tersebut. Seperti biasa kami akan melihat fail dan fokus utama aku
ialah PInTaS. Melalui penyemakan, dapati teguran yang dibuat oleh
Dr. Lela masih tidak dilakukan. PInTaS masih tidak berubah.
Sememangnya dalam perancanganku, aku ingin melatih salah
seorang daripada guru di sekolah tersebut bagi menguasai kemahiran
membangunkan PInTaS (Pelan Intervensi Transformasi Sekolah).
Pertanyaan pertama aku kepada Puan Yati (bukan nama sebenar)
Setiausaha TS25 sekolah tersebut, “Maaf puan, nak tanya ni, ada tak
pihak SLT dedahkan kandungan Modul 2 kepada MLT ataupun guru?”
“Tak ada tuan.” Dengan menggunakan Modul 2 yang dibekalkan
kepada kami, aku telah cuba untuk memahamkan beliau daripada
setiap helaian di dalam modul itu iaitu cara untuk membina PInTaS.
“PInTaS ini ada 13 lajur, lajur 1 hingga 6 iaitu perancangan
strategik, manakala lajur 6 hingga 13 ialah pelan tindakan. Mudah
sahaja. Apa-apapun kita perlu mengumpul data, menganalisis, dan
82
menterjemah data, kemudian kita perlu membuat SWOT dan analisis
jurang. Apabila sudah mengetahui kekuatan, kelemahan, peluang dan
ancaman barulah kita merancang intervensi.” Aku menjelaskan
bahawa mereka perlu merujuk kepada modul dalam menghasilkan
PInTaS ini.
Akhirnya, aku telah memberi tempoh selama dua minggu
kepada beliau untuk menyiapkannya. Alhamdulillah, semenjak hari
itu, sekiranya terdapat program pembugaran atau penerangan TS25,
salah seorang peserta jemputan untuk memberi ceramah ialah Puan
Yati.
Alhamdulillah, aku rasa sudah tiba masa untuk mengupayakan
SLT bagi membimbing sekolah TS25 ini. Aku begini juga…, tugasku
tetap memberi bimbingan sehingga bersara. Semoga coretan ini akan
memberi manfaat dan pengalaman kepada mereka yang baru
memulakan bimbingan TS25.
83
SAMBAL BELACAN
MOHAMAD RIDZWAN BIN MAHMUD
RAKAN ELIT SISC+ PPD HILIR PERAK
Alkisah bermula di sebuah negeri yang bernama Kertas.
Negeri ini mempunyai sebanyak 25 buah kampung. Negeri ini terkenal
dengan penduduknya yang menggemari sambal. Daripada raja
sampailah kepada rakyat jelata, semuanya memang suka makan
sambal. Boleh dikatakan tidak sah kalau hidangan makanan pagi,
tengah hari atau malam tanpa menu sambal.
Pada suatu hari, tukang masak istana yang bernama Cik Kiah
baru pulang menziarahi adiknya di negeri bersebelahan negeri Kertas
iaitu negeri Pen. Seperti hari-hari biasa Cik Kiah memulakan tugasnya
memasak makanan raja di dapur istana. “Melor, aku rasa aku nak
cuba resepi baharu la untuk sambal Tuanku ni. Semasa aku melawat
adik aku di negeri Pen, aku telah dihidangkan makanan dengan
sambal belacan. Sedap sangat-sangat,” kata Cik Kiah pada dayang
yang bernama Melor.
“Cik Kiah jangan cuba-cuba nak ubah selera Tuanku, nanti
Tuanku murka. Lagipun, belacan tu baunya kurang menyenangkan.”
Ujar Melor. Disebabkan kata-kata Melor itu, Cik Kiah pun tidak
meneruskan niatnya untuk mengubah sambal kebiasaan yang
menjadi santapan Tuanku. Terdetik di hati Cik Kiah, susah juga
sebenarnya hendak mengubah selera Tuanku yang sudah biasa
dengan sambal yang disediakan dengan menggunakan cabai, garam
dan gula sahaja.
Keesokan harinya, Cik Kiah memasak santapan Tuanku
seperti biasa. “Hari ni aku tak peduli, aku nak juga Tuanku rasa
sambal yang dibuat bersama belacan ni,” kata Cik Kiah sambil
menumbuk sambal di lesung batu. Tiba-tiba, Melor termengah-
mengah muncul di dapur. “Cik Kiah… Cik Kiah…, Tuanku panggil Cik
Kiah mengadap di dewan santapan”. “Baiklah Melor.” Cik Kiah tenang
mengikut Melor berjumpa Tuanku. Sememangnya Cik Kiah sudah
menjangkakan yang Tuanku pasti akan memanggilnya. Namun
84