begitu, Cik Kiah masih merasa bimbang juga sekiranya Tuanku
murka.
“Kiah, apa yang kamu hidangkan kepada beta ini? Sambal ini
lain sangat rupa dan baunya,” tanya raja pada Cik Kiah. “Ampun
Tuanku, itulah sambal belacan Tuanku. Patik dapat resepinya
semasa melawat adik patik di negeri Pen tempoh hari.”
“Bukankah belacan itu busuk, kenapa kamu hidangkan sambal
yang dicampur belacan. Kamu nak beta sakit ke?” tanya raja dalam
nada yang keras. Namun Cik Kiah tenang menjawab. “Tuanku
cubalah rasa, sangat sedap Tuanku, kalau tak sedap, Tuanku
hukumlah patik,” jawab Cik Kiah pasrah.
Dipendekkan cerita, raja tersangatlah suka dengan sambal
belacan yang dihidangkan itu. Maka, raja pun memerintahkan
Bendahara, Temenggung dan Laksamana pula untuk mencuba
sambal belacan Cik Kiah itu. Mereka juga memuji bahawa sambal
belacan itu lebih sedap rasanya berbanding sambal biasa yang selalu
mereka makan sebelum ini. Disebabkan sambal belacan Cik Kiah ini
telah viral di istana, maka raja pun berhasrat untuk
memperkenalkannya kepada seluruh rakyat jelata di negeri Kertas
yang selama ini memang sudah biasa dengan sambal yang biasa.
Raja memerintahkan semua ketua kampung dari seluruh negeri hadir
ke istana untuk mencuba sambal belacan tersebut sebelum
diperkenalkan kepada seluruh rakyat jelata. Namun demikian,
baginda terlebih dahulu mahu mendengar pandangan dan pendapat
daripada ketua-ketua kampung di dalam negeri Kertas.
“Wahai Ketua-ketua kampung Negeri Kertas, hari ini kamu
semua akan dihidangkan dengan satu menu sambal yang baharu.
Beta mahu kamu semua rasa dan beritahu beta sama ada sedap atau
tidak. Jika sedap, beta mahu semua rakyat jelata mencubanya juga.”
“Ampun Tuanku, sungguh patik tak sangka, rupanya sambal
ini kalau dicampur dengan belacan, sangat sedap rasanya,” respon
daripada salah seorang ketua kampung yang hadir.
85
Semua ketua kampung yang hadir bersetuju bahawa sambal
belacan memang sedap. Oleh itu, raja memerintahkan agar semua
ketua kampung terus berada di istana untuk sehari lagi bagi
mempelajari bagaimana caranya menyediakan sambal belacan
daripada Cik Kiah si tukang masak istana. Menurut Cik Kiah, sambal
belacan ini kalau tidak kena cara menyediakannya maka akan kurang
‘kick’nya. Maka bergurulah semua ketua tersebut bersama Cik Kiah
sebelum pulang ke kampung masing-masing untuk memperkenalkan
sambal belacan kepada penduduk kampung.
Setelah sepurnama, maka sambal belacan Cik Kiah telah viral
ke seluruh negeri Kertas. Semua penduduk telah mengubah cita rasa
mereka daripada sambal yang biasa kepada sambal belacan
sehingga ada rakyat jelata yang telah mula berniaga sambal belacan
tersebut di pelabuhan kepada pedagang-pedagang asing. Suatu hari
di dewan santapan, Cik Kiah mengadap Tuanku. “Tuanku,
sebenarnya sambal ni, bukan sahaja sedap dicampurkan dengan
belacan, malahan kalau dicampurkan dengan tempoyak, budu dan
cencalok juga pun sangat sedap rasanya.” Sembah Cik Kiah kepada
raja.
Maka, sambal yang biasa di negeri Kertas sebelum ini telah
mula dipelbagaikan dengan campuran yang pelbagai setelah mula
diperkenalkan dengan sambal belacan. Maka terkenallah negeri
Kertas dengan penghasilan produk sambal yang pelbagai jenis
daripada sambal yang biasa sebelum ini. Rakyat jelata negeri Kertas
telah menjana ekonomi mereka dan mendapat manfaat melalui
perubahan yang telah berlaku di dalam negeri Kertas.
Analogi:
Sambal ialah pedagogi biasa.
Belacan, tempoyak, budu dan cencalok ialah pelbagai teknik pedagogi
yang menarik.
86
DAUN LIMAU DAUN KUNYIT
MEOR ZAIYAN BIN ASHAARI
RAKAN ELIT SISC+ PPD PERAK TENGAH
Melihat sekeliling sekolah, Cikgu Faris sudah mampu
tersenyum lebar, wajahnya mempamerkan keriangan. Pandangannya
tajam melihat bangunan sekolah. Sesekali ditoleh ke kanan ke kiri
juga ke arah padang dan bangunan yang mencipta sejarah. Baginya,
inilah hari yang paling bermakna sepanjang perkhidmatannya sebagai
Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam.
Mengimbau semula bagaimana perjalanan semua ini bermula.
Benar bagai dikata, jika tiada permulaan, mana mungkin kita
mengetahui pengakhirannya.
Masih segar di ingatan, apabila suatu hari sekolahnya
didatangi oleh dua orang pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah
(PPD) Perak Tengah, Haji Abdullah, School Improvement Partner
Plus (SIP+) dan aku, School Improvement Specialist Coaches Plus
(SISC+) yang bakal menjadi Rakan ELIT(RE) SK Puncak Alam.
Kunjungan kami kali ini bukan seperti kebiasaannya, tetapi membawa
maksud dan agenda bermakna.
“Program Transformasi Sekolah 2025” atau disebut juga
Program TS25. Masih jauh lagi jangkauan tahunnya, sedangkan saya
entah esok atau lusa sudah mengadap yang Esa. Kalau tidakpun, tiga
tahun lagi saya pasti akan bersara,” keluh Cikgu Faris setelah
dimaklumkan tujuan dan maksud kehadiran kami pada hari itu. “Insya-
Allah cikgu, cikgu mampu lakukan. Jika ada apa-apa masalah, cikgu
bolehlah berhubung terus dengan kami, kami sentiasa bersedia untuk
membantu cikgu dan guru-guru sekolah ini,” kata Haji Abdullah
dengan penuh keyakinan.
Aku pun sudah lupa bagaimana dirinya boleh berubah,
daripada seorang yang konservatif kepada proaktif. Mungkin hasrat
itu telah dia terima sebagai amanah dan tanggungjawab lalu hilanglah
andaian, berupa propaganda.
87
Setelah beberapa siri kunjung bantu oleh RE, aku melihat
perubahan dan penerimaan daripada Cikgu Faris. Sejak itu, barisan
pentadbir dan guru-guru serta semua warga sekolah telah aku
sampaikan tujuan dan hasrat yang nyata. Reaksi pertama kulihat, ada
daripada kalangan guru yang menentangnya. Tetapi setelah
dijelaskan dan dibimbing, mereka akhirnya menerima dengan hati
terbuka dan sebahagiannya secara paksa rela.
Bagi merealisasikan maksud ini, Cikgu Faris tidak bersendirian
kerana aku selaku Rakan ELIT(RE) dan Encik Fendi sebagai Pegawai
Meja TS25 sentiasa kunjung bantu dan membimbing dengan setia.
Taklimat demi taklimat dan kursus telah didedahkan kepada mereka
tanpa rasa jemu dan penat lelah di dada.
Pemahaman dan aplikasi tentang Modul 1 Bimbingan dan
Pementoran telah berlaku. Dia dan barisan Penolong Kanan sebagai
Senior Leader Team (SLT) dan Ketua-ketua Panitia sebagai Middle
Leader Team (MLT) telah bekerjasama membentuk Pasukan
Pelaksana Sekolah (PPS). Jawatankuasa kecil turut dibentuk bagi
memudahkan pelaksanaan program dan selari dengan visi dan misi
TS25. Aspek ‘coaching’ terlaksana. Saat itu, kulihat rakan-rakan guru
telah memahami dan mula menerima pelaksanaan TS25.
Pucuk dicita, ulam mendatang. Hasrat dan program ini turut
dimaklumkan oleh Cikgu Faris kepada Pengerusi PIBG iaitu Puan
Sarina. Beliau yang bekerja sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
di sebuah syarikat swasta terkemuka menyambut baik hajat dan
peluang yang bakal dilaksana. Baginya inilah peluang buat anak-anak
kampung berubah untuk menjadi modal insan yang unggul dan mulia.
Beliau komited dan berjanji akan bergabung tenaga bersama pihak
sekolah dengan seadanya.
Alhamdulillah berkat usaha, langkah permulaan bagi
mentransformasikan SK Puncak Alam mendapat sambutan tanpa
diduga. Aku bersyukur, perjalanan kerjaku sebagai RE
dipermudahkan olehNya.
88
Pelibatan PIBG ini sekali gus berkolaborasi dengan PIBK
(Persatuan Ibu bapa dan Komuniti) akan lebih memantapkan program
yang dicipta. Perkara ini selari dengan kerangka TS25, bahawa
pelibatan pemegang taruh menyumbang kepada persekitaran
sekolah yang kondusif dapat dijana.
Menerajui Kepimpinan merupakan Modul 2 yang
diterjemahkan bahawa pemimpin adalah agen penggerak atau
‘Leader’ kepada kumpulan atau organisasi yang dipimpinnya. SLT
dan MLT telah dimaklumkan tentang bidang tugas mereka. SLT perlu
menjadi pemimpin terbaik. Pemimpin terbaik ialah pemimpin teladan,
agen perubahan dan menjadi orang harapan. Bagai disuntik vaksin
Astrazeneca, apabila semua warga sekolah mula memainkan
peranan mereka. Sesi latihan untuk guru, Latihan Dalam
Perkhidmatan (LADAP) saban bulan diadakannya.
Akulah pegawai yang akan turun ke padang. Tidak ketinggalan
RE SIP+ dan Pegawai Meja TS25 turut kubawa ke lapangan. Kami
menjadi rujukan dan sandaran buat SLT dan MLT melontar persoalan.
Kesan Coaching and Mentoring, berlakunya perubahan. Guru-
guru mula meningkatkan kualiti pembelajaran dan pemudahcaraan
(PdPC). Program Professional Learning Community (PLC) tidak
ketinggalan. Learning Walk dan Lesson Study juga dibudayakan.
Objektif pembelajaran (OP) dan kriteria kejayaan (KK) menjadi
matlamat dan hala tuju rancangan pengajaran harian (RPH) apabila
dilaksanakan. PAK 21 (Pembelajaran Abad Ke 21) dipelbagaikan.
SKPMg2 Standard 4 difahami dan diberi penekanan. Bilangan murid
mencapai tahap penguasaan (TP) terbaik berlaku peningkatan. Andai
berlaku kelemahan, program intervensi ‘PInTaS’ segera dimulakan.
Perubahan itu tidak sehala. Pencapaian koakademik turut
mencapai kejayaannya. Buat pertama kalinya, seorang murid sekolah
ini menempa nama di persada negara. ‘Pemidato Terbaik’ berjaya
dirangkulnya bagi acara dalam Karnival Bahasa. Selain itu, acara
koakademik agama atau Pendidikan Islam turut membanggakan juga.
Penyertaan dalam pertandingan nasyid, tilawah al-Quran, Daie Cilik
juga berjaya mendapat tempat pertama. Sekali gus, melonjakkan
89
nama daerah Perak Tengah bergema di pentas negeri pula. Pastinya
Cikgu Faris merasa bangga. Aku sebagai RE pun tumpang gembira.
Kejayaan demi kejayaan mula ditempa yang turut memberi
inspirasi dan memotivasikan kumpulan guru-guru muda. Mereka juga
ingin melakar nama. Aksi mereka bertumpu di padang pula. Jika
sebelum ini pasukan bola sepak hanya ‘gah’ pada nama. Sejak
ditransformasikan, mereka bersemangat dan bersungguh melatih
murid dengan jayanya. Akhirnya, kemenangan berpihak pada mereka
setelah sekian lama ketandusan piala.
Wajah sekolah juga telah berubah rupa. Jika sebelum ini
kusam dan tidak bermaya, al-maklumlah, catnya telah pudar,
berlumut dan merekah di sini sana. Kedudukannya di atas bukit,
sudah setara warnanya dengan alam flora dan fauna di sekitarnya.
Namun, sejak Puan Sarina bekerjasama dengan beberapa syarikat
yang menjadi pelanggannya, mereka telah menjadikan SK Puncak
Alam seperti istana. Warnanya yang menarik, dikelilingi taman bunga.
Papan tanda sekolah umpama pejabat Perdana Menteri yang punya.
Dana PIBG daripada ratusan ringgit menjadi ribuan dalam sekelip
mata. Kesannya, pelbagai program dapat dilaksana dengan jayanya.
Bukan sahaja persekitaran menyeronokkan dicipta.
Kemenjadian murid juga dapat dibentuk. Kepimpinan berkualiti turut
dibina. Bahkan, komitmen PIBG dan komuniti yang padu dapat
disemai bersama-sama. Itulah transformasi di luar jangka.
Ganjarannya terserlah apabila Cikgu Faris telah dinobatkan
sebagai ‘Tokoh Guru’ ketika sambutan Hari Guru Peringkat Daerah
Perak Tengah diadakan mereka. Satu pengiktirafan yang tidak
pernah terlintas difikirannya. Itulah kenangan terindah sepanjang
perkhidmatannya. Tiada yang mustahil dalam kehidupan kita.
Hendak seribu daya, mahu seribu cara.
Sebagai melahirkan tanda kesyukuran dan kegembiraannya,
Cikgu Faris telah ‘mengorbankan’ dua ekor kambing buat santapan
aku dan semua pekerjanya. Meriah sungguh majlis itu dengan
beraneka juadah yang dihidangkan mereka.
90
“Bang, bangun bang, ni ada orang nak cakap ni,” kedengaran
suara isteriku mengejutkan aku sambil menghulurkan telefon. “Sapa
tu?” tanyaku ingin mengetahui. “Tak tahulah sapa bang, dah dua kali
handphone ni berbunyi,” kata isteriku memberi penjelasan.
“Assalamulaikum, teman ni, Fendi, maaf le ngaco mike waktu
ni,” kata Encik Fendi Pegawai Meja TS25 memulakan bicara. “Teman
nak ngabo, tadi kami ada berbicang dengan Haji Abdullah, berkenaan
sekolah Program TS25, katanya SK Puncak Alam telah dipilih sebagai
sekolah TS25 Kohort 6, jadi katanya nak lantik mike sebagai RE di
situ, surat akan menyusul. Jadi teman maklumkan je dulu, sebagai
makluman awal kat mike,” katanya memanjangkan bicara.
Setelah menyampaikan maksudnya, seketika kemudian,
perbualan kami ditamatkannya. ‘RE TS25, SK Puncak Alam?’
bermonolog diriku tanpa sengaja.
Termenung aku seketika. Mengimbau kembali mimpiku tadi.
Adakah ini suratan atau kebetulan. Doaku, andai ini adalah suratan,
akan ku realisasikannya menjadi kenyataan.
91
RASA MANIS BUNGA CENGKIH
ZAKIDAH BINTI HAJI ABDULLAH @ AWEKMUO
PENYELARAS TS25 NEGERI PERAK
Aku adalah aku. Yang hadir dalam cerita TS25 negeri Perak. Menjadi
penghubung antara Rakan ELIT, Pegawai Meja Daerah dengan SLT
dan MLT. Cerita ini bukan rekaan seperti drama pukul 7.00 petang.
Yang berepisod kadang-kadang klimaks yang memeningkan.
Ceritaku cerita biasa sahaja. Aku sendiri pun tidak tahu episod di
mana, klimaksnya dalam episod berapa pun aku tak pasti.
EPISOD: BERMULALAH KISAH
28 FEBRUARI 2018…
Dengan lafaz Bismillah, aku mengorak langkah dengan penuh
semangat. Perjalanan yang mengambil masa hampir 60 minit, kurasa
singkat. Kudongak di luar tingkap kereta, kelihatan bangunan
Maybank Trust Ipoh setinggi 14 tingkat tatkala aku mencari ruang
parking. Butang lif ku tekan…14. Berbekalkan pengalaman
berkhidmat sebagai Penolong PPD Bahasa Inggeris (R) juga selaku
Penyelaras UPSR Daerah di PPD Batang Padang selama lima tahun,
aku diberi kepercayaan memegang Program TS25 JPN Perak. Ya
Allah, mampukah aku?
17 DAN 18 APRIL 2018…
Dalam aku menyesuaikan dengan ruang kerja baru, aku diberi
tugasan mengendalikan satu Kolokium TS25 Negeri Perak yang
dijangka akan diadakan pada 17 dan 18 April 2018 dengan kerjasama
IPG Kampus Ipoh. Seperti tidak percaya, sedangkan aku masih
terkial-kial mencari maksud apakah TS25. ‘Tak sampai sebulan
kot…mampukah aku sedangkan aku tak kenal sesiapa lagi…tak ada
pengalaman mengurus event besar ni’ aku berbisik pada diri.
Sepanjang sebulan mengurus kolokium, mesyuarat dan
perjumpaan tidak pernah gagal dalam memastikan pelaksanaan
92
kolokium TS25 berjaya. Daripada urusan pendaftaran peserta,
hinggalah ke urusan protokol diatur dengan sangat teliti melibatkan
IPG Kampus Ipoh, rakan sejawat Encik Raja Normazlan, semua
pegawai meja daerah temasuk Allahyarham Encik Mohamad Azri dari
PPD Bagan Datuk (Al-Fatihah dibaca). Bantuan daripada setiap
pegawai JPN PPD yang diperlukan bagi memastikan kolokium ini
berjaya tidak kusangka-sangka.
Timbalan Pengarah IPGK Ipoh ketika itu, Dr. Yahaya antara
pegawai tertinggi yang sentiasa memberi sokongan dan memantau
persediaan Kolokium TS25 Negeri Perak. Orangnya sentiasa segak
bersongkok baldu hitam kadangkala menarik pandangan mataku
kerana kesungguhannya memastikan dewan yang bakal dijadikan
sejarah bagi program TS25 ini menjadi gilang-gemilang nanti. Terima
kasih!
Bimbingan daripada Dr. Shariffah Sebran Jamila, Timbalan
Pengarah BPG bersama Encik Shukri daripada Bahagian
Profesionalisme Guru (BPG) di saat-saat akhir, tidak kuduga telah
meletakkan satu benchmark Kolokium TS25 bagi negeri-negeri lain.
Juga sokongan padu daripada Encik Osman selaku Ketua Sektor
Jaminan Kualiti JPN Perak serta rakan sektor yang sama sedikit
sebanyak mengubat lelah sepanjang menguruskan kolokium itu.
“Tahniah dan hebat Puan Zakidah!” Ungkapan itu masih
terngiang-ngiang walaupun telah hampir tiga tahun ianya berlalu.
Kuseka air mata di hujung kelopak mataku dengan pantas tanda satu
kepuasan. ‘Alhamdulillah, it’s a teamwork,’ bisik hatiku.
KENAL DULU, BARU KATA SOMBONG!
Arahan demi arahan dikeluarkan berkenaan pengurusan dan
pelaksanaan Program TS25 oleh Bahagian Profesionalisme Guru
(BPG) dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH).
Kadangkala jenuh dikejar dateline mengikut garis masa tahunan yang
93
telah ditetapkan. Terima kasih Encik Shaharizan mantan Penyelaras
TS25 BPG yang sentiasa memudahkan kerjaku!
Kerja mudah? Hm, jawapan itu kusimpul kemas. Itulah
amanah dan tanggungjawab selagi mana mampu harus
kulaksanakan ‘Fuh! Banyak juga nak kena hadam ni…’ ku selak
sehelai demi sehelai modul yang dibekalkan oleh BPG dengan niat
untuk mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. PInTaS,
OPPM, PAK21, PBD, eRPH antara yang perlu aku fahami. Fuh! Nasib
baik pengalamanku sebagai pegawai akademik memudahkan
kumemahami modul-modul tersebut.
“Puan Zek! Puan Zek!” aku menoleh ke arah suara yang
melaung-laung namaku. Rupanya Dr. Devan, Rakan ELITSIP+ PPD
Hilir Perak. Tinggi lampai orangnya berhidung mancung. Orang
pertama yang memanggil aku dengan nama itu. Aku semacam selesa
dengan panggilan tersebut. Sejak hari itu, gelaran Puan Zek semakin
sinonim denganku. Aku tersengih apabila teringatkan beberapa
rakanku juga ada panggilan yang sama.
Sombong! Garang! Tak tahu nak tegur orang! Antara
momokan yang selalu kudengar. Ya Allah, ye ke? Seingat aku,
daripada tukang sapu hingga ke mereka yang berjawatan tinggi, tidak
pernah lupa untuk aku menyapa. Mungkin aku tidak nampak atau
tidak kenal, maka aku dikatakan sombong? ‘Kenal dahulu, baru kata
sombong,’ getus hatiku.
Kata mak, “toksah layan hal remeh macam tu. Orang yang kata
tu tak kenal sapa kau. Biarlah, penat nanti diorang diam le. Lama-
lama esok bila dah lama kerja, diorang kenal le dan boleh menilai,”
nasihat mak bila aku berkongsi cerita. “Allah kan ada,” sambung mak
lagi. Aku angguk perlahan tanda faham sambil mengunyah jemput-
jemput udang yang mak sediakan untuk minum petang. Bau harum
kopi 434 menusuk hidung sempat kuhirup setengguk dek kepanasan.
Teringat kembali perbualan kosongku dengan salah seorang
Rakan ELIT sewaktu anjuran salah satu bengkel TS25. “Puan Zek,
94
sebelum ini macam-macam cerita tak baik saya dengar pasal puan.
Tapi bila dah kenal, rupanya Puan Zek ini gila-gila juga,” rancak Encik
Amran bercerita. Aku tersenyum sambil berkata, “Tak kenal maka tak
cinta, betul tak?”
Betul kata mak, setelah hampir tiga tahun hubungan semakin
terjalin di kalangan Rakan ELITSIP+ mahupun SISC+. Yang dahulu
tidak pernah kenal apatah lagi menyapa semakin mesra. Doa kutitip
hari-hari semakin dirasai. Aku tersenyum tersandar di kerusi pejabat
menatap logo biru TS25 di dinding pintu. “Alhamdulillah…”
Hari demi hari, bulan demi bulan; hubungan profesional
bertukar kepada hubungan akrab antara aku dengan beberapa rakan
ELIT. Puan Anis, Cik Yang, Puan Zuraidah dan Puan Salina antara
yang sering menjadi stabilizer. Tiba-tiba nyanyian Tommy Page A
Shoulder to Cry On terngiang-ngiang di telingaku.
Aku sebak kerana dalam ketegasanku masih ada yang cuba
memahami setiap rasa yang kutanggung. Rimas, syahdu, sendu dan
dalam gelak tawaku tersimpul pelbagai rasa. Allah sahaja yang tahu,
dia Maha Mengetahui.
TEAMWORK, JOB WELL DONE!
TEAMWORK I: KARNIVAL TS25 2019
Pemilihan peserta Karnival TS25 2019 kubelek satu-satu
mengikut kemenjadian sekolah. Cadangan demi cadangan diajukan
supaya impak karnival itu nanti meninggalkan kesan postitif yang
berpanjangan. Aku perlu fikirkan kelainan untuk ditonjolkan dan
dipersembahkan kepada warga Pendidikan khususnya Pengarah
JPN Perak dan tetamu VVIP daripada Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM). Hasrat aku adalah setiap pengunjung yang hadir ke
Karnival TS25 Perak akan menyimpan kemas memori kejayaan serta
kemeriahan karnival itu nanti.
Aku duduk di tangga Pentas B bersama Puan Anis, Puan
Anisa, Encik Nizam dan Cikgu Sundar sambil memerhati gelagat
95
pempamer menghias booth sekolah masing-masing demi untuk
mempromosi kehebatan yang telah sekian lama dinantikan. Aku
melangkah perlahan dari satu booth ke booth untuk menyapa dan
memberi semangat kepada setiap pempamer. Terpancar
kegembiraan dalam kepenatan di wajah mereka.
“Terima kasih Puan Zek beri peluang kepada sekolah kami.
Tak sabar nak tunggu esok!” kata Cikgu Ros sambil menarik tanganku
untuk bergambar. “Wah! Seronok betul cikgu-cikgu ni,” bisikku sambil
menjeling ke arah risalah yang telah siap dipamerkan di atas meja.
“Tahniah dan terima kasih atas komitmen semua ye!” laungku sambil
mengangkat tangan memberi isyarat bagus kepada semua
pempamer.
Keesokan harinya, perasmian Karnival TS25 Negeri Perak
berlangsung dengan gilang-gemilang. Murid-murid BBP@HK
ULTRAS menyambut kehadiran tetamu kehormat ke Pentas B.
Paluan gendang serta sorakan bersahut-sahutan antara dua
kumpulan murid SMK Bandar Baru Putra Kohort 2 dan SMK Hamid
Khan Kohort 3 menyemarakkan lagi kemeriahan Karnival TS25
Perak. Puan Hamizah selaku Pengetua SMK Bandar Baru Putra
bersorak mengikut rentak lagu yang dilaungkan oleh Kumpulan
Ultras. Rasa bangga dengan semangat anak-anak muridnya. Aku
mengenggam erat tangannya berkongsi rasa yang sama.
“Dengan lafaz bismillahirrahmanirahim, dengan ini saya
merasmikan Dashboard TS25 Negeri Perak!” perasmian oleh YBhg.
Dato’ Dr. Mohd Gazali bin Abas, Ketua Setiausaha Kementerian
Pendidikan Malaysia. Dr. Mohd Suhaimi, Pengarah JPN Perak
tersenyum bangga sambil memberi tepukan seiring dengan para
tetamu yang hadir ketika itu. Kehadiran dan sokongan yang diberi oleh
Dr. Mohd Suhaimi, Pengarah JPN Perak bukan sengaja dibuat-buat.
Kehadiran beliau sentiasa ditunggu-tunggu dengan penuh teruja dan
semangat oleh para pempamer.
Hari itu, para pengunjung dihiburkan dengan Kugiran SMK
Syeikh Abdul Ghani dan Busking SK Datuk Kelana. Kehebatan anak-
96
anak murid ini daripada murid Pendidikan khas dan murid orang asli
tingkatan dua menjadi daya tarikan karnival TS25 malahan Pengarah
JPN Perak cukup teruja menyaksikan persembahan mereka.
Senyuman terukir di wajah Dr. Suhaimi melihat kemenjadian murid di
kalangan sekolah program TS25.
Hebat! Tahniah! Ucapan yang tidak putus-putus daripada
warga pendidik dan pelawat yang hadir ke Karnival TS25. Kejayaan
ini bukan milik aku tetapi ianya atas kerja berpasukan, rakan ELIT,
Pegawai Meja TS25 Daerah, PGB serta semua warga TS25. Terima
kasih juga kepada rakan JPN Negeri Sembilan, Encik Basri dan JPN
Pulau Pinang, Cik Siti Tolhah yang dari jauh hadir memberi sokongan.
Inilah nilai persahabatan!
Usai sudah Karnival TS25, petang itu aku meneguk air mineral
melepaskan dahaga perlahan-lahan sambil menatap gambar-gambar
kejayaan karnival TS25 Perak. Benar apa dikata, gambar-gambar
yang telah dirakam ini banyak menyimpan pelbagai kisah suka duka.
Aku tersenyum puas walau dalam keletihan. Badan kusandarkan di
kerusi plastik berkaki empat tanpa suara. Aku mengelap peluh yang
membasahi dahiku perlahan-lahan. Bibirku kering. Hela nafasku
panjang. Marlina dan Eliza mengerling padaku sempat bertanya,
“Puan okey ke?” “Okey, cuma letih je,” balasku ringkas sambil
tersenyum.
Tiba-tiba Anisa memelukku erat sambil menepuk bahuku
tanpa seribu bahasa. Basah kelopak mataku sempat kusorokkan
tanda terima kasih. Gadis kurus inilah yang banyak membantu
menjayakan gimik pelancaran. Dia melangkah pergi dengan helmet
dipeluk rapi, gaya persis gadis motor. Bila agaknya ketemu lagi
sahabat ini?
TEAMWORK II: PERCUBAAN YANG MENJADI 2020, 2021
Buah sulung TS25 Perak perlu aku realisasikan. Buat sesuatu
yang belum pernah dibuat lagi, detik hatiku. Apa salahnya mencuba
97
tetapi atas sokongan daripada Dr. Thiyaga RE SIP+ PPD Larut
Matang dan Selama, akhirnya persetujuan daripada Pengarah telah
membuahkan hasil. “Nak terbit buku? Boleh ke?” terngiang-ngiang
soalan yang kuterima daripada beberapa rakan seolah mencabar.
Akhirnya buat julung kali sebuah naskah ‘sulung’ bertajuk
Transformasi Memacu Kemenjadian Murid: Kompilasi Amalan
Transformasi Sekolah Kohort 1, 2 dan 3 Negeri Perak berjaya
diterbitkan. Puan Mahani, Puan Anis, Puan Salina dan Cikgu Zamri
antara yang banyak membantu dalam menerbitkan buku ini. Tidak
ketinggalan juga khidmat bantu daripada Munsyi Dewan Cikgu
Muzaffar dan Cikgu Shaari sentiasa bersama bertindak menjaga
tatabahasa serta tertibnya gaya bahasa supaya terbitan ini terjaga
kualitinya. Terima kasih semua!
Quickfacts TS25 Perak. Satu idea yang dibisikkan kepadaku
oleh Encik Khairul Nizam RE SISC+ PPD Manjung. Kukira ianya satu
kelainan yang dihasilkan oleh JPN Perak dengan brainstorming
dilaksanakan bersama team tank TS25 selama hampir empat bulan.
Encik Muthurasan, Puan Aida, Puan Mahani, Encik Manan, Encik
Ridzwan antara yang sering berdebat untuk menghasilkan infografik
TS25 yang terbaik. Ketegasan dan ketelitian aku dalam penghasilan
buku ini, kadangkala menjadi bahan ‘membawang’ oleh think tank
menyebabkan aku tersenyum. Cerewet betul Pn Zek!
Kejayaan dalam menerbitkan beberapa naskah di bawah
Program TS25 amat membanggakanku. Buku Panduan Pengurusan
Sekolah, Quickfacts TS25 Negeri Perak dan Buku Pelaporan Program
TS25 Tahun 2020 antara terbitan TS25 Negeri Perak yang terbitnya
tidak disangka-sangka. Kali ini, Rendang Tok Dapur Kayu: Rakan
ELIT menulis…pasti kutunggu!
EPISOD: QUEEN OF THE NIGHT
Queen of The Night TS25 ialah… no 44! Sila tampil ke
hadapan, laung Encik Ridzwan selaku pengacara majlis Malam
98
Memori Berkasih TS25. Tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan.
Semua mata tertumpu padaku.
“Puan Zek! Nombor Puan Zek tu!” jerit Puan Salina. Aku
menjeling nombor yang tersemat di dadaku, “Eh betul ke ni?” aku
tertawa sambil ditolak ke hadapan untuk naik ke pentas dewan.
Berbaju fesyen ala Queen Arabian berniqab menampakkan hanya
bundar mataku dicelakkan oleh Puan Sarimah malam itu. Dengan
bertemakan merah hitam, bajuku malam itu penuh dengan kilauan
manik-manik yang dijahit kemas, aku melangkah naik ke pentas
tersipu-sipu dengan sneckers berwarna merah hati. Sejambak bunga
bersama selendang tertulis QUEEN OF THE NIGHT disarung oleh
Puan Kasmiyati, Pegawai Pendidikan Daerah Bagan Datuk dan
sebuah hiasan seperti mahkota diletakkan dikepalaku sebagai tanda
undian majoriti. Aku tersipu malu sambil melambai dan mengucapkan
terima kasih kepada semua Rakan ELITyang hadir.
Kehadiran semua Rakan ELITbersama tetamu istimewa Encik
Azmi Dahali, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan
Sekolah merangkap Pengurus Program TS25 yang sentiasa
menyokong program TS25 aku abadikan kemas dalam kotak
memoriku. Masih ingat lagi betapa sporting, penuh ceria dan
kebersamaan apabila sesi game show fashion bertemakan batik
pelikat. Gelak tawa tidak mengenal erti jawatan mahupun pangkat
menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Tidak lupa kukalungkan ucapan terima kasih kepada team yang
sentiasa membantuku dalam sebarang aktiviti TS25 apatah lagi
dalam merealisasikan Malam Memori Berkasih. Walaupun dalam
keadaan kelam kabut, hasil idea kreatif dan kerjasama pastinya
menjadi! Puan Salina, Puan Yang, Puan Anis, Puan Sarimah dan
tentunya pakar teknikal Encik Syahrul, yang sentiasa smart walaupun
sehelai rambut tidak kelihatan di kepalanya. Aku tersenyum sendirian
mengenangkan gelagat anak-anak buahku ini.
Tiba-tiba Puan Mahani tampil ke hadapan pentas sambil
berbisik kepada pengacara majlis memohon untuk diberi peluang
99
untuk berucap. “Rakan-rakan sekalian, malam ini kami selaku RE
TS25 ingin menyampaikan penghargaan kepada Puan Zek atas
khidmat cemerlang beliau mengurus Program TS25 sepanjang tiga
tahun bersama kami,” ucapan ringkas penuh bermakna Puan Mahani
mewakili semua RE SIP+. ‘Belum pernah lagi aku menerima
penghargaan sedemikian,’ bisikku sambil sembunyikan genangan air
mata. Mata ini berkaca lagi!
EPISOD: KESIHATAN ITU MAHAL!
Malam itu kepalaku terasa berat. Bacaan 250/114/55 ini sudah
cukup menempatkan aku di wad perubatan pada hari Sabtu itu.
“Puan! Tinggi sangat tekanan darah ni. Puan rehatlah di wad
ye,” kata Doktor Siti lembut. “Puan stress kerja ke?” bertalu-talu
soalan diajukan kepadaku. Kelihatan riak muka Doktor Siti kerisauan.
“Baik doktor,” balasku akur.
Aku dengan tenang memeluk beg pakaian sambil kerusi roda
yang kunaiki ditolak oleh seorang jururawat menuju ke wad perubatan
dengan diiringi oleh suami yang setia ke katil pesakit. “Hm,
nampaknya Ida bermalam di sini jelah bang,” kataku kepada suami
yang sentiasa setia melayan kerenahku. Aku memandang sekeliling
wad tersebut sambil duduk seketika di atas katil yang telah
disediakan. Pelbagai cerita seram tiba-tiba menerjah kotak fikiranku
seketika. ‘Erkk, alamak!’ aku bermonolog sendirian. Namun kutepis
perasaan takut yang menerpa. ‘Takpa, mesti berani! Allah suruh
rehat,’ aku tertawa kecil.
Bertalu-talu mesej masuk ke telefon bimbitku. Satu persatu
mesej kubaca dengan senyuman. Ramai Rakan ELIT TS25
bertanyakan khabar tidak cukup itu, malah doa dititipkan agar aku
segera pulih dan kembali bertugas dengan semangat tanpa kalah.
Satu mesej yang kukira menarik perhatianku daripada Timbalan
Pengarah Pendidikan SPS, Encik Azmi, “Jangan’pikiaq’ kerja,” pesan
100
beliau dengan loghat utaranya. Nampak garang tetapi cukup perihatin
dengan pegawai bawahannya. Aku tergelak kecil.
“Berehatlah!” mesej ringkas daripada Dr. Suhaimi, Pengarah
Pendidikan Perak jelas menunjukkan keperihatinan seorang
pemimpin. Inilah tanda sokongan dan perhatian yang diberikan oleh
pemimpin atasan JPN. Semuanya pemimpin yang hebat!
Apapun, rehat itu perlu. Semangat sahaja tidak cukup. Tatkala
umur telah menerjah 47 tahun, tiba masanya kesihatan diutamakan.
“Kerja sampai bila pun tidak akan selesai. “Utamakan diri
sendiri kerana kesihatan itu sangat mahal!” pesan arwah mak. Tiba-
tiba mata ini berkaca, satu persatu air mata menitis membasahi pipi.
Mak…aku rindu mak! Al-fatihah (dibaca) untuk arwah mak.
EPISOD: PERJUANGAN MASIH BELUM SELESAI
Covid 19 is real! Itulah ayat yang sejak akhir-akhir ini
diperdengarkan di media massa. Dalam dunia VUCA, siapa sangka
ianya menjadi cabaran kepada pelaksanaan Program TS25. Latihan
modul dan sokongan professional Rakan ELIT diuji. “Semua perlu
dilaksanakan secara kreatif!” Pesan Dr. Shariffah dan Ustaz Faisal
Ketua Penolong Pengarah mewakili BPG yang mengurus Program
TS25 di peringkat KPM.
Aku mencapai laptop ASUS sambil jari-jemariku mengetuk
papan kekunci menaip segala perancangan program TS25 secara
kreatif dan realistik dalam menghadapi pandemik ini. ‘Aku harus fikir
di luar kotak!” kataku sendirian. Rakan ELIT telahpun kupersiapkan
dengan latihan kejurulatihan. Dan aku yakin dengan kerjasama dan
kesepaduan semua RE IAB, IPG, SIP+, SISC+ dan Pegawai Meja
TS25 daerah; hasrat KPPM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melahirkan sekolah berkualiti dan
kemenjadian murid pasti tercapai, insya-Allah!
101
ASAM PEDAS LAKSA
SALAHUDDIN BIN HASSAN JABA’IE
RAKAN ELIT SIP+ PPD BAGAN DATUK
CERITERANYA BERMULA DI SINI….
1 Mac 2018 aku dilantik sebagai School Improvement
Partners+ (SIPartner+) di PPD Kuala Langat, Selangor di mana
sebelum itu aku memegang jawatan pengetua di SMK Telok Panglima
Garang, juga di daerah Kuala Langat. Ramai pengetua mengelak,
menepis daripada menerima jawatan ini. Begitu juga aku, beberapa
kali dipujuk oleh pegawai-pegawai di PPD Kuala Langat untuk
menerima jawatan SIPartner+ ini, kutolak dengan baik dengan alasan
masih baru sangat memegang jawatan pengetua, pengalaman belum
cukup. Namun pujukan itu akhirnya ku terima juga bila salah seorang
sahabat yang sama-sama mengambil NPQEL Ambilan 2/2013
menjadi Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Langat mempelawa aku
ke PPD sebagai SIPartner+.
Tugas SIPartner+ ini kononnya mudah. Membimbing.
Mulanya diceritakan membimbing barisan pengetua sahaja,
bimbingan menggunakan ‘tools’ SKPMg2 Standard 1, membimbing
sekolah-sekolah berprestasi rendah bagi mengeluarkan sekolah-
sekolah tersebut daripada band 6.
Kemudian ceritanya berubah, skop bimbingan semakin luas,
selain pengetua perlu juga membimbing barisan kepimpinan kanan
sekolah, membimbing sekolah TS25, membimbing sekolah KBAT,
membimbing sekolah ProPeKS, membimbing PGB PRIme dan
pelbagai program Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan
Daerah. Semuanya memerlukan sentuhan bimbingan SIPartner+.
‘Tools’nya tidak lagi SKPMg2 Standard 1, malah semua standard,
standard 1 hingga 4. Program PRIme pula membawa 7 standard
kepimpinannya tersendiri. Sekolah ProPeKS, sekolah KBAT ada
‘tools’ masing-masing. Alhamdulillahirabbil’alamin, amanah diterima
dan dipikul sebaiknya. Demi kerjaya, demi negara, demi memperoleh
102
rezeki yang halal lagi berkat usaha diteruskan dengan hati yang
lapang dan ikhlas.
“Din…, siapa lagi seorang kawan SIPartner+ kau di PPD Kuala
Langat tu?” Yop Hamid bertanya. Perbualan telefon pada
pertangahan 2018 antara aku dengan Yop Hamid. Yop Hamid ini ialah
SIPartner+ PPD Bagan Datuk, nama sebenarnya Abdul Rahim bin
Ahmad. Cikgu Fizik aku semasa Tingkatan 4 dan 5 di SM Khir Johari,
Sungai Sumun pada tahun 1983 hingga 1984.
“Encik Azman Mohamad. Yop, kami berdua je SIPartner+ di
sini, kuota 3 orang, tapi tak ada pengetua yang hendak jadi
SIPartner+, Udin saja yang sanggup terima,” jawabku untuk
menghangatkan perbualan dalam telefon.
“Yop, kat sini pun berdua juga bersama Puan Kasmiyati, dulu
dia pengetua juga, kuota kat sini 4 orang. Susah sangat nak dapat
SIPartner+ ni,” tambah Yop Hamid lagi.
“Din kau balik la sini, jadi SIPartner+ kat sini, Yop dah nak
pencen, bulan sembilan nanti pencen la,” kata Yop Hamid lagi, sambil
memujuk aku untuk berkhidmat di daerah kampung halaman sendiri.
“Insya-Allah Yop, Udin pun memang merancang nak buat
rumah kat kampung, tapi cadangnya nak balik bila dah pencen nanti,
tengoklah macam mana,” aku memberi alasan. Itulah antara skrip
perbualan telefon perbualan antara aku dengan Guru Fizik aku yang
juga telah menjawat jawatan SIPartner+ sejak 2014 lagi.
Sepanjang bertugas di PPD Kuala Langat selama dua tahun
empat bulan, pelbagai kenangan manis dan kejayaan yang diperoleh
tetapi kenangan yang paling tidak akan aku lupakan ialah berjaya
membimbing dua buah sekolah iaitu SK Sungai Kelambu dan SMK
Tanjung Sepat yang pada mulanya berprestasi rendah sehingga
keluar dari kelompok itu dan akhirnya memperoleh pengikhtirafan
daripada Jemaah Nazir sebagai Sekolah Penarafan KBAT.
103
27 Julai 2020, aku berpindah ke PPD Bagan Datuk, bolehlah
dikatakan menerima pelawaan Yop Hamid untuk menggantikan dia.
Tarikh yang sama juga Haji Mohamad Ramli dilantik sebagai
SIPartner+ yang sebelumnya sahabat ini juga ialah seorang pengetua
di SMK Seri Muara, Bagan Datuk. Kami berdua mengisi perjawatan
SIPartner+ di PPD Bagan Datuk, yang sebelum ini kosong dari awal
tahun sejak Puan Kasmiyati dilantik sebagai Pegawai Pendidikan
Daerah Bagan Datuk.
Walaupun pada 27 Julai 2020 mendaftarkan diri di PPD Bagan
Datuk kepada Timbalan PPD Sektor Perancangan, Encik
Kamorazaman, tetapi oleh kerana ada urusan kerja di PPD Kuala
Langat dan di KPM yang masih belum selesai, maka pertama kali
dapat berjumpa dengan warga PPD Bagan Datuk hanya berlaku pada
6 Ogos 2020 di Hotel Casuarina, Meru, Ipoh iaitu semasa menghadiri
Bengkel Setengah Tahun 2020 PPD Bagan Datuk yang diadakan di
situ.
Bertuah rasa hati dapat bertugas di PPD Bagan Datuk, daerah
tanah tumpah darah kelahiran aku. Dikurniakan sahabat-sahabat
warga PPD Bagan Datuk yang sangat baik, berintegriti, mudah mesra
dan merendah diri. Sangat menyenangkan. Dipimpin pula oleh ketua
yang sangat energetik, bertenaga, pantas dan cekap iaitu Puan
Kasmiyati Katiman, bertubuh kecil tetapi tegas dan berwawasan
orangnya. Yang paling awesome, mudah bekerjasama. Slogan yang
hebat ‘One Team One Target ke arah PPD Bagan Datuk No. 1 di
Malaysia’, sesuatu yang memotivasikan keseluruhan warga pendidik
PPD Bagan Datuk.
“Encik Salahuddin,” Puan Kasmiyati menyapa aku. “Ya, Puan,”
aku menyahut sapaannya. “Minggu depan, hari Isnin, temankan saya
ke sekolah sebelah ya, SMK Seri Muara.” “Ya, Puan, insya Allah
boleh, ada apa ya puan?” Aku bertanya. “Program Strive to Success,
untuk murid-murid SPM tahun ini, program di bawah task force
Kaunseling PPD Bagan Datuk.” Puan Kasmiyati menerangkan.
“Program murid-murid SPM bersama-sama dengan saya pada slot
pertama. Saya akan bagi nasihat dan motivasi untuk menaikkan
semangat mereka bagi membuat persediaan sebelum menghadapi
104
SPM. Selepas itu, slot seterusnya akan diambil oleh kaunselor-
kaunselor daerah.” Puan Kasmiyati menjelaskan dengan lebih lanjut.
Itulah program pertama aku di PPD Bagan Datuk. Melihat dan
mendengar amanat yang berkobar-kobar diberikan oleh Pegawai
Pendidikan Daerah dalam memotivasikan calon-calon SPM 2020.
Aku yakin semangat murid meningkat dan barulah aku sedar
mengapa keputusan SPM PPD Bagan Datuk nombor satu di Negeri
Perak. PPD Bagan Datuk dipimpin oleh Ketua PPD yang hebat
dimulai dengan Haji Sulaiman dan diteruskan oleh Puan Kasmiyati.
“Encik Salahuddin.” “Ya Puan.” “Encik Salahuddin akan
gantikan saya dalam Program Strive to Succes di SMK Hutan
Melintang nanti ya sebab masa tu saya ada mesyuarat dengan JPN.”
Puan Kasmiyati mengamanahkan tugas kepada aku. “Insya-Allah
puan.” “Apa-apa nanti berurusan dengan Puan Zuraida ya,” beliau
mengingatkan aku untuk berurusan dengan Kaunselor PPD Bagan
Datuk. Kaunselor yang hebat. “Baik puan, InsyaAllah saya akan
dapatkan slaid pembentangan puan daripada Puan Zuraida.”
Gembira rasanya kerana diberi kepercayaan.
Kegembiraanku di PPD Bagan Datuk bertambah kerana dapat
berkenalan dan bekerjasama dengan Haji Mohamad Ramli bin
Mokiat, rakan sejawatan SIPartner+. Beliau yang berperwatakan
lembut, mudah mesra, menunjukkan sikap bersungguh-sungguh dan
bertanggungjawab dalam kerja, memudahkan aku bekerjasama
dengan beliau. Sering kali aku dan dia mengadakan PLC, berbincang
pelbagai perkara dalam urusan kerja. Aku lihat dia sangat berminat
dengan apa-apa yang disampaikan, banyak perkara baharu yang
beliau ingin pelajari. Beliau benar-benar gembira dengan jawatan
SIPartner+, sebagai satu proses ‘soft landing’ sebelum bersara
katanya.
“Haji, jangan lupa ya, esok kita ke SMK Seri Perkasa dan lepas
tu kita ke SK Teluk Buloh,” aku mengingatkan Haji Ramli untuk ke
sekolah-sekolah berkenaan pada hari Selasa 28 Ogos 2020 iaitu
Sekolah TS25 Kohort 5 dan Sekolah TS25 Kohort 3. Memang kami
telah merancang dalam melaksanakan bimbingan ke beberapa buah
105
sekolah, kami akan pergi bersama-sama terutamanya seperti sekolah
yang jauh dari pejabat dan semua sekolah menengah. Hal ini kerana
sekolah menengah daerah Bagan Datuk tidak banyak, hanya sepuluh
buah sekolah sahaja. Jadi, kami memutuskan akan bersama-sama
bila membimbing ke sekolah menengah.
“Susahlah sikit la tuan,” Cikgu Halim PK Pentadbiran SMK Seri
Perkasa menjawab bila ditanya keadaan sekolah. “Sekolah ini sudah
tiga bulan tiada pengetua, terpilih sebagai sekolah TS25 pulak tu pada
tahun ini,” keluh Cikgu Halim.
“Insya-Allah, Cikgu Halim boleh, apatah lagi dibantu oleh
barisan pentadbir yang hebat-hebat,” aku memberi semangat.
“Cikgu Halim cikgu berpengalaman, lama sebagai PK, insya-Allah
kalau tak ada pengetua pun, Cikgu Halim boleh mengendalikan
sekolah dengan baik,” Haji Ramli menambah.
“Cikgu Halim, PK-PK dan GKMP dah bersedia di Bilik
Mesyuarat,” seorang guru memaklumkan pada Cikgu Halim akan
kesediaan guru-guru untuk bersama-sama SIPartner+.
“Kami mohon tuan memberi taklimat kepada kami tentang
TS25,” minta Cikgu Halim kepada aku dan Haji Ramli semasa sesi
bimbingan bersama barisan kanan kepimpinan sekolah. “Sekolah
tetapkan tarikhnya. Insya-Allah, kami akan datang pada tarikh
berkenaan. Kumpul guru-guru yang berkenaan supaya mereka juga
dapat mendengar sama,” cadang Haji Ramli.
Selepas sesi bimbingan berkelompok itu, aku dan Haji Ramli
dibawa melihat persekitaran sekolah. Cikgu Halim mengadu, “pagar
sekolah ini baru saja dibaiki oleh kontraktor, tapi kerjanya tak
sempurna, masih bocor sana bocor sini.” Cikgu Halim menunjukkan
kawasan pagar sekolah yang tidak dibaiki dengan betul. Aku
mengeluarkan telefon bimbit untuk mengambil gambar pada kawasan
pagar yang baru dibaiki tetapi tidak disempurnakan dengan baik oleh
kontraktor yang diamanahkan. Aku dan Haji Ramli perlu membuat
laporan untuk dimaklumkan kepada Timbalan Sektor Perancangan
agar tindakan selanjutnya boleh diambil oleh PPD. Lebih kurang tiga
jam berada di SMK Seri Perkasa, kami berpendapat sekolah masih
106
diuruskan dengan baik walaupun pengetua baharu belum dilantik,
barisan kanan kepimpinan sekolah mampu mengurus dan
mentadbirkan sekolah sebagaimana sepatutnya.
Lebih kurang pukul 11.15 pagi, kami bergerak ke SK Sungai
Buloh. Sekolahnya ceria, laluan ke sekolah bersih dan luas, bangunan
dicat baharu dengan pilihan warna yang menyerlah. Sesuai dengan
status Sekolah TS25 Kohort 3 yang dipimpin oleh Guru Besar yang
energetik, Cikgu Abdullah bin Mat Johari, orang kampung teman,
orang Sungai Lanchang, patut la energetik. Aku tersenyum-senyum.
Kawasan sekolah ditransformkan dengan pelbagai projek seiring
dengan TS25. Salah satu projek yang terbaik adalah studio Green
Screen yang menyediakan latar belakang hijau bagi tujuan animasi
dan sebagainya. Disediakan sudut ‘Bayrians Talk Shows’ untuk
melatih murid-murid sebagai pengacara majlis dan pembaca berita.
Diwujudkan juga Rancangan TV Sekolah ‘Panda TV Channel’.
“Wah!” Sesuatu yang aku tidak sangka, sebuah sekolah yang agak
jauh menyelusuri jalan kampung mampu menyediakan kemudahan
sedemikian. Jelas menunjukkan Guru Besar berjaya
mentransformkan warga sekolahnya ke arah membina sekolah
berkualiti dan kemenjadian murid sebagaimana dihasratkan oleh
TS25.
“Tahniah Cikgu Dollah, cikgu berjaya membangunkan
kompetensi guru-guru, berjaya melibatkan ibu bapa dan komuniti
untuk membantu cikgu merealisasikan hasrat TS25, tahniah cikgu,”
ucapan tahniah daripada kami kepada Cikgu Abdullah. Sekolah luar
bandar yang mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
mana-mana sekolah bandar.
Jam 2.30 petang barulah kami meminta izin untuk kembali ke
pejabat. Singgah sebentar di masjid berhampiran sekolah untuk solat
zohor.
Itulah antara pengalaman ke sekolah-sekolah bersama
dengan Haji Ramli, walaupun banyak lagi sekolah yang aku pergi
bersama-sama dengan arwah, biarlah catatannya setakat itu sahaja.
Aku bersyukur kepada Allah kerana menemukan dengan Haji
107
Mohamad Ramli bin Mokiat, seorang sahabat yang aku kenali dalam
tempoh yang singkat, namun kemesraan antara aku dan dia
menjadikan kami sangat akrab, ke mana-mana selalu bersama.
Sebelum dibawa ke PKRC Ipoh, aku sempat bersama-sama
tinggal sebilik dengan Haji Ramli semasa menghadiri Bengkel Kerja
Sokongan Profesionalisme Rakan ELIT SIPartners+ dan SISC+
Baharu Modul KmR TS25 di Hotel Grand Kampar, pada 5 dan 6 Mei
2021. Semasa bengkel tersebut aku diundi untuk duduk bersebelahan
sahabatku itu, seperti takdir tidak mahu memisahkan aku dengannya.
Berbuka puasa bersama-sama, bersahur bersama-sama, solat waktu
bersama-sama, cuma solat tarawih aku di bilik, beliau ke masjid.
Pada petang 6 Mei selepas pulang dari Grand Kampar aku
menghadiri Majlis Berbuka Puasa di PLGDP Hutan Melintang juga
duduk bersebelahan dengan sahabat, itulah sahabatku Haji Ramli
Mokiat, sering kali bersama-sama.
Kini dikau tiada lagi di sebelah aku, bilikmu telah kukosongkan,
menanti penggantimu, entah bila akan ada, yang pasti tidak akan
sama dengan kamu. Kehidupan mesti diteruskan, aku akan
meneruskannya tanpamu lagi, tiada lagi kita bersama ke sekolah-
sekolah, tiada lagi kita bersarapan dan makan tengah hari bersama-
sama, tetapi kenangan kita bersama-sama tetap ada dalam
ingatanku. Bersemadilah sahabatku dengan aman. Semoga Allah
merahmatimu.
Terima kasih Ar-Rahman Ar-Rahim yang memperjalankan
penghidupanku menyelusuri penceritaan sebegini. Menyedarkan aku
akan banyaknya nikmat-Mu yang aku dustakan. Ampunilah aku,
ampunilah kedua-dua ibu bapaku, ampunilah ahli keluargaku,
ampunilah sahabat-sahabatku, sesungguhnya Engkau Maha
Pengampun, Maha Pengasih.
Alhamdulillahirabbil’alamin
Segala puji bagi Tuhan Pemelihara Semua Alam.
108
SIRIH PULANG KE GAGANG
NUR ASNI BINTI ALIAS
RAKAN ELIT SISC+ PPD PERAK TENGAH
PULANG KE TANAH AIR
Tiga kali penerbangan kami untuk kembali ke Malaysia
ditangguh disebabkan oleh pandemik Covic-19. Pada pertengahan
Disember, aku dan anak-anakku dijadualkan berangkat pulang ke
Malaysia. “Umi…, kenapa kita balik Malaysia? Kesian baba tinggal
sorang kat sini,” tanya anak sulungku semasa di Lapangan Terbang
Antarabangsa Muscat, Oman. “Kenapa tak terus kerja kat sini je?”
Satu demi satu soalan anak sulungku ajukan. Aku perlu menjawab
segala persoalannya yang selama ini bermain dalam mindanya.
Pihak universiti memohon untuk aku terus menetap dan berkhidmat
selagi suamiku masih di sini. Aku perlu kembali bertugas sepertimana
yang telah aku janjikan pada KPPD. Alhamdulillah, suamiku
memahami situasiku dan budaya kerja di Malaysia.
Kami melalui proses keselamatan yang ketat setiba sahaja di
Malaysia dan ditempatkan di pusat kuarantin selama 10 hari di salah
sebuah hotel di KLCC. Aku duduk di atas sejadah memegang erat
tasbih dan Al-Quran pemberian suamiku yang amat berharga buatku.
Aku mengambil peluang sepanjang berada di Oman untuk memahami
terjemahan Al-Quran namun aku masih belum menyelesaikannya.
Semoga sentiasa diberi kesempatan untuk meneruskan usaha aku
menghabiskan terjemahan Al-Quran walaupun dalam kesibukan aku
bekerja nanti. “Intend our work as an act of worship and…no matter
how busy you are, make sure there is time for prayer,” pesan suamiku
berkali-kali. Banyak pesanan suamiku buat diriku berkaitan ibadah
dan tanggungjawab aku sebagai seorang isteri. Usiaku sudah
mencecah awal 40-an, tiada apa-apa yang perlu diraih melainkan
perbanyakkan amal ibadah sebagai bekalan akhirat.
109
KEMBALI BERTUGAS
Aku kembali bertugas di PPD pada awal Januari. Sistem
pendidikan di Malaysia tidak lagi seperti dulu semenjak pandemik
Covic-19. Guru-guru perlu memilih pendekatan PdPR yang sesuai
berdasarkan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah Versi
2.0. Aku menelaah Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
Versi 2.0 dan Dokumen Pengajaran Kurikulum (DPK) 2.0. Itulah yang
aku lakukan sebelum membimbing guru-guru bimbinganku. Banyak
yang perlu aku pelajari berkenaan tugas Rakan ELIT SISC+ kerana
aku bercuti semasa penstrukturan baharu. Alhamdulillah, rakan
sejawat aku menguruskan urusan bidang Sains dan Matematik
dengan baik dan membantu aku dalam memahami tugasku. Terima
kasih Encik Khai yang kini menjadi pakar rujukku dalam bidang Sains
dan Matematik serta TS25.
Aku singgah di sekolah pertama bimbinganku untuk TS25 iaitu
Kohort 4 yang telah aku tinggalkan selama setahun. Lama tak bersua
dengan Guru Besar (GB) Dila, pasti ada perubahan di sekolah
tersebut sepanjang ketiadaanku. “Selamat datang kembali RE ku,”
GB Dila menyambut kehadiran aku di pejabat. GB Dila sentiasa
berfikiran terbuka dan menjadi ahli pasukan inovasi aku di
Pertandingan IabD (Intervensi Amalan Bilik Darjah) peringkat
kebangsaan di IPGK Perempuan Melayu Melaka pada Ogos 2019.
Tujuan aku membawa GB Dila ke Pertandingan IabD pada ketika itu
agar beliau dapat melihat hasil projek KmR dan pertandingan murid
TS25 yang dipertandingkan sebagai pencetus idea dalam menerajui
sekolah TS25. Aku perlu melakukan sesuatu sebagai sokongan buat
GB Dila semasa ketiadaan aku selama setahun. Kami dianugerahi
Anugerah Emas dan ia telah menyuntik semangat buat GB Dila untuk
terus mentransformasikan sekolah TS25.
Sekolah ini telah mengikuti latihan Modul 6 TS25 dan telah
merancang KmR bertemakan Taman Herba tanpa bimbingan aku
selama setahun. Murid-murid Tahap 2 diberikan tugasan pertama
iaitu menghasilkan video landskap Taman Herba idaman mereka.
Sambutan murid amat menggalakkan. Pembentangan video oleh
murid yang sangat menarik dan di luar jangkaan pihak sekolah.
110
Syabas GB Dila dan warga sekolah. Syukur alhamdulillah, GB Dila
menggunakan pengalaman yang diperolehnya semasa menyertai
Pertandingan IabD di IPGK Perempuan Melayu Melaka dalam usaha
mentransformasikan sekolah TS25 semasa ketiadaanku.
BERTEMU KEMBALI TS25
Sudah lama tidak mengikuti latihan TS25, semakin kabur isi
kandungan Modul TS25 dalam fikiran aku. Aku jauh ketinggalan
berbanding Rakan-rakan ELIT SISC+ di daerahku dalam
melaksanakan bimbingan TS25. Aku tidak berkesempatan untuk
mengikuti latihan Modul 6 TS25 pada tahun lepas. Encik Ikmal
sebagai Pegawai Meja TS25 Daerah bertanggungjawab memastikan
aku mengikuti kembali latihan TS25. Buku Quick Facts TS25 banyak
membantu aku dalam mengingati semula modul-modul TS25. Aku
berpeluang pada tahun ini untuk mengikuti latihan secara dalam talian
bagi Modul 6 TS25. Kefahaman aku terhadap Modul 6 TS25 semakin
bertambah apabila mengikuti latihan Modul 6 TS25 secara
bersemuka. Terima kasih kepada Puan Zakidah binti Abdullah,
Penyelaras TS25 JPN dan barisan Master Trainer TS25 yang
bertungkus-lumus melaksanakan latihan TS25 secara bersemuka
untuk mengukuhkan kefahaman kami sebagai Rakan ELIT (RE)
TS25.
Aku kembali membimbing sekolah TS25 berbekalkan ilmu
yang diperoleh daripada latihan Modul 6 TS25. Kali pertama membuat
lawatan bimbingan bersama-sama SIP+ ke sekolah TS25 dan banyak
yang aku pelajari daripada SIP+. Pembentangan showcase oleh GB
Dila di bilik mesyuarat. Alhamdulillah, sekolah Kohort 4 TS25 ini
berada di landasan yang betul dan perlu membuat sedikit
penambahbaikan pada perancangan PdP-PBL. Beberapa langkah
telah diambil oleh GB Dila dalam mengatasi kekangan yang dihadapi
semasa pandemik Covid-19 bagi merealisasikan projek KmR. GB Dila
membawa kami melawat Taman Herba dan kelihatan bunga telang
berkembang mekar dari jauh. Bunga telang adalah antara hasil
tanaman murid-murid di sekolah ini. Banyak khasiat bunga telang
untuk kesihatan dan kecantikan. Bunga telang dikeringkan oleh pihak
111
sekolah untuk dijadikan teh dan bahan asas hidangan. Penjagaan
tanaman herba dan proses pengeringan bunga telang tetap
diteruskan walaupun tanpa penglibatan murid sepanjang penutupan
sekolah.
Aku dilantik sebagai Rakan ELIT (RE) TS25 di sebuah sekolah
Kohort 6 TS25. Sekolah ini berubah wajah sejak ditadbir oleh guru
besar baru. GB Hajah sangat mementingkan keceriaan sekolah serta
keselesaan murid. Setiap ruang bangunan ditampal dengan informasi
yang bermanfaat untuk pembelajaran murid. Setiap kelas dipasang
Smart TV untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran. Setiap
keperluan pengajaran dan pembelajaran murid cuba dipenuhi oleh
GB Hajjah. Sekolah ini sedang mengikuti latihan secara dalam talian
bagi Modul 1 TS25 pada ketika itu. GB Hajah mengenal pasti
beberapa orang guru yang kreatif dan berpotensi dalam inovasi.
Belum ada guru sekolah ini yang sertai inovasi sebelum ini. Beliau
memberi sokongan kepada dua orang guru yang berminat sertai
inovasi. Aku diminta oleh GB Hajah untuk membimbing dua orang
guru tersebut dalam penulisan kertas projek inovasi. Mereka telah
menghasilkan produk inovasi tetapi kurang yakin dalam penulisan
kertas projek inovasi. Dua orang guru tersebut ialah Ketua Panitia
yang akan menjadi penggerak inovasi di peringkat sekolah.
Alhamdulillah, mereka berjaya memperoleh pingat Emas dan Perak.
Perkara inilah titik permulaan bagi sekolah ini untuk mengorak
langkah di persada inovasi.
Setiap sekolah TS25 bimbinganku mempunyai kekuatan
tersendiri. Kadang kala pentadbir tidak menyedari kekuatan yang
sedia ada di sekolah. Membimbing dan mengenal pasti kelebihan
pada pemimpin pertengahan antara perkara yang aku lakukan
sebagai Rakan ELIT (RE) SISC+. Mengupayakan pemimpin
pertengahan melalui Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) agar
perkongsian kepakaran memberikan manfaat kepada guru-guru lain
terutamanya guru-guru novis. Namun begitu, kepimpinan
transformasional PGB memainkan peranan penting dalam
menggerakkan warga sekolah bagi menentukan hala tuju sekolah di
samping bimbingan daripada Rakan ELIT (RE).
112
TERIMA KASIH SEMUA
Fungsi SISC+ dalam penstrukturan baharu tidak seperti
dahulu. Banyak yang aku perlu pelajari kembali mengenai bidang
tugasku dan peranan sebagai Rakan ELIT (RE) TS25. Aku umpama
gelas yang kosong sejak aku kembali bertugas di PPD. Terima kasih
buat semua rakan-rakan SISC+ (Puan Cik Tom, Sir Meor, Sir Sam,
Encik Khai, Ustaz Shariff dan Encik Sham) serta SIP+ (Encik Syed
dan Haji Wan) yang banyak memberi bimbingan sejak aku kembali
bertugas. Aku kagum melihat SIP+ dan rakan-rakan SISC+ sangat
komited dengan tugas yang diamanahkan. SIP+ dan SISC+ bekerja
dalam satu pasukan. Jatuh bangun pasukan ini dirasai bersama.
Buang yang keruh, ambil yang jernih. Maafkanku kiranya aku bukan
rakan kerja yang sempurna tetapi aku cuba buat yang terbaik
berdasarkan keupayaanku. Aku sentiasa menyokong usaha murni
SIP+ dan rakan-rakan SISC+ dalam menjalankan amanah yang
diberikan. Terima kasih rakan-rakan PPD (Hajah Ina dan Cik Lin) yang
menjadi teman bicaraku dalam menuju cahaya Ilahi.
113
AKU MASIH HIJAU
AYOUB BIN ABU
RAKAN ELIT SIP+ PPD MANJUNG
Masih termanggu di meja kerja. Kurenung kiri dan kanan,
dinding bilik mengepung diri, bilik kecil yang bersaiz 7X6 meter amat
memenjarakan. Rak kayu tiga tingkat sarat dengan fail warisan
tersenyum di kananku. Beberapa helai notis lama masih terlekat di
papan maklumat. Di hujung meja tercongok mesin cetak tua
memerhati perlakuanku. Suara staf berbicara di luar bilik mengetuk-
ngetuk gegendang telingaku.
Aku masih keliru untuk memulakan sesuatu. Bukan tugas
mudah untuk mengubah kebiasaan ini. Suasana bilik juga seolah
membataskan rayauan fikiran dan tindakan. Beberapa fail lama telah
dibelek dan dibedah isi perutnya, namun nadi kerja belum ditemukan
lagi. “Assalamualaikum!” Encik Jamal muncul di pintu dan mematikan
lamunanku. “Kita ke SJKC KS, jam 9.00 boleh?”
Sebenarnya sejak bertukar ke PPD, baharu dua sekolah yang
dilawati. Itupun hanya lawatan pemantauan pembukaan semula
sekolah selepas PKP. Belum memulakan tugas hakiki. Hanya
memantau dan memberi saranan solusi yang terbaik untuk sekolah
memulakan operasi. Kira coaching juga agaknya. Banyak cerita
baharu yang kudengar dan diadukan kepada aku. Bukan sahaja
coaching tapi sudah menjadi kaunselor rupanya.
Menjadi coach di PPD bukanlah kerja mudah. Banyak
maklumat mesti diketahui. Banyak pengetahuan mesti dikuasai. Apa-
apa sahaja persoalan daripada pihak sekolah mesti ada cadangan
penyelesaian. Kata orang, maklumat di hujung jari.
Encik Jamal membawa aku ke SJKC KS. Pertama kali sampai
di sekolah yang tidak pernah aku tahu kewujudannya. Kebetulan
dalam tempoh PKP, suasana sunyi dan tenteram. Menjenguk ke bilik
guru dan makmal, rata-rata guru sibuk mengajar atas talian. Sebagai
114
pegawai baharu, agak canggung juga apabila staf dan guru
memanggil “encik” kepadaku. Rupanya kehadiran kami di sini adalah
bagi membantu dua orang guru besar memurnikan slaid tugasan
mereka. Kedua-dua orang guru besar perempuan sangat mesra dan
positif menerima pandangan dan cadangan. Pengalaman hari ini
mengajar aku cara pendekatan dalam memberi bimbingan kepada
‘coachee’ bagi memantapkan persediaan pembentangan Projek
Prime Guru Besar Baharu.
Selesai bimbingan, kami singgah minum di gerai seberang
jalan. Agak kekok juga minum pagi di gerai awam. Selalunya minum
di kantin sekolah, lebih privasi dan tersendiri. Perbualan tidak berkisar
kepada bidang tugas. Waktu minum pagi walaupun mentari sudah
meninggi ke angka sebelas tidak harus diganggu dengan hal kerja.
Nikmatilah teh tarik pekat manis bersama roti canai kosong dalam
suasana santai dan minda lapang.
Encik Jamal Rakan ELIT SIP+ membawa aku ke sekolah
kedua iaitu SK GL. Sekolah yang terletak dalam kawasan Rancangan
Felcra agak terpencil dari PPDM. Di sekolah ini, aku bertemu dengan
beberapa rakan lama yang bertugas di sini. Bimbingan Projek Prime
diberikan oleh Encik Jamal, sahabat SIP+ku yang sangat mahir dalam
memberi bimbingan. Banyak yang aku pelajari daripadanya. Bermula
dengan memerhati dan sesekali mencetuskan beberapa
penambahbaikan kepada kandungan bahan. Di samping dapat
membina keyakinan diri, juga dapat membantu sahabat Guru Besar
menambah nilai bahan pembentangannya.
Begitulah mulanya rentetanku memulakan tugas sebagai
pegawai SIPartner+ di PPDM. Tidak terfikir bahawa di hujung
perkhidmatan, di PPD pula aku ditempatkan. Aku bukanlah pengetua
yang hebat, jauh sekali bergelar Pengetua Cemerlang. Pengetahuan
memanglah kurang, kerana sudah lama tidak berkursus. Cuma
pengalaman dua belas tahun sebagai pengetua boleh kusandarkan
sebagai resepi dalam melaksanakan bimbingan.
Kekadang terasa malu juga kerana aku jarang mencetuskan
idea, apatah lagi mencipta nama di peringkat daerah, negeri ataupun
115
di peringkat kebangsaan. Apakah yang boleh dibawa sebagai senjata
dan topik dalam bimbingan? Tetapi dalam hati, aku bertekad akan
memberi sesuatu kepada rakan pengetua baharu. Meneroka
kekuatan diri yang belum terjumpa. Kejayaan sekolah banyak tercipta
tetapi bukan hasil kerja kuatku seorang. Kejayaah ini atas kolaboratif
padu guru-guruku di SMK PTLDM. Hampir enam tahun aku di sekolah
ini. Menjadi pengurus di sekolah Navy ini bukanlah mudah. Banyak
juga cabaran suka duka dialami. Banyak juga kejayaan dilakarkan
contohnya dalam permainan hoki, bola sepak, KRS, PBSM, kriket,
dan squasy serta pencapaian dalam NILAM negeri dan PRS
Kebangsaan. Dari segi akademik terus mencatatkan peningkatan
sehinggakan pegawai PPD mengungkapkan, ‘pencapaian Cikgu
Ayoub ibarat cencaru makan petang’. Kenapa ya? Kerana di hujung
perkhidmatan sebagai pengetua, sekolahku telah meraih peningkatan
dalam bidang akademik.
Lupakan kisah lalu, kini kembali kepada hakikat di hadapan,
tumpukan kepada perjuangan di medan bimbingan. Apakah yang
boleh dan mampu aku lakukan? Tugas SIP+ bukan kerja enteng,
bukan main-main. Klien atau coachee menganggap SIPartner+
sangat berkaliber, punya kepakaran dan penyelesai semua masalah
sekolah. Pihak pengurusan juga selalu mencabar dan menilai
keberkesanan bimbingan SIP+. Contohnya apabila prestasi sekolah
menjunam atau terdapat isu-isu tertentu maka lembing tajampun
dilontarkan. ‘Apa SIP+ buat?’ Soalan ‘standard’ menusuk jantung hati.
Realiti sebenar ialah keberadaan kita di sekolah sangat terhad.
Pengalaman aku dalam membimbing selalunya memakan masa
sekitar dua jam. Dalam tempoh itu tidak banyak yang boleh dibuat.
Selepas itu, hampir dua bulan baru berlaku coaching kali kedua.
Pengetua dan Guru Besar melaksanakan kepimpinan dengan
cara yang berbeza dan ikut kefahaman sendiri. Kita hanya
membimbing ikut acuan yang kita yakini betul. SIP+ tidak boleh
mencampuri pengurusan PGB. Banyak isu di sekolah sebenarnya
berlaku tanpa pengetahuan SIP+.
116
Kekadang keliru juga dengan tugasan bertindan. Rutinnya
ialah bimbingan untuk Program TS25, bimbingan PGB baharu, dan
bimbingan pengurusan SKPMg2. Hari lain ialah sesi siasatan aduan
awam dan kerap juga lawatan pemantauan dan pemeriksaan.
Pengalaman lalu boleh dijadikan panduan dalam merancang.
Sepanjang tahun 2020, banyak bimbingan ditumpukan kepada
Program TS25. Lawatan bersemuka sebanyak dua kali bersama RE
IPG dan IAB, tidak termasuk bimbingan-bimbingan awal. Sekurang-
kurangnya empat kali bimbingan diberikan kepada setiap sekolah.
Itupun belum nampak hasil seperti yang diharapkan.
Isu utama dalam memberi bimbingan bukanlah kefahaman
semasa bimbingan, tetapi ialah kefahaman dan tindakan selepas
bimbingan. Mungkin selepas beberapa hari sesi bimbingan coachee
dah ‘blur’ dan akhirnya dipinggirkan sementara waktu untuk tugas-
tugas lain. Akhirnya kefahaman pun berlalu dan hanyut ditelan masa.
Kepuasan kerja? Memang agak menarik untuk diperkatakan.
Sepanjang menjadi coach kepuasan memberi bimbingan memang
terasa. Kenapa? Kerana terasa kita memberi sesuatu kepada
coachee kita. Coachee juga menunjukkan respon yang positif.
Berbeza semasa menjadi Pengetua di sekolah, bimbingan kelihatan
seperti arahan kerana akhirnya kita juga yang akan memantau dan
menilai segala tindakan guru-guru kita.
Setelah hampir sepuluh bulan menelaah dan menghadam
tugasan sebagai coach sudah terserap rasa dan semangat sebagai
rakan pembimbing. Timbul kesedaran untuk terus membantu dan
membimbing PGB dan sekolah. Lompang kegagalan semasa
menguruskan sekolah dulu tidak patut berulang di sekolah yang aku
bimbing. Perkara inilah input terbaik untuk aku bawa dalam
membimbing PGB meningkatkan keberkesanan sekolah.
Pengalaman lalu mengajar tentang keperluan strategi
pendekatan bimbingan perlu dirancang. Hal ini menggabungkan
banyak kemahiran komunikasi termasuklah komunikasi personal,
interpersonal, kuasa mendorong, memujuk dan merangsang. Di sana
117
terdapat elemen simpati dan empati. Watak kita juga berbeza dan
berubah mengikut isu dan situasi.
Kekadang menjadi coach, kaunselor atau motivator. Bagi aku
berperananlah sebagai siapa-siapapun, yang penting kita dapat
membantu mengubah sikap atau situasi negatif kepada yang lebih
positif.
Kini, hampir setiap hari menjadi pemudah cara, aku mula
menyangi kepada tugas unik ini. Makin ramai yang kita jumpa makin
mengayakan pengetahuan dan pengalaman kita. Makin ramai yang
kita bantu maka makin banyak perkara yang bisa kita cetuskan.
Apabila ini berlaku tidak mustahil makin banyak perubahan yang akan
terjadi, terutama kepada sekolah-sekolah di bawah Program TS25.
We Deliver - Together We Can Achive More!
118
WAJIK DOYAN
RA’BANIAH BINTI NOR HAMDAN
RAKAN ELIT SIP+ PPD KINTA UTARA
MAC 2019
Kami berkenalan, membina hubungan agar kemesraan dapat
dirasai bersama. Sekolah pertamaku di bawah Program TS25 ini
banyak meninggalkan kesan dan memberikan semangat untuk
memberikan yang terbaik kepada mereka yang benar-benar
menyambut mesra kehadiranku.
Jika hadir kita sebagai sahabat, insha-Allah semuanya akan
dipermudahkan. Sapaan salam perkenalan buat Guru Besar yang
lembut perwatakannya, tutur kata yang sopan dan redup
pandangannya membuatkan hati ini sangat selesa mendekatinya.
Sebenarnya sudah lama diri ini ingin bersua muka dengannya, tetapi
ruang dan peluang belum kunjung tiba. ‘Adakah ini satu kebetulan?
Adakah doaku selama ini telah dimakbulkan?’
Program TS25 mempertemukan kami. Mendekatkan diri ini
dengan figura hebat. Inginku rasai kekentalan jiwanya dan kekuatan
semangatnya. Kami berasal dari istana ilmu yang sama. Kuterkenang
bait-bait puisi karya Usman Awang tentang istana ilmu kami di Bukit
Merbah. Mungkin kerana itu kami mempunyai jiwa dan semangat
yang sama.
Tapi apapun arus gelombangnya
berdiri di bawah bendera keberanian
di bumi kebenaran dan kemanusiaan
laksana permata yang mengukir
kehalusan budi
Maha wangi istana ilmu ini
-Usman Awang-
Panjang lagi karya tokoh sasterawan negara yang tersohor ini.
Aku hanya ungkapkan sebahagiannya sahaja. Aku berdoa agar Allah
berikan keberkatan dalam pertemuan pertama kami ini. Aku juga turut
119
menghulurkan salam perkenalan kepada semua ketua panitia subjek
teras dan meluangkan masa membina keserasian dan mencari titik
kesamaan di antara kami.
APRIL 2019
“Assalamualaikum, puan. Mohon puan tetapkan tarikh untuk
perjumpaan saya dengan ketua-ketua panitia empat subjek teras bagi
memberi pencerahan mengenai PBD seperti yang kita rancangkan
tempoh hari.” Paparan mesejku jelas di skrin telefon pada nombor
Guru Besar di aplikasi Telegram. ‘Tit… tit…,’ balasan mesej
daripadanya muncul di skrin telefon bimbitku. “Puan, saya nak minta
semua ketua panitia hadir bersama ya, semasa perkongsian itu.”
Aku suka dengan cadangan yang diberikan ini. Beliau
mengharapkan seluruh pasukan pemimpin pertengahan sekolahnya
mendapatkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran
melaksanakan pentaksiran bilik darjah (PBD) yang perlu dikuasai oleh
mereka semua.
MEI 2019
Perkongsian yang diberikan bukan hanya setakat mendengar
penjelasan daripada diriku ini sahaja. Kami melaksanakan sesi
perbengkelan mengikut pecahan beberapa kumpulan. Setiap
kumpulan kuminta mereka meneliti beberapa penulisan rancangan
pengajaran harian (RPH) untuk mengenal pasti standard prestasi
yang terlibat, pendekatan PBD yang sesuai iaitu pentaksiran untuk
pembelajaran, pentaksiran sebagai pembelajaran dan pentaksiran
tentang pembelajaran serta pelbagai kaedah yang sesuai. Setelah
selesai perbincangan, kuminta setiap kumpulan menghantar wakil
untuk membentangkan dapatan yang mereka peroleh daripada sesi
perbengkelan itu.
Kehadiran Guru Besar semasa sesi perkongsian dan
perbengkelan tadi mencuri perhatianku. Beliau bergerak ke setiap
120
kumpulan dan bersama-sama menyertai perbincangan. Kedengaran
gurau senda mereka sekali sekala meriuhkan suasana. Mereka tidak
kekok ketika Guru Besar ini menyampuk perbincangan mereka. Di
mataku kelihatan seperti sebuah keluarga dan pasukan yang hebat.
Perbalahan dan percanggahan pendapat merancakkan perbincangan
mereka. Aku terhibur.
“Sebelum bersurai, saya harap dapat masukkan ‘exit ticket’
cikgu-cikgu semua ke dalam kotak yang saya sediakan di tepi pintu tu
ya,” pintaku sambil menutup komputer riba dan memasukkannya ke
dalam beg sambil tersenyum memandang guru-guru beredar
meninggalkanku.
Seusai tamat setiap program, aku akan leka membaca setiap
refleksi yang ditulis oleh guru-guru di cebisan kertas kecil yang
berperanan sebagai ‘exit ticket’ agar aku dapat membuat
penambahbaikan dan mengambil maklum atas kemusykilan yang
masih memerlukan penjelasan yang lebih terperinci bagi
meningkatkan kefahaman mereka. Proses ini sangat bermakna.
JUN 2019
Kubelek gambar-gambar kiriman Guru Besar ke dalam aplikasi
Telegram lewat petang itu. Beliau memaklumkan mengenai
persediaan bagi program hari bertemu waris yang akan dilaksanakan
pada keesokan harinya. Semua gambar hasil kerja murid yang
dikirimnya kelihatan sangat menarik. Bimbingan dan intervensi yang
diberikan kepada guru-guru telah dapat mengupayakan potensi diri
murid-murid mereka.
Aku bersyukur, ya Allah. Makbulnya doa seseorang hamba itu
ialah rahsia Allah, sebagai hamba-Nya, kita jangan pernah rasa jemu
untuk meminta dengan-Nya. Allah tidak pernah jemu mendengar
rintihan kita.
Bukan mudah untuk melakukan transformasi. Daripada biasa-
biasa menjadi luar biasa. Allah yang menyentuh setiap hati dan jiwa
121
hamba-Nya untuk melakukan perubahan. Perubahan yang berlaku
kepada guru-guru di sekolah ini juga mempunyai kisah-kisah yang
tersendiri.
Pasti timbul rasa bangga ibu bapa melihat hasil-hasil
pembelajaran anak-anak mereka di sekolah. Anak-anak mereka
berjaya hasil didikan daripada guru-guru yang hebat di sekolah ini.
Jiwa murid-murid ini jika tidak diisi dengan rangsangan keseronokan
belajar di dalam kelas, mereka akan layu. Rasa bosan, jiwa kosong,
hati terkunci dan fokus melayang entah ke mana. Hebatnya guru itu
bila dia mampu memimpin tangan, membuka minda dan menyentuh
hati murid-muridnya.
JULAI 2019
“Saya minta maaf, puan,” kedengaran suaraku di hujung talian.
“Tarikh yang kita rancangkan minggu depan untuk guru-guru ini
laksanakan Lesson Study, saya tak dapat nak ikut sama. Saya ada
program lain masa tu,” keluhanku sarat dengan rasa bersalah. “Puan
teruskan ye,” sambungku lagi.
“Kita rancang hari lainlah,” bicara lembutnya sungguh
menenangkan. “Kami tunggu puan,” sambungnya lagi. “Kami sentiasa
menunggu dan menerima kehadiran puan,” tutur katanya penuh
dengan pengharapan.
Perbualan kami diakhiri dengan ayatnya yang memberi seribu
satu makna yang sangat berharga buat diri ini. Hatiku terusik, jiwaku
tersentuh. Semoga Allah mempermudahkan segala urusanku selepas
ini. Jadual kerja yang dirancang, disusun kadang kala terganggu
dengan urusan-urusan yang tidak dijangka. Kita merancang, Allah
juga merancang. Perancangan terbaik Allah swt juga terbaik buat kita
semua. Cukup terkilan hati ini jika harapan dan kepercayaan yang
diberikan oleh warga sekolah ini tidak kupenuhi.
122
SEPTEMBER 2019
Alhamdulillah, syukur. Guru Besar ini bersetuju menerima
pelawaanku untuk menyertai pembentangan kajian tindakan di
Seminar Pendidikan Matematik Kebangsaan 2019 anjuran Institut
Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ipoh yang akan diadakan pada 22
Oktober 2019. Kajian tindakan yang bertajuk eZ60PBD yang
dijalankan oleh Guru Besar bersama dengan beberapa orang guru
adalah berkaitan dengan pelaksanaan PBD yang dijalankan secara
modular. Pelbagai strategi kugunakan untuk menarik perhatian Guru
Besar dan guru-guru di sekolah ini agar dapat melaksanakan PdP
secara modular dan sekali gus mempraktikkan PBD secara telus.
Dalam hidup ini, hanya satu yang kita perlukan iaitu
keberanian. Keberanian untuk menempuh segala cabaran dan
berhadapan dengan musuh atau lawan. Selalu kupesan buat diri ini,
jangan dipaksa pada yang tidak sudi tetapi teruskan usaha dengan
mereka yang yakin dan perlukan kita untuk mengecapi kejayaan
bersama-sama. Bukankah pengalaman itu mendewasakan kita?
OKTOBER 2019
Mesej daripada pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus
Ipoh yang bertanggungjawab dalam menguruskan Seminar
Pendidikan Matematik Kebangsaan 2019 kubaca baris demi baris.
Beliau memaklumkan bahawa ada reruai yang masih kosong dan
menawarkan kepada sekolah yang kubimbing di bawah program
TS25 ini. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, peluang yang diberikan
ini turut disambut baik oleh Guru Besar. Dalam hidup ini, peluang yang
muncul bukan atas kemahuan kita tetapi kemahuan kita yang besar
akan menciptakan peluang.
Budaya bekerja sepasukan sangat ketara di sekolah ini.
Mereka bersama-sama membuat persiapan rapi untuk
mempamerkan hasil kerja keras guru-guru dan bukti hasil
pembelajaran murid-murid di sekolah disusun atur dengan kemas di
123
ruang reruai. Segenap ruang reruai bermaklumat dan penuh dengan
informasi yang sangat bermakna.
Pembentangan kajian tindakan Guru Besar juga mendapat
perhatian ramai pihak yang terdiri daripada guru-guru, kumpulan
pensyarah daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia dan universiti-
universiti tempatan dari seluruh Malaysia. Pelbagai soalan dilontarkan
kepada Guru Besar sebagai pembentang oleh peserta bagi mereka
mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai eZ60PBD ini.
Pujian demi pujian diberikan atas kejayaan eZ60PBD ini kepada Guru
Besar. Senyuman lebar terukir di bibir, terpancar riak kegembiraan
dan kepuasan apabila kajian tindakan yang dibuat bersama guru-guru
di sekolahnya dapat difahami dengan baik.
Banyak juga peluang yang diperoleh kali ini. Sekolah ini juga
turut diberi peluang mempamerkan hasil kerja keras guru-guru dan
bukti hasil pembelajaran murid di reruai Karnival Jelajah KPM anjuran
Kementerian Pendidikan Malaysia di Movie Animation Parks Studios,
Ipoh. Reruai sekolah ini telah diumumkan sebagai Johan Pameran
Reruai Terbaik dalam karnival ini. Perasaan sebak berbaur gembira
menelusuri jiwaku. Perkara ini merupakan kejayaan terbesar buat
sekolah dalam melaksanakan PBD. Seluruh warga sekolah telah
dapat membudayakan PBD dan melaksanakannya dengan
cemerlang. Tahniah SKTB!
NOVEMBER 2019
Mendayu-dayu alunan nasyid yang ke udara di radio saluran
IKIM menjadi halwa telinga menemaniku sepanjang pemanduanku ke
pejabat. Alunan itu memecah keheningan pagi.
Buta mata tak nampak jalan di dunia
Kerana tidak nampak cahaya
Tidak tahu ke mana hendak dituju
Ke hilir atau ke hulu
124
Kunyanyi mengikut rentak dan lirik nasyid itu yang sentiasa
terngiang-ngiang di telinga ini sejak dari zaman persekolahan lagi.
Liriknya kuhayati dan sentiasa kujadikan sebagai pedoman hidup.
Seperti Program Transformasi Sekolah 2025 yang menjadi satu
tongkat untuk menunjuk arah kepada sekolah-sekolah untuk
meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Dengan
program ini, sekolah-sekolah di Malaysia dapat memantapkan
kepimpinan sekolah, memaksimumkan potensi guru dan murid serta
mengukuhkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak
berkepentingan demi kejayaan murid-murid.
Pemimpin yang hebat akan dapat melahirkan ramai lagi
pemimpin-peminpin yang berkualiti sepertinya malah lebih hebat lagi.
Pemimpin ini juga berupaya melihat potensi diri guru-gurunya,
meneroka keupayaan dan kebolehan untuk melahirkan murid-murid
yang dapat memenuhi keperluan negara serta bersaing di persada
dunia pada masa hadapan.
TAHUN 2020 DAN TAHUN 2021
Semua kejayaan hasil usaha kepimpinan sekolah, guru-guru,
ibu bapa dan komuniti sekolah ini telah disusun dalam satu platform
google site yang dikenali sebagai Dashboard SKTB. Segala maklumat
dan informasi bermakna tentang sekolah ini telah berada di hujung
jari kita semua. Perananku sebagai Rakan ELIT TS25 sekolah ini
akan tetap diteruskan. Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain,
janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti.
Program TS25 ini mengajarku tidak kenal erti lelah dan
menyerah. Pastikan semangat, usaha dan doa kita hari ini luar biasa,
agar kita dapat menamatkan hari ini dengan kejayaan yang luar biasa
juga. Transformasi itu adalah satu proses, berubahlah kerana kita
semua ingin menjadi lebih baik dari sebelumnya demi memartabatkan
profesion keguruan dan masa depan murid-murid kita.
125
ANTARA LAKSA UTARA DAN LAKSA MI PANGKOR
MAHADI ROSLI BIN ZAMRI
RAKAN ELIT SISC+ PPD MANJUNG
Setiap orang mempunyai memori atau kisah yang tersendiri
yang mencuit perasaan. Adakah anda mempunyai kisah yang terukir
dalam kehidupan pada masa yang lalu? Ada pelbagai cerita yang
boleh ditulis sebagai ingatan untuk anak cucu kita yang akan datang.
Mari aku ceritakan pengalaman berlaku beberapa tahun lepas
namun masih kuat dalam bayangan fikiranku. Ceritera tentang ‘Antara
Laksa Utara dan Laksa Mi Pangkor’ ini muncul sewaktu pengalaman
bekerja dan terlibat dengan suatu program anjuran Kementerian
Pendidikan yang agak besar serta penting. Kisah ini berbentuk
analogi atau perbandingan. Aku masih ingat pada hari Isnin dalam
bulan Julai tahun 2016, aku mendapat surat siaran daripada
Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan berkenaan suatu
kursus baharu yang akan dilaksanakan di sebuah sekolah dalam
daerah Manjung.
‘Surat siaran ini tampak seperti penting dan agak berat sekali!’
bisik hati kecilku. ‘Program Transformasi Sekolah 2025!’ ‘Program
apa ni?’ Bisik hati kecilku sambil menebuk lubang surat siaran untuk
dimasukkan ke dalam fail masuk dan keluar surat.
Aku mengomel bersendirian pada hari itu kerana semua
rakanku sudah turun ke sekolah. Aku pun sudah ada janji temu
dengan Guru Dibimbing (GDB) pada pukul 10.00 pagi nanti.
Dalam benak fikiran, aku masih memikirkan surat itu. Seolah-
seolah ada sesuatu yang menarik perlu diberikan perhatian. Aku
kembali mengeluarkan surat siaran tersebut. Aku membelek-belek
surat tersebut. Aku terus membaca satu baris hingga baris yang
terakhir. Masih kuingat tertera tandatangan Ketua Pengarah
Pendidikan Malaysia pada akhir surat siaran tersebut.
126
‘Fuh, kena berkursus Program Transformasi Sekolah lima hari
di Institut Aminuddin Baki, Jitra, Kedah!’ Sekali lagi aku terkejut
dengan berita ini. Selepas itu, aku mengalih perhatian langsung
melihat sesuatu dalam bungkusan yang dibekalkan oleh Cik Puan
isteri pagi tadi. Sebuah bekas plastik berwarna hijau yang agak besar
dan sebuah lagi bekas berisi seperti kuah. Akupun tidak tahu apakah
isinya. ‘Wah, laksa utara kegemaranku!’
Lalu kubuka bekas kuah laksa itu, aroma kuahnya menusuk
hidungku. Laksa merupakan makanan kegemaranku sejak dari kecil
lagi. Aku masih teringat tahun 1980-an sewaktu bersekolah di SMK
Maharaja Lela, Kampung Gajah, laksa merupakan makanan pilihan
sebelum masuk ke kelas. Kedai Wan Piah merupakan destinasi
pertama wajib aku singgah. Pada masa itu, laksa baru lima puluh sen.
Jika diminum bersama cendol dalam lapan puluh sen sahaja.
Tiba-tiba aku terkejut pintu bilikku diketuk oleh seseorang.
"Mahadi, minggu hadapan kita pergi Jitra!" kata Encik Awal, rakan dan
senior sepejabatku. Encik Awal merupakan antara pegawai yang
sangat berdedikasi dalam setiap kerja yang dilakukan. Aku banyak
belajar daripada beliau tentang ilmu pengurusan berdasarkan
pengalaman beliau.
"Insya-Allah Encik Awal, naik kereta saya," jawabku sebagai
tanda setuju. "Encik Awal jemput makan laksa," sambil menunjukkan
bekas laksa kepada Encik Awal. "Teman, lebih suka laksa mi
Pangkor. Orang Pangkor tak boleh pisahkan dengan laksa mi," jelas
Encik Awal sambil mengukir senyuman kepadaku.
Sememang sejak kecil aku sudah biasa dengan makanan
laksa Utara. Manakala orang Pangkor terkenal dengan makanan
laksa mi yang sangat enak. Walaupun agak berbeza dari segi rupa
dan rasa tetapi asasnya daripada sumber protein yakni ikan sebagai
kuahnya.
Pada hari yang dijanjikan, Encik Awal dan aku bertolak ke
Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Jitra Kedah. Kami
pergi untuk mengikuti bengkel kerja Program Transformasi Sekolah
2025. Aku agak teruja dengan perjalanan hari itu kerana IAB
127
merupakan pusat latihan pendidikan formal dalam pengurusan dan
kepimpinan pendidikan. Insititut ini mengambil sempena tokoh
pendidikan yang terkenal di tanahair kita iaitu Aminuddin Baki.
Perjalanan hari itu diiringi hujan renyai-renyai. Cuaca sejak
pagi tadi agak mendung. Kami memasuki tol Changkat Jering,
Lebuhraya Utara Selatan meluncur ke arah Utara Semenanjung
Malaysia. Aku memulakan perbualan dengan Encik Awal dengan
bertanyakan sejarah tentang laksa mi Pangkor.
"Saya belum pernah makan laksa mi Pangkor Encik Awal? Kat
mana kedai yang paling sedap?" tanyaku. "Laksa mi Pangkor
merupakan makanan yang sangat istimewa buat kami anak Pangkor.
Masakan arwah ibu saya paling sedap. Menunya agak unik dengan
mi yang agak kenyal serta ikan seekor dalam setiap hidangan.
Ditambah pula dengan sambal anak udang, cili potong dan kuah ikan
yang segar dari laut," jelas Encik Awal yang merupakan anak jati
Pulau Pangkor. ‘Oh, baruku tahu keunikan laksa mi Pangkor! Nanti
suatu hari nanti aku akan ke sana untuk menikmatinya,’ bisik hati
kecilku.
"Kita singgah di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Gurun,
Mahadi! Kita boleh pekena laksa Utara pulak," kata Encik Awal
mencadangkan kepadaku. "Boleh tak ada masalah, apatah lagi perut
ni pun dah berbunyi sejak dari tadi lagi!" balasku sebagai tanda setuju
cadangan beliau itu.
Memang nasib kami baik kerana makanan yang kami hajati
berjumpa, laksa Utara di Hentian RnR Gurun. Hari ini baru nak cuba
cita rasa orang Utara pula.
"Ini baru betul, Encik Awal! Dah lama tak pekena laksa sini
sejak tamat belajar di Universiti Sains Malaysia, dua belas tahun
lepas," kataku sambil menghirup kuah laksa terakhir petang itu. "Ya,
boleh tahan juga Mahadi!” balas Encik Awal ringkas sambil
tersenyum.
128
Kami sampai di IAB, Jitra tepat pada jam 4.00 petang. Inilah
kali pertama aku menjejakkan kaki di sini. Kemudahan dan prasarana
yang disediakan oleh penganjur amat memuaskan hati kami. Bilik
penginapan bertaraf hotel sangat selesa. Begitu juga kemudahan
dewan untuk berbengkel serta menu masakan selera utara
dihidangkan kepada kami.
Di sinilah kami sebagai Rakan ELIT (RE) berkampung untuk
mendalami ilmu baharu berkaitan Program Transformasi Sekolah
2025. Kemudian, lebih dikenali sebagai Program TS25 dalam
kalangan pendidik. Kami didedahkan dengan lebih mendalam
berkaitan, ‘Bimbingan dan Pementoran’ untuk Modul 1. Bagaimana
proses melakukan bimbingan di sekolah Kohort 2 nanti. Manakala
pementoran sangat penting untuk melihat perkembangan bagaimana
proses memahami modul seterusnya diterjemahkan dalam bentuk
tindakan.
Manakala dalam Modul 2, kami didedahkan, "Meneraju
Kepimpinan." Pemimpin merupakan penggerak kepada perubahan
yakni disebut transformasi dalam TS25. Tanpa pemimpin berkesan
agenda perubahan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah-
pensyarah IAB dan Institut Perguruan Malaysia (IPGM) yang sangat
profesional dan berkaliber dalam menyampaikan modul-modul dalam
Program TS25 ini, terutama apabila berbengkel dan menjawab
persoalan dalam toolkit yang kadang kala memeningkan kami
sebagai peserta kursus. Selayaknya mereka dipanggil sebagai,
‘Master Trainer’ untuk program TS25 ini.
Selain itu, kami mendapat rakan-rakan baharu dari pelbagai
negeri. Empat buah negeri iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang dan
Perlis menyertai bengkel Modul 1 dan 2 Program TS25 tersebut.
Perkongsian yang menarik dan kadang-kadang agak lucu dalam slot
pembentangan program tersebut.
Sebelum tidur pada malam terakhir di bilik penginapan, Encik
Awal dan aku berbincang tentang pelan tindakan selepas tamat Modul
129
1 dan 2. Kami cuba menghadam isi kandungan modul dengan
menyesuaikan dengan bahasa sekolah. ‘Antara laksa Utara dan laksa
mi Pangkor perlu digabungkan isi serta ramuan agar menjadi suatu
resepi yang sedap untuk dinikmati. Begitu juga dengan Modul
Bimbingan dan Pementoran serta Modul Menerajui Kepimpinan juga
perlu digabungkan bagi mengisi ruang ke arah mentransformasikan
sekolah TS25,’ bisik hatiku sendirian sebelum melelapkan mata. Di
luar sana hujan masih turun renyai-renyai dan angin malam yang
dingin sekali, seolah-seolah mengerti akan persoalan dan keresahan
penghuni asrama IAB Jitra untuk melaksanakan kewajipan yang akan
datang.
Setelah selesai kursus tersebut, hari ini Encik Awal dan aku
bersedia untuk menyampaikan slot bengkel ‘Bimbingan dan
Pementoran’ program Transformasi Sekolah kepada rakan pegawai
School Improvement Partner+ (SIP+), School Improvement Specialist
Coaches + (SISC+) dan semua guru di SK Batu Sembilan, Kohort 2
TS25.
Sesi pertama dimulakan oleh Encik Awal selaku Rakan ELIT
(RE) di sekolah ini. Berdasarkan Modul 1, Bimbingan dan Pementoran
ini beliau mengupas aspek coaching amat penting dalam sekolah
TS25. Beliau bercerita tentang pengalaman suka dan duka sebagai
pengetua di sebuah sekolah dalam daerah Manjung. Tegas beliau,
sebagai Senior Leader Team (SLT) perlu bertindak menarik anak
buah untuk menghasilkan kepimpinan sekolah yang berkualiti dari
segi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Selain itu, beliau menjelaskan tentang kerangka TS25.
Antaranya untuk menghasilkan kemenjadian murid maka perlulah
diwujudkan kepimpinan berkesan, guru yang berkualiti dan komuniti
yang memberi sumbangan kepada sekolah. Bagiku, penerangan dan
penjelasan daripada Encik Awal selaku Rakan ELIT sangat jelas
sebagai halatuju dalam TS25.
Sehubungan itu, aku selaku Rakan ELIT (RE) turut memberi
suntikan motivasi kepada semua rakan SLT, MLT dan guru-guru.
Pertamanya, perlunya mengadakan sesi latihan untuk guru iaitu
130
Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) atau dipanggil Professional
Learning Communities (PLC) untuk memantapkan pemahaman.
Perkara ini perlu dibuat analisis jurang yang melibatkan data. Dalam
sekolah TS25 mesti berdasarkan data semasa atau dipanggil, data
driven. Keperluan mengadakan latihan guru sangat penting. Kualiti
kepimpinan guru dalam menguruskan panitia bagi menggerakkan
agar lebih cemerlang.
Pada sesi petang itu, aku lihat ada guru yang jelas dan juga
ada kurang jelas. Kami selaku RE berusaha untuk membimbing
mereka. Sudah menjadi adat jikalau sesuatu yang baharu mesti
berlaku perkara seumpama itu. Ramuan dalam laksa pun ada
pelbagai seperti ikan, bawang, timun, salad dan sebagainya. Begitu
juga dengan laksa mi.
Pihak SLT atau pentadbir perlu berperanan mengadunkan
pelbagai variasi agar bimbingan dan pementoran berlaku dengan baik
dan positif. Gunakan daya kreatif untuk mentransformasikan sekolah.
Sesi pada petang itu, berjalan secara harmoni. Kepimpinan
sekolah diketuai Encik Rizam bersikap proaktif dengan menjanjikan
perubahan yang lebih agresif untuk melaksanakan program TS25.
Sesungguhnya sekolah ini bertuah kerana terpilih sebagai sekolah
pertama melaksanakan Program Transformasi Sekolah 2025.
Sesi petang itu, diakhiri dengan jamuan oleh pihak sekolah.
Aku tidak menyangka pihak sekolah tahu akan kegemaranku dan
Encik Rizam. Kami tidak menyangka pihak sekolah menghidangkan
laksa Utara dan laksa mi Pangkor. "Ini sudah capai target kami Encik
Rizam. Wah, tak sangka pulak kami dapat menikmati kat sini!" Jelasku
sambil menambah kuah laksa ke dalam pingganku.
Selang dua bulan kemudian, kami Rakan ELIT berkursus pula
untuk Modul 3 dan 4. Kursus kali ini masih di IAB Cawangan Utara,
Jitra. Untuk Modul 3 menekankan ‘Menerajui Pembelajaran’ dan
Modul 4 ‘Persekitaran Pembelajaran Profesional’. Modul tersebut
amat penting bagi melahirkan guru yang berkualiti berdasarkan
persekitaran pembelajaran profesional. Aku amat berpuas hati kerana
131
dapat mendalami modul-modul tersebut kerana inilah tugasan yang
berkaitan dengan bidang kerjaku iaitu bimbingan dan pementoran
kepada Middle Leader Team (MLT).
Pelbagai cabaran yang perlu kami tempuh dalam gerak kerja
membimbing Middle Leader Team (MLT) di sekolah. Peringkat
penerimaan awal penuh dengan suasana memujuk agar semua ketua
panitia berperanan lebih aktif dan efektif. Sesi bimbingan dan
pementoran berjalan dengan baik selepas pihak sekolah iaitu Senior
Leader Team (SLT) berperanan memggerakkan jentera sekolah.
Program Professional Learning Communities (PLC)
digerakkan oleh SLT dan MLT sekolah. Strategi dalam PLC
berperanan membantu guru-guru untuk meningkatkan kualiti
Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPC). Sesi bimbingan dan
pementoran berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak terlibat.
“Bagaimana cikgu nak memperbaiki pencapaian subjek
Matematik Tahun 6?” Soalku kepada MLT iaitu Ketua Panitia
Matematik Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan. “Kami Panitia
Matematik mengadakan dialog prestasi pencapaian dalam Ujian
Pertama. Kami merancang PdPC berdasarkan data. Kami membuat
diagnosis berdasarkan kelemahan kemahiran yang dipelajari,” jelas
Cikgu Farah selaku Ketua Panitia Matematik. “Cikgu dan ahli panitia
perlu menjalankan intervensi akan kelemahan mengikut kemahiran.
Saya yakin akan berlaku peningkatan dalam subjek berkenaan,”
balasku sebagai pengukuhan dalam sesi bimbingan hari itu.
Selain itu, untuk mengukur keberkesanan Pembelajaran Abad
Ke-21 (PAK21) pihak SLT telah melaksanakan Learning Walk (LW)
sebagai alat untuk mengukur. Kerjasama MLT dalam pelaksanaan
Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) sangat baik.
Alhamdulillah, setakat hari ini, setelah melalui tahun pertama
hingga ketiga di Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan terlalu banyak
perubahan berlaku. Transformasi berlaku dengan baik.
Perkembangan ini boleh dilihat pencapaian sekolah berdasarkan
daripada sasaran melalui kerangka TS25.
132
Aku sebagai Rakan ELIT (RE) amat berpuas hati dengan
perkembangan yang berlaku melalui Program Transformasi Sekolah
(TS25). Ruang untuk penambahbaikan sedang berlaku dari semasa
ke semasa. Tiada istilah gagal dalam program.
Dalam perkembangan terkini, Encik Awal selaku Rakan ELIT
(RE) telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Pendidikan Daerah
Manjung. Kemudian, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu
Sembilan pula dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pegawai
Pendidikan Daerah Pendidikan Islam. Keperluan perjawatan dan
kecemerlangan mereka diperlukan oleh pihak Jabatan Pendidikan
Negeri Perak untuk menerajui jawatan penting di pejabat pendidikan.
Kini, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu Sembilan diterajui oleh
Puan Rosliyana. Pengalaman beliau di Sekolah Amanah (Trust
School) banyak membantu menggerakkan guru-guru di sekolah
tersebut.
Pada hari pertama Encik Awal menjawat jawatan sebagai
Pegawai Pendidikan Daerah, beliau membawaku bersama dalam
kunjung bantu di sekolah-sekolah Pulau Pangkor. Setelah selesai
membimbing Pengetua dan Guru Besar di sana kami singgah di
pekan Pulau Pangkor untuk menikmati laksa mi Pangkor yang
kuidamkan selama ini. Sesungguhnya adunan ramuan dan resepi
menjadikan laksa Utara dan laksa mi Pangkor sungguh sedap untuk
dinikmati oleh kita. Begitu jua, kesungguhan dan keikhlasan kita untuk
melaksanakan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25)
memerlukan ramuan dan resepi yang kreatif seperti laksa Utara dan
laksa mi Pangkor untuk dinikmati oleh semua.
133
PAHIT KELAT BUNGA LAWANG
MOHD NOOR AZAMI BIN ABU BAKAR
RAKAN ELIT SIP+ PPD KUALA KANGSAR
YANG PAHITNYA
Yang aku ingat dalam lawatan pertama, aku berjumpa seorang
rakan Pengetua untuk sembang santai kali pertama sejak dilantik
menjadi Rakan ELIT (RE) SIP+, aku telah diceramahkan dengan
panjang lebar. Kononnya pegawai PPD tidak fikirkan beban tugas
guru. Dia tunjukkan pada aku kartun yang menunjukkan beban tugas
guru. Aku tidak diberi peluang bercakap. Aku biarkan sahaja.
Maklumlah, RE SIP+ kena biasakan diri menjadi pendengar yang
baik. Akhirnya, aku disuruh balik dan mengaji dahulu. Aku diam
sahaja, biarkan dia seronok bercakap. Dia tidak tahukah yang aku
dahulu juga ialah seorang pengetua? Aku kasihan kepadanya.
Yang aku ingat, aku ada meminta beberapa maklumat
daripada seorang pengetua bagi persediaan untuk aku membuat
bimbingan. Aku dipersoalkan tentang punca kuasa dan sebab
memerlukan maklumat tersebut. Yang aku tahu, aku kenalah tahu
sesuatu isu berdasarkan data terlebih dahulu sebelum aku
memulakan sesi bimbingan. Jika tidak tahu, bagaimana aku hendak
memulakan bimbingan? Dia pula, terlalu suka memperkecil rakan
SISC+. Ha, padan muka. SIP+ dan SISC+ pun malas hendak bantu
sekolahnya. Stress depa kata. Tambahan lagi, banyak benar
alasannya apabila diminta melaksanakan sesuatu program. Dia ni
bukan tidak tahu yang aku terlebih dahulu menjadi Pengetua daripada
dia. Ruginya dia.
Yang aku ingat, ada dua orang rakan pengetua maklumkan
kepada aku bahawa Pengetua di sekolah XYZ ni menganggap aku
sibuk hendak buat macam-macam kononnya hendak menjadi
Timbalan Pengarah. Dia tidak menyukaiku dan memburukkan aku.
Malangnya, rakan pengetua yang lain menyampaikan pula kepada
aku. Aku buat macam biasa saja dan terus membimbing Penolong-
134